BAB LIMA BELAS
Sufi hairan
sejak akhir-akhir itu, jika dia menelefon ke rumah pada siang hari, biar pun
pada pukul sebelas tengahari, pasti ibunya yang menjawab telefon. Tidak ke
pasar meniagakah ibunya? Sufi dapat merasakan ada sesuatu yang pelik di situ.
Tambahan pula mimpi-mimpi pelik dan menyedihkan kembali menemani lenanya. Sufi
rasa tidak lugu dan terlalu bimbang. Kenapa dengan ibu sebenarnya?
Selama ini ibu Sufi jarang tidak ke
pasar. Itu paling penting dalam hidupnya. Kalau sehari tidak berpenat di pasar
ibunya akan kelesuan. Hampir demam. Tidak boleh berehat walau sehari. Jika tiba
musim perayaan hanya hari raya pertama ibu di rumah. Pada hari raya kedua dia
sudah bersiap-siap untuk keluar meniaga pada pagi-pagi lagi. Kini senang-senang
pula ibu tidak ke pasar dengan tanpa alasan. Apa kena dengan ibu?
Dalam pada itu, Sufi jenis bukan
percaya kepada mimpi. Memang dia tidak
percaya. Cuma dia rasa pelik dan tidak sedap hati benar jika mimpi-mimpi yang
dialaminya menjurus ke arah sesuatu yang buruk. Juga sesuatu yang pelik yang
acap kali membuatkan dia terjaga malam dalam keadaan dada cukup bergemuruh.
Setiap kali dia merasakan ada sesuatu yang buruk berlaku kepada keluarganya,
dia akan menelefon dan bertanya khabar. Begitupun jawapan yang diberikan,
semuanya berada dalam keadaan baik.
Sufi tidak mahu menceritakan rasa
hatinya. Juga tidak mahu menceritakan tentang mimpi-mimpi peliknya. Mimpi
tentang ibu meninggal dunia, mimpi pasal adik lelakinya yang bernama Sauki menggantungkan diri di tali sehingga
hampir-hampir meninggal dunia. Lagi mimpi tentang Alif, anak sulung Maria diculik orang. Semuanya membuatkan Sufi
terfikir-fikir sendiri. Mengapa mesti mimpi begitu yang bermain semasa tidurnya?
Siapa seronok bermimpi perkara seperti itu? Siapa yang tidak akan
memikirkannya? Rasanya semua orang akan memikirkannya.
“Ibu, kenapa ibu selalu ada kat
rumah siang hari sejak akhir-akhir ini?” Soal Sufi semasa membuat panggilan ke
rumah.
“Ibu saja nak ambil rehat Pi. Ada
masanya ibu pulang awal. Lagipun Maria sekarang nampaknya sudah boleh uruskan
seorang diri.” Ibu bersuara lembut. Lega Sufi mendengarnya.
“Dia dah tak buat perangai?”
“Tak. Harap-harapnya dia akan
berubah dan mula memikirkan tentang keburukan daripada sikapnya yang
lepas-lepas.”
Sufi diam. Dia sebenarnya tidak
yakin dengan kata-kata ibu. Bagaimanapun itu harapan seorang ibu. Bagaimana
buruk sekalipun anaknya, seseorang ibu akan tetap mengasihi waima pernah atau
tidak melukakan hatinya. Itu tidak menjadi soal bagi seseorang ibu. Apatah lagi
bagi ibu yang selembut hati ibunya. Ibu, Sufi sayang sangat pada ibu.
“Ibu, Sufi telefon ni sebab Sufi nak
minta restu. Minta ibu tolong doakan Sufi. Besok Sufi akan mula periksa. Ini
peperiksaan akhir bu. Kalau result ni
okey, ia akan mengubah result Sufi
sebelum ini,” beritahu Sufi akan tujuan
sebenar dia membuat panggilan.
“Ibu memang sentiasa doakan kejayaan
Sufi. Bukan setakat hari ini, malah tiap-tiap malam ibu doakan Sufi dan
anak-anak ibu yang lain.”
Sufi terharu mendengarnya. Biarpun
itu bukan kali pertama ibu menuturkannya, Sufi tetap merasakan getarannya. Dan
Sufi pula, itu juga bukan kali pertama meminta restu daripada ibunya setiap
kali mahu mengambil sebarang peperiksaan. Meski ujian paling kecil sekalipun
Sufi akan memaklumkan kepada ibunya.
Itulah untungnya mempunyai seorang
ibu. Lagi beruntung jika mempunyai ayah juga. Tapi Sufi tidak bernasib sebaik
itu. Dia terpaksa redha dengan kepemergian arwah ayahnya. Bagaimana nasibnya
jika ibu juga menurut jejak arwah ayah? Pada siapa akan dia minta restu untuk
berbuat sesuatu nanti? Ia suatu kerugian jika tidak mempunyai seorang ibu untuk
mendoakan kita. Tiada doa yang paling berkat dan rahmat. Itulah penting
ibubapa.
“Ibu, Sufi minta maaf kalau pernah
menyinggung hati ibu ya.”
“Kenapa Pi cakap macam ni?” Soal
ibu, nadanya mulai kedengaran sebak. Versi biasa ibu setiap kali anak-anak
meminta maaf daripadanya.
“Tak ada apa. Cuma Sufi rasa banyak
buat silap dengan ibu. Sufi merajuk, memberontak. Dengki sebab ibu lebihkan Kak
Izan..”
“Pi, ibu tak pernah melebihkan
mana-mana anak ibu.”
Ibu memang tidak pernah mahu
mengaku. Bukan ibu Sufi seorang. Mana-mana ibu sekalipun. Biarlah. Ibu memang
ada hak.
Sufi menamatkan perbualan dengan
ibunya sebaik syilingnya habis. Ibu, Sufi sayangkan ibu. Bergema kenyataan itu
di dalam dadanya. Bersiponggang dan lama-lama menjalar masuk ke dalam pembuluh
darahnya. Kembali ke dada dan menekan-nekan di situ sehingga Sufi terasa sesak
nafas dan kesebakan. Ada air mata bertakung di kolam matanya.
Ibu tidak tahu gelisah yang
dirasakannya ketika itu.
Malamnya Sufi bermimpi lagi. Semua
gigi-giginya tanggal satu demi satu menyebabkan Sufi sedih dan malu untuk
berdepan dengan khalayak. Dalam keadaan menyesali ketanggalan gigi-giginya itu
Sufi terjaga. Meraba-raba giginya. Masih ada. Dia jadi berdebar-debar. Dia
memandang jam loceng bergambar Mickey Mouse yang dibeli oleh Abang Zali
untuknya di kepala tidur. Hampir subuh. Sufi menelan ludahnya. Meraba-raba
giginya dengan penuh rasa syukur sekali lagi. Mimpi itu mainan tidur Sufi!
Besok
kertas terakhir bagi Sufi. Dia keluar ke Sri Serdang untuk membeli makan
malamnya dengan Ina dan juga dua orang kawan lain. Sementara menunggu
pesanannya dimasak, Sufi mendapatkan telefon awam untuk menghubungi Hardi.
Sekadar untuk bertanya khabar. Dua tiga minggu lepas Hardi mengalami kemalangan
kecil apabila motosikalnya terbabas. Seminggu juga dia dirawat di wad. Mungkin
malam itu keadaan Hardi sudah agak baik kerana ia hanya kemalangan kecil
sahaja.
“Die apa khabar?” Tanya Sufi
memulakan perbualannya.
“Macam nilah. Masih terlantar di
atas tilam. Kaki pun masih tempang.”
“Tempang, tempang. Selalu cakap
macam tu. Karang tempang betul-betul baru tau.” Marah Sufi. Sejak kemalangan
hari itu, memang itulah yang Hardi beritahu padanya.
Malah pada hari dia mula-mula tahu
pasal kemalangan itu, dia telah menelefon Hardi. Ada kah patut Hardi suruh Sufi
melupakannya? Katanya dia sekarang sudah tempang. Padahal bukan Sufi tidak
tahu. Kawan serumahnya cakap Hardi cuma cedera ringan. Hardi sengaja mahu
menguji rasa ambil ambil berat Sufi sahaja. Hardi memang melampau.
“Kalau betul-betul tempang Pi masih
sayangkan Die tak?”
Ini malas nak jawab ni. Gerutu hati
kecil Sufi. Padahal sejak Danish meminta Sufi memberinya masa untuk dia
fikirkan tentang hubungan mereka, Sufi sudah bertekad untuk melupakan terus
Danish dan menerima Hardi seadanya. Kerana baginya jika dia berada di tempat
paling istimewa di hati Danish, prajaka itu tidak perlu berfikir panjang untuk
mengatakan’ya’. Kalau masih perlukan masa seperti itu, bermakna Danish masih
tidak pasti.
“Die tak kenal Sufi lagi. Die tak
tahu Sufi jenis macam mana, kalau dah Sufi katakan sekali, Sufi tak akan
berpaling lagi. Sufi bukan jenis suka melukakan hati orang.”
“Tapi Pi jangan terlalu mengharap.
Kita dua jauh bezanya.”
“Tak payah nak ungkit pasal tu. Pi
telefon ni nak minta doakan Pi sukses exam
besok. Last paper ni.”
“Sebagai kawan, Die memang sentiasa
doakan Pi.”
Tiba di diksi ‘kawan’ Sufi menjadi
sedikit cuak. “Kawan?” Memang Sufi perlu menyoal begitu. Untuk kepastian.
“Ya kawan. Selama ini kan kita
kawan.”
“Selama ini kita cuma kawan saja?”
Sufi sudah tidak sabar.
“Bukankah selama ini Die dah cakap, jangan
terlalu mengharap.”
Sufi rasa mahu pengsan saat itu
juga. Dia bermimpi atau apa sebenarnya sedang berlaku ketika itu? Kenapa Hardi
boleh cakap begitu? Hardi memang sudah gila. Atau kewarasannya hilang semasa
kemalangan hari itu? Sufi memang tidak puas hati diperlakukan
sewenang-wenangnya oleh Hardi. Baru saja dia bercakap soal sayang, tiba-tiba
dia katakan kepada Sufi mereka cuma kawan. Kalau cuma kawan, kenapa mahu
bercakap soal sayang sekejap tadi?
Hardi lebih teruk daripada Danish.
Sampainya hati Hardi mempermain-mainkan perasaan Sufi seperti itu. Dia baru
memutuskan untuk menyayangi Hardi sepenuh hati setelah tekad melupakan Danish.
Kenapa hanya selepas dia memutuskan demikian baru Hardi mahu menyatakan perkara
itu? Mengalir air mata Sufi.
“Sampai hati Die.” Sufi memang gagal
untuk mengawal suara sebaknya. Dia memang sudah menangis pun.
“Maafkan Die, tapi kita memang tak
boleh bersama. Keluarga Pi tentu tak mahu terima Die.”
“Jangan babitkan keluarga saya. Die
tak tahu pun perangai ahli keluarga saya.”
“Pi, tolong maafkan Die.”
Sufi memutuskan talian. Baru kali
itu dia merasakan luka yang maha hebat. Anehnya perasaan ini, kala Danish
menyatakan ketidaksudiannya untuk serius dengan Sufi berkali-kali, Sufi
langsung tidak merasa luka. Dengan Hardi, dengan sekali itu mengatakan mereka
hanya kawan, Sufi sudah menangis semahu-mahunya tanpa dapat dikawal lagi. Siapa
sebenarnya yang Sufi sayangi sepenuh hati?
“Ni kenapa Pi? Kenapa menangis ni?
Mesti Danish punya pasal ni...” Ina yang datang membawa makanan yang sudah siap
berbungkus kehairanan melihat Sufi meletakkan gagang telefon sambil menangis
seperti itu.
“Memang pasal Danish.” Bohong Sufi.
Malu menerangkan perkara sebenar.
Nampak sangat dia tolol kerana
menerima lelaki seperti Hardi dalam hidupnya. Danish tidak pernah membuat luka
seperti itu terhadapnya. Tiba-tiba Hardi yang dianggap sungguh bertanggungjawab
selama ini membuatkan lebih daripada luka di hatinya. Dia sedih
sungguh-sungguh.
Semuanya seperti tiba-tiba sahaja.
Seperti baru semalam Hardi mengucapkan sayangkannya. Tiba-tiba malam itu Hardi
telah memutuskan hubungan mereka hanya dengan diksi ‘kawan’. Dugaan apakah ini?
Adakah ini balasan kerana dia tidak pernah membalas perasaan kasih
lelaki-lelaki yang pernah menawarkan cinta terhadapnya hingga dia diuji
sebegitu? Diuji sebegitu biar dia juga mengalami rasa sedih dan luka yang maha
dahsyat apabila perasaan sayangnya tidak dibalas sepenuhnya.
Tapi mengapa dia harus sesedih itu
dengan perbuatan Hardi yang dia sendiri tidak yakin akan kasihnya terhadap
lelaki itu? Mengapa dia menjadi sesedih itu?
Pun kesedihan Sufi tidak menyebabkan
dia tidak dapat menumpukan perhatian kepada kertas peperiksaan terakhirnya. Dia
menjawab dengan penuh yakin seperti perkara malam tadi langsung tidak
mengganggu-gugat benaknya. Sehabis peperiksaan dia pulang ke bilik. Mengemas barang-barang yang masih ada separuh
untuk dibawa pulang.
Sebenarnya, hampir kebanyakan
barang-barang Sufi sudah dihantar ke rumah Abang Zali. Tinggal lagi beberapa
helai pakaian dan buku-buku rujukan bagi kertas peperiksaan paling akhirnya.
“Pi, borang nak buat master bila Pi nak submit?” Soal Ana semasa Sufi mengemaskan beberapa buah bukunya
yang masih tertinggal.
Ana pula ketika itu sedang memegang
borang untuk menyambung ke peringkat sarjana. Sepatutnya mereka harus
menghantarnya ke bahagian pengajian lepasan siswazah beberapa minggu lalu sekiranya ingin menyambung dalam
bahagian C.
“Orang ingat nak sambung dalam
bahagian B. Sebab itu orang tak mahu submit
lagi. Nak cari bahan untuk buat proposal.
Kalau nak sambung dalam bahagian B tak terikat dengan kelas saban minggu.
Sesekali saja sebab ia lebih kepada buat tesis.”
“Masalahnya apa tajuk yang Pi nak buat?”
“Itu yang tak pasti lagi. Mungkin
berkaitan Perundangan Islam. Boleh minta Tuan Haji Rahim jadi supervisor sekali lagi. Orang senang
berada di bawahnya. Hari tu pun orang dah cakap, dia nampaknya boleh saja.”
“Pi dah ada juga rancangan dalam
kepala tu. Orang ni, nak sambung dengan tak mahu sama banyak.”
“Ana nak buat apa kalau tak sambung
belajar? Zaman sekarang ni bukan senang nak dapat kerja, habis belajar ni belum
tentu kita dapat kerja tau. Dr. Sam cakap hari tu, dengan iklim ekonomi
sekarang kalau nak selamat jangan keluar dari U.”
“Susah sangat kahwin saja.” Ana
tanpa perasaan.
“Barangkali kahwin bukan puncak
kepada kebahagiaan.” Sufi meminjam kata-kata salah satu watak dalam maha novel
Hizairi Othman.
Lagipun Ana senang bercakap. Dia
sudah ada Azhar sedia menunggu. Sufi? Jika dia tidak ditinggalkan Hardi
sekalipun, kahwin bukan jalan terbaik untuk lari daripada masalah bakal menjadi
penganggur setamat belajar nanti. Sejak dulu dia menyimpan keinginan untuk
menyambung pelajarannya. Disebabkan itulah dia sentiasa memastikan keputusan
peperiksaannya setiap semester sentiasa berada di tahap yang memungkinkan dia
menyambung kembali pelajarannya. Resultnya
maintain second class upper. Itu
antara syarat yang perlu dipatuhi.
Kewujudan Hardi dalam hidupnya
sedikit masa dahulu juga tidak menghakis keinginannya untuk menyambung
pelajaran hingga ke peringkat tertinggi. Sufi sentiasa menyimpan keinginan itu.
“Kalau kau nak sambung belajar
hingga ke Ph. D, pendek kata, lama
lagi aku kena tunggu kau.” Itu suara Danish. Bergema lagi dalam ingatannya.
“Kena tunggu untuk apa pulak?”
“Kena tunggu untuk kahwin dengan
kaulah.”
“Eh, tolong sikit. Aku tak terfikir
pun untuk kahwin dengan kau. Malah dengan sesiapa pun aku tak terfikir. Banyak
lagi perkara aku nak capai dalam hidup ni.”
“Habis aku kau nak campak ke mana?”
Sufi jadi sebak. Itu jenaka mereka
semasa masih berkawan baik hari itu. Sentiasa ada ketawa yang menghiasi
hubungan mereka.
“Pi, masa prosa hari tu, Pi jawab
soalan mana?” Soalan Ana mematikan layar ingatan.
“Novel Imam, Abdullah Hussin.”
“Orang pun jawab yang tu juga. Agak
senang nak hurai. Kalau novel Srengenge,
pening juga.” Ana bersuara sambil membelek-belek buku di tangannya tanpa
tujuan.
“E, Pi Mana Sikana ni apa maksud sebenarnya
ya? Rasa orang macam pernah dengar nama ni kat mana-mana,” kata Ana sebaik
matanya membaca nama salah seorang penulis terkenal tanah air. Dia tiada
apa-apa tujuan bertanyakan demikian, semata-mata mahu menambah pengetahuan
sambil lalu.
Sufi
memandang sekilas kepadanya. Kemudian bangun menghampiri katil dan mengambil
tuala muka bermotifkan seekor katak hijau sedang termenung panjang.
“Ana yang
rajin baca Quran, sepatutnya Ana lebih tahu.”
Kening Ana
terjongkit mendengar kata-kata Sufi. Apa kaitan pula nama ‘Mana Sikana’ dengan
rajin membaca al-Quran? Melihat wajah Ana sedikit kehairanan, Sufi tersengih
gelihati.
“Orang pun
tak tahu kenapa penulis tu pakai nama macam tu. Tapi nama ‘Mana Sikana’ tu ada
disebut dalam surah al-Baqarah ayat 128. Ana tak perasan masa Ana baca
Al-Quran?”
Soalan Sufi
membuatkan Ana termalu. Dia rajin membaca Al-Quran sehabis masa solatnya. Sufi?
Setahun tak sekali Ana tengok menyentuh kalamullah itu. Rajin jugalah Ana
menyindir-nyindir Sufi yang ‘agak’ malas membaca Al-Quran. Suruh pergi majlis
bacaan Yasiin setiap malam Jumaat pun liat. Hairannya, Sufi siap tahu pula
dalam surah mana dan ayat ke berapa. Sebenarnya Sufi ada masanya bukan boleh
dibawa main. Cakapnya memang boleh pakai dan dia nampak ‘agak’ tahu berkaitan
hukum-hakam. Atau Ana tidak nampak Sufi membaca Al-Quran sepertinya kerana Sufi
hafal sebuah Quran? Hanya baca
perlahan-lahan tanpa merujuk kitab suci itu? Kalau begitu Ana memang respect dengan Sufi. Patutpun dia berani
berhujah dengan golongan ‘yang tandus haluan perjuangan.’
Itu Ana
selalu cakap, kepala otak Sufi ni ada masanya ‘biol’ ada masanya jangan nak
pandang enteng. Sufi kelihatan seperti seseorang yang mengalami kecelaruan
tingkah laku. Pada awal kenal Sufi dahulu Ana terkejut juga dengannya. Di bilik
dia senang mengenakan seluar pendek. Sekadar tutup aurat sesama perempuan. Tapi
sebaik keluar dari bilik atau keluar ke tempat awam, yang khalayaknya bercampur
jantina, Sufi nampak alim benar dengan tudung labuh hingga ke punggung.
Lagi satu,
awal-awal kenal Sufi dulu, dia minat benar dengan kumpulan Nirvana dan Cromok.
Hafal setiap lagu mereka. Jika Nirvana, Ana selalu dengar Sufi nyanyikan lagu The Man Who Sold The World. Cuma sejak
akhir-akhir ini Sufi kelihatan sudah buang semua cd-cd kumpulan berkenaan.
Kumpulan nasyid lagilah Sufi tidak berminat. Tambahan kumpulan nasyid yang
menggelarkan mereka membawa lagu nasyid bergenre contemporary. Sufi memang tidak boleh menerima nasyid jenis itu.
Alasannya? Ana memang tidak tahu.
Hampir tiga
tahun meluangkan masa bersama Sufi, Ana memang dapat melihat perubahan Sufi .
Sedikit demi sedikit dia mengubah dirinya. Biarpun Ana senang dengannya,
kadang-kadang terasa juga hatinya dengan sikap dan percakapan Sufi yang agak
sinikal. Terutama jika Ana keluar dengan lelaki hingga lewat malam. Sufi memang
akan menyindirnya. Ketika itu, tahan sajalah telinga. Sungguhpun demikian, Ana
tahu, Sufi jenis yang lembut hati. Sufi pada sudut pandangan Ana, seseorang
yang akan mendahulukan orang lain berbanding dirinya sendiri. Satu yang Ana
belajar daripada Sufi, jadilah diri sendiri dan jangan jadi bayang orang lain.
Memang Sufi
pantang itu. Dia pantang kalau ada orang mahu meniru-niru gelagat dan minatnya.
Sebab itulah juga Sufi menampilkan dirinya dalam bentuk mutlak peel dan tingkah
lakunya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Dia mempunyai ketrampilannya yang
tersendiri. Id, ego mahupun superego yang
ada dalam dirinya dan ditonjolkan kepada khalayak adalah jelmaan fikirannya
sendiri. Ana malas menghuraikan tentang apa itu id, ego mahupun superego yang ada dalam diri Sufi, jika
dia sudah menghuraikan semuanya akan jadi kuliah Psikologi, paling tidak kuliah
Pendidikan Moral. Dia bukan mahu mengambil alih tempat Prof. Abdul Rahman.
Hi!Hi!Hi! Lagipun Ana bukan tahu banyak pasal perkara begitu meskipun pernah
menyentuhnya semasa mengambil kursus Pendidikan Moral dulu.
Lagi satu perubahan yang berlaku
pada diri Sufi, dulu dia tegar untuk tidak menerima mana-mana lelaki, sekarang
nampaknya sudah lain sedikit. Dia juga
sudah kenal istilah kecewa dan tahu bagaimana untuk merindui seseorang. Sudah
pandai termenung mengenangkan lelaki. Sedangkan dahulu, kalau dia termenung
maksudnya dia sedang berfikir. Pasal tugasan atau apa-apa sahaja yang boleh
mendatangkan ‘keuntungan’ kepadanya. Bukan semata-mata menurut perasaan sahaja.
Juga sudah pandai meluahkan perasaannya kepada lelaki. Sufi mungkin tidak
menyedari perubahannya. Namun Ana dapat rasakan, Sufi sudah berubah sedikit.
Cuma Ana tidak pasti siapa di antara
dua prajaka yang mempengaruhi Sufi sehingga berlaku impak yang begitu ketara pada
dirinya. Waima Danish mahupun Hardi. Apa yang Ana nampak, selama ini kehidupan
Sufi banyak dipengaruhi oleh Danish. Sufi boleh ketawa dan menangis dalam masa
yang sama kerana Danish. Sayangnya, hingga ke hari itu, santak saat itu tidak
kedengaran Sufi mengumumkan percintaannya secara rasmi dengan Danish.
Sepatutnya mereka harus bersama. Itu
pendapat Ana. Mereka nampak sesuai bersama daripada pemerhatian Ana meskipun
hanya melihat kawannya berhubungan melalui telefon. Sufi nampak agak ‘manja’
dengan Danish. Dari mana wujudnya Hardi sehingga merosakkan hubungan Sufi
dengan Danish? Ana turut merasa kesal dengan kehadiran Hardi. Meskipun selama
ini memang dia agak cemburu melihat Sufi bersama dengan Danish, biarpun hanya
berhubungan melalui telefon, namun jauh di sudut hati Ana ingin lihat hubungan
itu berkesudahan dengan kegembiraan. Bukan dengan suatu ketidakpastian seperti
itu. Kata orang, kalau baca novel biar puas hati dengan kesudahan ceritanya.
Ana menganggap, mengikuti kisah cinta Sufi dan Danish sama sahaja dengan
mengamati sebuah novel cinta.
Daripada awal Ana mengenali Sufi,
dia hanya didedahkan dengan nama Danish. Jika muncul nama-nama lain seperti
Syafizan, Izzuddin ataupun Hardi mereka hanya muncul sepintas lalu dan Ana
dapat rasakan itu hanya sebagai penambah konflik dalam diri Sufi dan bukan tema
hidupnya. Bagi Ana, apa juga liku yang Sufi harungi, siapa juga yang akan Sufi
depani, lambat laun dia akan bersama Danish juga suatu hari nanti. Terlalu
banyak yang telah Sufi lalui bersama Danish. Meskipun hanya berhubung melalui
telefon, mereka tetap punyai keserasian berdua. Ana berdoa Sufi akan menemui
cintanya yang sejati. Jika boleh, biarlah dengan Danish. Sebagai kawan, Ana
mahu melihat Sufi bahagia dan dia yakin hanya Danish yang mampu memberikan
kebahagiaan kepada Sufi!
BAB ENAM BELAS
Sufi tiba
di kampung setelah dua hari melengahkan masa pulangnya ke kampung. Orang
pertama yang ingin Sufi jumpa tentu ibunya. Hatinya memang berdebar-debar untuk
tiba di rumah. Disebabkan itulah, sebaik tiba di rumahnya Sufi terus menerpa
mendapatkan ibunya. Mengucup tangan ibu dan memberikan sebuah senyuman penuh
kasih sayang. Bagaimana pun... memang ada bagaimana pun di sini. Bagaimana pun
Sufi kehairanan melihat tubuh ibunya kurus dan tidak bermaya.
“Kenapa ibu nampak lain?” Sufi
mengerutkan keningnya.
Ibu tersenyum. “Ibu cuma demam
sikit.”
“Dah lama ibu demam?” Soal Sufi
tidak sedap hati.
“Agak lama jugak...” Ibu tersenyum
sekali lagi. Ketika itu Sufi terperasan perubahan gigi depan ibunya. Nampak
mulai merenggang.
Sufi tidak semena-mena jadi sebak.
Betapa selama ini dia tidak menyedari ibunya semakin dimamah usia. Tanda-tanda
ketuaan semakin ketara di wajah ibunya dengan uban makin memutih. Oh, ibu
betapa aku kerugian kerana tidak dapat menghabiskan banyak masa denganmu.
Serasa ingin dipeluknya ibu. Namun ditahannya kerana jika dia berbuat begitu,
suasana dinihari itu akan kecoh dengan sedu-sedan ibu. Tiada seorang anakpun
berhak bersikap emosional berdepan dengan ibu. Ibu jenis perempuan yang mudah
tersentuh hatinya. Jika hatinya sudah tersentuh ibu akan menangis.
“Masa Sufi telefon hari tu, ibu dah
demam?”
“Dah. Tapi belum teruk sangat. Ibu
sangka tak akan melarat hingga ke hari ini.”
“Habis, kenapa ibu tak cakap kat
Sufi?” Sufi memang sedikit terkilan kerana ibu tidak mengkhabarkan keadaan
sebenar kepadanya.
“Ketika itu Sufi tengah belajar. Nak
periksa pula, ibu takut ganggu fikiran Sufi.”
“Ibu, lain kali ibu kena bagi
tau...”
Ibu tersenyum lagi. Ibu memang
lembut orangnya. Ya Tuhanku, kalaulah sesuatu berlaku kepada ibuku, aku pasti
akan merindui senyumannya itu. Dengan muka versi perempuan melayu asli, ibu
nampak innocent. Sufi memejamkan
matanya. Entah kenapa jiwanya bergejolak benar ketika itu. Entah kenapa dia
terlalu bimbangkan ibu.
“Pi, pergi tidur dulu. Besok boleh
kita sembang lagi.”
Sufi akur. Memandangkan dia juga
keuzuran, dia tidak perlu menunggu solat Subuh terlebih dahulu. Dia hanya tidur
di tamu, di bahagian bawah rumahnya yang beraras dua. Sufi tidur sekejap sahaja,
itu pun hanya tidur-tidur ayam kerana matanya tidak mahu lelap. Dia memikirkan
tentang ibu. Ketara sekali perubahan pada diri ibu. Nyata dia semakin dimakan
usia tanpa Sufi sedari.
Jam lapan pagi. Sufi sudah siap
membersihkan tubuh dan berpakaian bersih. Duduk-duduk di serambi rumah
memandang sawah padi yang terbentang di depan rumahnya. Ketika itu bukan musim
menanam. Lalu hanya rumput-rumput, semalu serta pokok-pokok renek memenuhi
petak sawah. Sufi tersenyum sumbing, di petak sawah itu suatu masa dulu, kalau
bukan musim menanam padi, Sufi akan bawakan kambing-kambing peliharaannya
seramai tiga ekor menikmati semalu. Kambingnya memang gemarkan semalu.
Itu cerita hampir sepuluh tahun
lampau, ketika Sufi masih di bangku sekolah rendah. Ibunya membelikan sepasang
kambing untuknya memandangkan dia berminat untuk membela kambing. Sungguhpun
demikian, kambing-kambing itu kemudiannya terpaksa dijual memandangkan Sufi
tidak berkesempatan membelanya sebaik menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Dua
dijual dan seekor, iaitu si anak yang Sufi namakan Put-Put disembelih untuk
menyempurnakan nazar ibu. Sufi memang bersedih dengan kematian Put-Put kerana
dia amat rapat dengannya dan selalu menghabiskan masa berbual-bual dengan
Put-Put ketika itu.
Sufi tersenyum. Itu cerita zaman
gadis suntinya. Kini usia semakin meningkat dan dia kini berada di akhir
remaja. Perasaan rendah diri atau self-esteem
sudah tiada di dalam dirinya. Dia sentiasa berkeyakinan dan mula tahu
bergaul dengan ramai orang. Tidak perlu lagi menjadikan anak kambing sebagai
teman berbicara. Sufi tersenyum lagi.
“Hai, senyum seorang diri nampaknya
anak ibu. Apa yang Pi fikirkan?” Datang ibu dengan langkah perlahan-lahan lalu
mengambil tempat di sebelahnya.
“Tak de apa-apa. Cuma terkenang
cerita dulu-dulu. Pasal sawah padi, pasal kambing. Dah lama benar Sufi
tinggalkan semua itu. Sekarang pun dah tamat belajar.”
“Sebut pasal tamat belajar, apa
rancangan Pi lepas ni?” Soal ibu, perlahan saja bunyi suaranya.
“Pi, dalam proses nak sambung balik.
Pi dah ambil borang untuk sambung, ada kat rumah abang. Sekarang ni Pi tengah
fikir tajuk apa nak buat untuk tesis. Kena bagi tajuk dulu, biar pihak U tengok
lulus atau tak kita nak sambung. Pasal result
Pi memang dah layak.”
“Banyak kah belanja nak sambung tu
Pi?”
Sufi memandangkan ke wajah ibunya.
Itu ayat klise ibu. Dia sering takut untuk mengeluarkan belanja kalau berkaitan
pelajaran. Dia suka mengingatkan anak-anak supaya belajar rajin-rajin, tapi
timbul bab belanja bermasalah sikit. Sebab itulah anak-anak kandas dalam
pelajaran. Ibu cuma bagi sokongan moral, bukan daripada segi metarial juga.
Dulu memang Sufi sering memberontak dengan perangai ibu yang satu itu, namun
kini semuanya sudah kalis. Tambahan pula, masa belajar dulu, Sufi banyak
dibantu oleh Kak Eisya. Ketika itu Kak Eisya bekerja kilang di Tampoi. Ketika
di U pula, dia banyak ditanggung oleh Abang Zali selain wang pinjaman yang
dibekalkan kerajaan.
“Dengan keadaan ibu sekarang,
kesihatan tak menentu macam ni, ibu tak jamin mampu tanggung Pi belajar lagi.”
Ibu menyambung kata-katanya melihatkan Sufi hanya mendiamkan diri.
“Ibu, pada peringkat master ni,
pihak kerajaan ada memperuntukan elaun kalau tak silap Sufi sekitar lapan ratus
sebulan. Sufi rasa cukup untuk belanja belajar dan makan Sufi.”
“Kalau begitu, sambunglah Pi.
Lagipun ibu tak mahu Pi terus-terusan menyusahkan abang. Dia juga sudah ada
keluarga sendiri. Apa kata isterinya jika dia terus menanggung
adik-beradiknya?”
Sufi diam. Memang kata-kata ibu ada
benarnya. Dalam hati Kak Nida memang sesiapapun tidak boleh menebak dan
meneropong apa yang sedang dirasakan. Setakat hari itu dia nampak selamba
sekiranya Abang Zali menghulurkan belanja kepada Sufi. Sufi memang menghargai
semua itu. Jika ada rezeki, Sufi memang akan membalas segala budi Abang Zali terhadapnya. Dia telah cukup memerankan
diri sebagai abang sulung dengan sempurna sekali. Selain ibu, Abang Zali juga
memang mampu menyentuh hati kecilnya.
Ya Allah, rahmatilah aku. Murahkan
rezekiku agar aku dapat membalas jasa orang-orang yang banyak bersusah demi aku
selama ini.
“Tapi Pi, kalau asyik pikir pasal
belajar, bila pula Pi nak fikir pasal kahwin?”
Sufi menelan ludah. Topik yang
paling dia tidak suka. Cakaplah topik apa sekalipun dengannya Sufi betah untuk
melayan dan membalas kata, tapi bukan topik yang satu ini. Bukan kerana kini
dia tiada sesiapa, tiada Danish, apatah lagi Hardi yang kemunculannya bagaikan
satu persinggahan tapi kerana dari dulu pun dia memang tidak berminat untuk
berbicara tentang perkara ini. Untuk mengambil hati bolehlah dia melayan
sekejap. Seperti halnya semasa bersama Hardi sedikit masa dulu. Tapi jika
dengan ibu, kalau dia sudah ungkit soal nikah kahwin memang akan membuatkan
Sufi pening kepala. Mual dan mahu termuntah.
“Ibu kalau boleh sebelum menutup
mata, mahu tengok semua anak ibu yang sudah layak kahwin waktu itu temui
pasangan masing-masing.”
Sudah. Ibu mula bernada melankolik.
Ini paling Sufi tidak suka kalau cakap dengan ibu soal kahwin. Padahal Sufi
masih muda benar ketika itu. Baru berusia dua puluh tiga tahun. Lainlah kalau
tiga puluh dua tahun. Tapi Sufi masih mendiamkan dirinya.
