BAB
TIGA BELAS
Allahu
akbaru kabiraw-walhamdu lillahi kathiraw-wasubhanallahi bukrataw-wa-asila.
Wajjahtu wajhia lillazi fataras sama-wati wal-ardha hanifam-muslimaw-wama ana
minal musyrikin. Inna salati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi
rabbil-‘alamin. La syarikalahu wabiza-lika umirtu wa ana minal muslimin.
Lelaki tua yang pernah Philip temui dalam taman yang
indah dahulu kini datang masih dengan wajah yang berseri-seri dan mengajarkan
kalimah-kalimah tersebut kepada Philip. Philip dengan rela menurut setiap patah
kalimah yang diajar lelaki tua tersebut. Kemudian apabila bacaan Philip lancar,
lelaki tua dengan wajah berseri dan bersinar-sinar itu meminta Philip mengulang
baca kalimah-kalimah yang Philip tidak faham maknanya sendirian. Anehnya,
Philip dengan mudah melafazkan setiap kalimah itu tanpa tersekat-sekat. Sebaik
Philip selesai membaca kalimah itu, lelaki tua itu ghaib. Philip tersentak.
Kala itu juga Philip terjaga dari tidurnya. Dadanya
bergelombang hebat. Peluh merintik pada dahi dan seluruh wajah Philip.
“La syarikalahu
wabiza-lika umirtu wa ana minal muslimin.” Tidak semena-mena itu juga
Philip melafazkan barisan ayat tersebut dengan lancar. Jelas di telinganya
sendiri.
“Ayat apa tu? Kenapa aku boleh ingat barisan terakhir
ayat dalam mimpi tu dengan jelas?”Soal Philip kepada dirinya sendiri.
Lalu Philip bangun membuka lampu bilik. Kemudian merapati
meja belajarnya. Membuka laci dan menggagau sesuatu di situ. Apabila tangannya
sudah mencapai objek yang dicari, dikeluarkan sebuah bible lalu dengan tidak sabar-sabar dibelek naskah bible tersebut dengan penuh rasa ingin
tahu.
Dia ingin cari kalimah-kalimah yang baru terlafaz
daripada mulutnya sendiri di dalam bible
tersebut. Mana tahu ia ada dicatatkan di situ. Puas Philip belek, langsung
tidak bertemu.
“Wa ana minal
muslimin…muslimin? Muslim…” Berkerut dahi Philip tatkala menyebut kalimah
muslim. Dadanya bergemelugut. Dia kian cuak.
Tuhan. Apa maksud sebenar ayat tu? Perkataan muslimin tu
sama ke maksudnya dengan muslim? Philip kebingungan. Dia tahu makna muslim.
Cukup tahu kerana selalu dengar perkataan itu diucapkan di mana-mana baik dari
mulut orang Islam dan juga bukan Islam. Bagaimanapun dia tidak pasti tentang
makna perkataan muslimin, waima membawa maksud yang sama iaitu merujuk kepada
orang Islam ataupun membawa makna bertentangan.
Cepatlah pagi. Cepatlah keluar matahari. Masalah ini
perlu dirungkai. Perlu dirujuk kepada orang yang lebih arif.
Kala itu terbayang seorang paderi yang selalu ditemuinya
di Damansara Utama Methodist Church (DUMC). Mungkin beliau merupakan orang yang
sesuai untuk Philip ajukan persoalan tersebut. Mungkin dia lebih arif dengan
kalimah yang datang lama mimpi Philip.
“Wa ana minal muslimin?” Soal
Father Abraham kepada Philip dengan mata terbuntang.
Philip
mengangguk.
“Mana
awak belajar ayat ni?”
“Saya
tak belajar, father. Tiba-tiba je
saya boleh terlafaz ayat tersebut.” Ujar Philip membalas.
“Mustahil.”
Father Abraham menggeleng-gelengkan.
Philip
menelan ludah. Nampaknya dia tidak boleh berselindung banyak dengan Father
Abraham.
“Ceritalah.
Ceritalah dengan dada yang lapang. Mohon restu daripada Jesus.”
Lebur
segala rasa ragu-ragu dalam dada Philip selama ini tatkala mendengar Father
Abraham menuturkan kata-kata tersebut. Lalu dengan hati yang rela Philip
membuka ceritanya satu-persatu daripada cerita jamnya yang berdetik kalimah Allahu Akbar dan terus kepada mimpinya
malam tadi.
Father
Abraham mengeleng-gelengkan kepala berkali-kali. Keruh wajahnya sebaik Philip
habis bercerita.
“Mujurlah.
Mujurlah.”
“Mujurlah
apa, father?” Soal Philip penuh berhemah.
“Mujurlah
awak datang cari saya tepat pada masanya. Jika tak, masalah ini akan membuatkan
awak jauh daripada Jesus.”
“Maksud
father?”
“Awak
sedang dikenakan sihir oleh seseorang yang mahu awak meninggalkan agama sejak
zaman leluhur awak.”
“Sihir?”
Philip tergelujat. Gelojak dalam jiwa langsung tidak dapat digambarkan lagi.
“Ya.
Dengan siapa awak bergaul akhir-akhir ni? Sihir tu mungkin daripada kalangan
orang-orang yang rapat dengan awak.”
“Mustahil
father…saya tak berkawan dengan sesiapa yang berkemungkinan melakukan perkara
tersebut terhadap saya. Semua rakan serumah saya beragama Kristian dan Budha.”
“Tak
ada muslim?”
“Muslim?”
Terpeta dalam benak Philip wajah Mirza Arman dan kemudian Imza.
“Jika
ada pun mereka hanya Islam pada nama. Mereka juga macam kita. Malah mungkin
lebih teruk berbanding kita. Sekurang-kurangnya saya tak pernah minum, tak
merokok.”
“Kita
tak tahu hati orang.” Father Abraham memaktubkan membuat Philip termangu.
Perbualan
dengan Father Abraham kemudian berlanjutan tentang pelbagai perkara lagi
terumata yang bersangkutan dengan Mirza Arman dan Imza. Father Abraham menanam
keraguan terhadap mereka berdua walaupun berkali-kali Philip menyangkal
anggapan tersebut. Dia tidak yakin mereka sanggup untuk berbuat jahat terhadap
dirinya dan memesongkan akidah Philip dalam meneruskan ketaatan terhadap agama
yang telah dianuti sejak dia dilahirkan.
Jika
benar ada yang mahu berbuat demikian mereka bukanlah dalangnya. Mustahil sama
sekali kerana Philip merasakan mereka berdua langsung tiada motif.
Mahu
dikatakan Mirza Arman? Huh, jika tidak kerana dia Melayu mungkin agama
anutannya bukan Islam. Gaya hidup Mirza Arman selama ini tidak membayangkan dia
penganut sejati dan hanya menjadi Islam kerana sejak zaman leluhurnya lahir
sebagai Islam kerana dia Melayu. Malahan tidak keterlaluan jika Philip
maktubkan bahawa sepanjang mengenali Mirza Arman, tidak pernah sekali pun Mirza
Arman menunaikan solat apatah lagi mahu melakukan ibadat puasa.
Philip
terbayang pula Imza yang lebih senang tampil dengan berimejkan kasual dan
bersahaja saban waktu, walaupun pakaiannya tidak mendedahkan namun daripada
segi pemerhatian Philip yang banyak membuat kajian, pakaian Imza juga tidak
mencerminkan dia sebagai Islam sejati. Klasifikasi seseorang itu untuk
menentukan agamanya boleh dirujuk kepada cara berpakaian dan cara berpakaian
Imza tidak menepati cara berpakaian seorang Islam. Sekiranya Imza gagal membawa
imej Islam dalam berpakaian, Philip percaya tahap keimanan Imza juga tidak
sekuat mana sebagai seorang perempuan Islam. Lalu mana logiknya untuk Imza
mengenakan ilmu hitam ke atasnya untuk memperdaya Philip ke dalam agamanya
sekiranya dia sendiri bukanlah penganut sejati?
Terkadang
Philip pernah terfikir, kebanyakan rakan-rakan melayu yang dikenalinya, baik
Mirza Arman, mahupun Imza malah semua kawan-kawan melayu yang dia pernah kenal
di kolej dan di mana-mana kemungkinan hanya menganut Islam kerana mereka lahir
sebagai melayu dan beragama Islam. Bukankah Melayu dan Islam itu terlalu akrab
hubungannya?
Lalu
Philip teringat akan kajian yang dibaca tentang hubung-kait Melayu dengan agama
Islam. Kajian itu dibuat oleh Ibnu Athir Al-Jazan dalam kitabnya yang berjudul
Al-kamil Fi At-Tarikh. Menurut beliau bangsa melayu berasal dari isteri ketiga
Nabi Ibrahim iaitu Siti Qanturah yang mempunyai enam orang anak iaitu Zimran,
Jokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah. Daripada keturunan ini berkembang
biak Bani Jawi. Istilah Bani merujuk kepada kaum, manakala Ji pula satu dan wi
daripada perkataan widni iaitu Tuhan. Jadi bani jawi merupakan kaum yang yakin
adanya Tuhan yang satu.
Bani
jawi ini berhijrah dan kemudiannya menetap di sebelah negeri ‘atas angin’
(al-Jawwu) iaitu Asia Timur dan membentuk beberapa kerajaan seperti kerajaan
melayu Champa dan Langkasuka. Apabila berlaku peperangan, ramai yang tinggal di
kawasan tersebut telah berhijrah ke gugusan kepulauan nusantara dan membentuk
pula kerajaan dan negeri. Mengikut istilah bahasa Sanskrit, penghijrahan
tersebut disebut sebagai ‘melayu’.
Dalam
pada itu, Kitab Yahudi Kuno pula mendakwa salah satu daripada bangsa tersebut
telah hilang iaitu mereka yang berasal daripada keturunan Yusuf . Yusuf
mempunyai dua orang anak iaitu Manasseh dan Ephrain. Pengkajian Yahudi itu
membuktikan terdapat banyak golongan Manasseh di sebelah Timur Afghanistan,
Utara Pakistan (Patan atau Pashtan), sedikit di India, di Myanmar, China,
Jepun, Filipina, Ecuador, Madagascar dan Hawaii.Ralph Olsen mendakwa ibu segala
keturuan Manasseh merupakan orang-orang melayu yang berasal dari semenanjung
Tanah Melayu.
