Monday, 31 December 2012

Silalah like page ni ya.

https://www.facebook.com/#!/HomemadeChoconovelis

Assalamualaikum, maaflah lama tak post apa2 kat sini. Ambo akhir2 ni agak sibuk sikit.
Dalam sibuk2 sempat juga ambo rajinkan tangan buat coklat. Coklat buatan tangan ambo. Jadi sesiapa yang minat dengan coklat buatan tangan bulih like di page ni ya. Tq

https://www.facebook.com/#!/HomemadeChoconovelis

Tuesday, 27 November 2012

CINTA...DI MANA? BAb 26-30



BAB DUA PULUH LIMA
Masa memang cepat benar berlalu. Mariah tidak sedar pejam celik, pejam celik, dia sudah melewati dua tahun sejak dia menolak tawaran ke MRSM. Kini tawaran datang lagi selepas dia lulus cemerlang dalam peperiksaan SPMnya.  Surat tawaran kini direnungnya. Ingin ditunjukkan kepada ibu bapa. Mereka tentu gembira. Sama gembiranya semasa menerima surat tawaran Muzamil beberapa hari lepas.

            Mereka dua beradik mengekalkan kecemerlangan  walaupun mendapat cemuhan orang kampung yang mendakwa kononnya usaha mereka bersusah payah belajar selama ini sia-sia kerana belum tentu Mokhtar dan Azizah akan menghantar mereka sehingga ke menara gading. Pun Mariah dan Muzamil menganggap segala cemuhan dan nista yang dilemparkan selama ini didorong oleh perasaan dengki akan kejayaan mereka.

            Mariah mengayuh basikal laju-laju untuk sampai ke rumah. Surat dalam genggaman dipegang erat. Tidak sabar rasanya untuk memberitahu khabaran gembira itu kepada seisi rumah. Sebaik tiba di rumah kelihatan Muzamil sedang termenung jauh di tangga. Memang sedang menunggu kepulangannya.

            “Bagaimana kakak?” Soal Muzamil. Dia dapat menebak tentu kakaknya ada khabar gembira ingin disampaikan.

            Raut wajah Mariah dan juga sepucuk surat bersampul coklat di tangan Mariah menguatkan andaiannya.

            “Kakak dah dapat dik...”

            “Iya. Syukurlah. Kat mana?” Muzamil girang. Dia menggapai surat di tangan Mariah tanpa menunggu Mariah memberi jawapan.

            “Paroi. Kakak akan buat persediaan kat sana dulu sebelum berpindah ke Bangi,” balas Mariah sambil mengambil tempat duduk di sebelah Muzamil.
“Kakak dapat tawaran dari UKM...” gumam Muzamil melihat ke dada surat tawaran.

            “Mak ayah sudah pasti gembira. Adik dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh, kakak pula dapat tawaran buat matrikulasi."

            Muzamil mengangguk-angguk bersama senyuman. Begitupun seketika cuma apabila dia sekonyong-konyong teringatkan beberapa perkara. Muzamil mengetap bibir. Kemudian meluahkan keluhan yang amat berat di perdengaran Mariah mendorong Mariah menunakkan pandangan ke wajahnya yang mula ditumbuhi kumis nipis di atas bibir.

            “Kenapa dik?”

            “Kakak ingat mereka akan gembira?”

            “Tentulah. Bukankah selama ini mereka selalu mendorong kita agar belajar sungguh-sungguh hingga ke universiti, kini impian dan hasrat mereka hampir jadi kenyataan. Kakak dah terima tawaran. Sekurang-kurangnya kakak boleh tebus balik semua tawaran yang tak dapat kita terima dulu.”

            “Apa beza dulu dan kini kak? Akak rasa kita boleh terima mana-mana tawaran kini?”

            “Kan mak dan ayah dah janji untuk hantar kita belajar,” ujar Mariah. Mengingatkan janji orang tua mereka.

            Memang Mokhtar dan Azizah pernah berjanji untuk menghantar mereka belajar setinggi mana yang mereka mampu pergi. Mokhtar dan Azizah tidak mahu lagi menyembunyikan hasrat mereka untuk melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran. Mereka tidak mahu mengulangi kesilapan. Dek kerana Mokhtar dan Azizah sering menyembunyikan keinginan mereka untuk melihat anak-anak berjaya, secara tidak langsung mereka juga telah menyembunyikan keupayaan mereka menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak. Disebabkan itu juga anak-anak terdorong untuk menolak tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh.

            Lalu, selepas peristiwa Mariah menolak tawaran, Mokhtar dan Azizah mula mengubah sikap. Tidak lagi memendamkan hasrat. Sebaliknya menyatakan terus-terang keinginan untuk melihat anak-anak berjaya. Juga menyatakan terus terang kesanggupan untuk menyediakan modal bagi membolehkan anak-anak meneruskan pelajaran.

            “Kakak tak kesian mak dan ayah?”

            “Kenapa adik tanya kakak begitu?”

            “Yalah, cuba kakak bayangkan. Tentu mereka pening kepala untuk mencari modal perbelanjaan menghantar kita berdua serentak. Ekonomi mak ayah dulu dan sekarang tak pernah berubah kak. Tambah-tambah sejak Jambul mati. Ayah sendiri mula kurang sihat. Batuk dan lelah memanjang.”

            Mariah terkesima. Hatinya sedikit bergalau. Dia lupa tentang hakikat itu sekejapan tadi kerana terlalu gembira menerima surat tawaran. Kini wajah Mariah berubah mendung. Kepalanya tunduk ke bawah memandang tangga rumah yang sudah usang.

            “Kalaupun mereka boleh usahakan, kakak tak kesian nak tinggalkan mereka berdua? Selama ni kita hidup berempat beranak dalam rumah usang ni,” sambung Muzamil lagi.

            Sekali lagi kata-kata Muzamil membuatkan Mariah berfikir. Dia memang tdiak terlintas langsung akan semua perkara yang disuarakan Muzamil. Dia hanya tahu ingin meneruskan cita-cita dan impiannya yang selama ini banyak tersekat oleh pelbagai perkara. Dia langsung lupa tentang kebajikan keluarganya sendiri terutama mak dan ayah yang sudah semakin meningkat usia. Kesihatan juga sudah mula terjejas seperti kata Muzamil sekejap tadi.

            “Jadi dik, apa patut kita buat? Tolak tawaran ni semata-mata mahu jaga kebajikan mak dan ayah?”

            “Tak. Tak kakak. Kakak jangan salah faham. Kakak berhak untuk menerima tawaran ini. Sudah acap kali kakak menolak tawaran semata-mata kerana memikirkan keadaan keluarga. Kali ini kakak terimalah.”

            “Adik?”

            “Adik juga akan pergi jika pemergian adik boleh mengurangkan beban keluarga.”

            “Ish, apa maksud adik ni? Macam orang main drama pula.”

            Muzamil tersenyum mendengar kata-kata kakaknya. Dia kemudian menggelengkan kepalanya. Menuntut agar Mariah jangan fikirkan bukan-bukan.

            “Adik, cubalah cakap biar terang sikit. Jangan berlapis-lapis.”

            “Alah, kakak jangan runsing. Adik tahu apa yang adik katakan. Adik anak jantan kak.”

            “Yalah. Itu akak tahu, tapi paling tak, jelaskan sikit biar akak faham maksud adik yang sebenar. Adik nak ke mana?”

            “Mana-mana asal boleh membahagiakan kakak.”

            “Hah, itu lagi satu. Kenapa nak sabitkan dengan kakak?”
            “Kakak bukan tak tahu, dalam dunia ni adik ada kakak seorang saja. Mestilah semua tindakan yang adik ambil kerana kakak.”

            “Kalau macam tu, adik kena janji. Andai mak dan ayah sanggup, adik kena terima tawaran tu. Itulah yang boleh membahagiakan kakak. Akak tak ada peluang nak merasa bagaimana sekolah kat MRSM, kalau adik berpeluang belajar kat sana, akak rasa keinginan kakak dulu turut tercapai.”

            Muzamil mengulum senyuman. Kemudian lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya.

            “Kakak tak mau adik sekadar angguk saja. Adik janji kena bahagiakan kakak?”

            “Adik janji. Malah adik akan buat lebih daripada apa yang kakak bayangkan demi membahagiakan kakak.”

            Mariah bahagia mendengar janji si adik. Dia memeluk bahu Muzamil erat demi meluahkan kasih sayangnya secara non-verbal.

            “Jom naik ke rumah. Kakak nak beritahu mak khabar gembira ini.”

            “Mak dan ayah tak ada kat rumah.”

            “Mereka ke mana?”Mariah kehairanan.

            “Melawat orang meninggal.”

            “Siapa?” Mariah dicengkam gelisah.

            “Pak Mail. Dipatuk ular senduk semasa turun menebas ke sawah padi,” beritahu Muzamil sambil bangun mengemaskan ikatan pelikatnya.
            Mariah beristirjaa perlahan. Tidak diduga Pak Mail akan menemui ajalnya melalui cara begitu. Selama ini sawah padi dan kebun getah yang memberi kehidupan kepada Pak Mail seisi keluarga. Hari ini kehidupan di sawah padi itu juga yang merampas kehidupan Pak Mail dan tentu sekali merubah cara hidup isteri dan anak-anaknya pada masa akan datang. Terlalu ironiknya kehidupan di dunia ini.

            Mariah menelan ludah. Susah-susah mereka dua beradik, mereka masih mempunyai ibu bapa yang sedia memberi kasih sayang dan kehidupan sedaya mungkin meski tidak semewah mana kepada mereka. Mariah mengucapkan syukur yang teramat di dalam hati. Juga tidak lupa berseru kepada Ilahi agar dilimpahkan rahmat ke atas roh Pak Mail.

            “E, kakak, apa cerita  Kak Zana?” Muzamil membangkitkan persoalan, sekali gus membangkitkan ingatan Mariah terhadap satu-satunya teman baik yang dia ada.

            “Okey kot. Hari tu dia ada tulis surat kat kakak, katanya dia juga lulus cemerlang dalam exam, dia skor A1 dan A2 dalam kebanyakan subjek kecuali kimia.”

            “Dia dapat apa kimia?”

            “C4. Dia sendiri tak pasti mana silap sehingga dia gagal skor A untuk subjek tu,” beritahu Mariah. Tangannya bermain-main dengan rambut yang mula panjang kembali setelah beberapa bulan lepas dipotong Azizah.

            “Hidup kak, sesekali kena ada dakwat merah, kalau asyik biru memanjang tak seronok juga.”

            “Amboi-amboi adik kakak, makin besar makin pandai berfalsafah.”

            “Kematangan kena seiring dengan kedewasaan kak,” ujar Muzamil. Sekali lagi melontarkan buah fikir yang membuatkan si kakak tersenyum meleret.
            “Jadi, Kak Zana tak cakap apa-apa perancangan dia?” Muzamil bertanya lagi.

            “Apa lagi? Ke oversea lah dia. Itukan cita-cita dia dari dulu. Sambung belajar kat luar negara.”

            “Cita-cita anak orang senang macam dia mudah terlaksana. Tak ada apa dia nak fikirkan. Belajar sungguh-sungguh, keputusan elok, memang pasti dapat ke sana.”

            “Ada juga yang tak dapat result elok tapi boleh ke sana. Kan kat sana kolej swasta berlambakan.”

            Muzamil mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Mariah. Anak orang berharta mudah untuk merealisasikan sebarang impian mereka. Orang tua mampu untuk menghantar mereka ke mana saja. Ke kutub utara atau selatan sekalipun. Tiada penaja, boleh sediakan wang biaya sendiri. Mereka berdua beradik? Sekalipun ada penaja yang sudi memberi mereka biasiswa, belum tentu mereka dapat meneruskan pengajian hingga ke puncak tertinggi. Banyak lagi masalah domestik lain yang harus dan perlu difikirkan mereka.

            Muzamil tahu. Malah sebagai anak jantan pula  lebih besar masalah untuk difikirkan berbanding kakaknya Mariah. Dalam usia enam belas tahun kini, Muzamil sudah bijak untuk membuat perhitungan ke atas banyak perkara. Dia juga tahu hidup ini memerlukan banyak pengorbanan.

            “Kakak, wajibkah seseorang yang cerdik pandai itu ke universiti bagi mendapatkan pengiktirafan atas kebijaksanaan mereka?”

            Mariah terkesima diajukan soalan sedemikian. Dia memang tidak menduga Muzamil akan mengajukan soalan yang cukup ironi seperti itu sedangkan selama ini impian untuk ke universiti selalu mereka bayangkan bersama. Mereka gigih berusaha selama ini pun hanya kerana mahu mencapai matlamat ke universiti. Kenapa pula petang itu Muzamil membayangkan sesuatu yang ironik kepadanya?

            “Adik tak suka kakak ke universiti?” Mariah ragu-ragu dengan sikap Muzamil.

            Wajah Muzamil serta-merta berubah. Tidak menyangka persoalannya akan membuatkan Mariah tersalah anggap. “Tak. Demi Tuhan bukan begitu kak. Malah adik paling bangga sebab kakak dapat masuk U dan adik akan pastikan kali ini tiada apa-apa yang akan membuatkan kakak menolak tawaran ke sana.”

            “Habis kenapa bunyi cakap adik tadi macam ingin mengatakan kepada kakak, tak perlu sebenarnya ke U?”

            “Kakak salah faham tu. Adik cuma ingin maksudkan kalau seseorang yang bijak dalam pelajaran, kemudian dia menolak ke universiti kenapa selalunya orang tak akan nampak dia sebagai seseorang yang pernah cemerlang dalam pelajaran? Orang ramai tak akan pandang dia sebagai orang bijak pandai lagi.”

            “Penyakit masyarakat dik. Mentaliti mereka, orang kita, kalau pandai mesti ke U, kalau ke sawah atau tiap pagi terbongkok-bongkok di pohon getah tu bukan orang pandai meski orang tu pernah dapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.”

            “Tak adil kan.”

            “Tak adil kenapa?”

            “Tak adil bila masyarakat buat penilaian begitu.”

            “Apa nak buat dik? Memang itu penyakit masyarakat. Kita sekalipun, orang akan anggap begitu juga. Kita pula nak jawab bagaimana? Nak tunjuk slip atau sijil exam untuk buktikan kita cemerlang? Tak mungkin kita buat begitu. Sudahnya kita diam saja.”
“Sebab tulah adik nak, kali ni walau apa jua kesusahan dan masalah kakak kena terima juga tawaran ke U.”

            “Kakak pun harap kakak boleh ke sana. Mak ayah dah janji lagipun. Adik pun jangan nak tolak. Kita sekarang ni tak adalah sesak sangat macam dulu. Tambahan pula untuk permulaan ni saja harus keluar belanja banyak. Nanti kalau dah ke sana, kakak akan dapat biasiswa atau paling teruk pun pinjaman. Bolehlah buat belanja kakak kat sana.” Mariah berkata panjang lebar.

            Dia yakin, walaupun ekonomi keluarga masih tidak berubah, masih banyak jalan untuk membolehkan tahun itu mereka berdua melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan yang sepatutnya. Selayaknya dengan keputusan peperiksaan mereka. Mak dan ayah sudah banyak kali memberi jaminan. Sokongan moral sudah ada meskipun dalam bentuk metarial belum terdampar depan mata. Sekurang-kurangnya itu sudah memberikan keyakinan kepada Mariah, impian kali ini pasti akan jadi kenyataan.

            Dulu Mokhtar dan Azizah banyak berdiam tentang sebarang tawaran. Ingin menggesa agar menerima, tapi bimbang modal tiada. Kini walau modal masih entah di mana, mereka lebih senang memberi galakan dan meyakinkan soal kewangan mereka akan uruskan. Lembu yang dua tiga ekor itu mungkin boleh dijual. Mahu menggadaikan tanah itu mustahil. Begitupun sekurang-kurangnya Mariah nampak ada sesuatu yang boleh dijadikan penggantungan atau sandaran untuk membolehkan mereka dua beradik menerima tawaran.

            “Seronoklah Kak Zana ya...” gumam Muzamil tiba-tiba. Kembali mengutarakan soal Tengku Suzana.

            “Ya, begitulah agaknya. Kakak pun dapat bayangkan betapa gembiranya dia kerana dapat keputusan cemerlang. Impiannya untuk ke luar negara bakal jadi kenyataan,” kata Mariah. Dalam benaknya cuba memetakan wajah Tengku Suzana yang kini sudah tampil manis bertudung.
            Dia tahu itu kerana Tengku Suzana ada mengirimkannya sekeping gambar semasa dia masih di MRSM. Tengku Suzana nampaknya ceria sekali dalam potret yang dirakamkan itu. Di sebelahnya, dalam gambar yang sama berdiri seorang lelaki yang menurut cerita Tengku Suzana, itulah pemuda yang semasa di sekolah menengah dahulu selalu dilihat Tengku Suzana. Pendek kata, Tengku Suzana memang sudah lama meminati lelaki itu dan tidak menduga boleh rapat dengannya setelah ke MRSM.

            Untung badan Tengku Suzanalah.

            Dan Mariah memang merindui Tengku Suzana. Dia sering mengharapkan akan pertemuan kembali antara mereka. Malangnya kemungkinan itu nampak samar apabila Tengku Najmuddin tidak lama lagi akan dihantar jauh ke utara tanah air. Sekiranya itu terjadi, Mariah dan Tengku Suzana lebih sukar untuk bertemu kembali dan hanya warkah sahaja yang menghubungkan mereka berdua nanti.

