Saturday, 6 October 2012

Cerita sikit

Ada kawan komplen karya ambo lebih kepada naratif, tak banyak dialog dan kondisi seperti ini agak membimbangkan katanya memandangkan ia boleh mengundang kebosanan khalayak pembaca.

Ambo sebagai si penukang memanglah teramat sedar. Kondisi sedemikian berlaku bukan kerana penulisan ambo didasari genre cerpen pada awalnya...tidak, malahan semua itu berlaku kerana ambo sebenarnya lebih terikut dengan penulisan penulis-penulis besar tanah air. Abdullah Hussin dalam novel Imam contohnya. Bukan main banyak naratif, malahan kepelbagaian teknik begitu dititik beratkan oleh penulis berstatus Sasterawan Negara ini.

ambo lupa, sekarang ambo berkarya untuk penerbitan popular, menghasilkan penulisan berbentuk popular dan bukan lagi karya ala-ala avant-garde. tidak boleh lagi bermain dengan wacana agak berlainan matranya daripada sogokan-sogokan sekian banyak di pasaran. Ambo perlu kembali kepada ruang khalayak yang bakal menghadamkan naskah ambo.

apa nak buat, tuntutan fizikal sekarang lebih berkerajaan dalam kehidupan ambo makanya ambo terpaksa mengabaikan (paling tidak buat sementara waktu) akan segala macam hal yang berkait rapat dengan kepuasan diri dalam meneruskan perjuangan ini.

ambo harap, satu masa akan datang dan akan berlaku juga situasi yang pada masa itu ambo mampu menulis mengikut apa yang ambo rasa dan bukan lagi semata-mata untuk mengejar metarial. Amin.

Monday, 1 October 2012

SEMANIS CINTA SEMALAM 15-25


BAB LIMA BELAS

Cinta kalau mahu menjelma ia tidak akan mengira batas masa dan apa saja. Begitu juga dengan Adli. Walau segan-segan sepanjang berada di rumah Pak Badar, dia akhirnya akur dengan salam manis yang dihulurkan Yon. Akhirnya perhubungan itu mereka panjangkan sehingga Adli kembali ke kampusnya.

            Hati Adli terbuka untuk menerima salam perkenalan daripada Yon apabila mendapati dia memang ikhlas dan jujur. Yon juga gadis yang berhemah dan hormatkan orang tua. Walaupun masih terlalu awal untuk membayangkan, Adli tidak dapat menolak diri daripada membayangkan bagaimana nanti apabila Yon dibawa pulang bertemu dengan keluarganya. Adli tidak mahu keluarganya nanti dipandang hina oleh pasangan sendiri sekiranya Adli tersilap memilih.

            Adli cukup sedar kedudukan keluarganya. Mereka orang susah. Jauh lebih susah jika mahu dibandingkan dengan keluarga Yon. Walau perhubungannya bersama Yon masih terlalu awal, Adli harus memikirkan semuanya demi mencorak hubungan mereka untuk masa-masa akan datang.

            Dengan memiliki peribadi yang tinggi dan juga keluarga sudah mengetahui latar belakang Adli yang dilahirkan sebagai anak kampung , Adli berani untuk bermain api, seterusnya bermain perasaan bersama Yon apabila melihatkan penerimaan mereka terhadap kekurangan diri Adli dengan cukup-cukup terbuka. Adli tidak mengharapkan banyak daripada Yon dan keluarganya cukuplah andai mereka mahu menerima Adli dan keluarganya.

            Wahhh, tingginya Adli menyimpan angan-angan padahal dia sedar hubungan dia dan Yon baru saja bermula!

            Tapi itulah. Adli tidak pernah membiarkan perasaan mengawal dirinya selama ini. Dia lebih banyak menumpukan masa dan jiwanya untuk pelajaran. Jika ada masa senggang untuk benaknya, ia lebih terarah untuk keluarga di kampung.

            Pun mengenali Yon membuatkan lebuh benaknya agak tersasar. Anehnya pula, Adli seakan merelakan semua itu. Dia tidak menepis, tidak mengelak. Sebaliknya dibiarkan saja perasaan yang hadir menyelinap ke setiap inci pembuluh darahnya.

            Mentak inilah fasa baru dalam hidup Adli. Tanpa dapat dielak dan dibuang, ia bercambah dalam diri Adli. Sementelah dalam keadaan Yon yang cukup mengambil berat terhadapnya.

            Walau tidak didatangkan dalam pakej manja-gedik, Yon tetap mampu menawan hati Adli dengan celoteh-celotehnya lewat warkah-warkah yang dikirimkan kepada Adli. Selalunya Yon akan bercerita apa saja tentang dirinya selain bertanya khabar tentang diri Adli. Jarang terselit kata-kata rindu dan sayang. Apatah lagi untuk manja mengada-ngada. Yon nampak bijak bermain dengan suasana.
            Itulah yang menarik hati Adli tentang Yon kerana dia tidak begitu membebankan Adli dari segi hati dan perasaan. Kerana bagi Yon hati dan perasaan itu cukuplah jika dibiarkan bercambah dengan sendiri.

            Walaupun aku tidak melafazkan kata-kata cinta, keluhan di hatiku tersemat seribu bahasa cinta. Begitu bunyi lukisan bergambar rama-rama yang diletakkan dalam bingkai kecil berwarna biru laut. Lembut. Ia hadiah daripada Yon! Hanya itulah. Hanya itulah satu-satunya kata-kata yang menunjukkan Yon sayangkan Adli.

            Dan itupun sebenarnya sudah cukup!

            Jika asyik mengucapkan kata sayang dan rindu sebenarnya agak merimaskan juga kerana Adli bukan jenis mat jiwa-jiwa. Lagipun tidak salah bagi Adli untuk seseorang gadis memulakan sesebuah hubungan namun agak merimaskan jika gadis terlampau mendesak dan kelihatan terlalu mudah dan murah mendambakan cinta. Adli tidak suka gadis yang seperti itu. Begitu juga jika gadis yang terlalu mengejar cinta seorang lelaki. Adli juga cukup tidak berkenan dengan sikap gadis yang sebegitu.

            Sementara itu, dalam memperkatakan tentang hubungan yang terjalin antara Adli dan Yon, Lah menjadi manusia yang paling kuat menyakat Adli apabila hubungannya dengan Yon dipanjangkan. Adli buat tidak endah dengan kelakuan Lah. Dia tahu, jika dia buat tidak peduli, lama-lama Lah akan senyap. Sudah menjadi sikap Lah. Makin dilayan makin menjadi-jadi perangai suka menyakatnya.
            “Dulu macam-macam alasan, sekarang terjebak juga.” Begitu usik Lah.

            Namun Adli lebih senang tunavokal.

            “Tapi aku tengok Yon tu memang baik budaknya. Tudung tak pernah lekang dari kepala. Tentu tak malu kalau bawa balik kampung.” Lah berbunyi lagi.

            Adli pula tetap menelinga sambil tangan kalut menyiapkan lukisan pelan projek kursusnya.

            Namun deskripsi ‘tak malu kalau bawa balik kampung’ yang dituturkan Lah membuatkan dalam terfikir sejenak.

            Mungkinkah akan terjadi santak ke tahap itu hubungan antara dia dan Yon? Bagi Adli, apabila dia sudah berani untuk bawa pulang Yon ke kampung untuk diperkenalkan dengan keluarga, bermakna di situ dia sudah meletakkan hubungan mereka pada satu tahap yang agak jauh. Walhal dia tidak terfikir hingga sejauh itu.

            Benar. Dia bukan main-main dengan Yon. Namun dia juga tidak mahu main-main dalam mengejar cita-citanya. Adli masih waras walau hati sudah mula pandai bermain dengan perasaan. Dek kerana itu dia tidak pernah memberitahu ibu walau sepatah tentang Yon. Begitu juga kepada Mak Su Zie semasa mereka berkesempatan bertemu semasa cuti hari raya baru-baru ini. Padahal dia dan Mak Su Zie paling banyak berkongsi tentang pelbagai macam perkara.

            Entahlah. Hati Adli belum bersedia untuk bercerita tentang hal-hal yang masih di awangan.

            “Hai, nampak tenggelam dalam daerah yang satu lagi aje…” desir suara Lah masih dalam intonasi mengusik mengembalikan Adli ke tempat duduk asal.

            Hilang wajah Yon.

            Hilang wajah ibu.

            Hilang juga wajah Mak Su Zie.

            Di depannya sekarang hanya Lah dengan versi wajah mengusik. Sejak balik dari program anak angkat, versi wajah itu sudah selalu benar dipetiakan Lah. Adli menggeleng-gelengkan kepala. Malas memprovok sikap Lah. Kalau makin diprovok tentu versi wajah itu akan berpanjangan hingga ke petang.

            “Kau tak nak makan?’ Adli mengalihkan perhatian Lah.

            “Nak tu memang lah nak, tapi soru aku ada kurang sikit.”
            “Aku pun tak ada banyak modal ni. Alah, kita pergi cari mee segera ajelah.” Cadang Adli.

            “Jadilah. Daripada tak makan langsung. Berkeriau isi perut aku nanti.”

            “Kau ni macam-macam hal.”

            Lah tersengih. Tanpa banyak bicara mereka berdua keluar dari bilik asrama. Baru saja mereka keluar ada seorang junior menegur Adli.

            “Abang Adli, ada orang nak jumpa di depan pintu utama.”

            “Ada orang nak jumpa? Siapa?”

            “Entahlah. Tadi Pak Guard yang sampaikan pesan kat saya,” ujar si junior.

            “Tak apalah kalau macam tu. Terima kasih,” ucap Adli kepada juniornya.

            “Siapa ya?” Soal Adli kepada Lah yang kelihatan turut tertanya-tanya.

            “Mungkin Yon agaknya…” Lah separa mengusik.

            “Kau boleh tak kalau serius sikit?” Marah Adli sambil melangkah ke pintu utama diekori Lah.

            “Mana tau, kan? Orang perempuan ni kalau dah suka sanggup merentas lautan api. Ini  kan pula setakat naik bas dari Kota Tinggi ke Kok Lanas ni.”

            “Dah,dah lah tu Lah. Fikir tu biar logik sikit. Mau tak marah mak bapak dia kalau dia buat macam tu.”

            “Ahhh, ya tak ya. Dia kan anak solehah. Tentu dia tak akan buat perkara bukan-bukan.” Lah masih ingin memperli.

            Adli tidak mahu mengendahkan Lah. Dia melangkah luas-luas dan cepat-cepat untuk sampai ke pondok pengawal. Dari jauh dia sudah nampak susuk tubuh seseorang yang sangat dia kenali. Ada getar dalam dadanya dan jantung berdegup kencang tidak mahu berhenti. Dia tidak dapat menebak tujuan insan yang sedang bercakap-cakap dengan Pak Guard itu datang melawatnya di asrama. Sepanjang dia belajar di situ, tidak pernah walau sekali dia menerima kunjungan daripada sesiapa.

            Walau terharu dengan kunjungan itu Adli tetap mampu mengimbangi rasa dalam dirinya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ibunya.

            “Kenapa mak datang sini?”Soal Adli. Bukan kerana dia tidak suka akan kunjungan ibunya, namun kerana kunjungan itu di luar tebakannya sama sekali.

            “Kebetulan mak nak ke Tumpat. Alang-alang mak dah sewa kereta untuk satu hari, mak singgah kat sini. Nak jenguk-jenguk kau. Tanya khabar.”

            “Mak nak buat apa ke Tumpat? Ada sesiapa sakit?” Soal Adli sambil menjenguk ke dalam kereta yang disewa oleh ibunya.

            Kelihatan di dalam kereta Nabila, Sufiah, Bashah, Zulfadzli dan Amelia. Hanya mereka berlima. Mungkin yang tidak dapat ikut sama kerana tidak muat kereta. Adik-adiknya nampak tersengih-sengih dari cermin kereta kepada Adli. Nampak benar mereka gembira melihat abang mereka yang jarang-jarang sekali dapat mereka temui. Mahu Adli panggil mereka masuk tetapi dia tahu undang-undang asrama yang tidak membenarkan orang luar masuk sesuka hati.

            “Mak si Berahim meninggal.”

            “Mak si Berahim meninggal…sakit apa?” Adli agak terperanjat. Dia kenal Berahim. Sepupu Zaharah yang umur hampir sama baya dengan Adli.

            “Entahlah. Sakit orang tua kot…” Beritahu Zaharah. Sambil mata meninjau mengitari seluruh kawasan asrama Adli.
            “Mak tak boleh lama ni, Lie. Lagipun jaga dah pesan tadi tak boleh lama-lama.”

            “Ya lah mak. Sampaikan salam Adli kepada Berahim.”

            “Baik lah. Adli pun jaga diri baik-baik.” Balas Zaharah sambil tangannya mengeluarkan sesuatu dari beg tangan yang dijinjingnya. “Ni buat belanja Adli di sini.” Zaharah meletakkan sejumlah wang ke tangan Adli.

            Tertegun Adli buat seketika. “Mak ada duit ke tinggalkan belanja untuk Adli ni?” Soal Adli keharuan. Maklumlah itu bukan sikap biasa ibu.

            “Tak apa. Mak masih ada duit lagi.”

            “Kalau mak tak ada, tak payahlah berikan kat Adli. Simpan buat belanja adik-adik sekolah.” Adli cuba menolak pemberian ibu.

            Entah kenapa, tersentuh benar dia dengan perlakuan ibu kali itu. Mentak kerana ibu tidak biasa memberinya wang belanja membuatkan Adli kemutuan. Sebak sangat rasa dalam diri.

            “Tak apa lah Lie. Bukan selalu mak bagi kamu duit buat belanja. Sementara ibu ada duit lebih ni, ambil lah…” ujar Zaharah cuba meyakinkan Adli.

            Adli serba-salah. Dia intai sekali lagi kelibat adik-adiknya di dalam kereta. Mereka semua masih tersengih-sengih. Mereka tidak faham rasa melankolik yang kini menjajah rasa dalam diri Adli.

            “Ambillah Lie. Mak nak bagi banyak pun tak boleh…”

            “Ni pun dah banyak, mak. Dah cukup ni. Bulan depan biasiswa akan masuk dah.”

            “Emmh, kalau macam tu mak pergi dulu. Jaga diri baik-baik.”

            Adli bersalam sekali lagi dengan ibunya. Kemudian dia memerhati langkah yang diatur oleh Zaharah sehingga kereta yang membawa ibunya hilang dari pandangan mata.

            Namun rasa sebu yang menyelinap dalam diri tidak hilang semudah itu.

            Mak…Adli sayangkan mak!







BAB ENAM BELAS

Asrama kampus Adli sudah jauh ditinggalkan. Ada rasa sedih dalam diri Zaharah mengenang anak sulungnya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di situ. Zaharah akui selama Adli belajar, terutama sejak Adli menerima wang biasiswa dia jarang menghulurkan duit belanja untuk Adli. Bukan dia berkira, dia tidak mampu. Untung hasil meniaga ayam proses di pasar basah Tanah Merah bukan banyak mana sangat pun. Dengan untung itulah dia harus mengagih-agihkan untuk persekolahan anak-anak dan belanja rumah.

            Dalam masa yang sama, sentimen berjimat cermat masih melekat dalam diri Zaharah. Dia paling takut jatuh susah sekali lagi. Dia sudah merasa susah dalam jangka masa yang terlalu lama. Sementelahan dalam kondisi sendirian mencari nafkah, tentulah dia terlalu ingin mengekalkan sikap berjimat cermat. Setiap orang anak-anaknya diberi wang saku cukup-cukup sahaja untuk ke sekolah. Dia pernah membayangkan jika umurnya tidak panjang atau jatuh sakit seperti arwah suaminya sehingga membawa maut, siapa yang bakal menyara anak-anaknya.

            “Abang tak cakap bila dia nak balik, mak?” Soal Nabila mematikan lamunan Zaharah.

            “Tak ada pula mak tanya tadi.” Balas Zaharah sambil menyeka air mata yang mula terasa panas di dalam kolamnya.
            Tidak mahu anak-anak tahu betapa jiwa tercuit sentimetal tatkala meninggalkan Adli tadi. Entahlah. Hati sering merasa begitu-begitu sahaja setiap kali berpisah dengan anak-anak sejak dulu sehingga sekarang. Itulah jelmaan kasih Zaharah setelah dia tidak mampu melafazkan dengan pelukan dan ciuman selayaknya sebagai seorang ibu.

            Lebih-lebih lagi terhadap Adli yang sejak kecil kekurangan kasih sayangnya. Sering ditinggalkan dek tuntutan hidup yang membuak-buak. Zaharah bukan tidak sedar itu. Bagaimanapun dia tidak terdaya. Bertambah tidak berdaya setelah kematian suaminya, Mahmud. Seluruh masa dan kudratnya banyak dihabiskan untuk mencari nafkah buat anak-anak.

            “Kan ke seronok kalau abang cuti.” Gumam Nabila namun cukup untuk didengar oleh adik-adiknya.

            “Hishhh, aku memang seronok kalau abang balik rumah, cuma tak seronok kalau dia minta kita ulangkaji pelajaran. Sakit tau kalau makan pelempang dia,” balas Bashah.

            Sufiah yang berada di sebelahnya mengangguk-angguk tanda mengiyakan kata-kata Bashah. Siapa tidak tahu ketegasan abang kalau mengajar mereka mengulangkaji pelajaran. Boleh merah pipi dilempangnya kalau tidak mampu menjawab soalan matematik dan bahasa Inggeris yang diberikan. Selalunya dua subjek itu yang selalu dititikberatkan abang. Manakala adik-adik pula dua subjek itulah paling sumbang markahnya setiap kali peperiksaan.

            “Abang marah kau orang sebab dia nak kau orang pandai. Jadi macam dia. Kira untung kau orang sebab ada abang boleh ajar kerja sekolah. Dia dulu buat sendiri-sendiri. Mak dan ayah tak dapat nak tolong sebab kami sibuk sangat. Lagipun mak bukan pandai membaca. Mak tak pernah sekolah.” Zaharah menyampuk ruang bual antara anak-anaknya.

            “Kita orang faham…tapi abang garang sangat.”

            “Garang sebab kau orang tak pandai. Cuba kau orang tahu buat apa yang abang suruh, tentu dia tak garang. Tambah pula kalau dia tak sungguh-sungguh ajar kau orang, nanti semua tak serius belajar.”

