BAB DUA PULUH ENAM
Sedang Sufi
sedang bahagia dengan kehidupan barunya bersama Dinie, lain pula halnya dengan
Danish. Dia yang kini sudah tamat belajar kembali ke kampung dengan satu
keinginan yang tidak ternilai tingginya. Berita perkahwinan Sufi masih belum sampai
ke telinganya meskipun Helmi ada menceritakan tentang berita pertunangan Sufi.
Sungguhpun demikian, mereka berdua menganggap Sufi sengaja mengada-adakan
cerita itu untuk sekali lagi menguji mereka berdua sebagaimana Sufi pernah
kenakan mereka dengan kewujudan ‘Adam’ suatu masa dulu.
“Kau tahu Danish, hari tu aku ada call Sufi kat rumah dia. Dia cakap dia
dah bertunang. Kau percaya kalau dia cakap begitu pada kau?” Begitu Helmi
memulakan ceritanya.
“Sukahati dialah...” Mendatar saja
nada suara Danish. Namun dalam hatinya sedikit geram juga, bukan kerana kisah
pertunangan Sufi itu, tapi kerana Helmi menelefon Sufi.
Apa sebenarnya kepentingan Helmi
untuk berbuat demikian?
“Habis kau percaya?”
“Kau bukan tak kenal Sufi. Dulu dia
kenakan kita dengan Adam. Mati-mati kita percaya Adam tu wujud, mana tahu Adam
cuma imagination friend. Gaya dia
bercerita memang maut kita boleh percaya. Sekarang ni aku kalau Sufi cakap
apa-apa malas nak percaya.”
“Aku pun tak percaya sangat. Tambah
dia cakap tunang dia Mat salleh. Mengarut.”
Helmi ketawa. Danish tumpang ketawa.
Sekadar berbasa-basi dengan Helmi. Bimbang juga Helmi dapat menangkap apa yang
ada dalam hatinya ketika itu. Sungguh, kalau orang lain yang menghubungi Sufi
dia rela. Tapi kalau Helmi, usahkan menelefon Sufi, menyebut nama Sufi
sekalipun dia tidak mahu benarkan. Helmi tiada hak untuk menyebut-nyebut nama
Sufi seperti itu.
Memang Danish pantang kalau apa-apa
hal Sufi berkaitan dengan Helmi. Kerana Helmi jugalah selama ini yang banyak
membuatkan dia gagal memberikan kata putus yang sebenar kepada Sufi biarpun
berkali-kali Sufi memintanya memberikan kepastian terhadap hubungan mereka.
Helmilah faktor penolak terbesar pada hubungannya dengan Sufi di samping
variasi faktor penolak yang lain seperti sikap Sufi dan keadaan sekeliling
Sufi. Dan kini, meski Helmi sendiri
bakal melangsungkan pertunangan dengan gadis Muar, dia masih terasa kelainannya
setiap kali Helmi menyebut nama Sufi
Tingkat cemburu Danish memang
melampau. Tambahan pula dengan kedudukan Sufi yang begitu tinggi dalam
hidupnya. Meskipun perhubungan mereka banyak berlangsung melalui telefon dan
surat, Danish yakin dengan hubungan itu. Yakin dengan kasih sayang yang
terjalin antara mereka. Cinta mereka berdua baginya kini bukan satu parodi yang
boleh diketawakan oleh mereka berdua dan dijadikan senda gurau.
Segala
keyakinan itu muncul dalam diri Danish selepas Sufi menyepikan diri. Benar,
sikap Sufi yang menyepikan diri bagi Danish ada kebaikannya memandangkan kerana
itulah Danish tahu isi hatinya yang selama ini samar terhadap Sufi. Bukan samar
kerana tidak pasti, tapi kerana takut dengan kisah Sufi yang lampau bersama
Helmi. Kini semua itu tidak lagi menjadi hal penolak kerana faktor penariknya
amat kuat walaupun satu, iaitu cintanya untuk Sufi.
Kerana cintanya untuk Sufi juga maka
dia tekad jika Sufi hadir sekali lagi dalam hidupnya, Danish tidak akan
melepaskan peluang sekali lagi. Cukuplah masa yang sudah dia mensia-siakan
kasih sayang yang cuba Sufi hulurkan. Dia yakin, Sufi selama ini ikhlas
menyayanginya. Sufi akan dicarinya untuk memungkinkan Sufi akan hadir sekali
lagi dalam hidupnya. Dia yakin Sufi akan kembali lagi! Nalurinya, intusinya
mengatakan nun di sana Sufi masih merinduinya. Merindui rentak gelak tawa yang
pernah mereka alunkan bersama. Mimpinya melihat Sufi memakai persalinan indah
dua tiga minggu lepas menggambarkan bahawa suatu masa nanti dia akan berpeluang
menatap Sufi berpakaian begitu dan duduk di sebelahnya. Dia yakin itu! Danish
tidak sedar hakikatnya begitu ironis. Danish memang tidak pernah sedar.
Danish
kembali ke Skudai selepas beberapa hari di rumah. Beberapa hari yang pada
pandangannya diistilahkan sebagai hari yang sia-sia. Manakan tidak, dalam
tempoh itu meski Helmi mengatakan Sufi kembali menetap di Tanah Merah, dia
langsung tidak terserempak dengan Sufi. Pernah dia jejaki tempat-tempat yang
disebutkan Helmi sebagai tempat ‘port’
Sufi seperti di kaki lima pasar mini Bee Gar. Namun hampeh. Usahkan Sufi, bayangnya pun tiada di situ.
Dan Danish pula, macam orang kurang
siuman, pagi-pagi hari sudah meninjau keadaan di situ memandangkan laporan yang
diberikan Helmi mengatakan Sufi bersama rakan-rakan sekerjanya akan
menghabiskan masa di situ setiap pagi sebelum masuk ke tempat kerja. Sungguhpun
demikian, peninjauan Danish sia-sia. Kalau Helmi tahu Sufi kerja di mana kan
senang.
Tapi beranikah Danish untuk berdepan
dengan Sufi? Ya. Beranikah dia? Setelah bertahun-tahun tidak bersua muka dengan
Sufi dan hanya berhubung melalui telefon, tentulah ada sedikit kelainan apabila
mahu bersemuka seperti itu. Tambahan pula kali terakhir perbualan mereka
berakhir dengan pertelingkahan sehingga membawa kepada rajuk yang panjang si
Sufi. Tentulah keadaan itu membuatkan Danish sedikit ragu-ragu untuk meladeni
perasaannya yang ingin sekali bertemu dengan Sufi.
Begitupun, Danish menguatkan
semangatnya untuk menjejaki Sufi. Kalau tidak boleh bertemu dari jarak dekat,
dari jarak jauh pun jadilah. Lagipun dalam hati kecil Danish sebenarnya masih
tersimpan rasa ingin memberi peluang untuk Sufi hidup ‘tanpa gangguannya’
sekejap. Biar Sufi menjadi rindu dan ketika itu kepulangan kembali Danish dalam
hidupnya akan menerbitkan kegembiraan yang maha ketara. Lalu tentunya juga
mudah untuk Danish meluahkan rasa hatinya.
Danish menjejaki Sufi dengan niat
untuk melepaskan rindu yang terpendam sahaja. Memang dia amat rindukan Sufi
sungguh.
“Hai, Danish. baru pulang dari
kampung dah mula termenung, kau tak jumpa Sufi kat kampung hari tu?” Soal Azmi.
Pada pendengaran Danish soalan itu maha keparat. Seperti menyindirnya.
“Kenapa kau pandang aku?” Azmi
tergelujat. Hairan melihat Danish dengan wajah serius memandangnya.
“Kalau tak tanya pasal Sufi boleh
tak?”
“Habis, aku nak tanya pasal siapa,
Siti?” Soal Azmi kembali sambil membuka bungkusan roti john yang baru dibelinya
di pasar malam. Dia mula menyuap dengan lahapnya, seperti orang kebulur empat
puluh empat hari.
“Kau ni, Siti pula. Kalau tak Sufi,
Siti, kalau tak Siti, Sufi.”
“Yalah. Dah seorang tu peminat kau,
seorang lagi memang kau punya marka. Kalau tak sebut pasal dia orang, nak sebut
pasal siapa? Siti Nurhaliza?”
“Tak payah sebut pasal sapa-sapa.
Lagi berfaedah kalau kau informasikan kat aku tentang kerja yang aku suruh kau survey.”
Azmi dengan pantas menelan roti john
di dalam mulutnya mendengar persoalan mengenai kerja yang dibangkitkan oleh
Danish. Lagaknya seperti memang ada perkara penting yang mahu disampaikan.
Lagaknya juga membuatkan Danish agak tidak sabar mendengar suara Azmi melompat
keluar dari kerongkongnya.
“Ada Danish. Kat kilang cat. Dia nak
pakai dua orang.”
“Position
apa?”
“Engineer
lah. Kau try apply mana tahu dapat.”
“Yalah, jurutera ni banyak bahagian.
Bahagian apa?”
“Kau ingat aku nak survey kerja bahagian kejuruteraan awam
atau lain-lain pekerjaan meski tahu kau holder
kejuruteraan kimia punya kelulusan.”
Danish ketawa. Silap dia juga. Dah
Azmi sebutkan awal-awal kilang cat. Tentu kerjanya juga berkaitan benda-benda
kimia. Hish. Dangkal juga Danish ni.
Esoknya,
pagi-pagi lagi Danish menapak ke kilang cat yang disebutkan oleh Azmi.
Kilangnya agak besar dan nampak boleh tahan juga. Selain dia ramai juga yang
datang mengepit fail masing-masing. Danish mencari tempat duduk yang
bersesuaian. Hanya ada satu tempat kosong, iaitu di sebelah seorang gadis manis
bertudung elok. Danish walaupun tidak gemar duduk bersebelahan dengan
perempuan, terutama yang tidak dikenali terpaksa juga mengambil tempat duduk di
situ memandangkan bilangan yang datang untuk temuduga terbuka itu terlalu
ramai. Kalau dia tidak duduk, orang lain yang akan sambar tempat itu.
Semasa dia melabuhkan punggung, si
gadis di sebelah mengukirkan senyuman kepadanya, cuba untuk menghulurkan
kemesraan. Wajahnya seperti pernah dilihat di mana-mana, tapi Danish lupa di
mana. Ah, biarlah. Itu semua tidak penting. Dia datang ke sini untuk
ditemuduga. Kalau ada rezeki dapat kerja, dapat kumpul wang. Dapat jejaki Sufi
seterusnya membina mahligai idaman dengannya.
“Apa khabar?” Soal si gadis.
Intronya macam dah biasa dengan Danish.
“Er, baik. Baik.” Danish agak
tergagap-gagap. Dia tahu gadis itu kelihatan agak berminat dengannya,tapi tak
menduga sama sekali dia akan menegur seperti itu. Gadis zaman siber. Memang
terlebih berani menghulurkan salam.
Pernahkah Sufi begini dengan mana-mana
lelaki? Tak. Tak mungkin Sufi begini. Bukan mudah sebenarnya mahu merapati
Sufi. Kalau tidak kena gaya, Sufi memang tak akan buat kawan. Dia sebenarnya
boleh dikatakan agak sombong jika dilihat buat pertama kali. Namun apabila
sudah dikenalinya, dialah si badut yang mencipta gelak di atas pentas. Ada saja
lelucon yang akan diparodikannya. Sufi...
“Danish tak ingat saya?”
“Hah? Er, itulah tadi. Rasa macam
kenal. Tapi tak ingat kat mana pernah jumpa.”
“Hemm. Saya Siti. Coursemate awak...” Muka Siti agak kelat
sedikit. Mungkin sedikit terkilan kerana kewujudannya selama ini tidak diambil
berat oleh Danish meskipun dia selalu menyapa Danish.
Malah pernah selalu mencari peluang
untuk duduk bersebelahan dengan Danish semasa kuliah. Berkirim salam dan
bertanya khabar pun selalu jika Danish lama tidak dilihat kelibatnya di kelas.
“Oh, awak Siti yang... er yang
selalu...”
Kata-kata Danish mati di situ
apabila Siti mengambil alih giliran bersuara.
“Yang selalu tegur-tegur awak, bertanyakan tentang awak. Cepat ya awak
lupa?”
Beraninya Siti!
“Ya, ya. Azmi memang selalu cakap.
Maaflah, saya tak cam tadi. Saya ni susah sikit nak ingat orang.” Danish ketawa
menutup malunya. Padahal baru dia teringat, Siti dulu selalu tegur-tegur dia
dan menyapanya.
Tapi itu lama dah. Selepas Danish
menyambung pelajaran yang tertangguh, Siti pula sudah menamatkan pengajiannya.
Kira-kira sudah lebih enam bulanlah mereka tidak bersua muka. Manalah Danish
nak ingat. Itu Siti . Bukan Sufi.
“Tak apa. Lagipun orang macam saya.
Siapa nak pandang?”
“Eh, kenapa cakap macam tu? Nanti.
Nanti masuk kat bilik temuduga nanti mesti ramai yang akan pandang awak
seorang.” Danish cuba berjenaka meskipun kedengaran agak bodoh.
Memang dia tidak pandai nak
berjenaka kalau bukan dengan Sufi. Hairannya Siti tergelak mendengar jenakanya.
“Kelakar juga awak ni. Selalu nampak
serious dan suka menyendiri.”
Tentu dia ni memang selalu
perhatikan aku ni. Macam manalah aku boleh tak sedar? Kenapa pula dia mahu
selalu perhatikan aku? Jangan-jangan minah ni syok kat aku tak? Baik aku
jauhkan diri daripada dia. Tak sanggup untuk menghadapi kemungkinan itu. Minta
maaf ya Siti. Sufi dah ada dalam hati saya, awak terlewat.
Siti tersenyum. Entah mengapa Danish
terbayangkan Sufi yang mengukirkan senyuman itu. Padahal bukannya rias Siti dan
Sufi seiras. Jauh panggang dari api. Siti putih kuning orangnya dengan muka
bulat bak rambulan dan ulas bibir nipis merah berlipstik. Sufi sawo matang
dengan muka bujur. Bibirnya? Seperti ulas limau. Sama padat atas dan bawah. Dulu Sufi tidak pernah
mengenakan lipstik, sekarang Danish tak tau.
Jawapan
temuduga Danish ketahui beberapa minggu kemudian. Mungkin rezeki dan nasib
menyebelahinya. Dia dengan mudah mendapat pekerjaan meskipun baru menamatkan
pengajiannya dengan keputusan tidak seberapa. Mungkin sebab aku handsome agaknya. Begitu tebak Danish
sebaik pihak majikan membuat panggilan ke rumahnya. Siti juga nampaknya
diterima bekerja memandangkan pihak kilang memerlukan dua orang tenaga kerja di
bahagian kejuruteraan itu. Ini penting untuk memastikan pengeluaran cat
mengikut piawaian kimia yang ditetapkan.
Sungguhpun demikian, Danish sebaik
memulakan kerja agak tidak mahu bergaul dengan Siti kecuali atas alasan kerja.
Memandangkan mereka dalam bahagian yang sama, memang banyak masa yang mereka
habiskan berdua. Begitupun, sebaik habis masa kerja atau meski ketika rehat pun
Danish lebih senang menyendiri daripada bersaing dengan Siti.
Dalam pada itu, dengan keadaannya
yang sudah mempunyai pekerjaan, meskipun bukan dengan goverment, Danish makin kuat menyimpan angan-angan untuk mencari
semula Sufi dan menyatakan keinginan hatinya. Dia berhasrat untuk menghubungi
Sufi di rumahnya memandangkan informasi yang diberikan Helmi menyatakan Sufi
masih di Tanah Merah. Bekerja di kampung saja. Ini lebih memudahkan Danish
untuk menghubunginya.