            Pun Mariah masih boleh bersyukur. Sekurang-kurangnya Tengku Suzana masih ingatkan dia. Tengku Suzana memang lain daripada kawan-kawan sekelas yang lain. Dia tidak meninggi diri dan jauh sekali untuk menyombong.

            Menyombong?

            Mariah tiba-tiba teringatkan Nadirah.

            Beberapa bulan lepas Mariah dibawa Mokhtar ke pekan untuk menguruskan soal borang permohonan ke universiti sebaik keputusan peperiksaan keluar. Di pejabat daerah, dia bertembung dengan Nadirah yang juga ke sana untuk mengesahkan salinan sijil untuk tujuan permohonan ke universiti. Dia memang kenal benar akan Nadirah. Tergerak untuk menegur. Baru sahaja dia menguntumkan senyuman kepada Nadirah, gadis itu sudah menjeling penuh ego. Bibirnya juga dijuihkan. Mariah sedikit tersinggung. Langsung membatalkan niat untuk menegur. Lalu dia biarkan saja Nadirah dengan halnya, dan dia dengan hal dia. 
            Kemudian Mariah menyedari, mereka walaupun pernah belajar dalam satu kelas, hakikatnya mereka tidak pernah sekufu. Nadirah dan Mariah datang daripada  latar belakang yang berbeza. Selama ini pun mereka tidak pernah berkawan. Nadirah hanya akan merapati Mariah jika ada kepentingan tertentu. Mariah tidak harus lupakan kenyataan itu. Dan Mariah sedikit kesal kerana tidak sedar akan kedudukan dirinya semasa mula-mula melihat Nadirah.

            Dahulupun, bukan dia tidak tahu Nadirah.  Sombong dan suka meninggikan diri. Tambahan sekarang apabila dia meneruskan pengajian menengahnya di MRSM. Tentulah egonya terlebih-lebih lagi. Kenapalah Mariah boleh lupa tentang itu? Mariah sepatutnya tidak boleh lupakan apa-apa tentang Nadirah yang menyakitkan. Termasuk juga kenangan menyakitkan yang pernah tercalit dalam perjalanan hidupnya gara-gara Nadirah.

            Ya, gara-gara Nadirah.

            Jika tidak kerana Nadirah yang terlebih-lebih menggodanya dengan sapu tangan merah jambu bergambar kucing yang comel suatu masa dahulu, kisah luka dan teramat membuatkan Mariah sesal sehingga ke hari itu tidak akan berlaku. Nadirahlah yang terlebih-lebih menggodanya apabila seakan sengaja menayang-nayangkan sapu tangan merah jambu itu kepada Mariah.

            Lalu, Mariah terdorong mengambil wang lima puluh sen dalam kocek seluar bapanya. Padahnya? Muzamil demam seminggu dibedal bapa kerana menanggung kesalahan Mariah.  Mariah pula terhukum secara mental. Dia mengalami kekesalan yang amat sangat dan sungguh-sunguh merasa bersalah kepada adiknya kerana takut untuk mengakui perkara sebenar.

            Ah, segala-galanya itu kerana godaan Nadirah.

Namun wajarkah dia menyalahkan Nadirah seratus-peratus kerana kesalahannya?
Mariah menelan liur. Nadirah. Sesekali dia merasakan memang Nadirah mengambil tindakan wajar. Menggoda sesiapa saja untuk melariskan jualan sapu tangannya. Dan dialah sepatutnya yang harus sedar diri. Jangan terikut dengan budaya kawan-kawan. Mereka bergaya, dia pun mahu bergaya. Padahal dia tidak mampu.

Ah, dialah yang salah sebenarnya.

Dia ingat akan kesalahannya itu.

Kerana ingatlah sampai kini dia cukup sayangkan Muzamil dan tidak mahu lagi melakukan sesuatu sehingga boleh membuatkan adiknya menerima susah sekali lagi.

Cukup-cukuplah sekali dulu!


















BAB DUA PULUH ENAM
“Zah, Mariah dan Muzamil dua-dua dapat tawaran, abang bangga sangat,” beritahu Mokhtar kepada Azizah semasa isterinya menyudahkan jahitan baju kurung malamnya.

            Mariah dan Muzamil yang sedang berada dalam bilik masing-masing memang dapat mendengar perbualan Mokhtar dan Azizah. Hati masing-masing memang berdebar-debar. Terutama Muzamil yang sudah mempunyai suatu keputusan nekad dalam hatinya.

            “Tapi apa makna semua tu bang? Kita mana ada duit nak biayai mereka serentak begini?”Azizah menyoal Mokhtar. Ada sendu di hujung suaranya. Juga dalam nafas yang ditariknya berat.

            Pertanyaan yang dibangkitkan Azizah dalam masa yang sama juga membalikkan ingatan pada kelahiran serentak, Muzamil dan Murni. Ketika itu Mokhtar dan Azizah terpaksa memilih mana-mana seorang untuk dibela mereka dan seorang lagi diserahkan kepada anak arwah Mek Kalsom yang mereka sendiri tidak kenal. Situasi sekarang lebih kurang. Anak-anak menerima tawaran serentak, pada tahun yang sama dan jarak masa yang lebih kurang sahaja. Ia tentu saja menuntut perbelanjaan yang besar sedangkan ekonomi Mokhtar tidak pernah berubah.

            Dahulu pula mereka menerima kelahiran serentak. Pada musim hujan yang membantutkan akal waras mereka meneruja mereka membuat suatu keputusan yang akhirnya membuahkan kesal santak detik nafas itu. Mokhtar melepaskan keluhan. Dalam benaknya sudah membulatkan  tekad untuk tidak mengulangi tindakan mengabaikan mana-mana satu. Cukup sekali dia mengambil tindakan memilih. Kali ini dia tidak akan mengambil tindakan yang serupa. Anak-anaknya harus mendapat hak sama rata.

            Mokhtar tidak peduli. Selagi ada ikhtiar, dia akan usahakan walau apa juga yang harus dilakukan. Paling penting ketika itu hanya untuk menggembirakan hati anak-anak. Sudah acap kali anak-anak memendam rasa, walau mulut dan reaksi tidak pernah menunjukkan mereka terkilan apabila satu demi satu tawaran melanjutkan pengajian ke sekolah berasrama penuh tidak dapat diterima. Untuk tawaran kali itu, dia akan pastikan anak-anak tidak memendam rasa lagi.

            Lagipun, untuk Mariah ini bukan semata-mata tawaran ke asrama penuh, ia suatu tawaran yang cukup bermakna. Tawaran membuat persediaan ke universiti. Prauniversiti atau dalam bahasa budak-budak elit, membuat matrikulasi. Aduh. Bukankah itu pencapaian paling maksimum untuk seorang pelajar, baik lelaki atau perempuan? Tidak mungkin Mokhtar akan membenarkan atau membuatkan Mariah menolaknya. Tidak mungkin sama sekali. Tidak. Ulang suara, tidak. T.I.D.A.K. Tidak!

            Sementelahan Mokhtar merasakan, seandainya Mariah menolak, secara langsung ia membawa makna pada masa akan datang Mariah juga akan mewarisi kemiskinan dan kemelaratan hidup yang sekian lama menjadi tradisi keluarga mereka sejak zaman leluhur lagi. Mariah dan Muzamil tidak harus berada dalam atmosfera sedemikian memandangkan mereka ada kemampuan dan berhak memiliki masa depan yang lebih baik dan iklim kehidupan yang cukup berbeza daripada tradisi keluarga mereka sebelum ini.

            Cukuplah. Cukup-cukuplah tradisi hidup miskin dan melarat itu hanya diwarisi oleh Mokhtar dan Azizah. Biar Mariah dan Muzamil menjadi pembuka tirai kepada sebuah kehidupan yang lebih baik. Mereka anak-anak zaman akan datang. Kehidupan bakal mereka tempuhi lebih mencabar. Kala itu ilmu dan pendidikan cukup penting dalam meneruskan proses kehidupan seharian. Mokhtar tahu. Mokhtar tahu akan hakikat tersebut meski dia tidak mempunyai pendidikan untuk memikirkannya. Pun daripada pemerhatian yang dibuat ke atas tuntutan hidup sekarang, itulah yang dia temui.

            “Zah, abang tekad untuk melakukan yang terbaik buat anak-anak kali ini.” Mokhtar akhirnya bersuara tegas setelah agak lama mendiamkan diri.

            “Bagaimana bang?” Soal Azizah. Sedikit kurang yakin akan kata-kata suaminya.
            Pada akal fikirnya, pada benak tafsirnya, tiada apa-apa yang boleh dijadikan gadaian untuk membolehkan anak-anak meneruskan pelajaran.

            Belum sempat Mokhtar menjawab pertanyaan Azizah, Muzamil muncul dari tempat tidurnya. Berdiri di depan Mokhtar dan Azizah. Memerhatikan wajah mereka seorang demi seorang dengan sorotan mata yang cukup sukar untuk Mokhtar dan Azizah tafsirkan.

            “Ayah, adik tak mahu belajar lagi, adik nak berhenti!”

            Suara Muzamil yang perlahan tapi mengandungi kesungguhan itu membuatkan Mokhtar dan Azizah terpempan dan sedikit terkesima. Mariah yang berada di tempat tidurnya pula meluru keluar setelah sejak tadi hanya mendengar sahaja butir perbualan Mokhtar dan Azizah. Mariah mengambil tempat di sebelah Muzamil. Cuba meminta penjelasan.

            Kala itu dia sempat melihat Mokhtar bangun perlahan-lahan. Halkum Mokhtar dibiarkan turun naik. Seketika merenung wajah Azizah, Mariah dan akhir sekali Muzamil. Lama dua pasang mata lelaki berdua itu bertembung. Renungan Mokhtar cukup dalam. Kemudian tanpa semena-mena sebuah pelempang singgah di wajah Muzamil membuatkan Muzamil tertolak ke belakang. Mariah menyambar tubuh Muzamil. Azizah juga menerpa mendapatkan anak lelakinya.

            Masing-masing hilang suara. Tidak menduga akan tindakan Mokhtar dan hanya memusatkan pandangan ke wajah Mokhtar yang merah menyinga. Muzamil pula menekap pipinya dengan tangan sambil tunduk memandang lantai.

            “Kau cakap apa ni? Kau tahu tak, ayah akan buat apa saja menyekolahkan kamu berdua. Apa saja!” Mokhtar bersuara tegas.

            Suaranya memang terkandung marah. Dalam dadanya pelbagai rencam perasaan berbaur. Mokhtar merasakan diri dan ego benar-benar tercabar. Merasakan kata-kata Muzamil tadi seakan menidakkan kemampuannya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dia tercabar. Benar-benar tercabar. Dia mengandaikan anak-anak melihat dia sebagai seorang bapa yang tidak tahu menjalankan peranan dan tanggungjawabnya. Muzamil tidak yakin akan kemampuannya.

            Mokhtar memang bengang dan tercabar yang teramat!

            “Dah. Semua pergi masuk tidur!” Suara Mokhtar dalam getar yang cuba ditahan.

            Mungkin dia marah, kesal dan sedih. Segala-galanya juga mentak berbaur menyebabkan kewarasannya sedikit terencat. Mokhtar duduk bersandar di tiang seri rumah sambil lengannya berada di lutut dan tangan memicit-micit dahi sendiri.

            Mendengar kata-kata Mokhtar yang lebih kepada arahan itu, Azizah mengangkat tubuh Muzamil dibantu Mariah. Mereka membawanya masuk ke bilik.

            “Dik, adik tak boleh berhenti sekolah. Nanti besok adik tak larat nak sara keluarga adik...” bisik Mariah sambil mengusap-usap pipi Muzamil. Kemudian Mariah menyambung lagi, “Kakak perempuan. Orang perempuan tak perlu nak belajar tinggi-tinggi. Kalau kakak kahwin, suami kakak yang akan sara makan minum kakak.”

            Muzamil tidak bereaksi terhadap kata-kata Mariah. Azizah pula memerhati Muzamil dan Mariah silih berganti. Dia tidak tahu dalam keadaan seperti itu bagaimana untuk menyusun perkataan sehingga membentuk satu ayat yang boleh meyakinkan anak-anak. Begitupun dia tahu dia harus bersuara.

            “Mariah, adik. Tak ada sesiapa antara kamu berdua yang akan berhenti belajar. Mak dan ayah sama sekali tak akan benarkan.” Azizah berkata akhirnya.

            Pun Muzamil masih mendiamkan dirinya. Pandangannya juga nampak kosong. Dia kini bagaikan beku. Mariah dan Azizah berpandangan.

            “Anak-anak mak, anak-anak ayah. Biar apa susah sekalipun, kau orang berdua harus meneruskan pelajaran,” kata Azizah. Memujuk anak-anaknya dengan suara selembut mungkin. Tapi punya niat mendalam untuk meyakinkan.

            “Tapi tadi mak juga yang tanya ayah bagaimana, kan?” Mariah menyoal Azizah. Dia melepaskan pandangan penuh mengharap ke arah Azizah. Kemudian memandang pula ke wajah Muzamil yang masih membeku. Bungkam.

            Azizah berwajah kelat. Dia sedikit kesal kerana tidak menjaga ketinggian nada suaranya. Kalaulah dia bercakap perlahan sedikit dan  menjaga suaranya, perkara itu tidak akan sampai ke telinga anak-anak. Menolak gegendang mereka membuatkan mereka berdua hilang keyakinan untuk meneruskan pelajaran. Aduh. Semua ini silap dia. Tapi apa dia boleh buat?

            Meyakinkan anak-anaknya.

            Ya, meyakinkan kembali anak-anaknya.

            Itulah yang harus dilakukan kembali oleh Azizah kala itu.

            Huh, mudahkah untuk meyakinkan anak-anaknya?

            “Betul tadi mak ada tanya ayah begitu. Mak cuma inginkan kepastian. Jauh di sudut hati mak, mak yakin ayah kamu berdua ada jalannya,” beritahu Azizah kepada anak-anak.

            Padahal dalam hatinya sendiri tidak demikian. Apa yang ada pada mereka? Kalau ada pun hanya dua tiga ekor lembu yang pada perkiraannya tidak seberapa harganya bagi tiap seekor. Kecuali jika dijual kesemua sekali, bolehlah dibuat modal untuk menghantar mereka berdua sekali gus. Entahlah. Mentak Mokhtar sebagai suami dan bapa kepada anak-anak mempunyai jalan untuk menyelesaikan dan memastikan anak-anak dapat meneruskan pelajaran masing-masing.

            Kemungkinan juga Mokhtar akan meminjam daripada sesiapa. Tapi siapa yang boleh dilihat dan diandaikan akan bermurah hati terhadap mereka? Selain arwah Pak Matlob dulu, mereka sudah hilang tempat untuk menumpang senang. Isterinya, walau hati semulia arwah, tidak dapat memberi apa-apa pertolongan kepada mereka. Kedudukan sumber kewangan Mak Munah banyak bergantung kepada anak-anak. Dia hanya menadah tangan.

            Pak Bahar? Tuan punya tanah kebun getah tempat Mokhtar dan Azizah suami isteri menoreh? Tidak tergamak pula untuk Azizah berbuat demikian. Rasanya Mokhtar juga tidak tergamak. Pak Bahar dan arwah Pak Matlob jauh berbeza. Dalam tempoh hampir tiga tahun menjadi kuli Pak Bahar mereka dapat merasakan perbezaan yang ketara antara dua orang pemilik usia warga emas tersebut. Pak Bahar seseorang yang menurut telunjuk isteri. Apa-apa keputusan perlu ditanya kepada isterinya. Isterinya pula, bukan Azizah ingin mengata, tapi hakikatnya isterinya bolehlah digelar sebagai Hajjah Bakhil.

            Kalau boleh sekalipun, bagaimana dengan belanja musim-musim seterusnya. Mariah dan Muzamil bukan ke sana untuk sehari dua, perbelanjaan juga bukan sekali keluar sahaja. Memang apabila sudah berada di sana nanti anak-anak akan mendapat biasiswa atau paling tidak pinjaman daripada mana-mana badan, begitupun sumber kewangan itu belum tentu boleh menampung seratus-peratus. Anak-anak tentu tidak dapat lari dari meminta belanja daripada mereka. Bagaimana jika permintaan itu datang serentak? Siapa mereka harus dahulukan?

            Berjimat. Benar, dia boleh menuntut agar anak-anak berjimat. Sungguhpun demikian Azizah sedar, bagaimana bersungguhpun tahap anak-anak berjimat, kesuntukan pasti mengejar mereka juga. Dunia sekarang berlandaskan duit. Duit. Duit. Sampaikan pernah dia terdengar cakap-cakap orang kampung jika sesekali terpaksa ke kedai runcit untuk mendapatkan barang, di bandar terutamanya KL, mahu buang air sekalipun kena pakai duit. Kalau tiada duit, terberak terkencing dalam seluar sekalipun tiada yang akan ambil pusing selagi tidak hulurkan duit.

