Saturday, 12 November 2016






TAJUK: BUKAN AKU TAPI DIA
OLEH: ANNASS NURAZMI

BAB 1-6



SINOPSIS

Satu karya berkaitan beberapa individu yang banyak memendam perasaan. Imza yang belajar satu kolej sangat dibenci oleh Mirza Arman yang terlalu memuja Niffira, seorang penyair yang misteri dan banyak menyembunyikan identitinya. Sementara Philip yang rapat dengan Mirza Arman dalam diam jatuh hati kepada Imza. Dalam masa yang sama Imza menaruh harapan terhadap Amar, seorang duda yang sama-sama melukis di tepi jalan bersamanya. Padahal Amar masih dibayangi kesalahan masa lampau yang dilakukan terhadap bekas isterinya Syariena. Kemalangan demi kemalangan yang tidak disengajakan berlaku antara Mirza Arman dan Imza membuatkan satu kenyataan tentang identiti Niffira terbongkah, Mirza Arman sukar untuk menerima bahawa Imza dan Niffira individu yang sama. Nalurinya kuat menyatakan mereka orang yang berlainan. Kecewa dengan perkara tersebut, Mirza Arman menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ketika ini, Philip si mubaligh muda Kristian mendekati Imza, sekali gus membuka laluan persahabatannya dengan Amar. Mengenali Amar membuka ruang Philip mengubah persepsi negatif terhadap Islam lalu akhirnya memeluk Islam tanpa pengetahuan Imza dan Mirza Arman. Namun sukar untuk Philip merapatkan hubungan dengan Imza apabila gadis itu tidak pernah membuka ruang dalam hatinya untuk Philip, apatah lagi  kerana dalam hati Imza hanya ada seorang penghuni, Amar. Amar yang sesekali tergugah dengan perasaan Imza terhadapnya tetap tegar bertahan memandangkan jarak usia antara mereka terlalu ketara dan bayang Syariena masih ada di mana-mana dalam hidupnya. Akhir cerita, Mirza Arman  bahagia bersama Niffira yang memang nyata merupakan individu yang berlainan dengan Imza, Amar kembali kepada bekas isteri yang rupanya tidak pernah menemui kebahagiaan sejak dijual Amar kepada lelaki kaya. Imza yang sudah berjaya menjadi pelukis hebat dan memiliki galeri sendiri berkelana memujuk hati yang luka akibat perkahwinan Amar. Perkelanaan Imza membawa dia menjejaki Philip yang ketika itu sedang melakukan kerja-kerja tabligh di selatan Thailand.



TAJUK:         IMZA NIFFIRA
SEBUAH KARYA   : NURANNASS

“Hoi!” Satu suara menyergah Imza tatkala dia terlanggar seseorang apabila dia terkocoh-kocoh berlari ke dewan kuliah kerana mengejar masa yang kian suntuk.

            “Maaf!” Pantas dia meminta maaf dan bersedia untuk berlalu.

            “Amboi, banyak cantik muka kau. Ingat dah minta maaf tu dah cukup? Habis buku-buku aku yang bersepah ni siapa nak kutip?” Bertalu-talu pula soalan keluar dari mulut pemuda di depannya.

            Imza menelan ludah. Aduh. Situasi biasa setiap kali dia bertembung dengan Mirza Arman. Tentu saja kondisi demikian tidak mampu dia elak. Ditengking dan ditengking lagi. Macamlah Mirza Arman memang sudah ditakdirkan untuk menengking dia sebab itulah sering berlaku pelanggaran yang tidak disengajakan setiap kali mereka berada di tempat yang sama.

            Imza tidak mahu panjangkan cerita. Kuliahnya akan bermula beberapa minit saja lagi. Jika dia panjangkan hal dengan Mirza Arman, dia boleh ketinggalan kelas Fonetik dan Fonologinya. Lalu dia tunduk. Bersedia untuk memugut buku-buku Mirza Arman yang sudah jatuh berterabur di atas kaki lima.

            Baru saja dia menyentuh buku pertama, Mirza Arman memijak tangannya. Berkeriau Imza tanpa sempat dikawal.

            “Man…apa kau buat ni? Tak baik.” Philip Lepun menegah sambil menolak Mirza Arman ke tepi.

            Tangan halus Imza terlepas dari pijakan Mirza Arman. Jemarinya terasa pijar. Matanya sempat terpaku pada kasut berjenama Dr. Cardin yang dipakai Mirza Arman. Aduhai, patutlah sakit. Sudahlah tapak kasutnya keras, tebal pulak tu. Hati kecil Imza menggerutu.

            “Kau pandang apa lagi?” Mirza Arman menunjal kepala Imza.

            Pantas Imza memegang topi yang dipakainya. Nasib baik tak terbuka. Kalau terbuka, alamat terburailah rambutnya. Imza meskipun belum bersedia untuk menutup aurat dengan sempurna, tidak juga bersedia untuk membiarkan rambutnya menjadi tontonan ramai. Sebab itulah dia sering menyembunyikan rambutnya dalam topi yang dipakai.

            Huh, kalau dia jantan, sudah makan penyepak si Mirza Arman ni. Makhluk macam ni pun boleh wujud kat dunia ni, dah lah sombong, perasan lawa pula tu.

            “Kau pandang-pandang aku kenapa? Tak puas hati? Kau nampak kasut aku ni? Kasut ni boleh sampai ke muka kau, tau tak? Nanti bertambah buruk jadinya muka kau yang dah sememangnya dilahirkan macam babon tu.” Hina Mirza Arman lagi.

            Berkerut kening Philip Lepun mendengar sahabat sendiri menghina Imza. Melampau. Kalau gegendang Philip Lepun terasa perit, gegendang Imza sementelahanlah pula.

            “Dah, pergi, pergi! Meluat aku tengok muka kau. Muka dah macam muka nak makan penampar. Karang ada lah tangan melayang di pipi kau tu.”

            Imza mengatur langkah. Membiarkan buku-buku Mirza Arman yang tidak sempat dipungut kembali.

            Uhhh, lantaklah. Biarlah dia pungut sendiri. Tadi aku dah baik hati nak pungut, dia pijak tangan aku. Nasib tak baik, kepala aku pun dipijaknya kalau aku terus nak tunjuk baik lagi. Imza mengomel sambil melangkah.

            Dalam masa yang sama Philip Lepun memerhati langkah yang diatur Imza dengan rasa simpati. Kasihan Imza!


BAB SATU

“Kenapa kau benci sangat dengan Imza tu?” Soal Philip Lepun sambil menyuap donat ke mulut.

            “Kau tak tengok ke betapa buruk dan selekehnya budak tu? Aku pun hairan, macam mana mak bapak dia boleh sanggup nak hantar anak dia belajar di kolej swasta macam ni. Dah sah-sah memerlukan belanja yang banyak.”

            “Apa kaitan dengan selekeh dan belajar di kolej swasta ni?”

            “Oii! Sejak bila otak kau berkarat ni? Kau ingat kalau dah selekeh macam tu, budak hodoh tu anak orang berada? Confirm lah anak orang susah tu, ada hati nak belajar satu kolej dengan anak-anak orang berada. Tak sedar diri!”

            “Perangai kau macam budak-budak. Hal kecil macam tu pun nak buat isu.” Rungut Philip Lepun kurang senang.

            Bagi Philip tiada salahnya Imza mahu belajar di situ selagi dia mampu kerana dalam borang permohonan dahulu latar belakang diri sudah diisi selengkapnya, jika pihak kolej sedia menerima kemasukan pelajar dari kelas sosial yang lebih rendah, apa masalah pula dengan Mirza Arman?

            “Orang susah tu satu hal Lip, lagi aku jengkel dan jaki melihat budak selekeh tu bila terpandang jari-jemarinya.”

            “Apa kena dengan jari dia?” Philip kebingungan. Donat separuh di tangan mula diletakkan kembali ke piring.

            “Hish, kau ni! Kau tak perasan ke ibu jarinya terlebih satu? Kau ni…”

            Laaaa! Philip serentak menggelengkan kepala. Itu masalah Mirza Arman? Bukan salah Imza kalau ibu jarinya terlebih satu. Semua tu kehendak Tuhan.

            “Bagi akulah Lip, daripada dia susah-susah habiskan duit mak bapak dia datang belajar ke kolej swasta yang dah sah-sah yuran pengajian dia mahal ni, lebih baiklah kalau dia minta mak bapak dia tanggung kos pembedahan jari dia yang terlebih tu. Menjengkelkan.”

            “Yang kau naik jaki tak bersebab ni apa hal? Ke jari dia yang terlebih tu pernah tercucuk lubang hidung kau?” Philip makin tidak senang dengan penghinaan Mirza Arman meskipun penghinaan itu tidak ditujukan kepadanya.

            “Kau cakap biar ada penapis kat mulut tu. Karang lubang hidung kau aku cucuk dengan garfu ni!” Marah Mirza Arman.

            Philip menggeleng melihat Mirza Arman semakin angin. Dalam masa yang sama sebenarnya dia hairan dengan Mirza Arman. Lahir dalam agama yang didakwa sebagai agama terbaik, bagaimanapun perangai Mirza Arman langsung tidak menggambarkan sebagai penganut agama yang suci. Philip pula Kristian Khatolik. Bagaimanapun sejak kecil ibubapanya telah mengajar dan mengasuhnya tentang kemurnian dalam beragama termasuk juga kemurnian dalam menjalinkan hubungan dengan masyarakat sekeliling.

            Bagaimanapun untuk meluahkan pendapatnya tentang perkara yang berkaitan dengan agama, rasanya ia agak sensitif. Philip masih belum mempunyai cukup keberanian untuk berbuat demikian. Nantilah, apabila sikap Mirza Arman nampak semakin meruncing, pasti akan dipersoalkan juga perkara tersebut.

            Lagipun bukan soal itu sahaja yang menjelmakan resah dalam jiwa Philip. Terlalu banyak dan semuanya berentetan dan tidak pernah berakhir dalam lebuh benaknya. Dia perlukan penjelasan. Bukan setakat daripada Mirza Arman sebaliknya daripada seseorang yang mampu membuka laluan kepada setiap kemusykilan Philip.

            “Kita dah lewat ni, aku ada kelas BBA kejap lagi.”

            “Jomlah. Aku pun nak ke library, assignment yang berlambak-lambak tu satu pun aku tak jumpa bahan rujukannya.”

            “Tak search dalam internet? Sekarang ni semua rujuk internet saja. Apalah kau, jakun!”

