BAB LIMA
Musim
persekolahan baru bermula. Mariah begitu keberatan untuk menyarungkan kasut
baru. Sempat dia menjulingkan mata. Mengesan reaksi si adik tatkala dia
menyarungkan kasut itu. Begitupun Muzamil nampak sambalewa. Tidak mengendahkan
jelingannya. Malahan dengan selamba dia menyarungkan kasut buruknya. Kemudian
melompat kesukaan kerana dapat kembali ke sekolah. Bertemu kawan-kawan yang
tinggal agak jauh dari rumahnya.
“Adik,
jangan gopoh-gopoh sangat, nanti jatuh kotor baju adik tu.” tegur Mariah yang
masih di tangga rumah.
Muzamil
menoleh ke arahnya sekilas. Tersengih menampakkan giginya yang rompong
sana-sini. Mariah bangkit. Minggat dari tangga. Merapati Muzamil. Seketika
tangannya sudah berada di kolar baju Muzamil. Membetul-betulkannya untuk
menambahkan kekemasan. Muzamil seronok diperlakukan sedemikian.
Kemudian
mereka mengatur langkah mendudu-dudu, meredah jalan yang kurang elok dek
tetunggul dan juga rerumput. Ini kerana untuk sampai ke sekolah mereka harus
berjalan kaki melintasi kebun getah dan juga padang sawah. Jauhnya kira-kira
lima kilometer dari rumah mereka. Pun mereka sudah kalis meredah jalan
sebegitu. Itupun sudah dikira jalan pintas bagi mereka. Kalau ikut jalan tanah
merah yang belum berturap, ia akan mengambil jarak lebih jauh. Biasanya hanya
kawan-kawan yang mengayuh basikal yang akan menggunakan jalan tanah merah. Bagi
maha pejalan kaki seperti mereka, ada lebihnya jika menggunakan jalan pintas
yang harus meredah kebun getah dan padang sawah.
Sewaktu
tiba di sekolah, sudah ramai kawan-kawan berkumpul di kantin. Juga di kaki lima
kelas. Untuk musim baru persekolahan tahun itu Mariah dan Muzamil belum tahu
mereka akan diletakkan di kelas yang mana. Sungguhpun demikian mereka
meramalkan tentunya di kelas yang cemerlang. Keputusan peperiksaan akhir tahun
mereka mengangkat kedua-duanya sebagai johan keseluruhan tahun lima dan tiga.
Tentu dengan prestasi yang membanggakan itu mereka akan diletakkan di kelas
yang cemerlang pelajar-pelajarnya.
Muzamil
memandang sekeliling. Pada rakan-rakan sebaya dan juga yang lebih tua dan lebih
muda berbandingnya. Kebanyakan mereka berseragam baru. Tinggal lagi Muzamil
seorang yang masih menyarungkan seluar lusuh dan baju pudar. Kasut? Jangan
disentuh soal kasut. Muzamil memang malas untuk memikirkan soal kasutnya lagi.
Jiwanya akan tersayat sayu. Tapi mahu atau tidak, pandangan Muzamil tetap
tumpah pada kasut kawan-kawan. Sekadar mahu mengesan sesiapa yang menyarungkan
kasut lama sepertinya.
Terguris
senyuman tatkala dia ternampak Kamil, kawan sekelas semasa di darjah tiga juga
sepertinya. Kamil bukan setakat masih menyarungkan kasut lama. Bajunya juga
tercobak-cabik sana-sini. Ada kesan jahitan menampung mana-mana bahagian yang
terkoyak. Kamil sebenarnya seperti juga Muzamil. Lahir dalam keluarga yang
susah. Adik-beradik pula seramai sembilan orang dan dia anak yang ke enam.
Kakak dan abang pula seorang pun tidak menjadi. Masih mengharapkan mak ayah
menyarasuap walau sudah lama meninggalkan alam persekolahan.
Anak-anak
kampung seperti mereka. Tambahan masih berada dalam keadaan negara sedang membangun,
tentu saja sikap juga tidak ubah seperti katak bawah tempurung. Kesinoniman
dengan serba-serbinya terlingkup bawah sikap maha tidak tahu dan maha penakut
untuk keluar mencari kerja di bandar. Sementalahan pula kilang belum banyak
beroperasi ketika itu. Lalu jadinya, adik-beradik Kamil lebih senang tuna karya
dan memproses sisa mata di rumah. Sesekali apabila tiba musim menanam padi, ke
bendang untuk menolong mak ayah. Sungguh tidak produktif.
Apa boleh
buat? Mereka belum terdedah dan tidak pernah didedahkan. Tv dan radio belum
berleluasa digunakan di kampung-kampung ketika itu. Kalau adapun hanya seorang
dua yang menggunakan tv hitam putih. Dihidupkan dengan enjin generator. Model
peti berpintu gelongsoran. Malam-malam hari, penduduk kampung akan menyerbu
untuk menonton tv sama. Biasanya cerita hindustan. Mungkin cerita lakonan Sammi
Kapoor atau sekufu-sekufunya. Tuan rumah yang ada peti tv pula akan memungut
bayaran sepuluh sen satu kepala. Kononnya buat modal mengecas semula enjin
generator.
Ketika itu segala rancangan
berinformasi tidak dipedulikan sangat. Penyebab kemunduran akal fikiran dan
sempitnya laluan merancang masa depan. Aduh, mundurnya masyarakat serba tidak
membangun ketika itu. Apa boleh buat? Khalayak masa itu belum ramai yang benar-benar
cintakan ilmu. Lalu jadilah seperti adik-beradik Kamil yang tuna karya dan
tidak berwawasan.
Muzamil merapati Kamil. Rasanya
dia paling layak untuk Muzamil buat kawan. Malu untuk merapati kawan-kawan yang
berbungkus serba-serbinya baru. Mariah menoleh sekilas ke arah adiknya. Dia
meneguk liur. Memerhati Kamil atas ke bawah. Ada rasa lain menyelinap dalam
sanubarinya. Rasa belas menggerimis hati. Bukan adiknya seorang. Malah ada yang
lagi teruk berbanding adiknya.
Loceng berbunyi. Menyerbu ramai-ramai
ke medan perhimpunan. Acara pagi rutin. Mendengar taklimat daripada pihak guru
besar dan guru-guru bertugas. Awal persekolahan, ada saja taklimat yang perlu
disampaikan. Tambahan setelah bercuti panjang. Belum termasuk pengumuman
pelajar cemerlang dan juga pembahagian kelas mengikut kelulusan. Mariah tidak
terkecuali menarik bersamanya Muzamil dan juga Kamil ke medan perhimpunan.
Duduk bersebelahan sebelum diarahkan membentuk barisan mengikut tahun.
Agak lama
juga perhimpunan pada pagi itu. Guru besar nampaknya berceloteh macam-macam
hal. Daripada acara rasmi pagi sudah menjadi satu majlis informal kekeluargaan.
Ada lelucon dan parodi terkeluar dari halkum guru besar membuatkan suasana
medan perhimpunan gamat. Tidak lupa guru besar mengingatkan agar kakitangan
sokongan yang bertugas mengagihkan sarapan pagi berupa sandwic yang dibuatnya
sendiri kepada para pelajar sebelum menyerahkan mikrofon kepada guru bertugas
untuk taklimat seterusnya. Itu merupakan sebahagian daripada zakat guru besar
untuk pelajar-pelajarnya.
Kemudian
acara mengumumkan pelajar cemerlang. Hanya pengumuman. Majlis penyampaian
hadiah akan berlangsung minggu depan. Tentu sahaja Mariah dan Muzamil termasuk
dalam pelajar cemerlang seperti yang telah dijangka. Usai pengumuman, pembahagian
kelas pula dilakukan. Selesai segala-galanya, mereka meluru ke dalam kelas.
Menyusun kerusi dan meja membentuk barisan mereka sendiri. Seronok bukan
kepalang tentunya dalam benak masing-masing kerana dapat bertemu kembali
kawan-kawan.
Rehat.
Mariah tidak ke kantin. Sebaliknya ke kelas Muzamil untuk meninjau keadaan
adiknya. Muzamil juga nampaknya tidak ke kantin. Termenung di atas meja sambil
pandangan jauh ke luar darjah.
“Kenapa
dik?” Soal Mariah sambil menyentuh lembut bahu adiknya. Memang dia sayang amat
kepada Muzamil. Tiada deskripsi untuk menyampaikan maksud kasih sayangnya.
“Tak ada
apa.” Jawab Muzamil sugul. Kakinya dihayun-hayunkan sehingga berlaga-laga
dengan kaki meja.
Mariah
terpagut hairan. Tadi pagi adiknya nampak riang dan excited untuk ke sekolah. Tengah hari ini tiba-tiba berwajah sugul.
“Adik nak
makan roti ni?” Soal Mariah sambil menyuakan sandwic yang diagihkan guru besar
pagi tadi.
Muzamil
memerhati seketika sandwic di tangan kakaknya. Sandwic itu memang sedap. Dia
tidak pernah merasa makanan sesedap itu
seusianya. Sedetik dia mengangkat wajah. Membalas pandangan penuh kasih seorang
kakak.
“Kakak
tak makan?” Terlantun soalan dari mulut Muzamil.
“Kakak
simpankan untuk adik. Makanlah.” Mariah menyuap ke mulut adiknya.
Muzamil
membuka mulut tanpa ragu. Dia tahu kakaknya paling sayangkan dia. Malah
serasa-rasanya, kakaknya sayangkan dia melebihi sayang emak dan ayah kepadanya.
Ada masa dia rasa sungguh kembang hati. Ada masa juga dia merasakan ada baiknya
jika hanya dia seorang yang menjadi adik kakaknya. Dia boleh bermanja sampai
bila-bila dengan kakak. Tidak perlu berkongsi kasih sayang dengan sesiapa.
“Sekarang,
cuba cerita sikit, kenapa adik nampak masam?” Pancing Mariah usai Muzamil
menghabiskan sandwicnya.
Muzamil
nampak berat untuk memulakan. Dia memandang sekali lagi ke wajah Mariah. Kemudian sebaik melihat anggukan
berserta senyuman kakaknya, Muzamil perlahan-lahan mengangkat kaki kanannya.
Menunjukkan kasut yang hampir tercabut tapaknya kepada Mariah.
“Tadi
adik main kejar-kejar semasa cikgu tak datang ke kelas. Hamka terpijak belakang
kasut adik, langsung jadi macam ni.”
Mariah
menilik-nilik kasut Muzamil. Memang kerosakannya agak teruk. Ah, kalau tidak
hampir tercabut tapak sekalipun, kerosakan sedia ada memang sudah agak teruk
pun. Dada Mariah bergejolak. Dia memandang kasutnya sendiri.
“Nanti
balik rumah, kakak jahitkan kasut adik.”
“Tapi
adik takut ayah dan mak marah. Bimbang mereka tuduh adik sengaja buat kasut
jadi macam ni.”
“Tak,
nanti kakak terangkan.” Mariah memberi janji berserta jaminan.
Muzamil
ingin bersuara, namun deringan loceng menandakan waktu rehat telah berakhir
menghalang peti suaranya berfungsi. Rengkungnya tersumbat dan mulutnya
terkatup. Mariah sudah sedia bangun. Membetul-betulkan bajunya sebelum melompat
turun dari meja.
“Kakak ke
kelas dulu. Balik nanti tunggu kakak di sini. Jangan nak ke mana-mana. Lagi
satu, jangan main kejar-kejar lagi. Karang tercabut terus tapak kasut adik tu.”
Pesan Mariah sebelum minggat.
Muzamil
mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Matanya tertancap tajam ke wajah
kakaknya. Kemudian apabila kakak membelakanginya mengatur langkah, dia
melabuhkan pandangan ke kasut kakaknya yang putih melepak. Membayangkan kasut
sedemikian tersarung elok di kakinya.
Huh. Dia
teringatkan gelakan Hamka dan kawan-kawan yang lain semasa dia tersungkur tadi.
Mereka ramai-ramai mentertawakan Muzamil. Sekali gus mentertawakan kasut
buruknya. Pada mereka, kasut Muzamil sudah layak dihumban dalam api. Buat umpan
nyalaan. Muzamil memang tersinggung benar. Tapi tidak diceritakan kepada
Mariah. Bimbang hati kecil kakaknya tersayat pilu. Dia faham perasaan Mariah
yang mudah terpilu. Kalau kakaknya terpilu, perasaan Muzamil sendiri akan
membukat. Lalu dia lebih suka mendiamkan diri biarpun terasa terasfal atau
terhina di mata kawan-kawan daripada membuat kakak bersedih.
Kasut
baru pun tak guna kalau otak asyik berkarat. Gumam Muzamil dalam hati
kemudiannya sebelum melompat turun dari meja dan kembali ke tempat duduk
menanti guru kelas masuk mengagih-agihkan buku teks seperti yang sedia
dimaklumkan seketika tadi. Sekejapan,
dia terleka di situ sambil otaknya ligat mengulang makna kata dalam bahasa
Inggeris yang sedikit susah pada perkiraannya. Kalau terus-terusan memikirkan
tentang kawan-kawan yang suka membuli, otaknya boleh terpusing pening. Mereka
faraq daripada Muzamil. Meski masih sinonim dengan kesusahan dan kedaifan
hidup, ibu bapa mereka masih mampu mengadakan keperluan untuk mereka. Memang
mereka berbeza dengan Muzamil. Muzamil seusianya memang sedar akan keturunan
diri sendiri. Seingatnya dia tidak pernah merasa senang seperti kawan-kawan
lain. Pun dia gembira. Gembira kerana ada seorang kakak yang sering menyayangi
dan membelainya.
Seketika
hatinya kembali berbunga mengingatkan Mariah. Manisnya kakak setiap kali
mengukirkan senyuman. Adakah kawan-kawan yang lain mempunyai kakak seperti
kakaknya? Kakak yang sering menemaninya makan, tidur, mandi dan semua aktiviti
lain. Segala-galanya dilakukan bersama. Itu, si Hamka, sembilan orang
adik-beradiknya. Malah ada seorang kakak di darjah enam. Satu kelas dengan Kak
Mariahnya. Nama kakak Hamka, Halijah. Tidak pernah sekalipun Muzamil lihat
menemani Hamka setiap kali tiba masa rehat. Kalau tiba masa rehat, Muzamil pernah
ternampak Halijah seronok-seronok di padang sekolah main lompat getah bersama
kawan-kawan. Hamka pula main kejar-kejar dengan kawan-kawan lain termasuk
Muzamil.
Ketika
itu, Mariah pula senang duduk-duduk di tepi padang. Memerhati Muzamil main
kejar-kejar sambil membaca buku. Kalau bukan buku ilmu alam, buku Geografi,
kalau tak buku Tatabahasa. Ah, kakak
memang tidak lekang daripada memerhatikannya. Itulah untungnya jadi adik kepada
seorang kakak bernama Mariah.
Kalau
Mariah ada adik lain selain Muzamil, masihkah lagi Muzamil akan mendapat
layanan istimewa sedemikian? Sering juga Muzamil bertanya begitu.
Kakak.
Dan
Muzamil memejamkan matanya membayangkan wajah kakaknya yang ayu dengan rambut
bertoncang dua.
Selepas
ibu, kakaklah perempuan yang disangjungi Muzamil. Lagipun dia mana kenal
mana-mana perempuan lain lagi. Ruang lingkup Muzamil terlalu terbatas. Cikgu?
Semua cikgunya sama di mata Muzamil. Entah. Mungkin dia masih muda, tidak tahu
meluaskan lagi rasa kagum dan hormatnya kepada ramai orang. Lalu idolanya
sampai bila-bilapun hanya kakak dan ibu.
Ayah?
Bagi
Muzamil, ayah juga ulung. Walau sesekali hati dijentik keliru akan kasih sayang
ayah yang sebenar terhadapnya, dia tetap memuja ayah. Meletakkan ayah di tahkta
teratas dalam hatinya. Dia ingat pesan ustazah, jangan derhaka kepada orang
tua. Menyimpan rasa termengkelan terhadap orang tua sendiri bisa menelurkan
penyakit hati terhadap orang tua. Seterusnya ia mungkin mengesan sedikit
perasaan ingin memberontak yang akhir sekali boleh menyakitkan hati orang tua
dan seterusnya dia akan jadi anak derhaka.
Anak
derhaka?
Tidak.
Muzamil takut jadi anak derhaka. Tidak pada ayah dan tidak pada emak. Pada
sesiapa juga. Dia takut kerana kata ustazah, anak derhaka akan berdosa, berdosa
itu seksa dan seksa pula neraka. Dan bila di neraka tentunya merana. Aduh.
Sakit. Muzamil tidak mampu untuk membayangkan kemeranaan di neraka. Tapi dia
tahu tentunya sakit sangat. Sedikit bunga api terpercik ke tangan semasa
menolong ibu menghidupkan api di dapur sudah mampu memijarkan, apatah jika
saban masa bermastautin di dalam api. Akal pendek dan singkat Muzamil tidak
mampu untuk menaakulkan kesengsaraan di neraka. Pun dia tahu semuanya tentulah
yang buruk-buruk saja.
Dia
teringat kisah si Tanggang. Ah, dongeng rakyat itu bukan ada apa-apa padanya.
Cuma dia teringat kisah anak derhaka. Balasannya terlalu berat. Muzamil tidak
mahu. Tidak mahu mengulangi kisah-kisah anak derhaka.
Tapi
ayah? Sesekali memang Muzamil terketik sayu. Ayah ada masanya akan melebih-lebihkan
kakak dalam beberapa perkara. Kenapa sebenarnya? Muzamil tidak cukup mendengar
katakah? Atau ayah geram sebab Muzamil sering masuk hutan untuk melastik
beburung? Bukankah baliknya beburung kecil hasil tangan Muzamil akan masuk
kuali untuk sama-sama dinikmati mereka sekeluarga. Tak faham. Muzamil memang
tidak faham hati ayah. Toleran ayah padanya tidak begitu ketara. Entah. Muzamil
tidak tahu.
Lalu
Muzamil kembali mengulangingat makna kata dalam bahasa Inggeris yang sesekali
sukar untuk diingat maksudnya di dalam hati santak guru kelas melenggang masuk
dengan membawa beberapa buah buku di celah ketiak.
“Bangun!”
Arah seorang rakan kelas. Merangkap ketua darjah yang baru dilantik guru pagi
tadi.
Serentak.
“Assalamualaikum cikgu!”
Guru
menjawab salam. Mengarahkan duduk seketika kemudian. Murid-murid kaku di tempat
duduk masing-masing. Tidak berani untuk bersuara. Cikgu Sapri. Sinonim dengan
kebengkengannya. Sinonim juga dengan bilah rotan di tangan. Sedang Cikgu Sapri
asyik dengan buku di mejanya.
“Lutfi,
Muzamil dan Fendi, tolong pergi angkut buku-buku dari bilik SPBT.” Arah Cikgu
Sapri kemudiannya.
Masing-masing
tidak berani berkata tidak. Bangun pantas dan meluru keluar ke bilik SPBT.
Murid-murid lain diam tidak berganjak. Menunggu buku-buku siap diangkut. Baru
dua pusingan mengangkut buku teks ke bilik darjah, tugas bertukar giliran. Tiga
orang murid lain pula dipertanggungjawabkan. Begitulah seterusnya sehingga
habis buku-buku diangkut ke bilik darjah. Kononnya itu cara paling adil untuk
memberi rasa murid-murid membuat tugas bersama-sama.
“Saya
panggil nama, kamu datang ambil buku seorang sebiji mengikut subjek.” Cikgu
Sapri berbunyi lagi.
Murid-muridnya
mengangguk. Itu rutin mereka setiap kali musim persekolahan baru dibuka. Dan
untuk hari itu santak petang aktiviti hanya berkisar tentang buku teks. Usai
masa persekolahan tengah hari itu semua bersorak girang. Boleh pulang ke rumah.
Bagi
Muzamil, sebaik dia keluar dari bilik darjahnya, Mariah sudah sedia menunggu di
pintu. Sejuk hati Muzamil melihat senyum manis terukir di wajah kakaknya. Aduh
kakak, manis sungguh senyumanmu. Muzamil terleka.
Mereka
kemudian mendudu-dudu keluar dari kawasan sekolah. Sekali lagi meredah jalan
yang sama seperti pagi tadi. Sesekali Muzamil berjalan melenting-lenting.
Girang kerana sekejap lagi akan tiba di rumah. Perutnya bakal terisi. Biar
dijamu hanya dengan nasi putih beras gred paling murah dan berlaukkan ikan
kering buatan sendiri, itu sudah cukup baik baginya. Hari-hari begitu pun tidak
apa. Janji masih ada beras dan lauk untuk dijamu pada perutnya. Tiap hari ke
sekolah seperti musim-musim persekolahan lepas bukan dibekalkan sepuluh sen
dua. Koceknya sudah biasa kosong. Begitu juga poket kakak.
“Adik,
jangan terlompat-lompat. Jatuh. Luka nanti!” Amaran Mariah.
Bimbang
melihat adik berjalan sambil melompat-lompat di jalan yang kiri kanannya
bertunggul-tunggul gerigis. Boleh cedera jika terjatuh ke atas tunggul-tunggul
mati tersebut. Muzamil bersikap leler. Sengaja tidak mahu mengendahkan dan
mengambil berat nasihat Mariah.
“Adik...”
Belum sempat Mariah menghabiskan
ayatnya, Muzamil sudah terjelepuk jatuh ke tanah. Kakinya tersandung akar pokok
getah yang terlindung di sebalik rerumput. Mariah pantas menerpa adiknya.
Bimbang adik terkehel. Buku-buku teks habis berterabur di tanah.
“Sakit dik...” Mariah memegang
kaki adiknya yang berkabut.
Muzamil menggeleng. Tetapi
tangannya menggapai kasut yang sudah tercabut tapaknya.
“Adik tak beringat. Kan dah
tercabut tapak kasut adik.” Mariah sedikit kesal. Pun nada suaranya masih
lembut.
Muzamil cuba untuk mengambil
kembali kasutnya. Mariah menepis tangannya. Ditanggalkan kasutnya sendiri, lalu
disuakan kepada Muzamil. Muzamil ternganga-nganga. Mariah buat muka toya.
Menggapai kasut Muzamil diikat kedua-duanya lalu disangkut ke bahunya. Kemudian
dipungutnya buku-buku teks Muzamil.
“Dah, ambil buku adik ni. Jom
kita balik. Nanti mak bimbang kalau kita lewat sampai kat rumah.” Arah Mariah
sambil bersedia untuk mengatur langkah.
Muzamil masih melopong. Melihat
ke kaki kakaknya yang tidak beralas. Meneguk liurnya. Kasut baru kakak kini di
kakinya. Sama muat. Sama padan. Memang Muzamil dan Mariah hanya satu saiz
sahaja.
“Adik melongo apa lagi tu? Jom,
cepat sikit!” Mariah menekan suaranya. Kakinya sudah siap mengatur langkah.
Muzamil tidak berani bersuara.
Tidak tahu apa yang patut dikatakan sebenarnya. Dia hanya membuntuti Mariah.
Mariah melajukan langkahnya kerana tidak mahu lewat tiba di rumah. Sementelahan
pula perutnya sudah mula minta diisi. Melihat kakaknya bersemangat melangkah,
Muzamil mula girang kembali. Mendahului langkah kakaknya untuk bersaing tiba di
rumah.
Mariah tidak mengendahkan Muzamil
yang mendahuluinya. Muzamil memang ligat. Dia sudah biasa dengan kerenah
adiknya yang seorang itu. Biarlah dia. Lagipun dia nampaknya tidak
melenting-lenting seperti tadi. Asyik memerhati langkah adiknya menyebabkan
Mariah tidak sedar kaki terpijak tunggul. Hampir terlepas raungan kesakitan
akibat sakit yang perit, nasib baik dia mampu tahankan. Bimbang Muzamil yang
ligat melangkah di depan menyedari keadaannya.
Menyeringai tunduk buat seketika. Meneliti kaki yang mula berdarah dan
calar-balar.
Itulah bahayanya berkaki ayam
dalam kawasan kebun getah yang banyak tunggul bergerigis. Jika di padang sawah
pula berdepan dengan semalu. Tapi apa boleh dia buat. Tidak tergamak mahu
biarkan Muzamil, satu-satu adiknya berjalan berkaki ayam. Daripada Muzamil yang
terdedah kepada kemungkinan terpijak tunggul atau semalu, lebih baik dia yang
mengalaminya.
Apa sangat kesakitan itu jika
dibandingkan dengan kasih sayangnya terhadap adik? Adiknya hanya seorang
sahaja. Lalu Mariah cuba menahan kesakitan yang dialami sedang Muzamil makin
terkedepan.
BAB ENAM
“Kakak, kenapa
masih kat tangga tu?” Soal Muzamil apabila dilihat Mariah masih di tangga
setiba mereka di rumah.
“Adik
naiklah dulu.”
“Adik nak
naik sama-sama ngan kakak. Kita makan nasik. Lepas tu adik nak kakak mandikan
adik di telaga. Boleh?”
Mariah
senyum mendengar permintaan adiknya. Dia cuba menggagahkan diri naik ke rumah.
Kesakitan yang dialaminya menyebabkan jalannya terhinggut-hinggut. Muzamil
dipagut rasa hairan. Dia pantas mendapatkan Mariah. Langsung terkejut melihat
kaki Mariah calar-balar dan berdarah.
“Kenapa kakak?”
“Kakak...”
Mariah tidak tergamak untuk menerangkan kepada Muzamil.
Berbohong?
Seusianya dia tidak pernah diajar berbohong. Mariah mengetap bibir.
“Kakak,
kakak terpijak tunggul kayu kat dalam kebun getah tadi?” Tebak Muzamil.
Mariah
tidak mahu mengiyakan. Bimbang Muzamil merasa bersalah. Dia hanya
terkebil-kebil. Tidak tahu bagaimana mahu menyatakan kepada Muzamil. Dalam
keadaan itu Azizah mendatang. Sekadar mahu menjenguk anak-anak. Hairan kerana
mereka biasanya tidak berlama-lama di tangga rumah. Pantas menerpa ke dapur
untuk menjamu perut sebelum turun ke telaga untuk mandi. Naik semula ke rumah.
Usai solat zohor akan menelaah pelajaran buat seketika. Kemudian selesai
menunaikan solat asar, mereka akan turun bermain dengan kawan-kawan sekampung.
Ada masa main sorok-sorok, ada masa main polis sentri. Ada ketikanya pula main
lompat getah. Segala-galanya memang rutin.
Tapi
sepulangnya dari sekolah hari itu, mereka melampaui kebiasaan. Berlama-lama di
tangga rumah. Kenapa sebenarnya? Itu yang mendorong Azizah keluar menjenguk
mereka.
“Kenapa
Mariah, adik?” Soal Azizah dengan lembut sambil meletakkan tangan ke bahu
Muzamil.