Sufi kau tunggu ya. Kita akan
bersatu nanti dan kali ini aku tidak akan melukakan hatimu dengan
perkataan-perkataan yang menyakitkan. Aku sayang kau Sufi. Aku sayang
sungguh-sungguh.
“Sufi, kau bagi tak aku pergi ke
Kedah ni?” Soal Danish sambil melangkah menyaingi Sufi ke kantin. Ketika itu
dia baru sahaja mendapat tawaran membuat persedian ke UTM di KYPM Kulim.
“Kalau ikutkan hati kau memang tak
mau kau pergi Danish. Sunyi aku nanti.
Helmi pun dah tinggalkan kita. Kalau kau pergi tinggal aku seorang kat sini,”
balas Sufi sambil membetulkan tudung sekolahnya.
“Kau cuma perlu cakap kau tak
izinkan aku pergi. Aku tentu ikut kata kau,” beritahu Danish sambil tersenyum.
“Betul Danish?”
“Betul!”
“Hah, kalau macam tu, kau tak payah
pergilah. Temankan aku kat sini. Boleh?”
Danish mengukirkan senyuman sambil
mengangguk. Sufi tersenyum. Danish senang melihat senyuman Sufi itu. Memang
sejak mengenali Sufi sebaik dia menjejakkan kaki ke SMDM, dia begitu senang
sekali melihat senyuman itu. Tapi kalau Sufi diam, masam mencuka saja mukanya.
Tampak garang dan sombong sekali.
“Tapi Danish, itukan cita-cita kau.
Impian kau. Kau selalu cakap tak seronok melanjutkan pengajian di tingkatan
enam. Kalau boleh kau dah tak mahu menyarungkan uniform yang macam ni. Kau lupa Danish?” Suara Sufi tiba-tiba
sambil menarik kerusi di kantin.
Danish turut berbuat demikian.
Mereka duduk bersama meski ada mata memandang ke arah mereka. Terutama pelajar
perempuan yang dengkikan hubungan mereka.
“Itulah yang aku fikirkan. Tapi aku
tak sanggup nak tinggalkan kau seorang diri di sini. Kau mesti sunyi kalau aku
tak ada nanti. Kau nak bertekak dengan siapa nanti Sufi? Lagipun aku belum puas
bersama kau. Aku baru empat bulan di sini. Baru empat bulan juga kita rapat.
Tapi aku senang dengan kau macam aku dah kenal kau bertahun-tahun,” luah Danish
sambil memandang ke wajah Sufi.
“Hah, tau pun kau kita baru kenal.
Takkan sebab aku yang kau baru kenal ini kau nak lepaskan cita-cita kau?
Bayangkan kau di sini sebab aku, tup-tup ambil STPM kau kantoi dan tak dapat
masuk U sedangkan kau pernah dapat peluang itu. Kau tak akan menyesal kalau itu
terjadi?”
“Kau macam nak halau aku je. Kau dah
jemu dengan aku Sufi?”
“Bukanlah woi. Kau ni buat aku
sentimetal lah. Ni aku hangin ni.”
Mereka ketawa. Danish senang dengan
ketawa Sufi itu. Ketawanya tiada sesiapa yang boleh tiru. Ketawanya milik Sufi
yang hakiki.
Itu kenangan hampir enam tahun
lampau. Begitu indah masa-masa yang dihabiskan bersama Sufi sehinggakan Danish
sentiasa mengingatinya. Namun sayang semuanya begitu singkat. Dia tahu Sufi
sedih untuk melepaskannya. Begitu juga dengan dirinya. Malah Sufi memang
mengatakan bahawa dia tidak sanggup untuk berpisah dengan Danish. Sungguhpun
demikian, Sufi tidak mahu dituduh mementingkan dirinya sendiri. Dia lepaskan
juga Danish, apatah pula Helmi ada
menelefonnya dan marah-marah kerana Sufi membuatkan Danish serba salah untuk
menerima tawaran ke KYPM.
“Kau pergilah Danish, tapi kau
jangan lupakan aku ya.”
“Aku janji tak akan lupakan kau.
Mana boleh aku lupa. Kau buat aku gembira sepanjang di sini.”
“Meskipun pernah satu masa kau
abaikan aku?” Soal Sufi. Mengungkit sikap Danish yang menjauhkan diri dengannya
secara tiba-tiba suatu ketika sebelum Danish mendapat tawaran ke KYPM.
Ketika itu Danish sebenarnya geram
dan marah apabila mendapat tahu Helmi sudah memutuskan untuk meluahkan isi
hatinya. Malah bertambah geram dia apabila terpaksa menjadi orang tengah antara
Sufi dan Helmi beberapa dua minggu sebelum Helmi berangkat ke UTM. Ketika itu
Helmi sudah tidak menghadirkan diri ke sekolah. Sufi yang ingin memberinya
hadiah hari lahir terpaksa mengirimnya melalui Danish. Kemudian apabila tiba
hari lahir Sufi, Helmi pula melantiknya menjadi posmen untuk menyampaikan
hadiah kepada Sufi. Kebetulannya hari lahir Helmi 13 Jun dan Sufi pula 22 Jun.
Memang Danish bengang ketika itu.
Sebab itulah sewaktu dia menyampaikan hadiah itu dia marah-marah kepada Sufi.
Dia tahu dari raut wajah Sufi, gadis itu terluka dengannya. Tambahan pula si
Fatah di sebelahnya pula turut menyindir-nyindir Sufi.
“Lain kali jangan nak menyusahkan
aku!” Marah Danish sambil menyuakan hadiah kiriman Helmi.
“La, bukan aku yang susahkan kau.
Helmi. Lagipun kan ini kecik je. Bukan berat pun,” balas Sufi.
“Hai Pi. Tak faham orang tengah
kecil hati? Kau kena pikir juga hati orang yang tolong sampaikan tu.”
Danish lihat Sufi melirik ke arah
Fatah dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Dia tahu Sufi terluka.
Tambahan pula Danish sendiri menunjukkan wajah kurang elok. Malah sebenarnya
Danish sudah beberapa hari tidak bertegur sapa dengan Sufi sebelum itu. Apabila
Sufi tanya dia cakap malu kerana Sufi lebih pandai dan baik daripadanya melalui
ujian kecil yang dijalankan guru ekonomi. Cikgu Mohamad Yusoff.
Ah, betapa kalau masa boleh diulang
kembali. Danish tidak akan mengulangi segala sengketa tidak dirancang seperti
itu. Dia tahu sepanjang dia menjauhkan diri daripada Sufi, Sufi sering mencuri pandang
ke arahnya. Jika Sufi buat tidak peduli pula dia akan mengambil giliran
merenung wajah Sufi. Tidak lawa tapi cute.
Ugly but nice too see. Tak lah sampai tahap hodoh, tapi
memang Sufi tak cantik pun.
Dalam tempoh sepanjang dia
menjauhkan diri daripada Sufi, pada awalnya Sufi cuba untuk mendekatinya. Namun
Danish bo layan. Dia sering
mengherdik dan mengeluarkan kenyataan yang memalukan Sufi. Malah pernah dia
mematah-matahkan burung plastik kecil yang bermagnet di bahagian paruhnya.
Burung itu Sufi hiaskan di mejanya. Burung itu memang mendapat perhatian
rakan-rakan kerana Sufi seorang yang menghias mejanya begitu.
“Kau tak mau tengok burung aku
Danish?” Tanya Sufi. Mungkin sengaja mahu menghidupkan suasana antara mereka.
“Burung bodoh kau ni?” Danish
merampas lalu mematah-matahkan burung kecil Sufi itu.
Seperti mana Danish
patah-patahkan burung itu, mungkin
begitu juga dia patahkan hati Sufi. Wajah Sufi berubah, tapi dilindunginya
dengan senyuman. Sejak itu Sufi mula
menjauhkan diri daripadanya. Dan mereka hanya kembali bertegur sapa sejak
Danish menerima surat tawaran ke KYPM.
Danish mengeluh. Kenapalah aku
sering bertindak menyakiti hati Sufi dengan bercakap kasar dan membuat dia
sedih setiap kali aku rasa cemburu? Danish menyoal dalam hati sambil
menghembuskan asap rokok. Berkepul-kepul asap itu di udara dan berpecah tidak
tentu arah.
BAB DUA PULUH TUJUH
Kemunculan
Helmi pagi hujung minggu itu membuatkan Danish terkejut juga memandangkan Helmi
sekarang sudah menetap di Tanah Merah kerana dia sudah mendapat kerja di Kota
Bharu. Apatah lagi dengan raut wajah Helmi yang begitu menimbulkan tanda tanya.
“Kau ada hal ke datang Skudai ni?”
“Aku ada hal nak tanya kau. Pasal
Sufi.”
Bergetar jantung Danish mendengar
nama Sufi disebut pagi-pagi begitu. Belum sempat bersarapan dia sudah mendengar
nama itu merentas gegendangnya. Kalaulah perkara yang ingin disuarakan Helmi
itu buruk pada penerimaannya, tentu dia tidak akan berselera untuk bersarapan
nanti.
“Kau datang sejauh ini semata-mata
nak cakap pasal Sufi? Kau benar-benar membazir. Membazir masa dan wang
tambang.”
“Tapi ini agak penting Danish.”
“Apa pentingnya?” Danish berlagak
selamba. Padahal dalam hatinya berdebar-debar juga. Janganlah ada sesuatu yang
buruk menimpa Sufi.
“Kau serius dengan Sufi?”
Soalan yang susah untuk dijawab.
Semasa kali terakhir mereka berbual hari itu, mereka belum declare. Malah mereka juga berbual dalam suasana yang hilang
kemesraannya. Sufi merajuk hingga kini. Macam mana nak jawab ya? Danish menyoal
dirinya sendiri. Nak cakap tak serius, dia sudah merancang untuk meminang Sufi
sebaik cukup duit tabungannya nanti. Danish mengeluh.
“Kenapa kau mengeluh?”
“Aku susah nak cakap pasal bentuk
sebenar hubungan kami. Sebab kami tak pernah declare.”
“Hah?” Helmi sedikit terkejut.
“Patutlah...” katanya kemudian pula.
“Patutlah apa?”
Helmi memandang Danish. Nampaknya
Danish memang masih belum tahu kedudukan sebenar Sufi. Helmi menelan ludahnya.
Mencari-cari kata-kata yang sesuai.
“Sekarang ni kau dah terlewat kalau
nak declare...”
“Kau ni banyak buat aku tak faham
Mie, baik kau cakap terus terang saja.”
“Kau ingat hari tu aku ada bercerita
tentang Sufi, katanya dia dah bertunang tu?” Helmi cuba membawa Danish kembali
mengingati perkara itu.
Danish mengangguk. Ya Tuhan apa
sebenarnya ni? Danish tidak sanggup untuk mendengar, tapi dia tahu kali ini dia
harus mendengarnya.
“Sufi tak tipu aku. Kali ini dia tak
bergurau. Dia memang dah bertunang. Malah sekarang sudah berkahwin pun. Masa
cuti raya cina hari tu. Hamidah yang beritahu aku perkara ini. Katanya dia
dapat jemputan, tapi tak dapat pergi. Hamidah kenal suaminya. Sufi pernah bawa
suaminya temankan dia pergi tempat Hamidah kerja sebelum mereka kahwin.”
Bagai guruh bergempita dalam benak
Danish. Berdentum di sana-sini. Halilintar menyambar hatinya. Hatinya hangus
terbakar. Hancur jadi debu hitam. Air ludah yang ditelannya terasa seperti duri
menceracak. Dunianya kosong. Dia tidak mendengar apa-apa lagi daripada mulut
Helmi meskipun Helmi kelihatan berkata sesuatu.
Perkhabaran
yang dibawa oleh Helmi pagi itu benar-benar menggugat ketenangan Danish.
Kesedihan hatinya memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya boleh
dikatakan, dia memang bersedih. Mengapa Sufi menutup hatinya apabila cinta
tiba? Sungguh selama ini Danish tidak pernah mencintai sesiapa. Sufi yang
menghadirkan rasa cinta itu dalam dirinya. Segala-galanya Sufi.
Sungguhpun demikian, Danish tidak
mahu hanyut dalam kesedihan yang dialaminya. Tambahan pula dia baru bekerja. Dia
harus menumpukan perhatian pada kerjanya agar majikan tidak memandang negatif.
Lalu dia terpaksa berlagak selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku,
sebaliknya menjadi begitu sasau sekembalinya ke rumah. Danish majnun!
Dia tidak percaya Sufi sudah kahwin.
Kalau benar Sufi kahwin sekalipun, Danish yakin bukan dengan kehendak hatinya.
Dia merasakan perkahwinan Sufi kerana Sufi mahu menyakiti hatinya memandangkan
selama ini dia tidak pernah memberikan kepastian kepada Sufi. Dia yakin dalam
hati Sufi masih ada dirinya. Dia yakin tentang itu. Jika Sufi kahwin
berdasarkan kehendak hatinya, tidak mungkin ia berlaku secara tiba-tiba.
Bertunang dan berkahwin dalam masa yang singkat seperti yang dinyatakan oleh
Helmi. Tentu ada sesuatu yang mendorong Sufi bertindak demikian.
Kalau dulu, dua tiga tahun Sufi
sanggup menunggu Danish datang mencarinya kembali, kenapa tidak sekarang? Belum
sampai dua tahun Sufi sudah mendirikan rumahtangga. Dengan siapa? Dengan budak
lelaki yang mengutus surat kepadanya? Dengan yang kerja kat KLIA? Atau dengan
saudara jauhnya? Siapa? Siapa lelaki yang kini telah mampu menakluki Sufi zahir
dan batin? Tidak! Lelaki itu hanya mampu memiliki Sufi secara zahir sahaja.
Batinnya dia yakin hati Sufi masih miliknya.
Dia yakin Sufi kahwin kerana ingin
menunjuk-nunjuk kepadanya. Tak apa. Kalau itu niat Sufi. Kalau Sufi sanggup
buat demikian kepadanya, Danish sanggup juga. Biar. Biar sama-sama terkena.
Dan Danish akhirnya tekad untuk
mengambil suatu tindakan gila yang di luar jangkaan.
“Awak, lunch nanti kita keluar sama?” Danish memberanikan diri menegur
Siti. Ketika itu Siti nampak tekun memerhatikan sesuatu di skrin komputer.
Siti mengangkat wajah dengan penuh
kaget. Tidak disangka pula Danish akan mempelawanya keluar makan bersama
setelah hampir beberapa bulan kerja di situ. Sebenarnya, sejak Danish
menunjukkan sikap dingin meskipun sekarang mereka bekerja bersama di satu
pejabat, Siti mula hilang keyakinan untuk merapati Danish. Cuma sesekali dia
akan mencuri pandang ke arah Danish tanpa Danish sedari. Lebih daripada itu
tidak. Dia tidak mahu dikatakan terhegeh-hegeh. Tidak mahu mencalar imej
keperempuanannya.
“Sebenarnya, saya dah janji dengan
Tasya tadi. Kan Tasya?” Siti sengaja jual mahal.
Tasya di sebelahnya terpinga-pinga.
Tapi tetap mengangguk melihat Siti mengisyaratkan agar mengiyakan.
“Saya ada hal penting nak cakap
dengan awak ni.”
“Hal apa?”
“Tak boleh cakap sekarang. Tak de privacy.”
Wah, macam personal pula bunyinya. Siti memandang ke arah Tasya. Tasya mengangkat
bahu tanda semuanya terpulang kepada Siti. Lalu akhirnya Siti bersetuju.