            “Mak, kakak. Pergilah masuk tidur. Jangan pikirkan soal adik. Adik dah besar. Sudah enam belas tahun. Adik tahu pikir mana baik dan mana buruk untuk adik,” ujar Muzamil kemudiannya selepas agak lama berlagak seperti patung cendana lelaki.

            Mariah dan Azizah menunakkan pandangan ke wajah Muzamil. Kemudian saling berpandangan sesama sendiri.

            “Betul. Adik tahu pikir jauh daripada apa yang mak dan kakak bayangkan.” Muzamil menegaskan sekali lagi.

            Mariah dan Azizah sedikit lega. Mereka berdua yakin dengan kata-kata Muzamil. Sesaat masing-masing bangun untuk meninggalkan Muzamil. Azizah mendahului Mariah keluar dari tempat tidur Muzamil. Mariah mengekor dari belakang.

            “Kakak...” seru Muzamil semasa Mariah hampir hilang di balik tabir.

            Mariah menghentikan langkah. Kembali menoleh ke belakang. Memandang adiknya.

            “Adik sayangkan kakak!”

            Hampir jatuh jantung Mariah mendengar ucapan ikhlas Muzamil itu. Dalam dadanya sebak bergelombang hebat. Memukul segenap inci ruang dadanya. Pun dia berlagak selamba. Membalas ucapan sayang adiknya melalui senyuman yang meleret panjang. Mata Muzamil yang merenungnya pula kelihatan bersinar. Dia merenung Mariah dalam renungan yang cukup-cukup menyentuh hati dan membuatkan Mariah terharu. Makin membuatkan kati Mariah sedikit kacau.

            Adik. Kakak juga sayangkan adik. Dan Mariah pun berlalu tanpa mampu untuk membalas walau sepatah kata. Dia dapat rasakan dia pasti akan mengalirkan air mata jika membalas kata-kata adiknya secara verbal. Lalu ada baiknya sebuah senyuman sahaja untuk membayangkan rasa bahagia dan sebagai balasan sayang kepada Muzamil.

            Kembali ke pertidurannya. Mariah termenung panjang. Memikirkan ucapan sayang Muzamil. Dia tahu ucapan itu benar-benar lahir dari hati yang ikhlas dan murni. Ya Allah! Seru Mariah dalam hati. Engkau mengurniakan aku seorang adik. Namun yang seorang inipun aku tidak mampu untuk membalas kasih sayangnya. Dia sanggup menyimpan niat untuk berhenti belajar semata-mata mahu memberi peluang untuk aku sedangkan aku sendiri tidak pernah terlintas akan hal sedemikian untuk membuka laluan kepadanya.

            Aku memang tidak pernah terfikir untuk berhenti belajar. Jika tidak kerana adik aku terlebih dahulu meluahkan kesanggupannya hingga dimarah ayah, aku sampai bila-bila pun tidak akan terlintas untuk melakukan dan mengambil tindakan berhenti belajar. Nyata tingkat pengorbanan antara aku dan adik jauh berbeza. Aku benar-benar kalah kalau bercakap soal pengorbanan dan kasih sayang berdepan dengan adik.

            Mariah jauh dibawa perasaannya. Lama sebelum akhirnya dia terlena. Diulit mimpi yang entah apa-apa!

            Besoknya.

            Mariah bangun pagi seperti biasa. Selepas menunaikan solat subuh dia ke tempat pertiduran Muzamil untuk mengejutkan Muzamil menunaikan kewajiban. Terkejut tatkala menyelak tabir yang melindung pangking tempat Muzamil merebahkan badan apabila melihat sekujur tubuh yang biasa mengkerekot kesejukan di situ pagi itu tiada. Mariah ke dapur. Meninjau kalau-kalau Muzamil sudah bangun dan turun melepaskan hajat di belakang rumah. Pun tiada. Hati Mariah mula merasa tidak sedap. Gegau dan macam-macam lagi.           Dia kembali ke bilik Muzamil. Mendekati pangking pertiduran Muzamil.

            Kali itu baru dia perasan terdapat sehelai kertas dia atas pangking. Pantas Mariah mengambilnya. Dalam gelap dia meraba-raba mencari mancis untuk menyalakan pelita. Dalam debaran dia cuba membacanya.

            Kak, biarlah adik berkorban untuk kebaikan semua orang. Adik akan cari kerja untuk biayai kakak belajar. Kakak pergilah merebut peluang yang ada.

                                                                                                            Muzamil, adikmu.

            Mariah terduduk sambil meraung. Tangannya meramas nota tinggalan Muzamil. Dia tidak percaya adik kesayangannya telah pergi. Dia menangis semahu-mahunya. Mahu diadukan kepada mak dan ayah, mereka sudah lama turun menoreh. Azizah dan Mokhtar bangun awal. Sebelum azan. Mereka sudah siap di sejadah semasa azan berkumandang dari surau berdekatan. Selesai solat mereka terus turun untuk ke kebun getah. Biasanya ketika mereka sedang solat Mariah pula akan bangun ke perigi mengambil wuduk.

            Lalu Mariah hanya keseorangan pagi itu. Menangis dan meratap pemergian adiknya. Mana dia mahu cari? Mariah mati kutu. Kemudian apabila tangisan dia beransur reda, dia bangun ke bucu dinding, tempat helaian pakaian lusuh Muzamil terlipat elok. Kebanyakan pakaian Muzamil memang tiada di situ. Mariah kembali meraung sekali lagi. Muzamil bukan main-main. Dia benar-benar telah pergi!

“Yalah. Itu akak tahu, tapi paling tak, jelaskan sikit biar akak faham maksud adik yang sebenar. Adik nak ke mana?”

Mariah teringat perbualan mereka. Teringat semuanya. Dia semakin sebak.

            “Mana-mana asal boleh membahagiakan kakak.” Itu suara Muzamil. Bagai kembali menggetarkan gegendang telinganya.

            Jawapan Muzamil itu sebenarnya sudah membayangkan niatnya. Mariah kesal kerana tidak mampu menyelami maksud kata-kata adiknya. Jikalau dia tahu, dia tentu sama sekali akan menghalang adiknya daripada meneruskan niat sedemikian.

            Adik. Terlalu tekad tindakan yang kau ambil!

            Mariah menangis lagi. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Kemudian dia teringatkan mak dan ayah. Haruskah dia ke kebun getah tempat Mokhtar dan Azizah menoreh? Mariah tidak tahu. Hari masih gelap. Ibu bapanya pula menoreh di Kampung Tengah. Kampung Bechah Kelubi dan Kampung Tengah walaupun tidak dipisahkan oleh banyak kampung sebenarnya agak jauh jika hanya berjalan kaki ke sana. Tambah dalam keadaan hari masih gelap seperti itu.

            Begitupun haruskah Mariah menunggu saja di rumah?

            Argh, tidak! Mariah tidak boleh berdiam diri dan menangis sahaja di rumah. Tidak akan mengubah keadaan. Tidak akan mengubah apa-apa.

            Lalu dia mencapai tudung. Gelap pun gelaplah. Dia rela meredah gelap ke Kampung Tengah. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Sekurang-kurangnya jika hal itu disampaikan segera ke pengetahuan bapa, mentak Mokhtar boleh melakukan sesuatu. Mungkin boleh menjejaki Muzamil. Andai bernasib baik Muzamil mungkin masih ada di sekitaran. Sejauh mana sangat adiknya boleh pergi. Dia bukan pernah keluar ke mana-mana sebelum ini. Paling jauh ke sekolah sahaja.

            Adik. Harap-harap kau masih ada di kampung ini. Bersembunyi di mana-mana sementara menunggu hari cerah! Doa Mariah penuh mengharap sambil kaki melangkah laju. Selaju mungkin. Sepantas boleh. Mak dan ayahnya harus diberitahu secepat mungkin.

            Sementara itu, di kebun getah di Kampung Tengah, Azizah termenung di banir pokok getah. Dia bagai lupa teknik menoreh yang betul. Dua tiga pohon yang sudah siap ditoreh termakan batang. Torehan tidak cermat seperti itu boleh merosakkan batang pohon selanjutnya mengakibatkan pohon tidak dapat ditoreh lama. Dalam pula rasa berdebar-debar. Sejak dia turun dari rumah tadi dia sudah merasakan debaran itu. Namun tidak tahu puncanya. Dia tidak menceritakan kepada Mokhtar. Menganggap ia hanya mainan perasaannya. Tambahan semalam dia tidak mendapat tidur yang cukup. Hanya terlelap semasa kokokan ayam yang pertama.

            Azizah duduk diam-diam di banir pokok getah. Mencari kekuatan dari dalam. Mata sempat juga melilau dalam semak. Mengesan sinar mata binatang. Bimbang juga kalau-kalau ada binatang yang merbahaya. Jika tidak harimau sekalipun, anjing sekurang-kurangnya. Jika dia dapat mengesan dari awal, boleh juga mengambil langkah berjaga-jaga. Jika anjing boleh dibaling dengan kayu. Jika harimau?

            Harimau takut kah kalau dibaling dengan kayu?

            Azizah tidak tahu. Dia tidak pernah mempunyai pengalaman bertembung harimau walaupun kawan-kawan lain pernah memberitahu terserempak beberapa kali dengan harimau.

            Tindakan mereka? Lari sajalah sebelum harimau tersebut nampak mereka.

            Hish. Tidak elok fikir perkara bukan-bukan. Azizah menyedarkan dirinya sendiri. Berfikir bukan-bukan sama erti seperti meminta terjadinya perkara bukan-bukan. Tambah-tambah memikirkan soal harimau. Perkara tidak mustahil kerana kebun getah tempat Azizah suami isteri menoreh bukan jauh sangat dari Bukit Panau. Menurut penduduk yang tinggal di sekitar, di bukit itu memang terdapat harimau. Musykilnya, harimau itu tidak kacau orang. Ternakan juga tidak dibahamnya.

            Argh, Azizah ada masanya tidak begitu menerima cerita-cerita tentang harimau di Bukit Panau. Mana boleh harimau tidak kacau orang dan tidak baham ternakan? Entahlah. Bagaimanapun dia harus berjaga-jaga.

            Sedang asyik termenung dengan mata melilau-lilau itu Azizah terdengar bunyi ranting kayu dipijak. Gemuruh darahnya datang serta merta kerana bunyi itu semakin lama semakin hampir dengannya.  Azizah hampir menjerit tatkala dia mendengar suara yang amat dikenali menyeru memanggilnya.

            “Mariah?” Azizah menyoal inginkan kepastian.

            “Mak! Mak!” Mariah menerpa mendapatkannya berpandukan lampu suluh yang terikat di dahinya.

            “Kenapa Mariah?”

            Dada Azizah berdebar-debar hebat. Lebih kuat daripada sebelumnya.











BAB DUA PULUH TUJUH
Mokhtar termenung. Sirna pada matanya jelas menunjukkan dia sangat kecewa. Azizah menangis. Mariah? Mariah lebih hebat tangisan dan sendunya. Lebih lebat air matanya. Seperti tidak mahu berhenti-henti. Mariah merasakan semua itu berpunca daripadanya.

            Usaha menjejaki Muzamil sia-sia. Biarpun sudah mendapatkan bantuan orang kampung dan penat bertanya ke hulu ke hilir, semuanya memang tidak dapat membantu. Muzamil langsung gagal dijejak. Persoalan dia ke mana dan dia tumpang siapa hanya berlegar-legar dalam ruang lingkup mereka tiga beranak. Tiada siapa boleh memberikan jawapan yang tepat kepada mereka.

            “Semua ni salah Zah bang. Zah minta ampun...” gumam Azizah dalam tangisan.

            Memang dia menyalahkan dirinya sendiri kerana  malam itu tidak menjaga tutur katanya sehingga membuatkan anak-anak tidak yakin. Kesudahannya inilah. Kehilangan Muzamil secara tiba-tiba. Sesuatu yang di luar jangkaan.

            Mokhtar tidak menunjukkan sebarang reaksi. Azizah jadi teruja. Menerpa mendapatkan suaminya. Melutut di situ. Dia benar-benar merasa bersalah. Jika tidak dia pasti tidak akan mengambil tindakan umpama drama tv. Menangis dan melutut begitu di kaki suami. Pada Azizah, jika dia tidak terlebih dahulu meragui dan menidakkan keupayaan suaminya, anak-anak tidak akan memikirkan perkara serupa. Aduh. Semuanya memang salah dia.

            “Bang, ampunkan Zah. Semua ni silap Zah sebab mengeluarkan kenyataan sehingga membuatkan anak-anak tak yakin dengan abang!” Azizah berkata dalam suara bercampur tangisan.

            Melihat ibu sudah hilang kawalan diri, Mariah turut menerpa mendapatkan ibu bapanya. Dia menangis semahu-mahunya di situ. Dia tidak sanggup melihat ibunya menyalahkan diri sendiri walhal hakikatnya semua itu berlaku kerana dia. Ya. Mariah merasakan demikian.

            Pada Mariah, andai dia tidak terlalu bercita-cita tinggi, tidak sering mengangankan untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Belajar sekadar ala-ala kadar saja kemudian membuka laluan untuk adiknya pula menamatkan pengajian hingga ke tingkatan lima paling kurang, atau membuka sepenuh-penuhnya ruang untuk adik menamatkan pengajian hingga paling kurang peringkat ijazah, semua itu tidak akan berlaku.

            Ini tidak, saban hari dia bercakap tentang keinginan untuk ke universiti. Belajar bukan main beriya-iya untuk mencapai tujuan di hati sehingga lupa dia masih ada seorang adik yang sepatutnya difikirkan terlebih dahulu kepentingannya. Ah, Mariah baru tersedar dia sebenarnya terlalu pentingkan diri sendiri.

            Bukankah dapat menamatkan pengajian sehingga ke tingkatan lima itu sudah cukup tinggi bagi anak orang susah sepertinya? Mariah sepatutnya buka mata, melihat sekelilingnya, berapa ramai kawan-kawan sekampung yang mampu menjejakkan kaki ke tingkatan lima? Tidak ramai. Memang tidak ramai. Ramainya dalam usia seperti Mariah kawan-kawan sebaya sudah ramai yang sarat mengelek anak, mengendong bayi.

            Dia?

            Huh, dia tentu saja masih menyarung uniform sekolah ketika kawan-kawan sudah lama bermain dengan berak anak.

            Pun dia tidak tahu bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana membuka peluang  santak itu. Dia asyik dengan keinginan tanpa mengukur kemampuan ibu bapa. Dan Mokhtar dan Azizah pula sebagai ibu bapa, apabila melihat kesungguhan anak dalam mengejar ilmu, mendudu-dudu pula dengan kejayaan demi kejayaan mula merasa sayang jika memaktubkan kepada Mariah agar jangan lagi meneruskan persekolahan walau daripada segi kewangan mereka teramat sesak. Sesak yang teramat-amat.

            Aduh! Baru hari itu Mariah merasakan cukup bersalah kerana terlalu bercita-cita tinggi tanpa langsung terfikir untuk mengorbankan cita-citanya bagi memberi peluang dan ruang kepada adiknya pula meneruskan pelajaran. Walhal dia hanya seorang perempuan yang sinonim dengan kata-kata: belajar tinggi mana pun sudahnya ke dapur juga.

            Ah, sekali lagi  dia menjadikan Muzamil mangsa keinginannya yang begitu melangit. Aduh. Dia menyesal yang teramat. Andai masa boleh diputar. Dia sentiasa ingin mengubah segala-gala kepincangan dalam memerankan diri sebagai seorang kakak.

            Aduh. Kenapalah dia tidak pernah mempunyai pemikiran yang menjurus ke arah pengorbanan seperti yang sering kali dilakukan Muzamil terhadapnya? Mengapa Muzamil pula sering sanggup berkorban untuknya terlebih dahulu dan barulah dia terbuka mata setelah melihat pengorbanan itu?

            Mariah memang merasakan semua salah dia. Memang salah dia. Dia yang tidak pernah mengukur keupayaan keluarga. Jika sesekali dia terfikir akan ketidakupayaan ibubapa menyara pengajiannya, dia banyak membujuk diri mengatakan ayah tentu ada jalannya.

            Mengapalah dia tidak seperti Muzamil? Mengambil tindakan menarik diri daripada meneruskan pengajian. Cukuplah boleh pergi sejauh tingkatan lima. Itu sudah cukup memadai  bagi anak miskin sepertinya. Tapi itulah, Mariah tidak pernah fikir begitu. Padanya, hidup tanpa pelajaran tinggi semaksimum mungkin tidak akan memungkinkan dirinya bergelar seseorang yang berjaya. Tambahan pula jika tidak mampu untuk menempatkan diri di menara gading.  Tingkat kejayaan pada Mariah jika mampu ke menara gading seterusnya mendapat jawatan bagus setelah menamatkan pengajian kelak. Dia ingin kejayaan seperti itu. Sungguh. Dia benar-benar ingin berjaya.
            Dalam benaknya dia ingin berjaya. Berjaya dan berjaya.

            Sungguh. Mariah ingin berjaya sebenarnya. Malah dia ada idola tanpa diketahui sesiapa dalam menguatkan dorongannya mengejar kejayaan demi kejayaan dalam peperiksaan. Dia tidak pernah melisankan akan hal itu. Idolanya, anak kampungnya juga. Anak kampung yang tidak pernah dikenalinya. Hanya didengar kisahnya melalui mulut arwah Nek Esah.

