BAB EMPAT
“Kalau
sampai kat rumah nanti, yang buat biasa dengan ibu ya,” pinta Dinie sambil
memandu kereta. Petang tadi dia ke rumah Kak Lila dengan menaiki teksi.
Sufi diam memuncungkan wajahnya.
Tangannya mengusap-usap kepala Yafits yang terlena di ribaannya. Mungkin
kepenatan kerana seronok bermain di rumah Kak Lila yang mempunyai ruang
rehat agak luas.
“Yang. Yang dengar apa abang cakap
ni?” Soal Dinie apabila tiada suara kedengaran dari mulut Sufi.
“Dengar...” balas Sufi perlahan.
“Yang buat untuk abang boleh? Yang
sayang abang kan?” Dinie memujuk sambil tangannya menggapai tangan Sufi lalu
dikucupnya dengan penuh kasih sayang.
Kata orang jika suami mengucup pada
tangan si isteri, maknanya dia terlalu menyangjungi isterinya. Sufi memandang
ke wajah suaminya. Terpancar kasih sayang di situ semasa pandangan mereka
saling bertembung. Dada Sufi gementar melihat pancaran kasih sayang itu. Masih
gementar yang sama seperti semasa awal
percintaan dahulu.
“Sufi cintakan abang.” Giliran Sufi
pula mengucup tangan suaminya.
Pegangan tangan antara mereka terlerai ketika Dinie
menukar gear kereta dan kembali bertaut semasa gear dilepaskan. Nyatanya
kemesraan hubungan mereka masih seperti awal perkahwinan meski kadang-kala
timbul sengketa dan selisih faham. Kebahagiaan yang diberikan Dinie membuatkan
Sufi langsung terlupa tentang Danish yang selama ini menghambat lenanya.
Kenangan tentang Danish hanya sesekali menerjah. Itupun jika Dinie yang
mengungkitkannya. Pada Sufi, hidupnya kini benar-benar untuk Dinie. Diserahkan
untung nasibnya bulat-bulat kepada Dinie. Sufi tidak mahu mensia-siakan kasih
sayang Dinie sebab itulah dia sanggup mengikut apa saja kata Dinie selama ini.
“Yang, lain
kali jangan buat macam ni ya. Ibu tu bukan akal panjang sangat. Orang tua. Tahu
ikut perasaan saja. Kita orang muda ni biarlah cerdik sikit.”
“Bang,
perempuan kalau pasal hati dan perasaan memang cepat jadi bodoh. Tambah orang
macam Sufi. Bukan abang tak tahu perangai Sufi.”
“Sebab
abang tau lah abang selalu minta yang sabar. Kita selalu bertengkar sebab orang
tua. Kita sebenarnya boleh hidup aman damai kalau yang sabar dengan orang tua.”
“Alah, Sufi
aje kena sabar. Sufi aje kena faham abang. Abang tak pernah nak fikir soal hati
dan perasaan Sufi. Sufi nak keluar dari rumah orang tua abang, tapi sampai kini
abang tak pernah tunaikan permintaan Sufi.”
“Yang kena
faham masalah abang.”
“Itu yang
Sufi cakap tadi. Sufi saja yang kena faham. Bosan tau.” Sufi kembali
memuncungkan wajahnya.
“Tu, muka
tu. Dah mula tarik muka masam tu. Yang tahu kan abang tak suka tengok yang
tarik muka masam.”
“Dah Sufi
tengah sakit hati. Macam mana nak senyum bang?”
“Demi
abang, tolong senyum yang.” Dinie meraih rapat kepala Sufi kepadanya. Kemudian
diciumnya pipi Sufi penuh kasih sayang. “Abang cintakan Sufi.”
Sufi
bahagia mendengar ucapan itu. Alangkah beruntungnya dia jika kasih sayang itu
akan berpanjangan hingga ke detik nafas yang terakhir.
Mereka tiba
di rumah. Mak Piah nampaknya sedia menunggu di muka pintu dengan muka manis.
Sufi langsung tidak memandang ke wajahnya. Biar dia menyapa Sufi dulu. Biarlah.
Sufi tidak mahu beralah kali ini. Dia sudah lama bersabar. Kali ini biar dia
pula tunjuk hantu dalam dirinya. Biar Mak Piah gerun. Biar padan muka Mak Piah.
“Tidur kah
Yafits tu?” Soal Mak Piah. Nampaknya cuba untuk berbasa-basi dengan Sufi. Dia
bukan tidak nampak Sufi memangku Yafits. Saja meramahkan dirilah tu.
“Emh.” Sufi
seperti acuh tak acuh.
Dia pantas
meluru ke bilik untuk menidurkan Yafits di situ. Kemudian dia menyalin pakaian.
Dinie muncul dengan beg pakaian Sufi sepanjang Sufi di rumah Kak Lila. Dia
memeluk Sufi yang tidak berbaju dan hanya mengenakan bra. Mencium belakang
Sufi. Sufi kegelian tapi dibiarkan saja suaminya mahu bermanja dengannya.
“Abang
rindukan yang. Malam tadi abang tak dapat tidur sebab terkenangkan yang. Sampai
hati yang tinggalkan abang seorang diri,” ucap Dinie perlahan kemudian kembali
mencicipi belakang Sufi.
Sufi
menggeliat kegelian. Dia cuba untuk menjarakkan dirinya daripada Dinie kerana
tidak tahan menanggung geli.
“Betulkah
abang tak dapat tidur sebab terkenangkan Sufi? Ntah-ntah abang tidur nyenyak
sampai meleleh air liur basi. Macam selalu tu.” Sufi berjenaka sambil masih
cuba untuk menjarakkan dirinya.
Dinie tetap
mengemaskan rangkulannya. Kali ini mula membalikkan tubuh Sufi. Mereka kini
dalam keadaan setentang. Dinie memandang ke dalam anak mata Sufi. Sufi turut
membalasnya. Dia tahu suaminya sedang cuba melampiaskan rindunya setelah
berhari-hari tidak bermanja dengan Sufi. Dinie memang sering begitu jika tidak
bekerja. Jarang mereka berenggang. Asyik melekat tidak kira masa dan tempat
sehingga Mak Piah pun naik meluat. Malah kalau Dasimah dan Dahlia datang pun
Dinie tidak akan mempedulikan mereka. Dia tetap menunjukkan kemesraannya
terhadap Sufi.
Kalau dia
terasa ingin memeluk, dia akan peluk. Kalau terasa ingin mendukung Sufi dia juga akan berbuat demikian. Malah
kalau terasa ingin dikucup Sufi pun dia tetap juga berbuat demikian meskipun di
depan saudara-maranya. Dinie bukan jenis
yang kisah dengan semua itu. Janji dia bahagia dengan Sufi.
“Yang tahu
kan, abang bukan suka kalau pulang aje ke rumah yang tak ada. Tak seronok kalau
bukan yang bukakan pintu untuk abang di malam hari. Kalau boleh abang nak yang
tercegat di muka pintu setiap kali abang pulang. Nak yang sambut abang dengan
kucupan. Hilang penat kalau lihat isteri tersayang menyambut di muka pintu.”
Dinie memberitahu sambil memandang ke dalam mata isterinya dengan penuh kasih.
Sufi
mengetap bibir. Timbul rasa bersalah dalam dirinya kerana meninggalkan rumah
sehingga menyebabkan Dinie ketinggalan detik-detik itu. Dia sendiri pun jika
boleh tidak mahu membiarkan suaminya pulang tanpa disambut olehnya. Dia juga
telah ketinggalan satu kucupan Dinie semalam.
“Maafkan
Sufi bang.” Sufi memeluk suaminya erat-erat kemudian mendongak seketika untuk
menghadiahkan sebuah kucupan di pipi suaminya.
“Abang suka
sakat Sufi.” Sufi mencubit lengan Dinie.
“Yang tak
sayang abangkah?” Dinie pura-pura merajuk sambil menggosok tempat yang dicubit.
“Sakit
bang?” Tanya Sufi sambil menarik tangan Dinie. Dia mengusap tempat cubitannya
singgah tadi. Kemudian mengucup sayang di situ.
Sufi
bahagia. Benar-benar bahagia dengan kasih sayang yang diberikan Dinie. Dia
merasa terlalu beruntung hidupnya di samping Dinie meskipun suaminya tidak
mempunyai pendapatan tetap dan gaji hanya cukup makan. Bagi Sufi kebahagiaan
bukan dinilai melalui metarial. Dia menerima Dinie seadanya sebagaimana Dinie
menerima Sufi seadanya.
“Yang buat
apa?” Soal Dinie sesudah mandi tengahari itu sebaik melihat isterinya tekun
mengadap komputer.
“Sufi tulis artikel. Saja, cuba
menulis untuk dihantar kat majalah. Mana tahu diterima. Boleh juga sesen dua.”
“Bagus juga yang. Daripada duduk
buang masa kat rumah. Baik menulis.” Dinie berkata sambil memandang ke skrin
komputer. Dia sempat mengurut-urut perlahan bahu isterinya. Sekadar menunjukkan
rasa sayangnya.
“Artikel pasal apa yang?” Soal Dinie
apabila tidak begitu memahami perkara yang dibacanya di skrin.
“Tasawwuf. Orang putih cakap self-awareness.”
“Ni sudah bagus. Kira nak
berdakwahlah isteri abang ni?”