Lagipun bukankah itu yang dia tunggu selama ini? Keluar makan dengan Danish
merupakan sesuatu yang selama ini diangan-angankannya. Sejak zaman di kampus
lagi. Tadi dia cuma berlakon saja. Jangan marah.
Mereka keluar. Memilih restoran western food. Ceh, banyak pula duit
Danish belanja Siti makan di situ. Hutang Sufi belum bayar, belanja makan Siti
boleh pula. Alah, baru berapa puluh ringgit. Hutang Sufi seratus lebih. Siti
memilih chicken chop mushroom sementara Danish pula lamb chop sos black pepper.
“Awak, kalau kita kahwin nak tak?”
Danish memang sudah hilang akal. Di kepalanya hanya mahu membalas rasa sakit
hatinya kepada Sufi.
Siti terasa ingin melompat dari
kerusi. Kalau dia ada penyakit latah memang telah lama dia terlompat. Terkejut.
Semuanya di luar jangkaan. Dia memang sukakan Danish. Memuja Danish dalam diam.
Tetapi dia tidak pernah menduga Danish juga memujanya. Danish tidak pernah
menunjukkan tanda-tanda itu, alih-alih Danish mengajaknya kahwin. Memang tidak
masuk akal. Siti terdiam sambil memandang tepat ke wajah Danish. Mencari
kesungguhan dan kejujuran di situ. Mana tahu Danish ingin mengenakannya.
Danish melambai memanggil
pelayan. Tindakannya membuatkan Siti
agak tertanya-tanya. Dia belum sempat menjamah makanan, mustahil Danish sudah
memanggil pelayan untuk memberikan bil.
“Tolong ambil pisau dan garfu baru
ya.”
Oh, patutlah. Siti tidak sedar bila
dia tercicirkan pisau dan garfu di tangannya. Pelayan mengutip pisau dan garfu
yang berterabur di lantai.
“Minta maaf.”
Pelayan hanya tersenyum.
“Awak...”
“Saya tak tahu nak cakap apa.”
“Tak apa, kita makan dulu. Kita
balik office kemudian awak pikirlah,
kalau boleh saya nak jawapan sebelum hujung minggu ni. Sebab hujung minggu ni
saya nak bawa awak jumpa orang tua kat kampung.”
Siti terpinga-pinga lagi. Semuanya
memang di luar jangkaannya. Danish buat-buat tidak tahu dengan keadaan Siti.
Dia telah menduga keadaan Siti itu. Sufi, kau akan tahu nanti. Aku pun boleh
sakitkan hati kau dengan cara kau sakitkan hati aku. Danish bermonolog dalaman.
Siti tidak tahu apa yang patut
dikatakannya. Nampaknya Danish memang bersungguh-sungguh. Jangan-jangan memang
selama ini Danish juga meminatinya cuma berlagak tidak mempedulikan saja. Tiba
masa, apabila sudah habis belajar, Danish terus melamarnya. Melamar? Danish
melamar diakah tadi? Siti memang tidak percaya. Namun dia terasa ingin
berguling-guling di lantai sebagai reaksi kepada kegembiraannya. Selama ini dia
selalu membayangkan Danish akan mesra dengannya. Namun kenyataannya menjangkau
lebih daripada hanya sebuah kemesraan. Siti gembira. Dia terasa di awangan.
“Silalah
masuk...” Jemilah mempelawa Siti dengan wajah berseri-seri semasa bersalaman
dengan Siti.
“Dah lama mak minta Danish kenalkan
buah hatinya pada mak. Baru sekarang berpeluang bertemu mata,” kata Jemilah
sambil mendudukkan Siti di ruang tamu.
Siti agak tersipu-sipu. Danish
menyiku ibunya. Geram sebab ibunya banyak cakap pula. Siap membahasakan dirinya
‘mak’ pula.
“Mak ayah
Sufi apa khabar?” Mat Noor pula mengambil giliran bersuara.
“Nama saya
Siti.”
Mak dan
ayah Danish saling berpandangan. Danish juga sedikit tergelujat.
“Hah, mak
dan ayah tersilap tu. Nama kawan Danish ni Siti. Kami sama-sama belajar di UTM
dulu. Ha, mak pergilah buatkan minuman.”
Jemilah
bangun. Siti turut bangun.
“Eh, Siti
tak payahlah ke dapur. Berselerak kat dapur tu. Biar mak saja yang siapkan
minuman. Lagipun Siti mesti penat.” Danish menegah.
Jemilah dan
Mat Noor juga bersetuju dengan kata-kata Danish. Mereka kemudiannya
berbual-bual sementara menunggu Jemilah datang membawakan minuman.
Helmi
berkunjung ke rumah Danish selepas Isyak. Ketika itu Siti sedang menolong
Jemilah di dapur mengemaskan pinggan mangkuk yang digunakan semasa makan malam.
Danish mengajaknya ke pangkin depan rumah.
“Kau yakin
dengan keputusan kau Danish?”
“Aku yakin.
Lagipun aku rasa Siti pilihan terbaik aku. Dia dah lama sukakan aku.”
“Aku tak
mahu kau terburu-buru mengikut perasaan. Aku tahu kau kecewa, tapi ini bukannya
cara untuk melepaskan kekecewaan kau. Kau sepatutnya tunggu dulu,” nasihat
Helmi. Dia memerhatikan saja Danish menghidupkan api rokoknya.
“Tunggu
apa? Tunggu Sufi kembali?” Danish menyoal kemudian menyedut rokoknya dalam-dalam.
“Bukan. Tunggu sehingga kau mampu
menerima kenyataan ini.”
“Sebab aku sudah terima kenyataanlah
maka aku mengambil keputusan untuk kahwin. Aku tak mahu hidup dalam kekecewaan
dengan terus-terusan memikirkan Sufi.”
“Tapi kau tak nampak begitu Danish.
Aku nampak sepupu aku sekarang hilang arah.”
“Aku lebih tahu apa yang ada dalam
hati aku. Kau jangan bimbang pasal aku.”
“Kalaulah dulu kau berani mengakui
perasaan kau.” Helmi seperti menyesal dan terkilan.
“Kau tolong jangan ungkit pasal tu
Mie. Aku tak mahu mendengar apa-apa tentang itu. Aku juga nak minta tolong
kau.”
“Pasal apa?”
“Orang tua aku. Kalau mereka tanya
kenapa tiba-tiba Sufi bertukar menjadi Siti, katakan pada mereka hal aku dan
Sufi dulu hanya kau yang salah faham.”
“Kenapa?”
“Sebab selama ini pun kau yang
banyak bercerita tentang Sufi kepada mereka. Lagipun aku bimbang perkara ini
akan melukakan hati Siti yang tidak mengetahui apa-apa.”
Helmi diam. Mengangguk tidak.
Menggeleng pun tidak. Dia ragu-ragu dengan keputusan Danish. Dia tidak tahu apa
yang ada di dalam hati Danish. Sepupunya itu perahsia sikit. Dia memang jarang
mahu meluahkan apa-apa yang terbuku di dalam hatinya. Perasaannya kepada Sufi
selama ini pun Helmi hanya membuat andaian melalui pemerhatiannya terhadap
tingkah laku Danish apabila berlaku sesuatu yang menyentuh soal Sufi.
Helmi berlalu setelah beberapa jam
berbual dengan Danish. Siti mendapatkan Danish setelah Helmi sudah hilang dari
pandangan.
“Rancak nampaknya berbual. Dari jauh
saya perhatikan. Apa yang dibualkan?”
“Saja. Bual-bual kosong.”
“Iya? Atau pasal bekas kekasih?”
Danish memandang ke wajah Siti.
Dengan diterangi lampu tangga rumah, dia masih dapat melihat wajah Siti dengan
jelas dan riak pada wajah Siti seperti ada sesuatu yang ingin dikatakannya.
“Kenapa?” Soal Danish seperti
sengaja mendorong Siti.
“Siapa Sufi?”
Danish menelan ludahnya. Entah apa
yang dibualkan ibunya dengan Siti sehingga Siti terdorong untuk bertanya
tentang perkara itu. Dia memandang ke wajah Siti sekali lagi. Seakan
mencari-cari kata-kata yang sesuai.
“Apa yang mak cakapkan dengan awak
semasa di dapur tadi?”
“Dia tak cakap apa-apa,” balas Siti
sambil membetulkan tudungnya.
Memang Jemilah tidak bercakap
apa-apa berkaitan Sufi. Dia hanya banyak bertanya mengenai latar belakang Siti.
Bila mula berkawan dengan Danish dan pelbagai perkara yang satu pun tidak
menyentuh soal Sufi. Mungkin Jemilah sendiri dapat mengagak pasti ada sesuatu
yang tidak kena dengan anak bujangnya hingga mengambil keputusan untuk mendirikan
rumahtangga dengan Siti dan bukan Sufi seperti rancangan asal.
“Siapa Sufi?” Siti mengulangi
soalannya.
Danish melepaskan keluhan yang maha
berat. “Seorang kawan. Kawan saya dan Helmi. Malangnya hubungan kami disalah
ertikan oleh Helmi. Dia yang banyak bercerita tentang saya dan Sufi kepada
mak.”
Danish menerangkan. Tidak pasti Siti
akan menerima penerangan itu atau tidak. Terpulang.
“Betul?”
“Betul. Saya tak pernah bercinta.
Pada saya, cinta itu hanya satu. Kalau dah bersedia dengan cinta yang satu itu
kahwin saja.”
Siti terdiam. Dia sebenarnya mula
ragu-ragu. Namun dia terlalu sayangkan Danish. Dia telah menjunjung cinta
terhadap Danish sejak pertama kali melihat Danish di fakulti.
“Awak masih belum terlewat kalau tak
yakin dengan saya,” kata Danish. dia sengaja mahu menduga Siti.
“Tak. Bukan begitu maksud saya...”
“Ketika saya telah memutuskan untuk
mengahwini awak saya memang telah serius memikirkannya.”
“Saya berterima kasih kerana
kesudian awak. Saya memang tak jangka semua ini. Dulu awak hanya mimpi.
Sekarang ia bakal menjadi realiti. Kalau boleh saya nak hidup bahagia dengan
awak.”
Siti menyatakan harapannya. Danish
cuba mengukirkan senyuman kepada Siti.
Lalu
perkahwinan antara mereka berlaku juga walaupun dalam hati Danish sarat
menggalas beban cinta terhadap Sufi. Dia memang ingin membalas dendam terhadap
Sufi. Biar Sufi merasa sakitnya seperti
kesakitan yang dialaminya semasa dia mengetahui tentang perkahwinan Sufi.
Begitupun, semakin dia menyimpan dendam itu terhadap Sufi, semakin dia rindukan
Sufi. Sehinggakan dia bayangkan Sufi semasa bersanding di pelamin dengan Siti.
Semuanya Sufi. Sufi.
Malam pertama yang dilaluinya
bersama Siti juga dibayangkannya dilalui bersama Sufi. Maha hebat cintanya
terhadap Sufi meskipun rasa cinta itu hanya disedarinya setelah semuanya sudah
terlewat. Danish terasa seperti ingin menangis. Dia benar-benar ketagihkan
cinta Sufi. Benar-benar rindukan semua kenangan yang pernah dilewatinya bersama
Sufi. Sedangkan Sufi ketika itu tentu sahaja sedang berbahagia dengan lelaki
pilihan hatinya. Lelaki yang benar-benar ikhlas menghulurkan cintanya tanpa
dolak-dalih kepada Sufi.
Sedang dia ketika itu sedang berada
dalam pelukan wanita yang dinikahinya kerana dendamnya terhadap Sufi. Danish
sebenarnya cuba untuk bersikap ikhlas terhadap Siti kerana ketulusan hatinya.
Namun santak hari itu nampaknya dia gagal. Dia memang kasihankan Siti yang
tidak mengetahui apa-apa. Namun rasa hatinya tidak dapat dibohongi. Dia tiada
berperasaan terhadap Siti. Jika adapun hanyalah perasaan kasihan kerana
mengheret Siti terlibat sama dengan permasalahannya. Sungguh, kalaulah Siti
tahu apa sebenarnya yang berlaku, tentu
wanita itu tidak akan bersetuju untuk mengahwininya. Siapalah yang sanggup
untuk berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak mempunyai perasaan
terhadapnya? Rasanya Siti juga tidak akan bertindak begitu biarpun dalam
hatinya memang mencintai Danish. Kerana Danish tahu Siti mencintainyalah maka
dia mengambil kesempatan itu. Jika tidak mana mungkin Danish mampu berbuat
demikian.
Sungguhpun demikian, betapa kuat
dendam Danish terhadap Sufi dalam masa yang sama Danish tetap tidak mampu untuk
melupakan Sufi. Tetap tidak mampu melepaskan cintanya pergi. Danish masih
mengenangkan semua kenangan yang pernah dilewati mereka. Sufi segar dalam
memorinya. Menjadi data cinta yang tidak mungkin terpadam meski memorinya
diprogramkan semula.
Mengapa aku tak dapat
melupakanmu?
Antara perjalanan, suci menangkap
waktu
Membuat aku rindu, membuat
aku rindu
Bukannya aku tewas dalam
perjuangan
Membelai impian, sebentar
tadi aku
Lihat sinar matamu, lihat
sinar matamu
Meronai garis-garis
kesetiaan
Semakin kelam dan amat
panjang
Bagaimana aku hendak
melupakanmu?
Dalam keheningan pagi sering
bertemu
Untuk esok biarlah ia berlalu
Lantas membuang mata fikirku
Dalam kenangan begitu payah
melupakanmu
Mungkin untuk selama-lamanya
Jadilah aku pengingat yang
setia
Setelah aku tahu, aku hanya
serangga
Di taman belantara, di taman
belantara.
BAHAGIAN DUA
BAB SATU
Perkahwinan
Sufi dan Dinie sudah menjangkau usia hampir lima tahun. Dalam tempoh itu mereka
melalui kehidupan berumahtangga seperti pasangan suami isteri normal yang lain.
Ada pahit, ada manisnya. Bagi Sufi, Dinie memberinya semanis-manis kehidupan,
dialah juga yang memberikan Sufi sepahit-pahit kenangan. Mereka hidup dalam kesederhanaan. Pun itu
masih membahagiakan Sufi kerana dia mewah dengan kasih sayang. Dinie memberinya
limpahan kasih sayang yang tidak termuat dalam kantung kasih sayang
sanubarinya. Disebabkan itulah Sufi sanggup menempuhi semuanya dengan Dinie.
Rumahtangga mereka diduga dengan
pelbagai ujian. Bermula dengan kesihatan satu-satunya anak lelaki mereka,
Yafits yang terlantar sebulan di wad kerana mengalami jangkitan kuman dalam
paru-paru hingga kepada kesusahan Dinie dalam mencari rezeki dengan
bersandarkan lesen memandu semata-mata. Dia tidak mempunyai kemahiran lain.
Oleh kerana itu, hanya lesen dijadikan punca pendapatannya. Apabila lesen yang
dimilikinya didapati tidak sesuai untuk membawa lori bersendi kerana kelas
lesen Dinie hanya GDL Berat Kejur, ia telah mendatangkan ribut kepada mereka
suami isteri. Sementelah pula Sufi ketika itu sudah tidak bekerja sejak
kelahiran Yafits.
“Abang dah tanya IDI Driving Academy di Penang, kos untuk
membuat lesen GDL bersendi sekitar enam ratus. Memang murah berbanding di KL.
Kat mana yang telefon hari tu yang cakap sembilan ratus tu?”
“Metro Driving Academy,” balas Sufi sambil membelek akhbar tempatan.
