Friday, 7 September 2012

BIARKAN SAJA bab 1-4

TAJUK:         BIARKAN SAJA


OLEH :          ANNUR PUTERI

______________________________________________________________________________________

PROLOG

Pang! Satu tamparan singgah di pipi Ayunie. Gadis itu tunduk tanpa sebarang riak terpetia di wajahnya.  Bapanya bertambah geram. Terbakar hatinya dengan sikap yang ditunjukkan oleh Ayunie. Kedegilannya sedari kecil tidak pernah terhakis. Kini dalam usia hampir dua puluh lapan tahun Ayunie masih mengekalkan kedegilan yang sama. Malah kalau ada perubahan pun kedegilan itu kian ketara, jika putih katanya, putihlah jadinya. Tidak pernah sekalipun bertukar warna hitam atau kelabu.

            “Kau kenapa Yunie? Nak malukan mak ayah?” Soal bapanya bertalu-talu.

            “Yunie rasa tak sesuai dengan Daniel. Itu saja alasannya ayah. Yunie dah terangkan kepada Daniel. Dia ikut saja segala kata Yunie.”

            “Hah, betullah tu ikut. Dia ikut sebab dia buntu. Tak tahu apa nak cakap sebab kad jemputan dah diedar. Tunggu dua tiga minggu lagi selamatlah kamu diijabkabulkan dengannya. Keputusan apa yang kau buat ni Yunie?”

            “Keputusan untuk masa depan Yunie.” Tegas Ayunie berani sambil menjegilkan matanya melawan renungan berapi bapanya, Haji Harun.

            “Kau ingat ayah datang sebegini jauh nak dengar alasan karut kamu tu Yunie?”

            Ayunie diam tidak membalas. Sejak sampai dari kampung tadi tidak sedetikpun ayahnya berhenti memarahinya kerana mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan dengan Daniel. Anak kawan baik ayahnya semasa mengajar di Limau Kasturi suatu masa dahulu.

            Perjalanan lapan jam dari Kelantan ke Kuala Lumpur  tidak langsung memberi kesan keletihan kepada bapanya dek kerana marah yang membuak-buak terhadap Ayunie. Haji Harun tidak faham mengapa di saat-saat akhir seperti itu Ayunie nekad untuk memutuskan pertunangan dengan Daniel. Kenapa tidak dulu, sebelum kad jemputan diedar ?
                          
            “Ayah, kami belum pun isi borang permohonan perkahwinan. Buat apa ayah nak risau?”

            “Tapi kad jemputan dah diedar Yunie. Mana nak letak muka mak ayah kamu ni?”

            “Buat tak tahu saja yah…”

            “Hah, buat tak tahu, nanti kalau ada orang berduyun-duyun datang ke rumah kita dua tiga minggu lagi sapa nak jawab kalau mereka tengok tak de sebarang majlis.”

            “Yah tukar sajalah majlis tu jadi majlis kenduri arwah. Ayah pun dah lama tak buat kenduri arwah  datuk dan nenek kan?”

            “Kau cakap senang Yunie sebab bukan kau yang menanggung malu!” Dengus Haji Harun sambil melontarkan pandangannya jauh ke luar rumah. Fakulti benaknya berkecamuk, tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya ketika itu.
           
            Wajah Encik Ibrahim menari inang di ruang matanya. Berganti-ganti dengan wajah Daniel sendiri. Haji Harun menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali seakan tidak percaya situasi yang sedang dihadapinya ketika itu. Seketika wajahnya berkerut sambil mengetap bibirnya. Dalam keadaan itu dia teringatkan Alunie. Dia fikir perlu untuk berbincang dengan anaknya itu bagi mendapatkan buah fikiran. Mana tahu Alunie boleh memberikan jalan penyelesaian. Namun ragu-ragu untuk menyetujui apa yang sedang difikirkan oleh mindanya. Apa yang boleh Alunie lakukan? Memujuk Ayunie? Mahukah Ayunie mendengar nasihat kembarnya?

BAB SATU
Daniel menggaru-garu kepalanya mendengar kata-kata ayahnya dan bakal bapa mertuanya sewaktu kedua-dua orang tua itu datang berkunjung ke rumah sewaannya. Sesekali dia kedengaran melepaskan keluhan berat. Sukar untuk bersetuju, sukar untuk menolak juga. Ah! Ayunie, kau benar-benar memberi aku masalah kali ini.

            Selama pertunangannya dengan Ayunie gadis itu memang sering membuatkan otaknya ligat berfikir. Ada sahaja masalah yang akan ditimbulkannya. Terlintas di fikiran Daniel betapa selama ini Ayunie sebenarnya tidak ikhlas mencintainya.  Ayunie berkata sayang, namun sayang konotasinya luas. Sayang itu pelbagai bentuknya. Untuk memaksa Ayunie memberi konotasinya yang sebenar amat mustahil bagi Daniel kerana Ayunie sering mengelak daripada berbincang perkara sedemikian.

            “Betulkah ini datang daripada mulutnya sendiri?” Soal Daniel.

            “Dia ni agak keras, tapi dia sebenarnya seorang yang terlalu mementingkan kepentingan orang lain, terutama kami mak ayahnya…” Haji Harun mewujudkan jeda di situ sebelum menyambung “Pasal dia Daniel tak perlu risau, yang penting sekarang ni Daniel sendiri setuju atau tidak?”

            Haji Harun memandang ke arah Daniel kemudian memandang Encik Ibrahim. Daniel turut memandangnya. Kemudian pandangannya melekat pula ke wajah bapanya sendiri.

            Ah! Kalau aku tak setuju, maruah aku juga yang tercemar. Kad sudah diedar, tiba-tiba tak jadi kahwin. Ayunie. Kenapa kau sanggup melakukan semua ini kepada aku? Di mana kasih sayang yang pernah kau luahkan dulu? Fikiran Daniel benar-benar berkecamuk. Tidak dapat berfikir dengan jelas.

            “Terserahlah pada bapa dan ayah…bagaimanapun saya perlu bertemunya untuk berbincang.” Suara Daniel akhirnya. Wajah Encik Ibrahim dan Haji Harun dipandangnya tuntas.

            “Cuma Daniel kena ingat satu saja. Rahsiakan perkara ini dari pengetahuan ibu Daniel. Mak si Ayunie biar ayah yang cakap dengan dia. Dia jenis yang boleh menerima kenyataan tak macam ibu Daniel,” ujar Haji Harun. Encik Ibrahim mengangguk-angguk tanda dia sendiri telah berbincang dan bersetuju dengan langkah yang diambil Haji Harun dan keluarganya, terutama Alunie.

            Haji Harun kemudiannya merenung jauh ke depan. Terbayang kembali kepulangan Alunie sebaik Hajjah Rahimah menyuruhnya pulang.

Alunie mundar-mandir sekitar ruang rehat rumahnya. Haji Harun dan Hajjah Rahimah saling berbalas pandangan. Wajah kelat Alunie sejak disuarakan permasalahan mereka menggusarkan sekali. Sesekali Alunie mengetap bibir. Kemudian Alunie duduk bertentangan dengan orang tuanya. Memandang wajah mereka seorang demi seorang silih berganti. Keningnya sekali lagi bercantum. Menonjolkan kerutan yang tidak terungkai di fikiran orang tuanya.

            “Kenapa sampai macam tu sekali perangai Ayunie? Kenapa dia tergamak mahu memalukan mak dan ayah?” Soal Alunie. Ada sedikit nada kesal di dalam getar suaranya. Orang tua Alunie tahu betapa tidak lugu bagi Alunie untuk mendengar permasalahan yang ditimbulkan Ayunie. Apatah lagi mereka berdua selama ini sering bercanggahan pendapat.

            “Jadi Lunie ada apa-apa cara untuk menyelamatkan keadaan?” Perlahan suara Hajjah Rahimah.

            “Entahlah mak. Mustahil untuk Lunie pergi bertemu Ayunie. Mak dan ayah pun faham bagaimana hubungan kami berdua. ” Ujar Alunie. Geram kerana selama ini perlakuan salah Ayunie sering berkesudahan dengan dia yang terpaksa menjadi mangsa keadaan. Kali ini juga sama. Dia sekali lagi turut terheret memikirkan masalah itu

            “Lunie, dah tinggal tak banyak masa lagi… kalau masa masih panjang kami tak kisah sangat.” Haji Harun  bersuara lambat-lambat.
           
Dia merenung Alunie. Hatinya berdetik kesal dengan apa yang sedang dihadapi mereka sekeluarga ketika itu. Jika ia tidak dapat diselesaikan, bukan sahaja mereka menanggung malu, malah keluarga Daniel turut terheret sama. Entah-entah mereka akan mengambil tindakan mahkamah menyaman mereka. Haji Harun bukan tidak tahu sikap Puan Mahani yang agak sensitif. Aduh, mengapa Ayunie tidak seperti Alunie yang senang difahami? Hati Haji Harun mengeluh.

            Memang jelas ketara perbezaan Alunie dan Ayunie meskipun daripada segi wajah, tiada orang  mampu untuk membezakan. Termasuk Haji Harun dan Hajjah Rahimah sendiri.Nasib baiklah kembar seiras itu mempunyai perwatakan yang berlainan. Di situ kunci untuk mengenali mereka berdua. Ayunie yang keras kepala, degil dan suka mendatangkan masalah gemar berpeleseran. Bersosial ke sana ke mari tidak kira malam atau siang. Senang berpakaian elegant bersesuaian dengan jawatan yang disandangnya sebagai setiausaha. Alunie pula terlalu mudah dijaga. Campakkanlah dia ke mana sahaja, dia mampu menjaga diri tanpa menimbulkan sebarang masalah kepada orang tuanya. Cuma dia sesekali akan memberontak.  Cara pakaiannya juga kasual. Selesa dengan jeans dan t-shirt sekiranya tidak menghadiri sebarang majlis formal. Bersesuaian dengan kerjanya sebagai pemilik toko buku dan alat tulis.

            “Mak , ayah, apa kata kalau Lunie menyamar jadi Yunie?” Alunie akhirnya memberi cadangan. Cadangan yang tentu sahaja membuatkan orang tuanya terkejut sakan.

“Lunie sedar dengan apa yang Lunie katakan? Ini melibatkan masa depan Lunie.” Hajjah Rahimah bersuara seperti tidak bersetuju dengan cadangan Alunie.

“Itu bukan masalahnya sekarang mak, ayah. Masalahnya sekarang maruah kita semua. Ayunie mana fikirkan semua ini. Dia cuma tahu nak memusnahkan kepercayaan kita terhadap dia. Itu saja yang dia tahu.”

“Lunie langsung tak kenal Daniel. Ya, sebagai bakal abang ipar Lunie kenal, tapi kamu tak pernah mesra. Bercakap sepatah dua ketika awal pertunangan mereka dulu. Itu saja. Mana mungkin Lunie…” Kata-kata Hajjah Rahimah  mati di situ.

