BAB DUA PULUH LIMA
Masa memang
cepat benar berlalu. Mariah tidak sedar pejam celik, pejam celik, dia sudah
melewati dua tahun sejak dia menolak tawaran ke MRSM. Kini tawaran datang lagi
selepas dia lulus cemerlang dalam peperiksaan SPMnya. Surat tawaran kini direnungnya. Ingin
ditunjukkan kepada ibu bapa. Mereka tentu gembira. Sama gembiranya semasa
menerima surat tawaran Muzamil beberapa hari lepas.
Mereka
dua beradik mengekalkan kecemerlangan
walaupun mendapat cemuhan orang kampung yang mendakwa kononnya usaha
mereka bersusah payah belajar selama ini sia-sia kerana belum tentu Mokhtar dan
Azizah akan menghantar mereka sehingga ke menara gading. Pun Mariah dan Muzamil
menganggap segala cemuhan dan nista yang dilemparkan selama ini didorong oleh
perasaan dengki akan kejayaan mereka.
Mariah
mengayuh basikal laju-laju untuk sampai ke rumah. Surat dalam genggaman
dipegang erat. Tidak sabar rasanya untuk memberitahu khabaran gembira itu
kepada seisi rumah. Sebaik tiba di rumah kelihatan Muzamil sedang termenung jauh
di tangga. Memang sedang menunggu kepulangannya.
“Bagaimana
kakak?” Soal Muzamil. Dia dapat menebak tentu kakaknya ada khabar gembira ingin
disampaikan.
Raut
wajah Mariah dan juga sepucuk surat bersampul coklat di tangan Mariah
menguatkan andaiannya.
“Kakak
dah dapat dik...”
“Iya.
Syukurlah. Kat mana?” Muzamil girang. Dia menggapai surat di tangan Mariah
tanpa menunggu Mariah memberi jawapan.
“Paroi.
Kakak akan buat persediaan kat sana dulu sebelum berpindah ke Bangi,” balas
Mariah sambil mengambil tempat duduk di sebelah Muzamil.
“Kakak dapat tawaran dari UKM...”
gumam Muzamil melihat ke dada surat tawaran.
“Mak ayah
sudah pasti gembira. Adik dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh, kakak pula
dapat tawaran buat matrikulasi."
Muzamil mengangguk-angguk
bersama senyuman. Begitupun seketika cuma apabila dia sekonyong-konyong
teringatkan beberapa perkara. Muzamil mengetap bibir. Kemudian meluahkan
keluhan yang amat berat di perdengaran Mariah mendorong Mariah menunakkan
pandangan ke wajahnya yang mula ditumbuhi kumis nipis di atas bibir.
“Kenapa
dik?”
“Kakak
ingat mereka akan gembira?”
“Tentulah.
Bukankah selama ini mereka selalu mendorong kita agar belajar sungguh-sungguh
hingga ke universiti, kini impian dan hasrat mereka hampir jadi kenyataan.
Kakak dah terima tawaran. Sekurang-kurangnya kakak boleh tebus balik semua
tawaran yang tak dapat kita terima dulu.”
“Apa beza
dulu dan kini kak? Akak rasa kita boleh terima mana-mana tawaran kini?”
“Kan mak
dan ayah dah janji untuk hantar kita belajar,” ujar Mariah. Mengingatkan janji
orang tua mereka.
Memang
Mokhtar dan Azizah pernah berjanji untuk menghantar mereka belajar setinggi
mana yang mereka mampu pergi. Mokhtar dan Azizah tidak mahu lagi menyembunyikan
hasrat mereka untuk melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran. Mereka tidak
mahu mengulangi kesilapan. Dek kerana Mokhtar dan Azizah sering menyembunyikan
keinginan mereka untuk melihat anak-anak berjaya, secara tidak langsung mereka
juga telah menyembunyikan keupayaan mereka menanggung perbelanjaan persekolahan
anak-anak. Disebabkan itu juga anak-anak terdorong untuk menolak tawaran
belajar ke sekolah berasrama penuh.
Lalu,
selepas peristiwa Mariah menolak tawaran, Mokhtar dan Azizah mula mengubah
sikap. Tidak lagi memendamkan hasrat. Sebaliknya menyatakan terus-terang
keinginan untuk melihat anak-anak berjaya. Juga menyatakan terus terang
kesanggupan untuk menyediakan modal bagi membolehkan anak-anak meneruskan
pelajaran.
“Kakak
tak kesian mak dan ayah?”
“Kenapa
adik tanya kakak begitu?”
“Yalah,
cuba kakak bayangkan. Tentu mereka pening kepala untuk mencari modal
perbelanjaan menghantar kita berdua serentak. Ekonomi mak ayah dulu dan
sekarang tak pernah berubah kak. Tambah-tambah sejak Jambul mati. Ayah sendiri
mula kurang sihat. Batuk dan lelah memanjang.”
Mariah
terkesima. Hatinya sedikit bergalau. Dia lupa tentang hakikat itu sekejapan
tadi kerana terlalu gembira menerima surat tawaran. Kini wajah Mariah berubah
mendung. Kepalanya tunduk ke bawah memandang tangga rumah yang sudah usang.
“Kalaupun
mereka boleh usahakan, kakak tak kesian nak tinggalkan mereka berdua? Selama ni
kita hidup berempat beranak dalam rumah usang ni,” sambung Muzamil lagi.
Sekali
lagi kata-kata Muzamil membuatkan Mariah berfikir. Dia memang tdiak terlintas
langsung akan semua perkara yang disuarakan Muzamil. Dia hanya tahu ingin
meneruskan cita-cita dan impiannya yang selama ini banyak tersekat oleh
pelbagai perkara. Dia langsung lupa tentang kebajikan keluarganya sendiri
terutama mak dan ayah yang sudah semakin meningkat usia. Kesihatan juga sudah
mula terjejas seperti kata Muzamil sekejap tadi.
“Jadi
dik, apa patut kita buat? Tolak tawaran ni semata-mata mahu jaga kebajikan mak
dan ayah?”
“Tak. Tak
kakak. Kakak jangan salah faham. Kakak berhak untuk menerima tawaran ini. Sudah
acap kali kakak menolak tawaran semata-mata kerana memikirkan keadaan keluarga.
Kali ini kakak terimalah.”
“Adik?”
“Adik
juga akan pergi jika pemergian adik boleh mengurangkan beban keluarga.”
“Ish, apa
maksud adik ni? Macam orang main drama pula.”
Muzamil
tersenyum mendengar kata-kata kakaknya. Dia kemudian menggelengkan kepalanya.
Menuntut agar Mariah jangan fikirkan bukan-bukan.
“Adik,
cubalah cakap biar terang sikit. Jangan berlapis-lapis.”
“Alah,
kakak jangan runsing. Adik tahu apa yang adik katakan. Adik anak jantan kak.”
“Yalah.
Itu akak tahu, tapi paling tak, jelaskan sikit biar akak faham maksud adik yang
sebenar. Adik nak ke mana?”
“Mana-mana
asal boleh membahagiakan kakak.”
“Hah, itu
lagi satu. Kenapa nak sabitkan dengan kakak?”
“Kakak
bukan tak tahu, dalam dunia ni adik ada kakak seorang saja. Mestilah semua
tindakan yang adik ambil kerana kakak.”
“Kalau
macam tu, adik kena janji. Andai mak dan ayah sanggup, adik kena terima tawaran
tu. Itulah yang boleh membahagiakan kakak. Akak tak ada peluang nak merasa
bagaimana sekolah kat MRSM, kalau adik berpeluang belajar kat sana, akak rasa
keinginan kakak dulu turut tercapai.”
Muzamil
mengulum senyuman. Kemudian lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya.
“Kakak
tak mau adik sekadar angguk saja. Adik janji kena bahagiakan kakak?”
“Adik
janji. Malah adik akan buat lebih daripada apa yang kakak bayangkan demi membahagiakan
kakak.”
Mariah
bahagia mendengar janji si adik. Dia memeluk bahu Muzamil erat demi meluahkan
kasih sayangnya secara non-verbal.
“Jom naik
ke rumah. Kakak nak beritahu mak khabar gembira ini.”
“Mak dan
ayah tak ada kat rumah.”
“Mereka ke
mana?”Mariah kehairanan.
“Melawat
orang meninggal.”
“Siapa?”
Mariah dicengkam gelisah.
“Pak
Mail. Dipatuk ular senduk semasa turun menebas ke sawah padi,” beritahu Muzamil
sambil bangun mengemaskan ikatan pelikatnya.
Mariah
beristirjaa perlahan. Tidak diduga Pak Mail akan menemui ajalnya melalui cara
begitu. Selama ini sawah padi dan kebun getah yang memberi kehidupan kepada Pak
Mail seisi keluarga. Hari ini kehidupan di sawah padi itu juga yang merampas
kehidupan Pak Mail dan tentu sekali merubah cara hidup isteri dan anak-anaknya
pada masa akan datang. Terlalu ironiknya kehidupan di dunia ini.
Mariah
menelan ludah. Susah-susah mereka dua beradik, mereka masih mempunyai ibu bapa
yang sedia memberi kasih sayang dan kehidupan sedaya mungkin meski tidak
semewah mana kepada mereka. Mariah mengucapkan syukur yang teramat di dalam
hati. Juga tidak lupa berseru kepada Ilahi agar dilimpahkan rahmat ke atas roh
Pak Mail.
“E,
kakak, apa cerita Kak Zana?” Muzamil
membangkitkan persoalan, sekali gus membangkitkan ingatan Mariah terhadap
satu-satunya teman baik yang dia ada.
“Okey
kot. Hari tu dia ada tulis surat kat kakak, katanya dia juga lulus cemerlang
dalam exam, dia skor A1 dan A2 dalam
kebanyakan subjek kecuali kimia.”
“Dia
dapat apa kimia?”
“C4. Dia
sendiri tak pasti mana silap sehingga dia gagal skor A untuk subjek tu,”
beritahu Mariah. Tangannya bermain-main dengan rambut yang mula panjang kembali
setelah beberapa bulan lepas dipotong Azizah.
“Hidup
kak, sesekali kena ada dakwat merah, kalau asyik biru memanjang tak seronok
juga.”
“Amboi-amboi
adik kakak, makin besar makin pandai berfalsafah.”
“Kematangan
kena seiring dengan kedewasaan kak,” ujar Muzamil. Sekali lagi melontarkan buah
fikir yang membuatkan si kakak tersenyum meleret.
“Jadi,
Kak Zana tak cakap apa-apa perancangan dia?” Muzamil bertanya lagi.
“Apa
lagi? Ke oversea lah dia. Itukan
cita-cita dia dari dulu. Sambung belajar kat luar negara.”
“Cita-cita
anak orang senang macam dia mudah terlaksana. Tak ada apa dia nak fikirkan.
Belajar sungguh-sungguh, keputusan elok, memang pasti dapat ke sana.”
“Ada juga
yang tak dapat result elok tapi boleh
ke sana. Kan kat sana kolej swasta berlambakan.”
Muzamil
mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Mariah. Anak orang berharta mudah
untuk merealisasikan sebarang impian mereka. Orang tua mampu untuk menghantar
mereka ke mana saja. Ke kutub utara atau selatan sekalipun. Tiada penaja, boleh
sediakan wang biaya sendiri. Mereka berdua beradik? Sekalipun ada penaja yang
sudi memberi mereka biasiswa, belum tentu mereka dapat meneruskan pengajian
hingga ke puncak tertinggi. Banyak lagi masalah domestik lain yang harus dan
perlu difikirkan mereka.
Muzamil
tahu. Malah sebagai anak jantan pula
lebih besar masalah untuk difikirkan berbanding kakaknya Mariah. Dalam
usia enam belas tahun kini, Muzamil sudah bijak untuk membuat perhitungan ke
atas banyak perkara. Dia juga tahu hidup ini memerlukan banyak pengorbanan.
“Kakak,
wajibkah seseorang yang cerdik pandai itu ke universiti bagi mendapatkan
pengiktirafan atas kebijaksanaan mereka?”
Mariah
terkesima diajukan soalan sedemikian. Dia memang tidak menduga Muzamil akan
mengajukan soalan yang cukup ironi seperti itu sedangkan selama ini impian
untuk ke universiti selalu mereka bayangkan bersama. Mereka gigih berusaha
selama ini pun hanya kerana mahu mencapai matlamat ke universiti. Kenapa pula
petang itu Muzamil membayangkan sesuatu yang ironik kepadanya?
“Adik tak
suka kakak ke universiti?” Mariah ragu-ragu dengan sikap Muzamil.
Wajah
Muzamil serta-merta berubah. Tidak menyangka persoalannya akan membuatkan
Mariah tersalah anggap. “Tak. Demi Tuhan bukan begitu kak. Malah adik paling
bangga sebab kakak dapat masuk U dan adik akan pastikan kali ini tiada apa-apa
yang akan membuatkan kakak menolak tawaran ke sana.”
“Habis
kenapa bunyi cakap adik tadi macam ingin mengatakan kepada kakak, tak perlu
sebenarnya ke U?”
“Kakak
salah faham tu. Adik cuma ingin maksudkan kalau seseorang yang bijak dalam
pelajaran, kemudian dia menolak ke universiti kenapa selalunya orang tak akan
nampak dia sebagai seseorang yang pernah cemerlang dalam pelajaran? Orang ramai
tak akan pandang dia sebagai orang bijak pandai lagi.”
“Penyakit
masyarakat dik. Mentaliti mereka, orang kita, kalau pandai mesti ke U, kalau ke
sawah atau tiap pagi terbongkok-bongkok di pohon getah tu bukan orang pandai
meski orang tu pernah dapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.”
“Tak adil
kan.”
“Tak adil
kenapa?”
“Tak adil
bila masyarakat buat penilaian begitu.”
“Apa nak
buat dik? Memang itu penyakit masyarakat. Kita sekalipun, orang akan anggap
begitu juga. Kita pula nak jawab bagaimana? Nak tunjuk slip atau sijil exam untuk buktikan kita cemerlang? Tak
mungkin kita buat begitu. Sudahnya kita diam saja.”
“Sebab tulah adik nak, kali ni
walau apa jua kesusahan dan masalah kakak kena terima juga tawaran ke U.”
“Kakak
pun harap kakak boleh ke sana. Mak ayah dah janji lagipun. Adik pun jangan nak
tolak. Kita sekarang ni tak adalah sesak sangat macam dulu. Tambahan pula untuk
permulaan ni saja harus keluar belanja banyak. Nanti kalau dah ke sana, kakak
akan dapat biasiswa atau paling teruk pun pinjaman. Bolehlah buat belanja kakak
kat sana.” Mariah berkata panjang lebar.
Dia
yakin, walaupun ekonomi keluarga masih tidak berubah, masih banyak jalan untuk
membolehkan tahun itu mereka berdua melanjutkan pelajaran ke institusi
pendidikan yang sepatutnya. Selayaknya dengan keputusan peperiksaan mereka. Mak
dan ayah sudah banyak kali memberi jaminan. Sokongan moral sudah ada meskipun
dalam bentuk metarial belum terdampar depan mata. Sekurang-kurangnya itu sudah
memberikan keyakinan kepada Mariah, impian kali ini pasti akan jadi kenyataan.
Dulu
Mokhtar dan Azizah banyak berdiam tentang sebarang tawaran. Ingin menggesa agar
menerima, tapi bimbang modal tiada. Kini walau modal masih entah di mana,
mereka lebih senang memberi galakan dan meyakinkan soal kewangan mereka akan
uruskan. Lembu yang dua tiga ekor itu mungkin boleh dijual. Mahu menggadaikan
tanah itu mustahil. Begitupun sekurang-kurangnya Mariah nampak ada sesuatu yang
boleh dijadikan penggantungan atau sandaran untuk membolehkan mereka dua
beradik menerima tawaran.
“Seronoklah
Kak Zana ya...” gumam Muzamil tiba-tiba. Kembali mengutarakan soal Tengku
Suzana.
“Ya, begitulah
agaknya. Kakak pun dapat bayangkan betapa gembiranya dia kerana dapat keputusan
cemerlang. Impiannya untuk ke luar negara bakal jadi kenyataan,” kata Mariah.
Dalam benaknya cuba memetakan wajah Tengku Suzana yang kini sudah tampil manis
bertudung.
Dia tahu
itu kerana Tengku Suzana ada mengirimkannya sekeping gambar semasa dia masih di
MRSM. Tengku Suzana nampaknya ceria sekali dalam potret yang dirakamkan itu. Di
sebelahnya, dalam gambar yang sama berdiri seorang lelaki yang menurut cerita
Tengku Suzana, itulah pemuda yang semasa di sekolah menengah dahulu selalu
dilihat Tengku Suzana. Pendek kata, Tengku Suzana memang sudah lama meminati
lelaki itu dan tidak menduga boleh rapat dengannya setelah ke MRSM.
Untung
badan Tengku Suzanalah.
Dan Mariah
memang merindui Tengku Suzana. Dia sering mengharapkan akan pertemuan kembali
antara mereka. Malangnya kemungkinan itu nampak samar apabila Tengku Najmuddin
tidak lama lagi akan dihantar jauh ke utara tanah air. Sekiranya itu terjadi,
Mariah dan Tengku Suzana lebih sukar untuk bertemu kembali dan hanya warkah
sahaja yang menghubungkan mereka berdua nanti.
Pun
Mariah masih boleh bersyukur. Sekurang-kurangnya Tengku Suzana masih ingatkan
dia. Tengku Suzana memang lain daripada kawan-kawan sekelas yang lain. Dia
tidak meninggi diri dan jauh sekali untuk menyombong.