            Semua diam mendengar kata-kata Zaharah. Mereka pun faham tujuan abang bersikap garang dengan mereka. Malah tidak berbekas marah dan dendam sedikit pun di hati mereka terhadap abang walaupun abang garang setiap kali mengajar mereka kerja-kerja sekolah. Sebaliknya rasa kagum dan sayang terhadap abang terlalu melangit. Begitu juga sanjungan mereka terhadap abang. Bagi adik-adik sampai bila-bila pun abang tetap akan menjadi sanjungan teratas dalam hidup mereka. Kalau boleh mereka ingin jadi seperti abang, berjaya dalam pelajaran. Sebab mereka yakin pelajaran boleh membawa mereka pergi lebih jauh.
            Apabila anak-anak kembali tunasuara, Zaharah juga kembali tenggelam dalam lubuk fikirnya. Kembali teringat tentang Adli. Ada berbekas rasa simpati yang dalam di jiwanya terhadap anaknya itu.

            Kasihan.

            Walau Zaharah tidak berpendidikan tinggi, namun untuk memahami kesulitan hidup yang Adli alami sejak kematian arwah Mahmud bukan susah. Adli tersepit antara tanggungjawab seorang abang dan cita-cita yang perlu dicapai. Sementelahan cita-cita Adli sinambungan kepada cita-cita arwah Mahmud sendiri.

            Semasa hayatnya, arwah Mahmud ingin sekali melihat anak-anak berjaya dalam hidup dan tidak lagi mewarisi kesesakan mereka suami isteri. Cukup-cukuplah.

            Lantaran itu Adli mengorbankan banyak perkara dalam hidupnya. Membantu meniaga di pasar bukan sekadar untuk wang saku semata-mata, tetapi melalui wang yang dikumpul sikit-sikit itulah Adli memulakan pengajiannya. Namun ada pula adik seperti Azian yang menuduh bukan-bukan. Membuat tohmahan kononnya Adli menggunakan duit simpanan arwah Mahmud untuk kepentingan diri sendiri. Walhal perit Adli menabung untuk membolehkan dia membayar yuran kemasukan ke politeknik.

            Ahh, Azian!

            Zaharah pun kurang mengerti mengapa terlalu berbeza Azian berbanding anak-anaknya yang lain. Azian suka berbusuk hati dan berburuk sangka terhadap adik-beradiknya sendiri. Sejak ditinggalkan suami dan kembali menetap di rumah orang tua, pelbagai macam masalah ditimbulkan Azian. Cukup buat hidup Zaharah kacau dan tenangnya direntap mudah-mudah.

            Azian mencipta anarki di rumah. Adik-adik ditindas sesuka hatinya. Menggunakan kedudukan sebagai kakak tertua untuk membuli adik-adik membuatkan kehidupan mereka sekeluarga langsung tidak aman. Padahal jika dia mengambil upah dengan bekerja di kedai makan,adik-adiklah yang menjaga anaknya, Naliff. Namun dia tidak pernah fikirkan semua itu.

            Ahh, itupun belum teruk lagi.

            Apa yang lebih membebankan benak Zaharah sehingga dia terasa ada seketul batu besar maya terhenyak di atas pundaknya apabila Azian terlalu gemar berpeleseran. Alasan kerja di kedai makan membuatkan dia bebas keluar dengan lelaki larut malam. Lelaki yang mengusungnya pula silih berganti. Apabila pulang ke rumah bertempet kesan gigitan asmara di sana-sini.

            Hati Zaharah terbakar. Santak dia hilang sabar dan pernah mencekik leher Azian kerana benar-benar tidak sabar dengan perangai buruk Azian. Pun Azian tidak pernah mahu berubah. Jika Zaharah sudah naik hantu dia akan memunggah kain baju, keluar dari rumah dan tinggal entah dengan siapa-siapa. Apabila bergaduh dengan tuan rumah tempat dia menumpang, dia akan kembali semula ke rumah tanpa mengucapkan kata maaf sepatah pun kepada Zaharah. Zaharah hanya mampu berdoa agar satu masa Azian akan berubah.

            Zaharah tidak faham walau sudah diberi didikan agama secukupnya, Azian tetap memilih jalan hitam. Zaharah pun tidak tahu di mana silapnya. Dia sentiasa menangis setiap malam mengenang sikap Azian. Hanya kepada anak-anak diluahkan di samping memberi ingat kepada anak-anak yang lain agar tidak meniru sikap buruk Azian.

            Namun untuk dipanjangkan ke pengetahuan Adli jauh sama sekali. Zaharah tidak mahu menambah beban benak Adli. Dia mahu Adli menumpukan perhatian kepada pelajarannya. Dia mahu Adli berjaya. Walaupun dia tidak mengharapkan Adli memberinya wang setiap bulan apabila sudah berjaya mendapat jawatan bagus nanti, cukuplah sekiranya Adli mampu menjadi contoh kepada adik-adik yang masih bersekolah.

            Nazira, Nabila, Sufiah, Bashah, Zulfadzli dan Amelia memerlukan contoh yang baik dalam meneruskan pelajaran mereka. Pada Adli sajalah harapan itu Zaharah sandarkan. Sementelah Azian dan Aziah tidak mampu menjejaki Adli. Belajar sehingga ke peringkat lebih tinggi.

            Sesekali Zaharah menjadikan Mak Su Zie mereka sebagai contoh.
            Mak Su mereka juga sudah berjaya menjadi seorang guru kini. Alangkah bagus jika salah seorang daripada anak-anak Zaharah mampu menjawat kerja bagus seperti Mak Su Zie mereka. Teringin Zaharah berbangga dengan kejayaan anak-anak.

            Namun entahlah. Mampu atau tidak dia melihat semua itu berlaku.

            Hari demi hari usia makin meningkat. Kesihatan pula makin merosot. Zaharah sudah merasakan kudratnya sudah tidak seperti dulu. Ahh, andainya dia juga mengikut jejak langkah arwah Mahmud semasa usia anak-anak masih muda dan tidak mampu untuk berdikari, siapakah yang boleh dia harapkan?

            Zaharah pernah terfikir tentang itu.

            Memang pernah terfikir.

            Terlintas citra Azian di retinanya. Kemudian citra itu cepat-cepat padam.

            Ada ketakutan yang maha sarat jika dia terbayangkan kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya dia sudah tiada.

            Pendek kata, Adlilah ayah, Adli jugalah ibu.

            Azian? Huh, tidak terbayang dalam benaknya Azian akan menjadi seorang kakak yang bertanggungjawab. Hidupnya sendiri terlalu banyak bergantung kepada orang lain. Jika dia yang bakal dijadikan tempat bergantung, boleh tumbang terbalik jadinya.

            Aziah? Zaharah tidak tahu mampukah Aziah bersama-sama Adli membesarkan adik-adik kerana sejak arwah Mahmud meninggal, Aziah tinggal tidak lama di rumah. Dia telah berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut saudara arwah Mahmud. Di sana dia bekerja sebagai operator pengeluaran. Sesuai dengan kelulusan LCE yang dia ada. Zaharah tidak mahu menghalang.

            Oleh itu Zaharah tidak tahu sejauhmana kemampuan Aziah sekiranya berlaku sesuatu kepada dirinya. Semua samar-samar. Namun dia tetap berdoa kepada Ilahi agar memanjangkan usianya sehingga anak-anak sudah pandai berdikari. Zaharah cukup-cukup bimbang tentang hal itu kerana faktor usianya.

            “Kita dah sampai!”Teriakan gembira anak-anak mengembalikan Zaharah ke medan realiti.

            Ahhh, ya. Mereka sudah tiba di Kampung Kok Keli.

            Zaharah memerhati sekeliling. Tidak banyak yang berubah di tempat tanah tumpah darahnya. Era pembangunan masih belum begitu menular di sini. Laluan untuk ke rumah Berahim masih sama. Bilangan rumah di situ juga masih sama. Zaharah menyuruh pemandu kereta yang di sewanya mengikut sama kerana urusan menziarah saudara yang meninggal biasanya mengambil masa yang lama juga. Lebih-lebih lagi bagi saudara yang dia sendiri jarang-jarang menjenguk bertanya khabar.

            Laluan sempit ke rumah Berahim menghalang kereta masuk ke halaman rumah. Mereka harus berjalan kaki ke rumah Berahim. Anak-anak sudah berlumba sesama sendiri untuk tiba di rumah Berahim. Nabila, Sufiah dan Bashah memang selalu begitu. Suka sangat bersaing sesama sendiri. Suka melihat wajah terkejut dan teruja yang terpamer di wajah saudara di sini apabila mereka tiba. Zaharah di belakang pula hanya memerhati sambil memimpin tangan Zulfadzli dan Amelia.

            Zaharah sempat mengitari setiap kawasan di sepanjang laluan untuk ke rumah Berahim. Kemudian mata tertancap ke sebuah rumah usang yang kini tidak berpenghuni di kanan jalan untuk ke rumah Berahim. Rumah yang berdinding dan beratapkan daun rumbia kini menunggu masa untuk menyembah bumi.

            Timbul rasa sayu di hati Zaharah.

            Bukan kerana keusangan rumah itu, namun dek bayangan maya dua kanak-kanak yang sedang berlari-lari di depan rumah itu.

            Betapa. Betapa jauhnya masa lampau sudah dia tinggalkan. Rumah itu yang suatu masa dahulu pernah menjadi tempat berteduh dia dan keluarga kini sudah usang sangat. Di rumah itulah dia membesarkan Adli dan Azian. Dia tidak pernah lupa. Di rumah itu juga dia meninggalkan Adli dan Azian  bersama kedua-dua orang tuanya tatkala dia dan arwah Mahmud mencuba nasib di Bukit Abu.

            Kini tiada sesiapa tinggal di situ setelah hak milik tanah tapak rumah itu jatuh kepada arwah mak Berahim. Namun kenangan-kenangan nostalgik masih bersisa dalam jiwa Zaharah. Apatah lagi setelah arwah Mahmud sendiri sudah lama meninggalkannya.

            Jiwa Zaharah menjadi terlalu medu. Kini anak-anak pun sudah besar. Kesesakan yang membelit suatu masa dahulu sudah lama berlalu. Namun terkesan di suatu tempat paling dalam di jiwa Zaharah betapa dia mempertaruhkan terlalu banyak untuk mengecapi kesenangan seperti sekarang. Walau tidak mewah, namun cukup untuk membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

            Ada rasa rindu di jiwa Zaharah terhadap anak-anak dan masa kecil mereka!








BAB TUJUH BELAS
1990-an

Adli sudah menamatkan zaman pengajiannya. Zaharah bersyukur sangat-sangat. Sementelahan Adli sudah mula bekerja. Walau tidak menyumbang untuk perbelanjaan harian, Zaharah cukup bersyukur kerana sekurang-kurangnya Adli sudah mampu mempunyai pendapatan sendiri. Pendapatan lebih tetap berbanding menolongnya meniaga ayam proses di pasar basah sebelum mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajiannya di politeknik.

            Lama Adli gagal mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian. Dibandingkan dengan Mak Su Zie mereka, Adli agak ketinggalan kerana setamatnya belajar di maktab perguruan, Mak Su Zie terus mengajar di Jengka 14 Pahang. Ternyata di situ nasib Mak Su Zie lebih baik berbanding Adli. Mak Su Zie sekarang pun sudah berkahwin dengan orang Muar. Mazli namanya namun disapa mesra oleh anak-anak saudara sebagai Ayah Su sahaja.

            Sejak berkahwin Mak Su Zie jarang balik kampung. Namun kekuatan dan dorongan sentiasa Mak Su Zie berikan kepada Adli agar jangan berputus asa untuk mendapatkan pekerjaan. Walau hubungan Mak Su Zie dan Adli agak tenggelam timbul dek jarak masa dan sempadan geografi, ternyata pertalian darah antara mereka tidak pernah putus. Tambahan dalam teknologi perhubungan yang semakin canggih dan kemudahan telefon ada di mana-mana, hubungan mereka menjadi rapat kembali seperti zaman-zaman kanak-kanak mereka.

            Zaharah bersyukur dengan kondisi itu dan rasa bersyukur itu dikongsi bersama Mak Bedah yang kini semakin menganjak usia.

            “Mujur lah ya, mek. Makin mereka meningkat dewasa, hubungan mereka kembali rapat seperti zaman-zaman mereka kecik dulu.”

            “Tu lah. Dulu mereka bawa haluan masing-masing. Mengejar cita-cita. Masa cuti Zie tak sama dengan Adli. Nak berhubung susah, sekarang setiap rumah dah ada telefon, senang. Tak boleh jumpa, tekan je nombor, dapatlah dia bercakap dengan Zie.”

            “Betul tu, mek. Saya gembira sangat tengok mereka. Hubungan mereka lebih kepada hubungan adik-beradik. Harap-harap kalaulah saya tak ada nanti, dapatlah Zie dan mek jadi tempat bergantung Adli.”

            “Kenapa pulak lain benar bunyi cakap kau ni, Zah? Sepatutnya aku yang cakap begitu. Sejak arwah Mahmud dan ayah kau meninggal, Zie pulak tinggal jauh, aku ni dah kira nak menumpang kasih dengan kau sementara aku masih hidup ni.” Mak Bedah pantas berkata. Kurang senang benar mendengar kata-kata yang terluah dari mulut Zaharah, menantu yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Sementelahan apabila dia kini boleh dianggap tidak mempunyai sesiapa lagi untuk berkeluh-kesah melainkan Zaharah seorang.

            Dalam kondisi begitu tentulah Mak Bedah tidak senang dengan deskripsi yang terlontar dari kerongkong Zaharah.

            “Lagipun, Zah. Mengikut adat aku yang lebih tua ni lah yang akan pergi terlebih dulu banding kau. Kalau kau yang pergi dulu aku nak bergantung kepada siapa? Anak-anak kau? Huhhh, mereka masih muda lagi. Azian? Jangan kan nak bergantung hidup, aku ni dia pandang bagai musuh. Aku pun tak faham apa silap aku sampai dia benci sangat kat aku,” luah Mak Bedah perkara yang selama ini berbekam dalam jiwanya.

            Zaharah menghela pandangan ke wajah Mak Bedah yang kian dimamah usia. Dia faham maksud kata-kata Mak Bedah. Dia juga faham mengapa Azian jadi begitu. Azian seorang yang pendendam. Dia sudah cukup mengerti masa lampau semasa dia merasa diabaikan Mak Bedah dulu. Peristiwa masa lampau yang berbekas di hati membuatkan hubungan Azian dan Mak Bedah menjadi dingin.

            Ahh, Zaharah bukan tidak ingat kehidupan satu masa dahulu. Kehidupan semasa dia tidak mempunyai apa-apa. Di sisinya cuma ada Mahmud dan anak-anak. Hubungannya dan Mak Bedah anak-beranak tidak serapat sekarang. Zaharah bukan tidak ingat itu. Namun dia juga ingat Mak Bedah bukan mengkesampingkan terus dia dan anak-anak. Sejak arwah Mahmud tiada, Mak Bedah banyak membantu. Urusan anak-anak di sekolah Mak Bedah yang mengambil alih seperti menghadiri mesyuarat PIBG dan pelbagai macam lagi.

            Azian sepatutnya tidak boleh berdendam dengan Mak Bedah. Bukan silap Mak Bedah jika dulu mereka tidak rapat dan mesra. Arwah Mahmud sendiri yang tidak pernah mesra dengan ibunya. Arwah sendiri yang menyisih dari hidup Mak Bedah. Padahal Zaharah percaya kasih sayang seorang ibu tidak ke mana. Hanya cara Mak Bedah menunjukkan kasih kepada anak-anak agak berlainan daripada caranya.

            Huhhh, setiap orang berbeza. Cara menunjukkan kasih sayang setiap orang juga berbeza. Azian kena faham itu. Malah Azian patut nilai diri sendiri jika mahu menghukum Mak Bedah santak menjadikan Mak Bedah musuh. Menghasut adik-adik agar memusuhi Mak Bedah sebagaimana dirinya. Azian sepatutnya sedar dia juga bukan ibu yang terlalu mengambil berat terhadap anak. Lihat saja nasib Naliff. Langsung tidak terbela. Jika tiada Zaharah dan anak-anaknya yang lain, entah apa akan jadi dengan nasib Naliff dengan perangai Azian yang suka berfoya-foya dengan lelaki.

            “Mek jangan hiraukan sangat Azian tu. Saya pun tak tahu dia ikut perangai siapa. Nak kata ikut perangai arwah Mahmud jauh sekali…ikut perangai saya? Hemm, mek pun tahu saya macam mana. Mujurlah adik-adik tak macam tu, kalau semua jadi macam dia, makin pendek umur saya.” Suara Zaharah memujuk Mak Bedah yang nampak berjauh hati dengan tingkah laku Azian.
          Mak Bedah mengakui kata-kata Zaharah itu. Dia bukan tidak masak dengan perangai Zaharah sepanjang perempuan itu bergelar menantu. Jiwanya sensitif.  Bercakap dengan orang pun jarang nak maki hamun dan mengeluarkan kata-kata yang pedas walaupun dengan anak-anak dia tegas. Walau mereka pernah berselisih faham, itu datang dari sikap Mak Bedah sendiri yang berburuk sangka tidak menentu terhadap menantu. Apabila dia sudah kenal hati budi Zaharah, mereka tidak lagi menyinggung perasaan satu sama lain. Hubungan mereka tambah erat. Tambah lagilah sekarang ketika mereka tiada siapa-siapa untuk dibuat menumpang kasih.

            Zaharah sudah kehilangan arwah Mahmud. Mak Bedah pula sudah kehilangan arwah Othman dua tahun selepas ketiadaan Mahmud. Adli jauh dari Zaharah. Zie pula jauh dari Mak Bedah. Dalam iklim sebegitu tentu rasa harap-mengharap antara satu sama lain kuat antara mereka berdua.

            “Dah lah mek. Lupakan pasal Azian. Kalau nak pikir pasal dia boleh pecah kepala kita. Sekarang ni pun dengar-dengar dia buat hal pula dengan pemandu kereta sewa yang dah berbini dua. Tak faham dengan perangai dia tu…”

            “Kau bagi je dia kahwin, hilanglah merenyam dia tu.”

            “Belum ada lelaki yang nak sungguh-sungguh kat dia. Kalau ada, yang nak ambil kesempatan saja.”

            “Susah juga kalau kita tunjuk mudah sangat. Kita orang perempuan ni kena jual mahal sikit walaupun janda. Kalau dah tunjuk mudah diusung ke hulu ke hilir memang susah orang nak buat bini.”

            “Entahlah, mek. Saya mati akal pikir pasal dia.”

            “Aziah pula?” Mak Bedah menukar topik.