            “Mak dan ayah, Lunie bukan nak jadi isteri Daniel betul-betul. Cuma nak ambil tempat Ayunie untuk menyelamatkan keadaan. Lagipun buat masa sekarang Lunie belum terikat dengan sesiapa. Lunie fikir tak salah Lunie berkorban demi maruah kita semua. Atau mak dan ayah sanggup menanggung malu?”

            “Lunie, ini melibatkan masa depan Lunie. Benda ni bukan boleh dibuat main-main.”

            “Soal masa depan kita fikir kemudian mak.”

            “Idea kamu ni tak masuk akal Lunie.”

            “Ayah, tak ada sesiapa pun yang tahu Lunie telah bertukar tempat dengan Yunie. Lunie fikir itu saja cara untuk selamatkan keadaan. Hal seterusnya biar Lunie dan Daniel berbincang.”

            “Bagaimana kalau nanti Lunie tiba-tiba jatuh hati selepas Lunie kahwin dengan Daniel?” Soal Hajjah Rahimah.

            “Mah, kalau itu yang jadinya lagi bagus!” Pantas Haji Harun membalas. Ada senyuman di wajahnya.

            Hajjah Rahimah berkerut dahi memandang sumianya. “Maksud saya dengan orang lain. Maklumlah Alunie tak pernah berminat dengan sesiapa sebelum ni, tak pernah terbuka hati dengan mana-mana lelaki sebelum ni. Apa jadi kalau selepas kahwin baru Lunie jumpa seseorang yang Lunie rasa sesuai? Itu tak mustahil kan bang, Lunie?”

            Haji Harun dan Alunie saling berbalas pandangan. Kemudian pandangan mereka tumpah di wajah Rahimah yang masih ingin mendengar balas daripada mereka berdua.

            “Lunie akan buat perjanjian dengan Daniel. Buat masa sekarang, Lunie fikir ini yang terbaik. Biarlah. Biar Lunie berkorban untuk keluarga kita. Lagipun ini bukan kali pertama Lunie menanggung kesalahan Yunie. Ini demi mak dan ayah. Bukan untuk Lunie.”

            “Lunie tak rasa keputusan Lunie terburu-buru?” Soal Hajjah Rahimah masih belum mahu bersetuju dengan Alunie.  “Lunie sanggup ke hidup dengan orang yang Lunie tak cintai?” Tanya Hajjah Rahimah lagi.

            “Memang tak sanggup mak. Tapi Lunie percaya perkahwinan ini tidak akan lama.”

            Haji Harun dan Hajjah Rahimah berpandangan. Tidak dapat menangkap maksud sebenar di sebalik kata-kata Alunie.

            “Lunie bukan pilihan Daniel. Tentu dia tidak akan menjadikan Lunie sebagai isterinya dalam tempoh yang lama. Malah seperti yang Lunie katakan tadi, kami akan membuat perjanjian agar dia melepaskan Lunie apabila tiba masa yang sesuai.” Terang Alunie melihatkan reaksi orang tuanya.

            Hajjah Rahimah menjegilkan matanya. “Tidak! Kalau begitu halnya mak tak setuju. Elok-elok kau anak dara sekarang, kau nak tempah status janda pula? Mak tak izinkan, sama sekali tak izinkan.” Hajjah Rahimah menyeringai geram. Dalam benaknya memang langsung tidak boleh menerima apa yang sedang dikatakan Alunie. Biar dia dan suaminya menanggung malu daripada membiarkan anak gadisnya itu merana.

            “Perkahwinan ini tak boleh dibuat main Lunie. Jangan pandang mudah soal nikah kahwin ni.  Ayah pun tak izinkan kalau Lunie ada rancangan macam tu.”

            Alunie terdiam. Dia pun bukan teringin sangat hendak menggantikan tempat Ayunie.  Dia cuma mahu menyelamatkan maruah orang tuanya. Juga hubungan keluarga mereka dengan keluarga Daniel. Siapalah yang mahu kahwin sekadar menggantikan tempat orang?  Apatah lagi bakal suaminya pula langsung tidak pernah mendapat tempat di hatinya.

            “Lunie buat semua ni kerana sayangkan mak dan ayah. Lunie bukan suka-suka ambil tindakan begini. Lagipun mak dan ayah sendiri tahu penerimaan Puan Mahani terhadap Alunie. Daniel sendiri pun, pandang Lunie pun tak hingin. Inilah pengorbanan Lunie atas kasih sayang mak ayah selama ini.”

            Haji Harun dan Hajjah Rahimah sebak mendengar kata-kata Alunie. Alangkah bagus fikir mereka sekiranya Ayunie juga tahu berfikir demikian. Alunie terlalu baik jika dibandingkan dengan Ayunie. Kenapa tidak dari dulu Daniel memilih Alunie? Bagaimanapun, Haji Harun dan Hajjah Rahimah tidak menolak qada’ dan qadar Ilahi. Mungkin ini cara jodoh pertemuan antara Daniel dan Alunie.

            “Mak dan ayah tak berapa setuju dengan  cara ini, tapi kalau dah tak ada cara lain, kami terpaksa ikut cadangan Lunie. Biar ayah berbincang dahulu dengan pihak Daniel.”

            “Apa yang abang fikirkan?” Soalan Encik Ibrahim mematikan lamunan Haji Harun tentang perbicangan dengan Alunie. Dia kembali berada di tempat asal.



Alunie memerhati jarum jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir dua jam! Getus hatinya. Geram jadinya apabila Daniel yang ditunggunya tidak juga menampakkan wajah. Caffe latte yang dipesannya bersama sebiji chicken pie sudah hampir kesejukan. Dicapai sudu yang terletak elok di piring lalu dikacau-kacaunya perlahan caffe lattenya. Semakin berbaur campuran susu panas dan espresso di dalam cawan bersaiz besar di mejanya. Dibawa cawan ke bibir. Aroma susu bercampur espresso caffe lattenya dihirup perlahan. Daniel masih belum menampakkan wajah.

            Pengunjung Dome Café di Sunway Pyramid semakin berkurangan. Hampir dua jam dia di situ. Sudah tentu banyak urus niaga yang terbengkalai di toko bukunya. Ini satu kerugian besar bagi Alunie yang bergantung hidup pada jatuh bangunnya perniagaan yang dibuka hasil modal simpanannya semasa bekerja sebagai Pembantu Peribadi atau senang disebut PA di sebuah IPT swasta sedikit masa dahulu. Dicampur dengan modal pusaka arwah datuknya yang memang mengharapkan kejayaannya dalam bidang perniagaan.


Telefon genggamnya mematikan lamunan Alunie. Sangkanya Daniel yang menghubungi, namun hampa dan geram apabila nombor yang tertera di skrin bukan orang yang diharapkannya.

            “Hello. Mr Wong. Ya. Saya tak de di office sekarang ni. Tengah minum di kafe kopi. Nanti kalau saya dah balik office saya return call,” beritahu Alunie kepada si pemanggil.

            Mr. Wong, Eksekutif Pemasaran dari Staedtler Marketing tinggi lampai orangnya. Sudah tentu juga anak cina jati itu mempunyai seraut wajah tampan. Sama ada sudah berkahwin atau masih bujang tidak pernah Alunie ambil tahu. Selama berurusan dengan mana-mana eksekutif pemasaran, tidak pernah sekalipun dia bertanyakan status perkahwinan mereka. Apa yang sering dibicarakan sejauh mana kualiti barangan yang cuba dibawa ke mejanya.

            Seperti juga eksekutif jualan daripada syarikat lain, Mr Wong akan menghadapi perkara timbang tolak yang sama sekiranya mahu mengetengahkan barangan baru keluaran Staedtler  meskipun serata Malaysia tahu barangan keluaran Jerman itu sememangnya berkualiti . Siapa yang tidak kenal dengan pencil 2B Noris yang biasa digunakan di dalam peperiksaan besar. Rasanya pencil 2B jenis itulah yang memonopoli penggunaan di kalangan pelajar. Seperti juga Alunie semasa pada zaman persekolahannya dahulu. Biarpun harganya agak mahal berbanding pencil keluaran tempatan Alunie masih memilih pencil tersebut kerana kualitinya. Ketika teman-teman sibuk beralih kepada pensil 2B keluaran Faber Castell juga Alunie tetap setia dengan Noris. Siapa sangka, kini apabila dewasa Alunie sendiri berurusniaga dengan syarikat pengeluar alat tulis terkenal itu.

            Termasuk Mr. Wong sudah lima orang eksekutif pemasaran menghubunginya untuk berbincang tentang urusniaga mereka. Namun bayang Daniel masih belum muncul. Geramnya! Bentak hati Alunie. Kalau tidak kerana perkara itu melibatkan maruah keluarganya sudah tentu dia meninggalkan kafe kopi tersebut. Daniel ni pun satu, aku yang ingin menolong aku pula yang beriya-iya kena menunggu. Gerutu hati Alunie geram.

            Sementara itu Daniel sedang resah di Jalan Klang Lama kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Sudahlah ketika hampir masanya untuk bertemu Alunie, dekan fakulti Perhutanan UPM, tempat di mana Daniel bekerja mengarahkannya ke Kepong. Mengambil beberapa buku terbitan terbaru FRIM atau Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia yang terletak di Kepong. Bayangkan dari Kepong dia terpaksa berkejar ke Sunway Pyramid. Tersekat pertama kali dalam kesesakan lalu lintas di depan istana negara. Kini terjebak pula dengan kesesakan di Jalan Klang Lama, menuju ke jalan masuk ke Kampung Dato Harun.

            Sempat Daniel menjeling ke jalan masuk menuju Kampung Dato Harun. Teringat dia akan pertelingkahan yang mengakibatkan beberapa nyawa terkorban di kampung yang kini dikenali sebagai taman . Pertelingkahan antara kaum India dan kaum Melayu pernah menyebabkan  polis mengumumkan darurat di kawasan itu  sekitar tahun 2000. Ini kerana berlaku perbalahan yang serius antara kaum India dan Melayu gara-gara selisih faham. Menurut sumber yang boleh dipercayai, dan berita-berita yang disiarkan, polis menjumpai mayat yang terburai isi perutnya dan masjid di  Taman Medan hampir-hampir dibakar gara-gara insiden itu. Daniel tidak tahu kesilapan awal berpunca daripada pihak mana, jika pun ada desas-desus yang menyebut, Daniel tidak berani membicarakan dengan lebih lanjut kerana ia melibatkan pertikaian dua kaum.

            Daniel memandang jam. Apa agaknya yang sedang difikirkan oleh Alunie ketika itu gara-gara aku terlewat hampir tiga jam ni? Seru hati kecil Daniel. Masih  menunggu lagikah dia? Daniel memandang telefon genggamnya. Mahu dihubunginya si Alunie telefon genggamnya kehabisan bateri. Ada-ada sahaja!

            Akhirnya Daniel tiba jua di Sunway Pyramid. Replika singa yang terletak di bahagian atas pusat membeli-belah itu direnung. Ah! Di mana pula Alunie dan aku berjanji untuk bertemu ni? Timbul masalah baru pula di benak Daniel apabila dia gagal untuk mengingati lokasi pertemuan mereka pada petang itu. Sunway ni luas, mana satu ya. Di Pizza Hut ke atau di Mc’D? hati kecil Daniel berteka-teki sambil terus memandu memasuki tempat meletak kereta di dalam perut bangunan.

