Monday, 1 October 2012

BIARKAN SAJA bab 15-25



Terjemahan dialog dalam bahasa Jerman akan disertakan selepas semua bab dipostkan ke blog.






BAB LIMA BELAS
Dato’ Halim termenung di pejabatnya sambil melontarkan pandangan ke luar tingkap. Dia kalut memikirkan sikap Ayunie. Langsung enggan bila diajak berbual soal perkahwinan. Sedangkan dia tahu wanita yang didampingi hampir saban hari itu tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki setelah memutuskan pertunangan dengan seorang kakitangan kerajaan.

            Lalu apakah yang menghalang Ayunie daripada menjadi isteri ketiganya? Itulah yang membingungkan Dato’ Halim. Selama ini semua perempuan yang didampinginya akan melonjak gembira apabila dia melamar mereka. Namun tidak begitu halnya dengan Ayunie. Dia lebih rela terus-terusan menjadi perempuan simpanan daripada menjadi isteri yang sah. Sedangkan Dato’ Halim tidak akan berpuas hati selagi belum menjadikan Ayunie sebagai isterinya.

            Persetankan reaksi isteri keduanya. Apa yang penting hatinya puas. Isteri pertama? Perempuan berhati mulia itu jangan ada yang berani bertanya reaksinya. Jangan ada yang berani bertanya perasaannya. Dia isteri  yang setia, tidak pernah membuat luka di hati Dato’ Halim. Sepanjang perkahwinan mereka, Dato’ Halim tidak pernah terguris sedikitpun dengan sikap isteri pertamanya.

            Kalaupun terluka hanya hati isterinya. Entahlah, Dato’ Halim sendiri tidak mengerti mengapa dia tergamak melakukan sedemikian terhadap isterinya. Cintanya terlalu utuh untuk wanita itu, namun dia gagal melawan nafsunya. Oleh kerana itulah dia sering memburu gadis-gadis muda untuk dijadikan pemuas nafsunya setelah isterinya tidak lagi mampu melayaninya.

            Malu pada anak-anak? Mereka tahu apa? Paling penting bagi mereka wang ringgit. Dapat seribu dua setiap bulan cukuplah. Itu bagi yang masih remaja,  anak-anak yang dah berumahtangga apatah pula, langsung tidak ambil kisah dengan cara hidup Dato’ Halim. Mereka sudah ada keluarga sendiri. Persetankan corak hidup Dato’ Halim. Paling penting dalam surat wasiat nama mereka tetap disebut sebagai salah seorang penerima pusaka.

            Untungnya Dato’ Halim, walaupun sudah meniduri dan mengahwini ramai wanita, hanya dengan isteri pertama dia mendapat zuriat. Isteri-isteri mudanya? Haram. Seorang pun tidak mampu memberikannya zuriat. Faktornya mungkin kerana Dato’ Halim tidak mampu memberikan zuriat lagi dalam usianya. Apatah pula dia hanya mula menduakan isterinya lewat usia lima puluh tahun. Sekarang dia sudah hampir menjangkau enam puluh dua tahun, tidak ramai lelaki yang mampu memberikan isterinya zuriat dalam usia seperti itu. Faktor lain mungkin kerana selepas mengahwini wanita-wanita yang pernah mendampinginya, rumahtangga mereka tidak pernah kekal lama. Paling lama lima atau enam bulan. Alihnya Dato’ Halim sering menceraikan mereka.

            Dato’ Halim sendiri sudah lupa sekarang berapa ramai wanita telah dikahwini dan dicerainya.  Dia tidak berniat untuk menghitung bilangan bekas isterinya. Itu perkara tidak penting baginya. Apatah lagi dalam keadaan sekarang. Dalam keadaan dia sedang ligat mencari jalan untuk memancing minat Ayunie agar sudi menjadi isterinya. Dia merasakan Ayunie bakal menjadi wanita terakhir dikahwini. Perempuan itu hebat dan agak istimewa berbanding perempuan-perempuan lain yang pernah didampinginya. Lagipun Dato’ Halim sendiri sudah penat mengejar wanita-wanita muda. Selepas mengahwini Ayunie nanti, dia akan bersara dalam ‘bidang’ itu. Itu perancangannya.

            Sungguhpun begitu, semuanya bergantung pada keadaan. Kalau tiba-tiba dia bertemu gadis lain selepas Ayunie, mungkin dia akan menimbangkan kembali perkara itu. Cuma Ayunie mungkin tidak akan ditinggalkannya. Menambah lagi seorang isteri selepas Ayunie akan mencukupkan kuota. Siapa boleh menghalang?

            “Tapi perempuan ni keras sikit. Pelbagai umpan aku bagi makan, satu pun tak mengena. Dia nak apa sebenarnya?”

            Sering persoalan itu bermain dalam benak Dato’ Halim.  Dia gagal menebak apa yang diingini Ayunie sehinggakan gadis itu lebih sanggup menjadi perempuan simpanan daripada bergelar isteri yang sah.

            “Kenalkan setiausaha saya, Ayunie Harun.”

            “Apa khabar Dato’?” Sapa Ayunie. Manis senyuman di bibirnya dikuntum buat Dato Halim.

            Mereka bersalaman. Begitu corak pertemuan pertama mereka. Diperkenalkan oleh Dato’ Ahmad Saufi. Majikan Ayunie. Bermula hari itulah Dato’ Halim sering menitipkan bunga buat Ayunie. Mahu memancing minat Ayunie agar mendampinginya. Sekali dua bunga dihantar. Hampir lima kali berbuat demikian, Dato’ Halim sudah berani mengajak Ayunie keluar makan malam tanpa pengetahuan Dato’ Ahmad Saufi. Bimbang kiranya Ayunie telah ‘dimiliki’ rakannya sebelum dia memulakan.

            Mujurlah Dato’ Ahmad Saufi langsung tidak berminat untuk menjadikan Ayunie teman pendamping.  Dengar ceritanya, Dato’ Ahmad Saufi bukan jenis majikan sedemikian. Kesempatan itu Dato’ Halim gunakan sepenuhnya.

            Hatinya agak kecewa juga sebaik mengetahui Ayunie telah bertunang. Sungguhpun begitu Ayunie meyakinkan bahawa tunangannya terlalu sibuk untuk mengambil tahu segala kegiatannya. Ayunie bebas bergaul dengan sesiapa jua yang disukainya. Tua muda tidak menjadi halangan. Paling penting Ayunie gembira.

            Dato’ Halim terkulat-kulat menggaru lehernya yang tidak gatal. Jalan terbaik masih difikirkan untuk menundukkan Ayunie agar sudi menjadi isterinya.

            “Yunie tak sudi kenapa, sayang?”

            “Bukan tak sudi, cuma tak sedia lagi. Yunie nak enjoy dulu puas-puas.” Ayunie memberi alasan sambil melentok manja di dada tua Dato’ Halim.

            “Kalau kahwin pun Yunie bebas enjoy. Abang cuma nak Yunie jadi isteri abang yang sah. Takkan Yunie nak selamanya macam ni?”

            Orang tua ni ingat aku bodoh ke? Jadi isterinya nak tempah penyakit? Tak ingin aku. Bagilah hantaran berapa banyak sekalipun, aku tak nak terima!

            “Kalau tak kahwin pun kita bebas lakukan apa kita suka kan sayang? Jadi apa susah-susah kahwin? Buat peningkan kepala Yunie nak memujuk orang tua aje,” ujar Ayunie. Sengaja memberikan alasan orang tuanya agar Dato’ Halim sedar bahawa orang tua Ayunie di kampung jauh lebih muda berbanding Dato’ Halim sendiri.

            Termenung sejenak jadinya Dato’ Halim apabila teringatkan tentang orang tua Ayunie. Dahulu Ayunie pernah memberitahu orang tuanya tergolong dalam golongan yang tidak mementingkan harta dan pangkat. Siapa sahaja layak mendampingi anak-anaknya selagi orang itu sepadan. Sepadan yang dimaksudkan Ayunie biarlah kena dengan usia dan tidak kekok orang memandang.

            Pening. Memang pening kepala Dato’ Halim memikirkan jalan terbaik untuk memujuk Ayunie. Wang ringgit banyak telah dilaburkan, rasanya kalau dikumpul sudah berpuluh ribu. Kalau bagi kepada anak-anak, sudah boleh buat modal berniaga.

            Anak? Meniaga? Dato’ Halim tiba-tiba teringatkan anak-anaknya. Seorang pun tidak mahu mengikut jejak langkahnya. Anak sulungnya, lebih senang menjadi peguam. Didorong agar membuka firma guaman sendiri tidak ingin, senang makan gaji dengan kerajaan. Kononnya tidak perlu susah-susah cari pelanggan. Semua ditentukan kerajaan. Anak perempuannya pula sejak sudah mendirikan rumahtangga, langsung tidak mahu campur urusan syarikat. Melepak, buat tahi mata kat rumah. Mujur menantunya sudi membantu. Lama-lama otak anak perempuannya berkarat. Sudah tidak arif selok-belok meniaga.

            Dua orang yang masih remaja lagi tenat keadaannya. Disuruh sambung belajar malas. Cukup setakat SPM kata mereka. Padahal kedua-dua mereka SPM kantoi. Apa tidaknya, hari-hari tuang sekolah. Si adik bongsu seronok tengok si kakak, berpeleseran sana-sini. Terus tidak berhajat untuk sambung belajar walaupun Dato’ Halim mampu menyekolahkan mereka di sekolah swasta, atau masukkan ke mana-mana kolej andai mereka mahu.

            Anjuran Dato’ Halim ditolak mentah-mentah. Alasan mereka, harta Dato’ Halim banyak. Tidak payah mereka susah-susah belajar.  Kalau dapat sijil barang sekeping dua sekalipun bukannya mereka mahu gunakan untuk cari kerja. Mereka lebih senang tuna karya. Tuna karya sekalipun, bulan-bulan poket mereka terisi. Terisi dengan harta bapa mereka!

            Anak nombor dua Dato’ Halim? Inilah anak yang Dato’ Halim sudah lupakan kewujudannya. Jika saudaranya yang lain tidak berminat dengan dunia perniagaan. Anak keduanya juga tidak berminat dengan dunia perniagaan. Malah tidak juga berminat dengan harta Dato’ Halim. Entah di mana silapnya, entah di mana salahnya. Anak kedua Dato’ Halim yang dinamakannya Azlimi memilih corak kehidupan yang terlalu jauh berbeza dengan Dato’ Halim. Sehinggakan ada saja sikap Dato Halim yang ditegurnya. Ada saja salah Dato’ Halim di matanya. Dalam ramai-ramai anak Dato’ Halim, dialah yang berani menegur segala langkah sumbang yang diatur oleh Dato’ Halim.

            Pernah dia ternampak Dato’ Halim masuk ke sebuah kelab malam eksklusif. Membebel sakan dia. Ketika itu segala hadis dan surah dihuraikannya satu-persatu. Entah di mana dikutipnya. Apa yang Dato’ Halim tahu anaknya jadi sedemikian sekembalinya dari luar negara. Kalau pemuda lain makin sosial, dia pulang pulang dengan perubahan yang langsung tidak tertebak dek fikiran tua Dato’ Halim.

            Hampir tidak kenal Dato’ Halim sewaktu menyambut kepulangan anaknya dari London lima tahun lalu. Dengan cara pakaiannya yang kemas lengkap berkopiah. Sejemput janggut menghiasi dagu. Sebijik ustaz yang memberi ceramah di dalam sessi Forum Perdana di tv.

            Sekarang anak lelakinya itu telah keluar dari rumahnya entah ke mana. Cuma sesekali terdengar khabar Azlimi menelefon isterinya. Dato’ Halim tidak pernah ambil pusing soal hidup anaknya. Semuanya berpunca daripada pertelingkahan yang berlaku antara mereka berdua.   Bagi Dato Halim Azlimi benar-benar menunjukkan sikap biadap di depannya apabila Azlimi dengan tanpa berfikir panjang memusnahkan mini bar di bilik bacaannya. Habis semua botol-botol minuman keras yang masih berisi pecah berderai.

            Kebanyakannya berjenama mahal dan terlalu payah untuk diperolehi kerana Dato’ Halim telah menyimpannya bertahun-tahun. Kata orang, makin lama disimpan nilainya menjadi lebih tinggi. Dato’ Halim berusaha keras menyimpan yang terbaik demi kepuasan dirinya. Sesekali teringin akan diteguk sedikit. Buat menghilang rasa mengidam. Alih-alih koleksi minuman keras kesayangannya habis musnah begitu sahaja. 

            Dato’ Halim tidak bisa menghalang gelodak marahnya. Azlimi dihalau. Sejak itu Azlimi meninggalkan rumah Dato’ Halim. Ke mana hala tujunya tidak Dato’ Halim ambil tahu. Geram hatinya dengan sikap Azlimi. Entah syaitan mana yang merasuk pemikiran anaknya sehingga bertindak di luar kawalan seperti hari celaka tersebut.

            Sejak itulah Dato’ Halim tidak pernah melihat kelibat Azlimi di mana-mana. Entah hidup entahkan mati anak muda itu. Dato’ Halim benar-benar tidak mahu mengambil tahu. Hinggakan dalam wasiatnya hanya sedikit harta yang diperuntukkan untuk Azlimi. Ikutkan hatinya, sedikitpun tidak mahu ditinggalkan buat Azlimi,  namun melihatkan perubahan wajah isteri pertamanya tatkala diberitahu perkara tersebut membuatkan Dato’ Halim bertukar arah.

            “Hai, sayang…” sapa satu suara perempuan membuatkan Dato’ Halim tersedar dari menungan jauh. Menungan tentang Ayunie dan anaknya Azlimi.

            Dato’ Halim menoleh. Perempuan yang menyapa tersenyum manis. Merah muncungnya dicalit lipstik tebal. Tapi masih tampil jelita. Sejelita awal perkenalannya dengan Dato’ Halim. Begitupun kejelitaan itu kini hilang di pandangan mata Dato’ Halim.

            Bila masa pula dia ni datang? Tak dengar bunyi pintu dikuak pun. Ngomel Dato’ Halim. Daun pintu yang sudah terkatup rapat dipandangnya. Rita, isteri keduanya turut memandang ke arah daun pintu.

            “Orang dah berkali-kali ketuk tadi, sayang tak berjawab, orang masuk ajelah.”

            Rita menerangkan bagai mengerti pertanyaan yang sedang berlegar dalam benak Dato’ Halim. Dia mampir ke arah Dato’ Halim dan duduk di kerusi sambil memicit-micit bahu lelaki tua yang sudah hampir setahun dikahwininya.  Sesekali diciumnya kepala berambut palsu milik Dato’ Halim.

            “Rita datang office abang ni kenapa?”

            “Abang tak suka Rita ke mari?”

            Rita menyoal Dato’ Halim kembali. Nada suaranya persis merajuk. Dato’ Halim mengerti. Dijarakkan kerusi dari meja lalu diraih Rita ke ribanya. Sudah menjadi tabiat Dato’ Halim, setiap isterinya dilayan romantik.

            “Abang tanya saja. Biasanya kalau tak de apa-apa Rita tak senang ke mari,” kata Dato’ Halim kepada bekas model tersebut. Rita tersenyum manja. Ada erti tersendiri.

            “Sayang, kawan orang yang nama Nani tu ajak pergi Australia bulan lima ni.”

            “Hah, pergilah. Abang kan tak halang Rita nak ke mana-mana,” ujar Dato Halim tanpa banyak bicara.

            “Itulah Rita datang ni nak minta izin ngan abang. Nak tunggu abang balik atau telefon rumah dah jarang sekarang ni…”

            “Rita tau kan abang sibuk. Rita pergilah, abang izinkan.”

            “Tapi…” Rita sengaja melambat-lambatkan kata-katanya. Rambut ikal paras bahunya dipintal-pintal.

            Dato’ Halim tersenyum. Dia faham melihat gelagat isteri nombor duanya yang memang gemar melancong semenjak berhenti daripada dunia peragaannya.

            “Nanti abang masukkan sedikit wang dalam akaun Rita. Lima belas cukup?”

            Rita terdiam sejenak. Mencongak-congak di dalam benaknya jumlah lima belas ribu yang ditawarkan Dato’ Halim.

            “Tambah lagi lima bang?”

            “Okeylah. Janji kat sana nanti jaga diri baik-baik.” Setuju Dato’ Halim.

            Gembira Rita bukan kepalang. Diciumnya pipi Dato’ Halim. Lelaki tua itu tersenyum sebelum membalas ciumannya. Seketika kemudian Rita memandang jam. Sudah hampir jam lima petang.

            “Abang tak nak pulang lagi ke?”

            “Kejap lagi. Abang nak tengok data saham syarikat kejap.”

            “Rita tunggu ya. Lepas tu kita keluar makan petang bersama-sama. Dah lama tak keluar dengan abang,” kata Rita.

            Dato’ Halim mengangguk-angguk. Sememangnya Dato’ Halim senang memenuhi permintaan setiap wanita yang pernah mendampinginya. Malahan, sekiranya tiba masa untuknya menceraikan seseorang isteri yang pernah dikahwininya, sekurang-kurangnya sebuah rumah akan dihadiahkan kepada mereka. Daripada rumah kos sederhana hingga kepada rumah mewah. Merujuk kepada jangka tempoh perkahwinan mereka. Juga sedikit tabungan di bank, minimum sepuluh ribu ringgit untuk menampung kehidupan sehingga wanita-wanita itu temui cara untuk meneruskan kehidupan seharian.

            Terpulanglah kepada bekas isterinya bagaimana mahu menguruskan pemberiannya. Pandai berjimat mereka untung. Kalau tidak mereka hancur. Dato’ Halim tidak mahu bersikap zalim dengan meninggalkan bekas isterinya terkontang-kanting. Sementelahan pula mereka suatu masa dahulu pernah menghiburkan Dato’ Halim.
















BAB ENAM BELAS
Delilah termenung di pejabatnya. Fikirannya teringatkan Daniel. Sudah hampir dua minggu dia tidak mendengar sebarang khabar daripada Daniel.  Kali terakhir mereka keluar bersama sekembalinya dari Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong. Itu pun bukan keluar yang dirancang. Mereka secara kebetulan harus ke hutan simpan tersebut untuk menemui penduduk pribumi di sana. Bertanyakan masalah pembangunan yang digembar-gemburkan bakal dilakukan.

            Entah mengapa hatinya tersiat-siat dek rindu terhadap Daniel. Sudah berkali-kali dilakukan sembahyang istiqarah. Minta Allah berikannya ketenangan jiwa.  Namun leganya cuma seketika. Beberapa hari kemudian bayangan Daniel kembali mengejar rindunya.

            Delilah tersentak sewaktu pintu biliknya diketuk. Tersembul wajah Esma Yusoff di muka pintu. Esma seorang pegawai tadbir di Jabatan Perhutanan mempunyai susuk tubuh tinggi lampai. Peramah dan gemar tersenyum. Kulitnya agak keputihan persis berdarah keturunan cina, namun dinafikan setiap kali Delilah bertanya.

            “Tak keluar lunch?”

            Soalan Esma mendorong Delilah memandang jam di pergelangan tangannya. Patutlah. Sudah hampir pukul satu.

            “Nak juga. Kejap lagi.”

            “Kenapa, tengah tunggu panggilan daripada sesiapa?”  Usik Esma.

            Usikannya mengundang senyum.

            “Panggilan daripada siapa? Awak ni macam-macamlah Esma.”  Delilah ketawa.

            “Mana tahu, kot tunggu panggilan bakal profesor madya dari UPM.”

            Merona merah di wajah putih berlesung pipit milik Delilah. Spontan dia mencampakkan pemadam di tangannya. Sempat pemadam itu disambut Esma. Esma ketawa sekali lagi. Delilah juga ketawa.

            Dia sedar, hampir kebanyakan rakan sekerja tahu hubungan baiknya dengan Daniel. Ramai juga yang membuat tanggapan terhadap hubungan yang terjalin itu. Namun Delilah sering menafikan dengan memberitahu status sebenar Daniel.

            “Lelaki boleh pasang dua Ilah.” Begitu kata Esma.

            Selalunya Esmalah yang menjadi penyampai segala cakapan dan komen orang lain terhadap Delilah. Ini kerana Esma satu-satunya kawan sekerja yang berani bergaul rapat dengan Delilah. Rakan-rakan lain sekadar bertegur sapa dan menguntum senyum sekalipun sudah berbulan-bulan Delilah bekerja di situ. Mungkin kerana Esma bermuka tebal dan tidak tahu malu lantas membolehkan dia mudah bergaul mesra dengan Delilah. Gadis yang sering dikatakan agak sombong oleh beberapa orang kakitangan jabatan tersebut.

            “Ilah, nanti saya nak ke Bukit Jugra, Kat Kuala  Langat tu. Awak nak ikut tak?” Tanya Esma sewaktu mereka melangkah keluar dari bilik Delilah untuk makan tengahari.

            “Ada apa kat sana?”

            “Awak tak tahu ke? Kat sana kan satu-satunya tempat yang ada pokok meranti laut kat Malaysia ni.”

            Delilah menggaru-garukan kepalanya yang bertudung. Pokok meranti laut? Benaknya berputar. Cuba membayangkan rupa pohon balak yang disebut oleh Esma. Namun mindanya gagal untuk membayangkannya. Sah, memang seumur hidupnya dia tidak pernah melihat pohon balak jenis itu. Jika meranti melantai, meranti bunga, meranti kuning, meranti merah tua dan meranti merah sudah sering dilihatnya. Malah pernah dijadikan spesimennya sewaktu menuntut dulu. Kali ini meranti laut. Sering didengarinya, tapi tidak pernah dilihatnya.

            “Bila awak nak pergi Esma?”

            “Petang besok. Lepas waktu kerja. Besokkan hari Sabtu,” beritahu Esma. Ketika itu mereka berdua sudah tiba di tempat letak kereta.

            “Nak makan kat mana kita ni?” Tanya Esma kepada Delilah.

            “Suka hati awaklah, saya mengekor saja. Tapi jangan jauh-jauh. Takut tak sempat meeting jam dua setengah nanti.”

            Esma akur. Dia sendiri perlu menghadiri mesyuarat yang disebut Delilah.  Enjin kereta dihidupkan. Lalu mereka kereta meluncur menuju destinasi yang belum ditentukan.


Sebagaimana dijanjikan. Sabtu itu Delilah bersama Esma ke Bukit Jugra untuk melihat pohon balak jenis meranti laut.  Mereka ke sana menaiki kereta Esma, kereta Delilah ditinggalkan sahaja di tempat kerja mereka. Menyulitkan untuk menaiki kereta berasingan. Begitu kata Esma. Delilah menurut saja. Apatah lagi ketika itu dia agak kepenatan untuk memandu.

            Terpesona Delilah sewaktu tiba di Bukit Jugra. Hutan simpan yang pernah diiktiraf sebagai Hutan Simpan dara sekitar tahun 1959 itu mempunyai keluasan kira-kira tiga puluh tiga hektar dan berada di ketinggian tujuh ratus sembilan puluh lima kaki dari aras laut. Ia mempunyai pemandangan yang amat menarik sekali. Hutannya dipenuhi pelbagai floral dan fauna yang begitu mengkagumkan Delilah. Sebagai seorang pecinta alam sekitar, Delilah benar-benar gembira berada di situ. Melihat sendiri kehijauan hutan yang terlalu indah di matanya.

