Sunday, 16 September 2012

YANG INDAH HANYA SEMENTARA bab5-14


BAB LIMA   

           
“Fiqa kesal?” Soalan tidak terduga daripada Samwil semasa mereka bersedia untuk merehatkan badan malamnya.
           
            “Kesal untuk apa?” Ternyata Syufiqa memang tidak menjangkakan soalan yang telah terpacul dari mulut Samwil.

            “Kesal sebab tinggalkan dunia kerja. Duduk-duduk je di rumah macam ni.”

            “Abang ni, kan Fiqa dah beri alasan mengapa Fiqa tak nak kerja.”

            “Fiqa masih boleh tukar bidang lapangan. Jadi wartawan isu-isu semasa macam Yani tu. Kalau Fiqa jadi wartawan macam dia, mungkin Fiqa yang berpeluang buat cerita pasal Mia Batrisia.” Terang Samwil biarpun sebenarnya dia kalau boleh tidak ingin lagi menyebut nama itu.

            “Ohh, sebab tu ya. Tak apalah bang. Dapat kenal Mia Batrisia melalui cara ni pun Fiqa dah jauh bersyukur. Teramat-amat.”

            “Betul Fiqa tak kesal?”

            “Fiqa buat semua ni untuk abang. Takde sebab Fiqa nak kesal.”

            “Kalau abang tiba-tiba berubah?” Duga Samwil. Dia cuba mengesan reaksi Syufiqa.

            “Fiqa tetap sayangkan abang. Dulu, kini dan selamanya.” Senyum Syufiqa. Dia tahu itu mustahil. Selama perkahwinan mereka dia nampak kasih sayang sepanjang masa bersama Samwil. Dia yakin.

            “Hah, eloklah tu.” Nada suara Samwil kedengaran lain. Seperti kurang senang mendengar kata-kata Syufiqa sekejap tadi.

            “Abang, kenapa ni?” Syufiqa memegang tangan si suami.

            “Tak elok tau cakap dulu, kini dan selamanya.”

            “Yakah?” Syufiqa cuba mengesan keseriusan dalam nada suara Samwil.

            “Itukan motto iblis.”

            Berderau darah Syufiqa mendengar Samwil berkata begitu. Walaupun dia tahu Samwil sekadar mahu mengusik, namun perkataan iblis benar-benar membuatkan Syufiqa terasa lain.
           
            “Abang, nak bergurau pun janganlah sampai macam tu,” rajuk Syufiqa.

            Kali ini giliran Samwil pula melakar senyuman pada bibir. Samwil nampak kacak sekali apabila tersenyum lebar begitu. Samwil sudah mula meraih Syufiqa ke dalam pelukannya.

            “Tapi tu memang motto iblis. Fiqa lupa sejarah nabi-nabi dulu?”

            “Emh… nabi mana, bang? Kan nabi tu ramai. Antaranya Samwil dan Bunyamin.”

            Melentok manja di dada Samwil, Syufiqa cuba untuk mengambil giliran mengusik Samwil pula. Mentang-mentanglah suaminya bernama Samwil Bin Bunyamin, senang hati pula dia mahu kenakan suaminya. Samwil mencubit geram ke pipi Syufiqa.

            “Main-mainkan abang pulak. Tu nabi yang tak wajib kita tau. Ni nabi yang dah bertaraf rasul.”
            “Pun ramai jugak.” Syufiqa masih belum dapat menangkap rasul yang mana cuba dimaksudkan Samwil.

            “Nabi Musa a.s lah. Iblis pernah menuturkan motto ni semasa berdepan dengan Nabi Musa.”

            “Ntah. Fiqa tak ingatlah bang. Ustazah tak sempat nak cerita kot. Cuba abang cerita kat Fiqa. Sesekali nak juga Fiqa dengar abang bercerita pasal sejarah rasul-rasul kita ni.”

            “Fiqa, abang serius ni…”

            “Fiqa pun serius. Macamlah Fiqa nak main-mainkan abang pulak.”

            Samwil merenung seketika isterinya. Syufiqa membalas pandangan Samwil bersama senyuman. Seketika sebuah ciuman penuh kasih melekat pada pipi Syufiqa.

            “Ceritalah bang…”rengek Syufiqa macam anak kecil.

            Samwil tersenyum buat seketika. Kemudian dia mula bercerita tentang kedatangan iblis mengadap Nabi Musa a.s untuk bertanyakan baginda kalau-kalau baginda boleh cuba tanyakan Allah s.w.t bagaimana cara untuk iblis bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Nabi Musa walaupun tidak percaya iblis mahu bertaubat tetap berbuat demikian. Lalu Allah s.w.t berfirman sekiranya iblis benar-benar mahu bertaubat hanya melalui satu cara agar Allah menerima taubatnya iaitu iblis perlulah sujud ke makam Nabi Adam a.s dan mengakui kenabian Nabi Adam. Mendengar firman Allah yang disampaikan Nabi Musa a.s itulah maka iblis pun berkata dia sama sekali tidak akan sujud kepada Nabi Adam walaupun sesudah dia wafat. Tidak dulu, kini dan selamanya. Maka sebab itulah iblis terus berada dalam kekufuran dan digelar laknatullah.

            “Tak tau pula Fiqa pasal cerita ni. Tapi teruk betul iblis tu, sebab tak mau mengakui Nabi Adam lebih baik berbandingnya dia sanggup engkar perintah Allah.”

            Samwil tersenyum mendengar komen Syufiqa. “Nak hairan apa sayang, iblis tu dah sah-sah ahli neraka. Kita yang manusia , ada akal fikiran ni jangan pulak nak jadi macam iblis. Kalau ada orang yang beri seruan betul kepada kita, kita terima. Jangan nak keras kepala dan reka hukum-hakam sendiri.”

            “Abang ni dah mula nak sentuh bab-bab sensitif ni.”

            “Apa pulak? Abang cakap betul. Kita manusia ni ada mata lihat, ada telinga dengar, ada otak fikir dan ada hati tu renung.”

            Syufiqa menjeling suaminya. Versi cakap Samwil sudah bertukar seperti Ustaz Badrul Amin, bekas pensyarah UM dan juga pernah ditahan di bawah Akta ISA selama dua tahun. Secara tidak langsung juga ada serban maya terletak elok di atas kepala suaminya. Syufiqa tidak dapat menahan rasa gelihati membayangkan suami dalam citra ustaz. Berkopiah dan bercakap soal-soal sedemikian.

            “Fiqa ketawa kenapa pulak?” Terasa diri dipermain-mainkan, Samwil tidak bertangguh-tangguh mengajukan soalan.

            “Fiqa gelihati bang. Macam Ustaz Badrul Amin pulak bila abang cakap macam tu. Abang minat dia?”

            “Kalau minat dia salah ke?”

            “Jangan bang, mulut dia laser, dah tu menentang kerajaan.”

            “Dah pun namanya negara demokrasi. Kalau takde penentang kerajaan bukan negara demokrasilah pulak.”
            “Dah, kita sebenarnya bincang pasal apa tadi?” Syufiqa tidak ingin melanjutkan. Kata orang cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar.

            “Tadi, abang tanya kalau abang berubah, Fiqa macam mana?” Samwil kembali mengulangi soalannya sekali gus mengembalikan topik bual mereka kepada tajuk asal.

            “Ah, ya. Abang tanya macam tu tadi, kan. Baiklah. Fiqa cakap sejujur-jujurnya. Tak pinjam motto iblis lagi ni. Sebenarnya bang, kalau abang benar-benar berubah, Fiqa akan tetap setia. Tetap sayangkan abang, kasihkan abang, cintakan abang.”

            “Fiqa tetap cintakan abang? Fiqa tak kecewa?”

            “Kecewa tentu kecewa. Namun Fiqa sanggup berusaha hingga abang kembali sayangkan Fiqa macam dulu-dulu. Fiqa yakin kalau abang berubah abang tetap juga akan toleh kembali kepada Fiqa.”

            “Fiqa yakin?”

            Syufiqa tersenyum seraya mengangguk.

            “Tapi kenapa abang nak berubah?”

            “Tak. Abang sekadar tanya. Fiqa jangan bimbang. Abang tak mungkin akan berubah.”

            Lalu mereka berpelukan buat sekelian kalinya.

            Syufiqa yakin dengan kata-kata Samwil sementara jauh di dasar hati Samwil juga yakin dia tidak akan berubah semudah memetik jari. Dia yakin cintanya terhadap Syufiqa memang tidak pernah berbelah bahagi sejak dia melafazkan akad nikah memperisterikan Syufiqa bertahun-tahun dahulu. Cuma dia merasa begitu resah memikirkan pertemuan yang berlaku antara isterinya dan Mia Batrisia siang tadi. Dia tidak faham mengapa mesti ada perasaan begitu dan mengapa hati mesti merasa cukup bergalau dan tertekan.

            Mia Batrisia bukan siapa-siapa dalam hidupnya. Mia Batrisia tidak mungkin mampu melakukan sesuatu santak boleh mengganggu-gugat keharmonian rumahtangga mereka. Namun mengapa itu yang dirasakan sebaik pandangan matanya bertemu dengan renungan Mia Batrisia? Kuasa apa yang ada pada renungan wanita tersebut sehingga malam itu Samwil benar-benar keresahan?

            “Abang, Mia Batrisia tu cantik tak?”

            Ah, dia ungkit pula fasal Mia Batrisia. Aku kalau boleh sudah malas menimbulkan soal Mia Batrisia. Sekurang-kurangnya tidak untuk malam ini. Cukup-cukuplah. Liur Samwil rasa tersekat.

            “Di mata abang, tak ada orang lebih cantik berbanding Fiqa.”

            “Janganlah nak main-mainkan Fiqa.” Syufiqa mencebir. Buat sebentar dia menjeling ke wajah Samwil. Dipandangnya Samwil dalam-dalam. Seakan ingin meminta Samwil berlaku jujur dan tidak sekadar mengambil hati.

            Direnung begitu membuatkan Samwil teruja memeluk Syufiqa erat-erat seraya mengucup dahinya.

            “Sama ada dia cantik tak, tu tak beri makna apa-apa pada abang,” luah Samwil kemudiannya.

            “Tu Fiqa tau, Fiqa cuma nak pastikan nama dan orangnya bersesuaian.”

            La, sampai macam tu sekali Syufiqa mahu berkira tentang Mia Batrisia? Hinggakan mahu mengukur sampai ke tahap itu. Samwil menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkah si isteri.

            “Bolehlah tu. Nama Mia Batrisia kedengaran lembut. Dia pun nampak lembut orangnya.”

            “Dia mudah tersenyum bang. Nampak cantik sekali kalau dia senyum.”

            “Tapi, betulkah nama dia Mia Batrisia. Kot nama pena saja tu.” Samwil tidak bermaksud untuk mengajukan soalan itu. Namun entah mengapa itu yang boleh terlompat merentas rengkungnya.

            Mentak kerana itu yang sejak siang bermain dalam benaknya. Kalau Mia Batrisia benar-benar nama penulis pujaan Syufiqa bermakna dia tersilap orang. Barangkali pelanduk dua serupa. Kalau nama pena, besar kemungkinan dia orang yang sama. Orang yang sudah lama Samwil abaikan kewujudannya dalam dunia ini.

            “Fiqa tak tanya pulak bang…” Jeda wujud di situ. “Takpelah. Besok Fiqa call dia dan cuba tanyakan nama sebenar dia.” Sambung Syufiqa lagi sambil membetulkan rambut yang sedikit kusut.

            Call? Fiqa ada nombor dia?” Samwil tidak percaya semudah itu Syufiqa mampu mendapatkan nombor telefon Mia Batrisia.

            Hanya melalui satu pertemuan, Syufiqa sudah mampu meminta nombor telefon untuk memudahkan dia menjalin hubungan lebih erat pada kemudian hari. Syufiqa benar-benar mengotakan apa yang dikatakannya. Selama ini dia memang bertekad dan menanam keinginan untuk mendapatkan nombor telefon Mia Batrisia sekiranya berpeluang bersua muka dengannya.

            “Dia kasi. Ada kat novel yang ditandatangannya.”Jelas Syufiqa bangga.

            Liur Samwil sekali lagi rasa tersekat. Melalui nombor tersebut, akan ada rentetan hubungan yang berpanjangankah antara Syufiqa dan Mia Batrisia? Apa pula akan jadi sekiranya mereka terus-menerus berhubungan? Samwil benar-benar rasa tidak tenteram. Seakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku. Sungguh-sungguh dia tidak faham mengapa itu yang dirasakannya.

            “Abang kenapa? Nampak lain pula ni…” Syufiqa mula mengesan sesuatu pada wajah si suami.

            Masakan perut masih meragam memandangkan selepas menikmati makan tengahari di medan selera siang tadi perutnya kembali baik dan Samwil nampak ceria semula. Apa pula yang membebankan benak Samwil? Kelihatan Samwil seakan sedang mempertimbangkan sesuatu dalam benaknya.

            “Takde apa sayang. Cuma penat sikit.”

            “Tulah, tadi Fiqa ajak balik awal tak mau. Konon belum puas kat pesta buku. Kelakarnya, dia pula yang terlebih-lebih mahu luangkan lebih masa di sana.”

            “Sesekali seronok juga ke pesta buku.” Selindung Samwil akan perkara sebenar.

            Padahal dia sengaja meminta Syufiqa meluangkan masa hampir sepanjang siang di situ sesudah menikmati makan tengahari untuk mengesan kelibat Mia Batrisia sekali lagi. Sekadar mahu memastikan dia tidak tersalah orang. Dia tidak faham mengapa itu menjadi satu agenda penting pula. Sepatutnya dia tidak peduli waima dia tersalah orang atau tidak. Sepanjang usia itu dia sudah bertekad untuk tidak memikirkan tentang sesiapa lagi kecuali Syufiqa dan keluarga. Tiba-tiba dek pertemuan lewat siang tadi hati kecilnya kembali bagai terusik. Untuk apa?

            Tidak. Tidak sepatutnya dia melayan perasaan sampai begitu sekali. Siapapun Mia Batrisia tidak harus menjadi satu permasalahan maha kronik dalam benak fikirnya. Sama ada Mia Batrisia benar-benar insan yang pernah dikenali Samwil satu masa dahulu, ia tidak harus menjadi kudis dalam jiwanya. Bernanah dan membusuk di situ. Benar-benar tidak boleh dibiarkan itu berlaku memandangkan hal antara dia dan seseorang seiras Mia Batrisia sudah terlalu lama berlalu. Malah masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri tentunya.

            Samwil dengan hidupnya bersama Syufiqa dan si dia yang seiras Mia Batrisia sudah tentu dengan pasangannya sendiri. Samwil benar-benar tidak patut memikirkan tentang si dia yang seiras Mia Batrisia lagi. Sungguh-sungguh tidak patut.

            Masalahnya, mereka terlalu seiras dan aku tidak dapat mengelak daripada memikirkannya. Sungguh demi Tuhan aku katakana Mia Batrisia benar-benar mirip Mia Sara. Jika sebelum ini nama Mia Batrisia sering mengingatkan aku tentang Mia Sara, hari ini wajahnya kembali membuatkan aku boleh melakar dengan jelas citra Mia Sara yang sebelum ini sudah berbalam ditelan zaman dalam benak aku. Kebetulan apakah ini? Atau memang mereka orang yang sama?

            Ah, kalau Mia Batrisia itu benar-benar Mia Sara, gadis manja yang suatu masa dahulu pernah mengejar mimpi indah bersamaku, kenapa aku harus tertekan dan rasa serba tidak kena? Bukankah perasaan antara kami sudah lama mati? Mia Sara bukankah juga sudah lama mendirikan rumahtangga? Siang tadipun Mia Batrisia tidak kelihatan seperti wanita bujang. Gayanya memang sudah menunjukkan kematangan. Lebih utama daripada itu semua, jika mereka orang yang sama, tentu dia tidak setegar itu mengawal dirinya semasa diperkenalkan kepadaku.

            Huh, mungkin juga pelanduk dua serupa dengan nama hampir sama. Mentak juga mereka adik-beradik. Sebab itu mereka seiras benar. Biasalah, jika adik-beradik nama dan wajahpun tentulah hampir sama. Ya. Ya. Mengapa pula aku tidak pernah memikirkan kemungkinan itu sejak siang tadi? Patutlah aku saja terlebih-lebih tergelujat dan jiwa benar-benar saling tingkah-meningkah. Sedang dalam masa yang sama Mia Batrisia selamba sahaja. Tentulah kerana dia bukan Mia Sara.

            “Abang , kita tidurlah. Besok pun abang nak kerja, kan?”

            “Yalah. Abang pun dah mengantuk ni.” Setuju Samwil walaupun dia sebenarnya langsung tidak mengantuk dan tidak kepenatan walaupun tanpa rehat sepanjang hari.

            Kepala masih berlegar memikirkan rasa bergalau dalam diri. Dia cuba untuk menyedapkan diri sendiri. Meyakinkan tiada apa-apa yang akan berlaku dalam rumahtangga mereka. Selama ini mereka melayari kehidupan berumahtangga penuh harmoni. Mustahil akan ada perkara yang mampu mengocak keharmonian tersebut. Sementelahan pula perasaan cinta Samwil terhadap Syufiqa terlalu kuat. Sebagai isteri tiada apa-apa kekurangan pada diri Syufiqa.

            “Kalau macam tu, selamat malam bang. Fiqa sayangkan abang.” Lantas tangan Samwil diraih dan dibawa rapat ke bibir.

            Mengucup penuh hormat tanda kasih sayang tidak pernah berbelah bahagi. Samwil membalas dengan sebuah ciuman kasih di pipi.

            “Abang pun sayangkan Fiqa!” Ucap Samwil penuh syahdu dan penuh keikhlasan. Benar-benar lahir dari hati yang suci.

            Syufiqa bahagia sekali dengan ucapan itu. Dia memicingkan matanya tanpa menyedari si suami masih terkebil-kebil dalam kegelapan sebaik lampu tidur dimatkan.

            Samwil masih terkenangkan masa lampaunya. Dia benar-benar terusik oleh kenangan sila,. Walau kini dia teramat bahagia bersama Syufiqa, tidak bermakna dia sudah lupakan kenangan silam. Kenangan merupakan sebahagian daripada hidup seseorang insan. Sesiapapun selagi dia bernama manusia yang punyai hati dan perasaan, waras pula akal fikirnya tentu sesekali akan terusik oleh kenangan silam. Sementelahan jika kenangan itu cukup memberi kesan dalam hidup.  Waima manis atau pahit, yang pasti ia memang sebati dalam diri. Manusia tidak akan menjadi manusia jika tiada kenangan dalam hidup.

            Lalu malam itu Samwil terusik oleh kenangan demi kenangan masa lalu.lebih-lebih lagi kenangan bersama Mia Sara yang sebelum ini pun tidak pernah dilupakan Samwil. Bagaimana boleh lupa jika Syufiqa sering membangkitkan ingatan itu apabila dia menyebut tentang Mia Batrisia. Nama itupun sudah cukup untuk mengingatkan Samwil tentang Mia Sara apatah setelah bersua muka dengan Mia Batrisia dan mendapati Mia Batrisia seiras Mia Sara.

            Ingatan itu tidak bermakna Samwil kembali mencintai. Dia yakin pada cintanya terhadap Syufiqa walaupun mereka kahwin atas perancangan orang tua. Yakin cintanya pada Syufiqa kuat walaupun tiada sengketa yang memisahkan dia dan Mia Sara. Hanya faktor masa sahaja membuatkan mereka terputus hubungan. Apabila usia semakin meningkat dan masing-masing membawa haluan sendiri, gagal dijejaki maka hubungan dibiarkan putus begitu sahaja. Samwil tidak pernah mahu menjejaki Mia Sara dan Mia Sara pun sama apabila saban raya, kunjungan kartu raya daripada Mia Sara tidak lagi menanti Samwil di rumah sepertimana setiap kali musim perayaan kunjung tiba sebelumnya.

            Samwil yakin cinta monyet antara mereka sudah lama dilupakan apabila selepas itu Mia Sara diberitakan telah berkahwin. Dia tidak terkilan. Cinta mereka dulu pun bukan cinta sejati. Tidak seperti cinta antara dia dan Syufiqa yang sudah berjanji sehidup semati sejak memeterai ikatan perkahwinan. Cuma yang tidak pernah dilupakan Samwil hanyalah kenangan antara dia dan Mia Sara. Kenangan yang ada masa membuatkan dia terfikir betapa dulu dia pernah mengenali gadis manja dan periang seperti Mia Sara.

            Syufiqa tidak pernah tahu dan tidak pernah pula mengambil tahu. Dia tidak pernah juga mahu Syufiqa tahu, bimbang Syufiqa tersalah faham dan berkecil hati. Kalau boleh biar selama-lamanya ia begitu. Namun sekiranya Syufiqa betul-betul mampu menjalinkan hubungan bersama Mia Sara dan kebetulan pula Mia Batrisia benar-benar Mia Sara, masih bolehkah kisah dulu mereka disimpan kemas dalam kotak ingatan semata-mata?

            Samwil tersangat bimbang kalau-kalau ia akan terbongkah kembali. Hati perempuan bukan boleh dijangka. Ada masa kisah cinta zaman remaja suami boleh menjadi kudis dan diungkit berulang kali. Tujuan hanya mahu membanding-bandingkan dengan diri sendiri. Secara psikologi, sikap perempuan sama saja. Suka cemburu walaupun terhadap perhubungan yang sudah lama berlalu. Sebab itulah Samwil jika boleh mahu menjaga hati Syufiqa.




















BAB ENAM
“Huh, penatnya!” Keluh Syufiqa sambil merebahkan badan ke sofa empuk.

            Terasa enak sebaik tubuh mencecah ke permukaan sofa. Sudah lama dia tidak merasa penat sebegitu. Keluar hujung minggu bersama Samwil pun tidaklah sepenat yang dirasai kini. Sungguhpun badan merasa penat, hatinya seronok. Seronok kerana Mia Batrisia sudi memberinya peluang meluangkan masa dan menemani Mia Batrisia ke pusat pemulihan akhlak.

            Sepanjang berada bersama Mia Batrisia di sana, Syufiqa dapat merasa dan melihat sendiri bagaimana kedatangan Mia Batrisia dialu-alukan di situ. Semacam mereka senang benar dengan kehadiran Mia Batrisia tanpa mengambil kisah siapa sebenarnya Mia Batrisia. Malah daripada perbualan ringan antara Syufiqa bersama salah seorang penghuni di situ, mereka tidak tahu siapa sebenarnya Mia Batrisia pada awal-awal kunjungan Mia Batrisia ke situ sehingga dimaklumkan oleh pengetua pusat. Mia Batrisia tidak pernah mendedahkan identiti sebenar dan menampilkan diri seadanya sebagai orang bebanyak menyebabkan mereka menganggap Mia Batrisia sama seperti pengunjung lain.

            Mia Batrisia bukan jenis meninggi diri dan sentiasa tampil dalam penuh hemah dan tertib. Langsung tidak menampakkan diri sebagai seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia penulisan tanah air. Lantaran itu sedikit sebanyak Mia Batrisia mampu memenangi hati penghuni di situ dan kehadirannya amat disenangi. Malah kata mereka, Mia Batrisia mampu menjiwai perasaan mereka. Tidak pernah pula memandang negative terhadap mereka biar apa juga kesalahan dan kesilapan yang pernah mereka lakukan pada kehidupan lampau mereka. Bagi Mia Batrisia, setiap insan perlu diberi peluang untuk membaiki diri sendiri. Kata penghuni di situ lagi, sekeras-keras manapun mereka, apabila berdepan dengan kelembutan Mia Batrisia mereka mengalah.

            Malahan melalui perbualan bersama penghuni di situ juga baru Syufiqa tahu bukan mudah untuk Mia Batrisia bergaul dengan mereka. Mereka memperlekehkan usaha Mia Batrisia pada awalnya dan tidak percaya akan kejujuran Mia Batrisia. Bagi yang terlebih ‘ganas’ pernah juga menyabotaj Mia Batrisia. Pun Mia Batrisia dilaporkan bersabar. Dia terus bertahan dan cuba pendekatan yang lebih telus lagi setiap kali berdepan dengan kes-kes sebegitu.

            Semakin banyak yang Syufiqa tahu mengenai Mia Batrisia semakin dia kagum terhadap penulis idolanya. Malah semakin juga dia bangga kerana berpeluang menjadi salah seorang peminat penulis yang mempunyai nama baik di mana-mana sahaja. Ternyata Syufiqa tidak salah menilai keperibadian Mia Batrisia. Walaupun sesekali dalam karyanya Mia Batrisia tidak menggambarkan watak utama sebagai perempuan baik-baik, dia sebenarnya agak ironic dengan gambaran watak paparannya sendiri.

            Syufiqa tersenyum. Mungkin Mia Batrisia banyak mendapat ilham di pusat pemulihan akhlak tersebut bagi menonjolkan watak seorang wanita penagih dadah yang terpaksa meninggalkan suami dan anak setelah ditahan di pusat pemulihan dalam salah sebuah novel paparannya. Itu tidak mustahil kerana banyak kisah kehidupan dapat dikutip di pusat sebegiti. Diadun dengan kreativiti diri sendiri, hasilnya sebuah karya yang benar-benar mampu meruntun hati dan perasaan pembaca.

            Ah, Mia Batrisia memang pandai bermain dengan kata-kata sehingga membuatkan ramai peminat hasil karyanya menangis di petiduran sebelum tidur!

            Dentingan jam mengejutkan Syufiqa. Sudah pukul empat petang. Dalam sekejap masa lagi dia harus menyediakan hidangan malam bagi santapan si suami. Sebelum tiba di rumah tadi mereka; dia dan Mia Batrisia sempat singgah di pasar basah untuk membeli sedikit lauk-pauk dan sayur-mayur. Syufiqa bangun untuk naik ke bilik. Dia harus mandi untuk memulihkan tenaga dan mengembalikan kesegaran badan. Lagipun dia tidak mahu menyambut kepulangan Samwil petang nanti dalam keadaan serebeh dan tidak terurus. Dia tidak biasa kelihatan selekeh di depan suaminya sendiri. Pesan ibu, penampilan depan suami harus sentiasa dijaga demi memastikan kestabilan rumahtangga. Banyak berlaku gara-gara isteri tidak pandai menjaga penampilan membuatkan suami terdorong pandang wanita lain apabila berada di luar rumah.
            Pun Syufiqa bukan takut Samwil bermain kayu tiga mendorong dia sentiasa mahu kelihatan cantik depan Samwil. Itu bukan perkara yang memomoki hidupnya. Dia cuma mahu memastikan suaminya senang dan selesa apabila disambut wajah manis si isteri depan pintu setelah seharian penat di luar rumah. Melihat isteri yang tampil kemas, badan yang penat pun boleh hilang letihnya. Kalau Syufiqa tidak endahkan penampilan sewaktu menyambut kepulangan suami, kemungkinan Samwil makin kelihatan penat sebaik tiba di muka pintu.

            Syufiqa tidak membuang masa yang lama bagi menyiapkan diri. Usai semuanya dia masuk ke dapur seperti rutin saban petangnya. Lauk-pauk yang dibeli tadi nampaknya sudah tidak sabar-sabar untuk mengalami proses seterusnya. Syufiqa senang setiap kali mahu menyediakan makanan untuk Samwil. Tambah senang dan kembang hati jika Samwil menjamu penuh selera setiap hidangan yang dimasak Syufiqa. Itu merupakan penghargaan buat Syufiqa. Dia paling bahagia sewaktu Samwil menikmati masakannya tanpa ragu.

            “Tak rasa rugi berhenti kerja untuk jadi surirumah sepenuh masa?” Itu suara Mia Batrisia kembali bermain di benak Syufiqa.