            Aziah? Huh! Zaharah menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab pertanyaan Mak Bedah. Itu lagi seorang bermasalah. Asal ada saja orang datang meminang dia akan membawa diri jauh-jauh. Sekali ke Kuala Lumpur, duduk sana dua tiga tahun. Bila reda kisah orang masuk meminang, dia pulang. Menolong Zaharah menguruskan adik-adik di rumah. Datang pula rombongan meminang, dia lari pula ke Johor. Ahhh, paling dekat dia lari pun ke Gua Musang. Entahlah, sumpahan jenis apa yang melekat pada batang tubuh Aziah sehingga dia alahan benar mendengar orang datang meminang.

            “Kau tak bagi tau dia? Anak dara kalau dah makin lanjut usia, makin susah nak dapat jodoh.”

            “Dah banyak kali, mek. Aziah tu bukan dengar kita cakap apa. Dia buat apa yang dia rasa betul. Saya pun tak boleh nak paksa. Ni soal masa depan dia. Karang kita paksa-paksa jadi macam Azian. Dulu dia kahwin dengan Mat Zin atas kehendak saya dan Mahmud, takut dia jadi andartu lah. Bila tak kekal lama, kami pula yang dipersalahkan. Tu yang buat saya takut nak paksa-paksa anak, mek.”

            Mak Bedah menghempaskan keluhan. Dia faham bebanan yang ditanggung oleh Zaharah. Dia pun tidak dapat menolong. Mahu menasihati Aziah? Kalau kata-kata Zaharah pun dia buat acuh tak acuh, haramlah dia mahu dengar nasihat Mak Bedah. Kalau cucu-cucunya yang masih kecil bolehlah Mak Bedah beri nasihat. Itupun hanya Sufiah,Bashah, Zulfadzli dan Amelia. Yang lain dah besar. Mereka anggap mereka lebih bijak.

            “Saya bimbang, mek. Bimbang kalau-kalau saya pergi sebelum sempat melihat anak-anak mendirikan rumahtangga. Terutama Aziah. Dengan umur seperti dia, sudah layak benar dia berkahwin.”

            “Kau ni, Zah. Kenapa asyik cakap benda yang sama? Soal ajal maut di tangan Allah, Zah. Kita sebagai hamba berdoalah agar dipanjangkan umur. Jangan nak minta-minta.”

            “Saya bukan minta, mek. Saya bimbang.”

            “Rasa ragu dan bimbang tu sebenarnya yang mendahului segala kejadian yang menimpa kita. Sebab ragu dan bimbang tu sekiranya berlaku ketika pintu rahmat sedang terbuka ia boleh jadi kenyataan,” ujar Mak Bedah mengingatkan.
            Sekadar meminjam kata-kata seorang ustaz yang datang mengajar pada malam-malam dia ke surau berterawih pada bulan puasa.

            Zaharah terdiam mendengar kata-kata Mak Bedah yang memang tidak mampu disangkal-sangkal lagi.

            “Eh, cuti sekolah ni Zie balik tak?” Soal Zaharah mengubah topik perbualan.

            “Bunyinya macam tu lah.”

            “Lama tak jumpa, Zie.”

            “Alah, dah berumahtangga ni jaranglah dia balik sini. Kena bergilir-gilir ke Muar. Kau bukan tak tahu mentuanya pun bukan sihat sangat. Aku yang sihat ni tak dijenguk selalupun tak apalah…”

            Zaharah pandang ke wajah Mak Bedah. Mengesan sebarang riak di situ kerana konotasi yang terlontar dari kata-katanya entah berbaur kecewa atau memang dia ikhlas menuturkannya.

            “Lain macam bunyi, mek.”

            “Lain macam apa? Aku cakap benda betul. Aku ni sihat, boleh ke sana, ke mari. Mentua dia tu asyik terlantar kat tempat tidur. Kalau aku teringin nak jumpa Zie laki bini aku boleh pergi ke jengka tu. Aku tak susah.” Mak Bedah bersuara menekan.

            Zaharah mengangguk-angguk tanda tidak mahu menafikan. Dia hanya bimbang tadi kalau-kalau kata-kata Mak Bedah tadi berbaur dengan rasa yang begitu-begitu sahaja dan berjauh hati dengan Zie.

            Hati seorang ibu bukan boleh ditebak. Ada masa boleh terluka pada satu-satu perkara yang tidak berasas sama sekali. Mujurlah kalau Mak Bedah memahami keadaan anaknya. Jika sudah menjadi isteri orang, masa yang ada harus dibahagi-bahagikan untuk dua keluarga.

            Zaharah dulu pun pernah mengalami kondisi itu. Jarang ada masa untuk pulang ke kampung sendiri. Kalau ada masa pun dia tidak mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian kerana modal tambang pergi balik tidak mencukupi. Dia hanya bisa mendoakan agar ayahnya di kampung sihat. Hanya itu yang mampu dilakukan sebagai seorang anak terhadap orang tuanya dalam kondisi dia tidak mampu untuk sentiasa menjenguk mereka.

            Kini tanggungjawab untuk melawat sudah tidak seberat dulu kerana ayahnya Derahman pun sudah tiada. Hanya tinggal ibu tiri di kampung. Ibu tirinya pula memahami keadaan Zaharah. Mujurlah.  Dia tidak mahu ibu tirinya berkecil hati jika dia tidak boleh selalu pulang ke Tumpat. Zaharah tidak mempunyai pengangkutan sendiri. Sesekali boleh pulang berhari raya pun dah kira beruntung baginya.

            Ahh, bagaimana pula nanti Adli sekiranya dia juga sudah mendirikan rumahtangga?

            Mendirikan rumahtangga?

            Adli tidak pernah bercakap soal itu dengan Zaharah. Tidak pernah sama sekali. Zaharah pun tidak pernah tahu waima Adli sudah mempunyai calon atau tidak.

            Ya Allah, kau temukanlah anak aku dengan perempuan yang beriman dan mampu menjadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak!










BAB LAPAN BELAS

Pening kepala! Pening kepala!

            Banyak kerja Adli belum disiapkan. Hari itu dia harus menyediakan blue print projek pembinaan pasar raya untuk ditunjukkan kepada majikannya. Yon pula menelefon dan menekannya bertanya tentang hala tuju hubungan mereka. Katanya ibu dan ayah sudah bising kerana Adli belum menampakkan tanda-tanda mahu melamarnya.

            Buntu Adli. Bebanan kerja banyak. Yon pula mula memberi tekanan sejak akhir-akhir ini tidak seperti awal-awal perhubungan dulu. Mungkin faktor umur yang kian menginjak membuatkan Yon makin terdesak. Surat-surat cinta yang dihantar Yon lebih banyak merintih berbanding bercerita tentang segala macam aktiviti hariannya seperti awal-awal dulu.

            Berkali-kali Adli maktubkan dia sayangkan Yon. Namun gadis itu mahu dia buktikan dengan satu ikatan yang lebih kukuh. Mana mungkin Adli mampu untuk berbuat demikian kerana kerjayanya baru bermula. Dia mahu berjaya dahulu dan mampu membantu ibu di kampung terlebih dahulu barulah dia akan fikirkan tentang kehidupan berumahtangga.

            Tanggungjawabnya besar. Dialah pengganti ayah. Dia tidak pernah lupa akan hakikat itu. Yon pula seakan-akan lupa pada janji yang pernah dibuat untuk sanggup menunggu dan tidak akan memberi tekanan kepada Adli sehingga satu masa Adli betul-betul bersedia untuk menyuntingnya.

            “Saya boleh menerima awak tapi awak kena sedar, saya orang susah. Kalau dah dapat kerja sebaik tamat belajar nanti, saya kena bantu mak saya dulu. Adik-adik saya ramai. Mak tak mampu nak tanggung seorang. Tambah mak makin berusia.” Itu kata Adli semasa Yon menghulurkan salam perhubungan suatu masa dahulu.

            “Saya sanggup. Saya pun faham. Saya akan sanggup tunggu awak sehingga awak dah benar-benar bersedia.” Itu pula kata Yon.

            Namun semua itu bagai tidak pernah Yon lafazkan. Kini Adli jadi terhimpit. Dia sayangkan Yon. Bagaimanapun dia belum bersedia untuk mengambil Yon menjadi suri dalam hidupnya. Dia ingin berbakti kepada ibu dahulu. Ibu sudah banyak berkorban untuknya selama ini. Kejayaan dalam kerjaya sudah lama ditunggu ibu. Ibu mahu Adli senang macam Mak Su Zie yang berjaya dalam hidup.

            Sekiranya Adli mendirikan rumahtangga, tanggungjawab Adli akan terbahagi dua. Untuk keluarga dan untuk rumahtangga sendiri. Padahal dia telah berjanji kepada dirinya sendiri, dia akan lebih mengutamakan keluarganya barulah akan fikirkan tentang diri sendiri. Perkahwinan boleh membantutkan janji Adli terhadap diri sendiri. Adli tidak mahu itu berlaku.

            Adli sayangkan Yon. Dia tidak nafikan sama sekali hakikat itu. Cuma dia minta Yon sedikit masa lagi.

            “Susah sangat awak nak buat keputusan tentang masa depan hubungan kita, jangan-jangan awak dah ada perempuan lain. Maklumlah awak dah kerja bagus sekarang. Gadis tak berpendidikan macam saya tentulah tak sesuai dengan awak.”

            Begitu pula rajuk Yon lewat perbualan mereka melalui telefon.

            “Bukan begitu, Yon. Kalau awak tak percaya, awak boleh tanyakan Lah betapa setianya saya terhadap awak selama ni.” Adli cuba untuk meyakinkan Yon.

            Lagipun dia tahu Lah dan Yon juga saling berhubung kerana mereka juga mempunyai hubungan yang rapat sejak program anak angkat semasa zaman pengajian mereka dulu.

            “Kesetiaan awak tak boleh menjadi jaminan. Lagipun orang tua sudah bising. Mereka bimbang hubungan kita tak ke mana.”

            “Percayalah, selagi awak sanggup tunggu saya akan kotakan janji kita. Buat masa ni saya masih perlukan masa. Masa untuk stabilkan ekonomi dulu. Saya baru beberapa tahun kerja. Belum cukup kukuh. Belum cukup kuat untuk memulakan hidup berkeluarga.”
            Yon mendiamkan diri. Adli tidak tahu apa yang ada dalam lubuk fikirnya saat itu. Satu perkara yang dia cukup pasti, Yon tidak mempunyai cukup kekuatan, tidak mempunyai cukup kesabaran lagi untuk terus menunggunya. Adli kelam. Yon begitu banyak berubah berbanding zaman awal-awal percintaan mereka.

            Betullah kata orang cinta memerlukan terlalu banyak pengorbanan. Cinta juga menuntut komitmen yang total. Tidak boleh main-main andai niat mahu membina mahligai bersama-sama. Sekiranya belum bersedia jangan cuba-cuba untuk bermain cinta.

            Uhhh, Adli sudah mula termengkelan sendiri. Terlintas rasa sesal kerana terjebak dalam suatu bentuk perhubungan yang dia sendiri tidak jangkakan. Walau hati cukup-cukup sayang, dia tidak mahu menolak hakikat bahawa dia tidak bersedia untuk sebuah kehidupan berumahtangga.

            Berumahtangga bagi insan seperti Adli sama konotasinya dengan meninggalkan keluarga. Dia masih boleh lagi menjalankan tanggungjawab sebagai abang. Masih boleh menunaikan kewajipan sebagai seorang anak. Bagaimanapun semua itu tidak lagi secara total. Adli tahu itu!

            Ya, Allah. Berilah petunjuk kepada hamba-Mu ini. Adli berseru dalam hatinya. Hanya kepada Allah tempat dia meminta petunjuk sedang hati cukup bergalau saat itu.

            Yon…

            Alangkah manis jika Yon tidak mendesak-desak seperti itu. Alangkah manis jika Yon terus menjadi Yon yang penuh dengan pengertian seperti suatu masa dahulu. Sumpahan apakah yang membuatkan Yon berubah laku? Padahal kasih dan sayang Adli masih utuh untuknya.

            Adli tidak tahu pada siapa harus dia mintakan pendapat. Walau Lah tahu hubungannya bersama Yon, dia tidak pernah meminta pendapat Lah sama sekali. Entahlah, mungkin sudah menjadi perangai Adli untuk tidak bercakap soal cinta dengan sesiapa pun. Tidak dengan kawan baiknya, tidak juga dengan adik-beradik sendiri. Malah sebaik mungkin dia tidak mahu adik-beradiknya tahu dia sedang dilamun cinta dengan sesiapapun.

            Itu juga sebab mengapa suatu masa dahulu dia cukup marah apabila Sufiah dan Nabila menyelongkar surat cintanya. Padahal surat cinta itu sudah disimpan rapi dalam sebuah fail tapi masih berani-berani juga adik-adiknya menyelongkar barangan peribadi Adli.

            Apa motif pun Adli tidak tahu. Mungkin seronok agaknya membaca  surat cinta abang sendiri. Mentak juga terlebih minat membaca santak semua benda ingin dibaca termasuk surat cinta orang lain. Huh, adik-adiknya memang macam-macam ragam. Sedang Adli kalau boleh ingin menyimpan kemas rahsia percintaannya.
            Tidak dengan sesiapapun di kalangan ahli keluarganya kerana dia belum bersedia.

            Mak Su Zie?

            Tidak juga Mak Su Zie walaupun hubungannya bersama Mak Su Zie juga semakin erat kini meski sempadan geografi memisahkan mereka. Begitupun, serapat mana Adli, untuk bercerita tentang kisah-kisah romantis, kisah-kisah berkait rapat dengan perasaan dalam diri amat janggal bagi Adli walau Mak Su sering mengusiknya lewat perbualan melalui telefon. Maklumlah Mak Su Zie sendiri sudah mempunyai seorang anak perempuan, tentulah dia teringin untuk melihat Adli pula menurut jejak langkahnya.

            “Saya tak tahu sampai bila saya sanggup tunggu. Saya rasakan penantian saya seakan tak menemui jalan sudah.”

            “Jangan cakap macam tu. Kalau jodoh tak ke mana…”

            “Ya, kalau jodoh tak ke mana, bagaimana kalau tak ada jodoh?” Yon pantas mencantas kata-kata Adli.

            “Kenapa nada cakap awak semacam awak dah tawar hati dengan saya?”

            “Ni bukan soal tawar hati. Saya hanya tak mahu menunggu sesuatu yang tak pasti.”
            “Sebelum ni awak juga yang berjanji untuk sanggup menunggu saya. Kenapa sekarang macam-macam pula?” Adli masih cuba berlembut dengan Yon meski dia terkepit dengan rasa ingin memberontak.

            “Hari demi hari kita makin tua, bukan makin muda. Bagi awak orang lelaki tak mengapa, tak bagi saya orang perempuan. Saya tak mahu keluarga menganggap saya menunggu buah yang tak gugur.”

            “Beginilah, Yon. Saya akan cuba ikhtiarkan untuk cari kerja yang lebih baik. Lebih baik dari segi gaji dan jaminan masa depan. Mungkin apabila gaji saya lebih tinggi saya lebih berupaya dan berani untuk memikul banyak tanggungjawab.”

            “Tanggungjawab apa? Awak maksudkan terhadap ibu dan adik-adik awak? Adik-beradik awak ramai. Tak semestinya awak anak sulung maka awak yang kena pikul semua tanggungjawab. Dah tiba masa untuk awak pentingkan diri sendiri pulak.”

            Adli terkedu mendengar kata-kata Yon. Selama ini nada cakap Yon bukan begitu. Isi percakapan Yon juga bukan begitu. Sebelum-sebelum ini Yon tidak pernah mempersoalkan keinginan Adli untuk membantu ibunya. Yon sedia maklum Adli datang daripada keluarga yang bagaimana. Awal-awal lagi Adli sudah maktubkan bahawa dia akan mendahulukan ibu dan adik-adiknya lebih daripada apa yang ada dalam dunia ini. Tidak pernah terlintas dalam benaknya untuk mengkesampingkan mereka. Sedih hati Adli mendengar Yon mempertikaikan perkara tersebut.
            Kalaulah Yon boleh melihat wajahnya ketika itu. Malangnya mereka hanya mampu berhubungan melalui telefon. Hanya desir nafas yang akan menterjemahkan semuanya. Riak wajah yang terpetia kala itu mustahil dapat  Yon baca.

            “Kenapa, Yon?” Akhirnya Adli menyoal begitu setelah agak lama mendiamkan diri.

            “Kenapa apa?”

            “Kenapa awak semakin berubah? Ada apa sebenarnya?”

            Adli tahu itu bukan sikap sebenar Yon. Intuisinya kuat mengatakan ada sesuatu di sebalik tekanan demi tekanan yang diberikan Yon. Sungguhpun begitu Adli tidak dapat menebak apa sebenarnya.

            “Jangan tanya saya apa-apa. Tanya diri awak sendiri. Punca ada pada diri awak. Bukan saya.”

            Ahhh, pening. Memang pening Adli dengan tingkah Yon akhir-akhir itu.

            Gangguan kerja banyak. Gangguan emosi juga banyak. Adli pula bukan jenis yang pandai memujuk rayu. Dia jenis yang tipikal. Tipikal lelaki Kelantan yang rata-rata tidak menjadikan romantik sebagai salah satu sifat dalam diri. Alihnya apabila sudah berlaku masalah sedemikian, Adli jadi seperti batu walau dalam diri sarat dengan rasa kasih dan cinta terhadap Yon.

            “Yon, beri saya masa…sikit saja lagi.”

            “Saya tak berani janji…” Dengan melafazkan deskripsi itu Yon menamatkan perbualan.

            Adli tercengang-cengang. Nampak gayanya perhubungan jarak jauh antara dia dan Yon sedang diuji. Kemudian Adli meletakkan gagang telefon bersama keluhan yang amat berat.

            Semacam tidak percaya dengan perubahan sikap Yon. Menggesanya untuk mengikat mereka dengan suatu ikatan yang lebih kuat berbanding percintaan. Padahal mereka sebenarnya masih muda.

            Muda? Entahlah. Frasa muda bersifat literal bagi sesetengah orang. Konotasinya mungkin berbeza untuk Adli. Bagi Adli masih muda sekiranya belum mencecah usia empat puluhan. Mentak bagi Yon pula usia lebih dua puluh lima tahun itu bukan  muda lagi untuk bercakap soal berumahtangga.

            Entahlah. Adli cukup-cukup tidak faham. Sementelahan hati perempuan bukan mudah diduga.
            Ahh. Adli cukup tertekan. Benaknya dibumbui resah yang maha sarat.

