BAB LIMA
Kawan-kawan
sudah tahu Sufi menerima surat daripada coursemate
sendiri. Pada mulanya Sufi tidak ingin
memberitahu kawan-kawannya dan merahsiakan saja perkara itu. Bagaimanapun dia
rasa tidak sedap hati dan bimbang kalau-kalau ada antara mereka yang ingin
mengenakannya. Dia inginkan kepastian sebelum dia membuat perhitungan sebenar
dengan si pengirim surat.
“Saya memang dah agak dari awal dia
sukakan Pi. Tengok daripada cara dia yang sengaja nak ambil kesempatan dan
peluang mendekati Pi,” kata Ina sambil tersenyum penuh makna.
“Saya tak percaya Ina. Lagipun kita
bukan tak kenal perangai dia. Di fakulti lelaki perempuan tahu sikap dia yang
suka tukar pasangan. Tambahan pula belum tentu dia yang hantar surat ni. Tiada
tandatangan. Tulis pula guna komputer. Mungkin ada seseorang yang cuba nak buat
saya ditimpa perasaan.”
“Dah lah Pi, jangan nak buat andaian
bukan-bukan. Siapa sangatlah nak kenakan Pi? Kalau betul pun kenapa nak gunakan
nama dia?”
“Mana tahu Ana ke, Kak Ilah ke...”
“Hish! Jangan merepeklah Pi. Lagipun
memang jelas sikapnya menunjukkan dia suka Pi.”
“Saya tak percaya.”
“Kalau Pi tak percaya, apa kata
kalau Pi tanyakan dia. Dia pun tengah tunggu jawapan Pi tu.” Ina memberikan
cadangan.
Cadangan yang dirasakan Sufi tidak
masuk akal. Usahkan nak bertanyakan Syafizan tentang perkara itu, mahu tengok
mukanya pun Sufi sudah naik malas. Walaupun dia belum yakin Syafizan yang
mengutuskan surat untuk mengenalinya dengan lebih rapat, Sufi sudah mula merasa
jengkel dan lain terhadap Syafizan. Malas dia berdepan dengan pemuda ROTU yang
sentiasa tampil kemas. Kacau, kacau. Kenapa mesti aku? Pernah Sufi menyoal
dirinya begitu.
Sejak hari itu Sufi mula mengelak
bertemu Syafizan. Biarpun dia sedar Syafizan merenungnya dari jauh dia tetap
tidak peduli. Kalaulah benar Syafizan yang mengutuskan surat itu Sufi mahu
mengambil langkah berjaga-jaga. Sudah dia minta pandangan Pak Ya. Pak Ya
menyuruhnya menjauhkan diri daripada Syafizan kerana dia terkenal dengan mata
keranjang. Itu Sufi tahu benar.
Syafizan, kalau benarlah kau
pengirim surat itu seperti nama yang tercatat di dalamnya, aku harap kau fikir
sekali lagi. Bagi aku ada baiknya kau sedekahkan saja perasaan kau pada
perempuan lain. Aku dengar ramai perempuan yang bila-bila masa sanggup dan
berbesar hati untuk mendampingi kau. Aku belum bersedia untuk terlibat secara
serius dengan mana-mana lelaki.
Bagaimana dengan Danish, Sufi?
Danish? Ahh, sudah lama tidak kujenguk perkhabarannya. Apa khabar agaknya kau
Danish? Bagaimana reaksi kau kalau tahu ada jejaka lain sedang cuba memenangi
hatiku dan kini sedang menunggu kepastian daripadaku? Ah, apa kata aku telefon
Danish. Boleh juga aku mengusiknya dengan perkara ini. Mana tahu dia akan
teruja nanti.
Lalu Sufi pun menghubungi Danish
setelah agak lama tidak berbuat demikian. Dalam dadanya ada debar juga
sementara menanti panggilan berjawab. Tidak lama telefon dibiarkan berdering.
Sufi memberi salam sebaik mendengar suara di hujung talian menyapa.
“Pi, kenapa lama tak telefon?” Soal
Danish sebaik mendengar salam Sufi.
“Wei, kalau ya pun jawablah salam
aku dulu...” gerutu Sufi menyakat Danish.
“Okeylah. Waalaikumsalam. Hah,
sekarang bagi aku sepuluh alasan kenapa kau tak call aku.”
“Kau nak sepuluh alasan? Okey,
alasan pertama aku sibuk, alasan kedua aku sibuk, alasan ketiga aku sibuk...”
“Hah, dah. Dah. Jangan nak loyar
buruk, aku nak sepuluh alasan berlainan. Bukan nak alasan macam tu.” Potong
Danish.
Sufi ketawa. Danish juga ketawa.
Senang hatinya mendengar suara Sufi seperti biasa. Kau tau Pi, tawa kau inilah
yang buat aku rindu. Sampai hati kau dera perasaan aku Pi.
“Itulah, lain kali cakap tu biar
terang. Bagaimanapun aku memang sibuk Danish. Tiada alasan lain. Lagipun banyak
hal yang berlaku kat aku. Banyak hal, banyak jugak masalahnya.”
“Kenapa? Ada orang nak tackle kau?”
“Kuat kau berfirasat ya Danish?”
Sufi ketawa. Danish nampaknya pandai menebak.
“Betullah tu? Ohh, patutlah kau tak
hiraukan aku. Kau asyik dengan pak we baru.”
“Tolong sikit ya. Aku ni pak we, pak
we tarak main. Baru ke lama ke. Semua tarak!”
“Habis aku ni?”
“Kau nak jadi pak we aku ke? Kau
jadi pak we nenek aku kat kampung dah lah Danish,” ujar Sufi membuatkan Danish
geram.
“Kau ni memang melampau le tu”
“Tak lah. Aku bergurau saja. Lama
tak sakat kau, sesekali buat kau marah seronok jugak. Tapi aku ni memang tak de
boyfriend. Tak minat dan tak kena
dengan jiwa aku. Lagipun orang lelaki ni boleh percaya ke?”
“Kenapa kau cakap macam tu Pi? Habis
kau kawan ngan aku selama ni?”
“Aku kawan dengan kau pun tak
bermakna aku percaya pada lelaki. Bagi aku lelaki sama saja dan memang suka nak
ambil kesempatan ke atas perempuan. Aku takut. Aku takut jadi macam orang-orang
di sekeliling aku. Ibu aku, kakak aku, malah ada kawan-kawan aku juga dah ramai
yang terkena dengan lelaki. Aku takut menambahkan bilangan mereka yang
terkena.”
“Dah Pi. Jangan nak anggap semua
lelaki macam tu. Aku tak pernah pun nak buat macam tu kat engkau Pi.”
“Tak ada sesiapa pun akan mengaku.
Kau pun tentu tak akan mengaku. Kau ingat aku mentah pasal perangai lelaki? Ni
kat sini ada pulak seorang lahabau yang terkenal dengan playboynya hantar surat kat aku. Kalau tanya kat dia mesti dia tak
mengaku yang dia sebenarnya sekadar nak main-mainkan aku.”
“Oh, sekarang ni kau tengah nak marahkan seseorang, lalu
kau lepaskan geram kau pada aku?”
“Bukan, bukan macam tu maksud aku.
Aku sekadar nak luahkan perasaan. Aku benci tau dengan lelaki yang anggap
perempuan ni senang nak dimain-mainkan.”
“Kau dah pasti ke dia memang nak
main-mainkan kau? Buatnya dia ikhlas...”
“Kalau lelaki macam dia, sepuluh
kali dia cakap ikhlas pun aku tak percaya. Guna bahasa berbunga-bunga macam tu,
nampak sangat dia kuat mengayat.”
Danish ketawa. Ketawanya mengundang
rasa hairan Sufi.
“Aku cakap serius kau ketawa pulak.”
“Aku ketawa sebab gembira Pi. Aku
gembira sebab kau tak percayakan dia. Kalaulah kau percaya lalu kau terima dia,
mana aku nak bawa hati aku ni?”
“Ni lagi sorang malaun. Kau ingat
aku nak percaya? Dahlah Danish. Kita berhenti saja gurau-gurau macam ni. Aku
bosanlah.”
“Pi, kenapa kau lain kali ni?”
“Aku muak dan menyampah Danish.
Menyampah dengan semua ini. Hari ini kau cakap macam ni, besok lusa lain pula
jadinya.”
“Sufi, kita kan masih belajar. Aku
tak mau cakap sesuatu yang boleh buatkan kita terpaksa komited terhadap satu
sama lain sedangkan kita masih ada tugas yang perlu diselesaikan. Lepas habis
belajar nanti, baru aku nak serius pasal ni. Aku harap kau tunggu.”
Danish meluahkan apa yang ada di
dalam hatinya saat itu. Dia takut untuk menyatakan suatu ketetapan. Bimbang
semuanya tidak kesampaian lalu ada yang terluka antara mereka. Sufi
terpisat-pisat mendengar kata-kata Danish. Kata-katanya itu bermakna dia telah
memberi harapan kepada Sufi. Bolehkah
Sufi percayakan semua itu? Dalam keadaan sekarang Sufi tentunya mengalami
kecelaruan fikiran dan tingkah laku. Dia takut sekiranya Danish hanya bermain
kata-kata. Bimbang akan terpedaya. Sejauh manakah kejujuran Danish terhadap
dirinya? Sufi sememangnya tidak pernah berupaya untuk mengukur semua itu.
“Kenapa kau minta aku tunggu
Danish?”
“Sebab kita masih muda.”
“Bukan. Bukan itu maksud aku Danish.
Maksud aku kenapa kau suruh aku tunggu, bukan orang lain?” Sufi membetulkan
soalannya agar mudah dimengertikan oleh Danish.
Danish menelan ludahnya. Sufi
nampaknya mahu menjerat Danish agar berterus-terang saja. Sedangkan Danish juga takut untuk menuju ke
arah sebuah hubungan yang serius. Apatah lagi dengan Sufi yang mempunyai sikap
agak prejudis terhadap lelaki. Bukan. Bukan kerana sikap itu, sebaliknya kerana
dia takut akan hubungan Sufi dengan lelaki-lelaki yang berlingkar di sekeliling
Sufi. Orang dekat selalu menang. Dia teringat akan kenyataan itu. Jarak antara
dia dan Sufi terlalu jauh. Bimbang ini akan membuatkan Sufi mudah bosan
menjalinkan hubungan serius dengannya lalu beralih arah. Cinta Sufi, bukan
seorang dua yang ketagihkan cinta Sufi. Dia boleh lihat itu sejak di zaman
sekolah lagi. Hanya Sufi yang tegar untuk tidak mempedulikan lamaran cinta
tersebut.
Lebih daripada itu semua, bagaimana
dengan penerimaan Helmi nanti? Dia seakan dapat merasakan Helmi masih merindui
Sufi dan masih berhasrat untuk kembali menjalinkan hubungan dengan Sufi
sekiranya peluang terbuka untuknya. Aduh, susah betul apabila jatuh hati
terhadap gadis yang dulunya pernah mencuri hati saudara sendiri.
“Kenapa kau diam Danish?”
“Sufi... aku tak tahu bagaimana nak
cakap lagi. Beginilah, kalau kau nak tunggu aku, kau tunggulah.”
“Danish, aku tak mahu macam tu.”
“Habis kau nak aku buat macam mana
Pi?”
“Aku, aku pun tak tau Danish.”
Mereka berdua terdiam untuk beberapa
ketika. Sufi memandang ke atas. Melihat baki kredit yang tertera di telefon.
Sudah tak banyak. Di tangannya juga cuma ada beberapa keping saja syiling satu
ringgit. Hati kecil Sufi berkocak hebat. Begitu juga Danish.
“Pi, macam mana kalau aku tanya
kau...” Danish menelan ludahnya sebelum menyambung kembali, “ Kau sayang aku
tak, Pi?”
Hah, bunyi macam serius nada cakap
Danish kali ini. Sufi mengambil masa agak lama untuk menjawab soalan Danish.
“Bagaimana dengan kau Danish?” Sufi
menyoal kembali. Cuba mengelak diri daripada berterus-terang dengan Danish.
“Aku? Aku tentulah sayangkan kau Pi.
Kalau aku tak sayang kau, aku tak akan cari kau lepas kita lost contact hari tu. Sebab sayanglah aku bertanya kawan-kawan yang
mengenali kau. Aku cuba kesan jejak kau.”
Sufi mengalirkan airmata mendengar
kata-kata Danish. Dia menelefon Danish bukanlah untuk mendengar semua itu pada
awalnya. Dia hanya ingin bercerita tentang surat yang diutuskan Syafizan.
Kenapa boleh tersasar jauh hingga ke situ pula? Namun Sufi pantas menyeka
airmatanya, bimbang ada mata sempat menangkap situasinya ketika itu. Bimbang
ada yang merasa jengkel.
“Kenapa kau diam Pi?” Kali ini
giliran Danish pula menyoal demikian. “Kau, kau sayang tak pada aku Pi?” Danish
menyambung soalannya lagi.
“Danish, aku tak pasti. Aku takut
untuk menyayangi sesiapa saja.”
“Kau paranoid Pi.”
Sufi diam mendengar anggapan Danish.
Katalah apa saja Danish. Suatu masa kau akan faham mengapa aku jadi macam ni.
Dia tidak tahu bagaimana harus diterangkan kepada Danish. Mampukah Danish
memahaminya? Danish aku kebuntuan.
“Danish syiling dah habis ni. Aku call kau lain kali lah.”
“Pi, tunggu dulu Pi. Kau jangan nak
mengelak diri daripada menjawab soalan aku.”
“Betul Danish, syiling dah habis
ni...”
Suara Sufi terputus di situ. Danish
tidak berpuas hati. Sufi baginya sengaja mahu mengelakkan dirinya.
Sementara Sufi pula melepaskan
gagang telefon bersama keluhan. Junior Punjabi
yang bernama Sonia menyambut gagang dengan senang hati setelah agak lama menunggu gilirannya. Dia mengukir
senyuman kepada Sufi. Sufi termalu juga, dia tahu mesti si Sonia dapat mengagak
apa yang sedang berlaku antara dia dengan orang di talian.
Lantaklah. Kalau Sonia tahupun bukan
jadi kudis pun. Lalu Sufi melangkah menuju ke biliknya. Sebaik daun pintu
dikuak, Ana yang sedia menunggu menyuakan telefon genggam kepadanya. Sufi
berkerut kening. Kehairanan dan cuba untuk menebak gerangan si pemanggil.
“La, kenapa kau telefon Danish?”
Soal Sufi sambil mengerling ke arah Ana.
Ana menjeling sahaja. Tak puas-puas
lagi lah tu. Huh, mabuk kepayang betul budak berdua ni. Gerutu Ana di dalam
hatinya.
“Aku tak puas hati Pi...”
“Tak puas hati apa lagi Danish?
Beginilah, aku nak toilet ni.
Nantilah aku call balik.”
“Sufi.” Danish menekan suaranya.
“Okeylah, aku sayang. Aku sayang.
Cukup? Puas hati?”
“Aku benci kau.”
Dan Danish memutuskan talian. Sufi
mengetap bibirnya. Susah juga, Danish sudah merajuk nampaknya. Danish,
tolonglah semua ini tak terluah dengan perkataan. Aku tak tahu jawapan bagaimana patut aku
katakan pada kau. Sebagai sahabat aku sayang kau. Malah sayang semua
kawan-kawan yang mendampingi aku.
Bagaimanapun sayang itu seperti selalu aku tekankan luas konotasinya.
Sayang bagi aku suatu yang luhur dan
suatu tanggungjawab boleh hadir untuk sesiapa jua, lelaki dan perempuan. Kasih
pula juga murni dan suci. Kasih biasanya tidak terluah. Kadangkala juga kita
sendiri tidak sedar jika kita kasihkan seseorang. Hanya terjelma melalui rasa
ambil berat yang sarat terhadap seseorang yang kita kasih. Cinta? Oh, ini lagi
susah untuk aku terjemahkan. Cinta ini suatu kehendak jiwa yang tinggi
kedudukannya. Akan membuatkan diri terbuai dan terlontar dalam daerahku sendiri
jika ada yang menyimpan rasa hati sebegini terhadap aku. Aku juga terlalu sukar
untuk memberikan cinta ini. Tidak semudah itu untuk mendapat cinta Sufi. Itu
fahaman aku. Orang lain mungkin akan memberi konotasi yang berbeza.
Untuk Danish? Sekadar sayang, itu
sudah cukup untuk Danish. Malah Danish sendiri hanya memberikan itu untuk aku.
Sufi menelan ludah. Menarik nafas panjang.
“Oi, apa sayang, sayang ni?” Soal
Ana setelah agak lama memerhatikan gelagat Sufi.
Sufi ketawa. Cuba untuk
menyembunyikan resahnya. Meski dalam jiwa, serasa bagai segenap inci pembuluh
darahnya pecah dek resah yang menjajah.
Bagai barah yang menular di mana-mana dalam batang tubuhnya sehingga
terserap ke atas, ke kepala dan menyerang kewarasannya. Mengepung di situ
dengan senjata merbahaya, bersedia untuk
gempur dan memecahkan ruang tenteram Sufi lalu ditukar kepada keadaan
yang kucar-kacir.
“Gaduh?” Soal Ana lagi. Berminat
benar nampaknya dia untuk mengetahui keadaan hubungan Sufi dan Danish.
“Tak. Cuma...” Jeda wujud di situ.
Menelan ludah kemudian menyambung, “...entah orang nak terangkan kat Ana pun
susah.”
Sufi memilih untuk diam kemudiannya.
Ana memerhatikannya buat seketika. Tersenyum sebelum membuka mulutnya.
“Orang lelaki ni Pi, sepanjang
pengalaman saya memang suka buat kita serba salah. Kadang-kala mereka mahukan
kepastian daripada kita, sedangkan mereka sendiri tak pernah berikan keputusan
yang meyakinkan,” ujar Ana apabila melihatkan Sufi teragak-agak dan tidak tahu
di mana untuk memulakan.
Kata-katanya bagaikan dia tahu apa
sebenarnya yang berlaku. Sufi mengetap bibir. Perlahan-lahan jemarinya
meraba-raba hidungnya yang agak mancung. Seketika pula memuncung-muncungkan
bibir mulutnya. Lagaknya separti kanak-kanak spastik sahaja di mata Ana.
“Orang teringat sikap Danish. Ana
tahu tak, dia tu kadang-kadang bersikap seperti kitalah segala-galanya dalam
hidup dia. Pantang merajuk, mula nak memujuk. Ada masanya pula dia bersikap
acuh tak acuh dan melewa-lewakan perasaan kita. Itu yang buat orang geram
dengan Danish dan kurang yakin dengannya.”
“Pi tahu, orang dengan Nazrul pun
macam tu. Dulu sebelum orang meninggalkan dia, memang dia nampak feeling habis kat orang. Setelah
hubungan terputus seketika dan dia kembali menyambung hubungan tu, dia mula
bersikap macam Danish lakukan pada Pi. Sementara orang pula nampak macam
terhegeh-hegeh.”
“Ana pun macam tu jugak dengan
Nazrul?” Sufi agak tidak percaya.
“Mungkin dah sikap lelaki kot Pi.
Kalau kita nampak dah makan umpan, mula dia bersikap sambil lewa. Ada masanya
saya rasa dia macam nak balas dendam sebab orang tak layan sangat feeling dia dulu.”
Sufi menarik nafas kemudian
perlahan-lahan melepaskannya. Biar terlepas segala lara yang menyebabkan
jiwanya mengongoi. Lelaki memang menyusahkan benak. Menyusahkan kewarasan akal
fikiran. Sufi gagal untuk melihat lelaki
dalam matra yang lebih baik selain daripada sejenis makhluk yang banyak menyusahkan
daripada menyenangkan. Dengan kata lain susah lagi menyusahkan.
“Apa yang Pi pikirkan sekarang?” Ana
menyoal. Menginjak fikiran Sufi yang seakan menerawang jauh memikirkan insan
bernama lelaki.
“Saya pikir pasal lelaki.”
“Secara spesifiknya?”
“Spesifik? Tentulah Danish. Siapa
lagi yang boleh orang pikirkan selain Danish?” Tanya Sufi kembali. Duduk di
meja tulisnya dan mengeluarkan sebuah buku kursus. Membelek-belek tanpa
sebarang makna.
“Tak seronok kan Pi.”
“Hmm?”
“Tak seronok kan kalau terlalu pikir
pasal makhluk tu. Sesak benak jadinya. Kadang-kadang geram pun ada bila
teringatkan cara dia orang layan kita.”
“Betul kata Ana. Sekali pikir, lagi
baik kalau kita tak kenal manusia bergelar lelaki ni.”
“Tak boleh jugak Pi. Nanti kita nak
hidup macam mana?”
“Hidup macam mana? Macam sekarang
nilah. Kenapa, kalau tak ada dia orang oksigen kat dunia kita ni jadi kurang?
Atau dia orang bekalkan kita oksigen untuk bernafas?”
“Woi, kita serius ni. Memain pulak
dia. Mulalah tu, mulalah nak buat lawak spastik tu.” Marah Ana sambil
mencampakkan bantal ke arah Sufi.
Sufi yang gagal menyambut campakan
bantal itu terliuk sedikit kepalanya. Mujur tidak terkehel. Melihatkan itu, dia
pantas membalas kembali. Ana juga tidak terduga Sufi akan membalas. Juga hampir
terkehel dirinya. Mereka sama-sama ketawa. Mencipta suasana gamat di ruang
bilik sempit empat segi tepat mereka. Mereka berdua meneruskan tawaan mereka.
Lupa seketika tentang masalah yang mereka berdua hadapi. Lupa seketika tentang
lelaki yang menyumbat benak mereka dengan permasalahan yang tidak terungkai
semudah meminum air sirap yang dibeli di Jas Cafe.
BAB ENAM
Cuti
pertengahan semester. Apalagi, Ana dan Sufi juga rakan-rakan mereka yang lain
seperti Setti, Kak Ilah, Ina dan Kak Ida sudah lama bersiap sedia untuk pulang
ke kampung. Sufi dan Kak Ilah anak jati Kelantan. Di Hentian Putra tempat
mereka menapak. Ana, Ina dan Kak Ida ke Pudu. Masing-masing seorang ke
Kuantan, seorang ke Pontian dan seorang
lagi ke Sungai Siput. Memang berlainan hala tuju masing-masing. Sungguhpun
begitu, tetap mampu wujudkan satu hubungan yang mesra antara satu sama lain.
Sungguhpun
masing-masing sama-sama anak Kelantan, namun Kak Ilah dan Sufi tidak pulang
bersaing, ini memandangkan mereka dari daerah yang berlainan. Sufi juga harus
ke bermalam di rumah Abang Zalinya terlebih dahulu sebelum terus pulang ke
rumah. Abang Zali yang akan membawanya ke Hentian Putra kerana bimbang untuk
melepaskan Sufi sendirian ke sana. Abang Zali memang melayan Sufi macam budak
bawah umur.
“Abang dan
Kak Nida pulanglah dulu. Tak payah nak tunggu bas datang.”
“Sufi tak
apa ke seorang diri kat sini?” Soal Kak Nida. Agak tidak bersetuju dengan
permintaan Sufi.
Abang
Zalinya juga memandang semacam ke arah Sufi.
“Mana ada
seorang diri. Kan ramai orang ni.”
“Hang ni
dah mula nak loyar buruk ni. Kak Nida taulah ramai orang kat sini, tapi hang
bukan kenai pun,” ujar Kak Nidanya. Pura-pura marah dengan kata-kata berbaur
lelucon yang keluar dari mulut Sufi.
“Betul Sufi
tak apa-apa kalau kita orang balik dulu?” Giliran Abang Zali pula bertanya
meminta kepastian.
“Betul.
Lagipun kesian kat anak-anak, mengantuk dah nampaknya Adam dan Yusoff ni,”
balas Sufi sambil mengusap kepala Adam dan Yusoff yang sedang memeluk betisnya.
Abang Zali
memandang ke arah anak-anaknya. “Kalau macam tu, kita orang pulang dulu.
Hati-hati, jangan nak merayau tak tentu pasal, nanti ketinggalan bas.” Abang
Zali memberi pesan.
Sufi
mengangguk-angguk cuma. Dia tunduk mencium kedua-dua orang anak Abang Zali. Kemudian
menyalami tangan abang dan kakak iparnya. Mereka berlalu meninggalkan
Sufi. Sufi kemudian mengambil tempat
duduk di ruang dalam Hentian Putra dan tidak di tepi terminal. Dia
membetul-betulkan kain tudung. Mengeluarkan handset.
Menghantar SMS kepada Ana. Tiada apa yang penting cuma sebuah pantun untuk
berjenaka dengan temannya. Sekadar menghiburkan hati.
Sufi
memusing-musingkan kepala untuk menghilangkan rasa tegang di lehernya. Sekali
ke kiri, sekali ke kanan. Ke kiri sekali lagi, nah! Retinanya menangkap raut
wajah seorang prajaka yang dikenalinya. Hatinya berderau. Rasa panas naik ke
muka, tidak tahu prajaka itu menyedari kehadirannya atau tidak. Dan di sebelah
jejaka itu kelihatan Hana. Coursematenya.
Juga dahulunya pernah menjadi insan yang digilai sepenuh jiwa oleh Pak Ya. Sufi
memicingkan matanya. Mengetap bibir.
Lelaki!
Hari ini aku kata tak sudi, hari ini juga dapat cari lain. Memang dasar buaya!
Gerutu Sufi agak geram. Mujur juga dia tidak termakan dengan bahasa
berbunga-bunga yang dituturkan jejaka tersebut tempoh hari.
Sufi
bangun. Ingin ke bilik air. Terasa pundi kencingnya mahu pecah ketika itu. Baik
dia menyempurnakan hajatnya sebelum bas datang. Karang susah pula dalam
perjalanan. Dia sengaja tidak melintas di depan si jejaka, bimbang kehadirannya
disedari dan lelaki itu mula mahu tunjuk lagak di depannya.
Sufi lega
benar ketika hajat sudah terlunas. Dia keluar dari bilik air. Sebaik dia
keluar, terpacul Hana di depannya. Hana tersenyum. Sufi cuma membalas. Dia
mengambil tempat di sebelah Hana yang sedang mengadap cermin. Membetul-betulkan
tudungnya sambil memerhatikan tingkah Hana. Si gadis mengeluarkan lipstik dari
beg tangannya. Mencalitkan pewarna merah terang sebelum merapat-rapatkan
bibirnya.
“Nak balik
mana?” Soal Hana sebaik menyedari Sufi memerhatikannya.
“Tanah
Merah.”
“Tanah
Merah. Pi orang Kelantan ke?” Soal Hana agak tidak percaya.
“Kenapa,
tak percaya saya orang Kelantan?”
“Dialek Pi
tak kedengaran macam orang Kelantan. Lagipun, jarang tengok Pi dalam kelompok
orang Kelantan.” Hana berkata sambil membetul-betulkan tudungnya.
Alah, dah
nampak cantik benar awak tu. Sufi menyampah juga melihat aksi Hana.
Ketrampilannya nampak dititikberatkan benar.
“Betul.
Saya jarang campur dengan budak-budak Kelantan. Bimbang dikata terlalu
mementingkan semangat kenegerian. Lagipun, tiada kumpulan Kelantanis yang nak
campur dengan saya.”
“Bukan tak
mau campur, tapi tak tahu Pi pun Kelantan jugak. Er, kat mana tadi?”
“Tanah
Merah.” Sufi dengan senang hati mengulang.
“Tanah
Merah?” Kali ini Hana berkerut kening. “Kalau macam tu, sama daerah dengan Ijan
lah ni?” Wajah Hana berubah ceria benar.
Sufi tahu
siapa yang dimaksudkan, namun sengaja berpura-pura tidak kenal.
“ Ijan?
Siapa Ijan?”
“Tak kenal
Ijan? Dia pun orang Tanah Merah.”
“Tak kenal
lah. Saya ni jenis yang susah nak kenal orang, tambah-tambah kalau tak satu
sekolah dan tak sebaya dengan saya.”
“Tapi Ijan
tu kan coursemate kita. Alah,
Syafizan tu.”
“Oh,
cakaplah Syafizan.” Sufi berpura-pura mengangguk-anggukkan kepala. Lakonannya
menjadi betul.
Nampak gaya
kalau Erma Fatima nampak dia sedang berlakon ketika itu tentu telah ditawarkan
watak paling mencabar buat Sufi. Hish! Kembang lubang hidung Sufi kerana dapat
menipu Hana. Dia tidak mahu Hana tahu dia pernah kenal Syafizan, malas melayan
segala macam persoalan yang bakal ditimbulkan Hana. Sebelum pertemuan itu Sufi
sebenarnya sudah dapat mengagak Syafizan sedang cuba memancing Hana setelah
tidak berjaya mengayatnya. Dia pernah nampak mereka bersama di dewan kuliah.
Cemburu?
Oh, tidaklah. Minta maaf! Sufi tidak mudah untuk menanam sikap cemburu. Lagipun
Syafizan itu siapa pada Sufi? Lainlah kalau dia nampak Danish dengan perempuan
lain. Er, tunggu dulu, kalau dia nampak Danish dengan perempuan lain dia akan
cemburu kah? Sufi ternganga-nganga memikirkan keadaan itu.
Hana telah
lama berlalu. Kembali ke ruang menunggu. Sufi juga keluar sama. Sempat dia
menjeling sekilas ke arah Hana dan Syafizan yang kelihatan agak mesra. Syafizan
yang membelakanginya tidak menyedari kelibat Sufi, namun Hana yang melihatnya
sempat menghadiahkan sebuah senyuman mendorong Syafizan menoleh, melihat kepada
siapa Hana mengukirkan senyuman. Syafizan agak tergelujat melihat Sufi. Dia
cuba mengawal dirinya. Sufi berlagak selamba dan dengan ikhlas mengukirkan
senyuman paling manis buat Syafizan. Bukan untuk menyelar hatinya, tapi sekadar
memberitahu secara non-verbal, Sufi
tidak hairan melihat Syafizan dengan Hana bersama-sama pulang ke kampung. Apa
yang hendak dihairankan, Syafizan terkenal dengan sikap buayanya dan Hana pula
memang suka permain-mainkan lelaki.
Sebenarnya,
begini ceritanya: Hana dulu pernah bercinta dengan Pak Ya. Dia tinggalkan Pak
Ya untuk bersama lelaki lain yang dirasakan mempunyai kelebihan berbanding Pak
Ya. Sufi tahu benar kisah cinta tidak kesampaian kerana Pak Ya sendiri yang
menceritakan kepada Sufi. Kiranya hubungan Hana dan Syafizan kali ini memang
kena. Sufi ingin melihat siapa di antara mereka berdua yang akan ditingalkan.