            Soalan itu diajukan semasa mereka sama-sama memilih sayur di pasar. Syufiqa pada mulanya tersenyum mendengar soalan tersebut. Kemudian mula menerangkan apabila Mia Batrisia terus mengasaknya dengan pelbagai soalan berkaitan aktiviti seharian selepas memutuskan untuk menjadi surirumah semata-mata.

            “Sejak kahwin, suami saya merupakan insan paling bermakna dalam hidup dan saya berjanji pada diri sendiri untuk memberi yang terbaik buatnya.” Terang Syufiqa tanpa sedikit pun menunjukkan diri sudah terusik apabila Mia Batrisia bagai mempertikaikan tindakannya.

            “Banyak lagi cara untuk tunjukkan kira sayang dia, kan?” Mia Batrisia seakan ingin menduga apabila mengajukan soalan sedemikian kepada Syufiqa.
            Syufiqa hanya memandang tunak ke wajah Mia Batrisia. “Rasionalnya memang ya. Banyak lagi cara untuk kita buktikan kasih sayang pada suami. Cuma di sebalik semua tu, saya juga buat keputusan berhenti kerja kerana tak mahu terus terlibat dengan dunia hiburan. Jadi wartawan hiduran ni ada masa buat saya terfikir status halal-haram punca pendapatan saya.” Suara Syufiqa kemudiannya.

            Kali ini giliran Mia Batrisia pula memandang tunak ke wajah Syufiqa.

            “Syufiqa tak rasa rugi sikit pun?” Masih berkisar soal untung rugi.

            “Saya cuba buat apa yang saya rasa Allah redha.”

            Kali ini Mia Batrisia senyum pula. Merenung sekali lagi ke wajah Syufiqa. “Ada masa kalau hati kita dah cakap begitu, maka begitulah yang kita buat.” Desis Mia Batrisia kemudiannya.

            “Apapun, Samwil beruntung punyai isteri seperti awak, Syufiqa. Lelaki memang menginginkan seorang isteri yang bersedia berada di sisinya bila-bila masa. Isterilah kekuatan seseorang suami.”Ujar Mia Batrisia lagi tanpa sempat Syufiqa berkata apa-apa.

            Seakan bersignifikan pula ucapan Mia Batrisia kali itu. Syufiqa diketik rasa ingin tahu. Selama ini dia tidak pernah mengetahui apa-apa tentang kehidupan sebenar Mia Batrisia. Begitupun Syufiqa tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Bimbang soal-soal peribadi begitu sensitive bagi pihak Mia Batrisia. Syufiqa memilih diksi bersesuaian bagi diajukan kepada Mia Batrisia. Dia tidak mahu memberi gambaran tidak elok tentang diri sendiri di mata Mia Batrisia melalui soalan yang bakal disuarakannya. Jika boleh dia tidak mahu Mia Batrisia melihat dia sebagai penyibuk. Suka mengambil tahu urusan orang lain termasuk soal-soal peribadi. Itulah yang peling cuba dielakkan oleh Syufiqa walaupun keinginan dalam diri begitu menunjah-nunjah di sanubarinya.

            “Kenapa Syufiqa pandang saya macam tu?” Soal Mia Batrisia menyedari renungan yang dilemparkan Syufiqa terhadapnya.

            “Saya tertarik dengan kata-kata Cik Mia tadi. Apa yang mendorong Cik Mia berkata begitu agaknya?”

            “Kita bercakap ni adakalanya berdasarkan pengalaman sendiri.” Perlahan sekali nada suara Mia Batrisia. Pun dia kelihatan serius.

            “Cik Mia dah kahwin?” Langsung Syufiqa mengajukan soalan yang sudah lama berlegar dalam benaknya sejak sekian lama.

            Diam.

            Syufiqa agak terkejut dengan reaksi Mia Batrisia. Hatinya bergetar. Bimbang kalau-kalau soalan yang dilemparkan tadi menyentuh peribadi Mia Batrisia dan dia tidak ingin berkongsi dengan masyarakat luar termasuk Syufiqa yang kini mula mampu menjalin hubungan mesra dengannya.

            “Minta maaf, saya tak terniat untuk mencampuri urusan peribadi Cik Mia…” Syufiqa kemudiannya mengucapkan maaf  apabila merasakan soalan sekejap tadi agak kurang menyenangkan di telinga Mia Batrisia.

            Mia Batrisia melepaskan keluhan sekejap. Kemudian melemparkan pandangan ke wajah Syufiqa sambil cuba mengukir senyuman sekali gus mengusir resah yang sudah mula mahu susup-sasap ke jiwa Syufiqa. Mia Batrisia kemudiannya kelihatan cuba mengatur kata-kata yang sesuai bagi menjawab soalan Syufiqa sekejap tadi.

            “Apa pula maafnya? Kan tu soalan domestik pada usia kita sekarang. Kahwin atau tak tu memang sinonim untuk diajukan apabila kita dah berada pada usia ni.”

            Lega. Memang Syufiqa rasa lega benar pun apabila Mia Batrisia menganggap perkara tersebut sebagai biasa-biasa sahaja untuk diajukan olehnya.

            “Jadi, Cik Mia dah kahwin?” Syufiqa sekali lagi mengulangi soalannya.

            “Dah. Saya dah kahwin sebaik menamatkan pengajian saya. Malah kami juga dah dikurniakan seorang puteri.”

            “Wah, untungnya!”

            “Syufiqa bagaimana? Belum ada cahayamata?” Tanya Mia Batrisia melihat Syufiqa teruja sebaik mengetahui dia sudah dikurniakan seorang anak.

            “Nak buat macam mana Cik Mia, Tuhan belum nak kurniakan kami anak.”

            “Tak apalah. Sekurang-kurangnya Syufiqa suami isteri masih berkesempatan untuk berbulan madu. Kalau dah ada anak, kehidupan berumahtangga akan berubah. Kita dah tak boleh menjalani kehidupan berdua seperti selalu.”

            “Suami saya pun cakap macam tu.” Senyum Syufiqa. Langsung tidak menduga Mia Batrisia dab Samwil mempunyai pandangan yang hampir sama.

            Seketika ingatan tentang Mia Batrisia hilang sebaik deruan kereta masuk ke ruang parkir rumah. Syufiqa buru-buru ke muka pintu untuk menyambut kepulangan Samwil. Si suami sudah tercegat di muka pintu semasa Syufiqa menguak daun pintu. Samwil walaupun kelihatan penat masih mampu membalas senyuman Syufiqa tatkala Syufiqa mengukirkan senyuman kepadanya. Samwil dapat menebak tentu ada sesuatu yang menggembirakan bakal disampaikan Syufiqa merujuk pada sinar di mata wanita tersebut. Perkara itu pula tidak lain tidak bukan tentu sahaja berkaitan Mia Batrisia memandangkan hari itu Syufiqa telah berpeluang keluar bersama Mia Batrisia.

            “Bagaimana?” Soal Samwil pendek semasa melabuhkan punggung ke sofa.

            “Nanti Fiqa ceritakan. Buat masa ni abang duduk dulu biar Fiqa ke dapur ambilkan abang minuman.”

            Syufiqa tidak bertangguh lagi melangkah ke dapur dan mendapatkan segelas jus oren dari dalam peti ais. Sekejap sahaja dia sudah muncul kembali di depan Samwil dan mengambil tempat duduk di sebelah suaminya. Dia memerhati suaminya meneguk jus sebelum memulakan ceritanya.

            “Fiqa hari ni telah menghabiskan satu masa yang cukup bermakna bersama Mia Batrisia. Dia memang baik bang.”

            “Jangan cepat buat tanggapan terhadap seseorang sayang. Kelak Fiqa jugak kecewa jika tau dia taklah sebaik mana.”

            “Abang memang suka membuat tanggapan buruk. Prejudis terhadap Mia Batrisia.” Syufiqa menunjukkan reaksi kurang senang mendengar kata-kata suaminya.

            Dia tahu walaupun tidak diluahkan secara mutlak, Samwil ada praanggapan yang begitu-begitu sahaja tentang Mia Batrisia. Dia tidak faham mengapa Samwil mesti ada tanggapan yang bukan-bukan terhadap idolanya. Dulu tidaklah ketara sangat, namun sejak pertemuan mereka tempoh hari Samwil makin menjadi-jadi berfikir yang bukan-bukan terhadap Mia Batrisia.

            “Abang cuma nak Fiqa berhati-hati. Kalau pun dia memang baik, abang nak Fiqa janganlah obsess sangat kat dia. Takut dia beri pengaruh buruk kat Fiqa.” Samwil cuba menerangkan rasional mengapa dia mahu Syufiqa berhati-hati sepanjang pergaulan bersama Mia Batrisia.

            “Pengaruh buruk yang macam mana bang? Sepanjang mengikuti karya Mia Batrisia, Fiqa tak pernah merasakan ada sesuatu yang tak kena dalam karya-karyanya. Sebaliknya karya Mia Batrisia banyak membuka minda Fiqa agar fikirkan pasal apa sahaja yang sebelum ni tak pernah Fiqa nak ambil tahu.”

            “Kalau dah suka, semua Fiqa nampak okey.”

            “Abang, Fiqa bukan nak bangkang abang. Cuma Fiqa yakin sangat kat Mia Batrisia. Abang tak tau apa komen penghuni pusat pemulihan akhlak tu terhadap Mia Batrisia. Kalau abang dengar apa kata mereka, abang pun akan akui kelebihan Mia Batrisia.”

            “Okeylah sayang. Kita jangan nak bertekak pasal Mia Batrisia. Abang pun nak mandi dulu ni. Lepas tu kita solat sama-sama macam biasa.”

            “Maafkan Fiqa. Fiqa bukan nak bertekak dengan abang. Fiqa nak membetulkan tanggapan abang terhadap Mia Batrisia.”

            “Abang tau sayang. Dah, jangan nak fikir sangat. Kalau abang kecilkan hati Fiqa, abang pun minta maaf.” Ujar Samwil sambil mengelus pipi Syufiqa. Kemudian dia bangun tanda bersedia untuk ke bilik dan membersihkan tubuh.

            Syufiqa senyum kembali. Kemudian dia turut bangun untuk menyaingi Samwil ke bilik.

            “Mia Batrisia pun dah kahwin bang. Tapi dia lebih beruntung sebab dah ada seorang anak. Anak perempuan pulak tu. Tentu comel. Fiqa pun kalau diberi rezeki oleh Allah nakkan anak perempuan yang comel.” Beritahu Syufiqa. Masih mengenai Mia Batrisia.

            Kali ini Samwil agak berminat dengan isu itu. Mia Batrisia sudah berkahwin. Bermakna Mia Batrisia juga sudah mempunyai kehidupan sendiri. Samwil agak senang hati mendengarnya. Jika Mia Batrisia dan Mia Sara benar-benar orang yang sama sekalipun, kenyataan perkahwinan Mia Batrisia memberi erti bahawa wanita itupun sudah melupakan kisah lampau yang pernah berlaku antara mereka berdua. Di situ juga bermakna Mia Batrisia pun tidak kisah akan perhubungan mereka satu masa dulu.

            Ah, cinta monyet!

            Tapi benar-benarkah Mia Batrisia tu Mia Sara? Samwil kembali menyoal diri.

            “Mia Batrisia tu nama betul dia kah?” Soal Samwil kemudiannya apabila persoalan itu kembali menerjah benaknya.

            “Ahh, lupa Fiqa nak bagi tau. Tu nama pena dia. Sempena nama perempuan dialah. Nama betul dia Mia Sara.”

            Bagai guruh bergempita dalam dada Samwil mendengar kenyataan Syufiqa. Jadi benarlah mereka orang yang sama? Rasa takut yang sekejap tadi hilang kembali susup-sasap menyelinap masuk ke hati Samwil. Dia pun tidak tahu mengapa mesti ada rasa takut begitu sebaik tahu kenyataan tersebut.

            “Fiqa tanya dia?”

            “Mulanya tak. Fiqa ternampak gambar dia di carta organisasi pusat pemulihan tu, dia salah seorang penasihat di situ. Nama penuh dia Mia Sara Hashim. Kemudian apabila dia mula bercerita tentang anak dia, masa tulah dia cakap Batrisia tu nama anak perempuan dia.” Terang Syufiqa tanpa menyedari si suami sudah mula terugah dan kegelisahan.

            Sahlah. Dia bukan orang lain. Bukan pelanduk dua serupa. Bukan kembar dan bukan adik-beradik. Dia memang orang yang sama dengan Mia Sara yang Samwil kenal dulu. Mia Sara Hashim. Mustahil dua orang individu akan mempunyai persamaan yang begitu hampir. Samwil tidak sangsi lagi. Mia Sara dan Mia Batrisia memang orang yang sama.

            Samwil takut.

            Samwil bimbang.

            Samwil resah.

            Pun entah apa punca ketakutannya.

            Entah apa juga punca kebimbangannya.

            Dan entah apa pula punca keresahannya.

            Dalam masa yang sama segala kenangan musim persekolahan mula bermain kembali dalam memori ingat Samwil. Satu demi satu membuatkan hati terpanggil mengenang semula pelbagai gelak tawa yang pernah Samwil lalui bersama seorang gadus lincah bernama Mia Sara Hashim.

            Samwil cuba untuk menguatkan semangatnya. Dia memandang ke wajah Syufiqa yang sedang tersenyum di sebelahnya.

            “Mia Batrisia beruntung kan, bang?” Syufiqa mengajukan soal. Masih dengan topik bual yang sama.

            “Untung kenapa?”

            “Sebab dia miliki segala-galanya. Nama, kedudukan dan sebuah keluarga yang lengkap.”

            “Kita tak tau masalah orang lain, Fiqa. Mana tau hidup dia lebih dahsyat berbanding kita yang takde anak ni.”

            “Tu Fiqa tak boleh nak cakap apa. Cuma bagi Fiqa, kalau dah ada sebuah keluarga yang lengkap, nak apa lagi?”

            “Insya-Allah Fiqa, kalau Tuhan murahkan rezeki kita, lambat laun kita juga akan dapat sekurang-kurangnya seorang cahayamata.”Samwil cuba untuk meyakinkan Syufiqa.

            “Fiqa harap pun begitu bang.”

            Mereka berpelukan buat seketika sebelum Samwil menjarakkan sedikit badannya dari tubuh Syufiqa.

            “Abang nak mandi dulu. Karang lewat pula abang siap.”

            “Pergilah.”

            Samwil tersenyum. Perlahan kucupan singgah di dahi Syufiqa. “Abang cintakan Fiqa!” Syahdu sekali ucapan Samwil.

            Kali ini giliran Syufiqa pula mengukir senyuman. Senyuman bahagia menerima cinta seorang lelaki seperti Samwil. Dia memang tidak pernah ragu-ragu akan kasih sayang Samwil terhadapnya walaupun Samwil terlupa untuk memperbaharui ucapannya. Daripada cara Samwil merenungnya dia sudah boleh membaca rasa hati Samwil. Tidak perlu Samwil mengucapkannya. Cuma dia akan merasa terlebih yakin dan terlebih bahagia lagi jika Samwil berterusan mengucapkannya hari demi hari. Sekurang-kurangnya itu mampu untuk membuatkan ikatan antara mereka berdua makin kuat.

            Samwil sudah hilang di balik daun pintu bilik air. Syufiqa termenung di birai ranjang. Memutarkan kembali ingatan terhadap masa yang telah dihabiskan bersama Mia Batrisia atau setepatnya Mia Sara sepanjang pagi hingga ke tengahari tadi. Ia benar-benar satu masa yang cukup bermakna dan tidak dapat Syufiqa lupakan. Dia berterima kasih yang amat kepada Mia Batrisia kerana memberi ruang kepadanya mendampingi Mia Batrisia. Tiada apa-apa yang boleh Syufiqa ucapan selain terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh Mia Batrisia kepada Syufiqa sebagai pengkagumnya selama ini.

            Dalam masa yang sama, Syufiqa juga tidak melupakan budi baik Noryani yang sudi menemukan mereka. Nantilah. Jika ada kelapangan Syufiqa akan menghubungi Noryani untuk memaklumkan perkembangan hubungan antara dia dan Mia Batrisia. Itu sudah pasti kerana Noryani berhak tahu lebih jauh daripada sebuah pertemuan semata-mata.















BAB TUJUH
“Kau tak kerja hari ni, Yani?” Syufiqa mengajukan soalan sambil menghidangkan minuman dan sedikit kudapan berupa tat telur kepada Noryani lewat kunjungan kawannya dua hari selepas Syufiqa keluar bersama Mia Batrisia.

            “Kerja, tapi kau tau ajelah aku. Kalau dah assignment luar mula melilau dulu sebelum balik office.”

            “Tak baik curi tulang tau!”

            “Hish, macamlah kau tak pernah buat dulu.”

            At least aku dah insaf kawan.”

            “Insaf? Hah, yalah tu, insaf. Sebab tulah sekarang ni kau terperuk je kat rumah. Takde kemajuan.” Jengkel Noryani selamba sambil tangan menggapai sebiji tat telur.

            “Kau jangan nak kutuk aku, Yani. Aku suka macam ni. Paling tak aku senang hati. Kepala pun tak serabut kena lecture oleh boss.”

            Noryani Cuma menelinga. Belum ada nafsu untuk berbalas kata sedang mulut sibuk mengunyah tat telur yang sudah tinggal separuh. Mata pula sesekali terjuling kea rah koleksi buku dan novel milik Syufiqa.

            “Berminat?” Pancing Syufiqa menyedari arah mata Noryani tertancap terus ke arah koleksi berharganya.

            “Emhh… berminat pun tak ada makna sayang. Kau bukan kasih kalau aku nak pinjam.”Ujar Noryani. Dia sudah faham benar dengan sikap Syufiqa jika berkaitan buku-buku milik peribadinya. Jangan mahu bagi pinjam, terlintas untuk berbuat demikian pun tidak pernah sama sekali.
            “Tau pun.” Syufiqa bersuara pantas. Langsung tidak mahu membantah komen Noryani terhadap dirinya.

            Noryani bangun kemudiannya. Merapati kabinet. Di situ tersusun elok sederetan novel dan buku-buku kesayangan Syufiqa. Dia menjamu matanya. Kemudian menggeleng-gelengkan kepala mengenang sikap obsess Syufiqa terhadap bahan bacaan. Malangnya Syufiqa tidak mahu memanipulasi sikap minat terhadap bahan bacaan dengan meneruskan kerjaya sebagai wartawan. Bagi Noryani ia satu kerugian besar. Syufiqa banyak pengetahaun. Malah pengetahuan luas Syufiqa masih sehingga sekarang walaupun dia banyak terperap di rumah. Sebab itulah Noryani merasakan ketokohan Syufiqa dalam bidang kewartawanan dan penulisan masih ada memandangkan dia cukup peka akan persekitaran. Sayang, Syufiqa sama sekali enggan kembali ke dunia kerja.

            Noryani pernah cuba memujuk Syufiqa kembali ke dunia lamanya. Syufiqa penuh tertib pula menolak. Noryani tahu mengapa. Namun alasan Syufiqa dirasakan tidak relevan dan tidak masuk akal sama sekali. Bagi Noryani apalah tidak baiknya kerjaya sebagai wartawan. Hanya Syufiqa yang terlalu prejudis dan banyak membuat praanggapan. Sudahnya Syufiqa sendiri mula rasa lain macam untuk meneruskan kerjayanya. Alih-alih segulung ijazah yang begitu susah untuk mereka perolehi akhirnya hanya tersimpan elok di laci kabinet. Noryani tidak faham apa sebenarnya yang telah merubah cara berfikir Syufiqa. Dia cuba mengkaji kebenaran di sebalik semua anggapan yang dibuat Syufiqa terhadap halal haram kerja mereka, pun Noryani merasakan itu semua hanya pandangan Syufiqa. Selama ini dia tidak pernah mendengar alim ulama mengeluarkan fatwa sedemikian. Entah, Noryani bukan arif soal hukum-hakam.

            “Kau renungkan apa tu, Yani?” Syufiqa akhirnya berbunyi apabila melihat Noryani seakan tenggelam sekejap.

            “Takde apa-apa kawan. Cuma terfikir tentang kau.” Noryani berterus-terang. Memang jika bersama Syufiqa dia senang untuk berterus-terang sahaja kerana dia tahu Syufiqa boleh menerima apa sahaja dengan fikiran terbuka.
            “E, apa pula yang tak kena dengan aku sampai kau terdorong nak fikir pasal aku? Ish, kau ni buat aku terharu, Yani.” Syufiqa masih lagi sempat berparodi. Nada suaranya semi mengejek Noryani.

            “Kau ni, aku serius kau buat main pula.”

            “Apa pulak kali ni, sayang?”

            “Kau tu. Dah banyak berubah aku tengok. Dah jadi isteri Samwil ni kau nampak lain. Kau dulu aku kenal sebagai kawan yang gila-gila dan senang satu kepala dengan aku, but now ni, semua tu dah tinggal kenangan.”

            “Kau rasa aku macam tu, Yani?”

            Noryani mengangguk. “Pada aku, kau dah banyak berubah, Fiqa. Dah tak macam dulu.”

            “Tapi aku masih kawan kau, kan?”

            “Tu aku tak nafikan. Cuma sesekali aku bimbang dengan perubahan kau. Tambah sekarang ni kau dah kenal Mia Batrisia pula, dah berpeluang keluar dengan dia. Mana tahu, one fine day kau langsung tak ingat aku. Lupakan aku.”

            “Kau jangan nak main drama dengan aku Yani. Kau tau semua tu tak mungkin berlaku. Apa juga keadaan yang aku lalui, susah senang, aku tetap ingat kau. Cuma aku bimbang kau je yang tak sudi kawan dengan aku kalau aku dah ditimpa kesusahan.” Syufiqa masih lagi dalam nada kurang serius.

            “Huh, tak pasal-pasal kau nak kenakan aku balik? Kau tengok aku kawan jenis tu ke?” Noryani menerpa ke arah Syufiqa dan pantas menepuk bahu Syufiqa kuat tanda memprotes.
            “Sakitlah Yani!” Syufiqa sedikit terjerit.

            Pantas sahaja tangannya pula menumbuk pinggang Noryani membuatkan Noryani terseringai menahan sakit. Kemudian mereka sama-sama ketawa.

            “Dah, aku surrender, now storylah sikit pasal pengalaman kau dan Mia Batrisia.”

            Mendengar nama Mia Batrisia disebut, mata Syufiqa membundar riang. Jelas sekali dia cukup senang untuk berkongsi cerita sekali lagi tentang Mia Batrisia bersama Noryani. Tidak kisahlah jika dia harus mengulang tayang cerita tentang Mia Batrisia. Dia paling seronok jika dapat bercerita tentang topik tersebut.

            “Mia Batrisia memang baik, Yani. Peramah dan mesra walaupun airmukanya nampak tegas.”

            “Tu aku tau. Aku kan pernah buat assignment pasal dia. I wanna know lebih daripada tu.” Pintas Noryani.

            “Lebih daripada tu? Apa aku boleh bagi tau kau pasal Mia Batrisia ya…”

            “Kau ceritalah tentang penerimaan dia terhadap kau.”

            “Ohh, tu tak mendatangkan masalah. Dia nampaknya senang bersama aku. Mungkin aku dah berjaya buat dia mudah berkongsi banyak cerita bersama aku.”

            “Eloklah tu. Nom ni impian kau dah tercapai. Tentu kau seronok, kan?” Duga Noryani. Kemudian tangan pantas pula mencapai minuman. Banyak berbual, tekak rasa sedikit perit.

            Actually, lebih daripada tu. Masalahnya Samwil…” timbul jeda di situ. Syufiqa mencari-cari diksi yang sesuai untuk membariskan deskripsi seterusnya.
            Noryani hanya menelinga. Tunggu sahaja Syufiqa meneruskan perkataan demi perkataan. Kalau berkaitan Samwil tidak perlu banyak soal. Biar Syufiqa saja melanjutkan memandangkan dia sendiri cukup maklum Samwil sedikit pelik berbanding kawan-kawan lelaki yang pernah dia kenali sebelum ini. Merangkap suami kepada kawan baiknya Syufiqa, sebenarnya Samwil dan Noryani tidak pernah mempunyai suatu hubungan yang mesra. Hubungan antara mereka seadanya memandangkan Samwil sepsis tidak banyak cakap dengan perempuan.

            Sesekali Noryani hairan juga bagaimana Syufiqa boleh dan betah meneruskan kehidupan bersuami isteri bersama Samwil. Si dingin itu kelihatan beku walaupun sudah lama mengenali Noryani. Langsung tidak mesra alam. Jika tidak kerana Noryani azalinya lahir sebagai muka selamba, tentu dia sendiri kekok jika sesekali harus berdepan dengan Samwil.

            Dan hari itu jika mendengar ada suatu masalah berpunca daripada Samwil Noryani tidak ralat dan tidak terseliuh telinga mendengarnya.

            “Samwil sebenarnya tak suka sangat aku rapat dengan Mia Batrisia. Dia argued macam-macam. Dia pertikaikan peribadi Mia Batrisia. Pendek kata, aku dapat rasa dia tak selesa akan hubungan aku dan Mia Batrisia.”

            “Ya? Pelik pula. Kau cakap sebelum ni Samwil juga turut menyumbang dalam minat kau terhadap Mia Batrisia. Selalu hadiahkan kau dengan koleksi terbaru Mia Batrisia. Now ni apa dah jadi?”

            “Tu yang buat aku wondering why tu. Aku terperasan dia sedikit lain lepas jumpa Mia Batrisia kat pesta buku tempoh hari. Sebagai isteri aku boleh sedar, Yani.”

            “Ada kau tanya dia reasonnya?”

            “Tak. Dia cuma cakap agar aku jangan terlalu obsess kat Mia Batrisia.”
            “Huh, Samwil takut sesuatu di luar jangkaan berlaku kot.”

            “Maksud kau?”

            “Mana tau dia bimbang Mia Batrisia lesbian. Bimbang Mia Batrisia sangkut kat kau. Kau kan perempuan Melayu terakhir depan Samwil.”

            “Kau gila, Yani? Cuba bagi pendapat rasional sikit, boleh tak?”

            No wonder sayang. Sekarang ni hal-hal macam tu bukan super pelik pun. Dunia sekarang makin dekat nak kiamat. Macam-macam boleh jadi.”

            “Uhh, sejak bila kau pandai cakap bab-bab macam ni?” Sinis Syufiqa memandangkan dia kenal benar Noryani.

            Meski bertudung, solat lima waktu tidak pernah sekalipun ditunaikan sepanjang mereka berkawan dulu. Alih-alih sekarang bercakap soal kiamat. Mana tahu Noryani sudah sampai seru untuk berubah.

            “Kau janganlah nak sindir aku.”

            “Dah kau cakap sedikit lain berbanding biasa. Siapa tak pelik?” Soal Syufiqa kembali sambil membelek-belek majalah yang dibawa bersama Noryani.

            “Usia makin meningkat sayang. Nak tak nak perubahan akan datang dengan sendirinya. Siapapun tak boleh nak pertikaikan soal tu.”

            “Ewah! Atau ada pendorong di sebalik semua perubahan yang berlaku? Siapa tau? Kau bukan suka sangat nak berkongsi urusan peribadi kau dengan aku.”

            “Nama pun urusan peribadi, mana boleh kongsi-kongsi.” Noryani tersengih.
            “Adalah tu maknanya. Huh, perempuan. Macam tulah, senang sangat ubah identiti dek kerana seorang lelaki.”

            “Kau kata aku atau kau kata diri kau sendiri?” Noryani enggan mengalah.

            Syufiqa tersengih. Hakikat Syufiqa sudah berubah dek kehadiran Samwil memang tidak dapat disangkal. Dia memang sudah berubah sejak mendirikan rumahtangga bersama Samwil.

