TAJUK : CINTA SUFI
OLEH : ANNUR PUTERI
___________________________________________________________
PROLOG
Dengan
berjeans pendek paras lutut Sufi
melangkah menuju ke kawasan telefon awam yang terletak di bawah blok asrama
Kempas. Dia senang menggunakan telefon awam yang terletak di blok Kempas
daripada mana-mana telefon di tempat lain memandangkan kawasan di situ agak
terang pada malam hari dan letaknya agak terlindung daripada pandangan awam,
terutama pelajar lelaki.
Hasrat Sufi untuk menelefon kawan
baiknya. Itupun kalau boleh diistilahkan sedemikian setelah bertahun-tahun
mereka menjalinkan hubungan persahabatan. Menelefon lelaki itu sudah menjadi
kemestian bagi Sufi. Begitu juga mengutus surat
kepadanya.
Sufi tidak perlu menunggu lama
kerana si Virmala Devi, pelajar India
yang agak senior berbandingnya cepat
melepaskan gagang setelah teman lelaki yang dihubunginya melalui talian gagal
dihubungi.
Terima kasih Virmala. Kata hati
kecil Sufi. Bagaimanapun ia cuma pecah di perut sebaliknya di bibir Sufi hanya
terukir senyuman paling manis buat Virmala. Gagang telefon pantas dicapai.
Dengan hati menyanyi-nyanyi Sufi menekan-nekan nombor seperti yang tertera di
kotak ingatannya.
“Hello, boleh cakap dengan Danish?”
Tanya Sufi kepada penyambut panggilannya.
Kedengaran suara memanggil Danish
sebelum Danish datang menyambut panggilan. Daripada suaranya Sufi dapat
mengagak Danish sedang tidur tadi.
“Danish, sorilah kacau kau tidur.
Aku saja telefon kau, kau tau kan,
aku ni kalau sehari tak telefon kau rindu jadinya,” beritahu Sufi bersama tawa.
Danish juga kedengarannya ketawa
sama menyambut tawa Sufi. Kemudian Danish yang kian segar dengan tawaan Sufi
mula mengusik Sufi seperti biasa dan berlelucon sehingga membuatkan Sufi hangat
bergayut di talian dengan gelak dan ketawa memanjang sehingga membangkitkan
rasa geram di hati siswi lain yang sedang menunggu giliran untuk membuat
panggilan.
“Danish, kau bila nak datang sini
jenguk aku hah?” Soal Sufi.
“Nantilah, kalau ada masa. Kau pun
tau timetable aku. Full 24 hours.”
“Oii, kalau takat jumpa girlfriend pun kau masukkan jugak dalam
kau punya timetable, sampai kiamat
pun kau tak leh datang jumpa aku kat Serdang ni.”
“E, girlfriend apa pula? Mana ada… Kau ni mulalah tu. Takkan kau tak
tahu-tahu lagi, kau je pompuan yang aku kawan. Mana ada orang lain lagi dalam
hidup aku?”
Hati Sufi berbunga mendengar
kata-kata yang memang selalu didengar
keluar dari mulut Danish. Sungguhpun demikian, keriangan itu hanya bergelombang
di dalam dadanya. Tidak akan disuarakan kepada Danish selagi prajaka itu belum
memutuskan apa-apa secara mutlak. Sedang hati Sufi sendiri belum tegar untuk
mentafsirkan apa erti bunga-bunga kegirangan dalam jiwanya setiap kali
mendengar Danish mengucapkan kata-kata itu.
“Si Helmi apa cerita ya?”
“Kau kalau telefon aku begini punya
jauh setakat nak tanya khabar tentang dia tu baik tak payah Sufi.” Suara Danish
berubah kendur.
Sejak zaman
persekolahan hingga ke alam universiti sikap Danish setiap kali Sufi menyentuh
tentang Helmi memang tidak pernah berubah. Dia seakan menyimpan rasa cemburu
terhadap hubungan Sufi dengan Helmi sedangkan Helmi juga kawan Sufi sebagaimana
dirinya.
Malahan, Sufi sebenarnya terlebih
dahulu mengenali Helmi. Persahabatannya dengan Helmi mewujudkan perkenalannya
dengan Danish. Begitupun Danish nampaknya mahu menguasai hubungan persahabatan
antara mereka dan seterusnya menjarakkan Helmi dengan Sufi.
“E, takkan tanya khabar dia pun tak
boleh? Helmi kan
sepupu kau?”
“Kau tu tanya khabar ada makna. Aku
tau, jauh di sudut hati kau masih simpan hati terhadap Imi.”
“Melalut aje kau ni Danish.”
“Kau tu, macam aku tak tahu yang
korang pernah bercinta. Alah, kalau tak
kerana budak pompuan UKM tu tentu korang menjadi punya.”
“Kau jangan nak merepek Danish.
Selalu kau cakap macam ni tau. Kau ingat aku senang dengar kau buat tekaan
macam tu? Helmi tu kan
kawan aku juga, macam kau tu.”
“Kau tak boleh nak samakan cara kau
kawan dengan aku sama cam kau kawan ngan Helmi.”
“Kenapa pulak tak boleh?”
“Aku cakap tak sama, tak sama lah!”
Danish mula meninggikan suaranya. Dia memang mudah angin kalau mendengar nama
Helmi.
“Danish kau marah aku?” Nada suara
Sufi mula mahu merajuk mendengar Danish meninggikan suara kepadanya.
“Memang aku marah. Kalau kau tak
sebut soal Helmi tadi tentu kau tak kena marah.”
“Okey, kalau gitu aku tak sebut soal
Helmi lagi. Kan
aku sayang kau…”
“Aku pun sayang kau jugak.”
Begitulah setiap kali Sufi dan
Danish berbual. Ada
sahaja yang akan ditekakkan mereka, namun sekejap cuma apabila masing-masing
kemudiannya mula membicarakan soal sayang antara satu sama lain. Namun setakat
itu sahaja. Masing-masing tidak pernah membicarakan soal cinta membuatkan Sufi
sering harau dan tertanya-tanya kedudukannya di hati Danish.
“Kau terlalu istimewa buat aku
Sufi.”
Begitu yang sering dituturkan Danish
sejak awal mereka kenal santak hari itu. Keadaan itu membuatkan Sufi
terkapar-kapar dalam mencari kepastiannya sendiri. Pada masa yang sama,
kawan-kawan yang mengenali mereka membuat andaian mereka berdua sedang bercinta
melihatkan cara mereka bersama. Namun Sufi serahkan semuanya kepada takdir.
Biarlah Allah s.w.t menentukan hala tuju
hubungan mereka.
BAB SATU
Sufi
menggeliat malas di atas katil. Dia memandang ke arah Ana yang sedang menggosok
pakaian di atas meja study. Begitulah
keadaan di bilik kecil mereka berdua. Segala kelengkapan digunakan semaksimum
mungkin untuk membolehkan ruang yang terhad dapat digunakan sepenuhnya. Bukan tiada iron board disediakan, tapi mereka malas untuk menyaratkan lagi
bilik mereka dengan meminjam barangan tersebut dari office. Meja study mereka
boleh dijadikan alas untuk menggosok baju. Sekurang-kurangnya itu boleh
menjimatkan ruang dan mata pun tidak terlalu terbeban.
“Ana, saya rasa malas je nak ke
kelas Tatabahasa hari ni.”
Luahan Sufi membuatkan Ana yang
sedang menggosok berhenti seketika dan memandang ke arahnya dengan sengihan
penuh makna.
“Malam tadi tulis surat kat Danish sampai jam berapa? Tu dah
mengantuk lah tu sampai nak ke kelas Encik Ibrahim Salleh pun malas.”
“Tak de, bukan pasal mengantuk lah.
Malas je. Lagipun benda yang dia kuliahkan tu bukan tak de dalam buku kita ni.”
Dengan muka penuh kemalasan Sufi
mengangkat buku Tatabahasa di tangannya. Ana menyudahkan kerjanya sebelum
menutup suis iron. Dia duduk di
kerusi sambil menyilangkan kakinya.
“Orang tulis surat kat pak we dia nak tulis surat juga, orang kalau
takat dua muka surat
tu sekali jeling saja, dia satu muka surat
berjam, Sufi, Sufi. Sekali ingat kelakar jugak.”
“Eii, kan orang dah kata bukan pasal surat tu,” ujar Sufi mahu
mempertahankan dirinya.
Ana tiba-tiba terbahak-bahak ketawa.
Tawaannya yang lebat menerbitkan rasa kehairanan di dalam hati Sufi.
“Actually
Sufi, orang pun dah rasa malas sejak semalam lagi. Orang iron baju tu takut-takut Sufi nak pegi.
Lagipun kalau Sufi pun malas pegi, Ana boleh pakai baju tu untuk ke KL petang
karang,” beritahu Ana kemudian menyambung tawanya.
“Hah, dia lagi malaun daripada aku.
Asyik malas manjang. KL rajin pulak.”
“Dah kebetulan si Faizal tu ajak
keluar makan. Orang setuju je, makan free.”
“Untung Ana lah ramai kawan.”
“Tak pe Sufi, balik karang orang
belikan Mc’D nak?”
“Ingat kita ni kanak-kanak Ribena
kah nak bodek dengan Mc’D?” Balas Sufi sambil turun dari katil double-deckernya.
“Tak nak? Tak nak orang tarik balik offer tu.”
“Eii, sapa kata tak nak? Belikan
saya Filet-O-Fish sekali ye. Don’t forget extra sauce,” kata Sufi
pantas. Dia memang alah dengan apa-apa sahaja makanan Mc’D.
Ana tersenyum memanjang. Dia sudah
membayangkan pertemuannya dengan Faizal nanti. Pemuda bermata brown tersebut memang senang menaburkan
ringgit kepadanya begitupun Ana setakat itu belum termakan dengan umpan Faizal.
Dia masih setia kepada Nazrul Azam. Dengan Faizal dia setakat mahu enjoy sahaja. Daripada buang masa di
bilik kecilnya lebih baik dia keluar makan-makan dan menonton wayang dengan
Faizal.
Sufi menghidupkan komputer yang
dibeli dengan wang pinjaman JPAnya. Dia mahu menyambung tugasan Tatabahasanya
yang terbengkalai sejak semalam. Dengan bahan yang diperolehi dari DBP dia
berusaha seboleh mungkin untuk mengolahnya agar tidak terkesan oleh
pensyarahnya bahawa dia sebenarnya memplagiat tugasan tersebut daripada jurnal
orang lain.
Bagi lagi aku tajuk yang susah-susah
macam ni. Apa kejadahnya morfofonemik ni pun aku tak tau. Main taram je. Ngomel
hati kecil Sufi. Kemudian memandang ke arah Ana. Dia ketawa kecil sehingga
menarik minat Ana.
“Kenapa Pi?”
“Tak de, cuma teringat contengan-contengan
yang terdapat kat tajuk assignment kita
tu. Ana punya dia orang conteng macam-macam. Kelakar, kelakar.”