Kajian
DNA oleh penyelidik USM pada tahun 2008 membuktikan bahawa suku Minangkabau
(satu rumpun melayu Pagar Ruyung) dan suku Kelantan (satu dari rumpun Melayu
Fathani) merupakan baka melayu asli. Dalam pada itu, kajian DNA UKM ke atas
lapan puluh enam orang melayu pula membuktikan
bahawa dua puluh tujuh peratus variant Meditarrenean terdapat dalam DNA
darah melayu. Dalam kamus sains, DNA Meditarrenean bermaksud bangsa Bani Israel
atau lebih tepat lagi digelar sebagai keturunan Nabi Yusuf.
Philip
juga terbaca tentang kajian arkeologi UKM selama tiga puluh lapan tahun iaitu
bermula tahun 1972 sehingga 2010 jelas membuktikan bahawa rumpun melayu
merupakan penduduk asal Malaysia selama empat puluh ribu tahun.
Begitulah
serba sedikit kajian tentang hubung kait Islam dan orang melayu yang begitu
akrab dan bagaikan sudah ditakdirkan bahawa orang melayu iaitu akan beragama Islam
sesuai dengan keturunan mereka daripada bani jawi iaitu kaum yang percaya
kepada Tuhan yang satu. Lalu agama apa di dunia ini yang percaya kepada Tuhan
yang satu selain Islam?
Philip
bukan suka-suka mahu mengkaji dan bukan sengaja mengkaji untuk mencari
kelemahan orang melayu dalam beragama. Ia berlaku secara tidak sengaja apabila
salah satu tugasan berkaitan kursus arkeologinya meminta Philip melakukan
kajian terhadap asal melayu di nusantara dan nah, itulah hasilnya!
“Beginilah,
biar father sediakan air suci untuk anak. Bersihkan kembali hati yang
sepertinya dah ditawan sesuatu tu.” Akhirnya kedengaran di telinga Philip suara
Father Abraham mematikan semua ingatan Philip.
Philip
yang sekejapan tadi tenggelam dalam lubuk fikir sendiri agak tersentak sebelum
mengangguk. Father Abraham berjalan dan kemudian hilang disebalik tirai hitam
di belakang podium. Philip duduk di kerusi panjang. Cuba memikirkan apa
sebenarnya yang berlaku ke atas dirinya. Kalimah wa ana minal muslimin masih bersipongang dalam jiwanya. Tidak
difahami erti keseluruhannya, namun dia faham maksud perkataan terakhir iaitu
muslimin. Muslimin itu dirujuk kepada orang-orang yang beragama Islam. Islam
iaitu apabila digambarkan dalam kepala Philip sebenarnya merupakan satu agama
yang penuh dengan puak pelampau, radikal, fanatik, perkahwinan paksa, pengebom
berani mati, penuh kezaliman dan jihad.
Orang
Islam mungkin marah jika Philip maktubkan begitu di depan mereka. Bagaimanapun
itulah sebenarnya yang ada dalam fakulti benak Philip menyebabkan dia tidak
pernah tertarik untuk mendekati Islam. Mempelajari Islam dan menyelami serba
sedikit tentang agama tersebut hanyalah semata-mata untuk mencari kelemahan
agar mudah dia menyampaikan dakwah kepada penduduk pribumi setiap kali dia
kembali ke Sarawak kerana dia merupakan salah seorang mubaligh muda kristian
yang berpengaruh di kampungnya.
Teringat
dia setiap kali pulang bercuti ke kampung, masa senggangnya banyak diisi dengan
menyebarkan dakwah kepada penduduk pribumi. Kejayaan terbesar Philip apabila
berjaya meyakinkan seluruh penduduk sebuah rumah panjang untuk menganut agama
kristian dengan dakwah yang disampaikan. Pendek kata, dalam urusan agama,
Philip bukan calang-calang orang. Tidak timbul masalah keyakinan dia terhadap
agama sendiri kian terhakis sehingga mengakibatkan dia mengalami mimpi dan
gangguan halusinasi yang pelbagai dengan imej agama Islam dalam
gangguan-gangguan tersebut.
Itulah
satu-satunya hal yang dia tidak faham. Sekiranya dia jahil dalam beragama
sebagaimana jahilnya orang Islam dalam mempraktikkan ajaran agama sendiri
tidaklah dia ralat, ini tidak. Tahap pengetahuannya dalam agama kristian tinggi
dan keimanannya terlalu kuat.
Father
Abraham kembali membawa satu bekas kecil untuk Philip. Di dalamnya berisi air.
Philip mencapai bekas kecil itu sebaik disua Father Abraham lalu meneguknya
tanpa ragu. Dia mengharapkan ketenangan selepas meminum air suci yang
disediakan Father Abraham. Dia berkeyakinan penuh terhadap air suci tersebut
sebagai penawar kepada masalah jiwa yang sedang dia alami.
Philip
meminta diri secara penuh berhemah kepada Father Abraham setelah dirasakan
urusan di situ telah selesai. Father Abraham mengizinkan. Paderi tua itu hanya
menggeleng-gelengkan memandang langkah
lemah yang diatur Philip.
Secara
peribadi, Father Abraham senang dengan pemuda itu yang tidak pernah ketinggalan
setiap pagi ahad untuk upacara mingguan di situ. Dia berharap tiada apa-apa
yang bakal mengubah Philip dan masih boleh terus melihat Philip mengunjungi
tempat tersebut pada masa akan datang.
Wa ana minal muslimin.
Father Abraham tahu apa maksud ayat tersebut. Ia penyataan kepada sebuah
pengakuan dalam agama Islam. Pengakuan tentang keimanan. Tentang penyerahan.
Cuma yang Father Abraham tidak tahu bagaimana Philip boleh melafazkan ayat
tersebut dengan lancar bagaikan dia telah mempelajarinya sejak dulu.
BAB
EMPAT BELAS
Hari itu Imza tidak
ramai pelanggan. Jadi dia bebas untuk melukis lukisan dalam tema dan medium
yang disuka. Dia mengangkat papan lapis ke atas pancangan melukis. Kali ini dia
mahu palitan cat ke atas papan lapis tersebut. Biar terjelma satu karya absurd. Karya Imza kali itu bertemakan
kekacauan dalam diri. Ah, bukan susah untuk Imza jelmakan karya sebegitu kerana
inspirasinya benar-benar berada di depan mata. Sedang khusyuk melukis tanpa
menyedari suasana di sekeliling.
Dialah Amar. Amar yang sentiasa menjadi melodi indah
dalam diri Imza.
Imza merenungnya seketika sebelum memulakan kerja
melukisnya. Dia tersenyum hambar. Bertahun-tahun kenal. Bertahun-tahun juga
memendam perasaan. Entah bila Amar bersedia untuk memberi respon yang positif.
Imza masih tertunggu-tunggu hari itu datang kerana dia teramat yakin Amar
menyedari perasaan kesumat dalam dirinya terhadap Amar.
Satu lohong gelap dan pekat jauh ke dalam dilukis Imza
pada papan lapis tersebut. Lohong dalam bentuk perspektif. Hitam pekatnya juga
dalam bentuk perspektif. Makin jauh ke dalam makin pekat dan gelap tonanya. Di
sekeliling lohong Imza calitkan sedikit warna kuning keemasan menggambarkan
cahaya. Imza mula tenggelam dalam karya sendiri. Benar-benar memberi jiwa untuk
lukisan itu sehingga tidak sedar lagi apa yang berlaku di sekeliling. Dia mahu
lukisan itu nampak hidup dan menarik walau dengan hanya menggunakan sumber
warna yang terhad iaitu hitam dan kuning keemasan.
Lama dalam kondisi begitu, Imza mengangkat wajah. Mahu
merenung seketika si dia yang sentiasa menjadi inspirasi. Aik, mana Amar? Imza
kehairanan. Kelibat Amar tidak kelihatan di depannya padahal bangku tempat
lapik punggungnya masih ada di situ. Imza mula mengitari sekeliling. Tiada.
Tiba-tiba Imza terdengar satu suara garau sedang ketawa
betul-betul di belakangnya. Imza tersentak dan terus menoleh.
“Cari siapa?” Soal Amar yang rupa-rupanya sedang berdiri
di belakang Imza. Ada sisa tawa dalam sapaannya.
Sungguh Tuhan, hampir luruh jantung Imza tatkala
menyedari Amar berada betul-betul di belakangnya.Hampir luruh bukan kerana
terkejut tetapi kerana posisi Amar yang benar-benar dekat padanya. Walau sudah
lama kenal, Imza sering gementar setiap kali Amar berada dekat kepadanya ekoran
rasa yang terpendam sekian lama dalam diri.
“Bukan main tenggelam ya, langsung tak sedar orang di
belakang.” Usik Amar bersama senyuman. Senyuman yang tentu sekali membuatkan
jiwa Imza cair bagai mentega terjilat api.
“Sejak bila Abang Amar datang sini?”
“Lebih kurang sepuluh minit lepas.”
Imza tidak berkata apa-apa. Dia sering kelu untuk
berbalas kata dengan Amar. Amar pula seakan seronok melihat Imza dalam kondisi
begitu.
“Sebenarnya abang tiba-tiba rasa lapar. Nak ajak Imza
temankan abang makan. Tu yang abang datang sini. Mana tau, asyik pula Imza
dengan lukisan kali ni. Ada tempahan dari pelanggan?” Soal Amar sekadar
berbasa-basi walaupun dia tahu mustahil karya absurd begitu ditempah pelanggan.
Peminat lukisan biasanya akan menempah karya-karya
bertema biasa dan potret. Lukisan absurd
dan lebih kepada eksperimental biasanya ilham pelukis semata-mata. Bila siap,
dipamer dan sekiranya ada peminat lukisan tertarik, mereka akan beli. Sebagai
pelukis yang lebih senior, Amar melihat Imza cukup berbakat dalam bidang
lukisan walaupun umur masih belasan tahun. Dia bijak memanipulasikan semua
medium untuk menghasilkan karya seninya sehingga kepada bahan buangan.
Pernah satu masa Imza menggunakan dawai. Dilekatkan pada
papan lapis dan kemudian dia sembur dengan pewarna untuk menghasilkan lukisan
abstraknya. Belum sampai seminggu dipamer karya Imza itu sudah terjual dan
peminat lukisan telah sanggup membayar Imza ribuan ringgit untuk lukisan yang
terhasil daripada bahan buangan sahaja. Pendek kata, Imza bijak menggunakan
bakat yang ada diadun pula dengan unsur
alam maka terhasillah karya gelap. Dia memang pandai buat duit dengan kelebihan
yang ada dalam dirinya. Amar bangga dengan Imza.
“Kebetulan, saya pun sebenarnya
belum makan tengahari tadi.”