            Kenapa sikap penuh pengertian Yon boleh hilang dalam sekejapan sahaja? Padahal Yon seharusnya terus bersikap memahami. Adli sedang dalam proses menstabilkan kerjayanya. Ekonominya belum kukuh. Dari segi metarialnya sendiri Adli belum bersedia secara total untuk terikat dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang sebenarnya.

            Aduh, benaknya benar-benar dibumbui resah yang maha sarat sekaligus merencatkan kewarasannya.

           












BAB SEMBILAN BELAS

Semua barang sudah dikemaskan. Mak Bedah rasa lega. Petang karang dia akan berangkat ke Muar ditemani Sufiah. Sudah lama dia tidak menjenguk Zie yang mengajar di sana. Sudah menjadi rutinnya untuk menjengok Zie selang beberapa bulan sekali sejak Zie menetap di sana.

            Kali ini dia akan ditemani Sufiah memandangkan sekolah sedang bercuti. Sufiah memang senang mengekor ke mana saja dia pergi sejak dari kecil lagi. Sudah besar pun tabiat itu masih belum hilang. Bukan sahaja senang mengekor Mak Bedah ke mana sahaja, malahan cucunya itulah yang rela hati menemani tidur malamnya. Menolongnya membuat ketupat untuk dijual di gerai-gerai makan sebagai sarapan pagi. Jika dia tiada di rumah pula cucunya itu yang akan menjaga rumahnya. Walau usia masih muda dia tidak takut tidur berseorangan di rumah Mak Bedah pada malam hari.

            Hakikatnya cucu-cucu Mak Bedah yang lain tidak begitu rapat dengannya. Mungkin faktor usia yang menjarakkan mereka dengan Mak Bedah walaupun pada usia kanak-kanak mereka pernah berada di bawah jagaan Mak Bedah sekiranya arwah Mahmud dan Zaharah terpaksa tinggalkan mereka untuk mencuba nasib di tempat orang. Atau mungkin ada sebab lain sehingga menjadikan hubungannya dengan cucu-cucu yang lain tidak serapat antara dia dan Sufiah mahupun Adli.

            Adli pula sudah bekerja di Kuala Lumpur. Jarang ada masa pulang ke kampung. Jika sesekali dia pulang bercuti, Adli juga akan memainkan peranan yang sama dengan Sufiah. Ketika itu rumah akan jadi gamat apabila Adli senang mengusik adik-adiknya semasa bermalam di rumahnya. Biasanya mereka akan bergurau dan mengusik sesama sendiri sambil menonton tv.

            Ada masa hati Mak Bedah akan terusik dengan imbauan masa lampaunya. Masa lampau semasa arwah Mahmud sendiri masih ada lagi. Ketika itu hubungan dengan cucu-cucu tidak seperti sekarang. Walaupun mereka jarang meluangkan masa bersama, hubungan mereka tidak dingin. Kini walaupun Mak Bedah sudah tinggal berdekatan dengan rumah Zaharah, hubungan dengan cucu-cucu agak dingin. Mak Bedah sendiri tidak tahu di mana silapnya.

            Tidak tahu di mana silap sehingga hubungannya dengan cucu-cucu seperti ombak yang ada pasang surutnya. Mujur juga hubungan dengan Zaharah, menantunya tidak begitu. Walaupun arwah Mahmud sudah bertahun-tahun tiada, Zaharah masih melayannya seperti ibu sendiri.

            Ahh, Zaharah memang tidak banyak perangai, namun tidak seorang pun di kalangan anak-anak yang menurut sikapnya. Kalau ada pun Si Adli. Sering tampil dengan watak tidak pernah membangkang cakap orang tua.

            “Hahhhh!”

            Satu suara menyergah Mak Bedah dari belakang membuatkan dia terperanjat. Hilang segala perkara yang berjejer-jejer di lebuh benaknya.

            “Kau ni suka sangat mengusik aku, ya!” Marah Mak Bedah sambil mengangkat tangan kononnya ingin memukul si cucu yang tersengih mengusik kepadanya.

            “Orang sengaja nak uji tok ada sakit jantung atau tak..hehehheh!” Sufiah membalas masih dengan sengihan yang menguji kesabaran Mak Bedah.

            “Sehari kau tak sakat orang tak boleh kah?”

            “Alah, hidup ni kenalah selalu bergurau senda. Baru indah.”

            “Bergurau senda kepala hotak kau! Kau ni dari kecik sampai dah bersekolah menengah masih tak berubah-ubah. Menyakat orang lah hobi nombor satu kau.” Bebel Mak Bedah kepada Sufiah.

            Sufiah mencebirkan bibir tanda mengejek kepada Mak Bedah. Tanda bebelan Mak Bedah tidak memberi sebarang kesan kepadanya. Mak Bedah menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagatnya. Cucunya yang seorang itu memanglah agak rapat dengannya berbanding dengan cucu-cucunya yang lain, namun dalam masa yang sama dia juga kuat menyakat Mak Bedah. Ada saja yang akan dijadikan topik untuk membakar Mak Bedah. Macam-macam pula kerenah yang dilakukan untuk membuatkan Mak Bedah angin satu badan dengannya.

            Dia semakin memprovok Mak Bedah sekiranya kondisi Mak Bedah menjadi semakin panas sehingga ada masa apabila Mak Bedah tidak tahan dia akan merajuk dengan Sufiah. Pernah dek kerana merajuk diusik Sufiah membuatkan Mak Bedah membawa diri ke Muar. Kemudian apabila dia pulang semula, orang pertama yang dicari tentulah Sufiah.

            Bukan mahu memanjangkan rajuknya tapi untuk memberi buah tangan yang dibeli dalam perjalanan pulang dari Muar. Biasanya kudapan seperti biskut dan jajan. Sufiah tentulah melompat suka. Sehabis makan, dia usik lagi Mak Bedah. Kali ini Mak Bedah tidak akan merajuk lagi. Sebaliknya dia biarkan saja Sufiah dengan gelagatnya. Mengusik dan mengusiknya lagi.

            Biarlah. Nanti kalau ada apa-apa hal, Sufiah juga tempat dia mengadu. Sufiah juga yang dia ajak ke sana, ke mari kerana dia tahu nakal Sufiah bukan sungguh-sungguh. Sufiah hanya bergurau dengannya. Seperti juga kali ini.

            “ Kau dah siapkan semua barang nak ke rumah Mak Su Zie?”

            “Tu lah orang datang jumpa tok ni…orang nak cakap petang ni orang tak jadi ikut tok ke Muar.”

            “Tak jadi? Kau jangan nak bergurau. Tiket semua aku dah beli. Kalau kau tak jadi ikut, kena ada orang ganti, kalau tak buat rugi tiket tu!” Mak Bedah berkata dalam keadaan seperti tertekan.

            “Alah, tok ajaklah Nabila. Dia tak pernah jalan-jalan keluar dari Kelantan. Terperap kat kampung tak berkembang juga minda.”

            “Nabila? Huh! Kau bukan tak tau, tak inginnya Nabila ikut aku. Mati hidup balik dia takkan ikut.”

            “Dia cakap nak ikut. Dia dah kemas kain baju dia.”

            “Kau biar betul. Tak mungkin Nabila nak ikut aku ke rumah Mak Su kau. Dari kecik sampai ke besar, yang suka mengekor orang hanya kau seorang.”

            “Betul, tok…memang Nabila nak ikut.” Nada suara Sufiah sedikit menekan. Memberi tanda dia serius dengan kata-katanya.

            Mata Mak Bedah berkilau kehairanan. Itu perkara paling tidak mungkin bakal berlaku kerana Nabila selama ini tidak pernah suka mengekor sesiapa. Baik untuk jalan-jalan hingga ke Johor menghabiskan masa liburnya, juga sekadar keluar ke Tanah Merah. Nabila lebih senang terperap di rumah. Entah aktiviti apa yang dilakukan Mak Bedah tidak pula tahu.

            “Apa yang tok menungkan? Salah kalau Nabila ikut? Alah tok…nilah masa tok nak bermanja-manja dengan Nabila. Bukan senang nak bermanja dengan dia. Nanti dalam perjalanan dia boleh picit-picit tok, usap-usap belakang pinggang tok kalau tok kelumpuhan.”

            “Kau ni jangan nak bergurau. Cepat cakap kau dah siap belum untuk ke Muar petang nanti?” Mak Bedah nampaknya masih belum terpancing dengan kata-kata Sufiah.

            Dia kenal benar dengan cucunya yang seorang itu. Suka sangat kenakan orang. Suka benar sakitkan hati orang. Dia tidak seperti Adli yang terlalu hormatkan Mak Bedah. Setepatnya lagi terlalu hormatkan orang tua. Mungkin faktor usia yang membuatkan Sufiah sedikit auta berbanding abang dan kakak-kakaknya. Entahlah. Mak Bedah pun tidak boleh menebak mengapa cucunya yang seorang ini dalam rapat-rapatnya dengan Mak Bedah, tingkah lakunya kadang masa menyakitkan hati.

            Mak Bedah masih ingat  pernah suatu masa halaman rumahnya sering dipenuhi telur ayam kampung yang sengaja dipecahkan merata-rata. Apabila diperiksa di dalam reban ayam, telur-telur ayamnya memang berkurangan dari hari ke hari. Mak Bedah dan arwah Tok Othman ketika itu langsung tidak tahu siapa punya angkara yang sengaja memecahkan telur-telur ayam itu di halaman rumah mereka. Puas mereka cuba menyiasat siapa punya angkara. Bertahun-tahun tiada jawapan sehingga Sufiah menceritakan perbuatannya itu kepada Mak Bedah. Itupun setelah usianya belasan tahun.Apabila ditanya atas alasan apa, jawapannya senang. Sekadar mahu bergurau dengan nenek dan datuknya.

            Mujurlah pengakuan itu dibuat selepas bertahun-tahun kemudian. Sekiranya Sufiah mengakui perbuatannya semasa dia masih melakukan perbuatan itu, mahu benjol kepada Sufiah. Memang kelakuannya tidak masuk akal. Nakal tidak bertempat. Nak dimarah lebih-lebih perkara telah lama berlalu. Alihnya Mak Bedah abaikan perkara itu begitu sahaja kerana ia berlaku sudah begitu lama. Dia cuma mampu menggeleng mengenangkan sikap Sufiah.

            Sekarang Sufiah cuba mengenakan Mak Bedah lagi. Mak Bedah yakin dia memang hanya mahu mengenakan Mak Bedah. Walaupun sekarang sudah berusia belasan tahun sikap suka kenakan orang memang masih melekat kuat pada diri Sufiah.

            Ahhh, ada masa Mak Bedah terkenang arwah Mahmud. Ketika usia mudanya, arwah memang terlebih loyar buruk. Namun cucunya yang satu ini tidak tahulah mengikut perangai siapa. Bukan lagi loyar buruk tetapi sudah sampai tahap menyakitkan hati. Mahu dikatakan mengikut perangai Zaharah, jauh sekali kerana Zaharah jenis yang tidak banyak cakap orangnya. Mak Bedah perhatikan Nazira yang lebih mengikut sikap Zaharah.

            Uhhh. Mak Bedah pun tak tahu. Mahu dimarah Sufiah nanti karang tiada siapa lagi mahu menjadi teman bualnya. Zie tinggal jauh. Adli juga tinggal jauh. Zaharah keluar pagi, baliknya nanti senja. Cucu-cucu yang lain? Mahu menjenguk Mak Bedah sesekali di rumah pantang bagi mereka jika tiada kepentingan. Alihnya terpaksalah Mak Bedah bersabar sedikit dengan kerenah Sufiah.

            Sekurang-kurangnya Sufiah masih sudi menjenguk dan bertanya khabar dirinya tidak seperti yang lain. Walau sering datang dengan citra mahu menyakatnya, dia tahu ada kasih jauh dalam diri cucunya itu terhadap Mak Bedah. Sedang cucunya yang lain belum tentu lagi. Mak Bedah yakin tentang itu.

            Yakin yang teramat kerana dia tidak dapat melihat itu dalam diri cucu-cucunya terutama Azian.

            Mak Bedah sendiri tidak faham ada dendam apa dalam diri Azian terhadapnya sehingga menerbitkan sikap yang tidak-tidak tatkala berdepan dengan Mak Bedah. Azian hanya akan mendampinginya jika ada keperluan.

            Sebagai orang tua dia faham kecacatan yang wujud dalam hubungannya bersama anak cucu. Namun dia sudah lama cuba untuk memperbaiki jika ada sebarang kesilapan lampau kerana dia tidak mahu kedinginan bersama arwah Mahmud diwarisi pula ke dalam kehidupan dengan cucu-cucunya. Mak Bedah sudah lama berikhtiar untuk memperbaiki dan memperelokkan hubungan antara dia dan cucu-cucunya.

            Mak Bedah sudah tua. Sudah hilang kudrat. Dalam usia begini, tentu sekali anak cucu tempat bergantung harap. Adik-beradik Mak Bedah bukan ramai. Itu pun, masing-masing tinggal jauh. Oleh itu, sekiranya dia tidak mendekati cucu-cucunya, kepada siapa lagi boleh dia mengadu sakit demam?

            Zaman sudah berubah. Mak Bedah juga cuba untuk berubah. Jika dulu dia pernah mengabaikan anak cucunya, sekarang dia akan lebih tumpukan perhatian kepada mereka. Jika dulu masa banyak dihabiskan untuk urusan peribadi sendiri, kini dia cuba bahagikan pula masa untuk anak cucunya.

            Bukan Mak Bedah tidak sedar akan kesilapan lampau kerana mengabaikan anak cucu, namun tidak berbaloi jika cucu-cucunya mahu berdendam dek kerana perkara sekecil itu. Malahan seingatnya bukan dia mengabaikan terus. Jika ada kelapangan dan kesempatan dia akan ada sekiranya anak cucu memerlukannya. Arwah Othman juga menumpahkan kasih yang tidak berbelah bahagi antara cucu sendiri dan cucu Mak Bedah. Tiada beza layanan terhadap mereka.

            Lalu apa masalahnya?

            Sering Mak Bedah menyoal begitu. Ada kala menyoal diri sendiri, ada kala menyoal cucu-cucunya punca mereka seakan benci dan dendam dengan Mak Bedah. Namun mereka tidak pernah memberi jawapan.

            Mak Bedah hilang punca apabila memikirkan hubungan dengan cucu sendiri yang selalu ada pasang surutnya walhal dia telah cuba melakukan yang terbaik untuk mereka terutama sejak ketiadaan arwah Mahmud kerana dia tidak mahu ketiadaan arwah akan menjarakkan hubungan dengan menantu dan cucu-cucunya.

            Kalaulah masa boleh diputar akan Mak Bedah lakukan untuk memperbaiki mana-mana yang terkurang sebelum ini. Bagaimanapun dia tahu masa lampau tidak mungkin sama sekali akan kembali lagi.

            Apa yang mampu dilakukan Mak Bedah hanya berharap agar suatu masa pandangan cucu-cucu terhadap dirinya akan berubah kerana dalam usia sebegitu, cucu-cuculah tempat Mak Bedah menumpang kasih.










BAB DUA PULUH
Bagaikan ditebak Mak Bedah, Sufiah tetap ke Muar bersamanya. Huh… bukan boleh pakai sangat cakap si Sufiah. Mak Bedah tahu benar tentang itu. Dengan tersengih-sengih dia menjinjing beg pakaian ke rumah Mak Bedah untuk ke stesen bas bersama-sama. Sempat pula dia membuka langkah silat walaupun berterabur semasa Mak Bedah cuba menyekeh kepalanya.

            “Apa main sekeh-sekeh ni?” Begitu Sufiah berpura-pura marah kepada Mak Bedah.

            “Kau lah. Tadi cakap konon tak jadi pergi, sekarang ni tersengih-sengih jinjing beg.”

            “Alah, kalau tok dah tau kenapa nak marah-marah?”

            “Aku bukan marah, cuma geram dengan telatah kau ni!” Ujar Mak Bedah lalu mencubit lengan Sufiah membuatkan si cucu terseringai.

            “Kan orang tak jadi ikut meraung atas bas nanti.”

            “Kau tergamak?”

            “Tergamak la…”

            “Dah, jangan nak cakap banyak.”Marah Mak Bedah lagi sambil menarik kasar lengan Sufiah.

            Sufiah mencebir sambil mengekornya.

            Begitulah selalunya. Dalam baik Sufiah dengan Mak Bedah, ada saja fiil untuk menyakat orang tua itu.

            Dalam perjalanan pula Mak Bedah jenuh melayan cakap tak masuk akalnya. Ada saja perkara yang dikarutkannya menyebabkan Mak Bedah naik penat melayan.

            “Nanti kalau dah sampai rumah Mak Su Zie, jangan buat perangai bukan-bukan. Terutama kalau dia bawa jalan-jalan ke rumah mentuanya. Jaga sikit perangai tu.” Pesan Mak Bedah awal-awal.

            “Orang tau lah…” Sufiah membalas acuh tidak acuh sebelum menyorokkan mukanya di sebalik sweater. Menandakan dia tidak ingin Mak Bedah melanjutkan bual lagi.

            Mak Bedah mengeluh dengan sikap Sufiah. Pantang dinasihat atau diberi ingat sedikit, mula menunjukkan tanda memprotes. Ikutkan hati Mak Bedah, mahu diseligi sahaja kepala Sufiah. Biar benjol sedikit barulah dia akan ingat setiap pesanan Mak Bedah. Namun bimbang tercuit di hati kalau-kalau cucunya yang suka buat havoc itu akan merajuk. Sudah besar-besar begini Sufiah kuat juga merajuk dan mengamuk.

            Huh. Entah perangai siapa yang diikutnya! Gerutu Mak Bedah di dalam hati.

            Ahhh, Mak Bedah sudah semakin berusia. Jika muda-muda dulu dia tidak kisah sangat tentang perangai cucunya. Kini keadaan sudah berubah. Seiring dengan usia yang semakin menginjak. Mak Bedah semakin sedar betapa perlunya untuk berbaik-baik dengan cucunya. Sementelahan Zie tinggal jauh daripadanya. Mahmud pula sudah meninggal dunia lama dulu.

            Ada rasa cuak yang bergemelugut dan membidas dalam jiwa Mak Bedah setiap kali mengingatkan andai Zaharah juga akan pergi meninggalkannya memandangkan dia kini secara total mahu bergantung kasih terhadap Zaharah. Rasa cuak itu bukan datang tanpa asas, sebaliknya kerana Zaharah sering membayangkan kemungkinan itu. Mak Bedah takut kalau-kalau Zaharah mengidap penyakit yang sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa dan hanya dipendam dalam diri.

