BAB
TUJUH
Mirza Arman memerhati
CD yang berada di tangannya.
“Nah, Imza suruh aku berikan CD sebagai tanda minta
maaf.” Terulang semula peristiwa di kolej siang tadi.
“Uiih, baik punya budi bahasa budak tu. Siap rakam ucapan
maaf dalam CD. Nak tawan hati aku kah apa?” Jengkel Mirza Arman sambil
menjuihkan sedikit bibirnya ke depan.
“Tu bukan sebarang CD. Kata Imza CD tu terakam lagu puisi
Niffira yang dinyanyikan sendiri oleh penyajak pujaan kau tu.”
Mirza Arman tidak percaya. Mungkin Philip mahu
mempermainkannya agar dia bersedia untuk memaafkan Imza atas kesilapan yang
menurut Philip bukanlah disengajakan. Lagipun manalah Imza boleh tahu dia
terlalu memuja Niffira.
“Alah, mungkin dia sempat baca puisi kau ketika dia
jatuhkan buku kau kat lantai basah hari tu.”
“Boleh jadi juga, ya.” Mirza Arman terjeda di situ. “Uhh,
mungkin dia nak kenakan aku. Padahal entah siapa punya suara yang menyanyi lagu
puisi Niffira dalam ni.”
“Sesekali tak salah kalau kita buang sifat buruk sangka
tu. Lagipun sikap tu bukankah berdosa?”
Uiiih, Philip ni betul-betul lebih sudu dari kuah kalau
bercakap soal hukum-hakam. Tahu saja dia mana kelemahan aku! Mirza Arman
mendengus di dalam hati. Mahu dibantah cakap Philip karang kan dituduhnya Mirza
Arman jahil bab agama. Sudahnya Mirza Arman hanya diam dan menyambut huluran CD
daripada Philip.
Dan sekarang, sudah hampir separuh hari CD itu berada
dalam simpanannya. Mirza Arman masih ragu-ragu untuk memainkannya.
Benar-benarkah ia datang daripada Niffira sebagai tanda minta maaf Imza. Kalau
benar, bukan main lagi Imza mahu memohon maaf daripadanya. Seakan ada agenda
tersembunyi di situ.
“Apa-apahal, baik aku cuba mainkan dulu. Siap kau jari
bercabang kalau kau cuba kenakan aku.” Mirza berkata kepada dirinya sendiri
sambil memasukkan CD tersebut ke dalam pemain cakera padat yang tersedia sejak
tadi di sisi.
“Terima kasih kerana sudi menjadi pengikut hasil karya
saya.” Begitu bunyi ucapan permulaan dari cakera padat yang sedang dimainkan.
Ucapan daripada satu suara yang lembut dan merdu. Gementar dada Mirza Arman
mendengar suara tersebut. Betul-betulkah itu Niffira?
Oh, Tuhan. Kemajnunan jenis apakah ini?
Dan Mirza Arman tersenyum sendiri sambil jiwanya dibuai
irama lagu puisi yang dilagukan oleh insan yang didakwa sebagai Niffira. Hampir
tiada ragu lagi di hati Mirza Arman. Dia memang Niffira. Mustahil Imza tahu
kesemua lagu puisi Niffira sekiranya suara dari CD tersebut hanyalah seorang
penyamar yang mendakwa diri sebagai Niffira. Hanya Niffira yang lebih tahu
berapa buah lagu puisi yang pernah dihasilkan dan tiada satupun tersasar dari
koleksi Mirza Arman. Hampir kebanyakan puisi yang disimpan Mirza Arman
dilagukan Niffira.
Nah, jika sudah begitu mustahil dia seorang penyamar.
Imza tidak mungkin sama sekali tahu
sejauh itu tentang puisi Niffira. Mirza Arman yakin teramat tentang hal
tersebut.
Sekarang yang menjadi tanda tanya
dalam benak sempit Mirza Arman, bagaimana Imza boleh kenal Niffira? Itu tidak
boleh jadi. Niffira itu pujaannya. Terletak pada tangga teratas dalam hatinya.
Imza pula gadis yang sering dipandang hina.
Sedangkan dia tidak pernah
berpeluang kenal Niffira, mana boleh Imza mengatasinya dalam hal itu. Uhhh,
Mirza Arman terasa membara. Cemburu dengan kelebihan yang ada pada Imza.
Bagaimanapun hati masih berbunga
riang apabila satu hal penting nyata di situ. Iaitu tentang persoalan gender Niffira. Jika dahulu Philip
sering mempertikaikan keyakinannya tentang jantina Niffira. Sekarang dia boleh
mendabik dada di depan Philip apabila tebakannya yang mengatakan Niffira
seorang perempuan benar.
“Amboi, senyum bukan
main! Apa yang buat kau senang hati ni?” Usik Philip sambil meletakkan topi
keledarnya di atas meja tempat Mirza Arman sedang tersenyum seorang diri.
“Kau ni mengacaulah. Aku nak berangan sikit tak boleh.”Marah
Mirza Arman seraya menumbuk bahu Philip membuatkan sahabatnya itu terseringai
menahan senak.
“Dah dengar suara Niffira?”
Mirza Arman hanya tersenyum sebelum bersedia untuk
berbicara. “Betul sangkaan aku selama ni, Niffira memang seorang perempuan.”
“Ohhh, tu yang buat kau senyum mengalahkan kambing
biri-biri ni?”Philip masih belum puas mengusik Mirza Arman.
“Tak adalah. Sekurang-kurangnya tebakan aku benar.”
“Hah, kalau kau gembira hanya kerana tu, okeylah.
Takutnya nanti kau gembira sebab mula nak pasang angan-angan yang tidak-tidak.
Tak ada maknanya, Man.”
“Maksud kau?”
“Hahhh, janganlah kau berangan nak jadi pasangan dia.
Kita tak tau pun status hubungan dia.”
Wajah Mirza Arman yang tadinya ceria berubah menjadi
muram. Kemuraman itu jelas santak Philip mampu mengesannya.
“La…kau memang ada angan-angan macam tu? Kau ni jiwang
tahap kepala lutut kah Man? Nampak macam macho semacam padahal jiwang karat.
Banyak dengar lagu cinta macam nilah jadinya. Atau kau banyak layan cerita
Hindustan yang banyak tak berpijak di bumi nyata tu?” Philip menggeleng-geleng
melihat reaksi Mirza Arman.
“Kau pernah dengar istilah cinta itu buta?”
“Pernah lah…jangan pula kau nak cakap kau pun alami
perkara yang sama. Realistik lah sikit Man. Kita ni tak boleh nak tenggelam
dalam perasaan sangat.”
“Kau senanglah cakap. Benda ni tak terkena kat kau.
Lagipun perasaan ni dah lama.Aku pun tak tau sejak bila. Sedar-sedar aku dah
memang jadi pemuja Niffira.”
“Mana boleh macam tu, Man? Kita tak boleh nak suka apatah
lagi nak cinta orang yang kita tak kenal. Setakat kenal karya dia belum cukup, Man.
Aku tak nak kau sendiri yang terluka. Kita ni lelaki. Kena kuat.”
“Orang lelaki tak boleh nak layan perasaan kah?”
“Hah, yalah. Perasaan tu sinonim dengan perempuan saja.”
“Silap kalau kau anggap macam tu. Kalau perasaan tu
sinonim dengan perempuan, tak adalah lelaki pandai nak sayangkan sesiapa. Nak
cintakan sesiapa. Perasaan ni milik semua tau tak.”
“Tu betul. Cuma kita kena waras menangani perasaan kita
yang pelbagai. Kalau dilayan sangat, aku bimbang larat pula jadinya. Macam kau
sekarang. Tak pasal-pasal sukakan seseorang yang kau sendiri tak kenal. Buruk
baik dia sendiri kau tak tahu.”
“Lantak kaulah nak pikir apapun. Yang penting aku tak
kacau dan tak jentik sesiapa.”
“Aku rasa kau ni dah alami masalah kejiwaan. Penyelesaian
terbaik cuba keluar dari hidup kau sekarang. Beri peluang hati kau sendiri
kenal gadis lain. Ni tak, asal ada yang nak kenal lebih, kau jauhkan diri
daripada gadis tu. Zaman sekarang ni, kita sebagai lelaki kena explore sikit.”
“Pehhh, explore
konon, kau sendiri aku tengok tak ada rapat dengan sesapa. Kalau baru-baru nak
rapat tu adalah. Kurang-kurang aku ni kawan dengan ramai gadis.”
“Cuba-cuba nak rapat? Siapa maksud kau ni?” Philip
tercengang-cengang apabila Mirza Arman mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Siapa lagi kalau bukan si jari bercabang tu?” Mirza
Arman membalas kemudian ketawa berdekah-dekah.
“Ish, kau ni tak baik ketawakan dia. Lagipun bukan dia
minta jari macam tu. Tu semua kuasa Tuhan.”
Emhhh, dia mula dah. Ngomel Mirza Arman di dalam hati. Dalam
masa yang sama naik hairan dengan
kata-kata yang keluar dari mulut Philip. Dia seorang kristian, Mirza Arman agak
sangsi sejauh mana dia percaya dengan kekuasaan Tuhan. Lagi pula, Tuhan yang
mana dimaksudkan Philip? Sejauh tentang takdir, setahu Mirza Arman, hanya orang
Islam yang berpegang teguh kepada takdir dan kekuasaan Tuhan.
Jika tidak kenal Philip, Mirza Arman tentu akan
menyangkakan Philip seorang muslim jika mendengar daripada cara dia bercakap.
Memang mengelirukan sekali.
Uhh, jangan-jangan Philip berminat dengan Islam dan sudah
lama mempelajari sedikit demi sedikit tentang ajaran Islam. Sebab itulah versi
cakapannya sering menjurus ke arah percakapan orang Islam. Mana tahu, kan?