Demi seorang sahabat Sufi berdoa agar Hana yang akan ditinggalkan Syafizan,
biar dia rasa betapa pedihnya Pak Ya alami keadaan ditinggalkan dahulu.
Naluri Sufi
menyatakan hubungan Hana dan Syafizan tidak akan ke mana. Dia tahu benar itu.
Dia akan khabarkan perkara ini kepada Pak Ya, biar temannya itu turut mendoakan
kehancuran hubungan Hana dan Syafizan. Sufi sebenarnya meluat juga dengan Hana.
Mempergunakan kecantikannya untuk mempermainkan lelaki. Tidak bolehkah kalau
setiap pasangan setia antara satu sama lain sesudah menyatakan cinta?
Sufi
melupakan kisah Syafizan dan Hana. Bas yang bakal dinaiki Sufi sudah tiba. Sufi
bergegas menjinjing beg pakaiannya dan masuk ke perut bas. Mencari-cari kerusi
yang bakal dihenyakkan punggungnya. Baru dia melabuhkan punggungnya ke kerusi,
telefon genggamnya berdering. Dia ingin menjawab, tapi telefon genggam itu
pantas pula berhenti. Tapi Sufi tetap mencapainya untuk melihat siapa si
pemanggil. Nombor asing. Sufi biarkan sahaja. Mungkin tersilap tekan. Lalu
sebaik bas bergerak, Sufi memejamkan matanya. Tidak sabar untuk tiba di rumah
dan bertemu ibunya.
Ibu, Sufi
rindukan ibu!
Sufi tiba
di Tanah Merah selepas menghabiskan perjalanan selama lapan jam. Dia tiba lebih
kurang pukul empat pagi. Rumah Sufi terletak di belakang Sekolah Kebangsaan
Belimbing. Betul-betul di belakang pagar sekolah. Untuk mengambil jalan pintas
Sufi sering masuk ke dalam kawasan pagar sekolah dan melompat pagar di depan
rumahnya. Sufi melilau juga semasa berada di padang sekolah. Kata orang sekolah
itu agak keras dan sudah ramai penduduk kampung terserempak dengan ‘sesuatu’.
Bagaimanapun hati Sufi agak cekal juga.
Dia tidak
pernah takut, meskipun suatu masa dahulu dia pernah ‘diekori’ bayang tinggi
semasa melintasi padang sekolah tersebut. Bagi Sufi itu semua mainan emosi. Dia
tidak percayakan apa yang disebutkan sebagai hantu memandangkan makhluk itu
tiada disebut di dalam al-Quran. Hanya tiga jenis makhluk yang disebut al-Walid
di dalam kalam-Nya iaitu, an-Nass- manusia, aj-jinni – jin dan wamalaikat-
malaikat. Disebutkan juga manusia dijadikan daripada tanah, jin daripada api
dan malaikat daripada cahaya. Jadi, hantu memang tidak disentuh langsung.
Syaitan daripada golongan jin kafirlah yang banyak menjelma sebagai
makhluk-makhluk tertentu untuk memesongkan aqidah manusia. Sufi tahu benar itu.
“Assalamualaikum!” Sufi memberi
salam sambil mengetuk pintu rumah bertalu-talu.
Sekejap kemudian lampu bilik Kak
Lilanya menyala dan bunyi derap kaki Kak Lilanya menghala ke pintu. Tersembul
wajah Kak Lila yang tidak terurus dengan rambut panjang paras bahunya kusut
masai. Sufi menyalami tangan Kak Lila dan pantas masuk ke rumah.
Ibu bangun dari tidur mendengar
kepulangan Sufi. Sufi memeluk ibunya melepaskan kerinduan. Memang dia rindukan
ibu. Dalam keadaan baru bangun dari tidur itu wajah ibu agak tidak bermaya.
Mereka mula membuka ruang bual biarpun ketika itu jam baru menunjukkan ke angka
empat setengah pagi. Masih terlalu awal untuk menunggu azan Subuh.
“Pi cuti berapa lama?” Soal ibu
sambil mengurut-ngurut telapak kakinya yang terasa perit.
Sufi memerhatikan gelagatnya. “Tak
lama ibu, seminggu aje. Tapi Abang Zali suruh Pi pergi lebih awal kerana dia
nak ke Bandung.”
“Abang nak ke Indonesia lagi?” Soal
ibu agak terkejut kerana Abang Zali tidak memberitahu tentang itu.
“Ya, tapi kali ni bukan atas urusan
kerja, dia dan keluarga ikut rombongan office.”
“Pi ikut sekali?”
“Tak bu, Pi pergi awal sebab nak
tengok-tengokkan rumah abang.”
“Pi nak tinggal seorang kat rumah
abang? Pi tak takut?” Soal Kak Lila bertalu-talu. Ibu juga kelihatan berkerut
kening.
“Bila masa pula Pi tahu istilah
takut? Takut Tuhan ajelah yang Pi tahu.”
“Alah, kalau Sufi semua dia berani.
Mati pun dia berani.” Entah sejak bila pula si tuan punya suara sinis itu
muncul. Alih-alih telah mencelah ruang bual.
Sufi menoleh ke arahnya. Geram juga
disindir begitu. Memang nak kena bunuh si Maria ni! Sufi mengomel di dalam
hatinya. Penat berbas sepanjang Kuala Lumpur belum reda sudah kena sindir-sindir begitu. Cuba cakap
hati siapa yang tidak sakit? Namun sakit hatinya dibiarkan. Sufi tidak mahu
melayan orang seperti Maria. Suka mencipta gaduh sahaja kerjanya. Mata Sufi
masih tertancap ke arah ibu yang nampaknya asyik benar dengan urutan di telapak
kakinya. Mungkin ibu kelenguhan seharian menjual ayam di pasar basah Tanah
Merah. Kalau tiba hari baik ibu jarang berpeluang duduk. Asyik berdiri menyiang
ayam kepada para pelanggannya. Faktor itu mungkin menyebabkan kaki ibu
kelenguhan.
“Ibu, kenapa dengan kaki ibu?” Soal
Sufi. Sekurang-kurangnya soalan itu boleh membuatkan Maria sedar Sufi malas
melayani sindirannya.
“Tak ada apa, cuma rasa
sengal-sengal pada tapak kaki ni.”
“Selalu ibu macam ni?”
“Dulu jarang. Sekarang ni aje makin kerap. Mungkin ibu dah tua, tu penyakit pun senang datang.”
“Ibu tak jumpa doktor?” Sufi masih
tidak berpuas hati.
Maria menjelingnya. Kak Lila pula
sudah lama masuk tidur kembali. Besok dia hendak menghadiri temuduga di sebuah
bank. Dapat jadi kerani kira jadilah bagi Kak Lila yang cuma berkelulusan SPM
pangkat tiga.
“Alah, jangan nak runsing sangat
Sufi. Bukan apa-apa sakit ibu tu. Dahlah, pegi tidur. Kalau kau asyik berborak
macam ni aku nak tidur pun tak lena,” kata Maria memprotes sebelum sempat
ibunya memberikan jawapan.
“Hah, ya tak ya. Pi tak penat?
Pergilah rehat dulu.”
“Kejap lagilah ibu. Pi nak tunggu
azan Subuh. Dah nak masuk waktu ni.”
Ibu mengangguk-angguk dengan jawapan
Sufi. Maria mula bangun untuk menyambung tidurnya kembali. Maria memang tidak
pernah menunaikan kewajipannya dalam beragama. Puasa bulan Ramadhan pun dia
jarang lakukan. Itu yang setahun sekali, apatah pula yang kena dilakukan setiap
hari, lima waktu seperti solat. Memang tak masuk ajaran si Maria.
Sufi menapak ke bilik tidur untuk
menyimpan begnya. Ibu sudah ke bilik air untuk mandi dan bersedia untuk
menunaikan solat. Kak Lila nampaknya tidak begitu lena di pertidurannya (Sufi
berkongsi bilik dengan Kak Lila sejak dulu). Sufi tidak pula mahu mengganggu,
sebaliknya mengeluarkan tuala mandinya dari dalam almari. Dia cuba berkira-kira
rancangan yang bakal dilakukannya sebaik mentari muncul di pagi hari.
Sebenarnya Sufi sudah membuat janji
dengan Hazlan, rakan satu sekolah dengannya untuk bertemu sebaik mereka pulang
ke kampung. Hazlan, pemuda kecil molek yang ketinggiannya kalah pada ketinggian
Sufi merupakan teman yang agak akrab semasa di zaman persekolahan. Sayangnya
Hazlan yang lebih mesra dengan panggilan Lan meneruskan pengajian di USM, satu
universiti dengan Mida dan Pinie. Juga kawan yang agak akrab dengan Sufi.
Memang Sufi dan Lan sering kali mengatur temujanji setiap kali pulang bercuti.
Macam-macam yang akan mereka bualkan sebaik bertemu. Biasanya mereka akan
keluar minum di medan selera Tanah Merah. Itulah satu-satunya tempat yang
sesuai untuk pasangan sahabat seperti mereka. Tidak sabarnya Sufi mahu bertemu
Lan.
“Lan!”
Jerit Sufi sebaik ternampak kelibat Lan melilau di stesen bas mencarinya.
Lan mengukir senyuman teramat manis
buat Sufi. Gembiranya Sufi dapat bertemu Lan setelah sekian lama tidak bersua
muka.
“Kawan-kawan kita yang lain
bagaimana?” Soal Lan sambil mengambil tempat di sebelah Sufi.
“Ntah. Lan ada buat janji dengan
mereka jugak kah?” Soal Sufi sambil menyuakan setiub kandi Smarties kepada Lan.
Lan memandang sekejap kepada kandi
yang dihulurkan tersenyum sedetik kepada Sufi. Senyuman itu membuatkan Lan
nampak manis sekali di mata Sufi. Kemudian dia tidak membiarkan huluran Sufi
tergantung agak lama, dia menyambutnya. Mengeluarkan isinya beberapa biji lalu
dimasukkan ke mulut.
“Masih seperti dulu.” Rungut Lan.
“Apanya? Smarties ni?”
“Smarties
ni dan juga kawan Lan yang comel ni. Masih tak ubah-ubah. Bila nak matang
agaknya?” Soal Lan.
Sufi tersenyum, fahamlah dia
sekarang. “Sufi rasa Sufi dah banyak berubah.”
“Benar. Dah banyak daripada segi
tingkah laku. Kalau dulu agak brutal. Sekarang ni nampak dah pandai kontrol
ayu. Dah pandai pakai tudung, baju kurung. Mana pergi semua jeans dan t-shirts
Nirvana Sufi dulu?” Soal Lan lagi.
“Sufi dah insaf Lan. Kurt Cobain pun
dah tak ada. Er, Sufi tanya tadi, Lan ada janji dengan kawan-kawan yang lain?”
Sufi mengembalikan Lan pada topik asal.
“Ada jugak call Hadi, Imah dan Yah. Mereka cakap nak datang.’
“Orang pun ada call Ita. Dia pun cakap nak datang. Abang Nazarman pun nak datang
jugak.’
“Nazarman?” Wajah Lan sedikit
berubah. Sufi sedikit kehairanan dengan riak pada wajah Lan.
“Kenapa Lan? Lan ada masalah kalau
Abang Nazarman datang?” Sufi inginkan kepastian kerana setahunya Lan tidak
pernah mempunyai masalah dengan sesiapa.
“Pi, Pi tak ingat hal saya dengan Fidah?”
Oh, mata Sufi membundar. Patutlah
Lan agak tidak senang. Sufi memang lupa bahawa Abang Nazarman telah memenangi
pertarungan dalam merebut hati Fidah. Lan tewas dan terpaksa berputih mata
melihat gadis yang dipujanya sejak usia lima belas tahun menjalin hubungan
dengan kawan baiknya dan langsung tidak pernah membalas rasa hati Lan.
“Lan takut Fidah jugak datang sama.”
“Lan masih tak dapat lupakan Fidah?”
“Dah, dah lupa. Lan pun dah ada
pengganti. Cuma rasa kekok untuk berdepan dengannya.”
Sufi tersenyum. Memang itu sudah
lumrah. Kekok untuk berdepan dengan seseorang yang pernah kita menaruh hati.
Tidak semena-mena Sufi teringatkan Danish. Dia juga seringkali kekok untuk
bersama Sufi sekiranya Helmi juga ada bersama. Danish, kau apa khabar agaknya?
Merajuk lagi atau sudah hilang rajukmu?
Inilah hidup zaman remaja. Sarat
dengan unsur-unsur hati dan perasaan. Sufi tidak keseorangan dalam menghadapi
masalah sedemikian, rata-rata kawannya mengalami masalah begitu. Termasuk juga
Lan. Hal cinta dalam usia remaja bagaikan satu epidemik. Boleh menular. Sufi
akur. Hidup ini bukan sebuah novel yang dapat diatur-rancangkan perjalanannya.
Jika novel, watak ceritanya tidak ramai. Jika prolog cerita kisah si dara A
dengan pemuda B, sampai di epilog, tentu ia akan berkesudahan dengan kisah
mereka berdua biarpun muncul pemuda C atau dara D. Ia tidak akan lari. Klise
sebuah novel. Perhatikan saja mana-mana
novel, jarang berakhir dengan kisah orang lain. Kisah Sufi? Entahlah, kalaulah
dibukukan dan dijadikan sebuah novel, siapakah si pemuda yang bakal menemani
hingga ke hujung cerita? Siapakah yang bakal meraih cinta Sufi?
BAB TUJUH
Sufi
berpeluang bertanyakan Maria masalah dia dengan Hassan yang merancang untuk
berkahwin setelah beberapa hari dia bercuti. Itupun setelah Sufi bertemu semua kawan-kawan rapatnya semasa di
sekolah menengah dan tiada sebarang aktiviti lain untuk di isi bagi
menghabiskan cutinya. Maria agak marah apabila Sufi mahu campur tangan dalam urusan peribadinya
dan menganggap Sufi masih mentah untuk mengambil tahu urusan itu. Sementelah
pula Sufi hanya adik kepada Maria.
“Kau tak layak nak nasihat aku Sufi.
Kau tu siapa? Aku punya pasal nak kahwin dengan siapa pun. Kau apa peduli?”
Marah Maria. Suaranya amat berang sekali.
“Masalahnya kau tu isteri orang.
Omar belum pun ceraikan kau. Kalau kau
kemaruk nak kahwin sekalipun, selesaikan dulu masalah dengan Omar. Fasakh ke
atau apa juga cara yang boleh membubarkan perkahwinan kau orang.”
“Kau jangan nak ajar aku. Kau ingat,
kau belajar sampai universiti dan aku cuma SRP kau dah cukup pandai untuk ajar
aku?”
“Ini bukan soal masuk U atau apa.
Ini soal hukum-hakam.” Tegas Sufi. Geram apabila Maria menyentuh tentang
perkara itu.’
“Tak payahlah kau nak ajar aku soal
hukum-hakam. Aku lebih tahu daripada kau. Mentanglah kau pakai tudung, kau
ingat dah cukup bagus kau soal hukum-hakam?”
“Memang aku belum cukup bagus cakap
soal agama. At least aku lebih tahu
berbanding kau yang tak pernah rapatkan dahi ke sejadah!”
Tangan Maria melayang dan hampir
hinggap di pipi sufi, tapi sempat disambar oleh Kak Eisya yang memerhati
pertelingkahan mulut antara mereka berdua. Maria merentap tangannya daripada
terus dipegang Kak Eisya. Matanya merah menahan api kemarahan. Dadanya
bergelombang hebat menghadapi situasi itu. Sufi pula berlagak seperti biasa,
seperti tidak hairan langsung sekiranya tangan Maria hinggap di mukanya.
“Kau jangan
nak masuk campur Eisya, aku nak ajar sikit budak ni. Kurang ajar benar dia
sejak dah besar ni.”
“Aku kurang ajar atau kau yang tak
sedar diri? Berkali-kali berbuat salah dan Allah turunkan bala, kau masih tak
insaf. Masih tak ingat Tuhan.”
“Itu masalah aku. Aku ditimpa bala
kah, apa kah? Kau apa peduli?”
“Apa peduli? Kau tak sedar kah,
kalau ada aje masalah kat mana kau akan minta tolong? Kat sini jugak. Kat
adik-beradik yang kau benci ni jugak. Kau lupa masalah dengan Omar dulu? Kalau
tak ada adik-beradik ni, kat mana kau nak bawa diri masa tu?”
“Aku bukan datang mengadu pada kau,
tapi pada ibu. Yang kau nak masuk campur jugak tu kenapa?”
“Kau memang jenis manusia tak tahu
berterima kasih dan payah nak sedar diri. Orang yang tiada sedikit keimanan
dalam dada memang macam inilah.”
“Sufi! Kau jangan nak cakap pasal
iman-iman dengan aku!” Bentak Maria marah.
“Dahlah, dahlah Pi. Jangan nak
tegur-tegur dia ni. Bukan dengar cakap orang dia ni. Kami dah jenuh nasihatkan
dia. Biar dia terkena sekali lagi. Masa tu kita tengok pada siapa dia nak
mengadu.” Kak Eisya menarik tangan Sufi.
Sufi menjeling benci ke arah Maria.
Memang dia muak benar dengan perangai Maria. Dia tidak boleh duduk diam selagi
tidak berkata sepatah dua kata kepada Maria yang begitu jahil tentang agama.
Dia hairan bagaimana ibu dan arwah ayah boleh ada anak seperti Maria.
Adik-beradik Sufi yang lain tidak seperti Maria. Disebabkan itulah perasan
hormat Sufi kepadanya hilang. Malah langsung Sufi tidak boleh memanggilnya
‘kakak’, cakap pun beraku-kau. Sufi tiada keinginan untuk cakap baik-baik
dengan Maria. Tidak seperti dengan kakak-kakaknya yang lain. Dia hormatkan
kakak-kakaknya yang lain, termasuk Kak Lila yang tua beberapa tahun darinya.
Sufi duduk menumpang dagu di meja
makan. Memerhatikan Kak Eisya menyiapkan makan tengahari. Sufi tidak menolong
kerana dia bukan tahu apa pasal masak-memasak. Setakat tolong kupaskan kulit
bawang bolehlah.
“Ibu kita dah jenuh mandikan air
mata dengan sikap Maria. Kau tak payah nak ajar dan nasihat dia Pi, bukan makan
nasihat Maria tu,” kata Kak Eisya sambil mengacau gulai masam pedas ikan
jelawat di atas dapur. Aromanya naik hingga membangkitkan selera Sufi.
“Pi tak puas hati Kak Eisya. Macam
orang tak ada agama. Melampau benar dia tu. Pi kesian ibu. Menangis-nangis dia
mengadu pada Pi hari tu.”
“Akak paham Pi, tapi sabarlah. Biar
Allah tunjukkan pada dia.”
“Orang macam dia tu, Allah bagi
ujian berkali-kali pun tak insaf kak.
Menyampah betul.”
“Abang Zali tahu?”
Sufi cuma mengangguk sambil
menguis-nguis hampas kelapa yang tersisa di atas meja.
“Apa kata abang?”
“Abang kata kalau Maria tetap nak
kahwin juga dengan Hassan, dia tak mau pulang untuk mewalikan Maria.”
“Hah, kalau macam tu Maria tak boleh
kahwin. Siapa nak mewalikan dia? Bebudak berdua tu masih bawah umur. Wali
hakim? Bukan senang nak guna wali hakim selagi wali sahih masih ada.”
“Kita tengoklah nanti dia nak buat
macam mana. Alah banyak masalah kalau dia nak kahwin. Surat cerai dia nak cari
kat mana? Surat cerai dengan Mat Zain hari tu dia dah guna untuk kahwin dengan
Omar,” ujar Sufi lagi. Dia membuka
tudung saji dan mencapai seekor udang galah tumis masakan Kak Eisya. Meratahnya
dengan penuh nikmat.
Kak Eisya datang menghampirinya
bersama semangkuk ikan jelawat masam pedas. Diletakkannya di atas meja depan
Sufi. Dengan mulut menggigit udang galah Sufi menghidu gulai masam pedas. Seleranya
benar-benar terbangkit dengan masakan Kak Eisya. Sufi melepaskan gigitan udang.
Memegangnya dengan tangan kiri, tangan kanannya mencapai sudu di dalam mangkuk
gulai, mencedok kuahnya. Belum sempat dibawa ke mulut Kak Eisya sudah menampar
tangannya sebagai larangan baginya menghirup kuah dengan cara begitu.
“Tak elok begitu. Kitakan nak makan
ramai-ramai yang ni. Kalau nak meratah sangat pergi ambil mangkuk lain,” tegur
Kak Eisya sambil mencedok nasi ke dalam pinggan.
Sufi tersengih apabila ditegur
begitu. Dia bangkit dan menuju ke periuk gulai. Mencedok semangkuk penuh kuah
masam pedas. Isinya tidak diambil. Dia ke meja. Siap untuk menjamu selera.
“Habis, Abang Zali tak cakap dia nak
balik?”
“Katanya tengok keadaan dulu, kalau
dah tak boleh nak kawal sangat dia akan balik dengan flight seorang diri. Makan penampar negro Maria nanti.”
“Penampar negro?”
“Abang Zali kan gelap, kalau dia
kasi penampar kat Maria kira makan penampar negrolah Maria nanti,” kata Sufi
menjelaskan maksudnya.
“Kau ni ada-ada saja Pi. Dah, dah.
Makan nasi tu. Tak usah kita nak cakap pasal Maria lagi. Kita tunggulah saja.”
Sufi akur. Dia menyuap nasi dengan
lahapnya. Macam kebulur benar gelagatnya. Kak Eisya menggelengkan kepala
melihat telatahnya. Masih macam budak-budak walaupun sesekali kepala otaknya
boleh dipakai kira juga.
Selesai Sufi menikmati makan
tengahari, telefon rumahnya berbunyi minta diangkat. Memandangkan tiada sesiapa
di ruang rehat, Sufi bergegas menyambut panggilan. Kedengaran suara lelaki di
hujung talian. Lan rupanya. Mengajak Sufi keluar berdua sebelum dia berangkat
ke USM malam nanti. Sufi setuju saja.
Sebenarnya Sufi senang berkawan
dengan Lan kerana kawannya itu tidak pernah salah faham dengan sikap mesra yang
Sufi tunjukkan sepanjang mereka berkawan lima tahun lalu. Perbualan Sufi dan
Lan tidak mengambil masa yang lama kerana Sufi mengantuk dan ingin merehatkan
badan sekejap. Lan akur. Dia sendiri mahu menghubungi teman wanitanya yang
berasal dari Kedah.
Bagaimanapun Sufi tidak dapat melelapkan
matanya tengahari itu. Tiba-tiba saja dia terkenangkan Danish. Sejak Danish
menjejakkan kaki ke menara gading dia tidak pernah bertemu dengan Danish. Hanya
telefon dan surat yang menghubungkan mereka berdua. Memang cuti IPT mereka
berbeza, namun masih sama ketika cuti hujung tahun. Begitupun dia dan Danish
tidak pernah ada kesempatan untuk berjumpa, ada-ada saja alasan Danish
sekiranya Sufi mahu mengatur pertemuan antara mereka. Danish hanya bercuti
sekejap saja, selebihnya dia akan berkerja semasa cuti untuk menampung
perbelanjaan hidupnya di U. Itulah alasan yang acap kali diberikan Danish
setiap kali Sufi bertanya mengapa Danish benar-benar tiada masa untuk
bertemunya.
Itu juga keadaan yang membuatkan
Sufi tidak begitu yakin dengan kesungguhan Danish setiap kali Danish
mengucapkan sayang. Danish tidak seperti lelaki lain yang sentiasa ingin
bertemu dengan gadis si buah hati. Sekiranya Lan sebagai teman baik boleh
merindui senyuman Sufi, boleh terkenangkan gelak tawa Sufi, mengapa pula Danish
yang mengangkat Sufi sebagai insan paling istimewa tidak pernah merasakan
demikian? Lalu Sufi mengandaikan itu bukan cinta sebenarnya. Sebenarnya apa
yang Danish dambakan daripada Sufi? Atau Danish di sana tidak pernah
mendambakan apa-apa daripada Sufi sekadar mahu mempermainkan Sufi?
Ketika Sufi tertanya-tanya
kepentingannya dalam hidup Danish, mana tahu lelaki itu kini seronok
mentertawakannya. Bercerita kepada kawan-kawan akan kebodohan Sufi mempercayai
kata-katanya. Lebih malang lagi jika Danish mentertawakan Sufi bersama-sama
teman wanitanya yang sebenar. Jatuhlah maruah Sufi. Hilang air muka Sufi. Mana
Sufi mahu sorokkan muka Sufi jika mereka mengenalinya?
Tidak. Tidak. Sufi tidak akan
benarkan perkara itu berlaku sama sekali. Sufi bukan semudah itu akan
membiarkan dirinya diketawakan Danish. Jangan harap. Sufi akan pastikan Danish
tidak akan berjaya mempermain-mainkannya. Sufi tidak akan mudah terbuai dengan
setiap ucapan sayang yang keluar daripada mulut Danish. Dia sama sekali tidak akan merelakan itu
terjadi ke atas dirinya. Biarpun dia pernah merasa sedikit hanyut namun dia
tidak akan alpa dan langsung menyebabkan dirinya tenggelam dalam kasih sayang
yang belum pasti.
Bosan fikiran asyik melayang
mengingati Danish membuatkan Sufi merapati hi-fi, memasukkan cd ke dalam pemain
cd. Teralun irama lagu country
nyanyian Kenny Rogers. Sufi terbuai seketika dengan keasyikan irama. Ditambah
dengan suara serak-serak Kenny Rogers. Sekejap sahaja Sufi sudah lena dibuai
lagu. Sufi tidur tidak lama kerana jam tiga petang dia harus keluar bertemu Lan
seperti yang dijanjikan.
“Pi, semalam semasa Lan keluar ke
pekan, Lan terserempak dengan Hardi. Dia tengah bercuti sekarang ni. Kami
sempat pergi minum bersama. Dia ada bertanya khabar kawan-kawan lama. Lan cakap
nak keluar dengan Pi hari ni. Dia berkirim salam,” beritahu Lan semasa mereka
menapak ke sebuah gerai makan di medan selera. Mereka memilih gerai Ariffin
memandangkan Sufi ada kawan di situ. Rosdi namanya.
“Ya kah? Dia kerja kat mana sekarang
ni?” Tanya Sufi sambil menarik kerusi untuk duduk. Lan turut berbuat demikian.
“Katanya KLIA, bahagian domestik,”
balas Lan sambil menekan-nekan telefon genggamnya. “Ni nombor phone dia. Ambillah kalau Pi nak contact dia bertanya khabar.” Lan
menyua telefon genggamnya.
Sufi memandang nombor yang tertera
di skrin. Mengeluarkan telefon genggamnya sebelum menyalin nombor itu. Mana
tahu dia kebosanan nanti. Boleh juga dia hubungi Hardi. Tiada salahnya kerana
Hardi dan Sufi pernah satu kelas semasa di bangku sekolah dahulu. Cuma mereka
jarang berbual kerana Hardi agak pediam dan lebih senang memerhati Sufi dan
mengukirkan senyuman. Ada sekali pula Hardi bercerita tentang nasibnya apabila
ayahnya terlantar sakit dan kemudian meninggal dunia.
Hardi anak bongsu namun abang-abang
dan kakak-kakaknya bukanlah jenis adik-beradik yang mahu mengambil berat
tentang dirinya. Disebabkan itulah Hardi tidak bersungguh-sungguh untuk
belajar. Selepas ketiadaan ayahnya,
ibunya tiada kudrat untuk menyara persekolahannya. Sufi memang kasihan
mendengar nasib Hardi. Disebabkan itulah, sejak mengetahui keadaan diri Hardi,
Sufi cuba untuk menolongnya dalam diam. Tanpa Hardi sedar, Sufi yang
menyelesaikan yuran kelas tambahan Hardi untuk membolehkan kawannya itu
meneruskan persekolahan seperti rakan-rakan yang lain. Sufi memang jenis yang
mudah kasihankan orang. Sifat mudah kasihannya itu kadang-kala membuatkan ada
sesetengah kawannya cuba mengambil kesempatan.
Apabila Lan menyebut tentang Hardi,
Sufi teringat semula tentang perkara itu. Mujurlah sekarang Hardi sudah
mempunyai kerja untuk menampung hidupnya sendiri. Biarpun Sufi simpati kerana
Hardi antara kawan yang tercicir dalam
pengajian, sekurang-kurangnya kawannya itu sekarang sudah ada kerjaya sendiri
meskipun di peringkat rendah.
Rosdi yang menjadi pembantu gerai
Ariffin datang setelah lima minit mereka berbual-bual. Dari jauh dia telah
mengukirkan senyuman kepada Sufi. Senyumannya masih manis seperti zaman
persekolahan.
“Lama benar tak nampak dia datang
sini,” kata Rosdi memulakan ayatnya. “Habis hari ni nak minum apa?” Soal Rosdi
bersedia mengambil pesanan.
“Bagi kami Coke.” Sufi mendahului Lan. Lan sebenarnya
menurut sahaja.
“Makan?” Rosdi masih dengan
senyuman.
“Tak apalah, minum saja. Masih
kenyang lagi ni. Kan Pi?” Giliran Lan pula. Sufi mengangguk.
Rosdi kembali semula ke dalam.
Seketika dia kembali membawa dulang minuman juga sepinggan keropok keping
bersama pencecah air lada. Keropok itu dia belanja. Dia turut mengambil tempat
duduk sebaik meletakkan pesanan ke meja.
“Lama benar tak jumpa ya.” Ulang
Rosdi lagi.
“Jarang pulang. Itu yang lama tak
jumpa. Di dan kawan-kawan kita yang lain apa khabar?” Soal Sufi kemudian menyedut minuman pilihan
menghilangkan rasa haus.
“Kami alhamdulillah, tapi nasib
orang tak belajar tinggi ni beginilah. Buat kerja apa yang patut,” ujar Rosdi
merendah diri.
“Alah, apa pulak cakap macam tu...
kita semua sama saja.” Lan kurang senang dengan kata-kata Rosdi.