            Dalam kondisi Zie pun tinggal jauh daripadanya, Zaharahlah menantu, Zaharah jugalah anak untuk Mak Bedah.

            “Mek jangan bimbang. Selagi orang masih ada, mek tak akan terabai.”

            Itu janji Zaharah yang Mak Bedah pegang.

            Bukan setakat pegang malah dia terlalu mengharap agar Zaharah mengotakan janjinya biar anak-anak Zaharah sendiri seakan meminggirkan Mak Bedah.

            Mak Bedah mengeluh mengenangkan cucu-cucunya yang tidak begitu mesra dengannya. Biarpun tidak semua, namun sudah memberi luka dalam jiwa Mak Bedah.

            “Tok tak mau tidur? Kita lambat lagi nak sampai Muar ni…” Sufiah membantutkan lamunan Mak Bedah.

            “Kau tidurlah. Aku tak mengantuk lagi ni.” Balas Mak Bedah sambil mengusap-usap lengan sendiri yang terasa sedikit kebas.

            Bagi warga berusia sepertinya, perjalanan jauh begitu bisa saja membuatkan dia terasa kebas di segenap anggota badan. Disebabkan itulah dia lebih senang membawa teman sekiranya mahu berjalan jauh.

             Sufiah memerhati perbuatan Mak Bedah. “Tok sakit kah?”

            “Tak adalah. Kebas je sikit. Kau tidurlah.”

            “Kalau nak saya sapukan minyak cakaplah.”
            “Ish, kan aku dah cakap aku tak apa-apa. Banyak bunyi betul kau ni. Tidur.” Mak Bedah meninggikan suaranya.

            Orang tua ni. Orang kesiankan dia, boleh pula dia tengking-tengking kita. Huh. Lantak kau lah! Hati Sufiah menggerutu dalam hati.

            Angin juga jadinya. Selalunya begitulah sikap biasa Mak Bedah. Cakap dan bahasanya sering hadir bersama versi dan dengung yang menyakitkan hati. Sebab itulah kakak-kakaknya tidak begitu senang dengan Mak Bedah. Nasib baik Sufiah jenis hati batu. Kalau dia sakit hati dengan Mak Bedah dia sembur balik, kalau dia tiada keinginan untuk bertekak dengan Mak Bedah dia biarkan saja Mak Bedah.

            Akhirnya Sufiah tertidur sepanjang perjalanan ke Muar. Apabila tiba di Muar, Mazli menantu Mak Bedah sudah sedia menyambut di perhentian bas. Dari perhentian bas mereka terus ke rumah Mak Su Zie di Bukit Kangkar. Mak Su Zie tinggal menyewa berdekatan dengan rumah mentuanya. Sufiah sudah pernah datang ke Muar dulu. Jadi dia langsung tidak kekok dengan persekitaran dan juga keluarga Mak Su Zie di situ.

            “Tak penat Sufiah berjalan jauh?” Soal Mak Su Zie semasa menyambut kedatangan mereka di muka pintu. Mak Su nampaknya gayanya sudah sarat benar dengan kandungan keduanya.

            “Tak.” Balas Sufiah sepatah
            “Sufiah nak sarapan dulu ke atau nak mandi? Kalau nak mandi nanti Mak Su ambilkan tualanya.”

            “Mandi dululah Mak Su. Pelik pulak rasanya kalau bersarapan sebelum mandi.”

            “Hah, kalau macam tu nanti Mak Su ambilkan tuala.”

            “Tak apalah Mak Su. Orang ada bawa tuala sekali.”

            “Kalau macam tu, pergilah mandi dulu. Dah siap nanti terus datang sarapan ya. Mak Su nak kemas rumah ni.” Beritahu Mak Su dengan lembut.

            Sufiah hanya mengangguk. Dia memandang Mak Su yang sudah pun naik ke tingkat atas dengan membawa perut yang semakin memboyot. Kemudian Sufiah terus ke bilik air. Mahu membersihkan tubuh selepas hampir dua belas jam berada di atas bas. Mak Bedah pula sudah mengadap meja makan tanpa mempedulikan suasana sekeliling. Kononnya dia pantang terlewat makan, nanti gastriknya datang menyerang.

            Orang tua. Ada saja masalah kesihatan yang perlu diambil berat. Sufiah enggan mempedulikan Mak Bedah. Dia mahu cepat-cepat membersihkan badannya kerana sudah menjadi kebiasaannya untuk mandi terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa aktiviti setiap hari.

            “Kau tak nak ke rumah mak kau?” Soal Mak Bedah kepada Mak Su Zie.

            Ketika itu Sufiah sudah selesai mandi dan  baru duduk di meja untuk bersarapan bersama Ayah Su dan Mak Sunya.

            “Nanti petang lah mek. Mek kan baru sampai. Rehat-rehat dulu.”

            “Aku tak penat pun.”

            Mak Su Zie menjeling ke arah Sufiah mendengar kata-kata Mak Bedah. Bahasa mata Mak Su membuatkan Sufiah tersengih. Masing-masing faham dengan sikap Mak Bedah. Kalau bab berjalan-jalan dan bertandang ke rumah orang, memang dia tidak tahu penat. Sebab itulah dia senang untuk berulang-alik dari Tanah Merah ke Muar. Kalau tidak kerana Mak Su Zie sudah sampai bulan untuk melahirkan anak kedua sekalipun, Mak Bedah memang sering ke Muar untuk melawatnya.

            “Mek ni kalau pasal jalan-jalan memang tak menyempat-nyempat.”

            “Aku dah lama tak jumpa orang tua kau. Nak juga pergi bertanya khabar.”

            “Mek kan lama lagi di sini. Bukan nak balik besok pun.”

            “Kau kalau aku ajak ke mana-mana memang susah.”
            “Susah apa pulak, mek? Nanti karang kita pergi lah. Dah tentu-tentu mek boleh jumpa dan bertanya khabar mereka karang. Mek nak tidur kat sana pun saya tak larang.”

            “Hah, tu dah melampaulah. Aku tak cakap pun nak tidur kat sana. Aku cuma nak pergi bertanya khabar saja.”

            Mak Su Zie berkerut kening dengan reaksi Mak Bedah. Anginnya sudah datang. Sufiah dan Mazli  buat tidak peduli. Sufiah pantas mengemas pinggan mangkuk di atas meja yang digunakan untuk bersarapan dan terus dibawa ke sink. Lebih baik dia mencuci pinggan mangkuk daripada melihat Mak Bedah diserang emosi. Kalau dengan Mak Su Zie, Mak Bedah memang cepat emosi.

            Ahh, bukan dengan Mak Su Zie seorang. Dengan semua orang pun begitu kerana Mak Bedah memang senang jika semua orang tidak membangkang atau membantah keinginannya. Mentak kerana sikap Mak Bedah yang begitulah menyebabkan cucu-cucunya kurang mahu mendekati Mak Bedah kecuali yang benar-benar tahan dengan perangainya seperti Adli, Aziah dan Sufiah.

            “Mek, kenapa cepat sangat naik angin ni? Kalau saya nak sakitkan hati mek, saya tak suruh mek datang jauh-jauh macam ni semata-mata nak sakitkan hati mek.”

            Muka Mak Bedah sudah cemberut. Mak Su Zie mengerling ke arah suaminya. Mazli nampaknya buat tidak peduli. Dia pun sudah masak dengan sikap ibu mentuanya.
            “Petang nanti kita pergilah. Sufiah tu tentu penat. Nak juga dia rehat-rehat. Dia jarang berjalan jauh. Tak macam mek. Mek dah biasa sangat.” Akhirnya Mak Su Zie berkata begitu cuba untuk mengembalikan manis pada wajah ibunya.

            “Sufiah tu bukan tau letih…”Rungut Mak Bedah sambil bangun mengangkat punggung. Masih dengan wajah cemberut terus berlalu ke dapur.

            Mak Bedah bertembung dengan Sufiah semasa di pintu untuk ke dapur. Berkerut kening Sufiah melihat muncungnya yang panjang ke depan. Mak Su Zie sedang menggeleng-gelengkan kepala semasa pandangan Sufiah jatuh ke wajahnya.

            “Tulah perangai nenek kau… kalau anak cucu menjauhkan diri daripadanya pandai dia kecik hati, padahal dia sendiri yang mudah buat orang melenting. Ish, kalaulah Mak Su ni ikutkan tak sabar…”rungut Mak Su Zie semasa Sufiah mengambil tempat duduk di sebelahnya.

            Sufiah tunavokal. Namun senyum pada wajah membenarkan kata-kata Mak Su Zie. Sufiah sendiri bukan tidak pernah terkena. Begitupun dia lebih senang buat tidak peduli dengan kerenah Mak Bedah. Lagipun rajuknya bukan lama. Rajuk orang tua yang ingin mendapat perhatian anak cucunya. Itu sahaja. Sufiah faham sangat tentang itu.



BAB DUA PULUH SATU

Sufiah sudah berada di Muar  lebih dua minggu. Maklumlah cuti hujung tahun yang panjang membuatkan dia seakan tidak ingin pulang ke Tanah Merah. Lagipun dia tidak pernah bosan berada di rumah Mak Su Zie. Kalau Ayah Su dan Mak Su tidak membawanya keluar ke pekan untuk berjalan-jalan, dia akan keluar bersama anak saudara Ayah Sunya yang tinggal bersama orang tuanya iaitu Cheni.

            Biasanya Sufiah dan Cheni akan ke Muar dan di sana nanti adik perempuan Ayah Su yang Sufiah panggil Kak Zu sudah menanti untuk membawa mereka bersiar-siar. Kak Zu bekerja di bandar Muar. Jadi sehabis waktu bekerja pada sebelah petang dia akan membuat janji untuk menanti Cheni dan Sufiah di bandar kemudian akan dibawa mereka bersiar-siar sekitar Muar. Sufiah paling seronok jika dibawa makan-makan di tanjung. Walaupun di kampung tidak biasa dengan steamboat dan otak-otak, Sufiah bedal saja bila dibawa makan semua itu.

            Kemudian Kak Zu bawa pula mereka jalan-jalan ke pusat membeli-belah di Muar. Kebetulan Astaka baru dibuka di Muar ketika itu. Jenuhlah mereka mengheret kaki meronda segenap Astaka. Sufiah memang seronok sekali.

            Seronok dan langsung tidak jemu.

            Setiap kali ingin keluar dengan Kak Zu, Mak Su akan bertanya kalau-kalau Sufiah inginkan duit poket. Sufiah menolak sebab emak sudah bekalkan sedikit duit. Walaupun tidak banyak cukuplah untuk Sufiah jadikan alas di dalam poket. Mak Bedah sendiri sudah memberinya sepuluh ringgit agar poketnya tidak kosong semasa keluar bersama Cheni.

            Sikap ambil berat Mak Bedah itu Sufiah tidak hairan. Begitupun sikap Mak Su Zie menyentuh juga ke dalam diri Sufiah. Mak Su tidak setegas seperti setiap kali dia pulang ke Tanah Merah. Malah di rumah sendiri Mak Su lebih penuh pengertian. Paling ketara Mak Su tidak pernah menyuruh Sufiah melakukan itu, ini seperti kebiasaannya setiap kali pulang ke Tanah Merah. Kalau Sufiah ingin membantunya mencuci kain (ketika ini Mak Su belum mempunyai mesin basuh) Mak Su akan menegah. Sufiah tidak faham. Padahal kalau dia pulang ke kampung itulah permintaan paling dominan Mak Su Zie.

            Benarlah anggapan Sufiah selama ini. Mak Su Zie sebenarnya ingin bermanja dengan anak-anak saudara setiap kali pulang ke kampung dan bukan sengaja-sengaja mahu menyusahkan anak-anak saudaranya. Sekiranya Mak Su Zie memang ingin menyusahkan Sufiah, tentulah dalam keadaan sarat mengandung seperti itu Mak Su Zie akan mengambil peluang menyuruh Sufiah melakukan itu dan ini.

            Mengenangkan itu Sufiah menjadi bertambah sayang kepada Mak Su Zie. Biarlah kalau ada orang mahu memburukkan Mak Su Zie sekalipun. Hati Sufiah tidak terjejas. Lagipun dia senang dengan Mak Su. Cakapnya selalu hadir bersama nasihat. Buatlah apa saja, pasti ada saja nasihat di sebalik kata-kata Mak Su Zie.

            Paling Sufiah senang dengan Mak Su Zie apabila Sufiah sering melihat Mak Su membaca al-Quran pada masa senggangnya. Itu mengingatkan Sufiah kepada arwah ayahnya, Mahmud. Tambah-tambah dalam keadaan berbadan dua sekarang, amalan itu semakin kerap diamal Mak Su Zie. Terdetik dalam diri Sufiah untuk jadi seperti Mak Su Zie.

            Mak Su Zie bijak.

            Mak Su Zie cantik.

            Mak Su Zie beriman.

            Semuanya solid pada diri Mak Su Zie.

            Sedar tidak sedar, Sufiah menjadikan Mak Su Zie sebagai idolanya. Dia memang benar-benar kagum dengan peribadi Mak Su Zie. Persetankan pendapat orang lain tentang Mak Su Zie. Sufiah tidak mahu mengambil peduli kerana Sufiah percaya pada apa yang dilihat dan dipandangnya. Mungkin Mak Su Zie seorang yang tegas sehingga menelurkan semacam rasa dalam diri adik-beradik Sufiah yang lain, namun bagi Sufiah Mak Su Zie ada keperibadiannya yang tersendiri yang adik-beradik lain tidak tahu.
            Mentak Mak Su Zie jarang mempetiakan kasih sayangnya terhadap anak-anak saudaranya selayaknya membuatkan tidak semua adik-beradik Sufiah mahu mendekati Mak Su Zie. Barangkali juga citra Mak Bedah melekat kuat pada diri Mak Su Zie santak menyebabkan Mak Su Zie turut terkena tempias kedinginan yang sama seperti dialami Mak Bedah bersama adik-beradik Sufiah yang lain.

            Perhatian Sufiah terhadap Mak Su Zie yang sedang membaca al-Quran terganggu dengan deringan telefon rumah Mak Su Zie. Ayah Su buru-buru mendapatkan telefon bagai enggan membenarkan si pemanggil menunggu lama.

            “Waalaikumussalam… Adli. Apa khabar?” Soal Ayah Su.

            Rupanya Adli yang membuat panggilan. Sejak Mak Su Zie berpindah ke rumah sewaan itu, Adli tidak pernah menghubunginya. Panggilan hari itu tentu sahaja membuatkan Ayah Su teruja.

            “Kenapa bunyi macam tak jelas ni? Macam guna handset je…” Ayah Su menduga.

            “Iya. Guna handset. Line tak clear sangat kat sini.”

            “Amboi…orang dah berjaya katakan. Tentulah mampu pakai handset,” usik Ayah Su.
            Maklumlah ketika ini penggunaan telefon genggam belum menjadi perkara domestik untuk semua orang. Awal-awal tahun sembilan puluhan penggunaan telefon genggam hanya untuk orang yang benar-benar berkemampuan. Penggunaan telefon rumah pun masih belum menyeluruh, sementelahan penggunaan talian selular.

            “Tak adalah. Handset syarikat. Untuk memudahkan urusan kerja. Kerja saya ni tak menentu tempat. Jarang lekat kat pejabat. Kalau tak ada handset sukar orang kat pejabat nak berhubung.” Jelas Adli.

            Tidak mahu dia dikatakan cuba berlagak dengan harta yang bukan miliknya. Adli tidak terdidik dengan sikap begitu. Walaupun dia kini sudah memegang jawatan bagus di Wong Brother, sebuah syarikat berkaitan kejuruteraan elektrik, dia masih Adli yang dulu. Anak kampung yang senang tampil dengan penuh sikap merendah diri. Sedar asal-usulnya.

            Dek sedar asal-usulnya juga membuatkan Adli tidak pernah lupa Mak Su Zie dan sering bertanya khabar meski masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri. Itu sudah menjadi rutin Adli. Walau perbezaan usia antara mereka tidak begitu ketara, malahan dia juga lebih senang memanggil Mak Su Zie dengan panggilan Zie sahaja itu tidak bermakna rasa hormat dan sanjungan Adli terhadap satu-satunya ibu saudara yang dia ada tidak pernah wujud.

            Setelah agak lama berbual dengan Ayah Su, Ayah Su melepaskan pula gagang ke tangan Mak Su Zie. Sebaik gagang bertukar tangan, Mak Su terus mengusik Adli dengan nada gembira. Tanda dia senang dengan panggilan yang dibuat ke rumahnya petang itu. Sufiah pula hanya mengintai di sebalik dinding Mak Su Zie berbual dengan abangnya. Sebagai adik ada rasa rindu terhadap abang yang dia sendiri sudah lama tidak bertemu.

            “Sufiah ada kat sini. Sekarang kan cuti sekolah. Sengaja dia datang jalan-jalan.”

            “Dah lama dia kat rumah kau?” Adli seakan kurang senang mendengar adiknya berada di rumah Mak Su Zie.

            “Dah lama juga. Datang temankan mek. Aku kan dah sampai bulan, jadi mek datanglah sini nak uruskan aku kalau dah bersalin. Alang-alang cuti, mek ajak Sufiah sekali,”terang Mak Su Zie.

            “Cuba kau panggil Sufiah, aku nak cakap dengan dia sikit.”

            Mak Su Zie menjenguk ke balik dinding tempat Sufiah sedang berdiri. Dia mengisyaratkan agar Sufiah datang kepadanya. Sufiah akur. Berdebar juga dia kerana sudah lama tidak bercakap dengan abang sendiri. Rindu pun ada!

            “Kau dah lama kat rumah Mak Su?” Itu soalan pertama merentas rengkung Adli.

            “Sejak awal cuti.”

            “Kau kat situ tak susahkan dia ke?”

            “Tak adalah. Lagipun orang dah nak balik. Tiket pun dah ambil. Sekolah dah nak buka ni…” ujar Sufiah satu-satu. Bimbang abangnya marah kerana selalu mengekor Mak Bedah.

            “Eloklah. Balik. Jangan nak berlama-lama sangat kat rumah Mak Su. Sekarang musim hujan. Dengar cerita Kelantan dah nak banjir. Nanti kalau jalan dinaiki air, kau juga yang tak dapat balik. Tak dapat nak bersekolah.”

            “Ya lah. Nanti orang balik la…” Balas Sufiah perlahan.

            Tahu benar dia dengan versi diktator abangnya. Kata-katanya lebih berupa arahan. Jarang memberi pilihan untuk adik-adik membuat keputusan sendiri.