“Kaki
kakak berdarah.”
Mendengar
perkataan berdarah terus mendorong Azizah membongkok. Meneliti darah yang
mengalir keluar dari kaki si anak.
“Kenapa
kaki Mariah ni?”
“Kena...
kena tunggul mak.” Gumam Mariah sambil mata terjuling sedikit ke arah Muzamil.
Bimbang
kalau-kalau Muzamil merasa bersalah. Dan memang Muzamil merasa bersalah pun.
Jika tidak kerana dia tentu kaki kakaknya tidak akan terluka dan berdarah
seperti itu. Gara-gara memberi Muzamil pinjam kasut barunya, Mariah terpaksa
berkaki ayam. Lalu terpijak tunggul gerigis dan luka kakinya.
“Adik
pergi ambilkan air dan kain buruk. Mak nak cuci kaki kakak. Tengok kalau ada
serpihan tunggul tertinggal kat kakinya. Bisa bernanah nanti.”
Muzamil
akur. Tiada bantahan. Dalam? Dalam
memang rasa bersalah benar. Kerana dia kakak terluka. Dia rasa bersalah yang
amat sangat. Pun kakinya melangkah ke dapur untuk mengambil kain buruk dan
segayung air. Dia kasihan sangat kepada kakaknya. Tentu sakit terpijak tunggul.
Tapi kenapa kakak tak menjerit kesakitan semasa di kebun getah tadi? Muzamil
tertanya-tanya sendiri.
“Teruk
juga luka ni. Kenapa Mariah buka kasut semasa berjalan? Kalau ya pun sayangkan
kasut baru, pertama-tama daripada itu, Mariah kena sayangkan kaki Mariah dulu.”
Azizah berkata. Versinya lebih kepada membebel.
Mariah
tidak berkata apa-apa. Tidak mahu menerangkan hal sebenar. Takut menyinggung
perasaan adiknya. Takut juga adiknya merasa bersalah. Sementelahan pula dia
tidak menganggap itu salah adiknya. Kalau dia tidak sambalewa semasa berjalan
dan lebih berhati-hati, tentu semua itu tidak terjadi. Dia cuai. Dia salah.
Muzamil
kembali bersama segayung air bersih dan juga kain buruk untuk mengelap luka
kakaknya. Dia duduk tercongok di sebelah Azizah. Memerhati Azizah membersihkan
luka kaki Mariah. Dia turut terasa ngilu melihat Mariah menyeringai menahan
sakit. Sesekali pandangan mereka berdua bersatu. Entah apa-apa dalam hati
kakaknya. Entah apa-apa pula dalam dada Muzamil ketika itu.
Benarlah
kakak terlalu sayangkan aku.
Muzamil
tidak dapat lari daripada memikirkan demikian. Alangkah beruntungnya mempunyai
kakak semurni hati Mariah. Sanggup melakukan apa saja demi seorang adik
tercinta.
Kakak.
Mulai hari ini adik berjanji akan melakukan apa saja demi kebahagiaan kakak.
Adik akan menjaga kakak sampai bila-bila. Sampai adik menghembuskan nafas
terakhir. Kakak terlalu mulia buat adik. Adik janji kak. Adik janji.
Dan
segala-gala getusan hati itu bersiponggang dalam sanubari Muzamil. Dia yakin
dia dapat menunaikan janji itu memandangkan dia seorang lelaki. Dia yakin amat
sangat. Pengorbanan Mariah buatnya, meski pada pandangan mata orang lain nampak
kecil, tapi pada Muzamil bisa menekan sentimetalnya. Membuahkan rasa terharu
yang teramat.
Dan
sekali lagi: kakak!
Kali ini kolam dadanya dipenuhi air mata
syahdu. Sehinggakan ada setitik dua terbias nyata.
“Kenapa adik nangis?” Soal Mariah
sebaik melihat ada air mata di pipi Muzamil.
Azizah juga sekilas pandang
menoleh ke wajah Muzamil. “Kenapa sayang?” Soal Azizah sambil menyentuh kepala
lutut Muzamil yang masih tercongok di sebelahnya.
“Adik kasihan kan kakak.” Ada
nada sebak dalam kata-kata Muzamil.
Mariah tersenyum. Azizah juga
turut tersenyum. Mariah kemudian cuba untuk menggagahkan dirinya bangun
mendekati Muzamil. Biarpun masih terhinggut-hinggut. Kesakitan itu diabaikan
untuk meredakan gundah dalam jiwa Muzamil. Dia dapat menangkap mengapa mesti
ada sebak dalam dada adiknya.
“Kakak tak apa-apa. Jom kita
pergi makan nasik. Kemudian kita mandi kat telaga. Kakak mandikan adik, nak?”
Mariah cuba memujuk adiknya. Sekadar mengusir resah yang bertamu. Biar Muzamil
tahu itu ala kadar saja baginya.
Muzamil menggelengkan kepalanya.
Mariah kehairanan. Tadi beriya-iya minta dimandikan di telaga.
“Ai, cepat betul berubah fikiran.
Tadi kata nak akak mandikan.” Duga Mariah sambil mengguriskan senyuman teramat
manis buat Muzamil yang masih sugul wajahnya.
“Tak mahu. Adik tak mahu kakak
mandikan adik. Biar adik yang mandikan kakak. Kaki kakak sakit.”
Sejuk benar hati Mariah mendengar
kata-kata adiknya. Ternyata adiknya sudah tersentuh syahdu. Azizah juga sejuk
perut melihat kemesraan dan sikap saling ambil berat antara dua orang
anak-anaknya. Kalaulah Murnipun ada sama, tentu semua itu juga akan turut
dikongsikan dengan Murni. Malah, mentak mereka tambah gembira bertiga.
Mereka tidak menangguhkan, zohor
sudah lanjut ke hujung. Mereka mendudu-dudu melangkah ke dapur. Menikmati makan
tengah hari bersama-sama. Hidangan hari itu, seperti biasa ala kadar sahaja.
Dengan ikan haruan kering goreng, gulai pucuk ubi kayu dan juga ada sedikit
sambal mempelam muda. Mariah kecur liur melihat hidangan sebegitu. Mereka dua
beradik tidak perlu dihidangkan dengan lasagna, pizza atau spageti. Hidangan
sebegitu sudah maha syukur bagi mereka.
“Ayah mana mak?” Mariah tiba-tiba
teringatkan ayahnya.
Biasanya pada waktu-waktu begitu Mokhtar
memang akan ada di rumah. Usai menoreh getah jam sebelas tengah hari Mokhtar
kebiasaannya akan pulang. Berehat seketika di rumah sehinga zohor. Kemudian
usai solat, akan ke padang. Melihat lembu yang ditinggalkan di sana. Ada
masanya akan ke hutan atau ke anak air. Melihat lukah. Kalau ada rezeki,
terperangkap beberapa ekor ikan sungai. Boleh dibawa ke pasar. Tapi hari itu,
kelibat ayahnya tiada di mana-mana.
Azizah mengukirkan senyuman
kepada Mariah. Kemudian pandangan beralih kepada Muzamil yang kelihatan lahap
menjamu selera.
“Ayah ke pekan.”
“Ke pekan lagi? Ada hasil yang
nak dijual di sana kah mak?” Mariah menyoal.
Biasanya itulah penyebab Mokhtar
ke pekan. Ayahnya jarang ke sana jika tiada apa-apa yang boleh dijualkan kepada
peniaga. Azizah tidak membalas dengan kata-kata. Sebaliknya hanya mengukirkan
senyuman penuh makna.
Selesai menikmati hidangan.
Mariah dan Muzamil terus ke telaga. Muzamil menjinjing dua baldi bersamanya.
Kayu yang digunakan sebagai kandaran pula dibawa Mariah. Sudah mereka berdua
membayangkan betapa seronoknya dapat menyejukkan badan dengan air telaga yang
dingin. Seperti yang dijanjikan Muzamil menimba air dan memandikan Mariah.
Sempat mereka bergurau senda sesama sendiri.
“Kakak, syampukan kepala adik...”
pinta Muzamil.
“Syampu? Hah, kalau nak syampukan
kepala, adik kena tunggu dulu. Kakak nak buatkan syampunya.”
Lalu Mariah menyuruh Muzamil
mengambil beberapa batang daun kangkung untuk diramaslumatkan sehingga
mengeluarkan lendir. Kemudian daun yang sudah lumat itu dicampurkan sedikit
serbuk pencuci bagi mengeluarkan busa. Nah, sekarang syampu sudah sedia.
Bila-bila masa sahaja syampu itu boleh dicurahkan ke kepala Muzamil. Muzamil
seronok benar setiap kali Mariah buatkan syampu daun kangkung untuknya. Dua
beradik itu memang tidak pernah kenal syampu jenis lain. Semuanya buatan
sendiri. Malah untuk membersihkan badan, mereka menggunakan batang sintok yang
telah dikeringkan. Sabun mandi memang tidak pernah disentuh mereka.
Mereka benar-benar anak kampung
yang tidak terdedah kepada kemewahan. Segala unsur alam dimanfaatkan
sepenuhnya. Mereka sudah biasa begitu. Malah mereka tidak pernah menyimpan
keinginan untuk hidup berlebih-lebihan. Mereka tidak tahu erti kemewahan. Hidup
bersederhana makan-pakai jauh daripada suatu kemujuran. Mokhtar dan Azizah
tidak pernah mendedahkan mereka akan perkara-perkara yang tidak mampu untuk
diadakan. Selebihnya, hidup mereka hanya bergantung harap pada unsur alam yang
banyak membantu mereka untuk meneruskan kehidupan. Mereka juga lebih daripada
gembira beroleh nikmat sedemikian.
Betapa mudahnya hidup mereka!
Usai membersihkan tubuh. Mariah
menimba dua baldi penuh air ke dalam baldi. Diletakkan pada kandaran. Cuba
untuk mengandar, namun dihalang Muzamil. Katanya kaki Mariah masih sakit, biar
dia sahaja melakukan kerja rutin Mariah. Air yang dikandar ke rumah itu
sebenarnya untuk tujuan masak-memasak. Tertolong sikit penat ibu bapanya
apabila mereka sudi mengandar pulang sebaldi dua air ke rumah untuk kegunaan
domestik. Begitupun, sekiranya tindakan mereka dilihat Mokhtar, dia selalunya
akan menegur mereka. Bimbang kehabisan kudrat sebelum sampai masanya. Anak-anak
tidak begitu digalakkan Mokhtar melakukan kerja berat.
Pun mereka masih ingin menolong.
Muzamil menggandar gancang dua
baldi air tiba di rumah. Mariah tersengih membuntuti dari belakang. Kemudian
Muzamil terlompat-lompat naik ke jemuran dapur. Menyimbah kakinya dengan
segayung air.
“Cepat kakak, kita solat
sama-sama.” Muzamil menggamit-gamit tangannya ke arah Mariah yang masih
terhegeh-hegeh ketinggalan.
Mariah sedaya mungkin cuba untuk
mempercepatkan langkahnya. Namun kaki yang sakit membuatkan langkahnya sumbang.
Terbit simpati dalam diri Muzamil. Dia terlupa sebenarnya. Kaki Mariah belum baik
lagi. Dia mengemam bibir. Kembali merasa bersalah. Kaki kakaknya tidak akan
luka jika bukan kerana dia. Dia kembali memaktubkan begitu di dalam hatinya.
“Masih sakit kakak?” Soal Muzamil
sambil menyambut tangan kakaknya. Cuba membantu Mariah memanjat tangga jemuran.
“Sikit.” Mariah menjawab perlahan
sambil mengukirkan senyuman paling manis buat adiknya.
Muzamil menolong Mariah
mencurahkan segayung air ke kakinya. Luka kaki Mariah masih merah. Dia
memerhati.
“Nanti adik tolong kakak sapukan
minyak panas sebelum solat. Nak?” Muzamil menyudi.
Mariah senyum lagi. Kembang hati
apabila Muzamil begitu mengambil berat terhadap dirinya.
Kemudian mereka sama-sama naik ke
rumah untuk menunaikan solat zohor. Selesai solat nama Muzamil diseru ayah yang
berada di serambi rumah. Ayah sudah pulang. Mereka langsung tidak sedar akan
kepulangan ayah. Mentak ayah pulang semasa mereka seronok-seronok mandi di
telaga tadi. Muzamil langsung tidak berlengah, mendekati ayah. Tentu ada
sesuatu yang ingin disuarakan ayah. Ayah jarang mahu berbual-bual dengan
anak-anak jika tiada sesuatu perkara yang dirasakan mustahak.
“Cuba pakai kasut tu, muat atau
tak.” Mokhtar menyuakan kepada Muzamil sepasang kasut sekolah baru. Putih
melepak.
Muzamil sedikit tergelujat. Ayah
belikan dia kasut baru? Dia gembira bukan kepalang. Terasa mahu melompat depan
ayah dan emak yang tercegat di sisi. Senyuman di bibir Muzamil begitu melebar.
Kalau boleh dia ingin menerpa mendapatkan kasut itu. Baru dua langkah dia
mendekati ayah, dia jadi terkaku. Ayah terlewat belikan dia kasut itu.
Kalaulah. Ya, kalaulah ayah
awalkan beli kasut untuk Muzamil, kaki kakak tidak akan terluka. Muzamil jadi
medu tidak semena-mena. Dia terasa air mata ingin menitis hingga ke lutut. Dia
menelan ludahnya keras. Pandangannya tertancap pada kasut di tangan ayah.
Mokhtar hairan apabila kasut tidak bersambut dan langkah Muzamil kaku.
“Wah... adik dapat kasut baru!”
Mariah yang baru selesai melipat telekung dan sejadah berseru gembira sambil
melangkah merapati Muzamil.
“Cuba pakai dik. Tentu cantik
adik berkasut baru.” Mariah menggesa adiknya.
Dia lebih pantas mengambil kasut
itu lalu duduk untuk menyarungkannya ke kaki Muzamil yang masih tercegat
berdiri. Muzamil tidak membantah apabila Mariah memintanya menyarungkan kasut
itu ke kaki. Kasut sekolah berjenama Marco, bertali panjang dan bergarisan
hijau di bahagian tapak kini tersarung elok di kaki Muzamil.
“Esok adik boleh pakai kasut baru
ke sekolah.” Mariah berkata sambil tersenyum meleret.
“Kita sama-sama pakai kasut baru
ya, kak?”
Mariah mengerutkan keningnya.
Alis lebatnya bersatu. Membentuk sepasang sayap burung yang sedang terbang di
langit.
“Kaki kakak masih sakit. Kalau
tak tentu esok kita boleh sama-sama pakai kasut baru ke sekolah.”
Dan Muzamil mengetap bibir
mendengar tuturan Mariah. Sedang Mokhtar memusatkan pandangan ke kaki Mariah.
Terkesan hairan pada benaknya. Luka kaki Mariah kelihatan agak teruk juga.
“Kenapa kaki Mariah?” Mokhtar
digertak hairan.
“Terlampau sayangkan kasut
barunya, dia lebih rela berjalan kaki ayam semasa pulang dari sekolah tadi.”
Azizah mendahului menjawab. Padahal baik Mariah mahupun Muzamil tidak pernah
mengiyakan andaiannya.
Tapi biarlah orang tua mereka
menganggap begitu. Lebih baik daripada diceritakan perkara yang sebenar.
Bimbang Muzamil menerima penangan. Maklumlah, kalau dia tidak terlompat-lompat
semasa pulang dari sekolah tadi, tentu tapak kasutnya tidak akan tercabut dan
Mariah tentu tidak akan berjalan kaki ayam dalam kebun getah yang mereka semua
sedia maklum banyak tunggul-tunggul gerigis. Ayah, bukan Mariah dan Muzamil
tidak tahu ketegasannya.
Mokhtar menggelengkan kepalanya.
“Besok, adik jangan buat macam kakak. Kasut tu ayah beli untuk pakai kat kaki,
bukan pegang kat tangan atau sangkut kat bahu.”
Muzamil mengangguk
perlahan-lahan. Berpaling sekilas ke arah kakaknya yang menunduk. Menyedari
Muzamil memerhatikannya, Mariah mengangkat wajah. Melontarkan semanis-manis
senyuman tanda tidak menyalahkan Muzamil biarpun sudah ditegur ayah dan intonasi
suara begitu.
Maafkan adik, kakak!
Tiada apa yang keluar dari mulut
Muzamil. Segala-galanya hanya bersiponggang, pecah dalam pembuluh darahnya
sendiri. Kemudian mereka berdua berlalu meninggalkan ibu bapa mereka. Kembali ke ruang rehat rumah. Menyibukkan
diri dengan membelek buku-buku teks yang baru diperolehi mereka pagi tadi.
Kemudian masing-masing tenggelam dengan buku-buku tersebut.
Kembali kepada Mokhtar dan
Azizah. Mereka masih di serambi rumah. Memikirkan perancangan untuk hari esok.
Wang hasil menoreh, mengutip hasil hutan dan juga melukah ikan tidak bersisa
kini. Buat membeli kasut sekolah baru untuk Muzamil. Sungguhpun demikian mereka tidak terkilan.
Sekurang-kurangnya boleh menggembirakan Muzamil. Mengusir segala rasa kurang
senang dan prasangka anak-anak terhadap mereka. Bimbang dikatakan memilih
kasih. Sedang hakikatnya mereka tidak pernah mahu membeza-bezakan kasih sayang
antara kedua-duanya.
Tidak juga terhadap Murni. Ya.
Tidak juga terhadap Murni kerana jauh di sudut hati mereka berdua, tertumpah
kasih sayang yang sama terhadap Murni. Bezanya Murni tiada di depan mata mereka
dan mereka gagal melahir dan menzahirkan kasih sayang terhadap Murni. Meluahkan
dengan kata-katapun tidak pernah sesekali.
“Anak-anak kita celik akal bang. Tak
rugi jika kita berhabis sekarang, Zah percaya, besok-besok kita boleh tumpang
mereka kalau mereka dah jadi orang senang.” Azizah bersuara sambil
mengurut-urut belakang suaminya.
“Bukan soal mahu tumpang senang
mereka sampai abang sanggup buat apa saja. Abang cuma harap mereka tak warisi
kedaifan kita. Sebab tu abang mahu menyediakan keperluan belajar mereka seboleh
mungkin. Kalau patut tukar kasut baru, kita tukarkan agar mereka tak malu untuk
ke sekolah.”
Azizah hilang suara. Kata-kata
suaminya memang ada benar. Malah memang itulah kenyataannya. Dia juga bukan
berniat untuk menumpang anak-anak pada masa depan. Cukuplah kalau anak-anak
kenang jasa meski sudah hidup senang nanti. Untuk hidup senang dia percaya
perlukan ilmu di dada. Kesilapan dia dan Mokhtar apabila langsung tidak pernah
berpeluang ke sekolah. Kalau mereka berpelajaran, mentak berubah sedikit nasib
hidup mereka. Sebab itulah mereka kalau boleh tidak mahu anak-anak memanjangkan
tradisi hidup susah dalam keluarga mereka.
“Abang sanggup bersusah demi
anak-anak Zah. Kita tak ada harta nak tinggalkan untuk mereka. Hanya dengan
memberi mereka cukup pelajaran saja yang mampu abang lakukan.” Mokhtar bersuara
mendatar. Matanya jauh ke depan.
Azizah sebak mendengar kata-kata
suaminya. Dia juga sedemikian pendapat. Itu harta yang paling tidak ternilai
untuk ditinggalkan kepada anak-anak. Walaupun dia dan suami bukan daripada
golongan cerdik pandai dan ilmuwan, tapi mereka satu kelamin tahu bahawa
cabaran masa depan memerlukan kekuatan ilmu sebagai perisai. Jika kontang ilmu,
sesiapapun tidak terlawan arus kehidupan masa depan.
“Kita dah tak mampu berikan yang
terbaik untuk Murni. Untuk mereka, abang mahu pastikan semuanya sempurna.”
Sekali lagi Azizah sebak. Kali
ini kerana nama Murni kembali menyentuh gegendangnya. Murni. Suatu nama yang
langsung tidak pernah hilang dari kotak ingatan mereka. Sampai bila-bila.
BAB TUJUH
Khalida
termenung di balkoni rumah. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam.
Suaminya, Kamarul masih belum pulang-pulang lagi. Hampir sepuluh tahun lampau,
resah sering seiring bersama penantiannya tatkala Kamarul lambat pulang ke
rumah. Merasakan Kamarul asyik meluangkan masa di luar dengan wanita lain.
Sementelahan Kamarul memang sering mengugut untuk menduakannya andai Khalida
gagal untuk memberikan Kamarul zuriat. Kini syak wasangka sedemikian jarang
terlintas dalam benaknya.
Benar.
Semuanya tidak lagi mengusik resah Khalida. Sejak kehadiran Mawar dalam
rumahtangga mereka. Anak itu. Anak itu yang kini berusia hampir sepuluh tahun
dianggap Khalida sebagai penyelamat rumahtangganya. Tanpa Mawar, Khalida kini
mungkin sedang berkongsi kasih bersama perempuan lain.
“Abang
dah bosan hidup begini. Abang sunyi. Lida seakan tak mampu berikan abang
zuriat. Abang inginkan sekurang-kurangnya seorang anak bukan setakat untuk mewarisi harta kita, tapi untuk abang
lepaskan kesunyian.” Masih terngiang-ngiang kata-kata Kamarul di pendengaran
Khalida.
Kata-kata
sedemikian menyinggung hatinya. Ada masanya pula membuatkan dadanya terasa
sesak benar. Anak? Huh, bukan dia tidak pernah mengandungkan benih Kamarul di
dalam rahimnya. Malah bukan tidak pernah melahirkan. Malangnya setiap kali
melahirkan, anak-anak akan meninggal dunia belum genap usia seminggu. Itulah
malangnya. Pun Kamarul mengambil sikap tidak memahami. Bukan salah Khalida.
Takdir menentukan demikian. Kamarul tidak patut mengugutnya untuk berkahwin
lain. Sungguh. Sungguh-sungguh tidak patut. Dia bukan merencanakan semua itu.
Bukan ketentuannya.
Anak?
Perempuan mana yang tidak mempunyai intuisi keibuan. Naluri keibuan. Perempuan
yang waras dan celik akal fikir tentu ada keinginan sedemikian. Dia bukan tidak
sakit setiap kali anak yang dilahirkan meninggal. Entah di mana silapnya,
itulah sering terjadi ke atasnya. Mungkin Allah ingin menduga memandangkan
ujian Ilahi itu macam-macam bentuknya. Tapi kenapa Kamarul seakan tidak mahu
memahami? Menyalahkan dia seratus-peratus tanpa berbalik kepada takdir yang
tercatat jelas di Luh Mahfudz.
Lelaki.
Itulah klisenya lelaki. Tipikal kaum lelaki. Apa-apa berkaitan zuriat, senang
untuk menundingkan jari kepada kaum wanita. Walhal, jika hati terbuka, pandang
ketentuan Ilahi dengan redha, segala-galanya mungkin tidak mendatangkan masalah
besar dalam rumahtangga mereka. Ah, tapi itulah. Mahu bercakap tentang qadar
dan qadak Ilahi dengan Kamarul? Khalida sendiri tidak tahu hujung pangkal
hukum-hakam dengan jelas. Meski hanya anak kampung, dia anak kampung yang
dominan dengan corak kebandaran. Hukum-hakam bukan diambil berat sangat. Jadi untuk
menyentuh soal ketentuan Ilahi apabila tiba bab yang satu itu, bab zuriat dan
anak tentu Kamarul akan mentertawakannya berdekah-dekah.
Lainlah.
Ya, lainlah kalau Khalida jenis yang usai azan terus menerpa ke bilik air,
berwuduk dan melakukan rutin muslim sepatutnya. Malangnya, itu jarang Khalida
lakukan. Lantas, apabila timbul soal anak, mahu bercakap soal takdir dan
ketentuan-Nya, Khalida merasa sedikit janggal. Lalu jadilah dia seorang wanita
yang sering berendam air mata.
Mujurnya.
Mujurnya hadir Mawar dalam hidup mereka. Mawar menukar diri Kamarul hampir
seratus-peratus. Sejak kehadiran Mawar dalam rumahtangga mereka, Kamarul mula
pulang awal. Malah senang mengangkut mereka anak-beranak jika ada urusan
perniagaan di mana saja. Sebab itulah anak yang seorang itu dinamakan Mawar.
Dan kini,
Mawar sudah berusia hampir sepuluh tahun. Detik itu mungkin sedang lena di
biliknya. Di pertiduran empuk keluaran luar negara. Kepenatan mentaknya apabila
siang tadi kembali memulakan musim persekolahan baru. Dan Mawar menjadi anak
tunggal bagi mereka berdua. Biarlah. Janji Kamarul ada teman untuk diajak
bergurau. Biarlah juga kerana kehadiran yang seorang itu sudah mampu untuk
mengembalikan ceria dalam diri Khalida apabila kasih Kamarul untuknya kembali
erat.
Terima
kasih Mawar. Mama terhutang budi dengan kehadiran Mawar dalam hidup mama.
Kenapa
Mawar? Jawabnya terlalu mudah. Mawar segala-galanya. Harum, cantik, mampu
menyerikan. Lalu dinamakan Mawar. Mengharumkan rumahtangga Khalida dan Kamarul
yang kelihatan terugah sekian lama. Dan bukan sahaja Kamarul, seluruh kasih
Khalida juga tumpah untuk anaknya itu. Apatah pula dia menjadi permata tunggal
dalam keluarga mereka.
Kamarul
anak tunggal. Memang keturunannya kaya raya secara tradisi. Malangnya kaya
harta bukan kaya zuriat. Dan kehadiran Mawar di tengah-tengah keluarga
sedemikian menjadikan Mawar dipuja seisi keluarga. Khalida bangga. Bangga
kerana anak kecilnya menjadi kemanjaan mereka semua. Beranakkan Mawar
benar-benar merubah kehidupan Khalida.
Sungguh-sungguh dia berterima kasih akan pemberian Ilahi terhadapnya.
Jika Mawar tidak hadir tepat pada masanya, bukan sahaja Kamarul akan
menyisihkannya, malah keluarga Kamarul juga. Tanpa kompromi mereka
sewenang-wenangnya akan mencadangkan kepada Kamarul agar mengahwini wanita lain
untuk mengembangkan zuriat mereka.
Lalu
kerana itulah, Khalida menjadi sujud kepada Allah. Meminta kepada-Nya agar
memberikan dia seorang zuriat paling kurang. Dia benar-benar takut kehilangan
Kamarul dan penghormatan yang diperolehi sebagai isteri Kamarul selama ini akan
ditarik balik andainya dia terus-terusan gagal menjadi isteri dan menantu yang
sempurna.
Sempurna?