            “Mana pokok meranti laut tu?” Delilah bertanya agak tidak sabar. Esma tersenyum melihat sikap  Delilah.

            “Nanti saya bawa awak ke sana. Sebelum tu saya nak bawa awak melawat makan baginda sultan.”

            “Sultan?”

            “Ya, Sultan Abdul Samad.”

            Dan Esma tanpa sedar menarik tangan Delilah. Gadis itu menurut sahaja ekoran terlalu ghairah untuk melihat pokok meranti dan kini untuk melawat makam Sultan Abdul Samad.

            “Inilah makam Sultan Abdul Samad.”

            Kata Esma sebaik tiba di sebuah makam yang terletak elok di Bukit Jugra. Delilah mengelilingi sekitar makam. Sultan Abdul Samad?  Hatinya cuba meneka-neka.  Delilah sebenarnya kurang ilmu pengetahuan tentang kerabat diraja. Sekali pun Esma sudah menyebut nama Sultan itu, namun dia gagal untuk mengingatkan siapa sebenarnya Sultan Abdul Samad. Namun kerana dia juga seorang yang berjiwa rakyat, perasaannya sedikit tersentuh sewaktu berada di makam tersebut.

            “Pokok meranti laut tu hanya beberapa kilometer sahaja dari sini. Mari kita ikut arah ni.”

            Esma sekali lagi memimpin tangan Delilah. Delilah membuntutinya tanpa sebarang bantahan.  Mereka tiba di sebatang pokok balak yang dikelilingi pokok-pokok balak dari spesis keruing, sepetir, meranti tembaga, kempas serta lain-lain jenis lagi.

            Delilah menyentuh permukaan pokok yang berbanir. Kemudian membantu Esma mengukur ukuran lilit pokok tersebut.

            “Berapa Ilah?”

            “Ukur lilit seratus lima belas sentimeter.”

            Jawab Delilah sambil matanya mendongak ke atas. Melihat ketinggian pokok. Pada anggarannya pokok tersebut tingginya tiga puluh meter.

            “Awak agak-agak berapa usia pokok ni?” Soal Delilah.  Masih meneliti batang pokok tersebut.  Dia kelihatan terlalu taksub menatap pokok meranti laut itu.

            “Menurut anggaran berdasarkan tinggi dan ukur lilit pokok ni, ia berusia hampir dua ratus tahun,” balas Esma sambil mencatatkan sesuatu di dalam PDA yang dibawa bersamanya.

            “Ia dikenali sebagai spesis apa dalam dendrologi?”

            Delilah benar-benar dungu tentang meranti jenis tersebut. Apatah lagi itu kali pertama dia mengenali pokok balak jenis itu.

            Shorea gratissima,  balas Esma ringkas. Masih mencatat di dalam PDAnya. “Dulu pokok ni mengeluarkan bunga dan berbuah, tapi tak menjadi. Sayang  kalau tak dijaga pokok ni. Awak tengok dahan sebelah sana tu, hampir reput kan? Nanti generasi baru dah tak boleh kenal pokok balak jenis ni kalau tak dipelihara.” Esma menyambung setelah PDAnya disimpan di dalam poket seluar.

            Esma kemudiannya mengajak Delilah melihat sekeliling hutan. Sekeping chewing gum dihulurkan kepada Delilah. Gadis di sampingnya menyambut senang. Beriringan langkah mereka merentasi hutan. Sesekali terserempak dengan renjer hutan. Sapaan mereka dibalas mesra oleh Esma menggambarkan kepada Delilah betapa para pekerja di situ mengenali Esma Yusoff.

            “Awak tak kekok bersama saya Ilah?”

            “Kenapa tanya macam tu?”

            “Yalah, selalunya awak bersama Doktor Adam Daniel. Kali ini awak bersama saya pulak, tentu ada kelainan.”

            Delilah menyeringai. Agak kelucuan mendengar Esma Yusoff memanggil nama Daniel seformal itu. Juga terasa lucu apabila Esma membangkitkan soal tersebut.

            “Apa pula bezanya, awak dan dia sama-sama bukan pak we saya. Kalau salah seorang daripada awak berdua pak we saya, barulah wujud kelainannya,” gurau Delilah sambil mengunyah chewing gum.

            “Awak dah ada pak we Ilah?” Esma bertanya sedikit terperanjat kerana belum pernah melihat Delilah bersama lelaki lain selain kawan-kawan sekerja dan Daniel.

            Kalau Daniel belum berkahwin, tentu Esma sudah menyangkakan Daniel itulah kekasih hati Delilah. Namun dia sendiri sudah maklum, Daniel telah melangsungkan perkahwinan sudah lebih setahun. Ada beberapa orang kakitangan Jabatan Perhutanan berkawan baik dengan Daniel. Merekalah yang memberitahu tentang perkara tersebut apabila dilihat Delilah terlalu rapat dengan Daniel.

            “Kalau saya kata saya dah bertunang dua tahun lepas?” Duga Delilah. Sengaja mahu melihat reaksi Esma.

            “Awak biar betul Ilah.”

            Delilah ketawa. “Kenapa tak percaya?”

            “Tak pernah nampak awak keluar dengan sesiapa kecuali Doktor Adam Daniel.”

            “Tunang saya kat UK. Buat PhD.”

            Esma mengamati wajah Delilah. Cuba mencari kesungguhan pada wajahnya. Delilah tersenyum manis. Jelas lesung pipit penambah seri di kedua-dua belah pipinya.

            “Kenapa?”

            “Kalau macam tu, melepaslah saya.”

            Delilah ketawa kuat mendengar lelucon Esma. Kepalanya digeleng-gelengkan berkali-kali. Esma juga ketawa. Namun tawanya tidak sehebat tawaan Delilah.

            Kemudian dia meraih tangan Delilah. Mengajaknya meninggalkan hutan apabila hari semakin merangkak tua. Delilah akur. Kala itu juga dia tersedar sudah berkali-kali Esma meraih tangannya. Dia menarik tangannya lembut. Bimbang Esma tersinggung.  Kala itu dia mula terbayangkan Daniel. Apa tindakan dia agaknya sekiranya Daniel bersikap seperti itu?

            Sepanjang mengenali Daniel, tidak pernah sekalipun  Daniel tersasul memegang tangannya seperti yang dilakukan Esma terhadapnya. Daniel terlalu menjaga batasan pergaulannya. Itulah yang menerbitkan rasa kagum Delilah terhadap Daniel.

            Semasa bergelar pelajar Daniel suatu masa dahulu, Delilah beranggapan Daniel juga seperti lelaki lain. Pantang bersama perempuan, mesti akan diambil kesempatan. Paling kurang akan bertepuk tampar jika berbual-bual dan bergurau. Kini setelah mengenali Daniel, barulah keperibadian Daniel yang sebenar terserlah.

            “Ilah, ceritakan pada saya, bagaimana awak boleh rapat dengan Doktor Adam Daniel.”  Pinta Esma sewaktu kereta mereka meluncur  laju di jalan raya meninggalkan Bukit Jugra.

            “Sebenarnya dia bekas tutor saya semasa saya masih menuntut di UPM. Tak sangka kami boleh rapat setelah saya kerja. Waktu belajar dahulu saya memang jarang bercakap dengannya. Maklumlah, masa tu dia masih bujang. Bimbang ada salah anggap pulak,” terang Delilah tanpa berselindung.

            “Kata orang dia jarang bersama isterinya. Awak tak bimbang bersama lelaki seperti itu, kelak dia ambil kesempatan terhadap awak.”

            “Mengarutlah. Lagipun saya tahu sejauh mana hubungan dia dan isterinya. Mereka jarang bersama bukan kerana ada masalah rumahtangga, tapi sebab isterinya terlalu sibuk.”

            Beritahu Delilah. Teringat dia setiap kali bersama Daniel, bukan sekali dua isterinya menelefon. Kadang kala untuk bertanya perkara remeh-temeh. Jelas kepadanya keutuhan ikatan kasih sayang antara mereka berdua.

            “Awak pernah jumpa isterinya?”

            “Tak. Tapi pernah melihat gambarnya.”

            “Cantik tak?” Soal Esma kerana ramai yang memberi komen terlalu susah untuk mengenali isteri Daniel.

            “Bolehlah. Kalau direnung lama-lama ada iras Erra Fazira.”

            “Kalau dah iras-iras Erra kira cantik gilalah tu.”

            Esma yang memang meminati Erra Fazira berkata pantas. Dia mula membayangkan rias wajah isteri Daniel yang dikatakan terlalu misteri di kalangan kawan-kawan yang mengenali Daniel.

            Delilah tidak menunjukkan sebarang respon. Padahal dalam hatinya memang mengakui kecantikan isteri Daniel. Jika mahu dibandingkan dengan dirinya, memanglah jauh panggang dari api, macam langit dengan bumi. perempuan secantik itulah sememangnya layak berada di samping Daniel. Bukan gadis sepertinya.

            Daniel memang bulan di langit. Getus hati kecil Delilah. Mengingatkan dirinya sendiri berulang kali.
















BAB TUJUH BELAS
Masa bergerak terlalu pantas. Langsung tidak terkejar oleh manusia. Begitu juga dirasakan oleh pasangan suami isteri, Daniel dan Alunie. Pejam celik, pejam celik sudah hampir tiga tahun mereka mendirikan rumahtangga. Sungguhpun begitu, tiada perubahan dalam corak rumahtangga mereka. Alunie dan  Daniel membawa haluan sendiri. Meski ada rindu bergayut di tangkai hati Daniel terhadap Alunie, dibiarkan sahaja agar  Alunie sedar sendiri. Dia tidak lagi cuba mengambil kesempatan sebagaimana pada awal perkahwinan mereka.

            Daniel sudah lali dengan cara hidup begitu. Sekurang-kurangnya Alunie tetap di sampingnya. Cuma sesekali orang tuanya di kampung akan berkicau. Bertanya bila lagi mereka boleh menimang cucu. Dalam tempoh perkahwinan Daniel, sepatutnya mereka sudah beroleh seorang cucu paling kurang. Sering Daniel dan Alunie memberi alasan belum bersedia dan masih terlalu sibuk untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.

            Puan Mahani juga masih dengan sikap lamanya. Langsung tidak berubah. Asal sahaja Daniel dan Alunie sesekali menjengahkan muka ke kampung, akan berbunyilah pelbagai perbandingan antara Ayunie dan Alunie. Dia juga masih tidak mengetahui lapik duduk perkara sebenar. Sikapnya yang sering mencemuh Alunie membuatkan Encik Ibrahim dan besannya tidak bersedia untuk membuka rahsia. Alunie terus-terusan terpaksa berlagak seperti Ayunie setiap kali berdepan dengan Puan Mahani.

            Ayunie pula langsung tidak diketahui khabar beritanya. Sejak dia bertindak memutuskan hubungan dengan Daniel, langsung orang tuanya tidak dapat menghubunginya. Dia juga sudah lama berpindah rumah. Kata kawan-kawan serumahnya dulu, Ayunie memang terlalu sukar untuk ditanya khabar. Nombor telefon tangannya juga sudah tidak digunakan lagi. Sudah tiada dalam senarai perkhidmatan.

            Memang Haji Harun dan Hajjah Rahimah terkilan dengan tindakan Ayunie yang memulaukan keluarga. Padahal mereka sendiri telah lama memaafkan kesalahan Ayunie. Apatah lagi melihat ‘kebahagiaan’ Alunie dan Daniel menyebabkan mereka langsung tidak merasa berdosa dan bersalah meminta Alunie menggantikan tempat Ayunie. Hanya Ayunie yang terus menyimpangkan keluarganya. Menghilangkan diri entah ke mana.

            Alunie sendiri tidak lagi berusaha bertanya khabar Ayunie. Jawapan yang diberi memutuskan harapannya. Dia akhirnya membiarkan sahaja kisah Ayunie berkubur begitu sahaja dalam hidupnya. Dia lebih senang menumpukan perhatian kepada perniagaannya yang makin hari makin berkembang maju.

            Saban hari akan ada sahaja pelanggan baru berminat untuk berurusan dengannya. Ramai pemborong mengunjungi tokonya. Begitu juga orang perseorangan yang menjalankan urusniaga secara van sales. Alunie bersedia untuk menjalankan urusniaga dengan sesiapa sahaja. Asal kena dengan caranya. Kebiasaannya Alunie akan memastikan setiap pelanggan baru sama ada wholesaler atau peruncit yang menjalankan urusniaga secara kecil-kecilan membuat bayaran tunai. Sekiranya ada yang memberikan cek tunai tidak akan diterima memandangkan dia takut tertipu. Pernah sekali dia terkena apabila terlalu memberi muka kepada pelanggan menyebabkan cek yang diterimanya ditolak pihak bank.

            Hanya pelanggan yang telah lama berurusan  dengannya akan dibenarkan membuat bayaran secara hutang dan boleh membuat bayaran dengan menggunakan cek. Alunie bukan mahu menyusahkan orang yang berurusan dengannya, tapi sekadar mahu menjaga periuk nasinya sendiri.



Seorang lelaki berusia pertengahan tiga puluhan mundar-mandir meneliti barang-barang di dalam kedai Alunie. Sesekali dia tersenyum apabila pembantu kedai bertanya kepadanya.

            “Cari apa bang?” Pembantu kedai yang bernama Rose bertanya bersama senyuman. Sekadar mengambil hati pelanggan. Padahal dia sudah mula meluat melihat lelaki itu berlegar-legar di dalam kedai.

            “Tak ada apa. Saja nak tengok-tengok dulu. Orang kata buat survey dulu.”

            Jawapannya menyebabkan Rose mengerling ke arah Fatma kemudian mereka berdua sama-sama memandang Mahiran. Ibu muda yang masih meneruskan khidmatnya di kedai buku dan alat tulis milik Alunie setelah sekian lama gagal mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya. Mahiran membalas pandangan mereka bersama senyuman penuh erti. Rose dan Fatma mencebik bibir. Mahiran ketawa. Tahu betapa meluatnya Rose dan Fatma berdepan dengan pelanggan seperti itu.

            “Yang ni harga jual dia berapa kat sini?” Lelaki berjanggut sejemput itu bertanya Fatma yang mengekorinya.

            “Lima ringgit setengah,” jawab Fatma merujuk kepada mekanikal pencil berjenama Pilot jenis Shaker.

            Lelaki itu mengangguk-angguk. Masih bersama senyuman di bibir.

            “Kalau ambil dalam kuantiti yang banyak berapa persen taukeh bagi kurang?”

            “Berapa akak?” Fatma mengajukan soalan kepada Mahiran yang sudah kembali sibuk dengan invoice di mejanya.

            Mahiran mengangkat kepala. “Apa?” Soalnya yang tidak dapat menangkap dengan jelas soalan Fatma.

            Si lelaki merapati meja Mahiran.

            “Ni hah, biasanya untuk satu-satu jenis barang taukeh bagi kurang berapa persen untuk peruncit?”

            “Itu saya tak pasti. Kena tengok jenis barang dulu. Sebab harga tolak ni tak tentu berdasarkan jenis barang. Macam harga kertas jenis IK, taukeh tak berani bagi banyak sebab taukeh pun tak untung banyak jual kertas tu bagi satu ream.” Mahiran membalas.

            “Kalau nak puas hati lagi, baik encik bercakap sendiri dengan taukeh kami.” Mahiran menyambung.

            “Dia ada kat office?” Tanya lelaki itu sambil ibu jarinya dihalakan ke pintu bilik Alunie.

            “Buat masa ni dia tak ada. Ke stor sebab ada barang baru sampai. Kejap lagi dia balik. Encik boleh tunggu di kerusi sana kalau nak berurusan dengannya,” ujar Mahiran sambil menunjuk ke arah kerusi yang memang disediakan di kedai tersebut untuk sesiapa yang ingin menunggu Alunie.

            Selalunya kerusi-kerusi yang tersusun itu sering dihenyak oleh para jurujual yang sering datang beramai-ramai dalam satu masa. Dengan disediakan kerusi tersebut, mudah untuk mereka menunggu giliran berbincang dengan Alunie.

            Lelaki tersebut mengangguk. Namun dia tidak melabuhkan punggung ke kerusi, sebaliknya terus berlegar-legar di dalam kedai. Memerhatikan barang-barang yang ada. Rose dan Fatma sudah mengabaikannya. Fatma di mesin fotostat, sementara Rose sibuk melayan seorang pelajar perempuan yang ingin mencari buku rujukan keluaran Pelangi.

            Hampir lima belas minit kemudian barulah Alunie muncul di kedai. Kemeja kotak-kotak berlengan panjang yang dipakainya lencun oleh peluh. Dia berjalan menghala ke bilik. Topi ala Sani Sudin di kepala ditanggalkan. Terurai gumpalan rambut panjang melepasi pinggang.  Lalu diikatkan rambutnya yang panjang itu menggunakan getah pengikat berwarna hitam yang sudah tersedia di pergelangan tangan. Dia benar-benar kepanasan.

            “Kak, ada orang nak jumpa,” beritahu Mahiran sewaktu Alunie melintasi mejanya.

            “Siapa?” Soal Alunie pendek.

            Mahiran memuncungkan mulutnya ke arah lelaki yang sejak tadi menunggu. Alunie menoleh ke kiri, melihat lelaki yang sedang asyik memerhati pembaris boleh lentur yang biasanya digunakan oleh pelajar-pelajar institut kemahiran dan ITM.

            “Suruh dia jumpa saya kat bilik. Kat luar ni panas sangat.”

            Alunie mengibas-ngibas tubuhnya dengan topi. Mahiran akur. Lalu sebaik Alunie berlalu meninggalkan mejanya dia memanggil lelaki tersebut dan memberitahu tentang kepulangan Alunie.

            “Saya boleh masuk jumpa dia sekarang?”

            “Ya. Pergilah. Dia ada kat bilik tu.”

            Lelaki tersebut melangkah meninggalkan Mahiran. Sempat dihadiahkan senyuman kepada kerani Alunie yang kurus dan agak tinggi itu. Mahiran cuba memaniskan wajah. Membalas senyuman si lelaki.

            Lelaki tersebut mengetuk pintu bilik Alunie berkali-kali sebelum mendengar suara mengarahkannya masuk. Dia kehairanan melihat seorang wanita duduk di meja menatap akhbar. Matanya melilau memerhati sekeliling bilik pejabat yang agak luas. Mana tahu kalau-kalau ada orang lain selain Alunie di bilik itu.

            Mana pergi taukeh yang kerani kat depan tadi katakan? Takkan perempuan ni pula taukehnya? Hati kecil si lelaki bergumam.

            “Ya, nak cari apa?” Soal Alunie setelah disedarinya lelaki itu terpinga-pinga di muka pintu.

            “Nak cari taukeh kedai ni…”

            “Hah, silalah masuk.”

            “Taukehnya?”

            Alunie ketawa. Dia sebenarnya sudah acap kali berdepan dengan situasi itu. Memang terlalu ramai pelanggan tidak percaya apabila melihat dia sebagai taukeh. Sering mereka membayangkan taukeh kedai itu seorang lelaki cina sebagaimana kebanyakan kedai-kedai lain.

            “Masuk dan duduklah dulu.”

            “Cik taukeh kat sini?”

            Alunie mengangguk. Dia melipat akhbar di meja. Si lelaki masuk walaupun masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Sebagaimana orang lain yang pertama kali berurusan dengan Alunie, dia juga membayangkan seorang lelaki separuh usia yang bakal ditemuinya. Mana tahu, seorang wanita yang agak cantik dalam usia mungkin muda beberapa tahun daripada dirinya  duduk di meja taukeh.

            “Saya Nal Zawawi.” Dia memperkenalkan dirinya. 

            Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nal Zawawi  dipelawa duduk oleh Alunie. Raut wajah Nal Zawawi ditatap kerana serasa Alunie lelaki itu pernah dilihatnya di mana-mana, namun dia tidak pasti.

            “Saya Alunie, pemilik kedai buku dan alat tulis ni.”

            “Alunie?” Nal Zawawi berkerut kening. Dia juga seakan pernah mengenali nama itu. Lalu kini gilirannya pula menatap wajah Alunie.

            “Awak ni…”

            Nal Zawawi teragak-agak untuk bertanya meskipun  dirasakan pandangan matanya tidak tersalah orang .

            “Ya, kenapa?” Alunie bertanya hairan.

            “Entahlah, tapi apabila mendengar nama awak tadi dan jika saya renung wajah awak, saya rasa kita pernah jumpa sebelum ni.”

            Alunie terkejut mendengar kata-kata Nal Zawawi. Padahal sekejap tadi dia juga membuat anggapan demikian. Namun diusirnya kerana menganggap Nal Zawawi mungkin pelanduk dua serupa.

            “Tadi pun saya fikirkan begitu juga. Nama awak dan wajah awak membuatkan saya teringatkan seseorang.”

            “Siapa?” Tanya Nal Zawawi dengan dada berdebar. Debaran yang sekian lama tidak dirasakan setelah kematian isterinya tiga tahun lalu.  Entah mengapa dirasakannya demikian.

            Senior saya ketika zaman persekolahan dulu. Masa tu saya masih remaja lagi.”
Alunie memberitahu bersama senyuman. Dia teringatkan Nal Zawawi yang pernah mencuri hatinya satu masa dulu.

            “Awak belajar kat mana dulu?”

            “SMKTM (1). Tanah Merah, Kelantan.”

            “Sah! Awak salah seorang pasangan kembar kat sekolah kita dahulu.” Nal Zawawi kini yakin dengan pandangannya.

            Alunie tersentak. Terkejut dan tidak menyangka dipertemukan kembali dengan Nal Zawawi setelah sekian masa dia langsung tidak menemui kelibat bayangan Nal Zawawi di mana-mana.

            Mereka tidak pernah kenal mesra. Tidak pernah rapat dan bertegur sapa. Cuma sering bertukar senyuman setiap kali terserempak di mana-mana. Kini mereka ditakdirkan bertemu dalam suasana cukup berbeza. Dalam usia masing-masing sudah melewati tiga puluh tahun.

            “Tak sangka setelah sekian lama, awak masih boleh ingat saya,” kata Alunie sambil meletakkan semug minuman sejuk di depan Nal. Bualan mereka sudah tidak seformal tadi.

            “Masa sekolah dulu  awak dan kembar awak memang jadi bualan sebab satu-satunya pasangan kembar kat sekolah tu. Saya tak terkecuali berbual tentang awak.”

            Alunie tersenyum. Dia arif dengan sikap masyarakat. Pasangan kembar kebiasaannya memang akan dijadikan bahan bualan. Paling kerap masyarakat akan membuat perbandingan tentang pelbagai perkara.

            “Awak pulak, macam mana boleh ingat saya?  Padahal saya bukan sesiapa kat SMKTM (1).”

            Ayunie tersenyum. Tidak tahu bagaimana harus dijawab. Mustahil pula untuk dia katakan dia pernah menggilai Nal separuh nyawa ketika itu. Malu sahaja.

            “Awak dah berumahtangga, berapa orang cahaya mata awak sekarang?” Alunie mengubah topik perbualan. Mengelak daripada menjawab soalan yang boleh memerangkap dirinya.

            “Dah. Saya ada seorang anak perempuan. Baru berusia lima tahun.” Nal mengakui jujur. Terbayang wajah anak perempuannya yang comel. Iras wajah menurut ibunya. “Awak?”

            “Saya? Err, tak tahulah…” Alunie tidak pasti mahu berterus-terang atau merahsiakan perkahwinannya.

