Wednesday, 7 January 2015

CINTA SUFI BAHAGIAN DUA BAB 4- HINGGA 6






BAB EMPAT
“Kalau sampai kat rumah nanti, yang buat biasa dengan ibu ya,” pinta Dinie sambil memandu kereta. Petang tadi dia ke rumah Kak Lila dengan menaiki teksi.

            Sufi diam memuncungkan wajahnya. Tangannya mengusap-usap kepala Yafits yang terlena di ribaannya. Mungkin kepenatan kerana seronok bermain di rumah Kak Lila yang mempunyai ruang rehat  agak luas.

            “Yang. Yang dengar apa abang cakap ni?” Soal Dinie apabila tiada suara kedengaran dari mulut Sufi.

            “Dengar...” balas Sufi perlahan.

            “Yang buat untuk abang boleh? Yang sayang abang kan?” Dinie memujuk sambil tangannya menggapai tangan Sufi lalu dikucupnya dengan penuh kasih sayang.

            Kata orang jika suami mengucup pada tangan si isteri, maknanya dia terlalu menyangjungi isterinya. Sufi memandang ke wajah suaminya. Terpancar kasih sayang di situ semasa pandangan mereka saling bertembung. Dada Sufi gementar melihat pancaran kasih sayang itu. Masih gementar yang sama seperti  semasa awal percintaan dahulu.

            “Sufi cintakan abang.” Giliran Sufi pula mengucup tangan suaminya.

Pegangan  tangan antara mereka terlerai ketika Dinie menukar gear kereta dan kembali bertaut semasa gear dilepaskan. Nyatanya kemesraan hubungan mereka masih seperti awal perkahwinan meski kadang-kala timbul sengketa dan selisih faham. Kebahagiaan yang diberikan Dinie membuatkan Sufi langsung terlupa tentang Danish yang selama ini menghambat lenanya. Kenangan tentang Danish hanya sesekali menerjah. Itupun jika Dinie yang mengungkitkannya. Pada Sufi, hidupnya kini benar-benar untuk Dinie. Diserahkan untung nasibnya bulat-bulat kepada Dinie. Sufi tidak mahu mensia-siakan kasih sayang Dinie sebab itulah dia sanggup mengikut apa saja kata Dinie selama ini.

“Yang, lain kali jangan buat macam ni ya. Ibu tu bukan akal panjang sangat. Orang tua. Tahu ikut perasaan saja. Kita orang muda ni biarlah cerdik sikit.”

“Bang, perempuan kalau pasal hati dan perasaan memang cepat jadi bodoh. Tambah orang macam Sufi. Bukan abang tak tahu perangai Sufi.”

“Sebab abang tau lah abang selalu minta yang sabar. Kita selalu bertengkar sebab orang tua. Kita sebenarnya boleh hidup aman damai kalau yang sabar dengan orang tua.”

“Alah, Sufi aje kena sabar. Sufi aje kena faham abang. Abang tak pernah nak fikir soal hati dan perasaan Sufi. Sufi nak keluar dari rumah orang tua abang, tapi sampai kini abang tak pernah tunaikan permintaan Sufi.”

“Yang kena faham masalah abang.”

“Itu yang Sufi cakap tadi. Sufi saja yang kena faham. Bosan tau.” Sufi kembali memuncungkan wajahnya.

“Tu, muka tu. Dah mula tarik muka masam tu. Yang tahu kan abang tak suka tengok yang tarik muka masam.”

“Dah Sufi tengah sakit hati. Macam mana nak senyum bang?”

“Demi abang, tolong senyum yang.” Dinie meraih rapat kepala Sufi kepadanya. Kemudian diciumnya pipi Sufi penuh kasih sayang. “Abang cintakan Sufi.”

Sufi bahagia mendengar ucapan itu. Alangkah beruntungnya dia jika kasih sayang itu akan berpanjangan hingga ke detik nafas yang terakhir.
Mereka tiba di rumah. Mak Piah nampaknya sedia menunggu di muka pintu dengan muka manis. Sufi langsung tidak memandang ke wajahnya. Biar dia menyapa Sufi dulu. Biarlah. Sufi tidak mahu beralah kali ini. Dia sudah lama bersabar. Kali ini biar dia pula tunjuk hantu dalam dirinya. Biar Mak Piah gerun. Biar padan muka Mak Piah.

“Tidur kah Yafits tu?” Soal Mak Piah. Nampaknya cuba untuk berbasa-basi dengan Sufi. Dia bukan tidak nampak Sufi memangku Yafits. Saja meramahkan dirilah tu.

“Emh.” Sufi seperti acuh tak acuh.

Dia pantas meluru ke bilik untuk menidurkan Yafits di situ. Kemudian dia menyalin pakaian. Dinie muncul dengan beg pakaian Sufi sepanjang Sufi di rumah Kak Lila. Dia memeluk Sufi yang tidak berbaju dan hanya mengenakan bra. Mencium belakang Sufi. Sufi kegelian tapi dibiarkan saja suaminya mahu bermanja dengannya.

“Abang rindukan yang. Malam tadi abang tak dapat tidur sebab terkenangkan yang. Sampai hati yang tinggalkan abang seorang diri,” ucap Dinie perlahan kemudian kembali mencicipi belakang Sufi.

Sufi menggeliat kegelian. Dia cuba untuk menjarakkan dirinya daripada Dinie kerana tidak tahan menanggung geli.

“Betulkah abang tak dapat tidur sebab terkenangkan Sufi? Ntah-ntah abang tidur nyenyak sampai meleleh air liur basi. Macam selalu tu.” Sufi berjenaka sambil masih cuba untuk menjarakkan dirinya.

Dinie tetap mengemaskan rangkulannya. Kali ini mula membalikkan tubuh Sufi. Mereka kini dalam keadaan setentang. Dinie memandang ke dalam anak mata Sufi. Sufi turut membalasnya. Dia tahu suaminya sedang cuba melampiaskan rindunya setelah berhari-hari tidak bermanja dengan Sufi. Dinie memang sering begitu jika tidak bekerja. Jarang mereka berenggang. Asyik melekat tidak kira masa dan tempat sehingga Mak Piah pun naik meluat. Malah kalau Dasimah dan Dahlia datang pun Dinie tidak akan mempedulikan mereka. Dia tetap menunjukkan kemesraannya terhadap Sufi.

Kalau dia terasa ingin memeluk, dia akan peluk. Kalau terasa ingin mendukung  Sufi dia juga akan berbuat demikian. Malah kalau terasa ingin dikucup Sufi pun dia tetap juga berbuat demikian meskipun di depan saudara-maranya. Dinie bukan jenis  yang kisah dengan semua itu. Janji dia bahagia dengan Sufi.

“Yang tahu kan, abang bukan suka kalau pulang aje ke rumah yang tak ada. Tak seronok kalau bukan yang bukakan pintu untuk abang di malam hari. Kalau boleh abang nak yang tercegat di muka pintu setiap kali abang pulang. Nak yang sambut abang dengan kucupan. Hilang penat kalau lihat isteri tersayang menyambut di muka pintu.” Dinie memberitahu sambil memandang ke dalam mata isterinya dengan penuh kasih.

Sufi mengetap bibir. Timbul rasa bersalah dalam dirinya kerana meninggalkan rumah sehingga menyebabkan Dinie ketinggalan detik-detik itu. Dia sendiri pun jika boleh tidak mahu membiarkan suaminya pulang tanpa disambut olehnya. Dia juga telah ketinggalan satu kucupan Dinie semalam.

“Maafkan Sufi bang.” Sufi memeluk suaminya erat-erat kemudian mendongak seketika untuk menghadiahkan sebuah kucupan di pipi suaminya.

“Abang suka sakat Sufi.” Sufi mencubit lengan Dinie.

“Yang tak sayang abangkah?” Dinie pura-pura merajuk sambil menggosok tempat yang dicubit.

“Sakit bang?” Tanya Sufi sambil menarik tangan Dinie. Dia mengusap tempat cubitannya singgah tadi. Kemudian mengucup sayang di situ.

Sufi bahagia. Benar-benar bahagia dengan kasih sayang yang diberikan Dinie. Dia merasa terlalu beruntung hidupnya di samping Dinie meskipun suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap dan gaji hanya cukup makan. Bagi Sufi kebahagiaan bukan dinilai melalui metarial. Dia menerima Dinie seadanya sebagaimana Dinie menerima Sufi seadanya.


“Yang buat apa?” Soal Dinie sesudah mandi tengahari itu sebaik melihat isterinya tekun mengadap komputer.

            “Sufi tulis artikel. Saja, cuba menulis untuk dihantar kat majalah. Mana tahu diterima. Boleh juga sesen dua.”

            “Bagus juga yang. Daripada duduk buang masa kat rumah. Baik menulis.” Dinie berkata sambil memandang ke skrin komputer. Dia sempat mengurut-urut perlahan bahu isterinya. Sekadar menunjukkan rasa sayangnya.

            “Artikel pasal apa yang?” Soal Dinie apabila tidak begitu memahami perkara yang dibacanya di skrin.

            “Tasawwuf. Orang putih cakap self-awareness.”