Ukur nilai kesempurnaan seorang isteri itu atas kemampuannya melahirkan anak
kah? Khalida kembali menyoal. Tetapi entah siapa-siapa yang disoalnya. Tapi
itulah. Itulah yang terjadi. Diugut dan digertak jika tidak mampu melahirkan,
kebarangkalian untuk Khalida dimadukan terlalu tinggi. Macamlah melahirkan seorang bayi yang sihat
dan kekal hayatnya selama yang dihajati itu ketentuan di tangan Khalida
sendiri. Belum cukup buktikah kesempurnaan Khalida sebagai isteri dan wanita
melalui kelahiran ketiga-tiga orang anak-anaknya terdahulu? Ketiga-tiga yang
akhirnya kembali menemui Rabbul Jalil sebelum sempat didengar memanggilnya
‘mama’ dan memanggil Kamarul ‘papa’.
Dalam
saat-saat seperti itu mujurlah Khalida mengandung buat kali keempat. Kebetulan
ketika itu Kamarul dan orang tuanya ke luar negara atas urusan bisnes. Ketika
itulah Khalida ditemani ibunya melahirkan anaknya yang ke empat. Kerja Tuhan semuanya. Apa juga yang terjadi
selepas itu, Khalida mampu tersenyum lebar apabila kembalinya suami dan
keluarga ke tanah air, Mawar sudah ada di sisi. Kehadiran Mawar seterusnya
melenyapkan mimpi ngeri Khalida.
Begitulah.
Begitulah kenyataan yang seterusnya menjadikan Mawar cukup-cukup bererti buat
Khalida. Kasih sayangnya terhadap Mawar bukan setakat kasih sayang ibu terhadap
seorang anak, malah dia menganggap Mawar sebagai penyelamat rumahtangganya.
Disebabkan itulah dia berdoa siang malam agar Mawar dipanjangkan usianya. Tidak
seperti anak-anak sebelumnya. Maklum saja, usia seseorang manusia terlalu
singkat. Sejahil-jahil Khalida dia tahu itu. Ukur umur seseorang insan daripada
azan ke solat.
Sebagai
insan, dua peringkat sudah dilalui, azan sudah. Qamat pun sudah. Hanya solat
yang belum dilalui lagi. Itulah jangka hayat umur manusia yang diizinkan Allah.
Mana-mana insan sekalipun hanya tunggu masa sahaja disolatkan. Apabila
disolatkan, maka sekujur tubuh akan dibawa pergi dari muka bumi ini. Jika
direnungnya, antara qamat dan solat bukanlah suatu tempoh yang lama. Singkat.
Benar-benar singkat. Khalida menelan ludah.
Mujurlah,
Mawar sempat membesar santak hari itu. Mawar malahannya menjadi seorang gadis
sunti yang cergas dan pintar. Celik akal menerima apa saja ajaran. Di sekolah
dia juga menjadi pelajar harapan. Mungkin menurun sikap Khalida sendiri.
Merujuk kepada sejarah, Khalida anak kampungnya yang julung-julung kali
menerima tawaran meneruskan pengajian ke sekolah berasrama penuh usai tingkatan
tiga. Sebab itulah hampir separuh usia Khalida dihabiskan di bandar. Ada pula
ibu angkat yang juga merangkap pengetua sekolah. Kecemerlangan anak kampung
seperti Khalida membuatkan pengetua sekolah tidak segan silu mengambilnya
menjadi anak angkat.
Saban
cuti Khalida tidak pulang ke kampung. Lebih senang menghabiskan masa libur di
rumah ibu angkatnya. Ibu dari kampung akan datang melawatnya. Ibu setuju saja
dengan cara itu asal Khalida jadi orang berjaya. Dan kini berjayakah Khalida?
Berjaya?
Sebenarnya
banyak kejayaan yang dicapai Khalida ekoran pengorbanan ibu berjauhan
dengannya. Menjalinkan hubungan dengan ibu angkatnya menjadikan Khalida lebih
terbuka pemikirannya. Maklumlah, tinggal bersama intelektual. Khalida tidak
jadi katak bawah tempurung lebih awal berbanding teman-teman seusia lain yang
kebanyakan kantoi pelajaran. Usai tingkatan tiga sudah jadi isteri orang.
Khalida tidak. Malah, perkenalannya dengan Kamarul Akram yang kini menjadi
suaminya bermula di rumah Puan Juwita itulah.
Puan
Juwita selaku ibu angkatnya mempunyai ramai kenalan. Sering rakan taulannya
mengunjungi Puan Juwita yang hidup sendirian tanpa suami. Salah seorangnya ibu
Kamarul. Rapat dengan Puan Juwita dan berkenan dengan Khalida. Menyangka Khalida
awalnya memang saudara mara Puan Juwita sendiri. Lalu menggalakkan Kamarul yang
sememangnya sudah jatuh hati dengan Khalida pertama kali memandangnya. Cinta
pandang pertamalah pula!
Itu juga
kejayaan namanya. Mampu menawan hati anak orang kaya. Bukankah itu kejayaan
untuk anak kampung hina miskin @ papa kedana seperti Khalida? Ibu Khalida
setuju sahaja apabila setamat belajar Khalida meminta izin untuk berkahwin.
Hanya ayahnya yang sedikit mengamuk. Belum sempat merasa hasil padi yang
dituai, hasilnya sudah masuk ke dompet orang. Tapi Khalida bijak. Mak ayah
dijemput tinggal bersama. Lagipun dia bukan tidak mampu untuk menyara mereka.
Kamarul ketika itu sudah berjinak-jinak dengan perniagaan orang tua. Bila-bila
masa akan menggantikan jawatan orang tuanya memandangkan dia anak tunggal.
Khalida sendiri seronok dengan tugasnya sebagai District Officer. Anak perempuan kampungnya yang pertama menjawat
jawatan itu. Bangga benar Khalida.
Itu
sedikit penjelasan mengenai Khalida. Khalida yang sangat sayangkan Mawar.
Khalida yang sangat sayangkan suami. Juga Khalida yang kini tidak berayah tidak
beribu. Puan Juwita juga sudah meninggal dunia. Tidak sakit apa-apa. Hanya
masanya telah tiba. Tinggal lagi Kamarul tempat dia bergantung kasih. Sebab
itulah dia terlalu takut andai Kamarul menduakannya. Dia takut untuk menghadapi
hidup pada saat dirinya keseorangan. Dan kini mujurlah ada Mawar. Anak itu
menyelamatkan segala-galanya. Tapi sampai bila?
Khalida
pun tidak tahu sampai bila Mawar akan menjadi pendindingnya. Kehadiran Mawar
sejak hampir sepuluh tahun lalu memang mampu membuatkan Kamarul menutup mulut
bercakap soal kahwin lain. Tapi sampai bila? Mana tahu kalau Kamarul buat
perangai lagi. Menimbulkan soal itu dengan alasan rindukan suara tangisan bayi.
Itu tidak mustahil memandangkan Khalida sendiri kini mula merindui suara bayi.
Dia masih muda. Masih berupaya untuk melahirkan anak. Namun mengapa sejak kehadiran Mawar dia tidak
lagi mampu untuk mengandungkan benih Kamarul seperti dulu-dulu?
Khalida
buntu. Ujian apa yang didatangkan Allah s.wt kepadanya hingga dia diduga
sedemikian? Dosa apa yang sedang dibersihkan Tuhan dengan dugaan sebegitu? Dan
Khalida benar-benar buntu. Bukan begitu keinginan hidupnya. Dia seperti wanita
normal di luar sana, kepingin memiliki anak bukan setakat seorang dua. Memang
dia wanita pascamoden, tapi itu bukan bermakna dia wanita yang menolak fitrah
melahirkan anak. Dia hanya wanita biasa
yang masih penuh dengan naluri kewanitaan. Ingin merasa melahirkan dan melahirkan
lagi seterusnya membesarkan anak-anak sehingga mereka mampu untuk membawa diri
sendiri.
Khalida
juga tidak pernah merancang selama ini. Dia sentiasa bersedia untuk melahirkan
bila-bila masa saja sebaik habis tempoh berpantang. Sementelahan, keluarga sebelah
suaminya sering menyuarakan keinginan untuk mengembangkan zuriat. Bagi mereka,
jika Kamarul menjadi satu-satunya zuriat mereka, biarlah apabila tiba giliran
Kamarul pula mengembangkan zuriat, tidak salah jika seramai mungkin. Jangan
mewarisi tradisi keluarga mereka. Lalu Khalida menjadi harapan mereka untuk
melahirkan zuriat untuk keluarga Kamarul. Besar tanggungjawab Khalida.
Tanggungjawab.
Diksi itu sering berlegar dalam benak Khalida. Ditekan oleh perkataan
tanggungjawab itulah membuatkan Khalida hendak tidak hendak harus memberi ruang
untuk Kamarul mempunyai walaupun seorang zuriat. Khalida memang agak tertekan
dengan tanggungjawab yang dilepaskan ke atasnya. Tambahan pula apabila seorang
demi seorang anak-anaknya kembali ke rahmatullah tanpa sempat dibelai sayang.
Sehingga akhirnya hadir Mawar. Itupun bukan senang.
Bermacam
dugaan Khalida tempuhi hanya kerana inginkan seorang anak. Malah pernah
mengambil anak angkat. Sungguhpun demikian, anak angkat sebelum kehadiran Mawar
juga tidak panjang usianya. Belum lama dalam jagaan Khalida, bayi itu juga
meninggal dunia. Semua faktor penarik itu menjadikan Khalida benar-benar
merasakan Mawar sebagai anak yang benar-benar menjadi penyelamatnya. Dek kerana
itu dia membesarkan Mawar dengan penuh kasih sayang. Malah menamakan dengan
nama yang cukup harum.
Mawar.
Bukankah itu cukup harum dan cukup cantik? Tambahan kalau mawar itu merah
warnanya. Berseri-seri tentu saja. Dan
Khalida tersenyum mengenangkan Mawar yang kini mungkin lena dibuai mimpi.
Diakuinya, Mawar memang anak yang comel. Baru sunti usianya, namun sudah
menunjukkan tanda-tanda keayuan seorang gadis. Dengan rambut hitam-pekat
separas bahu, mata bundar, kulit putih melepak dan senyuman manis diserikan
dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi, memang Mawar sudah merakamkan
kejelitaan dalam benak sesiapa saja yang cuba membayangkan raut wajahnya
apabila dewasa kelak.
Khalida
bangga amat memangnya jika Mawar menjadi pujian sesiapa jua yang memandangnya.
Tambahan bila mereka bergandingan seisi keluarga. Keluar menghadiri majlis di
mana-mana. Semua tidak lepas akan memandang mereka. Khalida sendiri memang elegant dan berpenampilan menarik,
sedang Kamarul pula segak dan berkarisma. Tambah lengkap dengan kehadiran
seorang anak perempuan yang comel lote di sisi mereka. Aduh. Sesiapapun tidak
akan melepaskan pandangan untuk melihat ke arah mereka.
Bunyi
kereta menderu masuk ke ruang parkir membunuh ingatan Khalida terhadap
perkara-perkara yang bermain dalam benaknya. Khalida membetulkan pijamanya. Rambutnya
yang ikal sedikit brown semulajadi
disanggul siput. Ringkas. Sengaja mahu tampil kemas di depan suaminya meski jam
sudah menunjukkan ke angka dua belas tiga puluh malam.
“Tak
tidur lagi?” Soal Kamarul sebaik menyambut huluran tangan Khalida di muka
pintu.
“Tak
mengantuk. Lagipun Lida sengaja tunggu abang pulang.”
“Ya?
Silap abang juga tak inform
awal-awal. Ada meeting kat office tadi. Ada problem sikit. Tapi meeting
meleret-leret. Tu pun postpone dulu
kalau nak teruskan alamat sampai pagi besok jawabnya.” Kamarul memberitahu
sambil menghulurkan kot dan juga tali leher yang sedia ditanggalkan sejak masuk
ke dalam kereta keluar dari pejabatnya tadi.
Memang
dia sejak tadi telah membuka busana formal itu memandangkan merasa agak rimas
seharian tampil demikian. Kalau ikutkan, dalam bilik mesyuarat lagi dia sudah
mahu menanggalkannya. Begitupun demi menjaga reputasinya ditahan dahulu
keinginan yang membuak-buak. Malu anak-anak buah tengok majikan mereka selekeh.
Nanti mereka juga turut tampil selekeh. Itu yang tidak ingin Kamarul lihat.
“Puteri
kesayangan kita dah tidur?” Soal Kamarul. Kini dia sudah melabuhkan punggung ke
sofa empuk.
“Sejak
tadi lagi dia tidur. Lagipun sekarang ni dah hampir pukul satu, hari biasapun
kalau time macam ni dia memang dah
tidur.”
“Dia tak
tanya kenapa abang tak balik-balik?”
“Ada,
Lida cakap abang sibuk kat office.
Dia faham. Lagipun hari ni dia lebih excited
bercerita tentang hal-hal di sekolah. Seronok dia dapat kembali ke sekolah.”
Kamarul
tersenyum. Memang dia boleh bayangkan keseronokan Mawar sebaik memulakan
kembali musim persekolahannya. Sejak dua tiga minggu lepas dia sudah
mengira-ngira hari untuk kembali ke sekolah, bertemu rakan-rakan dan guru. Dia
tahu kesukaan paling teratas dalam hidup Mawar tentu saja berada di sekolah
bersama rakan-rakan. Faktornya? Di sana Mawar boleh bertemu rakan-rakan.
Bertemu ramai orang. Kembali ke rumah, dia hanya akan berdepan dengan Kamarul,
Khalida dan Mak Nab. Dunia rumahnya tidak begitu ramai orang. Hanya di sekolah
dia mengecapi erti pergaulan sebenar.
Atmosfera
Mawar juga terlalu kurang khalayak. Tinggal di banglo mewah atas bukit yang
agak jauh daripada khalayak. Selain kedua ibu bapa dan orang gaji, siapa lagi
yang boleh Mawar temui dan gauli? Lalu sekolahlah tempatnya untuk Mawar
berkenal-kenalan dengan khalayak luar. Kamarul sedar dia memberikan kehidupan
yang agak lain kepada anak kesayangannya. Apa boleh buat, tradisinya memang
begitu kehidupan dia sekeluarga sejak kecil dan kini dia menurunkan pula cara
hidup itu kepada anaknya. Kamarul tersenyum kelat memikirkan tentang kehidupan
terpencil Mawar. Seperti dia semasa zaman kanak-kanak dulu.
Mujurnya
Mawar tidak membesar sebagai anak pasif. Malahan dia cukup optimis dan yakin
pada diri sendiri. Mulut juga petah berkata-kata. Sikap dan perwatakan Mawar
tidak menunjukkan dia daripada golongan kurang pergaulan. Kamarul sendiri tidak
percaya melihat keyakinan yang ada pada diri Mawar dalam hal pergaulan. Merujuk
kepada dirinya dulu, dia pasif dan kurang keyakinan diri gara-gara ruang
lingkupnya selama ini terlalu terbatas dengan khalayak. Dia sering takut-takut
dan inferiority complex dalam hal
pergaulan.
“Apa yang
abang menungkan?” Tanya Khalida melihatkan suaminya bungkam sejak tadi.
“Hahh?”
Kamarul tersenyum. Memang dia sedikit terkejut dengan sapaan Khalida. “Abang
fikirkan tentang Mawar. Ada masanya kasihan kerana dia tak berpeluang bergaul
dengan ramai orang. Macam abang kecil-kecil dulu.” Kamarul kemudian menerangkan
kepada Khalida.
Sengaja.
Agar Khalida tidak menyimpan syak wasangka lain terhadapnya. Kamarul juga kalau
boleh mahu berlaku jujur terhadap isteri. Tidak mahu ada sebarang rahsia dalam
rumahtangga mereka. Biar sekecil mana sesuatu hal, harus diterangkan sebaik
mungkin. Baru harmoni hidup berumahtangga. Lalu dia dambakan Khalida melakukan
perkara sama terhadapnya.
“Dah
bang, jangan nak fikir sangat. Lagipun bukan elok kalau Mawar terdedah sangat
dengan masyarakat luar. Takut terpengaruh dengan sikap-sikap tak elok. Sekarang
kita treat dia macam ni,
alhamdulillah dia boleh ikut cara kita.”
Kamarul
separa setuju dengan cakapan isterinya. Terlalu terdedah kepada masyarakat luar
ada masanya boleh menyebabkan Mawar meniru perangai-perangai yang tidak elok.
Buat masa sekarang Mawar pure devine.
So innocent. Peribadinya masih
terkawal. Pun dalam masa yang sama, dia tidak begitu setuju jika mengatakan
terlalu banyak terdedah kepada masyarakat luar boleh memberi impak negatif kepada Mawar seratus-peratus. Mawar perlu juga
bergaul. Sekurang-kurangnya dia tidak jakun berdepan dengan masyarakat luar.
“Minum
air ni dulu bang. Kemudian pergi mandi. Lida pun dah mula mengantuk ni.”
Khalida menyuakan kopi yang sudah mula
menyuam kepada Kamarul. Matanya dipicingkan buat seketika.
Kamarul
akur. Dia pun sedar hari sudah merangkak pagi. Besok mereka suami isteri harus
ke tempat kerja masing-masing. Malam inilah masanya untuk mereka mengambil
rehat secukupnya.
Khalida
membawa cawan minuman kembali ke dapur. Sementara Kamarul naik ke tingkat atas
untuk ke bilik mereka. Semasa melintasi bilik Mawar, dia singgah sebentar di
situ. Masuk untuk melihat keadaan anaknya. Mawar memang nampak lena benar.
Tidur sambil memeluk teddy bear sama
saiz dengannya. Kamarul tersenyum. Mendekati Mawar untuk membetulkan selimutnya.
Kemudian menghadiahkan sebuah kucupan di dahi Mawar dengan penuh kasih sayang
seorang bapa.
Perbuatannya
diperhatikan Khalida sebaik Khalida melintasi bilik Mawar. Tercegat Khalida
seketika di muka pintu memerhatikan tingkah si suami. Tersentuh hatinya. Dia
sedar betapa Kamarul cukup sayangkan Mawar. Malah serasanya, sayang Kamarul
terhadap Mawar melebihi kasihnya sendiri terhadap Mawar. Benarlah kata orang,
jika sudah hadir seorang anak dalam sesebuah keluarga si isteri mula tidak
nampak terlalu istimewa di mata sang suami. Pun Khalida tidak apa-apa. Asalkan
kedudukan sebagai satu-satunya isteri kepada Kamarul tidak dirampas sesiapa.
Berkongsi
kasih Kamarul bersama Mawar tidak menjadi kudis baginya. Lagipun Mawar anak
mereka. Dia tidak perlu cemburu jika Kamarul lebih menunjukkan sayang kepada
Mawar dan sedikit mengabaikannya. Kasih terhadap isteri dan anak biasanya tidak
datang dalam bentuk yang sama. Lain caranya.
Sungguhpun
demikian, ada sesuatu yang terbungkam di hati Khalida setiap kali melihat
Kamarul memeluk, mengucup dan melakukan segala-gala perbuatan untuk menunjukkan
kasih sayangnya terhadap Mawar. Dia sering diserang suatu rasa yang dia sendiri
gagal untuk takrifkan. Setiap kali terlintas rasa itu dalam hatinya dia mula
mengingatkan dirinya sendiri, Mawar anaknya. Anak mereka. Perbuatan Kamarul
terhadap Mawar tidak salah. Kamarul berhak melakukannya sebagai seorang
bapa. Salah apa jika seorang bapa ingin
melahirkan kasih sayangnya terhadap seorang anak?
Jika
bersalah sekalipun hanyalah Khalida. Dan Khalida menelan ludahnya yang terasa
kelat!
BAB LAPAN
“Morning
papa!” Mawar memeluk Kamarul sambil menghadiahkan sebuah kucupan ke pipi
Kamarul.
“Morning honey.” Kamarul membalas ucap
selamat dan memeluk penuh kasih si anak gadis.
Khalida
yang sedang menyapu mentega kacang pada roti menjulingkan mata. Kemudian
berlagak biasa. Kemesraan antara Mawar dan Kamarul memang melebihi kemesraan
antara Khalida dan Mawar.
Menyedari
ibunya menjeling seperti menyimpan makna tertentu, Mawar langsung mendapatkan
ibunya. Melepaskan kucupan ke pipi Khalida.
“Sayang
mama,” kata Mawar mengambil hati.
“Ingat
dah lupakan mama,” tukas Khalida sambil meletakkan roti di tangan ke piring
Kamarul.
Berderai
tawa si gadis sunti. Tawaannya yang lebat mengundang hairan ibu bapanya. Gadis
cilik ini memang suka menimbulkan tanda tanya maya di atas kepala orang tua.
Sentiasa dengan sikap ada-ada saja.
“Sayang
ketawakan apa?” Kamarul mendahului.
“Mama
lah. Cemburu.” Mawar berkata selamba. Matanya seakan mahu mengusik Khalida.
“Mawar
memang suka kenakan mama. Mawar pilih kasih.”
“Mama tu,
mudah terasa hati. Mawar biasa-biasa saja.”
“Amboi,
kalau pasal mematah kata orang, bukan main awak ya?” Khalida mencubit pipi
Mawar. Melepaskan geram dengan keletah anak manjanya.
Mawar
terseringai. Kamarul ketawa. Khalida turut ketawa. Kemudian meraih Mawar dekat
padanya lalu diciumnya pipi, tempat cubitannya singgah sesaat lalu. Mawar
pura-pura merajuk. Berlagak kenes. Khalida terkumat-kamit menahan senyum. Anak
gadisnya memang manja.
“Macam
mana sekolah?” Soal Kamarul setelah tawan reda.
“Semua
okey. Tapi geramnya apabila kawan-kawan asyik cerita pengalaman mereka bercuti
kat kampung. Dengki!” Mawar mencebir.
Geram
mengenangkan sikap sesetengah kawan yang memang sengaja mahu memancing
dengkinya dengan isu balik kampung. Isu berbangkit saban tahun setiap kali
memulakan musim persekolahan baru. Kawan-kawan seronok menceritakan kemeriahan
bermain hujan musim tengkujuh di kampung bagi yang pulang bercuti di sebelah
pantai timur. Manakala bagi yang pulang ke negeri-negeri selainnya pula dengan
agenda yang berlainan. Apa juga agendanya tentu saja bisa menjerat marah Mawar.
“Dah tu,
Mawar tak cerita keseronokan Mawar pergi holiday
kat Bandung hari tu?” Duga Khalida. Cuba mengingatkan Mawar tentang percutian
mereka ke Bandung tempoh hari.
“Kawan-kawan
Mawar bukan tak pernah pergi sana ma. Cerita buat apa?” Sanggah Mawar. Masih
mencebir. Muka tak ubah seperti tapir tertelan tapai.
Khalida
menjongketkan bahunya. Tidak tahu untuk membalas kata-kata Mawar. Kamarul
tersengih. Matanya tunak ke wajah anak dan isteri silih berganti. Kalau hal
balik kampung dia tidak mahu masuk campur. Itu topik yang harus dibualkan
bersama Khalida. Dia yang dilahirkan di kampung. Kamarul anak bandar sejati.
Tiada kampung. Kampungnya di Kampung Pandan. Apa seronok kalau menghabiskan
cuti di Kampung Pandan?
Kamarul
pun sebenarnya tidak faham kenapa Khalida tidak mahu pulang ke kampungnya. Jika
kedua-dua ibu bapanya sudah meninggal dunia, baliklah untuk melawat saudara
mara lain. Bapa-bapa dan ibu-ibu saudara. Masakan tak ada? Begitupun Khalida
tidak pernah termakan pujuk. Enggan balik kampung walau apa alasan yang
diutarakan Kamarul. Kamarul bukan apa, di samping mahu memenuhi hajat Mawar,
dia juga teringin untuk berkenalan dengan keluarga Khalida yang lain selain
mentuanya. Dia tidak pernah mendapat kesempatan itu pada awal perkahwinan
mereka kerana kebetulannya waktu itu dia sibuk dengan urusan perniagaan kerana
jawatan pengurus baru diserahkan kepadanya oleh ibu bapa.
Pada
awal-awal perkahwinan, Kamarul sakan sibuk ke luar negara. Melawat cawangan
syarikat di sana. Khalida sendiri waktu itu sibuk dengan tugasnya sebagai
pegawai kerajaan. Padahal waktu itu Khalida masih tinggal di bandar berhampiran
kampung Khalida. Sementara Kamarul tinggal di Kuala Lumpur. Berulang-alik ke
bandar tempat Khalida menetap. Keadaan sebegitu memang tidak memberi ruang
kepada mereka untuk ke kampung Khalida. Sementelahan orang tua Khalida memang
rajin melawat mereka. Kemudian Khalida ditukarkan ke Kuala Lumpur. Lagilah
menutup peluang untuk mereka ke kampung kelahiran Khalida.
Sejak
kematian orang tuanya Khalida langsung tidak terniat untuk pulang. Kamarul pula
waktu itu tidak bersungguh-sungguh mengajak kerana dia sendiri sibuk. Hanya
kini dia turut terbuka hati untuk berkenalan dengan keluarga Khalida yang lain
setelah Mawar yang beriya-iya mahu pulang ke kampung. Khalida pula berkeras
kepala. Macam ada dendam yang tidak terungkai antara Khalida dan orang-orang
kampungnya menjadikan dia seperti mengharamkan dirinya sendiri menjejakkan kaki
ke kampung kelahirannya sekali lagi.
Kalau
Kamarul tahu di mana kampung Khalida, dia tidak segan-segan membawa mereka anak
beranak ke situ. Pedulikan keengganan Khalida. Kalau dah Kamarul yang memandu
ke sana, apa Khalida boleh buat?
“Kenapa
mama dan papa diam ni?” Soal Mawar apabila mula dipagut rasa hairan melihat
kesunyian berkerajaan di ruang makan.
Khalida
mengangkat wajah. Memandang ke wajah anaknya. Kemudian beralih ke wajah
Kamarul. Pandangan Kamarul. Ya, cara Kamarul memandangnya seakan ingin
memberitahunya sesuatu.
“Apa
bang?” Khalida memberanikan diri bertanya.
“Lida tak
rasa nak jenguk saudara-mara Lida di kampung?” Kamarul akhirnya bertanyakan
soalan yang sudah lama tidak ditanyakan secara terbuka seperti itu. Dia
sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu membangkitkan isu itu. Alang-alang Mawar
telah menyentuh mengenai perkara tersebut, ada baiknya dia teruskan pertanyaan yang
sering berusuh dalam hati.
“Mama ada
kampung?” Mawar mendahului sebelum sempat Khalida menjawab. “Kata mama dan papa
tak ada kampung. Tipu!” Gumamnya kemudian.
