TAJUK: MAAFKAN AKU CINTA
OLEH : WAN
MAHIRAN WAN MOHAMAD @ ANNASS NURAZMI @ ANNUR PUTERI
_____________________________________________________________________________
Skrin komputer riba direnung lama. Adriana Sofea
tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Segala-galanya jadi bergalau dan cukup
menyesakkan. Hati sudah cukup perit. Sudah cukup terseksa dengan segala yang
berlaku sebelum ini. Adriana Sofea tidak mahu kecundang lagi. Sudah sekian lama
Adriana Sofea memaktubkan begitu dalam hati.
Pandangan
Adriana Sofea dikalihkan ke katil. Lena zuriat yang ditinggalkan Noah Iskandar
seakan dilamun mimpi yang sangat indah sekali. Mimpi apa lagi kau malam ni nak?
Adriana Sofea mengetap bibir. Pilu tiba-tiba bertandang di hati. Anak kecilnya
selalu bermimpi indah di malam hari, namun segalanya berakhir apabila pagi
menjelma. Selalu anaknya menyatakan dia tidak ingin terjaga dari tidur kerana
di dalam tidur ada papa selalu memimpin tangan kecilnya.
Aduhai anak, kau buat mamamu sebak.
Adriana Sofea menyeka airmata yang sudah tidak segan-segan lagi merembes di
pipi. Ketika malam harilah dia berdaya untuk memuntahkan rasa sedih itu. Ketika
Rafiq Iskandar ketiduran, itulah masa untuk dia melempiaskan segala kesakitan
yang maha sarat dalam hati. Siangnya dia perlu berlagak kuat di depan Rafiq
Iskandar. Jika tidak, jiwa anak itu makin terluka setelah ditinggalkan papanya.
Adriana Sofea bangun, meninggalkan
komputer riba yang masih terpasang tanpa disentuh sejak tadi. Rafiq Iskandar
dirapati. Dibelai rambut anak kecil itu penuh kasih sayang. Penuh cinta. Itulah
satu-satunya kenangan yang ditinggalkan Noah Iskandar untuknya. Dahi Rafiq
Iskandar dikucup Adriana Sofea penuh kesyahduan. Airmata Adriana Sofea tidak
dapat dibendung lagi. Makin menjadi-jadi berlumba turun ke pipi.
Abang… Sofea sebenarnya tidak kuat
tanpa abang.
“Sofea ada Allah. Yakinlah. Allah
sentiasa ada untuk Sofea” Seperti terdengar kembali suara garau Noah Iskandar
berbisik di telinga.
Adriana Sofea mengetap bibir.
Semakin laju airmata merembes di pipi. Begitu cepat lelaki itu meninggalkannya.
Adriana Sofea belum puas bermanja. Belum puas bermadu kasih.
Setiap kali membuka mata di pagi
hari, Adriana Sofea mengharapkan ada sepasang mata sedang merenungnya penuh
kasih sayang sambil mengukir senyuman paling membahagiakan dengan wajah rapat
di sisinya seperti masa-masa dulu. Malangnya Noah Iskandar sudah tidak mungkin
melakukan semua itu lagi setiap pagi. Tatapan mata Noah Iskandar mengucap
selamat pagi cinta tiada lagi. Adriana Sofea harus menerima hakikat. Noah Iskandar
tidak mampu menunaikan janji untuk terus menemani Adriana Sofea.
“Abang… segala-galanya berlaku
terlalu cepat. Sofea dan Rafiq masih memerlukan abang.” Adriana Sofea menyeka
air mata sendiri.
“Aturan Allah itu lebih baik Sofea.
Sofea percayalah.” Bagai terdengar lagi suara garau Noah Iskandar.
“Abang segala-galanya untuk Sofea
dan Rafiq.”
“Tidak. Malahan Allah lah
segala-galanya. Serahkan hati Sofea kepada Allah… Sofea akan lebih redha dengan
semua ini. Abang pergi, tidak bermakna abang tinggalkan Sofea. Abang sentiasa
ada dekat dengan Sofea dan Rafiq. Abang ada dalam ni.” Seperti Noah Iskandar
ada di depan Adriana Sofea ketika itu. Jemari kasarnya diletakkan di dada
Adriana Sofea sebagai tanda dia sentiasa ada dalam hati Adriana Sofea.
Adriana Sofea meraih Noah Iskandar
ke dalam pelukannya. Tubuh tegap dan sasa itu dipeluk kejap dan erat, seperti
kali ini tidak mahu dibiarkan Noah Iskandar pergi lagi. Hakikatnya yang dipeluk
hanya bantal semata. Sedang kelibat Noah Iskandar tiada di mana-mana melainkan
di hati Adriana Sofea sahaja.
“Abang… jangan tinggalkan kami lagi,
bang. Jangan sesekali tinggalkan kami. Dah cukup Sofea dan Rafiq menderita
tanpa abang sebelum ni. Kami tak mahu lalui semua tu sekali lagi. Cukuplah
abang. Keperitan ni Sofea tak mampu tanggung lagi. Abang pergi dulu tanpa pesan
walau sepatah. Tiba-tiba sahaja. Kami terpinga-pinga dibuat abang. Kami
terkapar-kapar tanpa abang.” Ucap Adriana Sofea dalam sendu.
“Kalau boleh Sofea nak abang
sentiasa di sisi Sofea, setiap hari macam dulu.” Sambung Adriana Sofea sebelum
kembali menyambung sedu-sedannya.
“La
hawlawala quwatta illa billah. Sebutlah begitu Sofea. In shaa Allah, Sofea
akan lebih tenang.” Berdesir bisikan Noah Iskandar di telinga Adriana Sofea.
Bagaikan jasadnya benar-benar di sisi Adriana Sofea ketika itu, padahal
segalanya hanya ilusi. Mana mungkin Noah Iskandar boleh kembali semula memeluk
dan memujuknya seperti masa-masa dulu.
Entah bila Adriana Sofea tertidur.
Sedarnya apabila telinga disapa azan dari masjid berdekatan. Sebaik mata
dibuka, wajah dicari tentulah Noah Iskandar yang dirasakan menemani tidur malam
harinya. Malang sekali, tiada langsung kelibat itu di mana-mana, apatah untuk
berada di sampingnya sambil mengukir senyuman penuh kasih sayang seperti
selalu. Yang ada cuma zuriat meraka yang masih dibuai mimpi.
