TAJUK : YANG INDAH HANYA SEMENTARA
OLEH : ANNUR
PUTERI
PROLOG
Kata orang cinta
suci lahir dari suatu tempat yang paling jauh di dalam diri seseorang . Kata
orang juga cinta tidak boleh dijual beli atau ditukar ganti. Malah cinta topik
paling domestik dalam kehidupan sehari-hari manusia. Sesiapapun akan ada hati
dan perasaan untuk bercakap soal cinta. Abnormal seseorang individu itu jika
mengkesampingkan cinta dalam hidup. Malah boleh juga dikatakan beliau berbohong
jika beliau menidakkan cinta dalam kehidupan. Fitrah kejadian manusia untuk
merasa dicintai dan mencintai. Sejak zaman Adam a.s sehingga ke umat manusia
terakhir, cintalah yang mendasari kehidupan.
Kata orang juga hidup tidak indah
tanpa cinta yang mendasari hati. Jika kopi hilang manisnya, jika nasi tiada
ulamnya. Manusia akan menjadi kemajnunan jikalau kehilangan cinta. Manusia
boleh jadi begitu dan begini gara-gara cinta. Percaya atau tidak, manusia ada
masa boleh berbunuhan sesama sendiri dek cinta. Cinta yang kemudian bertukar
menjadi obsess. Itulah yang biasanya boleh membuahkan tindakan di luar batas
normal.
Cinta. Huh. Macam-macam boleh
berlaku semata-mata kerana cinta.
Kita boleh menangis dan dalam masa
yang sama boleh juga ketawa kerana cinta. Tanpa kedua-dua elemen ini, sesuatu
cinta tidak akan lengkap dan sempurna. Cinta bersifat luwes dan tidak static.
Boleh juga begitu dan begini. Perubahan yang berlaku pada cinta itulah yang
mevariasikan perasaan insane dalam mempersembahkan cinta di hati kepada
seseorang. Cinta yang tidak pernah diuji dan bersifat static tidak akan matang
dan tidak menemui kedewasaan di
hujungnya. Cinta harus teruji dan menempuh pelbagai rencam dugaan. Dibumbui
dugaan dan segala-galanya.
Semakin kuat dugaan dalam bercinta,
semakin erat kasih sayang insan yang saling mencintai satu sama lain sekiranya
masing-masing mampu bertahan menempuh apa juga bentuk dugaan yang mendatang
dalam hubungan. Dalam bercinta tidak boleh mudah berputus asa dan mengalah.
Tidak boleh tunduk pada ujian dan pancaroba. Hati mesti kuat. Bersedia untuk
menerima dan memberi. Juga bersedia untuk menerima kelemahan pasangan.
Seperti eratnya hubungan antara
cinta, airmata dan ketawa. Begitu juga eratnya hubungan antara cinta, kemanisan
dan kepahitan. Tinggal lagi di situ kesanggupan seseorang insan untuk menangani
segala masalah yang timbul. Andai segala-galanya dapat diatasi bersama, secara
langsung kita akan lebih menhargai pasangan kita dalam bercinta. Sanggup untuk
bersusah senang bersama. Turut merasai apa-apa sahaja kesedihan dan kesulitan
yang dialami pasangan. Merasa tekanan yang sama sekiranya pasangan dilanda
masalah atau musibah.
Jika begitu keadaannya, bermakna
cinta benar-benar sudah berada pada tahap yang sangat utuh.
Pun harus diingat, sekali air bah,
sekali pantai berubah. Begitu juga manusia. Dengan elemen hati dan perasaan
yang bersifat luwes, boleh begitu dan begini mengikut iklim persekitaran.
Manusia bercinta boleh berubah. Apatah apabila mengingatkan di dunia ini tiada
apa-apa perkara abadi sifatnya. Abadi dan hakiki itu sifat Ilahi, maka untuk
menemui cinta abadi haruslah menemui cinta abadi, haruslah mengenali Ilahi
terlebih dahulu. Mahu mengenali Ilahi harus terlebih dahulu mengenali diri
sendiri. Apabila sudah mengenali diri pula, kita akan tahu kelemahan dan kekurangan
diri sekali gus membuatkan kita redha jika berlaku ujian dalam sesuatu hubungan
sesama insan.
Itulah. Bercakap soal cinta ia akan
menelurkan banyak hal untuk dibincangkan. Soal relevan dan hampir-hampir tidak
relevan. Apa-apa pun boleh saja kerana seseorang yang berada dalam keadaan
mencintai, sebenarnya akal kewarasan sedikit terencat dan dikuasai emosi serta
nafsu. Lebih-lebih pula jika cinta insan itu sedang menerima ujian. Banyak yang
akan bermain dalam fikirannya.
Ah, cinta! Sepuluh hari sepuluh
malam pun susah untuk menghabiskan terjemahan dan huraian tentang cinta.
Terpulang atas penerimaan. Terpulang juga atas pemahaman. Apa-apa juga, semua
orang harus mengakui akan kepentingan cinta dalam mendasari sebuah kehidupan.
Tanpa cinta manusia akan jadi pincang dan manusia tentu akan hilang pedoamn. Ia
tidak boleh dinafikan sama seperti tidak boleh menafikan kewujudan cinta.
Mengakui kewujudan cinta, dalam masa
yang sama kita juga harus mengakui kendala dalam menzahir dan meneruskan cinta.
Cinta ada kendala, ada dugaan, ada ujian, ada macam-macam. Mungkin juga ada
dedalu yang mencelah di atas rimbunan cinta. Dedalu yang dianggap penumpang
yang merosakkan.
Dan aku suka sekali untuk
meriwayatkan suatu kisah cinta dedalu.
BAB SATU
Samwil merenung
dalam-dalam isterinya, Syufiqa yang seakan-akan tenggelam dalam dunianya yang
tersendiri. Bersama sebuah novel di tangan, Syufiqa memang akan jadi asyik
sekali. Ketika itu apa-apa saja di sekelilinga tidak akan diambil peduli.
Samwil ada masa agak gelihati dengan tingkah isterinya. Begitu taksub dan
meminati bahan bacaan santai tersebut. Syufiqa malah mempunyai koleksi novel
yang cukup banyak sehingga boleh dijadikan mini kutubkhanah di rumah mereka. Ada masa, saudara mara
dan tetamu yang datang ke rumah mereka akan terpegun dengan koleksi novel
Syufiqa yang pelbagai. Syufiqa tidak memfokuskan kepada mana-mana seorang
novelis dan juga syarikat penerbitan. Novel-novel koleksi Syufiqa ada
diterbitkan oleh Creative Enterprise, Kumpulan Utusan, DBP, Alaf 21 dan
pelbagai syarikat penerbitan lain yang tidak sanggup untuk Samwil menghafalnya.
Pantang bagi Syufiqa jika mana-mana
novel terbaru tidak dibeli di pasaran. Syufiqa lebih senang membelanjakan wang
pemberian Samwil bulan-bulan untuk membeli novel daripada dihabiskan untuk
membeli alat mekap, pakaian atau makanan. Samwil tidak mampu menghalang minat
dan kecenderungan Syufiqa sejak isterinya masih belum menjadi suri dalam
hidupnya. Sejak Syufiqa masih di alam persekolahan. Malah separuh daripada
koleksi novelnya disimpan sejak dia masih di bangku sekolah. Lalu tidak adil
rasanya jika Samwil mahu menegah dan menghalang minat Syufiqa, wanita yang
dikahwini sejak lebih lima
tahun lampau.
Sejak usia perkahwinan mereka selama
itu, mereka sebenarnya masih belum dikurniakan walau seorang anak. Begitupun
cinta dan kasih Samwil tidak pernah memudar walau sedikitpun terhadap Syufiqa.
Biarpun Syufiqa sebenarnya dikahwini atas aturan keluarga dan bukan pilihannya
sendiri. Mereka tetap bahagia dengan keadaan itu. Kekurangan dalam rumahtangga
mereka tidak mampu merencatkan walau sedikit pun kasih sayang Samwil terhadap
Syufiqa. Tiada sebab untuk Samwil bertindak demikian memandangkan kelemahan dan
kesilapan itu bukan terletak atas pundak Syufiqa seorang. Allah belum mahu
mengurniakan rezeki kepada mereka. Apa salah jika mereka terus menunggu dan
menunggu lagi.
Atas faktor tersebut juga Samwil
tidak mengendahkan Syufiqa jika si isteri mahu menghabiskan masa luangnya
dengan membaca novel. Itu lebih baik bagi Samwil daripada membiarkan Syufiqa
galak bertandang ke rumah jirang dan kawan-kawan semata-mata mahu bercerita
itu-ini dan mengata orang begitu-begini di masa luangnya. Ia tidak lebih
daripada satu kegiatan yang langsung tidak mendatangkan manfaat. Hanya menambah
saham dosa semata-mata. Samwil tahu Syufiqa kesunyian tanpa cahayamata.
Sementelah Samwil sendiri tidak boleh selalu menemani Syufiqa di rumah kerana
terikat dengan jadual kerja. Oleh itu Samwil biarkan saja Syufiqa menghabiskan
masanya seharian dengan aktiviti yang dirasakan mampu untuk melapangkan hati
Syufiqa.
Membaca novel. Itulah kegemaran
paling atas dalam hidup Syufiqa. Dalam membaca novel juga Syufiqa mempunyai
idolanya yang tersendiri. Antara berlambakan novel yang dijadikan koleksi oleh
Syufia, banyaknya hasil garapan dan gagasan fikiran seorang penulis wanita yang
menggunakan nama Mia Batrisia. Pantang ada tulisan terbaru Mia Batrisia,
Syufiqa akan menggesa Samwil menemaninya ke toko buku untuk mendapatkan novel
terbabit. Ada
masanya Samwil sendiri yang akan terlebih dahulu mendapatkan hasil fikiran Mia
Batrisia untuk dijadikan kejutan kepada isteri tersayang.
Samwil tidak tahu apa kelebihan Mia
Batrisia sehingga mampu membuatkan hati si isteri sering terusik semasa
menekuni gagasan fikirannya. Samwil tidak pernah berminat untuk mengambil
tahupun. Walau dia tidak pernah menegah si isteri yang begitu taksub dengan
bahan bacaannya, dia juga sama sekali tidak pernah terdorong sama untuk
cuba-cuba berjinak dengan dengan bahan bacaan santai seperti yang selalu
dibelek si isteri. Bagi Samwil, jika dia tidak menonton tv rancangan-rancangan
berbentuk dokumentari atau membaca bahan-bahan berbentuk motivasi dan psikologi
dia lebih senang mengadap komputer melayari internet.
Pun tidak dapat dinafikan, ada masa
nama Mia Batrisia mengingatkan samwil kepada seseorang yang pernah dikenalinya.
Mia. Nama itu satu masa dahulu begitu dekat di hati Samwil. Pun bukanlah
setepatnya Mia Batrisia, sebaliknya Mia Sara. Gadis yang dikenali semasa zaman
persekolahan. Gadis berotak gila-gila. Senang berhu-ha dengan sesiapa sahaja.
Pun dia juga tidak dikenali dengan nama manja ‘Mia’ sebaliknya lebih senang
dipanggil ‘Sara’. Konon mahu kedengaran lebih keorangputihan. Ah, Mia Sara
memang macam-macam.
Demikianpun, sikap macam-macam Mia
Sara itulah sebenarnya mendorong Samwil yang pediam dan agak susah untuk
mendekati perempuan, mengenali seterusnya menyatukan hati mereka menjadi satu.
Mia Sara terlalu banyak keistimewaan. Samwil memang cukup senang bersama gadis
periang tersebut. Sepanjang menjalinkan hubungan, Samwil dan Mia Sara mencipta
terlalu banyak kenangan indah. Pun hubungan mereka ditelan masa. Maklumlah
cinta monyet. Kata orang jarang yang mahu kekal. Begitu juga hubungan antara
Samwil dan Mia Sara. Sesudah ke menara gading, mereka terputus hubungan dan
Samwil terdengar ura-ura mengatakan Mia Sara sudah pun melangsungkan
perkahwinan sebaik menamatkan pengajian di peringkat bachelor.
Dan Samwil, sejak terputus hubungan
dengan Mia Sara, tidak pernah pula menjalinkan hubungan dengan mana-mana gadis.