“Belum sampai tahap tu bang. Lagipun
Sufi bukan tahu banyak pasal ilmu ni. Sufi sendiri tengah belajar. Saja Sufi
tulis ni nak cuba bakat, kot-kot ada bakat terpendam jadi penulis. Lagipun
pernah belajar dulu.”
“Abang doakan yang berjaya. Yang
teruskan, abang nak solat Zohor dulu. Yang dah solat?”
“Dah.”
“Eh, anak kesayangan kita mana?”
Dinie tiba-tiba teringatkan anak mereka.
“Apa lagi? Tengahari begini
tidurlah.”
“Yalah, Dah yang tak mahu kasi dia
adik. Kalau ada adik tentu dia tak sunyi sangat. Tentu time macam ni dia tengah main dengan adik.”
Sufi melayukan matanya. “Bang, Sufi
nak kerja dulu baru fikir tambah baby.”
Dinie mencebikkan bibirnya. Kemudian
berlalu ke bilik untuk solat Zohor. Sufi meneruskan kerjanya. Artikel mengenai
perbezaan ajaran Hamzah Fansuri dengan Nuruddin Ar-Raniri akan cuba dihantar ke
majalah Al-Islam. Hamzah Fansuri
dengan fahaman tasawwuf Wujudiyyahnya
banyak ditentang oleh Nuruddin Ar-Raniri semasa era penyebaran Islam ke Acheh
suatu masa dahulu. Selain menulis artikel untuk dijadikan sumber pendapatan
tambahan, Sufi sekurang-kurangnya mahu mengumpul ‘modal’ untuk menyambung
pelajaran di peringkat sarjana. Dia tetap berkeinginan untuk menyambung
pengajian dan mahu membuat tesis dalam bidang Kesusasteraan Islam sekiranya ada
rezeki kelak.
Sekarang Sufi sibuk membuat kajian.
Semasa membuat kajian itulah timbul niat untuk mencuba bakat dalam bidang penulisan. Lagipun dia
pernah mempelajari teknik menulis semasa berada di universiti suatu masa
dahulu. Sebagai seseorang yang bercita-cita tinggi keinginan untuk menyambung
pelajaran tidak pernah padam. Malah di rumah pun Sufi tetap sentiasa menambah
ilmu sedia ada dengan membaca. Cuma kini bahan bacaannya lebih bersifat
keagamaan. Dia nampaknya kini sudah beralih kepada sesuatu yang bersifat
holistik. Suatu perkembangan baik pada diri Sufi.
Sufi
teringat arwah ayahnya dulu. Semasa hidupnya arwah juga seseorang yang cukup
berminat untuk mendalami ilmu agama dan tasawwuf. Baginya dalam mendalami ilmu
agama tidak cukup setakat mengetahui hal fekah dan tauhid. Perkara-perkara
berkaitan ilmu tasawwuf juga harus diambil kira meski ada pendapat yang
mengatakan cukup sekadar tahu kejadian Allah s.w.t. Tidak perlu fikir lebih daripada itu.
Alangkah beruntungnya Sufi sekiranya arwah ayahnya masih hidup. Dengan ilmu
agama yang tinggi, tentu Sufi dapat mempelajari sesuatu daripadanya. Mengukur
fahaman tasawwuf Wujudiyyah Hamzah
Fansuri dengan fahaman Nuruddin Ar-Raniri daripada sudut pandangan arwah
ayahnya. Dia yakin arwah ayahnya tentunya tahu tentang perkara tersebut.
Mengenangkan
itu, Sufi terasa pilu kerana kehilangan sesuatu yang tidak ternilai dalam
dirinya. Sekiranya arwah ayah masih ada, tentu banyak perkara yang boleh
dipelajarinya daripada arwah ayah. Malah paling utama daripada itu semua
keadaan adik-beradiknya tentu tidak akan berpecah belah seperti sekarang. Tidak
akan berpuak-puak. Tentu juga Maria tidak akan berani melakukan kemungkaran
seperti apa yang telah dilakukannya sekarang. Demikian pun, memikirkan rahmat
di sebalik semua itu Sufi menjadi agak tenang.
“Bang, Sufi
pikir nak sambung belajar kalau ada rezeki lebih nanti. Sekurang-kurangnya
dapat lari daripada masalah kat dalam rumah ni,” beritahu Sufi kepada Dinie
semasa mereka berehat di dalam bilik. Dia merenung Dinie menunggu jawab
daripada si suami.
“Yang,
kalau semata-mata mahu lari daripada masalah abang tak mahu benarkan. Yang
sanggup berjauhan dengan abang kerana ingin puaskan hati yang sendiri?” Soal
Dinie sambil memandang ke dalam mata Sufi.
Sufi
mengetap bibirnya. Dia kemudian mengalihkan pandangan ke arah Yafits yang masih
tidur. Mungkin Yafits kepenatan setelah sepagi mengikut ayah dan ibunya keluar
jalan-jalan pagi tadi. Sufi mengusap-usap kepala Yafits. Tingkahnya
diperhatikan Dinie. Dinie menggapai tangan Sufi. Dipatah-patahkan jemari Sufi
sehingga mengeluarkan bunyi ‘kuk-kuk’. Habis tangan kiri, dipatahkan pula
jemari tangan kanan. Kemudian dia menghulurkan tangannya pula untuk Sufi
perlakukan perkara yang sama. Sufi akur.
“Abang tahu
kan, Sufi memang selama ini sentiasa menyimpan keinginan untuk melanjutkan
pelajaran hingga ke doktor falsafah. Tambah dalam keadaan susah untuk
mendapatkan pekerjaan sekarang ni.”
“Ya, abang
tahu yang. Abang telah lama sedar tentang perkara ini. Abang sedar isteri abang
mempunyai cita-cita yang tinggi. Tak macam abang.” Dinie tiba-tiba jadi
melankolik.
“Kenapa
pulak ungkitkan soal ni bang? Sufi bukan nak banding-bandingkan kita berdua.
Tak terniat. Cuma Sufi nak ingatkan abang tentang cita-cita Sufi yang masih
belum tercapai tu.”
“Abang
faham. Tapi takkan dalam hati yang tak rasa berat hati untuk meninggalkan abang
dan anak kita?”
“Sufi
memang berat hati. Tapi itu boleh diselesaikan kalau abang setuju. Sekarang ni
yang penting abang sanggup bagi Sufi
sambung belajar.”
“Katakan
abang setuju, yang nak buat macam mana untuk pastikan kita tak berenggang?”
“Sufi akan
ambil struktur B, pada peringkat sarjana ni ada tiga struktur, A, B dan C.
Kalau A kita cuma kena buat tesis. Langsung tak ada kelas, tapi untuk bidang
sastera tidak ditawarkan struktur A, hanya B dan C. Jadi kalau Sufi ambil
struktur B masa Sufi lebih banyak di rumah dan hanya ke kampus sesekali sahaja.
C pula macam masa ambil bacelor dulu. Tak kena buat tesis, hanya project paper. Langsung tak mencabar.”
Dinie diam
sejenak. Memang dia kurang arif dengan corak pembelajaran di universiti, tapi
penerangan Sufi yang panjang lebar itu rasanya dia boleh faham.
“Yang nak
buat tesis dalam bidang apa?” Soal Dinie. Nampaknya dia memang faham dengan
penerangan Sufi tadi.
“Sufi ingat
dalam bidang Kesusasteraan Islam. Tesis Sufi tentu saja berkaitan naskah-naskah
sastera yang berunsurkan keislaman,” terang Sufi sambil mengiring untuk memeluk
suaminya.
Dinie juga
mengubah posisi badan. Memandang ke wajah Sufi. Anak rambut Sufi yang bermain
di dahi dikuis-kuisnya lembut.
“Abang
takut yang akan lupakan abang kalau dah berjaya nanti. Mana tahu di sana nanti yang
jumpa balik dengan Danish, kemudian dia tackle
semula isteri abang ni, abang juga yang melepas karang.”
“Abang,
cara abang cakap ni macam Sufi ni supermodel,
ramai orang nak tackle sana-sini.”
Sufi mencubit suaminya geram.
“Mana tahu
yang. Lagipun yang kan pernah ada hubungan dengan Danish.”
“Siapa
cakap? Dulu kes accident saja. Alah bang, kalau jumpa balik dengan dia pun
tentu dia juga dah kahwin. Dah berapa tahun kami lost contact tentu masing-masing sudah punya kehidupan sendiri.”
“Katakan
Danish belum kahwin dan masih menanti yang, adakah yang akan menerimanya
kembali?” Duga Dinie masih tidak puas hati.
“Nak buat
apa? Sufi bukan pernah cintakan dia pun. Sufi sayang abang seorang saja. Abang
jangan nak jealous tak tentu pasal.”
“Bukan jealous yang, cuma mahu beringat.”
“Alah,
bukan Sufi tak kenal abang. Jealous
memanjang. Sampaikan Sufi tak boleh nak kawan dengan mana-mana lelaki. Sufi
terpaksa putuskan hubungan baik dengan ramai kawan lelaki Sufi, terutama Lan.
Malah Sufi nak pergi kenduri kahwin Syafizan dulupun abang tak izinkan kerana
abang jealous. Abang jangan lupa tu.”
