BAB LIMA
“Fiqa kesal?”
Soalan tidak terduga daripada Samwil semasa mereka bersedia untuk merehatkan
badan malamnya.
“Kesal untuk apa?” Ternyata Syufiqa
memang tidak menjangkakan soalan yang telah terpacul dari mulut Samwil.
“Kesal sebab tinggalkan dunia kerja.
Duduk-duduk je di rumah macam ni.”
“Abang ni, kan Fiqa dah beri alasan mengapa Fiqa tak
nak kerja.”
“Fiqa masih boleh tukar bidang
lapangan. Jadi wartawan isu-isu semasa macam Yani tu. Kalau Fiqa jadi wartawan
macam dia, mungkin Fiqa yang berpeluang buat cerita pasal Mia Batrisia.” Terang
Samwil biarpun sebenarnya dia kalau boleh tidak ingin lagi menyebut nama itu.
“Ohh, sebab tu ya. Tak apalah bang.
Dapat kenal Mia Batrisia melalui cara ni pun Fiqa dah jauh bersyukur.
Teramat-amat.”
“Betul Fiqa tak kesal?”
“Fiqa buat semua ni untuk abang.
Takde sebab Fiqa nak kesal.”
“Kalau abang tiba-tiba berubah?”
Duga Samwil. Dia cuba
mengesan reaksi Syufiqa.
“Fiqa tetap sayangkan abang. Dulu,
kini dan selamanya.” Senyum Syufiqa. Dia tahu itu mustahil. Selama perkahwinan
mereka dia nampak kasih sayang sepanjang masa bersama Samwil. Dia yakin.
“Hah, eloklah tu.” Nada suara Samwil
kedengaran lain. Seperti kurang senang mendengar kata-kata Syufiqa sekejap
tadi.
“Abang, kenapa ni?” Syufiqa memegang
tangan si suami.
“Tak elok tau cakap dulu, kini dan
selamanya.”
“Yakah?” Syufiqa cuba mengesan
keseriusan dalam nada suara Samwil.
“Itukan motto iblis.”
Berderau darah Syufiqa mendengar
Samwil berkata begitu. Walaupun dia tahu Samwil sekadar mahu mengusik, namun
perkataan iblis benar-benar membuatkan Syufiqa terasa lain.
“Abang, nak bergurau pun janganlah
sampai macam tu,” rajuk Syufiqa.
Kali ini giliran Samwil pula melakar
senyuman pada bibir. Samwil nampak kacak sekali apabila tersenyum lebar begitu.
Samwil sudah mula meraih Syufiqa ke dalam pelukannya.
“Tapi tu memang motto iblis. Fiqa
lupa sejarah nabi-nabi dulu?”
“Emh… nabi mana, bang? Kan nabi tu ramai.
Antaranya Samwil dan Bunyamin.”
Melentok manja di dada Samwil,
Syufiqa cuba
untuk mengambil giliran mengusik Samwil pula. Mentang-mentanglah suaminya
bernama Samwil Bin Bunyamin, senang hati pula dia mahu kenakan suaminya. Samwil
mencubit geram ke pipi Syufiqa.
“Main-mainkan abang pulak. Tu nabi
yang tak wajib kita tau. Ni nabi yang dah bertaraf rasul.”
“Pun ramai jugak.” Syufiqa masih
belum dapat menangkap rasul yang mana cuba dimaksudkan Samwil.
“Nabi Musa a.s lah. Iblis pernah
menuturkan motto ni semasa berdepan dengan Nabi Musa.”
“Ntah. Fiqa tak ingatlah bang.
Ustazah tak sempat nak cerita kot. Cuba abang cerita kat Fiqa. Sesekali
nak juga Fiqa dengar abang bercerita pasal sejarah rasul-rasul kita ni.”
“Fiqa, abang serius ni…”
“Fiqa pun serius. Macamlah Fiqa nak
main-mainkan abang pulak.”
Samwil merenung seketika isterinya.
Syufiqa membalas pandangan Samwil bersama senyuman. Seketika sebuah ciuman
penuh kasih melekat pada pipi Syufiqa.
“Ceritalah bang…”rengek Syufiqa
macam anak kecil.
Samwil tersenyum buat seketika.
Kemudian dia mula bercerita tentang kedatangan iblis mengadap Nabi Musa a.s
untuk bertanyakan baginda kalau-kalau baginda boleh cuba tanyakan Allah s.w.t bagaimana
cara untuk iblis bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Nabi Musa walaupun
tidak percaya iblis mahu bertaubat tetap berbuat demikian. Lalu Allah s.w.t
berfirman sekiranya iblis benar-benar mahu bertaubat hanya melalui satu cara
agar Allah menerima taubatnya iaitu iblis perlulah sujud ke makam Nabi Adam a.s
dan mengakui kenabian Nabi Adam. Mendengar firman Allah yang disampaikan Nabi
Musa a.s itulah maka iblis pun berkata dia sama sekali tidak akan sujud kepada
Nabi Adam walaupun sesudah dia wafat. Tidak dulu, kini dan selamanya. Maka
sebab itulah iblis terus berada dalam kekufuran dan digelar laknatullah.
“Tak tau pula Fiqa pasal cerita ni.
Tapi teruk betul iblis tu, sebab tak mau mengakui Nabi Adam lebih baik
berbandingnya dia sanggup engkar perintah Allah.”
Samwil tersenyum mendengar komen
Syufiqa. “Nak hairan apa sayang, iblis tu dah sah-sah ahli neraka. Kita yang
manusia , ada akal fikiran ni jangan pulak nak jadi macam iblis. Kalau ada orang
yang beri seruan betul kepada kita, kita terima. Jangan nak keras kepala dan
reka hukum-hakam sendiri.”
“Abang ni dah mula nak sentuh
bab-bab sensitif ni.”
“Apa pulak? Abang cakap betul. Kita
manusia ni ada mata lihat, ada telinga dengar, ada otak fikir dan ada hati tu
renung.”
Syufiqa menjeling suaminya. Versi
cakap Samwil sudah bertukar seperti Ustaz Badrul Amin, bekas pensyarah UM dan
juga pernah ditahan di bawah Akta ISA selama dua tahun. Secara tidak langsung
juga ada serban maya terletak elok di atas kepala suaminya. Syufiqa tidak dapat
menahan rasa gelihati membayangkan suami dalam citra ustaz. Berkopiah dan
bercakap soal-soal sedemikian.
“Fiqa ketawa kenapa pulak?” Terasa
diri dipermain-mainkan, Samwil tidak bertangguh-tangguh mengajukan soalan.
“Fiqa gelihati bang. Macam Ustaz
Badrul Amin pulak bila abang cakap macam tu. Abang minat dia?”
“Kalau minat dia salah ke?”
“Jangan bang, mulut dia laser, dah
tu menentang kerajaan.”
“Dah pun namanya negara demokrasi.
Kalau takde penentang kerajaan bukan negara demokrasilah pulak.”
“Dah, kita sebenarnya bincang pasal
apa tadi?” Syufiqa tidak ingin melanjutkan. Kata orang cakap siang
pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar.
“Tadi, abang tanya kalau abang
berubah, Fiqa macam mana?” Samwil kembali mengulangi soalannya sekali gus
mengembalikan topik bual mereka kepada tajuk asal.
“Ah, ya. Abang tanya macam tu tadi, kan. Baiklah. Fiqa cakap
sejujur-jujurnya. Tak pinjam motto iblis lagi ni. Sebenarnya bang, kalau abang
benar-benar berubah, Fiqa akan tetap setia. Tetap sayangkan abang, kasihkan
abang, cintakan abang.”
“Fiqa tetap cintakan abang? Fiqa tak
kecewa?”
“Kecewa tentu kecewa. Namun Fiqa
sanggup berusaha hingga abang kembali sayangkan Fiqa macam dulu-dulu. Fiqa
yakin kalau abang berubah abang tetap juga akan toleh kembali kepada Fiqa.”
“Fiqa yakin?”
Syufiqa tersenyum seraya mengangguk.
“Tapi kenapa abang nak berubah?”
“Tak. Abang sekadar tanya. Fiqa
jangan bimbang. Abang tak mungkin akan berubah.”
Lalu mereka berpelukan buat sekelian
kalinya.
Syufiqa yakin dengan kata-kata
Samwil sementara jauh di dasar hati Samwil juga yakin dia tidak akan berubah
semudah memetik jari. Dia yakin cintanya terhadap Syufiqa memang tidak pernah
berbelah bahagi sejak dia melafazkan akad nikah memperisterikan Syufiqa
bertahun-tahun dahulu. Cuma dia merasa begitu resah memikirkan pertemuan yang
berlaku antara isterinya dan Mia Batrisia siang tadi. Dia tidak faham mengapa
mesti ada perasaan begitu dan mengapa hati mesti merasa cukup bergalau dan
tertekan.
Mia Batrisia bukan siapa-siapa dalam
hidupnya. Mia Batrisia tidak mungkin mampu melakukan sesuatu santak boleh
mengganggu-gugat keharmonian rumahtangga mereka. Namun mengapa itu yang
dirasakan sebaik pandangan matanya bertemu dengan renungan Mia Batrisia? Kuasa
apa yang ada pada renungan wanita tersebut sehingga malam itu Samwil
benar-benar keresahan?
“Abang, Mia Batrisia tu cantik tak?”
Ah, dia ungkit pula fasal Mia
Batrisia. Aku kalau boleh sudah malas menimbulkan soal Mia Batrisia. Sekurang-kurangnya
tidak untuk malam ini. Cukup-cukuplah. Liur Samwil rasa tersekat.
“Di mata abang, tak ada orang lebih
cantik berbanding Fiqa.”
“Janganlah nak main-mainkan Fiqa.”
Syufiqa mencebir. Buat sebentar dia menjeling ke wajah Samwil. Dipandangnya
Samwil dalam-dalam. Seakan ingin meminta Samwil berlaku jujur dan tidak sekadar
mengambil hati.
Direnung begitu membuatkan Samwil
teruja memeluk Syufiqa erat-erat seraya mengucup dahinya.
“Sama ada dia cantik tak, tu tak
beri makna apa-apa pada abang,” luah Samwil kemudiannya.
“Tu Fiqa tau, Fiqa cuma nak pastikan
nama dan orangnya bersesuaian.”
La, sampai macam tu sekali Syufiqa
mahu berkira tentang Mia Batrisia? Hinggakan mahu mengukur sampai ke tahap itu.
Samwil menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkah si isteri.
“Bolehlah tu. Nama Mia Batrisia
kedengaran lembut. Dia pun nampak lembut orangnya.”
“Dia mudah tersenyum bang. Nampak
cantik sekali kalau dia senyum.”
“Tapi, betulkah nama dia Mia
Batrisia. Kot nama pena saja tu.” Samwil tidak bermaksud untuk mengajukan
soalan itu. Namun entah mengapa itu yang boleh terlompat merentas rengkungnya.
Mentak kerana itu yang sejak siang
bermain dalam benaknya. Kalau Mia Batrisia benar-benar nama penulis pujaan
Syufiqa bermakna dia tersilap orang. Barangkali pelanduk dua serupa. Kalau nama
pena, besar kemungkinan dia orang yang sama. Orang yang sudah lama Samwil
abaikan kewujudannya dalam dunia ini.
“Fiqa tak tanya pulak bang…” Jeda
wujud di situ. “Takpelah. Besok Fiqa call
dia dan cuba
tanyakan nama sebenar dia.” Sambung Syufiqa lagi sambil membetulkan rambut yang
sedikit kusut.
“Call?
Fiqa ada nombor dia?” Samwil tidak percaya semudah itu Syufiqa mampu
mendapatkan nombor telefon Mia Batrisia.
Hanya melalui satu pertemuan,
Syufiqa sudah mampu meminta nombor telefon untuk memudahkan dia menjalin
hubungan lebih erat pada kemudian hari. Syufiqa benar-benar mengotakan apa yang
dikatakannya. Selama ini dia memang bertekad dan menanam keinginan untuk
mendapatkan nombor telefon Mia Batrisia sekiranya berpeluang bersua muka
dengannya.
“Dia kasi. Ada kat novel yang ditandatangannya.”Jelas
Syufiqa bangga.
Liur Samwil sekali lagi rasa
tersekat. Melalui nombor tersebut, akan ada rentetan hubungan yang
berpanjangankah antara Syufiqa dan Mia Batrisia? Apa pula akan jadi sekiranya
mereka terus-menerus berhubungan? Samwil benar-benar rasa tidak tenteram.
Seakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku. Sungguh-sungguh dia tidak faham
mengapa itu yang dirasakannya.
“Abang kenapa? Nampak lain pula ni…”
Syufiqa mula mengesan sesuatu pada wajah si suami.
Masakan perut masih meragam
memandangkan selepas menikmati makan tengahari di medan selera siang tadi perutnya kembali baik
dan Samwil nampak ceria semula. Apa pula yang membebankan benak Samwil?
Kelihatan Samwil seakan sedang mempertimbangkan sesuatu dalam benaknya.
“Takde apa sayang. Cuma penat
sikit.”
“Tulah, tadi Fiqa ajak balik awal
tak mau. Konon belum puas kat pesta buku. Kelakarnya, dia pula yang
terlebih-lebih mahu luangkan lebih masa di sana.”
“Sesekali seronok juga ke pesta
buku.” Selindung Samwil akan perkara sebenar.
Padahal dia sengaja meminta Syufiqa
meluangkan masa hampir sepanjang siang di situ sesudah menikmati makan
tengahari untuk mengesan kelibat Mia Batrisia sekali lagi. Sekadar mahu
memastikan dia tidak tersalah orang. Dia tidak faham mengapa itu menjadi satu
agenda penting pula. Sepatutnya dia tidak peduli waima dia tersalah orang atau
tidak. Sepanjang usia itu dia sudah bertekad untuk tidak memikirkan tentang
sesiapa lagi kecuali Syufiqa dan keluarga. Tiba-tiba dek pertemuan lewat siang
tadi hati kecilnya kembali bagai terusik. Untuk apa?
Tidak. Tidak sepatutnya dia melayan
perasaan sampai begitu sekali. Siapapun Mia Batrisia tidak harus menjadi satu
permasalahan maha kronik dalam benak fikirnya. Sama ada Mia Batrisia
benar-benar insan yang pernah dikenali Samwil satu masa dahulu, ia tidak harus
menjadi kudis dalam jiwanya. Bernanah dan membusuk di situ. Benar-benar tidak
boleh dibiarkan itu berlaku memandangkan hal antara dia dan seseorang seiras
Mia Batrisia sudah terlalu lama berlalu. Malah masing-masing sudah mempunyai
kehidupan sendiri tentunya.
Samwil dengan hidupnya bersama
Syufiqa dan si dia yang seiras Mia Batrisia sudah tentu dengan pasangannya
sendiri. Samwil benar-benar tidak patut memikirkan tentang si dia yang seiras
Mia Batrisia lagi. Sungguh-sungguh tidak patut.
Masalahnya, mereka terlalu seiras
dan aku tidak dapat mengelak daripada memikirkannya. Sungguh demi Tuhan aku
katakana Mia Batrisia benar-benar mirip Mia Sara. Jika sebelum ini nama Mia
Batrisia sering mengingatkan aku tentang Mia Sara, hari ini wajahnya kembali
membuatkan aku boleh melakar dengan jelas citra Mia Sara yang sebelum ini sudah
berbalam ditelan zaman dalam benak aku. Kebetulan apakah ini? Atau memang
mereka orang yang sama?
Ah, kalau Mia Batrisia itu
benar-benar Mia Sara, gadis manja yang suatu masa dahulu pernah mengejar mimpi
indah bersamaku, kenapa aku harus tertekan dan rasa serba tidak kena? Bukankah
perasaan antara kami sudah lama mati? Mia Sara bukankah juga sudah lama
mendirikan rumahtangga? Siang tadipun Mia Batrisia tidak kelihatan seperti
wanita bujang. Gayanya memang sudah menunjukkan kematangan. Lebih utama
daripada itu semua, jika mereka orang yang sama, tentu dia tidak setegar itu
mengawal dirinya semasa diperkenalkan kepadaku.
Huh, mungkin juga pelanduk dua
serupa dengan nama hampir sama. Mentak juga mereka adik-beradik. Sebab itu
mereka seiras benar. Biasalah, jika adik-beradik nama dan wajahpun tentulah
hampir sama. Ya. Ya. Mengapa pula aku tidak pernah memikirkan kemungkinan itu
sejak siang tadi? Patutlah aku saja terlebih-lebih tergelujat dan jiwa
benar-benar saling tingkah-meningkah. Sedang dalam masa yang sama Mia Batrisia
selamba sahaja. Tentulah kerana dia bukan Mia Sara.
“Abang , kita tidurlah. Besok pun
abang nak kerja, kan?”
“Yalah. Abang pun dah mengantuk ni.”
Setuju Samwil walaupun dia sebenarnya langsung tidak mengantuk dan tidak
kepenatan walaupun tanpa rehat sepanjang hari.
Kepala masih berlegar memikirkan
rasa bergalau dalam diri. Dia cuba
untuk menyedapkan diri sendiri. Meyakinkan tiada apa-apa yang akan berlaku
dalam rumahtangga mereka. Selama ini mereka melayari kehidupan berumahtangga
penuh harmoni. Mustahil akan ada perkara yang mampu mengocak keharmonian
tersebut. Sementelahan pula perasaan cinta Samwil terhadap Syufiqa terlalu
kuat. Sebagai isteri tiada apa-apa kekurangan pada diri Syufiqa.
“Kalau macam tu, selamat malam bang.
Fiqa sayangkan abang.” Lantas tangan Samwil diraih dan dibawa rapat ke bibir.
Mengucup penuh hormat tanda kasih
sayang tidak pernah berbelah bahagi. Samwil membalas dengan sebuah ciuman kasih
di pipi.
“Abang pun sayangkan Fiqa!” Ucap
Samwil penuh syahdu dan penuh keikhlasan. Benar-benar lahir dari hati yang
suci.
Syufiqa bahagia sekali dengan ucapan
itu. Dia memicingkan matanya tanpa menyedari si suami masih terkebil-kebil
dalam kegelapan sebaik lampu tidur dimatkan.
Samwil masih terkenangkan masa
lampaunya. Dia benar-benar terusik oleh kenangan sila,. Walau kini dia teramat
bahagia bersama Syufiqa, tidak bermakna dia sudah lupakan kenangan silam.
Kenangan merupakan sebahagian daripada hidup seseorang insan. Sesiapapun selagi
dia bernama manusia yang punyai hati dan perasaan, waras pula akal fikirnya
tentu sesekali akan terusik oleh kenangan silam. Sementelahan jika kenangan itu
cukup memberi kesan dalam hidup. Waima
manis atau pahit, yang pasti ia memang sebati dalam diri. Manusia tidak akan
menjadi manusia jika tiada kenangan dalam hidup.
Lalu malam itu Samwil terusik oleh
kenangan demi kenangan masa lalu.lebih-lebih lagi kenangan bersama Mia Sara
yang sebelum ini pun tidak pernah dilupakan Samwil. Bagaimana boleh lupa jika
Syufiqa sering membangkitkan ingatan itu apabila dia menyebut tentang Mia
Batrisia. Nama itupun sudah cukup untuk mengingatkan Samwil tentang Mia Sara
apatah setelah bersua muka dengan Mia Batrisia dan mendapati Mia Batrisia
seiras Mia Sara.
Ingatan itu tidak bermakna Samwil
kembali mencintai. Dia yakin pada cintanya terhadap Syufiqa walaupun mereka
kahwin atas perancangan orang tua. Yakin cintanya pada Syufiqa kuat walaupun
tiada sengketa yang memisahkan dia dan Mia Sara. Hanya faktor masa sahaja
membuatkan mereka terputus hubungan. Apabila usia semakin meningkat dan
masing-masing membawa haluan sendiri, gagal dijejaki maka hubungan dibiarkan
putus begitu sahaja. Samwil tidak pernah mahu menjejaki Mia Sara dan Mia Sara
pun sama apabila saban raya, kunjungan kartu raya daripada Mia Sara tidak lagi
menanti Samwil di rumah sepertimana setiap kali musim perayaan kunjung tiba
sebelumnya.
Samwil yakin cinta monyet antara
mereka sudah lama dilupakan apabila selepas itu Mia Sara diberitakan telah
berkahwin. Dia tidak terkilan. Cinta mereka dulu pun bukan cinta sejati. Tidak
seperti cinta antara dia dan Syufiqa yang sudah berjanji sehidup semati sejak
memeterai ikatan perkahwinan. Cuma yang tidak pernah dilupakan Samwil hanyalah
kenangan antara dia dan Mia Sara. Kenangan yang ada masa membuatkan dia
terfikir betapa dulu dia pernah mengenali gadis manja dan periang seperti Mia
Sara.
Syufiqa tidak pernah tahu dan tidak
pernah pula mengambil tahu. Dia tidak pernah juga mahu Syufiqa tahu, bimbang
Syufiqa tersalah faham dan berkecil hati. Kalau boleh biar selama-lamanya ia
begitu. Namun sekiranya Syufiqa betul-betul mampu menjalinkan hubungan bersama
Mia Sara dan kebetulan pula Mia Batrisia benar-benar Mia Sara, masih bolehkah
kisah dulu mereka disimpan kemas dalam kotak ingatan semata-mata?
Samwil tersangat bimbang kalau-kalau
ia akan terbongkah kembali. Hati perempuan bukan boleh dijangka. Ada masa kisah cinta
zaman remaja suami boleh menjadi kudis dan diungkit berulang kali. Tujuan hanya
mahu membanding-bandingkan dengan diri sendiri. Secara psikologi, sikap
perempuan sama saja. Suka cemburu walaupun terhadap perhubungan yang sudah lama
berlalu. Sebab itulah Samwil jika boleh mahu menjaga hati Syufiqa.
BAB ENAM
“Huh, penatnya!”
Keluh Syufiqa sambil merebahkan badan ke sofa empuk.
Terasa enak sebaik tubuh mencecah ke
permukaan sofa. Sudah lama dia tidak merasa penat sebegitu. Keluar hujung
minggu bersama Samwil pun tidaklah sepenat yang dirasai kini. Sungguhpun badan
merasa penat, hatinya seronok. Seronok kerana Mia Batrisia sudi memberinya
peluang meluangkan masa dan menemani Mia Batrisia ke pusat pemulihan akhlak.
Sepanjang berada bersama Mia
Batrisia di sana,
Syufiqa dapat merasa dan melihat sendiri bagaimana kedatangan Mia Batrisia
dialu-alukan di situ. Semacam mereka senang benar dengan kehadiran Mia Batrisia
tanpa mengambil kisah siapa sebenarnya Mia Batrisia. Malah daripada perbualan
ringan antara Syufiqa bersama salah seorang penghuni di situ, mereka tidak tahu
siapa sebenarnya Mia Batrisia pada awal-awal kunjungan Mia Batrisia ke situ
sehingga dimaklumkan oleh pengetua pusat. Mia Batrisia tidak pernah mendedahkan
identiti sebenar dan menampilkan diri seadanya sebagai orang bebanyak
menyebabkan mereka menganggap Mia Batrisia sama seperti pengunjung lain.
Mia Batrisia bukan jenis meninggi
diri dan sentiasa tampil dalam penuh hemah dan tertib. Langsung tidak
menampakkan diri sebagai seorang yang mempunyai nama besar dalam dunia
penulisan tanah air. Lantaran itu sedikit sebanyak Mia Batrisia mampu memenangi
hati penghuni di situ dan kehadirannya amat disenangi. Malah kata mereka, Mia
Batrisia mampu menjiwai perasaan mereka. Tidak pernah pula memandang negative
terhadap mereka biar apa juga kesalahan dan kesilapan yang pernah mereka
lakukan pada kehidupan lampau mereka. Bagi Mia Batrisia, setiap insan perlu
diberi peluang untuk membaiki diri sendiri. Kata penghuni di situ lagi,
sekeras-keras manapun mereka, apabila berdepan dengan kelembutan Mia Batrisia
mereka mengalah.
Malahan melalui perbualan bersama
penghuni di situ juga baru Syufiqa tahu bukan mudah untuk Mia Batrisia bergaul
dengan mereka. Mereka memperlekehkan usaha Mia Batrisia pada awalnya dan tidak
percaya akan kejujuran Mia Batrisia. Bagi yang terlebih ‘ganas’ pernah juga
menyabotaj Mia Batrisia. Pun Mia Batrisia dilaporkan bersabar. Dia terus
bertahan dan cuba
pendekatan yang lebih telus lagi setiap kali berdepan dengan kes-kes sebegitu.
Semakin banyak yang Syufiqa tahu
mengenai Mia Batrisia semakin dia kagum terhadap penulis idolanya. Malah
semakin juga dia bangga kerana berpeluang menjadi salah seorang peminat penulis
yang mempunyai nama baik di mana-mana sahaja. Ternyata Syufiqa tidak salah
menilai keperibadian Mia Batrisia. Walaupun sesekali dalam karyanya Mia
Batrisia tidak menggambarkan watak utama sebagai perempuan baik-baik, dia
sebenarnya agak ironic dengan gambaran watak paparannya sendiri.
Syufiqa tersenyum. Mungkin Mia
Batrisia banyak mendapat ilham di pusat pemulihan akhlak tersebut bagi
menonjolkan watak seorang wanita penagih dadah yang terpaksa meninggalkan suami
dan anak setelah ditahan di pusat pemulihan dalam salah sebuah novel
paparannya. Itu tidak mustahil kerana banyak kisah kehidupan dapat dikutip di
pusat sebegiti. Diadun dengan kreativiti diri sendiri, hasilnya sebuah karya
yang benar-benar mampu meruntun hati dan perasaan pembaca.
Ah, Mia Batrisia memang pandai
bermain dengan kata-kata sehingga membuatkan ramai peminat hasil karyanya
menangis di petiduran sebelum tidur!
Dentingan jam mengejutkan Syufiqa.
Sudah pukul empat petang. Dalam sekejap masa lagi dia harus menyediakan
hidangan malam bagi santapan si suami. Sebelum tiba di rumah tadi mereka; dia
dan Mia Batrisia sempat singgah di pasar basah untuk membeli sedikit lauk-pauk
dan sayur-mayur. Syufiqa bangun untuk naik ke bilik. Dia harus mandi untuk
memulihkan tenaga dan mengembalikan kesegaran badan. Lagipun dia tidak mahu
menyambut kepulangan Samwil petang nanti dalam keadaan serebeh dan tidak
terurus. Dia tidak biasa kelihatan selekeh di depan suaminya sendiri. Pesan
ibu, penampilan depan suami harus sentiasa dijaga demi memastikan kestabilan
rumahtangga. Banyak berlaku gara-gara isteri tidak pandai menjaga penampilan
membuatkan suami terdorong pandang wanita lain apabila berada di luar rumah.
Pun Syufiqa bukan takut Samwil
bermain kayu tiga mendorong dia sentiasa mahu kelihatan cantik depan Samwil.
Itu bukan perkara yang memomoki hidupnya. Dia cuma mahu memastikan suaminya
senang dan selesa apabila disambut wajah manis si isteri depan pintu setelah
seharian penat di luar rumah. Melihat isteri yang tampil kemas, badan yang
penat pun boleh hilang letihnya. Kalau Syufiqa tidak endahkan penampilan
sewaktu menyambut kepulangan suami, kemungkinan Samwil makin kelihatan penat
sebaik tiba di muka pintu.
Syufiqa tidak membuang masa yang
lama bagi menyiapkan diri. Usai semuanya dia masuk ke dapur seperti rutin saban
petangnya. Lauk-pauk yang dibeli tadi nampaknya sudah tidak sabar-sabar untuk
mengalami proses seterusnya. Syufiqa senang setiap kali mahu menyediakan
makanan untuk Samwil. Tambah senang dan kembang hati jika Samwil menjamu penuh
selera setiap hidangan yang dimasak Syufiqa. Itu merupakan penghargaan buat
Syufiqa. Dia paling bahagia sewaktu Samwil menikmati masakannya tanpa ragu.
“Tak rasa rugi berhenti kerja untuk
jadi surirumah sepenuh masa?” Itu suara Mia Batrisia kembali bermain di benak
Syufiqa.
