Monday, 1 October 2012

CINTA...DI MANA? bab 15-25


BAB LIMA BELAS
Jumaat. Petang hari. Mariah dan Muzamil sedang mengulangkaji kertas soalan peperiksaan pertengahan tahun ketika menderu masuk sebuah kereta ke perkarangan rumah. Ketika itu Mokhtar sibuk mengemaskan rantai yang melilit leher Jambul. Azizah pula di serambi rumah. Menyudahkan jahitan baju kurung yang ditempah seorang jiran.

            “Kereta siapa tu kakak?” Tanya Muzamil sambil bangun membetulkan ikatan kain pelikat lusuhnya.

            “Entah, kakak pun tak kenal. Nampak macam orang besar. Mungkin tersesat jalan dan nak minta bantuan kita agaknya,” jawab Mariah sambil bangun masuk ke rumah.

            Mencari tudung buat tutup kepala. Ayah memang marah jika dia tidak menutup kepala depan orang luar terutama yang lelakilah. Perempuan ayah tidak kisah pun. Mokhtar pula bangun untuk menyambut gerangan yang datang walaupun dia belum jelas siapa yang datang.

            “Assalamualaikum!” Seorang lelaki dengan gaya berpakaian seperti orang besar-besar memberi salam kepada Mokhtar sebaik menjengahkan tubuh dari dalam kereta.

            “Waalaikumsalam. Cari siapa?” Mokhtar menyoal pantas kerana dia memang tidak kenal lelaki berbadan agam dan kemas itu.

            Lelaki itu memandang ke dalam kereta. Seperti mengarahkan seseorang keluar. Muncul anak gadisnya yang bertoncang dua.

            “Pakcik, ni rumah Mariah?” Tanya si gadis kepada Mokhtar.

            Mokhtar mengangguk. Kemudian mengisyaratkan kepada Muzamil agar memanggil Mariah keluar. Muzamil faham akan isyarat bapanya. Dia berjalan pantas untuk mendapatkan kakaknya. Azizah juga mula ke jemuran rumah. Mahu menyambut tetamu yang datang.

            “Zana!” Mariah separuh berteriak.

            Tengku Suzana mengukirkan senyuman kepadanya. Mariah turun mendapatkannya. Mereka berpelukkan. Mokhtar berkerut kening melihat anak gadisnya berpelukan mesra dengan anak orang kaya.

            “Saya Najmuddin, bapa Zana. Dia yang beriya-iya mengajak kami ke mari.” Tengku Najmuddin menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Mokhtar.

            Mokhtar memang teragak-agak untuk menyambut huluran salam Tengku Najmuddin. Ketika itu Tengku Sarah juga sudah keluar dari kereta diikuti pemandu mereka Hasbullah.

            “Kotor ni,” ujar Mokhtar merujuk kepada tangannya. Dikesat-kesat akan tangannya pada kain pelikat.

            “Tak apa. Mana ada kotornya.” Senyum Tengku Najmuddin. Tangannya masih tergantung untuk disambut Mokhtar.

            Mokhtar akhirnya akur. Salam mereka bertaut erat. Penuh kemesraan seperti sudah lama mengenali antara satu sama lain. Mokhtar kemudian mempelawa mereka ke teratak buruknya. Memang dia segan juga, tapi apa nak buat. Tetamu sudah datang bertandang. Kurang sopan jika nak dibiarkan di bawah saja.

            Tengku Sarah pula berpelukan dengan Azizah semasa diperkenalkan kepada Azizah oleh Mokhtar. Azizah kepanikan. Tidak pernah seseorang yang berbau sebegitu harum memeluknya. Erat dan kejap seperti itu. Termalu juga dia dengan bau badannya. Dia kemudian ke dapur untuk menyediakan apa yang patut. Turut mengarahkan Muzamil ke kedai Pak Sahak. Membeli roti buat menjamu tetamu. Juga susu untuk dibuatkan kopi. Segan juga mahu hidangkan kopi o bujang untuk tetamu sebegitu.

            “Abang Lah, bawa turun buah tangan untuk abang kita ni...” arah Tengku Najmuddin kepada Hasbullah yang duduk di muka pintu.

            Hasbullah akur. Terus ke bonet kereta mengeluarkan buah tangan yang dimaksudkan Tengku Najmuddin. Terkesima Mokhtar memandang begitu banyak buah-buahan import yang dibawa Tengku Najmuddin seisi keluarga. Juga makanan ringan lainnya.

            “Alah, apa susah-susah ni encik?” Mokhtar termalu melihat banyaknya buah tangan yang dibawa Tengku Najmuddin.

            “Mana ada susahnya bang. Ini pertama kali kami datang. Takkan nak datang dengan tangan kosong?” Tengku Sarah memberitahu. Menghalau segan Mokhtar.

            “Ya bang. Ni pun Zana yang beriya-iya nak datang sini. Dah lama diajaknya kami datang, tapi maklumlah, kami ni sibuk sikit.” Tengku Najmuddin berkata dengan senyuman sambil melirik ke arah anaknya yang sedang berkepit dengan Mariah.

            “Mariah tak ada cakap pun encik nak datang sini.”

            “Dia pun tak tahu. Zana tak cakap pun.”

            Mokhtar mengangguk-angguk. Percaya kerana mustahil tetamu terhormat seperti itu tidak diberitahu kunjungannya oleh Mariah jika Mariah maklum. Selama ini baik Muzamil mahupun Mariah tidak pernah sesekali membelakangkan ibu bapa.

            “Budak-budak. Teratak buruk macam ni pun teringin nak datang...” Mokhtar bersuara. Ada nada rendah diri di situ. Wajahnya cuba menyembunyikan rasa segan.
Tengku Najmuddin dan Tengku Sarah sama-sama tersenyum. Dia tahu perasaan Mokhtar sekarang. Sebagai pegawai yang sering masuk ke pelusuk kampung, orang kampung yang penuh dengan rasa rendah diri dan terlalu hormatkan orang berpangkat sudah biasa ditemui. Mereka tidak tahu, di sebalik semua pangkat itu, Tengku Najmuddin suami isteri pun sebenarnya berasal dari kampung juga. Cuma tidak pernah merasai kesusahan seperti khalayak bebanyak.

Mana ada bandar jika tidak wujudnya kampung?

Mana ada orang bandar sebelum mereka menjadi orang kampung?

“Sebenarnya bang, selain mahu menemani Zana ke mari, kami pun ada hajat pasal budak berdua tu.”

“Hajat?” Mokhtar dan Azizah hampir serentak bersuara.

“Ya kak,” ujar Tengku Sarah.

“Hajat apa tu?”

“Begini, Zana ada memberitahu kami, Mariah best student keseluruhan tingkatan tiga. Zana pula lemah sikit dalam beberapa subjek. Dia teringin nak belajar bersama-sama Mariah. Kami dah sepakat untuk hantarkan Zana ke mari saban petang untuk mentelaah pelajaran bersama Mariah.” Tengku Najmuddin mengambil bahagian bersuara mewakili anak isterinya.

“Ya lah, nak belajar sama-sama kat sekolah Mariah tak mau. Segan kat kawan-kawan lain. Kononnya bimbang mereka cakap Mariah mahu ambil kesempatan berkawan dengan anak ‘Tengku’.” Zana mencelah. Sengaja menerangkan lapik duduk perkara sebenar agar Mokhtar dan Azizah tidak salah faham akan tujuannya untuk datang belajar di situ.
Tengku? Mereka sekeluarga ini daripada kerabat ‘Tengku’ kah? Mokhtar dan Azizah sekali lagi berpandangan sesama sendiri. Mokhtar sedikit tebal muka kerana tersilap panggil menggunakan panggilan ‘encik’. Kerabat biasanya pantang jika nama keturunannya tidak disebut.

“Maaflah Ku, tadi saya panggil encik-encik saja.” Akhirnya Mokhtar meminta maaf. Mengakui kesilapan dirinya.

“Eh, tak apa-apa. Saya pun tak galakkan orang panggil saya macam tu. Segan. Nampak macam ada jurang pulak,” sanggah Tengku Najmuddin pantas.

Tengku Sarah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda menyetujui kata-kata suaminya. Mereka memang enggan membiasakan diri menggunakan nama ‘Tengku’. Apalah istimewanya? Mereka sama sekali tidak pernah merasakan mereka istimewa mempunyai nama pangkal seperti itu. Tiada apa-apa makna bagi mereka. Selain nama, mereka sama saja dengan khalayak bebanyak lain. Kena bertitih dari bawah untuk mencapai kejayaan. Ingat semua yang bernama ‘Tengku’ terus datang dalam pakej serba mewah kah?

“Kenapa pulak Ku?” Mokhtar memang kehairanan teramat.

Selalunya kerabat macam mereka bukan main bangga jika boleh menonjolkan identiti asal mereka. Sengaja pula menyebutkan nama keturunan mereka agar orang hormat. Lain pula dengan ‘Tengku’ berdua ini, menganggap gelaran itu memberi malu kepada mereka. Ada juga spesis jenis ini di dalam dunia. Mokhtar musykil. Azizah musykil, anak-anak turut musykil. Yang tidak musykil Hasbullah kerana sudah faham akan perangai majikan mereka yang sering tampil dalam variasi sikap merendah diri.

Tengku Najmuddin dan isteri terus-terusan senyum.

“Saya ni tak lah pandai bab agama bang, tapi teringat juga kata seorang ustaz, yang membezakan seseorang di dunia ini hanyalah amal dan takwa. Selain pada tu, semua sama saja.” Tengku Najmuddin menerangkan bersama senyuman.

Menambahkan lagi rasa kagum Mokhtar seisi keluarga terhadapnya. Jarang ada orang besar, baik yang berdarjat atau tidak mahu bercakap hal-hal sedemikian. Macam suatu ketulahan pula buat mereka. Tapi Mokhtar tidak nafikan, memang ada golongan kerabat dan orang besar yang boleh tampil dengan imej seperti Tengku Nahmuddin anak-beranak.

            Dalam pada itu, Mariah pula mula menyedari dari mana Tengku Suzana mewarisi sikap murni seperti yang selalu ditonjolkannya di sekolah. Selama ini Mariah tidak pernah membayangkan Tengku Suzana mempunyai ibubapa yang memiliki jati diri dan peribadi mulia seperti itu. Pada akalnya, golongan senang seperti mereka biasanya sombong. Bongkak dan tinggi diri seperti yang ditunjukkan oleh Mardziah, Yasmin dan lain-lain kawan sekelas mereka.

            Rupanya tidak pada keluarga Tengku Suzana. Mariah merasa beruntung juga kerana Tengku Suzana tidak memandangnya sebelah mata walau siapapun dia.

Mereka kemudian meneruskan perbualan berkaitan pelbagai macam topik. Ruang bual mereka sesekali disulami ketawa apabila Hasbullah yang mencelah sesekali berparodi. Membangkit suasana gimik dan gamat. Nyatanya Mokhtar sudah mula senang menerima kunjungan tetamu seperti mereka semua. Sekurang-kurangnya persepsi Mokhtar dan Azizah terhadap orang kaya dan berkedudukan selama ini sedikit berubah dengan kehadiran mereka.

Teringat Murni. Alangkah bagus sekiranya Murni dibela oleh keluarga seperti keluarga Tengku Najmuddin suami isteri. Mokhtar dan Azizah hanya mampu berharap. Sungguh-sungguh. Mereka rindukan Murni. Rindu yang teramat. Tidak tahu bila agaknya rasa rindu tersebut akan menemui jalan penghujungnya.
Hampir dua jam juga Tengku Najmuddin anak-beranak meluangkan masa di rumah Mokhtar. Jika tidak kerana bimbang bermaghrib di dalam perjalanan, mereka mahu lebih lama di situ. Mokhtar pula telah mengizinkan Tengku Suzana datang belajar bersama-sama Mariah. Tidak menjadi suatu kesusahan bagi mereka anak-beranak.


Sejak kedatangan Tengku Suzana ke rumahnya, hubungan Mariah dan Tengku Suzana semakin intim. Begitupun tidak terlalu ditunjukkan di depan kawan-kawan. Tengku Suzana menghormati kehendak Mariah yang mahu menyembunyikan keakraban mereka. Takut kawan-kawan menganggap Mariah mahu menumpang senang Tengku Suzana. Mariah memang segan sangat-sangat jika ada yang menganggapnya begitu.

            Kehadiran Tengku Suzana saban petang ke rumahnya pula tidak  diketahui kawan-kawan sekampung yang belajar di sekolah yang sama memandangkan Mariah tinggal agak jauh daripada kawan-kawan yang satu sekolah dengannya. Jika ada kawan-kawan sebaya dengan Mariah, mereka semenjak di tingkatan satu lagi sudah menamatkan pelajaran memandangkan ibu bapa mereka menganggap menghantar mereka ke sekolah membuang modal semata-mata. Mereka tidak yakin anak mereka mempunyai masa depan yang cerah melalui pelajaran.

            Sesekali apabila memikirkan nasib kawan-kawan yang sebayanya, Mariah jatuh simpati. Dalam era tahun 90-an seperti itu masih ada ibu bapa  berfikiran dangkal dan sempit. Lebih rela membiarkan anak-anak terperangkap dalam kedunguan. Lebih senang melihat anak-anak mewarisi kedaifan mereka dalam meneruskan kehidupan tanpa memberi peluang anak-anak melihat dunia global dalam skop yang lebih luas dan terbuka.

            Juga sesekali Mariah merasa cukup berterima kasih kepada ibu bapanya yang enggan membiarkan Mariah meneruskan tradisi hidup kampung mereka. Enggan lagi meneruskan segala tipikal-tipikal Melayu yang melekat dan pada umumnya seakan sebati dalam jati diri khalayak kampung seperti mereka. Mariah bersyukur sangat. Dalam pada ibu bapanya tidak mampu untuk menyekolahkannya ke sekolah berasrama penuh, relevan dengan keputusan darjah limanya yang cemerlang amat, dia masih boleh meneruskan pelajaran di sekolah menengah biasa.

            Sekolah mana-mana pun sama bagi Mariah. Pentingnya, dia masih boleh meneruskan pelajaran. Tidak seperti kawan-kawan sekampung, walaupun setengah daripada setengah  mereka lebih kurang Mariah daripada segi kecemerlangan, mereka gagal meneruskan pelajaran ke peringkat menengah. Berhenti hanya pada darjah enam. Puncanya tentu saja sentimen yang tertanam dalam mentaliti ibu bapa. Buat apa buang duit banyak-banyak sekolahkan anak? Cukup bagi pandai kenal ABC, bilang 123 santak sepuluh, boleh sebut I dan you, itu semua memadailah. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi, kelak kalau perempuan masuk dapur, masak untuk anak, suami dan mertua juga kesudahannya. Bagi yang lelaki pula, kesudahannya ke perdu  getah, atau mengharung becak lumpur musim menanam padi.

            Begitulah. Walhal, tidak kira tinggi atau rendah pendidikan yang diterima seseorang itu, masih perlu untuk mereka masuk ke dapur. Mereka tetap kena makan juga. Begitu juga anak lelaki, pada Mariah lebih baik mereka mencari rezeki menggunakan sedikit akal fikiran dan kecerdikan ilmu, sekurang-kurangnya itu akan lebih menjamin masa depan mereka dan tentu saja mereka tidak akan lagi mengulangi tradisi keluarga yang tidak sudah-sudah bergelumang dengan selut lumpur dan bertempekan dengan susu getah.

            Tidak teringinkah ibu bapa kawan-kawannya memberi sedikit peluang untuk anak-anak mereka meneroka kehidupan sedikit lain daripada apa yang pernah mereka alami? Pun Mariah bersyukur, kedua-dua ibu bapanya cukup tegas bercakap soal pendidikan kepadanya dan juga kepada Muzamil.

            Era 90-an, sepatutnya seluruh ibu bapa yang berada dalam atmosfera Mariah sudah mempunyai kesedaran yang amat tinggi akan hal pendidikan dan ilmu. Kemudahan elektrik sudah lama masuk ke kampung mereka. Kebanyakan mereka sudah mempunyai sekurang-kurangnya radio buat menyampaikan maklumat. Teknologi itu cukup untuk menyalurkan maklumat kepada ibu bapa kawan-kawannya tentang kepentingan pendidikan dalam menjamin masa depan anak-anak.

            Tapi itulah, ada masanya radio dan tv lebih kepada halwa telinga dan mata. Seronok melihat Amitabh Bhachan beraksi. Sekadar itu-itu saja. Tiba masa warta berita, tup. Punat off ditekan. Peti tv hitam gelap. Makcik-pakcik ini akan kembali  ke muka pintu rumah, duduk-duduk di situ menggulung daun rokok, atau mengunyah sirih, mungkin juga menggobek sirih pinang.

            Mokhtar, sebagai ayah Mariah dan Muzamil. Kesedarannya tentang kepentingan pendidikan cukup tinggi walau dia tidak pernah mendengar radio atau menonton tv. Duduk-duduk di kedai kopi bersembang berat-ringan jauh sekali. Dunianya kerja, kerja dan kerja lagi. Paling-paling kalau dia terasa ingin bercampur dengan masyarakat, hanya dengan Pak Matlob dan jiran sekitaran saja. Pun kepentingan ilmu masih sampai kepada Mokhtar.

            Untuk kenyataan seperti itu, memang Mariah bersyukur sangat. Cuma dia paling takutkan andai suatu hari nanti Mokhtar sudah tidak berdaya untuk mengumpul modal menyekolahkan dia dua beradik. Mariah sedar, untuk mencapai taraf pendidikan hingga ke peringkat tertinggi memerlukan modal yang tinggi. Modal itulah selama ini menjadi kelemahan dalam keluarga mereka.

            Huh, Mariah memang takut sangat jika terfikirkan perkara tersebut.

            Era 90-an, sudah ramai anak kampung ke U.  Perubahan ini menjadikan kerajaan tidak mampu  menyediakan biasiswa untuk mereka semua. Lalu sesiapa yang ingin melanjutkan pelajaran terlebih dahulu menggunakan modal sendiri sebelum mendapat pinjaman pelajaran sesudah menjejakkan kaki ke sana. Keadaan sekarang tidak sama seperti dulu. Jika dulu sana-sini badan kerajaan dan bukan kerajaan ingin menawarkan biasiswa kepada bakal mahasiswa. Ah, memang segala-galanya telah berubah!
            Apa agaknya nasib Mariah nanti kalau-kalau mak dan ayah tidak lagi sanggup untuk menghantarnya hingga ke peringkat tertinggi pendidikan? Siapa nanti yang akan membela nasib Mariah dan Muzamil kelak? Sedangkan mereka dua-duanya terlalu ambitious. Aduh, sesekali Mariah terketik juga dilahirkan dalam keluarga yang serba-serbinya harus dihitung banyak kali jika melibatkan aspek kewangan.

            “Menungkan apa Mariah?” Soal Azizah usai solat isyak.

            Ketika itu Mokhtar masih belum pulang dari surau memandangkan malam itu merupakan malam bacaan kitab di surau. Surau kampung mereka setiap malam memang ada saja aktiviti selepas isyak. Paling tidakpun kuliah waktu senggang antara maghrib dan isyak. Itu sudah boleh membuatkan masa senggang termanfaat.

            “Tak ada apa-apa  yang penting mak, teringatkan Zana saja,” beritahu Mariah sewaktu membuang pandang ke wajah ibunya.

            Mendengar nama Tengku Suzana disebut, Azizah melepaskan satu keluhan. Teringat akan kunjungan Tengku Suzana  saban petang dihantar oleh Hasbullah. Setiap kali datang, Tengku Suzana tidak pernah datang  dengan tangan kosong. Ada-ada saja buah tangan yang dibawanya untuk dijamu beramai-ramai. Kalau semasa Mokhtar bersetuju Tengku Suzana datang belajar bersama-sama Mariah, terlintas rungsing juga di hatinya. Bimbang kalau kedatangan Tengku Suzana saban petang menuntut belanja bagi kegunaan membeli makanan ringan untuk dihidangkan menemani kopi sambil mereka belajar.

            Anak orang senang. Tentu sudah biasa belajar sambil minum air. Lainlah Mariah seorang. Dia sudah biasa belajar tanpa ada apa-apa minuman atau makanan ringan mengiringi. Tengku Suzana tidak biasa begitu pada perkiraan Azizah. Dia rasa malu jika gagal mengadakan sesuatu kepada anak orang kaya itu.

            Kini, Azizah memang malu. Bukan malu kerana gagal mengadakan apa-apa, tapi kerana kedatangan Tengku Suzana sentiasa dengan menjinjing sesuatu di tangan. Baik buah-buahan imported atau juga biskut yang beraneka jenis. Yang tentu saja selama ini usahkan untuk menyentuhnya, melihatpun Azizah tidak pernah terfikir. Nak lihat di mana? Urusan ke pasar selama ini diserahkan seratus peratus kepada Mokhtar. Usai menoreh dia pulang untuk menguruskan rumah dan makan minum anak-anak pula. Memang tiada masa untuk sesekali turun ke pekan.

            “Zana tu memang baikkan mak?” Soal Mariah, ingin mendengar komen ibunya.

            “Memang dia baik. Sebab tulah mak harap Mariah pandai-pandai berkawan dengannya. Jangan sampai melukakan hati Zana.”

            “Itu Mariah tahu mak. Mariah tak mungkin singgungkan hati Zana atau buat dia kecil hati. Kat kelas, dia satu-satunya kawan yang sudi merapati Mariah,” luah Mariah. Terlancap kata. Sebelum ini dia sama sekali tidak pernah menceritakan keadaan di sekolah kepada ibu bapanya.

            Azizah memandang ke wajah anaknya dengan pandangan simpati. Azizah turut sayu memikirkan keadaan Mariah dan Muzamil di sekolah. Kedua-dua mereka berada dalam tingkatan yang cemerlang berbanding anak kampung mereka yang lain.  Dia dapat merasakan perasaan terkilan dalam sanubari anak-anaknya berdepan dengan kawan-kawan yang lebih senang . Satu harapan Azizah, biar sesusah mana mereka, dia mengharapkan agar anak-anak redha dengan ketentuan Ilahi.

            Seketika, fikiran Azizah teringatkan Murni. Anaknya yang seorang itu. Anak yang tidak disedari kewujudan oleh saudara-saudaranya yang lain. Bagaimana agaknya Murni melalui kehidupan sehariannya? Melalui hari-hari persekolahannya? Adakah Murni juga secerdik Mariah dan Muzamil dalam pelajaran? Jika begitu Murni tentu ada harapan untuk melanjutkan pelajaran hingga ke universiti.

            Mariah dan Muzamil? Entahlah. Masa depan masih berbalam dalam benak Azizah. Dia tidak tahu tegar atau tidak Mokhtar mencari sumber untuk menghantar anak-anak sampai ke universiti sekiranya mereka mendapat keputusan yang melayakkan mereka ke sana suatu masa nanti.

            Dia dan suami tidak pernah membincangkan hal sedemikian. Dia tidak tahu waima Mokhtar ada memikirkannya atau tidak. Dia sendiri memang selalu memikirkan hal demikian. Bangga kalau anak-anak memang berjaya ke sana nanti, tapi takut dan runsing sekiranya gagal menyediakan modal untuk anak-anak. Jika pun boleh mengadakan wang yuran, pinjam dengan sesiapa, bagaimana pula nanti untuk menanggung kos hidup anak-anak di sana?

            Wang untuk menanggung hidup di sana satu hal, wang untuk membayar balik hutang yuran kepada orang yang memberi pinjam pula satu hal. Entah, Azizah memang pening memikirkan itu. Tambahan pula merujuk pada hari lepas, Mariah dan Muzamil memang pernah mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke sekolah berasrama penuh ekoran keputusan cemerlang mereka semasa di sekolah rendah. Pun mereka tidak mampu menerima tawaran kerana ayah mereka gagal menyediakan yuran sekali gus, dan juga tidak sanggup untuk memikirkan kos hidup sekiranya berjauhan seperti itu.

            Sekiranya meneruskan pengajian di daerah ini, di sekolah biasa, sekurang-kurangnya balik sekolah, kalau ada nasi dengan ikan kering bawah saji, itu juga makanan anak-anak. Lagipun mereka fikir, ramai juga anak-anak orang senang kemudian cemerlang pula dalam pelajaran namun tercicir nama ke asrama penuh meneruskan pelajaran di sini. Apa salahnya Mariah dan Muzamil juga meneruskan saja pengajian di sekolah biasa terlebih dahulu?

            Soal U, Azizah masih kebuntuan untuk memikirkan.



BAB ENAM BELAS
Tengku Suzana memandang ke arah Mariah dan Muzamil yang sedang menghabiskan bacaan Al-Quran masing-masing. Memang sesekali jika Tengku Suzana sampai awal ke rumah Mariah, suasana itu biasa di penglihatannya. Mariah dan Muzamil sedang mengaji Al-Quran. Bacaan mereka lancar sahaja dengan sebutan tajwid yang betul dan cara baca yang mengasyikkan.

            “Seronok dengar Mariah dan Muzamil membaca Al-Quran,” gumam Tengku Suzana semasa Azizah meletakkan dulang minuman dan sepinggan roti bermentaga yang dibawa sendiri oleh Tengku Suzana di sebelahnya.

            “Ya? Zana boleh mengaji?”

            “Boleh makcik. Tapi tak selancar Mariah dan Muzamil. Khatam pun belum lagi. Masih di juz Al-Waqiah.”

            “Ah, tak lama lagi habislah tu. Dah tak banyak surah dah tu.”

            Tengku Suzana tersenyum mendengar komentar Azizah. Memang dia pun berharap boleh cepat-cepat menghabiskan bacaan Al-Qurannya. Sudah khatam nanti bolehlah berbangga sikit akan pencapaiannya. Tengku Najmuddin dan Tengku Sarah sendiri selalu menegaskan supaya Tengku Suzana menghabiskan bacaan Al-Qurannya. Malu nanti jika Tengku Suzana gagal menghabiskan kerana abang-abang dan adik lelakinya sendiri sudah lama mengkhatamkan Al-Quran.

            “Susah juga, kalau kita tiap-tiap hari semangat pergi mengaji, tiba-tiba uzur pula. Bila dah uzur tu, nak start balik pergi mengaji punyalah liat,” adu Tengku Suzana sambil mengambil sehiris roti.

            Azizah ketawa kecil mendengar aduan Tengku Suzana. Memang semua orang pun begitu agaknya. Dia dulupun begitu. Kebetulan Azizah datang bulan awal. Seusia sembilan tahun sudah datang bulan. Ketika itu dia belum sempat mengkhatamkan Al-Quran. Itu juga situasinya setiap kali datang bulan. Ditambah pula orang tua Azizah sendiri tidak begitu menekan sangat soal agama. Maklumlah, kesedaran tentang agama masih berada pada tahap rendah ketika Azizah kanak-kanak. Islam baru sampai ke kampung ketika itu. Sebab itulah dia pun tidak begitu ditekan sangat agar mengaji.

            Mujur dalam keadaan itupun, Azizah sempat menghabiskannya. Itupun sudah lewat benar berbanding kawan-kawan lain. Setamat mengaji, Azizah kemudian berkahwin pada usia lima belas tahun. Tidak terlalu muda bagi masyarakat lewat waktu itu.

            “Tak apa lewat khatam pun. Itu lebih baik daripada dah khatam, terus tak baca Quran.”

            “Macam Mariah dan Muzamil, mereka masih terus membaca Quran walau dah berkali-kali khatam kan makcik?”

            “Itulah sebaiknya. Makanan untuk roh. Tak guna kita suap makanan jasad saja, kalau roh kurus cekeding.”

            Tengku Suzana tersenyum. Ayahnya sendiri memang selalu berpesan, jangan lebihkan dunia. Kena ingat akan masa yang kekal nanti. Akhirat lah tu. Tengku Suzana bukan tak tahu hal tu. Tahulah sikit-sikit. Lagipun mana ada orang di dunia ini yang langsung tidak tahu pasal agama. Sejahat-jahat manusia di dunia, hati kecil mereka tetap mahukan agama. Sikit dan banyak. Terpulang pada individu itu. Malah rasanya sesiapapun akan melenting jika dituduh tidak beragama hatta perogol bersiri atau spesis-spesis penjahat yang lain.

            Mariah dan Muzamil sudah pun menutup Al-Quran, menyimpan ia elok-elok di atas para rumah. Al-Quran kedudukannya di dalam rumah mestilah lebih tinggi daripada segala-gala benda yang ada dalam rumah. Significant kepada kita harus melebih-lebihkan kitab suci itu dalam segala hal. Tengku Suzana memang faham itu. Di rumahnya sendiri Al-Quran terletak elok dalam kabinet yang menempatkan kitab-kitab lain ayahnya. Jangan nak bersikap sewenang-wenangnya dalam menyimpan Al-Quran, itu pesan ayahnya, Tengku Najmuddin.

            Tengku Najmuddin memang banyak memberi peringatan kepada anak-anak. Hanya Tengku Suzana bersikap melewa-lewakan sesetengah peringatan ayahnya. Terutama dalam hal menutup aurat. Susah benar untuk Tengku Suzana melunaskan permintaan ayahnya yang satu itu, opss, bukan permintaan ayahnya tetapi tuntutan agama. Tengku Suzana masih belum terbuka hati. Entah bila baru hatinya akan terbuka, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak meletakkan target untuk berbuat demikian pada umur sekian-sekian masa. Memang belum ada seruan ke arah itu.

            “Jom Zana, apa termenung lagi?” Mariah mengajak sambil tangan membuka buku teks matematik.

            Tengku Suzana mampir. Duduk di sebelah Muzamil yang nampaknya sudah siap sedia dengan buku-buku kerja rumahnya. Memang setiap kali Tengku Suzana datang untuk belajar, Muzamil akan menyertai mereka. Sama-sama melakukan kerja rumah dan latih tubi, sekurang-kurangnya boleh memberi peluang untuk dia bertanya mana-mana yang dia tidak faham dan keliru, baik Mariah atau Tengku Suzana sendiri bila-bila masa sedia membantunya.