            Aha! Dome Café. Terlintas kafe kopi ala Eropah di mindanya. Fuh… lega. Kalau tidak satu kerja pula aku nak jengok dari satu premis ke satu premis. Ngomel hati Daniel sambil laju masuk ke pusat membeli-belah yang menampakkan kreativiti tamadun Mesir. Sebaik ternampak nama Dome di sebuah premis kakinya laju melangkah. Dicari-carinya Alunie dalam pojok premis yang tidak seberapa pengunjungnya. Teringat dia semasa era pengajiannya di Eropah suatu masa dahulu. Di kafe sebegitu kalau di barat sana penuh dengan manusia. Hinggakan tiada tempat untuk dia melabuhkan punggungnya.

            Di kafe sebegini juga ahli falsafah atau penulis besar Perancis seperti Jean-Paul Sartre dan Simone de Beauvoir selalu bertemu untuk berbincang, berhujah dan tentunya juga untuk bercinta. Daniel tersenyum. Tapi aku ke sini bukan untuk bercinta dengan Alunie, cuma untuk bercakap soal masa depan cinta aku juga tentang maruah aku yang kini mungkin bakal diketawakan. Alunie, aku harap kau dapat menolong aku!

            “Assalamualaikum!”

            Sapaan suara garau membuatkan Alunie mengangkat wajah. Berjam aku tunggu, tahu juga dia datang! Marah Alunie. Tapi cuma bersiponggang di dalam hatinya semata-mata.

            Salam Daniel di jawab di dalam hati sahaja. Dia merenung Daniel yang sudah mula menarik kerusi bertentangan dengannya.

            “Kenapa lambat?”

            “Ada hal yang tak dapat dielakkan. Nak call, handset ni baterinya tak de,” jawab Daniel jujur sambil menyuakan telefon genggamnya kepada Alunie.

            “Kelewatan awak buat saya ketinggalan beberapa siri urusniaga.” Luah Alunie agak kesal.

            Daniel mengetap bibir. Dia tahu Alunie sedang cuba untuk menunjukkan kesilapannya. Aku nak minta tolong dia. Tak baik aku bertekak dengan dia. Seru hati kecil Daniel. Dijelingnya dua biji cawan di atas meja. Dia yakin kedua-duanya milik Alunie.

            “Awak dah makan?”

            “Kenapa? Nak belanja tanda awak nak minta maaf kerana datang lambat?”

            Hemm… boleh tahan juga angin dia ni. Cuma dia tak macam kembarnya Yunie yang pantang silap terus mengamuk. Hai, mungkin dia belum kenal mesra dengan aku sebab tu dia tak mengamuk. Kalau dah lama silap-silap templernya lebih teruk daripada Yunie.  Daniel cuba menyembunyikan senyumannya.

            Eii mamat ni. Dah datang lambat masih boleh tersenyum-senyum pula. Kalau aku ni tunang dia tu mungkin tak apa jugak. Atau dia ni mengigau. Tak sedar dia bukan jumpa dengan Yunie.

            “Saya tanya aje, sebab saya sebenarnya dah lapar ni. Awak nak makan sama tak?” Tanya Daniel yang sudah mula bangun.

            Sandwic gourmet. Roti croisant ya. Sandwic daripada roti lain tak berapa enak.” Beritahu Alunie tanpa segan. Memang dia juga sebenarnya tengah lapar. Sebab itulah dua cawan caffe lattenya hampir habis dihirup sepanjang menunggu Daniel tiba.

            Daniel berlalu sebelum muncul bersama sedulang makanan. Berkerut dahi Alunie melihatkan beberapa jenis makanan yang dibawa Daniel. Selain sandwic yang dimintanya turut terdapat lasagna, pizza dan sup brokoli. Sementara minuman pilihan Daniel segelas mocha ais yang dibawa oleh seorang pelayan yang membontotinya.

            Tengah kebulur benar dia ni. Kutuk Alunie di dalam hati.

            “Awak tentu dah tahu saya bersetuju menggantikan tempat Ayunie kan? Namun sebelum kita kahwin saya nak tahu apa sebenarnya telah berlaku antara awak berdua? Alunie bersuara memecah kesunyian sebaik Daniel menghabiskan suapan pizzanya yang terakhir.

            “Saya susah untuk jelaskan kepada awak. Bimbang awak enggan percaya. Cuma saya boleh katakan ia berpunca daripada pergaduhan dan Ayunie akhirnya memutuskannya.”

            “Kenapa tak pujuk Yunie? Awak dah lama kenal rapat dengan dia. Takkan dalam kes ni tiba-tiba awak  tunduk dengan permintaannya untuk putuskan pertunangan korang?”

            Daniel menarik nafas dalam-dalam. Haruskah dia menceritakan kebenaran kepada Alunie. Hanya dia dan Ayunie yang mengetahui sebab yang jelas mengapa dia sanggup bersetuju dengan permintaan Ayunie. Sekalipun Ayunie tidak meminta hubungan mereka diputuskan, Daniel sendiri ragu-ragu untuk meneruskannya. Jikapun Daniel mahu meneruskan seandainya Ayunie tidak pernah bersuara untuk memutuskan ikatan pertunangan antara mereka, ia bukan lagi semata-mata kerana cinta tapi kerana masa untuk dia berundur terlalu suntuk. Kad jemputan sudah diedar.

            Hendak diceritakan perkara sebenar kepada Alunie, bimbang gadis itu akan merasa malu. Ayunie kembarnya. Masakan dia langsung tidak merasa apa-apa sekiranya diceritakan perkara sebenar.

            “Awak silap sekiranya menganggap saya dan Yunie mempunyai perasaan yang hampir sama. Meskipun kembar, kami bagai langit dan bumi. Malahan saya tak pernah rapat dengannya. Persaingan antara kami berdua mewujudkan jurang dalam perhubungan antara kami. Oleh itu, tak bermakna Ayunie menolak awak, saya akan menerima. Awak mungkin suatu masa dulu pernah menepati citarasa Yunie, tapi awak kena ingat, lelaki macam awak bukan taste saya, semua yang berlaku sekarang kerana saya telalu sayangkan orang tua saya. Tak lebih daripada itu,” beritahu Alunie tegas dan panjang lebar.

            Tercabar juga maruah Daniel mendengar kata-kata Alunie itu. Namun dia tidak mahu dek kerana maruahnya merasa tercabar, maka dibiarkan  maruahnya terus tercemar sekiranya perkahwinan antara dia dan Alunie tidak dipersetujuinya. Kau pun bukan taste aku. Tak feminin langsung.  Dengan kemeja corak kotak-kotak. Bertopi macam Sani Sudin. Berjeans lusuh. Eiii! Tapi apa nak buat. Perkahwinan kau dengan aku boleh menyelamatkan maruah aku. Semuanya gara-gara kau kembar Ayunie.

            Daniel dapat membayangkan, pada hari perkahwinan mereka nanti, tiada siapa yang akan menduga bahawa pengantin perempuan yang  bersanding dengannya bukan lagi Ayunie sebagaimana tercatat namanya di dalam kad jemputan. Tiada siapa juga  akan menduga, nama pengantin perempuan dalam kad jemputan tersebut tidak sama dengan nama sebagaimana tercatat dalam borang permohonan berkahwin yang akan dibawanya mengadap imam kampung Ayunie pada malam akad nikah nanti. Di dalam kad jemputan disebut Ayunie Binti Haji Harun, tetapi di dalam borang Alunie yang akan disebut.

            Perkara itu akan dirahsiakan daripada saudara-mara dan sahabat handai. Hanya Haji Harun, Hajjah Rahimah, Encik Ibrahim, Daniel dan Alunie sahaja yang akan mengetahuinya. Hadirin majlis yang lain tidak akan tahu. Termasuk ibunya Puan Mahani. Semuanya demi menyelamatkan maruahnya.

            Dia yakin, seperti kata Haji Harun tiada orang yang akan sedar kerana Alunie sekiranya dibumbui mekap akan tuntas kelihatannya persis Ayunie.  Wajah mereka seiras benar meskipun kelakuan dan penampilan harian mereka berbeza.

            “Saya tak mau bercakap soal taste dengan Alunie. Soalnya sekarang kerana maruah. Kita semua memang mahu menjaga maruah antara satu sama lain. Saya boleh tidak bersetuju dengan permintaan Haji Harun, tapi saya juga seperti Lunie, sayangkan orang tua, di samping mahu menjaga maruah saya sebagai lelaki. Saya ke sini untuk berterima kasih kepada Alunie.”

            “Baguslah kalau awak juga macam tu. Jadi memandangkan kita sama-sama mahu menjaga nama baik orang tua kita, kita teruskan perkahwinan ini. Tapi awak kena ikut kemahuan saya sepanjang perkahwinan. Jangan buat sesuka hati awak.” Beritahu Alunie “ Tapi saya tetap nak tahu apa sebenarnya terjadi.”.

            “Betul awak nak tau?”

            “Awak fikir saya  sanggup buang masa di sini kenapa?” Soal Alunie kembali. Wajah Daniel yang kelihatan serba-salah bercampur gusar direnungnya. “Dahlah saya  sanggup korbankan masa depan saya. Awak ni langsung tak mahu fikir tentang tu. Saya minta terus-terang hal sebenar pun tak mahu. Awak ingat saya ni suka sangat nak kahwin dengan awak?” Tambah Alunie lagi.

            Kau menyoal senang sebab kau tak tahu betapa sukar untuk aku menyusun ayat-ayat untuk membolehkan kau percaya cakap aku ni. Gumam hati kecil Daniel masih menatap wajah Alunie.

            “Tolonglah encik, saya ni tak ada masa nak layan awak. Banyak lagi urusan saya kat kedai,” desak Alunie mulai geram.

            Daniel kebuntuan untuk memulakan. Tambahan pula dia turut memikirkan bagaimana untuk hidup dengan gadis seperti Alunie sepanjang usia perkahwinan mereka nanti. Ya Allah! Kalaulah tidak kerana maruah, tentu sahaja dia tidak mahu sama sekali berdepan dengan Alunie.  Namun dalam masa yang sama dia mahu berterima kasih di atas kesudian Alunie mengorbankan dirinya untuk kepentingan semua pihak.








 

 

 

BAB DUA

Alunie masih memikirkan cerita Daniel tentang sebab utama dia tidak mahu memujuk Ayunie meneruskan pertunangan mereka. Sukar untuk dia menerima segala penjelasan Daniel. Biarpun dia tahu Ayunie suka bersosial namun dia masih menolak sampai ke tahap itu Ayunie berpeleseran.

            Menurut Daniel, Ayunie mula menyuarakan untuk memutuskan pertunangan mereka gara-gara mereka terserempak di sebuah parti liar yang dianjurkan oleh seorang kenalan Ayunie. Mungkin mahu menjaga egonya Ayunie yang terlebih dahulu menyuarakan perkara itu.

