BAB DUA
Keputusan SPM sudah diumumkan. Nurul
Najiha dan Akram mendapat keputusan yang tidak jauh bezanya. Rakan-rakan yang
lain pula kandas dalam peperiksaan kali ini.
Begitupun, seperti yang diulang berkali-kali sebelum ini, Akram
benar-benar tidak berminat lagi untuk meneruskan pelajarannya.
“Rugilah
kau, Akram. Kami ni yang keinginan menggunung untuk ke U tak dapat result elok. Kau yang ada peluang nak
lepaskan begitu je…” Begitu komentar yang diluahkan Wan Zulkefeli
“Ha’ah.
Rugi tau. Kalaulah aku yang duduk di tempat kau. Malangnya kita orang ni tak
mampu nak ulangi keputusan cemerlang semasa SPM.”
“Aku
pun tak faham dengan Akram ni. Keputusan dah okey, banyak songeh pulak tak nak
ke U. Mohon ajelah.”
“Kartunis
pun nak kena ada kelulusan. Zaman sekarang bukan macam dulu lagi.”
“Kau
sajalah yang pergi. Aku tak rasa kehidupan kampus tak sesuai dengan aku.”
“Alah,
sunyi nanti kalau kau tak ada.” Nurul Najiha menjatuhkan nada suaranya.
Masih
belum mengalah untuk memujuk Akram.
“Kau
cakap macamlah kita tentu-tentu boleh ke U bersama-sama. Kalau aku apply U sekali pun, tak ada jaminan kita
boleh belajar di U yang sama.”
“Jaminan
tak ada. Harapan ada.”
“Pehhh.
Cakap macam ahli falsafah. Belum lagi betul-betul jadi ahli bahasa.” Sunira
menyembur Nurul Najiha dalam nada bergurau.
Nurul
Najiha tersengih. “Tu baru aku bagi sikit ayat-ayat macam tu. Kau nak lagi?”
“Dah…cukup-cukuplah.
Kita sekarang nak bincang si Akram ni. Kau cuba jampi-jampi dia sikit. Biar
timbul semangat nak sambung belajar.” Maiza pula mencelah ruang bual setelah
sejak tadi hanya menelinga sahaja.
“Tak
payah nak bimbang pasal aku. Bimbang pasal kau orang dulu. Result teruk tu. Apa perancangan kau orang semua?” Akram mengubah
topik perbualan.
“Ha’ah.
Lantaklah Akram nak sambung belajar ke tak. Kita ni…nak hala ke mana?”
“Institut
Bimbingan Akademik. Tu je pusat pengajian tinggi untuk kita bertiga.”
“Waahkahkah!
Tu pusat pengajian tinggi kau orang?” Akram ketawa besar mendengar jawapan Wan
Zulkefeli
“Hah,
ketawalah. Ketawa biar pecah perut tu. Mentanglah dia cemerlang.”
“Alah
janganlah merajuk Maiza. Kau tengok Suni ni,
relax je. Khairiah lagi relax.”
“Wehhh,
aku peduli apa? Aku nak kahwin hujung
tahun ni.”
“Kau
serius Khairiah? Baru lapan belas tahun.” Nurul Najiha terkejut.
“Lapan
belas ke, lapan tahun ke. Dah jodoh orang cantik macam aku, nak buat macam
mana? Dengki?”
“Mengarut!
Dengki apa aku. Matlamat aku masih jauh. Kahwin tu biar dululah.”Bantah Nurul
Najiha pantas.
“Khairiah
ni memang tak boleh dibawa berbincang. Asyik kahwin aje dalam kepala otak dia.”
“Patutlah
kau tak beriya-iya dapatkan keputusan cemerlang dalam SPM. Dah ada matlamat
lain rupanya.”Maiza berkata sambil menyiku Khairiah.
“Aku
sengaja tak mahu cakap awal-awal nanti kau orang cakap aku gatal. Muda-muda dah
nak kahwin.”
“Memang
aku nak cakap macam tu. Gatal!”
“Ya,
gatal!”Sunira dan Maiza serentak menyokong Nurul Najiha.
“I
Rohani dan Norhayati pun nak kahwin. Bukan aku seorang.”
“Kahwin.
Kahwin lah semua.” Akram berkata sambil tersengih-sengih.