“Belum makan?” Soal Amar sedikit
terkejut.
“Ada kelas, kemudian terus ke sini
selepas menunaikan solat zohor. Tak pergi makan pun.” Balas Imza padahal memang
dia sudah merencanakan untuk makan bersama Amar.
Dia sudah masak dengan sikap dan rutin
Amar yang sering makan sebelum waktu asar. Mungkin Amar tidak perasan tentang
kecenderungan Imza untuk menunggu Amar mengajaknya makan bersama.
“Kalau macam tu, jomlah kita makan dekat
tempah biasa.”
“Tunggu kejap. Saya nak cuci berus
ni.”
Imza memasukkan sedikit bahan
pencuci cat ke dalam bekas membasuh berus. Amar setia menanti. Usai segalanya,
mereka berjalan kaki ke tempat makan biasa mereka.
“Bagaimana dengan kawan yang datang
ke sini hari tu?” Soal Amar sementara menanti makanan yang dipesan sampai ke
meja.
“Maksud abang si Philip tu?”
“A’ah. Dialah.”
“Entahlah. Di kolej pun saya tak
jumpa dia akhir-akhir ni. Kami bukan satu kursus, sebab tu jarang terserempak.”
“Dia nampak okey juga budaknya.
Walaupun berlainan bangsa tapi pandai bergaul dengan kita.” Amar sengaja
membuka topik bual antara mereka agar suasana lebih meriah.
Selalunya masa makan mereka agak
bungkam kerana Imza tidak banyak bunyi. Diam dan kaku.
“Mungkin sebab dia dah biasa bergaul
dengan bangsa kita. Di kolej pun dia rapat dengan budak melayu.”
“Imza memang tak rapat dengan dia?”
Soal Amar lagi.
Imza menggeleng.
Amar hanya mengangguk-angguk. Mula
menyedari Imza tidak begitu berminat untuk bercakap tentang Philip. Pesanan
mereka tiba. Masing-masing mula bersedia untuk menjamah hidangan. Seperti biasa
Amar memulakan makannya dengan bacaan doa dan terpaksalah Imza mengaminkannya
walaupun selalu merasa janggal untuk berbuat demikian kerana amalan membaca doa
bukanlah selalu dilakukan Imza baik di rumah mahupun di mana-mana. Hanya ketika
bersama Amar barulah dia melakukannya, itupun sekadar mengaminkan doa Amar.
Bukan dia tidak tahu doa makan, namun dia lebih senang mengambil jalan singkat
dengan hanya lafaz Bismillahirahmanirrahim.
“Sebenarnya abang kagum dengan
Imza.” Amar mencipta ruang bual sekali lagi apabila lama membiarkan kesunyian
menjajah suasana.
“Kagum dengan saya?”
“Ya, Imza amat berbakat dalam bidang
lukisan. Jarang tau lukisan pelukis jalanan boleh cecah harga melebihi seribu
ke atas.”
“Alhamdulillah, rezeki saya bang.
Abang pun apa kurang. Pelanggan tak pernah putus. Tak macam saya. Ada masa
sebulan sunyi daripada pelanggan. Nasib baik kalau ada yang nak melukis potret.
Pelanggan tu sah, sah abang bagi kat saya.”
“Hemmmm.” Itu non-verbal yang keluar dari mulut Amar apabila menyentuh tentang
perkara tersebut.
“Maaf. Abang selalu nampak muram
kalau saya sentuh pasal ni.” Imza meminta maaf apabila menyedari riak keruh
pada wajah Amar.
“Tak apa. Imza bukan tau apapun
pasal hal tu.”
“Abang tak pernah bercerita.
Tentulah saya tak tau.”
Amar diam. Mustahil untuk dia
bercerita kepada Imza. Bercerita kepada Imza bermakna membuka pekung di dada
sendiri dan membuatkan rahsia masa lampaunya telanjang bulat-bulat di depan
Imza. Memalukan diri sendiri. Walaupun Imza dilihat sebagai budak mentah, namun
dalam banyak hal dia tidak boleh sewenang-wenangnya bercerita kepada Imza
apatah lagi jika perkara itu melibatkan maruah dan mampu menjejaskan
reputasinya di depan Imza.
“Maaflah kalau saya ni banyak bunyi
pulak.” Imza akhirnya menyedari bahawa dia sudah terlebih-lebih.
Dia tidak sepatutnya begitu kerana
selama ini bukan dia tidak tahu Amar selalu mempetiakan wajah kelat setiap kali
menyentuh tentang lukisan potret wajah. Imza yakin Amar telah melalui satu
proses yang sukar berkaitan hal itu. Dalam masa yang sama dia juga yakin Amar
cuba mengelak daripada memikirkan perkara tersebut.
“Tak apa Imza.” Amar masih
mengulangi ayat yang sama.
Imza serba salah. Tambah serba salah
apabila mengetahui nada kendur dalam suara Amar.
“Dahlah, jom kita pergi. Abang kena
balik awal hari ni. Mungkin lepas solat asar abang dah tak datang.”
“Balik awal?” Imza seakan menyedari
sesuatu di situ.
“Hahh, kenapa? Nampak macam terkejut
pulak.”
“Saya pun sepatutnya perlu berada di
rumah jam lima petang. Ahhh, nampaknya saya tak sempat sampai ni.”
“Ada hal ke?”
“Ada tetamu nak datang. Mak nak
minta saya tolong dia sediakan hidangan petang.”
“Habis macam mana sekarang?”
“Harap-harap mak tak marah.”
“Kalau macam tu, jomlah.”
Lalu mereka berdua meninggalkan
tempat makan mereka petang itu. Setibanya di tempat mereka melukis, Imza dan
Amar mengemaskan peralatan mereka. Imza memasukkan lukisan yang dipamerkan di
situ ke dalam bonet kereta. Dia mahu cepat pulang ke rumah. Tidak mahu ibunya
bengang kerana pagi tadi dia telah berjanji dengan ibu untuk pulang awal.
Sempat diambal dengan hujung mata ke
arah Amar yang juga sedang berkemas. Ada semacam satu rasa dalam diri Imza tiap
kali memandang ke arah Amar. Dia sukakan Amar. Terlalu suka. Dia memang
melampau kerana sanggup memendam
perasaan terhadap Amar dalam kondisi tidak pernah tahu banyak tentang Amar.
Dia ingin bertanya tetapi terlalu
segan untuk berbuat demikian. Dia tidak mahu dilabelkan sebagai gadis mentah
yang tidak tahu menjaga air muka sendiri sehingga sanggup bertanya sehingga
sejauh itu kepada lelaki yang disayanginya dalam diam. Dia tidak mahu. Dia
perlu menjaga nama baiknya. Dia gadis timur yang seharusnya masih kental dengan
imej ketimuran yang tinggi. Tahu menjaga nilai diri. Tahu menjaga maruah
sebagai seorang perempuan.
Uhhh, aku yakin Abang Amar tak ada
sesiapa yang istimewa dalam hidupnya kerana dia tak pernah sekalipun menyebut
tentang keluarganya setiap kali berbual dengan aku. Urusannya banyak di masjid.
Di tempat melukis. Itu saja. Jika dia mempunyai keluarga paling tidak tentu
sekali pernah dia bercerita tentang hal tersebut. Imza sering memaktubkan
begitu dalam hatinya setiap kali memikirkan tentang status Amar.
Apabila sudah berfikir begitu, hati
Imza akan kembali senang meskipun kebarangkalian untuk hubungan antara dia dan
Amar masih terlalu samar kerana Amar sendiri tidak pernah menunjukkan
tanda-tanda bahawa dia sukakan Imza. Malahan tidak pernah sama sekali juga
menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sedar tentang perasaan Imza terhadap
dirinya.
Imza tahu dalam hal itu dia bodoh.
Namun dia rela larut dalam kebodohan yang maha tepu seandainya itu menjadi satu
pengorbanan untuk dia memiliki kasih ulung. Kasih Amar!
BAB LIMA BELAS
Tan
Sri Ariffin mesra melayan tetamunya yang
bertandang seisi keluarga ke rumahnya. Dia menjemput mereka ke rumah bukan atas
dasar perniagaan sebaliknya untuk mengeratkan salam ukhuwah sesama Islam. Bagi Tan
Sri Ariffin, dia lebih senang
berkenal-kenal rapat dengan setiap individu yang bakal berurusan dengannya agar
dia tidak salah memberi peluang perniagaan kepada mereka.
Tan Sri Ariffin memang bukan orang yang arif dalam hal
beragama. Pengetahuan agamanya cukup setakat hal-hal wajib dan fardhu asas sahaja.
Bagaimanapun dalam urusan perniagaan dia mahukan yang terbaik. Termasuk
hubungan dengan bakal rakan niaganya.
“Terima kasih banyak Tan Sri sebab sudi pelawa kami minum petang di rumah Tan
Sri.” Ucap Dato’ Rayyan berbasa-basi dengan senyum penuh pada wajah.
Datin Riena yang berada di
sebelahnya turut melebarkan bibir.
Ketika itu muncul Puan
Sri Amzi menatang dulang minuman. Diletakkan di meja.
“Buat susah-susah saja Puan Sri …”
Giliran Datin Riena memaniskan bahasa.
“Tak adalah susahnya. Lagipun saya
senang buat semua ni sendiri. Cuma rasa tak sedap hati bila Dato’ Rayyan dan Datin
Riena nak berbual di luar saja. Kita pelawa masuk ke dalam tak nak.”
“Ahh, tak payah nak rasa macam tu
lah. Kami ni saja nak ambil angin petang-petang macam ni.”
“Hah, anak bujang ni kenapa nampak
macam tak ada mood saja?” Tan Sri Ariffin menegur Mirza Arman yang nampak tidak
bersemangat di sebelah ayahnya.
“Ish, tak adalah. Cuma tak tahu nak
bualkan apa.” Mirza Arman cepat-cepat memaniskan wajah walaupun dalam hati
berkeriau geram dengan tindakan mama memaksa dia ikut sama ke rumah Tan Sri Ariffin.
Konon mahu dia berkenalan dengan
anak gadis Tan Sri Ariffin padahal
hingga saat itu belum nampak kelibat gadis tersebut.
Siaplah mama dan papa, kalau muka budak
tu macam muka penyelak jail, aku akan tunjuk perasaan. Gerutu Mirza Arman di
dalam hati namun wajahnya masih mengukirkan senyuman paling manis buat pasangan
suami isteri di depannya.
“Mana anak gadis Tan Sri ?” Datin
Riena bagaikan mengerti apa yang bersipongang dalam jiwa anak bujangnya, lantas
dia mengajukan soalan itu.
“Dia…”
“Assalamualaikum!”
Belum sempat Tan Sri Ariffin menjawab, ada suara memberi salam
kepada mereka.
Semua menoleh ke arah datangnya
suara. Mirza Arman tersentak melihat Imza bersusah payah berjalan ke arah
mereka sambil menjinjing lukisan di tangan. Imza juga nampak tidak percaya
apabila melihat Mirza Arman berada di situ.
Buru-buru Imza mendapatkan Puan Sri Amzi untuk bersalam dengannya. Begitu juga
dengan Tan Sri Ariffin sebelum
menghulurkan tangan kepada Datin Riena yang nampak sedikit jengkel
memandangnya.
“Puan, saya nak jumpa Niffira…” Imza
bersuara sebelum sempat Puan Sri Amzi
membuka mulut.
Puan Sri Amzi dan Tan Sri Ariffin berpandangan sesama sendiri. Ada
sesuatu pada wajah mereka membuatkan Imza mengukir senyuman paling manis buat
mereka.
“Niffira telefon tadi, dia minta
saya ke sini.” Imza menjelaskan.
Puan Sri Amzi dan Tan Sri Ariffin akhirnya faham
melihat senyuman Imza dan kata-kata yang terluah daripada bibir comel itu.
“Niffira ada dekat atas. Pergilah.” Puan
Sri Amzi memberi kebenaran untuk Imza.
Imza sudah berlalu. Meninggalkan
mereka dan tanda tanya di atas kepala Mirza Arman seisi keluarga.
“Siapa tu?” Dato’ Rayyan menyoal
pantas.
“Kawan Niffira.” Balas Tan Sri
Ariffin kemudian mengukirkan senyuman kepada isteri yang berada di sebelahnya.
Puan Sri Amzi faham dengan erti
senyuman tersebut.
“Maafkan saya Tan Sri kalau tak
silap, anak Tan Sri tu penyajak terkenal kan?” Mirza Arman mula timbul nafsu
untuk bersuara apabila menyedari di mana sebenarnya dia berada ketika itu.
Di rumah Niffira. Ya. Dia tidak
salah orang lagi kerana Niffira mana lagi yang mempunyai urusan dengan budak
selekeh bernama Imza?
Ketawa besar Tan Sri Ariffin dan Puan
Sri Amzi mendengar soalan Mirza Arman.
“Ehh, kenapa Tan Sri dan Puan Sri
ketawa?” Mirza Arman mula rasa kurang enak.
Ibubapanya juga mula rasa cuak.
Bimbang anak bujangnya sudah tersilap cakap.
“Tak ada apa-apa. Cuma terasa lucu
bila anak kami digelar sebagai penyajak terkenal. Tak layak rasanya dia digelar
macam tu. Kalau penyajak senior yang lain dengar, mahu jadi isu ni. Orang-orang
seni ni ada masa sensitif lain macam sikit. Kalau satu-satu gelaran tu tak
layak diletakkan pada nama seseorang, mereka tak mudah-mudah benarkan.”
Huhh, lega Mirza Arman mendengar
penjelasan Tan Sri Ariffin.
“Mirza kenal Niffira?” Datin Riena
menyoal.
“Taklah kenal orangnya. Sekadar
kenal puisi-puisi dia. Banyak tersiar di akhbar dan majalah.”
“Ohhh, kiranya orang seni
jugalah…er, yang tadi tu…” Datin Riena sekali lagi inginkan kepastian tentang
status sebenar Imza dalam keluarga tersebut.
“Orang seni…ada masa mereka bergaul
dengan orang-orang daripada kalangan mereka juga. Kalau si Imza dah datang tu
maknanya tak turunlah anak kami tu nanti. Minta maaflah ya. Memang dah tak
boleh nak kacau tu.” Puan Sri Amzi memaklumkan agar pasangan suami isteri yang
menjadi tetamunya tidak salah faham.
“Tak apalah Puan Sri, at least saya dah tahu siapa anak Puan
Sri. Kalau Niffira tu, saya ni memang selalulah juga ikuti perkembangan karya
di media. Malangnya dia tak suka tonjolkan diri dalam mana-mana laman sosial,
kalau tak mungkin kami boleh berinteraksi. Bukan apa, sekadar berbual-bual
pasal puisi-puisi dia.”
“Mirza minat dengan karya Niffira?”
“Saya pengikut setia karya dia.
Banyak yang saya jadikan koleksi sejak bertahun-tahun dulu. Malangnya sampai
hari ni tak pernah nak kenal bagaimana orangnya.” Mirza Arman tanpa segan-segan
lagi membuat pengakuan.
Datin Riena terkebil-kebil melihat
nafsu bercakap Mirza Arman bukan main lagi sebaik tahu siapa sebenarnya anak
gadis Tan Sri Ariffin. Sedangkan sebelum datang tadi Mirza Arman bersikap
seperti budak kecil yang terpaksa dipujuk.
“Maaflah, Mirza. Dia memang macam
tu. Agak pasif dalam hal sosial ni. Kita orang pun dah berusaha bawa dia keluar
jumpa masyarakat, tapi sudahnya tulah…si Imza tadilah tu hala tujunya.”
“Dengar-dengar, banyak juga puisi
Niffira yang disumbangkan pada lukisan Imza.”
Puan Sri Amzi dan Tan Sri Ariffin
berpandangan sesama sendiri mendengar kenyataan Mirza Arman. Kemudian mereka
tersenyum antara satu sama lain.
“Lukisan dan puisi…hemmm, kononnya
macam satu kolaborasilah kan. Nantilah, satu masa Mirza akan faham juga dengan
budak Niffira tu.” Ujar Tan Sri Ariffin.
Berbunga hati Mirza Arman mendengar
kenyataan Tan Sri Ariffin. Paling tidak itu membayangkan bahawa Tan Sri Ariffin
telah memberinya lampu hijau untuk kenal Niffira dengan lebih rapat lagi.
Ahahhaha, pucuk dicita, ulam pegaga…ehh
silap. Pucuk dicita ulam mendatang! Sorak hati kecil Mirza Arman. Senyumnya
pula sudah meleret sampai ke telinga.
“Tapi saya tak faham…Tan Sri dan Puan
Sri tak bimbang kah bagi anak Tan Sri bergaul dengan masyarakat bawahan seperti
kawannya yang baru masuk tadi?”
“Maksud Datin Riena?”
“Yalah, saya tengok budak tu macam
anak orang kebanyakan saja. Takut menjatuhkan imej Tan Sri sekeluarga. Tambah
pula, orang-orang susah ni kalau dah mendekati orang senang, adalah yang
diinginkan tu.” Datin Riena secara jujur memberi pendapatnya.
Berubah seketika raut wajah Tan Sri
Ariffin dan isteri. Tidak pernah pula mereka menduga Datin Riena ada tanggapan
negatif begitu terhadap Imza. Bagaimanapun mereka cuba kawal rasa yang bermain
dalam diri kerana tidak mahu tetamu mereka mengesan riak pada wajah yang tergugah
sekejap tadi.
“Tak terfikir pula kami. Lagipun
selama kenal Imza, nampaknya dia remaja yang tahu bawa diri. Mungkin penampilan
dia macam tu tapi sebenarnya dia berbudi bahasa orangnya.” Puan Sri Amzi cuba
membela Imza.
“Tapi kalau di kolej, dialah yang
paling suka bawak masalah.”
“Ehhh, ya kah? Tak tau pula kami.” Puan
Sri Amzi dan Tan Sri Ariffin nampak sama-sama tergelujat.
“Kalau dengan orang lain tak taulah
tapi kalau dengan saya ada saja hal disebabkan dia.”
“Mirza satu kolej dengan Imza?” Soal
Puan Sri Amzi bagaikan tidak percaya.
“Ya tapi berlainan kursus. Rasanya
Imza tu jurusan bahasa.”
“Hahh, dengar-dengar macam tulah.”
“Larat pula dia belajar di kolej
swasta tu?” Jengkel Datin Riena.
“Philip cakap dia bayar yuran kolej
dan segala perbelanjaan pengajiannya dengan hasil lukisan dia.” Maklum Mirza
Arman.
“Hah, Niffira pun cakap macam tu.
Imza tu jenis yang suka berdikari. Tak mau susahkan orang tua.” Sokong Puan Sri
Amzi pula.
“Hah, dahlah cakap pasal Imza. Dah
lari daripada tujuan asal minum petang kita hari ni.” Puan Sri Ariffin bersuara
apabila disedari Dato’ Rayyan nampak tidak begitu berminat dengan isi perbualan
mereka.
Masing-masing kemudian mula
menyedari keterlanjuran sendiri. Lalu persoalan tentang Imza dan Niffira
disudahkan di situ. Mirza Arman pula mula meminta diri untuk meninjau keadaan
sekeliling rumah Tan Sri Ariffin. Tidak berminat untuk campur perbualan
keluarga yang sebenarnya lebih menjurus kepada hal-hal perniagaan.
Dia kitari seluruh kawasan rumah Tan
Sri Ariffin yang berkonsepkan oriental. Mewah dan elegant. Sesuai dengan
kedudukannya sebagai orang penting dalam parlimen kawasan tersebut. Semasa mata
Mirza Arman melilau ke sana-sini, dia terperasan ada seseorang di sebalik
langsir sedang memandangnya. Lebih tepat mengintainya. Mirza Arman cuba amati.
Tidak nampak dengan jelas kerana wajahnya terlindung di sebalik langsir.
Bagaimanapun Mirza Arman tahu dia seorang gadis. Seorang gadis berambut panjang
dan lurus!
Hati Mirza Arman bergetar. Kuat.
Terasa bagai ingin tertumus ke tanah. Entah kenapa dia yakin benar gadis di
balik langsir tersebut tentu saja Niffira. Ya, tentu saja Niffira.
Malahan dia juga yakin bahawa Imza
telah menyampaikan sesuatu tentang dirinya ke pengetahuan Niffira. Mentak
berkaitan minat Mirza Arman yang begitu mendalam terhadap semua hasil karya
Niffira sebelum ini. Mirza Arman rasa teruja.
Sungguhpun begitu rasa teruja itu
singgah sekejap sahaja di hati Mirza Arman.