Rosdi tersenyum kepadanya. Sejak
Sufi selalu bawa Lan minum di gerai itu Rosdi juga sudah menjadi biasa dengan
Lan. Semasa zaman persekolahan mereka tidak pernah saling bertegur sapa
memandangkan Lan berada di kelas yang agak pintar bersama Sufi. Dengan Sufi
pula Rosdi boleh rapat bermula dengan usik-mengusik. Sufilah yang memulakan
usikan. Dia paling suka mengusik Hisyam yang pediam. Kebetulan Rosdi memang
rapat dengan Hisyam. Lalu tempiasnya terkena pada Rosdi dan seorang lagi rakan
mereka iaitu Dinie. Tapi Hisyamlah yang paling kuat diusik. Memang kelakar
ketika itu apabila Rosdi kenangkan balik. Habis sekolah segala usikan bertukar
menjadi persahabatan. Sufi dan Hisyam jadi kawan. Turut melibatkan Rosdi dan
Dinie. Indah betul.
“Dinie dan Hisyam apa khabar ya?
Terutama Dinie, lama tak dengar cerita dia. Kalau Hisyam tu saya sempat
telefon dua tiga hari lepas bertanya
khabar.”
“Hisyam macam tulah. Dengan bisnes
bapak dia. Dinie? Kawan kita tu bukan setakat Sufi tak boleh nak kesan
jejaknya. Saya pun tak tahu mana dia menghilang. Dengarnya ke JB.”
“Kalau jumpa dia atau dia datang
sini kirim salam ya. Lama tak jumpa dia.”
Rosdi mengangguk. Kemudian dia
bangun apabila ada pelanggan datang. Melayan dia seketika sebelum kembali ke
kaunter meneruskan tugasnya. Sengaja memberi peluang kepada Sufi dan Lan
menghabiskan masa berdua. Biarpun dia tahu Lan dan Sufi bukan ada hubungan yang
istimewa, dia tetap tidak mahu mengganggu mereka. Dia sebenarnya agak segan
dengan Lan.
Lama juga Sufi menghabiskan masa
dengan Lan di gerai Ariffin sebelum memanggil Rosdi untuk menjelaskan bil.
Namun Rosdi menolak. Katanya sesekali belanja kawan tiada salahnya. Itulah yang
membuatkan Sufi termalu. Rosdi jarang mahu dia bayar jika ke situ. Jika tidak
mahu bertanya khabar kawan lama, tentu Sufi tidak ingin ke situ. Tapi entah
mengapa Sufi sering terpanggil untuk bertanya khabar kawan-kawan, terutama
Dinie.
Dia masih ingat, walaupun hubungan
mereka bermula dengan mengusik Hisyam, namun Dinie yang lebih menunjukkan minat
untuk rapat dengan Sufi. Sedangkan di sekolah dia jarang menegur Sufi. Hanya
sekali seingat Sufi Dinie menegurnya. Iaitu ketika mereka mahu menghadapi ujian
lisan Bahasa Inggeris. Kebetulan Sufi lebih fasih, maka cikgu yang menjaga
mereka meminta Sufi bantu mana yang patut. Dinie termasuk antara pelajar yang
dibantu Sufi. Sekali itulah Dinie menegurnya. Sebelum itu tidak pernah cuma
setiap kali terserempak, Dinie memang tidak akan melepaskan peluang merenungnya
dan menoleh dua kali ke arah Sufi.
Kemudian, apabila Sufi melanjutkan
pelajaran ke tingkatan enam, Dinie dan Rosdi meneruskan pengajian ke institut
kemahiran. Mereka berulang-alik dari kampung
mereka ke Pasir Mas. Sufi yang menunggu kereta di depan rumah sering
melihat mereka melintasi Sufi. Dinie yang menunggang motor pula sering membunyikan
hon setiap kali ternampak Sufi. Itulah yang membuatkan hingga kini Sufi
terpanggil untuk bertanya khabar Dinie. Jika dia menelefon Hisyam juga dia akan
bertanya khabar tentang Dinie. Entah mengapa.
Begitupun, satu saja alasan Sufi.
Dia memang suka mempunyai ramai kawan. Tidak lebih daripada itu. Cuma hubungan
dengan Danish yang sedikit teruja lebih daripada seorang kawan. Dia tidak faham
mengapa dengan Danish segala-galanya menjadi agak kalut dan tidak tentu arah?
Mengapa dengan Danish segala-galanya mesti disulamkan dengan rasa rindu dan
cemburu? Mengapa dengan Danish mesti ditaburi dengan butiran air mata? Mengapa
dengan Danish mesti ada resah menerjah? Mengapa dan mengapa? Cintakah itu
namanya?
BAB LAPAN
Cuti Sufi
sudah pun berakhir. Dia kembali semula ke kolej setelah Abang Zalinya pulang
dari Bandung. Sufi tidaklah begitu
seronok menghabiskan cutinya memandangkan pertikaian yang berlaku antara
dirinya dengan Maria, pantang bertemu muka, mesti ada-ada saja perbuatan dan
patah perkataan Maria yang menyakitkan hatinya. Apa yang mengubat hatinya cuma
kerana percutian kali itu membuka ruang untuknya bertemu kawan-kawan lama.
Dalam pada itu, satu perkara pelik
yang berlaku pada diri Sufi, telefon genggamnya selama ini tidak pernah diusik
panggilan misteri tiba-tiba mengalami perkara tersebut. Anehnya si pemanggil
hanya membuat missed call. Tidak
pernah mahu bercakap. Pada awalnya Sufi menganggap ia hanya panggilan yang
tersilap masuk ke nombornya. Namun apabila sepanjang cuti boleh dikatakan
setiap hari nombor yang sama menghiasi skrinnya, diri Sufi mula rasa tercabar
dan geram diganggu.
Keadaan itu terbawa-bawa sehingga
Sufi memulakan kelas pertama selepas cuti. Ana mula merasa hairan. Lebih-lebih
lagi apabila Sufi bersungut tentang perkara itu di depannya.
“Pi, cuba Pi call balik nombor tu. Dengan itu Pi boleh kesan siapa lahabau tu,”
cadang Ana. Sengaja dia menggunakan gelaran ‘lahabau’ meminjam makian Sufi.
“Emh, menarik juga idea Ana tu.
Nanti saya akan telefon dia melalui public
phone. Hah, Ana hulur kat saya seposen.”
“Seposen je ya. Banyak tak boleh,
saya nak telefon si Nazrul.”
“Aik, nak telefon lagi? Hari tu
cakap nak biar je macam tu. Biar dia pula terhegeh-hegeh.”
“Ni last. Nak minta kepastian daripada dia. Kiranya dia masih kurang
memuaskan hati saya, saya akan lupakan dia.”
“Bagus juga tu Na. Elok Ana tumpukan
perhatian pada si Azhar. Kan hari tu Ana cakap Ana nak terima aje Azhar.”
“Hah, sebut pasal Azhar, orang ada
cerita menarik nak khabarkan pada Pi. Tapi apa-apa hal pun pergi buat panggilan
dulu. Lepas ni kita sama-sama saling bercerita.”
“Wokeh!”
Sufi melompat dari katilnya dan
menerpa ke pintu. Nasibnya agak baik kerana telefon awam kosong, tiada tetamu
ketika itu. Berdebar juga Sufi semasa menunggu talian bersambut. Dan apabila
terdengar nada deringan, jantungnya sama kencang berdegup dengan nada tut-tut.
Sufi rasa tidak sedap hati benar.
“Hello, siapa di sana tu?” Soal satu
suara lelaki sebaik panggilan berjawab. Sufi diam, cuba untuk mengamati suara
si pemanggil.
Sebaik mendengar suara lelaki itu
Sufi rasanya dapat mengagak siapakah malaun yang selama ini mengganggunya
dengan panggilan menyusahkan tidak mengira masa sebelum ini. Namun Sufi ingin
mengamatinya sehingga dia yakin benar. Dia biarkan saja lelaki itu terus
berhello-hello seorang diri.
Huh. Sah! Sah! Memang dia lelaki
itu. Hati Sufi memang terbakar. Dasar jantan. Sufi mula berkira-kira untuk
berbuat sesuatu sehingga boleh menyedarkan lelaki itu suatu masa nanti. Dia
menghempaskan gagang telefon. Dia berlari-lari ke biliknya. Tidak sabar untuk
memuntahkan segala sumpahan dan makiannya di depan Ana. Sedang kala itu memang
hatinya sudah sakan benar menyeranah.
“Hah, dapat detect? Lahabau mana?”
“Ana mesti tak percaya...”
“Cakaplah, siapa?”
“Siapa lagi? Syafizan lah.”
Ana tersengih lebar. “Ini berita
baik Pi. So apa salah go on dengan dia.”
“Sorry
sikit Ana, kalau setakat badigol so’ot tu saya minta maaf. Dasar buaya plastik.
Nak berlagak buaya, tapi tak jadi. Kita dah dapat tangkap awal-awal niat dia.
Tu, si Hana tu dia nak campak kat mana?”
“Pi, pada firasat orang lah,
Syafizan sengaja buat rapat dengan Hana nak bagi Pi jealous. Hana pula tak tau niat dia, lalu terima saja kehadiran
Syafizan.”
“Dah, Ana jangan nak berfirasat.
Bukan boleh pakai sangat firasat Ana tu. Dah, kita tak usah cakap pasal
Syafizan, tadi ada cerita Ana nak bagi tau saya kan?”
“Hah, ni memang nak ceritalah ni.
Tapi kita cerita pasal Syafizan dulu. Topik menarik ni, hal Azhar kita
kendiankan.”
“Dah Ana, orang tak mau dengar nama
Syafizan lagi. Menyakitkan hati tau tak?”
“Yang Pi jadi sakit hati benar ni
kenapa? Atau Pi memang bengang dia rapat
dengan Hana dalam masa yang sama cuba nak tackle
Pi?” Ana makin seronok pula menguji Sufi.
Sufi melentokkan lehernya dan
melayukan kelopak matanya. “Ana please.
Geli lubang hidung orang mendengar nama tu. Kita jangan cakap pasal dia
lagi...” Memang Sufi sudah sampai tahap merayu pun.
Ana terbahak-bahak ketawa dengan
gelagat Sufi. Masih tidak berubah setiap kali ada makhluk bernama lelaki cuba
mengintai hatinya sama ada sudah berpenghuni atau tidak. Atau jangan-jangan
Sufi menyimpan ruang kosong di dalam hatinya untuk seseorang yang paling
istimewa? Siapa? Danish? Hah, sudah lama Ana tidak mendengar Sufi bercerita
tentang Danish. Masih terjalin lagikah hubungan mereka?
“Okey, kita tukar topik. Sebenarnya,
pasal saya dan Azhar, dia dah pun masuk merisik masa kita pulang bercuti hari
tu.”
“Oh iya kah? Tahniah Ana.” Sufi
memang tumpang gembira mendengar tentang perkembangan hubungan Ana dan Azhar.
Hubungan mereka sebenarnya terjalin
memandangkan Azhar berkawan baik dengan abang kandung Ana yang tinggal di
Kemaman. Mulanya Ana tidak mahu menerima salam perkenalan yang dihulurkan
Azhar, namun memikirkan nama baik abangnya Ana akur dengan keadaan itu. Dalam
masa yang sama Ana cuba untuk menggunakan Azhar untuk melupakan Nazrul Azam.
Lelaki yang nampaknya cuba main tarik tali dengan Ana.
“Eh, Pi excited ni kenapa? Orang belum putuskan pun nak terima atau tak
lamaran Azhar.” Ana sedikit geram dengan reaksi Sufi.
“Ana nak tunggu apa lagi?”
“Nazrul Azam?” Ana menyoal Sufi
kembali dengan maksud untuk mengingatkan Sufi.
Sufi terangguk-angguk. Dia cepat
terlupa tentang Nazrul Azam. Sebenarnya kondisi Ana dan dirinya sama saja. Ana
dengan Nazrul Azam manakala Sufi pula dengan Danish. Cuma Sufi bukan spesies
perempuan seperti Ana. Apabila diusik lelaki adrenalina naik, hati
menggelinjang suka. Mulut pula asyik cakap meluat-meluat. Bukan. Sufi bukan
seperti itu. Dia kalau dah cakap tak
suka, memang betul-betul tidak sukalah. Cuma dengan Danish dia tidak pasti. Apa
reaksi sebenarnya andai Danish suatu masa nanti mengucapkan kata-kata yang
selalu diistilahkan sebagai kata-kata keramat oleh orang bebanyak? Apa agaknya
reaksi Sufi ketika itu?
Bagaimanapun, situasi Ana dan Sufi
sebenarnya biasa dialami oleh sesiapa jua. Terlibat dengan cinta. Walau tidak
cinta kampus seperti umumnya terjadi kepada pelajar universiti yang lain, ia
masih dalam usia yang sama. Usia paling kerap mengalami keadaan diminati dan
meminati. Itulah usia remaja namanya. Jika sudah melepasi usia ini,
segala-galanya akan berubah dan khalayak yang melingkari hidup Sufi, Ana dan
ramai lagi rakan-rakan seusia akan berubah. Tiada lagi kawan-kawan yang akan
berhu-ha sana-sini. Jikapun Sufi masih rapat dengan Lan misalnya, keadaan pada
masa depan tidak akan sama dengan sekarang. Gurau senda dan lelucon yang bakal
menghiasi perhubungan mereka berdua tidak lagi berkisar pada subjek sekarang.
Dan Sufi tertanya-tanya, kelak siapa
akan menemaninya? Siapa akan berkongsi suka-duka bersama-sama hingga ke detik
nafas yang terakhirnya? Siapa akan memangkunya tika dia tiada kudrat untuk
melakukannya sendiri apabila usia semakin meningkat tua? Sufi tertanya-tanya semua itu.
Tentunya bukan Syafizan. Danish? Memang
Sufi pernah membayangkan. Namun bayangan itu tampak kabur sahaja. Oh, alangkah
manisnya jika semua itu dapat diramalkan setepat-tepatnya. Cinta Sufi. Siapakah
yang bakal memilikinya? Cinta Sufi. Pada siapa akan tertumpah segala rasa cinta
yang selama ini mendap sebati dalam diri Sufi?
“Sufi terlontar lagi dalam
daerahnya. Daerah angan-angan!” Suara Ana mengembalikan Sufi ke ruang bual.
“Ingat apa?” Ana menyoal. Di
tangannya sudah ada sebatang lipstik. Tentu sekejap lagi Ana akan keluar.
Dengan siapa pula kali ini?
“Na, saya ingat orang macam Syafizan
tu patut kena ajar sikit.”
“Tak payah Pi. Dia dah cukup pandai.
Kalau tak dia tak mungkin boleh masuk U.”
“Woi, bukan ajar ABC atau 123.
Bahalol, bahalol.”
“Habis nak ajar sikit... sikit apa?”
“Ajar sikit pasal hormat perasaan
orang lain. Jangan ingat nak main-mainkan orang saja. Kita patut buat biar dia
tahu bagaimana sakitnya kalau dimain-mainkan.”
“Itu kena serah pada Hana. Biar Hana
main-mainkan dia, lepas ni dia akan faham istilah sakitnya,” balas Ana dan
menenyeh-nenyeh lipstik ke bibir. Dah merah benar Sufi tengok.
“Tapi Na, kalau dalam hal mereka
berdua orang kalau boleh biar Hana yang dipermainkan Syafizan, biar dia tahu
betapa sakitnya masa dia mainkan Pak Ya dulu.”
“Hai, Pi ni kenapa nak turut membela
Pak Ya?”
“Ana jangan lupa, Pak Ya tu dulu
kemain sengsara sebab Hana.”
“Lalu Pi rasa terketik sama?”
“Ya. Dia buat macam tu kat kawan
saya, gelombang radang turut terkesan dalam diri saya ni.”
“Amboi bahasa, apa tadi Pi? Gelombang
radang ya? Hah, ni cakap-cakap guna istilah bombastik dan estetik ni ada hajat
nak ganti Hizairi Othman kah?” Bertalu-talu pula Ana menyoal.
Sufi tersengih dengan gelagat Ana.
Pantang kalau Sufi mula nak bersastera sikit, mula dia menyamakan dengan
Hizairi Othman. Si tutor muda itu pun satu, suka guna bahasa yang orang lain
jarang guna. Biar dia nampak super
pelik. Huh Hizairi, ada masa Sufi menyampah juga sebab kena sembur di dalam
kelas tutorial. Selalu. Bukan sekali dua, tapi selalu.
Berbalik kepada Syafizan dan Hana.
Sufi mula membayangkan tidak kira siapa yang melukakan siapa antara mereka
berdua, pokok pangkalnya Sufi akan bertepuk tangan gembira. Kalau tidak cukup
kuat setakat tangan, kaki pun akan Sufi gunakan untuk menunjukkan gembiranya dia
dengan keadaan itu.
Sufi memang anti kepada sesiapa saja
yang mempunyai sikap suka mempersendakan perasaan orang lain. Benci yang amat
sangat. Jangan kata iklim sekitar yang
mendorong mereka. Jangan kata deretan pilihan di kampus membuatkan mereka bebas
menukar-nukar pasangan. Rasa kurang berpuas hati dengan si A, berpindah kepada
si B dan seterusnya hingga hati mereka puas. Spesies jenis ini sebenarnya tidak
tahu istilah bercinta yang sebenar. Mereka hanya mahu berseronok dan menguji
pasaran. Kalau laku kira saham mereka tinggilah. Tak patut. Memang tidak patut.
Menguji pasaran dengan mempersendakan perasaan orang lain.
Bagaimana dengan Ana? Ana sebenarnya
ada juga ciri-ciri itu. Namun apa nak buat, Sufi terpaksa memahami atau cuba
memahami Ana yang pernah dimain-mainkan lelaki suatu masa dahulu. Sebelum
dengan Nazrul Azam, dia pernah dimainkan lelaki bernama Amran, kemudian Nazrul
Azam juga nampaknya cuba mempermainkan Ana. Disebabkan itu Ana mengatakan dia
ingin membalas dendam kepada lelaki. Mengambil kesempatan atas layanan mereka.
Lalu terciptalah sederetan lelaki yang sedang menunggu kata putus dari Ana.
Kalau tidak silap Sufi, antara deretan itu termasuklah Azmeer, Faizal, Aziz dan
terkini Azhar. Entah siapa yang bakal menerima cinta Ana yang sejati tidak Sufi
ketahui.
Sufi? Sufi tidak pernah
mempermainkan sesiapa meskipun sebagai suatu tindak balas memprotes sikap
seseorang kepadanya. Baginya cinta bukan satu parodi. Jika cinta sudah boleh dibawa bermain
bermakna dia juga seperti orang lain, menganggap cinta suatu parodi yang boleh
diketawakan. Lalu pula, dia tidak pernah terluka santak hari itu. Dengan Helmi
dulu juga dia tidak pernah terluka, malahan menerima ketentuan Ilahi dengan
tenang dan menganggap Allah belum membuka ruang untuk dia menjalani kehidupan
berkasih sayang demi menyelamatkannya.
Dan tentu saja Sufi bersyukur dengan perkara itu.
Cinta monyet. Itulah soal paling
domestik dalam usia seperti itu. Tiada satu pun yang serius. Mungkin apabila
usia makin menginjak, akan berlaku perubahan dan iklim Sufi dan kawan-kawannya
tidak lagi kucar-kacir dengan permasalahan remeh-temeh seperti itu. Begitu
remehpun hal itu, dalam masa yang sama ia sebenarnya menjadi sesuatu yang boleh
membumbui perjalanan hidup Sufi dan rakan-rakan seusianya. Juga khalayak lain.
Tanyalah pada sesiapa saja, tidak pernahkah mereka melalui keadaan seperti ini?
Tentu sekali jawapannya pernah. Jadi relevan jika keadaan Sufi sekarang begini.
Dipendekkan cerita, Sufi membiarkan
Syafizan dengan dunianya. Tidak lupa ‘menghadiahkan’ Syafizan seorang gadis, kawan Sufi sendiri iaitu
Zaleha atau mesra ringkas nama Iha. Caranya dengan menghantar mesej kepada
Syafizan menggunakan telefon genggam Iha. Bermula saat itu Syafizan dan Iha
saling berhubung melalui mesej. Biarlah. Iha suka ‘berkawan’ dan begitu juga dengan Syafizan. Cuma setelah
berbulan-bulan lamanya Syafizan dan Iha berkawan melalui mesej dan juga
mengatur pertemuan, Syafizan akhirnya tahu keadaan sebenar. Dia ingin bersemuka
dengan Sufi, bertanya mengapa bertindak demikian.
Lalu akhirnya Sufi melampiaskan
secara total apa yang terbuku di hati. Meluahkan kesalnya dengan suara yang
naik tinggi.
“Saya tak suka dengan apa yang awak
buat kat saya. Noktah!”
“Tapi saya hantar surat tu memang
kerana saya ikhlas untuk kenal Sufi,” ujar Syafizan dengan nada paling lembut,
terutama ketika menyebut nama Sufi. Dia membiarkan liurnya merentas rengkung.
Sufi terjeda. Namun bukan bererti
terpedaya. Juga belum ada tanda untuk berbunyi sama. Buat masa itu elok sahaja
jika dia mendengar saja.
“Pi...” Aduh, tahu pula dia
menggunakan nama manja Sufi. Apatah lagi dengan intonasi suara selembut itu.
“Pi, kenapa tidak pernah membenarkan kita jadi kawan? Kenapa Pi berubah selepas
saya mengutuskan surat kepada Pi?”
“Sebab lelaki jenis awak bukan boleh
dibuat kawan. Takut termakan diri. Dan tolong jangan panggil saya begitu. Just call me Sufi.”
Giliran Syafizan pula terjeda.
Matanya enak merenung Sufi. Sufi awalnya memberanikan diri membalas renungan
Syafizan, namun pantas melarikan apabila dia mula merasa kurang senang dengan
cara Syafizan merenungnya. Pelajar semakin ramai di foyer fakulti. Namun masing-masing tidak mengendahkannya. Itu
perkara biasa apabila sepasang pelajar bercakap-cakap. Bukan perkara maha pelik
pun.
Sufi berpura-pura memandang jam yang
berharga sepuluh ringgit terlilit di pergelangan tangannya. Syafizan masih
mencari idea yang sesuai.
“Dahlah. Saya tak boleh lama-lama cakap dengan awak, nanti Hana atau
kawan-kawannya nampak. Tak mau mereka salah sangka dan Hana syak lain pada saya
nanti.”
“Kami dah putus.” Syafizan menjawab
kontan.
“Eh, baru beberapa bulan lepas saya
tengok kemain mesra awak dengan dia. Kenapa boleh putus? Sebab awak dah kenal
Iha?” Sufi menebak. Begitupun dia separuh gembira dengan khabar itu. Belum
gembira sepenuhnya kerana belum tahu siapa yang memutuskannya.
“Saya rasa tak boleh nak go on dengan Hana. Betul dia cantik dan
ramai orang tunggu peluang untuk mendampinginya, tapi bukan perempuan begitu
yang saya inginkan.”
Hah, itu Sufi nak dengar. Sah,
Syafizan yang memutuskan. Hasrat Pak Ya tercapai sudah untuk melihat Hana
dikecewakan.
“Habis awak nak pompuan macam mana?
Takkan nak cari macam Siti Nurhaliza.”
“Siti Nurhaliza tu perfect kah?”
“Entah, ramai cakap dia cantik. Perfect.”
Dan Sufi teringatkan Danish yang
begitu memuja Siti Nurhaliza. Sanggup berhabis untuk menonton persembahan
penyanyi tersebut walaupun selepas membayar harga tiket, wang sakunya tinggal
sekupang. Danish gila tahap sembilan puluh darjah kalau bercerita pasal Siti
Nurhaliza. Sampaikan malam Anugerah Juara Lagu dia tidak izinkan Sufi
menghubunginya kerana mahu saksikan persembahan Siti. Tambah sepuluh lagi,
cukup seratus darjah kegilaan Danish dan kalau dah sampai tahap itu, Danish
dikira memang gila habis.
“Pi, saya tak pentingkan kosmesis
dalam memilih seseorang untuk saya dampingi. Dengan Hana ia suatu keterlanjuran
yang tidak dapat saya elakkan. Mungkin boleh kata satu eskapisme. Saya
pentingkan ini,” beritahu Syafizan sambil menunjuk ke arah kepalanya. Sebagai
simbol dia mementingkan kebijaksanaan dalam memilih perempuan.
“Saya doakan awak akan bertemu
dengan seorang genius nanti.” Sufi
tiada niat untuk mengejek.
Syafizan ingin bersuara.
Bagaimanapun suaranya tidak sempat melompat kerongkong. Si Pak Ya datang lalu
menonong duduk di sebelah Sufi. Berkata separuh berbisik kepada Sufi. Macam ada
rahsia besar pula. Dia cuma melontarkan senyum kepada Syafizan.
“Sorry
ya. Ada hal. Saya pergi dulu.”
Lalu Sufi bangun mengatur jejak di
belakang Pak Ya. Jauh meninggalkan Syafizan, mereka berhenti di sepohon pokok.
Dengan santai melabuhkan punggung ke rumput. Pak Ya mengeluarkan sesuatu
daripada fail yang dikepitnya. Berterabur habis kertas di atas rerumput.
Sufi memandang seketika. Kemudian
terkekeh-kekeh ketawa.
“Ini pantunkah macam ni? Kenapa
bunyinya tak macam pantun? Rima tengah dan belakangnya lari. Bilangan suku kata
tak tentu dalam setiap baris. Teruk betul anak Melayu kalau macam ni.” Sufi
berkata setelah ketawanya reda.
“Itu yang saya minta Pi tolong
tengokkan. Rasa pelik saja bila saya cuba berpantun. Tolong ya Pi.”
Sufi mencebikkan bibirnya. Menguji
Pak Ya. Lalu Pak Ya sengaja meliuk-lentokkan kepalanya. Macam mak nyah. Sufi
kemudian menarik nafas. Mengangguk sebelum akhirnya bangun meminta kebenaran
untuk pulang. Sudah agak lama dia menghabiskan masa di fakulti. Sekejap lagi
azan Asar akan berkumandang.
“Er, terlupa nak cakap. Syafizan dah
tinggalkan Hana.” Sufi sempat memberitahu semasa Pak Ya juga bangun untuk menuju ke tempat meletak
motor.
“Betul? Alhamdulillah. Patut pun ada
kawan cerita si Anaconda tu menangis tersedu-sedan baru-baru ni. Tu mesti sebab
dah terkena tu.”
Sufi mengangguk-angguk tanda setuju.
Kemudian dia meneruskan niatnya untuk pulang ke kolej kediamannya. KMR.
Sufi menganggap masalahnya dengan
Syafizan akan berakhir di situ.
Bagaimanapun beberapa hari kemudian, dia menerima mesej daripada Syafizan melalui Ana. Syafizan meminta Sufi menelefonnya.
Atas desakan Ana, Sufi akur. Rupanya Syafizan ingin menemuinya kerana ingin
menghadiahkan sesuatu. Sesuatu yang tentu Sufi akan suka. Dia mengatur
pertemuan dengan Sufi di fakulti sekali
lagi.
“Saya pasti Sufi akan suka dengan
benda yang saya bagi ni,’ ujar Syafizan sambil diperhatikan beberapa orang kawan
yang turut berada di situ.
Sufi menyambutnya. Agak
tertanya-tanya juga apa benda yang Syafizan hadiahkan kepadanya. Sufi
mengelekek, namun dalam nada yang terkawal. Syafizan tersenyum. Dia maklum
itulah riak yang akan Sufi pamerkan sebaik membuka bungkusan hadiah
daripadanya.
“Terima kasih.”
Syafizan tersenyum. Kawan-kawan di
sebelah Syafizan juga tersenyum. Sufi kemudian meminta diri untuk berlalu.
Hatinya sedikit kelucuan. Mana Syafizan tahu agaknya?
“Apa hadiahnya Pi?” Soal Ana tidak
sabar sebaik Sufi tiba di bilik. Dia dapat rasakan mestilah sesuatu yang
benar-benar Sufi suka, jika tidak wajah Sufi tentu tidak akan berseri-seri
seperti itu.
Sufi mengeluarkan hadiah yang
diberikan Syafizan. Suara Ana terloncat dari kerongkong penuh langsing. Mereka
ketawa bersama.
“Mana dia tahu agaknya Pi?”
“Itulah, orang pun nak tanya Ana ni.
Selain Ana, Setti, Ina, Kak Ilah dan Kak Ida tak de orang lain yang tahu saya
suka benda ni.”
Ana berkerut kening. Sekali gus
mengecilkan matanya dengan gesture
kepala sedikit menunduk. “Rosman. Rosman Pi.”
Dan fakulti minda Sufi pantas
memanggil detik beberapa hari lepas, ketika hujung minggu. Dia, Ana dan Rosman.
Teman sekursus yang juga ROTU dan sedorm dengan Syafizan telah keluar makan
bersama di Mines Shopping Fair. Ana kebetulan telah membelikan seekor katak
porselin berwarna hijau kepada Sufi sebagai hadiah. Rosman yang berada di
sebelah Ana ketika itu ketawa melihat hadiah yang dibelikan Ana untuk Sufi.
Namun Ana menjelaskan Sufi memang minat katak. Terutama yang berwarna hijau.
Comel katanya. Mula Ana bercerita akan barang peribadi Sufi yang kebanyakannya
bermotifkan katak. Mujur tidak disebut tentang underpants Sufi. Kalau tidak malu jadinya.
Lalu sejak hari itu, hubungan Sufi
dan Syafizan kembali baik. Sementelah Sufi sudah memaafkan Syafizan dan dalam
masa yang sama berterima kasih kepadanya kerana membuatkan Hana merasakan
bagaimana perit dipermainkan. Syafizan juga sudah memutuskan untuk kembali
kepada Mai. Kekasih lamanya yang dianggap paling luhur.
Itu sahaja. Memang pelajar
universiti kaya dengan kisah cinta bersegi-segi. Bukankah sudah disebutkan,
mereka punyai deretan pilihan di sini. Apapun Sufi lebih tenang kini kerana
Syafizan akhirnya menghormati dia sebagai seorang kawan. Dia cukup-cukup
tenang. Cuma masih ada yang tersangkut di hatinya. Danish. Itulah insan yang
sering membuatkan Sufi berfikir ligat.
BAB SEMBILAN
Assalamualaikum Sufi.
Kau apa khabar? Lama aku tak dengar khabar berita tentang
kau. Kau tak mahu kawan dengan aku lagi kah Pi? Atau kau merajuk dan marahkan
aku? Rasa aku, aku tak buat apa-apa silap pada kau.