Langsung menerima Syufiqa sebagai isteri setelah diperkenalkan oleh orang
tuanya. Kisah bersama Mia Sara kemudiannya langsung dilupakan biarpun sesekali
kenangan antara mereka masih mengusik ingatan. Alah, kekasih lama. Bohong kalau
dikatakan tidak pernah terlintas di fikiran kisah-kisah kasih bersama kekasih
lama walau hati begitu menyayangi pasangan terkini. Betul tak?
Syufiqa pula, bagai langit dan bumi
jika dibandingkan dengan Mia Sara. Jika Mia Sara suka hanyut dengan lagu-lagu
berunsur keras dan heavy, Syufiqa
suka tenggelam dalam bahan bacaannya. Mia Sara kalau ditanya sedang buat apa,
sedar-sedar tengah melayan Metallica, Nirvana, Cromok dan macam-macam
seumpamanya yang Samwil sendiri tidak kenal. Ketawa Mia Sara sudah boleh
didengar dari jarak dua batu. Mengilai-ngilai macam pontianak. Syufiqa tidak begitu. Dia sering
tampil dalam versi sopan santun. Bercakap dan ketawa sering dalam nada yang
terkawal. Jauh sekali untuk mengelekek berlebih-lebihan. Pendek kata Syufiqa
memang perempuan Melayu terakhir buat Samwil. Pendek kata juga pilihan orang
tua memang tepat untuk Samwil.
Pun setiap kali mendengar nama Mia
Batrisia, setiap kali itulah dia akan teringat kembali kepada Mia Sara.
“Selalu macam ni!” Rungut Syufiqa
mengejutkan Samwil yang sekejap tadi membiarkan fikiran jauh terbang.
Samwil tersedar kemudian mengukir
senyuman melihat si isteri berwajah cemberut datang kepadanya dan merebahkan
badan di sebelah Samwil.
“Apa pulak tak kena ni sayang?
Apahal?” Samwil menunjukkan rasa ambil beratnya.
“Mia Batrisia.”
“Kenapa dengan Mia Batrisia?” Samwil
menjongketkan keningnya tanda berminat untuk mengetahui rasa tidak puas hati
Syufiqa terhadap Mia Batrisia.
Padahal dia sudah boleh mengagak
puncanya. Setiap kali selesai menghabiskan bacaan sesebuah novel, terutama
hasil tulisan Mia Batrisia, itulah versi wajah yang akan ditunjukkan oleh
Syufiqa.
“Dia tulah. Asyik-asyik ending dia tergantung. Senang nak
menyusahkan benak Fiqa untuk fikirkan kemungkinan itu-ini. Jarang sangat mahu
sudahkan secara muktamad.”
“La, kan tu gaya
Mia Batrisia.”
“Fiqa tau. Tapi yalah, hati ni geram
dan tak puas hati.”
“Fiqa, hidup ni macam tulah. Mia
Batrisia cuba
ikut reality. Dalam hidup kita hari-hari, jarang ada kesudahan yang muktamad
sebelum nafas terakhir. Kesudahan-kesudahan macam tu sebenarnya buat ramai yang
nak baca novel karya Mia Batrisia. Betul tak?”
Syufiqa diam. Hanya mengguman dalam
hati. Cakapan si suami ada benarnya. Mana ada kisah dalam dunia ini benar-benar
ada kesudahan selain kematian? Jika sudah meninggal barulah kisah seseorang itu
akan tamat. Pun belum bermakna menamatkan juga kisah orang-orang yang
bersangkutan dengannya. Malah mungkin kematian seseorang akan menjadi sebuah
awalan konflik bagi seseorang yang lain pula. Sebagai penulis, Mia Batrisia
mengetengahkan kisah-kisah sebegitu dalam masyarakat. Syufiqa memang seronok
dengan gagasan fikiran Mia Batrisia. Dalam masa yang sama juga geram dan tidak
puas hati apabila kesudahan yang diharapkan berlaku tetap tidak berlaku.
“Dahlah sayang, geram-geram pun
besok lusa novel dia jugak yang Fiqa baca, kan?” Samwil cuba untuk mengusik Syufiqa agar
senyum kembali pada wajah Syufiqa.
“Abang ni… dah Fiqa minat dia. Rasa
tak lengkap tau kalau tak baca hasil karya dia.”
“Jadi, buat apa nak marah-marah?
Jangan pula sayang nak buat perkara pelik. Suka dalam masa yang sama tak puas
hati.”
“Apa pulak abang ni? Kalau dah suka,
tak bermakna kita tak boleh rasa tak puas hati.”
“Sukahati Fiqalah. Cuma jangan pulak
Fiqa rasa macam tu kat abang. Suka, sayang cinta tapi dalam masa yang sama tak
puas hati…”
“Ish, abang ni ke situ pulak! Mana
ada Fiqa rasa macam tu kat abang? Kot-kot abang yang rasa macam tu kat Fiqa.
Maklumlah sampai sekarang Fiqa masih tak mampu lahirkan anak untuk abang.”
Syufiqa memangkas kata-kata Samwil. Dia memeluk si suami erat-erat untuk
meyakinkan kasih sayangnya terhadap Samwil.
“Fiqa… dah berapa kali abang cakap,
jangan salahkan diri sendiri kalau sentuh bab anak. Itu bukan kerja kita.
Semuanya di tangan Allah.”
“Sekarang bolehlah abang cakap macam
tu. Satu hari nanti, abang tetiba berubah hati dan mula rasa lain macam kat
Fiqa. Masa tu mula timbul keinginan untuk kahwin lain. Manusia boleh berubah
bang.”
“Manusia memang boleh berubah. Abang
tak nafikan, Cuma cinta dan kasih sayang abang tak semudah tu nak berubah.
Walau Fiqa yang carikan abang calon isteri sekali pun abang tetap tak sanggup
nak duakan Fiqa. Abang janji.”
“Abang jangan janji bukan-bukan kat
Fiqa. Kelak janji makan diri abang.”
“Fiqa ni bercakap macamlah akan jadi
apa-apa kat kita besok. Dah. Dah. Daripada Fiqa nak melalut macam tu, jom kita
tidur. Besok abang nak kerja. “ Samwil menarik selimut sebagai non-verbal agar Syufiqa berhenti
bercakap perkara bukan-bukan.
Syufiqa diam. Pun medan fikirnya tidak juga diam. Memikirkan
macam-macam perkara. Kemungkinan demi kemungkinan yang jika disuarakan kepada
Samwil tentu si suami akan mengatakan kemungkinan itu sama sekali tidak masuk
akal. Kemudian medan
fikir sarat pula mengulang-ingat karya Mia Batrisia yang baru selesai dibacanya
sekejap masa tadi. Kisah isteri yang terdera perasaan apabila terpaksa memikul
kesalahan suami sehingga diri dipenjarakan gara-gara suami enggan
bertanggungjawab terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Syufiqa tidak pernah membayangkan
kewujudan suami sedemikian. Bersikap lepas tangan dan terlalu pentingkan diri
sendiri. Lebih rela melihat isteri dipenjarakan atas kesalahan yang tidak
dilakukannya. Pada Syufiqa yang beracuan pemikiran ketimuran dan tipikal wanita
tradisi yang ingin sentiasa dilindungi oleh seseorang bergelar lelaki dan
spesifiknya suami, kisah yang digambarkan oleh Mia Batrisia benar-benar
membuatkan hati teruja untuk memikirkannya. Sungguh sedih dan memilukan
sekiranya konflik-konflik yang dialami watak dalam karya-karya Mia Batrisia
berlaku ke atas diri atau sesiapa saja yang rapat dan dikenalinya.
Uh, sesekali Syufiqa terfikir
bagaimana Mia Batrisia boleh menghasilkan cerita-cerita sedemikian. Dia pernah
meneka mungkin ia berasaskan pengalaman atau mungkin juga berasaskan pengamatan
terhadap permasalahan masyarakat. Syufiqa benar-benar teruja untuk mengambil
tahu memandangkan sepanjang mengikuti hasil karya Mia Batrisia, Syufiqa dapati
perjalanan ceritanya mengikut kematangan Mia Batrisia. Semasa usia belasan
tahun dahulu, Mia Batrisia senang untuk menonjolkan cerita-cerita tentang zaman
keremajaan yang penuh riang-ria dan cinta monyet. Masalah-masalah domestic usia
belasan tahun menjadi tema karya. Semakin meningkat dewasa, Mia Batrisia mula
mengubah tema sejajar dengan kematangannya.
Bagaimanapun, apa jua yang
diutarakan Mia Batrisia dalam karya-karyanya sikitpun tidak menghakis dan
meleburkan rasa minat Syufiqa terhadap novelis tersebut. Malahan makin matang
mesej yang ingin diutarakan Mia Batrisia semakin kuat rasa kagum dan minat
Syufiqa terhadap Mia Batrisia. Dia malah menanam keinginan untuk bertemu Mia
Batrisia dan berkongsi rasa bersama penulis itu. meluahkan rasa kagum terhadap
Mia Batrisia kerana mampu menghidupkan setiap watak yang cuba
ditonjolkannya.
Syufiqa juga kalau boleh ingin
mengenali Mia Batrisia dengan lebih dekat lagi. Ingin tahu latar belakang
dirinya. Apa-apa sahaja mengenai Mia Batrisia memang ingin diambil tahu oleh
Syufiqa. Baginya, sudah sampai masa untuk dia mengenali siapa sebenarnya Mia
Batrisia yang satu masa dahulu hanya menggunakan nama pena ‘Mia’ sahaja. Mia
Batrisia terlalu misteri bagi Syufiqa. Tidak pernah muncul di mana-mana majalah
atau akhbar menyerlahkan identiti sebenar. Biodata di novel pula sering tidak
lengkap tanpa gambar. Pun Syufiqa tahu Mia Batrisia seorang perempuan dan
berumur lebih kurang dia juga.
Syufiqa sudah mengikuti perkembangan
karya Mia Batrisia sejak sekian lama. Dari zaman persekolahan hingga kini
sampaikan dia mampu untuk mengenal pasti sebarang perubahan mengikut arus
kematangan dalam setiap hasil karya yang diketengahkan Mia Batrisia. Bezanya
dulu Mia Batrisia lebih senang menulis cerpen dan puisi. Hasil karyanya
berlambak-lambak di majalah dan akhbar tempatan. Namanya sama naik dengan
beberapa nama cerpenis lain seperti Siti Jasmina Ibrahim, Azman Husin dan
beberapa nama lain. Walau tidak segah Hizairi Othman dan Faisal Tehrani atau
mungkin juga seperti Uthaya Sankar S.B, Mia Batrisia masih mampu bertahan
dengan kumpulan pengikut tersendiri dalam arena penulisan.
Apa yang mengagumkan Syufiqa, hasil
karya Mia Batrisia sering diketengahkan dengan mesej-mesej yang berat dan
bertujuan untuk menyedarkan. Malah dia boleh mempelbagaikan hasil penulisannya
dan tidak hanya bercakap soal jiwa lara dan hati perasaan semata-mata. Untuk
penerbitan-penerbitan tertentu Mia Batrisia sering muncul dengan karya
eksperimental dan lebih menjurus ke arah karya maha avant-garde yang sebelum ini julukan sedemikian hanya pernah diberi
kepada karya Hizairi Othman, Jukstaposisi.
Maha karya terakhir Hizairi Othman dalam dunia penulisan sebelum akhirnya
menghilang. Pendek kata, karya Mia Batrisia memang boleh datang dalam tema
begitu dan begini. Mia Batrisia tidak hanya tahu bermain dengan hati dan
perasaan. Mia Batrisia menyogokkan kepada khalayak pembaca dan kumpulan
pengikut karyanya satu aliran bacaan yang membuka minda dan tidak terbatas
kepada persoalan kejiwaan semata-mata.
Pun siapa Mia Batrisia sebenarnya?
Syufiqa masih memikirkan. Khalayak
penulis dan orang-orang sastera ini bukan macam artis dan selebriti. Sekali
buat album, sekali keluar tv, masuk panggung terus heboh dalam majalah. Tidak.