“Kau
tak nak kahwin, Akram?” Duga Nurul Najiha.
“Lambat
lagi. Selagi kau tak habis belajar, selagi tu aku tak kahwin.”
“Huhhhh,
janji tu. Kalau kau mungkir janji, putus sahabat.”
“Kau
orang ni, suka sangat janji yang bukan-bukan. Karang termakan janji
sendiri…merana badan kalau tak dapat tepati.” Sunira berkata sambil menggeleng-geleng.
Nurul
Najiha dan Akram tersengih-sengih.
“Dah,
jom kita balik. Banyak urusan nak buat ni. Nak isi borang permohonan. Nak
sahkan segala sijil-sijil kita yang bertimbun.”
“Pelik
apa? Ayah aku ada. Meh aku bagi
segala salinan sijil kat ayah aku. Dia dah siap sahkan, aku bagi balik kat
kau.”
“Ya
lah…kenapalah bengap sangat aku ni? Jiran sebelah ada. Kasi je la.”Nurul Najiha
tersengih mengakui kebodohan sendiri.
Mereka
kemudian berlalu meninggalkan kawasan sekolah. Kali ini Akram sudah mengambil
haluan sendiri kerana telah berjanji dengan Faisal Asna untuk minum-minum
kerana selepas ini mereka mungkin susah untuk bertemu kembali kerana Faisal
Asna berhasrat untuk meninggalkan kampung dan mencuba nasib di tempat orang
sebelum menunggu panggilan untuk ke universiti.
Tidak berapa lama kemudian, ketika Nurul
Najiha kalut dengan persediaan untuk ke universiti,Akram bertandang ke
rumahnya. Mukanya berseri-seri seperti ada perkara gembira yang ingin
disampaikan.
“Kau
ni memanglah…sepatutnya nak berpisah macam ni kau tunjuk muka sedih. Kalau tak
betul-betul sedih pun, pura-pura pun tak apa. Terasalah sikit diri ni
dihargai,” gerutu Nurul Najiha kepada Akram semasa mereka duduk-duduk di
pangkin bawah pohon mempelam depan rumah Nurul Najiha.
“Laa…aku
nampak happy ni sebab tumpang gembira
untuk kau. Tercapai juga impian kau nak ke universiti meskipun bukan dalam
bidang bahasa.”
“Masih
bahasa. Cuma bukan bahasa melayu.”
“Ahhh,
ya. Aku lupa. Bahasa Inggeris masih dalam bidang bahasa.”
“Kan bagus kalau kau pun
boleh ke U jugak.”
Kamarul
Akram tersengih-sengih membuatkan hati Nurul Najiha sedikit terbakar. Tergugat
apabila kesungguhannya dilelewakan Akram.
“Sebenarnya,
aku ada sesuatu nak tunjuk kat kau,” beritahu Akram masih dengan muka
berseri-seri.
“Apa?”
“Jom
ke rumah aku.” Akram mengajak.
Bukan
dengan mulut sahaja tetapi tangannya turut bergerak. Menarik Nurul Najiha yang
masih belum bersedia sepenuhnya untuk melompat dari pangkin. Terjelepuk Nurul
Najiha ke tanah apabila ditarik Akram. Nurul Najiha berkeriau. Sakit.
“Macam
nangka busuk!” Akram berdekah-dekah ketawa.
“Weiii,
tolonglah aku bangun. Tak prihatin langsung,” marah Nurul Najiha.
Akram
menariknya bangun sambil tawa masih tersisa.
“Tak
de warning langsung. Main tarik je
aku ni. Patah riuk tulang aku!” Gerutu Nurul Najiha geram sambil bangun.
Pantas
pula kakinya dihayunkan ke tubuh Akram tanpa sempat dielak si sahabat. Akram
kesakitan. Maklumlah tubuhnya hanya disaluti kulit sahaja, terkena tendangan
maut seperti itu tentulah memberi impak yang amat.
Kemudian
mereka sama-sama ketawa. Bunyi tawa mereka yang gamat membuatkan Puan Zainab
yang sedang membuang rumput di dalam pasu bunga menoleh ke arah mereka sebelum menggeleng-geleng.