Ya Allah. Seru Adriana Sofea di
dalam hati. Dia bagai hilang pedoman. Sejak Noah Iskandar pergi, segala-galanya
berubah tentang Adriana Sofea. Dia jadi selemah-lemah manusia. Adriana Sofea terasa
ingin menangis lagi, pun dia perlu kuat. Kuat demi satu-satunya anak yang
mereka ada.
“Hari ni Rafiq macam bersemangat nak
ke sekolah.” Bicara Rafiq dalam perjalanan ke sekolah. Tempat yang sama Adriana
Sofea bertugas.
“Hem, baguslah sayang. Tu yang mama
nak dengar sangat.” Adriana Sofea mengusap kepala Rafiq Iskandar bersama
senyuman.
“Mama… Rafiq rasa macam papa ada
menunggu Rafiq di sekolah.”
Tersentak Adriana Sofea mendengar
kata-kata Rafiq. Hatinya langsung bergalau. Jiwanya berkeriau. Mana mungkin
sayang. Mana mungkin papamu akan ada di sekolah menantimu.
Ilusi apakah yang sedang dicipta
Rafiq Iskandar dalam dirinya? Adriana Sofea menelan ludah. Ya Allah, kuatkanlah
hatiku menangani situasi ini. Bukan mudah untuk memujuk Rafiq Iskandar untuk
menerima kenyataan ini sedang hati aku sendiri masih belum terpujuk.
Setahun sudah berlalu sejak
pemergianmu bang. Akhir-akhir ini ingatan terhadapmu makin kuat. Sofea tak
sangka ingatan yang sama juga menjengah dalam jiwa anak kita. Ketenangan Adriana
Sofea sudah terganggu. Air bening sudah mula bertakung dalam kolam mata.
Diikhtiarkan sedaya mungkin agar air bening itu tidak tumpah. Dia mengetap
bibir kuat. Ya Allah… Ya Allah…
Setibanya di sekolah, Rafiq Iskandar
dilepaskan ke kelasnya sementara Adriana Sofea menapak ke bilik guru.
“Assalamualaikum, selamat pagi
Sofea.” Tegur Ustazah Munibah yang sejak tadi merenungnya dari tempat duduk.
“Waalaikumussalam Kak Munibah.”
“Kenapa ni? Akak tengok macam ada
masalah saja.” Ustazah Munibah tidak berbasa-basi dengan Adriana Sofea. Dia
mendekati Adriana Sofea dan duduk di sebelah.
Adriana Sofea menelan ludah. Dia
sudah biasa dengan Ustazah Munibah. Dia pun tidak pernah buruk sangka dengan
Ustazah Munibah. Dia tahu soalan itu tanda Ustazah Munibah ambil berat. Mereka
sudah lama kenal, Ustazah Munibah memang satu-satunya kawan sekerja yang rapat
dengan Adriana Sofea. Hubungan rapat itu kadang-kala memberi kesempatan untuk
Adriana Sofea menceritakan serba sedikit kisah laranya kepada Ustazah Munibah.
“Macam biasalah kak. Masih tak dapat
nak terima hakikat.”
“Astaghfirullah…
dah setahun Sofea. Patutnya Sofea dah
redha dah.”
“Bukan tak redha kak… tapi dalam
hati ni susah nak lupakan.”
“Lepaskanlah Sofea. Ikhlaskanlah.
Akak yakin jika Sofea benar-benar ikhlas melupakan, Sofea akan lebih mudah
meneruskan hidup.”
“Saya tengah mencuba kak. Baru
setahun… masih terasa sangat-sangat lagi kehilangannya. Sofea… Sofea…” Adriana
Sofea teragak-agak untuk meneruskan kata.
“Cakaplah Sofea, cakaplah apa yang
Sofea rasa.”Lembut tutur Ustazah Munibah.
“Ehh.. hari ni ada guru baru lapor
diri kat sini tau!” Tiba-tiba kedengaran nyaring suara Cikgu Radiah mengganggu
perbualan mereka.
Terhenti perbualan Ustazah Munibah
dan Adriana Sofea. Tambahan pula sekejap lagi mereka perlu ke perhimpunan pagi.
“Sabar ya, Sofea. Banyakkan
istighfar.” Sempat Ustazah Munibah menasihati begitu sambil mengusap belakang
Adriana Sofea sebelum berlalu ke tempat duduknya.
Dia hanya mampu mengangguk sambil cuba
mengukir senyuman yang penuh keterpaksaan. Ustazah Munibah tidak mungkin mampu
menebak apa yang ada dalam hatinya. Sungguh, Ustazah Munibah tidak mungkin
mampu menebak semua.
Abang. Sofea cintakan abang. Sungguh
Sofea cintakan abang. Maafkan Sofea bang.
Betullah kata orang, kita akan lebih
menghargai apabila kita sudah mula kehilangan seseorang itu. Begitulah yang
Sofea alami sekarang. Sejak abang pergi, barulah Sofea tahu betapa Sofea kasih
dan cintakan abang. Selama ini Sofea tidak menghargai abang sepenuhnya. Maafkan
Sofea. Sofea banyak sakitkan hati abang. Tiba masa, Sofea tidak pernah mampu
minta maaf. Sofea tidak pernah mampu lagi membalas ucapan cinta abang. Sofea
tidak mampu untuk berbuat apa saja yang sepatutnya dilakukan oleh seorang
isteri terhadap suaminya sendiri. Maafkan Sofea bang. Sofea banyak dosa dengan
abang.
“Kenapalah saya ni dijodohkan dengan
lelaki macam abang ni!” Dengus Adriana Sofea sambil memandang Noah Iskandar
yang terbaring di katil.
“Sofea, kenapa cakap macam tu? Sofea
dah jemu hidup dengan abang?”
“Memang saya jemu pun. Saya jemu nak
jaga abang. Sejak awal kahwin hingga sekarang, abang tak pernah betul-betul
sihat. Saya dah tak larat bang. Mana nak urus rumahtangga lagi, mana nak urus
sakit abang lagi. Penat tau!” Adriana Sofea meninggikan suaranya.
Noah Iskandar merenung Adriana
Sofea. Dia cuba menyembunyikan rasa kecewa. Sungguh dia tidak menduga sama
sekali wanita yang dikahwininya kerana cinta akan melafazkan kata-kata
tersebut.
“Abang bukan sakit teruk sangat pun.
Mungkin sebab silap makan ni sebab tu sendi abang bengkak dan tak boleh nak
jalan.”
“Tak kisah sebab apa pun, bang. Yang
nyata abang tengah sakit sekarang ni. Betul-betul memenatkan saya. Saya pun tak
fahamlah kenapa dulu saya boleh terima abang. Padahal tak ada terlintas dalam
hati saya pun nak kahwin dengan abang.”
Noah Iskandar diam. Tidak percaya
dengan kata-kata yang didengar. Sebelum ini dia pernah mengesyaki Adriana Sofea
tidak sepenuhnya mencintai dia. Namun Adriana Sofea sering menyangkal perkara
tersebut. Dikatakan bahawa dia benar-benar sayang. Padahal Noah Iskandar dapat
rasakan Adriana Sofea terpaksa menerima dirinya setelah kecundang dalam
bercinta. Setelah cintanya ditolak lelaki lain.
Lelaki itu yakin lambat laun Adriana
Sofea boleh mencintai dia sepenuh hati. Malangnya sehingga ke detik itu
nampaknya Adriana Sofea tidak pernah ikhlas mencintai dirinya. Noah Iskandar
terasa ingin menangis. Hatinya hancur. Namun dia berusaha untuk kuat. Tidak
mahu kelihatan lemah di depan Adriana Sofea.
“Sayang… mari duduk sebelah abang.”
Panggil Noah Iskandar. Dia menepuk-nepuk tilam menuntut Adriana Sofea duduk
sebelahnya.
Dengan wajah masam mencuka, Adriana
Sofea akur dengan ajakan Noah Iskandar. Tangan kasar lelaki itu menggapai
tangan Adriana Sofea. Lalu dibawa ke bibir dan dikucup lembut. Lama. Adriana
Sofea sebak. Kasih sayang lelaki itu memang terlalu ulung, namun hatinya tidak
dapat menerima semua kasih sayang itu dengan ikhlas. Semacam ada sesuatu dalam
hatinya yang menghalangnya berbuat demikian.
“Abang tau, sayang cintakan abang
sepertimana abang cintakan sayang. Sekarang sayang penat, sebab tu sayang cakap
yang bukan-bukan. Dahlah. Pergi mandi dulu. Tak payah nak susah-susah masak.
Sekejap lagi kita makan kat luar.” Ujar Noah Iskandar sambil memeluk Adriana
Sofea dengan erat.
“Nak makan kat luar macam mana?
Abang bukan boleh jalan pun…” dengus Adriana Sofea.
“Tak apalah. Abang masih boleh jalan
lagi. Masih boleh drive lagi.” Noah
Iskandar senyum. Seboleh mungkin cuba untuk menggembirakan hati Adriana Sofea.
Adriana Sofea memuncungkan bibir
sambil bangun mencapai tuala untuk ke bilik air. Noah Iskandar masih mengukir
senyuman kepada Adriana Sofea. Tidak terlintas sedikitpun untuk dia sakitkan
hati Adriana Sofea walau hakikatnya hati Noah Iskandar sendiri sedang hancur.
Kau segala-galanya untukku sayang! Aku akan terus menjagamu selama mana aku
mampu untuk berbuat demikian.
Janji itu dipegang kemas-kemas dalam
hati. Selagi dia berdaya, Noah Iskandar akan berusaha untuk menjaga cintanya
untuk Adriana Sofea sehingga pada suatu masa Adriana Sofea mampu membalas cinta
itu dengan seikhlas hati.
Lapan tahun usia perkahwinan mereka.
Dia tahu, sepanjang tempoh itu ada seseorang yang masih merajai hati Adriana
Sofea. Menungan Adriana Sofea, keluh kesah Adriana Sofea selama ini memberitahu
bahawa bukan dia di hati wanita itu. Ada seseorang yang Noah Iskandar tidak
pernah kenal. Pun Noah Iskandar tekad untuk menghalau bayangan wajah itu dari
terus melekat dalam hati Adriana Sofea. Noah Iskandar yakin dia mampu untuk
berbuat demikian. Cinta dan kasih sayang Noah Iskandar akan jadi senjata paling
ampuh untuk dia menghalau bayangan itu.
“Boleh ke jalan tu?” Soal Adriana
Sofea.
“Sofea jangan bimbang. Abang masih
kuat lagi untuk jalan. Tak apa, Sofea jalanlah dulu. Pimpin tangan anak kita tu
elok-elok.” Ujar Noah Iskandar yang terkial-kial mengatur langkah.
Rasa sakit dalam sendi buku lalinya
bagaikan ada kaca yang tergesel di sendi. Perit dan pijar.
Adriana Sofea memegang lengannya.
Cuba membantu Noah Iskandar melangkah. Rafiq pula di sebelah kanan Noah.
Bahagia hati Noah Iskandar tatkala
dipimpin Adriana Sofea. Dia tahu, dalam hati Adriana Sofea kasih itu tetap ada
walaupun mungkin tidak sekuat kasih Noah Iskandar terhadapnya. Adriana Sofea
sebenarnya keliru. Keliru dengan hati sendiri. Adriana Sofea dihambat kisah
lampau yang tidak pernah mahu pergi.
“Terima kasih sayang, sudi pimpin
abang.” Ucap Noah Iskandar seraya mengambil tangan Adriana Sofea lalu dikucup
penuh kasih sayang sambil diperhatikan Rafiq Iskandar yang sudah biasa benar
melihat situasi begitu.
“Saya isteri abang. Takkan nak biar
abang terkial-kial macam tu.”
“Harap-harap sampai ke tua pun
sayang sudi nak pimpin tangan abang.”
Adriana Sofea tergegau. Harapan Noah
Iskandar terlalu tulus. Harapan yang disulami cinta tidak berbelah bagi.
Adriana Sofea tunasuara. Tidak tahu bagaimana harus dibalas kata-kata Noah
Iskandar. Sudahnya Adriana Sofea hanya diam sahaja. Mujurlah pelayan datang
mengambil pesanan telah menyelamatkan Adriana Sofea dari situasi tersebut.
Ketika makan, Noah Iskandar banyak
bertanyakan Rafiq tentang aktiviti di sekolah. Sesekali dia menjeling Adriana
Sofea yang tidak banyak bersuara. Dia tahu mood Adriana Sofea masih belum
pulih. Tidak mengapalah. Biarlah Adriana Sofea begitu. Lama-lama Adriana Sofea
akan sejuk sendiri.
Abang akan jaga Sofea dengan seluruh
kudrat abang. Akan lindungi Sofea selagi abang terdaya. Percayalah. Abang akan
berusaha membasuh luka di hati Sofea. Biar makan masa bertahun-tahun, abang
yakin, cinta Sofea akan jadi milik abang juga sepenuhnya satu masa nanti. Yang
perlu abang lakukan ketika ini, bersabar. Ya, bersabar. Bahagia itu bukan mudah
untuk dimiliki.
“Teruk lagi ke sakit abang tu?” Soal
Adriana Sofea sewaktu dilihat Noah Iskandar mengheret kakinya dengan cukup
payah menuju ke katil sebaik pulang ke rumah.
“Emhh, macam nilah sayang. Tak ada
perubahan. Sayang sabarlah ya. Kelak abang dah tak ada, abang tak akan susahkan
sayang lagi.”
“Saya tak suka abang ungkit pasal
tu.” Adriana Sofea berwajah cemberut.
“Sayang juga cakap dah jemu jaga
abang yang selalu sakit ni kan?” Duga Noah Iskandar.
Sengaja
untuk memancing Adriana Sofea berterus-terang perkara sebenar.
“Saya cakap sebab saya bimbangkan
abang. Bukan sebab saya tak sayang abang. Abang tak tau, betapa bimbang saya
melihat abang sakit macam ni.” Adriana Sofea sudah mula mendekati Noah
Iskandar. Memeluk lelaki itu erat-erat sambil mula menangis.
“Saya benci bila abang tak mau
dengar nasihat saya. Saya benci bila abang tak mau pantang makan. Kalau abang
sakit, bukan setakat saya susah, abang pun menderita tau.” Suara Adriana dalam
nada tenggelam timbul.
“Shhh, dahlah. Abang tau, walau apa
pun yang sayang ucapkan, dalam hati sayang tu tetap ada cinta kat abang. Betul
tak?”
Adriana Sofea mengongoi sambil
menyembamkan mukanya ke dada Noah Iskandar. Cinta? Itu memang ada, namun
Adriana Sofea sendiri tidak faham kenapa kadang-kadang timbul rasa kesal bersuamikan
Noah Iskandar. Dia selalu mempersoalkan jodoh antara mereka. Padahal dulu
sekelumit pun tiada cinta untuk Noah Iskandar semasa mereka masih di zaman
persekolahan. Alih-alih apabila Noah Iskandar menghulurkan salam perkenalan dan
menyuarakan hasrat hati untuk menikahinya, Adriana Sofea menerima begitu
sahaja.
Sudahnya dia jadi terbelenggu dengan
kisah masa silam yang tidak pernah mahu hilang dari lubuk fikirnya. Kini
apabila Noah Iskandar sudah tiada di depan mata, hati mula tahu merindu. Abang,
maafkan Sofea. Maafkan Sofea. Sofea sangat-sangat menyesal. Kembalilah bang…
“Sofea!” Ada sentuhan lembut di bahu
Adriana Sofea. Adriana Sofea sedikit tersentak. Apabila dikalih pandangan ke
sisi, lembut Ustazah Munibah memerhati.
“Jom, masanya ke medan perhimpunan.”
Ajak Ustazah Munibah yang telah menghalau jauh ingatan Adriana Sofea sekejap
tadi.
Dengan lemah Adriana Sofea menyaingi
langkah Ustazah Munibah ke dewan perhimpunan. Mereka bertembung dengan seorang
pemuda, mungkin guru baru yang dimaksudkan Cikgu Radiah sekejap tadi. Guru baru
yang masih muda benar itu seakan terpana melihat Adriana Sofea. Lama dia
membiarkan matanya tertancap di wajah Adriana Sofea sehingga menyebabkan
Adriana Sofea serba salah.
Sejak pertemuan pertama itu, Cikgu
Misran, berketurunan melayu asli sentiasa memberi perhatian yang super pelik setiap kali terserempak
dengan Adriana Sofea di mana-mana. Walaupun ketika Adriana Sofea bersama Rafiq
Iskandar.
Adriana Sofea jadi tergegau dengan
perhatian yang diberikan anak muda tersebut. Aku isteri orang. Masih isteri
orang. Walaupun suami aku telah setahun menghilang, aku tetap isteri Noah
Iskandar! Adriana Sofea memaktubkan begitu di dalam hati. Malah serasa ingin
sahaja dia hamburkan kata-kata itu kepada Cikgu Misran, biar saja anak muda itu
mengerti bahawa tidak pantas dia merenung isteri orang sedemikian rupa.
Noah Iskandar cuma entah di mana
semenjak kereta yang dipandunya terjatuh di gaung berhampiran hutan Grik. Jasad
rakan sekerjanya ada di tempat kejadian, manakala jasad Noah Iskandar tidak
dapat dikesan. Ramai yang membuat spekulasi bahawa jasad Noah Iskandar telah
diseret binatang buas. Namun sehingga hari itu Adriana Sofea menolak semua
andaian tersebut. Setahun sudah berlalu, dia masih yakin Noah Iskandar akan pulang
juga nanti. Keyakinan itu terlalu tinggi.
Keyakinan itu sama seperti keyakinan
keluarga penumpang MH370 yang penuh misteri walau kesudahan mereka sangat
tragedi.
Hatinya masih yakin cintanya masih
ada di mana-mana. Cintanya cuba menguji begitu. Entah mengapa Adriana Sofea
menanam harapan begitu. Walaupun dia cukup yakin satu masa Noah Iskandar akan
kembali, riak wajahnya tetap mempetiakan kesedihan yang maha sarat. Sesiapapun
dapat melihat kesedihan itu. Termasuk Cikgu Misran!
“Mama… malam tadi Rafiq mimpikan
papa.” Seperti selalu, Rafiq mengadu lagi.
“Sini sayang…” Adriana Sofea
mengajak Rafiq Iskandar dekat kepadanya.
“Satu masa papa akan pulang. Percaya
pada mama, sayang!” Luah Adriana Sofea seraya mencium ubun-ubun si anak.
Airmatanya tumpah.
Ya Allah, sungguh aku tidak kuat.
Berilah petunjuk kepada hamba-Mu ini. Aku yakin ya Allah dengan janji-janji-Mu.
Aku yakin semua yang berlaku ada hikmahnya. Malahan sekiranya benar suamiku
sudah meninggal dunia seperti kata orang-orang sekeliling, aku akan redha,
namun berilah penjelasan kepada semua kekeliruan ini. Biar jelas jasadnya di
mana. Waktu itu aku akan pasrah. Sebab aku sedar, Kau ambil orang penting dalam
hidupku untuk mengingatkan aku, tiada tempat pergantungan yang lebih ampuh
melainkan hanya kepada-Mu. Hasbunallahu
wani’mal wakeel. Adriana Sofea menangis lagi.
“Mama… kalau mama yakin papa akan
pulang, kenapa mama menangis?” Soal Rafiq Iskandar.
“Sebab mama rindukan papa.” Tidak
perlu menipu si kecil itu. Dia sudah teramat faham. Dia kanak-kanak cerdik.
“Mama… jom kita keluar ke
mana-mana.”
“Ke mana?”
“Terpulang mama.”
“Okey, pergilah bersiap.” Ujar
Adriana Sofea sambil menyeka air mata. Dia faham maksud ajakan Rafiq Iskandar.
Anak itu tidak mahu Adriana Sofea terus dihimpit kesedihan.
Entah mengapa, Adriana Sofea boleh
memandu ke restoran yang selalu dikunjungi mereka sekeluarga. Kaki pula pantas
melangkah ke meja yang menjadi kegemaran Noah Iskandar. Tempat mereka selalu
bersama seisi keluarga.
“Kalaulah papa masih ada…” Rafiq
Iskandar tiba-tiba melontar kata.
Adriana Sofea kemutuan. Hilang
kata-kata. Dia dan dan Rafiq Iskandar saling berpandangan. Kemudian Adriana
Sofea mengusap kepala Rafiq Iskandar dengan mata berkaca-kaca.
Pelayan datang mengambil pesanan.
Menu kesukaan Noah Iskandar menjadi pilihan Adriana Sofea. Sekali lagi Rafiq
Iskandar terkebil-kebil dengan tindakan mamanya.
“Ini makanan kegemaran papa. Juga
minuman kegemaran papa.” Beritahu Adriana Sofea sebaik pesanan tiba di meja
makan.
“Rafiq tau mama.” Seperti ada
sesuatu terlekat di kerongkong Rafiq semasa dia melafazkan kata-kata tersebut.
Mereka sama-sama menahan sebu di
hati. Akhir-akhir itu ingatan keduanya terhadap Noah Iskandar terlalu kuat.
Entah mengapa. Sepertinya Noah Iskandar sedang menyeru nama mereka di
mana-mana.
Perlakuan mereka dua beranak dari
jauh diperhatikan sepasang mata yang sejak tadi menyedari kehadiran mereka di
situ.
“Assalamualaikum.”
Adriana Sofea dan Rafiq Iskandar
menoleh arah datangnya suara. Terkesima seketika Adriana Sofea melihat susuk
tubuh yang sedang berdiri di belakang Rafiq Iskandar. Lidahnya seakan kelu
untuk mengeluarkan sebarang vokal.
“Cikgu Misran!” Rafiq Iskandar
berseru sambil bangun dan bersalaman dengan Cikgu Misran.
“Boleh saya join sama?”
Serba-salah pula untuk Adriana Sofea
menolak permintaan Cikgu Misran. Dia terpinga-pinga buat seketika kerana tidak
dapat menebak maksud Cikgu Misran yang bagaikan sengaja mahu mendekatinya.
“Jangan bimbang Kak Sofea. Saya tahu
segala-galanya pasal Kak Sofea.”
“Err?” Nafas Adriana Sofea turun
naik.
Apa yang Cikgu Misran tahu tentang
dirinya. Perlu apa pula Cikgu Misran mengambil tahu tentang dirinya?
Bertalu-talu himpunan soalan datang menyerang lebuh fikir Adriana Sofea. Agak
pelik pula untuk Cikgu Misran memberi perhatian kepadanya sehingga ke tahap
itu.
“Saya bersimpati dengan apa yang
telah Kak Sofea lalui.” Dengan lagak bersahaja, guru yang berketurunan Melayu
Asli itu menarik kerusi dan duduk walaupun Adriana Sofea belum memberi
persetujuan mengalu-alukan dia menyertai mereka.
“Apa sebenarnya awak nak dari saya
ni?” Adriana Sofea tidak mahu berbasa-basi lagi. Entah mengapa perilaku Cikgu
Misran tidak begitu disenanginya.
Bermula dengan sentiasa merenungnya
penuh misteri di sekolah dan kini bagaikan sengaja mengambil peluang mendekati
Adriana Sofea.
“Tak salah kan kalau saya nak jadi
kawan akak? Ya, betul saya lagi muda
berbanding akak. Tak bermakna saya tak layak berkawan dengan akak, kan?”
“Saya tak perlukan sesiapa untuk
jadi kawan saya. Cukuplah ada anak saya.”
Cikgu Misran tersenyum. Dia tahu
benar, Adriana Sofea memang susah untuk didekati. Citra wanita yang terbelenggu
dengan masa silamnya. Benarlah!
“Akak perlu keluar dari masa silam
tu kak…cubalah nikmati hidup ni.”
Ehh, tiba-tiba saja budak ni datang
nak madrasahkan aku. Tak boleh jadi. Hati Adriana Sofea menggerutu.