Soalan itu diajukan semasa mereka
sama-sama memilih sayur di pasar. Syufiqa pada mulanya tersenyum mendengar
soalan tersebut. Kemudian mula menerangkan apabila Mia Batrisia terus
mengasaknya dengan pelbagai soalan berkaitan aktiviti seharian selepas
memutuskan untuk menjadi surirumah semata-mata.
“Sejak kahwin, suami saya merupakan
insan paling bermakna dalam hidup dan saya berjanji pada diri sendiri untuk
memberi yang terbaik buatnya.” Terang Syufiqa tanpa sedikit pun menunjukkan
diri sudah terusik apabila Mia Batrisia bagai mempertikaikan tindakannya.
“Banyak lagi cara untuk tunjukkan
kira sayang dia, kan?”
Mia Batrisia seakan ingin menduga apabila mengajukan soalan sedemikian kepada
Syufiqa.
Syufiqa hanya memandang tunak ke
wajah Mia Batrisia. “Rasionalnya memang ya. Banyak lagi cara untuk kita
buktikan kasih sayang pada suami. Cuma di sebalik semua tu, saya juga buat
keputusan berhenti kerja kerana tak mahu terus terlibat dengan dunia hiburan.
Jadi wartawan hiduran ni ada masa buat saya terfikir status halal-haram punca
pendapatan saya.” Suara Syufiqa kemudiannya.
Kali ini giliran Mia Batrisia pula
memandang tunak ke wajah Syufiqa.
“Syufiqa tak rasa rugi sikit pun?”
Masih berkisar soal untung rugi.
“Saya cuba buat apa yang saya rasa Allah
redha.”
Kali ini Mia Batrisia senyum pula.
Merenung sekali lagi ke wajah Syufiqa. “Ada
masa kalau hati kita dah cakap begitu, maka begitulah yang kita buat.” Desis
Mia Batrisia kemudiannya.
“Apapun, Samwil beruntung punyai
isteri seperti awak, Syufiqa. Lelaki memang menginginkan seorang isteri yang
bersedia berada di sisinya bila-bila masa. Isterilah kekuatan seseorang
suami.”Ujar Mia Batrisia lagi tanpa sempat Syufiqa berkata apa-apa.
Seakan bersignifikan pula ucapan Mia
Batrisia kali itu. Syufiqa diketik rasa ingin tahu. Selama ini dia tidak pernah
mengetahui apa-apa tentang kehidupan sebenar Mia Batrisia. Begitupun Syufiqa
tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Bimbang soal-soal peribadi begitu
sensitive bagi pihak Mia Batrisia. Syufiqa memilih diksi bersesuaian bagi
diajukan kepada Mia Batrisia. Dia tidak mahu memberi gambaran tidak elok
tentang diri sendiri di mata Mia Batrisia melalui soalan yang bakal
disuarakannya. Jika boleh dia tidak mahu Mia Batrisia melihat dia sebagai
penyibuk. Suka mengambil tahu urusan orang lain termasuk soal-soal peribadi.
Itulah yang peling cuba
dielakkan oleh Syufiqa walaupun keinginan dalam diri begitu menunjah-nunjah di
sanubarinya.
“Kenapa Syufiqa pandang saya macam
tu?” Soal Mia Batrisia menyedari renungan yang dilemparkan Syufiqa terhadapnya.
“Saya tertarik dengan kata-kata Cik
Mia tadi. Apa yang mendorong Cik Mia berkata begitu agaknya?”
“Kita bercakap ni adakalanya
berdasarkan pengalaman sendiri.” Perlahan sekali nada suara Mia Batrisia. Pun
dia kelihatan serius.
“Cik Mia dah kahwin?” Langsung
Syufiqa mengajukan soalan yang sudah lama berlegar dalam benaknya sejak sekian
lama.
Diam.
Syufiqa agak terkejut dengan reaksi
Mia Batrisia. Hatinya bergetar. Bimbang kalau-kalau soalan yang dilemparkan
tadi menyentuh peribadi Mia Batrisia dan dia tidak ingin berkongsi dengan
masyarakat luar termasuk Syufiqa yang kini mula mampu menjalin hubungan mesra
dengannya.
“Minta maaf, saya tak terniat untuk
mencampuri urusan peribadi Cik Mia…” Syufiqa kemudiannya mengucapkan maaf apabila merasakan soalan sekejap tadi agak
kurang menyenangkan di telinga Mia Batrisia.
Mia Batrisia melepaskan keluhan
sekejap. Kemudian melemparkan pandangan ke wajah Syufiqa sambil cuba mengukir
senyuman sekali gus mengusir resah yang sudah mula mahu susup-sasap ke jiwa
Syufiqa. Mia Batrisia kemudiannya kelihatan cuba mengatur kata-kata yang sesuai
bagi menjawab soalan Syufiqa sekejap tadi.
“Apa pula maafnya? Kan tu soalan domestik pada usia kita
sekarang. Kahwin atau tak tu memang sinonim untuk diajukan apabila kita dah
berada pada usia ni.”
Lega. Memang Syufiqa rasa lega benar
pun apabila Mia Batrisia menganggap perkara tersebut sebagai biasa-biasa sahaja
untuk diajukan olehnya.
“Jadi, Cik Mia dah kahwin?” Syufiqa
sekali lagi mengulangi soalannya.
“Dah. Saya dah kahwin sebaik
menamatkan pengajian saya. Malah kami juga dah dikurniakan seorang puteri.”
“Wah, untungnya!”
“Syufiqa bagaimana? Belum ada
cahayamata?” Tanya Mia Batrisia melihat Syufiqa teruja sebaik mengetahui dia
sudah dikurniakan seorang anak.
“Nak buat macam mana Cik Mia, Tuhan
belum nak kurniakan kami anak.”
“Tak apalah. Sekurang-kurangnya
Syufiqa suami isteri masih berkesempatan untuk berbulan madu. Kalau dah ada
anak, kehidupan berumahtangga akan berubah. Kita dah tak boleh menjalani
kehidupan berdua seperti selalu.”
“Suami saya pun cakap macam tu.”
Senyum Syufiqa. Langsung tidak menduga Mia Batrisia dab Samwil mempunyai
pandangan yang hampir sama.
Seketika ingatan tentang Mia
Batrisia hilang sebaik deruan kereta masuk ke ruang parkir rumah. Syufiqa
buru-buru ke muka pintu untuk menyambut kepulangan Samwil. Si suami sudah
tercegat di muka pintu semasa Syufiqa menguak daun pintu. Samwil walaupun
kelihatan penat masih mampu membalas senyuman Syufiqa tatkala Syufiqa
mengukirkan senyuman kepadanya. Samwil dapat menebak tentu ada sesuatu yang
menggembirakan bakal disampaikan Syufiqa merujuk pada sinar di mata wanita
tersebut. Perkara itu pula tidak lain tidak bukan tentu sahaja berkaitan Mia
Batrisia memandangkan hari itu Syufiqa telah berpeluang keluar bersama Mia
Batrisia.
“Bagaimana?” Soal Samwil pendek
semasa melabuhkan punggung ke sofa.
“Nanti Fiqa ceritakan. Buat masa ni
abang duduk dulu biar Fiqa ke dapur ambilkan abang minuman.”
Syufiqa tidak bertangguh lagi
melangkah ke dapur dan mendapatkan segelas jus oren dari dalam peti ais.
Sekejap sahaja dia sudah muncul kembali di depan Samwil dan mengambil tempat
duduk di sebelah suaminya. Dia memerhati suaminya meneguk jus sebelum memulakan
ceritanya.
“Fiqa hari ni telah menghabiskan
satu masa yang cukup bermakna bersama Mia Batrisia. Dia memang baik bang.”
“Jangan cepat buat tanggapan
terhadap seseorang sayang. Kelak Fiqa jugak kecewa jika tau dia taklah sebaik
mana.”
“Abang memang suka membuat tanggapan
buruk. Prejudis terhadap Mia Batrisia.” Syufiqa menunjukkan reaksi kurang
senang mendengar kata-kata suaminya.
Dia tahu walaupun tidak diluahkan
secara mutlak, Samwil ada praanggapan yang begitu-begitu sahaja tentang Mia
Batrisia. Dia tidak faham mengapa Samwil mesti ada tanggapan yang bukan-bukan
terhadap idolanya. Dulu tidaklah ketara sangat, namun sejak pertemuan mereka
tempoh hari Samwil makin menjadi-jadi berfikir yang bukan-bukan terhadap Mia
Batrisia.
“Abang cuma nak Fiqa berhati-hati.
Kalau pun dia memang baik, abang nak Fiqa janganlah obsess sangat kat dia.
Takut dia beri pengaruh buruk kat Fiqa.” Samwil cuba menerangkan rasional mengapa
dia mahu Syufiqa berhati-hati sepanjang pergaulan bersama Mia Batrisia.
“Pengaruh buruk yang macam mana
bang? Sepanjang mengikuti karya Mia Batrisia, Fiqa tak pernah merasakan ada
sesuatu yang tak kena dalam karya-karyanya. Sebaliknya karya Mia Batrisia
banyak membuka minda Fiqa agar fikirkan pasal apa sahaja yang sebelum ni tak
pernah Fiqa nak ambil tahu.”
“Kalau dah suka, semua Fiqa nampak
okey.”
“Abang, Fiqa bukan nak bangkang
abang. Cuma Fiqa yakin sangat kat Mia Batrisia. Abang tak tau apa komen
penghuni pusat pemulihan akhlak tu terhadap Mia Batrisia. Kalau abang dengar
apa kata mereka, abang pun akan akui kelebihan Mia Batrisia.”
“Okeylah sayang. Kita jangan nak
bertekak pasal Mia Batrisia. Abang pun nak mandi dulu ni. Lepas tu kita solat
sama-sama macam biasa.”
“Maafkan Fiqa. Fiqa bukan nak
bertekak dengan abang. Fiqa nak membetulkan tanggapan abang terhadap Mia
Batrisia.”
“Abang tau sayang. Dah, jangan nak
fikir sangat. Kalau abang kecilkan hati Fiqa, abang pun minta maaf.” Ujar
Samwil sambil mengelus pipi Syufiqa. Kemudian dia bangun tanda bersedia untuk
ke bilik dan membersihkan tubuh.
Syufiqa senyum kembali. Kemudian dia
turut bangun untuk menyaingi Samwil ke bilik.
“Mia Batrisia pun dah kahwin bang.
Tapi dia lebih beruntung sebab dah ada seorang anak. Anak perempuan pulak tu.
Tentu comel. Fiqa pun kalau diberi rezeki oleh Allah nakkan anak perempuan yang
comel.” Beritahu Syufiqa. Masih mengenai Mia Batrisia.
Kali ini Samwil agak berminat dengan
isu itu. Mia Batrisia sudah berkahwin. Bermakna Mia Batrisia juga sudah
mempunyai kehidupan sendiri. Samwil agak senang hati mendengarnya. Jika Mia
Batrisia dan Mia Sara benar-benar orang yang sama sekalipun, kenyataan
perkahwinan Mia Batrisia memberi erti bahawa wanita itupun sudah melupakan
kisah lampau yang pernah berlaku antara mereka berdua. Di situ juga bermakna
Mia Batrisia pun tidak kisah akan perhubungan mereka satu masa dulu.
Ah, cinta monyet!
Tapi benar-benarkah Mia Batrisia tu
Mia Sara? Samwil kembali menyoal diri.
“Mia Batrisia tu nama betul dia
kah?” Soal Samwil kemudiannya apabila persoalan itu kembali menerjah benaknya.
“Ahh, lupa Fiqa nak bagi tau. Tu
nama pena dia. Sempena nama perempuan dialah. Nama betul dia Mia Sara.”
Bagai guruh bergempita dalam dada
Samwil mendengar kenyataan Syufiqa. Jadi benarlah mereka orang yang sama? Rasa
takut yang sekejap tadi hilang kembali susup-sasap menyelinap masuk ke hati
Samwil. Dia pun tidak tahu mengapa mesti ada rasa takut begitu sebaik tahu
kenyataan tersebut.
“Fiqa tanya dia?”
“Mulanya tak. Fiqa ternampak gambar
dia di carta organisasi pusat pemulihan tu, dia salah seorang penasihat di
situ. Nama penuh dia Mia Sara Hashim. Kemudian apabila dia mula bercerita
tentang anak dia, masa tulah dia cakap Batrisia tu nama anak perempuan dia.”
Terang Syufiqa tanpa menyedari si suami sudah mula terugah dan kegelisahan.
Sahlah. Dia bukan orang lain. Bukan
pelanduk dua serupa. Bukan kembar dan bukan adik-beradik. Dia memang orang yang
sama dengan Mia Sara yang Samwil kenal dulu. Mia Sara Hashim. Mustahil dua
orang individu akan mempunyai persamaan yang begitu hampir. Samwil tidak sangsi
lagi. Mia Sara dan Mia Batrisia memang orang yang sama.
Samwil takut.
Samwil bimbang.
Samwil resah.
Pun entah apa punca ketakutannya.
Entah apa juga punca kebimbangannya.
Dan entah apa pula punca
keresahannya.
Dalam masa yang sama segala kenangan
musim persekolahan mula bermain kembali dalam memori ingat Samwil. Satu demi
satu membuatkan hati terpanggil mengenang semula pelbagai gelak tawa yang
pernah Samwil lalui bersama seorang gadus lincah bernama Mia Sara Hashim.
Samwil cuba untuk menguatkan semangatnya.
Dia memandang ke wajah Syufiqa yang sedang tersenyum di sebelahnya.
“Mia Batrisia beruntung kan, bang?” Syufiqa
mengajukan soal. Masih dengan topik bual yang sama.
“Untung kenapa?”
“Sebab dia miliki segala-galanya.
Nama, kedudukan dan sebuah keluarga yang lengkap.”
“Kita tak tau masalah orang lain,
Fiqa. Mana tau hidup dia lebih dahsyat berbanding kita yang takde anak ni.”
“Tu Fiqa tak boleh nak cakap apa.
Cuma bagi Fiqa, kalau dah ada sebuah keluarga yang lengkap, nak apa lagi?”
“Insya-Allah Fiqa, kalau Tuhan
murahkan rezeki kita, lambat laun kita juga akan dapat sekurang-kurangnya
seorang cahayamata.”Samwil cuba
untuk meyakinkan Syufiqa.
“Fiqa harap pun begitu bang.”
Mereka berpelukan buat seketika
sebelum Samwil menjarakkan sedikit badannya dari tubuh Syufiqa.
“Abang nak mandi dulu. Karang lewat
pula abang siap.”
“Pergilah.”
Samwil tersenyum. Perlahan kucupan
singgah di dahi Syufiqa. “Abang cintakan Fiqa!” Syahdu sekali ucapan Samwil.
Kali ini giliran Syufiqa pula
mengukir senyuman. Senyuman bahagia menerima cinta seorang lelaki seperti
Samwil. Dia memang tidak pernah ragu-ragu akan kasih sayang Samwil terhadapnya
walaupun Samwil terlupa untuk memperbaharui ucapannya. Daripada cara Samwil
merenungnya dia sudah boleh membaca rasa hati Samwil. Tidak perlu Samwil
mengucapkannya. Cuma dia akan merasa terlebih yakin dan terlebih bahagia lagi
jika Samwil berterusan mengucapkannya hari demi hari. Sekurang-kurangnya itu
mampu untuk membuatkan ikatan antara mereka berdua makin kuat.
Samwil sudah hilang di balik daun
pintu bilik air. Syufiqa termenung di birai ranjang. Memutarkan kembali ingatan
terhadap masa yang telah dihabiskan bersama Mia Batrisia atau setepatnya Mia
Sara sepanjang pagi hingga ke tengahari tadi. Ia benar-benar satu masa yang
cukup bermakna dan tidak dapat Syufiqa lupakan. Dia berterima kasih yang amat
kepada Mia Batrisia kerana memberi ruang kepadanya mendampingi Mia Batrisia.
Tiada apa-apa yang boleh Syufiqa ucapan selain terima kasih atas penghargaan
yang diberikan oleh Mia Batrisia kepada Syufiqa sebagai pengkagumnya selama
ini.
Dalam masa yang sama, Syufiqa juga
tidak melupakan budi baik Noryani yang sudi menemukan mereka. Nantilah. Jika
ada kelapangan Syufiqa akan menghubungi Noryani untuk memaklumkan perkembangan
hubungan antara dia dan Mia Batrisia. Itu sudah pasti kerana Noryani berhak
tahu lebih jauh daripada sebuah pertemuan semata-mata.
BAB TUJUH
“Kau tak kerja
hari ni, Yani?” Syufiqa mengajukan soalan sambil menghidangkan minuman dan
sedikit kudapan berupa tat telur kepada Noryani lewat kunjungan kawannya dua
hari selepas Syufiqa keluar bersama Mia Batrisia.
“Kerja, tapi kau tau ajelah aku.
Kalau dah assignment luar mula
melilau dulu sebelum balik office.”
“Tak baik curi tulang tau!”
“Hish, macamlah kau tak pernah buat
dulu.”
“At
least aku dah insaf kawan.”
“Insaf? Hah, yalah tu, insaf. Sebab
tulah sekarang ni kau terperuk je kat rumah. Takde kemajuan.” Jengkel Noryani
selamba sambil tangan menggapai sebiji tat telur.
“Kau jangan nak kutuk aku, Yani. Aku
suka macam ni. Paling tak aku senang hati. Kepala pun tak serabut kena lecture oleh boss.”
Noryani Cuma menelinga. Belum ada
nafsu untuk berbalas kata sedang mulut sibuk mengunyah tat telur yang sudah
tinggal separuh. Mata pula sesekali terjuling kea rah koleksi buku dan novel
milik Syufiqa.
“Berminat?” Pancing Syufiqa
menyedari arah mata Noryani tertancap terus ke arah koleksi berharganya.
“Emhh… berminat pun tak ada makna
sayang. Kau bukan kasih kalau aku nak pinjam.”Ujar Noryani. Dia sudah faham
benar dengan sikap Syufiqa jika berkaitan buku-buku milik peribadinya. Jangan
mahu bagi pinjam, terlintas untuk berbuat demikian pun tidak pernah sama
sekali.
“Tau pun.” Syufiqa bersuara pantas.
Langsung tidak mahu membantah komen Noryani terhadap dirinya.
Noryani bangun kemudiannya. Merapati
kabinet. Di situ tersusun elok sederetan novel dan buku-buku kesayangan
Syufiqa. Dia menjamu matanya. Kemudian menggeleng-gelengkan kepala mengenang sikap
obsess Syufiqa terhadap bahan bacaan. Malangnya Syufiqa tidak mahu memanipulasi
sikap minat terhadap bahan bacaan dengan meneruskan kerjaya sebagai wartawan.
Bagi Noryani ia satu kerugian besar. Syufiqa banyak pengetahaun. Malah
pengetahuan luas Syufiqa masih sehingga sekarang walaupun dia banyak terperap
di rumah. Sebab itulah Noryani merasakan ketokohan Syufiqa dalam bidang
kewartawanan dan penulisan masih ada memandangkan dia cukup peka akan
persekitaran. Sayang, Syufiqa sama sekali enggan kembali ke dunia kerja.
Noryani pernah cuba memujuk
Syufiqa kembali ke dunia lamanya. Syufiqa penuh tertib pula menolak. Noryani
tahu mengapa. Namun alasan Syufiqa dirasakan tidak relevan dan tidak masuk akal
sama sekali. Bagi Noryani apalah tidak baiknya kerjaya sebagai wartawan. Hanya
Syufiqa yang terlalu prejudis dan banyak membuat praanggapan. Sudahnya Syufiqa
sendiri mula rasa lain macam untuk meneruskan kerjayanya. Alih-alih segulung
ijazah yang begitu susah untuk mereka perolehi akhirnya hanya tersimpan elok di
laci kabinet. Noryani tidak faham apa sebenarnya yang telah merubah cara
berfikir Syufiqa. Dia cuba
mengkaji kebenaran di sebalik semua anggapan yang dibuat Syufiqa terhadap halal
haram kerja mereka, pun Noryani merasakan itu semua hanya pandangan Syufiqa.
Selama ini dia tidak pernah mendengar alim ulama mengeluarkan fatwa sedemikian.
Entah, Noryani bukan arif soal hukum-hakam.
“Kau renungkan apa tu, Yani?”
Syufiqa akhirnya berbunyi apabila melihat Noryani seakan tenggelam sekejap.
“Takde apa-apa kawan. Cuma terfikir
tentang kau.” Noryani berterus-terang. Memang jika bersama Syufiqa dia senang
untuk berterus-terang sahaja kerana dia tahu Syufiqa boleh menerima apa sahaja
dengan fikiran terbuka.
“E, apa pula yang tak kena dengan
aku sampai kau terdorong nak fikir pasal aku? Ish, kau ni buat aku terharu,
Yani.” Syufiqa masih lagi sempat berparodi. Nada suaranya semi mengejek
Noryani.
“Kau ni, aku serius kau buat main
pula.”
“Apa pulak kali ni, sayang?”
“Kau tu. Dah banyak berubah aku
tengok. Dah jadi isteri Samwil ni kau nampak lain. Kau dulu aku kenal sebagai
kawan yang gila-gila dan senang satu kepala dengan aku, but now ni, semua tu dah tinggal kenangan.”
“Kau rasa aku macam tu, Yani?”
Noryani mengangguk. “Pada aku, kau
dah banyak berubah, Fiqa. Dah tak macam dulu.”
“Tapi aku masih kawan kau, kan?”
“Tu aku tak nafikan. Cuma sesekali
aku bimbang dengan perubahan kau. Tambah sekarang ni kau dah kenal Mia Batrisia
pula, dah berpeluang keluar dengan dia. Mana tahu, one fine day kau langsung tak ingat aku. Lupakan aku.”
“Kau jangan nak main drama dengan
aku Yani. Kau tau semua tu tak mungkin berlaku. Apa juga keadaan yang aku
lalui, susah senang, aku tetap ingat kau. Cuma aku bimbang kau je yang tak sudi
kawan dengan aku kalau aku dah ditimpa kesusahan.” Syufiqa masih lagi dalam
nada kurang serius.
“Huh, tak pasal-pasal kau nak
kenakan aku balik? Kau tengok aku kawan jenis tu ke?” Noryani menerpa ke arah
Syufiqa dan pantas menepuk bahu Syufiqa kuat tanda memprotes.
“Sakitlah Yani!” Syufiqa sedikit
terjerit.
Pantas sahaja tangannya pula
menumbuk pinggang Noryani membuatkan Noryani terseringai menahan sakit.
Kemudian mereka sama-sama ketawa.
“Dah, aku surrender, now storylah sikit pasal pengalaman kau dan Mia
Batrisia.”
Mendengar nama Mia Batrisia disebut,
mata Syufiqa membundar riang. Jelas sekali dia cukup senang untuk berkongsi
cerita sekali lagi tentang Mia Batrisia bersama Noryani. Tidak kisahlah jika
dia harus mengulang tayang cerita tentang Mia Batrisia. Dia paling seronok jika
dapat bercerita tentang topik tersebut.
“Mia Batrisia memang baik, Yani.
Peramah dan mesra walaupun airmukanya nampak tegas.”
“Tu aku tau. Aku kan pernah buat assignment pasal dia. I wanna
know lebih daripada tu.” Pintas Noryani.
“Lebih daripada tu? Apa aku boleh
bagi tau kau pasal Mia Batrisia ya…”
“Kau ceritalah tentang penerimaan
dia terhadap kau.”
“Ohh, tu tak mendatangkan masalah.
Dia nampaknya senang bersama aku. Mungkin aku dah berjaya buat dia mudah
berkongsi banyak cerita bersama aku.”
“Eloklah tu. Nom ni impian kau dah
tercapai. Tentu kau seronok, kan?”
Duga Noryani. Kemudian tangan pantas pula mencapai minuman. Banyak berbual,
tekak rasa sedikit perit.
“Actually,
lebih daripada tu. Masalahnya Samwil…” timbul jeda di situ. Syufiqa
mencari-cari diksi yang sesuai untuk membariskan deskripsi seterusnya.
Noryani hanya menelinga. Tunggu
sahaja Syufiqa meneruskan perkataan demi perkataan. Kalau berkaitan Samwil
tidak perlu banyak soal. Biar Syufiqa saja melanjutkan memandangkan dia sendiri
cukup maklum Samwil sedikit pelik berbanding kawan-kawan lelaki yang pernah dia
kenali sebelum ini. Merangkap suami kepada kawan baiknya Syufiqa, sebenarnya
Samwil dan Noryani tidak pernah mempunyai suatu hubungan yang mesra. Hubungan
antara mereka seadanya memandangkan Samwil sepsis tidak banyak cakap dengan
perempuan.
Sesekali Noryani hairan juga
bagaimana Syufiqa boleh dan betah meneruskan kehidupan bersuami isteri bersama
Samwil. Si dingin itu kelihatan beku walaupun sudah lama mengenali Noryani.
Langsung tidak mesra alam. Jika tidak kerana Noryani azalinya lahir sebagai
muka selamba, tentu dia sendiri kekok jika sesekali harus berdepan dengan
Samwil.
Dan hari itu jika mendengar ada
suatu masalah berpunca daripada Samwil Noryani tidak ralat dan tidak terseliuh
telinga mendengarnya.
“Samwil sebenarnya tak suka sangat
aku rapat dengan Mia Batrisia. Dia argued
macam-macam. Dia pertikaikan peribadi Mia Batrisia. Pendek kata, aku dapat rasa
dia tak selesa akan hubungan aku dan Mia Batrisia.”
“Ya? Pelik pula. Kau cakap sebelum
ni Samwil juga turut menyumbang dalam minat kau terhadap Mia Batrisia. Selalu
hadiahkan kau dengan koleksi terbaru Mia Batrisia. Now ni apa dah jadi?”
“Tu yang buat aku wondering why tu. Aku terperasan dia
sedikit lain lepas jumpa Mia Batrisia kat pesta buku tempoh hari. Sebagai
isteri aku boleh sedar, Yani.”
“Ada kau tanya dia reasonnya?”
“Tak. Dia cuma cakap agar aku jangan
terlalu obsess kat Mia Batrisia.”
“Huh, Samwil takut sesuatu di luar
jangkaan berlaku kot.”
“Maksud kau?”
“Mana tau dia bimbang Mia Batrisia
lesbian. Bimbang Mia Batrisia sangkut kat kau. Kau kan perempuan Melayu terakhir depan Samwil.”
“Kau gila, Yani? Cuba bagi
pendapat rasional sikit, boleh tak?”
“No
wonder sayang. Sekarang ni hal-hal macam tu bukan super pelik pun. Dunia sekarang makin dekat nak kiamat. Macam-macam
boleh jadi.”
“Uhh, sejak bila kau pandai cakap
bab-bab macam ni?” Sinis Syufiqa memandangkan dia kenal benar Noryani.
Meski bertudung, solat lima waktu tidak pernah
sekalipun ditunaikan sepanjang mereka berkawan dulu. Alih-alih sekarang
bercakap soal kiamat. Mana tahu Noryani sudah sampai seru untuk berubah.
“Kau janganlah nak sindir aku.”
“Dah kau cakap sedikit lain
berbanding biasa. Siapa tak pelik?” Soal Syufiqa kembali sambil membelek-belek
majalah yang dibawa bersama Noryani.
“Usia makin meningkat sayang. Nak
tak nak perubahan akan datang dengan sendirinya. Siapapun tak boleh nak
pertikaikan soal tu.”
“Ewah! Atau ada pendorong di sebalik
semua perubahan yang berlaku? Siapa tau? Kau bukan suka sangat nak berkongsi
urusan peribadi kau dengan aku.”
“Nama pun urusan peribadi, mana
boleh kongsi-kongsi.” Noryani tersengih.
“Adalah tu maknanya. Huh, perempuan.
Macam tulah, senang sangat ubah identiti dek kerana seorang lelaki.”
“Kau kata aku atau kau kata diri kau
sendiri?” Noryani enggan mengalah.
Syufiqa tersengih. Hakikat Syufiqa
sudah berubah dek kehadiran Samwil memang tidak dapat disangkal. Dia memang
sudah berubah sejak mendirikan rumahtangga bersama Samwil.