            “Ni sudah bagus. Kira nak berdakwahlah isteri abang ni?”

            “Belum sampai tahap tu bang. Lagipun Sufi bukan tahu banyak pasal ilmu ni. Sufi sendiri tengah belajar. Saja Sufi tulis ni nak cuba bakat, kot-kot ada bakat terpendam jadi penulis. Lagipun pernah belajar dulu.”

            “Abang doakan yang berjaya. Yang teruskan, abang nak solat Zohor dulu. Yang dah solat?”

            “Dah.”

            “Eh, anak kesayangan kita mana?” Dinie tiba-tiba teringatkan anak mereka.

            “Apa lagi? Tengahari begini tidurlah.”

            “Yalah, Dah yang tak mahu kasi dia adik. Kalau ada adik tentu dia tak sunyi sangat. Tentu time macam ni dia tengah main dengan adik.”

            Sufi melayukan matanya. “Bang, Sufi nak kerja dulu baru fikir tambah baby.”

            Dinie mencebikkan bibirnya. Kemudian berlalu ke bilik untuk solat Zohor. Sufi meneruskan kerjanya. Artikel mengenai perbezaan ajaran Hamzah Fansuri dengan Nuruddin Ar-Raniri akan cuba dihantar ke majalah Al-Islam. Hamzah Fansuri dengan fahaman tasawwuf Wujudiyyahnya banyak ditentang oleh Nuruddin Ar-Raniri semasa era penyebaran Islam ke Acheh suatu masa dahulu. Selain menulis artikel untuk dijadikan sumber pendapatan tambahan, Sufi sekurang-kurangnya mahu mengumpul ‘modal’ untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana. Dia tetap berkeinginan untuk menyambung pengajian dan mahu membuat tesis dalam bidang Kesusasteraan Islam sekiranya ada rezeki kelak.

            Sekarang Sufi sibuk membuat kajian. Semasa membuat kajian itulah timbul niat untuk mencuba  bakat dalam bidang penulisan. Lagipun dia pernah mempelajari teknik menulis semasa berada di universiti suatu masa dahulu. Sebagai seseorang yang bercita-cita tinggi keinginan untuk menyambung pelajaran tidak pernah padam. Malah di rumah pun Sufi tetap sentiasa menambah ilmu sedia ada dengan membaca. Cuma kini bahan bacaannya lebih bersifat keagamaan. Dia nampaknya kini sudah beralih kepada sesuatu yang bersifat holistik. Suatu perkembangan baik pada diri Sufi.

Sufi teringat arwah ayahnya dulu. Semasa hidupnya arwah juga seseorang yang cukup berminat untuk mendalami ilmu agama dan tasawwuf. Baginya dalam mendalami ilmu agama tidak cukup setakat mengetahui hal fekah dan tauhid. Perkara-perkara berkaitan ilmu tasawwuf juga harus diambil kira meski ada pendapat yang mengatakan cukup sekadar tahu kejadian Allah s.w.t.  Tidak perlu fikir lebih daripada itu. Alangkah beruntungnya Sufi sekiranya arwah ayahnya masih hidup. Dengan ilmu agama yang tinggi, tentu Sufi dapat mempelajari sesuatu daripadanya. Mengukur fahaman tasawwuf Wujudiyyah Hamzah Fansuri dengan fahaman Nuruddin Ar-Raniri daripada sudut pandangan arwah ayahnya. Dia yakin arwah ayahnya tentunya tahu tentang perkara tersebut.

Mengenangkan itu, Sufi terasa pilu kerana kehilangan sesuatu yang tidak ternilai dalam dirinya. Sekiranya arwah ayah masih ada, tentu banyak perkara yang boleh dipelajarinya daripada arwah ayah. Malah paling utama daripada itu semua keadaan adik-beradiknya tentu tidak akan berpecah belah seperti sekarang. Tidak akan berpuak-puak. Tentu juga Maria tidak akan berani melakukan kemungkaran seperti apa yang telah dilakukannya sekarang. Demikian pun, memikirkan rahmat di sebalik semua itu Sufi menjadi agak tenang.

“Bang, Sufi pikir nak sambung belajar kalau ada rezeki lebih nanti. Sekurang-kurangnya dapat lari daripada masalah kat dalam rumah ni,” beritahu Sufi kepada Dinie semasa mereka berehat di dalam bilik. Dia merenung Dinie menunggu jawab daripada si suami.

“Yang, kalau semata-mata mahu lari daripada masalah abang tak mahu benarkan. Yang sanggup berjauhan dengan abang kerana ingin puaskan hati yang sendiri?” Soal Dinie sambil memandang ke dalam mata Sufi.

Sufi mengetap bibirnya. Dia kemudian mengalihkan pandangan ke arah Yafits yang masih tidur. Mungkin Yafits kepenatan setelah sepagi mengikut ayah dan ibunya keluar jalan-jalan pagi tadi. Sufi mengusap-usap kepala Yafits. Tingkahnya diperhatikan Dinie. Dinie menggapai tangan Sufi. Dipatah-patahkan jemari Sufi sehingga mengeluarkan bunyi ‘kuk-kuk’. Habis tangan kiri, dipatahkan pula jemari tangan kanan. Kemudian dia menghulurkan tangannya pula untuk Sufi perlakukan perkara yang sama. Sufi akur.

“Abang tahu kan, Sufi memang selama ini sentiasa menyimpan keinginan untuk melanjutkan pelajaran hingga ke doktor falsafah. Tambah dalam keadaan susah untuk mendapatkan pekerjaan sekarang ni.”

“Ya, abang tahu yang. Abang telah lama sedar tentang perkara ini. Abang sedar isteri abang mempunyai cita-cita yang tinggi. Tak macam abang.” Dinie tiba-tiba jadi melankolik.

“Kenapa pulak ungkitkan soal ni bang? Sufi bukan nak banding-bandingkan kita berdua. Tak terniat. Cuma Sufi nak ingatkan abang tentang cita-cita Sufi yang masih belum tercapai tu.”

“Abang faham. Tapi takkan dalam hati yang tak rasa berat hati untuk meninggalkan abang dan anak kita?”

“Sufi memang berat hati. Tapi itu boleh diselesaikan kalau abang setuju. Sekarang ni yang  penting abang sanggup bagi Sufi sambung belajar.”

“Katakan abang setuju, yang nak buat macam mana untuk pastikan kita tak berenggang?”

“Sufi akan ambil struktur B, pada peringkat sarjana ni ada tiga struktur, A, B dan C. Kalau A kita cuma kena buat tesis. Langsung tak ada kelas, tapi untuk bidang sastera tidak ditawarkan struktur A, hanya B dan C. Jadi kalau Sufi ambil struktur B masa Sufi lebih banyak di rumah dan hanya ke kampus sesekali sahaja. C pula macam masa ambil bacelor dulu. Tak kena buat tesis, hanya project paper. Langsung tak mencabar.”

Dinie diam sejenak. Memang dia kurang arif dengan corak pembelajaran di universiti, tapi penerangan Sufi yang panjang lebar itu rasanya dia boleh faham.

“Yang nak buat tesis dalam bidang apa?” Soal Dinie. Nampaknya dia memang faham dengan penerangan Sufi tadi.

“Sufi ingat dalam bidang Kesusasteraan Islam. Tesis Sufi tentu saja berkaitan naskah-naskah sastera yang berunsurkan keislaman,” terang Sufi sambil mengiring untuk memeluk suaminya.

Dinie juga mengubah posisi badan. Memandang ke wajah Sufi. Anak rambut Sufi yang bermain di dahi dikuis-kuisnya lembut.

“Abang takut yang akan lupakan abang kalau dah berjaya nanti. Mana tahu di sana nanti yang jumpa balik dengan Danish, kemudian dia tackle semula isteri abang ni, abang juga yang melepas karang.”

“Abang, cara abang cakap ni macam Sufi ni supermodel, ramai orang nak tackle sana-sini.” Sufi mencubit suaminya geram.

“Mana tahu yang. Lagipun yang kan pernah ada hubungan dengan Danish.”

“Siapa cakap? Dulu kes accident saja.  Alah bang, kalau jumpa balik dengan dia pun tentu dia juga dah kahwin. Dah berapa tahun kami lost contact tentu masing-masing sudah punya kehidupan sendiri.”

“Katakan Danish belum kahwin dan masih menanti yang, adakah yang akan menerimanya kembali?” Duga Dinie masih tidak puas hati.

“Nak buat apa? Sufi bukan pernah cintakan dia pun. Sufi sayang abang seorang saja. Abang jangan nak jealous tak tentu pasal.”

“Bukan jealous yang, cuma mahu beringat.”

“Alah, bukan Sufi tak kenal abang. Jealous memanjang. Sampaikan Sufi tak boleh nak kawan dengan mana-mana lelaki. Sufi terpaksa putuskan hubungan baik dengan ramai kawan lelaki Sufi, terutama Lan. Malah Sufi nak pergi kenduri kahwin Syafizan dulupun abang tak izinkan kerana abang jealous. Abang jangan lupa tu.”

