Monday, 14 November 2016

BUKAN AKU TAPI DIA BAB 13-18



BAB TIGA BELAS

Allahu akbaru kabiraw-walhamdu lillahi kathiraw-wasubhanallahi bukrataw-wa-asila. Wajjahtu wajhia lillazi fataras sama-wati wal-ardha hanifam-muslimaw-wama ana minal musyrikin. Inna salati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil-‘alamin. La syarikalahu wabiza-lika umirtu wa ana minal muslimin.  

            Lelaki tua yang pernah Philip temui dalam taman yang indah dahulu kini datang masih dengan wajah yang berseri-seri dan mengajarkan kalimah-kalimah tersebut kepada Philip. Philip dengan rela menurut setiap patah kalimah yang diajar lelaki tua tersebut. Kemudian apabila bacaan Philip lancar, lelaki tua dengan wajah berseri dan bersinar-sinar itu meminta Philip mengulang baca kalimah-kalimah yang Philip tidak faham maknanya sendirian. Anehnya, Philip dengan mudah melafazkan setiap kalimah itu tanpa tersekat-sekat. Sebaik Philip selesai membaca kalimah itu, lelaki tua itu ghaib. Philip tersentak.

            Kala itu juga Philip terjaga dari tidurnya. Dadanya bergelombang hebat. Peluh merintik pada dahi dan seluruh wajah Philip.

            “La syarikalahu wabiza-lika umirtu wa ana minal muslimin.” Tidak semena-mena itu juga Philip melafazkan barisan ayat tersebut dengan lancar. Jelas di telinganya sendiri.

            “Ayat apa tu? Kenapa aku boleh ingat barisan terakhir ayat dalam mimpi tu dengan jelas?”Soal Philip kepada dirinya sendiri.

            Lalu Philip bangun membuka lampu bilik. Kemudian merapati meja belajarnya. Membuka laci dan menggagau sesuatu di situ. Apabila tangannya sudah mencapai objek yang dicari, dikeluarkan sebuah bible lalu dengan tidak sabar-sabar dibelek naskah bible tersebut dengan penuh rasa ingin tahu.

            Dia ingin cari kalimah-kalimah yang baru terlafaz daripada mulutnya sendiri di dalam bible tersebut. Mana tahu ia ada dicatatkan di situ. Puas Philip belek, langsung tidak bertemu.

            “Wa ana minal muslimin…muslimin? Muslim…” Berkerut dahi Philip tatkala menyebut kalimah muslim. Dadanya bergemelugut. Dia kian cuak.

            Tuhan. Apa maksud sebenar ayat tu? Perkataan muslimin tu sama ke maksudnya dengan muslim? Philip kebingungan. Dia tahu makna muslim. Cukup tahu kerana selalu dengar perkataan itu diucapkan di mana-mana baik dari mulut orang Islam dan juga bukan Islam. Bagaimanapun dia tidak pasti tentang makna perkataan muslimin, waima membawa maksud yang sama iaitu merujuk kepada orang Islam ataupun membawa makna bertentangan.

            Cepatlah pagi. Cepatlah keluar matahari. Masalah ini perlu dirungkai. Perlu dirujuk kepada orang yang lebih arif.

            Kala itu terbayang seorang paderi yang selalu ditemuinya di Damansara Utama Methodist Church (DUMC). Mungkin beliau merupakan orang yang sesuai untuk Philip ajukan persoalan tersebut. Mungkin dia lebih arif dengan kalimah yang datang lama mimpi Philip.

“Wa ana minal muslimin?” Soal Father Abraham kepada Philip dengan mata terbuntang.

Philip mengangguk.

“Mana awak belajar ayat ni?”

“Saya tak belajar, father. Tiba-tiba je saya boleh terlafaz ayat tersebut.” Ujar Philip membalas.

“Mustahil.” Father Abraham menggeleng-gelengkan.

Philip menelan ludah. Nampaknya dia tidak boleh berselindung banyak dengan Father Abraham.

“Ceritalah. Ceritalah dengan dada yang lapang. Mohon restu daripada Jesus.”

Lebur segala rasa ragu-ragu dalam dada Philip selama ini tatkala mendengar Father Abraham menuturkan kata-kata tersebut. Lalu dengan hati yang rela Philip membuka ceritanya satu-persatu daripada cerita jamnya yang berdetik kalimah Allahu Akbar dan terus kepada mimpinya malam tadi.

Father Abraham mengeleng-gelengkan kepala berkali-kali. Keruh wajahnya sebaik Philip habis bercerita.

“Mujurlah. Mujurlah.”

“Mujurlah apa, father?” Soal Philip penuh berhemah.

“Mujurlah awak datang cari saya tepat pada masanya. Jika tak, masalah ini akan membuatkan awak jauh daripada Jesus.”

“Maksud father?”

“Awak sedang dikenakan sihir oleh seseorang yang mahu awak meninggalkan agama sejak zaman leluhur awak.”

“Sihir?” Philip tergelujat. Gelojak dalam jiwa langsung tidak dapat digambarkan lagi.

“Ya. Dengan siapa awak bergaul akhir-akhir ni? Sihir tu mungkin daripada kalangan orang-orang yang rapat dengan awak.”

“Mustahil father…saya tak berkawan dengan sesiapa yang berkemungkinan melakukan perkara tersebut terhadap saya. Semua rakan serumah saya beragama Kristian dan Budha.”

“Tak ada muslim?”

“Muslim?” Terpeta dalam benak Philip wajah Mirza Arman dan kemudian Imza.

“Jika ada pun mereka hanya Islam pada nama. Mereka juga macam kita. Malah mungkin lebih teruk berbanding kita. Sekurang-kurangnya saya tak pernah minum, tak merokok.”

“Kita tak tahu hati orang.” Father Abraham memaktubkan membuat Philip termangu.

Perbualan dengan Father Abraham kemudian berlanjutan tentang pelbagai perkara lagi terumata yang bersangkutan dengan Mirza Arman dan Imza. Father Abraham menanam keraguan terhadap mereka berdua walaupun berkali-kali Philip menyangkal anggapan tersebut. Dia tidak yakin mereka sanggup untuk berbuat jahat terhadap dirinya dan memesongkan akidah Philip dalam meneruskan ketaatan terhadap agama yang telah dianuti sejak dia dilahirkan.

Jika benar ada yang mahu berbuat demikian mereka bukanlah dalangnya. Mustahil sama sekali kerana Philip merasakan mereka berdua langsung tiada motif.

Mahu dikatakan Mirza Arman? Huh, jika tidak kerana dia Melayu mungkin agama anutannya bukan Islam. Gaya hidup Mirza Arman selama ini tidak membayangkan dia penganut sejati dan hanya menjadi Islam kerana sejak zaman leluhurnya lahir sebagai Islam kerana dia Melayu. Malahan tidak keterlaluan jika Philip maktubkan bahawa sepanjang mengenali Mirza Arman, tidak pernah sekali pun Mirza Arman menunaikan solat apatah lagi mahu melakukan ibadat puasa.

Philip terbayang pula Imza yang lebih senang tampil dengan berimejkan kasual dan bersahaja saban waktu, walaupun pakaiannya tidak mendedahkan namun daripada segi pemerhatian Philip yang banyak membuat kajian, pakaian Imza juga tidak mencerminkan dia sebagai Islam sejati. Klasifikasi seseorang itu untuk menentukan agamanya boleh dirujuk kepada cara berpakaian dan cara berpakaian Imza tidak menepati cara berpakaian seorang Islam. Sekiranya Imza gagal membawa imej Islam dalam berpakaian, Philip percaya tahap keimanan Imza juga tidak sekuat mana sebagai seorang perempuan Islam. Lalu mana logiknya untuk Imza mengenakan ilmu hitam ke atasnya untuk memperdaya Philip ke dalam agamanya sekiranya dia sendiri bukanlah penganut sejati?

Terkadang Philip pernah terfikir, kebanyakan rakan-rakan melayu yang dikenalinya, baik Mirza Arman, mahupun Imza malah semua kawan-kawan melayu yang dia pernah kenal di kolej dan di mana-mana kemungkinan hanya menganut Islam kerana mereka lahir sebagai melayu dan beragama Islam. Bukankah Melayu dan Islam itu terlalu akrab hubungannya?

Lalu Philip teringat akan kajian yang dibaca tentang hubung-kait Melayu dengan agama Islam. Kajian itu dibuat oleh Ibnu Athir Al-Jazan dalam kitabnya yang berjudul Al-kamil Fi At-Tarikh. Menurut beliau bangsa melayu berasal dari isteri ketiga Nabi Ibrahim iaitu Siti Qanturah yang mempunyai enam orang anak iaitu Zimran, Jokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah. Daripada keturunan ini berkembang biak Bani Jawi. Istilah Bani merujuk kepada kaum, manakala Ji pula satu dan wi daripada perkataan widni iaitu Tuhan. Jadi bani jawi merupakan kaum yang yakin adanya Tuhan yang satu.

Bani jawi ini berhijrah dan kemudiannya menetap di sebelah negeri ‘atas angin’ (al-Jawwu) iaitu Asia Timur dan membentuk beberapa kerajaan seperti kerajaan melayu Champa dan Langkasuka. Apabila berlaku peperangan, ramai yang tinggal di kawasan tersebut telah berhijrah ke gugusan kepulauan nusantara dan membentuk pula kerajaan dan negeri. Mengikut istilah bahasa Sanskrit, penghijrahan tersebut disebut sebagai ‘melayu’.

Dalam pada itu, Kitab Yahudi Kuno pula mendakwa salah satu daripada bangsa tersebut telah hilang iaitu mereka yang berasal daripada keturunan Yusuf . Yusuf mempunyai dua orang anak iaitu Manasseh dan Ephrain. Pengkajian Yahudi itu membuktikan terdapat banyak golongan Manasseh di sebelah Timur Afghanistan, Utara Pakistan (Patan atau Pashtan), sedikit di India, di Myanmar, China, Jepun, Filipina, Ecuador, Madagascar dan Hawaii.Ralph Olsen mendakwa ibu segala keturuan Manasseh merupakan orang-orang melayu yang berasal dari semenanjung Tanah Melayu.