“Hah,
pergilah. Pergilah kawan balik dengan dia orang tu. Kalau yang pergi cari balik
dia orang, abang pun akan pasang ramai kawan-kawan perempuan. Baru yang tahu.”
Dinie berkata sambil pura-pura merajuk. Dia membalikkan tubuhnya memandang ke
arah dinding.
“Abang...”
Sufi melembutkan suaranya. Menyentuh belakang Dinie.
Dinie buat
keras kepala walaupun dalam hatinya seakan mahu tergelak kuat-kuat juga.
Seronok juga menyakat isterinya.
“Abang. Ni
yang Sufi malas ni. Kalau tadi abang tak mulakan kes ni, tentu kita tak gaduh.”
Sufi mengendurkan suaranya. Dia mula malas memujuk.
Sufi
sebenarnya bukan pandai nak memujuk. Dia seperti juga Dinie lebih senang
membiarkan pasangan sejuk secara semulajadi. Bukan apa, kalau dipujuk, pasangan
tidak makan pujuk hati jadi panas. Perkara kecil boleh jadi besar. Sufi
kemudiannya bangun apabila tidak mendapat respon daripada Dinie. Menyedari Sufi
mula mahu meninggalkannya di dalam bilik bersama Yafits yang sedang kelenaan,
Dinie turut bangun. Menyambar pergelangan tangan Sufi membuatkan Sufi terduduk
kembali di atas katil.
Kali ini
giliran Sufi pula pura-pura merajuk. Dinie tersenyum. Tu kes mudah. Setakat
pura-pura merajuk. Dia tahu bagaimana untuk membuatkan senyum mekar kembali di
bibir Sufi. Lalu sebuah ciuman paling syahdu Dinie hadiahkan ke dahi Sufi
sebelum ciuman itu menular ke bibir Sufi.
“Abang
cintakan yang,”ucap Dinie tatkala bibir mereka kembali bercerai.
“Abang
janji jangan sebut pasal Danish lagi?” Soal Sufi sekali gus meminta Dinie
memetrai janji dengannya.
“Abang
janji. Tapi yang pun kena janji akan setia dengan abang walau setinggi mana
yang pergi, okey?”
Sufi
mengangguk. Mereka kemudiannya berpelukan penuh kasih sayang. Bagaimanapun
dalam hati kecil Dinie tetap menyimpan syak wasangka akan kemunculan Danish
kembali dalam hidup isterinya meskipun dia yakin dengan cinta Sufi terhadapnya.
Dinie sendiri tidak faham mengapa timbul naluri seperti itu dalam dirinya
meskipun dicuba halau ia jauh-jauh.
Dia juga
memikirkan hasrat Sufi untuk kembali menyambung pelajaran. Seandainya Sufi
berbuat demikian maka bermakna Sufi akan mencipta jurang yang makin besar dalam
hubungan mereka. Kehendak Sufi untuk berdikari semakin kuat dan tentunya
kemahuannya yang pelbagai macam gagal ditegah. Bukan dia tidak kenal isterinya.
Penuh dengan cita-cita dan impian. Kalaulah keinginannya untuk menjadi
seseorang yang berjaya di dalam hidupnya tercapai, tidak mustahil isterinya
boleh bertukar watak.
Jika selama
ini isterinya dilihat masih boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran kampung
dan cara hidup kampung yang Dinie amalkan, mungkin apabila semakin tinggi
kedudukannya Sufi mula berubah rupa dan mula kekok untuk bersama ‘orang
kampung’ sepertinya. Memang Sufi juga hakikatnya orang kampung. Asal daerah
yang sama dengannya. Namun kekampungan Sufi tidak sampai makan budu dengan ulam
petai dan jering jeruk. Dia makan ikan masak sweet sour. Kuih-muih dan makanan ringan dia bukan karipap atau
keropok lekor. Sufi makan curry puff
ganti karipap. Sosej ganti keropok lekor. Memang banyak bezanya antara mereka.
Itu semua hanya disedari Dinie hanya selepas berumahtangga dengan Sufi.
Dahulu
Dinie tidak pernah memikirkan tentang semua itu kerana kata orang cinta itu
buta. Hanya sekarang semuanya jelas kepada Dinie. Lidah Sufi lebih kepada
kebandaran. Lalu Dinie terheret sama dengan iklim Sufi. Mungkin Sufi sudah
biasa begitu. Dan memang pun Sufi sudah biasa begitu. Di rumah Kak Lila pun
hanya makanan begitu yang kelihatan memenuhi peti aisnya. Makanan tradisional
jangan harap. Mahu makan kuih seri muka atau kuih tradisional Kelantan seperti
‘lompat tikam’ apatah lagi.
Sungguhpun
demikian semua itu tidak menghalang mereka mencipta sebuah rumahtangga yang
bahagia. Dinie memang terlalu sayangkan Sufi dan rasanya kasih sayang itu tidak
mungkin bertukar ganti kecuali dalam keadaan diri Dinie separuh sedar. Itu di
luar pertimbangan Dinie.
BAB LIMA
Percubaan
Sufi dalam penulisan artikel berbentuk keagamaan nampaknya membuahkan hasil
apabila satu demi satu artikel yang dihantarnya disiarkan dalam majalah dan
akhbar tempatan sehingga akhirnya Sufi dipelawa menjadi penulis tamu sebuah
akhbar tabloid. Tanpa nama gah dan tersohor Sufi mampu bersaing dengan
penulis-penulis yang lain. Mungkin kerana isu yang dipaparkan dalam artikelnya
bukan semata-mata perkara fekah dan tauhid, sebaliknya lebih menjurus kepada
ilmu tasawwuf yang jarang dilakukan oleh mana-mana penulis.
Sufi juga mula mempunyai pengikutnya
yang tersendiri dalam bidang penulisan sehingga menyebabkan ada di kalangan
sesetengah peminat tulisannya meminta Sufi membukukan ilmu pengajaran yang
ditulisnya. Saranan peminatnya membuatkan Sufi meminta pandangan Dinie.
“Kalau yang rasa boleh berjaya
dengan cara itu, apa kata yang cuba?”
“Sufi tak yakinlah bang. Sufi ingat
nak sambung belajar dulu, kemudian cuba pasaran melalui tesis yang Sufi buat
untuk menyempurnakan sarjana Sufi.”
“Boleh begitu?”
“Eh, mana pulak tak boleh?
Sekurang-kurangnya kalau ia tak mampu diterbitkan sekalipun, ia tetap boleh
digunakan untuk menyempurnakan sarjana Sufi.”
“Kalau dah boleh begitu, cubalah
buat. Sambil menyelam minum air orang cakap.”
“Adakah ini bermakna abang benarkan
Sufi sambung belajar?”
“Dengan syarat jangan lupakan
abang.”
Sufi tersenyum. Dia memeluk
suaminya. “Tak, mana mungkin Sufi boleh lupakan. Kot-kot abang yang lupakan
Sufi.”
“Cuba cakap, apa kemungkinan yang
membolehkan abang lupakan yang?”
“Manalah Sufi tahu.”
“Dah, jangan cakap pasal tu lagi. Nanti
tersasar bawa bergaduh pula. Ni abang nak tanya yang, kalau jadi bila yang nak
mula sambung belajar?”
“Anytime
boleh. Sufi cuba dapatkan pandangan daripada supervisor tesis dulu, kemudian jika dia setuju dengan tajuk Sufi,
Sufi cuba hantar proposal, berjaya
kira Sufi diterimalah dan Sufi memang dah boleh mula belajar selepas itu.
Struktur B tak sama dengan C, struktur C kena tunggu kemasukan November.”
“Em, abang doakan yang berjaya.
Senang yang senang abang juga nanti.”
“Terima kasih abang. Terima kasih
sebab memahami cita-cita Sufi.” Sufi pantas memeluk suaminya dengan penuh kasih
sayang.
Dinie membalas rangkulan Sufi. Dalam
hati kecilnya berdoa agar isterinya tidak berubah. Tetap setia kepadanya walau
setinggi mana dia pergi. Sebenarnya bukan senang untuk Dinie membuat keputusan
membenarkan isterinya menyambung
pelajaran, namun dia tidak mahu suatu masa nanti perkara itu akan jadi isu
untuk mereka tekakkan. Sebelum ini Sufi pernah menyatakan sekiranya dia tidak
kahwin terlalu awal, dia mungkin kini sedang mengejar cita-citanya. Disebabkan
itu Dinie terasa perkahwinan itu telah menyebabkan Sufi terantai. Dia tidak
mahu dijadikan sebab akan kehancuran Sufi dalam mengejar cita-cita.
Beberapa
minggu kemudian tanpa ditemani Dinie, Sufi berangkat ke Kuala Lumpur bersama
Yafits. Dia ke UPM, menemui Dr. Rahim Mat Rashid. Meminta bantuan bekas supervisornya semasa mengambil bacelor
dulu agar sekali lagi menjadi penyelia tesisnya. Mungkin sudah rezeki Sufi
agaknya, perbincangannya dengan Dr. Rahim Mat Rashid membuahkan hasil yang
begitu menggembirakannya. Dr. Rahim bukan setakat sudi untuk menyelia tesisnya,
beliau juga setuju dengan tajuk yang dikemukakan Sufi. Artikel-artikel Sufi
sebelum ini banyak disiarkan di dalam akhbar dan majalah sebenarnya banyak
membantu mempengaruhi Dr. Rahim dalam membuat keputusan.