“Hah, pergilah. Pergilah kawan balik dengan dia orang tu. Kalau yang pergi cari balik dia orang, abang pun akan pasang ramai kawan-kawan perempuan. Baru yang tahu.” Dinie berkata sambil pura-pura merajuk. Dia membalikkan tubuhnya memandang ke arah dinding.

“Abang...” Sufi melembutkan suaranya. Menyentuh belakang Dinie.

Dinie buat keras kepala walaupun dalam hatinya seakan mahu tergelak kuat-kuat juga. Seronok juga menyakat isterinya.

“Abang. Ni yang Sufi malas ni. Kalau tadi abang tak mulakan kes ni, tentu kita tak gaduh.” Sufi mengendurkan suaranya. Dia mula malas memujuk.

Sufi sebenarnya bukan pandai nak memujuk. Dia seperti juga Dinie lebih senang membiarkan pasangan sejuk secara semulajadi. Bukan apa, kalau dipujuk, pasangan tidak makan pujuk hati jadi panas. Perkara kecil boleh jadi besar. Sufi kemudiannya bangun apabila tidak mendapat respon daripada Dinie. Menyedari Sufi mula mahu meninggalkannya di dalam bilik bersama Yafits yang sedang kelenaan, Dinie turut bangun. Menyambar pergelangan tangan Sufi membuatkan Sufi terduduk kembali di atas katil.

Kali ini giliran Sufi pula pura-pura merajuk. Dinie tersenyum. Tu kes mudah. Setakat pura-pura merajuk. Dia tahu bagaimana untuk membuatkan senyum mekar kembali di bibir Sufi. Lalu sebuah ciuman paling syahdu Dinie hadiahkan ke dahi Sufi sebelum ciuman itu menular ke bibir Sufi.

“Abang cintakan yang,”ucap Dinie tatkala bibir mereka kembali bercerai.

“Abang janji jangan sebut pasal Danish lagi?” Soal Sufi sekali gus meminta Dinie memetrai janji dengannya.

“Abang janji. Tapi yang pun kena janji akan setia dengan abang walau setinggi mana yang pergi, okey?”

Sufi mengangguk. Mereka kemudiannya berpelukan penuh kasih sayang. Bagaimanapun dalam hati kecil Dinie tetap menyimpan syak wasangka akan kemunculan Danish kembali dalam hidup isterinya meskipun dia yakin dengan cinta Sufi terhadapnya. Dinie sendiri tidak faham mengapa timbul naluri seperti itu dalam dirinya meskipun dicuba halau ia jauh-jauh.

Dia juga memikirkan hasrat Sufi untuk kembali menyambung pelajaran. Seandainya Sufi berbuat demikian maka bermakna Sufi akan mencipta jurang yang makin besar dalam hubungan mereka. Kehendak Sufi untuk berdikari semakin kuat dan tentunya kemahuannya yang pelbagai macam gagal ditegah. Bukan dia tidak kenal isterinya. Penuh dengan cita-cita dan impian. Kalaulah keinginannya untuk menjadi seseorang yang berjaya di dalam hidupnya tercapai, tidak mustahil isterinya boleh bertukar watak.

Jika selama ini isterinya dilihat masih boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran kampung dan cara hidup kampung yang Dinie amalkan, mungkin apabila semakin tinggi kedudukannya Sufi mula berubah rupa dan mula kekok untuk bersama ‘orang kampung’ sepertinya. Memang Sufi juga hakikatnya orang kampung. Asal daerah yang sama dengannya. Namun kekampungan Sufi tidak sampai makan budu dengan ulam petai dan jering jeruk. Dia makan ikan masak sweet sour. Kuih-muih dan makanan ringan dia bukan karipap atau keropok lekor. Sufi makan curry puff ganti karipap. Sosej ganti keropok lekor. Memang banyak bezanya antara mereka. Itu semua hanya disedari Dinie hanya selepas berumahtangga dengan Sufi.

Dahulu Dinie tidak pernah memikirkan tentang semua itu kerana kata orang cinta itu buta. Hanya sekarang semuanya jelas kepada Dinie. Lidah Sufi lebih kepada kebandaran. Lalu Dinie terheret sama dengan iklim Sufi. Mungkin Sufi sudah biasa begitu. Dan memang pun Sufi sudah biasa begitu. Di rumah Kak Lila pun hanya makanan begitu yang kelihatan memenuhi peti aisnya. Makanan tradisional jangan harap. Mahu makan kuih seri muka atau kuih tradisional Kelantan seperti ‘lompat tikam’ apatah lagi.

Sungguhpun demikian semua itu tidak menghalang mereka mencipta sebuah rumahtangga yang bahagia. Dinie memang terlalu sayangkan Sufi dan rasanya kasih sayang itu tidak mungkin bertukar ganti kecuali dalam keadaan diri Dinie separuh sedar. Itu di luar pertimbangan Dinie.

BAB LIMA
Percubaan Sufi dalam penulisan artikel berbentuk keagamaan nampaknya membuahkan hasil apabila satu demi satu artikel yang dihantarnya disiarkan dalam majalah dan akhbar tempatan sehingga akhirnya Sufi dipelawa menjadi penulis tamu sebuah akhbar tabloid. Tanpa nama gah dan tersohor Sufi mampu bersaing dengan penulis-penulis yang lain. Mungkin kerana isu yang dipaparkan dalam artikelnya bukan semata-mata perkara fekah dan tauhid, sebaliknya lebih menjurus kepada ilmu tasawwuf yang jarang dilakukan oleh mana-mana penulis.

            Sufi juga mula mempunyai pengikutnya yang tersendiri dalam bidang penulisan sehingga menyebabkan ada di kalangan sesetengah peminat tulisannya meminta Sufi membukukan ilmu pengajaran yang ditulisnya. Saranan peminatnya membuatkan Sufi meminta pandangan Dinie.

            “Kalau yang rasa boleh berjaya dengan cara itu, apa kata yang cuba?”

            “Sufi tak yakinlah bang. Sufi ingat nak sambung belajar dulu, kemudian cuba pasaran melalui tesis yang Sufi buat untuk menyempurnakan sarjana Sufi.”

            “Boleh begitu?”

            “Eh, mana pulak tak boleh? Sekurang-kurangnya kalau ia tak mampu diterbitkan sekalipun, ia tetap boleh digunakan untuk menyempurnakan sarjana Sufi.”

            “Kalau dah boleh begitu, cubalah buat. Sambil menyelam minum air orang cakap.”

            “Adakah ini bermakna abang benarkan Sufi sambung belajar?”

            “Dengan syarat jangan lupakan abang.”

            Sufi tersenyum. Dia memeluk suaminya. “Tak, mana mungkin Sufi boleh lupakan. Kot-kot abang yang lupakan Sufi.”

            “Cuba cakap, apa kemungkinan yang membolehkan abang lupakan yang?”

            “Manalah Sufi tahu.”

            “Dah, jangan cakap pasal tu lagi. Nanti tersasar bawa bergaduh pula. Ni abang nak tanya yang, kalau jadi bila yang nak mula sambung belajar?”

            “Anytime boleh. Sufi cuba dapatkan pandangan daripada supervisor tesis dulu, kemudian jika dia setuju dengan tajuk Sufi, Sufi cuba hantar proposal, berjaya kira Sufi diterimalah dan Sufi memang dah boleh mula belajar selepas itu. Struktur B tak sama dengan C, struktur C kena tunggu kemasukan November.”

            “Em, abang doakan yang berjaya. Senang yang senang abang juga nanti.”

            “Terima kasih abang. Terima kasih sebab memahami cita-cita Sufi.” Sufi pantas memeluk suaminya dengan penuh kasih sayang.

            Dinie membalas rangkulan Sufi. Dalam hati kecilnya berdoa agar isterinya tidak berubah. Tetap setia kepadanya walau setinggi mana dia pergi. Sebenarnya bukan senang untuk Dinie membuat keputusan membenarkan  isterinya menyambung pelajaran, namun dia tidak mahu suatu masa nanti perkara itu akan jadi isu untuk mereka tekakkan. Sebelum ini Sufi pernah menyatakan sekiranya dia tidak kahwin terlalu awal, dia mungkin kini sedang mengejar cita-citanya. Disebabkan itu Dinie terasa perkahwinan itu telah menyebabkan Sufi terantai. Dia tidak mahu dijadikan sebab akan kehancuran Sufi dalam mengejar cita-cita.

Beberapa minggu kemudian tanpa ditemani Dinie, Sufi berangkat ke Kuala Lumpur bersama Yafits. Dia ke UPM, menemui Dr. Rahim Mat Rashid. Meminta bantuan bekas supervisornya semasa mengambil bacelor dulu agar sekali lagi menjadi penyelia tesisnya. Mungkin sudah rezeki Sufi agaknya, perbincangannya dengan Dr. Rahim Mat Rashid membuahkan hasil yang begitu menggembirakannya. Dr. Rahim bukan setakat sudi untuk menyelia tesisnya, beliau juga setuju dengan tajuk yang dikemukakan Sufi. Artikel-artikel Sufi sebelum ini banyak disiarkan di dalam akhbar dan majalah sebenarnya banyak membantu mempengaruhi Dr. Rahim dalam membuat keputusan.