Kajian DNA oleh penyelidik USM pada tahun 2008 membuktikan bahawa suku Minangkabau (satu rumpun melayu Pagar Ruyung) dan suku Kelantan (satu dari rumpun Melayu Fathani) merupakan baka melayu asli. Dalam pada itu, kajian DNA UKM ke atas lapan puluh enam orang melayu pula membuktikan  bahawa dua puluh tujuh peratus variant Meditarrenean terdapat dalam DNA darah melayu. Dalam kamus sains, DNA Meditarrenean bermaksud bangsa Bani Israel atau lebih tepat lagi digelar sebagai keturunan  Nabi Yusuf.

Philip juga terbaca tentang kajian arkeologi UKM selama tiga puluh lapan tahun iaitu bermula tahun 1972 sehingga 2010 jelas membuktikan bahawa rumpun melayu merupakan penduduk asal Malaysia selama empat puluh ribu  tahun.

Begitulah serba sedikit kajian tentang hubung kait Islam dan orang melayu yang begitu akrab dan bagaikan sudah ditakdirkan bahawa orang melayu iaitu akan beragama Islam sesuai dengan keturunan mereka daripada bani jawi iaitu kaum yang percaya kepada Tuhan yang satu. Lalu agama apa di dunia ini yang percaya kepada Tuhan yang satu selain Islam?

Philip bukan suka-suka mahu mengkaji dan bukan sengaja mengkaji untuk mencari kelemahan orang melayu dalam beragama. Ia berlaku secara tidak sengaja apabila salah satu tugasan berkaitan kursus arkeologinya meminta Philip melakukan kajian terhadap asal melayu di nusantara dan nah, itulah hasilnya!

“Beginilah, biar father sediakan air suci untuk anak. Bersihkan kembali hati yang sepertinya dah ditawan sesuatu tu.” Akhirnya kedengaran di telinga Philip suara Father Abraham mematikan semua ingatan Philip.

Philip yang sekejapan tadi tenggelam dalam lubuk fikir sendiri agak tersentak sebelum mengangguk. Father Abraham berjalan dan kemudian hilang disebalik tirai hitam di belakang podium. Philip duduk di kerusi panjang. Cuba memikirkan apa sebenarnya yang berlaku ke atas dirinya. Kalimah wa ana minal muslimin masih bersipongang dalam jiwanya. Tidak difahami erti keseluruhannya, namun dia faham maksud perkataan terakhir iaitu muslimin. Muslimin itu dirujuk kepada orang-orang yang beragama Islam. Islam iaitu apabila digambarkan dalam kepala Philip sebenarnya merupakan satu agama yang penuh dengan puak pelampau, radikal, fanatik, perkahwinan paksa, pengebom berani mati, penuh kezaliman dan jihad.

Orang Islam mungkin marah jika Philip maktubkan begitu di depan mereka. Bagaimanapun itulah sebenarnya yang ada dalam fakulti benak Philip menyebabkan dia tidak pernah tertarik untuk mendekati Islam. Mempelajari Islam dan menyelami serba sedikit tentang agama tersebut hanyalah semata-mata untuk mencari kelemahan agar mudah dia menyampaikan dakwah kepada penduduk pribumi setiap kali dia kembali ke Sarawak kerana dia merupakan salah seorang mubaligh muda kristian yang berpengaruh di kampungnya.

Teringat dia setiap kali pulang bercuti ke kampung, masa senggangnya banyak diisi dengan menyebarkan dakwah kepada penduduk pribumi. Kejayaan terbesar Philip apabila berjaya meyakinkan seluruh penduduk sebuah rumah panjang untuk menganut agama kristian dengan dakwah yang disampaikan. Pendek kata, dalam urusan agama, Philip bukan calang-calang orang. Tidak timbul masalah keyakinan dia terhadap agama sendiri kian terhakis sehingga mengakibatkan dia mengalami mimpi dan gangguan halusinasi yang pelbagai dengan imej agama Islam dalam gangguan-gangguan tersebut.

Itulah satu-satunya hal yang dia tidak faham. Sekiranya dia jahil dalam beragama sebagaimana jahilnya orang Islam dalam mempraktikkan ajaran agama sendiri tidaklah dia ralat, ini tidak. Tahap pengetahuannya dalam agama kristian tinggi dan keimanannya terlalu kuat.

Father Abraham kembali membawa satu bekas kecil untuk Philip. Di dalamnya berisi air. Philip mencapai bekas kecil itu sebaik disua Father Abraham lalu meneguknya tanpa ragu. Dia mengharapkan ketenangan selepas meminum air suci yang disediakan Father Abraham. Dia berkeyakinan penuh terhadap air suci tersebut sebagai penawar kepada masalah jiwa yang sedang dia alami.

Philip meminta diri secara penuh berhemah kepada Father Abraham setelah dirasakan urusan di situ telah selesai. Father Abraham mengizinkan. Paderi tua itu hanya menggeleng-gelengkan  memandang langkah lemah yang diatur Philip.

Secara peribadi, Father Abraham senang dengan pemuda itu yang tidak pernah ketinggalan setiap pagi ahad untuk upacara mingguan di situ. Dia berharap tiada apa-apa yang bakal mengubah Philip dan masih boleh terus melihat Philip mengunjungi tempat tersebut pada masa akan datang.

Wa ana minal muslimin. Father Abraham tahu apa maksud ayat tersebut. Ia penyataan kepada sebuah pengakuan dalam agama Islam. Pengakuan tentang keimanan. Tentang penyerahan. Cuma yang Father Abraham tidak tahu bagaimana Philip boleh melafazkan ayat tersebut dengan lancar bagaikan dia telah mempelajarinya sejak dulu.


BAB EMPAT BELAS

Hari itu Imza tidak ramai pelanggan. Jadi dia bebas untuk melukis lukisan dalam tema dan medium yang disuka. Dia mengangkat papan lapis ke atas pancangan melukis. Kali ini dia mahu palitan cat ke atas papan lapis tersebut. Biar terjelma satu karya absurd. Karya Imza kali itu bertemakan kekacauan dalam diri. Ah, bukan susah untuk Imza jelmakan karya sebegitu kerana inspirasinya benar-benar berada di depan mata. Sedang khusyuk melukis tanpa menyedari suasana di sekeliling.

            Dialah Amar. Amar yang sentiasa menjadi melodi indah dalam diri Imza.

            Imza merenungnya seketika sebelum memulakan kerja melukisnya. Dia tersenyum hambar. Bertahun-tahun kenal. Bertahun-tahun juga memendam perasaan. Entah bila Amar bersedia untuk memberi respon yang positif. Imza masih tertunggu-tunggu hari itu datang kerana dia teramat yakin Amar menyedari perasaan kesumat dalam dirinya terhadap Amar.

            Satu lohong gelap dan pekat jauh ke dalam dilukis Imza pada papan lapis tersebut. Lohong dalam bentuk perspektif. Hitam pekatnya juga dalam bentuk perspektif. Makin jauh ke dalam makin pekat dan gelap tonanya. Di sekeliling lohong Imza calitkan sedikit warna kuning keemasan menggambarkan cahaya. Imza mula tenggelam dalam karya sendiri. Benar-benar memberi jiwa untuk lukisan itu sehingga tidak sedar lagi apa yang berlaku di sekeliling. Dia mahu lukisan itu nampak hidup dan menarik walau dengan hanya menggunakan sumber warna yang terhad iaitu hitam dan kuning keemasan.

            Lama dalam kondisi begitu, Imza mengangkat wajah. Mahu merenung seketika si dia yang sentiasa menjadi inspirasi. Aik, mana Amar? Imza kehairanan. Kelibat Amar tidak kelihatan di depannya padahal bangku tempat lapik punggungnya masih ada di situ. Imza mula mengitari sekeliling. Tiada.

            Tiba-tiba Imza terdengar satu suara garau sedang ketawa betul-betul di belakangnya. Imza tersentak dan terus menoleh.

            “Cari siapa?” Soal Amar yang rupa-rupanya sedang berdiri di belakang Imza. Ada sisa tawa dalam sapaannya.

            Sungguh Tuhan, hampir luruh jantung Imza tatkala menyedari Amar berada betul-betul di belakangnya.Hampir luruh bukan kerana terkejut tetapi kerana posisi Amar yang benar-benar dekat padanya. Walau sudah lama kenal, Imza sering gementar setiap kali Amar berada dekat kepadanya ekoran rasa yang terpendam sekian lama dalam diri.

            “Bukan main tenggelam ya, langsung tak sedar orang di belakang.” Usik Amar bersama senyuman. Senyuman yang tentu sekali membuatkan jiwa Imza cair bagai mentega terjilat api.

            “Sejak bila Abang Amar datang sini?”

            “Lebih kurang sepuluh minit lepas.”

            Imza tidak berkata apa-apa. Dia sering kelu untuk berbalas kata dengan Amar. Amar pula seakan seronok melihat Imza dalam kondisi begitu.

            “Sebenarnya abang tiba-tiba rasa lapar. Nak ajak Imza temankan abang makan. Tu yang abang datang sini. Mana tau, asyik pula Imza dengan lukisan kali ni. Ada tempahan dari pelanggan?” Soal Amar sekadar berbasa-basi walaupun dia tahu mustahil karya absurd begitu ditempah pelanggan.

            Peminat lukisan biasanya akan menempah karya-karya bertema biasa dan potret. Lukisan absurd dan lebih kepada eksperimental biasanya ilham pelukis semata-mata. Bila siap, dipamer dan sekiranya ada peminat lukisan tertarik, mereka akan beli. Sebagai pelukis yang lebih senior, Amar melihat Imza cukup berbakat dalam bidang lukisan walaupun umur masih belasan tahun. Dia bijak memanipulasikan semua medium untuk menghasilkan karya seninya sehingga kepada bahan buangan.

            Pernah satu masa Imza menggunakan dawai. Dilekatkan pada papan lapis dan kemudian dia sembur dengan pewarna untuk menghasilkan lukisan abstraknya. Belum sampai seminggu dipamer karya Imza itu sudah terjual dan peminat lukisan telah sanggup membayar Imza ribuan ringgit untuk lukisan yang terhasil daripada bahan buangan sahaja. Pendek kata, Imza bijak menggunakan bakat yang ada  diadun pula dengan unsur alam maka terhasillah karya gelap. Dia memang pandai buat duit dengan kelebihan yang ada dalam dirinya. Amar bangga dengan Imza.

            “Kebetulan, saya pun sebenarnya belum makan tengahari tadi.”

            “Belum makan?” Soal Amar sedikit terkejut.