            Philip tersenyum sahaja mendengar Mirza Arman menggerutu. Malas nak berbahas. Bukan Mirza Arman akan faham pun kalau dijelaskan. Dia sudah masak benar dengan sikap Mirza Arman. Lantak lah kalau Mirza Arman nak labelkan dia jakun atau orang bukit sekalipun. Dia sudah lali dengan semua labelan tersebut. Dia sedar selagi mentaliti Mirza Arman tak berubah, sampai bila pun dia akan beranggapan bahawa semua orang yang berasal dari Malaysia Timur tidak begitu terdedah kepada arus permodenan. Walhal Philip bukan tidak mahu merujuk maklumat dalam internet tetapi kerana bahan rujukan yang ingin dicari di perpustakaan merupakan satu buku lama sedangkan dalam internet dia hanya menjumpai nama-nama ilmuwan baru sahaja.


Imza termenung sebaik pensyarah keluar dari dewan kuliah. Kakinya terasa berat untuk menyaingi kawan-kawan sekursus. Benaknya yang memberat bagaikan terkesan hingga ke kaki. Dia memerhati seorang demi seorang kawan sekursus keluar dari dewan. Hatinya masih belum dijentik keinginan untuk mengambil tindakan yang sama. Sementelahan dia tiada kelas dalam tempoh terdekat. Hanya jam lima petang nanti barulah satu kelas menanti.

            Topi ala-ala Sani Sudin yang setia menutup kepalanya dibetulkan. Matanya mengitari sekali lagi seluruh pojok dewan kuliah. Semua kawan sekursus sudah tiada. Tidak seorang pun tergerak untuk menemaninya. Atau paling tidak bertanya mengapa dia masih ada di situ. Tidak seorang pun!

            Dan Imza tidak pernah terasa hati.

            Sama sekali tidak pernah kerana dia sendiri bukanlah dilahirkan sebagai seorang yang peramah. Dia lebih suka tenggelam dalam dunia sendiri. Tiada kawan. Keseorangan. Walau ke mana saja dia melangkah dan apa saja yang dilakukan.

            Bersendirian itu lebih baik daripada bergaul dengan kelompok yang mampu memberi implikasi negatif terhadap dirinya. Lagipun Imza cukup sedar dengan kekurangan diri. Dia tahu nilai kosmesis terlalu dipentingkan di kalangan rakan-rakan sekursus dan dia tiada nilai tersebut. Dia selalu tampil dengan citra sederhana. Berjeans lusuh dan t-shirt putih dengan dilapisi kemeja corak kotak-kotak di sebelah luar. Topi di kepala pula tidak pernah lekang walau sedetik ketika berada di luar rumah.

            Sepatu kainnya berjenama Converse, sudah agak lusuh tapi masih enggan ditukar-salin. Dia selalu selesa dengan sepatu kain tersebut. Bau kakinya sudah sebati dengan kasut itu. Ah, pendek kata Imza cukup senang dengan diri sendiri meski ramai yang terjuling-juling biji mata tatkala terpandangnya. Termasuklah Mirza Arman.

            Ya. Termasuklah Mirza Arman yang seakan tidak pernah senang dengan kehadirannya di kolej mewah tersebut. Padahal setiap semester dia mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk membayar yuran pengajian. Sepuluh sen pun dia tidak pernah mengemis dari kocek Mirza Arman. Lalu apa masalah Mirza Arman? Selalu mahu sakitkan hatinya. Selalu mahu melempiaskan rasa jengkel dan jaki terhadap Imza sehinggakan Imza boleh kenal bukan setakat setiap inci batang tubuhnya, malas sudah arif dengan bau cologne Mirza Arman walau mereka jauh beberapa ela.

            Huhhh, pedulikan jantan tu! Buat apa aku nak saratkan benak aku dengan memikirkan pasal dia? Imza menegur diri sendiri. Tidak senang dan tidak sudi ingatan tentang Mirza Arman berlabuh dalam lebuh benaknya.

            Lantas dia mengeluarkan telefon genggam daripada kocek seluarnya. Mahu mengusir bayangan Mirza Arman dengan citra seorang lelaki yang selalu ada dalam hatinya. Ditekan-tekan punat kekuncinya telefonnya. Terpetia citra seorang lelaki dari fail galeri telefonnya. Dia tersenyum. Ahhh, lelaki itu memang sentiasa mampu menerbitkan senyum pada wajah Imza.

            Imza sekilas memandang jam. Lambat lagi!

            Dia masih perlu menunggu sekian banyak jam lagi untuk membolehkan dia bersua dengan lelaki yang imejnya sedang dipantulkan di skrin telefon genggamnya. Sehabis selesai kuliah jam enam petang nanti, barulah dia boleh menapak ke tempat lelaki itu sering menghabiskan masa.

            Uhhh, sabarlah hati!

            Dengan itu Imza pun bangun. Bersedia meninggalkan dewan kuliah yang sejak tadi kosong. Mahu ke kafeteria. Mengalas perut dengan roti croissant kesukaannya. Dalam perjalanan ke kafe, dia terserempak dengan Philip. Imza cuba untuk tidak mengendahkan kerana dia tahu Philip rakan baik Mirza Arman meski kala itu kelibat Mirza Arman tidak kelihatan di mana-mana. Namun sebelum dia menjatuhkan pandangannya ke bawah, dia sedar ada senyum terpamer di bibir Philip yang bertubuh tegap dan gagah.

            Philip senyum kat aku? Imza rasa janggal. Macam tidak percaya. Dia mengangkat wajah, cuba untuk memastikan.

            “Hai!”

            Ah, kali ini tidak cukup dengan senyuman, Philip menyapa pula.

            Imza menoleh kiri. Menoleh kanan. Dia mahu memastikan diri sendiri tidak perasan dengan sapaan ‘hai’ yang keluar dari mulut Philip. Mana tahu sapaan tersebut untuk orang lain. Malu tahap kepala lututlah dia.

            “Hai, Imza.” Dan Philip sekali lagi membunyikan verbal sapaan.

            Emmh, siap tahu nama aku?

            “Imza nak ke mana, boleh saya join?”Philip menyoal apabila menyedari Imza seakan terkaku di tempat dia sedang berdiri. Kakinya macam dipaku di situ.

            “Errr, saya nak ke bilik air.” Imza membalas. Berbohong di situ.

            Philip memandang ke belakang. Ke arah yang ingin di tuju Imza. Kafeteria. Tiada bilik air terdekat di kafe tersebut. Jika ada enam ela dari situ. Namun dia yakin sekali Imza ingin ke kafe sekejap tadi. Pun mungkin kerana tidak sudi mempelawanya sama, maka dia berbohong. Philip tersenyum.

            “Okeylah, mungkin lain kali kita boleh luangkan masa bersama.”

            Hah! Lain kali? Nak buat apa? Buang tabiat si Philip ni. Karang nampak kat Mirza Arman, mahu dikutuknya mereka.

            Atau jangan-jangan Philip sebenarnya mahu aturkan penderaan psikologi terhadapnya. Mana tahu? Kalau Mirza Arman senang membulinya secara fizikal, Philip pula sebaliknya. Mereka sahabat baik. Tidak mustahil minat dan kecenderungan mereka sama. Imza mula menanam praanggapan dalam dirinya.

            Tidak mahu berlama-lama membuatkan Imza hanya mengangguk dan kemudian mengatur kembali langkah yang terbantut sekejapan tadi.

            Philip melihat langkah yang diatur Imza. Dia senyum lagi entah untuk  kali yang ke berapa. Dia ikhlas ingin dekati Imza. Ingin kenal Imza. Dia nampak Imza selalu keseorangan. Dia mahu menjadi kawan Imza. Bagaimanapun nampaknya Imza sendiri belum bersedia membuka ruang untuk sesiapa menyaingi langkahnya. Mentaknya dia seorang yang penuh dengan rasa rendah diri dan merasakan tidak betah berkawan dengan sesiapa sahaja meski ada yang sedia dan sudi berkawan dengannya.

            Kasihan Imza!

            Lalu akhirnya Philip sendiri mengatur langkah. Lagi pula ada beberapa buah buku rujukan yang ingin ditelaahnya sebelum menyempurnakan tugasan yang diberi pensyarah. Buku rujukan yang dipinjam dari perpustakaan sekejap tadi.

            Imza menoleh ke belakang. Philip nampaknya sudah tiada. Dia terus mengatur langkah ke kafe setelah sekejap tadi berpura-pura menuju ke bilik air berdekatan. Perutnya minta di isi. Dengan hanya sebiji croissant pun sudah mencukupi. Tidak perlu banyak.

            Ketika menikmati makanannya, Imza teringatkan Philip. Benaknya masih tertanya-tanya maksud yang terselindung di sebalik sikap ramah Philip. Riak wajahnya tampak ikhlas, namun hatinya masih berbalam lagi. Imza tidak tahu. Dia takut terperangkap dalam mainan Philip dan Mirza Arman. Mana tahu ia sebenarnya termasuk dalam agenda Mirza Arman yang tidak pernah  puas hati tidak bersebab terhadapnya.

            “Manusia ni ada macam-macam perangai, Imza. Imza kena hati-hati sikit.” Berngiang kembali nasihat lelaki yang sentiasa ada dalam hatinya. Lelaki yang segala rindu dan sayang Imza tertumpah untuknya dalam diam.

            Imza senang dengan nasihat itu. Malah sememangnya sentiasa cukup senang dengan setiap patah kata yang keluar daripada mulut lelaki yang berusia mungkin lebih dua puluh tahun berbanding dirinya tetapi masih kelihatan muda.

            Mengingatkan kata-kata lelaki itu membuatkan rasa rindu Imza terhadap lelaki itu membusung dalam diri.

            Ahh, lambatnya masa berlalu. Dan hati, sabarlah!


BAB DUA

Imza rasa tenang. Tenang memerhati lelaki di depannya menarikan berus di atas kanvas. Ada senyum pada wajah Imza yang duduk bertentangan hanya beberapa meter daripada Amar. Dia menelan ludah. Betapa sempurna lelaki itu pada penglihatannya. Imza tidak pernah jemu memuji lelaki itu di dalam hati.

            Amar. Memang nama itu sentiasa bergetar dalam pembuluh darahnya. Menelurkan rasa begitu-begitu yang tidak terluah.

            Dengan rambut panjang separas bahu, misai dan janggut yang bercantum di wajah, badan yang tegap dan gaya bersahaja, di mata Imza, Amar cukup sempurna. Terkadang dia melihat Amar persis vokalis sebuah band tanahair iaitu Ali Terra Rossa, kemudian menjadi vokalis XPDC sebelum menubuhkan Mpire. Ahhh, bukankah Ali itu cukup kacak? Begitulah Amar juga. Kacak walaupun agak berusia.

            Ah, lelaki. Apabila sudah melewati usia empat puluh tahun kekacakan mereka akan kekal pada tahap itu. Imza selalu berpendapat begitu setiap kali pandangannya jatuh ke wajah Amar. Setiap kali dia memandang ke wajah Amar juga ada lagu cinta bermain di telinganya. Dalam bentuk maya pula dia bagaikan menari-nari di taman yang cukup indah. Penuh bunga yang berwarna-warni. Seperti yang selalu dilihatnya dalam cerita Tamil dan Hindustan. Begitulah latarnya.