            “Dah, kita balik topik asal. Kau rasa-rasa kenapa Samwil jadi macam tu? Dia macam tak suka je kat Mia Batrisia.” Syufiqa kembali dengan wajah sugul cuba untuk meminta pandangan Noryani. Mentak dalam lebuh fikir Noryani boleh menduga apa yang bermain dalam benak Samwil.

            No idealah, Fiqa. Cuba kau tanya dia elok-elok, may be dia boleh bagi explaination yang memuaskan hati kau. Kau tanya aku lebih kurang macam kau tanya kau sendiri jugaklah.” Tukas Noryani selamba.

            Syufiqa diam. Kata-kata Noryani memang ada benarnya. Macam mana Noryani boleh tahu jika dia sebagai isteri pun tidak dapat membaca apa sebenarnya yang ada dalam lebuh fikir Samwil setiap kali mereka membicarakan tentang Mia Batrisia. Sejak pertemuan di PWTC tempoh hari, wajah Samwil sedikit lain setiap kali memperkatakan tentang Mia Batrisia. Syufiqa bukan tidak tahu, namun selagi ia belum menjadi kudis dalam hubungan mereka suami isteri, Syufiqa mahu biarkan sahaja dulu. Cuma bersama Noryani dia teruja untuk berbincang tentang perangai Samwil memandangkan bersama Noryani dia terdorong untuk berbual tentang apa sahaja.

            Syufiqa ingin melanjutkan bual apabila telefon genggam Noryani berbunyi nyaring. Sekilas dipandangnya ke telefon Noryani. Noryani pula sedia untuk menekan butang jawab sambil mengisyaratkan kepada Syufiqa agar diam. Daripada gerak bibir Noryani, Syufiqa dapat tahu panggilan itu daripada pejabat Noryani.
            “Kacau daun betullah. Kita baru syok sembang dia dah panggil balik office.” Gerutu Noryani sambil bangun membetulkan bajunya.

            “Kenapa?”

            “Budak-budak officelah. Naik jaki aku ingat perangai dengki dia orang tu. Pantang kita senang sikit mula telefon.”

            “Salah kau. Kan sekarang ni masa pejabat. Lagipun kau lepak kat rumah aku ni dah berapa jam. Habis terbengkalai kerja aku.”

            “Kau macam tak suka aku datang Fiqa.”

            Syufiqa ketawa. “Alah, janganlah ambik hati. Aku gurau jelah. Aku pun suka kau datang sembang ngan aku. Tiap-tiap hari pun aku tak kisah.”

            “Banyaklah kau punya tiap-tiap hari. Aku jelah ya. Kau tu usah nak menjengok ke rumah, telefon aku pun tak hingin.”

            “Macam kau tak faham perangai aku.”

            “Dah faham sangat Puan Syufiqa Natasya Nadia oii!”

            Syufiqa ketawa lagi. Noryani turut ketawa. Kemudian Noryani kelihatan sudah bersedia untuk meninggalkan rumah Syufiqa apabila dia melangkah ke pintu. Syufiqa turut bangun untuk menemani Noryani hingga ke muka pintu.

            “Senang-senang datanglah lagi, Yani.”

            “Tengoklah. Kalau ada peluang macam ni bolehlah aku datang. Kalau tak, aku pun nak juga habiskan masa dengan buah hati aku!” Ucap Noryani penuh makna.
            Syufiqa mencebir semasa Noryani mengenyitkan mata kepadanya. Noryani memang ada-ada sahaja. Pun Syufiqa tidak tahu mengapa dia senang dan satu kepala bersama Noryani.

            Dengan ketiadaan Noryani membuatkan Syufiqa kembali menyendiri. Sendirian begitu pula membuatkan Syufiqa terdorong semula untuk memikirkan tentang macam-macam perkara. Tentang Samwil dan juga tentang Mia Batrisia. Sebagai isteri dia tahu ada sedikit perubahan pada wajah Samwil apabila mereka berbicara tentang Mia Batrisia. Pun dia tidak pernah mengajukan soal mengapa dan kenapa. Apa yang jelas, Samwil tidak begitu senang melihat perkembangan hubungan antara Syufiqa dan Mia Batrisia. Alasan Samwil, bimbang Syufiqa juga akan merana pada akhir cerita antara mereka.

            Mengapa harus Samwil membuat anggapan demikian? Syufiqa memang tidak tahu. Walau bagaimanapun dia merasa amat perlu untuk mendekatkan Samwil kepada Mia Batrisia. Biar Samwil sedar segala praanggapannya terhadap Mia Batrisia yang begitu-begitu selama ini tidak benar. Mia Batrisia memang seorang yang boleh diharapkan. Tulus sebagaimana watak-watak protagonis ilham fikirnya. Syufiqa percaya melihat pada perwatakan Mia Batrisia. Lagipun Syufiqa benar-benar terpaut hati terhadap cara Mia Batrisia menampilkan diri.

            Mia Batrisia walaupun mempunyai nama agak besar di persada penulisan, dia masih kaya dengan sikap merendah diri. Tampil bersahaja sebagaimana orang bebanyak. Langsung tidak menggambarkan dia sebagai seseorang yang punyai nama di mata masyarakat.

            “Tukang bahasa ni tak sama dengan artis atau selebriti Syufiqa, kami golongan terpinggir yang biasa-biasa je. Orang lebih kenal karya kami berbanding diri kami. Takde karya, nama kami tak ke mana. Artis lain, belum ada album atau belum ada satu filem pun keluar kat pawagam, nama dah boom kat majalah.” Suara Mia Batrisia meluahkan pendapatnya. Nada suara bersahaja pun Syufiqa tahu dia maksudkan kata-kata tersebut.

            “Kenapa Cik Mia anggap golongan penulis sebagai golongan terpinggir?”

            “Tak terpinggir ke macam ni? Dah ada berlambakan hasil karya pun orang tetap tak kenal siapa kami.”

            “Cik Mia kesal atau marahkan masyarakat kita?”

            “Tak. Saya tak kesal dan tak juga marahkan sesiapa. Tambahan begini lebih baik kerana lebih privacy.  Kalau semua dah kenal, nak melangkah ke mana pun susah. Saya lemas dan rimas situasi macam tu.”

            “Cik Mia rasa seperti tak dihargai?” Syufiqa ingin menduga. Dalam masa yang sama turut ingin menyelami apa perasaan Mia Batrisia berada dalam iklim sedemikian.

            “Tak juga, saya bukan nakkan segala bentuk perhatian apabila nekad menulis. Pada saya cukuplah kalau karya saya mendapat tempat di kalangan masyarakat peminat hasil sastera. Itu dah jadi penghargaan buat orang-orang macam saya. Golongan yang tak minat tu biarkanlah.”

            Syufiqa menelinga sahaja. Tidak tahu untuk berkata apa-apa bagi membalas ujaran Mia Batrisia.

            “Setiap penulis ada sebab tersendiri mendorong kami menulis. Macam saya, soal perhatian, nama besar atau anugerah bukan matlamat. Saya menulis untuk kepuasan. Menulis untuk meluahkan apa yang ada dalam hati saya. Bukan sekadar suka-suka atau untuk royalti. Ya, royalti penting kerana tu periuk nasi saya, tapi lebih penting saya boleh meluahkan gagasan fikiran saya. Arah penulisan saya didorong oleh perasaan saya. Apa saja yang saya rasa akan saya sampaikan melalui karya.” Panjang lebar pula Mia Batrisia menerangkan kali ini.

            “Biasanya apa yang menjiwai satu-satu karya Cik Mia dan apa yang mampu merangsang ilham Cik Mia?”

            “Terus-terang saya kata, karya saya jiwa saya. Konflik dalaman saya mendasari satu-satu kisah. Digabung dengan pengalaman lampau, bumbukan pula dengan sedikit unsur kreatif, maka lahirlah satu karya.”

            “Ini bermakna banyak karya Cik Mia berdasarkan pengalaman Cik Mia sendiri?”

            “Hampir kebanyakan. Tapi bukan pengalaman betul-betul. Saya tak garapkan pengalaman saya secara total. Biasanya, apabila suatu pengalaman menyentuh hati saya, saya akan fikir dan garapkan ia dengan suatu pancaran idea yang lain.”

            “Menarik bunyinya.”

            “Saya percaya pada kata-kata Syufiqa. Kalau Syufiqa tak anggap ia menarik, tentu karya saya tak mampu memikat hati Syufiqa.” Sempat pula Mia Batrisia bergurau di tengah-tengah medan bual yang agak serius.

            Syufiqa senang dengan gurauan itu. Sekurang-kurangnya ia mampu untuk membuatkan Mia Batrisia mengukir senyuman kepadanya. Pada mata Syufiqa, selain bakat, tiada apa-apa yang lebih menarik atas diri Mia Batrisia @ Mia Sara selain senyumannya. Setiap kali Mia Batrisia mengukirkan senyuman, ia diukir penuh keikhlasan. Syufiqa dapat merasai keikhlasan dan ketulusan itu. Sesiapapun boleh tertarik jika terpandangkan senyuman Mia Batrisia.

            Agak-agak, senyuman itukah yang menambat hati kasih Mia Batrisia bersama si buah hati? Syufiqa senyum sendirian. Kemudian Syufiqa cuba untuk menebak. Bagaimana bibit-bibit cinta antara Mia Batrisia dan pasangannya yang belum Syufiqa tahu identitinya. Adakah mereka berkahwin atas dasar cinta sama cinta? Mentak juga sebagaimana Syufiqa dan Samwil. Aturan orang tua.
            Merujuk pada hasil karyanya sebelum ini, selain cerita kabur banyak juga kisah putus kasih dan ditinggalkan orang tersayang dipaparkan. Jika benar Mia Batrisia menulis berdasarkan pengalaman yang digarap dengan unsur kreatif, bermakna hati Mia Batrisia juga pernah terluka kerana lelaki. Banyak kisah luka dipaparkan awal-awal kemunculannya dalam bidang penulisan. Mentak itulah jeritan batin Mia Batrisia. Diluah dan diluah lagi kepada audien demi meringankan derita batin.

            Aduh. Betapa kasihannya jika ada antara kisah lara yang dibukukan tersebut benar-benar pengalaman Mia Batrisia. Pun benar-benarkah kisah hidup Mia Batrisia semelankolik kisah-kisah yang diutarakan dalam karyanya?

            Syufiqa menarik nafas panjang-panjang. Dia sebenarnya tidak perlu memikirkan soal Mia Batrisia sehingga sejauh itu. sementelahan dia dan Mia Batrisia tiada apa-apa hubungan. Dia cuma peminat Mia Batrisia dan tidak perlu merasa kepiluan sehingga ke tahap sedemikian semata-mata kerana nasib dan perjalanan hidup Mia Batrisia tidak seindah mana sebelum ini. Pun demikian, Syufiqa sendiri tidak faham mengapa hati begitu ingin memikirkan tentang Mia Batrisia dan seluruh kehidupan yang melingkari hidup penulis itu sebelum ini.

            Terutama tentang kisah kasih Mia Batrisia.











BAB LAPAN
Mia Batrisia sudah sahih Mia Sara. Wanita yang sama. Perempuan yang sama. Meski mempunyai penampilan berbeza. Samwil sudah tidak perlu menebak dan meneka-neka dalam kesamaran seperti sebelum ini. Patutlah. Ya, patutlah sebelum mengetahui hakikat tentang Mia Batrisia, Samwil benar-benar terdorong untuk memikirkan tentang Mia Sara. Rupa-rupanya kerana mereka benar-benar orang yang sama.

            Bagaimana agaknya penerimaan Syufiqa jika tahu Mia Batrisia pernah berkongsi gelak tawa dan air mata bersama Samwil? Mereka pernah ada kisah manis bersama. Pernah main rajuk-merajuk zaman remaja. Samwil tidak dapat membayangkan. Perempuan sinonim dengan sifat cemburu. Mereka boleh cemburu tanpa beralasan yang kukuh. Malah boleh juga cemburukan mana-mana gadis yang pernah bersama si suami sebelum kehadiran mereka walaupun kisah bersama gadis-gadis tersebut sudah lama berlalu. Samwil bimbang Syufiqa juga begitu.

            Mana tahu. Syufiqa pun perempuan juga. Perempuan mana-mana pun lebih kurang sama saja.

            Huh. Samwil sudah mula kepeningan. Dia merasakan ada baiknya dia membataskan pergaulan Syufiqa dan Mia Batrisia. Pun untuk apa dan atas alasan apa? Syufiqa sudah menjadikan Mia Batrisia idolanya lama dulu. Sebelum kehadiran Samwil dalam hidup Syufiqa lagi. Bagaimana Samwil dengan mudah dapat menembusi benteng dalam hati Syufiqa? Rasa minat yang menebal terhadap Mia Batrisia bukan sewenang-wenangnya dapat dikikis, apa lagi untuk dihapuskan serta-merta.

            Dan Samwil pula cukup tidak faham dengan igauan ngeri yang dialami semenjak mendapat tahu siapa sebenarnya Mia Batrisia. Malam-malam tidurnya tidak lagi diulit mimipi indah. Ada masanya dia seakan disergah oleh suatu suara maha keparat membuatkan dia tergelujat. Bagai disampuk jembalang tanah yang muncul entah dari mana dan membuatkan dia semakin tidak lugu hari demi hari. Samwil hari demi hari semakin bergalau dah resah. Lebuh fikir asyik memikirkan Mia Sara. Dia cukup-cukup tertekan.

            Walhal selama ini, iaitu semenjak dia menerima Syufiqa sebagai suri dalam hidupnya, dia tidak pernah berangan-angan untuk kembali kepada Mia Sara. Pun mengapa harus ada resah berlegar dalam benaknya kini? Perasaan apakah sebenarnya ini? Samwil tidak tahu. Cukup-cukup tidak tahu. Satu yang diyakini hati Samwil, ia bukan cinta. Seluruh kasih dan cinta Samwil kini sudah tertumpah sepenuhnya kepada Syufiqa. Itu kenyataannya. Samwil yakin benar mengenai itu. Syufiqa isteri yang baik. Cukup baik.

            Pun kenapa Tuhan? Sesekali Samwil berseru begitu. Tidak faham akan rasa yang kini bergerak seinci demi seinci di segenap pembuluh darahnya. Samwil benar-benar tidak faham. Tidak faham akan resah dan segala kegalauan yang berlaku kini. Dalam masa yang sama dia cukup kesal dan terkilan kerana gagal mengenal pasti identiti Mia Batrisia sehingga selewat itu. Sekiranya dia maklum  terlebih awal, dia pasti tidak akan menggalakkan Syufiqa terus-terusan menyanjungi Mia Batrisia. Dia akan cuba mendorong Syufiqa agar berbuat sesuatu perkara lain. Perkara yang memungkinkan dia terlupa tentang minatnya.

            Sementelahan perasaan minat terhadap seseorang boleh hilang sekiranya kita mengabaikan mereka. Tidak ambil tahu apa-apa sahaja perkara berkaitan mereka. Samwil percaya dia masih boleh mendorong Syufiqa mengubah rasa kagum dan minat terhadap Mia Batrisia kepada orang lain. Samwil boleh memainkan peranan dengan membeli lebih banyak hasil karya orang lain berbanding Mia Batrisia. Mentak dengan cara itu Syufiqa akan lebih terbuka mindanya dan melihat masih ada penulis lain mampu menandingi kelebihan yang ada pada diri Mia Batrisia @ Mia Sara.

            Dek kerana itu Samwil menyalahkan diri sendiri. Selain kerana dia sendiri turut menyumbang membeli novel-novel Mia Batrisia untuk Syufiqa, dia juga merasa marah pada diri sendiri akibat kecuaian dalam mengingati kembali kecenderungan Mia  Sara semasa mereka masih bersama. Semasa berkali-kali Syufiqa bercerita tentang Mia Batrisia, otak memang sempat melakarkan rias Mia Sara dalam benak. Pun ia hanya didorong oleh nama yang seakan sama bunyi semata-mata. Tidak pula Samwil mengingatkan balik kalau-kalau dulu Mia Sara memang sudah bergiat dalam bidang penulisan.

            Kalaulah. Ya, kalaulah awal-awal dia cuba ingatkan balik perkara tersebut, tentu dia tidak akan ragu-ragu dalam mengenal identity Mia Batrisia yang sebenar.

            Masalahnya, dahulu semasa mereka bersama, tidak pernah sekalipun Mia Sara memberitahu akan minatnya dalam bidang penulisan. Tidak pernah Mia Sara bercerita kepada Samwil bahawa dia seorang penulis dan mempunyai nama yang agak mantap dalam majalah dan akhbar-akhbar sedangkan menurut cerita Syufiqa, Mia Batrisia sudah mula menulis sejak lama dahulu. Semasa Mia Batrisia masih di bangku sekolah.

            Huh, sesungguhnya masih banyak dia tidak tahu mengenai Mia Sara walaupun pernah bersama wanita tersebut. Banyak yang belum dia tahu. Banyak yang dia belum kenal. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Samwil lebih mengenali Syufiqa berbanding Mia Sara walaupun usia perkahwinan mereka masih belum menyamai tempoh Samwil dan Mia Sara menjalinkan hubungan. Perkahwinan mereka masih muda. Pun mereka sudah mengenali walau sedalam mana diri masing-masing. Ikatan antara mereka masih baru, pun kasih sayang mereka begitu kuat dan tidak menyamai kasih sayang yang pernah Samwil curahkan kepada Mia Sara suatu masa dahulu.

            Lalu kerana itu, jika Samwil sendiri yakin tentang hakikat itu kenapa pula dia harus kegalauan apabila bertemu kembali dengan Mia Sara? Kenapa harus resah apabila isteri sendiri menjalinkan hubungan baik dengan bekas kekasih?

            Apa yang kau takutkan sebenarnya Samwil? Suatu persoalan berdengung dalam telinga Samwil. Menekan gegendang sehingga segala sistem saraf pendengarannya terasa perit dan pijar teramat. Suara siapa itu? Samwil pandang kiri kanan. Tiada siapa-siapa. Pun suara yang menyoal dalam nada langsing itu terasa begitu hampir dengannya. Samwil semakin hilang punca.

            Tuhan! Seru Samwil lagi.

            Tuhan, kenapa sampai begini sekali? Samwil tidak lugu. Dia merasa cukup terhenyak menghadapi situasi yang dia sendiri tidak jangkakan.

            Setelah perpisahan berlaku antara mereka dan masing-masing membawa haluan sendiri, Samwil menganggap Mia Sara tidak akan kembali menjadi sebahagian daripada perkara yang bakal membebani benak lagi. Segala persoalan mengenai Mia Sara akan hilang mendudu-dudu dengan kematangan mereka kerana kisah kasih mereka cerita zaman remaja. Malangnya ia tidak begitu. Kenyataan terlalu ironik. Malah lebih teruk apabila Samwil cukup takut dengan pertemuan sekali lagi yang berlaku antara mereka tempoh hari.

            Samwil, kuatkan semangat.

            Samwil cuba memujuk diri sendiri.

            Samwil menarik nafas dalam-dalam. Skrin laptop yang memaparkan citra Syufiqa tersenyum manis direnung dalam-dalam. Dia sukar untuk menterjemahkan makna cinta di hati terhadap Syufiqa memandangkan tiada diksi sesuai untuk berbuat demikian. Kasih sayang dan cinta Samwil terhadap Syufiqa tidak mampu diukur melalui sebarang diksi.

            Makna cinta Samwil terhadap Syufiqa hanya difahami Syufiqa setiap kali mata mereka sama-sama berbicara tentang cinta. Makna cinta Samwil terhadap Syufiqa hanya difahami Syufiqa setiap kali nafas mereka berbaur menjadi satu.

            Lebih daripada itu, tiada apa-apa lagi yang boleh memberi makna cinta antara mereka.
            Ya Walid, selamatkanlah rumahtangga kami!

            “Abang…” Serentak dengan sapaan itu satu sentuhan lembut singgah di bahu Samwil.

            Tersentak Samwil dibuatnya. Dia mendongak memandang Syufiqa. Si isteri nampak tersenyum manis kepada Samwil.

            “Abang fikirkan apa?” Soal Syufiqa dan kini sudah mula memeluk leher Samwil dan membiarkan pipi mereka berlaga sesama sendiri sehingga masing-masing mampu mendengar desir nafas antara satu sama lain.

            “Tak ada apa-apa…”

            “Abang jangan bohong Fiqa, Fiqa nampak abang termenung jauh. Satu kerja pun abang tak buat.”Tingkah Syufiqa.

            Sejak tadi dia memerhati gelagat Samwil. Kononnya mahu menyiapkan kerja pejabat yang tidak sempat disiapkan semasa di pejabat siang tadi. Namun Syufiqa lihat suaminya lebih banyak termenung. Kalau begitu caranya, bagilah tujuh hari tujuh malam pun, sudah tentu Samwil gagal menyiapkannya.

            Samwil menggapai tangan Syufiqa. Dikucupnya perlahan penuh kasih sayang. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia menyangjungi isterinya. Dia ingin kasih sayang antara mereka kekal begitu buat selama-lamanya. Dia mahu antara mereka sentiasa aman dan tenteram walau apa jua perkara yang mendepani mereka. Biar cinta dan kasih sayang memperkasakan semuanya. Itu saja yang dia minta daripada Al-Basit. Samwil tidak minta banyak. Dia cuma inginkan rumahtangga mereka kekal abadi hingga ke detik nafas terakhir.

            Mungkinkah?
            Mungkinkah begitu setelah kini Mia Sara kembali hadir?

            Mengingatkan Mia Sara, Samwil merasa liur bagai tersekat. Pahit dan kelat. Ditelan pun terasa berpasir.

            Lagi-lagi Mia Sara. Samwil sudah bosan sebenarnya dengan gangguan fikiran yang dialami semata-mata kerana Mia Sara. Dia bukan sesiapa lagi dalam hidup Samwil. Lantaran itu, Mia Sara tidak sepatutnya menjadi momok yang maha menggerunkan Samwil. Bagaimanapun, itulah yang berlaku. Mia Sara begitu menghantui dan menjadi perkara maha keparat bagi Samwil sejak akhir-akhir itu.

            “Abang ada masalah? Ceritalah kat Fiqa.”

            “Tak, abang okey.”

            “Sebagai isteri, Fiqa tau abang okey ke tak. Jangan bohong Fiqa. Kan kita dah janji, apa je masalah kita kongsi sama-sama.”

            Kata-kata Syufiqa menuntut Samwil bangun. Berdiri seketika bertentangan dengan Syufiqa. Membiarkan mata sahaja yang berbicara. Lama mereka berkeadaan begitu sebelum Samwil akhirnya merangkul Syufiqa. Didakapnya tubuh Syufiqa kejap-kejap.

            “Abang terlalu cintakan Fiqa. Berjanji pada abang, apa jua yang berlaku, Fiqa tetap cintakan abang, boleh?” Ucap Samwil masih dalam keadaan memeluk Syufiqa. Suaranya cukup syahdu dan meruntun hati Syufiqa.

            “Fiqa janji, bang. Tapi kenapa abang cakap macam ni? Abang dah tak percayakan Fiqa?”

            “Bukan soal percaya atau tak sayang. Abang Cuma takut. Maklum je, masa boleh merubah segala-galanya.”

            Dan masa juga boleh membongkar segala-galanya. Segala-galanya termasuk masa lampau aku bersama Mia Sara. Sempat pula hati kecil Samwil menyampuk begitu.

            “Masa memang boleh merubah segalanya. Tapi bukan cinta Fiqa terhadap abang. Malah masa tu juga akan terus menyuburkan lagi cinta Fiqa terhadap abang.”

            “Abang harap begitulah.”

            “Abang sendiri bagaimana?” Syufiqa menjarakkan tubuh antara mereka sambil menyoal.

            Samwil tersenyum memandang Syufiqa. Kemudian kembali meraih Syufiqa ke dalam pelukannya.

            “Hati dan cinta abang selama-lamanya milik Fiqa.”

            “Walaupun Fiqa gagal melahirkan anak untuk abang sampai bila-bila?”
           
            “Janagn cakap macam tu!” Samwil nyata tidak suka mendengar kata-kata Syufiqa.

            Jari telunjuknya diletakkan ke bibir Syufiqa sebagai tanda protes akan ucapan si isteri. Syufiqa memandang Samwil dalam-dalam. Mencari kejujuran di situ. Ternyata tiada apa-apa berubah. Sinar mata Samwil masih seperti awal-awal perkahwinan mereka. Syufiqa nyata gembira sekali melihat sinar itu. Bertuah dan beruntung dirasakan diri ketika itu kerana mampu mendampingi seorang lelaki yang maha sarat dengan kasih sayang. Samwil lelaki paling ulung dalam membicarakan cinta.

            Sekonyong-konyong hati teringat pula kepada Mia Batrisia. Spesies lelaki bagaimanakah yang sedang Mia Batrisia dampingi tika itu? jauh di sudut hati Syufiqa mengharapkan agar Mia Batrisia juga melalui sebuah kehidupan berumahtangga yang cukup sempurna. Aman bahagia di samping lelaki yang benar-benar mampu memberi Mia Batrisia cinta jauh dari dalam hati yang suci dan ikhlas. Jika di bahagia bersama Samwil, Syufiqa tidak lupa untuk mendoakan kebahagiaan yang sama untuk Mia Batrisia.

            “Fiqa dah hilang ke mana? Kali ini giliran Samwil pula menarik Syufiqa keluar dari ingatan dan meninggalkan lebuh fikir.

            Menyedari diri hampir tersesat dalam ingatan, Syufiqa mengukirkan senyuman manis. “Fiqa teringatkan Mia Batrisia. Macam mana agaknya Mia Batrisia dan suaminya menjalani kehidupan? Fiqa harap dia juga mempunyai seorang suami seperti abang. Penu kasih sayang. Penuh rasa cinta.”

            Masih fasal Mia Batrisia. Kalaulah isteri aku tahu nama itu memberi igauan ngeri kepada aku sejak pertemuan tempoh hari, apa reaksi dia agaknya?

            “Bang, kenapa kalau Fiqa sebut pasal Mia Batrisia abang nampak tak suka akhir-akhir ni?”

            Dia terperasan? Huh, aku ingatkan aku ni pandai berlakon. Rupa-rupanya dia boleh faham aku kurang senang jika dia sentuh soal Mia Batrisia. Macam mana aku nak cakap? Aku boleh jadi lelaki paling pengecut sebab takut isteri tahu kisah cinta zaman remaja aku. Tapi aku rasa aku sendiri pun boleh terugah jika berdepan dengan seseorang yang pernah memenangi hati Syufiqa satu masa dulu.

            Rabbi. Bagaimana aku nak cakap agar dia mengerti? Bagaimana aku nak terangkan supaya perkara ini tidak meninggalkan kesan dalam hati Syufiqa?

            Samwil menarik nafas dalam-dalam. Mengumpul kekuatan sambil kepala ligat mencari diksi sesuai bagi membariskan satu deskripsi.

            “Sayang, abang bukan tak suka sayang cakap pasal Mia Batrisia. Cuma kalau boleh hadkan sikit pergaulan dengan dia.” Samwil cuba untuk menyembunyikan perkara sebenar. Masih belum ada cukup kekuatan untuk berterus-terang kepada Syufiqa. Masih kelu untuk berkata hakikat di sebalik rasa takut dan gusarnya.

            Syufiqa mengetap bibir mendengar kata-kata si suami. Permintaan Samwil membingungkannya. Apa salahnya jika dia meneruskan perhubungan dengan Mia Batrisia? Lagipun itulah keinginan paling tinggi dalam hidup Syufiqa sebelum ini. Kenal Mia Batrisia seterusnya berkawan dan saling bertukar pendapat dengan wanita tersebut. Syufiqa paling suka begitu. Sementelahan Mia Batrisia senang mengajukan buah fikiran yang cukup bernas dan mempunyai pelbagai gagasan fikiran yang luas.