“Dah, kita balik topik asal. Kau
rasa-rasa kenapa Samwil jadi macam tu? Dia macam tak suka je kat Mia Batrisia.”
Syufiqa kembali dengan wajah sugul cuba untuk meminta pandangan
Noryani. Mentak dalam lebuh fikir Noryani boleh menduga apa yang bermain dalam
benak Samwil.
“No
idealah, Fiqa. Cuba
kau tanya dia elok-elok, may be dia boleh bagi explaination yang memuaskan hati kau. Kau tanya aku lebih kurang
macam kau tanya kau sendiri jugaklah.” Tukas Noryani selamba.
Syufiqa diam. Kata-kata Noryani
memang ada benarnya. Macam mana Noryani boleh tahu jika dia sebagai isteri pun
tidak dapat membaca apa sebenarnya yang ada dalam lebuh fikir Samwil setiap
kali mereka membicarakan tentang Mia Batrisia. Sejak pertemuan di PWTC tempoh
hari, wajah Samwil sedikit lain setiap kali memperkatakan tentang Mia Batrisia.
Syufiqa bukan tidak tahu, namun selagi ia belum menjadi kudis dalam hubungan
mereka suami isteri, Syufiqa mahu biarkan sahaja dulu. Cuma bersama Noryani dia
teruja untuk berbincang tentang perangai Samwil memandangkan bersama Noryani
dia terdorong untuk berbual tentang apa sahaja.
Syufiqa ingin melanjutkan bual
apabila telefon genggam Noryani berbunyi nyaring. Sekilas dipandangnya ke
telefon Noryani. Noryani pula sedia untuk menekan butang jawab sambil
mengisyaratkan kepada Syufiqa agar diam. Daripada gerak bibir Noryani, Syufiqa
dapat tahu panggilan itu daripada pejabat Noryani.
“Kacau daun betullah. Kita baru syok
sembang dia dah panggil balik office.”
Gerutu Noryani sambil bangun membetulkan bajunya.
“Kenapa?”
“Budak-budak officelah. Naik jaki aku ingat perangai dengki dia orang tu.
Pantang kita senang sikit mula telefon.”
“Salah kau. Kan sekarang ni masa pejabat. Lagipun kau
lepak kat rumah aku ni dah berapa jam. Habis terbengkalai kerja aku.”
“Kau macam tak suka aku datang
Fiqa.”
Syufiqa ketawa. “Alah, janganlah
ambik hati. Aku gurau jelah. Aku pun suka kau datang sembang ngan aku.
Tiap-tiap hari pun aku tak kisah.”
“Banyaklah kau punya tiap-tiap hari.
Aku jelah ya. Kau tu usah nak menjengok ke rumah, telefon aku pun tak hingin.”
“Macam kau tak faham perangai aku.”
“Dah faham sangat Puan Syufiqa
Natasya Nadia oii!”
Syufiqa ketawa lagi. Noryani turut
ketawa. Kemudian Noryani kelihatan sudah bersedia untuk meninggalkan rumah
Syufiqa apabila dia melangkah ke pintu. Syufiqa turut bangun untuk menemani
Noryani hingga ke muka pintu.
“Senang-senang datanglah lagi,
Yani.”
“Tengoklah. Kalau ada peluang macam
ni bolehlah aku datang. Kalau tak, aku pun nak juga habiskan masa dengan buah
hati aku!” Ucap Noryani penuh makna.
Syufiqa mencebir semasa Noryani
mengenyitkan mata kepadanya. Noryani memang ada-ada sahaja. Pun Syufiqa tidak
tahu mengapa dia senang dan satu kepala bersama Noryani.
Dengan ketiadaan Noryani membuatkan
Syufiqa kembali menyendiri. Sendirian begitu pula membuatkan Syufiqa terdorong
semula untuk memikirkan tentang macam-macam perkara. Tentang Samwil dan juga
tentang Mia Batrisia. Sebagai isteri dia tahu ada sedikit perubahan pada wajah
Samwil apabila mereka berbicara tentang Mia Batrisia. Pun dia tidak pernah
mengajukan soal mengapa dan kenapa. Apa yang jelas, Samwil tidak begitu senang
melihat perkembangan hubungan antara Syufiqa dan Mia Batrisia. Alasan Samwil,
bimbang Syufiqa juga akan merana pada akhir cerita antara mereka.
Mengapa harus Samwil membuat
anggapan demikian? Syufiqa memang tidak tahu. Walau bagaimanapun dia merasa
amat perlu untuk mendekatkan Samwil kepada Mia Batrisia. Biar Samwil sedar
segala praanggapannya terhadap Mia Batrisia yang begitu-begitu selama ini tidak
benar. Mia Batrisia memang seorang yang boleh diharapkan. Tulus sebagaimana
watak-watak protagonis ilham fikirnya. Syufiqa percaya melihat pada perwatakan
Mia Batrisia. Lagipun Syufiqa benar-benar terpaut hati terhadap cara Mia
Batrisia menampilkan diri.
Mia Batrisia walaupun mempunyai nama
agak besar di persada penulisan, dia masih kaya dengan sikap merendah diri.
Tampil bersahaja sebagaimana orang bebanyak. Langsung tidak menggambarkan dia
sebagai seseorang yang punyai nama di mata masyarakat.
“Tukang bahasa ni tak sama dengan
artis atau selebriti Syufiqa, kami golongan terpinggir yang biasa-biasa je.
Orang lebih kenal karya kami berbanding diri kami. Takde karya, nama kami tak
ke mana. Artis lain, belum ada album atau belum ada satu filem pun keluar kat
pawagam, nama dah boom kat majalah.”
Suara Mia Batrisia meluahkan pendapatnya. Nada suara bersahaja pun Syufiqa tahu
dia maksudkan kata-kata tersebut.
“Kenapa Cik Mia anggap golongan
penulis sebagai golongan terpinggir?”
“Tak terpinggir ke macam ni? Dah ada
berlambakan hasil karya pun orang tetap tak kenal siapa kami.”
“Cik Mia kesal atau marahkan
masyarakat kita?”
“Tak. Saya tak kesal dan tak juga
marahkan sesiapa. Tambahan begini lebih baik kerana lebih privacy. Kalau semua dah
kenal, nak melangkah ke mana pun susah. Saya lemas dan rimas situasi macam tu.”
“Cik Mia rasa seperti tak dihargai?”
Syufiqa ingin menduga. Dalam masa yang sama turut ingin menyelami apa perasaan
Mia Batrisia berada dalam iklim sedemikian.
“Tak juga, saya bukan nakkan segala
bentuk perhatian apabila nekad menulis. Pada saya cukuplah kalau karya saya
mendapat tempat di kalangan masyarakat peminat hasil sastera. Itu dah jadi
penghargaan buat orang-orang macam saya. Golongan yang tak minat tu
biarkanlah.”
Syufiqa menelinga sahaja. Tidak tahu
untuk berkata apa-apa bagi membalas ujaran Mia Batrisia.
“Setiap penulis ada sebab tersendiri
mendorong kami menulis. Macam saya, soal perhatian, nama besar atau anugerah
bukan matlamat. Saya menulis untuk kepuasan. Menulis untuk meluahkan apa yang
ada dalam hati saya. Bukan sekadar suka-suka atau untuk royalti. Ya, royalti
penting kerana tu periuk nasi saya, tapi lebih penting saya boleh meluahkan
gagasan fikiran saya. Arah penulisan saya didorong oleh perasaan saya. Apa saja
yang saya rasa akan saya sampaikan melalui karya.” Panjang lebar pula Mia
Batrisia menerangkan kali ini.
“Biasanya apa yang menjiwai
satu-satu karya Cik Mia dan apa yang mampu merangsang ilham Cik Mia?”
“Terus-terang saya kata, karya saya
jiwa saya. Konflik dalaman saya mendasari satu-satu kisah. Digabung dengan
pengalaman lampau, bumbukan pula dengan sedikit unsur kreatif, maka lahirlah
satu karya.”
“Ini bermakna banyak karya Cik Mia
berdasarkan pengalaman Cik Mia sendiri?”
“Hampir kebanyakan. Tapi bukan
pengalaman betul-betul. Saya tak garapkan pengalaman saya secara total.
Biasanya, apabila suatu pengalaman menyentuh hati saya, saya akan fikir dan
garapkan ia dengan suatu pancaran idea yang lain.”
“Menarik bunyinya.”
“Saya percaya pada kata-kata
Syufiqa. Kalau Syufiqa tak anggap ia menarik, tentu karya saya tak mampu
memikat hati Syufiqa.” Sempat pula Mia Batrisia bergurau di tengah-tengah medan bual yang agak
serius.
Syufiqa senang dengan gurauan itu.
Sekurang-kurangnya ia mampu untuk membuatkan Mia Batrisia mengukir senyuman
kepadanya. Pada mata Syufiqa, selain bakat, tiada apa-apa yang lebih menarik
atas diri Mia Batrisia @ Mia Sara selain senyumannya. Setiap kali Mia Batrisia
mengukirkan senyuman, ia diukir penuh keikhlasan. Syufiqa dapat merasai
keikhlasan dan ketulusan itu. Sesiapapun boleh tertarik jika terpandangkan
senyuman Mia Batrisia.
Agak-agak, senyuman itukah yang
menambat hati kasih Mia Batrisia bersama si buah hati? Syufiqa senyum
sendirian. Kemudian Syufiqa cuba
untuk menebak. Bagaimana bibit-bibit cinta antara Mia Batrisia dan pasangannya
yang belum Syufiqa tahu identitinya. Adakah mereka berkahwin atas dasar cinta
sama cinta? Mentak juga sebagaimana Syufiqa dan Samwil. Aturan orang tua.
Merujuk pada hasil karyanya sebelum
ini, selain cerita kabur banyak juga kisah putus kasih dan ditinggalkan orang
tersayang dipaparkan. Jika benar Mia Batrisia menulis berdasarkan pengalaman
yang digarap dengan unsur kreatif, bermakna hati Mia Batrisia juga pernah
terluka kerana lelaki. Banyak kisah luka dipaparkan awal-awal kemunculannya
dalam bidang penulisan. Mentak itulah jeritan batin Mia Batrisia. Diluah dan
diluah lagi kepada audien demi meringankan derita batin.
Aduh. Betapa kasihannya jika ada
antara kisah lara yang dibukukan tersebut benar-benar pengalaman Mia Batrisia.
Pun benar-benarkah kisah hidup Mia Batrisia semelankolik kisah-kisah yang
diutarakan dalam karyanya?
Syufiqa menarik nafas
panjang-panjang. Dia sebenarnya tidak perlu memikirkan soal Mia Batrisia
sehingga sejauh itu. sementelahan dia dan Mia Batrisia tiada apa-apa hubungan.
Dia cuma peminat Mia Batrisia dan tidak perlu merasa kepiluan sehingga ke tahap
sedemikian semata-mata kerana nasib dan perjalanan hidup Mia Batrisia tidak
seindah mana sebelum ini. Pun demikian, Syufiqa sendiri tidak faham mengapa
hati begitu ingin memikirkan tentang Mia Batrisia dan seluruh kehidupan yang
melingkari hidup penulis itu sebelum ini.
Terutama tentang kisah kasih Mia
Batrisia.
BAB LAPAN
Mia Batrisia
sudah sahih Mia Sara. Wanita yang sama. Perempuan yang sama. Meski mempunyai
penampilan berbeza. Samwil sudah tidak perlu menebak dan meneka-neka dalam
kesamaran seperti sebelum ini. Patutlah. Ya, patutlah sebelum mengetahui
hakikat tentang Mia Batrisia, Samwil benar-benar terdorong untuk memikirkan
tentang Mia Sara. Rupa-rupanya kerana mereka benar-benar orang yang sama.
Bagaimana agaknya penerimaan Syufiqa
jika tahu Mia Batrisia pernah berkongsi gelak tawa dan air mata bersama Samwil?
Mereka pernah ada kisah manis bersama. Pernah main rajuk-merajuk zaman remaja.
Samwil tidak dapat membayangkan. Perempuan sinonim dengan sifat cemburu. Mereka
boleh cemburu tanpa beralasan yang kukuh. Malah boleh juga cemburukan mana-mana
gadis yang pernah bersama si suami sebelum kehadiran mereka walaupun kisah
bersama gadis-gadis tersebut sudah lama berlalu. Samwil bimbang Syufiqa juga
begitu.
Mana tahu. Syufiqa pun perempuan
juga. Perempuan mana-mana pun lebih kurang sama saja.
Huh. Samwil sudah mula kepeningan.
Dia merasakan ada baiknya dia membataskan pergaulan Syufiqa dan Mia Batrisia.
Pun untuk apa dan atas alasan apa? Syufiqa sudah menjadikan Mia Batrisia
idolanya lama dulu. Sebelum kehadiran Samwil dalam hidup Syufiqa lagi.
Bagaimana Samwil dengan mudah dapat menembusi benteng dalam hati Syufiqa? Rasa
minat yang menebal terhadap Mia Batrisia bukan sewenang-wenangnya dapat
dikikis, apa lagi untuk dihapuskan serta-merta.
Dan Samwil pula cukup tidak faham dengan
igauan ngeri yang dialami semenjak mendapat tahu siapa sebenarnya Mia Batrisia.
Malam-malam tidurnya tidak lagi diulit mimipi indah. Ada masanya dia seakan disergah oleh suatu
suara maha keparat membuatkan dia tergelujat. Bagai disampuk jembalang tanah
yang muncul entah dari mana dan membuatkan dia semakin tidak lugu hari demi
hari. Samwil hari demi hari semakin bergalau dah resah. Lebuh fikir asyik
memikirkan Mia Sara. Dia cukup-cukup tertekan.
Walhal selama ini, iaitu semenjak
dia menerima Syufiqa sebagai suri dalam hidupnya, dia tidak pernah
berangan-angan untuk kembali kepada Mia Sara. Pun mengapa harus ada resah
berlegar dalam benaknya kini? Perasaan apakah sebenarnya ini? Samwil tidak
tahu. Cukup-cukup tidak tahu. Satu yang diyakini hati Samwil, ia bukan cinta.
Seluruh kasih dan cinta Samwil kini sudah tertumpah sepenuhnya kepada Syufiqa.
Itu kenyataannya. Samwil yakin benar mengenai itu. Syufiqa isteri yang baik.
Cukup baik.
Pun kenapa Tuhan? Sesekali Samwil
berseru begitu. Tidak faham akan rasa yang kini bergerak seinci demi seinci di
segenap pembuluh darahnya. Samwil benar-benar tidak faham. Tidak faham akan
resah dan segala kegalauan yang berlaku kini. Dalam masa yang sama dia cukup
kesal dan terkilan kerana gagal mengenal pasti identiti Mia Batrisia sehingga
selewat itu. Sekiranya dia maklum terlebih awal, dia pasti tidak akan
menggalakkan Syufiqa terus-terusan menyanjungi Mia Batrisia. Dia akan cuba
mendorong Syufiqa agar berbuat sesuatu perkara lain. Perkara yang memungkinkan
dia terlupa tentang minatnya.
Sementelahan perasaan minat terhadap
seseorang boleh hilang sekiranya kita mengabaikan mereka. Tidak ambil tahu
apa-apa sahaja perkara berkaitan mereka. Samwil percaya dia masih boleh
mendorong Syufiqa mengubah rasa kagum dan minat terhadap Mia Batrisia kepada
orang lain. Samwil boleh memainkan peranan dengan membeli lebih banyak hasil
karya orang lain berbanding Mia Batrisia. Mentak dengan cara itu Syufiqa akan
lebih terbuka mindanya dan melihat masih ada penulis lain mampu menandingi kelebihan
yang ada pada diri Mia Batrisia @ Mia Sara.
Dek kerana itu Samwil menyalahkan
diri sendiri. Selain kerana dia sendiri turut menyumbang membeli novel-novel
Mia Batrisia untuk Syufiqa, dia juga merasa marah pada diri sendiri akibat
kecuaian dalam mengingati kembali kecenderungan Mia Sara semasa mereka masih bersama. Semasa
berkali-kali Syufiqa bercerita tentang Mia Batrisia, otak memang sempat
melakarkan rias Mia Sara dalam benak. Pun ia hanya didorong oleh nama yang
seakan sama bunyi semata-mata. Tidak pula Samwil mengingatkan balik kalau-kalau
dulu Mia Sara memang sudah bergiat dalam bidang penulisan.
Kalaulah. Ya, kalaulah awal-awal dia
cuba ingatkan balik perkara tersebut, tentu dia tidak akan ragu-ragu dalam
mengenal identity Mia Batrisia yang sebenar.
Masalahnya, dahulu semasa mereka
bersama, tidak pernah sekalipun Mia Sara memberitahu akan minatnya dalam bidang
penulisan. Tidak pernah Mia Sara bercerita kepada Samwil bahawa dia seorang
penulis dan mempunyai nama yang agak mantap dalam majalah dan akhbar-akhbar
sedangkan menurut cerita Syufiqa, Mia Batrisia sudah mula menulis sejak lama
dahulu. Semasa Mia Batrisia masih di bangku sekolah.
Huh, sesungguhnya masih banyak dia
tidak tahu mengenai Mia Sara walaupun pernah bersama wanita tersebut. Banyak
yang belum dia tahu. Banyak yang dia belum kenal. Malahan tidak keterlaluan
jika dikatakan bahawa Samwil lebih mengenali Syufiqa berbanding Mia Sara
walaupun usia perkahwinan mereka masih belum menyamai tempoh Samwil dan Mia
Sara menjalinkan hubungan. Perkahwinan mereka masih muda. Pun mereka sudah
mengenali walau sedalam mana diri masing-masing. Ikatan antara mereka masih
baru, pun kasih sayang mereka begitu kuat dan tidak menyamai kasih sayang yang
pernah Samwil curahkan kepada Mia Sara suatu masa dahulu.
Lalu kerana itu, jika Samwil sendiri
yakin tentang hakikat itu kenapa pula dia harus kegalauan apabila bertemu
kembali dengan Mia Sara? Kenapa harus resah apabila isteri sendiri menjalinkan
hubungan baik dengan bekas kekasih?
Apa yang kau takutkan sebenarnya
Samwil? Suatu persoalan berdengung dalam telinga Samwil. Menekan gegendang
sehingga segala sistem saraf pendengarannya terasa perit dan pijar teramat.
Suara siapa itu? Samwil pandang kiri kanan. Tiada siapa-siapa. Pun suara yang
menyoal dalam nada langsing itu terasa begitu hampir dengannya. Samwil semakin
hilang punca.
Tuhan! Seru Samwil lagi.
Tuhan, kenapa sampai begini sekali?
Samwil tidak lugu. Dia merasa cukup terhenyak menghadapi situasi yang dia
sendiri tidak jangkakan.
Setelah perpisahan berlaku antara
mereka dan masing-masing membawa haluan sendiri, Samwil menganggap Mia Sara
tidak akan kembali menjadi sebahagian daripada perkara yang bakal membebani
benak lagi. Segala persoalan mengenai Mia Sara akan hilang mendudu-dudu dengan
kematangan mereka kerana kisah kasih mereka cerita zaman remaja. Malangnya ia
tidak begitu. Kenyataan terlalu ironik. Malah lebih teruk apabila Samwil cukup
takut dengan pertemuan sekali lagi yang berlaku antara mereka tempoh hari.
Samwil, kuatkan semangat.
Samwil cuba memujuk diri sendiri.
Samwil menarik nafas dalam-dalam.
Skrin laptop yang memaparkan citra Syufiqa tersenyum manis direnung
dalam-dalam. Dia sukar untuk menterjemahkan makna cinta di hati terhadap
Syufiqa memandangkan tiada diksi sesuai untuk berbuat demikian. Kasih sayang
dan cinta Samwil terhadap Syufiqa tidak mampu diukur melalui sebarang diksi.
Makna cinta Samwil terhadap Syufiqa
hanya difahami Syufiqa setiap kali mata mereka sama-sama berbicara tentang
cinta. Makna cinta Samwil terhadap Syufiqa hanya difahami Syufiqa setiap kali
nafas mereka berbaur menjadi satu.
Lebih daripada itu, tiada apa-apa
lagi yang boleh memberi makna cinta antara mereka.
Ya Walid, selamatkanlah rumahtangga
kami!
“Abang…” Serentak dengan sapaan itu
satu sentuhan lembut singgah di bahu Samwil.
Tersentak Samwil dibuatnya. Dia
mendongak memandang Syufiqa. Si isteri nampak tersenyum manis kepada Samwil.
“Abang fikirkan apa?” Soal Syufiqa
dan kini sudah mula memeluk leher Samwil dan membiarkan pipi mereka berlaga
sesama sendiri sehingga masing-masing mampu mendengar desir nafas antara satu
sama lain.
“Tak ada apa-apa…”
“Abang jangan bohong Fiqa, Fiqa
nampak abang termenung jauh. Satu kerja pun abang tak buat.”Tingkah Syufiqa.
Sejak tadi dia memerhati gelagat
Samwil. Kononnya mahu menyiapkan kerja pejabat yang tidak sempat disiapkan
semasa di pejabat siang tadi. Namun Syufiqa lihat suaminya lebih banyak
termenung. Kalau begitu caranya, bagilah tujuh hari tujuh malam pun, sudah
tentu Samwil gagal menyiapkannya.
Samwil menggapai tangan Syufiqa.
Dikucupnya perlahan penuh kasih sayang. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia
menyangjungi isterinya. Dia ingin kasih sayang antara mereka kekal begitu buat
selama-lamanya. Dia mahu antara mereka sentiasa aman dan tenteram walau apa jua
perkara yang mendepani mereka. Biar cinta dan kasih sayang memperkasakan
semuanya. Itu saja yang dia minta daripada Al-Basit. Samwil tidak minta banyak.
Dia cuma inginkan rumahtangga mereka kekal abadi hingga ke detik nafas terakhir.
Mungkinkah?
Mungkinkah begitu setelah kini Mia
Sara kembali hadir?
Mengingatkan Mia Sara, Samwil merasa
liur bagai tersekat. Pahit dan kelat. Ditelan pun terasa berpasir.
Lagi-lagi Mia Sara. Samwil sudah
bosan sebenarnya dengan gangguan fikiran yang dialami semata-mata kerana Mia
Sara. Dia bukan sesiapa lagi dalam hidup Samwil. Lantaran itu, Mia Sara tidak
sepatutnya menjadi momok yang maha menggerunkan Samwil. Bagaimanapun, itulah
yang berlaku. Mia Sara begitu menghantui dan menjadi perkara maha keparat bagi
Samwil sejak akhir-akhir itu.
“Abang ada masalah? Ceritalah kat
Fiqa.”
“Tak, abang okey.”
“Sebagai isteri, Fiqa tau abang okey
ke tak. Jangan bohong Fiqa. Kan kita dah janji, apa je masalah kita kongsi
sama-sama.”
Kata-kata Syufiqa menuntut Samwil
bangun. Berdiri seketika bertentangan dengan Syufiqa. Membiarkan mata sahaja
yang berbicara. Lama mereka berkeadaan begitu sebelum Samwil akhirnya merangkul
Syufiqa. Didakapnya tubuh Syufiqa kejap-kejap.
“Abang terlalu cintakan Fiqa. Berjanji
pada abang, apa jua yang berlaku, Fiqa tetap cintakan abang, boleh?” Ucap
Samwil masih dalam keadaan memeluk Syufiqa. Suaranya cukup syahdu dan meruntun
hati Syufiqa.
“Fiqa janji, bang. Tapi kenapa abang
cakap macam ni? Abang dah tak percayakan Fiqa?”
“Bukan soal percaya atau tak sayang.
Abang Cuma takut. Maklum je, masa boleh merubah segala-galanya.”
Dan masa juga boleh membongkar
segala-galanya. Segala-galanya termasuk masa lampau aku bersama Mia Sara.
Sempat pula hati kecil Samwil menyampuk begitu.
“Masa memang boleh merubah
segalanya. Tapi bukan cinta Fiqa terhadap abang. Malah masa tu juga akan terus
menyuburkan lagi cinta Fiqa terhadap abang.”
“Abang harap begitulah.”
“Abang sendiri bagaimana?” Syufiqa
menjarakkan tubuh antara mereka sambil menyoal.
Samwil tersenyum memandang Syufiqa.
Kemudian kembali meraih Syufiqa ke dalam pelukannya.
“Hati dan cinta abang selama-lamanya
milik Fiqa.”
“Walaupun Fiqa gagal melahirkan anak
untuk abang sampai bila-bila?”
“Janagn cakap macam tu!” Samwil
nyata tidak suka mendengar kata-kata Syufiqa.
Jari telunjuknya diletakkan ke bibir
Syufiqa sebagai tanda protes akan ucapan si isteri. Syufiqa memandang Samwil
dalam-dalam. Mencari kejujuran di situ. Ternyata tiada apa-apa berubah. Sinar mata
Samwil masih seperti awal-awal perkahwinan mereka. Syufiqa nyata gembira sekali
melihat sinar itu. Bertuah dan beruntung dirasakan diri ketika itu kerana mampu
mendampingi seorang lelaki yang maha sarat dengan kasih sayang. Samwil lelaki
paling ulung dalam membicarakan cinta.
Sekonyong-konyong hati teringat pula
kepada Mia Batrisia. Spesies lelaki bagaimanakah yang sedang Mia Batrisia
dampingi tika itu? jauh di sudut hati Syufiqa mengharapkan agar Mia Batrisia
juga melalui sebuah kehidupan berumahtangga yang cukup sempurna. Aman bahagia
di samping lelaki yang benar-benar mampu memberi Mia Batrisia cinta jauh dari
dalam hati yang suci dan ikhlas. Jika di bahagia bersama Samwil, Syufiqa tidak
lupa untuk mendoakan kebahagiaan yang sama untuk Mia Batrisia.
“Fiqa dah hilang ke mana? Kali ini
giliran Samwil pula menarik Syufiqa keluar dari ingatan dan meninggalkan lebuh
fikir.
Menyedari diri hampir tersesat dalam
ingatan, Syufiqa mengukirkan senyuman manis. “Fiqa teringatkan Mia Batrisia.
Macam mana agaknya Mia Batrisia dan suaminya menjalani kehidupan? Fiqa harap
dia juga mempunyai seorang suami seperti abang. Penu kasih sayang. Penuh rasa
cinta.”
Masih fasal Mia Batrisia. Kalaulah
isteri aku tahu nama itu memberi igauan ngeri kepada aku sejak pertemuan tempoh
hari, apa reaksi dia agaknya?
“Bang, kenapa kalau Fiqa sebut pasal
Mia Batrisia abang nampak tak suka akhir-akhir ni?”
Dia terperasan? Huh, aku ingatkan
aku ni pandai berlakon. Rupa-rupanya dia boleh faham aku kurang senang jika dia
sentuh soal Mia Batrisia. Macam mana aku nak cakap? Aku boleh jadi lelaki
paling pengecut sebab takut isteri tahu kisah cinta zaman remaja aku. Tapi aku
rasa aku sendiri pun boleh terugah jika berdepan dengan seseorang yang pernah
memenangi hati Syufiqa satu masa dulu.
Rabbi. Bagaimana aku nak cakap agar
dia mengerti? Bagaimana aku nak terangkan supaya perkara ini tidak meninggalkan
kesan dalam hati Syufiqa?
Samwil menarik nafas dalam-dalam.
Mengumpul kekuatan sambil kepala ligat mencari diksi sesuai bagi membariskan
satu deskripsi.
“Sayang, abang bukan tak suka sayang
cakap pasal Mia Batrisia. Cuma kalau boleh hadkan sikit pergaulan dengan dia.”
Samwil cuba untuk menyembunyikan perkara sebenar. Masih belum ada cukup
kekuatan untuk berterus-terang kepada Syufiqa. Masih kelu untuk berkata hakikat
di sebalik rasa takut dan gusarnya.
Syufiqa mengetap bibir mendengar
kata-kata si suami. Permintaan Samwil membingungkannya. Apa salahnya jika dia
meneruskan perhubungan dengan Mia Batrisia? Lagipun itulah keinginan paling
tinggi dalam hidup Syufiqa sebelum ini. Kenal Mia Batrisia seterusnya berkawan
dan saling bertukar pendapat dengan wanita tersebut. Syufiqa paling suka
begitu. Sementelahan Mia Batrisia senang mengajukan buah fikiran yang cukup
bernas dan mempunyai pelbagai gagasan fikiran yang luas.
