Tuesday, 11 September 2012

BIARKAN SAJA bab5-14



 Biarkan saja

BAB LIMA

Masa berlalu begitu pantas. Daniel langsung tidak terkejar pergerakannya. Pejam celik-pejam celik sudah masuk semester baru bagi pelajar-pelajar IPT. Bermulalah masa sibuk Daniel. Alunie begitu juga. Hinggakan mereka berdua jarang mempunyai masa untuk bersembang seperti minggu-minggu awal perkahwinan mereka. Kesibukan mereka menghalang hatta untuk bertemu muka sekalipun. Alunie seawal subuh sudah meninggalkan rumah, pulangnya sesudah Daniel masuk ke bilik.

            Pernah juga Daniel cuba menjengok Alunie di toko buku dan alat tulisnya. Sering kali pula Alunie tiada kerana ke stor. Tempat penyimpanan stok barang-barang pesanannya. Untuk cuba menjengah ke sana Daniel kesempitan masa kerana terikat dengan jadual kelas botani dan dendrologi. Dua subjek ajarannya. Sekali dia tidak datang kuliah, banyak pelajarnya akan ketinggalan. Sementelahan pula Daniel bukan jenis pensyarah kaki ponteng kuliah.

            “Cik Berahim, Cik Mat mana?” Tanya Daniel kepada Petugas Herbarium.

            “Entahlah Doktor. Baru kejap tadi kami dok sembang. Ke tandas atau minum agaknya.”

            Daniel memandang jam. “Pukul berapa pergi minum dia ni? Kan waktu pejabat ni.” Daniel sedikit kesal. Sudah banyak aduan diterima tentang perilaku petugas herbarium tersebut. Terlalu suka mengambil kesempatan pergi ke mana-mana ketika masih dalam waktu kerja.

            Cik Ibrahim hanya tersenyum. Dia faham kenapa ada sungutan sebegitu keluar daripada mulut Dr. Daniel. Salah seorang tenaga pengajar muda di Fakulti Perhutanan.

            “Beginilah Cik Ibrahim, karang kalau dia dah balik suruh dia prepare untuk tutorial petang ni. Cari spesimen baik sikit untuk student saya. Jangan asyik rambutan, jambu, rambutan, jambu. Balik-balik tu je spesimen yang dia pandai bawa balik.”

            Cik Ibrahim ketawa kecil mendengar Daniel merungut seperti itu. Namun sempat juga dia mengangguk-angguk tanda patuh pada arahan Daniel.  Dia sendiri maklum sikap pemalas kawan sekerjanya, Cik Mat. Dia malas pergi jauh, alih-alih dikutipnya daun-daun pokok sekitar UPM untuk dijadikan spesimen sewaktu kelas tutorial dijalankan pada sebelah petang hari-hari tertentu.

            Daniel baru saja melabuhkan punggungnya ke kerusi sewaktu Muiz tersembul di muka pintu.

            “Hai Dan!” Muiz bermulut manis menyapanya.

            “Hah, kau tersengih-sengih datang sini nak apa?” Soal Daniel, agak malas melayan kehadiran Muiz. Dirasakan Muiz datang tidak kena masanya. Sewaktu  hatinya membengkak kesal dengan sikap sesetangah kakitangan fakulti tersebut yang ambil mudah soal masa kerja.

            “Kau free malam ni Dan?”

            “Kenapa pulak?”

            “Malam ni ada parti best tau…” Muiz memberitahu sambil mengukir senyuman penuh makna. Cuba menggoda Daniel dengan senyuman itu.

            Terpeta di minda Daniel parti ‘best’ Muiz cuba fahamkan kepadanya. Rasa mual bergelora di dalam perutnya apabila suasana di parti tersebut bagai diulang tayang di benaknya.

            “Dah le Muiz. Kalau parti macam dulu aku tak nak join. Kau pegilah sendiri,” kata Daniel tanpa memandang ke wajah Muiz sebaliknya pura-pura sibuk mengadap komputer.

            “Aik, takkan dah kahwin terus berubah? Hebat sangat ke bini kau kat rumah tu Dan?” Jengkel Muiz berserta dengan ketawa. Kononnya perkara itu terlalu mencuit hati.

            “Sebelum atau selepas kahwin aku memang tak pernah berminat dengan parti tak bermoral macam tu. Kau ajak je orang lain,” tegas Daniel.

            “Alah kau pura-pura alim pula Dan. Takkan kat oversea dulu kau tak pernah pegi parti macam ni?” Muiz kedengaran mula tidak berpuas hati dengan reaksi Daniel.

            “Muiz, kalau kau ke mari saja nak cakap pasal tu, aku harap kau boleh keluar dari bilik aku sekarang juga. Aku sibuk ni.” Daniel semakin bertegas sambil memandang ke wajah Muiz dengan harapan Muiz akan faham.

            “Okeylah Dan kalau kau tak nak aku ganggu kau dengan hal tu. Aku surrender. Tapi bila kau nak kenalkan aku kat isteri kau, sapa nama dia…hah Ayunie.”

            “Bukan Ayunie, Alunie.” Daniel membetulkan kesilapan Muiz.

            Berkerut dahi Muiz mendengar perbezaan nama yang diperbetulkan Daniel.
“Dalam kad hari tu aku rasa Ayunie.” Muiz berkeras.

            “Tersilap cetak tu.”

            “Tak kisahlah apa-apa pun. Apa yang penting bila kau nak kenalkan dia pada aku?” Muiz bagaikan mendesak.

            Daniel memandang sahaja ke wajah Muiz. Tidak tahu bagaimana untuk memberikan jawapan. Bukan sekali ini dia ditanya begitu, malah hampir keseluruhan kakitangan fakulti Perhutanan dan rakan taulan yang mengenalinya akan bertanya tentang isterinya. Maklum sahaja mereka tidak berkesempatan untuk turun ke Kelantan menghadiri majlis perkahwinan Daniel sedikit masa dulu.

                Semasa bertunang pula tidak sekalipun Daniel pernah membawa Ayunie bertemu rakan-rakannya atau membawanya menghadiri sebarang majlis makan-makan yang dianjurkan oleh pihak fakulti.  Bukan Daniel tidak ingin, hanya Ayunie yang sering mencipta alasan malas untuk mengekori Daniel berdepan dengan golongan terpelajar memandangkan dia cuma berkelulusan diploma dalam bidang kesetiausahaan. Rakan-rakan Daniel pula semuanya paling kurang akan memegang master jika tidak bergelar doktor sekalipun.

            Kini berkahwin pula dengan Alunie, kembar Ayunie itu pula ketara sibuknya. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini memustahilkan dia untuk membawa Alunie keluar berpeleseran dengan kawan-kawannya meskipun hanya untuk satu jamuan ringan. Kalau Alunie tidak sesibuk mana sekalipun pun, mahukah wanita tersebut akur dengan permintaannya. Kelak mereka terpaksa berinteraksi sebagai suami isteri dan bukan hanya sekadar kawan seperti mana corak kehidupan mereka sepanjang mendirikan rumahtangga. Mahukah Alunie?


Alunie meletakkan briefcasenya ke sofa panjang. Memerhati ke atas, ke bilik Daniel. Bilik itu tampak gelap. Dia membuat andaian Daniel belum pulang lagi. Jam di dinding ditatapnya. Masih awal. Baru jam sembilan malam. Patutlah Daniel belum balik. Kebiasaannya  kata Daniel jam sepuluh paling awal dia pulang apabila semester baru bermula. Tidak pula Alunie bertanya lanjut.

            Memandangkan dia cuti sembahyang maka Alunie tidak tergesa-gesa naik ke bilik untuk membersihkan tubuh, seterusnya menunaikan solat isyak seperti kebiasaannya. Oleh sebab itu Alunie memilih untuk berehat sambil membaca majalah Mingguan Wanita keluaran berminggu-minggu sudah. Kesibukannya menghalang dia membaca majalah itu walaupun satu muka surat.

            Bacaan Alunie terganggu seketika apabila pintu depan kedengarannya dibuka dari luar. Tersembul Daniel dengan wajah agak keletihan menjinjing briefcase. Dia memberi salam kepada Alunie apabila disedari Alunie sedang berlunjur malas di sofa.

            “Awak dah sembahyang?”

            “Dah, kat fakulti tadi. Ada apa-apa tak kat dapur? Laparlah.” Tanya Daniel tanpa segan.

            Memang sepanjang kahwin dia tidak pernah segan kalau menyentuh soal makan. Apatah lagi disedarinya Alunie memang sentiasa saja meninggalkan sesuatu untuknya mengalas perut di dalam peti ais.

            “Hari ni saya tak sempat nak beli apa-apa. Tak apalah, kalau awak  lapar sangat saya boleh masak mee goreng.”

            “Tak menyusahkan awak?”

            “Saya pun lapar jugak ni,” balas Alunie tersenyum manis.

            Seketika kemudian Alunie telah hilang di dapur. Daniel tersenyum sendiri. Serasa beruntungnya dia jika dapat bermanja dengan wanita seperti Alunie. Sampai bila agaknya kami akan terus begini? Daniel menyoal di dalam hati. Cukup untuk didengar oleh sanubarinya semata-mata.

            Daniel sudah siap membersihkan tubuhnya sewaktu masuk ke dapur. Alunie ketika itu sedang menghidangkan dua pinggan mee goreng di atas meja bersama dua mug coklat panas.

            “Nampak menyelerakan,” puji Daniel sewaktu berdiri dekat di sebelah Alunie. Bau losyen selepas bercukur dari wajahnya menerjah ke rongga hidung Alunie. Bau segar itu  mendorong Alunie mendongak memandang ke wajahnya.

            Lelaki ni nampak lebih kacak selepas bercukur begini. Puji Alunie di dalam hati. Malangnya dia bukan sesiapa dalam hidup aku. Entah bila agaknya aku akan temui seseorang yang akan mendampingi aku selayaknya. Hati kecil Alunie berkata-kata.

            Mereka berdua kemudiannya menikmati mee goreng tanpa sebarang bicara. Alunie sedar Daniel sesekali merenungnya.  Namun dibiarkan sahaja renungan Daniel tanpa balasan. Hati kecilnya sendiri sebenarnya bergolak. Kalau tidak kerana Ayunie, dia mungkin tidak akan berdepan dengan situasi sulit seperti itu. Sehingga sekarang juga Ayunie gagal dikesan.

            Kali terakhir Alunie menelefon ke pejabatnya, dikhabarkan oleh rakan sepejabatnya Ayunie sudah berhenti kerja. Terlalu sukar untuk menjejaki Ayunie kini. Semacam dia tahu dirinya diekori atau Ayunie sengaja menjauhi Alunie. Itu tidak mustahil kerana hubungan mereka berdua tidak serapat dan semesra mana.

            “Lunie…”

            “Hah?” Alunie tersentak kecil dengan sapaan Daniel. Daniel dipandangnya.

            “Awak ada nak ke mana-mana besok?”

            “Ke kedai macam biasa. Tapi balik awal sikit sebab besok hujung minggu.”“Kalau gitu saya jemput awak di kedai ye. Kita keluar makan sama-sama.” Daniel memberanikan diri mengajak Alunie keluar makan bersama-samanya. Perkara yang tidak pernah dilakukannya selepas mereka sah bergelar suami isteri.

            “Ada apa-apa yang istimewa ke?” Alunie menyoal bersama senyum. Senyuman biasa namun cukup untuk meresahkan Daniel saban waktu.

            “Tak. Tak de apa-apa. Cuma kebelakangan ni saya rasa kita tak punya banyak masa bersama.”

            “Penting ke masa kita bersama tu?” Duga Alunie. Daniel tidak tahu maksud sebenar di sebalik pertanyaan Alunie.

            “Suami isteri lain biasanya akan cuba luangkan masa walau sesibuk manapun mereka. Tapi tidak kita. Saya kalau boleh cuba untuk menjalani kehidupan berumahtangga secara normal bersama awak Lunie.”

            Dari mana muncul kekuatan dalam diri Daniel meluahkan perkara berbuku di hatinya sejak mereka berkahwin. Alunie dipandang lama. Alunie memberanikan diri membalas renungan Daniel.

            “Kalau awak nak ajak saya keluar makan atas dasar seorang kawan, okey saya setuju, kalau sebagai suami isteri, biarkan dulu. I’m not ready for that.” Alunie tetap dengan pendiriannya.

            Belum sempat Daniel membalas kata-katanya, Alunie sudah bangun menuju ke sinki. Mencuci pinggannya sendiri sebelum meninggalkan Daniel keseorangan di meja makan.

Daniel tersandar di kerusi. Seleranya terbantut. Mee goreng di pinggan dipandang sahaja tanpa berura-ura untuk menghabiskannya. Entah bila Alunie akan sedar akan keikhlasan aku memperisterikannya.

 Memang Daniel akui, sewaktu rancangan perkahwinannya ditukar, dia agak keberatan untuk menerima Alunie. Menerima cadangan orang tua semata-mata kerana mahu menyelamatkan nama baik kedua-dua belah pihak termasuk nama baik dirinya sendiri. Cadangan orang tua itu pula asalnya kerana Alunie yang mengusulkannya. Namun entah kenapa sebaik tangannya berjabat salam dengan imam sewaktu akad nikah berjalan, tergetus niat murni di hatinya untuk menerima kehadiran Alunie selayaknya sebagai seorang isteri.

            Tentu orang ramai tidak akan percaya sekiranya diberitahu sejak perkahwinan mereka tidak sekalipun mereka bersentuhan. Termasuk berpegangan tangan. Alunie bagaikan menolak hakikat mereka berdua sah di sisi agama. Malah Alunie bagaikan lupa perbuatannya menafikan hak Daniel sebagai seorang suami berdosa besar hukumnya. Namun Daniel sesekali tidak akan memaksa Alunie. Jika diikutkan Daniel punyai hak untuk memaksa Alunie bagaimanapun Daniel tidak mahu berbuat demikian. Dia mahu Alunie menerimanya seikhlas hati sebagaimana dia menerima Alunie tanpa sebarang paksaan.

            Cintakan Alunie? Dulu sewaktu awal mengenalinya memang sekelumitpun tidak wujud perasaan itu terhadap Alunie kerana Daniel keasyikan bersama Ayunie yang tampil elegant dan menggoda. Alunie meski seiras benar Ayunie langsung tidak menggugat perhatian cintanya terhadap Ayunie. Kini, sesudah mendalami Alunie, dengan ketrampilan Alunie  yang tersendiri bersama keistimewaan pada dirinya, baru Daniel mengakui betapa dia telah membuat kesilapan kerana memilih Ayunie dulu.

            Lalu jika ada yang bertanya cintakah dia pada Alunie, dia akan menjawab kalau ada perkataan lain yang mengatasi perkataan cinta, akan digunakan perkataan itu untuk menggambarkan perasaannya terhadap Alunie.  Sungguhpun begitu, mengertikah Alunie akan gejolak perasaannya kala itu?

            Biarlah aku pendam saja perasaanku. Aku sanggup menunggu dan membisu, sehingga suatu waktu biar kau tahu betapa aku sayang padamu. Hati kecil Daniel berkata-kata. Meminjam bait ayat sebuah lagu yang terlintas di benaknya.

            Baru kini Daniel sedar susah untuk memiliki cinta sejati. Dahulu dia terpaut kepada Ayunie kerana rupa parasnya. Tapi kepada Alunie hatinya terpaut kerana perilakunya. Berbeza benar Alunie dengan kembarnya. Daripada segi rupa paras, Alunie jauh ketinggalan bukan kerana dia tidak cantik, tapi kerana dia menampilkan yang asli pada dirinya berbanding Ayunie, banyak dibantu kosmetik pelbagai. Silapnya dulu Daniel mementingkan kosmesis, terkubur kenaturalan pada wajah Alunie.

            Aku harap belum terlewat untuk meraih cinta Alunie. Jika dulu aku telah membuat kesilapan, kali ini akan aku baiki kesilapan tersebut dan berusaha menawan hati Alunie. Dia bukan milik sesiapa melainkan milik aku jua! Desis hati kecil Daniel sebelum melelapkan mata.

            Harapan Daniel agar hari esok akan menukar pendirian Alunie. Biarlah esok membawa sinar baru dalam kehidupan mereka suami isteri. Lalu malam itu Daniel tidur diulit seribu harapan.

            Sementara Alunie di biliknya cuma mampu terkebil-kebil memandang siling. Sesekali matanya dipicing-picingkan. Cuba untuk melelapkan mata, bagaimanapun gagal. Fikirannya melayang pada kata-kata Daniel. Dia sedar hakikat sebenarnya. Daripada segi hukum agama sekalipun tindakan yang dilakukannya itu bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

            Namun Alunie tidak dapat menerima Daniel kerana bimbang kehadirannya di sisi Daniel hanya semata-mata menggantikan tempat Ayunie. Bimbang Daniel bersamanya, tapi di hati Daniel masih utuh cinta terhadap Ayunie. Siapa tahu saat bermesra dengannya, Daniel membayangkan Ayunie. Itulah paling cuba dielakkan Alunie. Bertahun mereka memadu kasih tentu tidak semudah mana untuk Daniel melupakan Ayunie. Berulang dia mengingatkan dirinya sendiri tentang perkara tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB ENAM

Alunie menyarungkan jeans seperti biasa untuk ke toko bukunya. Hari itu hujung minggu. Pekerjanya bercuti, hanya dia akan ke toko buku kerana tokonya menjadi satu-satunya premis yang  menjadi ejen mengedarkan akhbar bagi kawasan Petaling Jaya, Subang dan sekitar Klang. Sekiranya dia tidak menjalankan urusniaga pada hari tersebut tentu sukar bagi pengedar-pengedar dari kalangan peniaga kecil mendapatkan bekalan akhbar untuk kawasan-kawasan tersebut. Disebabkan itu tokonya jarang ditutup, meskipun pada hari perayaan. Untungnya Alunie mempunyai pekerja daripada pelbagai kaum. Apabila tiba musim perayaan cuti akan diambil bergilir-gilir oleh pekerjanya. Jadi tokonya tetap berjaga.

            Sesudah menyediakan sarapan pagi untuk Daniel dan mengisi perutnya sedikit, Alunie bergegas meninggalkan rumah. Dia sudah biasa ke tokonya sesudah menyelesaikan segala tanggungjawabnya di rumah.  Dalam perjalanan mengambil masa hampir setengah jam, telefon genggamnya tiba-tiba minta diangkat. Orang tua Daniel di kampung. Entah apa yang mahu dicakapkan oleh orang tua Daniel seawal pagi seperti itu.

            “Hello, ya ibu.” Alunie menyambut mesra panggilan daripada mertuanya meskipun hatinya membengkak setiap kali perempuan itu membuat panggilan.

            Masakan tidak, perempuan separuh abad itu akan memanggilnya  ‘Yunie’. Sehingga ke hari itu Puan Mahani tidak mengetahui Daniel telah menukar pasangannya daripada Ayunie kepada Alunie. Dia tidak tahu mengapa masih mahu dirahsiakan perkara tersebut. Hatinya pedih dan mendidih dipanggil Ayunie.

            “Rasanya tak boleh bu, kami berdua terlalu sibuk kebelakangan ni. Mungkin puasa nanti baru kami sempat balik kampung.”  Alunie memberi alasan.

            Sudah kerap benar wanita itu tertanya-tanya bila Alunie dan Daniel akan balik ke kampung memandangkan sejak berkahwin mereka langsung tidak menampakkan muka. Padahal dia tidak tahu betapa sibuknya Alunie menguruskan tokonya. Mahu berterus-terang bimbang rahsia pecah. Wanita seperti Puan Mahani memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding emaknya yang lebih memahami. Apatah lagi Puan Mahani terlalu menyanjung Ayunie. Tentu dia tidak akan dapat menerima hakikat sebenarnya.

            Seperti orang lain, Alunie tetap dikesampingkan jika dibuat pujian. Rata-rata akan memilih Ayunie. Cantik dan pandai membina imej diri. Tidak malu bermenantukan Ayunie. Begitu komen Puan Mahani sewaktu ditanya saudara mara pendapatnya tentang dua beradik tersebut.

            “Mereka tu nama aje kembar, tapi si kakak lebih jauh mengatasi si adik dalam semua segi. Sekurang-kurangnya Ayunie ada diploma. Kiranya bersesuaian dengan Daniel. Alunie tu pula, tara mana sangat tahap pengajiannya. Dia maju berniagapun sebab cukup modal peninggalan arwah datuknya.”  Begitu komen Puan Mahani. Telinga Alunie sendiri  mendengarnya sewaktu dia berada di rumah Puan Mahani beberapa hari selepas selamat menjadi isteri Daniel.

            Alunie sedar, di mata sesiapapun Ayunielah lebih baik. Begitu juga di mata Daniel. Tidak mustahil suatu masa dahulu Ayunie boleh menambat hati Daniel, bukan dirinya. Padahal jika diukur dari sudut rupa paras tiada perbezaan. Jadi apa kelebihan Ayunie kalau bukan daripada segi kosmesis? Tentulah kerana penampilan mereka berdua bawakan.  Sesekali Alunie merasa tidak adil apabila masyarakat seringkali membeza-bezakan pasangan kembar. Ada saja yang akan dibuat perbandingan walaupun ke atas perkara-perkara remeh-temeh. Seperti perbandingan yang dibuat antara dirinya dan Ayunie.


Hampir jam dua belas tengahari sewaktu Alunie menerima panggilan daripada Daniel. Hatinya cuba berteka-teki terhadap panggilan tersebut.

            “Saya balik petang sikit. Lepas asar agaknya. Ada salesman datang ni,” beritahu Alunie kepada Daniel.