“Haahlah kan Pi. Padahal tajuk ni sikit punya senang.
Kita tak biasa dengar tu yang gelabah dapat tajuk ‘Ayat Emfatik’. Sampai ada
yang conteng macam-macam kat tajuk yang saya dapat.”
“Dah siap Ana punya assignment tu?”
“Dah, tu yang setuju saja bila si
Faizal ajak keluar karang.”
“Ohh, patutlah. Orang tengah senang hati.”
“Pi tak nak keluar ke karang? Hah,
sambar aje si Pak Ya tu buat teman.”
“Maap sikit lah. Kalau boring sangat orang gi merayap bilik
Setti. Kalau dia tak de borak dengan Ina. At
least dapat juga tau apa-apa informasi terkini kelas Cik Berahim yang kita
tuang hari ni,” jawab Sufi sambil tangannya rancak menekan keyboard komputer.
Skrin benaknya terpeta jugak gambar
Khairul Eruwan yang digelarkan Pak Ya kerana pemuda itu bagi Sufi dan Ana mirip
pelakon yang senang membawakan watak-watak jahat iaitu Zakaria Yusuf.
Kesunyian menjajah bilik kecil
mereka berdua. Sufi tenggelam dengan assignmentnya
dan Ana kelihatan asyik mengadap games solitaire
di dalam komputernya. Agak lama mereka hanyut dengan kerja masing-masing
sehingga akhirnya Sufi berhenti menaip apabila telefon genggamnya berdering
minta diangkat. Melihat dahulu sejenak
nombor di
skrin telefonnya. Sufi menjeling Ana. Ana mengangkat kening tanda bertanya
siapa yang menghubunginya.
“Cik Mat, ulat naik motor tu. Malas
lah saya nak jawab.”
“Ha, meh, meh sini biar orang
jawab.”
Telefon genggam bertukar tangan. Ana
tersengih gelihati sebaik menjawab salam Cikgu Mat. Seorang guru yang
menyambung pelajarannya. Orangnya sudah agak berumur tapi nafsu mengalahkan
orang muda. Suka kacau anak dara orang. Sufi dan Ana termasuk antara yang
dikacaunya. Sufi tidak terlalu galak untuk melayan. Ana pula tengok atas moodnya. Terutama kalau dia sedang
kebosanan memang dia akan melayan Cikgu Mat.
Cikgu Mat sering bercerita tentang
hasratnya untuk beristeri dua. Calonnya seorang anak dara Kelantan. Alasan yang
diberi mudah. Isterinya, seorang Sabahan tidak mahu menurut ajaran Islam.
Sembahyang tidak apapun tidak. Dahulu Sufi menjadi pendengar masalah Cikgu Mat
dan isterinya dan tumpang simpati. Kini dia menganggap Cikgu Mat sebenarnya
mencipta alasan untuk beristeri lain. Sejak itu Sufi mula menolak berbual-bual
dengannya.
Kini makin teruk, gagal menawan Kak
Ayu, Cikgu Mat cuba
mengacau Ana dan Sufi. Naik jelak Sufi jadinya. Cikgu Mat jenuh mengajak Sufi
dan Ana keluar makan. Sufi dan Ana sering menolak. Mahu tak mahu Cikgu Mat
bungkuskan dua bungkus nasi goreng USA buat Ana dan Sufi. Macam nasi
goreng tu super pelik bagi Sufi dan
Ana. Alah, Sufi dan pernah makan lebih daripada nasi goreng USA. Cikgu Mat
mana tahu, segala nasi goreng Sufi dah pernah rasa. Sufi sedekahkan saja nasi
goreng itu kepada floormatenya yang
kebuluran. Tak ingin dia makan. Mati kebulur pun dia tak ingin. Ana makan saja
sebab dia tak alergik tengok nasi tu terletak elok dalam raga motor Cikgu Mat. Sufi geli sebab raga tu terletak
di celah kangkang Cikgu Mat.
Habis pasal buaya longkang tu. Sufi
pun bukan ingin nak ingat sangat pasal buaya tua tu. Ana pun nampaknya sudah
mematikan talian telefon.
“Cikgu Mat berkirim salam.”
“Hah, ye lah tu. Yang Ana pulak pegi
cakap orang dok berak ngapa? Selekeh betul cakap macam tu. Kalau nak bagi
alasan tu pun gunalah bahasa sopan
sikit. At least sedap sikit telinga
ni mendengarnya.”
Ana ketawa mendengar kata-kata Sufi.
Telefon genggam Sufi kembali kepada tuannya. Sufi meletakkan ke atas meja.
Kemudian dia menanggalkan cermin matanya dan memicit-micit hidungnya yang agak
mancung. Sekali lagi Sufi dan Ana tenggelam dengan dunia mereka sendiri.
Danish! Memang itu sahaja yang
berlegar dalam otak Sufi. Dia sendiri tidak tahu kenapa terlalu kuat ingatannya
terhadap Danish. Kadang kala difikirkan dirinya memang bodoh kerana meletakkan
Danish di tempat teratas dalam ingatannya sedangkan antara mereka tidak pernah
ada sebarang ikatan janji. Cuma ikatan sayang yang sering diucapkan. Lebih
daripada itu tidak pernah. Sufi sendiri pun sebenarnya belum pasti terhadap
perasaannya sendiri terhadap Danish.
Mahu dikatakan cinta, Sufi belum
bersedia ke arah itu. Malah dia sebenarnya takut andai suatu hari nanti Danish
tiba-tiba mengucapkan kata-kata keramat itu kepadanya. Dia takut dengan ucapan
itu nanti akan memudaratkan hubungan persahabatan yang terbina antara mereka
berdua sebagaimana yang telah berlaku antara dia dan Helmi.
Dahulu Helmi pernah mengucapkan
kata-kata itu kepada Sufi menyebabkan Sufi mula janggal untuk meneruskan
persahabatan dengan Helmi. Mahu menolak Helmi bimbang terluka pula hati
sahabatnya itu. Alihnya Sufi memaksa diri menerima Helmi. Namun kasihan Sufi,
belum sempat dia membuka ruang untuk dirinya bermain cinta, Helmi digoda gadis
lain. Masniza. Itu nama gadis yang menjarakkan hubungan Helmi dengan Sufi dan
membuka ruang kepada Danish menggantikan tempat sepupunya.
Tidak seperti Helmi, Danish tidak
pernah berbicara soal cinta secara terang-terangan. Cuma memberi hintnya saja. Sungguhpun demikian, sikap
Danish yang ketara menunjukkan cemburunya terhadap hubungan Sufi dan Helmi
semasa mereka di bangku sekolah menengah menyebabkan kawan-kawan sekelas dapat
mencium rahsia hati Danish yang Sufi sendiri belum pasti.
Cinta Sufi? Cinta Sufi pula belum
untuk sesiapa kala itu. Dia tidak bersedia untuk diperbodohkan dan dijadikan
bahan eksperimen bagi lelaki yang ingin mengukur sejauh mana kehebatan mereka
dalam menundukkan perempuan kebal seperti dirinya. Itu anggapannya terhadap
Helmi setelah Helmi menawarkan cinta kepadanya dan alihnya berlalu setelah
digoda perempuan lain.
Sebelum Helmi, bukan tidak pernah
ada lelaki lain namun Sufi langsung tidak melayan dan bertindak menjauhkan
diri. Dia bukan androphobia, tapi
sengaja mahu mengelak daripada hidup dalam angan-angan setelah bermain cinta.
Bukankah pecinta biasanya sering dilamun angan-angan?
Pun bukan kerana Sufi pernah kecewa
hinggakan takut untuk bermain cinta. Bagi Sufi cinta itu biarlah satu. Dia
belum menemuinya. Dan Danish, sungguhpun sering membuatkan Sufi tersalah gamak,
namun hingga kini Danish belum berterus-terang. Selagi Danish belum
berterus-terang, selagi itulah Sufi akan bersahabat dengan lelaki yang tua
setahun daripadanya itu. Sufi sendiri tidak dapat membayangkan kalau Danish
sudah mencurahkan isi hatinya secara terus terang. Dapatkah Sufi terus berkawan
dengannya atau hubungan persahabatan mereka akan menjadi dingin sebagaimana
sering terjadi pada hubungan Sufi dengan mana-mana lelaki sebelum ini? Atau
akan gembirakah Sufi? Sufi sememangnya
tidak tahu.
Memang. Memang Sufi tertunggu-tunggu
saat itu. Bukan kerana sudah tidak sabar mendengarnya, tapi kerana inginkan
kebenaran. Selama ini kawan-kawan membuat anggapan Danish memang menyimpan
perasaan terhadapnya, namun menjadi terlalu berat untuk meluahkannya
memandangkan Helmi pernah bertindak demikian sedikit masa dahulu. Jika Danish
tidak mempunyai perasaan terhadapnya, masakan Danish sering berubah wajah andai
Sufi bercakap dengan pelajar lelaki lain terutama dengan Helmi. Danish akan
marah-marah dan menjauhkan diri daripada Sufi. Malah Danish juga akan bertanya
hubungan sebenar Sufi dengan mana-mana lelaki yang didapati rapat dengan Sufi.
Untuk tujuan itu, Sufi mewujudkan
‘Adam’. Selain mengelakkan diri daripada digossip
dengan Danish, dia juga mahu menduga Danish. Melihat sejauh mana tingkat
cemburu dalam diri Danish. Padahal Adam hanyalah kawan imaginasi yang biasa
diwujudkan dalam cerita-cerita dongeng dirinya. Bagi rakan-rakan yang tidak
terlalu mengenali Sufi mereka percaya dengan cerita tentang Adam. Tapi bagi
kawan-kawan baik Sufi di sekolah ketika itu seperti Maznah dan Mida memang tahu
itu hanya satu eskapisme semata-mata.
Dan Danish? Oh, tentu sahaja lelaki
itu percaya. Dengan jarak masa beberapa bulan mengenali Sufi ketika itu tentu
sahaja mempercayai apa sahaja cerita tentang Adam. Dalam mencemburui Helmi,
Danish turut geram dengan Adam menjadikan lelaki itu kian sukar untuk
berterus-terang dengan Sufi. Sufi memang berjaya membangkitkan rasa geram dan
cemburu dalam hati Danish tapi gagal untuk membuatkan Danish
berterus-terang sehingga persahabatan
mereka merangkak dari setahun ke setahun. Dari bangku sekolah hingga ke menara
gading.
“Aku tak percaya kau masih single Sufi.” Begitu komen Danish semasa
dia bertanya khabar tentang status Sufi. Ketika itu mereka berdua di tahun dua.
“Memang aku tak single, kan
aku bercinta ngan kau.” Sufi ketawa. Danish terkedu.
Memang mulut Sufi agak berani. Tidak
teragak-agak dia untuk bergurau demikian hingga tergelujat jadinya hati Danish
buat seketika.