Hahh, macam mana kalau si Imza tu
buruk-burukkan aku di depan Niffira? Ah, ni tak boleh jadi. Kalau betul dia dah
buruk-burukkan aku, tentu reputasi aku telah jatuh di depan Niffira. Mirza
Arman mula tidak senang duduk. Dalam benaknya sudah ada perancangan untuk
bersemuka dengan Imza dan bertanyakan tentang perkara tersebut. Dia tidak mahu
sebarang perkara buruk tentangnya sampai ke telinga Niffira.
Aku mesti berdepan dengan Imza
walaupun aku sebenarnya tak hingin
mengadap wajah dia!
Uhhh. Kenapalah Niffira perlu rapat
dengan budak selekeh dan buruk tu? Mirza
Arman betul-betul tidak puas hati!
BAB ENAM BELAS
“Hah,
tu pun budak selekeh tu!” Mirza Arman melompat dari tempat duduknya untuk
mendapatkan Imza.
“Wei, tunggulah. Kalau ya pun nak
jumpa Imza, janganlah sampai lupakan aku!” Marah Philip yang tidak sempat
mengemas buku-bukunya yang berterabur di atas meja.
“Hoi!” Mirza Arman memanggil Imza.
“Ish, kau ni teruk betul. Dia ada
namalah. Kenapa berhoi-hoi? Cuba panggil dia elok-elok.” Philip sekali lagi
angin satu badan dengan sikap Mirza Arman.
“Alah, apa kelas dia tu sampai aku
nak berbasa-basi dengan dia?” balas Mirza Arman langsung tidak termakan dengan
kata-kata Philip.
Philip menggeleng-gelengkan dengan telatah Mirza Arman. Nama saja berketurunan
melayu yang kononnya penuh sopan santun dan berbudi bahasa, padahal sikap Mirza
Arman langsung tidak menggambarkan kesopanan orang melayu. Philip bermonolog
dalam hati mengutuk Mirza Arman biarpun Mirza Arman itu kawan baiknya sendiri.
“Hoi!” Dan sekali lagi apabila Imza
langsung tidak mengendahkannya dan terus mara ke depan.
“Tu lah, cuba panggil elok-elok.
Kalau terus hoi-hoi macam ni tentu dia tak tau kau sedang panggil dia.”
“Kau panggil lah kalau macam tu.”
Mirza Arman masih belum mahu mengalah.
Macam jijik benar untuk membenarkan
nama Imza merentas rengkungnya padahal semalam bukan main dia bercakap tentang
Imza di depan keluarga Niffira. Ah, pembetulan: bukan bercakap tapi mengutuk
Imza sebenarnya!
Sekali lagi Philip menggeleng-geleng
dengan gelagat Mirza Arman. Bagaimanapun dia terpaksa juga menyeru nama Imza.
Sekali, Imza tidak menoleh. Dua kali dan kali ini dalam nada lebih nyaring dan
tinggi, barulah langkah Imza terhenti. Menoleh ke belakang, melihat gerangan si
pemanggil.
Berkerut keningnya melihat langkah
Mirza Arman dan Philip bagaikan seiring mara ke arahnya.
Apahal pulak ni? Hati kecil Imza
berbunyi.
Dia tiada urusan bersama Philip lagi
sejak Philip menukar lukisan yang dibeli tempoh hari. Urusan dengan Mirza
Arman? Itu lagilah mustahil dan tidak akan pernah ada. Andai masih tersisa
marah Mirza Arman terhadapnya, Imza rasa dia sudah tebus dengan memberi cakera
padat yang mengandungi lagu-lagu puisi Niffira yang dinyanyikan sendiri oleh
pemuisi pujaan Mirza Arman itu. Lalu, urusan apa lagi yang masih berbaki antara
mereka?
“Aku nak cakap sikit dengan kau!”
Amboi, keras benar bunyi bahasa
Mirza Arman! Bukan sahaja Imza yang terkesima. Philip juga turut terjongket
keningnya ke atas.
Imza memandang Mirza Arman. Sedetik
kemudian memandang Philip bagaikan meminta penjelasan. Philip hanya mengangkat
bahu kepadanya tanda tidak tahu apa-apa.
Ish, aku buat salah apa lagi kali
ni? Imza menyoal dirinya dalam hati. Bosan sebenarnya untuk berdepan dengan
pemuda poyo dan berlagak di depannya kini.
“Ketika di rumah Niffira semalam,
kau ada cakap apa-apa pasal aku tak?” Mirza Arman tidak berbasa-basi lagi.
Bercakap pasal dia? Huh, macamlah
dia topik penting sangat untuk dibualkan. Imza seakan mahu mencebir di depan
Mirza Arman. Apabila dia mendongak ke atas kepala Mirza Arman, dia bagaikan
nampak citra mayanya sendiri dalam saiz lebih halus meludah ke kepala Mirza
Arman. Puih! Baru padan muka dia. Perasan! Nak buat apa aku bercakap pasal dia?
Bercakap dengan Niffira pula tu. Mustahil!
“Kau diam kenapa? Tentu kau memang
ada cakap pasal aku ni. Kau kutuk aku depan Niffira, kan?” Mirza Arman mula
hilang sabar melihat reaksi Imza yang bagaikan patung cendana.
Imza pantas menggelengkan. Kalau
boleh dipusingkan sebanyak tiga ratus enam puluh darjah pun dia sanggup untuk
memberi ketegasan dalam gelengannya.
Tak perlu aku nak kutuk-kutuk kau.
Kalau kau berdepan dengan Niffira dia boleh tau sendiri sikap biadap kau ni.
Huh, nama saja datang dari golongan berstatus sosial tinggi. Perangai macam
orang bukit. Langsung tiada adab sopan. Main redah saja. Malang! Malang!
“Ada batu ke apa dalam mulut kau
sampai kau susah sangat nak cakap ni? Ke kena bayar royalti untuk setiap ayat
yang keluar dari mulut kau?” Mirza Arman makin cuba memprovok Imza dengan
bersikap kenyih.
Philip memegang bahu Mirza Arman.
Mula merasakan dia perlu masuk campur setelah sejak tadi membiarkan Mirza Arman
dengan rentaknya.
“Man, tak salah kalau kau cuba tanya
elok-elok. Tunjuk sikit budi pekerti kau. Tak salahkan?”
Mirza Arman menoleh ke arah Philip.
“Dengan budak ni mana boleh nak
layan sangat hal-hal budi pekerti. Bukan keturunan di raja sampai nak berangkat
sembah dengan dia ni. Lagipun kalau bukan pasal Niffira tak hingin aku nak
dekat-dekat dengan budak ni. Nak bercakap-cakap satu hal lah pulak.”
“Man. Apa masalah kau ni?” Philip
semakin kurang senang dengan cara Mirza Arman.
Walau siapa jua Imza, dia patut
diberi sedikit rasa hormat. Dia manusia biasa juga yang ada hati dan perasaan.
Apa salah kalau sesekali Mirza Arman cuba menghormati perasaan Imza? Mungkin
dia dari kalangan orang susah. Bagaimanapun keinginannya untuk merubah nasib
dan menjadi orang berjaya lebih tinggi daripada Mirza Arman sendiri. Lihat saja
semangatnya untuk menyambung pengajian, walaupun terpaksa bersusah-payah
mencari duit sendiri dengan melukis di tepi jalan, dia tetap tidak putus
semangat. Oleh itu Philip merasakan Imza juga wajar dihormati.
Imza berpaling ke depan untuk
meneruskan langkahnya yang terbantut tadi. Tidak mahu melibatkan diri dalam
perang mulut antara Mirza Arman dan Philip. Rasanya dia tiada kepentingan di
situ meski sekejap tadi Philip memanggilnya. Menyedari Imza mula memasang
langkah kembali, Mirza Arman memaut bahu Imza dengan kasar sehingga meninggalkan
kesan sakit di situ dan membuatkan dia spontan terseringai. Keadaannya disedari
Philip.
“Kau ni teruk lah, Man. Sakit dia!”
“Peduli apa. Sekarang ni yang
penting aku nak dia berterus-terang dengan aku. Ada atau tak dia buruk-burukkan
aku depan Niffira semasa kat rumah Niffira tu.?”
Philip memandang Imza meminta Imza
membuat penjelasan tentang hal itu, dia bimbang sekiranya Imza terus-terusan
mendiamkan diri, Mirza Arman makin naik hantu. Kepala otak Mirza Arman ada masa
bukan boleh pakai sangat.
“Imza...” Akhirnya Philip menyeru
nama Imza dengan lembut membuatkan Imza membatukan diri.
“Tak ada kepentingan untuk saya buat
gitu.” Akhirnya keluar ayat begitu merentas rengkung Imza. Walaupun perlahan
sahaja, nadanya tetap tegas.
“Kau dengar tu, Man?” Soal Philip
yang nampaknya begitu senang hati untuk menjadi jurubahasa antara mereka
berdua.
“Budak ni bukan boleh percaya
sangat!” Serentak dengan kata-kata tersebut Mirza Arman menunjal kepala Imza
dengan jari telunjuknya tanpa sempat ditepis Philip.
Imza hampir menangis diperlakukan
begitu oleh Mirza Arman. Kalau dia gadis kenes dan cengeng sudah tentu dia
mengalirkan airmata kala itu juga. Bagaimanapun Imza agak bernasib baik kerana
dia masih mampu mengumpul kekuatan, menghalang air bening gugur di pipi. Jika
itu berlaku tentu Mirza Arman makin naik lemak kerana sudah berjaya membuat
Imza menangis. Bukankah itu yang ingin dilihat oleh setiap orang apabila tegar
menyakiti hati individu lain?
“Man, apa kau ni? Main kasar pulak!”
Philip membantah sikap Mirza Arman. Dia mengambal ke wajah Imza yang nampak
kemerahan menahan sebak.
“Dah Imza. Pergilah. Tak payah nak
layan dia ni lagi.” Philip mengarahkan Imza berlalu.
Sekiranya Imza masih di situ tidak
tahu apa lagi tindakan kasar bakal dilakukan Mirza Arman terhadapnya. Philip
tidak sanggup menontonnya. Dia tidak suka melihat versi murung pada wajah Imza
kerana dia lebih menyenangi wajah manis yang disertakan lekuk di kedua-dua
belah pipi Imza. Philip yakin, sekiranya Mirza Arman juga terpandangkan
kedua-dua belah lekuk tersebut, dia juga akan sependapat dengan Philip.
“Hoi, kau nak pergi mana tu? Aku
belum habis cakap dengan kau!” Mirza Arman bersuara kuat apabila Imza memasang
langkah kembali dan meninggalkan mereka.
Kali ini langkahnya lebih laju dari
tadi. Selaju airmata yang sedang membanjiri hatinya dan mencipta kolam dalam
yang bisa membuat siapa-siapa saja kelemasan di situ.