            Petang sebelum malam kejadian, kawan Daniel yang bertugas di bawah Dr. Kamil di Pengajian Alam Sekitar mempelawanya menghadiri sebuah parti untuk menghilangkan ketegangan akibat selalu berhadapan dengan penyelidikan. Daniel yang tidak mengetahui bentuk sebenar parti yang dianjurkan bersetuju. Apatah pula Muiz langsung tidak menyebut parti apa. Cuma katanya berkesan sekali untuk menghilangkan ketegangan.

            Lalu malamnya Daniel bertolak ke banglo sebagaimana tercatat di alamat yang ditinggalkan oleh Muiz di pejabatnya. Ketibaan Daniel disambut mesra oleh tuan rumah yang menganjurkan parti, kenalan rapat Muiz. Daniel tiba sebelum parti bermula. Sebaik Daniel duduk dipelawanya minum. Agak terkejut Daniel apabila melihatkan jenis minuman yang terhidang di meja dan disua kepadanya.  Belum sempat Daniel bangun untuk meninggalkan majlis yang dirasakan tidak bersesuaian dengan dirinya, lampu dipadamkan. Bunyi suara bersorak menenggelamkan bunyi muzik yang sedari awal membingitkan telinga.

            Seorang gadis berskirt pendek sendat dan bersinglet tali halus kelihatan menari-nari di atas meja yang seakan meja yang terdapat di bar. Tariannya cukup mengghairahkan membuatkan Daniel hampir tidak sanggup menontonnya. Daniel mengetap bibir.  Dia tunduk. Tiba-tiba telinganya bingit dengan sorakan. Daniel mengangkat wajah ke arah sorotan lampu. Lampu masih lagi tersorot ke tubuh yang meliuk-lintuk tadi. Daniel menggeleng, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Gadis yang menari tadi kini cuma berpanti sahaja. Dia membaringkan tubuh di atas meja. Seorang pemuda yang paling hampir menarik lengannya sewaktu dia bergeliat menggoda di atas meja.

            Selebihnya Daniel tidak sanggup untuk menontonnya. Sebaik panti dilucutkan daripada badan gadis itu, sorakan bersiponggang sekali lagi. Ketika itu keadaan agak tidak terkawal. Pemuda dan pemudi dalam majlis itu menarik tangan tidak mengira siapa untuk dijadikan pasangan. Daniel turut ditarik sama. Tapi pantas Daniel menyentaknya. Masing-masing semakin menggila. Pesta seks bermula! Daniel terjebak meskipun sekadar pemerhati. Dalam samar-samar cahaya lampu, dapat Daniel lihat berpuluh-puluh pasangan sedang ‘berpesta’ tanpa segan.

            Terkesima Daniel sebaik sportlight menyuluh ke arah satu pasangan bagaikan dirancang-rancang. Mata Daniel menyorot ke situ. Pasangan itu hampir bertelanjang bulat. Bahagian atas si perempuan sudah tidak bertutup langsung. Lelakinya cuma berseluar dalam sedang cuba menanggalkan skirt yang dipakai si gadis. Mereka berdua beraksi dalam keadaan yang cukup mengghairahkan.

            “Yunie!” Terpempan Daniel.

            Tanpa lengah Daniel meluru ke arah pasangan tersebut.  Lengan Ayunie ditarik ke arahnya. Si lelaki mulanya mahu memprotes, namun tak sempat apabila seorang gadis lain merangkulnya. Aksi ghairah antara mereka berlaku pantas menyambung aksi bersama Ayunie yang terganggu.

            “Dan!” Ayunie pantas memeluk tubuhnya. Menyembunyikan keseluruhan badannya yang terdedah.

            Dalam kesamaran Daniel mengheret Ayunie ke sudut yang agak lengang. Ayunie masih dalam keadaan memeluk tubuh sewaktu Daniel menempelengnya. Para tetamu lain tidak menghiraukan mereka kerana sudah tenggelam dalam nafsu.

            Pada keesokan harilah Ayunie meminta pertunangan mereka diputuskan. Dia bukannya mengakui kesalahannya dan kesal dengan sikap liarnya, sebaliknya menuduh Daniel berlibido kerana menghadiri pesta liar seperti itu walhal itulah pertama kali Daniel menjejakkan kaki ke parti tidak bermoral dan penuh maksiat seperti itu.

            Begitu cerita Daniel. Alunie tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Ayunie yang dikenalinya memang agak liar. Terlalu jauh berbeza dengan dirinya yang langsung tidak gemarkan sebarang pesta. Hidup Alunie cuma dunia perniagaannya. Dia mahu berjaya dalam bidang yang  diceburinya. Kesibukan Alunie memantapkan perniagaannya menyebabkan dia tidak menghiraukan apa-apa termasuk mencari pasangan hidup.

            Tergerak hati Alunie untuk bertanyakan Ayunie perkara sebenar dan sejauh mana kebenaran cerita Daniel. Bagaimanapun hasratnya terbantut memandangkan hubungannya dengan Ayunie agak jauh. Dingin dan tidak pernah mesra. Kemesraan antara mereka semakin terhakis dengan meningkatnya usia mereka. Mempercayai Daniel seratus peratus pula dirasakan terlalu berat. Mungkin Daniel sengaja mereka cerita. Disebabkan itu juga Daniel melarang keras Alunie bercerita kepada sesiapapun termasuk orang tua mereka.

            Sementelahan lagi sekarang ini Ayunie tidak dapat dikesan olehnya. Apabila dia menelefon ke pejabat Ayunie, jawapan yang diterima Ayunie sedang bercuti panjang.

            “Orang dah nak kahwin kan kak… tentu sibuk dengan persiapan perkahwinan.” Sempat si penyambut panggilannya bergurau dengan Alunie.

            Gurauan si penyambut panggilannya menyebabkan Alunie dapat membuat tafsiran bahawa Ayunie langsung  tidak  memberitahu rakan-rakan sepejabatnya  dia telah membatalkan hasrat untuk berkahwin.  Geram betul hati Alunie. Cuti tetap diambil, kahwin tak jadi. Balik kampung pun tidak. Ke mana Ayunie menghilang sebenarnya?

            Huh! Kau  memang benar-benar menyusahkan aku! Ngomel hati kecil Alunie.  Jam di dinding ditatap. Sudah hampir jam dua pagi. Matanya dipicing-picingkan. Belum mahu tidur mata kecil sepetnya. Dia bangun menuju meja bacaannya. Sebiji invoice wholesaler dibuka. Masih banyak barangan yang tidak diletakkan harga. Dia melepaskan keluhan. Kelewatan meletakkan harga barangan yang diambil oleh pemborong akan melewatkan bayaran mereka dan ini akan menyebabkan dia kekurangan modal pusingan.

 Dua tiga hari kebelakangan itu Alunie tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja-kerja rutinnya memandangkan benaknya sarat memikirkan masalah yang sedang dihadapinya. Menara kawalannya tidak dapat berfungsi dengan baik. Dia sebenarnya masih sangsi dengan keputusan yang diambilnya namun dirasakan itulah langkah terbaik. Dia bukan kasihankan Daniel, sebaliknya lebih banyak memikirkan masalah maruah dan nama baik orang tuanya. Dia tidak sanggup maruah orang tuanyatercalar. Lagipun itulah satu tanda berterima kasih kepada orang tua yang banyak berkorban selama ini.

            Invoice di tangannya ditutup. Membatalkan hasrat untuk meletakkan harga tolak kepada pemborong yang berurusniaga dengannya. Sekeping borang bertulisan jawi, diberi ayahnya lewat kedatangan mereka tempoh hari ditatap. Geram, marah dan serba salah bercampur baur menjadikan nafasnya sesak. Sesekali dia terasa menyesal dilahirkan mempunyai kembar seiras seperti Ayunie. Acap kali benar dia terpaksa menanggung kesalahan Ayunie.

            Teringat zaman persekolahannya. Ayunie yang sering ponteng sekolah acap kali dipanggil guru disiplin untuk menerima hukuman. Ayunie selalu dapat melepaskan diri dengan menyuruhnya menjadi galang ganti. Sekiranya Alunie enggan berbuat demikian Ayunie mengugut untuk mengupah kawan-kawan lelaki yang suka tuang kelas memukulnya. Takut dengan ugutan Ayunie membuatkan Alunie seringkali sanggup menerima hukuman daripada guru disiplin.

            Kali ini, sekali lagi Alunie terpaksa menanggung kesalahan Ayunie. Geram hatinya tidak terkata. Sama ada benar atau rekaan cerita yang didengarinya daripada mulut Daniel bukan sesuatu yang harus difikirkan sangat, masalah sekarang hanyalah bagaimana dengan nama baik keluarganya.

            Asyik memikir masalah itu membuatkan Alunie tidak sedar bila masanya dia terlena di meja. Sesedarnya keesokan hari jam sudah menunjukkan pukul enam setengah pagi. Nasib baik belum terlalu lewat untuk mandi dan menyempurnakan solat subuh.


Pagi. Seperti biasa Alunie sudah tiba di toko bukunya dan masuk ke pejabatnya. Pekerjanya belum sampai. Termasuk keraninya yang memang sering datang lewat. Dia membelek buku temujanji di mejanya. Tiada sebarang temujanji tengahari itu. Dicapai pula fail NM Paper, pengeluar buku-buku tulis dan juga pelbagai jenis kertas. Ditiliknya satu persatu senarai harga examination pad. Dibuka pula fail Tan Eng Hong untuk membuat perbandingan harga.

            Telefon genggamnya tiba-tiba berbunyi. Dicapainya. Memerhati sejenak nombor yang tertera di skrin. Ayahnya di kampung. Menelefon pagi-pagi begitu tentunya untuk bertanya perkara berkaitan dengan perkahwinan yang bakal berlangsung sedikit masa lagi. Alunie melepaskan keluhan.

            “Borang kau dah isi?” aju ayahnya tanpa bertanya keputusannya terlebih dahulu. “Kalau dah isi serahkan pada Daniel,  katanya dia nak balik kampung hujung minggu ni.”

            “Lunie belumpun isi borang …”

            “Kau nak pikir apa lagi Lunie? Atau Lunie dah berubah fikiran?”

            Alunie diam sahaja. Ayahnya tidak sepatutnya bertanyakan soalan demikian. Perkara yang  melibatkan masa depan seperti itu tentu sekali terlalu sukar untuk diputuskan sewenang-wenangnya. Begitupun Alunie tidak salahkan ayahnya. Semuanya itu cadangan dia juga.

            “Yah, bagi Lunie sikit masa lagi…” ujar Alunie kemudian mematikan talian tanpa mendengar sebarang kata daripada ayahnya.

            Tangannya memicit-micit kepalanya yang sedikit sakit. Alunie memang sering mengalami sakit kepala. Kadang-kala melarat sehingga dua tiga hari. Namun kesakitan itu tidak sekalipun membuatkan dia mengabaikan tanggungjawabnya terhadap toko bukunya.