“Tak
sudah-sudah dengan berguraunya. Bila lah dia orang tu nak matang?” rungut Puan
Zainab sebelum meneruskan kerjanya.
Mahu
ditegurpun Nurul Najiha dan Akram sudah melompat ke halaman rumah Akram. Dari
halaman rumah Puan Zainab dapat melihat kelibat Nurul Najiha melabuhkan
punggung di tangga rumah Akram. Akram pula hilang di dalam rumah.
“Cuba
kau tengok ni!” Akram muncul sambil menyuakan satu sampul surat bersaiz besar kepada Nurul Najiha.
Kening
Nurul Najiha tercantum menjadi satu. Membentuk camar sedang terbang tatkala
sampul itu disuakan kepadanya.
Tertera
nama KAMARUL AKRAM MOHAMED di sampul
surat yang
mempunyai tanda berdaftar. Nurul Najiha merenung Akram dengan geram. Akram
ketawa berdekah-dekah.
“Selama
ni kau kenakan aku? Dua tahun kau ucap perkara yang sama. Dua tahun aku
tertipu. Badigol so’ot betul kau!”
Seranah Nurul Najiha kepada Akram.
“Weiii,
pikir logiklah. Mana ada orang tak mau ke U…hehehheh, bangang kau!” balas Akram
sambil menunjal kepala Nurul Najiha.
Nurul
Najiha bangun. Bersedia untuk menghayunkan kakinya buat kali kedua. Mahu
disepaknya buntut Akram. Kali ini lebih kuat daripada sepakan yang awal tadi
kerana merasa geram setelah selama ini terasa dipermainkan Akram. Akram pula
bersedia untuk melarikan diri terlebih dahulu. Dia melompat dari tangga rumah. Nurul
Najiha mengejar.
“Makcik…makcik,
Jiha mengamuk….” Akram berlari ke arah Puan Zainab yang masih leka dengan pasu
bunganya.
“Sini
kau! Sini kau, Akram! Tergamak kau kenakan sahabat kau ni. Bertahun-tahun kau
perdajalkan aku konon tak berminat nak masuk U.
Dalam diam kau apply jugak ya.”
“Apa
kena dengan kau orang berdua ni?” Puan Zainab kelam-kabut apabila Akram cuba
bersembunyi di belakangnya.
“Jiha
mengamuk makcik…”
“Mak,
mak tepi mak. Biar saya ajar Akram ni. Kemain dia tipu saya selama ni. Hish,
tercabar segala keimanan!” Nurul Najiha menendang-nendang ke arah Akram.
“Sudah!
Sudah! Kau orang ni dah lapan belas tahun. Mak ulang ya, lapan belas tahun.
Sudah-sudahlah bersikap macam budak-budak.” Tegas Puan Zainab sambil menarik
tangan Nurul Najiha dan Akram.
Menuntut
mereka menghentikan kelakuan gila-gila mereka.
“Akram
ni la… sanggup dia tipu Jiha konon tak mau ke U. Tiap-tiap malam Jiha termenung
pikirkan hal ni. Rupa-rupanya dia tipu Jiha. Mak tengok ni, surat tawaran ke UKM.”
“Hah,
baguslah. Akram UKM, kau pula UPM. Kan
dekat tu.”
“Emmmh!”Dengus
Nurul Najiha.
Akram
pula masih bersembunyi di belakang Puan Zainab sambil tersengih-sengih
kepadanya.
Geram
dengan telatah Akram membuatkan Nurul Najiha cuba menghayunkan kaki ke arahnya
sekali lagi.
“Mak
cakap sudah! Hah, pergi naik mandi. Rasanya kau belum mandi hari ni…” arah Puan
Zainab kepada Nurul Najiha.
“Kau
belum mandi Jiha? Patutlah ada bau kambing kat sini,” usik Akram kemudian
ketawa berdekah-dekah.
“Dah
mandilah…mak tu yang tak sedar. Asyik mengadap bunga dan bunga lagi.”
“Jangan
nak tembelang la. Baju tu sejak malam tadi mak tengok melekat di tubuh kau. Dah
pergi mandi!”
Akram
mentertawakan Nurul Najiha melihat Nurul Najiha ditegur ibunya. Nurul Najiha
menunjukkan isyarat bahawa dia belum habis dengan Akram semasa dia membuka
langkah naik ke rumah.