Sengaja mencari kerja kosong berkaitan kelulusannya.
“Hah, kat Metro tu. Tiga ratus
bezanya yang. Tiga ratus tu, bagi orang yang pendapatan tak seberapa macam kita
dah boleh gunakan untuk macam-macam perkara yang,” ujar Dinie sambil memeluk
Sufi dari belakang. Turut memerhati ke dada akhbar.
“Tapi abang ada tempat tinggal kalau
ke Penang?”
“Itulah masalahnya. Kalau ke KL kita
boleh tumpang rumah Abang Zali kan yang.”
Sufi ingin menjawab, tapi perbualan
mereka terganggu oleh telefon genggam Sufi. Melihat nombor telefon rumah
abangnya di KL membuatkan Dinie menyerahkan telefon itu kepada Sufi. Sufi
berbual-bual seketika dengan Kak Eisya yang kini sudah ke KL tinggal bersama
abangnya kerana menjadi pengasuh kepada anak-anak abang memandangkan kesukaran
abang untuk mendapatkan pengasuh setelah berpindah ke rumah baru.
“Kebetulan bang, mungkin Tuhan nak
kita ke sana, Sufi ada ujian MU Test.
Abang ingat Sufi ada apply KPLI hari
tu? Sufi kena test kat Klang.”
“Jauhnya. Kenapa tak kat sini saja?”
“Abang lupakah? Hari tu Sufi ada apply guna alamat rumah abang. Orang
cakap senang dapat kalau guna alamat luar dari Kelantan. Sufi tak pernah dapat feedback kalau aplly KPLI, alih-alih tahun ni Sufi dipanggil test. Mungkin Tuhan memang nak minta kita ke sana. Sambil test, sambil abang ambil lesen GDL
Bersendi tu.”
Dan mereka ke KL. Bagaimanapun Dinie
membatalkan hasrat untuk mengambil lesen di Metro Driving Academy memandangkan ia tidak dibuat di Kampung Melayu Baru
sebagaimana yang dikhabarkan melalui telefon, sebaliknya di Cheras. Dinie rasa
tertipu memandangkan ketika bercakap melalui telefon, pihak Metro mengatakan
ujian dan latihan praktikal akan diadakan di situ. Dalam masa yang sama Dinie
juga merasakan ia terlalu cerewet.
“Susahkan yang. Kenapalah akademik
memandu di Kelantan tak tawarkan kursus lesen GDL Bersendi ni?” Soal Dinie
semasa mereka bertolak ke Kelantan.
“Sabar bang, mungkin ada rahmat di
sebalik semua ini,” Sufi memujuk Dinie sambil memeluknya.
Dinie membalas pelukan Sufi dengan
cara mencium dahinya. Kemudian ciuman itu singgah pula di pipi Yafits yang
terlena di ribaan Sufi. Keretapi yang mereka naiki bergerak laju.
Benar seperti ramalan Sufi,
sepulangnya mereka di rumah mereka dapati Pak Dahlan, iaitu ayah Dinie
terlantar sakit. Patutlah Tuhan tidak menjadikan mereka berlama-lama di Kuala
Lumpur. Kalau tidak tentu parah jadinya.
“Bang, mungkin ini yang Allah mahu
tunjukkan pada kita. Dalam keadaan abang tak tahu nak pilih sama ada mahu ke KL
atau ke Penang, dia jadikan Sufi menerima panggilan untuk ujian KPLI di sana.
Kemudian apabila abang dah di sana, abang tengok keadaannya, abang batalkan dan
memilih untuk ke Penang. Abang dah bengang sebab rasa macam kena tipu. Bila
balik abang tengok ayah abang pula sakit. Bayangkan kalau abang jadi ambil
lesen kat sana.”
Dinie tersenyum. Sufi sekarang
memang selalu bercakap tentang ketuhanan. Pantang ada dugaan sikit, muka dia
berbalik kepada qada dan qadar Tuhan. Sufi akan beristirjaa. Dinie senang
dengan perubahan Sufi. Dia nampak makin cintakan ilmu agama sejak dia berhenti
dari kerja. Meskipun pada awal-awal dulu persoalan mengenai kerja sering
membuatkan mereka bertelingkah. Malah sampai bergaduh-gaduh. Bukan apa. Ketika
itu Sufi banyak fikirkan tentang keadaan adik-beradiknya yang masih memerlukan
bantuannya.
Mujurnya Kak Lila bersedia untuk mengambil
alih tempat Sufi. Tambahan pula sejak Sufi kahwin, Kak Lila mula mendapat
pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih berbanding kerja-kerja yang pernah
dilakukannya dulu. Cukuplah untuk dia buat belanja makan minum adik-beradik
dibantu oleh wang yang dikirimkan oleh abang mereka.
Agak
lama juga Pak Dahlan terlantar sakit sehingga wang simpanan Dinie di
bank hampir separuh digunakan menampung hidup sepanjang dia tidak bekerja.
Sejak JPJ berkali-kali menyamannya kerana membawa lori tanpa menggunakan lesen
yang bersesuaian, Dinie telah mengambil cuti panjang untuk urusan membuat
lesen. Ditambah dengan ayahnya pula yang sakit tenat tidak memungkin Dinie
menyegerakan urusan itu. Sebagai satu-satunya anak lelaki, tentulah
tanggungjawab Dinie menjadi lebih besar berbanding kakak dan adik perempuannya.
Berikutan pula dengan peel sikap suami masing-masing yang cakap saja lebih,
realitinya tidak demikian. Balik-balik Dinie juga yang kena menanggung.
Mentang-mentanglah Dinie yang tinggal dengan orang tua selama ini. Maka mereka mahu bersikap
lepas tangan. Sufi dan Dinie memang bengang juga.
Akhirnya, setelah terlantar hampir
tiga minggu, Pak Dahlan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Setelah selesai
semua urusan pengebumian dan kenduri arwah, Dinie dan Sufi ke Penang. Menumpang
tinggal di rumah kawan bapa saudara Dinie. Mujurnya mereka mengalu-alukan
kedatangan Dinie sekeluarga. Hilang malu Dinie sebelum ini.
“Terlalu susah untuk mencari sesuap
nasi untuk keluarga hingga kita kena tempuh macam-macam. Wang simpanan kita pun
dah tak banyak sekarang ni,” keluh Dinie semasa mereka bersiap-siap untuk
tidur. Ketika itu mereka baru kembali dari Penang.
“Tak apa bang. Lepas ni, kalau dah
mula kerja balik kita boleh kumpul semula dan kalau Sufi ada rezeki, dapat
kerja tetap pasti rezeki kita akan bertambah dan kita boleh menyimpan lebih
daripada apa yang kita ada dulu.”
“Yang, ini baru dugaan kecil dalam
rumahtangga kita. Andai suatu masa nanti ada dugaan yang lebih besar, adakah
yang sanggup hadapi dengan abang?” Soal Dinie sambil memerhatikan Sufi
menyiapkan tempat tidur Yafits.
“Sufi sanggup bang. Selagi abang
sayangkan Sufi. Selagi itulah Sufi sanggup untuk tempuhi apa saja dengan abang.
Bukankah abang cinta pertama Sufi? Abang juga cinta terakhir Sufi.”
“Betulkah abang yang pertama?
Bagaimana dengan Danish?” Dinie sengaja menduga. Memang sejak kahwin Dinie sentiasa ragu-ragu dengan bentuk
hubungan sebenar antara Sufi dan Danish.
Dia sering menduga Sufi begitu.
Anehnya, dia tidak pernah pula menduga begitu menggunakan nama Hardi meskipun
dia tahu Sufi secara terang-terangan bercerita tentang Hardi dahulu dan tidak
pernah menjelaskan perasaannya sebenar terhadap Danish. Dia hanya menyatakan
Danish sebagai kawan yang banyak mempergunakannya untuk menjaga kepentingan
sendiri. Namun naluri Dinie mengatakan mereka berdua lebih daripada itu.
“Abang selalu buat Sufi nak
tergelak. Kami kan tak pernah ada apa-apa.”
“Yang, abang dapat rasakan, kalau
yang tak selisih faham dengan Danish, tentu sekarang ni yang kahwin dengan
dia.”
“Abang. Jangan mengarut sampai situ.
Takdir kita berdua. Bukan dengan sesiapapun selain kita berdua,” ujar Sufi
sambil menarik selimut. Nampaknya dia juga bersedia untuk tidur.
Dinie mengambil tempat di
sebelahnya. “Katakan, Danish hadir semula dalam hidup yang, kemudian cakap dia
nak mulakan kembali hubungan dengan yang. Masa tu yang terima tak dia?”
“Abang!” Sufi mencubit lengan Dinie
dengan geram.
“Abang jangan nak merapu malam-malam
Jumaat ni. Buatnya pintu rahmat terbuka, abang juga yang makan hati.”
“Tapi yang. Naluri abang sentiasa
mengatakan suatu masa nanti Danish akan datang cari yang balik. Hem, kalaulah
dulu yang tak gaduh dengan dia, tentu yang dah kahwin dengan engineer, bukan dengan drebar lori.”
“Ish, abang ni mengada-ngada tau!”
Sufi geram. Bertalu-talu dia mencubit suaminya membuatkan Dinie menjerit
kesakitan.
“Yang mesti menyesal kahwin dengan
abang kan?”
“Bila abang nak berhenti ni? Abang
ingat Sufi metarialistik?” Marah Sufi. Dia berpura-pura merajuk dan memalingkan
tubuhnya daripada mengadap Dinie.
“Okey, okey. Abang percaya pada
yang. Yang pandanglah abang yang...” Dinie menarik Sufi. Menuntut si isteri
memandangnya.
“Lain kali jangan sebut pasal Danish
lagi ya...”
Dinie mengangguk. Tapi tidak pasti
dia akan berpegang pada janjinya atau tidak kerana nalurinya memang sentiasa
takut akan kemunculan kembali Danish. Dia seperti dapat merasakan suatu masa
nanti Danish akan mengganggu-gugat keharmoniannya dengan Sufi. Ya Allah,
selamatkanlah rumahtangga aku. Hati kecil Dinie berseru.
Sebagai lelaki, Dinie memang merasa
sedikit tergugat. Apatah lagi sesudah kahwin dia mula merasakan jurang
perbezaan antaranya dengan Sufi. Meski Sufi tidak pernah merendah-rendahkannya,
namun cara mereka lain. Cara cakap mereka, cara makan mereka. Mujurnya Sufi
cuba menyesuaikan diri. Mengikut rentaknya. Namun sampai bila? Dahulu, sebelum
berkahwin dengan Sufi dia tidak pernah menduga akan timbul masalah begitu.
Sangkanya dia boleh menghilangkan perbezaan antara mereka berdua. Mungkin waktu
itu mereka hanya meluangkan masa sekali-sekala bersama dan tempoh masa bersama
juga terhad untuk membuatkan Dinie celik akan semua itu.
Dek kerana perbezaan yang dirasakan
itu membuatkan Dinie merasakan Sufi tidak sepatutnya memilih Dinie sebagai
suami, sebaliknya memilih orang yang sama taraf dengannya. Dalam masa yang sama
juga dia dihimpit perasaan cemburu apabila cuba mentafsirkan hubungan sebenar
antara Sufi dan Danish. Memang perkara itu telah lama berlalu, namun setiap
kali mengenangkan Sufi pernah rapat dengan seseorang bernama Danish hatinya
bergetar. Geram dan benci berbaur menjadi satu sehingga mewujudkan bahang
amarah yang tidak tertanggung. Dinie memang kuat cemburunya.
Malah kerana cemburu juga Dinie
telah mengarahkan Sufi agar memutuskan persahabatan yang terjalin dengan
kawannya yang bernama Lan. Baginya corak hubungan antara Sufi dan Lan bukanlah corak hubungan antara dua kawan.
Keluar makan berdua setiap kali bercuti dan sering mengutus surat antara satu
sama lain boleh menerbitkan suatu perasaan yang lain daripada seorang kawan.
Disebabkan itulah Sufi kini tidak berkawan baik dengan mana-mana lelaki lagi.
Dia cuma berkawan dengan Hasyim dan Rosdi memandangkan mereka berdua kawan
Dinie.
Bayangkan cemburu Dinie kepada Lan
sudah sampai tahap sedemikian. Tahap cemburunya terhadap Danish pula bagaimana?
Kata Dinie, kalau membunuh itu tidak berdosa sudah lama dia bunuh Danish. Biar
tiada kemungkinan untuk Danish kembali dalam hidup isterinya. Itulah darjah
cemburu Dinie terhadap Danish. Tanpa kenal rupa dan suara dia membenci Danish.
Entah di mana puncanya, Dinie sering merasakan Danish suatu masa nanti akan
kembali mencari isterinya. Baginya masih ada janji yang tidak tertunai antara
isterinya dan Danish. Janji untuk hidup bersama dan membina keluarga paling
bahagia.
Dinie bimbang sangat. Tambahan pula
sekarang Sufi sudah pandai memandu sendiri. Dia boleh keluar untuk bertemu
Danish bila-bila masa sahaja semasa Dinie ke luar daerah menghantar barang yang
diarahkan majikan. Kerja Dinie jarang berada di rumah. Kalau bernasib baik
hujung minggu bolehlah bersama anak isteri, kalau tidak hujung minggu pun dia
keluar bekerja. Ketika itu Sufi memang boleh berlaku curang dengannya kalau
mahu. Aduh. Sakitnya kalau Dinie memikirkan tentang perkara itu.
“Abang baca apa tu?” Soal Sufi
sambil meletakkan frankfutter ke atas
meja bersama segelas oren. Sejak kahwin dengan Sufi, Dinie juga sudah berlidah
Mat Salleh.
“Ni hah, artikel ni. Penulisnya
menyatakan kajian yang dibuat terhadap Al-Quran menunjukkan beberapa keajaiban
seperti peristiwa runtuhan bangunan WTC yang telah digambarkan melalui surah
At-Taubah ayat 110. Itu abang tak musykil, yang abang musykil pasal penyebutan
perkataan solat dalam al-Quran dikatakan hanya sebanyak lima kali,” beritahu
Dinie sambil menyuakan kepada Sufi artikel yang sedang dibacanya.
Artikel bertajuk PERISTIWA BESAR DALAM AL-QURAN – Runtuhan
WTC digambarkan menerusi surah At-Taubah diteliti oleh Sufi. Dia membaca
bahagian yang dimaksudkan oleh suaminya.
“Penulis ni baca Al-Quran tak
sebelum dia mengiyakan kajian yang dilakukan itu? Sepatutnya dia buat kajian
dulu. Baca Quran sekurang-kurangnya. Kan dalam Quran tu penyebutan solat dan
zakat itu berangkai. Banyak kali disebut. Bukan lima kali seperti yang
dinyatakan,” kata Sufi sedikit kesal dengan sikap tidak bersungguh-sungguh
penulis artikel akhbar harian tersebut.
“Betul kah yang, jangan-jangan yang
tak ingat dan tersilap kira tak?” Dinie ingin menduga walaupun dia sebenarnya
sependapat dengan Sufi.
Al-Quran mempunyai 6666 ayat,
mustahil dalam sejumlah ayat itu hanya lima kali perkataan solat disebut
sedangkan solat itu sesuatu yang begitu penting dan dikatakan sebagai tiang
agama. Mungkin kalau diikutkan keajaiban dan kekuasaan Allah Dia mampu untuk
menegaskan kepentingan solat dengan lima kali penyebutan sahaja, tapi kalau
difikir balik itu sesuatu yang tak mungkin juga. Biar kita dengar pendapat
Sufi. Nampaknya dia seperti ingin memberi jawapan kepada suaminya.