            Bukan sengaja Alunie mencipta alasan. Namun sudah menjadi kebiasaan tokonya akan dibanjiri salesman pada hari Ahad. Mereka biasanya datang daripada pelbagai syarikat pengeluar kertas, buku-buku dan alat tulis ke tokonya untuk memperkenalkan produk baru keluaran syarikat mereka. Alunie jarang tertawan dengan kempen yang dibuat para jurujual namun tidak juga menolak sekiranya produk mereka dirasakan boleh mengaut keuntungan. Ada juga jurujual datang membawa barangan yang tidak bersesuaian dengan urusniaganya. Kalau jurujual sedemikian datang Alunie jarang mahu berbual panjang.

            Alunie memandang jam. Sudah hampir lima petang. Dia juga sudah kepenatan. Lalu dia mengambil kunci Serenanya. Sudah tiba masa untuk pulang ke rumah. Melayan jurujual tiada kesudahan. Sekejap tadipun ada yang menelefon untuk memberitahu kedatangan mereka. Namun Alunie dengan baik memberitahu dia sibuk. Sengaja mencipta alasan untuk menghalang kedatangan jurujual itu.

            Tiba di rumah dilihatnya Daniel sedang asyik menonton filem Embun arahan Erma Fatima. Filem kontroversi gara-gara sedikit adegan rogol. Dia sendiri sudah menonton filem itu. Tidak banyak perkara menarik boleh diperkatakan, kecuali satu babak ketika watak ayah Bayu dan Embun ditembak Jepun sewaktu bergaduh dengan tentera Jepun.  Significant kematiannya dibuat dengan menunjukkan biji-biji tasbih yang tergantung di rumahnya terurai dan jatuh ke lantai. Cuma itu babak yang mampu membuatkan dada Alunie bergelombang menahan sebak.

            Daniel memandang sahaja Alunie menjejaki tangga tanpa sebarang sapaan. Teringin dia menyambut kepulangan isteri di muka pintu lalu mencium dahinya penuh syahdu jika tidak mengucup bibirnya sekalipun. Apa daya jurang antara mereka membantutkan hasrat Daniel.

            Entah bila Alunie muncul di ruang rehat lalu mengambil tempat di sisi Daniel. Kehadirannya cuma disedari Daniel tatkala tercium harum Celebre, salah satu haruman keluaran Avon. Sepintas dipandang Alunie. Alunie cuma tersenyum kepadanya sambil menyua segelas oren. Daniel menyambut mesra.

            Alunie mengambil tempat di sisi Daniel lalu membelek sebuah novel kanak-kanak hasil karya  Enid Blyton, penulis terkenal Britain yang dilahirkan pada 11 Ogos 1897 dan meninggal sekitar 1986. Meskipun karya beliau kebanyakannya untuk tatapan kanak-kanak, namun entah mengapa pula Alunie berminat dengan karyanya.

            Sambil matanya asyik menatap novel, mulutnya pula sibuk mengunyah sebiji tomato. Daniel sudah maklum dengan kegemaran Alunie. Buah tomato sentiasa dikunyahnya menggantikan epal dan buah-buahan lain. Mungkin ia menjadi amalan Alunie untuk tujuan kecantikan. Kata orang amalan memakan tomato akan memberikan kulit wajah gebu dan cantik. Disebabkan itulah Alunie tampak sentiasa cantik dan berseri walau tanpa secalit mekap.

            Sebagai seorang botanis, Daniel tahu benar khasiat buah tomato. Orang-orang Perancis sekitar abad ke-19 dahulu menggelarkan tomato sebagai The Apple of Love atau dalam istilah Perancis “le pomme d’amour”, orang Jerman pula menggelarkan Apple of Paradise.  Sepengetahuan Daniel, buah yang berasal dari Amerika Selatan itu dahulunya diusahakan oleh kaum Incas dan dibawa masuk ke benua Eropah oleh mubaligh Sepanyol. Nama  saintifik Tomato lycopersicon esculentum dari kumpulan Solinicius, iaitu satu kumpulan dengan cabai. Daniel memang banyak pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan memandangkan dia pakar dalam bidang tersebut.

            “Kita keluar malam ni.” Terpacul ajakan daripada mulut Daniel.

            Alunie menutup novel yang sedang dibacanya. “Nak ke mana?” Soal Alunie ringkas sedang matanya enak memandang wajah Daniel.

            “Jalan-jalan sekitar Shah Alam.”

            “Idea menarik tu. Saya pun dah lama tak makan hotdog kat 1901 Hotdog.” Alunie bersetuju. Di mindanya telah membayangkan keenakan hotdog yang disebutkan. Memang hotdog di 1901 Hotdog yang terletak di ruang legar Plaza Alam Sentral cukup enak.

            “Saya ingat nak ajak awak pergi makan makanan laut di Restoran Makanan Laut Tasik Indah,” ujar Daniel walaupun dia sebenarnya agak terkejut dengan persetujuan Alunie.

            “Emm, saya pernah makan kat situ sekali seumur hidup. Entah mimpi apa seorang client saya ajak makan kat situ. Ia seakan-akan Restoran Ikan Bakar Muara di Port Klang je kan.”

            “Jadi awak nak makan kat mana?”
           
“Pergi dua-dua tempat pun tak de sapa yang larang kan?” Alunie menjawab sambil tersengih menampakkan barisan giginya. Cukup manis dipandang Daniel.

            Ayunie dulu jarang tersenyum begitu.  Mengapakah aku tak pernah membuka mata tentang kelebihan Alunie? Jika dulu aku tak silap memilih, tentu sekarang aku bahagia di samping seorang wanita seistimewa Alunie. Aku yakin dia mampu untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Hati kecil Daniel berseru.

            “Tapi awak tak malu ke keluar ngan saya. Saya ni  tak macam Yunie, tak pandai nak bergaya. Awak dah biasa keluar ngan dia, tentu rasa kekok beriringan dengan saya.”
Suara Alunie tiba-tiba kendur. Dia tunduk memandang karpet pengalas lantai. Dikuis-kuisnya bulu-bulu karpet yang agak tebal dan lembut.

            “Kenapa cakap macam tu Lunie? Awak tak yakin dengan saya?”   Ada nada terkilan dalam suara Daniel.

            “Yakin apa Daniel?”

            “Yakin saya telah melupakan Yunie dan menerima kehadiran awak dalam hidup saya,” akui Daniel jujur. Cuba untuk menggambarkan isi hatinya.

            “Saya cuma tahu awak pasrah kehilangan Yunie, tapi tak tahu sama ada awak telah melupakan dia atau menganggap saya sebagai dia.”

            Mendengar kata-kata Alunie menyebabkan Daniel pantas meraih tangannya dan digenggam erat. Alunie agak tersentak dengan reaksi spontan Daniel, menjadi kaku dan membiarkan saja tangannya digenggam erat.

            “Lunie, tolong jangan rosakkan masa kita bersama dengan menyebut nama Yunie.”

            Daniel merenung ke dalam mata Alunie. Mengharapkan Alunie dapat membaca keikhlasannya. Alunie mulanya membalas pandangan Daniel, namun pantas melarikan apabila dadanya terasa bergetar dan pembuluh darahnya dirasakan pecah. Sepantas itu juga dia menarik tangannya daripada terus berada dalam genggaman Daniel.

            Daniel mengubah posisi badan. Tidak lagi duduk bertentangan dengan Alunie. Sebuah keluhan maha berat dilepaskan. Keluhan itu dapat ditangkap oleh gegendang telinga Alunie. Dadanya kian bergelombang!

            Ketika itu juga dia menyedari sesuatu. Lalu dipandangnya ke jari manis Alunie. Sah! Alunie tidak memakai cincin berlian yang disarungkan ketika malam akad nikah dahulu. Sebaliknya di jari manis Alunie cuma terdapat sebentuk cincin belah rotan. Hati Daniel terkesima. Alunie benar-benar memandang enteng pada ikatan perkahwinan mereka sehinggakan tanda ikatan itu juga dibuang dari jarinya. Daniel cuba memujuk hati sendiri.

Malam itu bagaimanapun mereka berdua tetap keluar bersama. Bandar Shah Alam kelihatan agak sibuk malam itu. Mereka tidak berlengah lama, sebaik tiba mereka menuju ke Plaza Alam Sentral di belakang PKNS. Agak ramai pengunjung pada malam itu.

            “Dah lama saya tak punyai kesempatan keluar macam ni. Saya jenis tak ramai kawan. Dunia saya hanya kat toko buku tu,” beritahu Alunie sewaktu mereka meninggalkan 1901 Hotdog.

            “Sesekali kita kena juga keluar ambik angin. Release tension. Tak elok kalau otak kita sentiasa pikir pasal kerja saja.”

            “Saya tahu. Tapi macam saya cakap tadi, saya jenis tak ramai kawan. Tak kan saya nak keluar merayap sorang-sorang. Orang lain paling kurang  ada sorang teman. Sekarang ni ada awak bolehlah saya keluar, kalau tak, kerani saya jadi mangsa.”

            Alunie menjelaskan. Kemudian dia tersengih. Agak lucu apabila mengenangkan wajah keraninya yang sering menjadi mangsa apabila dia kebosanan di rumah sewaktu perniagaan mereka agak perlahan ketika musim-musim tertentu.

            “Awak tak bosan?”

            “Dah sebati cara hidup tu dengan diri saya.”

            Daniel terdiam. Kata-kata Alunie memang masuk akal. Melihatkan cara kehidupannya sehari-hari Daniel sendiri telah dapat meneka Alunie tidak punyai banyak kawan. Berbeza dengan Ayunie. Kakaknya mempunyai terlalu ramai kawan sehinggakan Daniel terpaksa akur apabila Ayunie lebih kerap keluar bersama kawan-kawannya berbanding dengan Daniel sendiri. Apabila Daniel mempelawa ke mana-mana Ayunie sering memberi alasan sudah ada janji dengan kawan. Sering kali nama kawan yang disebutnya bertukar-tukar. Anehnya Daniel tidak mengerti mengapa dia terus setia dengan Ayunie sehingga mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan gadis tersebut.

            “Apa yang awak menungkan?” Tanya Alunie apabila disedarinya Daniel tiba-tiba mendiamkan diri.

            “Tak ada apa-apa. Cuma saya tiba-tiba teringat sesuatu.”

            “Ayunie?”

            Daniel tidak menjawab. Tidak menafikan. Tidak juga mengiyakan.  Alunie pantas mengerti  melihatkan reaksi Daniel. Daniel tidak perlu bersuara untuk memberi jawapan kepadanya. Sikapnya itu sudah jelas menunjukkan Ayunie masih ada tempat di hati Daniel. Begitu anggapan Alunie. Lalu dia terasa ada sesuatu menghenyak pundak dan hatinya.

            Lelaki ini masih merindui Ayunie. Begitu fikir Alunie. Baginya dia cuma bayangan Ayunie. Walaupun bibir Daniel tidak pernah tersasul memanggilnya Yunie, tapi hati Daniel tetap menganggap dia sedang berdepan dengan Ayunie. Disebabkan itulah Daniel sering memandangnya dengan penuh perasaan. Mujurlah bagi Alunie kerana sehingga ke hari itu belum pernah sekalipun dia terjerat dengan cara renungan yang Daniel lontarkan terhadapnya.

            “Awak salah faham…” tutur Daniel tatkala menyedari wajah kelat Alunie.

            Alunie menoleh memandangnya. Kemudian kembali memandang ke depan mengikut perjalanan kereta yang dipandu Daniel.

            “Memang awak sudah salah faham.” Daniel mengulangi kenyataannya.

            “Salah faham tentang apa?” Kini Alunie kembali bersuara. Namun masih tidak mahu memandang wajah di sebelahnya.

            “Tentang saya dan Ayunie. Tentang perasaan saya, tentang ingatan saya terhadapnya.”

            “Awak ada hak untuk ingatkan dia. Saya juga tak kan halang sebarang perasaan yang masih bersisa dalam hati awak terhadap dia.”

            “Ternyata awak memang salah faham.” Daniel menoleh ke arah Alunie. Alunie memalingkan wajah ke luar tingkap. “Atau awak cemburu?” Daniel membuat andaian.

            Serentak itu juga Alunie memandangnya.

            “Kenapa saya harus cemburu? Hal awak dengannya bukan urusan saya. Tak de masa saya nak cemburu.” Nada suara Alunie agak berlainan. Darah panas terasa tersirap  ke muka. Merona merah di wajahnya. Mujur suasana malam membuatkan rona itu tidak terlihat oleh Daniel.

            “Saya sekadar membuat andaian.”

            “Jaga-jaga dengan butir percakapan awak!” Alunie seakan memberi amaran. Terbakar hatinya apabila Daniel sewenang-wenangnya membuat tanggapan sedemikian.

            “Kita balik sekarang!” Arah Alunie kemudiannya.

            Daniel tahu Alunie benar-benar sedang marah ketika itu apabila nada suaranya  berbaur kemarahan.



BAB TUJUH

Kata orang sebab mulut badan binasa. Begitu halnya yang terjadi kepada Daniel. Selepas malam tersebut Alunie seakan menjauhkan diri daripadanya. Kini sudah hampir dua minggu malam itu berlalu, namun Alunie langsung tidak bertegur sapa dengannya meski sepatah kata. Alunie juga sengaja pulang lewat. Kalau jam belum menunjukkan ke angka tiga pagi, bayang Alunie tidak akan menjengah.

            Panggilan yang dibuat Daniel ke tokonya  juga tidak dilayan sama sekali. Ke telefon genggamnya apatah lagi. Alunie benar-benar mahu menjauhkan diri daripada Daniel. Begitu fikir Daniel.

            Hari itu Daniel tekad, dia akan ke toko Alunie. Bertemu dengannya di sana kerana Daniel mahu memberitahu satu perkara kepada wanita tersebut.

            “Cik Alunie tak ada. Dia ke stor. Ada barang baru sampai dari Penang.” Ramah kerani Alunie merangkap penyelia kedai memberitahu bersama senyum.

            Setelah mengucapkan terima kasih kepada wanita yang sedang sarat mengandung itu, Daniel terus melunjur menuju ke stor milik kedai Alunie. Setibanya di sana, treller membawa barang beroda lapan belas sedang melintang di depan stor. Beberapa orang pekerja Alunie yang ditugaskan menjaga stor kelihatan setia menanti arahan untuk membawa turun barangan barangkali.

            “Cik Alunie mana?” Tanya Daniel kepada salah seorang daripada mereka apabila kelibat Alunie langsung tidak kelihatan.

            “Tu…” balas yang ditanya dengan memuncungkan mulutnya ke arah treller.

            Hampir tergelak Daniel apabila memandang ke arah yang dimaksudkan oleh pemuda berkulit sawo matang tersebut. Alunie sedang berada di atas treller bersama beberapa helai kertas di tangannya. Wajah Alunie kelihatan kelat.

            “Buat apa dia pegi panjat treller tu? Anak-anak buah dia tak boleh ke?”

            “Dia nak check baranglah tu. Cik Alunie memang selalu macam tu kalau ada problem dengan barang-barang yang dihantar.”

            Problem apa?”

            “Ada beberapa bundle basah. Habis rosak buku-buku latihan di dalamnya. Itu yang dia tak puas hati dan naik sendiri tu.”

            Daniel mengangguk-angguk meski agak pelik memikirkan bagaimana barang-barang yang diangkut dengan treller itu boleh basah sedangkan treller itu diselimut dengan kain khemah besar. Untuk bertanya dengan lebih lanjut pula si pemuda tadi telah berlalu pergi bersama rakan-rakannya memunggah kembali bungkusan yang telah diangkut ke atas lori.

            Alunie agak terkejut dan sedikit malu melihat Daniel sebaik melompat turun dari treller beroda lapan belas tersebut. Begitupun dia cuba berlagak selamba meskipun disedari Daniel seakan-akan ingin mentertawakannya.

            “Ada masalah?” Sapa Daniel sambil membuntuti Alunie.

            “Kenapa awak datang sini?” Tanya Alunie tanpa mempedulikan soalan Daniel. Dia mendongak ke langit melihat mendung awan dan tertanya-tanya di dalam hati bila agaknya hujan renyai-renyai kala itu akan berhenti.

            “Ada hal nak cakap sikit. Kat rumah kita tak de peluang nak bercakap,” ujar Daniel sambil melabuhkan punggung di kerusi warung yang dimasuki mereka.

            Perbualan mereka terhenti seketika sewaktu pelayan datang mengambil pesanan. Alunie memerhati dan membelek-belek helaian kertas di tangannya sebelum mengangkat wajah menatap rias tampan di depannya. Memang diakuinya sudah agak lama mereka tidak berkesempatan berbual-bual.

            “Saya agak sibuk kebelakangan ni,” katanya. Berhenti bersuara sekali lagi ketika pelayan datang membawa dua gelas teh ‘O’ ais. Memang cuaca agak sejuk dan dingin, tapi tekaknya terasa kering akibat kepenatan.

            “Bisnes ada problem?”

            “Hujung tahun, ada saja masalah. Hari ni saja barang yang sampai terpaksa return back.  Saya tahu sekarang ni kat mana-mana pun hujan, tapi pihak kilang tak patut hantar buku latihan yang dah basah macam ni. Mereka sepatutnya lebih cermat, buku ni pula tempahan beberapa buah sekolah, dah tentu siap dengan cop sekolah sekali. Bukan  sekejap nak menunggu pihak kilang cetak buku-buku latihan ni.”

            Sekarang fahamlah Daniel kenapa wajah Alunie kelihatan kelat dan murung. Rupanya sedang memikirkan masalah perniagaannya. Dia sedikit memahami. Kalau dia di tempat Alunie tentu juga dia akan berada dalam keadaan demikian. Apatah lagi dalam keadaan sekolah sudah hampir dibuka.

            “Hah, tadi kata ada hal nak cakap, apahalnya?”  Alunie bertanya tiba-tiba sebaik sahaja teringatkan kata-kata Daniel.

            “Begini, dua tiga hari lagi saya nak pergi ke Sarawak. Saya takut tak de peluang nak cakap sehingga tiba hari tu.”

            “Oh, ingatkan apa tadi. Kenapa tak telefon saja kalau tak sempat cakap kat rumah?”

            “Dah selalu saya call, tapi  pekerja awak asyik cakap awak tak de kat kedai je. Telefon handset pula tak pernah awak jawab,” kata Daniel. Seakan berjauh hati.

            Alunie tersengih. Dia akui sengaja dia mahu mengelak daripada menjawab panggilan Daniel.  Tuduhan Daniel mengatakan dia cemburu amat berat untuk dia terima. Disebabkan itulah dia cuba mengelak daripada menjawab panggilan Daniel.

            “Awak marahkan saya?”

            “Awak tu tak tau hormat perasaan orang lain, main sedap mulut awak je cakap saya ni cemburu.”

            Daniel tersenyum manis. Sensitif juga dia ni. Mahu saja aku tarik-tarik hidungnya yang kecil molek tu.

            “Eh dia ni, kita marah dia senyum-senyum pulak,” gerutu Alunie sambil mengesat sisa-sisa hujan yang terkena di mukanya tadi. “Hah, awak nak buat apa kat Sarawak tu?”

            “Cari isteri baru,” gurau Daniel. Alunie mencebik bibir. “Tak lah. Saya pergi nak buat plot dengan student master bawah selenggaraan saya. Tak tahu ambil masa lama ke tak. Budak tu dah berangkat tiga hari lepas. Mungkin pegawai hutan di sana dah tunjuk apa yang patut dia buat.”

            “Plot apa?”

            “Plot untuk tapak projek masternya. Kan hutan tu luas, jadi untuk tentukan bahagian yang perlu dibuat kajian, kita kena buat plot dulu.”

            “Entahlah, saya bukan tahu sangat pasal hutan-hutan ni…” Alunie berhenti seketika, menyedut minuman di depannya.  “ Tentu tebal hutan tu kan?”

            “Boleh tahan juga, tapi bukan hutan yang berpokok balak dan tebal tu, kami cuma ke hutan kerengas.”

            “Apa pulak hutan kerengas tu?” Alunie bagai pelajar meminta penjelasan.

            “Hutan  kat tanah-tanah berpasir dan berbatu. Macam tanah-tanah kat tepi laut, kalau ada hutan berhampiran, hutan tu lah kita gelar hutan kerengas.  Hutan ni pun ada banyak jenis. Hutan paya bakau, hutan batu dan macam-macam jenis lagi. Semua saya dah pernah masuk. Nanti lepas ni saya kena ke Perlis pula. Ada projek di Wang Keliang.”

            “Sibuk juga jadi pensyarah macam awak ni ya. Ingat dok office, lepas tu hadiri kelas. Rupanya  banyak lagi yang awak kena buat.”

            “Tak de kerja yang tak sibuk Lunie. Macam awak tadi, saya tak pernah sangka begitu sekali sibuknya awak sampaikan kena panjat-panjat treller. Jarang orang boleh buat, tambahan pula perempuan. Tapi awak sanggup.”

            Alunie tidak tahu apa maksud kata-kata Daniel. Memperlinya atau sememangnya Daniel kagum melihat dirinya yang tegar menahan kesibukan dan kesusahan seperti itu.

            “Lunie, saya ada kelas jam tiga nanti. Saya pergi dulu ya. Ee, malam nanti awak balik awal?”

            Alunie menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “ Belum tahu lagi… kenapa?”

            “Dah lama rasanya tak sembang-sembang dengan awak sambil duduk menonton CD. Rindu pulak rasanya.”