            “Ada kelas, kemudian terus ke sini selepas menunaikan solat zohor. Tak pergi makan pun.” Balas Imza padahal memang dia sudah merencanakan untuk makan bersama Amar.

            Dia sudah masak dengan sikap dan rutin Amar yang sering makan sebelum waktu asar. Mungkin Amar tidak perasan tentang kecenderungan Imza untuk menunggu Amar mengajaknya makan bersama.

            “Kalau macam tu, jomlah kita makan dekat tempah biasa.”

            “Tunggu kejap. Saya nak cuci berus ni.”

            Imza memasukkan sedikit bahan pencuci cat ke dalam bekas membasuh berus. Amar setia menanti. Usai segalanya, mereka berjalan kaki ke tempat makan biasa mereka.

            “Bagaimana dengan kawan yang datang ke sini hari tu?” Soal Amar sementara menanti makanan yang dipesan sampai ke meja.

            “Maksud abang si Philip tu?”

            “A’ah. Dialah.”

            “Entahlah. Di kolej pun saya tak jumpa dia akhir-akhir ni. Kami bukan satu kursus, sebab tu jarang terserempak.”

            “Dia nampak okey juga budaknya. Walaupun berlainan bangsa tapi pandai bergaul dengan kita.” Amar sengaja membuka topik bual antara mereka agar suasana lebih meriah.

            Selalunya masa makan mereka agak bungkam kerana Imza tidak banyak bunyi. Diam dan kaku.

            “Mungkin sebab dia dah biasa bergaul dengan bangsa kita. Di kolej pun dia rapat dengan budak melayu.”

            “Imza memang tak rapat dengan dia?” Soal Amar lagi.

            Imza menggeleng.

            Amar hanya mengangguk-angguk. Mula menyedari Imza tidak begitu berminat untuk bercakap tentang Philip. Pesanan mereka tiba. Masing-masing mula bersedia untuk menjamah hidangan. Seperti biasa Amar memulakan makannya dengan bacaan doa dan terpaksalah Imza mengaminkannya walaupun selalu merasa janggal untuk berbuat demikian kerana amalan membaca doa bukanlah selalu dilakukan Imza baik di rumah mahupun di mana-mana. Hanya ketika bersama Amar barulah dia melakukannya, itupun sekadar mengaminkan doa Amar. Bukan dia tidak tahu doa makan, namun dia lebih senang mengambil jalan singkat dengan hanya lafaz Bismillahirahmanirrahim.

            “Sebenarnya abang kagum dengan Imza.” Amar mencipta ruang bual sekali lagi apabila lama membiarkan kesunyian menjajah suasana.

            “Kagum dengan saya?”

            “Ya, Imza amat berbakat dalam bidang lukisan. Jarang tau lukisan pelukis jalanan boleh cecah harga melebihi seribu ke atas.”

            “Alhamdulillah, rezeki saya bang. Abang pun apa kurang. Pelanggan tak pernah putus. Tak macam saya. Ada masa sebulan sunyi daripada pelanggan. Nasib baik kalau ada yang nak melukis potret. Pelanggan tu sah, sah abang bagi kat saya.”

            “Hemmmm.” Itu non-verbal yang keluar dari mulut Amar apabila menyentuh tentang perkara tersebut.

            “Maaf. Abang selalu nampak muram kalau saya sentuh pasal ni.” Imza meminta maaf apabila menyedari riak keruh pada wajah Amar.

            “Tak apa. Imza bukan tau apapun pasal hal tu.”

            “Abang tak pernah bercerita. Tentulah saya tak tau.”

            Amar diam. Mustahil untuk dia bercerita kepada Imza. Bercerita kepada Imza bermakna membuka pekung di dada sendiri dan membuatkan rahsia masa lampaunya telanjang bulat-bulat di depan Imza. Memalukan diri sendiri. Walaupun Imza dilihat sebagai budak mentah, namun dalam banyak hal dia tidak boleh sewenang-wenangnya bercerita kepada Imza apatah lagi jika perkara itu melibatkan maruah dan mampu menjejaskan reputasinya di depan Imza.

            “Maaflah kalau saya ni banyak bunyi pulak.” Imza akhirnya menyedari bahawa dia sudah terlebih-lebih.

            Dia tidak sepatutnya begitu kerana selama ini bukan dia tidak tahu Amar selalu mempetiakan wajah kelat setiap kali menyentuh tentang lukisan potret wajah. Imza yakin Amar telah melalui satu proses yang sukar berkaitan hal itu. Dalam masa yang sama dia juga yakin Amar cuba mengelak daripada memikirkan perkara tersebut.

            “Tak apa Imza.” Amar masih mengulangi ayat yang sama.

            Imza serba salah. Tambah serba salah apabila mengetahui nada kendur dalam suara Amar.

            “Dahlah, jom kita pergi. Abang kena balik awal hari ni. Mungkin lepas solat asar abang dah tak datang.”

            “Balik awal?” Imza seakan menyedari sesuatu di situ.

            “Hahh, kenapa? Nampak macam terkejut pulak.”

            “Saya pun sepatutnya perlu berada di rumah jam lima petang. Ahhh, nampaknya saya tak sempat sampai ni.”

            “Ada hal ke?”

            “Ada tetamu nak datang. Mak nak minta saya tolong dia sediakan hidangan petang.”

            “Habis macam mana sekarang?”

            “Harap-harap mak tak marah.”

            “Kalau macam tu, jomlah.”

            Lalu mereka berdua meninggalkan tempat makan mereka petang itu. Setibanya di tempat mereka melukis, Imza dan Amar mengemaskan peralatan mereka. Imza memasukkan lukisan yang dipamerkan di situ ke dalam bonet kereta. Dia mahu cepat pulang ke rumah. Tidak mahu ibunya bengang kerana pagi tadi dia telah berjanji dengan ibu untuk pulang awal.

            Sempat diambal dengan hujung mata ke arah Amar yang juga sedang berkemas. Ada semacam satu rasa dalam diri Imza tiap kali memandang ke arah Amar. Dia sukakan Amar. Terlalu suka. Dia memang melampau kerana sanggup  memendam perasaan terhadap Amar dalam kondisi tidak pernah tahu banyak tentang Amar.

            Dia ingin bertanya tetapi terlalu segan untuk berbuat demikian. Dia tidak mahu dilabelkan sebagai gadis mentah yang tidak tahu menjaga air muka sendiri sehingga sanggup bertanya sehingga sejauh itu kepada lelaki yang disayanginya dalam diam. Dia tidak mahu. Dia perlu menjaga nama baiknya. Dia gadis timur yang seharusnya masih kental dengan imej ketimuran yang tinggi. Tahu menjaga nilai diri. Tahu menjaga maruah sebagai seorang perempuan.

            Uhhh, aku yakin Abang Amar tak ada sesiapa yang istimewa dalam hidupnya kerana dia tak pernah sekalipun menyebut tentang keluarganya setiap kali berbual dengan aku. Urusannya banyak di masjid. Di tempat melukis. Itu saja. Jika dia mempunyai keluarga paling tidak tentu sekali pernah dia bercerita tentang hal tersebut. Imza sering memaktubkan begitu dalam hatinya setiap kali memikirkan tentang status Amar.

            Apabila sudah berfikir begitu, hati Imza akan kembali senang meskipun kebarangkalian untuk hubungan antara dia dan Amar masih terlalu samar kerana Amar sendiri tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sukakan Imza. Malahan tidak pernah sama sekali juga menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sedar tentang perasaan Imza terhadap dirinya.

            Imza tahu dalam hal itu dia bodoh. Namun dia rela larut dalam kebodohan yang maha tepu seandainya itu menjadi satu pengorbanan untuk dia memiliki kasih ulung. Kasih Amar!


BAB LIMA BELAS

Tan Sri  Ariffin mesra melayan tetamunya yang bertandang seisi keluarga ke rumahnya. Dia menjemput mereka ke rumah bukan atas dasar perniagaan sebaliknya untuk mengeratkan salam ukhuwah sesama Islam. Bagi Tan Sri  Ariffin, dia lebih senang berkenal-kenal rapat dengan setiap individu yang bakal berurusan dengannya agar dia tidak salah memberi peluang perniagaan kepada mereka.

            Tan Sri  Ariffin memang bukan orang yang arif dalam hal beragama. Pengetahuan agamanya cukup setakat hal-hal wajib dan fardhu asas sahaja. Bagaimanapun dalam urusan perniagaan dia mahukan yang terbaik. Termasuk hubungan dengan bakal rakan niaganya.

            “Terima kasih banyak Tan Sri  sebab sudi pelawa kami minum petang di rumah Tan Sri.” Ucap Dato’ Rayyan berbasa-basi dengan senyum penuh pada wajah.

            Datin Riena yang berada di sebelahnya turut melebarkan bibir.

            Ketika itu muncul  Puan  Sri Amzi menatang dulang minuman. Diletakkan di meja.

            “Buat susah-susah saja Puan Sri …” Giliran Datin Riena memaniskan bahasa.

            “Tak adalah susahnya. Lagipun saya senang buat semua ni sendiri. Cuma rasa tak sedap hati bila Dato’ Rayyan dan Datin Riena nak berbual di luar saja. Kita pelawa masuk ke dalam tak nak.”

            “Ahh, tak payah nak rasa macam tu lah. Kami ni saja nak ambil angin petang-petang macam ni.”

            “Hah, anak bujang ni kenapa nampak macam tak ada mood saja?” Tan Sri  Ariffin menegur Mirza Arman yang nampak tidak bersemangat di sebelah ayahnya.

            “Ish, tak adalah. Cuma tak tahu nak bualkan apa.” Mirza Arman cepat-cepat memaniskan wajah walaupun dalam hati berkeriau geram dengan tindakan mama memaksa dia ikut sama ke rumah Tan Sri  Ariffin.

            Konon mahu dia berkenalan dengan anak gadis Tan Sri  Ariffin padahal hingga saat itu belum nampak kelibat gadis tersebut.

            Siaplah mama dan papa, kalau muka budak tu macam muka penyelak jail, aku akan tunjuk perasaan. Gerutu Mirza Arman di dalam hati namun wajahnya masih mengukirkan senyuman paling manis buat pasangan suami isteri di depannya.

            “Mana anak gadis Tan Sri ?” Datin Riena bagaikan mengerti apa yang bersipongang dalam jiwa anak bujangnya, lantas dia mengajukan soalan itu.
           
