Sunday, 16 September 2012

SEMANIS CINTA SEMALAM 1-10


TAJUK          : SEMANIS CINTA SEMALAM
OLEH             :  ANNUR PUTERI
________________________________________________________________________
PROLOG
Bacaan ayat suci al-quran kedengaran berkumandang dari pemain cakera padat di bilik Adli. Adli pula kelihatan termenung di satu pojok bilik. Sendiri. Tanpa sesiapa. Tanpa anak isteri di sisi mahupun adik-beradik. Sudah lama Adli dalam kondisi begitu sebenarnya. Sejak subuh. Usai menunaikan tanggungjawab wajib dan sedikit rutin sunat, Adli menghabiskan masa dengan menghayati bacaan ayat suci al-Quran. Adli sudah berusia. Garis-garis ketuaan sudah lama terlakar pada wajah Adli. Tidak Adli nafikan. Semakin usia menginjak ke satu angka demi satu angka yang lain, rasa dalam diri Adli juga semakin berubah. Ada satu kerinduan pula yang tertinggal dalam hati melewati usia sebegitu.

            Adli tahu.

            Terlalu banyak kerinduan melimpah dalam diri Adli sekarang ini. Semakin Adli biarkan dirinya mendap dalam kerinduan itu, semakin Adli tenggelam dalam suasana yang cukup nostalgik dan menyentuh hati. Macam-macam kenangan menggemik-gemik ingatan Adli sekarang. Kenangan masa lampau. Kenangan bersama kedua-dua arwah ibubapa dan kenangan bersama adik-adik yang kini sudah mempunyai kehidupan sendiri. Adli rela tenggelam dalam kenangan itu. Hujung minggu begitu Adli lebih senang duduk-duduk sahaja di bilik. Membiar medan fikir sarat dengan kenangan dan ingatan.

            Ah! Betapa teringinnya Adli kembali pada zaman itu. Zaman yang cukup indah. Ada ibu bapa. Adik-adik yang masih kecil dan naïf. Adli kala itu dilihat sebagai idola dan serba-serbinya sempurna di mata adik-adik. Mereka sayangkan Adli dan begitu gembira jika sesekali Adli pula ke kampung. Pada adik-adik Adli segala-galanya selain kedua-dua ibubapa. Adli citra lelaki pelindung, pembimbing dan segala-gala yang baik Adli lah.

            Kini? Adli mungkin masih semuanya pada mata adik-adik. Tapi kedewasaan mereka menghakis sedikit hormat dan membuang sedikit sanjungan terhadap Adli. Sejajar pula dengan sikap tegas Adli yang sesekali disulam dengan unsur sinikal dalam membentuk dan membimbing adik-adik sepanjang mereka menyusuri kedewasaan, Adli hilang adik-adik yang sentiasa ingin bermanja dan melihat Adli sebagai wira. Adli hilang semua itu.

            Dan itulah yang Adli rindu. Adik-adik yang manja dan yang sentiasa melihat Adli sebagai segala-galanya. Adik-adik Adli sudah besar panjang. Sudah ada kehidupan sendiri. Sudah pandai mengatur kehidupan dan paling penting adik-adik Adli paling tidak suka urusan hidup mereka diatur rentak oleh Adli meskipun jika Adli sekadar mahu menyuarakan pendapat. Padahal niat Adli hanya inginkan yang terbaik buat adik-adiknya. Niat Adli ikhlas.

            Bukankah tempat kedua-dua orang tua yang sudah tiada sepatutnya diganti oleh seorang abang paling tua? Itulah yang Adli ingin jadi. Malangnya adik-adik bagai tidak faham dan itulah yang membuat hati Adli sedikit menyerpih. Ditambah pula dengan sesarat rindu pada masa lampau yang dianggap cukup indah dan nostalgik membuatkan pagi itu Adli benar-benar tersentuh melankolik.




















BAB SATU
1972
Kampung Berlian, Tumpat, Kelantan.

“Adli tinggal sini ya, nanti mak dan ayah datang balik ambil Adli dan adik-adik,” beritahu  emak kepada Adli yang nampak ditimpa sedih.

            “Kenapa kami tak boleh ikut mak dan ayah ke Bukit Abu?” Soal Adli dengan suara perlahan.

            Emak melepaskan pandangan ke wajah keruh ayah. Seperti emak, ayah pun keberatan untuk meninggalkan Adli dan adik-adiknya di situ. Anak-anak masih muda benar untuk ditinggalkan tanpa pengawasan mereka, ibu bapa sendiri. Malangnya anak-anak terpaksa ditinggalkan kerana mereka suami isteri ingin mencuba nasib di satu tempat baru. Kampung Berlian. Sepanjang mereka di situ rupanya tidak menjanjikan apa-apa bagi memungkinkan mereka mengubah nasib mereka anak-beranak.

            “Adli dengan adik-adik tinggallah kat sini dulu. Ayah janji akan bawa Adli dan adik-adik ke sana  kalau ayah dah dapat rumah berek.” Begitu pula  kata ayah. Kata-kata yang lebih berupa janji.

            Adli tidak mampu bersuara lagi. Adik-adik sementelahanlah pula. Adli tidak berani untuk menentang kata-kata ayah walau menggunakan pendekatan penuh hormat sekalipun. Bagi Adli kata ayah merupakan keputusan yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Ditambah pula ayah sanjungan teratas Adli. Segala rasa seperti kagum, hormat dan takut begitu sinonim untuk ayah.

            Lalu emak dan ayah meninggalkan Adli dan adik-adik: Azian dan Aziah di Kampung Berlian. Kampung kelahiran Adli sendiri. Namun dek kerana ayah dan emak sering berpindah-randah demi mencari peluang mengubah nasib anak-beranak, kampung kelahiran itu Adli sering tinggalkan. Namun kali ini Adli kembali. Ikutkan hati Adli lebih senang mengikut ayah dan emak.  Tidak ingin berada di Kampung Berlian hanya ditemani adik-adik. Malangnya kehendak ayah dan emak tidak begitu. Mereka masih belum mendapat rumah di tanah rancangan Bukit Abu dan sekadar menumpang Mak Mek, iaitu ibu saudara ayah.

            Peritnya untuk ayah dan emak mencari rezeki bagi mereka sekeluarga.  Adli cukup-cukup sedar itu. Kesusahan dan kesesakan sudah memang menjadi satu sumpahan bagi mereka dan ayah nampaknya cuba untuk memutuskan rantai besi yang melilit dan berselirat membelit kehidupan mereka. Ayah dilihat Adli sebagai lelaki berwawasan yang tidak pernah berpuas hati dengan sekadar mampu memberi makan sekadar-sekadar sahaja buat anak isterinya. Ayah seorang wira bagi Adli.

            Lalu Adli harus akur apabila ditinggalkan di Kampung Berlian. Bersama Azian dan Aziah. Dua orang adik yang masih belum mengerti apa-apa. Mengerti apa-apa? Ah, memang mereka belum mengerti apa-apa. Dan Adli merenung ke wajah adik-adiknya. Tampak jelas kenaifan di wajah mereka berdua. Tuhan! Seru Adli dalam hati. Selamatkanlah ayah dan emak aku. Selamatkanlah kami di sini.


Adli berjalan di bawah panas terik pulang dari sekolah. Pakaian seragamnya yang sudah tentulah sedikit lusuh lencun dek peluh. Cuaca panas ditambah pula perjalanan agak jauh dari sekolah untuk ke rumah datuk membuatkan tekaknya terasa perit sekali. Kala itu dingin air tempayan di jemuran rumah bagai menggemik-gemik Adli agar segera pulang.

            Sabarlah tekak. Pujuk hati Adli sendiri.

            Perjalanan sudah semakin dekat. Atap rumbia rumah atuk tempat Adli dan adik perempuannya Azian menumpang teduh semakin kelihatan di mata. Adli mempercepatkan langkahnya dan sesekali berlari anak. Tinggal dua tiga langkah lagi untuk tiba di rumah telinga Adli tiba-tiba mendengar suara teriakan maha bergempita menyuruh seluruh penduduk kampung melarikan diri.

            “Lari! Lari ke hutan semua, lari cepat!”  Entah suara siapa-siapa menggesa penduduk kampung melarikan diri dalam nada ketakutan yang amat.

            Adli yang tidak tahu hujung pangkal turut melarikan diri bersama penduduk kampung yang melintasinya. Penduduk kampung itu membawa sarat bersamanya periuk belanga. Hati Adli berdebar-debar. Entah bencana apa sedang melanda kampung atuknya ketika itu santak penduduk kampung diserang rasa gemelugut yang maha dahsyat. Begitupun pada anggapan Adli tentulah sesuatu yang buruk sedang melanda. Sewajarnya Adli juga mengambil langkah seribu sepertimana penduduk kampung yang lain. Dalam tidak usah diceritalah,memang bergemuruh sakan. Macam-macam perkara buruk terlintas dalam medan fikir Adli detik itu. Tidak lupa dia memanjatkan doa agar dia selamat melarikan diri ke hutan berhampiran.

            Tiba di hutan. Telah ramai penduduk Kampung Berlian bersembunyi di situ. Membawa bersama mereka segala macam alat dan keperluan yang sempat dibawa. Macam-macam ragam boleh dilihat kala itu. Si ibu kalut mengendong anak kecil dengan hingus kehijauan bertempekan. Si bapa pula menggalas parang di pinggang tanda siap siaga menentang sebarang kemungkinan. Ah, memang mendebarkan! Adli sendiri merasa cuak melihat suasana ketika itu.

            Paling kiri, paling kanan. Nenek dan atuknya tiada. Alamak! Getus hati kecil Adli. Rasa cuak semakin kuat berkerajaan dalam jiwa. Adli cuba membuka mulut untuk bertanya kepada salah seorang pakcik yang siap memegang sebilah golok di tangan. Baru sahaja Adli ingin membuka mulut bertanya tentang nenek dan atuknya pakcik itu menunjukkan isyarat non-verbal agar Adli diam sambil kepala dan mata pakcik itu tertinjau-tinjau. Melihat kalau-kalau ancaman yang mendorong mereka melarikan diri mengetahui tempat persembunyian mereka.

            Adli menyeka peluh di dahi. Sudahlah tekak kehausan teramat, letih pula kerana terpaksa berlari tadi. Adli masih tertanya-tanya apa ancaman tadi sebenarnya santak pakcik-pakcik dan makcik-makcik rela membawa seisi keluarga bersembunyi di hutan. Lima minit sudah berlalu. Adli memang perlu ambil mengetahui perkara sebenar. Lebih-lebih lagi apabila bayang atuk dan nenek tidak kelihatan di mana-mana.

            “Apahal sebenarnya, pakcik?” Soal Adli semi berbisik setelah hati benar-benar dikepit rasa kurang sabar.

            “Sstt!” Pakcik yang disoal menekapkan jari telunjuk ke bibir. Tanda non-verbal agar Adli tidak bersuara.

            Hati Adli merengus. Dipandang kiri kanan lagi. Rata-rata penduduk kampung yang ada di situ jika boleh tidak mahu mewujudkan sebarang bunyi. Adli meminggirkan dirinya buat beberapa detik sebelum kembali bangun menghampiri salah seorang penduduk kampung yang lain pula. Kali ini giliran makcik yang sedang menetek anak pula menjadi mangsa soalannya.

            “Apahal sebenarnya ni, makcik?” Perlahan saja suara Adli.

            “Cucuk!” Makcik menjawab jelas pun masih dalam ketinggian suara yang terkawal.

            Serentak mendengar jawapan si makcik, urat saraf Adli rasa terbakar. Beriya-iya dia melarikan diri sepulang dari sekolah sekejap tadi. Tanpa minum, tanpa rehat semata-mata kerana terpedaya dengan aksi melampau penduduk kampung. Melarikan diri daripada perkara tersebut. Cucuk? Itu satu bencana yang bisa menimbulkan suasana anarki dan orak-arik di kalangan penduduk kampung. Tidak berbaloi langsung Adli berpenat semata-mata kerana perkara tersebut.

            Dengan rengusan, Adli keluar dari tempat persembunyian. Tanpa menghiraukan orang-orang kampung yang tentunya masih dalam debar.

            “Hoi, budak! Balik sini. Balik sini!” Panggil satu suara apabila melihat Adli sudah keluar dari tempat persembunyian.

            Adli tidak mengendahkan sebaliknya melompat melenting-lenting pulang ke rumah. Dia mahu segera pulang ke rumah. Membasahkan tekak dengan air tempayan yang sejuk dan dingin. Tidak mahu menyertai orang-orang kampung bersembunyi di hutan itu. Sementelah Adli langsung tidak merasa terancam dengan kehadiran sekumpulan kakitangan pejabat kesihatan ke kampung mereka ketika itu.

            Ya. Kakitangan pejabat kesihatan. Merekalah yang kini menjadi ancaman kepada sekalian penduduk kampung sehingga memaksa mereka melarikan diri anak-beranak masuk ke hutan berhampiran dengan membawa periuk belanga. Penduduk Kampung Berlian memang cukup menggeruni kakitangan pejabat kesihatan memandangkan kedatangan mereka selalunya bersama vaksin-vaksin terkini untuk dicucuk atau disuntik kepada penduduk kampung bagi mencegah penyakit-penyakit tertentu contohnya suntikan BCG untuk mencegah penyakit tibi atau batuk kering
           
            Adli tidak menyalahkan mereka. Tidak juga terasa ingin mentertawakan mereka. Mereka tidak berpelajaran. Tidak pernah didedahkan dengan kepentingan-kepentingan suntikan tertentu memandangkan rata-rata penduduk kampung itu tidak pernah mendapat pendidikan secara formal sepertinya. Seperti ibu Adli yang tidak pernah dihantar ke sekolah, begitu juga halnya penduduk kampung yang lain. Mujurlah emak bertemu jodoh dengan ayah, seorang pemuda  berwawasan daripada daerah Tanah Merah. Satu daerah yang sudah lama menerima kemajuan dan perkembangan.

            Ah, andainya Adli tidak mempunyai ayah yang sedikit berpelajaran berbanding penduduk Kampung Berlian, nescaya Adli juga turut seperti mereka. Menggeruni kakitangan pejabat kesihatan yang sering datang untuk menyuntik dan membawa pelbagai informasi terkini mengenai amalan kesihatan yang baik kepada penduduk kampung. Adli tahu kakitangan kerajaan beruniform putih itu menjadi ancaman maha hebat bagi penduduk Kampung Berlian.

            Susup-sasap menyelinap rasa bangga dalam diri Adli kerana berayahkan seorang lelaki yang berpelajaran jika dibandingkan dengan rata-rata penduduk kampung. Dek kerana ayahnya berpelajaran juga, dia tidak membiarkan Adli kontang dengan pendidikan. Disebabkan itulah walaupun ayah dan emak meninggalkan Adli di satu kampung yang rata-rata penduduknya tidak melihat pendidikan dan pelajaran sebagai suatu aset penting dalam kehidupan, Adli tetap dihantar ke sekolah. Ayah mahu melihat Adli mendapat pendidikan sewajarnya. Ayah tidak mahu Adli terperangkap dalam pemikiran mundur penduduk kampung. Adli bersyukur teramat.

            Ingatan tentang ayah dan ibu hilang sebaik Adli melenting ke jemuran rumah. Sempat juga diteguknya dingin air dari tempayan yang terletak di tepi tangga sebelum itu. Kala itu tiada sesiapa di rumah atuknya. Adli yakin seisi rumah tentu sahaja kini sedang bersembunyi daripada kakitangan pejabat kesihatan. Atuk dan nenek pasti juga membawa bersama mereka Azian dan Aziah. Adli duduk di jemuran sambil kedua-dua belah kakinya berjuntaian ke bawah. Benaknya sarat membuat perkiraan untuk melunaskan permintaan perut yang semakin kebulur.

            Adli terpandang setandan pisang yang sudah mula menguning di atas pohon di tepi telaga. Tanpa berfikir dua tiga kali, Adli terus ke dapur. Mencari parang bagi mencantas juntaian tandan pisang.  Sekejap pula dia sudah berada berhampiran pohon pisang. Dengan lafaz nama Allah yang maha pengasih dan penyayang Adli mencantas kuat tandan pisang. Kemudian Adli bawa naik pisang itu ke dapur. Di dapur Adli hidupkan api. Bersedia untuk membakar pisang yang sudah diambilnya tadi.

            Kecur liur sendiri apabila Adli teringatkan keenakan pisang bakar. Dia tersengih  menampakkan barisan gigi depannya yang nazak  kehitaman diserang perosak gigi. Adli ralit membakar pisang sehingga terlupa tentang atuk dan nenek yang kini tentu sahaja masih di hutan. Hanya setelah pisang pertama yang dimasukkan di dalam bara masak dan bersedia dibawa ke mulut, barulah Adli teringatkan nenek, atuk dan kedua-dua orang adiknya. Bibir diketap. Selera untuk merasai kenikmatan pisang bakar terbantut walaupun perut menuntut-nuntut agar diri berbuat demikian.

            Melimpah rasa simpati Adli terhadap mereka yang terpaksa bersembunyi di hutan akibat takutkan kakitangan kerajaan yang berseragam putih. Entah makan, entahkan tidak mereka berempat. Mengenang itu selera Adli juga terhempas jatuh. Berkecai di ruang maya. Hilang. Adli renung pisang bakar yang masih di tangan. Lama dia berkeadaan begitu sehingga kewarasan dalam diri mampu diimbangi. Lalu, apabila kondisi diri kian terkawal, Adli memasukkan lagi beberapa biji pisang ke dalam bara yang masih menyala. Sekurang-kurangnya pisang bakar itu nanti boleh dinikmati bersama-sama keluarganya apabila mereka pulang kelak.

            Usai  kerja-kerja membakar pisang, Adli ke jemuran rumah. Duduk dengan kaki berjuntaian di situ. Menunggu atuk dan nenek bersama adik-adik pulang. Adli pandang ke langit buat seketika. Hari sudah beransur petang. Namun belum ternampak kelibat insan-insan yang dinantinya. Adli tergaru situ, tergaru sini. Kebosanan menjajah diri. Dalam pada itulah Adli terpandang pepohon betik yang banyak tumbuh di depan rumah. Dibandingkan dengan batang tubuh Adli yang kecil itu, pohon betik tersebut cukup besar. Sekejap Adli sudah melenting, melompat ke tanah. Terus pula memanjat pohon betik tersebut. Adli keasyikan dengan permainan yang diciptakannya sendiri. Lupa seketika pada masa-masa yang perlu dihabiskannya sendirian sementara menanti keluarganya pulang.

            “Amboi, amboi awang. Kami tak ada bukan main lagi awang memanjat ya?” sergah satu suara tua.

            Adli pantas turun dari pohon betik mendengar suara atuknya. Dia sedar atuk paling tidak berkenan setiap kali dia memanjat pohon. Sementelahan pula pohon berbatang lembut yang tidak sesuai sama sekali untuk dipanjat seperti pohon betik tadi. Adli mendapatkan atuk sambil tersengih menampakkan barisan gigi yang diserang perosak.  Azian dan Aziah pantas menerkam Adli dan berpegang kejap pada betis si abang.

            “Awang menyorok kat mana tadi?” Soal atuk, tidak melanjutkan soal tindakan Adli memanjat pohon betik sejurus sebelum mereka tiba di rumah tadi.

            “Mulanya Adli menyorok kat hutan, tapi tak lama lepas tu Adli balik rumah.”

            “Balik rumah?” Atuk dan nenek sama-sama membuntangkan mata.

            “Ya lah. Orang rasa buang masa tercongok kat hutan tu. Dah lah panas, perut pula lapar.” Terang Adli tanpa menampakkan sebarang keraguan untuk menjawab persoalan atuk dan neneknya.
            “Habis, dia orang tu tak datang cucuk kamu?” Nenek menyoal sambil membelek-belek tubuh Adli.

            Adli mengkesampingkan tubuhnya agar tidak terus dibelek nenek. Kepalanya digelengkan berkali-kali.

            “Nasib baik…” ujar nenek.