Menyombong?
Mariah
tiba-tiba teringatkan Nadirah.
Beberapa
bulan lepas Mariah dibawa Mokhtar ke pekan untuk menguruskan soal borang
permohonan ke universiti sebaik keputusan peperiksaan keluar. Di pejabat
daerah, dia bertembung dengan Nadirah yang juga ke sana untuk mengesahkan
salinan sijil untuk tujuan permohonan ke universiti. Dia memang kenal benar
akan Nadirah. Tergerak untuk menegur. Baru sahaja dia menguntumkan senyuman
kepada Nadirah, gadis itu sudah menjeling penuh ego. Bibirnya juga dijuihkan.
Mariah sedikit tersinggung. Langsung membatalkan niat untuk menegur. Lalu dia
biarkan saja Nadirah dengan halnya, dan dia dengan hal dia.
Kemudian
Mariah menyedari, mereka walaupun pernah belajar dalam satu kelas, hakikatnya
mereka tidak pernah sekufu. Nadirah dan Mariah datang daripada latar belakang yang berbeza. Selama ini pun
mereka tidak pernah berkawan. Nadirah hanya akan merapati Mariah jika ada
kepentingan tertentu. Mariah tidak harus lupakan kenyataan itu. Dan Mariah
sedikit kesal kerana tidak sedar akan kedudukan dirinya semasa mula-mula melihat
Nadirah.
Dahulupun,
bukan dia tidak tahu Nadirah. Sombong
dan suka meninggikan diri. Tambahan sekarang apabila dia meneruskan pengajian
menengahnya di MRSM. Tentulah egonya terlebih-lebih lagi. Kenapalah Mariah
boleh lupa tentang itu? Mariah sepatutnya tidak boleh lupakan apa-apa tentang
Nadirah yang menyakitkan. Termasuk juga kenangan menyakitkan yang pernah
tercalit dalam perjalanan hidupnya gara-gara Nadirah.
Ya,
gara-gara Nadirah.
Jika
tidak kerana Nadirah yang terlebih-lebih menggodanya dengan sapu tangan merah
jambu bergambar kucing yang comel suatu masa dahulu, kisah luka dan teramat
membuatkan Mariah sesal sehingga ke hari itu tidak akan berlaku. Nadirahlah
yang terlebih-lebih menggodanya apabila seakan sengaja menayang-nayangkan sapu
tangan merah jambu itu kepada Mariah.
Lalu,
Mariah terdorong mengambil wang lima puluh sen dalam kocek seluar bapanya.
Padahnya? Muzamil demam seminggu dibedal bapa kerana menanggung kesalahan
Mariah. Mariah pula terhukum secara
mental. Dia mengalami kekesalan yang amat sangat dan sungguh-sunguh merasa
bersalah kepada adiknya kerana takut untuk mengakui perkara sebenar.
Ah,
segala-galanya itu kerana godaan Nadirah.
Namun wajarkah dia menyalahkan
Nadirah seratus-peratus kerana kesalahannya?
Mariah menelan liur. Nadirah.
Sesekali dia merasakan memang Nadirah mengambil tindakan wajar. Menggoda
sesiapa saja untuk melariskan jualan sapu tangannya. Dan dialah sepatutnya yang
harus sedar diri. Jangan terikut dengan budaya kawan-kawan. Mereka bergaya, dia
pun mahu bergaya. Padahal dia tidak mampu.
Ah, dialah yang salah sebenarnya.
Dia ingat akan kesalahannya itu.
Kerana ingatlah sampai kini dia
cukup sayangkan Muzamil dan tidak mahu lagi melakukan sesuatu sehingga boleh
membuatkan adiknya menerima susah sekali lagi.
Cukup-cukuplah sekali dulu!
BAB DUA PULUH ENAM
“Zah, Mariah
dan Muzamil dua-dua dapat tawaran, abang bangga sangat,” beritahu Mokhtar
kepada Azizah semasa isterinya menyudahkan jahitan baju kurung malamnya.
Mariah
dan Muzamil yang sedang berada dalam bilik masing-masing memang dapat mendengar
perbualan Mokhtar dan Azizah. Hati masing-masing memang berdebar-debar.
Terutama Muzamil yang sudah mempunyai suatu keputusan nekad dalam hatinya.
“Tapi apa
makna semua tu bang? Kita mana ada duit nak biayai mereka serentak
begini?”Azizah menyoal Mokhtar. Ada sendu di hujung suaranya. Juga dalam nafas
yang ditariknya berat.
Pertanyaan
yang dibangkitkan Azizah dalam masa yang sama juga membalikkan ingatan pada
kelahiran serentak, Muzamil dan Murni. Ketika itu Mokhtar dan Azizah terpaksa
memilih mana-mana seorang untuk dibela mereka dan seorang lagi diserahkan
kepada anak arwah Mek Kalsom yang mereka sendiri tidak kenal. Situasi sekarang
lebih kurang. Anak-anak menerima tawaran serentak, pada tahun yang sama dan
jarak masa yang lebih kurang sahaja. Ia tentu saja menuntut perbelanjaan yang
besar sedangkan ekonomi Mokhtar tidak pernah berubah.
Dahulu
pula mereka menerima kelahiran serentak. Pada musim hujan yang membantutkan
akal waras mereka meneruja mereka membuat suatu keputusan yang akhirnya
membuahkan kesal santak detik nafas itu. Mokhtar melepaskan keluhan. Dalam
benaknya sudah membulatkan tekad untuk
tidak mengulangi tindakan mengabaikan mana-mana satu. Cukup sekali dia
mengambil tindakan memilih. Kali ini dia tidak akan mengambil tindakan yang
serupa. Anak-anaknya harus mendapat hak sama rata.
Mokhtar
tidak peduli. Selagi ada ikhtiar, dia akan usahakan walau apa juga yang harus
dilakukan. Paling penting ketika itu hanya untuk menggembirakan hati anak-anak.
Sudah acap kali anak-anak memendam rasa, walau mulut dan reaksi tidak pernah
menunjukkan mereka terkilan apabila satu demi satu tawaran melanjutkan
pengajian ke sekolah berasrama penuh tidak dapat diterima. Untuk tawaran kali
itu, dia akan pastikan anak-anak tidak memendam rasa lagi.
Lagipun,
untuk Mariah ini bukan semata-mata tawaran ke asrama penuh, ia suatu tawaran
yang cukup bermakna. Tawaran membuat persediaan ke universiti. Prauniversiti
atau dalam bahasa budak-budak elit, membuat matrikulasi. Aduh. Bukankah itu
pencapaian paling maksimum untuk seorang pelajar, baik lelaki atau perempuan?
Tidak mungkin Mokhtar akan membenarkan atau membuatkan Mariah menolaknya. Tidak
mungkin sama sekali. Tidak. Ulang suara, tidak. T.I.D.A.K. Tidak!
Sementelahan
Mokhtar merasakan, seandainya Mariah menolak, secara langsung ia membawa makna
pada masa akan datang Mariah juga akan mewarisi kemiskinan dan kemelaratan
hidup yang sekian lama menjadi tradisi keluarga mereka sejak zaman leluhur lagi.
Mariah dan Muzamil tidak harus berada dalam atmosfera sedemikian memandangkan
mereka ada kemampuan dan berhak memiliki masa depan yang lebih baik dan iklim
kehidupan yang cukup berbeza daripada tradisi keluarga mereka sebelum ini.
Cukuplah.
Cukup-cukuplah tradisi hidup miskin dan melarat itu hanya diwarisi oleh Mokhtar
dan Azizah. Biar Mariah dan Muzamil menjadi pembuka tirai kepada sebuah
kehidupan yang lebih baik. Mereka anak-anak zaman akan datang. Kehidupan bakal
mereka tempuhi lebih mencabar. Kala itu ilmu dan pendidikan cukup penting dalam
meneruskan proses kehidupan seharian. Mokhtar tahu. Mokhtar tahu akan hakikat
tersebut meski dia tidak mempunyai pendidikan untuk memikirkannya. Pun daripada
pemerhatian yang dibuat ke atas tuntutan hidup sekarang, itulah yang dia temui.
“Zah,
abang tekad untuk melakukan yang terbaik buat anak-anak kali ini.” Mokhtar
akhirnya bersuara tegas setelah agak lama mendiamkan diri.
“Bagaimana
bang?” Soal Azizah. Sedikit kurang yakin akan kata-kata suaminya.
Pada akal
fikirnya, pada benak tafsirnya, tiada apa-apa yang boleh dijadikan gadaian
untuk membolehkan anak-anak meneruskan pelajaran.
Belum
sempat Mokhtar menjawab pertanyaan Azizah, Muzamil muncul dari tempat tidurnya.
Berdiri di depan Mokhtar dan Azizah. Memerhatikan wajah mereka seorang demi
seorang dengan sorotan mata yang cukup sukar untuk Mokhtar dan Azizah
tafsirkan.
“Ayah,
adik tak mahu belajar lagi, adik nak berhenti!”
Suara
Muzamil yang perlahan tapi mengandungi kesungguhan itu membuatkan Mokhtar dan
Azizah terpempan dan sedikit terkesima. Mariah yang berada di tempat tidurnya
pula meluru keluar setelah sejak tadi hanya mendengar sahaja butir perbualan
Mokhtar dan Azizah. Mariah mengambil tempat di sebelah Muzamil. Cuba meminta
penjelasan.
Kala itu
dia sempat melihat Mokhtar bangun perlahan-lahan. Halkum Mokhtar dibiarkan
turun naik. Seketika merenung wajah Azizah, Mariah dan akhir sekali Muzamil.
Lama dua pasang mata lelaki berdua itu bertembung. Renungan Mokhtar cukup
dalam. Kemudian tanpa semena-mena sebuah pelempang singgah di wajah Muzamil
membuatkan Muzamil tertolak ke belakang. Mariah menyambar tubuh Muzamil. Azizah
juga menerpa mendapatkan anak lelakinya.
Masing-masing
hilang suara. Tidak menduga akan tindakan Mokhtar dan hanya memusatkan
pandangan ke wajah Mokhtar yang merah menyinga. Muzamil pula menekap pipinya
dengan tangan sambil tunduk memandang lantai.
“Kau
cakap apa ni? Kau tahu tak, ayah akan buat apa saja menyekolahkan kamu berdua.
Apa saja!” Mokhtar bersuara tegas.
Suaranya
memang terkandung marah. Dalam dadanya pelbagai rencam perasaan berbaur.
Mokhtar merasakan diri dan ego benar-benar tercabar. Merasakan kata-kata
Muzamil tadi seakan menidakkan kemampuannya dalam menjalankan tanggungjawab
sebagai seorang ayah. Dia tercabar. Benar-benar tercabar. Dia mengandaikan
anak-anak melihat dia sebagai seorang bapa yang tidak tahu menjalankan peranan
dan tanggungjawabnya. Muzamil tidak yakin akan kemampuannya.
Mokhtar
memang bengang dan tercabar yang teramat!
“Dah.
Semua pergi masuk tidur!” Suara Mokhtar dalam getar yang cuba ditahan.
Mungkin
dia marah, kesal dan sedih. Segala-galanya juga mentak berbaur menyebabkan
kewarasannya sedikit terencat. Mokhtar duduk bersandar di tiang seri rumah
sambil lengannya berada di lutut dan tangan memicit-micit dahi sendiri.
Mendengar
kata-kata Mokhtar yang lebih kepada arahan itu, Azizah mengangkat tubuh Muzamil
dibantu Mariah. Mereka membawanya masuk ke bilik.
“Dik,
adik tak boleh berhenti sekolah. Nanti besok adik tak larat nak sara keluarga
adik...” bisik Mariah sambil mengusap-usap pipi Muzamil. Kemudian Mariah
menyambung lagi, “Kakak perempuan. Orang perempuan tak perlu nak belajar
tinggi-tinggi. Kalau kakak kahwin, suami kakak yang akan sara makan minum
kakak.”
Muzamil
tidak bereaksi terhadap kata-kata Mariah. Azizah pula memerhati Muzamil dan
Mariah silih berganti. Dia tidak tahu dalam keadaan seperti itu bagaimana untuk
menyusun perkataan sehingga membentuk satu ayat yang boleh meyakinkan
anak-anak. Begitupun dia tahu dia harus bersuara.
“Mariah,
adik. Tak ada sesiapa antara kamu berdua yang akan berhenti belajar. Mak dan
ayah sama sekali tak akan benarkan.” Azizah berkata akhirnya.
Pun
Muzamil masih mendiamkan dirinya. Pandangannya juga nampak kosong. Dia kini
bagaikan beku. Mariah dan Azizah berpandangan.
“Anak-anak
mak, anak-anak ayah. Biar apa susah sekalipun, kau orang berdua harus
meneruskan pelajaran,” kata Azizah. Memujuk anak-anaknya dengan suara selembut
mungkin. Tapi punya niat mendalam untuk meyakinkan.
“Tapi
tadi mak juga yang tanya ayah bagaimana, kan?” Mariah menyoal Azizah. Dia
melepaskan pandangan penuh mengharap ke arah Azizah. Kemudian memandang pula ke
wajah Muzamil yang masih membeku. Bungkam.
Azizah
berwajah kelat. Dia sedikit kesal kerana tidak menjaga ketinggian nada
suaranya. Kalaulah dia bercakap perlahan sedikit dan menjaga suaranya, perkara itu tidak akan
sampai ke telinga anak-anak. Menolak gegendang mereka membuatkan mereka berdua
hilang keyakinan untuk meneruskan pelajaran. Aduh. Semua ini silap dia. Tapi
apa dia boleh buat?
Meyakinkan
anak-anaknya.
Ya,
meyakinkan kembali anak-anaknya.
Itulah
yang harus dilakukan kembali oleh Azizah kala itu.
Huh,
mudahkah untuk meyakinkan anak-anaknya?
“Betul
tadi mak ada tanya ayah begitu. Mak cuma inginkan kepastian. Jauh di sudut hati
mak, mak yakin ayah kamu berdua ada jalannya,” beritahu Azizah kepada
anak-anak.
Padahal
dalam hatinya sendiri tidak demikian. Apa yang ada pada mereka? Kalau ada pun
hanya dua tiga ekor lembu yang pada perkiraannya tidak seberapa harganya bagi
tiap seekor. Kecuali jika dijual kesemua sekali, bolehlah dibuat modal untuk
menghantar mereka berdua sekali gus. Entahlah. Mentak Mokhtar sebagai suami dan
bapa kepada anak-anak mempunyai jalan untuk menyelesaikan dan memastikan
anak-anak dapat meneruskan pelajaran masing-masing.
Kemungkinan
juga Mokhtar akan meminjam daripada sesiapa. Tapi siapa yang boleh dilihat dan
diandaikan akan bermurah hati terhadap mereka? Selain arwah Pak Matlob dulu,
mereka sudah hilang tempat untuk menumpang senang. Isterinya, walau hati
semulia arwah, tidak dapat memberi apa-apa pertolongan kepada mereka. Kedudukan
sumber kewangan Mak Munah banyak bergantung kepada anak-anak. Dia hanya menadah
tangan.
Pak
Bahar? Tuan punya tanah kebun getah tempat Mokhtar dan Azizah suami isteri
menoreh? Tidak tergamak pula untuk Azizah berbuat demikian. Rasanya Mokhtar
juga tidak tergamak. Pak Bahar dan arwah Pak Matlob jauh berbeza. Dalam tempoh
hampir tiga tahun menjadi kuli Pak Bahar mereka dapat merasakan perbezaan yang
ketara antara dua orang pemilik usia warga emas tersebut. Pak Bahar seseorang
yang menurut telunjuk isteri. Apa-apa keputusan perlu ditanya kepada isterinya.
Isterinya pula, bukan Azizah ingin mengata, tapi hakikatnya isterinya bolehlah
digelar sebagai Hajjah Bakhil.
Kalau
boleh sekalipun, bagaimana dengan belanja musim-musim seterusnya. Mariah dan
Muzamil bukan ke sana untuk sehari dua, perbelanjaan juga bukan sekali keluar
sahaja. Memang apabila sudah berada di sana nanti anak-anak akan mendapat
biasiswa atau paling tidak pinjaman daripada mana-mana badan, begitupun sumber
kewangan itu belum tentu boleh menampung seratus-peratus. Anak-anak tentu tidak
dapat lari dari meminta belanja daripada mereka. Bagaimana jika permintaan itu
datang serentak? Siapa mereka harus dahulukan?
Berjimat.
Benar, dia boleh menuntut agar anak-anak berjimat. Sungguhpun demikian Azizah
sedar, bagaimana bersungguhpun tahap anak-anak berjimat, kesuntukan pasti
mengejar mereka juga. Dunia sekarang berlandaskan duit. Duit. Duit. Sampaikan
pernah dia terdengar cakap-cakap orang kampung jika sesekali terpaksa ke kedai
runcit untuk mendapatkan barang, di bandar terutamanya KL, mahu buang air
sekalipun kena pakai duit. Kalau tiada duit, terberak terkencing dalam seluar
sekalipun tiada yang akan ambil pusing selagi tidak hulurkan duit.
“Mak,
kakak. Pergilah masuk tidur. Jangan pikirkan soal adik. Adik dah besar. Sudah
enam belas tahun. Adik tahu pikir mana baik dan mana buruk untuk adik,” ujar
Muzamil kemudiannya selepas agak lama berlagak seperti patung cendana lelaki.
Mariah
dan Azizah menunakkan pandangan ke wajah Muzamil. Kemudian saling berpandangan
sesama sendiri.
“Betul.
Adik tahu pikir jauh daripada apa yang mak dan kakak bayangkan.” Muzamil
menegaskan sekali lagi.
Mariah
dan Azizah sedikit lega. Mereka berdua yakin dengan kata-kata Muzamil. Sesaat
masing-masing bangun untuk meninggalkan Muzamil. Azizah mendahului Mariah
keluar dari tempat tidur Muzamil. Mariah mengekor dari belakang.
“Kakak...”
seru Muzamil semasa Mariah hampir hilang di balik tabir.
Mariah
menghentikan langkah. Kembali menoleh ke belakang. Memandang adiknya.
“Adik
sayangkan kakak!”
Hampir
jatuh jantung Mariah mendengar ucapan ikhlas Muzamil itu. Dalam dadanya sebak
bergelombang hebat. Memukul segenap inci ruang dadanya. Pun dia berlagak selamba.
Membalas ucapan sayang adiknya melalui senyuman yang meleret panjang. Mata
Muzamil yang merenungnya pula kelihatan bersinar. Dia merenung Mariah dalam
renungan yang cukup-cukup menyentuh hati dan membuatkan Mariah terharu. Makin
membuatkan kati Mariah sedikit kacau.
Adik.
Kakak juga sayangkan adik. Dan Mariah pun berlalu tanpa mampu untuk membalas
walau sepatah kata. Dia dapat rasakan dia pasti akan mengalirkan air mata jika
membalas kata-kata adiknya secara verbal. Lalu ada baiknya sebuah senyuman sahaja
untuk membayangkan rasa bahagia dan sebagai balasan sayang kepada Muzamil.
Kembali
ke pertidurannya. Mariah termenung panjang. Memikirkan ucapan sayang Muzamil.
Dia tahu ucapan itu benar-benar lahir dari hati yang ikhlas dan murni. Ya
Allah! Seru Mariah dalam hati. Engkau mengurniakan aku seorang adik. Namun yang
seorang inipun aku tidak mampu untuk membalas kasih sayangnya. Dia sanggup
menyimpan niat untuk berhenti belajar semata-mata mahu memberi peluang untuk
aku sedangkan aku sendiri tidak pernah terlintas akan hal sedemikian untuk
membuka laluan kepadanya.
Aku
memang tidak pernah terfikir untuk berhenti belajar. Jika tidak kerana adik aku
terlebih dahulu meluahkan kesanggupannya hingga dimarah ayah, aku sampai
bila-bila pun tidak akan terlintas untuk melakukan dan mengambil tindakan
berhenti belajar. Nyata tingkat pengorbanan antara aku dan adik jauh berbeza.
Aku benar-benar kalah kalau bercakap soal pengorbanan dan kasih sayang berdepan
dengan adik.
Mariah
jauh dibawa perasaannya. Lama sebelum akhirnya dia terlena. Diulit mimpi yang
entah apa-apa!
Besoknya.
Mariah
bangun pagi seperti biasa. Selepas menunaikan solat subuh dia ke tempat
pertiduran Muzamil untuk mengejutkan Muzamil menunaikan kewajiban. Terkejut
tatkala menyelak tabir yang melindung pangking tempat Muzamil merebahkan badan
apabila melihat sekujur tubuh yang biasa mengkerekot kesejukan di situ pagi itu
tiada. Mariah ke dapur. Meninjau kalau-kalau Muzamil sudah bangun dan turun
melepaskan hajat di belakang rumah. Pun tiada. Hati Mariah mula merasa tidak
sedap. Gegau dan macam-macam lagi. Dia
kembali ke bilik Muzamil. Mendekati pangking pertiduran Muzamil.
Kali itu
baru dia perasan terdapat sehelai kertas dia atas pangking. Pantas Mariah
mengambilnya. Dalam gelap dia meraba-raba mencari mancis untuk menyalakan
pelita. Dalam debaran dia cuba membacanya.
Kak, biarlah adik berkorban untuk kebaikan
semua orang. Adik akan cari kerja untuk biayai kakak belajar. Kakak pergilah
merebut peluang yang ada.
Muzamil,
adikmu.
Mariah
terduduk sambil meraung. Tangannya meramas nota tinggalan Muzamil. Dia tidak
percaya adik kesayangannya telah pergi. Dia menangis semahu-mahunya. Mahu
diadukan kepada mak dan ayah, mereka sudah lama turun menoreh. Azizah dan
Mokhtar bangun awal. Sebelum azan. Mereka sudah siap di sejadah semasa azan
berkumandang dari surau berdekatan. Selesai solat mereka terus turun untuk ke
kebun getah. Biasanya ketika mereka sedang solat Mariah pula akan bangun ke
perigi mengambil wuduk.
Lalu
Mariah hanya keseorangan pagi itu. Menangis dan meratap pemergian adiknya. Mana
dia mahu cari? Mariah mati kutu. Kemudian apabila tangisan dia beransur reda,
dia bangun ke bucu dinding, tempat helaian pakaian lusuh Muzamil terlipat elok.
Kebanyakan pakaian Muzamil memang tiada di situ. Mariah kembali meraung sekali
lagi. Muzamil bukan main-main. Dia benar-benar telah pergi!
“Yalah. Itu akak tahu, tapi
paling tak, jelaskan sikit biar akak faham maksud adik yang sebenar. Adik nak
ke mana?”
Mariah teringat perbualan mereka.
Teringat semuanya. Dia semakin sebak.
“Mana-mana
asal boleh membahagiakan kakak.” Itu suara Muzamil. Bagai kembali menggetarkan
gegendang telinganya.
Jawapan
Muzamil itu sebenarnya sudah membayangkan niatnya. Mariah kesal kerana tidak
mampu menyelami maksud kata-kata adiknya. Jikalau dia tahu, dia tentu sama
sekali akan menghalang adiknya daripada meneruskan niat sedemikian.
Adik.
Terlalu tekad tindakan yang kau ambil!
Mariah
menangis lagi. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Kemudian dia
teringatkan mak dan ayah. Haruskah dia ke kebun getah tempat Mokhtar dan Azizah
menoreh? Mariah tidak tahu. Hari masih gelap. Ibu bapanya pula menoreh di
Kampung Tengah. Kampung Bechah Kelubi dan Kampung Tengah walaupun tidak
dipisahkan oleh banyak kampung sebenarnya agak jauh jika hanya berjalan kaki ke
sana. Tambah dalam keadaan hari masih gelap seperti itu.
Begitupun
haruskah Mariah menunggu saja di rumah?
Argh,
tidak! Mariah tidak boleh berdiam diri dan menangis sahaja di rumah. Tidak akan
mengubah keadaan. Tidak akan mengubah apa-apa.
Lalu dia
mencapai tudung. Gelap pun gelaplah. Dia rela meredah gelap ke Kampung Tengah.
Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Sekurang-kurangnya jika hal itu
disampaikan segera ke pengetahuan bapa, mentak Mokhtar boleh melakukan sesuatu.
Mungkin boleh menjejaki Muzamil. Andai bernasib baik Muzamil mungkin masih ada
di sekitaran. Sejauh mana sangat adiknya boleh pergi. Dia bukan pernah keluar
ke mana-mana sebelum ini. Paling jauh ke sekolah sahaja.
Adik.
Harap-harap kau masih ada di kampung ini. Bersembunyi di mana-mana sementara
menunggu hari cerah! Doa Mariah penuh mengharap sambil kaki melangkah laju.
Selaju mungkin. Sepantas boleh. Mak dan ayahnya harus diberitahu secepat
mungkin.
Sementara
itu, di kebun getah di Kampung Tengah, Azizah termenung di banir pokok getah.
Dia bagai lupa teknik menoreh yang betul. Dua tiga pohon yang sudah siap
ditoreh termakan batang. Torehan tidak cermat seperti itu boleh merosakkan
batang pohon selanjutnya mengakibatkan pohon tidak dapat ditoreh lama. Dalam
pula rasa berdebar-debar. Sejak dia turun dari rumah tadi dia sudah merasakan
debaran itu. Namun tidak tahu puncanya. Dia tidak menceritakan kepada Mokhtar.
Menganggap ia hanya mainan perasaannya. Tambahan semalam dia tidak mendapat
tidur yang cukup. Hanya terlelap semasa kokokan ayam yang pertama.
Azizah
duduk diam-diam di banir pokok getah. Mencari kekuatan dari dalam. Mata sempat
juga melilau dalam semak. Mengesan sinar mata binatang. Bimbang juga kalau-kalau
ada binatang yang merbahaya. Jika tidak harimau sekalipun, anjing
sekurang-kurangnya. Jika dia dapat mengesan dari awal, boleh juga mengambil
langkah berjaga-jaga. Jika anjing boleh dibaling dengan kayu. Jika harimau?
Harimau
takut kah kalau dibaling dengan kayu?
Azizah
tidak tahu. Dia tidak pernah mempunyai pengalaman bertembung harimau walaupun
kawan-kawan lain pernah memberitahu terserempak beberapa kali dengan harimau.
Tindakan
mereka? Lari sajalah sebelum harimau tersebut nampak mereka.
Hish.
Tidak elok fikir perkara bukan-bukan. Azizah menyedarkan dirinya sendiri.
Berfikir bukan-bukan sama erti seperti meminta terjadinya perkara bukan-bukan.
Tambah-tambah memikirkan soal harimau. Perkara tidak mustahil kerana kebun
getah tempat Azizah suami isteri menoreh bukan jauh sangat dari Bukit Panau.
Menurut penduduk yang tinggal di sekitar, di bukit itu memang terdapat harimau.
Musykilnya, harimau itu tidak kacau orang. Ternakan juga tidak dibahamnya.
Argh,
Azizah ada masanya tidak begitu menerima cerita-cerita tentang harimau di Bukit
Panau. Mana boleh harimau tidak kacau orang dan tidak baham ternakan? Entahlah.
Bagaimanapun dia harus berjaga-jaga.
Sedang
asyik termenung dengan mata melilau-lilau itu Azizah terdengar bunyi ranting
kayu dipijak. Gemuruh darahnya datang serta merta kerana bunyi itu semakin lama
semakin hampir dengannya. Azizah hampir
menjerit tatkala dia mendengar suara yang amat dikenali menyeru memanggilnya.
“Mariah?”
Azizah menyoal inginkan kepastian.
“Mak!
Mak!” Mariah menerpa mendapatkannya berpandukan lampu suluh yang terikat di
dahinya.
“Kenapa
Mariah?”
Dada
Azizah berdebar-debar hebat. Lebih kuat daripada sebelumnya.
BAB DUA PULUH TUJUH
Mokhtar
termenung. Sirna pada matanya jelas menunjukkan dia sangat kecewa. Azizah
menangis. Mariah? Mariah lebih hebat tangisan dan sendunya. Lebih lebat air
matanya. Seperti tidak mahu berhenti-henti. Mariah merasakan semua itu berpunca
daripadanya.
Usaha
menjejaki Muzamil sia-sia. Biarpun sudah mendapatkan bantuan orang kampung dan
penat bertanya ke hulu ke hilir, semuanya memang tidak dapat membantu. Muzamil
langsung gagal dijejak. Persoalan dia ke mana dan dia tumpang siapa hanya
berlegar-legar dalam ruang lingkup mereka tiga beranak. Tiada siapa boleh
memberikan jawapan yang tepat kepada mereka.
“Semua ni
salah Zah bang. Zah minta ampun...” gumam Azizah dalam tangisan.
Memang
dia menyalahkan dirinya sendiri kerana
malam itu tidak menjaga tutur katanya sehingga membuatkan anak-anak
tidak yakin. Kesudahannya inilah. Kehilangan Muzamil secara tiba-tiba. Sesuatu
yang di luar jangkaan.
Mokhtar
tidak menunjukkan sebarang reaksi. Azizah jadi teruja. Menerpa mendapatkan
suaminya. Melutut di situ. Dia benar-benar merasa bersalah. Jika tidak dia
pasti tidak akan mengambil tindakan umpama drama tv. Menangis dan melutut
begitu di kaki suami. Pada Azizah, jika dia tidak terlebih dahulu meragui dan
menidakkan keupayaan suaminya, anak-anak tidak akan memikirkan perkara serupa.
Aduh. Semuanya memang salah dia.
“Bang,
ampunkan Zah. Semua ni silap Zah sebab mengeluarkan kenyataan sehingga
membuatkan anak-anak tak yakin dengan abang!” Azizah berkata dalam suara
bercampur tangisan.
Melihat
ibu sudah hilang kawalan diri, Mariah turut menerpa mendapatkan ibu bapanya.
Dia menangis semahu-mahunya di situ. Dia tidak sanggup melihat ibunya
menyalahkan diri sendiri walhal hakikatnya semua itu berlaku kerana dia. Ya.
Mariah merasakan demikian.
Pada
Mariah, andai dia tidak terlalu bercita-cita tinggi, tidak sering mengangankan
untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Belajar sekadar ala-ala kadar saja
kemudian membuka laluan untuk adiknya pula menamatkan pengajian hingga ke
tingkatan lima paling kurang, atau membuka sepenuh-penuhnya ruang untuk adik
menamatkan pengajian hingga paling kurang peringkat ijazah, semua itu tidak
akan berlaku.
Ini
tidak, saban hari dia bercakap tentang keinginan untuk ke universiti. Belajar
bukan main beriya-iya untuk mencapai tujuan di hati sehingga lupa dia masih ada
seorang adik yang sepatutnya difikirkan terlebih dahulu kepentingannya. Ah,
Mariah baru tersedar dia sebenarnya terlalu pentingkan diri sendiri.
Bukankah
dapat menamatkan pengajian sehingga ke tingkatan lima itu sudah cukup tinggi
bagi anak orang susah sepertinya? Mariah sepatutnya buka mata, melihat
sekelilingnya, berapa ramai kawan-kawan sekampung yang mampu menjejakkan kaki
ke tingkatan lima? Tidak ramai. Memang tidak ramai. Ramainya dalam usia seperti
Mariah kawan-kawan sebaya sudah ramai yang sarat mengelek anak, mengendong
bayi.
Dia?
Huh, dia
tentu saja masih menyarung uniform sekolah ketika kawan-kawan sudah lama
bermain dengan berak anak.
Pun dia
tidak tahu bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana membuka
peluang santak itu. Dia asyik dengan
keinginan tanpa mengukur kemampuan ibu bapa. Dan Mokhtar dan Azizah pula
sebagai ibu bapa, apabila melihat kesungguhan anak dalam mengejar ilmu,
mendudu-dudu pula dengan kejayaan demi kejayaan mula merasa sayang jika
memaktubkan kepada Mariah agar jangan lagi meneruskan persekolahan walau
daripada segi kewangan mereka teramat sesak. Sesak yang teramat-amat.
Aduh!
Baru hari itu Mariah merasakan cukup bersalah kerana terlalu bercita-cita
tinggi tanpa langsung terfikir untuk mengorbankan cita-citanya bagi memberi
peluang dan ruang kepada adiknya pula meneruskan pelajaran. Walhal dia hanya
seorang perempuan yang sinonim dengan kata-kata: belajar tinggi mana pun
sudahnya ke dapur juga.
Ah,
sekali lagi dia menjadikan Muzamil
mangsa keinginannya yang begitu melangit. Aduh. Dia menyesal yang teramat.
Andai masa boleh diputar. Dia sentiasa ingin mengubah segala-gala kepincangan
dalam memerankan diri sebagai seorang kakak.
Aduh.
Kenapalah dia tidak pernah mempunyai pemikiran yang menjurus ke arah
pengorbanan seperti yang sering kali dilakukan Muzamil terhadapnya? Mengapa
Muzamil pula sering sanggup berkorban untuknya terlebih dahulu dan barulah dia
terbuka mata setelah melihat pengorbanan itu?
Mariah
memang merasakan semua salah dia. Memang salah dia. Dia yang tidak pernah
mengukur keupayaan keluarga. Jika sesekali dia terfikir akan ketidakupayaan
ibubapa menyara pengajiannya, dia banyak membujuk diri mengatakan ayah tentu
ada jalannya.
Mengapalah
dia tidak seperti Muzamil? Mengambil tindakan menarik diri daripada meneruskan
pengajian. Cukuplah boleh pergi sejauh tingkatan lima. Itu sudah cukup
memadai bagi anak miskin sepertinya.
Tapi itulah, Mariah tidak pernah fikir begitu. Padanya, hidup tanpa pelajaran
tinggi semaksimum mungkin tidak akan memungkinkan dirinya bergelar seseorang
yang berjaya. Tambahan pula jika tidak mampu untuk menempatkan diri di menara
gading. Tingkat kejayaan pada Mariah
jika mampu ke menara gading seterusnya mendapat jawatan bagus setelah
menamatkan pengajian kelak. Dia ingin kejayaan seperti itu. Sungguh. Dia
benar-benar ingin berjaya.
Dalam
benaknya dia ingin berjaya. Berjaya dan berjaya.
Sungguh.
Mariah ingin berjaya sebenarnya. Malah dia ada idola tanpa diketahui sesiapa
dalam menguatkan dorongannya mengejar kejayaan demi kejayaan dalam peperiksaan.
Dia tidak pernah melisankan akan hal itu. Idolanya, anak kampungnya juga. Anak
kampung yang tidak pernah dikenalinya. Hanya didengar kisahnya melalui mulut
arwah Nek Esah.
Idolanya
itu merupakan satu-satunya anak perempuan Kampung Bechah Kelubi yang berjaya
melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, setamat belajar bergelar pegawai
kerajaan. Menetap di bandar. Hidup mewah dan senang lenang di sana. Berkahwin
pula dengan orang kaya, seorang usahawan. Punyai keluarga yang bahagia. Itulah
anak arwah Mek Kalsom.
Ah, dia
memang tidak kenal idolanya. Hanya mendengar nama. Namun itu sudah cukup
menjadi suatu stimulasi kepada Mariah dalam mengejar impiannya. Dia ingin
berjaya seperti anak arwah Mek Kalsom walau tidak pernah mengenali dan
melihatnya. Mek Kalsom sendiri pun dia tidak kenal. Arwah meninggal pada usia
Mariah masih terlalu muda. Hanya Nek Esah yang asyik bercerita tentang mereka
anak-beranak. Itupun kerana Mariah semasa zaman sekolah rendahnya selalu
bertanya akan sebuah rumah tinggal di tepi sekolah.
Rumah
besar tiada berpenghuni. Itulah rumah arwah Mek Kalsom sebenarnya apabila
satu-satunya anak perempuan arwah tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke kampung
itu dan menjadikan rumah itu terbiar begitu sahaja. Kecenderungan bertanya
tentang rumah terbiar itulah yang membawa kepada cerita tentang anak perempuan
arwah Mek Kalsom yang berjaya dalam pelajaran. Cerita-cerita tentang anak arwah
Mek Kalsom menyebabkan Mariah seronok menanam keinginan untuk berjaya seperti
perempuan itu.
Lalu
hasilnya inilah. Mariah jadi seorang gadis kampung yang begitu ambitious. Tidak fikirkan apa-apa lagi
selain mahu memastikan kejayaan tercapai. Dia juga mahu menikmati hidup seperti
anak arwah Mek Kalsom. Jika tidak mampu berkahwin dengan lelaki kaya sekalipun,
cukup jika berjaya mengikut jejak dalam pendidikan. Soal kahwin, Mariah memang
tidak pernah terfikir hingga sejauh itu.
Tambahan
pula, keinginannya untuk berjaya hanya kerana mahu membela nasib keluarga pada
hari muka. Dia tidak mahu lagi ibu bapa dan adiknya susah payah dan hidup dalam
kemelaratan berpanjangan. Dia mahu kejayaannya nanti membawa sama mereka keluar
dari belitan hidup yang menyesakkan. Mahu makan susah, mahu minum susah.
Bertukar pakaian baru sekali setahun apatah lagi. Selalu saja mereka meraikan
hari raya dengan pakaian lusuh dan usang. Hanya beberapa tahun dahulu saja
mereka merasakan nikmat berhari raya dengan pakaian baru, itupun atas jasa baik
Tengku Najmuddin, bapa Tengku Suzana.
Tengku
Suzana?
Ah,
saat-saat begitu dia perlukan teman untuk bercerita. Dia tiba-tiba menjadi
ingin saja berada di samping Tengku Suzana. Hati Mariah makin sayu. Dia
menangis semahu-mahunya. Tangisannya sama naik dengan sendu Azizah.
“Dah,
dah. Semua jangan nak membazirkan air mata. Tak bawa apa-apa erti.” Mokhtar
akhirnya bersuara selepas agak lama mendiamkan diri.
Dalam
suaranya juga terkesan desir pilu yang tertahan-tahan. Mariah dan Azizah tahu
itu. Malah mereka memahami betapa kecewanya Mokhtar saat itu. Pun baik Mariah
mahupun Azizah sebagai seseorang yang paling akrab dengan Mokhtar langsung
tidak dapat menebak apa-apa dalam benak Mokhtar. Alangkah jika boleh dilihat
semua kata-kata dan persoalan yang berbelit sarat dalam benak Mokhtar, tentu
mereka tahu bagaimana perasaan Mokhtar. Juga bagaimana tanggapan Mokhtar
terhadap kejadian itu. Mujur lagi jika ada skrin maya atas kepala Mokhtar dan
menayangkan semuanya secara jukstaposisi. Tentu lebih mudah untuk Mariah dan
Azizah menyelami medan fikirnya.
“Tapi
ayah, semua ni silap Mariah. Mariah rasa bersalah kerana selama ini terlalu
pentingkan diri sendiri.” Suara Mariah akhirnya keluar juga mengatasi
tangisannya.
“Muzamil
buat keputusan mengikut hatinya. Sesiapapun jangan nak rasa bersalah.”
Macam tu
saja? Mariah tidak puas hati dengan kata-kata Mokhtar. Jauh di lubuk hatinya,
dia mahu Mokhtar memberi jaminan dan keyakinan untuk membawa pulang Muzamil
kembali. Dia tidak akan bertenang hati jika Muzamil masih entah di mana-mana.
“Kita dah
tiada daya untuk menjejakinya. Kita hanya boleh berharap!” Ujar Mokhtar tegas
seakan dapat membaca isi hati Mariah.
Mariah
dan Azizah menyambung tangis!
Seminggu sudah berlalu sejak Muzamil meninggalkan
keluarga. Harapan untuk menjejakinya memang sudah putus di tengah jalan. Hanya
yang boleh dilakukan oleh keluarganya cuma berdoa. Jika Muzamil tidak terbuka
hati untuk pulang sekalipun, cukuplah Muzamil selamat di luar sana. Mereka
memang bimbang akan keselamatan Muzamil kerana selama ini Muzamil tidak pernah
keluar rumah seorang diri walaupun ke pekan.
Mariah? Meski
bersedih dan masih dalam kemurungan, terpaksa juga melakukan persediaan ke
Paroi. Membuat medical check-up dan
pelbagai persediaan lain sebelum berangkat pergi. Keinginan untuk meneruskan
pelajaran memang sudah mati. Begitupun dibangkitkan kembali oleh Mokhtar dan
Azizah.
“Adik
telah berkorban semata-mata untuk membolehkan Mariah sambung belajar, jangan
jadikan pengorbanan adik sia-sia.”
Bergetar
suara Mokhtar di gegendang telinga Mariah semasa dia menyatakan perasaannya
yang sudah mula berbelah bahagi untuk meneruskan pengajian. Semangatnya sudah
hilang, bersama hilangnya adik kesayangan.
Mendengar
kata-kata Mokhtar itu membuatkan Mariah kembali bangkit. Ya. Seharusnya dia
jadikan pengorbanan Muzamil tidak sia-sia. Dia harus meneruskan pengajian dan
memastikan kecemerlangan sentiasa menjadi miliknya. Mariah tidak mahu kesedihan
menjadikan segala-galanya hancur berkecai dan pengorbanan yang dilakukan
Muzamil tidak bererti. Dia tidak mahu keadaan menjadi seperti itu. Dia harus
bangkit dari kesedihan dan menguruskan semuanya dengan cepat sebelum tarikh
melapor diri tiba.
Pun dalam
sibuk-sibuk Mariah membuat persediaan itu dia memang tidak lupakan Muzamil.
Hatinya sentiasa menangis setiap kali mengenangkan adiknya. Satu-satunya adik
yang dia ada kini hilang jejak. Ia benar-benar sesuatu yang sukar untuk ditelan
oleh Mariah.
“Mulia
sungguh hati adik awak Mariah...” komen Tengku Suzana lewat kunjungannya ke
rumah Mariah.
Dia
melakukan kunjungan ke situ semata-mata kerana dia bakal berangkat ke negeri
orang putih untuk meneruskan pelajarannya. Sebelum ke sana, Tengku Suzana telah
berjanji pada diri sendiri untuk melawat Mariah sebelum masing-masing membawa
diri ke tempat pengajian.
Sebaik dia tiba di rumah Mariah,
memang dia terkejut sakan apabila dikhabarkan akan peristiwa sedih itu. Begitu
juga kedua-dua orang tuanya dan Hasbullah yang mengiringi kunjungan Tengku
Suzana petang hujung minggu itu. Sungguhpun demikian tiada apa yang boleh
mereka lakukan selain meminta Mariah dan keluarganya bersabar.
“Awak tak
akan jumpa adik sebaik Muzamil dalam dunia ni Zana. Malah kalau boleh saya mahu
laungkan kepada seluruh dunia tentang keluhuran hati adik saya, biar satu dunia
tahu.”
Tengku
Suzana mengangguk-angguk. Dia juga mengakui kebenaran pada kata-kata Mariah.
Memang adik seperti Muzamil susah untuk dicari. Kalau dia sekalipun belum tentu
sanggup untuk melakukan apa yang boleh dilakukan oleh Muzamil terhadap
adik-beradiknya.
“Kita
berdoalah Mariah, biar Allah selamatkan adik awak walau di mana pun dia berada.
Dia punyai hati yang baik, Allah tentu memberkatinya.”
“Harap-harap
begitulah...” kata Mariah. Suaranya tersekat di situ. Dia memandang ke wajah
Tengku Suzana. Matanya kembali terasa berpasir dan berair.
“Dahlah.
Jangan terus menangis macam ni, awak kena kuatkan semangat awak Mariah.” Tengku
Suzana cuba untuk memberi kekuatan kepada Mariah.
“Tapi
saya rindukan adik saya, Zana. Awak takkan tahu bagaimana peritnya perasaan
saya sekarang.”
“Ya, saya
memang tak tahu, tapi saya faham bagaimana.”
“Kami tak
pernah berenggang sebelum ini. Apapun kami lakukan berdua. Mandi, makan, solat.
Segala-galanya. Hinggakan ada masanya saya masih terpanggil-panggil namanya
jika mahu melakukan sesuatu.”
“Sabarlah
Mariah,” pujuk Tengku Suzana sambil mengusap-usap belakang Mariah. Cuba
memberikan rasa tenang kepadanya.
“Saya
memang cuba bersabar. Saya tentu dah sasau kalau tak sabar.” Mariah berkata
sambil mengesat sisa air bening yang masih lagi mahu turun ke pipi.
“Baguslah
kalau begitu. Saya cuma takut nanti awak juga yang jatuh sakit sebab terlalu
risau.”
“Insya-Allah,
saya tahu kawal perasaan lagi. Terima kasih sebab awak ambil berat soal saya,”
ucap Mariah terharu.
Dia tahu
kebaikan yang ditunjukkan Tengku Suzana itu bukan lakonan, ia lahir dari hati
yang tulus ikhlas.
“That’s what a friend is for.” Tengku
Suzana memegang tangan Mariah untuk memberi kekuatan sambil mengukir senyuman
paling ikhlas.
Mariah
cuba untuk membalas senyuman Tengku Suzana.
“Harap-harap
bapa saya boleh buat sesuatu untuk kesan di mana adik awak...” gumam Tengku
Suzana perlahan.
“Bapa
awak boleh buat sesuatu kah untuk menjejaki adik saya?”
“Tak
pasti. Lagipun kita tak tahu mana dia pergi. Tak ada sebarang petunjuk untuk
kita jejaki dia. Cuma harap-harap. Mungkin bapa boleh fikirkan caranya.” Tengku
Suzana berkata terus-terang. Dia tidak mahu berjanji perkara bukan-bukan kepada
Mariah.
Andai dia
berjanji perkara yang mustahil untuk dilakukan, dia takut diri telah menabur
harapan kepada Mariah. Mariah pula akhirnya mula hidup dalam harapan palsu dan
tertunggu-tunggu harapan itu menjadi
realiti. Dia tidak sanggup melakukan semua itu terhadap kawannya.
Tengku
Suzana menarik nafas panjang sebelum melepaskannya mendudu-dudu bersama keluhan
agak berat. Keluhan Tengku Suzana membuatkan Mariah memusatkan perhatian
kepadanya.
“Kenapa
Zana?” Mariah menyoal kerana dia dapat merasakan ada sesuatu yang terlindung di
sebalik keluhan itu.
Tengku
Suzana menoleh memandangnya. Pandangan mereka bersatu lama. Mata Tengku Suzana
kelihatan berair. Merah. Dia seperti cuba menahan tangisan.
“Zana...”
Mariah rasa tidak sedap hati. Dia yakin ada sesuatu tersembunyi di sebalik hati
kecil Tengku Suzana. Tangan Suzana diramasnya. Dia inginkan penjelasan.
“Mariah,
saya rasa berat hati untuk tinggalkan awak dalam keadaan awak macam ni,” ujar
Tengku Suzana dalam nada sebak.
Tengku
Suzana melahirkan kata-kata yang benar dari hatinya. Sebaik mendengar berita
kehilangan Muzamil tadi dia rasa ingin berada di samping Mariah, untuk memberi
kekuatan kepada sahabatnya. Dia tahu dalam saat-saat seperti itu Mariah
memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Dia mula
terasa berat hati untuk meninggalkan sahabatnya. Dia mahu berada di samping
Mariah sekurang-kurangnya sehingga mereka tahu di mana Muzamil berada, atau
sekurang-kurangnya sehingga Mariah sendiri telah berangkat ke Paroi.
“Zana, terima kasih banyak. Tapi
jangan kerana saya awak tiba-tiba mahu membatalkan keinginan untuk ke luar
negara menyambung belajar.” Mariah bersuara seperti dapat menangkap maksud
dalam hati Tengku Suzana.
“Saya
cuma mahu menemani awak menghadapi saat-saat melukakan ini Mariah.”
“Cukuplah
sekadar awak menunjukkan rasa ambil berat awak. Budi awak dah terlalu banyak
buat saya Zana. Saya tak mahu merasa bersalah jika awak batalkan hasrat ke luar
negara semata-mata kerana saya. Saya ni siapa?”
“Awak
sahabat saya Mariah.”
Mariah
terharu mendengar kata-kata Tengku Suzana. Selama ini tidak pernah ada sesiapa
mahu mengangkat dirinya sebagai sahabat hingga ke tara itu. Kali ini, Tengku
Suzana, anak orang senang sanggup dengan rela hati menjadi sahabatnya. Apa
sangat yang Tengku Suzana pandang pada dirinya sehingga Tengku Suzana
mengangkat martabatnya setinggi itu?
“Saya
benar-benar berterima kasih kepada awak Zana. Awak memang kawan yang baik.
Beruntung sesiapa yang boleh menjadi kawan awak.”
“Awak
asyik berterima kasih kepada saya, walhal saya tak buat apa-apa pun.”
“Awak
buat saya rasa dihargai sebagai seorang teman.”
“Saya
suka dan seronok berkawan dengan awak Mariah. Kalau kita dah ke U nanti, tak
tahu bila pula kita boleh bertemu.”
“Awak
boleh pulang ke Malaysia dan sesekali menjenguk saya kan?” Duga Mariah.
Dia tahu
itu tidak mustahil bagi Tengku Suzana memandangkan orang tuanya boleh menampung
belanja tambang pergi dan balik Mariah walaupun dia sudah berada di luar negara
nanti.
“Mungkin
kalau saya tak sibuk dengan study.
Kita pun tak tau bagaimana corak pembelajaran kat U, Mariah. Abang saya cakap
banyak assignment.”
“Tak
apalah. Saya bukan serius nak minta awak balik jenguk saya. Cukup kalau awak
ingat saya dan sesekali hantar surat buat saya.”
“Itu
sudah pasti...”
Mereka
berdua sama-sama berbalas senyuman. Namun hati kecil Mariah masih ingatkan
Muzamil. Tentu saat-saat itu tambah menyeronokkan jika dikongsi bersama Muzamil
juga. Tambahan pula Tengku Suzana sendiri telahpun menganggap Muzamil seperti
adiknya juga.
“Saya
doakan adik akan menghantar sebarang berita buat kita seawalnya sebelum saya
bertolak ke Paroi,” luah Mariah.
“Saya
pasti dia akan berbuat demikian. Dia pun tentu tak mahu awak risau, kan?”
Mariah
mengangguk-angguk. Dalam hatinya memanjatkan doa agar harapan itu jadi
kenyataan. Jika tidak boleh bertemu kembali dengan Muzamil sekalipun cukuplah
sekadar mengetahui Muzamil selamat walau di mana dia berada.
BAB DUA PULUH LAPAN
Hati Mariah dan
keluarga gembira bukan kepalang apabila menerima sepucuk surat sehari sebelum
dia berangkat ke Paroi. Surat itu tentunya daripada Muzamil. Memberitahunya dia
kini selamat berada di KL dan sudah pun mendapat pekerjaan. Begitupun Muzamil
tidak menyertakan alamat tempat tinggal mahupun tempat kerjanya. Dia hanya
memberitahu keadaan diri dan meminta agar keluarga tidak risaukan dirinya.
Perkhabaran
seperti itu sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan Mariah seisi keluarga
gembira dan hilang sedikit kerisauan terhadap Muzamil. Sekurang-kurangnya
mereka tahu Muzamil selamat. Begitupun Muzamil tidak menjelaskan bagaimana dia
ke sana dan pekerjaan apa yang dilakukannya. Mereka mendoakan agar Muzamil
melakukan pekerjaan yang halal dan tidak menyalahi undang-undang walau jauh di
hati mereka tidak menginginkan demikian. Pada mereka, mereka lebih senang jika
Muzamil sama-sama berada di kampung, meneruskan persekolahan.
Apakan
daya, Muzamil telah memilih jalan hidupnya sendiri, Mokhtar dan Azizah hanya
mampu berserah walaupun kesal masih menebal dalam hati mereka. Mariah apatah
lagi. Sementelahan pula Muzamil mengambil tindakan nekad begitu semata-mata
kerana mahu memberi peluang kepadanya.
Kakak sudah dapat melihat masa depan, cerah
atau gelap sebaik menerima tawaran ke prauniversiti. Adik, walaupun cemerlang
hari ini belum tentu dapat mengekalkan kecemerlangan sampai bila-bila.
Jika kakak menolak peluang semata-mata
untuk memberi laluan kepada adik walhal adik belum tentu lagi masa depannya
tentulah sesuatu yang amat merugikan.
Pergilah. Belajar
bersungguh-sungguh. Adik pula akan bekerja dan akan menghantar duit bagi
menampung perbelanjaan kakak. Tentang adik usahlah dirisaukan. Adik selamat dan
berkeadaan baik di sini. Usah juga merasa terkilan dan kecewa akan tindakan
yang diambil adik ini kerana adik cukup bahagia
dapat berjasa kepada kakak. Adik tidak menyesal dengan tindakan adik
ini.
Adik sayangkan kakak. Lebih daripada
inipun adik sanggup lakukan demi sayang kepada kakak.
Ikhlas:
Adikmu
(Muzamil)
P/S: Sampaikan salam
sayang buat mak dan ayah.
Katakan adik minta maaf banyak-banyak.
Begitu
antara isi kandungan surat panjang lebar daripada Muzamil. Suratnya walau tidak
mempunyai bahasa berbunga-bunga cukup untuk membuatkan Mariah dan ibu bapa
merasa melankolia. Sayu dan pilu. Dalam masa yang sama masing-masing memang
tidak dapat menyembunyikan perasaan setelah menerima surat Muzamil. Surat itu
secara tidak langsung telah menggambarkan ketulusan hati seorang adik.
Begitu
agungnya kasih seorang adik seperti Muzamil sehingga sanggup mengorbankan masa
depannya untuk Mariah. Selesai membaca surat Muzamil, Mariah tentu saja tersentuh
sentimetal dan berendam air mata. Perasaannya berbaur pelbagai rencam. Pilu,
sayu, kesal, marah dan rindu. Semuanya menjadi satu menyebabkan dia sesak dan
sebak.
Mariah
pilu mengenangkan keluhuran hati Muzamil.
Mariah
sayu kerana kini berjauhan dengan Muzamil.
Mariah
kesal kerana sering kali menyusahkan Muzamil.
Mariah
marah kerana sebelum ini tidak pernah terfikir untuk berkorban seperti Muzamil.
Dan
Mariah rindu sangat kepada Muzamil.
Memang
Mariah amat rindukan Muzamil. Kenangan bersama Muzamil sering bermain dalam
benaknya sejak Muzamil meninggalkannya. Ada masa dia terkenangkan bagaimana
seronoknya mereka main masak-masak dalam kebun ubi kayu Pak Matlob setiap kali
menemani ibu menggali ubi. Habis daun ubi kayu dicantas untuk dijadikan kerabu,
buat main masak-masak.
Ada masa
terkenang pula saat-saat manis berlari-lari dalam deretan pohon tembakau di
batas semasa daun sudah cukup matang untuk dipungut. Pohon tembakau yang
menghijau dengan daun lebar-lebar cukup membolehkan masing-masing bersembunyi
daripada satu sama lain. Kemudian apabila salah seorang daripada mereka dapat
ditangkap, mereka akan sama-sama ketawa senang sambil kejar-mengejar di
celah-celah pohon tembakau. Indahnya.
Mengenangkan
itu semua, Mariah mengalirkan air mata. Tidak mungkin mereka dapat mengulangi
semua itu lagi kembali. Bukan sekadar kerana masing-masing sudah dewasa untuk
bermain demikian, tetapi juga kerana kini mereka sudah berjauhan. Malah, untuk
sama-sama duduk di batas sawah sambil bercerita kembali saat-saat manis sesama
sendiri pun mereka sudah tidak mampu lagi.
Segalanya
hanya tinggal kenangan.
Mariah
tertekan dengan keadaan itu!
Pun
begitu, mengenang kata-kata Muzamil, dia harus meneruskan pelajaran dengan
bersungguh-sungguh. Tidak boleh membiarkan perasaan menguasai kewarasannya.
Jika begitu keadaannya dia telah bukan sahaja mengecewakan mak dan ayah serta
Muzamil. Juga telah menyebabkan usaha Muzamil berkorban sia-sia sahaja. Dia
tidak boleh biarkan keadaan jadi sedemikian. Pengorbanan Muzamil biar berbayar
dengan sesuatu yang boleh memuaskan hatinya dan membuatkan Muzamil bangga.
Demi
pengorbanan yang telah dilakukan Muzamil, Mariah tekad untuk belajar
bersungguh-sungguh. Mariah tidak mahu menghampakan Muzamil. Dia tidak boleh
mengalah kepada perasaan sedih dan sayunya.
Cuma ada
banyak tanda tanya yang tertinggal dalam benaknya. Macam-macam persoalan.
Terutamanya bentuk sebenar kerja Muzamil. Muzamil kerja apa sebenarnya? Mariah
runsing dan cuak kalau-kalau Muzamil melakukan kerja yang bercanggah dengan
undang-undang. Muzamil masih bawah umur. Juga tidak membawa bersamanya sebarang
sijil kelulusan persekolahan untuk dijadikan bukti latar pendidikannya. Kerja
apa yang boleh dilakukan di bandar sana? Majikan mana pula yang sanggup menggajinya
dalam latar Muzamil yang sebegitu?
Mariah
benar-benar buntu.
“Janganlah
kita nak pening-pening pikir adik kerja apa, abang yakin dia tak melakukan
sesuatu yang salah.” Mokhtar bersuara begitu semasa Azizah meluahkan
kebimbangannya.
Keyakinan
yang diberikan Mokhtar sedikit sebanyak melegakan Mariah yang tidak mencelah
semasa ibu bapanya sedang berbual. Mungkin kata ayah ada benarnya. Adiknya
selama ini seorang anak yang baik. Penuh belas kasihan dan sikap ingin
berkorban. Dia tidak mungkin sama sekali akan melakukan kerja-kerja yang boleh
mendatangkan susah kepada dirinya.
Pun
Mariah gagal untuk membayangkan kerja apa yang boleh dilakukan di Kuala Lumpur.
Setahu Mariah, Kuala Lumpur bandaraya besar. Penuh sesak dan pelbagai macam
ragam manusia. Muzamil buat apa di sana? Muzamil tinggal di mana? Mengenang itu
semua Mariah menitiskan air mata.
Kenapa adik sanggup buat macam
ini semata-mata untuk kakak? Mariah menyoal begitu.
Pun Muzamil tiada di sisi untuk
meleraikan kekusutan yang bermain dalam benaknya. Mariah benar-benar tidak lugu
dan jadi tertekan.
“Mariah, semua pakaian Mariah dah
kemaskan?” Tanya Azizah mengejutkan Mariah daripada menungan yang panjang.
“Dah mak,” jawab Mariah pendek.
Azizah tersenyum. Dia kemudian
membina sila di sebelah Mariah. Memeluk bahu Mariah penuh kasih sayang.
Sebenarnya dia berat hati juga untuk melepaskan Mariah pergi. Sunyi rumah
jadinya nanti jika kedua-dua anak-anak sudah tiada. Dia tidak biasa hidup
begitu. Jika semua itu bukan untuk kepentingan masa depan Mariah, dia
tidak akan lepaskan Mariah pergi. Lebih-lebih lagi setelah Muzamil juga kini
tiada di sisinya.
Azizah pasti dia akan kesunyian
tanpa anak-anak nanti.
“Mak, pukul berapa kita nak
bertolak petang nanti?” Soal Mariah kepada ibunya.
“Pakcik Hasbullah akan datang
jemput jam sembilan malam, lepas isyak.”
“Kata nak bertolak petang?”
“Tak jadi sebab Tengku Najmuddin
nak kita tiba kat sana sebelah pagi, jadi tidak perlu menunggu lama untuk
pendaftaran. Kita bukan ada sesiapa kat sana untuk tumpang bermalam.”
Mariah mengangguk-angguk. Dia
tahu jika perkiraan Tengku Najmuddin begitu tentu ada kebaikan di sebaliknya.
Dia bersyukur dan berterima kasih banyak kepada bapa Tengku Suzana yang turut
sanggup menghantarnya ke sana. Jika tiada bantuan mereka susah juga mereka
sekeluarga mahu ke sana. Tentu nanti seperti rusa masuk kampung. Belanja juga
besar. Mereka akan ke sana menggunakan dua buah kereta. Sebuah kereta dipandu
Hasbullah, memuatkan Mariah seisi keluarga, sebuah lagi Tengku Najmuddin dan Tengku
Sarah yang turut mengiringi mereka.
Mariah dah keluarganya memang
banyak terhutang budi kepada Tengku Najmuddin. Mereka bukan sahaja telah
sanggup untuk menghantar Mariah ke sana, malahan sebenarnya mereka juga telah
memberikan sejumlah seribu ringgit kepada Mokhtar sebagai membayar yuran
pengajian yang perlu dilunaskan sebelum mendaftar. Mokhtar mulanya keberatan
kerana sudah selalu sangat menerima budi Tengku Najmuddin. Dia sudah naik
segan. Bagaimanapun melihatkan kesungguhan Tengku Najmuddin, dia terpaksa akur
walaupun mukanya tebal lima inci.
Tengku Suzana? Dia juga seorang
kawan yang cukup istimewa buat Mariah. Walaupun dia tidak mampu menyumbang wang
kepada Mariah, dia telah menyumbangkan banyak pakaian terpakai yang masih baru
benar kepada Mariah. Pakaian itu masih terlalu elok. Jauh lebih elok berbanding
pakaian Mariah yang sering dipakai untuk ke pekan. Tengku Suzana juga telah
menghadiahkan Mariah satu set pakaian sukan. Lengkap dengan kasutnya sekali.
Kata Tengku Suzana, Mariah akan memerlukan itu sepanjang pengajian nanti.
Mariah jadi gegau juga dengan pemberian itu. Terlintas
juga dalam benaknya tentang Muzamil. Semasa meninggalkan rumah tempoh hari,
Muzamil hanya membawa bersamanya beberapa helai pakaian lusuh. Itulah juga
pakaian yang dimiliki Muzamil. Hati Mariah menjadi sayu sangat. Dia tidak dapat
membayangkan bagaimana keadaan adik kesayangannya itu sekarang.
Mariah terkilan juga kerana
Muzamil telah mengambil tindakan terburu-buru. Dia yakin jika Muzamil tahu ada
sebuah keluarga yang sanggup membantu mereka seperti itu, Muzamil juga tidak
akan mengorbankan kepentingan masa depannya. Dia akan melanjutkan pelajaran
hingga ke peringkat tertinggi. Mariah kasihan sungguh dengan adiknya.
Dan
Tengku Suzana. Mariah pun tidak tahu kenapalah Tengku Suzana dan keluarganya
begitu baik. Susah untuk bertemu insan semulia mereka. Tidak pandang orang
susah dengan sebelah mata. Mariah cukup merasa dihargai setiap kali bersama
Tengku Suzana. Dia merasakan inilah erti persahabatan sebenar. Pun dia bersyukur
kerana Allah menganugerahkan kawan sebaik Tengku Suzana dan dapat mengenali
keluarga Tengku Suzana yang berhati mulia.
Semua
keluarga Tengku Suzana bersikap baik hati seperti itukah?
Tiada
siapa yang boleh memberikan jawapan itu
kepada Mariah. Namun demikian dia yakin keluarga Tengku Suzana memang baik.
Baik dengan sesiapapun. Lihat sahaja layanan mereka terhadap Hasbullah yang
cuma pemandu. Hasbullah juga dilayan bagai keluarga sendiri. Tengku Suzana pun
nampaknya menghormati Hasbullah sebagai orang tua walaupun hanya pemandu.
Mariah
tidak dapat membayangkan jika sudah kehilangan Tengku Suzana sebagai seorang
kawan. Dia yakin pada kata-kata, setiap pertemuan akan ada perpisahan. Itu
sudah tentu. Dia teramat takut akan perpisahan antara dirinya dan Tengku
Suzana. Malah kinipun nalurinya telah mengatakan akan menjadi sedikit sukar
untuk berhubung dengan Tengku Suzana sebaik kawannya itu ke luar negara. Mariah
takut! Takut kehilangan kawan semulia Tengku Suzana.
Selepas
Muzamil, Tengku Suzanalah tempat dia mencurahkan perasaan. Dia bebas bercerita
apa saja dengan Tengku Suzana. Dia tidak boleh berbuat begitu bersama ibu
bapanya. Dia malu dan segan. Lagipun dalam keluarganya, fenomena begitu tidak
berlaku. Dia dan Muzamil tidak bebas untuk bercerita apa sahaja kepada ibu
bapa. Dia tahu kehidupannya tidak seperti Tengku Suzana yang bebas bercerita
apa saja kepada orang tuanya termasuk halSelepas
Muzamil, Tengku Suzanalah tempat dia mencurahkan perasaan. Dia bebas bercerita
apa saja dengan Tengku Suzana. Dia tidak boleh berbuat begitu bersama ibu
bapanya. Dia malu dan segan. Lagipun dalam keluarganya, fenomena begitu tidak
berlaku. Dia dan Muzamil tidak bebas untuk bercerita apa sahaja kepada ibu
bapa. Dia tahu kehidupannya tidak seperti Tengku Suzana yang bebas bercerita
apa saja kepada orang tuanya termasuk hal mereka berdua dan juga kesusahan
serta kedaifan hidup keluarga Mariah.
Mariah
tahu dan sedar, jika tidak peranan yang dimainkan oleh Tengku Suzana, ibu
bapanya tidak akan sedar kemelaratan hidup Mariah sekeluarga. Tengku Suzanalah
yang banyak memainkan peranan. Kebetulan orang tuanya pula golongan yang murah
hati. Itulah yang menyebabkan Mariah dan keluarga boleh bernafas lega sedikit.
Mariah
tidak tahu bagaimana untuk membalas budi Tengku Suzana dan keluarganya. Tengku
Suzana dan keluarganya telah memberi mereka sekeluarga lebih daripada
persahabatan. Mereka turut merasa terketik sama apabila keluarga Mariah susah.
Turut gelisah apabila Mariah seisi
keluarga ditimpa musibah. Malah Tengku Najmuddin dan Tengku Sarah sama kalutnya
dengan Mokhtar dan Azizah apabila mengetahui Muzamil telah menghilangkan diri.
Keadaan itu semua menunjukkan bahawa mereka secara tidak sengaja telah
menganggap keluarga Mariah seperti keluarga mereka walau tidak pernah diluahkan
secara verbal.
Dan
seperti kata Tengku Suzana sebelum keberangkatannya, Tengku Najmuddin sebaik
tahu Muzamil telah ke Kuala Lumpur telah memberi jaminan untuk menjejaki
Muzamil dengan bantuan kawan-kawan di sana. Walaupun ia kedengaran agak
mustahil kerana Kuala Lumpur luas, Tengku Najmuddin akan ikhtiarkan. Dia yakin
dunia ini bulat dan boleh menemukan kembali Muzamil.
“Mak rasa
Pak Engku boleh jumpa adik tak?” Mariah tiba-tiba mengajukan soalan itu
walaupun berat untuk berbuat demikian.
Dia takut
soalan berbangkit tentang Muzamil boleh membuatkan hati kecil ibunya nanar
kembali.
Azizah
termenung sejenak mendengar soalan Mariah membuatkan anak gadisnya sedikit
gusar dan serba salah. Azizah melontarkan pandangan ke depan. Pandangannya
kosong. Jiwanya juga kosong sejak Muzamil bertindak menghilangkan diri.
“Pak
Engku cakap dia akan mulakan mencari Muzamil di tempat sekitaran kawasan
seperti yang tercop di sampul surat. Harapan mungkin ada di situ.” Akhirnya
Azizah bersuara walaupun dalam nada yang cukup perlahan.
“Mungkin
juga kan mak. Muzamil tentu menghantar surat dari tempat dia berada.”
“Mungkin.”
“Mak,
Mariah minta maaf ya.” Mariah sekali lagi mengucapkan kata-kata maaf.
Sememangnya
sehingga hari itu dia merasakan dialah punca segala kerumitan dan kekacauan.
Jika tidak kerana dia, Muzamil tentu tidak akan mengambil tindakan nekad.
“Dah
Mariah. Tiada siapa silap atau salah. Hanya Muzamil cetek pemikiran, silap
perkiraan.”
“Kenapa
mak cakap macam tu?”
“Yalah.
Kalau dia tak cetek pemikiran, dia akan fikir panjang. Ayah boleh usahakan.
Kalaupun tiada bantuan Pak Engku anak beranak, dia tetap akan usahakan.”
Mariah
tunduk. Dia tahu Muzamil jadi begitu kerananya. Entahlah, dia sendiri tidak
faham mengapa Muzamil sanggup melakukan pengorbanan melibatkan masa depannya
sendiri kepada seorang kakak yang sering membuatkan dia susah. Mariah tidak
tahu. Dia sungguh-sungguh tidak tahu. Sekarang yang termampu dilakukan Mariah
hanyalah berdoa akan keselamatan adik. Tidak kira di mana dia berada, biarlah
dia selamat dan sihat. Dia juga harus memastikan pengorbanan adik tidak
sia-sia. Dia harus belajar bersungguh-sungguh.
Mariah
kemudian mengangkat wajah. Memandang ibunya. Ketika itu baru disedarinya Azizah
sedang berair mata. Mariah juga mula bergalau hatinya. Medu menyerang tiba-tiba
di sudut hati membuatkan dia sukar untuk bernafas lega. Segala-galanya
dirasakan tersumbat dalam kalbu sebaik melihat drama air mata.
“Mak,
kenapa tiba-tiba saja bersedih ni?” Mariah menyoal walaupun dia tidak berani
untuk berbuat demikian.
“Mak
teringatkan adik. Mak tak dapat nak bayangkan kat mana dia makan dan tidur.
Mandi, bersalin pakaian dan segala-galanya Mariah.”
Uhh,
kenapalah mak mengungkitkan persoalan yang pernah aku fikirkan sebaik saja
Muzamil menghilangkan diri tempoh hari? Mariah juga mula terancam melankolia.
Dia memandang Azizah dengan pandangan sayu.
“Adik
makan apa kat luar sana Mariah? Dia berselimut dengan apa waktu malam? Dia
tidur beralaskan apa? Mak tertanya-tanya Mariah. Mustahil dia ada semua
keperluan itu kerana dia keluar dengan membawa beberapa helai pakaian
lusuhnya.” Nada suara Azizah sudah berbaur sebak.
Mariah
makin terketik melankolia. Dia jadi sentimetal sekonyong-konyong sahaja.
Fikiran emak sama saja dengan apa yang bermain dalam laut fikirnya. Seluruh
kewarasannya mula diseliputi kemutuan. Dia cuba untuk tidak menangis sama depan
mak. Tidak. Dia harus kuat depan mak yang kian tewas dengan perasaannya.
Nah,
Mariah memang menyesal kerana dia
mengusulkan soal adik pada waktu-waktu begitu. Padahal sejak ayahnya sebagai
ketua keluarga memaktubkan agar jangan menyalahkan diri sendiri dan jangan
ungkit-ungkit lagi soal Muzamil, masing-masing memang lebih senang mendiamkan
diri daripada bercakap soal Muzamil. Walaupun keinginan menggelegak untuk
berbuat demikian, masing-masing hanya diam.
Waima
Mariah atau Azizah, masing-masing tahu mengapa Mokhtar sebagai ketua keluarga
tidak ingin persoalan tentang Muzamil diungkit-ungkitkan lagi. Dia tahu Mokhtar
bukan ingin membuang Muzamil dalam hidup mereka. Mokhtar masih sayangkan
Muzamil. Malah Mokhtar juga ketara gembiranya semasa menerima surat daripada
Muzamil. Mokhtar cuma memaktubkan demikian kerana Mokhtar tidak mahu lagi
melihat air mata dalam rumah mereka.
Jika
sudah berair mata, segala-galanya akan jadi lemah. Lebih suka mengikut
perasaan. Sebab itulah ada baiknya jangan ada sesiapa pun mengungkit soal
Muzamil. Ia tentu akan membuatkan mana-mana seorang mengalirkan air mata. Dan
Mariah telah melanggar larangan tidak bertulis itu.
“Mak,
sabarlah.”
“Mana
boleh mak bersabar Mariah? Saban malam mak menangis. Kau tak tau. Ayah kau pun
tak tahu. Kehilangan anak memang cukup memeritkan. Banyak mak fikir soal adik
kau. Kau pernah fikir tak mana adik kau dapat duit nak sara diri kat sana?
Katapun dia dah dapat kerja dalam surat tu, takkan boleh dapat gaji
serta-merta, paling kurang kena tunggu seminggu dua.” Azizah kian melepaskan
apa yang berbuku dalam hatinya.
Selama
ini dia tidak mampu untuk meluahkan
demikian. Dia takut kesedihan itu merebak pada anak dan suaminya pula. Namun
hari itu, dia merasakan harus meluahkan semuanya. Sekurang-kurang persoalan
yang mengganggu tidurnya saban malam boleh dikongsi bersama Mariah walaupun
Mariah tentu sama sekali tidak mampu untuk memberi jawabnya.
Pada
Azizah, kehilangan Murni kira-kira hampir enam belas tahun lampau masih menjadi
momok dalam hidupnya. Kini dia terpaksa menghadapi suatu lagi kehilangan. Dia
memang tidak dapat menanggung kesedihan bertimpal-timpal seperti itu. Luka lama
tidak pernah padam, kini dia harus berdepan dengan luka baru pula.
Tidak
kisahlah kalau dia harus kehilangan dan berenggang dengan anak-anak kerana
anak-anak ingin menyambung pelajaran. Demi kepentingan mereka dia sanggup.
Sungguhpun demikian, situasi sekarang tidak demikian. Dia kehilangan Muzamil
kerana faktor kemiskinan. Itulah faktor
penariknya. Dan seperti juga hampir enam belas tahun lampau, kali ini pun dia
dan Mokhtar tewas kepada kemiskinan membuatkan mereka hilang anak-anak.
Bezanya
dulu mereka menyerahkan walau hati tidak rela, kali ini anak membuat keputusan
sendiri. Semuanya hanya kerana satu, kemiskinan. Walau anak-anak akur dengan
kesempitan dan kesesakan hidup mereka, anak-anak tidak yakin pada Azizah dan
Mokhtar sebagai ibu bapa. Tidak yakin Azizah dan Mokhtar boleh memberikan
mereka peluang keluar meneruskan impian mereka dengan usaha tulang empat kerat
Mokhtar dan Azizah.
Tiada
apa-apa jaminan untuk membolehkan dia membesarkan anak-anak dalam kesenangan walaupun selepas hampir enam
belas tahun menyerahkan Murni kepada orang lain untuk dibela. Nasib mereka
sekeluarga tidak pernah berubah. Masih diseliputi kesempitan.
Azizah
terkilan yang teramat.
Mariah
tentu sama sekali tidak akan memahami sejauh itu rasa terkilannya.
BAB DUA PULUH
SEMBILAN
Malam kelam
benar ketika itu. Muzamil masing termenung memerhatikan bintang-bintang.
Bintang di langit Kuala Lumpur masih sama dengan bintang di kampung. Ah, memang
suasana di langit sana sama saja dengan di kampung. Sebab itulah Muzamil setiap
malam dan setiap masa akan mendongak ke langit. Jika sekelilingnya sudah tidak
sama dengan suasana di kampung, langit atas sana masih sama. Tidak berubah.
Ah,
langit di mana-mana pun sama. Cuma bezanya langit di sini sesekali akan
membiaskan wajah kakak. Kakak yang manis tersenyum dengan rambut ditoncang dua.
Ada masa kakak akan melambai kepada Muzamil. Ada masa kakak akan menangis
memanggil Muzamil pulang. Kemudian bayangan kakak menangis akan hilang di balik
awan.
Entahlah.
Kenapa langit di sini ada masanya cukup pelik? Ia bagai sebuah tv besar,
menayangkan banyak cerita-cerita yang penuh nostalgik. Cerita dua beradik. Anak
orang susah. Mereka digambarkan berlari-lari pulang dari sekolah. Bayangan di
langit itu cukup jelas. Muzamil sayu melihatnya. Dia terasa dirinya juga dibawa
ke sana.
“Adik...”
Terdengar pula suara kakak memanggil-manggil.
“Adik
mari makan.” Itu pun suara kakak juga.
“Adik
mari mandi.” Masih suara kakak.
“Adik
bangun sembahyang.” Suara kakak lagi.
“Adik.
Adik. Adik.” Dan suara itu makin mengganggu Muzamil.
Bergema. Berdengung-dengung.
Sarat dalam telinga Muzamil. Memecah gegendang hingga Muzamil kemutuan. Muzamil
akan tercari-cari kakak di sekelilingnya. Mungkin kakak ada di sisi. Sungguhpun
demikian Muzamil hampa. Usahkan kakak, bau badan kakak pun tidak dapat
dihidunya. Bau segar selepas mandi.
Muzamil
mendongak lagi. Merenung langit. Argh, Kakak masih ada di situ.
Tersenyum-senyum kepadanya. Muzamil turut tersenyum kepada kakak. Kakak
turunlah ke mari. Adik tak boleh nak naik ke atas. Kakak...
Muzamil
memang rindukan Mariah. Setiap kali
rindukan Mariah, dia akan pandang ke langit. Kakak ada dan akan tersenyum di
situ.
Kakak,
rindukah kakak pada adik? Muzamil bercakap dalam hatinya. Dia merenung langit
kembali. Seketika kemudian, semua imej maya kakak akan lenyap. Muzamil akan
berdesis. Melepaskan rasa dalam hatinya yang cukup bergalau dan teruja untuk
menemui kakak. Beberapa minggu tidak bertemu kakak, dia jadi cukup menderita.
Apa boleh
buat, dia lakukan semua itu pun untuk kakak juga. Kalau tidak kerana kakak, dia
pun tidak ingin berada dalam keadaan begitu. Dia langsung tidak terfikir selama
ini akan menjadi seseorang seperti yang dilaluinya kini. Bagaimanapun, kerana
seorang kakak yang cukup bermakna dalam hidupnya, Muzamil sanggup. Sanggup buat
apa saja dan membuang cita-citanya.
Kakak
satu-satunya saudara yang Muzamil ada. Kakak memanjakannya melebihi emak dan
ayah memanjakannya. Mentak juga kerana ibu bapa tidak banyak masa untuk
diluangkan bersama mereka. Sebab itulah mereka banyak menghabiskan masa
bersama. Berkongsi segala-galanya bersama. Jika mereka mempunyai adik-beradik
yang ramai seperti Kamil, contohnya. Kemungkinan hubungan mereka tidak serapat
itu.
Argh,
kakak. Adik sangat-sangat sayangkan kakak. Sayang yang teramat.
Dan
Muzamil tunduk. Cuba menahan tangisan. Dia sebak mengenangkan rindu terhadap kakak. Dalam
saat-saat seperti itu dia dan kakak biasanya akan menikmati malam bersama-sama.
Suasana malam kampung tidak sama dengan malam di sini. Di kampung, malamnya
gamat dengan bunyi suara cengkerik dan juga cacing tanah. Jika malam musim
hujan pula, gamat dengan suara katak mengawan. Ong sana, ong sini.
Di sini,
suara-suara itu tenggelam oleh bunyi kenderaan yang tidak pernah putus-putus
walaupun sudah bertukar dinihari. Orang-orang di sini seakan tidak tahu tidur.
Kecuali teman-teman yang telah berpenat
di bawah panas terik bersama-samanya siang tadi.
Muzamil
meneguk liur. Melihat kawan-kawan seberang yang tidur berkapal-kapalan di
lantai rumah pasang siap. Binaan daripada papan lapis lebih kurang dan
beratapkan khemah terbuang. Uh, Muzamil tidak sangka di situ dia akan berada.
Dia tidak merancangkannya. Malah semasa dia melangkah keluar dari rumah malam
itu dia hanya memperjudikan nasib.
Malam itu
dia masih ingat. Semasa ibu bapa dan kakak masih enak dibuai mimpi, Muzamil
melangkah keluar. Dia berjalan jauh berbatu-batu sebelum tiba di jalan besar.
Duduk tercongok di situ sehingga berhenti sebuah treller membawa bahan binaan.
Pemandunya turun untuk melepaskan hajat. Muzamil terus menyerbunya. Beriya-iya
minta ditumpangkan ke mana saja.
Si lelaki
boyak enggan pada awalnya. Puas Muzamil pujuk sehingga dia terpaksa
menceritakan daripada A hingga ke Z niat sebenar dia mahu meninggalkan rumah
dan mencari pekerjaan. Mentak kasihan atau mungkin juga kerana turut kagum
dengan pengorbanan yang ingin dilakukan oleh Muzamil, lelaki boyak bersetuju
memberinya tumpang dan terus membawanya ke sebuah tapak pembinaan tempat dia
ingin menghantar barang-barang binaan.
Tiba di
situ baru timbul idea Muzamil untuk melakukan kerja-kerja binaan. Di situ
Muzamil berdepan pula dengan mandur di
Suatu
jenayah dalam undang-undang buruh negara.
Argh,
kerja sebagai buruh binaan, walaupun Muzamil tidak pernah mempunyai asas
kemahiran, dia boleh melakukannya dengan baik. Dia anak kampung, boleh
melakukan kerja yang lebih berat daripada menggaul simen dan menyusun
batu-bata. Bukan susah manapun. Malah dia juga melakukan semuanya dengan
bersungguh-sungguh kerana dia sentiasa melihat kakak di depannya.
Muzamil
tidak menghiraukan panas terik yang memancar di atas kepala. Jika dia dongak ke
atas dia nampak matahari sedang tersenyum kepadanya. Dia senang hati. Memang
dia senang hati dapat melakukan semua itu untuk kakaknya Mariah. Dia tidak
kesal. Terkilan dan sedih jauh sekali. Dan matahari nampaknya merestui, sebab
itulah dia nampak matahari seakan tersenyum kepadanya.
Dalam
medan fikir Muzamil, dia hanya ingin bekerja sekuat tenaga untuk memastikan
kakak mendapat perbelanjaan secukupnya untuk meneruskan kehidupan di
kampus. Muzamil tahu walaupun dia tidak
pernah melalui kehidupan di asrama, kos hidup di sana tentu tinggi dan
memerlukan belanja yang besar. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu kakaknya
kelihatan ketinggalan dalam berbelanja. Apabila sudah bergaul dengan
macam-macam orang, kakak tentu akan terikut sama untuk membeli itu-ini. Makan
itu dan makan ini. Kalau kawan-kawan sibuk membeli sakan, dia tidak mahu kakak
sekadar tengok sahaja.
Kakak
perempuan, keinginan untuk bergaya dan kelihatan cantik itu tentu ada. Tambahan
dalam usia kakak sekarang sudah lapan belas tahun. Ketika inilah kebanyakan
gadis berlumba-lumba ingin kelihatan cantik dan menarik. Meski bukan untuk
menarik perhatian sesiapa, cukup sekadar untuk memuaskan hati sendiri. Muzamil
tidak akan membenarkan lagi kakak menjalani kehidupan sedikit lain berbanding
rakan-rakan kakak.
Niat Muzamil mahu memberikan kehidupan yang sempurna buat kakak. Seperti orang lain yang
boleh melunaskan sebarang keinginan dalam hati tanpa tertahan-tahan.
Muzamil
tidak mahu desakan hidup menyebabkan kakak mengambil tindakan yang bukan-bukan
seperti yang pernah dilakukan kakak suatu masa dulu gara-gara terpengaruh
dengan budaya kawan-kawan. Dek kerana mahu mengikut trend kawan-kawan ketika itu Mariah telah tersilap langkah
mengambil wang lima puluh sen dari kocek seluar ayah mereka. Muzamil masih
ingat benar kejadian yang akhirnya menyebabkan dia demam lebih seminggu kerana
menanggung kesalahan kakak..
Pun
Muzamil tidak pernah menyesal dan menyalahkan kakak sedikitpun. Dia ingin kakak
sentiasa gembira. Kegembiraan kakak merupakan kegembiraan Muzamil juga. Dia
tidak kisah menerima apa saja hukuman asal kakak terselamat. Dia juga tidak
kisah berpanas berhujan kini asal kakak menjalani kehidupan dengan senyum lebar
di tempat orang. Dia tidak mahu kakak merasa terpinggir seperti masa
sudah-sudah.
Muzamil
memandang ke langit lagi. Bintang-bintang yang banyak berteraburan di langit
kembali membangkitkan nostalgianya.
“Kakak,
kenapa kita hanya nampak bintang pada waktu malam?” Soal Muzamil kepada Mariah
semasa Mariah menemaninya melepaskan hajat pada suatu malam.
Pertanyaan
Muzamil membuatkan Mariah melongo. Dia sendiri tidak pasti mengapa hanya pada
malam hari mereka boleh melihat bintang. Tidak pada siang hari. Apakah kerana
cahaya bulan tidak cukup terang untuk
menerangi malam sehingga membuatkan bulan terpaksa meminta bantuan
bintang? Tidak seperti matahari yang gah bersinar sendirian pada siang hari.
Mariah kemudian turut mendongak ke atas. Melihat langit yang terhampar dipenuhi
bintang-bintang. Cukup mempesonakan suasana malam jika langit dipenuhi bintang
berteraburan di sana-sini.
“Kakak pun tak tahu dik, tak
habis belajar lagi. Cikgu-cikgu pun tak ada terangkan mengapa.”
“Tapi bintang yang banyak tu buat
langit tu cantik kan, kakak?” Muzamil meluahkan pendapatnya. Memang panorama
begitu teramat indah di matanya.
“Memang cantik pun dik. Tapi
menurut cikgu kakak, ia sangat panas dan mengeluarkan cahaya seperti matahari
dalam kehidupan kita.”
“Tentu seronok kalau dapat
meneroka ke alam sana kan kak?”
“Kalau adik belajar
sungguh-sungguh tentu adik boleh ke sana. Jadi angkasawan, macam Neil Armstrong
atau Edwin Aldrin tu.”
“Neil Armstrong? Huh, macam yang
disebut dalam nasyid tu?”
“Ya, Neil Armstrong yang tulah.”
“Macam mana bunyi nasyid tu
kakak? Adik lupalah. Cuba kakak nyanyikan sikit, boleh?” Pinta Muzamil. Dia
teringin pula mendengar suara kakaknya menyanyikan lagu nasyid yang sering
dibawa bertanding oleh kumpulan nasyid sekolahnya.
“Tak naklah. Malu.”
“Malu apa, bukan ada sesiapa
malam-malam ni, kita berdua saja. Takkan dengan adik pun kakak nak malu.”
“Ish, malulah...”
“Kakak sayang adik tak?” Duga
Muzamil dengan suara sengaja dikendurkan. Pura-pura mahu merajuk.
“Sayang...”
“Hah, kalau sayang nyanyilah
sikit. Buat hilang mengantuk adik ni,”pinta Muzamil lagi. Dia sebenarnya
sengaja mahu mengusik kakaknya.
“Adik ni mengada-ada tau!” Gerutu
Mariah. Dia sudah termalu.
“Alah, sikit saja kakak.”
“Adik jangan ketawa tau,” kata
Mariah pula. Mariah sudah bersedia untuk menyanyikan lagu nasyid tersebut. Dia
berdehem beberapa kali membetulkan suaranya, lalu:
“Neil Armstrong angkasawan,
manusia pertama ke bulan. Di bulan terdengar suara azan, hatinya jadi
tertawan...” Mariah berhenti di situ.
“Aik, dah habis?” Muzamil
bergumam.
“Kakak tak ingatlah dik.”
“Kakak ni sengaja buat-buat lupa
tau.”
“Dah, jangan nak banyak cakap.
Kalau dah puas, jom kita ke telaga, jangan nak suruh kakak bernasyid
malam-malam buta ni, karang ada yang ingat langsuir pula yang menyanyi.”
“Ish, kak! Malam-malam ni
janganlah nak sebut benda-benda macam tu, karang ada betul-betul kakak juga
yang terkincit dalam seluar.” Muzamil pantas membantah kata-kata kakaknya.
Terasa meremang juga bulu tengkoknya mendengar kakak menyebut tentang langsuir
malam-malam begitu.
“Hah, kalau macam tu cepat sikit.
Kakak dah mengantuk ni, besok nak ke sekolah pula,” gesa Mariah. Dia nampaknya
sudah lenguh berdiri menunggu Muzamil melepaskan hajatnya..
Muzamil tersenyum. Lamunannya
mati detik itu juga. Malam memang membuatkan dia senang melayarkan ingatannya
jauh. Pulang ke kampung. Ya, pulang ke kampung meski jasad tetap teguh di
bandar serba maju yang dia sendiri belum kenal. Pulang ke kampung untuk
mengenangi saat-saat indah yang telah dihabiskan bersama kakaknya.
Aduh, kakak. Aku sangat rindukan
kakak. Rindukah kakak pada adik, atau saat ini kakak sibuk di tempat baru?
Muzamil tahu kakaknya tentu sudah
berangkat untuk mendaftarkan diri di kolej, tempat dia akan membuat persediaan
untuk ke universiti. Itulah yang Muzamil inginkan. Melihat kakak melangkah jauh
dalam bidang pelajaran. Kelak nanti mereka sekeluarga juga boleh menumpang
senang. Menumpang senang?
Tidak! Muzamil bukan lakukan
semua itu untuk menumpang senang kakak suatu masa nanti. Dia lakukannya
semata-mata kerana kasihnya terhadap kakak terlalu mendalam. Dia ikhlas lakukan
semuanya tanpa mengharap apa-apa balasan daripada kakak jauh sekali untuk
menumpang senang kakak.
Kalau ada yang tanya, kenapa dia
sanggup lakukan semua itu, mengorbankan cita-cita dan masa depannya sendiri
hanya untuk seorang kakak, dia akan memaktubkan begini: Dia sayang kakak.
Sayang yang teramat. Tiada kasih sayang lain yang boleh melebihi kasih
sayangnya terhadap kakak. Lalu wajarlah jika dia mempertaruhkan masa depannya
sendiri semata-mata untuk kakak. Hidupnya, hidup kakak juga.
Dia juga tidak mengharapkan kakak
datang dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Malahan dialah yang sepatutnya
mengucapkan terima kasih kepada kakak kerana memberinya kasih sayang tidak
berbelah bahagi selama ini. Kasih sayang yang kakak curahkan melebihi
segala-gala harta yang berharga di dunia ini. Muzamil memang tenggelam dalam
kasih sayang kakak.
Dan Muzamil yakin berbaloi
melakukan segala-galanya terhadap seorang kakak seperti Mariah. Dia cukup puas
hati kerana dapat berkorban untuk kakaknya. Pengorbanan itu menjadi tanda kasih
sayang Muzamil terhadap Mariah tidak berbelah bahagi sama sekali.
Embun dingin terasa menyapu muka
Muzamil. Dia menyapu pipinya untuk mengesan kehadiran embun. Uh, malam sudah
berembun, menandakan sudah hampir dinihari. Pun mata masih belum terasa
kantuknya. Muzamil bagaimanapun melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam rumah
pasang siap, binaan daripada papan lapis dan khemah lori terpakai. Sudah tiba
masanya untuk dia melepaskan penat walau sekejap.
Sebelum merebahkan badan, Muzamil
sempat memerhatikan kawan-kawan seberang. Mereka senasib dengannya. Untuk
meneruskan kehidupan ahli keluarga yang lain mereka sanggup meninggalkan tanah
tumpah darah sendiri. Merantau ke tempat orang dan sanggup untuk melakukan apa
saja kerja asalkan halal demi menyarasuap keluarga. Bezanya, mereka
masing-masing sudah berumur paling kurang dua puluh tahun, sedangkan dia baru
enam belas tahun. Antara mereka, Muzamil yang melanggar akta buruh.
Muzamil cuba untuk memicingkan
matanya. Menghalau pelbagai rencam persoalan
yang menerjah ke lubuk fikir. Sejauh mana medan fikir pergi sekalipun,
Muzamil tidak akan kembali ke asal. Dia akan tetap di situ kerana pendiriannya
tegar untuk meneruskan bakti kepada kakaknya.
Pun, baru dia memicingkan mata
untuk sekejapan sahaja, bayang wajah emak dan ayah pula datang mengganggu.
Asyik mengenangkan kakak, lupa bahawa dia masih mempunyai dua orang lagi ahli
keluarga yang perlu difikirkan. Muzamil kian medu dan tidak lugu. Tidak tahu
untuk menebak bagaimana reaksi ayah dan ibu tatkala menyedari ketiadaannya pagi
itu.
Adakah ayah menyalahkan ibu? Atau
sewenang-wenangnya melepaskan amarah dan kesal kepada kakak dan ibu? Uh,
Muzamil tidak sanggup untuk membayangkan
situasi di rumah. Dia nampak kakak pijar dibaham penampar ayah. Emak pula
terjelepuk di lantai kerana diterajang ayah.
Begitukah? Begitukah reaksi ayah
sebaik mengetahui ketiadaannya?
Ah, kalaulah benar begitu dia
telah membuatkan kakak dan ibu menerima padah. Dia bersalah kepada dua orang
wanita yang cukup bermakna dalam hidupnya. benar-benar bersalah.
Tapi... ah, tidak mungkin ayah
akan memperlakukan begitu terhadap kakak dan ibu kerana ayah bukan jenis yang
suka melepaskan marahnya melulu-lulu. Dia banyak berfikir dulu dalam diamnya.
Paling teruk pun ayah akan meninggikan suara kepada mereka. Atau selalunya ayah
akan mendiamkan dirinya. Mencari jalan kononnya.
Mencari jalan?
Mencari jalan untuk apa?
Uh, tentulah mencari jalan untuk
menjejakinya. Ah, kalau begitu tindakan ayah Muzamil memang pasti. Ayah tentu
tidak akan berdiam diri. Dia tahu walau tidak ditunjukkan ayah memang sayangkan
anak-anaknya. Ayah banyak bersusah untuk menyarasuap mereka sekeluarga sebelum
ini. Dia pun tidak mahu ayah susah. Dia pun tidak mahu ayah gelisah dan risau.
Namun dia harus melakukan sedemikian untuk membuka ruang kepada kakak.
Ya, membuka ruang dan laluan
kepada kakak untuk pergi lebih jauh. Peluang sebegitu bukan senang dapat. Kakak
tidak harus mensia-siakannya. Sebelum kakak terlebih dahulu mengorbankan
kepentingan masa depannya, biar dia terlebih dahulu melakukannya.
Muzamil teruja sekali lagi untuk
membiarkan laut fikirnya bergelombang oleh pelbagai macam pokok persoalan. Imej
maya kakak, ayah dan ibu datang silih berganti. Hadir perasaan halus dalam
jiwanya. Itu sudah tentu apabila imej-imej maya ahli keluarga bagai menggeletek
setiap inci benak Muzamil. Uh, Muzamil tidak mahu membiarkan rasa itu
terus-terusan membelit medan fikirnya. Muzamil berusaha untuk mendodoikan diri
sendiri.
Tidak berjaya tentunya.
Muzamil memicingkan matanya
sekali lagi. Ada wajah ayah di sebalik kelopak mata yang terpejam. Dibukanya
mata, wajah ayah hilang. Dipicingkan kembali matanya. Imej ibu pula mengambil
tempat. Muzamil terganggu lagi, celik kembali. Ah, ayah dan ibu. Kedua-duanya
memang dirindui Muzamil.
Rindukah juga mereka padaku?
Muzamil membalikkan tubuhnya.
Menyoal diri sendiri dengan soalan-soalan sedemikian sebenarnya tidak wajar.
Ayah terlalu kasih kepadanya selama ini. Ibu pula memang begitu sayangkannya.
Dalam kasih dan sayang seperti itu, tentu mereka sarat menanggung beban rindu
kini. Berdosakah Muzamil kerana telah melangkah keluar tanpa izin kedua-dua ibu
bapa dan seterusnya membuatkan mereka kerisauan dan kegelisahan?
Mak, ayah. Adik minta maaf banyak-banyak. Adik memang tidak mahu
membuatkan mak dan ayah hampa, tapi adik juga tidak boleh melihat kakak
berputih mata melepaskan tawaran. Adik bimbang jika terus menyimpan keinginan untuk
mencapai tahap tertinggi dalam pendidikan, kakak akan mengorbankan
kepentingannya. Adik tidak mahu itu berlaku. Kakak harus mendapatkan
peluangnya. Itu hak kakak.
Sebagai anak lelaki Muzamil
sebenarnya tidak kisah jika terpaksa meneruskan tradisi keluarga menjadi petani
dan penoreh. Dia lelaki. Kerja-kerja berat dan low class seperti itu sanggup dihadapinya. Begitupun, dia sama
sekali tidak akan membenarkan kakaknya terus-terusan hidup dalam keadaan
seperti itu. Kakak tidak sesuai untuk meneruskan kegiatan ekonomi tradisi
keluarga dan menyandang terus segala tipikal tradisi keluarga seperti
kemiskinan dan kedaifan hidup kerana kakak tidak sesuai berada dalam atmosfera
sedemikian.
Jalan harus dibuka luas untuk
kakak mengejar cita-citanya. Paling kurang kakak boleh bergaji besar suatu masa
nanti, kemudian kakak tentu juga akan bertemu jodoh di kalangan orang-orang
sepertinya. Perkara sedemikianlah yang ingin Muzamil lihat. Laluan-laluan
seperti itu akan membuka jalan kepada kakak untuk meninggalkan perkara domestik
yang selama ini membelit keluarganya.
Niat Muzamil memang maha ikhlas
terhadap kakak.
Lalu derhakakah dia semata-mata
kerana dia telah berkorban untuk kakak?
Mak, ayah. Sekali lagi ampunkan
Muzamil.
BAB TIGA PULUH
Mawar
melambaikan tangan kepada Faisal yang sudah melangkah masuk ke terminal. Dia
sudah kalis dengan perpisahan antara mereka memandangkan dia yakin perpisahan
itu bukan bersifat selama-lamanya, tamat belajar, Faisal tetap akan kembali
kepadanya. Bertahun-tahun menjalinkan hubungan dengan Faisal Asna membuatkan
Mawar masak dengan perangainya dan percaya akan kesetiaan Faisal.
Lagipun,
untuk apa dia menyekat Faisal daripada meneruskan pengajian ke luar negara jika
dia sendiri tidak akan berada di Kuala
Lumpur kerana menerima tawaran ke MRSM cawangan Kelantan. Baru-baru ini Mawar
telah mendapat keputusan yang agak memberangsangkan sehingga diterima masuk ke
MRSM. Ia mungkin sesuatu yang menggembirakan ibubapanya, Kamarul dan Khalida.
Menganggap Mawar mewarisi kebijaksanaan mereka dalam bidang pendidikan. Meneruskan tradisi
cemerlang mereka.
Begitupun,
secara peribadi Mawar tidak begitu gembira akan pencapaiannya memandangkan
keputusannya untuk PMR tidak begitu baik dan lebih teruk berbanding ujian bulanan yang saban
bulan diduduki Mawar. Entah di mana silapnya, untuk PMR kali itu dia gagal
mencapai target. Kedudukan sebagai best
student dirampas dan untuk tersenarai dalam top five pun tidak layak.
Mujur
kegagalan mengekalkan kecemerlangan peribadi sebegitu tidak membuatkan Mawar
dicemuh pihak guru, lagipun mereka juga tidak nampak sebab yang membolehkan
keputusan Mawar menjadi sedemikian teruk. Mawar tegar belajar selama ini.
Tambahan pula sejak Faisal Asna tiada lagi di sekolah tersebut. Mereka, iaitu
para guru sudah tidak nampak Mawar membuang masa dengan bertenet. Dia
selebihnya dilihat banyak menghabiskan masa mentelaah pelajaran di masa
luangnya.
Mentak
bukan rezeki Mawar. Mentak juga Tuhan ingin menguji Mawar dan ingin menunjukkan
kepada Mawar agar jangan bersikap over
confident sepanjang masa. Kelak diri sendiri juga akan menerima natijahnya.
Mawar akui, ada sedikit rasa over
confident dalam dirinya menyebabkan dia sedikit lalai. Dia kelihatan
belajar dengan tekun, menelaah tidak mengira masa, walhal jauh di lubuk fikirnya,
otak berterbangan jauh. Khayal tentang masa-masa indah bersama Faisal Asna.
“Mama,
papa. Besok kalau Mawar lulus dengan cemerlang, mama dan papa akan hantar Mawar
belajar kat oversea tak?” Soal Mawar kepada orang tuanya semasa mereka
melangkah meninggalkan lapangan terbang.
“Tak
payah nak ke oversea sayang, kat
Malaysia ni pun berlambak universiti. Bidang pengajian yang ditawarkan juga
sama taraf dengan bidang yang ditawarkan oleh universiti luar negara. Nak buat
apa ke sana? Habiskan duit saja.” Pantas saja Khalida berkata.
Matanya
dijulingkan sedikit ke arah Mawar yang berlenggang elok di sebelah Kamarul
sambil sebelah tangan memeluk lengan ayahnya.
Kata-kata
Khalida itu tentu saja membuatkan Mawar teruja untuk menghentikan langkahnya.
Dia memandang tepat ke wajah Khalida dan Kamarul silih berganti. Tidak percaya
mamanya boleh berkata demikian. Sangka Mawar selama ini, sebarang kehendak dan
keinginannya akan dituruti.
“Betul
kata mama Mawar tu. Negara kita sekarang pun dah banyak universiti. Tak perlu
nak keluar negara jauh-jauh setakat nak dapatkan diploma atau ijazah,” celah
Kamarul pula tanpa sempat Mawar meluahkan sebarang fonem.
Wajah
Mawar makin merona merah. Sirna matanya makin ketara. Dia tidak suka benar
mendengar kata-kata baik yang keluar dari mulut Khalida ataupun Kamarul. Paling tidak suka sekiranya Kamarul mula
memihak Khalida. Pantang benar dia kalau mereka berdua sudah ada pakatan.
“Mama dan papa ni apasal? Orang
lain kalau boleh nak hantar anak jauh-jauh. Lagipun mama dan papa bukan tak
mampu, Mawar seorang anak papa dan mama. Nak tunaikan hasrat Mawar yang tu pun
susah?” Mawar berkata dalam versi bising-langsing. Mukanya masih mempertiakan
wajah yang sama. Keruh dan sirna.
Khalida dan Kamarul sama-sama
tersenyum.
“Nanti kita bincang waktu singgah
makan nanti.” Kamarul mencadangkan.
“Mawar tak mahu makan. Tak ada
selera.” Versi merajuk pula.
“Aik, Faisal baru berangkat pergi
Mawar dah mula terkena sindrom tak ada selera makan? Susah ni. Buatnya
hari-hari tak lalu makan sepanjang Faisal kat oversea siapa yang susah?” Giat Khalida.
“Bukan pasal dia...”
“Habis, kalau bukan pasal Faisal,
apa lagi yang boleh menjadi masalah dalam hidup Mawar?” Kamarul pula mengambil
giliran mengusik.
Mawar tidak mengendahkan soalan papanya.
Dia kini laju melangkah menuju ke tempat kereta di parkir. Enggan melayan
apa-apa yang keluar dari mulut orang tuanya. Malas. Dia tiada hati untuk
bersuara lagi walau sepatah. Kehendak dan keinginan untuk melanjutkan pelajaran
seperti Faisal nampaknya tidak akan dituruti. Mawar kecewa dan geram. Marah pun
ada juga. Berbaur dalam dadanya membentuk suatu penyakit, penyakit hati.
Mawar bersandar di kereta
menanti Kamarul membuka kunci kereta.
Sebaik kereta berdecit-decit menandakan kunci sudah dibuka, dia tanpa lengah
menyumbat perut kereta dengan badannya yang mula mengecil. Gara-gara
mengamalkan diet suatu masa lalu
semata-mata untuk kelihatan cantik menyambut kepulangan Faisal daripada MRSM
sebaik Faisal menamatkan pengajian di sana. Kemudian diet itu diteruskan
sehingga kini kerana Mawar mendapati dia kelihatan makin cantik dengan tubuh
sedemikian. Apatah lagi apabila Faisal juga memujinya.
Dalam perjalanan ke restoran
makanan segera, Mawar memang langsung tidak bersuara. Dia mematungkan dirinya.
Enggan melayan pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan oleh orang tuanya. Biar
mereka tahu Mawar sedang tunjuk perasaan.
“Dahlah sayang, jangan buat
muka macam tu. Jangan tarik muncung tu
panjang-panjang. Macam tapir. Kalau Faisal tengok Mawar cemberut macam tu, tak
jadi dia masuk meminang sebaik Mawar habis belajar. Tau?” Kamarul masih suka
untuk mengusik Mawar walau anaknya hanya
diam membisu.