Bagaimanapun praanggapan itu cepat dibuang benak Mirza
Arman apabila memikirkan saban minggu, setiap hari ahad Philip akan meluangkan
masa dengan upacara pagi ahad di gereja. Itu jelas menunjukkan Philip sebagai
penganut kristian yang taat. Sedang Mirza Arman sendiri jarang mahu ke masjid
seminggu sekali setiap jumaat. Liat benar dia. Sementelahan pula dia tidak
pernah dididik agar ke masjid setiap kali jumaat sehinggalah dia mula masuk ke
sekolah. Ketika dia mula cerdik dan pandai membuat penilaian, barulah dia faham
ajaran guru fardhu ainnya tentang kewajipan lelaki muslim menunaikan solat
jumaat. Sebelum itu memang dia tidak pernah tahu.
Ah, melalut pula fikiran Mirza Arman kali itu. Jika tidak
dijerkah Philip, tentu dia masih hanyut dalam laut fikirnya sendiri.
“Sempat kau mengelamun tengah aku sembang dengan kau…kuat
betul penangan Niffira. Hish, kau kena ingat dan sedar, Man. Perasaan kau
terhadap dia akan bertemu dengan banyak keraguan lagi.”Tegur Philip sekali gus
membuatkan Mirza Arman kembali sedar tentang topik asal perbualan mereka.
“Keraguan?”Mirza Arman tidak faham dengan maksud yang
cuba disampaikan Philip melalui kenyataan tersebut.
“Yalah, banyak hal yang kita tak tau tentang Niffira.
Okeylah, sekarang dah sah-sah dia tu perempuan tapi kita tak tau berapa umur
dia, status diri dia. Manalah tau kot-kot dia tu dah berpangkat makcik-makcik
dengan kita dan dah ada anak berderet. Naya kau, Man. Lebih baik kau jatuh hati
kat sesiapa yang ada di kolej ni. Kan berlambak minah kolej ni dok mengharapkan kau.”
“Aku camlah kalau suara dia macam suara makcik-makcik. Ni
suara dia masih lunak, masih muda remaja bunyinya.”
“Jangan tertipu dengan telinga kau. Lebih penting jangan
tertipu dengan perasaan kau.”
“Kau ni kenapa, Lip? Tak suka tengok aku bahagia?”
“Ke situ pulak kau. Sebab nak kau bahagialah aku
nasihatkan kau ni. Aku tak nak kemudian hari kau sendiri yang kecewa sebab mengharap
pada bulan di langit. Lagipun, andai benar dia tu masih muda dan belum
berpunya, ada satu point penting kau
kena ingat, nak ke dia kat kau?” Philip membalas sambil mengajukan soalan cepu
emas kepada Mirza Arman.
Kali ini Mirza Arman sedikit melopong mendengar soalan
yang dia sendiri tidak terfikir. Kebenaran memang ada di situ. Soalan Philip
memang tidak boleh disangkal sama sekali. Dengan kedudukan sebagai seorang
penyajak, Niffira tentu sudah terlalu biasa sangat mempunyai pemuja dalam
pelbagai macam perangai. Mahukah Niffira melayan perasaannya? Tentu kedudukan
Mirza Arman di mata Niffira sama seperti peminat-peminatnya yang lain.
Sementelahan Niffira tidak pernah mengenali Mirza Arman.
Mirza Arman juga tidak pernah ada peluang untuk membuatkan Niffira
mengenalinya. Dengan bahasa lebih mudah mereka saling tidak mengenali. Hanya
puisi-puisi Niffira yang membuatkan Mirza Arman terasa rapat dan dekat
dengannya.
Ah, untuk buatkan Niffira sukakan aku, aku kena kenal dia
terlebih dahulu. Uhhh, tapi macam mana nak buat dia kenal aku? Perlu ada jalan
untuk mencipta sebuah perkenalan antara kami. Macamana, ya? Mirza Arman
mencongok-congok sendiri.
Hemmm. Imza kenal Niffira. Malah bunyinya macam kenal
baik. Ish, takkanlah aku nak minta bantuan budak yang aku tak suka tu untuk
kenalkan aku dengan Niffira? Ehhh, simpang malaikat lah. Tak hingin aku nak
berbaik-baik dengan budak tu.
Mirza Arman terus mencari akal bagaimana untuk mengenali
Niffira dengan lebih dekat lagi dan bukan sekadar kenal melalui puisi-puisinya
sahaja. Perasaannya terhadap Niffira semakin bercambah semenjak mengenali suara
Niffira. Dia memang majnun.
BAB
LAPAN
Pagi hujung minggu yang
indah dan mendamaikan. Selepas pulang dari gereja Philip tidak ke mana-mana
sebaliknya terus pulang ke rumah kerana sejak semalam dia sudah bertekad untuk
mengemas bilik bujangnya. Banyak barang yang mahu dikemaskini. Terutama
majalah-majalah yang sudah bertahun usianya. Dahulunya Philip simpan untuk
melihat beberapa rencana bagi tujuan rujukan kertas kerjanya.
Philip sempat membelek-belek majalah lama sebelum
diletakkan dalam bakul sampah. Dia sengaja berbuat begitu kerana mahu meneliti
kembali artikel-artikel yang terdapat dalam majalah tersebut. Manalah tahu
kalau-kalau masih ada artikel yang menarik untuk dibaca. Pandangan matanya
kemudian tertancap ke atas mukasurat yang memuatkan artikel mengenai satu
kejadian di Mogadishu, Somalia. Air muka Philip berubah. Terasa darah panas
naik ke muka.
Artikel itu sebenarnya berkaitan hukuman rejam terhadap
Abukar Ibrahim akibat berzina dengan kekasihnya. Kejadian itu berlaku pada
pertengahan Disember 2009. Abukar Ibrahim telah direjam disaksikan lebih
seratus orang penduduk setempat, manakala kekasihnya pula disebat seratus kali
dengan rotan kerana kekasihnya masih bujang.
Philip tidak sanggup meneruskan bacaannya. Dia kasihan
kepada kedua-dua mereka. Dalam masa yang sama dia tidak faham dengan hukuman
yang dijalankan itu. Benar-benarkah ia memang hukuman yang ada dalam agama Islam?
Philip tidak tahu.
Philip meletakkan majalah tersebut di sebelahnya. Dia
masih ingin mengkaji tentang perkara tersebut. Jika berkesempatan dia mahu
mencari seseorang yang mampu menjelaskan tentang hukuman rejam dan sebatan
tersebut. Buat masa itu, Philip tidak mahu membuat penilaian sendiri biarpun
dia kurang menyenanginya kerana dia tidak tahu rasional dan kerelevanan hukuman
hudud dalam agama Islam.
Kosentrasi Philip untuk terus mengemaskini biliknya
terganggu oleh artikel tersebut. Dia duduk bersandar di dinding. Termenung jauh
di situ.
“Orang Melayu terutama Pak Ustaz yang memberi kuliah kat
tv selalu cakap Islam tu indah, Islam tu agama paling suci dan murni. Kalau
betul begitu, kenapa perlu ada hukuman yang bagi aku nampak kejam?” Gumam
Philip kepada dirinya sendiri.
Sebagai seorang kristian, Philip tidak banyak tahu
tentang Islam. Sesekali jika dia berada di kedai makan, kebetulan tuan punya
kedai membuka tv yang sedang bersiaran rancangan Al-Kulliyah dan sebagainya
yang berbentuk keagamaan, Philip akan terdengar juga ustaz-ustaz di dalam tv
bercakap tentang keindahan Islam dan mengapa Islam menjadi agama paling baik di
muka bumi ini. Selalupun begitulah yang didakwa oleh ustaz-ustaz di dalam
program keagamaan tersebut.
Sekali apabila dia terbaca tentang hukuman rejam dan
sebatan yang dikenakan ke atas Abukar Ibrahim dan pasangannya di Mogadishu,
Somalia, hatinya semakin mahu menyangkal dakwaan tersebut. Sebagai kristian,
Philip sejak kecil didedahkan dengan cara membersihkan diri dalam agamanya.
Melakukan hubungan seks di luar nikah turut menjadi suatu
perbuatan yang ditegah bukan setakat di dalam agamanya, malahan di dalam
masyarakatnya. Sekiranya ada individu yang melakukan perkara terlarang itu
dianggap seseorang yang rendah moral. Bagaimanapun agama Philip tidak akan
mengenakan sebarang hukuman apabila si pelaku bersedia bertemu dengan paderi,
membuat pengakuan tentang semua kesilapan. Si paderilah yang akan memberi
pengampunan mewakili Jesus. Begitu mudah untuk menyucikan dosa di dalam
agamanya.
Apabila membandingkan hukuman dalam Islam dengan cara
pengampunan dosa di dalam agama kristian, Philip semakin sangsi dan ragu dengan
agama Islam. Makin dia yakin bahawa agama anutannya lah yang lebih baik dari
sekian banyak agama yang ada di muka bumi ini. Kristian menyeru dan menjalankan
dakwah dengan cara kasih sayang dan ambil berat. Itu tidak Philip nampak dalam
agama Islam. Maaflah jika Philip katakan, dia lebih melihat Islam sebagai satu
agama yang keras dan menakutkan.
Philip termenung lagi. Lama. Kali ini lebih lama daripada
biasa kerana jiwanya kacau dan bagaikan mahu segera mendapat jawapan untuk
setiap kemusykilan yang hadir dalam benaknya berkaitan kekeliruan yang timbul
berkaitan hukuman dalam Islam. Philip tidak mahu sewenang-wenangnya melabel Islam
itu begitu-begini tanpa menyelidik dan mengkaji terlebih dahulu tentang hal
tersebut. Untuk itu, Philip perlu bersemuka dengan seseorang yang arif tentang
hal tersebut.
Mungkin dengan menemui salah seorang pensyarah di jabatan
agama. Tidak mungkin pula mahu merujuk kepada Mirza Arman yang tidak pernah
sekalipun bersungut tentang mahu menunaikan solat setiap kali mereka bersama.
“Ish, yang aku dok
beratkan kepala otak aku dengan hukuman rejam dan sebat tu apasal? Hukum hudud
tu hanya dijalankan di negara Islam dan hanya ke atas orang Islam. Aku yang
kristian ni dah tentu-tentu selamat.” Akhirnya Philip sedar dengan
keterlanjurannya.