            “Dia…”

            “Assalamualaikum!”

            Belum sempat Tan Sri  Ariffin menjawab, ada suara memberi salam kepada mereka.

            Semua menoleh ke arah datangnya suara. Mirza Arman tersentak melihat Imza bersusah payah berjalan ke arah mereka sambil menjinjing lukisan di tangan. Imza juga nampak tidak percaya apabila melihat Mirza Arman berada di situ.

            Buru-buru Imza mendapatkan Puan Sri  Amzi untuk bersalam dengannya. Begitu juga dengan Tan Sri  Ariffin sebelum menghulurkan tangan kepada Datin Riena yang nampak sedikit jengkel memandangnya.

            “Puan, saya nak jumpa Niffira…” Imza bersuara sebelum sempat Puan Sri  Amzi membuka mulut.

            Puan Sri  Amzi dan Tan Sri  Ariffin berpandangan sesama sendiri. Ada sesuatu pada wajah mereka membuatkan Imza mengukir senyuman paling manis buat mereka.

            “Niffira telefon tadi, dia minta saya ke sini.” Imza menjelaskan.

            Puan Sri  Amzi dan Tan Sri Ariffin akhirnya faham melihat senyuman Imza dan kata-kata yang terluah daripada bibir comel itu.

            “Niffira ada dekat atas. Pergilah.” Puan Sri Amzi memberi kebenaran untuk Imza.

            Imza sudah berlalu. Meninggalkan mereka dan tanda tanya di atas kepala Mirza Arman seisi keluarga.

            “Siapa tu?” Dato’ Rayyan menyoal pantas.

            “Kawan Niffira.” Balas Tan Sri Ariffin kemudian mengukirkan senyuman kepada isteri yang berada di sebelahnya.

            Puan Sri Amzi faham dengan erti senyuman tersebut.

            “Maafkan saya Tan Sri kalau tak silap, anak Tan Sri tu penyajak terkenal kan?” Mirza Arman mula timbul nafsu untuk bersuara apabila menyedari di mana sebenarnya dia berada ketika itu.

            Di rumah Niffira. Ya. Dia tidak salah orang lagi kerana Niffira mana lagi yang mempunyai urusan dengan budak selekeh bernama Imza?

            Ketawa besar Tan Sri Ariffin dan Puan Sri Amzi mendengar soalan Mirza Arman.

            “Ehh, kenapa Tan Sri dan Puan Sri ketawa?” Mirza Arman mula rasa kurang enak.

            Ibubapanya juga mula rasa cuak. Bimbang anak bujangnya sudah tersilap cakap.

            “Tak ada apa-apa. Cuma terasa lucu bila anak kami digelar sebagai penyajak terkenal. Tak layak rasanya dia digelar macam tu. Kalau penyajak senior yang lain dengar, mahu jadi isu ni. Orang-orang seni ni ada masa sensitif lain macam sikit. Kalau satu-satu gelaran tu tak layak diletakkan pada nama seseorang, mereka tak mudah-mudah benarkan.”

            Huhh, lega Mirza Arman mendengar penjelasan Tan Sri Ariffin.

            “Mirza kenal Niffira?” Datin Riena menyoal.

            “Taklah kenal orangnya. Sekadar kenal puisi-puisi dia. Banyak tersiar di akhbar dan majalah.”

            “Ohhh, kiranya orang seni jugalah…er, yang tadi tu…” Datin Riena sekali lagi inginkan kepastian tentang status sebenar Imza dalam keluarga tersebut.

            “Orang seni…ada masa mereka bergaul dengan orang-orang daripada kalangan mereka juga. Kalau si Imza dah datang tu maknanya tak turunlah anak kami tu nanti. Minta maaflah ya. Memang dah tak boleh nak kacau tu.” Puan Sri Amzi memaklumkan agar pasangan suami isteri yang menjadi tetamunya tidak salah faham.

            “Tak apalah Puan Sri, at least saya dah tahu siapa anak Puan Sri. Kalau Niffira tu, saya ni memang selalulah juga ikuti perkembangan karya di media. Malangnya dia tak suka tonjolkan diri dalam mana-mana laman sosial, kalau tak mungkin kami boleh berinteraksi. Bukan apa, sekadar berbual-bual pasal puisi-puisi dia.”

            “Mirza minat dengan karya Niffira?”

            “Saya pengikut setia karya dia. Banyak yang saya jadikan koleksi sejak bertahun-tahun dulu. Malangnya sampai hari ni tak pernah nak kenal bagaimana orangnya.” Mirza Arman tanpa segan-segan lagi membuat pengakuan.

            Datin Riena terkebil-kebil melihat nafsu bercakap Mirza Arman bukan main lagi sebaik tahu siapa sebenarnya anak gadis Tan Sri Ariffin. Sedangkan sebelum datang tadi Mirza Arman bersikap seperti budak kecil yang terpaksa dipujuk.

            “Maaflah, Mirza. Dia memang macam tu. Agak pasif dalam hal sosial ni. Kita orang pun dah berusaha bawa dia keluar jumpa masyarakat, tapi sudahnya tulah…si Imza tadilah tu hala tujunya.”

            “Dengar-dengar, banyak juga puisi Niffira yang disumbangkan pada lukisan Imza.”

            Puan Sri Amzi dan Tan Sri Ariffin berpandangan sesama sendiri mendengar kenyataan Mirza Arman. Kemudian mereka tersenyum antara satu sama lain.

            “Lukisan dan puisi…hemmm, kononnya macam satu kolaborasilah kan. Nantilah, satu masa Mirza akan faham juga dengan budak Niffira tu.” Ujar Tan Sri Ariffin.

            Berbunga hati Mirza Arman mendengar kenyataan Tan Sri Ariffin. Paling tidak itu membayangkan bahawa Tan Sri Ariffin telah memberinya lampu hijau untuk kenal Niffira dengan lebih rapat lagi.

            Ahahhaha, pucuk dicita, ulam pegaga…ehh silap. Pucuk dicita ulam mendatang! Sorak hati kecil Mirza Arman. Senyumnya pula sudah meleret sampai ke telinga.

            “Tapi saya tak faham…Tan Sri dan Puan Sri tak bimbang kah bagi anak Tan Sri bergaul dengan masyarakat bawahan seperti kawannya yang baru masuk tadi?”

            “Maksud Datin Riena?”

            “Yalah, saya tengok budak tu macam anak orang kebanyakan saja. Takut menjatuhkan imej Tan Sri sekeluarga. Tambah pula, orang-orang susah ni kalau dah mendekati orang senang, adalah yang diinginkan tu.” Datin Riena secara jujur memberi pendapatnya.

            Berubah seketika raut wajah Tan Sri Ariffin dan isteri. Tidak pernah pula mereka menduga Datin Riena ada tanggapan negatif begitu terhadap Imza. Bagaimanapun mereka cuba kawal rasa yang bermain dalam diri kerana tidak mahu tetamu mereka mengesan riak pada wajah yang tergugah sekejap tadi.

            “Tak terfikir pula kami. Lagipun selama kenal Imza, nampaknya dia remaja yang tahu bawa diri. Mungkin penampilan dia macam tu tapi sebenarnya dia berbudi bahasa orangnya.” Puan Sri Amzi cuba membela Imza.

            “Tapi kalau di kolej, dialah yang paling suka bawak masalah.”

            “Ehhh, ya kah? Tak tau pula kami.” Puan Sri Amzi dan Tan Sri Ariffin nampak sama-sama tergelujat.

            “Kalau dengan orang lain tak taulah tapi kalau dengan saya ada saja hal disebabkan dia.”

            “Mirza satu kolej dengan Imza?” Soal Puan Sri Amzi bagaikan tidak percaya.

            “Ya tapi berlainan kursus. Rasanya Imza tu jurusan bahasa.”

            “Hahh, dengar-dengar macam tulah.”

            “Larat pula dia belajar di kolej swasta tu?” Jengkel Datin Riena.

            “Philip cakap dia bayar yuran kolej dan segala perbelanjaan pengajiannya dengan hasil lukisan dia.” Maklum Mirza Arman.

            “Hah, Niffira pun cakap macam tu. Imza tu jenis yang suka berdikari. Tak mau susahkan orang tua.” Sokong Puan Sri Amzi pula.

            “Hah, dahlah cakap pasal Imza. Dah lari daripada tujuan asal minum petang kita hari ni.” Puan Sri Ariffin bersuara apabila disedari Dato’ Rayyan nampak tidak begitu berminat dengan isi perbualan mereka.

            Masing-masing kemudian mula menyedari keterlanjuran sendiri. Lalu persoalan tentang Imza dan Niffira disudahkan di situ. Mirza Arman pula mula meminta diri untuk meninjau keadaan sekeliling rumah Tan Sri Ariffin. Tidak berminat untuk campur perbualan keluarga yang sebenarnya lebih menjurus kepada hal-hal perniagaan.

            Dia kitari seluruh kawasan rumah Tan Sri Ariffin yang berkonsepkan oriental. Mewah dan elegant. Sesuai dengan kedudukannya sebagai orang penting dalam parlimen kawasan tersebut. Semasa mata Mirza Arman melilau ke sana-sini, dia terperasan ada seseorang di sebalik langsir sedang memandangnya. Lebih tepat mengintainya. Mirza Arman cuba amati. Tidak nampak dengan jelas kerana wajahnya terlindung di sebalik langsir. Bagaimanapun Mirza Arman tahu dia seorang gadis. Seorang gadis berambut panjang dan lurus!

            Hati Mirza Arman bergetar. Kuat. Terasa bagai ingin tertumus ke tanah. Entah kenapa dia yakin benar gadis di balik langsir tersebut tentu saja Niffira. Ya, tentu saja Niffira.

            Malahan dia juga yakin bahawa Imza telah menyampaikan sesuatu tentang dirinya ke pengetahuan Niffira. Mentak berkaitan minat Mirza Arman yang begitu mendalam terhadap semua hasil karya Niffira sebelum ini. Mirza Arman rasa teruja.

            Sungguhpun begitu rasa teruja itu singgah sekejap sahaja di hati Mirza Arman.

            Hahh, macam mana kalau si Imza tu buruk-burukkan aku di depan Niffira? Ah, ni tak boleh jadi. Kalau betul dia dah buruk-burukkan aku, tentu reputasi aku telah jatuh di depan Niffira. Mirza Arman mula tidak senang duduk. Dalam benaknya sudah ada perancangan untuk bersemuka dengan Imza dan bertanyakan tentang perkara tersebut. Dia tidak mahu sebarang perkara buruk tentangnya sampai ke telinga Niffira.