“Betul Danish. Sejak dulu hingga
kini aku hanya ada Adam. Kau tau pasal Adam kan?” Sufi mengungkitkan soal Adam
tiba-tiba.
“Cukup Sufi. Jangan nak buat lawak
lagi. Kan Adam tu tak wujud. Kau ingat aku nak percaya cerita pasal Adam macam
aku mati-mati percaya lima
tahun lampau. Masa tu bolehlah sebab aku baru kenal kau. Kini aku dah tahu
perangai kau, jangan harap aku nak percaya lagi,” sanggah Danish panjang lebar.
“Kalau macam tu, buat apa kau nak
bangkitkan soal status aku Danish? Kau pun tau gadis macam aku ni sapa pun tak
ingin.”
“Habis aku ni?” Giliran Danish pula
menggelujatkan hati Sufi.
“Siapa aku pada kau begitulah kau
pada aku Danish. E, Danish aku dah kehabisan syiling ni.”
“Okeylah, nanti aku call kau pula.”
Begitulah rutin hidup Danish dan
Sufi. Engkau telefon aku dan aku telefon kau. Membosankan? Memang Sufi pernah
merasa bosan dengan sikap main tarik tali yang ditunjukkan oleh Danish. Sudah
bertahun-tahun kenal, namun hingga kini masih belum mahu memberikan kata putus.
Jika Sufi mengungkitkan soal kedudukan sebenar secara serius, Danish sering
mengelak daripada membincangkan perkara itu. Alasan Danish, dia mahu mereka
menghabiskan pengajian mereka terlebih dahulu. Sesudah menggenggam segulung
ijazah barulah Danish bersedia untuk membincangkan soal hati dan perasaan.
Sufi bukan kemaruk sangat dengan
cinta Danish. Biarkan saja Danish mahu mencintai sesiapa sahaja dan tidak
dirinya. Cuma Sufi mahukan kepastian. Kalau Danish tidak mahukan dirinya kenapa
Danish menghalang dia menyambung pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah?
Alasan Danish dia tidak mahu menunggu terlalu lama untuk mengahwini Sufi
sesudah tamat belajar. Kenapa Danish perlu memberikan alasan sebegitu?
Atau Danish sebenarnya sekadar mahu
menduga keteguhan hati Sufi? Sufi memang gagal untuk menebak sama sekali.
Danish, siapa aku sebenarnya dalam
hatimu kawan? Sejauh mana kepentingan
aku dalam mengatur masa depanmu atau aku langsung tidak tersentuh oleh mindamu
dalam membentuk perancangan masa depan? Lalu dengan pertanyaan yang sering
berlegar dalam fakulti mindanya membuatkan Sufi tenggelam dalam air mata. Sebak
kerana terpaksa mengharungi suatu ketidakpastian yang benar-benar menyesakkan
dadanya.
Mungkinkah akan terjadi, dirimu aku
miliki, berilah tanda kepastiannya. Sebaris lagu yang Sufi sendiri tidak tahu
dinyanyikan oleh siapa bersiponggang di dalam hatinya.
Kenapa aku sebenarnya? Mengapa
persoalan mengenai kepentingan aku dalam hidup Danish menjadi begitu penting
sekali? Sufi menyoal dirinya sendiri. Malah ada juga rasa kesal dan marah
terhadap dirinya sendiri ekoran terlalu banyak masa dan ringgitnya terbuang
kerana Danish sedangkan bentuk hubungan sebenar mereka tidak dapat dipastikan
lagi.
Adakah aku ni takut untuk mengakui
perasaan aku terhadap Danish? Sufi menyoal lagi dengan soalan yang dia sendiri
susah untuk menjawabnya. Kemudian Sufi mencapai Novel Jukstaposisi karya Hizairi Othman. Tutornya bagi kursus Penglahiran
Bakat dan Karya Kreatif. Dia tenggelam sekejap dengan watak Diri yang sedang
dibacanya.
Sufi mahu melupakan persoalan
tentang Danish. Biarkan saja persoalan itu tinggal begitu sahaja. Buat apa dia
menyeksa benaknya memikirkan seseorang yang belum tentu saat itu sedang hanyut
dalam perasaan terhadapnya? Mungkin Danish saat itu sedang bersuka ria bersama
teman wanita yang selama ini dirahsiakan daripada pengetahuan Sufi. Dan Sufi
yang naïf mengharapkan kejujuran daripada kata-kata Danish. Itulah yang paling
Sufi takuti.
BAB DUA
Danish
meletakkan roti john yang tinggal separuh lagi ke meja. Sufi! Itulah penyebab
roti john yang selama ini menjadi kegemarannya tidak tertelan. Sudah beberapa
hari Sufi tidak menghubunginya. Sibuk sangat kah Sufi ketika itu atau Sufi
sedang menghadapi peperiksaan? Danish cuba untuk meneka-neka sendiri.
Danish kemudian bangun dari tempat duduknya. Ke meja study dan membuka sebuah kotak yang mengandungi berpuluh-puluh
pucuk surat
kiriman Sufi. Memang itulah pengubat rindunya terhadap Sufi andai kawannya itu
tidak menghubungi.
Membaca surat-surat Sufi yang penuh
dengan jenaka dan lelucon bersahaja membuatkan Danish sedikit terhibur. Dia
tenggelam dalam dunia yang sedang diciptanya sendiri sehingga langsung tidak
menyedari kedatangan Helmi, sepupunya yang juga menuntut di IPT yang sama
dengannya, bezanya Helmi mengambil kursus Perancangan Bandar dan Wilayah
sementara dia Kejuruteraan Kimia.
Helmi memerhati sahaja gelagat
Danish. Belum mahu menyergahnya. Helmi perlahan-lahan mendekati Danish.
Sepupunya asyik benar menatap sepucuk surat
di tangan. Helmi menjenguk. Berderau darahnya. Dia kenal benar dengan tulisan
yang sedang ditatap Danish. Masakan tidak, suatu masa dahulu tulisan itulah
yang sering menghiasi penglihatannya. Tidak disangkanya Danish dan Sufi masih
berhubung sedangkan Sufi telah lama tidak diketahui khabar beritanya.
Helmi mengetap bibir. Danish juga
tidak pernah memberitahu dia dan Sufi saling berhubung. Mengapa Danish
merahsiakan perkara itu daripada pengetahuannya? Adakah Danish malu sekiranya
dia mengetahui mereka saling berhubung atau Danish merasa kekok andai dia
mengetahui perkara itu?
Helmi melepaskan keluhan. Dia tahu
tentunya ada sesuatu antara Danish dan Sufi. Tindakan dia dahulu tidak salah.
Meninggalkan Sufi dengan memaksa dirinya sendiri menerima kehadiran Masniza.
Semua itu kerana dirasakan Danish mempunyai hati terhadap Sufi . Dia tidak mahu
bersaing dengan sepupu sendiri. Apatah lagi Sufi sendiri nampaknya liat untuk
menerima cintanya. Mungkin Sufi juga menuntut cinta Danish. Dia menunggu hari
demi hari perkembangan Danish dan Sufi, namun setakat itu sahaja hubungan
mereka apabila Danish juga meneruskan pengajiannya ke IPT. Selepas itu menurut
kata Danish mereka tidak lagi saling berhubung.
Helmi ada juga menghubungi Sufi
selepas Danish ke menara gading. Sufi memang tertanya-tanya khabar Danish.
Meyakinkan Helmi mereka sebenarnya tidak pernah berhubung. Dan surat yang sedang ditatap Danish itu? Ah,
mungkin surat
yang berusia dua tiga tahun lampau. Helmi membuat tebakan.
“Oi Imi, kenapa tercegat aje tu?”
Sapa Azmi, kawan serumah Danish yang baru pulang dari kuliah.
Helmi tersentak. Danish apatah lagi.
Menoleh ke belakang sambil tangannya terkocoh-kocoh menyembunyikan surat yang sedang
dibacanya. Helmi berlagak tidak mengerti dengan gelagat Danish.
“Dah lama kau sampai Imi?” Soal
Danish.
“Baru je.” Ringkas saja jawapan
Helmi.
“Ada apa hal kau datang ni?” Danish menyoal
lagi.
“Aku datang ni nak bagi tau kau,
hujung minggu ni aku nak pulang ke kampung. Kalau kau ada apa-apa nak pesan kat
orang tua kau boleh aku bagi tau.”
“Mujur benar tu Imi, aku pun tengah
kurang modal ni. Apa kata kalau kau minta orang tua aku kirim seratus dua?
Dapat juga aku buat belanja nanti.”
“Hai, kau ni sering benar kurang
modal. Loan kan baru dapat hari tu? Kau kuat merokok
agaknya ni.” Helmi berkata sedikit kehairanan.
“Merokok tu memang dia merokok Imi,
tapi paling banyak duit dia habis buat bayar bil telefon. Dalam rumah ni dia
johan pasal bil telefon. Mana tidak hari-hari bergayut. Dua tiga hari ni aku
nampak kurang sikit bergayut.”
“Oi, sepupu aku dah ada pompuan
rupanya. Siapa gadis bertuah tu?” Helmi sedikit terkejut.
Danish menggelengkan kepalanya. Agak
tidak senang dengan kenyataan yang keluar dari mulut Azmi.
“Itu kawan aku je Az, kau jangan nak
buat cerita pulak. Lagipun mana ada aku bergayut hari-hari? Kalau ada pun dia
yang banyak hubungi aku.”
“Tak kisah sapa call sapa, yang penting
sekarang ni kau memang dah ada kawan pompuan le? Sapa dia? Pandai kau sorok
daripada aku ya?”
“Kau jangan dengar merepek Az tu
Imi. Dia bukan tahu apa, saja nak menyakat aku tu.”
“Habis si Sufi tu sapa? Tak istimewa
ke Sufi tu? Kau jangan nak buat onar Danish, karang dia call aku report kat dia
nahas kau. Kot-kot dia merajuk dan cari lain.”
“Sufi?” Helmi memandang ke wajah
Danish. Sepupunya itu mula berwajah kelat dan terpisat-pisat. “Sejak bila
korang saling berhubung balik ni Danish? Kau tak cakap pun.” Helmi menyambung.
Sah! Sah Danish memang merahsiakan
daripada pengetahuannya. Kenapa Danish mahu merahsiakannya? Atau Danish
sebenarnya malu dan tidak tergamak untuk memberitahunya setelah apa yang
berlaku antara dia dan Sufi? Begitupun itu semua kisah dulu. Dia sengaja mahu
melepaskan Sufi kepada Danish. Sengaja mahu membuka ruang antara mereka. Dia takut
untuk meneruskan. Bimbang tidak dapat membahagiakan Sufi. Paling dia bimbang
sekiranya perasaan Sufi lebih banyak terhadap Danish berbanding dirinya
memandangkan keakraban Sufi dan Danish ketika itu. Sebelum dia sendiri terluka
Helmi memutuskan untuk menerima salam cinta Masniza.