“Kau
pun pergi balik. Tak sudah-sudah dengan mengusiknya. Karang ada yang merajuk.
Macam budak-budak!”
“Errrr,
ba…baiklah makcik.” Akram akur ditegur begitu.
Kali
ini giliran Nurul Najiha pula membuat memek muka mengejek Akram!
BAB TIGA
Nurul Najiha dan Akram sudah pun
bertolak ke pusat pengajian masing-masing. Begitu juga dengan semua kawan-kawan
mereka yang bernasib baik untuk ke sana .
Meski gembira dengan tawaran yang diterima untuk melanjutkan pelajaran dalam
bidang pilihan masing-masing, sedih tetap ada kerana mereka berdua terpaksa
berpisah. Jika dulu setiap hari mereka akan menghabiskan masa bersama. Sekarang
mereka tidak lagi mampu mengulangi semua saat itu. Mereka ada hala tuju
masing-masing.
“Nanti
kau kena rajin-rajinkan diri tulis surat
untuk aku,” pesan Nurul Najiha kepada Akram sebelum mereka berpisah.
“Tulis
surat ?”
“Habis
kau nak telefon? Macam lah aku ni ada handset.”
“Bukanlah…maksud
aku, macam lah kau tak tahu aku ni tak minat nak tulis surat . Hehhhh, boleh pecah kepala aku pikir
apa yang nak dikarangkan.”
“Alah,
kau tulis macam yang cikgu ajar darjah enam dulu.”
“Pehhhh,
skema kau!”
“Hehhehe,
lepas tu kau taruk pantun pecah kaca
pecah gelas, sudah baca harap balas.”
“Tu
tradisional punya stail…”gerutu Akram.
“Habis
apa yang tak tradisionalnya?”
“Nantilah.
Tau lah aku macam mana nak buat. Kau duduk UPM diam-diam. “
“Adalah
tu idea karut tu. Tak sudah-sudah nak kenakan aku.”
Akram
tersengih. Kemudian dia menyuakan satu beg plastik kepada Nurul Najiha.
“Kuaci?”
“Ya,
buat hilang mengantuk dalam perjalanan ke Serdang.”
Nurul
Najiha tersenyum. Akram sentiasa ingat kudapan kesukaannya. Kemudian mereka
berpisah. Pun dalam hati masing-masing tetap dengan tekad bahawa hubungan
persahabatan mereka tetap akan berpanjangan. Lagipun UKM dan UPM bukanlah jauh. Meski masing-masing belum pernah ke sana , mereka tahu itu
kerana abang Akram. Akmal selalu memberitahu tentang perkara itu memandangkan
Akmal sendiri pernah melanjutkan pelajaran di UNITEN yang terletak di antara
kedua-dua pusat pengajian tinggi tersebut.
Masa begitu cepat berlalu. Nurul
Najiha sudah melepasi minggu orientasi yang tidaklah terlalu teruk. Di UPM Nurul
Najiha berkawan baik dengan Haniza. Asal dari Kemaman. Pun ingatan tentang
Akram tidak pernah lekang. Ada
kesunyian susup-sasap ke dalam jiwanya. Kalau teringatkan Akram dia terasa
ingin menangis. Sekejap jiwanya yang keras akan menjadi lembut. Seakan kerak
nasi dicurah air.
“Pak
we kau?”Begitu soal Haniza semasa melihat Nurul Najiha merenung gambar Akram
yang sengaja diletakkan di dalam bingkai kemudian dihiaskan di atas tilamnya.
“Ishh,
bukanlah. Simpang malaikat aku nak berpakwe dengan orang yang aku kenal sejak
dalam buaian.”
“Habis?
Jiwang semacam aku tengok kau tiap kali tengok gambar tu…”
“Aku
sunyi tanpa dia. Selalunya petang-petang beginilah kita orang habiskan masa
bersama. Kadang ke sungai mengail. Kadang pula bermain skateboard dalam kawasan sekolah depan rumah kami.”
“Kawan
satu kampung?”
“Ya.
Satu kampung, satu sekolah. Dia tinggal sebelah rumah aku. Mak kita orang
cakap, masa kecil-kecil dulu, kami dijaga oleh pengasuh yang sama. Sebab tu aku
cakap tadi kawan sejak dalam buaian.”