“Ibu hairan, kenapa anak-anak ibu
susah sangat nak kahwin? Lila, Eisya dan kini Sufi pun nampak tak berminat.
Izan dah selamat.”
“Bu, mungkin kahwin bukan puncak
kebahagiaan. Tengok Maria. Sudah dua kali kahwin, satupun tak kekal. Malah
hidupnya porak peranda. Kesiannya anak-anak. Tengok Alif dan Farah tu. Ibu
sendiri dengan Ramli.”
“Jangan jadikan rumahtangga kami
sebagai contoh. Maria memang kesilapan datang daripada pihaknya sendiri. Dengan
Mat Zain dulu dia yang minta cerai kerana sikap kurang sabar dan akal
pendeknya. Dengan Omar pula dia tak pandai memilih. Suka sangat nak kahwin
dengan polis.” Ibu terjeda buat seketika. Memandang ke wajah Sufi yang mulai
menunduk sedikit.
“Pasal ibu dengan Ramli, jangan
ambil contoh kerana ia hanya suatu kemalangan. Pi tak kenang balik masa-masa
indah dan bahagia kita masa arwah ayah ada?”
Memang Sufi masih terlalu hingusan
untuk mengenangkan kehidupan semasa arwah ayahnya masih ada. Tapi ibunya yakin
Sufi boleh mengingatinya.
“Ibu bahagia benar dengan arwah
ayah. Dia lelaki ulung yang memberi ibu kesempatan merasai cinta sejati.”
Ibu. Ibukah itu yang sedang bercakap
soal cinta dengan anak gadisnya? Dalam usia
warga emasnya, ibu boleh lagi bercakap soal kasih dan sayang seperti
itu.
“Memang ibu bahagia dengan arwah
ayah. Tapi dengan mertua ibu? Sampai hari ini pun ibu terkongkong dengan
sikapnya yang mahu mengatur segala-galanya. Ibu lupa itu? Hidup berumahtangga
bagi Pi bukan setakat masalah suami isteri, tapi juga semua hal sekelilingnya.
Terutama mertua.”
Kali ini ibu Sufi pula terdiam
sejenak. Dia terkenangkan ibu mertuanya, seorang bidan kampung merangkap
anggota paling sibuk di kampung itu dengan segala macam kegiatan yang dia ingin
masuk campur. Seperti segala macam kegiatan kampung yang ingin dia arahkan,
begitu juga dengan rumahtangga ibu Sufi dengan arwah suaminya dulu. Hidup
mereka sentiasa kena ikut telunjuk wanita tua bernama Mak Timah. Tinggal
sejarak selang sebuah rumah dengan rumah mereka membuatkan Mak Timah bebas
mengatur urusan hidup mereka.
Jika arahannya tidak diendahkan Mak
Timah akan memberontak. Arwah ayah ketika hidupnya bukan mahu mendengar sangat
kata-kata ibunya, selalu juga dia melawan. Disebabkan itulah ibu terjamin
semasa arwah masih hidup. Selepas kematian arwah ayah, Mak Timah merajai
semuanya. Ibu yang lembut hati sentiasa perlu bersabar. Apatah lagi ibu
sebatang kara. Tanah airnya kini di kampung arwah suaminya. Meski suami tidak
meninggalkan apa-apa harta. Cuma tanah sekangkang kera. Itupun dimonopoli Mak
Timah dan adik-beradiknya kerana arwah ayah dahulunya, menebus kembali tanah
yang telah dijual datuknya (ayah Mak Timah) dengan hanya janji mulut. Lalu nama
di atas geran masih nama ayah Mak Timah.
Ibu mahupun Sufi serta
adik-beradiknya yang lain memang tidak salahkan arwah ayah kerana menebus tanah
dengan cara begitu. Itu memang amalan
orang kampung pada masa undang-undang penukaran hak milik tanah masih belum
dikuatkuasakan. Kini apabila hak pemilikan mula dikuatkuasa, tanah itu sekali
gus jadi harta pusaka Mak Timah dan adik-beradiknya. Ibu Sufi dan anak-anaknya
kini sebagai menumpang sahaja.
Disebabkan itu ibu banyak beralah
dengan Mak Timah. Mungkin dengan cara mengambil hati dan menurut segala
perintahnya, tanah arwah ayah akan kembali ke tangan mereka. Itu harapan ibu.
Sufi memang sudah tahu itu.
“Hidup memang kena berdepan dengan
pelbagai masalah Pi. Setiap orang masalah yang dihadapi tak sama. Kita kena
memperjudikan nasib.” Akhirnya ibu bersuara mendatar.
“Berjudi itu berdosa hukumnya ibu.”
Sufi masih sempat berjenaka dalam ruang bual yang agak serius seperti itu.
Ibunya mencubit lengan Sufi menyebabkan dia terseringai.
“Sufi tak ada calon?” Soal ibu,
kembali kepada topik yang Sufi tidak berapa berkenan.
“Sufi malas nak fikir. Setakat
berkawan boleh.”
“Izzuddin?”
“Jangan harap. Kenapa sebut pasal
dia? Orang tua dia masih tanyakan pasal Sufi?”
“Dua tiga hari lepas. Sebelum Sufi
balik, dia orang kembali mengusulkan hal ini. Izzuddin pun dah mula kerja. Jadi
tiada masalah kalau disegerakan.”
“Ibu, kalau Sufi tergerak hati mahu
kahwin sekali pun, orang tu tentunya bukan Izzuddin.”
Ibu diam. Biasanya keputusan Sufi
sentiasa muktamad. Tidak perlu menggunakan pelbagai macam talian hayat dia
sendiri sudah boleh membuat keputusan jitu. Ibu akhirnya meninggalkan Sufi. Kak
Eisya di dapur sudah menjerit memanggilnya bersarapan pagi.
Sufi masih termenung di situ.
Perasaan kacau bilau. Teringat Hardi yang telah mengecewakannya. Dia sebenarnya
pernah membayangkan kalau jodohnya panjang dengan Hardi, bagaimana nanti
kehidupan mereka. Dengan dirinya seorang siswazah, tentunya bakal menjawat
jawatan yang baik. Hardi pula bekerja sebagai penolak troli di KLIA. Bagaimana
rupa bentuk rumahtangga mereka sekiranya Sufi lebih tinggi tarafnya daripada
Hardi? Adakah Sufi akan menjadi isteri yang besar kepala atau tetap merendah
dirinya.
Memang ingatan terhadap Hardi masih
mengganggu Sufi. Dia masih seperti gagal menerima kenyataan ditinggalkan begitu
sahaja. Ditinggalkan pada saat dia sedang belajar menerima sepenuh hatinya.
Jangan kata Sufi tidak tahu untuk bersedih. Dia sanggup mengambil kata putus
daripada Danish semata-mata kerana mahu berlaku jujur kepada Hardi. Dia tidak
mahu berhubungan dengan Hardi, pada masa yang sama masih menjalin hubungan
rapat dengan Danish, meskipun sekadar kawan biasa. Tafsirkan perkara itu
berlaku kepada dirinya, dia juga tidak ingin Hardi rapat dengan mana-mana
perempuan, walaupun sekadar kawan biasa.
Sekiranya dia tidak banyak bercerita
tentang Hardi kepada Danish, dia yakin hingga ke hari itu hubungannya masih
baik dengan Danish. Masih mampu bergelak-tawa seperti masa dulu. Kini semua
sedikit ralat. Jangan harap mereka akan kembali mesra seperti dahulu. Itu
paling Sufi sedihkan. Seakan Hardi tidak menghargai apa yang telah dia
korbankan itu. Sedangkan Hardi bukan tidak tahu kewujudan Danish dalam hidupnya. Dia telah menceritakan
semuanya. Menceritakan pernah rapat dengan seseorang bernama Danish.
Hinggakan ada pada suatu ketika,
Hardi minta dia bersama Danish kerana bagi Hardi mereka lebih sesuai bersama.
Sufi menelan ludah. Cairan itu merentas rengkungnya. Dia jadi sedikit kaget.
Jangan-jangan Hardi sengaja berbuat begitu untuk membuka ruang kepada Sufi
bersama lelaki yang dirasakan lebih layak mendampinginya. Dengan kata lain,
memang Hardi jujur menyayanginya, cuma keadaan memaksa dia meninggalkan Sufi.
Sufi mula ditanam rasa ingin tahu
dan ingin mendapatkan kepastian. Dia ingin pastikan Hardi berlaku jujur
kepadanya. Sekurang-kurangnya Sufi tidak akan rasa tertipu dan
dipermain-mainkan. Sekarang hanya itu yang dirasakan Sufi. Dipermain-mainkan
dan ditipu mentah-mentah. Itu yang paling Sufi terkilankan dan itulah yang membuatkan
Sufi ingin meraung dan menangis.
Sufi bukan sedih kerana
ditinggalkan, tapi sedih kerana merasa tertipu. Sedih kerana merasa diri
terlalu dangkal kerana selama ini telah memaksa dirinya menerima seseorang yang
tidak tentu hatinya terhadap Sufi. Sedih kerana meletakkan dirinya dalam
kondisi terhegeh-hegeh. Padahal dia melakukan semua itu bukan kerana
perasaannya, sebaliknya kerana bimbangkan hati Hardi akan terluka. Kalau Sufi
tahu begitu jadinya, mati hidup balik Sufi tidak akan meletakkan dirinya dalam
kondisi itu.
Serasa seluruh isi alam
mentertawakan kedangkalannya kini. Sufi yang selama ini susah untuk jatuh hati
dan menangis kerana lelaki kini sudah mula akur dengan kehendak fitrah. Dia
mula pandai mengalirkan air mata. Mula tahu mengalunkan lagu sendu yang begitu
memilukan. Dia kesal. Kesal kerana memberi peluang kepada seluruh isi alam
untuk mentertawakannya.
Kerana Hardi dia membuatkan dirinya
berulang kali bertanya Danish perkara yang sama. Macam terhegeh-hegeh benar dia
kepada Danish. Macam kemaruk benar dia dengan cinta Danish. Kalau Hardi tidak
wujud dia tentu sama sekali tidak akan bertanya tentang perkara itu kepada
Danish. Dia akan biarkan saja Danish dengan rentaknya. Tapi kerana Hardi, dia
inginkan kepastian daripada Danish, bimbang jika ada perkara berbangkit dia
akan dituduh senang mempermainkan perasaan orang.
Huh, tidak adil. Selama ini dia
sering mahu menjaga hati orang. Pernahkah pula orang-orang yang dimaksudkan itu
memikirkan tentang hatinya?
Tiba-tiba Sufi tersedar. Lebih baik
begitu sebenarnya. Lebih baik mereka bersikap begitu daripada berhubungan
dengan Sufi semata-mata mahu menjaga hatinya. Jika itu terjadi, ia bukan kerana
didasari suatu perasaan yang ikhlas. Kelak ia akan mudah dilupakan dan mungkin
akan ditinggalkan. Malah jika hubungan itu membawa kepada ikatan perkahwinan,
tentu rumahtangga yang dibina tidak sebahagia mana. Jadi lebih baik andainya
Sufi kecewa sekarang daripada kelak Sufi akan kecewa yang lebih teruk lagi.
Sufi juga tentu tidak mahu seseorang
menjalinkan hubungan dengannya semata-mata kerana mahu menjaga hatinya. Buat
apa begitu? Dia inginkan kasih sayang yang luhur. Kasih sayang ulung.
Ah, biar apa juga yang bermain di
fikiran Sufi ketika itu, keinginan dalaman dia tidak dapat lari daripada mahu
mendapatkan kepastian daripada Hardi. Ingin bertanya pernah atau tidak Hardi
menyimpan rasa sayang terhadapnya, atau memang Hardi berniat untuk
mempermain-mainkannya. Walau apapun Sufi perlu tahu. Dia benar-benar perlu tahu
untuk memuaskan hatinya sendiri.
Dia akan terus dimomoki dengan
perasaan tidak puas hati itu sekiranya tidak bertanyakan Hardi hakikat
sebenarnya. Dia mahu kali ini Hardi berlaku jujur dengannya. Dia mahu Hardi
mengakui dan meminta maaf sekiranya Hardi memang berniat untuk mempermainkannya.
Jika ‘ya’ Hardi katakan ia akan membuatkan Sufi puas. ‘Ya, Die memang berniat
mempermainkan Pi.’ Itupun tidak mengapa, asalkan jujur dan ikhlas. Sufi tidak
mahu lagi mendengar ayat ‘Die sayang Pi, tapi kita tak sesuai bersama.’
Sufi akan mendesak sehingga Hardi
mengakui kesilapannya mempermain-mainkan Sufi. Selagi Hardi tidak mengakuinya,
selagi itu Sufi akan terus mendesaknya. Mendesaknya hingga dia merasa bosan.
Sufi akan bertanya mengapa ada makar seperti itu di dalam benaknya? Apa dendam Hardi
terhadapnya sehingga melakukan rencana jahat seperti itu? Semuanya akan Sufi
tanyakan.
Sufi memejamkan matanya. Hatinya
memang diselubungi duka. Ada kesedihan bertakung di jiwanya kala itu. Biarpun
dia tidak begitu menyayangi Hardi, perpisahan itu memang membawa derita
kepadanya. Kalaulah dia boleh luahkan segala-galanya kepada seseorang. Siapa
yang terbaik harus dipilih di kalangan kawan-kawannya?
Danish? Itu mustahil Sufi lakukan.
Dia tidak akan bercerita apa-apa berkaitan ditinggalkan oleh Hardi kepada
Danish. Sementelah pula dia sebenarnya sudah lama tidak menghubungi Danish.
Atau hari itu haruskah dia memungkiri janji yang dibuat terhadap dirinya
sendiri?
“Sufi, makan?” Soal Kak Lila yang
nampaknya sudah siap untuk ke tempat kerja. Muncungnya sudah kelihatan agak
kehitaman dicalit gincu dari rona seakan hitam. Memang nampak garang Kak Lila
ketika itu. Tapi hatinya baik.
“Tak apalah Kak Lila, belum nak
makan.”
“Sukahatilah. Aku dah nak pergi
kerja ni. Kau tolong Kak Eisya tengokkan ibu. Ibu bukan larat nak bergerak
sana-sini kerap sangat.” Pesan Kak Lila membuatkan kepala Sufi sedikit
terangguk.
Kak Lila sudah hilang daripada
pandangan mata. Sufi kembali menatap sawah padi yang terbentang di depan rumah.
Ada rasa ngilu menyelinap dalam hatinya. Kini persoalan mengenai Hardi sudah
terbang buat seketika. Dia kembali terkenang masa-masa kecilnya dahulu.
Masa kecil, sebuah kehidupan yang
lengkap, ada ibu, ayah. Abang dan kakak-kakak yang menyayangi serta adik-adik
yang comel. Sufi rindukan kenangan itu semua meskipun sejak kecil dia sentiasa
dipukul Maria, itu tidak mengapa. Kakak-kakaknya yang lain ada untuk
membelanya.
Terkenangkan Maria. Hati kecil Sufi
jadi berdengus. Dia tidak yakin dengan perubahan sikap Maria kali ini. Ini
bukan kali pertama Maria jadi bertanggungjawab seperti itu. Nanti, kalau
bertemu pula dengan lelaki lain, dia akan kembali hilang kewarasan. Bukan Sufi
tidak tahu peel sikap Maria. Entah mengapa, dia benar-benar tidak boleh
menerima Maria dengan hati yang tenang.
Kalaulah apa-apa terjadi kepada
ibunya, siapa akan menerajui keluarga mereka? Abang jauh di Kuala Lumpur,
masakan boleh mengawal keadaan di kampung. Mahu atau tidak tentu semuanya akan
diserahkan kepada Maria. Porak perandalah keluarganya nanti. Diterajui oleh
Maria bukan perkara yang mudah. Maria sendiri sentiasa perlu dibimbing dalam
banyak perkara. Jika dia menerajui keluarga, ahli keluarga akan jadi kasihan
dan malang. Sufi dapat rasakan. Maria bukan jenis yang bertanggungjawab.
Kalaulah Sufi sudah mempunyai kerja, dia langsung tidak akan menghiraukan
perkara itu. Dia larat untuk memikul tanggungjawab itu semua.
“Kalau Sufi dah berjaya nanti,
bantu-bantulah adik-beradik yang lain. Ibu takut tak sempat.” Terngiang-ngiang
kembali kata-kata ibu membuatkan air mata Sufi ingin menitis.
Dia tekad untuk membantu
adik-beradiknya. Kakak-kakaknya selama ini memang banyak jasanya kepada Sufi.
Mereka banyak memberi laluan untuk Sufi berjaya. Sufi yang mula memperlihat
kecemerlangan di bidang akademik diberi sokongan metarial oleh Kak Eisya semasa
dia masih bekerja dulu. Kini dia tidak bekerja kerana tahap kesihatan yang
tidak begitu memuaskan. Itu Sufi ingat. Kak Lilanya, walau masa kecil paling
kerap bergaduh dengan Sufi, macam kisah Siti Awa dengan Matain dalam cerpen Anak Bumi Tercinta karya Fatimah Busu, pun masih menyumbang daripada segi
moral dan emosi.
Cuma dengan Maria, tidak banyak
perkara yang Sufi boleh kongsi. Mungkin kerana sikap Maria begitu, atau kerana
masa remajanya Maria menetap di Felda Jengka Bukit Abu, di hulu Kelantan
bersama adik ibu yang bongsu. Maria bekerja
di felda kelapa sawit. Lalu mungkin kerana itu Sufi tidak punyai banyak
kenangan semasa proses membesarnya bersama Maria.
Apa yang Sufi ingat, dia sentiasa
kena pukul oleh Maria semasa kecilnya. Dia jadi berdendam juga dengan perilaku
Maria yang apabila naik minyak, macam orang hilang akal dan bagai dirasuk.
Kalau ada kerusi, maka objek itu digunakan untuk menghentak adik-adiknya. Kalau
tidak rambut adik-adik diseret dan dihantukkan ke dinding. Memang bukan Sufi
seorang yang kena buli begitu. Semua adik-adiknya akan merasa penangan Maria.
Cuma Sufi tidak tahu sebabnya. Jika Sufi, ada
masanya Sufi diperlakukan begitu kerana Sufi lewat pulang ke rumah jika keluar
bermain-main bersama rakan-rakan sebaya semasa di sekolah rendah dulu. Atau
mungkin juga kerana Sufi senyap-senyap pergi ke kubur arwah ayah untuk
‘berbual-bual’ dengan arwah ayah. Ada ketika Sufi pergi mandi sungai dengan
sepupunya. Semua kegiatan-kegiatan Sufi itu akan mengundang marah Maria.
Mungkin begitu sikap orang yang kurang iman di dalam dada. Sembahyang setahun
tidak sekali, puasa buat sebab malu orang tengok. Huh, entahlah.
BAB TUJUH BELAS
Sulitnya
mencari pekerjaan abad ini. Memang keinginan Sufi untuk menyambung pelajaran
hingga membolehkan dia bergelar doktoranda. Sungguhpun demikian keinginannya
itu mesti mendudu-dudu dengan usaha, jika ia tidak seiringan dengan usaha,
tentu agak susah untuk mencapai keinginannya. Untuk berusaha menyambung ke
peringkat tertinggi pula, dia harus mempunyai modal. Disebabkan itulah dia
harus mencari kerja untuk dijadikan modal terlebih dahulu. Betul seperti kata
ibu, selama mana dia mahu menyusahkan abangnya? Abang juga mempunyai
tanggungjawab sendiri ke atas rumahtangganya.
Kerja? Kerja apakah yang mampu Sufi
jawati sekarang ini. Dia sudah jenuh menghantar resume dan memanjat tangga ke sana ke mari dengan kawan-kawan yang
senasib dengannya. Namun hingga saat itu nampaknya nasib belum mahu menyebelahi
Sufi. Sufi sudah mendaftar di Jabatan Tenaga Rakyat. Juga cuba menghubungi
kenalan-kenalan lama yang mengajar di sekolah-sekolah swasta. Jika ada
rezekinya mungkin boleh jadi guru dalam beberapa subjek di sana. Namun jawapan
yang diterima ‘tunggu dulu, kalau ada kekosongan kami panggil.’ Aduh, susahnya.
Poketnya juga sedikit kekeringan.
Mujurnya ibu sanggup menolongnya mengeluarkan modal untuk memfotostat
sijil-sijil akademik dan seumpamanya. Malah ibu memberi jaminan untuk
mengeluarkan modal atas segala urusan mencari pekerjaan sekiranya Maria yang
kini menjadi ‘Menteri Kewangan’ enggan berbuat demikian.
Dalam keadaan susah mencari
pekerjaan seperti ini mula teringat pelbagai teori dalam strategi pemilihan
kerjaya. Dalam hal ini, pendekatan teori Trait dan Faktor turut terlintas dalam
benak Sufi. Mengenal pasti trait-trait atau dalam bahasa lebih mudah mengenal
pasti potensi diri akan dilakukan untuk menerokai potensi diri, aspek-aspek
berkaitan personaliti, minat, nilai dan pencapaian. Kaedah yang digunakan pula
melibatkan teknik psikometrik. Dalam teknik ini merangkumi penggunaan ujian
personaliti, ujian minat pekerjaan, ujian nilai pekerjaan dan ujian pencapaian.
Bagaimanapun, itu semua teori. Dalam
kehidupan sebenar, asal ada kerja sambar saja. Jangan fikir fasal minat atau
apa-apa juga. Itu pendapat Sufi. Zaman sekarang tidak seperti dulu. Lepasan
universiti memang mempunyai ruang untuk memilih berada dalam iklim ekonomi dua
tiga puluh tahun lampau. Kini bilangan siswazah menganggur terlalu ramai. Jika
mahu bercakap tentang minat dalam memilih sesuatu kerja, sampai bila-bila pun
Sufi tidak akan mendapat kerja. Sudah terima syukur jika dia mampu menjawat
jawatan yang setimpal dengan kelulusannya. Bagaimanapun bonus bagi Sufi jika
dapat berkecimpung dalam bidang yang benar-benar diminatinya.
Sungguhpun demikian, kesibukan
mencari pekerjaan membuatkan Sufi terlupa masalah hatinya yang masih bersedih
dengan perbuatan Hardi. Namun, apabila kembali keseorangan Sufi akan kembali
kesedihan dan mula rasa marah dan kecewa itu kembali semula. Otaknya mula
kemamar. Saat itu mulalah Sufi menjadi mutu atau terdiam kerana kesedihannya
itu. Oleh itu Sufi mengelak keseorangan. Malah dia dalam sibuk-sibuk mencari
pekerjaan sempat memberikan persetujuan kepada Persatuan Mantan Pelajar SMDM untuk
menjadi salah seorang fasilitator bagi program motivasi sekolah.
Dalam pada itu, ibu Sufi pula
semakin hari semakin kurang sihat sehingga akhirnya menyebabkan Sufi terpaksa
menangguhkan dahulu segala jenis perancangan yang dibuat dalam mencari pekerjaan.
“Macam mana dengan program motivasi
kita ni Pi?” Soal Zana, salah seorang kawan yang terlibat dalam program itu.
“Itu yang aku serba salah ni Zana,
aku tengok ibu aku tu makin teruk.”
“Abang Zizi, selaku pengerusi dah
bagi kelonggaran pada kau. Dia cakap dalam mesyuarat petang semalam, kalau kau
tak dapat hadir pada hari program pun tak apa, sumbangan kau semasa memastikan program terlaksana, seperti tolong
cari sponsor dan menyiapkan kertas kerja sudah cukup dihargai.”
“Aku kalau boleh mahu teruskan.”
“Itulah, kami pun dah seronok kerja
dalam satu team dengan kau. Rasa
kekurangan kalau kau tak ada Pi. Hilang tukang karut.” Zana berkata lagi.
Memang ketiadaan Sufi nanti akan
membuatkan kumpulan kerja mereka hilang tukang karut yang sering berjenaka.
Menimbulkan suasana gamat dengan pelbagai jenis lelucon dan parodi yang entah
dikutip di mana-mana. Memang Sufi pelucu orangnya. Cuma sejak akhir-akhir ini
segala sikap kelakarnya agak terlindung
seiring dengan kedewasaannya. Mungkin juga sudah letih untuk berjenaka
saban masa seperti selalu.
Lalu akhirnya program berjalan juga
tanpa kehadiran Sufi. Sufi memang lebih mementingkan keluarganya selama ini
pun. Tambahan pula jika perkara itu melibatkan ibunya. Dalam masa yang sama,
aktiviti dan segala kesibukan mencari kerja tertangguh apabila Sufi harus
menjaga ibunya yang semakin kurang sihat. Daripada badan yang kian menyusut,
kini ibu juga semakin hilang tenaga dan kurang selera makan. Hari-hari hidup
ibu dihabiskan dengan termenung di depan pintu rumah.
Ibu mengadu merasa sakit yang amat
sangat di dalam perutnya. Di bahagian belakang terutama di atas tulang bahunya
juga dirasakan bagai dicakar-cakar orang. Sakitnya itu ketara dirasai apabila
hari beransur senja. Sudah dibawa ke hospital. Katanya ibu cuma mengidap
gastrik. Ubat gastrik dibekalkan hospital, namun tiada sebarang perubahan.
Malah kesihatan ibu semakin berada di tahap membimbangkan. Ibu dibawa sekali
lagi ke hsopital besar. Masih jawapan yang sama. Malah diberitahu selain
gastrik ibu tidak mengidap sebarang penyakit kronik. Lega. Namun keadaan ibu
membuatkan rasa lega itu sekejap sahaja.
Orang kampung yang datang melawat
ibu mula membuat tohmahan, mengatakan ibu mungkin terkena buatan orang. Tipikal
masyarakat. Mula mencadangkan nama-nama bomoh yang handal kononnya untuk
berubat ibu. Sufi menentang dibawa bertemu bomoh, namun Mak Timah turut masuk
campur. Malas bertekak Sufi biarkan saja. Mujurlah dalam keadaan ibu yang
sakit-sakit begitu, Abang Adi iaitu suami Kak Izan sanggup menghantar ke sana
ke mari tanpa mengeluh sedikit pun.
“Kenapa dengan ibu sebenarnya?” Soal
Kak Lila dengan wajah sugul dan tidak bermaya.
Masakan tidak, semenjak ibu sakit
dia yang paling kerap berjaga malam, menemani ibu dan mengurut ibu yang
sentiasa merasa sakit-sakit di bahagian anggota badannya. Sufi juga akan
melakukan perkara yang sama. Bergilir-gilir dengan Kak Lila. Kak Eisya jarang
berjaga malam kerana dia juga tidak mempunyai
tahap kesihatan yang baik. Sering sakit kepala. Lalu dia diberi ‘pelepasan’
pada waktu malam. Siang hari pula tugasnya di dapur menyiapkan makan minum.
Maria? Dia apa juga keadaan pun memang lebih seronok tidur. Seperti tiada
apa-apa yang berlaku.
“Orang fikir, ada baik dibawa ke
klinik swasta pula. Hospital kerajaan ni ada masanya tak betul sangat. Mana
tidaknya, kadang kala yang memeriksa tu bukan doktor, cuma HA saja.” Sufi
mengeluarkan pendapatnya.
Kak Lila mengangguk-angguk tanda
bersetuju.
“Yang geramnya, kenapa ibu selalu
merapu masa sakit ni? Kasihan Kak Eisya, adakah patut, dia mengadu kat Mak
Timah Kak Eisya tak bagi dia makan. Malah kalau dia tanya lauk apa yang Kak
Eisya masak hari ni, dia kata Kak Eisya cakap lauk yang bukan-bukan. Biawaklah,
kura-kuralah.”
“Orang sakit Pi.”
“Kita ni fahamlah Kak Lila, tapi Mak
Timah tu bukan faham. Terus dia marahkan Kak Eisya. Padahal sebenarnya Kak Eisya tak ada cakap
macam tu, ibu tak mahu makan. Kalau bagi makan dia buang.” Sufi bersuara lagi
dengan muka kesal.
“Sebab tu kita kena banyak bersabar
jaga orang sakit.”
“Kak Lila tahulah, orang ni bukan
jenis yang boleh bersabar. Dengar dia cakap macam tu kat Mak Timah rasa nak
menyampuk juga. Bukan apa, sekadar mahu betulkan keadaan. Nanti Mak Timah pikir
yang bukan-bukan.”
Kak Lila diam. Dia memang faham
dengan perangai Mak Timah. Siapa di antara adik-beradiknya yang boleh bersetuju
dan satu kepala dengan Mak Timah? Kalau ada antara mereka yang boleh menerima
cara Mak Timah berfikir itu sudah dikira tahap abnormal. Ibunya pula sejak
sakit semakin rapat dengan Mak Timah. Ada masanya Kak Lila nampak mereka
sama-sama menangis di tangga rumah. Entah apa yang disedihkan mereka berdua.
Hairan juga Kak Lila. Namun berdepan dengan keadaan itu membuatkan Kak Lila dan
adik-beradiknya sedar, jauh di sudut hati Mak Timah dia tetap sayangkan ibu
mereka biar apa yang telah dilakukan terhadap ibu Sufi selama ini.
Sebenarnya, selain suka mengaturkan
hidup mereka sekeluarga dan lebih mengutamakan orang luar daripada anak cucu
sendiri, Mak Timah tiada keburukan lain. Malah jika Sufi dan keluarganya yang
lain berada dalam kesusahan neneknya itulah yang paling lorat. Mungkin itu cara
Mak Timah mahu menunjukkan kasih sayangnya. Dengan cara tidak memberi muka,
tapi jika ada apa-apa berlaku, memang dia akan mengambil berat.
“Hairan ya, sakit apa sebenarnya ibu
ni?” Kak Lila akhirnya berseru setelah ruang bual sekejap tadi diambil alih
sepi.
“Itulah yang orang tengah bimbangkan
ni. Naluri orang mengatakan ibu kena sakit yang susah nak ubat.”
“Maksud kau lebih kurang dengan
penyakit terkena buatan orang?”
“Buatan orang? Mana ada penyakit
buatan orang dalam dunia ni? Kalau ada pun bukan dengan kudrat orang tu.
Semuanya datang daripada Allah. Allah ni minta apa saja dia makbulkan. Mintalah
baik atau buruk cuma kita yang beriman ni janganlah nak minta apa-apa yang
buruk terhadap orang lain, besok Tuhan tetap bagi balasan walaupun hari ini Dia
makbulkan.”
“Aku pun bukan percaya dengan benda
ni Pi. Cuma kalaulah terkena buatan orang, siapa agak-agaknya yang boleh kita
syaki sanggup bomohkan ibu?”
“Tak baik sebenarnya nak sangka
buruk kat sesiapa. Tapi kalau ikut sejarah Ramlilah yang paling boleh kita
syaki.”
“Aku pun pikir begitu juga.”
“Tapi bagi orang, sakit ibu bukan
sakit non-medic. Sakit ni jenis yang
kena bawa jumpa doktor. Bukan main pergi mengadap bomoh. Bomoh ni makin kita
percaya dia, makin kuat dia taram dan karang cerita. Time tu kalah penglipur lara.”
Kak Lila dalam runsing-runsing dia
menunggu kepulangan ibu yang dibawa Kak Izan berubat dengan seorang tabib cina,
tetap mampu ketawa mendengar Sufi mengatakan demikian. Sufi memang sinikal.
Dalam masa yang sama kata-katanya memang boleh pakai. Sufi jika diperhatikan
ada tokoh untuk menggantikan arwah ayah daripada cara dia melontarkan
pendapatnya. Kak Lila hairan juga dengan Sufi, sejak makin meningkat umur,
makin galak dia mengeluarkan pendapat siap dengan petikan Al-Quran. Mungkin
terkenan nama sendiri. Kata orang Sufi itu maknanya berkaitan dengan ilmu
suluk. Mungkin Sufi juga mahu mendalami ilmu itu.
Biarlah. Berhijrah ke arah kebaikan
tiada salahnya. Cuma jangan sampai terpesong dengan ajaran sesat sudahlah.
Dalam beragama Kak Lila memang takut jika terpedaya dengan dakwah songsang,
apatah lagi jika selama ini seseorang itu kurang arif tentang agama. Golongan ini
biasanya mudah terpengaruh dengan fahaman baru. Paling malang bila golongan
yang selama ini kurang arif pasal agama, tiba-tiba mula bercakap soal agama
berdasarkan ilmu yang baru dikutip. Hah, masa ini biasanya golongan ini mudah
tersasar dan membuat hukum sendiri. Hukum yang tidak masuk akal. Melihat kepada
Sufi, nampaknya buat masa ini Sufi belum menunjukkan tanda-tanda demikian.
Sedang asyik mereka berbual,
kedengaran telefon berdering. Kak Eisya yang sedang menonton tv nampaknya buat
tidak endah dengan bunyi nyaring telefon. Kak Lila bangun untuk mendapatkan
telefon. Bimbang ada panggilan penting. Juga bimbang telefon daripada Kak Izan,
memberitahu tentang ibunya yang telah dibawanya berubat. Mereka keluar sejak
jam tiga petang, sekarang hampir Maghrib, tentu ada sebarang perkembangan mahu
dilaporkan sekiranya mereka masih di tempat berubat.
“Kat HKB?” Sufi terdengar nada suara
Kak Lila sedikit terperanjat.
Serentak itu juga dada Sufi terasa
nyut-nyut. Denyutan jantungnya memang pantas sekali. Dia memasang telinga
mencuri dengar perbualan telefon Kak Lila dan tentu sekali lawan bercakapnya
ketika itu Kak Izan. Selesai bercakap
dengan Kak Izan, Kak Lila datang kembali menghampiri Sufi dengan wajah kelat.
“Kenapa?” Soal Sufi pendek.
“Ibu dimasukkan ke wad HKB.”
“Kan dia orang pergi kat tabib cina,
kenapa boleh melencong ke HKB?”
“Tabib tu yang minta dibawa ke sana.
Sekali dia tengok wajah ibu, tanpa sebarang rawatan pemeriksaan dia terus cakap
sakit ibu tak boleh bawa jumpa dia kerana dia bukan mengubat bahagian hati. Dia
minta bawa ke hospital kerana menurut pengamatannya, sakit ibu berkaitan hati.
Malah kalau hatinya itu diibaratkan seperti buah , sudah lama ia gugur.” Kak
Lila memberitahu dengan panjang lebar. Terkesan sisa air bening di matanya.
