TAJUK: CINTA…DI MANA
OLEH : ANNUR PUTERI
PROLOG
1980-an
Hujan nampak masih melebat di luar rumah. Mokhtar
termenung di serambi rumah sambil menggulung rokok daunnya. Matanya tidak lepas daripada memerhatikan
butiran hujan yang masih galak menimpa bumi. Kata orang hujan juga rezeki.
Mokhtar akur dengan kenyataan tersebut. Mana mungkin dia menidakkan rezeki yang
didatangkan Allah s.w.t. Mokhtar menelan ludah. Kemudian membawa rapat ke bibir
daun rokok yang sudah siap digulung. Terbatuk-batuk kecil seketika kemudian.
Batuknya menghentikan sedutan rokok. Menghamburkan ludah ke tanah. Sisa ludah
yang pekat-lekit kehijauan jatuh ke atas daun keladi. Tidak berlama di situ
apabila hujan yang menimpa membawanya meleret ke tanah. Berbaur dengan air
hujan dibawa entah ke mana.
Entah ke mana seperti fikiran
Mokhtar kini. Menerawang jauh mengenang musim tengkujuh yang sering
menggendalakan aktiviti mencari sesuap nasi untuk menyara hidup anak-beranak.
Suara katak menyanyi bersahut-sahutan sesama sendiri langsung tidak
menghiburkan hati Mokhtar. Menambahkan kerisauannya adalah. Katak dan hujan.
Itu memang sinonim. Hujan dan Mokhtar, itu pula kontra. Mokhtar bukan tidak
sukakan hujan. Cuma sedikit keresahan jika hujan berlanjutan. Punca rezekinya
agak tertutup. Mahu ke sawah? Susah kalau hujan terlalu melebat. Padi yang
sedia ditanam harus sentiasa dilihat bimbang air melimpah dalam petak sawah dan
menyebabkan padi yang baru ditanam terlebih air. Memang padi inginkan petak
sawah berair, tapi air yang sedang-sedang sahaja. Jika terlalu banyak, bimbang
memudaratkan akar padi.
Dalam masa yang sama, mahu ke kebun
getah, menoreh sepohon dua di kebun majikan juga tidak boleh dilakukan dalam
musim tengkujuh. Tentu susu getah akan bercampur dengan air, jadi apa lagi yang
tinggal? Itu satu. Selain menyekat kegiatan ekonominya, mahu mendapatkan kayu
api buat menanak nasi dan memasak lauk-pauk yang tidak seberapa juga menjadi
satu masalah. Kalau kehabisan kayu api simpanan di bawah rumah, mana mahu
dicarinya kayu api kering musim-musim hujan begini? Mokhtar mengeluh lagi.
“Termenung apa bang?” Datang si
isteri membawa bersamanya air kopi dan sepinggan ubi kayu rebus. Masih berasap
lagi.
“Bukan termenung, tengok hujan
saja...” sayu nada suara Mokhtar.
Azizah faham dengan maksud kata-kata
Mokhtar. Dia turut memandang ke luar rumah.
“Anak-anak mana?” Soal Mokhtar
kemudiannya. Kini tangan sudah mencapai seketul ubi kayu.
“Mariah dan adik ada kat dapur.
Tengah main air hujan kat celorang rumah,” balas Azizah sambil memerhatikan
suaminya mengunyah ubi kayu perlahan-lahan.
Mokhtar kembali hilang suara. Azizah
gagal untuk menebak perkara sebenar yang sedang berlegar di medan fikir
Mokhtar. Nyatanya, hujan seringkali merampas suara suaminya yang sedia pediam.
Bagi Azizah sendiri, hujan menyekat segala-galanya. Pergerakan dan juga kegiatan hidup yang lain.
Lazimnya semasa hujan Azizah senang di dapur sahaja. Bukan sekadar menyediakan
makan minum, sebaliknya sibuk mengeringkan pakaian yang sudah dicuci dengan
menyalai ke atas api. Hujan membantutkan segala-galanya termasuk proses
pengeringan pakaian.
Bergantung harap sepenuhnya kepada
tenaga alam memang menyulitkan hidup Mokhtar anak-beranak. Tambahan dalam
keadaan musim sekarang. Hujan sepanjang masa. Bukan Mokhtar dan Azizah tidak
sukakan kedatangan musim hujan, sungguhpun demikian musim hujan banyak
membengkalaikan aktiviti-aktiviti harian mereka termasuk aktiviti mencari
rezeki. Biasanya, pada masa-masa begitu jika hari biasa, Azizah bersama dua
orang anak-anaknya akan ke hutan berhampiran rumah mereka untuk mencari kayu
api. Mokhtar pula akan ke baruh menangkap ikan. Hujan begitu membuatkan
segala-galanya tergendala.
Begitupun, ada sesuatu yang lebih
nostalgik dan melankolik bagi Mokhtar suami isteri setiap kali musim hujan mendatang.
Musim hujan sering teruja untuk membawa fikiran Mokhtar dan Azizah mengenangkan
kembali satu kesilapan yang pernah dilakukan pada satu musim hujan suatu masa
dahulu. Kesilapan yang membuatkan mereka kini menyesali selama-lamanya jika
terkenang kembali. Dan memang mereka sering terkenang-kenang akan kesilapan
tersebut.
Mokhtar menelan ludah. Azizah
memerhati tingkah suaminya. Kemudian mereka berpandangan. Azizah cuba untuk
mengertikan pandangan Mokhtar.
“Anak-anak kita...” Mokhtar berseru.
“Kenapa dengan anak-anak kita?”
Azizah gagal menangkap maksud Mokhtar.
“Kita ni, dahlah miskin harta,
anak-anak pula hanya dua orang, padahal anak-anakpun rezeki jugak.”
Azizah terkedu mendengar luahan
suaminya. Dia faham. Faham sangat-sangat dengan maksud keluhan suaminya.
Dicengkam rasa bersalah dan menyesali tindakan di luar batasan suatu masa
dahulu. Dia juga begitu. Azizah membalas pandangan sayu suaminya. Tuhan.
Ampunkan dosa kami berdua. Seru Azizah perlahan di dalam hati sedang di luar
rumah hujan masih melebat dan melebat.
BAB SATU
Mariah menolong
Muzamil mengelap air di badannya. Muzamil senang diperlakukan begitu oleh
Mariah. Kemudian Mariah tolong menyarungkan pakaian yang sudah bertampal
sana-sini ke badan Muzamil. Sempat digeleteknya celah ketiak Muzamil mendorong
Muzamil mengelekek ketawa kegelian. Azizah dan Mokhtar yang masih lagi berada
di muka pintu menoleh ke arah mereka. Kemudian berpandangan sesama sendiri.
“Mereka begitu sayang-menyayangi
antara satu sama lain. Mana Mariah pergi, di situ ada adik. Sayang benar Mariah
pada adiknya.” Komentar yang dikeluarkan Azizah.
“Mereka hanya berdua, rasa kasih tu
kuat. Syukur anak-anak kita kuat ikatan kasih sayang antara mereka.
Azizah mengangguk.
Mariah dan Muzamil kemudian kelihatan
mampir ke arah mereka. Mariah melabuhkan punggungnya ke lantai, Muzamil pula
terus melabuhkan punggungnya ke ribaan Mariah. Mariah tidak berkata apa-apa.
“Dah besar panjang masih nak beriba,
turun-turun!” Azizah menepuk betis Muzamil menuntut Muzamil turun dari ribaan
Mariah.
“Kakak tak marah pun...” Muzamil
mencebik.
“Biarlah mak. Sukahati dialah.”
Mariah membela Muzamil sambil membelai rambut adiknya yang masih basah.
“Kau manjakan sangat adik kau. Nanti
dia naik minyak. Dia dah sembilan tahun.”
“Sembilan tahun ke, sebelas tahun
ke, adik tetap adik Mariah. Sampai bila-bila dia boleh bermanja dengan Mariah,”
kata Mariah.
Sedang kala itu Muzamil sudah
bersedia dengan ketulan ubi di tangannya. Membiarkan saja Mariah dan Azizah
berbalas kata sesama sendiri. Mokhtar juga nampaknya membiarkan saja anak
isterinya. Dia masih memandang hujan di luar rumah.
“Mak tahu, tapi jangan lebih-lebih
manjakan dia. Berpada-pada.”
“Adik satu-satunya adik Mariah.
Lainlah kalau Mariah ada adik yang lain...”
Kata-kata Mariah membuatkan Azizah
dan Mokhtar berpandangan penuh erti. Muzamil pula begitu leka dengan ubi kayu
rebusnya. Anak kampung sepertinya, ubi kayu rebus yang dipadankan dengan kopi
panas petang-petang hari seperti itu memang sudah cukup menyelerakan baginya.
“Mak, kenapa mak tak beranak
ramai-ramai? Mariah suka kalau ada adik ramai.”
“Haahlah mak, ayah. Adik pun tak
adalah bosan sangat.” Muzamil mencelah.
Sekali lagi Azizah dan suaminya
berpandangan. Pandangan mata Mokhtar memberi erti kepada Azizah agar dia sahaja
yang menjawab soalan anak-anaknya.
“Tuhan belum bagi rezeki kat kita
nak dapat ahli keluarga baru.” Perlahan suara Azizah. Matanya sedikit terjuling
ke wajah Mokhtar.
Mokhtar tidak bersuara. Sebaliknya
hanya berdehem. Kemudian melepaskan ludahnya sekali lagi ke atas daun keladi di
depan rumah.
“Kalaulah Mariah ada ramai adik,
tentu seronok.”
“Dah. Jangan nak cakap pasal adik
lagi. Pergi masuk ke dalam, baca buku atau ajarkan adik ilmu hisab. Jangan nak
menceceh kat sini,” arah Mokhtar tanpa memandang ke wajah anak-anaknya.
Mariah dan Muzamil terus ke ruang
rehat. Membuka buku di situ. Mariah seperti biasa akan mengajarkan adiknya ilmu
hisab dan pelbagai mata pelajaran lain lagi. Muzamil seperti juga Mariah
sememangnya seorang pelajar yang celik
akal. Sering menjadi pujian guru-guru di sekolah. Sayangnya setiap kali guru
ingin sampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang, Azizah dan Mokhtar
sering tidak menghadirkan diri. Bukan tidak berbangga dengan pencapaian anak-anak,
tapi malu untuk menghadiri majlis dengan pakaian compang-camping. Mereka
teramat susah hinggakan untuk memiliki sehelai pakaian sempurna begitu perit
buat mereka. Mampu menghantar anak-anak ke sekolah sudah menjadi suatu
kemujuran bagi mereka.
Bagi mereka, cukuplah mereka
menumpang bangga pencapaian anak-anak dari jauh. Anak-anak pun tahu kesusahan
mereka dan tidak pernah berkecil hati akan kesukaran yang dialami ibubapa
mereka. Mariah dalam usia sebelas tahun, dilahirkan dalam keluarga naif sudah
cukup matang untuk menilai kekurangan keluarga mereka. Tinggal lagi Muzamil
yang harus diterangkan akan kesusahan mereka. Itupun nampaknya agak sudah boleh
memahami. Dunia Muzamil, cukup setakat keperluan untuk ke sekolah. Duit saku
atau bekal makanan jauh sekali. Ada sesen dua disimpan buat membeli pensil baru
yang panjangnya hanya tiga inci. Pemadam? Air liur boleh dijadikan pengganti.
Kembali kepada Mokhtar dan Azizah.
Masih termenung memerhatikan hujan. Hujan yang banyak meninggalkan kesan dalam
hati mereka.
“Abang menyesal?” Azizah bersuara
perlahan.
Mokhtar menoleh sekilas ke arahnya.
Berpaling kembali ke luar rumah. Soalan isterinya. Bukan sekali ini
didengarinya soalan sedemikian. Begitu juga dengan sungutan anak-anak tentang
keinginan mempunyai adik lagi. Persoalan-persoalan dan sungutan sedemikian ada
masanya menjadi racun dalam diri Mokhtar.
“Zah, kedaifan hidup ada masanya
merencat kewarasan kita.” Mokhtar bersuara perlahan.
Kata-katanya itu sebagai jawapan
kepada pertanyaan Azizah juga sudah acap kali disuarakannya. Tidak pernah jemu.
Azizah menelan ludah. Kemudian
mengangkat jari ke birai mata. Menyeka cairan panas jernih yang bersedia untuk
meleleh ke pipi. Mokhtar menoleh ke arah isterinya. Merenung seketika reaksi
Azizah sekejap tadi. Mokhtar tahu hati isterinya. Sudah acap kali juga Azizah
meluahkan kekesalan akan tindakan yang pernah mereka ambil suatu masa dahulu.
Tindakan yang semacam menjadi akibat
kepada nasib mereka kini.
Sememangnya Mokhtar dan Azizah tidak
pernah merancang untuk mempunyai hanya dua orang anak. Mereka jika boleh ingin
mempunyai seramai mungkin anak. Begitupun biarlah jarak usia anak-anak
bersesuaian dengan keadaan ekonomi mereka. Kedatangan anak baru seramai dua
orang serentak memang memeningkan kepala mereka. Tambahan pula jika kelahiran
itu berlaku pada musim hujan. Suatu musim yang boleh menyekat pergerakan mereka
berdua untuk mencari sesuap nasi buat meneruskan kehidupan anak-anak.
Mokhtar dan Azizah terimbau ke
daerah kenangan silam.
1977
Suara tangisan bayi bergema di ruang rumah yang sempit.
Sama bisingnya dengan bunyi hujan yang mencurah membasahi bumi. Mokhtar yang
sedang gelisah di depan pintu menerpa menyelak tabir buat melindungi isteri
yang sedang mengalami proses bersalin sekejap tadi.
“Anak
apa?” Soal Mokhtar. Dalam hatinya berharap agar bidan menyatakan lelaki kerana
dia sudah mempunyai seorang anak perempuan.
“Perempuan,”
jawab Nek Esah.
Mokhtar
sedikit hampa. Dia berundur untuk
memberi peluang Nek Esah meneruskan kerjanya. Bayi yang baru lahir belum
dicuci. Darah masih bertempekan sana-sini. Uri dalam perut Azizah juga belum
dikeluarkan. Nek Esah kini kelihatannya sedang berusaha untuk mengeluarkan uri
Azizah. Kalau terlekat dalam perut boleh mendatangkan maut pula.
“Kenapa
Zah?” Soal Nek Esah apabila uri selamat dikeluarkan, tapi Azizah masih
mengerang kesakitan. Seperti mahu bersalin lagi.
“Sakit
perut lagi nek...”
“Itu
biasalah tu. Nanti aku bagi air akar kayu yang dah sedia aku rebus tadi.”
“Tapi
sakit ni macam nak bersalin nek.”
Nek Esah
kehairanan. Dia memeriksa perut Azizah. Memang terasa berketul seperti masih ada bayi dalam
kandungannya. Nek Esah kemudian memeriksa saluran peranakan. Kelihatan rerambut
di situ.
“Ada lagi
Zah!”
Azizah
terkejut dengan kenyataan Nek Esah. Begitupun takut bayi di dalam perut
kelemasan mendorong Nek Esah menyuruh Azizah meneran keluar bayi dalam
kandungannya. Azizah berbuat demikian. Sekali dua teran, bergema tangisan bayi
sekali lagi dalam ruang rumah Mokhtar.
Mokhtar
yang berada di luar rumah menunggu bidan memanggilnya untuk melakukan tugas
pertama seorang bapa terkejut mendengar bunyi tangisan bayi bergema sekali lagi
diselang-seli dengan bunyi bayi menangis halus dan hujan yang menimpa atap
rumbia rumahnya. Dia menerpa untuk menjenguk keadaan sebenar. Bunyi tangisan
daripada dua orang bayi sememangnya mencipta suasana yang gamat. Hatinya
diterpa hairan mengapa segamat itu itu bunyi suara bayinya menangis.
Terkejut
Mokhtar melihat Nek Esah sedang mengangkat seorang lagi bayi dari celah
kangkang Azizah. Hatinya kalut dan berdebar-debar. Dua orang anak serentak!
Mokhtar menelan ludahnya. Mendongak ke atap rumah. Mendengar ritma hujan. Dua
orang anak serentak pada musim hujan? Bagaimana boleh Mokhtar menguruskan
mereka dalam keadaan musim yang begitu tidak ekonomik bagi seorang penoreh
getah tegar sepertinya?
“Anak
apa?” Pun Mokhtar tetap bertanya.
“Yang ni
lelaki.”
Mokhtar
menelan ludah sekali lagi. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Mokhtar
membiarkan Nek Esah menyudahkan kerjanya terlebih dahulu. Azizah yang terlantar
dikerlingnya sekilas. Azizah juga turut memandang Mokhtar. Hati mereka
bergolak. Antara gembira dan bimbang. Gembira dengan kelahiran dua orang bayi
mereka. Namun dalam masa yang sama bimbang kerana keadaan ekonomi mereka tentu
tidak mampu menjamin yang terbaik buat bayi-bayi mereka.
Selesai
Mokhtar memperdengarkan azan dan qamat ke telinga bayi-bayinya dia mengambil
tempat di sebelah isterinya. Nek Esah masih bersama mereka. Selain merangkap
bidan, Nek Esah merupakan jiran terdekat yang lebih berupa ibu kandung kepada
Azizah yang yatim piatu sedari kecil. Secara tidak langsung apabila Azizah
berada dalam situasi begitu, Nek Esah akan menjadi begitu sibuk.
“Mariah
mana bang?” Soal Azizah sambil cuba untuk duduk berlunjur.
“Jangan
banyak bergerak, nanti tumpah darah,” tegah Nek Esah sambil membantunya bangun.
“Mariah
masih tidur.” Pendek jawab Mokhtar.
“Abang...
anak-anak kita. Seorang lelaki, seorang perempuan.”
“Haah,
tak seiras langsung budak-budak berdua ni. Mungkin sebab mereka tak berkongsi
uri yang sama. Biasanya bayi kembar yang tak berkongsi uri dalam kandungan memang mempunyai paras
rupa yang berbeza.” Nek Esah mencelah mendahului Mokhtar.
Mokhtar
memandang ke arah bayi-bayinya. Mengangkat salah seorangnya. Mencium penuh
kasih sayang. Kalaulah Tuhan tahu apa yang bermain dalam benak Mokhtar
sekarang. Entahlah. Hatinya memang
bergalau benar ketika itu. Ah, Tuhan memang tahu segala-galanya. Tapi kenapa
Tuhan ingin menduganya begini?
“Abang?”
Azizah kehairanan melihat ada takungan jernih dalam kolam mata suaminya.
“Ya
Mokhtar, kau nampak bersedih kenapa?”
“Tak
tahulah. Dalam ni rasa tak sedap sangat. Anak-anak ni...” Suara Mokhtar mati di
situ.
“Kau tak
suka dengan kelahiran anak-anak ni?” Nek Esah terlebih dahulu bertanya.
“Bukan nek. Saya cuma takut tak
mampu nak bagi makan pakai mereka dengan sempurna. Musim hujan begini,
macam mana saya nak jaga mereka dengan
sempurna?”
“Mokhtar,
tiap anak yang didatangkan Allah ada rezekinya sendiri, kita tak nampak Dia nak
bagi dalam bentuk apa dan bagaimana.”
Mokhtar
terdiam mendengar kata-kata Nek Esah. Dia memang mengakui kebenaran kata-kata
tersebut. Tidak mahu menyangkal langsung. Sungguhpun demikian dia merasakan
tidak berdaya untuk menanggung keperluan dua orang bayi serentak. Lampin yang
ada cadangan untuk seorang. Begitu juga baju-baju usang bekasan Mariah suatu
masa dulu. Hujan-hujan begitu kalau bayi kerap berak-kencing, tak sempat
kering, bayi nak ditutup dengan apa? Mahu biarkan tuna busana? Mati kesejukan
pula budak-budak itu nanti. Mokhtar resah.
“Bang,
anak-anak kita sebahagian daripada rezeki jugak.” Azizah pula berbunyi.
Mokhtar
terdiam tanpa suara. Dia hanya fikirkan kepentingan bayi-bayinya. Mariah yang
masih berusia dua tahun juga masih memerlukan banyak keperluan. Sebagai seorang
bapa, dia enggan melihat bayinya membesar dalam kedaifan. Hujan-hujan begitu
memang mencabar Mokhtar.
“Abang
nak namakan apa anak-anak kita ni?” Soal Azizah. Sengaja melarikan fokus
fikiran Mokhtar yang dia tahu sedang kalut benar ketika itu.
“Nama?
Apa kata kalau Muzamil untuk yang lelaki dan Murni untuk anak perempuan?”
Cadang Mokhtar.
“Muzamil
dan Murni? Elok juga tu.” Setuju Azizah. Memang selama ini pun dia sering
senang untuk menyetujui saja segala tindakan Mokhtar.
Kenangan silam terhenti. Mokhtar tidak sedar bila masanya
Azizah menyalakan pelita di sebelahnya.
“Abang
dah Maghrib bang...” Azizah mengejutkan Mokhtar daripada lamunan.
Mokhtar
menoleh ke arah Azizah. Memerhati wajah isterinya. Lama pandangannya melekat di
situ. Dia sedar isterinya wanita ulung dalam menempuhi perit jerih hidup di
sisinya. Lelaki yang hanya bersandarkan tulang empat kerat semata cuma untuk
menyarasuap mereka sekeluarga. Wanita yang tidak pernah mengatakan ‘ya’ apabila
Mokhtar mengatakan ‘tidak’. Tidak pernah mengatakan ‘tidak’ apabila Mokhtar
mengatakan ‘ya’. Dia perempuan taat yang sentiasa menyokong tindak-tanduk
suaminya dengan menganggap tindakan Mokhtar segala-galanya betul. Azizah masih
memantulkan imej wanita tradisional Melayu, tipikal taat pada suami membabi
buta sehingga takut untuk membantah walau sepatah.
“Zah
bagaimana dengan Murni sekarang ni agaknya?”
Mata
Azizah sedikit membundar mendengar pertanyaan suaminya. Dia faham. Faham benar.
Benar-benar faham. Hujan sering membawa ingatan suaminya terhadap Murni. Anak
yang tidak sempat dibela hingga ke hujung nyawa.
“Bang,
kita hanya cuba melakukan yang terbaik buatnya.”
Mokhtar
menarik nafas panjang-panjang sebelum melepaskannya bersama sebuah keluhan
halus. Seperti cuba untuk menghalau rasa bersalah yang datang menerjah dalam
dadanya. Dia sering merasakan tindakan menyerahkan Murni kepada entah sesiapa
merupakan suatu kesalahan maha berat pernah diambil dalam hidupnya. Malah dia
menganggap dek kerana itu, dia kini tidak dikurniakan anak lagi oleh Ilahi.
Semua kerana padanya, suatu masa dahulu dia pernah menolak rezeki yang ditakdirkan
untuknya.
Mokhtar
mengeluh lagi. Bukan dia tidak sayangkan Murni. Apa juga keadaan dia memang
mahu memerankan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Bagaimanapun, keadaan Murni
dan keadaan masa itu sangat-sangat mendesak dia mengambil tindakan sedemikian walaupun
dia sangat sayangkan anaknya. Malah tanpa diketahui sesiapa dia turut menangis
saban malam mengenangkan Murni. Hingga hari ini, apabila ingatan terhadap Murni
datang kembali dia akan menangis lagi. Terutama apabila musim hujan menjelma
kembali.
Air ludah
ditelan kasar. Sembilan tahun sudah berlalu. Mokhtar masih dicengkam rasa
bersalah kerana gagal menjadi seorang ayah yang baik dan ayah yang
bertanggungjawab. Hujan menghukum dia sebagai seorang ayah yang begitu tidak
berguna.
“Kita
masih muda bang, mungkin rezeki akan datang lagi selepas ni. Lagipun tindakan
kita dulu untuk kepentingan Murni juga.”
Mokhtar
memandang sekali lagi ke wajah isterinya. Kata-kata itu sering keluar daripada
mulut isterinya untuk memberi kekuatan. Padahal dia tahu dalam hati Azizah
turut bersedih dan terkilan kerana gagal menyempurnakan tanggungjawab dan
terpaksa memilih antara dua orang anak yang baru dilahirkannya. Ibu mana yang
sanggup berpisah dengan anak yang belum sempat dibelainya sepuas hati? Mokhtar
tahu benar!
BAB DUA
Malam sudah
begitu larut. Azizah masih belum dapat melelapkan mata. Di luar rumah, hujan
masih bertimpa-timpa di atas bumbung rumahnya yang kini sudah digantikan dengan
atap zink. Bunyi hujan berselang-seli bersama bunyi suara katak
bersahut-sahutan sesama sendiri.
1977
“Bang, keadaan Muzamil dah semakin teruk. Apa kita nak
buat ni bang?” Azizah dalam suara sebak menyoal suaminya.
Muzamil
dalam dukungan pula menangis semahu-mahunya. Begitu juga dengan Murni yang
sedang berada di lantai. Tidak ketinggalan Mariah. Ketiga-tiga orang anak
mereka kelaparan. Mereka tahu! Tambah teruk apabila Muzamil diserang demam
pula. Mungkin kerana kekurangan zat makanan menyebabkan Muzamil mudah diserang
penyakit. Ketika itu usia bayi mereka baru tiga minggu. Azizah pula masih dalam
pantang.