            “Abang, Fiqa tak nampak apa-apa  salah jika Fiqa kawan dengan Mia Batrisia.”

            “Fiqa tak tau. Banyak yang abang takutkan setelah Fiqa mampu jalinkan hubungan dengan dia. Paling utama abang takut Fiqa terikut-ikut dengan cara Mia Batrisia. Takut dia beri pengaruh buruk pada Fiqa.”

            “Fiqa masih gagal menangkap maksud abang. Pengaruh buruk yang macam mana bang? Fiqa nampak dia okey saja.”

            “Fiqa sendiri cakap, Mia Batrisia dah kahwin. Masalahnya cara hidup dia tak macam orang ada tanggungjawab terhadap rumahtangga. Terhadap suami dan anak. Ke sana, ke mari. Mustahil dia bawa bersama anak suami semasa ke Acheh, ke Pakistan dan ke tempat-tempat dia selalu buat kerja amal. Ini bermakna Mia Batrisia menjalani kehidupan agak tak normal. Terlalu suka akan kerja-kerja begitu sedangkan tanggungjawab di rumah, tanggungjawab lebih besar dia abaikan.” Hujah Samwil walaupun dia sendiri tahu hujah itu kedengarannya tidak masuk akal dan bukanlah hakikat bagi ketakutannya.

            Termenung sejenak Syufiqa memikirkan kata-kata Samwil. Gelagatnya seakan-akan cuba untuk memikirkan rasional di sebalik kata-kata Samwil. Seorang wanita yang sudah berumahtangga, mempunyai suami dan anak lebih suka dengan kerja luar tentu saja akan mengabaikan tanggungjawab lebih hakiki berbanding tanggungjawabnya di luar. Hujah Samwil memang ada benarnya. Syufiqa tidak tahu bagaimana untuk menyangkal atau menyanggah kata-kata Samwil.

            “Abang takut Fiqa terikut dengan cara Mia Batrisia dan mengabaikan abang?” Duga Syufiqa setelah agak lama mendiamkan diri.

            “Memang abang takut. Selama ni abang dah biasa hidup macam ni. Pergi kerja Fiqa hantar abang di muka pintu, balik rumah Fiqa tunggu abang. Bukankah tu cukup membahagiakan kita sebagai pasangan suami isteri?” Samwil terus mereka-reka alasan walaupun sebenarnya dia tidak kisah jika berlaku sebaliknya.

            Mendnegar itu Syufiqa tersenyum. Kembali merangkul Samwil. Fahamlah dia akan ketakutan Samwil sehingga mengakibatkan si suami tidak bersikap normal. Suami yang biasa dimanjakan isteri akan terasa ketidakbiasaannya apabila isteri sibuk dengan aktiviti lain dan mula ‘terlupa’ tanggungjawab biasa. Itu yang difahami Syufiqa kini.

            “Kalau tu yang abang takutkan, abang jangan risau. Fiqa janji takde apa yang akan berubah. Fiqa pun tahu tanggungjawab Fiqa terhadap rumahtangga.” Begitu jaminan yang diberi Syufiqa kepada Samwil untuk meyakinkan suaminya. Dia tidak mahu suami merasa sedikit lain sehingga memberi implikasi kepada kerukunan rumahtangga mereka.

            “Abang tau tu. Cuma abang bimbang pengaruh Mia Batrisia lebih kuat berbanding kasih sayang abang.”

            “Takkanlah sampai macam tu, bang. Fiqa masih waras. Masih boleh bezakan mana yang patut, mana yang tak.”

            “Dia idola Fiqa.”

            “Ya, dia idola Fiqa. Pun begitu, seorang idola tak mampu nak rampas kedudukan seorang suami.”

            “Masalahnya, rasa minat Fiqa kat dia terlalu tinggi. Fiqa bukan setakat minat, bukan setakat sanjung, tapi dah sampai peringkat obsess dan taksub.”

            Syufiqa memandang ke wajah suaminya. Keningnya berkerut. Apa masalah Samwil sebenarnya sehingga dia mempertikaikan ketaksuban Syufiqa terhadap Mia Batrisia? Ini sikap baru Samwil. Suatu sikap yang tidak pernah Syufiqa lihat dari hari pertama menjadi isteri Samwil santak ke hari itu. Tentu ada sesuatu di sebalik semua itu yang melebihi ketakutan pada pengabaian semata-mata. Bagi Syufiqa, Samwil melindungi satu alasan lebih kukuh dan rasional selain daripada rasa takut yang diluahkan sekejap tadi.

            “Abang, Mia Batrisia hanya seorang perempuan.” Tukas Syufiqa. Dalam pula  sudah mula digaru rasa sangsi dan tidak faham teramat.

            Kerana dia perempuanlah aku takut isteriku. Kau tak tahu siapa perempuan itu. Kau kenal dia sebagai Mia Batrisia, seorang penulis sanjungan ramai. Lebih daripada itu kau tidak tahu apa-apa. Kau tidak tahu kisah lampau Mia Batrisia. Kau tidak tahu suamimu ini merupakan sebahagian daripada kisah lampau Mia Batrisia. Aku malah yakin Mia Batrisia juga tidak menceritakan apa-apa mengenai kami kepadamu, sayang. Mentak kisah dulu tiada apa-apa makna bagi Mia Batrisia. Sungguhpun demikian, ia begitu membebankan suamimu.

            “Kenapa abang diam?” Syufiqa inginkan kepastian.
            “Susah untuk abang jelaskan.”

            “Fiqa pikir, ada baiknya abang kenali dulu Mia Batrisia dalam-dalam sebelum abang simpan apa-apa praanggapan terhadap dia. Jangan kerana satu pertemuan kita nak terus benci orang.”

            “Tak. Abang tak benci dia. Tak pernah sekali abang rasa benci kat dia. Fiqa tak faham perasaan abang sekarang.”

            Aku benci dia? Tidak pernah sayang. Sebaliknya aku pernah sayangkan dia. Pernah cintakan dia. Kalaulah kau tahu dia perempuan pertama dalam hidup aku. Entahlah. Aku harap ini Cuma sebahagian daripada mimpi ngeri yang bakal berakhir sekejap lagi.

            “Habis, kalau bukan benci, apa sebenarnya yang abang rasa?”

            Diam. Samwil tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kata Syufiqa. Mahu berterus-terang rasanya dia tidak mempunyai kekuatan untuk berbuat begitu. Lagipun, mana ada seorang suami sewenang-wenangnya mahu memperkenalkan bekas kekasih kepada isteri sendiri. Samwil tidak mahu menjadi orang pertama berbuat begitu. Dia tidak tahu bagaimana penerimaan Syufiqa.










BAB SEPULUH      
Syufiqa tahu dia harus melakukan sesuatu untuk meyakinkan Samwil tentang Mia Batrisia. Dia mahu mewujudkan hubungan baik antara Mia Batrisia dan Samwil. Bagi pihak Mia Batrisia, dia yakin wanita itu tidak mempunyai masalah berdepan dengan Samwil. Hanya Samwil nampak kurang senang akan hubungan Syufiqa dan Mia Batrisia. Lantaran itu sesuatu memang harus dilakukan.

            Bagi memastikan rancangannya berjaya, dia telah mempelawa Mia Batrisia makan tengahari di rumah mereka pada suatu hujung minggu. Dia tidak terlebih dahulu meminta izin daripada Samwil. Pertama kali dalam hidup Syufiqa sejak mendirikan rumahtangga mengambil tindakan tanpa terlebih dahulu berbincang dengan Samwil. Dia hanya mengikut rasa hatinya. Biarlah ia kelihatan seperti Syufiqa sudah mula mahu membelakangkan suaminya. Niat Syufiqa ikhlas. Dia mahu suaminya tidak lagi menanam tanggapan buruk terhadap Mia Batrisia.

            Dia tidak menjemput Mia Batrisia seorang, malah turut mempelawa Mia Batrisia seisi keluarga. Noryani juga dijemput sama. Pun Noryani masih belum memberi persetujuan. Maklumlah, bagi orang bujang seperti Noryani, hujung-hujung minggu begitu jika tiada tugasan tentulah lebih senang keluar bersama si buah hati. Syufiqa tidak kisah sangat jika Noryani gagal memenuhi undangan. Dia faham. Tersangat-sangat faham. Noryani bukan selalu dapat bercuti. Tugasan sebagai wartawan harus sentiasa terkejar-kejar. Jarang ada masa cuti. Cuti seorang wartawan terlalu minimum.

            “Nampak agak istimewa hidangan hari ni, ada apa-apa ke?” Samwil cuba menebak melihat menu yang terhidang di meja melangkaui kebiasaan.

            Syufiqa pula kelihatan gelisah dan tidak tenteram. Acap sudah Samwil lihat Syufiqa melihat jam di pergelangan tangan. Tidak puas hati melihat pula pada waktu yang tertera di skrin telefon genggamnya. Gelagatnya bagaikan menanti seseorang apabila sesekali dijengahkan kepalanya ke luar rumah.

            “Maaf bang. Fiqa jemput seseorang makan tengahari kat rumah. Abang tak kisah kan?” Nada suara Syufiqa perlahan. Mengharapkan pengertian Samwil.

            “Hem. Sejak bila Fiqa pandai buat sesuatu tanpa bincang dengan abang?” Samwil mungkin sekadar mahu berseloroh, pun Syufiqa agak termengkelan.

            Syufiqa memandang tepat ke wajah suaminya. Hati sudah sedikit terusik. Dia sedar hari itu dia sudah melanggar kebiasaan. Dia bertindak sesuka hati. Namun demikian dia merasakan niat dia baik. Dia hanya mahu membuang tanggapan buruk Samwil terhadap Mia Batrisia jika itu yang ada dalam benak Samwil.

            “Takpelah. Sesekali Fiqa pun nak juga melakukan sesuatu mengikut rasa hati. Betul tak?” Samwil kembali dalam nada penuh pengertian menyedari riak suram pada wajah Syufiqa.

            “Siapa tetamu Fiqa hari ni?” Tanya Samwil lagi setelah dilihat Syufiqa belum terbit nafsu untuk bersuara.

            Syufiqa sudah ingin membuka mulut semasa satu suara halus memberi salam dari luar rumah. Langsung niat untuk menjawab soalan Samwil mati di situ sahaja. Dia buru-buru keluar rumah untuk menyambut ketibaan tetamu. Samwil membuntuti dari belakang.

            “Cik Mia… masuklah.” Ramah Syufiqa mempelawa tanpa menyedari Samwil di belakang sudah hampir pengsan dibuatnya.

            Ramai-ramai orang Kuala Lumpur ni, Mia Batrisia jugak yang dia jemput ke mari. Bini aku, bini aku! Samwil menggerutu dalam hati.

            Mia Batrisia sudah masuk ke dalam rumah. Kemudian bersalaman dengan Syufiqa. Samwil memerhati sahaja Syufiqa dan Mia Batrisia melaga-lagakan pipi. Nampak cukup mesra dan seperti sudah lama kenal. Dalam Samwil pula terasa bergemuruh sakan. Seketika pula semasa pandangan mereka berlaga, Mia Batrisia sempat mengukirkan senyuman bersahaja kepada Samwil. Lagaknya benar-benar seperti tidak pernah mengenali Samwil sebelum ini. Hati Samwil tergelujat juga melihat reaksi yang ditonjolkan Mia Batrisia @ Mia Sara.

            Huh, jangan-jangan aku yang terlebih takut walhal Mia Sara tak apa-apa. Dia nampak selamba-selamba saja bagaikan perkara lama tidak mengusik pertemuan hari ini. Samwil mula bercakap seorang diri di dalam hatinya. Dia memang tidak tenteram benar menerima kunjungan Mia Sara ke rumahnya tengahari itu.

            “Mana suami dan anak Cik Mia? Kan saya minta bawa mereka sama.” Syufiqa meramahkan diri sambil mata sempat menjeling ke wajah si suami. Mengesan apa-apa riak di situ.

            Samwil memang kelihatan agak tidak tenteram. Syufiqa terpagut hairan. Kemudian kembali memusatkan perhatian kepada Mia Batrisia. Fasal suaminya nanti-nantilah akan ditanyakan selepas kepulangan Mia Batrisia.

            “Suami out-station.  Anak saya pula tuisyen.” Mia Batrisia membalas sambil tersenyum.

            Mata sempat mengitari seluruh pojok rumah. Tertarik pada satu kabinet ruang rehat. Sarat dengan bahan bacaan terutamanya novel. Syufiqa sedar mata Mia Batrisia sedang terarah ke mana. Bangga sekejap kerana Mia Batrisia dapat melihat sendiri lambakan koleksi Mia Batrisia terkumpul di situ. Sekurang-kurangnya itu bukti bahawa Syufiqa tidak mengada-adakan cerita tentang koleksinya.

            “Malu saya pada Syufiqa.” Akui Mia Batrisia jujur semasa punggung bersatu dengan sofa empuk buatan luar negeri. Dia sempat mengerling sejenak ke wajah Syufiqa mengesan reaksi si peminat buat beberapa ketika.
            Kenyataan Mia Sara tentu sahaja membuatkan Syufiqa kehairanan. Begitu juga Samwil walaupun dia nampaknya tidak dipedulikan sangat ruang bual antara Syufiqa dan Mia Sara pada hari itu.

            “Malu? Cik Mia nampaknya kena huraikan sikit tu…”

            “Ya malu. Mana taknya, dibandingkan dengan Syufiqa, koleksi bahan bacaan saya agak minimum.”

            “Mustahil seorang penulis tak mempunyai koleksi bahan bacaan yang banyak.”

            “Betul. Saya suka menulis. Saya jarang membaca. Jika saya membaca untuk tujuan tertentu saja.” Beritahu Mia Sara. Seketika menjeling ke arah Samwil yang kelihatan merenungnya. Sekali lagi senyuman dilepaskan seikhlas mungkin.

            Samwil terkesima lagi. Sungguhpun demikian, senyuman Mia Sara tidak mengandungi apa-apa makna. Sekadar senyuman ikhlas seorang tetamu yang dilemparkan terhadap tuan rumah. Hati Samwil bergetar. Mula ragu-ragu dengan sikap yang ditunjukkan Mia Sara. Mia Sara kelihatan seperti langsung tidak mengenali Samwil. Samwil mula terfikir.

            Jangan-jangan Sara dah tak cam aku. Maklumlah kisah kami berdua dah lama benar. Usia makin berubah. Penampilan aku pun turut berubah. Huh, mustahil pula kalau dia tak kenal aku. Bukan ketara sangat perbezaan antara aku zaman sekolah dulu dan aku kini. Samwil memerhati diri sendiri buat seketika. Memang langsung tidak berubah melainkan raut wajah yang semakin menunjukkan riak kematangan. Bentuk tubuh dan lain-lain masih sama.

            Ah, kalau aku boleh kenal dan cam dia, mustahil dia tak kenal aku. Musykil! Mia Sara benar-benar buat aku musykil. Sementelahan aku dan dia pernah mempunyai suatu hubungan cukup istimewa dulu. Masakan hal-hal dulu langsung tidak mengusik memori Mia Sara? Sedangkan aku masih sesekali terkenang, mustahil dia langsung tidak ingat apa-apa sekali gus melupakan aku. Aku tak percaya kalau dia benar-benar tak kenal aku. Mungkin dia sengaja berlagak begini demi menjaga hati Syufiqa. Maklum saja, SYufiqa die hard fan dia. Tentu dia tidak mahu merosakkan keadaan.

            Bagus jugak begitu. Kalau dia boleh bersikap tak tahu dan bersahaja, kenapa aku pula harus terlebih-lebih gelabah? Padahal aku sepatutnya lebih kuat memandangkan aku lelaki. Jatuh maruah aku kalau dia lihat aku masih terusik dengan kisah-kisah lama padahal dalam masa yang sama dia biasa-biasa sahaja. Sara nampak sedar kedudukan aku sebagai suami orang dan dia sebagai isteri orang. Sara sudah lama menutup buku pasal kisah kami dulu. Lalu kenapa aku pula nak terlebih-lebih gabra berdepan dengan dia kembali?

            Kali ini baru liur yang ditelan terasa licin. Tidak lagi terasa perit dan berduri-duri. Samwil sedikit lega. Mia Sara dan Syufiqa masih rancak berbual tanpa menyedari kemelut yang melanda Samwil sekejap tadi.

            “Fiqa, berbual, berbual jugak. Bila nak ajak tamu kita makan? Abang pun dah tumpang lapar sama ni…” Celah Samwil melihat dua orang wanita tersebut masih rancak berbual.

            Hakikatnya Samwil bukanlah lapar sangat. Dia cuma mahu Mia Sara cepat-cepat meninggalkan rumahnya. Hati Samwil masih tidak keruan walaupun dia kini sudah mula boleh menarik nafas lega sedikit melihat sikap bersahaja yang ditonjolkan Mia Sara. Sebelum kecelaruan yang sebelum ini begitu galak menjajah lebuh fikir Samwil kembali, ada baiknya jika dia mencari jalan agar Mia Sara meninggalkan rumahnya lebih awal.

            “Abang dah lapar?” Syufiqa memandang jam di pergelangan tangan.

            Hairan sekejap. Biasanya jam-jam begitu Samwil masih bertahan. Lagipun pagi tadi dia sudah menyediakan sarapan yang agak berat. Nasi lemak dengan lauk tumis pelbagai macam. Samwil pun sudah menjawah sarapan dua kali tambah. Mustahil boleh lapar secepat itu. Melainkan Samwil sengaja buat-buat lapar.

            “Kalau abang tak lapar sangat-sangat pun, tamu kita mesti dah lapar. Betul tak Cik Mia?” Soal Samwil walaupun lidah terasa kelumpuhan untuk memanggil Mia Sara dengan panggilan sedemikian.

            Cik Mia? Huh, aku biasa panggil dia Sara saja. Tak pasal-pasal kali ni aku kena berlagak formal dengan dia. Alah, orang dah ada nama besar. Aku ni mana dia nak ingat lagi. Huh, kenapa pula aku nak dia ingat aku? Dia pun dah ada suami. Hish, apa kena dengan aku ni?

            Mia Sara senyum lagi. Reaksi seorang kenalan baru. Langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mereka pernah kenal. Aduhai! Hati Samwil bergalau. Benar-benar tak cam atau benar-benar bijak berlagak tak kenal si Mia Sara ni? Gumam hati kecil Samwil.

            “Saya tak kisah Encik Samwil.”

            Encik Samwil? Huh, macam menyindir pula. Mentang-mentang sekejap tadi aku pun ala-ala formal memanggilnya. Samwil cuba menghempas nafas kasar.

            Syufiqa mengerutkan keningnya. Reaksi si suami memang agak pelik. Jangan-jangan Samwil masih kurang senang kerana dia menjemput Mia Batrisia makan di rumah tanpa berbincang terlebih dahulu. Disebabkan rasa kurang senang itu membuatkan Samwil mahu Mia Batrisia cepat-cepat berlalu agar dia boleh membuat perhitungan dengan Syufiqa.

            Ya Tuhan, janganlah tindakan aku ini membuka episod baru dalam hubungan kami suami isteri. Selama ini kami tidak pernah bergaduh. Tidak pernah bermasam muka. Tidak pernah pula bertikam lidah. Segala-galanya baik-baik belaka. Jangan kerana suatu tindakan, sebuah lembaran baru terjadi pada kami berdua. Syufiqa mula keresahan.

            “Kalau macam tu, jom kita ke meja makan. Semua pun dah sedia sejak tadi. Karang sejuk tak sedap pula.”

            Syufiqa akhirnya terpaksa akur mengajak Mia Sara cepat-cepat ke meja makan. Hati Syufiqa pula yang merasa tidak sedap dan terugah sedikit melihat raut pada wajah Samwil yang begitu-begitu sahaja.

            Mia Sara mengambil tempat bertentangan dengan Syufiqa dan Samwil yang duduk sebelah-menyebelah. Tertegun sejenak melihat hidangan di meja. Ada ayam goreng kunyit ala Pakistan, tempe goreng berlada kesukaan Samwil, ikan siakap masak taucu dan kerabu sotong. Setiap masakan didatangkan dalam hiasan yang cukup menarik.

            “Syufiqa masak semua ni?” Mia Sara semi tidak percaya.

            “Harap-harap Cik Mia suka masakan saya.”

            “Tentu suka. Nampak menyelerakan. Beruntung Encik Samwil dapat isteri pandai masak.”

            “Semua perempuan pasti pandai masak, Cik Mia janganlah terlebih puji saya. Tambah pula Cik Mia belum cuba pun lagi.”

            “Tak semua orang pandai memasak sampai macam ni. Kalau saya ala-ala kadar saja. Nak masak tempe goreng berlada macam ni pun saya tak pandai.” Akui Mia Sara jujur.

            “Cik Mia suka makan tempe?”

            Mia Sara mengerling Samwil. “Suka sangat. Tapi selalunya saya cuma goreng kunyit macam tu je. Tak pandai nak solek-solek masakan.”

            “Samalah. Suami saya ni pun suka sangat makan tempe. Dah jadi macam orang jawa pula.”

            Syufiqa senyum lagi kepada Samwil. Samwil cuba membalas. Pun senyuman Samwil nampak seperti dipaksa-paksa. Dia tidak boleh berlagak biasa. Syufiqa sedar itu.

            “Silakan Cik Mia…” pelawa Syufiqa. Mentak ada baiknya makan tengahari mereka cepat-cepat berakhir sebelum Mia Sara terkesan  reaksi Samwil.

            Mia Sara akur. Mencedok tempe goreng ke dalam pinggan nasi. Menikmatinya. Tersenyum. Tanda lidahnya turut mengakui keenakan masakan Syufiqa.

            “Memang sedap masakan Syufiqa.”

            “Alah, janganlah nak puji lebih-lebih.”

            “Saya bukan sengaja nak puji.”

            Syufiqa senyum. Dalam rasa kembang juga. Menjeling seketika suami di sebelah. Samwil nampaknya tidak mempedulikan mereka. Asyik dengan hidangan di pinggan. Syufiqa pula cuba untuk mententeramkan dirinya sendiri. Samwil memang biasa begitu. Bukan kali ini bersama Mia Sara sahaja, malah kalau Noryani ada pun dia memang sentiasa sambalewa.

            “Tentu lagi seronok kalau hari ni suami dan anak Cik Mia dapat ikut sama.” Syufiqa cuba untuk mengubah topik perbualan.

            Sekadar mahu menghidupkan suasana yang agak bungkam apabila kesunyian kelihatan mula mengambil alih suasana.

            Mendengar kata-kata Syufiqa, Mia Sara berhenti menyuap makanan. Dipandang ke wajah Syufiqa buat seketika bersama senyuman. “Mereka bukan tak nak ikut, tapi dah terikut dengan jadual masing-masing. Maafkan saya, mungkin lain kali, kalau ada peluang saya jemput Syufiqa suami isteri ke rumah. Boleh kenal suami dan anak saya.” Mia Sara separuh berjanji.

            Syufiqa benar-benar teruja mendengar kata-kata Mia Sara. Ke rumah Mia Sara? Huh, inilah masanya untuk dia lebih mendekatkan diri dengan Mia Sara @ Mia Batrisia yang dipujanya sejak zaman persekolahan. Samwil pula memandang saja ke wajah Mia Sara semasa dia menuturkan perkara itu.

            Mereka kemudian terus menikmati hidangan sambil berbual ringan. Sungguhpun demikian, hanya Syufiqa dan Mia Sara sahaja yang menguasai medan bual sedangkan Samwil tenggelam dalam dunianya sendiri. Syufiqa pula sudah mula tidak mengendahkan Samwil. Dia memang begitu. Semua kawan-kawan yang rapat dengan Syufiqa, Noryani terutamanya memang sudah faham benar dengan sikap berat mulut Samwil. Bertegur sapa dengan kawan-kawan Syufiqa jauh sekali walaupun mereka hanya di depan mata.

            Syufiqa harap Mia Sara tidak terseliuh hati. Harap-harap Mia Sara akan melihat Samwil sebagai lelaki yang tidak pandai untuk bergaul mesra dengan perempuan walaupun dengan kawan isteri sendiri dan bukan sebagai seseorang yang sombong dan angkuh. Mujur juga dalam keadaan begitu Syufiqa nampak Mia Sara pun tidak begitu memberi perhatian kepada Samwil dan lebih senang melayan bual Syufiqa.

            Sesudah menikmati hidangan, mereka mengambil peluang berbual-bual dulu buat seketika sebelum Mia Sara meminta diri untuk pulang. Malam nanti dia harus menghadiri satu majlis pengucapan puisi di Laman Rumah Pena. Mia Sara tidak turut sama mendeklamasikan puisi, pun dia harus hadir memandangkan dia salah seorang ahli jawatan kuasa yang menganjurkan majlis pada malam tersebut.

            “Kalau Syufiqa dan Encik Samwil ada kelapangan, silalah datang meriahkan majlis. Takde caj masuk dikenakan.” Pelawa Mia Sara.

            “Tengoklah nanti, Cik Mia. Kalau bukan malam minggu susah sikit. Besok suami saya nak kerja.”

            “Kalau Fiqa nak pergi abang boleh bawakan.”

            Syufiqa sedikit ralat. Biasanya Samwil jarang mahu keluar kalau keesokan hari dia harus bangun pagi-pagi lagi untuk ke tempat kerja. Sungguhpun demikian hati Syufiqa terasa bertukar menjadi sebuah taman indah. Senang sekali mendengar Samwil berkata begitu.

            “Okeylah. Kalau macam tu, saya pulang dululah. Dah lama sangat rasanya kat sini.”

            “Baiklah. Nanti kalau senang-senang datanglah lagi.”

            “Ya, senang-senang datanglah lagi” Samwil mencelah. Mengulangi kata-kata Syufiqa.

            Syufiqa tidak tahu waima pelawaan daripada mulut Samwil itu ikhlas atau sekadar basa-basi orang Melayu. Orang Melayu biasanya penuh tertib dan mahu menjaga hati tetamu. Dalam rasa lain, pada masa yang sama mulut lontarkan ucapan yang kontra dengan apa yang ada dalam diri.

            Samwil dan Syufiqa menghantar Mia Sara hingga ke kereta. Kemudian masih tercegat di situ santak kereta Mia Sara hilang dari pandangan mata. Samwil menghempaskan keluhan sekali lagi. Kali ini Syufiqa terdorong untuk memandangnya. Pandangan mereka bersatu. Samwil mengukirkan senyuman kepada Syufiqa. Mencuit hidung si isteri seketika. Perbuatan Samwil sekali gus mematikan resah Syufiqa yang terpendam sejak tadi gara-gara Samwil tidak bersikap mesra terhadap Mia Sara.

            “Tak sangka dia Mia Batrisia…” keluh Samwil kemudiannya.

            “Tak sangka kenapa pulak?” Syufiqa dipagut hairan.

            Samwil tersentak. Tersedar akan keterlancapan diri sendiri menuturkan kata. Kemudian cepat-cepat cuba untuk membaiki kata-katanya.

            “Tak sangka tulah Mia Batrisia. Abang ingatkan orang yang ada nama ni sombong dan besar kepala.”

            “Alah, mereka pun manusia macam kita jugak. Lagipun dia pernah cakap, sebagai penulis dia Mia Batrisia, depan umum dia nak jadi Mia Sara yang sebenar.”

            “Jadi, Fiqa lebih senang dia sebagai Mia Batrisia atau sebagai Mia Sara?”

            “Mana-mana pun tak kisah. Abang?”