            Idolanya itu merupakan satu-satunya anak perempuan Kampung Bechah Kelubi yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, setamat belajar bergelar pegawai kerajaan. Menetap di bandar. Hidup mewah dan senang lenang di sana. Berkahwin pula dengan orang kaya, seorang usahawan. Punyai keluarga yang bahagia. Itulah anak arwah Mek Kalsom.

            Ah, dia memang tidak kenal idolanya. Hanya mendengar nama. Namun itu sudah cukup menjadi suatu stimulasi kepada Mariah dalam mengejar impiannya. Dia ingin berjaya seperti anak arwah Mek Kalsom walau tidak pernah mengenali dan melihatnya. Mek Kalsom sendiri pun dia tidak kenal. Arwah meninggal pada usia Mariah masih terlalu muda. Hanya Nek Esah yang asyik bercerita tentang mereka anak-beranak. Itupun kerana Mariah semasa zaman sekolah rendahnya selalu bertanya akan sebuah rumah tinggal di tepi sekolah.

            Rumah besar tiada berpenghuni. Itulah rumah arwah Mek Kalsom sebenarnya apabila satu-satunya anak perempuan arwah tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke kampung itu dan menjadikan rumah itu terbiar begitu sahaja. Kecenderungan bertanya tentang rumah terbiar itulah yang membawa kepada cerita tentang anak perempuan arwah Mek Kalsom yang berjaya dalam pelajaran. Cerita-cerita tentang anak arwah Mek Kalsom menyebabkan Mariah seronok menanam keinginan untuk berjaya seperti perempuan itu.

            Lalu hasilnya inilah. Mariah jadi seorang gadis kampung yang begitu ambitious. Tidak fikirkan apa-apa lagi selain mahu memastikan kejayaan tercapai. Dia juga mahu menikmati hidup seperti anak arwah Mek Kalsom. Jika tidak mampu berkahwin dengan lelaki kaya sekalipun, cukup jika berjaya mengikut jejak dalam pendidikan. Soal kahwin, Mariah memang tidak pernah terfikir hingga sejauh itu.

            Tambahan pula, keinginannya untuk berjaya hanya kerana mahu membela nasib keluarga pada hari muka. Dia tidak mahu lagi ibu bapa dan adiknya susah payah dan hidup dalam kemelaratan berpanjangan. Dia mahu kejayaannya nanti membawa sama mereka keluar dari belitan hidup yang menyesakkan. Mahu makan susah, mahu minum susah. Bertukar pakaian baru sekali setahun apatah lagi. Selalu saja mereka meraikan hari raya dengan pakaian lusuh dan usang. Hanya beberapa tahun dahulu saja mereka merasakan nikmat berhari raya dengan pakaian baru, itupun atas jasa baik Tengku Najmuddin, bapa Tengku Suzana.

            Tengku Suzana?

            Ah, saat-saat begitu dia perlukan teman untuk bercerita. Dia tiba-tiba menjadi ingin saja berada di samping Tengku Suzana. Hati Mariah makin sayu. Dia menangis semahu-mahunya. Tangisannya sama naik dengan sendu Azizah.

            “Dah, dah. Semua jangan nak membazirkan air mata. Tak bawa apa-apa erti.” Mokhtar akhirnya bersuara selepas agak lama mendiamkan diri.

            Dalam suaranya juga terkesan desir pilu yang tertahan-tahan. Mariah dan Azizah tahu itu. Malah mereka memahami betapa kecewanya Mokhtar saat itu. Pun baik Mariah mahupun Azizah sebagai seseorang yang paling akrab dengan Mokhtar langsung tidak dapat menebak apa-apa dalam benak Mokhtar. Alangkah jika boleh dilihat semua kata-kata dan persoalan yang berbelit sarat dalam benak Mokhtar, tentu mereka tahu bagaimana perasaan Mokhtar. Juga bagaimana tanggapan Mokhtar terhadap kejadian itu. Mujur lagi jika ada skrin maya atas kepala Mokhtar dan menayangkan semuanya secara jukstaposisi. Tentu lebih mudah untuk Mariah dan Azizah menyelami medan fikirnya.

            “Tapi ayah, semua ni silap Mariah. Mariah rasa bersalah kerana selama ini terlalu pentingkan diri sendiri.” Suara Mariah akhirnya keluar juga mengatasi tangisannya.

            “Muzamil buat keputusan mengikut hatinya. Sesiapapun jangan nak rasa bersalah.”

            Macam tu saja? Mariah tidak puas hati dengan kata-kata Mokhtar. Jauh di lubuk hatinya, dia mahu Mokhtar memberi jaminan dan keyakinan untuk membawa pulang Muzamil kembali. Dia tidak akan bertenang hati jika Muzamil masih entah di mana-mana.

            “Kita dah tiada daya untuk menjejakinya. Kita hanya boleh berharap!” Ujar Mokhtar tegas seakan dapat membaca isi hati Mariah.

            Mariah dan Azizah menyambung tangis!


Seminggu sudah berlalu sejak Muzamil meninggalkan keluarga. Harapan untuk menjejakinya memang sudah putus di tengah jalan. Hanya yang boleh dilakukan oleh keluarganya cuma berdoa. Jika Muzamil tidak terbuka hati untuk pulang sekalipun, cukuplah Muzamil selamat di luar sana. Mereka memang bimbang akan keselamatan Muzamil kerana selama ini Muzamil tidak pernah keluar rumah seorang diri walaupun ke pekan.

            Mariah? Meski bersedih dan masih dalam kemurungan, terpaksa juga melakukan persediaan ke Paroi. Membuat medical check-up dan pelbagai persediaan lain sebelum berangkat pergi. Keinginan untuk meneruskan pelajaran memang sudah mati. Begitupun dibangkitkan kembali oleh Mokhtar dan Azizah.

            “Adik telah berkorban semata-mata untuk membolehkan Mariah sambung belajar, jangan jadikan pengorbanan adik sia-sia.”

            Bergetar suara Mokhtar di gegendang telinga Mariah semasa dia menyatakan perasaannya yang sudah mula berbelah bahagi untuk meneruskan pengajian. Semangatnya sudah hilang, bersama hilangnya adik kesayangan.

            Mendengar kata-kata Mokhtar itu membuatkan Mariah kembali bangkit. Ya. Seharusnya dia jadikan pengorbanan Muzamil tidak sia-sia. Dia harus meneruskan pengajian dan memastikan kecemerlangan sentiasa menjadi miliknya. Mariah tidak mahu kesedihan menjadikan segala-galanya hancur berkecai dan pengorbanan yang dilakukan Muzamil tidak bererti. Dia tidak mahu keadaan menjadi seperti itu. Dia harus bangkit dari kesedihan dan menguruskan semuanya dengan cepat sebelum tarikh melapor diri tiba.

            Pun dalam sibuk-sibuk Mariah membuat persediaan itu dia memang tidak lupakan Muzamil. Hatinya sentiasa menangis setiap kali mengenangkan adiknya. Satu-satunya adik yang dia ada kini hilang jejak. Ia benar-benar sesuatu yang sukar untuk ditelan oleh Mariah.

            “Mulia sungguh hati adik awak Mariah...” komen Tengku Suzana lewat kunjungannya ke rumah Mariah.

            Dia melakukan kunjungan ke situ semata-mata kerana dia bakal berangkat ke negeri orang putih untuk meneruskan pelajarannya. Sebelum ke sana, Tengku Suzana telah berjanji pada diri sendiri untuk melawat Mariah sebelum masing-masing membawa diri ke tempat pengajian.

Sebaik dia tiba di rumah Mariah, memang dia terkejut sakan apabila dikhabarkan akan peristiwa sedih itu. Begitu juga kedua-dua orang tuanya dan Hasbullah yang mengiringi kunjungan Tengku Suzana petang hujung minggu itu. Sungguhpun demikian tiada apa yang boleh mereka lakukan selain meminta Mariah dan keluarganya bersabar.

            “Awak tak akan jumpa adik sebaik Muzamil dalam dunia ni Zana. Malah kalau boleh saya mahu laungkan kepada seluruh dunia tentang keluhuran hati adik saya, biar satu dunia tahu.”

            Tengku Suzana mengangguk-angguk. Dia juga mengakui kebenaran pada kata-kata Mariah. Memang adik seperti Muzamil susah untuk dicari. Kalau dia sekalipun belum tentu sanggup untuk melakukan apa yang boleh dilakukan oleh Muzamil terhadap adik-beradiknya.

            “Kita berdoalah Mariah, biar Allah selamatkan adik awak walau di mana pun dia berada. Dia punyai hati yang baik, Allah tentu memberkatinya.”

            “Harap-harap begitulah...” kata Mariah. Suaranya tersekat di situ. Dia memandang ke wajah Tengku Suzana. Matanya kembali terasa berpasir dan berair.

            “Dahlah. Jangan terus menangis macam ni, awak kena kuatkan semangat awak Mariah.” Tengku Suzana cuba untuk memberi kekuatan kepada Mariah.

            “Tapi saya rindukan adik saya, Zana. Awak takkan tahu bagaimana peritnya perasaan saya sekarang.”

            “Ya, saya memang tak tahu, tapi saya faham bagaimana.”

            “Kami tak pernah berenggang sebelum ini. Apapun kami lakukan berdua. Mandi, makan, solat. Segala-galanya. Hinggakan ada masanya saya masih terpanggil-panggil namanya jika mahu melakukan sesuatu.”

            “Sabarlah Mariah,” pujuk Tengku Suzana sambil mengusap-usap belakang Mariah. Cuba memberikan rasa tenang kepadanya.

            “Saya memang cuba bersabar. Saya tentu dah sasau kalau tak sabar.” Mariah berkata sambil mengesat sisa air bening yang masih lagi mahu turun ke pipi.

            “Baguslah kalau begitu. Saya cuma takut nanti awak juga yang jatuh sakit sebab terlalu risau.”

            “Insya-Allah, saya tahu kawal perasaan lagi. Terima kasih sebab awak ambil berat soal saya,” ucap Mariah terharu.

            Dia tahu kebaikan yang ditunjukkan Tengku Suzana itu bukan lakonan, ia lahir dari hati yang tulus ikhlas.

            “That’s what a friend is for.” Tengku Suzana memegang tangan Mariah untuk memberi kekuatan sambil mengukir senyuman paling ikhlas.

            Mariah cuba untuk membalas senyuman Tengku Suzana.

            “Harap-harap bapa saya boleh buat sesuatu untuk kesan di mana adik awak...” gumam Tengku Suzana perlahan.

            “Bapa awak boleh buat sesuatu kah untuk menjejaki adik saya?”

            “Tak pasti. Lagipun kita tak tahu mana dia pergi. Tak ada sebarang petunjuk untuk kita jejaki dia. Cuma harap-harap. Mungkin bapa boleh fikirkan caranya.” Tengku Suzana berkata terus-terang. Dia tidak mahu berjanji perkara bukan-bukan kepada Mariah.

            Andai dia berjanji perkara yang mustahil untuk dilakukan, dia takut diri telah menabur harapan kepada Mariah. Mariah pula akhirnya mula hidup dalam harapan palsu dan tertunggu-tunggu  harapan itu menjadi realiti. Dia tidak sanggup melakukan semua itu terhadap kawannya.

            Tengku Suzana menarik nafas panjang sebelum melepaskannya mendudu-dudu bersama keluhan agak berat. Keluhan Tengku Suzana membuatkan Mariah memusatkan perhatian kepadanya.

            “Kenapa Zana?” Mariah menyoal kerana dia dapat merasakan ada sesuatu yang terlindung di sebalik keluhan itu.

            Tengku Suzana menoleh memandangnya. Pandangan mereka bersatu lama. Mata Tengku Suzana kelihatan berair. Merah. Dia seperti cuba menahan tangisan.

            “Zana...” Mariah rasa tidak sedap hati. Dia yakin ada sesuatu tersembunyi di sebalik hati kecil Tengku Suzana. Tangan Suzana diramasnya. Dia inginkan penjelasan.

            “Mariah, saya rasa berat hati untuk tinggalkan awak dalam keadaan awak macam ni,” ujar Tengku Suzana dalam nada sebak.

            Tengku Suzana melahirkan kata-kata yang benar dari hatinya. Sebaik mendengar berita kehilangan Muzamil tadi dia rasa ingin berada di samping Mariah, untuk memberi kekuatan kepada sahabatnya. Dia tahu dalam saat-saat seperti itu Mariah memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Dia mula terasa berat hati untuk meninggalkan sahabatnya. Dia mahu berada di samping Mariah sekurang-kurangnya sehingga mereka tahu di mana Muzamil berada, atau sekurang-kurangnya sehingga Mariah sendiri telah berangkat ke Paroi.

“Zana, terima kasih banyak. Tapi jangan kerana saya awak tiba-tiba mahu membatalkan keinginan untuk ke luar negara menyambung belajar.” Mariah bersuara seperti dapat menangkap maksud dalam hati Tengku Suzana.

            “Saya cuma mahu menemani awak menghadapi saat-saat melukakan ini Mariah.”

            “Cukuplah sekadar awak menunjukkan rasa ambil berat awak. Budi awak dah terlalu banyak buat saya Zana. Saya tak mahu merasa bersalah jika awak batalkan hasrat ke luar negara semata-mata kerana saya. Saya ni siapa?”

            “Awak sahabat saya Mariah.”

            Mariah terharu mendengar kata-kata Tengku Suzana. Selama ini tidak pernah ada sesiapa mahu mengangkat dirinya sebagai sahabat hingga ke tara itu. Kali ini, Tengku Suzana, anak orang senang sanggup dengan rela hati menjadi sahabatnya. Apa sangat yang Tengku Suzana pandang pada dirinya sehingga Tengku Suzana mengangkat martabatnya setinggi itu?

            “Saya benar-benar berterima kasih kepada awak Zana. Awak memang kawan yang baik. Beruntung sesiapa yang boleh menjadi kawan awak.”

            “Awak asyik berterima kasih kepada saya, walhal saya tak buat apa-apa pun.”

            “Awak buat saya rasa dihargai sebagai seorang teman.”

            “Saya suka dan seronok berkawan dengan awak Mariah. Kalau kita dah ke U nanti, tak tahu bila pula kita boleh bertemu.”

            “Awak boleh pulang ke Malaysia dan sesekali menjenguk saya kan?” Duga Mariah.
            Dia tahu itu tidak mustahil bagi Tengku Suzana memandangkan orang tuanya boleh menampung belanja tambang pergi dan balik Mariah walaupun dia sudah berada di luar negara nanti.

            “Mungkin kalau saya tak sibuk dengan study. Kita pun tak tau bagaimana corak pembelajaran kat U, Mariah. Abang saya cakap banyak assignment.”

            “Tak apalah. Saya bukan serius nak minta awak balik jenguk saya. Cukup kalau awak ingat saya dan sesekali hantar surat buat saya.”

            “Itu sudah pasti...”

            Mereka berdua sama-sama berbalas senyuman. Namun hati kecil Mariah masih ingatkan Muzamil. Tentu saat-saat itu tambah menyeronokkan jika dikongsi bersama Muzamil juga. Tambahan pula Tengku Suzana sendiri telahpun menganggap Muzamil seperti adiknya juga.

            “Saya doakan adik akan menghantar sebarang berita buat kita seawalnya sebelum saya bertolak ke Paroi,” luah Mariah.

            “Saya pasti dia akan berbuat demikian. Dia pun tentu tak mahu awak risau, kan?”

            Mariah mengangguk-angguk. Dalam hatinya memanjatkan doa agar harapan itu jadi kenyataan. Jika tidak boleh bertemu kembali dengan Muzamil sekalipun cukuplah sekadar mengetahui Muzamil selamat walau di mana dia berada.






BAB DUA PULUH LAPAN
Hati Mariah dan keluarga gembira bukan kepalang apabila menerima sepucuk surat sehari sebelum dia berangkat ke Paroi. Surat itu tentunya daripada Muzamil. Memberitahunya dia kini selamat berada di KL dan sudah pun mendapat pekerjaan. Begitupun Muzamil tidak menyertakan alamat tempat tinggal mahupun tempat kerjanya. Dia hanya memberitahu keadaan diri dan meminta agar keluarga tidak risaukan dirinya.

            Perkhabaran seperti itu sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan Mariah seisi keluarga gembira dan hilang sedikit kerisauan terhadap Muzamil. Sekurang-kurangnya mereka tahu Muzamil selamat. Begitupun Muzamil tidak menjelaskan bagaimana dia ke sana dan pekerjaan apa yang dilakukannya. Mereka mendoakan agar Muzamil melakukan pekerjaan yang halal dan tidak menyalahi undang-undang walau jauh di hati mereka tidak menginginkan demikian. Pada mereka, mereka lebih senang jika Muzamil sama-sama berada di kampung, meneruskan persekolahan.

            Apakan daya, Muzamil telah memilih jalan hidupnya sendiri, Mokhtar dan Azizah hanya mampu berserah walaupun kesal masih menebal dalam hati mereka. Mariah apatah lagi. Sementelahan pula Muzamil mengambil tindakan nekad begitu semata-mata kerana mahu memberi peluang kepadanya.

            Kakak sudah dapat melihat masa depan, cerah atau gelap sebaik menerima tawaran ke prauniversiti. Adik, walaupun cemerlang hari ini belum tentu dapat mengekalkan kecemerlangan sampai bila-bila. Jika  kakak menolak peluang semata-mata untuk memberi laluan kepada adik walhal adik belum tentu lagi masa depannya tentulah sesuatu yang amat merugikan.

            Pergilah. Belajar bersungguh-sungguh. Adik pula akan bekerja dan akan menghantar duit bagi menampung perbelanjaan kakak. Tentang adik usahlah dirisaukan. Adik selamat dan berkeadaan baik di sini. Usah juga merasa terkilan dan kecewa akan tindakan yang diambil adik ini kerana adik cukup bahagia  dapat berjasa kepada kakak. Adik tidak menyesal dengan tindakan adik ini.
            Adik sayangkan kakak. Lebih daripada inipun adik sanggup lakukan demi sayang kepada kakak.

                                                                                                            Ikhlas:
                                                                                                            Adikmu (Muzamil)

P/S: Sampaikan salam sayang buat mak dan ayah.
        Katakan adik minta maaf banyak-banyak.


            Begitu antara isi kandungan surat panjang lebar daripada Muzamil. Suratnya walau tidak mempunyai bahasa berbunga-bunga cukup untuk membuatkan Mariah dan ibu bapa merasa melankolia. Sayu dan pilu. Dalam masa yang sama masing-masing memang tidak dapat menyembunyikan perasaan setelah menerima surat Muzamil. Surat itu secara tidak langsung telah menggambarkan ketulusan hati seorang adik.

            Begitu agungnya kasih seorang adik seperti Muzamil sehingga sanggup mengorbankan masa depannya untuk Mariah. Selesai membaca surat Muzamil, Mariah tentu saja tersentuh sentimetal dan berendam air mata. Perasaannya berbaur pelbagai rencam. Pilu, sayu, kesal, marah dan rindu. Semuanya menjadi satu menyebabkan dia sesak dan sebak.

            Mariah pilu mengenangkan keluhuran hati Muzamil.

            Mariah sayu kerana kini berjauhan dengan Muzamil.

            Mariah kesal kerana sering kali menyusahkan Muzamil.

            Mariah marah kerana sebelum ini tidak pernah terfikir untuk berkorban seperti Muzamil.

            Dan Mariah rindu sangat kepada Muzamil.

            Memang Mariah amat rindukan Muzamil. Kenangan bersama Muzamil sering bermain dalam benaknya sejak Muzamil meninggalkannya. Ada masa dia terkenangkan bagaimana seronoknya mereka main masak-masak dalam kebun ubi kayu Pak Matlob setiap kali menemani ibu menggali ubi. Habis daun ubi kayu dicantas untuk dijadikan kerabu, buat main masak-masak.

            Ada masa terkenang pula saat-saat manis berlari-lari dalam deretan pohon tembakau di batas semasa daun sudah cukup matang untuk dipungut. Pohon tembakau yang menghijau dengan daun lebar-lebar cukup membolehkan masing-masing bersembunyi daripada satu sama lain. Kemudian apabila salah seorang daripada mereka dapat ditangkap, mereka akan sama-sama ketawa senang sambil kejar-mengejar di celah-celah pohon tembakau. Indahnya.

            Mengenangkan itu semua, Mariah mengalirkan air mata. Tidak mungkin mereka dapat mengulangi semua itu lagi kembali. Bukan sekadar kerana masing-masing sudah dewasa untuk bermain demikian, tetapi juga kerana kini mereka sudah berjauhan. Malah, untuk sama-sama duduk di batas sawah sambil bercerita kembali saat-saat manis sesama sendiri pun mereka sudah tidak mampu lagi.

            Segalanya hanya tinggal kenangan.

            Mariah tertekan dengan keadaan itu!

            Pun begitu, mengenang kata-kata Muzamil, dia harus meneruskan pelajaran dengan bersungguh-sungguh. Tidak boleh membiarkan perasaan menguasai kewarasannya. Jika begitu keadaannya dia telah bukan sahaja mengecewakan mak dan ayah serta Muzamil. Juga telah menyebabkan usaha Muzamil berkorban sia-sia sahaja. Dia tidak boleh biarkan keadaan jadi sedemikian. Pengorbanan Muzamil biar berbayar dengan sesuatu yang boleh memuaskan hatinya dan membuatkan Muzamil bangga.
            Demi pengorbanan yang telah dilakukan Muzamil, Mariah tekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Mariah tidak mahu menghampakan Muzamil. Dia tidak boleh mengalah kepada perasaan sedih dan sayunya.

            Cuma ada banyak tanda tanya yang tertinggal dalam benaknya. Macam-macam persoalan. Terutamanya bentuk sebenar kerja Muzamil. Muzamil kerja apa sebenarnya? Mariah runsing dan cuak kalau-kalau Muzamil melakukan kerja yang bercanggah dengan undang-undang. Muzamil masih bawah umur. Juga tidak membawa bersamanya sebarang sijil kelulusan persekolahan untuk dijadikan bukti latar pendidikannya. Kerja apa yang boleh dilakukan di bandar sana? Majikan mana pula yang sanggup menggajinya dalam latar Muzamil yang sebegitu?

            Mariah benar-benar buntu.

            “Janganlah kita nak pening-pening pikir adik kerja apa, abang yakin dia tak melakukan sesuatu yang salah.” Mokhtar bersuara begitu semasa Azizah meluahkan kebimbangannya.

            Keyakinan yang diberikan Mokhtar sedikit sebanyak melegakan Mariah yang tidak mencelah semasa ibu bapanya sedang berbual. Mungkin kata ayah ada benarnya. Adiknya selama ini seorang anak yang baik. Penuh belas kasihan dan sikap ingin berkorban. Dia tidak mungkin sama sekali akan melakukan kerja-kerja yang boleh mendatangkan susah kepada dirinya.

            Pun Mariah gagal untuk membayangkan kerja apa yang boleh dilakukan di Kuala Lumpur. Setahu Mariah, Kuala Lumpur bandaraya besar. Penuh sesak dan pelbagai macam ragam manusia. Muzamil buat apa di sana? Muzamil tinggal di mana? Mengenang itu semua Mariah menitiskan air mata.

Kenapa adik sanggup buat macam ini semata-mata untuk kakak? Mariah menyoal begitu.
Pun Muzamil tiada di sisi untuk meleraikan kekusutan yang bermain dalam benaknya. Mariah benar-benar tidak lugu dan jadi tertekan.

“Mariah, semua pakaian Mariah dah kemaskan?” Tanya Azizah mengejutkan Mariah daripada menungan yang panjang.

“Dah mak,” jawab Mariah pendek.

Azizah tersenyum. Dia kemudian membina sila di sebelah Mariah. Memeluk bahu Mariah penuh kasih sayang. Sebenarnya dia berat hati juga untuk melepaskan Mariah pergi. Sunyi rumah jadinya nanti jika kedua-dua anak-anak sudah tiada. Dia tidak biasa hidup begitu. Jika  semua itu bukan  untuk kepentingan masa depan Mariah, dia tidak akan lepaskan Mariah pergi. Lebih-lebih lagi setelah Muzamil juga kini tiada di sisinya.

Azizah pasti dia akan kesunyian tanpa anak-anak nanti.

“Mak, pukul berapa kita nak bertolak petang nanti?” Soal Mariah kepada ibunya.

“Pakcik Hasbullah akan datang jemput jam sembilan malam, lepas isyak.”

“Kata nak bertolak petang?”

“Tak jadi sebab Tengku Najmuddin nak kita tiba kat sana sebelah pagi, jadi tidak perlu menunggu lama untuk pendaftaran. Kita bukan ada sesiapa kat sana untuk tumpang bermalam.”

Mariah mengangguk-angguk. Dia tahu jika perkiraan Tengku Najmuddin begitu tentu ada kebaikan di sebaliknya. Dia bersyukur dan berterima kasih banyak kepada bapa Tengku Suzana yang turut sanggup menghantarnya ke sana. Jika tiada bantuan mereka susah juga mereka sekeluarga mahu ke sana. Tentu nanti seperti rusa masuk kampung. Belanja juga besar. Mereka akan ke sana menggunakan dua buah kereta. Sebuah kereta dipandu Hasbullah, memuatkan Mariah seisi keluarga, sebuah lagi Tengku Najmuddin dan Tengku Sarah yang turut mengiringi mereka.

Mariah dah keluarganya memang banyak terhutang budi kepada Tengku Najmuddin. Mereka bukan sahaja telah sanggup untuk menghantar Mariah ke sana, malahan sebenarnya mereka juga telah memberikan sejumlah seribu ringgit kepada Mokhtar sebagai membayar yuran pengajian yang perlu dilunaskan sebelum mendaftar. Mokhtar mulanya keberatan kerana sudah selalu sangat menerima budi Tengku Najmuddin. Dia sudah naik segan. Bagaimanapun melihatkan kesungguhan Tengku Najmuddin, dia terpaksa akur walaupun mukanya tebal lima inci.

Tengku Suzana? Dia juga seorang kawan yang cukup istimewa buat Mariah. Walaupun dia tidak mampu menyumbang wang kepada Mariah, dia telah menyumbangkan banyak pakaian terpakai yang masih baru benar kepada Mariah. Pakaian itu masih terlalu elok. Jauh lebih elok berbanding pakaian Mariah yang sering dipakai untuk ke pekan. Tengku Suzana juga telah menghadiahkan Mariah satu set pakaian sukan. Lengkap dengan kasutnya sekali. Kata Tengku Suzana, Mariah akan memerlukan itu sepanjang pengajian nanti.

Mariah jadi  gegau juga dengan pemberian itu. Terlintas juga dalam benaknya tentang Muzamil. Semasa meninggalkan rumah tempoh hari, Muzamil hanya membawa bersamanya beberapa helai pakaian lusuh. Itulah juga pakaian yang dimiliki Muzamil. Hati Mariah menjadi sayu sangat. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan adik kesayangannya itu sekarang.

Mariah terkilan juga kerana Muzamil telah mengambil tindakan terburu-buru. Dia yakin jika Muzamil tahu ada sebuah keluarga yang sanggup membantu mereka seperti itu, Muzamil juga tidak akan mengorbankan kepentingan masa depannya. Dia akan melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi. Mariah kasihan sungguh dengan adiknya.

            Dan Tengku Suzana. Mariah pun tidak tahu kenapalah Tengku Suzana dan keluarganya begitu baik. Susah untuk bertemu insan semulia mereka. Tidak pandang orang susah dengan sebelah mata. Mariah cukup merasa dihargai setiap kali bersama Tengku Suzana. Dia merasakan inilah erti persahabatan sebenar. Pun dia bersyukur kerana Allah menganugerahkan kawan sebaik Tengku Suzana dan dapat mengenali keluarga Tengku Suzana yang berhati mulia.

            Semua keluarga Tengku Suzana bersikap baik hati seperti itukah?

            Tiada siapa yang boleh memberikan jawapan  itu kepada Mariah. Namun demikian dia yakin keluarga Tengku Suzana memang baik. Baik dengan sesiapapun. Lihat sahaja layanan mereka terhadap Hasbullah yang cuma pemandu. Hasbullah juga dilayan bagai keluarga sendiri. Tengku Suzana pun nampaknya menghormati Hasbullah sebagai orang tua walaupun hanya pemandu.

            Mariah tidak dapat membayangkan jika sudah kehilangan Tengku Suzana sebagai seorang kawan. Dia yakin pada kata-kata, setiap pertemuan akan ada perpisahan. Itu sudah tentu. Dia teramat takut akan perpisahan antara dirinya dan Tengku Suzana. Malah kinipun nalurinya telah mengatakan akan menjadi sedikit sukar untuk berhubung dengan Tengku Suzana sebaik kawannya itu ke luar negara. Mariah takut! Takut kehilangan kawan semulia Tengku Suzana.

            Selepas Muzamil, Tengku Suzanalah tempat dia mencurahkan perasaan. Dia bebas bercerita apa saja dengan Tengku Suzana. Dia tidak boleh berbuat begitu bersama ibu bapanya. Dia malu dan segan. Lagipun dalam keluarganya, fenomena begitu tidak berlaku. Dia dan Muzamil tidak bebas untuk bercerita apa sahaja kepada ibu bapa. Dia tahu kehidupannya tidak seperti Tengku Suzana yang bebas bercerita apa saja kepada orang tuanya termasuk halSelepas Muzamil, Tengku Suzanalah tempat dia mencurahkan perasaan. Dia bebas bercerita apa saja dengan Tengku Suzana. Dia tidak boleh berbuat begitu bersama ibu bapanya. Dia malu dan segan. Lagipun dalam keluarganya, fenomena begitu tidak berlaku. Dia dan Muzamil tidak bebas untuk bercerita apa sahaja kepada ibu bapa. Dia tahu kehidupannya tidak seperti Tengku Suzana yang bebas bercerita apa saja kepada orang tuanya termasuk hal mereka berdua dan juga kesusahan serta kedaifan hidup keluarga Mariah.

            Mariah tahu dan sedar, jika tidak peranan yang dimainkan oleh Tengku Suzana, ibu bapanya tidak akan sedar kemelaratan hidup Mariah sekeluarga. Tengku Suzanalah yang banyak memainkan peranan. Kebetulan orang tuanya pula golongan yang murah hati. Itulah yang menyebabkan Mariah dan keluarga boleh bernafas lega sedikit.

            Mariah tidak tahu bagaimana untuk membalas budi Tengku Suzana dan keluarganya. Tengku Suzana dan keluarganya telah memberi mereka sekeluarga lebih daripada persahabatan. Mereka turut merasa terketik sama apabila keluarga Mariah susah. Turut gelisah  apabila Mariah seisi keluarga ditimpa musibah. Malah Tengku Najmuddin dan Tengku Sarah sama kalutnya dengan Mokhtar dan Azizah apabila mengetahui Muzamil telah menghilangkan diri. Keadaan itu semua menunjukkan bahawa mereka secara tidak sengaja telah menganggap keluarga Mariah seperti keluarga mereka walau tidak pernah diluahkan secara verbal.

            Dan seperti kata Tengku Suzana sebelum keberangkatannya, Tengku Najmuddin sebaik tahu Muzamil telah ke Kuala Lumpur telah memberi jaminan untuk menjejaki Muzamil dengan bantuan kawan-kawan di sana. Walaupun ia kedengaran agak mustahil kerana Kuala Lumpur luas, Tengku Najmuddin akan ikhtiarkan. Dia yakin dunia ini bulat dan boleh menemukan kembali Muzamil.

            “Mak rasa Pak Engku boleh jumpa adik tak?” Mariah tiba-tiba mengajukan soalan itu walaupun berat untuk berbuat demikian.

            Dia takut soalan berbangkit tentang Muzamil boleh membuatkan hati kecil ibunya nanar kembali.

            Azizah termenung sejenak mendengar soalan Mariah membuatkan anak gadisnya sedikit gusar dan serba salah. Azizah melontarkan pandangan ke depan. Pandangannya kosong. Jiwanya juga kosong sejak Muzamil bertindak menghilangkan diri.

            “Pak Engku cakap dia akan mulakan mencari Muzamil di tempat sekitaran kawasan seperti yang tercop di sampul surat. Harapan mungkin ada di situ.” Akhirnya Azizah bersuara walaupun dalam nada yang cukup perlahan.

            “Mungkin juga kan mak. Muzamil tentu menghantar surat dari tempat dia berada.”

            “Mungkin.”

            “Mak, Mariah minta maaf ya.” Mariah sekali lagi mengucapkan kata-kata maaf.

            Sememangnya sehingga hari itu dia merasakan dialah punca segala kerumitan dan kekacauan. Jika tidak kerana dia, Muzamil tentu tidak akan mengambil tindakan nekad.

            “Dah Mariah. Tiada siapa silap atau salah. Hanya Muzamil cetek pemikiran, silap perkiraan.”

            “Kenapa mak cakap macam tu?”

            “Yalah. Kalau dia tak cetek pemikiran, dia akan fikir panjang. Ayah boleh usahakan. Kalaupun tiada bantuan Pak Engku anak beranak, dia tetap akan usahakan.”

            Mariah tunduk. Dia tahu Muzamil jadi begitu kerananya. Entahlah, dia sendiri tidak faham mengapa Muzamil sanggup melakukan pengorbanan melibatkan masa depannya sendiri kepada seorang kakak yang sering membuatkan dia susah. Mariah tidak tahu. Dia sungguh-sungguh tidak tahu. Sekarang yang termampu dilakukan Mariah hanyalah berdoa akan keselamatan adik. Tidak kira di mana dia berada, biarlah dia selamat dan sihat. Dia juga harus memastikan pengorbanan adik tidak sia-sia. Dia harus belajar bersungguh-sungguh.

            Mariah kemudian mengangkat wajah. Memandang ibunya. Ketika itu baru disedarinya Azizah sedang berair mata. Mariah juga mula bergalau hatinya. Medu menyerang tiba-tiba di sudut hati membuatkan dia sukar untuk bernafas lega. Segala-galanya dirasakan tersumbat dalam kalbu sebaik melihat drama air mata.

            “Mak, kenapa tiba-tiba saja bersedih ni?” Mariah menyoal walaupun dia tidak berani untuk berbuat demikian.