            Dalam keadaan seperti itu, kerap benar pula masalah sakit kepala itu timbul. Mungkin kerana benaknya sarat memikirkan tentang masalah perkahwinan yang kini dicadangkannya demi untuk menyelamatkan maruah mereka dan mengelakkan persengketaan dengan keluarga lelaki, terutama Puan Mahani. Alunie menyapu sedikit minyak Cap Kapak, biar lega sikit kepalanya yang dirasakan berdenyut-denyut.

            Alunie kemudian membawa keluar Personal Digital Assistant atau ringkasnya PDA dari saku jeansnya dan memasukkan data yang dirasakan perlu ke dalam komputer bersaiz tapak tangan tersebut. PDA itu sudah menjadi sebahagian keperluan bagi ahli perniagaan seperti Alunie. Ada saja maklumat dan data yang perlu dikey-innya ke dalam komputer. Tentu sahaja menyulitkan sekiranya dia perlu mengusung laptop ke sana ke mari. Oleh itu, apabila mendengar tentang PDA yang kini menjadi satu alternatif golongan elit yang sentiasa sibuk, Alunie turut tidak mahu melepaskan peluang. Pilihannya PDA keluaran PALM. Selain canggih ia juga menawarkan banyak pilihan dengan kadar harga yang mampu difikirkan oleh semua golongan.

            Seterusnya Alunie kembali sibuk dengan segala macam aktiviti perniagaannya sepanjang hari sehingga langsung tidak sedar hari sudah menjengah petang. Menjelang akhir tahun seperti itu, toko buku seperti miliknya memang akan mengalami kesibukan memandangkan banyak pesanan menjelang musim persekolahan pada tahun baru diterima pada waktu-waktu sedemikian.

Sementara itu, Daniel seperti cacing kepanasan di biliknya. Sepanjang hari itu dia gagal untuk membuat sebarang kerja. Nasibnya agak baik kerana tidak terlibat dengan banyak kelas. Kerja-kerja  makmal juga tidak banyak. Cuma dia perlu menyudahkan jurnal sebagaimana yang diminta oleh dekan Fakulti Perhutanan. Pagi tadi PA dekannya sudah mula bersungut kerana lewat menyudahkannya. Rakan sejawatannya, Prof .Madya Faridah Hanum awal-awal lagi sudah menyerahkan jurnalnya kepada dekan.  Dia tahu dia tidak setanding dengan perempuan bermulut becok tersebut. Sementelahan dia sebenarnya botanis muda. Bukannya pakar berpengalaman sebagaimana Prof. Madya Faridah Hanum. Biarkanlah!

            Mata Daniel kemudiannya tertumpu ke frame gambar di meja. Gambar rakaman kemesraan dia dan Ayunie sedikit masa dulu.  Tidak disangka sama sekali Ayunie akan berubah laku. Juga tidak diduga sama sekali Ayunie terlalu jauh berbeza dengannya. Sangkanya mereka berdua sehati sejiwa dan punyai minat yang sama. Mana tahu Ayunie rupanya  terlalu liar sehingga sanggup ke pesta sebegitu.

            Daniel sebagai lelaki tentunya tercabar melihatkan Ayunie dalam keadaan sedemikian. Tubuhnya terdedah sakan dan cuma tinggal secebis pakaian di bahagian bawah yang melekat Di  tubuhnya. Dukacita dan kesal sekali Daniel melihatkan keadaan Ayunie sebegitu.

            Sebagai seorang yang mendapat pendidikan di luar negara, Daniel memang terbiasa mendengar adanya parti sedemikian dianjurkan. Ramai juga di kalangan pelajar Melayu alias Islam yang menghadiri jemputan. Namun Daniel sering kalinya terkecuali. Selagi dia berpegang kepada dua kalimah, selagi itu Daniel bertekad untuk menjauhkan dirinya daripada aktiviti yang boleh mewujudkan titik hitam di dalam hatinya.

            Sangkanya, Ayunie sesuai diambil sebagai suri hidup. Sumpah Daniel tidak tahu Ayunie sebegitu jauh menyimpang. Daripada segi pemakaian, Daniel akur pada kehendak Ayunie. Skirt ketat paras lutut menampakkan keseksiannya. Daniel akui terbit rasa bangga apabila kejelitaan Ayunie terserlah dengan segala bentuk pakaian yang dikenakannya. Ramai rakan yang memuji betapa pandainya Daniel mencari bakal isteri yang tahu menampilkan dirinya mengikut kesesuaian majlis. Ah, sebagai lelaki tentu sahaja Daniel turut sukakan kecantikan yang terserlah di sebalik penampilan Ayunie.

            Pertama kali orang tuanya memperkenalkan Ayunie kepadanya hatinya sudah bergetar dan melonjak-lonjak untuk memiliki. Apatah lagi setiap kali bertemu Ayunie akan melayannya dengan mesra sekali. Berbeza sekali dengan Alunie, kembar Ayunie. Kali pertama bertemu dengannya, Alunie langsung tidak menampakkan ciri-ciri kewanitaan yang jelas.  Bertegur dengan Daniel jarang sekali sekiranya mereka Daniel berkunjung ke rumahnya. Disebabkan itulah Daniel lebih rapat dengan Ayunie berbanding Alunie.

            Puas  menatap gambar, Daniel membuka laci mejanya. Satu kotak baldu berwarna merah garang diambilnya. Kotak kecil berbentuk hati dibuka perlahan-lahan. Sebentuk cincin emas putih bertakhta berlian ditilik. Cincin tersebut dibeli semata-mata mahu disarungkan ke jari manis Ayunie semasa majlis membatalkan air sembahyang sesudah akad nikah nanti. Sengaja dia memilih cincin berlian.

            Kata orang berlian lambang cinta sejati. Daniel pernah terbaca, perkahwinan di raja pertama yang diikat dengan cincin berlian berlaku pada tahun 1475. Ia berlaku diantara Constanzo Sforza dan Camilla d’Arazona di Pesaro. Perkahwinan bersejarah tersebut dirakamkan dalam siri lukisan bergambar yang ditemui dalam manuskrip. Ia tersimpan di Vatican. Dalam manuskrip tersebut menggambarkan tuhan perkahwinan bercat rona tunik bersama cincin berlian berdiri hampir mazbah menyaksikan cincin berlian satukan cinta dua insan.

            Pertunangan pertama yang diikat menggunakan cincin berlian pula berlaku pada tahun 1477. Bagi tujuan pertunangan ini, cincin ditukang dalam bentuk abjak Ghotic M. ia dipersembahkan oleh Putera Austria- Archduka Maxmilian kepada anak Charles The Bold untuk Mary Of Burgundy.   Seingat Daniel, replika hadiah tanda cinta luhur ini masih dipamerkan di Muzium Kunsthistorischen di Vienna. Daniel sendiri pernah ke muzium itu dan tidak melepaskan peluang untuk melihatnya. Daripada situlah timbul idea di hati Daniel untuk menghadiahkan sesuatu yang abadi kepada Ayunie. Ayunie sendiri sebenarnya tidak pernah melihat cincin berlian rekaan Piaget tersebut.

            Kini hendak tidak hendak, cincin yang asal sepatutnya disarung ke jari Ayunie akan berpindah milik ke jari Alunie.  Daniel tidak mahu membeli yang lain. Alunie bukan perempuan yang bertakhta di hatinya. Dia tidak sanggup berhabis untuk seseorang seperti Alunie. Untuk membuang begitu sahaja terasa rugi kerana rekaan Piaget itu bukan berharga ratusan ringgit. Lalu apa salahnya jika dibiarkan sahaja cincin itu tersemat di jari manis Alunie.












BAB TIGA

Suasana di rumah Haji Harun agak riuh rendah. Sebagai orang kampung majlis kenduri biasanya diuruskan oleh sekumpulan tukang masak yang memainkan peranan sepenuhnya menyelesaikan tugas-tugas di dapur. Kumpulan yang terdiri daripada wanita separuh usia ini biasanya sambil berkerja sambil berkicau mulut mereka. Ada sahaja lelucon yang menjadi bahan hilau tawa mereka menimbulkan suasana gamat. Haji Harun sebagai tuan punya kerja, istilah orang pantai timur pula agak sibuk melayan tetamu yang hadir.

            Langsung tidak lekang di bibirnya senyuman manis. Isterinya juga sama sibuk. Sesekali dijengahnya Alunie di bilik pengantin.

            Syukurlah aku punya seorang anak yang tahu membalas kasih sayang orang tua sehingga sanggup korbankan masa depannya sendiri. Aku tahu terlalu berat untuk dia tanggung semua ini. Begitu ucap Hajjah Rahimah di dalam hatinya. Cuma ia tidak terluah di bibir. Sekadar senyum yang memanjang dihadiahkan setiap kali bebola mata Alunie yang berkaca berlaga dengan bebola matanya. Dia tahu dalam kesuraman pandangan mata Alunie,  hati  anak gadisnya merintih. Semalam sebelum majlis akad nikah selesai Alunie meraung di dalam bilik. Nasib baik boleh ditenangkan. Apabila keluarga terdekat bertanya kenapa ‘Ayunie’ nampak tidak gembira, Hajjah Rahimah dan Haji Harun memberi alasan ‘Ayunie’ tidak dapat menahan sedih apabila kembarnya tidak dapat bersama. Kononnya ‘Alunie’ tidak dapat pulang kerana gagal menempah tiket penerbangan pulang dari Sarawak. ‘Alunie’ ke sana beberapa hari sebelum majlis memandangkan ada seminar yang wajib dihadirinya berkaitan potongan cukai pendapatan.

            Senang untuk Hajjah Rahimah dan Haji Harun menipu orang kampung yang tidak tahu apa-apa. Oleh sebab itu, langsung tiada sesiapa yang tercium perkara sebenar. Langsung tiada siapa yang menduga wanita berpakaian pengantin di bilik itulah Alunie yang dikatakan berada di Sarawak. Padahal hakikatnya Ayunie yang tiada. Menghilang entah ke mana beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

            “Jam berapa pihak lelaki akan tiba?” Soal salah seorang adik Haji Harun kepada Hajjah Rahimah.

            “Katanya lepas solat asar. Sekarang ni dah masuk waktu asar. Kejap lagi sampai le gamaknya…”

            “Kalau gitu aku nak jenguk Yunie kat dalam, perhati apa yang patut. Kot ada yang tak kena sebelum pihak pengantin sampai.”

            “Hah, elok juga tu Leha.” Setuju Hajjah Rahimah kepada adik iparnya.

            Mak Leha, adik Haji Harun masuk ke bilik Alunie. Tersenyum dia memandang betapa cantik anak saudaranya pada hari itu. Meski bertudung keayuan ‘Ayunie’ begitu terserlah di matanya.

            “Yunie cantik benar hari ni…” Mak Leha berbasa-basi dengan Alunie. Alunie cuba memaniskan wajahnya padahal hatinya meraung mendengar dirinya dipanggil Ayunie. Sejak malam tadi itulah namanya yang dipanggil orang.