Sufi menelan ludah. Inikah yang
membuat hatinya selama ini tidak tenteram dan sering terbawa-bawa ke dalam
mimpi rasa tidak tenteram itu? Inikah yang membuatkan dia sering termimpi yang
bukan-bukan? Meskipun secara kebetulan ia terjadi, Sufi juga percaya kepada
intuisinya. Intuisinya yang sentiasa ragu-ragu dan bimbang akan keselamatan
keluarga yang mempengaruhi mentalnya lalu menyebabkan dia selalu mengalami
mimpi yang bukan-bukan. Ini tidak bermakna dia percayakan alamat melalui mimpi.
Keadaan yang terjadi sekarang lebih kepada mainan nalurinya. Naluri itu
kadang-kala boleh percaya dan diambil kira.
Sufi terasa ingin menangis. Namun
entah mengapa tiada air mata mampu keluar hanya esakan yang berlagu pecah di
dalam rongga dadanya. Menular ke ginjal, usus, pankreas dan hati lalu mengalir
ke dalam setiap saluran darahnya. Tubuhnya menjadi gementar dan menggigil. Dia
sudah dapat membuat firasatnya yang tersendiri. Mengimbau sejarah, arwah ibu
dan arwah kakak ibu Sufi juga meninggal dunia kerana sejenis penyakit yang
menyerang bahagian hati. Sufi cuba menjauhkan apa yang sedang merayap ke dalam
fakulti benaknya. Ibu. Ya Allah, selamatkanlah ibuku. Hanya dia yang menjadi
tunjang ketegaran ini.
Sufi menarik nafas dalam-dalam
sehingga menyebabkan kedengaran helaan nafasnya seperti tersendu. Kak Lila
menoleh ke arahnya. Pandangan mereka bertaut. Tanpa kata. Namun pandangan
masing-masing seperti berbicara sesama sendiri. Mereka saling memahami dengan
isyarat mata.
“Sabar sajalah. Ini semua dugaan.
Ibu pun bukan pernah sakit selama ini. Mungkin ini sebagai ujian untuknya.”
Sufi tahu, dalam hati Kak Lila juga
bersedih. Sufi tunduk lagi. Dan kalaulah ada yang maha tahu, hanya Dia yang
maha tahu apa yang sedang Sufi fikirkan ketika itu. Segala macam perasaan
bercampur baur dalam jiwanya. Bergulung-gulung di situ macam taufan. Macam
ribut yang boleh memusnahkan kewarasan. Bukan adik atau kakak, atau juga abang
tapi ibu. Waima adik-beradik sekalipun yang berada dalam kondisi teruji seperti
itu, hati tetap tidak tenteram. Sementelah pula ibu. Ibu yang banyak memberikan
semangat kepadanya selama ini. Ibu yang hati tidak pernah menyimpan dendam
walau ada rasa terkilan dan berkecil hati atas sikap ibu yang kadang-kala
dirasakan tidak adil. Ibu hanya seorang dalam dunia ini!
Sufi dan adik-beradiknya yang masih
ada di rumah berkumpul Maghrib itu. Semuanya berwajah sugul. Itu malam pertama
dalam hidup mereka ibu tiada di samping dalam masa itu. Kebiasaannya, jika
Maghrib hari seperti itu, ibu berteleku di sejadah, mengadap yang Esa sementara
menunggu solat Isyak. Hari itu ibu tiada, mungkin terbaring menahan sakit di
pertiduran hospital. Ditemani Kak Izan yang sedang berbadan dua, menjangkau
usia tujuh bulan kandungannya.
Sufi memandang ke arah Azah, adik
perempuannya. Itu juga zuriat ibu dengan arwah ayah yang paling bongsu. Simpati
membuak. Kalaulah apa-apa terjadi kepada ibu, bagaimana dengan nasib Azah yang
masih inginkan kasih sayang seorang ibu? Memang, memang semua masih inginkan
kasih sayang ibu, tapi Azah masih muda benar untuk menghadapi semua itu. Dia
sudah kerugian dalam merasai belaian kasih seorang ayah semasa usia empat puluh
hari, kini dia mungkin bakal kehilangan ibu pula.
Pandangan beralih ke arah Sauki.
Adiknya yang paling mudah melawan kata. Entah kenapa sejak ibu sakit dia jadi
agak penyabar. Suruhlah apa saja, Sauki akan melakukan tanpa sebarang bantahan. Pancaran matanya juga menunjukkan
keikhlasannya. Sebagai satu-satunya tenaga lelaki yang berada di rumah ketika
ibu sakit membuatkan Sauki benar-benar diperlukan. Kelihatan Sauki juga
berwajah sugul. Kasihan!
Alif dan Farah. Kedua-duanya cucu
ibu. Meskipun cucu, keadaan ibu membuatkan mereka juga hilang ceria. Selama ini
mereka membesar dengan ibu dan tidak pernah berenggang daripada ketiak ibu
meskipun Maria mengikut lelaki mana sekalipun. Ibu tidak pernah mengizinkan
mereka turut dibawa pergi. Terutama Alif yang tidak pernah merasai kasih sayang
seorang bapa dan ketandusan kasih sayang seorang ibu.
Kemudian Maria. Paling kuat menangis
nampaknya. Entah apa yang tersangkut di hatinya berdepan dengan masalah itu
sehingga membuatkan dia sejak tadi menangis. Ketika itu pun dia masih
teresak-esak dengan hidung berhingus. Kak Eisya? Tenang sahaja. Memang itu
sudah menjadi perangainya. Dan Kak Lila? Nampaknya dia seperti Sufi. Jika Sufi
memandangnya, dia juga sebenarnya sejak tadi memandang Sufi.
Pintu rumah diketuk. Sauki bangun
untuk membuka pintu. Mak Timah dan Mak Ngah, sepupu arwah ayah datang untuk
bertanya khabar.
“Dah telefon abang kau?” Soal Mak
Timah dengan wajah yang kelat. Kalut juga jadinya dia apabila menantu yang
selama ini tidak pernah sakit tiba-tiba ditahan di wad.
“Dah.”
“Malam ni siapa nak pergi temankan
ibu kau tu?”
“Siapa-siapapun boleh kecuali saya,
kalau saya yang pergi temankan ibu, siapa nak meniaga? Siapa nak cari makan?”
Kata Maria dengan suara bercampur sendu.
“Aku cuma tanya, sebab aku pun nak
pergi juga malam ni.”
Sufi dan Kak Lila memandang ke arah
Mak Timah. Kemudian memandang sesama sendiri. Wajah Mak Timah nampak beriya-iya
benar. Ternyata sayang juga orang tua itu kepada ibu mereka.
“Nenek larat kah? Takut nenek pula
yang jatuh sakit nanti.” Mak Ngah mewakili semua mengajukan soalan.
“Aku larat. Aku larat. Kalau aku tak
pergi temankan dia, aku akan tak sedap hati. Aku dah tiada sesiapa dalam dunia
ni. Aku hanya nak menumpang kasih dia seorang. Anak lelaki aku dah meninggal
lama dah. Anak perempuan aku jauh. Aku nak jaga dia. Aku nak jaga dia sampai
hati aku puas.” Melankolik betul Mak Timah malam itu. Berderai-derai air
matanya. Begitu sebenarnya kasih seorang mertua kepada menantu. Kasih yang
selama ini tidak pernah ditunjukkan.
Atau dia sebenarnya ingin menebus
kesilapan dan menyesal atas layanannya selama ini?
Lalu tugas malam pertama diserahkan
kepada Mak Timah dan Sufi. Suatu yang tidak terduga, ibu tiri ibu Sufi juga
berada di wad. Datang dari Tumpat sebaik dikhabarkan tentang perkara itu.
Berebut-rebut dengan Mak Timah untuk menjaga ibu Sufi. Alangkah beruntungnya
orang yang mempunyai hati sebaik ibu hingga kedua-dua orang perempuan itu
begitu mahu mengambil berat saat-saat dia memerlukan seperti itu.
Kerana masing-masing berkeras untuk
menemani ibu, Sufi terpaksa membontoti Kak Izan pulang ke rumah. Pihak
pengurusan wad tidak membenarkan terlalu ramai penjaga menemani seorang pesakit
kerana bimbang akan memberikan ketidakselesaan kepada pesakit lain. Hai ibu,
Allah telah menunjukkan betapa segala kebaikan ibu selama ini memberikan ibu
tempat istimewa di hati orang-orang tertentu.
Sufi memang tidak hairan jika ibu
tiri ibunya iaitu Mak Minah yang menunjukkan sikap mengambil berat terhadap
ibunya kerana Mak Minah sejak dahulu memang melayan ibu seperti anak sendiri
memandangkan ibu telah dibesarkannya sejak sekian lama. Itu bukan sesuatu yang super pelik. Tapi, kesungguhan Mak Timah
sebagai mertua yang membuatkan Sufi agak sebak dan terharu. Pengajaran di sini,
kita memang kena selalu buat baik dengan sesiapa jua dan sabar dengan apa yang
dilakukan orang terhadap kita kalau mahu disayangi seperti ibu.
Bolehkah Sufi jadi sebaik dan
selembut hati itu? Sufi tidak percaya dengan dirinya sendiri. Dia bukan
selembut hati itu. Dia jenis yang suka membangkang dan tidak boleh dipijak
kepala oleh sesiapapun. Jika ada sesiapa
melakukan sesuatu yang tidak disukainya atau menyakitkan hatinya, Sufi
akan menyuarakannya. Tidak seperti ibu yang lebih banyak memendam perasaan.
Aduhai ibu, aku tidak selembutmu.
Mungkin sebab itu juga rumahtangga
ibu dengan arwah ayah dulu tidak pernah berhujankan airmata. Ibu terlalu
menjaga hati arwah ayah dan melayan ayah dengan begitu baik sekali biarpun
ketika arwah ayah terlantar sakit. Tidak pernah mengeluh dengan ketidakupayaan
ayah menyarasuap hidup mereka anak-beranak dan mengakibatkan ibu terpaksa mengambil alih tugas dan
tanggungjawab arwah.
Seingat Sufi, dia tidak pernah
melihat ibu bermasam muka biarpun arwah menunjukkan sikap panas baran sesekali
kepada ibu. Malah ibu tidak pernah juga meninggikan suara kepada arwah ayah
meskipun arwah berbengkeng dengannya. Untuk melawan jauh sekali. Ibu memang
isteri yang taat.
Jika ada jodoh, bolehkah Sufi
menjadi wanita seperti ibu? Sufi tidak percaya dia boleh jadi seperti ibu. Dia
boleh membayangkan sikapnya yang suka membangkang dan berhujah akan menimbulkan
suasana gamat dalam rumahtangganya. Kalaulah si suami juga panas baran seperti
Sufi, bagaimana agaknya?
BAB LAPAN BELAS
Daripada
masing-masing berebut untuk menjaga ibu di wad, kini Mak Timah dan Mak Minah
sama-sama keuzuran dan mula tidak larat lagi untuk berbuat demikian. Manakan
tidak, jarak dari Tanah Merah ke Kota Bharu bukan dekat apatah lagi jika
berulang-alik dengan menaiki bas kerana keluarga Sufi tiada kenderaan
persendirian. Begitu juga jarak dari Tumpat ke Kota Bharu. Lalu tugas menjaga
ibu diserahkan kepada Sufi dan Sauki. Kak Lila dan Kak Eisya tidak dapat
menemani ibu. Kak Lila kerana keadaan agak kalut di pagi hari untuk berkejar ke
tempat kerja, manakala Kak Eisya pula kesihatan tidak begitu mengizinkan. Maria
sibuk di gerai ayam dan Azah masih muda dan bersekolah.
Lalu siapa lagi yang paling layak?
Hanya Sufi yang lapang dan mempunyai ruang. Segala aktiviti mencari kerja
ditangguhkan. Dia sibuk di wad menemani ibu. Menemani ibu yang sakit membuatkan
benak Sufi sentiasa berfikir macam-macam perkara. Apabila ibu terlelap dia mula
teringatkan kembali segala luka yang dialaminya akibat tertipu dengan sikap
Hardi. Lalu ada ketikanya Sufi akan membuat panggilan menggunakan telefon awam
di luar wad.
Hardi seperti biasa akan menafikan
dia menipu Sufi dan menyebabkan Sufi tetap tidak berpuas hati.
“Kenapa cakap macam tu, kenapa tak
terus terang saja apa yang ada dalam hati awak?”
“Nak cakap macam mana? Dah memang
kenyataannya. Die tak tipu Pi. Semua ni Die buat untuk kepentingan masa depan
Pi. Dengan Die, masa depan Pi tak terjamin.”
“Tipu. Tipu. Tipu.” Gaya bahasa pengulangan Sufi gunakan di sini
untuk menegaskan perasaannya.
“Kenapa susah sangat nak percaya
Pi?”
Sufi memang enggan percaya, jika
hati sudah benar-benar menyukai, perkara seperti itu akan dapat diatasi.
Lagipun bukan mereka sahaja yang terlibat dalam perkara seperti itu. Sekarang
hal remeh sedemikian bukan sesuatu yang pelik. Sudah ramai perempuan berstatus
pendidikan agak tinggi, punyai kerja yang baik kahwin dengan lelaki yang tidak
sama taraf pendidikan dengannya. Apa
peliknya?
Kahwin? Sufi memang mahu kahwin
dengan Hardikah? Tiba di soalan sebegitu membuatkan Sufi tertanya-tanya kepada
dirinya sendiri. Mahu kahwin dengan Hardikah dia? Eii, tak nak. Cuma mahu
pastikan selama ini dia telah tertipu. Dia mahu Hardi bersikap jujur dengannya
bukan mahu Hardi jadi suaminya.
“Pi, buat masa ni biar dulu Pi. Die
tak punyai kekuatan untuk menyunting Pi. Jika boleh Die mahu ada kereta dulu,
lepas tu mula pikir pasal kahwin.”
“Dahlah, malas nak dengar awak terus
tipu saya. Lelaki macam awak ni memang penipu.”
“Tak. Die tak tipu. Memang itulah
sebenarnya.”
“Tak percaya.”
“Tak percaya? Bagaimana nanti kalau
tiba-tiba Die hantar rombongan meminang setelah Die bersedia untuk berbuat
demikian?”
“Tak payah. Tak payah nak hantar
rombongan. Saya pun bukan hingin sangat nak kahwin dengan awak. Saya cuma nak tahu kenapa awak tipu saya saja.”
“Takkan sampai macam tu sekali Pi
marahkan saya? Takkan sikit pun tak bersisa kasih sayang Pi dulu terhadap Die?”
Nada suara Hardi kedengaran agak sebak. Pandai dia berlakon. Sufi jengkel.
“Tak payah nak cakap pasal kasih
sayang tu lagi. Semua tu dah tak wujud. Awak dah hancurkan semuanya.”
Lalu Sufi meletakkan telefon. Malas
mendengar segala tipu daya Hardi lagi. Lelaki itu ternyata tidak mahu mengakui
kesilapannya apatah lagi untuk meminta maaf
daripada Sufi.
Kemarahan Sufi terhadap Hardi
terbawa-bawa hingga semasa dia masuk ke dalam wad menemani ibunya. Keadaan itu
membuatkan dia tidak dapat melayan ibu dengan baik dan membuak-buak saja rasa
marahnya. Mukanya juga mempetiakan rasa marahnya. Keadaan itu membuatkan ibu
agak berkecil hati. Ibu menyangkakan Sufi sudah bosan menjaganya yang terlantar
membuatkan ibu mula tidak suka Sufi menjaganya.
Ada
saja yang tidak kena di mata ibu apabila Sufi melakukan sesuatu. Contohnya,
apabila Sufi tuangkan air separuh gelas untuk baginya minum, dia kata air itu
terlalu sikit, jika Sufi tuangkan banyak sehingga hampir penuh segelas dia kata
Sufi mula tunjuk marah. Lalu jadinya serba tidak kena dan itu juga membuatkan kemarahan Sufi terhadap
Hardi berbaur dengan rasa leceh meladeni kerenah ibu.
Memang
perangai ibu agak melecehkan sejak dia sakit. Sebab itulah Kak Lila sentiasa
mengingatkan Sufi agar bersabar. Ibu hanya tidak buat perangai pelik jika
bersama Kak Izan. Dengan Kak Izan semua okey. Dia suka benar kalau Kak Izan
yang mengambil berat soalnya. Kadang-kala Sufi memang ada berkecil hati juga.
Pernah sebelum ibu masih di rumah, Sufi ingin bantu ibu bangun dan mandikan
dia. Dikesampingkan Sufi. Tapi kalau Kak
Izan datang, bantu dia bangun dan papah dia ke mana saja, dia akan ikut. Entah
di mana silapnya, Sufi tidak tahu. Cuma dia tahu, masa sihatnya pun ibu memang
lebih kasihkan Kak Izan. Sudah jadi isteri orang pun ibu masih belikan dia
pakaian. Anak-anak yang lain, puas minta pun dia cakap membazir.
Tidak baik
simpan wasangka kepada ibu sendiri. Tapi itu kenyataannya. Sufi manusia biasa,
rasa kecil hati memang ada jika ibu perlakukan demikian. Sungguhpun demikian
dia tidaklah sampai mahu berdendam dengan ibu sendiri. Dia tetap mahu menjaga
ibunya meskipun ibu agak tidak berkenan dengannya semasa sakit . Ibu cakap Sufi
kalau jaganya mesti cakap garang-garang dengan ibu. Entahlah. Mungkin cakap ibu
ada benarnya kerana kondisi Sufi yang masih bengkak dengan apa yang berlaku
antaranya dengan Hardi.
Kenapa?
Kenapalah ‘perpisahan’ Sufi dengan Hardi memberi pukulan yang maha hebat
kepadanya hingga Sufi menunjukkan wajah kelat tanpa dapat dibendung? Kenapa
sampai begitu sekali? Kecewa benarkah Sufi dengan keadaan itu sehingga begitu
‘menangisinya’? Kasihannya ibulah. Mesti dia terasa hati melihat wajah Sufi dan
menganggap bukan-bukan. Aduhai wajah, janganlah tunjuk sangat tengah ada
masalah!
“Ibu nak bantal?” Soal Sufi
melihatkan ibunya seperti kurang selesa tidurnya.
“Ibu nak buat apa bantal? Kan ibu dah ada satu
buat alas kepala ni,” jawab ibu dengan suara keletihan dan lesu.
“Mana tahu, ibu nak buat peluk.
Boleh kurangkan sikit rasa sejuk.”
“Ibu tak mahu bantal, ibu nak peluk
anak ibu...”
Lalu dengan itu ibu pun memeluk
leher Sufi yang sedang memangu di atas tilam berlapikkan lengannya sendiri.
Ketahuilah umum, Sufi menitis airmatanya kerana terharu ketika itu. Ibu, Sufi
tahu sebagai anak ibu, Sufi memang ada tempat di hati ibu begitu juga anak-anak
yang lain meskipun Kak Izan di tahkta paling atas. Ibu maafkan Sufi. Sufi
sayangkan ibu.
Sufi memang sayangkan ibu. Kerana
sayang dia sanggup berada di situ dalam kesejukan. Sweaternya yang digunakan untuk menahan kesejukan ditebarkan di
atas tubuh ibu memandangkan selimut yang diberikan pihak wad belum mampu untuk
menghilangkan kesejukan yang ibu alami. Malah Sufi sanggup tidur malamnya hanya
di atas lantai marmar wad tanpa dialas apa-apa. Ketika itu tidak terlintas
untuk berada di tempat yang lebih selesa, asalkan dapat bersama ibu. Asalkan
dapat menunjukkan kasih sayangnya kepada ibu. Malah itu jika dikira pengorbanan
ibu sepanjang membesarkannya selama ini masih tidak berbaloi. Ibu!
Ibu mana yang tidak sayangkan
anaknya?
Sufi memerhati tidur ibu yang
sesekali terganggu dengan erangan akibat menahan kesakitan yang tidak
terluah. Hampir menitis air mata Sufi
melihat keadaan ibu. Dia menggosok-gosok perut ibu untuk melegakan sikit kesakitan
yang dialami ibu. Santak malam itu doktor belum mengesahkan penyakit ibu kerana
belum dapat sebarang diagnosis. Mereka
sedang menunggu keputusan perbincangan mengenai laporan ct scan. Cuma buat masa
ini mereka suspect sejenis penyakit
yang melibatkan kerosakan hati.
Ibu, kalaulah penyakit ibu boleh
Sufi tanggung, Sufi rela Tuhan pindahkan segala kesengsaraan ibu kepada
Sufi. Ibu mempunyai banyak kepentingan
di dunia ini. Sedangkan Sufi, waima ada ataupun tiada tidak memberi kesan
kepada sesiapa. Ibu mempunyai sembilan orang anak yang masih memerlukan kasih
sayang ibu. Sufi? Sufi tiada pun tidak akan menjejaskan corak hidup sesiapa.
Kalau ibu tiada? Ibu, semoga Allah panjangkan usia ibu.
“Kat dada...” rintih ibu sambil
mengurut-urut dadanya sendiri.
Tangan Sufi berpindah ke dada. Dia
memerhati wajah ibu yang langsung tidak bermaya. Tuhanku. Betapa ibu menahan
sengsara. Dalam keadaan itu Sufi cuba membaca ayat-ayat suci
Al-Quran yang diingatinya untuk menahan kesakitan yang ibu alami. Kata orang
jika membaca surah Yasiin, kesengsaraan orang sakit boleh kurang sedikit. Lalu
Sufi cuba
mengamalkannya ketika menjaga ibu.
Jam di dinding hospital ditatap
Sufi. Hari masih jauh ke dinihari. Ibu kelihatan tidak tenteram benar. Jika
hari siang dan matahari mula menampakkan wajahnya, kesakitan ibu akan
berkurangan sikit. Cuaca dingin-sejuk seperti itu memang membuatkan sakit ibu
tidak tertahan. Kalaulah boleh Sufi tundakan kedatangan malam, tentu dia akan
melakukannya demi kesihatan ibu.
Lasy-syam
suyambaghii lahaa an tudrikal qamara walal-lai lusaa biqunnahaar; wakul-lul fii falakiy-yasbahuun.
Ertinya: Tidak mungkin matahari bertemu dengan bulan dan tidak mungkin malam
mendahului siang, kerana masing-masing bergerak mengikut tempat peredarannya.
Lalu Sufi pun redha. Seperti dia juga harus redha dengan kesakitan yang sedang
ibu tanggung ketika itu. Ibu. Tuhanku. Selamatkanlah ibu.
“Doktor, macam mana dengan sakit ibu
saya doktor?” Tanya Sufi kepada doktor
keesokan hari.
“Buat masa ini kami belum boleh
pastikan apa-apa. Keputusan perbincangan hanya akan diketahui petang nanti,”
balas Doktor Raduan yang membuat pemeriksaan pagi itu.
Sufi diam. Tidak mahu banyak
bertanya. Tapi dia sebenarnya sudah dapat mengagak penyakit ibu tentunya
sesuatu yang serius. Malah dia sendiri sudah mencuri-curi baca buku laporan
pemeriksaan walaupun di kulit luar fail itu jelas tertera SULIT. Ah, itu
laporan kesihatan ibunya, apa sulitnya untuk seorang anak mengetahui keadaan
sebenar?
“Apa kata doktor Pi?” Soal ibu meski
dalam kepayahan.
“Laporan ct scan hari tu akan keluar
petang ni. Doktor masih berbincang sekarang.”
Ibu diam. Pandangan matanya
disorotkan ke luar tingkap. Memerhati entah apa-apa di luar sana. Sufi turut mendiamkan dirinya. Hatinya
memang sedih benar melihatkan keadaan ibu. Terbaring di situ dengan keadaan
yang cukup tidak bermaya. Segala-galanya tidak mampu dilakukan termasuk
menyuapkan makanan sendiri. Begini seksanya melihat ibu menahan sakit.
Bagaimana seksanya ibu memeliharanya sehingga dia besar panjang seperti itu?
Tentu untuk mencapai usia santak hari itu telah banyak air mata ibu tumpah
untuknya. Tentu dia juga pernah sakit. Tentu sekali.
Jika sekarang ibu sakit, dia
mandikan ibu, suapkan ibu makanan dan macam-macam urusan peribadi ibu diambil
alihnya. Tentu masa kecilnya dulu lebih daripada itu ibu lakukan. Mandikan dia,
suapkan dia makanan. Ibu... kalaulah boleh masa itu ditukar ganti. Dipusing
kembali, Sufi mahu kembali ke masa kecil dulu, boleh kembali bermanja dengan
ibu.
“Tak mau! Tak mau pergi sekolah.
Sejuk.” Raung Sufi seusia tujuh tahun ketika hari hujan dan matanya mengantuk
untuk ke sekolah. Dia menggelepar dan menghentak-hentakkan kakinya tunjuk
perasaan kerana malas ke sekolah.
Lalu ibu panaskan air. Dicampur ke
dalam air perigi yang sedia dipunggah ke jemuran dapur. Mandikan Sufi di situ.
Lalu disiapkan Sufi dengan pakaian sekolah. Kemudian ibu dukung Sufi dengan
sebelah tangannya memegang payung. Tangisan Sufi sudah reda. Air matanya masih
bersisa. Ibu tenang mendukungnya hingga ke sekolah. Meredah hujan pagi yang
agak melebat. Aduh! Semuanya bagai ditayang semula dalam bentuk maya di depan
Sufi.
Ada air panas mengalir di pipi Sufi. Dia
tidak sedar. Ibu juga tidak sedar.
“Banyaknya bawang putih bawah pokok
tu. Berguni-guni.” Ibu bercakap seorang diri.
Sufi tersentak. Disapu air mata di
pipi yang mula dirasakan hangat. “Apa bu?”
“Itu, bawang putih bawah pokok tu,
berguni-guni.” Ulang ibu sambil memuncungkan bibirnya ke arah pokok besar di
luar pagar hospital.
Kepala Sufi tertinjau-tinjau. Tak
ada pun! Hati kecil Sufi berkata. Dipandangnya ke wajah ibu. Hairan.
“Tak nampak pun ibu...”
“Tak nampak? Mata kau ni buta ya
Sufi. Berguni-guni bawang putih bawah pokok tu kau boleh tak nampak? Memang
mata kau dah nak kena cungkil ni. Ganti dengan mata lembu.” Ibu mula
meninggikan suaranya dalam sakit-sakit begitu.
Sufi tertinjau-tinjau lagi. Memang
dia tidak nampak. Dia termengkelan juga. Memerhati sekeliling. Memastikan jika
ada sesiapa memandangnya semasa ibu mengherdiknya tadi.
“Tak nampak lagi? Kau memang dah
buta Sufi. Buta!”
Air mata Sufi ingin menitis.
Ditahannya. Begitulah ibu jika dengan
Sufi. Jika silap sikitpun ibu sudah mula menengkingnya. Mengherdiknya tanpa
mengira perasaan Sufi. Tuhanku. Berikanlah aku kesabaran. Sufi jadi terdamba.
Sedang Sufi memujuk hatinya sendiri,
datang seorang jururawat yang sudah agak berusia, mungkin dua tiga tahun lagi
akan menamatkan perkhidmatannya mendekati Sufi. Dia bertanya khabar tentang ibu
Sufi.
“Akak dengar doktor bercakap-cakap
tadi. Katanya ada kerosakan. Mereka nak buat operation jika waris membenarkan untuk mengesahkan kerosakan
sebenar. Kalau doktor ada buat permintaan seperti itu, adik jangan bersetuju
kerana jarang patient selamat lepas
dibedah. Baik adik berubat cara kampung dulu,” nasihat jururawat itu kepada
Sufi.
Sufi meski agak terkejut dengan
perkataan kerosakan mengangguk-angguk. Kemudian dia menoleh ke arah ibunya yang
sedang asyik memerhati ke luar. Entah apa yang sedang difikirkan ibu ketika
itu. Kalaulah dia dapat membaca perasaan ibunya ketika itu. Kalaulah juga ibu
dapat membaca rasa hatinya ketika itu.
Jururawat berlalu. Sufi mendekati
ibunya. Mengusap-usap betis ibunya dengan penuh kasih sayang. Aduhai ibu...
memang Sufi sudah menyangkakan semua itu. Kerosakan di bahagian hati. Cuma Sufi
mengharapkan akan berlaku sesuatu yang ironi di sini. Berubat cara tradisional.
Bukan bomoh. Tradisional di sini maksudnya mencari ubat-ubat tradisi daripada
unsur alam, mungkin susu kambing, herba-herba, akar kayu atau apa saja. Mungkin
bertemu alim-ulamak untuk meminta mereka melakukan solat hajat. Selain
anak-anak sendiri yang melakukannya, boleh minta bantuan orang lain. Selama ini
pun solat hajat sudah biasa dilakukan oleh Sufi dan adik-beradiknya menghadapi
kesihatan ibu yang terjejas seperti itu.
Menunggu petang bagi mendengar
pengesahan doktor tentang penyakit ibu sesuatu yang amat menyeksakan. Apatah
lagi apabila ibu mula bersungut-sungut untuk pulang ke rumah. Katanya tidak
selesa menghabiskan masa sakit di hospital tanpa sebarang perawatan yang
diterimanya. Tiada sebarang ubat diberi, tiada suntikan apatah lagi wayar dripp bersambung di tubuhnya. Hanya
terlantar di katil menunggu doktor datang memeriksa dan memeriksa lagi.
“Sakit ibu ni mungkin tak ada ubat Pi,
sebab itu doktor jarang bagi ubat,” keluh ibu seperti sudah putus asa dengan
penyakitnya sendiri.
“Tak apa lah kalau kat sini tak ada
ubat, kita berubat cara kampung pula ya, ibu.” Sufi memujuk walaupun hatinya
sendiri tidak yakin perawatan cara kampung mampu untuk memulihkan ibunya.
Tambahan pula nalurinya ada
firasatnya yang tersendiri berkaitan penyakit ibu. Itu mimpi-mimpinya yang
dialami ketika masih menuntut dulu dan gerak hati yang sentiasa kacau bilau
masih menghantuinya hingga kini. Ditambah dengan sikap ibu yang suka bercakap
perkara pelik-pelik dan tidak masuk akal.
Petang yang mendebarkan akhirnya
muncul jua. Doktor memanggil Sufi dan ibunya. Sufi ingin mengambil kerusi roda
untuk memudahkan pergerakan ibu yang agak terbatas, namun ibu menolak dengan
alasan masih larat jalan sendiri. Sufi dikesampingkan. Sufi mengetap bibirnya.
Membontoti ibu yang perlahan-lahan melangkah ke meja doktor. Doktor perempuan
ni pun satu masalah, minta pesakit yang tidak larat berjalan ke meja, bukan dia
yang mahu menapak ke katil. Ada
sedikit rasa jengkel Sufi terhadap doktor perempuan itu.
“Begini makcik, adik. Apa juga yang
saya katakan nanti, minta bawa bersabar. Kami dah berbincang. Melalui ct scan
yang diambil hari itu, kami dapati memang hati makcik mengalami kerosakan yang
amat teruk,” ujar Doktor Hanifah. Dia menunjukkan filem ct scan di tangannya.
Sufi memandang ke wajah ibunya. Ibu
nampak mengangguk-angguk dengan tenang. Entah dia faham entah tidak dengan
penerangan doktor. Hati Sufi pula memang kosong benar ketika itu.
“Hanya sikit saja bahagian hati
makcik yang masih baik, keseluruhannya memang teruk dan kami tak boleh nak buat
apa melainkan bagi ubat penahan sakit. Penyakit makcik ni kalau istilah kampung
barahlah. Kalau kami, ia dikenal sebagai hepatoma.
Kalau nak tau diagnosis sebenar, kami perlu buat operation dan ambil sedikit bahagian yang rosak untuk untuk
penyelidikan dan pengesahan.”
Doktor Hanifah memandang ke wajah
Sufi dan ibu silih berganti. Sufi mengetap bibirnya.
“Rasanya tak perlulah doktor. Kalau
dibenarkan, biar kami bawa balik ibu untuk berubat cara kampung pulak.”
“Itu juga bagus. Mungkin kat sini
tak boleh, kat sana
boleh. Siapa tahu? Lagi pun semua ini kerja Tuhan, kita usaha, kemudian
tawakkal.” Doktor Hanifah mengukirkan senyuman. Walaupun sudah bertahun-tahun
berkecimpung dalam dunia perubatan, dia masih percaya perubatan cara
tradisional. Ada
masanya ada penyakit tidak boleh disembuhkan dengan perubatan moden.
Sufi dibenarkan membawa ibu pulang.
Sufi meminta izin daripada ibu untuk membuat panggilan kerana telefon
genggamnya kehabisan kredit. Dia menghubungi Kak Izan kerana suami Kak Izan
satu-satunya saudara yang mempunyai kenderaan persendirian. Kak Izan berjanji
untuk datang secepat mungkin.
Sufi lihat ibu sedang
bersalam-salaman dengan semua pesakit dan juga jururawat di wad. Malah dia juga
meminta maaf daripada mereka. Sufi merapatinya dan mengajak ibu ke katil
memandangkan keadaan ibu yang tidak berdaya. Ibu marah-marah kepada Sufi dan
menuduh Sufi ingin mengawal dirinya.
“Aku tahu, aku tahu, tak payah cakap
aku tahu aku berdaya atau tidak.” Ibu menolak Sufi ke tepi.
Diperlakukan begitu di tengah
khalayak membuatkan Sufi agak terkilan dan terluka. Lalu dia kembali ke katil
ibu dan membiarkan ibu meneruskan ‘agendanya’. Sufi terdamba di situ. Lebih
baik begitu daripada dia bersuara. Mendambakan diri itu lebih baik sedang
hatinya memang bergulung-gulung ditimpa rasa sedih.
Sehingga Kak Izan datang bersama
Abang Adi dan Maria pun Sufi masih mendiamkan dirinya. Muka muncungnya
membuatkan mereka bertiga tertanya-tanya
dan kehairanan. Lalu ditanya kepada ibu mengapa Sufi nampak kurang elok
anginnya.
“Sufi, bukan kau tak tahu
perangainya, panas baran, cepat melenting.”
“Yalah, saya ni panas baran. Cepat
melenting. Mudah merajuk, tersinggung. Cuba Kak Izan cakap, siapa tak
tersinggung kalau diherdik depan orang ramai? Dari pagi, saya asyik kena marah
saja.”
“Ibu, kenapa asyik nak marah Sufi?
Dia tu dah penat datang jaga ibu bermalam-malam...” Kak Izan bertanya ibu.
Kemudian memandang ke arah Sufi. “Kau pun Pi, sabarlah sikit. Jaga orang sakit
ni tak sama dengan jaga orang sihat.”
“Ibu tak marah apa Zan? Dia ni
memang nak melawan saja. Ibu cakap kat luar tu ada berguni-guni bawang putih.
Dia boleh cakap tak ada.”