            Pada hujung lagu cinta ada Amar menyahut nyanyiannya, ada Amar menyambung tarinya. Memang cukup indah dan mengasyikkan. Imza tersenyum lagi!

            “Imza, senyum dari tadi…lukisan yang ditempah peminat Imza dah siap?” Soal Amar sambil mengocak-ngocak berus warna dalam bekas air yang tersedia di kakinya.

            Sekali gus membuatkan lagu cinta yang beralun di telinga Imza terhenti. Diganti dengan perasaan orak-arik ditegur Amar secara tiba-tiba.

            Imza sering tidak keruan disapa Amar. Biarpun rasa dalam diri tidak pernah bertelanjang di depan Amar, dia sering segan. Ahhh, sakitnya menahan rasa dalam diri! Amar pula tidak pernah tahu setiap debar yang tercipta setiap kali mata mereka bertentangan.

            “Belum bang, Imza belum jumpa jiwanya.”

            “Belum jumpa jiwanya? Beristighfar banyak-banyak. In shaa Allah datanglah jiwa tu. Selalu mulakan dengan kalimah Allah, Bismillahirahmanirrahim. Dengan kasih sayang-Nya Imza akan jumpa jiwa tu.”Tutur Amar lembut. Penuh hemah.

            Imza menongkat dagu dengan sebelah tangannya. Melongo dengan senyum pada bibir yang tidak pernah lekang mendengar setiap kata yang terucap daripada mulut Amar. Amar. Lelaki yang selalu Imza rakam gambarnya secara diam-diam melalui telefon genggam. Kononnya buat pengubat rindu terhadap lelaki itu kala tidak bertemu. Jatuh cinta benar dia dengan lelaki yang dia sendiri tidak tahu status perhubungannya.

            Amar sendiri tidak pernah menyentuh atau bercerita tentang status perhubungannya. Tidak pernah sama sekali bercerita tentang anak-anak atau isterinya. Malah banyak yang Imza tidak tahu tentang lelaki tersebut. Dia hanya kenal Amar di jalanan. Di jalan yang menjelmakan sekian banyak pelukis jalanan dan penyanyi jalanan. Juga ada beberapa kumpulan dan orang perseorangan yang datang memainkan lagu puisi, mendeklamasikan sajak sekadar untuk menghiburkan diri sendiri.

            Hanya di situ bermulanya perhubungan mereka. Sikap Amar yang mesra dan berbudi bahasa membuatkan Imza cukup senang dengannya. Sementelahan Imza teramat pasif dalam pergaulan. Dia tidak pernah memulakan mana-mana persahabatan dengan sesiapapun. Termasuk juga dengan Amar. Lalu sedikit sahaja latar diri Amar yang diketahuinya. Banyaknya hanya persoalan yang dia tidak pernah menemui jawab kerana tidak pernah ada kekuatan untuk berbuat demikian.

            Sudah kahwin kah dia? Uhhh, tentu sudah. Dalam umur yang begitu mustahil Amar belum mempunyai sebuah keluarga. Malah mungkin anaknya sudah sebaya dengan Imza. Namun mengapa hati masih tidak tenteram dan masih menyimpan harapan terhadap lelaki itu? Sengaja mahu bermain api kau, Imza!

            Kau akan sakit nanti Imza! Akan sakit jika terus menabur benih harapan yang kau harapkan akan bercambah menjadi pepohon cinta.

            “Imza menung lagi. Ada sesuatu barangkali dalam hati Imza.”

            Ada bang. Tentu saja ada!

            Pun mustahil untuk Imza seberani itu untuk berterus-terang tentang rahsia hatinya. Biarlah dulu. Dia segan. Walaupun lahiriahnya Imza nampak kasar dan keras, dia  sebenarnya masih mengekalkan citra wanita Melayu yang pemalu dan tidak bersikap perigi mencari timba. Imza ada reputasi sendiri yang mahu dijaga.

            Amar tersenyum kini. Senyumnya menggugat rasa dalam jiwa Imza. Ya Allah. Kenapa kau jelmakan lelaki sesempurna ini di mataku?

            Salahkah dia kerana menyimpan perasaan itu terhadap Amar? Salahkah dia kerana terlalu menurut rasa hati? Kata orang hati selalunya dipengarugi oleh syaitan yang sering mendesak dan mendorong agar mencintai perkara yang bukan-bukan. Yang merosakkan hati tentunya godaan syaitan. Lagipun bercinta dan menaruh rasa cinta dalam Islam terhadap bukan muhrim bukanlah sesuatu yang digalakkan. Ia hanya epidemik yang dibawa oleh bangsa barat dan Yahudi untuk merosakkan hati muslim. Imza pernah terbaca tentang perkara tersebut dalam status-status kenalannya di facebook. Nantilah Imza rujuk kembali kebenaran dakwaan itu memandangkan kenyataan tersebut tidak disokong oleh mana-mana hadith daripada sanad yang sahih.

            “Imza, tak salah menyimpan sesuatu di hati asal kena pada tempatnya.” Amar berbunyi lagi dan kali ini tangannya kembali ditarikan di atas kanvas yang masih belum sempurna citranya.

            Hushhh! Imza termalu. Mana dia tahu pasal sesuatu dalam hati aku? Imza rasa darah panas tersirap ke muka. Mahu saja dia ambil pewarna yang masih kaku di water colour platenya lalu dilumurkan ke mukanya untuk menghindarkan riak wajahnya daripada dikesan Amar.

             Imza tunduk ke bawah. Berpura-pura memerhati berus yang masih bersih kerana belum dicalitkan mana-mana pewarna pada bulunya. Hatinya berdetak-detuk. Malu yang teramat.

            Amar memandang Imza yang sudah berpura-pura sibuk. Amar menggeleng-geleng melihat gelagat Imza.

            Kau masih terlalu muda Imza. Masih hijau dan mentah. Banyak belum kau teroka dalam hidup ini. Masa depan kau masih panjang. Aku tahu apa yang kau rasa, namun tak tergamak aku nak rosakkan masa depan kau.

            Lalu Amar meneruskan kerjanya. Tidak mahu lagi memikirkan tentang Imza. Gadis yang baru menjangkau usia dua puluh tahun beberapa hari lepas. Biarpun gadis pediam itu terlalu banyak persamaan dengannya, mustahil untuk dia membenarkan rasa dalam hati Imza. Amar masih sedar diri. Masih sedar dengan kenyataan di sekeliling.

“Ada orang bagi tau aku, dia nampak kau berbual dengan Imza tengahari tadi. Buang tabiat apa kau?” Soal Mirza Arman semasa dia dan Philip melangkah ke tempat motor berkuasa besar mereka diparkirkan.

            “Berbual apa pulak? Aku cuma ucap ‘hai’ kat dia. Tu pun bukan dia nak jawab. Tak banyak mulut budak tu.”

            “Kau cakap ‘hai’ kat budak selekeh tu? Nak mati kah apa kau ni?” Mirza Arman mengerutkan keningnya. Topi keledar tidak jadi disarungkan ke kepala.

            “Ala, tak salah cuba berbaik-baik dengan kawan sekolej, kan. Kau tu, benci sangat kat dia kenapa? Mentanglah dia tak cantik,tak pandai bergaya. Bukan main kau kutuk dia, pandang hina dia.”

            “Ish, mulut tu biar ada filter ya. Bukan sebab tu aku jaki tengok dia. Memang aku ni kategori kacak dan bergaya, tapi aku tak pandang nilai-nilai kosmesis kat sorang perempuan. Kalau betul aku macam tu, takkan aku boleh puja Niffira yang aku tak pernah kenal pun rupa parasnya.”Balas Mirza Arman.

            “Niffira? Hish, wujud ke dia tu yang kau nak puja sangat dia tu?” Philip menyoal.

            Dia tahu siapa Niffira yang dimaksudkan Mirza Arman. Dia seorang penulis. Bukan penulis novel, sebaliknya penulis puisi yang karyanya sering disiarkan di dada-dada akhbar dan majalah. Entah di mana puncanya, Mirza Arman begitu meminati karya-karya Niffira tanpa mengenali perempuan itu. Perempuan?

            “Kau pastikah Niffira tu perempuan? Entah-entah nama pena saja perempuan, padahal dia lelaki.”

            “Ada beza karya seorang lelaki dengan karya seorang perempuan kalau kau betul-betul tekuni karya daripada dua gender berbeza ni.” Mirza Arman mempertahankan keyakinannya.

            “Aku tengok semua sama je.”

            “Kau tu buta seni. Baca puisi bukan dengan perasaan tapi dengan kepala lutut”

            “Amboi bahasa kau, kepala lutut aku tak tau baca ya.” Philip menumbuk bahu Mirza Arman.

            “Tak betul aku cakap? Puisi ni dia kena hayati, bukan macam baca novel cinta yang segala kisah tersurat dan tersirat senang difahami.”

            “Ha, ya lah tu. Cuma aku hairan tengok kau, punyalah macho tapi minat dengan puisi dan seni-seni sastera ni. Padahal kau bukan ambil bidang tu kat kolej ni.”

            “Tak semestinya lelaki tak boleh nak minat puisi. Ramai sasterawan negara pun daripada kalangan lelaki. Kau takkan tak tau? Lagipun bukan puisi cinta yang aku minat ni. Puisi Niffira pemikiran dia tinggi. Aku suka dengan gayanya, meski bahasa dia terlalu tinggi dan bersignifikan, aku tetap suka. Tambahan pula sekarang ni pun orang yang bukan dalam bidang sastera pun dah boleh menulis dan memanipulasi bahasa untuk karya-karya mereka.”

            “Huhhh, tak taulah aku pasal benda-benda tu, aku tak minat sangat. Kalau hal yang menyentuh kesenian ni aku hanya minat lukisan, tu pun yang berbentuk abstrak,setakat potret dan gambar pemandangan tu aku tak layan sangat.”

            “Ramai juga pelukis yang bergelar penulis kat Malaysia ni seingat aku.”

            “Siapa?”

            “Entahlah, aku lupa. Imuda kot.”

            “Imuda? Hemmm, dia memang pandai melukis, berlakon tapi menulis tu aku tak pernah tau lah pulak.”

            “Ah, biarlah. Lagipun tak semua pemuisi tu aku minat. Sekarang ni paling aku minat Niffira lah. Teringin aku nak jumpa dia. Nak kenal dia. Aku cuba cari dia dalam facebook, tak jumpalah. Kalau ikutkan dalam karya dia banyak disiarkan dalam media cetak. Patutnya dia dah ada satu halaman kat facebook tu.”

            “Orang seni ni ada masa low profile, tambah orang macam Niffira. Mungkin dia lebih senang orang kenal karya dia berbanding diri dia.”

            “Agaknya lah.”

            “Kau tak pernah jengah dia kat mana-mana majlis bacaan puisi? Kan selalu ada majlis bacaan puisi yang mengundang orang macam dia tu.”