            Apatah pula dirinya langsung tidak terasa telah terikat dengan satu ikatan murni tersebut. Dia menjalani kehidupan tidak ubah seperti zaman bujangnya. Jika berubah sekalipun hanya satu, dia kini berteman tinggal di rumah mewahnya. Sekadar itu sahaja.











BAB LAPAN BELAS
Ayunie menghembuskan asap rokoknya perlahan-lahan. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulutnya. Mulanya menebal lama-kelamaan menipis, berbaur udara di sekitar bilik Ayunie. Asap rokoknya diperhatikan. Tiada hala tuju kepulan asap rokok tersebut. Dia bangun menjenguk keluar tingkap. Klaus, lelaki Jerman yang didampinginya masih belum pulang.

            Bertahun berlalu. Ayunie sudah nekad meninggalkan Dato’ Halim. Alasan yang diberi tidak bersedia untuk menjadi isteri Dato’ Halim. Sedangkan hakikat sebenarnya dia sudah bertemu dengan Klaus. Seorang pengarah di sebuah institusi perbadanan Jerman di Malaysia. Dato’ Halim pada awalnya gagal menerima kenyataan. Memandangkan itulah kali pertama dia gagal berkahwin dengan perempuan simpanannya setelah lama bersama.

            Bagaimanapun, permintaan Ayunie agar dilepaskan terpaksa ditunaikan. Dato’ Halim bukan jenis lelaki yang suka memaksa. Kebetulan kala itu dia sendiri baru berkenalan dengan seorang pelakon baru yang cantik jelita. Lalu pemergian Ayunie di dalam hidupnya direlakan.

            Ayunie agak bahagia dengan Klaus. Dirasakan lelaki itu memenuhi impiannya. Muda dan berharta. Tambah glamour apabila dia bukan anak Melayu. Bersama Klaus, corak hidup Ayunie makin menyimpang dari landasan asal.   Malahan dia sudah mula bertatoo, mengukir lambang cinta di pangkal dadanya dengan nama Klaus.

            Masih Ayunie ingat pertemuan pertama antara dirinya dan Klaus. Ia berlaku di sebuah bar. Ayunie ketika itu asyik menikmati minuman pilihannya. Klaus pula sedang asyik berbual dengan kawannya duduk bersebelahan dengan Ayunie di meja bar. Ayunie memang tidak menghiraukan Klaus. Apatah lagi Klaus ketika itu sedang asyik berbual dengan kawannya menggunakan bahasa yang sukar difahami.

            “Ich habe off Schmerzen in der Brust besonders morgens.” Keluh lelaki berkulit putih dalam bahasa yang Ayunie sendiri tidak tahu jenisnya.  Ich rauche nicht,ich trinke nicht, ich viel sport und bin sonst ganz gesund.  Sambung lelaki itu lagi. Jelas di perdengaran Ayunie, tapi faham? Sepatah pun tidak.

            “Magenschmerzen, das bedeutet Streβ! . Vielleicht haben Sie ein Magengeschwűr.” Balas kawan di sebelahnya yang kemudiannya Ayunie kenali sebagai Klaus.

            Begitu butir percakapan yang dapat ditangkap Ayunie. Namun satu apapun dia tidak faham. Pun tidak tahu bahasa apa yang sedang dituturkan. Ayunie tidak menghiraukan mereka berdua.  Kepalanya ligat dengan persoalannya bersama Dato’ Halim.  Ikutkan hati dan badan, dia sudah terlalu penat melayani Dato’ Halim. Nama sahaja orang tua, namun nafsunya mengalahkan orang muda. Sentiasa minta dilayan sehinggakan Ayunie menjadi mengah. Tidak tertanggung lagi penatnya mendampingi lelaki itu.

            Dalam masa yang sama pula Ayunie masih terkenangkan poket Dato’ Halim yang sentiasa penuh. Terasa rugi jika tidak berlanjutan merasa not-not di dalam poket Dato’ Halim. Meskipun simpanannya di bank makin menimbun sepanjang bersama Dato’ Halim, Ayunie masih belum puas. Dia belum mahu mengusik simpanannya. Oleh kerana itu dia perlu mencari tempat bergantung terlebih dahulu sekiranya berkeputusan mahu meninggalkan Dato’ Halim.

            Ekoran fikirannya sarat memikirkan kesudahan hubungannya bersama Dato’ Halim, Ayunie tanpa sedar menghabiskan segelas demi segelas minuman keras. Sehinggakan kepalanya kepeningan. Akibat kepeningan Ayunie merebahkan kepalanya ke meja bar. Sangkanya hanya untuk seketika. Hilang peningnya kelak dia akan memandu pulang ke kondo mewah hadiah Dato’ Halim. Hadiah yang mungkin bakal ditinggalkannya sebaik dia meninggalkan Dato’ Halim kelak.

            “Hai, awak dah bangun?” Sapa lelaki Mat Salleh dalam bahasa Melayu sedikit pelat sewaktu Ayunie membuka matanya.

            Dia kehairanan. Dipandangnya sekeliling. Dia berada di tempat yang tidak dikenalinya.

            “Don’t worry, you’re safe here. Awak tak sedar malam tadi, saya tak tahu awak tinggal kat mana, jadi saya bawa awak kat sini. Marah?”

            Klaus menerangkan tanpa Ayunie pinta sambil meletakkan sedulang sarapan pagi di meja kecil tepi katil.

            “Saya kat mana ni?” Tanya Ayunie yang masih terasa denyutan di kepalanya akibat minuman keras yang diteguknya malam tadi.

            “Kat rumah saya. Jangan bimbang awak tak apa-apa. Awak selamat.”

            “Awak siapa?”

            Ayunie memang sudah terlupa tentang mat salleh yang duduk di sebelahnya malam tadi.

            “Maaf, lupa nak kenalkan. Saya Klaus Metler. Malam tadi saya kat bar yang sama dengan awak.”
             

            Ayunie terdiam. Cuba mengingatkan kembali peristiwa di bar malam tadi. Barulah dia teringat pada dua orang mat salleh yang berbual dalam bahasa yang sukar difahaminya. Pagi ini pula mat salleh yang memperkenalkan diri sebagai Klaus Metler lancar berbahasa Melayu. Cuma kedengaran seperti sebutan baku.

            Ayunie bangun bersandar di kepala katil. Klaus menyuakan segelas susu berkalsium tinggi kepadanya. Huluran Klaus bersambut, sekadar mengambil hati. Padahal dia memang pantang minum sebarang susu, nanti perutnya mudah terkena cirit birit.
            Sambil menikmati sarapan pagi yang dihidangkan mereka adakan sessi beramah mesra kerana masing-masing tidak pernah kenal sebelum ini. Barulah Ayunie tahu Klaus sebenarnya seorang pengarah sebuah perbadanan Jerman di Malaysia. Di samping itu Klaus juga mengajar sepenuh masa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Uniputra. Satu tempat kerja dengan Daniel. Klaus mengajar kursus Bahasa Jerman dan Sepanyol kepada para pelajar yang mengikuti program Bacelor Sastera di UPM.

            Sebagai pecinta bahasa, Klaus fasih bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu. Disebabkan itulah dia tidak kekok bertutur dengan Ayunie menggunakan bahasa Melayu. Beberapa ketika berbual bersama Klaus menerbitkan rasa senang di hati Ayunie. Klaus bijak menawan hati Ayunie dengan sikap bersopannya. 

            “Kalau Ayunie nak mandi, bilik air sebelah sana. Towel dah tersedia di bilik air. Kalau Ayunie nak persalinan pulak, semua ada dalam almari pakaian tu.”

            Beritahu Klaus sebelum dia berlalu meninggalkan Ayunie untuk ke biliknya membersihkan diri. Ayunie mengangguk-angguk. Memang dia terasa ingin membersihkan badannya agar lebih bertenaga. Hilang sedikit rasa berdenyut di kepalanya andai disirami hangatan air pancuran di bilik mandi.

            Dengan malas Ayunie membuka pakaian satu persatu di bilik air yang tampak mewah dan bersih. Bilik yang bercahaya samar dihias indah dan mampu membangkitkan rasa bertenaga jika berpeluang memanjakan tubuh di situ. Cuma Ayunie sedikit malu apabila dinding bilik air itu diperbuat daripada cermin di sekelilingnya.  Nasib baiklah cahaya lampunya samar-samar sahaja. Jika tidak Ayunie mungkin menjadi agak tidak selesa melihat pantulan imej dirinya sendiri tanpa seurat benang.

            Ayunie sempat membelek tubuhnya sebelum membersihkan diri bagi memastikan Klaus tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya. Setelah berpuas hati dia lantas memutar kepala shower dan membiarkan pancuran shower membasahi tubuhnya. Lega sekali dirinya berada dalam keadaan menyegarkan seperti itu. Langsung terlupa tentang Dato’ Halim.

            Begitulah bermulanya hubungan antara Ayunie dan Klaus. Dari situ mereka bertukar-tukar nombor telefon, keluar makan bersama hingga akhirnya Klaus mengatakan isi hatinya yang sudah mula tertawan kepada Ayunie, kebetulan pula teman wanitanya, seorang gadis berbangsa cina telah meninggalkannya. Ayunie dibawa tinggal bersama. Menggantikan tempat Sarah. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal Ayunie menerima pelawaan Klaus. Ketika itu hubungannya dengan Dato’ Halim masih berjalan. Ayunie sedang mencari idea untuk dijadikan alasan terbaiknya meninggalkan Dato’ Halim.

            “Hi honey. Sorry saya lewat sikit.”

            Klaus menyapa sambil memeluk pinggang ramping Ayunie. Sebuah ciuman ikhlas singgah di pipi Ayunie.

            “Kenapa?”

            “Ada hal di office. Tengok ni…”

            Klaus menghulurkan sepucuk surat. Kelihatan seperti sepucuk surat rasmi kepada Ayunie. Ayunie menyambut lalu dibaca kandungannya.

            “Balik Jerman? Habis, bagaimana dengan saya?”

Tanya Ayunie sedikit cuak. Bimbang nasib dirinya sekiranya Klaus berlalu begitu sahaja sedangkan dia baru memutuskan hubungan dengan Dato’ Halim. Mustahil untuk dia kembali kepada Dato’ Halim.

Klaus mengukirkan senyuman. Bagaikan perkara itu langsung tidak mendatangkan masalah kepadanya. Dia memusingkan badan Ayunie. Menjadikan mereka saling berhadapan. Retina Ayunie direnung sayang.

“Ayunie, kalau betul awak sayangkan saya, apa kata kalau awak ikut saya balik Jerman?”

“Hah?” Ayunie terpempan. Agak tidak percaya dengan permintaan Klaus.

Tambahan pula selama ini dia tidak pernah terfikir untuk berhijrah dan meninggalkan tanah air. Benaknya menghitung-hitung sendiri segala kemungkinan yang bakal terjadi sekiranya dia mengikut Klaus ke Jerman. Sebuah negara yang dia sendiri tidak pernah tahu selok-beloknya walaupun pernah berkunjung ke sana semasa bersama Dato’ Halim.

Dalam otaknya berfikir, ke mana hala tujunya sekiranya Klaus satu masa nanti meninggalkan dirinya terkapar-kapar. Kalau keadaan itu terjadi semasa di tanah air sendiri, langkah Ayunie masih panjang. Kalau terjadi semasa di Jerman bagaimana?

“Kat Jerman nanti, kita tinggal kat mana? Wo wohnest du?” Ayunie bertanya sekejap dalam bahasa Melayu sekejap dalam bahasa Jerman.

Ich wohne auf Stommeln. Jadi Ayunie juga akan menetap di Stommeln juga nanti,” beritahu Klaus. “ Rumah kita nanti berdekatan dengan studio rakaman ‘Dierks Studios’, kalau Yunie minat artis-artis berasal dari Jerman, ada peluang Yunie boleh terserempak dengan mereka,” sambung Klaus. Cuba memancing minat Ayunie.

Sememangnya Klaus berat hati untuk meninggalkan Ayunie meskipun dia tahu permintaannya agak melampau. Bukan mudah untuk seseorang meninggalkan tanah airnya dan mencuba nasib di rantau orang. Namun demi sayangnya kepada Ayunie, dia cuba menyatakan hasratnya.  Kalau boleh dia sendiri belum mahu pulang, apakan daya dia sudah mendapat arahan oleh pihak atasan. Tambahan pula kontraknya di UPM sudah tamat. Dalam usaha dia cuba menyambung kontrak, dia diarahkan pulang oleh majikannya.

Puas sudah dia cuba berbincang dengan Silke Rodernberg, kalau-kalau rakannya yang mempunyai pengaruh besar di DAD, perbadanan Jerman di Malaysia itu dapat membantu. Namun wanita bermata hijau itu juga tidak dapat berbuat apa-apa.  Klaus terpaksa menerima nasib yang sama seperti Ulrike Sellmann, Annette Harris dan beberapa orang kawannya yang lain. Mungkin satu masa nanti, akan tiba masa Silke Rodernberg pula. Itu sudah tertakluk dalam perjanjian.

Warum Yunie? Wie geth es du? Tak sihat?” Tanya Klaus. Sengaja menggunakan bahasa campuran seperti itu untuk membiasakan dan membuatkan Ayunie lebih fasih menggunakan bahasa Jerman.

Na Ja. Es geth Mir Gut. Saya sihat saja, cuma tak sangka saya akan berdepan dengan perkara ni.”

“Saya tak paksa kalau Yunie tak nak ikut. Cuma nanti kita akan jarang berjumpa. Jerman dan Malaysia jauh beribu-ribu kilometer. Memang saya akan datang jenguk Yunie kalau ada kelapangan. Tapi tak tahu berapa kerap. Ich weis nicht. Saya tak tahu.”

“Bila Klaus kena pulang?”

“Dua bulan dari sekarang. Mungkin sempat untuk siapkan segala keperluan Yunie ke sana. Macam buat visa dan sebagainya lagi.  Kalau tak, saya berangkat dulu, lepas tu Yunie menyusul.”

“Berilah masa saya fikir Klaus. It’s hard to decide. Lagipun dalam keadaan terburu-buru macam ni.”

Ujar Ayunie sambil menggenggam erat tangan kekasih hatinya. Klaus juga turut membalas genggaman itu lalu diangkatnya tangan itu ke bibir sebelum dikucup lama. Berat hatinya untuk berpisah dengan Ayunie.

Ayunie turut merasakan demikian kerana dia sememangnya telah jatuh hati terhadap Klaus dan bukan hanya mahu menjadikan Klaus tempat bergantung hidup semata-mata. Lelaki Jerman itu benar-benar telah menawan hatinya.

“Atau Yunie cuma akan mengikut saya ke Stommeln seandainya kita berkahwin terlebih dahulu? Itu mungkin lebih senang untuk membawa Yunie ke sana.”

Tercetus idea itu oleh Klaus membuatkan Ayunie sedikit tersentak. Klaus benar-benar menampakkan kesungguhannya dalam hubungan mereka sehinggakan mengambil keputusan secepat itu untuk melamar Ayunie.

Will you marry me, Yunie?” Klaus melafazkan lamaran. Hatinya sudah membulatkan tekad.

Ayunie masih terkaku. Tidak tahu apa yang patut dikatakannya. Bersetuju bermakna membiarkan dirinya terikat. Seterusnya membayangkan kesediaannya untuk meninggalkan tanah air. Menolak dia merasakan tidak punyai kekuatan untuk berbuat demikian.

“Klaus, saya tak dapat buat keputusan sekarang. Semuanya terlalu pantas buat saya. Berilah saya masa Klaus. Banyak perkara yang harus difikirkan sebelum saya bersetuju untuk kahwin dengan Klaus.”

“Saya faham. Tambahan pula kita berlainan agama. Tentu sukar untuk Ayunie buat keputusan,” akur Klaus.

Dia sendiri sukar membuat keputusan kalau berdepan dengan permasalahan agama. Agama keturunan leluhurnya. Malah, Klaus sendiri andai disuruh membuat pilihan tidak akan sewenang-wenangnya meninggalkan agama yang telah dianutinya semenjak masih bayi lagi.

Namun dia akan bertolak ansur sekiranya Ayunie mahu terus dengan agamanya. Biarlah berlainan agama, asalkan dia dan Ayunie dapat bersama. Begitu fikir Klaus yang terlalu cetek pengetahuannya tentang agama Islam. Tambahan pula dia tidak pernah didedahkan tentang agama Islam oleh kawan-kawannya yang beragama Islam. Apa yang dia tahu, langsung tiada beza antara kawannya yang beragama Islam dengan kawan-kawannya yang menganut agama lain.

Dalam pada itu dia yakin agama bukan menjadi persoalan besar dalam hubungan antara mereka berdua. Lebih-lebih lagi keadaan hidup Ayunie sepanjang dia kenal langsung tidak menampakkan kesungguhannya dalam beragama. Oleh kerana itu soal agama bukan penghalang. Klaus cuma sekadar berbasa-basi dengan Ayunie.

            Sungguhpun demikian, dia tidak akan memberi sebarang pendapat berkaitan agama kepada Ayunie. Biar Ayunie sendiri menentukan. Apa yang lebih penting sekarang, kesanggupan Ayunie mengikutnya pulang ke Jerman. Hatinya berdoa kepada Marry yang suci agar menolongnya membuka pintu hati Ayunie.










BAB SEMBILAN BELAS
Setelah berfikir sedalam-dalamnya Ayunie akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan tanah airnya dan mengikut Klaus  ke benua Eropah. Ayunie memikirkan kehidupannya di sini yang tidak mempunyai sesiapa lagi selain kawan-kawan. Ibu bapanya? Pada andaiannya mustahil mereka akan menerimanya dan memaafkan kesalahan yang telah dilakukannya.

            Dia masih belum memaklumkan perkara itu kepada Klaus memandangkan masa yang tidak membuka ruang untuknya. Klaus akhir-akhir itu sibuk menguruskan beberapa perkara di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPM sebelum meninggalkan Malaysia. Juga sibuk berulang-alik ke DAD.

            “Klaus, Yunie dah putuskan untuk ikut Klaus balik Jerman.”

            Klaus membeliakkan matanya mendengar keputusan Ayunie ketika mereka menikmati minum petang bersama. Dia meluru mendapatkan Ayunie lantas menghadiahkan sebuah kucupan di pipi sebagai tanda terima kasih di atas kesudian Ayunie mengikutnya.

            Gut. Bagus Yunie. Itulah yang Klaus nak dengar sangat,” ujar Klaus cukup girang dengan keputusan yang diambil Ayunie. “You know Yunie, I just wanna live with you wherever I go Yunie.” Sambung Klaus lagi. Dia masih memeluk Ayunie dengan erat.

            “Yunie juga sama dengan Klaus. Then, bila Klaus nak uruskan hal Yunie nak ke sana?”

            As soon as possible honey.”

            Ayunie tersenyum. Dia telah membuat keputusan muktamat dan hatinya telah membulatkan tekad tanpa berbincang mahupun meminta sebarang pendapat daripada sesiapa melainkan mengikut kata hatinya semata-mata. Di bumi Malaysia tidak menjanjikan apa-apa lagi untuknya. Hubungan yang terputus dengan Dato’ Halim juga keenganan untuk pulang ke rumah orang tuanya menjadi punca kenekadannya.

            “Yunie, how about your parents?”

            “Kenapa Klaus tanya pasal mereka secara tiba-tiba aje ni?” Ayunie kehairanan mendengar pertanyaan Klaus kerana selama mereka berhubungan secara tuntas, Klaus sekali pun tidak pernah bersuara tentang perkara itu.  Hati Ayunie sedikit termengkelan.

            I  think you ought to tell them. Let them know you will go with me.”

            I don’t think so Klaus. I’m not going to tell them. Ich will jetzt mein Leben leben. Now I wanna live my own life.”

            Klaus merenungnya. Dia tahu ada perselisihan antara Ayunie meskipun Ayunie tidak pernah bercerita tentang keluarganya.

            It’s up to you honey. Klaus tak mahu memaksa. Yunie sudi ikut Klaus dah cukup buat Klaus berbesar hati dan gembira. Jetzt bin ich sehr glücklich. Now I’m very happy.” Klaus berkata sambil sekali lagi memeluk Ayunie dengan penuh kasih sayang.


Lalu seperti yang dirancangkan Ayunie berangkat ke Jerman bersama Klaus setelah segala urusan untuk dia ke sana selesai. Mujur segala dokumen dan visa kepemergiannya dapat diuruskan dengan segera. Jika tidak mungkin Klaus harus meninggalkan Ayunie terlebih dahulu memandangkan dia harus pulang memulakan tugasnya dalam masa dua bulan  itu.

            Ayunie hanya menghabiskan masa dengan tidur sepanjang berada di dalam pesawat. Dia jadi tiada perasaan dan keinginan untuk berbual-bual. Memang ada sedikit rasa sayu meninggalkan tanah airnya. Pemergiannya kali ini bukan untuk sementara waktu. Mungkin buat selama-lamanya selagi Klaus tidak kembali bertugas di Malaysia. Atau selagi hubungan dia dan Klaus berpanjangan.

            Sungguhpun dia tidak dipaksa untuk mengikut Klaus, namun hati kecilnya tetap dibumbui pelbagai rasa. Benaknya berbaur oleh rasa lugu yang akhirnya menjadi satu beban maha berat dan begitu menghenyak pundaknya.

            Begitupun Ayunie memang yakin dengan hubungannya dengan Klaus. Dia ikhlas terhadap Klaus dan tahu Klaus juga ikhlas terhadapnya. Dia tidak pernah mempunyai keyakinan seperti itu setiap kali berhubungan dengan mana-mana lelaki. Namun dengan Klaus dia dapat merasakan kelainannya. Disebabkan itulah dia sanggup melakukan apa sahaja terhadap Klaus demi mencapai maksud kebahagiaan yang dibayangkan bersama Klaus.

            Tiba di lapangan terbang Frankfurt, mereka disambut oleh pekerja pejabat tempat Klaus bakal bertugas. Terus dibawa ke Stommeln tempat di mana mereka tinggal.  Perjalanan memang agak memakan masa, namun Ayunie tidak merasakannya kerana dia tenggelam dalam mainan fikirannya.

            Ein Haus mit Garten ist unser Traum.” Klaus cuba untuk bercakap-cakap dengan pekerja yang memperkenalkan diri sebagai Mr. Wiegand.

            “Und die Sind fast immer sehr teuer und liegen auch meistens außerhalb.” Balas Mr. Wiegand menerangkan  kepada Klaus apabila Klaus menyatakan impian mereka untuk tinggal  di rumah yang mempunyai kebun.

            Kata-kata Mr. Wiegand ada benarnya kerana di Jerman memang susah untuk mendapatkan rumah sebegitu.  Rumah sebegitu seperti kata Mr. Wiegand amat mahal dan kebiasaannya hanya terdapat di luar Bandar. Mereka berdua pula hanya diberikan flat sebagai tempat tinggal.

            Ayunie dan Klaus dibawa melihat sekeliling flat tempat tinggal mereka.

            The bedroom and the kitchen are rather small.” Komen Ayunie kepada Klaus. Klaus hanya tersenyum.

            Pada Klaus, bilik tidur kecil mungkin agak tidak selesa untuk mereka berdua, begitupun dapur yang kecil bukan masalah besar kerana mereka tentu jarang menggunakannya. Paling tidak masuk ke dapur untuk menyediakan secawan coklat panas dan menikmatinya di anjung seperti kebiasaannya.