Aku
minta maaf bagaimanapun andai aku ada
buat silap. Hubungilah aku Pi kiranya
kau masih nak kawan dengan aku. Bagi aku, aku tetap menunggu kau menghubungi
aku di sini. Aku sudah jenuh mendail nombor phone
kau. Tapi asyik off aje. Kau dah
tukar nombor atau memang kau tak mahu kawan dengan aku lagi kah Pi?
Pi
hubungilah aku kerana aku rindukan kau.
Sekian.
Danish.
Sufi melipat kembali surat yang
dikirimkan Danish kepadanya. Akhirnya Danish menghubungi Sufi setelah agak lama
Sufi tidak mengendahkannya. Padan dengan muka Danish. Selama ini hanya Sufi
yang kerap mengutuskan warkah untuknya. Danish jarang mahu membalasnya dengan
alasan tak tahu nak tulis apa. Sekarang apabila Sufi menyepikan diri tahu pula
dia menulis surat. Berapa lama agaknya masa yang Danish ambil untuk mengarang
surat sepanjang itu?
Sufi termenung kemudiannya. Tidak
tahu apa yang patut dilakukannya. Dia memandang telefom genggam yang nampak
penuh relax. Sudah lama telefon itu
tidak menjadi penghubung antara dia dan Danish. Sufi sememangnya tidak tahu apa
yang harus dilakukannya. Kadang-kala dia merasa cukup tertekan dengan keadaan
hubungannya yang tidak berkepastian antara mereka berdua.
Sedang matanya terpaku pada
telefonnya, alat komunikasi itu tiba-tiba berdering, mengalunkan lagu Madu
Tiga. Sufi tersentak. Ana menjelingnya sambil tangan masih memegang mouse. Sufi menggapai telefonnya.
Tertera nombor yang baru disimpan dalam memori telefonnya – Hardi. Sufi
tertarik untuk pantas menekan butang jawab. Tidak disangka terdorong juga
kawannya itu untuk menelefon Sufi.
“Assalamualaikum.” Sufi memberi
salam.
“Waalaikumsalam. Pi apa khabar?”
Entah mengapa dada Sufi bergetar
mendengar suara Hardi sebegitu. Dia cuba untuk menenangkan dirinya. Memejamkan
mata, membayangkan wajah Hardi. Sudah lama tidak bertemu, suaranya masih tidak
berubah. Kacakkah dia sekarang?
“Baik, Die apa khabar?”
“Emh, okey. Tapi tak ada segembira
Pi yang dah berjaya melanjutkan pelajaran ke U.”
“Tak masuk U pun boleh gembira juga.
Takkan kat tempat kerja tu tak ada sesiapa yang boleh buat Die gembira?”
Hardi terjeda. Cuma terdengar
keluhan kecil di hujung talian.
“Apa mimpi telefon Pi?” Sufi mahu
menghidupkan suasana.
“Die memang dah lama nak contact Pi, kebetulan Lan bagi nombor phone Pi masa jumpa hari tu.”
“Lan memang ada cerita dia
terserempak dengan Die. Tapi tak cakap pula dia bagi nombor Pi.”
“Salahkah kalau dia bagi nombor Pi?”
“Tak. Tak salah. Lagi-lagi kalau
bagi kat kawan lama. Emh, memang dah lama kan kita tak berhubung.”
“Ya, tapi Pi sentiasa di hati Die.”
“Hah?” Sufi sekadar ingin memastikan
dia tidak tersilap dengar.
“Pi, Die masih ingat, semasa Die
mengulang SPM di sekolah swasta, hanya Pi classmate
kita yang rajin mengutus surat dan bertanya khabar Die. Malah kesemua
surat-surat itu Die simpan hingga kini, terutama kad ucapan sempena hari lahir
yang paling Die hargai. Die memang tak pernah terima sebarang kad sebelum kad
Pi tiba. Orang macam Die, miskin harta dan rupa tak ramai yang nak kawan,”
beritahu Hardi panjang lebar.
Sufi sedikit tergelujat. Sungguh,
dia sendiripun sudah lama melupakan tentang perkara itu dan memang sedikitpun
tidak ingat tentang surat-surat yang pernah diutuskan kepada Hardi. Namun, Sufi
tidak menafikan, dia memang rajin menulis surat meskipun mengambil masa yang
lama untuk menyudahkan sepucuk surat. Disebabkan kerajinannya menulis dan
membalas suratlah membuatkan Sufi antara penghuni KMR yang kerap menerima
surat.
“Terima kasih kerana menghargai
surat-surat yang Pi hantar.” Sufi sebenarnya tidak tahu apa yang patut
dikatakannya.
“Sepatutnya Die yang ucapkan terima
kasih pada Pi kerana sudi bertanya khabar Die dulu.”
“Kalau benar Die berterima kasih
kenapa sekalipun Die tak pernah balas?”
“Die tak tahu nak cakap apa. Die
bukan jenis yang pandai nak tulis surat ni. Mengaji pun tak tinggi mana. Bukan
macam Pi, sekolah dulu best student.
Sekarang study kat U.” Agak inferiority complex bunyi nada Hardi.
“Alah, nak tulis surat bukan macam
nak jawab exam. Taram aje apa yang
nak tulis,” protes Sufi.
Hardi diam tanpa suara. Mencipta
jeda dalam perbualan mereka. Sufi tertunggu-tunggu.
“Pi, Die sebenarnya segan. Kita tak
sama taraf. Pi, walaupun hanya ada ibu, tapi hidup Pi agak mewah. Ibu Pi boleh
mengada-adakan semuanya untuk Pi. Die ni apa ada? Mak bapak Die orang susah.
Sekarang ni makin ketara jurang Die dengan Pi. Pi student U. Die cuma kerja tolak troli di KLIA. Die malu. Bukan
dengan Pi sorang, tapi dengan semua classmate
kita. Hampir semua kawan kita dapat jejak kaki ke U. Die aje kerja macam
ni.”
Sah. Memang dia terkena sindrom inferiority complex. Kasihan dia. Sejak
zaman sekolah hingga kini tidak sudah-sudah terkurung dalam tempurung rendah
diri. Kasihannya dia. Sufi terpanggil untuk mengeluarkan dia dari bawah
kurungan tempurung itu.
Mereka meneruskan perbualan.
Bercerita tentang kawan-kawan. Hardi banyak bertanya khabar tentang Ita, salah
seorang kawan rapat Sufi semasa di tingkatan lima. Kini Ita melanjutkan pengajian di UM.
Sufi sering juga mengatur pertemuan dengan Ita sekiranya pulang bercuti. Ita
juga rajin menulis surat
kepadanya. Hardi juga bertanya tentang Zainal Abidin yang hilang jejak. Dialah
kawan rapat Hardi satu masa dulu.
Sesudah berbual dengan Hardi, Sufi
pantas menelefon Ita, memberi nombor telefon Hardi. Tujuannya agar Ita
menghubungi Hardi untuk menolong Hardi daripada terus merasa rendah diri dan
merasakan dilupakan oleh kawan-kawan yang sudah menjejakkan kaki ke menara
gading. Perbualan dengan Ita tidak mengambil masa yang lama.
Kemudian Sufi kembali dengan
tugasannya. Mengadap komputer dan mula menaip. Tajuk assignment yang diberikan oleh Dr. Ramli Isin tidaklah sesusah
mana. Sufi perlu kaji unsur sastera dalam novel-novel awal dahulu. Sufi memilih
novel Melor Kuala Lumpur. Dia langsung terlupa tentang surat yang diutuskan oleh
Danish. dia tenggelam dalam tugasannya.
Lagu
nyanyian Spring, Pesanan Buat Kekasih
beralun melalui tetuang udara di bilik Danish. Aduh. Sakitnya apabila dirasakan
lagu itu terkena batang hidungnya sendiri. Sufi! Nama itu bergetar di setiap
inci pembuluh darahnya. Lalu meletup seinci demi seinci menitiskan darah yang
sarat dengan busa-busa rindu terhadap Sufi.
Sudah terlalu lama. Terlalu lama
benar. Benar-benar lama. Danish tidak dapat menahan dirinya lagi daripada
merasa rindu terhadap Sufi. Mengapa Sufi mengambil sikap seperti itu?
Mendiamkan diri. Malah surat yang diutuskan Danish juga tidak berbalas. Apa
silap Danish sebenarnya?
Kalaulah Danish berdaya, dia akan ke
Serdang untuk bertemu Sufi. Tapi kudrat apa Danish ada? Danish sering
kekeringan ringgit. Tuntutan hidup di Skudai tidak memungkinkan dia untuk
menyimpan banyak di dalam poket. Tambahan dengan sikap dia terikut-ikut untuk
berhibur dengan kawan-kawannya. Itu belum dia mempunyai teman wanita kampus
seperti kebanyakan kawan-kawan yang lain. Kalaulah dia juga ikut terkena wabak
cinta kampus, menjadi satu tanggungjawab pula untuk dia menyarasuap si gadis kala
mereka keluar bersama.
Menyarasuap si gadis manis? Huh, nak
isi tembolok sendiri terkial-kial dan asyik menyusahkan Helmi, apatah pula nak
menyarasuap anak dara orang. Ah! Danish memang tidak terfikir untuk semua itu.
Benaknya ligat memikirkan tentang Sufi.
Jangan-jangan dia asyik dengan
jantan lain kat sana. Huh, Sufi ni bukan boleh percaya sangat ni. Entah-entah
aku saja teringat-ingatkan dia. Kenapa Sufi buat macam ni gamaknya? Gerutu
Danish mula berwasangka buruk kepada Sufi.
Danish mencongak-congak. Kalau
dikira-kira, surat yang diutuskannya kepada Sufi patut sudah tiba ke tangan
Sufi dan kalau Sufi menyegerakan balasan, Danish sudah pasti sedang menilik surat balasan Sufi sekarang.
Kenapa Sufi jarang mengutuskan surat kepadanya sekarang? Tidak seperti dulu,
saban minggu mesti ada surat daripada Sufi. Takkan Sufi merajuk sebab dia
jarang membalasnya?
“Kau menungkan apa Danish?” Soal
Helmi sambil meletakkan akhbar yang dikeleknya ke meja.
Danish tersentak disoal tiba-tiba
seperti itu. Bila masanya Helmi muncul di rumahnya langsung tidak disedarinya.
“Kau kuat mengelamun ya. Tiap kali
aku datang mesti aku tengok muka kau yang gitu-gitu tu.” Helmi tidak memberi
peluang untuk Danish berkata-kata. Terus membuat konklusinya sendiri di atas
perilaku Danish.
“Aku sekarang banyak masalah Mie.”
“Masalah apa? Duit atau perempuan?”
Dua-dua. Hati kecil Danish membalas.
“Duit. Wang.” Danish bersuara.
“Itulah kau. Elok-elok dulu dapat loan, kau joli. Lepas tu result atas pagar. Loan kena tarik mula nak terkial-kial. Merokok sakan pula tu.”
Helmikah itu? Helmikah yang sedang
membebel itu? Sebijik mak nenek. Danish memerhatikan ke wajah Helmi. Memang
Helmi. Bukan mak nenek. Tapi kenapa intonasi dan bebelannya menyerupai mak
nenek? Pening kepala Danish.
Danish bangun dari meja studynya dan mengambil tempat di sebelah
Helmi. Helmi ketika itu sedang menukar stesen radio. Kemudian Helmi mencapai
komik Dewata Raya.
“Rambut Sufi dulu macam rambut
Pheonix nilah.” Helmi tanpa apa-apa niat menyebut nama Sufi.
Danish memandang ke arah watak
Pheonix. Dia mengerutkan kening. Cuba untuk membayang wajah Sufi yang sentiasa
bertudung dengan fesyen rambut sebegitu. Pendek separas bawah telinga dengan
potongan sama depan dan belakang. Sufi pasti nampak kebudak-budakan dengan
rambut begitu. Dengan lebih jelasnya, potongan rambut Sufi ala-ala model Vidal
Sasson. Hitam berkilat.
“Hai, sekali aku sebut nama Sufi kau
terus termenung jauh?” Duga Helmi.
Danish agak terkial-kial diduga
begitu. Dia cuba mengawal diri. Menyisir rambutnya dengan jemarinya yang kasar.
“Sufi ada telefon?” Tanya Helmi
sebaik tangannya menutup komik Dewata Raya.
“Tak. Dah lama dia menyepikan diri.”
“Kau orang bergaduh?” Helmi cuba
meneka. Setahunya Sufi susah untuk melampiaskan marahnya. Dia tampak cool saja. Ketika hubungan mereka masih
berjalan dulu, apa saja kesilapan Helmi akan Sufi maafkan dan masih ceria
melayannya.
“Tak. Aku pun tak tahu kenapa dia
bersikap macam ni. Tiba-tiba saja dia menyepikan diri. Telefon tak, apatah lagi
nak balas surat yang aku hantar kat dia.”
Lagi membuatkan Helmi
tertanya-tanya. Setahunya Sufi memang minat menulis surat. Apatah lagi membalas
surat. Belum sempat Helmi hantar surat untuknya, dah berpucuk-pucuk Sufi
mendahului. Abnormal! Melainkan ada sesuatu yang menyebabkan Sufi begitu.
“Jangan-jangan dia dah ada pak we,
mana nak layan kita lagi.” Helmi bukan berniat untuk menyusahkan benak Danish,
namun terkesan riak kurang senang pada wajah Danish mendengar tuturannya.
Danish teringat, kali terakhir Sufi
menelefonnya, dia ada menyentuh tentang seorang coursematenya yang cuba untuk memancing minatnya dengan cara
mengutuskan warkah jiwang buatnya. Bagaimanapun Sufi menolak segala kemungkinan
untuk menerima coursematenya itu.
Mana Danish tahu kalau-kalau kini hati Sufi sudah mencair dan lelaki itu
berjaya mendampingi Sufi. Disebabkan itulah Sufi mula enggan melayannya.
Kalau begitulah realitinya, Sufi
memang tak patut. Tak patut kerana tidak berterus-terang dengan Danish dan
membiarkan Danish tertanya-tanya. Sufi sepatutnya memperincikan semuanya. Biar
jelas dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan.
“Danish, kau mengharapkan Sufi?”
Tebak Helmi mematikan terbangan fikiran Danish.
Danish menelan ludahnya. Membiarkan
halkumnya turun naik buat seketika sambil mata membalas pandangan Helmi. Cuba
mengatur bahasa terbaik untuk membalas pertanyaan. Mencari-cari diksi sesuai
untuk meluahkan kepada Helmi.
“Aku sebenarnya tak tahu untuk
mengharapkan sesiapa, tambahan pula jika orang tu berada jauh dari mata.
Bimbang di sana juga dia ada pemuja. Kata orang, yang dekat selalu menang.
Kalau aku mengharapkan Sufi, sedang pada masa yang sama ada orang lain yang
selalu menghabiskan masa dengannya, tentu saja aku akan tewas dalam persaingan
itu.” Panjang lebar pula penerangan Danish.
“Tapi tak salah kalau kau cuba
Danish. Terpulang dia nak terima atau tak, paling penting kau akan merasa puas
dan tak terkilan andai dia melangkah pergi. Mana tahu dia juga mengharapkan
kepastian daripada kau.”
Danish terdiam. Tidak tahu patut
atau tidak dia menyahut kata-kata Helmi. Bimbang Helmi sengaja berkata demikian
untuk memancing terus-terangnya. Dia masih belum pernah menyuarakan rahsia
hatinya santak hari itu. Bagi Danish, jika mahu berkongsi masalah sekalipun,
bukan dengan Helmi. Lebih-lebih lagi jika masalah itu berkaitan dengan seorang
gadis bernama Sufi. Jika ia bercerita kepada Helmi, bimbang ia akan menjadi
suatu parodi di dalam hati Helmi. Alihnya Danish juga yang akan sasar.
“Atau kau ragu-ragu dengan perasaan
kau sendiri terhadapnya Danish?” Soal Helmi memancing lagi. Pun Danish tidak
kelihatan seperti mahu memagut umpan yang terbenam dalam lubuk bual. Danish
masih terjeda.
Helmi menunggu pancingnya dipagut.
Wajah Danish direnungnya. Dia pernah mengalami keadaan yang sama. Tidak keruan
seperti itu. Juga kerana gadis bernama Sufi yang suci hatinya. Dia pernah
mengalami sasar yang sama. Dia mantan pemuja Sufi. Entah mengapa Sufi dalam
tidak sedar dirinya banyak membuatkan lelaki sepertinya, mungkin seperti Danish
juga separuh nyawa menahan gejolak perasaan yang meninggi. Justeru, Helmi
memilih melupakan.
Melupakan bererti juga membuka ruang
kepada Danish mencipta rentak tari baru bersama Sufi. Namun hingga ke hari itu
belum ada apa-apa yang menunjukkan hubungan mereka lebih sekadar kawan. Helmi
nampak jelas halkum Danish turun naik. Mengatur diksi lagi.
“Sufi tegar. Dia tak pernah tertewas
dengan mana-mana lelaki. Mungkin dia mahu cari cinta suci. Cinta suci seperti
cintanya.”
“Kita tak nampak apa yang dia buat
di sana Mie.”
“Kita memang tak nampak. Tapi kita
berhak merisik khabar.”
Mata Danish membulat. Kata-kata
Helmi bagai tungau, merayap ke dalam telinganya. Tentu saja Danish merasa
sakit. Helmi merisik khabar tentang Sufi? Apa munasabahnya Helmi bertindak
demikian? Mahu Sufi mengisi ruang hidupnya? Dada Danish mula terasa sakit.
Seperti orang yang terkena asma.
“Danish, ambillah langkah sewajarnya
andai memang dia yang kau tunggu.”
Danish terbungkam. Helmi seakan
dapat membaca hatinya. Atau adakah semua itu terpetia di wajahnya? Bagai suatu
jukstaposisi. Ditayang slide demi slide hingga rahsia hatinya Helmi
telanjangi bulat-bulat. Menampakkan seluruh yang terlindung. Menyuluh semua
yang kelam. Aduh, inikah cinta?
Helmi meninggalkan Danish memandangkan
dia harus menghadiri perbincangan dengan kumpulan tugasan tutorialnya. Langkah
Helmi diiringi pandangan mata Danish. Sedang dalam hatinya kewarasan dan
tuntutan emosi bercekau sesama sendiri. Helmi merisik khabar Sufi? Danish masih
tidak mahu melupakan kenyataan itu.
Nafas ditarik panjang-panjang. Cuba
mencari kekuatan diri yang seakan terbang. Kembali ke meja belajar. Membatu di
situ. Masih terkenangkan Sufi. Panasaran jenis apakah ini? Majnun jenis apakan
ini? Benarlah kata orang, cinta itu suatu ketagihan. Danish kini memang sedang
ketagihan. Ketagihkan cinta Sufi.
Tidak boleh jadi! Danish membentak.
Dia bangun menuju ke meja telefon. Sekali lagi menghubungi Sufi. Kali ini dia
mesti melampiaskan rindunya. Agak lama talian berbunyi nada klise tut-tut.
Danish hampir putus asa menunggu semasa talian akhirnya disambut satu suara.
“Sufi?” Soal Danish apabila
dirasakan suara yang menyentuh gegendangnya agak asing.
“Bukan. Sufi dia keluar.” Balas si
penyambut panggilan.
Danish ragu-ragu. “ Kenapa dia tak
bawak handset dia?”
“Dia ada perjumpaan dengan supervisor projek papernya. Itu yang
ditinggalkan saja handsetnya. Ada
apa-apa yang boleh saya bagi tau dia? Atau nak minta dia call balik?” Soal Ana meramahkan diri.
“Tak apa, nanti saya hubungi dia
lagi. Pukul berapa agak-agak dia balik?”
“Tak tentu. Kadang-kadang kalau ada problem dalam dua tiga jam dia
berbincang dengan supervisor dia.”
Danish seakan meragui Ana. Dia syak
Sufi ada bersama Ana, mungkin Sufi sengaja tidak mahu menjawab panggilannya dan
mewakilkan kepada Ana. Setelah mengucapkan terima kasih, Danish memutuskan
talian.
Kembali termenung. Rangkaian data
memorinya memilih untuk menayangkan imbasan masa silam Danish dan Sufi semasa
zaman persekolahan. Penuh riang ria. Ketika itu jarang soal hati dan perasaan
disentuh dalam tajuk bual mereka. Dominannya tentang suka ria dan berhu-ha ke
sana ke mari. Itu saja. Tapi mereka gembira benar ketika itu. Lalu Danish
tersedar. Adakah persahabatan seperti itu lebih bermakna daripada hubungan yang
mula berbaur dengan perasaan ingin memiliki, menyayangi dan mencintai seperti
itu?
Jika Danish meneruskan persahabatan
dengan Sufi seikhlasnya tanpa dibumbui perasaan lain, pasti hubungan
persahabatan itu lebih bermakna dan akan berkekalan. Jika mula menukar kepada
hubungan cinta, berlaku persengketaan hubungan jadi renggang, mungkin juga akan
terputus. Lalu bukan setakat bercinta, Danish juga tidak mampu lagi untuk
bersahabat dengan Sufi andai itu terjadi. Sukakah Danish andai kehilangan Sufi
seperti itu?
Imbasan data memorinya terpadam
sebaik telefon menjerit-jerit minta
diangkat. Danish menerpa mendapatkan telefon memandangkan sejak tadi hanya dia
yang berada di rumah sewaannya. Kawan-kawannya yang lain, jika tidak ke kuliah,
keluar berpeleseran dan bertenet dengan si buah hati.
“Assalamualaikum...”
Pecah pembuluh darah Danish
mendengar suara itu. Sufi. Hatinya berkeriau. Dia menjawab salam Sufi sambil
mengawal getar suara.
“Kau telefon aku tadi ya?”
“Emhh.” Suara Danish hampir tidak
keluar. Dia seakan ingin merajuk. Tunjuk perasaan kerana Sufi mengkesampingkan
dirinya.
“Kenapa Danish?”
Danish masih enggan bersuara.
“Kau marah aku? Kau marah aku lama
tak call? Aku sibuk Danish.” Sufi
seakan boleh membaca hati Danish meskipun hanya melalui talian telefon. “Aku
minta maaf sayang...”
Dia mula dah! Ayat biasa Sufi. Tapi
Danish masih tetap berdebar setiap kali Sufi menuturkan diksi enam huruf, dua
vokal ‘a’ dan empat konsonan berlainan itu. S.A.Y.A.N.G. Pada Sufi mungkin
tiada apa-apa. Pada Danish?
Sufi. Tolonglah jangan dera aku
begini!
BAB SEPULUH
Segala-galanya
kembali okey. Sufi dan Danish kembali berhubungan. Sufi mengakui
keterlanjurannya mengalpakan Danish. Dalam masa yang sama Hardi sesekali
menyelit antara mereka. Selain dengan Sufi, Hardi juga berhubung dengan Ita
atas bantuan Sufi. Sengaja Sufi berbuat begitu untuk menunjukkan kepada Hardi,
kawan-kawan lamanya tidak pernah melupakan Hardi biarpun sudah menjejakkan kaki
ke menara gading.
Ini sekurang-kurangnya dapat
mengikis sedikit demi sedikit sikap inferiority
complex yang ada dalam diri Hardi
sekali gus membuang rasa rendah dirinya berdepan dengan keadaan itu.
Sekurang-kurangnya juga boleh mengembalikan keyakinan diri Hardi yang terhakis sejak dia gagal bersaing
dengan kawan-kawannya menjejaki menara gading.
Niat Sufi baik, dia tidak mahu ada
kawannya berjauh hati sedangkan dia dan ramai lagi yang lain bergembira dengan
kehidupan baru di menara gading. Hardi mula berkeyakinan. Dia juga makin kerap
menghubungi Sufi dan Ita bergilir-gilir. Sungguhpun begitu, di luar batas fikir
Sufi, perhubungan melalui talian yang pada awalnya dianggap biasa oleh Sufi
semakin bertukar rentak. Hardi mula terpesong dengan cara layanan Sufi
terhadapnya. Sufi pula tidak memikirkan sebarang natijah meneruskan hubungannya
dengan Hardi dengan caranya yang tersendiri.
“Apa kau dah buat Pi?” Soal Ita
semasa Sufi menghubunginya.
“Buat apa?” Sufi sedikit kehairanan.
“Hardi. Sejak akhir-akhir ni aku
rasa dia semakin pelik. Adakah patut dia cakap kita berdua seakan berebutkan
dia. Kau buat lawak jenaka apa dengan dia? Kau jangan Pi, dia tu tak macam
orang lain. Tak boleh gurau-gurau.”
“E, tak da. Aku tak buat apa-apa.
Sungguh.” Sufi terjeda di situ. “Patutlah Ta, hari tu dia cakap dia pening.
Kalau dia telefon aku, dia rasa bersalah pada kau, kalau dia telefon kau dia
rasa bersalah pada aku. Mungkin dia salah faham kot.”
“Salah faham apa? Kita call dia bukan ada apa-apa. Atau kau ada
tersilap guna ayat kot. Kau bukan boleh pakai sangat, kalau setakat sayang dan
rindu tu lancar saja kau ucapkan kat budak lelaki.”
“Alah, takkan dengan dua perkataan
tu nak salah faham. Lagipun sayang atau rindu tu kan literal. Boleh ucap kat
sesiapa pun. Habis, kau pula apa pulak yang kau cakap hingga dia boleh salah
faham?”
“Itulah, aku tak ada guna
bahasa-bahasa bersifat apa kau kata tadi, literal? Hah, literal tu. Aku tak
guna pun tau. Aku ni lebih berhati-hati kalau cakap.”
“Alah, kalau dia nak salah faham
lantak dia yang penting kita tak ada apa-apa. Lagi satu, ‘sayang’ dan ‘rindu’
tu bukan bahasa, tapi perkataan. Kau ni apalah. Itupun tak boleh nak beza.”
“Oh, kenakan aku ya. Mentang dia
bakal jadi pakar bahasa.”
Sufi dan Ita terkekeh-kekeh ketawa.
Namun tidak lama apabila daun pintu bilik kecil Sufi diketuk orang. Mereka
menghentikan perbualan. Sebaik meletakkan telefon genggamnya Sufi membuka
pintu. Setti Poh @ Gadis separa melayu, separa cina tercegat dengan siap
berpakaian rutinnya: Jubah dan tudung labuh ke
punggung tercegat di muka pintu. Memerhatikan Sufi yang cuma mengenakan
jeans separas lutut.
“Awak tak siap lagi Pi?” Soal Setti.
Dia masuk ke bilik lalu melabuhkan punggung ke katil Ana yang tidak
berpenghuni.
“Siap? Siap nak pergi mana?” Sufi
menyoal kembali. Mengambil tin Mister Potato dan menghulurkan kepada Setti Poh.
Setti menyambut hulurannya.
Menyumbat sekeping ke mulut. “ Malam ni kita kan ada meeting. Pasal program PMIUPM. Itu, Minggu Penjanaan Generasi Baru
Muslim.” Dengan mulut sarat dengan kepingan kentang suara Setti kedengaran
berlainan.
“Kalau saya tak pergi boleh tak Tie?
Banyak assignment ni.”
“Saja cari alasan ni.” Serentak itu
juga sebiji penampar singgah di paha Sufi. Sufi terseringgai. Setti tidak
sudah-sudah dengan sikap brutalnya. Nampak saja bertudung labuh, tapi
gelagatnya mengalahkan Sufi.
“Sakit tau, Tie.”
“Sakit? Nah sekali lagi!” Setti
menambah lagi. “Itulah sapa suruh malas pergi meeting.”
“Ini semua salah pucuk pimpinan Sek.
Kerohanian. Memandai-mandai pilih orang jadi AJK program,” rungut Sufi sambil
bangun mencapai baju kurung dan tudungnya.
“Dia sengaja memilih awak Pi. Dia
tak mahu awak terus hanyut dengan dunia awak. Dia rasakan awak masih boleh
diselamatkan. Tengok macam Ana, mana dia terpilih.”
“Apa hanyut-hanyut? Saya pun duduk
atas daratan juga, bukan kat lautan. Jamin
tak hanyut punya.” Sufi sengaja berkata demikian untuk mempertahankan
dirinya.
Sekali lagi penampar Setti singgah
di tubuh kurus Sufi. Kali ini di atas bahunya pula. Dia menanggung padahnya.
Bayangkan seekor godzilla menepuk bahu seekor cicak dengan hayunan tangan yang
kuat. Mahu tak terpelanting si cicak yang kurus? Begitulah ibaratnya Setti Poh
dan Sufi.
Mesyuarat malam hari. Tumpuan tidak
setotal mana, hanya mengantuk yang mendominasi suasana. Sufi sedar, sesekali
mata Ahmad Saufi dan Asrul Affendi merangkap pucuk pimpinan Sek. Kerohanian
menusuk pandang ke arahnya. Mungkin tahu keterpaksaan Sufi menghadirkan diri.
Jika tidak kerana Setti Poh beriya-iya mendesak dengan mulut dan tangannya
tentu Sufi tidak akan berada di dewan pelajar KMR @ Kolej Mohamad Rashid pada
malam hari seperti itu. Sementelah pula besok kuliahnya seawal lapan pagi.
Kuliah Bahasa Jerman yang kini di peringkat atau level akhir.
Ponteng kuliah? Ini bukan kuliah
Tatabahasa atau Fonetik dan Fonologi serta seumpamanya. Ini kuliah yang jika
diponteng, pensyarahnya awal-awal sudah mengingatkan begini: If you stay away from my class you deserve F. Siapa seronok dapat
‘F’? Sufi tidak seronok. Mujurnya dia
memang tidak pernah diberi ‘F’ oleh mana-mana pensyarahnya.
“Saudari Sufi...”
Hah? Sufi terpinga-pinga. Semua mata
kini memerhatikannya. Termasuk Ina dan Kak Ida yang juga AJK program. Apa? Apa?
Sufi menunjukkan isyarat tertanya-tanya. Mata Ahmad Saufi, pengerusi Sek.
Kerohanian menikamnya. Aduh. Parah ni. Ahmad Saufi masih menunggu jawab.
“Saya tanya, saudari faham dengan
pembentangan mesyuarat kali ini?” Ahmad Saufi mengulangi. Vokal benar suara si
Ahmad Saufi. Mungkin dia sengaja menuturkannya dalam pengucapan seperti itu.
Biar nampak wibawa. Ceh!
“Faham. Faham.” Sufi cuba
meyakinkan. Dia sedar ada mata sinis memandangnya.
“Kalau kita sedang bermesyuarat,
lain kali tumpukan perhatian. Jangan ke mana-mana. Baik tubuh badan, mahupun
akal fikiran.” Sinis Ahmad Saufi. Tangannya membelek minit mesyuarat.