“Awak ni nak apa sebenarnya?” Kali
ini Adriana Sofea menyoal lagi, dalam dengung yang berlainan pula. Dia sudah
mula merasa jengkel untuk berhadapan dengan Cikgu Misran.
“Saya hanya nak bantu akak. Tak
payahlah nak bersedih-sedih lagi. Cuba hadapi kenyataan akak sekarang ni.”
“Awak merisik pasal saya di sekolah
ya? Apa motif awak ni?” Adriana Sofea makin tak sedap hati.
Tak pantas baginya seorang yang baru
dikenali mula mahu mengorek kisah lampau dirinya. Atas dasar apa Cikgu Misran
mahu berbuat demikian? Rafiq Iskandar pula terkebil-kebil melihat situasi yang
mula panas antara mereka.
“Kan dah cakap tadi, saya hanya nak membantu.”
“Tak masuk akal. Saya tak kenal pun
awak. Tiba-tiba baik hati awak nak membantu, nak jadi kaunselor saya ya?”
“Aha, saya memang ada major dalam
bidang tu. Sedang elok sangatlah.”
“Dah..saya tak ada masa nak layan
semua ni. Tak masuk akal sikit pun. Baru kenal dah nak macam-macam.” Marah
Adriana Sofea. Dia mendengus geram. Wajah Cikgu Misran langsung tidak
ditatapnya. Sengaja dikalihkan perhatian ke arah lain.
“Saya dah kenal akak…dah tau kisah
akak sebelum ke sini lagi. Cerita tentang suami akak hilang selepas mengalami
kemalangan di hutan Grik kan jadi viral.
Kat paper pun bukan main dok siar kisah tu tahun lalu, kan?”
Adriana Sofea terbatuk-batuk.
Patutlah. Dia terlupa tentang hal tersebut. Seketika dahulu kisah itu memang
menjadi tajuk akhbar utama. Dahulu. Kini tidak lagi. Masyarakat sudah melupakan
kisah tersebut, walaupun Noah Iskandar masih belum dijumpai, tiada lagi yang
datang menghulur simpati. Termasuk keluarga juga. Mereka sudah berpatah arang
berkerat rotan mengatakan Noah Iskandar sudah tiada.
Benarlah penyebabnya kemalangan.
Namun dalam satu sisi yang lain, Adriana Sofea merasakan Allah swt sengaja
memisahkan mereka. Agar Adriana Sofea kenal hati sendiri. Kenal cinta sendiri.
Jika selama ini dia terkial-kial mencari kebenaran tentang hati sendiri
sepanjang berada di sisi Noah Iskandar, kini tidak lagi. Dia yakin amat dia
memang cintakan Noah Iskandar. Tiada lagi belenggu masa silam yang merantai
Adriana Sofea. Itu hikmah dari kejadian yang berlaku.
Pun berguna lagikah jika dia
mengakui dia sangat cintakan Noah Iskandar? Padahal Noah Iskandar entah ke mana
sekarang.
“Kak, mahukah kalau saya bawa ke
perkampungan saya hujung minggu akan datang?”
“Motif?” Soal Adriana Sofea sinis
“Melihat kehidupan masyarakat asli
di sana. Mungkin akak dapat sesuatu di situ. Kadang untuk lari dari kesedihan,
kita kena explore keadaan masyarakat.
Barulah kita tahu menilai sejauh mana hebat masalah kita bila kita bandingkan
dengan keadaan masyarakat lain.”
Itukah? Itukah maksud sebenar Cikgu
Misran memberi perhatian kepada Adriana Sofea dan Rafiq Iskandar sebelum ini?
Hanya kerana ingin membantunya keluar dari kesedihan yang tidak pernah
berpenghujung sejak ditinggalkan Noah Iskandar?
“Tak apalah akak. Nanti akak
pikir-pikirkanlah. Kalau setuju, jumaat ni bagi tau saya.” Dengan kata-kata itu
Cikgu Misran bangun dari tempat duduknya dan berlalu dari situ.
Tiada kata terlontar dari mulut
Adriana Sofea. Entah kenapa pula anak muda itu bagaikan beriya-iya ingin dia ke
perkampungan orang asli. Entah apa yang menarik di sana. Entah apa pula
pengajaran yang boleh diperolehi di sana.
Untuk sepanjang minggu itu, Adriana
Sofea jadi terganggu dengan saranan Cikgu Misran. Hati pula menjadi kacau tidak
menentu. Tindak-tanduknya semua tidak menjadi. Orang-orang di sekelilingnya
menyedari perkara tersebut. Terutama Ustazah Munibah.
“Kenapa Sofea? Akak tengok macam
resah saja.”
“Entahlah kak… nak cerita pun macam
serba salah pula rasa.”
“In shaa Allah, mulakan dengan
bismillah…”
Lembut saja tutur kata Ustazah
Munibah. Sesiapa sahaja yang mendengarnya boleh berlapang dada. Tentu kau tak
pernah berkasar dengan suamimu ya, kak?
Tiba-tiba Adriana Sofea
membandingkan diri dengan Ustazah Munibah. Memanglah meraka berdua bagaikan
langit dan bumi. Lalu Allah swt menguji Adriana Sofea agar dia pantas kembali
ke jalan yang benar.
Allahu… aku memang pendosa tegar.
Aku banyak sakiti hati suami aku sendiri. Aku perengus. Suka mengeluh untuk
sekecil masalah sekalipun.
“Sebenarnya kak, Cikgu Misran tu nak
ajak saya ke kampung dia. Kononnya nak tunjukkan saya cara hidup dan masalah
kat sana.”
“Ehh, elok sangatlah tu. Cuma jaga
iktilat. Kau berdua bukan mahram.”
“Ya, saya tahu kak. Kami bukan
mahram. Tambah lagi saya ni isteri orang. Tu yang buat jadi serba-salah sikit
tu. Niat tak menghalalkan cara kan, kak.”
“Ya, betul tu. Seeloknya, bawalah
teman.”
“Rafiq ikut sekali. Saya tak mungkin
tinggalkan dia. Cukuplah Noah tinggalkan dia. Sekali dulu dan kini Noah tak
kembali-kembali pun lagi.” Ada sendu di hujung nada suara Adriana Sofea.