            Lebih sakit hatinya apabila terdengar bisik-bisik sumbang di belakang yang mengatakan betapa tidak patut ‘Alunie’ tiada dalam majlis tersebut. Mereka mempertikaikan apakah perkara yang lebih penting dalam hidup selain ikatan kekeluargaan. ‘Alunie’ dikatakan terlalu mementingkan diri sehingga sanggup membelakangkan keluarga semata-mata kerana perniagaannya.

            Bertambah geram tatkala ada yang mempersendakan ‘Alunie’ dengan membuat tanggapan mudah bahawa ‘Alunie’ sengaja tidak mahu pulang kerana kecewa jodohnya lebih lewat jika dibandingkan dengan kembarnya.

            “Kalau kau nak tahu, Lunie dan Yunie tu sejak kecil suka bersaing. Heh, nama aje kembar, tapi mereka tak pernah baik.”

            “Ohh, tu pasal Lunie cuba mengelak daripada berada dalam majlis ni. Malu kalau ada yang tanya dia bila nak kahwin gamaknya.”

            Lalu berderai suara mereka mentertawakan Alunie. Geram benar hati Alunie sewaktu terdengar cakap-cakap sumbang seperti itu. Ada pula yang tidak takut-takut membandingkan Ayunie dan Alunie. Kononnya Alunie jauh ketinggalan daripada segi penampilan diri berbanding Ayunie. Lebihnya Alunie cuma satu, duit kerana dia mempunyai perniagaan sendiri tidak seperti Ayunie yang cuma makan gaji.

            “Eii, manusia ni. Kalau tak ngumpat, tak ngata orang tak sah!” Gerutu hati kecil Alunie bersama muncung sedepa.

            Nasib baik ibunya datang menyelamatkan keadaan. Menyedari Alunie terdengar cakapan sumbang di belakangnya. Pantas Hajjah Rahimah merangkul dan menenangkan Alunie yang kelihatan agak sebak.

            “Yunie, kenapa termenung dengan muka masam ni?” Soal Mak Leha apabila sapaannya tiada sahutan. Sementelahan pula wajah ‘Ayunie’ masam mencuka.

            “Tak ada apa-apa lah Mak Leha,” ujar Alunie acuh tidak acuh. Oii, bukalah mata korang tu luas-luas, aku ni Alunie lah! Bentak hati kecil Alunie.

            “Yunie jangan bimbang, kejap lagi sampai lah pihak lelaki…” Mak Leha berhenti seketika seperti memasang teliga. “Hah, dengar tu, bunyi suara orang berselawat. Tu tanda pengantin lelaki dah sampai tu,” sambung Mak Leha dengan wajah ceria.

            Alunie kembali serba salah. Tidak tahu bagaimana harus dilakukannya. Malam tadi selesai akad nikah, iaitu sewaktu Daniel menyarungkan cincin ke jari manisnya, Alunie terpaksa mencium tangan Daniel. Daniel pula dengan penuh kepura-puraan mengucup syahdu dahinya. Mungkin waktu itu Daniel membayangkan Ayunie. Gerutu hati kecil Alunie sambil  memerhatikan cincin berlian yang tersarung elok di jari manisnya.

            Tak sangka pula jari Yunie ni satu saiz dengan jari aku. Begitu komen Alunie sebaik cincin itu tersarung ke jarinya.

            Tiba-tiba Alunie terasa lengannya ditarik mendorong dia berdiri. Dia berpaling sekilas. Mak Andam yang ditempah khas oleh orang tuanya meminta dia bangun. Dia akur. Dibawa ke pintu utama juga dia akur. Sedikit pun tidak membantah.

            Alunie tunduk mengucup tangan Daniel sekian kalinya sebaik Daniel mampir di muka pintu utama. Mereka dibawa beriringan ke pelamin indah hasil buah fikiran mak andam yang mengiringi. Cahaya kamera berlip-lap sana-sini. Alunie mendongak sekilas memandang Daniel . Kebetulan  Daniel juga sedang tunduk memandangnya. Bebola mata mereka berlaga. Alunie pantas melarikan pandangannya. Tidak sanggup membiarkan retinanya terus-terusan dipanah sinaran mata Daniel.

            “Kau cantik benar hari ini!”  Puji Daniel berbisik sewaktu mereka melabuhkan punggung serentak ke kerusi pelamin.

            Alunie membalas pujian Daniel dengan jelingan. Mahu sahaja dia memuncungkan mulutnya yang berlapis gincu, namun melihat keghairahan orang ramai dia pura-pura tersenyum. Senyumannya mendapat respon yang cukup positif daripada Daniel.

            Buang tabiat ke orang tua ni? Alunie kehairanan dengan sikap Daniel. Entah-entah dia membayangkan Ayunie sedang berada di sisinya.

            “Encik… ingat saya ni siapa ya!” Bisik Alunie perlahan. Sengaja dirapatkan wajahnya ke wajah Daniel.

            “Tengok, belum apa-apa dia orang dah buat pakatan. Pakatan apa ye?”
           
            Entah suara nakal malaun mana menerjah ke teliga Alunie membuatkan darahnya kembang dan naik ke muka. Melampau! Getusnya geram.

            Seterusnya Alunie hanya mampu berdoa agar majlis itu segera berakhir.


Alunie sedang mengemas kamar tidurnya sewaktu Daniel selesai mandi dan masuk ke bilik. Di rumah orang tuanya cuma ada satu bilik mandi.  Daniel harus ke bilik mandi yang terletak di sebelah kiri dapur. Kesempatan itu Alunie ambil untuk mengemaskan bilik. Cadar berkain net seharusnya diganti dengan cadar biasa terlebih dahulu.

            “Ini tak boleh jadi ni, tak kan aku nak tidur sekatil dengan dia?” Alunie bertanya dirinya sendiri sambil menggaru-garu lengannya yang tidak gatal.

            Alihnya dia membuka almari, mencari-cari toto untuk dijadikan alas tidurnya di lantai. Namun hampa apabila barang yang dicarinya tiada di situ. Ketika itulah Daniel masuk. Memandang ke arah Alunie yang terpinga-pinga.

            “Awak dah ambil wuduk?” Soal Daniel lembut. Menatap wajah Alunie. Entah mengapa malam itu serasa tidak puas ditatapnya wajah Alunie.

            Siang tadi bergetar hati Daniel sewaktu Alunie menyambutnya di muka pintu. Terserlah kecantikan Alunie. Nyata selama ini Alunie mempunyai seraut wajah yang jelas begitu mempesonakan. Lupa seketika Daniel kepada Ayunie yang pada malam sebelumnya menjelma di dalam mimpi.

            “Nak wuduk untuk apa?” Tanya Alunie kebingungan. Ketika itu Daniel sudah berada dekat padanya.

            “Orang kata sunat sembahyang sunat dua rakaat terlebih dahulu pada malam pertama sebelum bersama isteri…”

            “Hah! Awak dah gila ke? Awak sedar saya ni sapa? Saya Alunie ye. Bukan tunangan awak si Ayunie tu.”

            “Saya sedar. Awak bukan Ayunie tunangan  saya, tapi Alunie… isteri saya.” Sengaja Daniel lambat-lambat untuk menyebut istilah ‘isteri’.

            Alunie membeliakkan matanya. Memang dia terkejut.

            “Err encik… rasanya ada silap faham di sini. Mungkin silap saya juga tak bagi tau awak awal-awal.” Alunie diam seketika. Cuba mengatur bahasa sebaik mungkin. Sesekali dia menelan ludahnya. Daniel sabar menanti.

            “Sebenarnya saya cuma bersetuju untuk kahwin dengan awak, tapi tak bersedia untuk jadi isteri awak secara mutlak. Kalau tak kerana orang tua saya, tak mungkin ada sebarang ikatan antara kita.” Lancar Alunie berkata-kata kemudiannya.

            “Jadi?” Daniel gagal untuk menangkap maksud sebenar.

            “Jadi kalau boleh saya nak awak anggap antara kita tiada apa-apa. Kalau ada pun cuma ikatan sebagai kawan.”

            “Itu sudah melanggar tujuan perkahwinan dalam Islam.”

            “Ya, saya tahu. Saya tahu juga berdosa bagi saya menafikan hak awak sebagai suami. Cuma buat masa ni saya tak sedia. Belum sedia sungguh-sungguh. Jadi kita buatlah cara kita. Awak dengan cara awak, saya dengan cara saya.”

            Daniel duduk di birai katil. Cuba menimbangkan kata-kata Alunie. Perkahwinan jenis apakah ini yang sedang diaturkan oleh Alunie. Soalnya kepada dirinya sendiri.

            “Dan kalau tak keterlaluan saya harap awak boleh mengambil langkah sewajarnya kelak sekiranya saya secara tiba-tiba bertemu Mr. Right satu masa nanti. Mana tahu, jika selama ini tak pernah wujud sesiapa dalam hati saya tiba-tiba ada seseorang yang menambat hati.”

            “Maksud awak? Apa yang awak nak saya buat?” Daniel meminta penjelasan lanjut. Dia mula tidak senang dengan semua itu.

            “Pada saya, ketika itu tentulah awak perlu lepaskan saja saya.”

            Daniel terpempan dengan jawapan berani Alunie. Alunie pula bersikap selamba sahaja. Baginya tiada apa yang perlu diambil  hati oleh Daniel kerana Daniel juga mengahwininya bukan atas dasar cinta. Mungkin di saat itu hati Daniel masih kepada Ayunie.
           
            “Alunie, sewaktu melafazkan akad nikah, saya telah berjanji akan memainkan peranan sebagai suami sebaik mungkin. Jikapun kita tak pernah menjalin sebarang hubungan selama ini, namun jauh di sudut hati saya mahukan yang terbaik untuk rumahtangga kita berdua.” Daniel bersuara perlahan, tapi cukup untuk Alunie mendengarnya
.
            “Kenapa jadi begini? Saya tak mengharapkan jadi begini. Tolonglah. Saya dah tolong awak kan? Kenapa tak kali ini awak pula tolong saya?”

            Daniel memandang Alunie yang menghujaninya dengan soalan bertalu-talu. Ingin dia bangun dan meraih Alunie ke dalam pelukannya. Mengharapkan pengertian Alunie. Wajah bujur sirih dengan rambut lurus yang hitampekat melebihi paras bahu itu direnungnya.

            Aku berjanji pada diri mahu menyayangi gadis ini dan melupakan Ayunie terus dalam hidup aku sebaik diijabkabulkan. Kenapa pula permintaan yang bukan-bukan keluar daripada mulutnya? Susah benarkah untuk dia menerima ikatan ini? Kalau aku boleh kenapa Alunie berdegil untuk tidak menerima? Pelik, sedangkan dia sendiri yang mencadangkan perkahwinan ini.