            Rindu? Ee, tolong sikit! Nak muntah aku mendengarnya. Gerutu Alunie di dalam hati, tapi mulutnya langsung tidak bersuara sekadar menjuihkan bibirnya ke depan.


Bagai yang diberitahu Alunie, beberapa hari selepas itu Daniel bertolak ke Sarawak. Alunie tidak menghantarnya ke airport. Alunie terlalu sibuk untuk berbuat demikian. Alihnya Daniel meminta jasa baik Cik Berahim, petugas Herbarium yang peramah dan gemar ketawa menghantarnya ke KLIA.

            Setibanya dia di Kuching, dia terus membuat perjalanan ke Crown Plaza yang terletak di tengah-tengah bandar Kuching dan mengambil masa perjalanan selama dua puluh minit daripada airport. Untuk terus ke tempat hala tuju sebenarnya akan mengambil masa lebih setengah hari, jadi Daniel memilih untuk bermalam di Crown Plaza erlebih dahulu.

            Di Crown Plaza dia memilih bilik  jenis superior. Daniel tidak kisah dengan kos penginapannya kerana ia boleh dituntut daripada pihak kerajaan. Memang selalu Daniel menginap di Crown Plaza  memandangkan hotel tersebut menyediakan kemudahan yang menepati citarasanya. Selain dekat dengan lapangan terbang, ia juga mempunyai pelbagai jenis bilik seperti Superior, Deluxe, Margherita Suite dan jenis apartment.

            Keseluruhan bilik di Crown Plaza berjumlah dua ratus lima puluh bilik. Kesemua biliknya dilengkapi kemudahan asas seperti mini bar, alat pengering rambut, kemudahan membuat kopi atau teh, terdapat tv, radio dan telefon serta lampu kawalan sentuh. Bilik-biliknya juga bereka bentuk etnik dan moden.

            Jika berkesempatan Daniel senang ke Sri Sarawak.  Di situ ia boleh menikmati pemandangan dari aras lapan belas tingkat. Pada malam Jumaat dan Sabtu pula ia menawarkan makanan Jepun. Sesekali jika terasa ingin menikmati kek yang lazat atau teringin menikmati pastri yang enak, dia akan ke La Patisserie.  Mungkin juga ke River Palace bagi menjamu makanan Kantonis dan Szechuan. Jarang dia ke Kafe Majestic meskipun di situ dia boleh membuat pilihan untuk menikmati pelbagai makanan antarabangsa dan tempatan.

            Kalaulah saat ini aku sedang berbulan madu dengan Alunie, tentu aku dah bawa dia jalan-jalan sekitar bandar Kuching sambil bermanja dengannya. Hai Lunie, sampai bila kau nak berdegil macam ni?

            Daniel memandang telefon tangannya. Dicapainya lalu ditekan satu persatu nombor telefon Alunie.  Hatinya tertanya-tanya apa yang sedang dilakukan Alunie ketika itu. Jam baru menunjukkan pukul sepuluh lima belas malam. Belum tentu Alunie sudah berada di rumah. Alunie sejak kebelakangan itu jarang berada di rumah seawal itu.

            “Hello, Lunie tengah buat apa tu?” Tanya Daniel sebaik kedengaran suara Alunie menyambut panggilan di hujung talian.

            “Tengah tidur? Awak kat mana ni? Kenapa suara awak lain macam je?”  Bertalu-talu Daniel menyoal.

            Alunie rupanya kurang sihat. Demam penangan hujan siang tadi katanya. Entah-entah kau rindukan aku. Maklumlah sejak kita kahwin belum pernah berjauhan macam ni. Daniel ketawa sendiri. Padahal, mereka bukannya sering bertemu muka meskipun tidak  berjauhan seperti itu. Jadi berjauhan atau tidak sebenarnya langsung tidak memberi implikasi ke atas hubungan mereka. Terutama terhadap Alunie.
           
            Mereka berdua tidak berbual panjang kerana Daniel tidak mahu mengacau Alunie berehat. Talian dimatikan. Daniel mencongak-congak sendirian hari yang bakal dihabiskan di Sarawak. Besok pagi-pagi lagi dia akan ke tempat projeknya. Pelajarnya  tentu sudah menunggu ketibaannya di sana.

Sementara itu di rumah Alunie, wanita itu termangu sendiri setelah Daniel memutuskan perbualan mereka. Fikirannya melayang-layang kepada Daniel. Dicuba halau bayangan Daniel yang mengganggu. Hatinya belum terpaut kepada lelaki itu. Mungkin sampai bila-bila sekalipun hatinya tetap begitu. Namun entah mengapa wajah lelaki itu memenuhi fakulti mindanya. Berkumpul di situ lalu menjadi satu jatuh ke sanubarinya. Dia terhenyak oleh perasaan yang hadir dalam sanubarinya.

            Dengan tidak semena-mena tergerak hati Alunie untuk ke bilik Daniel. Sejak perkahwinan mereka dia tidak lagi menjejakkan kaki ke bilik itu. Dahulu dia sering juga masuk di masa lapangnya untuk mengelap habuk dan memastikan kebersihan bilik terjaga. Setelah Daniel menghuni bilik itu, dia langsung tidak mencampuri segala urusan berkaitan bilik tersebut. Untuk menggosok pakaian Daniel pun dia minta Daniel bawakan keluar pakaian yang ingin dipakai dan letakkan di sudut membaca. Di situ juga dia letakkan kembali pakaian Daniel. 

            Bilik peraduan Daniel tidak berkunci. Jika berkunci sekalipun Alunie tetap boleh masuk kerana dia mempunyai pendua kunci bilik itu. Sebaik pintu dibuka, tampak jelas kelainan tata hias bilik tersebut. Ternyata Daniel mempunyai citarasa tersendiri dalam menghiasi peraduannya. Biliknya penuh rona lembut. Di dinding bahagian kepala katil tergantung gambar perkahwinan mereka berdua.

            Tertegun Alunie menatap gambar perkahwinan yang tidak pernah diambil kisah olehnya selama ini. Daniel menyimpan elok gambar itu. Malah membesarkannya melebihi saiz 12R.

            Mana tahu dia bayangkan persandingan ini antara dia dan Yunie. Seru hati kecil Alunie. Serentak itu juga dia menjadi sedikit kacau dan hilang punca. Dadanya terasa bergelora dan kecewa.

            Aku cuma bayangan Ayunie. Aku tak mungkin mengusir segugus rasa cinta Daniel terhadap Ayunie. Akupun tidak akan cuba sedikitpun untuk mengusir rasa cintanya itu. Dia bukan sesiapa bagi aku dan aku bukan sesiapa baginya.

            Alunie merebahkan badan di pertidurannya. Dia cuba melelapkan mata dan menghalau jauh-jauh bayangan Daniel.  Dia tidak mahu membiarkan bayangan itu terus-terusan mengganggunya sehingga membuatkan dia sukar untuk melelapkan mata. Daniel mungkin suaminya, namun mereka tidak mungkin dapat bersama seperti pasangan lain.

            Alunie tidak tahu sampai bila keadaan itu akan berterusan. Cuma yang diketahuinya, sehingga ke hari itu belum ada sedikit ruang pun untuk ditakluki oleh Daniel di dalam hati kecilnya.
























BAB LAPAN

“Doktor, pegawai kat sini dah tukar,” beritahu Dustin Lepun, pelajar master bawah seliaannya sewaktu menyambut ketibaan Daniel.

            Dustin berbangsa Kenyah dan memang berasal dari Sarawak. Sengaja dia memilih untuk membuat projek masternya di negerinya sendiri kerana dia sudah banyak mengenali hutan-hutan di negerinya dan tidak susah untuk dia mendapatkan segala bentuk bantuan daripada mana-mana pihak.

            “Tukar pegawai baru ke?”

            “Ya  doktor. Muda dan cantik orangnya.”

            “Patutlah kau semacam je bercerita pasal dia tadi. Perempuan rupanya.”

            Dustin ketawa. Daniel turut ketawa. Dia sudah masak dengan perangai Dustin. Pemuda tiga puluh tahun itu. Meskipun sudah mengikat tali pertunangan dengan Ribka Alan, juga senegeri dengannya, sikap mata keranjangnya tidak pernah hilang.

            Daniel kemudiannya dibawa bertemu pegawai hutan oleh seorang renjer. Sewaktu diperkenalkan kepada pegawai tersebut Daniel merasakan seperti pernah mengenali wanita yang tampak berkarisma itu.

            “Doktor dah minum?” Delilah cuba beramah mesra dengan Daniel sewaktu ditinggalkan berdua di biliknya.

            “Cik Delilah nak belanja ke?” Tanya Daniel mesra.

            “Tengahari nanti bolehlah, sekarang ni masa kerja, setakat minum di bilik ni sajalah…”

            Daniel tersengih malu. Sedar dengan kesilapannya. Rupanya Delilah bertanya kerana ingin membuatkan secawan kopi untuknya.

            “Saya rasa macam pernah bertemu Cik Delilah, tapi lupa di mana?” Daniel cuba untuk menghilangkan tanda tanya yang mula bermain dibenaknya.

            “Doktor ingat saya rupanya.”

            “Jadi betullah kita pernah bertemu?”

            “Dulu semasa bacelor. Saya ambil kelas botani dengan doktor. Masa tu doktor belum jadi pensyarah, cuma tutor sahaja. Mungkin saya tak banyak cakap sebab tu doktor sukar nak ingat saya.”

            Delilah yang bermata bundar dan berkulit putih melepak menghilangkan kesamaran dalam benak Daniel.

            “Awak ex-student sayalah ya? Baguslah, awak dah punya kerjaya mantap sekarang ni. Susah nak dapat kerja elok sekarang. Ramai siswa keluar U jadi penganggur.”

            “Saya pun terkial-kial juga sebelum dapat kerja ni doktor. Puas naik turun bangunan dan hantar resume. Isi borang sana, isi borang sini. Pergi interview pun jenuh dah, baru dapat kerja ni… Er, doktor sekarang apa cerita? Dengar khabar doktor dah kahwin.”

            Daniel tersenyum. Sepantas itu juga bayangan Alunie datang bertamu di ingatannya. Alunie yang tegas dengan prinsipnya meskipun prinsipnya bercanggah dengan fitrah hidup dan hukum agama.

            “Ya, saya dah kahwin beberapa bulan lepas.”  Daniel mengiyakan.

            Delilah tersenyum tawar. Sedari zaman pengajiannya dia sedia maklum Daniel sudah dipunyai. Ketika itu terdengar ura-ura Daniel akan melangsungkan pertunangan. Sudah tentu sekarang Daniel telahpun berkahwin dengan gadis yang pernah diketahuinya satu masa dahulu.

            Sewaktu Daniel menjadi tutor sedikit masa dahulu, Daniel digilai ramai pelajar sehinggakan ramai yang sanggup menghadiri kelasnya meskipun tidak terdapat dalam jam kredit mereka. Kata orang senyuman Daniel sewaktu mengajar kerap meracuni perasaan dan menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan. Ketika ada sebarang jamuan fakulti pula ramai pelajar perempuan akan berebut-rebut untuk bergambar dengan Daniel. Hanya beberapa kerat sahaja yang tidak mengendahkan Daniel, Delilah termasuk antara pelajar yang tidak obsess kepadanya. Bagaimanapun tidak bermakna mereka yang tidak menunjukkan sikap obsess itu tidak menyimpan hati dan tertarik kepada Daniel. Cuma mahu menjaga nama di depan kawan-kawan.

            “Awak sendiri bagaimana, dah berkeluarga?”

            Delilah ketawa mendengar soalan Daniel. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepala.

            “Masih terlalu awal doktor. Tambahan pula belum bertemu Mr. Right.” Delilah menjawab kemudian menyambung ketawanya kembali. Seakan persoalan Daniel tadi benar-benar mencuit hatinya.

            “Saya ingat nak balik semenanjung dahulu, baru fikir pasal ni. Kalau boleh saya nak elak daripada bertemu jodoh dengan orang sini. Susah nak balik kampung.”

            Daniel mengangguk-angguk mendengar jawapan terus-terang daripada Delilah. Dia rasa senang berbicara dengan pegawai muda tersebut. Kemudian mereka menyambung perbualan tentang pelbagai perkara termasuk desas-desus yang mengatakan Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong bakal dimajukan dan mendapat protes daripada penduduk pribumi di sana. Daniel sendiri terkilan andai hutan tersebut diganggu kerana banyak floral dan fauna terdapat di sana. Tambahan pula ia satu-satunya peat swamp forest di Selangor yang masih kekal dengan habitat semulajadi.

            Daniel meninggalkan bilik Delilah setelah menghabiskan masa bersama hampir sejam setengah. Delilah berjanji akan turun melawat plot pada sebelah petang keesokan hari. Masa sibuk Daniel  pula akan bermula sekejap lagi.  Dia pasti Dustin sudah sedia menunggunya di tapak projek.

            Masa berlalu dengan pantas sekali sehinggakan Daniel merasakan seminggu masa di Sarawak berlari tanpa disedarinya. Tenggelam dalam kesibukannya mengutip spesimen-spesimen untuk dijadikan herbarium.  Dalam kesibukan tersebut, sempat dia meluangkan masa untuk keluar beramai-ramai jika ada kesempatan. Biasanya kalau mereka keluar makan-makan sekitar pekan Miri, Delilah akan turut serta. Mereka makan-makan dan pada malam terakhir sempat mengambil gambar bersama. Daniel turut menyimpan beberapa keping gambar tersebut bersamanya termasuk gambar bersama Delilah.

            Hubungannya bersama Delilah menjadi akrab. Mungkin kerana mereka mempunyai minat yang boleh dikongsi bersama berkaitan bidang tumbuhan dan alam semulajadi. Delilah juga bukan seorang wanita yang menjemukan. Sesekali Delilah pandai berjenaka menghidupkan suasana. Semasa awal perkenalan dirasakan Delilah agak serius, lama kelamaan Daniel makin selesa bersama Delilah.

            Sebagai tanda persahabatan, Delilah telah sudi menghantar Daniel sewaktu bekas pengajarnya mahu berangkat pulang ke semenanjung.

            “Kirim salam kat isteri doktor tiba di sana nanti ya,” kata Delilah sewaktu Daniel melangkah masuk ke balai berlepas.

            Daniel cuma mengangguk-angguk. Di bibirnya terlukis senyuman buat Delilah. Di dalam penerbangan wajah Alunie muncul menghapuskan semua kenangan yang telah dilaluinya sepanjang berada  di Sarawak. Kepulangannya telah dikhabarkan kepada Alunie melalui telefon. Alunie berjanji untuk meluangkan masa menjemputnya di lapangan terbang KLIA.

            Setibanya di KLIA, Daniel terus menuju ke balai ketibaan. Tiba di muka pintu balai ketibaan matanya melilau mencari kelibat isterinya.  Sesekali dipandang jam berjenama Jaguar di pergelangan tangan.

            Dah lupa ke dia? Mungkin jalan jam agaknya. Daniel membuat telahan sendirian. Namun ketika dia menoleh ke kiri, berdiri beberapa meter daripadanya seorang wanita yang  dicari-carinya sejak tadi. Wanita itu juga kelihatan terkial-kial menjengah ke sana ke mari. Daniel meluru ke arahnya.

            “Assalamualaikum sayang…” sapa Daniel tanpa sempat mengawal mulutnya menyebut perkataan ‘sayang’.

            Terbeliak mata yang disapanya. Daniel tersengih-sengih. Mula menyedari kesilapannya.

            “Awak nampak lain hari ini,” puji Daniel tanpa mengendahkan pandangan wanita yang sedang ditatapinya. Dia cuba mengawal malu sebenarnya.

            Wanita yang dirinduinya sepanjang berada di Sarawak itu direnung bersama senyuman, sedangkan yang direnung masih memandangnya tajam. Memang Alunie nampak berbeza hari itu. Biasanya Alunie jarang berpakaian formal seperti itu. Tapi hari itu Alunie tampil formal. Mekapnya juga agak menyerlah. Mungkin dia sehabis menghadiri majlis formal.

            “Jomlah, berdiri apa lagi kat sini…” ajak Daniel sambil menarik lengan Alunie.

            “Dah gila kah?” Suara ‘Alunie’ menengking. Sepantas itu juga pegangannya dilepaskan. Daniel benar-benar terkejut.

            “Yunie?”

            Ayunie yang disangkakannya  Alunie tidak menjawab sebaliknya hanya mendengus kasar serentak melangkah meninggalkan Daniel. Daniel menggeleng-gelengkan kepalanya kesal dengan kesilapannya sendiri. Dia menoleh ke belakang memandang langkah yang diatur Ayunie. Apabila dia memusingkan badannya untuk berlalu meninggalkan balai ketibaan kelihatan di matanya Alunie sedia tercegat dengan wajah kusam dan mendung kira-kira dua ela dari tempatnya sedang berdiri. Daniel terpana! Namun pantas kakinya dihayun mendekati Alunie.

            “Dah lama awak berdiri kat sini?”

            “Kenapa tanya macam tu? Awak takut saya ternampak senario tadi?” Alunie menghamburkan kata-kata tanpa memandang ke wajah Daniel.

            Daniel mengetap bibirnya. Tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepada Alunie. Dia tahu Alunie sudah salah faham dengan situasi yang berlaku tadi.

            “Sebenarnya saya sangkakan tadi tu awak. Rupanya saya tersalah orang.”

            “Mustahil awak tak boleh cam. Kami kan mempunyai personaliti yang ketara berbeza,” kata Alunie sambil membuka pintu Serenanya. Daniel turut masuk ke Serena milik Alunie.

            “Saya dah terperasan tadi, malangnya saya membuat andaian awak baru pulang dari majlis formal.”  Daniel tetap cuba mempertahankan diri.

            “Dah lah, awak tak payah nak tegakkan benang yang basah lagi. Jelas sekarang awak memang tak boleh lupakan dia. Pantang terserempak di mana-mana awak akan ambil kesempatan untuk bersamanya.”

            “Lunie, tuduhan awak tak berasas,” ujar Daniel lembut. Dipandangnya wajah Alunie yang sedikit kemerahan di sebelahnya.

            “Asas apa? Asas nak buat rumah batu dua tingkat?”

            Eh dia ni, ke situ pulak perginya dia. Kalau aku cakap dia cemburu marah pulak. Tapi kalau tengok dia macam cemburu benar sekarang ni. Itu baru sikit aku pegang Ayunie. Kalau aku terus cium tadi haru agaknya.

            “Lunie, sebenarnya sepanjang saya ke Sarawak, saya asyik teringatkan awak saja. Itulah sebabnya saya langsung tak fikir panjang tadi. Saya memang tak sabar nak bertemu awak.”

            Darah Alunie tersirap naik ke muka. Daniel nampaknya cuba bermain dengan kata-kata untuk mengumpannya. Alunie mendiamkan diri. Pandangannya melekat ke jalan raya. Berlagak menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya. Padahal hatinya tertunggu-tunggu mainan kata-kata Daniel seterusnya.

            Bagaimanapun Alunie hampa apabila Daniel akhirnya mendiamkan diri. Mungkin kehabisan idea untuk mengumpan Alunie.

            “Lunie, kita tak  berhenti makan dulu? Saya lapar ni.”

            Alunie membatukan diri. Pura-pura menumpukan perhatian pada jalanraya. Daniel mati akal. Angin kus-kus Alunie sudah muncul. Susah pula kalau dia terus menggiat Alunie.

            Alunie membelokkan Serenanya memasuki perkarangan rumah. Perut Daniel sudah berdondang sayang. Dia langsung tidak mempunyai kesempatan menjamah makanan ketika di KLIA kerana taufan tiba-tiba melanda. Alunie membuka pintu rumah dengan kasar sebelum mencampakkan kunci ke meja Korea. Gamat bunyinya apabila kunci tersebut jatuh di atas perhiasan-perhiasan kecil di meja.

            Daniel menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali sambil membuka kasut lalu diletakkan di rak tepi pintu. Alunie sudah hilang entah ke mana. Terlalu pantas pula pergerakan Alunie. Daniel duduk di sette panjang tepi dinding bercermin. Berlunjur di situ sambil memerhati ke luar. Sesaat kemudian dia memicit-micit hidungnya menghilangkan sedikit rasa sakit kepala akibat kepenatan perjalanan jauh.  Seketika pula kembali merenung renyai-renyai gerimis di luar rumah. Perutnya berbunyi-bunyi dek kelaparan. Dia harus keluar sekejap lagi memenuhi hajat perutnya.

            “Awak tak mau bersihkan diri dulu? Makanan dah siap kat dapur, simpan lama-lama tak sedap pulak.”

            Suara Alunie menendang gegendang telinganya. Kelat masam wajah Alunie sudah berkurangan ketika dia mendongak menatap wajah itu. Alunie juga sudah menukar pakaiannya. Dia cuma berbaju kurung Kedah dan berkain batik. Pertama kali Daniel melihat Alunie dalam pakaian sedemikian.  Menyerlahkan ketimuran dirinya. Ketika bangun wangian yang dipakai Alunie menerjah masuk ke rongga hidungnya. Daniel jadi harau seketika. Kalau dia tidak dapat menahan diri, sudah tentu Alunie akan diraih ke dalam pelukannya. Rindunya terhadap Alunie membuak-buak di jiwa.

            Hidangan di meja nampak begitu menyelerakan sekali. Nasi dagang berlaukkan gulai ikan tongkol dan ayam. Siap dengan sambal kelapa pelengkap resepi. Seteko kopi panas dan sepinggan karipap. Sempat pula Alunie menyiapkan hidangan itu dalam masa yang singkat. Fikir Daniel sendirian.
            “Sedap nasi dagang ni, awak beli kat mana?” puji Daniel dengan niat untuk menghidupkan suasana sepi antara mereka berdua.