“Abang, Fiqa tak nampak apa-apa salah jika Fiqa kawan dengan Mia Batrisia.”
“Fiqa tak tau. Banyak yang abang
takutkan setelah Fiqa mampu jalinkan hubungan dengan dia. Paling utama abang
takut Fiqa terikut-ikut dengan cara Mia Batrisia. Takut dia beri pengaruh buruk
pada Fiqa.”
“Fiqa masih gagal menangkap maksud
abang. Pengaruh buruk yang macam mana bang? Fiqa nampak dia okey saja.”
“Fiqa sendiri cakap, Mia Batrisia
dah kahwin. Masalahnya cara hidup dia tak macam orang ada tanggungjawab
terhadap rumahtangga. Terhadap suami dan anak. Ke sana, ke mari. Mustahil dia
bawa bersama anak suami semasa ke Acheh, ke Pakistan dan ke tempat-tempat dia
selalu buat kerja amal. Ini bermakna Mia Batrisia menjalani kehidupan agak tak
normal. Terlalu suka akan kerja-kerja begitu sedangkan tanggungjawab di rumah,
tanggungjawab lebih besar dia abaikan.” Hujah Samwil walaupun dia sendiri tahu
hujah itu kedengarannya tidak masuk akal dan bukanlah hakikat bagi
ketakutannya.
Termenung sejenak Syufiqa memikirkan
kata-kata Samwil. Gelagatnya seakan-akan cuba untuk memikirkan rasional di
sebalik kata-kata Samwil. Seorang wanita yang sudah berumahtangga, mempunyai
suami dan anak lebih suka dengan kerja luar tentu saja akan mengabaikan
tanggungjawab lebih hakiki berbanding tanggungjawabnya di luar. Hujah Samwil
memang ada benarnya. Syufiqa tidak tahu bagaimana untuk menyangkal atau
menyanggah kata-kata Samwil.
“Abang takut Fiqa terikut dengan
cara Mia Batrisia dan mengabaikan abang?” Duga Syufiqa setelah agak lama
mendiamkan diri.
“Memang abang takut. Selama ni abang
dah biasa hidup macam ni. Pergi kerja Fiqa hantar abang di muka pintu, balik
rumah Fiqa tunggu abang. Bukankah tu cukup membahagiakan kita sebagai pasangan
suami isteri?” Samwil terus mereka-reka alasan walaupun sebenarnya dia tidak
kisah jika berlaku sebaliknya.
Mendnegar itu Syufiqa tersenyum.
Kembali merangkul Samwil. Fahamlah dia akan ketakutan Samwil sehingga
mengakibatkan si suami tidak bersikap normal. Suami yang biasa dimanjakan
isteri akan terasa ketidakbiasaannya apabila isteri sibuk dengan aktiviti lain
dan mula ‘terlupa’ tanggungjawab biasa. Itu yang difahami Syufiqa kini.
“Kalau tu yang abang takutkan, abang
jangan risau. Fiqa janji takde apa yang akan berubah. Fiqa pun tahu
tanggungjawab Fiqa terhadap rumahtangga.” Begitu jaminan yang diberi Syufiqa
kepada Samwil untuk meyakinkan suaminya. Dia tidak mahu suami merasa sedikit
lain sehingga memberi implikasi kepada kerukunan rumahtangga mereka.
“Abang tau tu. Cuma abang bimbang
pengaruh Mia Batrisia lebih kuat berbanding kasih sayang abang.”
“Takkanlah sampai macam tu, bang.
Fiqa masih waras. Masih boleh bezakan mana yang patut, mana yang tak.”
“Dia idola Fiqa.”
“Ya, dia idola Fiqa. Pun begitu,
seorang idola tak mampu nak rampas kedudukan seorang suami.”
“Masalahnya, rasa minat Fiqa kat dia
terlalu tinggi. Fiqa bukan setakat minat, bukan setakat sanjung, tapi dah
sampai peringkat obsess dan taksub.”
Syufiqa memandang ke wajah suaminya.
Keningnya berkerut. Apa masalah Samwil sebenarnya sehingga dia mempertikaikan
ketaksuban Syufiqa terhadap Mia Batrisia? Ini sikap baru Samwil. Suatu sikap
yang tidak pernah Syufiqa lihat dari hari pertama menjadi isteri Samwil santak
ke hari itu. Tentu ada sesuatu di sebalik semua itu yang melebihi ketakutan
pada pengabaian semata-mata. Bagi Syufiqa, Samwil melindungi satu alasan lebih
kukuh dan rasional selain daripada rasa takut yang diluahkan sekejap tadi.
“Abang, Mia Batrisia hanya seorang
perempuan.” Tukas Syufiqa. Dalam pula
sudah mula digaru rasa sangsi dan tidak faham teramat.
Kerana dia perempuanlah aku takut
isteriku. Kau tak tahu siapa perempuan itu. Kau kenal dia sebagai Mia Batrisia,
seorang penulis sanjungan ramai. Lebih daripada itu kau tidak tahu apa-apa. Kau
tidak tahu kisah lampau Mia Batrisia. Kau tidak tahu suamimu ini merupakan
sebahagian daripada kisah lampau Mia Batrisia. Aku malah yakin Mia Batrisia
juga tidak menceritakan apa-apa mengenai kami kepadamu, sayang. Mentak kisah
dulu tiada apa-apa makna bagi Mia Batrisia. Sungguhpun demikian, ia begitu
membebankan suamimu.
“Kenapa abang diam?” Syufiqa
inginkan kepastian.
“Susah untuk abang jelaskan.”
“Fiqa pikir, ada baiknya abang
kenali dulu Mia Batrisia dalam-dalam sebelum abang simpan apa-apa praanggapan
terhadap dia. Jangan kerana satu pertemuan kita nak terus benci orang.”
“Tak. Abang tak benci dia. Tak
pernah sekali abang rasa benci kat dia. Fiqa tak faham perasaan abang
sekarang.”
Aku benci dia? Tidak pernah sayang.
Sebaliknya aku pernah sayangkan dia. Pernah cintakan dia. Kalaulah kau tahu dia
perempuan pertama dalam hidup aku. Entahlah. Aku harap ini Cuma sebahagian
daripada mimpi ngeri yang bakal berakhir sekejap lagi.
“Habis, kalau bukan benci, apa
sebenarnya yang abang rasa?”
Diam. Samwil tidak tahu bagaimana
untuk membalas kata-kata Syufiqa. Mahu berterus-terang rasanya dia tidak
mempunyai kekuatan untuk berbuat begitu. Lagipun, mana ada seorang suami
sewenang-wenangnya mahu memperkenalkan bekas kekasih kepada isteri sendiri.
Samwil tidak mahu menjadi orang pertama berbuat begitu. Dia tidak tahu
bagaimana penerimaan Syufiqa.
BAB SEPULUH
Syufiqa tahu dia
harus melakukan sesuatu untuk meyakinkan Samwil tentang Mia Batrisia. Dia mahu
mewujudkan hubungan baik antara Mia Batrisia dan Samwil. Bagi pihak Mia
Batrisia, dia yakin wanita itu tidak mempunyai masalah berdepan dengan Samwil.
Hanya Samwil nampak kurang senang akan hubungan Syufiqa dan Mia Batrisia.
Lantaran itu sesuatu memang harus dilakukan.
Bagi memastikan rancangannya berjaya,
dia telah mempelawa Mia Batrisia makan tengahari di rumah mereka pada suatu
hujung minggu. Dia tidak terlebih dahulu meminta izin daripada Samwil. Pertama
kali dalam hidup Syufiqa sejak mendirikan rumahtangga mengambil tindakan tanpa
terlebih dahulu berbincang dengan Samwil. Dia hanya mengikut rasa hatinya.
Biarlah ia kelihatan seperti Syufiqa sudah mula mahu membelakangkan suaminya.
Niat Syufiqa ikhlas. Dia mahu suaminya tidak lagi menanam tanggapan buruk
terhadap Mia Batrisia.
Dia tidak menjemput Mia Batrisia
seorang, malah turut mempelawa Mia Batrisia seisi keluarga. Noryani juga
dijemput sama. Pun Noryani masih belum memberi persetujuan. Maklumlah, bagi
orang bujang seperti Noryani, hujung-hujung minggu begitu jika tiada tugasan
tentulah lebih senang keluar bersama si buah hati. Syufiqa tidak kisah sangat
jika Noryani gagal memenuhi undangan. Dia faham. Tersangat-sangat faham.
Noryani bukan selalu dapat bercuti. Tugasan sebagai wartawan harus sentiasa
terkejar-kejar. Jarang ada masa cuti. Cuti seorang wartawan terlalu minimum.
“Nampak agak istimewa hidangan hari
ni, ada apa-apa ke?” Samwil cuba menebak melihat menu yang terhidang di meja
melangkaui kebiasaan.
Syufiqa pula kelihatan gelisah dan
tidak tenteram. Acap sudah Samwil lihat Syufiqa melihat jam di pergelangan tangan.
Tidak puas hati melihat pula pada waktu yang tertera di skrin telefon
genggamnya. Gelagatnya bagaikan menanti seseorang apabila sesekali dijengahkan
kepalanya ke luar rumah.
“Maaf bang. Fiqa jemput seseorang
makan tengahari kat rumah. Abang tak kisah kan?” Nada suara Syufiqa perlahan.
Mengharapkan pengertian Samwil.
“Hem. Sejak bila Fiqa pandai buat
sesuatu tanpa bincang dengan abang?” Samwil mungkin sekadar mahu berseloroh,
pun Syufiqa agak termengkelan.
Syufiqa memandang tepat ke wajah
suaminya. Hati sudah sedikit terusik. Dia sedar hari itu dia sudah melanggar
kebiasaan. Dia bertindak sesuka hati. Namun demikian dia merasakan niat dia
baik. Dia hanya mahu membuang tanggapan buruk Samwil terhadap Mia Batrisia jika
itu yang ada dalam benak Samwil.
“Takpelah. Sesekali Fiqa pun nak
juga melakukan sesuatu mengikut rasa hati. Betul tak?” Samwil kembali dalam
nada penuh pengertian menyedari riak suram pada wajah Syufiqa.
“Siapa tetamu Fiqa hari ni?” Tanya
Samwil lagi setelah dilihat Syufiqa belum terbit nafsu untuk bersuara.
Syufiqa sudah ingin membuka mulut
semasa satu suara halus memberi salam dari luar rumah. Langsung niat untuk
menjawab soalan Samwil mati di situ sahaja. Dia buru-buru keluar rumah untuk
menyambut ketibaan tetamu. Samwil membuntuti dari belakang.
“Cik Mia… masuklah.” Ramah Syufiqa
mempelawa tanpa menyedari Samwil di belakang sudah hampir pengsan dibuatnya.
Ramai-ramai orang Kuala Lumpur ni,
Mia Batrisia jugak yang dia jemput ke mari. Bini aku, bini aku! Samwil
menggerutu dalam hati.
Mia Batrisia sudah masuk ke dalam
rumah. Kemudian bersalaman dengan Syufiqa. Samwil memerhati sahaja Syufiqa dan
Mia Batrisia melaga-lagakan pipi. Nampak cukup mesra dan seperti sudah lama
kenal. Dalam Samwil pula terasa bergemuruh sakan. Seketika pula semasa
pandangan mereka berlaga, Mia Batrisia sempat mengukirkan senyuman bersahaja
kepada Samwil. Lagaknya benar-benar seperti tidak pernah mengenali Samwil
sebelum ini. Hati Samwil tergelujat juga melihat reaksi yang ditonjolkan Mia
Batrisia @ Mia Sara.
Huh, jangan-jangan aku yang terlebih
takut walhal Mia Sara tak apa-apa. Dia nampak selamba-selamba saja bagaikan
perkara lama tidak mengusik pertemuan hari ini. Samwil mula bercakap seorang
diri di dalam hatinya. Dia memang tidak tenteram benar menerima kunjungan Mia
Sara ke rumahnya tengahari itu.
“Mana suami dan anak Cik Mia? Kan
saya minta bawa mereka sama.” Syufiqa meramahkan diri sambil mata sempat
menjeling ke wajah si suami. Mengesan apa-apa riak di situ.
Samwil memang kelihatan agak tidak
tenteram. Syufiqa terpagut hairan. Kemudian kembali memusatkan perhatian kepada
Mia Batrisia. Fasal suaminya nanti-nantilah akan ditanyakan selepas kepulangan
Mia Batrisia.
“Suami out-station. Anak saya pula
tuisyen.” Mia Batrisia membalas sambil tersenyum.
Mata sempat mengitari seluruh pojok
rumah. Tertarik pada satu kabinet ruang rehat. Sarat dengan bahan bacaan
terutamanya novel. Syufiqa sedar mata Mia Batrisia sedang terarah ke mana.
Bangga sekejap kerana Mia Batrisia dapat melihat sendiri lambakan koleksi Mia
Batrisia terkumpul di situ. Sekurang-kurangnya itu bukti bahawa Syufiqa tidak
mengada-adakan cerita tentang koleksinya.
“Malu saya pada Syufiqa.” Akui Mia
Batrisia jujur semasa punggung bersatu dengan sofa empuk buatan luar negeri. Dia
sempat mengerling sejenak ke wajah Syufiqa mengesan reaksi si peminat buat
beberapa ketika.
Kenyataan Mia Sara tentu sahaja
membuatkan Syufiqa kehairanan. Begitu juga Samwil walaupun dia nampaknya tidak
dipedulikan sangat ruang bual antara Syufiqa dan Mia Sara pada hari itu.
“Malu? Cik Mia nampaknya kena
huraikan sikit tu…”
“Ya malu. Mana taknya, dibandingkan
dengan Syufiqa, koleksi bahan bacaan saya agak minimum.”
“Mustahil seorang penulis tak
mempunyai koleksi bahan bacaan yang banyak.”
“Betul. Saya suka menulis. Saya
jarang membaca. Jika saya membaca untuk tujuan tertentu saja.” Beritahu Mia
Sara. Seketika menjeling ke arah Samwil yang kelihatan merenungnya. Sekali lagi
senyuman dilepaskan seikhlas mungkin.
Samwil terkesima lagi. Sungguhpun demikian,
senyuman Mia Sara tidak mengandungi apa-apa makna. Sekadar senyuman ikhlas
seorang tetamu yang dilemparkan terhadap tuan rumah. Hati Samwil bergetar. Mula
ragu-ragu dengan sikap yang ditunjukkan Mia Sara. Mia Sara kelihatan seperti
langsung tidak mengenali Samwil. Samwil mula terfikir.
Jangan-jangan Sara dah tak cam aku.
Maklumlah kisah kami berdua dah lama benar. Usia makin berubah. Penampilan aku
pun turut berubah. Huh, mustahil pula kalau dia tak kenal aku. Bukan ketara
sangat perbezaan antara aku zaman sekolah dulu dan aku kini. Samwil memerhati
diri sendiri buat seketika. Memang langsung tidak berubah melainkan raut wajah
yang semakin menunjukkan riak kematangan. Bentuk tubuh dan lain-lain masih
sama.
Ah, kalau aku boleh kenal dan cam
dia, mustahil dia tak kenal aku. Musykil! Mia Sara benar-benar buat aku
musykil. Sementelahan aku dan dia pernah mempunyai suatu hubungan cukup
istimewa dulu. Masakan hal-hal dulu langsung tidak mengusik memori Mia Sara? Sedangkan
aku masih sesekali terkenang, mustahil dia langsung tidak ingat apa-apa sekali
gus melupakan aku. Aku tak percaya kalau dia benar-benar tak kenal aku. Mungkin
dia sengaja berlagak begini demi menjaga hati Syufiqa. Maklum saja, SYufiqa die hard fan dia. Tentu dia tidak mahu
merosakkan keadaan.
Bagus jugak begitu. Kalau dia boleh
bersikap tak tahu dan bersahaja, kenapa aku pula harus terlebih-lebih gelabah?
Padahal aku sepatutnya lebih kuat memandangkan aku lelaki. Jatuh maruah aku
kalau dia lihat aku masih terusik dengan kisah-kisah lama padahal dalam masa
yang sama dia biasa-biasa sahaja. Sara nampak sedar kedudukan aku sebagai suami
orang dan dia sebagai isteri orang. Sara sudah lama menutup buku pasal kisah
kami dulu. Lalu kenapa aku pula nak terlebih-lebih gabra berdepan dengan dia
kembali?
Kali ini baru liur yang ditelan
terasa licin. Tidak lagi terasa perit dan berduri-duri. Samwil sedikit lega.
Mia Sara dan Syufiqa masih rancak berbual tanpa menyedari kemelut yang melanda
Samwil sekejap tadi.
“Fiqa, berbual, berbual jugak. Bila
nak ajak tamu kita makan? Abang pun dah tumpang lapar sama ni…” Celah Samwil
melihat dua orang wanita tersebut masih rancak berbual.
Hakikatnya Samwil bukanlah lapar
sangat. Dia cuma mahu Mia Sara cepat-cepat meninggalkan rumahnya. Hati Samwil
masih tidak keruan walaupun dia kini sudah mula boleh menarik nafas lega
sedikit melihat sikap bersahaja yang ditonjolkan Mia Sara. Sebelum kecelaruan
yang sebelum ini begitu galak menjajah lebuh fikir Samwil kembali, ada baiknya
jika dia mencari jalan agar Mia Sara meninggalkan rumahnya lebih awal.
“Abang dah lapar?” Syufiqa memandang
jam di pergelangan tangan.
Hairan sekejap. Biasanya jam-jam
begitu Samwil masih bertahan. Lagipun pagi tadi dia sudah menyediakan sarapan
yang agak berat. Nasi lemak dengan lauk tumis pelbagai macam. Samwil pun sudah
menjawah sarapan dua kali tambah. Mustahil boleh lapar secepat itu. Melainkan
Samwil sengaja buat-buat lapar.
“Kalau abang tak lapar sangat-sangat
pun, tamu kita mesti dah lapar. Betul tak Cik Mia?” Soal Samwil walaupun lidah
terasa kelumpuhan untuk memanggil Mia Sara dengan panggilan sedemikian.
Cik Mia? Huh, aku biasa panggil dia
Sara saja. Tak pasal-pasal kali ni aku kena berlagak formal dengan dia. Alah,
orang dah ada nama besar. Aku ni mana dia nak ingat lagi. Huh, kenapa pula aku
nak dia ingat aku? Dia pun dah ada suami. Hish, apa kena dengan aku ni?
Mia Sara senyum lagi. Reaksi seorang
kenalan baru. Langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mereka pernah kenal.
Aduhai! Hati Samwil bergalau. Benar-benar tak cam atau benar-benar bijak
berlagak tak kenal si Mia Sara ni? Gumam hati kecil Samwil.
“Saya tak kisah Encik Samwil.”
Encik Samwil? Huh, macam menyindir
pula. Mentang-mentang sekejap tadi aku pun ala-ala formal memanggilnya. Samwil
cuba menghempas nafas kasar.
Syufiqa mengerutkan keningnya.
Reaksi si suami memang agak pelik. Jangan-jangan Samwil masih kurang senang
kerana dia menjemput Mia Batrisia makan di rumah tanpa berbincang terlebih
dahulu. Disebabkan rasa kurang senang itu membuatkan Samwil mahu Mia Batrisia
cepat-cepat berlalu agar dia boleh membuat perhitungan dengan Syufiqa.
Ya Tuhan, janganlah tindakan aku ini
membuka episod baru dalam hubungan kami suami isteri. Selama ini kami tidak
pernah bergaduh. Tidak pernah bermasam muka. Tidak pernah pula bertikam lidah.
Segala-galanya baik-baik belaka. Jangan kerana suatu tindakan, sebuah lembaran
baru terjadi pada kami berdua. Syufiqa mula keresahan.
“Kalau macam tu, jom kita ke meja
makan. Semua pun dah sedia sejak tadi. Karang sejuk tak sedap pula.”
Syufiqa akhirnya terpaksa akur
mengajak Mia Sara cepat-cepat ke meja makan. Hati Syufiqa pula yang merasa
tidak sedap dan terugah sedikit melihat raut pada wajah Samwil yang
begitu-begitu sahaja.
Mia Sara mengambil tempat
bertentangan dengan Syufiqa dan Samwil yang duduk sebelah-menyebelah. Tertegun
sejenak melihat hidangan di meja. Ada ayam goreng kunyit ala Pakistan, tempe
goreng berlada kesukaan Samwil, ikan siakap masak taucu dan kerabu sotong.
Setiap masakan didatangkan dalam hiasan yang cukup menarik.
“Syufiqa masak semua ni?” Mia Sara
semi tidak percaya.
“Harap-harap Cik Mia suka masakan
saya.”
“Tentu suka. Nampak menyelerakan.
Beruntung Encik Samwil dapat isteri pandai masak.”
“Semua perempuan pasti pandai masak,
Cik Mia janganlah terlebih puji saya. Tambah pula Cik Mia belum cuba pun lagi.”
“Tak semua orang pandai memasak
sampai macam ni. Kalau saya ala-ala kadar saja. Nak masak tempe goreng berlada
macam ni pun saya tak pandai.” Akui Mia Sara jujur.
“Cik Mia suka makan tempe?”
Mia Sara mengerling Samwil. “Suka
sangat. Tapi selalunya saya cuma goreng kunyit macam tu je. Tak pandai nak
solek-solek masakan.”
“Samalah. Suami saya ni pun suka
sangat makan tempe. Dah jadi macam orang jawa pula.”
Syufiqa senyum lagi kepada Samwil.
Samwil cuba membalas. Pun senyuman Samwil nampak seperti dipaksa-paksa. Dia
tidak boleh berlagak biasa. Syufiqa sedar itu.
“Silakan Cik Mia…” pelawa Syufiqa.
Mentak ada baiknya makan tengahari mereka cepat-cepat berakhir sebelum Mia Sara
terkesan reaksi Samwil.
Mia Sara akur. Mencedok tempe goreng
ke dalam pinggan nasi. Menikmatinya. Tersenyum. Tanda lidahnya turut mengakui
keenakan masakan Syufiqa.
“Memang sedap masakan Syufiqa.”
“Alah, janganlah nak puji
lebih-lebih.”
“Saya bukan sengaja nak puji.”
Syufiqa senyum. Dalam rasa kembang
juga. Menjeling seketika suami di sebelah. Samwil nampaknya tidak mempedulikan
mereka. Asyik dengan hidangan di pinggan. Syufiqa pula cuba untuk
mententeramkan dirinya sendiri. Samwil memang biasa begitu. Bukan kali ini
bersama Mia Sara sahaja, malah kalau Noryani ada pun dia memang sentiasa sambalewa.
“Tentu lagi seronok kalau hari ni
suami dan anak Cik Mia dapat ikut sama.” Syufiqa cuba untuk mengubah topik
perbualan.
Sekadar mahu menghidupkan suasana
yang agak bungkam apabila kesunyian kelihatan mula mengambil alih suasana.
Mendengar kata-kata Syufiqa, Mia
Sara berhenti menyuap makanan. Dipandang ke wajah Syufiqa buat seketika bersama
senyuman. “Mereka bukan tak nak ikut, tapi dah terikut dengan jadual
masing-masing. Maafkan saya, mungkin lain kali, kalau ada peluang saya jemput
Syufiqa suami isteri ke rumah. Boleh kenal suami dan anak saya.” Mia Sara
separuh berjanji.
Syufiqa benar-benar teruja mendengar
kata-kata Mia Sara. Ke rumah Mia Sara? Huh, inilah masanya untuk dia lebih
mendekatkan diri dengan Mia Sara @ Mia Batrisia yang dipujanya sejak zaman
persekolahan. Samwil pula memandang saja ke wajah Mia Sara semasa dia
menuturkan perkara itu.
Mereka kemudian terus menikmati
hidangan sambil berbual ringan. Sungguhpun demikian, hanya Syufiqa dan Mia Sara
sahaja yang menguasai medan bual sedangkan Samwil tenggelam dalam dunianya
sendiri. Syufiqa pula sudah mula tidak mengendahkan Samwil. Dia memang begitu.
Semua kawan-kawan yang rapat dengan Syufiqa, Noryani terutamanya memang sudah
faham benar dengan sikap berat mulut Samwil. Bertegur sapa dengan kawan-kawan
Syufiqa jauh sekali walaupun mereka hanya di depan mata.
Syufiqa harap Mia Sara tidak
terseliuh hati. Harap-harap Mia Sara akan melihat Samwil sebagai lelaki yang
tidak pandai untuk bergaul mesra dengan perempuan walaupun dengan kawan isteri
sendiri dan bukan sebagai seseorang yang sombong dan angkuh. Mujur juga dalam
keadaan begitu Syufiqa nampak Mia Sara pun tidak begitu memberi perhatian
kepada Samwil dan lebih senang melayan bual Syufiqa.
Sesudah menikmati hidangan, mereka
mengambil peluang berbual-bual dulu buat seketika sebelum Mia Sara meminta diri
untuk pulang. Malam nanti dia harus menghadiri satu majlis pengucapan puisi di
Laman Rumah Pena. Mia Sara tidak turut sama mendeklamasikan puisi, pun dia
harus hadir memandangkan dia salah seorang ahli jawatan kuasa yang menganjurkan
majlis pada malam tersebut.
“Kalau Syufiqa dan Encik Samwil ada
kelapangan, silalah datang meriahkan majlis. Takde caj masuk dikenakan.” Pelawa
Mia Sara.
“Tengoklah nanti, Cik Mia. Kalau
bukan malam minggu susah sikit. Besok suami saya nak kerja.”
“Kalau Fiqa nak pergi abang boleh
bawakan.”
Syufiqa sedikit ralat. Biasanya
Samwil jarang mahu keluar kalau keesokan hari dia harus bangun pagi-pagi lagi
untuk ke tempat kerja. Sungguhpun demikian hati Syufiqa terasa bertukar menjadi
sebuah taman indah. Senang sekali mendengar Samwil berkata begitu.
“Okeylah. Kalau macam tu, saya
pulang dululah. Dah lama sangat rasanya kat sini.”
“Baiklah. Nanti kalau senang-senang
datanglah lagi.”
“Ya, senang-senang datanglah lagi”
Samwil mencelah. Mengulangi kata-kata Syufiqa.
Syufiqa tidak tahu waima pelawaan
daripada mulut Samwil itu ikhlas atau sekadar basa-basi orang Melayu. Orang
Melayu biasanya penuh tertib dan mahu menjaga hati tetamu. Dalam rasa lain, pada
masa yang sama mulut lontarkan ucapan yang kontra dengan apa yang ada dalam
diri.
Samwil dan Syufiqa menghantar Mia
Sara hingga ke kereta. Kemudian masih tercegat di situ santak kereta Mia Sara
hilang dari pandangan mata. Samwil menghempaskan keluhan sekali lagi. Kali ini
Syufiqa terdorong untuk memandangnya. Pandangan mereka bersatu. Samwil
mengukirkan senyuman kepada Syufiqa. Mencuit hidung si isteri seketika.
Perbuatan Samwil sekali gus mematikan resah Syufiqa yang terpendam sejak tadi
gara-gara Samwil tidak bersikap mesra terhadap Mia Sara.
“Tak sangka dia Mia Batrisia…” keluh
Samwil kemudiannya.
“Tak sangka kenapa pulak?” Syufiqa
dipagut hairan.
Samwil tersentak. Tersedar akan
keterlancapan diri sendiri menuturkan kata. Kemudian cepat-cepat cuba untuk
membaiki kata-katanya.
“Tak sangka tulah Mia Batrisia.
Abang ingatkan orang yang ada nama ni sombong dan besar kepala.”
“Alah, mereka pun manusia macam kita
jugak. Lagipun dia pernah cakap, sebagai penulis dia Mia Batrisia, depan umum
dia nak jadi Mia Sara yang sebenar.”
“Jadi, Fiqa lebih senang dia sebagai
Mia Batrisia atau sebagai Mia Sara?”
“Mana-mana pun tak kisah. Abang?”
“Abang tak pikir sangat pasal dia.
Lantaklah.”
“Abang masih simpan praanggapan pada
dia?”