            Daniel tahu bukan mudah untuk belajar mencintai orang yang tidak  pernah dicintai. Dalam hatinya sendiri belum terbit rasa cinta terhadap Alunie. Bagaimana pun dia sedia belajar mencintai dan menerima Alunie sebagai isteri. Dia mengharapkan agar Alunie juga mempunyai niat yang sama agar rumahtangga mereka dapat kekal harmoni. Jika pada awal dia bersetuju mengahwini Alunie kerana maruah, tapi sebaik diijabkabul dia bertekad untuk meneruskan kehidupan berumahtangga dengan sewajarnya. Perkahwinan bukan sesuatu yang boleh dibuat senda gurau. Hari ini kahwin, besok lusa cerai. Itu bukan perangainya.

            Sungguhpun demikian, dengan sikap yang Alunie tunjukkan ketika itu mustahil untuk dia meneruskan niat murninya. Dia mahu menjalani kehidupan rumahtangga dengan ada kerelaan daripada pasangannya Alunie. Dia tidak mahu memaksa Alunie mengikut rentaknya. Biar masa menentukan sejauh mana mereka boleh hidup berumahtangga.

            “Alunie, saya harap pendirian awak akan berubah. Saya akan menunggu, tapi sama sekali tak kan memaksa awak menerima saya sebagai suami awak yang mutlak,” ujar Daniel lalu bangun menyidai tuala mandi di tempat sepatutnya.

            Alunie tidak menunjukkan sebarang reaksi. Sebaliknya mengemaskan katil tempat tidur mereka dengan meletakkan bantal peluk di tengah-tengah sebagai sempadan antara mereka. Tanpa menunggu Daniel yang sedang bersolat sunat, Alunie terus merebahkan diri. Badannya sudah terlalu penat kerana majlis siang tadi.

            Daniel juga merebahkan diri di katil sebaik selesai solat tanpa bersalin pakaian terlebih dahulu. Diperhatikan wajah Alunie. Gadis itu kelihatannya begitu lena dibuai mimpi. Daniel sedar Alunie cuma berpura-pura demi mengelakkan dirinya. Bagaikan menyedari diperhatikan, Alunie membalikkan tubuhnya membelakangi Daniel.

Lalu malam itu Daniel tidak sedikitpun dapat memejamkan matanya memikirkan bagaimana harus dia melalui malam-malam seterusnya bersama Alunie. Tidak tergugatkah dirinya sebagai seorang lelaki yang sempurna zahir dan batin?  Sesekali ditoleh ke arah Alunie. Nampaknya Alunie sudah benar-benar terlena sewaktu jam menunjukkan pukul tiga pagi. Sedangkan dia masih berjaga. Termenung mengenangkan hari yang bakal mendatang bersama Alunie.

            Kalaulah malam itu dia sedang berbaring di pertiduran bersama Ayunie, tentu saja malam itu menjadi satu malam yang bersejarah dalam episod cinta mereka. Jika selama ini tubuh genit Ayunie tidak pernah disentuh, malam itu akan dipeluknya erat. Kalau selama ini pipi dan bibir merah Ayunie tidak pernah dikucupnya, malam itu bakal mencatitkan sejarah pertamanya. Akan puas pipi , bibir dan di mana-mana sahaja milik Ayunie digomolinya. Mereka akan bersatu.

            Daniel mengeluh berat. Dia sedar di sebelahnya sedang mengiring membelakanginya bukan Ayunie. Sebaliknya Alunie. Gadis yang tidak pernah dicita-citakan untuk dipeluk dan dicium sepuas hati. Sedangkan Ayunie kini entah ke mana. Entah berada dalam dakapan lelaki mana. Entah sedang bersatu dengan jantan mana! Mengenangkan itu Daniel jadi marah.  Serta merta dia memejamkan matanya. Cuba mengusir ingatan terhadap Ayunie. Malangnya bayangan Ayunie dalam keadaan yang amat mengghairahkan bersama lelaki lain tetap terbayang di mindanya. Lalu kegersangan benar-benar menerjah di hati Daniel kini sehingga dadanya terasa sesak.






BAB EMPAT

Ayunie merenung jauh ke luar hotel. Dia tahu hari ini Daniel melangsungkan perkahwinan dengan Alunie. Dia tersenyum sinis. Betapa bodohnya Alunie  berkahwin dengan lelaki tanpa ada rasa cinta. Sedari kecil kebodohan Alunie tidak pernah surut. Sentiasa menerima penangan kesalahannya. Dalam soal perkahwinan ini pun Alunie sekali lagi menerima sahaja demi menyelamatkan maruah orang tuanya. Ayunie tahu.

            “Lunie, nama saja kau kembar aku, tapi kau bodoh!” Kutuk Ayunie sambil matanya terus-terusan merenung jauh dari balkoni hotel tempatnya menginap.

            Tiada siapa menduga Ayunie kini sudah jauh dari Malaysia. Tiada siapa mampu menjejakinya. Siang tadi dia sudah puas menyusuri terusan di sebuah taman di Oxford London. Terusan itu mengambil masa dua jam perjalanan sekiranya berperahu. Itu siang tadi. Setibanya dia seminggu yang lalu di England sudah banyak tempat dia lawati. Sengaja dia tidak membatalkan cuti perkahwinannya meskipun perkahwinan yang dirancang telah dibatalkan. Dia mahu mengambil kesempatan itu untuk bersukaria sepenuhnya dengan Pengarah Urusan Derus Holding. Sebuah syarikat binaan yang agak meningkat naik sejak akhir-akhir ini.

            Ayunie tidak kisah bersama lelaki berusia enam puluh dua tahun asalkan hatinya puas. Jika bersama Daniel belum tentu dia dapat mengecapi kemanisan hidup seumpama itu. Apa sangat yang ada pada seorang kakitangan kerajaan seperti Daniel? Meski menjawat jawatan sebagai pensyarah di sebuah universiti, Daniel tentu tidak berkemampuan untuk membawanya bersiar-siar dan makan angin hingga sejauh itu. Jika mempunyai duit lebih sekalipun, Daniel tentu tidak punyai lebih masa untuk bersamanya.

Disebabkan itu Ayunie sering diragut kebosanan sepanjang menjadi tunangan Daniel. Entah apa sebabnya dulu dia sanggup menjalin hubungan serius dengan lelaki dingin seperti Daniel. Bayangkan, Ayunie langsung tidak boleh berrmanja-manja. Kalau keluar bersama, sekalipun tangan Ayunie tidak pernah dipimpinnya semasa jalan bersama. Apatah pula untuk memeluk pinggang seperti pasangan lain. Haram kononnya. Alih-alih mereka terserempak di sebuah parti liar.

            Jantan hipokrit! Depan aku berlagak alim, belakang lebih kurang sama dengan aku. Kalau aku tiada kat situ hari tu, dah berapa ramai betina dilanyaknya. Lagikan aku keletihan bersama hampir lima orang jantan buas! Ngomel Ayunie.

            “Hi sayang, menungkan apa ni?”  Sapa Dato’ Halim sambil tangannya melingkar di pinggang Ayunie.

            Ayunie membalas rangkulan Dato’ Halim dengan manja. Reaksi Ayunie membangkitkan berahinya. Pantas dia menggeselkan bibirnya ke leher Ayunie menyebabkan Ayunie menggeliat kegelian.

            Memang begitu tingkah laku Dato’ Halim setiap kali Ayunie diusungnya ke sana ke mari.  Bezanya semasa di Malaysia dia cuma mampu berbuat demikian ketika Ayunie di bawa ke hotel-hotel mewah. Kali ini, di England puas dia berasmara dengan Ayunie yang manja dan menggoda. Terlalu berbeza dengan kedua-dua isterinya. Di England ini, sebut saja di mana asal berahinya bangkit Ayunie akan digomolnya. Di Taman berhadapan Trafalgar Square, London. Sewaktu berferi ke Isle Of Wight.  Di mana-mana sahaja mereka berkesempatan. Orang sekeliling bukannya menghiraukan mereka. Malahan lebih kurang macam mereka juga.

            “Sayang, besok kita ke New Bond Street…” pinta Ayunie manja sambil membelai wajah Dato’ Halim.

            “Nak buat apa kat sana?”

            “Nak beli baju di kedai Ready To Wear LV,” balas Ayunie. Tangannya menjalar di punggung Dato’ Halim.

            Dato’ Halim  mengangguk-angguk tanda setuju sedang bibirnya terkunci rapat kerana terlalu asyik mencicipi leher Ayunie. Ayunie meliuk-lintuk sambil merengek manja. Rengekannya membuatkan Dato’ Halim bertindak lebih jauh dengan menyelongkar dadanya yang sedia terdedah. Melihatkan Ayunie seakan merelakan seperti kebiasaannya, Dato’ Halim terus membawa Ayunie ke katil. Di situ tiada suara lagi yang kedengaran antara mereka melainkan nafas kasar semata-mata.


Kini seminggu sudah berlalu  sejak Alunie dan Daniel melangsungkan perkahwinan. Daniel dan Alunie manghabiskan cuti kahwin mereka tanpa berbulan madu di mana-mana. Padahal jika diikutkan Daniel mempunyai banyak masa semasa pelajar universiti bercuti panjang seperti itu. Namun kerana Alunie tidak bersedia untuk berbulan madu dengannya, cuti kahwin mereka hanya habis  begitu sahaja.

            Daniel juga sudah berpindah ke rumah Alunie yang terletak di sebuah kawasan perumahan mewah di Puchong.  Jika diikutkan Daniel ingin membawa Ayunie tinggal bersamanya di banglo mewah yang dibelinya di pinggir  FRIM, Kepong. Meski agak jauh dari tempat kerja mereka berdua, tapi Daniel temui ketenangan di situ.  Daniel sudah membayangkan untuk berjogging bersama  Ayunie sebelah petang hujung minggu di kawasan FRIM yang redup dengan pokok-pokok balak.

            Malangnya, impian itu berkubur begitu sahaja kerana perkahwinannya bersama Ayunie terbatal, sebaliknya dia terpaksa berkahwin dengan Alunie yang langsung tidak mahu tunduk kepada sebarang permintaannya. Usahkan tunduk, menimbangkannya sekalipun tidak.

            Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke rumah Alunie, terkejut dia dengan kemewahan Alunie.  Tidak disangka, pemilik toko buku tersebut sebegitu mewah dan bercitarasa tinggi. Rumahnya gaya Inggeris desa. Mendamaikan dan begitu menenangkan jiwa.  Dapat Daniel lihat sebaik melangkah dari pintu masuk utama, terdapat di sudut itu sepasang kerusi yang mengapit meja kecil Korea menyambut tetamu.  Sepasu orkid putih, lampu meja dan hiasan kecil tersusun elok di atas meja membangkitkan suasana di ruangan ini. Di lantainya pula dialas dengan permaidani Bali.

            Melangkah ke ruang tamu, sebuah sofa panjang dengan tiga tempat duduk diserikan dengan taburan kusyen beraneka fabrik membayangkan Alunie jenis yang jarang menerima tetamu. Jika ada kunjungan tamu sekalipun, ia tentu daripada keluarga terdekat.