Hah, ibu timbulkan lagi pasal bawang
putih. Kak Izan dan Maria memandang ke arah yang ditunjukkan ibu. Mereka
kemudian memandang ke arah Sufi. Pandangan mereka memberi makna ‘sabar’ saja.
Mereka juga tentu tidak nampak bawang putih yang ibu maksudkan. Macam mana mahu
nampak, itu cuma halusinasi ibu.
“Ibu memang, kalau Sufi semua ibu
tak berkenan. Maklumlah, Sufi bukan boleh bagi duitpun. Menghabiskan duit ada.”
Sufi sudah mula menangis. Biarlah
kalau ada yang mahu memandangpun. Dia sudah tidak tahan dengan ibu. Maria dan
Kak Izan memujuknya dan meminta supaya bersabar. Ibu sudah mula mendiamkan
diri. Dia memandang ke luar. Tempat yang dikatakan terdapat berguni-guni bawang
putih.
Ibu, Sufi memang sayangkan ibu, tapi
ibu kan tahu
anak ibu yang seorang ini memang tidak boleh bersabar.
BAB SEMBILAN BELAS
Keadaan
kesihatan ibu tidak menunjukkan sebarang perubahan meskipun banyak pakar
perawatan tradisional berkaitan penyakit hati dibawa ke rumah. Malah ibu
semakin kerap pula bercakap tentang perkara yang bukan-bukan dan nampak benda
yang bukan-bukan. Bayangkan, dalam petak sawah yang kering ditumbuhi semalu dan
pepohon herba lain dikatakannya tempat pelbagai jenis ikan cantik-cantik, pelbagai saiz dan warna sedang
berenang. Dia tengok kotak dikatakannya topi, anak-anak berada di sebelah pun
tidak disedari. Malah pelbagai sikap pelik ditunjukkan ibu membuatkan anak-anak
sedikit terugah.
“Ibu sudah mula nampak alam yang
satu lagi...” komentar yang dikeluarkan Kak Izan. Tentunya dengan wajah sugul.
“Arwah ayah dulu juga sering
bercakap-cakap seorang diri ketika masanya hampir tiba.” Kak Lila pula berbunyi
begitu.
“Lihatlah ibu, semakin hari semakin
tak berselera makan, mahupun minum walau seteguk air. Harapan nampak tipis
untuk pulih seperti biasa.” Maria. Itu
saja yang dia runsingkan. Mudah berputus asa.
“Kita berusaha, selebihnya serah
kepada-Nya.” Kak Lila sekali lagi.
Masing-masing memang bimbangkan
kesihatan ibu yang hari demi hari makin teruk. Susut badannya juga makin
hilang. Begitupun ibu masih ada hati untuk bercakap-cakap.
Suatu malam keadaan makin genting.
Ibu langsung tidak boleh merebahkan tubuhnya. Jika dia berbuat demikian dia
akan kesesakan nafas. Lalu Sufi memberikan belakangnya untuk ibu buat pangku.
Dia memangku di belakang Sufi sambil mengeluh betapa sakitnya. Setiap kali ibu
mengeluh setiap kali itulah hati Sufi bagai disiat-siat. Menghadapi hari-hari
getir bersama ibu memang sesuatu yang amat meneruja perasaannya untuk menjadi
begitu medu dan tidak lugu.
“Pi, ibu minta maaf. Selama ni ibu
selalu buat Pi rasa kecil...” perlahan ibu menuturkan kata-kata kemaafan itu.
Sufi tidak membalas kata-kata ibu
sebaliknya hanya mendiamkan diri. Hatinya memang tersentuh apabila seorang ibu
mengucapkan kata-kata sedemikian kepadanya. Seorang ibu bagi Sufi tidak akan
pernah melakukan kesilapan terhadap seorang anak. Jika ada yang menyinggung
hati anak, itu hanya tersalah faham sahaja. Sufi juga tidak mengharapkan ibu
mengeluarkan kenyataan demikian. Sufi sungguh-sungguh ingin menangis. Malam
yang dilalui pula terasa begitu panjang.
“Ibu sayangkan semua anak-anak ibu.”
Ibu berbunyi lagi.
Sufi mengetap bibir. Memang dia tahu
ibu sayangkan semua anak-anaknya. Sufi tahu itu.
Sufi juga ingin memohon maaf
daripada ibunya. Namun semuanya tidak terluah dan dia sebaliknya hanya
mendiamkan diri dan terus membiarkan ibu meluahkan rasa hatinya.
“Ibu bimbang mahu tinggalkan
anak-anak ibu. Maria bukan boleh dibuat tempat bergantung hidup. Hidup dia
selama ini pun terumbang-ambing. Ibu benar-benar bimbang dia memperlakukan
aniaya terhadap adik-adiknya.”
Berderau darah Sufi mendengar luahan
ibu itu pada saat dia juga ada memikirkan tentang kemungkinan itu. Andainya
nanti umur ibu tidak panjang, bagaimana nasibnya dan adik-beradik yang lain di
bawah Maria? Dia tahu Maria hati perutnya memang tidak seperti orang lain. Dia
jenis yang buta kayu dan tidak mempunyai perasaan. Rasa kasih dan sayang
padanya tidak wujud dan dia hanya tahu menjaga kepentingan dirinya sendiri.
Sufi memang dapat merasakan itu semua.
Sufi tidak bimbangkan dirinya
sendiri kerana yakin dengan kelulusan yang dimilikinya dia boleh pergi jauh.
Dia yakin itu. Antara lambat cepatnya sahaja yang dia tidak pasti. Dia cuma
bimbangkan nasib adik-adiknya dan juga Kak Eisya yang tidak berkemampuan lagi
untuk bekerja. Siapakah yang bakal
membela nasib mereka jika ibu sudah tiada nanti?
Pagi keesokan harinya. Ibu semakin
tidak berdaya nampaknya. Pagi itu pula dia mengadu telinga kurang dengar.
Matanya juga agak kabur. Dia mula tidak boleh bangun meskipun secara
perlahan-lahan. Lalu dia terpaksa ditarik dengan menggunakan tikar untuk
membawa dia ke mana-mana. Dari tempat tidurnya ke tempat membuang air kecil
atau dari tempat tidurnya ke muka pintu. Ibu memang senang berada di muka
pintu. Melihat keadaan di luar rumah.
Melihatkan keadaan ibu yang semakin
teruk, saudara mara jauh dan dekat dipanggil. Ramai yang datang membacakan
Yasiin melihatkan keadaan ibu. Abang di panggil pulang. Begitu juga dengan Aman
dan adik perempuan arwah ayah yang Sufi panggil Mak Usu, juga dipanggil pulang.
Keadaan ibu memberi gambaran masa untuknya tidak lama. Bila-bila masa sahaja
dia akan meninggalkan Sufi dan keluarganya. Kenikmatan hidupnya telah ditarik
satu-persatu dengan cepat sekali.
Pesan orang tua-tua, jika ada antara
ciri-ciri seperti yang sedang ibu alami, anak-anak atau saudara mara harus
mempersiapkan diri sama ada mental atau fizikal kerana masanya tidak lama.
Tengahari, Pak Muda Abdul, sepupu
Mak Timah datang membawa seorang ustaz yang juga pengamal kaedah perawatan
tradisional merawat ibu. Ustaz Abd. Malik namanya. Dia sebenarnya tinggal di
Raub. Kebetulan datang merawat di Tanah Merah, singgah makan di kedai Pak Muda
Abdul terus dibawa Pak Muda Abdul ke rumah Sufi, mana tahu mampu untuk merawat
ibu.
Ustaz Abdul Malik memulakan kaedah
rawatannya dengan menunaikan solat hajat, minta petunjuk daripada Allah tentang
penyakit ibu. Dua kali Ustaz Malik melakukan solat hajat sebelum melakukan
bekam, menyedut keluar darah-darah kotor dari badan ibu. Ustaz Malik
menggelengkan kepala dan menyatakan harapan ibu terlalu tipis kerana
kedatangannya boleh dikatakan agak terlewat. Hanya boleh tawakkal sahaja.
Sufi dan adik-beradiknya tenang
mendengar kata-kata Ustaz Malik.
“Kalau apa-apa jadi pada ibu, tolong
jangan menangis ya. Kasihan Azah, kalau kita yang dah dewasa ni menangis, dia
yang belum mengerti apa-apa tentu akan lebih bersedih.” Begitu pesan Maria
kepada adik-beradiknya.
Santak malam, ibu makin tenat
keadaannya. Abang Zali tiba lepas Maghrib. Belum sempat menunaikan solat, terus
mendapatkan ibu. Mak Usu dan Aman juga tiba seketika kemudian. Semua
mengerumuni ibu. Abang meriba kepala ibu, diikuti Maria, Kak Eisya, Kak Izan
dan Kak Lila di kiri kanan bahagian tubuh, Sufi dan Aman di bahagian betis,
Azah dan Sauki di bahagian kaki, Alif dan Farah juga di bahagian kaki. Semua
mengambil posisi mengikut umur bagai dirancang.
Suasana dipenuhi dengan suara orang
ramai membacakan surah Yasiin.
“Zali...” Panggil ibu dengan nada
lemah. Sufi dapat melihat ibu meraba-raba wajah Abang Zali.
“Ya ibu.” Abang menjawab dengan
suara sedih.
“Ini Zali?” Soal ibu inginkan
kepastian kerana matanya memang tidak nampak. Abang Zali mengiyakan sekali
lagi.
“Zali, marilah sini. Ibu nak riba
Zali. Dah lama ibu tak riba Zali...” pinta ibu.
Abang Zali kelihatan sebak.
Adik-adik yang lain juga kelihatan sebak.
“Biarlah ibu, ibu dah riba Zali masa
Zali kecik-kecik dulu, kali ini biar Zali pula yang riba ibu.” Begitu jawab
Abang Zali.
Semua yang mendengar sebak. Bagaikan
suatu drama.
“Ibu, cuba ibu mengucap.” Abang menyuruh
ibu mengucap dua kalimah syahadah.
“Ya nak, cuba kau mengucap. Ikut aku cakap
ni...” Mak Timah pula mengambil bahagian. Dia ketika itu berada di sebelah
Abang Zali. Tentunya juga sedang menangis.
“Tak payah ajar saya mak, saya masih
ingat. Kenapa nak ajar-ajar saya ni?” Soal ibu. Kemudian kedengaran dia
mengucap perlahan-lahan.
“Lepaskan dia, lepaskan. Jangan ada
sesiapa yang pegang dia...” Entah suara siapa, tapi Sufi dengar ada arahan
sebegitu membuatkan Sufi dan adik-beradiknya yang lain melepaskan pegangan dari
tubuh ibu.
Mereka membiarkan ibu mengakhiri
nafasnya dengan tenang. Sufi sempat melihat gelombang kuat di perut ibu
sehingga ke gerakan halus di kelopak mata. Ibu akhirnya menutup matanya dengan
tenang di pangkuan sembilan orang anak-anaknya. Wajahnya tertoleh ke arah
kanan. Tiada tangisan kedengaran. Sufi memandang Kak Lila. Kak Lila juga
memandangnya. Sufi memandang ke arah Abang Zali yang kini sudah bangun berdiri di
belakang entah siapa-siapa. Mungkin menjauhkan diri daripada ibu untuk
mendapatkan kekuatan dirinya.
Sufi lihat Abang Zali tersedu-sedan.
Dia mengeluarkan tisu dari kocek baju dan menyeka air matanya. Sufi lihat
lelaki yang disanjunginya itu menangis. Lalu air mata Sufi tumpah jua. Bukan
menangisi pemergian ibu kerana dia sudah menjangkakan semua itu, tetapi
menangisi air mata Abang Zali yang tumpah ke bumi. Abang Zali. Ibu sudah
meninggalkan kita!
Ibu telah
selamat disemadikan. Maria meraung-raung di dalam bilik beberapa hari selepas
kematian ibu. Anak-anak ibu yang lain tenang sahaja. Abang Zali juga nampaknya
sudah tenang meskipun dia banyak termenung selepas kematian ibu. Mungkin
memikirkan tanggungjawab yang bakal dipikul selepas ini. Tanggungjawab Abang
Zali akan menjadi lebih berat selepas kematian ibu. Sementelah pula kematian
ibu meninggalkan sejumlah hutang yang begitu membebankan kepala otak Abang
Zali. Kasihan abang.
“Kalau ibu dah tiada nanti, Pi
tolonglah langsaikan hutang-hutang ibu tu. Jangan harapkan abang sebab dia
banyak tanggungan. Kak Izan pun dah bersuami, dulu ibu ada juga menaruh harapan
kepadanya.” Terngiang-ngiang semula kata-kata ibu semasa menemani arwah ibu di
meja makan ketika sihatnya.
Hutang ibu. Hutang yang terpaksa ditanggung
kerana sikap boros Maria yang menggunakan wang ibu sesuka hati sehingga
termakan modal pusingan. Ketika itu Maria masih dengan Omar. Begitulah Maria,
jika sudah sukakan seseorang lelaki dia sanggup berhabis asalkan dapat
memenangi hati lelaki itu. Entahlah. Apa sebabnya Maria jadi begitu langsung
tidak Sufi ketahui. Padahal lelaki yang mendampinginya langsung tidak mampu
memberi sebarang jaminan masa depan kepadanya.
Berbalik kepada hutang yang terpaksa
ditanggung Abang Zali, sebenarnya seminggu
selepas kematian ibu, pihak pembekal yang memberi hutang kepada ibu telah
datang bertemu Abang Zali untuk memaklumkan perkara tersebut. Empat belas ribu
perlu dijelaskan dalam masa setahun. Begitu yang dikehendaki mereka. Jumlah itu
jika pada orang lain mungkin sedikit, tapi pada Abang Zali dan adik-beradiknya,
jumlah itu terlalu banyak dan agak membebankan jika terpaksa dilunaskan dalam
masa setahun. Aduh. Abang Zali nanar.
Dek kerana hutang itu sebenarnya
wujud kerana sikap Maria (meskipun dia
mati-matian menafikan dan menuduh ia wujud semasa ibu berniaga dengan Kak Izan)
maka Abang Zali meminta Maria lunaskan secara sedikit demi sedikit sejumlah
empat ribu dan sepuluh ribu lagi dia berjanji dengan pihak pembekal akan cuba
menyelesaikannya hujung tahun itu. Kasihan abang! Apa pula reaksi Kak Nida?
Sufi tahu abang memang terkilan
kerana terpaksa menanggung bebanan itu. Sufi nampak dan terdengar perbualan
Abang Zali dengan Mak Timah di bawah pohon sentul rumah Mak Ngah. Dia mengeluh
dengan semua itu. Ya Allah, kau berikanlah kekuatan kepada Abang Zali.
Sesungguhnya dia seorang abang yang benar-benar bertanggungjawab terhadap
adik-beradiknya.
“Aku dah nak kembali ke KL, kau
meniagalah baik-baik Maria, nanti urusan pertukaran nama gerai ayam dengan pihak
majlis daerah kau uruskanlah. Aku amanahkan kau jaga adik-adik.” Pesan Abang
Zali sebelum dia berangkat ke Kuala Lumpur.
Maria mengangguk-angguk dan berjanji
untuk menjaga adik-adik sebaik mungkin. Dia tidak mahu fikirkan tentang perkara
lain selain hal kebajikan adik-adik yang kini dalam tanggungannya.
Abang pun meninggalkan mereka. Sufi
tahu, dalam hati abang masih sarat dengan kesedihan ekoran kematian ibu. Mereka
adik-beradik kini tidak berayah dan tidak beribu. Yatim piatu. Hakikat yang
benar-benar memeritkan mereka adik-beradik, namun mereka bagaimana pun memang
redha dengan keadaan itu.
Majlis kenduri arwah dibuat tanpa
Abang Zali. Meski agak kecoh dengan sikap Maria yang terlalu berkira tentang
barang-barang peribadi ibu yang ingin disedekahkan segala-galanya tetap juga
berjalan dengan sempurna. Mujurnya dalam keadaan tiada berayah dan beribu itu
saudara mara banyak membantu pelbagai macam urusan. Mungkin malu dengan
kedudukan Mak Timah sebagai bidan kampung atau mungkin juga kerana mengenangkan
betapa baiknya arwah ibu semasa hayatnya.
Dalam pada itu, mungkin rezeki Sufi
agaknya, ibu saudara Izzuddin, Dr.Hanim yang bertugas di UPM, telah menelefon
Sufi dan mempelawa Sufi menjadi Pembantu Penyelidiknya. Sufi tentunya menerima
dengan senang hati pelawaan itu apatah lagi dalam keadaan dia sebenarnya sedang
kembali mencari pekerjaan selepas kematian arwah ibu. Sungguhpun demikian Sufi
minta tangguh sehingga majlis kenduri arwah yang ke empat puluh hari selesai
(di sini sebenarnya Sufi tidak begitu berkenan membilang hari untuk melakukan
kenduri arwah, namun apa daya Sufi, dia cuma pepijat untuk menyuarakan
bantahannya, semua orang membilang hari seperti itu).
Dalam tempoh kematian arwah ibu itu
juga, Sufi sebenarnya banyak menerima panggilan daripada rakan-rakan yang
mengucapkan takziah di atas kematian arwah ibu. Sesuatu yang tidak terduga,
Helmi juga turut menelefonnya untuk mengucapkan takziah. Dia marah-marah kerana
Sufi tidak mengkhabarkan perkara tersebut kepadanya sedangkan mereka pernah
berkawan baik selama ini.
“Mujur aku terserempak dengan Zana,
dialah yang memberitahu aku tentang kematian ibu kau. Sampai hati kau Sufi,
perkara macam ni pun kau tak sanggup nak kongsi dengan aku.”
“Aku terlupa Helmi.”
“Terlupa? Danish kau boleh tak lupa.
Kenapa pula aku kau boleh lupa?” Soal Helmi membuatkan Sufi terdiam.
Sebenarnya Sufi memang ada menelefon
Danish memberitahu tentang perkara tersebut. Danish hanya memintanya supaya
bersabar. Dia juga minta Sufi supaya jangan menangis kerana dia sentiasa ada
untuk menemani suka duka Sufi. Boleh percayakah?
Ikutkan hati, Sufi memang tidak mahu
memberitahu perkara itu kepada Danish, namun keadaan mendesak apabila adiknya,
Aman memerlukan wang untuk kembali bekerja kerana kehabisan modal apabila mengambil
cuti mengejut sebelum gaji tiba seperti itu. Sufi yang sejak habis belajar
sentiasa kekeringan cuba menghubungi Danish untuk meminta Danish jelaskan
hutangnya. Danish berjanji, namun hingga ke hari itu, tiada sebarang
pertambahan jumlah wang dalam akaunnya. Aman pergi ke Johor dengan sedikit duit
poket yang diberikan Kak Izan.
Dek kerana sikap Danish itu
membuatkan Sufi benar-benar tawar hati dengannya. Apatah lagi apabila sejak dia
membuat panggilan memberitakan tentang kematian arwah ibunya, Danish langsung
tidak membuat panggilan kembali untuk bertanya khabar selepas itu. Tidak
seperti kawan-kawannya yang lain. Lalu kerana itu Sufi menghubungi Danish
sekali lagi.
“Aku benar-benar terkilan dengan kau
Danish, selama ini aku anggap kau kawan. Kau pula sedikit pun tak anggap aku
begitu. Kau hanya cari aku untuk menjaga kepentingan kau saja.”
“Sufi, aku bukan sengaja. Pasal duit
yang aku pinjam tu, aku dah usahakan. Aku ada pergi jumpa dengan sepupu aku
yang tinggal kat sini, dia pun tak boleh menolong.”
“Dah. Aku bukan kecohkan pasal duit
tu. Aku kecohkan sikap kau terhadap aku. Kau tak pernah ikhlas dengan aku
selama ini Danish, aku bodoh kerana tak pandai menilai. Aku benar-benar
terkilan dengan kau. Aku tak mahu kawan dengan kau lagi.”
“Kalau kau tak mahu kawan dengan aku
lagi sudahlah...” kata Danish dengan nada yang lain daripada kebiasaannya.
Kebiasaannya juga, jika Sufi
menuturkan kata-kata seperti itu, dia akan memujuk Sufi. Namun kali ini tidak
lagi. Sufi benar-benar terkilan. Sikap Danish secara tidak langsung menunjukkan
siapa Sufi di hatinya selama ini. Sufi memang tidak pernah ada ruang istimewa
di hati Danish. Sufi hanya tempat untuk menjaga kepentingannya. Saat itu Sufi
benar-benar terasa bodoh.
Dia geram dengan Danish. Juga kecewa
dengan Hardi. Dia bencikan kedua-dua mereka.
“Sufi, kenapa kau diam?” Soal Helmi
setelah Sufi agak lama mendiamkan diri.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih
kerana ambil berat soal aku Helmi.” Sufi kembali ke alam nyata.
“Sebagai kawan, aku memang sentiasa
mengambil berat soal kawan aku. Kau yang tak pernah menghargainya. Maklumlah,
kau ada Danish.”
“Mie, tolong jangan sebut nama
Danish. lagipun antara kami memang tak pernah ada apa-apa. Macam aku dengan kau
juga.”
“Aku tahu apa yang terjadi antara
kau orang. Dia ada datang jumpa aku. Aku minta maaf bagi pihak dia kerana buat
macam tu pada kau.”
‘Dia tak buat apa-apa pada aku.”
“Sufi, kau jangan ingat aku tak tau.
Danish ada pinjam sejumlah wang daripada kau kan? Dia ada datang cari aku untuk
pinjam wang tempoh hari. Dia tak cakap nak bayar hutang siapa, tapi aku tahu
orang tu mesti kau. Kalau tak dia tak akan gelisah seperti itu.”
“Kau cakaplah kat dia, pasal hutang
tu aku halalkan kira sedekah atas nama arwah kedua-dua orang tua aku.” Sufi bersuara.
Malas dia mendengar soal hutang-hutang diungkit lagi. Baginya kerana wang
sebanyak itulah dia telah hilang keyakinan untuk meneruskan hubungan
persahabatan dengan Danish.
Danish telah menukarkan kepercayaan
Sufi terhadap kejujuran Danish selama ini dengan wang berjumlah seratus lima
puluh . Apabila Danish sentiasa bertangguh untuk membayar hutang itu dan pada
saat dia begitu memerlukan wang itupun Danish masih tidak berusaha untuk
membayarnya, maka Sufi memutuskan dia selama ini memang tidak pernah istimewa
di mata Danish. Dia memang telah hilang
keyakinan terhadap Danish. Dia bencikan Danish kerana tidak pernah jujur
dengannya.
Sufi kini mahu membina hidup baru
selepas kematian ibu. Dia ingin melupakan Danish. Kesalahan yang Danish lakukan
terhadapnya lebih besar daripada kesalahan Hardi meninggalkannya. Malah, dia
tidak pernah merasa semarah itu terhadap Danish, meskipun selama ini Danish
berkali-kali menolak untuk memberi satu kepastian terhadap kedudukannya dalam
hidup Danish. Ketika Danish meminta Sufi memberinya masa, ia bukanlah sesuatu
yang begitu melukakan berbanding dengan hakikat Danish sebenarnya hanya
mempergunakan dia untuk menjaga kepentingan diri. Itu benar-benar melukakan
Sufi.
Jika tidak kerana kematian arwah
ibu, segalanya mungkin tidak akan terang-terangan seperti itu. Mungkin ada
hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Jika tidak pasti selama-lamanya Sufi
akan meneruskan persahabatan dengan Danish sekiranya Danish kembali mencarinya
seperti masa-masa lampau setiap kali Sufi bertindak menyepikan diri apabila
Danish meminta Sufi memberinya masa.
Danish yang mengatakan ikatan
persahabatan akan lebih dihargai berbanding
percintaan, namun nampaknya Danish sendiri tidak pernah pandai
menghargai ikatan persahabatan antara mereka.
Nilai hubungan persahabatan mereka hancur hanya kerana sejumlah wang seratus lima puluh ringgit.
Sufi telah membayar sebanyak itu untuk melihat kejujuran Danish yang sebenar.
Sufi tidak merasa kerugian, jika jumlah itu yang terpaksa dibayar, lebih daripada
itu pun dia sanggup untuk menyingkap kedudukan sebenar dirinya di mata Danish.
Dia benar-benar terkilan dan kecewa
kerana Danish. Rasanya dia tidak sanggup untuk berdepan dengan Danish lagi
selepas semua kejadian itu. Dia merasa benar-benar tertipu dengan mainan
kata-kata Danish. Jika Hardi dengan caranya itu, Danish pula ada cara
tersendiri dalam melukakan hatinya. Luka ditinggalkan Hardi dan kecewa ditipu
Danish berbaur membuatkan hati Sufi benar-benar tidak lugu untuk meneruskan
hari-harinya.
Begitupun semua itu dipendam.
Bimbang diketawakan oleh adik-beradiknya yang selama ini memang tidak pernah
mempercayai lelaki. Bimbang digelar bodoh meskipun tidak lama lagi bakal
menerima segulung ijazah. Bodoh kerana dengan mudah membiarkan beberapa orang lelaki
dalam masa yang sama mempermainkannya. Menipu dalam konteks yang berbeza, namun
masih dengan maksud untuk mempermain-mainkannya. Dia pasti akan diketawakan.
Ijazah yang bakal diterimanya nanti
tidak boleh menjadi kayu ukur dalam menilai kecerdikannya membuat keputusan
berkaitan lelaki. Kakak-kakaknya yang tahap pendidikan tidak setinggi mana jauh
mengatasinya dalam menangani masalah lelaki sehingga tidak sewenang-wenangnya
diperdayakan.
Ijazah yang bakal diterimanya?
Tiba-tiba Sufi teringat sesuatu di situ. Ah, arwah ibu tidak sempat untuk
melihat satu-satunya anak yang berjaya melangkah ke menara gading menyarungkan
jubah konvo dan berjalan di atas permaidani merah untuk menerima segulung
ijazah. Aduh! Sedihnya hati Sufi.
Siapakah yang bakal menemaninya
nanti? Abang Zali dan Kak Nida? Minta maaf!
Dalam saat-saat ibu telah tiada seperti itu, Sufi tidak sanggup untuk
menatap wajah abang pada hari yang dianggap paling bersejarah dalam hidup Sufi.
Hari itu tidak lagi memberi makna bagi Sufi. Tidak perlulah abang hadir untuk
turut sama meraikannya. Ia akan mengingatkan Sufi kepada arwah ibu yang tidak
dapat hadir. Sufi sanggup untuk menatap wajah siapa saja pada hari itu, tapi
bukan wajah Abang Zali. Pada wajah abang terpetia maksud kesedihan yang terpendam
di dalam hati Sufi. Sufi tidak mahu menangis pada hari itu.
Biarlah Kak Lila saja yang
menemaninya! Sufi akan tewas jika memandang wajah abangnya. Sufi tidak kuat
untuk menghadapi semua itu. Selepas arwah ibu, Abang Zali segala-galanya dalam
hidup Sufi.
BAB DUA PULUH
Sepuluh
hari selepas kematian ibu, Sufi diajak
Iha (masih ingat Iha yang menjadi kawan SMS Syafizan semasa di U dulu?)
menemaninya ke Radio Tiga KB.
“Kau nak buat apa kat rumah Pi? Baik
kau keluar jalan-jalan. Tenangkan fikiran. Boleh juga kau lupa sekejap kesedihan yang tengah kau tanggung tu.”
Begitu kata Iha semasa datang berkunjung ke rumah Sufi untuk mengucapkan
takziah sambil mengajak Sufi ke KB.
Iha datang bersama Ziera. Ziera juga
nampaknya bersetuju dengan kata-kata Iha.
“Betul Pi. Dalam keadaan macam ni,
tak baik terperuk kat rumah. Nanti makin tension.”
Sufi diam sejenak. Memang dia tengah
bengang. Dalam mengenangkan soal arwah ibu yang sudah pergi, Hardi dan Danish
juga masih menghantuinya. Dia benar-benar kacau dengan semua itu. Lalu Sufi akhirnya memberi persetujuan. Dia
bangun untuk bersiap. Serentak itu juga bunyi telefon nyaring minta diangkat.
“Hello...” Suara seorang lelaki!
“Hello, nak cakap dengan siapa?”
Soal Sufi.
“Ini rumah Sufi kah?” Soal lelaki di
hujung talian. Kawan Sufi rupanya. Begitupun suaranya terlalu asing di perdengaran Sufi.
“Ya, tapi siapa yang bercakap tu?”
“Ini Din,” balasnya. Terpeta di
benak Sufi wajah kawan sekelas bernama Saharuddin. Dia satu-satunya ‘Din’ yang
tahu nombor telefon rumah Sufi memandangkan dulu Din kerap menghubungi Sufi
untuk meminta jasa baik Sufi kenalkan dia dengan seorang gadis.
Itu cerita zaman sekolah dulu. Sudah
lama tidak mendengar suara Din, nampaknya suara itu juga sudah menunjukkan
perubahan. Bunyinya penuh kejantanan.
“Woi, orang nak pergi KB lah ni.
Orang sibuk macam ni baru tau nak telefon.” Melulu marah Sufi dalam nada
bergurau memandangkan dulu Sufi dan Din senang begitu. Din di hujung talian
ketawa.
Mendengar tawanya yang berbeza
daripda biasa membuatkan Sufi mula digamit hairan dan keliru.
“Ni Din yang belajar kat maktab
perguruan kah?”
“Tak,” jawabnya ringkas sambil
ketawa lagi.
Sufi mula keliru, siapa lagi ‘Din’
yang tahu nombor telefon rumah Sufi selain Din itu? Lalu di benak Sufi mula
terlukis wajah Dinie yang bertahun dahulu pernah Sufi temui lalu berborak
panjang di stesen bas. Tidak mungkin dia. Hati kecil Sufi menolak hakikat, tapi
jika benar dia Sufi gembira. Entah mengapa!
“Ini Din... Dinie yang belajar kat
IKBN?”
“Bukan IKBN tapi ILP,” balasnya
lagi. Ketawanya masih bersisa.
Nah, memang ternyata dia.
Menggunakan nama singkatan ‘Din’ merujuk kepada Dinie. Kan senang kalau disebut
nama penuh saja tadi. Begitupun Sufi masih inginkan kepastian. “Ini Dinie yang
dulu pernah saya jumpa dan kita borak-borak di stesen bas? Dinie yang kawan
dengan Hisyam tu?” Bertalu-talu Sufi menyoal untuk membenarkan agakannya.
“Ya, Din yang tu lah.” Dinie
mengiyakan.
Sufi tidak tahu mengapa dia
diselubungi bahagia ketika itu. Dinie yang Sufi sering tanya khabar hari itu
menelefon Sufi. Dinie yang sering Sufi intai kelibatnya setiap kali pulang
bercuti semester hari itu merisik khabar Sufi. Seperti mimpi. Seperti mimpi
Sufi semasa dia baru menjejakkan kaki ke menara gading. Sebenarnya begitulah
mimpi Sufi suatu masa dahulu dan mimpi itu benar-benar menjadi kenyataan kini.
Mimpi yang tidak pernah diambil berat kini dikenang kembali oleh Sufi.
Begitu pun Sufi tidak boleh berbual
lama dengan Dinie kerana Iha dan Ziera sedang menunggunya. Mereka turut
tersenyum mendengar cerita Sufi dalam perjalanan ke tempat menunggu bas. Mereka
juga kenal Dinie. Masakan tidak kenal, di sekolah dahulu, ramai pelajar
perempuan yang memuja Dinie. Pertama kerana dia ada rupa juga orangnya dan
kedua kerana dia baru berpindah ke sekolah itu. Pelajar baru, memang akan
menjadi perhatian.
Namanya pun unik: Dinie atau
maksudnya agamaku. Jika tadi Dinie lebih senang membahasakan dirinya Din, Sufi
pula senang untuk memanggilnya dengan nama penuh. Din cuma ‘agama’, tapi Dinie
kan ‘agamaku’?
Di situlah bermulanya hubungan Sufi
dan Dinie. Selepas hari itu, mereka berdua terus berhubung. Hingga akhirnya
Sufi tidak segan lagi untuk bercerita tentang kekecewaan yang pernah dialaminya
ketika bersama Hardi dan rasa tertipu kerana terlalu menyangjungi
persahabatannya dengan Danish. Ditambah pula dengan kesedihan kehilangan ibu
tersayang. Dinielah yang banyak memberi semangat pada Sufi. Dinielah yang
mebawa sinar baru dalam hidup Sufi.
Kehadiran Dinie di saat-saat itu
benar-benar Sufi hargai. Malah Sufi tidak lugu sekiranya sehari tidak mendengar
suara Dinie di hujung talian. Saban malam Sufi bagaikan tertunggu-tunggu
panggilan telefon daripada Dinie sehingga menelurkan rasa hairan di kalangan
kakak-kakaknya. Sufi bukan jenis suka bergayut di telefon lebih-lebih lagi
dengan lelaki yang baru dikenalinya. Selama ini pun Sufi hanya bercakap tidak
lebih daripada lima belas minit dengan Danish, Hardi atau sesiapa juga. Sufi
bertelefon kerap, tapi bukan dalam masa yang lama setiap panggilan. Namun
dengan Dinie, bukan setakat lima belas minit, lima belas jam pun dia sanggup.
Sufi sendiri tidak tahu mengapa
begitu senang dengan kehadiran Dinie. Malah lebih mengelirukan mengapa ada
getar di jiwa Sufi setiap kali menerima panggilan daripada Dinie? Mengapa ada
gelombang membelah dada Sufi kala mendengar sapaannya di hujung talian dan mengapa ada letupan di
segenap pembuluh darah Sufi setiap kali Dinie ketawa senang? Semuanya suatu
keadaan yang benar-benar baru untuk Sufi. Dan Dinie memang sentiasa memberikan
suatu pengalaman baru untuk Sufi! Pengalaman yang tidak pernah dilaluinya
ketika bersama Danish apatah lagi Hardi.
“Dinie, besok nak keluar tak?” Soal
Sufi. Sekadar berbasa-basi dengan Dinie.
“Kenapa? Sufi nak keluar kah?”
“Besok memang ada hal sikit. Nak
pergi baiki sijil kematian arwah ibu. Ia tersilap cetak bahagian nombor i/c. Takut juga susah nak berurusan
tentang banyak perkara nanti.”
“Kat mana?”
“Entahlah. Nak pergi balai polis
dulu kot. Sijil ni pun buat kat balai hari tu. Kalau tak boleh nak baiki kat
situ, kena pergi JPN lah.”
“Kalau macam tu nanti Dinie pergi
ambil Sufi di rumah pagi besok. Pukul berapa Sufi nak keluar?’
Betulkah apa yang Sufi dengar tu?