            “Pernah. Selalu kat Malam Puisi Malaysia, Malam Bacaan Puisi Riong tapi dia tak pernah ada. Sudahnya aku jadi jemu. Mengantuk tau berada dalam majlis begitu kalau orang yang kita betul-betul minat tak ada.”

            “Kau ni minat hasil seni atau minat orang pun aku tak taulah.”

            Mirza Arman terseringai mendengar komentar Philip. Andainya Philip memahami perasaan yang jauh tersorok di dalam. Bisakah Philip memahami gejolak jiwa Mirza Arman kala itu?

            Benarlah juga kata orang cinta itu buta. Cinta Mirza Arman pula tertumpah tanpa sedar terhadap seseorang yang tidak pernah ditatapnya. Hanya melalui karya-karya yang banyak disiarkan di dalam majalah dan akhbar, Mirza Arman menjadi pemuja nombor satu Niffira tanpa mengetahui status Niffira yang sebenarnya. Namun entah mengapa intuisinya kuat mengatakan satu masa dia mampu bertemu dan bersua dengan Niffira. Zaman sekarang teknologi semakin canggih, boleh mengesan dan menjejak semua orang yang sebelum ini kita andaikan mustahil untuk berbuat demikian.

            Mirza Arman akan menunggu hingga tiba hari itu kerana dia yakin suatu masa Niffira tetap akan menonjolkan dirinya. Kalau bukan di facebook, mungkin dia akan mewujudkan satu blogsnya sendiri untuk menyampaikan gagasan fikirannya kerana Mirza Arman percaya setiap penulis sentiasa mahu menyampaikan apa yang bermain dalam fikirannya.

            Mirza Arman sentiasa berdoa untuk itu!


BAB TIGA

Philip melangkah keluar dari gereja sebaik selesai upacara rutin hujung minggunya. Ada sesuatu di jiwa Philip yang gagal untuk dia sendiri terjemahkan setiap kali melangkah keluar dari gereja yang menjadi tempat persinggahan wajibnya untuk berdoa dan meluahkan sesuatu.

            Dia sendiri kelu. Tidak pasti dengan apa yang sedang dilalui. Hanya yang dia tahu langsung tiada ketenangan dalam diri. Kata orang, jika hati tidak tenang, selalulah dekatkan diri dengan Tuhan. Sebagai penganut agama yang taat, Philip tidak pernah lupa dengan amalan agamanya. Sungguhpun demikian hati masih tidak tenang.

            Di mana silapnya? Philip tidak tahu. Padahal dia telah cuba menjadi penganut terbaik dan tidak hanya menjadi penganut yang mewarisi agama tersebut daripada leluhurnya. Tidak. Philip benar-benar mahu menjadi individu yang benar-benar taat dan patuh kepada Tuhan.

            Philip juga sudah cuba sedaya mungkin untuk menjadi yang terbaik. Baik untuk agamanya malahan juga untuk masyarakat. Malahan Philip dalam usia mudanya telah berjaya memperjuangkan agamanya, dia telah mampu mengkristiankan penduduk kampungnya yang dulu hanya tidak kenal agama. Disampaikan ajaran dan nilai-nilai murni yang ada dalam agama Kristian untuk satu masyarakat rumah panjang. Keluarga yang sejak zaman leluhur menjadi penganut sejati Kristian Khatolik cukup bangga dengan kejayaan Philip. Dalam masa yang sama juga semua orang pandang Philip sebagai anak muda yang penuh wibawa.

            Bagaimanapun entah di mana silapnya, Philip tidak pernah merasa tenang dan cukup dengan apa yang telah dicapai. Sentiasa ada lohong dalam hati yang tidak terisi.

            Apa yang aku cari dalam hidup ni sebenarnya? Monolog Philip namun hanya cukup diketahui hati sendiri. Langsung tidak kedengaran apa-apa di telinganya. Philip pandang lagi ke belakang, gereja yang ditinggalkan makin jauh. Philip menelan ludah.

            Selama dia cukup matang untuk memahami keperluan beragama dan mengamalkan segala amalan baik yang diajar dalam agamanya, Philip merasakan Kristian merupakan amalan agama terbaik. Tetapi mengapa ada suara halus sering bergetar mengatakan apa yang dianutinya masih tidak sempurna?

            Habis agama apa yang sempurna? Hindu? Budha? Atau boleh jadi Islam yang sering diuar-uarkan sebagai agama terbaik untuk seluruh umat manusia?

            Philip menarik nafas panjang-panjang. Mungkin dia memikirkan terlalu banyak. Padahal dia tahu setiap agama semuanya sama. Yang membezakan hanyalah penganutnya. Semua agama menuntut agar umatnya berbuat kebajikan, saling berkasih sayang dan hormat-menghormati akan hak individu lain. Tidak boleh berbuat jahat dan sebarang kerosakan terhadap orang lain. Mencuri, berbohong dan segala sifat tidak baik yang lain juga ditegah dalam agama-agama yang pernah wujud di muka bumi.

            Itu Philip cukup tahu.

            Penganut agama itulah yang menjadikan sesuatu agama nampak cacat dan tidak sempurna. Philip selalu memaktubkan begitu. Sungguhpun demikian, mengapa sejak akhir-akhir itu Philip semacam merasa suatu kekurangan dalam diri?

            Tuhan, aku sayangkan agamaku. Philip memahat kata-kata tersebut kemas-kemas. Sungguh baginya dia tidak mahu mempertaruhkan agama sendiri demi mencari kesempurnaan yang dia sendiri belum tahu boleh diraih di mana dan melalui apa.

            Baru Philip sampai ke motornya telefon genggamnya berbunyi nyaring. Terpamer nama Mirza Arman di skrin. Philip tersenyum. Hujung minggu begitu Mirza Arman sering menelefon dengan membawa pelbagai agenda hujung minggu. Hari itu pula entah apa rancangan yang telah Mirza Arman aturkan.

            “Tengok wayang? Bunyi macam menyeronokkan tapi aku nak ke rumah orang tua-tua kejap lagi.”

            “Buat apa nak ke rumah orang tua? Atuk kau dah tinggal kat situ ke? Bukankah atuk kau masih kat Sarawak?”

            “Hish kau ni. Ada kah atuk aku pulak. Aku saja nak jenguk orang-orang tua di sana. Kalau bukan kita yang menjenguk, siapa lagi? Dah sah-sah anak sendiri tak ambil berat soal mereka kalau dah terlantar di situ. Kalau anak-anak dia orang ambil berat tak sampainya mereka ke situ.”

            “Eii, tak menariknya aktiviti hujung minggu kau kali ni.” Mirza Arman memberi komen.

            Philip tersenyum meskipun Mirza sudah tentu-tentu tak nampak senyuman yang diukirnya.

            “Sesekali. Lagipun aku rindukan keluarga kat Sarawak. Luangkan masa dengan orang tua-tua ni at least terhibur juga hati aku.”

            “Terpulang kat kau lah. Aku ajak je,kalau kau tak nak aku boleh ajak si Hadi atau Syamsul.”

            “Hah, eloklah.”

            “Betul kau tak nak ikut?”

            “Betul. Mungkin lain kali aku ikut. Minggu depan ke. Dengar-dengar ada horror story minggu depan. Kalau tak silap Don’t Be Afraid Of The Dark tajuknya.”

            “Kau cerita hantu manjang.”

            “Lebih baik layan cerita hantu daripada layan cerita perempuan-perempuan telanjang.”

            “Wooo, pedasnya nada cakap kau kali ni.” Mirza Arman tergelak.

            “Apa yang lucu sangat tu? Tak faham aku dengan kau ni.”

            “Tak delah. Kau ni kalau melayu dah layak jadi ustaz tau…tak layan cerita perempuan telanjang kat panggung. Sikit punya baik aku dengar.”

            “Nak kisah apa pasal perempuan telanjang kat filem? Hari-hari kita boleh tengok keliling kita.”

            “Hahhh, dahlah. Tak mahulah aku cakap pasal isu ni. Nanti ada melarat pula topik ni. Aku ciao dulu lah.” Mirza Arman memutuskan talian.

            Philip bersedia untuk menghidupkan enjin motornya sejurus kemudian.  Bagaimanapun masih sempat menoleh ke belakang. Melihat gereja yang masih tersergam di hujung pandangan. Philip menghela nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan bersama satu keluhan. Bagaikan ada sesuatu tertinggal di situ. Philip pun kurang pasti apa.


Philip merebahkan badan ke katil setelah penat menghabiskan masa seharian di rumah orang tua. Kelopok mata Philip memberat. Macam ada batu berkilo beratnya di atas kelopak mata. Akhirnya Philip mengalah pada tuntutan badan yang penat. Dia terlena. Dia tidak tahu berapa lama dia terlena. Dia hanya tersedar setelah telinganya terganggu oleh satu suara yang tidak jelas tetapi menusuk ke telinganya. Apabila dia membuka mata, pandangan di luar jendela sudah gelap. Hari sudah beransur senja.

            Philip mengitari seluruh ruang biliknya. Mengesan suara halus yang mengganggu tidurnya. Dari mana datangnya suara yang dia seperti biasa dengar tetapi tidak pernah diambil peduli sebelum ini. Pun punca datangnya suara itu belum ditemui dalam biliknya walaupun dia yakin suara itu memang datang dari bilik itu dan bukan dari luar.

            Akhirnya Philip termenung. Enggan memikirkan. Mentak bunyi itu mainan perasaannya kerana telah tertidur pada waktu sore. Sungguhpun begitu andaian itu tidak lama apabila suara itu terus berbunyi. Philip menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

            “Kenapa macam dekat benar dengan aku bunyi ni? Macam betul-betul saja.” Philip merungut sambil bangun melilau sekeliling bilik bujangnya.

            Pandangan matanya kemudian tertumpu kepada jam loceng di atas meja sebelah katil bujangnya. Keningnya bercantum membentuk camar tatkala menyedari bunyi tersebut datang dari jam itu. Lebih terkejut apabila mendapati suara itu berbunyi setiap kali jarumnya bertukar setiap detik. Philip terkesima yang amat. Dia menelan ludahnya. Tidak percaya. Benar-benar tidak percaya.

            Philip mendekati meja. Menggapai jam loceng bersaiz 6 inci persegi. Membawa ke telinga. Sah! Memang jam itu yang mengeluarkan suara yang bukan asing baginya tetapi selama ini tidak pernah dihiraukan. Philip bergemelugut. Dia mencubit diri sendiri untuk memastikan dia tidak bermimpi.

            Sakit. Sah dia tidak bermimpi.

            Philip langsung mencampakkan jam loceng ke atas tilam. Gementarnya kian terasa.  Dalam masa yang sama dia merasa pelik apabila jam locengnya mengeluarkan bunyi yang tidak sepatutnya. Dalam termangu-mangu begitu suara azan dari luar rumah bujangnya membuatkan Philip sekali lagi tersentak. Azan tersebut kedengaran jelas sekali kerana dia menyewa berdekatan sebuah masjid.