Philip kemudiannya merebahkan tubuh ke katil. Mahu
melelapkan mata buat seketika. Baru saja dia terlelap, telinganya dikejutkan
bunyi suara yang terasa dekat di telinganya. Dia membuka mata akibat merasa
terganggu dengan bunyi suara itu. Dikitari seluruh ruang bilik. Kemudian mata
tertancap ke arah jam locengnya.
Sah. Bunyi suara tersebut datang dari jam itu. Seperti
selalunya. Namun kali ini lebih kuat dan jelas. Philip nyata terpinga-pinga.
Mahu dikatakan dia mengigau, rasanya dia baru terlelap sekejap. Dia bukan
kemamar. Secara totalnya dia waras!
“Ahhh, lagi sekali jam ni berdetak dengan bunyi suara
ni!” Philip membentak sambil bangun untuk mendapatkan jam loceng di meja tepi
katil.
Sebaik jam berada di tangan, dihempasnya jam tersebut ke
lantai. Namun lasak pula jam itu walaupun murah harganya. Langsung tidak
terjejas sedikit pun walau Philip menghempasnya ke lantai dengan kasar. Malahan
makin jelas pula suara jam tersebut. Benar-benar masuk ke telinga Philip.
Philip naik hantu. Dicapai jam loceng itu, kemudian Philip berlari turun ke
bawah. Mencari kotak peralatannya. Dia mahu mengambil pemutar skru. Kali ini
dia mahu leraikan struktur jam itu satu persatu.
“Jahanam nanti aku beli lain. Bukan mahal pun, setakat
sepuluh ringgit, lima lagi aku boleh beli.” Bentak Philip.
Nada suaranya ditinggikan seperti sedang bergaduh dengan
seseorang. Sementara tangan Philip pula ligat memulas skru yang terlekat pada
jam. Bahagian dalam jam pula dileraikan. Bagaimanapun sesuatu yang pelik
berlaku di situ. Suara tersebut tetap berbunyi. Jelas. Padahal jarumnya sudah
berhenti berdetik.
Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Ya Allah.
Begitu bunyi suara dari jam yang sudah terlerai
strukturnya. Mata Philip terbeliak. Rasa bergemelugut hadir dalam dirinya.
Philip mula cuak. Dia tahu dia tidak bermimpi. Tidak juga dalam keadaan kemamar
tetapi kenapa dia mengalami situasi yang pada perkiraannya terlalu mustahil
seperti yang dilalui sekarang?
Allah. Allah. Allah.Allah.Allah. Ya Allah.
Jam yang sudah tidak sempurna bentuknya itu terus
berbunyi. Kali ini gementar Philip kian parah. Lalu…
“Arghhhhh!” Philip menjerit dan berlari masuk ke bilik.
Di situ Philip berkelubung di sebalik selimut. Dia tidak
bergerak. Kalau boleh bernafas pun dia tidak ingin. Kalimah itu pula masih
bergema. Pun masih kedengaran dekat di telinganya padahal jam yang sudah dileraikan
berada di tingkat bawah. Philip menggigil ketakutan. Dia membawa bantal rapat
kepadanya lalu ditelangkupkan ke telinganya. Dia benar-benar takut.
“Muram je Lip. Ada
masalah?” Soal Mirza Arman semasa menunggu pensyarah masuk ke dewan kuliah.
Philip memandang sekilas ke wajah Mirza Arman. Nafsu
langsung tidak timbul untuk membalas pertanyaan Mirza Arman. Sementelahan untuk
bercerita situasi yang dialami hampir sehari suntuk pada hari semalam.
Dia tidak tahu penerimaan Mirza Arman jika diceritakan
tentang peristiwa aneh yang dialaminya semalam. Memang ‘Allah’ itu kalimah yang
selalu digunakan dalam agama Mirza Arman untuk menerangkan Tuhan yang satu.
Bagaimanapun reaksi Mirza Arman jika diceritakan tentang hal sebenar langsung
tidak dapat ditebaknya.
Dia takut Mirza Arman terasa dipermainkan. Menuduhnya
mahu memperlekehkan agama Islam sehingga mengada-adakan cerita yang karut
tentang penyebutan kalimah ‘Allah’. Maklumlah, teramat mustahil sebuah jam
loceng boleh berdetak dengan bunyi tersebut.
“Lip, apahal ni?” soal Mirza Arman sambil menyentuh lengan
Philip sebagai penegasan pada soalan yang diaju.
“Eh, panas kau ni, Lip. Kau tak sihat, ya?” Ujar Mirza
Arman tatkala menyedari suhu badan Philip lebih panas daripada biasa.
“Demam?” Philip menyentuh lengan kemudian bawah dagu dan
dahinya sendiri. “Err, tak lah.” Kata Philip selepas itu. Matanya terus ke
papan hitam yang melekat di bahagian depan dewan kuliah.
Pensyarah masih belum muncul. Curi tulang atau
terperangkap dengan tuntutan kerja. Selalunya pensyarah boleh terlewat ke kelas
jika jalan ke dewan sesak atau ada pelajar minta panduan tentang kertas kerja
di bilik mereka.
“Lip, badan kau panas ni. Kau pun kurang bermaya. Aku
rasa kau demam.”
“Emh, aku tak rasa apa-apa pun. Kalau demam aku tentu tak
larat nak bangun. Mungkin sebab malam tadi aku tak cukup tidur sebab tu suhu
badan sedikit terganggu.” Philip memberi alasan.
Padahal memang dia kurang sihat. Mahu mengaku nanti Mirza
Arman paksa dia pulang ke rumah walhal dia takut untuk berada di rumah
sewaannya. Tambahan bila berada di biliknya seorang diri ketika semua teman
serumah ke kuliah seperti sekarang.
“Bukan main berjaga. Exam
lambat lagi, assignment pula baru
hantar minggu lepas. Kau buat apa? Layan movie?”
“Ha’ah. Horror
movie.”
“Cehhh, patutlah badan panas semacam. Ehhh, tapi sejak
bila kau dapat penyakit lemah semangat ni? Selalu kau boleh saja tengok cerita
seram-seram ni.”
“Ahh, kebetulan saja kot badan aku nak panas sikit
daripada biasa. Bukan demam pun.” Philip masih mahu berselindung.
Mustahil dia boleh terangkan perkara sebenar kepada Mirza
Arman. Bukan dia langsung tidak berniat untuk bercerita tentang peristiwa aneh
yang dialami kepada seseorang, bagaimanapun seseorang yang dimaksudkan itu
bukanlah Mirza Arman. Lebih tepat lagi bukan seorang muslim.
Mirza Arman ingin berkata sesuatu lagi, bagaimanapun
niatnya terbantut apabila pensyarah kursus menonong masuk ke dewan kuliah. Kot
yang dipakai pensyarah kelihatan basah. Mirza Arman menjenguk ke luar cermin
tingkap. Barulah dia sedar di luar hujan lebat sedang mencurah turun. Dewan
yang tertutup membuatkan ia agak kedap bunyi dan menghalang irama rintik hujan
di luar masuk ke dalam.
Hujan.
Mengingatkan
hujan membuatkan Mirza Arman teringat peristiwa minggu lepas. Mirza Arman
tersenyum. Sempat mengelamun. Membayangkan Niffira.
Philip
pula mula menyedari Mirza Arman sudah terdiam. Dia menoleh ke arah Mirza Arman
yang berada di sebelahnya. Agak pelik apabila Mirza Arman seakan mahu memberi
sepenuh perhatian kepada kuliah yang sedang disampaikan pensyarah ketika itu
apabila mengambil sikap tunasuara padahal sebelum ini Mirza Arman suka
berborak-borak ketika kuliah sedang berlangsung.
Sebaik
melihat Mirza Arman senyum sendiri, Philip menggeleng-gelengnya.
Huh,
aku ingat khusyuk dengan kuliah, padahal mengelamun. Tak syak lagilah, dia
tengah mengelamun. Tengok muka pun aku dah tau. Apalah. Tak tercapailah hasrat
Tun Dr M nak tengok Wawasan 2020nya tercapai kalau macam ni. Sampai bilapun
rakyat Malaysia tak boleh maju jika belianya lebih senang berangan dalam dewan
kuliah! Ngomel Philip. Bagaimanapun ia sekadar bersiponggang di dalam hatinya
sahaja.
Selepas
itu Philip sendiri cuba untuk menumpukan perhatian pada kuliah yang disampaikan
pensyarah. Sekurang-kurangnya dengan tindakan tersebut mampu membuatkan memori
ingatnya terlupa tentang masalah yang telah dilaluinya semalam.
Pulang
nanti dia berharap gangguan sedemikian sudah tiada. Andai masih berlaku juga,
Philip akan berpindah rumah. Mungkin rumah tersebut berhantu! Masakan tidak
berhantu apabila jam locengnya berbunyi suara yang pelik, bukan detikan biasa
seperti jam-jam yang lain. Kemudian apabila jam itu sudah hancur dikerjakan
Philip, suara dari jam tersebut masih bergema.
Harap-harap
semuanya tidak akan berlaku lagi kerana jam itu sudah Philip buang ke dalam
tong sampah yang terletak lebih 500 meter dari rumah sewaannya.
BAB
SEMBILAN
Imza mendongak ke
langit. Akhir-akhir itu langit sering benar bersedih. Menangis entah untuk apa
sehingga merencatkan banyak kegiatan harian Imza. Masakan tidak, jika hari
hujan, mustahil dia akan ke tempat dia selalu melukis. Betul. Dia masih boleh
melukis di rumah. Menyiapkan lukisan dan potret tempahan pelanggan agar tidak
melangkaui masa yang dijanjikan. Masalahnya, sekiranya dia tidak ke tempat dia
selalu melukis, akan jadi mustahillah untuk dia menatap wajah Amar. Lelaki yang
memenuhi setiap fakulti benaknya.
Itulah yang menghampakan Imza. Dia tidak betah untuk
meneruskan aktiviti hariannya sekiranya dalam sehari tidak menatap wajah Amar.
Tidak boleh. Memang tidak boleh kerana sejak mengenali Amar, lelaki itu semacam
sudah menjadi semangat bagi Imza.