            Seperti biasa, mereka menekuni pelajaran dengan penuh khusyuk hampir sejam setengah. Jam enam setengah petang Hasbullah akan datang menjemput Tengku Suzana. Langsung pulang ke rumah. Tengku Suzana tinggal di pekan itu, di rumah yang telah dikhaskan oleh pihak kerajaan untuk pegawai. Kiranya di tengah-tengah pekanlah. Perjalanan dari kampung Mariah pulang ke rumah hanya mengambil masa dua puluh minit. Tidaklah jauh sangat. Cuma Kampung Bechah Kelubi agak terlindung sedikit daripada jalan besar, itu yang membuatkan kampung itu susah menerima kemajuan dan pembangunan. Ia agak pedalaman dan jalan masuk ke Kampung Bechah Kelubi belum berturap, hanya jalan tanah merah yang boleh menyebabkan kereta berhabuk selepas melaluinya.

            Tengku Suzana sebenarnya seronok belajar bersama Mariah. Mariah cerdik dan bijak dalam hampir kebanyakan subjek. Malah cekap juga menyelesaikan masalah matematik. Dia mempunyai jalan kiranya sendiri bagi menggantikan formula-formula yang susah untuk diingat. Mungkin jalan pengiraannya tidak menepati kehendak guru, pun masih boleh menyelesaikan soalan rumit dengan mudah sekali.

            Jika dulu rumus algebra, sin, kosinus dan sinus terlalu sukar untuk dihitung-kira oleh Tengku Suzana, sejak belajar bersama-sama Mariah, semua tidak jadi masalah lagi. Perubahan Tengku Suzana memang dirasakan oleh teman-teman. Mereka dapat mengesan kecekapan Tengku Suzana kini hampir menyamai Mariah. Pun mereka tidak dapat menghidu keakraban hubungan mereka kerana di sekolah mereka biasa-biasa sahaja. Tengku Suzana akan merapati Mariah seadanya sebagaimana Yasmin, Nadirah dan kawan-kawan lain.

            “Mariah dah ada pesaing nampaknya. Kelak guru-guru pun dah tak akan endahkan Mariah lagi.” Komentar beberapa orang kawan.

            Mariah diam. Tengku Suzana juga diam walaupun tahu pada siapa komentar itu ditujukan. Dia bukan berniat untuk merampas kedudukan istimewa Mariah bagi setiap subjek di depan mata guru-guru yang mengajar, tujuannya hanya untuk skor A dalam SRP mereka nanti. Tidak lebih, tidak kurang. Abang sulungnya yang kini menuntut di luar negara ada menjanjikan percutian ke sana jika keputusannya memberangsangkan. Lebih utama daripada itu semua Tengku Suzana ingin menebus kegagalan menempatkan diri ke sekolah berasrama penuh gara-gara keputusan subjek matematiknya tidak begitu cemerlang ketika peperiksaan sekolah rendah dahulu.

            Kegagalan lepas cukup-cukuplah. Tengku Suzana tidak mahu mengulangi lagi. Adik-beradiknya yang lain semua lebih cemerlang berbandingnya. Adiknya sendiri, usai UPSR terus berpindah ke negeri lain. Belajar di sana di sekolah berasrama penuh. Hanya Tengku Suzana yang gagal. Gagal berbuat demikian pada usia sepatutnya.

            Memang, kegagalan lepas itu cukup-cukuplah. Dia sering memaktubkan begitu!

            “Uh! Penatnya,” keluh Tengku Suzana sambil membetul-betulkan urat tengkoknya.

            “Ya lah, hari ni rasa tegang saja mahu sudahkan kerja rumah dan buat kira-kira ni,” sokong Mariah. Tangannya sudah mula menutup buku.

            Mereka mengemaskan peralatan belajar. Diletakkan di suatu sudut. Mariah mengajak Tengku Suzana ke jemuran rumah. Memerhati Mokhtar yang baru pulang dari bendang. Sekarang sudah musim menanam padi. Mokhtar sudah mula ke bendang. Biasanya Azizah turut menolong, tapi untuk dua tiga hari itu Azizah belum tergamak membiarkan Tengku Suzana datang tanpa kehadirannya di rumah. Besok lusa, dia tetap akan turun juga ke bendang. Selain kasihan suaminya mengerjakan sawah seorang diri, dia juga bimbang kerja-kerja membajak tidak sempat dihabiskan tepat pada masanya.

            Muzamil pula sudah ke tanah. Bermain bersama Jambul yang sejak tadi seakan memanggil-manggilnya dengan mengeluarkan bunyi ‘huh-huh’ dan sesekali ‘eik-eik’. Tengku Suzana ketawa melihat Jambul membuat aksi yang sungguh melucukan. Menonggengkan buntutnya ke arah mereka semasa Tengku Suzana dan Mariah memerhati ke arahnya.

            “Selalu macam tu, asal kita tengok saja, mula buat aksi tak senonoh,” gerutu Mariah sambil mencapai hirisan roti yang turut dibawa ke jemuran rumah.

            Huh-huh! Jambul berbunyi lagi. Seakan meminta makanan di tangan Mariah. Melihat reaksi Jambul, Tengku Suzana melemparkan secebis kepadanya roti di tangan. Jambul berbunyi lagi. Girang menyambut lemparan roti daripada Tengku Suzana gamaknya. Jambul makan dengan lahap.

            “Sukanya dia makan roti, nanti kakak bagi lagi!” Muzamil ketawa berkeriau.

            “Dah, jangan nak biasakan dia dengan roti. Karang nanti hari-hari dia minta makan roti,” tegur Mariah.

            “Alah, sesekali, beruk pun nak juga merasa jadi mat salleh.”

            Mariah ketawa mendengar Tengku Suzana berparodi.

            Seketika, apabila ketawa mereka mati, Tengku Suzana memandang ke arah Mariah. Mariah kekagetan. Dia tidak dapat menangkap erti pandangan Tengku Suzana.

            “Ada apa Zana?”

            “Terima kasih.”

            “Kenapa tiba-tiba saja ucap terima kasih ni?”

            “Sebab awak sudi jadi kawan saya. Saya suka tau jadi kawan awak. Family awak pun baik. Awak dan keluarga awak punyai ikatan kekeluargaan yang kuat.”

            “Alah, awak pun apa kurang. Mak ayah awak nampak sayangkan awak.”

            “Sayang memanglah. Siapa tak sayang anak? Tapi mereka bukan ada masa sangat untuk saya. Sebab itu mereka tak kisah saya datang belajar kat sini. Tengok, abang Hasbullah yang hantar saya walaupun pada hari minggu,” kata Tengku Suzana. Riaknya seperti tidak berpuas hati.
            “Ibu bapa awak orang besar. Mesti sibuk dengan kerja. Lainlah macam mak bapa saya. Sehabis masa di kebun getah atau di sawah, mereka tentu tak ke mana-mana. Sebab tu hubungan kami nampak erat.”

            “Itulah untungnya jadi orang bebanyak macam awak, dan itulah ruginya orang macam saya.”

            Mariah diam. Pada dia, Tengku Suzana tidak nampak sebarang kekurangan dalam dirinya. Dia lebih darpada untung berbanding rugi. Tengku Suzana tidak boleh menafikan.

            “Tapi awak sebenarnya jauh lebih bernasib baik berbanding saya Zana.”

            “Kalau pandang dari satu sudut,” balas Tengku Suzana ingin mempertahankan kata-katanya.

            Mariah sekali lagi diam. Kebenaran memang ada pada kata-kata Tengku Suzana. Hal seperti itu akan jadi persoalan yang subjektif sekiranya dilihat daripada pelbagai sudut dan matra yang berbeza. Buat apa wang bertimbun jika hati rasa kurang kasih sayang dan kurang perhatian orang tua?

            “Eh, awak perasan tak Mariah? Ada sorang boy kat sekolah kita tu, senior. Selalu melintas kat depan kelas kita. Saya dah teradmirelah kat dia.”

            Topik bual sudah diubah Tengku Suzana. Mentak mahu mengelakkan suasana lebih sentimetal jika dia terus-terusan membangkitkan soal keluarga. Tengku Suzana memang merasakan kelainan tambah-tambahan sejak bercampur dengan keluarga Mariah yang harmoni dan kuat ikatan kekeluargaannya.

            “Ntah, saya mana ada masa nak perhatikan pelajar-pelajar yang lalu lalang kat kelas kita,” jawab Mariah bersama senyuman.
Dan memang pun Mariah tiada masa untuk memerhatikan semua itu. Dalam kepalanya hari-hari tidak lain hanya memikirkan untuk lulus peperiksaan SRP dengan cemerlang. Baginya, itu lebih bermakna untuk difikirkan oleh orang susah sepertinya. Kepala sentiasa tersumbat oleh masalah-masalah lebih dominan daripada kalut memikirkan pelajar-pelajar lelaki yang bakal melintas depan kelas. Tidak relevan dengan keadaan dirinya.

Malahan persoalan kejiwaan memang langsung tidak pernah difikirkan Mariah selama ini biarpun cinta monyet memang sudah berbudaya di sekolah. Dia juga tidak nafikan ada antara kawan-kawannya sudah mula bermain cinta sesama sendiri sejak di tingkatan satu lagi. Apabila sudah asyik main cinta yang tiada matlamat seperti itu, mula lalai dalam hal pelajaran. Masa senggang di kelas, atau masa luang jika guru tidak hadir mengajar lebih senang berborak kosong, cakap pasal pelajar itu, ini yang menjadi perhatian. Bukan diisi oleh hal-hal yang bermanfaat.

Lihat saja Yasmin, Nadirah, Mardziah dan lain-lain kawan mereka. Bukan main kecoh soal itu. Bangga apabila jadi perhatian. Lalu kerana itu mahu sentiasa tampil menarik. Sebab itulah dalam kelas, siap menyapu bedak ke muka setiap kali guru melangkah keluar dari kelas. Atau paling tidak mengerling muka ke serpihan cermin yang sengaja dibawa di dalam poket atau bekas pensil.

Sesekali pula gamat apabila guru melakukan spot check.  Mana-mana pelajar yang membawa bedak atau cermin ke sekolah akan didenda. Kala itu mula menggunakan pelbagai taktik. Menaburkan bedak di celah-celah buku teks atau buku tulis. Lucunya apabila guru minta pinjam buku, berterabur bedak sekiranya terbelek di muka surat berkenaan. Lagi gamat. Sungguh melucukan. Tambah pula apabila si pelajar yang tercekup itu digelar ratu solek.

Mariah cuma tumpang ketawa saja. Dia pun tahu ketawa juga. Tidak serius memanjang. Baginya itulah padah jika mahu sentiasa melawa tidak mengira tempat. Semuanya gara-gara mahu terus menawan hati si jejaka. Aduhai. Umur baru setahun jagung. Tapi itulah, kawan-kawan kebanyakan anak orang senang. Benak tidak terlalu tersumbat bagi memikirkan hal-hal kejiwaan. Hal-hal perasaan. Mariah tidak. Otaknya memikirkan pelbagai rencam perkara. Otaknya sedia tersumbat dengan hal-hal lebih produktif dan dominan untuk masa depan. Tiada ruang lagi untuk hal-hal remeh-temeh. Hal-hal yang sebenarnya memang domestik pada usianya.

Biarlah kawan-kawan dengan rentak mereka. Mariah tidak akan terikut-ikut sama. Biarlah sekali dulu dia terikut akan kecenderungan mereka. Memiliki sapu tangan. Itu kecenderungan yang akhirnya hingga kini menjadi trauma dalam hidup Mariah. Kerana terdorong oleh budaya yang menular di sekolah, dia akhirnya menyesal seumur hidup.

Muzamil. Sehingga kini pun Mariah terus merasa bersalah terhadap adiknya.

Sehingga kini pun Mariah tidak faham kenapa Muzamil sanggup memikul kesalahannya.

Cukuplah sekali dulu dia terpengaruh. Kali ini dia tidak akan menjebakkan diri lagi. Cukup-cukuplah.

Boy tu handsome sangat Mariah...” Tengku Suzana berseru sambil memejamkan matanya.

Sudah. Ini kes ditimpa perasaan lah ni. Tidak disangka Tengku Suzana juga cenderung ke arah itu. Selama ini dia lihat Tengku Suzana biasa-biasa saja. Tidak terlebih getik jika dibandingkan dengan kawan-kawan lain. Aduh, hal hati dan perasaan. Sesiapapun tidak boleh elak. Lambat dan bangat!

“Dia tahu awak suka dia?” Mariah bertanya. Sekadar menunjukkan perhatian terhadap kata-kata kawan baiknya.

Kalau buat acuh tak acuh, mentak Tengku Suzana akan terasa hati pula. Dia kalau boleh tidak mahu melukakan hati Tengku Suzana walaupun ikhlas dalam hatinya dia memang tidak berminat untuk bercakap soal-soal sedemikian.

            “Entah. May be or may be not. Dia sesekali memang akan menoleh juga ke arah saya jika melintasi kelas kita. Setiap kali kami bertembung mata, dia akan senyum. Manis senyuman dia Mariah.”

            “Okeylah tu. Dia senyum. Sekurang-kurangnya dia sedar awak wujud. Jangan dia langsung tak sedar, awak saja yang terkenang-kenang.”

            Mariah tidak bermaksud untuk melukakan hati Tengku Suzana sebenarnya. Sungguhpun demikian, wajah Tengku Suzana sedikit berubah. Mariah harau seketika menyedari dia mungkin telah melukakan hati Tengku Suzana.

            “Eh, saya tersilap cakap kah?” Soalnya pantas.

            “Tak. Cuma saya teringatkan Wirda. Dia juga sukakan boy tu. Malah pernah nampak mereka berbual-bual semasa menunggu bas sekolah.”

            “Hah, itu situasi yang cukup kurang elok. Tak baik awak main api Zana. Bukan kita tak tau Wirda.”

            But, tak salah if I’ll try.  May be dia orang cuma kawan saja.”

            “Zana, SRP tinggal lagi tiga bulan untuk kita hadapi. Pada saya, daripada kalut cari jalan nak cuba rapat dengan mana-mana orang yang kita minat, kita suka, ada baiknya kita pikir strategi nak lulus exam dengan cemerlang.”

            “Saya tau. Saya sekadar nak cari seseorang yang boleh dijadikan semangat untuk lulus exam.”
            “Semangat apa kalau dekat nak exam kantoi, masa tu mula frust menonggeng. Exam lingkup, apa tak ada. Baik awak struggle untuk lulus exam secemerlang yang boleh. Mungkin apabila awak dah berjaya, dapat result best, awak lebih dipandang. Semua orang akan buka mata pandang awak. Masa tu awak bukan saja cantik, malah bijak juga.”

            Tengku Suzana meleret senyum mendengar kata-kata Mariah. Dia ni boleh tahan kalau bagi nasihat kat orang. Patut aku tengok serius memanjang. Rupanya matlamat hidup dia hanya exam, exam. Huh, tak mustahil selama ini dia skor A semua subjek, rupanya dalam kepala dia hanya itu saja.

            “Senyum pulak?”

            “Awak tu, bukan main nasihatkan orang.”

            “Salah?”

            “Tak lah. Cuma kagum saja.”

            “Kagum pula?”

            “Ya lah. Awak bijak elak diri daripada hal-hal macam ni. Sikit pun awak tak terlintas pasal main cinta?” Duga Tengku Suzana.

            “Cara orang susah berfikir banding orang senang macam awak lain. Kami kalau dah diberi peluang belajar mahu belajar sungguh-sungguh. Soal macam ni tolak tepi. Lainlah kalau tak ada peluang nak belajar,” beritahu Mariah. Wajahnya serius. Sengaja buat muka serius untuk memberi kekuatan pada kata-katanya.

            “Kalau tak ada peluang nak belajar, awak pun akan pikir hal-hal gini juga?” Soal Tengku Suzana bersama  senyuman.
Mariah senyum.”Kalau diberi pilihan. Masalahnya, orang susah macam kami jarang ada pilihan. Kalau tak bersekolah dalam usia macam kita ni, terus dikahwinkan dengan mana-mana lelaki yang datang meminang. Mak ayah tak berminat nak tanggung makan minum lama-lama.”

            “Ish, biar betul awak ni. Lima belas tahun dah dikahwinkan?”

            “Orang kampung, susah pula tu. Lima belas tahun sudah dikira lewat sebenarnya.”

            Tengku Suzana menggeleng-gelengkan kepala. Gerun juga memikirkan kemungkinan dikahwinkan dalam usia lima belas tahun. Usia begitu satu apapun belum tahu. Patutlah Mariah merumuskan bahawa, jadi orang senang seperti Tengku Suzana sebenarnya jauh lebih beruntung daripada orang susah macam Mariah dan rata-rata orang kampungnya. Rupanya selain hal-hal kekeluargaan, banyak masalah lain yang perlu diambil kira dalam hidup mereka.

            Tengku Suzana tidak dapat melanjutkan kata apabila Hasbullah tiba dengan kereta mewah menjalar depan rumah Mariah.












BAB TUJUH BELAS
Hubungan Mawar dan Faisal Asna makin erat selepas Faisal memberanikan diri meluahkan isi hatinya tempoh hari. Sejak hari itu mereka mula ke mana-mana berdua. Malah Mawar sudah mengarahkan agar Abang Ghani tidak lagi perlu menjemputnya dari sekolah. Faisal yang akan menghantarnya. Tugas Abang Ghani hanya di sebelah pagi. Sejak itu juga Mawar memang sudah pandai pulang lewat ke rumah. Maklum saja apabila sudah membonceng bersama Faisal. Tentu mereka akan melencong ke lain terlebih dahulu sebelum terus pulang ke rumah.

            Mereka tidaklah berpeleseran tidak tentu hala. Hanya keluar makan-makan sahaja.  Mawar memang sudah tidak gemar masakan Mak Nab sekarang. Selalu dikata tidak berselera jika Mak Nab mahu menghidangkannya makan tengah hari apabila dia tiba di rumah. Walhal bukan dia tidak berselera, tapi kantung perutnya sudah sarat. Dijamu di luar oleh Faisal Asna.

            Tidak puas di luar bersama, bersambung borak pula melalui telefon. Memang tiada siapa yang sedar habit baru Mawar itu, maklum saja talian telefon memang dibawa masuk ke biliknya. Satu di ruang tamu, satu di dapur dan satu di biliknya. Konon senang jika dia mahu berurusan soal kerja sekolah dengan kawan-kawan tanpa mengganggu sesiapa. Dulunya, tapi kini sejak kenal Faisal Asna, telefon sudah bertukar fungsi. Khalida dan Kamarul memang tidak tahu-menahu, Mak Nab dan Abang Ghani lagilah.

            Sungguhpun demikian, baik Kamarul mahupun Khalida memang tahu akan hubungan baik antara Mawar dan Faisal. Mereka tidak menghalang, hanya berpesan kepada Mawar agar pandai-pandai jaga diri. Jangan abaikan pelajaran walaupun sudah mula berkawan dengan seseorang berlawanan gender. Mereka tidak pula menegah biarpun ada masanya Faisal datang mengambil Mawar semasa hujung minggu dan mereka berdua tidak ke mana-mana. Di depan mata sendiri Mawar melompat naik ke motor Faisal, pun mereka menganggap itu perkara biasa. Budaya zaman sekarang. Selagi Mawar tahu menjaga maruah diri, biarkan saja. Baik Kamarul atau Khalida tidak mahu bising-bising akan hal tersebut. Tambahan pula Faisal Asna anak kenalan rapat ibu bapa Kamarul. Lagilah mereka percaya pemuda lima belas tahun itu tidak akan melakukan perkara tidak elok terhadap anak gadis mereka.

            Lima belas tahun, bukan terdedah mana kepada anasir-anasir keterlaluan. Belum tahu banyak soal keistimewaan lawan jenis. Begitu fikir Kamarul dan Khalida. Merujuk kepada mereka semasa di usia tersebut. Langsung tidak mereka relevankan umur Faisal Asna dengan cara hidup kini yang sebenarnya sudah begitu terdedah kepada banyak perkara. Sedangkan secara logiknya jika mereka benar-benar membuat perbandingan, mereka pada usia lima belas tahun begitu masih gila-gila dan tidak tahu soal nak berkasih sayang. Bagi yang gadis pula, masih main pondok-pondok kecuali jika sudah dikahwinkan oleh orang tua.

            Anak-anak sekarang tengoklah. Soal cinta kasih terhadap gender berlawanan jenis bukan main arif. Tiga belas tahun sudah pandai melayan perasaan. Bergayut di telefon sampai jam tiga pagi. Kamarul dan Khalida memang tidak sedar itu. Pada mereka, anak-anak mahu berkawan. Biarlah. Mudahnya hidup jadi orang kota dalam soal memelihara anak. Bagi wang dan keperluan lain secukupnya, kemudian biar bebas menentukan hidup sendiri. Senang saja. Kemudian ibu bapa buatlah apa nak buat, pergilah mana nak pergi. Anak-anak tidak mengacau tentunya. Malahan mungkin juga boleh kembali honeymoon macam dulu-dulu. Seronok bukan?

            Mentak ada juga yang tidak seperti Kamarul dan Khalida dalam hal mendidik anak. Terutama bagi yang masih membudayakan budaya Melayu dan Islam mengikut budaya asal. Cuma mahu bertemu golongan seperti ini di bandar mungkin agak susah. Orang di bandar sentiasa tidak punyai cukup masa untuk memikirkan hal-hal sebegini. Kamarul dan Khalida mewakili golongan yang inilah.

            Melucukan pula apabila perubahan Mawar itu membuatkan Mak Nab lebih-lebih pening kepala. Runsing dan kurang senang benar melihat Mawar diheret bebas oleh budak lelaki. Ada masanya lewat malam baru pulang jika Khalida dan Kamarul terpaksa menghadiri sebarang majlis berdua. Kamarul dan Khalida memang tidak tahu perkara itu. Sangka mereka pergaulan Mawar dan Faisal hanya terbatas pada siang hari semata-mata.

            “Mak Nab risau Ghani, bimbang rosak Mawar tu kalau dibiarkan berterusan begitu,” adu Mak Nab kepada Ghani.

            Mahu mengadu terus kepada majikan mereka, bimbang dikatakan mahu campur tangan. Lebih sudu dari kuah. Tambah malang kalau dibuang kerja kerana dikatakan mahu mengajar mereka pula. Memanglah Kamarul dan Khalida bukan majikan sedemikian. Selama ini hubungan mereka boleh tegur-menegur mana yang tidak kena. Cuma untuk kes anak dara mereka membuatkan Mak Nab tidak berani masuk campur. Satu takut mereka tersinggung memandangkan mereka sendiri nampak biasa-biasa sahaja. Keduanya Mawar sendiri. Gadis manja itu jangan dibuat main. Melenting tidak tentu pasal dibuatnya.

            Selama ini pun Mak Nab atau Ghani memang tidak berani, bukan tidak berani sebenarnya, cuma malas cari pasal dengan Mawar. Cubalah tegur-tegur Mawar. Dijerkahnya, karang Mak Nab atau Ghani juga yang termakan hati. Yalah, siapa tidak tersinggung jika budak hingusan menengking. Paling tidak panas juga cuping telinga, mahu atau tidak tengok sajalah.

            “Kita ni siapa Mak Nab. Mak ayah dia sendiri tak hiraukan dia. Kita nak lebih-lebih.”

            Mak Nab sudah menjangka memang itu yang akan dikatakan Ghani.

            “Tapi Mak Nab runsing. Runsing sangat.”

            “Nak buat apa runsingkan dia, dia bukan anak Mak Nab pun. Apapun nak jadi kat dia, Mak Nab tak menanggung apa-apa,” kata Ghani sambil membelek akhbar. Seakan-akan tidak begitu berminat untuk bercakap soal Mawar.
            “Itulah silapnya. Kita ni kena sentiasa saling ingat-mengingati. Kau tak ingat maksud surah Al-Asr’?”

            “Manalah saya nak ingat Mak Nab, saya ni muqaddam pun tak habis.”

            “Ish kau ni!” Gerutu Mak Nab sambil menepuk bahu Ghani.

            Ghani ketawa terkekeh-kekeh. Kemudian melihat jam di pergelangan tangan. Masa untuk menjemput Puan Khalidanya dari pejabat. Dia bangun untuk menjalankan tugasnya.

            “Hah, tu nak ke mana pula?” Tanya Mak Nab yang menganggap Ghani sengaja mahu melarikan diri daripadanya.

            “Ke mana lagi, jemput Puan Khalida lah.”

            Mak Nab mencebir. Baru saja dia mahu meluahkan perasaan, Ghani sudah berlalu. Ish, pada siapalah dia mahu luahkan rasa hatinya? Mak Nab menggaru-garukan kepalanya. Sedang dia tergaru-garu itu bunyi enjin motorsikal menerjah gegendang telinganya. Mawar sudah tiba di laman rumah. Seperti biasa dihantar oleh Faisal. Mawar tahu saja membaca masa pulang ibunya. Sebab itulah Khalida menganggap hubungan mereka berdua biasa-biasa saja.

            “Mawar nak makan?” Soalan itu memang sinonim dengan kepulangan Mawar.

            “Tak naklah. Saya dah makan kat luar tadi.”

“Minum?”

“Pun tak nak. Mak Nab buatlah kerja lain. Tak payah susah pasal saya. Kalau
saya nak nanti saya turun sendiri ke dapur, ya?” Mawar berkata.
            Mak Nab mengangguk kemudian berlalu ke belakang rumah. Mahu menghabiskan menyiram pohon bunga yang terbengkalai semasa berbual bersama Ghani tadi. Mawar pula terus naik ke biliknya. Badannya sudah terasa melekit-lekit kerana peluh. Dia harus membersihkan badannya. Biar segar sikit. Usai mandi nanti dia mahu menelefon Faisal. Sekadar bertanya khabar. Mana tahu Faisal tersangkut di tengah jalan. Juga takut Faisal melencong ke lain. Mawar memang berjaga-jaga tentang itu. Takut Faisal bermanis mulut di depannya. Maklumlah, Faisal itu lelaki yang menjadi kegilaan ramai kawan.

            Mengingatkan Faisal membuatkan bibir Mawar dengan sendirinya tertarik kiri kanan. Senyum lebar. Gembira dan bangga kerana atlet sekolah itu kini menjadi miliknya setelah ramai  kawan-kawan bersusah-payah mahu memancing minat Faisal. Aduh, memang bangga gila Mawar! Lagi-lagi bangga apabila mereka menjadi pasangan paling top di sekolah. Saham Mawar naik, saham Faisal turut naik. Ada yang menganggap gabungan dua orang pelajar kegilaan ramai itu menjadikan sekolah hangat dengan kisah cinta mereka.

            Secret admirer Mawar terkedu. Secret admirer Faisal terkelu. Masing-masing tidak boleh berbuat apa-apa selain menerima kenyataan. Malah ada juga yang berdoa agar hubungan antara Mawar dan Faisal putus di tengah jalan. Mawar dan Faisal tidak endahkan cakap-cakap orang sekeliling tentang mereka. Pujian mengatakan mereka sepadan diterima mereka dengan senyuman. Kutukan mengatakan mereka tidak sepatutnya bersama dan tidak kekal lama pula mereka tidak pedulikan. Bagi mereka, manusia jika sudah dengki dan iri memang tidak senang hati.

            Guru-guru pula lain ceritanya apabila mendengar khabaran tentang hubungan mereka. Mawar dan Kamarul dipanggil secara berasingan oleh lembaga disiplin sekolah. Memberi nasihat agar jangan terlalu taksub bermain cinta dalam usia sebegitu. Pada Mawar diingatkan akan harga diri dan maruah. Pada Kamarul pula dibangkitkan soal SRP yang bakal menjelang tiba. Bimbang kalau terlalu banyak membuang masa berpeleseran bersama si buah hati, SRP Faisal kantoi walhal selama ini dia menjadi harapan sekolah. Pun masing-masing memberi jaminan tahu menjaga diri.

Lama-kelamaan pihak sekolah jemu memberi nasihat. Sementelahan pula selama ini mereka tidak pernah dilihat melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kawasan sekolah. Jika pun dilihat berdua, biasanya mereka sedang mengulangkaji di bangku di bawah pohon-pohon ketapang di tepi padang. Kelakuan mereka juga terjaga semasa di dalam kawasan sekolah. Bukan bertempek sesama sendiri tanpa segan. Sesekali pula mereka kelihatan menghabiskan masa membaca di pustaka sekolah. Senyap dan sunyi tanpa suara. Cara mereka bercinta tidak dalam versi manja dan mengada-ada seperti kebanyakan pasangan yang sudah ditangkap pihak sekolah. Mereka masih menjaga tatasusila seorang pelajar.

Faktor itulah yang menjadikan pihak sekolah akhirnya mula tidak mengambil kisah akan hubungan mereka. Soal mereka berbonceng sepulangnya dari sekolah menjadi urusan ibu bapa untuk ditangani. Pihak sekolah malas mencampuri urusan itu setelah nasihat mereka tidak diendahkan pasangan tersebut. Malas juga membesar-besarkan hal itu melalui memanggil ibu bapa mereka datang ke sekolah. Pihak sekolah ada agenda lebih besar daripada mengambil kes seperti itu. Tambahan pula banyak lagi masalah disiplin sekolah lain yang harus ditangani lalu kes Mawar dan Faisal membonceng bersama bukan isu besar. Malah mereka juga bukan pasangan pertama atau pasangan tunggal.

Mawar baru selesai membersihkan tubuh semasa telefon berdering. Tualapun belum dilucutkan dari badan. Sungguhpun demikian telefon mati deringan sebaik tangan Mawar hampir mencapai gagang. Mawar merengus. Menyusahkan dia buru-buru keluar dari bilik air. Mawar akhirnya ke almari. Memilih pakaian bersesuaian untuk dikenakan petang itu. Sedang dia memilih pakaian muncul Khalida menjengahkan kepala. Memerhati sejenak tingkah anaknya yang kebingungan memilih pakaian.

“Mawar...” seru Khalida.
Mawar sedikit tergelujat disapa begitu. “Apa mama?” Nadanya seperti terganggu. Memang dia merasakan Khalida mengganggu masa privacynya pun. Mukanya pantas saja jadi cemberut.

“Faisal telefon,” beritahu Khalida.

Mendengar saja nama Faisal, muka cemberut bertukar manis. Khalida menggelengkan kepala akan reaksi anaknya. Pantas meninggalkan bilik anaknya.

Thanks mama!” Mawar sedikit menjerit semasa Khalida kembali menutup daun pintu.

Mawar duduk bertimpuh di lantai marmar. Di tepi meja sudut tempat telefon diletakkan. Suara Faisal menyapu gegendangnya mesra. Hatinya menggelinjang suka. Dia baru beura-ura ingin menghubungi sang arjuna, Faisal terlebih dahulu berbuat demikian.