Khalida
terpisat-pisat. Mawar sudah tercemberut. Parah. Anak gadisnya tentu akan mengungkit-ungkit
hal balik kampung jika tahu Khalida berasal dari kampung. Hati kecil Khalida
rasa seperti tercelur. Sakitnya. Wajah Kamarul yang masih menanti jawab
direnungnya. Memang pagi itu mengundang celaka untuknya.
“Selepas
arwah mak dan ayah meninggal, Lida bukan ada sesiapa kat kampung tu.” Begitu
akhirnya. Tidak tahu alasan bagaimana boleh kedengaran logik di perdengaran
anak dan suaminya.
“Tak kan
Lida tak ada saudara mara lain? Mak-mak dan ayah saudara misalnya?”
“Ada,
tapi tak tinggal kat kampung tu. Arwah mak dan ayah dulu bukan asal kampung tu.
Mereka tinggalkan kampung halaman lama dah. Jarang bawa Lida pulang ke kampung
asal mereka. Tu sebab Lida tak ingat.” Khalida mencipta alasan.
Baginya,
sebab musabab santak dia enggan pulang ke kampung merupakan sesuatu yang sukar
untuk ditafsilkannya. Lagipun baginya, ada makar yang harus disembunyikan.
Makar itu telah disembunyikan sejak sekian lama. Seumur Mawar.
Kamarul
mengerutkan keningnya. Alasan Khalida tadi
kedengaran memang munasabah. Ketika majlis kahwin mereka dulupun hanya
ibu bapa Khalida yang datang untuk meraikan. Khalida juga tidak mempunyai
adik-beradik kerana mereka telah terlebih dahulu meninggal sebelum sempat
Khalida dilahirkan lagi. Maklumlah, anak-anak kampung terpencil selalunya
terdedah dengan pelbagai jenis penyakit. Begitu juga halnya dengan adik-beradik
Khalida.
Ramai
dulu semasa majlis kahwin mereka hanyalah saudara mara Puan Juwita. Ibu angkat
Khalida. Ibu angkat yang mengeluarkan Khalida dari bawah tempurung secara
total. Memikirkan itu Kamarul merasa memang bersebab Khalida tidak tergerak
hati untuk pulang ke kampung. Kalau pulang ke kampung mereka mahu menumpang
bermalam berhari-hari di rumah siapa? Ketua kampung? Imam atau Tok Siak
kampung? Tidak munasabah. Kalau mereka sudi menerima kunjungan mereka
sekalipun, Kamarul anak beranak tidak segan kah berhari-hari menetap di rumah
entah siapa-siapa dengan mereka?
Lagipun
dia tahu latar Khalida. Isterinya bukan jenis yang sempat bercampur dengan
masyarakat kampung. Mungkin mereka pun kini tidak kenal siapa Khalida. Kekok
rasanya jika ke tempat masyarakat keliling tidak kenal kita. Ditambah pula
dengan keadaan mereka sekeluarga yang bukan pandai membawa diri dengan iklim
kampung. Atmosferanya lain. Cara bergaul juga lain. Dan Khalida, meski anak
kampung, dia juga telah lama meninggalkan status kampungannya. Sejak keluar
meneruskan pelajaran di bandar, Khalida memang sudah asing dengan budaya
kampung.
Mungkin
juga rerumput kampung, lembu-lembu di padang, pepohon getah dan udara kampung
sendiri sudah tidak kenal dengan bau tubuh Khalida. Khalida memang tidak
sinonim lagi dengan tradisi kampung. Lalu apa jadahnya mahu pulang ke kampung?
Pada Kamarul, keinginan Mawar untuk pulang ke kampung bukan setakat untuk menjengah
sehari dua, malah Mawar sebenarnya ingin merasai suasana kampung yang
digembar-gemburkan begitu menyeronokkan oleh kawan-kawan di sekolah.
Sebagai
kanak-kanak, keinginan meneroka dan merasai pengalaman baru begitu teruja
sekali dibandingkan orang dewasa.
Segala-galanya ingin dikitari dengan satu tujuan: ingin tahu. Apatah lagi kanak-kanak seperti Mawar yang
terlingkup oleh kehidupan maha terasing daripada khalayak luar. Namun apa daya
Kamarul, permintaan Mawar ada masanya sukar untuk dilunaskan. Dia ingin memberi
janji, bimbang tidak mampu untuk dikotakan. Kelak Mawar juga yang akan
termengkelan oleh janji tidak tertunai. Lalu sudahnya Kamarul membatu. Lebih
baik begitu daripada berjanji yang tidak-tidak. Mana tahu, satu masa, satu
waktu Khalida akan terpagut rasa ingin pulang. Semuanya berkemungkinan bukan?
Dan
Kamarul sendiri sebenarnya menunggu kedatangan masa itu. Hati dan nalurinya
merasakan ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik keengganan isterinya
menjengah kampung. Tidak sekadar alasan-alasan klise yang sering diutarakan.
Alasan sebenarnya lebih daripada itu. Naluri seorang suaminya, gerak hatinya
mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan Khalida di sebalik semua itu. Cuma
dia gagal untuk menebak apa sebenarnya.
“Apa kata
cuti pertengahan tahun nanti kita ke kampung mama?” Mawar mengusulkan.
Nampaknya masih belum berganjak dengan keinginan untuk menikmati suasana
kampung.
“Kampung
mama jauh sayang. Makan masa lebih separuh hari untuk sampai dari KL. Kita nak
menumpang rumah siapa kat sana nanti?”
“Tak kan
tak ada siapa kat kampung tu kenal mama?” Mawar keraguan.
Kamarul
hanya memerhatikan dua beranak saling tingkah-meningkah. Malas campur suara.
Nanti makin gamat dan Khalida akan naik angin. Angin Khalida bukan boleh
ditebak. Ada masa soal remeh-temeh boleh mewujudkan pertelingkahan
berpanjangan.
“Entah,
kalau mereka kenal mama pun, mama segan nak menumpang rumah dia orang. Tak tahu
nak bawa diri. Kekok sebab lama dah tak balik ke sana.”
Mawar
diam. Hati kecilnya enggan menerima alasan mamanya.
“Kalau
macam tu mama izinkan Mawar ikut mana-mana kawan yang nak pulang
bercuti kat kampung, boleh?”
Khalida
dan Kamarul tergelujat dengan permintaan Mawar. Makin menjadi-jadi dia. Susah
benar nak ditegah kalau sudah menyimpan keinginan dalam hati. Ada saja jalan
yang diutarakan untuk membolehkan hasrat terpendam dicapai. Khalida dan Kamarul
berpandangan sesama sendiri. Kemudian tunak pandangan ke wajah Mawar yang masih
menanti jawab daripada mereka.
“Kampung
bukan seronok mana Mawar. Ada pacat, ada lintah. Kalau naik kaki Mawar, mama
dan papa pun tak berani buang.”
“Pacat,
lintah? Apa tu?” Mawar kekagetan. Terpeta di benaknya sejenis binatang
merbahaya dan memudaratkan sesiapa jua.
“Pacat
papa tak boleh nak describe, tapi lintah
tu... ala, Mawar ingat tak binatang kenyal yang dijual kat Jalan Masjid India.
Itulah, yang lembik-lembik tu.” Kamarul seboleh upaya cuba untuk menerangkan
kepada Mawar.
Mawar
tergaru-garu kepalanya. Kamarul pula memandang Khalida minta bantuan. Kali ini
Khalida sudah mencalitkan senyuman. Rasa lucu serasa menumbuk-numbuk hempedu
sehingga dia enggan membiarkan gelak terpenjara dalam kerongkongnya. Lalu dia
ketawa lebat.
“Abang
pun bukan tau nak describe pasal
benda tu. Actually honey, pacat dan
lintah tu satu spesis, dua-dua jenis hidupan menghisap darah. Merayap naik ke
kaki dan terus ke bahagian tubuh yang lain. Bezanya kalau pacat dia akan gugur
sendiri lepas kenyang hirup darah kita, tapi tak begitu dengan lintah. Kenyang
pun dia akan terus melekat kat tubuh kita. Eii, dah lah. Geli mama nak ingat.”
Mawar
masih terpinga-pinga. “Takkan sebab tu mama tak mahu pulang ke kampung. Mama
takut pacat dan lintak ekk?” Duga Mawar dengan kening sedikit berkerut dan mata
sengaja dikecilkan.
Kali ini
giliran Kamarul pula memuntahkan tawaannya. Khalida mencemberut. Muncungnya
sengaja dipanjangkan ke depan. Tanda protes. Anak kalau dah bijak berkata-kata.
Monolog Khalida geram.
‘Dah,
habiskan breakfast Mawar tu dulu.
Kita bincang soal balik kampung nanti-nanti. Untuk hari ni apa rancangan kita?”
Tukas Khalida. Sudah mula mengubah topik perbualan.
“Mama
selalu macam ni tau!” Mawar sekali lagi menarik muka empat belas. Piring roti tersapu menteganya ditolak ke
tepi.
Tanpa
sempat Kamarul dan Khalida bersuara dia sudah bangun dan meluru naik ke
biliknya. Khalida dan Kamarul kekagetan. Kenapa sensitif benar anak gadis
mereka pagi itu? Biasanya Mawar sangat periang dan jarang mahu menunjukkan
sikap cengeng. Apatah pula membentak sedemikian rupa. Dah tu pula, hanya kerana
soal remeh-temeh. Soal balik kampung. Isu besar sangat kah itu? Khalida dan
Kamarul masing-masing menyoal diri sendiri akan perubahan sikap Mawar.
“Abang
punya pasal lah tu...”
“Eii,
kita pula?”
“Ya lah,
manjakan sangat budak tu. Sekarang dia
mula nak tunjuk perangai lah tu.”
Kamarul tersenyum sumbing.
Hatinya tercuit geli. Khalida nampaknya kembali menimbulkan isu manjakan Mawar.
Memang Kamarul akui dia lebih-lebih manjakan Mawar. Maklum saja, itu
satu-satunya zuriat yang mereka ada. Tidak pada Mawar, pada siapa lagi mahu
dicurahkan segala kasih sayang melimpah ruah dalam dadanya?
“Lida cemburu?” Giat Kamarul.
Sengaja mahu mengusik Khalida yang sudah
menunjukkan muka empat belas. Tercemberut. Khalida mencebikkan bibirnya ke
depan. Menampakkan wajah kurang senangnya. Senyum Kamarul makin menjadi-jadi.
Seketika dia mengerling ke dapur. Mengintai kelibat Mak Nab di dapur. Kemudian
Kamarul merapati Khalida. Tangannya sudah di bahu Khalida. Mengulus-ulus
perlahan. Penuh kasih sayang.
“Tara
mana tinggi pun kasih sayang abang terhadap Mawar, kasih abang terhadap Lida
tetap tak berubah.”
“Boleh
percaya?” Lida menguji.
Bukan dia sudah lupa gertak
Kamarul untuk menduakannya andai dia terus-terusan gagal memberikan Kamarul
walau seorang zuriat.
“Kenapa
tak nak percaya?”
“Abang
dulu pernah simpan angan-angan nak kahwin dua kan?”
Kamarul
tergelak besar. Ketawanya menggugat sabar Khalida. Suaminya memang senang
membangkitkan amarahnya. Semacam sengaja mahu menduga. Tidak boleh tidak, kalau
hujung minggu pasti mereka akan bertekak. Dari sekecil-kecil perkara sehingga
ke sebesar-besar perkara. Kemudian berdamai. Memang sudah lumrah.
“Lida
janganlah ungkit kesilapan abang tu. Abang pun dah lupa pasal tu. Karang Lida
ungkit, abang terasa balik nak teruskan hajat abang tu. Lida juga yang naya.
Abang ni masih ramai peminat ni...”
Khalida
lagi tercemberut. Geram dengan usikan Kamarul yang tidak sudah-sudah. Bukan
main dia akhir-akhir itu mengusik Khalida. Dan Khalida pula, sejak sudah ada
Mawar sebagai perisai semakin berani menjawab. Dulu sebelum ada Mawar, dia
tidak berani bukan setakat membalas cakap, mengangkat wajah pun tidak. Dia
waktu itu takut benar ditinggalkan Kamarul. Padahal sekarang pun Kamarul bukan
tidak boleh menduakannya kalau ingin. Mawar tidak menjadi soal. Tapi Khalida
tidak pernah fikirkan soal itu lagi. Dia semacam ingin membalas dendam apabila
pernah disakiti oleh suami. Disakiti perasaannya.
Lalu
kini, dia pula mencari sebab untuk menyakiti suaminya. Sekurang-kurangnya dapat
berbalas kata seperti itu boleh melampiaskan rasa tidak puas hati kerana banyak
berdiam sedikit masa dulu. Lagipun sejak kehadiran Mawar, persepsi dia terhadap
Kamarul sudah berubah. Kamarul juga sudah berubah. Tidak macam dulu lagi. Dia
ayah yang bertanggungjawab. Sesuai dengan sikap beriya-iya mahukan anak satu
masa dulu.
“Lida
sayang. Mawar tu satu-satunya anak kita. Kalau kita tak curahkan sepenuh kasih
sayang terhadapnya, siapa lagi? Kita beruntung tau sebab ada Mawar.
Sekurang-kurangnya kita ada juga anak. So,
tak bolehlah kita nak sesiakan Mawar.” Kamarul bersuara lembut.
Khalida
masih mencemberut. Belum mahu baik walaupun Kamarul nampaknya cuba memujuknya
sebaik mungkin.
“Lida
tau. Bukan Lida tak suka abang manjakan dia. Tapi janganlah lebih-lebih.
Bimbang dia naik kepala. Lida pun sayang Mawar tu.”
“Abang
tau. Cara abang dan cara Lida layan Mawar berbeza. Lida tegas dengannya. Abang pula kalau boleh
nak adakan semua dan nak lunaskan semua keinginannya.”
“Itu
silapnya. Nanti dia tak tahu hidup susah. Anak ni sesekali kena dibantah
kehendaknya.” Khalida masih belum mahu mengalah. Masih mahu berbalas kata
dengan suaminya.
“Abang
tau sayang. Cuma abang keliru, takkan mahu menunaikan keinginan Mawar untuk
balik kampung tu dikira memberi muka kepadanya?”
“Abang,
Mawar dah tak ada. So jangan lah nak
bangkitkan soal balik kampung. Bukan ada apa-apa kat kampung tu.” Khalida
meninggikan sikit suaranya.
Kamarul kekagetan. Isterinya memang alahan benar
dengan kenyataan balik kampung. Macam fobia sangat. Kamarul pun sesekali
digamit hairan. Kalau tiada apa-apa yang disembunyikan daripada pengetahuannya,
kenapa liat sangat Khalida mahu balik kampung? Malah menyebut tentang balik
kampung pun Khalida tidak ingin. Kenapa?
Kamarul
memang sering tertanya-tanya begitu.
Sikap Khalida sememangnya pelik.
Seakan benci sangat untuk balik kampung. Semacam orang kampung pernah membuat
makar ke atas dirinya. Seperti ada sesiapa yang dimusuhinya di kampung itu
menjadikan dia cuba mengelakkan diri bertemu muka dengan individu itu. Kamarul
memang sentiasa meneka-neka hal sebenar walaupun pelbagai alasan logik telah
Khalida berikan.
“Dahlah
bang. Lida kalau boleh tak mahu dengar soal ni lagi. Cukup Mawar seorang yang
lebih-lebihkan hal ni. Abang pula janganlah nak jadi budak-budak. Ada baiknya
abang cakap rancangan kita sepanjang hari ni.” Khalida menjunamkan suaranya.
Nadanya sudah kendur. Tidak lagi langsing seperti tadi.
Kamarul
bungkam seketika. Khalida memang tegar mengelakkan soal balik kampung. Apa
sebenarnya rahsia Khalida? Apa yang
ditakutkan di kampung kelahirannya itu? Dan Kamarul memang penuh dengan tanda
tanya jika menyentuh soal balik kampung Khalida.
BAB SEMBILAN
1990-an
Mariah duduk
menggoyangkan kaki di bangku. Kebanyakan kawan-kawan sekelas ketika itu sudah beransur ke kantin sekolah. Tinggal
dia dan dua tiga orang rakan lain menghabiskan masa rehat di kelas. Begitupun
dua tiga orang itu nampaknya sedang menikmati bekal yang dibawa dari rumah. Mariah pula hanya menggoyangkan kaki di situ. Sesekali
meneguk liur melihat rakan begitu lahap menyuap nasi ke mulut.
Sudah
menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Kehidupan Mariah masih seperti-seperti
itu. Tiada perubahan. Ke sekolah dengan tiada wang saku di tangan. Wang yang
ada cukup-cukup untuk dibuat tambang bas pergi dan balik. Adiknya begitu juga.
Tapi Mariah dan Muzamil bersekolah berlainan sessi. Mariah sessi pagi kerana
tahun ini dia sudah berada di tingkatan tiga. Bakal menghadapi SRP. Muzamil
pula baru menjejakkan kaki ke tingkatan satu. Baru kenal sekolah baru. Masih
jakun dengan persekitaran.
Terdedah
kepada masyarakat yang lebih ramai dengan rencah perangai kawan yang pelbagai
macam sesekali meneruja Mariah memikirkan kedaifan hidupnya. Alangkah daif
hidup dirasakan di tengah kawan-kawan yang datang daripada pelbagai peringkat
golongan masyarakat. Kalau di kampung dulu, kawan-kawan lebih kurang dia
sahaja. Mereka kebanyakan anak-anak penoreh. Kini, kawan-kawan sudah ada
daripada golongan anak-anak guru, pegawai kerajaan malah doktor juga.
Mariah
sesekali rasa segan dan kekok untuk bercampur dengan mereka. Cara mereka
berpakaian dan sebagainya amat lain berbanding Mariah. Tambah memalukan apabila
mereka buat-buat main dengan keadaan Mariah. Seakan sengaja ingin menyakitkan
hati Mariah dengan soal percakapan yang mereka timbulkan. Anak-anak bandar
tidak sama macam anak-anak kampung yang Mariah gauli semasa bersekolah di
sekolah rendah dulu. Tambahan pula di kelas 3K1 itu hanya dia seorang sahaja
anak kampung dan anak penoreh getah. Ini kerana ramai kawan-kawannya yang
berada dalam kelas bawah-bawah. Lalu terpaksalah Mariah yang cemerlang
keputusan setiap tahun bergaul dengan kawan-kawan daripada golongan anak
kumpulan elit dan profesional.
“Awak ni
Mariah, tak kan setakat sehelai sapu tangan pun awak tak mampu beli? Lima puluh
sen aje harganya!” Jengkel Yasmin,
ayahnya seorang doktor persendirian. Ada klinik sendiri.
Persoalan
itu diutarakannya apabila melihat Mariah mengesat peluhnya dengan hujung
tudung. Comot sedikit tudungnya tercalit noda dari hidungnya yang merenih
peluh.
“Haah
Mariah. Kita ni perempuan. Kena jaga penampilan. Tak boleh nampak selekeh saja.
Setakat sehelai sapu tangan, belilah. Semua kawan-kawan kita ada sapu tangan.
Awak aje tak ada.”Sampuk pula Mardziah.
Mariah
malu digasak dengan kata-kata sedemikian. Selama ini dia tidak menjaga
penampilan kah? Mariah menyoal dirinya sendiri. Kemudian dia memandang segenap
inci pakaian yang melekat di tubuhnya. Bermula dari kasut. Walaupun belum ada
tempat yang koyak, tapi kasut itu sudah lusuh. Dilindungi dengan coletan pemutih kasut. Waktu itu Mariah masih
menggunakan pemutih kasut jenis buku. Jenis cecair tidak mampu untuk dibelinya.
Kain dan
bajunya juga sudah berusia tiga tahun. Sejak masuk ke sekolah menengah santak
hari itu dia tidak menukar-nukar kepada sehelai yang baru. Hanya itu
satu-satunya uniform yang dia ada. Malah kerana tidak berkesempatan untuk cuci
selalu, di celahan kedua-dua ketiaknya nampak kekuningan kesan peluh. Baunya
juga sedikit kurang menyenangkan. Tudungnya pun sudah singkat. Malah sudah
berkali-kali ditegur guru dan pengawas kerana tudungnya tidak mencukupi syarat
labuh yang ditetapkan disisplin sekolah. Dengan keadaan itu semua, Mariah
memang nampak tidak begitu menjaga penampilannya. Bukan dia tidak ingin, tapi
dia takut untuk menyuarakan kepada ibu bapa. Dia sedar dia datang daripada
keluarga bagaimana. Jauh untuk menandingi kawan-kawan.
Lalu
Mariah cuba bersabar.
Tapi kali
itu. Kali itu dia sedikit teruja.
“Awak ni Mariah, tak kan setakat
sehelai sapu tangan pun awak tak mampu beli? Lima puluh sen aje harganya!”
Suara Yasmin kembali bergema. Terbayang kembali memek muka Yasmin ketika itu.
Mariah menelan liur. Lima puluh
sen. Pada mereka, pada Yasmin, Mardziah dan ramai lagi kawan-kawan sekelasnya,
lima puluh sen bukan jumlah yang banyak. Mereka tidak tahu jumlah itu kalau
dibuat membeli makanan sudah boleh mengenyangkan Mariah sepanjang hari. Mana
dia boleh dapat lima puluh sen itu? Mariah pening kepala. Kawan-kawan
sekeliling kini tidak seperti kawan-kawan sekeliling dulu.
Mereka tidak tahu. Malah tidak
mungkin sama sekali akan tahu cara hidup Mariah. Sesedap mulut mereka
mengatakan Mariah itu-ini, begitu-begini. Mereka tidak pernah merasa walhalnya.
Mereka tidak tahu Mariah boleh meneruskan persekolahannya sudah merupakan suatu
kemujuran yang amat sangat. Mariah memejamkan matanya. Menghalau segala mainan
kata-kata kawan-kawan yang terakam dalam benaknya. Tapi setegar mana dia cuba
menghalau, setegar itu juga rakaman wajah kawan-kawan terbias di skrin
benaknya. Menyakitkan sungguh!
Kali ini muncul pula wajah
Nadirah. Menyelerakkan beberapa helai sapu tangan di atas meja. Ibunya berniaga
kain baju di pasar besar. Langsung dia mengambil peluang menjadi agen. Membuat
kempen ke sekolah. Menjual keperluan terkini kepada kawan-kawan. Nah, sekarang
musim anak-anak gadis membawa sapu tangan. Sudah jadi suatu trend pula. Boleh dikatakan setiap orang
mempunyai sapu tangan. Dilipat dua tiga. Tidak berpeluhpun dibawa ke muka.
Nadirah apa lagi. Masuk jarum. Bawa beberapa helai ke sekolah. Tanpa
pengetahuan guru melancarkan jualan langsung.
Ramailah kawan-kawan berduit yang
membeli. Berduit lebih sikit beli sampai dua tiga. Hanya Mariah terkebil-kebil
memerhati. Tertelan liur melihat comelnya gambar kucing di sapu tangan
tersebut. Macam gambar kucing yang biasa terdapat pada kad ucap selamat hari
raya. Mariah memang teruja untuk memiliki walau sehelai. Kalau dia dapat, dia
akan jaga sungguh-sungguh sapu tangan yang bergambar kucing sedang memegang
bunga. Comel. Sungguh comel dengan riben kecil di atas kepala. Aduh. Geram
sungguh Mariah melihat sapu tangan berwarna merah jambu itu. Tapi apa daya,
memilikinya jauh sekali.
Lima puluh sen. Mana dia boleh
dapatkan wang sebanyak lima puluh sen itu?
Dan Nadirah pula, bagai tahu-tahu
dia berkenan dengan sapu tangan merah jambu bergambar kucing itu, sengaja pula
dia mengibas-ngibas sapu tangan itu sambil mata terjuling-juling ke arah Mariah.
Benar-benar mencabar Mariah.
Aku akan berusaha untuk
mendapatkan sapu tangan merah jambu itu! Gumam hati kecil Mariah.
Dia langsung merengus. Mencapai
buku di bawah meja lalu pura-pura membacanya. Seketika kemudian loceng berbunyi
menandakan waktu rehat sudah berakhir. Kawan-kawan rupanya sudah ramai berada
di kelas. Mardziah dan Yasmin yang duduk di depan Mariah nampaknya sedang
rancak berbual dengan Nadirah. Terdengar mereka memesan dua helai sapu tangan
lagi buat koleksi. Kononnya sapu tangan yang dijual Nadirah cantik-cantik.
Mariah di mejanya hanya terkebil-kebil memerhati.
Begitu rupanya cara hidup
anak-anak orang yang tidak pernah mengenal susah. Nak apa, dapatkan saja. Apa
saja yang terhajat di hati boleh diperolehi dengan mudah. Hati Mariah rasa
terhiris. Teringat ibu dan ayah yang berhempas pulas mencari rezeki di rumah.
Mariah serasa ingin menangis. Wajah ayah dan ibu yang kepenatan terakam dalam
skrin benaknya. Dengan baju celoreng, bertempek-tempek susu getah yang sudah
kering mengandar getah keping untuk dibawa pulang ke rumah.
Kepala Mariah sedikit menunduk.
Menahan tangisan apabila matanya mula terasa berpasir. Dia sedar betapa
susahnya kedua-dua ibu bapanya mahu mengadakan keperluannya. Tapi keadaan iklim
sekitarannya benar-benar meneruja Mariah.
Dan sapu tangan merah jambu
bergambar kucing seakan berkibar depan matanya!
“Irah, sapu tangan merah jambu semalam ada lagi?” Soal
Mariah semasa Nadirah sibuk mengemas laci mejanya.
“Kau nak
tengok? Kalau nak tengok saja nanti-nantilah. Aku tengah sibuk ni.” Nadirah
seakan acuh tak acuh.
Mariah
menelan ludah. Matanya mengerling ke arah Mardziah dan Yasmin yang sedang
berbisik sesama sendiri. Mata mereka sesekali terjuling ke arahnya dengan bibir
sedikit terjuih ke depan.
“Aku nak beli!”
Mariah sedikit tegas. Geram juga apabila dia diperlekehkan.
“Tengok
duit dulu...” Nadirah bersuara selamba. Keningnya sengaja dijongketkan sebelah
untuk menimbulkan kesan pada nada suaranya.
Mariah
mengetap bibir. Sedikit tersinggung perasaannya diperlakukan sedemikian. Dalam
masa yang sama Nadirah malah menjeling-jeling ke arah Mardziah dan Yasmin yang
leka memerhati. Pun Mariah cuba
bertahan. Hatinya sudah tekad untuk memiliki sapu tangan merah jambu idamannya.
Dia tidak mahu ketinggalan kali ini. Sapu tangan itu hanya berharga lima puluh
sen. Jumlah itu dia masih boleh mengadakan. Lainlah kalau benda yang memang dia
nyata tidak mempunyai kemampuan.