            The bathroom is old and has no window,” ujar Ayunie lagi.

            Dia seakan tidak senang dengan keadaan flat itu memandangkan selama ini dia sudah biasa tinggal di rumah mewah dan serba luas. Termasuk rumah orang tuanya di kampung yang mempunyai lima bilik meskipun tidak mempunyai ramai anggota keluarga.

            Orang tuanya sengaja membuat banyak bilik untuk memudahkan saudara jauh datang bertandang dan merasa selesa tinggal di rumah mereka terutama yang datang berpasangan suami isteri. Lagipun duit kiriman Alunie tiap bulan boleh memungkinkan mereka membina rumah lebih besar dari itu.

            But the living room is very nice and light. It even has a balcony,” ujar Klaus pula. Cuba untuk mengubat hati Ayunie.

            And yes, you can have a barbecue on the balcony or on the terrace but you must not disturb your neighbours.” Celah Mr. Wiegand.

            Ayunie diam. Hatinya mengomel. Nak berbarbekue dengan siapa agaknya. Namun demi Klaus semua itu hanya mampu bersiponggang dalam hatinya. Bimbang Klaus berkecil hati sementelahan pula dia datang ke Jerman bukan dipaksa sesiapa melainkan didorong rasa cintanya terhadap Klaus.

            I’ve to go but before I leave, you ought to know, Ohne Erlaubnis dürfen Sie auf dem Dach oder am Schornstein keine Antenne montieren.” Beritahu Mr. Wiegand  menggunakan Bahasa Inggeris bercampur aduk dengan Bahasa Jerman.

            “Dia cakap apa?” Ayunie yang masih belum fasih Bahasa Jerman sepenuhnya meminta Klaus menerangkan balik kepadanya.

            He said, we must not fix an aerial on the chimney or on the roof without permission.”

            “Ohh, em okey.”

            That’s all. Have fun. But before I forget this is the car key.” Mr. Wiegand menyuakan kunci kereta kepada Klaus.

            Danke  Schön und Bis Bald Herr Wiegand.”

            Mr. Wiegand  tersenyum mendengar ucapan terima kasih dan jumpa lagi yang diucapkan Klaus. Dia berlalu meninggalkan pasangan itu.

            Now you are here.” Klaus memeluk Alunie erat. “Are you happy honey?”
Tanya Klaus separuh berbisik.

            I’m happy but a little bit tired.”

            Go to the bathroom, mandi dan take a rest for a little while.”

            “Okey. I love you Klaus.” Ucap Ayunie sambil menghadiahkan ciuman ke pipi Klaus. Klaus membalasnya.

            Sesudah Ayunie mandi Klaus pula mengambil giliran. Ayunie menyiapkan dirinya sebelum merebahkan tubuh. Badannya betul-betul keletihan setelah agak lama tidak melalui perjalanan yang jauh seperti itu. Dulu dia sering ke sana ke mari terbang bersama Dato’ Halim. Kini dia sudah ‘bersara’ daripada jawatan itu. Dia mahu membina hidup baru bersama Klaus.

            Klaus tersenyum melihat Ayunie kelenaan sebaik dia keluar dari bilik mandi. Tidak mahu mengganggu Ayunie, dia keluar mencari makanan untuk mengalas perut. Setelah agak lama hidup bersama Ayunie, dia sudah tahu apa yang boleh dan tidak dimakan Ayunie. Terhampir sebuah kedai pizza. Hanya itu mampu dibeli Klaus memandangkan dia sendiri kepenatan untuk memandu lebih jauh.


Sudah hampir dua minggu Ayunie berada di Jerman. Suasananya memang agak berbeza dengan di Malaysia. Masyarakat di situ mempunyai cara hidup sendiri. Ayunie langsung tidak bercampur dengan mereka meskipun ada sesetengah jiran yang memandangnya pelik dan cuba untuk beramah mesra. Ia mungkin terjadi kerana rupa wajah asianya yang agak jarang ditemui di kawasan seperti Stommeln.

            Jika Klaus tiada di rumah dan tidak membawanya jalan-jalan, Ayunie lebih senang terperap di rumah dan mendalami Bahasa Jerman dengan menggunakan vcd dan juga mendengar melalui kaset. Setakat ini Ayunie sudah berani bertutur di khalayak ramai menggunakan bahasa tersebut namun tidak pernah berbuat demikian kerana dia malas untuk keluar bertemu dengan masyarakat luar. Klaus pernah juga mempelawa Ayunie ke majlis makan-makan yang dianjurkan oleh pejabatnya. Ayunie enggan berbuat demikian.

            Terkenang semasa dia bersama Daniel dulu. Dia juga jarang berbuat demikian andainya Daniel mahu membawanya keluar bercampur dengan rakan-rakan sekerjanya. Bagi Ayunie dia tidak betah untuk bercampur dengan golongan terpelajar. Paling tidak dia hanya bercampur dengan kawan-kawan rumah sewa Daniel. Itupun dia tidak begitu mesra dengan mereka. Kini semasa bersama Klaus Ayunie nampaknya masih enggan bercampur dengan golongan yang dirasakan mempunyai status pendidikan yang lebih tinggi berbanding dirinya. Dia tidak tahu topik apa yang bakal dibualkan dengan mereka.

            Hairannya dia boleh pula menjalinkan hubungan dengan Klaus yang juga mempunyai status pendidikan lebih tinggi berbandingnya. Entahlah, kadang-kala sikap Ayunie memang sukar untuk dimengertikan sesiapa. Klaus juga pening dengan telatahnya. Lalu Klaus membiarkan saja Ayunie dengan dunia dan kehendaknya.

            Jika dia bosan belajar Bahasa Jerman, Ayunie akan melayari internet.  Membaca berita terkini yang berlaku di Malaysia dengan melayari laman web akhbar tempatan. Sungguhpun demikian dia langsung tidak teringat dan terlintas untuk pulang atau paling tidak menghubungi orang tuanya di kampung sekadar untuk bertanya khabar. Dia juga tidak rindukan keadaan hidup semasa belum bersama Klaus. Berfoya-foya ke sana-sini. Sungguh, dia langsung tidak rindukan itu semua. Dia hidup bersama Klaus seadanya. Ayunie benar-benar berubah kerana Klaus!

            Dalam tempoh dua minggu hidup di rantau orang juga, Klaus sekali lagi mengulangi lamarannya untuk memperisteri Ayunie. Bagi Klaus sudah tiba masa untuk berbuat demikian. Dia menerangkan kepada Ayunie, perkahwinan di Jerman  tidak mempersoalkan perbezaan agama. Sesiapa pun bebas untuk berkahwin biarpun mempunyai perbezaan anutan.

            Kali ini Ayunie tidak berfikir panjang apabila Klaus mengulangi lamarannya. Lagipun semasa dia memutuskan untuk mengikut Klaus ke negaranya, dia sebenarnya juga telah memutuskan untuk menjadi suri hidup Klaus.  Dengan persetujuan Ayunie, Klaus akhirnya sibuk menguruskan perkara itu dengan jabatan berkaitan.
            How’s life here Yunie?” Soal Klaus suatu pagi hujung minggu.

            Das lieben hier ist bunt und interresant, aber auch nervös und hektisch. Life here is colourful and interesting but also nervous and hectic.”

            Klaus ketawa mendengar komen Ayunie. Nervous and hectic! “Here quite different sorts of people meet and all have their own lifestyle.” Kata Klaus kemudiannya sambil mendakap erat batang tubuh Ayunie dengan penuh kasih sayang seperti kebiasaannya.

            “Klaus kesiankan Yunie tinggal sorang-sorang kat rumah. I think I’ll take you for a holiday  this weekend.”

            It’s okey my love, but if you’d like to, Yunie pun suka untuk ke mana-mana. Sightseeing pun kira okey jugak.”

            No. Klaus bukan nak bawa bersiar-siar tapi nak bawa makan angin di serata Berlin. Go out on trips into the beautiful surroundings of Berlin.”

            Oh, wow! What a wonderful trip. Yunie dengar every weekend thousands go to Berlin Lakes. Die mag ich. That one I like!” Ayunie berkata dengan penuh minat.

            Padahal dia bukan sahaja pernah mendengar, malah pernah ke situ bersama Dato’ Halim suatu masa dulu.

            “Klaus juga terfikir nak bawa Yunie berbulan madu di Baltic Island lepas kahwin nanti, Yunie setuju?”

            Urlaub auf der Ostseeinsel Hiddensee ist ein Erlebnis. A holiday on the Baltic Island of Hiddensee is an experience. It very cosy too.”

            “”Yes but ia berbaloi. There is no industry and cars are not permitted to drive on the island, because Hiddensee is a nature reserve.”

            “Kalau begitu Yunie tunggu Klaus bawa Yunie berbulan madu ke sana, okey?”     

            Begitulah kehidupan awal Ayunie bersama Klaus di Stommeln. Kehidupan mereka agak sederhana. Sungguhpun demikian ia amat membahagiakan Ayunie.

            Ayunie merasakan dia telah menemui cinta sejati dengan lelaki berbangsa Jerman bernama Klaus Metler. Dia tidak pernah rasa ingin mempunyai dan dipunyai seperti itu. Segala-galanya tentang Klaus dirasakan amat sempurna.

            Klaus juga telah membawa Ayunie bertemu dengan ibu bapa dan saudara maranya yang masih tinggal di Stommeln. Ibu bapa Klaus sudah berumur dan kelihatan uzur. Mereka agak ramah melayan Ayunie dan nampaknya senang dengan kehadiran Ayunie. Begitupun Ayunie agak kekok untuk berinteraksi dalam Bahasa Jerman dengan mereka kerana mereka menggunakan Bahasa Jerman natif dan bukan Bahasa Jerman kebangsaan seperti yang dipelajari Ayunie. Alihnya Ayunie hanya banyak tersenyum daripada berbual-bual kerana mereka pula tidak begitu memahami Bahasa Inggeris untuk digunakan sebagai bahasa perantaraan.

            Ketika itu Jerman sudah masuk musim sejuk dan mereka bakal meraikan Krismas beberapa hari lagi. Memang Klaus sengaja mengajak Ayunie pulang ke rumah orang tuanya musim itu. Di samping dapat menyambut krismas, dia juga boleh berkenalan dengan saudara-mara Klaus. Tidak ramai saudara mara Klaus yang masih tinggal di Stommeln mahupun di merata Jerman. Kebanyakan mereka sudah berhijrah ke merata Eropah dan ada juga ke Amerika.

            Pengalaman menyambut Krismas di rumah orang tua Klaus suatu pengalaman buat Ayunie. Selama ini Krismas di Malaysia lebih kepada nyanyian hari krismas. Lampu-lampu yang dipasang di pokok krismas yang biasanya diletakkan di pusat membeli-belah dan  juga rancangan-rancangan menarik di tv. Meraikannya sendiri bersama penganut kristian memberi suatu kelainan kepada Ayunie. Seronok melihat anak-anak buah Klaus yang masih menetap di Jerman membuka hadiah masing-masing. Juga seronok membantu satu-satunya adik perempuan Klaus menyediakan ayam belanda panggang. Menu utama mereka menyambut krismas.

            Klaus memainkan lagu Boney M yang menceritakan tentang kelahiran Jesus Christ mengikut sejarah yang tercatat dalam Bibble semasa menyambut Krismas. Ia agak berlainan dengan kebiasaan yang dilihat Ayunie. Tiada lagu ‘Jingle Bell’ atau  lagu ‘Merry Christmas’ beralun di udara. Mereka berdua berehat-rehat di tempat pendianan. Iklim yang sejuk membuatkan Klaus dan Ayunie lebih senang untuk terperap di rumah. Ketika itu orang tua Klaus sudah masuk ke bilik bacaan. Mereka berdua rupanya minat membaca. Minat mereka itu kini menular dalam diri Klaus menjadikan lelaki itu juga amat minat membaca. Kalau tidak, mustahil untuk dia jadi seorang pensyarah dan penggiat bahasa.

            Yunie, What do you need for a winter holiday? Terperap dalam rumah macam ni tak bosan?”

            “Apa boleh buat? Sejuk-sejuk macam ni Yunie rasa nak tidur aje.”

            Klaus ketawa. “ Ni bukan Malaysia, musim hujan je terperap kat rumah. Kat sini kalau musim salji macam ni kita orang ada aktiviti menarik.”

            “Habis, Klaus ada cadangan untuk Yunie?”

I suggest, go for a ski course. Belajar melunjur atas ais.”

            “Yunie tak terfikir pun untuk belajar. Sempat lagi ke?”

            “Biasa ia ambil masa tiga minggu.”
            “Takut belum pandai winter pun berakhir.”

            “Tak mungkin, tak kan Yunie tak boleh pandai dalam masa tiga minggu? Yunie kan jenis mudah belajar sesuatu yang baru. Tengok macam Bahasa Jerman, Yunie dah boleh kuasai dengan baik.”

            But not native. Orang tua Klaus cakap Yunie tak faham.”

            Native is quiet different. Tapi kalau dah lama, bahasa Jerman natif pun Yunie boleh faham. Itu yang Klaus nak sangat Yunie bergaul dengan jiran-jiran tu. Boleh improve your native language.”

            “Yunie tak mahu bergaul bukan apa Klaus, cara kita punya jiran tengok Yunie semacam.”

            “Sebab Yunie orang Asia.Orang kat sini jarang tengok orang Asia.”

            “Pelik sangat ke orang Asia.”

            “Bukan pelik, tapi cantik!”

            Ayunie mencubit manja lengan Klaus yang cuba mengusiknya. Cubitannya membuatkan Klaus menjerit. Keadaan itu menyebabkan suasana agak gamat.

            Klaus dan Ayunie tidak lama di rumah orang tuanya. Klaus mempunyai banyak kerja yang harus diselesaikan. Klaus tetap bekerja sungguhpun ketika itu cuti musim sejuk. Dia juga mahu membuat persediaan untuk pergi berbulan madu ke Baltic Island. Dia mahu memastikan segala kerja yang diamanahkan kepadanya selesai sebelum dia berangkat ke sana.


BAB DUA PULUH
Ayunie sibuk mengemaskan segala kelengkapan untuk pergi berbulan madu. Dia kini telah sah bergelar isteri Klaus. Dia tidak menyangka suatu hari dia akan bergelar isteri orang juga setelah selama ini tidak begitu mengambil berat soal berumahtangga. Pertunangannya dengan Daniel dahulu pun baginya berlaku secara tidak sengaja. Kerana mengikut jiwa remaja dan bukan akal fikiran yang matang.

            Kini bersama Klaus keputusan yang diambilnya suatu keputusan yang tekad dan lahir dari hati yang benar-benar mencintai. Dia merasakan cukup bahagia bersama Klaus dan tidak hairan mengapa dia sanggup untuk menjadi isteri kepada lelaki Jerman tersebut.

            Perjalanan dari Stommeln untuk ke Baltic Island memang mengambil masa yang agak lama juga. Namun setelah kerap ke sana ke mari bersama Klaus setiap hujung minggu membuatkan Ayunie sudah betah dengan keadaan itu. Sepanjang perjalanan, Klaus banyak bercerita tentang keindahan Baltic Island kepada Ayunie.

            Setibanya di Baltic Island, Ayunie merasakan semacam satu kepuasan melihat sendiri keindahan yang terhampar di depan mata.

            Oh, what a wonderful island!” Ucap Ayunie kagum sekali.

            “Kan Klaus dah cakap. Tapi apa-apa hal kita pergi hotel kita dulu. Klaus dah rasa rimas ni. Nak bersihkan badan dulu.”

            Ayunie akur dan membontoti Klaus. Beg pakaian mereka dibawa oleh petugas hotel.

            Klaus memilih hotel yang membolehkan mereka melihat keindahan Baltic Island. Ayunie tersenyum bahagia semasa di balkoni hotel. Dia memang suka  dengan kedudukan hotel berdepan dengan pantai dan menawarkan keselesaan yang tinggi. Di samping kedudukannya yang kena dengan citarasa, hotel itu juga mempunyai ‘indoor swimming pool dan private beach. Juga tidak lupa bilik bacaan bagi sesiapa yang gemar menghabiskan masa dengan membaca.

            Setelah merehatkan badan lebih kurang, Klaus membawa Ayunie mengambil angin sekitar pantai.

            The beaches are clean, the fields and wood are not ruined. What a beautiful!”

            Klaus gembira dengan kata-kata Ayunie. Itu menandakan dia telah membuatkan hati isterinya senang.

            “Yunie, ini bukan setakat hadiah bulan madu untuk Yunie, tapi ini juga tanda terima kasih Klaus kerana Yunie sanggup hidup dengan Klaus. Sebelum ini dah ramai Klaus jumpa perempuan, tapi tak ada yang sanggup untuk hidup dengan Klaus. Mereka tidak mahu terikat dengan Klaus yang kerja asyik berpindah-randah.”           

            Ayunie terharu mendengar ucapan Klaus. Dia memeluk lelaki itu dengan erat seperti tidak mahu berpisah.

            “Ayunie juga mahu berterima kasih atas kasih sayang Klaus. Kalau tak bertemu Klaus, mungkin hingga hari ini kehidupan Yunie masih tak menentu.”

            Klaus merenung isterinya. Kemudian mengucup dahi si isteri. Dia terkenang semula pertemuan pertama dengan Ayunie. Di sebuah bar. Memang melihatkan keadaan Ayunie ketika itu seperti dia mempunyai masalah. Sungguhpun demikian sehingga kini Klaus tidak pernah bertanyakan apa masalah Ayunie yang sebenarnya. Apa yang menjadi bebanan hidupnya. Ayunie juga tidak pernah mahu bercerita hanya mengatakan hidupnya mula berubah dan menjadi lebih bermakna sejak kehadiran Klaus. Hanya itu yang sering diucapkannya.

            “Kini Yunie sudah mempunyai sebuah keluarga yang lengkap. Yunie rasa cukup bahagia.”

            “Klaus juga sependapat dengan Yunie. Hanya satu pinta Klaus, harap Yunie boleh bersabar hidup dengan Klaus. Kerja Klaus tidak menentu tempat. Kena sentiasa berpindah randah.”

            “Yunie akan sesuaikan diri dengan keadaan itu. Yunie akan sanggup menerima apa jua keadaan asalkan tetap hidup di samping Klaus.”

            Klaus merangkul Ayunie mendengar ucapan ikhlas yang lahir dari mulut Ayunie. Ayunie membalasnya dan mereka berdua tenggelam dalam lautan kasih sayang yang mereka ciptakan.


Baltic Island telah  ditinggalkan. Pasangan suami isteri itu kembali ke Stommeln. Klaus kembali memulakan tugasnya dengan perbadanan Jerman. Jadualnya sentiasa padat. Namun dia tidak lupa untuk kembali ke rumah pada waktu tengahari untuk menjenguk isterinya. Sehabis waktu rehat dia kembali semula ke pejabat. Rasa ambil beratnya terhadap Ayunie terlalu tinggi dan ini semakin menambah sayang di hati Ayunie terhadapnya.

            Ayunie benar-benar bangga dan bahagia dilayan seperti permaisuri oleh Klaus. Andai orang tuanya di kampung melihat akan kebahagiaan rumahtangganya dengan Klaus tentu mereka juga akan merasa sejuk perut. Jika meneruskan hubungan bersama Daniel, belum tentu pensyarah muda itu akan melayannya sedemikian rupa. Daniel sentiasa sibuk dengan tugasnya. Jika keluar bersamanya sekalipun Daniel masih senang bercakap soal kerja. Daniel juga jenis yang dingin. Begitu keadaan Daniel semasa bersamanya.

            Dia tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan Alunie di samping bekas tunangannya. Alunie juga jenis yang tidak pandai dalam soal hati dan perasaan. Sepanjang pengetahuan Ayunie, Alunie tidak pernah bercinta dengan sesiapa.

            Huh, si selekeh tu siapa sangat yang mahu? Rupa aje macam aku, tapi penampilan buat malu kompeni saja! Gerutu Ayunie kemudian terkekeh-kekeh ketawa. Agak lucu apabila membayangkan Daniel membawa Alunie yang tidak pandai tampil bergaya ke sebarang majlis formal yang terpaksa dihadirinya. Tentu Alunie bakal memalukan Daniel.

            Tiba-tiba Ayunie terkenangkan kenangan di KLIA dahulu. Dia teringat Daniel memanggil Alunie dengan panggilan sayang. Ketika itu Daniel tersilap menegur dia yang sedang menunggu Dato’ Halim. Hati Ayunie dibumbui rasa tidak senang yang maha keparat.

            Dia cuba untuk mengusir kenangan dan fikiran tentang Alunie dan Daniel. Hidupnya kini bersama Klaus. Seharusnya dia menumpukan sepenuh ingatannya terhadap Klaus. Dia kini mempunyai sebuah keluarga bahagia. Tambah bahagia pada firasatnya sekiranya rumahtangga mereka diserikan dengan kehadiran cahayamata yang comel. Dia yakin bayi yang bakal dilahirkannya kelak akan mempunyai seraut wajah yang comel memandangkan dia mempunyai darah campuran.

            Ayunie cuba untuk membayangkan bagaimana nanti sekiranya dia mempunyai anak. Tentu gamat jadinya apabila dia melayan bayinya sendiri. Betapa indah!

            Baby? No, no. Yunie. Not for this present time. Klaus betul-betul belum bersedia untuk menjadi seorang daddy.”

            Begitu bantah Klaus apabila Ayunie menyuarakan keinginannya untuk memiliki anak. Puas juga Ayunie cuba untuk meyakinkan Klaus tentang kelebihan mempunyai anak sendiri. Begitupun Klaus nampaknya bertegas dengan pendiriannya.
            “Kenapa Klaus tak bersedia untuk mempunyai at least seorang anak buat masa ni?” Soal Ayunie lagi. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan keengganan Klaus.

            “Kehadiran bayi dalam rumahtangga kita akan menuntut kita menjadi lebih bertanggungjawab Yunie. Klaus takut dalam keadaan sekarang kita gagal untuk memikul tanggungjawab tu. Klaus mahu benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa sebelum memilikinya.”

            “Tanggungjawab bagaimana Klaus maksudkan? Bukannya Klaus tak mampu nak bagi dia makan pakai. Gaji Klaus jauh dari cukup.”

            “Bukan soal wang ringgit yang Klaus maksudkan Yunie. Responsibility ni luas konotasinya. Yunie suka kalau Klaus kurang senang dengan baby tu? Yunie suka kalau Klaus marah-marah setiap kali baby menangis, terutamanya malam hari ketika Klaus inginkan rehat?”

            Ayunie terdiam. Dia sungguh tidak menyangka Klaus tidak sukakan anak sampai mengutarakan perkara remeh-temeh seperti itu. Sungguhpun demikian dek kerana sayangnya yang menggunung terhadap Klaus Ayunie hanya akur dengan kehendak Klaus meskipun hari demi hari dia makin sunyi.

            Sejak hari itu Ayunie tidak lagi menyebut tentang anak di depan Klaus meskipun kehendak batinnya begitu menebal. Dia sesekali merasa cemburu melihat jiran sebelah rumah melayan kerenah anak-anak. Juga merasa terkilan apabila melihat comelnya bayi di dalam rancangan televisyen yang disiarkan. Sedangkan dia dalam usia itu masih belum mempunyai walau seorang pun anak.