            “Tapi nek, tuk… orang dah kena cucuk semasa masuk sekolah hari tu lagi.” beritahu Adli kemudiannya pula.

            Mata atuk dan neneknya membuntang sekali lagi.

“Awang dah kena cucuk? Tak cakap dengan atuk dan nenek pun. Sakit tak?” Tanya atuk dengan penuh debar. Nadanya pula semacam tidak berpuas hati kerana cucunya telah disuntik di luar pengetahuannya.

            “Taklah sakit sangat. Macam kena gigit semut je. Kenapa  atuk dan nenek takut semacam ni? Orang hairanlah, kenapa semua orang kampung ni takut kalau pegawai pejabat kesihatan datang.”

            “Awang budak kecik lagi. Awang tak tau bala yang mereka bawak. Dah jangan cakap pasal ni lagi. Pergi mandi sementara nenek sediakan makan. Bawak adik-adik tu mandi sekali.” Arah atuk Adli akhirnya.

            “Tadi ketika tunggu atuk dan nenek balik, orang ada bakarkan pisang.”

            “Jadi, awang dah makan lah ni?”

            “Belum, tunggu atuk, nenek dan adik-adik balik dulu.”

            “La, kenapa tak makan dulu? Karang perut masuk angin siapa jugak yang susah?”

            Adli tidak membalas kata-kata datuknya. Ketika itu nenek pula sudah susup-sasap ke dapur. Tentu sahaja mahu menyediakan apa-apa yang patut untuk mengalas perut mereka setelah seharian bersembunyi di hutan bersama orang-orang kampung yang lain. Adli tahu, baik atuk mahupun nenek sama-sama mengambil berat terhadapnya. Adli bahagia mempunyai mereka dalam hidup, namun jauh di sudut hati Adli inginkan ayah dan ibu kembali kepadanya.





BAB DUA  

Hari itu Adli sangat gembira apabila sepulangnya dari sekolah dia ternampak ibu dan ayah sudah siap menunggunya di jemuran rumah atuk. Melompat-lompat Adli mendapatkan ayah yang ketika itu sedang mendukung Aziah.

            “Ayah, mak…” Adli keseronokan. Dia menerkam ke dalam pelukan ibu yang terlebih dahulu mendepakan tangan kepadanya.

            Seronok Adli bukan kepalang. Sudah lama dia rindukan kemunculan ayah dan ibu. Sejak ditinggalkan di Kampung Berlian, Adli jarang bertemu dengan kedua-dua orang  tuanya. Walaupun Adli akur dengan tuntutan hidup yang memaksa kedua-dua orang tuanya meninggalkan dia dan adik-adik di bawah jagaan atuk dan nenek, rasa rindu Adli terhadap orang tuanya tetap ada.

            “Adli pergi mandi dulu, kemudian kita makan sama-sama.”

            Adli akur pada arahan ibu. Dia menyimpan beg sekolah lusuhnya ke pojok rumah. Kemudian mencapai tuala lusuh yang sudah kehitaman dan terus ke telaga untuk mandi. Datang Azian tunabusana dan merengek-rengek dengan si abang untuk mandi sama. Adli menimba air di perigi dan mencurahkan ke atas kepala Azian. Berkeriau seronok Azian dicurahi air perigi yang sejuk dan dingin. Kedengaran mereka ketawa bersama-sama.
            Zaharah menjengah dari jemuran dapur melihat kedua-dua orang anaknya mandi. Bimbang jika dibiarkan anak-anak terlalu lama di perigi, takut berlaku perkara yang tidak diingini. Nampaknya Adli tidak membiarkan Azian menimba sendiri air di perigi. Zaharah lega dan meneruskan kembali kerja-kerjanya di dapur.

            Selesai mandi Adli dan Azian berkejaran naik ke rumah yang berdindingkan buluh dan beratapkan daun nipah. Adli menyarung seluar pendek, begitu juga Azian. Mereka terus ke ruang dapur mendengar Zaharah berkaok memanggil mereka makan tengahari. Kelihatan di situ Aziah sedang enak meratah kepala ikan kekek. Adli mengambil tempat di sebelah atuk. Azian juga turut berbuat demikian.

            Ketika makan tiada suara kedengaran di kalangan mereka semua kerana Mahmud, ayah Adli membuat larangan ketika makan tidak boleh bercakap. Suasana makan tengahari mereka hanya disulami dengan suara-suara ayam di bawah rumah yang berebutkan butiran nasi yang jatuh melalui celahan jeriau lantai dapur yang turut diperbuat daripada buluh.

            Selesai makan nasi yang cuma berlaukkan ikan kekek goreng dan sayur pucuk paku, Adli ke depan rumah. Di situ sudah ada Mahmud dan Derahman sedang berbual-bual. Adli hanya menelinga mendengar perbualan atuk dan ayahnya.

            “Jadi kali ni kau nak bawak budak-budak tu balik Tanah Merah?” Soal Derahman kepada Mahmud.
            “Begitulah rancangannya. Dekat sikit jaraknya dari Bukit Abu. Bolehlah kami jenguk anak-anak lebih kerap berbanding sekarang.”

            “Zaharah pun masih mahu ikut kami ke Bukit Abu?”

            “Begitulah nampaknya. Kerja di sana masih banyak. Tanah rancangan baru dibuka. Pohon-pohon getah masih banyak yang belum dikahwinkan.”

            “Kalau begitu kata awang, ayah tak boleh nak kata apa. Kalau nak terus tinggalkan Adli, Azian dan Aziah di bawah jagaan kami pun, bukan ada kesusahan apa. Boleh juga Adli temankan pak udanya.”

            “Tak apalah ayah. Lagipun kami dan lama susahkan ayah dan mak. Segan pula rasanya. Mek saya kat kampung dah setuju nak jaga Adli dan adik-adiknya tu. Lagipun sekolah kat sana dekat dengan rumah. Adli tak payah nak jalan jauh-jauh. Lompat saja pagar depan rumah terus boleh masuk ke kelas.” Mahmud menjelaskan dengan panjang lebar.

            Derahman tidak dapat menghalang lagi. Sementelahan Mahmud bukan mahu tinggalkan cucu-cucunya di bawah jagaan orang lain tetapi di bawah jagaan besannya sendiri.  Derahman pun faham. Walaupun dia orang tua yang buta huruf dan tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, dia tahu benar ilmu itu penting. Menyediakan persekitaran yang baik untuk Adli meneruskan pelajarannya itulah yang lebih baik. Mentak pelajarannya lebih maju dan masa depannya lebih terjamin jika berpindah ke tempat yang lebih maju.

            Di Kampung Berlian apa sangat yang ada? Adli terpaksa menapak ke sekolah yang jauhnya berbatu-batu. Kena berjalan di tengah panas terik. Jika musim tengkujuh pula, Adli terpaksa mengharungi baruh. Sampai ke sekolah pakaian seragam sudah kotor dan comot terkena lumpur baruh. Di Tanah Merah, mereka akan tinggal di Kampung Belimbing, Adli akan belajar di sekolah yang hanya pagar memisahkan dari rumah mereka. Derahman tahu, kondisi dan iklim sebegitu lebih baik untuk Adli.

            Derahman, walaupun tua dan buta huruf, terperap pula di tempat yang serba-serbinya mundur masih boleh melihat potensi yang ada dalam diri Adli. Mentak bawaan Mahmud sendiri yang mempunyai latar pendidikan di sekolah Melayu tidak seperti masyarakat di Kampung Berlian yang rata-ratanya buta huruf, termasuk Zaharah anaknya sendiri.

            “Bila awang nak bawak anak-anak pulang ke Tanah Merah?”

            “Selepas saya selesaikan urusan di sekolah Adli."

            Derahman mengangguk-angguk. Walaupun dia terasa kehilangan di situ, namun dia yakin dengan keputusan yang diambil Mahmud. Tanah Merah yang lebih maju berbanding Tumpat tentu menjadi lokasi paling baik untuk Adli meneruskan alam persekolahannya. Di Kampung Berlian ini masa depan Adli belum tentu cerah kerana rata-rata budak-budak kampung di situ tidak ke sekolah. Derahman ada menyimpan sedikit kegusaran andai Adli juga terikut dengan kecenderungan budak-budak di situ.

            Balik dan tinggal di Tanah Merah. Ehm, bunyinya macam seronok. Namun begitu Adli akan kehilangan banyak benda yang menyeronokkan di Kampung Berlian. Di Kampung Belimbing nanti Adli akan berkawan dengan siapa? Di sini ada juga Pak Uda yang sering membawanya menahan bubu di baruh. Dapat ikan keli seekor dua sudah menjadi rahmat buat anak kampung macam mereka. Sudah terkinja-kinja mereka pulang ke rumah dan menyuakan ikan yang berjaya mereka tahan kepada Mak Minah agar dijadikan lauk yang sedap untuk makan mereka kemudiannya.

            Di Tanah Merah ada siapa? Adli cuba mengimbau wajah-wajah yang dia pernah kenal di Tanah Merah. Mak Bedah dan Othman. Itu orang tua ayahnya. Mereka memang baik. Cuma Adli yang sedikit cuak bersama mereka kerana hubungannya tidak serapat mana dengan Mak Bedah dan Othman jika dibandingkan dengan atuk dan nenek sebelah ibu. Emh, Di Kampung Belimbing juga ada Mak Su Zie adik ayahnya. Umurnya lebih setahun daripada Adli. Mentak Adli boleh berkawan dengan Mak Su Zie. Adli tidak pasti. Mak Su Zie perempuan dan Adli budak lelaki. Permainan budak lelaki dan perempuan tidak sama. Adli sudah biasa main permainan lasak-lasak. Masuk hutan melastik burung dan pelbagai macam aktiviti budak lelaki yang kena pada zamannya.

            Mak Su Zie? Entahlah. Adli sendiri tidak dapat membayangkan aktiviti dan permainan jenis apa yang sering Mak Su main. Mak Su budak perempuan yang dimanjakan. Adli tidak terjangkau aktiviti apa yang cenderung dilakukan oleh budak perempuan sebaya Mak Su. Kalau Azian? Hemm. Buat kotor paling Azian suka. Maklumlah. Tinggal di kampung yang jauh ke belakang jika dibandingkan dengan Mak Su.


Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan.

Selepas Mahmud selesai menguruskan segala urusan persekolahan Adli, dia pun membawa anak-anak dan isterinya balik ke Tanah Merah. Di Tanah Merah Adli diletakkan di bawah jagaan Mak Bedah. Othman, ayah tiri Mahmud pula jarang ada di rumah kerana dia masih dalam ATM.  Kalaupun dia ada di rumah Mahmud tahu Othman tidak akan kisah kerana anak-anak Mahmud bukan orang luar, cucunya juga.

            “Adli tinggal di sini dengan nenek. Jaga adik-adik dengan baik. Ayah dan mak nak ke Bukit Abu. Ayah dan mak kena kerja. Nak cari duit. Nak bagi Adli sekolah, bagi Adli dan adik-adik makan.” Zaharah memujuk Adli yang sedikit kemurungan semasa mahu ditinggalkan di Kampung Belimbing.

            “Alah, kau pergilah Zah. Aku kat sini boleh jaga Adli dan adik-adik dia. Pasal makan minum jangan kau bimbang sangat. Makan aku, makan lah budak-budak tu. Zie pun nanti tak lah sunyi sangat dah ada anak-anak saudara dia ni,” ujar Mak Bedah cuba menyedapkan hati Zaharah yang nampak keberatan meninggalkan anak-anaknya.

            Zaharah cuba tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia mengambal ke arah Zie, adik iparnya yang hanya tua setahun daripada Adli. Zie nampak tunaperasaan hanya menggoyang-goyangkan kaki di bendul pintu rumah.Zie nampak terurus dalam gaun merahnya dengan rambut ditoncang dua. Bersih dan kemas. Zaharah menjeling pula ke arah Azian dan Aziah. Ada rasa sebu di jiwa Zaharah. Terlalu ketara beza penampilan anak-anak perempuannya jika dibandingkan dengan Zie. Cairan pekat hijau meleret panjang di pipi Aziah. Azian pula nampak tenggelam dalam gaun lusuhnya. Itupun gaun pemberian orang kampung yang sedikit berduit berbanding mereka.

            Zaharah menelan ludah walaupun terasa tersekat di kerongkongnya. Walaupun berat dia tahu harus meninggalkan anak-anaknya di situ. Dia tahu demi masa depan anak-anak dia harus korbankan perasaannya sendiri. Bukanlah senang untuk seorang ibu meninggalkan anak-anak seperti itu. Tetapi daripada memberi anak kepada orang lain, lebih baik dia tinggalkan dengan mentuanya sendiri. Sekurang-kurangnya, apabila ekonomi mereka suami isteri sudah pulih, dia boleh kembali bersama anak-anaknya.

            Andai dia suami isteri serahkan anak-anaknya kepada mana-mana orang kampung yang menawarkan diri untuk mengambil anak-anaknya untuk dijadikan anak angkat mereka, bermakna sampai bila-bila pun Zaharah tidak akan mampu untuk kembali mendampingi anak-anak. Zaharah tidak mahu berlaku perkara sedemikian. Biarlah sesusah manapun mereka. Dia dan Mahmud telah berjanji untuk menjaga anak-anak tidak kira walau sesusah manapun. Mereka sama sekali tidak akan bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh orang kampung untuk mengambil anak mereka sebagai anak angkat.

            Mahmud sebagai suami sudah memberi jaminan kepada Zaharah. Biar mati sekalipun, anak-anak jangan diserahkan kepada orang lain. Nanti mereka tidak akan kenal sesama sendiri. Mereka tidak akan kenal ibu bapa sendiri. Mahmud ada prinsipnya sendiri walau sesusah manapun dia terpaksa berikhtiar untuk mengubah nasib mereka sekeluarga. Walau terpaksa merantau dan mencuba nasib di tempat orang. Walau terpaksa tinggalkan anak-anak dengan orang tua.

            Sebagai isteri yang masih kekal dengan tipikal wanita melayu tradisi, yang sentiasa taat dan patuh kepada suami, Zaharah percaya dan yakin kepada suaminya. Dia yakin pada janji Mahmud untuk mengubah nasib mereka. Maka dia bersetuju dengan apa juga cadangan Mahmud termasuk cadangan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan orang tua. Sementelahan membawa anak-anak ke Tanah Merah merupakan jalan paling baik untuk mengeluarkan anak-anak dari bawah tempurung kemunduran. Di sini sudah jauh menampakkan kemajuan berbanding di Tumpat yang masih mundur dari segala bentuk kemudahan dan prasarana.

            Zaharah sekali lagi menelan ludah. Merenung ke wajah-wajah kecil di depannya. Kalau ikutkan hati, dia sudah jenuh berjauhan dengan anak-anak. Sudah timbul perasaan penat memujuk diri sendiri menerima perpisahan tersebut berulang-ulang. Namun dia harus akur. Dia bukan dilahirkan sebagai orang senang. Sekarang pun sudah dikira baik, dipertemukan jodoh dengan Mahmud yang berparadigma dan berwawasan. Kalaulah jodohnya dengan pemuda kampungnya sendiri, Zaharah sendiri tidak akan ke mana-mana daripada segi pemikiran.

            Bertemu jodoh dengan Mahmud membuat dia membuka mata,masa depan bukan seharusnya berhenti di sini. Masih jauh perjalanan yang harus ditempuhi. Untuk menempuhi masa depan pula perlu ada persiapan. Apa yang dia korbankan hari ini semata-mata untuk kepentingan masa depan anak-anak. Dia dan suami perlu mengubah nasib mereka. Tidak mahu lagi membenarkan kemiskinan menjadi rantai yang melilit dan berselirat di sepanjang perjalanan hidup mereka.

            Oleh itu mereka harus ke Bukit Abu. Memperjudikan nasib di tanah rancangan yang baru dibuka. Walaupun sebagai kuli di ladang getah atau kelapa sawit itu sudah kira bernasib baik daripada berada di Tanah Merah atau Tumpat yang langsung tidak menjanjikan apa-apa. Lagipun dia percaya, ikhtiar Mahmud tidak hanya akan berhenti di tanah rancangan itu sahaja. Mahmud mempunyai visi. Cukup modal Mahmud sudah berjanji akan memulakan perniagaan sendiri dan tidak selama-lamanya mahu menjadi kuli orang.

            Sebagai isteri, mewarisi pula tipikal wanita melayu tradisi, Zaharah cukup percaya dan yakin kepada suaminya. Walau lambat sekalipun, dia yakin Mahmud akan mengotakan kata-katanya untuk mengubah nasib keluarga. Dia yakin pada lelaki yang dipilih untuk menjadi peneraju dalam rumahtangganya.

            Dan Adli? Argh, walaupun masih mentah usianya. Dia sudah tahu dan faham dengan kondisi ibu bapanya. Dia tidak akan meragam jika di tinggalkan di rumah datuk dan nenek sebelah ayahnya. Malah dia akan jaga adik-adik dengan baik sepanjang ibubapanya berjauhan dengan mereka.

            “Nanti Adli rajin-rajin ke sekolah. Belajar pandai-pandai. Besok kalau Adli pandai boleh dapat kerja bagus. Boleh kerja dengan kerajaan. Tak macam ayah, terpaksa bersusah-payah nak besarkan anak sebab tak dapat kerja dengan kerajaan,” pesan Mahmud kepada Adli.

            Kedengaran nadanya seakan kesal kerana mensia-siakan peluang yang diberi oleh orang tuanya supaya meneruskan pelajaran. Mahmud hanya bersekolah setakat darjah tiga. Kalaulah dia meneruskan pelajarannya sehingga ke darjah enam, tentulah sekarang dia sudah menjadi cikgu. Bagaimanapun Mahmud tidak berminat lagi meneruskan pelajarannya walaupun dia tergolong dalam golongan pelajar yang pandai.

            Ah, terlalu banyak kendala menghalang Mahmud meneruskan persekolahannya. Segala bentuk kendala itu biar Mahmud simpan seorang di dalam hati. Apa yang paling penting sekarang, dia tidak mahu mewariskan segala kesusahan dan kepayahan kepada anak-anaknya. Jerih perihnya sekarang kerana mahu masa depan anak-anaknya terjamin. Dia tidak mahu anak-anaknya mengulangi kesilapan yang sama sepertinya.

            “Kau jangan bimbang Mud. Sekolah dekat saja dengan rumah kita. Aku akan pastikan Adli akan ke sekolah setiap hari. Kau percayalah cakap aku. Aku bukan orang lain. Aku neneknya jugak.” Mak Bedah memberi jaminan kepada Mahmud.

            “Dah, pergi sediakan tempat tidur untuk anak-anak kamu. Aku tengok Aziah dan Azian tu sudah keletihan. Hah, Zie. Pergi ambilkan bantal untuk abang dan kakak kamu ni,” arah Mak Bedah kepada Zie kemudiannya.

            Zie bangun dengan muka yang begitu-begitu. Sempat diambalnya ke arah Adli. Namun Adli tidak mengerti maksud jelingan Mak Su Zienya. Padahal ada gelombang dalam dada Zie. Dia bimbang kedatangan Adli dan adik-adiknya ke rumah itu akan memberikan dia persaingan. Persaingan kasih sayang dan perhatian ibunya. Maklumlah. Seorang nenek biasanya akan melebihkan cucu berbanding anak. Huh. Zie sedikit cuak kalau itu yang berlaku kerana sebelum ini dia menjadi anak manja ibu dan ayahnya. Dia bimbang jika tempat istimewa itu diambil alih oleh budak-budak bertiga yang nampak selekeh dan comot itu.

            Hati Zie bersiponggang. Adli pula terus memandang gerak-geri Zie yang sedang menjatuhkan bantal ke lantai rumah. Mukanya? Adli pun sukar untuk terjemahkan riak yang ditunjuki rias Zie pada ketika itu.
Adli cuba untuk tidak menyimpan praanggapan bukan-bukan terhadap Mak Su Zie. Dia akan tinggal lama di situ. Tidak elok untuk hatinya sendiri jika awal-awal sudah menyimpan praanggapan bukan-bukan kepada ibu saudara sendiri meski jarak umur antara mereka hanya setahun.