“Bang, sepanjang Sufi baca Quran,
dalam surah Al-Baqarah pun sudah berkali-kali disebut perkataan ‘solat’. Dalam
ayat empat puluh tiga, empat puluh lima, lapan puluh tiga, seratus sepuluh dan
seratus dua puluh lima surah itu disebut
perkataan ‘solat’. Itu sudah lima kali. Kemudian surah empat puluh tiga
An-Nisa’, seratus enam puluh dua juga An-Nisa’ disebut sekali lagi perkataan
‘solat’. Dah berapa kali kat situ bang. Surah belakang-belakang pun ada juga
disebut perkataan ‘solat’,” kata Sufi siap dengan buktinya sekali.
Dinie ketawa. Begitulah isterinya
kalau bercakap perkara berkaitan agama
dengannya. Dia memang bersedia untuk bertekak. Siap baca ayat Al-Quran untuk
membuktikan kenyataannya. Mentang-mentanglah dia banyak membaca Al-Quran dan tafsirannya
sejak tidak bekerja, bukan main lagi dia gunakan ilmunya itu untuk berdebat
dengan sesiapapun.
“Atau penulis dan pengkaji itu
maksudkan perkataan ‘solat’ yang mana?” Sufi penuh sinikal.
Suaminya ketawa lagi. Sufi. Sufi.
Dia mulalah tu.
“Yang sepatutnya tulis surat kat
penulis artikel tu. Betulkan kesilapannya.” Dinie sengaja menduga.
“Kalau ada masa mungkin Sufi boleh
berbuat demikian. Biar dia betulkan kenyataannya. Kasihan kalau ada orang-orang
yang kurang arif soal agama. Tentu mereka mudah percaya.”
Tengoklah perangai Sufi. Dia
sepatutnya boleh masuk masjid untuk berdakwah. Hi!Hi!Hi! Dinie ada masanya
gelihati dengan sikap Sufi kalau sentuh bab agama. Rela bertegang leher
berputus uratlah jawabnya.
“Abang senyum-senyum ni kenapa?”
“Saja, kagum dengan isteri abang.
Siap tahu ayat mana ada sebut perkataan ‘solat’. Otak komputer betul isteri
abang ni.”
“Abang kan tahu isteri abang ni
bijak. Tapi malangnya hingga kini belum dapat kerja. Anak dah besar, kerja
belum dapat.”
“Alah bukan yang sorang belum dapat kerja. Kan ramai lagi.” Dinie
memujuk hati Sufi.
Sufi mengakuinya. Memang ramai lagi
kawan-kawannya masih menganggur hinggakan ramai mengambil keputusan untuk
mendirikan rumahtangga. Tidak sabar menunggu dapat kerja, lalu apabila ada yang
sudi terima saja. Macam Ana, selepas Azhar meninggal dunia terkena buatan orang
pun dia tidak rela hidup sendiri, kahwin sekali lagi. Sekurang-kurangnya soal
makan pakai sendiri sudah terlepas apabila ada orang yang ingin menanggung.
Soal kerja belakang kira dulu. Hem, Ana ya? Apa khabar dia sekarang? Sejak
Ana mendirikan rumahtangga buat kali
kedua, Sufi memang terputus hubungan dengannya.
“Tapi rasa terkilan tu tetap ada
bang.” Sufi bersuara selepas termenung seketika.
“Biarlah. Lagipun abang masih larat
tanggung makan minum kita anak-beranak.”
Sufi memuncungkan wajahnya.
“Buku apa yang baca tu?” Soal Dinie,
cuba mengubah topik perbualan apabila melihat wajah Sufi mula mencuka.
Biasanya topik mengenai kerja boleh
melarat-larat sehingga membuatkan mereka saling tingkah-meningkah dan boleh
mengakibatkan Dinie hilang sabar lalu mulalah dia menunjukkan sikap barannya.
Lebih baik dia cepat-cepat mengubah topik.
“Jukstaposisi.” Ringkas Sufi
menjawab.
“Hah, yang cakap masa awal-awal kita
kahwin dulu, penulisnya... siapa namanya tu? Aha, Hizairi Othman. Dah jumpa kah
Hizairi tu?”
“Ntah, setahu Sufi, sampai hari ini
dia langsung hilang jejak. Sufi agak sedih jugak dengan kehilangan Hizairi
Othman. Semasa ambil paper dia dulu,
dia agak bagus juga waktu menyampaikan kuliah."
“Kita doa-doakanlah moga dia
selamat.”
Sufi mengangguk. Dia cuba
membayangkan wajah Hizairi Othman. Sayang betul kerana negara telah kehilangan
seorang penulis muda berbakat besar. Dia hanya sempat meninggalkan novel Jukstaposisi sebelum kehilangannya.
Novel itu dianggap Sufi sebagai maha karya Hizairi Othman. Sufi juga berbesar
hati kerana Hizairi Othman sudi menandatangani novel itu semasa Sufi
membelinya. Hizairi juga sentiasa ingat Sufi jika terserempak di mana-mana.
Mungkinkah ada peluang lagi untuk Sufi bertemu Hizairi? Meminjam kata-kata Siti
Rohayah Attan, Utusan Malaysia:
Setahun menghilang, rindu bertakung di jiwa.
“Kita cakap-cakap ni, anak kita mana
yang?”
“Yafits mana lagi kalau tak mengekor
orang tua abang pergi jalan-jalan rumah jiran.”
“Itu sudah bagus. Boleh abang
bermanja dengan isteri abang,” kata Dinie sambil bangun mendapatkan Sufi.
Isterinya tidak sempat mengelak
kerana badan sasa Dinie sudah meraihnya dan mendukung Sufi. Kemudian
dijulangnya Sufi tinggi-tinggi. Sufi kegayatan dan bimbang terjatuh. Langsung
dia menjerit-jerit. Dinie tidak mempedulikan jeritan Sufi. Dia seronok menyakat
isterinya seperti itu. Sufi menggelepar minta diturunkan.
“Abang, jatuh Sufi nanti bang.
Karang sapa nak cuci baju abang yang berbau busuk tu?” Soal Sufi sambil
terkial-kial minta diturunkan.
Dinie ketawa lalu apabila datang
lenguh dan penatnya dia mula meletakkan isterinya. Sufi menampar suaminya
manja. Dinie ketawa. Sufi juga. Kemudian ketawa mereka mati apabila bibir Dinie
sudah mula memagut bibir Sufi. Sufi bahagia. Dinie juga bahagia.
BAB DUA
Sufi
menghantar suaminya yang ingin ke tempat kerja di muka pintu. Menyalami dan
mengucup tangan Dinie. Yafits turut berbuat demikian. Dinie menghadiahkan
ciuman ke pipi dan dahi Sufi, kemudian ciuman beralih kepada Yafits.
“Abang jaga diri baik-baik ya,”
pesan Sufi.
“Jaga diri baik-baik ayah.” Itu
versi telor Yafits.
Dinie tersenyum sambil mengangguk.
“Yafits pun jaga diri elok-lok. Jangan nakal. Kasihan mak penat nak layan Yafits
nanti.” Dinie mengusap kepala anaknya dengan penuh kasih sayang. Cahayamata
tanda cinta mereka berdua.
Dinie sudah hilang dari pandangan.
Sufi masuk ke rumah. Mak Piah yang sedang berbaring di tilamnya di sudut rumah
memandangnya sekilas.
“Dah pergi Dinie?”
“Dah ibu.” Ringkas jawab Sufi. Dia
malas sangat melayan orang tua itu. Entah mengapa dia menyampah berlama-lama
berbual dengan Mak Piah. Sejak dari awal perkahwinan dia telah merasa kurang
senang terhadap Mak Piah.
Mungkin terkenang awal perkahwinan
agaknya. Sufi masih ingat semasa awal perkahwinan dulu, Mak Piah memberitahu
Dinie, Sufi isteri yang tidak pandai bawa diri depan saudara mara. Semua itu
terjadi kerana semasa bapa saudara Dinie datang ke rumah Sufi sibuk di dapur.
Dia hanya menghidangkan minuman kepada Pak Long Dinie kemudian kembali ke dapur
tanpa menyapa Pak Long walau sepatah. Padahal ketika itu Sufi sibuk menyediakan
makan malam kerana mahu mengejar Maghrib yang hampir tiba.
Pada Sufi walau dalam apa cara
sekalipun dia ingin pastikan dia menunaikan solat tepat pada masanya. Dia tidak
senang kalau melengah-lengahkan solat.
Lagipun bagi sufi cukuplah dia menghidangkan minuman dan mempelawa Pak
Long minum sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu. Mustahil pula untuk
dia duduk sama dan berbual rancak. Tambah pula Pak Long Dinie ketika itu nampak
tidak begitu berminat untuk melayan Sufi. Dia rancak berbual dengan Pak Dahlan.
Alih-alih Mak Piah komen begitu. Memang menyakitkan hati Sufi yang sememangnya
mudah tersinggung. Sufi sebenarnya jenis yang vulnerable.
“Kak Dahlia dan Dasimah tak cakap
nak datang cuti sekolah ni?” Soal orang tua itu lagi semasa Sufi menapak ke
biliknya.
Ini lagi satu babak yang Sufi tak
suka. Kedatangan Dahlia dan Dasimah. Dua orang anak perempuan Mak Piah yang
begitu disanjung dan dipuja. Kononnya beruntung ada anak seperti mereka berdua.
Pandai ambil hati dan bla, bla. Menyampah. Itu tak apa lagi. Anak dia, memang
patut kalau dia puji meskipun Sufi
tengok bukan baik sangat. Yang menjadi masalahnya, setiap kali mereka datang
menjenguk Mak Piah laki bini, haram sepatahpun Mak Piah tak mahu bertegur sapa
dengan Sufi. Kalau Sufi tegur pun dia buat sardin. Memang Sufi geram. Ibunya
dulu jangan harap nak berkelakuan begitu pada anak menantu. Tengok Kak Nida,
mana pernah ibu buat perangai menyakitkan hatinya?
Itu, Mak Timah yang terkenal dengan
peel sikap kurang menyenangkan juga tidak pernah nak berkelakuan seperti itu,
angin tak tentu pasal. Cakap pun menengking-nengking. Dulu ketika Pak Dahlan
masih ada, keadaan lagi teruk. Mak Piah pot, Pak Dahlan pet. Lepas tu
beriramalah pot, pet, pot, pet. Sama naik mereka berdua kalau bab membebel dan
mengomen Sufi. Semua Sufi buat serba tidak kena. Sufi memang benci. Rasa macam
nak campur racun tikus dalam makanan, lepas itu bagi mereka makan. Masuk
penjara pun tidak apa asal hati puas. Tapi Sufi ingatkan dosa pahala. Itu
sahaja!
Sungguhpun demikian Sufi cuba
bersabar. Mahu mengadu pada Dinie? Awal-awal kahwin dulu Sufi memang mengadu.
Sangkanya Dinie akan memihak kepadanya. Memang pada awal Dinie memihak kepada
Sufi, lama-lama Dinie mula buat tidak endah. Minta Sufi bersabar. Dia cakap
kalau boleh tidak mahu dengar Sufi merungut tentang perkara itu. Dia boleh jadi
pening. Balik kerja kalau boleh dia mahu tenangkan fikiran selepas berpenat
memandu lori. Kalau Sufi asyik berbunyi itu, ini setiap kali dia balik kerja,
lebih baik dia tidak balik rumah.
Kalau Sufi tetap juga mengadu, Dinie
akan tinggikan suara. Sufi akan menangis. Kalau Sufi menangis, Dinie akan naik
tangan. Keadaan akan makin teruk. Dinie jarang mahu memujuk. Dia lebih senang
menyakitkan hati Sufi. Kononnya untuk mengajar isteri. Itulah kelemahan Dinie
sepanjang perkahwinan. Jarang mahu memahami isteri yang sering ditinggalkan.
Alih-alih Sufi jadi pemendam. Makan hati. Dan Sufi cuba bertahan hingga kini.
“Datang agaknya, sebab anak-anak tak
ada kelas tambahan masa cuti ni,” Sufi bersuara tanpa memandang ke wajah Mak
Piah.
Sufi masuk ke bilik. Meletakkan
Yafits yang sedang berada dalam dukungannya. Yafits tidak berlama dengan Sufi
apabila kedengaran Mak Piah memanggil-manggil nama Yafits. Mahu mengajak Yafits
pergi jalan-jalan ke rumah jiran. Aktiviti biasa mereka setiap hari tanpa
mengira masa. Kemudian apabila sudah berada di rumah jiran, mula buka buku
akaun. Tambah simpanan dalam akaun mengumpat. Besok kalau sudah tiba masa boleh
kemaskini di bank Allah. Banyaklah simpanan mereka nanti. Tapi itulah, kalau
dia ada di rumah pun Sufi panas juga. Baik dia pergi mengumpat. Tipikal
masyarakat Melayu tradisional. Ketika itu mula terbayang muka Dr. Ramli Isin
sedang mengkuliahkan Imej Wanita dalam
Masyarakat Melayu Tradisional.
Mungkin sudah sebati cara hidup
begitu dengan masyarakat. Suka bercakap tentang keburukan orang. Sufi juga
kalau hatinya geram. Terutama apabila bersama Dinie. Memang dia akan mengutuk
sesiapa sahaja. Ketika itu segala surah yang melarang mengumpat tidak akan
diendahkannya. Asal hatinya puas. Sufi bukan malaikat. Biarlah. Berdosa pun
berdosalah. Siapalah tidak geram, tidak marah kalau orang sengaja mahu
memburuk-burukkan kita. Suka mencari kelemahan kita. Apa yang kita buat serba
tidak kena. Serba salah jadinya. Itulah yang Sufi rasakan apabila keluarga
Dinie asyik cari kelemahannya.
Seperti juga dulu, bising apabila
Sufi menamakan anak lelakinya dengan nama ‘Yafits’ macamlah nama itu super pelik. Mak Piah cakap nama entah
apa-apa. Mak Piah memang terasalah, sebab selama ini anak Dasimah dia yang namakan. Tiba pada anak
Dinie, Sufi memutuskan sendiri. Dahlia dengan Dasimah pula cakap nama anak Sufi
tidak bermakna apa-apa.
“Kan elok kasi nama yang ada makna
sikit.” Itu versi langsing-bising Dasimah.
“Yalah. Dalam Islam pun dituntut
menamakan anak dengan nama elok-elok supaya kelak anak tak mendapat malu,”
disokong pula oleh suami Dasimah yang di atas kepalanya terletak elok ketayap
putih. Model lebai Melayu tulin.
“Tentu Kak Sufi kau ada sebab
namakan anak dia begitu.” Itu bunyi pro Dahlia. Memang dia senang tidak
membangkang Sufi. Namun manis di depan sahaja. Belakang bukan Sufi tidak tahu.
Sufi hanya diam. Baginya lebih elok
dia meletakkan nama anaknya mengikut nama yang disukainya. Mungkin ia tidak
mempunyai makna sebaik nama anak-anak
Dasimah, tapi ia ada ketokohannya. Kalaulah si berjubah labuh dan si
ketayap putih tahu makna tersirat Sufi menamakan anaknya, mesti mereka yang
selama ini berlagak alim akan termalu. Tapi Sufi buat masa itu hanya mendiamkan
diri. Dia akan menerangkan hanya kepada Yafits sendiri sekiranya Yafits
menyoalnya kelak.
