Tatkala kalam berkata-kata di situ lahirnya cinta... di situ lahirnya kasih Demi-Mu Ya Rabb, berkatilah seluruh mawaddah yang terluah Menerusi tinta kalam hamba-Mu ini.Amin
Sunday, 1 March 2015
REVIEW ALASAN UNTUK BAHAGIA
Untuk menghadamkan ALASAN UNTUK BAHAGIA garapan ilham AMER MUKHLIS bukan mudah bagi ambo...manakan tidak, perilaku Natasya, Raymond dan Khaleef cukup menjengkelkan sekali. Kehidupan hubungan luar nikah mereka menggambarkan betapa bobroknya masyarakat kita sekarang sehingga kehidupan tanpa ikatan sah begitu dipandang normal.. Ya, ini hanyalah karya kreatif..namun inilah kondisi sebenar masyarakat kita sekarang ini. Pasangan kekasih yang hidup tanpa nilai agama, membelakangkan keluarga bukanlah asing lagi dalam masyarakat kita. Mujurlah watak ibubapa dan keluarga dalam novel ini masih menolak kehidupan seperti ini. Paling tidak ini menjadi significant bahawa penulis menolak kehidupan ini dan perkara ini disampaikan melalui watak-watak yang ada di sekeliling watak Natasya, Raymond dan Khaleef.
Dengan menghadirkan Mya Elyna sebagai wanita yang terlalu tinggi peribadinya, menunjukkan bahawa dalam keadaan muda-mudi yang semakin rosak akhlak, kita tetap boleh jumpa seseorang yang tahu menjaga nilai diri dan agamanya.
Dalam pada itu, ambo suka novel ini apabila menyentuh tentang Ryan yang diberi perasaan mencintai Mya secara diam. Benarlah, ia bukan kebetulan sahaja kerana watak yang menyimpan perasaan terhadap inilah yang akhirnya membantu Mya apabila ditimpa musibah.
Perjalanan masa yang singkat dalam novel ini juga perlu ambo berikan pujian kerana, sebagai penulis, ambo sendiri sentiasa gagal untuk menghasilkan karya setebal ini hanya dalam tempoh masa yang singkat. Walaupun kejadian dalam novel ini berlaku dalam masa yang singkat tiada babak yang meleret-leret sehingga bisa merencatkan bacaan kita.
Dalam hal ilmu bantu, karya ini juga boleh dikatakan sarat dengan beberapa ilmu tentang penyakit jantung berlubang dan masalah-masalah yang bersangkutan dengan penyakit ini. Malahan ambo kira Amer Mukhlis telah menjalankan kajian terlebih dahulu sehingga meletakkan watak Mya mampu mengekalkan kandungannya walaupun dalam keadaan dia koma dalam tempoh jangka masa yang lama. Jika ambo guna akal sendiri, ambo menyifatkan tentulah mustahil untuk bayi membesar dalam kandungan seorang ibu yang sedang koma. Namun ambo percaya, Amer Mukhlis telah melakukan kajian sewajarnya tentang hal ini.
Sedih...itu juga perasaan sepanjang ambo menekuni kisah ini. Sehinggakan, ada ketika ambo meletakkan novel ini ketepi kerana tidak sanggup merasai penderitaan Mya hidup di samping Khaleef. Amat menyakitkan sekali. Segala-galanya amat menyakitkan jika kita bayang kita berada di tempat Mya.
Secara keseluruhan, novel ini menarik untuk dihadamkan. Tema ceritanya ringan berbanding naskah karya Amer Mukhlis yang pernah ambo baca sebelum ini. Bermakna penulisnya bijak mempelbagaikan tema dalam naskah beliau.
Tahniah Amer Mukhlis dan October Love selaku penerbit ALASAN UNTUK BAHAGIA.
Teruskan menulis Amer Mukhlis dan jangan mudah putus asa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment