Sunday, 23 September 2012

SEMANIS CINTA SEMALAM bab11-15


BAB SEBELAS                              

Entah kenapa hari itu Mahmud terasa lain benar. Bunyi suara anak-anak bermain di dapur menyebabkan dia merasa letih. Dipanggil anak-anak naik ke rumah. Biar ada dekat bersamanya. Boleh juga mereka urut-urutkan badannya.

            Ibunya, Mak Bedah baru pulang ke rumahnya untuk menyediakan makan minum buat Othman setelah memandikan Mahmud.

            Ahh, sejak Mahmud makin kerap terlantar sakit, Mak Bedah makin menunjukkan kasih sayangnya. Makin kerap datang melawatnya dan anak-anak. Malah apabila ada ketikanya sakit Mahmud datang menyerang dengan teruk, Mak Bedah paling kalut memanggil dukun dan pawang untuk melihat penyakit Mahmud.

            Terkadang Mahmud rasa bersalah dan menyesal kerana pernah meminggirkan Mak Bedah daripada hidupnya. Tanpa alasan yang kukuh hanya kerana mengikut rasa hati, Mahmud membina dinding pemisah antara dia dan ibu kandungnya sendiri gara-gara merasakan Mak Bedah melebihkan orang luar berbanding anak cucu sendiri.  Mahmud merasakan Mak Bedah terlalu banyak mengabaikannya sejak kematian arwah ayahnya, Jelani.

            Kini, terlantar di pertiduran meruntuhkan kembali dinding yang memisahkan mereka. Mahmud kembali merasa kasih sayang seorang ibu. Betapa Mak Bedah mengambil berat terhadap dirinya. Mahmud terpilu dalam sakitnya!

            Hari itu pula, rasa rindu makin memagut jiwa. Mahmud terasa ingin benar menghabiskan masa dengan ibunya. Ibu yang pulang sebentar untuk menunaikan tanggungjawab terhadap suami dirasakan terlalu lama pergi. Untuk menghilangkan rasa dalam diri, Mahmud mengarahkan anak-anak mengurut-urut badannya sambil mengajak Mak Limah berborak.

            “Saya ni dah dekat benar dengan masanya, Mak Limah…” suara Mahmud perlahan sambil membuang pandang ke arah Mak Limah yang sedang menukar lampin Amelia.

            “Kau merepek apa, Mud? Jangan cakap macam tu. Hidup mati di tangan Allah.”

            “Memang di tangan Allah tapi saya boleh rasa…”

            “Mud, jangan buat Mak Limah sedih. Mak Limah dah anggap Mud macam anak sendiri.”

            “Kasih sayang cuma setakat di dunia, Mak Limah. Besok lusa, apabila ajal menjemput, kita semua kena akur.” Perlahan Mahmud bersuara. Mencipta jeda buat seketika di situ.

            “Satu saya minta, Mak Limah. Andai saya tiada, katakan kepada mak, saya sayangkan dia. Saya mohon ampun dan minta dia halalkan makan minum saya, susu dia. Katakan kepada Zaharah, jaga anak-anak. Jangan sampai terpisah antara satu sama lain.”

            “Mud…” Mak Limah sudah hilang vokal. Deraian air mata menjadi non-verbalnya.

            Sebagai orang tua, kenal Mahmud luar dan dalam sejak kecil, Mak Limah terkehel hati mendengar tingkah Mahmud. Kenapa lain benar deskripsi Mahmud pada hari yang mendung itu? Hati kecil Mak Limah merasa tidak sedap. Padahal dia tidaklah sakit benar. Sekadar terlantar di tempat tidur. Rutin biasa sejak tidak mengah lagi melakukan aktiviti harian selayaknya.

            Sufiah, Nabila dan Nazira ternganga-nganga sesama sendiri melihat drama melankolik antara ayah mereka dan Mak Limah.

            “Ayah terasa teringin sekali minum air batu kosong… siapa yang nak belikan untuk ayah?” Permintaan diajukan pula kepada anak-anak.

            Sufiah, Nabila dan Nazira memandang sesama sendiri. Hanya mereka bertiga yang patut menunaikan permintaan ayah kerana Aziah sibuk di dapur, memasak untuk makan tengahari mereka. Azian memang tiada di rumah kerana dia sudah berumahtangga dan kini tinggal bersama suaminya di Kampung Banggol Kemunting.
           
            Melihat si kakak bagaikan enggan menunaikan permintaan si bapa, Sufiah yang ketika itu berusia sembilan tahun bangun untuk menunaikan permintaan ayahnya. Walau dalam hati bergalau kerana si ayah tidak pernah minum minuman berais kerana penyakit semputnya. Alih-alih hari itu Mahmud teringin untuk minum air batu kosong. Tentulah menimbulkan rasa yang begitu-begitu dalam diri si anak. Walaupun Sufiah masih kecil, nalurinya sudah cukup kuat untuk berfikir sesuatu yang jauh di depan.

            “Sufiah cuba pergi ke rumah Pak Nik Mamat, kalau tak ada cuba tanya di rumah Kak Yah…” Mak Limah memberi cadangan.

            Ketika itu belum ramai orang kampung yang mampu memiliki peti ais di rumah. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang mampu berbuat demikian. Sementelahan Mahmud sendiri tidak gemar minum minuman berais.

            Sufiah bergegas ke rumah jiran yang terletak di seberang jalan raya untuk mendapatkan ais seperti yang diminta ayahnya. Hati kecilnya berkata-kata. Kata-kata yang tidak enak untuk diluahkan melalui rengkungnya. Biarlah dia pendam. Dalam lebuh benaknya, wajar ayah terlantar di pertiduran jelas sekali.

            “Ya Allah, biarlah aku sempat bawakan air batu pulang ke rumah…” Sufiah bersuara perlahan.

            “Siapa nak minum air batu kosong mendung-mendung begini?” Itu soalan Pak Nik Mamat.

            “Ayah…” balas Sufiah sepatah.

            “Pelik…biasa ayah Sufiah tak minum air batu. Dia kan ada lelah?” Pak Nik Mamat berkata.

            “Tak tahulah… hari ni tiba-tiba ayah bersungut nak minum.”

            “Pak Nik tak buat  air batu, mendung tak ada orang nak beli. Cuba pergi tanya rumah Kak Yah.”

            Sufiah tidak membantah. Dia bergegas namun sebelum dia melompat dari tangga dapur rumah Pak Nik Mamat, dia masih boleh mendengar suara Pak Nik Mamat yang memberitahu isterinya, Hotti bahawa dia ingin menjenguk Mahmud kerana dia merasa tidak sedap hati dengan permintaan pelik Mahmud.

            Mendengar itu Sufiah makin tidak keruan, walaupun dia masih kanak-kanak, dia mengerti rasa tidak sedap hati Pak Nik Mamat. Dia makin mempercepatkan langkah ke rumah Kak Yah. Doanya biarlah dia sempat mendapatkan air batu itu untuk ayahnya.

            “Ayah Sufiah nak minum air batu?” Itu pula versi soalan Kak Yah.
           
            Sufiah hanya mengangguk. Dia malas bercakap banyak. Setelah menjelaskan harga air batu, Sufiah pantas melangkah untuk cepat-cepat sampai ke rumah. Semasa dia berlari pulang ke rumah dia terperasan beberapa orang penduduk kampung sedang menuju ke rumahnya juga, di atas batas sawah padi di depan rumah juga terdapat beberapa orang penduduk kampung berbaris di atas batas. Sufiah yakin mereka menuju ke rumahnya.

            Sufiah juga yakin sesuatu telah berlaku di rumahnya, lebih tepat lagi berlaku ke atas bapanya. Sufiah semakin laju berlari. Sama laju dengan air bening yang kini berlari di pipinya. Hati kecilnya tahu memang ada sesuatu telah berlaku kepada ayahnya.

            Tanpa naik ke rumah menjenguk Mahmud, Sufiah masuk ke dapur, mencampakkan ketul air batu yang dibeli ke dalam sinki. Kemudian keluar dari rumah dan terus meraung di belakang dapur.

            “Ayah dah tak ada…aku yakin ayah dah tak ada!” Raung Sufiah pilu. Air matanya seakan berlumba di pipi. Dia meraung dan menangis seorang diri di situ.
            Lama Sufiah menghabiskan masa seorang diri di situ sebelum dia terdengar suara seseorang meminta kakaknya, Nazira mencarinya. Mendengar itu Sufiah naik ke rumah, tapi dia tidak mendapatkan ayahnya. Dia hanya menjeling sekilas ke tempat sekujur tubuh ayah yang sudah kaku di tempat tidurnya. Sufiah tidak mahu bertanya sesiapa. Jawapannya dia sudah sedia maklum. Dia masuk ke bilik. Menyambung tangisnya di situ.

            Agak lama di bilik, Sufiah kemudian menjenguk ke luar jendela tatkala mendengar bunyi seseorang berjalan di luar rumah. Apabila dia menjenguk ke luar, dia nampak kelibat abangnya, Adli.  Dia nampak wajah abang sugul dengan sisa air mata melangkah longkang tepi rumah. Makin bergalau hati Sufiah melihat abang…

            Sufiah tidak tahu apa yang ada dalam hati abang sebenarnya, namun yakin apa juga yang ada dalam hati Adli ketika itu semantik kepada lara. Apa saja yang ada dalam hati abang ketika itu, berkonotasi sendu yang tidak terluah. Hanya air mata menggantikan suara abang walau sendu jauh tersembunyi dalam jiwa.


Mahmud sudah tiada. Bagi Adli, kematian Mahmud memang melumpuhkan semangatnya. Berhari-hari Adli cuba bangkit dari rasa sedih. Pun dia tahu, dia tidak boleh memanjangkan lara dalam hatinya di depan mata adik-adik dan ibu kerana sekarang, dalam usia mudanya, Adli terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

            Adli perlu bangkit!

            Walau sedih dengan kehilangan ayah tersayang, Adli cuba menerima hakikat itu kerana pemergian ayah memang sudah diduga. Cuma dia tidak menyangka semudah itu. Adli kira ayahnya akan meninggal ketika menghadapi sakit yang melarat dan tenat. Bukan dalam keadaan nampak sihat.  Begitupun, walau dalam kondisi bagaimana sekalipun Adli harus kuat demi ibu dan adik-adiknya.

            Nah, itulah yang bakal Adli lakukan kerana tanggungjawab kini terletak di atas pundak Adli. Dia harus tegar dan tidak harus melelewakan tanggungjawab yang harus ditanggungnya. Walau usia masih muda Adli sudah cukup faham tentang itu kerana sejak awal Adli sudah bersiap-siaga dengan situasi yang bakal dtempuhinya. Adli cukup-cukup faham dan bersedia.

            Pun jauh di sudut hatinya Adli tetap tersentuh melankolik. Kehilangan ayah yang tersayang besar lukanya dalam jiwa Adli. Meski ayah bukan lagi teraju dalam menyarasuap dia dan keluarga, ayah tetap merupakan kekuatan bagi Adli. Kehilangan  ayah memang memberi tamparan maha hebat buat Adli.

            Adli ingin melempiarkan tangis tatkala sendirian, pun buat apa? Itu lagi akan melukakan hatinya. Sudahnya Adli menyibukkan diri. Menggiatkan lagi usaha membantu ibunya berniaga di pasar. Paling tidak itu mampu membuatkan Adli lupa pada luka di hatinya.

            Apabila Mak Su Zie pulang bercuti pula, mereka akan menghabiskan masa bersama. Mak Su Zie kekuatan bagi Adli. Tempat meluah luka dan sendu di hati. Mak Su Zie paling memahami walau terkadang Mak Su Zie sendiri akan terketik sayu kerana Mahmud merupakan satu-satunya abang yang dia ada di dunia ini. Mereka berdua akan sama-sama memberi kekuatan untuk satu sama lain. Kekuatan itu penting untuk Adli kerana dia sekarang tunjang keluarganya.

            Apatah selepas ayah meninggal Sufiah yang mengalami tekanan perasaan terlantar di hospital selama sebulan. Adli tidak tahu apa luka yang ditanggung Sufiah. Namun dalam kondisi Sufiah seperti itu dia tidak mahu menambah lagi beban luka di hati adiknya. Dia cuba hiburkan adiknya itu seboleh mungkin.

            Ada masa dia akan ke hospital melawat adiknya dengan membawa pelbagai macam bahan bacaan kerana kecintaan Sufiah terhadap bahan bacaan terlalu tinggi. Walau sirna luka masih ada dalam pancaran mata Sufiah, Adli dapat lihat adiknya itu cuba menyembunyikannya.

            Mujur juga Mak Bedah sudi menemani Sufiah di wad pada malam hari. Kalau tidak, kalut juga jadinya memandangkan ibunya tidak mampu melakukan tugas itu kerana tanggungjawab terhadap anak-anak yang lain tidak boleh diabaikan. Lantas tugas menemani Sufiah di wad diserahkan seratus-peratus kepada Mak Bedah. Othman juga akan melawat Sufiah di wad pada waktu senggangnya.

            Musibah yang menimpa Adli sekeluarga nampaknya telah memperlihatkan lagi kasih sayang Mak Bedah dan Othman kepada adik-adiknya yang selama ini seakan terpinggir sedikit. Jauh di sudut hati, Adli bersyukur teramat kerana Tuhan memberikan peluang itu kepadanya dan adik-adik.

            Tidak lupa juga Adli memanjat doa kepada Ilahi agar diberi kekuatan untuk  meneruskan hari-hari mendatang tanpa ayah di sisi lagi. Rindu terhadap arwah ayah hanya Tuhan yang tahu. Pun rindu itulah yang akan dibawa Adli bersama untuk mengingatkan dirinya sendiri betapa dia mempunyai tanggungjawab yang amat besar.

            Walau ayah sudah tiada, pesan ayah agar dia menjadi orang yang berjaya juga akan terlekat kuat dalam dirinya.

            Ya Allah, berkatilah perjalanan ku, amin! Begitu doa yang selalu Adli panjatkan dalam hatinya.








BAB DUA BELAS

“Yea…abang beli baju baru!” Nabila bersorak girang sambil menayangkan baju bercorak kotak-kotak kepada Nazira.

            Nazira mencebir melihat gelagat Nabila. Tidak kuasa untuk melayan. Lebih baik dia mentelaah pelajaran daripada melayan kerenah Nabila yang kelihatan bagai disampuk. Terlompat sana, terlompat sini. Mentanglah abang telah membawanya membeli-belah di pekan petang tadi. Gembiranya belum habis-habis. Huh. Gerutu Nazira di dalam hati.

            “Dah, dah tu Ila, pergi simpan dulu baju tu. Besok boleh pakai.” Tegur Adli sambil meletakkan kotak kasut berjenama Adidas ke lantai.

            “Abang, boleh pakai ke kelas tambahan besok?”

            “Sukahati Ila…”

            “Bukan baju raya ke ni, bang?” Nabila sekali lagi inginkan kepastian.

            “Raya lambat lagi. Nak raya besok abang beli lain pula.”

            Senyum Nabila meleret ke telinga mendengar pengesahan daripada abang walaupun sejak tadi abang sudah memaklumkan dari awal, baju baru yang dibeli bukan untuk hari raya.

            Adli menggelengkan kepada melihat gelagat Nabila. Pun jauh di sudut hati Adli bahagia kerana dapat membuatkan Nabila gembira. Sejak Azli giat membantu emak di pasar, dia sudah mampu membelikan pakaian buat adik-adik. Walau tidak selalu, cukuplah sesekali kerana adik-adik bukan selalu mendapat pakaian baru.

            Konotasi pakaian baru bagi adik-adik samalah dengan hari raya kerana hanya untuk menyambut hari lebaran sajalah ibubapa mereka akan membelikan pakaian baru buat mereka. Dengan pakaian yang dibeli sekali setahun itulah adik-adik akan pakai untuk balik kampung atau sesekali ke bandar. Juga menghadiri program istimewa di sekolah.

            Walau sudah sedikit senang berbanding dulu, sikap berjimat cermat masih melekat kuat dalam diri ibunya, Zaharah. Disebabkan itu pakaian adik-adik Adli ala-ala kadar sahaja. Malah masih lagi mengenakan pakaian terpakai yang diberi orang walaupun ibu sudah mampu berbelanja pakaian baru buat adik-adik sesekali.

            Lalu Adli sebagai abang teringin juga melihat adik-adiknya berbaju baru pada hari-hari biasa. Dia tidak mahu adik-adik merasa kehinaan yang sama yang pernah dirasakan akibat terlalu lama menyarung pakaian lusuh yang sama. Biarlah adik-adiknya merasa senang dan gembira sementelahan Adli kini sudah mampu berbuat demikian.

            “Banyak abang beli…untuk siapa ni,bang?” Azian yang sedang mendukung anaknya, Naliff datang membelek pakaian dan sepasang kasut baru yang diletakkan Adli di depan pintu rumah. Belum sempat dibawa masuk ke dalam.

            “Tu barang-barang keperluan abang nak ke politeknik…abang nak sambung belajar.”

            “Abang nak sambung belajar?” Azian berkerut kening.

            Sejak kematian arwah ayah, agak lama sudah dia tidak mendengar tentang keinginan untuk sambung belajar dari mulut abang. Alih-alih hari itu abang kembali menyatakannya.

            “Ya…abang nak sambung belajar. Arwah ayah telah mengamanatkan abang supaya sambung belajar.”

            “Untuk keluar dari lubuk kesesakan,lubuk kesusahan, Lie perlu ada pelajaran tinggi. Belajarlah setinggi yang boleh untuk ubah nasib keluarga kita.” Suara itu kembali menerjah gegendang telinga Adli. Meski ayah sudah lama tiada, kata-kata itu sentiasa tersemat dalam sanubarinya.
            “Tentu banyak duit nak pakai nanti.”

            Adli memandang ke wajah Azian.

            Duit…

            Persoalan itu juga tercetus dari mulut emak.

            “Abang dah ada duit simpan sikit. Boleh guna sebagai yuran permulaan. Dah dapat biasiswa besok, kita tak perlu pening-pening lagi nak fikir soal duit,” kata Adli.
           
            Mengulangi ayat yang sama diucapkan kepada Zaharah semasa Zaharah mempersoalkan perkara itu.

            Adli tahu kenapa persoalan itu begitu menghenyak pemikiran ibunya dan Azian. Ayahnya, Mahmud meninggal tanpa meninggalkan banyak harta. Sekadar sempat membesarkan rumah agar kehidupan mereka sekeluarga lebih selesa. Wang ringgit tidak begitu jenuh di dalam bank. Pun, Adli sudah membuat perkiraannya sendiri. Amanat ayah dan cita-citanya perlu dilunaskan. Adli tidak mahu menjadi anak kampung yang mundur buat selama-lamanya. Dia mahukan perubahan.

            Oleh sebab itu dia menabung sesungguh hati semasa membantu Zaharah meniaga ayam di pasar basah Tanah Merah. Walau sesekali membelanjakan wang untuk membeli sehelai dua pakaian baru buat adik-adik, ia masih tidak menjejaskan tabungannya untuk meneruskan pengajian.

            Lagipun, cukuplah sudah dia menangguhkan hasrat untuk belajar selama tiga tahun selepas kematian arwah ayah. Tibalah masa untuk dia kembali menjejakkan kaki ke alam pengajian semula. Dengan berbekalkan keputusan pangkat satu dalam peperiksaan SPMV dahulu, permohonan Adli mudah sahaja diterima oleh IPTA.

            Kebetulan cawangan politeknik Kelantan sudah mula dibuka. Jadi dia tidak perlu memohon jauh. Perbelanjaan juga menjadi lebih jimat sekiranya dia melanjutkan pelajaran di dalam negeri sahaja. Dalam pada itu, sekiranya ada cuti semester dia boleh pulang melalui jalan air sahaja. Amat menjimatkan jika pulang menggunakan perkhidmatan bot penambang dari Pengkalan Serendah ke Pengkalan Kiat. Adli sudah merancang semuanya.

            “Mak dah tau tentang hasrat abang ni?”

            “Dah. Abang dah tunjukkan surat tawaran kepada mak pun,” beritahu Adli sambil mengemas barang-barang keperluannya yang masih di lantai.

            “Mak cakap apa?”

            “Dia setuju. Lagipun arwah ayah dah amanatkan abang agar sambung belajar,” ujar Adli lagi.

            Memang itulah dasarnya. Keinginannya bukan sekadar cita-cita semata, namun lebih kepada menunaikan janji kepada arwah Mahmud. Ayah yang sudah tiga tahun meninggalkan mereka.

            “Nanti kalau abang dah tiada, siapa yang nak bantu mak kat pasar?”

            “Kau tak berminat?”Soal Adli.

            Memang itulah dalam perancangannya. Meminta Azian membantu ibu meniaga ayam di pasar basah. Daripada buat perkara yang tidak tentu pendapatannya, Adli berpendapat lebih baik Azian belajar meniaga dengan mak. Lagipun sejak bercerai dengan Mat Zin, Azian bukanlah begitu produktif dalam soal mencari rezeki. Lebih banyak menyusahkan emak sahaja kerjanya.

            “Aku bukan tak minat bang…tapi aku tak pandai.”

            “Kau banyak alasannya. Abang bukan tak tau, kau nak mengelat. Kalau tolong mak, pendek sikit langkah kau…” sinis Adli.

            Azian mencebir mendengar nada sinikal Adli. Dia faham maksud kata-kata Adli. Sebab itu telinganya sedikit pijar. Setelah sekian banyak skandal dilakukan Azian sejak zaman sekolah santak kembali menjanda padan benarlah jika Adli menyimpan praanggapan yang bukan-bukan terhadapnya.

            “Kenapa?” Soal Adli melihatkan Azian tunavokal.

            “Tengoklah bagaimana nanti…”

            “Tak payah tengok-tengok lagi. Sebelum ni kau tinggal jauh dengan keluarga, macam-macam hal kau buat kat luar yang memalukan mak, cukup-cukuplah.”

            Aik, sejak bila pula Abang Adli berminat untuk masuk campur urusannya. Selama ini Abang Adli hanya banyak tunavokal, alih-alih hari itu dia banyak bunyi pula.

            “Kalau abang dah sambung belajar nanti, tinggal kau yang boleh bantu mak. Tinggal kau yang boleh bimbing adik-adik, kalau kau asyik teruskan sikap tak elok kau, contoh apa yang kau boleh bagi adik-adik?”

            Azian masih menelinga. Bibir pula dijuih-juihkan. Tahap hormat Azian terhadap abang tidak seperti adik-adik yang lain. Adli bukan tidak tahu itu. Mentak kerana jarak umur yang tidak begitu berbeza antara mereka berdua. Mungkin juga kerana Azian sudah begitu banyak terdedah kepada dunia luar sehabis LCEnya maka menelurkan sikap yang bukan-bukan dalam diri Azian.

            “Kau pikir balik apa yang aku cakap ni. Sampai bila kau nak menyusahkan mak. Dalam usia kau, kau seharusnya dah boleh membantu mak. Kau tak terikat dengan sesiapa, peluang nak menolong mak banyak. Ni tak, selama ni kau banyak menyusahkan mak.”

            “Aku masuk ke dapur dulu lah, bang…” Azian bangun menunjukkan dia tidak berminat untuk ditazkirah oleh abang.

            Adli menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Azian. Selalupun begitulah reaksinya menyebabkan Adli malas bersuara selama ini. Ini Adli, berdepan dengan Zaharah sendiri pun begitulah juga sikap Azian. Langsung tidak hormat kepada orang yang lebih tua daripadanya. Tahunya menyusahkan emak baik secara fizikal mahupun mental dengan segala perbuatannya selama ini.

            Adli sendiri tidak faham mengapa Azian dari hari ke hari makin teruk. Kematian Mahmud langsung tidak memberi impak kepadanya untuk berubah. Kalau semasa di alam persekolahan dia lebih banyak bermain cinta dan berjantan sana-sini Adli anggap bahana usia remaja, namun setelah meningkat dewasa, berkahwin, beranak dan kemudian bercerai sikapnya makin menjadi-jadi, itu bukan bahana usia remaja lagi. Ia memang sikap yang sudah sebati dengan diri Azian.
            Entahlah, Adli tidak faham. Seramai-ramai adik-beradiknya, Azian terlalu jauh berlainan dengan yang lain. Padahal acuan didikan mereka sama. Ilmu agama yang arwah terapkan dalam diri mereka juga tidak terlebih tidak terkurang. Sama rata. Benarlah kata orang tua, dalam setandan pisang tidak semua yang elok. Azian membenarkan kata-kata orang tua itu.

            “Hoi…tu abang belikan untuk aku lah!”

            Menungan Adli diganggu suara Nabila berteriak entah kepada siapa. Dia memandang ke arah datangnya suara Nabila. Nampaknya sedang berebutkan baju dengan Sufiah.

            Kelihatan berjejeran airmata di pipi Sufiah berkehendakkan baju baru yang sedang dipegang Nabila.

            “Kenapa pulak ni?” Soal Adli sambil bangun mendapatkan adik-adiknya.

            “Ni, Sufiah nakkan baju baru orang…” beritahu Nabila dengan wajah menyinga sambil menunjal kepala Sufiah dengan cari telunjuknya. Sufiah meraung diperlakukan begitu oleh Nabila.

            “Kan abang dah pesan tadi, jangan bagi dia nampak baju ni…kau sengaja nak menunjuk-nunjuk, ya?” Adli merenung Nabila geram.
            Memang Adli telah berpesan tadi agar Nabila menyembunyikan baju barunya daripada Sufiah kerana bimbang Sufiah inginkan baju baru seperti itu juga sedangkan baru minggu lepas Adli sudah belikan satu set aksesori kepada Sufiah. Lengkap dengan jam, pen dan rantai dalam satu kotak. Sudah berkeriau mereka dua beradik berebutkan set tersebut lalu Adli janjikan baju baru untuk Nabila.

            Mahu belikan set yang sama tidak boleh kerana Adli belikan set aksesori itu di Kota Bharu semasa pergi menguruskan borang kemasukan ke politeknik. Mahu belikan dua set sekali gus pula Adli tidak mampu kerana tidak cukup wang.

            “Dah, dah. Pergi mandi. Masing-masing dah bau macam kambing. Jangan nak berebut-rebut lagi. Nanti kalau abang ada duit abang bawa kau orang pergi Tanah Merah. Kita beli baju baru lagi.”

            “Yeahaa! Abang nak beli baju baru!” Sufiah melompat girang mendengar janji abang.

            Sufiah yakin dengan janji abang sebab abang tidak pernah mungkir janji. Dia kemudian berkejar ke bilik air diikuti Nabila. Belum beberapa minit sudah terdengar Sufiah dan Nabila bergelak ketawa di bilik air bersama-sama. Adli menggelengkan kepala mengenang telatah adik-adiknya. Carik-carik bulu ayam betullah!


BAB DUA BELAS
Akhirnya Adli meneruskan pelajarannya ke Politeknik Kota Bharu yang terletak di Kok Lanas setelah menangguhkan pengajiannya selama beberapa tahun selepas kematian Mahmud. Adli pun ingin berjaya. Mengikut jejak langkah Mak Su Zie yang kini sudah bergelar guru di Jengka Sebelas Pahang.

            Berbanding Mak Su Zie, Adli agak lewat menyambung pengajiannya, bagaimanapun Adli tetap bersyukur kerana Allah s.w.t masih memberinya peluang. Sepanjang berada di kolej, Adli tetap tidak lupa segala pesanan arwah Mahmud yang inginkan dia menjadi insan yang berjaya agar menjadi contoh kepada adik-adiknya.

            Setiap pesanan dan arwah ayahlah yang menjadi kekuatan untuk Adli meneruskan pengajiannya di sini walaupun cabarannya terlalu besar bagi orang yang tidak berduit seperti Adli. Mujurlah ada kawan yang sedikit berada sudi membantu. Bagaimanapun tidak ramai kerana Adli sebenarnya lebih cenderung untuk berkawan dengan golongan pelajar yang berlatar belakang sepertinya juga. Lebih senang untuk dia menyesuaikan diri.

            Di kolej Adli rapat dengan Lah. Selalu juga Lah mengikutnya balik bercuti ke Kampung Belimbing kerana tidak mempunyai bajet yang cukup untuk pulang ke kampungnya yang terletak lebih jauh berbanding kampung Adli. Jika ada tugasan berlambak-lambak pula, mereka tidak akan pulang bercuti. Masing-masing lebih senang menghabiskan masa di kolej memandangkan banyak bahan rujukan boleh didapati di perpustakaan kampus mereka.

            Sepanjang Adli di kolej pula, Zaharah sendirian menguruskan gerai di pasar basah. Azian tidak langsung mengikut pesanan Adli. Dia lebih suka menjalani kehidupan sendiri. Kehidupan bebas yang tidak terikat dengan ibunya. Zaharah tertekan dengan tingkah Azian yang makin menjadi-jadi sejak bergelar janda.

            Sudahlah segala perbelanjaan hidup Azian dan Naliff ditanggung sepenuhnya oleh Zaharah, Azian juga suka bawa masalah dalam keluarga. Suka bergaduh dan bercekau dengan adik-beradik. Mentanglah dia anak kedua, sesenang hati dia sahaja dia mahu membuli adik-adik sehingga adik-adik benci akan kehadiran Azian di rumah.

            Pun Zaharah tidak pernah memanjang perkara itu sehingga ke pedengaran Adli. Dia bimbang permasalahan itu akan memberi tekanan kepada Adli sekali gus mengganggu pelajaran Adli.

            “Dah,dah lah Azian. Daripada kau berseronok dengan jantan ke hulu,ke hilir lebih baik kau pergi pasar, tolong mak meniaga. Kalau kau dah pandai besok, kau boleh pohon gerai dari majlis bertambah sikit pendapatan. Mak bukan nak kau tolong mak sekurang-kurangnya bantu diri kau sendiri.”

            Pernah Zaharah berkhutbah kepada Azian begitu. Menegur sikapnya yang suka benar berfoya-foya tanpa arah dengan lelaki-lelaki mata duitan. Walaupun Azian sedar lelaki-lelaki yang mendampinginya hanya mahu mengikis duit ringgitnya, Azian tidak kisah janji boleh melempiaskan kesunyiannya. Sunyi daripada belaian lelaki memandangkan dia menjanda terlalu muda…

            Sungguhpun demikian, Azian langsung tidak mahu mendengar nasihat Zaharah. Ibarat mencurah air ke daun keladi. Padahnya Zaharahlah yang terpaksa menanggung hutang kerana Azian mengambil wang hasil jualannya, bukan hasil pencariannya sendiri untuk ditabur kepada lelaki-lelaki yang mendampinginya.

            Pening kepala Zaharah memikirkannya. Mahu diluahkan kepada anak-anak yang lain, mereka belum cukup dewasa untuk mengerti. Mahu diluahkan kepada Mak Bedah, Zaharah malu. Kelihatan nanti seperti membuka pekung sendiri kerana tidak pandai mendidik dan membentuk anak-anak.

            “Abang, Zah tak kuat sejak abang tak ada…”

            Sering Zaharah bergumam begitu sebelum tidur malam harinya. Memang ingatan terhadap Mahmud tidak pernah padam. Tidak pernah lekang sekalipun dari ingatannya. Sebab itulah Zaharah tidak mampu mengalih dan memberikan cintanya kepada lelaki lain meskipun sudah banyak lamaran yang diterima. Meski Mak Bedah sendiri pernah memujuknya memulakan hidup baru dengan lelaki lain.
            Tidak. Tidak mungkin sama sekali Zaharah mahu mengalihkan cintanya. Biar perit, biar pedih dia akan menjunjung cintanya seusia dunia terhadap Mahmud. Memang ada rindu akan belaian insan bergelar suami, namun dia hanya dambakan belaian Mahmud seorang.

            Zaharah tidak tahu setara mana tegar dia nanti dalam mendidik dan membesarkan anak-anak tanpa Mahmud. Sejak Mahmud tiada, sudah macam-macam fiil anak-anak perlu ditanganinya. Pernah suatu masa Nazira,Nabila dan Sufiah jadi panjang tangan. Selalu mengambil wang dalam begnya sebaik dia pulang dari pasar. Mujurnya waktu itu Adli masih ada. Dialah yang menasihatkan adik-adik. Zaharah tidak tahu kenapa anak-anak bertindak begitu. Namun menurut Adli adik-adiknya bertindak begitu ekoran sikap dia juga. Terlalu berkira dengan anak-anak sehingga wang saku ke sekolahpun dicatu tanpa mengambil kira  perbelanjaan sekolah yang makin meningkat.

            Menurut Adli lagi terlalu susah untuk meminta wang daripada Zaharah untuk urusan persekolahan dari  wang saku, tambang bas sehinggalah ke urusan membeli buku rujukan. Dek kerana itu  anak-anak mengambil jalan singkat, bukan dengan niat mencuri tetapi mahu memudahkan urusan perbelanjaan sekolah mereka.

            Ahh, Adli tidak faham. Anak-anak yang lain juga tidak faham. Meniaga di pasar bukan untung mana pun. Sementelahan dengan sikap Azian yang suka mengambil peluang menggunakan hasil pencarianya untuk berfoya-foya dengan jantan. Sering Zaharah meniaga tidak balik modal. Tambahan pula anak-anak selalu minta duit untuk beli buku, sekejap si kakak, sekejap si adik. Hinggakan Zaharah tidak tahu betul-betulkah mereka mahu membeli buku atau sekadar mahu berbelanja ke atas perkara bukan-bukan.

            Sebab itu Zaharah berkira dengan anak-anak. Kalau mereka tahu begitu susah untuk mendapatkan wang, kelak mereka akan belajar bersungguh-sungguh agar tidak lagi sesusah itu untuk memperolehi sesen dua.

            Walau kini taraf hidup sudah jauh berbeza daripada zaman tujuh puluhan dahulu, Zaharah tetap mahu mengajar anak-anak agar berjimat cermat dan berkira dalam membelanjakan wang. Itulah sebabnya Zaharah kelihatan seperti begitu berkira dengan anak-anak.

            Begitupun, sikap Nazira, Nabila dan Sufiah tidaklah menjadi barah yang maha parah dalam hidup Zaharah jika dibandingkan dengan tingkah laku Azian yang langsung tidak boleh diletakkan di mata. Memang menyakitkan. Memang merencatkan kesabaran dan kekuatan Zaharah.

            Bukan setakat suka berfoya-foya dengan jantan tidak guna di luar sana, Azian juga tidak solat. Langsung hilang segala amalan yang pernah diterapkan oleh arwah Mahmud dalam dirinya. Zaharah tidak faham. Sedang adik-adik yang lain boleh menunaikan fadhu ain itu lima waktu sehari, dia melelewakan tanggungjawab itu semacam ia bukan perkara wajib. Zaharah sudah hilang akal melihat Azian terlalu jauh dengan Allah. Apa yang tidak kena dalam didikannya, Zaharah langsung tidak tahu.
            Menungan Zaharah tiba-tiba terganggu dengan suara bising anak-anak di luar rumah. Zaharah pantas bangun untuk meninjau situasi sebenar.

            “Abang balik! Abang balik!” Sufiah bersorak riang di tepi rumah memaksa adik-beradiknya yang lain pergi mendapatkannya.

            Zaharah juga tertinjau-tinjau dari balik jendela. Kelihatan di laluan dari arah kebun getah Adli sedang menunggang sebuah motorsikal sambil tersengih kepada adik-adiknya yang sedia menyambut kepulangannya.

            “Yea..yea…abang balik naik motor!” Sorak Bashah pula.

            Gembira tidak terkata anak-anak Zaharah melihat abang mereka pulang sambil menunggang motorsikal bersendirian.

            “Motor siapa pula si Adli bawa balik ni…” gumam Zaharah kehairanan.

            Adli memberhentikan motorsikal berjenama Yamaha dan bernombor pendaftaran DP 1284. Kelihatannya masih baru lagi di mata Zaharah semasa dia turun ke halaman untuk melihat motorsikal yang ditunggang Adli sekejap tadi. Anak-anak yang lain pula sudah berkerumun untuk melihat motorsikal Adli dari jarak dekat.

            Selain motor arwah Othman, mereka tidak pernah menyentuh mana-mana motorsikal sebelum ini kerana ketidakupayaan mereka. Sekarang abang mereka pulang sambil menunggang motorsikal, tentulah masing-masing enggan melepaskan peluang melihat dari dekat.

            “Motor siapa kau bawa balik ni, Lie. Tuan dia tak kisah kah?” Zaharah mengajukan soal semasa Adli melabuhkan buntut di tangga rumah.

            Adli tersengih sebelum menjawab. “Ni motor Adli, mak. Adli beli dengan duit biasiswa. Senang kalau dah ada motor ni, mak. Lagipun sekarang Adli dah tak tinggal kat asrama. Memang motor ni perlu sangat-sangat lah untuk berulang-alik ke kelas.”

            Zaharah mengangguk-angguk. Seumur hidupnya dia tidak pernah membayangkan satu masa di halaman rumahnya bakal tersadar sebuah motor. Paling tidak pun sebuah basikal tua kegunaan Adli semasa zaman sekolah menengahnya dahulu. Zaman hidup Zaharah dan Mahmud dulu cukup-cukup sesak. Tidak terlintas walau sekali dibenak mereka untuk memiliki sebarang jenis kenderaan.

            Apabila ekonomi keluarga sudah sedikit senang, Mahmud pula jatuh sakit dan kemudian meninggal dunia, jadi memang tiada harapan langsung untuk Zaharah impikan untuk memiliki kenderaan. Sekarang Adli sudah membawa pulang sebuah motorsikal ke rumah, walau dari sumber apa sekalipun cukup untuk membuat Zaharah tumpang gembira.
            Adk-adik Adli?

            Huh, mereka sementelahanlah pula. Masing-masing sudah memanjat motor yang sedang diparkir di halaman rumah.

            “Dah, naik mandi semua. Besok abang bawa jalan-jalan dengan motor!” Adli berseru kepada adik-adiknya.

            “Jalan-jalan kat mana, bang?”

            “Tengoklah nanti…”

            Adik-adik terus naik. Enggan membantah lagi. Selalunya Adli senang berpegang kepada kata-katanya. Sekiranya dia sudah memberi janji, maka dia akan tunaikan janji itu.

            Adik-adik sudah naik ke rumah untuk mandi. Sekejap lagi azan maghrib akan berkumandang dari madrasah yang terletak kira-kira lima ratus meter di belakang rumah. Adli masih di tangga. Memerhati motorsikal yang baru dibeli dengan wang biasiswanya. Dia tahu, dengan adanya motorsikal itu dia harus mengikat perutnya sepanjang meneruskan pengajian di politeknik nanti. Pun Adli rela. Dia memang perlukan kenderaan untuk memudahkan kegiatannya. Jika dia tidak menggunakan wang biasiswa, dari mana lagi dia boleh mendapatkan wang untuk membeli motor?
            Daripada Zaharah?

            Jauh panggang dari api ibunya sanggup  membelanjakan sejumlah wang untuk keperluan pembelajaran anak-anak. Dia bukan tidak tahu kelemahan ibunya itu. Paling trauma jika anak-anak meminta wang untuk sebarang keperluan. Bagi ibunya, konotasi menyediakan keperluan sekadar terbatas kepada menyediakan makan sahaja. Lebih daripada itu jangan harap.

            Entahlah. Adli pun tidak faham dengan pemikiran ibunya. Untuk menyedapkan hati sendiri dia menganggap ibunya jadi begitu dek kerana masa silam mereka yang cukup-cukup susah untuk mendapatkan walau seringgit duit.

            Adli pula, apa juga kesusahan dan kesulitan hidup yang dialaminya sepanjang dia belajar tidak pernah dipanjangkan ke pengetahuan ibunya. Biar dia tanggung sendiri. Di rumah dia masih mempunyai tujuh orang adik yang perlu ditanggung oleh ibu, termasuk Azian dan anaknya bermakna sepuluh orang.

            Sepuluh orang!

            Ya sepuluh orang untuk ditanggung oleh ibu seorang.

            Maka dengan itu Adli seboleh mungkin tidak mahu menambahbebankan lagi ibunya. Bagi Adli, jika dia tidak mampu membantu ibu menyara adik-adik dalam hal kehidupan dan persekolahan hari-hari kerana dia sudah kembali belajar sekarang, cukuplah sekiranya dia tidak menyusahkan ibu dengan segala macam permintaan demi memenuhi tuntutan hidup sepanjang belajar.

            Ahh, terlalu berbeza antara ibu dan ayah dalam menyediakan keperluan pendidikan terhadap anak-anak. Arwah Mahmud lebih memahami. Semasa hayat arwah ayah, Adli tinggal minta sahaja. Malahan ada ketikanya, tanpa diminta pun arwah Mahmud sudah tahu apa yang patut diadakan dan apa yang tidak perlu diadakan untuk anak-anak sepanjang mendorong anak-anak belajar bersungguh-sungguh.

            Lantaran itu Adli tidak mahu menafikan kerinduan terhadap arwah ayah. Dia memang cukup-cukup rindukan arwah ayah meski arwah Mahmud sering datang dalam versi tegas walau sesekali berparodi dengan anak-anak.

            Ayah, Adli akan belajar bersungguh-sungguh walau apa juga kesulitan yang bakal Adli depani. Itu janji Adli, ayah…







BAB TIGA BELAS
“Siapa nak belajar tunggang motor?”Soal Adli kepada adik-adiknya yang sedang bertenggek di tangga rumah sebaik dia pulang dari pasar petang keesokan harinya.

            Sufiah, Aziah dan Nazira yang berada di atas tangga berpandangan sesama sendiri. Ada riak ingin pada wajah masing-masing berbaur dengan takut. Maklumlah, sebelum ini, usahkan menunggang motor sendiri, membonceng pun mereka jarang. Semasa arwah Othman masih hidup pun mereka tidak berpeluang membonceng motor arwah Othman memandangkan arwah lebih senang membawa cucu-cucu lelaki meronda sekeliling kampung pada masa lapangnya.

            “Mari sini abang ajarkan…”

            Masing-masing masih berpandangan sesama sendiri.

            “Sufiah,nak naik motor?” Soal Adli kepada Sufiah yang nampak tersengih-sengih malu.

            Nazira dan Aziah menolak Sufiah agar mendekati abang yang sedia menunggu di motor. Sufiah akhirnya melompat dari tangga dan sekejap saja sudah berada di atas motor baru abang. Dia masih lagi tersengih-sengih kepada kakak-kakaknya. Mujurlah waktu itu kelibat Nabila entah di mana-mana, jika tidak pasti dia meraung geram dengan telatah Sufiah yang separuh mengejek kerana abang mengajaknya naik motor.

            “Bukan di sini, tapi kat depan ni…” arah Adli kepada Sufiah.

            “Abang nak ajar tunggang motor?”Sufiah bagai tidak percaya. Apatah lagi dengan umurnya semuda itu, mustahil abang mahu mengajarnya menunggang motorsikal.

            “Habis, kau ingat abang nak bawa kau jalan-jalan?”Tingkah Adli sambil menolaknya ke depan, mengarahkan Sufiah memegang handle motor.

            Sufiah berdebar-debar. Tidak pernah diimpikan untuk belajar menunggang motor. Gembira campur takut bagai bergempita di dalam dadanya. Namun dia teruja!

            Adli duduk di belakang Sufiah. Mengarahkan si adik menghidupkan enjin motor. Terkial-kial Sufiah menunjal dengan kaki untuk menghidupkan enjin motor. Aziah dan Nazira di tangga tersengih memerhati.

            “Hah, kaki kiri kau tekan depan sini untuk masukkan gear satu. Ingat tangan jangan pulas kat handle ni ketika kau masukkan gear.”

            Sufiah mendengar arahan Adli dengan debar di dada. Menunggang motorsikal…huh, dia tidak pernah mimpi pun selama ini!

            Dengan arahan Adli Sufiah berjaya menunggang motorsikal dan Adli mengarahkannya ke tanah perkuburan. Jalan di sana tidak ramai orang lalu-lalang jadi bolehlah dia mengajar Sufiah tanpa bimbangkan keselamatan mereka. Memandangkan itu kali pertama dia menunggang motor, Sufiah agak kekok dan tidak tentu arah semasa menunggang. Sekali meredah jalan yang berduri, sekali meredah semak. Dijerkah Adli, baik sedikit cara tunggangnya. Namun jika Adli asyik entah ke mana-mana ditujunya.Sufiah menunggang sehingga ke tanah perkuburan dan kemudian berpatah balik ke rumah.

            “Perlahan sikit dan kemudian tekan brek…ehhh tekan brek!” Arah Adli.

            Sungguhpun demikian Sufiah tidak melakukan seperti yang diarah sebaliknya dia terus melompat terjun dari motor sebaik tiba di halaman rumah. Mujur Adli cepat bertindak dengan menyambar handle motor dan menekan brek. Kalau tidak, tentu tersadar di perdu pohon limau lah jawabnya dia petang itu.

            Sufiah tergelak besar kepada kakak-kakaknya yang sedia menanti di tangga rumah.

            “Seronok?” Soal Aziah.

            “Seronok, cuma takut sikit…” ujar Sufiah masih tersengih-sengih.

            “Hah, tak payah nak tanya orang. Giliran kau pula Aziah…” Arah Adli.

            “Ehhh, tak mahu lah aku!” Aziah enggan dalam ingin.

            “Tak payah nak banyak cakap, cepat sikit. Hari dah makin senja ni.”

            Aziah akhirnya akur memandangkan dia sebenarnya memang teruja untuk merasai pengalaman yang telah Sufiah lalui sekejap tadi. Kalau Sufiah boleh pulang dengan elok-elok saja bermakna dia tidak terjatuh semasa menunggang motor tadi. Bermakna juga menunggang motor bukanlah susah mana pun.

            Bersama Aziah, Adli memilih laluan lain. Namun mengajar Aziah lebih sulit daripada mengajar Sufiah. Dia terlebih kaku. Ada masa bukan setakat ke jalan bersemak, sebaliknya terus terjun bendang padi dengan motor, ada ketikanya pula terselit ke celah pohon pisang. Adli gelihati ada, geram pun ada.

            “Dah, dah. Kalau macam tu biar aku tungganglah,” ujar Adli semasa menarik motor keluar dari terselit di perdu pohon pisang rumah Pak Nik Gopal.

            “Aku ingat senang tunggang motor. Mana tahu susah…”

            “Kau je yang susah. Budak sekolah rendah macam Sufiah pun boleh tunggang. Kau pula asyik tersasar entah ke mana,” bebel Adli walaupun dalam hatinya ada rasa gelihati dengan gelagat Aziah menunggang motor.

            Aziah mencebir. Geram juga apabila dibandingkan dengan Sufiah yang jauh lebih muda daripadanya. Tambah berpijar rasa hati Aziah melihat Adli seakan ingin mentertawakannya. Mentanglah tadi dia asyik terlajak hingga ke dalam sawah padi dan juga ke umbi pohon pisang.

            Akhirnya Adli yang menunggang motor semasa pulang ke rumah sementara Aziah hanya membonceng di belakang.  Setiba di rumah Aziah disorak oleh Sufiah dan Nazira yang berada di tangga rumah apabila dilihat Aziah hanya membonceng di belakang abang.

            “Dah, tak payah nak gelakkan orang. Masing-masing pergi mandi. Malam ni abang nak ajarkan Yaassin pula. Sesiapa yang tak pandai baca siap.”

            Mendengar arahan Adli, Nazira, Aziah dan Sufiah bingkas ke bilik air. Adli hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat kerenah adik-adiknya.

            “Aku dulu masuk bilik air ye, kalau Nazira yang masuk dulu, nescaya sampai petang besok balik aku tak dapat mandi!” Suara Aziah sempat ditangkap gegendang telinga Adli.
            Adli tidak mengendahkan adik-adik yang mula bertikaian sesama sendiri tentang siapa yang patut mandi dulu. Adli mula membelek-belek motornya. Mujur motornya tidak mengalami sebarang kerosakan semasa tersasar ke perdu pohon pisang tadi. Kalau ke umbi pohon nangka atau durian sudah tentu tercalar motornya. Hemm, Aziah, Aziah. Gerutu Adli di dalam hati.

            Sedang asyik membelek motornya Nabila pulang sambil menyanyi-nyanyi riang. Entah datang dari mana. Muka pun sudah sebiji musang.

            “Kau ni dari mana Nabila?”

            “Dari padang sekolah…”

            “Kau buat apa dari padang sekolah? Main Bola?” Soal Adli dengan nada sinikal.

            Nabila tersengih-sengih macam kerang busuk.

            “Aku jumpa kawan-kawan.”

            “Daripada merewang dengan kawan-kawan tak tentu hala, lebih baik kau orang ulangkaji pelajaran…” bebel Adli.

            “Kita orang ulangkaji lah tadi tu…”
            “Betul kau ulangkaji? Ulangkaji dengan buah mempelam muda?”

            Nabila terseringai. Mana pula abang dia tahu yang dia, Malinda, Yati dan Anita seronok makan buah mempelam di padang sekolah belakang rumahnya? Hemm.kecur liur Nabila teringat betapa masam mempelam muda yang dicecah dengan kicap yang telah digaul dengan gula, garam dan cili padi. Sambil makan mereka berhu-ha.

            “Dah, pergi mandi. Malam nanti aku nak dengar kau baca Yaassin pula…”

            Huhhh, baca Yaassin. Satu hal ni. Nabila bergumam dalam hati. Dia sudah dapat bayangkan bagaimana nasibnya nanti jika dia masih belum mampu membaca surah Yaassin dengan lancar. Siap dia kena jerkah oleh abang nanti. Abang memang garang ketika mengajar mengaji dan ketika mengajar adik-adik buat kerja sekolah. Harap-harap dia tidak tergagap-gagap depan abang nanti.

Malamnya. Temujanji bacaan Yaassin di bilik abang selepas solat maghrib menunggu waktu isyak. Sebagai kakak, Aziah dahulu yang mengadap abang, diikuti Nazira kemudian barulah Nabila dan Sufiah.

            “Orang suruh pergi mengaji rumah Pak Muda Mail,ponteng. Bergayut atas pohon jambu tepi jalan raya dua tiga jam.Macam monyet. Sekarang mula keras lidah nak mengaji dengan betul. Yaassin ni penting tau. Nak harap kau orang pandai baca surah lain mimpi la. Kurang-kurang boleh baca Yaassin ni tak ada lah orang kata jahil sangat.” Bebel Adli kepada adik-adiknya selepas masing-masing selesai mengaji.

            Adik-adik tunavokal sebab memang mereka tidak mampu menyangkal kebenaran kata-kata abang mereka. Terutama Nabila dan Sufiah yang selalu ponteng mengaji dengan lepak-lepak di atas pohon jambu sambil memetik jambu-jambu yang sudah masak ranum di depan rumah Makcik Jawiah. Agak-agak sudah lama mereka lepak di atas pohon jambu, barulah mereka pulang dengan memeluk Quran masing-masing kononnya baru balik dari mengaji di rumah Pak Muda Mail yang kurang lima ratus meter dari pohon jambu tempat mereka lepak.

            Suatu hari perbuatan mereka dilihat oleh Adli yang kebetulan berada di rumah Makcik Jawiah. Marah betul Adli dengan tindakan Nabila dan Sufiah. Sebagai kakak, tentulah Nabila yang paling teruk dimarah kerana mempengaruhi Sufiah melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti itu.

            “Duduk atas pohon jambu macam monyet, kemudian makan jambu macam orang kebulur,betul-betul buat aku malu dengan kawan-kawan aku tadi!”

            Begitu marah Adli kepada Nabila dan Sufiah semasa melihat Nabila dan Sufiah tidak pergi mengaji sebelum menghantar mereka kembali ke rumah Pak Muda Mail walaupun hari sudah lewat petang dan semua orang sudah pulang. Adik-adiknya pula terpaksalah mengaji hari itu dengan muka yang tebal kerana taktik kotor mereka telah diketahui abang.

            Sekarang Adli lebih tegas dengan adik-adiknya soal mengaji Quran kerana dia tidak mahu mereka mengabaikan ajaran agama yang satu itu. Dia ingat pesan arwah ayah agar menjaga agama dan memberi contoh dan didikan yang sebaiknya untuk adik-adik. Jika sebelum ini tanggungjawab duduk di sejadah sambil mengajar anak-anak mengaji Quran merupakan tanggungjawab arwah Mahmud, kini Adli pula yang harus mengambil alih. Walau Adli tidak pandai membaca Quran dengan baik, sekurang-kurangnya dia masih mampu mengajar surah Yaassin kepada adik-adiknya.

            Bukan bermaksud surah lain tidak penting. Semua surah penting dah ada hikmahnya yang tersendiri, namun disebabkan Adli sendiri tidak khatam, hanya surah itu yang mampu diajar adik-adiknya. Sekurang-kurangnya walau dengan surah yang satu itu telah menunjukkan bahawa dia telah berusaha menjadi abang sebaik mungkin untuk adik-adik.

            Ayah telah tiada. Tidak bermaksud segala amanah arwah ayah tidak perlu disempurnakan. Sebagai anak, hanya itu cara menunjukkan dia sayangkan ayahnya setelah ayahnya kini tiada lagi di samping doa yang sering dipanjatkan untuk arwah ayah tidak kira masa. Adli sentiasa ingat pesan arwah ayah. Kata ayah, selain amalan yang akan membantu kita di akhirat kelak, sedekah jariah dan doa anak yang soleh juga akan membantu kita nanti.
            Jadi, sekiranya Adli tidak mendoakan arwah ayah, tentulah kasihan arwah di sana yang bergantung semata-mata kepada amal dan sedekah jariahnya semata-mata.

            Adli pula sentiasa ingin berbakti kepada arwah ayah walaupun Mahmud sudah lama tiada. Semasa hayatnya Adli tidak mampu menunjukkan betapa dia sayangkan ayah, sekarang masih belum terlewat kerana doa anak yang soleh untuk orang tuanya akan tetap sampai walaupun sudah berada di alam yang berlainan.

            Untuk adik-adik, menjadi tanggungjawab Adli agar mereka juga mampu menghadiahkan beberapa surah untuk arwah ayah walau tidak mampu menghadiahkan sebuah al-Quran penuh. Disebabkan itu Adli berikhtiar memberi masa mengajar adik-adiknya mengaji dan mengajar cara solat yang betul kepada adik-adiknya terutama Nabila dan Sufiah kerana semasa hayat, Mahmud tidak sempat untuk mengajar perkara wajib itu kepada mereka berdua kerana kesihatan yang tidak begitu mengizinkan.

            Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk membimbing adik-adikku sebagaimana yang telah arwah ayah amanahkan,amin! Begitu doa Adli di dalam hati. Selalu!



           



BAB EMPAT BELAS

Program anak angkat. Huh. Seronok bukan kepalang Adli dan kawan-kawannya bila tahu politeknik mereka akan menganjurkan program anak angkat. Semua pelajar tahun kedua satu jurusan dengan Adli terpilih untuk menyertai program yang bakal diadakan di Kota Tinggi Johor.

            Bagi Adli inilah masanya untuk dia kenal negeri orang. Selama ini memang dia bercita-cita untuk keluar dari negeri Kelantan dan mahu kenal negeri luar, namun kerana desakan hidup, dia hanya mampu memilih untuk menyambung pengajian dalam negeri sendiri. Dengan adanya program seperti ini, Adli mampu untuk kenal tempat orang. Tambahan program ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Maka inilah masanya untuk Adli dan kawan-kawan yang berlatar belakang sepertinya menjenguk negeri orang.

            Tambah mujur bagi Adli apabila dia dan kawan baiknya Lah mendapat keluarga angkat yang sama. Tidaklah kekok sangat dia mahu membawa diri di rumah orang. Sebaik dikhabarkan perkara ini kepada ibunya Zaharah, perkara pertama yang dipesan oleh Zaharah tentu sahaja agar Adli pandai-pandai bawa diri di rumah orang. Mereka orang susah, namun Zaharah tidak mahu nanti orang melihat mereka sebagai orang susah yang miskin budi bahasa.

            “Tau lah Lie bawa diri nanti, mak. Mak jangan bimbang. Program ni pun tak lama. Dalam dua minggu je…” Adli memberi jaminan sambil memerhati wajah ibunya yang semakin terkimpus dimamah usia.

            “Ibu bukan apa, Lie. Kita orang susah ni, kalau tak pandai bawa diri rumah orang, makin buruklah kita di mata orang.”

            “Lie faham sangat tentang tu, mak. Mak jangan bimbang. Lah pun ada bersama Lie. Kami boleh tegur-menegur satu sama lain.”

            “Lah yang selalu ikut Adli balik tu?”Zaharah menyoal inginkan kepastian.

            Semakin meningkat usia, semakin teruk tahap daya ingatnya. Sementelahan dalam kepala Zaharah pelbagai rencam perkara harus difikirkan.

            “Ya, dia lah.”

            Zaharah mengangguk tanda ingat. Kalau Lah yang selalu Adli bawa pulang ke rumah setiap kali pulang bercuti memang Zaharah berkenan. Baik dan hormat orang tua budaknya. Mentak kesesakan hidup mencorak Lah menjadi anak yang cukup berbudi bahasa. Seperti juga Adli, anaknya. Malah Adli bukan setakat berbudi bahasa dan hormatkan orang tuanya, dia juga berupaya menjadi abang yang bertanggungjawab terhadap adik-adiknya dengan memberi bimbingan dan didikan yang Zaharah sendiri tidak mampu laksanakan kerana tuntutan tugas mencari nafkah untuk anak-anak.

            Mengenang itu Zaharah sering masanya sebak kerana arwah Mahmud tidak mampu bersama-samanya membimbing dan mendidik anak-anak. Zaharah tidak kisah jika arwah Mahmud semasa hayatnya tidak mampu sama-sama mencari nafkah untuk menyarasuap anak-anak, cukup jika dia ada dan memberi kekuatan kepada Zaharah dalam membesarkan anak-anak. Cinta dan kasih sayang Zaharah terhadap arwah Mahmud terlalu tinggi santak segala kenangan bersama Mahmud sering diulang ingat dalam benaknya.

            Lebih-lebih lagi apabila melihat Adli semakin meningkat usia. Kasihan Adli. Terpaksa memikul tanggungjawab seorang ayah dalam membimbing dan mendidik adik-adik. Dia tidak mampu bersosial seperti anak-anak muda sekampung. Masa senggangnya lebih banyak untuk keluarga. Berkawan tidak lagi seperti dulu. Apabila ditemukan pula dengan Lah, Zaharah merasa mereka kawan yang cukup ideal memandangkan latar belakang Lah juga lebih kurang Adli. Mereka mampu menjadi sahabat yang baik kerana masing-masing faham lirik susah yang bergetar dalam kehidupan seharian mereka.

            “Mak…mak benarkan atau tak Adli pergi ni…” Soal Adli menarik Zaharah keluar dari lubuk fikir.

            “Arghh…mak izinkan. Pergilah.” Zaharah sedikit terkejut.
            “Mak nampak keberatan…”

            “Mak bukan keberatan, hanya bimbang kau kat tempat orang nanti.”

            “Insya-Allah, Adli akan jaga diri sebaik mungkin. Lagipun dari sini ke Johor tu kami naik bas politek. Mak jangan bimbanglah soal keselamatan kami.”

            Zaharah mengangguk-angguk.

            “Wang belanja macam mana, Lie?”Soal Zaharah pula. Jarang sebenarnya Zaharah mahu bertanya tentang wang belanja persekolahan anak-anak.

            “Dah ada sikit…biasiswa semester ni Adli tak guna banyak.” Balas Adli sambil memandang ke wajah ibunya.

            Ada tanda lega pada wajah Zaharah mendengar jawapan Adli. Adli menarik nafas. Huhh. Ibunya tidak tahu betapa dia terpaksa mengikat perut untuk memastikan wang sakunya cukup sepanjang mengikut program anak angkat di Kota Tinggi nanti. Dia tidak tergamak untuk meminta daripada ibunya, sementelahan dia bukan tidak tahu perangai ibu. Masih dibayangi kesusahan dan kesesakan lama santak membuatkan dia terlalu berkira apabila menyentuh soal duit. Mengenang itu Adli terlebih dahulu mengambil langkah berjaga-jaga. Kalau ibu menghulurkan sepuluh dua pun dia tidak akan mengambilnya. Biarlah ibu simpan wang itu untuk keperluan adik-adiknya yang masih di bangku sekolah. Dia tidak ingin adik-adik merasai kesesakan dan kerumitan yang dia pernah alami.


Adli dan kawan-kawan sekursusnya selamat tiba di Kota Tinggi. Beberapa buah keluarga terpilih untuk menerima Adli dan kawan-kawannya sebagai anak angkat. Senarai nama seperti mana yang telah diberikan sebelum mereka bertolak ke Kota Tinggi.

            Adli dan Lah amat ria setiba di rumah keluarga angkatnya, Pak Badar. Sementelahan apabila disambut  oleh keluarga angkatnya dengan baik sekali. Begitu juga perasaan yang dialami oleh dua orang lagi kawan mereka. Namun apa yang membuat Adli dan kawan-kawannya segan apabila keluarga angkatnya mempunyai lebih ramai anak perempuan berbanding anak lelaki. Salah seorang daripada mereka berumur lebih kurang dengan mereka. Dia dikenalkan oleh ibu bapa angkat Adli dengan nama Yon.

            Selalunya Yon tidak tinggal dengan mereka kerana Yon tinggal dengan neneknya di Kampung Parit Selangor. Bagaimanapun dengan kedatangan Adli dan kawan-kawannya ke rumah keluarga Pak Badar, Yon telah diminta pulang ke rumah untuk membantu ibunya Mak Milah menguruskan mereka dari segi makan pakai dan tempat tidur. Dengan pertambahan isi rumah, tentulah tanggungjawab dan tugas akan sedikit bertambah.

            “Makanlah, jangan malu-malu,” ujar Pak Badar kepada Adli dan kawan-kawannya apabila mereka kelihatan segan mahu menyentuh hidangan depan mata.

            Adli dan kawan-kawannya saling pandang-memandang sesama sendiri.

            Macam mana aku nak makan kalau budak perempuan ni asyik pandang aku…hati Adli menggerutu. Agak tidak selesa apabila sejak tiba dia terperasan Yon asyik melirik-lirik ke arahnya bersama senyuman yang Adli sukar untuk tafsirkan.

            Pun demi tidak mahu menimbulkan kejanggalan, Adli tetap menjamu selera walau nasi yang ditelan tidak terasa di kerongkongnya. Adli hakikatnya seorang yang pemalu sementelahan jika ada anak gadis yang terlebih  merenungnya dengan sebegitu berani. Bergetar juga rasa dalam diri Adli.

            “Kau perasan tak anak perempuan Pak Badar tu asyik renung kau kat meja makan tadi?” Soal Lah sambil membaringkan tubuh ke atas katil di sebelah Adli yang sedang menulis sesuatu di dalam organisernya.

            “Perasan juga…ntah kenapa dengan budak tu. Naik segan aku.”

            Lah tergelak. “Patut pun muka kau semacam. Nasib baik kau berkulit gelap, kalau tak tentu semua orang perasan muka kau naik merah padam,” ujar Lah kemudiannya selepas tawanya mereda.
            “Aku pun hairan. Apa yang direnung sangat kat aku ni? Buat malu je. Macam mana aku nak tinggal kat sini sepanjang program kita kalau ada gangguan macam ni.”

            “Alah Lie. Mungkin dia berkenan dengan kau. Tak de salah, kan? Kau pun bukan ada sesiapa.”

            “Ya lah. Berkenan… banyak kau punya berkenan. Baru jumpa hari ni dah berkenan.”

            “Cinta pandang pertama Lie. Kita manusia tak boleh nak jangka mainan cinta ni.”

            “Hehehhehh, kau buat pusat aku geli je. Aku mana ada masa nak pikir soal cinta-cinta ni. Kau tak ingat mak dan adik-adik aku kat rumah? Mereka tanggungjawab lebih besar perlu aku pikir berbanding soal hati dan perasaan sendiri.”

            “Kau ni Lie… tanggungjawab terhadap keluarga tanggungjawab juga, tapi kita tak boleh nak nafikan hak kita sendiri. Hak untuk bercinta, bermadu kasih.”

            Bercinta?

            Bermadu kasih?

            Apa kena dengan Lah ni?
            Adli memandang sekilas ke wajah sahabatnya sejak di politek. Lah menjongket-jongketkan keningnya berkali-kali tanda sedang menguji Adli sekaligus menunggu verbal dari mulut Adli.

            “Lah, aku tak terfikir pun untuk bercinta. Tak terlintas. Paling tidak buat masa ni.”

            “Cinta kalau dah nak datang, ia bukan dalam perancangan kita. Malam ni kau kata tak nak, besok lusa mana tahu kau tak boleh nak tolak lagi. Kalau bukan dengan anak Pak Badar ni, dengan sesiapa pun boleh jadi Lie.”

            “Dah lah, Lah. Kau suka mengata aku, kau sendiri aku tengok tak bersedia untuk main cinta.”

            “Aku ni kalau ada yang berkenan di hati pun Lie, susah. Mak bapak dia takkan setuju punya sebab status kami berlainan. Orang kata, tak sekufu.”

            “Alah, zaman sekarang istilah kufu-kufu ni orang tak pakai dah Lah. Dapat kerja besok, kau pinang je dia.” Adli tanpa ragu memberi cadangan. Macamlah meminang anak dara orang semudah yang terucap.

            “Nak ke dia tunggu aku? Bukan senang nak dapat kerja sekarang. Lain lah kalau tamat je belajar kita dapat kerja,.” ujar Lah sambil merenung jauh ke depan.
            Adli kemudian turut mengeluh memikirkan kata-kata Lah. Zaman sekarang bukan senang mahu dapatkan kerja. Dia cukup sedar tentang iklim itu.

            Uhhh, Adli tergegau. Harau jadi rasa dalam diri apabila perkara itu mula mengusik benaknya. Berselirat dan membelit-belit di situ santak membuatkan dia tidak mampu berfikir dengan waras.

            Selama ini. Ya selama ini bukan perkara itu tidak pernah terlintas dalam benaknya. Bagaimana sekiranya  selepas berhabis dan belajar bagai nak rak, setamat belajar susah nak dapat kerja? Adli bukan tidak pernah fikirkan tentang perkara itu, namun jauh di sudut hatinya dia memohon kepada Al-Walid agar mempermudahkan segala urusannya. Cukup-cukuplah Allah s.w.t mengujinya dengan segala bentuk kesusahan dan kerumitan. Jika selepas ini pun dia masih menemui jalan susah dan rumit, Adli tidak tahu bagaimana lagi dia boleh lakukan untuk berusaha berikhtiar keluar dari kepompong sesak yang menyaluti seluruh ruang hidupnya.

            Terlalu banyak yang sudah Adli korbankan untuk mencapai apa yang sedang dia capai hari ini. Niatnya hanya satu, mahu membantu ibunya. Terlalu banyak juga yang telah dilalui ibu. Dia tidak mahu lagi ibu sendirian mencari rezeki untuk membesar dan menyekolahkan adik-adik. Dengan kedudukan dia sebagai anak sulung, ditambah dengan kondisinya yang sudah tidak berbapa, menjadi tanggungjawab Adli untuk sama-sama dengan ibu membesarkan adik-adiknya. Walau dia tidak pernah meluahkan kepada sesiapa, tidak bermakna perkara itu dikesampingkan daripada hidupnya.
            “Lie, aku tanya ni…”

            Desir suara Lah dalam nada sedikit menekan bagai merentap Adli kasar dari lubuk fikir.

            “Hah, apa dia? Aku tak dengar tadi.”

            “Tulah. Mengelamun, aku tanya kalau anak Pak Badar ni betul-betul berkenan dengan kau, kau berminat tak?”

            “Hish, kau ni. Aku ingatkan dah habis kisah tu.”

            Adli menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagat Lah yang masih setia menanti jawapannya. Adli enggan melayan. Dia kemudian menepuk-nepuk bantalnya tanda bersedia untuk menjatuhkan kepalanya ke bantal.

            “Lie…”

            “Tidur Lah!” Adli menekan kali ini.

            Lah terpaksa akur. Dia juga ikut menjatuhkan kepala ke bantal.


BAB LIMA BELAS

Cinta kalau mahu menjelma ia tidak akan mengira batas masa dan apa saja. Begitu juga dengan Adli. Walau segan-segan sepanjang berada di rumah Pak Badar, dia akhirnya akur dengan salam manis yang dihulurkan Yon. Akhirnya perhubungan itu mereka panjangkan sehingga Adli kembali ke kampusnya.

            Hati Adli terbuka untuk menerima salam perkenalan daripada Yon apabila mendapati dia memang ikhlas dan jujur. Yon juga gadis yang berhemah dan hormatkan orang tua. Walaupun masih terlalu awal untuk membayangkan, Adli tidak dapat menolak diri daripada membayangkan bagaimana nanti apabila Yon dibawa pulang bertemu dengan keluarganya. Adli tidak mahu keluarganya nanti dipandang hina oleh pasangan sendiri sekiranya Adli tersilap memilih.

            Adli cukup sedar kedudukan keluarganya. Mereka orang susah. Jauh lebih susah jika mahu dibandingkan dengan keluarga Yon. Walau perhubungannya bersama Yon masih terlalu awal, Adli harus memikirkan semuanya demi mencorak hubungan mereka untuk masa-masa akan datang.

            Dengan memiliki peribadi yang tinggi dan juga keluarga sudah mengetahui latar belakang Adli yang dilahirkan sebagai anak kampung , Adli berani untuk bermain api, seterusnya bermain perasaan bersama Yon apabila melihatkan penerimaan mereka terhadap kekurangan diri Adli dengan cukup-cukup terbuka. Adli tidak mengharapkan banyak daripada Yon dan keluarganya cukuplah andai mereka mahu menerima Adli dan keluarganya.

            Wahhh, tingginya Adli menyimpan angan-angan padahal dia sedar hubungan dia dan Yon baru saja bermula!

            Tapi itulah. Adli tidak pernah membiarkan perasaan mengawal dirinya selama ini. Dia lebih banyak menumpukan masa dan jiwanya untuk pelajaran. Jika ada masa senggang untuk benaknya, ia lebih terarah untuk keluarga di kampung.

            Pun mengenali Yon membuatkan lebuh benaknya agak tersasar. Anehnya pula, Adli seakan merelakan semua itu. Dia tidak menepis, tidak mengelak. Sebaliknya dibiarkan saja perasaan yang hadir menyelinap ke setiap inci pembuluh darahnya.

            Mentak inilah fasa baru dalam hidup Adli. Tanpa dapat dielak dan dibuang, ia bercambah dalam diri Adli. Sementelah dalam keadaan Yon yang cukup mengambil berat terhadapnya.