            Aku mesti berdepan dengan Imza walaupun aku sebenarnya tak hingin mengadap wajah dia!

            Uhhh. Kenapalah Niffira perlu rapat dengan budak  selekeh dan buruk tu? Mirza Arman betul-betul tidak puas hati!


BAB ENAM BELAS

“Hah, tu pun budak selekeh tu!” Mirza Arman melompat dari tempat duduknya untuk mendapatkan Imza.

            “Wei, tunggulah. Kalau ya pun nak jumpa Imza, janganlah sampai lupakan aku!” Marah Philip yang tidak sempat mengemas buku-bukunya yang berterabur di atas meja.

            “Hoi!” Mirza Arman memanggil Imza.

            “Ish, kau ni teruk betul. Dia ada namalah. Kenapa berhoi-hoi? Cuba panggil dia elok-elok.” Philip sekali lagi angin satu badan dengan sikap Mirza Arman.

            “Alah, apa kelas dia tu sampai aku nak berbasa-basi dengan dia?” balas Mirza Arman langsung tidak termakan dengan kata-kata Philip.

            Philip menggeleng-gelengkan  dengan telatah Mirza Arman. Nama saja berketurunan melayu yang kononnya penuh sopan santun dan berbudi bahasa, padahal sikap Mirza Arman langsung tidak menggambarkan kesopanan orang melayu. Philip bermonolog dalam hati mengutuk Mirza Arman biarpun Mirza Arman itu kawan baiknya sendiri.

            “Hoi!” Dan sekali lagi apabila Imza langsung tidak mengendahkannya dan terus mara ke depan.

            “Tu lah, cuba panggil elok-elok. Kalau terus hoi-hoi macam ni tentu dia tak tau kau sedang panggil dia.”

            “Kau panggil lah kalau macam tu.” Mirza Arman masih belum mahu mengalah.

            Macam jijik benar untuk membenarkan nama Imza merentas rengkungnya padahal semalam bukan main dia bercakap tentang Imza di depan keluarga Niffira. Ah, pembetulan: bukan bercakap tapi mengutuk Imza sebenarnya!

            Sekali lagi Philip menggeleng-geleng dengan gelagat Mirza Arman. Bagaimanapun dia terpaksa juga menyeru nama Imza. Sekali, Imza tidak menoleh. Dua kali dan kali ini dalam nada lebih nyaring dan tinggi, barulah langkah Imza terhenti. Menoleh ke belakang, melihat gerangan si pemanggil.

            Berkerut keningnya melihat langkah Mirza Arman dan Philip bagaikan seiring mara ke arahnya.

            Apahal pulak ni? Hati kecil Imza berbunyi.

            Dia tiada urusan bersama Philip lagi sejak Philip menukar lukisan yang dibeli tempoh hari. Urusan dengan Mirza Arman? Itu lagilah mustahil dan tidak akan pernah ada. Andai masih tersisa marah Mirza Arman terhadapnya, Imza rasa dia sudah tebus dengan memberi cakera padat yang mengandungi lagu-lagu puisi Niffira yang dinyanyikan sendiri oleh pemuisi pujaan Mirza Arman itu. Lalu, urusan apa lagi yang masih berbaki antara mereka?

            “Aku nak cakap sikit dengan kau!”

            Amboi, keras benar bunyi bahasa Mirza Arman! Bukan sahaja Imza yang terkesima. Philip juga turut terjongket keningnya ke atas.

            Imza memandang Mirza Arman. Sedetik kemudian memandang Philip bagaikan meminta penjelasan. Philip hanya mengangkat bahu kepadanya tanda tidak tahu apa-apa.

            Ish, aku buat salah apa lagi kali ni? Imza menyoal dirinya dalam hati. Bosan sebenarnya untuk berdepan dengan pemuda poyo dan berlagak di depannya kini.

            “Ketika di rumah Niffira semalam, kau ada cakap apa-apa pasal aku tak?” Mirza Arman tidak berbasa-basi lagi.

            Bercakap pasal dia? Huh, macamlah dia topik penting sangat untuk dibualkan. Imza seakan mahu mencebir di depan Mirza Arman. Apabila dia mendongak ke atas kepala Mirza Arman, dia bagaikan nampak citra mayanya sendiri dalam saiz lebih halus meludah ke kepala Mirza Arman. Puih! Baru padan muka dia. Perasan! Nak buat apa aku bercakap pasal dia? Bercakap dengan Niffira pula tu. Mustahil!

            “Kau diam kenapa? Tentu kau memang ada cakap pasal aku ni. Kau kutuk aku depan Niffira, kan?” Mirza Arman mula hilang sabar melihat reaksi Imza yang bagaikan patung cendana.

            Imza pantas menggelengkan. Kalau boleh dipusingkan sebanyak tiga ratus enam puluh darjah pun dia sanggup untuk memberi ketegasan dalam gelengannya.

            Tak perlu aku nak kutuk-kutuk kau. Kalau kau berdepan dengan Niffira dia boleh tau sendiri sikap biadap kau ni. Huh, nama saja datang dari golongan berstatus sosial tinggi. Perangai macam orang bukit. Langsung tiada adab sopan. Main redah saja. Malang! Malang!

            “Ada batu ke apa dalam mulut kau sampai kau susah sangat nak cakap ni? Ke kena bayar royalti untuk setiap ayat yang keluar dari mulut kau?” Mirza Arman makin cuba memprovok Imza dengan bersikap kenyih.

            Philip memegang bahu Mirza Arman. Mula merasakan dia perlu masuk campur setelah sejak tadi membiarkan Mirza Arman dengan rentaknya.

            “Man, tak salah kalau kau cuba tanya elok-elok. Tunjuk sikit budi pekerti kau. Tak salahkan?”

            Mirza Arman menoleh ke arah Philip.

            “Dengan budak ni mana boleh nak layan sangat hal-hal budi pekerti. Bukan keturunan di raja sampai nak berangkat sembah dengan dia ni. Lagipun kalau bukan pasal Niffira tak hingin aku nak dekat-dekat dengan budak ni. Nak bercakap-cakap satu hal lah pulak.”

            “Man. Apa masalah kau ni?” Philip semakin kurang senang dengan cara Mirza Arman.

            Walau siapa jua Imza, dia patut diberi sedikit rasa hormat. Dia manusia biasa juga yang ada hati dan perasaan. Apa salah kalau sesekali Mirza Arman cuba menghormati perasaan Imza? Mungkin dia dari kalangan orang susah. Bagaimanapun keinginannya untuk merubah nasib dan menjadi orang berjaya lebih tinggi daripada Mirza Arman sendiri. Lihat saja semangatnya untuk menyambung pengajian, walaupun terpaksa bersusah-payah mencari duit sendiri dengan melukis di tepi jalan, dia tetap tidak putus semangat. Oleh itu Philip merasakan Imza juga wajar dihormati.

            Imza berpaling ke depan untuk meneruskan langkahnya yang terbantut tadi. Tidak mahu melibatkan diri dalam perang mulut antara Mirza Arman dan Philip. Rasanya dia tiada kepentingan di situ meski sekejap tadi Philip memanggilnya. Menyedari Imza mula memasang langkah kembali, Mirza Arman memaut bahu Imza dengan kasar sehingga meninggalkan kesan sakit di situ dan membuatkan dia spontan terseringai. Keadaannya disedari Philip.

            “Kau ni teruk lah, Man. Sakit dia!”

            “Peduli apa. Sekarang ni yang penting aku nak dia berterus-terang dengan aku. Ada atau tak dia buruk-burukkan aku depan Niffira semasa kat rumah Niffira tu.?”

            Philip memandang Imza meminta Imza membuat penjelasan tentang hal itu, dia bimbang sekiranya Imza terus-terusan mendiamkan diri, Mirza Arman makin naik hantu. Kepala otak Mirza Arman ada masa bukan boleh pakai sangat.

            “Imza...” Akhirnya Philip menyeru nama Imza dengan lembut membuatkan Imza membatukan diri.

            “Tak ada kepentingan untuk saya buat gitu.” Akhirnya keluar ayat begitu merentas rengkung Imza. Walaupun perlahan sahaja, nadanya tetap tegas.

            “Kau dengar tu, Man?” Soal Philip yang nampaknya begitu senang hati untuk menjadi jurubahasa antara mereka berdua.

            “Budak ni bukan boleh percaya sangat!” Serentak dengan kata-kata tersebut Mirza Arman menunjal kepala Imza dengan jari telunjuknya tanpa sempat ditepis Philip.

            Imza hampir menangis diperlakukan begitu oleh Mirza Arman. Kalau dia gadis kenes dan cengeng sudah tentu dia mengalirkan airmata kala itu juga. Bagaimanapun Imza agak bernasib baik kerana dia masih mampu mengumpul kekuatan, menghalang air bening gugur di pipi. Jika itu berlaku tentu Mirza Arman makin naik lemak kerana sudah berjaya membuat Imza menangis. Bukankah itu yang ingin dilihat oleh setiap orang apabila tegar menyakiti hati individu lain?

            “Man, apa kau ni? Main kasar pulak!” Philip membantah sikap Mirza Arman. Dia mengambal ke wajah Imza yang nampak kemerahan menahan sebak.

            “Dah Imza. Pergilah. Tak payah nak layan dia ni lagi.” Philip mengarahkan Imza berlalu.

            Sekiranya Imza masih di situ tidak tahu apa lagi tindakan kasar bakal dilakukan Mirza Arman terhadapnya. Philip tidak sanggup menontonnya. Dia tidak suka melihat versi murung pada wajah Imza kerana dia lebih menyenangi wajah manis yang disertakan lekuk di kedua-dua belah pipi Imza. Philip yakin, sekiranya Mirza Arman juga terpandangkan kedua-dua belah lekuk tersebut, dia juga akan sependapat dengan Philip.

            “Hoi, kau nak pergi mana tu? Aku belum habis cakap dengan kau!” Mirza Arman bersuara kuat apabila Imza memasang langkah kembali dan meninggalkan mereka.

            Kali ini langkahnya lebih laju dari tadi. Selaju airmata yang sedang membanjiri hatinya dan mencipta kolam dalam yang bisa membuat siapa-siapa saja kelemasan di situ.

            “Dahlah, Man. Biarlah dia pergi. Kalau betul kau nak cakap dengan dia, bukan macam ni caranya. Bukan dengan berkasar macam ni. Kesian dia. Tak salah kau berlembut, kan? Lagipun bukankah agama kau menganjurkan agar sentiasa bersikap lembut dan hormat-menghormati?” Philip bersuara dalam versi yang langsung tidak diramal Mirza Arman.

            Sudahnya dia hilang vokal.

            Sekali apabila Philip sudah menyentuh tentang agama, terutama agama yang sedang dianuti Mirza Arman, dia selalu tewas. Dia takut berbahas dengan Philip kerana seperti Philip tahu lebih banyak tentang Islam berbanding dirinya sendiri. Boleh memalukan dia juga.

            “Tapi aku tak puas hati, Lip. Tentu budak hodoh tu ada buruk-burukkan aku depan Niffira. Sial betul hari tu. Boleh pula kita orang sekeluarga terserempak dengan Imza masa ke rumah Niffira.”

            “Benda tak tentu lagi, kau tak boleh nak marah-marah macam ni. Lagipun dia dah cakap tadi, tak ada kepentingan dia nak buat demikian.”

            “Mana tau, dia nak balas dendam dekat aku.”

            “Balas dendam pasal apa?”

            “Sebab aku selalu layan dia dengan teruk.” Spontan jawapan tersebut terlantun daripada mulut Mirza Arman.

            “Kalau tau kau selalu layan dia dengan teruk, tak salah kau cuba berubah, kan?”

            Kali ini Mirza Arman terkelu. Nampak sangat dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri.

            “Kau lihat, Man. Imza mempunyai hubungan baik dengan Niffira. Aku rasa kau perlu ambil peluang ni. Cuba berbaik-baik dengan Imza, kemudian minta dia kenalkan kau dengan Niffira.”

            Mirza Arman terdiam mendengar usul Philip. Hatinya membenarkan usul tersebut. Bagaimanapun ia sekejap sahaja apabila timbul perkara lain dalam benaknya yang mahu menolak usul Philip.

            “Setakat nak kenal Niffira, aku tak perlu nak berbaik-baik dengan Imza. Sekarang ni aku tau orang tua kami ada hubungan dalam hal perniagaan. Mungkin aku boleh minta tolong mak ayah aku sendiri.”

            “Mau ke orang tua kau masuk campur urusan remaja macam kita.”

            “Alah, ni perkara kecik. Selama ni semua permintaan aku dia orang sanggup tunaikan. Apalah sangat dalam hal macam ni. Tambahan pula hari tu mama aku sendiri beriya-iya nak aku rapat dengan anak Tan Sri Ariffin, aku kira nilah masanya.”

            “Kalau kau dah yakin sangat, lantak kau lah. Aku hanya beri cadangan.” Philip agak kecewa. Nampaknya hasrat untuk melihat Mirza Arman melayan Imza dengan baik menemui jalan buntu.

            Mirza Arman pula mula nampak tersenyum sendiri memikirkan rencana dalam kepalanya yang bakal diluahkan kepada ibubapa sebaik pulang ke rumah nanti. Dia tidak perlukan bantuan Imza dan sama sekali tidak mahu merendah diri di depan Imza untuk memohon jasa baiknya memperkenalkan dia kepada Niffira.

            Dia tidak mahu termakan budi Imza dan juga tidak mahu menjalinkan walau apa jua bentuk hubungan dengan Imza.

            Jangan harap!


BAB TUJUH BELAS                        

Petang itu Imza lebih banyak termenung di depan papan melukis. Tidak mampu berbuat apa-apa kerana memikirkan rasa sakit hati terhadap Mirza Arman. Makin lama Mirza Arman makin melampau.  Boleh pula dia tuduh Imza telah buruk-burukkan dia depan Niffira. Imza tidak perlu berbuat begitu. Sama sekali tidak perlu.

            Niffira boleh saja benci Mirza Arman tanpa perlu dihasut Imza. Dia juga boleh juga suka Mirza Arman tanpa perlu Imza bercerita segala macam kelebihan dan kebaikan yang ada pada Mirza Arman. Niffira tentu lebih bijak menilai dalam berhubungan dengan seseorang.

            Kelebihan dan kebaikan yang ada pada Mirza Arman?

            Ada kah?

            Imza menghempas nafas kasar keluar dari rongga hidungnya. Sepanjang dia kenal Mirza Arman di kolej, dia tidak pernah nampak apa-apa kebaikan dan kelebihan pada diri Mirza Arman. Jika adapun kelebihan Mirza Arman hanya satu. Kelebihan untuk menyakitkan hati Imza. Itupun jika perkara tersebut boleh dikira sebagai kelebihan. Selain daripada itu, zero!

            “Imza nampak macam resah aje…apahal?” Amar datang bertanya khabar setelah disedari ada mendung pada wajah Imza.

            “Hal kecil saja. Masalah di kolej.”

            “Masalah boyfriend?”

            Boyfriend? Cehhh, Amar ni saja nak duga aku agaknya. Padahal dia bukan tak tau aku suka  siapa! Ngomel hati kecil Imza.

            Itu dalam hatinya, secara fizikal pula dia hanya mampu tersenyum sumbing  sebagai penafian kepada tebakan Amar. Erti sengihan itu dapat ditangkap Amar. Dia mengangkat kening dan bahunya serentak tanda tidak mahu memberi sebarang komentar dan tidak mahu terus mencuba mengorek rahsia di hati Imza sekiranya dia tidak bersedia untuk berbuat demikian.

            “Pergi makan?” Amar memberi cadangan. Mana tahu langkah itu berjaya mengheret Imza keluar dari lubuk masalah.

            “Tak maulah. Saya dah nak balik ni. Ada banyak hal nak diselesaikan. Tugasan kolej.” Imza memberi alasan. Padahal dia sebenarnya cuma mahu bermalas-malas di rumah kerana otaknya beku untuk menzahirkan sebarang karya di atas kanvas dan medium lukisan yang lain.

            “Okeylah kalau macam tu. Abang pergi sendirilah…er, betul Imza tak nak ikut ni?”

            “Betul. Memang nak balik awal ni, lagipun kalau boleh nak tunaikan solat asar kat rumah saja. Badan rasa belengas sikit hari ni. Nak mandi dulu.”
           
            Satu lagi alasan yang boleh diterima.

            Memang Amar merupakan kecintaan Imza. Bagaimanapun dalam kondisi hati tidak begitu baik dek tuduhan melulu Mirza Arman, Imza lebih senang memilih untuk menyendiri. Tanpa gangguan sesiapa dan tanpa kehadiran sesiapa.

            Lalu itulah yang Imza lakukan apabila batang tubuh Amar sudah hilang dari pandangan mata. Menyimpan segala peralatan melukis dalam bonet kereta dan terus pulang ke rumah. Tidak singgah di mana-mana lagi.


“”Nampak melengung saja anak ibu, kenapa?” Soal ibu Imza semasa menjenguknya di bilik.

            Imza menoleh ke arah ibu. Ibu sedang tersenyum kepadanya. Senyuman ibu sentiasa membahagiakan Imza. Kemudian ibu datang dekat tanpa dipelawa. Duduk di sebelah Imza yang tadinya nampak sedang melengung. Memeluk bahu si anak di situ.

            “Ada masalah?”

            “Tak adalah.”

            “Jangan bohong. Imza anak ibu, ibu cukup arif bila masa Imza okey atau sebaliknya.” Bantah ibu Imza.
           
            Imza tidak mampu berdalih lagi.

            “Ceritalah. Kurang-kurang ringan sikit kepala Imza.”

            “Bukan masalah besar bu tapi sebab dah lama sangat, Imza rasa menyampah dengan masalah ni.”

            “Mirza Arman?” Tebak si ibu.

            Imza mengangguk sambil mencebir. Fahamlah si ibu. Sementelahan itu bukan masalah baru. Imza sudah lama bersabar. Dicemuh, dihina. Sesekali ibu Imza juga naik geram kerana dia tidak berkenan jika hati anaknya disakiti bagaimanapun nasihat terbaik yang selalu dinyatakan kepada Imza tentu saja bersabar. Ya, bersabar. B.E.R.S.A.B.A.R. Perkataan lima konsonan dan tiga vokal itu memang amat mudah disebut. Namun semua tahu amat susah untuk dilaksanakan. Tambahan Imza memendam cukup lama. Ibunya faham!

            “Kali ni apa pulak, sayang?” Tanya ibu lembut.

            “Dia tuduh Imza buruk-burukkan dia depan Niffira.”

            “Buruk-burukkan dia depan Niffira?” Meleret senyum pada wajah si ibu. Dia yakin amat mustahil untuk anaknya berbuat demikian disebabkan itu kenyataan tersebut kedengaran lucu di telinganya.

            “Kenapa dia takut sangat kalau nama dia buruk depan Niffira?”

            “Dia peminat Niffira atau mungkin lebih tepat dia pemuja Niffira. Dia suka sangat kat Niffira.”

            “Dia suka Niffira tapi dia benci Imza?”

            Imza mengangguk. Sekali lagi ibunya tersenyum.

            “Biarlah sayang. Jika semua orang tak kenal hati budi anak ibu yang sebenar, janji ibu tahu siapa anak ibu ni.” Pujuk ibu sambil menggosok-gosok tangan Imza memberi kekuatan untuk si anak.

            “Boleh ibu tanya, Imza suka Mirza Arman?”

            Terkejut Imza dengan soalan ibu. Pantas kepalanya menggeleng. Mustahil dia sukakan Mirza Arman. Mustahil sama sekali. Tambah mustahil jika dalam hatinya sentiasa penuh dengan citra Amar. Itu dia pasti!

            “Kalau Imza tak suka dia, jangan pikir sangat.”

            “Imza pikir bukan sebab suka tapi sebab sakit hati.”

            “Sakit  hati tu kalau dilayan makin parah. Teruskan hidup macam biasa. Sibukkan diri. Termenung macam ni makinlah bercambah rasa sakit tu.” Nasihat ibu.

            Ya. Kata ibu memang benar. Masalah sekarang rasa sakit hati itu telah membuatkan semangat dan ‘mood’ Imza mati. Dia mahu duduk-duduk saja.

            “Kalau Imza ramai kawan, kan senang? Tentu dalam keadaan macam ni Imza boleh keluar dengan kawan-kawan. Pergi makan-makan. Main bowling ke, main futsal ke. Terhibur sikit hati tu.”

            Imza agak kelucuan mendengar saranan ibu. Perkara paling tidak disukai dalam hidupnya tentulah hal-hal berbentuk sukan. Jika pun ada aktiviti riadah yang disukainya hanyalah berbasikal. Hah, ya. Daripada duduk-duduk buang masa, boleh juga dia berbasikal pusing keliling taman. Berbasikal ni tak perlukan kawan. Kayuh saja sejauh mana kita suka dan berapa pusingan. Penat nanti, tak adalah fikiran tu nak ingat hal-hal yang menyakitkan. Ingat penat saja!

            “Hah, Imza nak keluarlah bu. Nak pergi pusing keliling taman dengan basikal.”

            “Macam tulah. Biar tenang sikit pikiran tu!” Ibu setuju saja.

            Ya. Memang ibunya sentiasa setuju dengan apa saja keinginan Imza. Tidak pernah membantah walau dalam apa juga hal sekalipun. Dia teringin sekali melihat anaknya yang kadang-kala terlingkup dalam sindrom inferiority complex dek kekurangan yang ada pada diri merasa gembira. Dia tidak pernah mahu menghalang apa saja minat dan kecenderungan Imza termasuk dalam minatnya terhadap kerja-kerja seni.

            Ibu Imza faham. Sejak dewasa Imza semakin segan untuk bergaul dengan khalayak ekoran kondisi jarinya yang tidak seperti orang lain. Apatah lagi apabila melewati zaman persekolahan dengan penuh ejekan dan cacian kawan-kawan sebaya yang kononnya geli dengan keadaan jarinya yang terlebih di kiri kanan tangan.

            Lalu Imza memilih untuk tenggelam dalam dunianya sendiri. Dalam dunia seni. Ibubapa Imza tidak mahu melarang dan menegah jika itulah yang mampu membahagiakan Imza. Tiada perkara lebih penting buat semua ibubapa di dunia melainkan kebahagiaan anak-anak. Nasib Imza dilahirkan dengan keadaan jari tidak sempurna dan tidak seperti individu lain tidak mampu diubah bagaimanapun kebahagiaan Imza masih boleh tetap dicari. Andai dunia seni itu mampu membuat dia bahagia, ibu Imza sentiasa bersedia untuk memberi sokongan.

            Sementara itu, Imza sudah jauh ke taman permainan yang terletak berdekatan dengan kawasan rumahnya. Mengayuh basikal di situ untuk beberapa kayuhan sehingga datang penatnya. Apabila penatnya datang, Imza memilih untuk duduk di sebuah bangku. Mengitari suasana sekeliling. Kelihatan ramai kanak-kanak sedang bermain. Ada yang bermain permainan yang tersedia di taman, ada juga yang bermain layang-layang dan ada juga yang bermain bola.

            Mereka semua nampak riang. Semua nampak girang.

            Imza menelan ludah. Nyata mereka tidak seperti Imza ketika zaman kanak-kanaknya. Ketika berada dalam usia itu, Imza lebih banyak berkurung di rumah. Bukan dia tidak ingin sesekali keluar bermain di taman dengan rakan-rakan sebaya. Bagaimanapun kewujudannya yang tidak sesempurna mereka seringkali membuangkan dia terpinggir dan disisihkan oleh rakan-rakan. Jika dia tetap berkeras mahu bermain bersama, Imza akan diejek. Diherdik hanya kerana jarinya tidak seperti orang lain.

            Imza merenung kedua-dua belah tangannya. Dikembangkan jari-jemarinya. Dia tidak pernah terlepas pandang kepada ibu jarinya yang terlebih di situ. Dia sedar. Namun kekurangan yang sedikit itu menjadikan dia tersisih. Suatu ketika penyisihan rakan-rakan membuatkan Imza murung. Mujurlah ibubapanya sentiasa ada untuk memberi semangat kepada Imza agar bangkit daripada kesedihan yang dialami.

            Apabila usia semakin meningkat, Imza semakin bijak untuk mengawal situasi. Dia memilih untuk tidak menghiraukan segala ejekan kawan-kawan satu sekolah dan langkah itu nampaknya berkesan. Tiada lagi kedengaran suara sumbang mengejek tentang kekurangan yang ada pada dirinya. Mungkin rakan-rakan juga sudah jemu mengejek benda yang sama. Mungkin juga kematangan mula mengubah persepsi kawan-kawan terhadap kekurangan Imza.

            Apa jua penyebabnya, Imza bersyukur dan lebih tenang.

            Bagaimanapun itu tidak lama apabila Imza mula menjejakkan kaki ke kolej. Ejekan dan cemuhan itu terdengar kembali. Kali ini dalam nada lebih keras. Lebih mengherdik. Anehnya, hanya seorang yang suka mengejeknya. Dialah Mirza Arman.

            Ya. hanya Mirza Arman yang selalu mengherdik dan mengejeknya.

            Tidak tahu di mana silapnya. Tidak tahu bagaimana ia bermula.

            Sedar-sedar mereka sudah berada dalam status musuh tradisi. Masing-masing tidak boleh memandang wajah antara satu sama lain.

            Mirza Arman tidak boleh memandang wajah Imza kerana rasa jakinya.

            Imza pula tidak boleh memandang wajah Mirza Arman kerana rasa sakit hatinya.

            Masing-masing memang tidak boleh bertemu.

            Sekarang kebencian Mirza Arman terhadap Imza tentu saja makin bertambah apabila beranggapan Imza telah menghasut Niffira agar membenci Mirza Arman. Apa logik dan di mana munasabahnya untuk Imza berbuat demikian?

            Atas alasan apa pula Mirza Arman tiba-tiba menyimpan praanggapan demikian? Padahal antara dia dan Niffira tidak pernah berpeluang untuk berbual walau sepatah. Imza bingung. Bosan pun ada memikirkan perkara yang tidak tentu hujung pangkalnya.

            Ah, Mirza Arman sebenarnya sengaja mencari alasan untuk membuat dia sakit hati. Ya, Imza yakin begitu. Tiada sebab lain. Jika ada pun, sebabnya mungkin kerana Mirza Arman dilahirkan sebagai seseorang yang suka berfikir perkara bukan-bukan padahal Niffira sendiri tidak pernah memaktubkan apa-apa.

            Imza yakin benar Niffira tidak pernah memaktubkan apa-apa sejauh menyentuh tentang reputasi Mirza Arman!

           
BAB LAPAN BELAS                        

“Minta nombor Niffira daripada mak ayah dia?” Datin Riena terkejut dengan permintaan anak lelakinya.

            “Tak boleh ke, mama? Man teringin sangat nak kenal rapat dengan Niffira tu. Dah lama Man minat dan kagum dengan karya-karya dia.”

            “Bukan mama tak mau dapatkan nombor tu. Man faham ajelah. Ralat juga mama nak berdepan mak ayah dia bertanya pasal ni.”

            Mirza Arman melengos. Sakit hati apabila permintaan yang mudah seperti itupun ibunya teragak-agak untuk tunaikan.

            Datin Riena menggeleng-geleng melihat Mirza Arman dengan sikap keanak-anakannya. Sudah berusia awal dua puluhan, sikap masih seperti budak hingusan. Semua permintaan kalau tidak dituruti akan disusuli dengan tunjuk perasaan. Anak, kalau sudah terlampau dimanjakan, begitulah jadinya!

            Mirza Arman pula merasakan wajar dia bersikap sedemikian kerana dia sudah habis ikhtiar untuk berkenalan dengan Niffira. Sudah dijenguk halaman muka buku dan blogs berkaitan untuk mendapatkan sedikit jalan bagi memungkinkan hubungan antara dia dan Niffira bakal terjalin. Pun semua sia-sia kerana Niffira nampaknya belum bersedia untuk memanfaatkan teknologi terkini demi kelangsungan hubungan antara dia dan peminat.

            Dia masih memilih untuk hidup secara low profile. Versi orang seni dulu-dulu.                   

            Ah, kalau low profile alasan Niffira, ia agak tidak masuk akal kerana setahu Mirza Arman, Tan Sri A. Samad Said lagilah low profile orangnya. Bagaimanapun Tan Sri A Samad Said yang lebih mesra disapa Pak Samad setiap kali Mirza Arman temui di malam pengucapan puisi pun bersedia untuk mewujudkan akaun muka buku meskipun mungkin diuruskan oleh anak-anak yang merangkap pihak pengurusan.

            Justeru, apa alasan Niffira?

            Bukan sekali dua Mirza Arman cuba jejaki Niffira. Langsung tiada kelibatnya di laman sosial yang menjadi kegilaan muda-mudi kini. Orang yang tak ingin Mirza Arman cari pula berlambak-lambak termasuk akaun Imza.

            Ya. Akaun Imza.

            Jangan terkejut pula. Dalam citra kekampungan yang melekat pada batang tubuh Imza, boleh pula dia terdedah kepada perkembangan terkini. Berlagak pula tu. Siap ada bb. Cehhh, meluat Mirza Arman tatkala menjenguk ke laman akaun muka buku Imza dan mendapati Imza pernah memuat turun gambar menggunakan bb. Alah, bukan Mirza Arman berminat terhadap apa-apa, sekadar mahu melihat senarai kawan Imza, mana tahu Niffira turut tersenarai sebagai salah seorang daripada mereka. Malangnya kelibat Niffira memang tidak kelihatan.

            Puisi dia adalah di situ. Ya. Puisi dia memang ada. Begitupun Mirza Arman tidak gembira, menyampah adalah sebab puisi itu dimuat turun Imza. Mujurlah dia kreditkan atas nama Niffira. Kalau dia dakwa karya itu sebagai karyanya? Mahu meletup kepala Mirza Arman kerana dia kenal benar dengan lenggok puisi Niffira.

            Selebihnya, Imza banyak menempekkan gambar-gambar lukisannya. Alah, kira rangka promosi lah tu. Pandai dia mencipta ruang niaga. Ramailah pula yang memuji lukisannya. Huh, pujilah. Esok kalau sudah kenal siapa pelukisnya, tentu mereka juga rasa geli nak dekat. Maklumlah, Imza bukan sahaja kurang sempurna, datang pula dari golongan miskin. Paling benci apabila Imza ada hati pula nak bergaul dengan Niffira.