Siapa sebenarnya pengerusi mesyuarat
kali ini? Serasa Sufi Asrol Affendi yang jadi pengerusi. Kebiasaannya pengerusi
sekretariat tidak akan mempengerusikan sebarang majlis dan hanya menjadi
pemerhati. Ini sudah kes sabotaj terhadap Sufi ni. Namun Sufi pekakkan telinga.
“Kita tangguhkan mesyuarat kita
dengan surah Al-‘Asr,” kata Asrol Affendi.
‘Muslimin ‘ dan ‘muslimat’ tunduk.
Membaca surah sebagaimana yang disebutkan. Sufi lega. Mesyuarat sudah berakhir
walaupun dia langsung tidak tahu apa yang dimesyuaratkan. Sedar-sedar mesyuarat
sudah berakhir. Sufi bangun mendahului ahli mesyuarat yang lain. Sempat
dijelingnya sekilas ke arah mata-mata sinis yang memandangnya.
Tidak padan dengan tudung labuh ke
punggung, tapi mata sentiasa pandang tidak elok terhadap orang lain. Gerutu
Sufi sambil melangkah meninggalkan dewan pelajar.
Sufi sebenarnya mula enggan
bercampur dengan golongan ini. Golongan yang jika di dalam novel maha avant-garde tulisan Hizairi Othman – Jukstaposisi, golongan ini disebut
sebagai golongan yang senang dengan ‘perjuangan tandus haluan’. Maaf jika Sufi
keterlaluan mengklasifikasikan begitu. Ia hanya meminjam istilah Hizairi
Othman. Tidak percaya? Betul, memang Hizairi Othman yang memanggil begitu.
Ia terdapat dalam bab Katarsis 1, muka surat tiga puluh tiga.
Biar Sufi ambil sedikit petikan novel itu. Begini bunyinya:
Diri belum datang nafsu bercakap. Pandangan lebih dahulu
singgah pada poster-poster yang banyak tertampal pada papan kenyataan
berhampiran, tiang-tiang dan sisi bangunan. HAPUSKAN KEMUNGKARAN: BERSAMA KITA
MEMBANTAH KONSERT SESAT. Bosan dengan perjuangan tandus haluan, fokus mata
segera mengalih arah.
(Hizairi Othman:
Jukstaposisi,ms.33)
Siapa yang biasanya tandus haluan
perjuangan jika di IPT? Golongan itu-itulah. Golongan yang sedang Sufi
bercampur sekarang. Golongan ekstrem-fanatik. Sufi sebenarnya segan untuk
bercampur dengan mereka lagi setelah tahu keadaan sebenar golongan ini.
Bercakap pasal hukum-hakam
berdegung-degang, pakaian menutup aurat hingga tinggal dua biji mata sahaja,
tapi kalau bab mengata dan mengutuk orang, merekalah sakan johannya. Kasihan
golongan ini. Baik perempuan dengan tudung purdahnya, baik lelaki dengan
ketayap dan janggut sejemputnya. Masing-masing prejudis terhadap golongan lain.
Terutama yang macam Sufi dan Ana. Cakap
merekalah yang tahu serba-serbi tentang Islam. Sehingga menggelarkan mereka:
lelaki muslimin dan perempuannya muslimah. Orang lain, walaupun masing-masing
berkiblatkan arah yang sama, mengucapkan dua kalimah syahadah yang sama, bukan
muslimin dan bukan muslimat. Mereka tidak layak untuk digelar begitu. Entah
mengapa persepsi mereka begitu.
Dakwah Islamiah. Itu mereka
laungkan. Sufi bukan tidak bersetuju dengan arah perjuangan mereka. Sufi setuju
yang amat sangat. Bagaimana pun niat murni mereka biarlah kena dengan caranya.
Bukan dengan cara mengutukcerca orang lain. Bukan begitu sunnah Rasulullah
kita. Bukan. Sufi, yang menutup aurat sekadar-kadar saja, dengan kata lain,
tutup bahagian wajib saja, rasanya lebih tahu tentang hukum-hakam berbanding
mereka. Mereka berselindung di sebalik hijab mereka.
Sufi tahu benar. Bukan Sufi ingin
memfitnah. Malahan, mereka sendiri yang membuat fitnah ke atas diri mereka.
Biar Sufi jelaskan. Mereka senang mentafsirkan berdua-duaan antara lelaki dan
perempuan itu maksiat terjemahannya. Betul. Hundred
percent. Bagaimanapun, Sufi yakin, tidak semua yang keluar berdua-duaan
dengan lelaki itu dengan berniatkan untuk melakukan maksiat. Ya, kadang-kala
Sufi keluar dengan lelaki. Sekadar bertemu kawan. Berbincang tentang
macam-macam perkara. Tugasan dan bla-bla. Kalau itu kategori maksiat, Sufi akan
bertaubat.
Tapi renung-renungkan, bagaimana
jika, sepasang muslimin dan muslimah (Sufi pinjam istilah mereka), duduk
berdua-dua di dalam surau. Sufi ulang: Surau. Dengan capital letter, SURAU. Dengan berhijabkan tabir pemisah bahagian
saf lelaki dan saf perempuan, masing-masing bertukar-tukar mesej cinta.
Bercakap soal hati dan perasaan di tempat ibadah. Apa istilah ini pula?
Ini soal yang agak domestik juga di
pengajian tinggi. Susah. Susah kalau cerdik pandai seperti ini menerajui pucuk
pimpinan. Nanti semua jadi tunggang-langgang dan bertukar menjadi ayam goreng
KFC. Luar garing, dalamnya empuk. Jadi ikan salut kunyit. Jadi ustaz dan
ustazah kunyit. Tidak asli lagi. Dan juga tidak sama seperti luarannya.
Tolong. Tolong. Sufi bukan mahu
menidakkan ilmu dan perjuangan mereka. Cuma tolong, buatlah cara yang betul.
Kalau betul ingin perjuangkan dakwah Islamiah. Buat dengan betul. Jangan guna
politik kutukcerca macam tu. Kalau orang
yang ingin didakwahkan tengok peel sebenar, mereka pun takut nak dekat.
Percayalah. Sufi pernah mengalaminya. Sufi pada awalnya memang tertarik dengan
golongan ini. Nampak alim dan boleh diharapkan.
Sungguhpun demikian, apabila Sufi
mula bercampur dengan mereka banyak kepincangannya. Selain apa yang Sufi
sebutkan di atas, mereka juga tidak mahu bercampur dengan golongan lain selain
mereka. Lalu mana silaturrahim yang
patutnya mereka untaikan sebagaimana yang digalakkan dalam Islam?
Sepatutnya mereka membuat pendekatan berlainan. Dekati sesiapa sahaja, kalau
yang nampak agak tersalah langkah, perbetulkan mereka, ajak mereka berusrah
bersama. Bagi tazkirah. Bukan dengan mengutuk mereka dan memberikan jelingan
sinis terhadap golongan ini. Mereka tidak akan hormat jika berterusan begini.
Sufi masih ingat, ketika itu Sufi
berada di dalam surau, bersama kumpulan usrahnya. Naqibahnya Kak Fizah. Baik
dan lembut orangnya (dia contoh yang baik dan patut diteladani jika mahu jadi
muslimah sejati). Sufi tidak mengenakan tudung selabuh punggung, cuma bertudung
tiga segi yang dipinkan di bawah dagu. Cukup. Sekadar menutup aurat. Selain
Sufi dan kumpulan usrahnya, ada kelompok lain, kumpulan yang itu-itulah. Masuk
seorang ‘muslimat’ terus ke arah kumpulan yang itu-itu. Memberi salam
sepanjang-panjang salam. Dibalas semua, termasuk Sufi biarpun salamnya tidak
ditujukan secara umum. ‘Muslimat’ itu bersalaman dengan kelompok mereka. Habis,
menoleh ke arah kumpulan usrah Sufi. Mampir dan bersalaman dengan kumpulannya,
kecuali Sufi. Sebabnya? Tentu saja kerana penampilan Sufi. Agak lain daripada
mereka.
Itu contoh yang baikkah? Kenapa
tidak disalaminya Sufi? Najis besarkah kalau bersalaman dengan Sufi? Kenapa
pula salamnya yang sepanjang-panjang ucapan salam itu tidak umum? Atau dia
bimbang ada teman kontra agama di dalam surau itu? Lalu memilih yang pro
dengannya? Ini memang contoh yang tidak baik sekali. Lagi? Sufi malas
memperincikan. Cukuplah situasi itu sebagai contoh. Jika diperincikan lagi,
takut ada hati yang akan termengkelan.
Sufi tidak faham, kenapa tidak semua
seperti Kak Fizah? Cukup memahami dan mempunyai pendekatan yang amat baik
sekali dalam berdakwah kepada adik-adik juniornya.
Sufi terpanggil oleh seseorang seperti Kak Fizah. Dia pernah dengan lembut
menegur paras seluar pendek yang Sufi sarungkan ke badan. Katanya aurat sesama
perempuan hingga ke paras lutut. Bawah daripada lutut perempuan tidak wajib
tutup ketika berdepan dengan perempuan lain. Kecuali jika yang berlainan agama.
Sejak itu Sufi tidak lagi memakai seluar pendek yang lebih tinggi daripada
lutut, apatah lagi sehingga menampakkan pahanya. Sufi tidak mahu mengulangi
kesilapan yang sama.
Dalam masa yang sama, Sufi tidak
nafikan, masih ada golongan yang itu-itu memang jujur dan bukan sekadar ayam
goreng KFC. Mereka inilah yang banyak membuatkan Sufi sedar dan yakin untuk
turut sama berjuang dengan mereka. Malah yang banyak membantu Sufi menukar
keperibadian Sufi. Terima kasih untuk mereka. Bagaimanapun golongan ini tidak
ramai. Ramainya jenis KFC. Kadang-kadang yang jenis KFC ini lebih teruk
daripada Sufi pengetahuan agamanya, sehinggakan maksud bacaan di dalam solat
mereka tidak tahu. Lalu? Apa yang mereka dakwahkan? Dalam Islam, kita bukan sekadar perlu tahu satu aspek, tapi
semua aspek; fekah, tauhid dan tasawwuf. Jika lengkap pengetahuan dalam semua
itu, maka berdakwahlah.
Sufi pun senang jika boleh menambah
ilmu, apatah lagi dalam soal ilmu agama kerana bagi Sufi dia masih banyak
kejahilan berkaitan banyak perkara. Sufi masih diperingkat bayi jika bercakap
soal agama. Jadi, berdakwahlah kepada orang-orang seperti Sufi sekiranya mereka
merasakan sudah cukup layak untuk berbuat demikian. Malangnya, ada masa mereka
pula yang dibangkang Sufi berkaitan hukum-hakam. Masakan tidak, hukum-hakam
yang mereka keluarkan jauh menyimpang dengan apa yang dianjurkan di dalam
Al-Quran, kalam Allah s.w.t. Keadaan inilah yang membuatkan Sufi kesal dan
tidak sebulu dengan mereka. Biarlah apa yang mereka nak anggap pada Sufi. Sufi
akan tetap dengan pendiriannya. Sufi ada pegangannya sendiri dalam soal dakwah
Islamiah. Dia berpaksikan anjuran di dalam al-Quran , kalau yang ketara
menyimpang, minta maaflah. Bukankah ada anjuran al-Quran tentang berdakwah yang
berbunyi:
“Serulah (manusia) kepada jalan
Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran-pelajaran yang baik dan bantahlah mereka
dengan cara yang lebih baik.
Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat
dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat
petunjuk.
Dan jika
kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan
yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah
yang lebih baik bagi orang yang sabar.”
(Surah An-Nahl, ayat 125 & 126)
Jelaskan, betapa dasar-dasar dakwah
itu ada dinyatakan dalam al-Quran. Malah disebutkan di situ agar dinyatakan
dengan hikmah. Maksudnya dengan
menggunakan perkataan yang tegas yang tentunya dapat membezakan perkara hak
dengan yang bathil. Jangan pula ada golongan itu-itu yang datang bertanya Sufi
apa itu perkara bathil. Sufi bukan ustazah untuk menerangkan semuanya kepada
mereka. Cukup dengan memberikan kenyataan begitu. Lebihnya mereka sendiri
carilah.
“Dari mana Pi?” Soal Ana
memandangkan semasa Sufi keluar tadi Ana tiada di bilik. Keluar dengan Aziz.
“Meeting.”
Ringkas balas Sufi sambil membuka pakaiannya dan kembali menyarungkan pakaian
biasanya semasa berada di dalam bilik – t-shirt agak melekat ditubuh dengan
jeans paras lutut.
“Meeting
dengan siapa?”
“Dengan merekalah. Nak buat macam
mana, dalam Islam pun menganjurkan kalau dah diberi jawatan, jalankanlah dengan
penuh tanggungjawab. Habis program ni, orang nak ‘bersara’ terus daripada
sebarang program. Malas terikat dengan sebarang tanggungjawab.” Sufi kini sudah
kembali duduk.
Mencapai tin Mister Potatonya. Mencapai sekeping dua.
Disua kepada Ana sebagai tanda mempelawa sama. Ana menggelengkan kepala. Sudah
gosok gigi. Itu isyarat yang ditunjukkan kepada Sufi. Sufi memasukkan kepingan
kentang itu ke dalam mulutnya.
“Kesian mereka kan Pi. Entah apa-apa
yang mereka perjuangkan. Niat mereka murni, tapi tak kena dengan caranya,” kata
Ana yang sedia maklum dengan kata ganti diri ‘mereka’ yang Sufi gunakan tadi.
“Saya masih ingat Pi. Kata mereka,
saya salah seorang ahli neraka kerana tak mahu sama-sama berjuang menegakkan Islam dengan mereka. Masa tu sibuk
dengan pilihanraya kampus dan saya tak mahu turun membuang undi.” Ana berkata
lagi dengan nada suara berdesir.
“Saya pun terkena macam tu.
Entahlah, mereka berani menghukum kita sewenang-wenangnya. Padahal soal masuk
syurga atau neraka ni di tangan Allah. Tak semestinya kalau kita ikut mereka, kita
akan masuk syurga. Tak juga masuk neraka kalau enggan. Mereka bukan tahu
membaca takdir kita. Mereka tak sepatutnya kata gitu.”
“Mereka sebenarnya taksub dengan
perjuangan mereka. Kita ni dianggap salah. Dia orang saja betul.”
“Itu belum lagi kita ni pro IPKM
masa tu. Kalaulah kita pro parti pembangkang entah apa yang mereka gelarkan
kita. Anggap kita kayu kat sana besok pun mungkin juga tu.”
“Saya kadang tu boring Pi. Bukan setakat dengan dia orang malah dengan golongan
pembangkang dia orang. Kalau tiba masa mengundi makin menjadi-jadi dia orang
berkempen. Masa tu kutuk-mengutuk mengalahkan ahli politik kat luar sana.
Perang poster dan kertas manifesto tak payah cerita, berlambak sana-sini.”
“Senangnya, jadi macam kita. Tak
memihak mana-mana pihak. Saya bukan tak mahu perjuangkan Islam Ana. Itu kerja
baik, tapi kalau sudah berpaksikan sikap AMB @ Always Mengaku Benar, sapa nak ikut? Yang satu tu pula IPKM @ I Promise Kalau Menang. Padahal lepas ni
nothing. Kosong.”
Ana ketawa. Dia sebenarnya memang
bersetuju dengan kata-kata Sufi, cuma lucu apabila Sufi menggunakan nama
demikian kepada parti politik di U mereka. “Semua tu bukan kerja ambitious, hanya kejar glamour saja.” Ana pula menambah.
“Dahlah Ana, tak boleh cakap
lebih-lebih soal isu sensitif macam ni. Nanti kita juga jadi macam mereka.
Kutuk-mengutuk sana-sini. Lagipun orang dah mengantuk ni. Besok kelas Bahasa
Jerman pagi-pagi amat.”
“E, Pi sebelum tidur tu boleh tahu
siapa yang mula-mula sekali melakukan kerja kritikan dalam kesusasteraan? Tak
jumpa bahan ni Pi.”
Sufi menjeling sekilas ke arah Ana.
Sengaja mahu mengusiknya dengan pandangan sinikal begitu.
“Keluar dengan pak we rajin ya.
Lepas tu nak buat assingment mula
tanya orang.”
“Alah Pi, orang tahu kalau bab-bab
kesusasteraan ni Pi memang pakar punya. Tolong Pi...” Ana mula melentokkan
kepalanya. Macam mak nyah.
“Hah, manusia yang mula-mula sekali
melakukan kerja kritikan sastera merupakan orang Yunani sekitar tahun 500sm
iaitu Xenophanes dan Heraclitus. Kritikan mereka ketika itu mengecam keras
pujangga besar Homerus yang gemar mengisahkan kisah-kisah tak senonoh dan
cerita-cerita bohong tentang dewa-dewi.”
“Alah, peliknya nama-nama tu. Tolong
eja Pi.”
“Ini dah melampau tahap kepala lutut
ni. Beginilah, besok lepas kelas Jerman, orang temankan Ana pergi library, cari buku Renne Wellek yang
bertajuk Concept of Critism.
Banyak hal tentang kritikan diperincikan Wellek.”
Ana terkekeh-kekeh ketawa, dia tahu
Sufi sudah mula marah dengan sikap sambil lewanya semasa belajar. Ana
sebenarnya mahu mengambil jalan mudah, bertanya Sufi sebenarnya sama dengan
membuat rujukan ke atas jurnal dan buku-buku kalau tiba bab kesusasteraan.
Maklumlah roommatenya itu memang
minat dengan kesusasteraan. Dengan khabarnya, jika ada rezeki Sufi mahu
menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam major kesusasteraan kemudian
menyambung lagi ke peringkat doktor falsafah dalam pengkhususan Kesusasteraan
Bandingan. Huh, itu jarang dibuat oleh pelajar Malaysia kerana bidang Bandingan
merupakan bidang baru di sini.
Tapi Ana yakin Sufi boleh buat
kerana Sufi tahu banyak perkara tentang bidang itu. Dia bukan setakat tahu
teori-teori seperti teori dialogikal, teori intertekstualiti dan pelbagai lagi.
Malah mempelajari tentang mazhab-mazhabnya. Pendek kata, si Mikail Bakhtin dan
Julia Kristeva sudah jadi ‘kawan’ baik Sufi. Dia kenal mereka lebih daripada
dia mengenali Ana. Mungkin juga lebih daripada dia mengenali Danish. Hah,
Danish? Ana tiba-tiba teringatkan Danish. Nampaknya hubungan Sufi dan Danish kembali
okey. Sufi yang biasanya bersikap ambitious nampaknya sudah mula pandai
bermain api!
BAB SEBELAS
Sufi
mengelamun jauh. Otak fikirnya resah memikirkan masalah dengan Danish yang
tidak berkesudahan. Sakit juga hatinya menghadapi kondisi seperti itu. Benar
sayang itu literal, namun jika Danish yang mengucapkan kepadanya, masihkah ia
bersifat literal? Sufi terfikir-fikir apa sebenarnya yang diinginkan Danish
daripadanya. Mengambil kesempatan atas sikap Sufi yang mudah kasihankan orang
atau cuba menjaga kepentingan peribadinya semata-mata?
Danish pernah meminjam sejumlah wang
daripada Sufi. Hingga kini masih belum berbayar. Sufi tidak kisah dengan jumlah
wang yang dipinjam itu. Lagipun bukan Danish seorang yang Sufi bagi pinjam
duit. Ramai lagi. Tidak mengira gender. Jika seringit dua, Sufi jarang minta bayar.
Malah jika banyak sekalipun Sufi jarang minta bayar, kecuali dengan insiatif si
peminjam, entahlah. Memang sudah menjadi perangai Sufi. Tidak tergamak mahu
meminta balik kalau sudah bagi pinjam apa-apa kepada sesiapa pun. Bukan dengan
Danish seorang. Tapi dengan Danish sekurang-kurangnya pernah juga dia
bersungut. Dalam nada gurauan.
Kerana sikap Sufi yang
begitu-begitukah yang membuatkan Danish terus berkawan dengannya? Memang
menyakitkan kalau itu tujuan Danish meneruskan hubungan dengannya. Lebih baik
Sufi berkawan dengan Pak Ya seorang. Seronok. Boleh sentiasa berhu-ha. Tidak
perlu fikir apa-apa. Pak Ya tahu hatinya dan dia tahu hati Pak Ya.
“Lelaki tak mudah untuk berkawan
dengan perempuan kalau tak kerana dua perkara, satu kerana dia suka, satu
kerana dia mahu ambil kesempatan.” Terngiang-ngiang kata-kata Hardi lewat
perbualan mereka.
Suka dan mahu mengambil kesempatan.
Mana satu sebab Danish berkawan dengannya?
Dalam pada itu, boleh percayakah pendapat yang dikeluarkan Hardi? Itu,
si Lan dan beberapa orang lagi kawan lelakinya, mereka bukan sukakan Sufi pun,
malah sudah ada teman wanita. Begitupun mereka masih berkawan dengan Sufi tanpa
ada niat untuk mengambil kesempatan sedikit pun. Jadi, mana logiknya pendapat
Hardi?
Entahlah, kalau tiba bab ini,
terutama berkaitan Danish Sufi jadi agak bodoh. Bimbang juga dia, mana tahu
kewarasannya telah dijajah oleh perasaan ingin memiliki yang maha sarat.
Bimbang dia takut-takut rasa kasihnya tumpah pada orang yang silap.
Sufi akhirnya mencapai telefonnya.
Memicit-micit nombor telefon Hardi, kalau nasibnya baik Hardi bercuti dan dia
boleh berbual-bual dengan Hardi. Bertanyakan pendapat Hardi tentang masalah
yang dihadapinya dengan Danish. Kalau nasibnya baik juga, Hardi secara tidak
langsung akan dapat mengetahui Sufi sebenarnya telah ada orang yang ‘agak’
istimewa. Lalu Hardi juga tidak akan salah faham dengan keakraban hubungan
mereka sejak akhir-akhir itu. Kata orang sambil menyelam minum air.
Mujurnya Hardi memang tidak kerja
pada hari itu. Lalu Sufi mula mencipta frasa untuk membolehkan maksud yang
ingin disampaikannya berkesan. Malangnya Hardi ketawa sebaik Sufi habis
bercerita. Tentunya tawaan Hardi mencipta tanda tanya maya di atas benak Sufi.
“Kenapa Die ketawa?” Soal Sufi.
Geram juga dia, semacam Hardi tidak pandang serius dengan masalahnya. Anggap ia
suatu parodi pula.
“Pi, Pi tak payah nak pusing-pusing
cerita. Die rasa kenal dengan dua orang sahabat lama yang Pi maksudkan tu.”
“Pusing-pusing cerita apa pulak?”
Ini Sufi lagi pening. Pusing-pusing cerita? Bukan gasing nak main pusing-pusing
ni.
“Tadi tu, Pi cakap dua orang sahabat
lama, terputus hubungan buat seketika, bila hubungan kembali terjalin
masing-masing seperti menyimpan perasaan antara satu sama lain, cuma tak
terluah dan tak ada kepastian. Die rasa itu merujuk kepada kita berdua kan? Pi
malu nak berterus-terang lalu Pi pusing cerita macam tu.”
Wah, bagai guruh bergempita dalam
benak Sufi. Ke situ pula perginya Hardi. Dia tergagap-gagap untuk menafikan.
Apa tidak tergagap-gagapnya? Hardi sudah salah faham. Sufi seperti terperangkap
kini. Lain yang dia cuba maksudkan, lain pula jadinya. Dia cuba bersuara.
Berterus-terang keadaan sebenar. Namun suaranya tidak sempat keluar apabila
Hardi terlebih dahulu bersuara.
“Tak payah Pi nak cakap apa lagi.
Kalau Pi memang inginkan kepastian
daripada Die, Die terus-terang cakap, Die sedia menerima Pi. Cuma jangan
terlalu mengharap kita boleh pergi jauh. Jurang antara kita begitu ketara.”
Suara Hardi dengan penuh perlahan.
Nah. Sufi memang sudah terperangkap.
Dia terasa ingin menangis. Sungguh ya Allah, aku tiada perasaan terhadap lelaki
ini. Namun lelaki ini telah salah faham. Niat untuk mengurangkan masalah
berkaitan Danish nampaknya tidak kesampaian, malahan bebanan benaknya makin
bertambah. Kenapa mesti aku? Sufi menyoal seperti kesal. Ita tolong aku Ta!
Nampaknya Ita perlu dihubungi.
“Ita, apa aku nak buat ni?” Soal
Sufi kepada Ita dalam talian.
Ita yang faham maksudnya
terkekeh-kekeh ketawa. Sahlah Sufi telah terperangkap dengan mainan
kata-katanya sendiri. Bukan sebelum ini Sufi tidak pernah terkena. Dahulupun,
dengan Helmi, setahu Ita keadaan yang sama juga berlaku sehingga menerbitkan
rasa sayang di hati Helmi. Mujurnya hubungan mereka tidak lama apabila Helmi
bertindak memutuskan. Kemudian dengan Danish. Juga kerana kelancaran yang sama.
Sufi memang tidak pernah serik.
“Kau kena tanggungjawab Pi. Hardi
bukan macam orang lain. Mudah terluka. Lagipun antara kita dua, dia dah ‘pilih’
kau.”
“Mana boleh gitu Ta. Aku tak terniat
pun. Kenapa Hardi mudah salah faham Ta?”
“Entahlah. Aku dah selamat kerana
dia cakap dia hanya mahu tumpukan perhatian pada kau. Dia minta maaf
banyak-banyak daripada aku.”
“Kau tak rasa apa ketika dia cakap
macam tu?”
“Rasa apa? Rasa lucu adalah sebab
aku tahu kita dua sama-sama tak ada perasaan pada dia.”
Sufi mengetuk-ngetuk kepalanya.
Menghalau rasa pening yang menerjah. Kenapalah Hardi cepat sangat salah faham?
Dia simpati dengan Hardi, namun dia sebenarnya tiada hati terhadap Hardi.
“Pi, aku nak tanya kau. Serius ni,
kau benar-benar tak ada hati kat dia, walau sikit?” Nada suara Ita sememangnya
serius. Dia tidak perlu cakap.
“Mana ada Ta. Lagipun kau tahu pasal
aku dan Danish kan?”
“Pasal kau dengan Danish tu, dah ada
kata putus daripada dia kah?”
“Belum. Masih seperti zaman sekolah
dululah. Sekali cakap sayang, sekali bo
layan.”
“Beginilah Pi, Hardi dah
terang-terangan sukakan kau. Lagipun kita dah tau perangai Hardi. Kat sekolah
dulu dia bukan kaki perempuan. Kau terima sajalah Hardi. Tunggu Danish buat
apa? Kalau dia mahu serius dengan kau, dah lama dia cakap tentang tu,” kata Ita
penuh semangat.
Kata-kata Ita ada benarnya. Namun
sukar untuk Sufi berbuat begitu. Apatah pula dia sememangnya tiada hati
terhadap Hardi biarpun Hardi memang baik orangnya.
“Aku takut selepas aku terima dia,
Danish pun tiba-tiba meluahkan perasaan kepada aku. Apa aku nak buat ketika
itu? Tinggalkan Hardi semata-mata kerana tak mahu Danish tuduh aku main-mainkan
perasaan dia selama ini? Aku kalau boleh tak mahu main-mainkan sesiapa Ita.”
“Aku kalau ikutkan memang tak berapa
setuju kau dengan Hardi. Apa kata orang, hah... tak sekufu? Lebih baik kalau
kau bersama dengan Danish. Susah kalau kita berpasangan dengan orang yang tak
sama taraf pendidikan dengan kita. Tapi aku kasihankan Hardi. Dia tu kan macam
tu. Nanti dia cakap mentanglah dia bukan budak U senang-senang kita nak mainkan
dia.”
Aduh! Memang kata-kata Ita ada
benarnya. Sufi memang tidak menafikan semua itu. Tambahan pula dengan sikap
Hardi yang selama ini sering merasa rendah diri. Jika Sufi menolak cintanya dan
memberitahu Hardi dia sebenarnya salah faham tentu akan menghancur-robekkan
hati Hardi yang selama ini memang tiada keyakinan diri. Apatah pula selama ini
bukan Sufi tidak pernah memberitahu Hardi bahawa lelaki itu sebenarnya salah
faham, tapi dia katakan Sufi tidak perlu menyembunyikan rahsia hati Sufi.
“Aku cadangkan begini Pi, kau buat
perhitungan dengan Danish terlebih dahulu. Lepas tu kalau dia masih macam tu,
kau terima saja Hardi. Tak payah nak tunggu Danish lagi. Kalau ada perkara
berbangkit lepas ni antara kau dan Danish, kau boleh jadikan alasan sikap acuh
tak acuhnya yang buat kau lupakan dia dan terima orang lain.” Panjang lebar Ita
memberi cadangan.
Ita senang bercakap. Bukan terkena
atas batang hidungnya. Kalau terkena baru dia tahu. Dia ingat senang-senang
macam itu Sufi mahu terima seseorang?
Dengan Danish bertahun-tahun dia menghitung cara dan mencari logik, sampai
sekarang belum ada kata putus baik daripada dirinya sendiri mahupun Danish.
Mana mungkin semudah itu pula dia boleh menerima Hardi?
“Kau ingat senang aku nak buat
keputusan ni Ta? Aku bukan mudah nak jatuh hati kat sesiapa. Kau kena faham tu.”
“Alah, awal-awal ni kau berlakon aje
telah menerimanya. Dalam pada itu kau pupuk rasa sayang tu perlahan-lahan.
Kadang-kala sayang ni tak datang tiba-tiba Pi.”
Berlakon? Berlakon bukan payah.
Semasa kursus Teori Pementasan
Drama semester lepas Sufi pernah
mengambil bahagian dalam lakonan. Memang menjadi lakonannya sehinggakan
rakan-rakan sekursus tidak percaya Sufi boleh melakukannya. Sufi bukan tidak
biasa berlakon. Malah berlakon seperti yang Ita maksudkan juga pernah. Itu,
semasa dengan Helmi dahulu pun dia sudah pernah berlakon. Menerima Helmi. Tapi
itu dengan Helmi. Kalau dengan Hardi tidak serupa dengan Helmi? Mana tahu dia akan jadi sayang
sungguh-sungguh dengan Hardi, seterusnya Hardi juga melupakannya seperti Helmi?
Dengan Helmi dulu tidak terbit rasa sayang macam itu. Ah, takut Sufi untuk
melakukannya sekali lagi. Bimbang balik-balik Sufi yang akan ditinggalkan.