            Dalam keadaan seperti itu dia mengenangkan kehidupan Alunie. Tentu saja Alunie sudah mempunyai cahayamata hasil perkahwinannya dengan Daniel. Dalam tempoh sekian itu mustahil mereka belum dikurniakan walau seorang pun anak. Kecuali salah seorang daripada mereka berdua mandul. Ayunie tersenyum sumbing. Dia yakin jika mereka mempunyai anak sekalipun tentu iras mereka tidak secomel mana kerana tidak mempunyai darah campuran seperti anak yang bakal dilahirkannya.

            Suatu petang pada musim gugur, Ayunie kebosanan yang amat sangat. Berikutan cuaca pun baik, dia mengambil keputusan untuk keluar jalan-jalan sekitar Stommeln. Sudah lama dia tidak mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian memandangkan Klaus tiada di rumah.  Kini dia tidak mahu mengharapkan kepulangan Klaus untuk keluar mengambil angin. Dia sudah lama menetap di situ, sudah tahu selok belok jalan dan sudah boleh berbahasa Jerman dengan baik untuk berinteraksi dengan pemandu kenderaan awam atau bertanya penduduk sekitar sekiranya tersesat jalan.

            Ayunie masuk ke sebuah kedai pakaian. Ia sebuah kedai pakaian seisi keluarga. Terdapat banyak koleksi pakaian berjenama di situ. Semuanya nampak cantik-cantik. Ayunie tertarik dengan koleksi pakaian bayi yang dipamerkan. Dia tersenyum. Dia dapat bayangkan tentunya comel seandainya bayi dia nanti mengenakan koleksi pakaian tersebut.

            Ayunie tidak lama di kedai itu. Namun sempat dibelinya dua helai pakaian bersantai yang sesuai untuk musim tersebut. Dia tidak membeli sebarang pakaian untuk Klaus memandangkan Klaus lebih senang memilih sendiri pakaian untuk dikenakan ke mana-mana. Jarang sekali pakaian yang dicadangkan oleh Ayunie akan dipersetujui Klaus setiap kali mereka keluar membeli belah. Dalam hal memilih pakaian Klaus memang agak cerewet atau mungkin Ayunie yang masih belum biasa dengan kesesuaian satu-satu jenis pakaian mengikut musim.

            Di negara itu, masyarakatnya membeli pakaian mengikut musim. Disebabkan itu juga jenis fesyennya sentiasa berubah-ubah mengikut musim. Pada musim panas paling meriah dengan jualan murah. Sana sini premis akan mengadakan mega sales. Ayunie turut terpengaruh untuk membeli pada musim itu.

            Ayunie pergi ke taman berdekatan tempat tinggalnya. Duduk-duduk merehatkan diri di kerusi yang disediakan sambil menikmati burger yang dibeli di sebuah kedai makanan segera. Matanya asyik memandang sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di taman. Indahnya suasana pada petang itu.

            Sedang asyik dia memerhatikan kumpulan kanak-kanak itu bermain datang seorang wanita memperkenalkan dirinya sebagai Puan Knoll. Dia mengambil tempat di sebelah Ayunie. Ayunie terpaksa memaniskan wajahnya dengan kehadiran wanita itu meskipun hatinya agak kurang senang apabila kedamaiannya diganggu.

            Puan Knoll mengatakan dia tinggal selang dua buah pintu dengan rumah Ayunie. Ayunie agak kaget kerana memang dia tidak terperasan tentang perkara itu. Puan Knoll yang kelihatan agak berusia berbanding Ayunie hanya tersenyum dan faham dengan keadaan tersebut.

            Haben Sie Arger mit Nachbarn?” Soal Puan Knoll. Bimbang juga dia kalau-kalau Ayunie enggan bercampur gaul dengan jiran-jiran kerana mempunyai masalah dengan mereka.

            Nein.” Ayunie menafikan. Memang dia tidak mempunyai masalah langsung dengan jiran-jiran. Cuma dia agak tidak bersedia untuk bergaul mesra dengan mereka.

            Meine Kinder sind noch klein, und natürlich machen sie auch Lärm.” Beritahu Puan Knoll ramah tentang perangai anak-anaknya.

            Selama ini anak-anaknya yang masih kecil sering menjadi komen jiran-jiran sekeliling kerana sering membuat bising. Ayunie hanya mendengar. Sesekali dia hanya tersenyum mendengar Puan Knoll ramah bercerita tentang masyarakat di situ.

            Rupa-rupanya Puan Knoll bukan berasal dari Jerman, sebaliknya dia anak kelahiran Kanada. Terpaksa menetap di Stommeln mengikut suaminya. Albert Knoll. Sungguhpun demikian, lama tinggal di situ menyebabkan dia sudah lupakan keadaan di negara asalnya.  Puan Knoll mengatakan dia lebih senang berada di Stommeln berbanding di negaranya sendiri memandangkan Stommeln bandar yang unik. Meskipun maju mengikut arus pembangunan, penduduk Stommeln masih mengekalkan nilai-nilai murni dan tahu hidup bermasyarakat tidak seperti masyarakat di bandar lain.

            Ayunie bersetuju dengan pendapat Puan Knoll. Penduduk di situ seperti penduduk tradisional Malaysia yang masih mengekalkan nilai-nilai hidup bermasyarakat yang tinggi. Malah Kuala Lumpur sendiri kalah pada Stommeln jika dibandingkan dalam hal itu. Di Kuala Lumpur masyarakatnya sudah melupakan hidup bermasyarakat dan lebih senang dengan hidup sendiri. Mereka tidak mengambil tahu hal jiran-jiran sekeliling. Terutama bagi penduduk di kawasan flat. Jika di kawasan perumahan, terutama perumahan melayu, masing-masing masih boleh menyesuaikan diri antara satu sama lain. Di Stommeln penduduknya ramah tamah.
           
            Hubungan baik dengan Puan Knoll tidak berakhir di situ apabila selepas pertemuan itu Ayunie sering terserempak dengan Puan Knoll. Mereka  tentu akan meluangkan masa untuk berbual-bual. Selain Puan Knoll, Ayunie juga turut berkenalan dengan Puan Sellmann. Seperti Puan Knoll, Puan Sellmann juga ramah dan baik hati. Mereka mula sering ke pasar bersama-sama. Ayunie mula gembira dengan keadaan itu dan sedikit sebanyak mengubat hatinya yang  terlalu kesunyian jika Klaus tiada di rumah.

            Klaus senang dengan perubahan Ayunie yang mula bergaul dengan penduduk setempat. Perubahan itu sekurang-kurangnya dapat membuka minda Ayunie tentang masyarakat luar Stommeln dan boleh mengubat kebosanan Ayunie sekiranya dia terlalu sibuk di pejabat.

            Sungguhpun demikian, Ayunie tetap menyimpan keinginan untuk melahirkan seorang bayi paling kurang untuk dijadikan teman di kala sunyi. Keinginan itu terus dipendamkannya sehingga suatu masa yang sesuai dia akan menyuarakan sekali lagi kepada Klaus.
            Dia cemburu melihat Puan Knoll bahagia melayan anak-anaknya. Mereka kelihatan comel benar di mata Ayunie. Juga geram melihat perut Puan Sellmann yang memboyot. Menunggu masa untuk melahirkan bayi pertamanya. Bila akan tiba masa untuk aku pula? Selalu Ayunie menyoal dirinya begitu melihat kebahagiaan kawan-kawan barunya.

            “Macam mana teman baru, okey?” Soal Klaus sambil membelai rambut isteri kesayangannya.

            “Tak sangka, jiran-jiran kat sini ramah. Yunie tak lah sunyi sangat kalau Klaus tak balik satu hari suntuk pun.” Ayunie bersuara sambil melentok manja di dada Klaus.

            Klaus meletakkan buku di tangannya. Dia memeluk isterinya erat. Dia sedar ada masanya dia tidak mempunyai banyak masa luang untuk Ayunie. Mujur isterinya faham. Sebelum ini dia susah untuk bertemu wanita yang faham dengan tuntutan masa kerjanya.

            “Klaus, this weekend, Puan Sellmann ajak Yunie temankan dia shopping baju baby.”

            “Pergilah.”

            Ayunie diam tanpa perasaan mendengar Klaus memberikan kebenaran. Klaus terperasan seperti ada yang tidak kena dengan riak wajah Ayunie.

            Warum Yunie? Is there something wrong?” Klaus bertanya mengapa Ayunie bersikap begitu. “Or Yunie want some money  untuk sama-sama berbelanja nanti?”

            No. Not at all. Bukan pasal duit or whatever. Yunie cuma terfikir bila lagi giliran kita pula untuk shopping baju baby.”

            Klaus faham apa yang cuba dimaksudkan oleh Ayunie. Sudah terang lagi bersuluh kenyataan yang keluar itu.

            “Yunie, macam Klaus cakap dulu. Klaus masih dan masih lagi tak bersedia. Klaus tak boleh nak terima kehadiran baby buat masa ni.”

            “Klaus, Klaus tak kesiankan Yunie?”

            “Kesian? Kan Yunie ada Klaus. Lagipun Yunie sanggup ke nak pikul tanggungjawab nanti? Susah nak jaga baby ni Yunie. Kalau Klaus, Klaus memang tak sanggup nak hadapi semua tu.”

            Ayunie terdiam. Dia sebak. Dia tidak faham jenis hati gred apa manusia bernama Klaus sehingga langsung tidak terfikir untuk mempunyai anak sendiri. Kebiasaannya semua orang akan mengimpikan kehadiran bayi selepas mendirikan rumahtangga. Ayunie tidak terkecuali. Bagaimanapun Klaus nampaknya masih tidak bersetuju.

            Perbincangan mengenai bayi berhenti setakat itu sahaja. Ayunie tidak mahu meneruskan soal itu bimbang mengundang pertengkaran. Selama ini mereka berdua hidup dalam keadaan harmoni. Ayunie tidak mahu hanya kerana perkara sebegitu boleh membawa kepada pertengkaran dan pertelingkahan yang berpanjangan. Ayunie rela mengalah demi kasih sayangnya terhadap Klaus.

            Nyata Ayunie sudah terlalu banyak berubah. Hanya kerana cinta, dia menukar dirinya daripada seorang yang keras kepala dan sentiasa mahu semua orang menuruti kemahuannya kepada seseorang yang kontras daripada sifat asalnya. Ayunie hanya mahu bahagia bersama Klaus. Dia berdoa agar suatu hari Klaus akan membuka mata dan melihat betapa pentingnya kehadiran anak dalam sesebuah rumahtangga.

Kedinginan Klaus tentang perkara itu mengundang resah dalam hati Ayunie meskipun dia tidak ingin memanjangkannya. Begitupun dia kerap termenung dan mengalami kesukaran untuk tidur . Setiap malam dia mengalami gangguan tidur dan kerap terjaga malam.  Ayunie benar-benar tidak betah dengan keadaan itu. Naluri keperempuanannya dan naluri keibuannya seakan memberontak dengan permasalahan tersebut.

            Für jeden vierten Deutschen, davon mehr als zwei Drittel Frauen sind die Nächte eine Qual.” Beritahu Puan Sellmann kepada Ayunie.

            Ketika itu Ayunie keluar menemaninya ke pusat membeli-belah untuk menambah sedikit keperluan menyambut kelahiran bayi.

            Ayunie mengerutkan kening mendengar kenyataan itu. Tidak diduganya memang ramai yang mengalami masalah kesukaran tidur malam sepertinya. Di kalangan masyarakat Jerman, wanita paling ramai menurut kenyataan Puan Sellmann sebentar tadi.

            Können  nicht einschlafen oder wachen nachts häufig auf.” Rungut Ayunie.

            Rungutannya membuatkan Puan Sellman tersenyum. Memang perkara biasa susah untuk terlelap dan kerap terjaga di waktu malam sekiranya seseorang itu mengalami masalah kesukaran untuk tidur. Dia pernah mengalaminya dahulu.

            Gegen Schlafstörungen soll man unbedingt etwas tun. Zuerst muβ man die Ursachen kennen.” Cadang Puan Sellmann.

            Baginya untuk menangani masalah broken night seperti itu seseorang yang mengalaminya memang perlu mengambil beberapa tindakan. Puan Sellmann mencadangkan agar Ayunie terlebih dahulu mengenal pasti punca dia tidak dapat melelapkan matanya.

            Was bedeutet das?” Soal Ayunie ingin tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

            A heavy meal in the evening, too much light or a hard bed can disturb sleep. But sometimes fear, stress or conflicts can be the cause.” Ujar Puan Sellmann berbahasa Inggeris.

            Sometimes fear, stress or conflicts can be the causes.” Ayunie mengulangi ayat itu seperti mengingatkan dirinya sendiri.

            Sememangnya dia mengalami tekanan ketika itu kerana keengganan Klaus menimang cahaya mata dalam tempoh terdekat. Ia benar-benar memberi satu bebanan fikiran kepada Ayunie yang saban hari semakin memerlukan kehadiran cahaya mata. Naluri kewanitaannya tidak dapat menolak hakikat itu.

            What can I do to against the problem?”

            Gehen Sie abends spazieren oder nehmen. Go for a walk in the evening or take a bath, it must be nice and hot!” Nasihat Puan Sellmann sambil meneliti beberapa helai pijama bayi. “But don’t forget… The air in the bedroom must be fresh and the room must be dark and no more than 18 degrees warm. Das Zimmer muβ dunkel sein und darf höchstens 18 Grad warm sein.” Nasihat Puan Sellmann dalam dua bahasa bercampur aduk.

            “Saya impikan kehadiran bayi.” Ayunie bersuara secara tiba-tiba dalam Bahasa Melayu membuatkan  Puan Sellmann menoleh ke arahnya.

            The baby is my dream.”

            Ach so!” Puan Sellmann ketawa. “So that is the problem. You totally thinking of the baby then you got the stress and cause the broken night.” Puan Sellmann tersenyum mendengar punca masalah Ayunie.

            I’m ready for the baby…”
            Why don’t you talk to your sleeping partner?”

            Ayunie hampir tergelak mendengar istilah sleeping partner yang dikatakan oleh Puan Sellmann. Puan Sellmann sekali lagi menoleh ke arahnya dengan dahi berkerut seribu.

            Let us forget about it. You still wanna looking for the shirt?”

            Puan Sellmann membelek-belek beberapa helai pakaian bayi yang sudah sedia dipilihnya. Dia mengangkat bahunya tanda tidak pasti. Ayunie menarik tangannya agar berlalu saja ke kaunter untuk membuat bayaran. Dia mengatakan boleh kepeningan kalau sehari suntuk terus membuat pilihan seperti itu.

            Biarpun begitu Ayunie memang seronok menemani Puan Sellmann membeli-belah seperti itu. Dia cuba untuk membayangkan jika dia juga sudah berbadan dua nanti. Tentu dia juga akan kalut seperti Puan Sellmann.

            Klaus, bila lagi kau akan bersedia untuk menimang cahaya mata sayang? Hati kecil Ayunie bergumam sayu.

           










BAB DUA PULUH SATU
Alunie termangu di kepala katil. Memikirkan tentang Nal Zawawi. Entah mengapa bayangan wajah lelaki itu menjelma dalam kotak ingatannya sejak akhir-akhir itu. Setelah berkali-kali mereka berdua menjalankan urusniaga bersama. Seperti ada satu perasaan yang sedikit masa dahulu pernah dirasainya datang bertandang kembali. Alunie tidak betah untuk mentafsirkan rasa hatinya sendiri.

            Dia tidak faham, kenapa kenangan zaman persekolahan yang telah berlalu tiga belas tahun lampau kini bergayut semula di benaknya. Semakin kerap dia teringatkan kenangan itu, semakin kerap pula ingatannya terhadap Nal. Tambahan pula lelaki itu juga acap kali menghubunginya. Jika pada awalnya Nal menelefon atas urusan perniagaan, lama-kelamaannya topik perbualan mereka meleret-leret tanpa hala tujuan. Sekadar berbual kosong.

            Sejak kebelakangan itu pula mereka berdua kerap keluar makan bersama. Nal seperti merancang, sering tiba di toko buku Alunie ketika hampir masa makan tengahari. Sering kali pula Nal seakan mengambil kesempatan untuk mengajak Alunie keluar makan bersama.

            “Kak, kami ragu-ragu dengan Encik Nal tu, bimbang dia nak ambil kesempatan terhadap kakak.”

            Mahiran dengan penuh rasa tanggungjawab mewakili kawan sekerja yang lain memberitahu Alunie sewaktu mereka bersembang ringan. Kebetulan ketika itu tidak ramai pelanggan yang mengunjungi kedai. Jurujual juga tidak seorang pun datang bertandang.

            “Kak tak fikir begitu Mahiran. Tak pernah dia menunjukkan tanda-tanda tu. Lagipun kak tak pernah menjadikan alasan hubungan rapat dengan seseorang untuk meletakkan harga tolak sewenang-wenangnya. Jika sekalipun kami berkawan kak tetap memberi potongan harga sama seperti wholesaler yang lain.”

            Terang Alunie. Dia tahu Mahiran memang ikhlas mengingatkannya tentang perkara itu.

            Begitu pada awalnya. Lama-kelamaan para pekerjanya tidak lagi mengambil kisah tentang hubungannya dengan Nal.  Nal pula semakin berani beramah mesra dengan para pekerja Alunie. Seperti tahu para pekerja Alunie pernah membuat tanggapan buruk terhadapnya. Lantaran itu, mereka tidak lagi bercakap-cakap tentang Nal. Cuma sesekali Mahiran mengingatkan Alunie tentang statusnya sebagai isteri orang. Bimbang kelak Daniel menaruh rasa syak wasangka dan membuat tanggapan negatif terhadap hubungannya dengan Nal.

            Memang setelah sekian lama perkahwinannya, Alunie akhirnya membongkar perkara sebenar kepada Mahiran. Mulanya dia enggan berbuat demikian. Takut tafsiran negatif Mahiran terhadap dirinya. Hati orang siapa yang tahu. Namun dek kerana menganggap Mahiran lebih berpengalaman dalam hal rumahtangga berbanding dirinya, Alunie akhirnya mengalah pada keadaan. Apatah lagi hubungan mereka amat rapat melebihi hubungannya dengan adik beradik sendiri.

            “Saya tak sangka keadaan akak dengan Doktor Daniel macam tu,” kata Mahiran dengan mata membundar besar. Begitu reaksi Mahiran sewaktu pertama kali Alunie bercerita tentang masalah rumahtangganya.

            Agak terkejut Mahiran mendengarkan masalah rumahtangga Alunie. Sangkanya selama ini Alunie bahagia bersama Daniel. Kemesraan mereka rupanya tidak lebih sebagai kawan biasa. Simpatinya terhadap Daniel juga menggunung. Namun untuk dia menyalahkan Alunie tidak tergamak juga. Dia tahu hati dan perasaan sukar untuk dipaksa. Memang dari awal Mahiran tahu Alunie terpaksa kahwin dengan Daniel. Sungguhpun demikian, dia tidak pernah menduga perkahwinan yang terpaksa itu langsung tidak membuahkan rasa cinta di hati Alunie sebagaimana wanita lain. Walhal dia sendiri yang menawarkan dirinya.

            Menurut cerita Alunie dan melihat sendiri sikap yang ditunjukkan Daniel, Mahiran yakin lelaki itu memang mencintai Alunie meskipun majikannya menafikan. Alunie mengakui terlalu takut untuk menerima cinta Daniel, takut satu masa nanti dia akan kehilangan apabila Ayunie kembali semula dalam hidup  Daniel.

            “Akak tak dapat nak menerima Daniel. Setiap kali dia ajak kak bermesra, akak bayangkan dalam hatinya ada Ayunie.” Alunie meluahkan apa yang berbuku di hatinya kepada Mahiran.

            Intuisinya kuat mengatakan Ayunie akan kembali. Cuma masanya belum tiba.  Disebabkan itulah Alunie senang menidakkan perasaan Daniel terhadapnya. Bimbang dirinya akan terbuai dengan kenyataan tersebut.

            “Kak, saya rasa dalam hal ni, akak patut bagi peluang.”

            “Akak tak boleh nak bagi dia peluang Mahiran.”

            “Maksud saya, bukan hanya untuk Doktor Daniel, tapi untuk diri akak juga. Bagi peluang untuk akak kenal mesra dan selami hati budinya. Cuba hidup macam suami isteri normal.”

            Mahiran menyatakan pandangannya. Alunie menggelengkan kepalanya berkali-kali tanda tidak sanggup untuk berbuat demikian.

            “Akak takut.”

            “Apa yang akak takutkan. Sudah bertahun Ayunie meninggalkan dia, sudah bertahun juga kak mendampinginya. Tentu dia sudah dapat membiasakan diri dan menerima kak sepenuhnya.”  Mahiran membuat telahan sendiri. Bersumberkan cerita Alunie padanya.
            “Itu yang akak tak sanggup dan takut untuk lakukan Mahiran. Akak bimbang andai akak belajar menerimanya dan memberi peluang untuk kami hidup bersama seperti pasangan suami isteri lain dalam masa yang sama belajar mencintainya, lalu tiba-tiba Ayunie muncul dan mahukan dia kembali, sedangkan ketika itu akak sudah terlalu menyayanginya. Apa perlu akak lakukan ketika itu?”

            “Maksud akak, kak takut kehilangan dia sewaktu akak sendiri sudah mula mencintainya?”

            Alunie mengangguk. Mahiran tersenyum.

            “Kak, saya yakin, kalau Doktor Daniel benar-benar sayangkan akak, perkara yang akak takutkan itu tak akan jadi kenyataan. Apa Ayunie boleh buat kalau Doktor Daniel sendiri tak mahu lepaskan kakak?”

            Alunie terdiam. Kata-kata Mahiran memang masuk akal. Apa yang Ayunie boleh lakukan? Namun matanya kembali terjegil memandang Mahiran.

            “Kalau dia gunakan taktik kotor?”

            “Taktik apa?”

            “Itu akak tak boleh nak agak, tapi kalaulah dia gunakan taktik kotor untuk merampas kembali Daniel?”

            “Kak, jangan serabutkan fikiran akak dengan andaian bukan-bukan. Apa yang penting sekarang akak cuba bagi peluang untuk rumahtangga yang akak bina ni. Dah bertahun-tahun kak, bukan sebulan dua.”

            Nasihat Mahiran. Dia sendiri akan merasa terkilan sekiranya rumahtangga majikannya yang baik hati itu musnah begitu sahaja. Berdasarkan cerita Alunie sekali lagi Mahiran merasakan perkahwinan mereka sepatutnya tidak perlu berdepan dengan situasi seperti itu. Dia yakin di dalam hati majikannya tersimpan sedikit perasaan, cuma tidak disedari Alunie sendiri kerana dia lebih dibayangi rasa takut dan ragu-ragu.

            Bagaimanapun, segala nasihat dan kata-kata  Mahiran langsung tidak difikirkan berulang kali. Umpama mencurah air ke daun keladi. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Alunie tidak pernah mencuba. Dia membiarkan sahaja perasaan ragu-ragu dan takut menguasai dirinya. Lantas segala kasih sayang yang Daniel cuba tunjukkan dipandang sepi olehnya. Dalam hatinya kuat mengatakan tidak mungkin terbit perasaan cinta di hatinya terhadap Daniel.

            Kini Nal Zawawi pula muncul kembali. Dalam keadaan kemelut rumahtangganya belum berkesudahan Nal Zawawi hadir seakan membuka satu lembaran baru dalam hidupnya.  Meski tidak pernah menyatakan apa-apa, meski dia tahu status Nal, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan, hatinya tetap kuat untuk mengingatinya. Entah mengapa dirasakan impian zaman remajanya akan menjadi kenyataan dengan kemunculan Nal Zawawi.