Tidak. Khalayak penulis bukan begitu. Malah ada antara mereka, menulis
bertahun-tahun masa, nama gah dalam arena mereka, pun apabila dituturkan nama
pada khalayak luar, jawapan klise yang diterima, ‘Entah, siapa tu? Tak pernah
dengar pun namanya…’ Seringkali pun begitulah. Khalayak masyarakat masih
didominasi oleh golongan yang lebih cenderung untuk mengambil tahu tentang
dunia glamour. Dunia artis-artis dan selebriti-selebriti. Mia Sara pun
begitulah. Dia bukan A. Samad Said atau Shahnon Ahmad yang apabila disebut
naman mereka terus dikenali ramai. Juga bukan Fatimah Busu atau Zaharah Nawawi.
Bukan. Bukan. Dia cuma Mia Batrisia. Dan mungkin juga hanya Syufiqa yang
menjadi satu-satunya maha penyanjung dan pemuja untuk semua hasil karyanya.
Mungkin begitu!
Syufiqa mengeluh lagi. Penonjolan
yang agak pasif merupakan faktor golongan penulis seperti Mia Batrisia gagal
untuk dikenali dengan mudah oleh golongan pengkagumnya. Lalu sudahnya Syufiqa
sering tertanya-tanya identiti sebenar Mia Batrisia dan menyimpan angan-angan
untuk bertemu Mia Batrisia. Jika orang lain mempunyai keinginan untuk bertemu
artis pujaan hati, tidak bagi Syufiqa. Dia tidak hairan jika sesekali berada
dalam majlis yang sama dengan seseorang artis atau selebriti. Dia bukan tidak
pernah. Malah berkali-kali berada dalam majlis yang sama dengan M. Nasir, Sani
Sudin, Eizlan Yusuff malah Siti Nurhaliza pun pernah. Pun dia tidak teruja
sikit pun untuk mendekati mereka. mengambil gambar bersama atau paling tidak
mengambil tandatangan. Uh, itu bukan
dia. Hatinya tidak begitu menggelinjang suka sekiranya dapat bertemu
artis-artis tersebut.
Tidak. Sama sekali tidak pernah.
Jika artis tersebut Mawi sekalipun. Mawi yang menjagi kegilaan segenap
masyarakat termasuk pemimpin nombor satu negeri serambi Mekah. Huh. Begitu
punya besar pengaruh Mawi, pun Syufiqa biasa-biasa saja kerana keinginan
teratasnya untuk bertemu Mia Batrisia. Insan lain, minta maap ajelah! Dia hanya ingin bertemu Mia Batrisia seorang. Itulah
impian keemasan Syufiqa. Keinginan itu begitu menggunung tinggi sehingga dia
sanggup bersedia untuk memberi dan melepaskan apa saja asalkan dapat memastikan
keinginan dan impiannya akan jadi kenyataan.
Itu tidak mustahil kerana rasa
obsess Syufiqa terhadap Mia Batrisia begitu tinggi dan rasa itu sudah
dipendamkan terlalu lama. Malah perasaannya terhadap Mia Batrisia tidak sekadar
memuja dan meminati, malahan sudah sampai ke peringkat jatuh kasih. Benar, dia
sudah sampai ke peringkat itu. Dalam tidak berpuas hati terhadap kesudahan
kisah yang diilhamkan oleh Mia Batrisia, diam-diam dia sebenarnya cukup sayangkan
penulis yang langsung tidak diketahui identitinya.
Mengenang kembali kisah dulu-dulu,
pada awal-awal dia mengikuti perkembangan karya Mia Batrisia, Syufiqa amat
berharap suatu masa dia akan mampu membaca novel hasil ilham Mia Batrsia pula.
Ketika dia lebih aktif dan prolifik dalam genre puisi dan cerpen, Mia Batrisia
hanya menggunakan nama ‘Mia’. Namanya hanya dipanjangkan kepada ‘Mia Batrsia’
apabila dia mula menjinakkan diri dalam penulisan novel. Begitupun, sebagai
peminat Syufiqa tahu ‘Mia’ dan ‘Mia Batrisia’ merupakan penulis yang sama. Cara
dia menggarap cerita tidak berbeza. Perasaan yang ada dalam novel-novelnya
merupakan perasaan dan jiwa sama yang diterapkan dalam puisi dan
cerpen-cerpennya.
Mia Batrisia juga gemar
mempelbagaikan teknik penulisannya. Kepelbagaian teknik ini telah menambahkan
lagi kekretivitian Mia Batrisia. Ada
masa dia akan menggunakan teori dialogikal, kemudian pula teori
intertekstualiti, sekejap pula kepada eksperimental. Macam-macam ada. Itulah
lebihnya Mia Batrisia.
Malah karya-karya Mia Batrisia
secara tidak langsung sebenarnya telah menyangkal pandangan dan tanggapan
sesetengah orang yang buta pengetahuan tentang novel. Pandangan sesetengah
orang yang mengatakan dalam sebuah novel tiada apa-apa. Kosong. Sebuah novel
tidak lebih daripada bahan bacaan yang melalaikan pembaca melalui kisah-kisah
jiwa laranya. Namun karya Mia Batrisia, jika dilihat dari sudut yang mendalam,
ia sebenarnya lebih daripada karya hati dan perasaan apabila terlalu banyak
pengajaran tersirat dan tersurat. Karya Mia Batrisia bukan sahaja ambiguitif,
sebaliknya tahap semantiknya terlalu tinggi apabila retorik demi retorik yang
terbongkah melalui karyanya menemukan para pembaca akan satu sudut pandangan
tentang masalah kehidupan secara begitu halus.
Karya Mia Batrisia mempunyai tema
tersurat dan tersirat. Pemikirannya berat sehingga ada masa Syufiqa sendiri
gagal untuk memikirkan lanjut-lanjut apa sebenarnya yang cuba
disampaikan oleh Mia Batrisia. Karya Mia Batrisia sesekali sudah terkena
percikan karya penulis agung Indonesia,
Iwan Simatupang : Merahnya Merah.
Sesekali Syufiqa terfikir, adakah Mia Batrisia merupakan golongan penulis
seperti Iwan Simatupang juga? Seorang penulis kabur dan sukar difahami.
Kabur? Huh, memang kabur. Semuanya.
Imej Mia Batrisia dan kesudahan karya-karyanya memang kabur.
Ah, persetankan semua itu kerana
sememangnya Mia Batrisia begitu pandai memikat pembaca agar terus mengikuti
karyanya hingga ke noktah terakhir walaupun dalam masa yang sama dia
menyudahkan ceritanya dengan beribu persoalan dan kemungkinan. Untuk itu hati
Syufiqa terus menyimpan angan-angan untuk bertemu Mia Batrisia agar keupayaan
memahami makna tersirat di sebalik karya-karyanya menjadi kenyataan.
Mungkinkah?
BAB DUA
Samwil pulang
disambut Syufiqa di muka pintu dengan senyuman manis yang melebar hingga ke
pipi. Syufiqa mengucup tangan Samwil seperti selalu dan sebagai balasan sebuah
ciuman singgah di dahi Syufiqa. Samwil memerhati ke wajah Syufiqa. Langsung
tiada riak marah walaupun Samwil pulang lewat daripada kebiasaan. Samwil
tertunggu-tunggu juga Syufiqa mengajukan soalan tentang kelewatannya. Namun
Syufiqa nampaknya tidak berminat untuk berbuat demikian.
“Fiqa tak mau tanya kenapa abang
pulang lewat?” Soal Samwil selepas jenuh menunggu.
“La, nak tanya buat apa? Abang kan baru balik dari
kerja. Fiqa bukan tak biasa dengan masalah orang bekerja. Tambah kat KL ni. Ada masa boleh tersangkut
dalam kesesakan walaupun keluar awal dari pejabat.”
Samwil tersenyum. Itulah isterinya.
Tidak pernah menunjukkan rasa marah dan tidak pernah bermasam muka. Sebab
itulah juga Samwil merasa cukup bahagia bersama Syufiqa walaupun percintaan
mereka hanya terjalin selepas mendirikan rumahtangga. Sebelum ini mereka memang
tidak pernah mengenali hati budi masing-masing. Menerima sahaja cadangan orang
tua. Pun mereka tetap bahagia juga. Mungkin berkat orang tua yang menyatukan
mereka membuatkan mereka kekal sehingga ke hari itu tanpa sebarang masalah.
“Fiqa masak apa hari ni?” Soal
Samwil setelah duduk di sofa.
“Tak ada apa yang istimewa. Ketam
masak tumis masam manis, sayur baby kalian sikit dan goreng tempe berlada.”
“Tempe goreng berlada? Hem, bunyi macam sedap.
Dah lama abang tak makan tempe.”
Samwil kelihatan gembira.
Syufiqa tersenyum. Dia tahu suaminya
gemarkan tempe.
Macam dia juga. Teringat zaman belajar dulu. Hari-hari makan nasi bersama tempe. Tidak berlauk pun
tidak jadi masalah janji ada tempe.
Boleh dikatakan Syufiqa berlagak macam vege
ketika itu.
“Abang pergi mandi dulu, kemudian kita
solat maghrib sama-sama.”
“Tak boleh makan dulu?”
“Haih, dengar je Fiqa masak tempe terus nak langgar
kebiasaan?”
“Abang acah je, nak tengok reaksi
Fiqa.”
Syufiqa pura-pura geram diusik
Samwil. Dia mencebirkan bibirnya ke depan. Samwil lantas mencuit pipi Syufiqa
membuatkan si isteri terseringai. Kemudian mereka sama-sama ketawa seraya
berjalan naik ke atas. Syufiqa ingin menyiapkan tempat solat sementara Samwil
membersihkan tubuhnya.
Syufiqa menjatuhkan buntut ke kerusi
sisi katil sementara menunggu Samwil selesai membersihkan badannya. Sudah
menjadi kebiasaan Samwil untuk mandi dalam jangka masa yang agak lama. Syufiqa
sudah arif dengan kebiasaan Samwil. Untuk menghilangkan rasa bosannya, Syufiqa
mencapai akhbar yang dibawa pulang oleh Samwil tadi. Helaian demi helaian
dibelek Syufiqa mencari tajuk yang boleh menarik minatnya. Tiba di sudut
sastera, dia tertegun buat seketika. Majlis pelancaran nobel terbaru Mia
Batrisia. Syufiqa berdebar-debar. Gembira bukan kepalang.
Pantas sahaja dia mendekatkan akhbar
ke wajah. Dibaca dengan penuh minat artikel yang memperkatakan tentang karya
terbaru Mia Batrisia. Sudah keluar rupanya! Rasanya masih baru dia mendapat
khabar bahawa Mia Batrisia akan menghasilkan sebuah novel baru. Rupanya inilah
dia! Syufiqa memang teruja untuk mendapatkan novel tersebut. Kalau boleh malam
itu juga dia ingin mengajak Samwil keluar dan mencari novel tersebut di kedai buku. Nasib baik dia
cepat-cepat tersedar, tiada kedai buku beroperasi dua puluh empat jam atau
hingga ke lewat malam sekitar rumahnya.
“Abang!” Seru Syufiqa sebaik Samwil
keluar dari bilik air.
Samwil menghelakan pandangan ke
wajah Syufiqa yang nampak begitu teruja.
“Apa?” Soal Samwil pendek.
“Karya baru Mia Batrisia dah ada kat
pasaran…”
Ohh, patutlah excited sangat. Aku dah agak dah. Kalau dia baca artikel tu tentu
tak boleh diam dia. Pendek kata semalaman dia akan bercakap pasal karya Mia
Batrisia tersebut. Macam-macam tebakan akan dibuat. Semuanya berkisar tentang
karya Mia Batrisia. Ngomel Samwil dalam hati. Pun di bibirnya ada senyuman.
“Kita bercakap pasal tu
nanti-nantilah sayang. Buat masa ni kita solat dulu, kemudian makan. Masa makan
nanti pun kita boleh sembang pulak kan?”
Samwil memberi cadangan.
Syufiqa akur. Dia bangun ke bilik
air untuk berwuduk. Kemudian dia ke sejadah tempat Samwil sedang sedia
menunggunya. Mereka menunaikan solat bersama-sama sebagaimana kebiasaan sejak
mendirikan rumahtangga. Jauh di sudut hati Syufiqa sebenarnya bersyukur yang
teramat dapat bersuamikan Samwil yang mampu untuk mengimamkan solat walaupun
antara mereka berdua sahaja. Sekurang-kurangnya itu sebagai langkah permulaan
bagi Samwil mentadbir keluarga mereka.