“Kenapa?” Duga Mawar  walaupun hakikatnya dia tahu memang tiada apa-apa yang penting ingin dinyatakan Faisal Asna.

“Rindu!” Faisal memaktubkan begitu.

Senyum Mawar meleret-leret. Bahagia mendengar ucapan rindu yang entah kali ke berapa disuarakan Faisal. Tangannya sempat menggeragas rambut yang tidak sempat dikeringkan sepenuhnya. Benak pula melakar rias Faisal inci demi inci dalam data memori. Segala-galanya tampak indah. Senyum lagi.

Majnun. Sesungguhnya Mawar benar-benar kemajnunan dibuat Faisal. Dia rela begitu. Rela yang teramat sangat. Malahan dia telah menyimpan janji pada diri sendiri untuk memastikan hubungan antara mereka kekal walaupun hubungan mereka terjalin pada usia muda benar. Kata orang pada peringkat usia cinta monyet. Sungguhpun demikian, Mawar tekad untuk memanusiakan cinta monyet mereka.

Dia membayangkan kelak, jika ada yang bertanya bagaimana boleh terjalinnya hubungan antara mereka, akan Mawar katakan semuanya bertitik-tolak daripada cinta monyet. Bukankah sesuatu yang cukup membanggakan jika boleh mempertahankan cinta monyet hingga ke tahap cinta abadi? Jika pun cinta itu kecundang di tengah jalan, Mawar tidak perlu malu, hanya katakan saja; ah, cinta monyet. Memang jarang yang akan kekal.

Begitupun Mawar memang berharap hubungan antara mereka akan kekal abadi biarpun hanya bermula daripada sebuah cinta monyet.

Mawar tersenyum meleret-leret lagi sambil berbalas kata dengan Faisal dan sesekali ketawa bersama jika sesuatu yang dikatakan itu dianggap suatu parodi. Indahnya!

Khalida naik ke bilik Mawar hampir setengah jam kemudian. Tanpa mengetuk pintu dia menguak daunnya. Mawar kelihatannya sudah menamatkan perbualan dengan Faisal, tapi masih belum mengenakan pakaian. Masih seperti tadi. Berkemban dengan menggunakan tuala bermotifkan katak. Khalida menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah anaknya. Mengelamun sambil tersenyum-senyum.

“Mawar...”

“Eh, mama! Mama ni selalu buat orang terkejut tau!” Mawar menekan sedikit suaranya di situ.

Khalida merapatinya. Duduk di sebelah lalu memeluk bahunya. Menguis-nguis rambut panjang anaknya yang terjuntai di depan. Masih basah lagi rambut anaknya. Dia mengemaskan rangkulannya. Cuba mencari kekuatan untuk bersuara. Mawar mengangkat wajah memandangnya. Pelik juga  sikap Khalida petang itu. Penuh kasih sayang pula. Memang menghairankan.

“Mawar pun apa kurang. Cakap dengan mama selalu tinggi-tinggikan suara. Tak elok tau selalu tinggikan suara dengan mama. Kalau mama terasa hati Mawar jadi anak derhaka pula.”

Huh, dia nak kenakan kita balik. Kenapalah aku kurang senang sikit kalau mama menegur? Kalau papa, katalah apa saja aku boleh tahan telinga. Tapi itulah, papa pun bukan banyak bunyi macam mama ni.

“Mama nak cakap apa sebenarnya ni?” Soal Mawar. Kali ini cuba menjunamkan sikit nada suaranya walaupun hatinya membengkak.

“Pasal Mawar dan Faisal.”

“Aik, kenapa pula tiba-tiba nak cakap pasal kami?” Mawar penuh ragu-ragu memandang ke wajah Khalida.

Tak kan sebab tadi aku bergayut dengan Faisal, mama tiba-tiba mahu membuat suatu perhitungan antara kami. Selama ini pun dia bukan tak tau. Cuma kalau waktu malam aku bergayut hingga jam dua tiga pagi tu memang mama dan papa langsung tak taulah. Mereka time tu seronok proses sisa mulut.

“Ya lah. Mama cuma nak tanya betul atau tak Mawar selalu keluar dengan Faisal jika mama dan papa tak ada malam hari?”

Mawar pantas menepis tangannya. Bangun dengan wajah melenting. Wajah Khalida dipandangnya. Mereka saling bertentang mata dengan dada bergelombang. Khalida sedikit teruja untuk membalas tingkah Mawar dengan sedikit kekerasan. Dia ada hak untuk berbuat demikian, dia ibu Mawar. Pun masih dia ingin berlembut. Konon berdiplomasi. Mahu menjinakkan secara psikologi.

“Mama nak mengongkong Mawar?” Mawar kembali dengan suara meninggi.

“Ini bukan soal mengongkong atau tak Mawar. Soalnya Mawar masih terlalu muda untuk berpeleseran hingga ke malam hari seperti itu. Baru tiga belas tahun Mawar. Mama seusia Mawar dulu belum pandai tau buat perkara-perkara yang sedang Mawar lakukan sekarang.”

“Mama jangan nak bandingkan zaman mama dengan zaman Mawar. Ni tahun 90-an mama.”

“Era apa sekalipun, 80-an kah, 90-an kah, malah tahun 2000 sekalipun, kelakuan tetap kena jaga Mawar. Mama takut Mawar terleka. Itu saja.” Khalida masih berlembut.

Sebenarnya jika tidak kerana Mak Nab membuka mulut tadi dia memang tidak tahu akan kegiatan Mawar selama ini. Malu juga dia apabila Mak Nab melihat kepincangannya dalam mengawasi anak sehingga langsung tidak tahu kegiatan anak sendiri. Dia tidak salahkan Mak Nab. Berterima kasih malah, kerana prihatin akan anak perempuannya.

“Mama cakap macam Mawar buat perkara sumbang. Kami padahalnya tak buat apa-apa. Faisal datang bawa Mawar keluar makan-makan. Itu saja. Ni mesti ada yang menambah-nambah cerita ni.”

“Jadi betullah Mawar memang keluar dengan Faisal setiap kali mama dan papa tak ada kat rumah malam hari?”

“Siang atau malam apa beza mama? Kalau mama nak tegah baik mama tegah agar jangan  jumpa tak kira siang atau malam.”
“Mawar nak kalau mama buat begitu? Mawar nak kalau mama ambil tindakan tukar Mawar ke sekolah lain untuk menjauhkan Mawar daripada Faisal? Atau lagi senang kalau mama minta ditugaskan ke daerah lain, bawa Mawar ikut sekali. Kalau macam tu lagi senang mama nak jauhkan Mawar daripada Faisal.”

“Mama berniat nak buat macam tu?”

“Mama memang tak ada niat macam tu. Sebabnya mama tak mahu halang Mawar kawan dengan Faisal. Tak ada sebab mama nak halang kalian berkawan. Tapi biar berpada-pada. Jangan sampai malam pun masih nak keluar. Awak tu masih bawah umur Mawar. Mama ulang, Mawar baru tiga belas tahun.”

“Mama jangan kolot sangat. Mawar tahu jaga diri.”

“Bukan soal kolot. Tapi soal peribadi. Bukan elok anak dara keluar malam-malam dengan lelaki.”

“Sejak bila pula mama penuh tatatertib ni?”

“Mama cuma nak yang terbaik buat anak mama. Mawar anak mama, mama patut menegur mana silap.”

“Mama sengaja nak besar-besarkan isu. Papa pun tak akan bersuara hal remeh-temeh macam ni. Dia pasti yakin hundred percent pada Mawar.”

“Kebebasan yang mama bagi pada Mawar ada batasannya. Bebas, bebas juga Mawar, tapi akhlak dan peribadi kena jaga. Jangan sampai orang tengok mama macam tak pandai nak jaga anak.”

“Oh, ni sebab termalu dengan cakap-cakap oranglah ni? Kenapa mama nak dengar sangat cakap orang tu?”
“Kalau benda betul mama kena dengar Mawar. Mawar juga begitu, jika ada siapa-siapa  tegur hal yang elok, hal yang betul Mawar kena terima pakai. Jangan ikut kepala Mawar saja,” kata Khalida. Memang ikutkan panas mahu dilempang saja mulut Mawar.

Menjawab mengalahkan umur sudah dua puluh tahun ke atas. Ada-ada saja bantahannya. Khalida kata begitu, dia kata begini. Bengang juga Khalida. Tapi mengenangkan nasihat Mak Nab tadi, dia cuba berlembut. Mak Nab cakap budak-budak tengah mahu naik seperti Mawar harus ditangani dengan selembut mungkin. Jangan bawa bergaduh.

Khalida pening-pening juga. Tidak tahu kenapa Mawar sampai boleh berada pada tahap itu. Dia dulu memang kalau dengan orang tua tidak pernah mahu membantah. Meninggikan suara jauh sekali. Arwah ayahnya agak garang juga. Ah, mungkin sebab arwah ayah garang membuatkan dia tidak berani berlawan kata, cuba kalau arwah ayahnya bersikap seperti Kamarul dalam melayan anak, tentu dia juga tidak lebih tidak kurang.

Ah, mungkin juga tidak kerana dia dan Mawar dari dua zaman berbeza.













BAB LAPAN BELAS
SRP tinggal lagi tiga hari. Mariah dan Tengku Suzana makin giat menjalankan ulangkaji. Mereka tidak lagi bersembunyi daripada rakan-rakan untuk mengulangkaji bersama di sekolah. Malah ada beberapa orang pelajar lain turut mengambil bahagian semasa mereka berdua membuka buku sekiranya guru tidak datang mengajar. Masa banyak dihabiskan dengan membaca. Mereka mahu menumpang kecekapan Mariah dalam menyelesaikan banyak masalah.

            Malah ada masanya, Yasmin dan Mardziah turut datang bertanya Mariah jika mengalami kekeliruan dalam banyak subjek. Mariah nampaknya mula menjadi rujukan banyak pihak untuk banyak subjek. Tengku Suzana yang dianggap pesaing terdekat Mariah juga jadi perhatian. Masing-masing kalut walaupun guru menasihatkan agar jangan terlalu gementar untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

            Mariah dan Tengku Suzana pula, meski yakin akan keupayaan mereka tetap merasa takut dan gementar menghadapinya. Mariah lebih-lebih lagi. Banyak yang bermain dalam fakulti benaknya. Soal gagal belakang cerita, sebaliknya soal meneruskan pengajian. Tertanya-tanya kemampuan ibu bapa meneruskan persekolahannya. Jika tidak dihantar ke sekolah berasrama penuh, MRSM misalnya, dia sudah cukup bernasib baik kiranya selepas SRP ini ibu bapanya masih membenarkan dia belajar. Mariah takut kalau-kalau ayahnya mengatakan hanya setakat SRP saja dia boleh belajar.

            Setakat hari itu, dia tidak pernah bertanya ayahnya akan hal tersebut. Bimbang ayah akan naik minyak dan menganggap Mariah mempersoalkan kewibawaan menjalankan tanggungjawab. Langsung Mariah diam dan meneruskan pengajian seperti biasa. Mana tahu, jika pun Mokhtar terniat untuk menghentikan persekolahannya, melihat keputusan peperiksaan Mariah yang cemerlang akan membatalkan hasrat Mokhtar itu. Siapa tahu kan?

            Lagipun selama ini Mokhtar sendiri memberi galakan kepada Mariah untuk belajar. Baik sebelum Tengku Suzana datang belajar ke rumahnya atau sebelum-sebelum itu. Secara tidak langsung memberi sedikit keyakinan kepada Mariah. Yakin yang ayah akan terus memberi peluang untuknya melanjutkan pelajaran selagi Mariah masih berpeluang daripada segi keputusan peperiksaannya. Mokhtar dilihat memberi sokongan amat. Malah tidak pernah terdengar ura-ura untuk memberhentikannya daripada meneruskan pelajaran.

            Sungguh. Mariah tidak pernah terdengar kedua-dua ibu bapanya bercakap soal mahu memberhentikannya saban malam jika mereka lambat tidur. Kedengaran cuma bagaimana mahu menambahkan pendapatan untuk menyara anak-anak. Juga tentang kemungkinan sekiranya Mariah menerima tawaran ke universiti suatu masa nanti. Waktu itu memerlukan perbelanjaan yang cukup besar. Itu secara tidak langsung membayangkan kepada Mariah akan kesediaan Mokhtar sebagai bapa untuk menanggung perbelanjaan pengajiannya walau setinggi mana Mariah pergi.

            Dalam pada itu Mariah juga turut memikirkan akan kemungkinan terputusnya hubungan antara dia dan Tengku Suzana. Buat masa itu, dia hanya ada Tengku Suzana sebagai kawan paling rapat dan kawan paling memahami. Dia bukan pandangkan latar belakang Tengku Suzana dan mahu menumpang senang Tengku Suzana. Dia hanya memikirkan keikhlasan Tengku Suzana berkawan dengannya. Dia tidak pernah malu dan segan bertandang saban petang ke rumah Mariah. Malah langsung tidak kekok berada dalam suasana kampung.

            Mak ayah Tengku Suzana juga baik, malah lewat kunjungan mereka beberapa minggu lalu, mereka bawakan banyak barang-barang makanan. Beras, tepung gandum, minyak masak, gula, roti dan juga makanan dalam tin yang beraneka. Semuanya hanya pernah dilihat oleh Mariah melalui gambar dalam buku Sainsnya. Menyentuhnya sama sekali tidak pernah, apatah lagi untuk menikmatinya. Untuk membayangkan menikmati makanan-makanan beraneka jenis macam itu juga Mariah dan Muzamil tidak pernah sama sekali. Namun Muzamil memang seronok sangatlah. Dia memang sentiasa seronok jika Tengku Suzana datang tanpa membawa makanan saban petang sekali pun. Apatah lagi apabila ayah Tengku Suzana sendiri datang dengan membawa begitu banyak makanan.

“Apa banyak-banyak ni Ku?” Soal Mokhtar segan untuk menerima buah tangan Tengku Najmuddin yang berganda banyaknya daripada hari biasa.

            “Saja mahu keluarkan zakat bang. Lagipun kata ulamak, harta yang kamu miliki bukan milik kamu sebenarnya. Milik kamu hanya pahala atas harta-harta yang kamu sedekahkan. Pahala itulah yang kamu bawa mati nanti.” Tengku Najmuddin menjawab begitu menolak rasa segan Mokhtar.

            Kemudian Tengku Najmuddin berjenaka pula. Mengatakan walau sekaya mana manusia di dunia ini, ada harta banyak, anak ramai, cerdik pula, rumah pun besar, kereta juga mewah, semua itu tidak boleh dibawa mati. Memang ada mayat naik kereta, sungguhpun demikian kereta naik mayat untuk ikut ke kubur tiada.

            Mokhtar yang biasanya serius tergelak kecil juga mendengar Tengku Najmuddin berparodi. Memang pun, dia bersetuju. Tidak pernah terjadi mayat mengusung kereta mewahnya untuk dibawa ke kubur bersama-sama. Mayat naik kereta jenazah pula memang banyak. Pandai juga Tengku Najmuddin berlelucon. Tapi Mokhtar tahu maksud lelucon Tengku Najmuddin. Dia hanya ingin memberitahu Mokhtar, besok-besok di akhirat hanya pahala yang boleh dibawa bersama. Sebab itulah dia tidak lupa mengamalkan sedekah jariah semasa di dunia. Dia tidak mahu jadi fakir di akhirat kelak walhal di dunia dia cukup mewah dan senang.

            Mengingatkan Tengku Najmuddin yang sentiasa murah dengan senyuman membuatkan Mariah tahu daripada siapa Tengku Suzana mewarisi sikap sedemikian. Malah ibunya, Tengku Sarah juga baik orangnya. Tidak sombong dan tidak kekok pun turun ke dapur bergelegar buluh membantu Azizah menyiapkan makan tengah hari lewat kunjungan mereka hari itu. Sama-sama berhitam muka meniup api nasi di dapur kayu. Sesekali Mariah rasa kelakar juga apabila mengenangkan muka Tengku Sarah hari itu. Habis comot mukanya. Diketawakan pula oleh suami dan anak. Ketika itu Mariah hanya menyimpan tawa dalam perut. Hanya selepas mereka seisi keluarga pulang barulah dia menghamburkan tawanya menyebabkan ibu bapanya dan Muzamil kehairanan. Masakan tidak, tiba-tiba saja ketawa.

            Mengenangkan kebaikan Tengku Suzana sekeluargalah membuatkan Mariah rasa sayu untuk berpisah dengan Tengku Suzana. Dia tahu, lambat bangat Tengku Suzana tentu akan melanjutkan pengajian ke tempat lain. Jika tidak kerana mendapat tawaran dari sekolah asrama penuh, mungkin juga kerana mengikut orang tua yang ditukar tempat kerja. Pegawai kerajaan, tempat kerja tidak statik. Itu kenyataan yang harus diterima Mariah.

            “Awak jangan bimbang Mariah, kalau saya dah tukar sekolah nanti pun saya tetap ingat awak. Kawan yang istimewa,” janji Tengku Suzana apabila Mariah mengutarakan rasa bimbangnya.

            “Sampai bila Zana? Mungkin sebulan dua awak akan ingat saya. Lama-lama, dah jumpa kawan baru awak pun akan lupa saya di sini.”

            “Tergamak awak cakap macam tu, macamlah saya ni tak boleh harap dalam berkawan. Awak tengok saya ni jenis kawan yang macam tu kah?” Tengku Suzana sedikit terasa hati. Mukanya juga berubah.

            “Maafkan saya Zana. Saya cuma takut awak lupakan saya suatu hari nanti.”

            “Buatnya awak yang lupakan saya, maklumlah kalau awak sendiri sudah masuk U nanti, tentu awak akan jumpa lebih ramai kawan. Masa tu awak tak akan ingat siapa saya lagi.”

            “Masuk U? Huh, masin mulut awak dapatlah saya masuk U.”

            You are brilliant Mariah. No wonder kalau boleh masuk U.”

            Brilliant is not enough. Banyak lagi nak kena pikir untuk masuk U.” Mariah menjawab. Juga dalam bahasa rojak. Sekadar mempraktis kemahiran berbahasa Inggeris. Walhal dia segan juga untuk sesekali berbahasa Inggeris. Bimbang diketawakan kawan-kawan sekampung.

            Meaning?”

            Money. That’s the point. Soal result saya pasti boleh. Tapi mampukah mak ayah saya Zana?”

            “Insya-Allah Mariah. I’m pretty sure they will. No matter how far awak nak sambung belajar, apabila tiba masanya they will do something. Mereka pun tentu mahu lihat anak mereka berjaya. Jika tak, mereka tentu tak kan bagi awak galakan awal-awal lagi. Buang karan.”

            Mariah termenung memikirkan kata-kata Tengku Suzana.

            Ah, Tengku Suzana, bila-bila masa pun memang sentiasa memberi semangat dan dorongannya. Teringat pula awal-awal mengenali Tengku Suzana. Gadis itu memang tampil mesra. First impression sudah menunjukkan dia mesra dan baik orangnya.  Cuma Mariah ragu-ragu untuk mendekati. Ketika itu, saat semua orang memulaukan Mariah. Tengku Suzana memerhati dari jauh. Alih-alihnya, dia yang datang kepada Mariah.

            Mariah memang masih ingat. Ketika itu akal fikirnya bergalau mengenangkan Muzamil yang terlantar di pertiduran gara-gara tindakan Mariah mengambil syiling lima puluh sen dari kocek seluar ayah. Ah, masakan Mariah boleh lupa peristiwa itu. sejak itulah dia tunduk dengan keikhlasan yang ditunjukkan Tengku Suzana. Dia memahami dan cukup memberi semangat untuk Mariah.

            Tengku Suzana. Beruntung sesiapa dapat mengenali kawan sebaiknya. Dan Mariah antara yang termasuk dalam kategori insan yang beruntung. Beruntung ekoran dikurniakan seorang kawan yang cukup prihatin seperti Tengku Suzana. Sedari kecil Mariah yang pasif sebenarnya tidak pernah mempunyai kawan  rapat seperti Tengku Suzana. Selama ini dunianya hanya dia dan Muzamil. Muzamil lah kawan, Muzamil lah adik. Mariah malah akan menceritakan segala-galanya kepada Muzamil.

            Mengenali Tengku Suzana membuatkan Mariah turut mengenali dunia luar. Disorot dari kaca mata Tengku Suzana. Tengku Suzana banyak menceritakan kepadanya  keadaan sebenar dalam masyarakat. Masyarakat luar yang selama ini hanya dibayangkan dalam benaknya dibantu pembelajarannya di sekolah yang menyentuh serba sedikit tentang manusia dan masyarakat. Juga melalui bacaan akhbar yang sesekali berpeluang dibaca di perpustakaan sekolah, ataupun sesekali apabila guru-guru bercerita secara tidak langsung semasa mengajar.
           
            Itu saja. Itu sajalah maklumat luar yang diketahui Mariah.

            Mana dia nak dapat maklumat jika saluran informasi langsung tiada di rumahnya. Radio, tv, malah akhbar pun tidak mampu dibeli olehnya. Dia memang tidak berpeluang langsung untuk mengambil tahu hal-hal seumpamanya. Boleh meneruskan pelajaran hingga ke tahap itu sudah cukup memberuntungkan baginya.

            Tambahan pula, dunia luar bukan setakat yang dikhabarkan melalui sumber informasi itu, malahan banyak lagi. Banyak lagi yang biasanya hanya boleh diketahui jika melaluinya sendiri. Tengku Suzana pula banyak pergaulan. Dia banyak tahu. Mariah seronok menadah telinga mendengar ceritanya. Tidak hairan jika Tengku Suzana lebih matang berbandingnya dalam hal ehwal sedemikian.

            Ah, sememangnya budi Tengku Suzana bukan itu-itu sahaja kepada Mariah. Gadis hitam manis itu terlalu banyak budinya. Tentunya juga tidak mampu terbalas oleh Mariah. Tengku Suzana memberi peluang Mariah merasa diri dihargai sebagai seorang kawan. Dia mendekati Mariah dengan niat untuk berkawan dan bukan dengan niat ingin mengambil kesempatan seperti yang selalu dilakukan oleh kawan-kawan sekelas yang lain. Paling utama daripada itu semua, Tengku Suzana tidak pernah sekalipun memandang Mariah dengan pandangan jengkel dan menghina Mariah.

            “Mariah, boleh tolong saya selesaikan masalah matematik ni?” Soal Nadirah mematikan lamunan Mariah yang panjang.

            Nadirah sudah mengambil tempat duduk di sebelah Mariah. Mariah memandang sejenak ke wajah Nadirah yang kusut.

            “Kenapa Irah?”

            “Soalan ni susah sangat...”

            “Bukan, maksud saya kenapa dengan awak? Macam ada masalah besar.”

            “Awak takkan faham kalau saya cakap.”

            “Cakaplah. Mungkin boleh ringankan fikiran awak.”

            “Tak ada apa-apalah. Saya cuma bimbang sebab selalu tak dapat skor A untuk maths ni. Mak ayah saya cakap, any subject kalau tak skor A saya tak boleh apa-apa ganjaran untuk SRP.”

            Mariah terangguk-angguk. Padahal hatinya sedikit bergalau. Orang senang macam Nadirah, kalau Mariah kalut memikirkan boleh atau tidak meneruskan pelajaran selepas ini, dia pula sibuk memikirkan ganjaran yang bakal diberikan oleh ibu bapa. Wal hal pada Mariah, tiada apa ganjaran lebih bermakna daripada ibu bapanya selain mengizinkan dia meneruskan persekolahannya hingga ke peringkat yang tertinggi.

            Memang dunia orang susah dan orang senang terlalu berbeza. Masalah pada orang susah dan orang senang juga berbeza. Mariah meneguk liur. Cuba membina kosentrasi terhadap masalah matematik yang sedang ditunjukkan oleh Nadirah. Dia memerhati sejenak soalan yang ditunjukkan Nadirah. Suatu masalah matematik yang memerlukan penaakulan yang jitu juga.

            Melihat ada caranya, Mariah mencapai pen di meja. Pen Reynolds itu mula menari-nari melarikkan tinta biru di atas kertas putih yang dibawa Nadirah. Sambil pen menari-nari, Mariah juga bersuara memberi penerangan. Nadirah terangguk-angguk seakan faham akan penyelesaian yang ditunjukkan oleh Mariah.

            “Amboi, buat study group tak ajak kita sekali?” Sapa Tengku Suzana sambil melabuhkan punggung ke kerusi.

            “Awak pergi mana tadi?” Tanya  Mariah.

            Toilet. Perut saya ni asyik meragam pula dekat-dekat nak exam ni.”

            Mariah tersenyum. Nadirah juga.

            “Itu sindrom dekat nak exam lah tu. Si Yasmin pula demam. Mardziah asyik dengan darah gemuruhnya,” beritahu Nadirah sambil meletakkan pen di tangan.

            “Yalah. Saya fikir pun macam tu. Sebelum ni tak pernah pula perut saya meragam macam ni. Bermula dengan rasa berdebar-debar, lepas tu perut pula memulas-mulas. Mulalah nak buat hal ni.”

            “Awak kena bertenang Zana. Awak mesti yakin untuk tempuhi exam ni. Nanti kantoi siapa juga yang menyesal?”

            “Betul kata Irah tu Zana. Awak bukan tak boleh buat,  result awak setiap bulan pun cemerlang juga. Karang sebab asyik dok berulang ke toilet awak tak sempat nak menjawab,” kata Mariah pula menyokong pendapat Nadirah.

            “Itulah. Saya bimbang jugak jadi macam tu. Daripada boleh lulus A, terus tak dapat.”

            “Banyakkan selawat ke atas nabi. Banyakkan juga berzikir. Ayah saya selalu pesan macam tu untuk hadapi peperiksaan.”

            “Mak ayah saya pun bagi petua macam ayah Mariah jugak. Dia cakap, usaha kita dah usaha, sekarang kita kena minta rahmat daripada-Nya. Rezeki ni atas rahmat dan redha dia juga. Kalau Dia tak redha nak bagi kita lulus cemerlang, tak merasalah jugak kita jawabnya.”

            “Wah, wah, wah, sejak bila awak berdua ni dapat tittle ustazah ni?”

            “Kita orang cakap yang benar. Dia sindir-sindir kita pulak!”

            Muka Nadirah sedikit cemberut.

            Mariah tersengih melihat Nadirah yang agak sensitif. Musim-musim dekat peperiksaan macam itu, semuanya sudah tidak boleh mengawal minda. Pantang terasa sikit mula mahu menarik muka masam. Tekanan sebenarnya, bukan apa-apa.

            “Alah Irah, I’m just joking la. Bergurau sikit pun tak boleh. Nanti kalau Razlan tengok muka awak macam ni terus tak jadi meminang.” Tengku Suzana dengan muka selamba berkata.

            “E, awak janganlah sebut nama Razlan Zana. Berdebar saya tau. Elok-elok saya nak concentrate pada exam, jadi teringatkan dia pula.” Nadirah berkata sambil tersengih-sengih menampakkan barisan giginya yang memutih.

            “Eh, eh, terus hilang muka empat belas awak tadi Irah?” Tengku Suzana masih ingin mengusik Nadirah.

Nadirah mula geram. Dia menepuk bahu Tengku Suzana sedikit kuat menyebabkan kawannya itu terseringai dan mengaduh kecil. Kemudian mereka sama-sama ketawa.

“Oi minah, ketawa jangan kuat sangat. Nanti hilang ilmu kat dada!” Jerit Yasmin dari jauh.

“Yalah, tadi bukan main serius berguru dengan Mariah, sekarang dah tergelak-gelak pula.” Mardziah pula menyampuk.

“Alah, dengkilah tu. Kau orang berdua nak ketawa-ketawa takut. Dalam perut tu asyik pikir pasal exam saja, cubalah jadi macam kami ni. Enjoy masa-masa yang ada. Nanti dah exam nak kentut pun tak sempat.”

“Kau ni selekehlah Irah. Apa pulak dikaitkan dengan kentut ni?” Marah Tengku Suzana.

Mariah hanya tersenyum sumbing.

“Eh, Puan Nora datanglah!” Mariah mencuit lengan Tengku Suzana yang membelakangi pintu depan.

Tengku Suzana dan Nadirah buru-buru bangun untuk kembali ke tempat duduk masing-masing.

Puan Nora memerhatikan mereka tanpa ada sebarang perasaan. Dia terus  ke meja guru. Membuka fail yang dibawa bersamanya. Kedatangannya ke kelas hanya untuk mengambil kedatangan semata-mata. Tinggal beberapa hari untuk menghadapi peperiksaan seperti itu, guru-guru memberi kebebasan kepada para pelajar untuk mengulangkaji pelajaran sendiri. Dengan cara itu bagi guru-guru, para pelajar akan lebih tahu untuk mengulangkaji mana-mana bahagian yang dirasakan mereka masih belum kuat dalam ingatan.

Guru-guru seperti Puan Nora sendiri tidak ingin memberi tekanan kepada para pelajar dengan teknik mengulangkaji separa formal. Biar pelajar-pelajar mengulangkaji sendiri untuk menimbulkan suasana santai. Jika ada masalah yang memang tidak dapat diselesaikan sesama sendiri, mereka dialu-alukan ke bilik guru untuk meminta penerangan dan penjelasan daripada mana-mana guru berkaitan subjek yang tidak mereka fahami.

Untuk hari-hari terakhir seperti itu, guru lebih banyak membuang masa di kelas-kelas corot. Kelas yang sedia tahu dan cemerlang seperti kelas Mariah hanya dijenguk sesekali kerana guru-guru yakin murid-murid di kelas itu mampu menjalankan sendiri aktiviti mengulangkaji saat-saat akhir seperti itu.

“Semua hadir hari ini?” Soal Puan Nora sambil membuang pandang ke wajah anak-anak muridnya. Mengitari seluruh ruang bilik darjah untuk memastikan semua pelajar hadir pada hari itu.

“Semua hadir cikgu.” Mardziah yang berada di depan mewakili kawan-kawan menjawab.

“Hanifah dan Sabariah mana? Tak nampak pun.”

“Dia orang ada perjumpaan dengan mentor.” Mardziah bersuara lagi.

Puan Nora terangguk-angguk. Kemudian menanda sesuatu di buku kedatangan. Menghitung-hitung sesuatu di situ kemudiannya.

“Macam mana study, okay?” Puan Nora bertanya sekadar ingin mengetahui perkembangan terkini.