            “Abang tak pikir sangat pasal dia. Lantaklah.”

            “Abang masih simpan praanggapan pada dia?”

            “Abang bukan sengaja nak simpan anggapan buruk pada Mia Sara. Lebih-lebih lagi abang bukan kenal sangat dia tu. Abang cuma nak yang terbaik buat Fiqa. Tak mahu sesapa pun bagi pengaruh negatif kat Fiqa, isteri abang yang pandai masak ni.” Terang Samwil. Dia enggan mengakui perkara sebenar.

            Jangan haraplah.

            Sementelahan melihat gelagat Mia Sara tadi yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda dia kenal Samwil. Dia berlagak seperti mereka tidak pernah kenal. Sedikit sebanyak keadaan itu membuatkan Samwil merasakan Mia sara tentu tidak akan membuka apa-apa tentang kisah silam mereka berdua. Biar apa juga rasional di sebalik sikap Mia Sara, dia berterima kasih.

            Syufiqa tersenyum. Dia memeluk Samwil penuh kasih sayang.”Tak ada orang boleh pengaruhi Fiqa. Selama ni Fiqa buat apapun berdasarkan kehendak hati Fiqa sendiri.”

            “Abang percaya pada sayang abang ni.” Sekali lagi hidung Syufiqa ditarik tanpa sempat dielak Syufiqa.

            Mereka sama-sama ketawa apabila Syufiqa kelihatan perit menahan kerengsaan akibat hidungnya ditarik Samwil.

            “Abang dah tak marah Fiqa jemput dia tanpa bincang dengan abang dulu?” Soal Syufiqa setelah ketawa mereka reda.

            “Bila pula abang marah? Selama ni pun abang tak pernah marah kalau ada kawan-kawan Fiqa datang bertandang ke mari secara mengejut pun. Ni pula datang atas jemputan Fiqa.”

            “Fiqa ingatkan abang marah. Abang nampak pelik.”

            Samwil cuma tersenyum. Kau tak tahu apa yang ada dalam hati aku, sayang.



BAB SEPULUH
Samwil terpaksa akur pada Syufiqa akhirnya. Dia tidak mampu lagi menghalang perhubungan Syufiqa dan Mia Sara walau apa juga alasan yang diberikan. Tambahan pula semasa kedatangan Mia Sara di rumah mereka tempoh hari, Samwil tidak nampak sebarang sebab kisah lama mereka  akan terbongkar. Mia Sara nampak seperti juga Samwil. Tidak senang untuk bercerita kisah lama mereka berdua kepada Syufiqa. Lalu jika Mia Sara sendiri tidak berminat untuk berbuat demikian, untuk apa pula Samwil terlebih-lebih takut?

            Lalu akhirnya Samwil memaktubkan untuk membiarkan Syufiqa dengan dunianya. Dengan Mia Sara alias Mia Batrisia. Kalau Mia Sara sudah melupakan dan langsung tidak kelihatan tergugat dengan pertemuan kembali mereka, mengapa pula dia harus terlebih-lebih resah? Dia seharusnya tidak begitu meski ada janji tidak tertunai antara dia dan Mia Sara. Seperti mana Mia sara membina hidup baru sejak mereka membawa haluan masing-masing, dia juga harus begitu memandangkan masing-masing sudah ada kehidupan sendiri dan tidak berkait antara satu sama lain lagi.

            Dalam hidup ini Samwil bukan mahu apa-apa lagi. Dia inginkan Syufiqa bahagia sahaja. Jika bersama Mia Sara membuatkan Syufiqa bahagia, biarlah. Biar dia teruskan hubungan itu walaupun ada masa, Samwil rasa sesuatu menghenyak pundaknya. Walau ada masa bagai ada sesuatu yang mengetik-ngetik ruang dalam hatinya. Dia tidak tahu apa itu, pun dia mengharapkan segala-galanya akan jadi baik dan Mia Sara tidak akan menjadi kudis apatah lagi barah dalam kehidupan mereka suami isteri. Dia sungguh-sungguh cintakan Syufiqa. Melebihi perasaan yang pernah hadir semasa dia bersama Mia Sara suatu masa dahulu. Oleh kerana itu dia begitu takut satu masa hati Syufiqa terluka.

            Mengguris hati Syufiqa dia sudah tidak sanggup apatah lagi melukakan hati Syufiqa. Dia benar-benar tidak sanggup menyaksikan lahar merah mengalir keluar dari hati Syufiqa. Perempuan sebaik Syufiqa tidak patut disakiti begitu. Syufiqa memberinya cinta yang tidak pernah diberi oleh mana-mana wanita sebelum ini. Kisah dia bersama Mia Sara hanya sebuah memori usang. Memori, selama manapun tetap tidak akan hilang. Pun mampu diabaikan. Begitulah yang akan dilakukan oleh Samwil setiap kali hatinya terlintas tentang Mia Sara.

            Bagi Syufiqa pula, perubahan Samwil benar-benar melapangkannya. Kini dia tidak perlu lagi merasa lain setiap kali bercakap tentang Mia Batrisia bersama Samwil. Walaupun Samwil lebih senang memanggil Mia Batrisia dengan nama sebenarnya, itu lebih baik daripada Samwil menganggap bukan-bukan terhadap Mia Batrisia. Syufiqa terlalu menganggap Mia Batrisia sebagai seseorang yang sangat istimewa. Malah kini dia semakin seronok menjadi peminat Mia Batrisia kerana mampu untuk mengetahui apa-apa saja karya terbaru Mia Batrisia sebelum karya itu disiarkan di mana-mana akhbar dan majalah. Ini kerana Mia Batrisia akan terlebih dahulu menghantar karya tersebut melalui e-mel untuk dibaca Syufiqa.

            Terkini, sebuah puisi menceritakan tentang pertemuan kembali antara dua insan yang pernah bercinta. Walaupun mesej yang disampaikan agak klise, pun bahasa Mia Batrisia menunjukkan bahawa pertemuan itu benar-benar sesuatu yang menyulitkan pasangan terbabit setelah masing-masing kini punyai kehidupan sendiri.

            Kukikis setiap sisa rindu dalam hati
            Kau yang hilang biarkan saja
            Pabila kini kau kembali
            Di sisimu ada si dia
            Pertemuan ini kosong maknanya.

            Begitu antara baris diksi Mia Batrisia. Entah pada siapa Mia Batrisia tujukan puisi tersebut. Namun baris demi baris ilhamnya benar-benar memberi satu rasa dalam diri Syufiqa. Sementelahan sejak akhir-akhir itu kerap pula Mia Batrisia menulis puisi sedangkan satu masa dahulu Mia Batrisia sendiri pernah memaktubkan dia tidak begitu bagus dan tidak begitu pandai untuk menghasilkan sebuah puisi yang baik. Jika dia berpuisi pun lebih kepada perkara-perkara eksperimental dan kabur.

            Kini dia menidakkan kata-kata sendiri. Puisi-puisi kejiwaan begitu banyak pula memenuhi peti e-mel Syufiqa. Banyak antaranya bernada melankolik. Ada juga Mia Batrisia meluahkan begini dalam puisinya.

            Ke pangkuanmu
            Si prajaka yang mengesat tangis malam hariku.
            Barangkali ia hanya suatu ilusi
            Barangkali juga cuma mimpi
            Mungkin kau tidak akan kembali lagi
            Ke ranjang sepi ini
            Pun aku tetap teringin ke pangkuanmu
            Kembali.

            Syufiqa cuba menyelami maksud di sebalik puisi-puisi melankolia yang sampai ke peti e-melnya. Sejak akhir-akhir itu dia senang benar begitu. Melepasi jangkauan kebiasaannya. Melompat keluar dari iklim dunia penulisan sebenar Mia Batrisia. Bukan selalu dia begitu. Normalnya dia lebih senang menulis tentang sesuatu yang berat dan global. Dia ada gagasan dan tidak hanya berbicara tentang hati dan perasaan semata-mata. Jangan-jangan Mia Batrisia sedang dilanda kesedihan. Sementelahan sebelum ini dia pernah memaktubkan dia menulis sesuatu yang dirasakan sensitif pada dirinya.

            Syufiqa jatuh simpati jika benar-benar Mia Batrisia sedang menghadapi kemelut perasaan sebagaimana yang diutarakan dalam puisi-puisinya kini. Tambahan dia mengatakan diri menulis kali itu bukan atas tujuan penerbitan. Hanya untuk melepaskan perasaan. Puisi-puisi sebegitu tidak layak menghiasi mana-mana majalah atau akhbar kerana ia hanya sebuah mekanisme untuk Mia Batrisia melepaskan rasa di hati. Itu sekali gus menunjukkan memang ada sesuatu membebani Mia Batrisia.

            Bukan atas niat ingin menjaga tepi kain orang, tetapi lebih kepada rasa ambil berat, Syufiqa akhirnya mengambil keputusan membalas e-mel Mia Batrisia dengan satu pertanyaan. Cuba untuk memahami kondisi iklim Mia Batrisia.
            Puisi Cik Mia sudah saya baca. Walaupun ia biasa-biasa sahaja namun sarat dengan sendu. Apa sebenarnya Cik Mia rasa sekarang?  Kalau-kalau sudi berkongsi dengan saya, mungkin ia boleh menenangkan sedikit resah Cik Mia.    

            Ringkas sahaja tulisan Syufiqa. Dia harap Mia Batrisia sudi untuk berkongsi masalah dengannya. Berulang kali dia membaca isi e-mel tersebut sebelum dia klik di menu hantar yang tertera di skrin. Dia harap Mia Batrisia tidak salah faham akan tindakannya. Niat dia benar-benar ikhlas. Ingin membantu jika benar Mia Batrisia sedang menghadapi masalah.

            Jika dia tidak mampu untuk menyelesaikan masalah Mia Batrisia sekalipun, sekurang-kurangnya dia boleh menjadi pendengar bagi mengurangkan sedikit bebanan benak Mia Batrisia. Sebarang masalah boleh jadi lebih ringan jika kita sedia untuk berkongsi dengan orang lain. Syufiqa percaya begitu. Peluang begitulah yang cuba diberikan Syufiqa kepada Mia Batrisia. Dia mahu Mia Batrisia sedar, jika benar dia sedang menghadapi masalah, dia mempunyai seseorang yang bersedia  untuk mendengar masalahnya bila-bila masa sahaja.

            Mia Batrisia tidak mengambil masa yang lama untuk membalas e-mel Syufiqa. Selang lima belas minit dia sudah menerima amaran tentang penerimaan mesej baru dalam peti e-melnya. Syufiqa yakin e-mel tersebut tentu sahaja daripada Mia Batrisia. Siapa lagi yang sudi mengirim e-mel kepada Syufiqa akhir-akhir itu? hanya Mia Batrisia sahaja yang sudi berbalas-balas e-mel dengannya.

            Terima kasih kerana begitu prihatin kat saya. Benar saya mengalami kecelaruan sekarang ni. Begitupun sukar sekali untuk saya luahkan. Sekiranya Syufiqa sudi untuk menjadi pendengar, saya minta sudilah pula jadi sahabat saya memandangkan saya tak betah untuk bercerita masalah saya kat mana-mana orang kecuali seseorang yang bergelar sahabat. Masalahnya saya langsung takde sahabat melainkan laptop saya ni.

            Tentu sukar untuk Syufiqa percaya orang seperti saya tak banyak bergaul. Saya ke sana-sini, jumpa pelbagai macam orang dengan pelbagai macam perangai. Saya begitu pandai menasihati orang agar tabah menjalani kehidupan. Bagi semangat kat orang lain. Hakikatnya saya sendiri menjalani kehidupan lebih naïf berbanding mereka. Dunia saya hanya ini. Kalau tak jumpa mereka atas tujuan amal, maka bermakna saya langsung tiada pergaulan dengan mana-mana orang. Atmosfera saya benar-benar kekurangan orang yang rapat dan sudi menyelami jauh ke dasar hati saya.
           
            Saya menulis daripada minat langsung bertukar menjadi mekanisme untuk meluahkan kesepian dalam diri. Meluahkan masalah. Meringankan lebuh fikir yang sentiasa sesak dengan jejer-jejer masalah yang tiada kesudahan. Saya tiada kehidupan sesempurna yang disangka orang bebanyak. Mia Batrisia sunyi sepi. Saya memanipulasikan seluruh isi alam ini bagi menutup kesepian saya. Nah hasilnya masyarakat melihat saya sebagai insan serba-serbinya beruntung. Hakikatnya Syufiqa jauh lebih beruntung berbanding saya.

            Syufiqa ada sebuah keluarga yang lengkap dan harmoni. Walaupun masih belum dikurniakan cahayamata, itu bukan masalah. Sedangkan saya telah kehilangan semuanya. Hati dan perasaan saya begitu terdera oleh keadaan ini. Lalu saya menyibukkan diri. Melakukan apa-apa yang patut untuk melupakan sumpahan yang berlaku ke atas diri saya. Pernah saya harapkan ini cuma mimpi ngeri. Pernah juga saya harapkan ini cuma sebahagian daripada kisah-kisah yang saya bukukan dalam novel saya.

            Menulis atas sesuatu yang sensitif dan yang pernah dialami sendiri.

            Benar. Itulah hakikat. Banyak daripada novel saya bertunjangkan kesedihan dari dalam diri saya. Tiada jalan terbaik untuk saya luahkan. Walaupun hakikat yang disampaikan tak sama, pun kesedihan dalam diri masih kesedihan yang sama seperti yang dialami watak-watak dalam karya saya.

            Hidup ini terlalu banyak kehilangan. Hidup ini juga terlalu banyak kesedihan. Saya pernah memiliki bahagia suatu masa dulu. Pun telah juga kehilangannya. Saya ingin dapatkan kembali kebahagiaan saya itu. Malangnya jalan untuk berbuat demikian tertutup. Sedang rindu begitu memanggil-manggil. Apa lagi boleh saya buat Syufiqa? Lalu saya terpaksa jadi Mia Batrisia. Hanya dengan itu saya boleh meluahkan luka saya. Padahal nama itu juga makin membuatkan saya teringatkan tentang luka dan derita saya. Apa boleh buat? Jika nama itulah suatu kenangan tentang kami, nama itu jugalah akan terus saya abadikan.

            Sekali lagi terima kasih kerana begitu prihatin dan sudi mendengar.

Mia Sara Hashim.

            Termangu Syufiqa sebaik selesai membaca luahan Mia Batrisia. Dia tidak faham apa yang telah dilalui Mia Batrisia kerana Mia Batrisia tidak meluahkan dengan jelas. Dia faham di situ Mia Batrisia pernah kehilangan, kehilangan apa? Orang yang tersayang? Itu mustahil kerana dia dimaklumkan mempunyai anak dan suami. Melainkan Mia Batrisia berkahwin kerana terpaksa setelah kehilangan lelaki yang dicintai dalam hidupnya. Itu boleh jadi. Macam dalam novel yang pernah ditulisnya dulu.

            Syufiqa mula menebak macam-macam. Dalam pula tergemik-gemik untuk membuat hipotesis sendiri. Dia mengandaikan begini: Mia Batrisia memang sudah berkahwin, pun bukan dengan lelaki yang dicintainya. Dek kerana itu hidup Mia Batrisia sunyi. Tiada sesiapa menjadi insan paling rapat dengannya meski sudah mempunyai suami untuk dicintai dan sebagai pecintanya. Kerana perkahwinan di luar kerelaan antara mereka juga membuatkan hidup Mia Batrisia tidak bahagia walaupun sudah mempunyai cahayamata. Mia Batrisia tidak boleh menjadikan suami sebagai tempat berkongsi suka duka kerana jurang antara mereka.

            Dalam masa yang sama Mia Batrisia juga pernah bercinta, terpaksa melupakan ikatan cinta itu kerana sudah mendirikan rumahtangga. Lalu dia hidup dalam kenangan. Begitu Syufiqa andaikan. Dia tidak sewenang-wenangnya menebak demikian. Dia hanya cuba memadankan kisah hidup Mia Batrisia dengan kisah yang dipaparkan dalam karya-karyanya dulu.

            Syufiqa kemudian tidak mampu meneruskan tebakan lagi apabila teringatkan tentang nama ‘Mia Batrisia’. Pada nama itu juga terkandung makna sebagaimana disebut Mia Batrisia dalam e-melnya. Apa maksud nama itu membuatkan dia teringatkan tentang luka dan derita? Apa pula maksud nama itulah kenangan buat Mia Batrisia? Syufiqa tak faham. Tidak boleh berfikir sedalam-dalamnya. Memahami cerita tanpa asas memang agak menyulitkan.

            Dia harus mendapatkan penjelasan daripada Mia Batrisia. Bagi memastikan Mia Batrisia percaya dia mampu menjadi pendengar yang baik, dia sudi untuk menjadi sahabat kepada Mia Batrisia. Malah kata orang pucuk dicita ulam mendatang jika Mia Batrisia sudi menganggap Syufiqa sebagai sahabat. Dia ingin menjadi bukan setakat peminat ke atas semua hasil karya Mia Batrisia, malahan juga mahu menjadi lebih daripada itu jika itulah yang diinginkan Mia Batrisia daripada Syufiqa.

            Setelah berfikir agak lama, Syufiqa menulis satu mesej ringkas kepada Mia Batrisia.

            Menjadi sahabat kepada seseorang yang dikagumi memang suatu keberuntungan buat saya. Bukan setakat menjadi sahabat lebih daripada itupun saya sanggup. Namun ceritalah dengan lebih jelas masalah sebenar agar luka di hati dapat sayang faham puncanya.

            Syufiqa menghantar mesej ringkas tersebut. Jauh di sudut hatinya memang dia benar-benar ikhlas mahu meringankan beban lebuh fikir Mia Batrisia. Jangan kata Mia Batrisia, sesiapa jua yang mahu berkongsi masalah dengannya akan diberi perhatian sewajarnya. Hari ini hari orang, besok lusa tentu dia juga akan berdepan dengan masalah. Masalah boleh datang dalam pelbagai bentuk. Boleh begitu dan begini kerana masalah sesuatu yang subjektif.

            Sebagai manusia hidup, manusia bernyawa, masalah merupakan teman paling rapat dan akrab. Tidak lengkap hidup seseorang manusia jika tiada masalah dalam menempuh hidup seharian. Bagi Syufiqa pula, dalam hidup ini masalah boleh dibahagikan kepada dua menu utama; ekonomi dan perasaan. Semua perkara melibatkan nilai ringgit dirangkum dalam masalah ekonomi dan semua perkara melibatkan rasa dalam diri di bawah perasaan. Ini termasuklah masalah antara hubungan suami isteri, hubungan dengan adik-beradik, ibu bapa dan pelbagai lagi yang boleh mengakibatkan hati dan perasaan lebih terdera berbanding benak.

            Dalam masalah Mia Batrisia, jelas dia mempunyai masalah berkaitan hati dan perasaan. Masalah yang berpunca daripada hati dan perasaan agak sukar untuk diselesaikan. Jika berkaitan ekonomi banyak jalan boleh dicuba untuk menyelesaikannya. Sungguhpun demikian, apabila masalah lebih menjurus kepada hati dan perasaan, inilah masalah paling besar bagi Syufiqa. Jika hati dan perasaan terdera, duit ringgit pun sudah tiada nilai kerana ketenangan akal fikiran dan ketenteraman tidak boleh dibeli dengan duit ringgit. Kasih sayang juga tidak boleh ditukar ganti dengan kilauan emas.

            Syufiqa percaya begitu. Malah dia yakin Mia Batrisia juga percaya begitu. Lalu kasihanlah pada Mia Batrisia jika atmosfera dia sekarang terancam kerana masalah hati dan perasaan.

            Alunan telefon genggam memutuskan lamunan Syufiqa. Tertera nama suami tersayang di talian. Tersenyum buat seketika menerima panggilan tersebut sebelum jari runcing menekan punat jawab. Halus dan manja suara Samwil menyapa di hujung talian. Bertanyakan khabar dan keadaan Syufiqa.

            “Fiqa tak buat apa-apa, bang. Tengah layan Mia Batrisia kat internet ni.”

            “Fiqa memang macam tulah. Kalau tak luangkan masa dengan Mia Sara satu hari tak sah. Dulu setakat baca karya dia, sekarang dah layan melalui internet pula.”

            “Abang dengki?”

            “Terasa jugak. Nanti Fiqa lebih banyak masa untuk Mia Sara.”

            Syufiqa ketawa mengelekek. Dia tahu Samwil bukan serius. Mana boleh Samwil menyamakan kedudukan seorang suami dengan kedudukan seorang idola. Syufiqa masih waras. Dia tahu tanggungjawab terhadap Samwil.

            “Amboi, ketawakan abang bukan main lagi ya.” Samwil mengusik si isteri yang masih mengelekek.

            “Abang lah… macam tu pun nak jealous ke?”

            “Mana tau. Okeylah sayang. Abang tak boleh lama ni. Nanti kita jumpa kat rumah. Abang sayangkan Fiqa.”

            “Fiqa pun sayangkan abang jugak.”

            Lalu talian dimatikan selepas sessi memberi dan menjawab salam. Syufiqa kembali termenung. Ingatan tentang Mia Batrisia kembali menggemik-gemik akal fikirnya. Huh, begitu kuatnya rasa simpati yang hadir terhadap perempuan itu sehingga Syufiqa turut merasa terbelenggu apabila tahu Mia Batrisia mengalami masalah. Dia dapat rasakan betapa tertekannya Mia Batrisia walaupun tanpa mengetahui punca sebenar masalah Mia Batrisia.

            Dalam keadaan begitu Syufiqa sempat menjeling peti e-melnya kalau-kalau ada menerima e-mel baru. Ternyata dugaannya tidak silap. Dia pantas membuka untuk membaca balasan daripada Mia Batrisia.
            Kita jumpa. Saya jemput Syufiqa ke rumah saya besok. Suasana lebih mesra jika kita berbual face to face.

            Lega. Itulah yang sebaiknya. Namun Syufiqa tidak pantas memberikan persetujuan. Dia harus meminta izin daripada Samwil terlebih dahulu. Pun e-mel tetap dibalas untuk memaklumkan situasi kepada Mia Batrisia.

            Sesudah agak lama menghabiskan masa di sisi komputer, Syufiqa bangun untuk melihat penjaja melintasi rumahnya. Kalau terlepas susah pula nanti memandangkan dia sudah kehabisan bekalan lauk basah dalam peti aisnya. Karang tidak fasal-fasal dia harus ke pasar untuk mendapatkan bekalan tersebut sedangkan hari sudah tengahari benar. Mujurlah penjaja masih berada di hujung jalan. Belum melintasi rumahnya. Syufiqa bersiap ala kadar untuk menanti ketibaan penjaja. Hari itu dia belum ada idea untuk menyediakan hidangan kepada si suami.

            Mengingatkan Samwil membuatkan Syufiqa sekali lagi tersenyum. Dia bangga mempunyai suami seperti Samwil. Di mata Syufiqa, Samwil seorang lelaki yang sempurna. Tiada kelemahan walau sebesar zarah. Dia tidak pernah mengalami sebarang masalah sepanjang hidup bersama Samwil. Dia langsung tidak kesal dijodohkan dengan Samwil oleh orang tuanya. Samwil lembut orangnya. Tidak tahu marah-marah, meninggikan suara kepada Syufiqa pun tidak pernah. Sikap Samwil benar-benar menyahut seruan hadith nabi yang menyatakan perempuan itu diciptakan untuk dicintai lelaki.

            Manusia Hawa diciptakan dari rusuk manusia Adam bukan dari kepalanya untuk dijadikan atasnya, bukan pula dari kakinya untuk dijadikan alasnya. Melainkan dari sisinya untuk dijadikan teman hidup, dekat pada lengannya untuk dilindungi dan dekat di hatinya untuk dicintai. Demikian sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dalam suatu hadith.

            Begitulah sepatutnya kedudukan wanita di sisi lelaki. Rasulullah sendiri menyatakan wanita untuk dilindungi dan dicintai, bukan untuk dizalimi dan dijadikan hamba abdi. Syufiqa bangga sekali menjadi muslim memandangkan Islam satu-satunya agama yang mengangkat martabat wanita sehingga setinggi itu. Agama lain terlalu memandang rendah pada wanita dan daripada segi sosial pun wanita dikesampingkan kedudukannya di mata masyarakat.

            Kewujudan fahaman-fahaman yang tidak munasabah terhadap wanitalah yang membuatkan wanita bukan muslim bangkit dan cuba memperjuangkan hak dan kebebasan wanita. Menuntut kesamarataan yang bukan-bukan. Sedangkan Islam sudah meninggikan martabat wanita. Kalaulah mereka ini merujuk kepada garis panduan yang diajar dalam Islam, tidak perlu lagi mempertikaikan kedudukan wanita. Wanita juga akan mendapat hak selayaknya di sisi masyarakat dan dalam menjalani kehidupan suami isteri.

            Syufiqa cukup-cukup bersyukur kerana berkahwin dengan lelaki yang tinggi pengetahuan agamanya. Berbekalkan ilmu yang ada membuatkan Samwil tidak pernah menafikan hak Syufiqa. Dia melayan Syufiqa sebagaimana yang diamanatkan oleh agama. Melindungi dan mencintai. Syufiqa amat-amat bahagia. Kebahagiaan itu juga diharapkan dinikmati semua orang.

            Mia Batrisia? Kehidupan bagaimanakah dilalui Mia Batrisia bersama suaminya? Ya Allah, aku berharap kepada-Mu agar Mia Batrisia juga melalui kehidupan yang indah bersama suaminya. Harap-harap juga rumahtangga mereka tidak seperti aku bayangkan tadi. Jika aku bahagia, aku juga harap semua orang di sekeliling aku, semua orang yang aku kenal juga akan bahagia sama.

            Syufiqa memang ikhlas memanjatkan doa itu di dalam hati. Tidak tergamak untuk dia mengetahui kesedihan orang lain. Hati Syufiqa jenis yang mudah simpati kepada sesiapapun. Apatah lagi jika orang itu dikenalinya. Sementelahan pula jika orang itu Mia Batrisia.

BAB SEBELAS
Dengan keizinan yang diberikan Samwil, Syufiqa sedia menerima pelawaan Mia Batrisia ke rumahnya. Suatu masa dulu dia tidak terfikir untuk menjalinkan hubungan santak sejauh itu bersama Mia Batrisia. Dia pemuja dari jauh, dia sangka sampai bila-bila pun dia hanya akan memuja Mia Batrisia dari jauh. Sungguhpun begitu, takdir merubah segala anggapan Syufiqa. Hari ini dia akan jadi lebih daripada seorang pemuja. Dia akan menjadi bertambah rapat dengan Mia Batrisia. Dia sedar kini, Mia Batrisia yang dikagumi hanya insan biasa. Insan yang tidak lepas daripada menghadapi masalah. Jauh daripada semua itu pula dia tidak menduga Mia Batrisia sudi untuk meluahkan masalah kepadanya.

            Kasihan Mia Batrisia. Segala-galanya nampak indah dari sudut pandangan Syufiqa. Rupa-rupanya Mia Batrisia juga hidup dalam serba kekalutan dan keresahan. Dia perlukan kekuatan dan sokongan atas semua masalah yang membelit mimpinya hingga ke perdu pagi. Mimpi melankolik yang sebelum ini tidak siapa ketahui. Aduh, kasihannya Mia Batrisia!

            Mia Batrisia perlukan seseorang yang mampu mendengar masalahnya. Itulah yang dipinta daripada Syufiqa kini. Sebelum ini dia hanya meluahkan segala isi hati melalui mekanisme penulisan. Kasihan dia. Betapa sepi-sunyinya hidup Mia Batrisia. Ke mana pergi suami Mia Batrisia? Ke mana anak Mia Batrisia? Kenapa dalam keadaan begitu suami bagaikan tidak memainkan peranan? Apa masalah mereka berdua sebenarnya sehingga Mia Batrisia merasakan diri keseorangan dalam dunia ini?