“Engkau dah kahwin ya Sufi?” Soal
Dr. Rahim yang selama ini memang lebih senang menggunakan kata ganti nama ‘aku’
dan ‘engkau’ dengan Sufi sebaik Sufi memberitahu tidak boleh lama di pejabatnya
memandangkan anaknya ditinggalkan bersama
kakaknya.
“Dah lama doktor. Anak saya sekarang
dah berusia empat tahun,” beritahu Sufi tanpa segan-segan walaupun dia masih
belum mempunyai kerja tetap bersesuaian dengan kelulusannya.
“Ya kah? Lelaki, perempuan? Apa
namanya?” Bertalu-talu pula Dr. Rahim menyoal.
“Lelaki. Yafits namanya.” Dengan
senang Sufi memberitahu nama buah hati kesayangannya.
“Yafits? Pandailah kau bagi nama
sempena nama anak Nabi Nuh ya? Kau tiru aku kah?” Dr. Rahim mengusik Sufi membuatkan
Sufi mengerutkan keningnya.
“Anak doktor nama macam tu juga?”
“Nama anak aku Ham.”
Sufi mengangguk-angguk. Kemudian dia bangun untuk meninggalkan bilik
Dr. Rahim kerana bimbangkan Yafits yang ditinggalkan di rumah Kak Eisya.
“Kau jangan lupa submit proposal as soon as possible Sufi.” Dr. Rahim sempat memberikan pesanan
sebelum Sufi melangkah keluar dari biliknya.
“Ya. Saya akan cuba doktor. Anyway thanks sebab sudi sekali lagi
menyelia tesis saya.”
“Selagi aku kat sini, selagi tu aku
sanggup tolong engkau Sufi.”
Sufi tersengih dengan kenyataan yang
diberikan Dr. Rahim. Dia percaya dengan kenyataan itu memandangkan selama ini
Dr. Rahim memang tidak banyak masalah sekiranya para pelajar mahu berurusan
dengannya. Dia memang sedia membantu bila-bila masa. Malah dulu, semasa masih
di peringkat bacelor, dia selalu bagi wang belanja untuk Sufi. Kadang-kala lima
ringgit, ada masa sepuluh ringgit. Dia anggap Sufi macam anaknya sendiri. Sufi
memang senang dengan Dr. Rahim. Faktor itu juga
membuatkan dia memilih bidang Kesusasteraan Islam untuk menyambung
pengajiannya kerana dia sudah ada fokus dalam memilih penyelia tesisnya.
Lalu bermula hari itu Sufi kembali
sibuk bergelar pelajar dan surirumah dalam satu masa. Dalam masa yang sama dia
tidak melupakan tugasnya menulis artikel dalam akhbar tabloid. Dia tidak
bercadang untuk berhenti menjadi penulis tamu dalam akhbar itu malah makin
menanam keinginan untuk menjadi penulis tetap dan mengisi kolumnya sendiri.
Maklum balas yang diterima pembaca terhadap ruangan yang ditulisnya sangat
menggalakkan. Dinie turut berbangga dengan pencapaian Sufi.
Walaupun pendapatan Sufi tidak
seberapa dengan hanya menjadi penulis tamu,
dia tetap puas kerana ilmu yang ada padanya boleh dikongsi bersama-sama.
Paling melucukan, ramai menyangkakan nama ‘Sufi’ yang digunakan olehnya sekadar
nama samaran bersesuaian dengan isi artikelnya yang lebih membicarakan ilmu
suluk. Bagaimanapun Sufi tidak berhajat untuk berterus-terang kepada peminat
yang banyak menghantar e-mel bertanyakan tentang perkara itu. Identitinya
dirahsiakan. Malah jantinanya pun tidak diketahui oleh para peminatnya.
“Kalau yang dah mulakan semua ini
sejak dulu, tentu yang sudah dapat kedudukan yang baik dalam bidang ni,” komen
Dinie semasa dia menghabiskan cuti hujung minggunya di rumah bersama Sufi.
“Dulu Sufi sendiri tak tahu banyak
sangat pasal ni. Hanya sejak akhir-akhir ni Sufi banyak dalami ilmu ini. Tapi
bang, sebenarnya banyak lagi yang Sufi tak tahu. Sufi cuma tulis soal asas dan
mudah diterima masyarakat saja. Perkara yang lebih serius Sufi belum berani nak
nyatakan, takut tak terjangkau oleh fikiran pembaca.”
Kata-kata Sufi itu memang ada
benarnya. Dulu ilmunya tidak begitu mendalam.
Daripada segi berpakaian pun Sufi lebih senang tampil sederhana. Malah
ada masanya hanya mengenakan jeans paras lutut dan t-shirt yang sama sendat
dengan badannya jika tidak keluar rumah. Dia hanya menutup aurat jika mahu ke
mana-mana atau sekiranya ada tamu datang bertandang. Sekarang, dia sudah banyak berubah. Tidak
lagi berpakaian begitu dan sentiasa tampil sopan berbanding dulu tanpa mengira
masa dan tempat. Mungkin kedewasaan mematangkan Sufi atau mungkin juga kerana
dia semakin tahu banyak perkara berkaitan hukum-hakam.
“Apa-apapun, abang bangga dengan
yang. Abang dah jadi suami seorang penulis.”
“Eh, abang jangan panggil Sufi macam
tu. Malu tau. Sufi bukan sesiapa. Tak layak dipanggil penulis pun. Kalau
penulis dia macam Shahnon Ahmad, Hizairi Othman, Iwan Simatupang dan nama
gah-gah yang lain. Hizairi pernah cakap dulu: jangan ingat awak tu dah bergelar
penulis dengan hanya satu dua tulisan kat majalah.”
“Alah, siapapun yang, pada abang
yang tetap isteri yang abang sayang sangat.” Dinie sengaja menekan pada frasa
‘sayang’ untuk menyatakan kesungguhannya.
Dinie cuba memeluknya, namun Sufi
mengelakkan diri. Ketika itulah datang Yafits membawa beberapa biji buku tulis
dan pen. Kemudian dia merapati Sufi dan menyuakan bahan-bahan yang dibawanya.
Minta Sufi ajarkan dia menulis alif, ba, ta. Lalu Sufi dan Dinie sama-sama
mengajarkan Yafits menulis dan membaca huruf jawi hingga ke petang.
“Penatlah.
Yafits dah penat. Rasa nak pergi jalan-jalan pula,” kata Yafits sambil
meletakkan pen dan kertas.
Kemudian dia menggeliat. Membetulkan urat-urat
di badannya. Sufi dan Dinie saling berpandangan. Kemudian tersenyum melihat
gelagat putera mereka.
“Yafits nak
jalan-jalan kat mana?”
“Kat
mana-mana pun boleh ayah. Janji naik motor. Naik kereta tak best, hari-hari Yafits naik kereta
dengan mak. Pergi pasar, pergi supermarket.
Boring Yafits.”
Sufi dan
Dinie tergelak mendengarYafits mengatakan ‘boring’.
Macam orang tua, pandai nak boring-boring.
Itulah anak-anak zaman siber.
“Kalau mak
bawa Yafits naik kereta pergi sekolah Yafits boring tak?”
“Pergi
sekolah? Pergi sekolah macam Haizat? Nak, nak. Haizat cakap kat sekolah boleh
jumpa ramai kawan-kawan. Boleh main-main dan makan.”
“Hai, kalau
setakat nak ke sekolah untuk main-main dan makan, baik Yafits duduk kat rumah.
Pergi jalan-jalan ke rumah jiran dengan nenek aje. Boleh main-main dan makan
juga.”
“Tapi ayah.
Kat rumah jiran bukan ada banyak barang mainan. Kalau adapun bukan kasi Yafits
main pun. Sentuh sikit dah ambil sembunyi.”
Sufi dan
Dinie sekali lagi tersenyum dengan keletah Yafits.
“Yafits,
mak dan ayah nak Yafits ke sekolah supaya Yafits boleh belajar membaca dengan
lebih baik.”
“Yafits kan dah pandai baca. Itu
satu buku cerita Nabi Nuh dan anak-anak dia Yafits dan habis baca. Acik La
ajarkan.”
“Dia suka
benar buku tu bang. Maklumlah ada nama dia,” bisik Sufi ke telinga Dinie.
“Buku
cerita Nabi Nuh saja? Lain-lain buku?” Duga Dinie sambil mengangkat-angkat
keningnya.
“Boleh. Mak
cakap kalau dah pandai baca ABC dan bilang 123, semua kita akan pandai lepas
tu. Buku cerita Nabi Musa pun boleh baca juga. Ada firaun dalam buku cerita tu. Jahat tau
ayah dia tu.”
“Hah, kalau
betul Yafits pandai, cuba
eja nama Yafits sendiri.”
“Itu budak
umur setahun bolehlah ayah. Yafits kan
dah besar, cuba
suruh eja benda lain.”
“Hah, benda
apa Yafits nak eja?”
“Dokumen.
Biar Yafits eja ayah dan mak dengar ya. D.O.K.U.M.E.N. Dokumen.”
Sufi dan Dinie excited. Nampaknya Yafits memang sudah boleh menguasai ejaan.