            Disebabkan itulah kenangan lalu kini semakin kuat menggoda ingatannya.


Alunie sendirian duduk di kantin sambil menikmati dua keping sandwic buat pengalas perut. Hanya itu yang mampu dibelinya sebagai makanan tengahari apabila wang saku pemberian emaknya sebelum turun ke sekolah diambil Ayunie separuh. Dia ingin menangis sewaktu Ayunie bertindak demikian, tapi malu pada kawan-kawan yang memerhati.

            Sewaktu dia menghabiskan suapannya yang terakhir dia menoleh ke meja bahagian pelajar lelaki. Seorang murid lelaki yang dikenalinya sebagai Nal Zawawi berdasarkan tag nama di kocek baju sedang merenungnya. Alunie mengetap bibir. Lalu bangun meninggalkan kantin sekolah.

            Di dalam kelas dia gagal untuk menumpukan perhatian kepada pelajarannya. Subjek Ekonomi Asas yang diajar Cikgu Mohamad Yusof langsung tidak dapat diterima mindanya. Lukisan keluk di papan hijau tuna makna di mindanya. Dia cuma nampak bayangan Nal. Renungan Nal dan segala-galanya tentang Nal.

            Sekejap Nal datang menari inang, sekejap Nal datang berzapin. Sebelum berdongdang sayang. Acap kali Alunie tersenyum-senyum seorang diri. Namun tiada siapa dikalangan kawan sekelasnya mengendahkan gelagatnya. Cuma sesekali berderai tawa mereka apabila Alunie terpinga-pinga disoal guru.

            Malu jadinya Alunie. Kerana Nal dia disergah guru. Kerana Nal dia diketawakan. Sedangkan Nal tidak pernah tahu. Nal tidak pernah sedar. Kala itulah Alunie menyeranah Nal kerana menyebabkan dia mendapat  malu. Tapi apabila sehabis masa persekolahan dan mereka terserempak lagi di wakaf tempat menunggu bas sekolah. Segala sumpah seranah diganti dengan lagu cinta. Beralun dan bergetar di dalam jiwa Alunie. Apatah lagi sekiranya pandangan mereka bertembung dan Nal melemparkan senyuman kepadanya. Senyuman Nal sering berbalas. Namun tidak pernah ada sapaan antara mereka berdua.

            Apabila Nal terlebih dahulu menaiki bas, sedangkan bas yang dinaikinya belum kunjung tiba, sering kali dia akan tercari-cari Nal di celah-celah pelajar yang bagaikan sardin di dalam bas.  Apabila dia dapat melihat Nal, hatinya akan berbunga riang. Apatah lagi sekiranya dilihat Nal juga tidak lepas memandangnya.

            Begitu halnya jika dia yang terlebih dahulu menaiki bas. Akan dipandangnya ke wakaf. Melihat kalau-kalau Nal masih ada di situ. Jika nasibnya baik, Nal memang masih ada di situ, dia juga akan turut memandang Alunie.

            Pernah terfikir di hati Alunie, Nal juga menaruh minat terhadapnya, cuma belum berani meluahkan isi hatinya. Ekoran itu hari demi hari Alunie menunggu Nal menyapanya. Dia sendiri malu untuk memulakan. Namun penantian Alunie tidak pernah berpenghujung apabila Nal akhirnya tamat pengajian sekolah menengah. Mereka tidak lagi bertemu selepas itu.

            Pada awalnya Alunie masih mengharapkan akan bertemu Nal di sekitar bandar kelahiran mereka. Rajin juga hujung-hujung minggu Alunie bertemankan kawan rapatnya Liza meronda sekitar bandar Tanah Merah dengan harapan di hati akan terserempak dengan Nal Zawawi. Namun kelibat Nal langsung tidak kelihatan. Hanya hampa yang ditemuinya tanpa disedari Liza. Ah, sememangnya Liza memang tidak pernah mengetahui apa-apa tentang rahsia hatinya.

            Lama-kelamaan perasaan Alunie terhadap Nal juga terhakis begitu sahaja mengikut peredaran masa. Perasaan itu juga tidak pernah lagi wujud sesudah itu dan ingatannya terhadap Nal telah lama terhapus.  Alunie tidak mahu membina anganan lagi meskipun ada pelajar lelaki sebaya yang cuba mendekatinya. Menghantar surat dan berkirim salam melalui rakan-rakan sekelas. Alunie tidak mahu membuang masa. Tumpuannya hanya kepada pelajaran. Dia pernah gagal mendapat tempat di universiti semasa keputusan SPMnya keluar. Semasa mengambil STPM, dia mahu menebus kegagalan itu.

            Dia malu apabila Ayunie mendapat keputusan cemerlang dalam SPMnya dan layak menjejakkan kaki ke salah sebuah pusat pengajian tinggi dalam bidang kesetiausahaan sedangkan dia selama ini yang dilihat rajin belajar dan jarang berpeleseran tidak tentu hala tidak berjaya.

            “Kenapa Lunie punya tak sampai-sampai lagi ni?” Soal Haji Harun sewaktu melihat surat tawaran Ayunie.

            Alunie terdiam. Ayunie pula tersengih-sengih bangga kerana surat tawaran sudah tiba di tangannya.

            “Lunie silap isi borang ke?” Hajjah Rahimah pula menyoal sambil mengusap kepala Alunie. Alunie tetap juga membisu.

            Hatinya sudah mula berkecamuk. Debaran kegagalan mula terasa di dalam jiwanya. Memang dia sedar bukan Ayunie seorang sahaja yang sudah mula menerima surat tawaran kemasukan ke pusat pengajian tinggi, malah semua rakan sebaya sudah menerimanya termasuk Liza. Satu-satunya kawan yang Alunie mesra.

            “Lunie tak cuba telefon UPU infoline?”

            “Tengoklah ayah, dua tiga hari lagi kalau tak terima juga surat tawaran tu Lunie telefon.” Alunie menjawab. Dijelingnya Ayunie yang masih tersengih-sengih bangga.

            “Dah dia tu bodoh, sapa nak terima dia mak, ayah. Lainlah Yunie ni,” kata Ayunie sambil mengambil surat tawaran di tangan Haji Harun.

            “Yunie, kenapa cakap bukan-bukan ni?”

            “Yunie tak cakap yang bukan-bukan. Ayah dan mak kan tengok sendiri keputusan exam kami hari tu. Yunie jauh menandingi dia. Tu belum Yunie study betul-betul tu. Kalau Yunie bersungguh-sungguh macam dia, bersekang mata sepanjang malam, nyaris best student seluruh negara jadi milik Yunie. Dah memang otak dia tu bengap, nak salahkan sapa.”

            Ayunie tanpa sedikitpun rasa belas mengutuk Alunie secara terang-terangan. Alunie terpisat-pisat menerima pukulan seperti itu. Sudahlah hatinya punah kerana belum menerima sebarang surat tawaran, kini dikutuk pula oleh kembarnya. Memang melampau. Namun dia hanya mampu menggerutu di dalam hati.

            “Yunie, belum rezeki Lunie gamaknya.”

            Ayunie mencebik bibir.

            “Yunie, belum rezeki Lunie gamaknya.” Ayunie mengajuk cakap Hajjah Rahimah dengan mimik muka yang cukup menyakitkan hati Alunie.

            Ekoran kegagalan dan hinaan Ayunie membuatkan Alunie memasang tekad baru selepas itu. Dia mahu menumpukan perhatian sungguh-sungguh terhadap pelajarannya. Dia mahu lupakan segala perkara yang boleh mengurangkan tumpuannya terhadap pelajaran. Termasuk Nal Zawawi yang pernah merajai hatinya. Kini tumpuannya hanya STPM.

            Bagaimanapun sesudah belajar dan mendapat keputusan agak memberangsangkan, Alunie tiba-tiba membuat keputusan tidak mahu menyambung pelajaran. Halanya sudah berubah dan mahu bekerja terlebih dahulu. Mengumpul wang sendiri kerana memikirkan kesukaran mendapatkan pekerjaan meskipun sesudah bergelar siswazah. Disebabkan itu Alunie memohon kerja di sebuah IPT swasta. Walaupun kedua-dua orang tuanya menghalang, Alunie tekad.  Dengan wang simpanan sepanjang bekerja ditambah dengan modal peninggalan datuknya, dia mula berjinak-jinak meniaga pula.

            Daripada sebuah premis kecil kini perniagaannya sudah berkembang maju. Pasarannya meluas dan ramai pelanggan tertumpu di toko buku dan alat tulis miliknya. Lalu sekali lagi dia temui Nal Zawawi. Membawa ingatannya kembali ke masa lampau.









BAB  DUA PULUH DUA
Nal tidak tahu, kenapa sejak akhir-akhir itu tidak betah duduknya. Ingatannya juga kuat terhadap Alunie. Menggantikan ingatan terhadap arwah isterinya. Sekejap dia berdiri sekejap pula dia duduk. Sesekali ditatap wajah comel puteri tunggalnya. Puteri tunggalnya sedang kelenaan dibuai mimpi.

            Semenjak kematian isterinya tiga tahun lepas akibat barah payudara, dia bersendirian menjaga Nur Maisara. Kasihan. Anak kecil itu tidak pernah mengerti apa-apa dan seringkali bertanya mengapa dia tidak mempunyai ibu sebagaimana kawan-kawannya di pusat asuhan kanak-kanak. Ibunya meninggalkannya ketika Nur Maisara belum mengerti makna kehidupan. Ketika dia masih menyusu.

            Nal jadi sebak, lalu dikucup dahi anaknya dengan penuh kasih sayang. Dia tahu bukan mudah untuk mencari pengganti isterinya. Sukar sama sekali. Apatah lagi dengan adanya Nur Maisara. Dia tidak sanggup berkahwin lain. Bimbang isteri barunya enggan menerima kewujudan Nur Maisara. Walaupun Nur Maisara tidak nakal dan tahu membawa diri, dia tidak sanggup untuk membiarkan anaknya di bawah jagaan ibu tiri semasa dia keluar bekerja. Disebabkan itulah walau susah mana sekalipun dia tetap sanggup menghadapinya sendirian.

            “Mak rasa baik kau kahwin lain saja Nal. Bukan mak tak sanggup nak tolong kau jaga Sara, tapi sekurang-kurangnya kehidupan kamu anak beranak lebih terurus dengan adanya orang rumah,” kata ibu mertuanya semasa Nal menghabiskan masa hujung minggu di rumah orang tua arwah isterinya.

            “Nak kahwin tu memang senang mak, tapi tak semudah itu nak cari seorang perempuan yang sanggup terima Sara ni. Ramai perempuan sanggup kahwin dengan duda, tapi tak ramai yang sanggup kahwin dengan duda beranak.”

            “Itu pikir kau . Padahal ramai perempuan tak macam tu. Mak dulu pun kahwin dengan duda yang dah beranak. Tak ada masalah untuk mak terima anak-anaknya sebelum mak sendiri lahirkan Nurfarah, isteri kau tu.”

            “Mungkin betul cakap mak. Tapi Nal takut terkena jenis yang bermuka-muka. Depan Nal dia layan Sara dengan baik, belakang Nal,  takutnya nanti Sara terdera. Mak tahu sajalah, Sara ni bukan jenis cakap banyak, tak pandai nak mengadu.”

            Nal membalas kata-kata ibu mertuanya sambil mengusap-usap kepala Nur Maisara dengan penuh kasih sayang. Ketika itu Nur Maisara baru setahun kematian ibunya.

            “Mak  nak yang terbaik buat kau dan cucu mak. Bukan mak dah jenuh nak tolong kau tengok-tengokkan Sara sewaktu kau keluar bekerja. Lagipun bukan lama Sara bersama mak. Pagi dia di nurseri, dalam dua tiga jam saja dia bersama mak. Jadi bukan masalah susah nak jaga dia atau apa, cuma mak nak hidup kamu anak-beranak lebih terurus,” kata Puan Halimah. Mengulangi kata-katanya mengharapkan Nal akan terbujuk.

            Dia sendiri sudah mempunyai calon yang bersesuai untuk dijodohkan dengan Nal menggantikan tempat anaknya. Calonnya sepupu Nurfarah, Amelia. Dalam hatinya sudah berkira-kira untuk menjodohkan Amelia dengan menantunya sekiranya Nal belum bertemu pilihan sendiri. Amelia sendiri nampak boleh menjaga Nur Maisara sebagaimana seorang ibu, cuma kini Puan Halimah perlukan persetujuan Nal.

            “Kalau kau tak ada calon, mak boleh cadangkan.”

            “Mak ni…”

            “Betul, mak tak bergurau ni.” Riak wajah Puan Halimah nampak beriya-iya.

            Nal tersenyum. Dia tahu Puan Halimah bersungguh-sungguh. Dia juga tahu Puan Halimah ikhlas. Bertahun-tahun dia menjadi menantu wanita itu, sudah dia arif hati budinya. Dahulu semasa awal perkahwinan, Puan Halimah yang banyak menyara kehidupan mereka suami isteri. Semuanya gara-gara mereka berdua berkahwin ketika masih menuntut di pusat pengajian tinggi. Dengan punca pendapatan yang masih tidak menentu mereka meneruskan kehidupan berumahtangga dengan pertolongan Puan Halimah.

            Nal beruntung mendapat mertua yang terlalu bertolak ansur seperti itu, jauh benar bezanya dengan orang tuanya di kampung. Semasa Nal menyatakan hajat untuk berkahwin dengan Nurfarah, mereka membantah keras.  Selain  Nurfarah bukan senegeri dengannya orang tuanya menentang kerana mereka mahu berkahwin  dalam umur hingusan.

            “Kau dah apa-apakan budak tu ke hingga kau ambil keputusan begini?” Soal ayahnya sewaktu Nal menyatakan hasratnya.

            “Ayah ni. Tak kan Nal nak buat perkara tak senonoh macam tu,” jawab Nal Zawawi. Terasa ada gelombang dalam jiwanya. Bimbang orang tuanya dapat menangkap apa yang berlegar dalam kepalanya.

            Memang dia dan Nurfarah belum pernah terlanjur jauh. Namun mereka berdua sering terdorong untuk melakukan perkara  terkutuk tersebut. Disebabkan itulah Nal merasakan daripada terlanjur jauh, lebih baik dia dan Nurfarah berkahwin. Pergaulan bebas antara mereka berdua tanpa perhatian keluarga dan larangan daripada mana-mana pihak termasuk disiplin universiti membuatkan Nal dan Nurfarah bebas bersama.

            Mereka bersama tanpa mengira masa, asal saja ada kesempatan dan masa terluang, mereka akan habiskan bersama. Tumpuan mereka pula biasanya tempat-tempat yang sunyi. Biar tiada gangguan untuk mereka memadu kasih. Senang untuk mengucapkan kata sayang. Meluahkan rasa rindu.  Kerana sering berdua-duaan di tempat-tempat yang sunyilah mereka sering gagal melawan nafsu. Cuma belum terlanjur jauh. Lalu demi memikirkan betapa mereka tidak sanggup hidup dalam keadaan seperti itu membuatkan Nal mengambil keputusan mengahwini Nurfarah.

“Habis? Dah gatal nak kahwin ni kenapa?”

            “Nal rasa dah sampai seru ayah.”

            “Seru kepala hotak kau!”

            Ayahnya memang benar-benar menentang. Baginya usia Nal belum layak untuk memikirkan soal perkahwinan. Namun dek kerana kedegilan, Nal tetap meneruskan hajat murninya. Orang tua Nal gagal menghalang, oleh kerana itu demi menunjukkan ketidaksetujuan mereka, segala elaun bulanan dan biayaan pengajian Nal ditarik balik. Nal tidak lagi menerima kiriman wang daripada orang tuanya di kampung. Dengan duit pinjaman pengajian mereka berdua, mereka meneruskan kehidupan suami isteri. Dibantu oleh Puan Halimah.

            Mujurnya mereka agak lambat mendapat cahaya mata. Jika tidak, tentu perbelanjaan mereka akan lebih bertambah. Hanya setelah tujuh tahun usia perkahwinan mereka, barulah mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang mereka namakan Nur Maisara. Kehadiran Nur Maisara makin mengeratkan lagi hubungan mereka suami isteri. Malangnya kebahagiaan mereka sekeluarga tidak kekal lama apabila Nurfarah terlebih dahulu menyambut panggilan Ilahi.

            Kematian Nurfarah benar-benar menekan jiwa Nal. Sehinggakan prestasi kerjanya terganggu dan dia dibuang kerja oleh majikannya. Ketika itu sekali lagi dia anak beranak disara hidup oleh Puan Halimah sebelum dipelawa berkongsi niaga oleh abang tiri Nurfarah, Nordin . Bersama Nordin dia mahu mulakan kehidupan baru. Cuba menerima kematian Nurfarah dan menumpukan sepenuh perhatian pada perniagaannya.

            Dalam usaha melakukan yang terbaik untuk perniagaan yang baru dibukanya hampir dua tahun itulah dia dipertemukan kembali dengan Alunie. Gadis yang pernah belajar di sekolah yang sama dengannya. Pertemuan kembali dengan Alunie menerbitkan satu perasaan baru dalam jiwanya yang kegersangan akibat kematian isteri, apatah lagi suatu masa dahulu ingatan dan tidurnya sering terganggu oleh bayangan Alunie sehingga akhirnya dia bertemu dengan arwah isterinya di pusat pengajian tinggi.

Nal mengeluh berat. Fikirannya masih menerawang jauh. Menjarakkan segala kenangan yang pernah dilaluinya dahulu. Dia bangun dari katil dan duduk berteleku di lantai sambil belakangnya bersandar di birai katil. Ingatannya kembali kepada Alunie dan ingatan itu membawanya ke zaman remaja mereka.


Nal memandang ke luar tingkap apabila seorang pelajar perempuan melintasi bilik darjahnya. Sedang elok dia memandang ke luar, gadis itu juga memandang ke arahnya menyebabkan retina mereka bertembung.

            “Faiz, kau tengok budak perempuan tu,” ujar Nal sambil menyiku kawan semejanya.

            Faiz menoleh. Ketika itu Alunie sudah mengalihkan pandangannya dan jalannya juga sudah jauh ke depan.

            “Aku hairan lah, kadang-kadang aku tengok dia mesra saja, kadang-kadang sombong benar pulak perangainya. Usahkan nak senyum kat aku, nak memandang pun tak ingin.”  Nal memberi komen. Ketika itu dia baru menjejakkan kaki ke SMKTM (1).

            Faiz ketawa mendengar komennya. Dia menepuk-nepuk bahu Nal.

            “Kenapa kau ketawa Faiz?”

            “Kau yakin kau tak salah orang?” Soal Faiz tanpa menjawab soalan Nal.

            “Kau tanya aku macam tu kenapa? Kau ingat mata aku ni rabun?”

            “Aku tak kata kau rabun. Kalau rabun dah lama kau menyusahkan aku minta bacakan apa yang cikgu tulis kat papan hijau. Cuma aku tanya kalau-kalau kau salah orang, budak perempuan tu ada kembar seiras,”   terang Faiz bersama senyuman. “Aku yakin yang kau tengok sombong tu kembarnya. Biasanya dia jalan dalam kumpulan pelajar lelaki kaki ponteng sekolah. Kalau yang tadi lebih senang jalan seorang diri,” sambung Faiz kemudiannya.

            Sebagai pelajar lama sekolah yang telah memenangi anugerah Kualiti Perdana Menteri, Faiz memang sudah arif dengan perbezaan Ayunie dan Alunie. Cuma dia tidak tahu mana satu Ayunie dan mana satu Alunie.

            “La, patutlah. Aku tersalah orang rupanya.”

            Nal ketawa mengingatkan kesilapannya. Patutlah kadang-kala dia melihat gadis itu dalam dua sikap berbeza. Kadang kala berwajah redup, kadang kala pula berwajah garang, sombong dan angkuh. Dia bertekad menyelidik mana satu Alunie dan mana satu Ayunie.

            Lama juga Nal berbuat demikian. Semata-mata mahu dipastikan agar satu masa nanti dia tidak lagi tersilap duga. Bukan mudah untuk dia berbuat demikian kerana masa rehat mereka berbeza. Cuma jika ada kesempatan dia sering kali curi keluar semasa para pelajar tingkatan lima rehat.

            “Budak bodoh, bagi aku duit kau, aku nak belanja kawan-kawan aku makan!” Satu suara kedengaran menengking di kawasan tandas blok G. Nal yang baru turun dari tangga memasang telinga dan menoleh ke arah tandas.

            Berdegup jantungnya melihat pasangan kembar yang menjadi perhatiannya selama ini sedang berada di depan tandas perempuan.

            “Aku mana ada duit.”

            “Kau jangan nak tipu aku Lunie. Pagi tadi aku nampak mak bagi dua puluh lima ringgit kat kau.”

            “Itu untuk bayar buku rujukan Ekonomi Asas.”

            “Itu aku tak peduli, kau kena bagi duit tu kat aku. Aku dah janji nak belanja kawan-kawan aku makan kat kedai mak su,” kata Ayunie.

            Nal masih tercegat di tangga memerhati. Akhirnya dia dapat tahu juga mana satu Ayunie dan mana satu Alunie. Hatinya sedikit hairan, wajah mereka persis benar, tapi perangai mereka berbeza sama sekali.

            Nal melihat bagaimana Ayunie merampas dompet kecil berbentuk kepala teddy bear daripada tangan Alunie dan mengeluarkan semua wang yang ada di dalamnya. Dia menghitung-hitung sejumlah wang yang sudah dicurahkan ke dalam tapak tangannya.

            “Banyak jugak duit budak bodoh ni…emh, singgit lima posen ni kau simpan ye, bagi aku bakinya.”

            Ayunie memasukkan kembali beberapa keping syiling berjumlah seringgit lima puluh sen ke dalam dompet kepala teddy bear Alunie. Alunie hanya diam terkaku, tidak membantah. Membantah akan mengundang bahaya baginya. Bukan tidak pernah dia membantah perlakuan Ayunie terhadapnya, namun bantahan itu akhirnya membawa bahaya kepadanya apabila kawan-kawan lelaki Ayunie akan membulinya apabila mereka terserempak. Alunie paling malu berdepan dengan situasi itu.

 Apa tidaknya, kawan-kawan Ayunie biasanya akan mengerumuninya beramai-ramai. Membuat bising sambil bertindak liar dengan meraba batang tubuhnya di mana-mana bahagian yang mereka sukai. Mereka hanya bertempiaran lari jika Cikgu Shapri, guru disiplin sekolah berkejar datang dengan membawa rotan di tangan. Mungkin ada sesiapa yang bersimpati dengan Alunie membuat laporan.

Ayunie tersenyum girang sambil berjalan melintasi Nal yang masih tercegat di tangga memerhati kelakuannya.

“Makan besar aku ngan kengkawan aku hari ni,  yeaha!”

Ayunie benar-benar girang. Sudah dia membayangkan dalam benaknya menu yang bakal dipesan di kedai mak  su nanti.

“Apa kau pandang-pandang ni?” Sergah Ayunie sewaktu dia agak terkejut menyedari kewujudan Nal Zawawi tercegat memerhati di anak tangga.

Matanya dijegilkan sambil mengangkat tangan seakan ingin menumbuk Nal. Nal sempat mengelak.