Kedaifan
hidup mereka menyebabkan Mokhtar gagal menyediakan segala keperluan dengan
sempurna. Makan pakai anak isteri begitu tidak terurus. Tambahan dalam musim
sebegitu yang membataskan pergerakan Mokhtar dalam mencari rezeki. Bayangkan
anak-anak yang masih bayi terpaksa berkongsi makanan yang secubit. Ada pisang
putik dibahagi dua, ada nasi kanji sikit dikongsi bersama. Mokhtar dan Azizah
sendiri juga sudah berhari-hari hanya menelan air sahaja buat mengalas perut.
Keadaan ketika itu benar-benar mendesak mereka.
Dalam
keadaan buntu seperti itu datang Nek Esah untuk menjenguk khabar. Kebetulan
mahu menghantar air rebusan akar kayu dan juga beberapa jenis ubat-ubatan
kampung lain buat kegunaan Azizah dalam
pantang. Nek Esah agak terkejut melihat
keadaan Muzamil yang semakin teruk.
“Kenapa
sampai macam ni?” Soal Nek Esah sambil mengambil Muzamil daripada dukungan
Mokhtar kemudian duduk bersila di sebelah besen yang sedia berisi air.
“Kami pun
tak tau nak buat apa nek. Dah puas jelum dengan air daun cili padi, sikit pun
tak kebah demamnya.” Azizah bersuara sambil tangannya mengangkat Murni untuk
cuba meredakan tangisannya.
“Kau tak
ikhtiarkan cari ubat?”
“Ubat
apa?”
“Bagilah
ubat Cortal, boleh beli kat kedai
kopi Mustapha.”
“Kalau
ada duit, ke hospital pun kami sanggup bawak nek, masalah sekarang usahkan nak
bawa ke hospital, nak buat beli gandum sekilo dua pun tak ada.” Azizah berkata
mewakili Mokhtar yang sejak tadi hilang suara.
Nek Esah
memandang ke wajah Mokhtar. Simpati datang membuak-buak. Dia mahu menolong pun
bukan berduit sangat. Dia tahu kemelaratan hidup yang ditanggung oleh Mokhtar
suami isteri. Sukar untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dalam musim hujan
sedemikian. Bukan Mokhtar seisi keluarga sahaja, malah rata-rata penduduk
Kampung Bechah Kelubi akan mengalami keadaan sedemikian apabila tiba musim
hujan kerana mereka bergantung sepenuhnya pada menoreh getah. Cuma keadaan
Mokhtar lebih teruji dengan kehadiran dua orang insan baru dalam keluarga
mereka ditambah dengan anak sulung juga
baru berusia dua tahun. Masih tidak tahu
apa-apa dan masih tidak pandai menahan lapar dan sejuk.
Tiba-tiba
Nek Esah teringatkan suatu perkara. Kepalanya berbelah bahagi untuk menyuarakan
kepada Mokhtar dan Azizah. Bimbang akan penerimaan mereka. Tidak tahu
kalau-kalau Mokhtar dan Azizah bukan jenis seperti sesetengah penduduk kampung
mereka yang sanggup buat apa sahaja untuk meneruskan kehidupan.
“Mokhtar,
apa kata kalau kau serahkan saja salah seorang anak kau untuk dijaga oleh
sesiapa yang mampu?” Nek Esah memberanikan diri mencadangkan.
Mokhtar
yang sedang mendukung Mariah tersentak dan berpaling memandang ke wajah Nek
Esah. Nek Esah sedikit bimbang. Dia bukan tidak tahu panas Mokhtar dalam diam-diamnya. Mokhtar merenung
Nek Esah dengan tajam.
“Aku...
aku cuma mencadangkan untuk kepentingan anak-anak kau berdua. Kau lihatlah
keadaan anak-anak kau ni. Kau tak kesian?” Nek Esah takut-takut untuk bersuara.
Dia juga
sebenarnya inginkan yang terbaik untuk keluarga yang sudah dianggap seperti
keluarganya sendiri. Tindakan memberikan
anak kepada keluarga lebih senang merupakan amalan biasa penduduk kampung
mereka ketika itu. Asal susah saja mereka akan berikan anak-anak yang tidak
larat dan tidak sanggup dipelihara kepada orang lain. Biasanya kalau diberi
buat sementara mereka akan berikan kepada keluarga sendiri, kalau ingin berikan secara kekal, mereka akan
berikan kepada entah sesiapa. Dalam masa yang sama mereka akan menerima imbuhan
beberapa ratus ringgit sebagai saguhati.
Nek Esah
biasa menguruskan hal-hal sebegitu, terutama yang melibatkan anak-anak yang
baru dilahirkan kerana ramai keluarga yang ingin mengambil anak angkat dan
datang dari bandar akan bertemu
dengannya untuk menyatakan hasrat mereka. Sebagai bidan mereka yakin Nek Esah
tentu tahu mana-mana keluarga yang sanggup menyerahkan anak-anak mereka kerana
tuntutan hidup yang mengekang mereka. Nek Esah pula hanya membantu sekadar
termampu. Dia tidak mendapat imbuhan atas usahanya itu. Kalau ada yang ingin
menghulurkan sekalipun Nek Esah tidak sanggup menerima kerana dia bukan ‘ejen’
mencari anak angkat.
Keadaan
ketika itu tidak sama dengan keadaan sekarang. Mahu mengambil anak angkat ramai
yang akan bertemu bidan. Kini jika mana-mana keluarga ingin mengambil anak
angkat mereka akan menghubungi badan kebajikan. Dulu mana ada badan kebajikan
seumpama itu. Lalu jika hal-hal sebegitu, di kampung Nek Esah masih mengamalkan
kaedah merujuk pada bidan.
Berbalik
kepada Mokhtar. Mokhtar menelan ludah. Membiarkan halkumnya turun naik buat
seketika. Kemudian melontarkan pandangan ke luar jendela rumah yang hanya
ditutupi daun nipah yang dianyam. Nek Esah memandangnya sekejap. Kemudian
pandangan beralih ke wajah Azizah yang nampak juga terkejut dengan cadangan Nek
Esah.
“Saya tak
sanggup nak jual anak. Saya rela mengemis untuk cari sesuap nasi untuk anak
isteri saya, tapi tak akan sesekali jual anak.”
“Aku tak
minta kau jual Mokhtar. Aku cuma cadangkan kau serahkan pada mana-mana keluarga
yang sanggup pelihara. Kau boleh ambil balik kalau keadaan mengizinkan bagi
pihak kau.”
“Dah bagi
kat orang, tentu susah nak ambik balik nek...” Azizah yang sejak tadi diam mula
berbunyi sama.
“Tak.
Ramai penduduk kampung kita buat begitu. Lagipun aku tengok anak kau ni teruk
benar. Kau sanggup tengok anak-anak kau mati dek kelaparan macam ni?” Nek Esah
mula mendapat kekuatan melihat keadaan Muzamil yang semakin teruk menangis
sehingga hanya air mata yang kelihatan sementara suaranya sudah tenggelam.
Mokhtar
memandang anak dalam pangkuan Nek Esah yang sedang dijelum-jelum kepalanya.
Airmata Mokhtar hampir menitik. Dia kemudian memandang Azizah. Aduh, susah
benar untuk menterjemahkan keadaannya ketika itu.
“Mana nak
cari orang yang sanggup nak jaga buat sementara nek?” Soal Azizah sambil
membetulkan duduknya dan menepuk-nepuk punggung Murni.
“Ada,
ada. Kau jangan bimbang. Dua tiga hari lepas Mek Kalsom ada tanyakan aku
tentang mana-mana orang kampung kita yang nak bagi anak untuk dipelihara buat
sementara. Anaknya kat bandar sering tak lekat anak. Mengandung asyik gugur,
kalau dah selamat melahirkan pun anak akan meninggal selepas dilahirkan. Dia
nak cari anak kecil buat semangat. Mana tahu lepas bela sekejap anak orang dia
akan dapat anak sendiri pulak.” Nek Esah menerangkan dengan panjang lebar.
Azizah
dan suaminya saling berbalas pandang. Cadangan Nek Esah mula bermain dalam
perhitungan mereka.
“Kau
berdua fikirlah dulu, Mokhtar, Zah. Hal macam ni bukan senang untuk kita buat
keputusan. Siapa tak sayang anak? Tapi pada aku tu lebih baik daripada menyeksa
mereka macam ni.”
Mokhtar
dan Azizah memandang Nek Esah. Perempuan tua itu langsung tidak memandang ke
wajah mereka sebaliknya terus menguruskan Muzamil. Hati Nek Esah benar-benar jatuh
kasihan terhadap anak kecil itu. Dalam usia baru mengenal dunia sudah berada
dalam kondisi sebegitu. Sebagai orang tua, Nek Esah tidak sanggup melihat
keadaan bayi malang itu terus dihimpit kemiskinan dan kemelaratan. Bukan dia
mengajar Mokhtar dan Azizah menjadi kejam terhadap anak sendiri. Langkah yang
dicadangkan merupakan langkah domestik dalam masyarakat mereka. Santak hari itu
sudah berpuluh-puluh keluarga sekitar mengambil tindakan memberi anak untuk
dipelihara oleh mana-mana keluarga yang dirasakan mampu berbuat demikian.
“Kamu
berdua fikirlah dulu. Dua tiga hari lagi Mek Kalsom akan ke bandar. Kalau kau
sanggup aku boleh suarakan kepadanya.”
Dengan
kata-kata itu Nek Esah bangun untuk meninggalkan mereka. Sebelum berlalu dia
sempat meletakkan Muzamil ke atas lantai beralas tikar mengkuang yang koyak
sana-sini. Muzamil sudah kelenaan akibat kelaparan. Kemudian Nek Esah
menilik-nilik dua tiga jenis akar kayu yang dibawanya bersama ke rumah Mokhtar
suami isteri.
“Ni ada
akar kayu sepang dan kederang. Rebus dan minumlah airnya Zah. Baik untuk
hentikan darah. Manjakani ni pula untuk baikkan kembali peranakan kau. Jangan
lupa pantang,” pesan Nek Esah sambil mula melangkah ke tangga rumah.
Mokhtar
melihat Nek Esah mencapai pelepah daun pisang yang disandar di tepi tangga buat
berteduh daripada hujan. Langkah Nek Esah diperhatikan Mokhtar. Batang tubuh
Nek Esah sudah berbalam ditelan hujan musim tengkujuh. Beberapa detik sahaja
Nek Esah sudah hilang dalam hujan. Begitupun cadangan Nek Esah masih belum
hilang. Melekat dalam benak Mokhtar.
Mokhtar
terasa sayu. Daif benar kehidupannya hingga ada insan lain sanggup mencadangkan
agar dia menyerahkan anak sendiri untuk dibela oleh orang lain. Cadangan itu
secara tidak langsung menidakkan kemampuan Mokhtar dalam menjalankan
tanggungjawab dan mengadakan keperluan kepada keluarganya. Mokhtar jadi sedikit
tercabar, keegoannya sebagai seorang ayah, juga sebagai seorang lelaki
nampaknya digugat. Mokhtar menelan ludah. Ludahnya terasa kelat dan bagai duri
tajam menceracak. Menikam kerongkongnya.
Mokhtar
mengatur sila di depan isterinya. Azizah memandang tepat ke wajah Mokhtar.
Menghadapi saat-saat seperti itu, hanya mata yang banyak berbicara antara
mereka. Sayu, sendu, pilu. Semuanya ada dalam sirna yang terpantul dari mata
mereka berdua.
“Abang,
cubalah pergi tanyakan Pak Matlob kalau-kalau dia boleh bagi ubi kayu untuk
kita seketul dua. Boleh buat lempeng untuk budak-budak ni,” usul Azizah.
“Nantilah
abang tanyakan...” perlahan suara Mokhtar. Matanya kini sudah beralih ke wajah
anak-anak seorang demi seorang.
Ketiga-tiga
mereka sudah tertidur sejak tadi. Tertidur dengan kesan airmata di pipi
masing-masing. Mokhtar makin dicengkam kesayuan yang maha tepu dalam dadanya.
“Bang, pasal cadangan Nek Esah
tadi?” Duga Azizah.
“Abang
tak sanggup Zah. Susah macam mana sekalipun abang akan ikhtiarkan menjaga
mereka sendiri.”
“Zah pun
tak sanggup bang. Tapi keadaan anak-anak membuatkan hati Zah bergalau.”
“Abang
faham. Abang juga macam Zah. Nanti abang ke rumah Pak Matlob.”
Mokhtar
kemudian bangun. Bersedia untuk ke rumah Pak Matlob. Menebalkan muka menagih
simpati untuk sebatang dua ubi kayu dari kebun belakang rumah Pak Matlob. Malah
itulah rutin Mokhtar asal saja bekalan ubi di rumahnya kehabisan. Untuk mengharapkan
makanan lain jauh sekali. Duit ringgit sesen dua yang tinggal dalam kocek
seluar sudah habis dibelanjakan membeli gandum dan kanji untuk santapan
anak-anak. Pisang tepi rumah juga sudah habis direbus, dibakar dan dilenyek
untuk disuap ke mulut anak-anak. Mokhtar
menelan ludah yang terasa pahit.