“Sesekali elok juga Sofea keluar,
pergi jauh dari tempat yang boleh bawa kenangan kat Sofea dan Rafiq. Kenangan
tentang Noah. Mungkin dengan cara itu perlahan-lahan Sofea boleh lupakan Noah.”
“Saya tak berniat untuk lupakan Noah
kak. Saya dah tak miliki Noah, saya tak mahu kenangan bersama Noah juga hilang
dari hidup saya.”
“Noah dah tak ada Sofea.”
“Macam mana saya boleh terima
hakikat tu kak, walhal jasadnya pun saya tak nampak.”
Ustazah Munibah diam. Itu memang
jawapan klise Adriana Sofea setiap kali orang sekeliling mahu menyedarkan dia
tentang Noah Iskandar.
“Pergilah ke kampung Cikgu Misran.
Mungkin Sofea boleh pelajari atau temui sesuatu di sana.” Ustazah Munibah
memberi cadangan.
Lalu setelah mengambil kira pendapat
orang sekeliling dan menimbang dengan pelbagai alasan, Adriana Sofea setuju
mengikut Cikgu Misran ke kampungnya. Cikgu Misran yang menaiki pacuan empat
roda membawa bersamanya Cikgu Radiah sebagai teman Adriana Sofea agar tiada
salah faham timbul antara mereka. Perjalanan ke perkampungan orang asli di
hutan Grik itu tidaklah mengambil masa yang lama sangat. Cuma jalan kampung
yang agak ke dalam menyebabkan perjalanan mereka sedikit terganggu.
“Kita dah sampai. Ni rumah saya.”
“Boleh tahan cantik rumahnya, ya?”
Cikgu Radiah teruja.
Adriana Sofea dan Rafiq Iskandar
juga alami perasaan yang sama.
Cikgu Misran hanya tersenyum.
Walaupun belum maju sepenuhnya, perkampungan itu tidaklah semundur dulu.
Lagipun sudah ramai anak-anak kampung itu berjaya melanjutkan pelajaran ke
peringkat lebih tinggi dan menjawat jawatan yang lebih baik. Mereka tidak lagi
terikat dengan cara hidup tradisi.
Mereka di persilakan masuk ke rumah.
Ibu bapa Cikgu Misran sudah bersedia menyambut di muka pintu, dengan adik-adik
Cikgu Misran yang berderet menunggu.
Kedua-dua ibubapa Cikgu Misran
mengukir senyuman penuh makna kepada guru muda itu. Adriana Sofea memang sedar
dengan tindakbalas masing-masing. Ada sedikit debar di hati Adriana Sofea
walaupun dengan kehadiran Cikgu Radiah dan Rafiq Iskandar di sisi.
Setelah menikmati hidangan
tengahari, Adriana Sofea dan Rafiq Iskandar di bawa ke satu rumah yang masih
kelihatan baru dibina. Konon kata Cikgu Misran, nak kenalkan dengan seseorang
yang istimewa di situ. Hati Adriana Sofea semakin cuak. Entah kenapa
perasaannya jadi tidak menentu. Tindak-tanduk Cikgu Misran penuh teka-teki dan
sukar ditebak. Perlu apakah Adriana Sofea dibawa berjumpa dengan salah seorang
penduduk kampung tersebut.
“Assalamualaikum…” Cikgu Misran
memberi salam. Namun tidak kedengaran suara menjawab.
“Kita naik je dulu. Mungkin dia
sedang solat.” Cikgu Misran menguak daun pintu yang sememangnya tidak berkunci.
Dia kelihatan sudah biasa benar dengan penghuni rumah tersebut. Mungkin salah
seorang saudara mara Cikgu Misran.
Benarlah. Penghuninya sedang
menunaikan solat zohor. Di sisi lelaki yang sedang bersolat itu kelihatan
sebatang tongkat. Adriana Sofea dan Rafiq Iskandar saling berpandangan. Entah
kenapa, muncul satu perasaan yang sukar untuk mereka mengertikan dalam diri
sendiri. Susuk tubuh itu…
Lelaki itu memberi salam kiri dan
kanan. Rafiq Iskandar mendongak memandang ibunya. Ada air bening bertakung
dalam kolam mata Rafiq. Lalu seketika lelaki itu menoleh ke belakang untuk
melihat tetamu yang sudah di muka pintu.
Serentak itu juga Adriana Sofea
longlai dan terjelepuk ke lantai.
“Mama!” Rafiq Iskandar meraung.
Memeluk pantas mamanya sambil tersedu-sedan menangis sambil mata tidak lepas
memandang lelaki yang baru selesai menunaikan solat dan bagaikan terpinga-pinga
memandang mereka di muka pintu. Bergetar bibir lelaki itu seakan menyeru nama
Adriana Sofea.
“Papa…” seru Rafiq Iskandar perlahan
bersama tangisan mendayu.
Setahun berlalu, mana mungkin Rafiq
Iskandar bisa memadamkan wajah papa dari ingatannya. Dia masih cam benar.
Masih. Tanpa mampu dikawal, air jernih menitis laju di wajah Noah Iskandar.
Dengan susah payah, dia cuba mendekati Adriana Sofea dan Rafiq Iskandar.
Cikgu Radiah terkaku menyaksikan
drama air mata tersebut. Dia tidak percaya melihat Noah Iskandar yang lama
menghilang tiba-tiba kini berada di depan mereka. Patutlah kalau Adriana Sofea
boleh terjelepuk ke lantai. Dia sendiri terkejut dan hilang suara.
Rafiq Iskandar melepaskan pelukan
pada tubuh Adriana Sofea dan berlari ke dalam pelukan Noah Iskandar. Dua
beranak itu melempiaskan rindu yang selama ini tidak menemui jalan penamat.
Sedang Adriana Sofea masih tersedu-sedan di tempat tadi. Antara gembira dan
terkilan. Gembira kerana penantiannya sudah berakhir. Terkilan kerana Noah
Iskandar tidak pernah pulang-pulang dan tegar meninggalkan dia dua beranak
terkapar-kapar begitu saja.