            Setelah bercakap lebih kurang dengan abangnya, Sufiah kemudian menamatkan perbualan. Semasa dia melintasi Mak Su Zie yang sedang tunduk mengadap akhbar di lantai, Sufiah dapat mengesan keruh pada wajah ibu saudaranya. Tidak seperti sewaktu dia memanggil Sufiah untuk bercakap dengan Adli. Ketika dia pandang wajah Mak Bedah, neneknya juga berwajah kelat. Hati Sufiah dipagut hairan. Kenapa pula mereka berdua masing-masing berubah versi wajah?
            Begitupun Sufiah minggat ke dapur. Enggan campur urusan mereka. Lagipun dia masih ada urusan di dapur. Pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan mee Maggi air tangan Ayah Su masih berbekas di sink. Pun semasa tangan ligat mencuci pinggan, telinga Sufiah tajam mencuri dengar suara Mak Su Zie dan Mak Bedah bercakap-cakap di ruang tamu rumah.

            Suara Mak Su Zie berbaur dengan sedu-sedan.

            Mak Su Zie menangis? Kenapa?

            “Orang dah senang…tentulah dah tak anggap kita mak saudara. Adik datang bercuti kat sini dikerah balik cepat. Takut sangat orang  buat adiknya hamba.” Begitu kata Mak Su Zie bersama sedu-sedan yang tertahan.

            Sufiah terkesima. Nampaknya Mak Su Zie sudah salah faham menangkap perbualan antara dia dan Abang Adlinya. Padahal abang tidak bermaksud begitu pun.

            “Kau jangan pikir bukan-bukan. Siapa cakap kau buat Sufiah hamba kat sini?” Itu suara Mak Bedah memujuk Mak Su Zie.

            “Memang lah orang tak buat dia hamba. Adli tu…tentu dia pikir macam tu. Sejak dulu sering anggap bukan-bukan terhadap orang. Sering anggap orang ni orang luar dan bukan mak saudara sendiri. Takut sangat dia bila tahu adik dia ada kat sini.” Mak Su Zie menangis lagi.

            “Kau tak dengar apa dia cakap. Entah-entah ada sebab lain dia suruh Sufiah balik.”

            “Sebab apa lagi, mek? Mak tak dengar Sufiah cakap dia akan balik tadi?”

            “La… kan memang pun dia akan balik. Tiket untuk dia pun dah ambil, kan?”

            “Ya lah. Tapi Zie tahu tadi tentu Adli gesa dia balik cepat-cepat. Adli tak senang adik-adik dia datang sini, mek. Dia takut Zie suruh adik dia buat tu, buat ni. Zie kecik hati mek. Anak-anak saudara semua tak anggap Zie mak saudara dia orang.”

            “Kau janganlah pikir sampai macam tu, Zie. Dia orang tak ada pun anggap macam kau pikir tu.”

            “Zie tau mek. Mek jangan nak sedapkan hati Zie. Zie dapat rasa. Anak-anak saudara tak pernah nak rapat dengan Zie. Kalau Zie balik anak-anak saudara tak pernah nak masuk dekat dengan Zie. Kami tak pernah mesra.”

            “Zie, kau jarang ada kat rumah. Anak-anak saudara jadi seganlah. Kalau kau selalu ada tentu tak macam ni.”
            “Mek tak payahlah nak sedapkan hati Zie. Zie cukup masak dengan perangai anak-anak saudara. Adli pun dah jadi orang berjaya. Tentulah dia nak menjarakkan lagi hubungan kami. Saya ni cikgu sekolah rendah je, mek”

            “Apa kau merepek ni, Zie? Kalau dia benar-benar tak anggap kau mak saudara dia, tentu dia tak bertanya khabar kau Zie.” Mak Bedah masih belum mati akal.

            “Mek tak tahu apa yang Zie rasa. Senang lah mek cakap. Mek sendiri bukan mesra sangat pun dengan cucu-cucu mek, kan?”

            Mak Bedah terdiam dengan kata-kata Mak Su Zie. Kedengaran kini hanya esakan Mak Su Zie. Ayah Su pula langsung tidak masuk campur.

            Di ruang dapur Sufiah jadi serba salah. Walaupun secara total dia bukan punca rasa kelat yang hadir dalam diri Mak Su Zie, rasa bersalah tetap menyelinap juga masuk ke setiap inci pembuluh darahnya. Ada resah bersahut-sahutan dalam terowong jiwanya. Sayup-sayup!

            Kasihannya Mak Su Zie. Rupanya dia juga menyimpan melankolia yang tidak terluah dalam diri selama ini…

            Sufiah tidak lugu. Tidak tahu tindakan apa yang patut diambil. Ingin diperbetulkan keadaan sebenar dia tidak punyai kekuatan. Sejak kecil dia dididik dan diasuh agar jangan masuk campur urusan orang tua. Dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan.

            Perlahan dalam hati, dia hanya mampu berdoa agar salah faham yang selama ini menjadi lohong antara adik-beradiknya dengan Mak Su Zie dan juga Mak Bedah lambat bangat akan tertimbus jua.

            Walau masih remaja, rasanya dia sudah boleh memahami masalah yang berlaku dalam keluarganya. Semuanya berpunca daripada salah faham.

            Ya. Salah faham.

            Dek masing-masing sering tersalah faham terhadap satu sama lain menerbitkan kedinginan yang maha dahsyat terhadap hubungan kekeluargaan mereka. Santak hubungan itu menjadi pelik seakan langsung tidak mempunyai pertalian darah. Salah faham yang wujud sejak hayat arwah Mahmud tanpa Sufiah tahu puncanya di mana.







BAB DUA PULUH DUA

Yon gagal dihubungi.

            Adli sudah cuba pelbagai cara. Telefon sudah. Tulis surat pun sudah. Tinggal lagi ke Kota Tinggi untuk menjenguk sendiri keadaan Yon di sana. Iklim sebeginilah yang membuatkan rasa dalam diri Adli mendidih resah. Dihambat, dihalau yang datang hanya gundah.

            Adli pun tidak tahu di mana silap santak Yon memutuskan untuk berdiam diri seperti itu. Keluarga Yon pula melayan di hujung bibir. Ketara benar perbezaan yang mereka tunjukkan dalam layanan mereka terhadap Adli.

            Tidak lugu jadinya Adli berdepan kondisi begitu sehingga jiwanya berjerebu oleh tanda tanya maya pelbagai saiz.

            Yon.

            Itu nama yang sudah lama tersulam indah di dalam hatinya. Tinggal lagi dikhabarkan kepada ibu tercinta hasrat dan keinginan untuk menyunting si mawar. Kekuatan untuk itulah yang belum menjelma dalam diri Adli. Hanya itu. Maka kerana itukah Yon memutuskan untuk mencipta jeda dalam hubungan mereka? Ahh, pusing kepala Adli memikirkan.
            Sedang dalam hati masih sarat menggalas cinta untuk Yon.

            Kalaulah benar Yon sedang mencipta jeda, ingin Adli luahkan kepadanya Adli tidak sanggup untuk menghadapi jeda tersebut meski sesaat.

            Pun bagaimana mampu Adli luahkan kepada Yon andai Yon hilang khabar beritanya?

            Uhhh. Medu jadinya Adli.

            “Assalamualaikum. Lah, ni aku?”

            “Hah, Lie…apa mimpi kau tiba-tiba telefon aku? Selalu kau sibuk manjang.”

            “Aku nak tanya pasal Yon. Dia ada call kau tak?” Adli berterus-terang. Tiada basa-basi lagi kerana dia dan Lah sudah terlalu biasa benar. Tidak perlulah berlagak formal dengan Lah.

            “Laaa, dia kan awek kau. Sepatutnya aku yang tanya khabar dia melalui kau.”

            “Alah, cakap ajelah, Lah. Kau dapat panggilan dia tak?” Adli sedikit menekan.

            Lah bukan boleh dilayan sangat usikannya. Nanti makin naik lemaknya. Bukan setakat lemak boleh naik. Boleh jadi juga kolestrolnya turut naik.

            “Dia dah lama tak hubungi aku. Dekat dua bulan. Kenapa kau tanya?”

            “Tak adalah. Dia pun dah lama tak call aku. Aku cuba call dia asyik tak dapat.”

            “Dia merajuk dengan kau kot?” Duga Lah.

            Adli enggan membenarkan. Selama ini pun dia jarang mahu bercerita apa-apa kepada Lah secara total.

            “Dia merajuk ke?” Lah mengulangi soalannya. Kali ini dalam versi yang agak berlainan namun masih menyimpan semantik yang sama.

            “Entahlah…” Adli akhirnya memaktubkan begitu. Mahu bercerita lanjut-lanjut terasa berat pula.

            “Haii, lain macam bunyi kau kali ni. Ada masalah lah tu,” usik Lah. Itu memang sudah sinonim dengan dirinya.

            Adli tunasuara. Benaknya cuba untuk memeta wajah Yon. Wajah itu memang memenuhi setiap ruang dalam benaknya. Manis.
            “Perempuan kalau dah merajuk tandanya dia memang sayangkan kita.”

            “Macamlah kau arif sangat pasal perempuan. Sampai sekarang aku tengok masih tak jumpa-jumpa yang sesuai. Bercakap macam pakar.” Tukas Adli pantas.

            “Eehhh, kau ingat aku kurang hensem ke apa?”Lah berpura-pura marah.

            “Ada aku cakap kau tak hensem? Tak ada, kan…aku cuma cakap kau berlagak pakar pasal perempuan tapi masih solo sampai hari ni. Tak ada sangkut paut dengan rupa paras kau.”

            “Solo? Tulah kau. Asyik dengan kerja. Perkembangan terkini kawan baik sendiri pun kau tak tahu. Dah,dah lah Adli oii. Kerja kuat pun tak guna. Bukan boleh naik pangkat cepat pun.”

            “Cakap-cakap macam ni buat anak Melayu terus melayu dan tak berkembang ni.”

            “Betul apa aku cakap ni. Kau tu teruk sangat bekerja. Sesekali kena juga bagi masa untuk diri sendiri. Keluar dengan kawan-kawan. Tengok macam aku. Sentiasa ada masa untuk keluar dengan kawan-kawan.”

            “Kita dua tak sama, Lah. Aku banyak komitmen. Adik-adik aku ramai. Mak aku dah tua…”
            “…bapa aku pula dah tak ada.” Lah mencantas kata-kata Adli.

            Dia sudah selalu benar mendengar deskripsi itu. Diulang berkali-kali oleh Adli santak dia sendiri sudah mampu menghafalnya.

            “Kalau dah tau, kenapa kau banyak bunyi?”

            “Tak delah. Sesekali kita kena juga bersuka-ria. Apa orang cakap? Enjoy? Hah, enjoylah.”

            “Nak pikir pasal enjoy? Pasal suka-suka? Huh, kau tau tak, aku ni nak pikir pasal kahwin pun tak ada masa. Matlamat aku masih belum tercapai, kawan.”

            “Hah, tu lagi satu masalah. Kalau nak pikir pasal kahwin pun kau tak ada masa, habis tu Yon kau nak buat apa? Nak simpan macam patung cendana? Mana boleh macam tu Lie. Perempuan kalau dia dah bagi hati kat kita, dia inginkan ikatan yang luhur.”

            “Aku tahu cuma aku belum bersedia. Banyak yang aku belum capai.”

            “Dan seperti biasa pula kau akan libatkan keluarga kau. Begitu?”

            “Aku harapan keluarga, Lah. Terutama ibu. Aku juga memikul amanat arwah ayah agar jadi orang yang berjaya. Setakat jadi eksekutif projek macam sekarang masih belum boleh dianggap berjaya.”

            “Kalau macam tu, makan hati sampai bila-bilalah Yon.”

            “Ada dia mengadu dia makan hati kat kau?”

            “Tak adalah pula.”

            Adli diam. Kalaulah benar Yon makan hati akan tambah merumitkan keadaan. Ini kerana kondisi itu secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa Yon tidak bersedia untuk sama-sama memikul tanggungjawab selepas menjadi isterinya nanti.

            Isteri?

            Huh. Adli tidak tahu. Terlalu samar bayang wajah Yon sekiranya dia cuba untuk membayangkan kehidupan berumahtangganya nanti.

            Kalaulah boleh diaturkan sendiri, Adli dambakan seorang isteri yang faham tanggungjawab Adli sebagai anak sulung dalam keluarga. Faham kondisi anak sulung yang sering berdamping dengan tanggungjawab lebih berat berbanding adik-adik yang lain di dalam keluarga. Perkara itu yang sering diulangi Adli kepada Yon awal-awal perhubungan mereka dan ketika itu Yon nampak mengerti teramat.

            Kini?

            Entahlah. Adli sendiri pening dengan sikap yang ditunjukkan Yon sekarang. Bukan setakat Yon, malahan keluarganya juga. Apakah mereka sudah mula tidak sudi untuk menerima kehadiran Adli sebagai sebahagian daripada keluarga mereka?

            Mustahil.

            Mustahil jika itu sebenarnya. Sementelah dalam keadaan Adli sekarang sudah bekerja. Walaupun belum berada di kemuncak kejayaan, sekurang-kurangnya Adli sudah mempunyai pendapatan sendiri untuk menyara anak mereka. Sedang dulu mereka pernah bersetuju dengan rentak hubungan Adli dan Yon, masakan kini mereka mahu berubah?

            Namun itulah. Hati orang sukar diramal. Apatah lagi dalam kondisi masa yang senantiasa boleh mengubah semuanya termasuk hati dan perasaan manusia.

            Dan hati Yon?

            Dan hati Yon juga.

            “Kau dah jatuh ke gaung mana, Lie? Senyap aje orang tanya…”

            “E, apa tadi?”

            “Aku tanya pasal perancangan masa depan kau berkaitan Yon. Kau tak teringin ke nak bertunang  dulu. Sekurang-kurangnya ia bagi jaminan dan boleh mewakili kesungguhan dari dalam diri kau.”

            “Aku tak mau rasa terikat, Lah.”

            “Tapi setiap perempuan inginkan kepastian. Paling pantang bagi mereka jika pasangan main tarik tali.”

            “Aku tak main tarik tali dengan Yon. Aku maktubkan dengan jelas bentuk hubungan kami. Aku hanya belum bersedia untuk bertunang. Mak aku sendiri belum tahu apa-apa pasal Yon. Hal-hal macam ni kena ambil masa untuk bincang. Nanti tak lah terkejut sangat mak aku.”

            “Takkan mak kau tak tahu langsung?”

            “Tak. Aku tak pernah bersungut tentang hal ni.”

            “Adik-adik kau?”
            Adli diam sejenak. Seingatnya dia memang tidak pernah bercerita kepada adik-adiknya tetapi dia yakin mereka tahu terutamanya Sufiah dan Nabila. Ini memandangkan Adli menyimpan surat-surat lama zaman pengajian di dalam sebuah fail dan fail itu pula diletakkan di dalam bilik yang kini menjadi tempat tidur Sufiah dan Nabila sejak dia mendapat kerja di Kuala Lumpur.

            Seingatnya dulu budak-budak berdua itu sudah menggeledah semua surat-surat zaman pengajiannya. Mereka berdua memang nakalnya tidak terkawal.

            Ah, mungkin juga mereka sudah panjangkan ke pendengaran ibunya tentang Yon. Mereka memang suka sangatlah dapat menyampaikan hal-hal sebegitu kepada ibu. Konon mahu buat ibu tersenyum memandangkan Adli sendiri tidak pernah bercakap tentang itu. Terutama Sufiah.

            Sufiah? Aha! Sudahkah dia pulang ke Tanah Merah?

            Adli kembali teringat tentang itu. Asyik memikirkan Yon, langsung terlupa bahawa Sufiah sudah berjanji untuk pulang ke Tanah Merah. Emmh, Adli bukannya tidak suka Sufiah ke rumah Mak Su Zie. Dia hanya bimbang kalau-kalau Sufiah tidak pandai membawa diri sekaligus menyusahkan Mak Su Zie.

            Harap-harap Sufiah sudah pulang!

BAB DUA PULUH TIGA
Zaharah bersandar di tiang seri rumah sambil mencucuk isi sate ke lidi. Sudah lama sebenarnya Zaharah cuba menjaja sate dan nasi impit untuk menambah pendapatan keluarga. Dengan bilangan anak yang ramai tidak cukup jika hanya bergantung kepada hasil jualan ayam proses di pasar basah.

            Tambah pula dalam keadaan sekarang. Tanggungjawab Zaharah makin bertambah selepas Azian melahirkan anak dengan suami barunya.

            Ya, suami baru. Begitupun langsung tidak memainkan peranan dan tanggungjawab selayaknya sebagai seorang suami. Azian lebih banyak ditinggalkan dengan kedudukan sebagai isteri kedua. Perkahwinan mereka pun langsung tidak didaftarkan di pejabat agama tempatan. Alihnya, Zaharah juga tempat Azian bergantung harap.

            Walaupun berat, Zaharah merasakan itu lebih baik daripada membiarkan Azian terus hidup sendirian. Kehidupan malamnya yang liar dan tidak terkawal sekurang-kurangnya terhenti sebaik dia mendirikan rumahtangga dengan Bakar. Tidaklah dia hanyut dengan dunia maksiat lagi. Status isteri orang membuatkan kaki Azian terkunci sedikit.

            Ibarat kata orang, sebusuk-busuk daging, dibasuh-basuh dan dimasak tetap dimakan jua. Begitulah halnya dengan Azian. Walau apapun yang telah dilakukan, dia tetap anak Zaharah. Anak yang dikandungkan selama sembilan bulan. Tidak tergamak dia untuk terus memulaukan Azian walau berkali-kali Azian sendiri memulaukannya.

            Disebabkan itulah, setiap kali Azian mengamuk dan memunggah kain baju, kemudian kembali semula ke rumah Zaharah tetap menerimanya meski tidak pernah sekalipun Azian meminta maaf di atas sikap dan kelakuannya terhadap Zaharah.

            Anak-anak yang lain tidak berpuas hati. Zaharah tidak peduli. Alasannya senang. Mereka masih belum menjadi ibu, sehingga itu mereka tetap tidak mampu untuk memahami hati seorang ibu.

            Biarlah anak-anak jadi bermasam muka dengan Azian. Jika bukan kerana itupun hubungan antara anak-anak dengan Azian tidak pernah aman. Ada saja perkara yang akan menyebabkan mereka berperang. Jarang sangat anak-anak yang lain mampu mempunyai hubungan yang baik dan harmoni dengan Azian.

            “Kau tak pandai nak didik anak. Sebab tu anak-anak berpecah-belah dan tak bersatu-padu macam tu.” Komentar yang diluahkan Mak Bedah menendang gegendang telinga Zaharah. Terngiang-ngiang di benaknya menjadi alunan gema yang memanjang dan membingitkan.