Bagaimanapun Imza tidak mahu terlalu menurut nafsu. Ada
beberapa potret yang perlu disiapkan. Cepat sudahnya, cepat juga Imza boleh
mendapatkan hasilnya. Tidak mahu dia susahkan ibubapanya walaupun mereka tidak
keberatan untuk menghulurkan duit poket buat Imza. Imza mahu berdikari. Tidak
mahu terlalu bergantung kepada ibubapa.
Imza merapati papan melukisnya. Potret di dalam lakaran
direnungnya. Gadis yang sedang dipetakan wajah pada kanvas itu nampak sungguh
cantik. Benar, dia sangat cantik. Malah kecantikannya tidak boleh sama sekali
dibandingkan dengan Imza kerana Imza dilahirkan dalam pakej serba sederhana.
Imza sedar tentang itu. Kemudian pandangan Imza tertumpu kepada jari-jemarinya.
Huh, dia tidak pernah kesal dilahirkan dengan jari-jemari yang begitu. Tidak
pernah kesal. Namun ada sedikit rasa terkilan apabila jari-jemarinya yang
terlebih sebatang berbanding orang lain menjadi isu untuk Mirza Arman mencaci
dan mengutuknya.
“Imza…” Suara ibu dari belakang mengejutkan Imza.
Imza menoleh ke arah ibunya. Ibu tersenyum di tempat dia
sedang berdiri.
“Kami nak keluar, Imza ada apa-apa nak dipesan?” Soal
ibu.
Menjadi kebiasaan bagi Imza untuk mengirim barang-barang
keperluan andai ibu bapanya mahu keluar membeli-belah.
“Tak ada nampaknya bu. Semua peralatan melukis Imza masih
lengkap.”
“Keperluan lain?”
“Pun masih ada, bu. Cuma tolong belikan Imza makanan
ringan.”
“Makanan ringan? Hemmm, masanya dah nak sampai tu.”
Imza tersenyum mendengar komentar ibunya. Dia faham apa
yang ibu maksudnya dan nampaknya ibu juga faham apabila dia sudah meminta
dibelikan makanan ringan bermakna masanya untuk datang bulan sudah sampai.
Ketika ini mood Imza juga boleh
berubah dalam sekelip mata.
Kerana moodnya
agak terusik juga dia menjadi agak kemutuan apabila sudah hampir tiga hari
tidak bertemu muka dengan Amar.
Ah, Amar!
Ibu sudah berlalu. Imza memerhatikan kereta ayah meluncur
keluar dari perkarangan rumah dalam
hujan yang masih melebat.
Aduhai, langit! Berhentilah menangis. Rayu Imza sambil
memandang ke atas. Langit nampak masih gelap. Tiada tanda hujan mahu berhenti.
Imza kembali mendekati papan melukisnya. Pun tidak
bertemu kekuatan untuk memalitkan sebarang warna di atas kanvas. Lalu dia
berlegar-legar di bilik kerjanya sendirian. Meneliti setiap lukisan yang pernah
dihasilkan. Salah satu daripadanya dititipkan pada bahagian bawahnya sebuah
puisi berstanza dua. Puisi Niffira.
Niffira?
Imza menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya
bersama keluhan yang agak berbaur dengan rasa serba salah.
Teringat tentang Mirza Arman yang menjadi pemuja Niffira.
Entah di mana kelebihan puisi Niffira menyebabkan Mirza Arman begitu memujanya
padahal dia tidak pernah kenal siapa Niffira.
Hish, jantan poyo yang pelik. Tak kenal tapi dengan mudah
memuja. Gerutu hati kecil Imza seraya menjauhkan diri daripada lukisan tersebut
lalu mula memanggil semangat untuk kembali melukis agar hadir dalam diri.
Lupakan Amar, lupakan Mirza Arman dan juga lupakan
Niffira.
Lupakan Niffira? Bolehkah untuk dia melupakan Niffira?
Ah, boleh atau tidak Imza perlu demi lukisannya yang
masih terbengkalai. Lalu Imza gagahkan semangat untuk mula memalitkan warna
pada kanvas. Selesai nanti dia akan hubungi pelanggan yang menempah lukisan
tersebut. Mengatur pertemuan antara mereka untuk menyelesaikan urusan mereka.
Sekejapan Imza sudah mula tenggelam
dalam dunianya sendiri. Melupakan tentang hujan yang masih kasar menimpa bumbung
rumahnya, sekali gus mencipta irama tersendiri.
Imza mengusung
lukisannya yang sudah sempurna menuju ke Kota Raya. Di situ dijanjikan sebuah
pertemuan bersama pelanggannya. Mujurlah hari minggu itu cuaca cerah dan langit
tidak menangis seperti dua tiga hari sebelumnya.
“Imza. Buat apa kat sini?” Philip tiba-tiba datang
menyapa.
“Awak…” Imza agak terkejut dengan pertemuan tersebut. Dia
membetulkan topi di kepalanya.
“Ish, macam tak senang saja tengok saya kat sini.”
“Err, Tak adalah macam tu. Cuma sedikit terkejut. Tak
pernah jumpa kat luar kolej sebelum ni.”
“Tu tandanya jodoh kita nak jadi kawan baik agak kuat.”
“Jadi kawan baik pun nak kena ada jodoh yang kuat jugak
ke?” Soal Imza sambil membetulkan kedudukan lukisannya di kaki. Berat jika terus
dipegang.
“Saya selalu dengar tentang jodoh pertemuan yang
diucapkan oleh orang melayu.”
“Hah,
ya lah tu.” Imza tanpa perasaan.
“Ni nak bawak ke mana lukisan ni? Beriya-iya nampak awak
mengusung lukisan ni.”
“Tak ada nak bawak ke mana. Nak serahkan kepada pelanggan
saja.”
“Ohh, kira ni yang dah siap ditempahlah. Boleh saya
tengok sikit hasil seni awak?” Philip cuba mengintai dari balik kertas yang
membaluti lukisan Imza.
“Tak bolehlah. Nanti pelanggan saya cakap saya tak jaga
betul-betul lukisan dia.”
“Kedekutlah awak ni. Kalau kasi saya tengok pun bukan
saya boleh buat apa. Bukan saya nak ciplak. Kerja-kerja melukis ni buat tangan
saya lumpuh serta merta, awak tau tak?” Bising Philip berbunyi memprotes sikap
Imza.
Imza tidak sempat membalas apa-apa kerana pelanggannya
sudah tiba. Imza mengukirkan senyuman kepadanya si pelanggan semasa menyerahkan
lukisan tersebut. Pelanggannya menyambut lukisan itu lantas dimasukkan ke dalam
kereta sebelum membayar sejumlah wang kepada Imza.
Terbeliak biji mata Philip melihat not lima puluh yang
sudah bertukar tangan. Bukan sekeping dua, tetapi pada perkiraan Philip lebih
daripada tiga keping. Lebih daripada tiga keping untuk sebuah lukisan
sebenarnya agak lumayan. Entahlah, itu pada pendapat Philip kerana dia
sebenarnya kurang arif tentang nilai sebenar sebuah lukisan.
“Huh, boleh tahan jugak cara awak cari duit poket ya.”
Ujar Philip sambil membontoti langkah Imza.
Imza menoleh ke arahnya. “ Ni, apahal awak ikut saya ni?
Ke nak minta saya belanja makan? Lain kali lah ya…saya ada hal ni. Banyak
kerja.”
“Amboi, bukan main sombong awak ya. Maklumlah pelukis
ternama.”
“Janganlah nak perli saya. Mentanglah saya hanya cari
makan di tepi jalan, bukan main nak kutuk saya ya.” Imza menarik muka. Memberi imej
cemberut pada wajah.
“Err, tak terniat saya nak kutuk awak. Malahan saya
bangga tengok cara awak cari duit poket sendiri. Kira satu anugerah jugak awak
pandai melukis tu.” Ujar Philip pantas bimbang Imza tersalah duga.
“Hah, anugerah, anugerah juga, yang awak ikut saya ni
apahal? Tak ada kerja?”
Philip tersengih. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia
boleh mengekori Imza. Dia sebenarnya hanya mahu keluar ambil angin sekitar
kota, terserempak dengan Imza langsung membuatkan dia tidak tahu hala tuju sebenarnya.
Lagipun dia sebenarnya tergugah tinggal di rumah seorang
diri apabila semua kawan serumah keluar dengan teman wanita masing-masing dan
Mirza Arman pula sibuk di rumah menyiapkan tugasan yang terbengkalai sejak
sekian lama. Mirza Arman memang suka buat kerja pada saat-saat akhir, besok
tarikh akhir hantar tugasan, hari ini jadi hari paling sibuk baginya. Mujurlah
semua bahan rujukan sudah ada. Kalau tak, dengan Philip sekali terpaksa
menyibukkan diri membantu Mirza Arman.
“Tak bolehkah kalau saya nak ikut awak ke tempat awak
selalu melukis?” Soal Philip bersama langkah yang diatur menyaingi Imza.
Langkah Imza terhenti. Dia memerhati Philip. Sekadar
mengesan kesungguhan pada wajah Philip. Nampaknya pemuda Kenyah itu serius
dengan tuturannya. Imza mula keralatan. Segan
sekiranya Philip melihat dia melukis. Selalu dia melukis depan orang
yang dia tidak kenal. Kalau yang dia kenal pun hanya Amar seorang. Pun dengan
Amar tidak menjejaskan walau sedikit kosentrasinya, malahan Amar jugalah
kekuatan untuk dia melukis. Maka tidak timbul masalah segan di situ.
“Boleh tak?” Philip memperlihatkan kesungguhannya.
“Daripada awak buang masa ke tempat saya melukis, lebih
baik awak call girlfriend awak dan
ajak dia makan-makan atau tengok wayang hujung-hujung minggu macam ni.”
“Orang macam saya ni manalah ada teman istimewa.”
“Kalau tak ada, ajak kawan poyo awak tu lah. Selalu berdua dengan dia, kan?”
“Hari ni dia sibuk. Siapkan assignment last minute, tu lah jadinya.”