“Dahlah, Man. Biarlah dia pergi.
Kalau betul kau nak cakap dengan dia, bukan macam ni caranya. Bukan dengan berkasar
macam ni. Kesian dia. Tak salah kau berlembut, kan? Lagipun bukankah agama kau
menganjurkan agar sentiasa bersikap lembut dan hormat-menghormati?” Philip
bersuara dalam versi yang langsung tidak diramal Mirza Arman.
Sudahnya dia hilang vokal.
Sekali apabila Philip sudah
menyentuh tentang agama, terutama agama yang sedang dianuti Mirza Arman, dia
selalu tewas. Dia takut berbahas dengan Philip kerana seperti Philip tahu lebih
banyak tentang Islam berbanding dirinya sendiri. Boleh memalukan dia juga.
“Tapi aku tak puas hati, Lip. Tentu
budak hodoh tu ada buruk-burukkan aku depan Niffira. Sial betul hari tu. Boleh
pula kita orang sekeluarga terserempak dengan Imza masa ke rumah Niffira.”
“Benda tak tentu lagi, kau tak boleh
nak marah-marah macam ni. Lagipun dia dah cakap tadi, tak ada kepentingan dia
nak buat demikian.”
“Mana tau, dia nak balas dendam dekat
aku.”
“Balas dendam pasal apa?”
“Sebab aku selalu layan dia dengan
teruk.” Spontan jawapan tersebut terlantun daripada mulut Mirza Arman.
“Kalau tau kau selalu layan dia
dengan teruk, tak salah kau cuba berubah, kan?”
Kali ini Mirza Arman terkelu. Nampak
sangat dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri.
“Kau lihat, Man. Imza mempunyai
hubungan baik dengan Niffira. Aku rasa kau perlu ambil peluang ni. Cuba
berbaik-baik dengan Imza, kemudian minta dia kenalkan kau dengan Niffira.”
Mirza Arman terdiam mendengar usul
Philip. Hatinya membenarkan usul tersebut. Bagaimanapun ia sekejap sahaja
apabila timbul perkara lain dalam benaknya yang mahu menolak usul Philip.
“Setakat nak kenal Niffira, aku tak
perlu nak berbaik-baik dengan Imza. Sekarang ni aku tau orang tua kami ada
hubungan dalam hal perniagaan. Mungkin aku boleh minta tolong mak ayah aku
sendiri.”
“Mau ke orang tua kau masuk campur
urusan remaja macam kita.”
“Alah, ni perkara kecik. Selama ni
semua permintaan aku dia orang sanggup tunaikan. Apalah sangat dalam hal macam
ni. Tambahan pula hari tu mama aku sendiri beriya-iya nak aku rapat dengan anak
Tan Sri Ariffin, aku kira nilah masanya.”
“Kalau kau dah yakin sangat, lantak
kau lah. Aku hanya beri cadangan.” Philip agak kecewa. Nampaknya hasrat untuk
melihat Mirza Arman melayan Imza dengan baik menemui jalan buntu.
Mirza Arman pula mula nampak
tersenyum sendiri memikirkan rencana dalam kepalanya yang bakal diluahkan
kepada ibubapa sebaik pulang ke rumah nanti. Dia tidak perlukan bantuan Imza
dan sama sekali tidak mahu merendah diri di depan Imza untuk memohon jasa
baiknya memperkenalkan dia kepada Niffira.
Dia tidak mahu termakan budi Imza
dan juga tidak mahu menjalinkan walau apa jua bentuk hubungan dengan Imza.
Jangan harap!
BAB TUJUH BELAS
Petang
itu Imza lebih banyak termenung di depan papan melukis. Tidak mampu berbuat
apa-apa kerana memikirkan rasa sakit hati terhadap Mirza Arman. Makin lama
Mirza Arman makin melampau. Boleh pula
dia tuduh Imza telah buruk-burukkan dia depan Niffira. Imza tidak perlu berbuat
begitu. Sama sekali tidak perlu.
Niffira boleh saja benci Mirza Arman
tanpa perlu dihasut Imza. Dia juga boleh juga suka Mirza Arman tanpa perlu Imza
bercerita segala macam kelebihan dan kebaikan yang ada pada Mirza Arman.
Niffira tentu lebih bijak menilai dalam berhubungan dengan seseorang.
Kelebihan dan kebaikan yang ada pada
Mirza Arman?
Ada kah?
Imza menghempas nafas kasar keluar
dari rongga hidungnya. Sepanjang dia kenal Mirza Arman di kolej, dia tidak
pernah nampak apa-apa kebaikan dan kelebihan pada diri Mirza Arman. Jika adapun
kelebihan Mirza Arman hanya satu. Kelebihan untuk menyakitkan hati Imza. Itupun
jika perkara tersebut boleh dikira sebagai kelebihan. Selain daripada itu, zero!
“Imza nampak macam resah
aje…apahal?” Amar datang bertanya khabar setelah disedari ada mendung pada
wajah Imza.
“Hal kecil saja. Masalah di kolej.”
“Masalah boyfriend?”
Boyfriend?
Cehhh, Amar ni saja nak duga aku agaknya. Padahal dia bukan tak tau aku suka siapa! Ngomel hati kecil Imza.
Itu dalam hatinya, secara fizikal
pula dia hanya mampu tersenyum sumbing
sebagai penafian kepada tebakan Amar. Erti sengihan itu dapat ditangkap
Amar. Dia mengangkat kening dan bahunya serentak tanda tidak mahu memberi
sebarang komentar dan tidak mahu terus mencuba mengorek rahsia di hati Imza
sekiranya dia tidak bersedia untuk berbuat demikian.
“Pergi makan?” Amar memberi
cadangan. Mana tahu langkah itu berjaya mengheret Imza keluar dari lubuk
masalah.
“Tak maulah. Saya dah nak balik ni.
Ada banyak hal nak diselesaikan. Tugasan kolej.” Imza memberi alasan. Padahal
dia sebenarnya cuma mahu bermalas-malas di rumah kerana otaknya beku untuk
menzahirkan sebarang karya di atas kanvas dan medium lukisan yang lain.
“Okeylah kalau macam tu. Abang pergi
sendirilah…er, betul Imza tak nak ikut ni?”
“Betul. Memang nak balik awal ni,
lagipun kalau boleh nak tunaikan solat asar kat rumah saja. Badan rasa belengas
sikit hari ni. Nak mandi dulu.”
Satu lagi alasan yang boleh
diterima.
Memang Amar merupakan kecintaan
Imza. Bagaimanapun dalam kondisi hati tidak begitu baik dek tuduhan melulu
Mirza Arman, Imza lebih senang memilih untuk menyendiri. Tanpa gangguan sesiapa
dan tanpa kehadiran sesiapa.
Lalu itulah yang Imza lakukan
apabila batang tubuh Amar sudah hilang dari pandangan mata. Menyimpan segala
peralatan melukis dalam bonet kereta dan terus pulang ke rumah. Tidak singgah
di mana-mana lagi.
“”Nampak
melengung saja anak ibu, kenapa?” Soal ibu Imza semasa menjenguknya di bilik.
Imza menoleh ke arah ibu. Ibu sedang
tersenyum kepadanya. Senyuman ibu sentiasa membahagiakan Imza. Kemudian ibu
datang dekat tanpa dipelawa. Duduk di sebelah Imza yang tadinya nampak sedang
melengung. Memeluk bahu si anak di situ.
“Ada masalah?”
“Tak adalah.”
“Jangan bohong. Imza anak ibu, ibu
cukup arif bila masa Imza okey atau sebaliknya.” Bantah ibu Imza.
Imza tidak mampu berdalih lagi.
“Ceritalah. Kurang-kurang ringan
sikit kepala Imza.”
“Bukan masalah besar bu tapi sebab
dah lama sangat, Imza rasa menyampah dengan masalah ni.”
“Mirza Arman?” Tebak si ibu.
Imza mengangguk sambil mencebir.
Fahamlah si ibu. Sementelahan itu bukan masalah baru. Imza sudah lama bersabar.
Dicemuh, dihina. Sesekali ibu Imza juga naik geram kerana dia tidak berkenan
jika hati anaknya disakiti bagaimanapun nasihat terbaik yang selalu dinyatakan
kepada Imza tentu saja bersabar. Ya, bersabar. B.E.R.S.A.B.A.R. Perkataan lima
konsonan dan tiga vokal itu memang amat mudah disebut. Namun semua tahu amat
susah untuk dilaksanakan. Tambahan Imza memendam cukup lama. Ibunya faham!
“Kali ni apa pulak, sayang?” Tanya
ibu lembut.
“Dia tuduh Imza buruk-burukkan dia
depan Niffira.”
“Buruk-burukkan dia depan Niffira?”
Meleret senyum pada wajah si ibu. Dia yakin amat mustahil untuk anaknya berbuat
demikian disebabkan itu kenyataan tersebut kedengaran lucu di telinganya.
“Kenapa dia takut sangat kalau nama
dia buruk depan Niffira?”
“Dia peminat Niffira atau mungkin
lebih tepat dia pemuja Niffira. Dia suka sangat kat Niffira.”
“Dia suka Niffira tapi dia benci
Imza?”
Imza mengangguk. Sekali lagi ibunya
tersenyum.
“Biarlah sayang. Jika semua orang
tak kenal hati budi anak ibu yang sebenar, janji ibu tahu siapa anak ibu ni.”
Pujuk ibu sambil menggosok-gosok tangan Imza memberi kekuatan untuk si anak.
“Boleh ibu tanya, Imza suka Mirza
Arman?”
Terkejut Imza dengan soalan ibu.
Pantas kepalanya menggeleng. Mustahil dia sukakan Mirza Arman. Mustahil sama
sekali. Tambah mustahil jika dalam hatinya sentiasa penuh dengan citra Amar.
Itu dia pasti!
“Kalau Imza tak suka dia, jangan
pikir sangat.”
“Imza pikir bukan sebab suka tapi
sebab sakit hati.”
“Sakit hati tu kalau dilayan makin parah. Teruskan
hidup macam biasa. Sibukkan diri. Termenung macam ni makinlah bercambah rasa
sakit tu.” Nasihat ibu.
Ya. Kata ibu memang benar. Masalah
sekarang rasa sakit hati itu telah membuatkan semangat dan ‘mood’ Imza mati. Dia
mahu duduk-duduk saja.
“Kalau Imza ramai kawan, kan senang?