            Timbul pelbagai bentuk tanda tanya maya di atas kepala Syufiqa menyebabkan dia diketik rasa ingin tahu yang amat sangat tanda ambil berat seorang sahabat.

            “Fiqa tak rasa Mia Batrisia sedang memanipulasi Fiqa sekarang ni?” Duga Samwil pada awal Syufiqa menyatakan keinginannya untuk ke rumah Mia Batrisia.

            “Manipulasi apa pula, bang? Abang ni tak habis-habis…”
            Samwil tersenyum. Pandangan negatif? Pandangan negatif tidak. Cuma bimbang sahaja. Walaupun semasa kedatangan Mia sara ke rumah mereka tempoh hari dia berlagak tidak kenal Samwil dan meyakinkan Samwil bahawa tidak mungkin kisah lama antara mereka terdedah, kerisauan kembali semula dalam hati Samwil apabila dia dengan mudah menceritakan masalahnya kepada Syufiqa.

            Dalam hati Samwil merasakan Mia Sara ada tujuan tertentu. Walaupun dia gagal menebak dan meneka dengan baik tujuan sebenar Mia Sara berbuat demikian, pun dia tahu tentu ada tujuan di sebalik semua itu. Seorang bekas kekasih, tentu akan terusik hati melihat mantan pasangannya mempunyai kehidupan yang sempurna. Tambah-tambah jika di hati masih terkesan rasa kasih dan sayang terhadap mantan pasangan. Melainkan jika dia benar-benar sudah mempunyai satu kehidupan baru. Samwil meneka begitu. Selebihnya dia tidak tahu apa maksud Mia Sara.

            Begitupun, pada saat dia mempunyai ketakutan itu dalam diri, dia masih mengharapkan agar praanggapannya meleset. Biarlah Mia Sara benar-benar jujur terhadap Syufiqa. Terhadap mereka berdua. Jangan pula Mia Sara mahu menjadi dedalu yang mampu merosakkan sebuah pohon rending yang subur dan menjadi tempat berteduh sebuah kasih sayang. Rumahtangga mereka tidak pernah diduga sebelum ini. Jangan pula gara-gara kehadiran Mia Sara memusnahkan kebahagiaan Samwil dan Syufiqa secara diam-diam. Samwil cukup tidak percaya apabila seorang mantan kekasih hadir kembali dalam hidup seseorang. Tidak banyak, sedikit tentu akan memudaratkan hidup bekas kekasih.

            Bagaimanapun, Samwil tetap membenarkan Syufiqa ke rumah Mia Sara  setelah banyak bersoal jawab. Dalam hatinya berdoa agar pada masa hadapan, hubungan antara Syufiqa dan Mia Sara tidak akan mengubah apa-apa dalam rumahtangga yang mereka bina. Walau hati begitu merasa bergemelugut memikirkan banyak kemungkinan, pun dia masih tidak mahu berkeras menghalang Syufiqa. Bimbang, risau dan runsing Syufiqa akan menaruh syak. Itu lebih parah. Kelak hati Syufiqa juga akan terjelabak.

            Semasa diberikan keizinan, Syufiqa amat teruja. Hampir terlompat dari tempat duduk untuk menunjukkan betapa dia gembira dengan keizinan yang diberikan. Pun dia masih waras. Sementelahan dia bukan budak-budak lagi untuk menunjukkan reaksi sedemikian. Paling tinggi dia merapati Samwil dan menghadiahkan kucupan di bibir Samwil tanda terima kasih. Terima kasih kerana sepanjang menjadi suami, Samwil tidak pernah menghampakan.

            Dengan keizinan itu juga Syufiqa kini sudah berada di laman rumah Mia Batrisia. Mia Batrisia mempunyai laman yang cukup luas. Melihat pada keadaan rumah Mia Batrisia, dia kelihatan seperti ada semuanya. Rumah besar, kereta mewah,nama dan kedudukan di mata masyarakat. Pendek kata dia ada segala-galanya. Apa lagi yang tinggal? Huh, dakwa Mia Batrisia, kehidupannya tidak seperti metarial yang dimiliki. Dia sunyi sepi dalam metarial yang melimpah ruah. Dia miskin kasih sayang.

            “Terima kasih sebab sudi datang…” Mia Batrisia memeluk Syufiqa erat-erat.

            “Sepatutnya saya yang ucapkan terima kasih kerana Cik Mia percayakan saya.”

            Mia Batrisia menggeleng. “Jangan panggil saya Cik Mia lagi. Nampak ada jurang antara kita. Panggil je Sara.” Pinta Mia Batrisia sambil masih lagi memegang kedua-dua belah tangan Syufiqa.

            “Sara?” Syufiqa kekok untuk berbuat demikian.

            “Kat sekolah dulu, tulah panggilan untuk saya. Arwah orang tua saya pun panggil macam tu. Kita nak bersahabat, kan?”

            Syufiqa mencalitkan senyum pada wajah. “Baiklah, Sara…”

            “Macam tulah!” Mia Sara memeluk Syufiqa sekali lagi.

            Kemudian dia menarik tangan Syufiqa masuk ke dalam rumah. Tertegun Syufiqa melihat tatarias dalam rumah Mia Sara. Terlintas dalam hati, adakah semua penulis hidup mewah seperti Mia Sara. Tinggi benarkah pendapatan mereka sebagai penulis? Namun mata pula tidak lepas mengitari seluruh ruang rumah yang namapk penuh seni dan cukup estatik. Segala-galanya nampak bersignifikan. Pendek kata dia jatuh cinta dengan pemandangan yang dilihatnya. Apabila kaki melangkah pula ke ruang rehat, mata sekali lagi tertegun dengan sebuah gambar sebesar daun pintu. Gambar dalam citra hitam putih. Gambar seorang kanak-kanak sekitar usia tiga tahun. Itu satu-satunya hiasan yang terdapat di situ. Comel sekali kanak-kanak dalam gambar tersebut. Bertudung labuh dan mengenakan baju kurung. Menambahkan kecomelan si gadis cilik. Syufiqa cukup tertarik.

            “Itu anak saya…” beritahu Mia Sara menyedari Syufiqa tidak lepas pandang ke wajah comel tersebut.

            Mata Syufiqa membundar besar mendengar kata-kata Mia sara.

            “Comelnya. Kalaulah saya pun turut dikurniakan anak secomel dia…”

            Mia Sara tidak berkata apa-apa buat seketika. Dia mendekati gambar tersebut. Sebelah tangan diangkat dan kemudian menyentuh citra wajah anaknya di dalam gambar. Satu keluhan dihempas kasar. Ia cukup jelas di pendengaran Syufiqa.syufiqa juga dapat mengesan riak suram dari wajah Mia Sara. Hati mula digemik rasa ingin tahu.

            “Dialah Batrisia.”

            “Batrisia?”

            “Ya. Tentu Syufiqa masih ingat nama pena saya sempena nama anak saya sendiri. Saya abadikan begitu.” Maklum Mia Sara. Wajahnya sudah berubah sugul. Tidak seperti pada awal kedatangan Syufiqa tadi.
            “Tapi mana dia? Dia takde kat rumah sekarang ni? Tuisyen?” Syufiqa penuh rasa ingin tahu.

            Dia yakin masalah Mia Sara lebih berat daripada harus mengabadikan nama anak sendiri sebagai nama pena. Dia yakin di sebalik tindakan Mia Sara ada rahsia tersembunyi memandangkan nama itu seperti yang diberitahu melalui e-mel semalam mengingatkan dia pada kisah luka dan derita.

            Mia Sara kelihatan mengatur diksi lagi. Sekilas melontar kembali pandangan ke wajah anaknya. Bebola mata Mia Sara mula kelihatan berkaca-kaca. Malahan dia sendiri nampak bertarung hebat dengan rasa dalam diri. Resah dan cukup payah untuk mengatur diksi demi diksi sehingga membariskan satu ayat.

            Mia Sara menyimpan sendu dalam dada. Sekuat mungkin cuba untuk memperkasakan semangat. Sisa-sisa kekuatan dikebalkan. Tidak semudah itu. ya, seharusnya tidak semudah itu dia mengalirkan air mata di depan Syufiqa. Sementelahan tindakan memanggil Syufiqa ke rumah juga dibuat separa sedar. Dia dalam keadaan nanar dan tidak dapat berfikir dengan baik semasa terlancap meluahkan kepada Syufiqa. Alang-alang sudah berbuat demikian ada baiknya dia teruskan. Dia tidak mahu lagi memendam segala masalah dalam fakulti benaknya seorang diri.

            Sudah terlalu lama. Ya, terlalu lama sudah dia membiarkan diri dijajah kesedihan. Dibelenggu rasa yang kurang waras. Hidup penuh kekosongan tanpa tempat untuk berbicara. Sejak kehilangan insan-insan yang disayangi dalam hidup, Mia Sara benar-benar hilang arah. Pundak benar-benar rasa terbeban. Hati pula semakin membusung sakit memendam rasa dalam diri. Kesudahannya, dia tahu dia perlu seseorang untuk mengadu. Malang sekali dia tidak mempunyai sesiapa untuk berbuat demikian. Hingga hadirnya Syufiqa. Dia bisa bercerita macam-macam. Pun tidak termasuk soal hati dan perasaan yang begitu dijajah pilu.

            Dia sebenarnya tidak berani untuk meluahkan. Bimbang menyingkap siapa sebenarnya Mia Batrisia yang selama ini kelihatan cukup kuat. Karya-karya Mia Batrisia penuh semangat. Punyai jati diri. Sentiasa memotivasikan mana-mana individu yang kehilangan arah dalam hidup. Hakikatnya diri sendiri tidak begitu. Hakikatnya dia sendiri perlukan bimbingan. Dalam sudah tidak tahan memendam rasa lagi. Ketika itu, semua citra wanita dalam karyanya tidak lagi terkena tempiasnya kepada Mia Sara. Sudah lain benar dan dia kini tidak lebih daripada seseorang yang mengakui ketewasannya. Tewas pada keadaan. Tewas pada takdir dan tewas pada semuanya.

            Syufiqa menunggu Mia Sara membuka mulut dengan telinga tertadah. Melihat pada raut wajah Mia Sara alias Mia Batrisia, dia tahu masalah Mia Sara tidak mudah untuk diperkatakan. Mentak ia benar-benar menyentuh perasaan atau mentak juga ia cukup berat sehingga Mia Sara sudah hilang keyakinan untuk menyelesaikannya.

            “Saya panggil Syufiqa ke sini agar Syufiqa merasai sendiri iklim saya. Syufiqa perhatikan sekeliling. Rasai kesunyian dari dalam diri saya. Beginilah kehidupan sebenar Mia Batrisia.” Nada suara Mia Sara cukup terkawal semasa dia menuturkan ayat-ayat tersebut.

            Walau soalan masih belum berjawab, Syufiqa tetap mengangguk tanda memberi perhatian terhadap kata-kata Mia Sara.

            “Menjawab pertanyaan Syufiqa, anak saya Batrisia sudah lama takde. Saya hidup bersama bayangannya. Tahun ni, kalau dia masih ada bermakna dia dah berusia enam tahun. Dah mula bersekolah, tuisyen, pendek kata dah memulakan apa-apa saja yang sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak sebayanya.” Mia Sara membuka cerita sebenar. Namun ceritanya hanya terhenti di situ. Ada sendu di hujung suaranya.

            Syufiqa terkejut mendengar penerangan Mia Sara. Patutlah agak lama dia mengambil masa untuk meluahkan kenyataan tersebut. Syufiqa sendiripun terkelu buat beberapa ketika sebaik mengetahui kenyataan itu. Dia hanya mampu memerhatikan sahaja setiap tingkah Mia Sara. Ada lara pada riak wajah Mia Sara. Jelas.

            Mata Mia Sara kembali tunak pada gambar yang tergantung di dinding. Syufiqa turut memandang ke arah gambar tersebut. Sedikit demi sedikit dia sudah mula memahami masalah yang sedang dihadapi Mia Sara.

            “Batrisia meninggal dalam satu kemalangan kecil yang bertukar jadi mimpi ngeri. Suami menyalahkan saya seratus-peratus ekoran kejadian itu.” Terang Mia Sara setelah kembali berjaya memperkasakan diri.

            Kenyataan tersebut juga dibuat bagaikan dia mengetahui apa yang sedang bermain dalam benak Syufiqa. Intonasi suara Mia Sara bagaimanapun benar-benar sudah menjunam ke tahap paling bawah. Cukup perlahan dan tidak begitu jelas. Bauran sebak dan sendu terkesan di situ.

            “Tapi kenapa Sara.” Syufiqa bukan berniat mahu menekan Mia Sara, namun dia begitu terdorong untuk mengetahui perkara sebenar.

            “Kerana saya yang belikan anggur tu. Saya belikan untuk Batrisia. Mana tahu dia boleh tersedak. Kami hantar ke hospital, wajah Batrisia dah membiru ketika tu. Doktor tak sempat nak buat apa-apa. Batrisia hembus nafas dalam sekelip mata je.”

            “Semata-mata kerana tersedak?” Dia inginkan kepastian. Syufiqa. Syufiqa yang inginkan kepastian.

            “Doktor buat bedah siasat untuk tahu punca sebenar kematian. Rupa-rupanya air anggur tersasar ke saluran pernafasan lalu menyekat aktiviti pernafasan. Pada awalnya kami sangka Batrisia tercekik biji anggur.”

            Syufiqa menggeleng-gelengkan kepala. Nyata tidak percaya. Bagaimanapun dia tahu kejadian seumpama itu tidak mustahil. Allah s.w.t bisa mengambil seseorang yang kita sayangi melalui apa cara sekalipun. Sehingga melalui cara yang kita rasakan tidak masuk akal dan remeh.

            “Kami kehilangan Batrisia macam tu je. Kami harus terima kenyataan.” Suara Mia Sara lagi. Namun sekali lagi ia terhenti.

            Mia Sara menelan ludah yang dirasakan berpasir. Membiarkan tanda tanya maya sebesar alam berlegar penuh di atas kepala Syufiqa. Syufiqa masih ingin tahu banyak lagi punca yang mengakibatkan Mia Sara begitu tertekan. Seharusnya jika Mia Sara suami isteri sedar mereka harus menerima kenyataan kehilangan Batrisia, dia tidak sepatutnya menjadi begitu lara.

            “Saya memang menerima kenyataan tu, Syufiqa. Masalahnya saya jadi cukup tertekan apabila suami asyik menyalahkan saya. Hari-hari mengungkit perkara sama. Menidakkan takdir Ilahi atas kematian Batrisia. Kononnya kalau saya tak belikan anggur tu, sampai hari ni anak kami masih ada.” Mia Sara menyambung. Sungguhpun begitu, kali ini kenyataannya sudah beriringan dengan air bening yang laju menuruni pipi.

            Syufiqa beristighfar. Simpati teramat pada Mia Sara. Dia cukup tidak menyokong perbuatan suami Mia Sara. Dia seharusnya redha kerana Allah telah menyuratkan demikian.

            “Suami Sara tak patut buat begitu.”

            “Dia memang tak patut buat begitu. Tapi ego dia terlalu tinggi, Syufiqa. Dia tak mau bertolak ansur dengan saya. Tak juga cuba memahami betapa saya perit setelah kehilangan anak tersayang. Malah dia makin menambahkan tekanan saya.” Mia Sara menyeka air mata di pipi.

            Syufiqa merapatinya. Memeluk Mia Sara dari belakang untuk memberi kekuatan. Dia tidak mampu berkata apa-apa selain menelinga sahaja.

            “Hari-hari kami bergaduh. Hidup kami tak keruan sejak Batrisia takde. Walaupun kasih sayang dan cinta kami masih kuat, ego dia mengatasi segala-galanya. Akhirnya dia ceraikan saya dengan talak tiga di luar kesedarannya semasa kami bertengkar.”

            “Ya Allah!” Syufiqa berseru.

            Mia Sara membalikkan tubuh. Mengadap Syufiqa. “Kami dah tak boleh bersama lagi walaupun rindu dan cinta kami masih kuat.”

            Rindu dan cinta kami masih kuat? Huh, peliknya bunyi ayat tu. Getus hati kecil Syufiqa. Mana tidaknya, walaupun sudah dilayan sedemikian rupa oleh lelaki itu, Mia Sara masih menyimpan rasa cinta dan rindu yang sama. Huh, kalaulah Syufiqa, jangan harap. Malah akan menjadi suatu kemujuran baginya setelah dilafazkan talak. Syufiqa merasakan diri tidak begitu kuat menyimpan cinta terhadap lelaki yang tinggi egonya. Seseorang yang tiada tolak ansur dan hanya tahu menyalahkan pasangan melulu-lulu.

            “Sebab tu saya tertekan, Syufiqa. Kehilangan suami dan kehilangan anak sekali gus membuatkan hidup saya sunyi sepi. Saya rindukan mereka. Rindu untuk bergelak tawa bersama mereka seperti dulu. Jika saya dah tak mampu nak miliki Batrisia kembali, kami masih ada harapan untuk memiliki anak yang lain sekiranya masih bersama.  Masalahnya, kami pun memang dah tak boleh bersama.”

            Syufiqa mengerti teramat ketidakluguan yang dihadapi Mia Sara ketika itu. Jika dia yang tidak pernah memiliki anak begitu merindui seseorang yang tidak pernah wujud, apatah pula Mia Sara yang sebelum ini pernah merasai suasana hidup bersama seorang cahayamata. Tentulah rasa rindu itu lebih sebu di dalam jiwanya.

            “Syufiqa, saya benar-benar rindukan Batrisia. Rindukan suami saya!” Mia Sara menggenggam erat tangan Syufiqa. Meminta kekuatan di situ.

            Mia Sara benar-benar kelihatan lemah di depan Syufiqa kini. Dia faham akan rasa dalam diri Mia Sara. Faham. Amat-amat faham. Pun dia tidak setuju jika Mia Sara mahu terus-terusan mahu merindui orang yang sudah pergi. Terutama si suami yang digambarkan dia sekejap tadi sebagai lelaki ego dan tidak tahu bertolak ansur. Untuk apa dirindui lagi lelaki sebegitu? Biarkan saja dia. Mia Sara sepatutnya bangkit. Biarkan kenangan bersama suami begitu minggat meninggalkan hati Mia Sara. Jangan disimpan-simpan lagi. Jangan kata cinta buat lelaki itu, rindu dan ingatan pun kalau boleh dilepaskan pergi.

            Untuk apa dikenang lagi kepada seseorang yang telah memberi kita pedih dan luka?

            Mia Sara harus kuat. Kuat sebagaimana watak-watak yang dijelmakan dalam karyanya. Mia Sara tidak harus tunduk pada emosi. Tidak sama sekali. Syufiqa tidak bersetuju. Jauh sekali ingin memberi sokongan kepadanya dalam meneruskan rindu terhadap bekas suami. Mia Sara harus bangkit. Bina hidup baru. Selama ini dia sering memberi kata-kata semangat kepada orang lain yang mengalami kemelesetan jiwa. Kini kenapa dia tidak mengaplikasikan semula kata-katanya sendiri.

            Pun itulah. Menasihati orang mudah. Jika kita sendiri sudah berada dalam kekalutan, kita pun akan berdepan dengan suatu keadaan maha tidak lugu untuk dihadapi. Mia Sara tidak boleh menafikan kebenaran tersebut. Dia rebah pada emosi yang mengawal kewarasannya sendiri. Tiada apa-apa lagi yang tinggal di situ melainkan jiwa yang sudah terjajah emosi.

            “Sara, kuatkan semangat.” Pujuk Syufiqa. Dia tidak tahan melihat air mata Mia Sara.

            “Macam mana saya nak kuatkan semangat, Syufiqa? Separuh daripada diri saya dah takde. Kekuatan saya dah hilang. Saya dah cuba melakukan segala-galanya untuk melupakan mereka. Pun kenangan demi kenangan membuatkan Batrisia seakan hidup kembali. Perkenalan kita juga makin membongkahkan segala yang saya cuba timbus sebelum ni.”

            Syufiqa terpagut hairan. Tiba-tiba perkenalan mereka terkait pula dengan masalah Mia Sara. Bagaimana dan mengapa? Timbul tanda tanya maya di atas kepala Syufiqa.

            “Apa yang telah saya buat, Sara?”

            “Secara zahir Syufiqa dan suami tak buat apa-apa. Namun kemesraan Syufiqa dan suami membangkitkan kenangan antara kami. Tinggal lagi Syufiqa belum ada cahayamata. Kalaulah ada seorang cahayamata menyeri rumahtangga Syufiqa, semakin terasa hati kecil saya ni.” Jelas Mia Sara tanpa berselindung lagi. Biar Syufiqa faham. Jangan ada kekeliruan lagi.

            Mia Sara sudah tidak malu-malu lagi untuk menzahirkan kelemahannya. Biar Syufiqa jelas siapa dirinya yang sebenar. Biar Syufiqa tahu realiti seorang Mia Sara begitu bertentangan dengan watak-watak yang dijelmakan dalam karya-karya Mia Batrisia selama ini. Watak super kebal dan penuh dengan wawasan sebenarnya tidak mencerminkan Mia Sara. Ia cuma gagasan Mia Batrisia yang nyata begitu berbeza jika dipadankan dengannya.

            Syufiqa tidak tahu apa yang patut dikatakannya. Dalam masa yang sama tidak mampu juga untuk menghentikan cucuran air bening di pipi Mia Sara.

            “Dan kalaulah Syufiqa tahu betapa tersentuhnya hati ni apabila Syufiqa panggil saya dengan panggilan Cik Mia. Bekas suami insan tunggal yang memanggil saya dengan panggilan ‘Mia’. Setiap kali Syufiqa panggil saya begitu, saya teringatkan dia. Sebab tulah saya terdorong nak luahkan masalah saya kat Syufiqa.”
            “Ya Tuhan, maafkan saya Sara. Saya tak tau nilai sentimental  di sebalik nama tu.”

            Mia Sara tidak menjawab. Dia tenggelam dalam air matanya. Syufiqa tidak tahu bagaimana mahu memujuk. Alih-alih dia cuma mampu meraih Mia Sara. Membiarkan Mia Sara tenggelam dalam pelukannya pula. Dia tahu, kalau dia di tempat Mia Sara pun memang sangat-sangat memerlukan sokongan saat itu.
























BAB DUA BELAS
Sudah beberapa hari Mia Sara berada di kampungnya. Hati Mia Sara resah. Dia perlu mencari ketenangan di kampung buat beberapa ketika. Sejak Syufiqa mengunjunginya di rumah, keresahan semakin bertambah. Dia takut kalau-kalau masalahnya sampai ke telinga Samwil. Ah, silap dia. Silap dia kerana terlalu mudah mengikut perasaan. Selama ini rasa dalam diri tidak pernah dibiarkan terbongkah depan mata sesiapa. Di sebalik Mia Batrisia, dia memperlihatkan diri sebagai seseorang yang kuat, tabah dan tidak gentar menghadapi sebarang masalah. Alih-alih apabila berkenalan dengan Syufiqa dia menjadi begitu sensitif. Mudah pula memperlihatkan kelemahan depan Syufiqa. Menceritakan semua lara dalam diri. Uhh. Mengapa sampai begitu bodoh Mia Sara kali ini? Mia Sara mula mengutuk diri sendiri.

            Kalaulah perkara itu sampai ke pengetahuan Samwil, apa anggapan Samwil terhadap dirinya? Dia harus sedar hakikat itu. Samwil tentu masih ingat dia. Daripada reaksi Samwil seawall pertemuan pertama dan sikap-sikap Samwil selepas itu ternyata Samwil masih mengenalinya. Cuma mentak Samwil berlagak selamba kerana mahu menjaga hati Syufiqa. Isteri yang kelihatan terlalu baik melayani Samwil dan memberi kebahagiaan sepenuhnya kepada Samwil. Mia Sara mula kesal. Bimbang apabila memikirkan tanggapan negatif Samwil terhadap dirinya.

            Lebih daripada itu dia sebenarnya malu seandainya Samwil tahu kehidupan dia bersama Mikail tidak kekal lama meski antara mereka begitu sarat dengan kasih sayang sebelum ini. Dia malu sekiranya Samwil ketawakan dia. Selama ini, sejak perpisahan antara merekia, dia bertekad dalam diam untuk memastikan rumahtangga mereka bahagia sampai bila-bila. Bertekad mahu mencari suami yang sudi mencurahkan kasih sayang lebih ulung berbanding yang pernah dicurahkan Samwil. Samwil yang pernah meninggalkannya dan bersikap tidak peduli tentang dirinya pada satu masa dulu.

            Mujurnya dia memang bahagia bersama Mikail. Cuma ego Mikail amat mengguris hati. Id, ego dan super ego memang normal kalau ada pada diri seorang insan.  Itulah unsure yang menjadikan seseorang itu digelar manusia. Pun ego Mikail terlalu tinggi. Ego itu bukan sahaja mampu merobohkan sebuah gunung, tetapi juga ikatan perkahwinan mereka. Kini, kerana ego Mikail, ikatan suci antara mereka terlerai. Walau cinta masih kuat antara mereka, mereka gagal untuk kembali bersama. Talak tiga yang dijatuhkan Mikail membuatkan mereka tidak mungkin rujuk kembali,

            Penceraian tersebut mendera perasaan mereka. Keluarga tidak boleh membantu. Segala-galanya sudah hancur. Jadi debu, ditiup angina. Tiada apa-apa lagi yang tinggal antara mereka. sakitnya. Memang teramat sakit. Mia Sara benar-benar teruji. Kekuatan dan semangat dalam diri hilang begitu sahaja. Dia kehilangan dua orang tersayang serentak. Dia hilang anak. Dia juga hilang suami. Kehilangan anak perkara yang tidak boleh dielakkan. Walaupun dia menangis air mata darah sekalipun, Batrisia tidak akan kembali lagi. Dia tidak mungkin berkesempatan lagi untuk mendengar Batrisia mengelekek ketawa setiap kali diusik dia dan suaminya, Mikail. Memang langsung tidak akan berpeluang lagi.

            Pun kehilangan suami sebenarnya boleh dielak jika dia bersabar. Jika dia tidak mencabar Mikail. Jika dia tidak panjang-panjangkan pertengkaran antara mereka. silap dia kerana suka memanjangkan pertikaman lidah. Mencabar sehingga Mikail benar-benar hilang kawalan diri. Talak tiga dijatuhkan. Ya Tuhan.  Kalaulah dia lebih bersabar. Biar saja Mikail menuduh apapun. Menyabitkan kematian Batrisia kerana kelemahannya. Sekurang-kurangnya kesabaran membuatkan rumahtangga mereka masih boleh diselamatkan. Sekurang-kurangnya dia hanya kehilangan Batrisia. Bukan kedua-dua mereka.

            Selama ini mereka sering bertelingkah. Ada masa atas perkara remeh-temeh . mikail malah pernah menangankan Mia Sara. Pun cinta mereka memang kuat. Atas alasan apapun pergaduhan mereka tejadi, mereka tetap akan berdamai semula. Mikail tidak pernah ada niat walau sebesar zarah untuk melepaskan  Mia Sara. Tidak pernah sama sekali. Semua berlaku atas ketidaksedaran Mikail. Dia terlajak melepaskan Mia Sara. Mereka sama-sama merana kemudiannya.