            “Engkau dah kahwin ya Sufi?” Soal Dr. Rahim yang selama ini memang lebih senang menggunakan kata ganti nama ‘aku’ dan ‘engkau’ dengan Sufi sebaik Sufi memberitahu tidak boleh lama di pejabatnya memandangkan anaknya ditinggalkan bersama  kakaknya.

            “Dah lama doktor. Anak saya sekarang dah berusia empat tahun,” beritahu Sufi tanpa segan-segan walaupun dia masih belum mempunyai kerja tetap bersesuaian dengan kelulusannya.

            “Ya kah? Lelaki, perempuan? Apa namanya?” Bertalu-talu pula Dr. Rahim menyoal.

            “Lelaki. Yafits namanya.” Dengan senang Sufi memberitahu nama buah hati kesayangannya.

            “Yafits? Pandailah kau bagi nama sempena nama anak Nabi Nuh ya? Kau tiru aku kah?” Dr. Rahim mengusik Sufi membuatkan Sufi mengerutkan keningnya.

            “Anak doktor nama macam tu juga?”

            “Nama anak aku Ham.”

            Sufi mengangguk-angguk.  Kemudian dia bangun untuk meninggalkan bilik Dr. Rahim kerana bimbangkan Yafits yang ditinggalkan di rumah Kak Eisya.

            “Kau jangan lupa submit proposal as soon as possible Sufi.” Dr. Rahim sempat memberikan pesanan sebelum Sufi melangkah keluar dari biliknya.

            “Ya. Saya akan cuba doktor. Anyway thanks sebab sudi sekali lagi menyelia tesis saya.”

            “Selagi aku kat sini, selagi tu aku sanggup tolong engkau Sufi.”

            Sufi tersengih dengan kenyataan yang diberikan Dr. Rahim. Dia percaya dengan kenyataan itu memandangkan selama ini Dr. Rahim memang tidak banyak masalah sekiranya para pelajar mahu berurusan dengannya. Dia memang sedia membantu bila-bila masa. Malah dulu, semasa masih di peringkat bacelor, dia selalu bagi wang belanja untuk Sufi. Kadang-kala lima ringgit, ada masa sepuluh ringgit. Dia anggap Sufi macam anaknya sendiri. Sufi memang senang dengan Dr. Rahim. Faktor itu juga  membuatkan dia memilih bidang Kesusasteraan Islam untuk menyambung pengajiannya kerana dia sudah ada fokus dalam memilih penyelia tesisnya.

            Lalu bermula hari itu Sufi kembali sibuk bergelar pelajar dan surirumah dalam satu masa. Dalam masa yang sama dia tidak melupakan tugasnya menulis artikel dalam akhbar tabloid. Dia tidak bercadang untuk berhenti menjadi penulis tamu dalam akhbar itu malah makin menanam keinginan untuk menjadi penulis tetap dan mengisi kolumnya sendiri. Maklum balas yang diterima pembaca terhadap ruangan yang ditulisnya sangat menggalakkan. Dinie turut berbangga dengan pencapaian Sufi.

            Walaupun pendapatan Sufi tidak seberapa dengan hanya menjadi penulis tamu,  dia tetap puas kerana ilmu yang ada padanya boleh dikongsi bersama-sama. Paling melucukan, ramai menyangkakan nama ‘Sufi’ yang digunakan olehnya sekadar nama samaran bersesuaian dengan isi artikelnya yang lebih membicarakan ilmu suluk. Bagaimanapun Sufi tidak berhajat untuk berterus-terang kepada peminat yang banyak menghantar e-mel bertanyakan tentang perkara itu. Identitinya dirahsiakan. Malah jantinanya pun tidak diketahui oleh para peminatnya.

            “Kalau yang dah mulakan semua ini sejak dulu, tentu yang sudah dapat kedudukan yang baik dalam bidang ni,” komen Dinie semasa dia menghabiskan cuti hujung minggunya di rumah bersama Sufi.

            “Dulu Sufi sendiri tak tahu banyak sangat pasal ni. Hanya sejak akhir-akhir ni Sufi banyak dalami ilmu ini. Tapi bang, sebenarnya banyak lagi yang Sufi tak tahu. Sufi cuma tulis soal asas dan mudah diterima masyarakat saja. Perkara yang lebih serius Sufi belum berani nak nyatakan, takut tak terjangkau oleh fikiran pembaca.”

            Kata-kata Sufi itu memang ada benarnya. Dulu ilmunya tidak begitu mendalam.  Daripada segi berpakaian pun Sufi lebih senang tampil sederhana. Malah ada masanya hanya mengenakan jeans paras lutut dan t-shirt yang sama sendat dengan badannya jika tidak keluar rumah. Dia hanya menutup aurat jika mahu ke mana-mana atau sekiranya ada tamu datang bertandang.  Sekarang, dia sudah banyak berubah. Tidak lagi berpakaian begitu dan sentiasa tampil sopan berbanding dulu tanpa mengira masa dan tempat. Mungkin kedewasaan mematangkan Sufi atau mungkin juga kerana dia semakin tahu banyak perkara berkaitan hukum-hakam.

            “Apa-apapun, abang bangga dengan yang. Abang dah jadi suami seorang penulis.”

            “Eh, abang jangan panggil Sufi macam tu. Malu tau. Sufi bukan sesiapa. Tak layak dipanggil penulis pun. Kalau penulis dia macam Shahnon Ahmad, Hizairi Othman, Iwan Simatupang dan nama gah-gah yang lain. Hizairi pernah cakap dulu: jangan ingat awak tu dah bergelar penulis dengan hanya satu dua tulisan kat majalah.”

            “Alah, siapapun yang, pada abang yang tetap isteri yang abang sayang sangat.” Dinie sengaja menekan pada frasa ‘sayang’ untuk menyatakan kesungguhannya.

            Dinie cuba memeluknya, namun Sufi mengelakkan diri. Ketika itulah datang Yafits membawa beberapa biji buku tulis dan pen. Kemudian dia merapati Sufi dan menyuakan bahan-bahan yang dibawanya. Minta Sufi ajarkan dia menulis alif, ba, ta. Lalu Sufi dan Dinie sama-sama mengajarkan Yafits menulis dan membaca huruf jawi  hingga ke petang.

“Penatlah. Yafits dah penat. Rasa nak pergi jalan-jalan pula,” kata Yafits sambil meletakkan pen dan kertas.

 Kemudian dia menggeliat. Membetulkan urat-urat di badannya. Sufi dan Dinie saling berpandangan. Kemudian tersenyum melihat gelagat putera mereka.

“Yafits nak jalan-jalan kat mana?”

“Kat mana-mana pun boleh ayah. Janji naik motor. Naik kereta tak best, hari-hari Yafits naik kereta dengan mak. Pergi pasar, pergi supermarket. Boring Yafits.”

Sufi dan Dinie tergelak mendengarYafits mengatakan ‘boring’. Macam orang tua, pandai nak boring-boring. Itulah anak-anak zaman siber.

“Kalau mak bawa Yafits naik kereta pergi sekolah Yafits boring tak?”

“Pergi sekolah? Pergi sekolah macam Haizat? Nak, nak. Haizat cakap kat sekolah boleh jumpa ramai kawan-kawan. Boleh main-main dan makan.”

“Hai, kalau setakat nak ke sekolah untuk main-main dan makan, baik Yafits duduk kat rumah. Pergi jalan-jalan ke rumah jiran dengan nenek aje. Boleh main-main dan makan juga.”

“Tapi ayah. Kat rumah jiran bukan ada banyak barang mainan. Kalau adapun bukan kasi Yafits main pun. Sentuh sikit dah ambil sembunyi.”

Sufi dan Dinie sekali lagi tersenyum dengan keletah Yafits.

“Yafits, mak dan ayah nak Yafits ke sekolah supaya Yafits boleh belajar membaca dengan lebih baik.”

“Yafits kan dah pandai baca. Itu satu buku cerita Nabi Nuh dan anak-anak dia Yafits dan habis baca. Acik La ajarkan.”

“Dia suka benar buku tu bang. Maklumlah ada nama dia,” bisik Sufi ke telinga Dinie.

“Buku cerita Nabi Nuh saja? Lain-lain buku?” Duga Dinie sambil mengangkat-angkat keningnya.

“Boleh. Mak cakap kalau dah pandai baca ABC dan bilang 123, semua kita akan pandai lepas tu. Buku cerita Nabi Musa pun boleh baca juga. Ada firaun dalam buku cerita tu. Jahat tau ayah dia tu.”

“Hah, kalau betul Yafits pandai, cuba eja nama Yafits sendiri.”

“Itu budak umur setahun bolehlah ayah. Yafits kan dah besar, cuba suruh eja benda lain.”

“Hah, benda apa Yafits nak eja?”

“Dokumen. Biar Yafits eja ayah dan mak dengar ya. D.O.K.U.M.E.N. Dokumen.”

            Sufi dan Dinie excited. Nampaknya Yafits memang sudah boleh menguasai ejaan. Mereka kagum dengan kebolehan anak mereka yang sudah boleh mengeja perkataan yang tidak domestik pada usia empat tahun.