Study okey cikgu, exam yang tak tau lagi,” jawab Nadirah berjenaka.

“Kamu takut tak lulus Nadirah?”

“Lulus tu rasanya memang boleh lulus cikgu, tapi untuk skor A semua subjek tu yang rasa susah sikit.”

“Kamu kena yakin pada diri sendiri. Kalau awal-awal dah cakap susah sikit, benda tu macam dah termaktub pula dalam mentaliti kamu, itu yang sering buat kamu gagal tu.”

Nadirah tersengih-sengih.

“Kamu Mariah, yakin semua A?”

“Yakin seratus peratus cikgu.”

 “Ini yang saya nak dengar.”

Seratus peratus. Itu aku memang yakin, tapi apa guna keputusan yang secemerlang itu andai tiba-tiba ayah cakap dia sudah tidak mampu menyara persekolahan aku? Mariah pening mengingatkan hal itu kembali.


BAB SEMBILAN BELAS
Rindunya! Jerit hati Mawar.

            Memang dia sudah rindu benar kepada Faisal. Sungguhpun demikian mereka telah berjanji sejak sebulan lalu, Mawar dan Faisal harus menghentikan aktiviti dating dan bergayut mereka untuk memberi laluan kepada Faisal menghadapi peperiksaan. Mawar pun kembali menggunakan khidmat Ghani untuk menghantar dan mengambilnya pulang dari sekolah. Ikutkan hati Mawar enggan mematuhi janji itu, begitupun demi memikirkan masa depan Faisal dan keinginan Faisal untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran dia terpaksa merelakan.

            Tapi hatinya? Uh, hati memang tidak dapat dibohongi!

            Hatinya yang begitu merindu Faisal memang sengsara benar dengan perpisahan sementara itu. Pada awal Faisal memberikan cadangan itu Mawar menolak sekeras-kerasnya. Dia memberontak sehingga ibu bapanya dapat mengesan perubahan sikap Mawar. Tambahan pula Mawar jarang keluar rumah seperti sebelumnya. Muka pula cemberut dua puluh empat jam. Ke sekolah malas. Tunjuk perasaan konon.

            “Ni kenapa sayang? Papa tengok moody aje, problem?” Tanya Kamarul sambil memeluk bahu Mawar penuh kasih sayang.

            Ketika itu Mawar sedang melayan perasaan di tepi kolam ikan yang terletak di belakang rumah. Mukanya memang cemberut. Mawar tidak mengendahkan pertanyaan Kamarul. Tangannya bermain-main dengan air.  Sesekali mengusik ikan-ikan talapia merah, hitam yang sedang berenang senang. Bertempiaran ikan-ikan berenang menyelamatkan diri, mungkin ketakutan ditangkap tangan Mawar yang tergagau di dalam air.

            “Dah tak mau cakap dengan papa? Tak mau kongsi problem dengan papa?” Kamarul masih belum berputus asa memujuk buah hatinya.
            “Semua okey pa.”

            “Papa tak percaya, kalau semua okey, muka sayang tentu tak macam ni? Gaduh dengan Faisal?”

            Huh, dia sebut pula nama Faisal. Menambahkan lagi rindu yang sebu aku ni. Papa ni memang sengaja mahu bangkitkan rasa rindu aku saja.

            “Hah, ni memang sah, sah sebab Faisal ni,” ujar Kamarul lagi apabila melihat perubahan wajah Mawar apabila disebut nama Faisal.

            “Papa, please jangan sebut nama dia, boleh?”

            “Aik, kenapa lain macam ni? Biasa excited gila kalau dengar nama Faisal. Memang anak papa tengah gaduh dengan buah hati ni,” kata Kamarul lagi sambil mengemaskan pelukannya.

            “Bukan pa, kami tak gaduhlah. Cuma Faisal tu yang sengaja nak sakitkan hati Mawar, buat perjanjian bukan-bukan.”

            “Perjanjian apa pulak?” Kamarul menunjukkan minat untuk mengetahui. Sekadar mahu menjadi pendengar masalah Mawar sebenarnya.

            “Itulah, dia nak exam, dia minta kami berjanji untuk tak keluar sama sebulan dari tarikh dia exam hingga dia habis exam. Bukankah tu zalim namanya?”

            Kamarul ketawa kecil mendengar aduan Mawar. Ingatkan apalah tadi. Kamarul seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak faham betul dengan sikap anaknya yang senang dan mudah benar naik angin walaupun disebabkan perkara sekecil itu.

            “Papa ni, ketawakan Mawar pulak...”
            “Bukan papa sengaja nak ketawakan Mawar, tapi papa rasa lucu jugak sebab Mawar tuduh Faisal zalim. Pada papa itu okeylah. At least dia ada keinginan untuk fully concern terhadap dia punya study. Apa pula zalimnya? Mawar lagi zalim kalau paksa dia keluar jumpa Mawar pada saat-saat macam ni. Dibuatnya dia kantoi sebab tak cukup preparation gara-gara nak penuhi keinginan Mawar, bagaimana?” Duga Kamarul.

            Mawar mendongak menatap wajah ayahnya. Pandangan mata mereka bersatu. Mawar dapat lihat keikhlasan di situ. Sungguhpun demikian dia masih enggan menerima kata-kata Kamarul.

            “Dia masih boleh study kalau jumpa Mawar. Kami boleh ke library.”

            “Ya lah, memang boleh ke library, tapi boleh betul-betul concentrate ke kalau buah hati ada kat sebelah? Papa dulu kalau buah hati dah ada kat sebelah, hati menggelinjang nak berbual saja.”

            Mawar diam. Dalam hatinya memang mengiyakan kata-kata Kamarul. Selama ini pun memang begitulah kalau mereka belajar bersama. Lima belas minit pertama memang khusyuk habis, kemudian buku yang terkuak di depan mata langsung diabaikan. Mereka mula bercakap soal entah apa-apa. Soal domestik yang biasanya dibualkan oleh pasangan bercinta usia itu. Soal yang biasanya lebih banyak mimpi daripada realiti. Soal buang masa semata-mata.

            “Mawar nak ke buah hati Mawar dapat result teruk?” Soal Kamarul kemudiannya pula.

            “Tentulah tak mau. Nanti seluruh sekolah cakap semua tu mesti sebab asyik sangat main cinta, padahal sebelum ni Faisal berada dalam tangga top five daripada segi akademik.”

            So?” Kamarul masih ingin menduga Mawar. Keningnya dijongketkan sebelah.
            Mawar menggaru-garukan kepalanya. Kata-kata papa memang masuk akal. Mawar menjilat bibirnya yang kerengsaan. Bicara mati buat seketika. Kamarul masih menunggu jawab.

            “Papa, papa memang suka kat Faisal tu?” Mawar kemudian mengubah topik perbualan.

            Wajahnya sudah sedikit lain. Hilang cemberutnya.

            Kamarul tersenyum.

            “Papa suka siapapun kawan Mawar as long kamu berdua pandai membawa diri.”

            Senyum Mawar melebar. Dia dapat lihat bahawa hubungan dengan Faisal sudah direstui oleh papa dan mamanya.

            “Cuma papa nak ingatkan. Pandai-pandai bawa diri. Jangan sampai mengabaikan pelajaran. Mawar masih muda benar. Baru tiga belas tahun. Papa umur Mawar dulu belum pandai nak kawan dengan lawan jenis.”

            “Zaman sekarang mana boleh nak dibandingkan dengan zaman dulu pa. Kami lebih advanced.”

            Advanced pun janganlah sampai tak ingat study.”

            E, sejak bila pula papa dah bersalin kulit dengan mama ni?

            “Ha, kenapa muka tu?” Kamarul sengaja mahu mengusik Mawar apabila menyedari air muka Mawar sudah kembali ke versi asal.

            “Papa tu. Bercakap macam selama ini Mawar abaikan study.”
            “Papa cuma mahu mengingatkan sebelum Mawar jadi macam tu. Papa mau Mawar banggakan kami.”

            “Kami?”

            “Kami, mama dan papa.”

            “Ohh, itu papa jangan risau. Mawar memang tak pernah lupa tanggungjawab Mawar.”

            Kamarul tersenyum. Mawar memang celik akal, petah berkata-kata dan menjawab walaupun umur masih muda benar. Betullah anak-anak zaman sekarang memang terkedepan sikit. Diam-diam Kamarul memang mengakui akan hal itu.

            Segala-galanya memang nyata berbeza. Dulu lain, sekarang lain. Dia jika dalam usia Mawar masih bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa dalam mengaturkan hidupnya. Tidak punya keinginan sendiri. Semuanya diuruskan. Dia tidak tahu apa-apa.

            Mawar?

            Anak itu memang banyak keinginan sendiri yang selalunya tidak boleh dibantah. Sudah tahu mengatur masa depannya walaupun belum tentu aturannya itu baik.

            Kamarul merapati Mawar, memeluk bahu anaknya dengan penuh kasih sayang. Separa berbisik dia bersuara, “Papa mahu Mawar banggakan kita semua. Mawar harapan kami kerana Mawar satu-satunya anak kami.”

            You can count on me pa!” Mawar berkata penuh yakin.

            Kamarul mengukirkan senyuman untuk kesekian kalinya lagi seraya mencium ubun-ubun Mawar bagi menterjemahkan rasa kasihnya terhadap anak itu. Mawar membalas dengan menghadiahkan sebuah ciuman ke pipi Kamarul. Mereka saling bertilikan buat seketika sebelum Kamarul mencuit pipi Mawar. Sengaja mahu mengusik anaknya.

            “Papa ni, sengaja nak buli Mawar...” gerutu Mawar dalam suara manja.

            Kemudian mereka ketawa bersama.

            Ketawa tanpa menyedari dari atas balkoni rumah Khalida asyik memerhati perlakuan mereka dua beranak. Hati Khalida tersentuh lain dan bergalau. Kegalauan hati Khalida sudah lama terjadi sejak Mawar makin meningkat dewasa dan manjanya makin menjadi-jadi setiap kali bersama Kamarul. Bukan Khalida dengki, tapi ruang hatinya tiada siapa dapat selongkar dan membaca rahsia yang terkunci rapat di situ.

            Apa saja perasaannya setiap kali melihat kemesraan antara Kamarul dan Mawar juga menjadi suatu rahsia yang tidak tahu sampai bila mampu untuk disembunyikan. Sungguhpun demikian, Khalida mengakui dia sakit setiap kali menahan diri daripada menceritakan rasa hatinya yang sebenar ekoran kemesraan dua beranak itu.

            Mawar. Mawar memang mampu membuatkan otak Khalida berpusing ligat dua puluh empat jam. Tujuh hari seminggu. Empat minggu sebulan. Dua belas bulan setahun. Uh, pening. Memang banyak pening jika Khalida terus memikirkan persoalan Mawar. Walaupun kehadiran Mawar banyak mengusir mimpi ngeri Khalida, dalam masa yang sama anak itu juga banyak mencipta rentak resah dalam jiwanya.

            Dulu, suatu ketika sering mendesak agar dibawa pulang ke kampung kerana terdorong oleh cerita kawan-kawan. Apabila usia makin meningkat dan keseronokan pulang ke kampung hilang diganti keseronokan lain dalam hidupnya, keseronokan seperti berpeleseran bersama kawan-kawan misalnya, Mawar juga masih mampu menambahkan pening Khalida. Kali ini dalam corak yang berlainan pula. Khalida tahu keresahan dan kegalauan itu memang suatu masa akan menghambatnya seiring dengan usia Mawar yang semakin meningkat dewasa. Begitupun Khalida memang tidak pernah sekali pun menemui cara untuk menghalau rasa resah gelisah yang begitu senang sekali menerjah dalam dirinya. Ah, kalaulah masa boleh diputar!

            Kalau masa boleh diputar, apa yang Khalida akan lakukan?

            Khalida menelan ludah. Memikirkan kalaulah masa benar-benar boleh ditukar, apa kemungkinan langkah yang bakal diambilnya? Apakah dia sanggup mengambil langkah yang boleh mengundang risiko kepada dirinya sendiri?

            Khalida sememangnya banyak memikirkan  segala kemungkinan yang bakal berlaku. Kedudukannya di mata Kamarul dan keluarga Kamarul, kebahagiaannya. Segala-galanya. Semuanya ternyata membuatkan dia gagal untuk berfikir dengan baik. Dengan baik walaupun sekiranya masa boleh diputarkan kembali.

            Khalida lebih mengutamakan kepentingan dirinya. Natijahnya, inilah. Sekarang inilah. Kerana keputusan yang diambilnya tiga belas tahun dahulu, dia menerima natijah sebegini. Dihambat dan dihimpit rasa bersalah dan berdosa. Khalida tidak menyangka kesilapan yang dilakukannya suatu masa nanti akan menyebabkan dirinya terbelenggu oleh seksaan batin yang maha sarat. Mentak itu merupakan salah satu daripada hukuman yang terpaksa ditanggung oleh Khalida berikutan terlalu mementingkan kedudukan dan kepentingan diri semata-mata.

            Khalida menelan ludah sekali lagi. Kemudian tunduk lagi memandang ke bawah. Kamarul dan Mawar masih di sana. Berbual-bual dalam kondisi yang mesra teramat. Khalida melepaskan keluhan lagi.

            Dia benar-benar kacau.

            Mawar. Anak itu terlalu kenes. Terkadang cengeng. Selalu pula memberontak. Malah akhir-akhir itu Mawar seakan memilih antara dia dan Kamarul. Khalida bukan berprasangka, bukan juga prejudis, tapi itulah hakikat. Intuisinya mengatakan Mawar lebih senang bersama papanya berbanding dirinya sendiri. Semasa Mawar masih hingusan, sikap memilih antara mama dan papa tidak begitu ketara, demikianpun apabila usia semakin meningkat Khalida makin dapat melihat perkara itu.

            Uh, itukah sebabnya selalu timbul rasa kacau teramat dalam diri Khalida melihat kemesraan antara Kamarul dan Mawar? Sementelahan pula Kamarul jarang punya masa-masa senang untuknya seperti yang selalu dihabiskan bersama Mawar.

            Khalida mengetap bibir. Teringat suatu masa Kamarul pernah mengugut untuk berkahwin lain andai Khalida gagal memberikan dia paling tidak seorang zuriat. Kini Khalida kembali memikirkan perkara itu. Kehadiran Mawar sememangnya banyak menyelamatkan. Lalu adakah andai tiada Mawar, dia akan dikesampingkan terus dalam hidup Kamarul?

            Jika itulah. Jika itulah hakikatnya bermakna cinta Kamarul terhadapnya tidaklah sekuat mana. Cinta Kamarul bersyarat. Cinta sejatikah jika memerlukan syarat seperti itu? Malahan itu secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa Kamarul boleh berpaling arah bila-bila masa. Kini pun hubungan mereka tidaklah serapat seperti awal-awal perkahwinan dulu.

            Keluhan dilepaskan lagi. Mata masih menunak ke bawah. Menangkap imej batang tubuh Kamarul dan Mawar yang masih bergurau senda. Entah apa melucukan sehingga mereka kelihatan sesekali ketawa bersama. Dan Mawar tentunya dengan aksi manja yang sesekali meneruja Khalida.

            Khalida memejamkan matanya. Mawar anak manja yang ayu. Keayuannya makin terserlah seiring dengan usianya yang makin meningkat.

“Anak awak ikut wajah siapa ya? Nak kata awak tak, nak kata papanya pun tak.” Itu komentar seorang kenalan.
Komentar sebegitu biasa diutarakan setiap kali Khalida membawa Mawar ke majlis makan-makan bersama. Khalida sakit setiap kali gegendang telinganya diterjah komentar sedemikian. Mentak yang mengomen ikhlas. Tapi Khalida tidak suka teramat akan komen sedemikian. Bimbang komen-komen sedemikian sampai ke telinga Kamarul dan Kamarul mula membuat penelitian. Takut kalau-kalau Kamarul syak Khalida pernah melakukan makar semasa ketiadaannya menyebabkan Mawar tidak seiras mereka berdua.

“Mawar ikut wajah arwah ibu saya!” Sering Khalida memaktubkan begitu.

Dia hairan kenapa persoalan wajah Mawar ada masanya seakan-akan menjadi suatu polemik tidak rasmi di kalangan kawan-kawan. Mereka seolah-oleh mempertikaikan kesahihan hubungan Khalida dan Mawar hanya kerana paras mereka berbeza. Mereka mengungkit-ungkit kecenderungan Khalida kehilangan anak setiap kali melahirkan. Menjadikan itu suatu isu berbangkit setiap kali mempersoalkan rupa paras Mawar. Secara lebih jelasnya, mereka seakan kurang percaya Khalida mampu mendapat zuriat setelah berkali-kali menemui kegagalan. Sejarah luka Khalida itu diungkit-ungkit.

Khalida bimbang. Bimbang Kamarul juga menaruh syak bukan-bukan. Paling takut jika dikatakan Khalida pernah bermain kayu tiga semasa ketiadaannya. Takut dikatakan dia menjalinkan hubungan dengan lelaki lain setelah penyatuan benih mereka berdua tidak membuahkan hasil memberangsangkan. Oh tidak! Khalida takut jika memikirkan perkara itu. Tambahan apabila Mawar semakin dewasa semakin ketara  perbezaan wajah mereka.

Pun memikirkan Kamarul dan rata-rata saudara sekeliling masih ingat bahawa empat belas tahun lampau Khalida memang mengandung dan melahirkan, hati Khalida sedikit lega. Persetankan rupa paras Mawar yang sedikit lain. Itu perkara biasa. Tidak semestinya seorang anak harus mengikut paras rupa ibu bapanya walaupun teori sains mengatakan kemungkinan itu terlalu tinggi. Teori sains tidak mampu untuk menafikan kedudukan Khalida sebagai seorang ibu kepada anaknya. Khalida memaktubkan begitu untuk menyenangkan hatinya. Fikirannya dibawa jauh sekali lagi.
“Kenapa ni sayang?”

Suara itu mengejutkan Khalida yang sedang melayan perasaan. Sepantas itu juga dia menoleh. Mengarahkan retina menatap pemilik suara.

“Eh, sejak bila abang kat sini? Tadi Lida lihat bukan main seronok kat bawah melayan tuan puteri tu,” kata Khalida. Membiarkan soalan Kamarul tidak berbalas.

Sumpah dia tidak sedar bila masa Kamarul berada di sisinya. Matanya sempat dijulingkan ke kolam ikan di bawah sana. Mawar juga sudah tidak kelihatan.

“Tengok, abang datang pun tak sedar. Lida fikir pasal apa? Balik kampung?”

“E, abang ni tetiba tanya soal balik kampung, kenapa? Lida ingat Mawar dah besar ni soal balik kampung tak akan diutarakan lagi. Tak sangka pula hari ini abang sendiri yang akan bangkitkan soal balik kampung.”

Kamarul tersengih melihat isterinya terusik mendengar persoalan itu. Fobia benar mendengar perkataan kampung padahal dia anak jati kampung. Huh, pelik benar perangai isterinya yang satu itu. Semacam ada suatu sumpahan membuatkan dia langsung tidak ingin pulang ke kampungnya. Bertahun-tahun. Tidak terasakan Khalida ingin menjenguk kampung yang pernah membibitkan nostalgia kepadanya? Masakan dia mahu melupakan terus tempat tumpah darahnya. Sekurang-kurangnya ingatlah kenangan-kenangan bersama kawan-kawan sepermainan semasa kecil-kecil dahulu.

“Lida, kenapa belum terbuka hati nak pulang?”

“Bukan tak terbuka hati bang, cuma tak ada sebab nak pulang ke sana. Jalan ke kampung Lida pun Lida dah lupa. Bukan setahun dua bang, dah hampir sepuluh tahun.” Khalida berkata sambil bermain-main dengan rambutnya dan pandangan dilontarkan jauh ke depan.
Kamarul mengakui. Mereka telah berpindah dan menetap terus di Kuala Lumpur sejak usia Mawar tiga tahun. Sejak itu Khalida tidak pulang-pulang ke kampungnya.

“Dah bang, elok-elok Mawar diam soal balik kampung abang pulak nak jadi budak kecik, merungut tak tentu pasal soal balik kampung. Menjemukan betul,” kata Khalida menambah sebaik melihat bibir Kamarul sedikit terbuka tanda bersedia untuk berkata-kata.

Kamarul melepaskan keluhan. Kemudian dia memeluk bahu isterinya. “Kalau itu yang boleh buat Lida gembira.”

“Papa, mama belum siap lagi?” Soal Mawar yang muncul tiba-tiba.

Khalida kehairanan mendengar soalan Mawar. Dia memandang Kamarul meminta penjelasan.

“Abang janji dengan Mawar tadi untuk bawa dia keluar jalan-jalan.”

“Hah, pergilah.”

“Lida pun ikut sekali.”

“Abang janji dengan Mawar, bukan dengan saya.”

“Ish, sejak bila pula awak berperangai macam budak-budak ni Lida. Tadi cakap abang berperangai macam budak-budak. Sekali Lida pun serupa saja.”

Khalida memuncungkan wajahnya. Sekali sempat dijulingkan matanya ke arah Mawar yang tercegat memerhatikannya. Entah mengapa dia merasa sakit hati melihat Mawar. Dia merasakan Kamarul melebihkan anak itu berbandingnya. Walhal semalam puas dia memujuk Kamarul supaya mereka sekeluarga keluar makan-makan dan jalan-jalan pada hari itu, Kamarul menolak. Tup-tup hanya kerana Mawar Kamarul berubah fikiran.

“Awak ni, dengan anak sendiri nak jealous. Itu belum  kalau saya kahwin lagi seorang.” Kamarul bersuara seakan dapat membaca isi hati Khalida yang sedang bergumam.

“Hah, awak masih ada keinginan untuk kahwin lagi seorang?”

Kamarul tidak mengendahkan soalan Khalida. Dia tersengih penuh makna. Sengaja mahu menyakitkan hati isterinya. Kemudian tanpa ada keinginan untuk memujuk dia berpaling dan mendapatkan Mawar.

“Bersiaplah kalau nak ikut, kami tunggu kat bawah.”

Dengan kata-kata itu Kamarul berlalu meninggalkan Khalida terpinga-pinga. Khalida memang bengang benar diperlakukan begitu. Dia ingin menjerit sebagai tanda protes. Tapi dirasakan terlalu keanak-anakan jika dia bersikap sedemikian.

Huh, Mawar!











BAB DUA PULUH
Cuti akhir tahun. Sekali lagi musim tengkujuh. Cuma kali ini tengkujuh tidak lagi menjadi igauan ngeri bagi pasangan suami isteri, Mokhtar dan Azizah. Tidak seperti tahun-tahun sudah, menyambut kedatangan musim tengkujuh kali ini memang ada banyak bezanya. Inilah pertama kali dalam sejarah hidupnya mereka menghadapi musim tengkujuh tanpa ada rasa takut keputusan bekalan makanan. Biarpun Mokhtar tetap tidak boleh melakukan kerja-kerja rutin sepanjang tengkujuh, dia tidak begitu gementar menghadapinya tahun ini.

            Semuanya gara-gara di dapur bekalan makanan lebih daripada cukup sepanjang musim tengkujuh. Di dapur ada beras untuk stok melebihi sebulan, ada gandum, ada minyak masak, ada makanan dalam tin seperti ikan sardin, sambal ikan bilis, sambal sotong dan pelbagai macam lagi buat persediaan menghadapi banjir. Segala-galanya bukan disediakan oleh Mokhtar, sebaliknya Tengku Najmuddin yang bermurah hati mendermakannya. Malah bukan untuk Mokhtar sahaja, beberapa buah keluarga lagi turut dberi oleh Tengku Najmuddin dengan alasan zakat sempena bonus akhir tahun yang bakal diterima awal tahun baru nanti.

            Ketika itulah Mokhtar merasakan betapa mulianya Tengku Najmuddin. Andainya Tengku Najmuddin menjadi pegawai kebajikan di daerah mereka, tentu mudah sekali mereka membuat permohonan bantuan kebajikan. Sayangnya Tengku Najmuddin bukan pegawai kebajikan sebaliknya pegawai daerah. Pegawai kebajikan yang ada sekarang memang susah untuk berurusan. Mokhtar pernah ke pejabat kebajikan untuk memohon bantuan atas cadangan Pak Matlob, malangnya permohonan Mokhtar ditolak dengan alasan Mokhtar tidak mempunyai tanggungan yang ramai.

            Santak itu, Mokhtar tidak lagi ke sana. Malas berdepan dengan sistem korup pihak pejabat kebajikan yang dengarnya pilih bulu untuk memberi bantuan. Memualkan jika diusul tentang kecenderungan Mokhtar dalam memilih parti politik. Pemerintah atau pembangkang. Pada Mokhtar, mengguna akal tidak berpendidikannya, siapapun dia waima penyokong pemerintah atau pembangkang, dia tetap anak Malaysia yang sepatutnya diberi hak kesamarataan dalam menikmati kemudahan yang disediakan. Soal kecenderungan memilih pemimpin tidak timbul kerana negara memberi kebebasan mengamalkan sistem demokrasi. Lainlah jika demokrasi Malaysia terbatas sekadar cetakan dalam buku perundangan semata-mata.

            Uh, Mokhtar memang mual mengingati pengalaman yang dilaluinya di pejabat kebajikan. Pun dia tahu tidak semua pegawai kebajikan bersikap demikian. Sungguhpun begitu, bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Mokhtar yakin masih ada pegawai kerajaan yang berhati mulia dan tahu menjalankan tanggungjawab dengan penuh jujur dan amanah. Lihat saja Tengku Najmuddin. Mengingatkan Tengku Najmuddin Mokhtar terkadang termalu juga. Sungguh tinggi pekerti Tengku Najmuddin.

            Tengku Suzana? Sepanjang musim cuti dan musim tengkujuh itu dia memang tidak bertandang ke rumah Mokhtar. Mariah memahami dan tidak terasa hati. Selain daripada faktor iklim yang tidak menentu, Tengku Suzana terlebih dahulu telah memaklumkan kepadanya akan kemungkinan pergi bercuti ke luar negara. Mengikut Pak Usunya. Dalam masa yang sama boleh melawat abangnya yang menuntut di sana.

            London. Mariah meneguk liur tatkala Tengku Suzana memberitahunya akan kemungkinan ke sana sepanjang cuti. Mariah tidak pernah membayangkan dirinya sendiri akan sampai ke sana. Baginya sampai ke sana merupakan suatu yang mustahil sama sekali. Dapat keluar dari daerah kelahirannya sudah suatu kemujuran yang tidak dapat diucapkan, apatah lagi jika dapat ke London atau mana-mana negara.

            Ah, Mariah tidak mahu berangan jauh. Dia biarkan Tengku Suzana menghabiskan masa cuti dengan caranya dan dia dengan cara dia. Cara seorang anak kampung yang daif dan tidak mempunyai apa-apa. Dia tahu dunianya dan dunia Tengku Suzana memang berbeza sekali. Sebab itulah dia hanya mendengar saja Tengku Suzana bercerita tentang rancangan mengikut Pak Usunya ke London. Dia tidak bertanya apa-apa kerana dia tidak dapat menggambarkan bagaimana London. Malah Singapura sebagai negara jiran terdekat pun mustahil untuk digambarkannya. Dia hanya mengandaikan tentu seronok jika berpeluang ke sana.

            Dan Tengku Suzana sentiasa mendapat peluang itu. Pak Usunya memang sentiasa membawanya jalan-jalan makan angin seandainya musim cuti persekolahan tiba. Ah, betapa beruntungnya lahir dalam keluarga senang seperti Tengku Suzana. Dapat pula bapa saudara yang sayangkan dia. Sementelahan pula bapa saudaranya itu masih bujang walaupun usia sudah tiga puluh lima tahun. Menurut maklumat Tengku Suzana, Pak Usunya mempunyai perniagaan sendiri. Huh, dasar orang meniaga memang hidupnya mewah. Tempiasnya turut dirasakan Tengku Suzana.

            Sesekali Mariah terasa lucu juga apabila Tengku Suzana meluahkan takut andai suatu masa nanti Pak Usunya akan menamatkan zaman bujangnya. Bimbang kalau-kalau Tengku Suzana akan dikesampingkan dan keistimewaan yang selama ini diberi kepadanya akan berpindah milik kepada isteri Pak Usu. Sebab itulah kata Tengku Suzana, saban hari dia sentiasa mendoakan agar Pak Usunya tidak bertemu jodoh.

            Kasihan juga kedengarannya. Mana tahu ekoran doa Tengku Suzanalah menyebabkan santak hari itu Pak Usunya masih menyendiri.

            “Assalamualaikum...” Suara memberi salam mengejutkan Mariah yang sedang termenung di jendela rumah.

            “Waalaikumsalam. Pak Mail jemputlah naik...” balas Mariah seraya menjemput Ismail yang sedang kebasahan di bawah.

            “Tak apa Mariah, aku datang ni nak cari ayah kau....”

            “Nanti kejap saya panggilkan, Pak Mail naiklah dulu, hujan kat bawah tu,” ujar Mariah kemudian ke dapur mendapatkan Mokhtar. Tadi ayahnya memang ada di situ menolong Azizah menghidupkan api dapur.
Ismail hanya mengangguk-angguk. Wajahnya kelat benar seperti ada masalah besar yang ingin disampaikan kepada Mokhtar.

“Hah, Mail. Ada apa?” Soal Mokhtar mendatang sambil membetulkan ikatan kainnya yang hampir terlondeh.

“Pak Matlob Mokhtar...”

“Pak Matlob?” Mokhtar bertanya cemas melihat ada kelainan dalam nada suara Ismail. “Kenapa dengan Pak Matlob?” Mokhtar menyambung soalannya.

Mokhtar mula memikirkan sesuatu yang buruk telah menimpa Pak Matlob memandangkan dua tiga hari lepas Pak Matlob jatuh sakit. Sakit orang tua. Lelah-lelah dan batuk-batuk.

“Dia tenat!”


Suara membaca Al-Quran bergema memenuhi ruang rumah Pak Matlob. Anak isteri Pak Matlob berwajah sugul. Mak Munah bengkak matanya kerana sudah terlalu banyak air bening merembes keluar dari matanya. Anak-anak begitu juga. Masing-masing sudah memberhentikan bacaan Al-Quran masing-masing. Tinggal lagi penduduk kampung menyambung bacaan. Mokhtar termasuk dalam kalangan penduduk yang masih setia meneruskan bacaan Al-Quran. Bersama dengannya Muzamil dan juga Ismail. Saat-saat seperti itu hanya Al-Quran yang boleh dijadikan penawar. Al-Quran mukjizat besar Rasulullah dan juga pedoman ulung masyarakat Islam.