Dinie mahu datang menjemputnya. Itu kira first
date merekakah? Sufi tertanya-tanya sendiri. Dia jadi gementar sangat. Dia
tadi sekadar berbasa-basi dengan Dinie, tidak terniat untuk mengajak Dinie
keluar dengannya kerana dia tidak pernah keluar berdua dengan lelaki yang baru
dikenalinya. Kalau dengan Lan atau kawan-kawan lain tu biasa sangatlah. Sufi
memang gementar ni.
“Dinie serius kah ni?”
“Apa pulak tak serius? Atau Sufi
malu pergi dengan Dinie sebab Dinie ni orang kampung. Bukan macam Sufi, student U.”
“Student
U pun orang kampung juga. Bukan alien.”
Dan mereka pun ketawa. Senang
sekali.
Lalu janji dibuat. Besok seawal
lapan pagi. Tiada tawar-menawar. Sufi pula, sebaik meletakkan gagang telefon,
terus menelefon Su, kawannya yang kerja di kedai pakaian untuk menemani keluar
bersama Dinie besok. Dia takut untuk keluar berdua. Itu bukan Lan, bukan juga
Pak Ya. Ini situasi super pelik bagi
Sufi ni. Mujurnya Su setuju dan meminta Sufi menjemputnya di kedai.
Besoknya
memang Sufi berdebar-debar menanti kedatangan Dinie. Dia tidak menunggu lama
kerana Dinie menepati janji. Aduh. Dari jauh Dinie telah mengukirkan senyuman
manis kepadanya. Itu pertemuan pertama mereka sejak bertahun-tahun tidak
bertemu. Dinie masih seperti dulu. Sentiasa murah dengan senyuman. Juga masih
segak seperti dulu. Memang patut digelar rakan-rakan Sufi sebagai smart boy. Smart boy yang dulu jadi pujaan rakan-rakan Sufi kini dating dengan Sufi yang tidak pernah admire kepadanya. Eh, betulkah semua
ini?
“Tak bimbang takut tersalah orang
kah tadi?” Soal Dinie bersama senyuman.
“Tak, lagipun mana ada orang lain
nama Dinie kat sekolah kita. Din ramai, tapi Dinie seorang saja,” kata Sufi
dengan nada suara yang dikawal. Entah kenapa pula dia mahu control ayu depan Dinie. Sindrom baru dalam hidup Sufi nih!
Dinie tersenyum. Dia memandang ke
depan. Menumpukan perhatian ke jalan raya. Sufi memerhati pandang ke arahnya.
Matanya, hidung, bibirnya. Memang dia didatangkan dalam pakej menarik. Berdebar
juga Sufi bersama lelaki itu dalam jarak tidak sampai setengah meter. Aduh,
berdosakah aku kerana keluar dengan dia ni? Sufi mula teringat dosa pahala.
Ibunya baru meninggal dunia, dia sudah mula keluar dengan lelaki. Kalau dengan
Lan memang dia tidak pernah merasa berdosa keluar berdua.
Su sudah sedia menanti ketika Sufi
sampai di kedainya.
“Maaflah, saya tak biasa keluar
berdua dengan lelaki yang baru kenal. Itu yang ajak kawan tu.” Begitu beritahu
Sufi kepada Dinie semasa memaklumkan tentang Su.
“Sufi tak percaya pada Dinie?”
Percaya? Danish yang aku kenal dan
kawan bertahun-tahun lama pun tidak boleh dipercayai, apatah lagi dia ni.
“Bukan tak percaya. Cuma mahu
berjaga-jaga. Tak baik keluar berdua macam ni. Nanti menimbulkan fitnah.” Sufi
berkata. Menjaga hati Dinie.
Sebaik Su masuk ke dalam kereta,
mereka terus ke balai polis. Malangnya pihak polis tidak dapat membaiki sijil
kematian yang tersilap cetak itu kerana Sufi telah membalutnya dengan plastik
atau dalam Bahasa Inggerisnya laminate.
Kalau ia belum dilaminat tentu pihak polis boleh membaikinya. Dek kerana itu
mereka menasihatkan Sufi ke JPN untuk membeli cabutan lain.
“Sekarang macam mana, nak ke JPN?”
Tanya Dinie. Seperti bila-bila masa boleh hantarkan Sufi ke JPN. Pandangannya
ketika itu? Huh, dia memang sentiasa memandang Sufi dengan senyuman.
Sufi memandang jam. Hari Khamis
pejabat kerajaan separuh hari di negeri Kelantan.
“Tak sempat
kalau nak pergi hari ini, Khamis half day.”
“Jadi nak
ke mana selepas ni?”
“Baliklah.”
“Tak mahu
ke rumah Dinie dulu, boleh kenal dengan orang tua Dinie.”
Ai, baru
kenal dah nak bawa jumpa orang tua? Sufi memang terkejut dengan pertanyaan
drastik seperti itu. Dia memandang Su. Su tersenyum-senyum kepada Sufi. Lalu
memandangkan Su setuju untuk menemani hingga ke rumah Dinie, maka Sufi pun
setuju untuk ke rumah Dinie, boleh juga melawat orang tuanya yang dikatakan
baru pulang dari wad setelah menjalani satu pembedahan kecil membuang batu
karang.
Mereka
kemudian bertolak ke rumah Dinie yang terletak kira-kira lapan kilometer dari
pusat bandar. Malangnya dalam perjalanan, kereta yang dipandu Dinie dilanggar
dari belakang ketika tiba di lampu isyarat. Dinie keluar untuk menyelesaikan
hal itu. Kereta hanya mengalami kerosakan kecil, tapi perempuan yang
melanggarnya tidak mahu membayar ganti rugi dan lebih senang membawa kes ke
balai polis. Lalu hari itu, Sufi dan Dinie menghabiskan masa hampir sehari
suntuk di balai polis.
Sejak
dibawa bertemu orang tua Dinie, hubungan Sufi dan Dinie semakin baik dan
kakak-kakak Sufi mula membuat andaian masing-masing dengan sikap yang ditunjukkan
Dinie.
“Lelaki kalau tak serius dia tak
akan bawa perempuan jumpa orang tuanya,” kata Kak Lila.
“Alah, mungkin itu caranya.”
“Aku tak fikir begitu. Dia ni mesti
ada apa-apa dengan kau, tengoklah nanti.”
Sufi mencebikkan bibir. Dia tidak yakin
dengan kata-kata Kak Lila. Namun dia ada memikirkan tentang perkara itu.
Bagaimana nanti kalau Dinie memang mahu serius dengannya? Sufi terkenangkan
hubungan yang tidak menjadi dengan Hardi. Juga
Danish yang hingga ke hari itu langsung tidak mahu memberikan sebarang
kepastian. Hatinya menjadi sakit.
Apa juga tanggapan, mereka
meneruskan hubungan mereka. Begitupun mereka harus berpisah juga kerana seperti
yang dijanjikan Sufi perlu meninggalkan Tanah Merah kerana telah bersetuju
untuk bekerja dengan Dr. Hanim di fakulti perhutanan UPM. Menjadi RA di situ
sebelum mendapat sebarang kerja tetap.
Dinie menghantar Sufi ke stesen bas.
Maria dan Kak Lila turut menemani Sufi. Dinie sempat memberikan alamatnya untuk
Sufi hubungi sekiranya Sufi lapang untuk berbuat demikian. Dinie juga
sebenarnya sudah mula bekerja sebagai pemandu lori.
“Bawa lori pun jadilah, kita bukan
ada kelulusan apapun.” Begitu kata Dinie semasa memberitahu Sufi tentang bentuk
sebenar pekerjaan yang bakal dilakukannya.
“Tak kisahlah Dinie, asalkan halal.”
Dinie tersenyum. Tidak seperti
Hardi, dia tidak bersikap merendah diri berkawan dengan Sufi yang mempunyai
kelulusan ijazah. Malah Dinie tidak pernah mengungkitkan tentang perkara itu.
Mereka menjalinkan hubungan dengan ikhlas dan langsung tidak mengusulkan
sesuatu yang boleh menimbulkan masalah dalam hubungan mereka. Sufi juga tidak
lagi bermain dengan diksi-diksi biasanya iaitu ‘sayang’ dan ‘rindu’ semasa
berbual-bual dengan Dinie. Bimbang kejadian lama berulang kembali. Dia tidak
mahu terperangkap dan memerangkap dirinya sendiri dengan ayat-ayat yang boleh
membunuhnya.
Tapi biarpun tidak diucap, dia
memang ada merasa sayang dan ada merasa rindu terhadap Dinie! Kontra dengan apa
yang berlaku selama ini. Aduh hati, mengapa mesti ada rasa rindu itu? Atau
sebenarnya Sufi terugah kerana kesedihan demi kesedihan yang menimpa dirinya
lalu membuatkan dia kemamar dan tidak dapat berfikir dengan baik? Kehadiran
Dinie pada saat-saat melukakan seperti itu membuatkan dia tidak kenal dengan dirinya
sendiri.
Oh, hati kenapa begini jadinya?
Inilah pertama kali dalam hidupnya sesuatu yang abnormal terjadi.
“Kalau dah sampai KL telefon,”
beritahu Kak Lila mematikan lamunan Sufi.
Sufi mula kembali ke lokasi asal.
Tubuhnya dan otaknya. Dinie masih ada di sebelahnya. Termenung sambil tersenyum
di situ. Dia memang sentiasa tersenyum. Mujur juga kakak-kakaknya ada. Jika
tidak Sufi memang agak kekok untuk berdepan dengan lelaki itu. Mujur juga Dinie
jenis yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja meskipun agak malu-malu dengan
kakak-kakak Sufi.
Bas datang, Sufi terus menaiki bas
kerana tidak mahu membuang masa. Sufi sempat melambai-lambai kepada Dinie
sewaktu bas mulai bergerak keluar dari stesen bas. Dinie sudah hilang dari
pandangan. Namun kenangan yang dilewati bersamanya belum hilang dari kotak
memori Sufi. Dia tersenyum sendiri.
Bahagia dengan kehadiran Dinie pada
saat-saat dia benar-benar perlukan seorang teman untuk bercerita. Tentang
segala luka di hatinya akibat dua orang lelaki yang tidak pandai menjaga
hatinya. Lelaki yang menumpahkan dakwat hitamluka dalam dirinya. Dia amat
berterima kasih kepada Dinie yang selama kehadirannya begitu setia mendengar
masalah Sufi. Malah Dinie juga meluahkan kisah hidupnya.
Kisah hidupnya bersama seorang gadis
yang tidak kesampaian memandangkan orang tua si gadis tidak merestui hubungan
mereka. Rupanya Dinie juga pernah mengalami kekecewaan sedikit masa dahulu.
Begitupun pada Dinie, itu bukan sesuatu yang melukakannya kerana dia sendiri
tidak pasti dengan perasaannya terhadap gadis itu. Usia mereka ketika itu masih
muda benar. Masih di bangku sekolah.
“Tak apa, mungkin Tuhan mahu
menemukan Dinie dengan gadis yang lebih baik berbanding gadis itu.” Komentar
yang dikeluarkan Sufi semasa Dinie menceritakan tentang kisah lampaunya.
Dinie ketawa. “Ya, mungkin juga.”
Bas semakin meluncur laju
meninggalkan Dinie dan membawa segala kenangan yang pernah mereka berdua lewati
bersama. Dinie. Sufi tersenyum mengenangkan semuanya. Juga kenangan semasa
zaman persekolahan. Ketika itu masing-masing membawa haluan sendiri. Malah
Dinie sebelum itu hanya menjadi bualan kawan-kawan yang meminatinya. Maklumlah smart boy, dengan trend rambut terkini dan penampilannya yang sentiasa kemas dan
badannya yang agak tough.
Kini, Sufi yang tidak pernah
berlumba-lumba dengan kawan-kawan yang lain untuk memenangi hati Dinie,
tiba-tiba mampu meraih perhatian Dinie. Terima kasih Tuhan, menganugerahkan
kawan seperti Dinie yang mampu mententeramkan hati Sufi dan mencipta tenang
dalam jiwanya. Sufi berjanji untuk tidak sekadar menjadikan Dinie suatu
eskapisme. Menjadikan Dinie sebagai suatu sinambungan pun tidak juga.
Tidak. Dia boleh lihat keikhlasan
dalam sinar mata Dinie sehingga dia tidak tergamak untuk menjadikan Dinie
sebagai suatu pembebasan diri terhadap segala luka yang telah dilaluinya
penangan dua orang lelaki yang pernah hadir dan pernah mengucapkan segala
kata-kata sayang dan menjanjikan kebahagiaan kepadanya.
Sinar mata? Ikhlas? Sufi teringatkan
Danish dan Hardi. Perhubungannya dengan kedua-dua orang lelaki tersebut hanya
berlaku melalui telefon. Mungkin kerana ini Sufi mudah benar tertipu dengan
mainan kata-kata mereka kerana tidak dapat mengukur keikhlasan mereka hanya
melalui suara. Ah, suara boleh menipu, tapi sinar mata tentu tidak mampu untuk
berbuat demikian. Kata orang, jika seseorang itu sukakan kita, anak matanya
akan membesar. Eh, lupa pula Sufi nak tengok anak mata Dinie. Waima membesar
atau tidak semasa mereka menghabiskan masa bersama.
Lelaki hanya akan berkawan dengan
perempuan kerana dua perkara, kerana suka dan kerana mahu menjaga kepentingan.
Pendapat Hardi. Kalaulah pendapat itu betul, Dinie berkawan dengan Sufi kenapa
pula ya?
BAB DUA PULUH SATU
Danish
termenung sendirian di anjung rumah. Sejak pulang ke kampung dia banyak
termenung menyebabkan timbul tanda tanya dalam diri orang tuanya. Mereka
bertanya kepada Helmi yang jarak rumahnya kurang dua ela dari rumah Danish.
“Terkenang buah hati agaknya Mak
Su,” jawab Helmi sambil mengukirkan senyuman.
“Danish ada buah hati kat Skudai
tu?” Soal Jemilah. Ibu Danish kepada Helmi.
“Tak, bukan kat Skudai. Rasanya kat
Selangor. Sekarang ni mungkin ada di Tanah Merah juga sebab ibu budak tu baru
meninggal dunia.”
Jemilah mengangguk-angguk. Kalau
benar begitu dia tidaklah susah hati sangat. Mungkin kesedihan yang dialami
teman wanitanya turut membuatkan Danish termenung begitu. Jemilah cuma bimbang
kalau-kalau Danish mempunyai masalah lain. Pasal pelajarannya atau apa juga .
Lagi pun dia ada terdengar dua tiga hari lepas Danish bercakap-cakap dengan
Helmi mengatakan dia mungkin terpaksa mengambil sekali lagi beberapa kursus
kerana markah yang dikumpul setakat itu
jauh daripada lulus. Dia
mungkin gagal kerana ketika peperiksaan
hujung tahun tempoh hari pun dia gagal menjawab dengan baik.
“Kau kenal budak perempuan tu?
Bagaimana orangnya? Cantik tak?” Jemilah menyoal Helmi bertalu-talu.
Pertanyaannya membuatkan Helmi
merasa sedikit kelucuan. Mentanglah anak terunanya dalam kategori ada rupa,
soal cantik juga diambil kira Mak Sunya. Macam mana Helmi mahu menjawab ya?
Sufi bukanlah cantik benar pun. Cuma dia mempunyai keistimewaan yang
tersendiri. Tidak terdapat pada sesiapapun yang pernah Helmi kenali. Malah
kerana keistimewaan yang ada pada Sufi itulah yang membuatkan Helmi sehingga
kini masih terkenang saat-saat dia rapat dengan Sufi dulu sebelum membuat
keputusan untuk menerima Masniza. Saat itulah dia menghancurkan semuanya.
Sedangkan Danish pula hingga kini tidak pernah berterus-terang tentang keadaan
hubungannya yang sebenar dengan Sufi.
Begitupun, Danish tidak perlu
bercerita semua itu. Sinar mata Danish setiap kali disentuh bab Sufi memang
cukup membuktikan semuanya. Sinar matanya telah menerangkannya. Lihatlah
keadaan Danish sekarang. Termenung di anjung rumah sambil menghisap rokok.
Helmi tahu keadaan Danish sekarang juga berpunca daripada Sufi. Sebelum pulang ke kampung tempoh hari, Danish
ada datang bertemu dengan Helmi untuk meminjam wang. Katanya untuk membayar
hutang seseorang yang dalam keadaan memerlukan.
Dia tidak
cakap siapa, tapi Helmi tahu individu itu mestinya Sufi kerana selain
daripadanya, Danish juga pernah cuba meminta pinjam wang untuk membayar hutang
Sufi itu daripada orang lain. Namun orang lain juga sama seperti Helmi,
maklumlah mereka semua masih belajar. Masing-masing bukan ada wang sebanyak
yang diminta Danish. Kalau ada pun tentu untuk buat belanja sendiri. Mereka
semua bukan daripada golongan berada.
Helmi pun
hairan dengan cara hidup Danish. Hutang sana, hutang sini hingga dengan Sufi
pun dia tergamak minta pinjam. Sekarang mula bermasalah untuk bayar balik.
Masalahnya, Danish memang kuat benar merokok. Itulah yang membuatkan duit tak
senang duduk dalam poketnya. Ada duit sikit, rokok, ada duit sikit, rokok. Itu
sajalah yang Danish tahu.
“Imi, Mak
Su tanya ni...”
“Hah, saya
terleka pula tadi. Apa Mak Su tanya tadi?” Helmi pura-pura terlupa. Sekadar
menutup malu kerana mengelamun di depan Mak Sunya.
“Budak tu
cantik tak?”
“Cantik?
Tak tahu nak cakap Mak Su, kalau saya kata cantik tapi Mak Su tengok tak cantik Mak Su marah
pula kat saya nanti. Cantik-cantik ni kan atas mata yang memandang. Apa kata
Mak Su tanyakan Pak Su? Dulu si Sufi pernah datang sini pada hari raya, Mak Su
tak ada, Pak Su seorang aje kat rumah.”
“Eh, ya kah? Yang datang dua tiga
tahun lepas tu? Kalau yang tu Mak Su ingat lagi Pak Su bercerita tentangnya.
Maklumlah, sebelum dia datang belum ada mana-mana gadis yang beraya kat rumah
ni,” kata Jemilah.
Memang selain Sufi tidak pernah ada gadis
datang beraya di rumahnya memandangkan keempat-empat orang anaknya semua lelaki
dan Danish anak yang ketiga.
“Hah, yang tulah. Yang datang dengan
budak Hamidah tu. Hamidah yang bawa dia datang. Saya masih ingat, masa tu dia
orang nak ke rumah Hasmah, singgah sekejap kat sini,” kata Helmi pula. Sengaja
memberitahu keadaan sebenar. Bimbang Jemilah tersalah sangka kepada Sufi yang
datang bertandang ke rumah lelaki.
“Ai, setahu Mak Su kalau yang tu
Danish cakap kau punya. Mak Su tanya pada Pak Su kau pun dia cakap tak nampak
macam teman wanita Danish. Cara mereka cakap kecoh semacam. Kalau orang tengah
bercinta tak kan boleh bergelak tawa macam tu.”
“Memang cara mereka macam tu. Cakap
pun beraku-kau. Lagipun Mak Su, itu cerita dua tiga tahun lepas. Sekarang ni
mungkin dah lain cara cakap mereka.”
“Habis kau?”
“Kenapa dengan saya pula?” Helmi
kehairanan.
“Kau dengan budak tu?” Mak Sunya
tetap inginkan kepastian.
“Tak adalah. Danish malu nak
mengakui, dia letak atas kepala saya. Bukan Mak Su tak tahu perangai Danish.”
Jemilah terdiam. Dia menghalakan
pandangan ke rumahnya. Danish masih termenung jauh dengan rokok di jarinya.
Jemilah menggelengkan kepalanya. Memang anak terunanya itu kuat benar merokok.
Kalaulah benar kata Helmi Danish jadi begitu, habis belajar nanti Jemilah nak
minta Danish cepat-cepat kahwin. Senang. Tambahan pula, ada isteri nanti
mungkin Danish akan berubah dan kurang merokok. Tentu si isteri akan
menasihatinya.
Malamnya. Jemilah dan Mat Noor,
suaminya bertanyakan perkara itu kepada Danish.
“Sufi? Yang datang beraya kat rumah
ni dua tiga tahun lepas?” Soal Danish. terkejut juga apabila ibubapanya
mengungkitkan soal Sufi. Siap tahu namanya sekali.
Kuat pula ingatan orang tuanya kali
ini. Selama ini dia tidak pernah menganggap kedatangan Sufi beraya ke rumahnya
dua tiga tahun lepas akan menjadi isu berbangkit malam itu. Tambahan pula Sufi
datang bersama Hamidah yang mahu membawanya beraya ke rumah Hasmah.
Memandangkan rumahnya terletak di pertengahan jalan ke rumah Hasmah, mereka
singgah sekejap di situ. Sepatutnya itu tidak menjadi isu memandangkan bukan
tujuan sebenar mereka datang beraya ke situ.
“Yalah, Sufi yang itulah. Apa cerita
dia sekarang?”
“Apa maksud mak dan ayah ni?” Danish
masih belum dapat menangkap maksud pertanyaan orang tuanya.
“Maksud kami, macam mana hubungan
kau dengan dia sekarang? Kau dah nak habis belajar, tak salah kami tanyakan hal
ni. Maklumlah, lepas habis belajar ni takkan kau tak ada perancangan nak
mendirikan rumah tangga.”
Danish terkesima. Memang dia
terkejut yang amat sangat. Kalau dia ada perancangan ke arah itu sekalipun,
mengapa nama Sufi yang diisukan orang tuanya? Mana dia orang tahu hingga ke
hari itu pun hubungan Danish dengan Sufi masih berjalan?
Hingga ke hari itu? Tidak sebenarnya.
Bukan hingga ke hari itu. Hubungan mereka baru terputus beberapa minggu lepas.
Hampir sebulan. Entah. Danish tidak sempat menghitungnya. Cuma dia tahu sudah
lama dia tidak mendengar suara Sufi. Sejak Sufi mengatakan tidak mahu berkawan
dengannya. Sejak hari itulah Sufi terus mendiamkan diri. Merajuk mungkin. Cuma
rajuknya kali ini Danish terasa ada kelainan. Hatinya merasa tidak sedap benar.
Kalau dulu bertahun mereka terputus hubungan sekalipun dia yakin boleh kembali
dalam hidup Sufi.
Kali ini nalurinya mengatakan untuk
kembali kepada Sufi terlalu banyak halangannya. Kali ini mungkin susah untuk
dia kembali berhubungan dengan Sufi. Pertama kerana dia langsung tidak cuba
memujuk Sufi sebaik Sufi mengatakan tidak mahu lagi berkawan dengannya. Kedua
kerana Sufi setamat belajar tentu akan berpindah untuk mencari pekerjaan.
Ketiga nombor telefon genggam Sufi nampaknya sudah ditukar. Kalau telefon asyik
tidak aktif. Keempat kali ini Sufi sebenarnya telah mempunyai penggantinya
seperti mana yang pernah diberitahu kepadanya sebelum ini. Sebelum ini Sufi
telah berkali-kali inginkan kepastian daripada Danish dengan alasan ada
seseorang sedang menunggunya.
Tentu. Tentunya selepas berkali-kali
Danish tidak memberikan kata putus Sufi telah mengambil keputusan menerima
lelaki itu. Tentu juga setelah apa yang berlaku tempoh hari membuatkan Sufi
tidak mahu kembali menjalin hubungan dengannya. Sufi kini menganggap Danish
berhubungan dengannya kerana mahu menjaga kepentingannya semata-mata.
Dek kerana terlalu banyak penyebab
yang memungkinkan Sufi tidak kembali kepadanya membuatkan Danish tidak tenteram
dan tahu dia telah ‘kehilangan’ Sufi. Begitupun Danish masih mengharap dan
berdoa agar rajuk Sufi akan berakhir. Dia sanggup menunggu, setahun, dua tahun.
Selama mana pun. Biar ada lelaki lain yang menumpang ruang, dia tahu lelaki itu
tidak akan lama dengan Sufi. Jika Sufi menerima sekalipun dia tahu tidak akan
kekal hubungan mereka kerana dia kini mulai yakin, tempat teratas, tempat
teristimewa di hati Sufi hanya untuknya. Jika Sufi menerima sekali pun ia
tentunya suatu pembebasan agar ingatannya tidak lagi tertumpu kepada dirinya.
Begitu fikir Danish.
Jika dia tidak istimewa di hati Sufi
tentu Sufi tidak akan menelefon dan mengutuskan surat berkali-kali untuk bertanyakan
perkara yang sama. Jika dia dipinang orang sekalipun Sufi tentu tidak akan
bertanyakan Danish sebelum mengambil keputusan andai Danish tidak mempunyai
kepentingan dalam hidup Sufi. Ini tidak, asal ada saja lelaki yang menjenguk
khabar ruang dalam hatinya, Sufi kalut bertanya Danish, semacam tidak puas hati
jika Danish dikesampingkan dalam hal itu.
Danish mula dapat merasakan semua
itu kerana Sufi benar-benar sayangkannya. Benar-benar ingin hidup dengannya dan
bukan main-main seperti dulu. Cuma silapnya Danish ketika itu, gagal untuk
memberikan satu jawapan yang boleh memuaskan hati Sufi. Asyik-asyik dia meminta
Sufi berikan dia masa untuk memikirkannya. Asyik-asyik minta Sufi tunggu.
Selama mana Sufi harus tunggu? Ah, kalau benar Sufi sayangkannya tentu Sufi
akan sanggup menunggu. Seperti mana dia sanggup menunggu rajuk Sufi reda kali
ini. Dia tidak akan menghubungi Sufi di rumahnya di kampung kerana mahu
membiarkan Sufi sejuk dulu.
Sufi jadi sensitif tempoh hari
mungkin kerana masih dihantui kematian arwah ibunya. Danish yakin apabila
keadaan kembali tenang, dia akan kembali bersama Sufi seperti dulu. Bergurau,
ketawa dan kini tambah satu lagi topik untuk mereka bualkan, iaitu perancangan
masa depan mereka. Dia akan memberikan kata putus kepada Sufi. Akan berjanji
sebaik-baik janji dengan Sufi. Kalau dia harus mengulang beberapa kursus
sekalipun selepas ini, dia akan tetap memberi kata putus sebagaimana yang Sufi
inginkan untuk memastikan Sufi tidak terlepas dari tangannya. Kalau perlu, dia
akan mengikat Sufi dengan ikatan pertunangan. Danish sudah pasti kini.
Nalurinya yang mulai takut
kehilangan Sufi membuatkan dia sanggup memutuskan semua itu sedemikian biarpun
sebelum ini dia berkali-kali minta Sufi tunggu dan bercakap soal itu sehabis
mereka belajar. Dia sanggup meskipun tahu selepas ini Sufi akan sambung
pengajian hingga ke peringkat tertinggi.
“Danish, kenapa kau diam? Kami nak
dengar hal sebenar ni.” Mat Noor mengejutkan anaknya yang kelihatan mengelamun
jauh.
“Pasal saya dan Sufi tu, buat masa
ni kawan biasa saja. Siapa cakap dengan mak dan ayah Danish serius dengan dia
sampai boleh mak dan ayah tanya pasal tu?”
“Imi, kalau bukan dia siapa lagi?
Tunggu kau cakap sendiri? Kucing bertanduk pun kau tak akan cakap.”
“Masalahnya, kenapa mak dan ayah
sampai ke situ perginya? Apa rasionalnya nak tahu pasal perancangan Danish
lepas tamat belajar ni? Lepas tamat belajar belum tentu kerja dapat. Tak boleh
nak kahwin mudah-mudah.”
Memang pada Danish itu tidak
rasional. Dia belum pasti ada kerja tetap setamat belajar nanti. Bukan senang
untuk dapat kerja tetap sehabis belajar zaman sekarang. Ini bukan cerita dua
tiga puluh tahun lampau, habis belajar dah berlambak kerja menunggu. Sekarang
siswazah berebutkan kerja. Bukan pekerjaan mencari siswazah. Tambahan pula dia
masih muda benar untuk cakap soal kahwin.
“Mak dan ayah tahu tu. Kami cuma nak
kau jadi lebih bertanggungjawab. Kalau kau dah kahwin nanti kau akan lebih tahu
makna tanggungjawab. Tak macam sekarang. Kami mahu kau uruskan sendiri
hidup kau. Mahu kau berdikari. Kalau kau dah terikat dengan seseorang,
sekurang-kurangnya kau lebih bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.”
“Ya Danish. Mak setuju dengan ayah kau. Kau sekarang tak tahu soal
tanggungjawab. Kau hanya mahu berseronok saja. Kau tak tahu nak uruskan
kehidupan dengan baik.”
Danish diam. Dia mengakui kata-kata
ibu bapanya. Dia memang tidak pandai menguruskan diri dengan baik. Terutama
kalau pasal duit. Ada duit sikit dalam tangan, mula dia mahu berseronok. Ibu bapanya tidak perlu menyebut
tentang hal itu. Dia tahu apa maksud tersirat di sebalik kata-kata ibubapanya.
“Kalau betul kau dan budak Sufi tu
serius, mak dan ayah dah bersetuju untuk tunangkan kamu berdua. Bertunang dulu.
Sekurang-kurangnya kalau dah bertunang, kau akan ingat ada tanggungjawab sedang
menanti. Kau akan lebih bersungguh-sungguh untuk belajar. Jadikan Sufi
perangsang.”
Nah, Danish tahu juga di situ. Pada
pandangan orang tuanya, dia selama ini tidak bersungguh-sungguh untuk belajar,
sebab itulah dia boleh gagal dalam peperiksaan. Mungkin orang tuanya ada
terdengar perbualannya dengan Helmi.
Jadikan Sufi perangsang? Sebab Sufilah dia gagal. Sebab terlalu
memikirkan soal Sufi. Kalau Sufi ada depan matanya dia tentu tidak gagal,
memang boleh jadi perangsang kalau begitu. Masalahnya Sufi jauh. Dia selalu
bimbang dan ragu-ragu dengan Sufi.
Sementelah pula sekejap Sufi mengadu
ada orang hantar surat kepadanya, sekejap pula mengadu ada saudara jauh mahu
tunangkan dia dengan anak mereka yang sama-sama belajar di situ. Hari lain pula
cakap ada orang lain tengah tunggu kepastian daripadanya. Keadaan itu semuanya
membuatkan Danish resah, membuatkan kejantanannya tercabar. Keadaan itu juga
sebenarnya membuatkan Danish tidak dapat berfikir dengan baik. Disebabkan
itulah menjadikan dia terlalu takut untuk memberikan kepastian kepada Sufi.
Ditambah pula dengan kedudukan Sufi yang suatu masa dulu pernah ada tempat di
hati Helmi. Helmi mantan pemujanya.
Bagaimanapun kini Danish sudah
memutuskan, dia akan memberikan kepastian yang nyata kepada Sufi selepas Sufi
tamat rajuknya. Dia akan jejaki Sufi sekiranya Sufi berpindah ke tempat lain
selepas mendapat kerja. Dia akan hubungi keluarga Sufi melalui nombor telefon
rumah Sufi. Tentu nombor yang disimpannya masih boleh digunapakai ketika itu.
Danish yakin dengan hatinya kini! Dia akan lupakan segala perkara yang
berkemungkinan menjadi halangan untuk mereka bersama.
Jika harus menunggu bertahun-tahun
lama sekalipun dia akan sanggup. Dia tidak akan menghiraukan keadaan Sufi atau
keadaan dirinya ketika itu. Dia kini telah pasti dengan keadaan hatinya. Jenuh
sudah dia memikirkan hingga hatinya menjadi mutu. Kali ini dia sudah
berkeputusan. Kali ini, jika mereka kembali berhubungan, perkara pertama yang
akan diberitahu kepada Sufi ialah hasrat hatinya untuk menjadikan Sufi penyeri
hidupnya hingga ke akhir hayat. Dia tidak mahu mensia-siakan masanya dengan
Sufi lagi.
“Danish.”
Jemilah dan Mat Noor berpandangan.
Sapaan mereka tidak bersahut. Danish kelihatan terkebil-kebil, namun mereka
tahu fikiran Danish sekarang entah di mana meskipun jasadnya berada di depan
mereka.
“Danish.” Sekali lagi Mat Noor
menyeru nama anaknya. Melihatkan masih tiada tindak balas, Jemilah yang berada
dekat dengan Danish menepuk bahunya kuat.
Danish terkejut dengan tepukan itu.
Pandangannya agak tajam menjeling ke arah ibu dan bapanya.
“Kami kat depan ni pun kau masih
sempat termenung. Kau sebenarnya ada masalah apa Danish?” Soal Jemilah. Tidak
puas hati dengan keadaan anak lelakinya.
“Tak kan ibu Sufi meninggal pun
membuatkan kau sedih?”
Danish agak tersentak. Sampai ke
tahap itu ibu bapanya tahu pasal Sufi. Apa lagi yang mereka tahu? Mereka tahu
jugakah pasal gerhana yang sedang meningkah dalam hubungan Danish dan Sufi? Apa
lagi yang Helmi katakan pada mereka hinggakan malam itu asyik nama Sufi saja
yang disebut oleh orang tuanya?
“Mak dan ayah tak kisah kalau Danish
benar-benar mahu kahwin dengan Sufi?” Duga Danish sambil menghidupkan api
rokoknya. Soalan ibunya dibiarkan tidak berjawab.
“Mak dan ayah memang tak kisah
dengan siapa pun kau nak kahwin Danish. janji kau kena berubah dan jadi lebih
bertanggungjawab.”
“Walaupun mak tak kenal siapa Sufi,
cuma pernah dengar namanya? Itu pun melalui Helmi.” Kini rokok tadi sudah
dibawa ke bibir. Tanpa segan dia menyedut rokok itu dalam-dalam biarpun wang
untuk membeli rokok itupun masih ditanggung oleh ibubapanya.
“Itu semua tak penting. Janji kau
suka dia dan dia sukakan kau. Lagipun kau dah kenal dia lama kan?”
Danish menghembus asap rokoknya.
Berkepul-kepul asap rokok itu tanpa arah tujuan. Seperti juga otak Danish kini
yang tiada arah tujuan. Melainkan ingatannya lebih senang memikirkan tentang
Sufi. Nampaknya kedua-dua orang tuanya tidak membantah jika dia mahu bersama
Sufi. Masalahnya sekarang Sufi sendiri.
Bagaimana dengan penerimaan Sufi
terhadapnya kini? Merujuk kepada situasi hari itu Sufi benar-benar marah dan
berkecil hati dengannya. Danish cuba mententeramkan hatinya. Dia cuba
meyakinkan hati bahawa Sufi tetap akan memaafkannya dan akan menerimanya.