Mokhtar
sempat membetul-betulkan ikatan kain pelekat yang sudah compang-camping di
sana-sini sebelum membilang anak tangga rumah. Meredah hujan dihantar oleh
pandangan Azizah yang penuh mengharap.
Mokhtar
sudah hilang. Azizah membelai wajah
anak-anaknya seorang demi seorang. Begitu perit untuk membesarkan mereka.
Azizah seringkali takut jika musim tengkujuh menjelma. Jika hanya perut dia dan
suami yang menanti untuk disuap, dia masih boleh bertahan. Begitupun sejak
kelahiran Mariah, dia sering takut untuk menghadapi musim tengkujuh. Mariah
yang sering mengkelekek ketawa pada musim biasa hanya akan tahu menangis
semahu-mahunya pada musim ini. Mariah bukan sekadar kesejukan, malah akan
kelaparan juga.
Seketika
terbuai dalam ingatan, Azizah dikejutkan oleh bunyi batuk-batuk Mokhtar. Dia
menolehkan pandangan ke depan rumah. Mokhtar sedang menyapu-nyapu tubuhnya yang
kebasahan dek hujan menggila di luar rumah.
“Ada
ubinya bang?” Tanya Azizah. Hatinya sedikit berdebar melihat wajah kelat
Mokhtar.
“Emhh,
tapi tak banyak.”
“Abang
cakap ubi kayu Pak Matlob hari tu banyak lagi...”
“Hari tu.
Hari ni dah tak ada, diceroboh babi hutan.”
Azizah
melepaskan keluhan berat. Satu-satunya tempat untuk mereka seisi keluarga
mengharapkan bekalan makanan sepanjang musim hujan nampaknya sudah musnah. Dia
boleh membayangkan kebun ubi jika sudah diceroboh babi hutan.
“Kita
cuba bertahan buat sementara. Nanti abang akan ikhtiarkan cara lain pula,”
janji Mokhtar kepada Azizah apabila melihat wajah isterinya sugul benar.
“Saya tak
fikirkan soal kita, tapi anak-anak bang. Mereka bukan faham keadaan kita.”
“Zah,
awak jangan banyak fikir. Awak masih dalam pantang. Tak elok kalau banyak
berfikir dalam pantang,” tegur Mokhtar.
Dia
seboleh mungkin tidak mahu melihat isterinya risau. Jika isterinya menunjukkan
wajah sugul, Mokhtar akan merasa lebih bersalah dan merasakan diri tidak
berguna. Gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga secara
sempurna.
Dua hari kemudian. Keadaan anak-anak pasangan suami isteri
tersebut makin teruk. Terutama Muzamil yang semakin tenat. Azizah dan Mokhtar
hilang punca.
“Zah,
abang dah tak ada ikhtiar untuk memastikan anak-anak kita tak kelaparan. Hujan
nampaknya tak mahu berhenti dalam masa terdekat ni.”
“Kalau
berhenti sekalipun bang, bukan abang boleh terus menoreh. Batang pohon getah
masih basah. Tak boleh menoreh kalau batang masih basah.”
Mokhtar
membenarkan kata-kata isterinya di dalam hati. Cakapan isterinya memang tidak
boleh disangkal sama sekali. Dalam musim tengkujuh seperti itu, setakat
berhenti sehari dua hujan, penduduk kampung tidak akan turun menoreh. Kalau ada
yang turun menoreh juga maknanya orang itu sudah hilang akal. Hujan masih boleh
turun kembali bila-bila masa.
“Zah,
semalam abang sudah jenuh fikir, nak tak nak kita kena terima cadangan Nek
Esah. Abang tak sanggup nak zalimi anak-anak kita.”
“Abang!”
“Abang
bukan mahu bertindak kejam Zah. Abang buat untuk anak kita juga.”
“Abang
Zah tak sanggup.”
“Zah
sanggup tengok anak kita mati kelaparan depan mata?”
Azizah
tidak menjawab. Hanya air mata yang menggantikan suaranya. Mokhtar keresahan.
“Kalau
Zah tak setuju, abang tak akan serahkan...”
Azizah
masih tidak menjawab. Bahunya terhinjut-hinjut seiring dengan suara
sedu-sedannya. Mokhtar serba salah.
“Zah...”
“Abang
nak serahkan siapa?” Soal Azizah dalam tangisan.
“Kalau
Zah tak keberatan, kita serahkan Murni.”
Azizah
menerpa mendapatkan Murni yang kelenaan di lantai. Memeluk Murni erat-erat
bersama tangisan yang boleh meruntun perasaan sesiapa sahaja yang mendengar
tangisan Azizah.
“Kalau
abang merasakan tindakan ini yang terbaik, saya redha bang!”
Lalu
malam itu Mokhtar meredah hujan ke rumah Mek Kalsom bersama Nek Esah untuk
menyatakan keinginannya. Mek Kalsom menerima baik keputusan Mokhtar dan
menganggap itu langkah paling wajar untuknya. Mek Kalsom dibawa ke rumah untuk
melihat keadaan Murni. Terkejut juga dia melihat keadaan hidup Mokhtar
sekeluarga. Lebih-lebih lagi keadaan Muzamil.
“Kau
ambil duit ni bawa anak kau berubat Mokhtar.”
“Maaf
mek, saya tak boleh terima duit mek. Saya bukan nak jual anak.”
“Ni bukan
bayaran untuk anak kau Mokhtar, kau jangan salah faham. Ni bantuan ikhlas aku
kerana kesudian kau berikan salah seorang anak kau. Takkan kau nak lihat anak
kau menanggung azab begini?” Mek Kalsom berkata sambil meletakkan sebanyak dua
ratus ringgit ke gelegar rumah yang dibuat daripada buluh.
“Ambil
Mokhtar, ni bukan bayaran. Ambillah. Aku ikhlas.” Desak Mek Kalsom kemudian
memandang Azizah yang sejak tadi menundukkan kepalanya sambil membelai Muzamil
di ribaannya.
Muzamil
sejak tadi kelihatan seperti sedang menangis, namun tiada suara keluar dari
kerongkongnya. Peti suara Muzamil seperti kehilangan bunyi.
Mokhtar
menelan ludah. Dua ratus ringgit merupakan suatu jumlah yang amat besar ketika
itu. Malah dia merasakan kerja setahun belum tentu dia dapat mengumpul wang
sejumlah itu. Dua ratus ringgit direnungnya. Mokhtar betul-betul tidak lugu. Terlalu
hina dirinya dirasakan ketika itu. Walaupun Mek Kalsom menyatakan ia suatu
pemberian ikhlas, Mokhtar tidak merasakan demikian.
“Aku tak
boleh lama ni. Aku harus pulang untuk bersiap-siap. Petang nanti pemandu anak
aku di bandar tu akan datang menjemput aku.” Mek Kalsom bangun.
Dia
merapati Murni yang terlena di sebelah Mariah. Baru dia cuba menyentuh Murni,
Azizah meraung menepisnya. Hatinya terlalu berat untuk melepaskan Murni yang
masih kecil benar ketika itu. Dia belum puas membela Murni.
“Biarlah
Zah. Jangan ikutkan perasaan. Mana tahu tindakan ini menjanjikan masa depan
yang lebih baik buat Murni. Bersama kita Murni belum tentu boleh bertahan.”
Mokhtar memujuk isterinya.
Dia
menarik tubuh isterinya untuk memberi laluan kepada Mek Kalsom mendapatkan
Murni. Azizah mengongoi dalam pelukan Mokhtar. Nek Esah merapati untuk turut
sama mententeramkan Azizah. Murni pula mula menangis apabila merasakan satu
sentuhan asing menyentuh tubuhnya. Makin Azizah dan Mokhtar dicengkam kesedihan
yang maha sarat. Terlalu sulit untuk menterjemahkan perasaan pasangan suami
isteri yang bakal kehilangan anak sedikit masa lagi seperti Azizah dan Mokhtar.
Mek Kalsom sudah mula memijak
anak tangga sewaktu dia menoleh ke arah Azizah dan Mokhtar yang masih sebak.
“Aku berjanji anak kau tak akan
dilayan buruk oleh anak aku, malah dia akan dilayan seperti tuan puteri nanti.”
Azizah hanya mengetap bibir
mendengar kata-kata Mek Kalsom. Mek Kalsom kemudian tidak berlengah lagi.
Menuruni anak tangga satu demi satu sebelum berpayung meredah hujan bersama
Murni dalam pangkuannya.
Azizah memerhati, Mokhtar
memerhati, Nek Esah juga memerhati langkah yang diatur Mek Kalsom. Bagi Azizah
dan Mokhtar, entah bila mereka akan bertemu kembali dengan Murni. Mek Kalsom
berjanji anaknya akan bersedia menyerahkan kembali Murni kepada mereka
sekiranya mereka sudah bersedia untuk menuntut kembali Murni kerana mereka
bukan mahu menyerahkan Murni untuk selama-lamanya, hanya buat sementara waktu,
ketika ekonomi Mokhtar begitu menghalang dia membela sendiri anak kandungnya.
Sungguhpun Mek Kalsom membuat
janji sedemikian, hati Mokhtar dan Azizah merasakan untuk mendapatkan Murni
kembali dalam hidup mereka terlalu susah. Terlalu banyak rintangan dan keluarga
angkatnya tidak akan melepaskan Murni mudah-mudah sekiranya mereka benar-benar
telah jatuh kasih kepada Murni. Sementelahan pula hanya Mek Kalsom yang membuat
janji dengan mereka, bukan anaknya sendiri!
BAB TIGA
Bunyi suara
katak masih bersahut-sahutan di luar rumah. Hujan sudah mula mereda. Namun
Azizah masih terkenangkan peristiwa sembilan tahun lampau. Memang hujan sering
membawa layar memorinya mengulangi peristiwa yang memisahkan dia dan anaknya
Murni. Murni yang tidak pernah diceritakan akan kewujudannya kepada Muzamil dan
Mariah, bimbang mereka akan menyoal panjang lebar.
Azizah
tidak mahu membuka keburukan dan kelemahan sendiri dalam menjalankan
tanggungjawab terhadap anak-anak. Lagipun kerana penyerahan Murni kepada Mek
Kalsom juga hayat Muzamil dapat dipanjangkan. Dengan duit pemberian Mek Kalsom
Muzamil dibawa ke hospital. Berubat dan ditahan di wad selama beberapa hari
kerana paru-parunya sudah dijangkiti kuman akibat demam berlarutan terlalu
lama. Dalam bersedih atas kehilangan Murni, Azizah juga turut bersyukur kerana
Muzamil kemudian kembali sihat. Biarpun pedih untuk menerima hakikat, juga
perit kerana mereka merasakan seperti menjual anak sendiri, Mokhtar dan Azizah cuba menerimanya dan
merasakan mungkin itu ketentuan Ilahi ke atas mereka sekeluarga.
Malah
sejak itu, saban bulan setiap kali Mek Kalsom pulang ke kampung dia akan
menjenguk mereka dan membawa banyak buah tangan sebagai terima kasih. Meski
tidak membawa Murni bersama, mereka masih berpuas hati kerana dimaklumkan
bahawa Murni dilimpahi kemewahan menjadi ‘cucu’ Mek Kalsom. Anak Mek Kalsom
benar-benar sayangkan Murni dan gembira dengan kehadiran bayi comel itu.
Malangnya,
hubungan dengan Mek Kalsom tidak lama terjalin kerana wanita itu meninggal dalam perjalanan menunaikan fardu haji.
Terputusnya hubungan dengan Mek Kalsom membawa makna terputus juga khabar
tentang Murni. Malah dikatakan anak Mek Kalsom kemudian berpindah mengikut
suami ke Kuala Lumpur. Harapan untuk mendapatkan Murni kembali suatu hari nanti
nampaknya tidak mungkin menjadi kenyataan. Malah ekonomi Mokhtar sendiri tetap
tidak berubah. Masih menjadi kuli menoreh getah di kebun Pak Matlob.
Kini
sudah sembilan tahun berlalu. Azizah masih mengingati Murni. Tidak pernah luput
walau sehari ingatan terhadap Murni. Tambahan lagi apabila musim tengkujuh
kembali menjelma. Malah dia merasakan ekoran tindakan mereka menyanggupi untuk
menyerahkan Murni kepada orang lainlah maka sehingga kini mereka tidak lagi
dikurniakan anak oleh Allah. Balasan ke atas mereka kerana menolak rezeki
sebelum ini. Juga kerana begitu mudah mengalah dengan ujian Tuhan ke atas
mereka.