            Benarkah?

            Benarkah dia gagal mendidik anak-anaknya?

            Zaharah menyoal dirinya kembali. Seingatnya dia telah mencuba sedaya mungkin untuk mendidik dan membimbing anak-anaknya. Walau sentiasa sibuk dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, dia seboleh mungkin mahu melihat anak-anaknya menjadi orang yang berguna. Namun Allah tidak mengizinkan. Allah mahu menguji dirinya. Anak-anak sering bertelagah sesama sendiri.

            Itu daripada segi hubungan sesama adik-beradik. Daripada segi pendidikan juga nampaknya anak-anak tidak ke mana. Azian dan Aziah hanya sempat menduduki LCE. Nazira nampaknya ada harapan untuk pergi jauh dalam pelajaran. Begitupun enggan meneruskan sedangkan Adli sebagai abang sudah menyatakan kesanggupan untuk menyara persekolahan Nazira selepas dia memperolehi keputusan yang memberangsangkan dalam SPMnya. Namun Nazira hanya ke tingkatan enam selama sebulan sebelum memutuskan untuk berhenti belajar.

            Nabila pula, kalau tidak dipaksa ke tingkatan empat pun tidak ingin walaupun dia sebenarnya mempunyai potensi dalam pelajaran. Memilih untuk bekerja. Meski kerja pilihannya tidak menjamin masa depan. Alih-alih ke ceruk dapur membantu Zaharah menjalankan perniagaan satenya.

            Sufiah? Nampaknya dia cemerlang dalam pelajaran. Sering pula ke rumah membawa khabar tentang kecemerlangannya. Begitupun Zaharah perhatikan dia lebih meminati bidang seni. Selalu menghabiskan masa dengan melukis dan melukis.

            Kemudian Bashah, Zulfadzli dan Amelia. Mereka masih kecil. Zaharah sendiri gagal untuk menebak sejauhmana keupayaan mereka dalam pelajaran. Sungguhpun demikian Zaharah amat menaruh harapan agar mereka mampu untuk mengikut jejak langkah Adli, abang mereka.

            Zaharah amat menaruh harapan kerana itu juga amanah arwah Mahmud kepada Zaharah semasa hayatnya. Jika dia gagal memastikan anak-anak yang lain tidak mampu untuk mengikut jejak langkah Adli, bermakna dia gagal menunaikan amanah yang diharapkan arwah Mahmud.

            Ya Allah. Aku telah melakukan segala-galanya untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sewajarnya? Apa lagi yang harus aku lakukan untuk memastikan mereka berjaya mengikut jejak langkah abang mereka?

            Sering Zaharah berseru begitu kepada al-Walid.

            Zaharah akui, sebagai wanita dia tidak begitu kuat untuk menempuh semua cubaan sendirian. Dia juga perlukan sokongan tatkala dia terasa ingin jatuh ke bawah. Namun dia tiada sesiapa untuk berbuat demikian. Alihnya dia banyak pendamkan segala rasa dan gelora dalam dada. Biar pedih dan perit dia rela  kerana dia tidak mahu kelihatan lemah di depan anak-anaknya.

            Sejak kematian arwah Mahmud, Zaharah seboleh mungkin cuba menjadi wanita yang tegar, wanita yang kuat semangat. Biar kewalahan dia tidak pernah sama sekali menunjukkan rasa dalam jiwa kepada anak-anak. Tidak Adli, tidak juga yang lain. Sejak kematian arwah Mahmud juga tidak pernah sekali dia menitiskan air mata di depan anak-anak walau kekangan hidup mendudu-dudu dengan masalah-masalah domestik seorang wanita.

            “Kahwinlah, Zah. Sekurang-kurangnya kau akan ada tempat bergantung. Nanti kalau Aziah dan Nazira dah kahwin, kau masih ada seseorang yang boleh menjaga kau. Anak-anak kau yang lain masih muda benar. Banyak lagi yang mereka tak tau tentang hidup ni.”

            Pernah seorang kawan mengusulkan begitu kepada Zaharah. Pun Zaharah dengan tegas menolak.

            Bukan segan dengan anak-anak.

            Bukan takut dengan Mak Bedah.

            Bukan juga malu kepada diri sendiri.
            Namun semua kerana cinta ulungnya untuk arwah Mahmud.

            Memang. Memang arwah Mahmud sudah lama tiada. Pun Zaharah masih menjunjung cinta terhadap arwah santak hari itu. Mentak seusianya, itulah satu-satunya cinta yang akan dijunjungnya. Dia tiada hati untuk orang lain. Tidak bermimpipun untuk menjenguk cinta di hati lelaki lain terhadapnya.

            Sementelahan dia merasakan dalam usianya sudah tidak sesuai untuk bercakap soal kahwin lagi. Topik itu sepatutnya lebih wajar jika diusulkan kepada anak-anak. Terutama Aziah yang semakin meningkat umur. Sudah sesuai benar untuk mendirikan rumahtangga.

            Ahhh, mengingatkan itu Zaharah tidak lugu.

            Aziah?

            Kahwin?

            Entah mengapa sejak Aziah berkali-kali menolak lamaran yang datang, kini tiada lagi orang merisik tentang Aziah. Bimbang sungguh jadinya Zaharah. Dia takut kalau-kalau Aziah tidak akan bertemu jodoh sampai bila-bila. Sebagai ibu, sudah tentu dia menginginkan yang terbaik untuk anak-anak. Salah satu perkara yang dirasakan baik tentulah apabila anak sudah menemui pasangan hidup masing-masing. Pun Aziah sendiri seakan tidak berminat.

            “Agak-agak mak bila abang nak balik?” Suara Nabila mengheret kasar Zaharah dari semak ingatan.

            Zaharah bagai tersentap. Barulah dia tersedar, rupa-rupanya kerja mencucuk sate sudah hampir selesai.

            “Kenapa tiba-tiba teringatkan abang ni?” Soal Zaharah sekadar berbasa-basi.

            “Takdelah. Orang tak dapat nak bayangkan penerimaan dia tengok anak buah baru nanti.”

            “Aku beranak anak yang sah, kenapa pulak dia nak marah kalau tau aku dah beranak?” Azian tiba-tiba menyampuk dari tengah rumah dengan suara penuh kemarahan meski ruang bual langsung tidak melibatkannya.

            “Memang kau beranak secara sah. Cuma cara kau kahwin yang aku ragui sikit. Kahwin di Thailand tanpa persetujuan abang. Kau ingat dia mudah nak terima anak kau tu?” Nabila meninggikan suara untuk menyaingi suara Azian.

            “Dah Nabila. Terus buat kerja. Jangan kau nak mulakan apa-apa malam ni. Mak dah penat dengan semua ni.” Zaharah akhirnya menegur.

            Nabila diam. Bukan tidak berani membantah kata-kata ibunya tetapi kerana rasa hormat yang mendalam terhadap ibu. Meski dalam hati membengkak dengan sikap Zaharah yang tidak bertegas dengan kelakuan buruk Azian. Bagi Nabila, Azian mungkin akan berubah jika tindakan paling tegas diambil ke atasnya.

            Berkahwin dengan suami orang tanpa restu sesiapa. Kemudian apabila merasa tersepit mula kembali ke rumah. Mula menyusahkan bukan setakat ibu mereka, tetapi juga seluruh adik-beradik. Nabila sudah bosan begitu. Bosan melihat Azian tidak sudah-sudah membawa masalah ke dalam keluarga mereka.

            Anehnya Zaharah seakan merelakan.

            “Mulut seronok benar mengata orang. Sekurang-kurangnya aku ni ada juga orang yang hendak. Ada orang tu, langsung tak ada yang sudi. Jadi anak dara tua sampai sekarang,” ujar Azian masih tidak puas hati.

            Aziah menjeling ke arah Azian. Dia tahu kata-kata itu ditujukan kepadanya. Memang dasar buruk perangai si Azian. Dia yang tidak mengendahkan langsung pertelingkahan mereka tiba-tiba ditarik bersama. Begitupun Aziah cuba untuk bersabar. Perangai Azian bukan boleh dibuat layan. Nanti kalau sudah datang angin gilanya dia akan mengamuk tak menentu.

            “Kau cakap apa Azian? Tolong jaga sikit mulut tu. Jangan ingat aku dah diam, kau ingat aku setuju dengan perangai kau selama ni. Susah-susah kau, adik-beradik kau ni juga yang terbeban sama.”

            “Orang tak ingin pun bantuan adik-beradik.”

            “Habis kalau kau tak ingin, kenapa balik ke mari? Kenapa nak berpantang dalam jagaan adik-beradik. Kau jangan kata nak menumpang aku. Seharian aku di pasar, takdenya masa aku nak melayan kau berpantang.”

            “Orang balik sebab ni rumah orang juga. Rumah yang arwah ayah tinggalkan. Orang ada hak. Selama orang balik, tak pernah sekalipun orang mintak tolong sesiapa. Dia orang sendiri yang nak buat.”

            “Kau ni memang tak pandai berterima kasih langsung. Senang beginilah, kau telefon Bakar. Minta dia bawa kau ke mana-mana. Duduklah kat mana pun. Janji jangan nak timbulkan masalah kepada adik-beradik.” Zaharah bersuara keras.

            Hilang juga kesabaran Zaharah dengan sikap Azian. Melampau benar. Kalau ikutkan marahnya, malam itu juga ingin dia halau Azian keluar rumah.
            Dasar anak tidak mengenang budi.

            Adik-adik tersenyum sesama sendiri mendengar kata-kata Zaharah. Terutama Nabila dan Sufiah yang selalu satu kepala. Terutama jika sudah berada dalam kondisi begitu. Kesepakatan mereka makin dipetiakan. Manakala Aziah dan Nazira buat tidak peduli.

            Azian pula langsung tiada perasaan mendengar kata-kata Zaharah kerana ayat-ayat sebegitu sudah acap kali didengarnya namun tidak pernah sekalipun Zaharah mengambil tindakan tegas seperti dengan cara mencampakkan kain bajunya. Sebaliknya Azian yang selalu memunggah sendiri pakaiannya dan keluar dari rumah.

            Zaharah bangun kemudiannya. Malas untuk mengadap muka Azian. Lebih baik dia ke dapur dan siapkan kuah kacang untuk dimakan bersama nasi impit dan sate. Sikap Azian sebenarnya boleh menjadi epidemik paling dahsyat dalam hidup Zaharah. Sebab itulah dia malas untuk terlalu memikirkannya.

            Banyak lagi perkara yang harus Zaharah fikirkan. Apa yang dia mampu lakukan hanya berdoa agar Allah berikan kekuatan untuknya menghadapi segala macam dugaan sendirian.




BAB DUA PULUH EMPAT
Selamat Tinggal Yon!

            Mungkin itu yang paling sesuai Adli ucapkan setelah sekian lama menunggu kepastian daripada Yon yang terus-terusan menyepikan diri. Adli sudah berusaha menghubungi dengan pelbagai cara, nampaknya Yon sudah tidak berminat untuk memanjangkan hubungan mereka. Apa lagi daya yang Adli ada? Lantas ucapan selamat tinggal paling sesuai meski hati cukup-cukup terkilan kerana hubungan mereka berakhir begitu. Tanpa sebarang ucapan kepastian daripada mulut Yon sendiri.

            Dengan bahasa mudah, Yon meninggalkan Adli begitu sahaja. Adli pula sebagai lelaki merasakan ego tercabar lalu dia memutuskan untuk melepaskan segala ingatan dan kenangan bersama Yon. Dia ingin memulakan hidup baru.

            Ya. Hidup baru seperti mana dia akan memulakan kerja di tempat baru.

            Hidup perlu ada wawasan dan paradigma. Adli tidak mahu di takuk lama. Alang-alang sudah mendapat tawaran lebih baik di Rasma Corporation, ada baiknya Adli mencuba nasib di situ. Walaupun majikan di Wong Brothers amat berat untuk melepaskan, Adli tetap dengan keputusannya.

            Dengan bertukar tempat kerja bermakna Yon juga tidak boleh lagi menghubunginya sekiranya Yon tergerak hati semula untuk berbuat demikian memandangkan Yon hanya tahu nombor telefon tempat kerja Adli dan bukan nombor telefon genggam Adli.

            Kepada Lah juga Adli telah memberi amanat agar jangan sesekali memberi nombornya kepada Yon kerana dia sudah tidak mahu menaruh harapan agar suatu hari Yon akan kembali mencarinya. Lebih baik begitu. Lebih baik dia tahu Yon tidak pernah akan mendapat sebarang maklumat tentang dirinya lagi daripada dia mengharap kepada perkara bukan-bukan. Adli tidak mahu hatinya terluka buat ke sekian kalinya lagi.

            Mujurlah Lah berpegang teguh kepada janji. Malahan sejak Adli menegaskan dia tidak ingin lagi memanjangkan hubungannya dengan Yon, Lah tidak lagi membuat sebarang provokasi baik dengan niat mahu menyakat atau benar-benar serius untuk melihat Adli dan Yon kembali bertaut.

            “Kau benar-benar ingin lupakan Yon?” Begitu Soal Lah apabila pertama kali mendengar Adli meminta dia merahsiakan nombor telefon genggamnya daripada pengetahuan Yon.

            “Orang dah tak ingin kat kita, tak perlulah kita nak ingat-ingat lagi. Mungkin dia dah temui orang yang benar-benar boleh bahagiakan dia.”

            “Kau macam pasrah je…”

            “Memang aku pasrah, Lah. Lagipun aku sendiri tak berani nak janji bila kami boleh diikat oleh satu hubungan yang serius, sedangkan itulah satu-satunya perkara yang dia harapkan daripada aku.”

            “Maafkan aku, Lie.” Lah bernada apologetik.

            “Kenapa kau minta maaf?” Adli kehairanan dengan ucapan maaf Lah.

            “Errr, aku minta maaf sebab aku tak boleh bantu kau dalam hal ni.” Lah kemudian menjelaskan.

            “Tak apalah, Lah. Mungkin dah memang tak ada jodoh antara aku dan Yon. Cinta monyet Lah. Jarang ada cinta monyet boleh dibawa hingga ke jinjang pelamin.”

            “Baguslah kalau kau boleh anggap begitu. Cuma dalam usia kita yang makin meningkat ni, mak kau tak pernah bertanya kah soal kahwin?”

            “Mak aku? Emmmh, ada jugalah. Lagipun dah lama mak aku tak buat kenduri besar-besaran. Setakat majlis kesyukuran sempena sambutan maulidur rasul tu adalah,”ujar Adli jujur.

            Itu juga kebenarannya kerana ibunya di kampung sudah acap kali juga bertanya soal kahwin kepadanya. Ahh, mujurlah dia tidak pernah memberitahu tentang Yon kepada si ibu, kalau tidak tentulah ibu turut sama akan mengharap agar hubungan mereka  kekal dan berakhir dengan kesudahan yang membahagiakan.

            “Kau rasa berbaloi kah kau korban begini punya banyak kepentingan dalam hidup kau semata-mata untuk keluarga? Kalau setakat untuk ibu kau aku boleh terima sebab sebagai anak tentu kita nak balas segala tanggungjawab ibu kita dulu. Apa yang aku musykil kau turut korbankan masa depan kau untuk adik-adik yang tak tentu lagi akan hargai pengorbanan kau ni satu hari nanti.” Lah kemudian memberi komentar yang cukup meninggalkan kesan dalam hati Adli.

            Ada jeda di depan kata sebelum Adli memulakan sebarang vokal maklum balas kepada komentar Lah. Ludah sendiri ditelan berkali-kali menampakkan turun naik halkum jantannya. Kemudian wajah Lah dipandang Adli.

            “Aku pernah terfikir, Lah. Bukan tak pernah terfikir sama sekali. Sementelahan adik-adik makin besar, makin dewasa. Mereka dah ada pemikiran sendiri namun sebagai abang,aku hanya nak adik-adik aku bahagia. Kalau mereka berjaya aku tambah bahagia.”

            “Kalau macam tu kau kena cari calon isteri yang benar-benar faham diri dan harapan kau terhadap adik-adik kau”

            “Kalaulah ia semudah bercakap… mana nak cari perempuan macam tu, Lah. Kau tengok Yon. Dia yang dulu kononnya faham aku alih-alih hilang macam tu je, tanpa kata putus, tanpa sebarang keputusan muktamad.”

            “Kau masih menaruh harapan pada Yon?” Lah menduga bersama sinar pada mata yang Adli sendiri tidak mengerti namun enggan mentafsirkan.

            “Jika ada jodoh, bersatulah kami, kalau tak aku pasrah ajelah, Lah.”Adli menjawab kontang.

            Lah melemparkan keluhan. Kedengaran seperti ada sesuatu yang menghentak pundaknya. Dia sedar di sebalik jawapan Adli masih ada terselit rasa sayang namun kian terkambus dek kedinginan Yon melayan kembali hubungan mereka. Sebagai kawan Lah mahu menolong, begitupun ada sesuatu dalam diri yang tidak terluah kepada Adli membuatkan Lah hanya mampu untuk mendengar saja segala kata-kata Adli.

            “Dah  lah, jangan nak ungkit pasal Yon lagi. Banyak lagi perkara yang nak aku pikirkan.” Adli akhirnya memaktubkan begitu.

            “Hah, cakap pasal banyak hal ni…jadi kau terima tawaran kerja di Rasma Corporation?” Soal Lah.

            “Jadi. Aku akan memulakan tugas selepas raya nanti.”
            “Seronok kau, dapat tawaran lebih baik. Aku ni belum ada nasib agaknya untuk mencuba di tempat baru.”

            “Yalah. Hidup ni perlu ada wawasan. Ikutkan aku memang sayang nak tinggalkan Wong’s Brother. Majikan pun baik…hah, aku nak berhenti ni boleh pula dia orang bagi aku bonus pakej pelancongan ke UK.”

            “Eee, ya kah? Beruntung kau Adli.”

            “Betul. Kalau nak harap duit sendiri tak merasa aku ke UK.”

            “Bila kau nak ke sana.”

            “Lusa.”

            “Aku doakan kau selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air, jangan lupa ole-ole untuk aku.”

            “Ole-ole tu kalau ada duit poket.”

            “Dia orang tak bagi duit poket sekali?”

            “Tu melampau namanya. Aku rasa kalau company ni bapak kau punya mungkin bagi kot…”Adli cuba berparodi.

            Parodinya disambut tawa Lah yang berderai. “Kalau company bapak aku, usahkan duit poket, pakej pelancongan pun belum tau dia kasi,” ujarnya kemudian usai ketawa yang berderai.