            Azizah dan Mariah duduk di sebelah Mak Munah. Masing-masing tidak bersuara. Suasana memang hening sekiranya tiada bacaan ayat suci Al-Quran dilagukan. Di luar pula hanya bunyi hujan mencurah membasahi bumbung rumah dan bumi. Hujan tidak pernah beradu musim-musim begini. Azizah menunakkan pandangan ke tabir yang terbentang di tengah balai rumah. Di sebalik tabir itu dia tahu ada sekujur tubuh lelaki yang selama ini banyak menabur jasa kepada mereka sekeluarga sudah kaku tidak bernyawa. Azizah mengetap bibirnya. Hatinya memang tersayat sayu. Dia turut tersentuh dan merasa kehilangan yang teramat.

            Arwah Pak Matlob baik orangnya. Terlintas dalam benak Azizah kenapa singkat benar usia Pak Matlob walhal dia tidak pernah mengidap penyakit kronik. Selain batuk-batuk dan lelah-lelah, lazimnya Pak Matlob sihat. Tapi itulah, menurut Mak Munah, doktor mengesahkan kadar oksigen dalam darah Pak Matlob terlalu kurang menyebabkan jantungnya tidak dapat berfungsi dengan baik. Hal itu pula terjadi kerana kegagalan paru-paru memproses masuk oksigen dalam darah memandangkan penyakit lelah Pak Matlob yang berlarutan dua tiga hari itu. Doktor tidak menjamin rawatan lanjut ke atas arwah boleh menyelamatkan arwah memandangkan kadar oksigen dalam darahnya sekadar lima puluh darjah sahaja. Sedangkan untuk seorang dewasa, normalnya ia memerlukan kadar oksigen sebanyak seratus lebih.

            Memandangkan itu Pak Matlob dibawa pulang ke rumah oleh anak-anak. Tidak lama di rumah, Pak Matlob menghembuskan nafas terakhir. Dan mujurlah, Mokhtar anak-beranak sempat bertemu mata buat kali terakhir dengan arwah Pak Matlob. Sungguh sayu Azizah mengingatkan bagaimana pertemuan terakhir antara mereka berlangsung. Arwah Pak Matlob menggenggam erat tangan Mokhtar. Ada kesan air bening di matanya semasa memandang ke wajah Mokhtar. Tanpa sepatah suara. Dia merenung saja Mokhtar. Kemudian Pak Matlob mengucapkan kalimah syahadat perlahan-lahan sebelum menutup matanya di pangkuan Mokhtar.

            Benar, pangkuan Mokhtar. Bukan pangkuan salah seorang anak-anaknya yang seramai lima orang itu.

            Azizah memicingkan matanya. Cuba membayangkan kehidupan dia sekeluarga setelah Pak Matlob dijemput Ilahi. Mentaknya akan berbeza benar. Selama ini Pak Matlob tempat menumpang susah. Azizah memang tidak dapat membayangkan kehidupan mereka setelah ketiadaan Pak Matlob. Pak Matlob sudah seperti saudara mereka. Sentiasa bersedia menghulurkan bantuan jika mereka suarakan kepadanya.

            Selepas ini ke mana mereka mahu mengadu? Mak Munah? Isteri Pak Matlob? Dia memang wanita berhati mulia. Seperti juga Pak Matlob. Sungguhpun demikian taring Mak Munah tidak setajam dan sepanjang taring Pak Matlob berdepan anak-anak. Dia lembut. Berbeza dengan Pak Matlob yang tegas. Anak-anak memang tidak diberi muka walaupun tidak pernah menangankan mereka.

            Apa akan jadi sekiranya anak-anak Pak Matlob yang seramai lima orang itu berpakat untuk tidak lagi menyerahkan tugas menoreh getah di kebun mereka kepada Mokhtar suami isteri? Azizah membayangkan perkara itu dalam benaknya. Dia jadi berdebar-debar. Kemungkinan itu memang ada kerana pernah suatu ketika anak-anak Pak Matlob mengusulkan kepada ayahnya agar kebun getah itu dijual kepada pemaju. Kawasan sekitar kebanyakannya sudah dibuat tapak perumahan. Tinggal lagi tanah Pak Matlob yang masih berhutan getah. Anak-anak membayangkan keuntungan kepada Pak Matlob sekiranya ditolak kepada pemaju. Wang bayaran berganda-ganda untungnya.

            Pak Matlob menolak. Alasannya dia tidak mahu menyekat punca rezeki orang. Selain dia dan Mak Munah, ada keluarga lain berkongsi rezeki daripada hasil kebun getah itu. Pak Matlob ingin benarkan Mokhtar menoreh di situ hingga getah-getah di situ tidak lagi dapat ditoreh. Apabila pokok sudah kehabisan susu, penebangan akan dilakukan dan proses penanaman semula akan berjalan untuk menggantikan pohon getah yang ditebang. Tradisinya begitu lewat bertahun-tahun lalu. Buat masa sekarang, pohon getah masih mengeluarkan susu. Ia masih boleh ditoreh untuk tempoh lima ke enam tahun lagi.

            Pak Matlob yang kini sudah bergelar arwah tidak pernah membayangkan kepada Mokhtar suami isteri akan kemungkinan untuk menolak tanah getahnya kepada pemaju. Arwah Pak Matlob sentiasa memberi keyakinan kepada Mokhtar dan Azizah setiap kali Mokhtar dan Azizah mengajukan  kemungkinan itu. Mereka sekadar inginkan kepastian setelah berkali-kali terdengar ura-ura itu setiap kali singgah di kedai runcit untuk membeli keperluan dapur. Dari sanalah mereka tahu akan hasrat anak-anak Pak Matlob. Pak Matlob sendiri tidak pernah menyuarakannya. Mentak pada fikiran Pak Matlob tiada apa yang perlu dikhabarkan kepada Mokhtar suami isteri.

            Arwah Pak Matlob sering menegaskan keinginan anak-anak untuk mendapat untung berganda tidak akan menjadi kenyataan selagi Mokhtar masih ingin menoreh di kebunnya. Jika Mokhtar enggan, Pak Matlob mungkin akan memikirkan hal itu juga memandangkan dia sendiri tidak berupaya untuk menoreh sendiri tanah berekar-ekar itu. Anak-anak tidak mungkin sama sekali akan sanggup ke kebun menoreh sendiri membantu Pak Matlob. Mereka sudah dapat kerja bagus-bagus di bandar. Sebab itulah mereka tidak kasihkan kebun getah itu. Hanya Pak Matlob masih terkesan sentimetal setiap kali memandang kebun getah itu. Dek kerana itu juga arwah Pak Matlob sayang sangat untuk menjualkan tanah itu biarpun sudah ramai penduduk kampung yang berbuat demikian.

            Kini Pak Matlob telah menjadi arwah. Anak-anaknya berhak menentukan corak pentadbiran dan pengurusan ke atas tanah-tanah itu. Biarpun Mak Munah masih hidup, dia tidak mempunyai kuasa ke atas harta peninggalan arwah Pak Matlob, termasuk juga ke atas tanah-tanah itu. Bahagian Mak Munah hanya kepala mayat. Maksudnya hanya sepuluh peratus daripada jumlah keseluruhan harta. Selebihnya  milik anak-anak. Hukum menetapkan begitu. Jadi atas kuasa apa yang boleh memastikan tanah-tanah itu nanti akan selamat selepas kematian arwah Pak Matlob? Azizah sasau memikirkannya.

            Resah benar Azizah memikirkan keadaan itu. Teringat anak-anak yang masih inginkan perbelanjaan yang besar. Mereka akan kehilangan punca pendapatan paling besar sekiranya anak-anak Pak Matlob memutuskan untuk menjual tanah getah kepada pemaju. Biarpun masih ada tanah sawah, ia bermusim. Penanaman padi di kampung mereka masih setahun sekali, hasilnya pula tidak seberapa. Tolak sewa tanah dan modal racun serta baja, hasilnya tidak mampu untuk menampung perbelanjaan mereka keseluruhan.
            Si Jambul? Jika pun anak-anak tidak mengambil si Jambul, pendapatan mereka sekeluarga tidak boleh digantungkan sepenuhnya kepada si Jambul. Kecuali jika Mokhtar berupaya mendapatkan pelanggan secara kontrak, maksudnya pelanggan yang mempunyai kebun kelapa yang luas dan permintaan terhadap tenaga Jambul sentiasa terbuka. Keadaan itu mungkin menjanjikan pendapatan yang lebih kepada Mokhtar sekeluarga.

            Azizah kalut memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku dan cuba menebak perasaan suaminya juga. Dia benar-benar takut dan bimbang.


Seminggu sudah berlalu sejak tarikh kematian arwah Pak Matlob. Anak-anaknya belum datang bertemu Mokhtar untuk bercakap soal kedudukan Mokhtar. Ternyata Mokhtar juga mengalami tekanan yang sama dengan Azizah. Perkara yang difikirkan Azizah juga turut difikirkannya. Malahan, tekanan yang dialami oleh Mokhtar berganda-ganda berbanding Azizah.

            Dia cuba untuk melihat punca pendapatan lain selain menoreh di kebun Pak Matlob. Semuanya buntu. Mokhtar tidak mempunyai kemahiran lain selain menoreh. Jika sesekali masuk hutan dan menahan lukah di anak air, ia bukannya boleh menjamin pendapatan lumayan. Sekadar menimbal mana-mana terkurang. Mokhtar kemutuan. Diuji begitu benar-benar membuatkan benaknya berputar ligat.

            Kalaulah kemungkinan yang dibayangkan Mokhtar benar-benar terjadi, dia terpaksa meminta jasa baik orang kampung lain agar membenarkannya menoreh di kebun mereka. Hendak tidak hendak Mokhtar memang terpaksa mengintai  mana-mana peluang yang ada. Sementelahan pula tahun depan, jika Mariah mendapat keputusan cemerlang dalam pelajarannya, dia mungkin akan menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh. Untuk peperiksaan sekolah rendah dulu  Mokhtar dan Azizah pernah menghampakan keinginan Mariah apabila memutuskan untuk meneruskan persekolahan Mariah di sekolah biasa walaupun keputusan peperiksaan menunjukkan Mariah layak dan dia memang mendapat tawaran ke sana.

            Kali ini jika boleh Mokhtar tidak mahu melukakan hati anaknya buat ke sekian kalinya. Dia takut semangat anaknya untuk belajar bersungguh-sungguh akan hilang. Selama ini anaknya gigih berusaha untuk mendapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan yang didudukinya tidak kira kecil atau besar. Dia takut kalau-kalau anaknya hilang keyakinan terhadap keupayaannya menyekolahkan mereka.

            Naluri kebapaannya mengatakan Mariah memang akan mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SRPnya nanti. Jika tidak menjadi pelajar terbaik sekalipun, Mariah tentu tersenarai antara pelajar cemerlang.

            Sesekali terlintas dalam benak Mokhtar, kenapa Mariah dan juga Muzamil yang terkenal akan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik tidak pernah ditawarkan biasiswa oleh pihak kementerian pendidikan? Rasa-rasa Mokhtar, anak-anaknya memang layak untuk memiliki keistimewaan itu. Kenapa pihak sekolah juga tidak memainkan peranan membantu anak-anaknya dalam mendapatkan biasiswa dalam masa dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menguruskan hal-hal seumpamanya? Agak malang bagi mereka sekeluarga kerana tidak menikmati peluang sedemikian walhal mereka layak untuk mendapatkannya.

            Entahlah, mungkin nasib mereka memang tersurat demikian. Kalaulah Mokhtar sedikit tahu dalam menguruskan hal-hal sedemikian, Mokhtar akan lakukannya. Sekurang-kurangnya peluang untuk anaknya melanjutkan pelajaran ke tempat sepatutnya terbuka luas. Ah, sebenarnya pihak sekolah yang seharusnya memainkan peranan ini. Mokhtar tahu itu. Dia tahu benar. Jika pihak sekolah sama sekali tidak pernah mahu menyenaraikan nama anak-anaknya sebagai pelajar yang layak mendapat sebarang bentuk bantuan dan imbuhan daripada kerajaan, kriteria bagaimanakah patut ada sehingga membolehkan anak-anaknya mendapat kelayakan itu? Mokhtar memang benar-benar tidak faham dengan sistem yang dijalankan di sekolah dalam hal itu.
Mengapa nama anak-anaknya tidak pernah tersenarai?

            Soalan itu memang selalu bermain dalam benak Mokhtar. Pun Mokhtar tidak pernah menyoal anak-anak akan hal sedemikian. Soal biasiswa atau sebarang bentuk bantuan yang berkemungkinan diberikan oleh pihak kerajaan kepada pelajar cemerlang seperti anak-anaknya tidak pernah diusulkan. Dia bimbang kalau-kalau disalah erti oleh anak-anak. Bimbang anak-anak akan tercium ketidakupayaannya dalam menyarasuap mereka anak-beranak. Itulah paling Mokhtar takutkan. 

            Mokhtar paling takut kalau-kalau dianggap gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna oleh anak-anak. Biarlah. Dia kalau boleh mahu dilihat sebagai seorang bapa yang sentiasa berupaya untuk menyara anak-anak. Dia tidak mahu menunjukkan kelemahan. Menonjolkan ketidakupayaannya. Cukuplah sekali dulu dia mengalah pada keadaan yang mengekang hidupnya. Cukuplah. Dia tidak mahu mengalah lagi kepada sebarang bentuk kekangan. Mengalah bermakna dia harus membayar dengan sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti lagi.

            Dia tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama seperti dia mengalah dalam membesarkan Murni suatu masa dahulu. Dek kerana dia mengalah waktu itu, dia kini berada dalam kekesalan yang amat sangat. Sentiasa hidup dalam keadaan tertanya-tanya keadaan diri Murni sekarang. Itu suatu bayaran yang tidak ternilai pernah dibuatnya. Dek kerana itu dia berjanji dalam apa jua keadaan dia tidak mahu mengalah lagi.

            Hati Mokhtar bagaikan digeragau. Pedih dan ngilu memikirkan kemungkinan yang bakal dialaminya sekiranya tebakannya benar-benar nanti menjadi kenyataan.

            “Ayah, mak panggil makan...” seru Muzamil mendatang.

            Mokhtar sedikit tersentak. Diri bagai direntap dari suatu daerah jauh dan terasing. Semangat kembali dipanggil masuk ke dalam diri. Kenyataan harus didepani walau sepahit manapun ia. Mokhtar bangun. Membetul-betulkan kain pelikatnya. Puntung rokok di bibir diluahkan ke tanah. Sejenak memerhatikan hujan yang masih mencurah-curah di luar. Tiada tanda-tanda hujan akan berakhir.

            “Ayah...” seru Muzamil sekali lagi.

            “Haah, yalah. Yalah. Ayah datang ni.”

            Mokhtar minggat dari serambi rumah. Langkah diatur perlahan-lahan ke dapur.

Di dapur semuanya nampak sudah terhidang di gelegar buluh. Mokhtar menelan ludah. Bukan kecur liur melihat hidangan,  tapi untuk menguatkan semangatnya.  Azizah membuka ruang untuk Mokhtar melabuhkan punggung. Mokhtar memerhati lauk-pauk dan ulam-ulaman yang terhidang depan mata. Semuanya nampak membangkitkan selera walaupun hidangan hanya ala kadar sahaja. Tapi hidangan ala kadar begitulah yang biasanya mampu untuk membangkitkan selera kampungnya.

 “Bang, tadi Zah tengok perteduhan si Jambul dah senget. Bila-bila masa saja boleh jatuh ke bawah.”

“Nanti abang betulkan.”

“Musim hujan ni bang, bimbang Jambul tak tahan sejuk,” ujar Azizah lagi sambil mencapai ikan sepat goreng.

Ikan sepat itu ditangkap oleh Muzamil dari parit belakang rumah. Selain sepat, Muzamil juga berjaya menangkap ikan puyu dan juga ikan haruan. Separuh telah digoreng Mariah untuk hidangan tengah hari itu, separuh lagi masih diperap dengan garam kunyit untuk digoreng malam nanti.

“Jambul tu tak duduk diam. Tu yang selalu nak kena baiki perteduhan dia tu,” komen Muzamil. Tangannya pantas mencedok gulai pucuk ubi kayu.
“Dah namanya pun beruk dik. Dia mana tahu nak duduk diam macam kita,” suara pula Mariah.

 Agak kelucuan mengingatkan bukan main Muzamil marah-marah si Jambul tadi gara-gara Jambul terhinggut-hinggut dan melompat-lompat di atas batang kayu yang dijadikan tempat mengikat talinya.

“Abang, Jambul macam mana?”

“Macam mana apa?” Mokhtar tidak dapat menangkap maksud soalan Azizah.

“Anak-anak arwah Pak Matlob takkan tak ada cakap apa pasal Jambul?”

Mokhtar menghela nafas panjang. Dia memang tidak terlintas tentang itu. Dia hanya fikirkan tentang tanah getah. Jambul? Jambul pun harta arwah Pak Matlob juga, bagaimana kalau-kalau anak-anak arwah ingin mengambil Jambul? Tapi untuk tujuan apa?

“Pasal Jambul abang tak fikir sangat Zah. Anak-anak Pak Matlob bukan berminat dengan Jambul. Abang cuma bimbangkan soal tanah getah. Kan pernah dulu terdengar orang bercakap-cakap, anak-anak arwah minat benar untuk jualkan tanah itu kepada pemaju. Kalau tak kerana Pak Matlob enggan, dah lama tanah itu jadi tapak perumahan macam tanah-tanah sekelilingnya,” beritahu Mokhtar panjang lebar.

Penerangannya membuatkan Azizah dan anak-anak saling berpandangan sama sendiri. Mereka dapat menangkap maksud kebimbangan dalam kata-kata Mokhtar.

Bagaimana kalau kebimbangan itu benar-benar menjadi kenyataan?



BAB DUA PULUH SATU
Keputusan  SRP diumumkan. Seperti yang dijangkakan Mariah telah mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Dia menjadi pelajar terbaik daerah. Mardziah juga cemerlang. Pelajar terbaik sekolah. Manakala Tengku Suzana mengekor di belakang Mardziah.

            Mariah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MRSM. Sekarang mereka sekeluarga masih menimbangkan tawaran itu. Dalam masa yang sama, Tengku Najmuddin sedang berusaha agar Mariah berhak mendapat biasiswa daripada pihak Kementerian Pendidikan. Dia tidak mahu nama Mariah tercicir lagi kali ini. Segala kekorupsi yang ada dalam proses pemilihan nama-nama bakal penerima biasiswa telah dibuat semakan oleh Tengku Najmuddin dengan bantuan kawan, salah seorang pegawai di pejabat pendidikan daerah.

            Mokhtar bukan sengaja ingin menyusahkan Tengku Najmuddin atau melibatkan Tengku Najmuddin dalam masalah keluarganya. Hari itu dia terlancap kata, tersasul mulut meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana anak-anak tidak dipilih bagi menerima biasiswa biarpun anak-anak cemerlang dan mereka pula datang dari keluarga yang susah. Tengku Najmuddin memang terkejut mendengar aduan itu memandangkan biasiswa untuk peringkat itu tidak mengira susah atau senang, asal cemerlang pelajar terbabit pasti layak menerimanya. Malahan sepatutnya Mariah dan Muzamil bukan setakat layak menerima biasiswa kerana cemerlang, malah juga kerana datang daripada keluarga susah. Jadi, sepatutnya mereka menerima dua bentuk bantuan pendidikan di situ.

            Oleh kerana itu Tengku Najmuddin merasakan diri harus memainkan peranan. Dia tidak mahu rakyat termiskin seperti itu ditindas. Sayang. Sayang benar jika rakyat miskin yang berpotensi tinggi dan cemerlang ditindas sebegitu sehingga menimbulkan rasa tertekan lalu memutuskan untuk tidak lagi menyekolahkan anak-anak. Sudahnya negara juga kerugian kerana gagal memiliki seorang lagi calon cendikiawan. Itulah sebabnya Tengku Najmuddin merasakan bertanggungjawab campur tangan walaupun bukan dalam bidang kuasa pegawai daerah. Sekurang-kurangnya dia boleh meminta bantuan kawan yang berada di pejabat pendidikan sebelum ramai lagi anak-anak kampung diberhentikan pengajian gara-gara mengalami nasib yang serupa seperti Mariah dan Muzamil.

            Situasi begitu bisa terjadi di kampung. Terutama di kawasan agak pedalaman seperti kampung Mokhtar. Tengku Najmuddin tidak tahu di mana silapnya. Apapun dia tahu seharusnya ada tindakan dilakukan untuk mengelakkan perkara sedemikian terus berlarutan dan rakyat hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Biasanya keadaan-keadaan seperti inilah membuatkan rakyat mula membuat tanggapan serong terhadap jentera kerajaan dan menganggap orang-orang kerajaan lebih senang untuk menolong khalayak daripada golongan mereka sahaja.

            Berbalik pada tawaran ke MRSM. Mariah sendiri sebenarnya tidak begitu bersedia untuk menerimanya. Dia tidak sanggup untuk berpisah dengan keluarga.  Mungkin pada orang lain Kuala Berang tidak terlalu jauh, tapi tidak untuk Mariah yang tidak pernah berpisah dengan keluarga. Paling berat untuk meninggalkan adiknya Muzamil. Selama ini mereka tidak pernah berpisah. Melakukan apa jua bersama. Tiba-tiba dalam usia itu mereka harus berjauhan.

            Mariah tidak pernah sanggup sebenarnya untuk berjauhan dengan Muzamil. Dia cukup sayangkan adiknya. Dulupun, setiap kali menerima tawaran ke mana-mana sekolah berasrama penuh dia tidak ghairah memikirkannya kerana dia sendiri tidak begitu bersedia untuk ke sana. Dia belajar bersungguh-sungguh selama ini tanpa meletakkan matlamat untuk meninggalkan adiknya seawal itu. Dia belajar bersungguh-sungguh hanya kerana mahu keputusannya cemerlang, biar mampu meneruskan pelajaran.

Bukan targetnya untuk belajar di asrama penuh. Mendapat tawaran suatu yang membanggakan. Begitupun bukan bermakna dia bersedia untuk menerimanya. Tidak pernah bersedia. Tambahan pula dia tidak pernah membayangkan ayahnya sanggup untuk menghantarnya ke sekolah berasrama penuh. Dia bukan tidak tahu ekonomi ayahnya. Selalu saja berada  dalam keadaan meleset.
Tambahan dalam kondisi sekarang, ayah dan ibunya kini berdepan dengan kemungkinan tidak dapat meneruskan kerja-kerja menoreh di kebun arwah  Pak Matlob andai anak-anak Pak Matlob mengungkitkan kembali keinginan untuk menjualkan saja tanah getah itu kepada pihak pemaju sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang kampung bebanyak.

            “Nanti kalau kakak dah tinggal jauh dengan adik, siapa nak tolong adik buat kerja sekolah?” Soal Muzamil semasa Mariah mencari kutu di kepalanya.

            “Ala, kalau kakak ada pun adik bukan bergantung sangat pada kakak setakat nak buat kerja sekolah. Adik memang boleh buat sendiri pun.”

            “Jadi, kakak memang nak pergilah? Adik mesti sunyi nanti.”

            “Jambul ada.” Mariah sengaja mahu mengusik adiknya. Tambahan pula Muzamil memang selalu melayan kerenah Jambul sekiranya Mokhtar tidak membawa Jambul ke mana-mana.

            “Ish, kakak ni. Mana boleh sama Jambul dengan kakak? Dia mana boleh mandikan adik, buatkan adik syampu...”

            “Tapi dia boleh tolong cari kutu kat kepala adik kan?” Mariah mengusik lagi.

            Berderai tawa mereka berdua. Kelucuan mengingatkan kepakaran Jambul dalam bab mencari kutu kepala. Teringat suatu hari apabila Muzamil terpaksa menjerit meminta bantuan bapanya apabila Jambul tiba-tiba melompat ke atas kepala Muzamil dan terus menarik-narik kepala Muzamil bagi mencari kutu di kepalanya. Kebetulan Muzamil memang banyak kutu di kepala. Sakan membiak pula serangga parasit itu.

            “Kakak ni benar-benar nak pergilah ni?” Soal Muzamil kembali dalam nada serius apabila suara tawa lerai.
            “Belum tahu lagi dik. Kakak sendiri tengah fikir. Mak ayah bukan mampu nak hantar kita jauh-jauh.”

            “Tapi hari tu, adik dengar Pakcik Engku nak tolong kita berdua dapatkan biasiswa. Tentu ayah tak ragu-ragu lagi nak hantar kakak belajar kat asrama penuh.”

            “Bila adik dengar mereka bercakap?” Soal Mariah dengan mata membundar besar dan riak wajah excited.

            “Hari tu, masa Pakcik Engku datang hantarkan barang keperluan sekolah untuk kita tu...”

            Mariah mengerutkan keningnya seketika. Dia memang ingat beberapa hari lepas Tengku Najmuddin seisi keluarga ada datang bertandang ke rumahnya. Ketika itu mereka datang untuk menyedekahkan barang keperluan sekolah kepada Mariah dan Muzamil berupa uniform baru termasuk kasut berserta buku-buku dan alat tulis. Termasuk juga sedikit duit belanja dapur untuk Azizah. Mariah memang tidak memasang telinga semasa ayahnya berbual dengan Tengku Najmuddin kerana mereka kaum perempuan sibuk menyediakan makan tengah hari di dapur.

            Tambahan dia sendiri sibuk mahu berbual dengan Tengku Suzana. Bertanya tentang kemungkinan menerima tawaran ke MRSM. Tengku Suzana memang akan menerimanya memandangkan itu impiannya sejak dulu. Begitupun Tengku Suzana berjanji akan sentiasa menghubunginya. Dia sendiri tidak mahu hubungan mereka putus begitu sahaja.

            “Kalau betul Pakcik Engku nak tolong, mungkin kakak boleh melanjutkan pelajaran ke MRSM.” Mariah berkata dalam nada serba salah.

            “Dan kakak pun akan tinggalkan adik, betul tak?” Muzamil sengaja mahu menduga kakaknya.
            “Kakak sendiri berat hati untuk meninggalkan adik.”

            “Tapi belajar kat sana penting untuk masa depan kakak. Kalau kakak mahu teruskan pelajaran kat sini, sekolah kita bukannya menawarkan aliran sains. Kakak mahu meneruskan pelajaran dalam aliran sastera?”

            “Itu bukan masalah dik. Sains atau sastera pada kakak sama saja. Cuma itulah, kakak seronok jika boleh meneruskan pelajaran kat sana. Dalam masa yang sama kakak tak sampai hati nak tinggalkan adik.”

            “Kakak, jangan pula kerana adik kakak abaikan masa depan kakak,” ujar Muzamil. Mula berpaling mengadap kakaknya.

            “Mana pula terabai? Kat sini pun kakak tetap akan meneruskan pelajaran bukan?”
           
            “Kakak, sampai bila?Lambat laun pun kakak mesti harus tinggalkan kampung jika berjaya ke universiti. Sekaranglah masanya untuk kakak biasakan diri. Nanti kena kejutan budaya.”

            “Eh adik ni, tadi kemain bimbang kalau kakak tinggalkan dia. Sekarang beriya-iya minta kakak pergi.”

            “Alah tadi tu acah saja. Nak tengok akak sanggup atau tak tinggalkan adik.”

            “Kakak sampai bila-bila pun tak akan sanggup nak tinggalkan adik. Adik satu-satunya saudara yang kakak ada.”

            Muzamil tersenyum. Kemudian dia memangu di atas kepala lutut Mariah. Cuba mencari tenang di situ. Mariah mengusap-usap kepala adiknya. Sesekali menyelak-nyelak helaian rambut adiknya. Mengesan kalau-kalau masih ada kutu yang merayap. Muzamil kemudian mendongak. Memandang ke wajahnya. Mariah mengukirkan senyuman kepada Muzamil.

            “Kak, kelak pun kita mesti berenggang juga. Kalau adik juga berjaya ke sekolah berasrama penuh dan kakak pula ke menara gading.”

            “Sekurang-kurangnya kita masih ada masa selama dua tahun untuk mempersiapkan diri kita mental dan fizikal.”

            Muzamil mengangguk. Kemudian dia tersenyum sumbing. Mariah hairan dengan senyuman yang terpetia itu.

            “Kenapa dik?”

            “Kita lah. Melucukan.”

            “Kenapa pula melucukan?”

            “Yalah. Mak ayah belum tentu nak hantar kita sampai ke universiti, tapi kita dah berangan-angan untuk ke sana.”

            Mariah kemudian turut tersengih. Memang dia hanyut sekejap tadi. Lupa akan kedudukan diri yang dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan. Jika pun Tengku Najmuddin berjaya membantu mereka mendapatkan biasiswa, berapa sangat yang bakal diperolehi setiap bulan. Itupun pihak sekolah yang menjaga bahagian kewangan akan menyimpan buku akaun. Wang biasiswa itu belum mampu untuk menampung hidup keseluruhan. Hanya boleh dibuat timbal-timbal sahaja. Sudahnya, masih perlu bergantung kepada ayah.

            Mariah mengeluh kemudiannya. Memikirkan tentang kemungkinan ke MRSM. Jika ikutkan ego mahu dia ke sana. Sekurang-kurangnya boleh membuatkan orang kampung sedar bahawa dia adik-beradik memang mampu ke sana. Selama ini khalayak banyak membuat kutukan mengatakan Mokhtar membuang masa menyekolahkan anak-anak. Belum tentu masa depan mereka jika Mokhtar terus membuang duit. Mereka mahu Mokhtar juga seperti mereka, menghentikan persekolahan anak-anak. Sekurang-kurangnya musim menoreh boleh menolong memungut susu, musim padi boleh tolong ke sawah. Atau sekurang-kurangnya menjaga lembu di padang yang makin membiak.

            Mujurlah Mokhtar sebagai bapa Mariah tidak pernah termakan dengan hasutan dan cakapan orang kampung. Mokhtar yakin akan potensi yang ada pada diri anak-anaknya. Lagipun yang bercakap sedemikian biasanya terdiri daripada golongan ibu bapa yang anak-anaknya memang mengejapun tidak cekap biarpun sudah berada di darjah enam. Mereka menyamakan anak-anak Mokhtar, menyamakan Mariah dan Muzamil dengan anak-anak mereka. Mereka meletakkan diri Mariah dan Muzamil seperti kebanyakan anak-anak kampung yang lain.