Syiling
sepuluh sen sebanyak lima keping dikeluarkan dari kocek. Kemudian syiling yang
asalnya berada dalam genggaman Mariah bertukar tangan. Kini di telapak tangan
Nadirah. Gadis rakan niaga dengan ibunya itu menghitung sekeping demi sekeping.
Tiba pada syiling yang sedikit berkarat kehijauan, dia mengangkatnya separas
mata. Membelek-beleknya. Kemudian berpaling kepada Mariah.
“Kalau
ikutkan, aku tak gemar sangat terima syiling berkarat, tapi memandangkan aku
rasa kau mungkin dah bersusah payah untuk kumpulkan wang sebanyak ini, kira
bolehlah.” Nadirah mencemik. Benar-benar menguji Mariah.
Bukan
main susah mahu dapatkan sapu tangan merah jambu. Duit sudah bertukar tangan
pun ia masih belum kelihatan. Mariah sabar menanti dengan dada orak-arik.
Benar-benar tidak tenteram. Dia memerhatikan Nadirah lambat-lambat membuka beg
sekolahnya. Kemudian diletakkan beberapa helai sapu tangan di meja.
“Mana
satu kau nak?”
“Yang
warna merah jambu tu...” Mariah bersuara kontan.
“Ada tiga
helai warna merah jambu ni. Cuba kau cakap biar terang sikit.”
“Yang ada
gambar kucing pegang bunga dan pakai riben tu.” Mariah seperti orang bodoh
menerangkan walaupun dia yakin Nadirah tahu mana satu yang dia berkenan.
“Nah,
ambiklah. Cukuplah dengan syiling lima puluh sen kau yang satunya berkarat tu.”
Nadirah menyuakan kepada Mariah sapu tangan idamannya. Matanya sempat
mengerling ke arah Yasmin dan Mardziah.
Mariah
menerima dengan senang hati walaupun sempat menangkap penghinaan Nadirah.
Sungguh. Kalau tidak kerana sapu tangan itu sudah benar-benar mencuri hatinya,
dia tidak akan ke meja Nadirah. Bukan dia tidak tahu sikap sombong dan besar
kepala Nadirah. Mengalahkan sikap Tengku Suzana, anak District Officer yang juga satu kelas dengan mereka.
Tengku Suzana baik, senang
tersenyum walaupun dengan Mariah yang tidak ramai orang mahu dekat. Pernah juga
Tengku Suzana ingin berbaik-baik dengan Mariah, hanya Mariah yang segan rapat
dengan Tengku Suzana. Malu benar dia. Anak penoreh getah tidak boleh baik
dengan anak pegawai. Nanti orang cakap apa pula. Mesti ada yang akan menganggap
Mariah mahu menumpang senang Tengku Suzana yang pemurah. Lagipun Mariah malu
sangat apabila berada di sebelah Tengku Suzana, aroma badannya yang berbau
harum sentiasa menusuk hidung tidak mengira bila masa. Tengah hari wangi, pagi
lebih-lebih lagilah.
Mariah? Jangan cakaplah. Mariah
segan sangat. Maklum saja, Mariah mana ada peluang nak sapu-sapu bedak di muka atau di mana-mana anggota
badan. Di rumah kalau sesekali ada bedak Cutticura sudah cukup baik. Tapi itu jarang
berlaku. Bagi mak dan ayah Mariah, daripada membeli bedak, lebih baik mereka
belanjakan wang untuk kepentingan persekolahan Mariah. Bedak? Huh, membazir
saja. Lalu jadinya?
Lalu jadinya, pergilah Mariah dan
Muzamil tanpa menyapu apa-apa wangian ke badan. Badan mereka? Kalau pagi boleh
lagi tahan, tapi kalau sudah masuk pukul sepuluh dan peluh sudah mula menitik,
memang sesekali boleh menangkap pandangan mata rakan yang kurang senang. Malah
ada yang tidak langsung memikirkan hati dan perasaan mereka merengus dan
menutup hidung apabila Mariah melintas. Sesekali jika itu terjadi Mariah sering
tertanya-tanya, busuk sangat kah dia?
Memang ada masa Mariah rasa
terhina. Dia malah pernah meminta guru kelas menukarkannya ke kelas lain. Duduk
bersama-sama rakan yang sama taraf dengannya. Begitupun Puan Rohana enggan
mempedulikan. Alasannya Mariah lebih layak berada di kelas 3K1. Mariah best student keseluruhan tingkatan. Mana
boleh duduk di kelas corot atau kelas sederhana. Puan Rohana bimbang Mariah
terpengaruh dengan rakan-rakan yang malas belajar, lalu dengan Mariah sekali
terlingkup peperiksaan SRP nanti.
Mahu atau tidak, Mariah kekal di
kelas K1. Bercampur dengan kawan-kawan yang kebanyakannya anak orang
senang-senang. Nak apa saja semudah menggosok lampu hikmah Aladdin. Mariah pula
terkebil-kebil memerhati sikap dan gaya kawan-kawan. Itulah sebabnya sesekali
dia teruja untuk jadi macam kawan-kawan. Dorongan dan juga godaannya terlalu
kuat. Lalu untuk itu, sekurang-kurangnya biarlah dia juga mampu memiliki
sehelai sapu tangan yang sedang dibudayakan di kalangan kawan-kawannya.
Ya, sehelai sapu tangan yang kini
sudah ada di tangannya.
Mariah sempat membelek-belek sapu
tangan yang kini berada dalam genggamannya. Kucing beriben yang sedang memegang
bunga itu memang comel sungguh. Mariah memang sukakan kucing. Tapi di rumah
ayah tidak benarkan mereka adik-beradik bela kucing. Bimbang kucing kelaparan
tak cukup makan. Pada ayah, dapat memberi mereka makan sudah menjadi kemujuran, manakan nak
menampung makan kucing pula? Itu kata ayah apabila Mariah mengusulkan soal
membela kucing. Mendengar itu Mariah tidak lagi mengulangi usulannya.
Tapi mak dan ayah tak tahu, baik
Mariah mahupun Muzamil sebenarnya sunyi tinggal dua beradik. Kalaulah mereka
mempunyai ramai adik-beradik, tentu mereka berdua boleh melayan adik kecil.
Hairan juga mereka, terutama Mariah. Muzamil kini sudah berusia tiga belas
tahun, tapi mak langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu melahirkan anak
lagi. Mariah tertunggu-tunggu juga mak muntah-muntah seperti ibu Rokiah dua
tiga tahun lepas. Tapi nampaknya mak sihat sampai kini.
Ayah memang sengaja tidak mahu
mak beranak lagi kah? Ayah takut tak mampu nak bagi makan adik baru makan macam
tak mampu nak bagi kucing makan kah?
Mariah sering juga menyoal begitu. Dia tahu tak baik simpan syak macam
tu terhadap ayah. Tapi ayah sendiri yang buat Mariah menyimpan syak demikian.
Ayah bukan suka jika Mariah mahupun Muzamil bercakap soal adik baru. Dia tidak
suka dengar. Dulu boleh juga sebut-sebut, sekarang makin teruk, usahkan nak
bertanya kenapa mereka tak ada adik, sebut pasal adik pun ayah dah cukup
berang.
Berang? Ayah? Dan Mariah jadi
orak-arik. Kacau bilau sangat perasaannya ketika itu. Debaran di dada tak usah
cakaplah. Dup-dap, dup-dap. Macam mahu pecah dada Mariah dibuat debar. Dia memerhatikan
sapu tangan yang kini sudah menjadi miliknya. Dia mula kalut. Hatinya bergalau.
Terfikir kewarasan tindakannya semata-mata mahu memiliki sehelai sapu tangan
yang dibudayai kawan-kawan sekolah. Dia menelan ludah. Terlalu takut untuk
membayangkan segala kemungkinan yang bakal terjadi.
Mariah mengerutkan keningnya.
Kesal kerana tidak membuat banyak pertimbangan sebelum mengambil tindakan. Dia
mengetap bibir. Cuba sedaya upaya mengusir wajah ayah yang hadir dalam versi
bengis di fakulti benaknya.
Malam. Usai solat maghrib. Ayah sudah duduk tersandar ke
dinding. Sebelah kakinya diangkat hingga membolehkan sikunya berteleku ke
kepala lutut. Pandangan ayah tajam ke arah Mariah dan Muzamil yang selesai
melipat sejadah. Kedua-dua mereka dipanggil.
Mariah
berdebar sangat. Muzamil pula biasa-biasa sahaja. Tapi sedikit terkejut melihat
riak muka ayah seperti singa lapar. Mak pula terkebil-kebil tersalah gamak.
“Abang,
biar budak-budak makan dulu bang...” tegur Azizah kepada Mokhtar. Azizah kurang
senang jika anak-anak dimarahi sebelum makan walau apa juga kesalahan mereka.
Sungguhpun demikian, Mokhtar
sedikit pun tidak mengendahkan. Pandangannya tertancap tajam kepada kedua-dua
orang anaknya. Mariah dan Muzamil jadi serba salah benar. Mereka berdua tahu
ada sesuatu yang mengundang marah ayah mereka.
“Mariah, Muzamil, pergi berdiri
tepi dinding.” Mokhtar mengarah sambil dia sendiri bangun mencapai rotan yang
terletak di atas para.
Mariah sudah menggeletar melihat
rotan kini berada dalam tangan ayah. Dia dapat membayangkan betapa pedihnya
jika rotan itu hinggap di mana-mana bahagian tubuh mereka berdua. Tapi dia
tidak mampu untuk bersuara.
“Siapa ambil duit ayah dalam
kocek seluar?” Nada suara Mokhtar memang bengis benar.
Mariah dan Muzamil langsung tidak
berani memandang ke wajah Mokhtar. Sedang Azizah mengetap bibir. Tidak sanggup
untuk membayangkan tindakan lanjut Mokhtar sekiranya anak-anak mereka ternyata
bersalah.
Mokhtar cuma kehilangan lima
puluh sen dari kocek seluarnya. Bukan lima ringgit. Namun Mokhtar tegas mahu
mengajar anak-anak yang bersalah supaya mereka tidak mengulanginya. Bukan soal
jumlah yang menjadi perhitungan Mokhtar sekarang, tapi soal sikap. Lalu apabila
Azizah cuba memujuk Mokhtar berlembut siang tadi sebaik tahu Mokhtar telah
kehilangan wang sebanyak lima puluh sen, lelaki itu menolak.
Melihat anak-anak diam membisu dan hanya tunduk memandang
lantai, Mokhtar tambah bengang. Nampaknya anak-anak sudah pandai berbohong dan
enggan mengaku kesalahan mereka. Mokhtar memang terpagut marah.
“Dua-dua tak mahu mengaku? Kalau
begitu dua-dua ayah rotan!” Suara Mokhtar tegas dan bersedia untuk menghayunkan
rotan di tangan.
Mariah memejamkan matanya. Takut
benar untuk bersuara. Mokhtar sudah mengangkat rotan untuk dihayunkan ke belakang
Mariah terlebih dahulu. Belum sempat rotan itu singgah di belakang Mariah,
Muzamil menangkap tangan Mokhtar dengan kedua-dua belah tangannya.
“Jangan pukul kakak ayah, adik
yang ambil!”
Serentak mata Mariah terbelalak.
Memandang ke wajah Muzamil yang tampak bersahaja. Serentak itu juga rotan terus
singgah di tubuh kurus Muzamil. Sekali, dua kali, tiga kali. Sehingga adik
terjatuh ke lantai Mokhtar masih meneruskan balunannya. Begitupun, air mata
Muzamil sikit pun tidak tumpah walaupun perit menahan sakit.
Mariah berlari ke arah Azizah.
Berpelukan di satu pojok rumah sambil sama-sama menangis. Azizah sempat juga
bersuara. Menjerit meminta agar Mokhtar berhenti membedal tubuh kurus Muzamil
yang sudah terjelepuk ke lantai. Mokhtar sedikitpun tidak menghiraukan. Dia
seakan kerasukan. Tidak pernah dia sebegitu marah. Mungkin merasa tercabar
melihat Muzamil langsung tidak menitiskan air matanya. Mungkin juga kesal
kerana anak-anak sudah pandai menyeluk saku seluar tanpa pengetahuannya.
“Kau dah pandai mencuri ya. Baru
setahun jagung dah pandai mencuri dari rumah sendiri. Kelak tak tau apa lagi
kau akan buat!” Tengking Mokhtar setelah puas membelasah Muzamil.
Mokhtar kemudian berlalu ke luar
rumah. Azizah dan Mariah menerkam mendapatkan Muzamil yang masih lagi
terjelepuk di lantai. Tapi tidak menangis. Mariah meraung semahu-mahunya
melihat belakang adik berbirat. Dia merasa terlalu bersalah kerana tindakannya
mengambil syiling lima puluh sen dari kocek ayah menyebabkan Muzamil, adik
kesayangan menerima padah. Tambah bersalah kerana dia takut untuk mengakui
kesalahannya. Kalau dia mengakuinya, tentu adik tidak akan menerima padah
sebegitu. Mariah menangis. Kesal!
Bayangkan kalau dia mengakui
kesilapannya, tentu tindakan ayah terhadapnya dua kali ganda mengatasi tindakan ke atas
Muzamil. Tidak. Mariah tidak sanggup walaupun dalam masa yang sama dia juga
tidak sanggup melihat adik diperlakukan sedemikian.
Lalu malam itu seisi rumah tidak
makan malam. Mariah dan Azizah tidak lepas daripada memeluk adik. Belakang yang
sudah disapukan ubat direnung Mariah sambil menangis tersedu-sedan. Dia tidak
faham kenapa Muzamil sampai sanggup menerima itu semua walaupun ia bukan
kesalahan Muzamil.
Mariah membelek-belek lagi
belakang Muzamil yang calar-balar. Kemudian menyapu ubat lagi. Muzamil bersiut
menahan sakit. Tapi sikit pun air matanya tidak tumpah. Melihat keadaan itu,
Mariah meraung sekuat hati. Kesal yang amat sangat kerana tidak berkata benar.
Akibatnya, adik!
Muzamil menutup mulut Mariah
dengan kedua-dua belah tangan melihatkan kakaknya meraung seperti diserang
histeria. Mariah berkali-kali meminta maaf dalam tangisannya.
“Adik tak apa-apa, kakak
janganlah menangis.” Muzamil bersuara perlahan.
“Kenapa adik sanggup terima
hukuman atas kesalahan yang adik tak buat?”
“Adik lelaki, wajib melindungi
kakak orang perempuan.”
Mariah sekali lagi meraung
mendengar jawapan Muzamil. Azizah pula terkebil-kebil. Musykil akan keadaan
itu. Tertanya-tanya siapa sebenarnya yang telah melakukan kesalahan.
BAB SEPULUH
Muzamil demam.
Hampir seminggu juga Muzamil terlantar. Tidak berselera untuk makan walau
sebiji nasi pun. Sepanjang tempoh itu Mariah dan Azizah bersekang mata
menjaganya. Mereka juga hilang selera untuk makan.
Dan
Mokhtar. Mokhtar langsung hilang suara sepanjang tempoh itu. Banyak mendiamkan
dirinya. Malah mengasingkan diri daripada keluarga. Sering duduk termenung di
beranda rumah sambil menggulung rokok daun. Membentuk puntung demi puntung.
Menyedutnya. Kemudian belum habis satu, digulung yang lain pula. Pandangannya
pula jauh ke depan.
Kesalkah
Mokhtar kerana cuba bertegas dengan anak-anak? Tiada siapa tahu. Azizah sendiri
sebagai isteri tidak pernah bertanya tentang itu. Walau selama ini dia akan
mengiyakan segala tindak-tanduk Mokhtar, kali itu dia tidak dapat mengelakkan
diri daripada menunjukkan sikap protes. Melihat keadaan Muzamil kini, dia tidak
tergamak untuk menyokong Mokhtar.
Tambah-tambah...
Ya tambah-tambah kerana dia mengesyaki ia bukan kesalahan Muzamil sebenarnya.
Tapi kesalahan Mariah. Nantilah. Dia belum berpeluang menanyakan hal sebenar
kepada Mariah. Dia akan. Dia akan bertanya juga jika ada masa sesuai. Biar reda
dulu ribut dan kalut dalam rumahnya. Azizah tidak mahu tindakannya bertanya
Mariah akan membongkahkah kembali marah
dalam dada Mokhtar.
Mariah
pula jika malamnya sibuk menjaga Muzamil, siang hari di sekolah makin bersikap
mendiamkan diri. Langsung tidak bercampur dengan kawan-kawan. Masanya banyak
dihabiskan dengan membaca buku. Jika Mardziah atau Yasmin cuba merapati, dia
akan mengeluarkan buku. Jika ada kerja rumah akan diselesaikan di sekolah. Jika
tidak ada kerja rumah dia akan membaca buku. Dia memang mengelak daripada
bercampur dengan mereka lagi. Baginya, bergaul dengan merekalah menyebabkan
benaknya teracun. Cakapan mereka mendorong Mariah juga ingin berpenampilan
seperti mereka. Pakai lawa-lawa. Bau biar harum. Bergaya terkini.
Sedang
hakikatnya Mariah tidak mampu dan tidak padan untuk bersaing dengan mereka. Dia
terlalu jauh berbeza dengan mereka. Dia tidak mampu mengejar cara mereka
menampilkan diri di sekolah. Dia tidak mampu mengikut variasi budaya yang
menular di kalangan kawan-kawan. Lalu ada baiknya dia menjauhi mereka.
Sekurang-kurangnya dia tidak akan terhasut dengan cara mereka menampilkan diri.
Tidak terikut-ikut akan budaya mereka.
Mariah
belajar daripada kesilapan lepas. Dia enggan mengulangi lagi. Jelas di matanya,
di benaknya wajah Muzamil menahan kesakitan. Bayangan belakang Muzamil yang
berbirat menjadi racun dalam sanubarinya. Mengenang itu semua dia merasakan
diri sungguh tidak berguna. Sanggup mempertaruhkan adik sendiri untuk
menyelamatkan diri. Sedang dia hingga kini terlepas daripada sebarang hukuman.
Terlepas?
Mariah tidak tahu kalau benar dia terlepas daripada sebarang hukuman. Mentak begitulah
pada dasarnya. Tapi di dalam. Di dalam jiwanya, resah dan gelisah sentiasa
bertukar tempat. Tidur malamnya tidak lagi selena dulu. Memang ketenangan dan
kegembiraannya dirampas peristiwa itu. Pada Mariah, dia kini telah membayar
harga terlalu mahal buat sehelai sapu tangan yang cuma berharga lima puluh sen.
Dalam pada itu Mariah sentiasa hidup dalam keadaan bersalah terhadap Muzamil.
Jenuh dia meminta maaf daripada Muzamil. Muzamil malah sentiasa meminta agar
Mariah melupakannya.
“Kenapa
adik sanggup terima hukuman atas kesalahan yang adik tak buat?” Soal Mariah
suatu malam semasa meneliti birat yang masih memerah di belakang Muzamil.
“Tiada
alasan untuk mempertahankan seseorang yang kita sayang. Adik sayang kakak.
Kakak layan adik baik sangat selama ni.” Muzamil menjawab perlahan. Dia bersiut sewaktu jemari Mariah menyentuh
belakangnya menyapu ubat.
Mariah makin merasa bersalah yang
teramat-amat. Sebagai kakak, dia gagal untuk menunjukkan contoh yang baik
kepada Muzamil. Malah sebagai kakak dia telah menyusahkan Muzamil. Sesuatu yang
sepatutnya tidak dilakukan. Pada dasarnya kakak merupakan seorang pelindung,
tapi dia telah jadi sebaliknya. Sungguh-sungguh dia merasakan dirinya tidak
berguna. Itulah hukuman ke atas seorang kakak yang terlalu pentingkan diri
sendiri sepertinya. Rasanya seluruh dunia akan mengutuk dia sekiranya dunia
tahu akan kebenarannya.
Mengenangkan
semua itu Mariah dalam diam menangis.
Mengenang
semua itu juga dia tekad menjauhkan diri daripada kawan-kawan yang boleh meracuni
kewarasan dan rasionalnya. Dia sudah celik kini. Dia tidak setanding mereka.
Tidak juga menyamai mereka. Dia hanya anak seorang penoreh getah. Anak kampung
yang serba-serbinya kurang. Dia harus menerima ketentuan itu.
Sapu
tangan itu? Huh, Mariah sudah simpan sapu tangan itu elok-elok dalam almari.
Bukan kerana tidak sanggup untuk menggunakannya, tapi kerana dia tidak tergamak
memandang sapu tangan itu lagi. Dia terasa kucing comel memegang bunga dan
sedang tersenyum itu mengejek-ejeknya. Dia benar-benar tidak tergamak.
“Mariah...”
Mariah
tersentak merasakan ada sentuhan lembut mencecah bahunya. Dia mendongak. Tengku
Suzana. Anak pegawai daerah itu. Kini sedang tersenyum kepadanya. Mariah
mengetap bibir. Dia memerhati sekeliling. Kelas sudah kosong. Kawan-kawan
sekelas mungkin sudah ke kantin.
“Kenapa
dengan awak?” Terpacul soalan itu dari mulut Tengku Suzana.
Diam.
Kepala sedikit menunduk.
“Awak ada
masalah Mariah?”
Pun masih
diam. Bungkam. Membatu.
“Awak
nampak sedikit lain akhir-akhir ini, saya kira mungkin awak ada masalah.”
Perlukah
aku berkata-kata? Perlukah aku bercerita kepada seseorang seperti Tengku
Suzana. Boleh fahamkah dia akan lagu orang-orang susah seperti aku? Nama pun
‘tengku’. Terang-terang di situ menunjukkan betapa tidak sekufunya kami. Kalau
bercerita kepada orang yang berlainan kufu boleh fahamkah dia?
“Mariah...”
Suara Tengku Suzana lembut benar ketika itu.
Jarang
ada kawan sekelasnya yang mahu bersuara selembut itu kepada Mariah. Dia jadi
sedikit terugah. Wajah bujur sirih Tengku Suzana dipandangnya. Tengku Suzana
mengukirkan senyuman seikhlas mungkin.
“Kenapa
Mariah?” Sekali lagi menyoal.
“Tengku
tak ke kantin?” Akhirnya Mariah membalikajukan soalan.
Soalannya
membuatkan Tengku Suzana ketawa. Mariah kehairanan. Lucu sangatkah soalan aku
tadi? Mariah menyoal dirinya sendiri.
“Awak
buat saya gelihati.” Tengku Suzana bersuara sambil mengesat air mata yang
terbit akibat ketawa kuat tadi.
“Apa
pula?” Mariah kaget. Dia memerhatikan tingkah Tengku Suzana yang masih mencari
kestabilan diri daripada tawaannya tadi.
“Selain
awak, tak ada sesiapapun pernah panggil saya macam tu. Bunyinya lucu.”
“Habis
saya nak panggil apa?”
“Panggil
macam kawan-kawan lain. Zana. Itu lebih menarik dan lebih friendly. Kalau awak panggil saya ‘tengku’ bunyi macam ada beza
pulak kita ni.”
“Memang
kita ada bezanya Tengku.”
“Zana.”
Tengku Suzana membetulkan.
“Ya,
maafkan saya.” Mariah terjeda seketika. “ Memang kita ada bezanya Zana. Awak
dan kawan-kawan lain anak orang senang. Orang bandar. Saya anak orang susah.
Orang kampung.” Komentar yang dikeluarkan Mariah berbaur inferiority complex. Penuh rendah diri.
Tengku
Suzana yang masih berdiri dan memegang bahu Mariah tersenyum. Tengku Suzana
malah mengambil tempat duduk di sebelah Mariah. Meja itu memang kosong kalaupun
bukan kerana waktu rehat. Mariah sejak awal tahun sudah duduk seorang diri di
belakang tanpa seatmate. Mariah yang
memilih untuk duduk di situ. Senang, tidak libatkan sesiapa. Dan rasanya,
kawan-kawan sekelas memang berterima kasih yang teramat kerana Mariah tidak
memilih siapa-siapa antara mereka untuk jadi seatmatenya. Siapa mahu jadi
rakan semeja Mariah? Baunya boleh membantutkan tumpuan pada pelajaran.
Mariah
menanti jawab Tengku Suzana.
Tengku
Suzana tersenyum.
Mariah
kaget dengan senyuman manis Tengku Suzana. Dia dapat merasakan keikhlasannya.
“Apabila
awak sebut pasal orang bandar dan orang kampung saya teringat pula pasal cerita
ayam kampung dan ayam bandar. Awak rasa mana lebih cerdik antara ayam kampung
dan ayam bandar?”
“Tentulah
ayam bandar.”
“Tak.
Pada saya ayam kampung lebih cerdik. Ayam bandar hidup terkurung, dalam barisan.
Bersaf-saf. Makan belakang buntut kawan. Ayam kampung tak. Kalau ayam kampung
berlawan pula, mereka akan lawan habis-habisan. Kejar sana, kejar sini.
Tentu-tentu tuan punya ayam kena leraikan. Ayam bandar yang terkurung tak. Tau
makan saja. Cerdik kah tu?” Terang Tengku Suzana panjang lebar.
Mariah
gagal menangkap maksud kata-kata Tengku Suzana. Dia menggaru-garu kepalanya
yang sedikit gatal.
“Tak
faham?” Tengku Suzana menduga.
“Saya tak
faham, apa kaitan ayam tu dengan kita?” Mariah kembali menyoal.
“Anak
kampung lebih banyak pengalaman berbanding anak orang kota. Tahu uruskan
kehidupan sendiri, dah banyak rasai pahit maung. Orang macam kami cetek
pengalaman. Kami maju external, tapi internal tak. Tak ada keyakinan diri.
Sering bergantung harap pada mak ayah. Cuba tengok, kalau dua orang remaja.
Dari kota dan dari kampung, jika dilepaskan pada satu tempat, yang mana boleh survive?”
Mariah
meneguk liur mendengar kata-kata Tengku Suzana yang berbaur kematangan. Dia
memang tidak mahu menafikannya. Dia kemudian melontarkan pandangan jauh-jauh.
Mengenangkan diri dan juga latar keluarganya. Sejak leluhurnya lagi tradisi
hidup mereka tidak berubah-ubah. Tiada kemajuan. Itu boleh dianggap suatu
keberuntungan kah?
“Awak tak perlu rasa rendah diri
Mariah. Dari satu sudut, kita semua sama
saja. Tak lebih tak kurang.”
“Tak semua orang fikir macam awak
Zana.” Suara Mariah kemudiannya walau masih kekok-kekok menggunakan nama ‘Zana’
untuk merujuk kepada Tengku Suzana.
“Peduli apa kata orang.” Tengku
Suzana terjeda di situ. Wajah Mariah tunak direnungnya. “Tapi rasanya bukan
soal itu yang mengganggu awak dua tiga hari ni, kan Mariah?” Tengku Suzana
bersuara lagi.