            Hari minggu seperti itu Daniel tidak ke mana-mana. Alunie juga nampaknya tidak ke toko bukunya. Sedari pagi Alunie sibuk di dapur. Sewaktu dijengah, kelihatan Alunie sibuk membuat pastri. Katanya mahu membuat pai untuk dijadikan makanan ringan sepanjang hari itu. Memang hubungan mereka tidak seperti suami isteri yang lain. Sungguhpun begitu daripada segi makan pakai, sepanjang perkahwinan mereka nampaknya Alunie tidak mengabaikan Daniel. Setiap pagi Alunie menyediakan sendiri hidangan sarapan untuknya. Meskipun ketika di rumah Daniel. Tidak Daniel tahu tindakannya itu untuk mengaburi mata orang tuanya atau memang Alunie begitu.

            “Daniel, cuba awak rasa pai ayam ni. Setanding dengan pai yang di jual di Dome Café tak?” Tanya Alunie sambil meletakkan sebiji pai di depan Daniel.

            Daniel mengambil pai di piring lalu di bawa ke mulut.

            “Emm… boleh tahan juga. Pastrinya ranggup dan sedap. Intinya pun boleh bagi markah tinggi,” ujar Daniel kemudian meneruskan suapannya. Bukan Daniel sengaja mahu memuji Alunie, tapi pai yang dibuat Alunie itu memang sedap. Pastrinya rapuh, rangup dan elok cara bakarnya. Setanding dengan pai yang pernah dirasainya di Dome Café atau Dave Deli.

            Hairan juga dia, bagaimana wanita sesibuk Alunie masih punyai waktu luang untuk memasak. Bukan ramai orang yang mampu untuk membuat pai sesedap itu. Kalau seseorang itu tidak biasa ke dapur tentu susah untuk membuat pai yang sedap seperti itu. Bagaimanapun Daniel yakin Alunie sememangnya handal di dapur meskipun cara penampilannya tidak menampakkan imej wanita sejati. Jika dia tidak gemar ke dapur tentu dapurnya tidak seperti mana. Ini tidak, dapurnya sahaja telah menampakkan betapa ia juga satu sudut yang begitu dititikberatkan Alunie.

            “Dapur awak cantik…” puji Daniel sewaktu pertama kali masuk ke dapur Alunie malam pertama menjejakkan kaki ke banglo mewah tersebut. Ketika itu Alunie sedang menyediakan hidangan malam untuk mereka berdua.

            “Kata orang dapur itu jantungnya rumah. Bagi saya, dapur yang cantik merangsang ilham untuk mencuba resepi baru. Saya gemar ke dapur kerana saya ni jenis yang kuat makan,” jawab Alunie yang memilih set dapur dari jenis Poggenpohl.

            Poggenpohl merupakan jenis dapur mewah bersesuaian dengan banglo Alunie.  Ia keluaran Jerman yang merangkumi semua ciri yang dikehendaki Alunie. Bentuknya cantik, bahan bermutu, pilihan meluas, memiliki ciri-ciri keselamatan serta unggul rekabentuknya. Paling penting Alunie memilihnya kerana ia telah memperolehi kelulusan Jabatan Kesihatan Persekutuan Jerman kerana penggunaan terlalu minimum bahan kimia folmaldehyde yang boleh mengakibatkan barah kesan jangka masa panjang.

            “Mana awak belajar buat pai sebegini sedap?” Tanya Daniel setelah sebiji pai habis dimakannya.

            “Awak nak lagi? Masih banyak kat dapur.” Alunie menyoalnya kembali tanpa menjawab soalan yang dikemukakan Daniel.

            “Boleh juga. Fresh orange sekali kalau awak rajin.”

            Alunie tersenyum sambil melangkah ke dapur membawa piring kosong. Seketika kemudian dia kembali menatang sedulang hidangan. Diletaknya ke meja. Daniel pantas mencapai gelas oren dan membawanya ke bibir. Kemudian sebiji pai lagi diambilnya.

            Alunie tersenyum. Dia duduk mengambil tempat di sebelah Daniel seraya menggapai senaskah GM. Balik-balik muka Velantino Rossi. Dia memang tidak minat melihat muka pelumba muda dari Italy tersebut meskipun cara tunggangannya hebat. Alunie lebih meminati Luca Cadalora meskipun nama penunggang dari Itali itu sudah lama tenggelam. Mendahului nama Loris Capirossi, juga dari Italy.

            Alunie memang meminati sukan lasak seperti lumba motor berkuasa besar dan lumba kereta. Jika lumba motor dia memilih Giacoma Agustine yang merupakan juara terbanyak Grand Prix kategori 500cc, rekod ini tidak dipecahkan sesiapa bermula tahun 1949 sehingga 2001. Dalam tempoh tersebut Agustine yang menunggang dalam kumpulan MV Agusta dan Yamaha menjadi juara sebanyak lapan kali . Pelumba kedua terbanyak memegang gelaran juara bagi kategori ini pula jatuh kepada Mick Doohan. Penunggang berasal dari Australia.  Beliau juga menjadi juara terbanyak semusim iaitu sebanyak dua belas kali. Mengatasi Agustine yang kurang satu berbandingnya.

            “Lunie minat sukan lumba motor macam ni?” Tanya Daniel sewaktu dilihatnya Alunie asyik dengan bahan bacaannya.

            “Dulu masa muda-muda lagi minat. Sekarang ni dah kurang sikit, sibuk dengan berniaga,” jawab Alunie tanpa memandang ke wajah Daniel yang duduknya agak hampir kepadanya.

            “Alunie ketara berbeza berbanding Ayunie.” Entah mengapa pula keluar komen sedemikian daripada mulut Daniel.

            Alunie memandangnya. Majalah di tangan kini sudah beralih ke meja. Aku tahu sukar untuk kau lupakan kekasih hati. Disebabkan itu aku tidak mahu menjadi isteri mutlak kau. Aku tak mahu dibelai dan dimanja oleh kau, padahal dalam benakmu membayangkan Ayunie.

            “Awak masih ingatkan Ayunie?” Entah mengapa pula Alunie bertanyakan soalan bodoh itu. Padahal tanpa pengakuan daripada mulut Daniel sekalipun dia sudah sedia maklum terlalu sukar untuk Daniel lupakan Ayunie. Bertahun-tahun mereka memadu kasih. Masakan dapat Daniel lupakan sekelip mata.

            Daniel mengetap bibir. Menyedari kesilapannya mengungkit soal Ayunie walhal dia telah berjanji tidak akan sesekali menyebut tentang Ayunie lagi di depan Alunie. Bimbang ‘isterinya’ salah faham. Sekali gus akan mematahkan impiannya untuk membina rumahtangga normal bersama Alunie.

            Sepanjang seminggu perkahwinannya dengan Alunie, sepanjang itulah mereka hidup seperti seorang kawan. Setelah berpindah ke rumah Alunie kehidupan mereka makin ketara berbeza daripada pasangan suami isteri yang lain. Jika di rumah orang tua mereka tidur sebilik, kini Alunie sudah menetapkan Daniel harus tidur di bilik  berasingan. Mulanya agak terkejut Daniel mendengar penetapan itu, namun apabila Alunie mengungkit bahawa mereka berdua seharusnya tidak lebih daripada seorang kawan Daniel akur.

            Bagi Daniel lebih baik mereka begitu daripada Alunie menjauhinya sekiranya Daniel memaksa Alunie mengikut cara dan kehendaknya. Untuk tempoh permulaan ini Daniel akan mengikut rentak Alunie. Zapin tarian Alunie, zapin jugalah tarian Daniel. Tango tarian Alunie, itu jugalah yang akan Daniel tarikan.

            “Saya cuma membandingkan awak dengan dia. Saya pernah kenal dia, kini saya kenal awak pula. Dalam tak sedar tentu saya akan membuat perbandingan sendiri.”

            “Jadi apa hasilnya melalui pemerhatian awak selama kenal saya?”

            “Nyata awak punyai keistimewaan sendiri. Seharusnya saya berbangga punyai isteri seperti awak. Tapi saya tak boleh merasa demikian kerana pada awak kita bukan suami isteri. Cuma kawan,” kata Daniel sambil bebola matanya menangkap bebola mata Alunie.

            Alunie melarikan pandangan matanya. Tidak sanggup bertentangan mata dengan Daniel. Korneanya terasa perit. Dia cuba menyelami maksud di sebalik kata-kata Daniel. Tidak mungkin Daniel kesal dan kecewa dengan peraturannya. Dia bukan pilihan Daniel, cuma penyelamat kepada maruah Daniel dan keluarga.

            “Awak tak perlu memuji saya. Konotasi istimewa itu luas. Mungkin di mata awak saya macam ni, di mata orang lain macam tu pulak. Kita tak boleh tetapkan apa-apa pada sesuatu yang subjektif.” Alunie bersuara tanpa sedikitpun memandang ke wajah Daniel.

            “Saya berkata berdasarkan pandangan saya terhadap awak. Orang lain punya pandangan saya tak peduli. Pada saya beruntung orang yang mampu menawan hati awak satu hari nanti,” luah Daniel secara terbuka.

            Alunie menoleh ke arahnya seketika. Apabila dirasakan Daniel memandangnya penuh makna, Alunie meleraikan pandangan yang bertaut antara mereka. Sukar baginya mentafsirkan kata-kata Daniel.  Sudah seminggu mereka berkahwin, hubungan mereka masih seperti dua orang kawan. Alunie langsung tidak melayan Daniel sebagai selayaknya seorang isteri.

            “Lunie, awak pernah bercinta?” Terpacul soalan itu daripada mulut Daniel. Cuba untuk menghidupkan suasana yang agak bungkam.

            “Kenapa tanya macam tu? Mentang-mentang lah saya ni tak seanggun Yunie, jadi awak sangka tak ada yang berkenan kat saya, begitu?”

            Daniel ketawa mendengar telahan Alunie. “Bukan begitu. Saya tanya sebab rasanya mustahil wanita seperti awak tak pernah melalui semua tu,” ujar Daniel membetulkan salah faham Alunie.

            Alunie tersenyum kecil. Dia merenung ke depan seakan mengimbau detik-detik lampau.

            “Dulu. Time saya form five. Adalah saya berkenan dengan sorang mamat tu. Kalau tak silap Nal Zawawi namanya. Tapi hubungan kami tak pernah terjalin. Saya malu nak mulakan. Sekadar pandang-pandang kalau terserempak kat mana-mana. Dia senior saya. Tamat belajar saya langsung tak terserempak dengannya.” Terus-terang Alunie. Entah mengapa pulak dia boleh berterus-terang tentang hal itu kepada Daniel. Walhal tiada siapa pernah mengetahui betapa dulu dia pernah menggilai Nal Zawawi separuh mati.

            “Dia tau awak suka dia?”

            “Entah. Mungkin tau mungkin tak. Kalau terserempak dia pun pandang-pandang kat saya, tapi jarang nak menegur. Paling kuat dia senyum dan angkat kening…”

            “Sekarang ni?”

            Alunie tidak menjawab pertanyaan Daniel. Sebaliknya cuma tersenyum sahaja. Senyuman nakal Alunie tunjukkan membuatkan Daniel tertanya-tanya.







 





No comments:

Post a Comment