Bencinya Sufi menghadapi perkara
seperti itu. Kenapalah makhluk Tuhan yang satu itu mudah benar menyimpan
perasaan terhadapnya hanya dengan berhubungan melalui telefon seperti itu?
“Kau rasa Hardi serius dengan aku
Ta?”
“Aku rasa dia serius. Dia sanggup
tak telefon aku lagi semata-mata tak mahu kau berkecil hati. Kau sendiri macam
mana?”
“Aku tak tahu Ta. Tapi dia sanggup
bagi aku duit bulan-bulan kalau aku nak. Malah dia dah lama minta nombor akaun
aku untuk memudahkan dia masukkan duit dalam bank aku.”
“Siap nak minta nombor akaun kau?
Kau bagi?” Ita sedikit terkejut.
“Tak. Kau ingat aku suka ambil
kesempatan? Lagipun dia sendiri banyak tanggungjawab. Mak dia kat kampung lagi.
Sara diri dia lagi. Gaji dia bukan besar sangat pun.”
Ita kedengaran melepaskan keluhan.
“Kalau macam tu gayanya, aku rasa dia dah serius dengan kau Pi. Aku tak tahu
nak cakap apa lagi. Pandai-pandailah kau selesaikan.”
“Aku kalau bab ni memang tak pandai
sikit. Aku lebih rela selesaikan masalah matematik berbanding selesaikan
masalah ini. Tambah-tambah kalau lelaki jenis tak ada perangai macam dia ni.”
Sufi berkata seraya melepaskan sebuah keluhan maha berat.
Aduh. Masalah. Masalah. Kenapalah
perlu wujud lelaki begitu di sekeliling hidup Sufi? Menyusahkan betul. Sesekali
pula Sufi merasakan ada semacam suatu rasa mual bermain di dalam perutnya, naik
ke dada seterusnya berlegar-legar di kerongkong sebelum dia terasa ingin
memuntahkan segala isi perutnya. Kalaulah segala masalah dapat diselesaikan
dengan cara memuntahkannya, telah lama Sufi berulang kali memuntahkan segala
isi perutnya.
“Tanyalah Danish Pi. Kali ini biar
nampak sungguh-sungguh,” nasihat Ana semasa dia meminta pandangan Ana. Dia
merenung Sufi dari kerusinya.
Sufi tidak bersuara. Cuma mulutnya
yang terkumat-kumit tanpa sebarang vokal. Dia tidak percaya, dengan hanya
berhubungan seperti itu Hardi boleh tersalah anggap. Berjumpa sekali pun tidak
pernah semenjak masing-masing membawa haluan sendiri setamat SPM. Pelik betul
insan bernama lelaki, terlalu mudah jatuh hati. Kata orang perempuan yang lebih
mudah ditimpa perasaan, namun dalam kes Sufi dan kawan-kawannya, sudah terbalik.
Lelaki-lelaki yang mereka kenali nampaknya mudah benar menyimpan perasaan.
Tidak hanya Sufi dan Ana, itu si
Firdaus, kawan Pak Ya. Sudah acap kali juga dia bertanya pasal Ina kepada Sufi.
Jenuh dia mahu menjawab. Kes Ina ni, bukan berpunca daripada apa-apa. Cuma
bermula dari sakat-menyakat Sufi dan Ana memperegukan Ina dan Firdaus. Semuanya
gara-gara Firdaus dan Ina sama-sama didatangkan dalam pakej kecil molek, pediam
@ tidak banyak cakap, mudah tersenyum. Lagi yang paling utama dua-duanya specky. Dalam kelompok Pak Ya, Firdaus
nampak paling bijak. Begitu juga dalam kelompok Sufi, Ina nampak paling bijak.
Jadi apalagi, bermula cerita di situ hingga Firdaus menyedari dan terkujat.
Lama-lama, Firdaus mula bertanya khabar Ina melalui Sufi. Terkejut juga dia sebaik
mengetahui Ina berasal dari Pontian.
Bukan apa, orang Kelantan dan Johor
biasanya tidak sebulu, tapi Sufi terbalik menjadikan orang Johor sebagai teman
rapat, dengan orang Kelantan sendiri Sufi jarang mahu bercampur. Versi semangat
kenegerian yang tinggi membuatkan Sufi malas bercampur.
“Dia berbudi bahasa orangnya,
walaupun dia orang Johor kan?” Begitu soal Firdaus semasa menemani Pak Ya
bertemu Sufi.
Oh, itu sebab orang Kelantan takut
mahu menjadikan orang luar pasangan, takut tidak seperti minah-minah Kelantan
yang dianggap penuh sopan santun. Alah, ayat klise yang biasa melekat pada
minah-minah Kelantan. Padahal, (maaflah orang Kelantan) Sufi sendiri tidak
berkenan sangat jadi orang Kelantan. Apa tidak, malu kalau di luar Kelantan,
perempuan Kelantan paling ramai buat perangai tidak elok. Lelaki pula kaki
pembengis tidak tentu pasal.
Di Uniputra ini, budak lelaki
Kelantan dan Johor tidak boleh bercampur. Malah pernah pada suatu masa Uniputra
menjadi havoc kerana dua kumpulan ini
bertelingkah siap dengan bakar-membakar bangunan pentadbiran. Tunjuk perasaan
masing-masing konon. Lalu pihak HEP membubarkan persatuan anak-anak negeri.
Terutama Kelantan dan Johor. Tinggal persatuan anak-anak Sabah dan Sarawak
sahaja. Memang tidak boleh bagi muka kepada mereka, kalau tertubuh lagi
persatuan anak-anak negeri, ia seumpama memisahkan pelajar-pelajar dalam
membuat sesuatu program. Jika dihapuskan, sebarang program boleh dibuat
bersama. Ini akan lebih mewujudkan perpaduan.
Disebabkan itulah, ketika Sufi
mula-mula menjejakkan kaki ke Uniputra dia sedikit hairan kerana tiada ucap
selamat ‘TAHNIAH’ atau apa-apa seumpamanya yang sinonim dengan kemasukan
pelajar baru ke U daripada persatuan negerinya. Cuma daripada anak-anak Sarawak
dan Sabahan saja yang tergantung sana-sini bannernya.
Rupanya ada sejarah sebelum dia masuk ke Uniputra.
Eh, Sufi sudah ke mana ni? Daripada
masalah tentang Hardi dan Danish, Sufi melalut-lalut kepada hal Ina dan
Firdaus. Kemudian masalah orang Kelantan dan Johor yang tidak boleh bercampur.
Apa Sufi mahu jelaskan sebenarnya?
Sebenarnya? Sebenarnya Sufi pening.
Tidak tahu membuat langkah. Langkah kiri atau kanan? Disebabkan itulah Sufi
melontarkan dirinya dalam daerah angan-angan dan membiarkan otaknya melilau
jauh hingga ke situ. Audien, kita balik kepada permasalahan asal. Ana
sebenarnya masih menunggu jawab Sufi di kerusinya. Ana kini sedang bermain-main
dengan rambutnya. Dia hanya memerhatikan Sufi yang sekejap tadi terlontar entah
ke mana.
“Ke mana ?” Soal Ana sebaik Sufi menoleh
ke arahnya.
“Terlontar lagi.” Selamba jawab
Sufi.
“Kuat berangan. Pasal Danish dah
fikir masak-masak?”
“Kalau dah semua orang cakap,
tanyakan kepastian daripada Danish dulu, orang akan buat begitu. Malam nanti,
lepas tutorial Penglahiran Bakat dan Karya Kreatif, orang akan telefon Danish.
Hari Rabu dia biasanya ada di rumah.”
Begitu keputusan yang dibuat Sufi.
Begitu juga langkah yang diambilnya. Dengan berbekalnya syiling hampir lima ringgit (sudah boleh buat
belanja sekali makan tengahari) Sufi merapati telefon awam. Dalam? Dalam rasa
berdebar juga. Namun Sufi cuba tenteramkan dirinya. Apa boleh dia buat jika
Danish mengatakan Sufilah segala-galanya? Dia tidak mahu kehilangan Sufi dan
selama ini memang mengharapkan Sufi? Jika itu terjadi, bagaimana Sufi mahu
menerangkan kepada Hardi. Aduh, pening-pening. Ada masanya Sufi merasakan lebih
baik diam sahaja daripada bertanyakan Danish. Senang. Teruskan hubungan dengan
Hardi. Sama ada berlakon atau perlahan-lahan cuba menerimanya, itu lebih baik
daripada meminta penjelasan daripada Danish. Tidak. Tidak boleh begitu. Sufi
perlu meminta kepastian daripada Danish. Dia inginkan kepastian juga. Kalau
tidak selama-lamanya dia akan menyoal perkara yang sama kepada dirinya sendiri.
Jika tidak kerana kewujudan Hardi sekali pun dia sendiri ingin tahu.
“Pi, kau dah habis kelas?” Begitu
soal Danish sebaik mendengar suara Sufi di hujung talian.
“Dah. Emh... Danish, sebenarnya aku
ada hal nak tanya. Ni bukan main-main.”
“Apa dia Sufi?”
“Begini Danish. Sebenarnya kita
macam mana? “
“Macam mana apa?”
“Aku nak tahu kepentingan aku dalam
hidup kau.”
“Kan aku dah berulang kali cakap,
kau penting dalam hidup aku dan kau satu-satunya perempuan yang aku berkawan.
Dengan kata lain kau istimewa dalam hidup aku.”
“Bagaimana kalau aku cakap, aku ada
kawan dengan seorang budak lelaki? Rakan sekelas aku dulu...”
“Suka hati kaulah Sufi. Kau nak
berkawan dengan budak lelaki mana pun. Nak bertunang ke, nak berkahwin sekali
pun. Itu kau punya pasal. Aku tak ada kaitan untuk pikir semua tu!” Danish
bersuara marah. Dia tidak menunggu Sufi menghabiskan ayat-ayatnya.
“Danish, aku tanya serius ni. Betul
kau tak kisah?” Sufi kaget. Baru sekejap
tadi Danish mengatakan dia istimewa dalam hidup Danish, tiba-tiba dia
kembali menafikan.
Memang Danish tidak mengeluarkan
kenyataan menafikan secara mutlak. Bagaimanapun, kenyataan yang keluar daripada
mulut Danish itu berbaur ke arah itu.
“Kau siapa untuk aku kisahkan semua
itu? Kau bukan girlfriend aku dan aku
pun bukan boyfriend kau.” Keras nada
suara Danish.
Sufi terasa ingin menangis. Namun
air matanya tidak dapat keluar. Hanya meleleh membanjiri dadanya membuatkan dia
sukar untuk bernafas. Juga untuk bersuara. Dia terketar-ketar untuk
mengeluarkan ayat seterusnya. Danish di hujung talian hanya mendiamkan diri.
Begitu pun seketika kemudian Sufi
menarik nafas panjang-panjang.
“Kalau dah nyata begitu, aku terima
semuanya. Aku pun tak pernah cakap kau boyfriend
aku, cuma aku inginkan kepastian sebelum aku mengambil sebarang tindakan.”
Lalu Sufi meletakkan gagang telefon.
Entah mengapa segala rasa terbeban yang maha berat tertanggung oleh pundaknya
kini dirasakan hilang sama sekali. Dia tidak perlu tertanya-tanya masalah
dengannya Danish lagi. Terpulang kepada dia sekarang untuk menerima Hardi
seikhlas mungkin. Dia tidak terikat dengan sesiapa. Dia tidak perlu merasa
terkilan dalam membuat sebarang keputusan lagi. Cuma mampukah dia menyerahkan
cintanya kepada insan bernama Hardi?
Aku akan belajar mencintai!
Sufi kecewa dengan penjelasan
Danish? Dia tidak tahu. Cuma dirinya rasa kosong benar. Tiada apa-apa yang
boleh menjelaskan perasaannya ketika itu. Dia terasa ingin menangis juga kerana
bertahun-tahun membuang masa dengan Danish. Rupanya kepastian yang ingin didengarinya
daripada mulut Danish tidak seperti yang dia bayangkan.
Danish, terima kasih kerana tidak
meletakkan aku di tempat yang istimewa di dalam hatimu. Andainya kau memberikan
jawapan positif, bagaimana nanti mahu aku berdepan dengan Hardi dan menangani
masalah dengannya? Apabila kau sudah berterus-terang begini, sekurang-kurangnya
aku tidak merasa terikat dengan sesiapa lagi. Selama ini aku sentiasa rasa
terikat denganmu sehingga membuatkan aku sering tidak tenteram, apatah lagi
jika ada yang menghulurkan salam kepadaku.
Kini aku telah bebas daripada
belenggu yang selama ini merantai aku. Rupanya sayang yang kau ucapkan kepada
aku juga bersifat literal. Sayang yang tidak spesifik kepada seorang yang
istimewa, sebaliknya kepada sahabat yang selama masa ini banyak meluangkan masa
bersamamu. Terima kasih Danish kerana membuka kunci rantai itu. Aku akan
terbang bebas seperti Simurgh yang gah menjadi raja mergastua. Menakluk alam.
Dan Sufi, selama manakah dia akan
merasa sebebas itu?
BAB DUA BELAS
Sufi
akhirnya menumpukan perhatian kepada Hardi. Entah kerana memang ada luka di
hatinya dengan sikap Danish atau
sememangnya dia mampu untuk menerima Hardi, perasaan sayang terhadap Hardi
menyelinap sedikit demi sedikit ke dalam jiwanya. Duduk diam-diam di situ tanpa
diusik sesiapa. Tidak seperti Danish, Hardi tidak bermain tarik tali dengannya.
Cuma yang sering diucapkan, dia tidak mahu Sufi menggantung harapan terlalu
tinggi kepada hubungan mereka berdua.
Katanya dia bimbang hubungan mereka tidak akan ke mana memandangkan dia
dan Sufi mempunyai perbezaan status pendidikan dan latar belakang keluarga
mereka juga agak berbeza.
Dia bimbang penerimaan ibu dan abang
Sufi. Seperti yang diketahui, Sufi datang daripada keluarga yang agak senang
meskipun ibunya hanya menjaja ayam di pasar. Pendapatan ibu lebih dari apa yang
Hardi bayangkan. Abang Zali Sufi pula seseorang yang berjawatan tinggi di
sebuah syarikat swasta. Hardi malu dengan keadaan itu. Bimbang keluarga Sufi
akan memandangnya sebelah mata. Begitupun Sufi menafikan kebimbangan itu.
Perlu dinyatakan, Sufi bukannya
terlalu taksub dengan kasih sayang Hardi. Cuma dia kalau boleh tidak ingin
mengecewakan sesiapa. Memang sudah menjadi sikap Sufi. Bimbang kalau tanpa
sengaja dia melukakan hati seseorang. Tambahan si rendah diri dan kurang
keyakinan seperti Hardi.
Pada awalnya, iaitu selepas Danish
memberikan kepastian tentang hubungan mereka berdua, bukan sewenang-wenangnya
Sufi terus mencipta sayang di hatinya terhadap Hardi. Dia cuba pelbagai cara
untuk memberitahu Hardi isi hati sebenarnya. Begitupun, Sufi meletakkan dirinya
sebagai insan yang mengharap. Maksudnya, dia sering mengatakan kepada Hardi.
Andai Hardi tidak ingin ‘menerima’ cintanya, Hardi berhak kerana dia tidak mahu
memaksa. Begitupun Hardi tetap dengan pendiriannya. Sudi untuk bersama-sama
Sufi. Jadi apa lagi yang boleh Sufi katakan? Taktiknya tidak menjadi. Untuk
berterus-terang mengatakan dia langsung tiada hati terhadap Hardi dan selama
ini Hardi telah salah faham dirasakan sesuatu yang kejam.
Apatah lagi Hardi telah memberitahu
Ita tentang ‘keseriusan’ hubungan mereka. Lagi, Hardi juga telah memberitahu
keluarganya tentang Sufi. Sufi tahu tentang perkara itu semasa membuat
panggilan ke rumah Hardi. Ketika itu Hardi pulang ke kampung. Semasa membuat
panggilan, kakak Hardi yang menjawab panggilan, iaitu Hartini. Hartini
menyatakan kalau boleh dia ingin bertemu dengan gadis yang telah berjaya
membuka hati adiknya. Siapa lagi kalau bukan Sufi? Dek kerana itu Sufi jadi
tidak lugu.
Memang menjadi masalah besar jika
sudah melibatkan keluarga. Lalu Sufi cuba tanam sedikit demi sedikit rasa
sayang terhadap Hardi. Biarpun begitu perit, tambahan masih dibayangi masa
‘indah’ bersama Danish, Sufi tetap mencuba. Dia tahu, menerima Hardi secara tidak
langsung mencipta ruang baru di hatinya. Juga sekali gus memberitahu dirinya
sendiri, tidak akan ada lagi ruang untuk sesiapa selepas ini. Bolehkah?
Bolehkah Sufi berjanji dengan dirinya sendiri dan benarkah Hardi telah memiliki
cinta Sufi?
Masa berjalan.
Sufi sudah tidak menghubungi Danish. Dia sudah berpatah arang dengan Danish.
Memang ada rasa rindu dalam hatinya tentang masa yang pernah dihabiskan bersama
Danish. Tapi dia ingin belajar secara
jujurnya ‘bercinta’ dengan seorang lelaki sahaja. Dunianya kini hanya
Hardi. Begitupun, hatinya tetap tidak tenteram. Bukan kerana masalah hati dan
perasaannya, tapi kerana hatinya sentiasa teringat-ingat ibu di kampung. Entah
mengapa perasaan itu terlalu kuat kini.
Hinggakan ada masanya Sufi
termimpi-mimpi sesuatu yang buruk berlaku terhadap ibunya. Juga terhadap ahli
keluarganya yang lain. Mimpi buruk yang membuatkan ahli keluarganya berada di
dalam kesedihan. Pernah suatu masa pula Sufi mimpi ibunya meninggal dunia.
Sedih bukan kepalang Sufi. Mujurnya dia sempat tersedar. Terus menghubungi
ibunya di kampung, diberitahu semuanya okey sahaja.
Kalaulah tidak kerana dia sibuk
dengan kuliah dan peperiksaan hujung tahun, tentu dia akan pulang sekejap
menjengah ahli keluarganya. Dia ingin benar tahu keadaan mereka yang sebenar.
Dia dapat rasakan tentu ada sesuatu telah berlaku yang mungkin dirahsiakan
daripadanya.
Tentang Maria yang sering
bermasalah? Sufi rasakan itu lebih daripada masalah yang ditimbulkan Maria.
Tambahan pula kes Maria yang ingin berkahwin dengan Hassan senyap begitu
sahaja. Sufi tidak pula bertanya dengan lebih lanjut mengapa hubungan mereka
boleh terputus. Cuma, diketahui Maria yang memutuskan kerana katanya dia tidak
bersedia dan ingin membesarkan anak-anak sebelum memikirkan untuk berkahwin
lain. Entah ada udang di sebalik batu atau tidak, sekurang-kurangnya ia
melegakan kepala otak ibunya. Hilang satu masalah. Tinggal lagi masalah dengan
Ramli.
Ramli? Jangan-jangan jantan keparat
itu ada melakukan sesuatu kepada keluarganya? Main bomoh-bomoh lagikah lelaki
itu? Sufi teringat dahulu, Ramli pernah cuba membomohkan ibu dan apa yang
melucukan dan agak parodi di situ, Ramli menyuruh Pakcik Ali iaitu adik susuan
arwah ayah. Dalam Islam, saudara susuan diibaratkan seperti adik beradik
kandung. Ramli tidak tahu tentang hubungan ibu dengan Pakcik Ali. Manalah
Pakcik Ali mahu membantunya mengenakan ibu. Dia bukan suruh Pakcik Ali berbuat
apa-apa, cuma tolong taburkan pasir (yang telah dibomohkan) di sekeliling rumah
Sufi dengan niat untuk mengubah hati ibu terhadapnya.
Bomoh! Hati kecil Sufi berseru.
Sebenarnya Sufi bukan percaya dengan kerja-kerja bomoh-membomoh,
sihir-menyihir, santau-menyantau serta juga mandi-mandi bunga. Kadang-kala ia lebih kepada ingin mengaut
keuntungan. Jarang yang benar-benar berkesan. Kebanyakannya begitulah.
Begitupun, ada juga yang memang boleh memudaratkan orang yang terkena atau yang
ditujukan ilmu hitam tersebut. Ini sekiranya pengamal kaedah perubatan
(kalaulah ia boleh diistilahkan sebagai perubatan) non-medic ini menggunakan syaitan sebagai perantaraan. Itu Sufi
tidak nafikan. Syaitan memang bersedia untuk memecahbelahkan umat manusia dan
memesongkan aqidah manusia. Lagi mereka seronok jika dijadikan pendamping.
Sufi hairan, masyarakat Melayu
khususnya, mengaku beragama Islam, namun dalam hal ini senang berdamping dengan
makhluk yang dalam al-Quran menyatakan secara terang-terangan larangan
berdamping dengan jin atau syaitan. Mereka seakan lupa, tiada tempat
sebaik-baik tempat untuk meminta pertolongan melainkan dengan Allah s.w.t.
Tuhan yang memiliki langit dan bumi serta seluruh isi alam yang terdapat di
antara kedua-duanya.
Mungkin tipikal masyarakat,
terutamanya Melayu secara khusus dan amnya seluruh nusantara. Gemar dengan
perkara-perkara sebegini. Menjadikan jin dan syaitan sebagai pendamping.
Digelar dalam versi berlainan, antaranya makhluk halus, bunian, pelesit, anak
kerak, saka, hala dan macam-macam lagi. Kalau yang baik biasanya digelar bunian
atau penjaga. Sedangkan asalnya memang syaitanlah. Tidak perlu nak
mengubah-ubah nama. Tetap makhluk yang itu-itu juga. Entahlah. Macam-macam
masyarakat sekeliling Sufi ini. Macam tiada al-Quran, kalamullah yang boleh
dijadikan pendamping. Al-Quranlah ubat paling mujarab dan mustajad.
Berdepan golongan ini, Sufi bukan
mahu membebel tidak tentu pasal, tapi ia berpaksikan hadis dan al-Quran.
Malangnya ada sesetengah yang menunjukkan minat dengan hal-hal begini, kalau
perempuannya bertudung litup. Lelakinya, huh, itu ketayap dan janggut sejemput
nampak elok menghias diri. Masyarakat!
Kerja bomoh-membomoh ini sebenarnya
lebih kurang dengan sihir-menyihir. Ia ilmu hitam yang tentunya berdampingan
dengan syaitan. Kegiatan sihir-menyihir ini memang ada disentuh di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 102. Ayat ini berkaitan
dengan fitnah yang dilakukan oleh orang-orang kafir terhadap Nabi
Sulaiman. Fitnah itu terjadi ketika
baginda Rasul sakit hampir wafat dan ketika itu syaitan mengajarkan kepada
orang kafir, lalu diletakkan ayat-ayat yang mengajar tentang ilmu sihir di bawah bantal Nabi Sulaiman. Apabila nabi
wafat, si kafir mengeluarkan ayat-ayat dari bawah bantal itu dan mengatakan itu
ajaran Nabi Sulaiman. Ayat 102 al-Baqarah menceritakan tentang perkara ini
sekali gus menafikan fitnah besar itu.
Dan
mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan
Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal
Sulaiman tidak kafir (mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang
kafir (mengerjakan sihir) mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang
diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut,
sedang keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorangpun sebelum
mengatakan “Sesungguhnya kami hanya cubaan bagimu, sebab itu janganlah kamu
kafir.
Maka
mereka mempelajari dari kedua-dua malaikat itu apa yang dimaksudkan dengan
sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang suami dengan isterinya,
mereka (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kecuali dengan izin
Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat kepadanya dan
tidak memberi manfaat. Demi,
sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barang siapa yang menukarkan (kitab
Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah
perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir kalau mereka mengetahui.
Nyata kepada masyarakat Islam kerja
sihir kerja dilarang dan diumpamakan perbuatan yang boleh membawa kepada keluar
daripada agama jika sesiapa mengamalkannya. Pun Sufi hairan mengapa masih ada
yang sanggup melakukan kegiatan-kegiatan seperti itu. Serupa dengan kerja zaman
masyarakat Yahudi dahulu. Itu, pergi bomoh-bomohkan ibunya memang sudah
termasuk dalam kegiatan ini. Masyarakat!
Sebenarnya, ada lagi sumber yang
boleh menguatkan lagi hujah Sufi berkaitan ilmu-ilmu yang menggunakan syaitan
sebagai pendamping ini, begitupun Sufi tidak mahu menghuraikan dengan panjang
lebar, Sufi bukan pendakwah. Cuma Sufi amat berminat untuk mendalami ilmu
agama. Disebabkan itulah Sufi banyak tahu tentang perkara-perkara ini. Lagipun,
Sufi juga sebenarnya banyak akan merujuk kepada al-Quran sekiranya dia
mengalami kekeliruan berkaitan hukum-hakam. Dia tidak mahu membuat hukum
sendiri kerana bimbang melakukan fitnah terhadap agama. Dia masih ingat pesan
ustazah semasa zaman persekolahannya, jangan pandai-pandai mahu membuat hukum
sendiri, itu fitnah besar namanya.
Berbalik kepada Ramli, sekiranya
benar Ramli ada melakukan sesuatu yang buruk kepada keluarganya, terutama ibu,
Sufi tidak akan teragak-agak untuk berdepan dengan lelaki itu. Malah ada tekad
dalam hati Sufi untuk tidak memaafkan apa juga kesilapan Ramli terhadap ibunya.
Begitupun, Sufi harus mendapatkan kepastian. Hujung minggu itu kebetulan, Sufi
akan pulang ke rumah Abang Zali. Dia akan menelefon ibu di kampung bertanyakan
keadaan sebenar.
“Betul Pi, selain naik turun
mahkamah, ibu tak ada apa-apa masalah dengan Ramli. Itu saja yang jadi masalah,
dia masih tetap enggan melepaskan ibu,” beritahu ibu beriya-iya.
“Siapa temankan ibu ke mahkamah?”
Soal Sufi, takut-takut ibu keseorangan, bimbang Ramli berpeluang berbuat
sesuatu yang tidak elok terhadap ibu.
“Kak Eisya kau.”
“Baguslah kalau ibu pergi berteman.
Bimbang juga Pi, mana tahu kalau-kalau Ramli nak mengapa-apakan ibu.”
“Tak. Dia tak mungkin nak buat
apa-apa terhadap ibu. Ramai orang kat mahkamah tu.”
“Ibu agak, lama lagikah perbicaraan
ini akan ambil masa?” Soal Sufi. Dia sebenarnya tidak sabar-sabar mahu menunggu
ibunya bebas daripada ikatan perkahwinan yang langsung tidak dapat diterima
oleh mereka sekeluarga.
Sudah jenuh dan muak menunggu dan
terus menunggu. Mahkamah Syariah pun tidak kurang juga bermasalah. Kalau mahu
mengahwinkan orang, cukup syarat yang ditentukan hukum, kahwinkan. Kalau tiba
masa tuntutan cerai dibuat oleh pihak perempuan, bukan main sulit pula
urusannya. Sufi tahu, bercerai itu tidak digalakkan di dalam Islam, tapi tengok
keadaanlah. Kalau lelaki itu boleh melakukan tanggungjawab dengan betul,
sesiapapun tidak mahu bercerai, tapi kalau setakat mahu memuaskan nafsu dan
tunjuk terror di kalangan
kawan-kawan. Lepaskanlah!
“Tak tahulah Pi. Sekarang makin
sulit kerana isteri pertamanya telah meninggal dunia.”
“Apa bu?” Sufi minta ibunya
mengulangi kerana khabaran itu semacam tidak boleh diterima akal.
“Isteri pertamanya meninggal.
Kemalangan beberapa bulan lalu. Ibu tak tahu, sekejap tadi baru ibu tahu.
Itupun semasa perbicaraan. Dia memberitahu mahkamah dia sekarang tak lagi
mengamalkan poligami, isterinya sudah meninggal. Lalu tiada sebab untuk dia
melepaskan ibu. Dia perlukan isteri dalam hidupnya.”
Sufi melepaskan keluhan. Keadaan
menjadi bertambah sulit nampaknya. Ibu akan berada dalam keadaan itu untuk
suatu jangka masa yang agak panjang lagi. Begitulah andaian Sufi.
Dan poligami. Frasa itu melekat
dalam benak Sufi. Sinonim dengan semua lelaki kalau tiba istilah itu. Mana-mana
lelakipun akan berminat untuk berpoligami. Huh, sunnah Rasul alasan mereka.
Memang lah ikut sunnah Rasul, tapi jika tiba bab yang satu itu sajalah.
Lain-lain? Makanpun malas mahu mengikut sunnah nabi, usahkan perkara-perkara
besar yang lain.
Sufi hairan, benar-benar hairan
dengan lelaki. Mereka bukannya layak benar untuk menyahut sunnah yang satu itu.
Fizikal, mental. Lahir, batin. Luar, dalam. Langsung tidak layak. Kalau separa
ini layak, separa lagi kurang memuaskan. Jaranglah ada lelaki yang benar-benar
boleh memerankan diri selayaknya dengan penuh wibawa sebagaimana yang dilakukan
oleh baginda Rasul. Kalau ada memang Sufi akan tabik spring selama empat puluh
empat hari.
“Pi tak pulang?” Soal ibu mengajak
Sufi kembali dalam ruang bual.
“Nanti, lepas habis exam memang akan ada cuti panjang di
situ,” balas Sufi sambil memandang Adam yang datang menghampirinya membawa
sebiji buku berbahasa Inggeris.
Cerita tentang Donald Duck. Bacaan
ketika musim panas. Begitu yang tercatat di luar kulit buku yang berharga,
mungkin puluhan ringgit. Sufi tidak pasti kerana Abang Zalinya membeli satu set
buku dengan harga hampir dua ribu untuk Adam. Nampaknya Adam seperti ingin menyuruh
Sufi bacakan kepadanya kisah si itik bersuara kelakar tersebut. Belum apa-apa
Adam sudah naik ke riba.
“Kenapa Pi?” Soal ibu. Mungkin
rengekan Adam turut terdengar olehnya.
“Adam. Minta Pi bacakan buku
cerita.”
“Kalau begitu, bacakan Pi. Nanti
meragam budak tu,” kata ibu.
Sufi akur. Lalu menamatkan perbualan
dengan ibunya dengan mengucapkan salam. Ibunya membalas. Talian terputus.