“Bapok!”

Ayunie menyeranah Nal dengan mengatakan Nal ‘bapok’. Entah apa sebabnya. Padahal Nal bukanlah tergolong dalam kalangan lelaki lembut. Mungkin kerana penampilan Nal ketika itu kemas dan rapi. Menepati kehendak disiplin sekolah yang menggariskan corak berpakaian sedemikian. Berbeza dengan cara berpakaian kawan-kawan Ayunie. Atau mungkin juga kerana Nal mengelak daripada terkena tumbukannya sekejap tadi.

“Huh, bodoh!” Gerutu Ayunie sambil meneruskan langkahnya.

Nal tidak mempedulikan Ayunie. Dia menoleh ke arah tandas. Alunie kelihatan tercegat di situ sambil matanya memandang ke arah Nal dengan pandangan yang sayu. Benar-benar menyebabkan simpati datang menggunung di hati Nal terhadapnya. Nal cuba mengukirkan senyuman, namun senyumannya kali itu tidak berbalas, Alunie melangkah masuk ke tandas!

Nal jadi tidak lugu. Ada sesuatu yang menghenyak jiwanya. Sejak hari itu Alunie mula mendapat perhatiannya. Asal sahaja bertembung dengan Alunie di mana-mana Nal akan mengambil kesempatan untuk merenungnya. Jika kebetulan Alunie juga memandangnya, Nal akan serikan pandangannya dengan sebuah senyuman ikhlas. Bagaimanapun untuk menegur Alunie dia belum berani.

Peribadi Alunie yang tidak ramai kawan dan lebih senang ke mana-mana tidak berteman semasa di sekolah membuatkan Nal merasakan terlalu sukar untuk memulakan sapaan pertamanya. Cuma senyuman yang berani dihulurkan, lebih daripada itu Nal tidak berani. Sehinggalah Nal menamatkan persekolahannya. Lagipun Nal percaya jika sudah ditakdirkan mereka akan bersama, lambat laun mereka akan bersama juga. Tetapi perkenalannya dengan Nurfarah melenyapkan semua ingatan dan anganannya untuk mengenali Alunie.












BAB DUA PULUH TIGA
“Hai Cik Nal,” sapa Rose semasa Nal melangkah masuk ke dalam kedai.  Kemudian pandangannya melekat ke wajah kecil dalam pimpinan Nal.

            “Anak Cik Nal ke ni?”

            “Ya. Sara, Nur Maisara namanya.” Nal membalas sambil mengusap kepala Nur Maisara yang bertoncang dua.

            “Hai Sara,” Rose dan Fatma menyapa serentak.

            Nur Maisara bagaimanapun tidak membalas sapaan mereka sebaliknya bersembunyi di balik Nal. Nal faham benar dengan telatah puterinya. Bukan mudah untuk puterinya bergaul dengan orang luar, lebih-lebih lagi orang yang tidak pernah dilihatnya.

            “Sara ni tak banyak cakap, dia pemalu sikit.”

            “Ikut perangai siapa agaknya Cik Nal?” Ali, pekerja Alunie yang ditugaskan menjaga stor tiba-tiba datang menyampuk.

            Nal menoleh ke arah Ali. Dia tersenyum.

            “Ibunya dulu tak banyak cakap.”

            “Hah, kenapa tak bawa ibunya sekali?” Soal Fatma. Dia mengusap-usap kepala Nur Maisara biarpun kanak-kanak itu cuba mengelak.

            Geram Fatma melihat comelnya Nur Maisara. Dengan kulit putih melepak dan rambut hitam pekat melepasi pinggang. Ditambah pula dengan mata bundarnya yang sedikit kecoklatan. Fatma mengagak Nur Maisara mungkin mengikut rupa isteri Nal.

            Nal tidak menjawab pertanyaan Fatma. Malas menyebut tentang isterinya yang sudah lama meninggalkannya kerana hatinya seringkali bersiponggang meraung setiap kali menyebut tentang perkara tersebut.

            “Taukeh mana?”

            “Kak Alunie keluar buat collection.”

            “Buat collection sendiri? Kenapa tak hantar pekerja?”

            “Kalau pelanggan biasa memang Kak Alunie hantar Ali atau sesiapa yang sempat, tak pun Kak Mahiran. Kalau berdepan dengan pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah kerajaan, jawabnya dia kena pergi sendiri. Itupun kalau yang liat sangat. Hutang lapuk berkurun susah nak bayar. Hutang baru kian hari kian bertambah,” beritahu Rose.

            Nal mengangguk-angguk. Faham dengan masalah yang cuba dibayangkan oleh Rose. Memang selalunya begitulah yang terjadi sekiranya berurusan dengan badan-badan kerajaan. Sering menggunakan alasan bil melebihi tiga bulan tidak boleh menuntut sebarang bayaran daripada pihak kerajaan. Hanya bil tiga bulan ke bawah sahaja akan dilayan oleh bahagian peruntukan kewangan. Memang memualkan berdepan dengan situasi begitu. Disebabkan itulah Nal dan Nordin bersepakat untuk tidak memberi peluang mana-mana pejabat dan sekolah membuka akaun dengan kedai mereka. Bimbang terjadinya masalah demikian meskipun ada yang cuba-cuba menunjukkan local order mereka.

            “Kak Mahiran ada?”

            “Dia ke tandas kejap. Cik Nal nak apa hari ni?” Tanya Rose mula bersedia dengan sebatang pen dan kertas untuk mengambil senarai barangan.

            “Nak barang sikit saja. Cuti sekolah macam ni biasa van sales tak banyak.”

Kemudian Rose mula menyalin senarai harga barang yang disebut Nal. Kebanyakannya barang-barang kecil seperti gam tiub cap Golden Fish, pensil mekanikal, pensil 2B Millennium Edition, pisau pensil keluaran SDI, pemadam Cap Lion dan pelbagai alat tulis lain.  Sesudah itu Rose naik ke tingkat atas bangunan kedai untuk mengambil barang-barang yang diingini di dalam stor yang terdapat di tingkat dua bangunan kedai. Ketika itulah Mahiran muncul dari tandas dan menyapa mesra Nal.

“Dah lama sampai Cik Nal?”

“Lama tu tak lah lama sangat, tapi dah siap buat order.”

“Cuti-cuti sekolah macam ni, bisnes okey kah?” Mahiran bertanya sekadar berbasa-basi dengan Nal.

Sedangkan dia sudah arif masalah yang ditanggung oleh van sales dan juga kedai-kedai alat tulis sekitar sekolah. Perniagaan akan menjadi kurang kerana pelajar bercuti. Ketika itu perkhidmatan fotostat dan binding tidak begitu mendatangkan hasil. Alat-alat tulis juga jarang dibeli. Bagaimanapun toko buku dan alat tulis milik Alunie tetap juga sibuk. Malahan para pelajar yang sedang bercuti makin galak pula berkunjung ke kedai buku untuk mendapatkan barangan keperluan lain. Ketika itulah baru Mahiran faham kenapa Alunie memutuskan untuk menjalankan urusniaga seperti itu, sekurang-kurangnya bahang cuti pertengahan semester tidak akan terasa.

“Cuti-cuti sekolah macam ni, bisnes tak jalan sangat. Kecuali cuti hujung tahun. Time tu mungkin sibuk sikit sebab pelajar ramai datang untuk membeli peralatan baru.” Nal berkata.

Mahiran tersenyum tanda faham. Kemudian pandangannya beralih kepada Nur Maisara. Gadis kecil bermata bundar itu menundukkan kepalanya. Segan dan malu dipandang Mahiran. Mahiran tidak mengendahkan Nur Maisara lalu kembali dengan tugasnya. Dia sudah dapat mengagak gadis comel itu tentunya anak Nal.

Invoice yang ditanda dengan nama Nal Zawawi dibuka. Membelek-belek untuk melihat kalau-kalau masih ada bil yang tertunggak. Setelah berpuas hati Mahiran membuka helaian baru.

“Rose, ada semua barang Cik Nal?” Tanya Mahiran sewaktu Rose muncul menjinjing beg plastik yang sarat dengan barang.

“Ada kak, tapi pisau SDI ni tinggal sedozen sahaja, Cik Nal minta tadi dalam dua gross.”

Balas Rose sambil meletakkan barang-barang di depan meja Mahiran.

“Tak apalah, saya ambil setakat yang ada.”

“Nanti Rose pesan kat Ali, ambil stok kat stor kita.”

“Berapa banyak stor taukeh awak buat simpan barang ni?”

“Satu je, kat tingkat atas ni kami simpan sikit, dalam dua tiga bundle. Kalau kat stor tu, boleh tengoklah jumlah sebenarnya stok kami. Tinggi melangit. Kadang-kadang tak sempat nak jual, dah kena makan anai-anai.”

Terang Mahiran sambil memasukkan senarai barang ke dalam bil.  Ketika itulah Alunie muncul. Tersenyum memandang Nal sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya. Dalam perjalanan ke biliknya itu telefon genggamnya berbunyi. Nal memandang ke arahnya. Nampak mesra benar Alunie menjawab panggilan yang diterimanya. Hati Nal jadi bergetar, tertanya-tanya gerangan si pemanggil kerana hingga saat itu dia belum tahu status Alunie yang sebenarnya.

Kurang lima minit kemudian Alunie muncul. Topi ala Sani  Sudin yang dipakainya tadi sudah ditanggalkan. Kini rambut panjangnya ditoncang ekor kuda.

“Dah siap bilnya Mahiran?”

Alunie mengajukan soalan. Mahiran sekadar mengangguk. Invoice di tangan dihulurkan kepada Alunie. Alunie mencapainya. Diteliti seketika. Setelah berpuas hati dia menyerahkan kembali kepada Mahiran. Dia tahu keraninya  memang boleh diharapkan.

Alunie memandang jam di pergelangan tangannya. Nal memerhati. Gelagat Alunie seakan ada janji temu. Hatinya teringin untuk mengambil tahu.

“Ada janji dengan sesiapa?”

“Mana tahu?”

“Tengok pada raut wajah tu, macam tengah tak sabar untuk bertemu seseorang yang istimewa,” kata Nal.

Sengaja mencipta ayat sedemikian untuk mengetahui status Alunie. Paling kurang dia boleh berjaga-jaga untuk merapati Alunie.

Alunie tergelak. Istimewa? Entahlah, istimewa atau tidak tapi dalam surat nikah namanya tercatat sebagai suami aku. Huh, kenapalah aku kena berdepan dengan situasi macam ni?

“Tak delah, cuma ada janji untuk keluar minum dengan seseorang kat Dome Café,” jawab Alunie tanpa berselindung.

Mahiran mendongak memandang Alunie. Cukup tidak berkenan dia mendengar Alunie menggunakan istilah ‘seseorang’. Apa salahnya jika Alunie menyebut ‘suami’.  Susah sangatkah untuk dia menggunakan istilah itu bagi memberitahu tentang Daniel. Mahiran cukup yakin Daniel  seseorang yang dikatakan Alunie kerana sudah menjadi kebiasaan untuk mereka bertemu di Dome Café.

Alunie menyedari riak tidak senang terpetia di wajah Mahiran. Tetapi dia berlagak selamba. Dia belum bersedia untuk berterus-terang dengan Nal. Dia sendiri tidak faham, sedangkan dia sedar Nal sudah beristeri. Mana mungkin dia boleh bersama-sama Nal. Dia yakin Nal bahagia di samping keluarganya. Melihat kepada air muka Nal setiap kali dia bercerita tentang anak dan isterinya, cukup untuk meyakinkannya. Alunie tidak mahu menjadi makhluk perosak antara mereka berdua.

“Ini tentu Nur Maisara,” ujar Alunie apabila mula menyedari kehadiran Nur Maisara di ribaan Nal.

“Ya. Sayang salam makcik…”

Arahan Nal mendapat reaksi positif Nur Maisara. Pantas tangan Alunie digapai dan diciumnya. Alunie terasa kelainan. Kalaulah dia mempunyai anak sendiri, tentu sudah berusia hampir dua tahun sesuai dengan umur perkahwinannya dengan Daniel. Nah, dalam usia sekarang tentunya tersirat rasa inginkan cahaya mata sendiri dalam jiwa Alunie. Usia tiga puluh tahun sudah cukup sesuai untuk menimang paling kurang seorang cahaya mata.

Aku dan Daniel tak mungkin akan punyai zuriat bersama. Hati kecil Alunie mengeluh.

“Pandai anak abah ni…” puji Alunie sambil mengusap-usap kepala Nur Maisara. Nur Maisara malu-malu.

“Kak Lunie… doktor dah sampai!” panggil Fatma dari meja fotostat berkali-kali apabila dilihatnya Alunie asyik di meja Mahiran.

Alunie memandang ke depan. Kemudian memandang jam di dinding kedai. Apabila pandangannya melekat ke wajah Mahiran dia mengangguk tanda minta jasa baik Mahiran menguruskan kedai sepanjang dia keluar.

“Nal, saya pergi dulu ya. Apa-apa hal rujuk pada Mahiran,” kata Alunie sambil memandang Nal.

Sempat Alunie menghadiahkan sebuah ciuman ke pipi Nur Maisara sebelum melangkah meninggalkan meja Mahiran. Hatinya memang terasa benar melihat kanak-kanak comel seperti Nur Maisara. Rasa ingin punyai anak sendiri berlegar-legar dalam jiwanya.

“Ada pelanggan tadi?” Tanya Daniel sewaktu Alunie melabuhkan punggungnya ke dalam kereta.

“Sorang saja. Tu pun Mahiran boleh uruskan,” jawab Alunie sambil mengemaskan toncang rambutnya.

Kereta kemudiannya meluncur laju. Tanpa suara antara mereka berdua. Bagaikan ada sesuatu yang berlegar dalam fikiran masing-masing. Cuma sesekali Alunie dan Daniel saling berbalas pandangan dan tersenyum sesama sendiri. Tiga tahun bersama, mereka kini bagaikan kawan karib. Cuma rasa cinta belum terbit di hati Alunie dan Daniel tetap sabar menanti.

“Sebenarnya ada berita gembira nak saya bagi tau Lunie.”

Daniel bersuara sambil mengacau cappuccino di dalam cawannya. Alunie jadi tertanya-tanya perkhabaran apakah yang bakal dikatakan Daniel.  Wajah Daniel nampak berseri-seri, tentu ia sesuatu yang amat bermakna bagi Daniel.

“Saya dah dapat tittle tu.”

Tittle apa?”

Tittle Prof. Madya.” Daniel tersenyum.

“Tahniah, bertahun-tahun awak cuba dapatkan tittle tu. Sekarang awak tentu berpuas hati. Tahniah sekali lagi.”

Alunie menghulurkan tangan kepada Daniel. Huluran tangannya bersambut. Dengan senyuman Daniel membawanya ke bibir lalu diciumnya lembut. Alunie menarik tangannya. Mulutnya dijuihkan ke depan. Geram kerana Daniel mula mengambil kesempatan terhadap dirinya. Daniel ketawa kecil dengan perlakuan Alunie. Alunie kemudiannya turut ketawa sama.

“Tapi saya sebenarnya belum puas hati selagi belum dapat gelaran professor.”

“Nak dapat gelaran tu berapa ratus jurnal dan tesis pula perlu awak hasilkan?”

“Huh, tak dapat nak menyebutnya. Bimbang awak terkejut pula,” ujar Daniel.

Memang dia malas untuk mengingatkan jumlahnya kerana masih terasa bahang penatnya memerah otak untuk mendapatkan gelaran professor madya. Bertahun-tahun dia menunggu, baru hari itu dia mendapat gelaran itu secara rasmi.

Daniel bukan jenis pensyarah yang suka mengambil kesempatan atas kerja dan penat lelah orang lain, disebabkan itulah dia agak lambat mendapat gelaran tersebut. Selagi berupaya dia hasilkan sendiri segala jurnal dan tesis bagi melayakkannya mendapat gelaran sewajarnya. Dia tidak seperti kebanyakan pensyarah lain yang mengambil kesempatan atas tesis dan kertas kerja yang  dihasilkan oleh para pelajar selengaraan mereka. Bersusah payah mereka mencari bahan, apabila diselia oleh para pensyarah dan pensyarah dapati tesis dan kertas kerja itu bagus, mereka akan gunakan untuk mencukupkan bilangan jurnal dan tesis mereka bagi melayakkan mereka mendapat gelaran. Padahal penat mereka hanya kerana menyelia sahaja.

Lagi pun Daniel lebih berpuas hati melakukan sendiri. Dengan cara itu dia dapat mengukur keupayaan sebenar dirinya dalam bidang ilmiah. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi perlu membelek buku untuk mendapatkan sebarang maklumat berkaitan bidang kerjanya, cukup dengan mengingati kembali berdasarkan kajian yang pernah dilakukannya.

“Lagi satu, bulan depan saya akan ke Perlis. Ada projek baru di sana.”

“Berapa lama?”

“Dalam dua tiga hari. Awak nanti jangan nakal-nakal ya…”

Gurauan Daniel membuatkan Alunie sekali lagi menjuihkan bibir. Seperti tadi, juihan bibirnya membuatkan Daniel ketawa kecil. Alunie tidak menghiraukan tawaannya. Dia mencapai pizza di dalam pinggannya lalu disuapkan ke mulut. Mukanya ditoleh ke kiri. Malas melayan tawa Daniel.

Berderau darah Alunie sewaktu pandangannya tertatap wajah seorang lelaki sedang merenung ke arahnya.Nal Zawawi! Jiwanya bergelora. Kemudian dia memandang ke depan, kembali menatap Daniel yang masih bersisa ketawanya.



BAB DUA PULUH EMPAT
Sekarang Nal tahu, Alunie sudah dipunyai. Bagaimanapun dia tidak tahu sejauh mana seriusnya hubungan Alunie dan lelaki yang dilihatnya di Dome Café tempoh hari. Memang Nal sengaja mengekori Alunie tanpa disedari Alunie. Mahu diketahuinya Alunie keluar dengan siapa. Sekurang-kurangnya memberi ruang untuk dia berfikir panjang sebelum dia meluahkan isi hatinya. Nal tidak mahu mengacau insan yang sudah menjadi milik orang.

            Memang hatinya terasa perit sewaktu dilihat lelaki yang dikatakan seorang ‘doktor’ oleh pekerja Alunie mencium tangan Alunie. Tapi apakan daya, Alunie  bukan miliknya untuk dia bertindak. Dia siapa? Dia bukan sesiapa dalam hidup Alunie.

            “Papa, kita keluar jalan-jalan petang ni.” Nur Maisara memecahkan lamunan Nal.

            Nal memandang Nur Maisara yang sedang memaut lututnya.

            “Sayang nak pergi mana?”

            “Mines? Lepas tu kita makan kat KFC.”

            Nal mengangguk. Setuju memenuhi permintaan anak kecilnya. Seraya itu juga dia mengangkat tubuh kecil Nur Maisara ke atas dukungannya. Pipi Nur Maisara dicium penuh kasih sayang.

            Memang dia selalu membawa Nur Maisara bermain di Mines, sambil bermain mereka juga boleh membeli-belah dan makan-makan di Mines. Nal kemudiannya mengarahkan Nur Maisara mandi dan bersiap-siap untuk ke Mines yang terletak di Seri Kembangan, berdekatan UPM.


Nal  sedang mengelap bibir Nur Maisara yang sedikit comot terkena sos sewaktu satu pasangan lelaki dan perempuan melintas di depannya. Mereka mengambil tempat duduk bertentangan dengan Nal. Nal mengangkat wajah memandang mereka tanpa sebarang maksud tertentu.

            Dia kah? Soal Nal pada dirinya sendiri. Seakan tidak percaya dan ragu-ragu melihat Daniel bersama seorang gadis. Bukan Alunie. Gadis yang tidak dikenali.

            Boleh tahan juga doktor ni. Hari tu dengan Alunie, kali ini dengan orang lain pula. Orang kaya dan ada rupa, memang senang nak main-mainkan perempuan. Gerutu Nal di dalam hati.

            Meluat juga jadinya dia melihatkan kemesraan Daniel bersama gadis bertudung cantik bersamanya. Dia tumpang simpati kepada Alunie yang dirasakan mungkin tidak tahu menahu mengenai kecurangan Daniel.

            Ah! Mungkin perempuan ni cuma kawan sekerjanya. Atau mungkin dia tidak ada apa-apa hubungan dengan Alunie dan hanya serius dengan perempuan ni. Nal makin membuat andaian. Hatinya kembali menyimpan harapan.

            “Aku kena pastikan dengan Alunie,” ujar Nal di luar sedar.

            “Apa papa?” Nur Maisara terpinga-pinga. Pelik apabila ayahnya tiba-tiba bercakap seorang diri.

            “Tak ada apa-apa. Hah, makan cepat sikit, kalau dah kita pulang.”

            Nur Maisara mengangguk lalu meneruskan makannya. Nal memerhati sahaja. sesekali dipandang ke meja Daniel bersama Delilah.

            Nal tidak terus pulang ke rumah sebaliknya menghantar Nur Maisara ke  rumah Puan Halimah. Dia ingin menemui Alunie. Hatinya digaru-garu agar terus mendapatkan kepastian daripada Alunie. Dia tidak mahu terus membuat agakan demi agakan. Dia mahukan kepastian hari itu juga agar segala gundah di hatinya hilang dan boleh mengambil langkah seterusnya. Dia akan menerima apa sahaja jawapan Alunie. Dia akan bersedia.

            Alunie terkejut melihat Nal tiba-tiba terpacak di depan bilik sedangkan ketika itu para pekerjanya sudah lama pulang ke rumah. Hanya dia keseorangan di tokonya menyudahkan segala kerja yang terbengkalai beberapa hari. Lebih terkejut melihatkan air muka Nal yang tidak seperti kebiasaannya.

            “Duduklah Nal, tercegat kat pintu tu kenapa?”

            Pelawa Alunie apabila Nal kelihatan ragu-ragu untuk melangkah masuk ke pejabatnya. Nal akhirnya akur dan merebahkan buntutnya ke kerusi. Dia duduk setentang dengan Alunie yang masih memegang fail.  Wajah Alunie ditatap. Hatinya tekad.

            “Kenapa Nal?” Soal Alunie hairan. Hairan ditatap Nal seperti itu.

            “Sebenarnya saya tak tahu nak mulakan macam mana, tapi saya perlu tanyakan juga agar tidak lagi tertanya-tanya.”

            “Tentang apa?”

            “Tentang diri Alunie. Sama ada Lunie sudah berpunya atau tidak.”

            Alunie tersentak. Tidak menduga dengan soalan berani Nal. Dia menelan ludahnya.

            “Kalau dah?” Soal Alunie dengan suara yang dikawal, takut terkesan getarnya di gegendang Nal.

            “Kalau dah, saya akan musnahkan harapan saya. Saya tidak mahu mengharap pada seseorang yang sudah dimiliki.”

            “Maksud awak?” Soal Alunie meskipun sudah maklum apa yang sedang dikatakan oleh Nal.

            “Saya ingin mendampingi awak lebih sekadar teman biasa sekiranya awak belum dimiliki sesiapa.”

            “Dan isteri awak? Mana awak nak campakkan wanita yang selalu awak sanjung keperibadiannya tu?”

            “Dia ada dalam tiada.”

            “Saya tak faham.”