Azizah
cuba menghalau ingatannya terhadap Murni. Dia tahu sekuat mana ingatannya
terhadap Murni, kebarangkalian untuk bertemu Murni kembali sangat rendah. Hanya doa yang mampu dipanjatkan ke hadrat
Ilahi sebagai tanda kasih seorang ibu terhadap anaknya. Juga doa agar Tuhan
ampunkan kesilapan mereka suami isteri andai tindakan mereka dahulu umpama
menolak rezeki pemberian Ilahi kepada mereka. Teringat kata-kata suaminya,
kedaifan hidup kadangkala merencat kewarasan fikiran.
Betul.
Kerana kedaifan mereka ketika itu menyebabkan mereka berdua tidak mampu membuat
keputusan dengan baik meskipun kasih sayang terhadap Murni begitu menggunung.
Hingga kini sebaik terpandang wajah Muzamil, Azizah dalam masa yang sama
mengandaikan dia memandang Murni juga. Cuma dia tidak dapat membayangkan apa
yang dinikmati oleh Murni setiap kali Muzamil di kampung menikmati ulam pucuk
ubi buat menemani nasi putih berlaukkan
ikan kering. Itupun ikan kering yang dibuat sendiri apabila ikan yang ditangkap
di baruh oleh Mokhtar tidak habis dijual.
Azizah
tidak pandai untuk membayangkan makanan orang bandar. Apatah lagi makanan orang
bandar yang hidup dalam kemewahan. Dan Murni, dia yakin anaknya kini bersalut
kemewahan. Dia percaya dengan cerita-cerita arwah Mek Kalsom suatu masa dahulu.
Dia juga gembira jika Murni benar-benar berada dalam kemewahan yang dia dan
suaminya sendiri gagal dan tidak mungkin mampu untuk diberikan kepada Murni.
Hujan
kembali menitis di atap rumah. Azizah tidak mampu untuk melelapkan mata. Dia
melepaskan keluhan yang amat berat. Kemudian berdoa di dalam hatinya agar musim
tengkujuh kali ini tidak panjang. Pada anak-anak, mereka memang suka sangat
bermain air hujan dan menangkap anak ikan sepat, ikan puyu, ikan haruan dan
ikan laga yang melintas depan tangga rumah. Mereka tidak pernah terbawa oleh
masalah yang sama seperti masalah yang difikirkan oleh orang tua mereka setiap
kali tengkujuh menampakkan wajah. Mereka tidak tahu, setiap kali langit menangis
setiap kali itu jugalah ibubapa mereka akan turut sama menangis. Menangis di
dalam hati memikirkan kesulitan musim tengkujuh.
Azizah
mengeluh sekali lagi.
“Zah,
tidurlah. Jangan ikutkan perasaan sangat.” Mokhtar bersuara mengejutkan Azizah.
“Abang,
kenapa bang tak tidur lagi?”
“Macam
mana nak tidur kalau Zah asyik mengeluh sepanjang malam...”
“Zah
teringatkan Murni bang.”
Tiada
suara kedengaran dari arah Mokhtar. Dalam kegelapan itu hanya terdengar desis
kasar-jantannya. Azizah menunggu-nunggu juga butir patah perkataan yang bakal
keluar dari kerongkong Mokhtar. Begitupun tiada suara meski sudah lima minit
berlalu.
“Murni
tahukah asal-usulnya bang?” Soal Azizah apabila Mokhtar terus mendiamkan
dirinya.
“Lebih
baik dia tak tahu. Abang takut hatinya terluka dan menganggap kita menjualnya
untuk menyelamatkan Muzamil.” Mokhtar berbunyi juga.
“Tapi
kita tak berniat untuk jual dia. Tak juga untuk membuang dia. Kita terdesak.”
“Terdesak
sebab situasi ketika itu. Kita juga masih muda, tak dapat fikir dengan waras.
Begitu?” Mokhtar menyoal Azizah.
“Abang
kesal dengan tindakan dulu?”
“Kalau
itu lebih baik untuk masa depan anak-anak kita, tak wajar kita kesalkan.”
“Cara
cakap abang bunyinya macam abang menyesal.”
Mokhtar
diam. Kemudian dia membalikkan tubuhnya. Cuba untuk melenakan diri. Azizah juga
mula cuba untuk melelapkan mata. Hujan yang merintik di atap rumahnya dianggap
ritma pengulit tidur. Dalam masa yang sama, dia berdoa moga besok akan ada hari
yang cerah buat mereka sekeluarga. Dua minggu lagi sekolah akan dibuka. Wang
yuran persekolahan tahun baru untuk dua orang anaknya harus disediakan. Jika hujan masih berterusan, Azizah bimbang
mereka suami isteri tidak dapat menyediakan keperluan kewangan untuk
persekolahan anak-anak.
Entah jam
berapa, Azizah akhirnya terlena juga. Itupun ketika ayam jantan sudah mula
bersahut-sahutan sesama sendiri.
Keesokan
harinya, Mokhtar pagi-pagi lagi sudah turun dari rumah. Katanya ingin ke padang
rumput untuk mencerut rumput bagi habuan lembu pawahannya dengan Pak Matlob.
Mujurlah dalam keadaan susah seperti itu Pak Matlob sedia memawahkan lembunya
kepada Mokhtar. Jika membiak, ada juga rezeki Mokhtar untuk dikongsi dengan
anak-anak nanti. Sesungguhnya Pak Matlob memang seorang yang mudah untuk
berurusan. Dia bukan setakat sudi mengambil Mokhtar suami isteri menoreh di
kebun getahnya yang luas berekar-ekar, malah sanggup memawahkan lembu betinanya
kepada Mokhtar walhal sewaktu dia menyerahkan lembu tersebut, ia memang sudah
bunting.
Kira Pak
Matlob sengaja ingin menolong Mokhtar anak-beranak. Tambahan, orang berduit
macam Pak Matlob bukan sanggup meredah hujan mencerut rumput untuk diberi
kepada lembunya. Baik diserahkan kepada Mokhtar, paling kurang lembu bunting
tersebut terjaga kebajikannya. Mokhtar pula,
memikirkan keuntungan masa depan sanggup buat apa saja. Bukankah cabang
rezeki itu banyak? Tunggu kita saja yang menggeledahnya.
Binatang
ternakan dan tumbuh-tumbuhan pun sebenarnya boleh memberi pengajaran tentang
kekuasaan Tuhan kepada kita. Allah sentiasa menjadikan setiap sesuatu ada
hikmah di sebaliknya. Kalau-kalau direnung secara akal sempit, bagaimana seekor
lembu boleh membekalkan susu bersih daripada perutnya yang turut terkandung di
situ najis dan darah? Itu semua kuasa Allah, malah ia disebut dalam surah
An.Nahl ayat enam puluh enam:
Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu
terdapat pelajaran bagimu. Kami memberimu minum air daripada apa yang berada
dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah
ditelan bagi orang-orang yang hendak meminumnya.
Itu
disebut dalam surah An-Nahl. Dan Mokhtar, seseorang yang tidak berpelajaran,
jauh sekali untuk menguasai ilmu kehaiwanan dan mengkaji bagaimana struktur
dalaman seekor lembu membuat kesimpulan semua itu didatangkan Allah kepada
hamba-Nya sebagai punca rezeki. Bagi Mokhtar, punca rezeki tidak datang dalam
satu bentuk. Rezeki termasuk juga haiwan ternakan. Sebab itulah apabila Pak
Matlob menawarkan dia lembu untuk dipawahkan dia pantas menerimanya. Orang
susah sepertinya harus merebut peluang yang melintang depan mata.
Rezeki.
Mokhtar termenung mengenangkan diksi rezeki. Rezeki Allah itu pelbagai. Dia
sering mengingatkan dirinya sendiri begitu. Menyebut tentang rezeki, satu tubuh
badannya yang sempurna sudah menjadi rezeki yang tidak ternilai. Sebab itulah
sesekali jika dia seakan menyesali kesempitan hidup yang dialaminya Mokhtar
sering mengingatkan dirinya sendiri akan hal itu. Rezeki.
Dan
anakpun rezeki juga. Mengenangkan perihal anak, Mokhtar sering terpilu. Sejak
kelahiran Mokhtar dan Muzamil, tidak ada lagi kelahiran dalam rumahnya. Ada
masanya dia menganggap semua itu balasan Ilahi kerana dia telah menyerahkan
Murni kepada orang lain untuk dijaga dan menidakkan takdir Murni untuk berada dalam
keluarganya. Padahal jauh di sudut hati Mokhtar menyimpan hasrat untuk memiliki
seramai mana anak yang mampu dilahirkan. Bagi Mokhtar, sakit pening masa depan
ada yang akan mengambil berat. Orang susah sepertinya, jauh untuk membayangkan
kehadiran seorang wanita beruniform biru datang menjaga makan minum dan sakit
peningnya. Itu langsung tiada dalam kotak fikirannya.
Lalu,
bagi orang yang tidak berduit sepertinya, tentulah ingin mengharapkan anak-anak
yang membela nasib hari tuanya. Azizah malangnya hingga kini tidak menampakkan
tanda-tanda yang memungkinkan bertambahnya bilangan ahli dalam keluarga mereka.
Lalu Mokhtar sering mengaitkan dengan tindakannya menyerahkan Murni suatu masa
dahulu. Dia menganggap dirinya ketika itu seperti menolak rezeki.
Entahlah.
Mokhtar sebenarnya telah memikirkan masak-masak akan hal tersebut. Malangnya
tuntutan hidup pada masa itu tidak membenarkan dia memikirkan dengan waras. Dia
hanya inginkan anak-anaknya selamat. Bukan dia tidak sayangkan Murni. Malah dia
memang berkeinginan untuk mengambil kembali Murni daripada jagaan anak arwah
Mek Kalsom. Malangnya sejak anak arwah Mek Kalsom berpindah ke Kuala Lumpur dan
Mek Kalsom sendiri kini sudah menjadi arwah, keinginan itu kian terpadam.
Khabaran tentang Murni langsung tidak diketahuinya santak hari itu.
Mokhtar
tersedar. Daripada memikirkan tentang seekor lembu, fikirannya jauh
mengenangkan Murni. Begitulah selalunya. Ingatan Mokhtar sering melayang
mengingatkan Murni. Seringkali. Bukan sekali dua. Malah seringkali. Tanpa
diketahui sesiapa, Mokhtar sebenarnya begitu merindui Murni. Hati seorang bapa
yang serba daif sepertinya merasa cukup terkilan dan menyesal kerana gagal
menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada Murni hingga terpaksa
menyerahkan tugas itu kepada orang lain. Orang yang dia sendiri tidak pernah
mengenalinya.
Di manalah dapat dia jejaki
kembali Murni? Dia sering bertanyakan demikian kepada dirinya sendiri. Dengan
keupayaan yang begitu terbatas, keinginan itu sering terbantut dan medan fikirnya
sering berlegar dua tiga kali membuat perhitungan dengan diri sendiri. Masanya
hanya dihabiskan dengan mencari sesuap nasi untuk menyarasuap anak isteri. Jika
mempunyai kelapangan daripada segi masa, kewangan pula yang begitu tidak
mengizinkan. Dan selalunya faktor kewanganlah yang sering menjadi daya penolak
untuk dia meneruskan hasratnya. Dia memang menyimpan keinginan yang maha sarat
untuk mengambil kembali Murni.
Dalam
masa yang sama, Mokhtar sering terfikir penerimaan Murni dan juga penjaganya
sekiranya Mokhtar tiba-tiba hadir kembali dalam hidup Murni. Bolehkah mereka
menerima kehadiran Mokhtar menuntut hak ke atas Murni? Sembilan tahun telah
berlalu, kemungkinan untuk mereka tidak menghiraukan kehadiran Mokhtar menuntut
hak ke atas Murni mempunyai peratusan yang amat tinggi. Mungkin penjaga Murni
akan menafikan hak Mokhtar. Sembilan tahun. Sembilan tahun bukan suatu tempoh
singkat. Dalam tempoh itu, segala perjanjian untuk mengembalikan semula Murni
kepada Mokhtar dan Azizah seperti yang pernah dinyatakan oleh arwah Mek Kalsom
selama ini mungkin akan dinafikan.
Tambahan
pula, perjanjian itu hanya dilafazkan oleh arwah Mek Kalsom tanpa bukti
bertulis. Sesiapapun boleh menafikan kebenaran dakwaan Mokhtar. Aduh. Sedihnya
hati seorang bapa yang serba daif seperti Mokhtar kerana terpaksa menghadapi
kondisi sedemikian gara-gara kedaifan hidupnya. Mokhtar memang termengkelan
yang amat sangat. Kalaulah masa boleh diputarkan, dia akan memutarkan kembali
ke sembilan tahun lampau pada saat Murni dan Muzamil baru dilahirkan. Kala itu segala tindakan yang boleh membawa
kepada penyesalan seperti yang dialami Mokhtar kini tidak akan dilakukannya.