Sufi termenung seketika. Mengingati
ibunya. Ibu, sudah berapa lama aku tidak ucapkan aku sayang padamu? Dada Sufi
sebak tiba-tiba. Memang dia terlalu sayangkan ibunya. Dia tidak kisah walaupun
dia bukan anak yang paling disayangi. Itu sudah lumrah bagi seorang ibu, dalam
seramai-ramai anak, tentu ada seorang yang paling disayangi. Kalau ibu, Kak
Izan yang paling jadi permata hati. Ibu ada sebab untuk memilih. Ibu juga
berhak memilih kerana dia mempunyai ramai anak. Anak-anak? Mana boleh pilih
kerana ibu hanya seorang. Jangan nafikan hakikat ini, tanyalah ibu mana-mana
sekalipun, memang mereka ada sikap pilih kasih itu. Percayalah. Tapi kalau
ditanya memang mereka tidak akan mengakuinya.
Mujur Sufi tidak terkena sindrom
pilih kasih buat masa ini. Selain Maria, dia tidak pernah membeza-bezakan kasih
sayang terhadap adik-beradiknya. Pada Maria, dia bukan tidak sayang, cuma benci
dengan peel lakunya yang memualkan. Anak-anak saudara? Setakat ini kasih sayang
untuk mereka masih sama rata. Daripada Alif, hingga ke Yusoof semuannya sama.
Kini pula Kak Izannya sedang mengandungkan anak pertama, bayi yang bakal lahir
itu juga akan dapat kasih sayang yang sama daripada Sufi.
Sufi memang seronok mempunyai anak
saudara. Dia sentiasa membelikan sesuatu untuk anak-anak buahnya. Duit loan yang dia dapat jenuh dia belanjakan
apabila tiba musim perayaan. Baju-baju mahal dan berjenama akan dibelikan untuk
anak-anak buahnya. Sufi memang puas hati berbuat demikian. Bagaimana agaknya
jika dia sudah mempunyai anak sendiri nanti? Sufi sentiasa berdoa agar dia akan
memberikan kasih sayang yang sama rata terhadap anak-anaknya. Nanti anak akan
berkecil hati jika dia main pilih-pilih kasih. Biarlah. Dia tidak mahu anaknya
mengalami rasa kecil hati yang pernah dilaluinya dulu.
Anak? Zuriat? Siapakah yang
sama-sama bakal berkongsi zuriat dengannya? Dan Sufi pun teringatkan Danish
sekali lagi. Danish? Eh, Danish kah? Kenapa bukan Hardi? Sufi... kenapa Sufi?
Kenapa masih teringatkan Danish, Sufi?
“Nanti, lepas habis belajar kita
fikirkan soal kahwin, soal berapa ramai anak yang kita nak. Buat masa ini kita
tumpukan perhatian pada study
dulu.” Itu suara Danish. Memang suara
Danish.
Sufi memandang sekeliling. Danish
tiada di mana-mana. Tapi suara itu memang suara Danish... Danish masih
menghambatnya! Sufi. Bangun Sufi.
Kukikiskan sisa wajah yang melekat di hatiku. Ku
buangkan jasad cinta yang terlena pencarian. Sekian lama terpedaya kerananya
rindu sendu. Cinta lara jadi arca kehidupan. Denyut nadi mengalirkan dendam.
Sepi pun berbahang, tidaklah aku menjunjung cinta ini seusia dunia. Itu
bait-bait lagu BPR sebenarnya. Entah kenapa lagu itu tiba-tiba beralun mencipta
ritma rindu dalam diri Sufi.
“Acik, acik
bacakan...” Rengekan Adam mengembalikan Sufi yang terlontar lagi. Ah, kalaulah
Ana ada, mesti sudah kena sindir kerana sudah terlontar sekali lagi dalam
daerahnya.
Maafkan
acik, sayang. Acik terlontar lagi tadi. Sufi melepaskan keluhan. Seakan
melepaskan bayangan dan suara Danish yang tiba-tiba datang menerjah. Sebenarnya
suara itu datang dari dalam, dari lubuk hatinya. Ada di setiap inci pembuluh
darahnya.
Sufi
mencapai buku di tangan Adam. Bersedia untuk membacakan cerita tentang Donald
Duck kepada si kecil.
“One day, Donald and his friend...” Sufi
memulakan, Adam keasyikan.
Sehabis
cuti hujung minggu Sufi kembali semula ke kolej kediaman. Seperti biasa terus
ke pejabat untuk melihat kalau-kalau ada surat untuknya. Itu memang sudah
kebiasaan Sufi. Banyak juga surat yang diterima Sufi kali itu. Daripada Lan,
Ita, Norziyana dan ramai lagilah. Juga sepucuk daripada...
Sufi,
Kau begitu menyepikan diri nampaknya. Kau sudah tak mahu
kawan dengan aku lagikah? Pada aku, aku masih mengharapkan kau kembali berkawan
dengan aku walau apapun terjadi antara kita.
Kalau
aku menyinggung perasaanmu, maafkan aku Sufi. Aku banyak masalah sebenarnya.
Sebab itu ada masanya aku tidak dapat berfikir dengan baik, tambahan pula kalau
persoalan datang secara tiba-tiba.
Aku
faham kalau kau terasa dengan sikap aku. Apa yang boleh aku katakan hanyalah
maaf.
Sufi tidak meneruskan bacaannya. Dia
menyisipkan surat Danish itu ke helaian novel Jukstaposisi yang sentiasa ada di atas tilamnya. Merenung siling
seketika. Sukar juga untuk melupakan seseorang yang pernah menemani masa-masa
sunyi kita. Berkelakar bersama-sama. Sufi tidak boleh merasai semua itu bersama
Hardi. Bersama Hardi asyik dengan soal hati dan perasaan. Tidak lebih daripada
itu. Sesekali Hardi mengungkitkan tentang ketidaksamaan taraf antara mereka.
Jarang bergurau mesra tentang banyak perkara.
“Kalau kau nak macam Siti Nurhaliza,
aku nak cari macam Emmanuel Petit.”
“Hah, gila kau. Mana ada Emmanuel
Petit kat Malaysia ni.”
“Kalau tak ada, macam Sunjay Dutt
dah kira okey.”
“Hah, itu ada. Tak susah nak cari
yang macam Sunjay Dutt. Bila-bila masa dia boleh pergi pinang kau.”
Ha! Ha! Ha! Ketawa lagi. Indahnya...
Dengan Hardi tidak boleh bergurau begitu. Entahlah, kadang-kala Sufi merasakan
humor dalam hidup Hardi terlalu minimum. Nada cakapnya sentiasa dalam versi
serius dan ada masanya seakan mahu menggoda. Tidak pada diri Danish. Hal hati
dan perasaan jarang serius. Semuanya terluah dengan ungkapan bersulamkan
gurauan. Mungkin kerana itu Danish dan Sufi menjadi kurang yakin antara satu
sama lain.
“Pi, itu biasa Pi. Orang pun hingga
kini masih teringatkan Nazrul. Ada ketikanya kalau telefon berdering, orang
harapkan dia yang buat panggilan. Tapi itu mustahil Pi. Dia dah lama pergi.
Kita di sini kena bina hidup baru. Pi jangan ulang kesilapan saya. Sementara
sudah ada Hardi, tumpukan perhatian padanya.
Orang sendiri sudah tekad untuk menerima Azhar. Balik cuti panjang ni
kami akan bertunang.”
“Orang tahu Na, tapi dalam ni. Dalam
ni rasa membuak saja ingatan terhadap dia. Melebihi ingatan terhadap Hardi
sendiri.” Sufi menunjuk-nunjuk dadanya. Tanda Danish sentiasa ada di situ.
“Orang faham. Tapi Pi juga
nasihatkan orang dulu. Lebih baik kita menerima orang yang sukakan kita,
daripada mengejar orang yang kita suka. Mendengar nasihat Pi, langsung orang
bagi lampu hijau kepada Azhar untuk masuk meminang. Pi lupa dengan kata-kata Pi
sendiri?” Soal Ana. Mengingatkan Sufi
pada pegangan yang selama ini dipegangnya.
Sufi mengangguk dengan wajah sugul.
Danish! Dia sangkakan dengan menerima Hardi semuanya akan berjalan lancar,
sebaliknya bukan itu yang berlaku. Kenangan silam bersama Danish masih
mengusik-usik naluri Sufi. Biarpun dia dapat rasakan di depannya pasti hidup
tanpa Danish.
Biarpun Danish kembali mengutuskan
surat kepadanya. Dia kini sudah ada Hardi. Bagaimana dia mahu memutuskan
hubungan dengan Hardi begitu sahaja semata-mata ingatannya masih sarat terhadap
Danish? Danish pula? Apa yang dirasakan Danish ketika itu setelah Danish
mengeluarkan kenyataan begitu sedikit
masa lalu?
“Kata orang kita akan mula menyedari
perasaan kita terhadap seseorang jika sudah kehilangannya.” Bersiponggang
kata-kata itu dalam benak Sufi.
Siapa yang menuturkannya? Sufi tidak
pasti. Namun kata-kata itu memang mengandungi kebenarannya yang tersendiri. Dan
Danish, adakah dia kini mula merasakan
kehilangan seperti yang dimaksudkan itu sehingga mendorong dia mengutuskan surat
kepada Sufi seperti itu? Sekian lama tidak bertanya khabar dan bergurau mesra,
adakah mampu untuk menelurkan rasa rindu yang maha sarat di jiwa Danish,
seterusnya menetaskan rasa kasih yang menggunung?
Sufi sebenarnya kau bodoh kerana
selepas Danish mengatakan begitu kepada kau, kau memutuskan untuk tidak
menghubunginya. Kau bodoh. Tindakan kau itu akan membuatkan Danish besar kepala
dan merasa gah kerana gadis tegar selama ini telah jatuh hati kepadanya. Lalu
terluka hati setelah cintanya tidak berbalas. Benar Sufi, tindakan kau untuk mendiamkan
diri membawa erti kepada Danish kau sebenarnya terluka.
Kenapa tidak kau berlagak biasa?
Menghubunginya dan meneruskan hubungan dengannya menandakan kau tidak
sedikitpun merasa tersinggung apatah lagi untuk terluka setelah berkurun masa
kau sesiakan dengannya. Lakukan sama seperti kau lakukan ketika Helmi
meninggalkan kau dahulu. Tunjukkan kau tidak mudah terluka Sufi. Buat Danish
pula merasa sakit. Bukan kesakitan hanya kerana kau menyepikan diri seperti
itu. Buat dia rasakan sesuatu yang lebih
kuat daripada itu Sufi.
Tidak cukup sekadar rindu yang
menerjah di dalam jiwanya. Buat dia rasa lebih daripada itu. Buat dia rasa bersalah. Layan dia sebaik
dulu tanda kau tidak berdendam kerana sikap main tarik talinya selama ini. Lakukan begitu Sufi. Lakukan untuk
membalas segala rasa sakit yang kau tanggung. Jangan menyepikan diri
daripadanya. Kelak dia akan berfikir, gadis Sufi begitu tegar dan dia akan rasa
tercabar.
Sufi mengetap bibir. Dia tunduk
mentafsir apa yang sedang berlegar dalam benaknya. Dengan Danish dia tidak
sanggup untuk berbuat seperti itu. Dia sudah kehilangan perisai yang selama ini
digunakannya. Dia telah kehilangannya! Dia sebenarnya ingin lari jauh daripada
Danish. Biarkan. Biarkan Danish dengan dunianya. Namun dalam masa yang sama dia
rindukan ketawa-ketawa mereka yang lama. Dia tidak boleh berbual-bual dengan
Danish menggunakan versi selamba sebagaimana dengan Helmi. Tidak dengan Danish.
Mereka sudah biasa ada masanya mengungkit soal hati dan perasaan. Rancangan
masa depan dan segala-galanya yang bernada hidup bersama.
Menghubungi Danish sekali lagi dan
memusing gaya percakapan dalam versi ke arah persahabatan sejati? Tidak kalau
dengan Danish. Perisainya tidak ampuh lagi! Sufi tidak yakin dengan dirinya
sendiri. Itu Danish. bukan Helmi, bukan Hardi.
Hardi? Bosannya Sufi mengingatkan
halnya dengan Hardi. Terpaksa. Eskapisme. Apa lagi yang boleh menerangkan
keadaannya ketika itu? Kalaulah Hardi tahu hatinya ketika itu. Kenapa dalam
seramai-ramai umat manusia, Hardi boleh memilihnya? Hardi memang buta objek.
Memang buta objek si Hardi ni!
BAB TIGA BELAS
Maafkan aku
Sufi!
Danish menyedut rokok yang terkepit di
bibirnya dalam-dalam. Matanya memerhatikan
ke jalan raya di depan rumah. Namun segala objek yang melintas di depan
retinanya langsung tidak dapat ditangkap optik mata. Yang ada cuma imej maya
Sufi. Tersenyum kepadanya. Senyuman paling manja. Senyuman yang memang hak
mutlaknya. Tiada sesiapa yang boleh memiliki senyuman seperti itu melainkan
Sufi seorang.
“Danish,
sebenarnya aku ada problem sikit ni.”
“Masalah
apa Sufi? Ada orang kacau kau? Jantan keparat mana berani nak kacau kau?”
“Bukan.
Bukan pasal jantan atau apa. Problemnya
hari tu, aku ada isi borang donation...”
“Donation? Kau nak derma apa Sufi? Kalau
dah terlebih duit, baik kau buat kebajikan dengan aku ni. Aku ni sentiasa
kering ni.”
“Kau ni,
asyik potong cakap aku aje, cuba dengar dulu.”
“Okey,
okey. Cakap biar aku dengar.”
“Hari tu,
aku ada isi borang nak derma organ. Masalahnya aku tak tau nak cakap macam mana
kat family aku, especially my mum. Benda
ni nanti lepas aku meninggallah. Bukan sekarang ni.”
“Bahagian
mana kau nak derma Pi?’
“Semua
Danish, daripada organ dalam hingga ke tisu-tisu badan, tulang, senang cerita
selagi boleh ambil dan didermakan aku akan dermakan.”
“Kau gila
Pi? Kau jangan nak buat begitu.” Danish bersuara keras. Dia masih ingat benar
lagi ketegangan yang dirasakan ketika itu.
“Kenapa
pula kau tegah aku buat begitu? Aku kan dah meninggal masa tu, kalau aku masih
hidup aku pun tak mau derma.”
“Kau senang
cakap Pi. Kau pikir tak perasaan orang-orang yang sayangkan kau? Bayangkan, hah
cuba kau pejam mata tu dan bayangkan sikit perasaan orang-orang yang sayangkan
kau. Kesedihan menghadapi kematian kau belum terubat tiba-tiba datang orang nak
menuntut jenazah kau semata-mata nak ambik organ kau. Eh, kau ingat kami tak
sedih?”
Dan Sufi
menyoal, “ Kami? Kenapa kau guna istilah kami?”
“Ahh, kami?
Ya lah kami. Termasuk aku jugalah. Kalau jodoh kita panjang aku jugalah yang
bakal bersedih tengok jenazah kau dibawa pergi nanti.”
“Betul
Danish? Kau akan sedih ya?”
“Iya!”
Tekan Danish di situ.
Danish
memang ingat semua itu. Segala-galanya. Daripada perbualan seserius seperti
itu, atau dalam senda gurau mereka, perkataan ‘aku sayang kau’ dan ‘kau sayang
aku’ atau seumpamanya yang memungkinkan kesinoniman dengan ayat-ayat itu memang
acap terluah.
“Tak apalah
Pi. Kalau dah tiada sesiapa kat dunia ni, aku masih ada menemani kau sampai
bila-bila. Aku kan sayang kau...” Dan itu sekali lagi.
Siapakah
yang menuturkan semua ayat-ayat begitu kalau bukan dirinya? Danish benar-benar
kesal. Bukan kesal kerana pernah menuturkan ayat-ayat sedemikian ketika Sufi
menghubungi lewat kemesraan mereka masa lalu, tapi kesal kerana terlancap kata
tempoh hari membuatkan Sufi kini menyepikan diri. Mungkin lebih membobrokkan
kiranya Sufi bukan setakat ingin menyepikan diri, malah melupakan dirinya
terus.
Sekali
lagi: Maafkan aku Sufi!
Danish
tidak tahu mengapa dia menjadi mudah aseran mendengar Sufi bercerita pasal dia
dan seorang kawan lelakinya sehingga membuatkan dia terlancap atau terlepas
cakap seperti itu. Sedangkan Danish bukan seorang yang ambek atau pemarah.
Kalaulah Sufi tahu keadaan sebenarnya.
Danish cuba
mengukirkan senyuman. Mengenangkan betapa selama ini Sufi memang mendengar
segala pendapat yang diluahkannya. Seperti kes ingin mendermakan organ sesudah
kematiannya kelak, memang Sufi telah membatalkan niatnya. Selain kerana dia
telah mendapatkan buah fikiran dari sudut hukum agama melalui seorang
pensyarahnya, dia juga sebenarnya termakan dengan nasihat Danish.
Lamunan Danish terhenti dan segala
layar maya yang memantulkan imej Sufi terpadam tiba-tiba dengan kepulangan Azmi
dari kuliah. Dia melirik ke arah Azmi yang sudah membuka bajunya lalu disidai
di birai tingkap.
“Kau tak ada kuliah hari ini
Danish?” Soal Azmi memandangkan keadaan Danish seperti yang ditinggalkannya
pagi tadi.
“Semua kuliah aku postpone hari ini.”
“Aik, tak pernah dengar pun kuliah
kursus Engine kena postpone. Pensyarah yang postpone atau kau postpone sendiri?”
Danish melirik ke arah Azmi. “Aku
tak ada mood nak pergi kuliah.”
“Kau ni kenapa Danish? Sejak
akhir-akhir ni aku tengok semua tak ada mood.
Kuliah tak ada mood, makan tak ada mood. Siti Nurhaliza pun kau tak ada mood. Jangan-jangan Sufi bawak lari mood kau tak?”
Dia sebut nama Sufi pulak! Gerutu
Danish. Kala itu kalau boleh dia tidak mahu sesiapa pun mengembalikan
ingatannya terhadap Sufi biarpun nama itu memang ada di setiap inci pembuluh
darahnya.
“Aku hairan dengan kau ni Danish.
Rupa nak kata tak ada memang silaplah. Cuma poket je agak kering, tapi itu
boleh diurus. Perempuan ni, kalau pasal duit bukan berkira sangat. Janji kita
suka dia. Tapi kau ni aku tengok selain Sufi memang tak berminat nak melayan
orang lain. Sufi pula jauh berbatu-batu. Jumpa setahun tak sekali. Telefon aje
yang lebih. Kau tak teringin macam kawan-kawan lain kah? Hujung minggu keluar
dengan buah hati?” Soal Azmi. Menceceh panjang lebar.
Tapi terkesan satu perkara di situ
dalam benak Danish. Ulang suara: Perempuan ni, kalau pasal duit bukan berkira
sangat. Janji kita suka dia. Perempuan? Duit? Danish memang pernah pinjam duit
Sufi. Dan memang pun Sufi tidak berkira mana dengannya biarpun jumlah yang dipinjam
itu agak besar. Sufi tidak pernah meminta secara verbal agar Danish melunaskan
hutangnya. Dia cuma cakap, bayarlah kalau dah ada cukup wang.
Danish bukan senang-sengaja nak
meminjam-minjam wang daripada Sufi. Cuma kali itu dia terdesak benar. Susah
juga dia mahu menyatakan kepada Sufi keadaannya. Pada mulanya dia menggunakan
alasan mahu membayar saman motor. Memandangkan motor yang digunakan ketika kena
saman itu motor kawannya, jadi dia harus membayar saman itu sebelum kawannya
bising. Tidak terduga Sufi begitu mudah bersetuju untuk meminjamkan wang itu
kepadanya biarpun jumlah yang dipersetujuinya kurang daripada yang diminta
Danish.
Mengenangkan kesudian Sufi, Danish
tidak tergamak untuk terus membohonginya, lalu dia berterus-terang keadaan sebenar.
“Pi, aku bohong. Sebenarnya aku nak
bayar sewa rumah. Duit yang kawan-kawan tinggalkan tu aku terpakai, aku
terdesak benar ni. Tapi sebab aku dah bohong kau, aku tak kisah kalau kau tak
mahu tolong aku.” Danish berterus-terang kepada Sufi biarpun malu untuk berbuat
demikian.
Memang Sufi terdiam mendengar kata-katanya. Mungkin
Sufi agak termengkelan dengan pembohongan dan sikap tidak jujurnya. Tapi dia
sudah bersedia jika Sufi tidak mahu menolongnya. Dia tidak sanggup membohongi
Sufi.
“Danish. Sebab tadi aku dah sanggup
nak tolong kau, jadi aku tak boleh nak tarik balik kesanggupan itu. Jangan kata
aku tak marah kau tipu aku. Memang aku marah kerana kau tak jujur, tapi aku
kasihankan kau.”
“Pi, aku tak paksa kau tolong...”
“Ya, kau tak paksa. Tapi aku dah
janji akan tolong tadi, aku akan ikhtiarkan. Aku bukan bagi kau pinjam ni
kerana aku percaya pada kau, tapi kerana aku kasihan. Ingat ya. Aku juga tak
percaya kau akan bayar balik.”
“Pi... kalau kau tak mahu...”
“Jangan cakap apa-apa Danish.
Lagipun, bukan kau seorang yang pernah pinjam duit aku. Lelaki perempuan. Kat
sini pun ramai yang pernah pinjam. Aku tak kisah. Tapi janji tetap janji.”
Ketika itu Danish tidak tahu apa
anggapan Sufi terhadapnya. Nada suaranya lain benar. Terkilan agaknya. Tapi
Danish janji akan bayar hujung minggu itu. Setelah mendapat gaji.
Danish ketika itu sebenarnya kerja
sambilan di sebuah kilang untuk menampung hidupnya. Disebabkan itu dia sanggup
tebalkan muka meminjam wang daripada Sufi, pada perkiraannya dia pinjam tidak
akan lama kerana setiap hujung minggu pihak kilang akan membayar gaji kepada
pekerja sementara. Sungguhpun demikian, nasib Danish agak malang kerana selepas
itu pihak kilang tahu dia sebenarnya pelajar universiti, pihak kilang tidak
berminat dengan pelajar universiti, lalu Danish dibuang kerja. Hutang Sufi juga
tidak mampu untuk dibayarnya.
Dan Sufi tidak pernah merungut
biarpun hingga hari itu dia belum melunaskannya lagi.
“Aku bukan percaya kau akan bayar
duit aku tu...” Begitu kata Sufi setiap kali Danish mengungkitkan
ketidakupayaannya untuk membayar balik duit yang dipinjamnya.
Persepsi Sufi terhadapnya ketika itu
mungkin sudah agak negatif. Namun Sufi masih meneruskan hubungan dengannya.
Santak hari itu juga Danish masih belum melunaskan. Danish bukan terlupa, namun
masih tidak berupaya. Si Helmi pun tidak mahu membantu. Dia pernah ke rumah
Helmi, meminta Helmi menolongnya. Tidak disebut duit siapa yang dipinjaminya,
namun nampaknya Helmi seakan-akan tahu. Berkali-kali dia bertanya, duit Sufi
kah? Segan Danish mahu mengiyakan. Jatuh maruahnya jika Helmi tahu Danish ada
meminjam wang daripada perempuan. Tambahan dengan Sufi. Mantan gadis kesayangan
Helmi.
Sufi. Dan bayangan Sufi lapat-lapat
bermain di penglihatan Danish. Maafkan aku Sufi. Maafkan aku. Aku banyak
membuat luka di hatimu. Mungkin aku memang bukan lelaki yang baik untukmu.
Malah bukan juga sahabat yang baik untukmu.
“Danish, kau fikirkan apa?” Soal
Azmi sambil menepuk bahu Danish. mengelamun rupanya si Danish ni. Geram juga
jadinya Azmi. Danish membiarkan dia bercakap seorang diri.
“Kau cakap apa tadi?” Danish menyoal
kembali. Dia sekadar inginkan kepastian kerana memang dia tidak mendengar
apa-apa tadi.
“Tadi, semasa aku singgah di makmal
komputer, aku terserempak dengan Siti,” ulang Azmi. Tadi memang Danish tidak
mendengar langsung nampaknya. Memang kaki mengelamun si Danish sejak
akhir-akhir ini.
“Jangan kata kau terserempak dengan
Siti Nurhaliza.” Marah Danish. Tidak suka Azmi mempermain-mainkannya dengan
topik sebodoh itu.
Mana mungkin dia terserempak dengan
Siti Nurhaliza di makmal komputer IPT mereka. Apa jadahnya Siti Nurhaliza buat
di situ.? Buat konsert? Tidak masuk akal.
“Bukan Siti penyanyi tu... kau ni
maram perapu kepunden param sekeper betul lah. Alah, Siti. Aku tak ingat fullname dia, cuma dengar kengkawan dia
panggil dia Siti.”
“Aku tak ingatlah. Tak dapat
tangkap. Tapi kenapa dengan dia? Apa kena- mengena apabila kau terserempak dengan dia ni?” Soal
Danish sambil mengeluarkan sebatang rokok lagi. Kuat benar merokok, patut poket
selalu kering. Sehari sekotak rokok, seminggu sudah berapa ringgit
dibelanjakan.
“Dia bertanyakan kau. Entah daripada
siapa dia tahu aku housemate kau.
Musykil juga aku.”
Kepala Danish sedikit menunduk.
Alisnya tercantum sedikit dan dahinya agak berkerut. “Dia tanya pasal aku? Apa
katanya?”
“Dia tanya kenapa kau lama tak ke
kelas? Dia cakap dah lama tak nampak kau. Dia bimbang kalau-kalau kau tak
sihat.”
“Kau jangan nak main-mainkan aku
Mie, siapa pula yang begitu ambil berat pasal aku ni?” Danish serasa ingin
ketawa, bagaimanapun ketika itu ketawanya tidak berminat untuk pecah dari
kerongkongnya.
“Aku tak tipu. Takkan kau tak kenal
mana-mana Siti? Tak boleh agak siapa?”
“Siti ya...” Danish seperti mengingati.
“Adalah, seorang coursemate aku tu,
selalu juga dia sapa-sapa dan tegur-tegur aku, tapi aku tak ingat nama dia. Tak
pernah tanya pun.”
“Huh, lelaki jenis apa kau ni
Danish? Aku kalau coursemate
perempuan memang ‘berdesup’ aku hafal semua nama mereka. Nak-nak kalau cantik
macam si Siti kau tu.”
“Cantik kah? Kau ni selipar jepun
buruk pun kau cakap cantik.”
Azmi menumbuk bahu Danish tanda
memprotes. Danish terseringai.
“Eh, Sufi kau tu cantik tak? Cuba
bagi aku tengok gambar dia...” Azmi mengubah haluan perbualan.
Danish menelan ludahnya mendengar
permintaan Azmi. Sufi? Gambar? Jangan harap bukan kerana Danish tidak mahu
memberi Azmi melihat gambar Sufi, tapi kerana Danish memang tidak pernah
menyimpan gambar Sufi. Danish tidak perlukan gambar Sufi kerana bayangan wajah
Sufi sentiasa ada dalam hatinya. Jelas. Lagipun, kalau dia minta mahukah Sufi
berikan? Sufi mahu berikan gambarnya sesusah mahu berikan hatinya. Helmi dulu?
Dia memang ada menyimpan gambar Sufi, siap gambar tuna tudung lagi. Sebab itulah
Helmi tahu fesyen rambut Sufi dulu bagaimana.
Begitupun, Danish dengar-dengarnya
gambar itu diambil Helmi secara curi-curi. Kebetulan Sufi tertinggalkan album
gambar yang baru siap dicuci di dalam laci meja semasa zaman persekolahan
dahulu. Dan Helmi yang sentiasa menyibuk di meja Sufi telah mengambilnya secara
curi-curi. Santak hari itu Helmi masih menyimpan gambar Sufi! Memang kenyataan
menyakitkan. Malah Helmi dalam versi bergurau mengatakan dia tidak mungkin
mampu memiliki Sufi, sekadar memiliki gambarnya itu sudah memadai.
“Kalau kau benar nak tengok gambar
dia, cuba kau tanyakan pada Helmi.”
“Helmi, kenapa gambar mak we kau
boleh ada kat Helmi? Kau takut kami curi-curi tengok lalu kau simpan di rumah
Helmi?”
“Apa pula faedahnya aku nak buat
begitu? Sebenarnya kalau kau nak tahu dengan lebih jelas, mereka berdua pernah
rapat dulu.”
“Rapat yang bagaimana? Bercinta
maksud kau?”
Danish terjeda. Tidak tahu bagaimana
mahu menerangkan kepada Azmi. Dia sendiripun tidak pernah tahu secara muktamad
hubungan sebenar Helmi dan Sufi. Main taram saja. Rasa-rasanya mereka memang
pernah bercinta. Kalau tak lama sekalipun, paling kurang dua tiga bulan pernah
jadi sepasang kekasih. Huh, berbusanya marah dan dengki dalam hati Danish.
“Tak. Tak lah. Sebenarnya, sebelum
aku rapat dengan Sufi, Helmi terlebih dahulu kenal dan rapat dengannya. Aku
kenal Sufi pun sebab Helmi. Mereka selalu bertekak dulu. Aku masuk campur, so dengan aku sekali Sufi bertekak.
Kemudian alih-alihnya kami jadi baik.”
“Bertekak?”
“Alah, bukan serius. Kau kutuk aku,
aku kutuk kau. Dalam masa yang sama satu kepala. Itu yang membuatkan kami mudah
baik tu.” Danish menjelaskan.
Dia malas menerangkan lebih lanjut.
Kalau terkeluar cerita Helmi mungkin pernah bercinta dengan Sufi suatu masa
dahulu, Azmi pasti akan mentertawakannya. Takut-takut dia akan memperlekehkan
Danish kerana merampas buah hati sepupu sendiri. Bimbang dia dituduh begitu.
Azmi bukan boleh faham kalau diterangkan keadaan sebenar. Paling tidakpun, Azmi
akan menuduhnya memotong jalan Helmi. Azmi kalau pasal perkara yang melibatkan
perempuan memang kuat bergossip.
Azmi juga kaki perempuan. Macam
Helmi juga. Bukan Danish tidak tahu tentang perkara itu. Saja Danish buat
bodoh. Malas masuk campur urusan peribadi orang lain. Dia, dia. Orang,
oranglah.