“Sampai hati abang… setahun bukan
singkat bang.” Tangis Adriana Sofea sewaktu Noah Iskandar memeluknya.
“Maafkan abang sayang. Abang tak ada
kekuatan untuk berdepan dengan Sofea. Dengan keadaan abang sekarang, abang
takut jika Sofea tak mahu terima abang kembali. Dulu abang sakit kaki pun Sofea
dah mengeluh jaga abang. Apatah lagi bila abang kehilangan sebelah kaki macam
ni.” Luah Noah Iskandar. Mendengar itu Adriana Sofea mengongoi kepiluan.
Sanggupnya Noah Iskandar mendera dia dan Rafiq Iskandar begitu.
Mereka bertangis-tangisan. Melagukan
sendu yang tidak mudah hilang.
Setahun lalu, apabila Noah Iskandar
terlibat kemalangan, sekumpulan orang asli menyelamatkannya yang sudah tinggal
nyawa-nyawa ikan. Kakinya yang terputus semasa kemalangan dirawat cermat oleh
puak asli dengan kaedah tradisional. Sebaik sembuh ada mereka menyarankan untuk
menghantar Noah Iskandar pulang, namun Noah Iskandar tidak bersedia. Dia tiada
kekuatan untuk berdepan dengan Adriana Sofea.
Cikgu Misran yang sesekali pulang ke
kampung dapat lihat kesedihan dan kerinduan dalam mata Noah Iskandar. Dia
terlalu banyak memendam hanya kerana tidak sanggup berdepan dengan si isteri.
Takut isteri menolak kehadirannya dan tidak sudi lagi terus bersusah-senang
bersamanya. Kakinya sudah tinggal satu. Adakah Adriana Sofea sanggup memikul
beban itu?
Apabila Cikgu Misran ditugaskan di
sekolah yang sama dengan Adriana Sofea, dia dapat mengecam wajah itu. Liputan
yang dibuat di akhbar tentang seorang isteri kehilangan suami membantu dia
mengecam wajah Adriana Sofea. Lalu dia perhatikan Adriana Sofea. Kesedihan dan
kerinduan yang sama ada pada sinar mata wanita itu. Dia merasa bertanggungjawab
untuk mempertemukan mereka tanpa
memberitahu kedua-duanya terlebih dahulu.
“Kenapa abang sanggup buat kami dua
beranak macam ni? Abang janji nak jaga Sofea dan Rafiq sepanjang usia ni.
Kenapa buat macam ni?” Soal Adriana Sofea sewaktu Cikgu Misran dan Cikgu Radiah
meninggalkan mereka berdua.
Rafiq pula berada kejap dalam
pelukan Noah Iskandar.
“Maafkan abang. Abang takut dan malu
nak berdepan dengan sayang. Abang dah kehilangan kaki abang. Mana abang nak
dapat kekuatan untuk berdepan dengan sayang?”
“Tapi saya isteri abang. Tak patut
abang buat macam ni. Terkial-kial saya dan Rafiq tunggu abang balik. Setiap
pagi apabila buka mata, Sofea harapkan abang ada di sisi, sedang memerhati
Sofea seperti sebelum ni. Sofea harap untuk tengok senyuman abang yang selalu
menceriakan hari-hari Sofea. Sofea rindu bang…” Adriana Sofea terjeda. Dia
mengongoi lagi.
“Sofea juga harap setiap kali
kesejukan di malam hari, abang akan ada untuk selimutkan Sofea dan peluk Sofea
erat-erat. Sofea rindu semua tu. Setahun abang. Bukan jangka masa yang pendek
untuk abang buat keputusan kembali kepada kami. Sampainya hati abang.”
“Maafkan abang. Abang…entahlah… kaki
abang ni menghalang abang pulang, sayang.” Noah Iskandar menyelak kainnya
melihatkan kaki kirinya yang sudah kudung.
“Saya bukan nakkan jasad sempurna
abang, saya nakkan sesuatu yang ada dalam ni.” Tunjuk Adriana Sofea ke dada
Noah Iskandar. Air mata masing-masing masing laju.
“Abang tak mau susahkan Sofea jaga
abang. Biarlah abang dah benar-benar sihat dulu, baru abang pulang. Sekarang
abang masih belum terdaya nak bergerak sendiri. Abang belum betah. Abang malu
untuk berdepan dengan Sofea dan Rafiq dalam keadaan abang macam ni.”
“Abang, Sofea ada untuk pimpin
abang…” Ucap Sofea perlahan.
Air mata jantan Noah Iskandar gugur.
Dia masih ingat pernah bertanya soalan tersebut dan Adriana Sofea tidak pernah
menjawabnya. Kini tanpa ditanya Adriana Sofea menyatakan kesanggupannya dengan
airmata cinta.
Sungguh, itulah yang selama ini sukar
untuk Noah Iskandar jumpa dalam pandangan Adriana Sofea. Itulah yang selama ini
dia cari-cari di situ. Lalu Noah Iskandar memeluk Adriana Sofea erat.
“Maafkan abang sayang. Abang telah
menghukum sayang tanpa mengetahui betapa sayang dan anak abang terseksa.
Bagaimana abang boleh tebus semua tu kembali?”
“Pulanglah kepada kami. Biarlah
Sofea berbakti kepada abang pula. Pulanglah bang. Ampunkan lah Sofea yang
banyak melukakan hati abang. Dalam tempoh setahun ini, Sofea sudah kenal hati
sendiri. Masa silam Sofea, dah Sofea buang jauh-jauh. Sofea tak mahu kehilangan
abang lagi.”
“Sofea akan pimpin abang?”
“Ya, Sofea akan pimpin abang, dengan
syarat, abang sentiasa ada untuk Sofea.”
Lalu berderai lagi air mata mereka.
Adriana Sofea bertekad untuk menjadi isteri yang lebih baik dan melupakan masa
silamnya. Kini dia benar-benar yakin cintanya memang untuk Noah Iskandar. Dia
tidak mahu sia-siakan peluang yang ada. Dia mahu menebus semua kesilapan
sebelum ini. Noah Iskandar memang cintanya. Hatinya memaktubkan begitu. Tiada
sebarang ragu lagi.
TAMAT
No comments:
Post a Comment