Biarpun begitu dia gagal mencipta
satu hubungan yang luhur dengan Masniza. Ingatannya memang terhadap Sufi dan
tidak dapat melarikan ingatannya terhadap Sufi. Dia masih menghubungi Sufi
sebagai kawan biasa. Dan Sufi, meskipun terasa dengan sikapnya yang memutuskan
hubungan dengannya pada saat Sufi ingin membuka peluang kepadanya, tetap
melayan panggilannya. Begitupun perbualan mereka sering menjurus ke arah
Danish. Sufi lebih banyak bertanya khabar tentang Danish yang ketika itu
membuat matrikulasi di KYPM Kulim. Sufi pula senang meneruskan pengajiannya di
tingkatan enam.
Helmi tidak tahu niat Sufi
sebenarnya. Mahu menyakiti hatinya atau dia sememangnya lebih berminat untuk
mengetahui perkhabaran tentang Danish berbanding dengan Helmi sendiri.
Begitupun Helmi memang setia menelefon Sufi sehinggalah Sufi juga melangkah ke
menara gading. Ketika itulah hubungan mereka terputus. Apabila ditanyakan
kepada Danish, katanya dia juga langsung tidak tahu berita terkini Sufi.
Alih-alih hari ini dikatakan Danish dan Sufi saling berhubungan. Kenapa Danish
bertindak begitu?
“Sebenarnya kami pun baru je
berhubung balik. Ketika kau buat praktikal di Perak hari tu. Alah takkan kau
lupa Mie, hari tu kan
kita ada bagi nombor phone rumah kita
kat Hasmah untuk disampaikan kepada Sufi. Sejak dia dapat nombor itulah dia
sering call aku.” Danish akhirnya
berterus-terang.
“Kau? Kau ada call dia?”
“Tak, aku tak ada no. phone dia, Sufi tak kasi. Ntahlah,
tapi setau aku Sufi masih stay kolej.
Dia pun call aku guna public phone je,” beritahu Danish. Berat
untuk memberikan nombor telefon Sufi kepada Helmi.
“Ya ke kau ni Danish, atau kau nak
rahsiakan daripada aku? Habis tu kenapa tadi Az cakap bil telefon kau paling
banyak? Kau call sapa kalau bukan
Sufi? Jangan-jangan Sufi pakai hand-set
tak?” Soal Helmi meragui kejujuran tadi. Ketika itu Azmi sudah menghilang ke toilet.
“Kau percaya dengan Az tu? Budak tu
bukan boleh pakai sangat.”
Helmi memandang jam. “Dahlah, aku
kena pergi dulu Danish. Ada
kelas ni.”
“Okey. Tapi jangan lupa apa yang aku
pesankan tadi.”
“Hah, yalah. Nanti kalau Sufi call, bagi tau dia aku kirim salam.”
Danish mengangguk. Tapi dalam hatinya langsung tidak
mahu menyanggupi. Kalau aku cakap kau kirim salam melompat budak tu nanti. Apa
tidak, tiap kali call mesti ada
sekali paling kurang dia akan bertanya tentang kau. Huh, jangan harap aku nak
bagi peluang untuk korang lagi. Bicara hati Danish.
Sufi! Sekali lagi dia teringat
tentang gadis manja yang agak childish
itu. Terbayang-bayang cara Sufi ketawa dan berjenaka dengan gayanya yang
bersahaja dan sedikit kecoh. Kenapa dengan aku ya? Aku cintakan Sufi ke? Kalau
tak cinta, kenapa pulak aku jealous
benar apabila Helmi menyebut namanya atau sebaliknya? Kenapa pulak betah benar
ingatan aku ni melayang mengingatinya? Atau aku takut untuk mengakui perasaan
aku sendiri? Aku tidak yakin dengan Sufi. Dia sering bergurau tentang itu. Mana
tau di sana dia
sering bertenet dengan buah hati dia. Si Sufi ni bukan boleh pakai sangat.
Tengok masa dia dengan Helmi dulu, semua orang cakap dia bercinta, tapi dalam
masa yang sama dia melayan aku. Kot-kot dia memang nak mengenakan kami berdua.
Hai Sufi, pening kepala aku pikir
pasal kau. Tapi aku suka untuk memikirkannya. Sufi. Kau apa khabar agaknya hari
ni? Sufi! Aduh, parahnya menggalas beban rindu ini Sufi. Aku nak call kau pun hand-set kau asyik tidak aktif saja.
Betulkah apa yang kau
katakan?Ataupun mainan perasaan. Jiwa yang gelodak, kesakitan! Hati kecil
Danish menjerit mengalunkan lagu BPR bagi memujuk hatinya yang begitu
teringatkan Sufi. Sufi, gadis itu tidaklah secantik mana. Malah istilah cantik
tidak boleh digunakan untuk menggambarkan Sufi. Zahirnya dia cuma seorang gadis
berwajah sederhana. Mukanya bujur dengan hidung mancung dipadankan dengan mata
kecil beralis tebal dan hitam pekat. Tubuhnya kurus lampai, persis kekurangan
zat makanan. Senang memuncungkan wajah jika bersendirian. Sekali pandang nampak
sombong dan sukar didekati. Tapi apabila sudah mengenalinya, aduh! Gadis inilah
paling sarat dengan ketawa dan kelakar orangnya. Suka mengusik dan ada masanya
membuatkan jiwa akan tergelujat dengan ucapan sayang dan rindunya.
Danish senang dengan sifat Sufi itu.
Malah senang sekali dengan Sufi hinggakan tidur malamnya tidak betah. Suatu
masa dahulu dia pernah kehilangan jejak Sufi. Ketika itu perit benar
dirasakannya. Sufi langsung tidak meninggalkan khabar sebaik menjejak menara
gading. Sombong apa Sufi sejak bergelar mahasiswi. Dia dan Helmi bertanya
khabar kawan-kawan satu sekolah. Bertanyakan tentang Sufi. Mujurnya ada kawan
sekampung yang menuntut di IPT yang sama dengan Sufi. Melaluinya Danish
berkirim salam dan menyampaikan nombor telefon, lalu bermula hari itu Danish
kembali ceria mendengar gelak tawa dan usikan Sufi. Dia boleh bayangkan betapa
manisnya senyuman Sufi yang dihiasi siong semasa dia mengukirkan senyuman.
Begitupun, sejauh mana kemesraan
antara mereka terjalin, Danish takut untuk menyandarkan harapan kepada Sufi.
Gadis berwajah sederhana itu diketahuinya mempunyai ramai peminat sejak di
bangku sekolah dahulu. Bukan sahaja Helmi sepupunya sendiri pernah menaruh hati
terhadap Sufi, malah ada beberapa orang lagi. Bimbangnya di IPT pun keadaan
masih sama. Bimbang Danish bukan keseorangan dalam merebut kasih sayang Sufi.
Disebabkan itulah Danish lebih senang bermain tarik tali dengan Sufi menyentuh
tentang perkara itu. Dia bimbang akan terluka suatu masa nanti. Danish tidak
pernah bercinta. Malah tidak pernah menawarkan cintanya kepada sesiapa, bimbang
pertama kali berbuat demikian dia akan terluka.
Apatah lagi jaraknya dengan Sufi
berpuluh kilometer. Dia tidak nampak apa yang sedang Sufi lakukan nun di sana. Dengan sikap Sufi
yang mudah benar mengucapkan sayang dan rindu setiap kali bercakap dengan
sesiapa membuatkan dia tidak yakin. Kadang kala kepala otak Sufi bukanlah betul
sangat.
Suatu masa dahulu, dia dan Helmi
berpakat untuk bertanya Sufi akan keutamaan mereka berdua di dalam hidup Sufi.
Kepada Helmi dikatakan dia lebih senang bersama Danish dan semasa berbual
bersama Danish, dia mengatakan dia lebih senang dan gembira bersama Helmi. Apa
yang Sufi mahu tunjukkan kepada mereka berdua agaknya? Danish memang bengkak
menghadapi semua itu.
Begitupun dia sendiri tidak faham
mengapa hubungan Helmi dan Sufi tidak menjadi selepas mereka diuar-uarkan
beriya-iya bercinta. Mengapa Helmi mesti menerima salam cinta gadis dari
sekolah bersebelahan dengan sekolah mereka dan tidak meneruskan cintanya dengan
Sufi? Sungguh Danish tidak faham. Begitupun tindakan Helmi seakan membuka
laluan untuknya mendekati Sufi dengan lebih rapat.
Namun Sufi tetap Sufi. Dia
dikelilingi ramai kawan lelaki baik di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah.
Dek kerana itu Danish tidak mahu terburu-buru. Dia mahu melihat dahulu
bagaimana rentak Sufi. Dia bukan tidak pernah terserempak dengan Sufi keluar
makan dengan kawan-kawan lelakinya. Hatinya membusung geram. Apa daya Sufi
memang bukan miliknya. Sufi bebas keluar dengan sesiapa sahaja.
Dan nun di UPM sana, mustahil Sufi tidak mempunyai ramai
kenalan lelaki sebagaimana semasa zaman sekolahnya. Mulut Sufi yang keletah dan
sifatnya yang keanak-anakan tentu menarik minat pelajar lelaki untuk
mendekatinya. Memikirkan itu membuatkan Danish tidak sanggup untuk menetapkan
hatinya kepada Sufi. Sementelah pula hubungan mereka suatu masa pernah
terputus. Tentu dalam tempoh itu Sufi mempunyai kawan lain yang seiring
mengatur gelak tawa dengannya.
Danish mengeluarkan kembali sepucuk surat yang ditulis oleh
Sufi. Kali ini surat
yang lain pula. Sepucuk surat
yang banyak bercerita tentang keadaan dia di UPM.
Danish sayangku,
Malam tadi aku keluar hantar assingment kat Pak Ya. Kau tau Danish, di sini aku agak rapat
dengan Pak Ya. Nama sebenarnya Khairul Eruwan, tapi aku senang memanggilnya Pak
Ya sebab wajahnya macam Zakaria Yusuff. Kau kenal sapa Zakaria Yususff Danish?
Suka hati kaulah kenal atau tak.
Selalunya
kalau aku ada masalah atau dia ada masalah, kami sering akan berkongsi bersama
masalah tu. Pak Ya akan sentiasa sudi untuk mendengar masalah aku. Pak Ya baik
orangnya dan aku anggap macam abang. Alangkah bagus Danish jika kau dekat
dengan aku. Tentu aku boleh bercerita pada kau jika aku ada apa-apa masalah.
Masa tu aku tak perlukan orang lain lagi.
Sayang,
Setiap kali aku rapat dengan sesiapa aku terkenangkan kau.
Kita dahulu, semasa di sekolah pernah rapat begitu. Tapi kini semua tu tinggal
kenangan. Danish, kau tak rindukah akan semua tu? Kau tak rindukah pada aku
Danish?