Lagipun buat apa cari nama
pelik-pelik untuk anak kalau maknanya tidak diketahui. Bukankah kelakar
bunyinya apabila ada orang bertanyakan makna nama anak kita, kita pun jawab
‘Ntah. Tak ingat. Tapi nama dia memang maknanya elok. Ada dalam buku senarai
nama Islam.’ Tidak kasihan kepada orang yang bertanya? Jenuh dia terpaksa
membelek buku untuk mencari makna nama itu. Hi! Melayu. Terutama Melayu seperti Dahlia dan Dasimah
suami isteri.
Memang selain masalah Sufi yang
gagal mendapat kerja, masalah tentang perilaku keluarga Dinie juga sering
membuatkan Sufi dan Dinie bertelingkah. Dinie yang lebih senang sekiranya Sufi
mengambil sikap bersabar langsung tidak mahu memahami tekanan yang dialami oleh
Sufi. Sufi tertekan dengan sikap ahli keluarga Dinie. Suka mencari
kelemahannya. Dalam masa yang sama suka memutar-belitkan hukum-hakam. Itu
paling Sufi pantang. Sejak di kampus lagi.
Si ketayap putih Roslan, atau Sufi
gelarkan Ustaz Kunyit bersama Dasimah isterinya merangkap Ustazah Kunyit suka
membuat hukum sendiri. Pernah mereka mengatakan tidak berdosa mencuri barang
orang kafir dengan alasan orang kafir tidak mengeluarkan zakat. Aduh. Kasihan
kalau orang percaya dengan mereka. Sedangkan hukum mencuri terang-terangan
diperincikan dalam Al-Quran. Tidak pula Allah bahagikan hukum mencuri harta
orang kafir bagaimana, mencuri harta orang Islam pula bagaimana hukumnya. Asal
mencuri harta sesiapapun hukumnya hanya satu; berdosa. Waima harta orang kafir
sekalipun.
Kalau malas belek Al-Quran, cukup
guna logikal. Fikirkan begini, Islam suatu agama yang syumul, sarwajagat dan
sempurna. Di dalamnya mengajar supaya berbuat baik sesama manusia. Buat baik
dengan Tuhan. Buat baik dengan manusia, maksudnya semua manusia tanpa mengira
batas agama. Lagi pula, Islam satu-satunya agama paling murni dan diterima di
sisi Allah s.w.t. Lagikan agama lain mengajar kepada penganutnya agar jangan
melakukan sebarang bentuk kerosakan atau khianat terhadap penganut agama lain
demi keamanan sejagat, sementelah pula Islam. Jika betul mencuri harta orang
bukan Islam halal daripada segi Islam, ini secara tidak sengaja agama Islam
lemah di situ berbanding agama lain. Itu sesuatu fahaman atau iktikad yang
tidak elok dalam agama Islam. Sufi sebagai orang yang tahu ingin membetulkan
Dasimah dan suaminya Dahlan.
Lagi satu hukum yang dibuat oleh
Roslan, tidak berdosa menonton vcd porno kalau pelakonnya orang putih. Tapi
kalau orang Melayu, haram. Alasannya mudah kalau menonton yang dilakukan oleh
orang Melayu, kita dikatakan bersubahat dengan mereka melakukan kemungkaran. Sungguhpun
begitu, kalau Mat Salleh punya tidak kisah memandangkan mereka tidak terlibat
dengan mana-mana hukum, halal atau haram. Sufi tidak tahu ustaz atau hukamak
mana yang mengajarkan Roslan begitu. Tapi Sufi memang bersimpati sangatlah.
Dalam pada
itu, satu perkara lagi yang membuatkan Sufi rasa terkilan dengan fahaman agama
Roslan apabila melibatkan tentang isu wayang
kulit. Mentanglah dia pro parti pembangkang bukan main lagi dia
menyokong apabila pemimpin parti mengatakan wayang kulit haram dimainkan. Bukan
main marah si ketayap putih itu apabila Mak Piah dan arwah Pak Dahlan memainkan
vcd wayang kulit. Maklumlah orang tua. Lama tidak tengok sesekali mahu juga
berhibur. Mahu ke tempat persembahan wayang kulit, memang sudah tiada sekarang,
mujurlah ada vcd. Sufi biarkan saja, tup-tup datang si Roslan. Terus berkhutbah
mengatakan haram. Mak Piah dan Pak Dahlan kalau apa-apa yang dikatakan oleh
Roslan memang tidak membantah. Roslan matikan vcd wayang kulit. Ganti dengan
vcd cerita hindi yang heroinnya sedang
menarik gelek separa berahi dengan pakaian hampir tuna busana. Cuma menutup
bahagian-bahagian yang perlu sahaja.
Melopong
Mak Piah, arwah Pak Dahlan dan Roslan suami isteri menonton filem hindi itu.
Mujur tidak bergelek sama. Itu filem hindi dengan menampilkan adegan
tari-menari separa berahi tu tidak haramkah? Sufi hanya mampu menggelengkan
kepala dengan kecetekan ilmu agama orang-orang seperti Roslan. Dengan
menampilkan imej innocent seperti itu
dia cuba menyebarkan dakyah. Mengharamkan mana-mana perkara yang dia tidak suka
namun dalam masa yang sama menghalalkan mana-mana benda yang dia minat.
Sufi bukan
mahu menyibuk, cuma mahu betulkan mana-mana yang silap. Bukan juga Sufi mahu
katakan wayang kulit itu tidak haram. Bukan. Haram memang Sufi katakan haram.
Tapi soal haramnya biar jelas. Sufi pernah bertanya Roslan mengapa wayang kulit
haram, jawabnya kerana ia cerita dewa-dewa. Subhanallah. Bukan begitu Roslan.
Sekadar bercerita pasal dewa-dewa bukanlah haram. Itu sastera rakyat klasik.
Wayang kulit yang dibawa masuk sama ada melalui Thailand atau Jawa memang
bercerita tentang kisah Dewa Sri Rama mencari pasangannya yang hilang. Itu cuma
cerita klasik rakyat. Kepercayaan orang Hindu. Ia bukan satu kisah untuk
mengajak atau mengajarkan supaya umat Islam percaya kepada dewa-dewa. Cuba
tukarkan di situ dengan watak Shah Rukh Khan mencari Kajol, tentu sah-sah
Roslan cakap wayang kulit tidak lagi haram. Anehnya Roslan, cerita Hellboy yang tidak masuk akal boleh pula
dia terima. Padahal kalau diperhatikan cerita itu boleh pesongkan akidah.
Disebabkan
itulah Sufi ingin betulkan mana yang silap. Menegur mana yang patut ditegur.
Lagipun mereka berdua bukan orang lain. Ipar-duai Sufi juga. Sufi jelaskan
kenapa wayang kulit haram. Juga Sufi jelaskan sebarang bentuk hiburan dan
perkara-perkara yang lara daripada segi agama Islam memang haram. Kasihan
Roslan. Kasihan juga Dasimah yang kebetulannya suka mengambil dan menerima
bulat-bulat kata-kata suaminya dengan alasan untuk menunjukkan ketaatan kepada
suaminya. Kasihan. Sufi memang benar-benar kasihan.
Malangnya
mereka berdua bukan mahu mendengar kata-kata Sufi. Siapa Sufi? Lagipun, satu
penyakit Dasimah dan Roslan selagi bukan kenyataan yang keluar daripada mulut
pemimpin parti pembangkang yang menerajui negeri mereka, jangan harap mereka
akan terima. Sufi lihat memang banyak vcd ceramah agama di rumah mereka setiap
kali Sufi bertandang ke sana. Sungguhpun demikian, penceramahnya mestilah
individu yang seorang itulah. Rasanya jika individu itu tahu begitu sikap Dasimah
dan suaminya, beliau pun menitiskan air
mata. Bukan terharu tapi kesal kerana Dasimah dan suaminya taksub dengannya.
Kasihan kan orang-orang macam Dasimah dan Roslan?
Tapi
itulah. Dinie bukan izinkan sangat Sufi betulkan mereka. Dinie tidak mahu Sufi
sampai bertekak dengan orang bodoh sombong macam Dasimah dan Roslan. Dinie mahu
Sufi biarkan saja mereka dengan cara mereka. Tegur selagi boleh. Jika nampak
mereka berkeras dengan fahaman mereka. Biarkan. Sufi sudah jalankan
tanggungjawab. Sufi sudah terlepas. Begitupun sesekali Sufi sering juga
menyindir Dasimah dan Roslan atas sikap mereka itu. Biar mereka sedar. Orang
yang berlagak alim memang begitu kata Dinie. Dia tidak mahu sikap kritis dan
sinikalnya bahasa Sufi boleh membuatkan hubungan kekeluargaan mereka renggang.
Sufi tahu niat Dinie baik. Namun
jika Sufi pula yang dikatakan tidak betul kerana fahaman mereka, Sufi memang
patut bersuara. Ketika itu Sufi akan buat huraian dengan hadis dan surah,
terkesimalah Dasimah dan Roslan yang selama ini memang kuat membaca Al-Quran,
tapi tidak memahami isinya. Seperti orang yang membawa beg berkunci berisi
wang. Kerana tidak pernah belajar membuka kuncinya, maka mereka langsung tidak
boleh mengambil wang di dalamnya. Mereka beruntung membawa beg itu, tapi
alangkah lagi beruntungnya mereka jika mereka mampu mengambil wang di dalamnya.
Selain melibatkan hal agama, Sufi
juga bengang dengan Dasimah dan juga suaminya yang suka meninggikan diri.
Apa-apa saja lebih dia oranglah. Dahlia juga memihak mereka. Begitu juga dengan
Mak Piah dan arwah Pak Dahlan semasa hidupnya. Paling mereka suka
membanding-bandingkan Yafits dengan anak Dasimah yang berusia setahun lebih tua
daripada Yafits iaitu Haizat. Sufi tidak terasa andai Dahlia yang tidak
mempunyai anak tidak pernah membelikan apa-apa baik pakaian, makanan atau
mainan kepada Yafits. Namun jangan perlekehkan kebolehan dan kecerdikan minda
anaknya. Sufi paling tidak suka sikap suka membanding-bandingkan seperti itu.
Disebabkan banyak perkara, Sufi
sering merungut untuk keluar dari rumah Mak Piah. Sekurang-kurangnya boleh
mengelakkan diri daripada bertemu dengan Dahlia dan Dasimah. Sufi tidak senang
dengan keadaan dirinya yang sering dipulaukan apabila mereka berkunjung melawat
orang tua mereka. Sufi tertekan. Dia bukan malaikat untuk menghadapi semua
perkara itu.
“Sufi tak suka bang.”
“Sabar yang. Kalau yang sabar semua
dapat di atasi.” Begitu yang sering Dinie katakan. Sabar. Sabar. Kalau keadaan
menjadi genting, Dinie akan melenting. Alihnya Sufi juga yang tersinggung.
Lalu untuk memujuk hatinya Sufi cuba
memikirkan rasionalnya Dinie perlu tinggal di situ. Kedua-dua orang tuanya
sudah uzur. Dahlia dan Dasimah sudah mengikut suami masing-masing. Tinggal lagi
Dinie yang harus menjaga orang tuanya.
Tambah sekarang, Pak Dahlan sudah meninggal dunia, tanggungjawab Dinie untuk
menemani Mak Piah semakin besar. Bukan Dahlia tidak pernah berbasa-basi untuk
menjaga Mak Piah selepas kematian Pak Dahlan, bagaimanapun Mak Piah enggan
mengikutnya kerana tidak selesa bertukar angin. Dia lebih senang menghabiskan
hayatnya di rumahnya sendiri.
Alihnya Sufi yang menanggung
semuanya. Dinie pula bukannya ada di rumah. Terkilan juga Sufi. Segulung ijazah
yang dikejarnya dulu hanya terpaksa disimpan dan dia meneruskan harinya menjaga
mertuanya. Ironis kehidupan Sufi. Tidak seperti yang dibayangkannya. Sufi bukan
tidak boleh menjaga orang tua Dinie. Kalau mertuanya berlaku baik dan tiada
angin memang Sufi rela. Malangnya Mak Piah bukan jenis mertua yang baik. Dia
jenis yang suka menarik muka masam tidak
tentu pasal. Sufi pula bukan jenis yang mudah bersabar. Itulah masalahnya.
“Sufi tak kahwin dengan abang untuk
menghadapi semua ini.”
“Abang tahu yang. Tapi abang tak
berupaya.”
“Sufi nak kerja bang. Sekarang ni
Sufi terperap saja kat rumah. Hidup Sufi tak bererti. Belajar bertahun-tahun.
Bukan kehidupan seperti ini yang Sufi mahukan. Sufi bukan nak kejar kemewahan,
cukuplah biar kena dengan apa yang Sufi belajar selama ini. Setakat duduk rumah
menunggu orang tua abang, jaga anak, orang tak sekolah pun macam ni jugak,”
kata Sufi membuatkan Dinie sedikit tersinggung.
Dinie merasakan kalau Sufi tidak
menerimanya dan berkahwin dengannya tentu sekarang langkah Sufi panjang. Bebas.
Dia boleh ke mana sahaja untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan
kelulusannya. Ditambah pula dengan sikap Sufi yang sering mengugut untuk keluar
dari rumah sekiranya ada pertelingkahan antara mereka. Dinie memang tidak
pernah membayangkan begitu sebelum berumahtangga dahulu.
“Abang tahu, yang kesal dengan
perkahwinan kita.”
“Bukan kesal bang. Cuma mahu abang
sedikit memahami. Sufi banyak tanggungjawab. Banyak benda yang Sufi mahu
lakukan. Kalau begini hidup Sufi, cita-cita Sufi tak akan tercapai.”
Pertelingkahan-pertelingkahan
seperti itulah yang sering kali meleret-leret hingga membawa kepada pergaduhan
dan selisih faham. Dinie yang panas baran dan Sufi yang mudah tersinggung.
Memang dua sikap yang mampu memberi kenangan pahit dalam rumahtangga mereka.
Pun mereka masih boleh berbahagia dan mempertahankan rumahtangga mereka dengan
kasih sayang yang maha sarat terhadap satu sama lain. Pada Sufi, Dinie tetap
suami yang terbaik. Pada Dinie pula, Sufi tetap satu-satunya perempuan yang
berjaya memiliki cintanya.
“Sufi...” Itu suara Mak Piah memanggilnya.
Sufi buru-buru menyiapkan pakaian
yang sudah siap dilipat ke dalam almari. Membuka pintu bilik dan mendapatkan
Mak Piah di dapur lalu menyambut Yafits di atas dukungan Mak Piah.
“Dah masak nasi?” Soal Mak Piah
sambil meletakkan segenggam daun serai kayu, mungkin untuk dijadikan ulam.
“Belum,” jawab Sufi ringkas sambil
menjeling jam di dinding dapur. Sudah jam sebelas setengah tengahari.
Patutlah Mak Piah sudah bertanya
tentang itu. Biasanya Sufi sudah masuk ke dapur seawal jam sebelas. Sufi tidak
sedar betapa cepatnya masa berjalan kerana asyik mengelamun tentang macam-macam
perkara tadi. Dahlia, Dasimah suami isteri dan masalah yang sering menyebabkan
pertelingkahan dalam rumahtangganya.
“Sufi buat apa tadi sampai nasi pun
belum masak lagi? Nak cakap sibuk dengan Yafits ibu bawa dia sama.”
Dia mula dah. Sufi buat tak dengar.
Dia mencapai periuk dan ke tempat menyimpan beras. Dia menceduk sebanyak
semangkuk beras untuk ditanak. Bukannya lewat benar pun. Setengah jam saja. Itu
pun nak bising. Sufi memang bengang juga.
“Yafits ni nak makan nasi dari
tadi.”
“Habis kenapa ibu tak pulang awal.
Senang saya masak,” jawab Sufi mula hilang sabar.