            “Mak teringatkan adik. Mak tak dapat nak bayangkan kat mana dia makan dan tidur. Mandi, bersalin pakaian dan segala-galanya Mariah.”

            Uhh, kenapalah mak mengungkitkan persoalan yang pernah aku fikirkan sebaik saja Muzamil menghilangkan diri tempoh hari? Mariah juga mula terancam melankolia. Dia memandang Azizah dengan pandangan sayu.

            “Adik makan apa kat luar sana Mariah? Dia berselimut dengan apa waktu malam? Dia tidur beralaskan apa? Mak tertanya-tanya Mariah. Mustahil dia ada semua keperluan itu kerana dia keluar dengan membawa beberapa helai pakaian lusuhnya.” Nada suara Azizah sudah berbaur sebak.

            Mariah makin terketik melankolia. Dia jadi sentimetal sekonyong-konyong sahaja. Fikiran emak sama saja dengan apa yang bermain dalam laut fikirnya. Seluruh kewarasannya mula diseliputi kemutuan. Dia cuba untuk tidak menangis sama depan mak. Tidak. Dia harus kuat depan mak yang kian tewas dengan perasaannya.

            Nah, Mariah memang  menyesal kerana dia mengusulkan soal adik pada waktu-waktu begitu. Padahal sejak ayahnya sebagai ketua keluarga memaktubkan agar jangan menyalahkan diri sendiri dan jangan ungkit-ungkit lagi soal Muzamil, masing-masing memang lebih senang mendiamkan diri daripada bercakap soal Muzamil. Walaupun keinginan menggelegak untuk berbuat demikian, masing-masing hanya diam.

            Waima Mariah atau Azizah, masing-masing tahu mengapa Mokhtar sebagai ketua keluarga tidak ingin persoalan tentang Muzamil diungkit-ungkitkan lagi. Dia tahu Mokhtar bukan ingin membuang Muzamil dalam hidup mereka. Mokhtar masih sayangkan Muzamil. Malah Mokhtar juga ketara gembiranya semasa menerima surat daripada Muzamil. Mokhtar cuma memaktubkan demikian kerana Mokhtar tidak mahu lagi melihat air mata dalam rumah mereka.

            Jika sudah berair mata, segala-galanya akan jadi lemah. Lebih suka mengikut perasaan. Sebab itulah ada baiknya jangan ada sesiapa pun mengungkit soal Muzamil. Ia tentu akan membuatkan mana-mana seorang mengalirkan air mata. Dan Mariah telah melanggar larangan tidak bertulis itu.

            “Mak, sabarlah.”

            “Mana boleh mak bersabar Mariah? Saban malam mak menangis. Kau tak tau. Ayah kau pun tak tahu. Kehilangan anak memang cukup memeritkan. Banyak mak fikir soal adik kau. Kau pernah fikir tak mana adik kau dapat duit nak sara diri kat sana? Katapun dia dah dapat kerja dalam surat tu, takkan boleh dapat gaji serta-merta, paling kurang kena tunggu seminggu dua.” Azizah kian melepaskan apa yang berbuku dalam hatinya.

            Selama ini dia tidak mampu untuk  meluahkan demikian. Dia takut kesedihan itu merebak pada anak dan suaminya pula. Namun hari itu, dia merasakan harus meluahkan semuanya. Sekurang-kurang persoalan yang mengganggu tidurnya saban malam boleh dikongsi bersama Mariah walaupun Mariah tentu sama sekali tidak mampu untuk memberi jawabnya.

            Pada Azizah, kehilangan Murni kira-kira hampir enam belas tahun lampau masih menjadi momok dalam hidupnya. Kini dia terpaksa menghadapi suatu lagi kehilangan. Dia memang tidak dapat menanggung kesedihan bertimpal-timpal seperti itu. Luka lama tidak pernah padam, kini dia harus berdepan dengan luka baru pula.

            Tidak kisahlah kalau dia harus kehilangan dan berenggang dengan anak-anak kerana anak-anak ingin menyambung pelajaran. Demi kepentingan mereka dia sanggup. Sungguhpun demikian, situasi sekarang tidak demikian. Dia kehilangan Muzamil kerana  faktor kemiskinan. Itulah faktor penariknya. Dan seperti juga hampir enam belas tahun lampau, kali ini pun dia dan Mokhtar tewas kepada kemiskinan membuatkan mereka hilang anak-anak.

            Bezanya dulu mereka menyerahkan walau hati tidak rela, kali ini anak membuat keputusan sendiri. Semuanya hanya kerana satu, kemiskinan. Walau anak-anak akur dengan kesempitan dan kesesakan hidup mereka, anak-anak tidak yakin pada Azizah dan Mokhtar sebagai ibu bapa. Tidak yakin Azizah dan Mokhtar boleh memberikan mereka peluang keluar meneruskan impian mereka dengan usaha tulang empat kerat Mokhtar dan Azizah.

            Tiada apa-apa jaminan untuk membolehkan dia membesarkan anak-anak  dalam kesenangan walaupun selepas hampir enam belas tahun menyerahkan Murni kepada orang lain untuk dibela. Nasib mereka sekeluarga tidak pernah berubah. Masih diseliputi kesempitan.

            Azizah terkilan yang teramat.

            Mariah tentu sama sekali tidak akan memahami sejauh itu rasa terkilannya.








BAB DUA PULUH SEMBILAN
Malam kelam benar ketika itu. Muzamil masing termenung memerhatikan bintang-bintang. Bintang di langit Kuala Lumpur masih sama dengan bintang di kampung. Ah, memang suasana di langit sana sama saja dengan di kampung. Sebab itulah Muzamil setiap malam dan setiap masa akan mendongak ke langit. Jika sekelilingnya sudah tidak sama dengan suasana di kampung, langit atas sana masih sama. Tidak berubah.

            Ah, langit di mana-mana pun sama. Cuma bezanya langit di sini sesekali akan membiaskan wajah kakak. Kakak yang manis tersenyum dengan rambut ditoncang dua. Ada masa kakak akan melambai kepada Muzamil. Ada masa kakak akan menangis memanggil Muzamil pulang. Kemudian bayangan kakak menangis akan hilang di balik awan.

            Entahlah. Kenapa langit di sini ada masanya cukup pelik? Ia bagai sebuah tv besar, menayangkan banyak cerita-cerita yang penuh nostalgik. Cerita dua beradik. Anak orang susah. Mereka digambarkan berlari-lari pulang dari sekolah. Bayangan di langit itu cukup jelas. Muzamil sayu melihatnya. Dia terasa dirinya juga dibawa ke sana.

            “Adik...” Terdengar pula suara kakak memanggil-manggil.

            “Adik mari makan.” Itu pun suara kakak juga.

            “Adik mari mandi.” Masih suara kakak.

            “Adik bangun sembahyang.” Suara kakak lagi.

            “Adik. Adik. Adik.” Dan suara itu makin mengganggu Muzamil.

Bergema. Berdengung-dengung. Sarat dalam telinga Muzamil. Memecah gegendang hingga Muzamil kemutuan. Muzamil akan tercari-cari kakak di sekelilingnya. Mungkin kakak ada di sisi. Sungguhpun demikian Muzamil hampa. Usahkan kakak, bau badan kakak pun tidak dapat dihidunya. Bau segar selepas mandi.

            Muzamil mendongak lagi. Merenung langit. Argh, Kakak masih ada di situ. Tersenyum-senyum kepadanya. Muzamil turut tersenyum kepada kakak. Kakak turunlah ke mari. Adik tak boleh nak naik ke atas. Kakak...

            Muzamil memang  rindukan Mariah. Setiap kali rindukan Mariah, dia akan pandang ke langit. Kakak ada dan akan tersenyum di situ.

            Kakak, rindukah kakak pada adik? Muzamil bercakap dalam hatinya. Dia merenung langit kembali. Seketika kemudian, semua imej maya kakak akan lenyap. Muzamil akan berdesis. Melepaskan rasa dalam hatinya yang cukup bergalau dan teruja untuk menemui kakak. Beberapa minggu tidak bertemu kakak, dia jadi cukup menderita.

            Apa boleh buat, dia lakukan semua itu pun untuk kakak juga. Kalau tidak kerana kakak, dia pun tidak ingin berada dalam keadaan begitu. Dia langsung tidak terfikir selama ini akan menjadi seseorang seperti yang dilaluinya kini. Bagaimanapun, kerana seorang kakak yang cukup bermakna dalam hidupnya, Muzamil sanggup. Sanggup buat apa saja dan membuang cita-citanya.

            Kakak satu-satunya saudara yang Muzamil ada. Kakak memanjakannya melebihi emak dan ayah memanjakannya. Mentak juga kerana ibu bapa tidak banyak masa untuk diluangkan bersama mereka. Sebab itulah mereka banyak menghabiskan masa bersama. Berkongsi segala-galanya bersama. Jika mereka mempunyai adik-beradik yang ramai seperti Kamil, contohnya. Kemungkinan hubungan mereka tidak serapat itu.

            Argh, kakak. Adik sangat-sangat sayangkan kakak. Sayang yang teramat.

            Dan Muzamil tunduk. Cuba menahan tangisan. Dia sebak  mengenangkan rindu terhadap kakak. Dalam saat-saat seperti itu dia dan kakak biasanya akan menikmati malam bersama-sama. Suasana malam kampung tidak sama dengan malam di sini. Di kampung, malamnya gamat dengan bunyi suara cengkerik dan juga cacing tanah. Jika malam musim hujan pula, gamat dengan suara katak mengawan. Ong sana, ong sini.

            Di sini, suara-suara itu tenggelam oleh bunyi kenderaan yang tidak pernah putus-putus walaupun sudah bertukar dinihari. Orang-orang di sini seakan tidak tahu tidur. Kecuali teman-teman yang  telah berpenat di bawah panas terik bersama-samanya siang tadi.

            Muzamil meneguk liur. Melihat kawan-kawan seberang yang tidur berkapal-kapalan di lantai rumah pasang siap. Binaan daripada papan lapis lebih kurang dan beratapkan khemah terbuang. Uh, Muzamil tidak sangka di situ dia akan berada. Dia tidak merancangkannya. Malah semasa dia melangkah keluar dari rumah malam itu dia hanya memperjudikan nasib.

            Malam itu dia masih ingat. Semasa ibu bapa dan kakak masih enak dibuai mimpi, Muzamil melangkah keluar. Dia berjalan jauh berbatu-batu sebelum tiba di jalan besar. Duduk tercongok di situ sehingga berhenti sebuah treller membawa bahan binaan. Pemandunya turun untuk melepaskan hajat. Muzamil terus menyerbunya. Beriya-iya minta ditumpangkan ke mana saja.

            Si lelaki boyak enggan pada awalnya. Puas Muzamil pujuk sehingga dia terpaksa menceritakan daripada A hingga ke Z niat sebenar dia mahu meninggalkan rumah dan mencari pekerjaan. Mentak kasihan atau mungkin juga kerana turut kagum dengan pengorbanan yang ingin dilakukan oleh Muzamil, lelaki boyak bersetuju memberinya tumpang dan terus membawanya ke sebuah tapak pembinaan tempat dia ingin menghantar barang-barang binaan.

            Tiba di situ baru timbul idea Muzamil untuk melakukan kerja-kerja binaan. Di situ Muzamil berdepan pula dengan mandur di

            Suatu jenayah dalam undang-undang buruh negara.

            Argh, kerja sebagai buruh binaan, walaupun Muzamil tidak pernah mempunyai asas kemahiran, dia boleh melakukannya dengan baik. Dia anak kampung, boleh melakukan kerja yang lebih berat daripada menggaul simen dan menyusun batu-bata. Bukan susah manapun. Malah dia juga melakukan semuanya dengan bersungguh-sungguh kerana dia sentiasa melihat kakak di depannya.

            Muzamil tidak menghiraukan panas terik yang memancar di atas kepala. Jika dia dongak ke atas dia nampak matahari sedang tersenyum kepadanya. Dia senang hati. Memang dia senang hati dapat melakukan semua itu untuk kakaknya Mariah. Dia tidak kesal. Terkilan dan sedih jauh sekali. Dan matahari nampaknya merestui, sebab itulah dia nampak matahari seakan tersenyum kepadanya.

            Dalam medan fikir Muzamil, dia hanya ingin bekerja sekuat tenaga untuk memastikan kakak mendapat perbelanjaan secukupnya untuk meneruskan kehidupan di kampus.  Muzamil tahu walaupun dia tidak pernah melalui kehidupan di asrama, kos hidup di sana tentu tinggi dan memerlukan belanja yang besar. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu kakaknya kelihatan ketinggalan dalam berbelanja. Apabila sudah bergaul dengan macam-macam orang, kakak tentu akan terikut sama untuk membeli itu-ini. Makan itu dan makan ini. Kalau kawan-kawan sibuk membeli sakan, dia tidak mahu kakak sekadar tengok sahaja.

            Kakak perempuan, keinginan untuk bergaya dan kelihatan cantik itu tentu ada. Tambahan dalam usia kakak sekarang sudah lapan belas tahun. Ketika inilah kebanyakan gadis berlumba-lumba ingin kelihatan cantik dan menarik. Meski bukan untuk menarik perhatian sesiapa, cukup sekadar untuk memuaskan hati sendiri. Muzamil tidak akan membenarkan lagi kakak menjalani kehidupan sedikit lain berbanding rakan-rakan kakak.
Niat Muzamil mahu memberikan kehidupan yang  sempurna buat kakak. Seperti orang lain yang boleh melunaskan sebarang keinginan dalam hati tanpa tertahan-tahan.

            Muzamil tidak mahu desakan hidup menyebabkan kakak mengambil tindakan yang bukan-bukan seperti yang pernah dilakukan kakak suatu masa dulu gara-gara terpengaruh dengan budaya kawan-kawan. Dek kerana mahu mengikut trend kawan-kawan ketika itu Mariah telah tersilap langkah mengambil wang lima puluh sen dari kocek seluar ayah mereka. Muzamil masih ingat benar kejadian yang akhirnya menyebabkan dia demam lebih seminggu kerana menanggung kesalahan kakak..

            Pun Muzamil tidak pernah menyesal dan menyalahkan kakak sedikitpun. Dia ingin kakak sentiasa gembira. Kegembiraan kakak merupakan kegembiraan Muzamil juga. Dia tidak kisah menerima apa saja hukuman asal kakak terselamat. Dia juga tidak kisah berpanas berhujan kini asal kakak menjalani kehidupan dengan senyum lebar di tempat orang. Dia tidak mahu kakak merasa terpinggir seperti masa sudah-sudah.

            Muzamil memandang ke langit lagi. Bintang-bintang yang banyak berteraburan di langit kembali membangkitkan nostalgianya.

            “Kakak, kenapa kita hanya nampak bintang pada waktu malam?” Soal Muzamil kepada Mariah semasa Mariah menemaninya melepaskan hajat pada suatu malam.

            Pertanyaan Muzamil membuatkan Mariah melongo. Dia sendiri tidak pasti mengapa hanya pada malam hari mereka boleh melihat bintang. Tidak pada siang hari. Apakah kerana cahaya bulan tidak cukup terang untuk  menerangi malam sehingga membuatkan bulan terpaksa meminta bantuan bintang? Tidak seperti matahari yang gah bersinar sendirian pada siang hari. Mariah kemudian turut mendongak ke atas. Melihat langit yang terhampar dipenuhi bintang-bintang. Cukup mempesonakan suasana malam jika langit dipenuhi bintang berteraburan di sana-sini.
“Kakak pun tak tahu dik, tak habis belajar lagi. Cikgu-cikgu pun tak ada terangkan mengapa.”

“Tapi bintang yang banyak tu buat langit tu cantik kan, kakak?” Muzamil meluahkan pendapatnya. Memang panorama begitu teramat indah di matanya.

“Memang cantik pun dik. Tapi menurut cikgu kakak, ia sangat panas dan mengeluarkan cahaya seperti matahari dalam kehidupan kita.”

“Tentu seronok kalau dapat meneroka ke alam sana kan kak?”

“Kalau adik belajar sungguh-sungguh tentu adik boleh ke sana. Jadi angkasawan, macam Neil Armstrong atau Edwin Aldrin tu.”

“Neil Armstrong? Huh, macam yang disebut dalam nasyid tu?”

“Ya, Neil Armstrong yang tulah.”

“Macam mana bunyi nasyid tu kakak? Adik lupalah. Cuba kakak nyanyikan sikit, boleh?” Pinta Muzamil. Dia teringin pula mendengar suara kakaknya menyanyikan lagu nasyid yang sering dibawa bertanding oleh kumpulan nasyid sekolahnya.

“Tak naklah. Malu.”

“Malu apa, bukan ada sesiapa malam-malam ni, kita berdua saja. Takkan dengan adik pun kakak nak malu.”

“Ish, malulah...”

“Kakak sayang adik tak?” Duga Muzamil dengan suara sengaja dikendurkan. Pura-pura mahu merajuk.
“Sayang...”

“Hah, kalau sayang nyanyilah sikit. Buat hilang mengantuk adik ni,”pinta Muzamil lagi. Dia sebenarnya sengaja mahu mengusik kakaknya.

“Adik ni mengada-ada tau!” Gerutu Mariah. Dia sudah termalu.

“Alah, sikit saja kakak.”