            Sungguhpun begitu riak yang terpetia pada wajah Mak Su Zie menyukarkan hati Adli untuk diam. Dalam begitu berdebar dek henyakan yang Adli sendiri tidak tahu mengapa. Walaupun masih kanak-kanak Adli sudah boleh faham sekiranya dia dialu-alukan atau sebaliknya.



BAB TIGA

Bermula hari baru bagi Adli. Hari itu dia akan memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Belimbing. Mak Bedah membekalkannya sepuluh sen buat belanja di sekolah. Untuk Mak Su Zie, Adli nampak Mak Bedah menghulurkan sekeping syiling dua puluh sen kepadanya. Adli memandang syiling di tangannya. Itu pun sudah cukup baik bagi Adli kerana dia sedar kalau ada ayah dan ibunya pun mungkin mereka akan memberinya makanan yang sudah siap dimasak kepada Adli sebagai bekal.

            “Hah, pandang apa lagi? Cukuplah sepuluh sen tu, mak ayah Adli bukan tinggal duit pun untuk belanja Adli kat sini.” Berdengung suara Mak Bedah, tajam masuk ke telinganya.

            Adli terpisat-pisat. Tidak menduga pula neneknya akan salah faham. Terkesan pilu di situ.  Walaupun baru berusia tujuh tahun Adli sudah mempunyai perasaan diterjah kata-kata seperti itu walaupun oleh nenek sendiri. Mentang-mentanglah ibubapanya tiada di situ. Namun apa Adli boleh buat? Dia hanya menumpang di rumah nenek. Walaupun Mak Bedah neneknya sendiri, hubungan antara dia dan Mak Bedah tidak semesra antara dia dengan Derahman dan Mak Minah.

            Adli pun sebenarnya janggal untuk tinggal dengan Mak Bedah. Jika tidak kerana keadaan menuntut dia berada di situ, dia tidak ingin. Malahan jika diberi pilihan dia ingin mengikut ibubapanya ke Bukit Abu. Sungguhpun demikian ibubapanya sama sekali tidak akan membawanya walaupun mereka sendiri berat hati untuk meninggalkan Adli tingal bersama Mak Bedah.

            Mak Bedah sedikit berduit berbanding Derahman dan Mak Minah. Cara orang berduit tentulah sedikit berbeza. Sementelahan Mahmud sendiri tidak serapat mana dengan Mak Bedah selaku ibunya sejak Mak Bedah kahwin lain. Biarpun ibu dan ayah tidak pernah bercerita, Adli dapat menangkap kejanggalan mereka ketika bersama. Tidak sebagaimana ketika ibu dan ayah bersama Derahman dan Mak Minah.

            “Dah, tunggu apa lagi? Ikut Mak Su kamu ke sekolah. Kat sekolah tu pandai-pandai kamu bawa diri. Jangan nak susahkan Mak Su kamu. Jangan buat dia malu,” ujar Mak Bedah berserta dengan amaran sekali.

            Buat Mak Su malu? Adli tertanya kepada diri sendiri. Kenapa nenek memberi amaran seperti itu? Adli selama ini pun bukan suka buat orang malu. Dulu semasa di Kampung Berlian dan bersekolah di sana, Adli tidak pernah bagi malu kepada Pak Udanya. Entahlah. Mungkin imej kampung-kolot melekat kuat pada diri Adli.

            Adli pandang dirinya dari atas ke bawah. Pakaian seragamnya lusuh kekuningan. Tidak putih selayaknya putih. Seluar pendeknya pun lusuh. Kasut? Huh. Adli hanya mengenakan kasut getah berwarna putih. Tidak termimpipun untuk menyarung kasut berjenama Bata ke sekolah. Mak Su? Adli lihat dia serba serbinya sempurna. Dia nampak kemas sekali.
            Mak Su? Uhh, baru Adli sedar, Mak Su sudah jauh ke depan. Adli cepat-cepat membuntuti Mak Su. Cuba untuk menyainginya. Namun semakin Adli mempercepatkan langkah, semakin pantas pula Mak Sunya melangkah. Adli sedar Mak Su seakan berlari anak. Adli jadi berdebar. Nanti siapa yang bakal bawa Adli ke kelas. Adli tidak tahupun kelas mana dia patut tuju.

            “Nanti aku bawa kau jumpa cikgu. Kalau cikgu tanya hubungan kita, kau jangan cakap, kau anak saudara aku. Kau faham?”Zie memberi amaran awal-awal kepada Adli.

            Adli hanya mengangguk. Tidak berani membantah walaupun dia tidak faham kenapa harus dirahsiakan perkara seperti itu.

            Selepas Zie membawa Adli ke bilik guru, Adli kemudian diarahkan mengikut Cikgu Othman ke bilik darjahnya. Itulah cikgu yang mula-mula Adli kenal di sekolah itu. Cikgu Othman pula nampak baik dan penuh dengan sikap kebapaan. Hilang sedikit gementar Adli yang dirasakan sejak semalam kerana bakal memulakan sesi persekolahan di sekolah baru.

            Hari pertama di sekolah Adli masih belum mempunyai kawan. Dia hanya menyendiri baik semasa di dalam kelas mahupun semasa menghabiskan masa senggangnya di luar kelas. Mak Su Zienya pun langsung tidak datang menjenguk. Adli bukan tidak nampak Mak Su Zie dan kawan-kawannya tidak mengira lelaki atau perempuan bermain kejar-kejar di kaki lima sekolah. Sungguhpun demikian Adli takut untuk menyapa Mak Su Zienya kerana sudah diberitahu awal-awal. Mak Su Zie tidak senang jika ada yang tahu Adli anak saudaranya.

            Tiga hari selepas itu barulah Adli ada kawan. Kawan-kawannya terdiri daripada budak-budak yang sepertinya juga. Comot dan selekeh. Ah, mungkin hanya golongan itu yang sudi bercampur dengannya. Badrul anak seorang guru dan Rizalman anak seorang askar pula jangan harap mahu mendekati. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahu berkawan dengan Adli.

            “Abang… pstt, abang!” Ada suara memanggil di luar kelas.

            Adli yang terasa kenal dengan suara yang memanggil meninjau ke luar kelas. Di celah-celah tingkap Adli nampak seorang budak perempuan comot dengan baju cobak-cabik mengintai-intainya dari luar.

            Azian! Ish, buat apa pulak dia kat sini? Adli mendengus. Dia memandang ke depan mengesan kalau-kalau cikgu terperasan dengan kehadiran Azian di luar bilik darjah. Adli mengisyaratkan agar Azian balik ke rumah dengan tangannya. Azian tersengih-sengih tidak mengendahkan isyarat Adli. Adli pandang dua, tiga kali ke arah cikgu di depan. Memandangkan cikgunya nampak tekun memeriksa buku latihan, Adli bangun mendapatkan Azian. Dia mahu mengarahkan Azian pulang kerana takut dimarahi cikgu sekiranya cikgu tahu adiknya datang mengganggu dia belajar.
            “Adik buat apa kat sini? Pergi balik. Abang nak belajar ni.” Adli bersuara perlahan tetapi tegas.

            “Adik nak tengok abang belajar,” balas Azian kemudian menyeka cairan hijau pekat yang keluar dari hidungnya dengan belakang tangan sebelum menyapunya dengan kasar.

            “Pergilah balik, dik. Abang nak belajar ni. Karang cikgu nampak, abang kena marah,” Adli berkata penuh kegusaran dalam nada sedikit menekan.

            Azian menggeleng-gelengkan kepala sambil tersengih-sengih sebagai non-verbal mengatakan dia enggan patuh kepada arahan Adli. Adli kegusaran. Sekejap-sekejap dia pandang ke arah cikgu yang nampaknya masih belum mengendahkannya.

            “Pergilah balik, dik.” Adli separuh merayu.

            Seakan ingin menangis dia melihat tiada sebarang tanda memberitahu Azian akan berlalu dan pulang ke rumah. Mentang-mentanglah sekarang Adli sudah belajar di sekolah yang terletak hampir benar dengan rumah, senang-senang pula Azian masuk ke kawasan sekolah dan merayap hingga ke kelasnya. Boleh pula dia mencari bilik darjah Adli. Huh, mungkin dia mengintai dari satu kelas ke satu kelas. Kasihannya adik. Tentu dia sunyi di rumah. Walaupun ada Aziah, dia masih kecil. Namun Adli tidak mahu terbawa oleh sesuatu yang melankolik.
            “Adik, pergilah balik. Nanti kalau cikgu nampak dia rotan abang.”

            Azian memandang ke arah cikgu. Kemudian dia menggeleng lagi.

            “Nenek tau adik datang sini?”

            “Tak tahu,” balas Azian pendek.

            “Kalau macam tu pergi balik. Nanti nenek runsing.”

            Azian masih berdegil. Adli mati akal. Dia bimbang cikgu menyedari kehadiran Azian. Adli memandang ke arah cikgu. Nampaknya cikgu masih asyik dengan kerjanya. Adli memerhati pula kawan-kawannya. Mereka juga dengan sibuk dengan urusan sendiri. Ada yang bermain kejar-mengejar sesama sendiri di bahagian belakang bilik darjah. Ada juga yang bermain kapal terbang kertas. Tidak kurang juga yang tidur. Apa yang nyata suasana kelas ketika itu memang bising.

            “Adik tak boleh duduk kat sini, karang marah cikgu.” Adli mengulangi, kali ini dalam versi yang berlainan pula.

            “Adik nak tengok abang belajar…”

            Adli semakin tidak keruan. Dia mencari akal untuk memujuk Azian pulang. Aha! Dia teringatkan gula-gula yang berada dalam kocek seluarnya. Dia menggeragau ke dalam kocek. Mengeluarkan sebiji gula-gula berperisa kelapa. Itu gula-gula yang paling digemari kanak-kanak ketika itu. Disuakan gula-gula tersebut kepada Azian.

            “Nah, adik ambil gula-gula ni tapi lepas ni adik harus balik rumah.”

            Azian menyambut huluran gula-gula daripada tangan abangnya. Tersengih gembira seketika sebelum melenting, melangkah untuk pulang ke rumah. Adli lega melihat kelibat adiknya sudah tiada di kawasan kelasnya. Kemudian dia kembali ke tempat duduknya. Meraba-raba ke dalam kocek seluarnya sekali lagi. Tinggal lagi dua biji gula-gula di dalam kocek seluarnya. Semasa waktu senggang tadi dia membeli tiga biji gula-gula dengan duit yang diberi oleh nenek. Hasratnya mahu menikmatinya bersama adik-adik di rumah. Bukan selalu mereka boleh menikmati gula-gula berperisa kelapa seperti itu.

            Semasa tinggal bersama atuknya; Derahman, usahkan untuk membelinya, melihat gula-gula seperti itu pun Adli tidak pernah. Kampung Berlian terlalu mundur. Kebanyakan penduduk hanya tahu bercucuk tanam dan membuat kerja-kerja hutan. Berniaga jauh sekali meskipun hanya untuk membuka kedai runcit seluas lapan kaki persegi atau hanya dengan mendirikan khemah di luar rumah. Di kantin sekolah pun tiada makanan ringan dan gula-gula seperti itu. Makcik kantin hanya tahu menjual kuih-muih dan nasi saja. Itupun Adli tidak pernah mencuba kerana nenek sudah membekalkan ubi kayu rebus untuknya makan di sekolah.

            Tinggal dengan Mak Bedah, di Kampung Belimbing ini bolehlah Adli dan adik-adik merasa sedikit perubahan. Hemm, teringatkan Mak Bedah hati Adli sedikit bergalau. Terbayang semula riak wajah Mak Bedah semasa Adli merenung syiling yang dihulurkan kepada Adli pagi tadi. Ahh, Mak Bedah bukan Mak Minah. Ketika bersama Mak Minah, nada suara Mak Minah sentiasa lembut walaupun hakikatnya Mak Minah cuma ibu tiri Zaharah. Layanan Mak Minah terhadap Adli adik-beradik dan layanan Mak Minah terhadap Pak Uda, anak Mak Minah tiada beza.

            Pun Adli masih bersyukur. Sekurang-kurangnya Mak Bedah masih neneknya sendiri. Bukan orang luar. Walaupun jarak kemesraan antara mereka agak jauh, Adli tahu itu tidak bermakna Mak Bedah tidak sayangkan dia adik-beradik. Hanya mentak kemesraan itu sedikit terlindung memandangkan Adli dan Aziah lahir dan dibesarkan di Kampung Berlian, Azian pula di Bukit Abu. Ibu dan ayah Adli hidupnya berpindah randah kerana mahu mencari peluang pekerjaan yang lebih menjamin masa depan. Mereka jarang bertemu, sebab itulah seakan ada jurang antara mereka walaupun Adli tahu kasih sayang itu tetap ada.

            Adli percaya itu kerana Adli sendiri sayangkan Mak Bedah, Othman dan Zie seperti dia sayangkan ayah dan ibu juga ahli keluarganya yang lain.
            “Yea! Yea! Abang balik!” Azian melompat girang melihat Adli pulang dari sekolah dengan menggalas begnya.

            Di belakang Azian, Aziah yang bertelanjang bulat terkedek-kedek mengekori. Adli meletakkan begnya di jemuran rumah kemudian duduk membuka kasut. Aziah yang sudah berada di ribaannya pantas didukung sayang. Mak Su Zie yang baru sampai tidak mengendahkan mereka tiga beradik.

            “Abang nak gula-gula. Nak gula-gula!” Rengek Azian sambil menarik tangan Adli yang masih mengendong Aziah.

            “Kejap-kejap, nanti abang bagilah.”

            “Nak sekarang jugak!” Bentak Azian.

            Kasihan melihat adiknya, Adli mengeluarkan dua biji gula-gula yang masih berbaki dalam kocek seluarnya. Sebiji dihulur kepada Azian, sebiji lagi diberi kepada Aziah. Adli senang melihat adik-adiknya menikmati gula-gula yang dibelinya walaupun dia sendiri tidak sempat menikmati gula-gula tersebut. Dipandangnya Azian dan Aziah dengan penuh kasih sayang. Biarlah. Asalkan adik-adiknya gembira, Adli sudah cukup senang hati walaupun tidak berpeluang menikmati keenakan gula-gula tersebut.

            “Nah!” Mak Su Zie tiba-tiba menyuakan sebiji gula-gula kepada Adli.
            Adli agak tertegun. Tidak diduganya Mak Su sanggup berkongsi makanan dengannya. Dia pandang Mak Su seperti ingin meminta kepastian.

            “Kau tak nak gula-gula ni? Kau tak nak, aku ambil balik.”

            “Err, nak, nak!” Pantas Adli menggapai gula-gula yang masih di tangan Mak Su.

            “Aku sengaja beli lebih tadi!” Dengan kata-kata itu Mak Su berlalu.

            “Terima kasih, Mak Su!” Ujar Adli walaupun Mak Su sudah jauh ke dapur.

            Kelibat Mak Su sudah tiada. Namun Adli masih senyum sendiri. Emhh, manisnya gula-gula yang diberi Mak Su. Semanis perasaan Adli ketika itu. Dia tahu Mak Su akan baik dengannya. Mak Su Zie juga akan baik dengan adik-adiknya. Sesaat Adli merasakan tidak mengapalah jika dia terpaksa berjauhan dengan ibu dan ayahnya. Dia tahu nenek dan Mak Sunya akan melayan dia dan adik-adik dengan baik. Mereka hanya perlukan sedikit masa sahaja!

            Hari-hari mendatang pun begitulah hidup yang ditempuhi Adli. Dia ke sekolah bersama Mak Su. Namun apabila berada di sekolah, Mak Su jarang bertegur sapa dengannya setiap kali mereka terserempak semasa waktu senggang. Mak Su dengan halnya, Adli juga dengan hal sendiri. Sementelahan hari demi hari Adli semakin ramai kawan. Adli pelajar yang bijak. Adli juga pandai main bola sepak. Kawan-kawan semakin sukakan Adli kerana dua pakej yang ada pada diri Adli.

            Begitupun, Adli sesekali masih merasa rendah diri kerana meskipun dia sudah mempunyai kawan-kawan baru di sekolah, dia tetap lagi Adli yang miskin, Adli yang hidup menumpang di rumah nenek sendiri kerana ibubapanya harus ke tempat jauh untuk menyarasuap mereka anak beranak.

            Azian? Ah, Azian masih sama. Selalu menyelinap masuk ke dalam kawasan sekolah dan akan terhendap-hendap di luar bilik darjah Adli. Selepas diberi sebiji gula-gula barulah dia akan pulang. Cikgu pun sudah mula menyedari kehadiran Azian. Mujurlah cikgu tidak marah. Cuma cikgu cakap, tidak boleh bawa adik ke sekolah. Takut adik menangis kalau ternampak guru besar bawa rotan panjang.

            Adli beritahu Azian agar tidak lagi ke sekolah. Katanya guru besar bawa rotan panjang  dan dia tidak suka jika ada budak-budak masuk ke kawasan sekolah. Mula-mula Azian tidak endahkan kata-kata Adli. Dia tetap ke sekolah Adli setiap hari dan menjalankan rutin hariannya mengendap Adli di dalam kelas. Sungguhpun demikian, Azian akhirnya tidak lagi ke sekolah apabila dia terserempak dengan guru besar membawa rotan besar dan panjang. Kecut perut Azian. Belum sempat meninjau ke kelas Adli, dia telah cabut lari. Adli rasa itu paling baik buat Azian. Jika tidak, tentulah Azian akan terus mengendapnya di dalam kelas membuatkan Adli sedikit kekacauan dan tidak mampu menumpukan perhatian pada pelajaran.
            Dalam sibuk-sibuk dengan pelajaran dan kawan-kawannya, hakikatnya Adli tidak pernah lupa kepada ayah dan ibu. Adli rindukan mereka dan berharap sangat agar mereka pulang menjenguk Adli dan adik-adik yang ditinggalkan di kampung. Begitupun Adli faham jika mak dan ayah tidak boleh selalu pulang. Bukit Abu bukannya dekat. Untuk ke sana perlu menaiki keretapi dan kos tambang menaiki keretapi pula bukannya murah. Ibu dan ayah tentu mahu berjimat. Sebab itulah mereka jarang pulang.

            Ah, ayah dan ibu… Adli rindukan ayah dan ibu!





BAB EMPAT

Malukut di tepian gantang. Mungkin pepatah itu sesuai untuk menggambarkan keadaan Adli dan adik-adiknya sepanjang menumpang di rumah nenek sendiri. Walau kasih sayang antara mereka ada, Adli dapat rasakan ada sesuatu yang tidak membumbui hubungan mereka. Mak Bedah dengan sikap sambalewa terhadap dia dan adik-beradik. Mak Su Zie dengan dunianya. Itu belum lagi jika sesekali Othman: datuknya, pulang bercuti. Makin terasa benar hinanya Adli adik-beradik. Adli seakan ingin bawa adik-adiknya jauh daripada mereka. Namun Adli tidak berdaya. Dia tidak mampu.

            Apabila Othman pulang, macam-macam buah tangan dibawa bersamanya. Azian pula terhegeh-hegeh. Adli yang mendukung Aziah biasanya akan menegah tetapi Azian seperti biasa tidak mempedulikan tegahan Adli. Dia akan masuk rapat-rapat ke dalam kumpulan Mak Bedah anak-beranak. Sayu apabila Adli lihat mereka buat-buat tidak tahu akan kehadiran Azian.

            “Adik, mari kita ke bawah…”ajak Adli.

            Azian tidak mengendahkan Adli.

            “Adik!”

            Kali ini Azian memandang Adli. Serentak Adli mengisyaratkan agar Azian minggat dari tempat duduknya. Azian menggeleng sambil memuncungkan wajahnya. Adli terbakar juga dengan fiil Azian. Sungguhpun begitu dia tidak tergamak untuk memarahi adiknya kerana sudah berjanji kepada ibu dan ayah untuk menjaga adik-adiknya dengan baik.