Mereka kagum dengan kebolehan anak mereka yang sudah boleh mengeja perkataan
yang tidak domestik pada usia empat tahun.
“Yafits tau eja dokumen, Yafits tau
apa dokumen tu?” Dinie sengaja mahu menduga anaknya.
“Ntah, Yafits saja eja. Yafits tak
tau pun apa benda tu. Selalu dengar orang kat tv cakap.”
Sufi dan Dinie ketawa. Nampaknya
Yafits sendiri tidak tahu apa yang diejanya tadi. Kemudian apabila ketawa Dinie
mati dia memandang ke wajah isterinya.
“Anak kita dan besar yang. Dah makin
bijak dan pandai. Bila agaknya yang nak bagi dia adik?”
Sufi terdiam sejenak. Dia
melontarkan pandangannya ke depan. Dia memang bercadang juga untuk menambah
bilangan anaknya memandangkan usia semakin meningkat. Banyak risiko mengandung
dalam usia lanjut. Namun dia baru berpeluang untuk menyambung pelajaran. Jika
boleh dia mahu menumpukan kepada pelajarannya terlebih dahulu. Soal anak akan
difikirkan kemudian. Mungkin apabila faktor kewangan mereka sekeluarga makin
kukuh dan stabil.
“Tunggu-tunggulah bang. Sufi nak
tumpukan pada study Sufi dulu.”
“Abang bukan apa yang. Rindu untuk
mendengar tangisan bayi bergema dalam rumah ni. Yafits pun terlalu cepat
membesar. Abang tak sempat nak perhatikan perkembangannya dia dah besar dan
cerdik macam ni.”
Sufi mengetap bibirnya. Dia sedar
tentang perkara itu. Dinie memang sudah kerap benar bersungut tentang rancangan
untuk menambah bilangan anak. Hanya Sufi yang belum bersedia dalam keadaan dia
belum mempunyai pekerjaan tetap. Lagipun dia terkenangkan kata-kata Abang
Zalinya. Makin ramai bilangan anak, makin susah untuk Sufi melangkah keluar
mencari pekerjaan. Sufi jadi buntu, antara anak dan cita-citanya. Memang
kedua-duanya sama penting.
“Yang jangan takut soal makan minum
anak. Abang akan bekerja selagi terdaya untuk memastikan anak-anak tak kebulur.
Lagipun abang percaya tiap anak yang lahir di dunia, memang Allah s.w.t telah tetapkan
rezeki untuknya. Kita cuma tak nampak rezeki itu datang dalam bentuk apa dan
dari mana,” kata Dinie lagi seakan tahu apa yang sedang bermain dalam benak
isterinya.
“Abang, sebenarnya banyak perkara
yang Sufi fikirkan sebelum mahu menambah bilangan anak. Abang pun tahu
cita-cita Sufi tinggi kan?”
“Tapi yang sendiri cakap dulu, ramai
kawan-kawan yang mengandung semasa mengambil peperiksaan. Takkan yang tak boleh
jadi macam mereka? Abang tetap tak halang yang nak belajar kalau mengandung
sekali pun.”
“Kalau abang tegar dengan kata-kata
abang tak apa. Takutnya nanti jadi cakap kosong semata-mata. Dulu sebelum
kahwin abang pernah cakap akan izinkan Sufi kerja walau kerja apa sekalipun
untuk bantu adik-beradik Sufi. Alih-alih, apabila sudah kahwin dan mengandung
abang suruh Sufi berhenti.”
Dinie memandang ke wajah Sufi.
Hatinya menjadi geram mendengar Sufi mengungkitkan tentang perkara itu.
Sedangkan tindakannya dahulu untuk kepentingan diri Sufi juga. Dia mahu Sufi
lebih memikirkan dirinya sendiri berbanding orang lain. Sufi terlalu
mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dengan dirinya sendiri
membuatkan Dinie sebagai suami merasa tidak senang. Bagi Dinie adik-beradik
Sufi sudah pandai mencari rezeki sendiri semasa dia suruh Sufi berhenti kerja
dulu.
Dinie bukan seseorang yang begitu
kejam sehingga mahu isterinya mengabaikan tanggungjawab. Dinie sebelum membuat
keputusan telah menilai sendiri keadaan adik-beradik Sufi yang berupaya untuk
keluar bekerja. Selagi Sufi membantu mereka tidak akan ada daya usaha untuk
membantu diri mereka sendiri. Kemalasan akan mendominasi diri mereka dan
membuatkan mereka terus besar kepala dan bersenang-lenang di rumah.
Lihat saja Kak Lila, apabila Sufi
tidak lagi mampu menghulurkan seratus dua setiap bulan seperti yang sentiasa
dilakukan sedikit masa dulu, dia kini mula menjadi seorang kakak yang lebih
bertanggungjawab. Jika dulu, pendapatannya jarang dikongsi dengan orang
lain, kini dia sudah mula mengetahui
akan erti tanggungjawab. Malah kini pengorbanan yang dilakukannya untuk menyara
adik-beradik lebih besar daripada yang dilakukan oleh adik-beradiknya yang
lain. Bayangkan dengan pendapatan tidak seberapa dia menyarasuap dua orang
adik, dua orang anak saudara dan belanja rumah. Semuanya di atas kepalanya
sejak Sufi dan Abang Zali tidak membantu.
Itulah sebabnya Kak Lila begitu
berkecil hati apabila Sauki yang pernah disarasuapnya langsung tidak berterima
kasih. Begitu juga dengan Alif, anak saudara mereka. Apabila Maria kembali
menetap di rumah itu dia menimbulkan kekacauan dan membeli jiwa adik-adik dan
anaknya dengan wang ringgit yang tidak disekat-sekat. Sedangkan bersama Kak
Lila dia akan mencatukan semuanya. Kaedah berjimat cermat. Maria tidak peduli
tentang itu asalkan keinginannya untuk kembali tinggal di rumah arwah orang tua
tertunai. Wang ringgit habis tidak apa. Asal pancingnya mengena. Apabila sudah
mempunyai kedudukan yang kukuh, Maria akan kembali menunjukkan belangnya.
Dinie memang tahu semua iklim yang
berlegar di persekitaran keluarga Sufi. Namun untuk membiarkan isterinya keluar
bekerja dan mengorbankan masa-masa luang yang ada untuk mereka bersama
semata-mata mahu menolong adik-beradiknya dianggap sesuatu yang benar-benar
tidak relevan dengan keadaan. Mereka mampu cari sendiri. Lainlah kalau mereka
tidak mampu, cacat atau sakit. Itu Dinie sendiri tidak akan benarkan Sufi
bersikap lepas tangan.
Pada Dinie dia cuba mendorong
isterinya melakukan yang terbaik. Disebabkan itulah dia kesal apabila Sufi
seperti tidak memahami kenapa dia bertindak begitu. Sufi seperti menyalahkannya
dan menganggap Dinie tidak mengerti akan erti tanggungjawab. Padahal Dinie
tidak mahu Sufi membabi buta menjalankan tanggungjawabnya. Entahlah. Dinie
kadang-kadang gagal untuk menebak apa sebenarnya yang bermain dalam benak
isterinya. Ada
masa dikatakan dia terhutang dengan adik-beradiknya, ada masanya pula kerana
janji dengan arwah ibunya. Macam-macam. Padahal hakikat sebenarnya Sufi lebih
banyak memikirkan kepentingan orang lain sebelum memikirkan keadaan dirinya sendiri.
“Yang, segala tindakan abang selama
ini mahu yang terbaik buat isteri abang.”
“Kalau abang mahukan yang terbaik
buat Sufi. Jangan sentuh soal tambah bilangan anak buat masa ini. Izinkan Sufi
buat apa yang Sufi suka. Dulupun Sufi sudah banyak mengalah dengan abang. Sufi
minta enam tahun kenal sebelum kita kahwin untuk membolehkan Sufi cari kerja
terlebih dahulu, tapi abang minta awalkan. Sufi minta tangguh dulu beranak,
abang minta berikan abang paling kurang seorang anak terlebih dahulu.” Sufi mengungkit
lagi kisah-kisah dulu.
Dinie semakin geram dengan kata-kata
yang keluar dari mulut Sufi. Seakan semuanya terletak atas kesilapannya.
“Yang macam salahkan abang apabila
yang tak mampu menjawat sebarang jawatan tetap. Yang yakin yang boleh dapat
kerja sekiranya kita tak kahwin dalam tempoh yang yang minta tu?”
Sufi terdiam. Memang dia sendiri
tidak pasti dengan perkara itu. Bagaimanapun sekurang-kurangnya langkahnya
panjang untuk ke sana,
ke mari mencari pekerjaan sekiranya belum terikat dengan ikatan perkahwinan.
Perkahwinan bagaikan merantai Sufi untuk ke mana-mana. Dia tidak boleh bebas
bergerak dan terpaksa menumpukan perhatian kepada rumahtangga. Kemas rumah,
cuci kain baju, masak-memasak dan jaga anak. Semua itu situasi yang tidak pernah
dibayangkan Sufi sebelum ini. Apatah lagi masak-memasak untuk mertua yang
cerewet dan banyak masalah. Memang Sufi tidak pernah membayangkan sama sekali.
Dia bayangkan selama ini dirinya sebagai seorang wanita yang bekerjaya dan workaholic. Alihnya begitu sahaja
kesudahannya. Benar-benar ironis.