Aku cinta padamu. Danish yakin.
Sekiranya diucapkan begitu kepada Sufi, maka Sufi akan hilang marahnya. Maka
Sufi akan terharu dan terus melupakan segala sikap dan kata-katanya yang
melukakan hati Sufi selama ini. Dia yakin kerana bukankah itu yang selama ini
Sufi dambakan daripadanya?
Pasal hutangnya dengan Sufi? Itu
bukan perkara besar. Lagipun dia yakin bukan masalah wang yang menyebabkan Sufi
dalam keadaan sedemikian. Sufi menjadi terlalu marah kerana sikap tarik talinya
selama ini. Wang hanyalah perkara sampingan yang berbangkit untuk dijadikan
alasan bagi menunjukkan rasa marahnya. Masakan Sufi mahu tunjukkan marah
apabila dia menunjukkan sikap belum mahu memberikan kepastian kepada Sufi. Sufi
tentu mahu menjaga air mukanya. Sufi juga mesti ada egonya yang tersendiri
meski dia seorang perempuan.
Tidak mengapa Pi, lepas ni kau tak
perlu tanya lagi, malah aku sendiri yang akan berterus-terang dengan kau. Aku
tidak mahu melepaskan kau kali ini.
Walau apa jua yang menjadi halangannya aku akan cuba untuk meraih cintamu Pi.
Aku yakin kita mampu bersama. Aku yakin. Kau tunggulah Pi. Aku akan datang
untuk memberi peluang kepada hati kita untuk bersama.
Lagipun aku yakin Pi, meskipun
naluri aku mengatakan kali ini akan banyak halangan yang terpaksa aku tempuhi
untuk memiliki cintamu, aku yakin lambat laun kita akan bersama juga. Malah
jika aku fikirkan balik, kau terlalu menurut emosi ketika kali terakhir kita
berbual-bual mungkin dipengaruhi keadaan kau tika itu. Maklumlah, ibumu yang
selama ini amat kau sayangi telah pergi buat selama-lamanya.
Aku tahu Pi, keadaan itu tentunya
memberi pukulan yang hebat kepadamu. Dalam keadaan kau tidak berayah,
kehilangan ibu tempat bergantung selama ini memang ujian yang benar-benar memeritkan.
Kalau aku di tempatmu, aku juga mungkin gagal untuk mengimbangi emosi aku
sendiri. Malah mungkin lebih teruk daripada keadaan dirimu.
Pada aku kau lebih kuat menangani
ujian itu. Kau masih boleh bertenang dan tidak menangis ketika memberitahu khabar
sedih itu kepadaku. Itulah sebabnya aku katakan kau seorang gadis yang kuat Pi.
Aku tahu Sufi aku bukan seorang yang mudah patah semangatnya. Sufi aku seorang
yang kuat. Dia bukannya manja tidak bertempat. Kalau dia manjapun, bukan manja
mengada-ada tidak mengira masa, dalam satu-satu masa dia boleh menanganinya
dengan tabah. Itulah kelebihan kau Pi.
Itulah kelebihan yang ada pada
seorang Sufi yang membuatkan aku senang denganmu Pi.
Begitupun Pi, seperti yang aku
katakan selama ini, jika sudah tiada sesiapa sekalipun dalam dunia ini untuk
menemanimu, aku tetap ada Pi. Aku tetap ada untuk sentiasa menemanimu. Pi, aku
sudah terlalu dewasa kini. Sudah terlalu dewasa untuk mensia-siakan kasih
sayangmu. Aku sudah terlalu dewasa dan cukup matang untuk menghadapi semua hal
yang selama ini aku takutkan semasa berhubungan denganmu. Mulai saat ini apa
juga halangannya, aku sanggup tempuhi Pi.
BAB DUA PULUH DUA
Hampir
sebulan berkawan dengan Dinie, tanpa main tarik tali atau bersikap rendah diri
serta apa-apa juga sikap yang membuatkan Sufi kurang yakin, Dinie akhirnya
meluahkan perasaannya untuk menyunting Sufi. Pada awalnya Sufi agak sukar untuk
membuat keputusan biarpun dia memang telah dapat membaca rahsia hati Dinie
sejak awal. Baginya dia masih tidak dapat menerima kehadiran lelaki mendadak
seperti itu. Dia meminta nasihat kawan-kawan. Lelaki dan perempuan.
Masing-masing memberi pendapat berbeza. Begitupun, tidak seperti sebelum ini,
Sufi tidak lagi banyak dipengaruhi oleh kata-kata orang sekeliling. Kali ini
dia menurut kata hatinya.
Memandangkan hasrat Dinie itu telah
dipendam sejak di bangku sekolah, malah Dinie juga telah membawa Sufi bertemu
orang tuanya, menyebabkan Sufi tidak teragak-agak lagi untuk menerima cinta
Dinie. Malahan, jika difikirkan balik hatinya berkeracak. Gembira dengan
keadaan itu. Selama ini dia tidak pernah menemui seseorang yang akan
mencintainya seperti yang ditunjukkan oleh Dinie.
“Sufi yakin untuk hidup dengannya?”
Soal Abang Zali melalui telefon semasa Sufi bertanyakan tentang perkara itu.
“Yakin bang.”
“Abang bukan apa Pi, kau masih belum
dapat kerja tetap. Kalau boleh carilah kerja tetap dulu sebelum fikir soal
kahwin ni. Lagi satu, kalau dah kahwin besok, dia yang kena ikut kau. Bukan kau
yang kena ikut dia. Kerja macam dia kat mana-mana pun ada,” ujar Abang Zali.
Sufi faham maksud abang. Dia juga
faham kalau abang keberatan. Selama ini, abang yang menanggung pembelajarannya
hingga dia kini berjaya memegang segulung ijazah.
“Itu orang dah bincangkan dengan
Dinie. Dia sanggup.”
“Abang takut lepas kahwin nanti jadi
lain pulak.”
“Abang, Sufi janji tak akan mensia-siakan pengorbanan abang
terhadap Sufi selama ni.”
“Itu abang tak kisah. Bukan
masalahnya. Apa yang penting masa depan Sufi dengannya. Kita buat sesuatu
perkara ni kena fikir pasal masa depan Pi.”
Sufi tahu. Sufi memang tahu pasal
itu. Tapi Sufi tidak mahu melukakan hati Dinie yang mahu menyegerakan
pertunangan mereka. Dia mahu mereka terikat untuk menjamin hubungan mereka
berdua.
Susah juga memujuk abang. Dia tetap
dengan pendirian agar Sufi menangguhkan pertunangannya dengan Dinie. Adegan
pujuk-memujuk memihak kepada Abang Zali. Sufi akur. Lagipun kata-kata Abang
Zali ada benarnya, Sufi belum bekerja. Hanya kerja kontrak sebagai RA yang tidak
langsung menjamin masa depan. Alihnya Sufi mengalah. Dia tidak boleh bertunang
dalam masa terdekat itu.
Sungguh payah rupanya untuk
menerangkan kepada Dinie tentang hal itu. Dia jadi makan hati dan menganggap
Abang Zali tidak begitu berkenan dengannya memandangkan latar belakang
pendidikan yang berbeza antara mereka berdua. Puas juga Sufi cuba untuk
meyakinkan Dinie. Alihnya Dinie minta mereka bertunang ala-ala Mat Salleh,
bertukar-tukar cincin sesama sendiri untuk memuaskan hatinya. Sufi setuju saja.
Lalu awal bulan itu setelah mendapat
gaji dan menerima kebenaran daripada Dr. Hanim, Sufi pulang ke kampung untuk
berdepan dengan Dinie, selain melepaskan tuntutan hatinya yang begitu merindui
Dinie seperti rutin bulanannya sejak mengenali Dinie. Hairankan, begitu mudah
dia menerima kehadiran Dinie dalam hidupnya sehingga lelaki itu mampu untuk
menukar Sufi yang keras kepala menjadi lebih lembut dan mudah mengalah. Malah
sanggup bersusah berulang-alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur seperti itu.
Padahal dulu Sufi liat untuk pulang ke kampung kalau batinnya tidak
meronta-ronta untuk menjenguk ibu. Kini ibu tiada, sangkanya jika sudah
ditinggalkan Tanah Merah kali itu, dia tidak akan pulang lagi memandangkan
terlalu banyak kenangan melukakan di situ.
Tanah Merah yang bisa menemukan
kembali dia dengan Danish. Itulah yang cuba dielakkannya sejak kematian arwah
ibu hingga dia bertekad untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke Tanah Merah sebaik
keluar dari situ. Bagaimanapun ketentuan Ilahi mencipta suatu ironi.
“Mungkin dia memang tercipta untuk
Pi.” Komentar Ana sewaktu dia bercerita kepada Ana tentang Dinie.
Ketika itu Ana ke UPM untuk majlis
konvokesyen dan bermalam di rumah sewa Sufi.
“Jodoh kadang kala depan mata, kita
aje yang tak sedar kan Ana...”
“Betul tu Pi. Time macam ni baru terasa betapa bodohnya kita buang masa dengan
orang yang tak tentu jodohnya dengan kita. Macam saya dengan Nazrul dulu.”
“Ana masih ingatkan dia?”
“Tentu. Bukan mudah untuk melupakan
seseorang yang kita pernah dambakan. Lebih-lebih lagi seseorang yang dulu
mengaku sayangkan kita separuh nyawa.”
“Tak sangka.”
“Tak sangka apa?”
“Tak sangka nasib kita serupa Ana,
cuma dalam rentak yang berbeza.”
“Pi ,masih kenangkan Hardi?”
Sufi menggeleng. “Bukan Hardi.
Danish. Ingatan saya masih kuat padanya. Ada masa tu sampai rasa bersalah benar
pada Dinie.”
Ana menarik nafas panjang mendengar
kata-kata Sufi. “Pi, sekuat mana Pi ingat dia tak bermakna Pi masih sayangkan
dia. Itu hanya mainan perasaan kerana Pi pernah melalui pelbagai kisah suka
duka dengannya. Pi pernah menangis, pernah ketawa dengannya. Macam saya dengan
Nazrul jugak. Percayalah, Dinie pilihan lebih baik untuk Pi.”
Alhamdulillah, dalam saat seperti
itu ada juga yang memahami.
Imbasan peristiwa dengan Ana yang
diputarkan dalam benaknya mati di situ. Skrin menayangkan fragma gelap.
Bersinar kembali dan kini diganti dengan kaok si pemandu bas mengatakan telah
tiba di Tanah Merah. Suara berkaok-kaok
atau menjerit-jerit si pemandu membuatkan kepala Sufi tertinjau-tinjau. Sufi
turun dari bas untuk pulang ke rumahnya.
Tiba di rumah tidak seperti selalu,
biasanya ada ibu yang akan menyambut dan berbual-bual dengan Sufi selepas Kak
Lila membukakan pintu untuknya. Kini semua itu telah tiada. Hanya tinggal
kenangan yang tidak akan terhapus dari kotak ingatan Sufi buat selama-lamanya.
Hiba juga jadinya Sufi dengan perubahan itu. Namun dicuba kawal kesedihan yang
kini datang menerjah.
“Keadaan sekarang tak sama macam
dulu Pi. Nak makan pun susah sekarang ni,” adu Kak Eisya sambil menyidai kain
di ampaian. Sufi ketika itu tercongok di tangga rumah memandang Kak Eisya.
“Maria meniaga tak untung mana kah?”
Soal Sufi.
“Bukan itu masalahnya. Untung tu
rasanya mestilah ada untungnya juga, masalahnya sekarang Maria terlalu berkira
untuk beli itu ini hingga semua belanja makan minum kena keluar simpanan
sendiri.”
“Ini dah kira melampau. Takkan dia
tak bagi sesen pun untuk beli barang-barang dapur dan makan minum?”
“Usah kata barang dapur, bil
elektrik, bil air, telefon semua dia tak mahu tanggung.”
“Habis duit yang dia cari dia buat
apa?”
“Ntah. Tapi selain sibuk cari duit
dengar khabar melalui kawan-kawan arwah ibu yang masih meniaga di situ, Maria
sekarang ada hubungan dengan seorang lelaki. Hamzah namanya.”
Sufi mengerutkan keningnya. “Hamzah
tu kerja apa?”
“Tak kerja apa-apa. Lepak-lepak saja
kat pasar tu.”
Sufi mendengus. Patutlah Maria mula
melupakan tanggungjawabnya dan juga segala janji-janjinya untuk menjaga
adik-adik. Tidak mahu lagi fikir pasal lelaki. Nampaknya sekarang episod baru
dalam hidup adik-beradiknya akan bermula. Darah Sufi tersirap naik. Geram,
marah dan benci berbaur menjadi satu dalam dirinya. Maria buat hal lagi. Tentu
seperti selalunya Maria menaja kehidupan lelaki yang berdamping dengannya.
Melampau betul Maria. Dalam masa yang sama bodoh betul Maria kerana membiarkan
lelaki mempergunakannya untuk menjaga kepentingan.
Rasa marah Sufi terhadap Maria
membuatkan wajahnya sedikit kelat dan terbawa-bawa hingga ketika dia bertemu
Dinie membuatkan Dinie berkecil hati dan memikirkan hal yang bukan-bukan.
“Abang Zali tak restui kita kah
sampai muka Pi macam ni?”
“Taklah. Dinie jangan nak fikir yang
bukan-bukan.”
“Habis tu muka Pi tu macam ada hal
yang membuatkan Pi kurang senang. Jangan-jangan Pi dah bosan dengan Dinie
agaknya.”
“Dinie. Kan dah cakap tadi, tak ada
apa-apa. Janganlah nak pikir bukan-bukan. Kalau Pi ada masalah sekali pun bukan
berkaitan dengan kita berdua.”
Dinie mendiamkan diri. Wajahnya
merona merah. Sufi tahu lelaki di sebelahnya dalam kategori panas baran dan
cepat melenting. Dalam masa yang sama mudah sejuk. Riak mukanya menggambarkan
semua itu biarpun sejak berhubungan dengannya Dinie belum pernah menunjukkan
sikap panas barannya.
“Kalau betul tak ada kaitan dengan
kita, cuba cerita pada Dinie, mana tahu Dinie boleh tolong selesaikan.”
“Tak. Kalau cerita sekalipun Dinie
tentu tak boleh selesaikan masalah Pi ni. Tentu sama sekali.”
“Tak cerita, mana tahu tentu atau
tak Pi.”
Lagi satu, dia ni memang suka mendesak.
Selagi kita tidak bersuara tentang sesuatu atau tidak memenuhi keinginannya,
selagi itulah dia akan mendesak. Sungguhpun demikian, Sufi senang dengannya.
Sikap-sikap yang kurang menyenangkan seperti itu ditenggelami oleh kasih sayang
yang maha sarat terhadap Sufi.
“Pi, ceritalah apa masalah Pi...”
Tengok, kan dia tengah mendesak
tu. Sedangkan Sufi masih terkial-kial.
Waima bercerita atau tidak. Kalau cerita, persepsi Dinie terhadapnya bagaimana
pula? Seorang adik sanggup membuka keburukan kakak sendiri. Kata orang bagai
membuka pekung di dada jika Sufi berbuat begitu. Atau macam meludah ke langit,
balik-balik terkena muka sendiri. Dalam masa yang sama, jika tidak bercerita
Dinie akan terus salah faham.
“Kita nak beli cincin kat mana ni?”
Sufi mengubah topik perbualan. Mana tahu helahnya menjadi.
“Kat mana-mana pun boleh. Janji
bukan di Tanah Merah. Dinie tak mahu ada kawan-kawan yang nampak kita masuk ke
kedai barang kemas.”
“Oh, ini mesti kes malu. Apa, Dinie
malukah keluar dengan gadis buruk macam Sufi ni?” Sufi temui topik lain untuk
‘bertekak’ dengan Dinie.
“Mana pula malunya. Kalau malu,
Dinie tak sanggup bawa Pi keluar awal-awal lagi. Lagipun, siapa kata Pi buruk?
Di mata Dinie Pi comel orangnya.”
Kih!Kih!Kih! Memang Sufi ingin
tergelak. Kalau dah suka, muka buruk macam aku pun cakap comel. Muka macam
katak pisang. Memang buta objek juga Dinie ni. Sufi tersenyum seorang diri.
Dinie juga tersenyum melihat Sufi begitu. Sangkanya Sufi senang kena puji.
Dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlegar dalam kepala otak Sufi
ketika itu. Dalam masa yang sama, senyuman di wajah Sufi membuatkan Dinie
langsung terlupa tentang permasalahan yang sedang difikirkan oleh Sufi sekejap
tadi.
Seronok juga mereka keluar berdua
hari itu setelah sekian lama tidak bertemu muka. Bagaimanapun mereka tetap
mengawal pergaulan mereka memandangkan Sufi tidak betah untuk terlalu bebas
dengan lelaki. Entah mengapa dia merasa agak kekok untuk keluar berdua-duaan
dengan Dinie seperti itu biarpun mereka telah lama mengenali dan menjalinkan
hubungan santak serius seperti itu.
Seharian menghabiskan masa dengan
Dinie, Sufi akhirnya pulang jam empat petang. Setibanya di rumah Mak Timah
sudah sedia menunggu di pintu. Wajahnya seperti ada sesuatu yang ingin
dikatakan kepada Sufi.
“Dari mana?” Tanya Mak Timah sambil
membentuk sila di serambi rumah.
Sufi turut duduk sama sambil tangannya menanggalkan kain tudungnya.
“Dari KB. Ada
hal sikit.”
“Ni nenek nak tanya. Kau baik kah
dengan Izzuddin masa kat U dulu?”
Aik, ada lagi hal berkaitan
Izzuddin? Sangka Sufi semua itu sudah berakhir sejak kematian arwah ibu.
Tambahan pula sebelum peperiksaan akhir dulu, Izzuddin ada memperkenalkan teman
wanitanya kepada Sufi. Kini hal ini terbangkit semula, dalam masa yang sama perkara
ini nampaknya sudah menembusi gegendang telinga Mak Timah. Kecohlah sekejap
lagi ni. Pasti hal ini akan sampai ke segenap cakrawala. Ke marikh, zuhal.
Malah ke plutopun. Mak Timah!
“Nak cakap baik tu taklah sangat.
Tapi adalah bertegur sapa. Tambah-tambah orang banyak pinjam buku rujukan dia.
Itupun dah hantar dah.”
“Tadi, ibunya ada telefon nenek dan
cakap kalau boleh nak satukan kamu berdua. Kau nak Sufi?”
“Nak? Hish, simpang malaikat nek. Tu
kawan Sufi tu mana Sufi nak campak? Kat lombong? Kat perigi buta?”
“Kau betul nakkan budak drebar lori
tu?”
“Masalah apa dengan kerja dia?”
“Memang tak ada masalah apa-apa.
Cuma kalau boleh cari pasangan biar sepadan.”
“Sufi tak pandang semua itu. Paling
penting dia sayangkan Sufi dan mampu bahagiakan Sufi.”
“Nenek ni bukan kisah kau nak
sesiapapun. Cuma kalau boleh kahwin dengan keluarga sendiri boleh juga rapatkan
tali persaudaraan.”
“Eh, bukankah dulu nenek juga paling
tak berkenan kalau kahwin sesama sendiri?”
“Bila pula nenek ada cakap macam
tu?” Mak Timah menafikan. Itu memang perangai dia.
“Beginilah nek, tak payah nak cakap
panjang. Bagi tau saja dia orang Sufi nak kerja dulu.”
Mak Timah diam. Sufi meminta diri
untuk mandi dan seterusnya menunaikan solat Asar. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah
juga kerana kepulangannya kali ini berdepan dengan pelbagai perkara yang
menyakitkan hatinya. Hal Maria yang mula buka cerita baru dan hal Izzuddin
benar-benar membuatkan dia mual.
Tentang hal dengan Izzuddin,
sebenarnya dalam tidak sedar, Sufi mula agak baik dengannya. Itupun selepas
Izzuddin telah memperkenalkan Sufi kepada teman wanitanya. Selepas itu, Sufi
buat andaian sendiri bahawa rancangan untuk menyatukan mereka sebenarnya bukan disarankan oleh Izzuddin.
Jika tidak, masakan Izzuddin akan memperkenalkan seorang gadis sebagai
temanitanya. Memikirkan Izzuddin juga ‘mangsa’membuatkan Sufi sanggup baik
dengannya.
Lagipun selain rancangan untuk
menyatukan mereka, Sufi tiada apa-apa dendam yang memungkinkan dia untuk
memusuhi Izzuddin. Tambahan pula Sufi kerja dengan ibu saudara Izzuddin, mana
mungkin boleh dia berlagak sombong dengan Izzuddin. Sebenarnya, seronok juga
berkawan dengan Izzuddin, boleh ambil kesempatan. Sering Sufi minta Izzuddin
belikan coklat yang mahal-mahal untuknya. Pada awalnya hanya bergurau, mana
tahu Izzuddin betul-betul menuruti kehendaknya. Sejak itu memang sering jugalah
Izzuddin belikan dia coklat dan kandi. Terutamanya Smarties. Izzuddin pula
memang mempunyai kelapangan untuk melawat Sufi di Uniputra memandangkan ketika
itu dia mengajar di Kajang.
Dulu Sufi
ingat Izzuddin anak orang kaya yang kedekut
semasa Izzuddin membawa Sufi ke rumahnya di Pengkalan Chepa. Masakan
tidak, sudahlah dia pelawa Sufi ke rumahnya kerana orang tua Izzuddin sudah
lama tidak bertemu muka dengan Sufi, tambang bas Sufi dan sepupu Sufi yang
menemani Sufi ketika itu pun Sufi kena selesaikan sendiri. Lelaki apa macam
itu? Bukan mahal pun, cuma sembilan puluh sen. Itu pun Izzuddin berkira.
Kebetulannya Sufi dan sepupunya
tidak merancang untuk pergi, lalu wang saku yang dibawa kira lebih kurang saja.
Rancangan asalnya selepas hantar buku-buku rujukan yang dipinjam daripada
Izzuddin, dia dan sepupunya Rita mahu terus pulang ke rumah. Mana tahu,
Izzuddin cakap orang tuanya minta ke
rumah kerana mereka sudah lama benar tidak jumpa Sufi. Semasa zaman kanak-kanak
dulu Sufi kerap ke rumah mereka memandangkan Abang Zali pernah tinggal dengan
mereka.
Malas menghampakan, lagipun Sufi
sudah terhutang budi kerana Izzuddin bagi pinjam buku-buku rujukannya
membuatkan Sufi tidak menolak. Lalu dia ke rumah Izzuddin. Izzuddin pun satu
masalah, dah tahu orang tuanya suruh bawa Sufi ke rumah, kenapa tidak dibawanya
kereta? Senang. Tidak perlu Sufi susah payah mengeluarkan belanja tambang
sendiri. Kasihan Sufi dan Rita hari tu.
Dalam pada itu, sebenarnya isu untuk
menyatukan Izzuddin dengan Sufi bermula sejak Sufi ke rumah Izzuddin itulah.
Mereka menelefon arwah ibu Sufi pada malamnya. Kenapalah Sufi tidak boleh
mengagak semua itu? Ingatkan mereka benar-benar mahu bertemu Sufi kerana lama
tidak bertemu muka, rupanya kerana ingin melihat keadaan Sufi sekarang waima
sesuai atau tidak dengan anak teruna mereka. Durjana sungguh rancangan itu.
Sufi sangkakan semuanya telah
berakhir. Mustahil Izzuddin tidak memberitahu keluarganya tentang Norida,
temanitanya itu. Bagaimanapun, dalam hal ini nampaknya Sufi sudah tidak boleh
berdiam kerana hal ini mula diketahui Mak Timah. Kalau sudah sampai ke
pengetahuannya, alamatnya pecah dunia ini. Mana tahu dia cucuk jarum pada Abang
Zali agar memaksa Sufi menerima Izzuddin dan melupakan Dinie. Buat masa
sekarang Dinie memang tidak begitu menjadi pilihan Mak Timah. Abang Zali pula
bersikap nuetral, sesiapa pun pilihan Sufi tidak jadi masalah. Itulah yang Sufi
takutkan. Peranan Mak Timah dalam hal ini agak besar juga kerana Abang Zali
seperti arwah ibu senang mendengar cakap Mak Timah. Jampi apa Mak Timah guna
pun Sufi tidak tahu.
Balik ke tempat kerja nanti dia akan
cuba berbincang tentang masalah ini dengan Izzuddin. Dia tidak akan melarikan
diri seperti dulu lagi. Kali ini dia akan cuba menyelesaikannya cara orang
dewasa. Mengelak diri seperti sebelumnya tidak akan menyelesaikan masalah.
Pihak Izzuddin tidak akan tahu hasrat hatinya yang sebenar. Kali ini biar
terang semuanya. Memang daripada segi taraf, Izzuddin sampai bila-bila pun akan
lebih mengatasi Dinie, tapi hati dan segala isinya telah dimiliki Dinie. Cinta
itu tidak memandang taraf atau sebagainya. Itu semua karut.
Sufi cuba membayangkan jika perkara
itu sampai ke pengetahuan Dinie. Tentu dia akan berjauh hati. Tidak. Sufi tidak
akan izinkan orang yang dikasihinya berjauh hati. Dia sayangkan Dinie. Sayang
yang ikhlas dan tidak dipaksa-paksa. Bukan sayang seperti yang dicurahkan
kepada Danish. Apatah lagi sayang bersandarkan kasihan seperti yang diberikan
kepada Hardi. Dengan Dinie semuanya ikhlas. Dinie lelaki yang berjaya menawan
hatinya dalam sekelip mata. Sufi tewas dengan Dinie. Bukan berpura-pura atau
memaksa diri. Semuanya terjadi secara semulajadi.
Dulu, sebelum kewujudan Dinie dia
sudah tidak boleh menerima Izzuddin dalam hidupnya. Kini dengan kehadiran
Dinie, rasa tidak boleh itu semakin meningkat naik. Semakin membengkak sehingga
langsung tiada ruang untuknya memikirkan tentang orang lain. Dunianya kini hanya
Dinie. Keluhuran Dinie dalam menghulurkan cintanya membuatkan Sufi terlalu
menghargai seterusnya mencintai Dinie sepenuh hati.
Pandangan Dinie, senyuman Dinie,
suara Dinie, cara Dinie ketawa, semuanya sentiasa berlegar dalam benak Sufi.
Sesuatu yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Lalu Sufi kenali itu sebagai
cinta. Cinta Sufi. Jika bersama Danish dulu, Sufi sendiri tidak pasti dengan
rasa hatinya. Dia ingin mendengar Danish menyatakannya terlebih dahulu sebelum
dia sendiri menilai hatinya. Bagaimanapun, apabila Danish langsung tidak mahu
menukar bentuk hubungan mereka, tiada luka di hati Sufi. Cuma rasa terkilan
dipergunakan Danish dalam masa susahnya. Terkilan kerana Danish tidak ikhlas
semasa berkawan dengannya. Rasa terkilan itulah yang membuat Sufi bersedih dan
terus terkenangkan Danish. Bukan terkenang untuk bersama, sebaliknya
terkenangkan Danish kerana dia tidak berpuas hati dengan Danish.
Kalau sebut pasal luka, sepatutnya
Hardi yang lebih melukakan Sufi. Begitupun itu juga tidak berlaku. Memang Sufi
ingat dia menangis. Pernah menangis dan pernah juga hilang pertimbangan
bagaimanapun itu bukan kerana terluka dikecewakan, sebaliknya terluka kerana
tertipu setelah sebelum itu dia bersusah payah cuba untuk menyayangi Hardi.
Ah, kini semua itu tidak lagi
menjadi momok dalam hidupnya. Dinie telah memprogramkan semula data memorinya.
Mengemaskinikan semuanya hingga yang tinggal dalam fakulti benaknya kini hanya
masa-masa indah bersama Dinie. Sufi memang sayangkan Dinie sungguh-sungguh hati
sehingga merasakan perkahwinan itu sesuatu yang perlu dalam hidupnya.
BAB DUA PULUH TIGA
Masa
berlalu dengan pantas sekali. Masalah dengan Izzuddin telah diselesaikan. Dia
minta Izzuddin bertegas untuk meneruskan hubungan dengan Norida. Izzuddin
lelaki, sepatutnya berhak untuk memilih sendiri pasangannya. Mulanya Izzuddin
cuba untuk memujuk Sufi agar bersetuju saja dengan rancangan orang tuanya
kerana dia sanggup untuk menerima Sufi. Begitupun Sufi merasakan itu kerja
gila. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan Dinie terkontang-kanting setelah
Dinie sarat mencurahkan kasih kepadanya selama ini.
Sufi juga tidak menghiraukan pujukan
Dr. Hanim apabila Dr. Hanim turut campur tangan dalam menasihati Sufi secara
tidak langsung.
“Susah Sufi kalau kahwin dengan orang
yang tak sama taraf pendidikan dengan kita. Kita tak boleh jadikan dia sahabat.
Tak boleh berbual-bual tentang perkara yang kita sukai. Topik bual kita
dengannya akan jadi lain. Kalau kita mahu mengalah, mengikut topiknya, sampai
bila?” Begitu Dr. Hanim memulakan sambil menikmati bubur nasi di biliknya.
Kak Fiza yang juga RA Dr. Hanim tidak campur tangan. Dia meneruskan
kerja menaipnya tanpa langsung mengganggu. Baginya itu masalah peribadi Dr.
Hanim dan Sufi. Mereka ada ikatan tali persaudaraan. Layak untuk bercakap
begitu. Sufi pula bermuka toya. Dia menghirup coklat panas di dalam mug sambil
menunggu patah-patah perkataan yang keluar dari mulut Dr. Hanim. Sebenarnya dia
sudah boleh menduga, lambat laun Dr. Hanim akan bercakap juga tentang hal itu dengannya
memandangkan dia pernah bertanya Kak Fiza tentang masalah Sufi dan Dinie yang
dihalang bertunang oleh Abang Zali. Mana dia tahu pun Sufi tidak boleh
mengagak. Tahu tentang masalah itulah membuatkan Dr. Hanim cuba mencucuk jarum.
Meminta Sufi menimbangkan rancangan orang tua Izzuddin.
Tapi keputusan Sufi sudah muktamad.
Cincin di jari sebagai bukti. Walaupun tidak diikat dengan penuh adat, tapi
cincin itu sebagai tanda dia telah dipunyai Dinie. Dinie juga memakai cincin
yang diberikan Sufi. Biar apa juga halangan dia akan bersama Dinie sampai
bila-bilapun. Walau apa juga yang dikatakan kepadanya, cintanya hanya milik
Dinie. Cinta Sufi hanya satu. Satu itulah yang telah diberikan kepada Dinie.
Walaupun mereka berdua bukan daripada golongan yang munasabah.
“Dulu sebelum kahwin dengan Prof.
Hamid, saya selalu terfikir kenapa dia mahu kahwin dengan saya sedangkan dia
sudah ada isteri. Selepas kahwin dengannya baru saya faham. Rupanya dia tak
boleh berkongsi banyak perkara dengan isteri tuanya memandangkan taraf
pendidikan mereka tidak sama. Seperti juga masalah yang berlaku antara saya dan
bekas suami yang hanya bekerja sebagai guru.”
Sufi masih belum mahu bersuara.
Mungkin menjadi pendengar itu lebih baik daripada membuat sebarang maklum
balas. Dia malas membangkang segala kata-kata Dr. Hanim kerana masih ada rasa
hormat kepada Dr. Hanim. Biarpun mereka mempunyai hubungan persaudaraan, dalam
masa yang sama Dr. Hanim itu majikannya. Rasa hormat dan rasa terima kasih
kepada Dr. Hanim kerana membuka ruang untuknya bekerja amat Sufi hargai.
Malahan dia sebenarnya malu dengan
Dr. Hanim yang sepanjang masa bekerja dengannya telah menunjukkan sikap
bersungguh-sungguh membantu Sufi untuk mendapatkan pekerjaan tetap. Pantang ada kerja yang bersesuaian diiklankan,
dia akan mencadangkan Sufi. Sungguhpun demikian, mungkin belum rezeki agaknya,
satu kerjapun belum berjaya dijawat oleh Sufi. Pun tetap dia berterima kasih
kepada Dr. Hanim yang telah bersusah payah.
“Pada awal mungkin tak timbul
masalah Sufi. Lama-kelamaan isu ini akan jadi satu perkara berbangkit yang akan
membawa kepada pelbagai permasalahan yang mungkin tak tertanggung oleh benak
awak.”
Sufi diam lagi. Memang dia pernah
membayangkan kemungkinan itu. Dia pernah bertanyakan Dinie yang hanya bekerja
sebagai pemandu lori. Dia tidak mahu suatu masa nanti Dinie akan merasa kecil
di depannya sekiranya Sufi berjaya
menjawat jawatan yang baik. Dinie mengatakan dia sanggup menghadapi segala
perbezaan itu. Dia tidak akan merasa rendah diri sebaliknya akan tumpang
gembira dengan kejayaan Sufi.
Buat masa ini, sepanjang kenal Dinie
dia memang langsung tidak menunjukkan sikap merendah diri. Sementelah pula Sufi
juga tidak pernah meletakkan diri sebagai seseorang yang mempunyai taraf
pendidikan yang lebih tinggi berbanding Dinie. Dia sentiasa menjauhkan diri
bercakap soal-soal yang tidak mampu untuk dibualkan oleh Dinie. Bagi Sufi dalam
hal itu, masing-masing kena pandai sesuaikan diri.
Dipendekkan cerita Sufi memang tidak
makan pujuk. Malah dia juga mula mengelakkan diri daripada melayan panggilan
telefon Izzuddin. Malas. Izzuddin kelihatan seperti lelaki yang tidak punyai
pendirian sendiri. Sanggup menurut kata orang tuanya. Melupakan temanitanya
untuk bersama Sufi. Bukankah itu sesuatu yang amat kasihan kepada Norida? Sufi
tidak suka lelaki yang tiada pegangan seperti itu. Bayangkan kalau Sufi
menerimanya, tiba-tiba orang tuanya mula bencikan Sufi suatu masa nanti dan
bertemu seseorang yang lebih sesuai dengannya, lalu mereka minta Izzuddin
ceraikan Sufi, tentu Izzuddin tetap akan melakukannya kerana dia jenis yang
tidak pandai membantah. Oh, maaflah. Sufi tidak boleh hidup dengan lelaki
begitu.