            “Susah payah saya buat sejak tengahari tadi, awak kata saya beli?” Alunie memuncungkan wajah. Agak kesal dengan tekaan Daniel.

            Masakan tidak, sebaik Daniel menelefon memberitahu akan kepulangannya, Alunie sudah mencongak-congak untuk menyediakan makanan istimewa bagi menyambut kepulangan Daniel. Seminggu Daniel ke Sarawak. Terasa benar kesunyian tanpa teman untuk diajak berbual setiap kali  berkesempatan balik awal. Disebabkan itu, sebagai mengalu-alukan kepulangan Daniel, dia bersusah payah menyediakan hidangan tersebut. Dia juga cuma menjengah toko bukunya sekejap sahaja. Segala urusan kedai diamanahkan kepada Mahiran, keraninya yang sedang berbadan dua. Dia yakin dengan kebolehan Mahiran kerana wanita itu lulusan IPT, cuma belum mendapat kerja yang bersesuaian.

            “Maafkan saya Lunie. Saya tak sangka awak ada kesempatan untuk masak semua ni. Awak kan agak sibuk kebelakangan ni. Lunie jangan marah ya,” kata Daniel seakan memujuk. Ditatapnya wajah Alunie sepuas hati. Namun wajah itu seakan kaget. Langsung tidak berkelip memandangnya.

            Ketika itulah baru Daniel tersedar tangannya sedang menggenggam erat tangan lembut Alunie! Entah bila diraihnya tangan mulus itu. Daniel tergelak di dalam hati. Tapi dia masih tidak rela untuk melepaskan genggamannya. Alunie pula semakin terkial-kial tidak tentu arah.






BAB SEMBILAN

Ayunie duduk bersandar di kepala katil. Kepalanya ligat memikirkan insiden di KLIA. Dia yakin Daniel tersilap orang. Namun panggilan ‘sayang’ yang keluar daripada mulut Daniel membuatkan Ayunie tertanya-tanya sejauh mana kebahagiaan yang dikecapi Daniel bersama Alunie. Hatinya terasa panas. Gigi atas dan bawahnya sengaja dilaga-lagakan. Dia tidak faham mengapa hatinya terasa cukup geram apabila membayangkan betapa bahagianya Daniel di sisi Alunie.

            Di bilik air pula kedengaran sayup-sayup suara Dato’ Halim menyanyikan lagu ‘Only You’.  Gembira benar lelaki yang sudah lama menyambut usia jubli emas tersebut. Mungkin keseronokan semasa bersama Ayunie di pertiduran tadi masih terbawa-bawa hingga ke bilik mandi.

            “Sayang, tak nak mandi ke?” Dato’ Halim bersuara romantik seraya melabuhkan punggung ke katil.

            Wajah Ayunie yang sedikit tidak terurus dengan gincu terpalit di pipi dipandangnya bernafsu.  Ayunie diam tidak menjawab. Dato’ Halim mula dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena di wajah gadis sebaya anak keduanya itu.

            “Kenapa, Yunie tak seronok tadi?”

            “Taklah…” Ayunie memaut leher Dato’ Halim. Pipi tua itu diciumnya.

            Dato’ Halim membalas. Mulanya dengan mencium pipi, tapi kemudiannya berlanjutan dengan menggigit bibir seterusnya meneroka ke dada Ayunie yang tidak dibaluti apa-apa. Ayunie awalnya membiarkan sahaja, tapi  menolak apabila Dato’ Halim mula membaringkannya.

            “Sayang, please no more,” rengek Ayunie. Dato’ Halim  terpaksa akur.

            Ayunie dibiarkan bangun. Bagaimanapun punggung Ayunie yang padat sempat ditamparnya geram. Gadis itu benar-benar membangkitkan seleranya. Sayangnya Ayunie tidak mahu menerima lamarannya meskipun sudah acapkali Dato’ Halim meminta Ayunie agar menjadi isterinya. Padahal Dato’ Halim sudah berjanji untuk tidak mencari perempuan lain selepas mengahwini dirinya. Alasan Ayunie dia tidak mahu komited. Jika sudah menjadi isteri  Dato’ Halim pergaulannya akan terbatas. Itu yang paling Ayunie cuba elakkan.

            Tambahan pula Ayunie sedia maklum, menjadi isteri Dato’ Halim akan membuat dia kehilangan segala macam keistimewaan yang sedang diperolehinya ketika itu. Dia sudah arif dengan perangai dan tabiat Dato’ Halim, semua gadis yang bersamanya akan dijadikan isteri, untuk tujuan itu, sudah berapa orang wanita telah diceraikannya  bagi digantikan dengan isteri baru. Anehnya Dato’ Halim sama sekali tidak akan menceraikan isteri pertamanya. Kebiasaannya hanya isteri kedua dan ketiga menjadi mangsa. Isteri pertama tetap kekal kedudukannya. Kata sumber-sumber yang diperolehi, Dato’ Halim sayang benar dengan isteri pertamanya kerana wanita bergelar Datin Rokiah itu telah banyak mengharungi pahit maung bersamanya.

            Silapnya, Datin Rokiah sudah tua untuk melayan kehendak batin Dato’ Halim yang sentiasa berkobar-kobar. Ditambah pula dengan kesihatan Datin Rokiah yang tidak mengizinkan. Kata orang juga, Datin Rokiah diserang angin ahmar sehingga menyebabkan dia tidak boleh berjalan dan cuma berkerusi roda. Disebabkan itu Dato’ Halim tidak pernah terlintas untuk menceraikannya.

            Bodohlah Ayunie sekiranya dia menerima lamaran Dato’ Halim. Pasti satu masa nanti dia akan menerima nasib serupa seperti beberapa orang wanita yang pernah dijadikan isteri oleh Dato'’Halim. Tiga antaranya daripada golongan artis. Sebelum mendampingi Dato’ Halim, Ayunie telah membuat survey tentang selera Dato’ Halim. Jika tidak bijak memainkan peranan, Ayunie tentu sudah lama ditinggalkan Dato’ Halim.

            Bukan Ayunie terlalu sayang sehingga tidak sanggup ditinggalkan Dato’ Halim, dia cuma sayangkan poket Dato’ Halim yang sentiasa penuh. Semenjak mendampingi Dato’ Halim sudah beribu ringgit asetnya di bank. Pakaian mewah-mewah juga memenuhi almarinya. Dia akan terus bersama lelaki tersebut sehingga satu masa yang sesuai. Ayunie bukan gadis bodoh, dia tidak mahu selama-lamanya bergantung kepada Dato’ Halim. Sebelum Dato’ Halim jemu dengan nya. Ayunie sudah membuat persiapan. Taburan wang ringgit di dalam banknya cukup untuk menampung hidupnya sehingga dia kembali mencari pekerjaan.

            Ayunie sudah membuat perancangan teliti demi memastikan kelak dia masih boleh bergaya mewah meskipun sesudah ditinggalkan Dato’ Halim. Lebih beruntung lagi sekiranya dia menemui seseorang yang boleh  menaja kemewahan hidupnya selepas meninggalkan Dato’ Halim nanti.


Daniel mundar-mandir di biliknya. Tidak tahu bagaimana untuk disuarakan hasratnya kepada Alunie. Sudah berkali-kali dia memandang cincin berlian yang dibelinya ketika di Sarawak dahulu. Hasratnya mahu menyarungkannya ke jari manis Alunie, menggantikan cincin perkahwinan mereka dahulu.

            “Doktor yakin untuk membeli cincin ni?” Tanya Delilah seakan tidak percaya melihatkan kesungguhan Daniel mahu membeli cincin tersebut. Nilainya melebihi sekali gaji Delilah.

            Kalau Delilah membeli cincin tersebut, maksudnya dia terpaksa mengikat perut selama tiga bulan. Keluarganya di kampung juga tidak akan menerima sebarang ringgit daripadanya. Delilah sama sekali tidak akan mengambil tindakan demikian.

            “Saya mahu cincin ni menjadi lambang cinta untuk isteri saya,” jawab Daniel, masih menilik cincin tersebut.

            “Sayang benar doktor kepada isteri doktor. Bertuahlah dia…” Delilah membuat komen sambil menggeleng-gelengkan kepala.

            Dia tidak terkejut kalau Daniel ahli perniagaan. Harga seperti itu bukan terlalu mahal bagi ahli korporat yang berjaya, tapi Daniel cuma seorang kakitangan kerajaan. Paling tinggi gaji Daniel cuma tiga ribu lebih. Kalau Delilah memang tidak akan sanggup sama sekali untuk membeli cincin tersebut meskipun rekaannya amat cantik.

            Daniel menjengok ke bawah. Alunie tidak kelihatan, cuma skrin tv masih dalam keadaan terpasang. Daniel tekad. Cincin itu harus disarungkan ke jari Alunie. Sudah lama dia menyimpannya. Lalu Daniel melangkah menuruni tangga dengan perasaan yang tidak keruan. Tidak tahu bagaimana reaksi Alunie apabila diminta cincin itu dipakainya.

            Alunie tertidur di sofa rupanya. Daniel mengulum senyum. Hajatnya menjadi lebih mudah untuk ditunaikan. Dia perlahan-lahan merapati Alunie. Bimbang isterinya akan terjaga. Diperhatikan sekujur tubuh Alunie dari atas ke bawah. Kedua-dua belah tangannya memeluk sebiji invoice yang diletakkan di dada. Tidurnya nyenyak sekali. Mungkin keletihan kerana seharian berpenat di kedai.

            Daniel duduk di lantai. Perlahan-lahan tangan kanan Alunie ditarik ke samping. Cincin disarungkan ke jari manis Alunie. Kemudian tangan Alunie dibawa ke bibir. Dikucup lembut dengan gejolak perasaan menimbun di hati. Alangkah bahagia fikir Daniel jika dia dan Alunie dapat mengharungi kehidupan berumahtangga dengan normal.

            Keinginan batin Daniel tiba-tiba berkocak. Alunie isterinya yang sah. Tidak berdosa sekiranya dia menyentuh Alunie. Daniel menelan ludahnya. Memandang Alunie yang kelenaan. Mungkin sedang dibuai mimpi indah. Sekali lagi dia memandang sekujur tubuh yang dibaluti pakaian tidur berwarna merah jambu. Dia membelai rambut Alunie. Lembut bagaikan sutera. Puji Daniel. Melihat rambut Alunie sejak dahulu membuat Daniel tertarik untuk membelainya. Cantik bagaikan rambut model iklan sampu dengan potongan ala-ala Cleopatra.

            Pandangan Daniel kemudiannya beralih ke bibir merah asli milik Alunie. Lama pandangannya melekat di situ sebelum bibirnya sendiri dibawa rapat ke bibir Alunie. Untuk beberapa minit Daniel menikmati kehangatan bibir Alunie tanpa disedari oleh isterinya. Keinginan batinnya mendesak dia bertindak lebih jauh, tapi hasratnya terbatal apabila dirasakan Alunie telah tersedar. Dia menjarakkan dirinya. Alunie menggeliat kecil. Masih belum terganggu tidurnya. Dia menarik nafas lega.

            Puas menatap wajah Alunie, barulah Daniel menggoncang lembut bahu isterinya. Alunie agak tersentak apabila terjaga. Dipandang jam di dinding rumah. Sudah pukul dua belas malam. Dia menarik nafas panjang sebelum menenyeh-nenyeh matanya yang agak kepedihan.

            “Saya tertidur di sini rupanya.”

            “Penat sangat ke?”

            Ayunie hanya mampu mengangguk-angguk. Tangannya menekup mulutnya sambil menguap kecil.

            “Pergilah naik tidur. Biar saya matikan tv ni.” 

            Alunie akur dan melangkah meninggalkan Daniel untuk menyambung tidurnya. Daniel termangu sendirian di ruang rehat. Memandang ke tangga. Alunie sudah tiada di tangga. Kedengaran dari tingkat atas Alunie menguak daun pintu dan menutupnya kembali.

            Besoknya seawal subuh daun pintu bilik Daniel diketuk bertalu-talu. Daniel kehairanan kerana sepanjang hidup sebumbung, Alunie tidak pernah mengganggu paginya. Daniel melipat sejadah lalu menerpa membuka pintu. Alunie merenungnya tajam.

            “Ni apa?” Alunie menyuakan tangan kanannya dan menunjukkan jarinya yang sudah disarungkan sebentuk cincin.

            Daniel tersenyum. Angkara sebentuk cincin berlian itu rupanya. Daniel menarik tangan Alunie. Pantas dia mengucupnya tanpa sempat Alunie bertindak. Tapi sesaat cuma apabila Alunie menyentaknya kasar.

            “Saya tanya ni apa, bukan nak suruh awak buat tak senonoh kat saya!” Bentak Alunie geram. Ikutkan hati mahu dilempangnya wajah Daniel.

            “Itukan cincin. Tak kan awak tak kenal pulak.”

            “Awak jangan nak berlawak pagi-pagi buta ni.”

            Daniel ketawa mendengar marah yang berdesis dalam nada suara Alunie. Tapi sekejap apabila dilihatnya Alunie cuba menanggalkan cincin tersebut. Dia memegang tangan Alunie erat. Menghalangnya meneruskan hajat.

            “Lunie biarkanlah ia kat situ. Cincin perkahwinan kita pun awak tak pakai. Cincin ni awak pakailah.”

            “Cincin tu awak  beli untuk Yunie!”

            “Benar, tapi ini saya beli khusus untuk awak. Pakailah.” Daniel cuba memujuk. Alunie mengetap bibirnya. Hilang akal untuk melawan kata-kata Daniel.

            “Huh, tak pasal-pasal saya kena ambik wuduk sekali lagi!” Ngomel Alunie lalu meninggalkan Daniel.

            Daniel tersenyum memandang langkah yang diatur Alunie. Harapannya agar cincin tersebut terus tersemat di situ.

            Pagi tadi, Alunie terkejut besar sewaktu mengambil wuduk. Sebentuk cincin berlian yang diikat dengan emas putih telah tersarung di jari manisnya. Rekaannya cantik, ia mempamerkan sebentuk hati di tengah cincin dengan sebutir berlian bagaikan bersembunyi di tengah-tengahnya. Fikirannya terus teringatkan Daniel. Hatinya bercambah geram.

            Alunie memandang cincin berlian yang masih tersarung di jari manisnya. Tentu Daniel menyarungkannya malam tadi sewaktu dia terlena di sofa. Apa lagi yang sempat dilakukannya terhadap aku? Hati Alunie tertanya-tanya. Dia pantas melipat sejadah dan telekung sembahyangnya lalu menuju ke cermin. Membelek-belek wajahnya di situ. Kemudian memandang lehernya jika ada sebarang tanda. Tiada seabarang kesan. Dia mengetap bibir. Darahnya tersirap ke muka. Jarinya menyentuh bibirnya sendiri. Lalu dia teringat malam tadi dalam keadaan separuh sedar dia terasa bibirnya bagaikan dikucup lama.
            “Daniel!”  Alunie menjerit sendirian di dalam biliknya. Cambahan geram di dalam hatinya kini membesar.

            Dia berlari ke bilik Daniel. Tanpa mengetuk atau memberi salam dia menguak daun pintu lalu menerpa masuk. Daniel ketika itu sedang memilih baju di dalam almari  dan cuma mengenakan tuala.  Agak terpaku dirinya melihat Alunie dalam keadaan marah-marah.

            “Baik awak terus-terang, selain pakaikan cincin ni ke jari saya, apa lagi awak dah buat malam tadi?”

            Kenapa tiba-tiba pula dia ni tanya macam ni? Hati kecil Daniel tertanya-tanya. Sedangkan malam tadi Alunie langsung tidak sedar akan perlakuannya. Fikirannya mengimbau peristiwa indah malam tadi. Pertama kali bibirnya dapat bersatu dengan bibir Alunie. Serentak itu juga keinginan batinnya muncul kembali. Bergelora dan bergelombang hebat. Dia tersenyum apatah lagi melihatkan Alunie di depannya dalam keadaan sedemikian.

            “Awak benar-benar nak tahu?”  Duga Daniel.

            “Kalau saya tak nak tahu, saya tak bodoh datang ke bilik awak ni!”

            Daniel tersenyum melihat tingkah laku Alunie. Dia memandang Alunie dari bawah ke atas dan dari atas ke bawah berulang-ulang sehinggakan amarah Alunie kian membesar dan cambahannya kian bertambah

“Cepatlah cakap!” Gesa Alunie dengan nada meninggi.

“Kalau awak benar-benar nak tahu, saya buat macam ni…”

Serentak itu juga Daniel merangkul meraih Alunie ke dalam pelukannya tanpa Alunie duga sama sekali. Alunie tersentak. Barulah dia sedar Daniel ketika itu cuma bertuala dan dia sendiri pula cuma berkemban dengan kain batik. Patutlah Daniel sejak tadi memandangnya lain macam.

“Daniel lepaskan saya!”

Alunie menggelepar cuba untuk meloloskan diri daripada rangkulan kemas Daniel. Namun suaminya langsung tidak mengendahkan. Tubuh kecil molek Alunie ditolak ke katil dengan tubuhnya masih melekat di tubuh Alunie. Alunie kian meronta-ronta. Dia cuba memaki hamun Daniel namun gagal apabila bibirnya sudah ditawan dua ulas bibir Daniel.

Ikatan kainnya hampir terurai sewaktu dia meronta-ronta di atas katil. Daniel langsung tidak menghiraukannya. Tangan dan bibirnya seiring, pantas menakluki segenap inci tubuhnya. Alunie terasa dirinya bagaikan watak Umi Aida di dalam filem Embun.  Dia takut dan mula menangis. Apatah lagi dirasakan kain batik yang membaluti tubuhnya sudah terlondeh sampai ke paras pinggang.

            Esakan Alunie makin kuat. Daniel berhenti bertindak. Dia melonggarkan pelukannya lalu menjarakkan tubuhnya daripada tubuh Alunie.  Dipandangnya wajah Alunie yang masih menangis teresak-esak sambil matanya terkatup rapat. Keadaan Alunie mendorongnya bangun dan mengutip tuala yang sudah terurai di birai katil. Alunie pula membalikkan tubuhnya lalu menangis dalam keadaan tertiarap. Hatinya benar-benar hancur dengan tindakan Daniel.

            Kemudian Daniel merapati Alunie. Menarik kain batik menutup tubuhnya yang terdedah. “Maafkan saya Alunie. Saya tak dapat menahan diri,” bisik Daniel ke telinga Alunie seraya mencium lembut rambutnya.

            Alunie masih menangis dengan perasaan berbaur geram.

            “Lunie, maafkan saya.”

            Daniel berbaring di sebelah Alunie lalu mendakapnya. Cuba untuk mententeramkan Alunie. Sedangkan Alunie terus-terusan menangis.

            “Lunie, pandanglah saya. Berkatalah sesuatu pada saya. Saya tahu saya salah walaupun daripada segi hukum tak berdosa untuk saya menyentuhi awak. Tapi saya tak mahu memaksa awak dan menakluki awak tanpa kerelaan awak. Saya minta maaf.”

            Alunie tetap tidak menjawab. Cuma esakannya memenuhi ruangan. Daniel mengeratkan dakapannya dan cuba memujuk Alunie lagi.

            “Lunie, takkan tak de sedikit ruang di hati awak untuk saya?” Bisik Daniel, namun cukup untuk didengar Alunie. “Saya cintakan awak!” Daniel kemudiannya menyambung.

            Serentak itu juga Alunie bangun. Mengemaskan ikatan kainnya sebelum mengelap jejeran air mata di pipi.

            “Percayalah Lunie, saya benar-benar cintakan awak sebagai seorang isteri. Saya ingin menikmati kebahagiaan hidup sebagai suami isteri bersama awak. Terlalu banyakkah yang saya minta daripada awak Lunie?” Nada suara Daniel kedengaran tegas.

            Alunie tidak membalas kata-katanya. Dia cuma tunduk menekup muka dengan kedua-dua belah tangannya sambil menyambung esakannya. Daniel tidak keruan dengan sikap Alunie.

















BAB SEPULUH

Kepulangan Alunie ke kampung disambut gembira oleh kedua-dua orang tuanya. Sejak berkahwin itulah julung kalinya Alunie menjejakkan kaki ke kampung. Hajjah Rahimah sudah menyediakan pelbagai masakan kegemaran Alunie sebaik mendapat khabar tersebut.

            “Kenapa Dani tak ikut sama?” Soal Haji Harun sebaik mereka selesai menjamu makan malam.

            Alunie tidak menjawab pertanyaan ayahnya. Dia mengambil senaskah akhbar lalu pura-pura membaca berita di dalam akhbar.

            Budak ni kenapa? Dah hampir setahun berkahwin tak kan masih ada masalah. Bicara hati kecil Haji Harun. Dia memandang ke wajah Hajjah Rahimah. Isterinya turut memandangnya bagaikan mengerti maksud tersirat di sebalik pandangan si suami.

            Sewaktu awal perkahwinan dahulu ada juga mereka bertanya Daniel kelancaran penerimaan Alunie. Ketika itu mereka dimaklumkan oleh Daniel Alunie masih gagal menerima hakikat perkahwinan mereka walaupun ia cadangannya sendiri. Namun menurut Daniel Alunie melayannya dengan baik. Mereka ketika itu yakin sikap Alunie akan berubah suatu masa nanti. Lama-kelamaan cerita hubungan Daniel dan Alunie tidak lagi kedengaran. Daniel sering melaporkan yang baik-baik tentang Alunie. Sekejap tentang masakannya yang sedap. Sekejap pula tentang ketekunan Alunie terhadap perniagaannya. Pendek kata tidak kedengaran lagi keluh kesah Daniel meminta petua untuk menawan hati Alunie.