“Mak dan ayah cakap apa ni? Dari
tadi Yafits tengok macam nak bergaduh saja.” Itu suara Yafits sebenarnya. Sejak
tadi memerhati pergeseran antara kedua-dua orang tuanya dengan sedikit
kepelikan.
Dinie dan Sufi memandang ke arahnya.
Kemudian mereka sama-sama memeluk Yafits tanda kasih yang tidak pernah berbelah
bahagi kepada permata hati mereka yang seorang itu. Mereka mengukirkan senyuman
sesama sendiri.
“Mak dan ayah ni pelik, sekejap
macam nak bergaduh, sekejap tersenyum-senyum. Payah jadi orang tua ni,” rungut
Yafits sambil menolak wajah Dinie yang cuba untuk mencium pipinya.
Dinie dan Sufi ketawa mendengar
kata-kata Yafits yang kian petah berkata-kata seiring dengan usianya.
Nantilah sayang, kau akan tahu juga
nanti masalah orang dewasa apabila kau sendiri sudah berada di umur ini. Hati
kecil Sufi berseru.
BAB ENAM
Hujung
minggu itu Sufi ke UPM. Ada
perbincangan dengan Dr. Rahim tentang proposal
yang telah dihantarnya. Memang ada beberapa perkara yang perlu diperbetulkan.
Sufi kena tambah fakta dan bukti-bukti sahih yang mampu menyokong fakta yang
diberikan. Menurut komen Dr. Rahim, proposal
Sufi agak longgar dan mereka perlu berbincang untuk memantapkan lagi proposal tersebut. Perjumpaan dengan Dr.
Rahim mengambil masa hampir tiga jam. Sesudah perbincangan selesai, Sufi terus
ke kafe fakulti untuk membasahkan tekak kerana santak tengahari itu dia belum
menjamah apa-apa untuk mengalas perutnya.
Sufi sempat menelefon ke rumah Kak
Eisya untuk bertanya khabar tentang Yafits. Kata Kak Eisya, anaknya baru saja
tidur setelah sepagi mengadap buku. Sufi tersenyum. Senang hatinya mendengar
Yafits tidak buat perangai meski ditinggalkan di rumah Kak Eisya. Lagipun
Yafits sendiri seronok di situ, bermain-main dengan anak Kak Eisya yang kini
berusia dua tahun. Sesudah membasahkan tekak, Sufi bercadang mengambil angin
sekitar UPM. Kampus yang kini mula menunjukkan perubahan setelah bertahun-tahun
dia menamatkan pengajian peringkat bacelornya. Kini Sufi sedang berusaha mengejar
MA setelah bertahun-tahun membuang masa di kampung. Tentu saja dalam tempoh itu
telah banyak perubahan di Uniputra.
Sufi menyusuri lorong pejalan kaki
dari fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi ke KMR. Sambil kakinya melangkah,
benaknya ligat mengenangkan kenangan-kenangan yang pernah dilewatinya bersama
teman-teman sekampus. Dia yakin mereka semua kini sudah pun berumahtangga dan
mempunyai kerjaya sendiri. Setahu Sufi hanya dia dan Ana yang gagal mendapatkan
pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya. Setti, Ina, Kak Ida, Kak
Ilah, Pak Ya dan ramai lagi dengarnya
sudah bekerja. Ina kerja di Penerbitan Pelangi. Kak Ida, Kak Ilah dan Setti
jadi guru. Pak Ya kerja di DBP. Bahagian apa tidak pula Sufi ketahui kerana dia
dan Pak Ya telah terputus hubungan sejak Sufi pulang ke kampung.
Mengenangkan ramai rakan-rakan yang
kini sudah mula mengecapi hasil penat lelah mereka selama ini Sufi jadi
terkilan juga dengan nasib dirinya. Apa kurangnya dia berbanding kawan-kawannya
itu? Resultnya dulu boleh dikira baik
juga. Sufi benar-benar terkilan. Namun sekiranya disuarakan perkara itu kepada
suaminya, suaminya mengatakan mungkin punca rezeki mereka yang sebenar belum
datang lagi dan belum tiba masanya.
Dinie selalu berikhtiar untuk menenangkannya.
Tapi Sufi hanya manusia biasa.
Cita-cita dan harapannya selama ini begitu menggunung tinggi. Dia bukan mahu
berada di tahap itu. Jika boleh dia ingin pergi lebih jauh lagi. Apakan daya
untung nasibnya bukan di tangannya dan dia hanya boleh berusaha sahaja. Selebihnya
dia hanya mampu berserah kepada Allah yang maha kuasa.
Puas melilau sekitar tempat yang
sebelum ini pernah memberi kenangan kepadanya, Sufi ke perhentian teksi.
Mengambil teksi untuk pulang ke rumah Kak Eisya. Besok dia akan datang lagi.
Masih perlu berbincang dengan Dr. Rahim selepas dia membetulkan proposalnya. Jenuh juga dia menunggu
teksi. Hanya ketika jam menunjukkan ke angka tiga petang barulah sebuah teksi
menderu di depan matanya. Pantas tangannya menahan teksi tersebut. Di dalam
perjalanan ke stesen komuter telefon genggamnya berdering. Yafits rupanya yang
menelefon, bertanya jam berapa dia akan tiba di rumah.
Tiba di stesen komuter, nampaknya
orang tidak terlalu ramai. Sufi
mengambil tempat di sebuah bangku yang agak jauh daripada orang lain. Cuba menghantar
mesej meluahkan rindunya kepada Dinie yang sekarang mungkin berada di Penang. Itu memang sudah menjadi lumrah buat mereka
berdua setiap kali berjauhan. Jika tidak menelefon, paling kurang akan berbalas
mesej. Bagaimanapun mereka lebih kerap menelefon kerana lebih mendatangkan
kepuasan kerana boleh mendengar suara. Sejak dulu Sufi memang lebih suka
berbual daripada menghantar mesej.
Sufi teringat zaman-zaman remajanya,
telefonlah yang menghubungkan dia dengan Danish. Kemudian telefon juga yang
menghubungkan dia dengan Hardi. Tanpa bertemu muka seperti pasangan lain,
hubungan yang terjalin menemui kehancuran. Juga melalui telefon. Itu kenangan
zaman remajanya. Kini hidupnya hanya bersama Dinie. Tiada sesiapa lagi yang
diingatinya melainkan Dinie seorang. Memang sesekali pernah terlintas di benaknya kenangan yang
pernah dilewatinya bersama Danish mahupun Hardi. Tapi ia cuma sepintas lalu,
lebih-lebih lagi kenangan bersama Danish memandangkan Dinie sendiri sering
menyebut-nyebut tentang perkara itu.
Sedikit sebanyak kenangan itu pasti
akan terimbau dalam benaknya. Dia akan ingat balik segala rasa tidak puas hati
diperlakukan Danish semata-mata kerana Danish mahu menjaga kepentingannya
ketika itu. Ah, Danish. Memang kalau bercakap pasal luka, Danishlah yang sebenar-benarnya membuat luka
paling dalam di hati Sufi. Bukan Hardi. Kalau dikenangkan santak hari itupun
Sufi masih belum puas hati dan masih tertanya-tanya kenapa Danish sanggup
memperlakukannya demikian. Dia ingin bertanya, tapi pada siapa?
“Assalamualaikum.” Suara lelaki
memberi salam.
Sufi mendongak. Ingin memastikan
siapa yang memberi salam kepadanya. Mungkin pemuda yang menjaja barang-barang
secara langsung. Sebaik matanya bertembung dengan si lelaki yang memberi salam,
darahnya tersiarap naik ke muka. Dia menelan ludahnya. Memerhati sekeliling.
Mahu memastikan kedudukan sebenarnya. Mana tahu dia sudah berada di alam lain.
Mungkin juga lelaki di depannya hanya suatu halusinasi. Keadaan sekeliling
masih sama. Dia memang di alam nyata.
“Boleh aku duduk?” Soalnya.
Sufi teragak-agak. Memandang ke
kerusi di sebelahnya yang hanya terletak kurang dari setengah meter. Sufi masih
tidak percaya. Tidak mungkin lelaki itu keluar dari fikirannya. Menjelma di
situ sebagai suatu bentuk mutlak dan bukan lagi bayangan maya yang tadi
berlegar dalam fikirannya. Sufi menelan ludahnya. Dia tidak tahu apa yang perlu
dilakukan. Tidak percaya dengan pertemuan itu. Suatu kebetulan atau memang
sudah direncanakan. Tetapi siapa yang merencanakannya? Kalau suatu kebetulan,
mengapa Allah temukan kembali Sufi dengannya?
Melihatkan Sufi terpinga-pinga,
Danish melabuhkan punggungnya ke kerusi di sebelah Sufi. Sufi berginjak
sedikit. Biar menjarakkan lagi mereka berdua. Dia tidak mahu timbul fitnah pula
nanti. Hatinya masih tidak keruan. Dadanya bergetar. Dia sendiri tidak
menyangka akan mengalami getaran seperti itu sekiranya bertemu dengan Danish
kembali.
“Kau banyak berubah Pi,” komen
Danish.
Sufi tidak ingin bersuara. Dalam
hatinya berdoa agar komuter yang menghala ke Rawang akan cepat tiba. Dia tidak
sanggup berlama-lama di situ memandangkan hatinya terasa ingin pecah dengan
kehadiran Danish yang tidak diduga.