            Philip memandang ke luar tingkap yang masih terbuka. Selalunya suara azan tersebut langsung tidak pernah mengganggu. Pun demikian keadaan menjadi amat berlainan sore itu. Dia merasa cukup tidak senang mendengar laungan azan. Membingitkan telinga. Dia menghampiri tingkap bilik yang masih terbuka tadi. Pantas menarik daun tingkap yang terkuak. Ditutup kemas dan langsir ditarik.

            “Huh, okey sikit, kalau tak benar-benar memekak!” Ngomel Philip seorang diri.

            Baru Philip ingin berlalu ke katil, telefon genggamnya menjerit minta diangkat. Tertera nama Mirza Arman sekali lagi. Panggilan kedua daripada Mirza Arman untuk hari itu.

            “Hah, apahal?” Soal Philip sebaik menjawab panggilan.

            “Kita clubbing malam ni.” Ajak Mirza Arman.

            “Pagi tadi tengok wayang, malam ni clubbing pulak. Macamlah besok kita tak ada kuliah.”

            “Alah kau ni. Macam-macam bunyi kalau aku ajak clubbing.”

            “Dah kau tau aku tak suka pegi clubbing, masih nak ajak aku apahal?”Tukas Philip pula.

            “Sebab kau tak pernah pergilah aku ajak. Kasi berkembang sikit minda kau. Ni KL la, bukan kat Sarawak. Hidup kat sini tak sah kalau tak enjoy.”

            “Kalau nak enjoy aku tak perlu tunggu sampai KL, kat Sarawak pun dah berlambak-lambak bentuk hiburan yang masuk kat sana. Lagipun aku tinggal kat Kuching la. Bukan kawasan pedalaman.”Philip membetulkan kenyataan Mirza Arman.

            Macamlah orang Sarawak jakun sangat sehingga Mirza Arman mahu mengeluarkan kenyataan sedemikian. Asal Sarawak saja, dia bayangkan kemunduran. Langsung tak fikir fasal benda lain. Iya. Sarawak mungkin agak terkebelakang dari segi kemajuan berbanding Malaysia Barat. Namun tidaklah masyarakatnya teramat jakun sehingga tidak tahu banyak perkara. Tambahan pula bagi masyarakat yang berkelas sosial tinggi seperti Philip yang sudah lama menerima pembangunan. Mirza Arman tidak boleh memandangnya sebelah mata lagi.

            Er, kenapalah aku nak emosional sangat. Bukan aku tak tahu perangai Mirza Arman. Menghina, mengutuk tu dah jadi darah daging dia. Philip kemudian tersedar.

            “Aku bukan apa, nak kau kenal dunia luar sikit. Kita masih muda la. Kenalah sesekali berseronok.”

            “Berseronok tu subjektif. Selama ni pun aku dah cukup berseronok dengan kehidupan aku. Tak perlu lah nak ke kelab malam semata-mata untuk cari keseronokan tu.”

            “Ish, susahlah kau ni.” Mirza Arman mula berputus asa dengan sikap Philip.

            Selalupun memang macam begitulah. Philip tidak pernah sekalipun akur dengan ajakannya untuk berseronok di kelab malam. Cara hidup mereka sebenarnya amat bercanggahan. Sungguhpun begitu baik Mirza Arman mahupun Philip tidak pernah tahu mengapa mereka masih boleh serasi dan menjadi kawan baik.

            Mirza Arman menamatkan perbualan kemudiannya apabila sessi memujuk Philip tidak berjaya. Philip duduk di birai katil. Termenung di situ memikirkan Mirza Arman. Ada sedikit kesal memikirkan cara hidup Mirza Arman dan fahaman yang dibawanya. Mirza Arman selalu beranggapan usia muda merupakan usia terbaik untuk berseronok sedangkan bagi Philip pula ketika usia muda inilah mereka perlu berusaha untuk mencapai semua impian. Tidak boleh leka walau sesaat untuk mencapai kejayaan. Dia mahu jadi insan berjaya tanpa menumpang kedudukan dan keistimewaan orang tua.
            Mirza Arman pula tidak mahu memikirkan semua itu kerana terlalu yakin akan tempat yang sudah tersedia untuknya di syarikat orang tua. Menyambung pengajian di kolej berprestij sehingga menemukan mereka berdua semata-mata atas desakan orang tua yang mahu anak mereka berstatus pendidikan sama taraf dengan orang lain biarpun keputusan peperiksaan lebih kepada keputusan berbayar dan bukan hasil usaha Mirza Arman sendiri.

            Huh. Itu bezanya Mirza Arman dan Philip. Pun Philip tetap memilih Mirza Arman sebagai teman rapatnya di kolej. Dia sendiri tidak faham.

            Tidak faham bukan setakat dengan jalinan persahabatan mereka, tetapi tidak faham dengan sikap Mirza Arman yang bagi Philip tidak sepatutnya jadi begitu. Bagi Philip, sebagai Melayu dan beragama Islam yang dicanangkan sebagai agama terbaik, Mirza Arman sepatutnya muncul dengan citra yang jauh lebih baik daripada dia.

            Sungguhpun begitu, ‘terbaik’ itu nampaknya tiada dalam diri Mirza Arman dan masyarakat Melayu lain di sekelilingnya membuatkan Philip jadi waham. Ragu-ragu dengan kenyataan yang dicanangkan ramai pihak sebelum ini.

            Philip termenung kembali. Bagaimanapun menungan kali ini tidak panjang apabila sekali lagi ada gema azan dari masjid berdekatan rumahnya. Philip tersentak. Langsung teringatkan tentang jam locengnya yang mengeluarkan detikan yang pelik. Dia memandang ke arah jam tersebut. Ahhh, bunyi itu masih ada!


BAB EMPAT

“Tak boleh encik. Saya minta maaf!” Amar menolak penuh tertib permintaan seorang pelanggan yang datang membawa bersamanya sekeping gambar berukuran passport dengan tujuan mahu Amar memotretkan wajah dalam gambar itu.

            “Apa pula tak bolehnya? Awak kan pandai lukis potret. Kami pernah dapatkan khidmat awak semasa awal-awal perkahwinan kami dulu. Sekarang anak perempuan kami pula berminat untuk mengabadikan wajahnya dalam bentuk lukisan.”Tukas pelanggan tersebut masih belum mahu mengalah dengan penolakan Amar.

            “Tu dulu encik. Kisah hampir lima belas tahun lepas. Sekarang saya dah tak boleh melukis potret lagi. Saya tak daya.” Amar cuba meraih pengertian daripada lelaki di depannya.

            Imza hanya memerhati situasi tersebut. Sudah faham benar dia melihat kondisi itu. Bukan sekali dua Amar menolak permintaan pelanggan untuk memotretkan wajah mereka di atas kanvas dengan menggunakan apa jua medium lukisan. Semuanya Amar tolak dengan penuh hemah. Kesudahannya tanggungjawab itu terpaksa dipikul Imza. Selalupun begitulah.

            Lelaki baya-baya umur itu kelihatan mengeluh. Tangan diletakkan di belakang leher seperti berkira-kira sesuatu dalam benaknya. Dia bagai hilang akal untuk memujuk Amar menyanggupi permintaannya.

            “Saya sanggup bayar lebih janji awak sedia nak lukis wajah anak saya. Tolonglah. Untuk hadiah hari lahirnya.”

            Amar masih menggelengkan kepala penuh tertib.

            “Encik, kalau saya mampu tentu saya dah sanggup buat tanpa ambil kisah berapa pun encik nak bayar. Masalah sekarang bukan soal bayaran, saya memang tak mampu nak melukis lagi. Kalau encik beriya-iya sangat, apa kata encik minta saja dia yang lukiskan wajah anak encik tu. Hasil karya gadis tu pun berkualiti tinggi.” Amar akhirnya memberi cadangan sambil jarinya menghala ke arah Imza yang sedari tadi memerhati.

            Imza kelucuan. Tebakannya seketika tadi menjadi kenyataan. Amar memang tegar untuk menolak permintaan pelanggan.

            “Boleh kah?”

            “Dia boleh encik. Malah kalau encik dah mula minta dia lukiskan sekali, lepas ni encik tentu dah tak akan perlukan khidmat saya lagi.”

            Pelanggan tersebut nampak ragu-ragu dan itu jelas terpetia pada wajahnya. Sesekali pula kelihatan keningnya seakan mahu bercantum menerbitkan kerutan pada dahi.

            “Encik boleh cuba tengok dulu contoh lukisan yang dah dia siapkan. Jom saya bawa encik tengok hasil seni dia.” Amar bangun dan menapak mendahului si pelanggan merapati Imza.

            Imza menyambut mereka dengan senang. Pelanggan itu meneliti hasil tangan Imza. Kemudian dia seperti berkira-kira buat seketika sebelum menyerahkan sekeping gambar berukuran passport kepada Imza. Amar tersenyum melihat tindakan lelaki tersebut yang sudah mula termakan pujukannya.

            “Boleh awak lukis gambar anak perempuan saya ni? Lukis sebijik-sebijik macam dalam gambar ni?” Soalnya masih tidak begitu yakin dengan keupayaan Imza.

            “In shaa Allah. Saya cuba encik.” Imza menjawab penuh tertib.

            “Berapa hari awak boleh siapkan potret dia?”

            “Emhhh, selalunya kalau tak ada aral, dalam dua minggu siaplah encik. Bergantung pada mediumnya. Encik nak saya guna apa?”

            “Guna apa?”Pelanggan tersebut nampaknya tidak dapat menangkap maksud pertanyaan Imza.

            “Maksud saya nak guna water colour ke, cat akrilik ke, pastel ke. Terpulanglah.”

            “Biasanya guna apa yang lebih menyerlah?”

            “Soal menyerlah tu lebih kurang saja cik. Janji bijak mengadunkan warna tapi kalau guna cat lukisan wajah anak encik lebih tahan lama berbanding water colour. Kos pun lebih murah.”

            “Kalau macam tu guna saja cat. Soal kos bukan masalah, janji lukisan tu boleh disimpan lama.”

            “Kalau macam tu beri saya masa lebih kurang dua minggu. Kalau tak ada aral in shaa Allah siaplah potret anak encik tu. Tinggalkan sekali nombor telefon agar mudah saya hubungi nanti.”Ujar Imza sambil menghulurkan sekeping kertas nota kepada si pelanggan.

            “Pendahuluan?”Soal lelaki itu semasa menyambut huluran kertas nota tersebut.

            “Saya tak biasa ambil pendahuluan cik. Nanti encik bayar lungsurm kalau dah siap.”

            “Emh, baiklah kalau macam tu. Ni nama dan nombor telefon saya.” Lelaki itu membalas sambil menghulurkan kertas yang diberikan oleh Imza kepadanya sekejapan tadi.