            Padahal mereka bukan tidak pernah melihat dan mendengar kejayaan beberapa orang anak kampung itu sejak dulu lagi. Mariah masih ingat, semasa dia kecil-kecil dulu Nek Esah selalu menceritakan kepadanya ada beberapa orang anak kampung itu telah menjadi orang besar. Jadi pegawai dan kahwin dengan orang berkedudukan. Sekarang mewah tinggal di bandar. Mariah seronok mendengar cerita Nek Esah. Jika boleh Mariah ingin menjejaki mereka-mereka yang telah berjaya itu.

            Mariah mahu membuktikan kepada orang kampungnya bahawa tidak semua anak kampung beku otaknya. Mereka juga punyai potensi untuk berjaya. Malah lebih berjaya daripada orang bandar sendiri yang kononnya mempunyai tahap pemikiran yang cukup berkembang dan terbuka.

            Orang kampung. Persepsi mereka sering mengatakan yang cerdik dan bijak itu orang bandarlah. Anak-anak kampung seperti Mariah, Muzamil dan kawan-kawan mereka yang lain tidak boleh menjadi cerdik dan bijak setanding orang bandar. Entahlah. Apa yang mereka pandang pada orang bandar pun Mariah tidak tahu. Lalu Mariah ingin membuktikan kepada mereka. Mengulangi sejarah dua tiga kerat anak kampungnya yang pernah melanjutkan pelajaran hingga ke universiti suatu masa dulu.

            Untuk itu, Mariah amat berterima kasih kepada ibu bapanya kerana tidak terjangkit dengan epidemik yang menular dalam masyarakat kampungnya. Jikalau Mokhtar dan Azizah selaku ibu bapanya terjangkit juga epidemik sedemikian, tentu Mariah dan Muzamil sejak dulu lagi ditamatkan persekolahannya. Maklumlah, Mokhtar dan Azizah tidak lebih senangnya berbanding khalayak kampung lain. Mereka malah jauh lebih susah daripada masyarakat bebanyak. Pun begitu, demi melihat potensi yang ada pada diri anak-anak, Mokhtar dan Azizah tidak pernah menghiraukan kekangan ekonomi setakat hari itu.

            Sikap memahami ibu bapa mereka jugalah yang banyak membakar semangat Mariah dan Muzamil untuk meneruskan pelajaran mereka. Mereka berdua tahu, demi memberi peluang mereka belajar, ada masanya Mokhtar dan Azizah sanggup berlapar. Hanya sejak akhir-akhir itu mereka tidak begitu tertekan kerana Tengku Najmuddin dan keluarga sentiasa menghulurkan bantuan. Malah kini Tengku Najmuddin bukan setakat berusaha menolong mendapatkan biasiswa untuk Mariah dan Muzamil, dalam masa yang sama juga mahu membantu mendapatkan bantuan kebajikan untuk Mokhtar seisi keluarga memandangkan Mokhtar memang miskin harta.

            Hidup mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada tanah orang. Menoreh di kebun arwah Pak Matlob, menanam padi dan tembakau juga di tanah arwah. Sesekali menerima upah mengambil kelapa, itupun menggunakan beruk arwah Pak Matlob. Lalu segala-galanya terpaksa dibahagi dua. Kalau pun tidak dibahagi dua itulah, hasil hutan yang dicari Mokhtar dan juga hasil menangkap ikan-ikan di anak air dan di baruh-baruh. Tapi semua hasil-hasil itu kini makin berkurangan sejajar dengan pembangunan yang kian menular di kampung-kampung. Termasuk Kampung Bechah Kelubi.

            “Kakak, kakak kenapa?” Muzamil memegang lengan Mariah apabila si kakak  tidak mengendahkan percakapannya.
            “Hah, apa dia dik?” Mariah direntap dari lubuk fikir.

            “Adik cakap tadi, mak ayah selama ni dah bersusah untuk kita, mampu kah kita balas budi mak dan ayah?” Muzamil kembali mengulangi kata-katanya tadi.

            “Membalas budi? Dik, sebagai anak kita atau sesiapapun tak akan berdaya membalas budi orang tua. Kita tak mampu. Kalau tak percaya tengoklah nanti. Kita tak akan sanggup berkorban sebagaimana orang tua sanggup berkorban untuk kita walaupun keinginan tu ada,” luah Mariah.

            Selama ini memang itu yang difikirkannya. Mustahil untuk membalas budi orang tua setimpal dengan jasa mereka taburkan selama ini kerana mereka bukan berbudi sebenarnya, sebaliknya lebih kepada tanggungjawab. Anak-anak tidak akan melakukan apa-apa untuk menyamai tanggungjawab yang telah mereka lunaskan terhadap anak-anak. Sebaliknya semua itu hanya akan dilakukan jika sudah mempunyai anak-anak sendiri. Apabila sudah mempunyai anak sendiri, barulah masing-masing berpeluang melakukan apa yang pernah dilakukan oleh ibubapa terhadap mereka suatu masa dulu. Sebab itulah tidak pernah ada ibu bapa di dunia ini yang meminta balasan atas setiap perbuatan mereka terhadap anak-anak.

            “Habis kita boleh buat apa untuk menyatakan terima kasih kepada mereka kak?” Muzamil kebingungan dengan kata-kata kakaknya.

            “Jalankan tanggungjawab kita sebagai anak sebaik mungkin. Mereka jalankan tanggungjawab mereka dan kita jalankan tanggungjawab kita. Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa tak sama dengan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak.”

            Pening. Muzamil memang pening bercakap dengan Mariah petang itu. Dia terasa ingin mendapatkan kepastian, namun membantutkan hasratnya. Bimbang kalau-kalau akan menjadi lebih pening lagi.

            “Adik sayangkan mak ayah.”

            “Kerana sayanglah kita harus memainkan tanggungjawab kita sebaik mungkin.”

            “Adik juga sayangkan kakak. Adik akan mainkan tanggungjawab adik terhadap kakak sebaik mungkin.”

            “Iya? Apa tanggungjawab adik terhadap kakak?” Mariah sengaja menduga. Matanya sengaja dibesarkan untuk memberi penekanan kepada kata-katanya.

            “Nanti, suatu masa nanti akak akan tahu dan lihat sendiri.”

            Kali ini Mariah pula pening dibuat Muzamil. Dia mengerutkan keningnya. Ingin meminta penjelasan. Namun Muzamil sudah bangun. Sedia untuk meninggalkannya.

            “Ke mana?”

            “Nak tengok Jambul kat belakang rumah. Tadi ayah pesan sebelum maghrib kasi Jambul makan.”

            Mariah mengangguk-angguk. Dia memerhati Muzamil melompat turun ke tanah sehingga batang tubuh Muzamil lenyap daripada pandangan matanya. Muzamil sudah tiada. Mariah masih termenung. Memikirkan kata-kata adiknya yang baginya cukup mendalam konotasinya. Kemudian dia juga bangun. Mungkin ibunya di dapur memerlukan bantuannya.

            “Ayah dah balik?” Soal Azizah yang sedang mengupas bawang merah.

            “Belum,” balas Mariah sepatah. Dia mengambil tempat di sebelah ibunya.

            “Ish, lama benar dia ke rumah Mak Munah hari ni. Risau pula mak dibuatnya.”

            “Nak risau apa mak?” Mariah sedikit tidak faham.

            “Pasal tanah getah itulah. Tadi ayah cakap nak pergi berbincang dengan Mak Munah pasal kedudukan kita sebagai kuli mereka. Yalah, arwah Pak Matlob dah tiada, segala apa keputusan kini dibuat oleh anak-anak Pak Matlob.”

            “Jadi mereka nak serahkan tanah pada pemaju?” Mariah sedikit cemas.

            “Itu yang ayah kau nakkan kepastian tu. Dua tiga hari lepas anak arwah Pak Matlob yang sulung ada pulang dan mereka ada bincang dengan Mak Munah soal ini.”

            Mariah termenung. Kalau itu benar-benar terjadi, nampaknya tahun itu tawaran ke MRSM tentu sekali lagi terpaksa dibatalkan. Mak ayah tentu tidak mampu untuk membiayai kos Mariah belajar di sana meskipun Mariah mampu mendapatkan biasiswa nanti. Mariah menarik nafas panjang-panjang sebelum melepaskan keluhan yang amat berat.

            Tak apalah. Aku pun belum tentu nak ke sana. Sekurang-kurangnya aku dah dapat tawaran tu. Pergi atau tak cerita lain.

            “Kenapa Mariah?” Soal Azizah melihat anaknya termenung.

            “Tak ada apa-apa mak...” Mariah menjawab pantas. “Mak nak masak apa malam ni?” Soalnya kemudian untuk mengelakkan diri terus digasak oleh persoalan demi persoalan.

            “Masak cendawan busut.”

            “Cendawan busut? Emh, sedap tu mak. Mana mak kutip?”

            “Ayah kau pergi ke hutan siang tadi.”

            Mariah mengangguk-angguk lagi.  Dia sudah membayangkan dalam benaknya keenakan cendawan busut sekiranya dimasak bersama lada hitam dan dicampur sedikit daun cekak manis. Memang membangkitkan selera. Tambahan jika dijamu bersama ikan kekek kering. Mariah memang gemar maskaan sedemikian. Lagipun bukan selalu dapat makan cendawan busut. Cendawan itu hanya tumbuh sesekali saja. Ayah rajin ke hutan, dapatlah mereka merasa cendawan busut.

            Tiba-tiba timbul rasa sayu dalam hati Mariah mengenangkan ayah sering ke hutan. Tuntutan hidup membuatkan ayah harus sentiasa memikirkan jalan untuk meningkatkan pendapatan hidup mereka sekeluarga. Kasihan ayah. Mariah bertekad suatu masa nanti dia akan pastikan ayah dan ibu tidak lagi perlu bersusah payah untuk mencari sesuap makan.

            Mariah benar-benar bertekad!















BAB DUA PULUH DUA
“Jadi, bagaimana keputusan Mak Munah bang?” Tanya Azizah sambil tangannya ligat menjahit baju kurung yang ditempah jiran.

            “Bagaimana apa lagi? Dia menyerahkan segala-galanya kepada anak-anak. Dia tak ada hak katanya.”

            “Takkan dia tak simpati dengan kita? Kita bukan setahun dua toreh getah kat kebun tu.”

            “Dia tak boleh nak buat apa Zah. Tanah tu dah jadi milik anak-anak. Tapi dia ada cakap, selagi proses pertukaran hak milik belum selesai sama ada daripada nama arwah ke nama anaknya hingga ke nama anaknya kepada pemaju, selama itulah kita boleh terus menoreh di situ.”

            “Berapa lama pula bang?”

            “Abang tak pasti. Tapi abang ada tanya Engku Najmuddin hari tu. dia cakap proses ni makan masa panjang juga.”

            “Sekurang-kurangnya?”

            “Adalah lima enam bulan. Entah abang tak pasti.”

            “Bagaimana nasib kita agaknya lepas ni? Pasti makin tertekan.”

            “Zah jangan cakap macam tu. Rezeki ada mana-mana. Lagipun anak-anak nanti akan dapat biasiswa. Kurang sikit bebanan kita.”

            “Pasal tawaran ke sekolah asrama penuh tu bang?” Azizah membangkitkan hal itu.
Bimbang kalau-kalau suaminya terlupa. Besar keinginan hatinya jika Mokhtar bersetuju menghantar Mariah ke sana selepas acap kali melepaskan peluang itu.

Mokhtar berdehem halus. Azizah menanti jawapan daripada suaminya. Tangannya terhenti menjahit. Matanya tunak pada wajah suami.

“Abang kalau boleh tak ingin menghampakan anak-anak. Tapi Zah tahulah, kalau Mariah dapat biasiswa sekalipun, kita belum tentu mampu menyara pengajian di sana. Berapa sangat biasiswa di peringkat sekolah ni. Lainlah kalau dah berada di universiti nanti.”

“Jadi?”

“Nanti kita bincang dengan Mariah. Kalau dia sendiri memang teringin sangat ke sana, kita ikhtiarkan,” kata Mokhtar kemudiannya.

Dia sebenarnya berat untuk membuat keputusan kali ini. Sudah acap kali benar dia menolak tawaran bagi pihak anaknya sebelum anak-anak sendiri membuka mulut. Dia kalau boleh tidak mahu lagi membuat keputusan sendiri. Dia tidak mahu melukakan dan membunuh keinginan anak-anak.

“Kita tak punya banyak masa bang. Kan tarikh mendaftar diri minggu depan.”

Mokhtar termenung sejenak. Dia merenung isterinya. Dia dapat merasakan harapan pada nada suara Azizah.

“Kalau macam tu, cuba Zah panggilkan Mariah. Kita tanya dia sendiri.”

Azizah pantas bangun. Menyelinap ke belakang tabir tempat Mariah tidur. Kini tabir tidur Mariah dan Muzamil sudah diasingkan sejajar dengan usia masing-masing yang sedang meningkat dewasa. Sudah remaja. Tidak elok anak-anak berlainan jantina tidur bersama.

“Mariah, ayah nak cakap sikit dengan Mariah.”

Mariah yang sedang membaca buku memandang ibunya. Kemudian dia menutup buku yang sedang ditatap. Mengekor ibunya dari belakang.

“Duduk Mariah.” Mokhtar seakan mengarah.

Mariah akur. Wajah ayah dan ibu ditatap berselang-seli. Silih berganti.

“Ayah nak tanya pasal tawaran ke sekolah berasrama penuh. Mariah nak terima tawaran tu?”

Mariah tunduk seketika. Dia sebenarnya tidak menduga kali itu ayah akan bertanya keputusannya sendiri. Kebiasaannya Mokhtar yang akan menentukan segala-galanya.

“Mariah nak?” Azizah pula mengulangi soalan suaminya.

Mariah mengangkat wajah. Tidak tahu jawapan apa yang patut disuarakannya.

“Mak dan ayah bagaimana?”

“Kami serahkan pada Mariah sendiri. Kalau Mariah nak, kami akan ikhtiarkan.”

“Mariah gembira kalau mak dan ayah izinkan Mariah terima tawaran tu. Mariah berterima kasih,” tutur Mariah perlahan sekali. Dia tunduk lagi. Bimbang untuk menyatakan hal sebenar.
“Jadi, ini bermakna Mariah setuju?”

Menggeleng.

Mokhtar dan Azizah berpandangan. Terkesima dan hairan. Mereka memang tidak menduga sama sekali Mariah akan menggelengkan kepalanya. Menggeleng tanda tidak ingin. Mariah tidak teringinkah untuk meneruskan pelajaran ke sana?

“Kenapa Mariah? Bukankah selama ini Mariah susah payah belajar untuk ke sana?”

“Tak mak, ayah. Selama ni orang belajar hanya untuk membolehkan orang meneruskan pelajaran tak kira di mana. Asal boleh terus belajar. Matlamat Mariah universiti. Buat masa ni Mariah belum bersedia untuk berpisah dengan adik dan juga mak, ayah.”

“Mariah sedar apa yang Mariah katakan ni?” Azizah melanjutkan soalan lagi.

Mariah hanya mengangguk.

“Tak ada sebab lain Mariah?”

“Tak ada sebab lain ayah.”

“Atau Mariah merasakan ayah tak mampu menyekolahkan Mariah di sana?” Mokhtar sedikit cuak.

“Bukan soal tu ayah. Mariah bukan tak tahu selama ini ayah dan mak sanggup buat apa saja untuk terus menghantar kami ke sekolah. Tapi Mariah sendiri tak sanggup. Mariah tak berani nak berpisah dengan mak dan ayah dalam usia semuda ini,” kata Mariah. Menerangkan sejelas-jelasnya. Bimbang ayah salah faham.
“Mariah tak rasa dengki kawan-kawan ke sana? Tengku Suzana dan lain-lain lagi tentu menerima tawaran ini dengan hati girang.”

“Mereka lain. Mariah tak pandai nak berdikari macam mereka.”

“Mariah tak menyesal?”

Mariah memandang ibunya. Kemudian menggeleng.

“Mariah pikir habis-habis dulu. Masih ada masa untuk Mariah berfikir sebab tarikh melapor diri minggu depan.” Mokhtar berpesan.

Mariah mengangguk. Tapi dalam hatinya dia memang telah membulatkan tekad.

“Pergilah masuk tidur dulu. Besok nak sekolah pula.” Mokhtar akhirnya mengarahkan begitu.

Mariah bangun. Dia tidak berlengah masuk ke tempat tidurnya. Sebelum masuk ke tabir tempat dia melepaskan letih, sempat dijenguknya Muzamil di tabir sebelah yang hanya dipisahkan oleh sehelai kain yang merentang ruang. Muzamil nampaknya sudah kelenaan.

Mariah senyum. Adiknya itu. Dia memang cukup sayangkan adiknya itu. Itulah satu-satunya adik yang dia ada. Dia sudah tidak berharap untuk mendapat seorang lagi adik memandangkan ibu bapanya sudah lanjut usia. Mungkin sudah tidak aktif untuk melahirkan anak lagi. Kalau dulu dia memang berharap untuk mendapatkan ramai adik. Kini tidak lagi. Malah dia sendiri sudah tidak pandai untuk membayangkan kehidupan bersama ramai adik.

 Di tempat tidurnya sendiri Mariah merebahkan kepala ke bantal kekabu yang lama sudah tidak dijemur. Dia memikirkan kata-kata mak dan ayahnya tadi. Tidak semena-mena dia jadi tidak lugu dan sebak. Sungguh besar kasih sayang ibu bapa terhadapnya. Dek kerana kasih sayang itulah mereka nampaknya sanggup untuk melakukan apa saja bagi menggembirakan hatinya.

Air mata Mariah tumpah.

Air mata Mariah laju menitis.

Hatinya benar-benar sendat dengan rasa sebak. Sendat seperti memakai seluar jengki. Rasa tidak selesa benar berada dalam keadaan itu. Pun Mariah menahan esakannya. Bimbang terdengar oleh Mokhtar dan Azizah yang masih bercakap-cakap di balai rumah.

Ibu bapanya memang jarang masuk tidur awal. Terutama Azizah yang mengambil upah menjahit baju kurung orang kampung yang berminat dengan hasil kerja tangannya. Ramai juga yang gemar akan hasil kerja tangan Azizah walaupun dia langsung tidak menggunakan mesin dalam proses menjahit sehelai baju kurung. Semuanya dilakukan menggunakan tangan. Pun masih ramai yang berpuas hati dengan hasil kerjanya yang halus dan teliti.

            Sekurang-kurangnya upah daripada menjahit baju itu dapat juga buat menampung makan minum mereka sekeluarga.


Di sekolah. Rata-rata kawan sedang bercakap tentang tawaran ke MRSM dan lain-lain sekolah berasrama penuh dan sekolah vokasional. Mereka juga sibuk dengan urusan surat pertukaran sekolah dan pengambilan sijil-sijil aktiviti kokurikulum yang mereka sertai sepanjang berada di sekolah itu.

 Mariah hanya mendiamkan diri ketika ditanya bila dia akan mendaftarkan diri. Tidak ingin dia bercakap soal itu. Apabila guru-guru sibuk bertanya bila Mariah mahu dapatkan surat pertukaran sekolah dia hanya menjawab tunggu dulu. Dia sebenarnya mula terugah dengan pertanyaan ibu bapanya malam tadi. Bimbang kalau-kalau orang tuanya sendiri mengharapkan dia agar menerima tawaran ke MRSM. Mana tahu orang tuanya juga ingin berbangga dengan orang kampung yang selama ini mempertikaikan kebolehan mereka dua beradik dalam pelajaran.

            “Mariah, awak belum buat keputusan?” Soal Tengku Suzana semasa waktu senggang antara subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

            “Saya tak pasti lagi Zana. Keinginan untuk ke sana memang ada. Tapi awak tahulah keadaan keluarga saya. Tambahan pula saya sendiri sebenarnya berat hati sangat untuk berenggang dengan adik saya,” luah Mariah dengan wajah sugul dan pandangan yang cukup tidak bermaya.

            “Pasal keadaan keluarga awak jangan nak fikir sangat. Awak kan bakal dapat biasiswa. Semua kita akan dapat biasiswa kalau dah belajar di sana. Mara akan bagi untuk pelajar di bawah tajaannya. Soal berenggang dengan Muzamil, sekaranglah masanya. Kelak pun awak akan meninggalkan dia juga. Kalau ada rezeki mungkin untuk ke U, kemudian awak juga akan berkahwin.”

            “Ish, jauhnya awak berfikir Zana. Saya belum sampai tahap nak kahwin pun,” gerutu Mariah memprotes kata-kata panjang lebar Tengku Suzana.

            “Sekarang memanglah tak. Tapi lambat laun. Takkan awak nak membujang sampai tua?”

            Mariah tersengih-sengih. Terasa gelihati mendengar Tengku Suzana bercakap soal itu. Walhal masih terlalu panjang untuk dia fikirkan tentang hal seumpama itu. Sementelahan pula dia selama ini memang tidak pernah meminati dan menyukai sesiapa. Malahan juga, tiada sesiapapun akan pandang dia dua tiga kali selama ini. Mariah memang tidak mempunyai tarikan langsung. Dia budak kampung comot yang tampil dalam imej selekeh. Tidak hadir dalam pakej menarik.

            Memang dia tidak seperti kawan-kawan lain. Pandai menampilkan diri. Lihat saja Tengku Suzana, Nadirah, Mardziah dan lain-lain kawan perempuan mereka. Tampil menarik memanjang. Kalau boleh setitik peluh pun tidak diizinkan singgah pada wajah mereka, bimbang memudarkan tempelan bedak di muka. Tidak hairan ramai kawan-kawan lelaki yang jatuh hati terhadap mereka.

            Mariah?

            Sesiapapun tidak pernah sukakan Mariah.

            Dan Mariah tidak pernah terkilan.

            “Apa sengih-sengih pula Mariah. I’m serious.”

            I know how serious you are, tapi masa masih terlalu panjang untuk kita bualkan hal sedemikian.”

            “Okey, okey. Berbalik kepada topik asal kita. Saya rasa ada baiknya awak terima saja tawaran ke MRSM.”

            “Awak cakap senang Zana. Awak tak berada dalam kedudukan saya. Banyak yang saya fikirkan.”

            “Tapi Mariah, bukankah itu impian awak? Impian kita.”

            Mariah menelan ludah. Impian. Memang pun. Itulah impian mereka berdua selama ini. Mendapat tawaran ke MRSM walaupun di cawangan yang berlainan. Sungguhpun demikian, Mariah tahu tidak semua impian harus dipenuhi. Ada masanya seseorang itu harus memikirkan banyak perkara sebelum memilih untuk merealisasikan impian selama ini meski impian itu hampir menjadi kenyataan.

            “Impian saya dah tercapai untuk mendapat tawaran ke sana Zana. Saya dah boleh puas hati kerana dah dapat tawaran.”

            “Cukup setakat berpuas hati macam tu saja, tak mahu teruskan?”

            Mariah tunduk. Mengerutkan kening. Tengku Suzana tidak akan dapat merasai apa-apa yang dirasakannya. Tengku Suzana mungkin boleh melihat kesusahan dan kesempitan hidup yang dilalui selama ini hingga mendorong Tengku Suzana seisi keluarga berbuat baik terhadap Mariah dan keluarganya. Begitupun Tengku Suzana sama sekali tidak akan mampu menyelami kemelut dirinya.

            Terutamanya apabila mengenangkan terpaksa berjauhan dengan Muzamil. Aduh. Selama ini mereka berdua melakukan apa saja bersama. Tidak pernah berjauhan walau sehari. Bagaimana Mariah mampu meneruskan hidup tanpa Muzamil? Terakam kembali peristiwa Muzamil dibedal ayah gara-gara Mariah mengambil wang lima puluh sen dari kocek seluar ayah.

            Sehingga kini Muzamil tidak pernah memberitahu hal sebenar kepada emak mereka mahupun kepada Mokhtar sendiri meski dia tahu Mariah yang mengambil wang itu. Malah Muzamil santak hari itu juga tidak pernah menerangkan kepada Mariah kenapa dia sanggup menjadi galang ganti. Mariah memang terharu sungguh dengan tindakan adiknya. Hingga kini dia masih teringat-ingat akan peristiwa itu.

            Semuanya menambah sayangnya kepada Muzamil yang selama ini memang tidak pernah berbelah bagi. Muzamil satu-satunya adik yang dia ada. Dia belum sanggup untuk berjauhan dengan adiknya. Sekurang-kurangnya untuk dua tahun terluang itu dia masih ingin bersama Muzamil. Nanti, kalau Muzamil juga sudah mendapat tawaran ke asrama penuh dua tahun dari sekarang, Mariah mungkin akan bersedia untuk berjauhan dengan adiknya. Kalaupun dia tidak bersedia, dia harus memikirkan kepentingan masa depan Muzamil ketika itu.

            “Apa yang awak fikirkan lagi Mariah?”

            “Awak tak akan faham.”

            “Cuba awak jelaskan, mungkin saya akan faham.”

            “Tak. Biarlah. Lagipun kalau saya teruskan belajar di sekolah ini pun tak jadi hal. Kan Tuan Pengetua mengumumkan sekolah akan membuka aliran sains untuk tingkatan empat pada bulan depan selepas semua guru yang berkelayakan mendaftar.”

            “Awak puas hati begitu?”

            “Ya. Malah saya tetap puas hati sekalipun sekolah hanya ada aliran sastera sampai bila-bila. Bagi saya aliran tak menjadi soal. Janji dapat terus belajar.”

            Tengku Suzana melepaskan keluhan berat. Dia dapat rasakan, di sebalik hati kecil Mariah, dia juga teringin untuk meneruskan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Tengku Suzana tahu, faktor kewangan menjadi masalah terbesar bagi Mariah. Dia takut ayahnya tidak mampu menyediakan keperluan sepanjang dia berada di sana. Maklumlah apabila sudah berada di MRSM, duit poket paling tidak lima puluh seminggu. Belum duit untuk membeli buku rujukan dan belanja lain. Hal-hal sedemikian memang menjadi faktor penarik untuk Mariah melepaskan tawaran.

            “Cuma satu saja Zana, saya harap awak janganlah lupakan saya jika sudah ke sana,” pinta Mariah.

            Pada Mariah, persahabatan yang terjalin antara dia dan Tengku Suzana susah untuk ditukar ganti. Tengku Suzana merupakan insan pertama yang sudi menghulurkan salam persahabatan kepadanya seikhlas mungkin. Selama ini dia tidak pernah mempunyai kawan sebaik Tengku Suzana. Ruang lingkupnya hanya dia dan Muzamil. Dia tidak pernah ditawarkan sebuah persahabatan yang cukup ikhlas sebagaimana yang telah dilakukan oleh Tengku Suzana.

            “Saya berjanji Mariah. Awak pun kenalah balas setiap kali saya kirimkan surat nanti.”

            “Itu dah tentu.”

            Tengku Suzana tersenyum. Dia juga sebenarnya cukup menghargai persahabatan antara mereka. Malah dia akan merasakan suatu kehilangan sekiranya mereka sudah berjauhan nanti.

            “Nanti kalau pulang bercuti saya akan ke rumah awak.”

            “Saya akan tunggu dan lihat awak mengotakan janji awak tu.”

            You’ll see it, my friend. I’ll keep my words.” Tengku Suzana menegaskan.

            Mereka tidak dapat meneruskan perbualan apabila Ustazah Halimah muncul di muka pintu. Buru-buru Tengku Suzana kembali ke tempat duduknya. Mariah pula mengemaskan kedudukan. Bersiap sedia menerima kedatangan ustazah.

            Ustazah Halimah tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan kelas. Sebaik menjawab salam dia terus pergi ke topik pengajaran pada hari itu walaupun dalam minggu-minggu pertama persekolahan, masih ramai guru yang belum memulakan kelas. Tambahan pula dalam keadaan kelas yang mungkin dibubarkan apabila sekolah mula membuka aliran sains pada bulan depan. Ustazah Halimah seperti tidak menghiraukan hal itu. Dia serius dengan tugasnya. Dan memang pun itulah sikap Ustazah Halimah yang dapat dilihat oleh pelajar-pelajarnya. Sentiasa serius dan tegas menjalankan tugas. Konon katanya tidak mahu hari dibangkitkan nanti dia akan dipersoalkan sekiranya gagal menjalankan tugas dengan baik.

            Mariah bagaimana pun tidak dapat untuk menumpukan perhatian kepada topik pengajaran Ustazah Halimah. Fikirannya menerawang jauh entah ke mana-mana. Melekat wajah Muzamil dalam fakulti benaknya. Hatinya sayu andai ibu bapa meminta agar dia menerima tawaran ke MRSM.  Dia benar-benar berat untuk meninggalkan Muzamil.

            Terbayang pula sapu tangan yang sejak dibeli terlipat elok dalam almari. Sejak peristiwa Muzamil dipukul ayah, sapu tangan itu tidak dikeluarkannya. Dia mengalami bebanan perasaan yang amat berat setiap kali dia melihat sapu tangan merah jambu bergambar kucing tersebut. Malah setiap kali dia memandang sapu tangan merah jambu itu, peristiwa Muzamil dibelasah Mokhtar bagai suatu jukstaposisi, ditayang babak demi babak dalam benaknya.

            Sapu tangan itu mula jadi trauma kepada Mariah. Dia sedih dan kesal setiap kali mengenangkan betapa tidak bertanggungjawabnya dia terhadap Muzamil. Lalu kerana itu dia mahu menebus kesilapan itu. Dia mahu sentiasa berada dekat dengan Muzamil untuk menjaga kebajikannya.

            Dia teramat sayangkan Muzamil.









BAB DUA PULUH TIGA
Mariah akhirnya  menolak tawaran ke MRSM. Kebetulan Mokhtar dan Azizah juga telah diberi kata putus oleh Mak Munah bahawa tanah getah arwah Pak Matlob memang akan dijualkan kepada pemaju. Keuntungan berlipat ganda hasil jualan tanah kepada pemaju membuatkan anak-anak tidak dapat menolak tawaran lumayan itu.