Walau
perit macam mana sekalipun dia akan sanggup untuk menjaga anak-anaknya
serentak. Dia akan tegar menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku
termasuk kematian sekalipun. Itu lebih baik daripada kondisi sekarang. Penuh
tanda tanya. Ya, penuh tanda tanya tentang keadaan Murni yang sebenar. Murni
kini tiada sebarang khabar berita. Itulah yang paling diharukan. Sembilan tahun
dia dan Azizah hidup dalam tanda tanya yang begitu sarat berlingkar di
sekeliling dirinya membuatkan dirinya menjadi mutu.
Mokhtar
melepaskan keluhan. Bercakap soal ‘kalaulah’. ‘Kalaulah’ itu dalam Islam tidak
pernah wujud. Malah Islam melarang sekiranya umatnya meletakkan anggapan
‘kalaulah’ ke atas sesuatu perkara memandangkan tiap yang terjadi merupakan
qadak dan qadar Ilahi. Mokhtar melempar daun rokok yang sudah tinggal seinci ke
rumput kemudian meludah liurnya yang pekat bercampur kahak sebelum berdehem
ringan. Tangannya membuang sabit di pinggang lalu mula mencangkung, bersedia
untuk menyabit rumput untuk dibawa pulang kepada lembunya. Dia perlu cepat
melakukan kerja menyabit kerana tidak mahu berhujan.
Memang
hakikatnya Mokhtar sudah betah dan kalis bermandikan hujan dan berjemur panas
terik. Begitupun, kalau boleh dielakkan Mokhtar enggan bermandikan hujan. Bukan
ada banyak pakaian untuk bersalin-tukar sekiranya baju yang sedia dipakai basah
lencun. Mokhtar kemudian mula asyik dengan kerja menyabit sehingga tidak sedar
matahari sudah hampir meninggi.
“Menyabit
Mokhtar?” Soal Ismail, penduduk kampung yang tinggal dua meter dari rumah
Mokhtar. Sekadar berbasa-basi dengan Mokhtar semasa melintasi padang rumput
itu.
“Ya, lembu kat rumah dah
berhari-hari keputusan rumput.”
“Hah,
eloklah tu. Cuacapun nampak baik hari ni. Minta-minta akan berlarutan, boleh
juga keluar menoreh.”
Mokhtar
mengangguk kepada Ismail. Kemudian Ismail meminta diri untuk meneruskan
perjalanannya. Mokhtar mengukirkan senyuman sambil mengangkat tangan kepada
Ismail.
Ismail, sudah agak lanjut
usianya. Masih belum berumahtangga. Alasannya belum menemui calon yang
bersesuaian dengan kehendak hati. Sekarang hidup menyendiri setelah kematian
arwah ibu yang dulu menjaga makan minumnya. Mokhtar kadang-kadang pelik melihat
cara hidupnya, sebatang kara, tapi sentiasa bersenang hati. Mungkin hidup
menyendiri tidak mendatangkan banyak masalah kepada Ismail kerana tidak perlu
memikirkan masalah orang-orang terapat dengannya.
Mokhtar
melepaskan keluhan lagi. Nasib seseorang memang berbeza di antara satu sama
lain. Dia? Nasibnya juga berbeza dengan mana-mana orang kampungnya. Biarpun
sama-sama miskin, sama-sama menoreh getah, perkara-perkara lain masih
berlainan. Masalah domestik orang kampung sepertinya memang sama saja, tapi
jika diselami ada banyak perkara yang membezakan antara satu sama lain. Dan
bezanya Mokhtar dengan orang kampung yang lain apabila dia terpaksa meletakkan
dirinya sebagai seorang bapa yang sering merasa bersalah sejak sembilan tahun
lalu gara-gara kemiskinan yang menekan dirinya ketika itu.
Setelah
hampir dua jam menyabit rumbut, Mokhtar berjaya mengumpul dua guni penuh lalu
diletakkan di atas kandaran untuk dikandar pulang. Tidak menjadi masalah bagi
Mokhtar untuk mengandar dua guni penuh rumput terbabit memandangkan jarak
rumahnya dengan padang rumput tidaklah terlalu jauh. Jika jauh sekalipun bukan
menjadi masalah bagi Mokhtar yang sudah biasa bekerja kuat selama ini. Malah
dia pernah melakukan kerja yang jauh lebih teruk daripada mengandar rumput
segar dua guni. Untuk memastikan keluarganya tidak kebuluran, Mokhtar sanggup
untuk melakukan apa saja.
Mokhtar
mula melangkah perlahan-lahan untuk pulang ke rumah. Dari jauh dia nampak
Azizah sudah sedia menyambut kepulangannya di tangga rumah bersama segelas air
masak suam. Dia tahu suaminya tentu dahaga setelah sepagi menyabit rumput.
“Cuaca
baik betul hari ni bang, ya. Kalaulah berterusan macam ni, dua tiga hari lagi
bolehlah kita keluar menoreh.” Azizah berkata sambil mendongak ke langit.
“Betul
kata Zah tu. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan modal apabila sekolah dibuka
nanti. Banyak nak pakai duit ketika tu.” Balas Mokhtar sambil membuka bajunya
untuk melegakan sikit kepanasan.
Kemudian
Mokhtar mencapai huluran gelas air suam dari tangan Azizah. Diteguknya
perlahan-lahan setelah membaca kalimah suci. Terasa lega seketika. Azizah sudah
berlalu ke dapur. Masih ada kerja yang belum diselesaikan. Anak-anak ketika itu
sudah hilang entah ke mana. Sekejap tadi kedengaran mereka berdua riuh-rendah
ingin ke batas sawah, melihat anak-anak ikan yang bermain di situ. Kalau ada
anak-anak ikan boleh ditangkap kemudian minta Azizah lumurkan dengan garam kunyit, dibalut dengan
daun kunyit sebelum dibakar di atas api.
Habuan
sebegitu sebenarnya memang sedap juga dimakan. Azizah sendiri suka menikmati
anak-anak ikan yang dibakar di dalam daun kunyit. Harum daun kunyit terbangkit
di ikan-ikan menjadikan anak-anak ikan tambah menyelerakan. Ah, orang susah seperti
Azizah anak-beranak segala-galanya boleh menjadi rezeki yang cukup menyelerakan
buat mereka. Malah bukan setakat anak-anak ikan seperti itu, apa sahaja boleh
jadi makanan yang cukup menyelerakan
bagi mereka. Daripada daun kayu kepada beburung dan serangga.
Burung-burung
kecil yang boleh dimakan sering dibawa pulang Muzamil untuk digoreng kunyit.
Biasanya burung-burung tersebut dilastik Muzamil dari hutan kecil berhampiran
rumah mereka. Malah, ada masanya jika tiba musim belalang membiak dan memenuhi
dedaun lalang dan rumput, Azizah suami isteri akan keluar menangkap belalang
pada malam hari berbekalkan daun kelapa yang dijadikan obor menyuluh malam.
Sesekali Mariah dan Muzamil akan mengikut mereka. Seronok bukan kepalang mereka
anak-beranak jika dapat menangkap belalang dalam jumlah yang banyak.
Dibumbui
dengan rempah ratus yang pelbagai rencah, Azizah akan menggoreng belalang hasil
tangkapan mereka sehingga benar-benar masak. Kaedah menggoreng belalang sama
seperti menyediakan serunding daging atau ikan. Belalang yang sedia digoreng
memang sedap sekali. Azizah menelan liur mengingatkan belalang goreng yang
jarang boleh dinikmati kerana belalang akan hanya mampu ditangkap dalam jumlah
yang banyak mengikut musim juga.
Begitulah
kehidupan mereka sekeluarga. Makanan-makanan alam seperti itu sudah begitu
besar nilai pada mereka. Mereka tidak pernah mengimpikan untuk makan makanan super pelik seperti yang sering
dinikmati masyarakat bebanyak dewasa ini. Mereka tidak kenal burger, jauh
sekali pizza atau lasagna. Menyebutpun mereka tidak pandai apatah lagi untuk
menikmatinya. Malah kalau disuakan kepada mereka makanan sedemikian, mungkin
mereka menganggap makanan sebegitu bisa memudaratkan dan memabukkan mereka jika
tersalah makan. Seperti orang bandar yang banyak pantang larang jika mahu
menikmati pucuk-pucuk kayu kampung, begitu juga Azizah anak-beranak jika
disogokkan dengan makanan maha pelik.
Pun
Azizah tidak pernah menyesali takdir yang berlaku ke atas mereka anak-beranak.
Asalkan mampu mengisi perut buat meneruskan kehidupan sudah cukup bererti bagi
mereka sekeluarga. Azizah paling takutkan kejadian sembilan tahun lampau.
Kerana kekurangan makanan ketika itu
suatu keputusan yang begitu menyayat hati terpaksa dibuat. Dan Murni, hingga
kini tidak pernah mampu dibelai dan dikucupnya. Sebagai seorang ibu, Azizah
rindukan situasi tersebut. Seringkali
dia akan merenungi Muzamil seandainya keinginan untuk melihat Murni menerjah
akal fikirnya. Begitupun dia tahu tentunya mereka berdua tidak mempunyai rias yang
sama memandangkan mereka berdua bukan kembar seiras.
Sesekali
Azizah terfikir bagaimana nanti kalau-kalau Mariah dan Muzamil mengetahui
rahsia yang mendap sebati dalam kotak rahsia fikir Azizah suami isteri.
Bagaimana penerimaan anak-anaknya? Tambahan jika rahsia itu hanya diketahui
setelah mereka cukup matang untuk
menilai erti kehidupan. Adakah akan hancur hati mereka berdua? Sungguh, Azizah
benar-benar takut untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan seperti itu.
Padahal
jauh di sudut sanubarinya sendiri, Azizah juga cukup kecewa dan merana
memikirkan perpisahan yang berlaku. Sebagai ibu dia tidak pernah melupakan
bahawa dirinya pernah melahirkan sepasang kembar. Murni. Nama itu memang santak
hari itu masih kuat melekat dalam
hatinya. Dia ingin sekali menemui Murni. Sungguhpun demikian dia tidak pernah
bersungut tentang perkara tersebut di depan Mokhtar, bimbang suaminya akan
merasa kecil hati dan mula menyalahkan diri sendiri atas keputusan yang telah
diambil. Paling mahu dielakkan Azizah, suaminya akan merasa sungguh tidak
berguna kerana tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa
hingga terpaksa menyerahkan anak sendiri kepada entah sesiapa.
Sebagai
seorang isteri yang benar-benar mengasihi suaminya, Azizah tidak sanggup untuk
menyinggung perasaan suaminya. Cinta yang menggunung terhadap Mokhtar
membuatkan segala jeritan kerinduan terhadap Murni hanya bersiponggang di dalam
jiwanya. Bergema di setiap urat saraf sehingga ada masanya Azizah mengalami
kemutuan yang maha menyakitkan ekoran rindu terhadap Murni.
Begitupun
sebagai seorang ibu dia cukup kesal kerana gagal mengetahui sebarang berita
tentang anak kandungnya sendiri selama hampir sembilan tahun. Aduh, seksanya
jiwa seorang ibu yang tidak mempunyai keupayaan seperti Azizah.
BAB EMPAT
Hari cerah
berpanjangan selama hampir tiga minggu. Mokhtar dan Azizah gembira benar dengan
keadaan iklim ketika itu. Sekurang-kurangnya memberi peluang untuk mereka
keluar menoreh dan mengumpul belanja
persekolahan Mariah dan Muzamil. Banyak buku
harus dibeli setiap kali awal musim persekolahan. Begitu juga dengan
yuran tahunan. Segala-galanya menuntut suatu modal yang menyulitkan juga untuk
difikirkan oleh Mokhtar suami isteri. Tambahan pula tahun itu mereka bercadang
untuk menghadiahkan Mariah sepasang
kasut sekolah baru ekoran kejayaan cemerlang Mariah dalam peperiksaan darjah
lima tahun lepas.
Kasut
lama Mariah sudah uzur benar. Tiba masa untuk Mariah menggantikannya. Mokhtar
tahu meski Mariah tidak pernah menyuarakan keinginan untuk memiliki sepasang
kasut baru, keinginan itu tetap ada. Mokhtar sering memerhati Mariah
membelek-belek kasut buruknya setiap kali termenung di tangga rumah. Setiap
kali melihat Mariah berkeadaan begitu, setiap kali itu jugalah Mokhtar merasa
cukup bersalah kepada anak-anaknya kerana gagal memberikan keperluan kepada
mereka secara sempurna. Kasut sekolah Mariah sudah tiga tahun usianya.
Mana-mana tempat yang koyak akan Mariah jahit. Malah jahitan ada masanya
berulang-ulang di tempat yang sama.
Kasihan sungguh
Mariah. Kerana kasihankan Mariah juga musim baru persekolahan nanti Mokhtar
akan berusaha untuk mengadakan sepasang kasut sekolah baru buat Mariah. Dia
mahu lihat anak gadisnya tersenyum semasa menyarungkan kasut baru itu nanti.