Begitu antara barisan ayat yang
ditulis oleh Sufi. Panggilan sayang memang begitu mudah diujarkannya. Begitu
juga ketika berbual melalui telefon, Sufi memang mudah memanggil sayang. Malah
mengucapkan rindu. Namun untuk memiliki hati Sufi tidak semudah itu. Danish
tahu meskipun tidak pernah mencuba, melihat perwatakan Sufi, bukan semudah
itu untuk memiliki hatinya.
Sufi hanya gemar bersenda gurau. Ah,
Sufi gadis yang senang membuatkan hati sesiapa jua gundah. Tambah jika dia tahu
seseorang itu memberi perhatian terhadapnya, lagi Sufi seakan mahu menduga.
Mahu test power. Sufi!
Sementara
itu, Helmi juga sarat memikirkan hubungan Danish dan Sufi. Dia yakin tentu ada
sesuatu yang tidak terucap di antara Sufi dan Danish. Sejak dari kecil dia tahu
perangai Danish. Berahsia orangnya. Apatah pula jika melibatkan Sufi, gadis
yang suatu masa dahulu sering menghambat senang dan tenteram dalam hati Helmi.
Begitupun Helmi sudah tekad di dalam hatinya. Sejak dia memutuskan untuk
menerima cinta Masniza, dia tidak akan berpaling kepada Sufi lagi. Jika dia
menghubungi Sufi sekalipun sekadar untuk bertanya khabar seorang teman. Apatah
lagi dia tahu Sufi sudah membuang jauh perasaan terhadapnya tatkala mengetahui
hubungannya dengan Masniza.
Malah Sufi yang mengaturkan
pertemuannya dengan Masniza. Sufi kelihatan selamba benar dan begitu mesra melayan
Masniza. Menggambarkan kepada Helmi hatinya ketika itu. Baginya tindakan Helmi
mengalihkan cinta kepada Masniza tidak langsung menjadi kudis baginya. Masakan
itu bakal memudaratkan Sufi, dia sendiri ketika itu lebih berminat dengan
Danish. Mulutnya tidak lekang daripada menyebut nama Danish semasa menemankan
Helmi bertemu dengan Masniza.
Atau mungkin Sufi berlagak begitu
untuk menunjukkan dia gadis yang kuat? Tak mampu tumbang dek dikecewakan oleh
seorang lelaki seperti Helmi. Seperti katanya dulu, dia tidak berminat bermain
cinta. Dek kerana itu dia langsung tidak terluka.
Sufi! Dan Helmi? Helmi akhirnya
ditinggalkan Masniza yang menduakannya. Maklumlah masing-masing menuntut di IPT
yang berlainan. Membuka peluang untuk Masniza bermain kayu tiga dan
menggagalkan rancangan cinta Helmi. Antara Sufi dan Masniza, kedua-duanya jauh
berbeza. Masniza pediam orangnya. Sufi pula agak kecoh, namun cinta Sufi sesuci
namanya. Cintanya tidak mudah untuk dimiliki sesiapa. Helmi pernah mencubanya
dahulu. Dia tahu Sufi tidak mudah terpedaya. Masniza? Cintanya umpama
lalang, meliuk mengikut arah tiupan
angin.
BAB TIGA
Sufi
meletakkan buku rujukan bagi kursus Semantik,
Semiotic and Poetry karya
Julia Kristeva. Benaknya dirasakan terganggu benar ketika itu sehinggakan satu
apapun yang dibacanya tidak terlekat di kepala. Perbualan telefon dengan ibunya
benar-benar membelenggu kewarasannya. Kasihan ibu, tidak sudah-sudah ditimpa
masalah. Sufi tahu, ibunya bukan sekuat mana
untuk menghadapi segala masalah yang timbul, namun wanita yang menjadi
permaisuri hidupnya itu terpaksa menghadapi segala-galanya sendirian. Kematian
arwah ayah membuatkan ibunya terpaksa memperkasakan dirinya.
Ibu telah kehilangan suami yang
teramat dikasihinya ketika usianya masih muda lagi. Ketika itu usia ibu baru
tiga puluh lapan tahun dan Sufi pula sembilan tahun. Dua tahun selepas kematian
arwah ayah, ibu kahwin lain kerana diugut. Ibu terpaksa akur dengan keadaan itu
kerana lebih bimbangkan keselamatan anak-anak sekiranya tidak menerima lamaran
Ramli (maaf, Sufi tidak biasa menggunakan istilah bapa tiri untuk menerangkan
tentang Ramli. Dia tidak layak untuk digelar bapa meskipun bapa tiri). Dia
menerima Ramli, dalam keadaan hatinya langsung tiada tempat untuk lelaki itu.
Perkahwinan yang dibina ibu itu
tidak bahagia. Ibu juga tidak bahagia. Ramli tidak mendatangkan sebarang
keuntungan dan langsung tidak boleh dibuat tempat menumpang segala kesusahan.
Malah makin mendatangkan kesusahan adalah. Ramli yang cuma bekerja memandu
kereta sewa manakan mampu untuk menampung dua buah rumahtangga sekali gus. Lalu
pada ibu langsung tiada nafkah zahir diberikan. Pada ibu dia hanya jadikan
tempat untuk melampiaskan nafsunya semata-mata.
Namun itu tiada apa-apa pada ibu.
Dia masih mampu menyara kehidupan anak-anak seramai sembilan orang dengan
pendapatan sebagai penjaja ayam proses di dalam pasar basah di pekan. Itulah
punca pendapatan utama ibu dan juga keluarga Sufi hingga membawanya ke menara
gading. Sufi memang amat berterima kasih terhadap ibu dan berhasrat untuk
membalas jasa ibu suatu masa nanti. Sufi sayangkan ibunya.
Dek kerana sayang itulah kini minda
Sufi terbeban sangat dengan permasalahan ibu. Ibu kini terbelenggu dalam proses
menuntut cerai daripada Ramli. Sudah bertahun-tahun perkara itu diusulkan
dimahkamah. Ramli masih dengan pendiriannya untuk tidak mahu menceraikan ibu
sedangkan ibu langsung tiada hati terhadapnya. Dalam masa yang sama, kakak
Sufi, Maria pula menimbulkan masalah. Maria yang tidak pernah serik
dimain-mainkan lelaki kini mahu berkahwin untuk kali ketiga meskipun dia belum
lagi diceraikan oleh suami keduanya. Dia cuma digantung tidak bertali, tapi
berhasrat untuk kahwin lain dengan suami orang! Benar-benar membuatkan ibu Sufi
menanggung bebanan fikiran.
Kalau aku ni anak sulung, kena makan
penampar Jepun Maria ni! Geram Sufi. Maria memang sering mendatangkan masalah.
Dia tidak tahu untuk bersimpati kepada ibu. Melawan cakap ibu, panas baran dan
suka menyusahkan benak ibunya. Sejak masih anak dara hingga kini menjadi ibu orang
Maria masih sama. Masih seperti dulu. Adik-beradik yang lain memang tidak
sebulu dengan Maria. Kalau Sufi dan yang lain tidak berminat untuk serius
dengan mana-mana lelaki, Maria pula senang bertukar jantan. Padahal dia
sebenarnya masih isteri orang.
Sufi masih ingat, satu masa dahulu,
semasa Sufi masih di bangku sekolah menengah, Maria menjalinkan hubungan cinta
dengan lelaki yang langsung tidak mempunyai sebarang kerja tetap dan senang
mengusung janda ke sana
ke mari. Ketika itu suami Maria menghilang entah ke mana. Mungkin dihalang
isteri tuanya daripada bertemu Maria. Mengamuk abang sulung Maria, Zali apabila
mengetahui perkara itu. Hilang seketika masalah itu. Apatah lagi dengan
munculnya kembali suami Maria. Maria meneruskan hubungan dengan suaminya tanpa
rasa marah meskipun selama ini Omar langsung tidak pernah mengambil berat soal
nafkah zahir dan batin Maria.
Memang. Memang selama ini Omar tidak
pernah memerankan dirinya sebagai seorang suami. Sikapnya memang langsung tidak
bertanggungjawab, bukan setakat terhadap Maria, malah terhadap tugasnya sebagai
anggota polis. Maria pula menerima apa sahaja sikap Omar asalkan kehendak
batinnya tertunai sekali sekala. Memang itu saja yang difikirkan Maria. Maria
memang tidak kisah langsung. Ibu ada untuk memberi dia dan anak-anaknya
(seorang anak lelaki dengan suami pertama dan seorang perempuan dengan Omar)
makan pakai dan tempat tinggal. Alihnya, hanya ibu seorang yang menanggung
bebanan. Di samping bebanan perasaan juga bebanan ekonomi.
Kemuncak hubungan Maria dan Omar
apabila Omar bersekedudukan dengan perempuan Cina, juga isteri kawan baiknya.
Maria jadi marah. Melarikan diri daripada Omar. Apatah lagi Omar menculik anak
perempuan mereka sendiri (Farah) dan ditinggalkan di Sabah.
Ketika itu Farah berusia lapan tahun dan menjadi buah hati seisi rumah. Tentu
saja keadaan itu begitu menekan jiwa ibu. Maria pula, bukannya marah kerana
Farah dilarikan, dia cuma marah kerana Omar main kayu tiga. Kerana itu dia
ingin mendapatkan Farah kembali dan menyakitkan hati Omar.
Dengan perbelanjaan ditanggung
sepenuhnya oleh ibu, Maria ke Sabah menjejaki
Farah. Berjaya. Pulang ke sememanjung semula. Hubungan dengan Omar berhenti di
situ. Tanpa diceraikan, tanpa dilafazkan talak atau apa-apa saja istilah yang
boleh menerangkan Maria sebagai bukan lagi isterinya. Alih-alih kini ibunya
menelefon Sufi dan bercerita tentang keinginan Maria untuk berkahwin dengan
suami orang, diulangi sekali lagi: suami orang! Apa Maria buru sebenarnya?
Kasih sayang sejati atau benda yang satu itu? Benda yang tidak akan terdapat
pada mana-mana perempuan.
Kacau. Memang kacau kalau mahu
bercerita tentang Maria. Boleh dibukukan dan dijadikan sebuah novel. Sufi
memang benci apabila bercakap tentang Maria. Banyak perkara yang menyusahkan
benak. Sufi pun tidak mengerti kenapa Maria boleh tidak pernah serik-serik.
Maria pada firasat Sufi seorang perempuan yang berlibido tinggi. Tentu saja,
kalau tidak dia tidak akan ketagihan sampai begitu sekali apabila sesekali
lelaki tidak menjenguk ‘miliknya’.
Sufi mengeluh. Dia teringatkan
Danish secara tiba-tiba. Dia jadi benci. Danish juga banyak bermain tarik tali
dengannya. Entah-entah Danish juga sama dengan lelaki lain. Hanya tahu untuk
mengambil kesempatan atas kelemahan wanita. Sufi memejamkan matanya. Cuba untuk
menghalau bayangan Danish. Dia kesal kerana terjebak dengan Danish. Dahulu dia
perempuan tegar. Tidak mudah mengalah dengan mana-mana lelaki yang cuba untuk
mendampinginya. Kali ini dengan Danish kenapa susah benar untuk dia mengangkat
kakinya. Apakah setelah usia semakin meningkat, Sufi juga mula mengubah corak
pemikiran?