            “Hah, tau pun kau. Dah cukup bertuah aku dapat pakej pelancongan ke UK ni. Nak lebih-lebih pulak.”

            Lah ketawa lagi. Seketika kemudian tawanya mati melihat Adli berwajah serius.

            “Macam ada hal je mengganggu kau, Lie. Ada apa?” Soal Lah sekadar mempetiakan rasa prihatin seorang sahabat.

            Sahabat yang telah lama Adli kenali. Sahabat yang telah banyak berkongsi luka-pahit zaman pengajian. Mentak juga sahabat yang turut mengalami rasa yang sama tanpa Adli sedari.

            “Tak adalah.Aku cuma terfikir, nanti aku akan menyambut pagi raya di atas kapal terbang.”

            “Kenapa pulak?”
            “Aku dijadualkan pulang sehari sebelum raya. Maksudnya aku akan menyambut pagi raya di atas kapal terbanglah.”

            “Jadi?”

            “Kau ni macam tak faham pulak…seumur hidup aku, aku tak pernah menyambut pagi raya berjauhan dengan keluarga. Kalau boleh aku nak sentiasa menyambut pagi raya dengan ibu dan adik-adik aku.”

            “Ohhh.” Lah mengangguk-angguk tanda faham. “Tapi Lie, besok-besok kalau kau dah kahwin, kau tentu dah tak boleh selalu juga sambut pagi raya dengan ibu dan adik-adik kau. Aku pikir elok kau belajar dari sekarang.” Lah kemudian memberi pendapatnya.  

            “Kahwin? Aku kalau boleh malas nak fikir pasal kahwin-kahwin ni. Kau pun, cuba jangan nak provok aku lagi pasal ni. Sengal hati aku dengar tau. Macam tak faham-faham pula.” Gerutu Adli.

            Lah seperti menyedari hakikat itu. Dia faham. Tanpa Yon perancangan tentang kahwin tentulah terlalu samar dan kabur buat Adli. Lah menelan ludahnya.

             Ada sesuatu yang tidak terluah tentang Yon.

            Ada sesuatu yang tidak terucap tentang Yon.

          Adli pula langsung tidak tahu apa-apa tentang apa yang Lah labelkan sebagai sesuatu itu kerana Lah sama sekali tidak ingin dan sama sekali juga tidak akan meluahkan apa-apa kepada Adli.

            “Kau apa perancangan lepas ni, Lah?” Adli kemudian mengubah topik perbualan menyedari Lah membungkamkan diri. Membiarkan sepi mengambil alih ruang masa antara mereka berdua.

            “Belum ada lagi. Untuk masa terdekat ni aku hanya ingin teruskan kehidupan yang aku lalui sekarang. Tambahan pula bukan senang untuk menyesuaikan diri dengan fasa baru kehidupan. Tu yang tengah aku cuba lakukan.”

            “Fasa baru kehidupan…macam ada kemajuan bunyinya.”

            “Kemajuan apa? Setakat fasa muda ke dewasa. Semua orang akan mengalami fasa ni.”

            “Sepatutnya kau dah sesuaikan diri lama dengan hal-hal begini. Kita ni bukan muda lagi Lah. Dah patut kau sedar hal ni lama dulu.”

            “Hahh, sepatutnya aku ingatkan kau pasal usia sebenar kita.”
            “Dah, dah. Kau ni mula nak balik ke topik asal ni. Cukuplah. Aku tak mau panjangkan lagi soal ni. Aku cukup-cukup percaya kepada ketentuan Ilahi.” Adli memaktubkan begitu.

            Dia sudah memutuskan untuk tidak mengingati Yon lagi. Apalagi untuk menaruh harapan terhadapnya. Kerja jodoh pertemuan bukan kerja kita. Hanya Allah yang tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang dalam hidup seseorang. Allah juga tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa ada rahmat di sebaliknya.

            Untuk itu, Adli putuskan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Yon.

            Mentak suatu masa mereka akan bertemu. Mentak juga tidak. Sehingga itu Adli harapkan semua yang terbaik akan berlaku dalam hidup Yon walau ada luka yang bernanah dalam diri.

            Selamat tinggal sekali lagi, Yon!







BAB DUA PULUH LIMA

Mari kita melancong bersama Adli!

            Seperti yang dimaklumkan kepada Lah, Adli akhirnya terbang ke UK. Dia telah diberi peluang untuk melancong ke Cardiff. Cardiff merupakan ibu negeri Wales, iaitu salah satu daripada negeri yang terdapat di United Kingdom atau sinonim dengan gelaran Tanah Putera. Kebetulan Adli ke UK pada musim gugur dan ia merupakan suatu pengalaman yang amat menarik sekali buat pelancong yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke UK kerana cuaca yang tidak terlalu sejuk amat mendamaikan dan memberi ruang selesa untuk Adli menikmati suasana bandaraya ini.

            Cardiff telah diisytiharkan bandaraya oleh Ratu Elizabeth ke II pada 1956. Dalam Bahasa Welsh ia disebut sebagai Caerdydd. Sebelum ke Cardiff, Adli terlebih dahulu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow.  Sebaik mendarat di lapangan terbang itu Adli telah disambut oleh kenalan majikannya, Encik Mahad. Encik Mahad sudah lama tinggal di Reading yang terletak kurang setengahnya jam berkereta dari lapangan terbang Heathrow.

            Sebenarnya Adli bukanlah mendapat pakej pelancongan yang biasa didapati di agensi-agensi pelancongan sebaliknya ia lebih kepada pakej pelancongan tajaan bekas majikan, disebabkan itulah di sini nanti Adli akan banyak bergantung kepada Encik Mahad untuk ke mana-mana. Mujurlah Encik  Mahad bersedia untuk menemani Adli.
            “Sebelum ke Cardiff,bermalamlah dulu di rumah saya.”Pelawa Encik Mahad ramah.

            “Tak menyusahkan Encik Mahad kah?”

            “Alah, susah apa? Lagipun saya jarang menerima kunjungan kawan-kawan dari Malaysia.”

            “Jauh tak untuk ke Cardiff?”

            “Tak susah sangat pun. Dari rumah saya nanti kita hanya perlu berjalan kaki ke stesen keretapi Reading Central. Harga tiket pun hanya sekitar sepuluh ke lima belas pound seorang. Sepanjang perjalanan nanti kita akan singgah di beberapa stesen seperti Swindon,Bristol Parkway dan Newport sebelum tiba Cardiff Central. Perjalanan tak sampai dua jam pun,”terang Encik Mahad sambil membantu Adli memasukkan bagasi Adli ke dalam kereta.

            Adli hanya mengangguk-angguk. Dia tidak tahu apa lagi tajuk bual yang boleh dibangkitkan bersama kerana Adli tidak pandai sangat memulakan topik perbualan. Tambahan lagi dengan orang yang dia baru kenal.

            “Nanti kalau Encik Adli nak maklumat lanjut tentang Cardiff, Encik Adli boleh dapatkan maklumat di Pusat Maklumat Pelancongan Cardiff terletak di The Old Library, Working Street, The Hayes. Ia dibuka setiap hari. Cuma pada hari isnin hingga sabtu ia dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 6.00 petang, manakala pada hari ahad dari jam 10.00 hingga 4.00 petang. Namun perlu diingat, pusat ini ditutup pada 24,25 dan 26 Disember setiap tahun. Begitu juga pada satu januari setiap tahun.” Encik Mahad kemudian menerangkan pula tentang pusat maklumat pelancongan kepada Adli.

            Mana tahu Adli segan untuk bertanya banyak perkara kepadanya. Sekurang-kurangnya dengan mendapatkan sendiri maklumat di pusat itu Adli akan mendapat lebih banyak pendedahan tentang Cardiff.

            “Senang ke nak cari tempat tu?”

            “Senang je…semua orang tahu tempat tu. Dalam bahasa Welsh ia ditulis sebagai ‘Canolfan Croeso Caerdydd’.”

            “Banyak ya Encik Mahad tahu tentang tempat-tempat di UK ni.”

            “Dah terlebih tahu Encik Adli. Ada masa saya rasa lebih arif tentang UK berbanding Malaysia sendiri. Lama tak balik Malaysia. Tentunya dah banyak juga perubahan yang telah dilakukan perdana menteri kita.”

            “Banyak. Terlalu banyak. Sekarang pun khalayak belum habis berbangga dengan menara berkembar petronas. Lambang kemegahan baru negara.”
            “Tu lah. Teringin saya nak balik Malaysia. Namun rezeki saya di sini.”

            “Encik Mahad tak balik langsung ke?”

            “Ada sesekali. Bukan dekat tu…kos juga tinggi. Kalau orang tua bagai menggelupur minta saya balik, saya baliklah. Biasalah. Kerja sendiri. Kalau dengan kerajaan adalah elaun-elaun tertentu yang boleh menampung kos tambang pergi dan balik.”

            “Macam mana ya Encik Mahad boleh terfikir nak buka perniagaan sendiri di sini?”

            “Alah, ketika tu saya temankan isteri datang belajar di University Of Reading. Ketika itulah saya tengok jarang ada kedai makan berorientasikan halal di sini. Kebetulan modal pula dah ada, saya cuba buka restoran, mulanya secara kecil-kecilan. Dah mendapat sambutan saya kembangkan seperti yang awak bakal lihat nanti.”

            Adli mengangguk-angguk tanda faham dengan penerangan Encik Mahad. Dalam hati timbul juga rasa kagum dengan keberanian Encik Mahad mengambil risiko. Pun orang yang memang sedia dilahirkan dalam keluarga senang seperti Encik Mahad dan isteri memang jarang menemui kendala untuk memulakan sesuatu. Sebut saja ingin menceburi perniagaan apa dan di mana, orang tua sudah sedia untuk memberi modal pelaburan tambahan. Campur sedikit dengan duit sendiri, nah hasilnya seperti yang Encik Mahad nikmati sekarang.

            Timbul rasa teringin di hati Adli untuk menikmati kejayaan yang sama seperti Encik Mahad. Adli tahu masih terlalu jauh lagi untuk dia menikmati semua itu, namun tidak salah juga untuk Adli sudah mula memasang angan-angan.

            Tiba di restoran yang di bahagian atasnya dijadikan sebagai tempat tinggal. Adli diberikan sebuah bilik khas oleh Encik Mahad. Biliknya agak mewah dan seumur hidup Adli tidak pernah terbayang atau termimpi untuk melangkah masuk ke bilik semewah itu apatah lagi untuk merebahkan badan di katil besar seperti yang dilihat sekarang. Timbul rasa segan di dalam diri Adli namun dikawal agar tidak kelihatan sangat rasa jakun dalam diri.

            Seperti Encik Mahad, isterinya juga seorang yang ramah meski bukan Melayu asli. Dengan solekan yang tidak begitu keterlaluan, isteri Encik Mahad yang memperkenalkan diri sebagai Puan Johana nampak begitu elegan namun masih tidak menenggelam citra keibuan pada wajahnya.

            Layanan baik yang diberikan mereka suami isteri sekurang-kurangnya menyahjauhkan segala rasa kekok yang sesekali ingin bertandang di hati Adli. Mujur juga anak-anak Encik Mahad yang semuanya masih gadis tiada di rumah kerana mereka sedang melanjutkan pelajaran di Cardiff University.
            Pendek kata, Encik Mahad memang sebuah keluarga yang berjaya!

            Adli teringat adik-adiknya di rumah. Alangkah bagus sekiranya mereka juga mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Begitupun tiada seorang pun di kalangan adik-adiknya yang mahu meneruskan pelajaran. Si Nazira nampaknya sudah berhenti separuh jalan.Selesai SPM ada juga Nazira cuba melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam tetapi hanya untuk beberapa bulan sahaja. Nabila pun sama. Enggan meneruskan pelajaran.

            Sufiah?

            Dia lagi melampau. Selalu dapat anugerah pelajar terbaik begitupun mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pelajaran kerana minatnya yang mendalam dalam bidang seni. Bukan seni nyanyian atau lakonan, bukan juga dalam bidang penulisan tetapi dalam seni lukisan. Sekarang dengar-dengarnya sudah mula duduk-duduk di ruang legar pasar raya dengan menjadi pelukis jalanan.

            Pening Adli!

            Kenapalah adik-adiknya enggan meneruskan pelajaran seperti yang diharapkan? Padahal bagi Adli tiada perkara yang mampu untuk mengubah nasib seseorang melainkan pelajaran. Malah Allah s.w.t pun pernah berfirman bahawa Dia sama sekali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan dengan usahanya sendiri.
            Sekarang harapan digantung kepada Bashah, Zulfadzli dan Amelia. Harap-harap mereka bertiga akan meneruskan pelajaran sekaligus menjadikan impian arwah ayah untuk melihat anak-anak berjaya dalam hidup akan tercapai.

            Ya. Harapan dan impian arwah ayah.

            Meski masa telah meleburkan sekian banyak kenangan dan ingatan, Adli sesekali tidak pernah lupa akan janji yang telah dilafazkan kepada arwah ayah untuk menjadi insan  berjaya sekaligus membimbing adik-adik untuk menjadi insan yang sama-sama berjaya. Hanya kejayaan sahaja yang mampu membawa mereka keluar dari kemiskinan. Cukup-cukuplah kesempitan yang mereka alami satu masa dahulu.Adli enggan sama sekali mewariskan kepapaan dan kemiskinan itu kepada keturunannya nanti.

            Oleh itu dia harus buat persediaan daripada awal.

            Persediaan untuk menjadi orang yang berjaya.

            Tidak mahu lagi kemiskinan terus melekat dan sinonim dengan kehidupannya.

            Itu jugalah yang Adli ingin tanamkan dalam diri adik-adiknya. Begitupun, mengapa nampak susah benar untuk adik-adiknya laksanakan? Adakah kerana adik-adiknya sudah lupa akan sengsara yang pernah melilit batang tubuh mereka satu masa dulu? Atau mungkin kerana keselesaan yang mereka nikmati sekarang jauh lebih baik berbanding kehidupan yang pernah Adli lalui lantas membuatkan mereka alpa dan terbuai?

            Jika begitulah… Jika begitulah kondisinya Adli amat-amat tidak lugu. Tidak lugu kerana dia tahu keselesaan itu kerana ibu masih ada. Kerana ibu yang begitu sanggup dan tegar bersusah payah untuk memberi kesenangan kepada mereka. Andai ibu juga sudah dijemput Ilahi, kepada siapa adik-adiknya boleh bergantung jika mereka sendiri enggan mengubah nasib mereka dari awal?

            Adli jadi kemutuan setiap kali perkara itu terlintas dalam benaknya.

            Keesokan harinya Encik Mahad membawa Adli ke Cardiff. Di Cardiff mereka memilih untuk menginap di hotel Cardiff Central Travelodge yang letaknya Cuma dua minit berjalan kaki dari Cardiff Central meski terdapat deretan hotel lain seperti Hilton, Park Plaza,Holiday Inn, Marriot,Angel dan banyak lagi sehinggalah ke Ibis. Selepas mendaftar masuk, Encik Mahad terus membawa Adli bersiar-siar di Cardiff Castle di tengah bandaraya. Binaan asalnya seperti Roman Walls, Norman Keep, Madieval Tower. Bangunan ini ada bahagiannya dibina semula dengan ukiran berwarna-warni zaman Victoria. Terdapat juga tambahan dua lagi muzium iaitu Museum Welch Regiment dan The Queen’s Dragoon Guard.

            Selepas itu Encik Mahad membawa Adli ke Mermaid Quay dengan menaiki teksi. Di sini Adli sempat melawati Wales Millennium Centre serta Roal Dahl Plass, sebuah bangunan berukiran unik dan berbentuk bujur yang mengambil nama sempena nama pengarang terkenal kelahiran Cardiff yang berketurunan Norway. Plass jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah plaza atau kawasan lapang.

            Kemudian Adli dibawa membeli-belah di Queen Street,Queens Arcade, St. David’s Shopping Centre, High Street Arcade dan Capitol Shopping Centre. Banyak jugalah barangan yang penuh kualiti boleh Adli dapati di sini. Namun kerana modal agak terhad di dalam kocek, Adli hanya membeli barangan tertentu sahaja. Maklumlah, semua orang tahu jika disebut jenama-jenama seperti Marks & Spencer, Laura Ashley dan lain-lain. Adli dari kelas yang biasa-biasa sahaja. Rasanya tidak layak dia untuk menyarungkan pakaian daripada pereka terkenal tersebut.

            Adli masih sedar diri. Dibawa melawat ke tempat membeli-belah itupun sudah menjadi suatu kemujuran bagi anak kampung seperti Adli. Dia sudah cukup berpuas hati. Dia hanya mampu untuk mengambil gambar dari luar kedai kemudian berlalu. Namun sebagai orang yang bermurah hati, Encik Mahad sempat membelikan sepasang pakaian dari jenama Topman untuk Adli.

            “Apa ni Encik Mahad? Seganlah saya macam ni. Sepatutnya saya yang perlu belikan sesuatu buat tanda hati kepada Encik Mahad yang bersusah-payah tinggalkan urusan kerja semata-mata mahu menemani saya.” Adli segan sebaik Encik Mahad menghulurkan beg yang mengandungi pakaian itu kepadanya. Terasa berat benar untuk dia menyambut huluran itu sementelahan dia langsung tidak membeli apa-apa untuk Encik Mahad mahupun isterinya.

            “Tak apalah. Saya dah biasa benar dengan barang-barang kat sini. Tak ada yang super peliknya untuk saya. Awak pula bukan selalu boleh ke mari. Sekurang-kurangnya tiap kali awak sarungkan pakaian ni, awak akan ingat saya.” Encik Mahad memberi alasan menuntut Adli menyambut hadiah daripadanya.

            Lalu Adli akhirnya terpaksa juga menerima hadiah ikhlas daripada Encik Mahad.Ternyata Encik Mahad memang pemurah. Patutlah bekas majikannya mencadangkan agar Adli ke UK kerana di sini memang sedia ada seorang anak melayu yang berjaya dan langsung tidak berbangga diri dengan kejayaan yang dinikmatinya.

            Sedikit sebanyak rasa kagum Adli terhadap Encik Mahad tertanam di lubuk hati. Demi Tuhan, biarpun dia sudah berjaya nanti tidak akan dilupakan budi dan layanan baik Encik Mahad terhadapnya.

            Dengan itu juga Adli yakin percutiaannya ke UK ini memberi kenangan yang cukup indah buat dirinya. Dia tidak tahu mampukan suatu masa nanti dia kembali semula ke sini.Kembali semula bertemu Encik Mahad dan isteri di Land Of Princes ini.