“Abang bukan sengaja nak simpan
anggapan buruk pada Mia Sara. Lebih-lebih lagi abang bukan kenal sangat dia tu.
Abang cuma nak yang terbaik buat Fiqa. Tak mahu sesapa pun bagi pengaruh
negatif kat Fiqa, isteri abang yang pandai masak ni.” Terang Samwil. Dia enggan
mengakui perkara sebenar.
Jangan haraplah.
Sementelahan melihat gelagat Mia
Sara tadi yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda dia kenal Samwil. Dia
berlagak seperti mereka tidak pernah kenal. Sedikit sebanyak keadaan itu
membuatkan Samwil merasakan Mia sara tentu tidak akan membuka apa-apa tentang
kisah silam mereka berdua. Biar apa juga rasional di sebalik sikap Mia Sara,
dia berterima kasih.
Syufiqa tersenyum. Dia memeluk
Samwil penuh kasih sayang.”Tak ada orang boleh pengaruhi Fiqa. Selama ni Fiqa buat
apapun berdasarkan kehendak hati Fiqa sendiri.”
“Abang percaya pada sayang abang
ni.” Sekali lagi hidung Syufiqa ditarik tanpa sempat dielak Syufiqa.
Mereka sama-sama ketawa apabila
Syufiqa kelihatan perit menahan kerengsaan akibat hidungnya ditarik Samwil.
“Abang dah tak marah Fiqa jemput dia
tanpa bincang dengan abang dulu?” Soal Syufiqa setelah ketawa mereka reda.
“Bila pula abang marah? Selama ni
pun abang tak pernah marah kalau ada kawan-kawan Fiqa datang bertandang ke mari
secara mengejut pun. Ni pula datang atas jemputan Fiqa.”
“Fiqa ingatkan abang marah. Abang
nampak pelik.”
Samwil cuma tersenyum. Kau tak tahu
apa yang ada dalam hati aku, sayang.
BAB SEPULUH
Samwil terpaksa
akur pada Syufiqa akhirnya. Dia tidak mampu lagi menghalang perhubungan Syufiqa
dan Mia Sara walau apa juga alasan yang diberikan. Tambahan pula semasa
kedatangan Mia Sara di rumah mereka tempoh hari, Samwil tidak nampak sebarang
sebab kisah lama mereka akan terbongkar.
Mia Sara nampak seperti juga Samwil. Tidak senang untuk bercerita kisah lama
mereka berdua kepada Syufiqa. Lalu jika Mia Sara sendiri tidak berminat untuk
berbuat demikian, untuk apa pula Samwil terlebih-lebih takut?
Lalu akhirnya Samwil memaktubkan
untuk membiarkan Syufiqa dengan dunianya. Dengan Mia Sara alias Mia Batrisia.
Kalau Mia Sara sudah melupakan dan langsung tidak kelihatan tergugat dengan
pertemuan kembali mereka, mengapa pula dia harus terlebih-lebih resah? Dia
seharusnya tidak begitu meski ada janji tidak tertunai antara dia dan Mia Sara.
Seperti mana Mia sara membina hidup baru sejak mereka membawa haluan
masing-masing, dia juga harus begitu memandangkan masing-masing sudah ada
kehidupan sendiri dan tidak berkait antara satu sama lain lagi.
Dalam hidup ini Samwil bukan mahu
apa-apa lagi. Dia inginkan Syufiqa bahagia sahaja. Jika bersama Mia Sara
membuatkan Syufiqa bahagia, biarlah. Biar dia teruskan hubungan itu walaupun
ada masa, Samwil rasa sesuatu menghenyak pundaknya. Walau ada masa bagai ada
sesuatu yang mengetik-ngetik ruang dalam hatinya. Dia tidak tahu apa itu, pun
dia mengharapkan segala-galanya akan jadi baik dan Mia Sara tidak akan menjadi
kudis apatah lagi barah dalam kehidupan mereka suami isteri. Dia
sungguh-sungguh cintakan Syufiqa. Melebihi perasaan yang pernah hadir semasa
dia bersama Mia Sara suatu masa dahulu. Oleh kerana itu dia begitu takut satu
masa hati Syufiqa terluka.
Mengguris hati Syufiqa dia sudah
tidak sanggup apatah lagi melukakan hati Syufiqa. Dia benar-benar tidak sanggup
menyaksikan lahar merah mengalir keluar dari hati Syufiqa. Perempuan sebaik
Syufiqa tidak patut disakiti begitu. Syufiqa memberinya cinta yang tidak pernah
diberi oleh mana-mana wanita sebelum ini. Kisah dia bersama Mia Sara hanya
sebuah memori usang. Memori, selama manapun tetap tidak akan hilang. Pun mampu
diabaikan. Begitulah yang akan dilakukan oleh Samwil setiap kali hatinya
terlintas tentang Mia Sara.
Bagi Syufiqa pula, perubahan Samwil
benar-benar melapangkannya. Kini dia tidak perlu lagi merasa lain setiap kali
bercakap tentang Mia Batrisia bersama Samwil. Walaupun Samwil lebih senang
memanggil Mia Batrisia dengan nama sebenarnya, itu lebih baik daripada Samwil
menganggap bukan-bukan terhadap Mia Batrisia. Syufiqa terlalu menganggap Mia
Batrisia sebagai seseorang yang sangat istimewa. Malah kini dia semakin seronok
menjadi peminat Mia Batrisia kerana mampu untuk mengetahui apa-apa saja karya
terbaru Mia Batrisia sebelum karya itu disiarkan di mana-mana akhbar dan
majalah. Ini kerana Mia Batrisia akan terlebih dahulu menghantar karya tersebut
melalui e-mel untuk dibaca Syufiqa.
Terkini, sebuah puisi menceritakan
tentang pertemuan kembali antara dua insan yang pernah bercinta. Walaupun mesej
yang disampaikan agak klise, pun bahasa Mia Batrisia menunjukkan bahawa pertemuan
itu benar-benar sesuatu yang menyulitkan pasangan terbabit setelah
masing-masing kini punyai kehidupan sendiri.
Kukikis
setiap sisa rindu dalam hati
Kau
yang hilang biarkan saja
Pabila
kini kau kembali
Di
sisimu ada si dia
Pertemuan
ini kosong maknanya.
Begitu antara baris diksi Mia
Batrisia. Entah pada siapa Mia Batrisia tujukan puisi tersebut. Namun baris
demi baris ilhamnya benar-benar memberi satu rasa dalam diri Syufiqa.
Sementelahan sejak akhir-akhir itu kerap pula Mia Batrisia menulis puisi
sedangkan satu masa dahulu Mia Batrisia sendiri pernah memaktubkan dia tidak
begitu bagus dan tidak begitu pandai untuk menghasilkan sebuah puisi yang baik.
Jika dia berpuisi pun lebih kepada perkara-perkara eksperimental dan kabur.
Kini dia menidakkan kata-kata
sendiri. Puisi-puisi kejiwaan begitu banyak pula memenuhi peti e-mel Syufiqa.
Banyak antaranya bernada melankolik. Ada juga Mia Batrisia meluahkan begini
dalam puisinya.
Ke
pangkuanmu
Si
prajaka yang mengesat tangis malam hariku.
Barangkali
ia hanya suatu ilusi
Barangkali
juga cuma mimpi
Mungkin
kau tidak akan kembali lagi
Ke
ranjang sepi ini
Pun
aku tetap teringin ke pangkuanmu
Kembali.
Syufiqa cuba menyelami maksud di
sebalik puisi-puisi melankolia yang sampai ke peti e-melnya. Sejak akhir-akhir
itu dia senang benar begitu. Melepasi jangkauan kebiasaannya. Melompat keluar
dari iklim dunia penulisan sebenar Mia Batrisia. Bukan selalu dia begitu.
Normalnya dia lebih senang menulis tentang sesuatu yang berat dan global. Dia
ada gagasan dan tidak hanya berbicara tentang hati dan perasaan semata-mata.
Jangan-jangan Mia Batrisia sedang dilanda kesedihan. Sementelahan sebelum ini
dia pernah memaktubkan dia menulis sesuatu yang dirasakan sensitif pada
dirinya.
Syufiqa jatuh simpati jika
benar-benar Mia Batrisia sedang menghadapi kemelut perasaan sebagaimana yang
diutarakan dalam puisi-puisinya kini. Tambahan dia mengatakan diri menulis kali
itu bukan atas tujuan penerbitan. Hanya untuk melepaskan perasaan. Puisi-puisi
sebegitu tidak layak menghiasi mana-mana majalah atau akhbar kerana ia hanya
sebuah mekanisme untuk Mia Batrisia melepaskan rasa di hati. Itu sekali gus
menunjukkan memang ada sesuatu membebani Mia Batrisia.
Bukan atas niat ingin menjaga tepi
kain orang, tetapi lebih kepada rasa ambil berat, Syufiqa akhirnya mengambil
keputusan membalas e-mel Mia Batrisia dengan satu pertanyaan. Cuba untuk
memahami kondisi iklim Mia Batrisia.
Puisi
Cik Mia sudah saya baca. Walaupun ia biasa-biasa sahaja namun sarat dengan
sendu. Apa sebenarnya Cik Mia rasa sekarang?
Kalau-kalau sudi berkongsi dengan saya, mungkin ia boleh menenangkan
sedikit resah Cik Mia.
Ringkas sahaja tulisan Syufiqa. Dia
harap Mia Batrisia sudi untuk berkongsi masalah dengannya. Berulang kali dia
membaca isi e-mel tersebut sebelum dia klik di menu hantar yang tertera di skrin. Dia harap Mia Batrisia tidak salah
faham akan tindakannya. Niat dia benar-benar ikhlas. Ingin membantu jika benar
Mia Batrisia sedang menghadapi masalah.
Jika dia tidak mampu untuk
menyelesaikan masalah Mia Batrisia sekalipun, sekurang-kurangnya dia boleh
menjadi pendengar bagi mengurangkan sedikit bebanan benak Mia Batrisia.
Sebarang masalah boleh jadi lebih ringan jika kita sedia untuk berkongsi dengan
orang lain. Syufiqa percaya begitu. Peluang begitulah yang cuba diberikan
Syufiqa kepada Mia Batrisia. Dia mahu Mia Batrisia sedar, jika benar dia sedang
menghadapi masalah, dia mempunyai seseorang yang bersedia untuk mendengar masalahnya bila-bila masa
sahaja.
Mia Batrisia tidak mengambil masa
yang lama untuk membalas e-mel Syufiqa. Selang lima belas minit dia sudah
menerima amaran tentang penerimaan mesej baru dalam peti e-melnya. Syufiqa
yakin e-mel tersebut tentu sahaja daripada Mia Batrisia. Siapa lagi yang sudi
mengirim e-mel kepada Syufiqa akhir-akhir itu? hanya Mia Batrisia sahaja yang
sudi berbalas-balas e-mel dengannya.
Terima
kasih kerana begitu prihatin kat saya. Benar saya mengalami kecelaruan sekarang
ni. Begitupun sukar sekali untuk saya luahkan. Sekiranya Syufiqa sudi untuk menjadi
pendengar, saya minta sudilah pula jadi sahabat saya memandangkan saya tak
betah untuk bercerita masalah saya kat mana-mana orang kecuali seseorang yang
bergelar sahabat. Masalahnya saya langsung takde sahabat melainkan laptop saya
ni.
Tentu
sukar untuk Syufiqa percaya orang seperti saya tak banyak bergaul. Saya ke
sana-sini, jumpa pelbagai macam orang dengan pelbagai macam perangai. Saya
begitu pandai menasihati orang agar tabah menjalani kehidupan. Bagi semangat
kat orang lain. Hakikatnya saya sendiri menjalani kehidupan lebih naïf
berbanding mereka. Dunia saya hanya ini. Kalau tak jumpa mereka atas tujuan
amal, maka bermakna saya langsung tiada pergaulan dengan mana-mana orang.
Atmosfera saya benar-benar kekurangan orang yang rapat dan sudi menyelami jauh
ke dasar hati saya.
Saya
menulis daripada minat langsung bertukar menjadi mekanisme untuk meluahkan
kesepian dalam diri. Meluahkan masalah. Meringankan lebuh fikir yang sentiasa
sesak dengan jejer-jejer masalah yang tiada kesudahan. Saya tiada kehidupan
sesempurna yang disangka orang bebanyak. Mia Batrisia sunyi sepi. Saya
memanipulasikan seluruh isi alam ini bagi menutup kesepian saya. Nah hasilnya
masyarakat melihat saya sebagai insan serba-serbinya beruntung. Hakikatnya
Syufiqa jauh lebih beruntung berbanding saya.
Syufiqa
ada sebuah keluarga yang lengkap dan harmoni. Walaupun masih belum dikurniakan
cahayamata, itu bukan masalah. Sedangkan saya telah kehilangan semuanya. Hati
dan perasaan saya begitu terdera oleh keadaan ini. Lalu saya menyibukkan diri.
Melakukan apa-apa yang patut untuk melupakan sumpahan yang berlaku ke atas diri
saya. Pernah saya harapkan ini cuma mimpi ngeri. Pernah juga saya harapkan ini
cuma sebahagian daripada kisah-kisah yang saya bukukan dalam novel saya.
Menulis
atas sesuatu yang sensitif dan yang pernah dialami sendiri.
Benar.
Itulah hakikat. Banyak daripada novel saya bertunjangkan kesedihan dari dalam
diri saya. Tiada jalan terbaik untuk saya luahkan. Walaupun hakikat yang
disampaikan tak sama, pun kesedihan dalam diri masih kesedihan yang sama
seperti yang dialami watak-watak dalam karya saya.
Hidup
ini terlalu banyak kehilangan. Hidup ini juga terlalu banyak kesedihan. Saya
pernah memiliki bahagia suatu masa dulu. Pun telah juga kehilangannya. Saya
ingin dapatkan kembali kebahagiaan saya itu. Malangnya jalan untuk berbuat
demikian tertutup. Sedang rindu begitu memanggil-manggil. Apa lagi boleh saya
buat Syufiqa? Lalu saya terpaksa jadi Mia Batrisia. Hanya dengan itu saya boleh
meluahkan luka saya. Padahal nama itu juga makin membuatkan saya teringatkan
tentang luka dan derita saya. Apa boleh buat? Jika nama itulah suatu kenangan
tentang kami, nama itu jugalah akan terus saya abadikan.
Sekali
lagi terima kasih kerana begitu prihatin dan sudi mendengar.
Mia Sara Hashim.
Termangu Syufiqa sebaik selesai
membaca luahan Mia Batrisia. Dia tidak faham apa yang telah dilalui Mia
Batrisia kerana Mia Batrisia tidak meluahkan dengan jelas. Dia faham di situ
Mia Batrisia pernah kehilangan, kehilangan apa? Orang yang tersayang? Itu
mustahil kerana dia dimaklumkan mempunyai anak dan suami. Melainkan Mia
Batrisia berkahwin kerana terpaksa setelah kehilangan lelaki yang dicintai
dalam hidupnya. Itu boleh jadi. Macam dalam novel yang pernah ditulisnya dulu.
Syufiqa mula menebak macam-macam.
Dalam pula tergemik-gemik untuk membuat hipotesis sendiri. Dia mengandaikan
begini: Mia Batrisia memang sudah berkahwin, pun bukan dengan lelaki yang
dicintainya. Dek kerana itu hidup Mia Batrisia sunyi. Tiada sesiapa menjadi
insan paling rapat dengannya meski sudah mempunyai suami untuk dicintai dan
sebagai pecintanya. Kerana perkahwinan di luar kerelaan antara mereka juga
membuatkan hidup Mia Batrisia tidak bahagia walaupun sudah mempunyai
cahayamata. Mia Batrisia tidak boleh menjadikan suami sebagai tempat berkongsi
suka duka kerana jurang antara mereka.
Dalam masa yang sama Mia Batrisia
juga pernah bercinta, terpaksa melupakan ikatan cinta itu kerana sudah
mendirikan rumahtangga. Lalu dia hidup dalam kenangan. Begitu Syufiqa andaikan.
Dia tidak sewenang-wenangnya menebak demikian. Dia hanya cuba memadankan kisah
hidup Mia Batrisia dengan kisah yang dipaparkan dalam karya-karyanya dulu.
Syufiqa kemudian tidak mampu
meneruskan tebakan lagi apabila teringatkan tentang nama ‘Mia Batrisia’. Pada
nama itu juga terkandung makna sebagaimana disebut Mia Batrisia dalam e-melnya.
Apa maksud nama itu membuatkan dia teringatkan tentang luka dan derita? Apa
pula maksud nama itulah kenangan buat Mia Batrisia? Syufiqa tak faham. Tidak
boleh berfikir sedalam-dalamnya. Memahami cerita tanpa asas memang agak
menyulitkan.
Dia harus mendapatkan penjelasan
daripada Mia Batrisia. Bagi memastikan Mia Batrisia percaya dia mampu menjadi
pendengar yang baik, dia sudi untuk menjadi sahabat kepada Mia Batrisia. Malah
kata orang pucuk dicita ulam mendatang jika Mia Batrisia sudi menganggap
Syufiqa sebagai sahabat. Dia ingin menjadi bukan setakat peminat ke atas semua
hasil karya Mia Batrisia, malahan juga mahu menjadi lebih daripada itu jika
itulah yang diinginkan Mia Batrisia daripada Syufiqa.
Setelah berfikir agak lama, Syufiqa
menulis satu mesej ringkas kepada Mia Batrisia.
Menjadi
sahabat kepada seseorang yang dikagumi memang suatu keberuntungan buat saya.
Bukan setakat menjadi sahabat lebih daripada itupun saya sanggup. Namun
ceritalah dengan lebih jelas masalah sebenar agar luka di hati dapat sayang
faham puncanya.
Syufiqa menghantar mesej ringkas
tersebut. Jauh di sudut hatinya memang dia benar-benar ikhlas mahu meringankan
beban lebuh fikir Mia Batrisia. Jangan kata Mia Batrisia, sesiapa jua yang mahu
berkongsi masalah dengannya akan diberi perhatian sewajarnya. Hari ini hari
orang, besok lusa tentu dia juga akan berdepan dengan masalah. Masalah boleh
datang dalam pelbagai bentuk. Boleh begitu dan begini kerana masalah sesuatu
yang subjektif.
Sebagai manusia hidup, manusia
bernyawa, masalah merupakan teman paling rapat dan akrab. Tidak lengkap hidup
seseorang manusia jika tiada masalah dalam menempuh hidup seharian. Bagi
Syufiqa pula, dalam hidup ini masalah boleh dibahagikan kepada dua menu utama;
ekonomi dan perasaan. Semua perkara melibatkan nilai ringgit dirangkum dalam
masalah ekonomi dan semua perkara melibatkan rasa dalam diri di bawah perasaan.
Ini termasuklah masalah antara hubungan suami isteri, hubungan dengan
adik-beradik, ibu bapa dan pelbagai lagi yang boleh mengakibatkan hati dan
perasaan lebih terdera berbanding benak.
Dalam masalah Mia Batrisia, jelas
dia mempunyai masalah berkaitan hati dan perasaan. Masalah yang berpunca
daripada hati dan perasaan agak sukar untuk diselesaikan. Jika berkaitan
ekonomi banyak jalan boleh dicuba untuk menyelesaikannya. Sungguhpun demikian,
apabila masalah lebih menjurus kepada hati dan perasaan, inilah masalah paling
besar bagi Syufiqa. Jika hati dan perasaan terdera, duit ringgit pun sudah
tiada nilai kerana ketenangan akal fikiran dan ketenteraman tidak boleh dibeli
dengan duit ringgit. Kasih sayang juga tidak boleh ditukar ganti dengan kilauan
emas.
Syufiqa percaya begitu. Malah dia yakin
Mia Batrisia juga percaya begitu. Lalu kasihanlah pada Mia Batrisia jika
atmosfera dia sekarang terancam kerana masalah hati dan perasaan.
Alunan telefon genggam memutuskan
lamunan Syufiqa. Tertera nama suami tersayang di talian. Tersenyum buat seketika
menerima panggilan tersebut sebelum jari runcing menekan punat jawab. Halus dan
manja suara Samwil menyapa di hujung talian. Bertanyakan khabar dan keadaan
Syufiqa.
“Fiqa tak buat apa-apa, bang. Tengah
layan Mia Batrisia kat internet ni.”
“Fiqa memang macam tulah. Kalau tak
luangkan masa dengan Mia Sara satu hari tak sah. Dulu setakat baca karya dia,
sekarang dah layan melalui internet pula.”
“Abang dengki?”
“Terasa jugak. Nanti Fiqa lebih
banyak masa untuk Mia Sara.”
Syufiqa ketawa mengelekek. Dia tahu
Samwil bukan serius. Mana boleh Samwil menyamakan kedudukan seorang suami
dengan kedudukan seorang idola. Syufiqa masih waras. Dia tahu tanggungjawab
terhadap Samwil.
“Amboi, ketawakan abang bukan main
lagi ya.” Samwil mengusik si isteri yang masih mengelekek.
“Abang lah… macam tu pun nak jealous ke?”
“Mana tau. Okeylah sayang. Abang tak
boleh lama ni. Nanti kita jumpa kat rumah. Abang sayangkan Fiqa.”
“Fiqa pun sayangkan abang jugak.”
Lalu talian dimatikan selepas sessi
memberi dan menjawab salam. Syufiqa kembali termenung. Ingatan tentang Mia
Batrisia kembali menggemik-gemik akal fikirnya. Huh, begitu kuatnya rasa
simpati yang hadir terhadap perempuan itu sehingga Syufiqa turut merasa
terbelenggu apabila tahu Mia Batrisia mengalami masalah. Dia dapat rasakan
betapa tertekannya Mia Batrisia walaupun tanpa mengetahui punca sebenar masalah
Mia Batrisia.
Dalam keadaan begitu Syufiqa sempat
menjeling peti e-melnya kalau-kalau ada menerima e-mel baru. Ternyata dugaannya
tidak silap. Dia pantas membuka untuk membaca balasan daripada Mia Batrisia.
Kita
jumpa. Saya jemput Syufiqa ke rumah saya besok. Suasana lebih mesra jika kita
berbual face to face.
Lega. Itulah yang sebaiknya. Namun
Syufiqa tidak pantas memberikan persetujuan. Dia harus meminta izin daripada
Samwil terlebih dahulu. Pun e-mel tetap dibalas untuk memaklumkan situasi
kepada Mia Batrisia.
Sesudah agak lama menghabiskan masa
di sisi komputer, Syufiqa bangun untuk melihat penjaja melintasi rumahnya.
Kalau terlepas susah pula nanti memandangkan dia sudah kehabisan bekalan lauk
basah dalam peti aisnya. Karang tidak fasal-fasal dia harus ke pasar untuk
mendapatkan bekalan tersebut sedangkan hari sudah tengahari benar. Mujurlah
penjaja masih berada di hujung jalan. Belum melintasi rumahnya. Syufiqa bersiap
ala kadar untuk menanti ketibaan penjaja. Hari itu dia belum ada idea untuk
menyediakan hidangan kepada si suami.
Mengingatkan Samwil membuatkan
Syufiqa sekali lagi tersenyum. Dia bangga mempunyai suami seperti Samwil. Di mata
Syufiqa, Samwil seorang lelaki yang sempurna. Tiada kelemahan walau sebesar
zarah. Dia tidak pernah mengalami sebarang masalah sepanjang hidup bersama
Samwil. Dia langsung tidak kesal dijodohkan dengan Samwil oleh orang tuanya.
Samwil lembut orangnya. Tidak tahu marah-marah, meninggikan suara kepada
Syufiqa pun tidak pernah. Sikap Samwil benar-benar menyahut seruan hadith nabi
yang menyatakan perempuan itu diciptakan untuk dicintai lelaki.
Manusia
Hawa diciptakan dari rusuk manusia Adam bukan dari kepalanya untuk dijadikan
atasnya, bukan pula dari kakinya untuk dijadikan alasnya. Melainkan dari
sisinya untuk dijadikan teman hidup, dekat pada lengannya untuk dilindungi dan
dekat di hatinya untuk dicintai. Demikian sabda Rasulullah s.a.w yang
diriwayatkan dalam suatu hadith.
Begitulah sepatutnya kedudukan
wanita di sisi lelaki. Rasulullah sendiri menyatakan wanita untuk dilindungi
dan dicintai, bukan untuk dizalimi dan dijadikan hamba abdi. Syufiqa bangga
sekali menjadi muslim memandangkan Islam satu-satunya agama yang mengangkat
martabat wanita sehingga setinggi itu. Agama lain terlalu memandang rendah pada
wanita dan daripada segi sosial pun wanita dikesampingkan kedudukannya di mata
masyarakat.
Kewujudan fahaman-fahaman yang tidak
munasabah terhadap wanitalah yang membuatkan wanita bukan muslim bangkit dan
cuba memperjuangkan hak dan kebebasan wanita. Menuntut kesamarataan yang
bukan-bukan. Sedangkan Islam sudah meninggikan martabat wanita. Kalaulah mereka
ini merujuk kepada garis panduan yang diajar dalam Islam, tidak perlu lagi
mempertikaikan kedudukan wanita. Wanita juga akan mendapat hak selayaknya di
sisi masyarakat dan dalam menjalani kehidupan suami isteri.
Syufiqa cukup-cukup bersyukur kerana
berkahwin dengan lelaki yang tinggi pengetahuan agamanya. Berbekalkan ilmu yang
ada membuatkan Samwil tidak pernah menafikan hak Syufiqa. Dia melayan Syufiqa
sebagaimana yang diamanatkan oleh agama. Melindungi dan mencintai. Syufiqa
amat-amat bahagia. Kebahagiaan itu juga diharapkan dinikmati semua orang.
Mia Batrisia? Kehidupan bagaimanakah
dilalui Mia Batrisia bersama suaminya? Ya Allah, aku berharap kepada-Mu agar
Mia Batrisia juga melalui kehidupan yang indah bersama suaminya. Harap-harap
juga rumahtangga mereka tidak seperti aku bayangkan tadi. Jika aku bahagia, aku
juga harap semua orang di sekeliling aku, semua orang yang aku kenal juga akan
bahagia sama.
Syufiqa memang ikhlas memanjatkan
doa itu di dalam hati. Tidak tergamak untuk dia mengetahui kesedihan orang
lain. Hati Syufiqa jenis yang mudah simpati kepada sesiapapun. Apatah lagi jika
orang itu dikenalinya. Sementelahan pula jika orang itu Mia Batrisia.
BAB SEBELAS
Dengan keizinan
yang diberikan Samwil, Syufiqa sedia menerima pelawaan Mia Batrisia ke
rumahnya. Suatu masa dulu dia tidak terfikir untuk menjalinkan hubungan santak
sejauh itu bersama Mia Batrisia. Dia pemuja dari jauh, dia sangka sampai
bila-bila pun dia hanya akan memuja Mia Batrisia dari jauh. Sungguhpun begitu,
takdir merubah segala anggapan Syufiqa. Hari ini dia akan jadi lebih daripada
seorang pemuja. Dia akan menjadi bertambah rapat dengan Mia Batrisia. Dia sedar
kini, Mia Batrisia yang dikagumi hanya insan biasa. Insan yang tidak lepas
daripada menghadapi masalah. Jauh daripada semua itu pula dia tidak menduga Mia
Batrisia sudi untuk meluahkan masalah kepadanya.
Kasihan Mia Batrisia. Segala-galanya
nampak indah dari sudut pandangan Syufiqa. Rupa-rupanya Mia Batrisia juga hidup
dalam serba kekalutan dan keresahan. Dia perlukan kekuatan dan sokongan atas
semua masalah yang membelit mimpinya hingga ke perdu pagi. Mimpi melankolik
yang sebelum ini tidak siapa ketahui. Aduh, kasihannya Mia Batrisia!
Mia Batrisia perlukan seseorang yang
mampu mendengar masalahnya. Itulah yang dipinta daripada Syufiqa kini. Sebelum
ini dia hanya meluahkan segala isi hati melalui mekanisme penulisan. Kasihan
dia. Betapa sepi-sunyinya hidup Mia Batrisia. Ke mana pergi suami Mia Batrisia?