            “Yafits tau eja dokumen, Yafits tau apa dokumen tu?” Dinie sengaja mahu menduga anaknya.

            “Ntah, Yafits saja eja. Yafits tak tau pun apa benda tu. Selalu dengar orang kat tv cakap.”

            Sufi dan Dinie ketawa. Nampaknya Yafits sendiri tidak tahu apa yang diejanya tadi. Kemudian apabila ketawa Dinie mati dia memandang ke wajah isterinya.

            “Anak kita dan besar yang. Dah makin bijak dan pandai. Bila agaknya yang nak bagi dia adik?”

            Sufi terdiam sejenak. Dia melontarkan pandangannya ke depan. Dia memang bercadang juga untuk menambah bilangan anaknya memandangkan usia semakin meningkat. Banyak risiko mengandung dalam usia lanjut. Namun dia baru berpeluang untuk menyambung pelajaran. Jika boleh dia mahu menumpukan kepada pelajarannya terlebih dahulu. Soal anak akan difikirkan kemudian. Mungkin apabila faktor kewangan mereka sekeluarga makin kukuh dan stabil.

            “Tunggu-tunggulah bang. Sufi nak tumpukan pada study Sufi dulu.”

            “Abang bukan apa yang. Rindu untuk mendengar tangisan bayi bergema dalam rumah ni. Yafits pun terlalu cepat membesar. Abang tak sempat nak perhatikan perkembangannya dia dah besar dan cerdik macam ni.”

            Sufi mengetap bibirnya. Dia sedar tentang perkara itu. Dinie memang sudah kerap benar bersungut tentang rancangan untuk menambah bilangan anak. Hanya Sufi yang belum bersedia dalam keadaan dia belum mempunyai pekerjaan tetap. Lagipun dia terkenangkan kata-kata Abang Zalinya. Makin ramai bilangan anak, makin susah untuk Sufi melangkah keluar mencari pekerjaan. Sufi jadi buntu, antara anak dan cita-citanya. Memang kedua-duanya sama penting.

            “Yang jangan takut soal makan minum anak. Abang akan bekerja selagi terdaya untuk memastikan anak-anak tak kebulur. Lagipun abang percaya tiap anak yang lahir di dunia, memang Allah s.w.t telah tetapkan rezeki untuknya. Kita cuma tak nampak rezeki itu datang dalam bentuk apa dan dari mana,” kata Dinie lagi seakan tahu apa yang sedang bermain dalam benak isterinya.

            “Abang, sebenarnya banyak perkara yang Sufi fikirkan sebelum mahu menambah bilangan anak. Abang pun tahu cita-cita Sufi tinggi kan?”

            “Tapi yang sendiri cakap dulu, ramai kawan-kawan yang mengandung semasa mengambil peperiksaan. Takkan yang tak boleh jadi macam mereka? Abang tetap tak halang yang nak belajar kalau mengandung sekali pun.”

            “Kalau abang tegar dengan kata-kata abang tak apa. Takutnya nanti jadi cakap kosong semata-mata. Dulu sebelum kahwin abang pernah cakap akan izinkan Sufi kerja walau kerja apa sekalipun untuk bantu adik-beradik Sufi. Alih-alih, apabila sudah kahwin dan mengandung abang suruh Sufi berhenti.”

            Dinie memandang ke wajah Sufi. Hatinya menjadi geram mendengar Sufi mengungkitkan tentang perkara itu. Sedangkan tindakannya dahulu untuk kepentingan diri Sufi juga. Dia mahu Sufi lebih memikirkan dirinya sendiri berbanding orang lain. Sufi terlalu mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dengan dirinya sendiri membuatkan Dinie sebagai suami merasa tidak senang. Bagi Dinie adik-beradik Sufi sudah pandai mencari rezeki sendiri semasa dia suruh Sufi berhenti kerja dulu.

            Dinie bukan seseorang yang begitu kejam sehingga mahu isterinya mengabaikan tanggungjawab. Dinie sebelum membuat keputusan telah menilai sendiri keadaan adik-beradik Sufi yang berupaya untuk keluar bekerja. Selagi Sufi membantu mereka tidak akan ada daya usaha untuk membantu diri mereka sendiri. Kemalasan akan mendominasi diri mereka dan membuatkan mereka terus besar kepala dan bersenang-lenang di rumah.

            Lihat saja Kak Lila, apabila Sufi tidak lagi mampu menghulurkan seratus dua setiap bulan seperti yang sentiasa dilakukan sedikit masa dulu, dia kini mula menjadi seorang kakak yang lebih bertanggungjawab. Jika dulu, pendapatannya jarang dikongsi dengan orang lain,  kini dia sudah mula mengetahui akan erti tanggungjawab. Malah kini pengorbanan yang dilakukannya untuk menyara adik-beradik lebih besar daripada yang dilakukan oleh adik-beradiknya yang lain. Bayangkan dengan pendapatan tidak seberapa dia menyarasuap dua orang adik, dua orang anak saudara dan belanja rumah. Semuanya di atas kepalanya sejak Sufi dan Abang Zali tidak membantu.

            Itulah sebabnya Kak Lila begitu berkecil hati apabila Sauki yang pernah disarasuapnya langsung tidak berterima kasih. Begitu juga dengan Alif, anak saudara mereka. Apabila Maria kembali menetap di rumah itu dia menimbulkan kekacauan dan membeli jiwa adik-adik dan anaknya dengan wang ringgit yang tidak disekat-sekat. Sedangkan bersama Kak Lila dia akan mencatukan semuanya. Kaedah berjimat cermat. Maria tidak peduli tentang itu asalkan keinginannya untuk kembali tinggal di rumah arwah orang tua tertunai. Wang ringgit habis tidak apa. Asal pancingnya mengena. Apabila sudah mempunyai kedudukan yang kukuh, Maria akan kembali menunjukkan belangnya.

            Dinie memang tahu semua iklim yang berlegar di persekitaran keluarga Sufi. Namun untuk membiarkan isterinya keluar bekerja dan mengorbankan masa-masa luang yang ada untuk mereka bersama semata-mata mahu menolong adik-beradiknya dianggap sesuatu yang benar-benar tidak relevan dengan keadaan. Mereka mampu cari sendiri. Lainlah kalau mereka tidak mampu, cacat atau sakit. Itu Dinie sendiri tidak akan benarkan Sufi bersikap lepas tangan.

            Pada Dinie dia cuba mendorong isterinya melakukan yang terbaik. Disebabkan itulah dia kesal apabila Sufi seperti tidak memahami kenapa dia bertindak begitu. Sufi seperti menyalahkannya dan menganggap Dinie tidak mengerti akan erti tanggungjawab. Padahal Dinie tidak mahu Sufi membabi buta menjalankan tanggungjawabnya. Entahlah. Dinie kadang-kadang gagal untuk menebak apa sebenarnya yang bermain dalam benak isterinya. Ada masa dikatakan dia terhutang dengan adik-beradiknya, ada masanya pula kerana janji dengan arwah ibunya. Macam-macam. Padahal hakikat sebenarnya Sufi lebih banyak memikirkan kepentingan orang lain sebelum memikirkan keadaan dirinya sendiri.

            “Yang, segala tindakan abang selama ini mahu yang terbaik buat isteri abang.”

            “Kalau abang mahukan yang terbaik buat Sufi. Jangan sentuh soal tambah bilangan anak buat masa ini. Izinkan Sufi buat apa yang Sufi suka. Dulupun Sufi sudah banyak mengalah dengan abang. Sufi minta enam tahun kenal sebelum kita kahwin untuk membolehkan Sufi cari kerja terlebih dahulu, tapi abang minta awalkan. Sufi minta tangguh dulu beranak, abang minta berikan abang paling kurang seorang anak terlebih dahulu.” Sufi mengungkit lagi kisah-kisah dulu.

            Dinie semakin geram dengan kata-kata yang keluar dari mulut Sufi. Seakan semuanya terletak atas kesilapannya.

            “Yang macam salahkan abang apabila yang tak mampu menjawat sebarang jawatan tetap. Yang yakin yang boleh dapat kerja sekiranya kita tak kahwin dalam tempoh yang yang minta tu?”

            Sufi terdiam. Memang dia sendiri tidak pasti dengan perkara itu. Bagaimanapun sekurang-kurangnya langkahnya panjang untuk ke sana, ke mari mencari pekerjaan sekiranya belum terikat dengan ikatan perkahwinan. Perkahwinan bagaikan merantai Sufi untuk ke mana-mana. Dia tidak boleh bebas bergerak dan terpaksa menumpukan perhatian kepada rumahtangga. Kemas rumah, cuci kain baju, masak-memasak dan jaga anak. Semua itu situasi yang tidak pernah dibayangkan Sufi sebelum ini. Apatah lagi masak-memasak untuk mertua yang cerewet dan banyak masalah. Memang Sufi tidak pernah membayangkan sama sekali. Dia bayangkan selama ini dirinya sebagai seorang wanita yang bekerjaya dan workaholic. Alihnya begitu sahaja kesudahannya. Benar-benar ironis.