“Hahhhha,
lama ya kau orang berkawan. Tak de feeling-feeling
ke?
“Sumpah
tak ada. Lagipun kami dah macam adik-beradik. Ada hubungan persaudaraan pun. Mustahil boleh
ada perasaan.”
“Mana
tahu di pihak dia ada perasaan.” Haniza sengaja mahu memprovok.
“Ish,
tak mungkin sama sekali.”
“Aku
tak percaya seorang lelaki dan perempuan boleh bersahabat baik tanpa ada
sebarang perasaan.”
“Ada lah, perasaan sayang
kepada seorang sahabat. Lebih daripada tu tak.”
“Aku
teringat cakap seorang kawan. Dia kata seorang lelaki tak kan berkawan dengan seorang perempuan
sekiranya dia tak mengharapkan apa-apa dari perempuan tu. Seorang lelaki juga
akan berkawan dengan perempuan atas dua alasan: kerana perempuan tu ada
kepentingan untuk dia dan kedua sebab dia sayangkan perempuan tu.”
“Kalau
kau percaya dengan kata-kata tu, begitulah yang akan jadi. Psikologi semua tu.
Lagipun aku rasa Akram tak pandang pun aku sebagai perempuan. Dia pandang aku
sebagai kawan. Sebagai sahabat.”
“Hati
orang, bukan kita boleh tebak walau selama mana pun kita kenal orang tu.”
“Dahlah.
Malas aku nak layan cakap-cakap karut kau. Aku nak ke library. Nak ikut?”
“Tak
nak lah. Sejak dari kecil sampai sekarang,
library tempat aku tak suka. Kalau cikgu tak suruh kat sekolah dulu, haram
aku tak jejak kaki ke situ.”
“Pulak…
kalau macam tu aku pergi dulu.”
Nurul
Najiha bangun. Mengambil beberapa buah buku dari atas meja belajarnya dan
kemudian terus keluar tanpa menukar pakaian. Seringnya Nurul Najiha senang
tampil dengan imej sempoi. Tanpa mekap. Tanpa apa-apa selain pakaian yang sedia
tersarung di batang tubuhnya.
Nurul
Najiha tidak lama di dalam perpustakaan. Setelah mendapat buku Semiotic and Poetry karya Julia Kristeva
dia terus keluar. Dia duduk-duduk di luar bangunan perpustakaan sambil
membelek-belek buku yang baru dipinjamnya. Tertarik dengan buku berkulit tebal itu
kerana dia memang senang dengan ilmu kebahasaan. Dia mahu jadi tukang bahasa
suatu masa nanti.
“Assalamualaikum…”
sapa satu suara menegur.
Nurul
Najiha mendongak. Seorang pemuda kurus tinggi berdiri di depannya. Dia kenal
pemuda itu. Kawan satu sekolah dengannya. Muhd. Huzairul Ihsan. Pun semasa di
sekolah mereka tidak pernah bertegur sapa. Setakat saling berbalas senyuman.
Muhd. Huzairul Ihsan lawa orangnya. Golongan yang Nurul Najiha kurang senang
untuk dekati. Nanti ada yang tersalah anggap.
“Waalaikumussalam.”
Akhirnya Nurul Najiha membalas selepas membiarkan salam Muhd. Huzairul Ihsan
tidak berjawab beberapa ketika.
“Seorang?”
Tanya Zarul.
“Ya…”
ringkas jawab Nurul Najiha.
“Boleh
saya duduk?”
“Ha’ah.
Duduklah.” Nurul Najiha sedikit gementar.
Entah
mengapa.
Mungkin
sebab selama ini Nurul Najiha tidak pernah berdua-duaan dengan pemuda yang
mempunyai penampilan seperti Zarul. Kemas. Lawa. Selalu bersama Akram. Segala
rasa berdampingan dengan pemuda berimej seperti Zarul langsung tidak pernah
dialaminya.
Akram
seperti dirinya juga sempoi meski pakaian yang mereka sarungkan harus berjenama
dan kelihatan lain berbanding orang lain. Janji sempoi dan tidak kemas terurus.
Huhuhuhu. Bagaimana Akram di UKM sekiranya di sana mementingkan kekemasan? Sempat pula Nurul
Najiha terkenangkan Akram.