Ke mana anak Mia Batrisia? Kenapa dalam keadaan begitu suami bagaikan tidak
memainkan peranan? Apa masalah mereka berdua sebenarnya sehingga Mia Batrisia
merasakan diri keseorangan dalam dunia ini?
Timbul pelbagai bentuk tanda tanya
maya di atas kepala Syufiqa menyebabkan dia diketik rasa ingin tahu yang amat
sangat tanda ambil berat seorang sahabat.
“Fiqa tak rasa Mia Batrisia sedang
memanipulasi Fiqa sekarang ni?” Duga Samwil pada awal Syufiqa menyatakan
keinginannya untuk ke rumah Mia Batrisia.
“Manipulasi apa pula, bang? Abang ni
tak habis-habis…”
Samwil tersenyum. Pandangan negatif?
Pandangan negatif tidak. Cuma bimbang sahaja. Walaupun semasa kedatangan Mia
sara ke rumah mereka tempoh hari dia berlagak tidak kenal Samwil dan meyakinkan
Samwil bahawa tidak mungkin kisah lama antara mereka terdedah, kerisauan
kembali semula dalam hati Samwil apabila dia dengan mudah menceritakan
masalahnya kepada Syufiqa.
Dalam hati Samwil merasakan Mia Sara
ada tujuan tertentu. Walaupun dia gagal menebak dan meneka dengan baik tujuan
sebenar Mia Sara berbuat demikian, pun dia tahu tentu ada tujuan di sebalik
semua itu. Seorang bekas kekasih, tentu akan terusik hati melihat mantan
pasangannya mempunyai kehidupan yang sempurna. Tambah-tambah jika di hati masih
terkesan rasa kasih dan sayang terhadap mantan pasangan. Melainkan jika dia
benar-benar sudah mempunyai satu kehidupan baru. Samwil meneka begitu.
Selebihnya dia tidak tahu apa maksud Mia Sara.
Begitupun, pada saat dia mempunyai
ketakutan itu dalam diri, dia masih mengharapkan agar praanggapannya meleset.
Biarlah Mia Sara benar-benar jujur terhadap Syufiqa. Terhadap mereka berdua.
Jangan pula Mia Sara mahu menjadi dedalu yang mampu merosakkan sebuah pohon
rending yang subur dan menjadi tempat berteduh sebuah kasih sayang. Rumahtangga
mereka tidak pernah diduga sebelum ini. Jangan pula gara-gara kehadiran Mia
Sara memusnahkan kebahagiaan Samwil dan Syufiqa secara diam-diam. Samwil cukup
tidak percaya apabila seorang mantan kekasih hadir kembali dalam hidup seseorang.
Tidak banyak, sedikit tentu akan memudaratkan hidup bekas kekasih.
Bagaimanapun, Samwil tetap
membenarkan Syufiqa ke rumah Mia Sara
setelah banyak bersoal jawab. Dalam hatinya berdoa agar pada masa
hadapan, hubungan antara Syufiqa dan Mia Sara tidak akan mengubah apa-apa dalam
rumahtangga yang mereka bina. Walau hati begitu merasa bergemelugut memikirkan
banyak kemungkinan, pun dia masih tidak mahu berkeras menghalang Syufiqa.
Bimbang, risau dan runsing Syufiqa akan menaruh syak. Itu lebih parah. Kelak
hati Syufiqa juga akan terjelabak.
Semasa diberikan keizinan, Syufiqa
amat teruja. Hampir terlompat dari tempat duduk untuk menunjukkan betapa dia
gembira dengan keizinan yang diberikan. Pun dia masih waras. Sementelahan dia
bukan budak-budak lagi untuk menunjukkan reaksi sedemikian. Paling tinggi dia
merapati Samwil dan menghadiahkan kucupan di bibir Samwil tanda terima kasih.
Terima kasih kerana sepanjang menjadi suami, Samwil tidak pernah menghampakan.
Dengan keizinan itu juga Syufiqa
kini sudah berada di laman rumah Mia Batrisia. Mia Batrisia mempunyai laman
yang cukup luas. Melihat pada keadaan rumah Mia Batrisia, dia kelihatan seperti
ada semuanya. Rumah besar, kereta mewah,nama dan kedudukan di mata masyarakat.
Pendek kata dia ada segala-galanya. Apa lagi yang tinggal? Huh, dakwa Mia
Batrisia, kehidupannya tidak seperti metarial yang dimiliki. Dia sunyi sepi
dalam metarial yang melimpah ruah. Dia miskin kasih sayang.
“Terima kasih sebab sudi datang…”
Mia Batrisia memeluk Syufiqa erat-erat.
“Sepatutnya saya yang ucapkan terima
kasih kerana Cik Mia percayakan saya.”
Mia Batrisia menggeleng. “Jangan
panggil saya Cik Mia lagi. Nampak ada jurang antara kita. Panggil je Sara.”
Pinta Mia Batrisia sambil masih lagi memegang kedua-dua belah tangan Syufiqa.
“Sara?” Syufiqa kekok untuk berbuat
demikian.
“Kat sekolah dulu, tulah panggilan
untuk saya. Arwah orang tua saya pun panggil macam tu. Kita nak bersahabat,
kan?”
Syufiqa mencalitkan senyum pada
wajah. “Baiklah, Sara…”
“Macam tulah!” Mia Sara memeluk
Syufiqa sekali lagi.
Kemudian dia menarik tangan Syufiqa
masuk ke dalam rumah. Tertegun Syufiqa melihat tatarias dalam rumah Mia Sara.
Terlintas dalam hati, adakah semua penulis hidup mewah seperti Mia Sara. Tinggi
benarkah pendapatan mereka sebagai penulis? Namun mata pula tidak lepas
mengitari seluruh ruang rumah yang namapk penuh seni dan cukup estatik.
Segala-galanya nampak bersignifikan. Pendek kata dia jatuh cinta dengan
pemandangan yang dilihatnya. Apabila kaki melangkah pula ke ruang rehat, mata
sekali lagi tertegun dengan sebuah gambar sebesar daun pintu. Gambar dalam
citra hitam putih. Gambar seorang kanak-kanak sekitar usia tiga tahun. Itu
satu-satunya hiasan yang terdapat di situ. Comel sekali kanak-kanak dalam
gambar tersebut. Bertudung labuh dan mengenakan baju kurung. Menambahkan
kecomelan si gadis cilik. Syufiqa cukup tertarik.
“Itu anak saya…” beritahu Mia Sara
menyedari Syufiqa tidak lepas pandang ke wajah comel tersebut.
Mata Syufiqa membundar besar
mendengar kata-kata Mia sara.
“Comelnya. Kalaulah saya pun turut
dikurniakan anak secomel dia…”
Mia Sara tidak berkata apa-apa buat
seketika. Dia mendekati gambar tersebut. Sebelah tangan diangkat dan kemudian
menyentuh citra wajah anaknya di dalam gambar. Satu keluhan dihempas kasar. Ia
cukup jelas di pendengaran Syufiqa.syufiqa juga dapat mengesan riak suram dari
wajah Mia Sara. Hati mula digemik rasa ingin tahu.
“Dialah Batrisia.”
“Batrisia?”
“Ya. Tentu Syufiqa masih ingat nama
pena saya sempena nama anak saya sendiri. Saya abadikan begitu.” Maklum Mia
Sara. Wajahnya sudah berubah sugul. Tidak seperti pada awal kedatangan Syufiqa
tadi.
“Tapi mana dia? Dia takde kat rumah
sekarang ni? Tuisyen?” Syufiqa penuh rasa ingin tahu.
Dia yakin masalah Mia Sara lebih
berat daripada harus mengabadikan nama anak sendiri sebagai nama pena. Dia
yakin di sebalik tindakan Mia Sara ada rahsia tersembunyi memandangkan nama itu
seperti yang diberitahu melalui e-mel semalam mengingatkan dia pada kisah luka
dan derita.
Mia Sara kelihatan mengatur diksi
lagi. Sekilas melontar kembali pandangan ke wajah anaknya. Bebola mata Mia Sara
mula kelihatan berkaca-kaca. Malahan dia sendiri nampak bertarung hebat dengan
rasa dalam diri. Resah dan cukup payah untuk mengatur diksi demi diksi sehingga
membariskan satu ayat.
Mia Sara menyimpan sendu dalam dada.
Sekuat mungkin cuba untuk memperkasakan semangat. Sisa-sisa kekuatan
dikebalkan. Tidak semudah itu. ya, seharusnya tidak semudah itu dia mengalirkan
air mata di depan Syufiqa. Sementelahan tindakan memanggil Syufiqa ke rumah
juga dibuat separa sedar. Dia dalam keadaan nanar dan tidak dapat berfikir
dengan baik semasa terlancap meluahkan kepada Syufiqa. Alang-alang sudah
berbuat demikian ada baiknya dia teruskan. Dia tidak mahu lagi memendam segala
masalah dalam fakulti benaknya seorang diri.
Sudah terlalu lama. Ya, terlalu lama
sudah dia membiarkan diri dijajah kesedihan. Dibelenggu rasa yang kurang waras.
Hidup penuh kekosongan tanpa tempat untuk berbicara. Sejak kehilangan
insan-insan yang disayangi dalam hidup, Mia Sara benar-benar hilang arah.
Pundak benar-benar rasa terbeban. Hati pula semakin membusung sakit memendam
rasa dalam diri. Kesudahannya, dia tahu dia perlu seseorang untuk mengadu.
Malang sekali dia tidak mempunyai sesiapa untuk berbuat demikian. Hingga
hadirnya Syufiqa. Dia bisa bercerita macam-macam. Pun tidak termasuk soal hati
dan perasaan yang begitu dijajah pilu.
Dia sebenarnya tidak berani untuk
meluahkan. Bimbang menyingkap siapa sebenarnya Mia Batrisia yang selama ini kelihatan
cukup kuat. Karya-karya Mia Batrisia penuh semangat. Punyai jati diri. Sentiasa
memotivasikan mana-mana individu yang kehilangan arah dalam hidup. Hakikatnya
diri sendiri tidak begitu. Hakikatnya dia sendiri perlukan bimbingan. Dalam
sudah tidak tahan memendam rasa lagi. Ketika itu, semua citra wanita dalam
karyanya tidak lagi terkena tempiasnya kepada Mia Sara. Sudah lain benar dan
dia kini tidak lebih daripada seseorang yang mengakui ketewasannya. Tewas pada
keadaan. Tewas pada takdir dan tewas pada semuanya.
Syufiqa menunggu Mia Sara membuka
mulut dengan telinga tertadah. Melihat pada raut wajah Mia Sara alias Mia
Batrisia, dia tahu masalah Mia Sara tidak mudah untuk diperkatakan. Mentak ia
benar-benar menyentuh perasaan atau mentak juga ia cukup berat sehingga Mia
Sara sudah hilang keyakinan untuk menyelesaikannya.
“Saya panggil Syufiqa ke sini agar
Syufiqa merasai sendiri iklim saya. Syufiqa perhatikan sekeliling. Rasai
kesunyian dari dalam diri saya. Beginilah kehidupan sebenar Mia Batrisia.” Nada
suara Mia Sara cukup terkawal semasa dia menuturkan ayat-ayat tersebut.
Walau soalan masih belum berjawab,
Syufiqa tetap mengangguk tanda memberi perhatian terhadap kata-kata Mia Sara.
“Menjawab pertanyaan Syufiqa, anak
saya Batrisia sudah lama takde. Saya hidup bersama bayangannya. Tahun ni, kalau
dia masih ada bermakna dia dah berusia enam tahun. Dah mula bersekolah,
tuisyen, pendek kata dah memulakan apa-apa saja yang sepatutnya dilakukan oleh
kanak-kanak sebayanya.” Mia Sara membuka cerita sebenar. Namun ceritanya hanya
terhenti di situ. Ada sendu di hujung suaranya.
Syufiqa terkejut mendengar
penerangan Mia Sara. Patutlah agak lama dia mengambil masa untuk meluahkan
kenyataan tersebut. Syufiqa sendiripun terkelu buat beberapa ketika sebaik mengetahui
kenyataan itu. Dia hanya mampu memerhatikan sahaja setiap tingkah Mia Sara. Ada
lara pada riak wajah Mia Sara. Jelas.
Mata Mia Sara kembali tunak pada
gambar yang tergantung di dinding. Syufiqa turut memandang ke arah gambar
tersebut. Sedikit demi sedikit dia sudah mula memahami masalah yang sedang
dihadapi Mia Sara.
“Batrisia meninggal dalam satu
kemalangan kecil yang bertukar jadi mimpi ngeri. Suami menyalahkan saya
seratus-peratus ekoran kejadian itu.” Terang Mia Sara setelah kembali berjaya
memperkasakan diri.
Kenyataan tersebut juga dibuat
bagaikan dia mengetahui apa yang sedang bermain dalam benak Syufiqa. Intonasi
suara Mia Sara bagaimanapun benar-benar sudah menjunam ke tahap paling bawah.
Cukup perlahan dan tidak begitu jelas. Bauran sebak dan sendu terkesan di situ.
“Tapi kenapa Sara.” Syufiqa bukan
berniat mahu menekan Mia Sara, namun dia begitu terdorong untuk mengetahui
perkara sebenar.
“Kerana saya yang belikan anggur tu.
Saya belikan untuk Batrisia. Mana tahu dia boleh tersedak. Kami hantar ke
hospital, wajah Batrisia dah membiru ketika tu. Doktor tak sempat nak buat
apa-apa. Batrisia hembus nafas dalam sekelip mata je.”
“Semata-mata kerana tersedak?” Dia
inginkan kepastian. Syufiqa. Syufiqa yang inginkan kepastian.
“Doktor buat bedah siasat untuk tahu
punca sebenar kematian. Rupa-rupanya air anggur tersasar ke saluran pernafasan
lalu menyekat aktiviti pernafasan. Pada awalnya kami sangka Batrisia tercekik
biji anggur.”
Syufiqa menggeleng-gelengkan kepala.
Nyata tidak percaya. Bagaimanapun dia tahu kejadian seumpama itu tidak
mustahil. Allah s.w.t bisa mengambil seseorang yang kita sayangi melalui apa
cara sekalipun. Sehingga melalui cara yang kita rasakan tidak masuk akal dan
remeh.
“Kami kehilangan Batrisia macam tu je.
Kami harus terima kenyataan.” Suara Mia Sara lagi. Namun sekali lagi ia
terhenti.
Mia Sara menelan ludah yang
dirasakan berpasir. Membiarkan tanda tanya maya sebesar alam berlegar penuh di
atas kepala Syufiqa. Syufiqa masih ingin tahu banyak lagi punca yang
mengakibatkan Mia Sara begitu tertekan. Seharusnya jika Mia Sara suami isteri
sedar mereka harus menerima kenyataan kehilangan Batrisia, dia tidak sepatutnya
menjadi begitu lara.
“Saya memang menerima kenyataan tu,
Syufiqa. Masalahnya saya jadi cukup tertekan apabila suami asyik menyalahkan
saya. Hari-hari mengungkit perkara sama. Menidakkan takdir Ilahi atas kematian
Batrisia. Kononnya kalau saya tak belikan anggur tu, sampai hari ni anak kami
masih ada.” Mia Sara menyambung. Sungguhpun begitu, kali ini kenyataannya sudah
beriringan dengan air bening yang laju menuruni pipi.
Syufiqa beristighfar. Simpati
teramat pada Mia Sara. Dia cukup tidak menyokong perbuatan suami Mia Sara. Dia
seharusnya redha kerana Allah telah menyuratkan demikian.
“Suami Sara tak patut buat begitu.”
“Dia memang tak patut buat begitu.
Tapi ego dia terlalu tinggi, Syufiqa. Dia tak mau bertolak ansur dengan saya.
Tak juga cuba memahami betapa saya perit setelah kehilangan anak tersayang.
Malah dia makin menambahkan tekanan saya.” Mia Sara menyeka air mata di pipi.
Syufiqa merapatinya. Memeluk Mia
Sara dari belakang untuk memberi kekuatan. Dia tidak mampu berkata apa-apa
selain menelinga sahaja.
“Hari-hari kami bergaduh. Hidup kami
tak keruan sejak Batrisia takde. Walaupun kasih sayang dan cinta kami masih
kuat, ego dia mengatasi segala-galanya. Akhirnya dia ceraikan saya dengan talak
tiga di luar kesedarannya semasa kami bertengkar.”
“Ya Allah!” Syufiqa berseru.
Mia Sara membalikkan tubuh. Mengadap
Syufiqa. “Kami dah tak boleh bersama lagi walaupun rindu dan cinta kami masih
kuat.”
Rindu dan cinta kami masih kuat?
Huh, peliknya bunyi ayat tu. Getus hati kecil Syufiqa. Mana tidaknya, walaupun
sudah dilayan sedemikian rupa oleh lelaki itu, Mia Sara masih menyimpan rasa
cinta dan rindu yang sama. Huh, kalaulah Syufiqa, jangan harap. Malah akan
menjadi suatu kemujuran baginya setelah dilafazkan talak. Syufiqa merasakan
diri tidak begitu kuat menyimpan cinta terhadap lelaki yang tinggi egonya.
Seseorang yang tiada tolak ansur dan hanya tahu menyalahkan pasangan
melulu-lulu.
“Sebab tu saya tertekan, Syufiqa.
Kehilangan suami dan kehilangan anak sekali gus membuatkan hidup saya sunyi
sepi. Saya rindukan mereka. Rindu untuk bergelak tawa bersama mereka seperti
dulu. Jika saya dah tak mampu nak miliki Batrisia kembali, kami masih ada
harapan untuk memiliki anak yang lain sekiranya masih bersama. Masalahnya, kami pun memang dah tak boleh
bersama.”
Syufiqa mengerti teramat
ketidakluguan yang dihadapi Mia Sara ketika itu. Jika dia yang tidak pernah
memiliki anak begitu merindui seseorang yang tidak pernah wujud, apatah pula
Mia Sara yang sebelum ini pernah merasai suasana hidup bersama seorang
cahayamata. Tentulah rasa rindu itu lebih sebu di dalam jiwanya.
“Syufiqa, saya benar-benar rindukan
Batrisia. Rindukan suami saya!” Mia Sara menggenggam erat tangan Syufiqa.
Meminta kekuatan di situ.
Mia Sara benar-benar kelihatan lemah
di depan Syufiqa kini. Dia faham akan rasa dalam diri Mia Sara. Faham.
Amat-amat faham. Pun dia tidak setuju jika Mia Sara mahu terus-terusan mahu
merindui orang yang sudah pergi. Terutama si suami yang digambarkan dia sekejap
tadi sebagai lelaki ego dan tidak tahu bertolak ansur. Untuk apa dirindui lagi
lelaki sebegitu? Biarkan saja dia. Mia Sara sepatutnya bangkit. Biarkan
kenangan bersama suami begitu minggat meninggalkan hati Mia Sara. Jangan
disimpan-simpan lagi. Jangan kata cinta buat lelaki itu, rindu dan ingatan pun
kalau boleh dilepaskan pergi.
Untuk apa dikenang lagi kepada
seseorang yang telah memberi kita pedih dan luka?
Mia Sara harus kuat. Kuat
sebagaimana watak-watak yang dijelmakan dalam karyanya. Mia Sara tidak harus
tunduk pada emosi. Tidak sama sekali. Syufiqa tidak bersetuju. Jauh sekali
ingin memberi sokongan kepadanya dalam meneruskan rindu terhadap bekas suami.
Mia Sara harus bangkit. Bina hidup baru. Selama ini dia sering memberi
kata-kata semangat kepada orang lain yang mengalami kemelesetan jiwa. Kini
kenapa dia tidak mengaplikasikan semula kata-katanya sendiri.
Pun itulah. Menasihati orang mudah.
Jika kita sendiri sudah berada dalam kekalutan, kita pun akan berdepan dengan
suatu keadaan maha tidak lugu untuk dihadapi. Mia Sara tidak boleh menafikan
kebenaran tersebut. Dia rebah pada emosi yang mengawal kewarasannya sendiri.
Tiada apa-apa lagi yang tinggal di situ melainkan jiwa yang sudah terjajah
emosi.
“Sara, kuatkan semangat.” Pujuk
Syufiqa. Dia tidak tahan melihat air mata Mia Sara.
“Macam mana saya nak kuatkan
semangat, Syufiqa? Separuh daripada diri saya dah takde. Kekuatan saya dah
hilang. Saya dah cuba melakukan segala-galanya untuk melupakan mereka. Pun
kenangan demi kenangan membuatkan Batrisia seakan hidup kembali. Perkenalan
kita juga makin membongkahkan segala yang saya cuba timbus sebelum ni.”
Syufiqa terpagut hairan. Tiba-tiba
perkenalan mereka terkait pula dengan masalah Mia Sara. Bagaimana dan mengapa?
Timbul tanda tanya maya di atas kepala Syufiqa.
“Apa yang telah saya buat, Sara?”
“Secara zahir Syufiqa dan suami tak
buat apa-apa. Namun kemesraan Syufiqa dan suami membangkitkan kenangan antara
kami. Tinggal lagi Syufiqa belum ada cahayamata. Kalaulah ada seorang
cahayamata menyeri rumahtangga Syufiqa, semakin terasa hati kecil saya ni.”
Jelas Mia Sara tanpa berselindung lagi. Biar Syufiqa faham. Jangan ada
kekeliruan lagi.
Mia Sara sudah tidak malu-malu lagi
untuk menzahirkan kelemahannya. Biar Syufiqa jelas siapa dirinya yang sebenar.
Biar Syufiqa tahu realiti seorang Mia Sara begitu bertentangan dengan
watak-watak yang dijelmakan dalam karya-karya Mia Batrisia selama ini. Watak super kebal dan penuh dengan wawasan
sebenarnya tidak mencerminkan Mia Sara. Ia cuma gagasan Mia Batrisia yang nyata
begitu berbeza jika dipadankan dengannya.
Syufiqa tidak tahu apa yang patut
dikatakannya. Dalam masa yang sama tidak mampu juga untuk menghentikan cucuran
air bening di pipi Mia Sara.
“Dan kalaulah Syufiqa tahu betapa
tersentuhnya hati ni apabila Syufiqa panggil saya dengan panggilan Cik Mia.
Bekas suami insan tunggal yang memanggil saya dengan panggilan ‘Mia’. Setiap
kali Syufiqa panggil saya begitu, saya teringatkan dia. Sebab tulah saya
terdorong nak luahkan masalah saya kat Syufiqa.”
“Ya Tuhan, maafkan saya Sara. Saya
tak tau nilai sentimental di sebalik
nama tu.”
Mia Sara tidak menjawab. Dia tenggelam
dalam air matanya. Syufiqa tidak tahu bagaimana mahu memujuk. Alih-alih dia
cuma mampu meraih Mia Sara. Membiarkan Mia Sara tenggelam dalam pelukannya
pula. Dia tahu, kalau dia di tempat Mia Sara pun memang sangat-sangat
memerlukan sokongan saat itu.
BAB DUA BELAS
Sudah beberapa hari Mia Sara berada di
kampungnya. Hati Mia Sara resah. Dia perlu mencari ketenangan di kampung buat
beberapa ketika. Sejak Syufiqa mengunjunginya di rumah, keresahan semakin
bertambah. Dia takut kalau-kalau masalahnya sampai ke telinga Samwil. Ah, silap
dia. Silap dia kerana terlalu mudah mengikut perasaan. Selama ini rasa dalam
diri tidak pernah dibiarkan terbongkah depan mata sesiapa. Di sebalik Mia
Batrisia, dia memperlihatkan diri sebagai seseorang yang kuat, tabah dan tidak
gentar menghadapi sebarang masalah. Alih-alih apabila berkenalan dengan Syufiqa
dia menjadi begitu sensitif. Mudah pula memperlihatkan kelemahan depan Syufiqa.
Menceritakan semua lara dalam diri. Uhh. Mengapa sampai begitu bodoh Mia Sara
kali ini? Mia Sara mula mengutuk diri sendiri.
Kalaulah perkara itu sampai ke
pengetahuan Samwil, apa anggapan Samwil terhadap dirinya? Dia harus sedar
hakikat itu. Samwil tentu masih ingat dia. Daripada reaksi Samwil seawall
pertemuan pertama dan sikap-sikap Samwil selepas itu ternyata Samwil masih
mengenalinya. Cuma mentak Samwil berlagak selamba kerana mahu menjaga hati
Syufiqa. Isteri yang kelihatan terlalu baik melayani Samwil dan memberi
kebahagiaan sepenuhnya kepada Samwil. Mia Sara mula kesal. Bimbang apabila
memikirkan tanggapan negatif Samwil terhadap dirinya.
Lebih daripada itu dia sebenarnya
malu seandainya Samwil tahu kehidupan dia bersama Mikail tidak kekal lama meski
antara mereka begitu sarat dengan kasih sayang sebelum ini. Dia malu sekiranya
Samwil ketawakan dia. Selama ini, sejak perpisahan antara merekia, dia bertekad
dalam diam untuk memastikan rumahtangga mereka bahagia sampai bila-bila.
Bertekad mahu mencari suami yang sudi mencurahkan kasih sayang lebih ulung
berbanding yang pernah dicurahkan Samwil. Samwil yang pernah meninggalkannya
dan bersikap tidak peduli tentang dirinya pada satu masa dulu.
Mujurnya dia memang bahagia bersama
Mikail. Cuma ego Mikail amat mengguris hati. Id, ego dan super ego memang
normal kalau ada pada diri seorang insan.
Itulah unsure yang menjadikan seseorang itu digelar manusia. Pun ego
Mikail terlalu tinggi. Ego itu bukan sahaja mampu merobohkan sebuah gunung,
tetapi juga ikatan perkahwinan mereka. Kini, kerana ego Mikail, ikatan suci
antara mereka terlerai. Walau cinta masih kuat antara mereka, mereka gagal
untuk kembali bersama. Talak tiga yang dijatuhkan Mikail membuatkan mereka
tidak mungkin rujuk kembali,
Penceraian tersebut mendera perasaan
mereka. Keluarga tidak boleh membantu. Segala-galanya sudah hancur. Jadi debu,
ditiup angina. Tiada apa-apa lagi yang tinggal antara mereka. sakitnya. Memang
teramat sakit. Mia Sara benar-benar teruji. Kekuatan dan semangat dalam diri
hilang begitu sahaja. Dia kehilangan dua orang tersayang serentak. Dia hilang
anak. Dia juga hilang suami. Kehilangan anak perkara yang tidak boleh
dielakkan. Walaupun dia menangis air mata darah sekalipun, Batrisia tidak akan
kembali lagi. Dia tidak mungkin berkesempatan lagi untuk mendengar Batrisia
mengelekek ketawa setiap kali diusik dia dan suaminya, Mikail. Memang langsung
tidak akan berpeluang lagi.
Pun kehilangan suami sebenarnya
boleh dielak jika dia bersabar. Jika dia tidak mencabar Mikail. Jika dia tidak
panjang-panjangkan pertengkaran antara mereka. silap dia kerana suka
memanjangkan pertikaman lidah. Mencabar sehingga Mikail benar-benar hilang
kawalan diri. Talak tiga dijatuhkan. Ya Tuhan.
Kalaulah dia lebih bersabar. Biar saja Mikail menuduh apapun.
Menyabitkan kematian Batrisia kerana kelemahannya. Sekurang-kurangnya kesabaran
membuatkan rumahtangga mereka masih boleh diselamatkan. Sekurang-kurangnya dia
hanya kehilangan Batrisia. Bukan kedua-dua mereka.
Selama ini mereka sering
bertelingkah. Ada masa atas perkara remeh-temeh . mikail malah pernah
menangankan Mia Sara. Pun cinta mereka memang kuat. Atas alasan apapun
pergaduhan mereka tejadi, mereka tetap akan berdamai semula. Mikail tidak
pernah ada niat walau sebesar zarah untuk melepaskan Mia Sara. Tidak pernah sama sekali. Semua
berlaku atas ketidaksedaran Mikail. Dia terlajak melepaskan Mia Sara. Mereka
sama-sama merana kemudiannya.