            Walau tidak didatangkan dalam pakej manja-gedik, Yon tetap mampu menawan hati Adli dengan celoteh-celotehnya lewat warkah-warkah yang dikirimkan kepada Adli. Selalunya Yon akan bercerita apa saja tentang dirinya selain bertanya khabar tentang diri Adli. Jarang terselit kata-kata rindu dan sayang. Apatah lagi untuk manja mengada-ngada. Yon nampak bijak bermain dengan suasana.
            Itulah yang menarik hati Adli tentang Yon kerana dia tidak begitu membebankan Adli dari segi hati dan perasaan. Kerana bagi Yon hati dan perasaan itu cukuplah jika dibiarkan bercambah dengan sendiri.

            Walaupun aku tidak melafazkan kata-kata cinta, keluhan di hatiku tersemat seribu bahasa cinta. Begitu bunyi lukisan bergambar rama-rama yang diletakkan dalam bingkai kecil berwarna biru laut. Lembut. Ia hadiah daripada Yon! Hanya itulah. Hanya itulah satu-satunya kata-kata yang menunjukkan Yon sayangkan Adli.

            Dan itupun sebenarnya sudah cukup!

            Jika asyik mengucapkan kata sayang dan rindu sebenarnya agak merimaskan juga kerana Adli bukan jenis mat jiwa-jiwa. Lagipun tidak salah bagi Adli untuk seseorang gadis memulakan sesebuah hubungan namun agak merimaskan jika gadis terlampau mendesak dan kelihatan terlalu mudah dan murah mendambakan cinta. Adli tidak suka gadis yang seperti itu. Begitu juga jika gadis yang terlalu mengejar cinta seorang lelaki. Adli juga cukup tidak berkenan dengan sikap gadis yang sebegitu.

            Sementara itu, dalam memperkatakan tentang hubungan yang terjalin antara Adli dan Yon, Lah menjadi manusia yang paling kuat menyakat Adli apabila hubungannya dengan Yon dipanjangkan. Adli buat tidak endah dengan kelakuan Lah. Dia tahu, jika dia buat tidak peduli, lama-lama Lah akan senyap. Sudah menjadi sikap Lah. Makin dilayan makin menjadi-jadi perangai suka menyakatnya.
            “Dulu macam-macam alasan, sekarang terjebak juga.” Begitu usik Lah.

            Namun Adli lebih senang tunavokal.

            “Tapi aku tengok Yon tu memang baik budaknya. Tudung tak pernah lekang dari kepala. Tentu tak malu kalau bawa balik kampung.” Lah berbunyi lagi.

            Adli pula tetap menelinga sambil tangan kalut menyiapkan lukisan pelan projek kursusnya.

            Namun deskripsi ‘tak malu kalau bawa balik kampung’ yang dituturkan Lah membuatkan dalam terfikir sejenak.

            Mungkinkah akan terjadi santak ke tahap itu hubungan antara dia dan Yon? Bagi Adli, apabila dia sudah berani untuk bawa pulang Yon ke kampung untuk diperkenalkan dengan keluarga, bermakna di situ dia sudah meletakkan hubungan mereka pada satu tahap yang agak jauh. Walhal dia tidak terfikir hingga sejauh itu.

            Benar. Dia bukan main-main dengan Yon. Namun dia juga tidak mahu main-main dalam mengejar cita-citanya. Adli masih waras walau hati sudah mula pandai bermain dengan perasaan. Dek kerana itu dia tidak pernah memberitahu ibu walau sepatah tentang Yon. Begitu juga kepada Mak Su Zie semasa mereka berkesempatan bertemu semasa cuti hari raya baru-baru ini. Padahal dia dan Mak Su Zie paling banyak berkongsi tentang pelbagai macam perkara.

            Entahlah. Hati Adli belum bersedia untuk bercerita tentang hal-hal yang masih di awangan.

            “Hai, nampak tenggelam dalam daerah yang satu lagi aje…” desir suara Lah masih dalam intonasi mengusik mengembalikan Adli ke tempat duduk asal.

            Hilang wajah Yon.

            Hilang wajah ibu.

            Hilang juga wajah Mak Su Zie.

            Di depannya sekarang hanya Lah dengan versi wajah mengusik. Sejak balik dari program anak angkat, versi wajah itu sudah selalu benar dipetiakan Lah. Adli menggeleng-gelengkan kepala. Malas memprovok sikap Lah. Kalau makin diprovok tentu versi wajah itu akan berpanjangan hingga ke petang.

            “Kau tak nak makan?’ Adli mengalihkan perhatian Lah.

            “Nak tu memang lah nak, tapi soru aku ada kurang sikit.”
            “Aku pun tak ada banyak modal ni. Alah, kita pergi cari mee segera ajelah.” Cadang Adli.

            “Jadilah. Daripada tak makan langsung. Berkeriau isi perut aku nanti.”

            “Kau ni macam-macam hal.”

            Lah tersengih. Tanpa banyak bicara mereka berdua keluar dari bilik asrama. Baru saja mereka keluar ada seorang junior menegur Adli.

            “Abang Adli, ada orang nak jumpa di depan pintu utama.”

            “Ada orang nak jumpa? Siapa?”

            “Entahlah. Tadi Pak Guard yang sampaikan pesan kat saya,” ujar si junior.

            “Tak apalah kalau macam tu. Terima kasih,” ucap Adli kepada juniornya.

            “Siapa ya?” Soal Adli kepada Lah yang kelihatan turut tertanya-tanya.

            “Mungkin Yon agaknya…” Lah separa mengusik.

            “Kau boleh tak kalau serius sikit?” Marah Adli sambil melangkah ke pintu utama diekori Lah.

            “Mana tau, kan? Orang perempuan ni kalau dah suka sanggup merentas lautan api. Ini  kan pula setakat naik bas dari Kota Tinggi ke Kok Lanas ni.”

            “Dah,dah lah tu Lah. Fikir tu biar logik sikit. Mau tak marah mak bapak dia kalau dia buat macam tu.”

            “Ahhh, ya tak ya. Dia kan anak solehah. Tentu dia tak akan buat perkara bukan-bukan.” Lah masih ingin memperli.

            Adli tidak mahu mengendahkan Lah. Dia melangkah luas-luas dan cepat-cepat untuk sampai ke pondok pengawal. Dari jauh dia sudah nampak susuk tubuh seseorang yang sangat dia kenali. Ada getar dalam dadanya dan jantung berdegup kencang tidak mahu berhenti. Dia tidak dapat menebak tujuan insan yang sedang bercakap-cakap dengan Pak Guard itu datang melawatnya di asrama. Sepanjang dia belajar di situ, tidak pernah walau sekali dia menerima kunjungan daripada sesiapa.

            Walau terharu dengan kunjungan itu Adli tetap mampu mengimbangi rasa dalam dirinya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ibunya.

            “Kenapa mak datang sini?”Soal Adli. Bukan kerana dia tidak suka akan kunjungan ibunya, namun kerana kunjungan itu di luar tebakannya sama sekali.

            “Kebetulan mak nak ke Tumpat. Alang-alang mak dah sewa kereta untuk satu hari, mak singgah kat sini. Nak jenguk-jenguk kau. Tanya khabar.”

            “Mak nak buat apa ke Tumpat? Ada sesiapa sakit?” Soal Adli sambil menjenguk ke dalam kereta yang disewa oleh ibunya.

            Kelihatan di dalam kereta Nabila, Sufiah, Bashah, Zulfadzli dan Amelia. Hanya mereka berlima. Mungkin yang tidak dapat ikut sama kerana tidak muat kereta. Adik-adiknya nampak tersengih-sengih dari cermin kereta kepada Adli. Nampak benar mereka gembira melihat abang mereka yang jarang-jarang sekali dapat mereka temui. Mahu Adli panggil mereka masuk tetapi dia tahu undang-undang asrama yang tidak membenarkan orang luar masuk sesuka hati.

            “Mak si Berahim meninggal.”

            “Mak si Berahim meninggal…sakit apa?” Adli agak terperanjat. Dia kenal Berahim. Sepupu Zaharah yang umur hampir sama baya dengan Adli.

            “Entahlah. Sakit orang tua kot…” Beritahu Zaharah. Sambil mata meninjau mengitari seluruh kawasan asrama Adli.
            “Mak tak boleh lama ni, Lie. Lagipun jaga dah pesan tadi tak boleh lama-lama.”

            “Ya lah mak. Sampaikan salam Adli kepada Berahim.”

            “Baik lah. Adli pun jaga diri baik-baik.” Balas Zaharah sambil tangannya mengeluarkan sesuatu dari beg tangan yang dijinjingnya. “Ni buat belanja Adli di sini.” Zaharah meletakkan sejumlah wang ke tangan Adli.

            Tertegun Adli buat seketika. “Mak ada duit ke tinggalkan belanja untuk Adli ni?” Soal Adli keharuan. Maklumlah itu bukan sikap biasa ibu.

            “Tak apa. Mak masih ada duit lagi.”

            “Kalau mak tak ada, tak payahlah berikan kat Adli. Simpan buat belanja adik-adik sekolah.” Adli cuba menolak pemberian ibu.

            Entah kenapa, tersentuh benar dia dengan perlakuan ibu kali itu. Mentak kerana ibu tidak biasa memberinya wang belanja membuatkan Adli kemutuan. Sebak sangat rasa dalam diri.

            “Tak apa lah Lie. Bukan selalu mak bagi kamu duit buat belanja. Sementara ibu ada duit lebih ni, ambil lah…” ujar Zaharah cuba meyakinkan Adli.

            Adli serba-salah. Dia intai sekali lagi kelibat adik-adiknya di dalam kereta. Mereka semua masih tersengih-sengih. Mereka tidak faham rasa melankolik yang kini menjajah rasa dalam diri Adli.

            “Ambillah Lie. Mak nak bagi banyak pun tak boleh…”

            “Ni pun dah banyak, mak. Dah cukup ni. Bulan depan biasiswa akan masuk dah.”

            “Emmh, kalau macam tu mak pergi dulu. Jaga diri baik-baik.”

            Adli bersalam sekali lagi dengan ibunya. Kemudian dia memerhati langkah yang diatur oleh Zaharah sehingga kereta yang membawa ibunya hilang dari pandangan mata.

            Namun rasa sebu yang menyelinap dalam diri tidak hilang semudah itu.

            Mak…Adli sayangkan mak!