            “Mak dan ayah cakap apa ni? Dari tadi Yafits tengok macam nak bergaduh saja.” Itu suara Yafits sebenarnya. Sejak tadi memerhati pergeseran antara kedua-dua orang tuanya dengan sedikit kepelikan.

            Dinie dan Sufi memandang ke arahnya. Kemudian mereka sama-sama memeluk Yafits tanda kasih yang tidak pernah berbelah bahagi kepada permata hati mereka yang seorang itu. Mereka mengukirkan senyuman sesama sendiri.

            “Mak dan ayah ni pelik, sekejap macam nak bergaduh, sekejap tersenyum-senyum. Payah jadi orang tua ni,” rungut Yafits sambil menolak wajah Dinie yang cuba untuk mencium pipinya.

            Dinie dan Sufi ketawa mendengar kata-kata Yafits yang kian petah berkata-kata seiring dengan usianya.

            Nantilah sayang, kau akan tahu juga nanti masalah orang dewasa apabila kau sendiri sudah berada di umur ini. Hati kecil Sufi berseru.



BAB ENAM
Hujung minggu itu Sufi ke UPM. Ada perbincangan dengan Dr. Rahim tentang proposal yang telah dihantarnya. Memang ada beberapa perkara yang perlu diperbetulkan. Sufi kena tambah fakta dan bukti-bukti sahih yang mampu menyokong fakta yang diberikan. Menurut komen Dr. Rahim, proposal Sufi agak longgar dan mereka perlu berbincang untuk memantapkan lagi proposal tersebut. Perjumpaan dengan Dr. Rahim mengambil masa hampir tiga jam. Sesudah perbincangan selesai, Sufi terus ke kafe fakulti untuk membasahkan tekak kerana santak tengahari itu dia belum menjamah apa-apa untuk mengalas perutnya.

            Sufi sempat menelefon ke rumah Kak Eisya untuk bertanya khabar tentang Yafits. Kata Kak Eisya, anaknya baru saja tidur setelah sepagi mengadap buku. Sufi tersenyum. Senang hatinya mendengar Yafits tidak buat perangai meski ditinggalkan di rumah Kak Eisya. Lagipun Yafits sendiri seronok di situ, bermain-main dengan anak Kak Eisya yang kini berusia dua tahun. Sesudah membasahkan tekak, Sufi bercadang mengambil angin sekitar UPM. Kampus yang kini mula menunjukkan perubahan setelah bertahun-tahun dia menamatkan pengajian peringkat bacelornya. Kini Sufi sedang berusaha mengejar MA setelah bertahun-tahun membuang masa di kampung. Tentu saja dalam tempoh itu telah banyak perubahan di Uniputra.

            Sufi menyusuri lorong pejalan kaki dari fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi ke KMR. Sambil kakinya melangkah, benaknya ligat mengenangkan kenangan-kenangan yang pernah dilewatinya bersama teman-teman sekampus. Dia yakin mereka semua kini sudah pun berumahtangga dan mempunyai kerjaya sendiri. Setahu Sufi hanya dia dan Ana yang gagal mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya. Setti, Ina, Kak Ida, Kak Ilah,  Pak Ya dan ramai lagi dengarnya sudah bekerja. Ina kerja di Penerbitan Pelangi. Kak Ida, Kak Ilah dan Setti jadi guru. Pak Ya kerja di DBP. Bahagian apa tidak pula Sufi ketahui kerana dia dan Pak Ya telah terputus hubungan sejak Sufi pulang ke kampung.

            Mengenangkan ramai rakan-rakan yang kini sudah mula mengecapi hasil penat lelah mereka selama ini Sufi jadi terkilan juga dengan nasib dirinya. Apa kurangnya dia berbanding kawan-kawannya itu? Resultnya dulu boleh dikira baik juga. Sufi benar-benar terkilan. Namun sekiranya disuarakan perkara itu kepada suaminya, suaminya mengatakan mungkin punca rezeki mereka yang sebenar belum datang lagi dan belum tiba masanya.  Dinie selalu berikhtiar untuk menenangkannya.

            Tapi Sufi hanya manusia biasa. Cita-cita dan harapannya selama ini begitu menggunung tinggi. Dia bukan mahu berada di tahap itu. Jika boleh dia ingin pergi lebih jauh lagi. Apakan daya untung nasibnya bukan di tangannya dan dia hanya boleh berusaha sahaja. Selebihnya dia hanya mampu berserah kepada Allah yang maha kuasa.

            Puas melilau sekitar tempat yang sebelum ini pernah memberi kenangan kepadanya, Sufi ke perhentian teksi. Mengambil teksi untuk pulang ke rumah Kak Eisya. Besok dia akan datang lagi. Masih perlu berbincang dengan Dr. Rahim selepas dia membetulkan proposalnya. Jenuh juga dia menunggu teksi. Hanya ketika jam menunjukkan ke angka tiga petang barulah sebuah teksi menderu di depan matanya. Pantas tangannya menahan teksi tersebut. Di dalam perjalanan ke stesen komuter telefon genggamnya berdering. Yafits rupanya yang menelefon, bertanya jam berapa dia akan tiba di rumah.

            Tiba di stesen komuter, nampaknya orang tidak  terlalu ramai. Sufi mengambil tempat di sebuah bangku yang agak jauh daripada orang lain. Cuba menghantar mesej meluahkan rindunya kepada Dinie yang sekarang mungkin berada di Penang. Itu memang sudah menjadi lumrah buat mereka berdua setiap kali berjauhan. Jika tidak menelefon, paling kurang akan berbalas mesej. Bagaimanapun mereka lebih kerap menelefon kerana lebih mendatangkan kepuasan kerana boleh mendengar suara. Sejak dulu Sufi memang lebih suka berbual daripada menghantar mesej.

            Sufi teringat zaman-zaman remajanya, telefonlah yang menghubungkan dia dengan Danish. Kemudian telefon juga yang menghubungkan dia dengan Hardi. Tanpa bertemu muka seperti pasangan lain, hubungan yang terjalin menemui kehancuran. Juga melalui telefon. Itu kenangan zaman remajanya. Kini hidupnya hanya bersama Dinie. Tiada sesiapa lagi yang diingatinya melainkan Dinie seorang. Memang sesekali  pernah terlintas di benaknya kenangan yang pernah dilewatinya bersama Danish mahupun Hardi. Tapi ia cuma sepintas lalu, lebih-lebih lagi kenangan bersama Danish memandangkan Dinie sendiri sering menyebut-nyebut tentang perkara itu.

            Sedikit sebanyak kenangan itu pasti akan terimbau dalam benaknya. Dia akan ingat balik segala rasa tidak puas hati diperlakukan Danish semata-mata kerana Danish mahu menjaga kepentingannya ketika itu. Ah, Danish. Memang kalau bercakap pasal luka,  Danishlah yang sebenar-benarnya membuat luka paling dalam di hati Sufi. Bukan Hardi. Kalau dikenangkan santak hari itupun Sufi masih belum puas hati dan masih tertanya-tanya kenapa Danish sanggup memperlakukannya demikian. Dia ingin bertanya, tapi pada siapa?

            “Assalamualaikum.” Suara lelaki memberi salam.

            Sufi mendongak. Ingin memastikan siapa yang memberi salam kepadanya. Mungkin pemuda yang menjaja barang-barang secara langsung. Sebaik matanya bertembung dengan si lelaki yang memberi salam, darahnya tersiarap naik ke muka. Dia menelan ludahnya. Memerhati sekeliling. Mahu memastikan kedudukan sebenarnya. Mana tahu dia sudah berada di alam lain. Mungkin juga lelaki di depannya hanya suatu halusinasi. Keadaan sekeliling masih sama. Dia memang di alam nyata.

            “Boleh aku duduk?” Soalnya.

            Sufi teragak-agak. Memandang ke kerusi di sebelahnya yang hanya terletak kurang dari setengah meter. Sufi masih tidak percaya. Tidak mungkin lelaki itu keluar dari fikirannya. Menjelma di situ sebagai suatu bentuk mutlak dan bukan lagi bayangan maya yang tadi berlegar dalam fikirannya. Sufi menelan ludahnya. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak percaya dengan pertemuan itu. Suatu kebetulan atau memang sudah direncanakan. Tetapi siapa yang merencanakannya? Kalau suatu kebetulan, mengapa Allah temukan kembali Sufi dengannya?

            Melihatkan Sufi terpinga-pinga, Danish melabuhkan punggungnya ke kerusi di sebelah Sufi. Sufi berginjak sedikit. Biar menjarakkan lagi mereka berdua. Dia tidak mahu timbul fitnah pula nanti. Hatinya masih tidak keruan. Dadanya bergetar. Dia sendiri tidak menyangka akan mengalami getaran seperti itu sekiranya bertemu dengan Danish kembali.

            “Kau banyak berubah Pi,” komen Danish.

            Sufi tidak ingin bersuara. Dalam hatinya berdoa agar komuter yang menghala ke Rawang akan cepat tiba. Dia tidak sanggup berlama-lama di situ memandangkan hatinya terasa ingin pecah dengan kehadiran Danish yang tidak diduga.