Tidak! Dia bukan tidak mengangkat
kakinya untuk dipermainkan Danish. Dia cuma menunggu untuk satu kepastian. Jika
Danish memberikan satu kenyataan yang nyata sebagaimana pernah dilakukan Helmi
dahulu, Sufi belum tentu akan menerimanya. Itu tekad Sufi. Dia cuma inginkan
kepastian untuk memuaskan hatinya sendiri kerana dia tidak mahu lagi meneka
dalam kesamaran. Meneka dalam kesamaran? Amboi! Macam tajuk lagu pula.
Lantaklah. Tajuk lagu atau apapun. Tapi itulah
hakikatnya. Selama ini Sufi terbuai dengan perasaannya mengingati kata-kata
sayang yang tidak pasti daripada Danish. Namun jika Danish sudah memberikan
suatu kepastian, berani kerat jari punya, Sufi pasti akan melarikan dirinya.
Meninggalkan Danish. Bukan tak tahu perangai Sufi. Pantang dia kalau lelaki cuba untuk
memiliki hatinya. Entahlah. Sikap Sufi kadang kala sukar ditebak.
Atau Sufi sebenarnya takut dengan
kenangan dan perjalanan hidup yang melingkarinya. Konflik ibu dan Ramli yang
tidak berkesudahan. Maria dan suaminya. Seorang demi seorang suaminya meninggalkannya. Juga sikap lelaki-lelaki
yang selama ini terlibat dengan Maria, langsung gagal untuk memberikan contoh yang
baik kepadanya. Jika ada lelaki ulung depan matanya hanya arwah ayah dan
abangnya. Selain mereka, Sufi melihat lelaki sebagai manusia yang suka
mempermain-mainkan.
Itulah sebenarnya mengapa gadis
periang seperti Sufi kelihatan agak androphobia. Sebenarnya dia takut rentetan hitam yang dilalui
ibunya berulang kepadanya. Takut bertemu lelaki yang suka mengambil kesempatan
seperti yang ditemui Maria di dalam hidupnya. Selain Maria, kakak-kakak Sufi
yang lain tidak berminat untuk melibatkan diri dengan lelaki. Cuma kalau ada
jodoh mereka tidak menolak.Tapi mereka tidak mencari. Menyerah seratus-peratus
kepada ketentuan Ilahi. Malah mereka iaitu Kak Eisya, Kak Izan dan Kak Lila
tidak pernah membiarkan diri terpedaya mudah-mudah dengan lelaki. Menolak cinta
yang dihulurkan mana-mana lelaki. Namun tidak menolak fitrah manusia dijadikan
berpasang-pasangan. Disebabkan itulah Kak Izan menerima jodoh yang diatur
keluarga. Kini rumahtangga Kak Izan bahagia bersama Abang Adi.
Sufi melihat contoh-contoh sebegitu
sepanjang hidupnya. Membuatkan kepalanya ligat membuat ketentuan sendiri. Dia
sama sekali tidak akan membenarkan dirinya dipermain-mainkan lelaki. Tidak!
Sama sekali tidak akan membenarkan. Namun demikian mampukah Sufi dengan
sikapnya yang mudah kasihankan orang lain? Apa sufi lupa bagaimana dia memaksa
dirinya menerima Helmi dahulu kerana kasihankan Helmi? Apa Sufi sudah lupa itu?
Biarpun dia hanya berlakon menerimanya pada awalnya, namun lama-kelamaan dia
memilih untuk belajar menyayangi seseorang sepenuh hati. Sufi lupa itu? Mungkin
keadaan itu akan berulang. Sufi jenis yang mudah kasihankan orang.
“Oi, Pi. Apa halnya yang dok
termenung jauh tu? Ingat Danish?” Sergah Ana yang dari tadi memerhatikan
gelagatnya.
Sufi yang sedikit tersentak menoleh
ke arah Ana. Dah siap berpakaian nampaknya si Ana. Mana dia nak pergi agaknya?
Mungkin mahu keluar dengan Aziz, lepas
itu cakap pada Sufi keluar dengan budak Kejut. Eleh, mentang-mentang
Sufi berkawan dengan Danish budak Kejut, dia pun tak mahu kalah. Sufi bukan tak
tahu tu. Pernah dia terserempak dengan Aziz yang sedang menunggu Ana di depan
koperasi. Sedangkan masa tu Ana cakap nak keluar dengan budak Kejut. Malah dia cakap macam itu kepada semua orang.
Dia rasa glamour kot kalau berkawan
dengan budak kejut. Entahlah, tapi Sufi tak rasa apa-apa pun. Ceh! Ana memang
macam tu, tak boleh kalau ada orang lebih sikit berbandingnya.
“Oi, apa pandang-pandang? Tak dengar
ke orang tanya?” Ana bertanya lagi.
“Yang Ana dah melawa ni nak ke mana?
Dating ngan Aziz?” Giliran Sufi pula
mengusik Ana.
Berubah sedikit muka Ana. Geram
disindir begitu oleh Sufi. Mentang-mentanglah rahsianya dah terbongkar. Sejak
dia tahu Ana selama ini keluar dengan coursemate
sendiri teruk Sufi menyindirnya. Silap aku jugak, kemain kutuk Aziz masa dia
nak pikat aku, alih-alih aku keluar dengan dia. Tapi Sufi ni pun satu. Kalau
dia dah tahu apa-apa rahsia tu memang tak boleh diam dia, asyik-asyik nak
menyindir. Gerutu Ana.
“Orang bukan nak keluar dengan
sesiapa. Nak pergi cari makanan untuk makan tengahari je. Sufi tak mau keluar
makan ke? Atau tunggu Danish datang jemput?” Kata Ana. Membakar Sufi.
“Danish? Huh kalau dia dok
dekat-dekat sini memang ngan dia le saya dok berkepit. Nanti Ana jugak yang jealous nanti.”
Ana mencebik. Geram dia.
Mentang-mentanglah Danish tu agak lawa. Bukan agak lawa, tapi dah kira tahap
lawa gila bangga benarlah Sufi. Tentu terbeliak mata student perempuan yang lain tengok Sufi berdampingan dengan Danish.
“Dah lah Pi, malas orang nak
bertekak dengan Pi. Pi nak keluar makan tak ni?”
“Nak pegi jugak. Tunggu kejap ya.”
Sufi bangun dari meja studynya. Menerpa ke loker dan mengeluarkan sepasang baju
kurung untuk dipadankan dengan tudung kepala warna yang sama. Sufi bersiap
lebih kurang lantas mengekori Ana yang sudah sedia menunggu di muka pintu bilik.
Dalam perjalanan menuju ke Jas Café
mereka terserempak dengan Cikgu Jaafar bersama Cikgu Zaluhi. Cikgu Jaafar dan
temannya menghadiahkan senyuman kepada
mereka. Ana dan Sufi terkekeh-kekeh ketawa sehilangnya dua orang guru yang
sedang menyambung pengajian mereka ke peringkat bacelor itu.
“Terkenang awal pengajian dulu,
Cikgu Jaafar tu nak tackle Ana kan? Masa tu senang
kemain kita masa nak buat assignment,
semua dia orang tolong carikan bahan.” Sufi mengajak fikiran Ana mengimbau masa
lalu.
“Nak hidup Pi. Time tu kita pun baru lagi di sini, tentulah kena manfaatkan segala
kemungkinan yang bermain depan mata kita. Guna apa saja kesempatan yang ada.
Orang lelaki ni, dia orang bukan nak apa. Sekadar nak tunjuk jantan tempat
orang. Mustahil orang macam Cikgu Jaafar tu belum ada isteri.”
“Tapi Ana nyaris terpedaya kan? Kalau tak de pakar
firasat ni, tentu Ana dah terpedaya dengan lelaki macam Cikgu Jaafar tu.”
Ana tersengih. Memang kata Sufi ada
benarnya. Dia memang percaya sakan dengan Cikgu Jaafar ketika itu. Mujur Sufi
banyak menasihatkan agar berwaspada kerana pada pandangan Sufi, Cikgu Jaafar
semacam sudah mempunyai isteri merujuk kepada gayanya. Ditambah pula dengan
cerita Kak Ida dan Ina, rakan kursus mereka yang pernah terserempak Cikgu Jaafar
bermotor dengan seorang perempuan muda sedang mengandung. Sah! Tentu saja itu
isterinya. Sejak itu Ana menjauhi Cikgu
Jaafar. Kepala otak Sufi ni ada masanya boleh pakai juga.
Si Sufi ni, ada masanya buat Ana respect . Selain Danish, nampaknya dia
tidak mudah terpedaya dengan mana-mana lelaki yang melintang depan mata dia.
Semua dia bagi markah kosong. Zero!
Kalau tengok dia rapat dengan seseorang pun belum tentu dia ada hati dengan
pemuda itu. Tengok saja Pak Ya, Asri dan sesiapa pun. Mulut dia tak lain
menyebut Danish saja. Agaknya kalau Danish ada depan mata hari-hari bertenet
Sufi ni. Tapi betul kah Danish tu buah hati dia? Ada juga Ana terfikir-fikir begitu. Nak kata
bercinta, tak macam orang bercinta, tapi kalau Sufi tengah angin atau merajuk,
siaplah Danish menelefon memujuk. Peliknya sambil-sambil menangis Sufi boleh
tergelak-gelak kalau dah dipujuk Danish.
Danish? Ana tengok memang lawa
orangnya. Tengok melalui gambar sajalah. Belum ada masa nak face to face. Kalau ikut dalam
gambar Danish agak tinggi. Lebih tinggi
daripada Aziz yang Ana dok berdating
tu. Mukanya? Huh, ada iras-iras Sunjay Dutt. Memang kira tahap lawa gilalah.
Hairan juga Ana, perempuan tak lawa macam Sufi boleh pula tackle pemuda yang lawa. Atau betulkah kata Sufi, kalau perempuan
lawa, jodohnya dengan lelaki tak lawa. Macam Ana, sikit punya cun Ana ni, tapi
yang dok berkepit dengan dia sekarang ni semua
kira tahap zero. Bila agaknya
Danish nak datang UPM ni dan jenguk Sufi macam kawan-kawan lelaki Sufi yang
lain? Nak juga Ana pergi mengendap time
tu. Hi! Hi! Hi! Bukan apa, sekadar nak tengok secara live wajah sebenar Danish. Lawa macam dalam gambar ke atau itu
gambar orang lain yang menghias tempat tidur Sufi.