Imza tidak mengeluarkan sebarang komentar. Lagipun tiada
sebarang kepentingan untuk dia berbuat demikian.
“Boleh ya saya ikut awak? Awak jangan bimbang, saya
takkan kacau awak melukis. Tak akan dekat dengan awak pun. Saya sekadar mahu
melihat suasana di situ.” Philip memberi jaminan.
Imza kemudian kembali mengatur langkah tanpa mempedulikan
Philip lagi. Terpulang dia mahu ikut Imza atau tidak. Andai dia tetap mengikut
Imza, dia akan berdepan dengan saat-saat membosankan kerana di sana nanti Imza
tentu tidak akan melayan bualnya apabila sudah berdepan dengan papan melukis.
Tiba di tapak melukisnya, Imza lantas mengambil bangku
dan duduk di depan papan melukis. Philip pula meninjau kawasan sekeliling. Imza
tidak peduli dengan tingkah lakunya. Sesekali dia sempat mencuri pandang ke wajah
Amar yang duduk bertentangan dengannya.
Sementara itu, Philip pula nampaknya sedang meneliti
setiap lukisan yang sedang Imza pamerkan sementara dia melukis. Philip terhenti
di depan sebuah lukisan pemandangan pada waktu senja dengan berlatar belakangkan
air terjun. Bukan lukisan pemandangan itu yang menarik minat Philip sebaliknya
sebuah puisi yang ditulis cermat di atas lukisan itu berserta tandatangan IMZA
NIFFIRA yang diletakkan di sudut paling bawah lukisan.
Kenapa mesti nama itu ditulis berangkai seperti itu?
Philip memandang ke arah Imza yang nampaknya sudah memulakan kerja-kerja
melukisnya. Adakah sudah menjadi kebiasaan bagi pemuisi dan pelukis yang
berkolaborasi akan meletakkan tandatangan dalam bentuk berangkai seperti itu
dan bukan IMZA DAN NIFFIRA seperti kebiasaan sekiranya berlaku kerjasama dalam
sesebuah karya tidak kira apa jua bentuknya?
Ah, dia belum begitu mengenali Imza, jauh sekali pula
untuk mengenali Niffira. Mentak mereka mempunyai bentuk hubungan yang agak
akrab memungkinkan mereka meletakkan nama dalam bentuk sebegitu. Akhirnya
Philip memaktubkan begitu meski ada rasa waham dalam hati.
BAB
SEPULUH
“Siapa tu? Tak pernah
tengok Imza bawak kawan ke mari?” Soal Amar merujuk kepada Philip yang masih
asyik meneliti lukisan-lukisan yang dipamerkan semasa dia mendekati Imza yang
sedang melukis sebuah lukisan abstrak menggunakan medium akrilik.
“Kawan satu kolej.”
“Kawan rapat?”
Imza memandang ke arah Philip sekilas. Kemudian dia
menggeleng. Amar jadi kehairanan dengan gelengan Imza.
“Ish, jangan cakap dia teman istimewa. Tak nampak
langsung macam teman istimewa.” Amar membuang jauh-jauh anggapan itu sebelum
sempat Imza memaktubkan apa-apa.
Kata-kata Amar membuatkan Imza membeliakkan matanya dan
menggeleng cepat.
“Saya tak kenal sangat dia tu, bang. Setakat jumpa di kolej.
Macam tu saja. Kebetulan ke Kota Raya serahkan lukisan kepada Encik Ghazali
tadi, kita orang terserempak. Terus dia ikut saya ke mari.”
“ Ohhh, patutlah.”
“Patutlah apa?”
“Patutlah tak nampak mesra pun.” Komen Amar sambil
membiarkan pandangan melekat pada batang tubuh Philip.
“Tapi tak salah kalau Imza dan budak tu rapatkan lagi
hubungan biar lebih mesra. Abang tengok boleh tahan budak tu.” Ujar Amar lagi
sebelum sempat Imza berkata-kata.
Terbuntang biji mata Imza sekali lagi mendengar kata-kata
tersebut. Dalam masa yang sama menerbitkan rasa kurang senang di hati Imza
terhadap kata-kata itu. Uhhh, macamlah dia tak tahu perasaan aku kepadanya.
Ngomel Imza kurang senang. Bagaimanapun ia hanya bersiponggang di dalam hatinya
sahaja. Tidak berdaya untuk diluahkan.
Malu dia jika memberi tahu gelojak di hatinya sedangkan
Amar dalam masa yang sama hanya bersikap endah tidak endah. Uhh, apalah
malangnya nasib jatuh hati pada yang tidak sudi. Atau jangan-jangan Amar pun
seperti Mirza Arman? Memandang hina kepadanya kerana dia langsung tidak
didatangkan dalam pakej yang menarik dan sama sekali tidak mengendahkan
kosmesis diri. Tampil seadanya.
“Dah…abang bergurau sajalah…” Amar bersuara apabila riak
pada wajah Imza nampak begitu-begitu sahaja.
Imza mengetap bibir. Terpedaya dia dengan sikap Amar
sekejap tadi. Ah, boleh juga Amar mahu menguji riak dalam hatinya.
“Imza, awak tak mau berhenti makan dulu?” Datang Philip
menyoal Imza. Kemudian menghadiahkan senyuman kepada Amar apabila pandangan
mereka bertaut.
“Makan? Tak maulah saya. Kalau awak nak pergi makan,
pergilah.”
“Tak seronoklah macam tu.”
“Ya, pergilah Imza. Tak baik buat kawan macam tu.”
“Abang tak mahu makan?”
“Nak, tapi bukan sekarang. Lepas solat zohor nanti.”
Imza memandang jam di pergelangan tangan. Benar. Sudah
hampir waktu zohor. Dalam masa begitu tentulah Amar akan mendahulukan solatnya
kemudian barulah meneruskan aktiviti lain dalam hidup.
“Kalau macam tu kita pergi makan sama-samalah.” Philip
pula bersuara.
Imza memandangnya. Nampak kurang senang dengan cadangan
Philip.
Mana tidaknya, mereka bukan kawan. Tiba-tiba saja Philip
seakan mahu mendekati Imza. Padahal Imza bukan tidak sedar Philip itu merupakan
kawan baik Mirza Arman. Pemuda yang paling dia tak suka di kolej tempat mereka
belajar.
“Kalau macam tu abang pergi surau dulu.” Amar meminta
diri.
Tinggal Philip dan Imza di situ serta beberapa orang lagi
karyawan lain dengan urusan masing-masing.
“Awak tak solat?” Soal Philip kepada Imza.
“Cuti.”
“Ohhh, boleh ya cuti solat.”
“Kami orang perempuan
perlu bercuti daripada solat apabila tiba masa-masa tertentu.”
“Contoh?” Philip dengan penuh rasa ingin tahu. Maklumlah
dia sebenarnya masih belum cukup jelas tentang agama Islam.
Selama ini dia hanya tahu Islam sebagai agama yang
menekan umatnya. Semua perkara yang dimaktubkan di dalam agama seperti solat
dan puasa merupakan perkara yang wajib dilakukan dan tidak boleh dipandang
ringan.
Imza serba salah untuk menjelaskan kepada Philip. Lagipun
urusan cuti bulanan kaum perempuan merupakan urusan peribadi yang amat
sensitif. Tidak perlu disuarakan secara vokal cukuplah orang-orang di
sekeliling faham dengan sendiri.
“Imza, saya suka untuk mengetahui banyak perkara tentang
agama lain.”
“Dalam agama kami, jika keuzuran, kami ditegah mendirikan solat.”
“Uzur? Kaki tembelang betul awak ni, ya. Saya tengok awak
okey saja…dengan Tuhan pun awak nak menipu.”
“Oii, mulut tu biar ada insuran ya. Uzur yang saya maksudkan…ehhhh
susahlah awak ni. Cakap pun awak bukan faham.” Imza keberatan untuk
menjelaskan.
“Bagi taulah agar
saya jelas tentang agama awak.”
Imza nampak berkira-kira untuk memulakan. Dia perlu
mengatur diksi paling baik untuk diterangkan kepada Philip. Kalau benar Philip
ingin tahu tentang agama Islam tidak salah agar tidak timbul kekeliruan dalam
benak Philip tentang agama yang suci itu.
“Dalam Islam, kita tak perlu nak buat amal ibadat wajib
seperti puasa dan solat sekiranya kita uzur syarie…iaitu uzur yang tak dapat
dielak lagi. Salah satunya apabila kami orang perempuan period dan sesudah mengalami proses melahirkan anak. Ketika ni kami
tak boleh solat, puasa, membaca quran, pegang quran dan masuk ke masjid.” Imza
cuba menjelaskan dalam bahasa semudah mungkin untuk membolehkan Philip faham
penerangan yang diberi.
Philip mengangguk-angguk.
“Orang lelaki?”
“Orang lelaki tiada apa-apa yang boleh menghalang mereka
daripada melakukan amalan wajib. Selagi berdaya dan masih berkeadaan waras, mereka
wajib melakukan segala amanah Allah terhadap mereka.”
“Tulah yang beratnya dalam agama awak.”
“Tu bukan berat. Allah maktubkan semua tu untuk
mendisiplinkan umat manusia, umat Islam. Tuhan kami tak minta banyak selain
ketaatan terhadap-Nya setelah apa yang diberikan kepada kami selama hidup di
dunia.” Ujar Imza.
Dalam hatinya berharap dia telah menyampaikan sesuatu
yang benar kerana sejauh soal agama, Imza tidak terlalu pandai untuk
menyampaikan kepada orang lain memandangkan dia bukan seseorang yang berilmu
tinggi dalam hal agama Islam. Masih banyak perkara yang dia tidak tahu dan dia
hanya cuba menyampaikan sekadar yang diketahui.
Philip tidak membalas jawapan yang diberi Imza. Mereka
baru kenal. Tidak mahu memprovok Imza dengan pelbagai soalan yang boleh memberi
imej negatif terhadap diri sendiri. Nanti apa pula kata Imza. Baru kenal tapi
sudah berani mengutarakan banyak isu sensitif. Tambahan pula, Philip cukup
sedar persoalan tentang hal-hal yang berkaitan kepercayaan masing-masing merupakan
suatu kondisi yang amat sensitif sekali.