“Akram
sambung kat mana?”
“UKM…”
“Ohhh,
dekat je. Bila-bila masa, asal ada kelapangan dia boleh datang jenguk.”
“Harap-harap.”
Nurul Najiha menjawab. Dengan nada cukup sopan.
Eee,
apa kena dengan Nurul Najiha ni? Mana sikap brutal
yang sudah larut dengan jiwanya?
Zarul
diam. Seperti sedang mengatur ayat. Nurul Najiha cuba untuk mencuri pandang ke
arahnya dalam segan.
Zarul
melepaskan keluhan. “Sebenarnya saya dah lama nak tegur awak. Sejak di sekolah.”
Kemudian Zarul bersuara.
Nurul
Najiha tidak terkejut kerana dia pun sedar Zarul memang selalu memerhatikannya
semasa di sekolah. Hanya dia buat-buat tidak peduli jika Zarul melepaskan
pandangan ke wajahnya. Tidak kuasa nak melayan kononnya.
“Tapi
awak tak pernah tegur…”
“Sebab
Akram.” Zarul memaktubkan. Lancar. Tanpa ragu-ragu.
“Kenapa
dengan dia?”
“Dia
ada ke mana saja awak pergi, kecuali ke tandas.”
Hish.
Boleh pula Zarul buat lawak. Ngomel Nurul Najiha di dalam hati. Pun masih tetap
membenarkan kata-kata Zarul. Nurul Najiha menggaru-garukan kepalanya. Ada keraguan terhadap
kata-kata Zarul yang menjadikan Akram sebagai alasan mengapa selama ini dia
tidak pernah menegur Nurul Najiha.
“Selama
saya kenal Akram, rasanya dia tak pernah marah jika ada sesiapa yang datang
tegur saya,” beritahu Nurul Najiha.
“Memanglah.
Cuma saya yang naik segan dengannya.”
“Nak
segan apa?”
“Kalau
saya cakap pun, awak takkan faham.”
Nurul
Najiha diam. Dia akui memang ada sesetengah kawan satu sekolah dulu segan untuk
merapatinya kerana hubungan rapat Nurul Najiha dan Akram. Begitu juga
sebaliknya. Terdapat juga yang segan untuk menegur Akram kerana malukan Nurul
Najiha. Walhal baik Nurul Najiha ataupun Akram tidak pernah menghalang
sekiranya ada sesiapa yang mahu berkawan dengan mereka. Berkawan biar seribu,
berkasih biar satu. Itu yang mereka maktubkan dalam diri masing-masing.
“Kat
sekolah semua orang tahu awak dan Akram rapat.”
“Ya.
Tu tak menghairankan langsung.”
“Tapi
ramai juga yang tertanya-tanya keakraban awak dan Akram atas dasar apa.”
Huh?
Nurul Najiha termangu. Atas dasar apa?
“Maksud
awak?”
“Sesekali
saya terpikir, kalau-kalau awak dan dia lebih dari seorang sahabat.”
Nurul
Najiha ketawa. Kali ini sudah tiada imej sopan sekejap tadi. Kenyataan klise dari mulut Zarul bukan sekali dua
dia dengar. Malah, itulah kenyataan yang selalu terluah dari mulut orang-orang
yang tidak pernah kenal rapat dengannya.
“Tak
semestinya kalau seorang perempuan tu rapat dengan lelaki, hubungan mereka atas
dasar percintaan kalau tu yang awak cuba maksudkan.”
Zarul
ingin menjawab. Pun Nurul Najiha menyambung lagi.
“Sekalipun
saya dah dia lebih daripada seorang sahabat, kenapa pula awak segan nak
dekati?”
Zarul
menelan ludah. Hilang segala keberanian dalam diri mendengar soalan sebegitu
dari mulut Nurul Najiha. Bagi Zarul soalan itu langsung tiada berbasa-basi
lagi. Terus-terang. Namun Zarul pula yang tidak berani untuk berterus-terang
dengan Nurul Najiha yang nampaknya sudah mendapat kembali keyakinan diri yang
sedikit kelihatan terugah semasa pertama kali dia menyapa tadi.
Zarul
cuba
untuk mengumpul kekuatan kembali.