Ya Allah. Betapa sakitnya setelah
hidup terasing daripada Mikail. Cinta ulung aku! Aku ingin kembali kepada
Mikail. Dia juga ingin kembali kepadaku. Bukakanlah jalan buat kami berdua, Ya
Allah! Aku tidak mampu untuk melupakan Mikail. Hakikat kehilangan Mikail lebih
sukar untuk aku telan berbanding hakikat kematian Batrisia. Ampuni aku, Ya
Allah andai ujian ini Kau turunkan berpunca daripada dosa-dosa yang pernah aku lakukan sepanjang hidup di
muka bumi ini.
“Sara menungkan apa?” Mak Long
mendatang sambil membawa dulang minuman dan sedikit kuih ketayap.
Lamunan Mia Sara mati. Menoleh ke
wajah Mak Long sambil cuba untuk memaniskan wajah sebaik mungkin. Sungguhpun
begitu, kesan air mata pada wajah dan sirna pada mata yang begitu ketara
membuatkan Mak Long Mia Sara sedar anak saudaranya menangis sepanjang masa
ditinggalkan keseorangan sekejap tadi.
Mak Long melabuhkan punggung di
sebelah Mia Sara. Mia Sara langsung tidak mahu bersuara. Apa lagi boleh
dikatakan? Mak Long sendiri sudah dapat melihat dengan jelas. Dia memang tenggelam
dalam menungan.
“Tiga tahun… dah tiga tahun Sara.
Tak elok kalau Sara terus macam ni. Kau kena redha. Cuba bina hidup baru.”
Versi suara Mak Long mendatar.
Pun Mia Sara tahu Mak Long memang maksudkan
kata-kata yang melompat keluar dari kerongkongnya sekejap tadi. Namun Mia Sara
masih belum timbul nafsu untuk berbalas kata dengan Mak Long.
“Kau
terus macam ni, kau dapat apa? Makin menyulitkan hidup kau aje. Makin
mengusutkan benak kau. Arwah Batrisia tak mungkin hidup kembali walau kau terus
kenang sampai akhir nafas kau.”
Arwah
Batrisia? Huh, hanya Mak Long tegar memanggil Batrisia begitu sejak kematian
anaknya santak hari itu. Sedangkan baik Mia Sara mahupun Mikail tidak pernah
mampu untuk memanggil anak mereka begitu. Tidak sanggup dan tidak tergamak
untuk mereka berbuat demikian memandangkan mereka masih merasakan Batrisia
tetap ada bersama mereka.
“Sara…”
seru Mak Long sambil menyentuh bahu Mia Sara. Mahu mengheret Mia Sara daripada
terus hanyut dalam gelombang perasaan yang diciptakannya sendiri.
“Sara
nak ingat buat apa lagi? Perkara dah lepas. Sara kena fikir masa depan.”
Mia
Sara menghempaskan keluhan. “Ia bukan semata-mata kerana Batrisia, Mak Long.”
Akhirnya begitu suara yang keluar dari kerongkong Mia Sara.
“Habis?
Kalau tak pasal arwah Batrisia, pasal Mikail?”
Mia
Sara menunduk. Tidak perlu mengiyakan. Mak Long sudah boleh menebak segala
perkara yang bermain dalam benak Mia Sara.
“Selama
mana kisah arwah Batrisia tinggalkan kita, selama tu juga kisah Mikail tu. Sara
kena kuat. Dah takde jalan penyelesaian untuk Sara dan Mikail balik baik. Talak
tiga Sara. Bukan talak satu atau dua. Kita pun faham kalau dah talak tiga,
kan?”
“Sara
nak buat macam mana?”
“Bina
hidup baru, Sara. Lupakan Mikail. Kalau memang dah ada jodoh untuk Sara dan
Mikail bersatu kembali, hari tu pasti datang. Buat masa ni, cuba bagi peluang
kat orang lain pulak.”
“Mak
Long, bercakap memang senang. Masalanya, Sara tak boleh nak buat macam yang Mak
Long cakap tu. Sara sayangkan Mikail. Bukan mudah nak tukar cinta di hati Sara
ni.”
“Kau ni sama macam Mikail. Asyik
cakap tak boleh nak lupa. Tak boleh belajar cinta orang lain setiap kali Mak
Long tanya apabila dia balik sini.”
“Dia ada balik sini?” Soal Mia Sara.
Mata sedikit bersinar mendengar kata-kata Mak Long walaupun dia sendiri sudah
tahu hakikat dalam hati Mikail.
“Hujung bulan lepas dia ada balik
sini.”
“Macam mana keadaan dia, Mak Long?”
Mia Sara penuh rasa ingin tahu.
“Sara tak jumpa dia masa kat KL?”
Mak Long agak kehairanan.
Betullah Mia Sara dan Mikail sudah
bercerai, namun mereka masih saling menyayangi, masih mencintai. Mustahil jika
mereka langsung tidak mengatur pertemuan selepas penceraian mereka.
Mia Sara menunduk lagi. Dia tidak
tahu bagaimana mahu menjawab soalan Mak Long, ibu saudara Mikail yang sehingga
kini dianggap seperti ibu saudaranya sendiri. Liur yang ditelan terasa berpasir
dan kelat. Wajah Mikail yang sedang tersenyum merenung seakan kembali bermain
di ruang mata. Citra Mikail dalam bentuk maya itu seakan ingin mendapatkan Mia
Sara. Memeluk Mia Sara seperti dulu. Menghalau rasa resah yang membuatkan dalam
bergalau.
“Tak jumpa Mak Long.”
“Tak jumpa? Ish, macam mana pulak
boleh jadi macam tu, Sara? Kan dulu selalu jugak kau orang berjumpa lepas
cerai.”
“Awal-awal dulu. Sekarang tak lagi.
Kami dua-dua tak tahan. Rasa macam masih suami isteri. Kalau jumpa ada masa
masih tersasul pegang-pegang tangan macam dulu. Mana boleh macam tu, kan Mak
Long?” Akhirnya Mia Sara menyatakan hakikat pada Mak Long.
Mak Long menggelengkan kepalanya
berkali-kali. Sudah tiga tahun berlalu. Budak-budak ni masih belum terima
hakikat. Tak boleh nak berhubungan macam kawan biasa. Huh, mana boleh nak
berhubungan macam kawan biasa kalau dalam hati tu masih sarat dengan cinta
antara satu sama lain. Ngomel Mak Long dalam hati. Mak Long bukan tidak simpati
dengan masalah yang menimpa Mia Sara dan Mikail. Bagaimanapun dia sendiri tidak
boleh berbuat apa-apa.
“Cakaplah Mak Long, macam mana
keadaan Mikail sekarang?”
“Lebih kurang macam kau lah. Kalau
balik termenung sana, termenung sini. Puas kat rumah dia ke pusara arwah
Batrisia. Sebagai lelaki, dia kelihatan terlalu lemah benar.”
Mia Sara menggigit bibir. Dia boleh
faham rasa dalam diri Mikail. Mia Sara sendiri masih tergemik-gemik oleh rasa
sedih yang sama meski sudah tiga tahun berlalu. Mata Mia Sara kembali berkaca.
Hati sudah terugah. Terusik oleh perkhabaran Mak Long.
“Sara, jangan macam ni. Cubalah bagi
peluang kedua pada diri kau orang. Sara dan Mikail memang dah tak boleh bersama
balik.” Mak Long ternyata masih tidak jemu mengemukakan usulnya.
Usul itu juga akan dikemukakan
kepada Mikail jika anak saudara kesayangannya itu pulang ke kampung. Dia mahu
mereka bina hidup baru. Mereka tidak boleh selama-lamanya begitu. Mikail
perlukan teman baru. Mia Sara juga perlukan teman baru. Mereka tidak boleh
terus mempertahankan cinta mereka memandangkan kemungkinan untuk bersama
kembali nampak kabur benar. Hanya keajaiban sahaja yang akan memungkinkan
mereka bersama kembali.
“Sara tak sanggup, Mak Long. Tak
sanggup nak kahwin dengan orang lain walhal Sara tau Mikail masih cintakan
Sara. Sara pun masih cintakan dia. Tak terkurang sikit pun walau dah jadi macam
ni.” Akui Mia Sara. Suara Mia Sara memang kendur benar. Pandangan pula dilontar
jauh.
Mak Long sekali lagi
menggeleng-gelengkan kepalanya. Mia Sara dan Mikail seakan-akan sudah berjanji.
Kata-kata Mia Sara tidak lebih dan tidak kurang daripada apa yang telah
dikatakan Mikail kepada Mak Long. Frasa mereka sama, deskripsi mereka sama.
Mereka memang sehati sejiwa. Cuma keadaan telah memusnahkan cinta mereka.
Sebagai orang tua, Mak Long kesal
dengan sikap terburu-buru Mikail memutuskan ikatan antara mereka. Kalau Mikail
lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan, sampai kini pun mereka masih
sepasang suami isteri. Kehilangan Batrisia bukan di tangan mereka, namun jika
hubungan cinta mereka masih dipertahankan, lebih daripada seorang Batrisia
mampu mereka miliki. Mak Long pun tidak faham mengapa kematian Batrisia memberi
kesan begitu negatif terhadap rumahtangga mereka.
Sepatutnya dalam keadaan diuji
sedemikian mereka lebih kuat mempertahankan cinta mereka. Sama-sama memujuk
antara satu sama lain. Sama-sama memberi semangat selepas kehilangan zuriat
lambang kasih mereka selama ini. Bukan menjadikan kematian Batrisia punca
persengketaan sehingga membawa kepada penceraian seperti itu.
Tapi itulah, anak-anak muda zaman
sekarang terlalu mengikut perasaan tanpa memikirkan kesan yang bakal berlaku
daripada sikap terburu-buru mereka. Mikail pula, mengapa pantas benar
menyalahkan Mia Sara atas kematian Batrisia? Dia sepatutnya faham betapa
tertekan hati seorang wanita yang baru kehilangan anak. Dituduh bukan-dukan dan
mempersalahkan Mia Sara atas kematian Batrisia memang akan membuatkan Mia Sara
hilang akal. Hilang pertimbangan dan mula bercakap bukan-bukan. Mula mencabar
Mikail.
Dalam hal ini Mak Long menyalahkan
Mikail yang tidak pandai memainkan peranan. Dia sepatutnya lebih kuat dan
menjadi pendorong kepada Mia Sara yang baru kehilangan anak. Bukan menambahkan
tekana. Tapi itulah. Mak Long tidak dapat berbuat apa-apa kerana talak sudah
dijatuhkan. Dia hanya mampu menasihati mereka agar memberi peluang kepada diri
sendiri bina hidup baru bersama orang lain pula. Itu lebih baik untuk mereka
memandangkan mereka memang sudah tidak boleh bersama walaupun mereka terus
menjunjung cinta yang sama hingga ke akhir hayat.
“Sara dengar cakap Mak Long. Terus
mempertahankan cinta terhadap Mikail pun tak guna. Dah sah-sah tak boleh nak
bersama. Cubalah lupakan cinta tu. Cuba kenal orang lain pulak.” Mak Long tidak
jemu-jemu menasihati perkara yang sama.
Mia Sara merenung Mak Long. Dia
faham mengapa Mak Long beriya-iya mahu dia membuka peluang pada diri sendiri.
Bukan Mak Long sudah tidak kasihkan dia sebagai anak saudara. Dia tahu kerana
sayanglah Mak Long buat semua itu. Dia mahu lihat Mia Sara hidup gembira macam
dulu.
“Sara tak boleh. Tak boleh nak hidup
dengan orang lain sambil memikirkan Mikail pula keseorangan meneruskan cinta
terhadap Sara.”
“Sara, dengar cakap Mak Long. Kalau
kau orang nak terus macam ni, peluang memang langsung tak ada untuk kau orang
balik semula. Cuba kau fikir, andai kau kahwin, tak bahagia kemudian bercerai,
masa tulah peluang untuk kau dan Mikail terbuka kembali.”
Mia Sara berkerut kening mendengar
kata-kata Mak Longnya. Selama ini dia tidak pernah fikir begitu. Tidak pernah
terfikir untuk kahwin semata-mata untuk kembali semula ke pangkuan Mikail. Dia
tidak sanggup untuk berkongsi hidup dengan lelaki lain walaupun untuk sementara.
Diri dan cinta Mia Sara sampai bila-bila pun untuk Mikail seorang.
“Mak Long ni nak suruh Sara bercina
buta?” Mia Sara menyatakan keraguannya.
Dia harap Mak Long jelas dengan
hukum. Dalam Islam bercina buta haram hukumnya. Kahwin mutaah dan kahwin-kahwin
yang seumpamanya begitu juga. Kahwin biarlah dengan niat ikhlas, niat betul.
Jika tidak, daripada perkara halal menjadi perkara tidak halal lagi.
“Mak Long tak pernah cakap macam tu.
Mak Long cakap kalau-kalau perkahwinan kali kedua Sara tu tak bahagia hingga
mengakibatkan penceraian, sekurang-kurangnya akan ada ruang untuk kau dan
Mikail berbaik semula.”
Mia Sara mengurut-urut kepalanya
yang mula terasa berat. Risiko cadangan Mak Long terlalu besar. Dibuatnya Mia
Sara bahagia, bermakna hubungan antara dia dan Mikail memang tidak akan ke
mana-mana juga. Lebih utama daripada itu, bagaimana perasaan Mikail jika
mendapati Mia Sara sudah kahwin lain? Tentu Mikail akan hampa. Dia akan
menganggap Mia Sara sudah berubah arah.
“Sara tak sanggup Mak Long. Tak
sanggup mengecewakan hati Mikail.”
“Apa tak sanggupnya Sara. Ni untuk
masa depan Sara jugak.”
“Dibuatnya perkahwinan Sara bahagia,
kekal. Bagaimana dengan Mikail?”
“Tu pun baik jugak.
Sekurang-kurangnya Sara benar-benar dah ada kehidupan baru bersama orang lain.”
“Habis Mikail?”
“Anggaplah jodoh bersama Mikail
memang tak panjang. Hidup ni begitulah Sara. Hidup tak ikut apa yang kita
rancangkan tapi takdir. Kalau dah takdir tersurat mengatakan Sara dan Mikail
tak kekal lama, terima sajalah.”
“Mudahnya Mak Long cakap…” sinis Mia
Sara. Geram juga jadinya apabila Mak Long kelihatan tidak begitu mengambil
berat akan perasaan dia dan Mikail.
“Jangan salah faham, Sara. Mak Long
cadangkan apa yang baik buat Sara dan Mikail. Mak Long pun tak suka kau orang
jadi macam ni. Kalau boleh nak tengok kamu berdua kembali macam dulu. Kau pun
tau, Mikail tu dah macam anak Mak Long sendiri. Sekali gus Sara pun Mak Long
anggap anak juga.” Mak Long seakan terguris dengan nada sinis Mia Sara sekejap
tadi.
“Maafkan Sara, Mak Long. Bukan
maksud Sara nak sakitkan hati Mak Long. Entahlah. Kewarasan Sara ada masa dah
hilang sejak kehilangan Mikail. Sara benar-benar rindu nak bersama dia
kembali.”
Kali ini Mia Sara gagal
memperkasakan diri. Kekebalan serentak hilang dan air mata laju menuruni pipi.
Mak Long meraih Mia Sara ke dalam pelukan. Cuba memujuk dan memberi semangat
seboleh mungkin. Mia Sara tidak mempedulikan semua pujukan. Dia menangis dan
menangis lagu. Mak Long yang memeluknya dibayangkan sebagai Mikail. Dia
benar-benar sudah hilang kewarasan.
“Sara, ni takdir Tuhan. Sara patut
redha.”
Mak Long? Inikan suara Mak Long? Ah,
aku ingatkan Mikail yang memeluk aku tadi. Mia Sara kembali tidak lugu
menyedari Mikail tiada di sisinya. Tangisan makin kuat membuatkan Mak Long
tidak tahu untuk berbuat apa-apa lagi.
“Sara, patah tumbuh hilang
berganti.”
“Sara tau, tapi tentu ia tak sama
dengan yang asal, Mak Long.”
“Ya Allah Sara. Jangan macam ni.
Cubalah kuatkan semangat. Mak Long tau, Sara bukan selemah ni. Sara kuat. Cuma
sekarang Sara terlalu ikutkan perasaan. Mak Long dengar anak-anak gadis kampung
ni cakap Mia Batrisia kuat. Mia Batrisia tak mudah tunduk pada perasaan. Kan
Mia Sara dan Mia Batrisia tu orang yang sama?” Mak Long cuba mengingatkan Mia
Sara pada sesuatu yang dia sendiri sudah lupa.
Mendengar kata-kata Mak Long, Mia
Sara kembali sedar. Dia termalu. Dia lupa pada diri yang satu lagi. Mia Batrisia. Uhh, kalaulah orang ramai yang
mengenali Mia Batrisia tahu hakikat yang sebenar, tentu kekaguman mereka
terhadap Mia Batrisia akan hilang. Lebih malang mereka akan melihat Mia
Batrisia sebagai seorang yang hipokrit.
Uhh! Mia Batrisia itu keinginan Mia
Sara. Citra wanita serba elok yang dia ingin jadi. Hakikatnya sampai bila-bila
pun dia tidak boleh jadi wanita seperti Mia Batrisia. Dia serba lemah. Mudah
tewas pada perasaan sendiri. Mudah mengalah apabila diuji. Dia tiada sebarang
keistimewaan seperti yang diperlihat oleh Mia Batrisia. Dia benar-benar
individu yang lain. Dia tidak boleh disamakan dengan Mia Batrisia.
Habis, siapa Mia Batrisia sebenarnya
Sara? Satu suara menjerkah kuat dalam diri. Mia Sara tergelujat. Terasa bagai
ditampar. Dia memerhati sekeliling. Tiada sesiapa selain Mak Long yang masih
terkebil-kebil memandangnya.
“Mak Long, terima kasih…”
BAB TIGA BELAS
Persidangan
Bahasa, Sastera dan Budaya. Tahun ini sekali lagi dibuat di Uniputra. Sebagai
penggiat Bahasa dan Sastera, Mia Sara tidak ketinggalan untuk menghadiri
persidangan. Bezanya kali ini dia mempelawa Syufiqa untuk menemani. Syufiqa
teruja menerima pelawaan Mia Sara. Selain daripada rasa minat terhadap Mia Sara
masih kuat seperti selalu, ada sesuatu dalam lebuh benak Syufiqa yang dirasakan
perlu untuk dibawa berbincang bersama Mia Sara alias Mia Batrisia. Dek kerana
itu, setelah meminta kebenaran dan Samwil pun membenarkan, Syufiqa keluar
sekali lagi bersama Mia Sara.
“Syufiqa pernah datang majlis macam
ni?” Soal Mia Sara ingin tahu semasa mereka mengambil tempat duduk.
“Tak. Tak pernah sama sekali. Dulu
masa kerja sibuk, langsung takde masa. Sekarang dah jadi surirumah, asyik pula
kat rumah.”
“Samwil kongkong Syufiqa ke?” Mia
Sara tidak bermaksud untuk mengambil tahu urusan rumahtangga Syufiqa,
sebaliknya hanya ingin bersenda gurau sahaja.
Syufiqa tahu itu. Nada berjenak Mia
Sara memang jelas. Dia pun tidak ambil kisah sangat.
“Manalah dia nak kongkong saya.
Malah dia lebih suka kalau saya sesekali keluar macam ni. Boleh juga hilangkan
rasa bosan sebab dia tak selalu boleh temankan saya.” Jelas Syufiqa.
Walaupun dia tahu Mia Sara cuma
bergurau sekejap tadi, namun kalau boleh dia mahu Mia Sara jelas Samwil jenis
suami yang bagaimana. Biar Mia Sara tahu, kalau mencari suami buat kali kedua,
lelaki yang berciri-ciri seperti Samwil layak untuk difikirkan atau dimasukkan
ke dalam kuota.
“Habis, kenapa tak pernah keluar
sebelum ni?”
“Takde kawan. Maklumlah, semua kawan
saya kerja. Kalau Sara tak pelawa saya temankan Sara, ntah bila saya boleh
keluar macam ni.”
“Tak boleh juga macam tu. Kita
jangan nak bergantung sangat pada kawan.”
“Saya taklah cakap saya jenis
bergantung kat kawan. Cuma dah jadi perangai saya bosan keluar seorang diri.
Kurang-kurang kita boleh borak-borak kalau keluar dengan kawan. Samwil pun
taklah risau sangat kalau saya keluar berdua.”
“Samwil akan risau ke kalau awak
keluar seorang?”
“Selalunya begitulah.”
“Hemm,
patutlah handset Syufiqa selalu
berbunyi kalau kita keluar.”
“Betullah tu…”
“Samwil pandai ambil hati isteri…”
nada Mia Sara kendur di situ.
Mia Sara teringatkan Mikail. Itu
sudah tentu. Dahulupun dia selalu mendapat layanan istimewa daripada Mikail.
Sekarang? Sekarang tinggal lagi bersama Mia Sara cuma kenangan. Entah. Bukan
Mikail sudah enggan berbuat demikian. Mia Sara yang meminta Mikail agar jangan
lagi menghubunginya. Dia takut. Dia bimbang mereka terlajak. Mereka sudah tiada
apa-apa iaktan. Sudah kembali sebagai orang asing. Ada sempadan antara mereka.
Awal-awal penceraian mereka masih
keluar. Masih berhubung, masih bertanya khabar. Bagaimanapun mereka dapati jika
diteruskan begitu,lambat laun mereka akan menganggap mereka masih mempunyai
hubungan. Masih suami isteri. Lalu mula tersasul pegang sana, pegang sini.
Sentuh itu,sentuh ini. Sedangkan itu tidak boleh. Haram. Lalu Mia Sara, demi
menjaga maruah dan agama memutuskan agar mereka tidak lagi bertemu dan berjumpa
seperti selalu. Biar hati sahaja merindui. Itu lebih baik berbanding bertemu
selalu dan mendorong mereka terjebak dalam dosa.
Mereka sudah tidak boleh bersama.
Begitupun tidak bermakna mereka tidak boleh saling merindu dan mencintai dari
jauh. Walau perit untuk Mia Sara dan Mikail telan hakikat tersebut, mereka
perlu juga menerima. Mereka tidak boleh hidup dalam mimpi. Mereka sedar
keterlanjuran mereka yang mengakibatkan itu semua berlaku.
Syufiqa sedar akan riak lain macam
yang kini terpetia pada wajah Mia Sara. Seperti selalu, dia sekali lagi jatuh
kasihan.
“Kenapa Sara?” Soal Syufiqa sambil
menggenggam tangan Mia Sara. Bahasa badan yang sekali gus menunjukkan dia
memang ikhlas mengambil berat tentang Mia Sara.
Mia Sara menghempaskan keluhan maha
sarat. Dia menelan ludah. Menoleh dan memandang ke wajah Syufiqa. Tunak.
Syufiqa cuba menyelami erti pandangan yang dihela Mia Sara. Mengesan sesuatu di
situ. Dia tidak nampak apa-apa selain bayang duka.
Kasihannya!
Syufiqa memang kasihan yang teramat
kepada Mia Sara. Bagaimana dia boleh menjebakkan diri sehingga sejauh itu?
Kenapa dia menyeksa diri sendiri? Syufiqa tahu apa yang Mia Sara fikirkan.
Tentu sekali Mikail. Siapa lagi yang mampu merampas senyum pada wajah Mia Sara
kalau bukan Mikail? Apa lagi yang boleh merampas seri pada rias Mia Sara kalau
bukan kenangan bersama bekas suami?
Aduh, Mia Sara kenapa tidak kau
halau sahaja ingatan itu?
Syufiqa tidak faham. Cinta yang
bagaimanakah cuba dipertahankan Mia Sara? Pada pengamatan Syufiqa terhadap sikap
dan perwatakan Mikail melalui cerita-cerita Mia Sara sendiri, dia tidak
menggambarkan Mikail sebagai seorang suami yang baik dan perlu dipertahankan
segala rasa cinta dan rindu terhadapnya. Mikail penuh ego dan tidak pandai
bertolak ansur. Hanya tahu menyalahkan orang lain dan tidak mahu berfikir
sedalam-dalamnya. Lelaki begitu bukanlah lelaki ideal untuk terus dicintai dan
dipuja tapi mengapa lelaki itu juga yang didambai Mia Sara?
Huh. Ada masa cinta akan menzahirkan
sesuatu yang pelik pada diri seseorang insan. Pelik tapi itulah. Kebodohan demi
kebodohan bisa saja berlaku kerana cinta. Mia Sara seharusnya diberi peluang
untuk mengenali cinta lebih ideal. Lebih sempurna berbanding cinta bersama
Mikail.
“Sara?”
“Takde apa-apa Syufiqa.”
“Sara, awak boleh harapkan saya.”
“Kita bincang nanti. Majlis dah nak
mula ni.”
Syufiqa tidak puas hati. Dia
sebenarnya ingin mendengar luahan Mia Sara sekali lagi agar dia boleh memulakan
perkara yang bermain dalam lebuh fikirnya. Dia pun terasa ralat untuk berbuat
demikian secara tiba-tiba. Dia mahu menanti peluang. Biar Mia Sara sekali lagi
meluahkan rasa hatinya. Ketika itulah dia akan masuk jarum.
Persidangan mula berlangsung. Pun
Syufiqa tidak tahu apa-apa yang disidangkan. Dia asyik memerhati ke wajah Mia
Sara. Wanita itu nampak tenggelam dalam suasana. Entah dia benar-benar
menumpukan perhatian ataupun fikiran sudah jauh menghilang daripada jasad.
Syufiqa tidak boleh menebak. Mia Sara nampak tenang. Dia kembali seperti biasa.
Mia Sara memang pandai
menyembunyikan rasa hati. Kalau orang tidak tahu, orang takkan sangka dia ada
masalah. Aku dulupun. Huh. Dia memang boleh diberi anugerah. Itulah. Sampai
bila dia nak terus berkeadaan begini? Dia pun merana. Kalau dia tak merana,
mustahil dia boleh bercerita pada aku yang dia baru kenal ni.
Menyedari diri diperhatikan, Mia
Sara menoleh sekilas. Pandangan mereka bersatu buat beberapa ketika. Mia Sara
senyum. Syufiqa agak terkesima melihat senyuman itu. Aduh. Boleh pula dia
berlagak tenang. Beginikah seorang penulis sebenarnya? Boleh begitu dan begini
dalam satu masa.
“Syufiqa, thanks!” Ucap Mia Sara perlahan. Semi berbisik. Namun kedengaran
amat tegas.
Syufiqa tidak faham atas tujuan apa
ucapan terima kasih itu diucapkan Mia Sara. Namun dia tetap menganggukkan
kepala sambil tersenyum sama.
Mia Sara kembali pada majlis.
Menumpukan perhatian sepenuhnya. Syufiqa terpaksa akur dengan situasi. Nampaknya
hasrat di hati terpaksa ditangguhkan dahulu. Mentak Mia Sara benar-benar mahu
menumpukan perhatian pada persidangan. Lagipun inikan persidangan bahasa,
sastera dan budaya. Bukankah itu juga sebahagian daripada minat dan kecintaan
Mia Sara alias Mia Batrisia?
Sekonyong-konyong Syufiqa
terfikirkan sesuatu. Mentak inilah cara Mia Sara melupakan segala masalah yang
berlaku ke atas dirinya. Membiarkan jasad dan akal fikir tenggelam dalam segala
macam aktiviti. Terlibat dengan penulisan, kegiatan amal dan aktiviti-aktiviti
seni yang lain bukanlah didasari suatu minat dan kecintaan semata-mata, malahan
juga ia lebih berupa suatu eskapisme. Syufiqa faham begitu. Dia melupakan kisah
sedih seorang Mia Sara dan menjadi Mia Batrisia. Abadikan diri dalam dunia yang
satu lagi. Langsung melupakan segala pahit dalam diri.
Pun sampai bila Mia Sara boleh
melarikan diri begitu? Ingatan demi ingatan tidak mungkin boleh dipadamkan
semudah itu. Harus ada jalan penyelesaian lain. Suatu penyelesaian yang mampu
untuk memutuskan semua. Biar Mia Sara berpeluang bina hidup baru. Tidak lagi
hidup dalam kenangan. Mia Sara boleh melakukannya andai dia bersedia untuk
memberi peluang kepada diri sendiri.
Eskapisme.
Pembebasan.
Apa-apa sahaja yang merujuk ke arah
suatu keadah menyelamatkan ingatan daripada terus berfikir tidak memberi makna
apa-apa andai hati masih reka meneruskan.