“Saya tertarik dengan satu lukisan awak.” Philip akhirnya
mengubah topik perbualan.
“Lukisan yang mana?” Soal Imza dan dalam masa yang sama
hanya Allah yang tahu betapa leganya dia kerana Philip sudah tidak berminat
untuk melanjutkan isu agama lagi.
Sekiranya Philip terus menggasaknya dengan pelbagai
soalan, Imza takut dia sendiri tidak mampu untuk menjawabnya dan seterusnya
terperangkap dengan kejahilan sendiri. Menurut intuisi Imza, Philip ada agenda
sendiri apabila mula bercakap tentang hukum-hakam dalam agama Islam. Walau
seteruk manapun Imza sebagai penganut agama Islam, dia harus berhati-hati
dengan orang-orang bukan Islam kerana mereka sentiasa ada agenda ke atas orang Islam.
Imza sering merasakan begitu.
“Lukisan seorang perempuan menilik ke dalam air, kemudian
air tu memantulkan wajahnya dalam dua bentuk. Sebelah wajahnya yang terbias di
dalam air berwajah cantik, sebelah lagi berwajah herot dan menggerunkan. Apa
maksud lukisan tu?”
Imza tersenyum. “Tulah hakikat tentang diri kita. Tentang
hati kita. Tak semua baik dan murni dalam diri kita. Ada sisi gelap, jahat dan
menggerunkan sekiranya kita tilik dalam-dalam ke dalam diri. Unsur jahat
seperti buruk sangka, hasad dengki, suka mengutuk orang dan pelbagai sikap
buruk tu memang ada dalam diri kita.”
“Wahhh, bijak juga awak menterjemahkan semua tu dalam
sebuah lukisan ya. Satu lagi yang saya tak faham, kenapa awak dan Niffira
letakkan tandatangan berangkai kat sebuah lukisan awak yang ada puisi dia?”
“Tandatangan berangkai?”
“Ya, saya hairan tengok awak dan dia tulis IMZA NIFFIRA
dan bukan Imza dan Niffira seperti sepatutnya.”
“Niffira yang minta saya tulis macam tu, konon katanya
biarlah lukisan dan puisi tu nampak sejiwa. Kalau dipisahkan nama kami, karya
tu tak kan nampak satu. Salah satu akan tenggelam. Dia tak mahu jadi macam tu.”
Philip melepaskan keluhan. Satu jawapan yang boleh
diterima akal dan langsung tidak boleh disangkal lagi. Mereka berdua orang
seni, hanya orang seni yang tahu menilai sentimetalnya satu-satu karya dan juga
tandatangan mereka. Semua perkara yang berkaitan hasil seni bersebab termasuk
juga tandatangan yang mereka letakkan pada karya mereka. Philip cuba fahamkan
perkara tersebut begitu.
“Nampaknya awak dan Niffira memang kenal baik dan bukan
hanya terbatas kepada kerjasama dalam karya seni saja…maknanya awak cukup kenal
siapa dia.”
“Kenapa awak cakap macam tu?”
“Tak adalah. Selama ni saya dan Mirza Arman sering
tertanya-tanya siapa sebenarnya Niffira tu. Gendernya,
umurnya, rupa parasnya. Pendek kata semua tentang Niffira memang jadi
persoalan.”
Imza tersenyum sumbing mendengar kenyataan Philip. Ya,
dia cukup sedar betapa selama ini Mirza Arman terlalu memuja Niffira. Dia cukup
ingat tentang perkara itu lalu tidak mustahil Niffira sentiasa menjadi bahan
bualan mereka. Tidak mustahil juga wujud penuh rasa ingin tahu mereka tentang
Niffira.
“Assalamualaikum.” Amar muncul memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Balas Imza sementara Philip hanya
mengangguk kepada Amar bersama senyuman di bibir.
“Jomlah kita pergi makan.” Ajak Amar.
Imza bangun untuk menyaingi Amar dan Philip juga
nampaknya sudah siap membuka langkah.
BAB
SEBELAS
Philip menggantung
lukisan yang dibeli dengan Imza di dinding bilik. Lukisan yang mencuri
tumpuannya semasa dia berkunjung ke tempat Imza melukis siang hari tadi. Itulah
lukisan yang memaparkan seorang perempuan menilik wajah ke dalam air. Selesai
menggantungkan lukisan tersebut, Philip duduk di birai katil. Mengadap ke
lukisan yang terletak elok di dinding.
Setiap orang ada sisi gelap dalam diri. Tidak kira
jantina, tidak kira berapa umur, tidak kira bangsa dan tentu juga tidak kira
agama. Philip tidak mahu menafikan perkara tersebut dan Imza telah
menterjemahkan kenyataan itu dalam sebuah lukisan. Terselit rasa kagum Philip
terhadap pemikiran Imza. Ternyata dia mempunyai tahap kritis yang boleh tahan
juga.
Kemudian dia teringatkan Niffira. Patutlah mereka mampu
bekerjasama dengan baik selama ini, masing-masing seniman yang kritis tentang
permasalah masyarakat dan segala unsur yang wujud di dalamnya.
Bagaimanapun Philip agak kelucuan apabila teringatkan
sessi tawar menawar antara mereka berkenaan harga lukisan tersebut.
“Rugilah saya kalau macam ni. Kalau jual kat orang lain
mahu beratus duit saya terima ni!”
“Alah, janganlah berkira sangat sesama kawan.”
“Bila masa pula kita ni kawan? Saya tak pernah cakap pun
kita ni kawan.”
“Saya nak kawan dengan awak, tak kisahlah awak sudi ke
tak. Sebab tu awak patut rendahkan sikit harga lukisan ni. Saya dah berkenan
sangat ni.”
“Peduli apa saya kalau awak berkenan atau tak.”
“Alah, bolehlah ya.”
Imza keberatan. Amar pula hanya menggelengkan kepala dan
sesekali tersenyum melihat gelagat mereka berdua dari tempat dia sedang
melukis.
Akhirnya setelah agak lama tawar-menawar, Imza terpaksa
akur dengan permintaan Philip yang meletakkan harga lukisan itu sebanyak RM155,
melebih separuh daripada harga asal. Itupun kerana Imza sibuk apabila ada
pelanggan yang mahu membeli lukisan abstrak yang menggunakan medium arang
karyanya. Jika tidak tentu mereka masih memanjangkan sessi tawar-menawar itu.
Sekarang lukisan itu sudah menjadi milik Philip dan sudah
pun tergantung elok di dinding bilik Philip. Namun terngiang di telinga Philip
amanat terakhir Imza semasa lukisan itu bertukar tangan.
“Jangan pula nanti awak memuja saya gara-gara lukisan ni
macam kawan poyo awak tu puja Niffira
gara-gara puisi dia.” Begitu amanat Imza. Bunyinya seakan dia berparodi namun
maksudnya memang agak mengesankan.
Memuja Imza? Hem…ada getar halus dan seakan malu-malu
dalam dada Philip mengingatkan itu terutama apabila dia terkenangkan lekuk di
kedua-dua belah pipi Imza tatkala dia mengukirkan senyuman. Nampak manis dan
manja. Juga comel sekali!
Langsung Philip teringat pula tentang sikap Imza yang
agak kalut dan kecoh berbeza sekali dengan persepsi Philip terhadapnya selama
ini. Dulu setiap kali melihat Imza dibuli Mirza Arman, dia menyangkakan gadis
itu pediam dan tidak banyak bunyi, rupanya pandai juga Imza berkicau apabila
kena pada gayanya. Lalu Philip merasa seronok pula mahu mengusik Imza sekali
gus rasa teruja untuk mengenali Imza dengan lebih dekat lagi.
Sekonyong-konyong Philip sedar terlalu banyak sudah masa
dihabiskan dengan mengingati Imza dan setiap masa yang mereka habiskan siang
tadi. Philip menggeleng-geleng. Baru dia sedar masa-masa berharganya berlalu
begitu sahaja. Sedangkan masih terlalu banyak perkara perlu dilakukan. Terutama
urusan membersihkan tubuh yang sejak tadi terbantut. Seharian bersama Imza di
tempatnya melukis membuatkan Philip lupa pasal mandi dan urusan peribadi lain.
Namun dia tetap tidak menolak hakikat bahawa dia sangat
seronok seharian di tempat Imza melukis. Ia bukan sahaja membuat dia kenal
lebih dekat siapa Imza tetap membawa juga kepada perkenalannya dengan Amar yang
apabila diteliti raut wajahnya, Philip merasakan Amar persis seseorang yang dia
kenal sangat.
Ya. Amar mirip Mirza Arman.
Philip kelucuan memikirkan tentang perkara itu. “Ish,
macam aku rindu sangat kat Mirza hingga terbayang wajah dia apabila aku tengok
Abang Amar tadi.” Lalu Philip tergelak.
Ketawa Philip mati apabila daun pintu biliknya diketuk.
Philip bergegas bangun untuk membuka pintu. Teman serumahnya berdiri di situ.
“Apahal Bernard?” Soal Philip kepada Bernard.
“Kau tak keluar malam ni?”
“Tak kot, aku baru saja balik. Kenapa?”
“Aku nak pinjam dua tiga helai paper A4, nak buat assignment.
Mana tahu paper aku dah habis.”
“Ish, kau ni sama macam Mirza. Suka buat kerja last minutes .”
Bernard tersengih tanpa ada niat mahu membalas komentar
Philip.
Philip berlalu dari muka pintu untuk mengambil beberapa
helai kertas bersaiz A4 seperti yang dipinta Bernard. Disuakan kepada Bernard
yang sabar menanti di muka pintu.
“Sebut pasal Mirza, lama aku tak tengok dia datang ke
rumah kita.”
“Ada. Kau yang jarang melekat kat rumah tu yang tak
nampak dia ke mari.”
“Hehehhe, ya ke?” Bernard menggaru-garu kepalanya. “Anyway, thanks bro untuk paper ni. Nanti aku ganti balik besok.”