            “Lunie ada masalah dengan Dani?” Kali ini Hajjah Rahimah pula bertanya apabila Alunie kelihatan tidak berminat untuk berbicara tentang Daniel.

            Belum sempat Alunie bersuara apa-apa telefon genggamnya yang terletak di meja kecil bersebelahan kerusi rotan tempat Haji Harun merebahkan badan berbunyi nyaring. Haji Harun memandang telefon genggam itu, kemudian memandang Alunie. Alunie nampak tidak mahu berginjak dari tempat duduknya. Lalu Haji Harun  menggapai telefon bersaiz empat jari. Dibetulkan cermin matanya untuk membaca nombor yang tertera di skrin.

            “Panjang umur dia…”

            “Sapa bang?”

            “Dani.”

            Haji Harun menyuakan telefon itu kepada Alunie. Anaknya menyambut. Hatinya bergelumang rasa benci dan sakit hati. Sebenarnya, sejak kejadian pada pagi itu, Alunie seboleh mungkin cuba untuk menjauhkan diri daripada Daniel. Malangnya panggilan daripada Daniel sentiasa bertali arus. Malam itu Daniel membuat panggilan lagi. Alunie terpaksa menjawabnya. Alunie menyambut huluran ayahnya kemudian bangkit menuju ke bilik.

            “Saya kat kampung ni. Tak kan nak balik rumah mak ayah saya pun kena bagi tau.”

            Haji Harun dan isterinya memasang telinga menangkap butir-butir perbualan Alunie. Sah, anak menantunya sedang bertelingkah. Cuma mereka belum dapat mengesan puncanya. Agak lama Alunie berbual-bual dengan Daniel. Sesekali kedengaran suara Alunie menegang.  Sesudah menamatkan perbualan dengan Daniel, Alunie terus merebahkan badan ke katil. Tidak mahu berdepan dengan orang tuanya . Bimbang mereka akan menyoal perkara yang sukar dijawabnya.

            Sungguhpun demikian Alunie tidak dapat melelapkan mata meskipun seharian memandu kereta dari Kuala Lumpur pulang ke Kelantan.

            “Saya benar-benar cintakan awak Lunie.” Daniel berulang kali mengungkapkan kata-kata keramat itu sepanjang perbualan tadi. Berulang kali pula Alunie menafikan kata-kata Daniel dan menganggap Daniel cuba untuk memancingnya.

            Dia mengangkat tangan kanannya. Memandang cincin yang tersemat elok. Pernah dia cuba membuang cincin itu dari jarinya, entah mengapa pula jarinya terasa perit kerana cincin itu sukar dibuang. Mungkin badannya makin berisi tanpa disedarinya. Tidak semena-mena air mata Alunie bergenangan di kelopak mata. Dia terlalu kecewa mengingatkan dirinya hampir-hampir menjadi mangsa nafsu Daniel.

            Alunie terlena tanpa sedar. Lena bersama juraian air mata membasahi bantal lapik kepala. Bagaimanapun lenanya pula diulit mimpi indah. Seorang pemuda yang samar-samar wajahnya datang menyerikan hidupnya. Dia amat berbahagia meniti hari bersama pemuda yang tidak dapat dilihat dengan jelas wajahnya di dalam mimpi.

            Sementara itu, Daniel di rumah langsung tidak dapat melelapkan mata. Ingatannya melekat kepada Alunie. Puas dia cuba meyakinkan Alunie rasa hatinya. Namun isterinya langsung  tidak mempercayai kata-katanya. Dia menjadi mati kutu dengan tingkah laku Alunie. Sudah hampir setahun mereka berkahwin. Dalam tempoh itu sekelumitpun tidak wujud perasaan kasih apatah lagi cinta di hati Alunie terhadapnya. Apa lagi yang boleh dilakukannya. Sudah puas dia bangun menunaikan solat hajat, minta Allah lembutkan hati Alunie. Bagaimanapun, doanya belum dimakbulkan.

            Dia boleh berkasar dengan Alunie jika dia mahu. Memaksa Alunie menyerahkan keperawanannya bila-bila masa dia suka. Sungguhpun demikian Daniel tidak tergamak menyakiti Alunie. Menggauli Alunie tanpa rela. Dia mahu Alunie bersatu dengannya dengan rasa penuh kasih sayang. Daniel tidak mahu mementingkan diri sendiri. Dalam surah an-Nisa’ ayat sembilan belas ada menyebut “Dan pergauli isteri-isterimu dengan cara yang baik.” Daniel ingat benar saranan tersebut. Disebabkan itu dia tidak mahu bersikap mementingkan dirinya.
            Sungguhpun pula dia mahu Alunie menerimanya sebagai suami bukan kerana mahu Alunie memenuhi keinginan batinnya semata-mata, tapi demi melengkapi antara satu sama lain. Ini sejajar dengan  tujuan Allah s.w.t menciptakan manusia berpasang-pasangan. Dalam surah al-A’raf ada menyebut: Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain.

            Daniel bukan terlalu alim, namun sedikit sebanyak ilmu agama dipelajarinya demi bekalan masa depan. Kerana dia masih mempunyai keimanan maka dia tidak mahu perkahwinan yang diikat antara dirinya dengan Alunie terlerai. Meskipun pada awal rancangan perkahwinan itu dibuat hanya untuk menyelamatkan keadaan. Kata orang sekali talak dilafazkan dan terlerai ikatan perkahwinan, sekali itu juga tiang Arasy akan bergegar. Perceraian sesuatu yang tidak haram, namun Allah s.w.t tidak sukakannya.

            Jam sudah hampir tiga pagi. Akhirnya Daniel akur dengan masa. Dia harus tidur kerana besok, pagi-pagi lagi dia harus bertolak ke KLIA. Delilah telah menelefonnya meminta tolong agar dijemput di KLIA. Permohonan pertukaran ke semenanjung oleh gadis berkulit putih melepak itu telah diluluskan. Nasib Delilah nampaknya benar-benar beruntung. Tidak perlu lama berkhidmat di rantau orang, kini dia boleh kembali ke semenanjung meneruskan baktinya.

            Tercapai hajat Delilah untuk sentiasa dekat dengan keluarganya. Delilah. Entah kenapa Daniel senang rapat dengan gadis tersebut. Sejak ke Sarawak sehingga kini, hubungan persahabatan antara mereka tidak putus begitu sahaja. Delilah sering bertanya khabar melalui telefon. Sesekali Daniel sendiri turut menghubunginya. Sambil bertanya perkembangan projek pelajar master seliaannya, dia juga mengambil kesempatan untuk berborak panjang dengan Delilah. Gadis yang mempunyai sepasang lesung pipit di pipi. Terserlah setiap kali dia menguntum senyuman.

            “Macam mana perjalanan tadi?” Daniel menghidupkan suasana sewaktu memasukkan bagasi Delilah  ke dalam bonet kereta.

            “Boleh tahan, tapi hati ni berdebar-debar untuk tiba.” Delilah membalas sambil membuntuti Daniel masuk ke kereta.

            “Kenapa? Tak sabar untuk bertemu seseorang yang istimewa?” Daniel cuba mengusik. Usikannya mengundang senyum di wajah Delilah.

            “Mana ada orang istimewa doktor. Kalau ada yang berkenanpun orang tu tak sudi kat kita,” ujar Delilah. Sekali lagi mempamerkan senyuman berserta lesung pipit di wajahnya. Tampak manis sekali.

“Ai, bunyi macam dah patah hati saja ni.”

Daniel mengusik lagi. Dia senang sekali mengusik gadis yang pernah menjadi pelajarnya satu masa dahulu. Apatah pula hati gadis itu kalis diusik. Bukan apa-apa baginya.

“Isteri doktor apa khabar?” Delilah mula menyentuh tentang wanita kesayangan Daniel.

Daniel tersenyum kelat. Sebelum ini dia memang tidak pernah bercerita masalah rumahtangganya kepada sesiapa juga. Termasuk orang tuanya di kampung. Kalau ditanya dia akan mengatakan mereka baik-baik sahaja. Cuma dulu dia pernah bercerita ketidaksudian Alunie menerima kehadirannya. Dia cuma mahu meminta petua untuk menawan hati Alunie dan bertanya serba sedikit sikap Alunie yang tidak pernah didekatinya sebelum berkahwin.

“Kenapa doktor, ada yang tak kena atau isteri doktor sakit?” Menyedari riak kurang enak terpetia di rias Daniel, Delilah pantas menyoal.

            “Tak. Semua baik. Alunie, isteri saya pun baik. Cuma buat masa ni dia sedang bercuti kat kampung. Saya tak boleh ikut, tengah sibuk.” Daniel masih cuba menyembunyikan perkara sebenar.

            “Oh, ni tengah rindu isterilah ni. Patutlah lain macam je saya tengok.” Kali ini giliran Delilah pula menyakatnya.

Daniel tersenyum. Cuba menyembunyikan raut wajahnya yang sedang resah apabila nama Alunie disebutnya. Kalau ikutkan hati, mahu dijejaki Alunie malam tadi juga. Namun ditabahkan hatinya. Biarlah Alunie tenangkan perasaannya di kampung. Daniel tidak mahu menambahkan tekanan perasaan Alunie. Harapannya sekembali Alunie ke Kuala Lumpur nanti, isterinya telah berubah. Mungkin Alunie akan memikirkan tentang hati dan perasaannya seterusnya mula menerima hakikat perkahwinan mereka.

            “Teringin saya mengenali isteri doktor. Tentu dia wanita yang  hebat.”

            “Hah?”  Daniel bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang didengarinya.

            “Tak boleh kah kalau saya nak berkenalan dengannya?” Delilah bertanya. Agak terkejut dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Daniel.

            “Nantilah, kalau ada masa yang sesuai,” kata Daniel.

            Memang itu yang kerap diucapkan apabila kawan-kawannya meminta Daniel mengenalkan Alunie kepada mereka. Sudah hampir setahun berlalu, namun tidak seorang pun kakitangan Fakulti Perhutanan mengenali Alunie. Jika ada yang terserempak dengan mereka di mana-mana, tiada yang pernah sempat menegur dan mendekati. Ada juga yang ambil jalan mudah ke toko buku milik Alunie semata-mata untuk mengenali wajah Alunie, tapi kebiasaannya Alunie tiada di toko bukunya.  Kebiasaannya, mereka yang ke toko buku terdiri daripada kakitangan perempuan yang muda dan pernah menaruh hati terhadap Daniel. Memang ramai yang berkenan dengan Daniel memandangkan dia satu-satunya pensyarah muda di Fakulti Perhutanan. Ditambah pula dengan wajah yang agak menarik. Menjadi bonus ke atas dirinya untuk diisytiharkan sebagai kakitangan fakulti yang paling top.

            “Ilah, awak nak singgah  kat UPM dulu ke atau terus ke Jabatan Perhutanan?” Daniel mengajukan soalan sebaik tiba di Salak Selatan.

            “Singgah kat UPM dululah doktor. Dah lama tak jumpa pensyarah kat sana. Ehh, Cik Mat yang suka mengorat tu ada lagi ke?”

            “Ada. Orang tua tu macam tu lah. Tak ubah-ubah.” Daniel ketawa. Terbayang wajah Cik Mat yang dimaksudkan oleh Delilah.

            Delilah turut ketawa. Boleh dikatakan semua pelajar dan kakitangan fakulti tempat Daniel bertugas mengenali petugas herbarium tersebut. Selain ramah dan agak senang bergaul, Cik Mat juga suka mengorat perempuan lawa. Dia juga sering benar tuang masa kerja. Sudah ramai pensyarah merungut apabila susah untuk mendapatkan khidmatnya. Namun dekan seperti tidak ambil pusing dengan perkara tersebut. Alih-alihnya semua orang akan berdiam diri dan cuma bercakap-cakap dari belakang.

            Perbualan Delilah dan Daniel tidak berhenti di situ saja. Pelbagai tajuk mereka bualkan termasuk tempat kerja baru Delilah. Dia masih menjawat tugas sebagai Pegawai Hutan dan akan bertugas di Bahagian Silvikultur dan Perlindungan Hutan di Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

            Daniel sengaja mencipta pelbagai topik perbualan dengan Delilah agar ingatan dan keserabutan fikirannya dek bahang tingkah laku Alunie dapat dilupakan seketika. Mujur juga Delilah agak senang diajak berbicara. Berbeza dengan sikap Delilah semasa masih bergelar pelajar sedikit masa dahulu.

            “Doktor, sebagai seorang lelaki, apa yang doktor pandang pada seorang perempuan. Maksud saya kriteria bagaimana yang perlu ada sehingga boleh membuatkan doktor terpaut hati?”

            Daniel menoleh menatap wajah Delilah seketika. Kaget juga apabila ditanya soalan sedemikian. Tidak tahu bagaimana untuk dijawab. Dia mula terbayangkan wajah-wajah wanita yang pernah hadir dalam hidupnya. Ayunie dan Alunie. Serupa tapi tak sama sedikitpun. Dahulu dia memilih Ayunie kerana terpikat dengan bukan sahaja kecantikan yang dipamerkan, tapi juga penampilan Ayunie yang penuh karisma dan menggoda. Kemudiannya dia mengenali Alunie. Meskipun mempunyai kecantikan yang sama, namun penampilannya agak boyish. Setelah menilainya daripada pelbagai sudut baru dia sedar sebenarnya Alunie lebih layak mendapat tempat di hatinya.

            “Lain orang lain yang dipandangnya Ilah. Walaupun saya seorang lelaki, mungkin cara saya melihat dan boleh terpaut pada seseorang wanita berbeza dengan lelaki lain. Perkara ni subjektif. Depend orang tu suka tang mana.”

            “Okeylah, kita sempitkan skop. Saya nak tahu citarasa doktor memilih wanita yang bagaimana?”

            “Kalau soalan tu fokus untuk saya sorang, emm… jawapannya senang sikit. Sebenarnya saya senang bersama wanita yang cantik dah bergaya.”

            Delilah memandang Daniel. Seperti ada sesuatu yang dia rasa tidak puas hati. Daniel mengukir senyum.

            “Itu dulu, sebelum kenal isteri saya. Apabila dah kenal dia, barulah saya tahu dan sedar, tak penting kalau dia tidak didatangkan dalam pakej yang menarik, cukup sekadar dia mempunyai identitinya yang tersendiri.”

            “Doktor benar-benar kagum dan sayang isteri doktor. Bertuah perempuan tu.”

            Bertuah? Kalaulah Alunie yang merasakan dirinya bertuah dengan kasih sayang aku ni, tentu sekarang aku tak harau dan gelisah macam ni.

            “Berapa lama doktor bercinta dengan isteri doktor?”

            Entah kenapa Delilah menunjukkan minat untuk mengetahui  perkara personal Daniel. Soalan-soalan yang dikemukakan Delilah membuatkan Daniel tidak dapat lari daripada memikirkan tentang Alunie.

            “Kalau saya katakan kami tak pernah bercinta?”

            “Saya tak percaya.” Delilah berkata.

            Masakan dia akan mempercayainya. Kisah cinta Daniel telah heboh diperkatakan segenap fakulti sejak dahulu lagi. Daripada bercinta seterusnya bertunang, Delilah dapat ikuti perkembangan cinta Daniel. Tiba-tiba saat itu dikatakan dia dan isterinya  tidak pernah bercinta. Siapakah yang akan mempercayainya?

            Fikiran Daniel pula berputar ligat memikirkan Alunie. Alunie yang dianggap misteri di kalangan kawan-kawan fakulti. Daniel sedar, tidak ramai kenal wanita yang mendampinginya. Sejak dulu, semasa bertunang, hanya kawan-kawan sekampung dan rakan satu rumah sewa mengenali Ayunie. Mereka inilah yang kerap memuji Daniel pandai memilih bakal  isteri. Mereka ini juga yang hadir semasa majlis perkahwinan dulu dan langsung tidak mengetahui isteri Daniel telah bertukar orang! Kerana pertukaran itulah fikiran Daniel kini sarat terbeban. Dia sedar Alunie sedang memberontak dengan membawa diri ke kampung.



BAB SEBELAS
“Assalamualaikum!” Suara memberi salam mengejutkan Alunie yang sedang merumput di halaman rumah.

            Berderau darah naik ke muka Alunie sewaktu mengangkat wajah dan memandang ke arah datangnya suara.  Encik Ibrahim dan isterinya Puan Mahani! Alunie mencuci tangan di paip yang terletak di halaman. Paip yang sering digunakannya untuk mencuci kereta. Dalam hatinya tertanya-tanya bagaimana dia harus menampilkan dirinya. Sebagai menantu atau hanya sebagai adik kepada menantu mereka. Juga panggilan apa yang harus diucapkannya. Mahu memanggil ibu dan bapa, Puan Mahani tidak tahu lapik duduk perkara sebenar, mahu dipanggil pakcik dan makcik seperti kebiasaannya, bagaimana pula dengan penerimaan Encik Ibrahim? Kacau benar fikiran Alunie memandangkan itu kali pertama dia berdepan dengan pasangan tersebut sebagai dirinya sendiri.  Dalam keadaan serba kacau seperti itu, Alunie tetap merapati mereka.

            Puan Mahani berwajah toya sewaktu Alunie menyalami tangan dan tunduk menciumnya. Pandangannya melekat di tubuh Alunie. Ditatapnya dari atas ke bawah. Alunie yang hanya berjeans lusuh berambu paras lutut agak kurang selesa dipandang begitu. Sementara penerimaan Encik Ibrahim lebih mesra. Dengan senyuman merekah di bibir dan lembut bertanya khabar Alunie.

            “Mak ayah kamu mana?” Agak kurang mesra pertanyaan yang dituturkan oleh Puan Mahani.

            “Mereka ada kat dalam. Masuklah dulu. Pakcik, makcik…”

            “Eh, kenapa berpakcik makcik pula, kan kami dah jadi sebahagian keluarga Lunie.” Encik Ibrahim memeluk bahu Alunie. Menariknya melangkah seiring masuk ke rumah. Benar-benar melayan Alunie seperti anak.

            Alunie sempat menangkap kerlingan kurang senang di mata Puan Mahani. Muncungnya walau tidak sepanjang mana, namun tetap ke depan. Ah! Apa yang dia kurang senang sangat dengan aku ni?

            Demi terpandang kehadiran tamu mereka, Haji Harun dan Hajjah Rahimah yang sedang menonton tv tersenyum mesra. Pantas dipelawanya duduk.  Alunie pula bergegas ke biliknya. Menukar pakaian kerana merasa kurang selesa berpakaian seperti itu di depan ‘orang luar’.   Sesudah menukar pakaian dia ke dapur membuatkan minuman untuk mentuanya. Dapat didengar dengan jelas perbualan mereka di ruang tamu.

            “Dah berapa hari Lunie balik?” Tanya Encik Ibrahim sewaktu Alunie meletakkan secawan kopi di depannya.

            Padahal di dalam hatinya bersyukur kerana kelibat Daniel tidak terdapat di mana-mana. Kalaulah saat itu Daniel juga turut bersama, tentu Puan Mahani akan kehairanan melihatkan Daniel pulang ke rumah mertuanya tanpa Ayunie, sebaliknya bersama Alunie. Untuk Alunie menyamar sebagai Ayunie sebaik menyambut kedatangan mereka tadi agak mustahil kerana sepanjang mengenali Ayunie, belum pernah sekalipun mereka suami isteri melihat Alunie berpakaian sedemikian. Ayunie memang menjaga penampilannya tanpa mengira tempat.

            “Dah tiga hari pakcik er, bapak.” Alunie tersasul. Puan Mahani menjelingnya.

            Encik Ibrahim mengangguk-angguk. Meski kehairanan kerana Alunie pulang bersendirian, namun soalan itu tidak dapat diajukannya. Buat menempah maut sahaja. Isterinya tentu tidak dapat menerima kenyataan itu memandangkan sikapnya yang sering membanding-bandingkan Alunie dan Ayunie. Bagi Encik Ibrahim pula, sesiapapun antara mereka berdua yang  menjadi menantunya tetap diterima dengan hati terbuka. Soal jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Sudah begitu ketentuan-Nya, dia redha.

            “Sedap karipap Imah ni. Pandai Imah buat, kulitnya menjadi betul, intinya cukup rasa,” puji Puan Mahani yang tidak berminat untuk menyampuk perbualan antara suaminya dan Alunie.

            “Lunie yang buat tu. Kalau dia ada kat rumah, boleh gemuk kami laki bini. Ada-ada saja yang dimasaknya.”

            “Oh, ni kalau Yunie yang buat tentu lagi sedap kan? Masa kat rumah kami hari tu tiba masa makan, Yunie yang urus semuanya. Saya anak beranak menolong apa yang patut aje. Cekap budak Yunie tu kat dapur. Tak sesia Daniel memilihnya. Kenapa mereka lama tak balik ya?”

            Terkesima Alunie mendengar kata-kata Puan Mahani. Secara terang-terangan dia dibandingkan dengan Ayunie. Lantaklah. Dia bukannya hendak bersaing dengan Ayunie merebut kasih sayang Puan Mahani. Dia melakukan semua itu dek terpaksa dan mahu menyelamatkan maruah orang tuanya. Jika begitu perangai Puan Mahani, mati hidup balik sekalipun tak ingin dia nak jadi menantu perempuan bermulut merah dilapik gincu itu.

            Hajjah Rahimah, Haji Harun dan Encik Ibrahim berpandangan sesama sendiri. Kemudian pandangan mereka bertiga jatuh ke wajah tidak bersalah Alunie. Sebagai orang tua mereka tahu di hati Alunie telah terkesan satu luka ekoran kata-kata Puan Mahani.