Usai solat mereka terus ke meja
makan memandangkan Samwil sudah kelaparan. Biasanya begitulah jika hari biasa,
kecuali jika hujung minggu mereka sama-sama menunggu untuk terus bersolat isyak
di sejadah sesudah solat maghrib dengan menghabiskan masa melalui berzikir dan
mengaji al- quran. Mereka memang senang
menghabiskan masa sedemikian. Sekurang-kurangnya dapat juga mereka
meluangkan sedikit masa untuk mengadap kalam Allah s.w.t.
“Abang, Fiqa ingat besok nak
keluarlah.” Beritahu Syufiqa sewaktu mencedokkan nasi ke dalam pinggan Samwil.
“Nak buat apa? Setakat nak beli
lauk-pauk dan sayur-mayur kan
penjaja memang selalu datang.”
“Alah, abang buat-buat tak faham
pulak. Fiqa nak ke kedai buku, nak beli novel baru Mia Batrisia.”
“Setakat nak beli novel baru Mia
Batrisia, abang boleh tolong belikan.”
“Nak tunggu abang bawak pulang besok
rasa lama sangat. Fiqa tak sabar nak baca dah ni…” Syufiqa separuh merengek.
Dia memandang Samwil dengan pandangan penuh mengharap.
“Alah, kalau Fiqa boleh tunggu
berbulan-bulan dia hasilkan karya baru, takkan untuk tempoh pagi besok hingga
ke petang Fiqa tak boleh tunggu.”
“Ish, abang ni. Sejak bila pula
abang mula nak larang Fiqa ni?”
“Abang bukan apa sayang. Bimbang nak
lepaskan Fiqa ke Bandar sorang diri. Kes ragut makin menjadi-jadi sekarang.
Samseng jalan raya pun bukan main lagi. Abang bimbang kalau apa-apa jadi kat
Fiqa.”
“Fiqa tau jaga diri.”
“Nak jaga diri dengan apa? Ilmu
pertahankan diri apa Fiqa ada untuk berdepan dengan mereka semua tu?”
Syufiqa diam. Timbul juga rasa
kecewa di hatinya apabila Samwil menunjukkan sikap sebegitu. Selama ini Samwil
memberinya sepenuh kebebasan untuk ke mana sahaja dia suka selagi bukan ke
tempat maksiat. Alih-alih malam itu Samwil tiba-tiba bersikap mengongkong. Dia
tidak tahu bagaimana untuk memujuk si suami sedangkan dalam hati keinginan
begitu menggunung tinggi untuk mendapatkan karya terbaru Mia Batrisia. Pendek
kata malam nanti tentu dia tidak akan
mampu untuk memicingkan matanya walau sesaat kerana kehendak di hati gagal
dipenuhi.
Samwil sedar akan perubahan pada
wajah isterinya. Dia tersenyum. Diraihnya tangan kiri Syufiqa dan dibawa rapat
ke bibir.
“Makanlah dulu. Tak elok biar nasi
dan lauk-pauk tak bersentuh.” Suara Samwil kemudiannya.
Syufiqa enggan menyakitkan hati
Samwil. Enggan juga engkar akan perintah suami. Lalu bersama hati yang berat
dia mencedok tempe
goreng berlada ke dalam pinggan.
“Sayang janganlah macam ni. Abang
sayangkan Fiqa dan kalau boleh nak yang terbaik buat Fiqa.” Ujar Samwil
menyedari ada mendung terpetia pada wajah Syufiqa.
Syufiqa cuba senyum. Apa lagi mampu
dilakukannya untuk mengambil hati suami. Senyumlah. Walau dalam cukup kecewa
dan rasa perit kerana permintaan tidak ditunaikan. Dia terpaksa menerima. Dia
tidak mahu kelihatan terlalu mudah bersikap kenyih. Dia cuba menerima
alasan Samwil biarpun bagai terdengar suara Mia Batrisia menyeru-nyeru di
cuping telinganya.
Samwil turut tersenyum. Begitupun
naluri dapat merasakan kekecewaan yang ditanggung oleh Syufiqa. Begitu besarnya
pengaruh Mia Batrisia dalam hidup Syufiqa sehingga mampu merentap keceriaan Syufiqa
jauh-jauh jika segala keinginan berkaitan Mia Batrisia tidak dipenuhi.
Sungguhpun demikian Samwil tahu bagaimana mahu menyelesaikan semua itu dan
mengembalikan apa-apa yang hilang dalam diri Syufiqa ketika itu. Sebagai suami
dia lebih daripada tahu bagaimana untuk berdepan dengan Syufiqa.
Tunggulah. Tunggulah sekejap lagi
apabila mereka sudah berada di bilik bersama!
Selesai makan Samwil menolong
isterinya mengemas apa-apa yang patut. Selama ini pun dia memang tidak segan
dan kekok untuk menolong isteri mengemas meja makan dan menyusun pinggan
mangkuk yang sudah siap dicuci ke rak. Walaupun pada awal-awal dulu Syufiqa
menegah dia berbuat demikian, Samwil tetap meneruskan sehingga akhirnya Syufiqa
menerima bantuannya dengan senang hati.
Kemudian, usai tugas di dapur mereka
berpimpin tangan naik ke bilik. Memandangkan sekejap lagi bakal masuk waktu
isyak, mereka berdua menyiapkan diri untuk menunaikan solat. Masing-masing
berwuduk dan duduk di sejadah sambil membaca al-Quran bagi mengisi masa senggang
sementara azan berbunyi daripada masjid berdekatan.
“Sayang, kat situ kan sepatutnya sunyi daripada tasdid dan
dihampakan hujung lidah,” tegur Samwil apabila kedengaran sebutan bacaan
Syufiqa tidak mengena tajwid.
Syufiqa memerhati seketika. Dia sedar
kesilapannya dan meneruskan bacaan menggunakan tajwid yang sepatutnya. Mereka
terus membaca al-Quran sehingga masuk waktu isyak. Tanpa lengah mereka
menunaikan solat isyak. Selesai solat mereka berwirid buat seketika. Sesudah
Syufiqa selesai mengemaskan tempat solat, dia mendapatkan Samwil yang sudah
terbaring senang di katil.
Samwil mendepakan tangan menuntut
agar Syufiqa berlabuh dalam pelukannya. Syufiqa faham. Dia mendapatkan
suaminya. Memeluk suami erat-erat.
“Abang sayangkan Fiqa.” Ucap Samwil
cukup syahdu dan penuh keikhlasan.
“Fiqa pun sayangkan abang jugak…”
balas Syufiqa masih membiarkan diri tenggelam dalam dakapan Samwil.
Samwil menolak lembut tubuh Syufiqa
ke belakang. Syufiqa menganjakkan tubuhnya. Samwil kini sudah bersandar ke
kepala katil sambil memandang Syufiqa penuh kasih sayang. Syufiqa memang dapat
melihat pantulan kasih sayang yang cuba dijelmakan melalui sinar mata
Samwil. Tanpa ragu dia yakin Samwil benar-benar sayangkannya.
Perlahan-lahan Samwil menarik
sesuatu dari bawah bantal yang disorokkan daripada Syufiqa semasa Syufiqa leka
melipat sejadah dan mengemaskan al-Quran yang digunakan mereka sekejap tadi. Syufiqa
sabar menanti tindak-tanduk Samwil seterusnya.
“Untuk isteri abang yang tercinta,”
ucap Samwil sambil menghulurkan kepada Syufiqa sebuah novel yang masih berbalut
plastik tanda baru dibeli.
Syufiqa teruja. Pantas pula
menyambutnya.
“Abang! Patutlah abang beriya-iya
tak nak benarkan Fiqa keluar. Rupanya abang dah belikan untuk Fiqa. Abang saja
kenakan Fiqa, ya?” Syufiqa berkata sambil menjeling Samwil.
“Kan abang dah kata, abang nak yang terbaik
buat Fiqa.”Samwil membalas sambil memeluk bahu si isteri erat-erat.
Syufiqa lantas menghadiahkan sebuah
ciuman ke pipi Samwil. Sebagai ucapan terima kasih untuk novel terbaru Mia
Batrisia dan juga atas kasih sayang seorang suami.
Syufiqa kemudian membelek-belek
novel terbaru Mia Batrisia yang kini sudah berada di tangan. Zulmat. Begitu tajuknya. Zulmat? Huh,
bunyi pun sudah membayangkan kegelapan. Apa ributnya, apa gelapnya dalam novel
baru Mia Batrisia kali ini sehingga tajuk pun sudah sedemikian. Syufiqa tidak
sabar-sabar untuk membacanya. Dia dapat rasakan daripada tajuk itu menandakan
ia satu lagi karya kabur Mia Batrisia.
Wartawan yang membuat artikel
mengenai majlis pelancaran karya terbaru Mia Batrisia juga menyebut ia sebagai
sebuah karya yang dalam dan pekat. Sukar untuk mengenali dunia yang cuba dipaparkan
dalam Zulmat. Dengan kata lain, karya
Mia Batrisia kali ini langsung tidak menyentuh soal hati dan perasaan antara
dua insan. Ia lebih berkisar kepada masalah lain. Masalah itulah yang cuba untuk
dihayati oleh Syufiqa.
“Tidur?” Soal Syufiqa pendek kepada
Samwil yang enak berbaring di sebelahnya.
“Tak. Abang nak bermanja-manja
dengan Fiqa dulu. Lagipun malam masih muda benar. Baru jam sembilan. Mata belum
mengantuk lagi ni.”
“Nak bermanja?” Syufiqa tersenyum
manis. “Tak ada kerja abang bawa balik hari ni?” Duganya sambil meletakkan
novel Mia Batrisia ke kepala katil.
Sekejapan Syufiqa sudah berada dalam
pelukan Samwil. Dia membelai wajah suaminya. Samwil pula bermain-main dengan
rerambut Syufiqa yang hampir menutupi wajah.
“Hari ni abang tak sibuk, kerja pun
tak banyak. Lawat tapak projek kemudian semak beberapa buah dokumen. Tu yang
buat abang boleh ke kedai buku dapatkan novel baru Mia Batrisia buat isteri
abang ni.”
“Terima kasih bang. Ingat juga abang
kat Fiqa, ya.”
“Abang sentiasa ingatkan Fiqa, siang
malam. Dalam mimpi pun ada Fiqa.”
“Iya? Mak we lama macam mana?” Usik
Syufiqa.
Sengaja mahu melihat reaksi suami.
Memang pun Samwil agak tergelujat diusik begitu memandangkan selama ini, selama
mereka berhubungan sebagai sepasang suami isteri, Syufiqa tidak pernah
sekalipun menyentuh tentang kisah-kisah silamnya termasuk juga soal kekasih
lama. Tidak. Sama sekali tidak walaupun sekadar untuk bergurau. Samwil pun
demikian juga. Soal masa lampau Syufiqa tidak pernah sama sekali diusulperiksa.
“Kenapa Fiqa malam ni?” Samwil cuba untuk
menyatakan kehairanannya.
Syufiqa senyum meleret. Nyata si
suami nampak kurang senang dia bergurau begitu.
“Mustahil abang tak pernah bercinta
dulu…”
“Kalau ada pun dulu, dah jadi kisah
basi. Sekarang dunia abang Fiqa seorang. Yang dah jadi sejarah, biarlah jadi
sejarah.”
“Betulkah hanya ada Fiqa seorang
sekarang ni?” Syufiqa masih ingin menduga. Entah mengapa malam itu senang pula
dia mahu mengusik si suami.
“Ya. Malah sampai bila-bila pun
hanya Fiqa seorang.”
“Macam mana kalau satu hari nanti
Fiqa paksa abang kahwin lain?”
“Ish! Fiqa ni. Melalut sampai ke
situ pula. Jangan-jangan Fiqa yang tak sayangkan abang?”