Dia tahu bukan Yafits tengah kebulur
tapi Mak Piah sendiri. Yafits bukan jenis yang suka makan nasi. Bagi dia sosej
atau nuggets dah cukup. Mak Piah
jangan nak kelentonglah. Tapi Sufi malas nak panjang-panjangkan cerita. Dia
mengeluarkan ayam yang sudah siap dipotong. Masak tomyam pun boleh juga. Dia
tanpa banyak cakap menyediakan makanan tengahari. Mak Piah memerhati tingkahnya
dari pintu dapur sambil tangan ligat memberi makan ayam yang riuh rendah.
“Ayam-ayam ni kalau aku tak bagi
makan, keras kejur semua ni.” Itu Mak Piah sedang membebel. Sufi buat pekak.
“Ada orang kat rumah ni pun bukan tahu
nak bagi makan ayam. Asyik terperap dalam bilik. Kalau ada laki, boleh dengan
suara ketawa-ketawa. Macam tak puas-puas bergurau dengan laki. Rumah ni nak
jadi apa pun jadilah.”
Sufi memang sudah hilang sabar.
Serasa ingin dia menerkam Mak Piah lalu ditempelengnya muka orang tua kutuk
itu. Entah disampuk jembalang tanah mana, balik-balik dari rumah jiran terus
membebel. Tapi Sufi cuba sabarkan hatinya. Selagi boleh dia akan cuba bersabar.
Ya Tuhan, kalau aku tahu begini
punya perangai orang tua laki aku, mati hidup balik aku tak kahwin dengan dia.
Jadi perempuan expired pun tak apa
daripada beribu mertuakan perempuan macam ini. Tak sedar diri. Aku bukan ingin
sangat tinggal di sini.
“Nih, ambil daun serai kayu ni. Aku
nak makan nasi ulam hari ni.” Mak Piah mencampakkan daun serai kayu yang
diambil di rumah Mak Esah. Habis berselerak daun-daun itu.
Sufi memandang ke arah daun yang
berselerak. Dia sudah geram benar. Tapi disabarkannya.
“Habis tomyam atas dapur ni?”
“Aku nak makan nasi ulam. Aku tak
mahu tomyam.”
Pulak. Padahal dia memang suka makan
tomyam yang Sufi masak. Kalau anginnya elok habis seperiuk dihirupnya kuah
tomyam. Mak Piah cakap tomyam Sufi lebih sedap daripada yang dimasak Dahlia.
Dahlia masak tomyam tidak pernah tumis bawang, serai dan daun limau purut. Dia
cuma masukkan perencah dalam air dan masak dengan sayur dan udang atau ayam.
“Nih, kutip daun-daun nih.” Mak Piah
menguis-nguis kasar dengan kakinya.
Sufi mengetap bibir. Geram.
“Kalau ya pun nak suruh saya buat,
tolong cakap elok-elok boleh?” Sufi menyoal geram dengan muka menyinga.
Yafits yang sedang bermain dengan
kucing belaan mereka memandang ke arah ibunya. Mak Piah nampaknya mahu
menjawab. Namun Sufi terlebih dahulu bertindak. Menarik tangan Yafits.
Meninggalkan Mak Piah yang terpinga-pinga di dapur.
Sufi sengaja menghempas daun pintu
biliknya dengan kasar. Dia geram. Hilang kesabarannya. Dia mengemas kain
bajunya dan Yafits lebih kurang. Dia tidak mahu menunggu dengan lebih lama. Mak
Piah di dapur kedengaran membebel seorang diri.
Sesudah mengemas, Sufi terus keluar
rumah. Menghidupkan enjin kereta dan terus meninggalkan rumah. Dia ingin ke rumah Kak Lila . Sampai di sana nanti
barulah dia akan menghubungi Dinie memberitahu keadaannya. Dan mahu meminta
izin daripada suaminya untuk berada di rumahnya barang beberapa hari.
Mak Piah? Biar orang tua itu uruskan
sendiri hidupnya. Biar dia rasakan bahana sikapnya. Selama ini Sufi bersabar
dan bersabar, kali ini Sufi mahu tunjukkan sikapnya pula. Jangan ingat Sufi
yang selama ini tahu hukum-hakam agama tidak akan bertindak demikian. Berdepan
dengan Mak Piah, malaikat boleh bertukar jadi syaitan. Sufi memang geram
sangat!
BAB TIGA
Sudah tiga
hari Sufi berada di rumah Kak Lila setelah meminta kebenaran daripada Dinie
untuk berbuat demikian. Dinie mengizinkan sahaja apabila Sufi menerangkan
kepadanya mengapa dia bertindak demikian. Cuma Kak Lila yang agak bising kerana
tindakan Sufi itu dianggap kebudak-budakan.
“Kak Lila tak faham. Kak Lila bukan
pernah ada masalah dengan mertua. Mertua Sufi bukan jenis yang boleh bagi muka.
Ingatkan suami dah tak ada ni insaf sikit, mana tahu sama saja. Sufi tak sabar
betul,” beritahu Sufi separuh mengadu.
“Kau tu jenis yang mudah tersinggung
Sufi. Bukan aku tak kenal kau.”
“Kak Lila tak senang kah kalau Sufi
dua beranak datang menumpang di sini?”
“Bukan tak senang. Aku pun suka
kalau kau datang sini. Ada juga teman berbual. Sejak Azah melanjutkan pelajaran
ke UPSI, aku tinggal seorang kat rumah ni. Kau datang hilang sikit bosan. Cuma
punca kau datang sini tu aku tak suka.”
“Kak Lila senang cakap. Kak Lila tak
tahu asam garam duduk dengan mertua. Menyakitkan hati.”
“Sufi. Kalau kau tak boleh bersabar
sekalipun, cuba kau pikir pasal Dinie. Tentu dia susah hati jadi macam ni.
Kerja dia atas jalan raya. Kau tak ingat bahaya kalau memandu dalam keadaan
kepala berserabut, kacau?” Soal Kak Lila sambil mengupas kulit mangga.
Kata-kata Kak Lila memang termakan
dalam benak Sufi. Memang sejak dia datang ke rumah Kak Lila dia ada terfikirkan
tentang perkara itu. Dinie memang sering pening kepala kalau berdepan dengan
masalah sedemikian. Tapi apa Sufi boleh buat? Rasa sakit hatinya mengatasi
segala-galanya. Memang dia tidak sanggup untuk berdepan dengan Mak Piah. Dia
bimbang sesuatu yang lebih buruk bakal terjadi jika dia terus berdepan dengan
Mak Piah. Mana tahu kalau-kalau tangannya singgah di muka orang tua kutuk itu.
Benci. Sufi memang bencikan Mak Piah. Kalau berdepan dengan masalah berkaitan
Mak Piah, Sufi jadi tumbuh tanduk, tumbuh ekor tajam. Dalam bentuk maya, Sufi
sudah bertukar jadi syaitan.
Selalunya, jika dia terlalu geram
dengan peel perangai Mak Piah dia selalu membuka Al-Quran untuk dijadikan
penawar kepada kesakitan yang maha sakit pada hatinya. Bagaimanapun, untuk kali
itu Sufi gagal untuk melembutkan hatinya sendiri. Sesekali dia ingin melepaskan
perasaannya biar Mak Piah tahu menantu yang bagaimanakah Sufi. Biar dia nilai.
Menantunya kalau sudah tidak tahan boleh jadi hantu.
“Orang-orang kat rumah macam mana?”
Soal Sufi sengaja mahu mengubah topik perbualan mereka. Sengaja mahu
mengelakkan diri daripada memanjang-manjangkan halnya dengan Mak Piah.
“Manalah aku tahu, bukan aku ambil
peduli soal dia orang sejak aku dan Azah tinggalkan rumah itu.” Kali ini Kak
Lila pula mencuka wajahnya.
Mungkin terkenangkan peristiwa yang
menarik dia dan Azah keluar dari rumah peninggalan orang tuanya. Ketika itu
Sufi baru tiga tahun kahwin. Maria bertindak kembali semula ke rumah setelah
keadaan ekonomi dirinya makin merosot. Hutang sana, hutang sini. Dia yang sudah
lama tidak meniaga ayam proses di pasar basah kembali menumpang di rumah. Dalam
duduk menumpang makan hasil pencarian Kak Lila, mulutnya sakan mengumpat dan
memburuk-burukkan Kak Lila. Terutama kepada Mak Timah. Sesekali apabila Sufi
pulang ke rumah, dia juga akan bercerita tentang perangai Kak Lila kepada Sufi.
Tapi Sufi buat tak endah. Dia lebih kenal batu dan permata.
Maria sebenarnya pandai memilih masa
untuk pulang. Dia kembali menetap di rumah itu selepas Abang Zali membangunkan
semula rumah yang telah usang. Sekarang semuanya serba baru. Dia dengan senang
hati pulang dan mahu kembali menjadi ‘raja’ di rumah itu. Memang Maria jenis
yang tidak boleh dibuat baik. Dia kembali berkelakuan seperti arwah ibu masih
ada. Dengan sokongan yang diberikan Mak Timah, Maria jadi besar kepala.
Menganggap masih ada hak ke atas rumah itu memandangkan itu harta peninggalan
orang tua.
Sedangkan sebelum ini Abang Zali
sudah membahagikan, gerai ayam diberikan kepadanya. Sama ada membawa untung
atau tidak, itu tanggungjawabnya sendiri. Barang kemas arwah ibu dulu dia sudah
bolot semua. Rumah dia sudah tidak boleh tuntut sebarang hak. Bagaimanapun, Mak
Timah menyokongnya. Tambahan pula Abang Zali tinggal jauh. Bukan boleh sentiasa
bersuara menghalang.
Maria makin besar kepala apabila
pinjaman Amanah Ikhtiar diluluskan. Dengan duit itu dia membayar hutang modal
ayam kepada pembekal menyebabkan pembekal kembali berani membekalkan ayam
proses kepadanya. Lalu dia kembali meniaga.Dengan wang itu dia membeli jiwa
adik-adik, terutama Sauki yang tidak mengenang jasa Kak Lila selama ini. Sauki
minta apa saja daripada Maria, dia akan adakan. Terutama duit untuk membeli
rokok yang selama ini Kak Lila hadkan.
Lama-kelamaan Sauki memihak kepadanya.
Anak-anak Maria begitu juga. Langsung lupa susah payah Kak Lila selama ini
menjaga makan minum mereka. Budi Kak Lila yang bertahun-tahun dilupakan dengan
‘kebaikan’ Maria yang baru sekejap. Tanpa mengetahui niat di sebalik kebaikan
yang Maria tunjukkan. Kak Lila dan Azah pula yang merasa terpinggir apabila
majoriti penghuni rumah peninggalan orang tua, juga dengan sokongan padu Mak
Timah memberi mandat kepada Maria.
Lalu Sufi dan Dinie campur tangan,
menasihatkan supaya Kak Lila dan Azah keluar dari rumah itu. Suatu masa Sauki
dan anak-anak Maria akan tahu hitam atau putih jika seratus-peratus bergantung
kepada Maria. Pengalaman dan sejarah menunjukkan Maria bukan boleh berlama-lama
menanggung makan minum orang yang tidak bekerja seperti Sauki. Lambat laun dia
akan mengungkitnya kembali. Namun Sufi menasihatkan Kak Lila dan Azah,
sekiranya mereka kembali meminta simpati Kak Lila, abaikan. Jangan dilayan.
Bukan Sufi mengajar supaya memutuskan tali silaturrahim, tapi sekadar untuk
memberi pengajaran kepada mereka supaya lebih mengenang budi pada masa hadapan.
Dan Sufi sendiri, seperti rasa
terketik sama apabila Maria berbuat begitu terhadap Kak Lila dan Azah. Hatinya
terkesumat benci dan meluat terhadap Maria dan
Sauki. Dalam masa yang sama, Sufi terkilan juga kerana Abang Zali tidak
bertindak tegas. Sepatutnya dia pulang dan memberi kata putus kepada Maria.
Kalau patut buat perjanjian secara bertulis, buatlah begitu. Panggil beberapa
orang menjadi saksi perjanjian yang mengatakan Maria tidak boleh kembali ke
rumah itu setelah segala onar yang dilakukan selama ini. Jika Maria langgar
perjanjian, tindakan mahkamah boleh diambil.
Kalaulah Sufi anak sulung, memang
Sufi akan mengambil pendekatan itu. Biar Maria tahu segala sikapnya selama ini
memang sudah tidak boleh dimaafkan. Sekarang Maria merasa besar kepala dan
merasakan kemenangan di pihaknya. Sufi memang geram. Sungguhpun begitu, dia
memujuk mengatakan, Maria belum diadili di mahkamah Allah. Di sana nanti dia
akan tahu betapa azabnya seksaan bagi orang-orang yang melakukan kemungkaran
dan penganiayaan kepada orang lain.
“Sakit hati kan kalau mengenangkan
segala perbuatan Maria dan sikap Sauki yang tak kenang budi tu.”
“Sakit hati pun nak buat macam mana.
Sebab sakit hati juga aku sanggup keluar. Daripada hari-hari makan hati. Baik
keluar saja. Alah, Sauki akan tahu juga nanti bagaimana hidup dengan Maria.
Bukan dia tak pernah merasainya dulu.”
“Sufi pun nak tengok sejauh mana dia
boleh bertahan duduk dengan Maria. Sufi dah tekad dalam hati, jika selama ini
Sufi sedia untuk menolong, akan datang jangan harap. Malas nak menolong orang
yang susah nak kenang budi macam tu.”
“Ya. Aku pun macam tu. Bukan nak
minta mereka datang bawa dulang menyembah mengucapkan terima kasih. Cukup kalau
kelakuan mereka tu dijaga sikit. Jangan tunjuk besar kepala dan asyik nak
melawan kata.”
“Selama ini Sufi malas nak bertegas
sebab tak mahu bermasam muka dengan adik-beradik. Selama ini orang keliling
cakap kita adik-beradik dah tak satu padu. Berpecah-belah. Mentanglah ibu bapa
dah tiada, masing-masing bawa hal sendiri. Itu yang Sufi cuba elakkan,”
beritahu Sufi sambil mengambil sehiris mangga yang siap dikupas kulitnya oleh
Kak Lila.
“Dulu aku pun macam tu. Cadangnya
nak jaga adik-adik. Nak tunjukkan pada orang keliling bahawa kita mampu
bersatu-padu walaupun mak ayah dan tiada. Malah nak tunjuk juga pada Maria,
kita bahagia walau tanpa dia.”
“Sekarang terbalik. Nampaknya
adik-adik memihak Maria.”
“Hanya Sauki. Itupun aku masih
bersyukur kerana masih ada yang sudi memahami dan menemani,” Kak Lila berkata
seketika kemudian mula termenung panjang.
Mungkin mengingatkan perilaku Sauki
yang langsung tidak mengenang budi atas susah payahnya selama ini. Sejak Sufi
tidak lagi bekerja dan Abang Zali tidak menghantar duit belanja ke kampung
dengan alasan mereka sudah besar panjang dan mampu mencari makan sendiri, Kak
Lilalah yang menanggung segala-galanya. Kak Lila sanggup berhutang sana sini
semata-mata mahu memastikan adik-adik dan anak-anak saudara di bawah jagaannya
tidak kelaparan. Untuk mengharapkan gajinya seratus peratus, tentu saja tidak
mencukupi. Kak Lila terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk makan minum
mereka memandangkan selama ini mereka sudah biasa menjamu selera dengan
lauk-pauk yang mahal dan mewah. Ikan
kering atau ikan kembung jangan harap mahu disentuh, terutama Sauki dan Alif.