            “Farah ada dalam jiwa saya semata-mata, tapi tiada kat dunia ni lagi. Saya cuma hidup dengan kenangan bersamanya. Bukan hidup bersamanya, yang ada hanya Nur Maisara, tanda cinta suci kami berdua.”

            Jawapan Nal menyebabkan ada rasa terbeban yang selama ini menghenyak pundak Alunie terbang begitu sahaja. Wajah Alunie berseri-seri. Perubahan wajahnya dapat dilihat jelas oleh Nal.

            “Lunie?”

            “Sebenarnya hati saya belum dimiliki sesiapa.”

            “Termasuk lelaki yang bersama awak tempoh hari?”

            Alunie terdiam seketika apabila Nal mengungkitkan soal Daniel. Wajah Daniel terimbau di dalam benaknya.  Alunie mengetap bibir. Tidak tahu bagaimana mahu memberi jawapan kepada Nal.

            “Dia juga tak pernah mampu memiliki hati saya.” Alunie akhirnya berkata dengan suara agak tersekat di kerongkong.

            Padahal Daniel hakikatnya suami aku. Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku tidak mahu terus hidup dalam dosa. Aku bukan isteri yang baik untuknya.

            Nal lega mendengarnya.

            “Kalau macam tu, bolehkah kalau saya ingin memiliki hati Lunie?”

            Alunie tidak bersuara. Namun dia tersipu-sipu, tidak tahu mencipta sebaris ayat untuk menyatakan persetujuannya. Gelagatnya itu membuatkan Nal dapat membuat kesimpulan sendiri. Dia tersenyum bahagia sambil memandang Alunie.

            “Tapi bolehkah anak kecil awak menerima kehadiran ibu tiri?”

            “Sepatutnya saya yang menyoal Lunie sama ada boleh atau tidak menerima Nur Maisara seperti anak sendiri.”

            “Saya tak berani jamin, tapi saya akan cuba. Dalam usia seperti ini saya memang teringin punyai anak, sekurang-kurangnya dapat dijadikan teman untuk menghilangkan kesunyian.”

            Alunie bekata jujur. Dia sendiri memang tidak dapat memberi jaminan. Dia memang inginkan anak, tapi daripada zuriatnya sendiri. Nur Maisara bukan anaknya. Bolehkah dia menerima Nur Maisara seadanya?

            “Sara tak banyak menyusahkan.”

            “Itu saya tahu, cuma saya takut saya gagal menjadi ibu yang baik untuknya. Saya tak pernah ada pengalaman bersama kanak-kanak. Tak ada anak saudara, apa lagi anak sendiri meskipun usia sudah tiga puluh tahun.”

            “Lunie boleh belajar perlahan-lahan.”

            Nal mengukirkan senyuman paling manis buat Alunie. Senyumannya sekali gus melenyapkan bayangan wajah Daniel dalam kotak ingatan Alunie. Alunie cukup bahagia kerana anganannya bakal menjadi kenyataan.


Masa memang cepat berputar tanpa disedari Alunie. Hubungannya dengan Nal semakin erat dan Daniel pula semakin sibuk dengan tugasnya. Tidak punya kesempatan untuk mengesan perubahan sikap Alunie.

            Hanya Mahiran yang agak sakit kepala melihat gelagat Alunie yang tengah mabuk bercinta. Meskipun Alunie tidak pernah menyatakannya, namun melihatkan cara Nal dan Alunie, Mahiran sudah dapat mengerti rentak yang sedang diatur mereka. Rentak orang sedang mabuk bercinta.

            Kerja Mahiran juga makin bertambah kerana Alunie mula menyerahkan tugas-tugas rutinnya kepada Mahiran. Sesekali Mahiran merungut juga di depan kawan-kawan sekerja yang lain. Mujur juga Rose dan Fatma boleh membantu membuat bil dan membuat filing. Kalau tidak, pening kepala Mahiran mahu menguruskannya seorang diri.

            “Kak, saya ni bukan nak masuk campur urusan peribadi kak.”

            Akhirnya Mahiran bersuara apabila tidak tahan lagi melihat gelagat Alunie. Tambahan pula sikap Alunie itu telah membebankannya. Jika dulu Mahiran tidak perlu bersusah payah memikul invoice balik ke rumah, sekarang dia seakan bekerja dalam keadaan terkejar-kejar. Anak sulungnya gagal diberikan perhatian sewajarnya. Suaminya juga sudah mula merungut apabila Mahiran seperti tidak punyai banyak kelapangan bersamanya.

            “Apahal Mahiran?” Alunie pura-pura tidak mengerti.

            “Itulah, soal kak dengan Cik Nal. Kak tak rasa bersalah pada Doktor Daniel?”

            Alunie melepaskan keluhan berat mendengar soalan yang dibangkitkan Mahiran. Apatah lagi sejak menjalin hubungan dengan Nal, hanya itu masalah yang sarat terbeban di fakulti benaknya. Berserabut kacau dan berselirat menjerat akalnya. Dia buntu.

            “Susah nak cakap Mahiran. Kak memang rasa berdosa. Tapi semua ni bukan salah kak, akak tersepit oleh keadaan yang memaksa akak berada dalam situasi ni.”

            “Masalahnya akak tak terus-terang dengan Nal. Rasanya Cik Nal pun tak akan rosakkan rumahtangga akak kalau tahu kedudukan akak yang sebenar.”

            “Itu yang akak tak ingin terjadi. Akak sayang Nal tu.”

            “Doktor Daniel?”

            “Kan dari dulu akak dah katakan, sekelumitpun tidak pernah wujud perasaan terhadapnya.”

            “Kalau macam tu, akak selesaikan dengan Doktor Daniel. Akak tak boleh terus hidup macam ni. Mana mungkin seorang wanita punyai dua orang suami sekali gus.”

            Nasihat Mahiran. Dia tidak mahu melihat majikannya tersasar jauh dari landasan sebenar. Alunie hanya mengumpul dosa sekiranya menjalinkan hubungan dengan lelaki padahal dalam masa yang sama dia masih lagi isteri orang. Sama ada dia rela atau tidak menjadi isteri lelaki itu, hakikat hukumnya Alunie tetap telah menderhaka kepada Daniel. Mahiran cuma mahukan yang terbaik buat majikannya.

            “Akak memang mahu selesaikan dengan Daniel. Cuma belum bertemu masa yang sesuai untuk meluahkannya. Lagipun akak tak tahu bagaimana. Tak boleh nak bayangkan penerimaan Daniel.”

            “Akak kena cuba, tak kan kak nak hidup dalam keadaan macam ni selama-lamanya?”

            “Tentu kak tak nak hidup macam ni.,” balas Alunie dengan suara kendur berbaur resah. Dia memang pening memikirkan kemelut hidupnya.

            “Kak kena hadapi juga kak. Kasihan Doktor Daniel.”

            “Kak tak pernah memberinya harapan, semua ni silap dia. Kalau dia lepaskan kak sejak dahulu lagi, keadaan tak akan jadi macam ni. Bukan kak tak pernah minta cerai, dia yang enggan melepaskan kakak.”

            “Itu tandanya dia benar-benar cintakan kak.”

            “Tapi akak tak pernah cintakan dia.”

            “Saya pun hairan. Kenapa dengan Doktor akak langsung tak cinta, sedangkan akak dah lama bersamanya, tiba-tiba Nal hadir senang pula akak terima cintanya. Akak terdesak?”

            “Tidak. Akak tidak pernah terdesak. Mahiran, Nal tu telah lama akak puja dalam diam. Semasa di bangku sekolah lagi.”

            Mahiran terpempan. Terkejut dengan pengakuan Alunie. Dia memandang Alunie tidak percaya sekali gus meminta penjelasan.

            “Dulu, semasa bersekolah, akak menaruh hati kepadanya dalam diam. Dia tak tahu. Lalu antara kami tidak pernah terjalin sebarang ikatan. Masa berlalu, akak juga sudah melupakannya. Tapi hati akak tak pernah terpaut kepada orang lain selepasnya. Mana tahu dia akhirnya muncul semula. Impian zaman remaja akak kembali semula. Kebetulan Nal juga punyai perasaan yang sama.”

            Mahiran terdiam mendengar penjelasan Alunie. Dia dapat melihat air mata bergenangan dalam kelopak mata Alunie. Dia tahu Alunie sebak dan buntu berdepan dengan situasi itu. Dia tidak mahu menyalahkan Alunie.

            “Mahiran, kalaulah dulu kami berani meluahkan rasa hati kami, rasanya sekarang kami tengah bahagia bersama cahaya mata hasil perkongsian hidup kami. Malangnya kami sama-sama tidak sanggup untuk memulakan.”

            Alunie mengeluh lagi. Mahiran juga turut sebak melihat keadaannya. Lalu dirangkulnya Alunie dengan niat untuk mententeramkan hatinya. Mereka berpelukan. Alunie menangis.




BAB DUA PULUH LIMA
Daniel termenung jauh di pejabatnya. Situasi yang dilihatnya tengahari tadi benar-benar menyebabkan jiwanya meruntun. Ini bukan kali pertama, malah sudah berkali-kali dia terserempak dengan Alunie bersama seorang lelaki. Pertama kali terserempak dia membuat andaian Alunie bersama pelanggannya kerana memang Alunie sering keluar dengan pelanggannya dan juga bersama jurujual. Kali kedua Daniel tidak juga menyimpan syak wasangka. Namun apabila sudah berkali-kali bertemu secara kebetulan, Daniel akhirnya mula berfikiran negatif. Alunie mungkin mempunyai hubungan luar biasa dengan lelaki yang tidak pernah Daniel kenali tersebut.

            Dan tengahari tadi sekali lagi Daniel terserempak, seperti kebiasaannya Alunie tidak pernah sedar andai Daniel sedang memerhati. Kali ini mreka bertiga, ditemani gadis kecil yang comel. Gelagat mereka bagaikan sebuah keluarga bahagia. Mungkinkah Alunie mempunyai hubungan sulit dengan lelaki tersebut? Hati Daniel mula dihujani tanda tanya.

            Pelbagai tanggapan negatif  bermain di fikirannya. Pernah dia membuat andaian anak itu hasil hubungan sulit Alunie bersama lelaki tersebut. Bagaimanapun diusir andaian jahat itu apabila difikirkan umur kanak-kanak itu dan juga rupa parasnya yang tidak mirip Alunie mahupun lelaki yang bersama Alunie.

            Bunyi ketukan di daun pintu menghentikan operasi fakulti benak Daniel. Dia memandang ke arah pintu. Terpacul Delilah di sebalik daun pintu yang terkuak. Gadis itu tampil cantik petang itu dengan berbaju kebaya labuh berwarna biru lembut dan tudung yang sama warna.

            “Kebetulan datang sini, singgah kat bilik doktor kejap,” beritahu Delilah ramah tanpa menunggu soalan daripada Daniel.

            Punggungnya dihenyakkan ke kerusi. Terpinga-pinga apabila melihat tidak ada sebarang riak di wajah kacak Daniel selain resah semata-mata.

            “Doktor ada masalah?”

            “Kenapa?”

            “Wajah doktor tu, nampak ada masalah besar.”

            Daniel mengetap bibir. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaan Delilah. Kemudian dia melepaskan keluhan. Dia sudah lama mengenali dan rapat dengan Delilah. Sama usianya dengan perkahwinan yang dibina bersama Alunie. Dia dapat lihat keikhlasan gadis itu sepanjang berkawan dengannya. Dia tidak mengada-ngada dan tidak juga cuba menawan hati Daniel sebagaimana kebanyakan kawan wanita yang dikenalinya. Mungkin Delilah menghormatinya kerana Daniel pernah mengajarnya suatu ketika dahulu. Sikap itu terbawa-bawa meskipun kini mereka berhubungan sebagai kawan baik.

            “Tak tahulah bagaimana nak cakap kat awak Ilah.”

            “Masalah tentang apa doktor?”

            Lancar sahaja mulutnya mengajukan soalan. Wajah Daniel dipandang penuh simpati.

            “Orang lelaki, mana ada masalah lain Ilah,”

            “Jadi, mana satu punca masalah doktor? Wang atau wanita?” Tanya Delilah yang mula dapat mengagak.

 Mustahil wang kerana gaji Daniel selama ini memang lumayan. Namun untuk mengatakan kerana wanita, juga dirasakan mustahil kerana diketahuinya selama ini hubungan Daniel dan Alunie isterinya memang rapat dan sepemerhatiannya mereka tidak pernah ada masalah. Itu sepanjang yang dilihat secara kasar. Lebih daripada itu Delilah memang tidak tahu.

“Duit tak mendatangkan masalah bagi saya. Bukan saya ada anak yang nak kena sara pun.”

“Kalau macam tu kerana perempuan lah ni?”

Daniel diam. Membiarkan Delilah terus membuat agakan.

“Isteri doktor tak mahu lahirkan anak?” Delilah cuba mengaitkan persoalan anak yang ditimbulkan oleh Daniel dengan masalah yang sedang Daniel katakan.

Mana tahu tekaannya betul kerana setahunya mereka sudah lama berkahwin, tapi hingga kini belum ada seorang cahaya mata pun.

Pun Daniel diam. Delilah mula tidak sabar.

“Lalu, apa masalah sebenar doktor, cakaplah kalau saya tak boleh menolong, sekurang-kurangnya doktor dapat meringankan beban di kepala kalau dapat bercerita kepada seseorang.”

“Ilah, isteri saya bukan setakat tak mahu lahirkan anak, malah tak pernah mahu bersama-sama saya sebagaimana isteri-isteri yang lain.”

Terpacul akhirnya sebaris ayat itu daripada mulut Daniel.

“Hah? Apa maksud doktor sebenarnya?”

“Sepanjang perkahwinan kami tak pernah bersama. Malah dia sering menolak kalau saya ajak bermesra, hubungan kami tak lebih daripada kawan karib. Itu sahaja.”
“Doktor, betulkah apa yang saya dengar ni?”

“Kenapa awak tak percaya?”

“Sebab benda ni sukar nak diterima akal. Tak kan sepanjang kahwin tak pernah sekalipun doktor bersamanya?”

“Sama ada awak percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Alunie tidak pernah menerima kehadiran saya sebagai suami. Dia menafikan hak saya. Bertahun saya menunggu, dia langsung tidak membalas cinta saya.”

“Habis kenapa doktor boleh kahwin dengannya.”

“Kami terpaksa kahwin.”

“Kalau terpaksa, kenapa dalam gambar tu saya tengok bukan main mesra doktor dengannya?” Tanya Delilah apabila teringatkan gambar-gambar yang pernah ditatapnya suatu masa dahulu.

“Itu bukan Alunie, itu kembarnya. Ayunie.”

Delilah mula kepeningan. Alunie dan Ayunie. Apa sebenarnya telah berlaku dalam hidup doktor pokok di depannya? Dia ghairah untuk mengetahuinya.

Daniel menarik nafas panjang sebelum melepaskan sebuah keluhan maha berat, kemudian dia mula bercerita kisah hidupnya satu-persatu kepada Delilah. Terlopong mulut Delilah mendengarnya kerana tidak pernah menduga semua itu boleh terjadi kepada Daniel. Begitu tabah Daniel menghadapinya selama ini. Bertahun-tahun Daniel memendam masalah itu dalam dirinya dengan harapan Alunie isterinya akan berubah.


            Apa spesis  punya bodoh Alunie tu? Kutuk Delilah. Kalaulah dia berada di tempat Alunie, dia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. Baginya Daniel tidak ada cacat celanya. Daniel terpelajar dan berjawatan baik. Rupa paras tidak boleh dipertikaikan lagi kerana sememangnya Daniel didatangkan dalam pakej yang amat menarik. Apa lagi yang Alunie perlukan daripada seorang lelaki? Baginya Alunie sengaja menolak tuah.

            “Sekarang apa  masalahnya doktor?” Tanya Delilah sehabis Daniel bercerita bagaimana dia boleh terjebak dengan perkahwinan itu.

            “Saya saspek dia sudah mula menjalin hubungan dengan lelaki lain.”

            Delilah mengangguk-angguk. Patutlah wajah Daniel amat tidak lugu. Suami mana tidak bercelaru jika isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.

            “Apa tindakan doktor nak ambil lepas ni?”

            “Itu yang saya tengah fikirkan. Berdepan dengan Alunie atau biarkan sahaja dahulu.”

            “Doktor, sudah terlalu lama doktor biarkan saja, hasilnya doktor yang merana. Bagi saya kali ini doktor perlu bertegas. Cuba bawa berbincang dengannya dan minta dia terus terang apa yang dia nak sebenarnya,” ujar Delilah memberi cadangan.

            “Kalau tanya dia, tentulah talak yang dia nak sangat.”

            “Dia pernah cakap macam tu?”

            “Dia pernah cakap macam tu Ilah. Saya yakin, kalau saya tanya sekarang, bagai orang mengantuk disorong bantal jawabnya.”

            Delilah terdiam. Hilang akal untuk membantu Daniel menyelesaikan masalah. Dia tidak pernah mendengar masalah rumahtangga seperti itu. Jika ada sekalipun tentu tidak berentetan sehingga bertahun-tahun lamanya. Kebiasaannya perempuan akan cepat lembut hati, apatah lagi jika si suami dapat memainkan peranan sebaik mungkin. Mana-mana perempuan sekali pun akan cair. Alunie ni perempuan jenis apa? Delilah mula mahu menggaru-garu di tempat yang tidak gatal.

            “Kalau minta tolong orang tua?”

            “Ikutkan hati biarlah saya cuba selesaikan sendiri dulu. Kalau nampak tak jalan sangat nanti, mungkin saya akan cuba minta bantuan orang tuanya.”

            Daniel kemudian diam. Delilah turut diam. Masing-masing dengan mainan fikiran sendiri.

            “Semua ni silap saya.” Daniel memecah kesunyian yang mula berkerajaan di dalam biliknya.

            “Kenapa doktor cakap begitu?”

            “Sebab dulu saya gagal untuk menilai kaca dan permata. Saya memilih Ayunie, sedangkan kakaknya itu hanya cantik di luar. Alunie pula punyai keperibadian yang tersendiri. Itulah padahnya kalau terlalu mementingkan kosmesis.”

            “Doktor, ini semua takdir. Dah Allah aturkan begitu perjalanan hidup doktor. Tak de siapa salah dan siapa betul dalam hal ni doktor.”

            “Itu kata awak Ilah. Kata hati saya tak macam tu.”

            “Doktor, mungkin masih ada masa untuk doktor baiki kesilapan itu kalau benar doktor merasakan semua ni salah doktor.”

            “Saya dah jenuh mencuba. Sepanjang perkahwinan kami saya dah mencuba. Balik-balik Alunie akan katakan saya masih dibayangi Ayunie. Jadi, apa lagi yang boleh saya lakukan Ilah. Saya ni dah kira tahap dayus. Isteri saya tu halal untuk saya sentuhi dan lakukan apa saja yang saya suka selagi tidak mendatangkan mudarat pada dirinya. Tapi saya biarkan saja dulu.”

            “Kalau doktor dah jenuh. Bagi je apa dia nak.”

            “Maksud awak?”

            “Ceraikan saja. Lagipun bukan dia seorang perempuan kat dunia ni doktor. Masih ramai lagi.”

            “Ceraikan? Tak pernah terlintas dalam hati saya untuk ceraikan Alunie. Malah seawal perkahwinan kami memang tak pernah terlintas untuk saya mengambil tindakan sedemikian. Alunie cukup istimewa di hati saya dan saya cukup-cukup mencintainya.” Daniel berkata jujur. Meluahkan rasa hatinya.

            “Lagipun bukan mudah untuk saya mengalih-alihkan cinta saya. Memang ramai perempuan kat dunia ni. Tak payah cakap dunia, kat sini pun berlambak-lambak. Tapi Alunie hanya seorang. Tak ada dua tak ada tiga. Kalau saya lepaskan tentu saya tak akan jumpa lagi perempuan sepertinya.”

            “Tara mana istimewanya Alunie tu doktor? Hinggakan doktor sanggup menahan kepedihan di hati demi rasa cinta doktor terhadapnya.”

            “Istimewanya dia tak terungkap Ilah. Awak hanya akan tahu jika awak mendampinginya.”

            Delilah terdiam. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah juga kerana Daniel begitu bodoh. Ramai perempuan menunggu peluang untuk bersamanya. Namun Daniel sanggup memperbodohkan diri kerana Alunie yang langsung tidak mahu menghargai segala kasih sayangnya. Juga Delilah menjadi geram kerana Daniel langsung tidak dapat membaca perasaannya terhadap Daniel.

            “Doktor, pada saya, daripada doktor menunggu Alunie, lebih baik doktor memberi peluang kepada diri doktor untuk mengenali orang lain. Mungkin bersama wanita lain kasih sayang doktor akan lebih dihargai.”

            “Dah saya katakan tadi, bukan mudah untuk saya mengalih-alihkan cinta saya.”

            Delilah diam. Malas menasihati Daniel lagi. Doanya Daniel akan sedar dan mula membuka mata tentang hati dan perasaannya pula.  Dalam keadaan seperti itu, hati kecil Delilah tentu sahaja mula mencipta rancangannya sendiri. Sikap dan penerimaan Alunie terhadap Daniel sekurang-kurangnya membuka ruang dan peluang kepadanya untuk memulakan langkah. Ada sedikit rasa berterima kasih Delilah kepada Alunie kerana memberinya peluang. Dia akan cuba menggunakan segala peluang yang ada sebaik mungkin. Cuma dia sedikit kesal kerana agak terlewat mengetahui tentang perkara tersebut.

            “Assalamualaikum!”

            Suara memberi salam di dalam bilik membuatkan Daniel dan Delilah memandang ke pintu sebelum menjawab salam serentak.  Muncul Kak Iti. PA dekan fakulti membawa di tangannya sepucuk surat.

            “Kenapa doktor tak ambil surat kat pejabat?” Tanya Kak Iti sambil menyuakan surat di tangan kepada Daniel.

            Sepucuk surat bersampul putih bertukar tangan. Daniel memerhati sampul yang bercop Lembaga Tabung Haji.

            “Terima kasih Kak Iti, saya ada pergi office tadi, tapi tak perasan ada surat saya kat situ.”

            Kak Iti mengangguk. Kemudian berlalu meninggalkan bilik Daniel sementara Daniel sudah mula membuka sampul surat. Dibacanya dengan teliti kandungan surat tersebut.

            “Surat apa doktor?”

            “Surat tawaran menunaikan haji tahun ni. Mereka bagi tahu saya terpilih dan nak jawapan sama ada setuju pergi tahun ni atau nak tangguhkan dulu.”

            “Eh, elok benar tu doktor. Muda-muda dah nak tunaikan rukun haji. Kalau saya ada duit lebih pun saya nak pergi juga nanti.”

            “Entah lah Ilah, dalam keadaan macam ni rasanya saya tak sanggup nak tinggalkan Alunie. Apa pulak dia akan lakukan jika saya tak ada nanti?”

            “Ish doktor ni. Inikan peluang doktor. Bukan senang nak terpilih. Beratus-ratus orang menunggu peluang ni. Doktor pergilah. Mana tahu di sana nanti doktor temui ketenangan. Kalau doktor ada kat sini pun masalah tak selesai dengan mudah. Isteri doktor tu bernyawa, boleh ke sana ke mari. Sama aje doktor ada atau tak de. Tengok je sekarang ni.”

            Daniel terdiam. Cakap Delilah memang masuk akal. Setakat mana dia boleh menghalang kebebasan Alunie?

No comments:

Post a Comment