Syufiqa senyum lagi. Raut wajah
Samwil membuatkan hati Syufiqa agak kelucuan. Samwil memang tidak sukakan
gurauan sedemikian. Nyata pada riak yang terpetia pada wajah Samwil. Syufiqa
tahu betapa dalamnya cinta dan kasih sayang Samwil terhadapnya. Dia hanya ingin
menguji dan rasa belum puas lagi untuk menguji hati dan kejujuran Samwil.
“Fiqa memang sampai bila-bila pun
akan sayangkan abang. Sebab sayanglah Fiqa nak beri yang terbaik dalam hidup
abang. Fiqa ingat kalau kita berterusan macam ni, Fiqa kena buka laluan untuk
abang kahwin lagi seorang.”
“Berterusan macam mana?” Samwil
sedikit menegang.
Masakan tidak. Senang-senang pula
Syufiqa mengajukan usul demikian. Macamlah soal berkahwin dua merupakan perkara
yang boleh berlaku dengan mudah dan tidak akan ada kendala sekiranya ia
benar-benar menjadi kenyataan.
“Berterusan macam nilah. Tanpa
seorang anakpun tentu bakal membuatkan abang sunyi. Tentu kejantanan abang
terasa seperti dipertikaikan.”
“Mana ada Fiqa? Lagipun abang
sendiri senang begini. Memang anak boleh mengeratkan hubungan kita. Anak juga
boleh merenggangkan kita.”
“Apa pulak boleh merenggangkan?”
“Nanti kalau dah ada anak, kita
terpaksa bahagi-bahagikan masa kita untuk anak pula. Fiqa terutamanya. Mungkin
kalau dah ada anak Fiqa lebih tumpukan pada anak. Kalau anak asyik nangis, Fiqa
atau abang tentu tak senang nak bermanja-manja macam ni,” luah Samwil lagi.
Malah itu juga sebenarnya yang ada
dalam hati Samwil jika memikirkan soal anak. Walau bertahun-tahun kahwin dan
mengharap juga akan kehadiran cahayamata dalam rumahtangga mereka, tidak
bermakna mereka bersedia untuk mengalami atau menghadapi sebarang perubahan
yang bakal berlaku dek kerana kehadiran seorang bayi. Tentu suasana rumahtangga
akan berubah dan tidak boleh lagi meneruskan kehidupan seperti biasa.
Bersediakah mereka berdua untuk menghadapi semua itu? Samwil rasa tidak semudah
itu untuk dia menerima segala perubahan yang bakal berlaku ekoran seorang
cahayamata dalam rumahtangga mereka.
Hakikatnya Samwil sendiri masih
belum puas menikmati hidup bersama Syufiqa. Rumahtangga mereka masih terasa
seperti zaman berbulan madu. Indah. Samwil tidak mahu segala-galanya rosak
kerana kehadiran pihak ketiha biarpun pihak ketiga itu anak mereka sendiri.
Sementelahan pula jika pihak ketiha terdiri daripada seseorang yang memang
benar-benar berkemungkinan untuk memporak-perandakan rumahtangga mereka.
Jika Samwil benar-benar sudah
berkahwin lagi seorang biarpun atas kehendak Syufiqa sendiri, siapa berani
jamin mereka masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa dengan kehadiran
orang baru? Syufiqa sendiri rasanya tidak boleh memberi jaminan. Manusia itu sinonim dengan hati dan perasaan. Apabila
bercakap soal hati dan perasaan pula ia ada macam-macam. Dalam perasaan ada
cemburu, ada tidak puas hati, ada dengki, ada iri hati dan ada macam-macam baik
positif mahupun negatif. Syufiqa sendiri mustahil mampu untuk mempertahankan
segala perasaan positif sahaja jika sudah bermadu. Syufiqa hanya manusia biasa.
Elemen hati dan perasaan Syufiqa tetap terdiri daripada dua unsur. Positif dan
negatif.
“Dah Fiqa. Jangan lagi Fiqa ungkit
soal ni. Tiap kali Fiqa usulkan mengenai kahwin lagi, abang terasa bagai Fiqa
pertikaikan kasih asayang abang terhadap Fiqa.” Samwil bersuara lagi.
Memang dia benar-benar kurang senang
jika Syufiqa bercakap tentang perkara tersebut. Dalam masa yang sama dia juga
hairan apabila Syufiqa cenderung untuk bercakap soal-soal begitu. Balik-balik
diajukan tentang bermadu dan kahwin lagi. Balik-balik itulah. Syufiqa bagai
hilang keyakinan diri gara-gara sampai sekarang mereka belum dikurniakan walau
seorang pun cahayamata. Sedangkan pada Samwil anak bukanlah punca kerukunan
rumahtangga.
Tambahan pula, sudah bersedia
benarkah Syufiqa untuk menjadi seorang ibu? Sedangkan Samwil sendiri belum
bersedia untuk menjadi seorang bapa. Dia masih samar-samar dalam membayangkan
bagaimana sekiranya mereka sudah dikurniakan seorang anak nanti. Dia bimbang
akan segala perubahan yang bakal timbul dek kerana kehadiran seorang bayi
nanti.
“Fiqa tak berniat untuk pertikaikan
kasih sayang abang. Fiqa cuma nakkan yang terbaik buat abang.”
“Soal terbaik atau tak terletak pada
penerimaan kita. Tambahan abang rasakan begini pun bagus untuk kita. Tak ada
gangguan. Nak bermanja lama mana pun tak apa. Kalau ada baby mungkin kejap-kejap dia nangis, kejap-kejap dia nak susu,
kejap pula dia nak minta tukar lampin. Abang rasa semua tu gangguan untuk
kita.”
“Abang tak suka gangguan begitu?”
“Abang tak suka. Apatah lagi
gangguan daripada pihak lain!” Samwil bersuara dengan tegas dengan harapan
Syufiqa akan faham.
Selepas ini Samwil harap Syufiqa
tidak akan menimbulkan lagi persoalan tentang kemungkinan untuk kahwin lagi
seorang. Itu perkara mustahil untuk diterima oleh Samwil walaupun usulnya
datang daripada Syufiqa sendiri.
Untuk apa dia kahwin lain? Huh,
semua itu memang tidak masuk akal!
BAB TIGA
“Abang dah siap
belum?” Soal Syufiqa mendatang ke arah si suami yang masih belum mengenakan
pakaian selengkapnya.
“Hah, masih tak siap-siap lagi?”
Gerutu Syufiqa melihat keadaan si suami.
“Alah, kan masih awal sayang…” Samwil cuba
menenangkan Syufiqa yang kelihatan agak tegang dan tertekan.
Syufiqa memandang jam di pergelangan
tangan. Memang masih awal pun. Baru jam sembilan pagi. Baru tersedar dia
terlebih-lebih menggesa suaminya bersiap untuk ke PWTC. Dia enggan ketinggalan
pesta buku yang sedang berlangsung. Biasanya, dalam pesta beginilah dia mampu
memiliki buku-buku kegemarannya dalam kadar harga yang lebih murah berbanding
hari biasa. Jika lebih bernasib baik dia berpeluang pula bertemu
penulis-penulis novel dan meminta tandatangan mereka.
“Sayang janji dengan Yani jam
berapa?” Soal Samwil sebaik selesai berpakaian.
“Sebelas.” Pendek jawab Syufiqa
sambil meraih tangan Samwil untuk mengiringinya keluar rumah.
“Janji pukul sebelas, sekarang baru
pukul sembilan Fiqa dah kalut gesa abang?” Usik Samwill sambil mencuit hidung
Syufiqa tanpa sempat dielak si isteri.
“Fiqa takut terperangkap dalam
kesesakan je. Lagipun Fiqa rasa lain macam hari ni. Dalam rasa berdebar-debar
sangat.”
“Hemm, apa pulak yang ganggu fikiran
Fiqa hari ni?”
“Entahlah. Dalam rasa dup-dap,
dup-dap je sejak Yani cakap nak kenalkan Fiqa dengan seseorang yang istimewa,”
luah Syufiqa lagi.
Langsung medan fikirnya mengimbas kembali data
perbualan antara dia dan Noryani yang berlangsung malam tadi. Noryani
beriya-iya mengajaknya ke pesta buku hari itu dengan alasan mahu kenalkan
Syufiqa dengan seseorang yang tentu Syufiqa akan seronok jika sudah mengenalinya.
Padahal jika Noryani tidak beiya-iya mengajaknya ke pesta buku itu sekalipun,
memang Syufiqa tidak pernah melepaskan peluang untuk ke pesta buku saban kali
ia diadakan di mana-mana saja, kecil atau besar. Noryani tidak perlu
terlebih-lebih memujuknya kerana kebanyakan kawan-kawan memang tahu minat
Syufiqa terhadap buku-buku dan bahan bacaan lain.
“Kau nak kenalkan aku dengan sapa
pulak ni, Yani?”
“Adalah. Aku jamin kau akan gembira
sebaik berkenalan dengan dia ni. Bukan senang nak kenal dengan dia ni. Jarang
dapat peluang ni tau. Lagipun minat kau dan dia hampir sama.”
“Oii. Orang kalau dah pergi pesta
buku dah tentu daripada kelompok ornag macam aku jugak. Apa pulak istimewanya
orang ni sampai kau nak kenalkan dia dengan aku?”
“Bunyi cakap kau macam kau tak
berapa teruja nak kenal dia… kau jangan Fiqa, kelak kau juga akan menyesal.”
“Ish, kau ni. Macamlah dia tu
sedikit lain daripada kita semua sampai aku nak menyesal-nyesal pulak.”
“Dah, kau jangan cakap banyak. Kau
nak ke tak kenal dengan dia ni?”
“Dia ni, dia ni. Mention nama kau tak mau pulak.”
“Dah datang sini nanti aku kenalkan
nama dan tuannya sekali. Kau jangan bimbang.” Noryani memberi keyakinan. Tentu
saja dalam nada beriya-iya benar.
“Fiqa nak singgah kat mana-mana dulu
sebelum ke PWTC?” Soal Samwil mematikan lamunan Syufiqa.
“Hish, tak naklah bang. Kalau sampai
awal kat sana
pun kita boleh berlegar-legar tengok pameran dulu. Pasal Yani tu, kalau dia dah
sampai nanti taulah dia call nombor
Fiqa kalau dia tak jumpa cari kita.”
“Fiqa kenapa sebenarnya? Abang
tengok tegang semacam.”
“Ntah bang. Fiqa terfikir pasal
orang yang nak Yani kenalkan kat Fiqa tu.”
“Huh, sampai macam tu sekali? Atau
Fiqa harapkan orang tu memang orang yang nak sangat Fiqa jumpa.”
“Harap-harap.”
“Siapa?”
“Mia Batrisia… Bang, kalau Fiqa harap
dia Mia Batrisia apa pandangan abang?”
“Ada kemungkinan untuk Fiqa jumpa dia kat sana?”
“Mungkin ada sebab biasanya penulis
sering juga ke pesta buku untuk mempromosikan karya terbaru mereka. Nak-nak sekarang
ni Mia Batrisia pun baru lancarkan sebuah novel baru.”
Samwil diam. Sekarang dia mula faham
punca Syufiqa kelihatan tegang. Rupa-rupanya kerana dalam hatinya ada
mengharapkan sesuatu. Ada
masa Samwil kasihankan Syufiqa. Sikap obsess terhadap Mia Batrisia tampak
memakan diri sendiri. Dia jadi hilang arah pagi itupun kerana hati begitu
mengharapkan pertemuan antara dia dan Mia Batrisia. Sedangkan pertemuan itu
belum tentu akan menjadi suatu hakikat yang pasti. Dalam masa yang sama Samwil
hairan bagaimana boleh timbul sikap obsess yang maha tinggi dalam diri Syufiqa
terhadap Mia Batrisia. Dia cukup bimbang sikap itu akan mengundang satu
tindakan di luar batas normal suatu masa nanti.
“Kalau nasib memang menyebelahi Fiqa
pagi ni, apa Fiqa nak buat bila dah jumpa Mia Batrisia?” Samwil cuba
menghidupkan suasana sepi antara dia dan isteri.
“Dah tentu Fiqa nak ambil
tandatangan Mia Batrisia. Malah kalau dia tak keberatan, Fiqa nak ambil nombor
telefon dia.”
“Sampai macam tu sekali?”
“Salah? Lagipun ni mungkin peluang
sekali seumur hidup jumpa Mia Batrisia.”