            “Sufi aku dah matang. Jauh dengan apa yang aku bayangkan selama ini. Dengan jubah dan tudung labuh hingga ke punggung. Dengan wajah tenang dan keibuan. Aku bayangkan Sufi aku masih keanak-anakan. Childish.”

            Kata-kata Danish itu membuatkan Sufi membuang pandang ke arahnya. Frasa ‘Sufi aku’ meragukannya. Kenapa Danish perlu memilih diksi sebegitu untuk menerangkan dirinya? Danish juga memandang ke arahnya. Retina mereka saling bertatapan. Jantung Sufi ingin pecah. Itulah pertemuan mereka sejak Danish meninggalkannya untuk melanjutkan pelajaran ke Skudai. Kali terakhir mereka bertemu ketika Danish masih membuat persedian di KYPM Kulim. Itupun secara kebetulan Sufi singgah beraya di rumahnya dalam perjalanan ke rumah Hasmah dibawa Hamidah.

            Sufi juga dapat melihat perubahan pada diri Danish. Dia nampak lebih segak sekarang. Mungkin Danish sudah mempunyai kerja tetap. Menurut cerita Helmi dulu Danish sudah bekerja sebagai jurutera di kilang cat. Tapi di Johor. Bagaimana pula Danish boleh berada di Selangor? Di stesen komuter Serdang pula tu. Bagaikan ia sengaja diatur-rancang begitu.

            “Sufi, kau bagaimana sekarang?” Soal Danish. Mahu menghidupkan suasana yang nampak bisu.

            Sufi nampaknya tidak berminat untuk menjawab. Dia menghalakan pandangannya ke depan. Berdoa agar komuter cepat tiba.

            “Sufi, daripada raut wajah kau, aku tahu kau marahkan aku.”

            Marah? Memang aku marahkan kau Danish. Kau memperalatkan aku untuk menjaga kepentingan kau selama ini. Kau tidak menghargai aku sebagai sahabat kau selama ini. Aku bukan setakat marah Danish, tapi juga kesal dan terkilan. Namun semuanya hanya bersiponggang di dalam hatinya. Di bibirnya langsung tidak terpantul sebarang suara.

            Hatinya mengucapkan syukur sebaik mendengar pengumuman akan ketibaan komuter menghala ke Rawang. Sufi bangun untuk meninjau komuter. Dari jauh komuter sudah boleh kelihatan. Cahaya lampunya kelihatan agak memancar. Sufi tidak kembali ke kerusinya tadi. Sebaliknya tercegat di platform. Danish memerhatinya dari tempat duduk.

            Sufi. Dulu nama itu sering bergetar dalam pembuluh darahnya. Nama itu juga sering berlegar di sekitarnya. Seiring dengan setiap nafas yang diambilnya. Sedetikpun ingatannya terhadap Sufi tidak pernah padam selama ini. Kenangan bersama Sufi mengiringi setiap langkah Danish santak dia tidak mampu menerima kehadiran cinta lain selain cinta Sufi. Dia menjunjung cinta Sufi seusia dirinya.

            Kini Sufi sedang berdiri di depan matanya. Kalau boleh dia ingin meluahkan rasa hatinya. Namun dia pendamkan dahulu. Bukan dia ingin main tarik-tarik seperti zaman remaja dahulu, sebaliknya mahu membuka ruang kepada kesabaran. Mendekati sufi secara perlahan-lahan. Bimbang Sufi terkejut dengan kemunculannya kembali secara mendadak. Dia mahu Sufi menerima kehadirannya perlahan-lahan.

            Dia kini sudah bertemu kembali dengan Sufi. Dia yakin akan ada pertemuan lagi antara mereka selepas ini. Pencarian jejak Sufi nampaknya kini membuahkan hasil. Untuk hari itu dia biarkan sahaja Sufi berlalu. Dan Sufi kini sudah dibawa jauh oleh komuter. Meninggalkan Danish yang masih termenung di kerusi.

            Sementara itu, Sufi di dalam perjalanan ke Rawang mula termenung panjang. Dia hairan dan tidak dapat memikirkan  kewajaran Allah mentakdirkan semula pertemuan itu. Dia selama ini sentiasa berdoa agar pertemuan seperti itu tidak berlaku. Jika berlakupun pertemuan antara mereka, biarlah kala Dinie ada bersama. Biar Danish lihat betapa mesranya Sufi bersama Dinie.

            “Sufi aku dah matang. Jauh dengan apa yang aku bayangkan selama ini. Dengan jubah dan tudung labuh hingga ke punggung. Dengan wajah tenang dan keibuan. Aku bayangkan Sufi aku masih keanak-anakan. Childish.”

            Bergema kembali suara Danish dalam benak Sufi menenggelamkan bunyi enjin komuter yang sedang bergerak laju. Kenapa Danish harus menggunakan frasa ‘Sufi aku’? Mengapa menyatakan jauh dengan apa yang dibayangkannya? Adakah selama ini Danish sering membayangkannya? Mengapa pula Danish harus berkeadaan begitu? Membayangkannya? Daripada Danish membayangkannya lebih baik Danish membayangkan wajah buah hatinya atau paling tidak wajah Siti Nurhaliza yang selama ini menjadi pujaannya.

            ‘Sufi aku’. ‘Sufi aku’ membawa maksud Sufi  dianggap Danish miliknya. Sedangkan Sufi bukanlah miliknya. Sufi bukan milik Danish dan tidak mungkin akan menjadi miliknya sampai bila-bilapun! Dan kerana pertemuan itu hati Sufi menjadi tidak tenang hingga dia tiba ke destinasinya. Sufi merasakan bayangan Danish menghambat dirinya menyebabkan dia menjadi tidak lugu dengan keadaan itu. Sufi geram dan marah dengan pertemuan yang langsung tidak diangan-angankannya. Geram. Sufi betul-betul geram. Namun pada siapa dia harus melampiaskan rasa geramnya itu?

            Lalu Sufi terpaksa akur. Dia pulang ke rumah Kak Eisya dengan hati berbulu. Kepulangannya disambut Yafits di muka pintu dengan  senyuman sambil memeluk anak Kak Eisya, Nadim. Sufi menghadiahkan ciuman ke pipi Yafits. Kemudian beralih ke wajah Nadim.

            “Kenapa lewat pulang?” Soal Kak Eisya sambil meletakkan dulang minuman ke meja.

            Petang itu nampaknya dia menyediakan bubur pulut hitam untuk dijadikan juadah petang. Sufi memang gemarkan bubur pulut hitam, dimakan bersama santan yang dimasak.

            “Sufi sengaja jalan-jalan sekitar kampus tadi. Sengaja mahu menghidupkan nostalgia lama dengan melawat tempat-tempat nostalgik.”

            “Hah, baguslah tu. Kurang-kurang terkenang balik kisah dengan pak we lama, kan Pi?” Usik Kak Eisya.

            Memang niatnya untuk mengusik sahaja, namun termakan di hati Sufi. Hatinya jadi gegau dan harau. Tidak tahu bagaimana untuk dia meletakkan kewarasannya pada saat dia resah memikirkan pertemuan dengan Danish tadi.

            “Pergilah naik mandi dulu. Solat, kemudian boleh turun makan dengan abang kau. Kejap lagi dia akan pulang dari officenya,” beritahu Kak Eisya sambil mengatur mangkuk dan sudu di atas meja.

            Sufi mengangguk. Kemudian memanggil Yafits yang sedang bermain dengan Nadim untuk mengajaknya mandi sama. Yafits pun nampaknya tidak terurus, mungkin baru bangun dari tidur.

            Sufi membiarkan air pancuran membasahi tubuhnya semasa mandi. Yafits pula asyik dengan buih-buih shower gel yang sedang memenuhi tubuhnya. Sesekali kedengaran ketawa Yafits memenuhi ruang bilik mandi yang sederhana luasnya. Sufi tenggelam dalam kenangan di stesen komuter tadi. Diganti dengan bayang wajah Dinie yang tampak keletihan setiap kali pulang dari bekerja pada hujung minggu.

            Membayangkan wajah Dinie yang selama ini bersusah payah mencari rezeki malam siang untuk menyarasuap mereka sekeluarga membuatkan hati Sufi sebak dan airmatanya menitis berbaur dengan pancuran air mandinya. Sungguh, dia tidak sanggup untuk berlaku curang terhadap Dinie. Lelaki seperti Dinie yang memberinya kasih sayang menggunung tidak wajar dikecewakan dengan mudah. Dia akan merasa berdosa yang amat sangat terhadap Dinie sekiranya melibatkan diri dalam perkara-perkara yang memungkinkan hati Dinie terguris. Dan Danish merupakan antara perkara yang boleh membawa penyakit kepada hubungan mereka dan melukakan hati Dinie.