“Sufi aku dah matang. Jauh dengan
apa yang aku bayangkan selama ini. Dengan jubah dan tudung labuh hingga ke
punggung. Dengan wajah tenang dan keibuan. Aku bayangkan Sufi aku masih
keanak-anakan. Childish.”
Kata-kata Danish itu membuatkan Sufi
membuang pandang ke arahnya. Frasa ‘Sufi aku’ meragukannya. Kenapa Danish perlu
memilih diksi sebegitu untuk menerangkan dirinya? Danish juga memandang ke
arahnya. Retina mereka saling bertatapan. Jantung Sufi ingin pecah. Itulah
pertemuan mereka sejak Danish meninggalkannya untuk melanjutkan pelajaran ke
Skudai. Kali terakhir mereka bertemu ketika Danish masih membuat persedian di
KYPM Kulim. Itupun secara kebetulan Sufi singgah beraya di rumahnya dalam
perjalanan ke rumah Hasmah dibawa Hamidah.
Sufi juga dapat melihat perubahan
pada diri Danish. Dia nampak lebih segak sekarang. Mungkin Danish sudah
mempunyai kerja tetap. Menurut cerita Helmi dulu Danish sudah bekerja sebagai
jurutera di kilang cat. Tapi di Johor. Bagaimana pula Danish boleh berada di
Selangor? Di stesen komuter Serdang pula tu. Bagaikan ia sengaja diatur-rancang
begitu.
“Sufi, kau bagaimana sekarang?” Soal
Danish. Mahu menghidupkan suasana yang nampak bisu.
Sufi nampaknya tidak berminat untuk
menjawab. Dia menghalakan pandangannya ke depan. Berdoa agar komuter cepat
tiba.
“Sufi, daripada raut wajah kau, aku
tahu kau marahkan aku.”
Marah? Memang aku marahkan kau
Danish. Kau memperalatkan aku untuk menjaga kepentingan kau selama ini. Kau
tidak menghargai aku sebagai sahabat kau selama ini. Aku bukan setakat marah
Danish, tapi juga kesal dan terkilan. Namun semuanya hanya bersiponggang di
dalam hatinya. Di bibirnya langsung tidak terpantul sebarang suara.
Hatinya mengucapkan syukur sebaik
mendengar pengumuman akan ketibaan komuter menghala ke Rawang. Sufi bangun
untuk meninjau komuter. Dari jauh komuter sudah boleh kelihatan. Cahaya
lampunya kelihatan agak memancar. Sufi tidak kembali ke kerusinya tadi.
Sebaliknya tercegat di platform. Danish memerhatinya dari tempat duduk.
Sufi. Dulu nama itu sering bergetar
dalam pembuluh darahnya. Nama itu juga sering berlegar di sekitarnya. Seiring
dengan setiap nafas yang diambilnya. Sedetikpun ingatannya terhadap Sufi tidak
pernah padam selama ini. Kenangan bersama Sufi mengiringi setiap langkah Danish
santak dia tidak mampu menerima kehadiran cinta lain selain cinta Sufi. Dia
menjunjung cinta Sufi seusia dirinya.
Kini Sufi sedang berdiri di depan
matanya. Kalau boleh dia ingin meluahkan rasa hatinya. Namun dia pendamkan
dahulu. Bukan dia ingin main tarik-tarik seperti zaman remaja dahulu,
sebaliknya mahu membuka ruang kepada kesabaran. Mendekati sufi secara
perlahan-lahan. Bimbang Sufi terkejut dengan kemunculannya kembali secara
mendadak. Dia mahu Sufi menerima kehadirannya perlahan-lahan.
Dia kini sudah bertemu kembali
dengan Sufi. Dia yakin akan ada pertemuan lagi antara mereka selepas ini.
Pencarian jejak Sufi nampaknya kini membuahkan hasil. Untuk hari itu dia
biarkan sahaja Sufi berlalu. Dan Sufi kini sudah dibawa jauh oleh komuter.
Meninggalkan Danish yang masih termenung di kerusi.
Sementara itu, Sufi di dalam
perjalanan ke Rawang mula termenung panjang. Dia hairan dan tidak dapat
memikirkan kewajaran Allah mentakdirkan
semula pertemuan itu. Dia selama ini sentiasa berdoa agar pertemuan seperti itu
tidak berlaku. Jika berlakupun pertemuan antara mereka, biarlah kala Dinie ada
bersama. Biar Danish lihat betapa mesranya Sufi bersama Dinie.
“Sufi aku dah matang. Jauh dengan
apa yang aku bayangkan selama ini. Dengan jubah dan tudung labuh hingga ke
punggung. Dengan wajah tenang dan keibuan. Aku bayangkan Sufi aku masih
keanak-anakan. Childish.”
Bergema kembali suara Danish dalam
benak Sufi menenggelamkan bunyi enjin komuter yang sedang bergerak laju. Kenapa
Danish harus menggunakan frasa ‘Sufi aku’? Mengapa menyatakan jauh dengan apa
yang dibayangkannya? Adakah selama ini Danish sering membayangkannya? Mengapa
pula Danish harus berkeadaan begitu? Membayangkannya? Daripada Danish
membayangkannya lebih baik Danish membayangkan wajah buah hatinya atau paling
tidak wajah Siti Nurhaliza yang selama ini menjadi pujaannya.
‘Sufi aku’. ‘Sufi aku’ membawa
maksud Sufi dianggap Danish miliknya.
Sedangkan Sufi bukanlah miliknya. Sufi bukan milik Danish dan tidak mungkin
akan menjadi miliknya sampai bila-bilapun! Dan kerana pertemuan itu hati Sufi
menjadi tidak tenang hingga dia tiba ke destinasinya. Sufi merasakan bayangan
Danish menghambat dirinya menyebabkan dia menjadi tidak lugu dengan keadaan
itu. Sufi geram dan marah dengan pertemuan yang langsung tidak
diangan-angankannya. Geram. Sufi betul-betul geram. Namun pada siapa dia harus melampiaskan
rasa geramnya itu?
Lalu Sufi terpaksa akur. Dia pulang
ke rumah Kak Eisya dengan hati berbulu. Kepulangannya disambut Yafits di muka
pintu dengan senyuman sambil memeluk
anak Kak Eisya, Nadim. Sufi menghadiahkan ciuman ke pipi Yafits. Kemudian
beralih ke wajah Nadim.
“Kenapa lewat pulang?” Soal Kak
Eisya sambil meletakkan dulang minuman ke meja.
Petang itu nampaknya dia menyediakan
bubur pulut hitam untuk dijadikan juadah petang. Sufi memang gemarkan bubur
pulut hitam, dimakan bersama santan yang dimasak.
“Sufi sengaja jalan-jalan sekitar
kampus tadi. Sengaja mahu menghidupkan nostalgia lama dengan melawat
tempat-tempat nostalgik.”
“Hah, baguslah tu. Kurang-kurang
terkenang balik kisah dengan pak we lama, kan Pi?” Usik Kak Eisya.
Memang niatnya untuk mengusik
sahaja, namun termakan di hati Sufi. Hatinya jadi gegau dan harau. Tidak tahu
bagaimana untuk dia meletakkan kewarasannya pada saat dia resah memikirkan
pertemuan dengan Danish tadi.
“Pergilah naik mandi dulu. Solat,
kemudian boleh turun makan dengan abang kau. Kejap lagi dia akan pulang dari officenya,” beritahu Kak Eisya sambil
mengatur mangkuk dan sudu di atas meja.
Sufi mengangguk. Kemudian memanggil
Yafits yang sedang bermain dengan Nadim untuk mengajaknya mandi sama. Yafits
pun nampaknya tidak terurus, mungkin baru bangun dari tidur.
Sufi membiarkan air pancuran
membasahi tubuhnya semasa mandi. Yafits pula asyik dengan buih-buih shower gel yang sedang memenuhi
tubuhnya. Sesekali kedengaran ketawa Yafits memenuhi ruang bilik mandi yang
sederhana luasnya. Sufi tenggelam dalam kenangan di stesen komuter tadi.
Diganti dengan bayang wajah Dinie yang tampak keletihan setiap kali pulang dari
bekerja pada hujung minggu.
Membayangkan wajah Dinie yang selama
ini bersusah payah mencari rezeki malam siang untuk menyarasuap mereka
sekeluarga membuatkan hati Sufi sebak dan airmatanya menitis berbaur dengan
pancuran air mandinya. Sungguh, dia tidak sanggup untuk berlaku curang terhadap
Dinie. Lelaki seperti Dinie yang memberinya kasih sayang menggunung tidak wajar
dikecewakan dengan mudah. Dia akan merasa berdosa yang amat sangat terhadap
Dinie sekiranya melibatkan diri dalam perkara-perkara yang memungkinkan hati
Dinie terguris. Dan Danish merupakan antara perkara yang boleh membawa penyakit
kepada hubungan mereka dan melukakan hati Dinie.