Apabila melihat Mariah tersenyum nanti, Mokhtar akan turut merasa berbesar
hati. Apalagi yang diinginkan oleh seorang bapa selain kegembiraan yang
terpetia di wajah anak-anaknya.
Muzamil?
Untuk Muzamil tunggu dulu. bukan Mokhtar mahu memilih-milih antara dua orang
anaknya. Cuma modal untuk menyediakan dua pasang kasut baru sekali gus tidak
cukup. Dia sebaik mungkin akan cuba menerangkan rasional dia membelikan kasut
baru buat Mariah. Lagipun sudah lama dia tidak berbuat demikian. Dia yakin
anak-anaknya akan memahami. Selama ini pun anak-anak tidak pernah
mempertikaikan segala tindakan yang diambilnya. Anak-anaknya sama juga dengan
Azizah isterinya. Tidak banyak bersuara dan akur apa saja. Alangkah kalutnya
jika anak-anak bersikap mengada-ada dan sering meminta yang bukan-bukan seperti
anak-anak khalayak bebanyak. Tentu punah ranah hati seorang bapa serba kedaifan
sepertinya kerana dia sama sekali tidak akan mampu untuk mengadakan sebarang
keinginan metarial yang melampau-lampau.
Metarial
berbentuk keperluanpun dia gagal mengadakan dengan sempurna, sementelahan pula
selebihnya. Mujur juga anak-anak tidak pernah terdedah dengan perkara
sedemikian menjadikan mereka secara tidak langsung tidak pernah meminta
apa-apa. Murni? Tentu juga medan benak Mokhtar akan teringatkan anaknya yang
seorang itu setiap kali melakukan sebarang tindakan terhadap anak-anaknya.
Sungguhpun demikian, dengan jagaan orang luar, orang yang langsung tidak punyai
pertalian walau setitik zarah dengannya, Murni lebih terbela nasibnya. Mungkin
Murni kini disaluti kemewahan yang maha tidak terperi dan tidak pernah mampu
untuk Mokhtar seisi keluarga bayangkan.
Pun apa
juga keadaan yang dilalui keluarganya, Mokhtar tidak pernah sekalipun merasa
kesal dan tidak redha akan takdir dirinya. Dia yakin pada Tuhan yang esa. Apa
juga kejadian yang berlaku dalam dunia ini ada hikmahnya. Setiap ketentuan
Allah memang ada hikmahnya. Mokhtar akur itu. Akur kerana sebagai orang Islam
dia kena yakin akan qadak dan qadar Tuhan. Dia menjadikan setiap perkara dengan
maksud dan hikmah tersirat di sebaliknya. Malah dalam Al-Quran melalui surah
Shaad sendiri telah berpesan barang sesiapa yang menafikan hikmah di
sebalik kedua-dua kejadian langit dan
bumi, maka orang-orang yang menafikan itu termasuk dalam golongan kafir.
Sesekali jika teringatkan takdir yang berlaku ke atas dirinya, Mokhtar sering
akan mengingatkan dirinya sendiri dengan sebaris ayat Al-Quran dari surah Shaad
yang berbunyi:
Dan kami tidak menciptakan langit dan bumi
dan apa yang ada antara kedua-duanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah
anggapan orang-orang yang kafir. Maka celakalah orang-orang kafir itu kerana
mereka akan masuk neraka.
(Shaad:
Ayat 27)
Mokhtar memang ingat pesanan guru
agama yang memberi kuliah setiap malam di surau berdekatan rumahnya. Mokhtar
bukan cerdik pandai atau ilmuan dalam bidang agama. Tahunya cuma
sekadar-sekadar sahaja. Berbekalkan ilmu yang sekadar-sekadar itulah Mokhtar
mengingatkan dirinya sendiri. Walau susah tara mana sekalipun dia redha dan
akur. Cuma sesekali apabila medan benaknya terimbau akan Murni, dia kembali
menyoal dirinya sendiri, mengapa begitu ketentuan Ilahi terhadap rentak hidup
dia anak-beranak? Dia cuba meneliti dan menaakulkan dengan sewaras-warasnya
akan hikmah di sebalik semua ketentuan tersebut. Santak hari itu Mokhtar belum
menemui jawapannya. Dan dia masih mencari. Masih mencari sebagaimana dia masih
menanti akan kepulangan kembali Murni dalam keluarganya.
“Mariah, mari sini kejap.”
Mokhtar memanggil Mariah suatu malam selesai menikmati hidangan yang ala kadar.
Mariah akur dengan panggilan
bapanya. Dia terus duduk bersimpuh di depan Mokhtar sambil menunggu kata-kata
selanjutnya keluar dari mulut Mokhtar. Azizah juga nampaknya ternanti-nanti
suaminya bersuara walaupun dia sedia maklum akan hal yang ingin dikatakan
suaminya. Bukan ada apa-apa yang penting, Mokhtar cuma mahu mengambil ukuran
kaki Mariah dengan menggunakan tali rafia yang sudah sedia di tangannya. Besok
pagi-pagi selesai menoreh Mokhtar akan ke pekan untuk membeli sepasang kasut sekolah
baru buat Mariah. Dia tidak mahu membawa Mariah bersama. Jika Mariah turut
dibawa bersama, kos tambang pergi balik akan dikira atas dua orang. Untuk
menjimatkan kos, biar Mokhtar bersendirian ke pekan.
Dia yakin Mariah tidak akan
membantah fesyen atau jenis kasut yang dipilih Mokhtar. Selama ini pun anak
isterinya seakan tiada hak untuk memandai-mandai memilih itu-ini.
Segala-galanya di tangan Mokhtar. Sebagai ketua keluarga Mokhtar merasakan dia
mampu untuk membuat keputusan paling baik untuk mereka sekeluarga.
“Mari sini dekat ayah, ayah nak
ambil ukuran kaki Mariah.” Arah Mokhtar sambil menggapaikan tangan kepada
Mariah.
“Nak buat apa ayah?”
“Besok ayah nak ke pekan, nak
beli kasut sekolah baru untuk Mariah. Mariah suka tak?” Azizah mendahului suaminya
memaklumkan kepada Mariah.
Ada riak gembira terpetia pada
wajah Mariah. Seguris senyuman jelas di bibirnya. Begitupun hanya seketika cuma
apabila pandangannya beralih ke arah Muzamil yang melongo dengan seketul kepala
ikan kering goreng di tangannya.
“Untuk adik?” Soal Mariah kepada
ayahnya.
Mokhtar dan Azizah berpandangan
sesama sendiri sebelum pandangan mereka tumpah ke wajah Muzamil yang nampak
seperti tidak tahu apa-apa yang sedang dibincangkan oleh mereka. Muzamil nampak
asyik meratah kepala ikan kering goreng. Kemudian pandangan mereka beralih ke
wajah Mariah yang sedang menunggu jawapan. Mokhtar membiarkan liurnya merentas
rengkung buat seketika. Kepalanya
menghitung-hitung deskripsi paling sesuai untuk dinyatakan kepada Mariah.
“Untuk adik pun ayah akan
belikan, tapi bukan besok. Nanti-nanti apabila wang ayah dah cukup untuk beli
sepasang kasut lagi.” Mokhtar akhirnya memberi jaminan meskipun dia sendiri
tidak pasti dengan jaminan yang diberikan itu.
“Kalau macam tu ayah belikan
untuk adik dulu. Biar Mariah pakai kasut yang lama bila buka sekolah nanti.”
“Kasut Mariah tu dah lama. Mak
dan ayah kasihan tengok Mariah berulang pakai kasut yang sama setiap kali musim
persekolahan dibuka.”
“Tapi Mariah tak sanggup pakai
kasut baru kalau adik masih pakai kasut yang lama. Kasut adik walaupun dibeli
lebih kemudian berbanding Mariah punya, ia juga dah uzur benar.”
Mokhtar dan Azizah sekali lagi
saling berpandangan. Memang mereka tahu keadaan kasut Mariah dan Muzamil lebih
kurang saja. Sungguhpun demikian mereka tidak mampu untuk membeli kasut baru
buat kedua-duanya serentak. Lalu mereka mendahulukan untuk Mariah sebagai
hadiah kecemerlangan tahun lepas. Muzamil nanti dulu. Bukan mereka tidak mahu
belikan untuk Muzamil. Cuma mahu tunggu jika ada rezeki lebih nanti.
“Nanti
ayah belikan untuk adik juga. Mari, biar ayah ambil ukuran kaki Mariah dulu,
kemudian adik pula.” Jamin Mokhtar mendorong Mariah merapati ayahnya.
Duduk
berlunjur di situ sementara si ayah mengambil ukuran tapak kakinya. Selesai
mengambil ukuran kaki Mariah, Muzamil pula bertukar tempat dengan Mariah. Hati
kedua-dua mereka terasa gembira bukan kepalang. Sudah mereka bayangkan, sebaik
memulakan musim persekolahan baru sedikit hari lagi, mereka akan ke sekolah
menggayakan kasut baru putih melepak. Masih bau kedai. Seronoknya!
Sedang,
dalam hati sang ayah, aduh... betapa sukarnya untuk mentafsirkan kemutuan yang
dialami Mokhtar. Kemutuan yang ditanggungnya mendedak-dedak dalam ruang
perutnya. Sungguh. Kalaulah dia mampu dia tidak akan membohongi anak-anaknya.
Berlakon mengambil ukuran kaki Muzamil sedang dia sama sekali sedar keesokan
hari tentunya hanya untuk Mariah saja yang akan dibawa pulang. Dia bukan ingin
membuat janji bohong pada anak-anaknya. Tindakannya sekadar mahu mendiamkan
Mariah. Otak Mokhtar ligat mendudu-dudu memikirkan jawapan yang bakal diberikan
besok sepulangnya dari pasar. Mentak Mariah akan memahami kemudian nanti. Lagi
pula, Mariah sudah besar. Sudah mampu memahami masalah. Mentak juga Muzamil
akan tersinggung dan berkecil hati. Memikirkan segala kementakan yang bakal
terjadi besok, Mokhtar menjadi tidak lugu.
Ditoleh ke wajah Azizah.
Isterinya diam memerhati. Tanpa sebarang vokal. Sirna terpetia dari mata si
isteri merupakan isyarat non-verbal
yang menyatakan sesuatu. Sesuatu yang tentunya difahami oleh batin Mokhtar.
Sebagai pasangan suami isteri yang sudah lama melayari kehidupan bersama,
bahasa-bahasa tanpa vokal seperti itu sudah sedia dimaklumi akal fikiran. Medan
fikir bersedia untuk menaakulkan bila-bila masa segalanya. Biar sesekali ia
agak varian, namun jarang terjadi begitu.
Malamnya,
Mokhtar tidak lugu. Lenanya juga tidak menjadi biar telah seharian berpenat
mencari rezeki untuk menyarasuap mereka anak-beranak. Medan fikirnya masih
mendudu-dudu. Persoalan kasut baru untuk anak-anak menggusurkan benaknya
memikir dan terus memikir santak ayam berkokok menandakan sudah jam satu pagi.
Dalam kegelapan yang maha tepu, seorang ayah yang naif bangun perlahan-lahan.
Menggagau daun pintu dapur dalam kegelapan. Turun ke jemuran dapur. Bertinggung
di lantai jemuran sambil tangan memegang tempayan air. Mencedok isinya
menggunakan gayung tempurung sedia tersangkut di ranting cekur manis tepi
jemuran. Mokhtar berwuduk..
Itulah.
Dalam tiada tempat untuk mengadu nasib, sebenarnya Mokhtar senang melakukan
solat di malam hari. Meski bukan seseorang yang warak dan alim, amalan solat
sunat di malam hari rutin Mokhtar. Hatinya sering tenang walau sekacau mana
benak fikirnya. Betullah pesan Rasul, solat malam hari boleh menenangkan jiwa.
Malah ada yang berpendapat juga, solat sunat dua rakaat satu pertiga malam
melebihi solat sunat seribu rakaat pada masa-masa lain. Mokhtar cuba
mengamalkan apa-apa yang diketahuinya. Lagipun mana lagi tempat untuk Mokhtar
mengadu selain kepada-Nya?
Apabila
taufan galau menerpa medan fikirnya, itulah kebiasaan Mokhtar. Sebagai orang
dewasa, beriman kepada Tuhan yang satu pula, Mokhtar tidak harus terlontar
dibawa taufan galau. Waras. Dia semestinya harus waras. Biar sesekali dia
kemajnunan dan kelihatan medu untuk meloloskan diri dalam taufan galau. Dia
tahu hatinya akan menjadi begitu anarki sekiranya sesuatu hal itu menyentuh
tentang anak-anak. Pun dia cuba menguatkan diri. Demi Tuhan yang menjadikan
tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta seluruh isi alam yang ada di
antara kedua-duanya.
“Ni kasut Mariah...” Mokhtar
menyuakan sepasang kasut baru yang masih berbalut plastik kepada Mariah
keesokannya.