            Adli cuba memanggil sekali lagi, namun Azian masih dengan kedegilan yang sama. Adli sudah mula terasa lain. Tiba-tiba Mak Su menoleh. Dia pandang Adli, pandang pula adik-adik Adli. Mak Su kemudian mencapai beberapa biji limau lalu dibahagi-bahagikan kepada Adli adik-beradik sebiji seorang. Azian melompat kesukaan. Othman mengerling sekilas. Begitu juga Mak Bedah.

            “Dah dapat limau tu, pergi main jauh-jauh!” Gerutu Mak Bedah.

            Othman pula acuh tidak acuh memandang. Seakan-akan Adli dan adik-adiknya tidak wujud di situ. Adli kemudian membawa adik-adiknya ke pangkin bawah pohon jambu. Mereka tiga beradik duduk di situ.

            Ayah, ibu. Kalaulah ayah dan ibu banyak duit, tentu ayah dan ibu akan belikan kami lebih daripada limau-limau ni. Adli meneguk liur yang terasa pahit. Azian pula sudah rakus memakan limau. Berselera benar dia tanpa mengetahui gelodak dalam jiwa Adli. Adli seakan termenung namun tidak lama apabila disedari Aziah yang berusia dua tahun ketika itu merengek-rengek minta dikopekkan kulit limau. Adli akur dengan rengekan adiknya. Perlahan-lahan dia mengupas limau lalu disuapkan ke mulut Aziah.

            Limau Aziah sudah habis. Giliran Adli pula untuk merasa betapa manisnya limau yang dibawa pulang Othman. Baru dua ulas dia bawa ke mulut, tersedar olehnya Azian dan Aziah terlopong memerhati. Adli memandang limau di tangannya. Kemudian memandang Aziah dan Azian. Tidak sampai hati pula rasanya apabila melihat adik-adik terlopong begitu melihat dia makan. Lalu dia menyuap seulas ke mulut Aziah, seulas ke mulut Azian dan seulas ke mulutnya. Begitulah seterusnya sehingga ulas-ulas limau habis. Azian tersenyum puas. Aziah yang tidak mengerti apa-apa pula memanjat naik ke ribanya. Adli senang melihat tingkah kedua-dua orang adiknya.

            Ibu, ayah. Alangkah bagus jika ibu dan ayah ada di sini. Sudah lama rasanya tidak bertemu ibu dan ayah. Adli tidak kisah jika ayah dan ibu tidak bawa apa-apa semasa pulang nanti. Cukuplah jika ayah dan ibu pulang ke mari menjenguk kami. Adli rindu!


Dua hari kemudian. Bagai yang diimpi, ayah dan ibu Adli sedia menanti di rumah sewaktu Adli pulang dari sekolah. Adli girang melihat ibu berdiri di muka pintu sambil mengukirkan senyuman kepadanya. Adli menerpa mendapatkan ibu. Memeluk ibu buat beberapa ketika sebelum mendekati ayah untuk bersalaman. Ayah pula ketika itu sedang berbual-bual dengan datuk di beranda rumah. Kelihatan seperti ada perkara serius yang dibincangkan.
            Ah, riak muka ayah dan datuk selalunya serius jika bersama. Kemesraan mereka kurang, mentak kerana ayah bukan darah daging datuk yang sebenar. Ayah anak Mak Bedah dengan suami pertamanya, hanya Mak Su darah daging datuk yang sebenar. Jikapun bukan begitu kedudukannya, ayah dan datuk memang selalu bermuka serius.

            Ibu membawa Adli dan Mak Su masuk ke dapur. Di situ sudah sedia menunggu Aziah dan Azian. Dijamunya Adli dan adik-adiknya nasi. Begitu juga dengan Mak Su. Mereka semua  ibu suapkan nasi. Bahagia rasa hati Adli. Begitulah kalau ada ibu sendiri. Adli boleh bermanja.

            “Abang!” Azian menayangkan seplastik buah keranji kepada Adli.

            Adli berkerut kening melihat buah berkulit hitam di tangan Azian.

            “Mak bagi. Dia cakap tunggu abang balik barulah boleh makan,” beritahu Azian.

            Adli rasa gembira. Dia dan Azian melangkah ke halaman rumah. Duduk di atas pangkin di bawah pohon jambu.

            “Sorong papan tarik papan,
            Buah keranji di dalam perahu,
            Suruh makan dia makan,
            Suruh mengaji dia tak tahu.”
            Sempat pula Azian berpantun begitu sambil tersengih-sengih memasukkan buah keranji yang isinya berwarna jingga ke mulut. Adli turut memasukkan buah keranji ke dalam mulutnya. Buah yang sedikit masam-masam manis itu agak enak untuk dinikmati. Sebagai budak kampung tradisi, buah sebegitu sudah menjadi suatu kemujuran bagi Adli dan adik-adiknya.

            Azian nampak sudah tenggelam dalam keasyikan menikmati buah keranji, Adli tiba-tiba teringatkan ibu. Kepalanya meninjau-ninjau ke atas rumah, mencari kelibat ibu di situ. Ternyata ibu memang ada di jemuran rumah memerhatikan mereka berdua sambil mencuci daki di leher Aziah. Adli terdorong mengukir senyum. Bahagianya ada ibu dan ayah di sisi. Itu rutin biasa ibu tatkala bersama anak-anak. Menguruskan anak dan lagi dan lagi. Jika ada ibu di sisi, segentel daki hitam pun tidak akan dibiarkan melekat pada tubuh anak-anak. Ah, ibu memang jenis tipikal wanita tradisi! Selain taat kepada suami, rutin ibu tentu sahaja mengabdikan diri kepada anak-anak.

            Ya Allah, Kau panjangkanlah usia ibu dan ayah. Kalaulah mereka tiada, aku pun tidak tahu di mana lagi kami boleh menumpang kasih. Kami susah pun tidak mengapa Tuhan, asalkan ibu dan ayah tetap bersama kami. Hati kecil Adli memanjat doa.

            Dalam usia sepertinya, dia sudah mengerti betapa peritnya tinggal bersama orang lain selain ibu dan ayah. Walaupun saudara mara sendiri, kasih sayang yang mereka sampaikan tidak akan sama sekali menyamai kasih sayang ayah dan ibu sendiri. Adli sudah terlalu banyak menelan. Sudah terlalu banyak. Menelan kesulitan dan kepahitan sepanjang hidup tanpa ayah dan ibu di sisi. Adli dan adik-adik tentu akan melihat kehidupan dari matra cukup berbeza jika sudah tiada. Itu sudah tentu.

            Adli tidak tahulah jika tiada ayah dan ibu di dunia ini. Tinggal berasingan begini pun sebenarnya sudah cukup memeritkan buat Adli kerana dia sudah bisa mengerti. Namun apa kudrat yang Adli ada? Untuk meningkah kesusahan hidup yang seperti tidak segan-segan bersama mereka. Seakan kesusahan dan kemelaratan itu sinonim benar dengan mereka. Kudrat apa Adli ada?

            Apa yang mampu Adli lakukan hanyalah berikhtiar. Berikhtiar untuk menjadi seseorang yang sedikit pandai daripada anak-anak sezamannya bagi mengubah nasib diri dan keluarga. Itu juga pesan ayah. Belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang besar. Hanya pelajaran dan pendidikan akan membuang jauh citra miskin dan melarat daripada hidup mereka. Adli sudah tanamkan semangat itu di dalam hati. Lagipun Adli anak sulung. Adli tidak tahu bercakap soal tanggungjawab. Namun Adli faham, Adli akan menjadi harapan kedua-dua ibubapanya. Harapan daripada sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara.

            Adli anak kampung. Adli masih belum melihat dan belum mengerti banyak tentang dunia luar, namun ayah sering mengingatkan dunia luar bukan seperti dunia yang menjadi atmosfera Adli sekarang. Melihat kesusahan dan kesulitan yang ayah dan ibu alami untuk menyarasuap Adli dan adik-adik membuatkan Adli seakan dapat melihat dunia luar yang menuntut kerja keras dan usaha yang gigih. Sejak kecil Adli tidak mempunyai ruang yang banyak untuk bersama ayah dan ibu kerana mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan berkelana mencari rezeki.

            Pun Adli redha dan sama sekali tidak pernah berjauh hati setiap kali ditinggalkan ayah dan ibu. Adli tidak ditakdirkan sebagai anak orang-orang berada. Dia miskin. Namun dia redha asalkan dia tetap kaya dengan kasih sayang ibu dan ayah. Adli tahu itu.

            Adli sekali lagi memandang ibu yang masih di jemuran rumah. Dia tersenyum lagi. Bahagia!

BAB LIMA
1977
Adli sudah berada di tahun enam. Semasa di tahun lima Adli lulus dengan agak cemerlang dalam penilaian darjah lima. Syukurlah. Kata ayah keputusan Adli sudah cukup bagus bagi anak desa sepertinya. Begitupun ayah mahu Adli teruskan berusaha. Jangan terlalu bangga dengan keputusan penilaian darjah lima. Adli akan ikut kata ayah. Lagipun dia tahu ayah dan ibu sudah banyak berkorban untuk menyekolahkan dia santak ke tahap itu. Kawan-kawan sebaya Adli sudah lama berhenti sekolah. Menolong ibubapa menoreh dan ke sawah. Mujurlah Adli tidak mengalami nasib seperti mereka.

            Ayah dan ibu Adli juga sudah tidak berpindah-randah mencari rezeki. Sekarang ayah sudah membeli sebidang tanah hasil wang yang dikumpulkan ketika bekerja di tanah rancangan Bukit Abu. Walaupun tidak seluas mana, cukuplah untuk ayah dan ibu membina sebuah pondok buat berteduh mereka anak-beranak. Ada terlebih sedikit kawasan di sekeliling rumah, ayah dan ibu Adli bercucuk tanam. Hasilnya bolehlah dijual kepada orang kampung.

            Macam-macam ibu Adli tanam di sekeliling rumah. Ada keledek, bendi, peria dan terung. Seronoklah Adli dan adik-adik membuat batas sayur seorang satu. Emh, adik-adik Adli pun sudah semakin bertambah. Nazira, Nabila dan Sufiah. Itu nama adik-adik Adli. Ketiga-tiganya perempuan. Adli agak kecewa juga kerana dia mengharapkan seorang adik lelaki. Bolehlah dia buat kawan. Bermain bola atau paling tidak bawa adiknya menimba ikan di kubang. Seronok! Namun apakan daya, semasa ibunya melahirkan adik baru pada bulan Jun hari itu, yang lahir bayi perempuan dan ayah namakan Sufiah.

            Adli berharap akan datang, ibu akan melahirkan bayi lelaki pula. Adli yakin ibu akan melahirkan anak lagi kerana ibu masih muda. Lagipun wanita Melayu tradisi masih belum pandai merancang. Mereka akan beranak seramai mungkin. Ibu Adli tidak terkecuali!

            “Abang nak ke mana?” Soal Azian semasa Adli dan kawannya Saibon melintasi telaga. Ketika itu Azian dan Aziah sedang mencuci kain lampin adik kecil mereka, Sufiah.

            “Timba ikan di kubang!” Balas Adli sambil melangkah.

            Saibon yang menyainginya hanya tersengih-sengih seperti kerang busuk kepada Azian dan Aziah yang hanya berkemban ketika itu. Azian mencebik bibir kepada Saibon. Meluat melihat Saibon yang tersengih-sengih kepadanya. Melihat muka cemberut Azian, Saibon makin seronok tersengih. Angin jadinya Azian. Azian tidak berkenan benar kepada Saibon. Sudahlah berkulit hitamgelap, rambut pula kerinting dan hidung kembang seperti pelepah kelapa. Sebiji Melayu asli tradisi. Azian mengerling ke arah abang. Abang pun berkulit gelap, namun daripada segi iras wajah, Azian tidak mahu nafikan antara abang dan Saibon, tentulah abang lebih menarik. Cuma silapnya abang sedikit pendek berbanding kawan-kawannya.
            “Abang, nanti abang jangan balik lambat. Karang ayah marah.” Azian sempat memberi amaran.

            Adli mengangguk cuma. Ayah marah? Uhh, ayah memang garang juga. Tetapi Adli yakin ayah tidak akan marah sekiranya dia terlewat sedikit tetapi membawa pulang bersamanya sedikit habuan untuk keluarga. Adli sudah membayangkan banyak ikan bakal dibawa pulang nanti kerana kata kawan-kawan yang pernah ke Kubang Kangkong, di situ banyak terdapat ikan keli, ikan puyu dan belut. Haruan pun ada juga. Musim kerbau berkubang seperti sekarang merupakan masa paling baik untuk menimba ikan, tanah yang sedikit berair dengan lumpur yang melekit tentu sahaja menjanjikan ikan yang banyak untuk Adli bawa pulang.

            “Li, punai!” Saibon berkata separuh berbisik sambil menyiku Adli.

            Adli meninjau ke atas pohon-pohon di depannya. Terdapat seekor punai bertengek di situ. Adli pantas meraba lastik yang diselitkan di pinggangnya. Kemudian mengambil pula sebiji batu yang memang sedia ada di dalam kocek seluarnya. Dihalanya lastik ke arah punai yang langsung tidak menyedari kelibat mereka berdua. Zupp! Batu melayang dan kemudian mengena tepat di dada si punai. Punai tidak sempat mengucap terus jatuh ke tanah. Adli dan Saibon melompat girang. Mereka berlari-lari ke arah jatuhnya punai. Mereka tersengih sesama sendiri melihat punai terkial-kial lemah.

            “Untung kita hari ni, Bon.” Adli bersuara.
            “Ya lah, Li. Kita tak payahlah cari ikan tu. Kita lastik burung hari ni. Aku rasa kat sini memang banyak burung ni.”

            Adli mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan Saibon. Mereka langsung tidak jadi menimba ikan di tempat kerbau berkubang di Kubang Kangkong. Mereka masuk ke dalam semak. Meninjau burung-burung di situ. Betul seperti sangkaan mereka. Memang banyak burung-burung kecil di situ. Ada murai, ketitir dan macam-macam burung lagi. Sekali Saibon melastik, sekali Adli melastik. Ada masa mereka melastik serentak. Habuan mereka nampak gayanya memang banyak hari itu.

            Adli sudah membayangkan wajah ceria ibu apabila dia membawa pulang burung-burung ini nanti. Dia akan minta ayah sembelih burung-burung tersebut sebelum ibu lumurkan dengan garam dan kunyit. Dia juga akan minta ibu goreng burung-burung itu hingga garing, santak boleh dimamah tulang-tulang kecil si burung. Kecur air liur Adli mengingatkan keenakan isi burung yang sudah berjaya dilastiknya.

            “Bon, dah banyak ni. Marilah kita pulang. Aku rasa dah cukup ni. Lagipun ayah aku tentu dah pulang dari kebun getah.”

            “Ayah kau buat apa kat kebun  getah petang-petang hari macam ni?” Soal Saibon hairan kerana tradisi masyarakat kampung di situ keluar menoreh seawal dinihari.

            “Ayah aku pergi kahwinkan pokok getah.”
            “Kahwinkan pokok getah? Apa dah tak ada kerja sangat ayah kau hingga terpaksa jadi kadi pada pokok getah.”

            “Kau ni, Bon. Biol kah apa? Bukan kahwin yang tu lah. Ayah aku buat proses cantuman ranting getah yang baik bakanya ke ranting pokok getah yang lain. Alah, aku lupalah daripada segi bahasa orang panggil apa tapi aku redah kahwin aje. Aku dengar semua orang kampung pun panggil macam tu. Kau tak pernah dengar ya?”

            “Kahwin anak getah? Emh, kena pilih anak getah yang akhil baligh kah?”

            “Hish, kau ni. Memang biol lah!” Gerutu Adli sambil menunjal kepala Saibon dengan jarinya.

            Saibon terseringai. Namun dia masih kebingungan dengan istilah yang digunakan Adli.

            “Nak tersengih-sengih apa lagi? Ayuh kita balik. Karang ayah aku marah, bukan kau yang kena penyakit.”

            “Takut kau kepada ayah kau, ya?”

            “Aku bukan takut la Bon, aku hormat, aku taat..” Adli membetulkan. Sentimen kawan-kawannya selalu menganggap dia takut benar dengan ayah.
            “Apa beza takut dengan hormat dan taat?”

            “Entahlah. Aku belum habis belajar bahasa. Nanti kalau aku dah belajar tinggi-tinggi pasal tu aku bagi tau kau, boleh?”

            “Alah, janganlah marah Lie. Jangan pasal kau takut ayah kau, kau nak lepaskan kat aku.”

            “Kau ni, asyik cakap aku takut je. Kau sendiri, takut tak ayah kau?”

            “Tentulah aku takut.”

            “Tapi kau buat benda yang dia tak suka, kan?”

            “Belakang dia, depan dia aku takut.”

            “Tu beza kau dan aku. Aku hormat dan taat ayah aku. Depan dia atau belakang dia, aku tak akan buat perkara-perkara yang dia tak suka. Macam dengan Tuhan lah. Kita taat kepada Tuhan, kita tak akan buat benda yang Tuhan tak suka. Kalau dah taat pada perintah-Nya, timbullah rasa takut tu.”

            “Jadi ayah kau tu macam Tuhan lah?” Saibon menyoal lagi. Entah memang tidak faham atau mahu mengenakan Adli.
            “Aku tak kata ayah aku macam Tuhan. Cuma aku hormat dan taat kepada ayah, jadi daripada rasa hormat dan taat tu aku takut melakukan perkara yang boleh buat ayah aku marah.”

            “Tu pun takutlah tu.”

            “Ish, susah kau nak faham, ya Bon? Tu lah, ayah kau hantar ke sekolah, kau tak belajar sungguh-sungguh.”

            “Alah, aku bukan suka nak belajar-belajar ni, Lie. Bosanlah. Asyik kena marah cikgu.”

            “Dah kau tak mau belajar sungguh-sungguh. Aku tak pernah pun kena marah cikgu. Cikgu Bakri pun tak pernah marah aku.”

            “Kau lain, kau tu paling pandai dalam kelas kita. Tentulah cikgu tak marah kau.”

            “Bukan pasal pandai atau tak. Ia terpulang pada kita, Bon. Dalam kelas kau asyik main. Main kapal terbang kertas, main lastik, main macam-macam. Kalau aku jadi cikgu pun aku marah.”

            “Kau ada hati nak jadi cikgu, Lie?” Saibon nampak teruja mendengar kenyataan Adli.
            “Jadilah apapun, Bon. Janji aku boleh ubah nasib hidup. Aku dah penat jadi orang susah.”

            “Amboi, tinggi cita-cita kau. Kat kampung kita ni, bukan ramai orang jadi cikgu. Kalau kau jadi cikgu tentu banyak duit kau nanti.”

            Banyak duit? Hemm, Adli tidak tahu waima dia boleh dapat duit banyak jika dia menjadi cikgu apabila dia dewasa nanti. Namun dia memang menanam impian untuk jadi orang yang berduit banyak. Ayah selalu berpesan kepadanya. Jika dia  berduit, dia tidak akan mengalami kesusahan hidup seperti ayah dan ibu alami.Dia boleh bela nasib keluarga. Boleh bagi ayah dan ibu hidup senang. Dia mahu berbakti kepada ayah dan ibu yang selama ini telah menghabiskan sekian banyak masa menyarasuap hidupnya adik-beradik. Ayah…

            “Ehh, kita jalan cepat sikit Bon. Aku tak mau ayah aku bising nanti.”

            “Alah, aku yakin ayah kau tak marah kalau dia tengok banyak burung yang kita bawa balik ni.”

            “Banyaklah kau punya yakin. Kau tak kenal ayah aku.”

            “Bila masa pulak aku tak kenal ayah kau. Hari-hari aku nampak dia. Alah, ayah kau yang tubuh kurus-kurus tu, kan?”
            “Dah lah, Bon. Pening aku cakap dengan kau.” Lalu Adli berjalan cepat-cepat mendahului Saibon.