Syufiqa tidak senang jika Mia Sara
mahu terus begitu. Bukan meletakkan diri sebagai seorang peminat. Bukan sebagai
seorang pemuja. Jauh daripada itu semua Syufiqa telah meletakkan diri sebagai
seorang sahabat. Sahabat yang teringin melihat Mia Sara menjalani satu
kehidupan normal. Kehidupan biasa seperti orang bebanyak. Mempunyai pasangan.
Mencintai dan dicintai sebagaimana masyarakat lain. Bukan mencintai dan
dicintai sebagaimana yang dilalui bersama Mikail kini. Ia tidak masuk akal.
Memang tidak masuk akal.
Lalu sebagai sahabat, Syufiqa
tergemik-gemik untuk menjalankan tanggungjawab. Menyelamatkan Mia Sara. Membuka
mata Mia Sara dan menunjukkan kepada Mia Sara betapa tidak berbaloi andai dia
meneruskan hubungan bersama Mikail dengan cara itu. Dengan cara ingatan
semata-mata. Mia sara tidak harus mengikat diri begitu. Mereka tetap tidak
boleh bersama walau hati masih kuat cinta-mencintai antara satu sama lain. Cinta itu tidak memberi makna
apa-apa jika tiada penyatuan antara jasad dan jiwa.
Fakulti minda Syufiqa dihenyak jauh
oleh pelbagai rencam buah fikiran. Fakulti benak yang sempit itu menjadi amat
sendat. Sungguhpun demikian, Syufiqa masih ingin meneruskan. Dia harus mencari
jalan paling berkesan bagi menyelamatkan Mia Sara. Kasihan Mia Sara.
Benar-benar kasihan jika dia dibiarkan terus bermasalah seperti itu.
Majlis terus berlangsung. Syufiqa
pula terus hanyut. Dia langsung tidak tahu apa-apa lagi berkaitan majlis. Mia
Sara di sebelah pula nampak begitu tekun. Sama-sama melibatkan diri. Masa terus
berjalan.
“Syufiqa, majlis berehat sekejap.
Lepas zuhur sambung balik Syufiqa nak terus berada di sini atau nak pulang?”
“Pulang? Err, taklah. Samwil dah
izinkan saya terus berada di sini sampai petang. Nanti dia sendiri datang
jemput saya. Kami dah janji nak makan malam kat luar.” Terang Syufiqa
bersungguh-sungguh.
Dan memangpun itulah hakikatnya. Dia
terlupa untuk memberitahu Mia Sara. Samwil telah membenarkan dia mengikuti
persidangan sehingga ke petang.
“Begitu. Bagus juga kalau Syufiqa
nak terus berada di sini. Tadi tu saya cuma inginkan kepastian sebab kesiankan
Syufiqa. Dalam majlis tadi Syufiqa nampak bosan. Asyik mengeluh.”
“Mengeluh?” Syufiqa tergelujat. Dia
tidak sedar langsung dia mengeluh. Malunya! Tentu Mia Sara telah memandang
negatif terhadapnya. Memang dia agak mengantuk dalam majlis tadi, pun tidak
bermakna dia bosan kerana otaknya asyik berfikir bagaimana mahu menyelamatkan
Mia Sara daripada terus mengharungi kehidupan seperti yang dialami sekarang.
“Kalau macam tu kita pergi makan
dululah. Kemudian kita cari tempat untuk solat. Rasanya kat tingkat atas
bangunan ni ada surau.” Ujar Mia Sara kemudiannya apabila Syufiqa kelihatan
hanya mampu terkebil-kebil.
“Saya tak boleh solat.”
“Makan? Takkan makan pun tak boleh…”
Mia Sara cuba untuk berparodi.
Syufiqa tersengih. Tidak diduga Mia
Sara pun pandai loyar buruk juga.
“Kita nak makan kat mana?” Soal
Syufiqa kemudiannya. Semasa dia datang tadi dia memang tidak nampak mana-mana
kafeteria berdekatan.
“Kita ke SS ajelah. Kat sana banyak
pilihan. Sekitar kampus ni pun ada banyak tempat makan tapi saya tak biasa
sangat makan kat dalam kawasan kampus ni.”
“Saya setuju je. Saya bukan
biasa kawasan sini. SS pun saya tak tau
kat mana.”
“SS, Sri Serdang. Dekat je. Pelajar
kat sini selalu jalan kaki nak ke sana tapi kita dah berumur sikit ni tak larat
nak jalan kaki. Lagipun kereta dah ada, buang tenaga pulak kalau jalan kaki.”
Mia Sara berkata sambil tersengih.
Hairan betul Syufiqa. Kali ini Mia
Sara kembali macam tiada masalah. Macam awal-awal perkenalan mereka. Kalau Mia
Sara terus macam ni, bagaimana aku nak mulakan? Getus hati kecil Syufiqa.
“Macam mana?”
“Mana-manalah. Saya ikut je.”
Mereka mula bersedia untuk keluar
dari dewan persidangan.dan melangkah ke tempat kereta diparkirkan. Baru saja
melangkah keluar dari pintu, satu suara lelaki memanggil nama Mia Sara.
Kedua-dua mereka menoleh. Syufiqa tidak kenal lelaki yang sedang berjalan
menghampiri mereka. Badannya tegap tinggi. Nampak macho dan tough namun
sedikit tidak terurus. Syufiqa memandang Mia Sara. Melihat reaksi Mia Sara
terhadap kehadiran si lelaki. Terkesima Syufiqa menyedari perubahan pada wajah Mia
Sara.
Siapa pula lelaki ini? Syufiqa mula
tidak tenteram dan banyak tanda tanya maya bermain atas kepalanya.
“Apa abang buat kat sini?”
Abang? Setahu Syufiqa Mia Sara tiada
abang. Ini abang angkat atau abang terangkat ni?
“Abang tengok pengumuman kat tv
pasal persidangan hari ni. Abang tau Mia mesti hadir majlis ni. Abang sengaja
datang nak jumpa Mia.”
Huh. Syufiqa rasa dia tahu siapa
lelaki ini. Mia Sara cakap hanya dia seorang yang memanggil Mia Sara begitu.
Begitupun, siapapun dia biar Syufiqa buat pengesahan dulu. Syufiqa menghelakan
pandangan ke wajah Mia Sara. Masih tertunggu-tunggu Mia Sara memperkenalkan
lelaki itu kepadanya. Sementara si lelaki di depan pula langsung tidak
mengendahkan kewujudan Syufiqa. Dia nampak tidak berminat untuk berkenalan
dengan Syufiqa.
“E, maaflah Syufiqa. Lupa pula nak
kenalkan, ni Mikail, suami saya.” Mia Sara mula menyedari kesilapannya.
Mikail? Suami? Huh. Mia Sara memang
dah kemaruk. Kenapa tak cakap saja bekas suami? Nak jaga hati Mikail lah tu.
Gerutu Syufiqa dalam hati. Pun dia tetap menganggukkan kepalanya kepada Mikail
tanda perkenalan. Mikail cuba untuk mengukirkan senyuman. Nampak hambar. Uhh,
dia ni benar-benar kurang mesra alam. Apa yang buat Mia Sara sayang sangat kat
dia?
“Kami nak pergi makan ni. Abang nak
ikut?”
Syufiqa memang kurang senang dengan
sikap yang ditunjuki Mia Sara. Entah kenapa dia naik jaki melihat Mikail. Dia
kurang mengalu-alukan kehadiran Mikail di tengah-tengah mereka berdua. Pendek
kata kewujudan Mikail akan membantutkan hasrat Syufiqa untuk menyampaikan
sesuatu yang penting. Sungguhpun demikian, apa boleh dia buat memandangkan dia
tidak mahu Mia Sara menganggap bukan-bukan terhadapnya.
“Bolehlah. Kita pun dah lama tak
jumpa, tak borak-borak.”
Lalu mereka bertiga mengatur langkah
seiring. Mereka memutuskan untuk menaiki kereta Mikail sahaja. Biar lelaki itu
yang memandu dan Syufiqa duduk di belakang. Itu lebih baik. Syufiqa bolehlah
memerhatikan gelagat mereka berdua tanpa mereka sedari. Tapi hati Syufiqa tidak
tenteram. Merasakan Mikail menjelma untuk menghancurkan suasana tenang antara
mereka.
Lihatlah Mia Sara tu. Tadi elok
saja. Sudah tersenyum, berparodi dan nampak ceria. Alih-alih kedatangan Mikail
merampas semua senyum pada wajah Mia Sara. Mungkin dia nampak gembira kerana
Mikail datang dan memecah rindu. Pun Syufiqa masih dapat mengesan bebola mata
Mia Sara kelihatan berkaca-kaca.
Rindukah itu?
Mia Sara pun nampak sedikit gugup.
Huh. Macamlah mereka baru kenal.
Anehnya cara mereka bercinta. Syufiqa memang tidak boleh menerima keadaan itu.
Kelakuan pasangan di depan Syufiqa nampak aneh bagi pasangan yang sedang
bercinta. Bercinta jenis apakah itu? Buang masa saja. Rindu dendam macam mana
sekalipun mereka tetap tidak boleh bersama. Itu yang buat Syufiqa geram.
Sementelahan dia telah mengatur suatu rancangan untuk Mia Sara dan berhasrat
menyuarakan rancangan itu kepada Mia Sara.
Dah jadi macam ni, nak cakap apa
lagi? Ngomel Syufiqa dalam hati.
“Mia balik kampung baru-baru ni?”
Mikail nampaknya cuba untuk menghidupkan suasana antara mereka. Lebih spesifik
antara dia dan Mia Sara sedang kewujudan Syufiqa di belakang langsung tidak
diendahkan.
“Mak Long cakap?”
“Ya, dia telefon abang.”
“Ingatkan abang pun ada balik sana.”
“Belum ada masa lagi. Nak datang
sini pun abang mohon cuti awal-awal.”
Syufiqa menelinga sahaja. Tidak
berminat untuk berkongsi ruang bual antara mereka. Mikail pun nampak tidak
berminat dengannya. Malaslah dia meramahkan diri. Lagipun rasa jaki terhadap
Mikail menebal amat. Huh, dia pun tidak faham mengapa sampai macam itu sekali
rasa kurang senangnya terhadap Mikail. Seakan-akan dia merasakan Mikail mampu
untuk menggagalkan rancangan yang telah diatur untuk Mia Sara.
Mia Sara dan Mikail terus berbual
itu, ini. Perkara remeh-temeh pun mereka bicarakan. Syufiqa di belakang
mengomel dalam hati. Rasa kurang selesa apabila Mia Sara nampak
mengkesampingkan dirinya setelah kemunculan Mikail. Dia menggerutu seorang
diri.
Nampaknya Mia Sara seakan-akan sudah
tidak ingat dunia sekeliling lagi apabila Mikail ada di sisi. Begitu punya
tinggi tahap cinta Mia Sara terhadap Mikail. Mia Sara mesti menghentikan
kegilaan itu. Syufiqa pula merasa bertanggungjawab untuk menolong Mia Sara
menghentikan kegilaannya itu.
Dia mesti.
Kegilaan Mia Sara tidak boleh
dibiarkan berterusan. Tiada maknanya dan Mia Sara memang perlu disedarkan.
BAB EMPAT BELAS
Lambatnya! Keluh
Syufiqa dalam hati semasa menunggu ketibaan Samwil menjemputnya sebagaimana
yang telah mereka janjikan.
“Syufiqa dah hubungi Samwil?” Soal
Mia Sara melihat Syufiqa sedikit resah menanti Samwil.
“Dah. Dia cakap jalan sesak.”
Mia Sara memerhatikan jam di
pergelangan tangan. Jam-jam begitu memang keadaan jalan raya sesak. Sebab
itulah selalunya dia mengelakkan diri daripada memandu semasa waktu puncak.
“Abang nak balik dulu?
“Mia?”
“Mia nak temankan Syufiqa. Tak patut
pula kita tinggalkan dia kat sini seorang diri. Dia datang sini pun dengan Mia
tadi.”
Baguslah kalau masih sedar. Syufiqa bimbang
juga, dek kerana kegilaan yang melampau-lampau terhadap bekas suami membuatkan
Mia Sara tidak sedar akan kenyataan itu.
Pun Syufiqa tahu, Mia Sara seboleh
mungkin mahu mengawal diri. Walaupun lelaki yang dirindui sudah ada depan mata,
dia tidak keterlaluan. Malahan dalam dewan tadi dia kembali duduk berdua dengan
Syufiqa apabila majlis disambung kembali. Syufiqa bimbang juga kalau-kalau Mia
Sara akan terus membuatkan dia merasa dikesampingkan. Mujurlah wanita itu masih
waras. Masih belum hilang pertimbangan.
“Kenapa Sara tak pergi kat dia?
Begitu soal Syufiqa. Dia bukan mahu menyindir. Sekadar ingin menduga Mia Sara.
Mana tahu rindu mengatasi segala-galanya.
“Tak baiklah macam tu. Kami bukan
ada apa-apa ikatan yang menghalalkan perbuatan kami. Tadi pun mujur ada
Syufiqa, kalau tak kami tak akan keluar makan sama macam tadi.”
“Sara dah lama tak keluar dengan
dia?”
“Dah lama. Kami lebih rela merindu
dan mencintai dari jauh. Kami bimbang. Maklumlah, makin kita lawan nafsu,
makinlah syaitan tu nak goda.”
Syufiqa tidak terkejut dengan
jawapan Mia Sara. Dia pun faham Mia Sara jenis yang bagaimana. Tentulah dia
mahu mengelakkan sebarang perbuatan yang dilaknat Allah. Keluar berdua dengan
lelaki yang bukan muhrim, tambahan pula lelaki yang jasad dan hati terlalu kuat
mahu dampingi tentu boleh membuatkan diri digoda oleh perkara bukan-bukan.
Percayalah. Jika sudah bersama seperti itu, siapa boleh menahan rasa?
“Itu, Samwil dah sampai!” Mia Sara
mengejutkan Syufiqa yang dibawa ingatan.
Syufiqa senyum melihat ketibaan
Samwil.
Samwil memarkirkan kereta dalam
petak parkir yang disediakan di sekitar kawasan dewan majlis persidangan. Dia
kemudian turun mendapatkan Syufiqa yang masih tercegat menanti ditemani Mia
Sara dan seorang lelaki. Syufiqa menyalami tangan Samwil. Samwil tanpa segan
mengucup dahi Syufiqa. Aksi spontan yang membuatkan Mia Sara dan Mikail
berpandangan. Tentu teringatkan kenangan manis seumpama itu yang pernah mereka
lalui bersama.
“Maafkan abang, Fiqa…”
“La, buat apa minta maaf. Kan jalan
sesak tadi.” Syufiqa senyum lagi.
“Abang, ni suami Syufiqa.” Mia Sara
memperkenalkan Samwil kepada Mikail.
Dua orang lelaki itu bersalaman.
Kali ini barulah Syufiqa berpeluang melihat Mikail mengukirkan senyuman setelah
sejak tadi dia nampak serius sahaja.
Hemm. Boleh tahan juga kalau dia
senyum. Patutlah Mia Sara sayang sangat kat dia. Komen Syufiqa di dalam hati.
Huh, rupa lawa pun buat apa kalau tak pandai jaga hati bini. Tak pandai nak
tolak ansur. Ego tinggi. Hah, sekarang baru nak gila talak.
“Kami nak pergi makan, jomlah ikut
sekali.” Pelawa Samwil.
Mia Sara dan Mikail berpandangan.
Syufiqa pun hairan juga. Boleh pula suaminya menjadi seramah itu. Biasanya
kalau ada Mia Sara dia bukan main beku. Hari ini perwatakan Samwil berlainan
pula. Mentak sebab ada Mikail di sebelah. Tapi itu bagus juga.
Sekurang-kurangnya Syufiqa boleh menunjukkan kemesraannya suami isteri depan
mereka. Biar mereka tahu, biar Mikail terutamanya tahu bagaimana mahu
berhubungan sebagai suami isteri. Kemudian sedar dia telah melakukan kesilapan
maha hebat dengan menceraikan Mia Sara talak tiga.
Kesilapan itu membuatkan Mikail
terlepas semua peluang manis dalam hidup di samping seorang isteri. Dan untuk
Mia Sara pula, biar dia rindukan semula semua itu agar hatinya terbuka untuk
berfikir cara waras dan mula memikirkan untuk kahwin sekali lagi. Lebih baik
jika dia memikirkan untuk mencari seseorang seperti Samwil. Biar dia sedar,
sebagai suami layanan mestilah baik terhadap isteri. Samwil ada pakej tersebut.
Dia memang bagus!
“Macam mana?”Soal Syufiqa pula. Dia
kalau boleh mahu mendengar jawapan positif daripada Mia Sara dan Mikail.
Mia Sara dan Mikail berpandangan.
Mereka tidak mahu mengganggu. Pun menolak bermakna mereka telah melepaskan
peluang untuk bersama lebih lama. Masing-masing tahu, tanpa pihak ketiga tidak
mungkin untuk mereka keluar makan bersama-sama lagi. Mereka sudah berjanji
begitu. Mereka sudah lama tidak bertemu, jadi mengapa harus melepaskan peluang
yang ada?
“Macam mana, Mia?” Soal Mikail.
“Mia takde halangan.”
“Kalau dua-dua tak ada masalah,
jomlah.” Ajak Syufiqa kemudiannya.
Setelah persetujuan dicapai, mereka
akhirnya bersepakat makan bersama-sama sebelum masing-masing membawa haluan
sendiri. Mikail dan Samwil memandu sendirian sementara Syufiqa menumpang kereta
Mia Sara untuk ke tempat makan. Sengaja Syufiqa mahu bersama Mia Sara kerana
dia ingin berbincang sesuatu dengan Mia Sara. Sementelahan dia rasa tidak elok
sekiranya dia bersama Samwil sedangkan Mia Sara sendirian memandu memandangkan
awal-awal tadi mereka telah bersama. Dia tidak ingin membelakangkan Mia Sara
setelah kehadiran Samwil.
Dalam perjalanan, Syufiqa hilang
buah fikiran untuk memulakan. Mia Sara pula kembali lesu. Wajah dan perasaan
sama-sama tampak suram. Uhh. Ini tidak lainlah. Tentu disebabkan Mikail.
Besarnya pengaruh Mikail dalam hidup Mia Sara. Syufiqa tahu sesuatu perlu
dilakukan.
“Sara…” seru Syufiqa mencipta
bualan. Jeda di situ. Dia harus berhati-hati mengeluarkan kata-kata.
Hubungan antara mereka masih muda
benar. Bimbang kalau-kalau sebarang kesilapan Syufiqa akan memudaratkan
hubungan mereka. padahal Syufiqa berniat ikhlas untuk menolong Mia Sara. Konsep
bersahabat perlu ada bantu-membantu dan saling simpati terhadap satu sama lain.
Itulah yang cuba diterapkan Syufiqa dalam persahabatan yang baru terjalin itu.
Dia berharap Mia Sara tidak akan salah anggap.
Mia Sara menoleh mendengar seruan
Syufiqa. Ternanti-nanti apa yang bakal diluahkan dari kerongkongnya. Dia tahu
tentu ia akan bersangkut-paut dengan Mikail.
“Sara, Sara rasa tindakan Sara
patutkah?” Syufiqa memulakan.
“Tindakan apa?”
“Maksud saya, sara rasa patutkah
teruskan hubungan dengan Mikail ni? Saya tak nampak masa depan dalam hubungan
Sara dan dia. Minta maaf saya cakap macam ni tapi saya rasa sebagai sahabat
saya berhak bagi pandangan jujur kat Sara.”
“Kami dah takde jalan lain lagi
Syufiqa. Nak buat macam mana? Sekurang-kurangnya kami mampu pertahankan cinta
kami walaupun jasad tak boleh bersatu.”
“Tulah masalahnya. Kalau jasad tak
boleh bersatu, ke mana lagi Sara nak bawa hubungan ni? Tak ada maknanya kalau
diteruskan.”
Mia Sara menelan ludah. Ini bukan
kali pertama Syufiqa berkata demikian. Malah ini bukan kali pertama juga dia
mendengar kata-kata sedemikian. Sebelum Syufiqa berkata begitu, Mak Long di
kampung sudah jenuh menasihatkan. Begitupun, apa jalan yang mereka ada untuk
membantu Mia Sara mendapat kehidupan lebih bermakna lagi? Mencadangkan agar
menerima kehadiran orang lain? Memberi peluang kepada diri sendiri bina hidup
baru? Ah, Mia Sara sudah terlalu bosan dengan cadangan-cadangan domestik
begitu.
Apa yang mereka susah hati sangat
melihat keadaan Mia Sara dan Mikail? Mereka tidak susahkan sesiapa. Tidak juga
jentik sesiapa. Jadi apa susahnya mereka? Kenapa orang lain pula lebih-lebih
mahu terasa termengkelan?
“Sara jangan salah faham. Jauh di
sudut hati saya berniat ikhlas terhadap Sara. Takde niat mahu mencampuri urusan
peribadi Sara. Sebagai sahabat, saya tegur apa yang patut saya tegur.”
Aik, macam faham-faham pula apa yang
berlegar dalam benak aku sekarang ni.
“Sara tak ingat Batrisia? Tak ingat
betapa comelnya Batrisia?”
Huh. Dia sengaja nak pancing
kesedihan akulah ni. Masakan aku tak ingat satu-satunya anak yang pernah aku
lahirkan.
“Saya tau, jauh di sudut hati Sara
masih teringin nak lahirkan cahayamata secomel Batrisia.”
Mia Sara belum terbangkit nafsu
untuk berbalas kata. Buat masa ini dia lebih senang tunasuara. Menelinga
sahaja. Lagipun dia mahu cakap apa? Dia mahu menyangkal kata-kata Syufiqa?
Bohonglah kalau dia kata dia tidak mahukan anak lagi. Kenangan bersama Batrisia
cukup indah. Kenangan itu sentiasa menggemik-gemik ingatan Mia sara. Dia rasa
ingin sekali lagi diberi peluang seperti itu. Diberi peluang melahirkan anak
secerdik Batrisia.
“Kalau Sara terus macam ni, Sara tak
mungkin mampu lahirkan seorang Batrisia lagi.”
Aku tahu semua tu. Aku tahu! Tapi
aku nak buat macam mana? Tak mungkin aku boleh kahwin balik dengan Mikail. Tak
mungkin sama sekali. Semuanya bersipongang dalam hati Mia Sara sedangkan
zahirnya air mata mula menguasai diri.
Syufiqa sedar dia akan membuatkan
Mia Sara menangis. Menangislah. Dia sudah bersedia untuk melihat air mata Mia
Sara. Menangislah. Selepas puas menangis dia akan fikirkan kembali segala
kata-kata Syufiqa.
“Kahwin lain bukan perkara mudah.
Katakan ada lelaki yang sudi kahwin dengan saya, bolehkah saya pula terima dia
padahal hati masih seratus-peratus sayangkan Mikail?” Mia Sara mengesat air
bening yang mengalir di pipi.
“Itu masalahnya. Sara patut kikis
rasa sayang Sara terhadap dia. Mikail bukan jodoh buat Sara lagi. Pedulikan
dia.” Cadang Syufiqa. Dia sendiri tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk
berkata begitu kepada Mia Sara.
Senangnya Syufiqa bercakap. Kalaulah
semua itu begitu mudah dilakukan, aku tak perlu buang masa sehingga
bertahun-tahun lamanya. Pun semua itu hanya setakat di hati sahaja. Tidak
terluah secara vokal. Zahiriahnya Mia Sara hanya mampu menangis sahaja.
“Sara, maafkan saya. Niat saya
ikhlas. Bukan niat nak sakitkan hati Sara. Bukan nak buat Sara sedih. Jauh
sekali nak buat Sara menangis sampai macam ni.” Syufiqa mula tersayat sayu.
Tangisan Mia Sara mula meruntun
hati. Dia terasa bersalah.
“Saya faham niat Syufiqa. Semua
orang pun nak yang terbaik buat kami berdua. Masalahnya, apabila kita bercakap
soal hati dan perasaan, banyak perkara tak masuk akal dan tak munasabah akan
terlihat.” Mia Sara cuba untuk mengawal tangisannya.
“Dah, janganlah menangis. Tengok
depan tu. Dia orang dah berhenti kat sebuah restoran. Tak baik kalau mereka tau
Sara menangis. Nanti apa kata Samwil. Dia masih belum tau apa-apa.”
Mia Sara berkerut kening. Memerhati
dalam-dalam ke wajah Syufiqa. Sangkanya selama ini Syufiqa sudah pun bercerita
kepada Samwil.
“Betul. Dia tak pernah tau apa-apa.
Kan Sara dah minta saya janji. Saya jenis yang pegang pada janji.”
“Syufiqa, terima kasih
banyak-banyak.” Mia Sara terharu.
Selepas memasuki petak parkir dan
memberhentikan kereta, pantas sahaja dia memeluk Syufiqa di luar jangkaan
Syufiqa sendiri. Lama dia teresak-esak dalam dakapan Syufiqa. Dia benar-benar
terharu menerima persahabatan seperti itu. Selama ini dia sering merasakan diri
keseorangan. Tiba-tiba baru malam itu dia sedar, siapa jua sudi untuk mendengar
masalahnya sekiranya dia yang terlebih dahulu sudi meluahkan.
Selama ini dia tidak berani untuk
bercerita kepada sesiapapun masalahnya. Dia lebih senang memendam perasaan
dalam diri. Paling kerap, dia akan luah melalui karya-karyanya segala kepiluan
yang dialami. Begitulah paling tinggi yang mampu dilakukan. Dia tidak pernah
bersedia untuk bercerita kepada orang lain. Kononnya mahu menjaga reputasi
sendiri. Juga kerana tidak mahu mendedahkan ketidaksempurnaan hidupnya. Mana
tahu itu langkah paling wajar.
“Dah, Sara jangan menangis lagi.
Nanti dia orang nampak, susah…” pujuk Syufiqa.
Mia Sara cuba membina kekuatan dalam
diri. Menjarakkan tubuh dari batang tubuh Syufiqa. Memandang ke arah Samwil dan
Mikail. Mereka kelihatan sedang berbual-bual. Hairan. Baik Syufiqa mahupun Mia
Sara, kedua-duanya hairan dengan sikap pasangan masing-masing. Samwil mahupun
Mikail bukanlah jenis yang mudah untuk menerima kawan baru. Alih-alih malam
itu, kedua-dua lelaki itu boleh pula bercakap dengan penuh mesra.
Jantung Mia Sara bergetar. Dia
menghempaskan keluhan. Aduh Tuhan. Andainya Mikail tahu satu masa dahulu Samwil
pernah menjadi penyeri dalam hidup Mia Sara, bagaimana agaknya? Tentu gamat.
Tentu mereka tidak semesra itu. Mia Sara bukan tidak tahu cemburu Mikail. Uhh.
Tiba-tiba dia teringatkan Syufiqa sendiri. Perempuan itu tahukah yang dia juga
sebenarnya pernah hadir dalam hidup Samwil? Bagaimana agaknya penerimaan
Syufiqa pula?
Mia Sara memandang Mikail kemudian
memandang Syufiqa.
Syufiqa yang menyedari gelagat Mia
Sara cuba untuk mengukirkan senyuman. Niat Syufiqa mahu memberi semangat tanpa
mengetahui apa yang bermain dalam benak Mia Sara ketika itu. Kalaulah dia tahu,
Mia Sara tidak dapat membayangkan penerimaan Syufiqa. Mahukah dia terus berbuat
baik kepada Mia Sara?
Ah, lebih baik dia tidak tahu!
Setelah keadaan kembali baik bagi
pihak Mia Sara, mereka seiringan melangkah mendapatkan Samwil dan Mikail yang
sedia menanti. Samwil menggapai tangan untuk meraih Syufiqa. Perbuatan Samwil
diperhatikan Mia Sara. Mikail juga. Mereka kemudian berpandangan sesama
sendiri. Mia Sara mengetap bibir bawahnya. Mikail merenung Mia Sara seakan cuba
mengatakan sesuatu yang jauh terpendam dari pojok hati paling dalam.
Boleh sy tanya apa maksud syufiqa?
ReplyDelete