Gadis sunti itu menyambutnya
dengan senyum melebar. Demi Tuhan Mokhtar dan Azizah lapang sekali melihat
senyum itu. Muzamil tiba-tiba melompat ke tangga rumah dengan bertelanjang
bulat dan menerpa ayahnya.
“Adik
punyai yah?” Soal Mariah sebelum sempat Muzamil menyoal ayahnya.
Mokhtar
memandang ke wajah Mariah sebelum pandangannya beralih ke wajah Muzamil yang
melongo dengan wajah ingin tahu dan excited.
Waktu itu alimbubu resah menyelinap dalam jiwa Mokhtar. Bagaimana mahu
menjawabnya?
“Adik,
ayah bukan tak nak belikan adik kasut baru. Tadi ayah ada juga tengok-tengokkan
beberapa pasang kasut kalau kena dengan wang yang ayah ada. Tapi nak, ayah tak
cukup wang untuk belikan adik sama. Nanti-nanti ya.” Mokhtar cuba menerangkan
sebaik mungkin. Mentak anaknya akan faham. Mentak tidak.
Redup
pada mata Muzamil. Lebih meredup lagi pada mata dan wajah Mariah. Mariah
meletakkan bungkusan plastik di tangan perlahan. Memusingkan tubuhnya dan
kembali ke dapur. Niat mahu menyudahkan mengisi air masak yang masih suam ke
dalam botol-botol khusus untuk mengisi air masak.
Mokhtar
dan Azizah faham dengan reaksi Mariah. Muzamil pula kecewa juga. Kakak dapat
kasut baru untuk musim persekolahan baru. Dia tidak. Ada rasa dengki dan rasa
terhiris. Hairan mengapa ayah dan emak lebih mendahulukan kakak berbandingnya.
Kemudian tanpa menunggu lama Muzamil melompat ke tanah. Dengan bertelanjang
bulat dia mengejar ayam-ayam kampung yang sedang mengais tanah mencari makan.
Berkaok-kaok ayam-ayam tersebut dikejar Muzamil. Muzamil sengaja mencipta
anarki sebegitu tanda memprotes. Mokhtar tahu Azizah juga tahu.
Anak-anaknya
tidak berani memprotes secara verbal.
Vokal bagai tiada. Tingkah banyak menunjukkan sesuatu ketidakpuasan yang
menetas dalam diri mereka berdua. Mokhtar bapa yang tegas. Usahkan anak, Azizah
sendiri tidak pernah berani menunjukkan protes secara terang-terangan.
Sementelahan pula selama ini pun setiap tindak-tanduk Mokhtar pada mata Azizah
kena pada tempatnya.
Santak
malam, Mariah dan Muzamil tidak banyak berbunyi. Masing-masing diam. Pada
Mariah, dia terkilan kerana ayahnya tidak menunaikan janji seperti sepatutnya.
Muzamil pula dijentik pilu dan termakan hati. Merasa dirinya tidak begitu
disayangi. Mentak kerana dia sedikit nakal. Perangainya kadang-kala
begitu-begitu mengundang geram mak ayah. Lalu padahnya keperluannya tidak
dihiraukan si ayah. Ayah sambalewa akan kepentingan Muzamil. Begitulah, usai
makan malam pun mereka masih tidak berbunyi apa-apa. Sunyi sepi tanpa verbal.
Malahan,
mereka berdua masuk tidur lebih awal. Tanpa sebarang deskripsi, menyelinap ke
belakang tabir yang memisahkan ruang rehat dan ruang tidur mereka berdua.
Pelbagai hal menyelangkup benak Muzamil dan Mariah. Mariah lebih-lebih lagi.
Apatah apabila Muzamil juga tidak berkata apa-apa kepadanya. Perasaan Mariah
tercobak-cabik. Hancur luluh memikirkan bagaimana mahu ke sekolah nanti. Tidak
sanggup. Dia benar-benar tidak sanggup. Aduhai adik. Maafkan kakak!
“Bang,
budak-budak berdua tu nampak lain benar malam ni,” gumam Azizah sambil
tangannya ligat menjahit kain batik yang sudah bercobak-cabik di sana-sini
disuluh api pelita.
Mokhtar
mendengar sambalewa. Azizah tidak perlu bersuara. Dia sendiri dapat melihat
kondisi dua orang anak-anaknya. Biasanya malam-malam begitu mereka mengelekek
ketawa, bersenda-gurau. Malam itu bungkam. Seakan-akan kedua-duanya memprotes sesuatu.
Memang mereka memprotes sesuatu pun. Mokhtar bukan tidak tahu.
Ya Basit,
permudahkanlah urusanku dalam mencari rezeki buat anak isteri. Hati Mokhtar
bermonolog. Memohon pada Al-Basit – yang maha pemurah. Pada siapa lagi dia
boleh berkata-kata pada saat seperti itu? Mahu mengadu pada Pak Matlob? Minta
dipinjamkan wang buat membeli kasut baru untuk Muzamil juga? Biarlah dulu.
Rasanya belum sampai ke tahap itu. Tambahan pula dalam musim sekarang, sentiasa
cerah memancar tatkala bulan masuk ke sarangnya. Masih ada usaha lain. Selagi
masih ada usaha lain itulah Mokhtar tidak akan mudah ke rumah orang untuk
meminta simpati biarpun dia tahu Pak Matlob bersedia bila-bila masa untuk
membantunya. Suarakan saja bentuk kesusahannya, Pak Matlob sudi menolong.
“Abang
tak kesian adik? Dia macam berkecil hati dengan kita.”
Pun
Mokhtar belum ada nafsu untuk berbunyi sama. Dia menghidupkan api rokok daunnya
dan menyedutnya dalam-dalam. Dia sebenarnya bengik menghadapi situasi seumpama
itu. Atmosferanya tidak berubah-ubah sejak dulu. Ruang lingkupnya masih sebagai
seseorang yang hidup ala kadar. Senang tidak pernah merasa. Jauh sekali untuk
hidup mewah.
Dalam terkebil-kebil itu dia terkenangkan Murni.
Sekolah bakal dibuka kembali beberapa hari saja lagi. Dia yakin
seyakin-yakinnya, segala keperluan Murni sudah tersedia lama. Murni dibela
orang senang. Orang mewah yang hidup di bandar. Menyediakan sehelai dua pakaian
sekolah baru buat Murni, disertakan dengan kasut sekolah mahal putih melepak,
fesyen terkini bukanlah suatu masalah. Mengenang itu, terlintas rasa syukur
kerana menyerahkan Murni kepada orang yang lebih berkemampuan menyediakan
keperluan buat anaknya.
Jika tidak mentak malam itu, bukan dua orang
anaknya akan memprotes sebaliknya tiga orang. Mokhtar menelan ludah. Perkara
yang diatur-rancang Tuhan selalunya ada hikmah di sebaliknya. Jangan cecuba
untuk menafikan. Menafikan ketentuan Ilahi sama juga tidak percaya dengan qadar
dan qadaknya. Itu salah hukumnya. Mokhtar memicingkan matanya buat sesaat. Kembali
celik. Dia masih di rumah buruknya. Hakikat! Itulah hakikatnya.
Azizah
berhenti menjahit. Cuba menghala pandang ke wajah suami tercinta. Suami yang
dikahwini dan mengahwininya atas dasar cinta sama cinta. Pun dia tidak pernah
menyesal mencintai dan dicintai lelaki itu. Biar sesusah mana sekalipun
kehidupan di sisi Mokhtar, dia redha. Baginya Mokhtar makan, makanlah juga dia.
Mokhtar berlapar, dia pun berlapar. Malah ada masanya dia lebih rela berlapar
dan meneguk liur semata-mata demi melihat perut Mokhtar terisi. Hati seorang
isteri. Bila-bila masa pun dia tidak pernah sanggup untuk melihat Mokhtar lebih
azab berbandingnya.
Bang, apa
yang ada dalam benakmu sekarang?
Azizah memang gagal untuk membaca
dan menebak akal fikir Mokhtar saat itu. Cahaya pelita di depannya gagal untuk
membiaskan riak pada wajah Mokhtar. Namun Azizah tahu, Mokhtar menanggung
bebanan fikiran yang maha sarat. Bahasa badannya menterjemahkan segala-galanya.
Ada keluhan di hujung nafasnya. Ada dengusan di situ.
Lelaki ini.
Lelaki inilah yang pertama sekali menghulurkan cinta untukku. Dia ikhlas dengan
perasaannya. Tidak pernah membuat luka sepanjang aku menjadi isterinya. Meski
tidak romantik, itu tidak mengapa. Pentingnya dia cukup tahu akan
tanggungjawabnya. Lelaki ini. Aku sampai bila-bilapun akan sayangkan lelaki
ini. Sungguh. Sampai bila-bilapun.
“Abang,
kita masuk tidur...” ajak Azizah.
Mokhtar
menoleh sekilas ke arahnya. Kemudian pandangan jatuh ke atas kain yang sudah
siap dijahit. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian tangan ligat menenyeh
puntung rokok yang tinggal separuh ke bucu dinding. Mematikan apinya. Bangun
membetul-betulkan kilasan kain pelekat tua. Diri belum timbul nafsu untuk
bersuara. Namun tindakan sekaliannya menunjukkan kepada Azizah bahawa Mokhtar
bersedia untuk masuk tidur bersamanya.
Mariah
dan Muzamil nampaknya sudah hanyut jauh dalam mimpi mereka. Mulut masing-masing
kebanjiran oleh liur yang meleleh di bawah sedar. Muzamil mungkin penat
seharian melastik burung siang tadi. Malah makan malam mereka tadipun
berlaukkan beberapa ekor burung pipit, merbah dan punai hasil tangan Muzamil.
Selera seisi keluarga memang berbangkit menikmati lauk-pauk sekadar-sekadar
seperti itu.
Murni.
Apa agaknya santapan Murni detik mereka sekeluarga menikmati beburung tadi?
Mokhtar memicingkan matanya. Dia cuba membayangkan makanan dan lauk-pauk orang
kota. Orang kota yang mewah dan serba-serbinya lain daripada orang kampung.
Aduh!
Terkesan pilu di situ. Andai Murni kembali ke pangkuan mereka sekeluarga,
dapatkan Murni membiasakan diri hidup cara kampung dan menikmati makanan ala
tradisi yang sekadar-sekadar saja? Tidakkah itu zalim andainya Mokhtar mahu
mengambil Murni kembali dan mengheret Murni hidup dalam kemelut sedemikian?
Sedang selama usianya, Murni sudah biasa mewah. Bukankah suatu kepayahan untuk
Murni menyesuaikan diri? Seusianya dia menghabiskan masa melalui corak hidup
kebandaran.
Murni
lagi. Memang ingatan tidak pernah mahu melupakan Murni. Mokhtar tidak lupa akan
hakikat yang dia masih mempunyai seorang
anak lagi selain Muzamil dan Mariah. Murni!
Mokhtar
cuba untuk melenakan diri. Dia tidak mahu persoalan demi persoalan yang
berbangkit dalam jiwanya akan membuatkan kemutuan menyerang lagi. Sudahnya dia
juga yang tidak menemui damai. Memikirkan dan terus memikirkan. Dia mahu tidur
dan mengumpul tenaga untuk melakukan banyak kerja esok. Kalau boleh, dia ingin
ke hutan mencari rotan dan damar untuk dijual ke pekan. Dia perlu celika untuk
memastikan hasrat membeli kasut baru buat Muzamil tertunai. Dia akan dihantui
rasa bersalah selagi belum mendapatkan sepasang kasut baru buat Muzamil.
Lagi
cepat dia boleh mengumpul modal bermakna dia boleh mengakselerasikan atau dalam
bahasa lebih mudah dia boleh menyegerakan pembelian kasut baru untuk Muzamil.
Itu tekad Mokhtar sekarang. Dia mahu mengembalikan gurisan senyuman pada wajah
anak-anak yang nampak terbantut ekoran peristiwa siang tadi. Hatinya terasa
lowong melihat anak-anaknya berwajah cemberut. Dia tidak betah meladeni situasi
sedemikian. Biarpun rajuk merupakan sikap domestik anak-anak. Bagi Mokhtar dia
tidak senang selagi anak-anak menyimpan rajuk sedemikian.
Wibawa
seorang ayah sepertinya terketik.
Lalu apa
salahnya dia mengiatusahakan lagi aktiviti-aktiviti mencari duit ringgit untuk
menyediakan keperluan buat anak-anak. Dia tekad, sehabis menoreh pagi besok dia
akan ke hutan. Sebelum itu dia mungkin boleh menahan lukah di anak air yang
terdapat di pertengahan jalan ke hutan. Sekurang-kurangnya jika terperangkap
seekor dua ikan-ikan sungai, boleh juga dijual bersama hasil hutan yang
dipungutnya. Buat menimbal modal membeli kasut buat Muzamil.

No comments:
Post a Comment