Lagipun sejak dulu, sebelum kenal
Dinie, Sufi sebenarnya mempunyai impian sendiri dalam memilih lelaki yang bakal
didampinginya. Dia sering mengidamkan seorang lelaki yang apabila Sufi berada
di sebelahnya, jalan seiring dengannya Sufi akan rasa selamat. Pasal rupa itu
kemudian cerita. Dan Sufi tidak pernah merasakan sedemikian dengan mana-mana
lelaki. Kecuali dengan Dinie. Pertama kali berjalan seiringan dengannya, iaitu
semasa pertemuan tidak sengaja mereka di stesen bas (ketika itu mereka masih
belum ada sebarang hubungan) Sufi sudah dapat merasakannya. Begitupun, Sufi
tidak terlalu memikirkannya sangat meskipun ada debaran waktu itu.
Mungkin kerana memang sudah jodoh
mereka sebab itulah Sufi tidak pernah merasakan sedemikian dengan mana-mana
lelaki sebelum ini. Tapi dengan Dinie, seperti memang ketentuan Ilahi mahu
menemukan Sufi dengan lelaki idamannya atau memang kerana nalurinya memang
sentiasa mahukan lelaki seperti Dinie, maka pada Dinie lengkap ciri-ciri lelaki
idamannya.
Biar diperincikan sedikit ciri-ciri
Dinie. Berbadan sasa, lebih tinggi daripada Sufi. Bentuk wajah bulat berlesung
pipit, ada jerawat sikit (menambahkan jantan, lelaki kalau tak ada jerawat Sufi
anggap tak macho) . Hidungnya tidak
terlalu mancung dan matanya... Matanya paling istimewa. Terutama apabila dia
merenung. Nampak memang menggoda benar dengan anak matanya sedikit brown. Aduh mak, Sufi memang sudah jatuh
cinta.
Bagaimanapun, bukan kerana Dinie
didatangkan dalam pakej begitu membuatkan Sufi tertarik. Kalau disebabkan rupa,
sejak zaman sekolah lagi Sufi akan tertarik kepadanya. Cinta Sufi berpunca
daripada keikhlasan yang Dinie tunjukkan. Itu saja. Dinie bukan lelaki yang
pandai membuaikan perasaan Sufi dengan kata-kata yang indah. Dia tidak pandai
mengucapkan kata-kata sayang apatah lagi
mahu memujuk rayu. Sufi merajuk, dia
tidak pernah pujuk pun. Lagi dimarahi adalah.
Begitupun Sufi tetap bersyukur
dipertemukan dengan Dinie. Sufi sering mengenangkan saat ketika bersama dengan
Dinie. Senyuman yang terukir pada bibir Dinie sentiasa menarik hati Sufi. Sejak
perkenalan mereka berdua, Sufi telah menghafal setiap raut wajah Dinie. Malah
cara Dinie memerhatikan dirinya. Sesungguhnya Sufi seolah-olah terpukau dengan
Dinie.
Dia sentiasa amat gembira apabila
bersama Dinie. Malah ada debaran setiap kali dia menantikan saat untuk bertemu
lagi dengan Dinie. Sufi juga menjadi begitu tidak bermaya apabila tiba masa
untuk berpisah dengan Dinie. Dinie insan yang begitu istimewa kerana dia tidak
pernah tertarik dengan mana-mana lelaki seperti dia tertarik dengan Dinie. Sufi
pasti amat bertuah kerana memiliki Dinie.
Pejam
celik, pejam celik kontrak Sufi sebagai RA Dr. Hanim berakhir. Sufi memutuskan
untuk pulang ke kampung terlebih dahulu sementara menunggu grant baru sampai. Dr. Hanim sudah berjanji untuk memanggilnya
kembali bekerja setelah grant baru
sampai. Begitulah kerja sebagai RA. Ada peruntukan boleh terus bekerja,
peruntukan habis menganggur jawabnya.
Menganggur dulu pun menganggurlah.
Begitupun Sufi merancang untuk kerja apa-apa kerja sekalipun. Janji duit masuk.
Dia tahu iklim ekonomi sekarang bukan dia seorang yang tidak mempunyai pekerjaan.
Ramai lagi kawan-kawan di luar yang menganggur. Dulu sebelum kematian arwah
ibu, Sufi merancang untuk sambung belajar. Kematian arwah ibu membuatkan
semangatnya untuk belajar hilang dan kini lebih kepada mahu mencari duit.
Membantu menyara adik-beradik.
Sebagaimana yang dijangkakan. Maria
memang tidak boleh diharap. Makan, minum adik-beradik bukan difikirkan sangat.
Tambahan dalam keadaan dia mula bertemu dengan lelaki. Dia lebih senang
menaburkan duit ringgit yang dicarinya kepada lelaki yang tidak bekerja itu.
Dengarnya mantan banduan dan pernah dipenjarakan selama beberapa tahun. Atas
kesalahan apa itu Sufi tidak ambil tahu. Biarlah kalau itu yang menjadi
pilihannya. Sufi dengan tulang empat keratnya masih mampu untuk menyarasuap
adik-beradiknya.
Cuma yang Sufi geramkan, seperti
dengan Hassan dulu, dengan Hamzah pun keadaan masih sama. Maria masih isteri
orang untuk menjalinkan hubungan dengan Hamzah. Dia seharusnya menuntut cerai
dengan cara apa sekalipun. Hubungannya dengan Omar tidak akan terbatal begitu
sahaja. Dia harus memfasakh terlebih dahulu. Begitupun Maria tidak berbuat
demikian kerana dia kahwin dulu pun di selatan Thailand. Surat nikahnya dengan
Omar bercopkan majlis agama Narathiwat dan tidak pernah didaftarkan di sini.
Mana mungkin sekarang Maria mahu menggunakan saluran undang-undang di sini
untuk membatalkan perkahwinannya dengan Omar. Nanti kena denda pula kerana
perkahwinannya tidak pernah didaftarkan sebelum ini.
Maria memang suka mengikut nafsu.
Kalau sudah kenal lelaki, apapun dia tidak peduli. Maria memang mewujudkan rasa
jengkel yang amat sangat dalam hati Sufi. Sufi memang sudah menjangkakan
kematian arwah ibu tidak akan memberikan kesedaran kepada Maria. Malah membuka
ruang kepadanya untuk melakukan apa saja dengan lebih bebas lagi.
Keadaan Sufi yang tidak mempunyai
sebarang kerja membuatkan Maria agak benci dengan kepulangannya ke rumah. Dalam
masa yang sama kembali ke rumah memberi peluang untuk Sufi melihat sendiri
corak ‘pemerintahan’ Maria. Memang sungguh tidak patut dia memperlakukan
adik-beradiknya begitu. Mengungkit-ungkit penat lelah dia di pasar untuk
menyarasuap mereka sedangkan sesen pun wangnya tidak keluar untuk belanja dapur
dan segala jenis bil. Saban malam pula bergayut di telefon hingga jam dua tiga
pagi, mengalahkan Sufi dan Dinie.
Mujurlah dengan bantuan Kak Lila,
Sufi diterima bekerja di sebuah kedai buku. Jadi kerani. Gaji mengikut hari.
Pergi kerja, dapatlah gaji, kalau ponteng memang habuk pun tarak. Di situ Sufi
bekerja dengan tekun. Dia dan Dinie sudah membuat perancangan untuk kahwin.
Setelah lama menjalinkan hubungan dengan Dinie, abang nampaknya sudah memberi
pelepasan kepada Sufi untuk buat apa saja cuma pesan abang, kalau sudah kahwin
jangan susahkan orang. Ada apa-apa masalah selesaikan sendiri.
Sufi memang agak sibuk di kedai buku
itu. Sungguhpun demikian dia masih ada masa untuk keluar makan bersama Dinie.
Ditemani rakan sekerja, mereka selalu keluar bersama. Sufi jarang mahu keluar
berdua dengan Dinie, bimbang menimbulkan fitnah. Kembali ke kampung dan bekerja
sekadar cukup makan dalam masa yang sama memberi ruang untuk Sufi mengenali
Dinie secara lebih dekat lagi. Dinie memang lelaki yang bertanggungjawab dan
tidak main-main dalam semua yang dikatakannya.
Dinie juga sudah mengetahui masalah
dalam keluarga Sufi. Dia cuma menasihati agar Sufi sabar dan bertenang. Dia
turut memberikan wang belanja untuk Sufi gunakan setiap bulan. Namun Sufi tidak
gunakan sebaliknya disimpan di bank untuk kegunaan masa mahu kahwin nanti. Duit
gajinya cukup untuk menampung urusan hidupnya dan diberi sikit kepada
adik-beradik.
“Hah, dia ingat aku tak tahu dia dah
tak kerja di tempat insurans tu.” Maria merungut-rungut sesudah menikmati makan
malam.
Sufi memandang ke arahnya. Dengan
merungut begitu Sufi tahu Maria sedang tujukan kepada Kak Lila. Beberapa hari
lepas Kak Lila telah berhenti kerja kerana majikannya tidak membayar gaji.
“Dia ingat aku larat nak tanggung
makan minum dia begitu saja. Senang-senang dia goyang kaki di rumah, aku
berpeluh di pasar cari makan.”
Maria membebel dan membebel lagi.
Kak Lila ketika itu sedang berada di bilik untuk menunaikan solat Isyak. Maria
bukan berani mana mahu membebel secara terang-terangan. Bukan Sufi tidak tahu
perangai Maria. Belang saja yang lebih, taring tidak setajam mana pun.
Sufi dan Kak Eisya buat tidak tahu.
Kalau dilayan makin menjadi-jadi pula. Mereka meninggalkan Maria dan naik ke
aras atas rumah. Malas mendengar kicauan Maria. Cakap bukan main. Macam memang
dia yang tanggung semuanya. Padahal bukan adik-beradiknya tidak tahu, sebiji
beras pun dia tidak bawa balik ke rumah. Memang melampau Maria.
Itu belum dicerita soal barang kemas
ibu, semuanya hilang jejak. Macam barang itu boleh terbang sendiri. Padahal ke
mana lagi perginya kalau bukan Maria yang ambil? Mujur adik-beradik tidak
begitu berkehendakan barang kemas. Selain Maria, memang yang lain tidak gilakan
harta.
“Kalau aku keluar daripada rumah
ini, tahulah kebulur semuanya nanti. Dia orang ingat aku ingin sangat tinggal
di rumah ini?” Maria masih berbunyi.
Berbunyilah. Malam-malam begini
orang lebih senang tidur daripada mendengar dia membebel.
Maria mahu keluar dari rumah ini?
Keluarlah. Aman sikit. Lagipun dia ada di rumah itu pun memberi malu kepada
mereka adik-beradik. Manakan tidak, keluar dengan lelaki hingga jam dua tiga
pagi. Sepatutnya sebagai seorang kakak, Maria kena memberikan contoh yang baik.
Ini dia pula yang terlebih-lebih. Kemudian dengan tidak malunya bercerita dia
pernah menyewa bilik hotel bersama Hamzah kepada salah seorang kawan Kak Lila.
Pada pandangan Sufi dia sengaja menceritakan perkara itu kepada kawan Kak Lila
agar kawan Kak Lila menyampaikan kepada adik-beradiknya. Dia mahu bermegah
dengan kehebatannya masih mampu menawan lelaki meskipun sudah dua kali ditinggalkan
suami.
Melucukan,dia cakap adik-adiknya
cemburu kerana mereka masih belum kahwin-kahwin, sedangkan Maria kalau jodohnya
menjadi dengan Hamzah, bermaksud sudah tiga kali dia kahwin. Eh, tolong sikit.
Kalau setakat dengan mantan banduan, siapa mahu cemburu agaknya?
Paling membuatkan Sufi dan yang lain
muak, dia sanggup belikan kereta kepada Hamzah untuk memudahkan Hamzah datang
mengambilnya setiap malam. Bukankah kerja bodoh semua itu? Adik-adiknya tahu
dia belikan kepada Hamzah kerana agen menjual kereta ada datang ke rumah. Malah
dia sendiri sengaja bersungut-sungut di depan Mak Timah dan adik-beradiknya
bahawa dia memerlukan sejumlah wang yang agak besar. Apabila Mak Timah bertanya
untuk tujuan apa, dia enggan memberitahu. Alihnya dia gadaikan barang kemas.
Sufi dan Kak Lila tahu itu kerana mereka melihat surat gadaian di dalam beg
Maria. Memang mereka sengaja mencuri buka beg Maria semasa dia keluar dengan
Hamzah.
Selepas dia menggadai barang-barang
kemas itu, sebuah kereta buatan Malaysia menjalar depan rumah dengan Hamzah
sebagai pemandunya dan Maria di sebelah dengan wajah megah. Cuba fikirkan
secara logik. Ibu baru meninggal dunia belum dua tahun. Maria sudah boleh
memiliki terlalu banyak barang kemas dalam tempoh itu. Sedangkan ibu dulu, meniaga
bertahun lama barulah mampu untuk membeli barang kemas sebanyak yang digadai
Maria. Agak-agak dari mana Maria mendapat barang kemas yang digadaikan untuk
membayar muka membeli kereta?
Mak Timah pula memang memihak kepada
Maria kerana dilihatnya Maria yang saban petang keluar bekerja. Dia tidak tahu
selepas Sufi mula bekerja, semuanya bagaikan ditanggung oleh Sufi. Itu pun Sufi
masih sempat dan mampu memberikan duit poket untuk Kak Lila, Kak Eisya dan Azah
selain dua ratus sebulan untuk belanja dapur. Bil-bil? Memang semuanya Sufi
yang jelaskan. Mujur juga dalam keadaan begitu Dinie banyak memberikan sokongan
moral kepadanya.
Mujur juga gaji Sufi sebagai kerani
pun agak lumayan sehingga memungkinkan dia menanggung semuanya di samping
menabung untuk tujuan perbelanjaan majlis kahwinnya nanti. Kerana gajinya yang
agak lumayan juga membuatkan Sufi menolak untuk kembali bekerja sebagai RA Dr.
Hanim. Biarpun di sana Sufi dibayar
berdasarkan kelulusannya, dia tetap memilih untuk bekerja sebagai kerani di
bandar Tanah Merah kerana kos hidup di sini tidak begitu tinggi. Di Kuala
Lumpur dulu, dengan gaji seribu lebih, mahu menabung seratus dua pun belum
cukup. Sekarang, dengan gaji kurang seribu dia mampu menabung paling kurang
tiga ratus setiap bulan setelah ditolak segala perbelanjaan lain.
Sufi memang tidak kisah memikul
tanggungjawab sedemikian. Malah dia rasa puas hati kerana dapat melakukannya
kerana memang itu niatnya. Jika adik-beradiknya dalam kesusahan dia akan
membantu mana yang termampu. Pada awal dulu, Kak Eisya dan Kak Lila keberatan
untuk mengambil duit poket yang dihulurkan Sufi, walaupun tidak banyak namun
mereka rasa tidak patut untuk berbuat demikian memandangkan Sufi adik. Azah
pula sentiasa menerima dengan tangan terbuka memandangkan dia masih bersekolah.
Sungguh, kalau ditanya kepada Sufi
adakah dia merasa terbeban padahal dia sendiri harus mengutamakan dirinya?
Jawapannya tidak. Itu tanggungjawabnya. Itu janjinya pada arwah ibu. Janji,
dengan sesiapa pun wajib ditunaikan, apatah lagi dengan orang yang sudah tiada
memandangkan susah untuk meminta maaf jika gagal menunaikan janji dengan orang
yang telah tiada.
Apa yang kini menjadi harapan Sufi
agar Dinie yang bakal menjadi suaminya kelak memahami keadaan itu dan
mengizinkan Sufi terus bekerja dan menjalankan tanggungjawabnya seperti sebelum
kahwin. Dia tidak mahu jika sudah berkahwin nanti segala-galanya berubah. Dia
sayangkan adik-beradiknya dan tidak sanggup membiarkan mereka berada dalam
kesusahan dan kemelaratan. Sufi susah tidak mengapa.
Lagipun dia merasa terhutang dengan
adik-beradiknya memandangkan dia satu-satunya yang melanjutkan pelajaran hingga
ke U. Bermakna dia paling banyak menghabiskan wang orang tua dan wang abangnya.
Bayangkan jika dia tidak melanjutkan pelajaran, tentu wang yang banyak
digunakannya itu boleh disalurkan untuk tujuan lain. Ah, pada orang lain itu
memang untung nasibnya, pada Sufi itu hutangnya pada adik-beradik.
Dilahirkan dalam keluarga sederhana
membuatkan Sufi terfikirkan semua itu. Lagipun ibu sendiri sering mengingatkan
agar sentiasa menolong adik-beradiknya. Jangan terlalu bergantung kepada Abang
Zali dalam banyak perkara. Sufi sentiasa ingat akan pesanan ibu itu.
Ini perkara normal dalam kehidupan.
Sufi tahu hidup tidak seindah kisah dalam novel-novel cinta. Jarang kisah dalam
novel cinta mahu mengutarakan tentang kehidupan golongan sederhana sebagai
tunjang cerita. Masing-masing penulis
lebih senang mengetengahkan tentang golongan elit dan berada. Entahlah, mungkin
audien gemar cerita yang memaparkan tentang kemewahan begitu. Bukan sahaja
novel, di layar tv dan filem juga hanya cerita tentang golongan ini yang banyak
mendapat tempat. Lihat gaya hidup elit-mewah yang dipaparkan dalam drama
bersiri Sembilu. Bermusim-musim
ditayangkan di tv. Penonton tetap tidak berganjak punggung semasa menontonnya.
Tidak tahu apa yang menariknya. Mahu
ikuti kisah percintaan watak Zetty dan Fendi? Rasanya persoalan itu terlalu
klise. Malah kisah cinta mereka panjang berjela-jela. Mungkin mata seronok
menjamu pandang dengan pemandangan rumah besar dan gaya hidup mewah membuatkan
makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampung lebih senang menangguhkan sembahyang
Isyak dan makan malam. Tunggu drama Sembilu
habis dulu baru mengensot-engsot ke bilik air mengambil wuduk atau mengadap
pinggan nasi yang sedia dihidangkan anak menantu di lantai dapur. Aduh. Bahana Sembilu
atau apa ini?
Kisah Sufi malangnya tidak seindah
itu. Malah kalau dibukukan atau difilemkan, buat merugikan pihak penerbit
barangkali. Tapi Sufi tidak pernah sesal atau terkilan dengan perjalanan yang
dilaluinya. Dengan segala macam konflik yang timbul dalam kamus hariannya. Dia
tegar menghadapinya. Dia sedar hidupnya suatu hakikat yang harus didepani dan
bukan sebuah hikayat atau pantulan cerita novel. Kalaulah hidupnya boleh
ditentukan semudah menghasilkan sebuah novel, telah lama dia matikan semua
watak-watak yang tidak disukainya. Atau tambah senang jika watak-watak seperti
Maria langsung tidak pernah wujud dalam hidupnya. Tapi itulah. Hakikat tetap
hakikat.
Biarlah serumit mana perjalanan
hidup yang harus ditempuhi Sufi. Biarlah sekuat mana rintangan dan cubaan yang
mendatang dalam hidupnya. Segala-galanya akan dihadapinya dengan penuh
kekuatan. Dia yakin tiap sesuatu yang ditakdirkan Allah dalam hidupnya
mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Sekurang-kurangnya ia boleh mematangkan
Sufi di samping membuatkan Sufi sentiasa ingatkan Allah. Apa yang disedihkan
hanyalah sekiranya suatu masa nanti dia tidak mampu lagi untuk mencurahkan
bakti kepada adik-beradiknya. Itu paling disedihkan Sufi.
“Dinie ada di belakang Sufi untuk
menyokong segala tindakan Sufi selagi tindakan-tindakan itu berlandaskan jalan
yang benar,” ujar Dinie semasa dalam perjalanan menghantar Sufi pulang ke rumah
sehabis waktu kerja.
“Dinie tak kesal memilih seseorang
yang mempunyai latar belakang keluarga kucar-kacir seperti saya?”
“Buat apa nak kesal? Sepatutnya
Dinie yang tanyakan perkara itu kepada Sufi memandangkan perbezaan yang wujud
antara kita berdua.”
“Perbezaan itu bukan alasan untuk
Sufi kesalkan. Andai suatu masa nanti Dinie mula tak mahu memahami keadaan Sufi
yang penuh dengan tanggungjawab, itulah yang akan buat Sufi kesalkan nanti.”
“Sufi tak percayakan Dinie?”
Sufi tersenyum. Dia percaya. Kerana
percayakan Dinielah dia sanggup untuk sehidup semati dengan lelaki bermata
menawan itu. Malah bukan setakat percaya, dia juga turut yakin dengan Dinie.
“Sufi percaya. Sufi percaya dengan
pilihan Sufi.”
Lalu Sufi tersenyum lagi. Dinie juga
tersenyum memandang gadis yang bakal menjadi permaisuri hidupnya nanti setelah bertahun-tahun
menyimpan perasaan terhadap Sufi.
BAB DUA PULUH EMPAT
Keadaan
hubungan adik-beradik Sufi dengan Maria semakin genting. Maria memang sudah
tekad untuk berkahwin dengan Hamzah walaupun Abang Zali enggan mewalikannya.
Dia meminta Aman yang mewalikannya memandangkan Aman ketika itu sudah cukup
umur untuk berbuat demikian. Mak Timah memang menyokong seratus peratus
tindakan Maria dengan alasan lebih baik mereka berkahwin daripada keluar
jauh-jauh malam tanpa sebarang ikatan.
Hubungan Maria dengan Omar? Rasanya
masih sah sebagai pasangan suami isteri. Sungguhpun demikian, Sufi dan
adik-beradiknya yang lain terdengar khabar Maria akan menggunakan surat cerai
dengan suami pertamanya. Pihak Pejabat Kadi tidak akan tahu tembelang yang
digunakannya memandangkan surat cerai yang asal telah digunakan semasa dia
berkahwin di Thailand. Perkahwinan itu pula tidak pernah didaftarkan di sini.
Jadi secara tidak langsung dalam rekod tempatan, Maria dianggap tidak pernah
berkahwin buat kali kedua. Dia telahpun pergi mendapatkan surat cerai salinan
kedua di Jabatan Pendaftaran Negara dengan menggunakan alasan surat cerai asal
telah hilang.
Tindakan Maria memang membuatkan
Abang Zali marah benar. Dia langsung tidak pulang semasa Maria melangsungkan
perkahwinan. Malah Sufi dan yang lain juga keluar jalan-jalan pada hari
perkahwinan Maria sebagai tanda memprotes. Maria memang tiada keimanan langsung
dalam hatinya sehingga sanggup mempermainkan hukum agama seperti itu. Sufi juga
tidak menduga perkara seperti itu boleh berlaku dalam keluarganya. Selama ini
dia hanya membaca akhbar dan mendengar berita yang melaporkan seorang wanita
mempunyai lebih daripada seorang suami. Maria juga nampaknya mencipta rekod yang
sama.
“Aku memang dah bercerai dengan Omar
secara taklik. Dia memang dah ceraikan aku. Kau orang semua kenapa tak percaya
sangat? Sebenarnya kau orang semua cemburu sebab aku lebih diminati berbanding
kau orang yang masih anak dara.”
Begitu fakta Maria. Fakta yang hanya
berdasarkan nafsu semata-mata. Tiada bukti sahih untuk menyokongnya. Sekalipun
dia sudah bercerai secara taklik. Buatlah mengikut saluran yang betul. Kenapa
harus main tipu-tipu seperti itu? Lagipun, kalau benar dia memang sudah diceraikan
secara taklik, kenapa dia tidak tetap dengan kenyataannya itu. Kenapa
kenyataannya berkaitan cara penceraiannya dengan Omar sering berubah-ubah?
Maria ternyata sebenarnya hanya mahu mengaburi mata umum. Biarlah. Dia boleh
mengaburi mata umum, namun di mahkamah Allah nanti, tahulah Maria cara untuk
menjawabnya. Kala mulut tidak lagi dapat berkata-kata. Ketika itu tiada
sesiapapun yang dapat menyelamatkan Maria.
Maria bagaimanapun memang berjaya
juga kahwin dengan menggunakan surat cerai dengan suami pertamanya dahulu.
Sungguhpun demikian, demi menegakkan kebenaran dan tidak mahu dituduh
bersubahat, Abang Zali mengarahkan Sufi dan Kak Eisya ke rumah imam yang
menikahkan Maria untuk mendapatkan kepastian tentang surat cerai yang
digunakan. Selama ini mereka hanya mendengar desas-desus yang mengatakan Maria
akan menggunakan surat cerai dengan suami pertamanya dahulu.
“Kalau begitu keadaannya, hukumnya
memang berdosa dan sebagai orang yang mengetahuinya, kamu juga dianggap
bersubahat.”
“Tapi imam, kami pun tak pasti pada
awalnya. Kami takut kalau kami buat laporan awal-awal akan menimbulkan
kekecohan.”
“Sekarang makin kecoh.” Tok Imam
kelihatan agak marah dan terkilan. Entah marah kerana Sufi dan Kak Eisya lambat
membuat laporan atau marah kerana tertipu.
Sufi dan Kak Eisya berpandangan.
Memang benar kata Tok Imam, keadaan sekarang juga makin kecoh. Sufi dan Kak
Eisya memang kesal juga kerana menangguhkan laporan itu. Sepatutnya selepas
mendengar desas-desus yang mengatakan Maria mahu menggunakan surat cerai yang
tidak sah, mereka terus membuat laporan kepada Tok Imam. Malangnya mereka
menangguhkannya sehingga akad nikah selamat dijalankan.
Sungguhpun demikian, Sufi mahupun
adik-beradiknya yang lain ada sebab untuk tidak terus melaporkannya. Pertama
kerana mereka menyangka Maria akan fikirkan tentang dosa pahala. Kalau di dunia
selamat sekalipun, akhirat belum tentu lagi. Di sanalah tempat penentuannya.
Keduanya kerana mereka menyangka Hamzah tidak akan bersubahat sama dengan Maria
dan membatalkan rancangan perkahwinan itu memandangkan ada khabar angin
mengatakan Hamzah bukannya teringin sangat untuk berkahwin dengan Maria. Jika
tidak kerana terhegeh-hegehnya Maria kepada Hamzah, memang mantan banduan itu
tidak akan mengahwininya.
Tambahan pula, dalam tempoh
seminggu dari tarikh perkahwinan Maria,
segala urusan berkaitan borang perkahwinan dan segala macam lagi belum selesai
dan Hamzah juga langsung tidak menjengukkan mukanya ke rumah mereka dalam
tempoh itu sehinggakan Mak Timah merangkap ahli paling sibuk semasa majlis itu
diadakan sudah mula bising-bising dan berkicau. Kalut bertanyakan Maria bila
Hamzah akan datang membawa borang untuk diserahkan kepada imam.
Sungguhpun demikian, perkahwinan
tetap berjalan. Segala yang disangkakan tidak terjadi. Sebaliknya Maria tidak
berganjak dengan keputusannya. Tanpa memikirkan soal hukum hakam apatah lagi
tentang perasaan kedua-dua orang anaknya. Farah yang nampak murung dan Alif
yang mula mengamuk kerana bakal mempunyai seorang lagi bapa tiri. Dalam usia
itu mereka berdua sudah boleh memahami keadaan yang berlaku.
“Sekarang macam mana imam?” Soal Kak
Eisya.
“Tak ada jalan lain. Kena buat
laporan ke pejabat kadi. Minta batalkan perkahwinan mereka. Surat nikah mereka
pula tok tak akan uruskan prosesnya.”
Sufi dan Kak Eisya berpandangan.
Kemudian memandang ke arah imam. Sulit juga keadaan itu sekarang.
Betapa kuat
juga tentangan yang ditunjukkan adik-beradiknya, Maria tetap keras kepala dan
berlagak seperti di pihak yang benar. Malah mencanangkan kepada seluruh
masyarakat betapa dengkinya mereka kepada Maria. Selain itu Maria tanpa rasa
bersalah memburuk-burukkan adik-beradiknya. Malah Maria juga berani membawa
pulang Hamzah ke rumah dan tinggal di situ seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Berdosanya Maria. Tidak takutkah dia dengan pembalasan di akhirat kelak?
Sudahlah dia banyak menipu
adik-beradiknya dengan mengambil ke semua harta peninggalan orang tua berupa
barang-barang berharga, kini dia menambahkan lagi sahamnya di akhirat dengan
bersekedudukan dengan lelaki seperti itu. Memang dosa masing-masing tanggung,
tapi membuat dosa di rumah peninggalan orang tua membuatkan Sufi dan
adik-beradiknya yang lain merasa panas dan tidak tenteram.
Dalam masa yang sama, Maria juga
telah mengambil tindakan membomohkan adik-adiknya. Dia telah menemui seorang
bomoh yang mampu membuatkan adik-adiknya lupakan rumah. Maria ingin
adik-adiknya keluar dari rumah peninggalan orang tuanya. Biar dia seorang
bermaharajalela di situ. Maria tidak sedar tindakannya itu telah termasuk dalam
kategori menganiaya anak yatim? Hukumnya berdosa. Menganiaya itu sudah termasuk
dalam perbuatan berdosa apatah pula menganiaya orang-orang yang tidak berdaya
seperti anak yatim.
Sungguhpun demikian, tindakan Maria
tidak berjaya kerana Kak Eisya melihat Maria mencampurkan beras dan gula yang
sudah dijampi ke dalam tempat menyimpan beras dan bekas gula. Mereka
adik-beradik makan juga walaupun tahu beras itu telah dijampi, makan juga gula
yang sudah dijampi. Sebab mereka mengamalkan ‘jampi’ yang lebih mujarab iaitu
ayatul Kursi. Itulah ‘jampi’ mujarab yang diajarkan Allah dalam kitabnya. Kata
orang jika diamalkan dengan penuh keyakinan, ia mampu menghalang segala
perbuatan dengki dan khianat musuh. Itulah yang mereka amalkan. Lagipun mereka
percaya segala-galanya di tangan Allah s.w.t. In-namaa amruhuu itzaa araa dasyai-an ay-yaquu lalahuu kun fayakuun.
Begitu antara firman Allah. Dan apabila
Allah mengkehendaki berlaku sesuatu maka ia pun berseru, jadi. Maka jadilah ia.
Memang segala-galanya di tangan
Tuhan. Di tangan al-Walid. Malah dia memberi kemenangan sementara kepada Maria
pun kerana ada hikmah yang ingin ditunjukkannya.
Begitupun, memandangkan keadaan
semakin genting dan Maria benar-benar melampau, Abang Zali balik untuk membuat
perhitungan dengan Maria.
“Aku nak kau selesaikan hal ini
Maria. Uruskan soal penceraian kau dengan Omar secara betul kemudian ketika itu
aku sendiri akan mewalikan kau.”
Maria buat tidak endah dengan
kata-kata abang. Tangannya bermain-main di atas kepala. Mencabut rambut gatal.
Sikitpun tidak dipandang ke wajah abang.
“Dan apabila uruskan kahwin kau kali
ini selesai, aku minta kau keluar dari rumah ini kerana kau tak layak lagi
tinggal di sini. Rumah ini hanya untuk sesiapa yang belum kahwin.”
“Aku pun tak ingin tinggal di sini.
Aku dah lama bercita-cita untuk keluar dari rumah ini. Aku mahu meniaga
betul-betul dan kumpul duit untuk buat rumah yang lagi besar daripada rumah
ini.”
“Itu aku tak mahu dengar. Suka hati
kaulah kau nak buat apapun. Cuma aku minta kau jangan ganggu adik-adik di sini.
Gerai tempat menjual ayam pun sudah ditukar kepada nama kau. Itu dah kira
bahagian kau daripada harta peninggalan orang tua. Kalau nak lebih adil, kau
sepatutnya bayar kepada adik-adik seratus sebulan memandangkan kau seorang yang
dapat harta peninggalan orang tua,” kata Abang Zali berupa arahan.
“Baik aku sanggup,” jawab Maria
dengan bongkak sekali.
“Jangan sanggup di mulut sahaja.”
Maria menjeling mendengar kata-kata
Abang Zali.
“Baiklah, memandangkan kau dah
setuju aku minta kau keluarlah dari rumah ini. Jangan nak kacau-kacau lagi
adik-adik di sini. Kau sudah ada orang untuk menanggung hidup. Buat apa kau nak
kahwin kalau suami kau tak mampu sediakan tempat tinggal pada kau?”
“Aku tahu. Aku pun tak ingin, aku
nak tengok mereka semua ni kebulur kalau aku tak ada di rumah ini nanti.” Cakap
besar betul Maria ni.
Sufi terasa ingin melompat dari
tempat duduknya dan menghadiahkan barang sedas dua penyepak ke kepala Maria.
Biar hilang segala kesewelan yang menjajah otaknya. Biar dia jadi waras sikit
dan tahu fikir dengan lebih baik.
“Yang lain bagaimana? Setuju Maria
keluar dari rumah ini, sesiapa setuju angkat tangan.”
Abang Zali bertindak macam tuan
pengerusi pula. Tapi angkat tangan tetap diangkat. Nampaknya semua menyokong
Maria keluar. Kasihannya Alif dan Farah. Melihat sahaja ibunya dihadap ke muka
‘pengadilan’ seperti itu.
“Kalau aku keluar dari sini aku mahu
bawak anak-anak aku.”
“Itu terpulang. Tapi kalau mereka
mahu terus tinggal di sini aku tak menghalang. Selama ini pun mereka memang
tinggal di sini.”
“Alif, Farah, bagaimana? Nak ikut
umi?”
Alif dan Farah diam. Sufi memandang
ke arah Alif yang semasa kecilnya membesar dalam ribaan Sufi. Alif turut
memandang ke arah Sufi. Tidak sanggup menatap pandangan mata Alif yang sayu
membuatkan Sufi mengalihkan pandangan ke arah lain. Memandang ke arah Kak Lila
dan Kak Eisya. Kasihan sungguh dengan Alif.
“Alif tak mahu ikut.”
“Kalau abang tak ikut, orang pun tak
mahu ikut juga.”
“Pak Long tak kisah. Rasanya mak
saudara kamu yang lain juga tak kisah. Atau kau kisah Sufi?”
“Tak.”
“Kau Lila?”
“Tak.”
“Eisya?”
“Tak.”
“Nampaknya semua tak kisah. Azah pun
tentu tak kisah jugak kan?”
Azah hanya mengangguk-angguk. Dia
pun tidak kisah kalau dua orang anak saudaranya masih mahu terus tinggal di
situ. Selama ini pun mereka membesar di
situ. Cuma bezanya dulu ibu yang menyarasuap mereka, kini arwah ibu sudah
tiada. Situasi mungkin akan berubah.