            Imza meneliti nama di kertas tersebut. Ghazali namanya. Imza senyum sambil mengepilkan kertas nota itu bersama gambar anak Encik Ghazali.

            Encik Ghazali sudah berlalu. Imza tidak terus menyambung kerja melukisnya. Bagaimanapun pandangannya dilepaskan ke wajah Amar yang sentiasa hadir dalam mimpinya. Ada debar dalam hati setiap kali dia menatap wajah Amar.

            Sudah lama dia dicengkam rasa ingin tahu yang membuak setiap kali Amar menolak permintaan pelanggan agar memotretkan wajah sebagaimana yang diinginkan pelanggan. Bagaimanapun dia sering gagal mencungkil rahsia yang nampaknya kemas sebati dalam lebuh ingatan Amar. Amar seringkali mengelak apabila Imza cuba menyelongkar kotak kenangan masa silamnya.

            Imza yakin ada sesuatu yang membuatkan jemari Amar tidak sanggup untuk melakar wajah sesiapa baik pada kanvas atau pada apa jua medium lukisan. Imza yakin benar tentang perkara tersebut namun gagal untuk menebak apa sebenarnya masalah Amar.


“Abang hanya pelukis jalanan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sanggupkan Ina bersusah payah dengan abang?” Soal Amar kepada Syariena.

            Gadis pertama yang mengungkap kata cinta kepadanya.

            “Ina sanggup, bang. Janji abang sudi cintakan Ina dan kasihkan Ina sehingga akhir hayat abang.” Itu pengakuan ikhlas yang keluar dari ulas bibir Syariena.

            “Abang takut Ina akan menyesal. Ina sudah biasa hidup mewah. Sebut aje nak apa, orang tua Ina sanggup adakan. Hidup dengan abang nanti, usahkan nak pakai cantik-cantik. Makan pun belum tentu abang dapat beri dengan sempurna.”

            “Kalau abang makan nasi, Ina makan nasi. Kalau abang hanya makan bawang, Ina pun turut sanggup makan bawang saja.”

            “Ina, cakap memang mudah tapi alangkah susah dan peritnya nak hadapi kenyataan tersebut.”

            “Ina yakin kekuatan cinta kita boleh atasi semua masalah.”

            “Cinta tak boleh nak beli beras kat kedai Ina.”

            “Tapi cinta boleh buat Ina lupa pasal makan.”

            Akhirnya Amar akur dengan kekuatan cinta Syariena. Lalu mereka diijabkabul dalam majlis serba sederhana memandangkan keluarga Syariena yang dari kalangan orang berada tidak begitu bersetuju dengan pilihan Syariena yang bagi mereka langsung tidak boleh menjamin masa depan Syariena yang sebelum ini sudah biasa hidup dalam kemewahan. Tuan Jamal dan Puan Marlia terpaksa bersetuju kerana Syariena mengugut untuk tidak pulang ke rumah dan kahwin lari dengan Amar sekiranya keinginannya untuk berkahwin dengan Amar tidak dipersetujuinya orang tuanya.

            Demi menjaga nama baik Tuan Jamal dan Puan Marlia terpaksa akur dan berlangsunglah majlis akad nikah dalam penuh kesederhanaan.

            Itu kisah hampir dua puluh satu tahun yang lalu. Pun ia masih segar dalam ingatan Amar. Syariena yang jelita memang mampu mengikat kasih dan cintanya sehingga dia sanggup mengabaikan status mereka berdua. Berkali-kali dia cuba menolak lamaran cinta Syariena namun Syariena membuktikan keagungan kasih sayangnya membuatkan Amar terpaksa tunduk pada cinta tersebut.

            Sehingga kini pun cinta Syariena masih Amar rasakan membuatkan diri sering dipagut kepiluan yang maha tepu dalam diri.

            “Ina, abang minta maaf sebab mengheret Ina dalam hidup yang penuh bermasalah.” Sering Amar mengucapkan kata-kata tersebut kepada si isteri setiap kali gagal memberi kesempurnaan yang sepatutnya sepanjang perkahwinan mereka.

            “Ina tak kisah, bang. Janji Abang sayangkan Ina.”

            “Tulah puncanya Ina. Kalau abang tak benarkan sayang tu hadir terhadap Ina, hidup Ina tentu tak sesusah sekarang. Mak ayah Ina pun tentu masih layan Ina macam biasa. Maklumlah Ina satu-satunya anak mereka. Sekarang mereka bagaikan membuang Ina.”

            “Biarlah bang. Ina sanggup hadapi semua dugaan ni janji Ina boleh sehidup semati dengan abang. Kasih sayang dan cinta Ina terhadap abang bukan dibuat-buat. Ia kasih sayang yang terlalu ikhlas dan betul-betul mendalam.”Balas Syariena sambil memeluk Amar dengan penuh kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bahagi.

            Amar terharu dengan cinta yang dijunjung Syariena lalu memasang tekad untuk tidak mensia-siakan segala cinta dan pengorbanan yang telah Syariena curahkan untuknya. Namun Amar tidak mampu menyempurnakan tekadnya sendiri. Dia gagal. Mangsanya Syariena.

            Ya Allah. Demi Tuhan, Amar tidak pernah lega daripada rasa bersalah yang menghambat tenangnya setiap detik dan setiap nafasnya. Kesusahan, kesesakan sebagai pelukis jalanan yang tidak menjanjikan pendapatan tetap dan menjamin masa depan mengheret Amar terlibat dalam percaturan dan membuatkan dia sesal sepanjang usia.

            Syariena, Maafkan abang!

            Amar meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya yang kasar. Citra Syariena sentiasa bermain di matanya. Syariena datang dengan wajah paling manis. Senyuman paling menawan. Sekejapan kemudian Syariena datang pula dengan wajah sugul. Dengan sisa air mata mengering di pipi. Kasihan Syariena. Benar-benar kasihan. Gara-gara cinta terhadap Amar Syariena terpaksa memikul sekian banyak kepiluan dalam hidup.

            Amar memang kejam. Memberi cinta. Membuat janji. Kemudian memberi luka apabila satu pun tidak bisa dikabulkan.

            Uhhh. Amar memang pandai berjanji. Pandai memberi harapan. Padahal yang tinggal  kemudiannya hanya kelukaan yang kental dan tidak tertanggung dek Syariena.

            Amar meraup mukanya sekali lagi dengan tangan kasarnya. Kali ini disertakan sekali dengan keluhan yang amat berat. Sedetik selepas itu Amar bangun. Memerhati beberapa potret wajah Syariena yang menjadi koleksi peribadinya. Syariena tersenyum cantik di situ. Manis sekali.

            Namun masihkah sekarang Syariena mampu tersenyum seperti itu setelah sekian banyak kelukaan Amar hadiahkan kepadanya? Setelah Amar melelewakan cinta suci Syariena melalui cara maha keparat sekali. Masih mampukah Syariena tersenyum manis seperti itu?

            Maafkan abang. Maafkan abang. Kalaulah Ina tahu sampai sekarang abang menyesal dan rasa cukup tidak sanggup untuk terus menggalas rasa bersalah terhadap Ina. Ina, abang betul-betul menyesal. Menyesal sangat.

            “Ina, buat apa Ina sekarang?” Amar berkata-kata kepada potret Syariena yang sedang direnungnya.

            Jemari kasarnya menyentuh ke wajah di dalam lukisan yang dijelmakan sendiri di atas kanvas. Dia sayangkan pemilik wajah tersebut. Cukup-cukup sayang. Bagaimanapun kesesakan hidup melemaskan akal warasnya sehingga sanggup bertindak kejam ke atas cinta yang mereka semai di hati.

            “Kalaulah abang berpeluang jumpa Ina sekali lagi, abang akan mohon ampun. Abang menyesal kerana buat Ina menderita dan mengalirkan air mata.”Ujar Amar lagi.

            Matanya bergenang dengan air jernih yang berladung di tubir mata. Sekeras manapun hati seorang lelaki, apabila mengenangkan perbuatan lalu, mengenangkan dosa lalu, hati itu tetap akan lembut juga. Apatah lagi jika dosa itu dilakukan terhadap orang yang benar-benar cinta dan kasihkan dirinya.


BAB LIMA

Imza duduk di bawah sepohon pokok yang tidak diketahui jenis dan spesiesnya sambil telinganya yang terlindung di sebalik topi ala-ala Sani Sudin disumbat dengan ear-phone. Dia rasa tenang begitu. Menelaah pelajaran sambil mendengar lagu memang sudah menjadi amalannya sejak zaman persekolahan lagi.

            Apatah lagi untuk individu seperti Imza yang boleh dikategorikan sebagai spesies senyap dan kurang bunyi. Suka menghabiskan masa sendiri berbanding rakan sekolej lain yang gemar bersama kawan-kawan atau bergerak secara berkumpulan.

            Begitulah ruang lingkup hidup Imza.

            Dia hanya ada seorang kawan. Itulah Amar.

            Mengingatkan Amar membuatkan Imza sempat mengelamun buat seketika. Amar yang sering tampil serius selalunya juga tidak banyak cakap seperti Imza. Dalam tidak banyak cakap itulah Imza menyedari Amar masih lagi ‘individu’ yang teramat misteri baginya.
.
            Sungguhpun begitu Imza sering memerhatikan Amar. Dari kebiasaan memerhatikan gelagat Amar membuatkan Imza jatuh senang dan kemudian jatuh kasih terhadap lelaki yang dia sedar sebenarnya lebih layak bergelar ayah kepadanya.

            Ah. Lantaklah! Hati jika dah suka tak kenal perbezaan usia pun. Imza memaktubkan begitu kepada diri sendiri.

            “Hai, awak…” Datang seseorang menyapa Imza.

            Imza tidak membalas. Menoleh pun tidak ke arah insan yang menyapa. Tingkahnya bagai dia langsung tidak menyedari kehadiran perjaka tersebut di sisi.

            Philip menggerak-gerakkan tangan kurang lima inci dari wajah Imza. Barulah Imza nampak tersentak dan cepat-cepat membuang ear-phone di telinga.

            “Ohhh, patutlah tak dengar saya tegur tadi.” Philip mula sedar keadaan sebenar.

            “Errr, awak buat apa kat sini?” Imza bertanya agak kurang senang sambil mata sudah mula melilau memerhati sekeliling.

            Philip turut berbuat demikian.

            “Awak cari siapa?” Philip menyoal dan kali ini sudah mula mengambil tempat duduk di sebelah Imza tanpa menunggu pelawaan daripada si gadis.

            “Mana kawan poyo awak tu?”

            “Mirza Arman?”

            “Ntah, mana saya tau nama dia”

            “Mirza la tu kalau selalu bersama saya.”

            “Haaah, ya lah kot. Mana dia?”

            “Dia ada tutorial. Saya tengah tunggu dialah ni. Alang-alang nampak awak kat sini, saya datanglah.”