            Ya Allah. Betapa sakitnya setelah hidup terasing daripada Mikail. Cinta ulung aku! Aku ingin kembali kepada Mikail. Dia juga ingin kembali kepadaku. Bukakanlah jalan buat kami berdua, Ya Allah! Aku tidak mampu untuk melupakan Mikail. Hakikat kehilangan Mikail lebih sukar untuk aku telan berbanding hakikat kematian Batrisia. Ampuni aku, Ya Allah andai ujian ini Kau turunkan berpunca daripada dosa-dosa  yang pernah aku lakukan sepanjang hidup di muka bumi ini.

            “Sara menungkan apa?” Mak Long mendatang sambil membawa dulang minuman dan sedikit kuih ketayap.

            Lamunan Mia Sara mati. Menoleh ke wajah Mak Long sambil cuba untuk memaniskan wajah sebaik mungkin. Sungguhpun begitu, kesan air mata pada wajah dan sirna pada mata yang begitu ketara membuatkan Mak Long Mia Sara sedar anak saudaranya menangis sepanjang masa ditinggalkan keseorangan sekejap tadi.

            Mak Long melabuhkan punggung di sebelah Mia Sara. Mia Sara langsung tidak mahu bersuara. Apa lagi boleh dikatakan? Mak Long sendiri sudah dapat melihat dengan jelas. Dia memang tenggelam dalam menungan.

            “Tiga tahun… dah tiga tahun Sara. Tak elok kalau Sara terus macam ni. Kau kena redha. Cuba bina hidup baru.” Versi suara Mak Long mendatar.

 Pun Mia Sara tahu Mak Long memang maksudkan kata-kata yang melompat keluar dari kerongkongnya sekejap tadi. Namun Mia Sara masih belum timbul nafsu untuk berbalas kata dengan Mak Long.

“Kau terus macam ni, kau dapat apa? Makin menyulitkan hidup kau aje. Makin mengusutkan benak kau. Arwah Batrisia tak mungkin hidup kembali walau kau terus kenang sampai akhir nafas kau.”

Arwah Batrisia? Huh, hanya Mak Long tegar memanggil Batrisia begitu sejak kematian anaknya santak hari itu. Sedangkan baik Mia Sara mahupun Mikail tidak pernah mampu untuk memanggil anak mereka begitu. Tidak sanggup dan tidak tergamak untuk mereka berbuat demikian memandangkan mereka masih merasakan Batrisia tetap ada bersama mereka.

“Sara…” seru Mak Long sambil menyentuh bahu Mia Sara. Mahu mengheret Mia Sara daripada terus hanyut dalam gelombang perasaan yang diciptakannya sendiri.

“Sara nak ingat buat apa lagi? Perkara dah lepas. Sara kena fikir masa depan.”

Mia Sara menghempaskan keluhan. “Ia bukan semata-mata kerana Batrisia, Mak Long.” Akhirnya begitu suara yang keluar dari kerongkong Mia Sara.

“Habis? Kalau tak pasal arwah Batrisia, pasal Mikail?”

Mia Sara menunduk. Tidak perlu mengiyakan. Mak Long sudah boleh menebak segala perkara yang bermain dalam benak Mia Sara.

“Selama mana kisah arwah Batrisia tinggalkan kita, selama tu juga kisah Mikail tu. Sara kena kuat. Dah takde jalan penyelesaian untuk Sara dan Mikail balik baik. Talak tiga Sara. Bukan talak satu atau dua. Kita pun faham kalau dah talak tiga, kan?”

“Sara nak buat macam mana?”

“Bina hidup baru, Sara. Lupakan Mikail. Kalau memang dah ada jodoh untuk Sara dan Mikail bersatu kembali, hari tu pasti datang. Buat masa ni, cuba bagi peluang kat orang lain pulak.”

“Mak Long, bercakap memang senang. Masalanya, Sara tak boleh nak buat macam yang Mak Long cakap tu. Sara sayangkan Mikail. Bukan mudah nak tukar cinta di hati Sara ni.”

            “Kau ni sama macam Mikail. Asyik cakap tak boleh nak lupa. Tak boleh belajar cinta orang lain setiap kali Mak Long tanya apabila dia balik sini.”

            “Dia ada balik sini?” Soal Mia Sara. Mata sedikit bersinar mendengar kata-kata Mak Long walaupun dia sendiri sudah tahu hakikat dalam hati Mikail.

            “Hujung bulan lepas dia ada balik sini.”

            “Macam mana keadaan dia, Mak Long?” Mia Sara penuh rasa ingin tahu.

            “Sara tak jumpa dia masa kat KL?” Mak Long agak kehairanan.

            Betullah Mia Sara dan Mikail sudah bercerai, namun mereka masih saling menyayangi, masih mencintai. Mustahil jika mereka langsung tidak mengatur pertemuan selepas penceraian mereka.

            Mia Sara menunduk lagi. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan Mak Long, ibu saudara Mikail yang sehingga kini dianggap seperti ibu saudaranya sendiri. Liur yang ditelan terasa berpasir dan kelat. Wajah Mikail yang sedang tersenyum merenung seakan kembali bermain di ruang mata. Citra Mikail dalam bentuk maya itu seakan ingin mendapatkan Mia Sara. Memeluk Mia Sara seperti dulu. Menghalau rasa resah yang membuatkan dalam bergalau.

            “Tak jumpa Mak Long.”

            “Tak jumpa? Ish, macam mana pulak boleh jadi macam tu, Sara? Kan dulu selalu jugak kau orang berjumpa lepas cerai.”
            “Awal-awal dulu. Sekarang tak lagi. Kami dua-dua tak tahan. Rasa macam masih suami isteri. Kalau jumpa ada masa masih tersasul pegang-pegang tangan macam dulu. Mana boleh macam tu, kan Mak Long?” Akhirnya Mia Sara menyatakan hakikat pada Mak Long.

            Mak Long menggelengkan kepalanya berkali-kali. Sudah tiga tahun berlalu. Budak-budak ni masih belum terima hakikat. Tak boleh nak berhubungan macam kawan biasa. Huh, mana boleh nak berhubungan macam kawan biasa kalau dalam hati tu masih sarat dengan cinta antara satu sama lain. Ngomel Mak Long dalam hati. Mak Long bukan tidak simpati dengan masalah yang menimpa Mia Sara dan Mikail. Bagaimanapun dia sendiri tidak boleh berbuat apa-apa.

            “Cakaplah Mak Long, macam mana keadaan Mikail sekarang?”

            “Lebih kurang macam kau lah. Kalau balik termenung sana, termenung sini. Puas kat rumah dia ke pusara arwah Batrisia. Sebagai lelaki, dia kelihatan terlalu lemah benar.”

            Mia Sara menggigit bibir. Dia boleh faham rasa dalam diri Mikail. Mia Sara sendiri masih tergemik-gemik oleh rasa sedih yang sama meski sudah tiga tahun berlalu. Mata Mia Sara kembali berkaca. Hati sudah terugah. Terusik oleh perkhabaran Mak Long.

            “Sara, jangan macam ni. Cubalah bagi peluang kedua pada diri kau orang. Sara dan Mikail memang dah tak boleh bersama balik.” Mak Long ternyata masih tidak jemu mengemukakan usulnya.

            Usul itu juga akan dikemukakan kepada Mikail jika anak saudara kesayangannya itu pulang ke kampung. Dia mahu mereka bina hidup baru. Mereka tidak boleh selama-lamanya begitu. Mikail perlukan teman baru. Mia Sara juga perlukan teman baru. Mereka tidak boleh terus mempertahankan cinta mereka memandangkan kemungkinan untuk bersama kembali nampak kabur benar. Hanya keajaiban sahaja yang akan memungkinkan mereka bersama kembali.

            “Sara tak sanggup, Mak Long. Tak sanggup nak kahwin dengan orang lain walhal Sara tau Mikail masih cintakan Sara. Sara pun masih cintakan dia. Tak terkurang sikit pun walau dah jadi macam ni.” Akui Mia Sara. Suara Mia Sara memang kendur benar. Pandangan pula dilontar jauh.

            Mak Long sekali lagi menggeleng-gelengkan kepalanya. Mia Sara dan Mikail seakan-akan sudah berjanji. Kata-kata Mia Sara tidak lebih dan tidak kurang daripada apa yang telah dikatakan Mikail kepada Mak Long. Frasa mereka sama, deskripsi mereka sama. Mereka memang sehati sejiwa. Cuma keadaan telah memusnahkan cinta mereka.

            Sebagai orang tua, Mak Long kesal dengan sikap terburu-buru Mikail memutuskan ikatan antara mereka. Kalau Mikail lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan, sampai kini pun mereka masih sepasang suami isteri. Kehilangan Batrisia bukan di tangan mereka, namun jika hubungan cinta mereka masih dipertahankan, lebih daripada seorang Batrisia mampu mereka miliki. Mak Long pun tidak faham mengapa kematian Batrisia memberi kesan begitu negatif terhadap rumahtangga mereka.

            Sepatutnya dalam keadaan diuji sedemikian mereka lebih kuat mempertahankan cinta mereka. Sama-sama memujuk antara satu sama lain. Sama-sama memberi semangat selepas kehilangan zuriat lambang kasih mereka selama ini. Bukan menjadikan kematian Batrisia punca persengketaan sehingga membawa kepada penceraian seperti itu.

            Tapi itulah, anak-anak muda zaman sekarang terlalu mengikut perasaan tanpa memikirkan kesan yang bakal berlaku daripada sikap terburu-buru mereka. Mikail pula, mengapa pantas benar menyalahkan Mia Sara atas kematian Batrisia? Dia sepatutnya faham betapa tertekan hati seorang wanita yang baru kehilangan anak. Dituduh bukan-dukan dan mempersalahkan Mia Sara atas kematian Batrisia memang akan membuatkan Mia Sara hilang akal. Hilang pertimbangan dan mula bercakap bukan-bukan. Mula mencabar Mikail.

            Dalam hal ini Mak Long menyalahkan Mikail yang tidak pandai memainkan peranan. Dia sepatutnya lebih kuat dan menjadi pendorong kepada Mia Sara yang baru kehilangan anak. Bukan menambahkan tekana. Tapi itulah. Mak Long tidak dapat berbuat apa-apa kerana talak sudah dijatuhkan. Dia hanya mampu menasihati mereka agar memberi peluang kepada diri sendiri bina hidup baru bersama orang lain pula. Itu lebih baik untuk mereka memandangkan mereka memang sudah tidak boleh bersama walaupun mereka terus menjunjung cinta yang sama hingga ke akhir hayat.

            “Sara dengar cakap Mak Long. Terus mempertahankan cinta terhadap Mikail pun tak guna. Dah sah-sah tak boleh nak bersama. Cubalah lupakan cinta tu. Cuba kenal orang lain pulak.” Mak Long tidak jemu-jemu menasihati perkara yang sama.

            Mia Sara merenung Mak Long. Dia faham mengapa Mak Long beriya-iya mahu dia membuka peluang pada diri sendiri. Bukan Mak Long sudah tidak kasihkan dia sebagai anak saudara. Dia tahu kerana sayanglah Mak Long buat semua itu. Dia mahu lihat Mia Sara hidup gembira macam dulu.

            “Sara tak boleh. Tak boleh nak hidup dengan orang lain sambil memikirkan Mikail pula keseorangan meneruskan cinta terhadap Sara.”

            “Sara, dengar cakap Mak Long. Kalau kau orang nak terus macam ni, peluang memang langsung tak ada untuk kau orang balik semula. Cuba kau fikir, andai kau kahwin, tak bahagia kemudian bercerai, masa tulah peluang untuk kau dan Mikail terbuka kembali.”

            Mia Sara berkerut kening mendengar kata-kata Mak Longnya. Selama ini dia tidak pernah fikir begitu. Tidak pernah terfikir untuk kahwin semata-mata untuk kembali semula ke pangkuan Mikail. Dia tidak sanggup untuk berkongsi hidup dengan lelaki lain walaupun untuk sementara. Diri dan cinta Mia Sara sampai bila-bila pun untuk Mikail seorang.

            “Mak Long ni nak suruh Sara bercina buta?” Mia Sara menyatakan keraguannya.

            Dia harap Mak Long jelas dengan hukum. Dalam Islam bercina buta haram hukumnya. Kahwin mutaah dan kahwin-kahwin yang seumpamanya begitu juga. Kahwin biarlah dengan niat ikhlas, niat betul. Jika tidak, daripada perkara halal menjadi perkara tidak halal lagi.

            “Mak Long tak pernah cakap macam tu. Mak Long cakap kalau-kalau perkahwinan kali kedua Sara tu tak bahagia hingga mengakibatkan penceraian, sekurang-kurangnya akan ada ruang untuk kau dan Mikail berbaik semula.”

            Mia Sara mengurut-urut kepalanya yang mula terasa berat. Risiko cadangan Mak Long terlalu besar. Dibuatnya Mia Sara bahagia, bermakna hubungan antara dia dan Mikail memang tidak akan ke mana-mana juga. Lebih utama daripada itu, bagaimana perasaan Mikail jika mendapati Mia Sara sudah kahwin lain? Tentu Mikail akan hampa. Dia akan menganggap Mia Sara sudah berubah arah.

            “Sara tak sanggup Mak Long. Tak sanggup mengecewakan hati Mikail.”

            “Apa tak sanggupnya Sara. Ni untuk masa depan Sara jugak.”

            “Dibuatnya perkahwinan Sara bahagia, kekal. Bagaimana dengan Mikail?”

            “Tu pun baik jugak. Sekurang-kurangnya Sara benar-benar dah ada kehidupan baru bersama orang lain.”

            “Habis Mikail?”

            “Anggaplah jodoh bersama Mikail memang tak panjang. Hidup ni begitulah Sara. Hidup tak ikut apa yang kita rancangkan tapi takdir. Kalau dah takdir tersurat mengatakan Sara dan Mikail tak kekal lama, terima sajalah.”

            “Mudahnya Mak Long cakap…” sinis Mia Sara. Geram juga jadinya apabila Mak Long kelihatan tidak begitu mengambil berat akan perasaan dia dan Mikail.

            “Jangan salah faham, Sara. Mak Long cadangkan apa yang baik buat Sara dan Mikail. Mak Long pun tak suka kau orang jadi macam ni. Kalau boleh nak tengok kamu berdua kembali macam dulu. Kau pun tau, Mikail tu dah macam anak Mak Long sendiri. Sekali gus Sara pun Mak Long anggap anak juga.” Mak Long seakan terguris dengan nada sinis Mia Sara sekejap tadi.

            “Maafkan Sara, Mak Long. Bukan maksud Sara nak sakitkan hati Mak Long. Entahlah. Kewarasan Sara ada masa dah hilang sejak kehilangan Mikail. Sara benar-benar rindu nak bersama dia kembali.”

            Kali ini Mia Sara gagal memperkasakan diri. Kekebalan serentak hilang dan air mata laju menuruni pipi. Mak Long meraih Mia Sara ke dalam pelukan. Cuba memujuk dan memberi semangat seboleh mungkin. Mia Sara tidak mempedulikan semua pujukan. Dia menangis dan menangis lagu. Mak Long yang memeluknya dibayangkan sebagai Mikail. Dia benar-benar sudah hilang kewarasan.

            “Sara, ni takdir Tuhan. Sara patut redha.”

            Mak Long? Inikan suara Mak Long? Ah, aku ingatkan Mikail yang memeluk aku tadi. Mia Sara kembali tidak lugu menyedari Mikail tiada di sisinya. Tangisan makin kuat membuatkan Mak Long tidak tahu untuk berbuat apa-apa lagi.

            “Sara, patah tumbuh hilang berganti.”

            “Sara tau, tapi tentu ia tak sama dengan yang asal, Mak Long.”

            “Ya Allah Sara. Jangan macam ni. Cubalah kuatkan semangat. Mak Long tau, Sara bukan selemah ni. Sara kuat. Cuma sekarang Sara terlalu ikutkan perasaan. Mak Long dengar anak-anak gadis kampung ni cakap Mia Batrisia kuat. Mia Batrisia tak mudah tunduk pada perasaan. Kan Mia Sara dan Mia Batrisia tu orang yang sama?” Mak Long cuba mengingatkan Mia Sara pada sesuatu yang dia sendiri sudah lupa.

            Mendengar kata-kata Mak Long, Mia Sara kembali sedar. Dia termalu. Dia lupa pada diri yang satu lagi.  Mia Batrisia. Uhh, kalaulah orang ramai yang mengenali Mia Batrisia tahu hakikat yang sebenar, tentu kekaguman mereka terhadap Mia Batrisia akan hilang. Lebih malang mereka akan melihat Mia Batrisia sebagai seorang yang hipokrit.

            Uhh! Mia Batrisia itu keinginan Mia Sara. Citra wanita serba elok yang dia ingin jadi. Hakikatnya sampai bila-bila pun dia tidak boleh jadi wanita seperti Mia Batrisia. Dia serba lemah. Mudah tewas pada perasaan sendiri. Mudah mengalah apabila diuji. Dia tiada sebarang keistimewaan seperti yang diperlihat oleh Mia Batrisia. Dia benar-benar individu yang lain. Dia tidak boleh disamakan dengan Mia Batrisia.

            Habis, siapa Mia Batrisia sebenarnya Sara? Satu suara menjerkah kuat dalam diri. Mia Sara tergelujat. Terasa bagai ditampar. Dia memerhati sekeliling. Tiada sesiapa selain Mak Long yang masih terkebil-kebil memandangnya.

            “Mak Long, terima kasih…”







BAB TIGA BELAS
Persidangan Bahasa, Sastera dan Budaya. Tahun ini sekali lagi dibuat di Uniputra. Sebagai penggiat Bahasa dan Sastera, Mia Sara tidak ketinggalan untuk menghadiri persidangan. Bezanya kali ini dia mempelawa Syufiqa untuk menemani. Syufiqa teruja menerima pelawaan Mia Sara. Selain daripada rasa minat terhadap Mia Sara masih kuat seperti selalu, ada sesuatu dalam lebuh benak Syufiqa yang dirasakan perlu untuk dibawa berbincang bersama Mia Sara alias Mia Batrisia. Dek kerana itu, setelah meminta kebenaran dan Samwil pun membenarkan, Syufiqa keluar sekali lagi bersama Mia Sara.

            “Syufiqa pernah datang majlis macam ni?” Soal Mia Sara ingin tahu semasa mereka mengambil tempat duduk.

            “Tak. Tak pernah sama sekali. Dulu masa kerja sibuk, langsung takde masa. Sekarang dah jadi surirumah, asyik pula kat rumah.”

            “Samwil kongkong Syufiqa ke?” Mia Sara tidak bermaksud untuk mengambil tahu urusan rumahtangga Syufiqa, sebaliknya hanya ingin bersenda gurau sahaja.

            Syufiqa tahu itu. Nada berjenak Mia Sara memang jelas. Dia pun tidak ambil kisah sangat.

            “Manalah dia nak kongkong saya. Malah dia lebih suka kalau saya sesekali keluar macam ni. Boleh juga hilangkan rasa bosan sebab dia tak selalu boleh temankan saya.” Jelas Syufiqa.

            Walaupun dia tahu Mia Sara cuma bergurau sekejap tadi, namun kalau boleh dia mahu Mia Sara jelas Samwil jenis suami yang bagaimana. Biar Mia Sara tahu, kalau mencari suami buat kali kedua, lelaki yang berciri-ciri seperti Samwil layak untuk difikirkan atau dimasukkan ke dalam kuota.

            “Habis, kenapa tak pernah keluar sebelum ni?”
            “Takde kawan. Maklumlah, semua kawan saya kerja. Kalau Sara tak pelawa saya temankan Sara, ntah bila saya boleh keluar macam ni.”

            “Tak boleh juga macam tu. Kita jangan nak bergantung sangat pada kawan.”

            “Saya taklah cakap saya jenis bergantung kat kawan. Cuma dah jadi perangai saya bosan keluar seorang diri. Kurang-kurang kita boleh borak-borak kalau keluar dengan kawan. Samwil pun taklah risau sangat kalau saya keluar berdua.”

            “Samwil akan risau ke kalau awak keluar seorang?”

            “Selalunya begitulah.”

            Hemm, patutlah handset Syufiqa selalu berbunyi kalau kita keluar.”

            “Betullah tu…”

            “Samwil pandai ambil hati isteri…” nada Mia Sara kendur di situ.

            Mia Sara teringatkan Mikail. Itu sudah tentu. Dahulupun dia selalu mendapat layanan istimewa daripada Mikail. Sekarang? Sekarang tinggal lagi bersama Mia Sara cuma kenangan. Entah. Bukan Mikail sudah enggan berbuat demikian. Mia Sara yang meminta Mikail agar jangan lagi menghubunginya. Dia takut. Dia bimbang mereka terlajak. Mereka sudah tiada apa-apa iaktan. Sudah kembali sebagai orang asing. Ada sempadan antara mereka.

            Awal-awal penceraian mereka masih keluar. Masih berhubung, masih bertanya khabar. Bagaimanapun mereka dapati jika diteruskan begitu,lambat laun mereka akan menganggap mereka masih mempunyai hubungan. Masih suami isteri. Lalu mula tersasul pegang sana, pegang sini. Sentuh itu,sentuh ini. Sedangkan itu tidak boleh. Haram. Lalu Mia Sara, demi menjaga maruah dan agama memutuskan agar mereka tidak lagi bertemu dan berjumpa seperti selalu. Biar hati sahaja merindui. Itu lebih baik berbanding bertemu selalu dan mendorong mereka terjebak dalam dosa.

            Mereka sudah tidak boleh bersama. Begitupun tidak bermakna mereka tidak boleh saling merindu dan mencintai dari jauh. Walau perit untuk Mia Sara dan Mikail telan hakikat tersebut, mereka perlu juga menerima. Mereka tidak boleh hidup dalam mimpi. Mereka sedar keterlanjuran mereka yang mengakibatkan itu semua berlaku.

            Syufiqa sedar akan riak lain macam yang kini terpetia pada wajah Mia Sara. Seperti selalu, dia sekali lagi jatuh kasihan.

            “Kenapa Sara?” Soal Syufiqa sambil menggenggam tangan Mia Sara. Bahasa badan yang sekali gus menunjukkan dia memang ikhlas mengambil berat tentang Mia Sara.

            Mia Sara menghempaskan keluhan maha sarat. Dia menelan ludah. Menoleh dan memandang ke wajah Syufiqa. Tunak. Syufiqa cuba menyelami erti pandangan yang dihela Mia Sara. Mengesan sesuatu di situ. Dia tidak nampak apa-apa selain bayang duka.

            Kasihannya!

            Syufiqa memang kasihan yang teramat kepada Mia Sara. Bagaimana dia boleh menjebakkan diri sehingga sejauh itu? Kenapa dia menyeksa diri sendiri? Syufiqa tahu apa yang Mia Sara fikirkan. Tentu sekali Mikail. Siapa lagi yang mampu merampas senyum pada wajah Mia Sara kalau bukan Mikail? Apa lagi yang boleh merampas seri pada rias Mia Sara kalau bukan kenangan bersama bekas suami?

            Aduh, Mia Sara kenapa tidak kau halau sahaja ingatan itu?

            Syufiqa tidak faham. Cinta yang bagaimanakah cuba dipertahankan Mia Sara? Pada pengamatan Syufiqa terhadap sikap dan perwatakan Mikail melalui cerita-cerita Mia Sara sendiri, dia tidak menggambarkan Mikail sebagai seorang suami yang baik dan perlu dipertahankan segala rasa cinta dan rindu terhadapnya. Mikail penuh ego dan tidak pandai bertolak ansur. Hanya tahu menyalahkan orang lain dan tidak mahu berfikir sedalam-dalamnya. Lelaki begitu bukanlah lelaki ideal untuk terus dicintai dan dipuja tapi mengapa lelaki itu juga yang didambai Mia Sara?

            Huh. Ada masa cinta akan menzahirkan sesuatu yang pelik pada diri seseorang insan. Pelik tapi itulah. Kebodohan demi kebodohan bisa saja berlaku kerana cinta. Mia Sara seharusnya diberi peluang untuk mengenali cinta lebih ideal. Lebih sempurna berbanding cinta bersama Mikail.

            “Sara?”

            “Takde apa-apa Syufiqa.”

            “Sara, awak boleh harapkan saya.”

            “Kita bincang nanti. Majlis dah nak mula ni.”

            Syufiqa tidak puas hati. Dia sebenarnya ingin mendengar luahan Mia Sara sekali lagi agar dia boleh memulakan perkara yang bermain dalam lebuh fikirnya. Dia pun terasa ralat untuk berbuat demikian secara tiba-tiba. Dia mahu menanti peluang. Biar Mia Sara sekali lagi meluahkan rasa hatinya. Ketika itulah dia akan masuk jarum.

            Persidangan mula berlangsung. Pun Syufiqa tidak tahu apa-apa yang disidangkan. Dia asyik memerhati ke wajah Mia Sara. Wanita itu nampak tenggelam dalam suasana. Entah dia benar-benar menumpukan perhatian ataupun fikiran sudah jauh menghilang daripada jasad. Syufiqa tidak boleh menebak. Mia Sara nampak tenang. Dia kembali seperti biasa.

            Mia Sara memang pandai menyembunyikan rasa hati. Kalau orang tidak tahu, orang takkan sangka dia ada masalah. Aku dulupun. Huh. Dia memang boleh diberi anugerah. Itulah. Sampai bila dia nak terus berkeadaan begini? Dia pun merana. Kalau dia tak merana, mustahil dia boleh bercerita pada aku yang dia baru kenal ni.

            Menyedari diri diperhatikan, Mia Sara menoleh sekilas. Pandangan mereka bersatu buat beberapa ketika. Mia Sara senyum. Syufiqa agak terkesima melihat senyuman itu. Aduh. Boleh pula dia berlagak tenang. Beginikah seorang penulis sebenarnya? Boleh begitu dan begini dalam satu masa.

            “Syufiqa, thanks!” Ucap Mia Sara perlahan. Semi berbisik. Namun kedengaran amat tegas.

            Syufiqa tidak faham atas tujuan apa ucapan terima kasih itu diucapkan Mia Sara. Namun dia tetap menganggukkan kepala sambil tersenyum sama.

            Mia Sara kembali pada majlis. Menumpukan perhatian sepenuhnya. Syufiqa terpaksa akur dengan situasi. Nampaknya hasrat di hati terpaksa ditangguhkan dahulu. Mentak Mia Sara benar-benar mahu menumpukan perhatian pada persidangan. Lagipun inikan persidangan bahasa, sastera dan budaya. Bukankah itu juga sebahagian daripada minat dan kecintaan Mia Sara alias Mia Batrisia?

            Sekonyong-konyong Syufiqa terfikirkan sesuatu. Mentak inilah cara Mia Sara melupakan segala masalah yang berlaku ke atas dirinya. Membiarkan jasad dan akal fikir tenggelam dalam segala macam aktiviti. Terlibat dengan penulisan, kegiatan amal dan aktiviti-aktiviti seni yang lain bukanlah didasari suatu minat dan kecintaan semata-mata, malahan juga ia lebih berupa suatu eskapisme. Syufiqa faham begitu. Dia melupakan kisah sedih seorang Mia Sara dan menjadi Mia Batrisia. Abadikan diri dalam dunia yang satu lagi. Langsung melupakan segala pahit dalam diri.

            Pun sampai bila Mia Sara boleh melarikan diri begitu? Ingatan demi ingatan tidak mungkin boleh dipadamkan semudah itu. Harus ada jalan penyelesaian lain. Suatu penyelesaian yang mampu untuk memutuskan semua. Biar Mia Sara berpeluang bina hidup baru. Tidak lagi hidup dalam kenangan. Mia Sara boleh melakukannya andai dia bersedia untuk memberi peluang kepada diri sendiri.

            Eskapisme.

            Pembebasan.

            Apa-apa sahaja yang merujuk ke arah suatu keadah menyelamatkan ingatan daripada terus berfikir tidak memberi makna apa-apa andai hati masih reka meneruskan.