Tentu dalam keadaan macam ni Imza boleh keluar dengan kawan-kawan. Pergi
makan-makan. Main bowling ke, main futsal ke. Terhibur sikit hati tu.”
Imza agak kelucuan mendengar saranan
ibu. Perkara paling tidak disukai dalam hidupnya tentulah hal-hal berbentuk
sukan. Jika pun ada aktiviti riadah yang disukainya hanyalah berbasikal. Hah,
ya. Daripada duduk-duduk buang masa, boleh juga dia berbasikal pusing keliling
taman. Berbasikal ni tak perlukan kawan. Kayuh saja sejauh mana kita suka dan
berapa pusingan. Penat nanti, tak adalah fikiran tu nak ingat hal-hal yang
menyakitkan. Ingat penat saja!
“Hah, Imza nak keluarlah bu. Nak
pergi pusing keliling taman dengan basikal.”
“Macam tulah. Biar tenang sikit
pikiran tu!” Ibu setuju saja.
Ya. Memang ibunya sentiasa setuju
dengan apa saja keinginan Imza. Tidak pernah membantah walau dalam apa juga hal
sekalipun. Dia teringin sekali melihat anaknya yang kadang-kala terlingkup
dalam sindrom inferiority complex dek
kekurangan yang ada pada diri merasa gembira. Dia tidak pernah mahu menghalang
apa saja minat dan kecenderungan Imza termasuk dalam minatnya terhadap
kerja-kerja seni.
Ibu Imza faham. Sejak dewasa Imza
semakin segan untuk bergaul dengan khalayak ekoran kondisi jarinya yang tidak
seperti orang lain. Apatah lagi apabila melewati zaman persekolahan dengan
penuh ejekan dan cacian kawan-kawan sebaya yang kononnya geli dengan keadaan
jarinya yang terlebih di kiri kanan tangan.
Lalu Imza memilih untuk tenggelam
dalam dunianya sendiri. Dalam dunia seni. Ibubapa Imza tidak mahu melarang dan
menegah jika itulah yang mampu membahagiakan Imza. Tiada perkara lebih penting
buat semua ibubapa di dunia melainkan kebahagiaan anak-anak. Nasib Imza
dilahirkan dengan keadaan jari tidak sempurna dan tidak seperti individu lain
tidak mampu diubah bagaimanapun kebahagiaan Imza masih boleh tetap dicari.
Andai dunia seni itu mampu membuat dia bahagia, ibu Imza sentiasa bersedia
untuk memberi sokongan.
Sementara itu, Imza sudah jauh ke
taman permainan yang terletak berdekatan dengan kawasan rumahnya. Mengayuh
basikal di situ untuk beberapa kayuhan sehingga datang penatnya. Apabila
penatnya datang, Imza memilih untuk duduk di sebuah bangku. Mengitari suasana
sekeliling. Kelihatan ramai kanak-kanak sedang bermain. Ada yang bermain
permainan yang tersedia di taman, ada juga yang bermain layang-layang dan ada
juga yang bermain bola.
Mereka semua nampak riang. Semua
nampak girang.
Imza menelan ludah. Nyata mereka
tidak seperti Imza ketika zaman kanak-kanaknya. Ketika berada dalam usia itu,
Imza lebih banyak berkurung di rumah. Bukan dia tidak ingin sesekali keluar
bermain di taman dengan rakan-rakan sebaya. Bagaimanapun kewujudannya yang
tidak sesempurna mereka seringkali membuangkan dia terpinggir dan disisihkan
oleh rakan-rakan. Jika dia tetap berkeras mahu bermain bersama, Imza akan
diejek. Diherdik hanya kerana jarinya tidak seperti orang lain.
Imza merenung kedua-dua belah
tangannya. Dikembangkan jari-jemarinya. Dia tidak pernah terlepas pandang
kepada ibu jarinya yang terlebih di situ. Dia sedar. Namun kekurangan yang
sedikit itu menjadikan dia tersisih. Suatu ketika penyisihan rakan-rakan
membuatkan Imza murung. Mujurlah ibubapanya sentiasa ada untuk memberi semangat
kepada Imza agar bangkit daripada kesedihan yang dialami.
Apabila usia semakin meningkat, Imza
semakin bijak untuk mengawal situasi. Dia memilih untuk tidak menghiraukan
segala ejekan kawan-kawan satu sekolah dan langkah itu nampaknya berkesan. Tiada
lagi kedengaran suara sumbang mengejek tentang kekurangan yang ada pada
dirinya. Mungkin rakan-rakan juga sudah jemu mengejek benda yang sama. Mungkin
juga kematangan mula mengubah persepsi kawan-kawan terhadap kekurangan Imza.
Apa jua penyebabnya, Imza bersyukur
dan lebih tenang.
Bagaimanapun itu tidak lama apabila
Imza mula menjejakkan kaki ke kolej. Ejekan dan cemuhan itu terdengar kembali.
Kali ini dalam nada lebih keras. Lebih mengherdik. Anehnya, hanya seorang yang
suka mengejeknya. Dialah Mirza Arman.
Ya. hanya Mirza Arman yang selalu
mengherdik dan mengejeknya.
Tidak tahu di mana silapnya. Tidak
tahu bagaimana ia bermula.
Sedar-sedar mereka sudah berada
dalam status musuh tradisi. Masing-masing tidak boleh memandang wajah antara
satu sama lain.
Mirza Arman tidak boleh memandang
wajah Imza kerana rasa jakinya.
Imza pula tidak boleh memandang
wajah Mirza Arman kerana rasa sakit hatinya.
Masing-masing memang tidak boleh
bertemu.
Sekarang kebencian Mirza Arman
terhadap Imza tentu saja makin bertambah apabila beranggapan Imza telah
menghasut Niffira agar membenci Mirza Arman. Apa logik dan di mana munasabahnya
untuk Imza berbuat demikian?
Atas alasan apa pula Mirza Arman
tiba-tiba menyimpan praanggapan demikian? Padahal antara dia dan Niffira tidak
pernah berpeluang untuk berbual walau sepatah. Imza bingung. Bosan pun ada
memikirkan perkara yang tidak tentu hujung pangkalnya.
Ah, Mirza Arman sebenarnya sengaja
mencari alasan untuk membuat dia sakit hati. Ya, Imza yakin begitu. Tiada sebab
lain. Jika ada pun, sebabnya mungkin kerana Mirza Arman dilahirkan sebagai
seseorang yang suka berfikir perkara bukan-bukan padahal Niffira sendiri tidak
pernah memaktubkan apa-apa.
Imza yakin benar Niffira tidak
pernah memaktubkan apa-apa sejauh menyentuh tentang reputasi Mirza Arman!
BAB LAPAN BELAS
“Minta
nombor Niffira daripada mak ayah dia?” Datin Riena terkejut dengan permintaan
anak lelakinya.
“Tak boleh ke, mama? Man teringin
sangat nak kenal rapat dengan Niffira tu. Dah lama Man minat dan kagum dengan
karya-karya dia.”
“Bukan mama tak mau dapatkan nombor
tu. Man faham ajelah. Ralat juga mama nak berdepan mak ayah dia bertanya pasal
ni.”
Mirza Arman melengos. Sakit hati
apabila permintaan yang mudah seperti itupun ibunya teragak-agak untuk
tunaikan.
Datin Riena menggeleng-geleng
melihat Mirza Arman dengan sikap keanak-anakannya. Sudah berusia awal dua
puluhan, sikap masih seperti budak hingusan. Semua permintaan kalau tidak
dituruti akan disusuli dengan tunjuk perasaan. Anak, kalau sudah terlampau
dimanjakan, begitulah jadinya!
Mirza Arman pula merasakan wajar dia
bersikap sedemikian kerana dia sudah habis ikhtiar untuk berkenalan dengan
Niffira. Sudah dijenguk halaman muka buku dan blogs berkaitan untuk mendapatkan
sedikit jalan bagi memungkinkan hubungan antara dia dan Niffira bakal terjalin.
Pun semua sia-sia kerana Niffira nampaknya belum bersedia untuk memanfaatkan
teknologi terkini demi kelangsungan hubungan antara dia dan peminat.
Dia masih memilih untuk hidup secara
low profile. Versi orang seni
dulu-dulu.
Ah, kalau low profile alasan Niffira, ia agak tidak masuk akal kerana setahu
Mirza Arman, Tan Sri A. Samad Said lagilah low
profile orangnya. Bagaimanapun Tan Sri A Samad Said yang lebih mesra disapa
Pak Samad setiap kali Mirza Arman temui di malam pengucapan puisi pun bersedia
untuk mewujudkan akaun muka buku meskipun mungkin diuruskan oleh anak-anak yang
merangkap pihak pengurusan.
Justeru, apa alasan Niffira?
Bukan sekali dua Mirza Arman cuba
jejaki Niffira. Langsung tiada kelibatnya di laman sosial yang menjadi kegilaan
muda-mudi kini. Orang yang tak ingin Mirza Arman cari pula berlambak-lambak
termasuk akaun Imza.
Ya. Akaun Imza.
Jangan terkejut pula. Dalam citra
kekampungan yang melekat pada batang tubuh Imza, boleh pula dia terdedah kepada
perkembangan terkini. Berlagak pula tu. Siap ada bb. Cehhh, meluat Mirza Arman tatkala menjenguk ke laman akaun muka
buku Imza dan mendapati Imza pernah memuat turun gambar menggunakan bb. Alah, bukan Mirza Arman berminat
terhadap apa-apa, sekadar mahu melihat senarai kawan Imza, mana tahu Niffira
turut tersenarai sebagai salah seorang daripada mereka. Malangnya kelibat
Niffira memang tidak kelihatan.
Puisi dia adalah di situ. Ya. Puisi
dia memang ada. Begitupun Mirza Arman tidak gembira, menyampah adalah sebab
puisi itu dimuat turun Imza. Mujurlah dia kreditkan atas nama Niffira. Kalau
dia dakwa karya itu sebagai karyanya? Mahu meletup kepala Mirza Arman kerana
dia kenal benar dengan lenggok puisi Niffira.
Selebihnya, Imza banyak menempekkan
gambar-gambar lukisannya. Alah, kira rangka promosi lah tu. Pandai dia mencipta
ruang niaga. Ramailah pula yang memuji lukisannya. Huh, pujilah. Esok kalau
sudah kenal siapa pelukisnya, tentu mereka juga rasa geli nak dekat. Maklumlah,
Imza bukan sahaja kurang sempurna, datang pula dari golongan miskin. Paling benci
apabila Imza ada hati pula nak bergaul dengan Niffira.
Mirza Arman benar-benar berbulu!