“Pada aku Maria, kalau apa-apa jadi
pada kau kedua-dua anak kau ini aku masih sanggup bela dan jaga, namun
sekiranya kau ada rezeki dengan Hamzah. Anak kau dengannya nanti aku tak akan
ambil tahu,” beritahu Abang Zali. Kenyataannya itu lebih berupa amaran.
Sufi memang ingin bersorak mendengar
abang berkata begitu kepada Maria. Biar Maria tahu abang langsung tidak pernah
menyebelahinya. Maria buat tidak endah lagi. Tangannya masih di kepala.
Perbicaraan berakhir. Maria terus ke
bilik menelefon Hamzah. Manakala Sufi dan yang lainnya masih di luar. Berbual-bual
sesama sendiri. Membuat rumusan dan kesimpulan ke atas perbincangan yang telah
dilakukan. Lebih kurang macam post-mortem.
“Lepas ni, kita jangan benarkan
orang macam tu jejakkan kaki ke rumah ni. Tanah sekitar rumah ni pun jangan
izinkan,” kata Abang Zali.
Benci juga dia dengan sikap Maria
yang suka cakap besar. Sesiapapun kalau berdepan dengan Maria memang akan
merasa jengkel.
Seminggu kemudian, Maria mula
mengangkut barang-barang untuk keluar dari rumah itu dibantu oleh kawan-kawan
Hamzah. Ketika itu Sufi dan adik-beradiknya yang lain sedang menikmati makan
tengahari. Kak Izan juga ada di rumah. Nampaknya Kak Izan pun tidak mahu
bertegur sapa dengan Maria. Mungkin perbuatan Maria yang begitu melampau turut
memberi kesan dalam hati Kak Izan meskipun selama ini Kak Izan jarang mahu
memikirkan segala masalah yang berlaku. Dia hanya mendengar, selepas itu dia
akan melupakannya.
Tidak seperti Sufi. Jika sesiapa
mengadu kepadanya, dia kalau boleh akan cuba untuk berbuat sesuatu demi
menyelesaikan masalah itu. Kepulangannya ke kampung sebenarnya banyak membela
nasib adik-beradik yang selama ini agak tertindas di bawah jagaan Maria. Dialah
yang paling lantang bersuara dan paling kuat menunjukkan sikap memprotes. Malah
pernah bergaduh tampar dengan Maria semata-mata mahu membela nasib
adik-beradiknya. Mungkin benar kata orang seseorang yang dilahirkan dengan
unsur alam air selalunya akan bersikap sebagai pembela dan penyelamat keadaan.
Nampaknya Sufi memang mempunyai ciri-ciri itu.
Sufi juga akan jadi tidak tenteram
jika tahu adik-beradiknya dalam masalah. Kalau mampu dia akan menolong walaupun
mungkin mengorbankan kepentingan dirinya sendiri. Sufi ada sebab untuk berbuat
begitu. Baginya setiap orang daripada kakak-kakaknya pernah menyumbangkan jasa
dalam membesarkan Sufi. Menggantikan arwah ibu yang semasa hidupnya lebih
banyak menumpukan perhatian pada urusan mencari rezeki.
Berbulan-bulan
berlalu. Kes Maria nampaknya senyap. Tiada sebarang tangkapan dibuat biarpun
dia dan Hamzah duduk serumah. Dengar khabar pihak berwewenang gagal membuat
tangkapan kerana Hamzah sering tiada di rumah semasa intipan dibuat.
“Mana boleh tangkap Pi. Hamzah tu
kenal orang dalam pejabat agama. Salah seorang yang bertugas sebagai pencegah
maksiat tu berkawan dengan Hamzah.”
“Mana Kak Lila tau?”
“Aku tahu Pi. Aku pun ramai kawan
juga. Orang macam Hamzah tu ramai kaki.”
Sufi diam mendengar kata-kata Kak
Lila. Dia sedar, dia sendiri pernah terdengar ura-ura mengatakan ada antara
petugas pencegah maksiat bersubahat dengan individu terlibat. Malah
pencegah-pencegah maksiat itu pun mempunyai perangai yang lebih kurang dengan
orang yang mahu ditangkap. Lalu orang yang bersalah sampai bila-bilapun gagal
dihadapkan ke pengadilan.
Lagi satu hal yang membuatkan Sufi
kurang puas hati. Orang di pejabat agama bukan bersungguh-sungguh dalam
melakukan penyiasatan. Kalaulah mereka bersungguh-sungguh tentulah kes macam
Maria tidak akan terlepas. Sepatutnya Maria telah boleh disabitkan dengan
pelbagai kesalahan. Pertama Maria telah berkahwin di luar daerah tanpa
kebenaran. Kemudian tidak mendaftarkan perkahwinan, bercerai di luar mahkamah
dan Maria telah menipu imam dengan mengemukakan sijil cerai yang tidak sah.
Kenapa Maria tidak disabitkan atas semua kesalahan itu?
Itulah yang membuatkan Sufi terkilan
dan kecewa dengan cara pentadbiran pejabat agama menguruskan kes itu. Corak
pentadbiran yang sambil lewa dan agak korup seperti itu membuatkan Sufi hilang
keyakinan terhadap jabatan berwewenang tersebut.
“Dahlah Pi, kita dah buat apa yang
sepatutnya kita lakukan. Kita sudah terlepas tanggungjawab kita dan tak dikira
bersubahat lagi dengan perbuatan Maria,” kata Kak Eisya.
“Betul tu Pi. Sekarang kita dah
dikira melakukan tanggungjawab kita. Sama ada tindakan diambil atau tidak, itu
urusan pejabat agama. Kita dah lakukan apa yang terdaya.” Kak Lila pula
menyokong kata-kata Kak Eisya.
“Susah Pi. Hamzah menurut Abang Adi
kau banyak kawan. Lagipun tak semua orang yang kerja dengan bahagian mencegah
maksiat itu baik. Mereka manusia juga. Macam pihak polis jugak. Mereka yang
kemain mahu hapuskan jenayah, dalam masa yang sama mereka juga yang buat kerja
tu. Rasuah, tipu duit orang. Jangan kata tak ada polis yang melakukan kerja
begitu.”
Cakap-cakap Kak Izan memang ada
betulnya walaupun kedengarannya agak sensitif terutama pada pihak yang
terlibat. Meskipun tidak semua pihak berkuasa yang terlibat dengan kegiatan
seperti itu, ia sedikit banyak membuatkan khalayak hilang keyakinan terhadap
mereka. Begitu juga dengan masalah mereka sekarang. Kalau tiada kerjasama
daripada pihak dalaman, dalam masa yang sama pihak berwajib juga tegas dalam
melakukan pemantauan terhadap kes-kes seperti yang dilakukan oleh Maria, tentu
masalah ini tidak akan berlaku. Maria pun tentu tidak akan berbesar kepala dan
terus-terusan menyebarkan keburukan adik-beradik kepada teman-temannya dan juga
khalayak setempat.
Hairannya, meski sudah banyak kes
seorang wanita mempunyai lebih daripada seorang suami dilaporkan oleh pihak
media tempatan, pihak berkuasa nampaknya melewa-lewakan keadaan ini sehingga
hampir setiap hari kes baru dilaporkan. Apakah soal hukum-hakam kini tidak lagi
begitu mendapat tempat di mata pihak berkuasa? Atau mereka lebih senang pergi
mengendap golongan muda-mudi di bilik-bilik hotel. Kemudian bawa krew tv
melaporkan tentang tangkapan kes khalwat yang berjaya mereka buat. Krew tv pun
apalagi. Siap fokus semua sekali termasuk sisa-sisa di tilam yang selama ini
mungkin sesuatu yang agak taboo di
kalangan masyarakat Melayu.
Lalu golongan yang boleh dianggap
tidak mempunyai ikatan yang sah daripada
segi hukum-hakam seperti situasi Maria meneruskan kehidupan sebagai suami
isteri. Melahirkan zuriat yang tidak mungkin boleh dinasabkan dengan keturunan
pihak lelaki. Apabila besar, sekiranya zuriat itu perempuan, pihak lelaki
mewalikannya. Apa jadi pada ikatan perkahwinan itu dan keturunan mereka
seterusnya? Tidakkah orang yang terlibat sanggup memikirkan semua ini?
Atau pihak berwewenang mahu ambil
jalan mudah? Tidak senang menjalankan penyiasatan rapi dan lebih suka menerima
saja segala sijil-sijil penceraian palsu
yang dibawa oleh Maria. Maklum saja, di sempadan Thailand sana, sijil nikah dan
cerai boleh dibeli sewenang-wenangnya. Seperti kes Omar membeli surat cerai
untuk ditunjukkan kepada isteri pertamanya bagi membuktikan kepada isteri
pertamanya bahawa dia benar-benar telah menceraikan Maria. Dengan talak tiga
lagi! Kemungkinan besar Maria menggunakan surat cerai yang dikatakan palsu
suatu masa dahulu untuk meyakinkan pihak pejabat agama akan kesahihan
kedudukannya sebagai janda Omar. Lalu pihak pejabat agamapun melepaskannya
tanpa membuat siasatan lanjut.
Memang. Memang tanpa membuat
siasatan lanjut. Sekiranya mereka benar-benar menjalankan tugas dan membuat
siasatan selanjutnya, tentu Sufi dan adik-beradiknya yang lain dipanggil untuk
menjadi saksi bagi kes Maria. Ini tidak, setelah imam kampung dan Sufi sendiri
membuat laporan di pejabat Kadi, langsung tiada khabar dan mereka juga langsung
tidak dipanggil untuk membantu menyelesaikan kes.
Kalaulah pihak di pejabat itu celik
akal, Maria sudah ada rekod menipu setelah mengemukakan surat cerai tidak sah
semasa majlis akad nikah, mereka sepatutnya secara tidak langsung akan
terlintas bahawa Maria berkemungkinan untuk menipu lagi. Ini tidak, asal saja
Maria sudah membawa cukup dokumen-dokumen yang diperlukan , maka tiada lagi
siasatan dibuat. Kalaulah dokumen itu sah di mahkamah Allah kelak, Sufi dan
adik-beradiknya yang lain tidak akan termengkelan seperti itu.
Tapi itulah. Bukan senang untuk
menegakkan kebenaran dalam dunia serba korup seperti sekarang. Hukum-hakam
belakang cerita. Khalayak tidak lagi bekerja dengan nawaitu jihad ke jalan
Allah sebaliknya memikirkan soal metarial. Alangkah ruginya mereka mengejar
sepuluh peratus rezeki di dunia sementara, sedangkan hak hakiki di dunia
kekalnya sebanyak sembilan puluh peratus diabaikan.
Mungkin mereka lupa akan kata-kata
yang berbunyi: dunia ini hanya lakonan. Lupakah Mereka? Dunia ini memang
lakonan. Sekiranya kita memerankan dengan baik watak kita di dunia ini, di
akhirat kelak kita akan diberi nilai. Kalau patut dapat anugerah kita akan
dapat anugerah. Kalau kita gagal memainkan peranan dengan baik, kita akan rugi
dan akan merana kerana tidak mampu meraih segala kenikmatan yang dijanjikan-Nya.
Oleh itu, bawalah peranan masing-masing dengan baik agar kita boleh mengumpul
mata dan menerima anugerah terbaik kelak.
BAB DUA PULUH LIMA
Permasalahan
berkaitan Maria dilupakan Sufi dan adik-beradiknya. Mereka meneruskan kehidupan
dengan aman di rumah peninggalan orang tua. Dengan Sufi sebagai ‘pentadbir’
baru meskipun berpangkat adik. Tanggungjawab itu harus dipikulnya memandangkan
dia yang menguruskan segala-galanya. Abang Zali menyokong dari belakang dengan
sentiasa mengirimkan sejumlah wang untuk menampung makan minum mereka.
Maklumlah, gaji Sufi bukan banyak mana pun. Tambahan pula Sufi mempunyai
perancangan untuk kahwin tahun itu.
Dinie juga sentiasa memberi sokongan
moral kepada Sufi membuatkan semangatnya kuat untuk meneruskan tanggungjawabnya.
Keadaan Sufi yang sibuk dengan kehidupan barunya membuatkan dia terlupa akan
segala kesedihan yang dialaminya. Bermula dengan ditinggalkan Hardi setelah dia
hampir menerimanya kemudian kematian arwah ibu dan persahabatan yang terputus
dengan Danish. Hinggalah pada suatu hari dia menerima panggilan daripada
seseorang yang sudah lama tidak menghubunginya. Panggilan itu membuatkan dia
terkenang kembali segala kisah lama yang mulanya semakin mendap dalam memori.
“Helmi, apa khabar kau sekarang?”
Soal Sufi agak riang. Maklumlah sudah lama dia tidak mendengar khabar tentang
Helmi.
“Okey. Aku call kau ni sebab nak minta tolong sikit.”
“Tolong apa?’
“Begini, Masniza ada hantar kad
jemputan kahwin kat aku. Kau bayangkan setelah bertahun-tahun dia sunyi sepi
tanpa khabar berita, tiba-tiba aku terima undangan macam tu. Nampak sangat dia
nak menunjuk kat aku bahawa dia dah laku.”
Sufi ketawa. “Habis, memang patut
dia buat begitu sebab aku dengar khabar dulu kau main-mainkan dia.”
“Kau jangan nak menambah rasa sakit
hati aku Sufi. Kau langsung tak tahu kisah sebenar dan hanya dengar sebelah
pihak.”
“Okey, okey. So kau nak aku buat apa?”
“Aku nak minta kau call dia. Cakap aku ucap tahniah. Bagi
tahu dia aku tak sempat nak call dia
sebab aku sibuk betul. Kalau dia tanya kau siapa, kau cakap lah kau tunang
aku.”
“Eh, tolong sikit. Kalau setakat
telefon macam tu aku jamin boleh. No
problem, tang menyamar jadi tunang kau tu susah sikit. Nanti aku akan rasa
bersalah kat tunang aku pulak.”
“Kau dah bertunang Pi? Dengan siapa?
Danish tak ada cakap kat aku pun. Kau jangan nak loyar buruk Pi.”
“Apa loyar buruk pula?”
“Danish macam mana?”
“Danish? Kami kan tak ada apa-apa.
Dulu, kini dan selamanya.” Hah, macam nak buat iklan pula Sufi ni.
“Kau biar betul Pi. Habis Danish kau
nak buang kat mana? Kau main-mainkan dia atau kau tengah bergaduh ni?”
“Main-mainkan apa? Tak timbul soal
main-main di sini Mie. Kita orang memang tak pernah ada apa-apa pun. Kau yang
sangka lebih-lebih.”
“Patutlah aku tengok Danish
termenung-menung macam tu. Kau orang gaduh rupanya. Anyway, kalau betul kau bertunang. Tahniah. Nampaknya semua orang
dah nak kahwin. Tinggal aku seorang.”
“Kalau kau berikan cinta kau dengan
ikhlas, kau akan dapat cinta yang ikhlas juga,” beritahu Sufi.
“Kau jangan nak perli Sufi. Eh, tapi
kau betul sudi tolong aku ni?”
“Betul. Kau bagi nombor dia and I’ll try to talk to her.”
“Hai, sejak bila kau pandai nak
berbahasa omputih dengan aku ni?” Tanya Helmi berbaur usikan memandangkan Sufi
jarang tersasul dalam Bahasa Inggeris.
“Sejak aku bertunang dengan Mat
Salleh...” Sufi ketawa.
“Ish, kau ni aku tak percayalah.”
“Tak percaya apa? Tak percaya aku
bertunang dengan Mat Salleh?”
“Bukan, tapi tak percaya kau dah
bertunang.”
Sufi ketawa lagi. Biarlah kalau itu
sukar untuk Helmi terima. Pelik juga manusia ni. Kalau kita cakap belum
berpunya mereka bermati-matian cakap kita sudah berpunya. Sebut nama orang itu,
orang ini. Apabila kita cakap
benar-benar sudah terikat, mula tidak boleh percaya. Jadi, apa boleh dibuat
kalau macam itu?
“Macam mana lah aku nak percaya Pi.
Danish tu tak ada cakap apa-apa pasal ni pun. Malah tak ada pula cakap dah
putus dengan kau atau gaduh. Tambahan pula rasanya masih baru lagi dia
berbincang dengan orang tuanya pasal rancangan untuk bertunang.”
“Danish pun nak bertunang jugak?
Haha, eloklah tu...” Sufi tanpa perasaan.
“Masalahnya dia nak bertunang dengan
kau. Lepas dia habis belajar ni dia bercadang untuk masuk meminang kau. Orang
tuanya dah bersetuju.”
Sufi tergelak besar mendengar Helmi
berkata demikian. Baginya semua itu suatu parodi untuk Helmi duga hatinya
terhadap Danish. Ketawanya membangkitkan geram di hati Helmi. Macam Sufi buat
tidak endah dengan kata-katanya.
“Aku serius Sufi.”
“Kalau kau serius, aku berterima
kasih sebab sampaikan perkara ini. Danish sendiri pun tak ada cakap hal ini kat
aku. Apa kata kau balik, bagi tau Danish cepat-cepat masuk meminang aku ya.
Ramai tengah tunggu giliran tu.”
Helmi bengang dengan Sufi. Sufi lagi
bengang dengan Helmi. Pandai dia mereka-reka cerita sedangkan kisahnya dengan
Danish telah lama berkubur. Sejak kematian arwah ibunya lagi. Danish sunyi sepi
selepas itu. Langsung tidak datang memujuknya sedangkan bukan dia tidak tahu
nombor telefon rumahnya meskipun nombor telefon genggam Sufi telah ditamatkan
perkhidmatannya. Danish ada banyak cara untuk memujuknya sekiranya dia
benar-benar sayangkan hubungan mereka.
Tambahan pula, Danish sendiri sudah
cakap Sufi hanya sahabatnya. Tidak lebih daripada itu dan dia tidak bersedia
untuk membawa hubungan mereka pergi jauh. Sufi tidak mahu termakan lagi dengan
cakapan orang. Kerana cakap-cakap seperti Helmi itulah dia turut menyangkakan
Danish memang menaruh hati terhadapnya meneruja Sufi meminta kepastian daripada
Danish. Sungguh. Sufi termakan dengan cakapan orang. Padahal hatinya sendiri
belum sepenuhnya untuk Danish. Sufi sendiri tidak tahu rasa hatinya terhadap
Danish. Sufi sendiri tidak tahu bagaimana rasanya mencintai seseorang.
Sehinggalah?
Sehinggalah dia mengenali Dinie.
Sufi mula kenal erti cinta yang sebenar, mula pandai merindu. Mula pandai rasa
ingin dimiliki dan memiliki. Lebih utama daripada itu semua, dia mula terbuka
hati untuk berkahwin walaupun mendahului
kedua-dua orang kakak-kakaknya, Kak Eisya dan Kak Lila. Sungguh. Kalau
dia tidak mengenali Dinie, semua itu langsung tidak terlintas di dalam hatinya.
“Kau ni tak ubah-ubah Sufi. Payah
nak cakap secara serius dengan kau. Apa-apahal pun, pasal Masniza tu kau tolong
ya...”
“Wokeh!”
Helmi ketawa mendengar cara jawab
Sufi dalam lenggok India. Masih bersisa kelakarnya meskipun usia semakin
meningkat.
“Terima kasih Sufi. Er, Pi pasal kau
dah bertunang tu, kau memang tak serius kan Pi?” Helmi memang langsung tidak
mempercayainya.
Kenapalah susah sangat kau nak
terima hakikat ini Helmi? “Sukahati kaulah nak percaya atau tak.”
Perbualan ditamatkan. Sufi
kemudiannya menelefon Masniza. Melakukan seperti mana yang diminta oleh Helmi.
Bagaimanapun dia hanya memperkenalkan diri sebagai kawan Helmi, bukan tunang.
Minta maaf. Tidak mungkin untuk Sufi katakan sedemikian memandangkan dia tidak
tergamak untuk meletakkan diri sebagai tunangan orang setelah hatinya dimiliki
oleh Dinie sepenuhnya. Biarpun hanya sekadar untuk menyamar dia tidak akan
melakukannya. Begitupun, walau tidak diperkenalkan namanya, Masniza masih tetap
mengenali suaranya.
“Kalau awak tak mahu bagi tau nama
awak sekalipun, saya masih boleh meneka siapa awak...” ujar Masniza dengan
sedikit tawa.
“Hah, ya kah? Boleh awak teka siapa
saya?” Sufi sedikit kaget. Tidak disangkanya begitu kuat daya ingatan Masniza
atau ada perkara lain yang mendorongnya mengenali suara Sufi hanya melalui
talian seperti itu?
“Awak Sufi kan? Sufi yang dulu
sentiasa menemani Helmi setiap kali Helmi keluar jumpa dengan saya. Sufi yang
bertanggungjawab mengatur pertemuan antara saya dan Helmi.”
“Eh, kuat betul ingatan awak ya?
Kalau saya, setakat dua tiga kali pertemuan seperti itu, jangan harap nak kenal
dan ingat.” Sufi sedikit excited.
Masniza ketawa. “Saya memang tak
boleh lupakan awak...”
“Ya kah? Kenapa sampai begitu
sekali?”
“Sebelum saya jawab awak, boleh saya
tahu kenapa awak lakukan begitu dulu? Kenapa sanggup mengatur pertemuan antara
kami dan jadi orang tengah antara kami? Awak tak jealous?” Macam perisik pula si Masniza ni. Tapi Sufi sanggup
jawab.
“Kenapa mesti saya cemburu?”
Masniza kedengaran mengeluh. “Kalau
awak tak cakap pun, saya boleh rasakan awak dan Helmi sebenarnya ada hubungan.
Dulu awak penting dalam hidup Helmi. Dia pergunakan saya untuk menilai sejauh
mana sayang awak terhadap dia.”
“Itu semua mengarut.”
“Tidak. Saya cakap perkara yang
sebenarnya. Awak cuba bayangkan, sebulan tak sekali dia call saya di UKM, tapi dengan awak, saya dengar khabar, dua tiga
hari sekali dia akan hubungi awak. Dia tak boleh nak go on dengan saya. Saya benar-benar sedih tau.” Masniza meluahkan
kepada Sufi. Mungkin memang selama ini dia pendamkan semua itu. Disebabkan hari
itu dia telah mempunyai peluang untuk berbuat demikian, maka langsung dia meluahkannya.
“Dia cakap awak yang tinggalkan
dia.”
“Cuba awak di tempat saya, imagine that you are standing in my shoes,
boleh awak go on dengan lelaki yang
awak tahu hatinya tak pada awak?”
“Mungkin ada penyebab lain, tapi
yang nyata kami berdua memang tak pernah ada apa-apa hubungan. Lagipun saya
masa tu lebih rapat dengan sepupunya, Danish.”
“Dia ada ceritakan tentang itu
kepada saya. Awak dan Danish katanya memang rapat.”
“Jadi, kenapa masih awak mengatakan
kerana saya hubungan awak dan Helmi tak boleh diteruskan? Sedangkan Helmi
sendiri tak pernah cakap begitu.”
“Manalah dia nak cakap begitu kat
awak saudari Sufi. Kan awak sendiri cakap tadi, masa tu awak lebih rapat dengan
Danish. Dia tentu tak mahu mengganggu awak berdua. Lagipun Danish sepupunya
sendiri. Tapi percayalah, masa tu hati dia memang masih lagi untuk awak.”
Sufi ketawa. Baik Helmi mahupun
Masniza, kedua-duanya memang biol. Mengatakan sesuatu kepada Sufi tentang
kenyataan yang tidak boleh diterima akal.
“Beginilah Mas, lupakan tentang
semua itu. Kita pun dah nak kahwin. Awak nak kahwin, saya pun bakal kahwin juga
dua tiga bulan lagi. Kita lupakan perkara yang lepas-lepas tu. Kalau awak
anggap saya sebagai penyebab, saya minta maaf.”
“Awak pun bakal kahwin juga? Dengan
siapa?”
“Kawan satu sekolah. Not educated person but nice and
understanding.”
“Tahniah. Nampaknya awakpun macam
saya. Lebih senang memilih seseorang yang tak sama taraf pendidikan.”
“Pada saya, itu semua tak penting,
janji dia ikhlas dengan kita.”
Dan perbualan ditamatkan setelah
masing-masing berbalas salam.
Sufi termenung. Bukan memikirkan
kata-kata Masniza, sebaliknya terkenangkan Danish. Perbualan dengan dua orang
kenalan sewaktu di zaman persekolahan itu membangkitkan sesuatu yang agak
nostalgik. Betapa, terlalu banyaknya masa yang telah terbuang bersama Danish.
Apapun, Sufi tidak terugah dengan semua itu. Hatinya tetap akan mengahwini
Dinie kerana Dinie bukanlah suatu eskapisme.
Perkahwinan akan tetap diteruskan.
Lagipun semua persiapan telah dibuat sedikit demi sedikit. Dalam masa yang
sama, Sufi rasa memang itulah masanya untuk mendirikan rumahtangga dengan Dinie
sebelum mereka pergi lebih jauh dan terus keluar seperti itu. Makin lambat
kahwin, takut makin banyak dosa yang bakal dilakukan. Sufi sebenarnya takut
terhimpit dengan dosa kerana sejak kebelakangan itu mereka sering keluar berdua
tanpa ditemani sesiapa. Biarpun hanya keluar sekejap sahaja, iaitu setamat
waktu bekerja Sufi, Dinie akan menjemputnya pulang. Sebelum terus ke rumah,
mereka singgah minum dulu. Itu saja. Bagaimanapun itupun Sufi merasakan telah
melanggar hukum. Entahlah. Semasa keluar dengan kawan-kawan lelaki berdua
seperti itu Sufi tidak pernah memikirkan demikian.
Keadaan sekarang juga sudah tenang.
Setelah Maria keluar dari rumah, keadaan benar-benar tenteram. Urusan Maria,
sama ada hidup secara sah atau tidak dengan Hamzah sudah tidak diambil pusing
oleh Sufi lagi. Dia dan adik-beradiknya yang lain juga tidak kisah dengan wang
seratus ringgit yang langsung tidak diberikan oleh Maria setiap bulan walaupun
semasa ‘persidangan’ mereka dahulu, ‘kabinet’ memutuskan Maria harus memberikan
wang seratus ringgit setiap bulan sebagai saguhati kepada adik-adik kerana
gerai ayam yang selama ini menjadi punca pencarian orang tua ditukarmilik
kepada namanya sedangkan adik-beradik yang lain tidak mendapat apa-apa.
Seratus ringgit bukanlah besar
sangat berbanding ketenangan yang mereka miliki setelah Maria keluar dari
rumah. Biarlah. Anggaplah mereka membeli ketenangan daripada Maria dengan nilai
seratus ringgit. Kalau hanya kerana seratus ringgit itu mereka masih ingin
bercekau, masih mahu bercekcok dengan Maria. Sampai bila-bila mereka tidak akan
tenang dan aman.
Lima bulan
selepas Maria berkahwin sama ada sah atau tidak, Sufi pula mengambil giliran.
Meski ada suatu perasaan halus kerana melangkah bendul, dia tetap masih boleh
bergembira. Tambahan pula segala-galanya berjalan lancar biarpun dua hari
sebelum kahwin Mak Timah merajuk kerana wang belanja kenduri-kendara Sufi tidak
serahkan kepadanya. Mujurnya Mak Mek, iaitu adik Mak Timah memainkan peranan
menasihatkan Mak Timah. Juga memberitahu Sufi agar serahkan semua wang belanja
kenduri kepada Mak Timah supaya dia senang hati.
Sebenarnya Sufi terlupa. Dalam
kalut-kalut membuat persiapan dia terlupa tentang angin Mak Timah. Sudah
menjadi sikapnya untuk mengawal semuanya, terutama perkara yang melibatkan wang
ringgit. Mak Timah pula tidak cakap secara terus-terang, manalah Sufi faham.
Mujur ada Mak Mek.
Hai Mak Timah, tidak sudah-sudah
dengan anginnya. Kalau disekat anginnya mulalah mahu merajuk dan tunjuk
perasaan. Sehinggakan Kak Eisya dan Kak Lila jadi geram. Mujur Sufi juga tidak
naik angin sama. Kalau tidak, tentu gamat jadinya.
Syukurlah bagaimanapun.
Segala-galanya berjalan lancar dan majlis juga meriah dengan dihadiri
saudara-mara dan rakan-rakan. Rakan Kak Lila yang paling ramai datang
memeriahkan majlis memandangkan kebanyakan kawan-kawan Sufi setamat belajar
terus merantau mencari pekerjaan. Sufi memang tidak menjangkakan semua itu,
majlis yang pada awalnya dirancang secara sederhana bertukar menjadi meriah dek
kawan-kawan. Cuma yang Sufi terkilankan, dia tidak dapat menjemput kawan-kawan
lelakinya akibat terputus hubungan dengan mereka sejak menjalin hubungan dengan
Dinie.
Dulu Sufi selalu bayangkan,
kawan-kawan rapatnya seperti Lan, Muhammad, Shahida dan ramai lagi akan
menyerikan majlis pernikahannya. Terutama Lan. Begitupun akibat desakan Dinie
yang mahu Sufi tidak lagi berhubung dengan Lan, dia langsung memutuskan hubungan
dengan Lan. Kasihan Lan. Apa katanya apabila Sufi tidak menjemputnya? Dalam
ramai-ramai kawan lelaki Sufi, yang boleh dijemput hanyalah Abang Nasir, sama
kolej dengan Sufi ketika di U itupun kebetulan Abang Nasir kahwin dengan Ayuzi.
Kawan sekelas Sufi dulu. Kemudian Fatah, itupun kerana Fatah kahwin dengan
Pinie. Sedih juga Sufi. Lan, maafkan saya!
Dalam masa yang sama, Sufi tidak
pernah membayangkan Hisyam yang dulu selalu bertekak dengan Sufi sebelum mereka
mengibarkan bendera putih, turut menyerikan majlis memandangkan dia kawan baik
Dinie. Pelikkan kenyataan ini? Tapi itulah, kalau tidak kerana Hisyam, Sufi dan
Dinie tidak akan menjalinkan hubungan. Kalau tidak kerana Sufi kenal Hisyam,
dia tidak akan kenal Dinie juga. Malah kalau tidak kerana Hisyam, mungkin
mereka tidak akan menjalinkan hubungan sejauh itu kerana Hisyamlah yang
bertanggungjawab memberikan nombor telefon rumah Sufi kepada Dinie.
“Yang, yang bahagia tak dengan
abang?” Soal Dinie semasa mereka di kamar pengantin merehatkan diri sebaik
semua tetamu pulang.
Sebelum terlupa, nak bagi informasi
sikit, panggilan Dinie kepada Sufi telah berubah. Daripada memanggil nama, dia
menukarnya kepada panggilan yang lebih mesra iaitu ‘yang’ ringkasan daripada
‘sayang’ dan membahasakan dirinya ‘abang’. Itu semua di luar perancangan.
Sedar-sedar dia telah membahasakan sedemikian. Sufi? Sebab dia dalam kategori
brutal juga, dia masih membahasakan dirinya ‘Sufi’, namun tetap memanggil Dinie
‘abang’ apabila mendengar Dinie membahasakan diri sebegitu.
“Kalau ada istilah yang lebih tinggi
maknanya daripada ‘bahagia’ Sufi akan gunakan perkataan itu untuk menggambarkan
perasaan Sufi ketika ini,” balas Sufi sambil merebahkan kepala ke dada sasa
Dinie.
Dinie merangkulnya erat-erat.
Menterjemahkan bahasa kasihnya secara non-verbal.
Sufi faham lalu melingkarkan kedua-dua belah tangannya ke tubuh Dinie. Si suami
kemudian mengucup ubun-ubun Sufi. Syahdunya Sufi diperlakukan begitu. Hilang
seketika penat yang dirasai akibat sehari suntuk melayan tetamu.
“Bang, berjanji dengan Sufi untuk
tempuhi segala suka duka bersama ya?”
“Abang berjanji yang. Abang berjanji
akan tempuhi apa saja dan sanggup buat apa saja untuk membahagiakan yang,”
janji Dinie.
Sufi bangun. Mencari sinar mata
Dinie sekali gus mencari kejujuran di situ. Dinie membalas pandangannya dengan
seribu makna kasih sayang yang maha sarat. Mereka saling tersenyum kemudiannya.
Tersenyum bahagia kerana tercapai sudah maksud hendak hidup bersama.
Dalam hati masing-masing menanamkan
tekad membahagiakan antara satu sama lain. Mereka tidak mahu mensia-siakan
kesempatan yang diberikan Allah untuk hidup bersama sebagai suami-isteri, maka
dengan itu mereka tekad untuk menghadapi segala rintangan dan cubaan dalam
hubungan mereka dengan penuh kesabaran. Sekiranya dalam sesuatu perhubungan itu
dikatakan ada tujuh peringkat oleh pakar psikologi. Bagi mereka, cukuplah jika
perhubungan mereka hanya melalui enam peringkat; pertemuan, perkenalan,
persahabatan, perikatan atau penyatuan janji, persengketaan atau konflik dan
penyelesaian. Biar berhenti di situ. Setakat di peringkat penyelesaian. Jangan
sampai ke peringkat ke tujuh iaitu penceraian.
Anehkan Sufi? Selama ini begitu
susah untuk dia jatuh hati dan mengakui cintanya terhadap lelaki. Kemunculan
Dinie, seorang kenalan zaman persekolahan
merubah segala-galanya. Malah lelaki yang selama ini langsung tidak
diimpikannya sudah sah bergelar suaminya malam itu. Malah lelaki itu kini
sedang memeluknya dengan penuh kasih sayang.
Menzahirkan rasa hatinya setelah selama ini terhalang oleh hukum dan
dosa.
Itulah nikmat sebenar dalam
hubungan. Jika selama ini Sufi sering menegah dan mengingatkan akan garis
sempadan antara mereka berdua, malam itu Sufi memberikan hak kepada Dinie untuk
memiliki dirinya secara total. Lahir dan batin. Dinie bahagia. Sufi
tambah-tambah bahagia.
“Yang, terima kasih.”
“Untuk apa?”
“Kerana kasih sayang yang terhadap
abang.”
“Sufi juga ucapkan terima kasih
kerana menjadikan hidup Sufi lebih bermakna dan lengkap.”
Dinie tersenyum lagi. Kemudian
menghadiahkan sebuah kucupan syahdu di dahi. Kata orang, ciuman di dahi tanda
kasih yang mendalam dan suci. Di pipi tandanya sayang dan di bibir ciuman
seksual. Sufi gembira kerana ciuman syahdu suaminya singgah di dahi. Dia dapat
menilai keikhlasan dan keluhuran kasih sayang suaminya melalui ciuman itu.
Ya Rabbi, kekalkanlah hubungan kami
berdua!
No comments:
Post a Comment