“Demi Tuhan, abang harapkan Mia
Batrisia akan menghargai sanjungan Fiqa terhadap dia.”
“Fiqa pun harap begitu jugak.”
“Tapi kalau Mia Batrisia tak ada
hari ni, abang harap Fiqa jangan kecewa sangat. Fiqa tak ada temujanji dengan
dia kan?”
Samwil separuh mengusik, namun dalam masa yang sama dia memang mengharapkan
agar Syufiqa tidak akan hampa.
“Fiqa tau. Sebab tu Fiqa harap orang
bakal Yani kenalkan tu Mia Batrisia.” Syufiqa dalam nada penuh mengharap
sehingga menggusarkan Samwil yang berada di sebelahnya.
“Kenapa boleh fikir sampai macam tu?
Yani rapat dengan Mia Batrisia?” Samwil cuba untuk mendapatkan kepastian.
Dia bimbang sesuatu yang bakal berlaku nanti mengecewakan Syufiqa jika dia benar-benar
menanam harapan yang terlalu tinggi untuk bertemu dengan penulis kesukaannya.
Idolanya!
“Tak juga, cuma Yani ada maklumkan
pada Fiqa, dia pernah buat artikel pasal Mia Batrisia. Maksudnya dia pernah
berhubung dengan Mia Batrisia sebelum ni.” Terang Syufiqa. Memang hanya itulah
saja alasannya.
“Hanya sebab tu lalu hari ni Fiqa
harapkan Yani kenalkan Fiqa dengan Mia Batrisia?”
Syufiqa terdiam. Dia faham mengapa
Samwil separuh sangsi. Biarlah. Samwil memang tidak akan faham rasa yang sedang
membelah dadanya pada saat itu. sesiapapun tidak akan faham. Sementelahan dia
juga faham apabila nalurinya kuat mengatakan pertemuan antara dia dan Mia
Batrisia memang akan berlaku hari itu. Cuma bagaimana ia boleh berlaku masih
samara-samar dalam benak Syufiqa. Namun dia benar-benar yakin. Yakin akan ada
tuah berpihak padanya sekejap masa lagi.
“Wah, tak sangka ramai jugak yang
datang ya!” Samwil sedikit teruja melihat ramai pengunjung pesta buku yang
berlangsung di situ.
“Dah tiga hari, orang masih ramai.
Mengagumkan.”
“Nampaknya, bukan Fiqa seorang yang
minat membacanya.”
“Abang tak minat membaca? Buku
psikologi dan buku-buku berkaitan bidang kerja abang pun ada kat sini. Tak
terhad karya sastera semata-mata.” Beritahu Syufiqa sambil melangkah beriringan
bersama Samwil.
“Abang tak pernah datang pesta-pesta
macam ni. Benar-benar tak sangka ramai pengunjung,” akui Samwil jujur.
Selama ini dia hanya mendengar
Syufiqa bercerita tentang pesta buku. Pun dia sendiri tidak pernah
berkesempatan untuk menemani Syufiqa ke pesta sedemikian. Dia tidak sempat
untuk menemani Syufiqa memandangkan dia sibuk dengan tugasannya sebelum ini.
Lalu dia melepaskan Syufiqa dan kawan-kawannya yang ketika itu masih ramai yang
membujang dan sanggup menemani Syufiqa.
“Ingat Karnival Jomheboh TV3 aje
yang ramai orang?” Sakat Syufiqa.
“Karnival tu pun abang tak pernah
pergi, Fiqa.”
“Aik, kan seronok ke sana? Boleh jumpa artis, selebriti.”
“Lagi seronok kalau boleh jumpa
ulamak, boleh juga minta panduan hidup kat dunia dan akhirat.”
“Kat sana pun ada ceramah agama. Boleh abang jumpa
ustaz yang beri ceramah. Tak gitu?”
“Abang pilih-pilih…”
“Abang ni, terguris hati pihak-pihak
tertentu kalau mereka dengar tau!” Syufiqa sengaja mengusik suaminya sambil
tangan ligat membelek beberapa biji buku di gerai pameran pertama yang
disinggahi mereka.
Samwil tersenyum sumbing mendengar
usikan isterinya. Dia turut membelek beberapa biji buku yang terdapat di rak. Ada macam-macam jenis
buku yang terpamer di situ. Demikianpun tiada satu menarik minat Samwil, begitu
juga Syufiqa. Kemudian mereka berdua kelihatan mengitari seluruh kawasan
pameran yang luas.
“Mana gerai pameran syarikat
penerbitan yang menerbitkan karya terbaru Mia Batrisia?” Samwil mengajukan
soalan kepada Syufiqa.
Dia memang sudah lupa nama syarikat
penerbitan yang menerbitkan novel Zulmat.
Dia bukan apa, hanya mahu tumpang gembira untuk si isteri sekiranya Mia
Batrisia benar-benar boleh ditemui di situ. Paling tidak termakbul sudah hajat
di hati Syufiqa yang begitu menggunung untuk menemui Mia Batrisia.
“Entahlah, Fiqa pun belum nampak
lagi ni…” balas Syufiqa sambil memandang ke wajah suaminya.
Ketika itu baru dia sedar ada
sesuatu yang tidak kena pada wajah suaminya. Keingnya sedikit berkerut melihat
tingkah si suami.
“Abang kenapa?”
“Sakit perut pulak sayang. Kat mana toilet ya?”
Syufiqa melepaskan keluhan. Ingatkan
apalah tadi. Bukan main gelabah dia tengok reaksi suami sekejap tadi.
Rupa-rupanya hanya kerana menahan sakit perut.
“Hujung sana. Nak Fiqa temankan abang?”
“Tak payahlah. Fiqa tunggu je abang
kat sini. Fiqa bukan boleh masuk sama pun. Tunggu seorang diri kat luar bahaya
jugak. Karang ada pulak malaun yang kacau Fiqa. Kat KL ni, bukan boleh percaya
orang asing.”
Betul kata Samwil. Kalau Syufiqa
hanya menunggu sahaja di situ, sekurang-kurangnya Syufiqa berada di
tengah-tengah khalayak. Kurang risiko untuk diganggu sesiapa. Maklum saja, kes
jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja. Berada di tengah kelompok orang
ramai sekurang-kurangnya hanya terdedah kepada penyeluk saku atau kaki raba,
kalau di tempat yang sunyi seperti di luar tandas Syufiqa mungkin berdepan
dengan kaki jenayah yang lebih ekstrem lagi. Jadi ada baiknya Syufiqa tunggu
saja di situ. Lagipun kalau Noryani sudah tiba, susah pula dia untuk mencari
kelibat Syufiqa nanti.
Baru lima minit Samwil berlalu sudah ada seseorang
memeluk Syufiqa dari belakang. Tersentak Syufiqa diperlakukan begitu. Dalam
hatinya mula terfikirkan lelaki gila seks yang berkelakuan begitu terhadapnya
sehingga dia menoleh ke belakang. Degupan jantung kembali semula setelah
terhenti akibat terkejut dipeluk secara tiba-tiba sekejap tadi. Dia
membundarkan matanya.
“Hish, kau ni kus semangat aku tau!
Lain kali cubalah bagi salam sikit. Ni tak, main peluk-peluk dari belakang.
Ingat romantic sangatlah tu!” Ngomel Syufiqa sebaik pandangan mata bertemu
wajah Noryani.
Gadis manis itu hanya mengelekek
ketawa. Kelucuan kerana gelihati melihat reaksi gelabah Syufiqa tadi.
“Aku memang sengaja nak kejutkan
kau. Nampak terpinga-pinga seorang diri kat sini, tu buat aku senang hati nak
sakat kau.” Noryani berwajah selamba menjawab.
“Eh, suami kesayangan kau mana? Tak
nampak pun batang tubuh tinggi lampai dia kat sini,” sambungnya lagi tanpa
sempat Syufiqa berkata apa-apa.
“Dia kat toilet. Selalu macam tu kalau kat tempat orang ramai.”
“Apalah Samwil tu, tak habis-habis.
Jumpa je orang ramai terus sakit perut.”
“Hah, nak buat macam mana. Dia
alergik tengok orang ramai ni.”
“Nasib kaulah Fiqa.”
“Nasib-nasib jugak. Sekarang cepat
kenalkan aku dengan orang yang kau beriya-iya nak kenalkan tu.”
“Well,
this person aku truly cakaplah,
kau mesti tabik respek kat aku punya.”
“Cakap banyak tak guna kawan,
cepatlah aku dah tak sabar ni.” Gesa Syufiqa.
Dia memang sudah tidak boleh menahan
dirinya. Entah kenapa hatinya kuat mengatakan orang itu Mia Batrisia sedangkan
selama ini Noryani bukan ada sangkut paut dengan Mia Batrisia. Cuma pernah
membuat artikel berkaitan Mia Batrisia. Itu pun Cuma sekali dan tiada apa-apa
yang berlaku kemudiannya untuk mengaitkan Noryani dengan Mia Batrisia.
“Kau tunggu sini, nanti aku
panggilkan dia.” Noryani meninggalkan Syufiqa.
Dada Syufiqa terasa bagaikan mahu
pecah. Dia cuba
untuk memujuk diri sendiri. Terasa bagai mahu bertemu Samwil buat kali pertama
pula. Dia menelan ludahnya berkali-kali dan cuba mengawal debar. Syufiqa kena
tunjukkan muka manis walaupun dia tidak tahu matlamat Noryani berbuat demikian.
Noryani bukan boleh diramal. Sering
melakukan perkara yang tidak masuk akal. Jangan-jangan dia cuma nak kenakan
Syufiqa. Kononnya mahu memperkenalkan Syufiqa sengan seseorang, alih-alih bukan
sesiapa tetapi bekas majikan Syufiqa semata-mata. Huh, kenapalah dia tidak fikirkan
kemungkinan tersebut awal-awal lagi? Dia
bukan tidak kenal Noryani, penuh dengan sikap hu-ha, hu-ha. Suka mencipta
suasana gamat.
Dalam terfikir-fikir itu dia nampak
Noryani datang beriringan dengan seorang wanita hampir sebaya mereka. Syufiqa
tidak kenal wanita tersebut. Dia cuba untuk menenangkan dirinya.
Ya Allah! Diakah Mia Batrisia? Tanya
Syufiqa di dalam hatinya.
“Fiqa, aku kenalkan orang yang kau
nak jumpa sangat selama ni…” suara Noryani sambil tersenyum.
Wanita di sebelah Noryani turut
tersenyum juga. Syufiqa menelan ludah.
“Mia Batrisia?” Soal Syufiqa tanpa
ragu.
Noryani berkerut kening. Hairan.
Memang dia benar-benar hairan. “Aik, dah
kenal?” Soal Noryani untuk memecah kehairanan dalam dada.
Syufiqa menggeleng-gelengkan
kepalanya.
“Habis, mana kau tau ni Mia
Batrisia, idola nombor satu kau?” Noryani inginkan kepastian.
“Naluri…” Syufiqa bersuara dalam
nada gementar.
“Kuat ya kau punya naluri. Jadi,
kenalkan Mia Batrisia dan Mia, ni kawan saya. Die hard fan awak, Syufiqa Natasya Nadia Binti Dzulkarnain.”
Syufiqa menjeling. Dia sering tahu
Noryani berniat menyakat apabila menyebut nama Syufiqa seformal itu. Pertama
kali berkenalan dulu, Noryani paling ketara mengutuk nama Syufiqa yang dianggap
panjang berjela sudahnya dipanggil Fiqa sahaja.
Pun tangan tetap dihulurkan untuk
bersalaman dengan Mia Batrisia. Peluang. Tambahan pula mimpi pun sudah menjadi
kenyataan. Dia tidak mahu melepaskan peluang sedemikian.
Mia Batrisia menyambut huluran salam
Syufiqa penuh kemesraan. Di bibirnya terguris senyuman nan ikhlas.
“Gembira dapat berkenalan dengan
awak,” ujar Mia Batrisia menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi. Putih
bersih bagaikan mutiara.
“Saya lagi gembira dapat kenal face to face dengan Cik Mia Batrisia.”
“Berbuallah ya, aku tak nak ganggu.