“Adik jangan ketawa tau,” kata Mariah pula. Mariah sudah bersedia untuk menyanyikan lagu nasyid tersebut. Dia berdehem beberapa kali membetulkan suaranya, lalu:

“Neil Armstrong angkasawan, manusia pertama ke bulan. Di bulan terdengar suara azan, hatinya jadi tertawan...” Mariah berhenti di situ.

“Aik, dah habis?” Muzamil bergumam.

“Kakak tak ingatlah dik.”

“Kakak ni sengaja buat-buat lupa tau.”

“Dah, jangan nak banyak cakap. Kalau dah puas, jom kita ke telaga, jangan nak suruh kakak bernasyid malam-malam buta ni, karang ada yang ingat langsuir pula yang menyanyi.”

“Ish, kak! Malam-malam ni janganlah nak sebut benda-benda macam tu, karang ada betul-betul kakak juga yang terkincit dalam seluar.” Muzamil pantas membantah kata-kata kakaknya. Terasa meremang juga bulu tengkoknya mendengar kakak menyebut tentang langsuir malam-malam begitu.
“Hah, kalau macam tu cepat sikit. Kakak dah mengantuk ni, besok nak ke sekolah pula,” gesa Mariah. Dia nampaknya sudah lenguh berdiri menunggu Muzamil melepaskan hajatnya..

Muzamil tersenyum. Lamunannya mati detik itu juga. Malam memang membuatkan dia senang melayarkan ingatannya jauh. Pulang ke kampung. Ya, pulang ke kampung meski jasad tetap teguh di bandar serba maju yang dia sendiri belum kenal. Pulang ke kampung untuk mengenangi saat-saat indah yang telah dihabiskan bersama kakaknya.

Aduh, kakak. Aku sangat rindukan kakak. Rindukah kakak pada adik, atau saat ini kakak sibuk di tempat baru?

Muzamil tahu kakaknya tentu sudah berangkat untuk mendaftarkan diri di kolej, tempat dia akan membuat persediaan untuk ke universiti. Itulah yang Muzamil inginkan. Melihat kakak melangkah jauh dalam bidang pelajaran. Kelak nanti mereka sekeluarga juga boleh menumpang senang. Menumpang senang?

Tidak! Muzamil bukan lakukan semua itu untuk menumpang senang kakak suatu masa nanti. Dia lakukannya semata-mata kerana kasihnya terhadap kakak terlalu mendalam. Dia ikhlas lakukan semuanya tanpa mengharap apa-apa balasan daripada kakak jauh sekali untuk menumpang senang kakak.

Kalau ada yang tanya, kenapa dia sanggup lakukan semua itu, mengorbankan cita-cita dan masa depannya sendiri hanya untuk seorang kakak, dia akan memaktubkan begini: Dia sayang kakak. Sayang yang teramat. Tiada kasih sayang lain yang boleh melebihi kasih sayangnya terhadap kakak. Lalu wajarlah jika dia mempertaruhkan masa depannya sendiri semata-mata untuk kakak. Hidupnya, hidup kakak juga.

Dia juga tidak mengharapkan kakak datang dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Malahan dialah yang sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada kakak kerana memberinya kasih sayang tidak berbelah bahagi selama ini. Kasih sayang yang kakak curahkan melebihi segala-gala harta yang berharga di dunia ini. Muzamil memang tenggelam dalam kasih sayang kakak.

Dan Muzamil yakin berbaloi melakukan segala-galanya terhadap seorang kakak seperti Mariah. Dia cukup puas hati kerana dapat berkorban untuk kakaknya. Pengorbanan itu menjadi tanda kasih sayang Muzamil terhadap Mariah tidak berbelah bahagi sama sekali.

Embun dingin terasa menyapu muka Muzamil. Dia menyapu pipinya untuk mengesan kehadiran embun. Uh, malam sudah berembun, menandakan sudah hampir dinihari. Pun mata masih belum terasa kantuknya. Muzamil bagaimanapun melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam rumah pasang siap, binaan daripada papan lapis dan khemah lori terpakai. Sudah tiba masanya untuk dia melepaskan penat walau sekejap.

Sebelum merebahkan badan, Muzamil sempat memerhatikan kawan-kawan seberang. Mereka senasib dengannya. Untuk meneruskan kehidupan ahli keluarga yang lain mereka sanggup meninggalkan tanah tumpah darah sendiri. Merantau ke tempat orang dan sanggup untuk melakukan apa saja kerja asalkan halal demi menyarasuap keluarga. Bezanya, mereka masing-masing sudah berumur paling kurang dua puluh tahun, sedangkan dia baru enam belas tahun. Antara mereka, Muzamil yang melanggar akta buruh.

Muzamil cuba untuk memicingkan matanya. Menghalau pelbagai rencam persoalan  yang menerjah ke lubuk fikir. Sejauh mana medan fikir pergi sekalipun, Muzamil tidak akan kembali ke asal. Dia akan tetap di situ kerana pendiriannya tegar untuk meneruskan bakti kepada kakaknya.

Pun, baru dia memicingkan mata untuk sekejapan sahaja, bayang wajah emak dan ayah pula datang mengganggu. Asyik mengenangkan kakak, lupa bahawa dia masih mempunyai dua orang lagi ahli keluarga yang perlu difikirkan. Muzamil kian medu dan tidak lugu. Tidak tahu untuk menebak bagaimana reaksi ayah dan ibu tatkala menyedari ketiadaannya pagi itu.

Adakah ayah menyalahkan ibu? Atau sewenang-wenangnya melepaskan amarah dan kesal kepada kakak dan ibu? Uh, Muzamil tidak sanggup untuk  membayangkan situasi di rumah. Dia nampak kakak pijar dibaham penampar ayah. Emak pula terjelepuk di lantai kerana diterajang ayah.

Begitukah? Begitukah reaksi ayah sebaik mengetahui ketiadaannya?

Ah, kalaulah benar begitu dia telah membuatkan kakak dan ibu menerima padah. Dia bersalah kepada dua orang wanita yang cukup bermakna dalam hidupnya. benar-benar bersalah.

Tapi... ah, tidak mungkin ayah akan memperlakukan begitu terhadap kakak dan ibu kerana ayah bukan jenis yang suka melepaskan marahnya melulu-lulu. Dia banyak berfikir dulu dalam diamnya. Paling teruk pun ayah akan meninggikan suara kepada mereka. Atau selalunya ayah akan mendiamkan dirinya. Mencari jalan kononnya.

Mencari jalan?

Mencari jalan untuk apa?

Uh, tentulah mencari jalan untuk menjejakinya. Ah, kalau begitu tindakan ayah Muzamil memang pasti. Ayah tentu tidak akan berdiam diri. Dia tahu walau tidak ditunjukkan ayah memang sayangkan anak-anaknya. Ayah banyak bersusah untuk menyarasuap mereka sekeluarga sebelum ini. Dia pun tidak mahu ayah susah. Dia pun tidak mahu ayah gelisah dan risau. Namun dia harus melakukan sedemikian untuk membuka ruang kepada kakak.

Ya, membuka ruang dan laluan kepada kakak untuk pergi lebih jauh. Peluang sebegitu bukan senang dapat. Kakak tidak harus mensia-siakannya. Sebelum kakak terlebih dahulu mengorbankan kepentingan masa depannya, biar dia terlebih dahulu melakukannya.

Muzamil teruja sekali lagi untuk membiarkan laut fikirnya bergelombang oleh pelbagai macam pokok persoalan. Imej maya kakak, ayah dan ibu datang silih berganti. Hadir perasaan halus dalam jiwanya. Itu sudah tentu apabila imej-imej maya ahli keluarga bagai menggeletek setiap inci benak Muzamil. Uh, Muzamil tidak mahu membiarkan rasa itu terus-terusan membelit medan fikirnya. Muzamil berusaha untuk mendodoikan diri sendiri.

Tidak berjaya tentunya.

Muzamil memicingkan matanya sekali lagi. Ada wajah ayah di sebalik kelopak mata yang terpejam. Dibukanya mata, wajah ayah hilang. Dipicingkan kembali matanya. Imej ibu pula mengambil tempat. Muzamil terganggu lagi, celik kembali. Ah, ayah dan ibu. Kedua-duanya memang dirindui Muzamil.

Rindukah juga mereka padaku?

Muzamil membalikkan tubuhnya. Menyoal diri sendiri dengan soalan-soalan sedemikian sebenarnya tidak wajar. Ayah terlalu kasih kepadanya selama ini. Ibu pula memang begitu sayangkannya. Dalam kasih dan sayang seperti itu, tentu mereka sarat menanggung beban rindu kini. Berdosakah Muzamil kerana telah melangkah keluar tanpa izin kedua-dua ibu bapa dan seterusnya membuatkan mereka kerisauan dan kegelisahan?

Mak, ayah. Adik minta maaf  banyak-banyak. Adik memang tidak mahu membuatkan mak dan ayah hampa, tapi adik juga tidak boleh melihat kakak berputih mata melepaskan tawaran. Adik bimbang jika terus menyimpan keinginan untuk mencapai tahap tertinggi dalam pendidikan, kakak akan mengorbankan kepentingannya. Adik tidak mahu itu berlaku. Kakak harus mendapatkan peluangnya. Itu hak kakak.

Sebagai anak lelaki Muzamil sebenarnya tidak kisah jika terpaksa meneruskan tradisi keluarga menjadi petani dan penoreh. Dia lelaki. Kerja-kerja berat dan low class seperti itu sanggup dihadapinya. Begitupun, dia sama sekali tidak akan membenarkan kakaknya terus-terusan hidup dalam keadaan seperti itu. Kakak tidak sesuai untuk meneruskan kegiatan ekonomi tradisi keluarga dan menyandang terus segala tipikal tradisi keluarga seperti kemiskinan dan kedaifan hidup kerana kakak tidak sesuai berada dalam atmosfera sedemikian.

Jalan harus dibuka luas untuk kakak mengejar cita-citanya. Paling kurang kakak boleh bergaji besar suatu masa nanti, kemudian kakak tentu juga akan bertemu jodoh di kalangan orang-orang sepertinya. Perkara sedemikianlah yang ingin Muzamil lihat. Laluan-laluan seperti itu akan membuka jalan kepada kakak untuk meninggalkan perkara domestik yang selama ini membelit keluarganya.

Niat Muzamil memang maha ikhlas terhadap kakak.

Lalu derhakakah dia semata-mata kerana dia telah berkorban untuk kakak?

Mak, ayah. Sekali lagi ampunkan Muzamil.









BAB TIGA PULUH
Mawar melambaikan tangan kepada Faisal yang sudah melangkah masuk ke terminal. Dia sudah kalis dengan perpisahan antara mereka memandangkan dia yakin perpisahan itu bukan bersifat selama-lamanya, tamat belajar, Faisal tetap akan kembali kepadanya. Bertahun-tahun menjalinkan hubungan dengan Faisal Asna membuatkan Mawar masak dengan perangainya dan percaya akan kesetiaan Faisal.

            Lagipun, untuk apa dia menyekat Faisal daripada meneruskan pengajian ke luar negara jika dia sendiri  tidak akan berada di Kuala Lumpur kerana menerima tawaran ke MRSM cawangan Kelantan. Baru-baru ini Mawar telah mendapat keputusan yang agak memberangsangkan sehingga diterima masuk ke MRSM. Ia mungkin sesuatu yang menggembirakan ibubapanya, Kamarul dan Khalida. Menganggap Mawar mewarisi kebijaksanaan mereka dalam  bidang pendidikan. Meneruskan tradisi cemerlang  mereka.

            Begitupun, secara peribadi Mawar tidak begitu gembira akan pencapaiannya memandangkan keputusannya untuk PMR tidak begitu baik dan lebih  teruk berbanding ujian bulanan yang saban bulan diduduki Mawar. Entah di mana silapnya, untuk PMR kali itu dia gagal mencapai target. Kedudukan sebagai best student dirampas dan untuk tersenarai dalam top five pun tidak layak.

            Mujur kegagalan mengekalkan kecemerlangan peribadi sebegitu tidak membuatkan Mawar dicemuh pihak guru, lagipun mereka juga tidak nampak sebab yang membolehkan keputusan Mawar menjadi sedemikian teruk. Mawar tegar belajar selama ini. Tambahan pula sejak Faisal Asna tiada lagi di sekolah tersebut. Mereka, iaitu para guru sudah tidak nampak Mawar membuang masa dengan bertenet. Dia selebihnya dilihat banyak menghabiskan masa mentelaah pelajaran di masa luangnya.

            Mentak bukan rezeki Mawar. Mentak juga Tuhan ingin menguji Mawar dan ingin menunjukkan kepada Mawar agar jangan bersikap over confident sepanjang masa. Kelak diri sendiri juga akan menerima natijahnya. Mawar akui, ada sedikit rasa over confident dalam dirinya menyebabkan dia sedikit lalai. Dia kelihatan belajar dengan tekun, menelaah tidak mengira masa, walhal jauh di lubuk fikirnya, otak berterbangan jauh. Khayal tentang masa-masa indah bersama Faisal Asna.

            “Mama, papa. Besok kalau Mawar lulus dengan cemerlang, mama dan papa akan hantar Mawar belajar kat oversea tak?”  Soal Mawar kepada orang tuanya semasa mereka melangkah meninggalkan lapangan terbang.

            “Tak payah nak ke oversea sayang, kat Malaysia ni pun berlambak universiti. Bidang pengajian yang ditawarkan juga sama taraf dengan bidang yang ditawarkan oleh universiti luar negara. Nak buat apa ke sana? Habiskan duit saja.” Pantas saja Khalida berkata.

            Matanya dijulingkan sedikit ke arah Mawar yang berlenggang elok di sebelah Kamarul sambil sebelah tangan memeluk lengan ayahnya.

            Kata-kata Khalida itu tentu saja membuatkan Mawar teruja untuk menghentikan langkahnya. Dia memandang tepat ke wajah Khalida dan Kamarul silih berganti. Tidak percaya mamanya boleh berkata demikian. Sangka Mawar selama ini, sebarang kehendak dan keinginannya akan dituruti.

            “Betul kata mama Mawar tu. Negara kita sekarang pun dah banyak universiti. Tak perlu nak keluar negara jauh-jauh setakat nak dapatkan diploma atau ijazah,” celah Kamarul pula tanpa sempat Mawar meluahkan sebarang fonem.

            Wajah Mawar makin merona merah. Sirna matanya makin ketara. Dia tidak suka benar mendengar kata-kata baik yang keluar dari mulut Khalida ataupun Kamarul.  Paling tidak suka sekiranya Kamarul mula memihak Khalida. Pantang benar dia kalau mereka berdua sudah ada pakatan.

“Mama dan papa ni apasal? Orang lain kalau boleh nak hantar anak jauh-jauh. Lagipun mama dan papa bukan tak mampu, Mawar seorang anak papa dan mama. Nak tunaikan hasrat Mawar yang tu pun susah?” Mawar berkata dalam versi bising-langsing. Mukanya masih mempertiakan wajah yang sama. Keruh dan sirna.

Khalida dan Kamarul sama-sama tersenyum.

“Nanti kita bincang waktu singgah makan nanti.” Kamarul mencadangkan.

“Mawar tak mahu makan. Tak ada selera.” Versi merajuk pula.

“Aik, Faisal baru berangkat pergi Mawar dah mula terkena sindrom tak ada selera makan? Susah ni. Buatnya hari-hari tak lalu makan sepanjang Faisal kat oversea siapa yang susah?” Giat Khalida.

“Bukan pasal dia...”

“Habis, kalau bukan pasal Faisal, apa lagi yang boleh menjadi masalah dalam hidup Mawar?” Kamarul pula mengambil giliran mengusik.

Mawar tidak mengendahkan soalan papanya. Dia kini laju melangkah menuju ke tempat kereta di parkir. Enggan melayan apa-apa yang keluar dari mulut orang tuanya. Malas. Dia tiada hati untuk bersuara lagi walau sepatah. Kehendak dan keinginan untuk melanjutkan pelajaran seperti Faisal nampaknya tidak akan dituruti. Mawar kecewa dan geram. Marah pun ada juga. Berbaur dalam dadanya membentuk suatu penyakit, penyakit hati.

Mawar bersandar di kereta menanti  Kamarul membuka kunci kereta. Sebaik kereta berdecit-decit menandakan kunci sudah dibuka, dia tanpa lengah menyumbat perut kereta dengan badannya yang mula mengecil. Gara-gara mengamalkan diet  suatu masa lalu semata-mata untuk kelihatan cantik menyambut kepulangan Faisal daripada MRSM sebaik Faisal menamatkan pengajian di sana. Kemudian diet itu diteruskan sehingga kini kerana Mawar mendapati dia kelihatan makin cantik dengan tubuh sedemikian. Apatah lagi apabila Faisal juga memujinya.

Dalam perjalanan ke restoran makanan segera, Mawar memang langsung tidak bersuara. Dia mematungkan dirinya. Enggan melayan pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan oleh orang tuanya. Biar mereka tahu Mawar sedang tunjuk perasaan.

“Dahlah sayang, jangan buat muka  macam tu. Jangan tarik muncung tu panjang-panjang. Macam tapir. Kalau Faisal tengok Mawar cemberut macam tu, tak jadi dia masuk meminang sebaik Mawar habis belajar. Tau?” Kamarul masih suka untuk mengusik Mawar walau anaknya  hanya diam membisu.