“Kenapa awak boleh cakap macam
tu?” Mariah sedikit keralatan.
“Saya ada perhatikan awak. Awak sedikit
lain dalam dua tiga hari ni.”
Mariah terkelu. Tidak menduga
masih ada seseorang yang sanggup dan menyedari akan perubahan laku dirinya. Dia
tidak faham mengapa Tengku Suzana harus memberikan dia perhatian sebegitu.
“Ceritalah kalau awak ada masalah.”
Tengku Suzana menyentuh tangan Mariah lembut.
Lama tangan Tengku Suzana berada
atas tangannya sehingga Mariah dapat merasakan kehangatan dan kehalusan
tangannya. Tentu Tengku Suzana tidak pernah melakukan apa-apa kerja rumah.
Memasak, membasuh pinggan, jauh sekali untuk menimba air di telaga. Sebab
itulah tangannya halus, mulus. Malah semua yang muluk-muluk terlintas dalam
benak Mariah berkaitan kehidupan Tengku Suzana. Sekali lagi Mariah rasa rendah
diri.
“Awak ada masalah wang? Tak cukup
duit nak buat belanja?” Tebak Tengku Suzana. Suaranya benar-benar kedengaran
ikhlas di perdengaran Mariah. Matanya pula tidak lepas daripada memandang
Mariah.
Mariah sekali lagi terkelu.
Sesiapapun yang melihat dia akan menebak perkara yang sama mungkinnya. Apa lagi
sinonim dengan Mariah jika tidak wang? Jika tidak duit? Mariah tidak salahkan
Tengku Suzana jika lancar mulut menduga hal sedemikian. Masalah kewangan sampai
bila-bila pun memang akan menjadi masalah domestik baginya seisi keluarga.
Dan memang pun, Mariah berada
dalam keadaan maha tidak lugu sekarang bertitik-tolak kerana dilahirkan dalam
keluarga susah. Tiada wang. Jika ada cukup-cukup untuk makan. Dan itupun sudah
menjadi suatu kemujuran.
Kerana jumlah wang yang ada dalam
genggaman terlalu minimum pada satu-satu masa membuatkan Mariah nekad menyeluk
saku ayahnya, Mokhtar. Ketika itu dia langsung tidak memikirkan berang Mokhtar.
Dalam benaknya hanya sapu tangan bergambar kucing berwarna merah jambu sahaja.
Padahnya, Muzamil kini terlantar kerana menanggung salahnya. Sedang dia santak
hari itu takut untuk menjelaskan hal sebenar kepada ibu bapa.
Mariah tanpa sedar menitiskan air
bening.
“Kenapa awak menangis Mariah?”
Mariah tersentak. Pantas disapu
air bening dengan tapak tangannya. Tapi sudah terlewat. Tengku Suzana memang
sudah sempat melihatnya.
“Mariah. Kita nak periksa minggu
depan, kalau awak terus macam ni mungkin jejaskan result awak.”
Mariah tidak tertahan lagi. Dia
terharu dengan perhatian yang diberikan oleh Tengku Suzana kepadanya. Mengapa
Tengku Suzana harus berbuat baik kepadanya? Kali ini air mata gagal dikawal.
Laju merembes membasahi pipinya. Tengku Suzana yang memerhati diterjah rasa
ingin tahu yang amat sangat. Duganya Mariah sedang menghadapi konflik yang
memuncak.
“Ceritalah. Mungkin dengan
bercerita awak lebih tenang Mariah.”
“Saya ada seorang adik.
Satu-satunya saudara yang saya ada...” Mariah menahan tangisan.
Tengku Suzana sedia menunggu
Mariah melanjutkan suaranya.
“Sekarang adik saya tu demam.”
Mariah berhenti di situ lagi. Menarik nafas dalam-dalam.
Oh... begitu kata hati kecil Tengku Suzana. Dia
merasa sedih sebab adik kesayangannya demam.
“Jangan bimbang Mariah, kalau
demam tu biasa-biasa saja, dua tiga hari lagi pasti dia akan baik.” Tengku
Suzana cuba untuk menyedapkan hati Mariah.
“Bukan itu masalahnya. Adik demam
sebab saya. Ayah belasah dia sebab saya!” Mariah berkata lagi berselang-seli
dengan sedu-sedan.
Mariah menekup mukanya dengan
tangan. Tengku Suzana tergelujat. Dia mudah jadi sentimetal jika lawan
bercakapnya menangis. Dia pun turut merasa ingin menangis sama.
“Mariah, janganlah macam ni.
Kalau awak nangis, saya pun rasa nak nangis sama. Cuba awak cakap baik-baik.
Kita sama-sama kongsi masalah. Baru lega sikit perasaan tu.” Tengku Suzana
bersuara memujuk sambil mengusap bahu Mariah dengan lembut dan penuh
keikhlasan.
“Awak tak akan faham. Awak tak
pernah jadi kakak yang sungguh tak berguna macam saya.”
“Mana saya nak faham kalau awak
asyik nangis Mariah.” Tengku Suzana berkata.
Dia sebenarnya sudah tidak tahu
nak buat apa. Pertama kali berbual panjang dengan Mariah berlaku dalam suasana
melankolik seperti itu. Dia kalut juga menanganinya. Dia bukan kenal sangat
Mariah walaupun sudah tiga tahun berada dalam tingkatan yang sama. Terbit juga
rasa kesal kerana mengusik Mariah dengan menggasak pertanyaan demi pertanyaan
tadi. Tapi Tengku Suzana berniat ikhlas.
“Maafkan saya Mariah kalau
mengusik tenang awak tadi, niat saya cuma ingin membantu.” Nada Tengku Suzana
apologetik. Dia sememangnya rasa bersalah mencipta tangis Mariah.
Masakan tidak, jika dia tidak
datang mengganggu bertanya itu ini, Mariah mentak tidak semelankolik itu. Kini
Mariah sudah melankolia. Dia merasakan dia puncanya. Dia punca Mariah kini
terperangkap dalam belukar tangis yang penuh duri kesakitan.
“Tak. Saya faham niat awak Zana.
Saya dapat rasa awak tak seperti kawan-kawan kita yang lain. Awak ikhlas. Sebab
tu saya terharu,” suara Mariah kemudiannya.
Tengku Suzana mencalit senyuman
pada wajah. Syukur. Mariah faham akan keikhlasannya. Sekilas dia memandang jam
ALBA di pergelangan tangan. Sekejapan pula memandang Mariah yang sedang mencari
kestabilan diri sambil mengesat sisa mata. Ada lebih kurang setengah jam lagi
masa sebelum waktu rehat berakhir. Masih sempat kiranya Mariah ingin berkongsi
lara. Tentang... tentang apa tadi? Ah, Tengku Suzana teringat, menurut Mariah
adik kesayangannya jatuh sakit kerana dia. Dibelasah ayah kerana dia. Menarik
juga masalah Mariah dua beradik ni. Tengku Suzana sudah mula dipagut rasa ingin
tahu.
“Minggu lepas, sebab teringin
sangat memiliki sapu tangan yang Nadirah jual tu...” Mariah memulakan dengan
mencipta jeda di situ. Sengaja mahu mencari kekuatan untuk membuka kelemahan
sendiri.
Sungguhpun begitu dia memang
memerlukan seseorang yang dirasakan dapat berkongsi mendengar masalahnya.
Selagi dia tidak luahkan, kepalanya rasa terhenyak. Berdengung-dengung. Mentak
Tengku Suzana orang bersesuaian memandangkan keikhlasannya.
“Saya telah mengambil wang
sebanyak lima puluh sen dari kocek seluar ayah.” Mariah menyambung.
Kening Tengku Suzana bercantum.
“Lalu ayah awak menyangka adik awak yang ambil lalu memukulnya?” Tebak Tengku
Suzana mencantas kata-kata Mariah.
Menggeleng.
“Ayah tanya kami, siapa yang
ambil. Saya takut nak mengakui. Ayah putuskan untuk rotan kami berdua. Belum
sempat rotan ayah melibas belakang saya sebagai yang sulung, adik terlebih dulu
menghalang ayah dan mengakui dia yang melakukannya.”
Tengku Suzana membeliakkan mata
mendengar pengakuan Mariah. Terkejut dengan kesanggupan adik Mariah membelanya.
Kalau dia, mati hidup balik dia tidak akan melakukan perkara sedemikian.
Tambahan pula ikatan persaudaraan antara dia dan adik-beradiknya tidak serapat
mana. Mereka malah mahu saling tuduh-menuduh jika berlaku sesuatu. Mariah
dikira bertuah sebab mempunyai seorang adik yang sanggup untuk menjadi galang
ganti. Mariah memang lebih beruntung berbandingnya. Mungkin itu juga kelebihan
orang kampung, mereka mempunyai ikatan kasih sayang yang kuat berbanding orang
bandar seperti Tengku Suzana.
“Saya rasa bersalah sangat Zana.
Adik pula langsung tak mau menyalahkan saya meski berkali-kali saya meminta
maaf daripadanya. Saya tak faham mengapa adik sanggup buat semua tu. Tapi dia
memang telah membuatkan saya malu sangat. Saya kakak yang tak guna Zana.”
Mariah meluahkan lagi sebelum menarik nafas dalam-dalam.
Tengku Suzana menelan ludah
mendengar Mariah meluahkannya. Kemudian dia menyentuh tangan Mariah untuk
memberikan Mariah kekuatan.
“Anggap semua tu pengajaran
Mariah. Kalau tak jadi macam tu mungkin awak tak sedar adik awak terlalu
sayangkan awak. Pada saya dia buat semua tu didorong rasa sayangnya pada awak.
Awak bertuah punyai adik sepertinya. Lepas ni bertekadlah untuk melakukan yang
terbaik buatnya,” nasihat Tengku Suzana lagi.
Dia kemudian sekali lagi
memandang jam apabila melihat ada beberapa orang kawan sudah pulang dari
kantin. Tinggal kurang lebih sepuluh minit lagi untuk masa rehat berakhir.
“Kasihan awak Zana. Hari ni awak
tak sempat nak keluar makan sebab temankan saya,” suara Mariah sambil menyapu
sisa mata bimbang terkesan dek rakan-rakan lain.
“Tak apa. Sesekali bukan boleh
bawa mati pun. Awak tu, saya tengok tiap-tiap hari tak keluar ke kantin.”
Tengku Suzana menjawab sambil memandang tunak.
Mariah mengetap bibir. Kepalanya
mula tertunduk kembali.
BAB SEBELAS
Mokhtar
melepaskan lelah di atas meja mesin getah keping sambil meneguk air masak yang
dibekalkan dari rumah sementara menunggu susu getah yang telah dicampur cuka
getah membeku. Kala itu banyak yang bermain di benaknya. Nun di rumah, Muzamil
terlantar demam sejak seminggu lalu. Usahkan hendak bangun ke sekolah, hendak
bangun ke dapur membuang air pun tidak
mampu. Muzamil memang tidak pernah sakit seteruk itu sejak dia besar.
Seingatnya,
hanya sekali Muzamil jatuh sakit seusianya. Itulah, semasa awal kelahirannya
dulu. Sakit yang teruk di musim tengkujuh hingga membuatkan Mokhtar suami
isteri hilang pertimbangan. Lalu akhirnya membenarkan Murni dibawa pergi oleh
arwah Mek Kalsom hingga hilang jejak santak hari itu.
Ketika
itu Mokhtar suami isteri kalut dan tidak lugu benar dengan kesihatan Muzamil.
Sanggup buat apa saja untuk memastikan kesihatan Muzamil yang baru lahir. Ya,
buat apa saja. Sehinggakan berpisah dengan Murni pun mereka sanggup.
Tapi
seminggu lepas, dia sendiri telah menjadi punca akan kegentingan Muzamil
sekarang. Dia memang terbedal kesal. Tambah-tambah kesal dia apabila isteri
yang sebelum ini tidak pernah menunjukkan tanda memprotes menjadi sedikit
dingin. Sedikit lain. Walaupun tidak teramat. Itu sudah cukup menggugat resah
Mokhtar.
Dia
sayangkan isterinya.
Dia
sayangkan anak-anaknya.
Dia
sayangkan keluarganya.
Sayang
yang amat.
Keluarganya nadi. Keluarga
jantung. Keluarganya segala-galanya.
Mokhtar sayangkan mereka. Sayang
yang tidak pernah boleh ditukar ganti dengan apa jua. Cukuplah sekali dia
melakukannya dulu terhadap Murni. Menukar Murni dengan kesihatan Muzamil.
Padahal kalau dia terus memelihara Murni, belum tentu Muzamil akan kehilangan
nyawanya.
Mokhtar
mengelap peluh yang berjurai di dahi. Masih merenung jauh ke depan. Sesekali
menghamburkan nafas kasar. Terakam di benaknya Muzamil tertiarap lesu di
pertiduran dengan belakang tubuhnya berbirat-birat. Saban malam pula Azizah dan
Mariah akan menjaga Muzamil yang sering meracau. Apabila kedua-dua mereka turut
terlelap, Mokhtar akan merapati. Menggunakan cahaya pelita untuk membantu
suluh, dia meneliti kesan berbirat di belakang Muzamil. Merah berjalur. Terang.
Mokhtar
sebak sendiri kemudiannya. Sebagai bapa dia kesal. Kesal kerana terlalu
mengikutkan marah. Walhal, Azizah terlebih dahulu pernah mengingatkan agar
berlembut dulu. Nasihati mana-mana yang salah dalam perilaku dan tingkah
anak-anak. Kemudian beri amaran agar anak-anak tidak mengulangi. Bukan terus
menghukum seperti itu. Menghukum melulu kesannya dia juga yang merasa.
Mokhtar
menelan ludah. Kata-kata Azizah mula diakui kebenarannya.
Dek
menghukum melulu, dia juga kini merasa kesalnya. Padahal jumlah bukan banyak.
Hanya lima puluh sen. Bukan lima ringgit. Lima puluh sen bukan besar sangat.
Tapi ego seorang bapa menuntutnya memberi hukuman. Dengan alasan mahu mengajar.
Kelak anak-anak takut untuk mengulangi. Walhal sudahnya dia juga yang merasa
gelisahnya. Dia juga terketik laranya. Muzamil kini sudah seminggu tertiarap
lesu.
Anak tak
pernah merasa sakit. Anak tak pernah ditangankan. Sekali kena mungkin terugah.
Ya Allah, apa yang telah aku
buat?
Mokhtar memicingkan matanya. Cuba
menghalau bayangan Muzamil yang meracau di malam hari. Sakit hati Mokhtar kala
itu hanya Tuhan yang tahu. Isterinya tidak tahu, anak-anak juga tidak tahu.
Mereka melihat Mokhtar seakan lena tidurnya. Sedikit pun tidak terganggu.
Padahal dalam seminggu itu dia langsung tidak dapat melelapkan matanya. Dia
memikirkan Muzamil.
“Untuk menunjukkan ketegasan
seorang bapa bukan dengan cara menghukum membuta-tuli. Nasihat lebih baik.
Anak-anak akan lebih menghormati kita. Menghukum mungkin akan membuatkan
anak-anak berdendam.”
Itu suara Pak Matlob. Bersiponggang
kembali dalam benak Mokhtar.
Komentar sedemikian Pak Matlob
luahkan semasa ke rumah Mokhtar untuk menghantar gaji menoreh getah kepada
Mokhtar setelah getah keping yang dihasilkan Mokhtar dijual ke pekan.
Tiada siapa bersuara meluahkan
kepada Pak Matlob bahawa Muzamil dibedal oleh Mokhtar. Dia membuat andaian
sendiri melihat Muzamil tertiarap di pertiduran kerana kesan rotan di belakang
menyebabkan dia tidak boleh berbaring pada awal-awal menerima penangan Mokhtar.
Sebagai orang tua Pak Matlob boleh mengagak. Kalau tidak dilibas rotan, apa
lagi? Kerana itulah Pak Matlob bersuara.
Mokhtar ketika itu diam saja.
Terasa bengang juga kerana merasakan Pak Matlob tidak patut masuk campur urusan
keluarganya. Dia hanya majikan. Bukan siapa-siapa. Namun, mengenangkan rasa
hormat kepada Pak Matlob, Mokhtar hanya mendiamkan diri. Bungkam.
Sungguhpun demikian, beberapa
hari kemudian dia mula mengulangi ayat-ayat Pak Matlob dalam benaknya.
Kebenaran memang di pihak Pak Matlob. Lelaki yang sering bercakap dalam versi
lembut dengan sesiapa jua. Mungkin dengan anak-anak demikian juga. Nada
suaranya tidak bervariasi. Penuh tertib dan lembut. Memang Pak Matlob baik
orangnya.
Malah Pak Matlob sebenarnya
menggantikan orang tua Mokhtar dan Azizah. Pak Matlob selama ini memang menjadi
tempat mereka seisi keluarga mengadu hal. Lalu apabila sesekali Pak Matlob
vokal, menegur mana-mana silap Mokhtar, Mokhtar tidak boleh berlanjut hati.
Menyimpan singgung terhadap Pak Matlob. Itu sudah dikira tanggungjawab Pak Matlob
juga.
Masalah sekarang bukan Pak
Matlob, tapi Mokhtar. Dilema Mokhtar kini memuncak mengenangkan anak yang masih
tidak bermaya. Kalaulah masa boleh diulang. Ah, itu tidak boleh. Dalam agama
pun, perkataan ‘kalau’ dilarang disebut. Menyebut kalau itu dan kalau ini
memberi implikasi tidak redha dengan ketentuan Ilahi.
Mokhtar menelan ludah sekali lagi
walau tekak terasa berpasir.
Macam mana? Macam mana aku boleh
tebus rasa bersalah ini?
Mokhtar merengus. Sedalam mana
dia fikir sekali pun, perkara sudah berlalu. Tinggal lagi dia harus membaiki
segala kelemahan yang ada pada dirinya sebagai seorang bapa. Dia tekad.
Mokhtar bangun. Tidak mahu terus
alpa dibawa arus resah sedemikian. Ke bekas yang terisi susu getah dicampur cuka tadi. Memeriksa kalau-kalau
sudah boleh dijadikan keping. Berpuas hati dengan keadaan getah dalam takungan,
Mokhtar mengangkatnya, membawa ke pelantar untuk dibentuk kepingan. Sebelum
membalikkan takungan untuk membuang getah yang sudah beku, Mokhtar ke telaga
berhampiran pondok tempat letaknya mesin. Menimba air sebaldi lalu disimbah ke
pelantar.
Kerja memproses kepingan getah
dimulakan secara manual. Mokhtar
menekan-nekan getah anjal dengan tangan.
Melenyek-lenyek hingga bekuan getah tadi menipis. Bau getah memang terbangkit naik,
tapi bau itu sudah kalis di hidung Mokhtar. Tidak menjadi apa-apa hal
kepadanya. Bukan kepada dia seorang, malah seluruh keluarganya. Malah kepada
orang kampung kebanyakannya.
Ruang lingkup khalayak di situ
memang sinonim benar dengan getah. Bezanya, mungkin mereka membuat getah di
kebun sendiri, sedang Mokhtar secara tradisi lagi hanya makan gaji di kebun
orang. Mujurlah Pak Matlob sudi menggajikannya. Kalau Pak Matlob mahu toreh
sendiri? Tertutuplah salah satu punca rezeki Mokhtar.
Mokhtar menyegerakan kerjanya.
Usai semua itu dia harus ke padang tempat dia meninggalkan lembu. Dia harus
membawa lembu ke tempat yang lebih teduh. Kasihan juga kalau dibiarkan di
tengah panas. Dalam masa yang sama, kena juga bawakan sebaldi air buat lembu
tersebut, nanti kehausan pula. Lembu bukan tahu nak cari sendiri pun.
“Itu ayah!” Mariah berseru melihat Mokhtar pulang.
Seruan Mariah menyebabkan Mokhtar
mengangkat wajah. Menghala ke rumah. Di tangga rumah Pak Matlob tersenyum
kepadanya. Di tangan ada segulung tali. Mokhtar mengerutkan kening. Dia
mengitari seluruh ruang depan tangga. Nah, di atas pohon mempelam, seekor beruk
sedang enak menjamu selera dengan putik mempelam. Sebaik melihat Mokhtar
mampir, beruk itu mengeluarkan suara.
“Huh! Huh!” Suara si beruk.
Mungkin menyapa, mentak juga memberi amaran akan kehadirannya.
Mulutnya ternganga-nganga ke arah
Mokhtar. Menampakkan giginya yang belum bersiong. Melihat pada romanya, Mokhtar
dapat mengagak usia beruk itu masih muda. Badan belum agam benar dan siong belum
tumbuh. Hanya beruk matang yang mempunyai siong. Mokhtar memerhati ke arah si beruk yang mula
menghenjut-henjutkan dahan. Mulutnya sama bising dengan gerak tubuh.
Tertanya-tanya juga Mokhtar apa
tujuan Pak Matlob ke rumahnya membawa bersama seekor beruk.. Bila pula masanya
Pak Matlob membela beruk? Dua tiga hari lepas semasa dia ke rumah Pak Matlob
membawa getah keping untuk dijual Pak Matlob ke pekan beruk itu masa belum ada.
“Lambat pulang hari ni,” sapa Pak
Matlob berbasa-basi.
“Saya ke tempat lembu dulu Pak
Matlob.” Mokhtar membalas sambil membuka kasut getahnya. “Hah, kenapa pulak Pak
Matlob tak ke atas? Panas kat bawah ni.” Mokhtar berkata sambil mendongak
melihat terik matahari.
“Tak apa, tak apa. Kat bawah ni
saja. Lagipun aku datang ni nak serahkan beruk ni kat kau.”
Mokhtar berkerut kening. Belum
sempat suara melompat rengkung, Azizah datang membawa minuman, Mokhtar menyambutnya.
“Untuk Pak Matlob?” Soalnya
kepada Azizah.
“Dah, dah. Aku dah minum tadi.”
Pak Matlob cepat-cepat memberitahu mewakili Azizah.
“Minum Pak Matlob...” Mokhtar
berbasa-basi.
“Ya, silalah.” Pak Matlob
tersenyum menjawab.
Mokhtar meneguk air masak dari
gelas sambil mata tunak ke arah si beruk yang kini sedang memuncung-muncungkan
mulutnya. Kemudian menyeringai-nyeringai pula sebelum seketika kemudian
menjuih-juihkan bibirnya. Kalau hilang sabar, boleh geram dibuatnya melihat
memek muka si beruk. Mokhtar penat-penat beruk pual termemek-memek seakan
memperlinya. Bengkak sungguh. Tapi masakan Mokhtar nak lebih-lebih marahkan
beruk, bukan tahu apa beruk tu.
“Apa tadi Pak Matlob?” Mokhtar
kembali menyoal selesai menghabiskan minumannya.
“Ni, beruk ni. Kawan aku yang tinggal kat Pulau Raya tu, dia dah tak
larat main beruk lagi. Dia jualkan kat aku yang muda. Muda pun dah pandai ambil
kelapa. Dah terlatih sejak kecil.”
“Jadi, apa hal pula Pak Matlob
bawa ke sini?”
“Aku cadang nak bagi kau bela.
Boleh kau bawa ambil kelapa ketika lapang dan musim-musim tak boleh menoreh.
Ada juga pendapatan kau Mokhtar.”
“Saya mana mampu nak beli beruk
ni Pak Matlob...” Mokhtar mendatar.
“Aku bukan nak jual. Nak suruh
kau bela. Hasil nanti kita bagi dua. Macam kau toreh getah tu.”
Mokhtar memandang Pak Matlob.
Beruk pula? Dulu lembu dia kasi pawah. Sekarang lembu dah beranak. Ibu Mokhtar
sudah serahkan balik pada Pak Matlob. Tinggal anak saja. Sekarang beruk pula?
Pak Matlob memang sengaja mahu kasi Mokhtar murah rezeki nampaknya.
“Kau setuju?” Tanya Pak Matlob
melihat Mokhtar tidak bersuara.
“Saya bukan tak setuju. Cuma
terfikir-fikir, bolehkah saya? Saya bukan pandai main beruk ni.” Mokhtar
berkata ragu-ragu. Dia memang tidak pernah tahu sikap dan peel beruk. Karang
parah pula.
“Alah, beruk ni jinak. Tak gigit
orang. Makan pun tak payah. Campak apa saja dia makan. Jangan batu atau kayu
sudah.” Pak Matlob memberi keyakinan.
“Banyak untungnya ada beruk bagi
kita orang kampung ni Mokhtar. Tu, kat kebun getah aku tu, kan banyak pohon
petai, jering dan kerdas. Dah ada beruk ni senang, kasi beruk panjat. Jenuh
berduit kau nanti Mokhtar. Kalau bab buah-buah ulam tu, kau ambil untuk kau
semua sekali, kasi aku dua tiga tangkai sekali petik jadilah. Buat makan nasi.”
Pak Matlob memberitahu lagi menyedari Mokhtar bungkam.
Dia memang tidak berkira mana
dengan Mokhtar. Dia tahu Mokhtar bukan ada punca pendapatan lain. Dia tidak
mahu berlokek. Kalau dia murahkan rezeki orang, Allah akan murahkan pula
rezekinya di dunia dan akhirat. Lagipun buat apa dia bakhil terhadap rezeki di
dunia yang peratusannya hanya sepuluh sahaja. Nun, di akhirat nanti dia bakal
dapat rezeki sembilan puluh peratus yang telah dijanjikan Tuhan. Pak Matlob
sebenarnya kejarkan yang di akhirat itulah. Dunia ini hanya bersifat sementara,
buat apa terkejar-kejar untuk sesuatu yang akan berakhir. Kekalnya di akhirat
kita papa kedana. Tiada erti begitu.
Allah telah berjanji. Sebagai
makhluk wajib yakin akan janji Allah. Janji Allah janji yang tentunya akan
tertunai. Janji Allah, bukan janji malaikat, bukan janji para rasul atau para
anbia, bukan juga janji para wali dan alim-ulamak, tapi janji Allah. Janji yang
sudah pasti tertunai. Dek kerana itu Pak Matlob sering berbuat baik sesama
manusia kerana mahukan ganjaran yang dijanjikan Allah dalam Al-Quran.
Hablumminallah, hablumminanass. Bukankah itu yang dituntut Allah?
Berbuat baik terhadap Allah, maksudnya melakukan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan larangan-Nya. Bukan mengada-adakan itu ini. Allah sudah ada semua.
Dia maha memiliki. Kemudian berbuat baik sesama manusia. Itu juga dituntut.
Orang susah kena tolong. Bukan setakat itu saja, kena permudahkan urusan sesama
manusia, maka Allah juga akan permudahkan urusan kita. Pak Matlob senang
berpegang kepada perkara itu. Dia yakin tidak rugi berbuat baik sesama manusia.
Berkongsi kesenangan hidup bersifat sementara. Kelak dia akan mendapat
kesenangan hidup kekal abadi di akhirat.