            Terdorong oleh tekanan sedemikian, Mokhtar dan Azizah juga tidak langsung memujuk Mariah agar menerima. Tambahan pula Mariah sendiri sudah menjelaskan bahawa sekolah akan membuka aliran sains. Mariah akan meneruskan pelajaran di sekolah asal. Pada Mariah, belajar di mana-mana sama sahaja. Paling penting dapat meneruskan persekolahan. Kalau ke MRSM, subjek yang sama juga akan diajar. Cuma bezanya, gah belajar di sana lebih sedikit berbanding belajar di sekolah biasa.

            Mariah memang merasakan kelainan juga apabila semua kawan-kawan sudah berangkat ke sana. Terutamanya sewaktu Tengku Suzana meninggalkannya. Itulah saat-saat yang paling tidak dapat dibayangkannya. Begitupun dia tidak boleh menghalang Tengku Suzana meneruskan cita-citanya. Tengku Suzana tidak mempunyai apa-apa tekanan dalam hidup. Dia bebas untuk memikirkan tentang keinginan hati dan cita-citanya selama ini. Hidupnya tidak banyak masalah selain pelajaran.

            “Kakak tak menyesal?” Soal Muzamil semasa membantu Mariah menyiapkan batas ubi di belakang rumah.

            “Menyesal untuk apa dik? Kat sini pun kakak masih boleh belajar kan?”

            “Tapi tak sama. Situasinya dan gahnya tentu lain.”

            “Memang lain. Tapi subjek masih sama.”

            “Habis?” Muzamil pening dengan sikap kakaknya sendiri. Dulu beriya-iya membayangkan betapa seronoknya jika dapat belajar di sekolah berasrama penuh.
            “Kat sana tak ada adik...”

            “E, jangan pula kakak nak cakap disebabkan adik kakak tak ke sana...” Muzamil berhenti menyangkul. Matanya tajam ke arah Mariah.

            “Tak bolehkah kalau kakak katakan memang sebab adik kakak tak sanggup nak ke sana?” Mariah sengaja menduga. Dia mengelap sedikit peluh yang merembes di dahi.

            “Kakak  jangan nak buat adik rasa bersalah.”

            “Hemhh, adik memang salah satu puncanya. Kakak rasa tak sampai hati nak tinggalkan adik. Kakak tak boleh nak bayangkan kalau dah berpisah dengan adik. Semua kakak bayangkan.”

            “Kakak bayangkan apa?”

            Mariah tidak menjawab. Baginya Muzamil tidak perlu tahu apa yang dibayangkannya. Bukan perkara muluk-muluk. Sebaliknya banyak yang menyentuh hati. Dia bayangkan jika sudah berada di sana, tentu makanan yang dimakan juga lain dengan makanan rumah. Dia rasanya tidak tertelan jika mengenangkan adik dan ibu bapa di rumah makan entah apa-apa. Tidak. Dia tidak boleh.

            Lagi dia bayangkan. Jika di sana, dia tentu akan memerlukan belanja yang besar. Duit biasiswa Mara tentu tidak cukup untuk menampung banyak perkara. Lalu dia akan meminta daripada ibu bapa di kampung. Di sana dia tidak akan tahu kesusahan di kampung. Dia hanya tahu meminta sahaja. Bagaimana kiranya ibu bapa di kampung terpaksa bergolak-bergadai untuk memenuhi permintaannya? Jika berada di rumah bersama-sama mereka, Mariah boleh melihat dan tunggu masa sesuai untuk memberitahu akan keinginannya. Atau mungkin menggunakan wang biasiswa sendiri memandangkan jika di rumah wang biasiswa boleh dijimatkan penggunaannya. Mariah banyak fikirkan soal kewangan walaupun pada orang lain ia mentak persoalan remeh-temeh. Biarlah. Mereka, orang sekeliling dan khalayak bebanyak bukan tahu apa tentang erti kesusahan.

            Dalam pada itu juga, Mariah tahu dia juga tidak boleh selalu pulang ke rumah setiap kali cuti tiba untuk menjimatkan kos. Jika pulang akan memakan belanja pergi dan balik. Tambahan pula dia tidak tahu untuk pulang sendiri. Jika minta ibu bapa menjemput, kos akan menjadi berganda-ganda, makin menyulitkan. Sudahnya dia harus tunggu sampai tamat pengajian. Itulah Mariah tidak sanggup. Dia tidak boleh berlama-lama tidak bersua muka dengan keluarganya. Selama ini mereka tidak pernah berjauhan, alih-alih kerana dia sudah meneruskan pelajaran di sana nanti, dia harus membiasakan diri dengan semua itu.

            Lagipun apa dia nak buat seorang diri di asrama?

            Siapa pula yang akan menemaninya?

            Siapa yang akan menyediakan makan-minumnya?

            Di mana dia mahu mendapatkan bekalan keperluan sepanjang tempoh bercuti?

            Ah,segala-galanya rumit untuk otak muda seperti Mariah yang sebelum ini belum biasa dengan keadaan sedemikian. Dia jenis yang tidak mampu berdikari. Dia tahu. Lalu dia putuskan untuk menolak tawaran ke MRSM. Jika ada rezeki lain kali sahaja. Lain kali itu tentunya tawaran ke menara gading. Usia ketika itu juga sudah membolehkan diri menjadi sedikit berani.

            “Kakak, cakaplah. Diam pula dia...” Muzamil mendesak. Geram melihat Mariah hanya membisu.

Mariah pula tercegat macam patung cendana. Di tangan masih memegang cangkul. Terkebil-kebil memandang ke arah Muzamil.
            Sementara itu di rumah, Mokhtar yang baru pulang dari memetik buah kelapa bersama Jambul terus ke dapur untuk mendapatkan segelas minuman apabila Azizah tidak menyedari akan kepulangannya kerana asyik menghidupkan api di dapur untuk menjerang air masak.

            “Anak-anak mana?” Soal Mokhtar kepada Azizah.

            “Kat belakang. Tengah sudahkan batas ubi keledek.”

            “Mariah tak ada cakap apa-apa pasal tawaran ke MRSM?”

            “Cakap apa lagi. Dia kan sudah tolak tawaran tu.”

            “Mana tahu, kalau-kalau dia menyesal buat keputusan begitu. Atau dia sebenarnya tak tergamak nak susahkan kita?”

            “Tak ada pula. Cuma saya ada terdengar setiap kali dia bercakap-cakap dengan Muzamil, katanya dia memang berat hati nak tinggalkan Muzamil.”

            “Takkan hanya sebab Muzamil.”

            “Tak tahulah bang. Itulah yang saya dengar. Tapi kalau memang itu alasan Mariah, memang ada munasabahnya. Mereka berdua memang rapat sejak kecil. Tak pernah berenggang. Kalau berenggang pun itulah, kerana masa sekolah lain-lain. Seorang pagi, seorang petang. Balik sekolah terus melekat hingga masing-masing masuk tidur.”

            “Abang tahu mereka berdua memang rapat dan itu tak mustahil.” Mokhtar meletakkan gelas yang digunakan ke atas para.

Dia kemudian duduk bersila di gelagar dapur. Memerhatikan isterinya buat kerja. Dia menelan ludah yang terasa melekat di kerongkong.
“Abang cuma takut dia menolak tawaran sebab tak yakin dengan kesanggupan abang, Zah.”

Azizah berhenti meniup api. Pandangan dihela ke wajah suaminya yang nampak kacau. Dia faham maksud kata-kata suaminya. Selama ini Mokhtar memang takut jika dianggap gagal menjalankan tanggungjawab. Dia pernah gagal sekali dulu. Kegagalan itu membawa pada penyesalan sehingga saat itu. Mokhtar memang bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi.

“Mariah dan Muzamil saja harapan kita. Tak ada lain lagi.”

“Abang jangan lupa Murni.”

“Murni?Awak ingat kita boleh nak harapkan dia?”

“Sekurang-kurangnya kita boleh tumpang berbangga jika dia juga berjaya.”

“Hidup mati dia pun kita tak tau Zah.”

“Abang! Kenapa abang sampai tergamak cakap macam tu?”

“Salah saya cakap ni Zah? Kita memang tak tau apa-apa pasal Murni. Mana dia sekarang pun kita tak tahu. Kalau kita tahu boleh juga kita intai-intai dia. Tengok apa cerita dia sekarang kalaupun tak boleh nak dekat dengan dia.”

Azizah diam. Cakapan suaminya memang masuk akal. Sungguhpun demikian dia tidak suka apabila Mokhtar menggunakan istilah ‘hidup’ atau ‘mati’. Pada Azizah, dia yakin Murni masih bernyawa dan kini selamat dalam jagaan keluarga angkatnya. Malah dia melalui kehidupan yang jauh lebih senang berbanding mereka di sini.

“Abang, bagaimana rupa Murni sekarang agaknya? Sama tak macam Mariah?”
“Entahlah. Abang pun tak boleh nak bayang. Masa kecil dia memang tak ikut wajah siapa-siapa. Baik kita berdua atau Mariah. Muzamil jauh sekali.”

            “Abang fikir, adakah kita jadi begini sekarang sebab kita pernah tolak rezeki suatu masa dulu?”

            “Maksud Zah?” Mokhtar sebenarnya faham. Dia hanya inginkan penjelasan.

            “Yalah. Kita sampai sekarang hanya ada dua orang anak. Ada masanya Zah fikir semua ni hukuman sebab dulu kita pernah serahkan anak kita pada orang lain dan tak sanggup nak bela sendiri.”

            “Zah, suatu masa dulu abang juga pernah fikir macam Zah. Hari ni abang dah buang anggapan begitu. Tuhan jadikan tiap sesuatu ada hikmahnya. Semua ni bukan rancangan kita, tapi ketentuan Ilahi.”

            “Tapi Zah sering merasakan demikian. Zah kalau boleh ingin anak seramai mungkin.”

            “Semua tu bukan kerja kita. Tak salah tanam impian. Tapi kalaupun tak jadi kenyataan kita jangan fikir bukan-bukan.”

            “Murni bagaimana agaknya bang?”

            “Maksud Zah?”

            “Dia tahu pasal kita?”

            Mokhtar terdiam. Mustahil dia mampu menjawab soalan itu sebab dia sendiri tidak tahu. Cuma nalurinya mengatakan Murni tidak tahu apa-apa tentang mereka berdua. Kalau Murni tahu sudah tentu dia juga ada keinginan untuk pulang bertemu keluarga kandungnya. Atau jangan-jangan Murni marah sebab tindakan mereka menyerahkan dia kepada keluarga angkat? Mokhtar menarik nafas dalam-dalam.

            “Abang ingat, dia mau mengaku kita orang tua dia tak andai suatu masa nanti kita berpeluang bertemu Murni kembali?”

            “Kenapa Zah tanya macam tu?”

            “Abang lupa, kita serahkan Murni dulu kepada anak Mek Kalsom yang kerja pegawai tu. Tentu hidup mereka mewah dan senang-lenang. Murni biasa hidup mewah dan kenal orang senang sebagai mak ayahnya. Takkan dia tak malu nak menerima kita.”

            “Sebab itulah kita harus berdoa agar Murni menjadi anak solehah. Jika dia menerima pendidikan agama secukupnya, dia tentu boleh menerima apa saja kenyataan hidup termasuk siapa kita.”

            “Zah memang tak pernah lupa doakan Murni bang...”

            “Baguslah. Cuma...”

            “Cuma apa bang?”

            “Budak-budak berdua tu. Bolehkah mereka faham akan tindakan kita dulu?”

            Azizah mengetap bibir. Mokhtar sering takut jika anak-anak salah anggap terhadapnya. Dia takut anak-anak melihat dia sebagai seorang bapa yang gagal memikul tanggungjawab dan tidak mampu menjadi seorang bapa yang sempurna.

            “Mariah dan Muzamil anak-anak yang baik.”

“Abang tahu, mereka memang anak-anak yang baik.”
“Mereka juga sanggup berkorban antara satu sama lain.”

“Maksud Zah?”

“Mariah, sanggup tak ke sekolah asrama penuh kerana Muzamil.”

“Muzamil?”

“Muzamil? Emh, pengorbanannya mungkin sudah lama, tapi Zah masih ingat.”

“Apa yang telah Muzamil buat untuk kakaknya?” Mokhtar memang ingin tahu.

“Muzamil sanggup menanggung kesalahan kakaknya sekali gus menerima hukuman atas kesalahan yang tak dilakukannya.”

Mokhtar berkerut kening memandang ke wajah isterinya. Dia gagal menangkap cerita lama di sebalik kata-kata isterinya untuk dihubung-kait dengan persoalan yang sedang dibualkan mereka.

“Abang ingat suatu masa dulu? Abang pernah pukul Muzamil sampai dia demam.”

Mokhtar berkelip berkali-kali seperti cuba memanggil balik segala peristiwa lama. Nah, ternyata dia masih ingat peristiwa itu walaupun sudah lebih tiga tahun berlalu. Dia mengangguk.

“Mariah yang mengambil duit sebanyak lima puluh sen tu, bukan Muzamil.”

Muka Mokhtar serentak berubah mendengar kenyataan yang langsung tidak pernah diketahuinya.  Matanya dikecilkan. Dadanya sedikit bergelombang. Ada marah, ada kesal. Isterinya menelan ludah. Dia dapat mengesan Azizah sedikit kegelisahan. Kemudian Mokhtar melepaskan keluhan berat. Peristiwa lama, wajarkah dia menghukum Mariah gara-gara kesilapan lama?

“Abang jangan marahkan Mariah.”

“Tapi kenapa Zah tak pernah buka mulut selama ini?”

“Zah tak mahu tengok anak-anak kena penangan abang lagi. Cukup-cukuplah Muzamil kena. Zah tak sanggup nak lihat.”

“Lain kali...”

“Ya, lain kali Zah tak akan rahsiakan apa-apa daripada abang,” potong Azizah cepat.

“Tapi, mana Zah tahu semua ini? Mariah cakap?”

“Masing-masing tak buka mulut bang. Zah terdengar mereka bercakap-cakap.”

“Mariah ni pun satu. Kenapa dia tak minta?”

“Dah bang, Zah bukan nak bangkitkan kemarahan abang, Zah cuma nak ceritakan betapa anak-anak kita sanggup berkorban untuk satu sama lain,” luah Azizah. Mula merasa kesal apabila melihat ada marah tergambar dalam sinar mata si suami.

Niatnya tadi hanya ingin memberitahu sikap kedua-dua orang anak mereka. Lagipun hal itu sudah lama. Sangkanya Mokhtar boleh menerima kenyataan. Mana tahu Mokhtar masih boleh terbangkit marah. Azizah memang sedikit kesal. Azizah memerhati suaminya yang mula hilang suara. Dia makin serba salah. Tidak dapat membayangkan kalau-kalau naik saja Mariah ke rumah nanti, belakang anaknya akan dilibas oleh Mokhtar. Azizah mengetap bibir. Menyalahkan diri sendiri.
“Zah tak pernah tanya Mariah kenapa dia buat macam tu?” Mokhtar menyoal akhirnya. Kali ini nada suaranya sudah sedikit menjunam. Kendur.

“Tak. Zah tertunggu-tunggu dia berterus-terang. Tapi nampaknya dia lebih suka meluahkan segala-galanya kepada Muzamil.”

“Mereka berdua tu...”

“Mereka berdua memang akrabkan bang. Tak boleh nak salahkan mereka. Ada masa mereka merasakan lebih selesa dan senang meluahkan masalah sesama sendiri. Kita ni mereka tak berani sangat nak bawa berbual.”

Mokhtar diam. Mengakui kebenaran kata-kata Azizah. Memang anak-anak tidak begitu berani untuk membuka mulut kepada mereka suami isteri. Tidak seperti anak-anak orang lain yang bebas bercakap apa sahaja kepada ibu bapa. Anak-anak sepatah ditanya, sepatah dijawab. Makin meningkat usia anak-anak makin kurang bercakap dengan mereka. Mokhtar mahupun Azizah memang gagal untuk menebak apa yang ada dalam hati anak-anak.

“Hah, abang dapat banyak hasil memetik kelapa hari ini?” Azizah mengubah topik perbualan.

Sengaja melarikan fikiran Mokhtar terhadap perkara yang mereka bualkan tadi.

“Dalam tiga puluh ringgit. Bahagi dua dengan Mak Munah dapatlah lima belas seorang.”

Azizah diam sejenak. Dia seperti terfikirkan sesuatu.

“Abang tak ada cadangan untuk membeli Jambul daripada Mak Munah?” Azizah akhirnya menyoal demikian kerana merasakan itu sebaiknya.
“Abang ada juga terfikir tentang tu. Tapi buat masa ni abang nak beli sebuah basikal terlebih dahulu.”

“Nak buat apa basikal?”

“Sekurang-kurangnya abang boleh pergi jauh bersama Jambul. Asyik main kat kampung bukan ramai sangat yang ada kebun kelapa. Setakat dua tiga batang tepi rumah adalah.”

“Terpulanglah pada abang, baik pada abang, baik juga pada Zah,” kata Azizah kemudian berpaling mengadap dapur kayu yang sudah bernyala.

“Satu lagi Zah, mungkin mula bulan depan kita akan menoreh di kebun Pak Bahar. Dia dah tanyakan kita. Cuma abang belum buat keputusan sebab nak berbincang dengan Mak Munah dulu.”

“Iya bang?” Azizah kembali menoleh ke arah suaminya.

“Ya. Dia tahu tanah kebun arwah Pak Matlob bakal dijual kepada pemaju. Itu yang dia tawarkan menoreh kepada kita tu.”

“Tapi bang, bukankah Pak Bahar dah tak ada kebun getah? Dia sendiri nampak tak menoreh lagi sekarang.”

“Kat kampung kita memang tak ada. Kat Kampung Tengah tu hah, masih ada dalam tiga ke empat ekar.”

“Sebelum ni siapa yang toreh?”

“Orang sana. Sekarang mereka nak balik tempat asal mereka. Visa mereka dah tamat.”
Azizah mengangguk-angguk. Dia sempat membayangkan hasilnya jika mereka berdua jadi menoreh di kebun getah Pak Bahar. Pendapatan nanti lebih lumayan berbanding di kebun arwah Pak Matlob memandangkan keluasannya lebih sedikit. Sekurang-kurangnya dapat meringankan sikit bebanan perbelanjaan mereka selama ini.

“Bang, nanti kalau dah mula menoreh di situ, dapatlah abang bayar si Jambul pada Mak Munah. Dah jadi milik kita sendiri nanti lainlah sikit bang. Hasil tak perlu bahagi dua.”

Mokhtar mengangguk-angguk. Dia memang ada terfikirkan tentang itu. Cuma dia belum tergamak untuk menyuarakan kepada Mak Munah. Selain modal belum ada, dia juga masih terkenangkan budi arwah Pak Matlob. Jika tidak kerana keikhlasan arwah, Jambul tentu tidak akan dipeliharanya. Malah dia sendiri tidak pernah terfikir untuk menambah pendapatan menggunakan seekor beruk.

“E, bang. Anak-anak masih kat belakang ni. Cuba panggilkan mereka. Suruh mereka mandi. Dah hampir senja ni,” kata Azizah apabila kembali teringatkan anak-anak.

Mokhtar akur. Dia bangun untuk mendapatkan anak-anak. Persoalan tentang Mariah yang suatu masa pernah mengambil duit sebanyak lima puluh sen dari kocek seluarnya lupa buat seketika. Dia berjalan pantas mendapatkan mereka.

Hari makin gelap.








BAB DUA PULUH EMPAT
“Jaga diri baik-baik ya,” pesan Mawar kepada Faisal.

Ucapan itu diucapkan Mawar semasa berkunjung ke rumah Faisal bagi menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat kerana Faisal akan melanjutkan pelajaran ke MRSM. Faisal mengangguk sahaja mendengar ucapan Mawar. Dia tahu Mawar berat hati menghadapi perpisahan itu. Begitu juga dengan dirinya.

“Saya tunggu awak kat sana,” ucap Faisal Asna berjanji.

“Betul?” Duga Mawar. Tentunya sekadar inginkan kepastian.

“Tak percaya?”

“Mana tahu, dah sampai sana, jumpa awek yang cun-melecun terus jatuh cinta.”

“Ish, mana mungkin. Kan hati saya dah jadi milik awak.”

“Lelaki mana boleh percaya lebih-lebih.” Mawar sengaja menarik mukanya sedikit. Biar nampak serius.

“Kalau awak tak percaya kat saya, apa kata kita tunang?”

“Heh, gila awak ni!” Marah Mawar.

Memang dia sedikit geram mendengar saranan tidak masuk akal Faisal Asna. Mereka berdua masih muda. Belum sesuai untuk membuat perancangan seperti itu.

“Marah?” Usik Faisal.

“Malas nak layan awak.” Mawar berlari masuk ke dalam rumah.
Berada di dalam rumah, di tengah-tengah tetamu lain sekurang-kurangnya boleh mengelak daripada berdepan dengan Faisal. Lebih lama dia berbual dengan Faisal, mungkin boleh membuatkan hatinya geram berbaur  sedih kerana bakal berjauhan. Dia belum puas bersama Faisal. Sudahlah sebelum peperiksaan sedikit masa  dahulu mereka terpaksa berenggang, kini mereka harus berjauhan pula.

Ikutkan hati Mawar tidak mahu mengizinkan Faisal ke sana. Macam-macam boleh jadi. Faisal mungkin curang dan mula mengabaikannya. Maklumlah berjauhan. Begitupun, memikirkan itulah cita-cita Faisal selama ini, maka Mawar terpaksa membuka hatinya agar merelakan perpisahan itu. Lagipun ia bukan untuk selama-lamanya.

Kata orang tidak akan lari gunung dikejar.

Masalahnya Faisal bukan gunung.

Faisal  bukan gunung tetapi makhluk bernyawa.

Faisal makhluk bernyawa yang boleh melarikan diri.

Mawar tidak larat untuk mengejar seandainya Faisal Asna melarikan diri.

Aduh. Mawar benar-benar pening dan keresahan!

“Mawar, alah Mawar. Kenapa cepat benar melatah hari ni?” Faisal datang kepada Mawar lalu melabuhkan punggung di sofa, sebelah Mawar.

Mamat ni bukan tau aku tengah tertekan ni. Sakit betul kepala aku memikirkan hari-hari yang bakal aku lalui kalau dia dah tak ada kat KL ni. Aduh, sakit-sakit!

“Mawar, janganlah macam ni. Besokkan saya dah nak berangkat ke Kuala Berang. Tak seronoklah kalau Mawar buat muka cipan macam ni.”
“Cipan? Eh, eh, mulut jaga sikit ya. Saya kemain vogue ni awak cakap muka cipan. Awak memang nak sakitkan hati saya.”

“Eh, saya salah cakap kah?” Faisal menggaru-garu kepalanya.

“Awak memang,” kata Mawar mula dalam nada sebak. Matanya sudah bertakung dengan air bening.

Aik, sejak bila pula minah ni jadi sensitif tahap kepala lutut ni? Faisal Bergumam dalam hati. Dia mula tidak selesa dengan keadaan itu dan merasakan perlu menghentikannya segera memandangkan itu malam terakhir mereka boleh bersama sebelum dia berangkat ke Terengganu.

“Okey Mawar, kalau awak rasa saya bersalah, saya minta maaf. Jangan macam ni. Saya berat hati nak tinggalkan awak kalau awak buat peel macam ni.”

Mawar menjulingkan mata ke arah Faisal. Diri belum datang nafsu bersuara. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah tetamu orang tua Faisal yang sibuk berbual antara satu sama lain. Dalam satu kelompok, kelihatan mama dan papanya asyik berbual sementara dalam kumpulan lain, nenek dan datuknya sakan bergelak tawa. Masing-masing tidak menghiraukan Mawar dan Faisal yang sedang mencipta drama sendiri.

“Mawar, please say something,” rayu Faisal Asna. Dia memang terugah juga Mawar bersikap bungkam seperti itu.

Aku nak cakap apa? Aku pun tak tahu nak cakap apa. Nak suruh dia jangan tinggalkan aku? Itu kerja gila. Kalau aku sekalipun, memang akan tetap menerima tawaran ke MRSM. Semua orang menanam impian untuk ke sana. Ke MRSM samalah seperti ke menara gading selepas SPM. Aku tak mungkin buat begitu kepada Faisal.

“Faisal...” seru mawar akhirnya. Wajah Faisal dipandang tunak.
Faisal membalas renungan Mawar. Sabar menanti Mawar meneruskan kata.

“Kalau dah kat sana, jangan lupakan saya, kay?” Mawar mengulangi lagi. Takut benar jika diri dikesampingkan oleh jejaka idaman.

It won’t be.” Tegas Faisal.

“Jangan cakap saja.”

“Mana boleh saya lupakan awak Mawar? Tak ada sebab.”

“Sekarang memang tak ada sebab, kalau dah ke sana, mungkin akan ada pelbagai sebab.”

“Insya-Allah tak.” Faisal memberi jaminan. Sempat dia mengukirkan senyuman kepada Mawar.

Senyum? Senyuman inilah yang aku selalu terbayang dalam mimpi. Faisal ni memang kacak sangat. Hem, janganlah ada nanti minah-minah kat Terengganu tu minat dia. Alah, setakat minah Terengganu aku tak hairan. Masalahnya, kat sana nanti bukan minah Terengganu saja yang ada, silap-silap Miss Universe pun ada. Bancau, bancau!

Faisal pula: Huh, dia dah mula renung aku macam tu. Selalu dia renung macam tu. Ini yang buat aku tak tahan ni. Mata dia memang mengancam, tambah kalau dah merenung macam tu. Cakap, siapa tak tergoda? Eh, dia yang terlebih runsing aku lupakan dia, dia ingat aku tak takut dia lupakan aku?

“Awak asyik suruh saya jangan lupakan awak, awak sendiri?”

“Awak jangan nak tukar topik. Awak bukan tak tahu perangai saya. Saya bukan suka buang masa tukar-tukar pasangan ni.”
“Hah, awak ingat saya suka?”

Mawar sekali lagi menarik muka masam. Dia pun tidak pasti mengapa cepat sangat dia merasa tersinggung malam itu. Mudah berjauh hati. Padahal biasanya dia jarang nak bertengkar-tengkar dengan Faisal. Tidak pernah dia menarik muka masam setiap kali pertemuan mereka sebelum ini. Malam itu segala-galanya jadi tidak indah.

Mungkinkah Mawar terlalu takut ditinggalkan?

“Mawar, saya minta maaf!” Faisal sekali lagi.

Mawar cuba mengukirkan senyuman. Dia tahu tidak baik dia berlama-lama merajuk tidak tentu fasal seperti itu padahal besok mereka tidak akan bertemu lagi. Faisal akan bertolak ke Kuala Berang. Akan belajar di sana selama dua tahun jika tidak ada aral bahaya. Dia tidak mahu mengisi pertemuan terakhir mereka dengan suasana dingin.

“Awak makin cantik kalau sentiasa senyum begitu...”

Dan kali ini senyuman Mawar makin melebar.

Faisal tersenyum sama. Dia tahu Mawar memang sukakan pujian. Dia silap tadi kerana lambat memuji Mawar.

Mereka kemudian kembali seperti biasa. Berbual-bual dan bergelak ketawa seperti tidak ada apa-apa yang telah berlaku sekejap tadi. Dalam perbualan mereka, masing-masing menyatakan harapan terhadap hubungan mereka. Perbualan hanya terhenti apabila ibu bapa Mawar mengajak gadis itu pulang kerana malam kian tua.

Mawar terpaksa akur dengan ajakan orang tua. Ikutkan hati dia masih ingin berbual-bual dengan Faisal. Begitupun, dia tiada alasan untuk menolak ajakan mereka memandangkan mereka juga tahu tiada apa-apa yang penting sedang dibualkan oleh anak mereka bersama anak tuan rumah.

“Nanti saya telefon awak,” beritahu Faisal perlahan sambil menunjukkan isyarat dengan tangan untuk menghubungi Mawar.

Gadis itu mengangguk-angguk sambil membuntuti kedua-dua orang tuanya yang sudah melangkah meninggalkan ruang tamu rumah Faisal.

Mawar terasa ingin menangis saat meninggalkan perkarangan rumah Faisal. Sebak sungguh. Faisal pula melambai-lambai ke arahnya sehingga kereta lenyap ditelan kegelapan malam.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Mawar langsung hilang suara. Dia termenung jauh memandang ke luar kereta. Memerhati entah apa-apa dalam kegelapan yang maha tepu di luar sana. Langsung tiada nafsu untuk menyampuk isi bual Khalida dan Kamarul.

Khalida mencuit paha suaminya melihat anaknya seperti patung cendana. Kamarul menjeling sekilas ke arah Khalida. Menaikkan kening tanda meminta penjelasan. Khalida menjeling ke belakang kereta sebagai isyarat merujuk kepada Mawar. Kamarul tersenyum. Dia faham. Malah dia faham juga mengapa Mawar membatu seperti itu.

“Kenapa sayang, apa yang tak kena? Papa tengok dari tadi Mawar diam saja.” Kamarul sengaja berbasa-basi dengan Mawar walaupun dia sedia maklum puncanya.

Faisal, pemuda si jantung hati bakal berangkat ke Terengganu besok, masakan Mawar boleh berhati tenteram dan tenang. Sedikit sebanyak keadaan itu memang akan membuatkan diri Mawar terugah.

Mawar tidak menyahut. Hilang nafsu untuk berbalas kata.
“Mawar, Faisal ke sana nak belajar. Bukan suka-suka. Mama percaya dia pun berat hati nak tinggalkan Mawar,” kata Khalida pula tanpa berselindung lagi.

Pun Mawar tidak berbunyi.

Khalida dan Kamarul berpandangan buat seketika. Mula putus asa untuk mengajak Mawar mengisi ruang bual bersama mereka.

Seketika, mereka tidak mengendahkan Mawar. Kembali pada topik asal perbualan mereka dan membiarkan Mawar terus melayani perasaannya sendiri. Nanti kalau sudah lama, Mawar akan biasa juga dengan ketiadaan Faisal. Lagipun bukan Faisal pergi buat selama-lamanya. Dia cuma pergi belajar.

Huh, aneh betul. Usia baru empat belas tahun, tapi kalau bab feeling, mengalahkan orang dewasa. Macam dah tentu sangat akan kahwin dengan si Faisal. Hish, budak-budak zaman sekarang! Gerutu Khalida dalam hati.