Sekarang apa berlaku? Kak Lila
terpaksa menanggung hutang. Sauki dan Alif pula sedikit pun tidak mengenang
jasa-jasa Kak Lila. Lalu Sufi semakin terketik
sama melihatkan keadaan itu. Malangnya dia tidak dapat berbuat apa-apa
kerana Dinie tidak membenarkannya bekerja. Alangkah bagusnya jika Sufi sendiri
dapat bekerja dan sama-sama memikul beban dengan Kak Lila. Kasihan Kak Lila.
Sungguh-sungguh Sufi kasihan. Dalam masa yang sama dia juga merasa bersalah
kerana gagal menunaikan janjinya terhadap arwah ibu yang meminta dia sentiasa
menolong adik-beradiknya memandangkan dia berkelulusan paling tinggi. Pada ibu
tentu bakal menjawat jawatan yang baik. Aduh, Sufi benar-benar tidak lugu.
Alangkah bagus juga kalau Dinie
menjadi seorang suami yang lebih memahami keadaannya. Malangnya Dinie tidak
begitu, dia menganggap itu bukan tanggungjawab Sufi. Mereka bukan dalam
tanggungannya. Sekadar menghulur seratus dua kala terdesak Dinie benarkan,
namun untuk membiarkan Sufi bekerja semata-mata mahu membantu adik-beradiknya,
Dinie tidak izinkan. Katanya mereka sudah berupaya mencari duit sendiri. Selagi
Sufi menghambakan diri menanggung mereka, sampai bila-bila pun mereka tidak akan
tahu berdikari. Akan sentiasa bergantung harap kepada orang lain.
Dinie menyokong tindakan Abang Zali
yang kini tidak lagi menghantar wang belanja ke kampung dan hanya menumpukan
kepada Azah yang kini sedang melanjutkan pelajaran di UPSI. Sungguhpun demikian,
pada Sufi ada janji yang tidak tertunai antaranya dengan arwah ibu, janjinya
itulah yang kini menghambat masa tenangnya.
“Mak...”Itu suara Yafits. Tentu
sudah terjaga dari tidurnya.
Sufi bangun ke bilik tidur tempat
Yafits ditidurkan tadi. Meninggalkan Kak Lila yang nampaknya mula termenung.
Mungkin memikirkan perbualannya dengan Sufi sekejap tadi.
“Mak, Yafits lapar,” rengek Yafits
dengan suara manja. Tangannya pantas memeluk betis Sufi sambil mendongak
memandang ibunya yang sedang tersenyum sayang kepadanya.
“Yafits nak makan apa? Kat luar Acik
La ada kupaskan mangga. Jom pergi makan.”
“Yafits nak air milo dengan sosej.”
Sufi tersenyum dengan permintaan
anaknya. Dia mendukung Yafits ke ruang rehat rumah. Kak Lila masih di situ.
Kali ini sedang berbaring sambil menonton vcd drama bersiri Jepun With Love.
“Yafits, sini kat acik.” Kak Lila
mendepakan tangannya. Yafits menggeleng-gelengkan kepalanya tanda enggan
mendapatkan Acik Lanya.
“Oh, Yafits sombong dengan acik ya?
Acik ada mangga.” Kak Lila menayangkan sepotong mangga kepada Yafits.
Yafits menjeling. Masih belum
termakan pujuk. Dia mendongak memandang ibunya yang sedang memerhati sambil
tersenyum.
“Pergi kat acik Yafits, mak nak
goreng sosej dan buatkan air milo kat Yafits. Tadi cakap nak air milo dan sosej
kan?”
Yafits akur juga. Sufi ke dapur.
Menggoreng beberapa ketul sosej sebelum kembali semula ke ruang rehat. Sewaktu
dia kembali, Yafits sudah berada di atas riba Acik Lanya. Asyik mendengar Kak
Lila membacakan buku cerita perihal Nabi Nuh dengan bahteranya.
“Yafits buat apa tu?” Soal Sufi
sengaja mahu menduga anaknya.
“Dengar acik bacakan buku cerita.”
“Cerita pasal apa?”
“Cerita pasal Yafits...”
“Hah?” Sufi agak kebingungan. Dia
memandang Kak Lila untuk meminta penjelasan lanjut. “Cerita apa? Cerita pasal
Yafits?”
“Tu, tadi acik bacakan, Yafits ikut
ayahnya naik bahtera. Abang-abangnya Sam dan Ham pun naik juga. Tapi yang
seorang lagi tak mau ikut. Dia matilah kena banjir besar.” Yafits menerangkan
sebelum sempat diterangkan oleh Kak Lila.
Sufi tersenyum. Baru dia tahu Kak
Lila membacakan kisah Nabi Nuh a.s dan anak-anaknya kepada Yafits. Memang di
rumah Kak Lila banyak buku-buku cerita tentang para nabi dan sahabat kerana Kak
Lila lebih berkenan jika anak-anak saudaranya tahu cerita-cerita sebegitu
daripada disogokkan dengan cerita-cerita dari Barat seperti Winnie The Pooh dan pelbagai lagi versi
Barat. Cerita-cerita dari Barat tidak mengasuh perkara yang betul. Malah paling
Kak Lila terkilankan, haiwan yang ‘satu’ itupun turut dijadikan watak utama.
Siap digambarkan pembersih dan sebagainya. Sedang dalam agama kita haiwan itu
merupakan najis paling besar. Pendedahan cerita dengan watak-watak begitu akan
menanam sentimen yang tidak elok dalam pemikiran anak-anak.
“Mak, Yafits tu bagus kan? Dia ikut
cakap ayahnya agar naik bahtera. Tapi abangnya yang seorang lagi tu... siapa
nama dia acik?” Yafits menyoal Kak Lila yang seronok mendengar Yafits bercerita
kepada ibunya.
“Qan’aan,” beritahu Kak Lila.
“Hah, Qainan.” Yafits berkata.
“Bukan Qainan, Qan’aan.” Kak Lila
membetulkan. Memang dia tahu nama anak Nabi Nuh yang derhaka itu susah sikit
untuk menyebutkan. Tambahan pula kanak-kanak seusia empat tahun seperti Yafits.
“Emhh...” Yafits teragak-agak.
Tangannya mula menggaru di tempat-tempat yang tidak gatal.
Gelagatnya mengundang tawa Kak Lila
dan Sufi. Yafits termalu. Dia menyorok di belakang Kak Lila. Sufi merapatinya.
Mengusap kepala Yafits dengan penuh kasih sayang. Kemudian Sufi memujuk Yafits
yang termalu itu dengan sebuku sosej dan air milo yang diminta tadi. Yafits
tidak teragak-agak untuk menyambutnya.
“Mak, nama Yafits sama dengan nama
anak Nabi Nuh yang baik itu kan?”
Sufi tersenyum mendengar soalan
Yafits. Dengan hanya sekali dengar, dia sudah mengetahui nama anak Nabi Nuh a.s
itu sama dengan namanya.
“Mak, dulu Haizat cakap, nama Yafits
tak sedap. Umi dan abah dia pun cakap macam tu. Kalau tak sedap kenapa Nabi Nuh
pun namakan anak dia Yafits?” Petah pula si Yafits bertanya.
Kak Lila memandang Sufi. Seperti dia
juga ingin mendengar bagaimana Sufi mahu menerangkan kepada Yafits tentang
persoalan itu. Kak Lila tahu tentu Sufi sedang mengatur bahasa paling mudah
untuk Yafits fahami.
Sufi memang pernah menunggu saat
ini. Menunggu Yafits menyoal mengapa dia dinamakan ‘Yafits’. Bagaimanapun,
soalan itu bunyinya sedikit lain. Soalan Yafits bukan mempersoalkan namanya,
tapi mempersoalkan mengapa Nabi Nuh turut menggunakan nama ‘Yafits’ untuk
anaknya. Sufi tiada jawapan untuk soalan itu. Bagaimanapun dia cuba juga untuk
menjawab.
“Nama Yafits itu bagus, kalau tak
Nabi Nuh tak akan guna nama tu. Soal sedap atau tak, bukan jadi masalah.
Asalkan orangnya baik dan mendengar kata.”
“Oh, tu sebab mak namakan Yafits
macam tu. Mak nak Yafits dengar kata mak ya?” Yafits tersenyum. Dia melompat ke
atas ribaan Sufi setelah menyerahkan gelas milonya kepada Kak Lila.
“Ya. Bijak anak mak!” Sufi
mengiyakan sambil memeluk anaknya sebelum menghadiahkan sebuah kucupan di
ubun-ubun anaknya. Bangga juga dia dengan kepintaran Yafits membaca makna
tersirat di sebalik tindakan dia menamakan anaknya begitu.
Kanak-kanak sebenarnya lebih mudah
untuk memahami sesuatu jika diterangkan dengan baik. Sufi menarik nafas lega.
Sekurang-kurangnya pada masa depan tidak akan timbul lagi isu tentang nama
anaknya itu. Yafits tentu tidak akan mengungkitkannya lagi. Malah suatu masa
nanti Yafits tentu akan berbangga jika dia mula memahami dengan lebih mendalam
lagi makna tersirat di sebalik namanya.
“Nanti kalau Haizat cakap nama Yafits
tak sedap, Yafits boleh cakap nama Yafits ikut nama anak nabi kan mak?”
Sufi tersenyum lagi. Kak Lila juga
nampaknya tersenyum. Bangga denganYafits yang nampaknya mudah celik akal.
“Selalu kah Haizat cakap nama Yafits
tak sedap?” Soal Kak Lila sambil melirik ke arah Sufi. Mengesan reaksi Sufi di
situ apabila mengetahui ada orang selalu komen pasal nama anaknya. Sufi nampak
bersahaja.
“Selalu acik. Dia cakap umi dan abah
dia pun cakap macam tu. Semua orang pun cakap nama Yafits tak sedap.”
“Hah, lepas ni Yafits boleh cakap
kat dia nama Yafits ikut nama anak Nabi
Nuh. Lepas tu Yafits soal dia balik, nama dia ikut nama anak nabi mana?”
“Boleh. Boleh. Lepas tu baru dia
tahu Yafits lagi terror,” ujar Yafits
sambil bangun membuat aksi membayangkan
kehebatan dirinya.
Sufi
dan Kak Lila ketawa dengan aksi Yafits.
Ketawa Sufi terhenti apabila telefon genggamnya berdering minta diangkat dengan
mengalunkan lagu Iklim, Suci Dalam Debu.
Dia mendapatkan telefon genggamnya. Tertera nama ‘Sweetheart’ di skrin. Sufi tersenyum. Yafits pula bangun menuju ke
rak buku. Memilih-milih buku kegemarannya di situ.
“Abang nak datang petang ni? Malam
ni abang tak kerjakah?” Sufi menyoal bertalu-talu. Wajahnya nampak ceria
mendengar suara Dinie di hujung talian.
Kak Lila hanya memerhati sahaja
gelagat adiknya. Sudah lima tahun berkahwin, nampaknya hubungan mereka masih
mesra seperti awal perkahwinan. Malah rajuk mereka masih versi orang bercinta.
Bukan rajuk yang boleh membawa kepada persengketaan berpanjangan. Kak Lila
turut gembira melihat Sufi menemui cinta sejatinya. Giliran Kak Lila? Kak Lila
sendiri tidak tahu bila jodohnya akan tiba. Kak Eisya kini sudah berkahwin.
Tinggal Kak Lila memanjat usia seorang diri tanpa teman. Namun dia lebih
bahagia begitu.
Kalau berkahwin, Kak Lila tidak
sanggup untuk tinggal bersama mertua seperti Sufi dan Kak Izan. Banyak
masalahnya walau hubungan suami isteri bahagia. Menurut pakar psikologi,
rumahtangga biasanya akan mengalami masalah jika ada campur tangan orang
ketiga. Itu Kak Lila paling tidak sanggup. Tambahan pula kata orang mertua
boleh menjadi racun dalam rumahtangga. Boleh juga jadi madu. Kalau nasib baik,
alhamdulillah. Namun Kak Lila tidak sanggup untuk mengambil risiko. Sebab
itulah dia lebih selesa hidup sendiri. Sufi pun pernah cakap dahulu, hidup
sendiri lebih jauh seronok berbanding jadi isteri orang. Itu Sufi yang suaminya
kelihatan baik dan menyayangi. Kalau dapat suami yang tidak bertanggungjawab?
Kalau macam Kak Eisya memang beruntung. Suaminya seorang yang bertanggungjawab
dan punyai rumah sendiri. Tidak perlu menempel di rumah mertua.
“Kak Lila, Dinie nak datang petang
ni.” Sufi memberitahu dengan nada gembira.
“Baguslah. Jadi kau nak ikut dia
pulang hari ini?”
“Eh, nampak tak sabar nak suruh kita
pulang aje...” nada suara Sufi agak mendatar.
Kak Lila tersenyum. “Bukan begitu
maksud aku. Aku kalau boleh tak nak masalah kau dengan mertua tu berpanjangan.
Cuba kau jangan mudah ambil hati. Bersabar sikit.”
“Kak Lila tahu perangai Sufi kan,
kalau orang tu elok dengan Sufi, maka Sufi akan layan orang tu sepuluh kali
lebih elok daripada layanannya. Tapi kalau orang tu buat perangai dengan Sufi,
memang maut orang tu.”
“Pi, kenapa kalau tiba bab ni kau
tak ingat Tuhan? Kan Tuhan menganjurkan supaya bersabar?”
“Lima tahun Kak Lila. Lima tahun
Sufi bersabar. Sekarang biar dia kenal siapa menantunya yang sebenar. Biar dia
tak besar kepala sangat.”
“Arwah ibu dulu sentiasa sabar
dengan Mak Timah sebab tulah sampai hari ini Mak Timah masih kenangkan dia.”
“Sufi tak sama dengan arwah ibu.
Mungkin Sufi ikut perangai arwah ayah. Kalau dah marah memang tak boleh buat
apa dah.” Sufi merenung jauh ke depan. Bayangan wajah Mak Piah datang dengan
wajah masam mencuka. Itu versi wajah biasanya.
Mak Piah memang sering bermasam muka
dengan Sufi. Mukanya memang tidak bervariasi langsung. Balik-balik dalam laras
yang sama. Kalau Dahlia dan Dasimah datang lagilah buruk mukanya. Dengan buntut
beruk betina rasanya buntut beruk itu lagi cantik. Ish, biarlah berdosa mengutuk
orang sekali pun, tapi Sufi kalau dah geram memang begitulah.
Kak Lila senang cakap sebab dia
tidak pernah berdepan dengan masalah itu. Sufi sepanjang perkahwinannya memang
makan hati dengan sikap Mak Piah. Sufi memang sering mengajak Dinie keluar dari
rumah itu kerana tidak sanggup untuk terus berdepan dengan Mak Piah dan arwah
Pak Dahlan. Di mata mereka berdua Sufi sentiasa buruk meskipun Sufi sudah cuba
melakukan apa saja untuk mengambil hati mereka berdua. Demi Tuhan, kalaulah
membunuh itu tidak berdosa, sudah lama Mak Piah dan suaminya dihantar Sufi ke
alam barzakh. Sufi bukan malaikat. Dia hanya manusia biasa. Hanya sedikit
keimanan dalam dada yang membuatkan dia terus diam di rumah itu.
Sufi mengharapkan perubahan.
Mengharapkan kesedaran akan hadir dalam hati orang tua itu. Namun nampaknya
semua itu masih jauh untuk menjadi realiti. Lalu Sufi mengharapkan pengertian
daripada suaminya, Dinie. Sehingga itu, Sufi mohon Tuhan berikan kekuatan
kepadanya.