“Betul Mawar. Dah jangan nak buat muka macam tu. Kami bukan serius tak kasi Mawar futher study kat oversea. Kami gurau saja. Nak tengok reaksi Mawar...” Khalida berkata sambil menampakkan barisan giginya yang putih bak mutiara.

Mawar masih diam.

“Betul kata mama tu. Kami memang dah berniat nak hantar Mawar ke oversea sebaik Mawar tamat SPM nanti.”

“Habis, yang tadi beriya cakap kat Malaysia ni pun berlambak U apasal?”

“Acah aje tu. Kalau berlambak U sekalipun, kami tetap akan hantar Mawar ke mana-mana U kat oversea kalau itu boleh buat Mawar gembira. Sambil belajar, Mawar boleh kenal tempat orang. Tak adalah jakun sangat nanti depan kawan-kawan kami,” ujar Kamarul menerangkan.

Dia dan Khalida memang telah lama berhasrat demikian. Menghantar Mawar ke luar negara selain untuk menyambung pelajaran, juga untuk membolehkan Mawar mengenali tempat orang. Nanti bolehlah dia bercakap-cakap tentang keadaan di negara orang sekiranya menghadiri sebarang majlis di rumah kawan-kawan sama bisnes. Orang-orang bisnes biasanya suka makan angin dan hantar anak-anak belajar luar negara. Anak-anak mereka pula suka untuk menceritakan pengalaman di sana. Kamarul tidak mahu anaknya, Mawar kelihatan jakun sekiranya mereka bercerita tentang kehidupan di luar negara.

Kamarul dan Khalida turut mahu memberikan peluang yang sama kepada Mawar. Lagipun, mereka berdua tiada masa untuk membawa Mawar jalan-jalan makan angin hingga ke oversea. Sekiranya Kamarul boleh melupakan sekejap bisnesnya, Khalida pula yang bermasalah memandangkan dia pegawai kerajaan. Ada-ada saja urusannya. Mereka hanya berkesempatan melancong ke luar negara apabila Khalida mahu menghabiskan cuti tahunannya. Kalau tidak, pendek kata sekadar makan angin dalam negara sajalah.

Berbeza kalau lepaskan Mawar sendiri. Dia berpeluang hidup di negara orang sambil meneruskan pengajiannya. Dia boleh menimba banyak pengalaman di sana dan tidak akan kalah menceritakan pengalamannya kepada kawan-kawan mereka nanti. Kamarul tidak mahu mereka menganggap bukan-bukan kepada Mawar. Mengatakan Mawar asyik terperuk dalam negara sendiri walaupun bergelar anak usahawan berjaya. Ini akan memberikan imej yang tidak baik kepada Mawar dan menjatuhkan reputasi mereka berdua juga.

            “Tahu pun papa. Papa dan mama bukan tak tahu perangai mereka semua tu, termasuk anak-anak mereka. Kalau boleh tak mahu kalah kepada sesiapa. Eksyen kalau dah melawat satu-satu tempat kat luar negara.”

            “Tapi yang Mawar beriya nak futher study kat oversea ni atas reason apa? Sebab nak tunjuk lagak sama kat kawan-kawan kami macam anak-anak mereka selalu buat, sebab memang teringin nak belajar kat sana atau sebab nak ikut jejak Faisal?” Soal Khalida separa ingin tahu, separa mengusik.

            “Ketiga-tiga sebab tu merupakan faktor yang mendorong Mawar ke sana.”
            “Tapi mesti ada mana-mana satu paling kuatkan?”

            “Alah, tentulah sebab Faisal. Kami dah lama separates. Bosan tau mama. Dulu dia ke Terengganu, Mawar kat sini. Baru je beberapa bulan bersama, dah kena berpisah lagi, sekarang makin jauh.”

            “Oh, pasal Faisal sajalah ni sebenarnya...” usik Kamarul.

            “Kalau sebab dia mama kensel hantar Mawar ke sana. Boleh futher study kat tempat orang, but not Cambridge. You’ll not permitted to Cambridge.”

            “Mama ni. Apasal pulak?”

            “Mama takut kau orang terlampau bebas. Maklumlah masing-masing dah jauh daripada mak bapak. Makin naik toncanglah.”

            “Mawar waraslah mama. Mustahil Mawar akan lakukan benda-benda yang boleh mencemarkan nama baik mama dan papa.”

            “Sekarang ni Mawar enam belas tahun. Kalau tak ada aral bahaya Mawar akan ke sana usia lapan belas tahun dan Faisal sendiri ketika tu baru dua puluh tahun. Still young. Chances yang nak buat hal-hal di luar batas norma masih banyak. Pemikiran belum mature enough.”

            “Mama, please. Jangan nak ukur matang atau tak kami berdasarkan umur. Unfairlah mama. Orang dulu-dulu tu kahwin masa umur tiga belas tahun, lima belas tahun. Dia orang boleh juga lalui hidup berumahtangga dengan baik.”

            “Mama tak cakap pasal kahwin. Pasal pergaulan.” Khalida menegaskan suaranya. Dia memang tidak mahu anaknya ke luar negara semata-mata kerana mahu berdekatan dengan Faisal. Banyak buruk daripada baiknya.
“Hish. Bosanlah macam ni. Mama banyak bunyi betul. Papa, please says something.” Mawar mula geram berdebat dengan Khalida. Saat-saat seperti itu dia ingin mendengar kata-kata Kamarul pula.

Kamarul menjulingkan matanya ke arah Khalida. Kemudian melalui cermin pandang belakang dia cuba menangkap raut wajah anaknya. Nampak Mawar sudah memuncungkan kembali wajahnya. Kamarul tersenyum. Mawar memang cepat melatah kalau kehendaknya disekat. Tidak ubah-ubah sejak dulu hingga kini. Malah sekarang makin banyak kehendaknya.

Anak yang tidak pernah mengenal susah.

“Papa setuju dengan kata-kata mama tu. Kalau tujuan utama nak bersama-sama Faisal, papa pun berat hati. Godaan banyak kalau dah tinggal jauh daripada orang tua. Mawar akan rasa bebas.”

Mawar makin termengkelan. Tidak tahu sejak bila mama dan papanya mula sepakat dalam apa saja. Mawar akhirnya mendiamkan diri. Malas meneruskan bicara. Mama dan papanya bagai tidak mahu memahami hati anak-anak muda yang sedang dilamun percintaan. Padahal, jika diikutkan itu pun sudah dikira baik kerana Mawar dan Faisal masing-masing sanggup berjauhan buat sementara waktu terlebih dahulu dan menumpukan pada pelajaran masing-masing.

Jika Mawar dan Faisal Asna hanya memikirkan untuk berseronok semata-mata, Faisal tentu tidak akan sanggup meninggalkan Mawar berkali-kali. Lebih baik dia terus belajar di Kuala Lumpur jika niatnya hanya untuk  mendampingi Mawar. Mawar pun tentu sudah lama mendesak agar Faisal meneruskan saja pengajiannya di Malaysia. Seperti kata mama dan papa sekejap tadi, di sini pun berlambak-lambak universiti. Boleh pilih mana suka. Jika keputusan tidak mengizinkan ke universiti awam, daftar saja ke kolej swasta, bukan masalah bagi orang berduit macam ibu bapa Faisal untuk mendaftarkan anaknya di kolej swasta tempatan.
Pun demikian itu tidak berlaku kerana baik bagi Mawar atau pada Faisal sendiri, pelajaran tetap diutamakan. Mereka berdua masing-masing mahu mencapai tingkat teratas dalam pendidikan. Kalau boleh sehingga ke Ph.D. Mereka sama-sama minat belajar. Mawar hanya ingin belajar di negara dan kota  yang sama seperti Faisal kerana dia mahu ada dorongan yang lebih kuat daripada Faisal. Sementelah pula dia mahu menggunakan masa cuti nanti untuk meronda serata Eropah bersama Faisal. Bukankah itu lebih menarik berbanding makan angin bersama kawan-kawan biasa?

Lagi pula, bukan mama dan papanya tidak tahu sikap Mawar yang susah untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana orang. Dia jenis yang dingin. Bukan senang untuk didekati. Mawar bukan jenis yang ramai kawan. Dia cenderung untuk memilih kawannya. Di sekolah pun berapa kerat sangat yang mampu untuk berkawan dengan Mawar. Dia tidak  suka berkawan dengan semua orang. Sementelah sejak kenal Faisal. Dunianya hanya Faisal sahaja.

Kamarul menghentikan kereta di sebuah restoran makanan segera. Dia dan Khalida sudah bersetuju untuk  menikmati western food tengah hari itu. Khalida pun tiada angin sangat untuk menjamu masakan Mak Nab. Sesekali ingin juga dia merasa makanan luar. Mawar masih cemberut semasa mereka keluar dari kereta. Anak gadis mereka itu bagai  hendak tidak hendak saja melangkah ke restoran.

“Sayang, jangan macam ni. Perkara-perkara yang Mawar bangkitkan tadi masih ada masa untuk difikirkan. Masa masih panjang. Masa boleh merubah keadaan,” pujuk Kamarul melihatkan sikap yang ditunjukkan Mawar.

“Papa tak payah cakap apa-apa untuk menyedapkan hati Mawar.” Mawar bersuara mendatar.

“Habis, Mawar nak macam mana?” Khalida pula menyampuk. Hatinya mula geram dengan kepala angin Mawar.

Pantang ditegah sikit keinginannya, mula tunjuk perasaan. Sering nak menangkan diri. Khalida pula jenis yang tidak boleh bersabar lama-lama. Dia tidak betah melayan kerenah Mawar. Sekejap sahaja dia boleh berlembut suara dengan Mawar. Kalau Mawar mula buat perangai, tunjuk sikap keras kepalanya, Khalida mula menunjukkan rasa kurang senangnya.

Budak yang tidak sedar dek untung. Cukup baik aku limpahkan kemewahan selama ini. Sikit pun tidak tahu erti bersyukur. Lebih-lebih pula dia! Khalida menggerutu dalam hati melihat Mawar yang masih bersikap acuh tidak acuh semasa menarik kerusi di depannya.

Dia ingat elok sangat buat muka macam tu? Hish.  Mata Khalida masih terjuling-juling ke wajah Mawar. Dalam rasa geram yang teramat.  Anak ini, ada masanya mudah benar membangkitkan rasa yang begitu-begitu dalam dada Khalida. Pun tidak pernah terluah secara vokal segala-galanya dari mulut Khalida. Dipendamkan. Salah siapa?

Menyoal dan mencari-cari salah siapa sebenarnya sesuatu yang tidak perlu Khalida jawab. Segala-galanya ada dalam kantungnya sendiri. Tidak pernah pecah kepada sesiapapun. Dia harus menelan apa-apa sahaja. Juga sikap yang begitu-begitu Mawar. Lagipun, Mawar itu satu-satunya anak yang dia ada. Anak yang telah menyelamatkan rumahtangganya.

Bukankah Kamarul sudah begitu jinak sejak kehadiran Mawar lebih enam belas tahun lalu dalam rumahtangga mereka? Khalida harus mengingatkan hal itu masa demi masa. Malah Khalida sepatutnya sayangkan anak itu. Bukan menyimpan suatu perasaan yang begitu-begitu. Dalam masa yang sama, Mawar masih muda. Masih boleh dibentuk sebenarnya. Sikap kepala anginnya mungkin akan berubah sejajar dengan peningkatan usia.

Begitulah yang Khalida harapkan. Demikianpun, Khalida juga senang untuk memujuk dirinya sendiri agar menerima kelemahan dan kelebihan Mawar seadanya. Mawar bukan seteruk mana jika mahu dibandingkan dengan remaja lain. Silapnya Mawar sedikit kepala angin. Mudah cemberut dan suka merajuk. Sikap yang paling tidak disukai Khalida. Tapi itu masih boleh dibetulkan. Harapnya begitulah.

Dan itulah harapan sebenar Khalida. Dia terlalu mengharapkan sesuatu yang tinggi terhadap Mawar sebagai anaknya. Dia inginkan seorang anak yang begitu-begini. Solid perwatakannya. Tiada cacat cela daripada segi tingkah lakunya. Pendek kata, anak yang diinginkan oleh Khalida mesti datang dalam pakej serba sempurna. Kelemahan yang ada pada diri Mawar enggan diterimanya. Dia tidak betah untuk menerima kelemahan Mawar. Melihat sikap Mawar yang kepala angin membuatkan dia merasa begitu terketik.

Bukan begini anak yang aku inginkan. Sering hatinya bergumam begitu tanpa mengukur kira, setiap insan ada kelemahannya yang tersendiri. Seperti mana juga dirinya. Dia bukan seorang super solid daripada segi sikap dan tingkah laku. Begitupun dia menuntut anaknya menjadi seseorang yang serba-serbinya sempurna. Adilkah begitu?

Adakah kerana Mawar menjadi satu-satunya anak dalam rumahtangganya membuatkan Khalida menuntut yang bukan-bukan pada diri Mawar?

Entahlah. Khalida sebenarnya tidak tahu. Sesuatu yang nyata di situ, dia jengkel melihat sikap Mawar. Hatinya terkadang sedikit tidak ikhlas terhadap anak itu. dia seakan-akan beriya-iya mahukan kehadiran paling kurang seorang cahaya mata dalam rumahtangganya semata-mata mahu menyelamatkan kedudukan di sisi Kamarul. Tidak ingin dimadukan. Maka dengan itu dia sering mengimpikan kehadiran seorang anak. Walau apa caranya, dia harus memastikan dia berjaya memiliki seorang anak.

Pendek kata, keinginan untuk memiliki seorang anak sekurang-kurangnya bukan banyak didorong oleh naluri keibuan yang ada pada dirinya. Jika adapun peratusan ingin memiliki anak didorong oleh intuisi keibuan dalam dirinya terlalu sedikit. Selebihnya banyak didorong oleh sikap mahu menjaga kepentingannya sendiri. Maka,  sebab itulah agaknya menjadikan Khalida ada masanya merasa sedikit tidak ikhlas terhadap Mawar.

Dia tidak boleh membohongi dirinya sendiri lagi, mengatakan sayang kepada Mawar, walhal dia tidak sepenuhnya menyayangi anak itu. Tinggal lagi di situ hanya rasa tanggungjawab seorang ibu terhadap seorang anak. Selebihnya, Khalida masih memikirkan.

Mendudu-dudu dengan kedewasaan Mawar, rasa jengkel dengan sikap Mawar dan juga rasa kurang senang terhadap kemesraan Mawar bersama Kamarul semakin bercambah. Khalida pun tidak faham mengapa semua itu harus timbul, sedangkan Mawar anaknya sendiri. Dia tidak boleh lupa hakikat itu. Mawar, walau apapun tetap anaknya. Dia harus mengingatkan dirinya sendiri.

Pun Khalida tidak boleh membohongi hatinya.

“Dahlah, jangan nak bincang lagi soal-soal yang boleh menimbulkan suasana tegang. Kita keluar hari ni nak suka-suka anak-beranak. Kalau masing-masing nak bertekak susahlah,” kata Kamarul menghidupkan suasana yang agak dingin antara mereka.

Tambahan apabila Mawar nampaknya hanya menyepikan diri dengan wajah empat belasnya. Hilang seri, hilang kecantikannya.

            Khalida merenung suaminya. Kemudian mata kembali tertunak ke wajah Mawar. Mencuka benar muka si gadis ketika itu. Khalida cuba mengawal rasa dalam diri. Dia harus sedar akan kenyataan yang didepaninya. Dia tidak harus lupa. Berkali-kali Khalida cuba untuk mengingatkan dirinya sendiri. Akal cuba untuk mengimbangi kewarasan.

            Dia anak kau Khalida! Satu suara berbisik tegas di telinganya.

            Ah, Khalida pening. Kenapa keadaan makin teruk akhir-akhir itu? Dia cukup tidak suka akan perasaan yang semakin hari semakin kuat hadir dalam dirinya. Betapa tidak ikhlasnya dia selama ini sebagai seorang ibu.

            “Okey sayang, kita harus bincang elok-elok hal ni. Macam papa cakap tadi, masa masih panjang. Masa juga boleh mengubah keadaan.”

            Mawar tetap begitu. Memang dia keras kepala orangnya. Itu sebab Khalida sering naik jaki terhadap Mawar.

            “Dah sayang, mama janji kita akan bincang balik pasal ni. Malah mama janji, kalau ada masa, kami akan bawa Mawar jenguk Faisal kat sana,” ujar Khalida. Seboleh mungkin cuba untuk mengambil hati anaknya.

            Mendengar kata-kata Khalida itu, muka Mawar kembali bercahaya. Dipandang tepat ke wajah Khalida. Meminta kepastian. Khalida mengangguk.

            “Thanks a lot mama!”

            “Tapi jangan lupa, mama cakap kalau kami ada masa.” Khalida mengingatkan.

            Mawar mengangguk-angguk. Seronok bukan kepalang mendengar janji Khalida. Dia tahu, kalau Khalida sudah berkata demikian, ia pasti akan menjadi kenyataan. Khalida  sebagai mamanya bukan jenis yang suka berjanji. Mawar bukan tidak kenal. Kalau dia tidak terasa untuk berbuat demikian, Khalida awal-awal lagi tidak akan bercakap soal itu.

            Dah ada green light ni.