Lagipun aku datang sini untuk buat tugasan. Kebetulan Mia Batrisia ada sini,
aku ambil peluang kenalkan pada kau,” ujar Noryani yang nampaknya tidak
berminat untuk mengganggu.
“Terima kasih Yani. Kau memang kawan
paling memahami aku.”
“Aku ni memang suka tengok kau hepi.
Ingat kau pernah bagi aku pinjam dua posen buat telefon pakwe aku dulu. Kalau
tak kerana dua posen kau tu, aku tak berpeluang pun kenal dia.”
“Tapi kau dah putus dengan dia pun.”
“Yang tu cerita lain. Paling penting
kau pernah berbudi kat aku.” Sengih Noryani, kemudian terus berlalu.
Syufiqa menggeleng. Dia tahu
Noryani. Memang dia pernah bagi Noryani duit sebanyak dua puluh sen. Sungguhpun
begitu dia yakin bukan kerana duit tersebut yang membuatkan Noryani sampai
sekarang baik dan rapat dengannya. Noryani memang ada-ada saja, begitupun dia
tetap berterima kasih kerana pertolongan Noryani memperkenalkan dia kepada Mia
Batrisia.
Mia Batrisia? Ah, dia kembali
memandang Mia Batrisia yang masih tersenyum kepadanya.
Dia sedikit gugup. Namun kewarasan
masih mampu mengawal mindanya. Lalu dia mengeluar sesuatu dari beg yang
disandangnya di bahu.
“Boleh Cik Mia Batrisia turunkan
tandatangan dan bagi nombor phone kat
sini?” Pinta Syufiqa sambil menghulurkan sebuah novel karya Mia Batrisia.
Mia Batrisia menyambut novel
tersebut. Diperhatikan sejenak novel yang sudah kekuningan helaian kertasnya.
Dia sekali lagi mengukirkan senyuman kepada Syufiqa sebaik melihat tarikh beli
yang tertera pada sebelah dalam novel.
“Tak sangka, awak minat saya sekian
lama. Novel pertama saya pun awak ada simpan.” Komentar yang dikeluarkan Mia
Batrisia. Tangan pula ligat menurunkan tandangan di sebelah tandatangan Syufiqa
sendiri.
“Bukan setakat novel pertama, malah
karya pertama Cik Mia Batrisia saya ada simpan sebagai koleksi. Cerpen di
Mingguan Wanita, Bustan Cinta tahun
1994,” beritahu Syufiqa untuk meyakinkan Mia Batrisia. Dia sengaja mahu Mia
Batrisia tahu.
Mia Batrisia teruja. Dia memang
ingat karya pertamanya yang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita tersebut.
Karya yang seterusnya menguatkan semangat Mia Batrisia untuk terus berjuan
dalam bidang penulisan dan kesusasteraan.
“Terima kasih sebab sudi ikuti
perkembangan karya saya.”
“Sepatutnya saya yang harus
berterima kasih sebab Cik Mia Batrisia sudi luangkan masa untuk saya.”
“Cik Yani yang beriya-iya mahu saya
bertemu dengan awak. Berterima kasihlah kat dia.”
“Itu dah tentu.”
“Hem, awak ke sini seorang diri?” Mia
Batrisia sekadar mahu berbasa-basi.
“Tak, dengan suami.”
“Suami, mana dia?”
“Dia…” Syufiqa tidak sempat
menghabiskan ayatnya apabila satu suara menyapa memberi salam dari belakang.
Syufiqa menoleh ke belakang. Mia
Batrisia juga mendongak. Samwil terkesima!
BAB EMPAT
“Panjang umur
abang.”Syufiqa tersenym dan bangun memeluk lengan Samwil.
“Cik Mia Batrisia, ni suami saya.
Samwil Bunyamin.”
Mia Batrisia?
Samwil terpinga-pinga dan cuba untuk
mengawal diri di depan wanita yang sedang bersama isterinya. Mia Batrisia pula
biasa-biasa sahaja. Atau mungkin lebih tepat lagi berlagak biasa.
“Abang, hari ni Fiqa memang nasib
baik. Yani betul-betulkan pertemukan Fiqa dengan Mia Batrisia,” beritahu
Syufiqa penuh ceria.
Samwil bagaikan tidak percaya. Dia
memandang sekali lagi ke arah Mia Batrisia yang masih berlagak biasa. Mia
Batrisia pula cuba
mengukirkan senyuman kepada Samwil.
“Fiqa memang gembira sangat hari ni
bang.”
Samwil memang dapat melihat tanda
kegembiraan itu pada wajah Syufiqa. Syufiqa tidak perlu memberitahu betapa
gembiranya dia. Semua jelas melalui sinar yang terpantul dari matanya.
“Cik Syufiqa, kalau tak ada apa-apa,
saya pergi dulu. Seronok kenal awak.”Mia Batrisia akhirnya bersuara. Dia seakan
dapat melihat riak serba salah yang terpetia pada wajah Samwil.
Syufiqa mengangguk. Tangan pantas
dihulurkan untuk bersalaman sebagai tanda perpisahan. Mia Batrisia menyambut
mesra. Entah bagaimana Syufiqa teruja sampaikan sanggup mengucup pipi Mia
Batrisia tanpa segan. Perasaan Samwil ketika itu sukar untuk dihuraikan. Begitu
sekali minat Syufiqa terhadap Mia Batrisia. Mujur Mia Batrisia seorang
perempuan. Kalau lelaki?
Mujur Mia Batrisia seorang
perempuan?
Huh, Samwil benar-benarkah
menganggap itu suatu kemujuran? Samwil tidak terusikkah dengan pertemuan di
luar jangkaan sedemikian?
“Cik Mia Batrisia tak kisah kalau
saya telefon Cik Mia Batrisia lepas ni?” Syufiqa separuh meminta kebenaran.
“Kalau tu buat awak gembira,
silakan.”
“Terima kasih sekali lagi Cik Mia
Batrisia. Saya gembira sangat dengan pertemuan hari ni.”
Mia Batrisia sekadar mengukirkan
senyuman. Dia kemudian bersedia untuk meninggalkan Syufiqa dan Samwil. Mia
Batrisia melangkah selepas sekali lagi meminta diri. Baru dua langkah ke depan
dia menoleh. Serentak dengan tolehan itu, pandangannya bersatu dengan pandangan
mata Samwil. Samwil menelan ludah. Mia Batrisia mempercepatkan langkahnya.
Syufiqa tersenyum meleret walaupun
kelibat Mia Batrisia sudah tidak kelihatan ditelan orang ramai yang memenuhi
ruang pameran. Padahal dia tidak tahu dalam hati Samwil mula berperang dengan
satu perasaan yang dia sendiri tidak betah untuk mentafsirkannya. Sudah terlalu
lama, sehingga Samwil sendiri sudah lupa akan perasaan tersebut. Sedang Syufiqa
tidak tahu Samwil sudah mula terketik kenangan masa lalu. Syufiqa benar-benar
tidak tahu.
“Mia Batrisia layan Fiqa baik sangat
bang. Fiqa seronok. Fiqa benar-benar gembira!” Luah Syufiqa.
Masih belum menyedari Samwil seakan
terpaku di tempat dia sedang berdiri.
“Abang, kenapa macam disampuk hantu
ni?” Soal Syufiqa sebaik menyedari wajah Samwil seakan memucat.
“Tak ada apa-apa sayang. Kalau dah
puas kat sini, jom kita pergi makan.”
“Ish, dah nak pergi? Abang tak sihat
atau perut abang meragam?” Syufiqa bertalu-talu menyoal.
Bimbang juga dia melihat keadaan
suaminya. Tambahan apabila sekejap tadi Samwil mengadu sakit perut. Mana tahu
sakit perutnya melarat-larat pula.
“Tak, abang okey.”
“Betul ni? Abang nampak macam tak
sihat saja.”
“Entah, agaknya sebab lama sangat
kat toilet, tu yang buat abang nampak
tak bermaya.”
“Kalau macam tu, biar Fiqa pergi
jumpa Yani dulu. Nak ucapkan selamat tinggal dan terima kasih kat dia. Karang
tercari-cari pulak dia kalau kita pergi tanpa bagi tau dia.”
“Jomlah. Biar abang temankan. Kalau
dia nak, ajak dia sekali pergi makan sama dengan kita.”
“Tu tak boleh jamin. Dia datang sini
sebab nak buat tugasan. Mungkin dia nak temuramah mana-mana penulis atau
individu tertentu kat sini.”
“Cubalah tanyakan dulu,” cadang
Samwil.
Syufiqa mengangguk. Kemudian mereka
sama-sama melilau mencari Noryani. Mahu diberitahu melalui telefon rasa tidak
patut pula. Lebih-lebih lagi setelah Noryani telah berbudi apabila
memperkenalkan Syufiqa kepada Mia Batrisia. Sekejap saja melilau ke sana-sini
mereka akhirnya bertemu Noryani di gerai pameran Utusan Publication. Noryani nampaknya sedang menemuramah salah
seorang pengunjung di gerai tersebut. Sebaik melihat Syufiqa dan suami, Noryani
memberi isyarat agar tunggu dulu. Syufiqa mengangguk.
Noryani usai menemuramah lima minit kemudian.
Buru-buru mendapatkan Syufiqa. Dia sendiri sebenarnya memang berminat untuk
mengetahui perjalanan pertemuan yang berlaku antara Syufiqa dan Mia Batrisia
sekejap tadi. Melihat pada riak ceria yang terpetia pad arias Syufiqa dia tidak
ragu-ragu menebak segalanya berjalan lancar. Tinggal lagi untuk memastikan
bagaimana sebenarnya.
“Terima kasih banyak-banyak Yani!”
Syufiqa terlalu teruja langsung memeluk Noryani.
“Oii, kalau ya pun gembira,
janganlah peluk kejap sangat. Tak bernyawa aku ni!” Noryani mengkesampingkan
pelukan Syufiqa.
Mereka berdua sama-sama ketawa
sedang Samwil hanya memerhati. Dia tidak timbul nafsu untuk ketawa sama.
Sebaliknya lebih senang membiarkan dua orang sahabat lama itu ketawa-ketawa
sesama sendiri. Medan
fikirnya masih tergugat dan terugah.
“So,
tell me the truth, kau gembira tak?”
“Lebih daripada tu aku rasa sekarang
ni. Aku hargai usaha kau Yani. Kaulah kawan aku dunia akhirat,” akui Syufiqa
tanpa selindung lagi.
“Ptuih! Tak payah nak buat cerita
karut dengan aku. Sebab dah kenalkan kat Mia Batrisia baru kau nak nobatkan aku
sebagai kawan dunia akhirat. Kalau tak, telefon aku pun kau tak ingin sejak dah
kahwin,” gerutu Noryani. Dia tidak serius, sebaliknya berniat untuk menyakat
Syufiqa.
“Kau ni…”
“Emh, ya lah tu. So now ni what’s up?” soal Noryani tanpa mempedulikan Samwil yang
memerhatikannya.
“Aku ingat tadi nak ronda-ronda
dulu. Samwil pula kurang sihat. Dia ajak pergi makan. Kau nak ikut tak? Boleh
kita borak panjang.”
“Makan? Er, tak ganggu korang ke?
Mana tau korang nak romantik-romantik kat meja makan. Dah ada aku kot segan nak
main suap-menyuap.”
“Kau ni ada-ada saja. Nak ikut
cakaplah nak. Jangan nak banyak songeh pulak.” Syufiqa mencubit lengan Noryani
tanda memprotes sikap Noryani.
“Adoi! Sakit tau. Kau ni penyepit
ketam tak tinggal. Ingat dah kahwin kurang sikit. Kalau macam ni boleh leban
isi suami kau. Pantang silap cubit, pantang silap cubit.”
“Kau ni menceceh je. Kau nak ikut
tak? Kau tengok suami aku, pucat dah ni. Karang pengsan kat sini siapa nak
usung?”
Noryani memandang ke arah Samwil.
Nampak memang sedikit tidak bermaya lelaki di depannya itu. Dia merapatkan
kedua-dua belah tangan dan diangkat ke dahi seperti orang sedang menjunjung
titah di depan raja.
“Mohon ampun. Aku ni macam nilah
Samwil. Kau pun kenal aku, kan…”
Noryani berlelucon lagi. Langsung dia tidak merasa segan-segan berkelakuan
begitu di depan Samwil walaupun dia bukan biasa sangat dengan Samwil.
