BAB SATU
“Nanti kalau aku dah kahwin, kau pun mesti kahwin ya,” pinta
Kamarul Akram kepada Zahirah semasa mereka menghabiskan masa petang mereka
dengan mengail di kali belakang rumah Pak Su Jang sambil menikmati biji kuaci
yang sengaja mereka jadikan bekal.
“Kalau aku
yang kahwin dulu, kau pun mesti kahwin lepas tu.”
“Senang
cerita, kita kahwin sama-sama. Serentak. Aku dengan pasangan aku, kau dengan
pasangan kau. Kita naik pelamin sama-sama. Mak bapak kita mesti setuju
punyalah,” cadang Kamarul Akram pula.
Hehheheh. Zahirah
ketawa di dalam hati sedang bibir meleret-leret kelucuan dengan sikap Akram
yang kelihatan serius pula.
“Wei, kita
baru tujuh belas tahun. Banyak benda lagi nak pikir sebelum sentuh bab kahwin.
Beriya-iya!” Kata Zahirah sambil menolak tubuh Akram yang kurus cekeding
seperti dirinya juga.
“Oii, hidup
mesti berpandangan jauh.” Akram membalas sambil menunjal kepalanya pula.
“Jauh sampai
ke bulan?” Balas Zahirah sambil tangan menepis jari Akram.
“Lantak. Ke
bulan, ke bintang. Janji jadi kenyataan.”
“Emhhh,
sebut pasal kenyataan. Kau serius pasal tak mau sambung belajar ke U?”
“Ya. Aku
tak isi borang pun. Aku dah bosan la asyik belajar sepanjang masa.”
“Berpandangan
jauh apa macam tu. Kita kalau nak bercita-cita tinggi mengaji pun biarlah
tinggi juga.”
“Weiii, ada
termaktub dalam mana-mana kitab ke pasal ni? Biol kau!”
“Ada , ada. Nabi kita cakap
belajarlah biar sampai ke negeri Cina. Kan
tu tandanya dia suruh kita belajar tinggi-tinggi.”
“Kau pergi
madrasah malam tadi?”Duga Akram.
Munirah
berkerut kening. Tiba-tiba dilontarkan soalan sebegitu kepadanya.
“Apa kaitan
pulak?”
“Ya lah.
Bercakap ngalahkan ustaz yang mengajar di madrasah.” Akram berkata sambil
tersengih-sengih.
“Oooo,
kenalah aku ye. Monkey kau!”
“Kau ingat,
dah sebut dalam bahasa Uncle Sam tu,
kira sopan lah…yekkk!”Balas Akram sambil mengetuk kepala Zahirah dengan
menggunakan botol air mineral yang masih berbaki sedikit.
Zahirah
terseringai. Ada
suara bertempik nyaring merentas rengkungnya.
“Tak
mengenalah pancing kita petang ni.”
“Kau lah!”
“Dahlah.
Jom kita balik. Aku rasa petang ni memang pancing kita tak mengenalah. Hari pun
nampak nak hujan ni.” Kali ini nada cakap Akram bertukar serius.
Dia menarik
batang kail yang hanya berupa sebatang kayu dan di hujungnya diikat dengan tali
tangsi yang dikenakan mata kail. Dicampaknya batang kail itu ke tebing kali.
Kemudian dia memugut semua bekalan yang mereka bawa sebelum ke situ.
“Masalahnya,
bila kita pernah dapat ikan setiap kali kita datang memancing?”Soal Zahirah
sambil memakai selipar. Dia sekarang turut bangun untuk membuntuti Akram yang
sudah mendahului ke depan.
Hehehehe.
Akram tersengih. “Memang tak pernah pun. Aku mana ada letak apa-apa sebagai
umpan kat mata kail tu.”
“Ekkk? Gila
kau!” Zahirah menolak Akram geram.
“La, tak kan kau tak perasan aku
memang tak pernah letak apa-apa?”