            Saibon kalau dilayan makin menjadi-jadi. Saibon bukan bodoh tetapi dia suka untuk berlagak bodoh.

            “Lie, tunggulah aku. Janganlah jalan cepat sangat.” Saibon mengejar Adli dari belakang.

            Mereka kini kembali jalan beriringan. Adli ingin cepat-cepat sampai ke rumah. Dia mahu lihat riak wajah ibu yang tentu sekali akan gembira melihat hasil yang Adli bawa pulang. Ibu akan bawa burung-burung yang masih bernyawa (walaupun mentak sesetengahnya sudah nyawa-nyawa ikan) untuk disembelih ayah. Malam nanti Adli dan adik-adik akan berlaukkan burung hutan. Adli dan keluarga senang memanipulasikan seluruh isi alam untuk meneruskan kehidupan.

            Setibanya di rumah, Adli nampak kelibat ayah sedang mengasah pisau torehnya  atas jemuran rumah. Saibon meminta diri untuk pulang sementara Adli menyusup ke belakang rumah. Mencari ibu. Adli yakin ibu tentu berada di belakang rumah petang-petang begitu. Betul tebakan Adli sebaik tiba di jemuran dapur. Kelihatan ibu sedang menghidupkan api bagi menanak nasi untuk makan malam mereka sekeluarga nanti.

            “Mak, abang bawak balik banyak burung.”
            Ibu menoleh ke arah Adli. Wajah ibu ceria melihat beberapa ekor burung yang sedang disua Adli.

            “Banyaknya abang dapat burung. Bawa ke depan, biar ayah sembelih. Boleh kita buat lauk malam nanti.”

            “Mak goreng garing-garing ya. Biar sampai kita boleh kunyah tulang-tulangnya sekali,” ujar Adli kepada ibunya.

            Zaharah hanya mengangguk sambil tersenyum kepada Adli. Ketika itu datang Aziah, mentak kerana terdengar suara ibunya bercakap-cakap dari dalam rumah.

            “Wah, banyaknya abang dapat burung!” Aziah ternyata gembira.

            “Ya, malam nanti kita boleh makan lauk burung goreng. Sedap!” Adli merangsang adiknya.

            “Azian cakap abang ke kubang, timba ikan.”

            “Tak jadilah. Dah dapat burung ni. Besok abang pergi timba ikan. Aziah nak makan ikan ke?”

            “Nak, nak.”
            “Dah, bawak burung tu ke depan cepat. Kan mati dah tak boleh sembelih.”

            Adli akur dengan perintah ibunya. Melenting dia melompat dari jemuran dapur dan ke depan rumah. Ayah masih di situ. Kali ini dia sedang mengasah pisau yang digunakan untuk menyiat kulit pokok getah sebelum dicantumkan antara satu sama lain. Adli memberanikan diri mendekati ayah. Ayah sepertimana tipikalnya, memiliki perwatakan yang tegas membuatkan anak-anak termasuk Adli sendiri jarang mahu bersuara kepadanya melainkan jika ada perkara yang perlu sahaja.

            “Ayah, mak suruh sembelihkan burung-burung ni.” Adli bersuara meminta.

            Mahmud sekilas memandang ke arah burung-burung yang disuakan Adli kepadanya. Kemudian kembali dengan pisau yang sedang diasahnya.

            “Mana dapat burung-burung tu?” Tanya Mahmud mendatar.

            “Adli lastik bersama dengan Saibon tadi,” jelas Adli.

            “Banyak dapat?”

            “Dua belas ekor. Bahagi dengan Saibon dapatlah enam ekor seorang.”

            “Hemm…” Begitu pula bunyi Mahmud. Vokalnya selalu dalam verbal sebegitu.
            Mahmud menyudahkan asahan pisaunya sebelum mengarahkan Adli ke tanah untuk membantunya memegang burung yang bakal disembelih. Adli akur dengan perintah ayah. Kemudian seekor demi seekor burung yang dilastik Adli menghabiskan riwayatnya di hujung mata pisau Mahmud. Darah merah masih mengalir dari leher bekas sembelih.

            Malamnya mereka sekeluarga menikmati lauk burung goreng hasil tangkapan Adli bersama sayur singgang bendi yang dipetik dari belakang rumah. Ada pula sambal belacan yang dibuat ibu membuatkan selera makan mereka benar-benar dipenuhi. Adli dapat lihat riak senang pada wajah ayahnya menikmati hidangan malam itu.

            Usai menikmati makan malam, Adli menyaingi ayah dan ibu menunaikan solat isyak dan kemudiannya Adli dan adik-adik mendengar cerita tentang Nabi Ibrahim a.s membina kaabah Allah di Mekah dalam keredupan suasana malam yang hanya diterangi pelita minyak tanah. Adli dan adik-adiknya terhibur mendengar cerita ayah. Sementelahan hanya itu hiburan mereka adik-beradik. Tiada radio, tiada peti tv untuk mereka jadikan hiburan selain cerita-cerita tentang nabi dan rasul dan juga malaikat yang diceritakan ayah.

            Itupun sudah cukup menghiburkan buat Adli dan adik-adik. Paling tidak, itulah masanya untuk mereka mencuri sedikit masa ayah setelah sekian banyak masa ayah dihabiskan untuk mencari nafkah buat mereka sekeluarga.


BAB ENAM      

“Kita perlu ubah nasib kita. Tak boleh selamanya hidup dengan jadi kuli orang macam ni. Menoreh getah berapa sangat dapat, tambah lagi menoreh di kebun orang.” Begitu rungut Mahmud kepada Zaharah apabila anak-anak mereka masuk tidur.

            “Abang nak buat apa?” Soal Zaharah sebagai respon pada kata-kata Mahmud.

            “Abang nak cuba nasib dengan menternak ayam daging. Belum ada orang buat kat kampung kita ni.”

            “Besar modal bang. Mana kita nak cari modal?” Soal Zaharah lagi sambil menampar nyamuk yang cuba hinggap di pipi Sufiah yang kelenaan di tilam usang.

            “Tu lah masalah sekarang ni. Abang ingat nak buat kerja sampingan. Musim tembakau dah dekat, cuba kita tanya Pakcik Wil kalau-kalau dia sanggup upah kita tanam tembakau dia.”

            “Anak-anak Pakcik Wil ramai, mereka tentu boleh tolong Pakcik Wil.”

            “Memang anak dia ramai tapi masih belum pandai buat kerja,” balas Mahmud sambil menggaru-garu dagunya yang berjanggut sejemput bak sunnah Rasulullah s.a.w.

            “Kalau begitu kita cubalah, bang. Kita pakat-pakat buat anak-beranak. Kita boleh minta mek cuba bercakap dengan Pakcik Wil atau Makcik Esah.”

            “Tak payahlah nak minta tolong dia. Kita usahakan sendiri. Abang malas nak terhutang budi walaupun dengan ibu sendiri. Kita susah atau senang, biar kita tanggung.” Mahmud bersuara. Di hujung suaranya terkandung kesal.

            Zaharah diam dalam kesuraman cahaya pelita minyak tanah. Dia faham apabila ada sendu berjauh hati dalam intonasi suara suaminya. Rencah kehidupan, masyarakat selalu memandang hina apabila seseorang itu miskin.

            Zaharah terlontar sekejap ke daerah ingatan. Terkenang pada zaman mereka terpaksa meninggalkan anak-anak di bawah jagaan Mak Bedah. Bukan senang, malahan banyak susahnya untuk mereka berbuat begitu kerana tahu hubungan anak-anak dan Mak Bedah tidak serapat hubungan anak-anak dengan Derahman dan Mak Minah. Terlalu besar jurangnya. Jurang yang besar itu mencipta rentak sumbang sepanjang anak-anak bersama Mak Bedah. Zaharah dan Mahmud terpilu, pun desakan hidup memaksa mereka menelan semuanya dan berdoa agar suatu masa semuanya akan berakhir.

            “Anak-anak kita pergi mengaji Quran siang hari, Zah?” Suara Mahmud menarik Zaharah dari daerah ingatan.

            “Pergi.”

            “Baguslah tu. Abang tak sempat nak perhatikan anak-anak. Zah tolong abang perhatikan mereka dah cukup baik.”

            “Abang mereka ada, dia yang banyak membantu mengawasi adik-adik.”

            “Mujurlah. Adli memang anak yang boleh diharapkan. Kadang-kadang abang pun rasa bangga tengok cara dia. Cuma Zah kena selalu ingatkan Adli agar belajar rajin-rajin,” beritahu Mahmud lagi.

            Mahmud memang menaruh harapan tinggi terhadap Adli. Dia anak sulung mereka, dia memikul tanggungjawab yang besar untuk menjadi contoh kepada adik-adiknya. Kepada Adli sendiri Mahmud sering berpesan supaya sentiasa tanamkan keinginan terhadap ilmu dan iman kerana hanya perkara itu yang dapat membawa mereka ke depan. Mahmud sendiri masih menginginkan ilmu dan iman. Keinginan itu tidak pernah hilang kerana dia yakin Allah akan memberikannya selagi dia mengkehendakinya sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh Abu Na’im dalam “Hilah” daripada Abdullah bin Salamah:

            “Datang seorang lelaki kepada Muadz Radhiallahu anhu dan dia menangis, lalu Muadz berkata: Apa yang membuatkanmu menangis?” dan lelaki itu menjawab; “Demi Allah s.w.t tidaklah aku menangis disebabkan kedekatan antara diriku dan dirimu dan bukan juga kerana dunia yang aku dapat darimu tetapi kerana aku mendapat ilmu darimu dan aku takut ilmu tersebut akan terputus.” Muadz berkata, janganlah engkau menangis kerana barang sesiapa yang menginginkan ilmu dan iman maka Allah akan memberikannya sebagaimana yang telah diberi dan dianugerahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.”

            Mahmud bukanlah seseorang yang tinggi ilmu agamanya kerana dia sendiri masih belajar, namun sedikit-sedikit dia tahu juga perihal hadith dan kisah-kisah yang berlaku pada zaman rasul membawa kepada riwayat kehidupan para sahabat kerana dia banyak membaca. Disebabkan itulah dia mengharapkan suatu masa anak-anak akan mewarisi minat dan kecenderungannya. Mentak Adli sebagai anak sulung akan mewarisi minatnya atau barangkali juga si kecil Sufiah. Siapa tahu?

            “Dahlah bang, hari dah hampir dinihari. Tidur dululah. Besok abang nak ke kebun pula.”

            “Zah tidurlah dulu. Abang nak solat sunat sekejap.”

            Zaharah akur. Sementelahan dia sudah sedia maklum dengan kebiasaan suaminya. Tidurnya sesudah ayam berkokok, itupun selepas melakukan tahajjud dan berwirid panjang. Apabila azan, dia yang terlebih dahulu jaga. Zaharah rasa beruntung bersuamikan Mahmud yang dalam susahnya tidak pernah melupakan Allah. Itulah juga yang membawa Zaharah turut sama senang dan tenang. Sebagai lelaki Mahmud sudah sempurna sebagai khalifah dalam rumahtangganya. Sebagai khalifah untuk dia dan anak-anak, terkurang pun hanya sikap baran Mahmud. Ah, baran Mahmud. Zaharah ada sebagai penyejuknya kerana sikap mereka kontras.

            Zaharah menepuk-nepuk bantal seraya merebahkan kepala. Dia mahu melenakan diri sekejap sebelum Sufiah terjaga. Dia memicingkan matanya. Namun telinganya dapat menangkap alunan zikir yang keluar dari mulut suaminya. Zaharah merasa tenang teramat. Memiliki suami seperti Mahmud, apa lagi yang kurangnya? Seorang lelaki yang mahabbah atau dalam bahasa mudahnya lelaki yang kasihkan Allah s.w.t dan hatinya sentiasa cenderung untuk berkhidmat dan beribadat kepada-Nya serta bersungguh-sungguh menjaga diri dan menjauhkan diri dari melakukan maksiat. Itulah Mahmud di mata Zaharah.
           
            Entah jam berapa Zaharah tertidur. Dia sendiri tidak sedar. Sesedarnya dia lihat kelibat Mahmud sedang menunaikan solat. Sangkanya Mahmud masih melakukan solat sunat, namun tidak begitu apabila Mahmud selesai berwirid dia menggesa agar Zaharah bangun dan mengejutkan Adli supaya menunaikan solat subuh.  Zaharah akur. Dia ke menyelinap ke sebalik tabir di mana Adli dan adik-adiknya tidur.

            “Abang tak tidur malam tadi?” Soal Zaharah ingin tahu sebaik dia selesai menunaikan solat subuh dan berzikir lebih kurang.

            “Tidur, sekejap.” Mahmud membalas pendek.
            Zaharah tidak menyoal banyak lagi.  Sikap Mahmud itu bukan superpelik kerana tidurnya memang sedikit. Semasa awal-awal kahwin dulu pernah juga dia bertanya, Mahmud memberitahu siang hari dia sudah banyak menghabiskan masa dengan mencari rezeki apabila malam menjelma, itulah masanya untuk dia melakukan amal bekalan masa yang kekal pula.

            Sabda Rasulullah s.a.w: Tidaklah dianggap baik orang yang meninggalkan dunia kerana akhirat, begitu juga orang yang meninggalkan akhirat kerana dunia sehinggalah mereka memperolehi kedua-duanya: Hadith riwayat Ibnu Asakir.

            Merujuk kepada hadith tersebut, Mahmud tahu dia perlu mengejar kedua-duanya sekali seimbang dengan keperluan masa di dunia dan akhirat.

            Bayang Zaharah sudah hilang di dapur. Mahmud duduk di depan rumah meneliti peralatan menorehnya. Selepas menoreh nanti dia akan menghabiskan kerja-kerja cantuman anak getah. Tinggal beberapa ekar tanah lagi yang belum dipenuhi anak pokok. Dia asyik dengan kerjanya dan langsung tidak menghiraukan suara Adli berkaok menyuruh adik-adiknya bangun kerana mereka perlu ke sekolah. Suatu kemujuran bagi mereka kerana sekolah terletak hampir dengan rumah mereka. Sejak Adli sudah semakin bijak menguruskan adik-adik, tanggungjawab itu Zaharah dan Mahmud serahkan seratus-peratus kepadanya.

            “Abang, jom minum dulu,” ajak Zaharah.
            Mahmud mengalihkan pandangan ke arahnya. Di sisinya sudah terdapat seteko kopi O pekat bersama sepinggan keledek rebus yang nampaknya masih berasap. Mahmud tanpa vokal menjamah hidangan pagi yang disediakan si isteri. Gemar atau tidak itulah yang menjadi hidangan pagi mereka. Itupun sudah cukup baik daripada tidak dapat menikmati apa-apa pada awal pagi seperti yang pernah mereka alami sedikit masa dulu. Semasa kehidupan teruji dengan keperitan teramat.

            “Nah, ni kopi buat bekal abang di kebun.” Zaharah menghulurkan bekalan kepada Mahmud.

            Mahmud menyambutnya kemudian berlalu selepas menyarungkan kasut getah yang biasa dipakainya untuk ke kebun. Zaharah menghantar Mahmud dengan pandangan. Apabila kelibat kurus-lampai si suami sudah hilang dari pandangan mata, dia masuk ke rumah. Meninjau anak-anak yang nampaknya sudah siap berpakaian dan kini masing-masing sedang menikmati sarapan pagi.  Sarapan yang sama dengan ayah mereka.

            “Kat sekolah nanti, Lie perhatikan adik-adik.” Begitu pesan Zaharah semasa anak-anak melangkah turun dari tangga rumah.

            “Baik, mak.” Akur Adli.

            “Wang saku dah dapat semua?” Soal Zaharah sekadar mahu memastikan walaupun dia sendiri melihat Mahmud membahagi wang saku buat anak-anak malam tadi.
            “Dah mak.” Anak-anak membalas hampir serentak.

            Adli, Azian dan Aziah sudah ke sekolah. Tinggal lagi di rumah bersama Zaharah cuma Nazira, Nabila dan si kecil Sufiah. Jika Zaharah tidak beranak kecil dia sebenarnya turut sama ke kebun membantu Mahmud. Keadaan kini tidak mengizinkan. Dia perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil. Lagipun sekarang, dia masih boleh bercucuk tanam untuk membantu ekonomi suaminya.

            Nazira, Nabila dan Sufiah masih tidur, Zaharah turun ke perigi membawa kain kotor untuk dicuci. Segala-galanya perlu dilakukan sebelum Sufiah terjaga. Jika itu berlaku, tanggungjawab mencuci pakaian akan diserahkan kepada Azian. Dengan usia sebelas tahun Azian sudah boleh diharapkan.

            Usai kerja-kerja domestik seorang surirumah, Zaharah cuba menjahit beberapa helai baju Mahmud yang sudah cobak-cabik. Pakaian itulah yang akan dipakai Mahmud nanti apabila ke kebun. Bagi Zaharah sendiri, pakailah apa yang ada. Anak-anak pula nampak selesa dengan busana pemberian orang. Walaupun sudah sedikit lusuh. selagi masih elok itulah yang bakal disarungi anak-anak. Bagi Zaharah, itu sudah terlebih baik daripada membiarkan anak-anak tunabusana.

            Mahu membeli pakaian baru untuk anak-anak? Uhh, bukanlah Zaharah tidak teringin. Teringin sekali terutama apabila tiba lebaran. Apabila tiba masa semua anak-anak di kampung itu berpakaian serba baru. Ketika itu terketik jiwa Zaharah apabila dia dan suami tidak mampu menyediakan walaupun sehelai pakaian baru untuk anak-anak. Dia mengesan sayu pada wajah anak-anak. Mengesan garis sendu di rias mereka. Namun apabila ditanya terutama kepada Adli jawapannya cukup meruntun jiwa Zaharah.

            “Betul Lie tak kisah tengok kawan-kawan berbaju baru tapi Lie dan adik-adik sering pakai baju lusuh dan usang?”

            “Lie tak kisah, mak. Janji Lie tetap dapat bersama mak dan ayah. Tetap tinggal satu keluarga.” Itu jawapan Adli yang penuh pengertian.

            “Kat sekolah, ramai kawan-kawan yang dah berhenti sekolah. Ada yang mak ayah dia memang tak izinkan ke sekolah, ada juga yang terpaksa berpindah sekolah kerana dibawa berpindah oleh keluarga angkat,” ujar Adli sambil membaiki batas ubi keledek yang sedang dicangkulnya.

            “Keluarga angkat?” Zaharah sengaja mahu menduga.

            “Ya, mak. Bagi kawan-kawan yang mak ayah dia orang tak mampu nak jaga sendiri, ramai yang terpaksa ikut keluarga angkat. Lie dan adik-adik masih kira beruntung sebab mak dan ayah masih sanggup membela kami sendiri,” terang Adli.

            Zaharah menelan ludah. Ah, kalaulah Adli tahu dia dan Mahmud sudah beberapa kali didatangi orang luar bertanyakan anak-anaknya! Dahulu ada orang ingin membela Azian, Mahmud sama sekali tidak mahu menyerahkan walaupun kesempitan hidup teramat mendesak. Terkini, apabila Sufiah dilahirkan sekali lagi ada yang datang bertanya untuk mengambil Sufiah sebagai anak angkat. Bukan orang luar, tetapi sepupu Mak Bedah sendiri. Mahmud dan Zaharah sama sekali tidak berganjak dengan tekad untuk membesarkan sendiri anak-anak mereka walaupun seribu keperitan menduga.

            Lalu santak hari itu, walau dengan seribu kepayahan, Zaharah dan Mahmud berusaha menyarasuap anak-anak mereka demi membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka masih mampu membesarkan anak-anak mereka sendiri. Biarlah anak-anak mereka tidak mampu bertukar pakaian baru setiap kali lebaran tiba. Sekurang-kurangnya mereka tetap masih mampu bersama. Hidup dalam sebuah keluarga. Syukurlah juga perkara itu difahami Adli selaku anak tertua.

            “Mak, adik dah jaga.” Suara Nazira mengejutkan Zaharah yang nampaknya sudah terlontar dalam lubuk fikir.