            Abang, Sufi sama sekali tidak akan terpedaya kepada sebarang bentuk godaan di sekeliling Sufi. Cinta Sufi hanya satu, abang telah memiliki cinta Sufi yang satu itu. Sufi seperti mengingatkan dirinya sendiri. Namun benarkah begitu? Adakah Sufi tidak menipu hatinya sendiri? Benarkah Danish telah lama luput dalam ingatannya? Kalau Danish sudah benar-benar luput dari ingatannya mengapa dia harus gegau seperti itu dengan pertemuan tadi? Sekiranya pertemuan tadi antara dirinya dengan Hardi, kemungkinan ketenangan Sufi langsung tidak akan terjejas dan menganggap itu suatu kebetulan yang tidak harus difikirkan, sungguhpun demikian apabila ia berlaku antara dia dan Danish, hatinya tidak dapat tidak memang akan menjadi begitu gegau.

            Gegau kerana kemunculan Danish di depannya seperti itu memang mampu untuk mengundang nostalgia lama. Memutar masa silam agar kembali menjadi suatu jukstaposisi. Diulang babak demi babak sehingga memungkinkan Sufi mengenangkan kembali detik-detik manis-pahit bersama Danish. Detik hatinya dihancurkan. Detik hatinya terkilan dengan sikap Danish. Pun tidak terkecuali detik-detik suka-tawa mereka berdua. Saat-saat yang menyimpulkan kemesraan antara mereka sepanjang berhubungan.

            Lantas, kerana itukah Danish menggunakan frasa ‘Sufi aku’ untuk menyatakan dirinya? Tidak. Tidak. Danish tidak boleh mengistilahkannya sebegitu kerana dirinya hanya dimiliki Dinie sepenuhnya. Dia mahu Danish menarik balik kata-katanya itu. Demikianpun, bagaimana mungkin dia mahu menyatakan perkara itu kepada Danish memandangkan selepas ini mungkin tiada lagi pertemuan yang menyusuri pertemuan tadi. Pertemuan tadi hanya suatu kebetulan pada Sufi. Kebetulan biasanya tidak akan berlaku acap kali.

            Sufi menelan ludah yang terasa perit untuk ditelan. Dia menyudahkan mandiannya. Apabila dia membuka matanya kelihatan Yafits tercegat sambil menggigil. Yafits ternyata sedang memerhatikannya dengan penuh kesejukan.

            “Eh, Yafits dah siap mandi sayang?” Soal Sufi.

            “Dah, sejuk mak. Mak mandi lama sangat. Yafits berkali-kali panggil mak nak tuala, tapi mak tak hirau,” kata Yafits dengan suara terketar-ketar.

            Sufi terasa bersalah. Pantas dia mencapai tuala yang tersangkut di penyidai. Membalut tubuh Yafits kemudian dia sendiri memeluk Yafits untuk menghangatkan tubuh anaknya. Dia teringat semasa usia setahun dua dahulu, Yafits sering menerkam untuk berada dalam pelukannya selesai saja mandi untuk menghilangkan kesejukan. Kini Sufi sendiri yang sengaja melakukan demikian untuk menyatakan rasa sayangnya. Ke mana dia tadi hingga langsung tidak mendengar suara Yafits meminta tuala?

            Yafits. Itu permata hatinya bersama Dinie. Permata hati yang mengikat dan menguatkan kasih sayang antara mereka. Melukakan hati Dinie dengan perkara yang bukan-bukan sama juga dengan melukakan hati Yafits. Dan Sufi tidak mahu anak sekecil itu merasa terluka.

            “Itu Sufi dan Yafits dah turun.” Kedengaran suara Kak Eisya dari bawah semasa Sufi mendukung Yafits menyusuri anak tangga.

            “Eh, abang dah pulang?” Soal Sufi kepada suami Kak Eisya yang sedang menghirup minuman.

            “Dah. Mari makan sama.” Pelawa abang iparnya. Dia membuka ruang untuk membolehkan Sufi dan Yafits menyaingi mereka.

            Sufi duduk. Dia meletakkan Yafits di sebelahnya lalu digapainya mangkuk dan sudu. Bubur pulut hitam di dalam mangkuk besar dicedok dengan berhati-hati. Bimbang meleleh. Kemudian menyuap bubur dengan cermat ke mulut Yafits. Takut tumpah ke baju Yafits yang baru dipakai.

            “Lama betul kau mandi Pi, dah dua tiga kali Dinie telefon nak bercakap dengan kau,” kata Kak Eisya sambil melipat kain yang baru diangkat dari jemuran.

            Sufi mengerutkan keningnya. Dinie ada menelefonnya? Mungkin Dinie rindu tu. Tadi Sufi hantar mesej semasa di stesen komuter. Dinie belum membalasnya. Mungkin Dinie terus telefon untuk menyatakan rindunya.

            “Dinie telefon? Kenapa Kak Eisya tak panggil Sufi?”

            “Aku ada panggil, kau tak dengar tadi. Lagipun dia telefon nombor rumah ni, kasihan nak buat dia tunggu lama-lama. Aku cakap Pi sedang mandi.”

            Sufi terpinga-pinga. Begitu sekali ingatannya melayang mengingati pertemuannya dengan Danish sehingga Kak Eisya memanggilnya pun langsung tidak didengari. Sama dengan kes Yafits meminta tuala, langsung tidak disedarinya. Kasihan Dinie. Sufi sekali lagi merasa bersalah terhadap suaminya.

            “Kenapa dia tak call handset Sufi?”

            “Katanya dah cuba call, tak berjawab. Itu yang buat dia call nombor rumah ni,” terang Kak Eisya.

            “Elok Sufi telefon dia balik. Mana tahu ada perkara penting dia nak cakap,” celah Abang Nordin, suami Kak Eisya.

            “Memang tadi pun Sufi dah bercadang nak telefon dia lepas makan bubur ni,” balas Sufi sambil mengelap mulut Yafits yang sedikit comot.

            “Kalau mak telefon ayah, nanti Yafits pun nak cakap juga dengan dia,” Yafits menyampuk dengan mulutnya penuh dengan bubur.

            Sufi tersenyum kepadanya. Kemudian sesudah menikmati makan petang Sufi naik ke atas untuk membuat panggilan dengan menggunakan telefon genggamnya. Lebih privacy. Lagipun dia dan Dinie memang sering mengucapkan kata-kata romantik setiap kali berbual. Itu yang membuatkan Sufi segan untuk berbual-bual dengan suaminya di depan Kak Eisya dan Abang Nordin.

            Sufi kekagetan mendapati telefon genggamnya tiada di dalam beg yang dibawa ke UPM tadi. Dia mula resah. Segala isi beg dicurahkan. Namun hampa. Telefon genggamnya memang sudah hilang.

            “Yafits ada nampak telefon mak?”

            Yafits menggeleng cuma.

            “Dah tercicir kah?” Sufi menyoal dirinya sendiri. Dia cuba mengingati kembali kali terakhir dia menggunakan telefon genggam itu.

            Seingatnya selepas menghantar mesej kepada Dinie, dia meriba telefon genggamnya untuk menunggu balasan daripada Dinie. Ketika itulah Danish datang menyapa. Dia cuba mengingati kalau-kalau dia tercicirkan telefon genggam itu semasa bangun untuk meninjau kedatangan komuter. Begitupun imbasan data memorinya tidak menunjukkan sebarang ingatan tentang telefonnya yang tercicir dari ribaannya. Sufi menelan ludahnya. Nyata telefon genggamnya sudah hilang. Mungkin diambil penyeluk saku semasa dia buru-buru menaiki komuter tadi.

            Sufi mendengus. Sudah bukan rezekinya. Kalau dia kesal dengan kecuaiannya sekalipun tidak akan membawa makna apa-apa. Lalu dia terpaksa turun ke bawah. Meminta kebenaran daripada Kak Eisya untuk menggunakan telefon rumahnya. Mujur juga ketika itu Abang Nordin sudah naik ke bilik untuk membersihkan badannya.

            “Patutlah tadi ketika abang call yang, tak berjawab. Kemudian telefon tak aktif. Abang ingat tak de bateri,” kata Dinie sebaik Sufi mengkhabarkan tentang perkara itu.

            “Mungkin handset tu kat tangan pickpocket sekarang, sebab tu dia tak mahu jawab, penyeluk saku memang tak akan jawab panggilan kita. Kalau dia jawab pun dia akan ejek kita.”

            “Yang cuai sangat.”

            “Kat sini kalau tak cuai pun boleh terkena bang...”

            “Hah, yalah tu.”

            Sufi tahu Dinie agak kesal dengan sikapnya yang sedikit cuai. Begitupun Sufi sudah tidak boleh nak buat apa. Selama ini dia memang tidak pernah terkena seperti itu. Beg yang dibawanya sentiasa dipegang dengan berhati-hati. Mujur juga hanya telefon genggam yang diambil, kalau dengan beg duitnya sekali lagi haru. Semua dokumen penting ada dalam beg  itu selain wang ringgit dan tiket keretapi untuk pulang ke Tanah Merah lusa.

            Kalaulah beg itu turut diambil, Sufi tentu tidak tahu bagaimana nasibnya anak-beranak nanti. Mahu atau tidak terpaksa meraih simpati Kak Eisya meminjamkan dia sejumlah wang buat tambang balik dan sedikit duit poket. Mujurlah hanya telefon genggam saja yang tiada. Syukur pada Tuhan!