            “Dia orang tu belum ada apa-apa lagi ke?” Encik Ibrahim mengubah haluan perbicaraan. Bimbang makin banyak Puan Mahani membandingkan Ayunie dan Alunie, makin terluka hati Alunie.

            Topik baru yang dikemukakan Encik Ibrahim membuatkan Alunie mengangkat wajah. Encik Ibrahim juga turut memandangnya. Bagaikan menyoal diri Alunie. Kemudian pandangan Encik Ibrahim beralih ke arah Hajjah Rahimah dan Haji Harun.

            “Budak-budak zaman sekarang, bukan nak beranak awal-awal. Takut menjejaskan penampilan,” beritahu Hajjah Rahimah.

            “Itulah, selalu juga saya telefon Yunie dan bertanya perkara tersebut, tapi budak tu cakap nanti dulu,” ujar Puan Mahani pula.

            Oii, kau orang jangan harap nak dapat cuculah. Tak tercapai punya hajat tu. Daniel nak sentuh sikit pun aku dah mengamuk, inikan pula nak sedekah zuriat kat aku. Malang sikit lah! Alunie mengomel di dalam hati. Baginya mengandungkan anak zuriat daripada Daniel bukan sesuatu yang bakal  menjadi kenyataan. Bukan dia tidak teringin punyai anak. Namun bukan hasil perkongsian hidup dengan Daniel. Biarlah ia daripada hubungan cintanya dengan lelaki yang dicintai sepenuh hati.

            “Hah, Alunie pula bila nak kahwin?” Ada nada sindiran dalam pertanyaan yang diajukan oleh Puan Mahani.

            Aku dah kahwin orang tua bongok! Aku dah kahwin dengan anak kau tu lah. Bodohnya orang tua ni. Alunie semakin hilang sabar. Mahu saja dia katakan pada Puan Mahani agar jangan nak lebih-lebih menyindirnya. Lupa dia seketika bahawa dia sedang berdepan dengan mertuanya. Bukan orang lain, tapi diulangi mertuanya sendiri.

            “Orang macam saya sapa nak. Lainlah Yunie tu.” Entah mengapa Alunie boleh berkata demikian. Seakan menyindir Puan Mahani dan seluruh mereka yang berada di situ.

            Macam aku ni tak laku sangat. Hati kecil Alunie membebel lagi. Geram dia. Nantilah, kalau aku dah jumpa dengan seseorang yang boleh buka pintu hati aku ni, akan aku tunjuk dan tayang kepada semua orang. Masa tu baru terbeliak mata semua orang!

            “Orang lelaki ni Lunie sukakan sesuatu yang indah. Tak cukup kalau punya paras rupa cantik tapi tak pandai menampilkan diri. Takut nanti malu suami nak bawa ke sebarang majlis.”

            Ah, celupar betul mulut orang tua ni. Berbeza sekali cara layanannya semasa aku menyamar sebagai Ayunie dulu. Nantilah, termalulah kau nanti kalau tahu sapa menantu kau yang sebenar. Kalau aku dah jumpa lelaki yang aku suka, depan kau aku akan minta cerai daripada Daniel. Alunie bertekad.

            “Tak juga Ani oii. Orang lelaki ni bukan ukur kecantikan dan penampilan diri, yang penting perangai perempuan tu. Kalau asyik dok menghias diri tapi perangai tak terjaga lelaki pun tak berkenan juga,” sampuk Encik Ibrahim. Runsing hatinya dengan kelancaran mulut isterinya tanpa mengambil kira hati dan perasaan Alunie.

            Sekalipun Alunie bukan menantunya, Encik Ibrahim tetap tidak bersetuju dengan sikap yang ditunjukkan oleh Puan Mahani. Entah disampuk jembalang tanah mana membuatkan isterinya langsung tidak mengawal kelancaran  mulutnya. Sedangkan waktu itu Encik Ibrahim sudah dapat mengesan riak tidak senang kedua-dua orang besannya.

            Baik Ayunie mahupun Alunie, kedua-dua mereka tetap anak pasangan suami isteri di depannya. Tentu mereka akan merasa terkilan jika mana-mana seorang anak mereka dipandang sedemikian oleh orang lain. Jika Encik Ibrahim sekalipun akan merasakan perasaan sama seperti Haji Harun dan isterinya, Hajjah Rahimah.

            Sedang kala itu, pada wajah Alunie seperti cuba mengatakan sesuatu. Namun tidak terlafaz di bibirnya. Kasihan Alunie. Bisik hati kecil Encik Ibrahim. Baginya Alunie seorang anak yang terlalu taat kepada kedua-dua orang tuanya sehingga sanggup mengabaikan perasaannya sendiri.

            “Setiap orang punyai citarasa berbeza.” Akhirnya terpacul kata-kata itu daripada mulut Alunie.

            Ikutkan hati mahu sahaja dia meninggalkan ruang bual itu dan masuk ke biliknya melayan perasaan. Dia sudah tidak sanggup berdepan dengan Puan Mahani. Sewaktu dalam talian dia merasakan betapa mesranya Puan Mahani melayan dia sebagai menantu. Tapi kemesraan itu hilang begitu sahaja apabila Alunie kembali kepada dirinya yang sebenar. Puan Mahani ketara berbeza melayannya.

            Tiba-tiba telefon Alunie kedengaran nyaring di bilik minta dijawab. Entah siapa yang membuat panggilan ke telefon genggamnya. Siapapun dia Alunie tetap berterima kasih kerana dia telah menyelamatkan Alunie daripada terus berdepan dengan Puan Mahani. Hatinya mula jelak melihat Puan Mahani.

            “Hello, apahal awak telefon ni? Sihat. Tengoklah dua tiga hari lagi.”

            Daniel rupanya si pemanggil yang telah meloloskan Alunie daripada terus berdepan dengan Puan Mahani dan soalan-soalan entah apa-apa yang keluar daripada mulut wanita itu.

            Daniel terlalu rindukan Alunie, tiga hari Alunie pulang ke Kelantan dirasakan separuh abad. Disebabkan itu dia membuat panggilan untuk bertanya khabar.

            “Awak rindukan saya?” Sengaja Alunie menguatkan suaranya apabila tiba pada frasa ‘rindu’. Biar terdengar oleh Puan Mahani lantas perempuan itu akan membuat tanggapan Alunie sedang berbicara dengan kekasihnya. Padahal Alunie berbicara tidak lain selain dengan anaknya sendiri.

            “Lunie bercakap dengan siapa tu?” Soal Puan Mahani kepada Hajjah Rahimah apabila telinganya terdengar Alunie menyebut perkataan ‘rindu’. Memang dia memasang telinga sejak Alunie masuk ke bilik untuk menjawab panggilan. Entah mengapa terbit rasa ingin tahu soal peribadi Alunie.
            “Entahlah. Buah hati dia agaknya. Selalu juga dia terima panggilan. Nak kata suplliernya, cakap berbisik-bisik, macam orang sedang bercinta,” ujar Hajjah Rahimah. Mula memasang jarum untuk melihat reaksi Puan Mahani.

            “Imah kena hati-hati sikit. Mana tahu lelaki tu bukan nak sangat kat Lunie, tapi gilakan harta Lunie. Maklum lelaki zaman sekarang. Banyak tukang kikis.”

            Begitu pula andaian yang dibuat oleh Puan Mahani. Hajjah Rahimah menjadi tidak lugu. Kenapa Puan Mahani begitu prejudis terhadap anak gadisnya. Padahal kalau tak kerana Alunie, mungkin ketika itu Puan Mahani sedang terlantar sakit kerana terkejut dengan tindakan yang diambil oleh Ayunie.

            Agak lama besan mereka menghabiskan masa di rumah Haji Harun dan Hajjah Rahimah. Hampir tiga jam. Memang itu kebiasaan mereka sebelum anak-anak mereka disatukan lagi. Hubungan baik yang terjalin sekian lama juga mendorong mereka untuk merapatkan lagi hubungan tersebut dengan menjodohkan Daniel dan Ayunie. Nasib baik Daniel juga  bersetuju untuk menjalinkan hubungan dengan salah seorang anak gadis mereka.

            “Dah balik mereka mak, ayah?” Soal Alunie mengambil tempat di lantai. Dia duduk bersila menatap wajah kedua-dua orang tuanya. Pandangannya dibalas oleh orang tuanya dengan seribu macam rasa.

            “Dah…” Hajjah Rahimah menelan ludahnya seketika. Ditatap wajah Alunie penuh simpati.  “Lunie terasa dengan sikap ibu Lunie tadi?” Hajjah Rahimah menyoal. Meskipun tanpa jawapan daripada Alunie, dia sedia maklum rasa hati Alunie.

            “Hanya orang kurang waras yang tak kan terasa mak, bukan Lunie yang sempurna akal fikiran ni,”   beritahu Lunie tanpa berselindung. Biar mereka tahu kondisi hati Alunie ketika itu.
            “Lunie jangan ambil hati ya. Ibu Lunie sekadar mahu memberi nasihat,” ujar Haji Harun. Cuba memujuk hati Alunie.

            “Bukan tak boleh nak nasihatkan Lunie, tapi biar kena pada caranya. Ni nada cakap Puan Mahani tu macam menyindir je,” luah Alunie. Memang dia terbakar hati dengan perilaku Puan Mahani semasa perbualan mereka tadi.

            “Tak kisahlah Lunie apa dia nak kata. Lunie bukan tinggal bersamanya, Lunie tinggal dengan Daniel jauh kat KL. Apa yang penting sekarang kehidupan Lunie dan Daniel sendiri. Biar bahagia kamu berdua, itu dah memadai. Asal Daniel sayang Lunie, itu dah cukup.”

            Alunie naik muak mendengar kata-kata Hajjah Rahimah.  Nyata ibunya memang tidak pernah mencium aura kegersangan kasih sayang dalam rumahtangga yang dibina bersama Daniel. Tidak! Bukan rumahtangga yang dibinanya, sebaliknya rumahtangga yang terpaksa diwujudkan dalam hidupnya oleh dirinya kerana orang tuanya.

            “Sayang? Daniel sayang Lunie? Mak dan ayah boleh percaya kalau Daniel kata Daniel sayang Lunie? Sebenarnya hingga hari ini Lunie dapat rasa Daniel masih sayangkan Yunie. Dia pandang dan bercakap setiap hari dengan Lunie, tapi dia anggap Yunie.”

            “Dia ada cakap macam tu kat kamu?” Tanya Haji Harun sedikit meragui kata-kata Alunie.

            “Tak. Masakan dia nak cakap ayah. Naluri Lunie yang katakan demikian.”

            “Naluri kita ni bukan boleh pakai sangat Lunie. Ayah dan mak percaya Daniel memang betul-betul sayangkan Lunie. Kami juga yakin Yunie sudah dibuang jauh dari hidupnya.” Haji Harun bersuara. Cuba untuk meyakinkan Alunie.

            “Mak dan ayah boleh teruskan keyakinan tu, Lunie tak halang. Cuma bagi Lunie, Lunie memang sedikitpun tidak percaya Daniel sudah lupakan Yunie. Apatah untuk meyakini perkara tu.”

            “Jadi bagaimana sebenarnya hubungan rumahtangga Lunie? Ayah dan mak tahu kami tak berhak tanya macam ni, apatah lagi nak campur tangan. Tapi oleh kerana Lunie kahwin demi maruah mak dan ayah, mak ayah nak juga tahu kalau-kalau Lunie tak bahagia dan menderita.”

            “Pasal bahagia atau derita tu mak ayah jangan bimbang. Lunie dan Daniel hidup macam biasa,” beritahu Alunie tanpa menerangkan frasa ayat ‘hidup macam biasa’ yang dimaksudkannya.

            Haji Harun dan Hajjah Rahimah menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya Alunie mampu melayari kehidupan normal bersama Daniel. Itu fikir mereka. Sedangkan maksud sebenar Alunie jauh menyimpang dengan apa yang mereka takrifkan.

            Alunie sendiri tidak dapat menebak reaksi orang tuanya sekiranya tahu keadaan rumahtangga dia sebenarnya. Dia yakin Daniel tidak pernah bercerita. Jika lelaki berdagu lekuk itu bercerita, tentu sahaja sudah jenuh telinganya disumbat ngomelan orang tuanya. Terutama ngomelan Haji Harun. Tentu banyak firman Allah dan hadis nabi yang akan diperdengarkan oleh ayahnya. Ketika itu Alunie akan berada dalam satu kuliah tidak formal. Mendengar segala macam buah fikiran Haji Harun.

            Alunie pasti akan berterus-terang juga satu masa nanti. Cuma tika dan saat itu biarkan sahaja dahulu. Belum tiba saatnya. Dia sendiri belum menemui seseorang yang boleh dijadikan alasan untuk dirinya memutuskan ikatan dengan Daniel, jika sudah bertemu, lelaki itu akan menjadi alasan paling kukuh untuk dia meleraikan ikatan yang merantai dirinya.


BAB DUA BELAS
Delilah memandang sekeliling perut banglo milik Daniel. Ternampak pelbagai nilai estetika di setiap penjuru banglo tersebut. Daniel nampaknya sukakan sesuatu yang etnik dalam menghidupkan hiasan dalaman rumahnya. Rumah mewah itu tampak kemas dan terjaga. Tidak sebagaimana yang digambarkan dalam benaknya sewaktu Daniel bercerita tentang banglo tersebut.

            “Saya tak tinggal kat rumah tu. Mungkin keadaannya tak berapa terurus sikit. Maklumlah, saya cuma menjengahnya sesekali saja. Masa saya banyak dihabiskan di rumah Alunie, isteri saya,” beritahu Daniel pada hari dia menawarkan Delilah rumah tersebut.

            Ketika itu Delilah dilanda kebimbangan kerana tidak menemui rumah yang sesuai untuk disewa. Citarasa Delilah memilih rumah sewaan agak tinggi. Jika boleh dia mahukan sebuah rumah yang mampu memberinya kedamaian dan ketenangan. Rakan serumah pula bukan jenis orang yang suka masuk campur urusan peribadi orang lain. Paling penting dia mahukan sebuah rumah yang menyediakan sebuah bilik hanya untuk dia seorang, tanpa dikongsi bersama rakan sewaan lain. Dia sanggup biarpun terpaksa bayar lebih berbanding rakan-rakan lain.

            “Keadaan rumah tu tak penting doktor, asalkan saya selesa. Nanti kalau saya dah tinggal kat situ saya boleh tolong uruskan mana yang patut. Cuma masalah sekarang saya bimbang tak mampu bayar sewanya. Tentu sewanya agak tinggi.”

            “Pasal sewa awak jangan pikir sangat. Saya tak nak berkira dengan awak. Cukup awak jelaskan bil-bil rumah tu dan jaga rumah tu sebaik mungkin. Dah nasib baik kalau awak sudi uruskan apa yang patut,” kata Daniel lalu mengambil sebiji pai ayam dan digigitnya sedikit.

            Daniel kemudian termenung jauh. Sudah hampir seminggu Alunie di kampung. Apa yang sedang dilakukan Alunie ketika itu? Fikirannya mula berlegar-legar tentang Alunie. Dia cuba membandingkan keenakan pai ayam yang sedang dinikmatinya dengan pai ayam hasil air tangan Alunie. Terlalu rindu jadinya dia kepada Alunie.

            Kau apa khabar sayang? Bersiponggang soalan itu dalam sanubari Daniel.

            “Doktor?” Sapaan Delilah mengembalikan Daniel ke alam nyata. Dia mengukir senyuman. Menyembunyikan malu kerana berkhayal di depan Delilah.

            “Ingat siapa? Ingat isteri ke? Dia belum balik?” Bertalu-talu pula Delilah mengajukan soalan menyebabkan Daniel  tersenyum makin lebar.

            “Selain isteri, perempuan mana lagi yang boleh saya ingat? Cuma tak pasti dia ingat saya atau tak.”

            “Jadi betullah doktor ingatkan isteri ni? Emm, bertuah benar isteri doktor tu. Kalaulah saya juga punyai suami macam doktor…” puji Delilah. Ada sedikit rasa cemburu di hatinya terhadap Alunie kerana mempunyai seorang suami seperti Daniel.

            “Ilah, apa yang awak fikirkan?” Sapaan Daniel menyedarkan Delilah. Dia kembali ke lokasi asal. Di rumah Daniel yang bakal didudukinya.

            Sekaligus ingatan ketika bersama Daniel di sebuah kafe kopi lenyap dari benaknya. Dia mula memusatkan perhatian ke alam nyata.

            So, apa pandangan awak tentang rumah ni, ok or ko?” Daniel mengulangi soalannya yang tidak berjawab sewaktu Delilah mengelamun jauh tadi.

            “Rumah ni okey doktor. Tapi rasanya tak sesuai dengan saya yang bergaji rendah ni. Nanti apa pulak orang fikirkan, kerja cuma sebagai pegawai kerajaan, tapi duduk di rumah mewah macam ni.”

            Daniel ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Delilah. Ada nada merendah diri di dalam kata-katanya. Delilah kehairanan melihat doktor ‘pokok’ itu memuntahkan tawaannya. Namun dibiarkan saja Daniel meneruskan tawaannya. Matanya melilau memandang sekitar ruang tamu rumah tersebut yang dihiasi pelbagai barangan dari Sarawak.

            “Kenapa cakap macam tu Ilah. Saya pun pegawai kerajaan juga. Tapi tak de orang nak mengata saya pun,” ujar Daniel bersama ketawa yang masih bersisa.

            “Doktor kerja dah berapa tahun? Saya pula berapa tahun? Nanti saudara mara datang KL tengok saya dok rumah macam ni dia orang salah anggap. Free pulak tu. Eii, tak boleh doktor. Biar saya cari rumah lain ajelah.” Delilah menolak walaupun hatinya memang tertarik dan terpaut hati dengan rumah tersebut. Rekaan dalamannya yang etnik dan estetik memang kena dengan citarasanya.

            Boleh dikatakan segala hiasannya mempunyai significant yang tersendiri. Melambangkan jiwa Daniel yang penuh keharmonian dan kasih sayang. Itu tanggapan Delilah. Delilah tidak pernah membayangkan rumah mewah yang terletak berdekatan FRIM, itu terlalu menarik. Sayang, benar-benar sayang jika Daniel membiarkan saja rumah sebegitu tidak terurus.

            “Ilah, apa nak kisah tanggapan orang. Lagipun awak tolong saya jaga rumah ni kan. Siapa kata awak dok free?”

“Itu pandangan doktor, pandangan orang lain?”

 Delilah masih berkeras hati menolak. Wajah Daniel direnungnya dengan pandangan yang redup seredup cuaca di luar rumah. Daniel membalas pandangan gadis manis dua puluh tujuh tahun tersebut.

Kemudian tanpa berfikir panjang Daniel menyuakan kunci pendua kepada Delilah.  “Simpan ni, datanglah bila-bila masa kalau awak dah sedia nak tinggal kat sini.”

“Kenapa doktor sendiri tak tinggal kat sini kalau betul nak rumah ni berjaga?” Delilah sekali lagi mengulangi soalannya. Pandangan jatuh ke atas kunci di tangan Daniel.

“Dah saya katakan, isteri saya sayang nak tinggalkan rumahnya. Alasannya logik, kalau nak dibandingkan rumahnya dengan rumah saya ni berganda-ganda nilainya. Kalau awak anggap ni dah cukup mewah, rumah dia lagi mewah. Macam rumah orang putih yang kaya raya,” seloroh Daniel walaupun memang dia menyatakan kebenarannya.

Delilah tidak dapat membayangkan rumah isteri Daniel. Juga tidak dapat membayangkan kerja isteri Daniel sehingga mampu mengumpul harta sebegitu sedangkan menurut Daniel, Alunie cuma dua tahun lebih tua daripada dirinya. Dalam hatinya memuji Alunie  pandai mengumpul harta dalam usia semuda jagung.

Bagi Daniel pula itu sesuatu yang tidak menghairankan kerana aset Alunie memang banyak. Wang masuk hasil perniagaannya  tidak mengalir ke mana. Dengan menghantar seribu dua  ke kampung setiap bulan belum menjejaskan simpanan tiap-tiap bulannya.  Apatah lagi Alunie bukan jenis perempuan kaki melaram. Tiada pakaian mewah dipakainya. T-shirt dan jeans yang disarung ke tubuh cuma berharga  sekitar dua puluh ke seratus ringgit sahaja. Alunie pula jarang membuang duit untuk membeli pakaian. Itu yang dapat Daniel lihat. Kalau pasal makan angin, selalu juga Alunie ke luar negara. Tapi mengikut pakej percutian yang dianjurkan syarikat tertentu. Biasanya bonus intensif apabila jualan tokonya mencapai target yang ditetapkan.

Melihat pada gambar yang pernah ditunjukkan Alunie, sudah banyak negara di dunia dilawatinya dengan mengikut pakej supplier. Ada bersama Chee Wah Corporation, syarikat pengeluar kertas yang tidak asing seperti Camel, Campap dan pelbagai jenama lain. Juga bersama Staedtler Marketing serta banyak syarikat lagi. Semuanya ada hubungan perniagaan dengannya. Daniel boleh membayangkan betapa banyak urusniaga Alunie bersama syarikat-syarikat itu sehingga melayakkan dia makan angin percuma setiap tahun.

“Ambil kunci ni Ilah…” ujar Daniel.

Delilah teragak-agak untuk mengambilnya. Namun ada paksaan daripada cara Daniel memandangnya membuatkan Delilah tidak mampu menolak.