            Zaharah pantas meletakkan pakaian yang sedang dijahit ke tempat sepatutnya. Dia mendapatkan Sufiah. Anak kecil itu kelihatan terkial-kial di pertidurannya. Zaharah memangku si kecil ke riba. Menyelak baju yang dipakainya kemudian menyusukan Sufiah. Sufiah menetek dengan gelojoh, kelaparan setelah sepagi tidur. Zaharah bahagia melihat telatah Sufiah.  Zaharah merenung si kecil di ribaannya. Terkesan suatu rasa dalam diri Zaharah. Rasa yang Zaharah sendiri tidak dapat tafsirkan setiap kali merenung anak-anaknya.

            Ah, memang seringkalinya anak-anak paling utama dalam hidup Zaharah selepas si suami!

            Dan Zaharah sama sekali tidak pernah menyesal ditemukan dengan Mahmud walaupun mereka sering kesesakan dan hidup gelandangan. Sekurang-kurangnya dia dipertemukan dengan lelaki yang beriman. Keimanan itulah membawa kepada sikap tanggungjawab dan penuh kasih sayangnya.

            Lalu Zaharah sentiasa bersyukur!











BAB TUJUH
Adik-adik Adli berkejar-kejaran di celah-celah batas tembakau yang sudah menguning daunnya. Adli berkaok kepada adik-adik agar jangan sampai terjatuh, kelak ada yang menangis dan menyalahkan satu sama lain sambil tangannya ligat memetik daun tembakau yang sudah cukup matang. Untuk mengerahkan adik-adik balik ke rumah rasa kesian pula kepada ibu. Sudahlah kalut melayan Sufiah yang asyik meragam dua tiga hari ini kerana kembung perut, jika adik-adik yang lain ada di rumah tentu tambah bising.

            Begitulah rutin Adli hari-hari pada musim mengutip hasil tembakau. Sesudah membuat kerja rumah dan membantu adik-adik dengan kerja rumah mereka, Adli akan turun ke padang. Meringankan tulangnya mengutip daun tembakau. Dalam dua tiga hari ini ayah agak sibuk menguruskan projek ternakan ayam dagingnya. Ayah kalut dengan proses membina reban ayam. Adli pun sesekali akan menolong ayah membina reban ayam.

            Ayah membina sendiri reban ayamnya kerana kata ayah itu lebih menjimatkan kos. Sekurang-kurangnya jimat kos upah tukang di situ. Adli pula sudah tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti. Ayah bina tidaklah banyak. Cuma dalam dua reban. Adli masih tidak dapat membayangkan dalam benaknya bagaimana nanti projek ayam daging ayah akan berjalan. Harap-harap semuanya akan berjalan lancar. Adli tidak tahu soal risiko dan untung rugi. Adli cuma terdengar ayah dan ibu bercakap, setakat hari itu belum ada sesiapa yang menjalankan projek ternakan ayam daging. Ayah cuba mengambil peluang itu sementelah pula ayah terdengar pasar basah bakal dibuka di Tanah Merah. Mungkin inilah masanya untuk ayah merubah nasib mereka sekeluarga.

            Kalaulah projek ayah menjadi, Adli paling seronok kerana sudah tentu ayah dan ibu tidak akan berkelana lagi. Adli sudah perit ditinggalkan di sana-sini dek kerana tuntutan hidup mereka sekeluarga. Adli tidak kisah meski terpaksa hidup kekurangan selagi mereka hidup di bawah satu bumbung. Adli perit mengenang saat-saat menanggung rindu terhadap kedua-dua orang tuanya apabila mereka seringkali berkelana.

            “Lie buat apa?” Ada suara ayah menerjah ke gegendang telinga Adli.

            “Tak ada apa ayah.”

            “Kerja sekolah dah siap?”

            Itu soalan lazim ayah. Antara ayah dan ibu, ayahlah yang paling rajin bertanya tentang perihal sekolah sementara ibu lebih cenderung untuk bertanya soal makan minum sahaja.

            “Dah ayah.”
           
            “Baguslah macam tu. Ayah nak tengok Lie berjaya. Jangan jadi macam ayah. Belajar separuh jalan.” Suara jantan ayah berdesir berbaur dengan kesal teramat.

            “Tingkatan tiga nanti Adli akan duduki LCE. Kena berusaha dari sekarang.” Vokal ayah lagi menyambung deskripsinya.

            Adli mengangguk faham. Memang dia sudah bersedia untuk menghadapi LCE.  Mujur juga dia mendapat tunjuk ajar daripada Mak Su. Jika ada sebarang perkara yang dia tidak faham dia akan mendapatkan Mak Su untuk menerangkan kepadanya. Uhh, mujurlah ada mak su. Selain boleh membantunya dalam urusan persekolahan, Mak Su juga teman bermain. Mereka akrab kerana jarak usia yang dekat. Terkadang Adli rasa beruntung kerana mempunyai ibu saudara yang boleh memberinya tunjuk ajar.


Mahmud mengasah pisau torehnya. Menoreh tetap juga menoreh walaupun sedikit masa lagi reban ayamnya bakal siap dan sudah boleh diisi anak-anak ayam. Anak ayam mengambil masa juga untuk membesar sebelum boleh merasa hasilnya. Mahmud sudah merancang, jika ayam-ayamnya sudah sedia untuk diproses, dia akan memohon gerai ayam di pasar basah. Dia akan menjaja ayam sendiri. Tambah untung. Saat itu, masih belum ramai orang kampungnya yang cuba-cuba berniaga. Apa salah jika Mahmud memulakan.

            Dia bukan terlalu metarialistik. Mahmud cuma mahu mengubah kondisi hidupnya. Mahu menyarasuap anak isteri. Sebab itulah semua kerja Mahmud buat. Mujur   Zaharah sanggup membantu. Si isteri turut menyumbang apabila ringan tulang bercucuk tanam. Mengerah anak-anak membuat batas menanam sayur. Jimat seringgit dua untuk mengalas perut. Hasilnya adalah seperti peria, petola, cili,bayam dan keledek. Selain dibuat makan sendiri boleh jugalah dijual kepada orang kampung. Mahmud secara leluhur lagi bukan orang senang. Namun dalam susahnya Mahmud bersyukur kerana tidak juga mewarisi sifat malas. Dia sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya.

            Mahmud melepaskan keluhan. Dia teringat betapa hinanya dia apabila menjadi orang susah. Semua orang buat tidak endah walaupun keluarga sendiri. Mahmud tiada sokongan daripada mana-mana pihak. Apabila dia berhasrat melibatkan diri dalam ternakan ayam daging, macam-macam cemuhan yang diterimanya. Kebanyakannya daripada keluarga sendiri. Keluarga terdekat.  Mereka mengeluarkan deskripsi-deskripsi yang kepada orang lain mungkin sudah mematahkan semangat, namun tidak bagi Mahmud. Cemuhan-cemuhan itulah yang membakar semangatnya.

            Selagi ada kudrat. Ya. Selagi ada kudrat Mahmud tidak akan patah usaha. Dia tetap akan ke depan.

1980
Adli diterima masuk ke sekolah beraliran vokasional.  Adli gembira bukan kepalang. Ibubapanya sementelahanlah pula. Pada tahun-tahun ini mendapat tempat di sekolah beraliran vokasional bukan perkara mudah. Hanya calang-calang pelajar yang mampu mendapat tempat. Disebabkan itulah Adli dan ibubapanya begitu gembira. Adik-adiknya yang kurang mengertipun nampak gembira sama melihat kegembiraan mereka. Jadilah Adli anak kampung pertama yang mampu keluar dari daerah untuk meneruskan pengajian di daerah lain. Meskipun hanya di Pengkalan Chepa, ia sudah cukup jauh untuk Adli yang sebelum ini tidak pernah keluar dari daerah Tanah Merah.

            “Abang nak hantar Adli dengan siapa?”Soal Zaharah pada malam sebelum Adli bertolak ke Pengkalan Chepa untuk mendaftar diri di Sekolah Menengah Vokasional Parang Puting.

            Mahmud bungkam mendengar pertanyaan yang terlontar dari kerongkong Zaharah. Sebelum Zaharah bertanyakan soalan itu dia sudah memikirkannya. Santak hari itu tiada sesiapa yang menawarkan diri untuk menemaninya menghantar Adli. Kecewa sungguh rasa dalam diri Mahmud namun dipendamkan sahaja. Malahan berharap juga agar Zaharah tidak terlalu vokal bertanyakan perkara itu. Namun harapan Mahmud berlaku sebaliknya.

            “Kalau dah tak ada sesiapa yang sudi, abang seorang pun tak apa,Zah,” ujar Mahmud.

            Zaharah terpilu. Walaupun nada suara kontang, namun jiwa Mahmud banjir dengan kesedihan. Zaharah tahu itu. Mereka orang susah. Sampai bila-bila pun masyarakat bebanyak akan pandang mereka susah meski projek ayam daging mereka mula menampakkan hasil. Zaharah bukan minta keluarganya disanjung, cukup jika ketika susah dan ketika ada keperluan orang kampung terutamanya keluarga boleh membantu dan memberikan sokongan.

            “Tak apa, Zah. Tiba kat sana nanti ada saudara sebelah arwah ayah abang yang menanti. Merekalah yang akan bawa abang dan Adli ke sekolah tu.”Mahmud memberi jaminan seakan mengerti rentak bimbang yang bergendang dalam lubuk jiwa Zaharah.

            “Mak abang?” Zaharah hanya inginkan kepastian kerana sejak khabar gembira tentang Adli berjaya meneruskan pengajian di sekolah aliran vokasional, ibu mentuanya belum menjenguk khabar.

            “Biarlah dia, Zah. Dia pun bukan senang untuk menghantar Adli sama-sama dengan abang besok. Kena pikir banyak benda. Soal kewangan, tambang dan makan minum untuk ke sana. Lebih sikit orang yang pergi, lebih jimat belanja.”

            Zaharah tidak tahu, waima ia hakikat atau pemanis jiwa.  Namun kata-kata Mahmud ada benarnya. Orang susah seperti mereka harus membuat perhitungan ke atas sebesar-besar perkara sehingga kepada sekecil-kecil perkara.

Esoknya seperti yang dibincangkan, Mahmud sendirian menghantar Adli ke Pengkalan Chepa. Mereka menunggu bas di jalan besar untuk ke sana. Nanti di Pengkalan Chepa mereka akan bermalam dahulu di rumah sepupu Mahmud. Mujurlah mereka telah bersetuju untuk menumpangkan Mahmud dan Adli. Lagipun tanpa bantuan mereka, Mahmud tentu susah untuk ke sekolah vokasional yang dimaksudkan kerana Mahmud bukan tahu selok-belok untuk ke sana.  Dalam keadaan seperti itu bantuan mereka amat dihargai Mahmud.  Pada saat hati kemutuan oleh sikap saudara-saudara dekat yang sekampung, kebaikan yang dihulurkan sepupunya amat-amat Mahmud hargai.

            “Adli, cuba duduk di tepi sikit,” arah Mahmud semasa dilihat Adli asyik mencangkung di atas bahu jalan.

            Walaupun jalanraya waktu itu tidaklah sesibuk mana, kegusaran tetap ada kalau-kalau datang motorsikal yang dipandu laju lalu terlanggar Adli yang mencangkung di bahu jalan. Adli akur dengan arahan ayahnya. Baru sahaja dia bangun kelihatan bas SKMK sayup-sayup dari arah Tanah Merah. Bas bernombor dua puluh empat itu sudah menjadi pengangkutan utama warga desanya untuk ke mana-mana kerana rata-rata khalayak tidak mempunyai kenderaan sendiri.

            Mahmud menghayunkan tangannya ke atas ke bawah sebagai isyarat mengarahkan bas berhenti. Dalam dada Adli berdupdap-dupdap. Inilah pertama kalinya dia akan meninggalkan keluarganya. Walau gembira menerima tawaran ke sekolah vokasional, sedih tetap menjengah sesekali dalam sanubari mengenangkan dia terpaksa berjauhan dengan keluarga. Sesuatu yang sebelum ini tidak pernah dibayangkannya.

            Bas berhenti. Mahmud menjinjing beg pakaian yang memuatkan beberapa helai pakaian yang lebih-lebih kurang sahaja. Dia tidak mampu untuk menyediakan keperluan ke asrama sesempurna mungkin buat anak sulungnya, Adli. Ada sayu dalam jiwa Mahmud mengenangkan itu. Seboleh mungkin dia ingin, namun dia tidak mampu. Mujurlah Adli bukan anak yang banyak meminta. Itu yang disediakan, itulah yang bakal disarungkan ke tubuhnya nanti. Dalam usia sepertinya, Adli sudah lebih daripada mengerti kesempitan dan kesesakan yang Mahmud alami.

            Dalam perjalanan, pelbagai rencam rasa bermain dan bersiponggang dalam jiwa Mahmud dan Adli. Mentak apa yang mereka fikirkan berlainan, namun masih menjurus sendu yang sama. Berbaur dengan rasa gembira kerana anak kampung seperti Adli mampu diterima di sekolah beraliran vokasional.

            “Nanti di sekolah Adli jaga diri baik-baik. Kalau perlukan apa-apa, Adli cakap saja dengan ayah. Pasal belanja Adli jangan bimbang. Ayah akan cuba ikhtiarkan secukupnya.” Begitu pesan Mahmud dalam perjalanan ke Kota Bharu.

            “Projek ayam daging yang sedang kita usahakan insya-Allah akan mendatangkan hasil lumayan. Ayah janji ayam daging tu nanti akan ubah nasib kita sekeluarga.” Mahmud berbunyi lagi.

            Adli di sebelahnya hanya mengangguk-angguk. Dia yakin dengan kata-kata ayah. Dia yakin usaha ayah akan membuahkan hasil sekali gus akan mengubah nasib mereka sekeluarga yang sebelum ini hanya cukup-cukup makan.
                
            “Di sekolah nanti,Adli tumpukan pada pelajaran. Jangan pikir masalah lain. Ayah tak suka kalau Adli campur adukkan macam-macam hal dalam kepala.”

            Adli tetap juga diam. Begitulah sememangnya jika ayah sudah mula bersuara. Dia sebenarnya tidak memerlukan sebarang vokal dari mulut anak-anaknya. Paling penting segala kata-katanya diingat oleh anak-anak.

            Setelah mengambil masa hampir sejam, mereka tiba di Kota Bharu. Mereka perlu mengambil bas untuk ke Pengkalan Chepa pula. Di sana nanti Mahmud dan Adli akan bermalam di rumah sepupu Mahmud. Wahid namanya.Dia seorang yang berjaya. Anak-anak pun semua terpelajar. Namun dalam berjaya mereka tidak pernah sombong dan melupakan kaum keluarga yang susah. Sebaik tahu Adli berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah vokasional di situ, terus mereka berjanji untuk membantu apa yang patut.

            Mahmud dan Adli amat bersyukur sekali kerana masih ada keluarga yang sedia membantu dalam saat-saat seperti itu.







BAB LAPAN
Cuaca hari itu kelihatannya gelap teramat. Seakan hujan akan turun bila-bila masa. Dua tiga hari itu memang cuaca tidak menentu sekali. Hujan turun bersertakan ribut petir sabung-menyabung. Mahmud gusar. Sudah berkali-kali dia ke luar rumah menjenguk ayam di reban. Bimbang ribut yang kuat mengancam ternakannya.

            Sesekali juga dia mendongak ke langit. Nampak kelam benar. Mahmud menghela nafas. Meminta kekuatan dari Ya Rabbi agar diri dan keluarga tidak ditimpa musibah. Zaharah pula kelihatan berkali-kali menjengah dari balik jendela. Bimbang suami masih di bawah sedangkan cuaca nampak semakin buruk. Mahmud seakan faham dengan bahasa badan si isteri. Pantas dia naik ke rumah sedang dalam hatinya memanjat doa ke hadrat Ilahi.

            Belum sampai lima minit Mahmud naik ke rumah, guruh berdentum di sini-sana kemudian disertakan dengan kilat sabung-menyabung. Beberapa ketika pula hujan turun mencurah dengan garangnya. Langit seakan marah kali ini sehingga memuntahkan hujan yang sebegitu dahsyat. Dari dalam rumah boleh terdengar suara ribut di luar. Mahmud dan Zaharah dipagut cemas. Anak-anak apatah lagi. Masing-masing sudah mula berpelukan antara satu sama lain. Bashah dalam dukungan Aziah menangis ketakutan. Sufiah pula memeluk kaki Mahmud kejap-kejap.

            “Keluar, keluar!” Arah Mahmud dengan suara melenting kasar apabila rumah kecil mereka mula terasa bergegar.
            Zaharah menolak anak-anak keluar ikut pintu depan rumah. Ribut besar melanda. Sedang elok mereka semua terjun ke tanah yang sudah dilimpahi air hujan, bumbung rumah mereka kelihatan melayang di udara. Mereka sekeluarga terkesima. Takut pun ada melihat maha hebatnya kuasa Allah menurunkan hujan dan ribut yang sebegitu garang.

            Semuanya berlaku dalam sekelip mata sahaja. Selepas ribut yang maha dahsyat itu berlaku, hujan mula mereda. Mahmud dan keluarga berdiri dalam hujan. Melihat rumah yang hampir roboh dibaham ribut. Rasa dalam diri Mahmud hanya Tuhan yang tahu apabila ribut telah memusnahkan tempat mereka sekeluarga berteduh.

            Suara anak-anak menangis mengejutkan Mahmud yang tidak lugu seketika tadi. Ahh, aku harus kuat. Kalau aku lemah anak-anak lagi lemah! Berdesir suara dalam diri Mahmud memberikan kekuatan kepada dirinya sendiri.

            “Zah jaga anak-anak. Abang pergi minta tolong orang kampung,” beritahu Mahmud kepada Zaharah.

            Zaharah mengangguk dengan linangan airmata yang cuba dikawal. Dia tidak mahu suaminya melihat dia menangis. Dia tahu tangisannya nanti akan membuatkan si suami lemah. Begitupun dia hanya seorang perempuan yang apabila ditimpa malang mudah untuk mengalirkan airmata. Apatah lagi malang yang membuatkan mereka sekeluarga hilang tempat berteduh. Zaharah tidak dapat membayangkan masa depan mereka selepas ini.
            Mahmud kembali semula selepas lima belas minit pergi mendapatkan bantuan. Wajahnya memang nampak sugul, tipikal lelaki melayu, Mahmud seboleh mungkin cuba menunjukkan wajah melindungi di depan anak isterinya meski dia sendiri belum dapat memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang mereka dan bakal mereka depani nanti.

            “Nanti Mokhtar dan adik-beradiknya datang.” Mahmud bersuara sambil mengambil Bashah dari dukungan Zaharah.

            Zaharah hanya mengangguk-angguk. Dalam kondisi seperti itu Zaharah seperti sudah tunasuara.

            Menunggu bantuan datang memang sesuatu yang agak menekan perasaan. Sungguhpun begitu Mahmud tetap bersabar. Mujurlah semasa dia ke rumah Mak Su Munah tadi, anak-anaknya ada di rumah dan sudi untuk membantu dan menumpangkan mereka sekeluarga sementara rumah diperbaiki semula.

            Bukan Mahmud tidak mahu meminta bantuan ibunya sendiri, tetapi ibunya tiada di rumah. Mahmud pun tidak boleh menebak ke mana dia pergi dalam keadaan hujan-hujan seperti itu. Biarlah. Selagi dia masih ada tempat untuk dituju, dia akan ikhtiarkan. Lagipun Mak Su Munah bukan orang lain, ibu saudara Mak Bedah juga. Bermakna Mak Su Munah dan anak-anaknya  bukan orang lain dengan Mahmud.

            Mahmud mendukung Bashah sambil sebelah tangan memegang payung sementara menunggu bantuan datang. Sufiah pula memeluk betisnya erat dalam hujan yang mula merenyai. Cuaca sudah sedikit cerah. Tidak lagi mendung seperti tadi. Tiada lagi kelam dan zulmat yang menyelubungi atmosfera mereka.