“Jadi apa
kejadahnya kau baling mata kail tu ke dalam air?”
“Berlagak
macam memancing. Padahal aku saja nak habiskan masa makan kuaci dengan kau.
Daripada aku lepak-lepak kat rumah. Bosan.”
“Kau gila
betul lah. Buang masa aku. Kalau kita ulangkaji pelajaran aku dari
bertimbal-timbal faedahnya.”
“Huih, kau
cakap habiskan masa dengan aku tak de faedah?Kau tak rasa ke ketenangan yang
amat jika kau habiskan masa dengan aku? Sekurang-kurangnya tak adalah kau perlu
mengadap buku 24 jam.”
“Kita nak exam lah tahun ni.”
Akram
membuat memek muka yang menyakitkan hati Zahirah. “Macam lah aku tak kenal kau.
Bila pula kau ni rajin belajarnya? Seingat aku, kau bukan kaki study.”
“Memanglah
kaki aku tak study, otak aku yang study,” gerutu Zahirah.
“Sejak bila
kau berubah ni? Kan
kau pernah cakap study smart don’t study
hard.”
“Tu zaman
jahiliah aku. Sekarang ni beratlah, Akram. Kita nak SPM ni. Aku takut kandas.
Habis peluang aku nak ke U. Kau taulah mak ayah aku tu. Pressure teruk sangat.”
“Alah…”
Sekarang tangan Akram sudah di bahu Zahirah. “Kau akan okey lah. Result kau pun aku jamin akan gempak
macam result lepas-lepas. Dari UPSR
ke SRP kau tak pernah sentuh buku kalau nak exam.
Alih-alih SRP ni kau nak ubah cara study kau. Mana boleh beri tekanan
lebih-lebih. Nanti kau tak ke mana. Kau kena relax macam biasa.”
“Kau ni
macam tak bimbang nak SRP tahun ni.”
“Nak
bimbang apa? Result okey ke tak, aku
tetap tak mau sambung belajar. Muktamad.”
“Sayanglah…”
“Apa sayang
pulak?”
“Kau lah.
Nak sia-siakan masa muda macam tu saja.”
“Aku tak
macam kau, kau ambitious yang
teramat. Aku ni hanya nak jadi kartunis je dalam hidup aku. Cukup.”
“Nanti tak
seronoklah.”
“Apa tak
seronoknya?”
“Aku ingat
nak ke U sama-sama dengan kau. Kita ambil course yang sama.”
“Ehhhhh,
tak mahu aku. Course yang sama
bermakna jurusan bahasa. Weiii, tu kau punya minat ya. Aku ni minat melukis dan
hal-hal calculative. Bahasa-bahasa ni
bukan kapal aku.”
“Kau serius
pasal tak mau sambung belajar? Tak mahu teruskan legasi keluarga kau?”
“Legasi?”
“Ya,
keluarga kau turun-temurun semua cikgu. Dari mak bapak kau hingga kepada
abang-abang kau semua cikgu.”
“Tu yang
aku nak lari sangat-sangat. Orang kenal keluarga aku sebagai turun-temurunnya
cikgu. Aku nak buat pembaharuan. Aku nak jadi kartunis.”
“Kan bagus cikgu.”
“Aku tak
katalah cikgu tu tak bagus. Cuma aku nak buat pembaharuan. Aku tak mahu nanti
orang cakap, memang patutlah aku boleh jadi cikgu sebab keluarga aku semua
cikgu tentu senang ayah aku nak adjustkan
peluang untuk aku masuk U dengan kedudukan dia di Kementerian Pelajaran. Aku
meluat dengar orang kampung cakap begitu,” luah Akram.
Zahirah
diam. Hatinya membenarkan kata-kata Akram. Selama ini pun memang kedudukan
ayahnya yang sudah lama menjawat jawatan penting di Kementerian Pendidikan
selepas mengalami kenaikan pangkat dikatakan sebab utama kenapa adik-beradik
malahan sepupu Akram juga mudah mendapat tempat di Maktab Perguruan dalam iklim
masyarakat dan anak kampung lain begitu susah untuk mendapatkan tempat itu.