Dalam masa yang sama, tindakan
Pak Matlob itu sebenarnya sebagai tanda syukur akan rahmat Allah atas
kesenangannya. Kesenangan yang Pak Matlob nikmati itu tidak lain dengan rahmat-Nya juga. Il-la rahmatam minnaa wamataa’an ilaa-hiin.
Melainkan dengan rahmat Kami, Kami berikan kesenangan hidup buat sementara
waktu. Demikian firman Allah s.w.t. Tiada sesiapa boleh menafikannya termasuk
juga Pak Matlob melainkan orang-orang kufur yang belum terbuka pintu imannya.
Sekarang
Pak Matlob mahu serahkan pula beruk yang baru dibelinya kepada Mokhtar untuk
membantu Mokhtar. Dia mahu sama-sama berkongsi manfaat daripada binatang
ternakan itu. Memang banyak manfaat Allah jadikan binatang-binatang ternakan
dan peliharaan kepada manusia. Pak Matlob kembali teringat beberapa ayat dalam
surah Yasiin yang selalu dibacanya lewat dia mengkhatamkan Al-Quran saban
malam.
Awalam yarau annaa khalaqnaa lahum mim-maa
‘amilat aidiinaa an-‘aa-mam fahum lahaa maalikuun. Watzal-lalnaahaa lahum
faminhaa rakuu buhum waminhaa ya’ kuluun. Walahum fiihaa manaa
fi-‘u-wamasyaarib, afalaa yasykuruun. Begitu firma Allah dalam ayat tujuh
puluh satu hingga tujuh puluh tiga surah Yasiin yang membawa maksud: Apakah
mereka tidak mengetahui, bahawa Kami telah menjadikan binatang-binatang ternak
dengan kekuasaan Kami untuk mereka milikinya. Dan Kami jinakkan binatang itu
dengan mereka, sebahagian untuk dijadikan kenderaan mereka dan sebahagian lagi
untuk makanan mereka. Dan daripadanya mereka mendapat manfaat seperti bulu,
susu untuk diminum. Kenapakah mereka tidak berterima kasih?
Bagi Pak
Matlob ayat itu jelas bertujuan agar manusia sebagai hamba-Nya yang esa tahu
mensyukuri nikmat Tuhan atas kurniaan binatang yang pelbagai. Lalu sebagai
salah satu tanda mensyukuri nikmat Tuhan Pak Matlob dengan senang hati
berkongsi manfaat atas satu-satu jenis ternakan dan belaannya. Tindakan Pak Matlob tidak dianggap sebagai
suatu kerugian kerana semuanya bekalan untuk hari kekal nanti. Itu yang selalu
Pak Matlob katakan apabila ada yang mempertikaikan segala tindakan tanduk Pak
Matlob.
“Kau
setuju Mokhtar?” Pak Matlob mengejutkan Mokhtar.
Mokhtar
sedikit tersentak disapa begitu. Sekilas dia menunakkan pandangan ke wajah
jernih Pak Matlob. Ah, lelaki tua ini memang banyak budi terhadap aku
anak-beranak.
“Kalau
Pak Matlob sudi membantu, saya lebih sedia menerima.”
Pak
Matlob tersenyum. Tali yang merantai beruk bertukar tangan. Dia mengarahkan
Mokhtar cuba merapati beruk yang terhenjut-henjut di dahan pohon mempelam.
Berkaok-kaok si beruk tatkala Mokhtar merapati. Pak Matlob menasihati Mokhtar
agar pura-pura bengis terhadap si beruk supaya beruk tersebut ngerikannya.
Dengan cara itu beruk tidak akan berani menyerang. Mokhtar beraksi seperti yang
dinasihatkan. Hasilnya beruk membelakangi Mokhtar, merelakan belakang diusap.
Mokhtar
tersenyum. Bukan susah sangat mahu merapati beruk. Gumam hati kecil Mokhtar.
“Kan aku
dah kata. Beruk ni memang jinak. Tapi kau kena ingat satu Mokhtar,
sejinak-jinak beruk ni, kau jangan kasi anak-anak kau dekat, terutama si
Mariah. Isteri kau pun jangan. Beruk mana-mana pun pantang dengan perempuan.”
Pak Matlob sempat mengingatkan.
“Saya
faham Pak Matlob.” Mokhtar bersuara sambil mengukirkan senyuman.
Pak
Matlob memandang jam di pergelangan tangan.
“Aku
balik dululah. Mak Munah kat rumah tentu tengah tunggu aku.”
Dengan
kata-kata itu Pak Matlob bersedia untuk meninggalkan Mokhtar. Mokhtar merapati
Pak Matlob. Menggapai tangannya lalu tunduk mencium penuh hormat.
“Terima
kasih Pak Matlob,” ucap Mokhtar perlahan. Hampir tidak kedengaran.
Mokhtar
sememangnya cukup-cukup terharu dengan kebaikan yang ditunjukkan Pak Matlob. Di
kampungnya memang susah untuk mencari seseorang semulia Pak Matlob. Mokhtar
pernah membayangkan bagaimana hidup mereka sekeluarga nanti andai Pak Matlob
sudah tiada.
“Dah, kau
tak perlu berterima kasih pada aku Mokhtar. Terima kasih pada Tuhan. Aku ni
perantaraan saja. Kata orang rezeki tu tak datang bergolek. Tak turun dari
langit,” ujar Pak Matlob kemudiannya.
Mokhtar
terpisat-pisat. Pak Matlob sentiasa senang untuk mengingatkannya begitu. Bukan
sekali dua dia mendengar kata-kata sedemikian terucap dari mulut Pak Matlob.
Pun dia masih gagal menahan diri daripada mengucapkan terima kasihnya terhadap
Pak Matlob.
Mokhtar
memerhatikan Pak Matlob meninggalkan rumahnya. Kemudian dia kembali bermesra
dengan beruk. Si beruk nampaknya membiarkan saja badannya diusap. Seketika pula
Mokhtar memerhati rantai yang mengikut leher beruk. Dalam kepalanya
terfikir-fikir nama yang sesuai untuk dibuat panggil kepada si beruk. Asyik
beruk-beruk, kasar pula bunyinya nanti.
“Ayah,
mak panggil makan nasi!” Mariah memanggil dari atas jemuran rumah.
Mokhtar
menoleh. Mariah melemparkan pandangan ke arahnya seakan takut-takut.
Huh,
anak-anak masih takut-takut dengan aku! Mokhtar melepaskan keluhan berat.
Kemudian menambat beruk di pohon mempelam buat sementara waktu. Dia bersedia
untuk naik ke rumah. Azizah semestinya sudah bersedia di dapur dengan hidangan
lebih kurang di gelegar buluh.
Mariah
sudah kembali ke dapur. Duduk bertimpuh di depan pinggan nasi. Mokhtar masuk ke
dapur. Melilau mencari kelibat Muzamil.
“Dia
masih tak berdaya nak bangun. Makan pun belum berselera. Zah dah suapkan tadi,
dia tak ingin.” Azizah memberitahu. Seakan mengerti akan tingkah Mokhtar.
Mokhtar
menelan ludah yang terasa kelat. Kemudian mengambil tempat duduk di sebelah
Mariah. Hidangan di lantai diperhatikan satu-satu. Ada sayur lemak cendawan.
Tentu yang dipungut oleh Azizah dalam kebun getah semasa keluar menoreh
bersama-sama Mokhtar pagi tadi. Sayur
cendawan begitu biasanya boleh membangkitkan selera Mokhtar. Dipadankan pula
dengan ikan keli goreng kunyit. Memang menyelerakan. Sungguhpun demikian,
seleranya kaku untuk tengah hari itu.
Kepalanya terbeban oleh kesihatan Muzamil yang masih tidak berubah.
“Kena
bawa ke hospital...” gumam Mokhtar perlahan.
“Hah?”
Azizah inginkan kepastian.
“Adik,
kalau tak kebah-kebah juga demamnya, besok kena bawa ke hospital.” Mokhtar
berkata lebih jelas.
Azizah
dan Mariah berpandangan. Pandangan mereka bersinar-sinar. Sememangnya itulah
yang mereka tunggu-tunggu sejak seminggu itu. Mata Mariah kembali berkaca-kaca.
BAB DUA BELAS
Muzamil sedikit
baik setelah menelan ubat yang dibekalkan pihak hospital. Dia sudah boleh
bangun dari pertiduran. Duduk bertinggung di jemuran rumah sambil memerhati
Mokhtar melayan beruk petang hari. Dalam hatinya langsung tiada dendam terhadap
Mokhtar. Dia tahu, apa juga tindakan Mokhtar terhadapnya, ayah tetap sayangkan
dia.
Malam itu
ayah hanya ingin melepaskan marahnya. Muzamil faham dan tak pernah terniat
untuk marahkan ayah. Muzamil malah cukup terharu apabila malam hari, sekiranya
kakak dan emak tertidur di sebelahnya, ayah akan bangun. Meneliti belakang
Muzamil.
Muzamil
bukan tidak sedar. Dia sengaja pura-pura tidur. Lalu apabila ayah kembali ke
tempat perbaringannya, Muzamil akan mengalirkan air mata. Dia tahu, ayah mana
yang tidak sayangkan anak. Bahasa tubuh seorang lelaki biasanya susah untuk
menterjemahkan kasih sayang. Apatah lagi
secara verbal. Muzamil faham. Muzamil tahu. Dia faham dan tahu kenapa ayah tidak
pernah mahu menunjukkan dan melafazkan kasih sayang semudah kakak dan emak.
Kalau ayah juga macam kakak dan emak, tentu anak-anak tidak hormatkan ayah.
Anak-anak akan besar kepala kerana ayah sayangkan mereka.
“Ayah nak
namakan apa beruk tu?” Soal Muzamil dengan suara serak.
“Nama?”
Mokhtar menyoal kembali. Diam sejenak. “Adiklah namakan...”
“Comel
boleh tak ayah?”
“Comel?
Macam nama kucing. Lagipun beruk ni jantan.” Mokhtar seakan kurang bersetuju.
“Jambul
macam mana ayah?” Muzamil bertanya lagi. Dia menunjuk ke arah kepala beruk yang
sedikit berjambul.
“Jambul?
Jambul pun Jambul lah...”
Muzamil
tersenyum puas. Dia cuba membayangkan
nanti kalau dia sudah sihat dia akan main-main dengan si Jambul. Seronoknya.
Tentu nanti sepulang dari sekolah, selepas membuat kerja rumah yang diarahkan
guru dan membaca lebih kurang, dia akan ke tanah. Bermain-main dengan Jambul.
Muzamil
tergelak-gelak melihat Jambul berdiri tegak sambil membelakangkan ayahnya.
Kemudian Jambul kelihatan seakan menonggengkan buntutnya kepada Mokhtar sambil
membuat memek muka. Cukup melucukan. Kala itu Mokhtar mengarahkan Jambul cuba
memanjat pohon kelapa tepi rumah.
“Huh,
huh.” Mokhtar bersuara kepada Jambul sambil mengarah-arah ke pohon kelapa.
Jambul
tidak mahu mengendahkan. Mokhtar mengambil ranting kayu yang berada dekat
padanya. Pura-pura mahu membedal belikat Jambul.
“Eik!
Eik!” Jambul menjerit. Berlari ke hulu ke hilir dengan gelabah. Giginya
terseringai.
Mokhtar
terus mengarahkan ke arah pohon kelapa. Akhirnya Jambul akur. Dengan pantas dia
memanjat ke atas. Kemudian tanpa perlu diarah lagi, Jambul dengan sendiri tahu
buah mana patut dipulas dan dijatuhkannya. Muzamil bersorak sambil bertepuk
tangan sebaik buah pertama jatuh ke tanah. Sakan benar seronoknya Muzamil
melihat kecekapan Jambul.
Mariah
mendatang ke jemuran rumah. Terdorong untuk melihat sama. Jambul di atas pohon
kelapa berhenti seketika melihat Mariah. Dia mencebir. Kemudian membuat memek
muka yang melucukan apabila menyedari Mariah memerhatikannya. Jambul berbunyi
‘huh-huh’ seakan menyapa Mariah. Muzamil makin ketawa sakan. Mariah hanya
tersenyum sumbing. Juga turut gelihati dengan tingkah Jambul.
Dalam
Muzamil seronok-seronok ketawa itu, Mariah sempat mengambal ke arah belakangnya
yang sudah hilang kesan berbirat. Mariah masih merasa bersalah. Mariah malah
sampai bila-bila pun akan terus merasa bersalah terhadap adiknya. Dia kemudian
mengambil tempat duduk di sebelah Muzamil. Menjuntaikan kakinya ke bawah.
Perlahan-lahan menyentuh lembut belakang Muzamil. Penuh kasih sayang.
Mata bertentang
mata. Muzamil merenungnya lama. Mariah membalas renungan Muzamil. Ada kasih
sayang yang sarat dalam sinar mata Mariah. Muzamil tersenyum. Mariah memeluk
bahu adiknya erat-erat.
Adik!
Bersiponggang seruan itu dalam pembuluh darah Mariah.
Dia ingin
mengucapkan terima kasih, tapi hingga hari itu dia gagal berbuat demikian.
Setiap kali ingin meluahkannya, matanya terasa berpasir. Muzamil pula pantas
menukar tajuk perbualan. Ada masanya bertanyakan kawan-kawan di sekolah. Ada
masanya tentang guru yang bertanyakan akan ketidakhadirannya.
“Boleh
bang?” Azizah bersuara mendatang sambil membawa bersamanya sepinggan lempeng
gandum.
“Boleh.”
Mokhtar menjawab sepatah sambil kepala masih terdongak ke atas.
Azizah
meletakkan pinggan lempeng gandum ke lantai jemuran. Kemudian mengarahkan
Mariah ke dapur mengambil kopi ‘O’ yang sudah siap dibancuh. Dia sendiri sudah
bersila di depan pinggan. Muzamil yang sudah terbangkit selera makannya
memusingkan badan. Tangannya sedia menjamah lempeng untuk dicecahkan dengan
gula di dalam piring. Azizah menepuk tangan Muzamil. Kemudian menunjuk ke arah
Mokhtar. secara non-verbalnya
memberitahu agar Muzamil menunggu ayahnya dulu. Makan sama-sama.
Muzamil
tersengih. Menampakkan barisan giginya yang sedikit berkarat.
“Bang,
minum dulu bang.” Azizah memanggil tatkala Mariah kembali menatang dulang
minuman.
Mokhtar
menoleh sekejap. Kemudian mengarahkan Jambul turun. Sebaik Jambul sampai ke
tanah, Mokhtar pantas mengikatnya di pohon mempelam. Dia mampir mendekati anak
isteri.
Selera
Mokhtar terbangkit melihat lempeng gandum yang masih berasap di pinggan. Mereka
jarang dapat makan-makan begitu petang hari. Jika kebetulan ada duit lebih saja
baru Mokhtar akan membeli gandum sekilo dua untuk buat makan-makan. Jika tidak,
duit yang ada kebanyakan diguna untuk keperluan semata-mata. Dapat makan nasi
tiga kali sehari sudah cukup berterima syukur, apatah pula kalau dapat
makan-makan sampingan petang hari.
“Besok,
abang ingat nak ke kebun Pakcik Wel, kalau ada rezeki, boleh minta ambilkan
buah kelapanya,” beritahu Mokhtar semasa tangannya menjemput lempeng gandum di
dalam pinggan.
“Dah
cekap benarkah beruk tu?” Azizah keraguan.
“Dah mak,
tadi pun banyak biji Jambul dapat jatuhkan ke bawah.” Muzamil mendahului jawab.
“Jambul?”
“Adik,
dia namakan beruk tu dengan nama Jambul.” Mokhtar memberitahu.
Azizah
dan Mariah tersengih. Jambul. Masing-masing mengulangi nama itu dalam hati.
Terasa lucu juga. Ah, Jambul pun Jambul lah. Lebih baik daripada menamakan
dengan nama manusia. Ada sesetengah pendapat alim-ulamak, tidak elok menamakan
binatang dengan nama manusia. Ia seakan sudah menyamatarafkan binatang itu
dengan manusia.
Malah
lagi lucu pada Azizah apabila ada jirannya menamakan beruk dengan nama Faruk.
Bukan main glamour nama itu.
Mengalahkan nama anak-anak sendiri yang agak kekampungan bunyinya.
“Besok
kan Jumaat bang, karang tak sempat ke surau.”
“Sempat.
Sebab Jumaatlah saya nak pergi. Hari lain sibuk nak menoreh pula. Lembu kat
padang boleh minta Mariah tengokkan. Lagipun saya dah rancang, kalau tak
sempat, lepas makan tengah hari saya sambung balik.”
“Berapa
abang nak ambil atas sebiji kelapa?”
“Lima sen
sebiji.”
“Tak
mahal bang?”
“Dollah
hujung kampung tu ambil sampai lima belas sen. Kita dah kira murah lah tu.”
Azizah
menggaru-garu kepalanya. “Suka hati abanglah. Zah bukan tahu banyak pasal ni.”
“Alah,
abang bukan apa. Nak biasa-biasakan Jambul. Kalau asyik terikat di belakang
rumah, pusing keliling pohon bacang tu, boleh lumpuh juga dia.” Mokhtar
menambah lagi. Bimbang juga kemahiran Jambul lupus sekiranya terus-terusan terikat
sahaja.
“Mariah
tolong tengok-tengokkan lembu besok ya?”
“Baik
ayah.”
“Adik
boleh tolong tengok.”
“Adik
duduk rumah dulu. Badan baru nak baik. Minggu depan dah nak periksa tengah
tahun kan? Karang tak boleh ambil periksa sebab demam tak kebah-kebah.” Tukas
Mariah.
Nyata
tidak bersetuju apabila Muzamil menawarkan dirinya untuk menolong. Muzamil
mencebir. Baginya kerja-kerja mengheret lembu ke padang bukan sesuai dilakukan
oleh anak dara seperti Mariah. Biarlah dia saja yang buat. Ditambah pula
Muzamil merasakan badannya sudah cukup sihat. Cuma kelesuan sikit memandangkan
sudah banyak hari menghabiskan masa di pertiduran.
Dalam
pada itu, dalam benak Mokhtar pula ligat mencongak-congak jumlah wang yang
bakal diperolehi jika berjaya mengumpul sebanyak seratus biji kelapa. Dibahagi
dua jumlahnya dengan Pak Matlob tidaklah banyak sangat. Pak Matlob sendiri
tentu tidak akan mengambil hasil yang sudah dibahagi dua jika setakat dua tiga
ringgit. Mokhtar merancangkan untuk mengumpul wang hasil memanjat kelapa
sehingga ke suatu jumlah yang dirasakan berpatutan untuk diserahkan kepada Pak
Matlob. Untuk itu, dia harus giat mencari ruang.
Sebenarnya,
Mokhtar merasakan mungkin tidak cukup masa untuk dia melakukan semuanya. Pagi
menoreh santak hampir zohor baru pulang ke rumah. Itu pun kena ambil tahu pasal lembu di padang
lagi. Kemudian petang biasanya Mokhtar ke hutan. Mencari apa-apa yang patut
dalam hutan. Rotan, akar kayu, semuanya boleh saja selagi boleh memberi
pendapatan kepadanya. Kini aktivitinya bertambah lagi dengan adanya Jambul.
Mokhtar menarik nafas panjang-panjang. Allah mahu berikan dia rezeki dalam
pelbagai sumber seperti itu. Dia bukan pegawai yang boleh duduk sahaja di meja.
Sain kertas projek itu ini, kemudian cukup bulan gaji bank-in. Bukan. Dia bukan orangnya. Tradisinya, dia insan yang
harus bertungkus-lumus untuk menyarasuap anak isteri.
Pun dia
redha sebenarnya.
Mokhtar
teringat suatu kisah berkaitan baginda nabi dulu. Dalam proses menyebarkan
dakwah, baginda ditimpa pelbagai dugaan. Dicaci, dimaki, dicederakan, dihalau
dan pelbagai macam penolakan terhadap ajarannya ditunjukkan oleh pihak Yahudi.
Hingga akhirnya pada suatu hari Nabi Muhammad mengangkat tangan berdoa, mengadu
kepada Ilahi. Di mana Ilahi mahu campakkan dia? Di tempat yang tiada orang? Di
tempat yang penuh ancaman? Dan macam-macam lagilah. Adu nabi, andai itu semua
boleh membuatkan Allah redha dengannya, maka dia sanggup. Lebih teruk daripada
segala ujian itu pun rasul sanggup. Asalkan dia mendapat redha Allah.
Semua itu
menunjukkan kepada sekalian umat manusia, paling penting dalam hidup tentu saja
keredhaan Allah. Lalu Mokhtar akur, buat apa dia jadi orang senang, orang
besar-besar dan berpangkat jika dia tidak ada redha Allah. Sudah tua-tua
begitu, kesedaran untuk mencari redha Allah terlalu kuat dirasakan Mokhtar.
Mendapat keredhaan Allah merupakan sebesar-besar nikmat dalam kehidupan.
Mokhtar memaktubkan begitu.
Apa
ruginya sedikit miskin kalau mendapat redha Allah, apa pula untungnya terlebih
kaya jika hilang redha Allah? Mokhtar selalu juga ingatkan dirinya sendiri
begitu.
Seterusnya,
dia tidak kisah kalau terpaksa bersusah payah mencari rezeki untuk menyarasuap
anak isteri. Itu lebih afdal sebenarnya. Sekurang-kurangnya, setiap ringgit
yang dia dapat tidak tercampur dengan pendapatan haram. Dia sendiri pun tidak
rela menyarasuap anak-anak dengan pendapatan sedemikian. Malah sesekali ada
masanya Mokhtar bersyukur dengan cara dia mencari rezeki buat anak isteri.
Kerja kampung sepertinya jauh daripada kemungkinan mendapat rezeki yang tidak
halal. Bayangkan kalau dia bekerja di pejabat. Masa kerja lapan jam sehari,
satu hari dia menghabiskan masa berbual-bual dengan kawan tanpa menghiraukan
kerja secara puratanya sejam.
Baiklah.
Sejam. Sejam didarabkan dengan lebih kurang dua puluh enam hari masa bekerja.
Jumlahnya tentu dua puluh enam jam. Melebihi sehari masa berbualnya jika
dijumlahkan sedemikian. Maksudnya di situ dia telah off kerja melebihi sehari. Cukup bulan dia menerima gaji penuh
selama sebulan. Tidak ditolak walau sepuluh sen pun walhal dia kerja tidak
cukup sebulan. Menurut ustaz yang datang beri kuliah di surau, untuk masa dua
puluh enam jam berbual dia telah makan gaji buta. Secara senangnya, gaji buta
itu haram hukumnya.
Begitupun
siapa mahu fikirkan demikian? Mereka anggap itu perkara kecil. Siapa mahu
fikirkan?
Mokhtarlah. Mokhtar memang
fikirkan semua itu. Dia tidak mahu anak-anak disarasuap dengan wang sedemikian.
Takut gelap hati anak-anak. Takut hidup anak-anak tidak berkat. Kerana dia
yakin dalam Islam, semuanya dihitung dari sekecil-kecil perkara hingga
sebesar-besarnya. Sebab itulah di akhirat besok, seseorang itu jika ada amal
kebaikan walau sebesar zarah sekalipun sudah boleh dikira untuk membawanya ke
syurga. Lalu, jika di akhirat dihitung sehingga ke tahap itu, masakan di dunia
tidak dikira perkara-perkara kecil yang khalayak anggap remeh-temeh?
Entahlah. Hal-hal demikian pada
orang lain mungkin tidak akan difikirkan sama sekali, tapi tidak pada Mokhtar.
Dia ada pegangan dalam mencari rezeki buat anak-anak. Menyarasuap anak isteri
dengan punca yang halal boleh juga menentukan peel laku anak-anak. Baik
perilaku anak-anak bermula dari akar tunjang lagi. Sesekali dia rasa mahu
ketawa apabila ada masa terdengar sungutan sesetengah individu tentang sikap
anak-anak yang keras kepala dan enggan mendengar kata. Lagi teruk terlibat
dengan gejala sosial yang begitu memualkan. Sedangkan bapanya sendiri, ada
masanya ke kedai taukeh, beli nombor. Manalah anak-anak tidak jadi demikian.
Entah dari punca mana anak-anak diberi makan. Lalu gelaplah perut anak-anak.
Allah pun tak beri rahmat.
Rahmat. Berkat. Redha. Semuanya
datang berangkai. Hidup ini bagi Mokhtar tidak lari daripada Allah. Balik-balik
wajib fikir fasal Dia. Jangan buat sesedap rasa. Mokhtar sejak meningkat usia
semakin fikirkan hal-hal demikian. Pak Matlob banyak memberi contoh kepadanya.
Pak Matlob juga banyak menggalakkan dia ke surau pada masa-masa lapangnya.
“Kerja yang kita buat hari-hari
ni kena bagi dua kepentingannya, satu untuk dunia, satu untuk masa akhirat
kita. Dunia ni bukan kekal mana pun Mokhtar.”
Terngiang-ngiang suara Pak Matlob
dalam kepalanya. Itu teguran Pak Matlob apabila Mokhtar mengatakan tidak larat
ke surau malam hari selepas seharian berpenat masa siangnya.
“Tak guna cukup makan pakai kat
dunia saja kalau kat akhirat besok kau kedaifan tanpa bekal. Lagipun janganlah
buat-buat tak ada masa dengan Allah, nanti besok Allah buat-buat tak ada masa
dengan kita.”
Ah, Pak Matlob kalau sudah
bercakap memang mengalahkan ustaz.
Mendengar nasihat demi nasihat
Pak Matloblah menyebabkan Mokhtar banyak berfikir. Sampaikan soal halal-haram
dalam mencari rezeki. Sampaikan pada soal-soal yang orang lain tidak ambil
peduli. Mokhtar akan fikirkan kemudian hubungkan dengan Allah. s.w.t. Dia temui satu di situ, hidup ini hanyalah
satu, semuanya atas ketentuan-Nya. Sekurang-kurangnya dengan memaktubkan begitu
dalam hatinya Mokhtar akan tenang menghadapi apa jua dugaan hidupnya.
Termasuklah soal penyerahan Murni
kepada arwah Mek Kalsom suatu masa dulu. Walau dia masih memikirkan soal Murni,
kesihatan Murni, kesejahteraan Murni, semuanya tidak lagi dalam versi kesal,
sebaliknya tidak lebih daripada dorongan naluri seorang bapa yang penuh cinta
terhadap anaknya. Mokhtar yakin segala-galanya ada rahmat yang belum didedahkan
Allah kepadanya.