“Anggap awak tolong saya jaga rumah ni ya.” Daniel mengulangi frasa tersebut. Delilah cuma mengangguk bersama senyuman kelat.

Daniel merebahkan tubuh di sette berhampiran dinding cermin. Di tangannya terdapat beberapa buah majalah berkaitan flora dan fauna. Ada sedikit kajian perlu dilakukannya bagi dibentangkan dalam majlis dialog fakulti besok. Baru beberapa halaman dibelek, perutnya mula berzapin. Sejak Alunie pulang ke kampung, selalu benar perutnya kosong. Kembali seperti zaman bujangnya.

            Daniel bangun menuju ke dapur. Membuka peti ais. Beberapa keping pizza yang dibelinya sewaktu pulang dari rumahnya di FRIM siang tadi masih bersisa. Dicapainya lalu dimasukkan ke dalam ketuhar yang terletak di dapur kering rumah. Dia mengacau semug coklat panas sebagai pelengkap sambil punggungnya dilabuhkan ke kerusi ala-ala kerusi di bar yang terdapat di sudut dapur kering.

            Kalau Lunie ada, aku tak perlu susah macam ni. Minta saja, dia pasti adakan. Hairan aku. Dalam soal lain dia layan aku macam suami, tapi dia tak pernah nak bermesra, bergurau manja apatah lagi nak bersama aku di katil. Aku ni manusia biasa, ada nafsu juga. Tak tahu sampai bila aku kena bertahan. Lama-lama boleh gila aku ni!

            Daniel teringat kata-kata seorang kawan sekerjanya, Nazri. Katanya, menahan nafsu syahwat daripada perkara yang halal bererti ‘dayus’ dan dikutuk Allah s.w.t.

            “Orang jantan ni ada dua kepala, satu berambut dan satu lagi tu botak. Yang botak tu tak dak akai, dia kira nak muntah saja. Hah, kalu tak boleh muntah, mula le kepala atas jadi pening-pening,” ujar Nazri dalam loghat utara sewaktu mereka bersembang ringan. Bercakap tentang macam-macam perkara termasuk peel isteri masing-masing.  Kata-kata Nazri disambut dengan deraian ketawa rakan-rakan termasuk Daniel.

            Nazri terdorong berkata demikian apabila salah seorang rakan mereka bercerita tentang perangai isterinya yang dingin setiap kali mereka mahu bersama. Malah ada masanya dia menolak mentah-mentah bersama sungutan dan bebelan yang memanjang. Perbualan begitu mendorong Daniel untuk turut sama. Meski tidak pernah terlintas untuk meluahkan masalah rumahtangganya seperti rakan-rakan lain, namun mendengar sama banyak memberinya pengetahuan tentang perangai perempuan.

            Dalam diam Daniel mengakui kebenaran kata-kata Nazri. Menurut ilmu seksual sekalipun perkara tersebut diakui kerana semasa nafsu terangsang, darah dari jantung melalui otak akan bertumpu pada alat sulit lelaki untuk memuntahkan. Jika proses tersebut gagal atau terganggu darah daripada alat sulit lelaki terpaksa balik ke otak dan ini akan mengganggu kestabilan otak. Mulalah lelaki yang mengalami gangguan itu merasa kurang selesa dan sakit kepala. Itulah sebabnya Daniel merasa dia boleh jadi gila kalau berterusan terpaksa menahan nafsunya.

            Memaksa Alunie? Tidak! Cukuplah sekali dia melakukan perkara tersebut terhadap Alunie. Alihnya bukan saja nafusnya terdera, malah diri dan perasaannya juga. Alunie mengambil tindakan melarikan diri daripadanya. Insya-Allah, Daniel akan cuba bertahan dan melakukan sembahyang sunat sekerap mungkin, meminta agar al-Walid membuka pintu hati Alunie.

            “Hai Lunie, lama-lama abang boleh gila macam ni.”  Daniel merungut sendirian.

            “Awak boleh jadi gila kenapa pulak?” Satu suara bagai bergemersik menusuk ke gegendang telinga Daniel.

            Daniel terkujat. Menoleh ke arah datangnya suara. Alunie betul-betul berdiri di belakangnya. Daniel bagai tidak percaya. Bangun menghampiri.

            “Lunie, betul Lunie dah balik ni?” Soalnya tidak percaya. Mana tahu ia cuma satu halusinasi memandangkan ingatannya terlalu kuat terhadap Alunie.

            “Awak ni kenapa?” Alunie menolak Daniel yang menghalang laluannya ke peti ais.

            Daniel manyambar tangannya. Memeluk Alunie untuk memuntahkan segala rindu yang bermukim di hati. Sewaktu Alunie meronta-ronta untuk melepaskan diri, sebuah kucupan mesra melekat di pipinya. Alunie tidak dapat menahan sabar dengan perlakuan Daniel, ditolak kasar tubuh lelaki berbadan sasa tersebut.

            “Awak ni memang dah gila. Saya ingatkan seminggu tinggalkan awak, awak dah boleh berfikiran waras. Mana tahu, balik-balik awak masih nak mengambil kesempatan terhadap saya. Sampai bila awak nak macam ni hah?” Alunie bersuara meninggi.

            Daniel terpempan. Hatinya tercalar dan terluka. Benarkah langsung tiada cinta di hatimu untukku Alunie? Ya Allah, kau bukakanlah pintu hati isteriku. Aku ingin hidup bahagia bersamanya. Aku ingin hidup dalam penuh rasa kasih dan cinta bersamanya.

            Setelah membasahkan tekaknya Alunie meninggalkan Daniel sendirian. Daniel memandang langkah Alunie. Kalaulah dia perempuan, tentu sudah banyak air matanya tumpah kala itu. Dia ingin mengejar Alunie dan mengatakan rindunya. Namun bolehkah Alunie terima? Lalu akhirnya dia biarkan saja Alunie berlalu.

            Akhirnya Daniel juga mengatur langkah naik ke tingkat atas. Sewaktu melintasi bilik Alunie, disedari bilik itu tidak berkunci rapat. Diintainya ke dalam. Bayang Alunie tidak kelihatan di mana-mana pojok. Cuma kedengaran sayup-sayup suara Alunie menyanyi sebuah lagu cinta berbahasa Inggeris dari bilik air.

            Entah mengapa Daniel jadi terdorong untuk menjengah ke bilik Alunie. Dikuak daun pintu perlahan-lahan. Kepalanya dijengok ke dalam. Bilik peraduan Alunie tidak seperti digambarkan dalam benaknya. Semuanya berkonsepkan kulit harimau. Dari harimau bintang hinggalah ke harimau belang. Kemudian pandangan Daniel terhala ke meja tulis. Kelihatan sebuah album gambar tersadar di situ. Daniel tanpa berfikir panjang masuk ke bilik Alunie dan menghala ke meja tulis Alunie.

            Album gambar yang pernah ditatapnya lewat kemesraan mereka awal-awal perkahwinan dulu diraih. Dibelek-beleknya mencari sesuatu. Pandangan tertumpah di atas sekeping gambar. Gambar Alunie di meja pejabatnya. Tersenyum manis dengan rambut panjang paras bahunya diikat dua. Seiras remaja belasan tahun. Gambar itu dikeluarkan dari album. Kemudian dia membelek helaian lain. Sekeping lagi menarik perhatiannya. Gambar close-up wajah Alunie. Juga ditarik keluar. Hatinya masih belum puas. Sekeping lagi harus dicari untuk diserikan dalam dompetnya. Gambar yang dipilih tentunya dari jarak jauh.  Lalu gambar Alunie berdiri di dalam salji memakai rain-coat menjadi pilihan. Gambar itu dirakam sewaktu Alunie mengikuti rombongan Chee Wah Corporation ke Eropah.

            Daniel tersenyum. Tak dapat miliki hati dan  cinta kau, cukup miliki gambar-gambar ni dulu sebagai permulaan. Daniel bermonolog dalaman. Kemudian dia memandang ke arah pintu bilik mandi Alunie. Alunie nampaknya masih asyik membasahkan tubuhnya. Itu andaian Daniel mendengar bunyi siraman shower. Nyanyian lagu berbahasa Inggeris masih kedengaran. Kini sudah berubah lagu. Daniel tersenyum sekali lagi. Kemudian berlalu meninggalkan bilik Alunie dengan memastikan keadaan pintu  seperti sedia kala.

            Hampir sepuluh minit kemudian barulah Alunie keluar dari bilik mandinya. Tanpa mengesyaki apa-apa dia merapatkan daun pintu yang sedikit ternganga. Kemudian berdiri di depan almari pakaian untuk memilih pakaian tidur yang bersesuaian. Dia ingin tidur dalam suasana selesa setelah seharian memandu dari Kelantan ke Kuala Lumpur. Segala perbuatan Daniel terhadapnya sebaik tiba di rumah sebentar tadi mahu dihalau jauh-jauh dari kotak ingatannya.

            Pada masa yang sama, Daniel sedang sibuk menggunting gambar Alunie untuk dimuatkan dalam dompet. Sekeping lagi diletakkan di dalam frame untuk menghiasi kepala katilnya. Itu bolehlah ditatapnya sebelum memejamkan mata. Sekeping lagi gambar Alunie di meja akan diletakkan di atas meja di tempat kerjanya. Mengisi frame kosong, dahulunya diserikan oleh gambar Ayunie.

            Aku harap suatu hari nanti akan ada cinta di hatimu untukku sayang! Daniel sekali lagi berbicara seorang diri di dalam hatinya. Dadanya sebak mengenangkan penerimaan Alunie. Entah bila mimpi buruk akan berakhir dan mendung yang menyelubungi hubungan mereka akan beredar. Daniel hanya mampu berdoa.














BAB TIGA BELAS
Delilah tidak ke mana-mana hujung minggu itu. Dia cuma menghabiskan masa di rumah Daniel yang baru didudukinya hampir seminggu. Hajat di hati ingin mengemas apa-apa yang patut. Dia mencari keperluan untuk membersihkan rumah. Kata Daniel semua tersedia di stor. Lalu sebuah bilik kecil ditujunya.

            Benar seperti kata Daniel. Semua ada di situ, dari duster ke vacum. Semuanya tersusun rapi. Bagaimanapun hajat Delilah untuk terus mengemas terbantut sebaik terpandang sebuah kotak besar terisi beberapa buah album gambar. Dia duduk di lantai mengadap kotak tersebut. Sebuah album yang agak besar saiznya dicapai.

            Satu persatu helaian album diselak. Tiada satupun gambar merakamkan wajah Daniel, sebaliknya gambar-gambar perempuan yang berlainan. Melihat pada tarikh digambar, ia mungkin dirakam sekitar Daniel berusia belasan tahun. Malahan ada gambar gadis beruniform sekolah.

            “Tentu ni gambar bekas mak wenya. Boleh tahan playboy doktor ni. Dah kahwin tentu gambar ni dibiarkan dalam stor saja.” Delilah berkata-kata seorang diri. Di bibirnya ada segaris senyum.

            Kemudian sebuah album lain dicapai apabila album itu tidak begitu menarik perhatiannya. Di hatinya teringin melihat album rakaman gambar Daniel semasa muda-muda dahulu, tentu ada di situ. Fikirnya. Satu-persatu album ditarik. Tak satupun kena dengan kehendak hatinya. Lalu sebuah album yang masih baru dicapai. Di helaian pertama terpampang close-up wajah seorang perempuan dalam saiz foto 5R. Perempuan bermata kecil yang sekali pandang iras wajah Erra Fazira, cuma hidungnya agak lain sedikit. Comel dan kecil.

            “Ni sapa pula?” Delilah tertarik untuk meneruskan halaman berikutnya.

            Setiap halaman mengandungi gambar-gambar perempuan itu. Agak cantik orangnya. Puji Delilah  sambil menguak rambutnya yang terjuntai di dahi ke belakang. Entah mengapa ada debaran di dalam dada Delilah menatap gambar-gambar perempuan itu. Lebih gementar apabila helaiannya tiba di halaman yang memuatkan gambar perempuan itu bersama Daniel. Walaupun tidak dalam keadaan berpelukan, namun mereka kelihatan amat mesra. Senyuman di bibir Daniel membayangkan betapa dia bahagia di samping perempuan itu.

            “Ini Alunie gamaknya,” teka Delilah. Hatinya jadi bersawang.

            Padahal hakikatnya Delilah sedang menatap gambar Ayunie. Melihatkan gaya Ayunie dia merasakan dirinya terlalu kerdil. Jelas citarasa Daniel dalam memilih pasangan hidup terlalu tinggi. Gaya Ayunie terlalu elegant dan kelihatan sentiasa vouge dalam apa jua pakaian dan busana yang dikenakannya. Habis sebuah album ditatap. Sebuah album lagi memuatkan gambar pertunangan. Tercari-cari pula Delilah gambar sekitar perkahwinan, tiada di situ!

            Delilah keluar dari stor dengan hati tertanya-tanya. Mengapa pula album yang memuatkan kenangan semasa berkasih dan sekitar pertunangan juga turut terdapat di stor? Itu yang menghairankan Delilah. Namun segala persoalan itu lenyap sebaik dia memulakan tugas mengemas rumah. Dia memusatkan seluruh perhatian kepada kerja mengemas. Ingatan terhadap Daniel berlalu begitu sahaja.

            Badan agak kelihatan sesudah mengemas mendorong Delilah merebahkan badan di sette. Kala itu telefon Genggamnya berdering nyaring mengalunkan lagu ‘Endless Love’. Buru-buru Delilah bangun menuju ke kabinet. Melihat nombor di skrin sekilas sebelum menekan butang ‘jawab’.

            “Hello mak, ya Ilah sihat. Keluarga kat kampung sihat? Baguslah.”

Delilah menggaru-garu hidungnya. Suara emaknya jelas di telinga bertanya tarikh kepulangannya.

“Nanti Ilah balik hujung minggu depan. Yalah, minggu depan. Sabtu tak kerja, Ahad hujung minggu dan Isninnya hari lahir Sultan Selangor. Cuti panjang kat situ.” Terang Delilah apabila ibunya mempertikaikan tarikh kepulangannya.

Memang dia sudah berjanji untuk pulang ke kampungnya di Bukit Kangkar, Muar. Namun sejak balik ke semenanjung langsung dia tidak berpeluang berbuat demikian kerana terlalu sibuk di tempat kerja baru.

Perbualan dengan ibunya mengambil masa agak lama. Banyak perkara yang dibebelkan wanita lima puluh lima tahun itu. Terutama tentang keputusan Delilah untuk tinggal sendirian di rumah Daniel. Bimbang hati tua ibunya akan keselamatan Delilah.

“Mak, mak. Macam aku ni budak kecik,” ngomel Delilah sesudah perbualan mereka tamat.

Dia kembali ke sette. Merebahkan badan dan tidak semena-mena Delilah terlena kepenatan. Tidurnya tanpa mimpi yang pasti.

Delilah terjaga hanya setelah telefon genggamnya sekali lagi berdering. Dia menenyeh-nenyeh matanya berkali-kali sebelum bangun mendapatkan telefon.

“Doktor rupanya. Ya saya tertidur tadi. Doktor nak datang petang ni? Jogging kat FRIM? Idea menarik tu.” Delilah bersetuju.

Sebenarnya dia sendiri sudah berkira-kira untuk menghabiskan petangnya hari itu dengan melakukan senaman ringan sekitar FRIM. Pelawaan Daniel tentu sahaja mendapat persetujuan pantas daripadanya. Kira beruntung dirinya kerana sekurang-kurangnya ada teman petang nanti.

Jam di dinding ditatap. Terkejut Delilah melihat waktu yang tertera. Bagai tidak percaya dia tertidur di sette hampir empat jam lamanya. Ada masa lebih kurang sejam untuk dia bersiap sebelum menunggu kedatangan Daniel ke rumah dan bersama-sama ke FRIM. Dia agak bernasib baik kerana sedang dalam keuzuran, jadi tidak perlu qada sembahyang zohor yang terbabas.

Setelah membersihkan diri, Delilah menyarungkan suit bersenam. Kemudian ke dapur untuk menyediakan minuman ringan untuk Daniel. Deruman kereta Daniel memasuki perkarangan rumah jelas kedengaran sewaktu Delilah membawa sedulang minuman dan sepinggan popia yang dibuatnya sendiri ke meja bulat di halaman rumah. Kata Daniel ke sudut hijau rumahnya.

Ada senyum manis terukir di bibir Daniel sewaktu melangkah keluar dari kereta. Senyuman Daniel bersambut. Namun entah kenapa sejak akhir-akhir itu sentiasa ada debaran di dalam dada Delilah setiap kali melihat senyuman di bibir Daniel. Pembuluh darahnya juga dirasakan meletup seinci demi seinci setiap kali Daniel menghadiahkannya senyuman.

“Tuhan, tabahkan hatiku. Dia sudah jadi milik orang,” doa Delilah setiap kali hatinya bergetar.

“Isteri doktor tak ikut sama?” Tanya Delilah sewaktu Daniel melabuhkan punggungnya ke bangku. Dia sudah menyediakan tiga biji gelas untuk mereka kerana menyangkakan Daniel akan datang bersama isteri.

“Dia penat. Maklumlah, baru pulang dari kampung. Memandu seorang diri pulak tu,”  beritahu Daniel seraya menyambut gelas minuman yang dihulur Delilah.

Padahal hakikat sebenarnya Alunie enggan mengekori langkahnya. Dia lebih senang menjengok tokonya dan melayani salesman yang datang daripada bersama-sama Daniel. Hatinya masih tawar untuk kembali bergaul mesra dengan Daniel. Pantasnya Daniel memerlukan seseorang untuk menenangkan fikirannya.

“Dia tahu doktor bersama saya sekarang?”

Daniel tersenyum cuma. Sekalipun Alunie tahu, dia yakin Alunie tidak akan merasa apa-apa. Sakit hati atau cemburu tentu sekali tidak akan mendapat tempat di hati Alunie. Siapa dia untuk Alunie menyimpan perasaan sedemikian.

Walau beribu kali aku ucapkan aku cinta dan rindu padanya, Alunie tetap macam tunggul kayu. Tak de perasaan. Sekarang aku keluar bersama perempuan lain, mustahil dia akan marahkan aku.

Sporting jugak isteri doktor tu, patutlah doktor sayangkan dia. Ditambah pula cantik orangnya. Sekali tengok ada iras-iras Erra Fazira,” kata Delilah memuji. Tanpa sedar memberitahu Daniel dia telah menatap wajah isteri Daniel.

“Mana awak nampak dia?” Soal Daniel hairan tanpa menduga Delilah telah  menyelongkar  album gambarnya.

Delilah terkesima. Mukanya sedikit kelat. Bimbang Daniel menjadi marah atau kurang senang sekiranya diberitahu dia telah menyelongkar album gambar Daniel tanpa kebenaran.

“Er, maafkan saya doktor, sebenarnya saya dah melihat album-album gambar yang doktor simpan dalam stor tu.”

Delilah memilih untuk berterus-terang. Daniel menarik nafas sebelum melepaskan keluhan. Gambar Ayunie yang dilihatnya.  Dia sendiri sudah terlupa tentang album-album tersebut. Dalam perancangannya album-album itu akan dibakarnya. Biar jadi abu dan ditiup angin. Itu sepatutnya dilakukan terhadap album kenangan yang tidak memberi sebarang erti dalam hidupnya. Sebagaimana Ayunie yang kini tidak membawa apa-apa erti dalam hidupnya.

“Album-album tu saya nak bakar sebenarnya.” Tanpa sedar Daniel menyatakan hajat hatinya.

Delilah kehairanan. ‘Album-album’ itu bermaksud semua sekali . Apabila semua sekali hendak dibakar bermakna album gambar pertunangan dan semasa bercinta juga akan dibakar. Daniel tak rasa sayang ke? Delilah benar-benar hairan. Sekalipun Daniel sudah berkahwin dengan wanita tersebut, tidak seharusnya gambar-gambar itu dibakar sahaja, kelak boleh dijadikan kenangan berharga untuk ditunjukkan pada anak-anak. Mungkin juga boleh dijadikan masterpiece pada hari tua.

“Doktor tak sayang ke?”

“Sayang? Nak buat apa sayang, itukan gambar lama. Lagipun saya tak mahu hidup dengan menatap kenangan lalu. Apa yang penting  masa sekarang ni dan masa depan.”

“Tapi itukan gambar-gambar kenangan doktor dan isteri sebelum kahwin,” kata Delilah seperti cuba mengingatkan.

Daniel berkerut kening. Baru dia sedar rahsia rumahtangganya hampir terbocor. Dia mula mencari-cari kata-kata yang sesuai untuk dijadikan alasan.

“Tak maksud saya, gambar-gambar perempuan yang tak de kaitan dengan hidup saya tu. Album yang tu saya akan bawa ke rumah isteri. Mana boleh yang tu pun nak dibakar.”

Delilah mengangguk-angguk. Nampak seperti puas hati dengan jawapan Daniel. Reaksi Delilah membuatkan Daniel menarik nafas lega.  Sedangkan dalam hatinya sudah berkira-kira untuk membakar kesemua album itu satu masa nanti.

“Ramai juga teman wanita doktor time belajar dulu ya,” usik Delilah sewaktu teringat tentang gambar beberapa orang gadis yang sempat dilihatnya.

“Tak lah. Mereka tu bukan teman wanita saya. Tak pernah pula saya ada hati kat mereka tu. Biasalah kalau kita berkawan, tentu ada yang dengan senang hati bagi kita gambar. Untuk kenangan kata mereka. Orang dah bagi, saya simpan ajelah. Nanti kecik pulak hati mereka.”