            “Kenapa?” Imza bertanya ringkas. Raut wajahnya mempetiakan riak kurang senang dengan sikap berani Philip.

            “Saya Philip.” Philip menghulurkan tangan kepada Imza.

            Imza memerhati tangan yang dihulurkan kepadanya. Dia mengetap bibirnya. Seumur hidupnya dia tidak pernah bersentuhan dengan bukan mahram. Mak ayah cakap haram.

            “Kalau kita sentuh khinzir boleh samak, sentuh lelaki bukan mahram langsung tak boleh samak. Imza pikirlah sendiri mana lebih teruk.” Terngiang suara ayah di telinganya.

            Philip menarik kembali huluran tangan yang tidak bersambut. Dia tidak perlu menunggu lama untuk memastikan salam itu bersambut atau tidak. Riak pada wajah Imza yang serba salah sudah menjelaskan semuanya. Lagipun Philip tahu dalam agama Imza, bersentuhan dengan lelaki yang bukan bersaudara ditegah sama sekali. Mungkin Imza sedang mempraktikkan tegahan tersebut meskipun Philip cukup sedar tidak ramai penganut Islam mahu mempraktikkan larangan itu.

            Philip boleh lihat pergaulan masyarakat yang mengaku beragama Islam sekarang sudah tidak banyak beza dengan orang-orang seagamanya. Tidak banyak beza dengan orang-orang yang beragama Hindu, Budha dan sebagainya lagi.

            Kemudian baru dia sedar, walaupun Imza tidak mengenakan baju kurung, pakaiannya tampil dalam imej tertutup. Jeans lusuh yang longgar, t-shirt putih yang dipadankan dengan kemeja bercorak kotak-kotak yang besar daripada saiz tubuhnya langsung tidak memungkinkan Philip mahupun orang-orang di sekeliling mereka mampu melihat bentuk badan Imza. Ditambah pula Imza pun bukanlah berisi orangnya. Mungkin kalau ditimbang beratnya sekitar empat puluh kilo. Malah mungkin kurang daripada itu sekiranya dia sedikit rendah daripada ketinggiannya sekarang.

            Rambut Imza? Emh, rambut yang kononnya mahkota wanita itu pun agak terlindung walaupun ada beberapa helai berjuntaian di luar topi yang dikenakan Imza.

            “Awak ni kenapa?” Soal Imza apabila menyedari Philip memerhatikannya.

            “Oppp, maaflah. Saya sebenarnya pelik tengok awak. Awak nampak berbeza dengan gadis lain kat kampus ni.”

            Imza tersenyum sumbing. Memang dia sendiri akui dia berbeza. Macam langit dan bumi. Macam awan dan lautan. Jauh jaraknya antara Imza dan gadis-gadis lain di kampus tersebut.

            “Saya tak pandai bergaya. Lagipun nak buat apa bergaya? Saya ke sini nak belajar. Susah payah mak ayah saya hantar saya ke sini untuk belajar. Bukan nak bersaing dengan orang lain dari segi penampilan dan gaya.”

            Ahhh, agak sinikal juga dengung cakap Imza sekali dia berbunyi. Philip tersenyum. Bercambah keinginan di hati untuk mengenali Imza dengan lebih dekat.

            “Saya suka dengan awak.” Philip berterus-terang.

            “Hah?” Imza nyata kaget.

            “Opps, jangan salah faham. Maksud saya, saya suka dengan cara awak menampilkan diri.”

            “Maaflah, saya tak mudah termakan dengan pujian. Lagipun saya sedar tak ada apa-apa yang menarik pada diri saya untuk buatkan awak suka.”

            Philip ingin membalas tetapi Imza terlebih dahulu memintas.

            “Atau awak sengaja nak kenakan saya. Berkata yang bukan-bukan kepada saya padahal awak dan kawan poyo awak tu ada agenda nak kenakan saya?” Tebak Imza dengan wajah serius. Matanya sengaja dibeliakkan untuk menimbulkan ketegasan dalam soalannya.

            “Ish, ke situ pula awak. Nak kenakan awak apa hal pula?”

            “Mana tau. Kawan poyo awak tu tak suka saya. Orang kalau dah tak suka, macam-macam dia sanggup buat.”

            “Ahh, awak jangan layan sangat kerenah si Mirza tu. Dia memang macam tu. Maklumlah. Dia tu terkena sindrom anak orang kaya. Tipikal anak orang berada yang suka pandang rendah dan hina orang lain terutama orang susah.” Philip berterus-terang tentang pendapatnya terhadap Mirza Arman.

            Berkerut kening Imza mendengar pendapat Philip. Rasa tidak patut pula Philip meluahkan pendapat tersebut di belakang Mirza Arman sebab mereka berkawan rapat.

            “Tak baik awak cakap kawan awak sendiri macam tu. Tu dah kira mengumpat.”

            “Mengumpat apanya? Selalu saya cakap hal ni depan-depan dia. Tak sukalah kalau dia terus dengan sikap buruk tu. Mirza tu sebenarnya baik, cuma macam awak cakap tadi, dia poyo.”

            Imza merapatkan kedua-dua ulas bibirnya rapat-rapat. Seperti ada sesuatu yang ingin diluahkan. Philip menunggu dengan sabar.

            “Perlukah…” Imza mencipta jeda di situ. Menelan ludah buat seketika sebelum menyambung “Perlukah anak orang kaya tu menghina dan memandang rendah orang miskin. Buat orang susah macam sampah. Padahal orang susah pun ada hati dan perasaan jugak.” Akhirnya terluah begitu daripada mulut Imza. Seakan ada sesuatu yang terkesan di hatinya tatkala melepaskan kata-kata itu keluar.

            Philip menarik nafas panjang-panjang sebelum dilepaskan dengan kasar. Dia faham maksud Imza. Tentulah Imza terasa hati apabila selama ini dipandang hina oleh Mirza Arman.

            “Awak maafkanlah dia. Doakan dia akan berubah.”

            “Doakan? Pelik bunyi awak cakap begitu.”

            “Kami kristian pun percaya pada doa. Sebab tu kami ke gereja. Meminta kebaikan daripada Tuhan kami.”

            Imza tidak berkata apa-apa. Dia tidak tahu banyak tentang kristian. Pun tidak juga berminat untuk mengetahuinya. Masih banyak hal dalam agama sendiri yang tidak dipelajari. Tidak ditekuni. Tidak perlulah dia sibuk-sibuk mahu mengetahui tentang agama lain. Karang nanti takut terpesong akidahnya.

            “Kawan poyo awak tu tentu suka perempuan cantik dan bergaya. Lelaki macam dia dah tentu nakkan gadis yang boleh dibawa berhibur.”

            “Kenapa awak cakap macam tu?”

            “Ahh, selalu orang macam dia memang macam tu.”

            “Pasal berhibur tu memang Mirza suka sangat. Hujung minggu selalu clubbing tapi sejauh soal bawak perempuan pergi berhibur, awak silap. Dia bukan anak orang kaya yang senang-senang nak habiskan duit poket dan elaun yang diberi mak bapaknya kepada perempuan.”

            “Tak percayalah. Tentu awak nak back-up kawan sendiri.”

            “Apa pulak nak back-up? Cuba awak tengok sendiri di kolej ni, pernah nampak dia bawak teman sekolej bonceng dengan dia? Tak pernah, kan?”

            “Ish, tak kuasa saya nak perhatikan gerak-geri dia.”

            “Saya cakap betul. Lagipun sepanjang saya kenal dia, dia suka seorang saja perempuan. Kalaupun orang yang dia suka tu betul-betul perempuan.”

            “Tak fahamlah apa awak cakap ni.”

            “Sebenarnya macam ni. Mirza Arman ni sebenarnya minat sangat kat sorang penyajak. Selalu dia ikuti perkembangan karya terkini penyajak tu kat majalah dan akhbar. Cuma kami tak pasti penyajak tu lelaki ke perempuan. Maklumlah, orang seni ni suka guna nama pena.”

            “Macam tak percayalah pulak.”

            “Sukahati awaklah tapi Mirza memang bukan seteruk yang awak sangka.”

            “Emh, kiranya awak datang jumpa saya ni nak cakap pasal dia lah?” Imza berkata kemudiannya. Mula malas untuk melanjutkan perbualan tentang Mirza Arman.

            “Ehhh, tak adalah. Saya sebenarnya saja suka-suka nak tegur awak. Selalu saya nampak awak habiskan masa seorang diri. Tu yang saya terdorong nak kenal awak. Tak salah kita berkawan, kan?” Philip membetulkan keadaan.

            Tidak mahu Imza terus salah sangka tentang niat sebenarnya.

            “Saya memang suka sendirian. Tak jentik dan tak sakitkan hati sesiapa.”

            “Tapi saya ikhlas dan nak sangat kenal dengan awak.”

            Imza memerhati ke wajah Philip dengan kening bercantum dua. Mencari keikhlasan pada wajah itu. Sepanjang dia belajar di situ tidak pernah ada sesiapa yang datang menghulurkan perkenalan seperti yang dilakukan Philip sekarang. Jangan-jangan Philip ada agenda sendiri.

            Jika agenda itu tidak bersangkutan dengan Mirza Arman, boleh jadi ia berkaitan perkara lain. Ish. Janganlah! Imza sudah mula bergemelugut di dalam hati.


BAB ENAM

“Bukan main aku tengok kau berbual dengan budak selekeh tu tadi?”Kata Mirza Arman semasa melangkah ke tempat motor mereka diparkirkan.

            “Alah, tak salah kita mesra dengan kawan-kawan satu kolej.”

            “Salah tu memanglah tak. Cuma musykil kenapa dia? Ramai lagi gadis cantik kat kolej ni, tak pernah pula kau nak mesra-mesra. Alih-alih dengan budak selekeh tu bukan main lain.”

            “Aku kesian lah tengok dia tu. Seorang saja di mana-mana. Mungkin dia pun nak ada teman tapi tak berani sebab tak ada yang sudi nak kawan dengan dia.”

            “Kau apa kes kalau tak ada yang nak kawan dengan dia?”

            “Aku belajar dari agama aku, kena selalu berbuat baik dengan masyarakat sekeliling.”

            “Dah macam iklan tv pulak aku dengar.” Jengkel Mirza Arman dalam masa yang sama menutup perasaan dalam hati yang sedikit terkehel.

            Dia agak sensitif jika individu berlainan agama bercakap tentang hal itu dengannya. Maklumlah, dia tidak tahu nak menjawab bagaimana. Selama ini dia penganut agama ikutan dan bukan penganut yang taat. Lahir dalam agama Islam menyebabkan dia akur dengan ketetapan tersebut walhal corak hidupnya tidak pernah sekalipun menggambarkan dia seorang muslim.