Ikutkan hatinya, dia bukan suka sangat Mawar main-main cinta dalam usia itu. Sungguhpun demikian, semua sudah terlanjur. Tambahan pula Faisal anak kawan mentuanya. Jika dihalang Mawar berkawan dengan Faisal pada peringkat awal lagi, bimbang orang tua Faisal akan salah faham dan menganggap mereka pandang serong  terhadap Faisal. Bimbang orang tua Faisal terseliuh hati. Mana tahu, selama ini mereka lihat anak mereka baik, tiba-tiba jika Khalida bertindak begitu persepsi mereka tentu sahaja mengatakan bahawa Khalida tidak percaya pada anak lelaki mereka. Susah juga.

Sekarang Mawar sudah serius dengan anak mereka. Tidak tahulah sampai bila dan sampai tahap mana Mawar dan Faisal akan bawa hubungan mereka. Umur mereka masih muda benar.

Dalam masa yang sama, sebenarnya Khalida seronok juga mengingatkan Faisal sekarang sudah tiada lagi di KL. Tiadalah nanti Mawar keluar saban hari dengan Faisal dan membuatkan ada mulut-mulut tertentu bercakap-cakap di belakangnya. Dia bukan tidak pernah mendengar Mak Nab dan Ghani bercakap tentang anaknya yang bebas diusung lelaki ke sana ke mari tidak mengira masa.

Sebagai ibu Khalida tentunya termakan hati juga. Seperti dianggap tidak pandai menjaga anak sendiri sehingga anak menjadi seberani itu. Walhal jika boleh Khalida sendiri tidak mahu anaknya jadi begitu. Terkenang dirinya sendiri seusia Mawar, bersentuhan dengan lelaki pun tidak pernah, apatah lagi mahu membonceng motor bersama-sama lelaki. Dia ingat pesanan arwah orang tuanya. Lagipun ketika itu dia belajar di sekolah berasrama penuh, diambil pula sebagai anak angkat oleh Puan Juwita yang memang mengambil berat soal tata tertib dan tingkah laku?

Jadi sekarang dia agak kurang mengambil beratlah tentang semua itu? Argh, Khalida bukan tidak ingin mengambil berat dan memberi asuhan kepada anaknya sebaik asuhan yang pernah diterimanya. Masalahnya dia tiada daya untuk berbuat demikian. Dia pun tidak sedar anaknya membesar. Saban hari dia sentiasa sibuk. Tugas menjaga Mawar diserahkan kepada Mak Nab hampir seratus peratus. Sedar-sedar Mawar sudah besar, sudah tahu menjawab jika sepatah dia bersuara. Alihnya Khalida gagal untuk membentuk anaknya sendiri.

Mawar membesar menjadi gadis seperti yang dilihatnya sekarang.

Seorang gadis yang keras kepala dan suka jika orang lain mengikut kehendaknya. Pantang dibantah. Suka merajuk dan entahlah. Khalida pun pening jika memikirkan perangai Mawar. Dia ikut siapa sebenarnya?

Seperkara lagi, Khalida dapat merasakan Mawar seperti tidak begitu menghormatinya sebagai seorang ibu. Jika Mak Nab dan Ghani tidak begitu dihormatinya, mungkin boleh dikatakan kerana Mawar gah dengan kedudukannya sebagai anak pegawai besar dan ahli perniagaan yang berjaya. Lalu Mak Nab dan Ghani tidak dipandang sangat. Tetapi kalau Khalida sendiri merangkap ibunya tidak begitu dihormati, silapnya di mana sebenar?

Apa yang Mawar rasakan sebenarnya? Mengapa semakin meningkat usia Mawar, makin terkesan jurang hubungan antara mereka. Mawar hilang keserasian bersamanya. Adakah Khalida tidak dapat menunjukkan rasa kasih setulus Kamarul melahirkan rasa kasih itu terhadap Mawar? Khalida sering menyoal diri sendiri begitu.

Kehadiran Mawar dalam hidupnya memang sesuatu yang sangat bermakna. Dia sayangkan Mawar, kalau tidak kerana Mawar dia mungkin sudah hilang kedudukan sebagai seorang isteri Kamarul, atau paling tidak akan hidup bermadu.

Kalau tidak kerana Mawar?

Khalida menelan ludah. Adakah kerana dia sering meletakkan syarat begitu menyebabkan rasa sayangnya kepada Mawar  tidak sehebat rasa sayang Kamarul? Khalida sering meletakkan Mawar sebagai penyelamat menyebabkan dia menjadi sayangkan Mawar. Andai kata kehadiran Mawar bukan sebagai penyelamat, mungkinkah Khalida akan bersikap acuh tidak acuh terhadap Mawar?

Khalida tidak tahu. Pada dirinya, dia memang telah memberikan kasih sayang kepada Mawar selayaknya sebagai seorang ibu. Sementelahan dia juga memang inginkan cahayamata dalam rumahtangganya. Hidup tidak berseri tanpa ada anak kecil. Dan kehadiran Mawar memang tepat sekali apabila ketika kehadiran Mawar, Khalida sering teruja oleh pelbagai rencam kesedihan berkaitan kehilangan zuriat.

Khalida ada masanya hilang pertimbangan mengenangkan Mawar. Ada masanya dia lebih senang Mawar terus bergelar bayi. Dia selesa melayan Mawar semasa dia masih berbalut napkin. Mawar tidak banyak kerenah. Banyak tidur daripada menangis. Amat mudah menjaga Mawar sepanjang tempoh berpantang. Ketika itu Khalida sendiri cukup-cukup sayangkan Mawar kerana anak itu tidak mendatangkan masalah kepadanya. Dia memang benar-benar gembira menerima Mawar dalam hidupnya.

Kini apabila masa terus berlalu, Mawar semakin renggang dengannya. Dia sendiri merasakan sedikit kelainan untuk berinteraksi dengan Mawar selayaknya sebagai seorang ibu. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku pada hubungan mereka berdua. Segala-galanya dingin.

Khalida memang tidak tahu apa puncanya.

Dan bersama Kamarul, Mawar biasa-biasa sahaja. Malah terlebih manja adalah.

“Awak ni kenapa sayang?” Soal Kamarul sebaik kereta memasuki ruang parkir.

Ketika itu Mawar sudah keluar dari kereta dan terus masuk ke rumah tanpa menunggu mereka terlebih dahulu.

“E, saya nampak tak okey kah?” Khalida menyoal kembali. Tangannya terhenti daripada membuka tali pinggang keselamatan.

“Awak macam mengelamun. Awak nampak bercakap dengan saya, tapi butir percakapan saya macam tak sampai sangat maksudnya.”

“E, kan saya menyahut tadi.”

“Memanglah. Tapi awak hanya mengiyakan. Awak tak berbalas kata dengan saya. Pelik. Selalunya awak bukan main suka berbalas kata,” beritahu Kamarul.

Khalida tersengih. Dia tidak sedar sebenarnya. Mentak kerana terlalu memikirkan Mawar menyebabkan Khalida langsung terlupa diri sedang berbual bersama Kamarul. Dia cuba menyembunyikan keadaan sebenar. Berlagak biasa depan Kamarul. Kamarul masih merenung wajahnya.

“Ada sesuatu yang mengganggu fikiran awak Lida?”

“Tak ada apa. Mungkin saya penat. Kan saya baru balik dari out station. Dah kena hadiri pula majlis kat rumah orang tua Faisal. Tak sempat nak rehat,” ujar Khalida. Memberi alasan.

Rasanya itu yang terbaik untuk dikatakannya memandangkan dia memang baru balik dari Johor tadi kerana pihak jabatan telah mengadakan lawatan ke sana. Sebagai pegawai, dia tidak terkecuali harus menghadirinya.

Kamarul nampak berpuas hati dengan alasan Khalida. Dia tidak menyoal lanjut. Mereka berdua kemudian beriringan masuk ke rumah. Sebaik masuk ke rumah, sekitaran ruang dalam rumah malap kerana hanya disuluhi sebuah lampu sisi. Kamarul menghidupkan lampu siling. Kemudian mendongak ke atas. Lampu bilik Mawar nampak sudah gelap.

Aneh, cepatnya tidur.

Khalida turut memandang ke bilik Mawar menyedari mata suaminya tertancap di situ.

“Mawar nampak tertekan sangat sebab Faisal akan meninggalkannya.” Kamarul bersuara sambil merebahkan badan ke sofa.

“Itu lebih baik bang, daripada mereka asyik ke hulu ke hilir tak kira malam siang jika masing-masing bersama.” Khalida bersuara sambil membuka tudung kepala yang membuatkan dia rimas sejak tadi.         

Kamarul pula mengerutkan kening melihat Khalida. Hairan. Sejak bila pula isterinya menyimpan rasa tidak suka melihat anaknya selalu keluar bersama Faisal. Selalunya dia nampak biasa-biasa sahaja.

“Awak tak suka mereka berkawan?”

“Suka bukan bermakna harus memberikan dia kebebasan sampai macam tu. Dia masih muda lagi.”

Kamarul mengeluh. Dia tahu, mereka berdua mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani Mawar. Ada masanya Khalida dilihat seakan mengongkong kebebasan Mawar. Pada Khalida ada-ada saja yang tidak kena pada Mawar. Mungkin dia terikut dengan cara didikan arwah orang tuanya semasa dia di kampung dulu.

Tipikal masyarakat kampung. Ada-ada saja!

“Sebagai ibu, saya hanya inginkan yang terbaik buat Mawar, saya bukan ingin mengongkong. Saya cuma ingin terapkan dia asas ketimuran. Moden macam mana sekalipun kita, budaya dan adat resam jangan abaikan. Keluar malam dengan lelaki macam tu bukan budaya kita.”

Kamarul mendengar saja. Khalida sering bercakap soal budaya. Itu dia tahu. Cuma ada masanya Kamarul merasakan, selagi anak tahu menjaga diri, apa salahnya. Biarkanlah. Mawar bukan anak-anak yang tidak tahu berfikir. Dia tahu  mana baik dan mana buruk untuknya.

Kamarul yakin terhadap Mawar!




BAB DUA PULUH LIMA
Masa memang cepat benar berlalu. Mariah tidak sedar pejam celik, pejam celik, dia sudah melewati dua tahun sejak dia menolak tawaran ke MRSM. Kini tawaran datang lagi selepas dia lulus cemerlang dalam peperiksaan SPMnya.  Surat tawaran kini direnungnya. Ingin ditunjukkan kepada ibu bapa. Mereka tentu gembira. Sama gembiranya semasa menerima surat tawaran Muzamil beberapa hari lepas.

            Mereka dua beradik mengekalkan kecemerlangan  walaupun mendapat cemuhan orang kampung yang mendakwa kononnya usaha mereka bersusah payah belajar selama ini sia-sia kerana belum tentu Mokhtar dan Azizah akan menghantar mereka sehingga ke menara gading. Pun Mariah dan Muzamil menganggap segala cemuhan dan nista yang dilemparkan selama ini didorong oleh perasaan dengki akan kejayaan mereka.

            Mariah mengayuh basikal laju-laju untuk sampai ke rumah. Surat dalam genggaman dipegang erat. Tidak sabar rasanya untuk memberitahu khabaran gembira itu kepada seisi rumah. Sebaik tiba di rumah kelihatan Muzamil sedang termenung jauh di tangga. Memang sedang menunggu kepulangannya.

            “Bagaimana kakak?” Soal Muzamil. Dia dapat menebak tentu kakaknya ada khabar gembira ingin disampaikan.

            Raut wajah Mariah dan juga sepucuk surat bersampul coklat di tangan Mariah menguatkan andaiannya.

            “Kakak dah dapat dik...”

            “Iya. Syukurlah. Kat mana?” Muzamil girang. Dia menggapai surat di tangan Mariah tanpa menunggu Mariah memberi jawapan.

            “Paroi. Kakak akan buat persediaan kat sana dulu sebelum berpindah ke Bangi,” balas Mariah sambil mengambil tempat duduk di sebelah Muzamil.
“Kakak dapat tawaran dari UKM...” gumam Muzamil melihat ke dada surat tawaran.

            “Mak ayah sudah pasti gembira. Adik dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh, kakak pula dapat tawaran buat matrikulasi."

            Muzamil mengangguk-angguk bersama senyuman. Begitupun seketika cuma apabila dia sekonyong-konyong teringatkan beberapa perkara. Muzamil mengetap bibir. Kemudian meluahkan keluhan yang amat berat di perdengaran Mariah mendorong Mariah menunakkan pandangan ke wajahnya yang mula ditumbuhi kumis nipis di atas bibir.

            “Kenapa dik?”

            “Kakak ingat mereka akan gembira?”

            “Tentulah. Bukankah selama ini mereka selalu mendorong kita agar belajar sungguh-sungguh hingga ke universiti, kini impian dan hasrat mereka hampir jadi kenyataan. Kakak dah terima tawaran. Sekurang-kurangnya kakak boleh tebus balik semua tawaran yang tak dapat kita terima dulu.”

            “Apa beza dulu dan kini kak? Akak rasa kita boleh terima mana-mana tawaran kini?”

            “Kan mak dan ayah dah janji untuk hantar kita belajar,” ujar Mariah. Mengingatkan janji orang tua mereka.

            Memang Mokhtar dan Azizah pernah berjanji untuk menghantar mereka belajar setinggi mana yang mereka mampu pergi. Mokhtar dan Azizah tidak mahu lagi menyembunyikan hasrat mereka untuk melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran. Mereka tidak mahu mengulangi kesilapan. Dek kerana Mokhtar dan Azizah sering menyembunyikan keinginan mereka untuk melihat anak-anak berjaya, secara tidak langsung mereka juga telah menyembunyikan keupayaan mereka menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak. Disebabkan itu juga anak-anak terdorong untuk menolak tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh.

            Lalu, selepas peristiwa Mariah menolak tawaran, Mokhtar dan Azizah mula mengubah sikap. Tidak lagi memendamkan hasrat. Sebaliknya menyatakan terus-terang keinginan untuk melihat anak-anak berjaya. Juga menyatakan terus terang kesanggupan untuk menyediakan modal bagi membolehkan anak-anak meneruskan pelajaran.

            “Kakak tak kesian mak dan ayah?”

            “Kenapa adik tanya kakak begitu?”

            “Yalah, cuba kakak bayangkan. Tentu mereka pening kepala untuk mencari modal perbelanjaan menghantar kita berdua serentak. Ekonomi mak ayah dulu dan sekarang tak pernah berubah kak. Tambah-tambah sejak Jambul mati. Ayah sendiri mula kurang sihat. Batuk dan lelah memanjang.”

            Mariah terkesima. Hatinya sedikit bergalau. Dia lupa tentang hakikat itu sekejapan tadi kerana terlalu gembira menerima surat tawaran. Kini wajah Mariah berubah mendung. Kepalanya tunduk ke bawah memandang tangga rumah yang sudah usang.

            “Kalaupun mereka boleh usahakan, kakak tak kesian nak tinggalkan mereka berdua? Selama ni kita hidup berempat beranak dalam rumah usang ni,” sambung Muzamil lagi.

            Sekali lagi kata-kata Muzamil membuatkan Mariah berfikir. Dia memang tdiak terlintas langsung akan semua perkara yang disuarakan Muzamil. Dia hanya tahu ingin meneruskan cita-cita dan impiannya yang selama ini banyak tersekat oleh pelbagai perkara. Dia langsung lupa tentang kebajikan keluarganya sendiri terutama mak dan ayah yang sudah semakin meningkat usia. Kesihatan juga sudah mula terjejas seperti kata Muzamil sekejap tadi.

            “Jadi dik, apa patut kita buat? Tolak tawaran ni semata-mata mahu jaga kebajikan mak dan ayah?”

            “Tak. Tak kakak. Kakak jangan salah faham. Kakak berhak untuk menerima tawaran ini. Sudah acap kali kakak menolak tawaran semata-mata kerana memikirkan keadaan keluarga. Kali ini kakak terimalah.”

            “Adik?”

            “Adik juga akan pergi jika pemergian adik boleh mengurangkan beban keluarga.”

            “Ish, apa maksud adik ni? Macam orang main drama pula.”

            Muzamil tersenyum mendengar kata-kata kakaknya. Dia kemudian menggelengkan kepalanya. Menuntut agar Mariah jangan fikirkan bukan-bukan.

            “Adik, cubalah cakap biar terang sikit. Jangan berlapis-lapis.”

            “Alah, kakak jangan runsing. Adik tahu apa yang adik katakan. Adik anak jantan kak.”

            “Yalah. Itu akak tahu, tapi paling tak, jelaskan sikit biar akak faham maksud adik yang sebenar. Adik nak ke mana?”

            “Mana-mana asal boleh membahagiakan kakak.”

            “Hah, itu lagi satu. Kenapa nak sabitkan dengan kakak?”
            “Kakak bukan tak tahu, dalam dunia ni adik ada kakak seorang saja. Mestilah semua tindakan yang adik ambil kerana kakak.”

            “Kalau macam tu, adik kena janji. Andai mak dan ayah sanggup, adik kena terima tawaran tu. Itulah yang boleh membahagiakan kakak. Akak tak ada peluang nak merasa bagaimana sekolah kat MRSM, kalau adik berpeluang belajar kat sana, akak rasa keinginan kakak dulu turut tercapai.”

            Muzamil mengulum senyuman. Kemudian lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya.

            “Kakak tak mau adik sekadar angguk saja. Adik janji kena bahagiakan kakak?”

            “Adik janji. Malah adik akan buat lebih daripada apa yang kakak bayangkan demi membahagiakan kakak.”

            Mariah bahagia mendengar janji si adik. Dia memeluk bahu Muzamil erat demi meluahkan kasih sayangnya secara non-verbal.

            “Jom naik ke rumah. Kakak nak beritahu mak khabar gembira ini.”

            “Mak dan ayah tak ada kat rumah.”

            “Mereka ke mana?”Mariah kehairanan.

            “Melawat orang meninggal.”

            “Siapa?” Mariah dicengkam gelisah.

            “Pak Mail. Dipatuk ular senduk semasa turun menebas ke sawah padi,” beritahu Muzamil sambil bangun mengemaskan ikatan pelikatnya.
            Mariah beristirjaa perlahan. Tidak diduga Pak Mail akan menemui ajalnya melalui cara begitu. Selama ini sawah padi dan kebun getah yang memberi kehidupan kepada Pak Mail seisi keluarga. Hari ini kehidupan di sawah padi itu juga yang merampas kehidupan Pak Mail dan tentu sekali merubah cara hidup isteri dan anak-anaknya pada masa akan datang. Terlalu ironiknya kehidupan di dunia ini.

            Mariah menelan ludah. Susah-susah mereka dua beradik, mereka masih mempunyai ibu bapa yang sedia memberi kasih sayang dan kehidupan sedaya mungkin meski tidak semewah mana kepada mereka. Mariah mengucapkan syukur yang teramat di dalam hati. Juga tidak lupa berseru kepada Ilahi agar dilimpahkan rahmat ke atas roh Pak Mail.

            “E, kakak, apa cerita  Kak Zana?” Muzamil membangkitkan persoalan, sekali gus membangkitkan ingatan Mariah terhadap satu-satunya teman baik yang dia ada.

            “Okey kot. Hari tu dia ada tulis surat kat kakak, katanya dia juga lulus cemerlang dalam exam, dia skor A1 dan A2 dalam kebanyakan subjek kecuali kimia.”

            “Dia dapat apa kimia?”

            “C4. Dia sendiri tak pasti mana silap sehingga dia gagal skor A untuk subjek tu,” beritahu Mariah. Tangannya bermain-main dengan rambut yang mula panjang kembali setelah beberapa bulan lepas dipotong Azizah.

            “Hidup kak, sesekali kena ada dakwat merah, kalau asyik biru memanjang tak seronok juga.”

            “Amboi-amboi adik kakak, makin besar makin pandai berfalsafah.”

            “Kematangan kena seiring dengan kedewasaan kak,” ujar Muzamil. Sekali lagi melontarkan buah fikir yang membuatkan si kakak tersenyum meleret.
            “Jadi, Kak Zana tak cakap apa-apa perancangan dia?” Muzamil bertanya lagi.

            “Apa lagi? Ke oversea lah dia. Itukan cita-cita dia dari dulu. Sambung belajar kat luar negara.”

            “Cita-cita anak orang senang macam dia mudah terlaksana. Tak ada apa dia nak fikirkan. Belajar sungguh-sungguh, keputusan elok, memang pasti dapat ke sana.”

            “Ada juga yang tak dapat result elok tapi boleh ke sana. Kan kat sana kolej swasta berlambakan.”

            Muzamil mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Mariah. Anak orang berharta mudah untuk merealisasikan sebarang impian mereka. Orang tua mampu untuk menghantar mereka ke mana saja. Ke kutub utara atau selatan sekalipun. Tiada penaja, boleh sediakan wang biaya sendiri. Mereka berdua beradik? Sekalipun ada penaja yang sudi memberi mereka biasiswa, belum tentu mereka dapat meneruskan pengajian hingga ke puncak tertinggi. Banyak lagi masalah domestik lain yang harus dan perlu difikirkan mereka.

            Muzamil tahu. Malah sebagai anak jantan pula  lebih besar masalah untuk difikirkan berbanding kakaknya Mariah. Dalam usia enam belas tahun kini, Muzamil sudah bijak untuk membuat perhitungan ke atas banyak perkara. Dia juga tahu hidup ini memerlukan banyak pengorbanan.

            “Kakak, wajibkah seseorang yang cerdik pandai itu ke universiti bagi mendapatkan pengiktirafan atas kebijaksanaan mereka?”

            Mariah terkesima diajukan soalan sedemikian. Dia memang tidak menduga Muzamil akan mengajukan soalan yang cukup ironi seperti itu sedangkan selama ini impian untuk ke universiti selalu mereka bayangkan bersama. Mereka gigih berusaha selama ini pun hanya kerana mahu mencapai matlamat ke universiti. Kenapa pula petang itu Muzamil membayangkan sesuatu yang ironik kepadanya?

            “Adik tak suka kakak ke universiti?” Mariah ragu-ragu dengan sikap Muzamil.

            Wajah Muzamil serta-merta berubah. Tidak menyangka persoalannya akan membuatkan Mariah tersalah anggap. “Tak. Demi Tuhan bukan begitu kak. Malah adik paling bangga sebab kakak dapat masuk U dan adik akan pastikan kali ini tiada apa-apa yang akan membuatkan kakak menolak tawaran ke sana.”

            “Habis kenapa bunyi cakap adik tadi macam ingin mengatakan kepada kakak, tak perlu sebenarnya ke U?”

            “Kakak salah faham tu. Adik cuma ingin maksudkan kalau seseorang yang bijak dalam pelajaran, kemudian dia menolak ke universiti kenapa selalunya orang tak akan nampak dia sebagai seseorang yang pernah cemerlang dalam pelajaran? Orang ramai tak akan pandang dia sebagai orang bijak pandai lagi.”

            “Penyakit masyarakat dik. Mentaliti mereka, orang kita, kalau pandai mesti ke U, kalau ke sawah atau tiap pagi terbongkok-bongkok di pohon getah tu bukan orang pandai meski orang tu pernah dapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.”

            “Tak adil kan.”

            “Tak adil kenapa?”

            “Tak adil bila masyarakat buat penilaian begitu.”

            “Apa nak buat dik? Memang itu penyakit masyarakat. Kita sekalipun, orang akan anggap begitu juga. Kita pula nak jawab bagaimana? Nak tunjuk slip atau sijil exam untuk buktikan kita cemerlang? Tak mungkin kita buat begitu. Sudahnya kita diam saja.”
“Sebab tulah adik nak, kali ni walau apa jua kesusahan dan masalah kakak kena terima juga tawaran ke U.”

            “Kakak pun harap kakak boleh ke sana. Mak ayah dah janji lagipun. Adik pun jangan nak tolak. Kita sekarang ni tak adalah sesak sangat macam dulu. Tambahan pula untuk permulaan ni saja harus keluar belanja banyak. Nanti kalau dah ke sana, kakak akan dapat biasiswa atau paling teruk pun pinjaman. Bolehlah buat belanja kakak kat sana.” Mariah berkata panjang lebar.

            Dia yakin, walaupun ekonomi keluarga masih tidak berubah, masih banyak jalan untuk membolehkan tahun itu mereka berdua melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan yang sepatutnya. Selayaknya dengan keputusan peperiksaan mereka. Mak dan ayah sudah banyak kali memberi jaminan. Sokongan moral sudah ada meskipun dalam bentuk metarial belum terdampar depan mata. Sekurang-kurangnya itu sudah memberikan keyakinan kepada Mariah, impian kali ini pasti akan jadi kenyataan.

            Dulu Mokhtar dan Azizah banyak berdiam tentang sebarang tawaran. Ingin menggesa agar menerima, tapi bimbang modal tiada. Kini walau modal masih entah di mana, mereka lebih senang memberi galakan dan meyakinkan soal kewangan mereka akan uruskan. Lembu yang dua tiga ekor itu mungkin boleh dijual. Mahu menggadaikan tanah itu mustahil. Begitupun sekurang-kurangnya Mariah nampak ada sesuatu yang boleh dijadikan penggantungan atau sandaran untuk membolehkan mereka dua beradik menerima tawaran.

            “Seronoklah Kak Zana ya...” gumam Muzamil tiba-tiba. Kembali mengutarakan soal Tengku Suzana.

            “Ya, begitulah agaknya. Kakak pun dapat bayangkan betapa gembiranya dia kerana dapat keputusan cemerlang. Impiannya untuk ke luar negara bakal jadi kenyataan,” kata Mariah. Dalam benaknya cuba memetakan wajah Tengku Suzana yang kini sudah tampil manis bertudung.
            Dia tahu itu kerana Tengku Suzana ada mengirimkannya sekeping gambar semasa dia masih di MRSM. Tengku Suzana nampaknya ceria sekali dalam potret yang dirakamkan itu. Di sebelahnya, dalam gambar yang sama berdiri seorang lelaki yang menurut cerita Tengku Suzana, itulah pemuda yang semasa di sekolah menengah dahulu selalu dilihat Tengku Suzana. Pendek kata, Tengku Suzana memang sudah lama meminati lelaki itu dan tidak menduga boleh rapat dengannya setelah ke MRSM.

            Untung badan Tengku Suzanalah.

            Dan Mariah memang merindui Tengku Suzana. Dia sering mengharapkan akan pertemuan kembali antara mereka. Malangnya kemungkinan itu nampak samar apabila Tengku Najmuddin tidak lama lagi akan dihantar jauh ke utara tanah air. Sekiranya itu terjadi, Mariah dan Tengku Suzana lebih sukar untuk bertemu kembali dan hanya warkah sahaja yang menghubungkan mereka berdua nanti.

            Pun Mariah masih boleh bersyukur. Sekurang-kurangnya Tengku Suzana masih ingatkan dia. Tengku Suzana memang lain daripada kawan-kawan sekelas yang lain. Dia tidak meninggi diri dan jauh sekali untuk menyombong.

            Menyombong?

            Mariah tiba-tiba teringatkan Nadirah.

            Beberapa bulan lepas Mariah dibawa Mokhtar ke pekan untuk menguruskan soal borang permohonan ke universiti sebaik keputusan peperiksaan keluar. Di pejabat daerah, dia bertembung dengan Nadirah yang juga ke sana untuk mengesahkan salinan sijil untuk tujuan permohonan ke universiti. Dia memang kenal benar akan Nadirah. Tergerak untuk menegur. Baru sahaja dia menguntumkan senyuman kepada Nadirah, gadis itu sudah menjeling penuh ego. Bibirnya juga dijuihkan. Mariah sedikit tersinggung. Langsung membatalkan niat untuk menegur. Lalu dia biarkan saja Nadirah dengan halnya, dan dia dengan hal dia. 
            Kemudian Mariah menyedari, mereka walaupun pernah belajar dalam satu kelas, hakikatnya mereka tidak pernah sekufu. Nadirah dan Mariah datang daripada  latar belakang yang berbeza. Selama ini pun mereka tidak pernah berkawan. Nadirah hanya akan merapati Mariah jika ada kepentingan tertentu. Mariah tidak harus lupakan kenyataan itu. Dan Mariah sedikit kesal kerana tidak sedar akan kedudukan dirinya semasa mula-mula melihat Nadirah.

            Dahulupun, bukan dia tidak tahu Nadirah.  Sombong dan suka meninggikan diri. Tambahan sekarang apabila dia meneruskan pengajian menengahnya di MRSM. Tentulah egonya terlebih-lebih lagi. Kenapalah Mariah boleh lupa tentang itu? Mariah sepatutnya tidak boleh lupakan apa-apa tentang Nadirah yang menyakitkan. Termasuk juga kenangan menyakitkan yang pernah tercalit dalam perjalanan hidupnya gara-gara Nadirah.

            Ya, gara-gara Nadirah.

            Jika tidak kerana Nadirah yang terlebih-lebih menggodanya dengan sapu tangan merah jambu bergambar kucing yang comel suatu masa dahulu, kisah luka dan teramat membuatkan Mariah sesal sehingga ke hari itu tidak akan berlaku. Nadirahlah yang terlebih-lebih menggodanya apabila seakan sengaja menayang-nayangkan sapu tangan merah jambu itu kepada Mariah.

            Lalu, Mariah terdorong mengambil wang lima puluh sen dalam kocek seluar bapanya. Padahnya? Muzamil demam seminggu dibedal bapa kerana menanggung kesalahan Mariah.  Mariah pula terhukum secara mental. Dia mengalami kekesalan yang amat sangat dan sungguh-sunguh merasa bersalah kepada adiknya kerana takut untuk mengakui perkara sebenar.

            Ah, segala-galanya itu kerana godaan Nadirah.

Namun wajarkah dia menyalahkan Nadirah seratus-peratus kerana kesalahannya?
Mariah menelan liur. Nadirah. Sesekali dia merasakan memang Nadirah mengambil tindakan wajar. Menggoda sesiapa saja untuk melariskan jualan sapu tangannya. Dan dialah sepatutnya yang harus sedar diri. Jangan terikut dengan budaya kawan-kawan. Mereka bergaya, dia pun mahu bergaya. Padahal dia tidak mampu.

Ah, dialah yang salah sebenarnya.

Dia ingat akan kesalahannya itu.

Kerana ingatlah sampai kini dia cukup sayangkan Muzamil dan tidak mahu lagi melakukan sesuatu sehingga boleh membuatkan adiknya menerima susah sekali lagi.

Cukup-cukuplah sekali dulu!












No comments:

Post a Comment