“Betul Mawar. Dah jangan nak buat
muka macam tu. Kami bukan serius tak kasi Mawar futher study kat oversea.
Kami gurau saja. Nak tengok reaksi Mawar...” Khalida berkata sambil menampakkan
barisan giginya yang putih bak mutiara.
Mawar masih diam.
“Betul kata mama tu. Kami memang
dah berniat nak hantar Mawar ke oversea sebaik
Mawar tamat SPM nanti.”
“Habis, yang tadi beriya cakap
kat Malaysia ni pun berlambak U apasal?”
“Acah aje tu. Kalau berlambak U
sekalipun, kami tetap akan hantar Mawar ke mana-mana U kat oversea kalau itu
boleh buat Mawar gembira. Sambil belajar, Mawar boleh kenal tempat orang. Tak
adalah jakun sangat nanti depan kawan-kawan kami,” ujar Kamarul menerangkan.
Dia dan Khalida memang telah lama
berhasrat demikian. Menghantar Mawar ke luar negara selain untuk menyambung
pelajaran, juga untuk membolehkan Mawar mengenali tempat orang. Nanti bolehlah
dia bercakap-cakap tentang keadaan di negara orang sekiranya menghadiri
sebarang majlis di rumah kawan-kawan sama bisnes. Orang-orang bisnes biasanya
suka makan angin dan hantar anak-anak belajar luar negara. Anak-anak mereka
pula suka untuk menceritakan pengalaman di sana. Kamarul tidak mahu anaknya,
Mawar kelihatan jakun sekiranya mereka bercerita tentang kehidupan di luar
negara.
Kamarul dan Khalida turut mahu
memberikan peluang yang sama kepada Mawar. Lagipun, mereka berdua tiada masa
untuk membawa Mawar jalan-jalan makan angin hingga ke oversea. Sekiranya Kamarul boleh melupakan sekejap bisnesnya,
Khalida pula yang bermasalah memandangkan dia pegawai kerajaan. Ada-ada saja
urusannya. Mereka hanya berkesempatan melancong ke luar negara apabila Khalida
mahu menghabiskan cuti tahunannya. Kalau tidak, pendek kata sekadar makan angin
dalam negara sajalah.
Berbeza kalau lepaskan Mawar
sendiri. Dia berpeluang hidup di negara orang sambil meneruskan pengajiannya.
Dia boleh menimba banyak pengalaman di sana dan tidak akan kalah menceritakan
pengalamannya kepada kawan-kawan mereka nanti. Kamarul tidak mahu mereka
menganggap bukan-bukan kepada Mawar. Mengatakan Mawar asyik terperuk dalam
negara sendiri walaupun bergelar anak usahawan berjaya. Ini akan memberikan
imej yang tidak baik kepada Mawar dan menjatuhkan reputasi mereka berdua juga.
“Tahu pun
papa. Papa dan mama bukan tak tahu perangai mereka semua tu, termasuk anak-anak
mereka. Kalau boleh tak mahu kalah kepada sesiapa. Eksyen kalau dah melawat
satu-satu tempat kat luar negara.”
“Tapi
yang Mawar beriya nak futher study
kat oversea ni atas reason apa? Sebab nak tunjuk lagak sama
kat kawan-kawan kami macam anak-anak mereka selalu buat, sebab memang teringin
nak belajar kat sana atau sebab nak ikut jejak Faisal?” Soal Khalida separa
ingin tahu, separa mengusik.
“Ketiga-tiga
sebab tu merupakan faktor yang mendorong Mawar ke sana.”
“Tapi
mesti ada mana-mana satu paling kuatkan?”
“Alah,
tentulah sebab Faisal. Kami dah lama separates.
Bosan tau mama. Dulu dia ke Terengganu, Mawar kat sini. Baru je beberapa bulan
bersama, dah kena berpisah lagi, sekarang makin jauh.”
“Oh,
pasal Faisal sajalah ni sebenarnya...” usik Kamarul.
“Kalau
sebab dia mama kensel hantar Mawar ke sana. Boleh futher study kat tempat orang, but
not Cambridge. You’ll not permitted
to Cambridge.”
“Mama ni.
Apasal pulak?”
“Mama
takut kau orang terlampau bebas. Maklumlah masing-masing dah jauh daripada mak
bapak. Makin naik toncanglah.”
“Mawar
waraslah mama. Mustahil Mawar akan lakukan benda-benda yang boleh mencemarkan
nama baik mama dan papa.”
“Sekarang
ni Mawar enam belas tahun. Kalau tak ada aral bahaya Mawar akan ke sana usia
lapan belas tahun dan Faisal sendiri ketika tu baru dua puluh tahun. Still young. Chances yang nak buat hal-hal di luar batas norma masih banyak.
Pemikiran belum mature enough.”
“Mama, please. Jangan nak ukur matang atau tak
kami berdasarkan umur. Unfairlah
mama. Orang dulu-dulu tu kahwin masa umur tiga belas tahun, lima belas tahun.
Dia orang boleh juga lalui hidup berumahtangga dengan baik.”
“Mama tak
cakap pasal kahwin. Pasal pergaulan.” Khalida menegaskan suaranya. Dia memang
tidak mahu anaknya ke luar negara semata-mata kerana mahu berdekatan dengan
Faisal. Banyak buruk daripada baiknya.
“Hish. Bosanlah macam ni. Mama
banyak bunyi betul. Papa, please says
something.” Mawar mula geram berdebat
dengan Khalida. Saat-saat seperti itu dia ingin mendengar kata-kata Kamarul
pula.
Kamarul menjulingkan matanya ke
arah Khalida. Kemudian melalui cermin pandang belakang dia cuba menangkap raut
wajah anaknya. Nampak Mawar sudah memuncungkan kembali wajahnya. Kamarul
tersenyum. Mawar memang cepat melatah kalau kehendaknya disekat. Tidak
ubah-ubah sejak dulu hingga kini. Malah sekarang makin banyak kehendaknya.
Anak yang tidak pernah mengenal
susah.
“Papa setuju dengan kata-kata
mama tu. Kalau tujuan utama nak bersama-sama Faisal, papa pun berat hati.
Godaan banyak kalau dah tinggal jauh daripada orang tua. Mawar akan rasa
bebas.”
Mawar makin termengkelan. Tidak
tahu sejak bila mama dan papanya mula sepakat dalam apa saja. Mawar akhirnya
mendiamkan diri. Malas meneruskan bicara. Mama dan papanya bagai tidak mahu
memahami hati anak-anak muda yang sedang dilamun percintaan. Padahal, jika
diikutkan itu pun sudah dikira baik kerana Mawar dan Faisal masing-masing
sanggup berjauhan buat sementara waktu terlebih dahulu dan menumpukan pada
pelajaran masing-masing.
Jika Mawar dan Faisal Asna hanya
memikirkan untuk berseronok semata-mata, Faisal tentu tidak akan sanggup
meninggalkan Mawar berkali-kali. Lebih baik dia terus belajar di Kuala Lumpur
jika niatnya hanya untuk mendampingi
Mawar. Mawar pun tentu sudah lama mendesak agar Faisal meneruskan saja
pengajiannya di Malaysia. Seperti kata mama dan papa sekejap tadi, di sini pun
berlambak-lambak universiti. Boleh pilih mana suka. Jika keputusan tidak
mengizinkan ke universiti awam, daftar saja ke kolej swasta, bukan masalah bagi
orang berduit macam ibu bapa Faisal untuk mendaftarkan anaknya di kolej swasta
tempatan.
Pun demikian itu tidak berlaku
kerana baik bagi Mawar atau pada Faisal sendiri, pelajaran tetap diutamakan.
Mereka berdua masing-masing mahu mencapai tingkat teratas dalam pendidikan.
Kalau boleh sehingga ke Ph.D. Mereka sama-sama minat belajar. Mawar hanya ingin
belajar di negara dan kota yang sama
seperti Faisal kerana dia mahu ada dorongan yang lebih kuat daripada Faisal.
Sementelah pula dia mahu menggunakan masa cuti nanti untuk meronda serata
Eropah bersama Faisal. Bukankah itu lebih menarik berbanding makan angin
bersama kawan-kawan biasa?
Lagi pula, bukan mama dan papanya
tidak tahu sikap Mawar yang susah untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana
orang. Dia jenis yang dingin. Bukan senang untuk didekati. Mawar bukan jenis
yang ramai kawan. Dia cenderung untuk memilih kawannya. Di sekolah pun berapa
kerat sangat yang mampu untuk berkawan dengan Mawar. Dia tidak suka berkawan dengan semua orang. Sementelah
sejak kenal Faisal. Dunianya hanya Faisal sahaja.
Kamarul menghentikan kereta di
sebuah restoran makanan segera. Dia dan Khalida sudah bersetuju untuk menikmati western
food tengah hari itu. Khalida pun tiada angin sangat untuk menjamu masakan
Mak Nab. Sesekali ingin juga dia merasa makanan luar. Mawar masih cemberut
semasa mereka keluar dari kereta. Anak gadis mereka itu bagai hendak tidak hendak saja melangkah ke
restoran.
“Sayang, jangan macam ni.
Perkara-perkara yang Mawar bangkitkan tadi masih ada masa untuk difikirkan.
Masa masih panjang. Masa boleh merubah keadaan,” pujuk Kamarul melihatkan sikap
yang ditunjukkan Mawar.
“Papa tak payah cakap apa-apa
untuk menyedapkan hati Mawar.” Mawar bersuara mendatar.
“Habis, Mawar nak macam mana?”
Khalida pula menyampuk. Hatinya mula geram dengan kepala angin Mawar.
Pantang ditegah sikit
keinginannya, mula tunjuk perasaan. Sering nak menangkan diri. Khalida pula
jenis yang tidak boleh bersabar lama-lama. Dia tidak betah melayan kerenah
Mawar. Sekejap sahaja dia boleh berlembut suara dengan Mawar. Kalau Mawar mula
buat perangai, tunjuk sikap keras kepalanya, Khalida mula menunjukkan rasa
kurang senangnya.
Budak yang tidak sedar dek
untung. Cukup baik aku limpahkan kemewahan selama ini. Sikit pun tidak tahu
erti bersyukur. Lebih-lebih pula dia! Khalida menggerutu dalam hati melihat
Mawar yang masih bersikap acuh tidak acuh semasa menarik kerusi di depannya.
Dia ingat elok sangat buat muka
macam tu? Hish. Mata Khalida masih
terjuling-juling ke wajah Mawar. Dalam rasa geram yang teramat. Anak ini, ada masanya mudah benar
membangkitkan rasa yang begitu-begitu dalam dada Khalida. Pun tidak pernah
terluah secara vokal segala-galanya dari mulut Khalida. Dipendamkan. Salah
siapa?
Menyoal dan mencari-cari salah
siapa sebenarnya sesuatu yang tidak perlu Khalida jawab. Segala-galanya ada
dalam kantungnya sendiri. Tidak pernah pecah kepada sesiapapun. Dia harus
menelan apa-apa sahaja. Juga sikap yang begitu-begitu Mawar. Lagipun, Mawar itu
satu-satunya anak yang dia ada. Anak yang telah menyelamatkan rumahtangganya.
Bukankah Kamarul sudah begitu
jinak sejak kehadiran Mawar lebih enam belas tahun lalu dalam rumahtangga
mereka? Khalida harus mengingatkan hal itu masa demi masa. Malah Khalida
sepatutnya sayangkan anak itu. Bukan menyimpan suatu perasaan yang
begitu-begitu. Dalam masa yang sama, Mawar masih muda. Masih boleh dibentuk
sebenarnya. Sikap kepala anginnya mungkin akan berubah sejajar dengan peningkatan
usia.
Begitulah yang Khalida harapkan.
Demikianpun, Khalida juga senang untuk memujuk dirinya sendiri agar menerima
kelemahan dan kelebihan Mawar seadanya. Mawar bukan seteruk mana jika mahu
dibandingkan dengan remaja lain. Silapnya Mawar sedikit kepala angin. Mudah
cemberut dan suka merajuk. Sikap yang paling tidak disukai Khalida. Tapi itu
masih boleh dibetulkan. Harapnya begitulah.
Dan itulah harapan sebenar
Khalida. Dia terlalu mengharapkan sesuatu yang tinggi terhadap Mawar sebagai
anaknya. Dia inginkan seorang anak yang begitu-begini. Solid perwatakannya.
Tiada cacat cela daripada segi tingkah lakunya. Pendek kata, anak yang
diinginkan oleh Khalida mesti datang dalam pakej serba sempurna. Kelemahan yang
ada pada diri Mawar enggan diterimanya. Dia tidak betah untuk menerima
kelemahan Mawar. Melihat sikap Mawar yang kepala angin membuatkan dia merasa
begitu terketik.
Bukan begini anak yang aku
inginkan. Sering hatinya bergumam begitu tanpa mengukur kira, setiap insan ada
kelemahannya yang tersendiri. Seperti mana juga dirinya. Dia bukan seorang super solid daripada segi sikap dan
tingkah laku. Begitupun dia menuntut anaknya menjadi seseorang yang
serba-serbinya sempurna. Adilkah begitu?
Adakah kerana Mawar menjadi
satu-satunya anak dalam rumahtangganya membuatkan Khalida menuntut yang
bukan-bukan pada diri Mawar?
Entahlah. Khalida sebenarnya
tidak tahu. Sesuatu yang nyata di situ, dia jengkel melihat sikap Mawar.
Hatinya terkadang sedikit tidak ikhlas terhadap anak itu. dia seakan-akan
beriya-iya mahukan kehadiran paling kurang seorang cahaya mata dalam
rumahtangganya semata-mata mahu menyelamatkan kedudukan di sisi Kamarul. Tidak
ingin dimadukan. Maka dengan itu dia sering mengimpikan kehadiran seorang anak.
Walau apa caranya, dia harus memastikan dia berjaya memiliki seorang anak.
Pendek kata, keinginan untuk
memiliki seorang anak sekurang-kurangnya bukan banyak didorong oleh naluri
keibuan yang ada pada dirinya. Jika adapun peratusan ingin memiliki anak
didorong oleh intuisi keibuan dalam dirinya terlalu sedikit. Selebihnya banyak
didorong oleh sikap mahu menjaga kepentingannya sendiri. Maka, sebab itulah agaknya menjadikan Khalida ada
masanya merasa sedikit tidak ikhlas terhadap Mawar.
Dia tidak boleh membohongi
dirinya sendiri lagi, mengatakan sayang kepada Mawar, walhal dia tidak
sepenuhnya menyayangi anak itu. Tinggal lagi di situ hanya rasa tanggungjawab
seorang ibu terhadap seorang anak. Selebihnya, Khalida masih memikirkan.
Mendudu-dudu dengan kedewasaan
Mawar, rasa jengkel dengan sikap Mawar dan juga rasa kurang senang terhadap
kemesraan Mawar bersama Kamarul semakin bercambah. Khalida pun tidak faham
mengapa semua itu harus timbul, sedangkan Mawar anaknya sendiri. Dia tidak
boleh lupa hakikat itu. Mawar, walau apapun tetap anaknya. Dia harus
mengingatkan dirinya sendiri.
Pun Khalida tidak boleh
membohongi hatinya.
“Dahlah, jangan nak bincang lagi
soal-soal yang boleh menimbulkan suasana tegang. Kita keluar hari ni nak
suka-suka anak-beranak. Kalau masing-masing nak bertekak susahlah,” kata
Kamarul menghidupkan suasana yang agak dingin antara mereka.
Tambahan apabila Mawar nampaknya
hanya menyepikan diri dengan wajah empat belasnya. Hilang seri, hilang
kecantikannya.
Khalida
merenung suaminya. Kemudian mata kembali tertunak ke wajah Mawar. Mencuka benar
muka si gadis ketika itu. Khalida cuba mengawal rasa dalam diri. Dia harus
sedar akan kenyataan yang didepaninya. Dia tidak harus lupa. Berkali-kali
Khalida cuba untuk mengingatkan dirinya sendiri. Akal cuba untuk mengimbangi
kewarasan.
Dia anak
kau Khalida! Satu suara berbisik tegas di telinganya.
Ah,
Khalida pening. Kenapa keadaan makin teruk akhir-akhir itu? Dia cukup tidak
suka akan perasaan yang semakin hari semakin kuat hadir dalam dirinya. Betapa
tidak ikhlasnya dia selama ini sebagai seorang ibu.
“Okey
sayang, kita harus bincang elok-elok hal ni. Macam papa cakap tadi, masa masih
panjang. Masa juga boleh mengubah keadaan.”
Mawar
tetap begitu. Memang dia keras kepala orangnya. Itu sebab Khalida sering naik
jaki terhadap Mawar.
“Dah
sayang, mama janji kita akan bincang balik pasal ni. Malah mama janji, kalau
ada masa, kami akan bawa Mawar jenguk Faisal kat sana,” ujar Khalida. Seboleh
mungkin cuba untuk mengambil hati anaknya.
Mendengar
kata-kata Khalida itu, muka Mawar kembali bercahaya. Dipandang tepat ke wajah
Khalida. Meminta kepastian. Khalida mengangguk.
“Thanks a lot mama!”
“Tapi
jangan lupa, mama cakap kalau kami ada masa.” Khalida mengingatkan.
Mawar
mengangguk-angguk. Seronok bukan kepalang mendengar janji Khalida. Dia tahu,
kalau Khalida sudah berkata demikian, ia pasti akan menjadi kenyataan.
Khalida sebagai mamanya bukan jenis yang
suka berjanji. Mawar bukan tidak kenal. Kalau dia tidak terasa untuk berbuat
demikian, Khalida awal-awal lagi tidak akan bercakap soal itu.
Dah ada green light ni.