“Tapi Danish, aku rasa tak salah
kalau kau kawan dengan Siti tu. Cuba tukar angin sikit. Sufi bukan tahu pun
kalau kau ada pasang seorang kat sini. Dia kat sana pun belum tentu setia kat
kau. Ntah, ntah sekarang ni pun tengah asyik mahsyuk dengan jantan lain.”
Kan? Tengok. Sekarang dia mahu
perturunkan pula ilmu kaki perempuannya kepada Danish. Danish tidak perlu
belajar semua itu. Dia kalau mahu mempermain-mainkan hati perempuan, tidak
perlu berguru. Ramai perempuan yang sukarela datang menyerah diri kepadanya.
Usha sikit-sikit, mesti datang hulur nombor telefon. Tahu benar Danish dengan
perangai perempuan. Danish tidak suka gadis yang senang dapat macam itu. Kalau
boleh biarlah ada cabaran, kasi adventure
sikit. Besok kalau sudah kekal, boleh dia bercerita kepada anak-anak betapa
mencabarnya mahu mendapat cinta yang suci.
Sufi? Dia ni memang kira mencabar
jugalah. Bayangkan mereka berdua sudah mengenali antara satu sama lain sejak
Sufi umur lapan belas tahun dan Danish sembilan belas (Danish berada di kelas peralihan selama setahun). Sekarang
masing-masing sudah berumur awal dua puluhan. Hampir lima tahun kenal.
Memanglah hanya beberapa bulan bersama. Selebihnya banyak dihabiskan melalui
telefon. Kiracongak-kiracongak, mereka berkawan agak lama jugalah. Meskipun
sudah terputus hubungan beberapa kali, namun jangka masa selama itu sebenarnya
cukup untuk memberi kata putus.
Tapi, tengoklah bagaimana keadaan
hubungan mereka. Masing-masing mahu bermain tarik tali. Benar, Sufi sering
meminta kepastian daripada Danish. Tapi di pihaknya sendiri, juga langsung
tidak pernah memberikan suatu keputusan yang nyata.
“Kalau dah
nyata begitu, aku terima semuanya. Aku pun tak pernah cakap kau boyfriend aku, cuma aku inginkan
kepastian sebelum aku mengambil sebarang tindakan.”
Begitu
bunyi kenyataan Sufi tempoh hari yang hingga kini membawa kepada keadaan sepi
seribu bahasa di pihak Sufi.
Jika Sufi
tidak mahu memanjang-manjangkan keadaan tidak pasti antara mereka berdua,
kenapa tidak Sufi mengakui saja perasaannya yang sebenar terhadap Danish? Itu
tandanya Sufi bukan semudah itu untuk meluahkan perasaannya. Mungkin juga tidak
semudah itu Sufi mahu menyandarkan rasa cintanya. Kalaulah Sufi berterus-terang
sahaja, Danish juga senang untuk mengambil langkah.
Sufi mahu
berterus-terang? Kau gila Danish? Sufi itu perempuan. Perempuan memang sinonim
dengan perasaan malu yang menebal. Dan kenyataan yang keluar daripada mulutnya
tempoh hari mungkin sekadar mahu menutup luka di hatinya. Yakinlah, kau memang
mendapat tempat istimewa di hatinya, jika tidak kenapa dia inginkan kepastian
daripadamu?
Aku tidak
peduli. Sufi harus memulakan. Sufi harus
bertanggungjawab untuk memendekkan persoalan ini. Danish, kalau Sufi
berterus-terang kau akan menerima dia dengan mudah? Kau sanggup menerimanya
Danish? Kalau kau sanggup, Sufi tentu mempunyai keyakinan untuk meluahkannya.
Tapi, rasanya kau sendiri tidak sanggup untuk mengatakan ‘ya’. Kau masih ada
mimpi ngeri antara dia dan Helmi. Mimpi ngeri itu masih menghambat ruang senang
dan tenteram dalam hidupnya. Kau pun cuak dan ragu-ragu. Betul kan?
Apa-apahal
pun aku mahu tunggu Sufi terlebih
dahulu. Aku yakin dia akan meluahkannya juga. Dia punyai lebih kekuatan dalaman
untuk berbuat begitu berbanding aku. Kalau kau yakin dia akan berbuat begitu,
bermakna kau yakin tentang perasaannya terhadap kau Danish. Jadi mengapa masih
ragu-ragu lagi untuk mengatakan ‘ya’?
“Danish, kau mengelamun lagi?”
Danish sekali lagi menelan ludahnya.
Pertikaian antara dirinya sendiri dengan dirinya ‘yang lagi satu’ terhenti
serentak dengan pertanyaan Azmi yang disertakan dengan tumbukan di bahu Danish.
“Itu, telefon untuk kau...”
“Siapa?”
“Siti.”
“Hah, kau bagi nombor telefon rumah
kita kepadanya?”
Azmi tersengih. Danish enggan
mendapatkan telefon, tapi Azmi menolak tubuhnya. Danish mengacukan penumbuk
kepada Azmi. Azmi ketawa sahaja.
Danish mengangkat gagang telefon dan
dibawa ke cuping telinga. “Hello...”
“Assalamualaikum Danish!” Pecah
pembuluh darah Danish mendengar suara itu Danish memandang ke arah Azmi. Kau
tipu aku ya, Azmi?!
BAB EMPAT BELAS
Dengan
panggilan telefon yang dibuat Sufi, hubungan antara mereka berdua iaitu Danish
dan Sufi kembali terjalin. Sufi telah mengambil keputusan sedemikian untuk
menunjukkan kepada Danish, dia masih kuat walau apa juga yang telah Danish
katakan kepadanya. Masih kuat walaupun dia sedikit termalu dan rasa terhina
suatu masa dulu. Sufi berlagak seperti biasa dan meneruskan hubungan seperti
tiada apa-apa yang telah berlaku antara mereka berdua. Cuma kali ini Sufi agak
menjaga tutur katanya, tidak lagi mudah-mudah mengucapkan sayang dan rindu
kepada Danish. Bukan kerana ingin menukar rentak hubungan mereka, namun kerana
dia memikirkan tentang Hardi.
Memang dia merasa bersalah sangat
kepada Hardi, meskipun pada rakan-rakan diberitahu bahawa dia tekad untuk
menerima Hardi, dia sebenarnya dalam masa yang sama tidak melakukan seperti
tutur katanya. Bayangkan, dalam seminggu, dua atau tiga kali dia mengutuskan surat
kepada Danish. Telefon juga kerap. Terpulang kepada syiling yang ada dalam
simpanan. Hardi? Sepanjang hubungan mereka itu, baru lima kali dia berbuat
demikian, sekali surat, selebihnya kad ucapan. Malah tiada cerita panjang
lebar. Hanya tanda tangan di bawah bait-bait madah yang sedia tercatat di dalam
kad.
Dengan Danish? Kalau di kad yang
Sufi pilih untuk dihantarkan kepada Danish sudah sedia ada madah-madah serta
puisi, dia masih larat menulis sepanjang-panjang surat kepada Danish.
Berceloteh pelbagai macam perkara. Sufi
sendiri tidak tahu mengapa dia bertindak demikian. Namun pada Ina dan
rakan-rakan yang lain, Sufi masih ‘dengan’ Danish. Hubungan mereka tidak
terjejas sedikit pun dengan kemunculan Hardi. Biarpun Sufi berkali-kali
menidakkan dan menegaskan dia kini sedang cuba mengatur langkah baru, mereka
tetap tidak mempercayainya. Mereka masih percaya, segala suka-duka dan
gelak-tangis Sufi masih disebabkan Danish. Biarpun gambar Danish tidak
lagi menghias tempat tidurnya, ‘gambar’
Danish masih melekat di hatinya.
“Die sebenarnya ragu-ragu jugak
dengan Pi.”
“Ragu-ragu?” Soal Sufi. Hairan juga
dia. Kenapa baru sekarang Hardi mahu mengatakan tentang keraguannya?
“Ya lah. Ragu-ragu. Pi di sana tentu
kawan dengan ramai orang. Semua sama taraf dengan Pi. Alih-alih Die yang Pi
pilih. Tentu tak masuk akal juga. Takkan selama ini Pi tiada sesiapa?”
Sufi mengetap bibirnya. Sekarang
baru mahu mengungkit soal itu? “Memang Pi ramai kawan kat sini. Malah kat
mana-mana pun Pi memang ramai kawan. Mereka pun semua sanggup datang bertemu Pi
di sini. Mirza, Mie, malah ramai lagilah. Lelaki, perempuan.”
“Itulah, takkan dalam ramai-ramai tu
tiada yang istimewa?”
Istimewa? Sufi memejamkan matanya. Memikirkan istilah
istimewa yang diucapkan Hardi. Dia menelan ludahnya berkali-kali lalu
dilepaskan sebuah keluhan yang maha sarat dengan rasa serba tidak kena.
“Ada. Memang ada. Kami dah lama
kawan. Semasa dia mula menjejakkan kaki ke sekolah kita. Dia di situ sekejap
saja, dia kemudian meneruskan pengajian di UTM. Tapi kami tetap berhubung. Tak
macam orang lain, kami jarang bertemu, cuma berhubung melalui telefon. Pernah
ajak dia ke sini, tapi jarak membataskan kami.”
“Okeylah tu. Pi dan dia sesuai
sangatlah. Sama-sama budak U.”
“Kenapa pula cakap macam tu? Kan Pi
dah pilih Die?” Sufi agak kurang senang dengan nada cakap Hardi. “Lagi pun kami cuma kawan biasa, tak lebih
daripada itu.”
“Daripada kawan biasalah jadi tak
biasanya.”
“Pi dan putuskan untuk bersama Die.
Hati Pi bukan boleh dibolak-balikkan dengan mudah. Kecuali Die meninggalkan
Pi.”
“Pi, jangan menggantung harapan
terlalu tinggi. Kita dua ada batasnya. Pi habis belajar nanti tentu dapat kerja
best, tak sama taraf dengan Die yang
kerja buruh kasar macam ni.”
“Buruh kasar kah, buruh lembut kah.
Kalau hati kita dah mau, apa nak buat?”
“Tak cukup dengan hati kita saja.
Kena pikir pasal family jugak. Ibu Pi
dan abang Pi, boleh kah mereka terima Die? Tentu mereka mahukan jodoh yang baik
untuk Pi.”
Menyampahnya. Mengapa dia mahu
timbulkan soal ini? Tidak cukupkah dengan janji yang aku lafazkan selama ini?
Memang lelaki ini kadang-kala agak membosankan. Aku belajar menerimanya, tapi
keadaan dia sekarang membuatkan aku merasakan aku yang terhegeh-hegeh sangat
mahukan dia. Dia tidak tahu aku sebenarnya telah mengagunkan cinta dan kasih
sayang aku terhadapnya. Betul. Aku mengagunkan kasih sayang aku. Menggadaikan
kasih sayang aku semata-mata kerana aku sudah bosan dengan sikap salah
sangkanya. Hati aku? Aku akan belajar menerimanya. Kalau jodoh kami panjang,
mungkin kami kahwin dan ketika itu mungkin kasih sayang sebenar akan hadir
terhadapnya.
Sekarang, abang sudah tahu aku
berkawan dengannya. Abang tak cakap apa pun. Cuma Kak Nida yang banyak mengomel
panjang. Katanya abang diam tak bermakna abang suka. Alah, kalau betul dia
jodoh aku, aku pasti abang akan redha.
Jodoh? Cakap pasal jodoh-jodoh ni,
aku pastikah aku nak kahwin dengan dia? Eii, gelinya mengenangkan semua itu. Ya
Allah, berikan aku petunjuk-Mu. Sufi sebenarnya hingga ke saat itu gagal untuk
meletakkan hatinya dalam keadaan menyayangi Hardi sepenuh hati. Dia cuba untuk
menggagahi rasa sayang itu dengan membayangkan Hardi sebagai lelaki baik dan
bertanggungjawab. Hardi mampu untuk memelihara perasaannya.
Cuti akhir
tahun. Sufi apa lagi, melompat kegirangan kerana dia mahu pulang segera ke
kampung. Nalurinya mengatakan perlu bertemu ibunya secepat mungkin. Banyak yang
ingin dia ketahui. Melihat sendiri keadaan ibunya. Resah yang bertamu dalam
dirinya sentiasa mengejar masa tenangnya.
Setibanya di rumah, memang
segala-galanya berkeadaan baik. Ibunya dan juga adik-beradiknya semua
sihat-sihat belaka. Huh, mungkin Sufi yang bersifat terlalu menyayangi
keluarganya dan sentiasa bersikap ingin menjadi pelindung kepada mereka
membuatkan dirinya sentiasa resah memikirkan keadaan keluarganya.
Maria juga nampaknya ‘baik’ sahaja.
Kepulangan Sufi kali ini disambutnya dengan mesra sekali. Itu memang sudah
menjadi sikap semulajadi Maria. Perangainya berubah dalam sekelip mata jika dia
sudah tidak berdampingan dengan lelaki. Jika ada mana-mana lelaki dalam
hidupnya dia akan buang keluarga dan meletakkan lelaki itu dalam tangga teratas
hidupnya. Ketika itu jangan ada sesiapa menegur atau menegah, dia tidak akan
makan nasihat orang. Sufi mahu tengok selama mana Maria akan berkeadaan ‘baik’
seperti itu.
Kawan-kawan? Inilah masanya untuk
Sufi bertemu mereka. Jadual hariannya padat. Hari ini bertemu Lan, besok Ita,
lusa Pinie dan Mida, tulat Nah. Kemudiannya pula Hamidah. Hari-hari begitulah.
Ada masanya ke majlis perkahwinan kawan-kawan. Seronok benar Sufi jika sudah
cuti seperti itu. Apa tidaknya, kadang-kadang kalau cuti pertengahan semester
ada juga dia terfikirkan tentang tugasan yang dibekalkan pensyarahnya. Kalau
cuti akhir seperti itu memang bebas sebebas-bebasnya. Tiada tugasan, yang ada
cuma tugasan untuk bergembira.
Kala itu ada juga terlintas dalam benaknya. Tentu
keadaan akan menjadi lebih seronok jika dia dapat keluar bergembira seperti itu
dengan Danish. Tapi Danish seperti biasa, cuti hujung tahun seperti itu,
bekerjalah dia. Lalu apabila dia teringatkan Danish, dia akan menelefon ke
rumah Danish. Bertanya khabar seperti biasa.
Dek kerana banyaknya aktiviti yang
dilakukan Sufi jadi tidak sedar begitu cepat masa berlalu, dia harus kembali semula ke kolej dalam sedikit masa
lagi. Baru dia teringatkan tentang Ana dan kawan-kawan di IPTnya. Dia yakin Ana
kini sudah selamat bertunang dengan Azhar. Itu perancangan Ana sebelum pulang
bercuti. Bertunang? Dalam tidak yakin dengan perasaan sayangnya terhadap Azhar,
dia akhirnya menerima juga. Sufi sendiri tidak sangka Ana akan tetap dengan
pendiriannya itu.
Teringat pula kepada Pak Ya @
Khairul Eruwan. Akhir semester hari itu nampaknya Pak Ya ada berkepit dengan
seorang junior. Pak Ya belum memperkenalkan
kepada Sufi siapa yang menjadi teman barunya itu. Orangnya jika mahu
dibandingkan dengan Hana memang berada di ranking
bawah sikit daripada segi kecantikan. Mukanya juga agak tidak mesra alam.
Semasa dia nampak Sufi, dijelingnya Sufi. Aduh! Apa-apapun Sufi berdoa agar
mereka berdua berkekalan.
“Sufi, semasa kat U, Sufi rapatkah
dengan Izzuddin?” Soal ibu semasa mereka menonton tv bersama.
Itu malam terakhir Sufi di kampung.
Besok dia akan kembali semula ke KL. Singgah dulu di rumah Abang Zali sebelum
kemudiannya ke kolej. Itu ada banyak
barang-barang yang dikirimkan oleh orang tuanya kepada Abang Zali. Budu,
keropok lekor, keropok keping. Semuanya dalam jumlah huh, seperti mahu diangkut
dengan kilang-kilangnya sekali. Situasi yang amat memualkan tekak Sufi.
“Kenapa bu?” Tanya Sufi kembali.
Hairan juga dia kerana ibunya menyebut tentang Izzuddin. Saudara jauhnya yang
tinggal di Pengkalan Chepa.
“Tadi, ibunya ada telefon ibu.
Bertanyakan hubungan Sufi dengan Izzuddin.”
“Kenapa dia tak tanya Izzuddin saja?
Bukan tak boleh tanya Izzuddin kalau hal remeh-temeh macam tu.”
“Dia dah tanya Izzuddin. Izzuddin
cakap kamu berdua berkawan juga.”
“Memanglah. Kami berkawan. Setakat
tegur-tegur macam tu saja, dia dengan Sufi lain kursus, tapi ada juga masanya
kami ambil kursus yang sama. Nak-nak kursus elektif wajib.”
Sufi tahu menerangkan pasal kursus
seperti itu pada ibunya, ibunya bukan faham pun. Tapi biarlah, biar ibu puas
hati. Lagipun agak ralat juga Sufi apabila ibunya bercakap soal Izzuddin. Dia
rasa tidak sedap hati saja.
“Begini, ibunya nak satukan kamu
berdua...”
“Ibu!” Marah Sufi. Memotong cakap
ibunya. Tidak mahu mendengar tentang perkara karut-marut seperti itu
“Dengar dulu Pi. Dia orang bukan nak
buat sekarang. Tunggu lepas habis belajar dulu.”
“Tak mau. Sufi sikit pun tak ada
hati kat Izzuddin pun. Tak terlintas. Geli!” Nampaknya Sufi ada kes baru. Ana
tolong!
Ibunya ketawa kecil dengan gelagat
Sufi. Dia memang ramai kawan lelaki. Tapi kalau ada yang mahu serius dengan
dia, mulalah melenting. Ibunya tidak tahu apalah yang akan jadi dengan Sufi.
Sejak dahulu kalau cakap pasal itu mukanya naik merah padam. Mula marah-marah
dan naik angin.
“Tak apalah Pi. Ibu pun tahu. Ibu
pun dah cakap Pi nak belajar dulu dan malas nak pikir pasal ni. Malah ibu jugak
ada cakap Pi nak sambung lagi lepas habis ni. Apa tu... mister, eh master? Eh,
apa dia Pi?”
“Mister Potato bu.” Sufi tanpa
perasaan.
“Mister Potato? Kenapa lain pulak
dengan apa yang ibu dia sebut tadi?”
Sufi ketawa. Namun dia terus biarkan
ibunya pening kepala. “Habis apa ibu dia cakap bila ibu kata macam tu?”
“Dia cakap tak mengapa kalau nak
sambung belajar. Dia cadangkan bertunang dulu. Niat dia baik, nak rapatkan
hubungan kekeluargaan dengan kita. Selama ni kita pun tak rapat sangat dengan
keluarga dia biarpun mereka bukan orang lain dengan kita.”
“Itulah yang Sufi tak mau. Kalau
jadi apa-apa? Tak kekal ke misalnya. Hubungan keluarga terputus terus. Pendek
kata, Sufi tak mahu bu. Tak ingin. Tak terfikir langsung Sufi. Kami tak rapat
sangat dan Sufi tak kenal dia.”
“Kalau itu keputusan Sufi, nanti ibu
akan bagi tau ibunya.”
“Dia panggil mama, bu. Bukan ibu.”
Sufi membetulkan. Mukanya masam mencuka.
Dia geram. Rasanya jika sudah
kembali ke U nanti dia tidak sanggup untuk berdepan dengan Izzuddin lagi. Tidak
ingin dia. Mengada-ngada betul si Izzuddin ni. Gerutu hati kecil Sufi. Ini
mesti rancangan Izzuddin sendiri. Dalam diam dia menyimpan keinginan itu.
Meluatnya Sufi! Kalau membunuh itu tidak berdosa, tentu Izzuddin sudah kena
bunuh sekembalinya Sufi ke kolej nanti.
Tidak kisahlah bunuh dengan apa cara
sekalipun, janji Izzuddin lenyap terus dari muka bumi ini. Benci. Sufi
benar-benar benci. Masalahnya dengan Hardi belum selesai, tiba-tiba melintang
masalah lain di kepala otaknya. Hai, memang membosankan betul.
Rasa Sufi, masalah dengan Hardi
masih boleh ditanganinya kerana Hardi tiada di depannya. Cuma berhubung melalui
telefon. Dengan si Izzuddin, ada masanya kelibat Izzuddin akan melintas depan
matanya. Dalam masa yang sama, mujurnya banyak buku-buku rujukan Izzuddin telah
dihantarnya. Jika tidak dia akan berdepan dengan Izzuddin dengan hatinya
menanam rasa mual yang maha dahsyat.
Masalah itu juga membuatkan Sufi
teringatkan Danish. apa akan jadi kepada hubungan mereka berdua jika dia dan
Izzuddin disatukan. Izzuddin bukan orang lain, saudara jauhnya. Kalaulah
neneknya tahu, tentu dia naik angin. Bukan naik angin sebab marah, tapi angin
mahu buat kenduri. Orang tua itu memang minat kalau sentuh bab-bab kenduri.
Kemungkinan untuk Sufi dipaksa menerima Izzuddin terlalu besar.
Abang Zali? Abang Zali tahu pasal
Hardi, adakah dia akan menghalang hubungan dengan Hardi dan menyuruh menerima
saja Izzuddin. Nak termuntahnya! Jika dibuat bandingan, Izzuddin memang
mempunyai segala macam kelebihan berbanding Hardi. Setamat belajar nanti,
Izzuddin akan jadi seorang guru. Dia juga anak orang kaya. Orang kaya, siapa
yang tak mahu berbesan dengan orang
kaya?
Tidak!
Tidak! Sufi tak mahu! Tapi, Sufi bukan
takut hubungan dengan Hardi akan ranap dek perkara itu, dia lebih bimbangkan
hubungannya dengan Danish. Tidak tahulah. Mungkin dia terlalu susah hati
sehingga menjadi ralat dan tidak tahu siapa yang patut difikirkannya. Yang
nyata bayang wajah Danish seiring dengan air mata yang mengalir di pipinya.
Sedang tangannya ligat memetik papan kekunci mesin taip buruknya, meluahkan
rasa kepada Danish!
Memang aku sudah mempunyai seseorang yang boleh dianggap
istimewa di dalam hidup aku Danish. Hubungan dengannya tidak seperti hubungan
kita. Sekejap sahaja kami sudah memetri janji untuk saling setia antara satu
sama lain.
Bagaimanapun,
kenapa apabila tiba masalah seperti ini, aku langsung tidak terfikirkan dia?
Sebaliknya memikirkan hala tuju hubungan kita selepas ini. Andai aku dipaksa
menerima saudara jauh aku itu, adakah kita masih boleh berkawan? Aku teramat
takut kehilangan kawan sepertimu.
Saat
suka duka yang telah kita lalui membuatkan aku terlalu sayangkan kau. Sehingga aku
sendiri tidak tahu bentuk sebenar kasih sayang aku terhadapmu. Mungkin ada
lebihnya kalau kita berkawan sahaja tanpa memikirkan perkara yang lebih serius
berbanding itu, namun aku gagal berbuat demikian.
Danish
adakah aku sudah jatuh hati denganmu? Aku sendiri tidak tahu Danish. jatuh hatikah aku?
Begitu antara bait surat yang
ditulis Sufi kepada Danish. Kali ini, jika Danish memberikan jawapan negatif
sekali lagi pun dia akan menerimanya. Dia sudah tidak takut dengan kenyataan
itu. Paling penting dia puas hati. Jika dia tidak berterus-terang hari ini,
mungkin dia akan kekesalan pada masa akan datang. Dia tidak mahu kekesalan itu
terjadi. Kata putus daripada Danish sekali lagi perlu diketahuinya.
Mungkin jawapan yang bakal diberikan
Danish nanti akan membuatkan dia berupaya melihat hatinya yang sebenarnya. Jika
santak hari itu Sufi sendiri masih teragak-agak dengan perasaannya terhadap
Danish, mungkin segala-galanya akan berubah kemudian nanti.
Sufi
kembali ke kolej. Sengaja mengelakkan diri daripada Izzuddin sehingga
kawan-kawan dapat mengagak. Izzuddin yang selama ini tidak menjadi kudis di
dalam hidupnya diseranahnya cukup-cukup.
Kalau benar itu rancangan Izzuddin
sendiri, makhluk itu memang sudah hilang akal. Apapun, rancangan siapapun itu,
Sufi tetap merasa loya untuk berdepan dengan Izzuddin. Selama ini kewujudan
Izzuddin depan matanya tidak penting, malah dalam diari hariannya nama itu
tidak tercatat sedikitpun, kini semuanya
berubah. Izzuddin mendapat ‘perhatian’yang baik daripada Sufi. Dia sentiasa
berjaga-jaga jika ingin ke mana-mana. Bimbang terserempak dengan Izzuddin.
Sebab itulah dia sentiasa memfokuskan perhatiannya.
Tiba-tiba sahaja si Izzuddin ini
menjadi salah satu masalah dalam hidupnya. Melompat muncul entah dari mana.
Membosankan.
Dua minggu selepas dia mengutuskan
warkah buat Danish, Sufi menerima balasannya. Sekeping kad dengan gambar yang
mempunyai significantnya yang
tersendiri. Gambar seorang lelaki di atas motor sedang memerhatikan seorang
gadis yang berdiri di sebelahnya. Si gadis tunduk seperti dalam kesedihan dan
si lelaki memerhati dengan wajah penuh kasihan. Fragma hitam putih. Kata-kata
asal di dalam kad berbunyi: Apa juga
yang kau tanggung , janganlah menangis sahabatku.
Sufi menarik nafas. Danish tidak
pernah mengutuskan kad kepadanya. Sekali berbuat demikian, nampaknya memang
bertepatan dengan situasi Sufi ketika itu. Pandai juga Danish memilih kad
untuknya. Dengan gambar dan kata-kata yang begitu sinonim dengan Sufi saat itu.
Dan perkataan ‘sahabat’ di kad itu telah dengan secara tidak langsung menggambarkan
ayat-ayat Danish seterusnya.
Isi suratnya seperti biasa dimulakan
dengan ucapan selamat dan bertanya khabar.
Kemudian
tidak perlu Sufi bacakan kuat-kuat untuk semua, Danish seperti biasa juga. Belum dapat memberikan sebuah kepastian dan
meminta masa untuk memikirkannya. Danish juga mengatakan baginya buat masa itu,
lebih baik mereka bersahabat dahulu memandangkan suatu masa nanti hubungan
persahabatan itu akan lebih dihargai berbanding hubungan percintaan. Demikian
pun, Danish berkali-kali menegaskan, berilah dia masa untuk memikirkan
keputusan yang baik untuk mereka berdua.
Dengan itu, bodoh kan Sufi?
Membiarkan diri terjatuh di lubang yang sama berkali-kali. Ke mana hilangnya
sikap tidak mudah menyerah yang ada pada
dirinya selama ini? Kenapa Sufi menjadi begitu bodoh apabila berdepan
dengan Danish? Dahulu Danish pernah mengatakan dia hanya kawan biasa sahaja,
kenapa sekarang masih mahu mendapatkan kepastian daripada Danish? Apa
sebenarnya yang Sufi inginkan?
Aku hanya inginkan kepastian. Aku dapat
rasakan Danish tidak berterus-terang apa sepatutnya diterus-terangkan kepada
aku. Jika ini kehendaknya, jika memang ini kehendaknya, aku akan melupakan
Danish. Jika terpaksa, aku akan menumpukan sepenuh perhatian kepada Hardi
dengan seikhlas mungkin. Izzuddin? Dia tu? Meski ada desakan yang kuat daripada
pelbagai pihak sekalipun aku tidak akan menerimanya.
Susah jika berhubungan dengan
seseorang yang mempunyai pertalian darah dengan kita, meskipun bau-bau bacang.
Mujurnya dalam keadaan itu semua adik-beradik Sufi tidak menyokong. Malah
mereka mengutuk keluarga Izzuddin yang mula memberi pandang kepada keluarga
mereka setelah Sufi nampak mengorak langkah ke arah kejayaan. Jika dulu, kenapa
tidak mahu mengaku saudara? Ke mana mereka semasa keluarga Sufi dalam serba
kedaifan?
Tentang itu, Sufi no comment, baginya keluarga Izzuddin
tidak seteruk itu. Dahulupun Abang Zali pernah menumpang di rumah ibu
saudaranya untuk satu jangka masa yang agak lama. Ketika itu Abang Zali
menuntut di sekolah teknik berdekatan rumah mereka. Mereka tidak mengizinkan
Abang Zali mencari rumah sewa. Bukankah itu juga dinamakan berbudi?
Cuma masalah Sufi berdepan dengan
perkara itu, dia memang tidak suka jika menjalinkan hubungan dengan saudara
sendiri. Tambahan pula kalau mereka tidak sekufu dengannya. Taraf mereka
berbeza. Sufi datang daripada keluarga sederhana. Izzuddin? Ayahnya menjawat
jawatan pengarah di sebuah badan kerajaan. Ibunya? Dengar khabar seorang guru.
Adik-beradik tidak seramai Sufi, tiga orang sahaja, dan Izzuddin anak sulung.
Cara hidup mereka terlalu berbeza.
Cara makan mereka juga terlalu berbeza. Tekak Sufi biarpun biasa dengan makanan
barat, namun tidak biasa dengan makanan super
pelik seperti yang dimakan Izzuddin dan keluarganya. Keluarga Izzuddin, meskipun
tetap makan nasi seperti Sufi, tapi nasinya bukan jenis yang Sufi biasa makan.
Sufi kalau setakat nasi dagang, nasi kerabu
dan segala nasi jenis versi kampung memang boleh saja. Namun Izzuddin
dan keluarganya? Entah apa jenis nasi yang mereka makan pun Sufi tak tahu.
Dalamnya ada campuran lada hitam,
daging dicincang kecil-kecil, sayur-sayuran berupa karot dan pelbagai macam
lagi. Disesuaikan dengan lauk versi kebandaran. E, memang tidak tertelan oleh
tekak Sufi. Sufi tahu itu kerana pernah berkunjung ke rumah ibu saudara
Izzuddin suatu masa dahulu. Tujuannya? Itukan keluarga Sufi juga.
Sufi sebenarnya malas ingat tentang
Izzuddin. Tiada kepentingan dalam hidupnya. Sunggguhpun demikian, jika itu yang
terpaksa disentuh dalam perjalanan hidupnya Sufi terpaksa juga memikirkannya.
Berbulunya Sufi rasakan!

No comments:
Post a Comment