Tuesday, 18 March 2014

REVIEW KUBUR BERNYAWA KARYA EBRIZA AMINNUDIN TERBITAN BUKU PRIMA

Melalui komen Senior Editor Tuan Haji Mohd Ali yang menganggap karya ini sangat hebat dan berlainan jika dibandingkan dengan karya Ebriza Aminnudin (EA) sebelum ini membuatkan hati menggebu-gebu untuk memiliki karya ini secepat mungkin.

Nah, akhirnya sebaik naskah berada di tangan, AP tidak melepaskan peluang untuk menghadamkannya sebaik mungkin. Ternyata ia memang berlainan sekali dengan karya-karya EA yang pernah AP baca sebelum ini. Kelainan itu bukan daripada segi tema atau persoalan yang cuba dibangkitkan, sebaliknya daripada cara EA mengadun karya ini. Kubur Bernyawa (KB) menunjukkan tahap kematangan EA dalam menghasilkan karya kreatif semakin meningkat. Ikhlas, dalam banyak karya yang sudah AP baca hasil tukangan EA, karya ini paling matang olahannya. EA sudah bijak meletakkan baik buruk tindakan setiap watak yang wujud dalam KB. AP suka apabila banyak nilai murni dan keagamaan disentuh bersertakan dalilnya sekali. Berbanding Vila Amira Syakila (VAS) aspek dan nilai keagamaan tidak ketara menonjol. Syabas EA kerana olahan cerita anda tidak statik sebaliknya jelas memperlihatkan kematangan anda dalam berkarya seiring dengan masa.

EA memilih seram sebagai tema KB, sungguhpun demikian, ia tidak hanya seram semata-mata dan tidak hanya cerita yang dipenuhi unsur kurafat seperti lambakan cerita seram yang lain, sebaliknya seram KB diadun dengan nilai-nilai agama agar kita tidak lupakan ALLAH. Menyentuh tentang seram sebagai tema, suka AP hendak bandingkan KB dengan VAS. Dari segi gambaran citra seram VAS lebih menjadi kerana gambaran darah yang busuk dan memualkan lebih di dalam VAS sehingga apabila kita membacaVAS kita bagai berada dalam bilik yang busuk dan hanyir dengan darah. Manakala citra nenek yang menakutkan itu digambarkan dengan daging yang membusuk tidak begitu ketara mungkin kerana citra nenek yang menakutkan tidak begitu diberi penekanan berbanding watak makhluk hodoh dalam VAS. Paling terkesan pun mungkin tangan nenek yang hangus dan kukunya yang panjang.

untuk persoalan yang ditimbulkan dalam KB, AP paling terkesan dengan kasih sayang si nenek terhadap anak-anak angkatnya. Sungguh menyedihkan sekali apabila kasih sayang Mudzhirah dibalas dengan sikap yang tidak sepatutnya. Pilu juga semasa menekuni saat-saat akhir hidup nenek.

Persoalan yang hampir sama dengan VAS, kemunculan roh nenek juga berunsurkan dendam dan janji yang tidak tertunai. Kepada siapa janji nenek tidak sempat ditunaikan boleh kalian semua cari jawapan dalam KB. Begitu  juga dengan dendam si nenek sehingga mendorong beliau mencari pewaris. Namun pada AP gangguan terhadap Firdee dan Jhaz bukan semata kerana dendam sebaliknya kerana nilai kasih sayang nenek yang terlalu tinggi. Kesunyian semasa hayat nenek, keinginan nenek mengecapi kasih sayang semasa hayatnya membawa ke alam rohnya lalu mendorong nenek sentiasa menghantui Jhaz dan Firdee. Dalam bahasa mudah, nenek masih mahu terus merasai nikmat disayangi dan menyayangi walaupun sesudah berada dalam alam berlainan. Itu pendapat AP.

Cerita ini seperti juga VAS memang diluar kotak pemikiran, itu signature EA, suka menghasilkan karya di luar kotak pemikiran. Namun dengan daya kreativiti EA kita boleh terima perkara abnormal dalam karya ini. EA amat bijak menjadikan KB sebagai karya semi realiti dan semi fantasi.

Pedulikan sedikit ritual kurafat dan unsur magis dalam karya ini kerana sebuah cerita seram tidak lari dengan hal sebegini selagi penulis berjaya mengingatkan kita semua unsur ini sememangnya bercanggahan dengan nilai Islam walaupun ia dinyatakan secara tidak langsung.

Dari segi latar masa dan tempat, untuk latar luar negara AP sangat jelas ia memang latar realiti. Memang ada negara yang disebutkan itu dan kita amat biasa dengan negara tersebut. Namun untuk latar dalam negara AP tidak pasti waima Hutan Simpan Kaffi dan daerah Semerbak itu wujud atau tidak (nama Semerbak itu sendiri sudah menunjukkan nilai seram bagi AP :)  ). Manakala daripada segi masa, AP tidak dapat membayangkan dalam era berapa kejadian dalam novel KB ini cuba digambarkan memandangkan watak nenek digambarkan sebagai seorang yang cukup bertamadun dan berpengetahuan tinggi dalam banyak perkara.

Untuk watak,jujur AP katakan, nama-nama yang agak pelik dan susah untuk AP sebutkan agak mengganggu pembacaan AP. Bagaimanapun nama watak ini tidak mengganggu jalan cerita dan mesej yang cuba disampaikan dalam KB.

Secara keseluruhan, KB memang karya yang menarik. Ia tidak mudah ditebak jalan ceritanya. Untuk bab-bab awal memang kita tidak akan dapat menangkap masalah sebenar. Sehingga di bab-bab akhir barulah kita akan tahu mengapa dan apa perkaitanan semuanya. Sebelum itu kita akan terus berada dalam tanda tanya dan ini membangkitkan lagi semangat untuk kita meneruskan pembacaan hingga ke mukasurat terakhir.

Syabas EA kerana berjaya menarik perhatian pembaca dalam KB. Harapan AP semoga EA terus menghasilkan karya sebegini.