Tempat tidur? Memang tempat
tidurlah. Sufi letak bingkai gambar yang ada gambar Danish atas katil. Sebelah
bantalnya. Memang mabuk Sufi tu. Tapi dia kata belum declare lagi dengan Danish. Nak tunggu apa agaknya Sufi tu? Mabuk
dah tahap kronik macam tu pun dia tak nak declare.
Karang melepas pulak, baru padan muka!
“Oi, Ana nak makan apa ni? Dari tadi
orang dok tanya dia pulak tersengih-sengih aje.” Sufi menepuk lengan Ana
membuatkan Ana terkejut.
“Ingat Cikgu Jaafar?”
“Tak. Ingat Danish.”
“Hoi! Ana dok ingat dia ngapanya?
Silap parking ke otak tu?” Sufi
berpura-pura marah.
Bagi dia tak jadi kudis pun kalau
Ana ingat Danish. Ana bukan kenal Danish pun, takkan pula Ana nak admire Danish tanpa kenal batang hidung.
Atau Ana dah teradmire Danish melalui
suara semasa Ana tolong jawabkan panggilan Danish ketika Sufi ke tandas? Hah,
tu dah kes berat tu. Masakan boleh jadi macam tu. Suara Danish bukan sesedap
manapun. Ish! Tak masuk akal. Lainlah kalau suara Danish best sakan macam suara Kenny Rogers atau paling koman Sudirman. Ops
… arwah Sudirman.
“Pi, orang ingat tengahari ni nak makan Yong Tau Fu lah.”
“Dah tu, ngapa datang sini? Mana ada
benda alah tu kat sini?” Sufi geram juga dengan peel Ana ni. Susah
payah dia menapak dari KMR ke Jas Café, ingat dekat kah jarak dua tempat tu?
Kalau daripada awal putuskan mahu
melantak benda tu, tak perlu susah payah berjalan sejauh itu. Dekat kafe UPM
pun ada. Lahabau betul Ana ni. Tapi alang-alang sudah datang, biar Sufi pilih
dulu makanan yang dia hendak makan. Alihnya Sufi memesan sebungkus nasi goreng
pattaya. Itu saja yang termampu difikirkan oleh seleranya. Ikutkan hati dia nak
makan Pizza Hut. Hari-hari makan benda alah tu pun tak apa. Itu super best sakan tu! Kalaulah ada orang support makan Pizza Hut oh, alangkah
bahagianya.
Ana dan Sufi melangkah pulang ke KMR
setelah nasi goreng Sufi siap. Dalam perjalanan pulang mereka terserempak pula
dengan seorang lagi coursemate
mereka, budak satu daerah dengan Sufi. Syafizan namanya. Pemuda ROTU itu
melemparkan senyuman paling manis buat mereka berdua. Hah, pulak. Ni sapa pulak
yang dia nak tackle ni? Mesti dia nak
tackle si mata bundar di sebelah
Sufi. Senyuman yang dilemparkan Syafizan membuatkan Ana dan Sufi berpandangan.
“Syafizan ni mesti dah berkenan kat
Ana ni.”
“Pi, kalau tak mengata tak boleh?”
Sufi tersengih. Dia memang senang
menyakat Ana. Ana memang mudah termakan kalau ada sesiapa padankan dia dengan seseorang tambah yang
lawa tahap sembilan puluh sembilan darjah. Apatah lagi dengan Syafizan yang
mendapat tempat agak selesa dalam ranking
pemuda wanted FBMK. Huh, kembang dada
Ana kalau Syafizan mahu mendekatinya.
Sufi dan Ana membiarkan persoalan
mengenai Syafizan, tambahan pula telefon genggam Ana berbunyi. Entah siapa
gerangan pemanggilnya. Sufi malas untuk memasang telinga. Dia berjalan
mendahului Ana yang berjalan lambat-lambat kerana asyik melayan panggilan.
Perut Sufi ketika itu sudah menjerit minta diisi. Laparnya sudah sampai ke
peringkat nazak.
Tiba di bilik Sufi pantas menyalin
pakaian, mengenakan pakaian yang lebih selesa dan sesuai dengan keadaan cuaca
ketika itu yang sedang panas sakan. Semasa dia mencapai jeans pendek paras
lutut yang terlipat elok di birai katil dia sempat mengerling ke arah gambar
Danish. Hatinya tiba-tiba teringatkan Danish. Sudah beberapa hari dia tidak
mendengar suara pemuda itu. Apa khabar agaknya Danish ketika itu?
BAB EMPAT
Kuliah
Penggunaan Komputer Dalam Pembinaan Bahasa. Pensyarahnya siapa lagi kalau bukan
Dr. Jam – Jamaliah. Seorang wanita berkaliber yang dikagumi oleh Sufi. Tentunya
juga seorang wanita single. Sufi
memang tidak pernah tuang kalau kuliah Dr. Jam. Sufi amat suka dengan cara
kuliahannya yang bersahaja dan sesekali diselang-selikan dengan jenaka. Memang
tidak membosankan. Meskipun single Dr. Jam happy
go lucky orangnya.
Pelajar ketika itu masih belum ramai
yang datang. Sufi mengambil tempat di tengah dewan. Kira agak di atas jugalah.
Ana mengambil tempat di sebelah kiri Sufi dan di belakang mereka kumpulan Pak
Ya dan Asri. Tengah membuat bising dengan berborak tentang pelbagai perkara. Di
sebelah kanan Sufi tiada sesiapa. Sufi mendongak ke atas, ke arah Pak Ya sambil
mengangkat tesis di tangannya. Pak Ya agak kehairanan melihat tesis itu.
Masakan tidak, para pelajar tidak dibenarkan membawa keluar tesis dari
perpustakaan U atau perpustakaan fakulti. Mana Sufi dapat benda alah itu? Ia
benar-benar membuatkan Pak Ya tertanya-tanya.
Sufi tersengih melihat reaksi wajah
Pak Ya, memang dia sengaja menayangkan tesis itu kepada Pak Ya biar pemuda
berwajah Zakaria Yusuff merasa iri.
“Mana dapat Pi?” Soal Pak Ya tidak puas hati.
“Orang ampu supervisor. Hi! Hi! Hi! Ni seakan-akan sama tajuk dengan orang
punya tesis tau. Jangan jealous,”
ujar Sufi tersengih-sengih.
Gembira dia kerana dapat membuatkan
Pak Ya merasa iri dengan kecekapannya mencari bahan rujukan untuk tesisnya.
Sedangkan Pak Ya dua tiga hari lepas ada menelefon Sufi menceritakan kepalanya
hampir pecah untuk mencari bahan bagi menyiapkan proposal tesis. Alih-alih Sufi
dengan senang dapat mencari tesis yang mempunyai tajuk seakan-akan tajuknya.
Memang Sufi bernasib untung berbanding dirinya.
Tiba-tiba datang Syafizan mengambil
tempat di sebelah kanan Sufi. Mulanya selang sebuah kerusi, tapi baru sejenak
dia bangun semula dan mengambil tempat betul-betul di sebelah Sufi. Terlintas
sangkaan di dalam hati Sufi. Si Syafizan ni mesti ada apa-apa. Dia menyapa
Sufi. Sufi cuma tersenyum. Ana di sebelah Sufi memandang Sufi sejenak sebelum
menoleh ke arah Ina, Kak Ida dan Kak Ilah yang duduk di lajur berlainan.
Ternyata mereka juga sedang memusatkan pandangan ke arah Syafizan.
Lalu kuliah Dr. Jam hari itu tidak
dapat Sufi kuasai sepenuhnya memandangkan Syafizan ada di sebelahnya dan asyik cuba memancing
minatnya untuk berbual. Entah apa yang cuba Syafizan lakukan sebenarnya.
Pada fikiran Sufi Syafizan cuba
berbaik-baik dengannya untuk memenangi perhatian Ana di sebelahnya. Buat baik
pada member dulu, baru pancing tuan punya badan. Ceh! Dia ingat aku tak tahu
taktik kotor dia. Gerutu Sufi dalam hatinya.
Sesudah kuliah masing-masing
berkumpul di luar dewan. Ana dan Sufi sedang berbicara dengan Cikgu Zainol Amin
ketika Syafizan datang merapati mereka. Matanya menjeling ke arah Ana semasa
menyapa Sufi.
“Ni hah, tadi saya lupa nak tanya.
Awak dah pergi tengok timetable for
tutorial Tatabahasa kat bilik Puan Siti Amhar?” Soal Syafizan kepada Sufi.
“No.
Not yet. Belum ada masa nak ke fakulti. Tapi menurut Ina, kawan saya yang
kecil molek tu, rasanya timetable tu
tak sesuai dengan masa kuliah dan tutorial lain.”
“Kalau macam tu, hari apa yang awak
boleh? Nanti saya cuba
bincang dengan Puan Siti.”
“Kita free hari apa Na?” Soal Sufi kepada Ana memandangkan dia tidak arif
dan hafal sangat jadual kelasnya, semua itu Ana yang bereskan. Sufi hanya
mengikut saja.
Ana yang
sedang rancak melayan Cikgu Zainol dan Nordin menoleh. Dia termenung sejenak.
Seperti berkira-kira masa yang sesuai untuk memilih waktu tutorial Tatabahasa
mereka.
“Rabu Pi. Hah, yalah Rabu. Hari lain
kita padat.” Ana memberi tahu seraya mengukir senyuman paling manis buat Syafizan.
“Okey, nanti saya pergi bereskan
dengan Puan Siti. Eh, tapi nanti kita satu group
ya?”
“Group
apa?” Sufi agak tidak mengerti.
“Group
for presentation.”
“Aaa, tengoklah kalau kita sama
kelas tutorial nanti.”
Syafizan mengukirkan senyuman mendengar
jawapan Sufi. Dia kemudiannya meminta diri untuk ke fakulti. Ana dan Sufi
kemudian menyambung perbualan dengan Nordin dan Cikgu Zainol. Perbualan mereka
berkisar tentang projek assignment Pengurusan
dan Penyelesaian Masalah. Memandangkan Cikgu Zainol menetap di KOSSAS mereka
telah mengambil kata sepakat untuk membuat perbincangan di kolej tersebut.
Entah mengapa malang nasib Ana dan Sufi, kalau ada tugasan
tentunya mereka terpaksa menubuhkan kumpulan tugasan dengan pelajar lelaki.
Kadang-kala naik boring juga kerana
mereka bukannya rajin sangat. Cuma kali ini mereka dipertemukan dengan Nordin,
nampak agak berkaliber orangnya. Maklumlah bakal dapat anugerah pemegang Golden Key. Seronok jadinya mereka dapat
berkerjasama dengan seseorang seperti Nordin. Cuma Nordin bukan jenis pemuda yang suka berbual-bual
kosong. Sakanlah Sufi dan Ana menyakat Nordin. Dia juga soft spoken dan gentleman
style. Kalau tengok gaya
memang Sufi bagi markah zerolah.
Sungguhpun demikian, bagi Ana dan ramai lagi, Nordin antara contoh yang boleh
dijadikan idola.