Niffira pula? Adoi, macam mana lagi
dia perlu lakukan untuk mengenali Niffira dengan lebih dekat lagi? Mirza Arman
buntu. Sungguhpun demikian dia tahu, perlu benar untuk dia melakukan sesuatu.
Sementelahan dalam keadaan ibubapa mereka sering mengenali. Mirza Arman perlu
merebut peluang tersebut. Sudah tentu. Sudah tentu dia perlu merebut peluang
tersebut!
“Mama…” Mirza Arman kembali
berbunyi.
“Bukan mama tak mau, sayang tapi
dalam keadaan mama dan papa sedang memancing peluang niaga dengan Tan Sri
Ariffin, kalau boleh kami tak mahu silap langkah.” Datin Riena memberi alasan.
Mirza Arman cuba menerima alasan Datin
Riena yang memang kedengaran logik. Sungguhpun demikian hatinya masih belum
puas selagi kehendak tidak dipenuhi. Dia menarik wajah cemberut.
“Janganlah buat muncung Donald Duck.
Mama bukan tak mau bantu. Mama lagi suka kalau Man dan Niffira tu boleh
berbaik-baik dan kenal mesra…tapi macam mama cakap tadi, mama dan papa kena
jaga tindak tanduk kami. Kalau nampak beriya-iya sangat nak pancing minat Tan
Sri Ariffin sehingga sanggup pertaruhkan anak, bimbang mereka meluat. Langsung
menjejaskan peluang niaga papa.”
“Tapi Man yang memang nak kenal
sangat Niffira tu, bukan desakan mama dan papa macam yang selalu dibuat orang di
luar tu.”
“Ya, mama tau tapi Tan Sri Ariffin
tak tau, kan? Mama bimbang dia anggap mama dan papa sedang guna taktik klise macam Man cakap dulu. Wujudkan
hubungan baik antara anak-anak kemudian menangi hati Tan Sri Ariffin.”
“Tapi mama dan papa memang pernah
cuba langkah tu kan?”
“Ya, memang kami pernah cuba.
Bagaimanapun janganlah sampai ketara sangat. Setakat bawa Man ikut kami ke
rumah mereka untuk membuka ruang perkenalan antara Man dan anak gadis mereka tu
bolehlah tapi kalau dah sampai tahap minta nombor telefon tu mama rasa dah
terlebih-lebih.”
“Alah, kalau mama minta pun apa
salahnya? Cakap saja Man memang nak kenal anak mereka. Kan mereka dah tau yang
Man ni salah seorang peminat Niffira?”Mirza Arman masih belum berputus asa
memujuk Datin Riena.
Datin Riena termenung memikirkan
kebenaran kata-kata Mirza Arman.
“Tengoklah macam mana nanti…tapi
mama tak janji.” Akhirnya Datin Riena bersuara.
“Hah, macam tulah baru dikatakan
seorang ibu yang sayangkan anaknya!” Ujar Mirza Arman sambil mengangkat ibu
jari menandakan isyarat bagus.
Datin Riena sekali lagi
menggeleng-geleng melihat gelagat anak bujangnya. Nasiblah kalau ada anak
seorang. Kalau ramai, jangan harap Datin Riena mahu melayan kerenah anaknya
itu.
Mengenang perkara tersebut hati Datin
Riena agak melankolik. Ya. Mirza Arman satu-satunya anak yang dia ada. Tidak
mungkin akan ada anak lain lagi selepas Mirza Arman. Bukan sahaja kerana faktor
usia tapi itulah janji Datin Riena sebelum berkahwin dengan Dato’ Rayyan. Dia
tidak mahu mempunyai anak selain Mirza Arman kerana tidak mahu kasih sayang Dato’
Rayyan terhadap Mirza Arman berbelah bahagi.
Mirza Arman pula tidak pernah tahu
ibubapanya sudah membuat perjanjian sedemikian. Datin Riena tidak tahu apa
reaksi Mirza Arman sekiranya tahu Datin Riena dan Dato’ Rayyan pernah membuat
perjanjian sebegitu. Sungguhpun begitu, apa juga perjanjian yang pernah dibuat Datin
Riena dan Dato’ Rayyan, Mirza Arman yang merasa untungnya!
Dan Datin Riena?
Ah, sungguh! Sememangnya tidak
pernah ada sesiapa yang mampu menyelami lubuk hati Datin Riena yang masih
tersentuh melankolik apabila mengingatkan suatu peristiwa berkaitan masa
lampaunya. Dia tidak ingin ingat-ingat lagi dan Dato’ Rayyan sendiri pernah
meminta agar mereka memulakan hidup baru tanpa menoleh lagi ke masa lampau
mereka.
Namun siapa mampu menghalang rasa
dalam diri? Sementelahan pula pengalaman yang Datin Riena alami pada kehidupan
lampaunya amat perit. Perit dan masih bisa membuat airmatanya mengalir di pipi
tanpa disedari sesiapa. Lalu demi airmata yang mengalir di pipi itu Datin Riena
kumpulkan kebencian sedikit demi sedikit sebagai membayar harga airmata dan
keperitan hati yang dialaminya. Dia jadi berdendam dan menanam rasa benci yang
teramat.
“Mama, Man nak keluar ni. Ada hal
sikit dengan si Philip!” Suara Mirza Arman menarik Datin Riena daripada terus
tersesak dalam semak ingatan.
“Hemm, pergilah. Tapi jangan sampai
pulang lewat sangat.”
“Alah, kalau lewat pun tak ada
salahnya. Besok hari minggu. Apalah mama ni.” Bantah Mirza Arman lalu terus
mencapai topi keledar yang tersadar di atas meja.
Datin Riena tidak mampu berkata
apa-apa. Tambahan pula Mirza Arman berjalan bagaikan terlanting-lanting seakan
mengejar masa. Padahal dia bukan mahu bertemu orang penting. Setakat Philip.
Hari-hari mereka bertemu di kolej. Tapi itulah, budak-budak zaman sekarang,
sentiasa ada saja urusan mereka. Siang malam tak mengira masa.
“Kau
apahal, Man? Ajak aku keluar tapi kau murung je.” Begitu komen Philip semasa
dia meletakkan gelas minuman ringannya ke meja.
“Aku pening pikir pasal Niffira.”
“La…yang kau susah-susah pikir pasal
dia kenapa? Kau kena lebih realistic
sikit Man. Niffira tu public figure.
Dia mana ada masa nak layan peminat-peminat dia sampai ke tahap yang kau
harap.” Terus terang Philip. Dia tidak senang jika Mirza Arman bersikap
demikian. Terpengaruh kepada seorang pemuisi semata-mata kerana terlalu
menyanjungi setiap karyanya di dada media massa.
“Masalahnya, intuisi aku menyatakan
ada sesuatu dalam hubungan kami pada masa akan datang.”
“Kau berangan terlalu tinggi. Jangan
bahayakan diri sendiri, Man. Karang jatuh kau juga yang susah. Bangkitlah
cepat.”
“Eh, eh kau ni. Lebih-lebih pulak
nak kutuk aku. Dah lah aku tengah pening kepala pikir pasal Niffira. Kau pula
banyak bunyi betul.”
“Aihh, sejak bila kau pantang
ditegur ni?”
“Sorry lah, Lip. Aku memang tension sangat ni. Imza tu pun satu hal.
Dia manusia paling aku jaki tapi dia jugalah satu-satunya manusia yang mampu
berhubung dengan orang yang paling aku suka.”
“Kasar bunyinya apabila kau
menggunakan istilah manusia.”
“Habis, kau nak suruh aku guna istilah
haiwan?”
“Tu lagilah melampau!”
“Tau pun kau.”
“Beginilah, Man. Dah kau pun tau
Imza satu-satunya orang yang kenal rapat dengan Niffira, apa kata kau minta
nombor telefon Niffira daripada dia? Aku yakin tentu dia ada simpan nombor
Niffira, kalau tak macam mana dia orang mahu berhubung.”
Kening Mirza Arman berkerut
mendengar cadangan Philip. Bukan dia tidak pernah memikirkan perkara tersebut,
bagaimanapun dek ego yang menyengat-nyengat kalau boleh dia tidak mahu
terhutang budi kepada orang yang dia tidak suka. Terjejas reputasinya!
“Kenapa pandang aku semacam? Kurang
setuju?”
“Kalau kau nak suruh aku minta
sendiri sorrylah. Tak maunya aku
merendah diri kepada Imza. Kalau kau nak tolong aku, aku tak membantah.”
Pulak! Philip menggeleng-geleng. Tak
menjadi juga hasratnya mahu lihat Mirza Arman dan Imza berbaik-baik. Rasanya
cukup-cukuplah Mirza Arman memusuhi Imza walhal dalam masa yang sama Imza
sebenarnya tidak pernah berbuat salah kepadanya.
“Kenapa kau benci sangat dengan
Imza?”
“Memang aku benci sangat dengan
dia.”
“Aku pernah dengar pepatah orang
tua, jangan benci sangat terhadap seseorang, mana tahu suatu masa kita akan
jatuh kasih terhadap orang tu.”
“Apa? Jatuh kasih? Kau ni gila kah apa?
Cuba kau tilik-tilik sikit budak tu. Langsung tak menepati ciri-ciri gadis yang
aku idamkan.”
“Kau idamkan gadis yang macam mana?
Selama ni pun semua perempuan yang nak dekat dengan, kau reject mentah-mentah.”
“Hoi kawan, perempuan yang datang
dekat aku tu semua mata duitan. Aku nak seseorang yang penuh dengan
keikhlasan.”
“Mana tahu keikhlasan yang kau cari
tu ada pada Imza.”
“Lagikan anak orang berduit pun
dekat dengan aku sebab gilakan besi, apatah pula Imza yang sah-sah anak orang
miskin papa kedana tu.”
“Kau ni sebenarnya benci dia bukan
sebab kekurangan fizikal dia kan? Kau jaki dengan orang susah konon tak setaraf
dengan kau. Betul tak?” Philip menebak.
Mirza Arman tidak berbunyi. Hanya
cenderung untuk membuat muka sepuluh sen.
BERMINAT UNTUK MEMBACA MANUSKRIP PENUH (HINGGA BAB AKHIR)? BOLEH PM SAYA DI FB ANNASS NURAZMI UTK DAPATKAN PDF BUKAN AKU TAPI DIA SECARA PERCUMA. ADD SAYA DULU AGAR MESEJ ANDA DAPAT DIBACA N TIDAK MASUK OTHERS INBOX

No comments:
Post a Comment