            Macam mana dia nak terapkan nilai-nilai murni dalam beragama jika di rumah tiada seorang pun yang pernah cuba amalkan kehidupan beragama. Baik ibu mahupun bapanya. Lalu dia jadilah penganut Islam secara ikutan dan bukan pengamal yang sebenar.

            Baru sahaja Mirza Arman mahu menghidupkan enjin motor, ada air sejuk menitis di tangannya. Dia mendongak ke langit.

            “Lip, hari macam nak hujan, sempat kah tak kita sampai ke rumah?” Soal Mirza Arman.

            Philip turut memandang ke langit. Nampaknya mendung menguasai mana-mana ruang atmosfera di atas mereka. Gelap dan penuh zulmat. Menandakan hujan lebat bersedia untuk jatuh ke bumi bila-bila masa saja.

            “Macam tak sempat lah, Man. Apa kata kita tunggu dulu di sini. Lepak di kafe kah. Library kah.”

            “Mana-manalah, janji dapat berteduh dari hujan. Nak layari internet pun aku kurang berani gelap-gelap macam ni. Karang ada petir tak pasal-pasal menyambar kat aku.”

            “Hish, takut kau dengan petir ya.”

            “Huhuhu, teringat zaman budak-budak dulu. Kalau ada petir aku sering cari ayah aku.”

            “Manja macam budak perempuan.”

            “Dahlah. Jom kita cari tempat berteduh dulu.” Mirza Arman tidak mahu melanjutkan perbualan tentang hal tersebut. Tambahan pula hujan sudah mula turun dengan butiran kasar dan menjadi semakin lebat.

            Mereka duduk di bawah bangunan kolej. Memerhati hujan yang turun. Seakan tiada tanda mahu berhenti. Kaki lima bangunan sudah basah dek hujan yang menggila. Tempias hujan juga turut dirasakan mereka yang berteduh di bawah bangunan.

            “Menjadi-jadi benar hujan hari ni.”Komen Mirza Arman sambil berpeluk tubuh dengan beberapa buah buku terkepit di dadanya.

            “Ha’ah. Mengalahkan musim tengkujuh.”

            “Hujan ni buat aku lapar.”

            “Kalau macam tu, jom kita ke kafe. Pekena sandwich atau apa-apa ajelah.”Ajak Philip.

            Mirza Arman setuju dengan usul Philip lalu mereka tidak membuang masa, terus melangkah ke kafe berdekatan. Sebuah kafe tertutup. Keadaan mereka yang sedikit terburu-buru kerana mahu mengelak daripada tempias hujan menyebabkan Mirza Arman tidak dapat mengelak daripada kuakan daun pintu kafe yang dibuka tiba-tiba dari dalam. Daun pintu tertolak ke lengannya menyebabkan habis jatuh berterabur buku-buku di tangan.

            Sekali lagi!

            Ya. Sekali lagi Imza terpinga-pinga melihat buku-buku Mirza Arman jatuh berterabur di lantai kerananya.

            Ya Allah, bala apakah ini? Imza mengucap nama Allah di dalam hati.

            “Lagi-lagi kau, lagi-lagi kau. Macam satu sumpahan ya!” Jerkah Mirza Arman dengan geram.

            “Dahlah Man, dia bukan sengaja pun.”

            “Sengaja atau tak, sepatutnya sebelum dia buka pintu, dia tengok dulu kalau ada sesiapa di luar. Ni main terjah saja. Habis jatuh buku aku. Tu bukan buku biasa kau tau.”

            “Bukan buku biasa?” Philip berkerut kening.

            Sejak bila Mirza Arman ada buku biasa dan buku tak biasa ni? Philip sudah kebingungan. Sedang Imza seperti biasa tunduk untuk memungut buku-buku Mirza Arman yang bertaburan. Memang salah dia. Patutlah dia merendahkan diri begitu walaupun muka terasa pijar kerana sering terserempak dengan Mirza Arman dalam keadaan yang salah.

            Habislah aku. Comot muka surat dalam buku ni. Imza bergumam di dalam hati tatkala melihat buku yang mengandungi keratan akhbar dan majalah milik Mirza Arman kotor dengan kesan lantai basah yang dipijak orang.

            Bagaimanapun dia terpegun apabila melihat keratan akhbar dan majalah itu sebenarnya keratan-keratan puisi daripada seorang penulis yang bergelar NIFFIRA.

            Niffira? Mungkin dialah penyajak yang Philip maksudkan semasa mereka sempat bersembang tentang Mirza Arman tadi. Uhhh! Imza sudah bergalau. Harau tidak menentu.

            “Dah, tak payah nak tengok. Kau bukan boleh ganti pun kalau buku ni rosak.” Mirza Arman merampas buku di tangan Imza dengan kasar.

            “Maafkan saya!”

            “Maaf, maaf! Selalupun macam tulah, dah buat buku aku kotor senang kau nak minta maaf. Bukan ada jual kat mana-mana buku aku ni. Kau paham tak?” Sergah Mirza Arman lagi.

            Belum sempat Imza menjawab, dia sudah menolak Imza dari laluannya. Terus masuk ke dalam kafe dengan wajah menyinga.

            Philip menggeleng-geleng melihat gelagat Mirza Arman yang langsung tiada toleran.

            “Maaflah. Awak pun tau angin dia macam mana.”

            “Ah, kali ni memang salah saya. Terburu-buru tolak daun pintu. Saya nak cepat tadi.”

            Imza kemudian meminta diri daripada Philip. Masih ada urusan yang perlu diselesaikan dengan penyelia kertas projeknya. Sebab itulah dia terburu-buru tadi. Temujanji mereka pukul lima. Sekarang sudah lebih pukul lima. Dia tidak mahu penyelianya menuduh dia tidak menepati masa.

            “Kalau ya pun marah, cubalah bertolak ansur sikit. Dia bukan sengaja.” Philip berkata semasa menarik kerusi di depan Mirza Arman sebaik masuk ke kafe.

            “Aku hangin Lip. Ni koleksi puisi karya Niffira. Dah lama aku simpan dengan baik, alih-alih hari ni semua rosak. Kotor.”

            “Dah kau sayang sangat, kenapa kau bawa buku tu kat kolej.”

            “Seorang kawan kita tu nak tengok. Dia perlekehkan Niffira. Katanya Puisi-puisi Niffira tak mampu nak menandingi A Samad Said, Kemala, Masuri SN dan beberapa nama besar lagi. Aku pun nak buktikan kata-kata dia salah. Tu yang aku bawak semua keratan puisi ni.”
           
“Tulah. Niat tak baik. Nak menunjuk-nunjuk. Sekarang dah bertemu rugi.”

            “Kau apahal? Aku bukan nak menunjuk, aku sekadar nak membela Niffira. Aku pantang kalau orang kutuk dia tanpa tengok dan hayati sendiri karya dia.”

            “Sukahati kaulah.”

            Mirza Arman geram dengan tingkah laku Philip. Rasa mahu dihempuk saja kepala Philip dengan kerusi. Bagaimanapun dia sabarkan diri. Philip kawan rapatnya. Dia tidak mahu gara-gara perkara tersebut dia dan Philip bersengketa.

            Mirza Arman mengeluh.

“Boleh bagi CD ni kat kawan awak?” Imza menyua sekeping CD di dalam satu sampul putih kepada Philip semasa mereka bertembung di depan sebuah dewan kuliah.

            “CD apa ni?”

            “CD rakaman minta maaf saya kat dia gara-gara rosakkan buku masterpiece dia hari tu.”

            Mahu tergelak Philip mendengar perkataan ‘masterpiece’. Bunyinya seperti Imza mengejek.

            “Awak menyanyi lagu ‘maafkan saya’ ke kat dalam ni?”

            Imza tidak dapat mengelak daripada tersenyum gelihati menampakkan dua lekuk yang dalam di kedua-dua belah pipinya. Terpana Philip melihat senyuman Imza. Selama ini senyuman itu tidak pernah dijelmakan. Imza sering tampil serius. Kali ini, barulah Philip sedar betapa manisnya Imza tatkala dia tersenyum. Entah mengapa ada getaran dalam dada Philip membuatkan dadanya sakit. Tidak semena-mena dadanya dipegang.

            “Kenapa dengan awak? Tak sihat?” Imza menyoal tatkala melihat Philip memegang dadanya.

            “Errr, tak adalah. Dada saya ni, tiba-tiba je rasa semut-semut.”

            Imza menggelengkan kepala mendengar alasan Philip. Ah, lantaklah. Aku hanya nak kasi CD ni saja kepada dia. Lebih daripada tu, bukan urusan aku. Imza menggerutu di dalam hati.

            “Sebenarnya ni CD apa?” Philip kembali mengulangi soalannya. Kali ini dalam ayat yang berlainan pula.

            “Dalam ni ada rakaman lagu-lagu puisi dendangan Niffira. Hari tu saya rosakkan buku koleksi puisinya. Rasanya saya patut bertanggungjawab.”

            “Mana awak dapat ni? Dah jenuh Mirza jengok You Tube nak cari video atau setidak-tidaknya rakaman lagu puisi dendangan Niffira, satu pun tak ada.”

            “Kami kenal baik. Malah pernah berkolaborasi”

            “Kolaborasi? Awak pun minat berpuisi.”

            Menggeleng. “Saya suka melukis. Ada masa di atas lukisan saya, akan dilakarkan satu puisi dan Niffira sering berbuat demikian untuk saya. Berserta dengan tandatangannya sekali.”

            “Wahh…hebat ya awak. Tak tau pula saya. Mungkin lepas ni Mirza nak berbaik-baik dengan awak jika dia tahu awak kenal baik dengan Niffira.”

            “Nak cakap baik tu, taklah sangat. Cuma kenal rapat atas urusan kerja. Peminat lukisan ni ada masa sukakan lukisan berpuisi. Sebab tu saya pilih Niffira. Ada masa puisi orang lain pun  saya letakkan. Terpulang atas permintaan pelanggan.”

            “Pelanggan? Bunyi macam awak serius melukis. Ada pelanggan sendiri.”

            “Bolehlah. Untuk wang saku. Saya jenis yang tak suka nak susahkan ibubapa.”

            Philip mengangguk-angguk. Rupanya begitu cara Imza mendapatkan wang belanja kolejnya. Patutlah dia sanggup belajar di kolej swasta. Rupanya dia cari makan dengan melukis.
           
“Awak selalu melukis kat mana?”

            “Kat Pasar Budaya.”

            “Boleh tak kalau sesekali saya nak ke tempat awak melukis.” Philip meminta kebenaran. Rasa teruja pula dia mahu melihat Imza melukis.

            “Janganlah.”Tegah Imza tanpa ragu.

            “Kenapa?”

            “Awak banyak cakap. Nanti tak boleh nak konsentret.”

            “Pulak.”

            “Okeylah. Saya nak pergi dulu. Jangan lupa sampaikan CD tu kat kawan poyo awak.”

            Dan Imza pun berlalu diperhatikan Philip.










No comments:

Post a Comment