Sudah pasal Nordin atau sesiapa
saja. Sufi dan Ana pun sudah membuka langkah untuk pulang ke kolej. Hari masih
awal. Belum separuh hari, tapi kelas untuk hari itu sudah berakhir semuanya.
Ikutkan timetable mereka harus menghadiri
kelas Variasi dan Laras Bahasa Melayu. Tapi manusia berdua itu bukan jenis
rajin ke kelas yang penuh dengan manusia dewan kuliahnya. Panas. Sementelah
pula kelas jam satu tengahari. Gerun dengan kepanasannya yang maha hebat.
Sebelum tiba ke bilik Sufi sempat
singgah di public phone. Menelefon
abangnya yang tinggal di PJ memberitahu agar datang menjemputnya malam nanti.
“Tak cakap pun nak balik rumah
abang...” Ana sedikit cuak berkata sebaik Sufi menghabiskan perbualan.
Tentu juga tidak berpuas hati kerana bakal
ditinggalkan keseorangan menghabiskan cuti hujung minggu mereka.
“Tak cakap pun tak apa. Hujung
minggu ni Ana tentu akan ada rancangan. Tentu si Faizal atau si Azmir akan
telefon Ana untuk pergi bersiar-siar kat KL.”
“Dia orang kalau nak ajak dah
telefon awal-awal lagi Pi.”
Sufi ketawa. Ketawanya mengundang
tanda tanya maya atas kepala Ana.
“Dia orang tu tahu gamaknya.” Sufi
berkata kemudiannya sambil membuka pintu bilik.
“Tahu apa pulak Pi?”
“Tahu kalau lewat booking Ana akan keluar dengan orang
lain. Padah juga tau kalau kita mainkan orang, takut belum mereka terkena kita
terlebih dahulu dikenakan,” kata Sufi.
Ana mencebik, Sufi memang macam itu.
Terkenalah, dikenakanlah. Padahal dia
dengki apabila hujung minggu kalau dia
tidak ke rumah abangnya, terperap dalam bilik sajalah. Tiada sesiapa yang
teringin mahu mengajak dia keluar. Itu yang dia dengki sangat.
“Tilam dan bantal, aku rindukan
korang!” Jerit Sufi sambil melompat ke atas katilnya dengan di mulutnya
tergigit satu bungkusan Mamee Monster.
Tengoklah tu, perangai ngalahkan
bebudak. Manalah ada lelaki nak berkenan. Dahlah rupa tak berapa lawa. Perangai
pulak... ish malas nak terjemah. Ngomel Ana yang sentiasa kontrol ayu,
lebih-lebih lagi depan jantan!
Sufi sudah menghabiskan Mamee
Monsternya. Dia meneguk air dari botol air mineral yang memang sedia ada di
atas tilamnya. Menglap-lap tangan dengan tuala kecil yang tergantung di kepala
katil. Seketika merenung gambar Danish. Degupan jantungnya bertukar rentak. Sudah
beberapa hari dia tidak mendengar suara Danish. Kau apa khabar Danish?
Menelefonnya? Sufi tiada hati untuk berbuat demikian. Dia masih teringatkan
masalah yang sedang menghantui ibunya. Dia jadi gegau dan rasa termengkelan
biarpun terhadap Danish yang selama ini seakan menjadi penyeri hidupnya.
Tidak lama Sufi begitu apabila dia
sudah menepuk-nepuk bantalnya untuk tidur. Memandangkan dia keuzuran, jadi dia
boleh menggandakan tidurnya tengahari itu. Kemudian bangun nanti dia boleh ke
cafe mencari sedikit makanan untuk mengalas perutnya. Tengahari itu dia dan Ana
tidak tahu juadah apa patut dijamukan kepada perut masing-masing, lalu tidur
dululah!
Malam Abang Zali datang menjemput.
Bersama Kak Nida dan anak-anak mereka. Adam Daniel dan Esma Yusuff. Budak-budak
berdua gembira bukan kepalang melihat Sufi. Lalu masing-masing berebut-rebut
untuk didukung Sufi. Mengah jadinya Sufi melayan kerenah mereka berdua. Setiap
kali melihat Sufi begitulah mereka. Adam biasanya tidak mahu mengalah pada si
Usop. Itu yang membuatkan suasana jadi gamat.
“Mak ada telefon abang?” Soal Sufi
semasa dalam perjalanan.
“Tak ada, kenapa pulak?”
“Orang ada telefon mak kelmarin. Ada
problem sikit kat rumah.” Adu Sufi
dalam perjalanan pulang.
Memang kalau ada apa-apa masalah dia
akan mengadu kepada abangnya. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar
perkara. Disebabkan itulah dia memutuskan untuk menghabiskan hujung minggunya
di rumah abang kali itu. Ingin melampiaskan keserabutan fikirannya kepada
abang. Biasanya abang akan menenangkan hati Sufi dengan memberikan pendapatnya.
“Apa pulak kali ni?”
“Maria. Dia nak kahwin lagi.”
“Kahwin lagi? Kan dia belum
diceraikan Omar?”
“Itulah. Dia mati-mati cakap kat mak
Omar dah ceraikan dia secara taklik. Kaki temberang Maria tu.”
“Biarlah, biar dia kahwin. Tapi
abang tak akan pulang untuk mewalikannya.”
Hah, itulah yang Sufi nak dengar
sangat. Kalau abang tak mahu walikan siapa lagi yang boleh walikan Maria?
Mereka bukan ada saudara mara yang layak untuk mewalikannya. Adik-adik lelaki
Sufi iaitu Aman dan Sauki belum layak
kerana masih di bawah umur.
“Ada mak cakap dia nak kahwin dengan
siapa?” Soal Kak Nida pula sambil mengupas kulit limau untuk dijadikan habuan
Adam dan Usop.
“Siapa lagi kalau bukan si Hassan yang
jadi tukang kayu tu.”
“Kan dia masih ada isteri...”
“Memanglah Kak Nida. Tapi yang
geramnya masa merisik hari tu, bukan orang lain yang datang merisik, tapi
isteri si Hassan tu sendiri.”
“Eh, ni dah jadi cerita menarik.”
“Menariklah. Dahlah dia tu masih
isteri orang.”
“Maria tu sebenarnya bodoh. Dia tak
nampak yang dia orang tu bukannya nak sangat kat dia, tapi nak kan duit dia.
Maria pula kalau dah gila kat lelaki, sanggup berhabis,” ujar Abang Zali geram.
“Cakap abang tu memang betul. Ibu cakap
sekarang ni pun Maria dah belikan Hassan tu telefon genggam untuk memudahkan
mereka berhubung. Malah Maria sering jugalah ke rumah Hassan, bawa macam-macam
buah tangan untuk isteri dan anak-anak Hassan.”
“Itu yang isteri dan anak-anak
Hassan tu berkenan sangat. Setau abang mereka tu bukannya senang sangat.”
“Mereka memang bukan orang senang.
Hassan tu anak masih kecil-kecil semua tengah memerlukan belanja besar. Tapi
Maria pun bukan berduit sangat. Harapkan duit ibu saja. Selalu dia ambil duit
ibu. Paling kasihan ibu lah. Siapa lagi? Ibu yang susah payah cari rezeki,
senang-senang masuk dalam poket orang lain.” Sufi berkata dalam nada yang jelas
sekali terkandung amarah.
“Maria ni pun satu, kes dengan Omar
belum selesai dia dah cari masalah baru pulak,” kata Kak Nida kesal.
Sufi bersetuju dengan kata-kata
kakak iparnya. Maria memang suka sangat mencari masalah. Dalam sembilan orang
adik-beradik Sufi, Maria paling suka bawa masalah. Benci juga Sufi dengan
keadaan itu. Kadang-kala dia juga menyalahkan ibu kerana terlalu memberi muka
kepada Maria. Maria buat apa saja pun dia tetap akan memaafkan Maria. Kalau
Sufi katakan demikian pada ibu dia cakap Sufi belum tahu perasaan seorang ibu.
Kelak Sufi akan tahu juga apabila sudah mempunyai anak sendiri.
Anak sendiri? Entahlah jadi
kenyataan atau tidak kata-kata ibu itu. Buat masa sekarang Sufi tidak
terfikirpun untuk berkahwin meskipun dia teringin mempunyai anak. Bukan kerana
dia masih muda, tapi kerana intuisinya mengatakan tiada lelaki yang benar-benar
boleh dipercayai. Danish? Hah dia tu, Sufi sendiri tidak tahu dan tidak pasti
kedudukan Danish di dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi buat masa sekarang, ketika
hatinya sedang merasa jengkel terhadap orang lelaki. Membuak-buak rasa kurang
senangnya untuk memikirkan soal hidup berpasang-pasangan.
Lagipun dia tidak nampak mana-mana
kelebihan pada sesiapa juga yang dikenalinya. Baik Danish atau sesiapapun. Dia
hanya berkawan sekadar untuk menghilangkan kebosanan dan sekadar untuk bergelak
tawa. Entahlah. Tapi dia akui memang ada rindu di hatinya buat Danish jika
terlalu lama tidak mendengar sebarang khabar berita daripada temannya itu.
Dalam masa yang sama juga dia akui dia lebih berminat untuk berkawan dengan
lelaki memandangkan kaum lelaki tidak gemar bercakap tentang orang lain. Jika
mereka berbual lebih berkisar tentang mereka dan minat mereka. Disebabkan itulah Sufi sejak dulu ramai kawan
lelaki berbanding kawan perempuan. Dia juga bersedia untuk berkawan dengan mana-mana
lelaki asalkan kena dengan caranya.
Cuma Sufi sering kali berhati-hati
berkawan dengan lelaki bimbang mereka dan orang-orang sekeliling salah faham.
Di samping itu Sufi juga gemar mengusik mereka. Lebih-lebih lagi jika lelaki
itu agak pediam dan agak segan dengan perempuan. Kalau lelaki jenis itu nahas
Sufi kenakan. Kesudahannya dia akan jadi rapat dengan lelaki berperwatakan
demikian. Seronok juga Sufi.
Tiga hari Sufi duduk menenangkan
jiwa di rumah abangnya. Sehabis cuti hujung minggu Sufi kembali semula ke
kolej. Sebaik tiba di kolej Sufi terus ke pejabat untuk melihat kalau-kalau ada
surat untuknya. Schoolmate Sufi
memang masih berhubung dengan Sufi meskipun masing-masing berlainan U. Sufi
memang gembira dengan keadaan itu.
Lelaki perempuan semua masih ingatkannya menjadikan Sufi antara orang yang
paling kerap menerima surat di KMR.
Bagaimanapun hari itu nampaknya
tidak banyak surat untuk Sufi, melainkan sepucuk surat yang ditaip rapi
menggunakan komputer. Melihat pada cop di sampul ia dihantar oleh seseorang
yang berada di UPM juga. Siapa agaknya? Sufi berdebar-debar untuk mengetahui
pengirimnya. Misteri juga ni!

No comments:
Post a Comment