“Hah, tak payahlah nak ganti, nanti bila tiba turn aku kehabisan paper, taulah aku minta balik.”
“Ohh, okey.”
Bernard pun berlalu dan Philip sudah sedia untuk masuk ke
bilik mandi. Sesudah mandi dia mahu terus tidur kerana penat seharian berada di
luar rumah.
Philip merebahkan tubuh ke tilam. Ah, nikmatnya! Seharian
di luar tentulah memberi kenikmatan yang tidak terhingga apabila mula
merebahkan tubuh ke tilam. Sekejap kemudian Philip sudah terlelap. Philip
terbuai dengan mimpi indahnya. Mimpi di
mana dia berada di satu tempat yang cukup berwarna-warni dengan bau-bau bungaan
segar menusuk terus ke hidung Philip. Philip tidak tahu dia berada di mana.
Sungguh dia tidak tahu kerana tidak pernah melihat tempat yang sebegitu indah
di alam nyata mahupun di dalam filem yang pernah ditontonnya.
Philip mengitari seluruh kawasan. Dia berada di antara
dua tiang yang jarak antara kedua-dua tiang itu bagaikan jarak antara langit
dan bumi. Tersangat jauh namun Philip masih boleh melihat tiang tersebut
diperbuat daripada emas. Terapannya daripada kasturi yang harum baunya dan
tanahnya daripada ambar disertakan dengan rerumput daripada za’faran. Juga
terdapat beberapa batang sungai. Sungai yang utama lebarnya bagaikan memakan
masa sebulan perjalanan, airnya terlebih putih berbanding susu. Baunya pula
teramat harum daripada kasturi. Kemudian ada pula sungai yang airnya terlebih
putih berbanding embun dan beberapa sungai yang tidak terkira bilangannya.
“Anak…” Seorang tua menyapa Philip dari belakang.
Philip menoleh arah datangnya suara. Seorang lelaki tua dalam pakaian serba putih mengukir
senyuman kepada Philip. Wajahnya berseri dan bercahaya. Cahaya itu bagaikan
terpancar bersama senyuman yang terukir pada wajahnya.
“Saya di mana ni pakcik?”
“Anak sekarang berada di satu tempat yang memang anak nak
datang.”
“Memang saya nak datang?” Philip terpinga-pinga bersama
soalannya. Dia mengitari lagi seluruh kawasan di situ.
Tersangat indah. Tentulah dia memang mahu ke situ.
“Ya, semua orang nak datang ke sini tapi anak antara
orang yang terpilih untuk ke sini.”
“Saya antara orang yang terpilih?” Sekali lagi Philip
terkeliru.
Philip mengambal
ke arah lelaki tua berwajah bersih dan polos tersebut. Dia masih tersenyum di
tempat tadi.
“Ya, anak antara orang yang terpilih sekiranya anak ikut
apa yang termaktub dalam naskah ni.” Orang tua itu seraya mendekati Philip dan
menghulur satu buku yang belum Philip pastikan buku apakah ia.
Philip mahu menyambut buku tersebut. Ketika itulah
bagaikan ada angin bertiup dan helaian buku itu terselak dengan sendiri lantas
mengeluarkan cahaya yang berkilau-kilau membuatkan Philip tersentak pantas mengangkat
tangannya untuk menghalang cahaya tersebut daripada terus menusuk ke matanya.
Terlalu silau cahaya itu. Terlalu.
Apabila Philip menjatuhkan kembali tangannya ke bawah.
Cahaya itu sudah tiada. Orang tua yang menghulurkan buku itu juga sudah tiada.
Ah, barulah Philip perasan, rupanya dia sudah terjaga dari mimpi.
Philip menelan ludah. Mimpi itu bagaikan nyata. Malahan
matanya juga masih perit dan silau dek pancaran cahaya dari buku dalam
mimpinya. Jantungnya pula tidak reti diam. Berdetak-detak dengan hebat. Philip
kepenatan. Philip juga keharauan.
Dia bangun dari tilam. Termenung di birai katil dengan
perasaan yang sukar dimengertikan.
Tempat itu sungguh indah. Walaupun hanya dalam mimpi tapi
begitu berkesan sekali dalam hati aku. Adakah tempat seindah tu di dunia nyata
ni? Gumam jiwa Philip penuh rasa ingin tahu.
Dalam termangu begitu sekonyong-konyong kedengaran azan
daripada masjid berdekatan rumahnya menandakan sudah masuk waktu subuh. Philip
tersentak. Lebih tersentak apabila azan yang didengar itu bagaikan menyelinap
ke dalam hatinya padahal suara azan dengan laungan Allahu akbar berkali-kali itu bukan sesuatu yang asing bagi Philip.
Namun mengapa kali ini ia kedengaran lain dan begitu menusuk kalbunya? Bagaikan
membelai-belai hati Philip. Mengusir jauh segala kesuraman dan keresahan yang
pernah menghantui Philip selama ini.
Philip merasa pelik. Mengapa boleh timbul perasaan itu
walhal itu bukan kali pertama dia mendengar seruan azan? Mengapa juga seruan
itu boleh mencipta damai dan tenang mengatasi kitab bible serta doa Jesus yang dibacanya? Padahal Philip tetap tidak
memahaminya seperti selalu. Ah, Philip terasa dingin,nyaman dan mengasyikkan
sekali ketika azan berkumandang pagi itu.
Wahai Jesus, kenapa selama ni perasaan sebegini tak
pernah hadir semasa aku membuka dan membaca kitabmu? Soal hati kecil Philip
lagi. Tidak semena-mena juga airmata Philip mengalir di pipi tanpa dapat
ditahan lagi.
Lama dalam keadaan menangis, akhirnya Philip menyeka
airmata sendiri. Mengangkat wajah demi mengumpul kembali kekuatan yang agak
terhakis. Pandangan ditumpukan kepada lukisan Imza yang masih melekat di
dinding bilik.
Tiap orang ada sisi gelapnya. Bergumam kenyataan tersebut
dalam diri Philip.
Dan ketaatan dalam beragama boleh menghapuskan sisi gelap
dalam diri seseorang.
Philip tersentak. Entah dari mana timbulnya suara
tersebut. Dia mengitari seluruh ruang biliknya. Tiada sesiapa.
“Aku ni dah gila kah apa?” Soal Philip kepada diri
sendiri.
Kemudian baru dia sedar imej dalam lukisan Imza bagaikan
bergerak-gerak. Philip bangun mendekati lukisan itu, makin hampir makin terasa
imej itu bagaikan bergerak. Philip menelan ludah. Menyentuh imej di dalam
lukisan untuk memastikan pandangannya tidak silap.
Ya Tuhan! Philip betul-betul terkesima apabila imej
perempuan dalam lukisan itu kini sudah bertukar dengan imej lelaki tua yang
ditemui dalam mimpinya.
“Tak. Ni semua mimpi. Mimpi!” Philip menjerit-jerit.
Sukar untuk dia menerima halusinasi yang bermain di
matanya.
BAB
DUA BELAS
“Apa ni?” Soal Imza
semasa Philip menyerahkan bingkai lukisan kepadanya.
“Lukisan awak yang saya beli semalam.”
Imza memandang ke wajah Philip dengan penuh tanda tanya.
Semalam beriya-iya mahukan lukisan tersebut. Sanggup tawar-menawar dengan Imza
alih-alih hari ini datang mencari Imza semata-mata mahu menyerahkan kembali
lukisan itu kepadanya.
“Jangan cakap awak nak duit awak kembali. Goods sold are not returnable.”
“Tak. Ni bukan pasal duit. Lukisan awak tu berhantu.
Berpuaka.”
Meledak tawa Imza tatkala mendengar dakwaan Philip.
“Awak ni penakut, ya. Baru renung imej menakutkan terus
anggap lukisan saya ni berhantu.”
“Betul. Lukisan awak berhantu. Imej dalam tu boleh
bergerak. Sebab terlalu lama merenung imej dalam lukisan tu juga buat saya
mimpi yang bukan-bukan.”
“Mimpi bukan-bukan sebab lukisan saya? Awak ni memang ada
penyakit mental. Tak pernah ada sesiapa mendakwa lukisan saya berhantu dan
berpuaka dan alami mimpi pelik sebelum ni. Malah ada lukisan yang lebih seram
berbanding lukisan ni pernah saya buat dan jual. Tak ada pula dakwaan macam ni
timbul.”
“Terpulanglah awak nak cakap apa tapi saya memang nak
pulangkan lukisan ni. Duit tu awak simpanlah. Saya tak mau.”
“Ish, mana boleh macam tu? Saya bukan mengemis duit
sesiapa. Kalau awak tak mahu lukisan ni, awak boleh pilih lukisan lain. Kalau
yang lebih tinggi nilainya, saya tak minta awak tambah duit, kalau yang lebih
rendah nilainya saya pulangkan nilai selebihnya.”
La, boleh tahan juga tahap ego si Imza ni. Siap cakap tak
nak mengemis duit sesiapa. Philip mula berkira-kira di dalam hati berkaitan
tawaran yang diberikan Imza.
“Kalau macam tu saya ambil lukisan pemandangan waktu
senja yang ada puisi Niffira tu.”
“Hah, eloklah. Lukisan tu pun bukan mahal sangat. Tak adalah
rugi sangat saya.”
Ish, dia ni! Asyik pikir pasal duit saja. Langsung tak
ambil peduli soal masalah yang aku alami…tapi betulkah semua ni berpunca daripada
lukisan dia? Ah, lantaklah. Janji aku tak mau simpan lukisan ni. Ngomel hati
Philip.
Setelah bertukar lukisan, Philip terus berlalu. Dia ingin
ke rumah Mirza Arman. Mahu menyerahkan lukisan Imza tersebut kepada Mirza
Arman. Dia tidak mahu menyimpan apa-apa lukisan lagi di rumahnya. Dia tidak
sukakan sebarang bentuk gangguan yang berlaku. Seperti dia langsung tidak
menggunakan jam loceng sejak jam tersebut mengeluarkan detakan pelik dahulu.