Samwil hanya mengukir senyum hambar.
Penuh keterpaksaan. Baik Noryani mahupun Syufiqa sendiri memang tidak tahu otak
Samwil benar-benar terganggu kini.
“Macam mana sekarang? Nak ikut tak?”
Syufiqa mengulangi sekali lagi soalannya.
Noryani kelihatan berfikir sejenak.
Kemudian meneliti sebiji buku catatan yang sentiasa dibawanya semasa
menjalankan tugas. Berkira-kira sesuatu di situ. Sejurus pula mengangkat wajah
sambil tersenyum kepada Syufiqa.
“Bolehlah. Dah banyak orang aku
temuramah hari ni. VIP pun aku dah siap temuramah.” Setuju Noryani sambil
menyimpan kembali buku catatan ke dalam beg sandang dan membuka lencana nama
yang tersemat di tudung kepala.
“Kalau macam tu jomlah…” Syufiqa
mengatur langkah.
Dia berjalan berpimpinan tangan
dengan Samwil sambil diiringi Noryani yang kecoh bertanya itu-ini tentang
pertemu yang berlaku antara Syufiqa dan Mia Batrisia. Samwil pula langsung
tidak mengambil tahu tentang pertemuan tersebut seakan tidak berminat untuk
berbuat demikian. Dibiarkan saja Syufiqa dan Noryani rancak bercerita. Pun dia
sempat menoleh arah ruang pameran semasa kaki perlahan-lahan keluar dari PWTC.
“Kita nak makan kat mana, bang?”
Soal Syufiqa.
“The Mall aje. Kan dah dekat ni. Lagipun lepas ni kalau
Fiqa rasa nak ke sana
semula bolehlah. Kesian tadi Fiqa tak sempat nak beli apa-apa.”
“Eloklah tu. Karang pergi jauh-jauh
satu kerja pula nak hantar aku balik kat sini.”
“Aih, tak nak minta kami hantar kau
balik rumah?” Duga Syufiqa. Biasanya Noryani suka mengambil kesempatan. Bukan
dia tidak kenal Noryani.
“Kalau bolehlah. Aku lagi suka kalau
ada orang nak hantar aku balik.”
“Habis, yang ngada-ngada nak ke sini
balik nak buat apa?”
“Kereta akulah. Kalau aku tak bawa
kereta sendiri, memang aku paksa kau hantar aku balik.”
“Kau ni, memang ada-ada saja.
Cakaplah kau bawak kereta sendiri. Cakap kalau tak putar belit memang tak sah.”
“Dah kau pun tak tanya.”
“Pening aku layan kau Yani. Tak
habis-habis nak auta orang.”
Noryani tersengih. Samwil pula buat-buat
tidak peduli.
Padahal dia hairan juga bagaimana
Syufiqa boleh rapat dengan seseorang seperti Noryani. Peribadi mereka nampak
berbeza. Syufiqa tidak seperti Noryani. Lemah-lembut saja orangnya. Namun
apabila sudah berdepan dengan Noryani, virus mulut becok Noryani nampaknya
terkena juga pada Syufiqa. Syufiqa yang tidak banyak cakap pun tidak
semena-mena boleh berubah watak. Atau memang ini sikap Syufiqa sebelum menjadi
isterinya, tidak pula dia tahu.
Ah, memang dia tidak tahu banyak
perkara tentang masa lampau Syufiqa sepertimana Syufiqa tidak pernah tahu
banyak perkara tentang dirinya. Masing-masing tidak pernah bertanya dan tidak
pernah berminat untuk mengambil tahu secara serius. Lagipun bagi Samwil, kisah
lampau ada masa boleh membuatkan hati pasangan sedikit terusik jika ia
melibatkan isu yang agak sensitif. Lalu lebih baik begitu. Jangan langsung
ambil tahu tentang kisah lampau pasangan jika mahu hati terus meyakini antara
satu sama lain. Itu pendapat Samwil. Orang lain punya pendapat Samwil tidak
ambil pusing. Tambahan pula buat apa mahu mengambil tahu pendapat orang lain?
Pendapat orang lain ada masa boleh menjadi racun dalam benak seseorang.
Samwil terus melangkah ke The Mall.
Sudah lama dia tidak menikmati tomyam di premis berdekatan Yoahan. Tomyam di
situ agak menyelerakan. Tetapi dia tidak tahulah kalau-kalau Syufiqa dan
Noryani setuju untuk singgah makan di situ.
“Kita nak makan apa ni?” Akhirnya
Samwil bersuara.
“Terpulang. Ikutkan Fiqa, pizza pun
taka pa.”
“Ish, janganlah pizza. Aku tengah
berdiet ni.”Noryani pantas menolak cadangan Syufiqa.
“Kau tak nak makan pizza, makan saja
garlic bread atau chips, tak kisahlah kan.”
“Minuman berkarbonat pun kalau boleh
aku nak elak. Tak baik untuk bakal kandungan aku.”
“Kau pregnant?” Syufiqa terkejut yang amat.
Masakan tidak terkejut, Noryani
kahwin pun belum lagi, alih-alih sudah bercakap soal bakal kandungan. Lainlah
pula jika Noryani pun sudah mengamalkan cara hidup biasa masyarakat kota. Bersekedudukan
tanpa ikatan yang sah atau mengamalkan seks bebas.
“Gila kau. Mana ada pula aku
mengandung. Ini cuma persediaan kot-kot aku terbuka hati nak kahwin. Baik aku
bersiap dari awal. Orang kata kafien tak baik untuk kesihatan rahim. Boleh
menjejaskan keupayaan rahim menampung tanggungan.”
“Macam-macam kau ni. Aku ingat kau
pun dah terikut dengan budaya kafir tu.”
“Ish, kau ni mulut laser betul.”
Noryani menepuk bahu Syufiqa tanda kurang senang.
“Apa kata kita makan kat sebelah
Yoahan? Kat situ apapun ada.” Samwil bersuara sebelum hal itu menjadi lebih
besar.
Sesetengah orang memang sensitif
jika disentuh hal-hal sebegitu. Mana tahu Noryani pun begitu. Orang zaman
sekarang, bertudung litup pun belum tahu lagi kekuatan dalamannya dalam
berpegang kepada agama. Malah belum tahu lagi apa agama sebenar mereka.
Bukankah Sisters In Islam pun pernah
membuat permohonan agar anak-anak Melayu zaman sekarang diberi hak menentukan
agama mereka sendiri selepas berusia lapan belas tahun? Permintaan Sisters In Islam itu tentu sahaja kerana
begitu banyak permintaan sebegitu di dalam masyarakat. Sisters In Islam pula hanya menjadi wacananya sahaja.
“Bagus jugak tu, aku boleh order tomyam sayur. Baru orang cakap
makan tapi diet.”
“Apa-apa jelah.” Syufiqa tidak mahu
banyak membantah.
Mereka terus menapak ke tempat yang
sudah dipersetujui. Begitupun tiada siapa antara Syufiqa dan Noryani sedar akan
perubahan pada sikap Samwil. Semangat Samwil untuk bersuka ria hujung minggu
hilang dek pertemuan Syufiqa dan Mia Batrisia di tempat pesta sekejap tadi. Dia
tidak percaya boleh berlaku pertemuan sebegitu sekali gus membuatkan perasaan
yang sukar untuk Samwil tafsirkan susup-sasap ke dalam jiwa Samwil.
Mengapa sebenarnya?
Sebelum ini dia tidak pernah
memikirkan malah tidak pernah terfikir tentang perkara yang sedang berlaku
ketika itu. Selama perkahwinannya bersama Syufiqa dia cukup tenang dan bahagia.
Tiba-tiba ketenangan itu berkocak dek pertemuan sebentar tadi. Benar-benarkah
itu dia? Jika benar mengapa dia tegar dan selamba berdepan dengan Samwil? Langsung
tidak menunjukkan tanda-tanda dia terkejut atau tidak menduga akan dipertemukan
kembali oleh Ilahi. Sedang Samwil betul-betul terkejut dan jauh di pojok
sanubari yang maha dalam Samwil merasa takut dengan pertemuan tidak terduga itu.
dia seakan dapat merasa bakal berlaku sesuatu yang buruk di depan hari.
“Abang…” Syufiqa berdesis menyeru
Samwil yang hanyut dalam laut fikir.
Samwil agak tersentak dan kembali ke
alam realiti. Dia memandang ke wajah Syufiqa. Syufiqa tersenyum manis seperti
biasa.
“Abang nak makan apa?” Soal Syufiqa
sambil memandang langsung ke dalam anak mata suaminya.
Samwil mengitari seluruh ruang medan selera. Satu demi
satu premis yang menawarkan hidangan tomyam diperhatikan. Semuanya nampak tidak
begitu menyelerakan. Dia pun tidak faham. Biasanya gambar-gambar yang tertera
di premis seringkali bisa membangkitkan seleranya.
Tuhan. Kenapa aku harus jadi begini?
“Fiqa nak makan apa?” Samwil cuba
mengembalikan kekuatan dalam diri.
“Mee claypot. Rasa macam sedap jugak. Kau Yani?”
“Aku nak makan tomyam sayur je.”
“Vege
konon…” sindir Syufiqa.
Pun Noryani tahu Syufiqa sekadar
mengusik. Jarang-jarang bertemu muka, tidak seronok jika pertemuan tidak
diselang-seli dengan usik-mengusik antara satu sama lain.
“Abang nak makan seafood tomyamlah. Minta dia taruk udang
galah banyak-banyak rasa best jugak.”
“Jom pergi buat pesanan.” Syufiqa
lantas mengheret tangan suaminya.
Noryani pula memilih haluannya
sendiri. Ke mana lagi kalau bukan ke gerai tomyam pilihannya.
Setelah masing-masing bersama
hidangan di tangan, mereka memilih tempat duduk yang bersesuaian untuk menjamu
selera.
“Fiqa masih nak ke pesta buku tu?”
Samwil bertanya sekali lagi tentang kemungkinan itu setelah Syufiqa sebelum ini
tidak sempat menjawab kerana asyik bertekak dengan Noryani.
“Tak apalah. Esok-esok Fiqa boleh
datang lagi kalau abang kurang sihat.”
“Dah makan ni mungkin elok sikit.
Lagipun abang kesiankan Fiqa, tak sempat nak beli apa-apa tadi.”
“Amboi, sayang bebenor Samwil kat kau ya, Fiqa.” Noryani berlelucon. Mukanya
sengaja dimemek-memeknya untuk memberi reaksi kepada deskripsinya.
“Kau ni… jangan banyak cakaplah.
Makan cepat. Tak baik menyampuk orang tua-tua tengah bercakap.”
Noryani tersengih. Samwil menjeling
ke arah Noryani. Tidak pula dia faham mengapa hari itu tiba-tiba saja dia jadi
kurang senang apabila Noryani menjadi orang ketiga antara dia dan isterinya.
Kalau tidak kerana mahu menghormati perasaan si isteri, tidak mungkin dia
mencadangkan keapda Syufiqa agar mempelawa Noryani sama tadi. Banyak lagi cara
unatuk Syufiqa menyatakan terima kasihnya.
“Jadi macam mana Fiqa?” Soal Samwil
masih inginkan kepastian daripada Syufiqa.
“Kalau abang larat, kita ke sana sekali lagi tapi
sebelum tu kita solat zohor kat mana-mana dulu. Karang terbabas waktu pula.”
“Eloklah tu.” Setuju Samwil.
“Kau bagaimana Yani, nak ikut kita
orang pergi solat tak?”
Noryani tersengih.”Korang pergilah.”
Sengihan itu Syufiqa faham. Sejak
kenal Noryani dia bukan tidak tahu Noryani mendirikan solat atau tak. Dia
sengaja mahu menduga kalau-kalau Noryani sudah berubah. Zaman sekarang bukan
pelik kalau seseorang yang mengaku Islam tidak menunaikan solat. Sudah lumrah.
Solat sudah menjadi perkara tidak penting lagi pada zaman manusia sudah pandai
membelakangkan al-Quran dan hadith nabi dalam membuat sesuatu hukum dan
kenyataan.
No comments:
Post a Comment