“Lagipun
Irah, sejak kecil aku nak jadi orang glamour.
Biar dikenali ramai. Meski bukan sampai tahap seperti P. Ramlee, cukuplah kalau
aku ada nama juga di kalangan masyarakat. Aku sukakan perhatian.”
“Kau aktif
bersukan. Kau pandai main bola sepak. Pandai sepak takraw. Lompat tinggi dan
lompat jauh pun kau boleh. Kenapa kau tak cuba serius dalam bidang sukan?
Nanti kau boleh glamour juga. Macam
Mohktar Dahari.”
“Weiii, biol
kau. Tu bidang sukan. Aku ni nak glamour
dalam bidang seni. Aku nak buat orang ketawa. Macam P. Ramlee.”
“P. Ramlee
pun sesekali buat orang menangis. Dalam Ibu
Mertuaku, Antara Dua Darjat. Dia banyak buat orang menangis.”
“Kau nak
aku buat orang menangis? Emhhh, nantilah. Suatu masa aku akan buat kau dan
semua orang yang kenal aku menangis. Menangis tak henti,” balas Akram.
“Boleh ke?
Selama aku kenal kau, yang kau tahu buat lawak bodoh. Buat lawak dan buat lawak
lagi. Macam badut,” usik Zahirah kemudian meludah kulit kuaci dari mulutnya
sehingga tersembur liurnya sekali.
“Kau
tengoklah. Akan tiba juga hari tu.”
“Aku cabar
kau, ya.”
“Aku,
Kamarul Akram Mohamad menerima cabaran Zahirah Mohamad dengan hati terbuka!”
Kata Akram yang sudah pun berdiri di atas tunggul kayu sambil tangannya
dinaikkan seperti orang sedang berikrar.
“Weii,
turunlah. Nak berikrar lah pula.” Zahirah menarik tangan Akram.
Kemudian
mereka terkekeh-kekeh ketawa dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah
masing-masing yang sebenarnya hanya terletak sebelah-menyebelah.
Tiba di
rumah kelihatan ibu mereka sedang bersembang di tangga rumah sambil membelek
majalah. Mereka memandang ke arah Akram dan Zahirah kemudian
menggeleng-gelengkan kepala.
“Entah dari
mana muncul budak berdua ni. SRP dah makin dekat. Dia orang sekali pun aku
tengok tak pernah lekat kat rumah,” rungut Cikgu Azizah kepada Puan Zainab, ibu
Zahirah.
“Kalau si
Akram tak hairanlah. Dia lelaki. Si Zahirah tu, dah sama naik dengan Akram.
Kalau Akram mancing dia ikut, kalau Akram main skateboard dia ada sama. Kalau Akram main bola sepak, dia tukang
sorak tepi padang .
Macam jantan,” balas Puan Zainab pula.
“Mungkin
jadi macam tu sebab masa mengandung kita mengidam benda yang sama kot,” ujar Cikgu
Azizah pula.
Kata-katanya
disambut dengan deraian tawa Puan Zainab. Lucu mengenangkan satu masa kalut
suami mereka berda carikan buah durian kerana mereka mengidamkan raja buah itu
ketika bukan musimnya.
“Tapi kau
senang tengok mereka. Tak pernah bergaduh. Sesekali bermasam muka adalah.
Bergaduh panjang tak pernah.”
“Ya. Betul
kata kau, Nab. Aku pun. Sejuk hati tengok mereka.”
“Cuma yang
tak seronoknya bila Zahirah hari demi hari dah nampak makin macam jantan.” Kata
Puan Zainab. Sebagai ibu dia memang tidak senang dengan itu.
“Hahahha,
yang tu aku setuju tapi harap-harap lepas ni dia akan berubah.” Balas Cikgu
Azizah pula menyimpan harap.