Dia benar-benar penat dengan segala bentuk gangguan yang berlaku ke atas
dirinya.
“Apahal tu?” Soal Amar apabila melihat Philip
terkocoh-kocoh meninggalkan tempat mereka melukis.
“Tukar lukisan. Konon yang ni berhantu.” Beritahu Imza
sambil tangannya menunjuk ke arah lukisan yang sudah ditinggalkan Philip.
“Berhantu?”
“Ya, konon katanya, imej dalam lukisan ni
bergerak-gerak.”
“Hah, ni dah kes baik. Bermakna karya Imza benar-benar
hidup. Susah tau nak buat lukisan kita benar-benar hidup.” Seloroh Amar.
Imza tersengih mendengar selorohan Amar. Dalam diam-diam
Amar ada juga biolnya. Kutuk Imza di dalam hati. Begitupun Imza tidak mahu
memikirkan banyak tentang hal tersebut. Dia masih mempunyai beberapa lukisan
yang perlu disiapkan. Tidak boleh melelewakan masa yang ada dengan memikirkan
perkara yang bukan-bukan.
“Lukisan apa ni?”Soal
Mirza Arman semasa lukisan bertukar tangan.
“Tengoklah sendiri.”Philip dengan menjawab dengan suara
sedikit kendur dan mendatar.
Mirza Arman membuka balutan lukisan tersebut. Philip
hanya memerhati. Kening Mirza Arman tercantum menjadi satu tatkala melihat
lukisan pemandangan tersebut. Dia mengakui lukisan tersebut indah dan menarik.
Bagaimanapun hati lebih teruja melihat puisi yang terukir di atas lukisan itu
tetapi wajahnya berubah apabila melihat nama yang tercatat di lukisan itu.
“Memandai dia letakkan nama berangkai dengan Niffira. Macamlah nama dia
besar sangat dalam bidang ni menyamai nama besar Niffira dalam bidang puisi.”
“Niffira yang minta dia tuliskan begitu.”
“Niffira yang minta?”
“A’ah dan kau pulak jangan pandang lukisannya, pandang
puisi tu.”
“Apasal kau tetiba baik hati bagi aku hadiah ni?”
“Sebab aku sayang kau.”
“Uweekkk! Kau jangan nak buat gila di sini. Sekalipun aku
belum ada makwe tak bermakna aku minat kaum sejenis. Simpang malaikat!” Mirza
Arman menumbuk ke bahu Philip pantas mendengar kata-kata Philip.
“Aku berguraulah…” Philip mencipta jeda. Serba salah
untuk menceritakan perkara sebenar kepada Mirza Arman ataupun tidak.
“Macam ada masalah saja.” Mirza Arman merenung Philip
tatkala menyedari riak berlainan pada wajah Philip. Tidak seperti selalu.
Philip tidak tahu waima mahu bercerita kepada Mirza Arman
ataupun tidak. Biarpun mereka berkawan rapat, Philip tidak pernah sesekali
memberitahu Mirza Arman tentang gangguan-gangguan pelik yang dihadapinya
termasuklah gangguan detakan jam sehingga menyebabkan dia hampir demam. Dia
tidak tahu penerimaan Mirza Arman. Lagipun kalimah yang keluar dari jam
tersebut menyebut kalimah yang dianggap suci dalam agama Islam. Agama Mirza
Arman. Dia tidak mahu perkara tersebut menjadi isu sensitif dalam persahabatan
mereka.
“Kalau kau ada masalah,jangan keberatan nak kongsi dengan
aku.” Mirza Arman memberi jaminan melihat Philip bagaikan teragak-agak sehingga
mencipta jeda begitu lama dalam kata-katanya.
“Tak ada apalah.” Philip menjawab dalam nada mendatar.
Mirza Arman tiba-tiba bangun dari tempat duduknya.
Berdiri dan mencelikkan mata kepada Philip seakan ada sesuatu membakar
buntutnya.
“Kau jangan cakap kau beli lukisan ni sesaja untuk mengambil
hati budak miskin tu.”Soal Mirza Arman meskipun dia sendiri enggan menerima
kemungkinan tersebut.
“Kau jangan nak buat lawak. Apahal lah pulak aku nak ambil hati dia?” Nada suara Philip agak
bertenaga apabila mempersoalkan perkara tersebut.
“Huh, mana aku tau dalam diam kau ada hati kat dia.
Lagipun selama ni kau selalu bela dia kalau aku kutuk dia, hina dia.”
“Pehhhh, banyak
kau punya ada hati.” Philip pantas menidakkan biarpun dalam masa yang sama
citra maya Imza tersenyum menampakkan lekuk di kedua-dua belah pipinya muncul
di depan mata sekali gus membuatkan Philip tersenyum sama.
Mirza Arman pelik melihat Philip tersenyum dalam masa
mulutnya mengeluarkan penafian terhadap tebakan Mirza Arman.
“Pelik aku tengok cara kau senyum tu.” Mirza Arman
menegur Philip.
Citra maya Imza langsung hilang sebaik Philip terdengar
suara Mirza Arman menegurnya dalam intonasi menyindir. Pantas dia cuba berlagak
selamba.
“Alah kau ni. Aku senyum sebab gelihati dengar kau
menuduh bukan-bukan. Kau kena ingat satu perkara, Imza muslim dan aku non-muslim.”
“Bermakna kalau kau orang berdua menganut agama yang
sama, kemunginan tu ada?” Mirza Arman memerangkap Philip dengan isu yang
diwujudkan Philip sendiri.
“Ish, kau ni saja nak mainkan aku. Hah, dahlah cakap
hal-hal yang tak masuk akal ni. Lagipun aku dah nak gerak ni. Banyak hal aku
nak setel kat rumah.” Philip mengelak
begitu.
“Lukisan ni?”
“Kau simpanlah. Aku memang beli untuk kau lepas aku
tengok ada puisi Niffira di situ. Aku yakin puisi tu tak pernah diterbitkan
dalam mana-mana majalah dan akhbar.”
“Hemmm.” Itu saja non-verbal
yang mampu keluar merentas peti suara Mirza Arman tatkala dia meneliti kembali
puisi yang tertulis elok di atas papan lapis yang dijadikan medium lukisan Imza
kali itu.
Philip sudah tiada. Tinggal lagi hanya Mirza Arman
merenung dalam ke arah lukisan yang ditinggalkan Philip.
“Boleh tahan juga jiwa seni budak ni. Lukisan dia hidup.
Nampak seperti dirakam dengan kamera dan bukan dilukis. Ish, betulkah dia yang
lukis atau Philip sengaja nak kenakan aku agar aku berbaik-baik dengan budak
tu?” Gerutu Mirza Arman mula menyimpan anggapan yang bukan-bukan terhadap niat
sebenar Philip.
“Tapi…” Mirza Arman mengubah gesture.
Kali ini bangun berdiri seakan ada perkara yang dia tidak
puas hati.
“Mana boleh budak tu rapat dengan Niffira, sepatutnya aku
yang rapat dengan Niffira. Bukan budak miskin dan jakun tu.”
Mirza Arman mundar-mandir di dalam biliknya. Hatinya
benar-benar tidak senang apabila benih iri semakin bercambah terhadap Imza. Dia
merasa cukup dengki kerana Imza berpeluang kenal dan rapat dengan Niffira
sehingga mampu mencipta kata sepakat dalam kerja seni mereka. Dia memang cukup
tidak berpuas hati. Dia juga mahu rapat dengan Niffira.
“Man boleh mama masuk?” Tiba-tiba ada suara mamanya di
balik daun pintu meminta kebenaran untuk masuk ke bilik Mirza Arman.
“Masuklah ma, pintu tak kunci pun.” Mirza Arman memberi
kebenaran.
Datin Riena tersembul dari balik daun pintu. Melangkah
mendekati Mirza Arman yang sedang duduk di katil bersama senyuman penuh di
wajah. Apabila dia sudah dekat pada Mirza Arman, diusapnya kepala satu-satunya
anak yang dia ada dengan penuh kasih sayang.
“Apahal ma?” Soal Mirza Arman sambil mengelak daripada
diusap kepala oleh ibu sendiri dengan lembut agar Datin Riena tidak berkecil
hati.Dia bosan dilayan seperti anak kecil oleh Datin Riena.
“Hujung minggu depan mama dan papa nak ke rumah Tan Sri Ariffin, Man nak ikut tak?”
“Ish, tak maulah saya. Macam budak kecillah kalau selalu
mengekor mama dan papa.”
“Alah, kalau Man ikut mama dan papa, mana tahu boleh
berkenalan dengan anak gadis mereka.”
“Apahal mama dan papa nak Man kenal dengan anak gadis Tan
Sri tu?”
“Biasalah. Agenda perniagaan.”
“Huhhh, taktik klise
ma. Asal mahu melobi projek biar anak-anak berkenal-kenalan satu sama lain.
Apabila anak-anak dah mula rapat, mula bercadang nak jodohkan pula. Anak-anak
pulak taklah berkenan sangat tapi terpaksa menurut gara-gara kepentingan
perniagaan orang tua. Tu sebab apabila dah berkahwin, masing-masing mula makan
luar.” Komen Mirza Arman spontan.
Datin Riena pantas berwajah kelat. Termakan hati dengan
komentar anak sendiri.
“Tan Sri ni orang
berpengaruh, Man. Senang papa nak dapatkan banyak projek mega jika rapat dengan
Tan Sri ni.”
“Ya lah, dah nama pun Tan Sri …”Mirza Arman membalas
sambalewa.
“Man, bukan selalupun mama dan papa buat macam ni.
Lagipun mama dan papa bukan nak Man kahwin dengan anak dara dia pun. Sekadar
berbaik-baik.”
“Mama…bosanlah macam ni.”
“Man, perniagaan papa tak stabil sekarang ni. Persaingan
terlalu banyak. Kita perlu rebut apa saja peluang dan cara yang ada di depan
mata. Man tak kesiankan papa?”
Mirza Arman melepaskan keluhan. Bosan apabila terpaksa
melibatkan diri dalam agenda perniagaan papanya, Dato’ Rayyan.

No comments:
Post a Comment