            “Ayah, tu tok…” Sufiah dalam telor kanak-kanak empat tahun menunding jari ke arah sepasang suami isteri yang sedang berjalan melintasi kebun getah.

            “Tok!” Sufiah berkoak tanpa sempat diberi amaran oleh Mahmud.

            Kaokan Sufiah mendorong Mak Bedah mengubah pegangan payung. Menghalang Sufiah dari melihat wajahnya dan berlagak tidak mendengar panggilan Sufiah.

            “Dah, jangan nak panggil orang suka-suka hati. Tu bukan tok Sufiah. Tu  Makcik Esah…” Mahmud menegah Sufiah daripada terus menjerit memanggil Mak Bedah dalam hujan.

            Sufiah terpinga-pinga. Mahmud tahu anak kecil itu kebingungan kerana dia berbohong begitu. Tentulah Sufiah cam neneknya sendiri. Uhh, lebih baik dia berbohong begitu daripada mencari alasan yang tidak-tidak apabila Mak Bedah langsung tidak mahu menjengah bertanya khabar setelah mereka sekeluarga ditimpa ribut sekejap tadi. Dia lebih rela berjalan dalam hujan suami isteri begitu untuk bertanya khabar rakan taulannya daripada bertanya khabar anak sendiri. Mahmud yakin ibunya dalam perjalanan untuk ke rumah Makcik Esah yang rumahnya tidak terlalu jauh dari rumah Mahmud.

            Ahh, kalau sudah miskin, memang di mata siapa pun akan kelihatan hina! Mahmud memaktubkan begitu di dalam hati. 

            Mahmud pun tidak faham sebenarnya mengapa hubungan dengan ibu sendiri menjadi begitu-begitu sahaja. Puas Mahmud cuba baiki hubungan mereka. Namun dia hanya seperti malukut di tepian gantang. Hati dia bolehlah dia ubat tapi hati anak-anak dan isteri? Mahu menyalahkan bapa tirinya? Mahmud tengok Othman bukanlah teruk benar pun. Entahlah. Mentak perasaannya sendiri yang suka fikir perkara tidak-tidak. Alih-alih dia membawa diri jauh dari kehidupan mereka walau dalam hati dia sayangkan ibunya. Sayangkan Zie. Adiknya. Satu-satunya adik yang Mahmud ada di dunia ini.

            Walau dingin. Mahmud sebenarnya masih yakin akan kasih sayang Mak Bedah terhadapnya. Mustahil Mak Bedah tidak sayangkannya. Cuma cara Mak Bedah menunjukkan kasih sayangnya begitu berbeza daripada ibu orang lain. Nah, buktinya Mak Bedah masih sanggup menguruskan Zaharah setiap kali isterinya bersalin. Zaharah pula terlalu produktif, hampir dua tahun sekali dia akan melahirkan anak. Santak hari itu mereka sudah mempunyai tujuh orang anak. Tahun 1980-an seperti itu amalan perancangan keluarga masih belum terdedah kepada masyarakat kampung, apatah lagi masyarakat kampung yang tunapendidikan seperti Zaharah.

            Othman pula? Huh, kalau anak perempuan memanglah Othman tidak terlalu menunjukkan kasih sayangnya. Tapi kalau lelaki, itu Si Bashah anak bongsunya. Setiap kali dia pulang bercuti Othman akan membawa Bashah berjalan-jalan. Bashah jarang ada di rumah kalau Othman bercuti. Itu bukan kasih sayang kah namanya?

            Ahh, mentak Mahmud yang terlalu prejudis sehingga menelurkan satu hubungan yang cukup asing bersama ibubapanya sendiri walhal bagi pihak mereka sebaliknya. Mahmud kemudian memaktubkan begitu.

            “Abang, Mokhtar dan Manaf dah sampai…” seru Zaharah mematikan lamunan Mahmud.

            Mahmud terheret dari lubuk fikirnya sendiri. Dia kemudian menyuakan Sufiah kepada Mokhtar untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat. Tempat berlindung untuk sehari dua setelah rumah mereka hampir musnah dibaham ribut.

            Setelah anak-anak selamat dibawa menumpang di rumah Mak Su Munah, barulah Mahmud teringat tentang reban ayamnya. Tanpa berlengah dia ke belakang rumah untuk melihat reban ayam di sana. Syukur alhamdulillah kerana reban ayam tidak mengalami kerosakan yang teruk. Ribut awal tadi tidak menjejaskan reban ayam walaupun rumah sendiri rosak teruk. Hanya ayam nampak terugah dek cuaca yang menggila awal tadi. Mahmud terasa kerdil dalam kesyukuran terhadap Ilahi.

            Syukurlah, Ya Allah. Aku yakin kau tidak akan menguji hamba-Mu dengan ujian yang  tidak mampu hamba-Mu hadapi.

Adli terkejut semasa pulang bercuti melihat keadaan rumah yang agak berlainan. Dia memang tidak dikhabarkan langsung tentang musibah yang melanda keluarganya. Mahmud tidak mahu Adli bimbang dan terugah dengan perkhabaran yang boleh menggugat tenangnya.

            “Ayah sengaja tak nak bagi tau Lie. Takut Lie bimbang dan tak boleh nak belajar.” Tukas Zaharah semasa Adli mempersoalkan perkara itu.

            “Banyak lah ayah berhabis nak baiki rumah, mak?”

            “Ntahlah, mak tak tanya. Ayah bukan kongsi semua perkara dengan mak. Dia kan jenis banyak memendam.”

            Adli diam. Dia memang mengerti rentak hati ayah yang diam. Walau ayah acap tampil dengan parodi yang pelbagai sehingga menelurkan lelucon yang bukan sedikit bagi anak-anak, hakikatnya ayah tetap tegas. Sikap tegas ayah membuatkan ramai yang menghormatinya dalam kondisi segelintir masyarakat memandang hina ekoran kemiskinan mereka. Adli faham benar-benar tentang hal yang satu itu. Tambah faham apabila rasa dalam diri ayah semakin banyak dikongsi dalam diam oleh Adli sejajar dengan usia yang makin meningkat.

            “Mujur reban ayam tak musnah sama, kalau tak lagi banyak ayah kena menanggung rugi.”

            “Kata ayah, Allah menguji setakat yang termampu.  Allah turunkan ujian bagi kita sebab Dia sayangkan kita. Kalau kita sesama manusia pun kita akan bergurau dengan orang yang kita sayang.” Zaharah berkata secara tidak langsung mengulangi kata-kata Mahmud.

            Adli diam lagi.

            “Tak apalah Lie. Soal susah senang keluarga jangan nak pikir sangat. Ingat pesan ayah, tumpukan pada pelajaran. Lie anak sulung, patutnya jadi contoh untuk adik-adik. Tengok Mak Su Zie, jadikan dia sebagai contoh. Nenek Adli bukan orang senang pun, tapi Mak Su boleh jadi pandai juga. Jangan jadikan miskin sebagai penghalang.”

            Wah panjang lebar pula amanah ibu kali ini. Klisenya ibu bukan pandai bercakap tentang pendidikan. Markah tinggi atau sebarang hal  berkaitan. Boleh jadi semakin ramai anak-anak ke sekolah, ibu semakin pandai bercakap.

            “Ibu nak masak apa bukan main banyak kupas bawang ni?” Adli akhirnya mengubah topik.

            Bercakap lebih banyak mengenai pelajaran akan membuatkan jiwa Adli medu. Nak belajar tinggi tidak cukup setakat ada pen dan buku, banyak lagi keperluan lain. Walau ayah seboleh mungkin menyediakan keperluan, seboleh mungkin itu juga Adli cuba mengikat perut tinggal di asrama. Tahun depan dia sudah tidak boleh tinggal di asrama. Dia belum tahu ke mana hala tujunya nanti. Sebab itu dia mahu melupakan seketika soal sekolah.

            “Emak nak buat gulai kerutuk ayam.”

            “Banyak macam ni?”

            Zaharah menoleh sekilas ke wajah Adli. Tunak dipandangnya wajah anak sulungnya. Ada kasih seiring dengan pandangan itu.

            “Mak nak jual. Dah berbulan-bulan mak tolong ayah cari duit. Mak gulai ayam banyak-banyak. Mak bawa ke Jengka.”

            “Mak pergi jual ayam sampai ke Jengka?”

            Zaharah tersenyum tanda mengiyakan. Bayangan dia menaiki traktor yang biasa digunakan untuk memunggah kelapa sawit di tanah rancangan Jengka Bukit Abu kembali bermain dalam benaknya. Terhoyong-hayang dia dan penumpang-penumpang lain. Adakala mereka tergelungsur ke bawah semasa traktor mendaki bukit. Terpaksalah pemandu traktor memberhentikan kenderaan itu untuk memberi peluang mereka menaiki traktor kembali. Maka beramai-ramai pula mereka memanjat traktor.

            Biasanya Zaharah akan membawa Sufiah bersamanya kerana anak-anak yang lain sudah bersekolah. Bashah pula jarang ada di rumah apabila Othman pulang bercuti. Sufiah memang teruja dapat mengikutnya berniaga.

            “Sekurang-kurangnya mak boleh bantu ayah. Boleh sekolahkan anak-anak. Ayam kita tak perlu beli. Tinggal proses je.”

            “Ayah meniaga kat pasar tu tak untung banyak kah, mak?”

            “Jual sendiri memang boleh tahan tapi sebab kat Tanah Merah ni masih belum ramai orang yang ternak ayam daging, ayah terpaksa juga tolak kepada penjaja lain. Kalau ayah tak buat begitupun tak boleh juga, ayam kalau dah sampai masa harus dijual, nanti dagingnya jadi liat.”

            “Assalamualaikum…”

            Satu suara memberi salam menamatkan perbualan antara Adli dan Zaharah.

            Belum sempat mereka menjawab salam, Mak Bedah sudah menjengah di pintu dapur.
            “Waalaikumussalam. Mek dari mana ni?”

            “Aku dari rumah Pak Su Napi. Ada kenduri kat sana. Ni aku bawa balik pulut semangat sedikit.”

            “Anaknya yang mana satu kahwin?”

            “Yang nombor dua. Adli, ambil pulut ni letak dalam bekas. Pinggan tu nenek nak pulangkan balik.”

            Adli akur. Dia menyambut pulut kuning dari tangan Mak Bedah. Ketika itu Sufiah muncul di dapur. Mungkin kerana terdengar suara Mak Bedah.

            “Mak nak ikut tok…”

            “Hah, nak ikut tok cepat sikit. Tok nak ke rumah Pak Su Napi ni,” kata Mak Bedah tanpa sempat Zaharah memberi kebenaran.

            Mendengar nama Pak Su Napi Sufiah terseringai gembira. Dia paling suka ke rumah Pak Su Napi, bukan kerana pakcik tua itu baik tetapi juga kerana Sufiah seronok bermain dengan beruk peliharaannya yang digunakan untuk memetik buah kelapa. Sufiah terus mendampingi Mak Bedah.

            “Aku pergi dululah. Malam karang baru aku balik.”

            “Sufiah boleh balik sendiri kalau tak mau tunggu tok ya…” Pesan Zaharah tanpa bangun menghantar Mak Bedah ke muka pintu.

            Sufiah hanya mengangguk-angguk sambil membuntuti Mak Bedah dari belakang. Zaharah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat gelagat Sufiah. Pantang Mak Bedah muncul, mula mahu mengekor. Sebab itulah selalu orang kampung menyangka Sufiah itu anak Mak Bedah yang bongsu.

            Zaharah menghelakan nafasnya. Terkesan syukur dalam hatinya apabila mengenangkan hubungannya dengan Mak Bedah semakin baik. Cuma Mahmud yang nampaknya masih begitu-begitu terhadap ibunya. Begitupun andai perniagaannya mendapat untung lebih, Mahmud tidak lupa membeli keperluan dapur untuk ibunya juga. Tentang itu Mahmud tidak berkira.








BAB SEMBILAN
Tahun ini Adli akan menduduki peperiksaan SPMV.  Tahun ini juga Adli sudah tidak menginap di asrama. Dia tinggal bersama keluarga Wahid di Kampung Baung. Dekat dengan sekolahnya. Kehidupan bersama keluarga Wahid lebih terjaga dan sempurna. Malah Adli juga lebih gembira di sini kerana anak-anak Wahid yang dipanggilnya Pak Utih melayannya dengan baik sekali. Mereka menganggap Adli tidak ubah seperti adik-beradik sendiri.

            Kalau anak-anak Pak Utih kembali ke asrama, Adli juga tidak bosan kerana Pak Utih ada memelihara kambing. Hitam warnanya. Hitam juga namanya. Kalau cuti hujung minggu Adli banyak menghabiskan masa dengan Hitam. Dia akan carikan pucuk-pucuk nangka untuk diberi makan kepada Hitam. Dia banyak menghabiskan masa dengan kambing itu jika sudah selesai mengulangkaji pelajaran. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menghilangkan rindunya kepada keluarga. Kepada ayah ibu, kepada adik-adik.

            Terkadang dia akan mengelamun sambil memberi makan Si Hitam. Mengenang adik-adik di rumah. Mengenang betapa seronok bergurau dan menyakat adik-adik. Ada masa juga Adli ketawa seorang diri teringat bagaimana adik-adik kecut perut apabila dia menyamar menjadi hantu dan bersembunyi di atas pohon mengkudu yang tubuh rendang di atas busut di padang ternak depan rumah. Adik-adik biasanya akan melintasi pohon mengkudu itu sepulangnya dari membeli jajan di kedai runcit Kak Na.

            Berkeriau adik-adik apabila Adli tiba-tiba menyergah dari sebalik dahan. Saat itu Adli akan ketawa bagai nak pecah perut. Paling dia tidak lupa pernah suatu ketika, setepatnya pada satu sore, Adli telah berkerubung dengan sehelai kain putih kemudian duduk mencangkung di atas batas tempat adik-adiknya sering lalu lalang. Petang itu adik-adiknya seperti biasa ke kedai runcit Kak Na membeli barang keperluan dapur sebagaimana diminta ibu.

            “Allahu Akbar!” Begitu tempik Nabila sebaik Adli menyergah. Nabila bertempik begitu berkali-kali kononnya untuk menghalau Adli yang disangkanya hantu.

            Apalagi, Adli ketawa terbahak-bahak. Seronok sungguh dapat mengusik adik-adiknya. Sungguhpun begitu, kini memori itu hanya tinggal kenangan. Adli sekarang jauh daripada keluarganya menggalas bersamanya beban memori yang terkadang menyengat membuatkan medu dalam hatinya. Kadang hatinya yang rawan mengenang sempit-susah keluarga di kampung bagai berjelaga.

            Pun itu juga yang menguatkan semangat dalam diri Adli untuk berada jauh dari mereka. Adli anak sulung, tanggungjawab menjadi contoh untuk adik-adik begitu menghenyak pundak. Namun seusianya dia sudah tahu erti redha. Dia tidak pernah menyesal dilahirkan dalam keluarga yang serba-serbinya kurang kerana dalam kekurangan itu dia yakin dia mewah dengan kasih sayang. Adli terbayang wajah ibu, bayangan maya ibu yang bermain di atas benaknya nyata tampil dengan penuh kasih sayang.
            Terpeta pula citra maya ayah. Berwajah tegas, tipikal lelaki melayu sejati. Pun tetap tercalit riak kasih dan penuh kecintaan terhadap anak-anak. Cuma kebelakangan itu Adli mengesan kemerosotan kesihatan dalam diri ayah.

            Ya Allah. Kau lindungilah kedua-dua orang tuaku. Panjangkanlah usia mereka dan berilah mereka kesihatan yang baik. Amin! Itu doa lazim setiap kali Adli teringatkan ayah ibunya.

            “Lie, mak suruh naik ke rumah. Dah nak masuk maghrib.” Adli diheret keluar dari daerah fikirnya.

            Kamaruzaman sudah berada di belakangnya.

            “Kejap, aku nak bawa masuk Hitam ke kandang dulu.” Adli membalas sambil tangan menarik tali Hitam menuntutnya berjalan ke kandang.

            Usai memastikan Hitam selamat di kandang, Adli buru-buru membuntuti Kamaruzaman ke rumah yang terletak beberapa ela dari kandang Hitam.

            “Pergi mandi, Lie. Nanti hamis kambing melekat ke badan.”Arah Mak Utih separa mengusik.

            Adli akur. Dia terus ke bilik air tanpa naik ke rumah. Dari bilik air dia dapat menangkap satu suara yang biasa sangat di pedengarannya.

            Tak mungkinlah! Desis hatinya. Mungkin aku terlampau rindu sangat dekat ibu. Tak mungkin ibu ada di sini. Gumam hati kecil Adli lagi menidakkan apa yang bermain dalam fikirannya.

            Pun Adli mempercepatkan mandinya untuk memastikan telinganya tidak berbohong. Sebaik selesai mandi dan kaki mula menjejak lantai dapur, ibu tersenyum di meja makan menolong Mak Utih apa yang patut.

            Ibu! Terasa ingin Adli membenamkan wajahnya ke dalam pelukan ibu untuk melempiaskan rindu yang bertakung dalam jiwa. Ia bagai mimpi menjadi kenyataan. Ibu ada di situ. Di rumah Pak Utih. Dalam anganannya Adli tidak pernah membayangkan ibu akan datang melawatnya. Ironinya tidak begitu. Ibu kini benar-benar berdiri di depannya.

            Namun keinginan itu dipendam kerana Adli malu.

            “Ibu datang dengan siapa?”

            “Nabila dan Sufiah. Mereka ada kat bilik.” Balas ibu sambil tersenyum.

            Adli cukup bahagia melihat senyuman itu. Dia mengilas kain pelekatnya kemas-kemas sebelum ke bilik tidurnya yang dikongsi bersama Latif.

            Sebaik pintu dikuak kelihatan Sufiah dan Nabila sedang berbaring di atas katil. Adli mendapatkan adik-adiknya. Lepaslah sudah rindu di hati terhadap adik-adik meski bukan semua datang melawatnya di situ. Nabila dan Sufiah juga nampak gembira dapat bertemu dengan abang mereka. Abang yang bukan setakat mereka hormati malahan juga sanjungi.

            “Seronok tak naik bas datang sini?” Soal Adli cuba menguji adik-adiknya.

            Dia tahu Pengkalan Chepa tentu sekali menjadi tempat maha jauh pernah adik-adiknya sampai selain Tumpat.

            Kedua-dua adiknya mengangguk serentak.

            “Sufiah nampak kapal terbang. Dekat sangat dengan kepala Sufiah.”

            “Ila pun nampak. Kapal terbang tu bunyi kuat dan terbang rendah sangat semasa Ila, Sufiah dan mak berada dekat rumah tinggi bertingkat-tingkat.”

            Adli tersengih. Dia faham mana tempat yang cuba Nabila maksudkan. Itu kawasan flat tempat tinggal adik-beradik Pak Utih. Tentu ibu ke sana dahulu melawat mereka alang-alang sudah datang ke sini. Versi biasa ibu apabila menyentuh tentang hubungan kekeluargaan.

            “Sufiah dan Ila tunggu sini kejap, abang pergi ambil sesuatu.”Pinta Adli kepada adik-adiknya.

            Dia meninggalkan mereka di dalam bilik. Kemudian tidak sampai lima minit dia kembali semula membawa bersamanya sebuah patung beruang. Dia menyuakan patung itu kepada Sufiah. Sufiah kepalang gembira menyambutnya. Seumur hidupnya dia tidak pernah memegang patung beruang seperti itu. Melihatpun tidak pernah. Entah mainan siapa diambil oleh abangnya untuk dibuat main oleh mereka dua beradik. Sufiah tidak peduli, dia sudah terpaut dengan patung beruang itu. Nabila juga.

            Mereka kelucuan melihat patung beruang itu menjelirkan lidahnya yang merah. Mereka bermain sama-sama. Adli terhibur dengan telatah adik-adiknya. Dia tahu sebelum ini adik-adiknya tidak pernah memiliki mainan seperti itu, tentulah rasa teruja itu lain benar mereka rasakan.