Delilah tersenyum. Entah senyum percaya entah tidak. Namun dalam hatinya mengakui tidak mustahil kalau gadis-gadis begitu ramai menjadi kawan Daniel,  seperti zaman dia bergelar pelajar dulupun, ramai di kalangan kawan-kawannya ingin merapati Daniel dan memancing minat Daniel. Daniel memang ada daya penarik. Dengan berdagu lekuk, diserikan dengan side-burn ala-ala David Beckham dan badan agak sasa  seakan-akan Emenuel Petit, pemain bola sepak berjersi tujuh belas pasukan Perancis.

“Doktor masih berhubung dengan mereka?”

“Kalau yang tinggal sekampung  tu masih berhubunglah, itupun sekadar bertegur sapa. Tapi kalau yang jauh sikit tak lagi. Tapi kebanyakan mereka dah kahwin.” Daniel berterus-terang.

“Kalau mereka tak kahwin lagi, tentu doktor masih  rapat dengan mereka,” duga Delilah.

“Tak jugak, sebab sekarang ni dunia saya hanya isteri saya. Jika saya berkawan pun dengan awak aje Ilah. Saya pun tak tahu kenapa saya senang dengan awak.”

Akui Daniel sambil tersenyum kepada Delilah. Delilah tersenyum manis sambil membetulkan tudung di kepala. Cuba mengawal debar mendengar pengakuan Daniel. Kembang hatinya apabila menjadi wanita pilihan untuk dijadikan teman setelah tahkta teristimewa dimiliki isteri Daniel. Itu sudah memadai untuk Delilah tersenyum panjang.

Delilah tidak mahu menafikan rasa bangga kerana dapat mendampingi Daniel. Jika dulu, kala teman-teman sekursus dengannya puas mencari alasan untuk berbuat demikian dan Delilah pula tidak langsung mengendahkan, kini otaknya pula ligat mencari peluang untuk mendampingi Daniel. Di hatinya pula sarat terisi dengan nama Daniel. Perasaan terhadap Daniel semakin menular dalam jiwanya. Hari demi hari. Kian rapat hubungan mereka, kian kuat perasaan tersebut.

Dia bulan di langit. Rumput di bumi tak mampu aku capai, inikan pula bulan di langit. Sering ayat itu berseru dalam jiwanya. Mengingatkan tentang jurang antara dia dan Daniel. Sementelahan pula Daniel sebenarnya suami orang. Suami yang benar-benar menyangjungi isterinya.

Bukan mudah untuk membolosi hati Daniel. Dapat menjadi kawan kepada Daniel sudah memadai daripada hanya mampu memandangnya dari jauh. Begitu fikir Delilah. Bagaimanapun sering dia tertanya-tanya, adakah perasaan yang berbaur dalam jiwanya terhadap Daniel akan wujud sekiranya dia dan Daniel tidak pernah rapat seperti itu? Delilah bukanlah seorang gadis yang suka memuja seseorang dari jauh. Hanya setelah kenal mesra dengan Daniel barulah wujud perasaan dalam dirinya. Mungkin tidak demikian jadinya kalau mereka hanya berhubungan atas urusan kerja.

“Jom kita ke FRIM sekarang,” ajak Daniel sewaktu menghabiskan sisa minumannya.  Dia bangun meraba kunci kereta di dalam saku seluar.

Delilah akur. Bangun untuk menyimpan bekas minuman ke dapur. Sewaktu  kembali ke halaman rumah. Dia sempat menangkap bunyi telefon genggam Daniel berbunyi. Dia tidak meneruskan langkah. Berdiri di balik pintu untuk mencuri dengar perbualan Daniel.

“Saya kat Kepong ni. Malam ni? Lunielah tentukan. Boleh, apa-apapun boleh.”

Jelas di telinga Delilah betapa mesranya nada suara Daniel kala itu. Delilah merasa tidak senang hati. Ada cemburu bertunas dalam jiwanya. Dicuba halau, tapi makin menjadi-jadi pula tunasan cemburu di hatinya.

“Siapa call, doktor?” Delilah pura-pura bertanya sambil melangkah keluar sewaktu Daniel menamatkan perbualan.

“Lunie, isteri saya.”

Daniel menjawab bersama senyum. Hatinya juga senyum sama. Berbunga riang kerana Alunie sudi menelefonnya dan bertanya menu makan malam mereka. Maknanya Alunie akan pulang awal dan malam nanti mereka akan menikmati makan malam bersama.

“Dia panggil doktor pulang?”

“Tak, cuma mahu bertanya apa yang saya nak makan malam nanti,” beritahu Daniel jujur.

Delilah mengukir senyuman. Hatinya sedikit terusik. Nampak benar kebahagiaan rumahtangga Daniel kala itu. Begitu fikirnya yang langsung tidak dapat mencium aura pahit dalam hubungan antara Daniel dan Alunie. Delilah akur pada ketentuan Ilahi, daniel mustahil sama sekali untuk dia dampingi sebagai teman hidup. Cukuplah sekadar teman. Delilah akan cuba menyingkirkan perasaan yang wujud dalam hatinya.


BAB EMPAT BELAS
Cahaya lampu ruang makan yang agak suram membangkitkan suasana tenang dan sedikit romantik ketika Daniel dan Alunie menjamu hidangan. Mereka tidak banyak berbicara, cuma sesekali pandangan mereka berlaga. Daniel tersenyum kepada Alunie. Sekali dua senyumannya berbalas. Kemudian apabila Daniel asyik memandangnya sambil tersenyum-senyum Alunie mula rasa kurang senang. Dia menundukkan wajahnya.

            “Hah!” Alunie tersentak sewaktu tangannya tiba-tiba diraih Daniel.

            Pandangan mereka bertembung. Retinanya direnung Daniel. Masih bersama senyuman menyeri wajah.

            “Kenapa Lunie?” Tanya Daniel sewaktu terkesan rona merah di wajah isterinya.

            Hati Alunie gegau. Tidak tahu jawapan bagaimana patut dia katakan. Sedang tangannya masih dalam genggaman Daniel.

            “Kenapa awak pegang tangan saya?”

            Akhirnya soalan melucukan itu terhambur daripada mulutnya. Daniel tersenyum lagi. Hatinya ingin ketawa. Namun dibiarkan sahaja. Alunie seringkali begitu. Seringkali marah-marah, tapi apabila marahnya reda kala itulah Daniel boleh merapatinya. Cuba bermesra dengannya, tapi dalam keadaan cukup terkawal bagi mengelakkan kemarahan Alunie bangkit kembali.

            “Saya pegang tangan awak sebab awak isteri saya. Saya pegang tangan awak  sebab saya rindukan awak. Saya pegang tangan awak juga sebab saya cintakan awak. Puas hati?”

            Daniel memberikan pelbagai alasan. Alasan yang pelbagai itu cuma membawa satu maksud, iaitu untuk menyuarakan rasa hatinya. Alunie mula mahu menarik tangannya mendengar jawapan Daniel, namun Daniel lebih pantas dengan membawa tangan itu ke bibir. Dikucupnya, tapi tidak lama apabila Alunie pantas menarik tangannya.

            “Alunie?”

            “Daniel, apapun awak katakan, saya tak percaya pada rasa dalam hati awak terhadap saya.”

            “Kenapa Lunie?”

            “Sebab saya tak mahu tertipu. Di mata awak mungkin saya, tapi di jiwa awak? Saya yakin Yunie masih di tempat teratas.”

            Daniel melepaskan keluhan. Mati akal dengan kata-kata Alunie. Dicapai tisu basah di sisinya. Alunie turut menyudahkan suapannya.  Lalu mereka sama-sama mengemas meja makan dan membersihkan pinggan mangkuk yang digunakan sebelum ke ruang rehat.

            Alunie mengunyah tomato perlahan-lahan sambil membelek majalah Mingguan Wanita keluaran terkini. Gambar muka depan si Erra Fazira dengan senyuman manja. Teringat komen sesetengah salesman. Kata mereka riasnya persis Erra Fazira. Cuma hidung Erra agak mancung. Mungkin bahana pembedahan plastik atau mungkin azalinya sudah begitu.

            “Orang tua kat kampung sihat?”

Daniel sekadar mahu menghidupkan suasana. Alunie cuma mengangguk. Bagaimanapun pertanyaan Daniel membuatkan fikirannya mengimbau kedatangan orang tua Daniel ke rumahnya. Juga salam orang tuanya sendiri buat Daniel.

            “Mak ayah berkirim salam, lupa nak cakap. Ibu dan bapa awak ada juga berkunjung ke rumah,” beritahu Alunie kemudiaannya. Majalah di tangan ditutup. Pandangannya jauh ke depan.

            Riak wajah Alunie menimbulkan tanda tanya di benak Daniel. Semacam ada sesuatu yang tidak kena lewat kunjungan orang tuanya ke rumah Alunie.

            “Ada apa-apa yang awak tak dapat nak nyatakan pada saya, Lunie?”

            Alunie menoleh, menatap wajah penuh teka-teki Daniel.

            “Maksud awak?”

            “Tentang kedatangan orang tua saya, tentu ada sesuatu yang tak terucap oleh awak.” Daniel menebak.

            Alunie melepaskan keluhan. Mahu bercerita dan berdiam diri berbaur di dalam hatinya. Tidak tahu penerimaan Daniel jika dia ceritakan perkara sebenar.

            “Tak ada apa-apa. Semuanya macam biasa. Macam dulu-dulu apabila ibu awak berdepan dengan saya. Macam tu juga sekarang ni. Maklumlah, time tu saya jadi diri saya yang sebenar, bukan Ayunie menantu kesayangannya.”

            Cukup dengan jawapan begitu. Daniel sudah boleh memahami dan membayangkan suasana ketika itu. Ibunya memang banyak komen kalau berdepan dengan Alunie dulu. Banyak juga perbandingan yang dibuat antara Alunie dan Ayunie sehingga ada masanya Alunie sering menjauhkan diri sekiranya Daniel sekeluarga berkunjung ke rumah Alunie.

            “Dah lama kita kahwin, entah sampai bila saya kena menyamar sebagai Ayunie berdepan dengan ibu awak. Saya sebenarnya dah bosan.”
            Luah Alunie. Daniel simpati yang amat sangat. Dia bangun mengambil tempat di samping Alunie. Bahu Alunie dipeluknya. Berlagak seperti seorang sahabat baik mahu mententeramkan hati Alunie.  Alunie membiarkan sahaja Daniel bertindak demikian kerana tidak merasakan Daniel cuba mengambil kesempatan terhadapnya.

            “Lunie, saya minta maaf bagi pihak ibu. Saya sendiri ingin menyatakan perkara sebenar kepadanya, cuma buat masa ni kita biarkan saja dahulu. Nanti kalau dah tiba masa sesuai, kita terangkan sebaik mungkin  pada ibu,” pujuk Daniel.

            “Bolehkah dia terima, sedangkan selama ni dia selalu sanjungi Yunie. Saya memang dikesampingkan terus.”

            “Kalau dia tak dapat terima sekalipun, mungkin pada awalnya. Lama kelamaan dia akan terima. Lagikan saya boleh menerima kehadiran Lunie, apatah lagi dia.” Daniel cuba untuk meyakinkan Alunie.

            “Bila akan tiba masa sesuai tu ya. Saya dah tak sabar berdepan dengannya.”

            Daniel melepaskan keluhan. Dia sendiri tidak tahu dan tidak pasti. Perkara ini mungkin tidak serumit mana sekiranya Alunie sendiri sedia menerimanya sebagai suami. Menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri lain secara normal. Kalau begitu corak hidup mereka, tentu tidak sesulit mana untuk membuatkan Puan Mahani menerima Alunie kerana jika mereka seperti pasangan suami isteri lain, mereka tentu akan mendapat cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka. Bayi itulah nanti yang akan menjadi perisai untuk berdepan dengan ibunya.

            Orang tua biasanya lemah jika berdepan dengan cucu. Puan Mahani tentu tidak terkecuali. Dia juga seperti ibu lain. Mahukan cucu daripada anak-anaknya yang telah mendirikan rumahtangga. Sungguhpun demikian, Daniel tidak berani untuk menyuarakan hal itu kepada Alunie, bimbang Alunie menuduhnya cuba mengambil kesempatan.

            “Pada fikiran saya, elok kalau kita leraikan saja ikatan kita ni. Masa tu barulah awak boleh ceritakan hal sebenar.”

            “Maksud Lunie?” Daniel pura-pura tidak mengerti. Padahal dia sebenarnya takut untuk menyebut maksud sebenar kata-kata Alunie.

            “Kita cerai.”  Alunie tanpa perasaan menuturkan perkataan ‘cerai’.

            “Awak dah fikir panjang Lunie?”  Daniel bersuara dengan dada bergetar.

            “Ya. Saya dah fikir panjang. Kita dah kahwin terlalu lama, saya gagal untuk menerima awak. Saya tak dapat jadi isteri yang baik. Saya berdosa sepanjang perkahwinan kita. Saya tak sanggup untuk terus hidup dalam dosa yang sama.”

            Terang Alunie dengan penuh yakin. Alunie tahu, dalam Islam dituntut agar isteri taat kepada suaminya. Tanpa mengira perkahwinan yang dibina atas dasar paksaan atau rela. Asal saja bernama isteri, seseorang perempuan harus mentaati suaminya. Sebenarnya kalau diikutkan ajaran Islam, tidak banyak tanggungjawab isteri terhadap suami. Tanggungjawab utama mentaati suami dalam segala urusan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Malah anjuran agar taat kepada suami ini terkandung dalam surah an-Nisa ayat tiga puluh empat.


            Alunie juga gagal untuk memberi layanan baik terhadap suaminya. Padahal itu juga tanggungjawab yang perlu dilunaskannya.  Layanan baik Alunie terhad pada makan pakai Daniel, selebihnya Alunie tidak mampu untuk melaksanakannya. Paling teruk apabila Alunie sering menolak untuk bersama dengan kasar. Bagaikan melayan Daniel akan memberi petaka buruk terhadap dirinya.

            “Saya minta maaf, tapi saya kira itu terbaik untuk kita kerana tak guna kita terus bersama sedangkan saya gagal menerima kehadiran awak.”

            Daniel mengeluh. Sebuah keluhan berat. Bahu Alunie masih dalam dakapannya. Tanpa sedar dia mengeratkan lagi dakapannya.

            “Lunie, saya tak minta banyak daripada awak. Cukuplah kalau awak tak buang saya daripada hidup awak. Saya boleh terus menunggu.”

            “Awak sanggup?”

            “Sanggup, asalkan kita tetap bersama. Saya berjanji selepas ni saya takkan cuba melakukan perkara yang awak tak suka.”

            Serasa ingin menangis sewaktu dia menuturkan kata-kata tersebut. Dia ingin biarkan saja dahulu Alunie dengan rentaknya. Walaupun hatinya terkecewa dengan keputusan sebegitu, namun itu lebih baik daripada kehilangan terus isterinya. Sayangnya terhadap Alunie tidak berbelah bagi. Pintanya agar Allah bukakan pintu hati Alunie satu masa nanti. Itu harapan yang sentiasa bertali arus dalam hatinya.

            Alunie menoleh ke samping. Memandang ke wajah Daniel. Hembusan nafas Daniel terkena pipinya. Dia menjarakkan sedikit tubuhnya, namun masih dalam keadaan dipeluk Daniel. Dia mengetap bibir. Kesal kerana terlibat dalam perkara seperti itu. Entah mengapa hatinya langsung tidak terbuka untuk Daniel, sedangkan terlalu banyak telah Daniel cuba untuk meraih kepercayaan dan keyakinannya. Kalau perempuan lain berada di tempatnya, tentu telah lama membalas cinta Daniel.

            “Daniel, saya minta maaf…”

            Hanya itu termampu disuarakannya. Simpatinya terhadap Daniel menggunung. Tapi dia terlalu takut untuk menerima. Bimbang pada bayang-bayang Ayunie yang dirasakan masih mengejar mereka. Bimbang suatu masa nanti Ayunie akan kembali menagih cinta Daniel. Lalu Daniel menerimanya, sudahnya, dia juga bakal ditinggalkan.

            Sebagai wanita, dia juga punyai naluri ingin dicintai dan disayangi. Namun dia tidak boleh mengharapkan semua itu daripada Daniel. Dia takut suatu masa nanti dia juga akan kecewa. Disebabkan itu dia sanggup menunggu cinta lain, bukan cinta Daniel. Dia tidak ingin membahayakan dirinya dengan bermain cinta dengan lelaki seperti Daniel. Dia tidak merasakan Daniel akan kekal menjadi miliknya dan tidak juga merasakan Daniel akan kekal mencintainya andai diterima kehadiran cinta Daniel.

            Kebarangkalian untuk Daniel menerima kembali Ayunie di dalam hidupnya terlalu tinggi. Alunie tidak mahu bermain api!

            Memang Alunie tidak menafikan, ada kalanya ketika Daniel bersikap mesra dengannya, menggenggam tangannya ada debar yang sukar dikawal dalam dirinya. Ketika itu semua perkara muluk-muluk akan dibayanginya. Perkara muluk-muluk yang tidak pernah dilalui sepanjang perkahwinan mereka. Sungguhpun demikian, Alunie tidak pernah mengizinkan dirinya terbuai terlalu lama. Dia cepat-cepat mengejutkan dirinya. Menyedarkan tentang jurang yang selama ini terbentang di antara dia dan Daniel.

            Cuma untuk mengatakan dia juga telah sedikit demi sedikit jatuh hati terhadap Daniel belum dapat dia katakan. Kerana dia tidak pernah merasai sesuatu yang sukar untuk diterjemah oleh hatinya. Apa yang begitu tuntas dalam hatinya hanyalah simpati terhadap Daniel. Dia faham sikap lelaki, apabila sudah bersedia untuk berkahwin bermakna lelaki tersebut sudah mula mahukan layanan dan belaian daripada seorang wanita yang bergelar isteri. Daniel dambakan itu daripada Ayunie, malangnya Ayunie mengambil langkah drastik meninggalkan Daniel pada saat Daniel telah membuat persediaan sepenuhnya.

            Bersamanya, meskipun bukan wanita pilihan, Daniel tetap mahukan layanan sewajarnya sebagai seorang isteri. Namun dia gagal untuk memainkan peranan isteri. Pelbagai perkara bermain dalam fikirannya apabila teringatkan dirinya bukan wanita yang pernah berjaya menawan hati Daniel. Dia cuma batu loncatan. Pelakon tambahan dalam kisah cinta Daniel dan Ayunie. Pelakon tambahan kebiasaannya sering tewas  kepada watak utama. Jika Ayunie protogonis dalam karya, dia cuma antogonis. Watak yang sering membawa sikap berlawanan dengan watak utama. Bukankah dalam apa-apa kisah sekalipun kemenangan akan memihak kepada protogonis? Begitu juga halnya dalam kisah hidup caturan mereka.

            Sedang Alunie bermain dengan fikirannya sendiri, Daniel juga telah terlontar jauh dalam benaknya yang ligat berfikir. Perkataan cerai lancar keluar daripada kedua-dua ulas bibir Alunie. Ia membawa satu fahaman tentang hati Alunie terhadapnya.  Jarak masa mereka bergelar suami isteri telah lama. Sekelumitpun tidak terbit di hati Alunie rasa cinta dan menyayangi dirinya. Tegarkah Daniel meneruskan hari-hari mendatang setelah mengetahui sesukar itu mahu menawan hati Alunie? Kuatkah dia untuk berdepan dengan Alunie setelah mengetahui penantiannya sejak bersama Alunie hanya sia-sia.
 
            Dayuskah dia kerana sanggup berterusan hidup dalam keadaan seperti itu? Sedangkan bukan tiada wanita lain yang sanggup mengisi kekosongan hidupnya.  Di Fakulti Perhutanan sahaja deretan wanita, baik pelajar-pelajarnya mahupun rakan-rakan sekerja begitu ramai yang cuba mendampinginya. Jika dia jenis lelaki yang suka berfoya-foya dan gemar bertukar perempuan, hampir kebanyakan anak dara di situ telah dia bawa keluar. Paling tidak keluar makan bersama lewat tengahari menjengok tiba.

            Namun dia bukan lelaki sebegitu. Bukan mudah untuk dia meletakkan seorang wanita di dalam hatinya. Disebabkan itu dia terus berharap pintu kasih Alunie yang selama ini terkunci akan terbuka jua. Cerai? Bila-bila masa dia boleh ceraikan Alunie jika itu yang dirancangkan dalam hubungan perkahwinan mereka. Tanpa perlu Alunie minta dengan rela dia  melepaskan.

            Sungguhpun demikian, dia tidak akan melakukan perkara itu. Talak sama sekali tidak akan dilafazkan. Bukan kerana dia mahu mendera wanita bernama Alunie, bukan kerana dia mahu bebankan Alunie dengan dosa. Tidak! Sama sekali bukan begitu maksudnya. Semuanya kerana satu, dia cintakan Alunie. Cinta yang telah diucapkannya berulang kali. Cinta yang dicuba yakinkan. Namun Alunie tidak betah mengakuinya. Disebabkan itu, Daniel terus tidak lugu. Medu jiwanya mengenangkan betapa segala cubaannya sia-sia.

            Daniel menjeling Alunie. Pandangan jatuh ke jari manis Alunie. Cincin yang disarungkannya dulu masih ada di situ! Daniel menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya cincin itu tetap ada di situ walau sekian mana marahnya Alunie terhadap perbuatannya satu waktu dulu. Mungkin dengan masih adanya cincin itu membawa petanda Alunie satu masa nanti akan akur juga pada cintanya.
























No comments:

Post a Comment