Sebagai seorang muslim, tidak
dapat tidak, seseorang itu harus kembali kepada Allah. Sekiranya kita kembali
kepada Allah s.w.t kita tentu akan merasa lebih tenang. Mokhtar cuba
mempraktikkan ajaran ustaz dan juga peringatan yang sering diberikan oleh Pak
Matlob kepada Mokhtar sekian masa, selama ini. Tambahan pula peringatan yang
disampaikan oleh Pak Matlob itu sebenarnya peringatan Allah juga. Peringatan Allah pula jika diabaikan
merupakan suatu kecelakaan kerana Allah sendiri telah berfirman, barang sesiapa
yang mengabaikan peringatan Allah, maka Allah akan menjadikan hidupnya sempit
sesempit-sempitnya.
“Bang, minum. Dah sejuk kopi
tu...” Azizah menyentuh lembut bahu suaminya yang nampak seakan terlontar ke
daerah entah mana-mana.
Mokhtar sedikit tergelujat.
Dipandang wajah isterinya sekilas. Kemudian beralih ke kopi di lantai jemuran.
Anak-anak sudah tiada. Lempeng dalam pinggan pun sudah licin.
Mokhtar
mengangkat kopi ke bibir mulutnya. Kopi itu sudah sejuk. Sejauh mana fikiran
membawa dia hanyut tadi sehingga kopi menjadi sesejuk itu? Mokhtar tidak
menghiraukan. Kopi sejuk tetap diteguknya.
Pandangan
kemudian diambalkan ke arah Jambul yang
sedang mengelilingi pohon mempelam. Jambul memang tidak reti duduk diam. Jarang
termenung sejak dibawa ke rumahnya. Jambul berhenti seketika menyedari Mokhtar
mengambal ke arahnya. Dia mengeluarkan bunyi ‘huh-huh’ sebelum kembali
mengelilingi pohon mempelam. Mokhtar menghabiskan kopinya sebelum bangun
mendapatkan Jambul.
Azizah
pula mengangkat punggung ke dapur. Membawa bekas makanan dan minuman yang sudah
kosong. Sebelum berlalu sempat menjengukkan kepala ke telaga rumah. Suara
Muzamil ketawa-ketawa dari telaga memberitahunya bahawa Muzamil sudah kembali
baik. Azizah menarik nafas lega. Muzamil nampaknya memang beransur sembuh. Rasa
marah dan protesnya terhadap Mokhtar
juga sudah sembuh.
Azizah
sendiri pun tidak mahu berlama-lama menunjukkan sikap protesnya. Bimbang
Mokhtar terasa hati, boleh jadi derhaka pula dia. Azizah seumur hidupnya, seumur hidup bersama
Mokhtar, tidak sekali-kali terlintas untuk berlaku derhaka terhadap suaminya.
Pun dia jarang menunjukkan muka dalam versi cemberut. Protes tara mana pun
Azizah terhadap Mokhtar, semuanya dilakukan dengan halus dan beradab.
Apabila
hari hampir senja, semua naik ke rumah. Azizah juga sudah bersedia di dapur.
Menyediakan hidangan malam. Malam itu tiada apa-apa yang istimewa, hanya sayur
pucuk paku tengah hari tadi. Pucuk paku yang dikutip Mokhtar semasa dia ke
dusun Pak Matlob pagi tadi membawa lembunya. Di sana memang terdapat banyak
pokok paku pakis termasuk pucuk paku. Kebetulan sudah membawa lembu ke sana,
Mokhtar mengambil peluang mengutipnya. Sekurang-kurang boleh juga dijadikan
juadah mereka seisi keluarga.
Mariah
usai berpakaian turut masuk ke dapur menolong Azizah mana yang patut sementara
Muzamil bermalas-malas di ruang rehat rumah. Mokhtar pula sudah bersedia untuk
turun kembali dari rumah. Rutin Mokhtar pada malam hari, jika tiada apa-apa
urusan kekeluargaan dia akan ke surau. Usia sudah meningkat, Mokhtar mahu
menambah amalan. Membaiki mana-mana yang kurang. Ketika muda dulu dia tidak
terlalu fikirkan sangat soal-soal sedemikian. Dalam kepalanya hanya fikirkan
perut, perut.
Sekarang
semuanya sudah berubah. Mokhtar juga bersyukur dalam usia anak-anaknya kini,
mereka telah lama mengkhatamkan Al-Quran. Malah mengamalkan membacanya setiap
hari kerana pesan Pak Matlob kepada Mokhtar, Al-Quran jangan tidak dibaca lebih
daripada tiga hari, tidak elok.
Azizah
pula akan bersama anak-anak bersolat di rumah. Jarang berjemaah kerana tuntutan
masa. Selalunya jika Azizah di sejadah, Mariah akan tolong tengok-tengokkan
masakan di dapur. Kemudian usai Azizah bersolat, Mariah pula akan mengambil
giliran. Muzamil tidak menentu. Suka-suka dia untuk bersolat ketika bila.
Biasanya Mokhtar, Azizah dan Mariah sendiri memang menggalakkan Muzamil
bersolat pada awal waktu.
Baik
Mokhtar mahupun Azizah sesekali terkenang akan Murni. Tertanya-tanya bagaimana
asuhan keluarga angkatnya kepada Murni. Alangkah rugi andai Murni tidak
didedahkan dengan ilmu agama sebagaimana yang mereka terapkan kepada Mariah dan
Muzamil sejak kecil lagi. Mokhtar dan Azizah bimbang kelak mereka juga akan
dipersoalkan kerana telah menyerahkan Murni kepada keluarga yang mereka tidak
ketahui latar belakang keagamaannya. Hanya tahu mereka juga menganut agama
Islam. Seagama dengan mereka.
Tidak
pula mereka tahu keluarga tersebut penganut melulu kepada agama Islam ekoran
keturunan mereka Islam atau keluarga tersebut penghayat sejati. Runsing juga
mereka kalau-kalau Murni tidak mendapat didikan selayaknya. Maklum saja orang
bandar. Kerja bagus pula, sering Mokhtar dengar cakap-cakap orang, orang bandar
kebanyakannya sibuk dengan kerja saja. Dua puluh empat jam kerja. Hal-hal lain
jarang mahu ambil tahu.
Mokhtar
berdoa agar Murni mendapat yang terbaik bukan setakat kemewahan dunia
semata-mata!
BAB TIGA BELAS
Khalida
memerhatikan Mawar yang sedang mengadap cermin sambil membetulkan ikatan
toncang rambutnya. Sekejap begitu, sekejap begini. Kemudian membuka kembali
ikatan rambutnya. Mukanya sedikit cemberut. Bibirnya muncung ke depan. Sudah
dua tiga kali Khalida perhatikan Mawar membaiki ikatan rambutnya. Entah apa
yang tidak disenanginya. Seakan dia tidak berpuas hati dengan dandanannya
sendiri.
“Lida,
Mawar. Cepat sikit. Dah tengah hari ni!” Kamarul berkaok dari tingkat bawah.
Jelas di
pendengaran Khalida yang hanya tersandar di muka pintu bilik Mawar. Khalida
berjalan menuju ke tangga rumah. Menjenguk Kamarul di bawah. Mengisyaratkan
kepada Kamarul akan Mawar di biliknya. Kamarul berkerut kening. Tidak faham
atau mungkin tidak puas hati mendorong Kamarul naik ke atas.
“Apa?”
Soal Kamarul.
“Anak
dara awak tu...” Bibir Khalida dimuncungkan ke depan.
Kamarul
melepaskan keluhan ringan melihat Mawar masih di cermin. Senyuman terukir
separuh. Melangkah perlahan-lahan mendekati Mawar. Mawar tidak menghiraukan
kedatangan Kamarul walaupun menyedari. Dia masih dengan rambutnya. Sesekali
pula membelek wajah di cermin.
Baru tiga
belas tahun, sudah cerewet soal penampilan. Gumam hati kecil Kamarul.
Hairan juga Kamarul, Mawar
benar-benar cerewet akhir-akhir ini akan penampilan dirinya. Sedangkan sikap
begitu tidak ada pada diri Kamarul mahupun Khalida sendiri. Mereka suami isteri
lebih suka tampil sempoi jika tidak ke acara rasmi. Mawar pula bila-bila masa
pun sudah mahu tampil bergaya. Tampil elegant.
“Apa lagi sayang?” Kamarul
menyoal lembut sambil meletakkan kedua-dua belah tangan ke bahu Mawar.
“Boring. Rambut panjang Mawar dah tak
boleh nak buat fesyen apa.” Mawar separuh merengek.
“So, nak buat apa?” Duga Kamarul. Hatinya
sudah boleh menebak.
Dua tiga
hari lepas berkali-kali Mawar merungut untuk potong pendek rambutnya. Sekarang
musimnya orang berambut pendek. Rambut sloppe.
Potongan ala-ala GQ. Semua kawan tidak mengira gender telah memotong pendek
rambut masing-masing. Mawar teringin berambut pendek sama.
Khalida
membantah. Kamarul apatah juga. Termasuk juga Mak Nab dan driver mereka, masing-masing memberi pendapat yang satu pun tidak
memihak Mawar. Mawar mendiamkan diri.
Memprotes.
Nah, hari
itu, apabila mereka seisi keluarga kalut bersiap untuk keluar jalan-jalan ke
rumah orang tua Kamarul. Mawar buat perangai. Berjam-jam mengadap cermin
kononnya tidak tahu mahu fesyenkan rambutnya.
“Pa, apa
kata kalau Mawar potong rambut. Senang kalau nak ke mana-mana. Sikat saja terus
kemas.”
Hah, dia
sudah suarakan maksud di hati. Kamarul mengukirkan senyuman.
“Sayang
rasa sesuai tak kalau sayang kenakan gaun jika dah berambut pendek macam yang
sayang nak potong tu?”
Mawar
diam seketika. Seakan membayangkan dirinya bergaun dengan rambut pendek.
Kemudian dia tersenyum manis.
“Boleh
saja pa. Ramai supermodel kat majalah
berambut pendek sambil menggayakan gaun. Tak jadi masalah. Mereka masih vogue apa.”
“Papa
rasa nampak sedikit boyish lah. Nanti
tak ada siapa nak tackle Mawar
nanti.”
“Hek eleh.
Tu cuba nak membantutkan hasrat Mawarlah tu!” Getus Mawar.
Dia sudah
mula bangun dengan membiarkan rambut panjang paras dadanya tidak berikat. Sudah
malas melayan rambutnya. Kamarul menggeleng-gelengkan kepalanya melihat cara
Mawar memprotes.
Suka hati
kaulah sayang!
“Sayang...”
Kamarul cuba memanggil.
Mawar
tidak mengendahkan. Malah dia meredah saja muka pintu tanpa meminta laluan
daripada Khalida. Khalida merengus melihat perangai anak gadisnya yang makin
menjadi-jadi. Mawar buat tidak tahu dengan rasa tidak puas hati ibu bapanya.
Dia berlari anak turun ke bawah.
Kamarul
dan Khalida berpandangan buat seketika.
“Anak
manja awak...” sindir Khalida kepada Kamarul.
“Anak
saya, anak awak juga.”
“Awak
yang lebih-lebih manjakan dia. Saya tak.”
“Dah,
jangan kita pula nak bertengkar kat sini. Dah lewat ni. Mungkin ibu dan abah
dah lama tunggu kita.”
Khalida
akur. Dia kemudian melangkah ke bawah. Mawar nampaknya sudah sedia menanti
dalam kereta. Hari itu Kamarul memandu sendiri kerana pemandu bercuti. Memang
setiap kali hujung minggu, pemandu mereka akan bercuti. Kamarul lebih senang
memandu sendiri jika hendak ke mana-mana pada hujung minggu. Sungguhpun
demikian, andai Kamarul outstation,
Ghani, pemandu mereka tetap akan dipanggil bertugas untuk memastikan Khalida
dan Mawar boleh ke mana-mana.
Khalida
walaupun cekap memandu, masih teragak-agak jika mahu ke Kuala Lumpur sendiri.
Bukan takutkan jalan sesak, sebaliknya kerana dia kurang arif akan jalan di
tengah-tengah kota. Takut nanti pi mai, pi mai tang tu juga.
Perjalanan
ke rumah orang tua Kamarul yang terletak di Setapak tidak mengambil masa yang
lama dari rumah mereka jika tidak tersekat dalam kesesakan lalu lintas.
Begitupun, memandangkan hari itu cuti hujung minggu, banyak kereta berjejer-jejeran.
Mual benar Kamarul apabila terperangkap dalam kesesakan seperti itu.
“Ni
paling abang tak suka. Traffic jam,”
ngomel Kamarul sambil menghentak stereng kereta.
“Nak
salahkan siapa?” Khalida menyoal kembali.
“Tak
salahkan siapa-siapa.” Kamarul mencebir.
Dia bukan
tidak faham maksud pertanyaan penuh sinikal Khalida. Dia cuba menujukan
kesalahan kepada Mawar yang lambat bersiap. Kamarul pula dianggap terlalu
memberi muka kepada Mawar tanpa sedikit pun
menegur sikap Mawar melewa-lewakan masa bersiap sebelum turun tadi.
Kamarul
sesekali kurang faham dengan sikap Khalida. Dia ada masanya kelihatan tidak
begitu suka jika Kamarul terlalu memanjakan Mawar. Sejak Mawar semakin
meningkat dewasa, Kamarul boleh sedar jelingan yang begitu-begitu Khalida
setiap kali Kamarul bergelak ketawa bersama Mawar. Khalida malah lancar menegah
apabila Kamarul dan Mawar bergurau hingga terguling-guling di lantai
menggeletek sesama sendiri.
“Gurauan
macam tu dah tak sesuai untuk abang dan Mawar. Mawar tu dah dara sunti. Dah
tiga belas tahun umurnya. Kalau masih kanak-kanak bolehlah.”
“Haih,
takkan dengan anak sendiri pun tak boleh? Awak ni dah sampai cemburu tahap apa
Lida?” Kamarul menyoal Khalida kembali setiap kali Khalida menepis sikapnya
yang dianggap keterlaluan semasa bergurau senda bersama Mawar.
Biasanya
teguran itu Khalida suarakan semasa mereka sudah masuk ke bilik. Sesekali
Khalida tidak pernah menegur di depan Mawar sendiri. Mungkin bimbang Mawar
terseliuh hati. Maklum saja, Mawar memang sensitif. Pantang terasa sikit,
berhari-hari rajuknya. Entah mengikut perangai siapa.
Kamarul
mengambal Mawar yang berada di belakang melalui cermin pandang belakang. Mawar
kelihatan cemberut sambil mengulus-ulus rambutnya dengan jemari. Nampaknya
masih tidak berpuas hati akan fesyen rambut panjangnya. Sedang suatu masa dulu
bukan main meraung dia jika ditakut-takutkan untuk memotong pendek rambutnya
semasa sedang tidur.
Huh,
manusia boleh berubah.
Mawar
manusia.
Mawar
juga boleh berubah.
Kamarul
melepaskan injak cekam perlahan-lahan dan menekan pedal minyak kereta. Kereta
bergerak perlahan di tengah-tengah lautan kenderaan yang berjejeran. Keadaan
lembab seperti itu memang benar-benar menguji kesabarannya. Sesekali dia
membunyikan hon kepada pemandu kenderaan di depannya yang lambat bergerak.
“Cubalah
abang sabar sikit. Bukan kita nak ke mana pun, nak ke rumah orang tua abang
saja. Lagipun kita nak bermalam kat sana kan?” Tegur Khalida akan sikap
suaminya.
Kamarul
mendengus. Memang kurang senang benar dia ketika itu.
“Cubalah
papa hidupkan radio tu. Boleh juga hilangkan tension,” cadang Mawar walaupun dia tahu Kamarul memang pantang
bermuzik di dalam kereta.
Boleh
menghilangkan tumpuan memandu sekiranya dj tiba-tiba membincangkan topik yang
boleh menarik minatnya.
Kamarul
tidak menghiraukan cadangan Mawar. Dia memusatkan pandangan ke depan. Khalida
juga sudah mengunci mulutnya. Dibeleknya majalah yang baru dibelinya sekejap
tadi. Matanya melilau, melihat entah apa-apa.
“Ma, bak
sini magazine tu ma. Nak lihat fesyen
terkini.” Mawar menjengahkan kepalanya ke depan.
Khalida
menjeling sekilas ke arah anak gadisnya. Kalau bab berfesyen, mengalahkan orang
tua. Mawar ni sebenarnya belajar apa di sekolah gamaknya? Cikgu dia mengajar
subjek melaram atau subjek apa sampaikan nazak macam ni sekali kepala anaknya.
Asyik fesyen, fesyen, fesyen.
“Mama
terjuling-juling mata tu kenapa, bak la cepat.” Mawar menggesa.
Majalah
bertukar tangan. Mawar dengan ghairah membelek sehelai demi sehelai majalah
baru Khalida. Matanya tertancap penuh minat. Mukanya yang tercemberut sejak
tadi hilang serta-merta. Dia asyik menatap majalah. Khalida terjuling sedikit
ke arah Kamarul. Kamarul juga sedang mengambal ke arahnya. Mereka menggelengkan
kepala sesama sendiri.
“Hah,
cuba mama tengok model ni, masih nampak vogue
dan anggun bergaun biarpun berambut pendek,” beritahu Mawar sambil
menyuakan majalah di tangan kepada Khalida.
Khalida
menyambut. Meneliti si model berambut pendek yang sedang menggayakan gaun
Christian Lacroix. Christian Lacroix yang dimiliki oleh Bernard Arnault,
pemilih penuh LVMH atau setepatnya Louis Vuitton-Moet Hennessey. LVMH sinonim
dengan Christian Dior, Givenchy dan Chloe. Khalida memerhati gaun berwarna peach dengan dedahan begitu tidak
senonoh di bahagian dada. Hampir tersembul buah dada si model. Itu memang trend Christian Lacroix. Dedah
sana-sini. Ala, bukan jenama itu saja. Semua jenama mat salleh pun begitu.
“Apa
punya pakaianlah perempuan ni pakai. Kan elok kalau bogel terus,” ngomel
Khalida.
“I’m not talking about that woman and her
dress, but about her hair. You got it
mum?” Mawar menaikkan sikit suaranya.
Huh,
budak ni berbahasa Inggeris pula dengan aku. Entah betul entah tidak nahunya.
Ini sudah kira mengada-ada ni. Perangai siapalah budak ni ikut gamaknya?
Khalida sudah pening-pening. Geram juga rasa hatinya. Kalau ikutkan geram rasa
nak luku saja kepala Mawar. Boleh pula dia naikkan suara semasa bercakap dengan
Khalida.
Si
ayahnya pula terjuling-juling memandang aku. Kalau aku naik darah, dia lah
selalunya membela anak. Itu yang buat anak besar kepala dan tak pandai nak
takut orang, tahu nak membantah saja kerjanya. Adoi, pening-pening!
Khalida
sebenarnya memang pantang kalau anak bawah umur sudah pandai cakap
tinggi-tinggi suara sewaktu berlawan cakap dengan orang tua. Dia teringat
sewaktu umur masih seusia Mawar sekarang, mahu meninggikan suara kepada mak
ayahnya jauh sekali. Kalau tersilap cakap atau terkeluar perkataan-perkataan
kurang elok dari mulutnya, mak sudah cilikan mulut. Memang pedas siol.
“Mawar
nak buat fesyen rambut macam dia ni kah?” Kamarul menyoal sambil menjulingkan
sikit matanya ke arah majalah di ribaan Khalida.
Hah,
tengok. Dengar tu. Lembut saja kalau bercakap dengan budak seorang ni. Tak
pandai dah nak tegur-tegur sikap Mawar tadi. Memang menyampah aku.
“Tak
adalah. Tapi nak cakap, seseorang tu kalau dah cantik, buatlah fesyen rambut
macam mana, tak akan jejaskan kecantikannya. Tambah-tambah kalau pandai
sesuaikan dengan fesyen pakaian. Tak kiralah rambut panjang atau pendek.”
Amboi,
amboi. Dia terperasan dia cantik rupanya. Budak ni memang dah ditimpa perasaan
gamaknya.
“Betul
tak ma?” Mawar menduga Khalida yang nampak menguncikan bibir.
“Whatever Mawar. Buatlah apa Mawar suka.
Nak botakkan kepala sekali pun mama tak kisah. I don’t care.”
Virus
berbahasa orang putih nampaknya sudah berjangkit kepada Khalida. Tak adalah
berjayanya kempen cintai bahasa Melayu jika semua orang sudah mahu bercakap
campur-campur. Apa mereka semua tak sedar akan kempen “CINTAILAH BAHASA KITA”
agaknya?
“Mama
macam tak suka saja.” Mawar menduga lagi.
Dia seperti sengaja mahu melihat reaksi Khalida.
“Mawar
bukan kisah pun kalau mama suka atau tak kan?”
“Mama...”
Mawar mula mengendurkan suaranya.
Mawar
mula mahu membeli hati Khalida kembali. Sikap biasa Mawar jika menyedari
siapa-siapa antara ibu bapanya yang termakan hati sikit dengan sikapnya.
Biasanya mamanya yang sering termakan
hati. Kamarul susah sikit.
Khalida
buat tidak peduli. Mawar merengus. Dia kembali bersandar di belakang. Sudah
tidak mahu memujuk Khalida lagi. Lantaklah. Begitu fikir Mawar. Lagipun dia
sedar, sekejapan lagi sejuklah mamanya kalau papa dah masuk jarum. Selalupun
begitulah. Mawar bangkitkan marah Khalida, Kamarul yang akan memujuk.
“Dah lah
sayang. Jangan nak panjang-panjangkan hal. Dengan Mawar pun awak nak berkira.
Pantang bertelagah sikit.” Kamarul memainkan peranannya.
Betul
seperti jangkaan Mawar. Mawar pula memejamkan matanya. Pura-pura tidur dan
menyerahkan seratus-peratus tanggungjawab memujuk Khalida kepada Kamarul. Malas
dia berdepan dengan orang tua bercemberut. Bukan lawa mana pun. Tak lebih dan
tak kurang daripada Mak Enon saja.
Mereka
tiba di rumah orang tua Kamarul setelah berkereta hampir dua jam. Puan Fatimah
sudah siap menanti di perkarangan rumah. Gembira benar menerima kunjungan anak
menantu. Mawar pula lemas dipeluk kejap.
“Cucu
nenek ni makin cantik, makin lawa,” puji Puan Fatimah.
“Mawar
tahu nek, tapi ada juga orang yang tak sedar-sedar akan kecantikan Mawar ni.”
Mawar membalas sambil menjulingkan mata ke arah Khalida.
Khalida
buat tidak endah. Dia berjalan masuk ke rumah.
“Eh, ada
juga orang yang buta objek sayang?” Puan Fatimah berlelucon.
“Em,
adalah. Orang-orang tertentu,” ujar Mawar kemudian memanjangkan langkahnya.
Cuba menyaingi Khalida yang sudah terkedepan.
Mereka
duduk berbual-bual dahulu di ruang tamu memandangkan menurut Puan Fatimah suami isteri sedang menunggu kedatangan
seorang kawan mereka yang baru sekejap tadi menelefon untuk datang menziarah.
Alang-alang mereka nak datang, Puan Fatimah minta Kamarul anak-beranak menjamu
selera bersama mereka sekali.
“Hari ni
Mak Bedah masak apa nek?” Soal Mawar sambil menguis rambutnya yang terjuntai di
depan.
“Semuanya
masakan istimewa untuk cucu nenek yang seorang ni.”
“Istimewa
pun jangan sampai boleh menaikkan berat badan. Ramai komen badan Mawar sedikit
berisi lately.”
Dia mula
dah. Fikiran tidak boleh menonong ke lain. Balik-balik soal kecantikan juga
yang diutarakan Mawar. Kenapa dia ni sebenarnya? Khalida sedikit kehairanan.
Selalunya Mawar tidak sampai tahap ekstrem begitu sekali.
“Berisi
sikit tak apa sayang, kurus cekeding nak buat apa? Sekali angin tiup dah
tumbang.” Puan Fatimah berkata sambil memeluk Mawar erat. Penuh kasih sayang.
Penuh sifat ingin memanjakan.
Khalida
bosan. Semua mahu memanjakan Mawar. Sebab itulah Mawar sedikit besar kepala.
Puan
Fatimah tidak dapat meneruskan perbualan dengan mereka apabila bunyi enjin
kereta menderu di ruang parkir rumah. Dia buru-buru bangun untuk menyambut
ketibaan kawannya. Tuan Wahab mengambil alih tugas melayan anak menantu. Mawar
memanjangkan leher untuk memerhati gerangan tetamu. Dia ternampak kelibat
lelaki muda. Cepat-cepat dia mengawal duduknya. Membetulkan rambutnya.
Penampilan
biar menarik walau siapapun dia!
Mawar
menyopankan diri. Duduk dengan kepala tertunduk tanpa menghiraukan tetamu yang
melangkah masuk. Khalida menjeling ke arah anaknya. Tidak faham kenapa Mawar
tiba-tiba nampak sopan benar. Puan Fatimah membawa tetamunya berkenalan dengan
anak-menantu. Mawar masih menundukkan kepala. Sopan konon.
“Mawar,
salam dengan Makcik Rafeah dan Pakcik Zakuan,” suruh Puan Fatimah.
Mawar
mengangkat wajah. Bersedia untuk bersalaman dengan tangan terjulur ke depan.
Belum sempat bersalaman, pandangan Mawar bertaut dengan pandangan anak lelaki
pasangan suami isteri itu. Baik Mawar mahupun anak lelaki mereka, masing-masing
nampak terkejut.
“Eh, awak
buat apa kat sini?” Mawar dan Faisal Asna bersuara serentak.
“Dah kenal?” Tanya Pakcik Zakuan mendahului
yang lain.
“Mawar
satu sekolah dengan Faisal ayah.”
“Satu
tingkatan?” Soal Khalida pula.
“Tak,
saya lebih senior. Tapi sebab Mawar top juga kat sekolah tu, maka seluruh warga
sekolah kenal Mawar.”
Orang tua
masing-masing mengangguk-angguk mendengar penerangan Faisal.
Mawar
pula tersipu-sipu dipuji oleh Faisal Asna. Tambahan pula Faisal Asnalah
yang mula menemani mimpi malam harinya
akhir-akhir ini. Faisal Asna juga lelaki yang membuatkan Mawar seboleh mungkin
ingin tampil menarik.
Puan
Fatimah kemudian tanpa lengah mempelawa mereka semua ke ruang makan. Kononnya
bimbang lauk-pauk yang sejak tadi sedia terhidang menjadi sejuk. Mereka semua
akur dan bergerak mendudu-dudu ke ruang makan.
Di meja
makan, mata Faisal Asna dan Mawar sering berlaga. Khalida di hujung meja
sesekali menjeling geram. Sesekali pula menyiku suaminya di sebelah. Suaminya
tersenyum sumbing sahaja. Seakan merelakan anaknya bermain mata dengan anak
muda yang baru mereka kenali.

No comments:
Post a Comment