Abang, Sufi sama sekali tidak akan
terpedaya kepada sebarang bentuk godaan di sekeliling Sufi. Cinta Sufi hanya
satu, abang telah memiliki cinta Sufi yang satu itu. Sufi seperti mengingatkan
dirinya sendiri. Namun benarkah begitu? Adakah Sufi tidak menipu hatinya
sendiri? Benarkah Danish telah lama luput dalam ingatannya? Kalau Danish sudah
benar-benar luput dari ingatannya mengapa dia harus gegau seperti itu dengan
pertemuan tadi? Sekiranya pertemuan tadi antara dirinya dengan Hardi,
kemungkinan ketenangan Sufi langsung tidak akan terjejas dan menganggap itu
suatu kebetulan yang tidak harus difikirkan, sungguhpun demikian apabila ia
berlaku antara dia dan Danish, hatinya tidak dapat tidak memang akan menjadi
begitu gegau.
Gegau kerana kemunculan Danish di
depannya seperti itu memang mampu untuk mengundang nostalgia lama. Memutar masa
silam agar kembali menjadi suatu jukstaposisi. Diulang babak demi babak
sehingga memungkinkan Sufi mengenangkan kembali detik-detik manis-pahit bersama
Danish. Detik hatinya dihancurkan. Detik hatinya terkilan dengan sikap Danish.
Pun tidak terkecuali detik-detik suka-tawa mereka berdua. Saat-saat yang
menyimpulkan kemesraan antara mereka sepanjang berhubungan.
Lantas, kerana itukah Danish
menggunakan frasa ‘Sufi aku’ untuk menyatakan dirinya? Tidak. Tidak. Danish
tidak boleh mengistilahkannya sebegitu kerana dirinya hanya dimiliki Dinie
sepenuhnya. Dia mahu Danish menarik balik kata-katanya itu. Demikianpun,
bagaimana mungkin dia mahu menyatakan perkara itu kepada Danish memandangkan
selepas ini mungkin tiada lagi pertemuan yang menyusuri pertemuan tadi.
Pertemuan tadi hanya suatu kebetulan pada Sufi. Kebetulan biasanya tidak akan
berlaku acap kali.
Sufi menelan ludah yang terasa perit
untuk ditelan. Dia menyudahkan mandiannya. Apabila dia membuka matanya
kelihatan Yafits tercegat sambil menggigil. Yafits ternyata sedang
memerhatikannya dengan penuh kesejukan.
“Eh, Yafits dah siap mandi sayang?”
Soal Sufi.
“Dah, sejuk mak. Mak mandi lama
sangat. Yafits berkali-kali panggil mak nak tuala, tapi mak tak hirau,” kata
Yafits dengan suara terketar-ketar.
Sufi terasa bersalah. Pantas dia
mencapai tuala yang tersangkut di penyidai. Membalut tubuh Yafits kemudian dia
sendiri memeluk Yafits untuk menghangatkan tubuh anaknya. Dia teringat semasa
usia setahun dua dahulu, Yafits sering menerkam untuk berada dalam pelukannya
selesai saja mandi untuk menghilangkan kesejukan. Kini Sufi sendiri yang
sengaja melakukan demikian untuk menyatakan rasa sayangnya. Ke mana dia tadi
hingga langsung tidak mendengar suara Yafits meminta tuala?
Yafits. Itu permata hatinya bersama
Dinie. Permata hati yang mengikat dan menguatkan kasih sayang antara mereka.
Melukakan hati Dinie dengan perkara yang bukan-bukan sama juga dengan melukakan
hati Yafits. Dan Sufi tidak mahu anak sekecil itu merasa terluka.
“Itu Sufi dan Yafits dah turun.”
Kedengaran suara Kak Eisya dari bawah semasa Sufi mendukung Yafits menyusuri
anak tangga.
“Eh, abang dah pulang?” Soal Sufi
kepada suami Kak Eisya yang sedang menghirup minuman.
“Dah. Mari makan sama.” Pelawa abang
iparnya. Dia membuka ruang untuk membolehkan Sufi dan Yafits menyaingi mereka.
Sufi duduk. Dia meletakkan Yafits di
sebelahnya lalu digapainya mangkuk dan sudu. Bubur pulut hitam di dalam mangkuk
besar dicedok dengan berhati-hati. Bimbang meleleh. Kemudian menyuap bubur
dengan cermat ke mulut Yafits. Takut tumpah ke baju Yafits yang baru dipakai.
“Lama betul kau mandi Pi, dah dua
tiga kali Dinie telefon nak bercakap dengan kau,” kata Kak Eisya sambil melipat
kain yang baru diangkat dari jemuran.
Sufi mengerutkan keningnya. Dinie
ada menelefonnya? Mungkin Dinie rindu tu. Tadi Sufi hantar mesej semasa di
stesen komuter. Dinie belum membalasnya. Mungkin Dinie terus telefon untuk
menyatakan rindunya.
“Dinie telefon? Kenapa Kak Eisya tak
panggil Sufi?”
“Aku ada panggil, kau tak dengar
tadi. Lagipun dia telefon nombor rumah ni, kasihan nak buat dia tunggu
lama-lama. Aku cakap Pi sedang mandi.”
Sufi terpinga-pinga. Begitu sekali
ingatannya melayang mengingati pertemuannya dengan Danish sehingga Kak Eisya
memanggilnya pun langsung tidak didengari. Sama dengan kes Yafits meminta
tuala, langsung tidak disedarinya. Kasihan Dinie. Sufi sekali lagi merasa
bersalah terhadap suaminya.
“Kenapa dia tak call handset Sufi?”
“Katanya dah cuba call, tak berjawab. Itu yang buat dia call nombor rumah ni,” terang Kak Eisya.
“Elok Sufi telefon dia balik. Mana
tahu ada perkara penting dia nak cakap,” celah Abang Nordin, suami Kak Eisya.
“Memang tadi pun Sufi dah bercadang
nak telefon dia lepas makan bubur ni,” balas Sufi sambil mengelap mulut Yafits
yang sedikit comot.
“Kalau mak telefon ayah, nanti
Yafits pun nak cakap juga dengan dia,” Yafits menyampuk dengan mulutnya penuh
dengan bubur.
Sufi tersenyum kepadanya. Kemudian
sesudah menikmati makan petang Sufi naik ke atas untuk membuat panggilan dengan
menggunakan telefon genggamnya. Lebih privacy.
Lagipun dia dan Dinie memang sering mengucapkan kata-kata romantik setiap kali
berbual. Itu yang membuatkan Sufi segan untuk berbual-bual dengan suaminya di
depan Kak Eisya dan Abang Nordin.
Sufi kekagetan mendapati telefon
genggamnya tiada di dalam beg yang dibawa ke UPM tadi. Dia mula resah. Segala
isi beg dicurahkan. Namun hampa. Telefon genggamnya memang sudah hilang.
“Yafits ada nampak telefon mak?”
Yafits menggeleng cuma.
“Dah tercicir kah?” Sufi menyoal
dirinya sendiri. Dia cuba
mengingati kembali kali terakhir dia menggunakan telefon genggam itu.
Seingatnya selepas menghantar mesej
kepada Dinie, dia meriba telefon genggamnya untuk menunggu balasan daripada
Dinie. Ketika itulah Danish datang menyapa. Dia cuba mengingati kalau-kalau dia
tercicirkan telefon genggam itu semasa bangun untuk meninjau kedatangan
komuter. Begitupun imbasan data memorinya tidak menunjukkan sebarang ingatan
tentang telefonnya yang tercicir dari ribaannya. Sufi menelan ludahnya. Nyata
telefon genggamnya sudah hilang. Mungkin diambil penyeluk saku semasa dia
buru-buru menaiki komuter tadi.
Sufi mendengus. Sudah bukan
rezekinya. Kalau dia kesal dengan kecuaiannya sekalipun tidak akan membawa
makna apa-apa. Lalu dia terpaksa turun ke bawah. Meminta kebenaran daripada Kak
Eisya untuk menggunakan telefon rumahnya. Mujur juga ketika itu Abang Nordin
sudah naik ke bilik untuk membersihkan badannya.
“Patutlah tadi ketika abang call yang, tak berjawab. Kemudian
telefon tak aktif. Abang ingat tak de bateri,” kata Dinie sebaik Sufi
mengkhabarkan tentang perkara itu.
“Mungkin handset tu kat tangan pickpocket
sekarang, sebab tu dia tak mahu jawab, penyeluk saku memang tak akan jawab
panggilan kita. Kalau dia jawab pun dia akan ejek kita.”
“Yang cuai sangat.”
“Kat sini kalau tak cuai pun boleh
terkena bang...”
“Hah, yalah tu.”
Sufi tahu Dinie agak kesal dengan
sikapnya yang sedikit cuai. Begitupun Sufi sudah tidak boleh nak buat apa.
Selama ini dia memang tidak pernah terkena seperti itu. Beg yang dibawanya
sentiasa dipegang dengan berhati-hati. Mujur juga hanya telefon genggam yang
diambil, kalau dengan beg duitnya sekali lagi haru. Semua dokumen penting ada
dalam beg itu selain wang ringgit dan
tiket keretapi untuk pulang ke Tanah Merah lusa.
Kalaulah beg itu turut diambil, Sufi
tentu tidak tahu bagaimana nasibnya anak-beranak nanti. Mahu atau tidak
terpaksa meraih simpati Kak Eisya meminjamkan dia sejumlah wang buat tambang
balik dan sedikit duit poket. Mujurlah hanya telefon genggam saja yang tiada.
Syukur pada Tuhan!