            Mirza Arman benar-benar berbulu!

            Niffira pula? Adoi, macam mana lagi dia perlu lakukan untuk mengenali Niffira dengan lebih dekat lagi? Mirza Arman buntu. Sungguhpun demikian dia tahu, perlu benar untuk dia melakukan sesuatu. Sementelahan dalam keadaan ibubapa mereka sering mengenali. Mirza Arman perlu merebut peluang tersebut. Sudah tentu. Sudah tentu dia perlu merebut peluang tersebut!

            “Mama…” Mirza Arman kembali berbunyi.

            “Bukan mama tak mau, sayang tapi dalam keadaan mama dan papa sedang memancing peluang niaga dengan Tan Sri Ariffin, kalau boleh kami tak mahu silap langkah.” Datin Riena memberi alasan.

            Mirza Arman cuba menerima alasan Datin Riena yang memang kedengaran logik. Sungguhpun demikian hatinya masih belum puas selagi kehendak tidak dipenuhi. Dia menarik wajah cemberut.

            “Janganlah buat muncung Donald Duck. Mama bukan tak mau bantu. Mama lagi suka kalau Man dan Niffira tu boleh berbaik-baik dan kenal mesra…tapi macam mama cakap tadi, mama dan papa kena jaga tindak tanduk kami. Kalau nampak beriya-iya sangat nak pancing minat Tan Sri Ariffin sehingga sanggup pertaruhkan anak, bimbang mereka meluat. Langsung menjejaskan peluang niaga papa.”

            “Tapi Man yang memang nak kenal sangat Niffira tu, bukan desakan mama dan papa macam yang selalu dibuat orang di luar tu.”

            “Ya, mama tau tapi Tan Sri Ariffin tak tau, kan? Mama bimbang dia anggap mama dan papa sedang guna taktik klise macam Man cakap dulu. Wujudkan hubungan baik antara anak-anak kemudian menangi hati Tan Sri Ariffin.”

            “Tapi mama dan papa memang pernah cuba langkah tu kan?”

            “Ya, memang kami pernah cuba. Bagaimanapun janganlah sampai ketara sangat. Setakat bawa Man ikut kami ke rumah mereka untuk membuka ruang perkenalan antara Man dan anak gadis mereka tu bolehlah tapi kalau dah sampai tahap minta nombor telefon tu mama rasa dah terlebih-lebih.”

            “Alah, kalau mama minta pun apa salahnya? Cakap saja Man memang nak kenal anak mereka. Kan mereka dah tau yang Man ni salah seorang peminat Niffira?”Mirza Arman masih belum berputus asa memujuk Datin Riena.

            Datin Riena termenung memikirkan kebenaran kata-kata Mirza Arman.

            “Tengoklah macam mana nanti…tapi mama tak janji.” Akhirnya Datin Riena bersuara.

            “Hah, macam tulah baru dikatakan seorang ibu yang sayangkan anaknya!” Ujar Mirza Arman sambil mengangkat ibu jari menandakan isyarat bagus.

            Datin Riena sekali lagi menggeleng-geleng melihat gelagat anak bujangnya. Nasiblah kalau ada anak seorang. Kalau ramai, jangan harap Datin Riena mahu melayan kerenah anaknya itu.

            Mengenang perkara tersebut hati Datin Riena agak melankolik. Ya. Mirza Arman satu-satunya anak yang dia ada. Tidak mungkin akan ada anak lain lagi selepas Mirza Arman. Bukan sahaja kerana faktor usia tapi itulah janji Datin Riena sebelum berkahwin dengan Dato’ Rayyan. Dia tidak mahu mempunyai anak selain Mirza Arman kerana tidak mahu kasih sayang Dato’ Rayyan terhadap Mirza Arman berbelah bahagi.

            Mirza Arman pula tidak pernah tahu ibubapanya sudah membuat perjanjian sedemikian. Datin Riena tidak tahu apa reaksi Mirza Arman sekiranya tahu Datin Riena dan Dato’ Rayyan pernah membuat perjanjian sebegitu. Sungguhpun begitu, apa juga perjanjian yang pernah dibuat Datin Riena dan Dato’ Rayyan, Mirza Arman yang merasa untungnya!

            Dan Datin Riena?

            Ah, sungguh! Sememangnya tidak pernah ada sesiapa yang mampu menyelami lubuk hati Datin Riena yang masih tersentuh melankolik apabila mengingatkan suatu peristiwa berkaitan masa lampaunya. Dia tidak ingin ingat-ingat lagi dan Dato’ Rayyan sendiri pernah meminta agar mereka memulakan hidup baru tanpa menoleh lagi ke masa lampau mereka.

            Namun siapa mampu menghalang rasa dalam diri? Sementelahan pula pengalaman yang Datin Riena alami pada kehidupan lampaunya amat perit. Perit dan masih bisa membuat airmatanya mengalir di pipi tanpa disedari sesiapa. Lalu demi airmata yang mengalir di pipi itu Datin Riena kumpulkan kebencian sedikit demi sedikit sebagai membayar harga airmata dan keperitan hati yang dialaminya. Dia jadi berdendam dan menanam rasa benci yang teramat.

            “Mama, Man nak keluar ni. Ada hal sikit dengan si Philip!” Suara Mirza Arman menarik Datin Riena daripada terus tersesak dalam semak ingatan.

            “Hemm, pergilah. Tapi jangan sampai pulang lewat sangat.”

            “Alah, kalau lewat pun tak ada salahnya. Besok hari minggu. Apalah mama ni.” Bantah Mirza Arman lalu terus mencapai topi keledar yang tersadar di atas meja.

            Datin Riena tidak mampu berkata apa-apa. Tambahan pula Mirza Arman berjalan bagaikan terlanting-lanting seakan mengejar masa. Padahal dia bukan mahu bertemu orang penting. Setakat Philip. Hari-hari mereka bertemu di kolej. Tapi itulah, budak-budak zaman sekarang, sentiasa ada saja urusan mereka. Siang malam tak mengira masa.


“Kau apahal, Man? Ajak aku keluar tapi kau murung je.” Begitu komen Philip semasa dia meletakkan gelas minuman ringannya ke meja.

            “Aku pening pikir pasal Niffira.”

            “La…yang kau susah-susah pikir pasal dia kenapa? Kau kena lebih realistic sikit Man. Niffira tu public figure. Dia mana ada masa nak layan peminat-peminat dia sampai ke tahap yang kau harap.” Terus terang Philip. Dia tidak senang jika Mirza Arman bersikap demikian. Terpengaruh kepada seorang pemuisi semata-mata kerana terlalu menyanjungi setiap karyanya di dada media massa.

            “Masalahnya, intuisi aku menyatakan ada sesuatu dalam hubungan kami pada masa akan datang.”

            “Kau berangan terlalu tinggi. Jangan bahayakan diri sendiri, Man. Karang jatuh kau juga yang susah. Bangkitlah cepat.”

            “Eh, eh kau ni. Lebih-lebih pulak nak kutuk aku. Dah lah aku tengah pening kepala pikir pasal Niffira. Kau pula banyak bunyi betul.”

            “Aihh, sejak bila kau pantang ditegur ni?”

            “Sorry lah, Lip. Aku memang tension sangat ni. Imza tu pun satu hal. Dia manusia paling aku jaki tapi dia jugalah satu-satunya manusia yang mampu berhubung dengan orang yang paling aku suka.”

            “Kasar bunyinya apabila kau menggunakan istilah manusia.”

            “Habis, kau nak suruh aku guna istilah haiwan?”

            “Tu lagilah melampau!”
           
            “Tau pun kau.”

            “Beginilah, Man. Dah kau pun tau Imza satu-satunya orang yang kenal rapat dengan Niffira, apa kata kau minta nombor telefon Niffira daripada dia? Aku yakin tentu dia ada simpan nombor Niffira, kalau tak macam mana dia orang mahu berhubung.”

            Kening Mirza Arman berkerut mendengar cadangan Philip. Bukan dia tidak pernah memikirkan perkara tersebut, bagaimanapun dek ego yang menyengat-nyengat kalau boleh dia tidak mahu terhutang budi kepada orang yang dia tidak suka. Terjejas reputasinya!

            “Kenapa pandang aku semacam? Kurang setuju?”

            “Kalau kau nak suruh aku minta sendiri sorrylah. Tak maunya aku merendah diri kepada Imza. Kalau kau nak tolong aku, aku tak membantah.”

            Pulak! Philip menggeleng-geleng. Tak menjadi juga hasratnya mahu lihat Mirza Arman dan Imza berbaik-baik. Rasanya cukup-cukuplah Mirza Arman memusuhi Imza walhal dalam masa yang sama Imza sebenarnya tidak pernah berbuat salah kepadanya.

            “Kenapa kau benci sangat dengan Imza?”

            “Memang aku benci sangat dengan dia.”

            “Aku pernah dengar pepatah orang tua, jangan benci sangat terhadap seseorang, mana tahu suatu masa kita akan jatuh kasih terhadap orang tu.”

            “Apa? Jatuh kasih? Kau ni gila kah apa? Cuba kau tilik-tilik sikit budak tu. Langsung tak menepati ciri-ciri gadis yang aku idamkan.”

            “Kau idamkan gadis yang macam mana? Selama ni pun semua perempuan yang nak dekat dengan, kau reject mentah-mentah.”

            “Hoi kawan, perempuan yang datang dekat aku tu semua mata duitan. Aku nak seseorang yang penuh dengan keikhlasan.”

            “Mana tahu keikhlasan yang kau cari tu ada pada Imza.”

            “Lagikan anak orang berduit pun dekat dengan aku sebab gilakan besi, apatah pula Imza yang sah-sah anak orang miskin papa kedana tu.”

            “Kau ni sebenarnya benci dia bukan sebab kekurangan fizikal dia kan? Kau jaki dengan orang susah konon tak setaraf dengan kau. Betul tak?” Philip menebak.

            Mirza Arman tidak berbunyi. Hanya cenderung untuk membuat muka sepuluh sen.






BERMINAT UNTUK MEMBACA MANUSKRIP PENUH (HINGGA BAB AKHIR)? BOLEH PM SAYA DI FB ANNASS NURAZMI UTK DAPATKAN PDF BUKAN AKU TAPI DIA SECARA PERCUMA. ADD SAYA DULU AGAR MESEJ ANDA DAPAT DIBACA N TIDAK MASUK OTHERS INBOX