            “Korang duduk dulu ya, abang nak pergi belikan keropok.” Adli memberitahu adik-adiknya.

            Belum sempat mereka berkata apa-apa, Adli sudah melompat dari jendela biliknya dengan hanya berkain pelekat. Ketara benar dia bersemangat menerima kunjungan adik-adiknya sehingga seboleh mungkin dia mahu membuat mereka gembira berada di situ. Tidak berapa lama kemudian dia muncul kembali dengan membawa bersamanya makanan ringan. Diberi kepada adik-adiknya seorang satu.

            Adli terhibur melihat adik-adiknya makan walaupun dalam keadaan berkeriau sesama sendiri berebutkan patung beruang berlidah merah terjelir sepanjang masa.  Lepas rindu Adli terhadap adik-adiknya walaupun hanya Nabila dan Sufiah yang datang. Duduk menumpang di rumah orang, rasa rindu terhadap keluarga memang terasa benar walaupun keluarga Pak Utih melayannya dengan cukup sempurna sekali.

            Kelibat ayah dalam bentuk maya tiba-tiba muncul di atas kepala Adli. Dia rindukan ayah. Kali terakhir dia pulang dia lihat kesihatan ayah amat merosot. Batuk-batuknya seakan menggantikan vokal. Semputnya semakin kuat menyerang. Adli ada menyimpan rasa cuak yang begitu-begitu dalam diri. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana nanti hidup tanpa ayah.

            Ya Allah, kau berikan kesihatan yang baik kepada ayahku! Seru suara dalam diri Adli.

            Kemudian dia hanyut dalam daerah ingatan terhadap masa lampaunya. Ahh, masa lampau! Ia merupakan perkara yang paling jauh dengan setiap insan. Walau seseorang itu berusaha untuk mendapatkan kembali masa lampaunya, ia tidak mungkin terjadi kerana ia satu-satunya perkara yang begitu jauh. Adli sedar itu.
            “Lie, ajak adik-adik makan.” Mak Utih dari dapur berkoak.

            “Ila, Sufiah… jom kita pergi makan.” Adli mengajak adik-adiknya.

            Kedua-duanya melompat dari katil dan membuntuti Adli ke dapur. Di dapur ibu menyambut mereka bersama senyum. Ibu memang tidak banyak cakap. Tambah berada di rumah orang, walaupun keluarga sendiri. Sikat inferiority complex ibu masih ada. Stigma dia orang kampung yang jakun memang masih kuat lagi melekat terhadap ibu. Adli ketika awal-awal menumpang di rumah Pak Utih juga membawa stigmata yang sinonim dengan milikan ibu, namun keluarga Pak Utih bijak melayan agar dia bisa membawa diri dengan mereka.

            “Menung apa lagi, Lie. jamah nasi tu!”Arah Mak Utih mengheret Adli dari fikirannya sendiri.

            Adli agak tersentak, namun dia cuba kawal agar tidak terkesan oleh orang-orang di sekelilingnya.

            Adli memandang sekeliling. Nampaknya masing-masing sudah menjamu selera. Nabila dan Sufiah paling lahap. Maklumlah, makanan yang terhidang di atas meja tentu superpelik bagi mereka. Adli dapat rasakan. Di rumah, walaupun sejak ayah menjalankan ternakan ayam daging, mereka sudah mula dapat merasa makanan dan lauk-lauk yang lebih mewah berbanding dulu, pun bukanlah superpelik seperti yang terhidang di depan mata mereka sekarang. Sebab itulah mereka kelihatan lahap benar.

            Adli membiarkan saja adik-adiknya makan dengan penuh selera. Biarlah. Kalau bukan di situ, di mana lagi dapat mereka nikmati makanan sedemikian?

            Nasi beriani udang.

            Adli tahu itu bukan masakan ibunya, Zaharah. Itu tentu air tangan Mak Utih. Hidangan itu tentu Mak Utih sengaja masak untuk dijamu kepada keluarga Adli. Mak Utih memang senang melayan tetamu seperti raja walaupun tetamunya bukan orang yang sama kufu dengannya seperti keluarga Adli.

            “Dah kenyang?” Ibu menyoal Sufiah.

            “Dah, mak.”

            “Kalau dah, pergi cuci tangan dekat sana.”

            Sufiah akur. Dia meninggalkan meja makan sementara Nabila masih di situ. Meratah udang galah. Nabila memang kaki balun, dia hentam apa saja depan mata. Mujurlah ketika usia sebegitu metabolisma badan tinggi, kalau tidak Adli tidak dapat membayangkan bagaimana tubuh Nabila dengan nafsu makannya yang melebihi segala nafsu lain dalam dirinya.

            Adli menghabiskan nasi di pinggannya. Kemudian dia bangun menuju ke bilik untuk bersama Sufiah. Dia mahu bercerita kepada adik-adiknya. Bercerita tentang kisah dongeng seorang perwira gagah bersama burung garuda. Itu dongengan sebelum tidur yang selalu dia naratifkan kepada adik-adiknya di dalam kelambu sebaik ibu bapanya mengarahkan mereka masuk tidur sewaktu Adli masih di kampung dulu.

            Adik-adik sentiasa senang mendengar Adli bercerita tentang kisah itu walaupun setiap malam dia bercerita tentang kisah yang sama. Adli pula sentiasa senang untuk menghiburkan adik-adiknya. Itu cara untuk dia melahirkan mawaddah terhadap adik-adiknya secara tidak langsung.

            Ahh, andai adik-adiknya tahu betapa Adli sayangkan mereka. Betapa Adli sanggup untuk berbuat apa sahaja sekiranya dia mampu untuk mereka!







 BAB SEPULUH
1986
Dalam peperiksaan SPMV lalu Adli mendapat keputusan cemerlang. Namun dia mengambil keputusan untuk tidak terus sambung belajar atau memohon untuk meneruskan pengajian ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Keputusan itu Adli ambil setelah melihat kesihatan ayah yang sudah semakin merosot.

            Pada tahun ini, Mahmud sudah tidak mampu lagi untuk keluar bekerja. Dia juga tidak menjalankan lagi ternakan ayam daging setelah ternakannya diserang penyakit  hawar. Bukan kerana Mahmud sudah berputus asa tetapi kerana dia merasakan tidak mampu lagi untuk menguruskan ayam yang diternak bukan sereban dua. Cukuplah jika dia keluar membantu isterinya menjaja di pasar basah sekali-sekala.

            Jika diikutkan, menjadi pembekal dan dalam masa yang sama turut menjaja sendiri ayam daging di dalam pasar lebih menguntungkan berbanding mendapatkan ayam melalui penternak lain untuk dijaja di pasar. Sungguhpun begitu Mahmud betul-betul tidak mampu. Dia tidak ingin membebankan Adli. Jika dia teruskan juga bermakna Adli yang akan menanggung tanggungjawab menguruskan perniagaan mereka sedangkan umur Adli masih muda. Masa depannya masih panjang. Mahmud tidak mahu menjejaskan masa depan Adli.

            Sekarang pun kelihatannya perjalanan untuk mencapai cita-cita Adli sudah terjejas. Dia terpaksa berhenti belajar untuk seketika apabila Mahmud jatuh sakit seperti itu. Walaupun Mahmud dan Zaharah berkali-kali memaksa, Adli tetap dengan pendiriannya yang sudah bulat. Dia mahu menolong ibu menjaja ayam di pasar basah. Tentang belajar biarlah dulu. Sambil menolong ibu, dia akan kumpul duit. Dia kasihankan ibu, terpaksa bertungkus-lumus siang malam untuk menyarasuap keluarga mereka seorang diri setelah ayah jatuh sakit.

            “Adli kena belajar, soal duit  biar mak dan ayah yang pikir,” kata Mahmud cuba untuk memujuk Adli meneruskan pelajaran.

            “Adli memang nak belajar lagi ayah, tapi bukan sekarang. Bila kesihatan ayah dah semakin baik, Adli akan mohon ke politek. Adli janji.”

            “Nak tunggu kesihatan ayah makin baik? Bila tu, Lie? Ayah ni dah tak ada harapan nak baik, makin teruk adalah. Adli harapan ayah. Sebagai anak sulung, ayah nak tengok Adli berjaya sebab kalau ayah dah tak ada, Adli yang akan pikul tanggungjawab ayah.”

            Adli tunduk. Dia faham harapan ayah. Kerana dia anak sulunglah tanggungjawab dia menjadi amat berat. Terhenyak di atas pundaknya. Walau dia tidak ingin, itu yang akan berlaku. Adli tidak bebas seperti Azian dan Aziah. Azian tidak perlu susah-susah fikir tentang keluarga. Sebaik tidak mendapat keputusan yang baik dalam LCE, Azian terus ke Bukit Abu, tinggal bersama pak su, adik ibu di sana.

            Di sana dia kerja di ladang kelapa sawit. Tidak perlu susah-susah fikir untuk majukan ekonomi keluarga. Bekerja setakat untuk memenuhi keperluan diri  sendiri.

            Aziah pula, pun tidak lulus LCE. Sekarang berada di rumah menolong ibu menguruskan adik-beradik.  Zaharah sebagai ibu tidak mampu untuk menguruskan rumahtangga lagi apabila terpaksa mengambil alih tugas Mahmud sejak Mahmud lebih banyak terlantar di rumah. Memang Mahmud terkilan dengan keadaan itu, namun dia redha dengan qada’ dan qadar Ilahi.

            “Adli perlu jadi contoh adik-adik yang masih belajar. Kalau bukan Adli, siapa lagi? Ayah tak mahu adik-adik yang lain mengikut jejak Azian dan Aziah. Kandas dalam pelajaran.”

            Adli mengangguk. Dia faham. Betapa ayah terluka apabila mengetahui Azian dan Aziah tidak mampu melanjutkan pelajaran setelah gagal dalam LCE, begitu juga rasa terluka yang Adli rasakan. Dia kalau boleh mahu adik-adiknya berjaya. Sayangnya dia tiada di sisi mereka untuk membantu mereka dalam pelajaran.  Dia akan menebus kembali masa itu dengan memberi perhatian kepada adik-adik yang lain pula.

            Inilah masanya. Ya, inilah masanya. Semasa berada di rumah membantu ibu menjaja ayam di pasar, malam hari atau pada masa-masa terluang dia boleh tumpukan perhatian terhadap pelajaran adik-adik pula.

            Sementelahlah pula Adli lihat Nazira punyai potensi dalam pelajaran. Dia agak cemerlang dalam peperiksaan darjah limanya. Di sekolah menengah pula dia ditempatkan dalam kelas terbaik. Itu memberi tanda peluangnya dalam pelajaran memang ada. Adli tidak mahu adik-adiknya kandas lagi. Cukuplah Azian dan Aziah. Adik-adiknya perlukan seorang monitor. Ayah sudah tidak mampu untuk memberi cukup perhatian kepada anak-anak kerana kesihatan yang sering terjejas.
                         
“Kita pernah rasa betapa hina jadi orang susah, Lie. Lie jangan lupa tu. Jangan izinkan kita  orang hina kita lagi, Lie.”

Adli angguk. Dia faham maksud kata-kata ayahnya. Malah dia faham, ngilu di hati ayah terhadap penghinaan orang kampung semasa mereka susah dulu masih terkesan. Mujurnya ayah bukan jenis pendendam. Walaupun sudah merasa senang sedikit berbanding dulu, ayah tidak pula berbangga diri. meski dia layak untuk bersikap demikian memandangkan dia berjaya hasil usahanya sendiri dan bukan menumpang tuah harta pusaka orang tua seperti segelintir orang.

“Kalau ayah dah tak ada nanti, Lie akan ganti tempat ayah. Jaga adik-adik, jaga mak dalam masa yang sama, cuba jadi orang berjaya.”

Itu bukan kali pertama Adli dengar Mahmud berpesan begitu. Begitupun, setiap kali Mahmud menuturkan amanat itu, getar dalam diri Adli tetap sama. Melankoliknya tetap kuat.
Detik itu akan tiba. Hanya masa dan ketika yang akan menentukan. Melihat keadaan ayah… Ahh! Adli sebenarnya malas dan tidak ingin memikirkan.

“ Belajar tinggi-tinggi Lie, biar dapat kerja bagus. Nanti tak perlu bersusah-payah nak bina hidup macam ayah. Agama pun jangan dipencilkan. Agama tu penting untuk mendapat redha Allah.”

“Lie, dah boleh kemas barang-barang. Kita dah nak balik ni.” Dengung suara Zaharah mengetuk gegendang Adli.

Adli tersentak. Mengelamun rupanya. Teringatkan si ayah yang kini nampak semakin teruk terlantar di pertiduran.

Adli akur dengan arahan ibu. Dia membantu ibu mengemaskan meja tempat mereka meniaga ayam. Zaharah pula mencapai raga kuih kasturi yang sudah tidak bersisa. Minat  Zaharah untuk menambah pendapatan masih sinonim dengan dirinya. Walau tidak lagi menjunjung  periuk gulai santak sejauh Bukit Abu, dia masih membuat kuih untuk dijaja di gerai tempat dia berniaga.

Pelbagai jenis kuih dia buat selagi mendapat permintaan. Zaharah tidak pernah senang. Tambahan di rumah isi semakin bertambah. Dalam tidak sihat Mahmud, bilangan anak tetap juga bertambah. Sekarang pun sebenarnya Zaharah masih lagi dalam tempoh berpantang setelah melahirkan anak ke sembilan. Seorang bayi perempuan yang diberi nama Amelia. Sebelum Amelia, seorang anak lelaki yang diberi nama Zulfadzli.

“Tu Pak Kob, mari kita tanya dia dah ada penumpang atau belum.” Ajak Zaharah sambil menjinjing raga kuih yang kini sudah terisi kembali dengan kudapan untuk anak-anak di rumah. Juga buat suami, Mak Bedah dan pengasuh anak kecilnya.

Adli tidak membantah. Kebetulan Pak Kob masih memerlukan dua orang penumpang untuk memulakan perjalanan. Kira petang itu mereka langkah kanan. Mereka terus masuk ke dalam kereta. Sepanjang perjalanan ke rumah tidak sampai lima minit Adli tidak banyak cakap. Sebaik kereta berhenti di depan rumah Medu, kelihatan beberapa orang kawan sebaya Adli ada di bangunan kelab tempat Adli dan kawan-kawan sering bermain pingpong.

“Mak baliklah dulu, ya. Adli nak jumpa kawan-kawan dulu,”beritahu Adli kepada Zaharah.

Zaharah akur. Tidak mahu membantah. Ada masa Adli teringin juga menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Sementelah pula, Mamat Golok, Zaha Pok Pek, Salleh dan Che Kob bukan orang lain dengan mereka. Masih bau-bau bacang.

Zaharah meninggalkan Adli di situ. Dia berjalan kaki pulang ke rumah yang terletak di belakang sekolah. Terbayang anak-anak dan suami di rumah. Entah apa yang sedang mereka semua lakukan. Biasanya petang-petang begini anak-anak merayau entah ke mana. Ke rumah Pak cik Wel bermain sembunyi-sembunyi atau polis sentri mungkin.

Suaminya?

Uhh, sejak semputnya semakin teruk, Mahmud banyak menghabiskan masa di pertiduran. Mujur hubungan dengan Mak Bedah semakin baik kini. Othman pun rajin juga menjenguk sehabis masa kerjanya sebagai pengawal keselamatan di kilang papan Fajar. Ahh, kasih sayang orang tua tidak ke mana. Walau mungkin masing-masing ada menyimpan rasa termengkelan terhadap satu sama lain, alihnya anak akan pulang ke dalam kasih sayang ibu.

Begitulah pandangan Zaharah terhadap hubungan Mahmud dan Mak Bedah. Walaupun sejak bergelar isteri dia tidak pernah bertanya mengapa, namun dia dapat merasakan Mahmud menyisihkan diri daripada ibu sendiri kerana dia merasa hina di depan ibunya memandangkan dia hidup melarat sebelum ini. Mak Bedah pula ada tanggungjawab sendiri, maka dia tiada masa untuk melayan kerenah Mahmud yang terlebih-lebih.

Entahlah. Mentak itulah sebenarnya. Mungkin juga ada perkara lain. Zaharah memang tidak pernah bertanya. Biarlah mereka dua beranak bawa sampai ke mati punca mengapa hubungan mereka begitu-begitu sahaja. Paling penting, saat-saat seperti sekarang Mak Bedah tetap ada di sisi. Zaharah pula tetap menganggap Mak Bedah seperti ibu sendiri memandangkan dia telah kematian ibu sejak kecil lagi.

“Assalamualaikum!” Zaharah memberi salam sebaik sampai di halaman rumah.

“Waalaikumussalam! Hah, tu mak dah balik.” Mak Su Zie bersuara memberitahu anak-anak saudaranya.

Sufiah dan Nabila yang berada di rumah ketika itu menerkam ke arah ibu mereka. Setiap kali ibu pulang mereka memang seronok.

“Zie ada rupanya. Bila balik?” Zaharah berbasa-basi dengan Ju.

“Pagi tadi, kak.”

“Cuti berapa lama, ni?”

“Lebih kurang seminggu.” Balas Zie.

Zie sebenarnya sedang melanjutkan pelajaran di maktab perguruan. Nanti besok Zie bakal jadi cikgulah. Zaharah tumpang bangga dengan adiknya itu. Kalau boleh juga dia teringin anak-anak mengikut jejak langkah ibu saudara mereka.

“Kak ada belikan buah mangga siam, marilah makan dengan budak-budak,” ajak Zaharah.

“Tak apalah kak. Zie nak rehat-rehat dulu. Kak ajaklah anak-anak makan.”            

Zaharah langsung meninggalkan Zie di situ. Zie kembali merebahkan tubuh di kerusi malas di beranda rumah. Dia ingin melayan perasaan sekejap sambil menyanyi-nyanyi kecil. Lagu Francesca Peter. Kegemarannya.

“Mak Su, nak main mekap-mekap lagi?” Sufiah kembali menjengah.

Zie membuka mata, memandang ke arah Sufiah. Mukanya comot kesan buah mangga di pipi.

“Hah, pergi cuci muka dulu. Kemudian sambung balik mekapkan Mak Su.” Arah Zie.

Sufiah akur. Dia berjalan separuh melompat,  menggambarkan rasa dalam diri yang seronok main mekap-mekap dengan ibu saudaranya.

Zie menggelengkan kepalanya. Asal dia balik cuti saja, itulah aktiviti dengan anak-anak saudaranya. Main mekap-mekap. Ketika itu segala macam warna akan jadi pembayang mata, pemerah pipi bulat menyerlah dan bibir pula akan tebal sedepa ditenyeh lipstik. Alat mekap yang digunakan pula tentulah koleksi Zie sendiri. Zie memang banyak alat kosmetik memandangkan dia wakil jualan Avon. Sampel bedak padat, lipstik dan segala macam lagi berlambak-lambak. Itulah yang dibuat main oleh anak-anak saudaranya.

Lantak. Asal mereka seronok. Zie pun seronok juga walaupun hasilnya hanya Tuhan yang tahu.

Sekurang-kurangnya bolehlah Zie luangkan masa dengan anak-anak buahnya. Terkadang dia merasakan jauh daripada anak-anak saudaranya. Ruang masa yang ada sedikit, dia mahu isikan bersama anak-anak buah. Biar ada kenangan tertinggal pada satu masa nanti dalam kotak ingatan apabila mereka dewasa kelak.

Seperti halnya dia dan Adli.

Adli? Ke mana perginya Adli, sejak dia pulang Zie belum nampak kelibat Adli. Ingin juga dia bertanya khabar anak saudara yang hanya muda setahun daripadanya. Dalam jarak usia seperti itu macam-macam yang boleh mereka kongsikan bersama. Mentak ketika zaman persekolahan mereka atau zaman kanak-kanak mereka dulu.

Ahh, tergamit rindu Zie kepada Adli.

           

No comments:

Post a Comment