            Syufiqa tidak senang jika Mia Sara mahu terus begitu. Bukan meletakkan diri sebagai seorang peminat. Bukan sebagai seorang pemuja. Jauh daripada itu semua Syufiqa telah meletakkan diri sebagai seorang sahabat. Sahabat yang teringin melihat Mia Sara menjalani satu kehidupan normal. Kehidupan biasa seperti orang bebanyak. Mempunyai pasangan. Mencintai dan dicintai sebagaimana masyarakat lain. Bukan mencintai dan dicintai sebagaimana yang dilalui bersama Mikail kini. Ia tidak masuk akal.

            Memang tidak masuk akal.

            Lalu sebagai sahabat, Syufiqa tergemik-gemik untuk menjalankan tanggungjawab. Menyelamatkan Mia Sara. Membuka mata Mia Sara dan menunjukkan kepada Mia Sara betapa tidak berbaloi andai dia meneruskan hubungan bersama Mikail dengan cara itu. Dengan cara ingatan semata-mata. Mia sara tidak harus mengikat diri begitu. Mereka tetap tidak boleh bersama walau hati masih kuat cinta-mencintai antara  satu sama lain. Cinta itu tidak memberi makna apa-apa jika tiada penyatuan antara jasad dan jiwa.

            Fakulti minda Syufiqa dihenyak jauh oleh pelbagai rencam buah fikiran. Fakulti benak yang sempit itu menjadi amat sendat. Sungguhpun demikian, Syufiqa masih ingin meneruskan. Dia harus mencari jalan paling berkesan bagi menyelamatkan Mia Sara. Kasihan Mia Sara. Benar-benar kasihan jika dia dibiarkan terus bermasalah seperti itu.

            Majlis terus berlangsung. Syufiqa pula terus hanyut. Dia langsung tidak tahu apa-apa lagi berkaitan majlis. Mia Sara di sebelah pula nampak begitu tekun. Sama-sama melibatkan diri. Masa terus berjalan.

            “Syufiqa, majlis berehat sekejap. Lepas zuhur sambung balik Syufiqa nak terus berada di sini atau nak pulang?”

            “Pulang? Err, taklah. Samwil dah izinkan saya terus berada di sini sampai petang. Nanti dia sendiri datang jemput saya. Kami dah janji nak makan malam kat luar.” Terang Syufiqa bersungguh-sungguh.

            Dan memangpun itulah hakikatnya. Dia terlupa untuk memberitahu Mia Sara. Samwil telah membenarkan dia mengikuti persidangan sehingga ke petang.

            “Begitu. Bagus juga kalau Syufiqa nak terus berada di sini. Tadi tu saya cuma inginkan kepastian sebab kesiankan Syufiqa. Dalam majlis tadi Syufiqa nampak bosan. Asyik mengeluh.”

            “Mengeluh?” Syufiqa tergelujat. Dia tidak sedar langsung dia mengeluh. Malunya! Tentu Mia Sara telah memandang negatif terhadapnya. Memang dia agak mengantuk dalam majlis tadi, pun tidak bermakna dia bosan kerana otaknya asyik berfikir bagaimana mahu menyelamatkan Mia Sara daripada terus mengharungi kehidupan seperti yang dialami sekarang.

            “Kalau macam tu kita pergi makan dululah. Kemudian kita cari tempat untuk solat. Rasanya kat tingkat atas bangunan ni ada surau.” Ujar Mia Sara kemudiannya apabila Syufiqa kelihatan hanya mampu terkebil-kebil.

            “Saya tak boleh solat.”

            “Makan? Takkan makan pun tak boleh…” Mia Sara cuba untuk berparodi.

            Syufiqa tersengih. Tidak diduga Mia Sara pun pandai loyar buruk juga.

            “Kita nak makan kat mana?” Soal Syufiqa kemudiannya. Semasa dia datang tadi dia memang tidak nampak mana-mana kafeteria berdekatan.

            “Kita ke SS ajelah. Kat sana banyak pilihan. Sekitar kampus ni pun ada banyak tempat makan tapi saya tak biasa sangat makan kat dalam kawasan kampus ni.”

            “Saya setuju je. Saya bukan biasa  kawasan sini. SS pun saya tak tau kat mana.”

            “SS, Sri Serdang. Dekat je. Pelajar kat sini selalu jalan kaki nak ke sana tapi kita dah berumur sikit ni tak larat nak jalan kaki. Lagipun kereta dah ada, buang tenaga pulak kalau jalan kaki.” Mia Sara berkata sambil tersengih.

            Hairan betul Syufiqa. Kali ini Mia Sara kembali macam tiada masalah. Macam awal-awal perkenalan mereka. Kalau Mia Sara terus macam ni, bagaimana aku nak mulakan? Getus hati kecil Syufiqa.

            “Macam mana?”

            “Mana-manalah. Saya ikut je.”

            Mereka mula bersedia untuk keluar dari dewan persidangan.dan melangkah ke tempat kereta diparkirkan. Baru saja melangkah keluar dari pintu, satu suara lelaki memanggil nama Mia Sara. Kedua-dua mereka menoleh. Syufiqa tidak kenal lelaki yang sedang berjalan menghampiri mereka. Badannya tegap tinggi. Nampak macho dan tough namun sedikit tidak terurus. Syufiqa memandang Mia Sara. Melihat reaksi Mia Sara terhadap kehadiran si lelaki. Terkesima Syufiqa menyedari perubahan pada wajah Mia Sara.

            Siapa pula lelaki ini? Syufiqa mula tidak tenteram dan banyak tanda tanya maya bermain atas kepalanya.

            “Apa abang buat kat sini?”

            Abang? Setahu Syufiqa Mia Sara tiada abang. Ini abang angkat atau abang terangkat ni?

            “Abang tengok pengumuman kat tv pasal persidangan hari ni. Abang tau Mia mesti hadir majlis ni. Abang sengaja datang nak jumpa Mia.”

            Huh. Syufiqa rasa dia tahu siapa lelaki ini. Mia Sara cakap hanya dia seorang yang memanggil Mia Sara begitu. Begitupun, siapapun dia biar Syufiqa buat pengesahan dulu. Syufiqa menghelakan pandangan ke wajah Mia Sara. Masih tertunggu-tunggu Mia Sara memperkenalkan lelaki itu kepadanya. Sementara si lelaki di depan pula langsung tidak mengendahkan kewujudan Syufiqa. Dia nampak tidak berminat untuk berkenalan dengan Syufiqa.

            “E, maaflah Syufiqa. Lupa pula nak kenalkan, ni Mikail, suami saya.” Mia Sara mula menyedari kesilapannya.

            Mikail? Suami? Huh. Mia Sara memang dah kemaruk. Kenapa tak cakap saja bekas suami? Nak jaga hati Mikail lah tu. Gerutu Syufiqa dalam hati. Pun dia tetap menganggukkan kepalanya kepada Mikail tanda perkenalan. Mikail cuba untuk mengukirkan senyuman. Nampak hambar. Uhh, dia ni benar-benar kurang mesra alam. Apa yang buat Mia Sara sayang sangat kat dia?

            “Kami nak pergi makan ni. Abang nak ikut?”

            Syufiqa memang kurang senang dengan sikap yang ditunjuki Mia Sara. Entah kenapa dia naik jaki melihat Mikail. Dia kurang mengalu-alukan kehadiran Mikail di tengah-tengah mereka berdua. Pendek kata kewujudan Mikail akan membantutkan hasrat Syufiqa untuk menyampaikan sesuatu yang penting. Sungguhpun demikian, apa boleh dia buat memandangkan dia tidak mahu Mia Sara menganggap bukan-bukan terhadapnya.

            “Bolehlah. Kita pun dah lama tak jumpa, tak borak-borak.”

            Lalu mereka bertiga mengatur langkah seiring. Mereka memutuskan untuk menaiki kereta Mikail sahaja. Biar lelaki itu yang memandu dan Syufiqa duduk di belakang. Itu lebih baik. Syufiqa bolehlah memerhatikan gelagat mereka berdua tanpa mereka sedari. Tapi hati Syufiqa tidak tenteram. Merasakan Mikail menjelma untuk menghancurkan suasana tenang antara mereka.

            Lihatlah Mia Sara tu. Tadi elok saja. Sudah tersenyum, berparodi dan nampak ceria. Alih-alih kedatangan Mikail merampas semua senyum pada wajah Mia Sara. Mungkin dia nampak gembira kerana Mikail datang dan memecah rindu. Pun Syufiqa masih dapat mengesan bebola mata Mia Sara kelihatan berkaca-kaca.

            Rindukah itu?

            Mia Sara pun nampak sedikit gugup.

            Huh. Macamlah mereka baru kenal. Anehnya cara mereka bercinta. Syufiqa memang tidak boleh menerima keadaan itu. Kelakuan pasangan di depan Syufiqa nampak aneh bagi pasangan yang sedang bercinta. Bercinta jenis apakah itu? Buang masa saja. Rindu dendam macam mana sekalipun mereka tetap tidak boleh bersama. Itu yang buat Syufiqa geram. Sementelahan dia telah mengatur suatu rancangan untuk Mia Sara dan berhasrat menyuarakan rancangan itu kepada Mia Sara.

            Dah jadi macam ni, nak cakap apa lagi? Ngomel Syufiqa dalam hati.

            “Mia balik kampung baru-baru ni?” Mikail nampaknya cuba untuk menghidupkan suasana antara mereka. Lebih spesifik antara dia dan Mia Sara sedang kewujudan Syufiqa di belakang langsung tidak diendahkan.

            “Mak Long cakap?”

            “Ya, dia telefon abang.”

            “Ingatkan abang pun ada balik sana.”

            “Belum ada masa lagi. Nak datang sini pun abang mohon cuti awal-awal.”

            Syufiqa menelinga sahaja. Tidak berminat untuk berkongsi ruang bual antara mereka. Mikail pun nampak tidak berminat dengannya. Malaslah dia meramahkan diri. Lagipun rasa jaki terhadap Mikail menebal amat. Huh, dia pun tidak faham mengapa sampai macam itu sekali rasa kurang senangnya terhadap Mikail. Seakan-akan dia merasakan Mikail mampu untuk menggagalkan rancangan yang telah diatur untuk Mia Sara.

            Mia Sara dan Mikail terus berbual itu, ini. Perkara remeh-temeh pun mereka bicarakan. Syufiqa di belakang mengomel dalam hati. Rasa kurang selesa apabila Mia Sara nampak mengkesampingkan dirinya setelah kemunculan Mikail. Dia menggerutu seorang diri.

            Nampaknya Mia Sara seakan-akan sudah tidak ingat dunia sekeliling lagi apabila Mikail ada di sisi. Begitu punya tinggi tahap cinta Mia Sara terhadap Mikail. Mia Sara mesti menghentikan kegilaan itu. Syufiqa pula merasa bertanggungjawab untuk menolong Mia Sara menghentikan kegilaannya itu.

            Dia mesti.

            Kegilaan Mia Sara tidak boleh dibiarkan berterusan. Tiada maknanya dan Mia Sara memang perlu disedarkan.






















BAB EMPAT BELAS
Lambatnya! Keluh Syufiqa dalam hati semasa menunggu ketibaan Samwil menjemputnya sebagaimana yang telah mereka janjikan.

            “Syufiqa dah hubungi Samwil?” Soal Mia Sara melihat Syufiqa sedikit resah menanti Samwil.

            “Dah. Dia cakap jalan sesak.”

            Mia Sara memerhatikan jam di pergelangan tangan. Jam-jam begitu memang keadaan jalan raya sesak. Sebab itulah selalunya dia mengelakkan diri daripada memandu semasa waktu puncak.

            “Abang nak balik dulu?

            “Mia?”

            “Mia nak temankan Syufiqa. Tak patut pula kita tinggalkan dia kat sini seorang diri. Dia datang sini pun dengan Mia tadi.”

            Baguslah kalau masih sedar. Syufiqa bimbang juga, dek kerana kegilaan yang melampau-lampau terhadap bekas suami membuatkan Mia Sara tidak sedar akan kenyataan itu.

            Pun Syufiqa tahu, Mia Sara seboleh mungkin mahu mengawal diri. Walaupun lelaki yang dirindui sudah ada depan mata, dia tidak keterlaluan. Malahan dalam dewan tadi dia kembali duduk berdua dengan Syufiqa apabila majlis disambung kembali. Syufiqa bimbang juga kalau-kalau Mia Sara akan terus membuatkan dia merasa dikesampingkan. Mujurlah wanita itu masih waras. Masih belum hilang pertimbangan.

            “Kenapa Sara tak pergi kat dia? Begitu soal Syufiqa. Dia bukan mahu menyindir. Sekadar ingin menduga Mia Sara. Mana tahu rindu mengatasi segala-galanya.

            “Tak baiklah macam tu. Kami bukan ada apa-apa ikatan yang menghalalkan perbuatan kami. Tadi pun mujur ada Syufiqa, kalau tak kami tak akan keluar makan sama macam tadi.”

            “Sara dah lama tak keluar dengan dia?”

            “Dah lama. Kami lebih rela merindu dan mencintai dari jauh. Kami bimbang. Maklumlah, makin kita lawan nafsu, makinlah syaitan tu nak goda.”

            Syufiqa tidak terkejut dengan jawapan Mia Sara. Dia pun faham Mia Sara jenis yang bagaimana. Tentulah dia mahu mengelakkan sebarang perbuatan yang dilaknat Allah. Keluar berdua dengan lelaki yang bukan muhrim, tambahan pula lelaki yang jasad dan hati terlalu kuat mahu dampingi tentu boleh membuatkan diri digoda oleh perkara bukan-bukan. Percayalah. Jika sudah bersama seperti itu, siapa boleh menahan rasa?

            “Itu, Samwil dah sampai!” Mia Sara mengejutkan Syufiqa yang dibawa ingatan.

            Syufiqa senyum melihat ketibaan Samwil.

            Samwil memarkirkan kereta dalam petak parkir yang disediakan di sekitar kawasan dewan majlis persidangan. Dia kemudian turun mendapatkan Syufiqa yang masih tercegat menanti ditemani Mia Sara dan seorang lelaki. Syufiqa menyalami tangan Samwil. Samwil tanpa segan mengucup dahi Syufiqa. Aksi spontan yang membuatkan Mia Sara dan Mikail berpandangan. Tentu teringatkan kenangan manis seumpama itu yang pernah mereka lalui bersama.

            “Maafkan abang, Fiqa…”

            “La, buat apa minta maaf. Kan jalan sesak tadi.” Syufiqa senyum lagi.

            “Abang, ni suami Syufiqa.” Mia Sara memperkenalkan Samwil kepada Mikail.

            Dua orang lelaki itu bersalaman. Kali ini barulah Syufiqa berpeluang melihat Mikail mengukirkan senyuman setelah sejak tadi dia nampak serius sahaja.

            Hemm. Boleh tahan juga kalau dia senyum. Patutlah Mia Sara sayang sangat kat dia. Komen Syufiqa di dalam hati. Huh, rupa lawa pun buat apa kalau tak pandai jaga hati bini. Tak pandai nak tolak ansur. Ego tinggi. Hah, sekarang baru nak gila talak.

            “Kami nak pergi makan, jomlah ikut sekali.” Pelawa Samwil.

            Mia Sara dan Mikail berpandangan. Syufiqa pun hairan juga. Boleh pula suaminya menjadi seramah itu. Biasanya kalau ada Mia Sara dia bukan main beku. Hari ini perwatakan Samwil berlainan pula. Mentak sebab ada Mikail di sebelah. Tapi itu bagus juga. Sekurang-kurangnya Syufiqa boleh menunjukkan kemesraannya suami isteri depan mereka. Biar mereka tahu, biar Mikail terutamanya tahu bagaimana mahu berhubungan sebagai suami isteri. Kemudian sedar dia telah melakukan kesilapan maha hebat dengan menceraikan Mia Sara talak tiga.

            Kesilapan itu membuatkan Mikail terlepas semua peluang manis dalam hidup di samping seorang isteri. Dan untuk Mia Sara pula, biar dia rindukan semula semua itu agar hatinya terbuka untuk berfikir cara waras dan mula memikirkan untuk kahwin sekali lagi. Lebih baik jika dia memikirkan untuk mencari seseorang seperti Samwil. Biar dia sedar, sebagai suami layanan mestilah baik terhadap isteri. Samwil ada pakej tersebut. Dia memang bagus!

            “Macam mana?”Soal Syufiqa pula. Dia kalau boleh mahu mendengar jawapan positif daripada Mia Sara dan Mikail.

            Mia Sara dan Mikail berpandangan. Mereka tidak mahu mengganggu. Pun menolak bermakna mereka telah melepaskan peluang untuk bersama lebih lama. Masing-masing tahu, tanpa pihak ketiga tidak mungkin untuk mereka keluar makan bersama-sama lagi. Mereka sudah berjanji begitu. Mereka sudah lama tidak bertemu, jadi mengapa harus melepaskan peluang yang ada?

            “Macam mana, Mia?” Soal Mikail.

            “Mia takde halangan.”

            “Kalau dua-dua tak ada masalah, jomlah.” Ajak Syufiqa kemudiannya.

            Setelah persetujuan dicapai, mereka akhirnya bersepakat makan bersama-sama sebelum masing-masing membawa haluan sendiri. Mikail dan Samwil memandu sendirian sementara Syufiqa menumpang kereta Mia Sara untuk ke tempat makan. Sengaja Syufiqa mahu bersama Mia Sara kerana dia ingin berbincang sesuatu dengan Mia Sara. Sementelahan dia rasa tidak elok sekiranya dia bersama Samwil sedangkan Mia Sara sendirian memandu memandangkan awal-awal tadi mereka telah bersama. Dia tidak ingin membelakangkan Mia Sara setelah kehadiran Samwil.

            Dalam perjalanan, Syufiqa hilang buah fikiran untuk memulakan. Mia Sara pula kembali lesu. Wajah dan perasaan sama-sama tampak suram. Uhh. Ini tidak lainlah. Tentu disebabkan Mikail. Besarnya pengaruh Mikail dalam hidup Mia Sara. Syufiqa tahu sesuatu perlu dilakukan.

            “Sara…” seru Syufiqa mencipta bualan. Jeda di situ. Dia harus berhati-hati mengeluarkan kata-kata.

            Hubungan antara mereka masih muda benar. Bimbang kalau-kalau sebarang kesilapan Syufiqa akan memudaratkan hubungan mereka. padahal Syufiqa berniat ikhlas untuk menolong Mia Sara. Konsep bersahabat perlu ada bantu-membantu dan saling simpati terhadap satu sama lain. Itulah yang cuba diterapkan Syufiqa dalam persahabatan yang baru terjalin itu. Dia berharap Mia Sara tidak akan salah anggap.

            Mia Sara menoleh mendengar seruan Syufiqa. Ternanti-nanti apa yang bakal diluahkan dari kerongkongnya. Dia tahu tentu ia akan bersangkut-paut dengan Mikail.

            “Sara, Sara rasa tindakan Sara patutkah?” Syufiqa memulakan.

            “Tindakan apa?”

            “Maksud saya, sara rasa patutkah teruskan hubungan dengan Mikail ni? Saya tak nampak masa depan dalam hubungan Sara dan dia. Minta maaf saya cakap macam ni tapi saya rasa sebagai sahabat saya berhak bagi pandangan jujur kat Sara.”

            “Kami dah takde jalan lain lagi Syufiqa. Nak buat macam mana? Sekurang-kurangnya kami mampu pertahankan cinta kami walaupun jasad tak boleh bersatu.”

            “Tulah masalahnya. Kalau jasad tak boleh bersatu, ke mana lagi Sara nak bawa hubungan ni? Tak ada maknanya kalau diteruskan.”

            Mia Sara menelan ludah. Ini bukan kali pertama Syufiqa berkata demikian. Malah ini bukan kali pertama juga dia mendengar kata-kata sedemikian. Sebelum Syufiqa berkata begitu, Mak Long di kampung sudah jenuh menasihatkan. Begitupun, apa jalan yang mereka ada untuk membantu Mia Sara mendapat kehidupan lebih bermakna lagi? Mencadangkan agar menerima kehadiran orang lain? Memberi peluang kepada diri sendiri bina hidup baru? Ah, Mia Sara sudah terlalu bosan dengan cadangan-cadangan domestik begitu.

            Apa yang mereka susah hati sangat melihat keadaan Mia Sara dan Mikail? Mereka tidak susahkan sesiapa. Tidak juga jentik sesiapa. Jadi apa susahnya mereka? Kenapa orang lain pula lebih-lebih mahu terasa termengkelan?
            “Sara jangan salah faham. Jauh di sudut hati saya berniat ikhlas terhadap Sara. Takde niat mahu mencampuri urusan peribadi Sara. Sebagai sahabat, saya tegur apa yang patut saya tegur.”

            Aik, macam faham-faham pula apa yang berlegar dalam benak aku sekarang ni.

            “Sara tak ingat Batrisia? Tak ingat betapa comelnya Batrisia?”

            Huh. Dia sengaja nak pancing kesedihan akulah ni. Masakan aku tak ingat satu-satunya anak yang pernah aku lahirkan.

            “Saya tau, jauh di sudut hati Sara masih teringin nak lahirkan cahayamata secomel Batrisia.”

            Mia Sara belum terbangkit nafsu untuk berbalas kata. Buat masa ini dia lebih senang tunasuara. Menelinga sahaja. Lagipun dia mahu cakap apa? Dia mahu menyangkal kata-kata Syufiqa? Bohonglah kalau dia kata dia tidak mahukan anak lagi. Kenangan bersama Batrisia cukup indah. Kenangan itu sentiasa menggemik-gemik ingatan Mia sara. Dia rasa ingin sekali lagi diberi peluang seperti itu. Diberi peluang melahirkan anak secerdik Batrisia.

            “Kalau Sara terus macam ni, Sara tak mungkin mampu lahirkan seorang Batrisia lagi.”

            Aku tahu semua tu. Aku tahu! Tapi aku nak buat macam mana? Tak mungkin aku boleh kahwin balik dengan Mikail. Tak mungkin sama sekali. Semuanya bersipongang dalam hati Mia Sara sedangkan zahirnya air mata mula menguasai diri.

            Syufiqa sedar dia akan membuatkan Mia Sara menangis. Menangislah. Dia sudah bersedia untuk melihat air mata Mia Sara. Menangislah. Selepas puas menangis dia akan fikirkan kembali segala kata-kata Syufiqa.
            “Kahwin lain bukan perkara mudah. Katakan ada lelaki yang sudi kahwin dengan saya, bolehkah saya pula terima dia padahal hati masih seratus-peratus sayangkan Mikail?” Mia Sara mengesat air bening yang mengalir di pipi.

            “Itu masalahnya. Sara patut kikis rasa sayang Sara terhadap dia. Mikail bukan jodoh buat Sara lagi. Pedulikan dia.” Cadang Syufiqa. Dia sendiri tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk berkata begitu kepada Mia Sara.

            Senangnya Syufiqa bercakap. Kalaulah semua itu begitu mudah dilakukan, aku tak perlu buang masa sehingga bertahun-tahun lamanya. Pun semua itu hanya setakat di hati sahaja. Tidak terluah secara vokal. Zahiriahnya Mia Sara hanya mampu menangis sahaja.

            “Sara, maafkan saya. Niat saya ikhlas. Bukan niat nak sakitkan hati Sara. Bukan nak buat Sara sedih. Jauh sekali nak buat Sara menangis sampai macam ni.” Syufiqa mula tersayat sayu.

            Tangisan Mia Sara mula meruntun hati. Dia terasa bersalah.

            “Saya faham niat Syufiqa. Semua orang pun nak yang terbaik buat kami berdua. Masalahnya, apabila kita bercakap soal hati dan perasaan, banyak perkara tak masuk akal dan tak munasabah akan terlihat.” Mia Sara cuba untuk mengawal tangisannya.

            “Dah, janganlah menangis. Tengok depan tu. Dia orang dah berhenti kat sebuah restoran. Tak baik kalau mereka tau Sara menangis. Nanti apa kata Samwil. Dia masih belum tau apa-apa.”

            Mia Sara berkerut kening. Memerhati dalam-dalam ke wajah Syufiqa. Sangkanya selama ini Syufiqa sudah pun bercerita kepada Samwil.

            “Betul. Dia tak pernah tau apa-apa. Kan Sara dah minta saya janji. Saya jenis yang pegang pada janji.”

            “Syufiqa, terima kasih banyak-banyak.” Mia Sara terharu.

            Selepas memasuki petak parkir dan memberhentikan kereta, pantas sahaja dia memeluk Syufiqa di luar jangkaan Syufiqa sendiri. Lama dia teresak-esak dalam dakapan Syufiqa. Dia benar-benar terharu menerima persahabatan seperti itu. Selama ini dia sering merasakan diri keseorangan. Tiba-tiba baru malam itu dia sedar, siapa jua sudi untuk mendengar masalahnya sekiranya dia yang terlebih dahulu sudi meluahkan.

            Selama ini dia tidak berani untuk bercerita kepada sesiapapun masalahnya. Dia lebih senang memendam perasaan dalam diri. Paling kerap, dia akan luah melalui karya-karyanya segala kepiluan yang dialami. Begitulah paling tinggi yang mampu dilakukan. Dia tidak pernah bersedia untuk bercerita kepada orang lain. Kononnya mahu menjaga reputasi sendiri. Juga kerana tidak mahu mendedahkan ketidaksempurnaan hidupnya. Mana tahu itu langkah paling wajar.

            “Dah, Sara jangan menangis lagi. Nanti dia orang nampak, susah…” pujuk Syufiqa.

            Mia Sara cuba membina kekuatan dalam diri. Menjarakkan tubuh dari batang tubuh Syufiqa. Memandang ke arah Samwil dan Mikail. Mereka kelihatan sedang berbual-bual. Hairan. Baik Syufiqa mahupun Mia Sara, kedua-duanya hairan dengan sikap pasangan masing-masing. Samwil mahupun Mikail bukanlah jenis yang mudah untuk menerima kawan baru. Alih-alih malam itu, kedua-dua lelaki itu boleh pula bercakap dengan penuh mesra.

            Jantung Mia Sara bergetar. Dia menghempaskan keluhan. Aduh Tuhan. Andainya Mikail tahu satu masa dahulu Samwil pernah menjadi penyeri dalam hidup Mia Sara, bagaimana agaknya? Tentu gamat. Tentu mereka tidak semesra itu. Mia Sara bukan tidak tahu cemburu Mikail. Uhh. Tiba-tiba dia teringatkan Syufiqa sendiri. Perempuan itu tahukah yang dia juga sebenarnya pernah hadir dalam hidup Samwil? Bagaimana agaknya penerimaan Syufiqa pula?

            Mia Sara memandang Mikail kemudian memandang Syufiqa.

            Syufiqa yang menyedari gelagat Mia Sara cuba untuk mengukirkan senyuman. Niat Syufiqa mahu memberi semangat tanpa mengetahui apa yang bermain dalam benak Mia Sara ketika itu. Kalaulah dia tahu, Mia Sara tidak dapat membayangkan penerimaan Syufiqa. Mahukah dia terus berbuat baik kepada Mia Sara?

            Ah, lebih baik dia tidak tahu!

            Setelah keadaan kembali baik bagi pihak Mia Sara, mereka seiringan melangkah mendapatkan Samwil dan Mikail yang sedia menanti. Samwil menggapai tangan untuk meraih Syufiqa. Perbuatan Samwil diperhatikan Mia Sara. Mikail juga. Mereka kemudian berpandangan sesama sendiri. Mia Sara mengetap bibir bawahnya. Mikail merenung Mia Sara seakan cuba mengatakan sesuatu yang jauh terpendam dari pojok hati paling dalam.

1 comment: